Ahad, 21 April 2013

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Tahun cipta nama

Posted: 21 Apr 2013 10:33 PM PDT

RAJA ILYA melihat tahun 2013 sebagai tahun dia memberi fokus terhadap kariernya.


NAMA Raja Ilya mula mencuri perhatian peminat tatkala kisah kontroversinya mula hangat di media cetak dan blog-blog hiburan sekitar dua tahun lalu.
Kisah dikatakan mahu membunuh diri akibat tertekan kerana putus tunang selepas gambar kontroversinya bersama seorang lelaki tersebar merupakan episod paling buruk buat Raja Ilya.
Akui pemilik nama sebenar Raja Ramilah Raja Muhammad, 28, itu, mungkin kerana sikapnya yang suka berterus terang menjadikannya makanan kepada dunia gosip hiburan tempatan.
"Saya jenis gadis yang lurus bendul. Apabila disoal media, semua perkara ingin dikongsikan. Ini termasuklah mengaku saya hampir membunuh diri dahulu," ujarnya yang bagaimanapun tidak menyalahkan pihak media atas kenyataan yang keluar sendiri daripada bibirnya itu.
Belajar daripada kesilapan lalu, ungkap Raja Ilya, kini dia lebih berhati-hati dalam memberi kenyataan dan berharap tahun ini merupakan tahun untuknya menyinarkan bakat lakonan sekali gus menutup segala kisah kontroversinya selama ini.
Disoal adakah kontroversi yang melanda dirinya selama ini hanya mendatangkan keburukan kepada dirinya sahaja, dedah Raja Ilya, kontroversi yang melanda seseorang artis itu juga ada kebaikannya kerana ia merupakan salah satu daripada caranya artis itu dikenali.
"Mana ada artis yang tidak pernah dilanda kontroversi. Bagi saya, kontroversi ini juga salah satu daripada caranya orang ramai mengenali artis tersebut. Mungkin juga ada peminat yang suka artis disebabkan kontroversi yang melanda diri artis tersebut," ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.
KERAP diberi watak antagonis, Raja Ilya tidak menolak, sebaliknya beranggapan ia sebagai rezekinya sebagai pelakon.


Nafi akan berkahwin
Jika sebelum ini Raja Ilya mengakui kecewa teruk selepas putus tunang, terbaharu, pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu dikhabarkan bakal berkahwin pada penghujung tahun ini.
Saat diajukan pertanyaan mengenai perkara itu (berkahwin), Raja Ilya lantas menepis dakwaan mengatakan dia bakal berkahwin.
Katanya: "Mana ada saya akan berkahwin. Saya masih solo dan tidak mempunyai kekasih sejak putus tunang dua tahun lalu.
"Tipu jika saya kata tiada yang cuba mendekati saya, tetapi pintu hati saya masih belum terbuka. Saya lebih senang hidup bersendirian buat masa ini", ujarnya.
Mengakui pengalaman lalu membuatkannya serik dan fobia menerima cinta daripada lelaki, ujar Raja Ilya, fokus utamanya kini adalah aktif dalam karier lakonan.
Raja Ilya juga menolak kenyataan mengatakan dia antilelaki. Ujarnya, pengalaman lalu hanya membuatkannya bimbang masalah yang sama akan berulang.
Begitupun, jelas Raja Ilya, jika ditakdirkan bertemu dengan seorang lelaki yang berjaya membuka pintu hatinya, dia tidak dapat menolak takdir tersebut.
"Mungkin saya tidak sesuai berada dalam perhubungan. Jadi buat masa sekarang, pendirian saya adalah masih ingin terus kekal solo. Tetapi jika ditakdirkan bertemu dengan seseorang saya terima," katanya.
Ditebak tidakkah dia berasa sunyi hidup bersendirian, ulas Raja Ilya, masanya banyak diisi dengan penggambaran drama dan filem. Ujarnya lagi, jika tiada penggambaran dia lebih senang menghabiskan masa di rumah melayan kerenah kucing-kucingnya yang kini melebihi 10 ekor.
Berwajah sombong
Mengulas lanjut, kata Raja Ilya, dia juga tidak mahu melepaskan peluang dan kepercayaan yang diberikan penerbit-penerbit yang menawarkannya berlakon.
Biarpun dilanda kontroversi, Raja Ilya bersyukur kerana tawaran berlakon tidak pernah putus.
"Saya tidak mahu mensia-siakan peluang dan kepercayaan yang diberikan. Saya juga ingin menebus kembali apa yang telah saya lepaskan sebelum ini.
"Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Pilot Cafe bersama pelakon Fahrin Ahmad dan Neelofa. Dalam filem itu saya memegang watak salah seorang daripada kekasih Fahrin.
"Kini, saya sedang menjalani dua penggambaran drama untuk slot Samarinda iaitu Episod Cinta Kirana dan juga drama Dahlia untuk tayangan saluran Astro Mustika HD (saluran 134). Dalam kedua-dua drama tersebut saya memegang watak antagonis," jelasnya.
Mengulas mengenai kedua-dua watak antagonis yang dipegangnya, ujar Raja Ilya, dia tiada masalah untuk membezakan kedua-dua watak tersebut kerana jalan cerita kedua-dua drama itu adalah berlainan.

RAJA ILYA (dua dari kiri), bersama Hans Isaac (kiri), Dira Abu Zahar dab Faizal Hussein. Mereka membintangi drama berjudul Dahlia.


Menurut Raja Ilya, dalam drama Dahlia, watak antagonis yang dibawa memaparkan dirinya dari sudut yang elegan dan bergaya manakala dalam drama Episod Cinta Kirana pula dia membawa peranan sebagai model yang seksi.
Kerap menerima peranan antagonis, Raja Ilya mengakui berasa tidak selesa, tetapi akhirnya sedar sebagai seorang pelakon dia harus menerima apa jua tawaran yang diberikan.
Disoal kenapa dia sering ditawarkan watak antagonis, kata Raja Ilya, mungkin kerana raut wajahnya yang kelihatan sombong dan garang.
"Memang pada asalnya saya tidak selesa kerana kerap ditawarkan watak antagonis, tetapi bila sudah kerap dapat ia sudah sebati pula pada diri. Bidang lakonan juga merupakan periuk nasi saya, jadi kenapa saya harus menolak tawaran yang datang," ungkapnya.
Hipokrit
Mengenali sedikit sisi sebenar Raja Ilya, dia memberitahu, tidak suka berpakaian seksi dan lebih selesa mengenakan baju T ke mana sahaja.
"Saya tidak suka pakai kasut tinggi sebaliknya suka pakai selipar. Saya juga tidak suka pakai skirt atau pakaian seksi dan lebih selesa memakai baju T.
"Sebagai pelakon saya tidak perlu hipokrit mengenakan pakaian yang cantik-cantik sahaja ke mana sahaja. Saya cuma jadi diri sendiri," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Raja Ilya akan berangkat ke India untuk penggambaran filem berbahasa Tamil pertamanya berjudul Briyani.
Jelasnya, walaupun tidak mendapat watak utama tetapi ia adalah peluang terbaik untuk kerjayanya terus berkembang di Bollywood.

Keroz Nazri Mampu Melonjak Selepas 'Masterchef Selebriti 2'

Posted: 21 Apr 2013 10:33 PM PDT

Keroz memberitahu tujuan utamanya menyertai MasterChef Selebriti kerana ingin mencabar kemampuannya dalam bidang masakan selain beramal untuk badan kebajikan yang dipilih.
PETALING JAYA: Komposer dan penyanyi, Keroz Nazri yakin penyertaannya dalam program MasterChef Selebriti 2 mampu melonjakkan popularitinya sebagai seorang artis.
Keroz atau nama sebenarnya, Khairul Nizam Nazri, 28, berkata, buat masa ini masih ramai yang tidak menyedari kehadirannya dalam industri seni dan berharap perkara itu akan berubah selepas dia menyertairancangan berkenaan.
"Saya percaya karier saya akan berubah selepas ini dan menganggap kemunculan dalam program tersebut sebagai langkah publisiti untuk mempromosikan diri saya kepada peminat," katanya kepada mStarOnline.
Keroz sebelum ini pernah menyertai program Key Note dan mendapat tempat kedua dalam pertandingan mencipta lagu itu.
Bagaimanapun kata Keroz, tujuan utamanya menyertai MasterChef Selebriti adalah kerana ingin mencabar kemampuannya dalam bidang masakan selain beramal untuk badan kebajikan yang dipilih.
Dalam pada itu, Keroz memberitahu, selain menumpukan perhatian kepada kerjaya seninya, dia juga kini sibuk menguruskan perniagaannya bersama rakan kongsi menerusi syarikat Dangerous Events.
Katanya, walaupun masih baru dalam bidang perniagaan namun dia optimis syarikat pengurusan acara itu dapat berkembang dengan baik berserta visi dan perancangan yang kemas.
"Banyak perkara yang masih perlu saya pelajari tentang perniagaan namun penglibatan dalam bidang seni sedikit sebanyak banyak membantu kerana ia berkaitan dengan pengurusan acara.
"Malah bergelar artis juga dapat menjadi batu loncatan untuk saya memperkenalkan lagi syarikat tersebut kepada pelanggan berpotensi," ujarnya.
Sementara itu, bercakap mengenai karier nyanyiannya, Keroz berkata, dia tidak berhasrat untuk menghasilkan album penuh buat masa ini sebaliknya menumpukan kepada penghasilan single sahaja.
Jelas Keroz, cara itu lebih senang diterima peminat tambahan pasaran penjualan album pada masa ini agak lembab.
"Saya lebih senang menghasilkan single buat masa ini dan jika sudah banyak lagu dilancarkan mungkin selepas itu saya akan kumpulkan dalam sebuah album," katanya.
Keroz yang popular menerusi lagu Suatu Hari Nanti baru sahaja muncul dengan single terbaharunya berjudul Sedia Bercinta Lagi.

Dayangku Intan Tidak Gentar 'Lawan' Azalina Othman

Posted: 21 Apr 2013 10:32 PM PDT

Dayangku Intan tidak gentar untuk menentang Azalina kerana yakin terhadap pengaruh yang dimilikinya sebagai seorang artis.
PETALING JAYA: Penyanyi Dayangku Intan tidak gentar untuk menentang penyandang Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) pada 5 Mei ini kerana yakin terhadap pengaruh yang dimilikinya sebagai seorang artis.
Dayangku Intan atau nama sebenarnya, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid, 47, berkata, jika Azalina berasa kuat atas kapasitinya sebagai bekas Menteri Belia dan Sukan, dia pula akan meraih sokongan kerana dikenalisebagai penghibur.
"Bukan saya mahu cakap besar tetapi saya tidak bimbang menentang Azalina. Kalau nak ikut, nama saya juga besar tetapi saya lebih kepada dunia hiburan manakala Azalina sebagai ahli politik. Itu bezanyakami," jelasnya yang berada di Pengerang ketika di hubungi mStar Online di sini pada Ahad.
Pada PRU-13 ini, Parlimen Pengerang menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila Azalina dari Barisan Nasional (BN) akan ditentang oleh Dayangku Intan yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Mohd Azaman Johari (Bebas).
Azalina menang tanpa bertanding di kerusi berkenaan pada PRU 2008.
Dayang berkata, dia berhasrat memperjuangkan nasib penduduk di kawasanberkenaan yang dianggapnya tidak mendapat pembelaan sewajarnya selain ingin mengubah kehidupan artis supaya menjadi lebih baik sekiranya memenangi kerusi berkenaan.
Katanya, artis-artis masih hidup dalam kemiskininan, tiada insuran selain mahu menuntut agar pembayaran royalti kepada pelakon dapat disegerakan.
Ditanya tidakkah dia berasa sukar daripada seorang artis dan kemudiannya terjun dalam bidang politik Dayang berkata, pada mulanyadia agak stres tetapi selepas mempunyai pengalaman sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Bahru sejak setahun lalu, masalah itu dapat diatasi.
"Mula-mula tu agak susah tetapi selepas saya faham apa yang rakyat mahukan daripada pemimpin politik mereka, barulah saya dapatmenyesuaikan diri dalam dunia politik. Apa yang penting rakyat percaya terhadap matlamat saya untuk memperjuangkan mereka," katanya.
Dayang yang popular dengan lagu "Berpaut Di Dahan Cinta" memberitahu, keputusannya menyertai parti pembangkang juga didorong rasa kecewa terhadap dunia seni apabila kehidupan mereka tidak dipedulikan.
Katanya, hidup sebagai seorang artis sentiasa terbiar dan bantuan hanya datang apabila diperlukan.
"Jika saya sebagai artis berasa kecewa dengan situasi kehidupan saya itu, saya percaya rakyat juga kecewa dengan apa yang mereka lalui hari ini," jelasnya.
Dalam pada itu Dayang berkata, dia akan tetap aktif untuk menyanyi walaupun bergelar ahli politik selain semua aktivitinya mendapat sokongan padu daripada suami, Rosman Yahil, 50, serta empat orang anak yang berusia diantara 15 hingga 30 tahun.

PRU-13: Herman Tino Dapat RM10,000 Untuk Bertanding Selepas Dua Rakan Gadai Kereta

Posted: 21 Apr 2013 10:31 PM PDT

Herman Tino bakal memperkenalkan tiga manifesto untuk masyarakat Tanjong Karang sebagai bahan kempennya menjelang pilihan raya.
PETALING JAYA: Penyanyi era 80-an Herman Tino memperoleh wang pertaruhan sebanyak RM10,000 untuk bertanding di kerusi Parlimen Tanjong Karang dekat sini dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) pada5 Mei depan selepas dua rakannya sanggup menggadaikan kereta mereka.
Herman Tino atau nama sebenarnya Masrun Tamsi, 59, berkata, pengorbanan yang telah dilakukan oleh dua sahabatnya itu telahmenaikkan lagi semangatnya untuk berkempen dan seterusnya memenangi hati penduduk di kawasan tersebut.
"Terus terang saya memang tidak mempunyai wang untuk bertanding tetapi pengorbanan dua sahabat yang sanggup menggadaikan kereta mereka cukup membuatkan saya terharu.
"Selain RM10,000 dibayar sebagai wang taruhan saya juga perlu membayar RM5,000 sebagai deposit bahan untuk berkempen," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Ahad.
Herman Tino yang memegang tiket Bebas bakal menghadapi pertandingan tiga penjuru di kerusi penyandangnya, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar (Barisan Nasional) dan Timbalan Yang Dipertua PAS Tanjong Karang, Mohamad Rashdi Deraman, 49.
Penyanyi yang popular dengan lagu 'Yale Yale' dan 'Pelita Dalam Kabus' mendapat pendidikan sehingga tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Haron di sini.
Herman Tino bakal menghadapi pertandingantiga penjuru di kerusi penyandangnya, Menteri Pertanian dan IndustriAsas Tani, Datuk Seri Noh Omar (Barisan Nasional) dan Timbalan Yang Dipertua PAS Tanjong Karang, Mohamad Rashdi Deraman, 49.
Beliau akan menggunakan lambang bunga raya pada pilihan raya ini.
Dalam pada itu, Herman Tino yang juga suami kepada juruhebah radio popular RTM, Noraini Ibnu berkata, beliau tidak pernah bercita-cita untuk menjadi ahli politik tetapi hatinya terbuka selepas memperolehkeyakinan daripada penyokong-penyokongnya yang percaya dengan kebolehannya membentuk keharmonian di kawasan berkenaan.
Tambahnya, keputusan itu juga dibuat selepas menyangka Noh Omar tidakbertanding bagi mempertahankan kerusi yang telah disandangnya sejak sekian lama.
"Saya tidak tahu Noh Omar kembali bertanding kerana ingatkan Barisan Nasional akan meletakkan muka baru di kerusi tersebut namun keputusan telah dibuat dan saya tidak boleh berpatah balik manakala perjuangan harus diteruskan," katanya.
Mengakui gementar dengan debaran penerimaan masyarakat terhadapnya, Herman Tino berkata, dia membuat keputusan untuk bertanding dalam PRU-13 ini dalam masa 36 jam sebelum penamaan calon dibuka pada Sabtulalu.
Sementara itu dia bakal menampilkan tiga manifesto kepada masyarakat Tanjong Karang iaitu jambatan kasih sayang, perdamaian politik dan jaga harta benda sebagai bahan kempennya.
Herman Tino cukup terkenal dengan lagu seperti 'Yale Yale' dan 'Pelita Dalam Kabus' semasa zaman kegemilangannya pada era 80-an.
Katanya, walaupun tidak dapat menjanjikan pembangunan pesat di Tanjong Karang kerana faktor wang tetapi dia yakin dapat membentukmasyarakat yang harmoni menerusi manifesto yang diperkenalkannya itu.
"Saya tidak mewakili mana-mana parti politik tetapi manifesto yang saya tampilkan ini adalah untuk mengajak supaya masyarakat Tanjong Karang tidak taksub dengan politik kerana enggan melihat merekaberpecah belah.
"Saya juga memilih manifesto itu kerana tidak berani untuk menjanjikan pembangunan pesat kepada mereka kerana tidak mempunyai wang sebaliknya yakin mampu mengubah mentaliti masyarakat di situ," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, Noh yang berasal dari Parit 2, Sungai Burung, Tanjong Karang menewaskan Mohamed Hanipa Maidin (PAS) dengan majoriti 3,820 undi.
Parlimen itu mempunyai 42,410 pengundi berdaftar dengan pengundi Melayu seramai 31,096 orang, Cina (7,043), India (4,158) dan kaum lain (113).

PRU13: Zizie Ezzete Bantu Suami Berkempen

Posted: 21 Apr 2013 10:30 PM PDT


Zizie menenami suaminya, Datuk Bung Moktar Radin ketika hari penamaan calon pada Sabtu lalu di Kinabatangan, Sabah.
KINABATANGAN: Datuk Bung Mokhtar Radin yakin kehadiran isterinya, pelakon Zizie Ezette dapat membantunya dalam kempen mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan.
Hadir dengan berpakaian biru warna Barisan Nasional (BN) dan berjaket, Zizie menjadi tumpuan masyarakat semasa suaminya menyerahkan borang pencalonannya melibatkan perlawanan empat penjuru di antara PKR, STAR dan calon bebas pada Sabtu lalu.
"Dia mampu menghadapi kempen yang sengit," katanya.
Kinabatangan adalah Parlimen paling besar di Sabah.
Bung berkata, Zizie tiada masalah membantunya berkempen dan telah menjelajah ke beberapa buah kampung setakat ini.
"Kempen saya baru sahaja bermula dan dia akan menemani saya," ujarnya.
Dalam pada itu, walaupun sering dianggap tokoh politik kontroversi di Parlimen, Bung kekal sebagai wakil rakyat popular dikalangan masyarakat Sungei kerana sanggup meredah jalan berlumpur dan menggunakan bot usang sebagai cara berkempen dan mendekati penduduk di sana.
Bung juga yakin dapat mempertahankan kerusi tersebut untuk penggal keempat selepas menang pada pilihan raya tahun 1999 dengan majoriti 6,326 undi.

Wanita nekad lawan peragut

Posted: 21 Apr 2013 10:26 PM PDT


Wanita nekad lawan peragut
Suspek, 22, terbaring di bahu jalan sementara menunggu kehadiran anggota polis untuk dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU - Seorang wanita bertindak nekad menarik beg tangan miliknya daripada diragut oleh dua lelaki walaupun terpaksa menahan kesakitan, dalam satu kejadian ragut di Jalan Bukit Kecil, di sini, Jumaat lalu.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, 51, yang bekerja sebagai pembantu kedai sedang berjalan kaki bersama anak perempuannya dari arah Jalan Bukit Kecil menuju ke Pulau Kambing, di sini, sebelum dihampiri dua suspek yang menunggang motosikal.

"Semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa dihampiri dua suspek sebelum pemboncengnya cuba meragut beg tangan milik mangsa.

"Terkejut dengan tindakan itu, mangsa cuba menarik semula beg tangannya menyebabkan berlaku adegan tarik menarik antara mangsa dan suspek," katanya, semalam.

Sumber berkata, susulan itu, tali beg putus sebelum mangsa tersembam di atas jalan.

"Ketika itu, beg tangan masih berada dalam tangan mangsa yang sedang mengerang kesakitan akibat terjatuh, sementara kedua-dua suspek segera melarikan diri sebaik menyedari orang ramai mula menghampiri tempat kejadian.

"Bagaimanapun, dalam keadaan kelam kabut itu, suspek yang melarikan diri gagal mengawal motosikal sebelum terbabas dan melanggar sebuah pacuan empat roda yang ada di tepi jalan," katanya.

Jelasnya, suspek yang menunggang motosikal sempat melarikan diri sementara rakannya berjaya ditahan orang ramai yang kebetulan berada di lokasi.

"Suspek berusia 22 tahun dari Kuala Ibai, di sini, itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan usaha memburu rakan suspek berusia 20-an sedang dijalankan.

Suami tak halang Amy aktif

Posted: 21 Apr 2013 10:21 PM PDT

BARU muncul dengan single, Tapi Itu Dulu, Amy bakal muncul di pentas teater, Nyonya & The Gang di Istana Budaya.


PADA usia yang sudah mencecah 40-an, pembabitan penyanyi dan pelakon Amy Mastura masih lagi diterima ramai. Status sebagai ibu kepada dua cahaya mata langsung bukan penghalang buat dirinya meneruskan karier seninya.
Amy yang ditemui semasa majlis pelancaran teater Nyonya & The Gang pada minggu lalu menyatakan, dia tidak menyangka bahawa masih banyak lagi pihak yang memberi kepercayaan kepadanya untuk berlakon dan mengadakan persembahan nyanyian.
Menurutnya, sebagai ibu juga ia sepatutnya tidak menjadi penghalang untuk meneruskan bidang yang diminati, asalkan perlu bijak membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya.
Selain itu, Amy yang pernah popular menerusi lagu Meniti Hari menyatakan apa yang lebih penting adalah pembabitannya dalam bidang seni masih lagi mendapat restu suami tercinta, Alvin Tham Suffian.
Kosmo!: Boleh ceritakan tentang perkembangan terbaharu kerjaya Amy sekarang?
AMY: Saya sangat gembira kerana pada usia yang bakal mencecah 42 tahun bulan depan (Mei), saya masih lagi diberi peluang untuk terus berlakon dan menyanyi.
Yang terbaharu, saya bakal tampil dengan sebuah teater Nyonya & The Gang yang akan dipentaskan pada 14 hingga 20 Jun ini. Ia merupakan teater dewasa saya yang pertama setelah beberapa kali muncul dalam teater kanak-kanak sebelum ini.
Memandangkan Amy mempunyai dua orang anak yang sedang membesar, adakah suami tidak kisah apabila Amy terus aktif dalam bidang seni?
Setakat ini suami langsung tidak menghalang sebarang kegiatan seni saya. Lagipun dia cukup memahami bahawa nyanyian dan lakonan merupakan bidang yang cukup saya minati, asalkan saya tidak mengabaikan keluarga.
Bagaimanapun, ia tidak bermakna saya perlu terlalu fokus kepada kerjaya kerana saya ada tanggungjawab yang lebih besar iaitu memberi sepenuh perhatian terhadap kedua-dua anak saya iaitu Adriana, 12, dan Adilia yang kini sudah berusia lapan tahun.
Adakah Amy memberikan galakan sekiranya anak-anak berminat mengikut jejak langkah Amy?
Antara kedua-dua anak saya itu, rasanya Adilia lebih menunjukkan minat untuk menjadi seorang pelakon berbanding kakaknya. Namun begitu, saya tidak menghalang sekiranya mereka mahu terbabit dalam bidang seni dan sebagai ibu saya akan menyokong apa sahaja yang mereka minat.
Pada masa ini Amy dilihat lebih menyerlah dalam bidang lakonan, sedangkan Amy terlebih dulu mencipta nama sebagai penyanyi. Adakah Amy mahu memberi lebih fokus kepada lakonan sahaja?
Biarpun orang melihat kerjaya seni lebih terarah kepada lakonan, kerjaya nyanyian masih lagi diteruskan. Saya baru sahaja tampil dengan single terbaharu berjudul Tapi Itu Dulu.
Berkenaan dengan pembikinan album baharu pula rasanya masih lagi belum sesuai berdasarkan kepada keadaan sekarang. Mungkin saya akan keluarkan album kompilasi dulu dan akan diselitkan dengan single saya itu.
Apakah yang membuatkan Amy mahu terus aktif dalam dunia seni, sedangkan semakin ramai artis baru yang muncul sekarang?
Pembabitan saya dalam dunia seni ini bukanlah mahu bersaing dengan sesiapa, sebaliknya apa yang saya lakukan ini semuanya berdasarkan kepada minat dan keseronokan.
Misalnya, sebelum menerima sesuatu tawaran lakonan itu saya akan menilai terlebih dulu seperti skrip dan jalan cerita. Mengenai watak pula saya tidak kisah bawa apa sahaja watak, asalkan saya berasa seronok untuk melakonkannya.

Eksklusif Wings Rockestra

Posted: 21 Apr 2013 10:19 PM PDT


BERGABUNG. Dari kiri: Joe, Ian Antono, Awie, Hillary Ang, Eddie dan Black.


KURANG tempoh seminggu, Wings akan kembali menghangatkan pentas Istana Budaya yang pernah mereka tawan sebelum ini. Bermula 26 hingga 30 April ini, memakai label Wings Rockestra, Wings sekali lagi bakal memuntahkan segala kepakaran dan untaian lagu terbaik mereka.
Wings Rockestra masih lagi akan diiringi oleh 43 orang pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan yang dipimpin oleh Mustafa Fuzer.
Hanya pada kali ini, ujar si pemain gitar yang juga merupakan penggerak utama konsert tersebut, Joe, mewakili grup legenda itu memberitahu bahawa Wings tidak akan mengulang main lagu-lagu yang telah dipersembahkan dalam konsert sulung mereka dahulu.
Kali ini, Wings akan memainkan beberapa lagu yang cukup dekat dalam kalangan peminat tegar mereka, tetapi tidak pernah dimainkan dalam konsert-konsert sebelum ini.
"Boleh dikatakan, kami merombak hampir semua pemilihan lagu yang akan dimainkan pada kali ini. Ini kerana kami mempunyai banyak lagi katalog lagu yang peminat suka, tapi belum sempat dimainkan dalam konsert-konsert sebelum ini.
"Antara lagu yang akan kami mainkan seperti Harapan, Pengabdian Kekasih dan Amuk. Bagaimanapun kami tetap akan mengekalkan lagu seperti Taman Rashidah Utama kerana ia sudah menjadi satu kebiasaan untuk dimainkan Wings," ujar Joe dalam sidang media kedua Wings Rockestra di Istana Budaya, baru-baru ini.
Selain menukar pemilihan lagu, Wings turut mengubah sedikit haluan konsert pada kali ini. Mempunyai tiga segmen, salah satu daripadanya akan menyaksikan Wings berkolaborasi dengan dua pemain gitar legenda.
Pemain gitar Search, Hillary Ang dan Ian Antono, pemain gitar God Bless yang diterbangkan khas dari Indonesia akan menjadi 'pemercik api' konsert pada malam itu nanti.
Bercakap tentang kesudian menerima lamaran Wings untuk bermain tiga buah lagu bersama grup tersebut, Ian memberitahu, sebagai seorang pemuzik, dia menyokong semua jenis muzik biar berbeza budaya dan agama.
Malah, dia yang akan bermain dalam satu segmen dengan durasi 20 minit memberitahu: "Secara jujurnya, saya baru kenal muzik Wings, namun berasa muzik mereka bagus. Kini, saya giat menjalani latihan agar dapat memainkan muzik mereka dengan baik."
Sementara itu, bercakap mengenai pilihan alternatif untuk peminat Wings yang barangkali tidak dapat menyaksikan konsert mereka seperti boleh memiliki video yang dirakam pada konsert tersebut kelak, Joe menegaskan, Wings Rockestra tidak akan dirakamkan dan dijual.
"Kami tidak akan merakamkan sebarang video pada konsert ini untuk dijual. Ini kerana kami mahu menyimpan nilai eksklusif konsert ini hanya untuk peminat yang datang ke Istana Budaya.
"Ia juga sebagai tanda Wings menghargai peminat yang sudi membeli tiket menyaksikan persembahan ini," ujar Joe.
Sementara itu, berita baik buat peminat Wings apabila tiket-tiket yang dijual pada harga bermula RM69 hingga RM499 kini boleh dibeli dengan potongan harga sebanyak 20 peratus. Tiket boleh didapati di http://www.ticket2u.biz.

Sandiwara cinta Gomez, Bieber

Posted: 21 Apr 2013 10:18 PM PDT


JUSTIN BIEBER dan Selena Gomez.


BERPISAH atau tidak? Itu persoalan yang kini ligat berlegar dalam fikiran peminat-peminat penyanyi sensasi Justin Bieber dan Selena Gomez. Ini kerana, pasangan yang telah mengumumkan perpisahan mereka beberapa bulan lalu ini telah ditangkap bercium baru-baru ini.
Ciuman antara Gomez dan Bieber itu pula disifatkan sebagai bukan ciuman biasa, sebaliknya ciuman ghairah seperti pasangan yang sedang mabuk bercinta.
Gomez dan Bieber 'ditangkap' bercium serta berpegangan tangan di Oslo, Norway. Ia juga merupakan satu kejutan kerana Gomez dikatakan sanggup 'terbang' ke Norway demi Bieber yang sedang menjalani siri konsert jelajahnya di sana.
Gomez sebelum ini pernah menyatakan bahawa dia tidak akan kembali ke pangkuan penyanyi tersebut kerana letih dengan sikap keanak-anakkan Bieber.
Selain itu, satu sumber lain pula mendakwa, Bieber telah meletakkan gambar Gomez pada paparan skrin telefon bimbitnya.
Adakah ini membuktikan bahawa mereka telah kembali menjalin hubungan cinta, atau sebelum ini pasangan selebriti tersebut memang tidak pernah berpisah?
Hanya Gomez dan Bieber sahaja yang tahu tentang sandiwara cinta mereka ini.

Khemah roboh dipukul ribut

Posted: 21 Apr 2013 10:16 PM PDT


KEADAAN khemah di Dewan Serbaguna Taman Mawar, Pasir Gudang yang roboh akibat dipukul ribut semalam.


PASIR GUDANG - Petugas, tetamu utama dan pegawai Kementerian Pengajian Tinggi nyaris cedera apabila khemah tempat mereka sedang menikmati jamuan, roboh dipukul ribut.
Kejadian berlaku selepas majlis perasmian Pelan Strategik Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi 2013 di Dewan Serbaguna Taman Mawar dan dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Semua tetamu dan peserta majlis itu sedang menikmati hidangan pencuci mulut, pengat pisang apabila berlaku hujan lebat disertai angin kencang pada pukul 12.10 tengah hari.
Khaled, yang juga calon Barisan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Permas, meninggalkan majlis lima minit sebelum kejadian ribut.

Pencarian Miss Photogenic WHF 2013

Posted: 21 Apr 2013 10:15 PM PDT


FINALIS Miss WHF bersama sebahagian jurugambar yang menyertai pertandingan fotografi Miss Photogenic WHF di Kuching, Sarawak semalam.


KUCHING – Sebanyak 15 finalis Miss World Harvest Festival (WHF) 2013 berkumpul di rumah panjang Orang Ulu, Kampung Budaya Sarawak (SCV) di sini semalam bagi mencari pemenang Miss Photogenic WHF pada musim ini.
Sesi fotografi anjuran dan tajaan Reborn Photography itu berjaya menarik sebanyak 157 jurugambar sekitar Kuching untuk menyertainya.
Kesemua finalis WHF 2013 adalah Noraini Sabu, Rosalind Sajah, Claudia Panti, Syafiqah Mohd. Ahmadi, Brenda Sue Changgai, Nur Halina, Nightangle David, Nurfetin Afiqah, Shaley Merie, Fiolla Redup, Fillence Macaitlan, Efazira Sabri, Cammielye Oliver Rega, Cornellia Johnek dan Shafreezan Sazali.
Kesemua mereka berusia antara 18 hingga 25 tahun.
Manakala dua kategori dipertandingkan bagi sesi fotografi tersebut iaitu iaitu gambar terbaik Miss Photogenic dan gambar terbaik keseluruhan.

Kempen pelaburan ASB Maybank dapat sambutan

Posted: 21 Apr 2013 10:14 PM PDT


HAMIRULLAH (tiga dari kanan) bersama para pemenang Kempen Pelaburan ASB Maybank di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Maybank telah menerima lebih daripada 100,000 pendaftaran untuk menyertai Kempen Pelaburan ASB Maybank tahun lalu.
Ketua Jabatan Kewangan Konsumer, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Hamirullah Borhan berkata, sambutan menggalakkan ini menunjukkan pendedahan yang dibuat mengenai produk pelaburan itu telah memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurutnya, kempen berkenaan merupakan salah satu daripada inisiatif Maybank untuk menggalakkan simpanan jangka panjang melalui tabung-tabung unit saham amanah di bawah pengurusan Amanah Saham Nasional Bhd.
"Ia juga merupakan pilihan pelaburan alternatif selain produk simpanan dan pelaburan lain yang ditawarkan Maybank," katanya dalam kenyataan sempena penyampaian hadiah Kempen Pelaburan ASB Maybank 2012 di sini baru-baru ini.
Maybank merupakan institusi kewangan pertama yang membolehkan para pelanggan membuat pelaburan unit amanah di bawah pengurusah ASNB secara dalam talian di Maybank2u.com.my.

Arab Saudi bina pusat pemulihan mewah

Posted: 21 Apr 2013 10:11 PM PDT

BEBERAPA wartawan dibawa memasuki tempat makan banduan militan Al-Qaeda di sebuah pusat pemulihan mewah di Riyadh pada 9 April lalu.


RIYADH - Pihak berkuasa Arab Saudi merancang melenyapkan fahaman ekstrem dalam kalangan banduan militan Al-Qaeda melalui kaedah kaunseling, rawatan spa dan senaman di sebuah pusat pemulihan mewah di sini.
Banduan-banduan itu boleh menggunakan fasiliti pusat pemulihan berkenaan termasuk kolam renang saiz Olimpik, sauna, gimnasium dan dewan televisyen semasa mereka menghadiri sesi kaunseling dan ceramah agama.
Pusat pemulihan mewah baharu itu dibina oleh Pusat Kaunseling dan Penjagaan Putera Mohammed Bin Nayef.
Badan itu yang ditubuhkan tujuh tahun lalu bertujuan untuk memulihkan ekstremis-ekstremis Islam yang ditahan semasa operasi membanteras Al-Qaeda di Arab Saudi antara 2003 hingga 2006.
"Kurang 3,000 orang banduan Islam akan menjalani sesi pemulihan di pusat-pusat itu sebelum mereka dibebaskan," kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Jeneral Mansur Al-Turki.
Sebuah pusat pemulihan tersebut telah dibuka di bandar raya Jeddah manakala tiga lagi akan dibina di utara, timur dan selatan negara ini.
Namun, hanya pusat pemulihan di sini yang memiliki kelengkapan serba mewah sebagai insentif untuk banduan-banduan tersebut yang melupakan fahaman ekstremis Al-Qaeda.
Fasiliti pemulihan di sini mempunyai keluasan bersamaan 10 padang bola sepak dan dibina untuk menempatkan seramai 228 banduan Al-Qaeda.
Setiap daripada 12 bangunan di pusat pemulihan itu akan menempatkan 19 banduan.
Setiap banduan berkenaan diberikan suite mewah bagi membolehkan mereka meluangkan masa bersama keluarga masing-masing pada waktu melawat.
Banduan yang berkelakuan baik boleh meluangkan masa dua hari bersama isteri mereka di suite tersebut.
Pada waktu siang, para banduan itu akan menghadiri seminar agama bertujuan untuk melenyapkan fahaman jihad dalam diri mereka.
"Dalam usaha memerangi pengganas, kita perlu memberi keseimbangan dalam aspek intelektual dan psikologi kepada mereka menerusi dialog dan pujukan," kata pengarah pusat pemulihan tersebut, Said Al-Bishi.

Pesawat berkuasa suria jalani ujian

Posted: 21 Apr 2013 10:10 PM PDT


PESAWAT Solar Impulse berada di Moffett Field di Mountain View, California pada Jumaat lalu.


MOUNTAIN VIEW, California - Sebuah pesawat berkuasa suria menjalani ujian pada Jumaat lalu di Teluk San Francisco selepas berlepas dari Moffett Field di sini.
Pesawat itu yang bernama Solar Impulse menjalani ujian penerbangan selama dua jam.
Menurut salah seorang pencipta dan juruterbang pesawat itu, André Borschberg, Solar Impulse akan terbang mengelilingi dunia dalam tempoh dua tahun lagi.
Pesawat satu tempat duduk itu boleh bergerak selaju 64.37 kilometer sejam dan menembusi awan.
Seorang lagi pencipta pesawat itu, Bertrand Piccard berkata, pesawat berkenaan bersedia untuk melakukan penerbangan merentasi negeri-negeri di Amerika Syarikat pada 1 Mei depan.

Hospital kos murah di India

Posted: 21 Apr 2013 10:09 PM PDT


SEBUAH wad yang terdapat di dalam hospital itu.


BANGALORE - Sebuah hospital di Mysore menawarkan kos pembedahan jantung pada kadar yang lebih murah kepada para pesakit.
Hospital Narayana Hrudayalaya itu terletak dua jam perjalanan dari sini, dibina dengan kos sebanyak AS$7.4 juta (RM22.45 juta) dalam tempoh 10 bulan dan dibuka baru-baru ini.
Pengasas hospital itu ialah salah seorang pakar jantung yang terkenal di dunia, Devi Shetty.
Di hospital itu, penyaman udara hanya disediakan di bilik-bilik pembedahan dan unit rawatan rapi.
Hospital itu dilengkapi dengan tingkap yang besar bagi mengurangkan penggunaan penyaman udara.
Saudara-mara atau rakan yang melawat pesakit diberikan latihan kejururawatan selama empat jam dan mereka boleh melakukan kerja-kerja yang mudah seperti menukar pembalut luka pesakit.
Kumpulan pengurusan hospital itu percaya ia mampu mengurangkan kos pembedahan jantung sehingga kepada AS$800 (RM2,427).
Sebahagian pesakit miskin dibenarkan untuk menerima rawatan secara percuma.
Menurut Shetty, terdapat hospital yang dibina dengan dilengkapi 200 hingga 300 katil dekat Stanford, Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata, kos pembinaan hospital di AS itu mungkin lebih AS$600 juta (RM1.82 bilion).
"Terdapat sebuah lagi hospital akan dibina di London. Kos hospital itu dipercayai lebih AS$1.52 bilion (RM4.61 bilion)," kata bapa kepada empat orang anak itu.
Menurutnya, pihaknya menyasarkan untuk membina sebuah hospital dan dilengkapi dengan peralatan pada kos hanya AS$6 juta (RM18.20 juta).
Kebanyakan pesakit tidak akan dikenakan bayaran melebihi AS$1,800 (RM5,462).
Kejayaan Shetty menyebabkan beliau menjadi seorang yang kaya dan dikenali di peringkat antarabangsa.
Baru-baru ini, stesen televisyen Al-Jazeera menyiarkan enam siri tentang hospital itu dengan wad-wad dipenuhi pesakit yang terdiri dalam kalangan petani dan buruh.
"Kami pernah melihatnya (Shetty) menerusi televisyen baru-baru ini dan kami dapat melihat komitmen beliau untuk membantu penduduk miskin dan kelas pertengahan," kata seorang kakitangan awam, Ranjan Bhattacharya.
Bhattacharya membawa isterinya yang sakit ke hospital itu dengan sanggup menempuh perjalanan sejauh 2,000 kilometer dengan menggunakan kereta api.
Doktor-doktor di hospital itu melakukan pembedahan pada awal pagi sehingga pada waktu malam selama enam hari seminggu.
Penubuhan hospital itu diilhamkan daripada syarikat penerbangan tambang murah yang mengggunakan pesawat-pesawat sedia ada dengan semaksimum mungkin.

Wartawan tinggalkan majlis perkahwinannya demi tugas

Posted: 21 Apr 2013 10:08 PM PDT


YING yang memakai baju pengantin membuat laporan secara langsung dengan mewawancara seorang penduduk di bandar Ya'an kelmarin.


Ya'an - Seorang wartawan sebuah stesen televisyen, Chen Ying sanggup meninggalkan majlis perkahwinannya apabila dia membuat laporan tentang kejadian gempa bumi yang berlaku di wilayah Sichuan, barat daya China kelmarin.
Ketika kejadian, Ying disolek sebelum majlis perkahwinannya berlangsung.
Menurut laporan media tempatan, ekoran gegaran gempa bumi berlaku di sini, dia yang masih berpakaian pengantin sanggup membuat temu ramah dengan penduduk dan membuat laporan tentang kejadian tersebut secara langsung.
Lebih 200 orang terbunuh dalam kejadian itu selepas berlakunya gempa bumi sekuat 6.6 pada skala Richter dengan kedalaman 12 kilometer dan berpusat dekat bandar ini.

Pemetik api seperti bom tangan

Posted: 21 Apr 2013 10:06 PM PDT


GAMBAR menunjukkan pemetik api yang kelihatan seperti bom tangan.


MIAMI, Florida - Sebuah pemetik api yang berbentuk seperti bom tangan yang dibawa oleh seorang penumpang telah mencetuskan kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami di sini pada 18 April lalu.
Sebahagian daripada kawasan di lapangan terbang itu terpaksa ditutup selepas beberapa pengawal keselamatan menyangka pemetik api yang dibawa penumpang itu bom tangan.
Jurucakap lapangan terbang itu, Greg Chin berkata, siasatan selama dua jam dibuat berhubung kes pemetik api tersebut.
Bagaimanapun, seorang pegawai polis kemudian mengesahkan bahawa pemetik api itu bukannya bom tangan selepas pemeriksaan dibuat dengan teliti.

Buluh untuk kibar bendera

Posted: 21 Apr 2013 10:05 PM PDT



SELEPAS pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan penamaan calon oleh parti-parti politik Sabtu lalu, gendang perang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin kuat dipalu.
Ketika ini, setiap calon dan ahli parti masing-masing begitu sibuk berkempen untuk meraih undi. Ada yang turun padang berceramah, ada yang mengedarkan risalah, ada yang berkunjung ke rumah dan ada juga mempromosikan calon menerusi internet.
Namun, salah satu kempen konvensional yang masih dilihat begitu relevan pada hari ini adalah dengan menggunakan bendera atau sepanduk.
Lihat sahaja di mana-mana baik di tengah bandar, pekan, ceruk kampung dan desa, hampir di setiap pelosok tempat begitu meriah dengan kibaran bendera parti masing-masing.
Dalam keasyikan melihat pelbagai ragam perang bendera oleh parti-parti politik, mungkin ramai yang tertanya-tanya dari mana mereka memperoleh begitu banyak batang buluh. Hampir kebanyakan bendera yang dipasang baik di atas pokok, di tiang elektrik, jejantas jalan raya atau bangunan diikat pada batang buluh.
Hampir dua hari mencari jawapan, akhirnya minggu lalu penulis menemui jawapannya. Bagi bendera di sekitar Lembah Klang, kebanyakan buluh diperoleh daripada masyarakat Orang Asli berasal dari Hulu Langat dan Gombak.
Kandau Dan, 38, merupakan antara salah seorang Orang Asli yang boleh mengukir senyuman lebar ketika ini kerana dia dan rakan sekampungnya sudah menerima lebih 10,000 tempahan buluh sepanjang kempen PRU kali ini.
Menurut anak jati Kuala Pansoon, Hulu Langat itu, pekerjaan tersebut bukanlah satu tugas baharu memandangkan penduduk Orang Asli baik lelaki atau wanita melakukan pekerjaan tersebut sebagai pekerjaan harian. Dia sendiri sudah 18 tahun bekerja mencari buluh di hutan.
Kebanyakan penduduk Orang Asli sepertinya bergantung kepada hasil hutan seperti mencari buluh, pucuk paku, pisang, buluh, petai dan melakukan kerja-kerja kampung sebagai sumber pendapatan.
Mengulas lanjut mengenai pekerjaan tersebut, bapa kepada sembilan orang anak itu memberitahu, pada kebiasaannya, dia akan masuk ke hutan bersama beberapa rakan sekampungnya.

PEMANDANGAN di sebatang jalan raya di Kampung Pandan, Kuala Lumpur yang dipenuhi dengan ratusan bendera parti politik menggunakan buluh.


Lazimnya, rutin itu dilakukan sekerap dua hingga tiga kali seminggu bergantung kepada permintaan.
"Jika, mereka membuat tempahan dalam 1,000 batang buluh, kami akan mendapatkan bekalan itu dalam tempoh tiga hari sahaja," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagaimanapun, mereka perlu membuat bayaran pendahuluan dan separuh daripada tempahan akan disalurkan terlebih dulu.
Ditanya mengenai harga, sebatang buluh dijual pada harga antara RM1 hingga RM2.
Kadar harga itu bergantung kepada ruasnya yang panjang. Misalnya, 8 kaki (2 meter) dijual pada harga RM1.50 manakala 12 kaki (3.6 meter) pula berharga RM2.
Begitupun, sifat buluh yang digunakan untuk pilihan raya seharusnya lurus dan tidak tebal. Ia bagi mengelakkan bendera yang diikat pada buluh menjadi kendur. Selain itu, bendera-bendera yang diikat pada buluh yang lurus tidak mudah jatuh walaupun ditiup angin kencang.
Namun lain pula bagi bendera gergasi yang memerlukan buluh yang lebih besar.
Cabaran
Menyentuh mengenai cabaran masuk ke hutan mencari buluh, Kandau mengakui, miang buluh adalah antara yang tidak dapat dielakkan.
"Kalau dari segi selok-belok dalam hutan memang kami tidak mempunyai masalah sebab kami membesar dalam hutan sejak kecil lagi.
"Namun, miang buluh memang susah nak elak sebab ia akan melekat juga pada tubuh biarpun saya mengenakan baju lengan panjang dan seluar panjang.
"Miang buluh akan menyebabkan saya gatal-gatal seluruh tubuh seharian," luahnya.
Kandau menambah, terdapat juga risiko-risiko lain seperti dahan reput serta terjumpa haiwan liar atau berbisa seperti babi hutan, lipan dan ular.
Kehadiran haiwan-haiwan itu membuatkan pencari buluh sentiasa berhati-hati.
"Apa yang penting, jika masuk ke dalam hutan, kami tidak boleh mengganggu haiwan itu kerana itu adalah habitat semula jadinya," kata Kandau sambil memberitahu belum ada sebarang kejadian yang tidak diingini menimpanya.
Permintaan luar biasa
Anak kedua daripada lima adik-beradik itu memberitahu, dia dan rakan-rakannya dapat meraih pendapatan agak lumayan ekoran permintaan tinggi buluh pada musim pilihan raya.
"Saya mula mendapat tempahan sejak sebulan lalu termasuk permintaan dari Kedah," tuturnya yang dapat meraih pendapatan lebih RM1,000 selepas dibahagikan bersama rakan-rakan.
Dalam pada itu, permintaan buluh melonjak kerana bekalan kayu tidak dapat menampung selain ia tidak menepati ciri untuk memasang bendera.
"Jika memasang bendera menggunakan kayu, ia tidak cukup tinggi berbanding buluh. Jadi, kini parti-parti yang bertanding menempah buluh.

SAMSURIE (kiri) membawa keluar batang-batang buluh yang telah ditebang di hutan Kuang bersama seorang rakan.


Bukan tugas mudah
Muhammad Samsurie Melan, 74, dari Kampung Kuang, Rawang, Selangor pula sudah hampir 10 tahun meraih rezeki melalui pekerjaan mencari batang buluh.
Dia mengakui tugas itu agak sukar kerana menuntut ketelitian, kesabaran dan kemahiran yang tinggi.
Selain kesukaran meredah hutan tebal di sekitar Kuang, kerja-kerja menebang pokok buluh juga bukan mudah memandangkan pokok buluh tumbuh terlalu rapat.
Sambil berjalan menyusuri hutan dengan berbekalkan sebilah parang, Samsurie menerangkan buluh jenis galah sesuai digunakan untuk menggantung bendera kerana ia lurus.
Ujarnya lagi, dari segi logistik dia yang biasanya melakukan tugas itu dengan seorang lagi rakan akan memotong dan mengumpulkan dulu buluh pada sebelah pagi, sebelum mengangkat buluh keluar dari hutan pada sebelah petang.
Biasanya mereka akan menggunakan kudrat tenaga sendiri untuk mengangkat keluar batang buluh itu.
"Kami angkat demi sedikit, biasanya 30 hingga 50 batang buluh kami pikul di atas bahu untuk dibawa keluar dari hutan," katanya sambil menyeka peluh yang bercucuran di mukanya.
Tempah 30,000 buluh
Sementara itu, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, Abdul Shukur Idrus, berkata, pihaknya mendapat bekalan buluh daripada masyarakat Orang Asli dan penduduk setempat di kawasan itu. Caj setiap buluh yang dikenakan antara RM1.50 sehingga RM2.
Menurut Abdul Shukur, ini pertama kali pihaknya menggunakan buluh untuk menggantung bendera parti.
Sebelum ini, pihaknya menggunakan batang penyapu kerana budaya buluh kurang popular berbanding di negeri-negeri utara.
Namun hari ini, kos sebatang kayu penyapu sahaja boleh mencecah RM5. Lagipun, sifat batang penyapu yang pendek tidak dapat menggantung bendera setinggi kayu buluh.
Ujar Abdul Shukur lagi, pada mulanya, jentera parti menempah 10,000 batang buluh, namun tidak mencukupi untuk kempen di Parlimen Selayang yang turut merangkumi DUN Kuang.
"Jadi, kami menambah lagi sebanyak 20,000 batang buluh kerana ia juga diberi kepada masyarakat setempat untuk memudahkan mereka mengikat bendera," katanya lagi.

Lagos dibanjiri jenama antarabangsa

Posted: 21 Apr 2013 10:04 PM PDT


SEBUAH keluarga di Lagos menikmati piza Domino's, sebuah lagi rangkaian makanan segera dari AS.


SUASANA sebuah restoran makanan segera kelihatan begitu meriah dengan para pelayan mengalunkan lagu nyanyian Aretha Franklin beramai-ramai. Sambil menyanyi mereka turut membuat burger dan minuman susu kocak.
Lagu Ritchie Valens kemudian dimainkan menerusi kotak muzik yang terdapat di dalam restoran francais dari Amerika Syarikat (AS) itu.
Begitulah suasana restoran makanan segera, Jonny Rockets yang terletak di bandar Lagos, Nigeria. Jonny Rockets adalah antara beberapa buah restoran antarabangsa yang mula bertapak di negara Benua Afrika itu.
Sebelum ini syarikat asing masih teragak-agak untuk melabur disebabkan cabaran logistik, gangguan bekalan elektrik dan masalah rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan.
Suka berbelanja
Namun hari ini, berlaku perubahan apabila bilangan golongan pertengahan di negara tersebut semakin meningkat. Keadaan itu telah menarik minat para pelabur asing untuk membuka restoran atau gedung pakaian.
Warga Nigeria yang mempunyai sikap suka berbelanja juga telah membantu perkembangan perniagaan dan ekonomi negara tersebut.
"Ia sangat mengujakan apabila restoran ini menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat. Walaupun, kebanyakan mereka dihimpit masalah kemiskinan, tetapi mereka tetap mengunjungi restoran itu bagi merasai sendiri pengalaman baharu tersebut," kata Christoper Nahman, Pengarah Urusan Johnny Rockets.
Menurut kajian yang dibuat oleh Biro Statistik Negara tersebut pada tahun 2012, daripada 160 juta penduduk Nigeria, lebih daripada 60 peratus cuma mempunyai pendapatan AS$1 (RM3.10) sehari.
Setelah beberapa dekad, hanya segelintir daripada rakyat negara itu terlibat dalam industri minyak dan kerajaan negara tersebut sering dikecam kerana amalan rasuah yang menyekat kepada kekayaan negara.
Pada penghujung era pemerintahan ketenteraan pada 1999, ekonomi Nigeria mula terbuka secara perlahan-lahan. Sehubungan itu, lebih banyak kerjaya profesional berkembang dalam bidang perbankan dan pasaran telefon bimbit turut meningkat.
Situasi itu telah meningkatkan pertumbuhan ekonomi kelompok pertengahan di Nigeria. Menurut kajian yang dijalankan oleh firma guaman, Renaissance Capital pada bulan September 2011, terdapat suku daripada keseluruhan populasi negara itu memperoleh pendapatan kasar sekitar RM1,493 hingga RM2,000 sebulan.
Pembukaan pasar raya
Semakin lama semakin banyak perniagaan bertapak di Nigeria.
Banyak firma perniagaan dari Afrika Selatan cuba memasuki pasaran Nigeria untuk membuka kedai di pusat beli-belah baharu di bandar Lagos.
Gedung beli-belah Wallmart dari Bentonville, Arkansas yang dimiliki Massmart Holdings Ltd. turut bertapak di Nigeria.
Selain itu, rangkaian pasar raya bagi barangan runcit, Shoprite Holdings Ltd. turut membuka perniagaan di bandar tersebut. Sasarannya, bagi menarik lebih ramai warga Nigeria yang berpendapatan tinggi untuk berbelanja di pasar raya mereka.

MASIH dibelenggu kemiskinan, kebanyakan warga Nigeria hanya mengunjungi restoran antarabangsa untuk meraikan hari penting sahaja.


Menu selera tempatan
Selain itu, rangkaian restoran dari AS seperti Kentucky Fried Chicken turut berkembang pesat di Nigeria.
Baru-baru ini, jenama pizza dari Michigan, AS, Domino's Pizza Inc., membuka restoran francaisnya di dua lokasi berbeza di bandar Lagos.
Pada masa sama, pengusaha aiskrim daripada jenama Cold Stone Creamery dari Scottsdale, Arizona tidak ketinggalan menceburi pasaran negara beriklim panas itu.
Restoran Johnny Rockets pula terletak di hab perniagaan Pulau Victoria dan merentasi kawasan hotel tumpuan pelancong asing dan orang kenamaan. Kebanyakan pelanggan teruja menyaksikan pekerja menari lagu Hippy Hippy Shake dan pelbagai lagu klasik lain setiap jam.
Menu-menu di restoran itu seperti burger, kentang goreng dan gegelang bawang goreng diberikan sentuhan rasa tambahan iaitu dipadankan dengan nasi jollof Nigeria. Nasi yang rasanya pedas itu merupakan makanan ruji di negara berkenaan.
Namun, apa yang pasti makanan dari restoran rangkaian antarabangsa bukanlah murah.
Malah, sebiji burger boleh mencecah NGN3,500 (RM67) atau NGN1,800 (RM35) dari dapur restoran berkenaan.
"Sudah tentu berkunjung ke restoran makanan segera bukanlah rutin harian kami. Hanya sekali-sekala sahaja kami ke sana seperti untuk menyambut hari penting dalam hidup kami," kata Mimi Ade-Odiachi yang merupakan seorang pereka landskap taman.

Alam dan wanita karya Sarbani

Posted: 21 Apr 2013 10:03 PM PDT

SARBANI dengan tiga lukisannya yang bertemakan wanita dan alam semula jadi.


MEMANDANG tiga buah lukisan karya Sarbani Bhattacharya, 37, ia kelihatan seperti sangat kontemporari melalui garisan tubuh figura yang tidak realistik dan penggunaan warna yang terang.
Selain itu, gaya memberus Sarbani juga membentuk paten berkala seperti unsur-unsur semula jadi jika diteliti secara dekat dan terperinci.
Paling jelas, ketiga-tiga lukisannya mempunyai unsur-unsur alam semula jadi yang digabungkan bersama figura wanita yang mempunyai sifat keibuan.
Akui Sarbani, pada peringkat awal melukis, dia sukar mengintegrasi kedua-dua unsur terbabit. Selama ini, Sarbani akan melukis salah satu sahaja tanpa mencantumkannya.
Namun, ketika ditemui di Pameran Seni Flutters and Rhythms di Galeri Sutra, Kuala Lumpur, lancar dia menceritakan inspirasi karyanya iaitu alam semula jadi dan memupuk.
Pameran tersebut turut disertai empat pelukis dari Singapura iaitu P. Gnana, Kalidass J, Sangeeta Charan, Sagarika Sen dan Siva Perakas.
Motif bunga-bungaan
Tumbuh-tumbuhan bukan sahaja menguasai karya Sarbani malah melihat kain sari yang dipakainya, motif bunga-bungaan pelbagai warna kelihatan melatari kain putih itu.
Anggota badan wanita termasuk wajah menjadi subjek penting dalam setiap lukisannya, setiap satu lukisan cuba menyelongkar isi dan kualiti seorang wanita.
Cantik, penyayang, lemah lembut, ayu dan tenang cuba ditonjolkan untuk setiap lukisan dan pada masa yang sama disatukan dengan gaya alam seperti dedaun, sinaran cahaya dan bunga-bungaan.
Penggunaan warna yang terang seperti merah, biru, kuning dan jingga menjadikan sifat kewanitaan yang diketengahkan lebih menonjol.
"Saya sukakan alam semula jadi, saya bersuara untuknya," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur.
Wanita berasal dari India itu kini menetap di Singapura.
Gaya lukisan dan inspirasi Sarbani bukan datang secara tiba-tiba, tetapi selepas melalui pelbagai pengalaman hidup dan perubahan fasa kehidupannya.
Dia mula dapat menggabungkan kedua-dua unsur tersebut selepas mendapat anak perempuan pada tahun 2004 apabila Sarbani mula merasai sendiri perasaan seorang ibu.
Tiga buah lukisannya yang menggunakan medium akrilik di atas kanvas ialah Lullaby, Submerged Elightenment-II dan Eternal Bliss.
Perkataan yang digunakan sebagai tajuk menggambarkan ketenangan dan kedamaian yang dikaitkan dengan alam semula jadi serta sifat wanita seperti dilukis.
"Melukis merupakan meditasi bagi diri saya," ungkapnya yang mula melukis sejak kanak-kanak dan mendapat pendidikan formal dalam bidang seni pada tahun 1995.
"Jiwa anda adalah sumber anda," katanya lagi yang menekankan supaya mempunyai hati yang jernih kerana setiap perlakuan dan tindak-tanduk berasaskan jiwa manusia.

Buku resipi pesakit dialisis

Posted: 21 Apr 2013 10:02 PM PDT

BUKU Resipi Pesakit Dialisis 2013 dihasilkan HKL untuk panduan orang ramai.


"MAKAN kena pantang. Tak boleh makan nasi biasa, yang berkanji dan tinggi karbohidrat. Tak boleh juga ambil banyak makanan manis, tinggi kandungan protein dan garam. Jangan sampai terlebih ayam, ikan, daging, hati dan soya. Semuanya kena hati-hati kalau nak makan. Kalau dah semua tak boleh, habis saya nak makan apa?"
Demikian antara keluhan yang sering ditimbulkan oleh kebanyakan pesakit yang menjalani rawatan dialisis kerana berdepan dengan masalah ginjal.
Malah, kebanyakan pesakit mengakui mereka lebih ditekankan mengenai apa yang tidak boleh dimakan berbanding apa yang boleh dimakan sehingga mendatangkan stres.
Seharusnya panduan pemakanan yang sihat boleh membawa keseronokan dalam kehidupan pesakit dialisis untuk diamalkan dalam pengurusan pemakanan dan diet mereka.
Atas keprihatinan itu, baru-baru ini Hospital Kuala Lumpur (HKL) melancarkan buku Resipi Pesakit Dialisis 2013 khusus untuk pesakit yang menjalani rawatan dialisis.
Ramai abai pengurusan makanan
"Isi kandungan buku ini menganjurkan cara pemakanan dan gaya hidup sihat. Diharapkan dengan pelancaran buku ini, ia dapat membantu meningkatkan pemahaman dan kepentingan pengurusan pemakanan kepada pesakit dialisis", kata Ketua Jabatan Nefrologi HKL dan Ketua Perkhidmatan Nefrologi bagi Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Ghazali Ahmad.
Di Malaysia, penyakit buah pinggang kronik adalah masalah kesihatan serius yang memerlukan rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang agar pesakit boleh meneruskan kehidupan.
Menurut statistik terbaharu HKL, negara mempunyai 25,688 pesakit dialisis dan 1,884 penerima buah pinggang berdaftar pada tahun 2011.
Kebanyakan orang menganggap hanya rawatan dialisis dan pemindahan buah pinggang adalah jalan terbaik bagi mengawal penyakit itu sehingga sanggup mengabaikan peranan penting pengurusan pemakanan.
PESAKIT buah pinggang perlu menjalani rawatan dialisis untuk membersihkan darah. - Gambar hiasan


Pelbagai resipi
Menurut Pakar Pemakanan HKL, Datin Nor Sharita Mohd. Saad, buku resipi itu bukan sahaja memaparkan pelbagai jenis hidangan yang boleh dicuba oleh pesakit, malah turut menyatakan jumlah dan sukatan yang bersesuaian untuk satu hidangan empat orang.
Turut disediakan adalah panduan sukatan yang betul mengikut sukatan peralatan yang sedia ada di dapur biasa.
Jika panduan itu diikuti dengan betul, pesakit dialisis akan dapat menikmati masakan seperti asam pedas, daging masak halia, ayam goreng berempah, nasi goreng Cina, asam laksa, cendol, samosa dan karipap.
"Resipi yang tersedia dalam buku ini adalah hasil yang diubah suai berdasarkan komen pesakit dan pegawai perubatan setelah sesi uji rasa dijalankan," jelas Nor Sharita.
Resipi yang dimuatkan mematuhi jumlah garam (sodium) yang dibenarkan. Selain turut mengandungi analisis makanan yang menunjukkan jumlah sebenar kandungan kalori, protein, potasium dan fostat dalam makanan itu.
Malah, cara penyediaannya mudah dan boleh dimasak sama ada oleh pesakit atau pun penjaga.
Buku resipi dialisis berbahasa Melayu yang diterbitkan oleh Jabatan Nefrologi dan Jabatan Dietetik dan Sajian HKL dengan usahasama AbbVie Sdn. Bhd. itu juga bakal diterjemahkan dalam bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin. Ia juga boleh dimuat turun di www.hkl.gov.my

Gosip cinta bukan gimik pelaris

Posted: 21 Apr 2013 03:18 AM PDT


HANS ISAAC dan Neelofa masing-masing sepakat untuk tidak terlalu terbuka bercakap mengenai status hubungan mereka, cukup umum tahu mereka memang sedang berkawan rapat.


WANITA demi wanita hadir dalam hidup Hans Issac. Terbaharu, lelaki berumur 42 tahun itu didakwa semakin intim dengan selebriti jelita, Neelofa.
Namun Hans enggan sensasi 'cinta lokasi' bersama heroinnya Neelofa menjadi fokus dalam strategi pemasaran filem terbaharunya Lemak Kampung Santan.
"Saya sedih jika kisah hubungan kami yang lebih-lebih diberi fokus. Tak guna saya buat filem ini dengan sungguh-sungguh jika orang hanya mahu ambil tahu pasal hubungan kami.
"Setakat ini hanya gambar-gambar kami dari lokasi penggambaran yang selalu digunakan oleh pihak media. Selama ini juga saya tolak semua permintaan media untuk menggandingkan kami dalam mana-mana sesi fotografi tapi apabila filem ini sudah sampai masanya untuk dipromosikan, saya tetap kena buat sesi fotografi.
"Macam apa yang kami lakukan hari ini (Isnin lalu). Saya buat pelancaran awal ini dengan harapan menjelang pratonton nanti, fokus dapat diberikan kepada filem, bukan hubungan kami," jelas Hans yang tahu bahawa ramai dalam kalangan media sedia maklum tentang status hubungannya bersama Neelofa.
Kata Hans, dia mahu bersikap tertutup kali ini kerana tidak mahu hanya diingati dengan kisah cinta jika tidak lagi berada di persada seni pada masa hadapan.
"Saya mahu dikenang berdasarkan kerja saya selama ini. Bagi saya yang penerbit menggunakan gosip cinta sebagai gimik untuk lariskan filem mereka ialah penerbit yang kurang berkeyakinan terhadap dengan filem sendiri. Zaman 1980-an memang ada banyak produksi filem menggunakan cara tersebut untuk melariskan filem. Di Hollywood juga tidak terkecuali.
"Tapi sekarang sudah tahun 2013, tidak mungkin saya akan menggunakan cara yang sama untuk pancing penonton ke pawagam," ujar Hans heboh dikatakan bercinta dengan Neelofa sejak pelakon serta pengacara itu terbabit dalam pembikinan filemnya tahun lalu.
Masih seperti Cuci yang meletakkan dirinya sebagai hero filem terbitan dan arahan sendiri, Hans juga berani menyifatkan tiada pelakon lelaki lain yang paling layak untuk watak Ridzuan, hero filem Lemak Kampung Santan itu melainkan dirinya sendiri.
"Saya seorang yang sangat selektif dengan kerja saya. Semasa proses penulisan skrip lagi saya sudah berbincang tentang watak. Setiap pelakon harus ada karakter Ridzuan dan rasanya watak itu kena dengan saya kerana saya sendiri mahu terlibat dalam filem itu. Saya tawarkan watak Ridzuan itu kepada saya, lagi pun ia boleh menjimatkan kos," jelasnya sambil diakhiri dengan nada berseloroh.
Bercakap mengenai pemilihan pelakon pula, Hans mengatakan, dia memilih pelakon yang bersesuai dengan watak, bukannya popular semata-mata.
"Paling penting juga adalah keselesaan untuk bekerjasama. Sebelum watak heroin ditawarkan kepada Neelofa kami sudah ada pelakon lain tapi selepas satu perbincangan bersama, saya tak rasa pelakon wanita itu sesuai. Jadi saya dicadangkan oleh Aziz M. Osman agar memanggil Neelofa untuk diuji bakat," cerita Hans mengenai keterlibatan Neelofa ke dalam produksi dan hidupnya itu.

'Mafar Glamorous Bazaar' Beri Peluang Artis Berniaga

Posted: 21 Apr 2013 03:18 AM PDT

Mafar Glamorous Bazaar akan dibuka setiap Jumaat dan Sabtu sepanjang tahun ini di Anggerik Mall, Shah Alam.
SHAH ALAM: Mafar Glamorous Bazaar memberi peluang kepada golongan selebriti yang tidak aktif dalam industri seni tempatan untuk berniaga menerusi bazaar berkenaan di Anggerik Mall di sini.
Penganjurnya, Hamid Ghani, berkata, Mafar Glamorous Bazaar akan dibuka setiap Jumaat dan Sabtu sepanjang tahun ini dan ia akan menjadi medan selebriti yang ingin menceburi bidang perniaagan, sekaligus dapat berjumpa dengan peminat-peminat.
"Ini merupakan penganjuran pertama bazaar ini dan ternyata ia benar-benar meriah apabila Anggerik Mall dipenuhi beberapa selebriti tanah air serta pengunjung yang terdiri daripada golongan muda.
"Menarik lagi, kebanyakan mereka merupakan pengusaha blog yang sudah mempunyai nama di laman sosial seperti Facebook dan Twitter bagi mempromosikan produk mereka," katanya.
Daus menjual kek dan pakaian wanita.
Hamid yang juga merupakan pengarah program dokumentari itu ditemui selepas pelancaran bazaar tersebut.
Antara selebriti yang berniaga di Mafar Glamorous Bazaar ialah Linda dan Diana Rafar, Daus, Ustaz Don serta pasangan suami isteri Mawi dan Ekin.
Selain itu pada minggu-minggu yang akan datang, lebih ramai lagi selebriti akan menyertai berniaga di bazaar yang dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam itu.
Kebanyakan jualan barangan telah diturunkan kepada harga yang jauh lebih murah berbanding dengan harga asal yang biasa dijual di laman internet mahupun kedai.
Diana rafar menerusi produk jualannya, Maixara.
Dalam pada itu, Mafar Glamorous Bazaar turut memberi peluang kepada artis-artis melancarkan produk-produk seni masing-masing dengan kadar sewa yang cukup murah.
"Saya faham ada artis yang mahu melancarkan album sebagai contoh, tetapi mereka tidak mempunyai bajet membuat pelancaran di tempat-tempat tertentu.
"Tetapi pihak Mafar Glamorous Bazaar membantu mereka yang ingin mengadakan sebarang pelancaran," ujar Hamid.

ALBUM BARU: Revolusi Muzik Ella Dalam 'Ella 1'

Posted: 21 Apr 2013 03:17 AM PDT

ALBUM: Ella 1
ARTIS: Ella
EDARAN: Warner Music Malaysia
RATU rock negara, Ella, kini muncul lagi dengan album kompilasi terbaru berjudul Ella 1.
Ia menampilkan revolusi muzik oleh pemilik nama Nor Zila binti Haji Aminuddin dalam kebangkitan muzik rock pada sekitar tahun 1985 yang pada mulanya diragui dan dipandang enteng.
Memuatkan sebanyak 47 buah lagu, album kompilasi yang memuatkan tiga keping cakera padat (CD) itu membangkitkan memori zaman penyanyi itu yang dipersoalkan kredibilitinya sebagai seorang penyanyi rock wanita pada ketika itu.
Ia boleh diklasifikasikan sebagai kompilasi yang menghimpunkan segala perjalanan seni penyanyi berusia 47 tahun itu.
Antara lagu-lagu yang dimuatkan ialah Menyanyilah La La. Dua Insan Bercinta, Layar Impian, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Jiwa Setia, Kabus dan Sirna, Dua Sejoli, Retak, Bayangkan (menampilkan Slash), Retak, Gemilang, Simbiosis, Jalan Ke Sisimu dan Ala Amerika.
Bukan hanya diisi dengan lagu-lagu lama, Ella turut memuatkan dua buah lagu baru berjudul Mereka Yang Di Depan Kita dan Permaisuri (menampilkan komposer Ajai).
Kehadiran kompilasi album ini pastinya akan terhibur buat peminat-peminat baru dan bagi peminat lama yang tegar terutamanya, ia boleh menyegarkan semula memori terhadap bekas vokalis kumpulan The Boys ini.

5 termasuk pemandu maut di Lebuh Raya Persekutuan

Posted: 21 Apr 2013 03:15 AM PDT


kemalangan ngeri
Kemalangan ngeri yang berlaku di Lebuh Raya Persekutuan awal pagi ini. 
SHAH ALAM - Lima lelaki termasuk seorang pemandu kereta maut dalam kemalangan di Kilometer 10.5, Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Klang, awal pagi tadi.

Menurut sumber, sebelum kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi itu, tiga daripada mangsa yang menunggang, berhenti di lorong kecemasan selepas motosikal seorang daripada mereka mengalami kerosakan.

Bagaimanapun katanya, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Honda City yang hilang kawalan terus merempuh mereka.

"Rempuhan itu menyebabkan tiga penunggang motosikal dan pemandu kereta itu maut di lokasi kejadian.

"Tidak lama selepas kejadian berlaku, terdapat seorang pemandu kereta lain berhenti di situ untuk menghulurkan bantuan, namun kenderaannya dirempuh pula oleh seorang penunggang motosikal lain," katanya.

Menurutnya, penunggang  motosikal itu disahkan mati akibat rempuhan kuat.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Zulkifli Joned ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata, satu sidang akhbar berhubung kejadian akan diadakan petang nanti oleh Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu