Jumaat, 12 Julai 2013

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Siasat pasangan blogger melampau

Posted: 12 Jul 2013 09:04 PM PDT


Siasat pasangan blogger melampau
Foto di Facebook pasangan ini yang mencetuskan kontoversi.
Siasat pasangan blogger melampau
Chai Thiam (tiga, kanan) dan pemimpin MCA negeri menunjukkan laporan polis dibuat terhadap pasangan terbabit.
SEREMBAN - MCA negeri membuat laporan polis, semalam berikutan tindakan pasangan blogger, Alvin Tan dan Vivian Lee yang telah mencetuskan kontroversi menerusi foto dipaparkan dalam laman sosial Facebook, baru-baru ini.

Pengerusi MCA negeri, Datuk Dr Yeow Chai Thiam berkata, pihaknya amat kecewa dengan kelakuan pasa-ngan tersebut dan menyifatkan perbuatan mereka sebagai tidak rasional. 

"Bagi kita, ini bukanlah satu perkara lucu yang boleh dibuat main-main. Mereka tidak sepatutnya menghina umat Islam yang sedang menjalani ibadah berpuasa.

"Perbuatan mereka telah menimbulkan kemarahan ramai pihak, termasuk di kalangan kaum Cina sendiri. Sekiranya dibiarkan, kita khuatir akan menjejaskan perpaduan antara kaum dan menimbulkan masalah lebih besar," katanya kepada pemberita selepas membuat aduan di Balai Polis Jalan Campbell, dekat sini, semalam.

Kata Chai Thiam, beliau berharap pihak polis dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap pasangan terbabit supaya menjadi contoh, sekaligus amaran kepada orang lain agar tidak mengulangi kesalahan sama.

Terdahulu, pasangan blogger berkenaan yang turut mencetuskan kontroversi sebelum ini apabila memaparkan aksi seks mereka dalam laman blog, telah mengepos satu foto memaparkan mereka sedang menikmati juadah tidak halal sambil mengucapkan selamat berbuka puasa kepada umat Islam. 

Turut tertera, logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada sudut bawah kiri gambar berkenaan.

Mangsa HIV kongsi kisah hidup disisihkan

Posted: 12 Jul 2013 09:00 PM PDT


Mangsa HIV kongsi kisah hidup
Ani ditenangkan anaknya selepas sebak menceritakan kisah hidupnya kepada wartawan di PMP.
Mangsa HIV kongsi kisah hidup
Ani dipeluk erat oleh anaknya.
Mangsa HIV kongsi kisah hidup
Mangsa HIV kongsi kisah hidup
Mangsa HIV kongsi kisah hidup
Zahrain menyampaikan sumbangan daripada pihak luar kepada warga PMP.
BACHOK – Dalam kemeriahan menyambut Ramadan, masih ada segelintir golongan disisihkan akibat beberapa faktor yang mungkin tidak diterima sesetengah pihak seperti penghidap HIV/ Aids.

Dihalau mentua selepas suami meninggal

Akibat HIV, seorang wanita bukan sahaja kehilangan suaminya yang meninggal dunai akibat penyakit itu, malah turut dihalau dari rumah keluarganya dan terpaksa menjadikan pondok sebagai kediamannya di Pasir Puteh.

Dia yang hanya dikenali Ani, 34, berkata, selepas kematian suaminya tujuh tahun lalu, keluarga mentua terus menghalaunya dan menuduh dia pembawa HIV kepada arwah suaminya.

Sedangkan, menurut arwah suaminya, dia mendapat penyakit itu selepas melanggan seorang pelacur di negara jiran selepas diperkenalkan abang iparnya.

"Mulanya arwah sakit kayap (herpes zoster). Bila buat pemeriksaan di hospital, doktor kata arwah ada HIV. "Di saat akhir hayatnya baru dia beritahu punca dia dapat penyakit itu akibat pelacur di negara jiran.

"Saya tertekan selepas diasingkan keluarga sendiri. Kini saya bersama anak bongsu berusia 11 tahun tinggal dalam pondok kecil yang dibina keluarga selepas kami berdua turut disahkan HIV positif," katanya ketika ditemui di PMP Nur City Centre dekat sini.

Difahamkan, anak sulung dan anak keduanya, masing-masing berusia 14 dan 12 tahun ditempatkan di rumah anak-anak yatim di Pasir Puteh.

Diejek dan dihina masyarakat setempat

Ani berkata, dia reda terpaksa berpisah dengan dua anaknya untuk mengelakkan mereka menerima penghinaan akibat mempunyai ahli keluarga penghidap HIV.

"Saya terpaksa terima kenyataan ini dan sanggup buat kerja dan beli barang dapur di kawasan yang lebih jauh untuk  mengelak cemuhan penduduk setempat.

"Anak bongsu saya yang masih bersekolah juga terpaksa menerima ejekan yang sama. Di sekolah, dia diejek dan dipulaukan. Tetapi dia tetap nak ke sekolah sebab dia memang minat belajar," katanya.

Tak tahu suami ambil dadah

Seorang lagi penghidap HIV, Su,38, dari Bachok berkata, dia hanya mengetahui suaminya menghidap HIV selepas mengalami sakit usus yang teruk. Pemeriksaan awal di hospital tidak dapat mengesan penyakit suaminya sehingga berbulan-bulan lamanya sehingga dia meninggal dunia pada 2007.

"Suami seorang nelayan, saya tak tahu dia ambil dadah hingga dia sakit dan bila dah nazak baru doktor beritahu punca penyakitnya.

"Saya pasrah tetapi bersyukur kerana anak-anak bebas dari penyakit ini. Hanya saya yang dijangkiti daripada suami," katanya yang mempunyai tujuh anak berusia di antara tujuh hingga 22 tahun.

Kemiskinan membelenggu kehidupan keluarga

"Upah bekerja harian tidak cukup untuk menanggung anak-anak, walaupun kami dapat RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Apa lagi bila Ramadan menjelma, kami tak mampu makan sedap seperti orang lain. Kami sering berkongsi sebiji kurma untuk tiga orang sebab tak mampu beli banyak. Nak makan ayam pun mungkin tiga empat bulan sekali baru boleh beli," katanya yang turut mengalami masalah penglihatan akibat dirempuh kerbau pada 1996.

PMP alu- alukan sumbangan orang ramai

Manakala, Pengurus Besar PMP, Zahrain Zulkifly berkata, sehingga kini seramai 487 ibu tunggal dan 1,600 kanak-kanak (300 positif HIV) telah berdaftar di bawah pertubuhan itu yang dibina sejak 2004.

"Seramai 30 orang termasuk enam ibu tunggal tinggal di sini kerana tidak mempunyai tempat tinggal atau dibuang keluarga.

"Kami mengalu-alukan pihak luar yang ingin menjalankan program bersama penghuni PMP atau hulurkan bantuan untuk meringankan beban mereka yang kebanyakannya adalah miskin tegar," katanya.

Elecoldxhot mahu ke Las Vegas

Posted: 12 Jul 2013 08:56 PM PDT




SETELAH muncul buat kali pertama kira-kira dua tahun lalu, kumpulan Elecoldxhot sekali lagi menakluk pentas tarian program realiti Showdown apabila menjadi pilihan penonton untuk muncul sebagai pemenang Showdown 2013.
Kejayaan tersebut diraih selepas mereka menewaskan sebuah lagi kumpulan iaitu Katoon Network dalam satu persaingan battle yang cukup sengit dalam perebutan gelaran juara kategori All Star.
Sebelum itu, untuk kategori Terbuka, kumpulan 5=1 muncul juara apabila menewaskan Inversion dalam saingan battle, manakala dalam kategori Junior, Walawei menyingkirkan Fresh Unity Crew.
Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan ntv7, Airin Zainul berkata, pihaknya gembira apabila pembaharuan yang dilakukan pada musim ini diterima oleh peminat setia rancangan ini.
"Showdown 2013 merupakan Showdown musim yang keempat. Kami telah mengambil keputusan untuk melakukan pembaharuanseperti memperkenalkan tiga kategori iaitu All Star, Terbuka dan Junior.
"Ternyata dengan penampilan tiga kategori ini, penyertaan yang diterima semakin meningkat berbanding tiga musim lepas. Ramai yang suka dengan konsep sebegini," ujarnya pada satu sidang akhbar selepas acara berakhir.
Menurut Airin, pihaknya turut berbangga dengan 10 kumpulan yang bertanding pada saingan akhir kerana telah mereka menunjukkan kesungguhan dan prestasi yang sangat membanggakan.
"Saya percaya dengan kebolehan para peserta. Ini menunjukkan mereka mampu bersaing sekiranya berpeluang bertanding di peringkat antarabangsa pula," ujarnya.
Sementara itu, Ooi Kok Wei selaku wakil Elecoldxhot meluahkan kegembiraan atas kemenangan yang diraih dan merasakan penyertaan mereka dalam program tersebut buat kali kedua sangat berbaloi.

DALAM emosi. Elecoldxhot berasa cukup terharu dengan kemenangan mereka dalam Showdown 2013 menerusi kategori All Star.


Menurut Kok Wei, kejayaan itu bakal merealisasikan impian mereka untuk menyertai pertandingan World Hip Hop Dance Championship 2013 yang akan berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) pada bulan hadapan.
"Untuk menyertai sesebuah pertandingan di luar negara, sudah tentu ia memerlukan kos yang sangat besar. Namun begitu, kemenangan kami ini telah membuka peluang untuk beraksi di pentas antarabangsa.
"Memandangkan pertandingan itu akan berlangsung dalam tempoh sebulan lagi, kami perlu berlatih dari sekarang. Kami berharap dapat mengharumkan nama Malaysia di luar negara," jelasnya.
Elecoldxhot yang muncul sebagai juara membawa pulang hadiah wang tunai RM75,000 serta tambahan RM125,000 untuk perbelanjaan menjalani latihan atau menyertai pertandingan tarian di luar negara.
Bagi Katoon Network yang sekadar berpuas hati sebagai naib juara, tidak pulang dengan tangan kosong apabila membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM30,000.
Barisan juri yang mengadili pertandingan tersebut ialah Maple Loo dan Joe Flizzow dari Malaysia serta empat juri antarabangsa iaitu Ynot, Junior Boogaloo, Bboy Full Deck, Jay Smooth (AS), Sheena Vera Cruz (Filipina) dan Prepix Haw (Korea Selatan).
Kali pertama
Dalam kategori Terbuka pula, 5=1 yang dinobatkan sebagai juara mengakui mereka langsung tidak menyangka akan menang pertandingan itu berdasarkan persaingat yang sangat sengit.
Ketua 5 =1, Jakson Yap Tak mengakui mereka terpaksa berusaha lebih keras memandangkan perlu bersaing dengan tiga buah kumpulan lagi yang turut menampilkan persembahan yang mengagumkan.
"Ini merupakan kali pertama kami menyertai pertandingan tarian seperti Showdown 2013. Jadi, pengalaman itu pastinya agak kurang dan itu yang membuatkan kami lebih gigih semasa berlatih.
"Lagipun matlamat utama kami menyertai pertandingan ini bukanlah semata-mata mahu menang, sebaliknya kami ingin menimba lebih banyak pengalaman. Komen-komen juri juga banyak membantu kami untuk memperbaiki lagi teknik tarian," jelasnya.
5=1 berentap dengan kumpulan Inversion dalam saingan battle kategori Terbuka.
Tidak dinafikan kedua-dua kumpulan tersebut menampilkan persembahan yang cukup bertenaga, tetapi undian daripada para penonton lebih memihak kepada 5=1.
Dengan kemenangan tersebut, 5=1 berjaya meraih hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 serta tambahan RM50,000 untuk perbelanjaan kumpulan tersebut menyertai pertandingan atau latihan tarian di luar negara, manakal Inversion sekadar meraih hadiah wang tunai RM20,000.

AKSI hebat Katoon Network yang merupakan pesaing terdekat Elecoldxhot.


Masa terhad
Persaingan untuk kategori Junior pula ternyata tidak kurang hebatnya apabila tiga kumpulan iaitu Walawei, Fresh Unity Crew dan Stay Cool berentap merebut gelaran juara.
Menariknya, rata-rata peserta yang bersaing dalam kategori ini terdiri daripada pelajar sekolah, tetapi aksi yang ditampilkan cukup menarik dan menghiburkan penonton.
Sebaik sahaja persaingan berakhir, Walawei muncul pemenang dan berhasil membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM10,000, manakala Fresh Unity Crew memenangi RM5,000 selaku naib juara.
Muhammad Nabil D'Zulkefli yang mewakili kumpulan Walawei berkata, kemenangan yang diraih mereka ternyata sangat berbaloi dengan usaha yang dilakukan sepanjang menyertai Showdown 2013.
"Antara cabaran getir yang terpaksa kami harungi adalah masa yang terhad untuk menjalani latihan memandangkan kami masih bersekolah. Biasanya kami cuma sempat berlatih selama beberapa jam selepas sesi persekolahan.
"Namun begitu, penyertaan kali kedua dalam pertandingan ini selepas mencubanya tahun lalu tidak sia-sia. Sebenarnya kami agak gementar kerana Fresh Unity Crew memberikan saingan yang begitu sengit," jelasnya.
Sementara itu, Maple Loo yang mewakili barisan juri pada malam tersebut mengakui agak sukar membuat pilihan kumpulan yang layak beraksi pada saingan battle.
Menurutnya, bermula dari peringkat awal lagi semua peserta telah menunjukkan aksi tarian yang memukau dan juri terpaksa membuat pilihan tepat dengan hanya memilih yang terbaik.
"Apabila menyaksikan aksi tarian yang dipersembahkan saingan terakhir ini, kami boleh katakan bahawa penari di Malaysia mampu memberi saingan di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Minta penyebar fitnah buat amal sempena Ramadan

Posted: 12 Jul 2013 08:55 PM PDT

EIRA Syazira hanya ketawa selepas membaca dakwaan tentang dirinya tidak berdisiplin.


NAMA Eira Syazira tidak asing lagi dalam persada seni tanah air apabila dia sering muncul di kaca televisyen dengan watak air mata.
Pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini muncul kembali setelah menyepi seketika selepas melahirkan puteri sulungnya, Amarra Sofea Rose, beberapa bulan lalu, hasil perkongsian hidup dengan pelakon Azad atau nama sebenarnya Azad Jazmin.
Bagaimanapun, dia yang kini aktif berlakon semula termasuk membintangi drama rantaian yang sedang hangat ditayangkan dalam slot Samarinda di TV3 iaitu Ramadan Yang Hilang tiba-tiba dilanda kontroversi.
Eira didakwa sudah tidak seperti dahulu. Dia dituduh tidak berdisiplin, datang lambat ke lokasi penggambaran dan dilabelkan sebagai artis yang tidak pernah menghormati masa orang lain.
Sikapnya yang kurang sensitif itu hanya menyusahkan orang sekeliling sehingga ada yang angkat bendera putih gara-gara serik untuk bekerjasama dengan Eira.
Kosmo! menghubungi Eira untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai spekulasi tersebut.
Kosmo!: Apakah reaksi anda apabila ada spekulasi yang mengatakan anda seorang artis yang tidak berdisiplin?
EIRA SYAZIRA: Sebenarnya saya tergelak apabila membaca berita yang dikeluarkan oleh pihak akhbar tersebut. Timbul pertanyaan, mengapakah ada sesetengah pihak yang melulu menuduh saya sebegitu tanpa bertanyakan saya dahulu. Saya dapat katakan, semua itu adalah fitnah yang hendak menjatuhkan saya semata-mata. Perkara itu tidak pernah terjadi.
Apakah impak terhadap karier anda selepas gosip tersebut tersebar?
Alhamdulillah, sekarang saya mendapat banyak tawaran berlakon. Mungkin ini merupakan rezeki anak saya. Saya tidak kisah apa orang ingin kata tentang saya, atau mungkin si pengadu tersebut ada mempunyai niat dan agenda tersendiri. Dalam dunia seni, saya sedar bahawa kita selalu tidak terlepas daripada fitnah orang. Ada yang suka dan tidak suka kita.

BAHAGIA. Eira dan suaminya, Azad, bergilir-gilir menjaga anak sulung mereka, Amarra Sofea Rose.


Mungkin anda ada nasihat untuk pengadu yang sengaja mereka cerita itu?
Saya harap dalam bulan Ramadan yang mulia ini, berhentilah daripada membuat cerita yang tidak elok tentang orang lain dan banyak-banyak membuat amal ibadah sahaja. Tidak ada hasil jika hanya membuat fitnah.
Menyentuh mengenai kerjaya pula, apakah perkembangan terkini anda selepas melahirkan anak?
Selepas berehat kerana melahirkan anak, sekarang saya kembali bergiat aktif dalam dunia lakonan selepas berpantang selama dua bulan. Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang lakonan masih banyak seperti sebelum ini. Malah, sekarang saya sedang melakukan tiga penggambaran yang akan bersiaran sepanjang bulan Ramadan ini.
Siapakah akan jaga anak apabila anda keluar bekerja?
Jika saya ada penggambaran, suami saya akan jaga anak, jika kami berdua bekerja pada waktu yang sama, mak mertua saya akan membantu menjaga anak kami.
Adakah anda bakal terlibat dengan sebarang naskhah sempena Aidilfitri ini?
Ya, alhamdulillah, saya akan muncul dalam dua drama yang ditayangkan seminggu sebelum raya, antaranya Madu-Madu Raya di Astro Ria dan sebuah cerekarama untuk tayangan di TV3 berjudul Demi.
Adakah anda tidak bosan apabila hanya memegang watak berunsur sedih?
Sebenarnya sejak dari dulu, saya sering menerima watak sedih, mungkin watak sebegitu sesuai dengan saya berbanding watak lain. Namun, tidak mustahil jika satu hari nanti saya akan turut memegang watak antagonis.

Nora, Fasha hapus sengketa lama

Posted: 12 Jul 2013 08:50 PM PDT

NORA DANISH bercuti daripada penggambaran drama atau filem sepanjang Ramadan.


SIAPA sangka hubungan keruh antara aktres Nora Danish dengan Fasha Sandha selama ini kembali jernih selepas Nora melawat anak Fasha iaitu Putra Rayfal Rizal Ashram ketika pelakon tersebut sedang dalam pantang.
Atas sebab itu juga, Nora dan Fasha tiada masalah untuk sama-sama menghadirkan diri memberi sokongan ke majlis pelancaran koleksi baju pengantin milik adik kembar Rizal Ashram Ramli atau Jejai yang berlangsung di Grand Duchess, Fraser Place, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut Nora yang kelihatan jelita dan seksi dengan gaun hitam belahan ke pangkal paha, dia dan aktres drama Chinta itu sudah lama berbaik.
Kenyataan yang sama dijawab oleh Fasha yang masih lagi kelihatan menawan biarpun tubuhnya agak berisi selepas melahirkan anak sulungnya itu.
"Saya dengan Nora sudah lama baik, malah kami banyak kali berjumpa setiap kali Jejai dan saya mengambil Rayqal mahupun ketika Nora menghantar anaknya ke rumah kami," ungkap Fasha mengenai anak Nora, Putra Rayqal hasil perkahwinannya bersama Jejai sebelum ini.
Tutur Fasha lagi: "Apa pun yang terjadi, anak saya adalah adik kepada anak Nora. Jadi, secara automatiknya kami sudah seperti keluarga."
Fasha pasang CCTV
Mengulas mengenai kehidupannya selepas memperoleh cahaya mata, Fasha berkata, menjadi ibu adalah pengalaman paling berharga sepanjang hidupnya.
Dedahnya, lakonan bukan lagi menjadi perkara utama, sebaliknya Rayfal kini menjadi keutamaannya.
Jawapan itu diberi tatkala dia disoal jika bidang lakonan tidak lagi memihak kepadanya disebabkan ramai muka-muka baharu yang menghiasi industri lakonan.
"Pendapatan saya bukan bertumpu pada berlakon sahaja. Saya juga mempunyai perniagaan salon rambut. Kalau tidak berlakon, saya akan lakukan perkara lain.
"InsyaAllah, saya dalam perancangan untuk menjalankan sebuah lagi perniagaan yang memfokuskan pakaian bayi dan juga pakaian lelaki," ujarnya lagi.
Sedang menjalani penggambaran drama bersiri Tentang Hati di samping aktor popular Aaron Aziz, Fasha akui, berasa rindu dengan anaknya setiap kali berjauhan dengan anak kesayangannya itu.
FASHA SANDHA dan Jejai kini bahagia bergelar ibu dan bapa kepada anak sulung mereka, Putra Rayfal.


Begitupun, kerinduannya terhadap Rayfal terubat apabila dia mengambil keputusan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya. Tindakannya itu juga disebabkan dia ingin menjaga keselamatan anaknya yang dijaga oleh pembantu rumah.
"Ketika menjalani penggambaran, saya akan memantau Rayfal setiap setengah jam. Saya risau keadaan anak saya selepas melihat satu klip video pembantu rumah melambung bayi dahulu," jelasnya.
Berkongsi sambutan Ramadan, tutur Fasha, dia lega kerana suaminya bukan seorang yang cerewet dari segi makanan.
Katanya, Jejai makan apa sahaja yang dimasaknya, cuma setiap hidangan perlu ada menu ikan bilis atau ikan goreng.
Nora berehat
Cerita sambutan Ramadan turut diajukan kepada Nora. Tahun ini, aktres berusia 31 tahun itu nekad untuk berehat sepanjang Ramadan.
"Bermula Ramadan tahun lepas, saya berehat daripada segala aktiviti seni selama sebulan. Begitu juga pada Ramadan tahun ini," ujarnya yang berazam mengerjakan solat tarawih sepanjang Ramadan.
Begitupun, kata Nora, dia tidak akan menolak sebarang jemputan program amal.
Disoal apakah menu wajib ketika berbuka puasa, jawab Nora, setiap kali berbuka, dia akan menikmati martabak, kuih seri muka dan ayam panggang.
Sementara itu, mengulas mengenai koleksi baju pengantin Pu3 kepunyaan dua beradik kembar iaitu Putri Azalea Ashram Ramli dan Putri Yasmin Ashram Ramli, Nora memuji bekas adik iparnya itu sebagai orang yang berbakat dalam mereka fesyen busana.
"Pujian saya bukan disebabkan kami rapat. Pencapaian kedua-dua beradik itu sangat membanggakan," ujar Nora.
Fasha turut memuji koleksi baju pengantin Pu3. Menurutnya, kesemua koleksi baju pengantin Pu3 biarpun nampak ringkas, tetapi cantik.
"Rekaan baju-baju pengantin mereka sangat berbeza dengan baju-baju pengantin yang terdapat di Malaysia," ungkapnya.

Selebriti miliki kaki 'gergasi'

Posted: 12 Jul 2013 08:48 PM PDT



TYRA BANKS



KHALAYAK sentiasa melihat dan menyangka bahawa para selebriti merupakan manusia paling sempurna ciptaan Tuhan.
Cantik, kaya dan sempurna, itu antara predikat yang cukup dekat dengan barisan selebriti dari seluruh dunia. Namun, nanti dulu, siapa kata semua selebriti itu sempurna?
Buktinya, baru-baru ini, terdapat lapan selebriti wanita Hollywood yang dikenal pasti memiliki saiz kaki gergasi atau mempunyai saiz kaki yang besar umpama lelaki. Siapa mereka?
1. Tyra Banks
Merupakan seorang supermodel yang cukup terkenal dengan kredibilitinya, tetapi siapa menyangka wanita yang begitu teliti dan mementingkan kesempurnaan ini sebenarnya tidak sesempurna mana.
Banks memakai kasut bersaiz 12! Sebagai perbandingan, pelari pecut lelaki Amerika Syarikat yang pernah memenangi empat pingat emas Sukan Olimpik, Michael Johnson, memiliki kaki bersaiz 11.
Malah, bukan Banks seorang yang memiliki saiz kaki sebegini, sebaliknya dia berkongsi saiz kaki yang besar dengan seorang lagi supermodel terkenal iaitu Elle MacPherson.
2. Sandra Bullock
Bintang yang pernah memenangi anugerah Oscar, Sandra Bullock merupakan salah seorang selebriti yang mempunyai ukuran kaki bersaiz gergasi.
Dia juga selalu berhadapan dengan masalah mencari kasut bersaiz 10.

ANNE HATHAWAY


3. Anne Hathaway
Anne Hathaway sering dikaitkan mempunyai persamaan dengan bintang legenda Audrey Hepburn.
Mereka dikatakan mempunyai bola mata berwarna coklat dan penampilan dengan rambut pendek yang cantik.
Namun, nampaknya bukan itu sahaja persamaan mereka berdua. Hathaway dan Hepburn rupa-rupanya memiliki saiz kaki yang sama iaitu 11.
4. Meg Ryan
Aktres terkenal Meg Ryan juga termasuk dalam golongan selebriti dengan saiz kaki yang besar. Dia memakai kasut bersaiz 11.
5. Cindy Crawford
Ketinggian dan kejelitaan supermodel Cindy Crawford sering membuat khalayak memikirkan tentang kesempurnaan dirinya.
Bagaimanapun, tunggu dulu. Sila beri perhatian kepada saiz kakinya. Crawford memiliki saiz kaki yang besar iaitu berukuran 10.
6. Kate Winslet
Banyak orang jatuh cinta dengan aktres Kate Winslet selepas menyaksikan lakonannya dalam filem romantik, Titanic. Tetapi, tahukah khalayak bahawa dia memiliki kaki dengan saiz 11?
7. Mandy Moore
Mandy Moore cukup terkenal dengan obsesinya terhadap kasut. Malah, dia telah banyak kali dilihat tampil di hadapan khalayak dengan memakai kasut tinggi yang nampak cukup menyeksakan. Bagaimanapun, tak ramai yang tahu, di sebalik kecintaannya terhadap kasut, Moore memiliki saiz kaki 'gergasi' iaitu 11.
8. Amanda Bynes
Bintang yang lewat kebelakangan ini kerap menimbulkan kontroversi, Amanda Bynes rupa-rupanya tergolong sebagai pemilik kaki 'gergasi dengan saiz kasut berukuran 11.

20 anak yatim hidup serba daif

Posted: 12 Jul 2013 08:46 PM PDT

SEKUMPULAN anak yatim kini menetap beramai-ramai di sebuah rumah teres ehsan seorang penduduk di Sri Kundang, Rawang.


RAWANG – Seramai 20 orang anak yatim hidup serba daif di sebuah rumah teres setingkat selepas mendakwa mereka dihalau oleh pihak pengurusan Pusat Jagaan Anak Yatim Nur Ikhlas (Nur Ikhlas) di Sri Kundang di sini hanya kerana mereka tidak mampu membayar yuran bulanan RM150 kepada pusat jagaan itu.
Nasib baik ada seorang penduduk tempatan di kawasan itu yang bersimpati membenarkan 20 anak yatim yang kesemuanya lelaki berusia tujuh hingga 15 tahun menumpang di sebuah rumah teres miliknya.
Jarak antara rumah anak yatim di Sri Kundang dengan rumah teres yang didiami 20 anak yatim itu sekarang kira-kira lima kilometer.
Rumah teres yang mempunyai tiga bilik tidur dengan satu bilik air itu sudah dijadikan tempat perlindungan kepada anak-anak malang itu sejak lebih enam bulan lalu dan diberi nama Pusat Jagaan Anak Yatim Sri Kundang (AYSK).
Pengasas AYSK, Nor Azmi Jusoh mendakwa, kemelut 20 anak yatim itu tercetus pada tahun lalu apabila pihak pengurusan Nur Ikhlas membuat keputusan untuk mengenakan yuran bulanan sebanyak RM150 kepada setiap penghuninya berkuat kuasa Januari tahun ini.

Nelayan jumpa rangka manusia terapung

Posted: 12 Jul 2013 08:45 PM PDT


RANGKA manusia yang ditemui oleh nelayan di Pulau Kendi, Teluk Kumbar semalam.


BALIK PULAU - Seorang nelayan terkejut menemui satu rangka manusia yang lengkap berpakaian terapung di pesisiran pantai Pulau Kendi, Teluk Kumbar dekat sini semalam.
Ketika ditemui pada pukul 11.37 pagi, nelayan yang berusia 40-an itu segera menghubungi pihak berkuasa bagi memaklumkan penemuan tersebut.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Hatta Md. Zin berkata, operasi membawa mayat ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Batu Maung dilakukan oleh pasukan Maritim Malaysia.
"Pemeriksaan awal mendapati jantina mangsa yang memakai kemeja-T berwarna hitam dan kuning serta berseluar pendek itu adalah lelaki namun tiada sebarang pengenalan diri ditemui.

133 tabung derma dirampas

Posted: 12 Jul 2013 08:43 PM PDT


CHE MAT (dua dari kanan) dan Tuan Ibrahim (kanan) menunjukkan sebahagian daripada tabung derma yang dirampas di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tidak membenarkan individu atau organisasi mengutip derma tanpa kebenaran atas kebimbangan ia boleh dieksploitasi oleh pihak tertentu.
Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali memberitahu, larangan itu berkuat kuasa di semua kawasan pentadbirannya iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Menurut beliau, pihaknya menyekat aktiviti itu ekoran aduan orang ramai yang kurang senang dengan kehadiran kumpulan tertentu yang mengutip derma kononnya untuk membina masjid atau membantu orang miskin.
"Pihak Jawi tidak pernah mengeluarkan surat kebenaran untuk mana-mana pihak atau individu mengutip derma sejak tahun 2009. Bagaimanapun, kegiatan mengutip derma masih berlaku dan wajar disekat.
"Pada masa ini, kegiatan mengutip derma tanpa kebenaran sudah berleluasa terutama di ibu negara sehingga tidak diketahui kebenaran dan tujuan sebenar kutipan tersebut dibuat," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Budak ditinggal bapa ditemui merayau di tasik

Posted: 12 Jul 2013 08:41 PM PDT



SEORANG budak berusia tiga tahun telah dituntut oleh bapanya (kiri) selepas ditemui merayau seorang diri di Puchong semalam.



SERDANG - Tindakan tidak bertanggungjawab seorang lelaki meninggalkan anak perempuannya yang berusia tiga tahun seorang diri di rumah nyaris mengundang padah apabila kanak-kanak itu diselamatkan selepas ditemui merayau-rayau semalam.
Mangsa yang lengkap berpakaian ditemui bermain seorang diri pada pukul 3 pagi berhampiran sebuah tasik di Taman Wawasan, Puchong, kira-kira satu kilometer dari rumah keluarganya.
Pengerusi Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia, Kuan Chee Heng berkata, mangsa diselamatkan seorang lelaki yang juga ahli persatuan itu ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di kawasan sama.
"Pada mulanya, dia menyangka kelibat itu adalah hantu namun sebaik diamati rupa-rupanya seorang budak perempuan.
"Lelaki itu cuba mendapatkan maklumat keluarga budak itu namun gagal kerana dia tidak memahami Bahasa Melayu," katanya ketika dihubungi di sini.
Lelaki itu kemudian menyerahkan mangsa kepada polis.

Empat orang ditanduk lembu di Festival San Fermin

Posted: 12 Jul 2013 08:38 PM PDT



SEORANG lelaki ditanduk seekor lembu jantan sempena Festival San Fermin di Pamplona, Sepanyol semalam.



PAMPLONA - Empat orang telah ditanduk dalam larian lembu keenam sempena Festival San Fermin di Sepanyol semalam.
Kejadian tersebut mencetuskan situasi panik di beberapa batang jalan di bandar yang terletak di Sepanyol itu.
Situasi tegang memuncak apabila seekor lembu jantan menanduk dan menyerang seorang lelaki selama hampir 30 saat.
Lembu tersebut berterusan menyerang lelaki berkenaan walaupun cuba dihalang oleh beberapa pelari lain yang menarik ekor haiwan itu.
Mereka kemudian menarik kaki mangsa untuk menjauhkannya daripada lembu tersebut.
Pengarah Hospital Navarra, Javier Sesma berkata, seramai empat orang cedera akibat ditanduk lembu semalam, manakala tiga lagi mengalami kecederaan lain.
Insiden peserta ditanduk lembu adalah yang pertama dalam larian lembu pada tahun ini.
Acara itu menyaksikan para peserta berlari sambil dikejar oleh enam ekor lembu jantan menuju ke sebuah gelanggang di sini.

Kes bunuh diri di Singapura catat angka tertinggi

Posted: 12 Jul 2013 08:36 PM PDT



GOLONGAN muda di Singapura yang berdepan dengan pelbagai tekanan hidup dikatakan cenderung untuk membunuh diri.- Gambar hiasan



SINGAPURA - Kejadian bunuh diri mencatat angka tertinggi pada tahun lalu dengan 487 kes berikutan semakin ramai orang muda mengalami tekanan dan gagal dalam perhubungan yang menyebabkan mereka bertindak menamatkan nyawa sendiri.
Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 29 peratus berbanding tahun 2011. Ia turut menyaksikan peningkatan sebanyak 80 peratus ke atas mangsa berusia 20 hingga 29 tahun, jelas sebuah badan bukan kerajaan, Samaritans of Singapore (SOS) dalam satu kenyataan.
"Masalah yang sering dialami oleh kelompok ini adalah tekanan hidup dan cinta. Antara masalah lain ialah pengangguran, tekanan belajar atau kerja, isu kewangan dan kesunyian," kata SOS.
SOS meletakkan sasaran untuk mencegah kes bunuh diri dengan menyediakan sokongan emosional menerusi kaunseling peribadi dan talian telefon 24 jam.
Pada tahun lalu, SOS menerima 39,994 panggilan, turun daripada 40,025 pada tahun 2011.
Kes bunuh diri mewakili dua peratus daripada jumlah kematian di Singapura. Membunuh diri dianggap sebagai satu jenayah di Singapura, mereka yang terselamat boleh dikenakan hukuman penjara selama setahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Bayi gigit puting ibu ditikam 90 kali

Posted: 12 Jul 2013 08:33 PM PDT



BAYI berusia lapan bulan, Kio Bao bernasib baik kerana masih hidup selepas ditikam 90 kali oleh ibunya.


XUZHOU - Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan masih hidup selepas ditikam dengan gunting sebanyak 90 kali oleh ibunya selepas dia dikatakan tergigit putingnya semasa menyusu.
Bayi berkenaan, Kio Bao yang cedera parah di bahagian muka memerlukan 100 jahitan dalam insiden yang berlaku di sini, dalam wilayah Jiangsu di timur China.
Bayi malang itu dikatakan tinggal bersama ibu dan dua orang bapa saudara yang menyara kehidupan mereka dengan mengitar semula sampah sarap.
Bao yang dijumpai dalam keadaan berlumuran darah di dalam kolam di belakang rumah mereka telah dibawa ke hospital oleh salah seorang bapa saudaranya.
Ibu kanak-kanak tersebut kemudian mengaku dia telah menikam Bao kerana bayi itu dikatakan telah menggigit putingnya.
Jiran-jiran mereka merayu supaya kerajaan tempatan mengambil Bao, namun pihak berkuasa menolak permintaan itu kerana tidak ada pengesahan rasmi yang mengatakan ibunya mengalami penyakit mental.

Lukisan bersifat keanak-anakan

Posted: 12 Jul 2013 08:31 PM PDT




SEHELAI demi sehelai buku bacaan kanak-kanak dibelek sehingga leka tanpa mengendahkan kehadiran orang ramai yang lalu-lalang.
Bahagian rak buku berkenaan menjadi ruang paling diminati setiap kali berkunjung ke kedai-kedai buku di sekitar ibu negara.
Ia kedengaran seperti gelagat biasa yang dilalui oleh setiap kanak-kanak namun cerita sebenar adalah berlainan. Hobi membaca buku kanak-kanak itu sebenarnya rutin seorang wanita yang sudah mempunyai anak dan berusia 44 tahun.
Pada asalnya, Nor Emila Mohd. Yusof meminati bahan bacaan kanak-kanak kerana ia dipenuhi dengan lukisan dan berwarna-warni. Terdetik di hatinya yang dia juga boleh menghasilkan lukisan-lukisan ceria sebegitu.
Namun, Nor Emila sedikit kecewa kerana buku kanak-kanak hasil pengkarya tempatan tidak banyak terdapat di pasaran. Rata-rata buku tersebut diimport dari luar negara seperti Amerika Syarikat (AS), Singapura, Australia, Jepun dan United Kingdom.
Dia berazam untuk membantu menyumbang kepada pembangunan industri buku negara dengan menghasilkan buku dan ilustrasi kanak-kanak untuk diterbitkan di dalam dan luar negara.
"Saya mula menjalankan perniagaan berasaskan lukisan dan kraf tangan secara kecil-kecilan sejak tahun 2006 melalui medium laman sosial dan blog. Ketika itu saya masih bekerja sebagai pereka grafik di sebuah syarikat swasta di ibu negara.
"Kemudian, saya menyertai peraduan menghasilkan ilustrasi yang dihantar ke laman web www.illustrationfriday.com pada setiap Jumaat. Laman tersebut akan memberi satu perkataan untuk diilustrasikan oleh setiap peserta pada minggu berkenaan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Ampang, Selangor baru-baru ini.

NOR EMILA menunjukkan sebahagian daripada karyanya.


Sejak itu bakatnya semakin mendapat perhatian penggemar ilustrasi dari dalam dan luar negara sehingga ada yang berminat untuk membeli karyanya.
Melangkah setapak ke hadapan, Nor Emila mula menjana pendapatan melalui komisen yang diterima hasil jualan barangan menggunakan lukisannya yang dimuat naik di laman greetingcarduniverse.com dan zazzle.com.
Kini, sudah lapan buah judul buku ilustrasi kanak-kanak yang dihasilkan Nor Emila dijual di pasaran sejak tahun 2010. Judul berkenaan ialah My Mother's Garden, Little Guardian dan enam buah siri Seni dan Kraf Bersama Kak Emila.
Buku-buku yang dihasilkannya sesuai untuk bacaan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah terutama daripada siri buku Seni dan Kraf Bersama Kak Emila mendapat sambutan menggalakkan kerana berjaya menarik minat kanak-kanak untuk menghasilkan kraf mereka sendiri.
Pelukis gaya naif
Berkongsi tentang ilham bagi menghasilkan karya pula, dia kerap melihat keadaan di sekitar kediaman tempatnya membesar kerana sedikit sebanyak membantu mengimbau kembali kenangan sewaktu kecil di rumah tersebut. Pada masa sama, keletah anak lelakinya, Muhammad Yassin Mohd. Zaim, 10, turut memberikan idea untuk menghasilkan ilustrasi yang berkaitan dengan alam kanak-kanak.
Selain itu, Nor Emila kerap membuat rujukan komposisi (susun atur) karya ilustrator atau pelukis ilustrasi dari luar negara sewaktu terlibat dalam pameran bahan kanak-kanak di luar negara kerana ia lebih kreatif dan interaktif.
Setiap artis yang menghasilkan lukisan atau ilustrasi akan mencerminkan identiti tersendiri di sebalik setiap karya mereka. Sebahagian besar daripada artis tersebut melukis untuk kepuasan diri sendiri dan bukannya untuk dijual kepada orang awam.
Hasil karya seni naif yang lebih bersifat keanak-anakan juga merupakan satu cabang seni lukisan yang sinonim dengan identiti segelintir artis di persada lukisan tanah air.
Mie Mambo atau nama sebenarnya Mohd. Norazmi Mokhtar, 33, merupakan salah seorang pelukis gaya naif tempatan yang berjaya menghasilkan lebih 40 judul buku kanak-kanak sejak tahun 2005.
Dia memulakan karier sebagai seorang kartunis di majalah Gila-Gila selepas tamat pengajian dalam bidang seni reka dan seni lukis di Universiti Teknologi Mara Shah Alam. Mie Mambo banyak mendapat tunjuk ajar daripada kartunis legenda, Rejab Had sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 2002.
"Saya gemar melukis lukisan catan yang berwarna-warni dan dari situ pemerhati seni lukisan mula nampak potensi karya yang saya hasilkan.

MIE MAMBO bergambar bersama lukisan tapir yang sering menjadi subjek utama lukisannya.


Tenaga pengajar
"Saya lebih selesa menghasilkan ilustrasi bahan bacaan kanak-kanak kerana ia bersifat naif dan sesuai untuk kelompok umur mereka," katanya ketika ditemui pada Festival Bahan Kanak-Kanak Asia 2013 di Perpustakaan Negara Singapura pada Singapura baru-baru ini.
Selain buku kanak-kanak, dia juga berjaya menghasilkan sebanyak 13 buah novel grafik dan 20 ilustrasi buku pelbagai judul untuk pasaran dalam negara. Pada masa yang sama, Mie Mambo bergerak aktif sebagai pelukis sepenuh masa dan tenaga pengajar kepada bakat-bakat baharu melalui program anjuran Perbadanan Kota Buku dan Balai Seni Visual Negara.
Menurutnya, bakat dalam bidang lukisan diwarisi daripada nenek dan kedua-dua ibu bapanya. Berkongsi tentang cabaran, dia terpaksa berperang dengan sikap malas atau tiada mood yang kadang-kadang menyebabkan kerjanya tergendala.
Bagaimanapun, Mie Mambo sudah melibatkan diri dalam 10 pameran lukisan dalam negara sejak tahun 2006.
Beberapa tokoh pelukis yang dikaguminya ialah Zulkifli Dahlan, Dzulkifli Buyong, Yusof Gajah dan Rejab Had. Kebanyakan karya yang dihasilkan Mie Mambo sesuai untuk bacaan kanak-kanak berumur lima hingga tujuh tahun.
Dia juga terlibat menyumbangkan ilustrasi pada buku teks sekolah dalam mata pelajaran Kadazan Dusun bagi pelajar tahap satu hingga enam di Sabah yang akan digunakan pada tahun 2014.

Kota Buku jadi pusat buku digital

Posted: 12 Jul 2013 08:30 PM PDT



BUKU bacaan kanak-kanak yang boleh dibeli dalam format digital di laman portal e-Book.


SEIRING dengan perkembangan teknologi, kaedah penerbitan buku kanak-kanak turut berkembang dan menjadi lebih mudah. Anda tidak perlu bimbang untuk menyediakan bahan bacaan kanak-kanak ketika berada di luar kawasan.
Hanya dengan memiliki gajet terkini seperti tablet, telefon pintar atau komputer riba sudah membolehkan anak kecil membaca buku kegemaran mereka melalui paparan skrin gajet berkenaan.
Harga buku elektronik (e-Book) yang dijual di laman maya juga lebih murah dengan potongan sehingga 30 peratus bagi sebuah e-Book berbanding buku yang dibeli di kedai buku.
Adakah anda seorang yang gemar membelikan anak-anak pelbagai jenis bahan bacaan untuk memupuk minat membaca tetapi menghadapi masalah ketiadaan ruang untuk menyimpan bahan-bahan tersebut?
Promosi karya
Pembelian buku digital adalah penyelesaian terbaik, ia mudah dibawa ke mana sahaja. Antara kelebihannya ialah ia hadir dalam format memori digital yang boleh dimuat turun ke gajet anda.
Pengurus Jabatan Pembangunan Industri Buku Perbadanan Kota Buku (PKB), Norhayati Razali memberitahu, pihaknya menyediakan landasan kepada penulis buku dan ilustrator kanak-kanak untuk mempromosikan karya di peringkat tempatan dan luar negara melalui portal e-Book rasmi institusi tersebut.
"Sejak bulan Disember tahun lalu, terdapat 100 judul buku digital yang boleh dibeli dan dimuat turun di portal e-Book yang meliputi pelbagai genre terutamanya buku sastera kanak-kanak.
"Harga buku digital dijual jauh lebih murah berbanding harga buku asal dan ia lebih mudah dibawa kerana kebanyakan pengguna selesa membawa tablet elektronik bersama mereka," katanya ketika ditemui di PKB di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Usaha tersebut dilihat membolehkan bakat tempatan berpeluang menghasilkan lebih banyak karya bermutu tinggi pada masa akan datang. Karya mereka juga berpotensi untuk menembusi pasaran luar negara dan bersaing di pentas yang lebih besar jika ada pihak luar yang berminat untuk menterjemahkan karya tersebut.
Sastera kanak-kanak dilihat mempunyai pengaruh yang tersendiri kerana menghiburkan, berilmiah dan memupuk nilai tambah sesuai dengan perkembangan psikologi kanak-kanak.

MINAT membaca buku dalam kalangan kanak-kanak boleh dipupuk menggunakan gajet mudah alih yang bersifat interaktif. - Gambar hiasan


Pasaran
PKB juga kerap mengadakan latihan intensif dan bengkel kepada penulis, ilustrator dan pengkarya meliputi konsep, kerja-kerja penghasilan dan permurnian bahan yang sesuai untuk kanak-kanak dan remaja yang berusia satu hingga 15 tahun. Peringkat seterusnya, mereka dilatih untuk menguasai teknik bercerita yang baik bagi menarik minat pembaca.
Dalam pada itu, Pengerusi PKB, Tan Sri Dr. Asiah Abu Samah berkata, peranan institusi tersebut lebih kepada aspek operasi dalam industri perbukuan negara bagi menggalakkan usaha ke arah pengantarabangsaan karya tempatan.
Ia juga bertindak sebagai moderator atau fasilitator bagi memudahkan penulis, ilustrator dan agensi yang berkaitan untuk merujuk perkara-perkara yang melibatkan penerbitan buku dalam bentuk digital.
"Pasaran dalam penghasilan buku kanak-kanak sedang berkembang di Malaysia kerana semakin banyak karya tempatan dihasilkan dan setanding dengan bahan bacaan antarabangsa.
"Bagaimanapun, negara kita masih kekurangan jumlah buku yang sepatutnya diterbitkan dalam setahun. Malaysia hanya mempunyai kira-kira 17,923 judul buku di pasaran buat masa ini," jelasnya ketika ditemui pada Festival Bahan Kanak-Kanak Asia 2013 di Singapura baru-baru ini.
Jumlah tersebut meletakkan Malaysia di tangga ke-23 dunia menurut statistik penerbitan buku bagi tempoh setahun yang dikeluarkan oleh Persidangan Agung Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Penunjuk bagi status negara maju menggariskan sebuah negara perlu menerbitkan buku sekurang-kurangnya 0.1 peratus daripada jumlah populasi negara tersebut. Dengan erti kata lain, Malaysia seharusnya menerbitkan sekurang-kurangnya 28,800 buah buku setahun sebelum diiktiraf sebagai sebuah negara maju.

Serlah hala tuju moden premium Hyundai

Posted: 12 Jul 2013 08:29 PM PDT



SUV merupakan antara segmen yang paling pantas berkembang di Malaysia. Penampilan luarannya yang mewah. maskulin, posisi pemanduan tinggi dan boleh dipandu di laluan lasak menjadi antara faktor kenapa SUV menjadi pilihan ramai orang.
Justeru, tidak hairanlah jika boleh dikatakan semua pengeluar memiliki model SUV mereka sendiri. Sama ada jenama dari Jepun, Eropah atau Korea, semuanya cuba untuk mengumpan pembeli dengan pelbagai ciri menarik yang
Hyundai tidak terkecuali dalam persaingan tersebut. Pengedar kenderaan Hyundai di Malaysia, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) baru-baru ini memperkenalkan Inokom Santa Fe (produk yang dilesenkan oleh Hyundai) ke pasaran tempatan.
Santa Fe ialah sebuah SUV berkapasiti tujuh tempat duduk yang tidak asing lagi buat pengguna tempatan. Sudah memasuki generasi ketiga, Hyundai cuba untuk menjadikannya sebuah SUV yang lebih mewah dan sporty.
Ia nyata selari dengan hala tuju Hyundai yang ingin menjadi jenama moden premium. Dibina berdasarkan kepada konsep rekaan baharu iaitu Storm Edge, Santa Fe dilihat berjaya menyerlahkan kualiti dan kemewahan yang mengagumkan sesiapa sahaja yang melihatnya.
Malah, jika dibuang emblem Inokom atau Hyundai itu, tidak mustahil ramai yang menganggapnya sebagai sebuah SUV buatan Eropah. Tanggapan itu banyak didorong oleh penampilan luarannya yang kemas.
Lihat sahaja kepada gril signatur Hyundai berbentuk heksagonal itu. Ditambah pula dengan gabungan bampar belakang dan hadapan yang sporty, bumbung suri, lampu utama jenis HID dan lampu belakang LED. Semua itu sememangnya mencipta imej sebuah SUV yang futuristik dan urban.
Kemewahan ruang kabin Santa Fe dilihat menyempurkakan gaya luaran Santa Fe. Sebaik sahaja masuk ke dalam kabin, pemandu dan penumpang dihidangkan dengan kemasan kulit mewah pada tempat duduk.

TIPIKAL papan pemuka kenderaan Hyundai, ruang ini sarat dengan pelbagai butang kawalan.


Mata pemandu juga pasti tertarik dengan stereng yang kemas dengan susunan butang kawalan. Sementara paparan instrumen Thin Film Transistor (TFT) LCD bersaiz 4.2 inci itu memaparkan pelbagai maklumat penting pemanduan.
Reka bentuk Santa Fe yang tersendiri telah melayakkannya untuk memenangi pelbagai anugerah. Misalnya, Anugerah Reka Bentuk Antarabangsa Australia 2013 dan Good Design Awards oleh pihak Chicago Anthenaeum: Museum of Architecture and Design di Amerika Syarikat.
"Pengenalan Santa Fe baharu ini sememangnya menetapkan satu standard baharu dalam pasaran SUV di Malaysia. Ia dinyatakan menerusi gabungan elemen kemewahan, moden, inovatif dan ciri-ciri keselamatan yang biasanya ada pada model lebih mewah.
"Dengan semua ciri yang hebat ini dan ditawarkan pada harga berpatutan, kami yakin dapat memperoleh kelompok pelanggan lebih besar," kata Pengarah Urusan HSDM, Lau Yit Mun.
Santa Fe hadir dalam dua pilihan enjin, R 2.2 E-VGT diesel dan enjin petrol Theta II 2.4 MPI. Ia kemudian dikembangkan kepada empat varian iaitu Theta II 2.4 Elegance (RM163, 888), Theta II 2.4 Executive Plus (RM177, 888), R 2.2 VGT Elegance (RM176, 888) dan R 2.2 VGT Executive Plus (RM189, 888).
Enjin diesel bersesaran 2.2 liter itu mampu menjana kuasa maksimum 197hp @ 3,800rpm dan tork setinggi 436Nm pada 1,800 hingga 2,500 rpm. Kedua-dua enjin itu dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan SHIFTRONIC®.
Mahu menawarkan penjimatan bahan api sewajarnya, sistem Active Eco telah digunakan. Sistem itu berperanan mengubah suai kawalan enjin dan transmisi untuk memastikan maklum balas pendikit yang lancar. Di samping mengawal output sistem pendingin hawa untuk meningkatkan penjimatan bahan api.
Tidak berkompromi dengan aspek keselamatan, jentera itu hadir bersama sistem keselamatan termaju demi menawarkan pemanduan terbaik kepada pemiliknya. Antara sistem yang ada adalah sistem pacuan empat roda Active On-Demand, Vehicle Stability Management (VSM), Hillstart Assist Control (HAC), Downhill Brake Control (DBC) dan Electric Parking Brake (EPB) dengan ciri Automatic Vehicle Hold.
EPB berfungsi 'memegang' kenderaan pada posisinya walaupun selepas pedal brek dilepasnya. Ciri itu amat berguna jika berhenti dan ingin memulakan semula perjalanan di laluan berbukit.
Terkenal sebagai pengeluar yang inovatif, Hyundai memastikan Sabta Fe menawarkan rangkaian ciri yang biasanya ada pada kenderaan lebih premium. Sebagai contoh, ciri Flex Steer yang mempunyai tiga mode operasi iaitu Comfort, Normal and Sport.

TEMPAT duduk belakang dibalut dengan kulit Nappa yang mewah.


Sistem tersebut membolehkan pemandu untuk mengadaptasi karekteristik stereng Santa Fe berdasarkan kepada corak pemanduan dan kondisi jalan raya. Ciri-ciri mewah yang lain termasuklah sensor hujan automatik, sistem kunci pintar, butang Start/Stop, kawalan jelajah, tempat duduk kuasa dan banyak lagi. Lebih menarik lagi, satu unit perakam pemanduan selamat (Safe Drive Recorder) yang berfungsi seperti kotak hitam turut dipasang pada SUV tersebut.
Buat pertama kalinya, HSDM turut memperkenalkan skim Leader Card. Direka khas untuk para pemilik Santa Fe baharu, ia membolehkan mereka menikmati gaya hidup mewah dan perkhidmatan premium. Misalnya, perkhidmtan concierge mewah dan bantuan perubatan peribadi.
Menerusi perkhidmatan concierge, menempah sesi bermain golf, kapal persiaran atau mendapatkan rawatan di hospital berdekatan boleh dilakukan dengan hanya satu panggilan telefon. Ahli Ledars Card juga akan mendapat kadar istimewa untuk perkhidmatan penghantaran pergi dan balik dari KLIA, LCCT atau Subang Skypark. Ini adalah sebahagian daripada kelebihan yang mampu ditawarkan oleh kad berkenaan.
"Santa Fe baharu ialah model premium. Maka, kami ingin memastikan para pemiliknya menikmati perkhidmatan yang premium juga. Banyak lagi kelebihan yang akan ditawarkan pada masa depan," tambah Lau.
Untuk ketenangan fikiran, Santa Fe hadir bersama jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 300,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu).

Takluk Kala Patthar tanpa Sherpa

Posted: 12 Jul 2013 08:27 PM PDT



DUA sahabat, Asisten Superintendan Mohd. Hafiz Shamsudin dan Asisten Superintendan Raiz Mukhliz Azman yang bertugas di Bukit Aman, Kuala Lumpur tidak memandang ringan cabaran mendaki Gunung Kala Patthar di Nepal.
Kedua-dua mereka yang berusia 38 tahun telah membuat persediaan rapi membabitkan mental serta fizikal termasuk membaca pelbagai risalah dan maklumat berkaitan kawasan pergunungan itu.
Ini kerana perjalanan tersebut memakan masa selama 16 hari sebelum boleh menakluki gunung yang terletak berdekatan puncak tertinggi dunia itu iaitu Gunung Everest.
Bagi Raiz Mukhliz, mendaki Gunung Kala Patthar memerlukan ketahanan stamina, justeru dia melakukan latihan dengan berjalan kaki sejauh 10 kilometer (km) setiap hari.
Setelah yakin dengan kemampuan diri dan persiapan telah lengkap, mereka akhirnya memilih untuk mendaki gunung tersebut pada Januari lalu kerana pada waktu itu musim sejuk sedang menyelubungi seluruh Banjaran Himalaya.
Perancangan mendaki ketika musim sejuk itu merupakan salah satu cara untuk mencabar ketahanan diri mereka yang sebelum ini sudah menawan banyak kawasan pergunungan di tanah air seperti Gunung Tahan dan Gunung Kinabalu.
"Sepanjang pendakian selama lapan hari ke puncak dan enam hari turun, kami tidak menggunakan penunjuk arah dan pengangkut barangan. Peta merupakan komponen penting yang dibawa sepanjang pendakian bagi memandu arah kami," ujar Mohd. Hafiz.
Menurutnya, kebanyakan pendaki dari Asia menggunakan khidmat penunjuk arah dan pengangkut barang untuk ke Everest Base Camp atau Kala Patthar. Namun, ada antara mereka yang terpaksa berpatah balik kerana mengalami serangan penyakit akut ketinggian (AMS).
Paling bahaya
Puncak Kala Patthar merupakan salah satu kawasan terbaik untuk melihat keindahan panorama Gunung Everest dengan jelas sekali gus menjadi tumpuan jurugambar.
Penerbangan selama lima jam dari Kuala Lumpur ke Kathmandu pada 17 Januari lalu merupakan perjalanan yang mengujakan mereka. Tiba di ibu kota negara Nepal itu, penerbangan diteruskan ke Lapangan Terbang Lukhla yang mengambil masa selama 45 minit.

LATAR belakang Glasier Khumbu di kawasan Everest Base Camp pada hari kelapan ekspedisi pendakian.


Bagi pendaki yang ingin ke Gunung Everest dan Gunung Kala Patthar, Lapangan Terbang Lukhla merupakan antara cabaran awal yang perlu dilalui.
Menurut Mohd. Hafiz, lapangan terbang itu merupakan lapangan terbang paling bahaya di dunia.
"Jarak landasan kapal terbang itu amat pendek, curam dan berdekatan kawasan berbukit namun ia tidak memberikan masalah kepada juruterbang," jelasnya.
Setibanya di Lukhla, mereka ke terus berjalan kaki mengikut trek bersalji melalui laluan pendaki ke Phakding. Suhu sejuk yang mencecah 3 darjah Celcius menjadi peneman setia sepanjang perjalanan mereka.
Di Phakding, pemandangan kawasan pergunungan membuatkan mereka kembali mengimbau kenangan mendaki Gunung Kinabalu. Dengan pendakian tanpa penunjuk arah daripada penduduk tempatan, perjalanan mereka ternyata lebih santai walaupun ada misi yang perlu diselesaikan. Mereka boleh singgah untuk bermalam dan berehat di mana sahaja dengan harga yang murah.
Dengan bajet kurang daripada RM5,000, pendakian secara sendirian adalah pilihan yang terbaik untuk mendaki kawasan pergunungan itu. Ia meliputi tiket penerbangan, kelengkapan pendakian dan penginapan.
Ketika di tanah air, Mohd. Hafiz telah bersiap sedia membawa sehelai Jalur Gemilang. Dalam keghairahannya, dia tertinggal bendera itu dan cuma menyedarinya apabila tiba di bumi Nepal.
Bagi mengekalkan semangat patriotisme, Raiz Mukhliz melukis bendera Malaysia pada kertas untuk diletakkan di salah sebuah restoran di sana.
Antara kawasan yang menjadi laluan dan persinggahan semasa pendakian dari Phakding ke Kala Patthar ialah Namche Bazaar, Tengboche, Dingboche, Lobuche dan Gorak Shep kemudian melalui Everest Base Camp sebelum sampai ke puncak Kala Patthar.
Menurut Raiz Mukhliz, setibanya di Namche Bazaar dari Phakding yang mengambil masa selama tujuh jam itu, mereka memasuki Taman Negara Sagarmatha untuk membayar permit mendaki pergunungan itu.
Ketika di kawasan tersebut, mereka perlu memakai pakaian yang lebih tebal kerana salji tebal dan suhu mencecah -2 darjah Celcius.
"Namche Bazaar ialah kawasan persinggahan utama para pendaki ke Everest Base Camp. Di sana, pendaki boleh mendapat bekalan makanan dan tempat tinggal sebelum meneruskan perjalanan," jelas Mohd. Hafiz ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Paling mencabar
Ceritanya lagi, di setiap persinggahan, dia dan sahabatnya itu meringankan beg dengan cara menyimpan makanan yang dibawa dari Malaysia di hotel-hotel dan mengambil kembali bekalan itu sewaktu pulang.
MOHD. Hafiz (kiri) dan Raiz sempat bergambar kenangan di Kuil Swayambunath, Kathmandu, sebelum pulang ke tanah air.


Pendakian mereka turut menemukan dengan lembu bertanduk panjang serta berbulu tebal yang jarang ditemui di kawasan lain iaitu yak.
Ketika ditanya cabaran yang paling getir dihadapi oleh mereka, Mohd. Hafiz memberitahu, pendakian dari Phakding ke Namche Bazaar paling menguji ketahanan mental dan fizikal mereka.
"Laluan sepanjang 3,500 meter dari Phakding ke Namche Bazaar bukanlah kawasan tertinggi sepanjang pendakian kami. Namun, laluan yang seolah-olah menegak itu ternyata menyukarkan kami untuk meneruskan perjalanan," ujarnya.
Menurutnya lagi, mereka juga berselisih dengan pendaki dari Belanda, Jepun serta Korea Selatan bersama dengan penunjuk arah dan pengangkut barang yang sudah berjaya menamatkan pendakian mereka.
Dua sahabat itu juga berjumpa dengan seorang pendaki berumur dalam lingkungan 20-an yang berpatah balik kerana diserang AMS. Namun, situasi itu tidak melemahkan semangat mereka untuk meneruskan pendakian.
Sepanjang pendakian ke Everest Base Camp dan Kala Patthar, terdapat dua tempat yang harus dijadikan persinggahan pendaki bertujuan mengelakkan serangan AMS.
"Namche Bazaar dan Dingboche merupakan kawasan persinggahan untuk para pendaki menyesuaikan perubahan tekanan. Sekiranya pendaki terkena serangan AMS, mereka akan mengalami pening kepala yang teruk sehingga boleh menyebabkan kematian," jelas Raiz Mukhliz.
Keghairahan mereka tersentap apabila melihat banyak gambar bersaiz besar ditampal pada batu peringatan yang menunjukkan pendaki yang hilang ketika mendaki Gunung Everest.
"Ketika berada di Laboche ke Gorak Shep, kami melihat dan menjerit ke arah seorang pendaki solo dari China yang tersasar dari trek untuk ke Kala Patthar. Nasibnya baik kerana kami sempat memanggilnya. Jika tidak, gambarnya pasti terpapar pada batu-batu peringatan itu," jelas Mohd. Hafiz.
Pada pukul 10 pagi, 26 Januari lalu, mereka akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Kala Patthar. Peluang itu digunakan sepenuhnya oleh mereka untuk mengambil gambar dan berehat sebelum kembali meneruskan perjalanan menuruni gunung tersebut.
"Bagi pendaki yang ingin mendaki Kala Patthar tanpa penunjuk arah dan pengangkut barang, pastikan anda membuat persediaan yang rapi terutama mental dan fizikal. Banyakkan membaca dan membuat kajian mengenai perjalanan yang harus ditempuhi," ujar Mohd. Hafiz.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu