Sensasi Selebriti | Berita Hiburan, Gossip Artis, Gambar Selebriti Terbaru, Filem, Muzik, Video & Teater |
Uji bakat Kilauan Emas Musim Kedua Posted: 12 Apr 2012 08:21 PM PDT Penjelajahan sesi uji bakat Kilauan Emas Musim Kedua kini bermula Selepas menyaksikan Mohd Ali Norpiah Mohd Johar dinobatkan sebagai juara sulung program Kilauan Emas Musim Pertama tidak lama dahulu, kini pihak Astro Prima (Saluran 105) dengan kerjasama pihak penaja Polident membawakan kembali program menarik ini untuk musim kedua yang bakal menjelajah ke enam buah negeri sekitar Malaysia iaitu Sabah, Sarawak, Johor, Pahang, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur untuk sesi uji bakat tidak lama lagi. Masih mengekalkan format yang sama, Kilauan Emas ialah sebuah program berkonsepkan pertandingan nyanyian yang disasarkan khusus kepada warganegara Malaysia dan Singapura yang berumur 40 ke atas dan mempunyai minat dalam bidang nyanyian. Setiap peserta yang terpilih akan dibahagikan mengikut enam buah zon iaitu Zon Sabah (Sabah), Zon Sarawak (Sarawak) , Zon Utara (Pulau Pinang), Zon Selatan (Johor), Zon Tengah (Kuala Lumpur) dan Zon Timur (Pahang). Menariknya, beberapa pembaharuan telah diperkenalkan bagi memantapkan lagi mutu pengisian program agar terus segar serta menepati kehendak para penonton yang dahagakan program-program berkualiti. Untuk musim kedua ini, calon peserta juga boleh memilih untuk sama ada menyertai program ini secara solo ataupun dengan pasangan duet. Menurut Pengurus Kumpulan Saluran Hiburan Astro; Cik Azlin Reza Azmi berkata, "Pada musim lepas, kami mendapati sambutan yang diberikan oleh orang ramai untuk menyertai pertandingan nyanyian ini adalah amat menggalakkan. Sehubungan dengan itu, kami mengambil keputusan untuk terus memberi peluang kepada mereka kerana kami yakin mereka mampu menyemarakkan industri seni tanahair yang sedia ada. Berbeza dengan musim sebelumnya, kami meneruskan inisiatif untuk membuka peluang kepada bukan sahaja warganegara Malaysia tetapi juga rakyat Singapura yang berminat untuk menyertai program Kilauan Emas Musim Kedua. Ini sejajar dengan usaha pihak Astro untuk meneruskan matlamat demi memberikan hiburan terbaik kepada para pelanggannya dengan menawarkan mutu produksi dan format yang mantap untuk setiap kandungan di platform kami. Sebagai kelainan, kami juga memberi pilihan kepada calon peserta untuk menunjukkan bakat menyanyi masing-masing sama ada secara solo ataupun duet dengan syarat mereka tidak boleh merakam sebarang album dalam tempoh masa 10 tahun sebelum tarikh uji bakat. Walau bagaimanapun, calon peserta hanya dibolehkan untuk menyertai salah satu kategori yang ditawarkan sahaja bagi setiap lokasi ujibakat. Di kesempatan ini juga kami ingin mengalu-alukan kehadiran Polident sebagai pihak penaja serta Radio Sinar FM sebagai radio rasmi untuk program Kilauan Emas Musim Kedua. Persetujuan mereka dalam menghulurkan sokongan padu demi menjayakan program ini amat kami hargai," jelas Azlin. Menurut Pengurus Jenama Kanan GlaxoSmithKline Consumer Healthcare; Cik Chris Chan berkata, "Krim Pelekat Gigi Palsu Polident mengukuhkan kedudukan gigi palsu, lantas mengurangkan gigi palsu dari tertanggal ketika pemakai menyanyi, memakan, atau bercakap dengan lantang. Ini tepat sekali dengan Kilauan Emas kerana jenama ini memahami bahawa ianya adalah tidak selesa dan tidak menyenangkan apabila penyanyi perlu bimbang tentang ketepatan dalam percakapan mereka, atau gigi palsu tertanggal. Hasil daripada kerjasama yang baik tahun lepas, Polident berbangga menjadi sebahagian dari Kilauan Emas lagi; selaras dengan misi jenama ini untuk membantu mengembalikan harapan dan meningkatkan keyakinan pemakai gigi palsu." Selain itu, Kilauan Emas Musim Kedua juga bakal membawa masuk khidmat dua nama besar yang dipilih berdasarkan pengalaman mereka yang amat luas dalam industri seni tanah air iaitu Adnan Abu Hassan dan Juliza Adlizan yang bakal menggalas tanggungjawab sebagai guru vokal bagi program ini. "Khidmat guru vokal yang dibawa masuk untuk musim ini adalah untuk mengenal pasti kebolehan para peserta jika mereka boleh diasah dan diberi bimbingan terutama sekali dalam bentuk vokal yang dapat mengimbangi setiap persembahan mereka kelak. Para peserta yang berminat dinasihatkan untuk hadir dalam keadan bersedia dan meyakinkan barisan juri bahawa mereka mempunyai bakat nyanyian yang hebat, " tambah Azlin lagi. Kilauan Emas Musim Kedua juga turut mengekalkan pengacara, pelakon dan penyampai radio Sinar FM; Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin atau lebih dikenali sebagai Kak Engku sebagai pengacara. Program ini juga bakal disiarkan di Astro Prima (saluran 105) bermula Mei ini. Mereka yang berminat mestilah warganegara Malaysia dan Singapura yang berumur 40 tahun ke atas (pada tarikh ujibakat) dan perlu membawa dua keping salinan kad pengenalan serta gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang). Para peserta juga dikehendaki untuk memilih salah satu lagu untuk dipersembahkan berdasarkan senarai lagu wajib yang telahpun disediakan oleh pihak produksi. *Sila rujuk lampiran untuk senarai penuh senarai lagu wajib. Pada peringkat Pentas Kilauan Emas, nasib para peserta untuk setiap zon akan ditentukan sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh pihak juri yang terdiri daripada juri jemputan profesional, guru vokal dan wakil pengurusan pihak Astro yang mana dua orang peserta terbaik akan dipilih untuk mewakili setiap zon sebelum mara ke peringkat seterusnya. Manakala bagi peringkat separuh akhir dan akhir, markah daripada pihak juri akan dicampurkan dengan keputusan undian yang akan dibuat oleh para penonton. Mereka bakal menilai para peserta daripada segi teknikal seperti kawalan suara, sebutan, pernafasan, intonasi, rentak, tempo, keserasian, harmoni serta kreativiti dan penghayatan persembahan. Sila layari laman web www.kilauanemas.com.my untuk maklumat lanjut mengenai program ini. LOKASI & TARIKH UJI BAKAT KILAUAN EMAS MUSIM KEDUA ** Kaunter pendaftaran bagi setiap sesi ujibakat dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang dan para peserta digalakkan untuk hadir awal bagi mengelakkan kesesakkan. SENARAI SUSUNAN PROGRAM PILIHAN LAGU WAJIB LELAKI PILIHAN LAGU WAJIB PEREMPUAN PILIHAN LAGU WAJIB DUET Click on the following buttons to share this article with your friends: Baca artikel lain yang berkaitan: |
Kembara Maria Tunku Sabri Dalam Jom Terokai Perak Posted: 12 Apr 2012 08:10 PM PDT KEMBARA MARIA TUNKU SABRI DALAM 'JOM TEROKAI PERAK' Sempena menyambut Tahun Melawat Perak 2012, TV3 menampilkan sebuah program travelogue terbaru 'Jom Terokai Perak' dengan kerjasama kerajaan negeri Perak dan Tourism Perak. Program yang dihoskan oleh Maria Tunku Sabri ini akan membawa penonton mengembara ke setiap persegi negeri Perak Darul Ridzuan yang sememangnya kaya dengan tradisi, sejarah, pelancongan, aneka makanan, seni kebudayaan dan kraftangan. 'Jom Terokai Perak' yang akan bersiaran sebanyak 13 episod mulai 12 April ini bakal memberi idea dan menarik minat penonton untuk mengunjungi negeri Perak ataupun lebih dikenali sebagai 'Bumi Bertuah' kerana dikurniakan dengan pelbagai anugerah Tuhan dan tempat-tempat menarik untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Diambil sempena nama Bendahara Tun Perak yang berjaya menaikkan nama Melaka sebelum kedatangan penjajah Portugis, Negeri Perak cukup sinonim dengan keindahan 10 ikonnya iaitu Taman Negeri Royal Belum, Hutan Paya Bakau Matang, Gua Tempurung, Taman Herba Perak, Hot Spring Sungai Klah, Pulau Orang Utan, Zoo Taiping & Night Safari, Pulau Pangkor, Bandar DiRaja Kuala Kangsar dan The Limestone Wonder, Ipoh. Bersama hos, Maria Tunku Sabri, 'Jom Terokai Perak' akan mengembara dan menawarkan pengalaman manis di lokasi, antaranya, menyelami sisi kisar William Kellie Smith, seorang peneroka estet warga Scotland yang datang ke Tanah Melayu pada tahun 1890 di Kellie's Castle yang terletak di Batu Gajah, mendekati Hutan Hujan Khatulistiwa seterusnya mencuba sukan lasak water rafting di Sungai Kampar, saksikan keajaiban gua batu kapur yang mempunyai keluasan 1.9 km dan dipercayai telah wujud sejak 8000 SM lagi di Gopeng, nikmati keseronokan taman tema dengan pelbagai aktiviti menarik bersama seisi keluarga seperti Adventure River, Cliff Racer, Explorebay, Jungle Wave Bay, Tambun Hot Springs, Tiger Valley dan Tube Raiders di Lost World of Tambun dan banyak lagi di Ipoh, ibu negeri Perak. Kembara 'Jom Terokai Perak' menuju ke bandar kedua terbesar negeri Perak iaitu Taiping yang mempunyai populasi hampir 200,000 orang penduduk. Terletak di bahagian utara negeri Perak, Taiping juga merupakan destinasi tarikan pelancong yang mendapat tumpuan. Bukit Larut, dahulunya dikenali dengan nama 'Maxwell Hill' merupakan kawasan peranginan tanah tinggi tertua di Malaysia dan masih mengekalkan suasana kolonial dengan rumah banglo dan taman konsep Inggeris. Zoo Taiping mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Ia terletak di dalam kawasan semulajadi di Taman Tasik Taiping berhampiran kaki Bukit Larut. Keindahan alam semulajadi yang menawan seperti aliran anak sungai, tasik dan kehijauan flora menambahkan lagi keunikan Zoo Taiping. Merupakan zoo awam pertama dan tertua yang dibuka di Malaysia, zoo seluas 34 ekar ini mempamerkan lebih 180 spesis binatang. Masih di Taiping, perjalanan 'Jom Terokai Perak' diteruskan di Kuala Sepetang yang cukup popular dengan Mee Udang dan saksikan kelip kelip yang menerangi pokok berembang di Kampung Dew. Kuala Kangsar, Bandar DiRaja dan bersejarah bagi negeri Perak Darul Ridzuan merupakan kawasan pelancongan yang mempunyai pelbagai produk-produk tempatan dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Penonton dapat melihat tempat-tempat menarik, contohnya, Istana Iskandariah, Masjid Ubudiah, Galeri Sultan Azlan Shah dan banyak lagi. Di Kuala Kangsar juga penonton dapat menyaksikan industri kraftangan Labu Sayong, Keris, Tekat dan Arca Besi. Menyusuri ke bahagian Barat negeri Perak, 'Jom Terokai Perak' akan memaparkan pulau tropika yang menawan dan memiliki beberapa tempat tarikan pelancong yang pastinya mengkagumkan. Dalam episod pembukaan 'Jom Terokai Perak' ini bakal menampilkan YAB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir, selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor. Dahulunya, Pulau Pangkor dijadikan sebagai lokasi simpanan bijih timah dan barang dagangan lain oleh penjajah Belanda. Kesan dan peninggalannya masih boleh dilihat di Kota Belanda. Nikmati panorama indah dan suasana damai di beberapa pantai dan pulau kecil di Pulau Pangkor seperti Pantai Teluk Nipah, Pantai Pasir Bogak, Pantai Puteri Dewi, Pulau Mentangor dan Pulau Giam yang bersih untuk bermandi-manda sambil melakukan pelbagai aktiviti rekreasi serta sukan air, antaranya, snorkeling, bermain jet ski, menunggang banana bot, berkayak, menaiki kapal layar dan macam-macam lagi. Ikuti kembara Maria Tunku Sabri dalam 'Jom Terokai Perak' yang turut ke destinasi-destinasi tarikan lain seperti Teluk Intan, Bagan Datoh, Pasir Salak dan banyak lagi. Majlis Pelancaran program 'Jom Terokai Perak' dirasmikan oleh YAB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak, YB Dato' Hamidah Osman, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita Dan Kebajikan Negeri, serta YBhg Datuk Johan Jaafar, Pengerusi Media Prima Berhad. Menurut Encik Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, "Program 'Jom Terokai Perak' merupakan langkah positif stesen menyokong inisiatif kerajaan negeri Perak dan Tourism Perak dalam mempromosi pembangunan industri pelancongan. Melalui program ini, penonton akan disajikan dengan pelbagai informasi dan maklumat mengenai destinasi-destinasi menarik di negeri Perak seterusnya menggalakkan percutian di dalam negeri". 'Jom Terokai Perak' diterbitkan oleh Manterra Media Sdn Bhd yang diterajui oleh Rosmina Mohd Sapian sebagai Penerbit Eksekutif dan Rasidan Hassan sebagai Penerbit. Saksikan 'Jom Terokai Perak' yang dihoskan oleh Maria Tunku Sabri pada setiap hari Khamis jam 5.30 petang, selama 30 minit hanya di TV3. Tags: Travel, TV3Click on the following buttons to share this article with your friends: Baca artikel lain yang berkaitan: |
You are subscribed to email updates from Sensasi Selebriti To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan