Jumaat, 13 April 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Siti Nurhaliza Muncul Dengan Produk Baru SimplySiti Eau De Parfum

Posted: 13 Apr 2012 08:08 PM PDT

Siti Nurhaliza (dua dari kiri) pada majlis pelancaran produk baru SimplySiti Eau De Parfum (EDP).

KUALA LUMPUR: Sempena ulang tahun SimplySiti yang kedua, jenama kecantikan yang diasaskan oleh penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin melancarkan satu kategori produk baru iaitu SimplySiti Eau De Parfum (EDP).

Menurut Siti, formulasi EDP iaitu wangian peringkat kualiti tinggi, SimplySiti EDP turut menggabungkan sains dan seni haruman dari Perancis dengan hasil sentuhan pakar wangian terkemuka Perancis iaitu Joelle Lerioux-Patris dari Mane iaitu salah sebuah pengeluar wangian terkemuka di dunia.

"Wangian adalah sebahagian daripada kehidupan manusia terutama setiap wanita yang sememangnya mempunyai fitrah untuk sentiasa kekal cantik, harum dan menarik.

"Ini adalah satu-satunya wangian yang penuh inovasi kerana ia diformulasikan dengan Plant Betaphroline, menjadikan minyak wangi ini satu-satunya wangian yang boleh membantu pemakainya menjadi lebih harum.

"Ia juga berkuasa untuk menghilangkan stres dengan merangsang penghasilan endorphin iaitu hormon gembira dalam kulit kita. Dengan itu, formulasi istimewa ini bukan sekadar wangian biasa kerana ia dapat membantu mengekalkan bentuk tubuh badan dan membangkitkan 'mood'," katanya pada pelancaran SimplySiti Eau De Parfum di Hotel Double Tree, di sini, malam Jumaat.

Siti Nurhaliza menandatangani plak sebagai simbolik perasmian.

Betaphroline adalah ekstrak dari tumbuhan indigo yang ditemui di kawasan Himalaya yang bertindak sebagai perangsang liposis bertujuan membantu meningkatkan pecahan lemak berlebihan pada tubuh.

Dalam pada itu, SimplySiti EDP terdiri daripada tiga jenis wangian iaitu Pure, Precious dan Memoire. Setiap wangian ini menceritakan personaliti wanita yang berlainan.

Menarik lagi, sempena dengan pelancaran ini, SimplySiti juga turut memperkenalkan konsep berlainan dalam komersil terbarunya dengan memaparkan perspektif lelaki yang menggambarkan siapa wanita idaman mereka.

Antara wajah-wajah lelaki yang bakal muncul dalam komersial produk baru tersebut ialah Penjaga Gol Pasukan Kebangsaan Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat, ahli perniagaan muda, SM Khalis SM Zul, Pengarah Ibex Group, Adam Yahya serta Leuniey Natasha, wajah baru di bidang komersial.

Buat para penggemar minyak wangi, harga sebotol SimplySiti Eau De Parfum hanya RM69.90 dan sudahpun berada di pasaran.

Bella Daly Bawa Watak Natrah Dalam Siri Drama Baru

Posted: 13 Apr 2012 08:08 PM PDT

Bella Daly berdebar galas watak Natrah.

PETALING JAYA: Pelakon muda Bella Daly mengakui berasa teruja dan bertuah kerana diberikan peluang untuk terlibat dalam drama bersiri terbaru Natrah yang bakal disiarkan di RTM tidak lama lagi.

Ujar Bella atau nama sebenarnya Nabilah Ali Daly, 21, pembabitan dalam drama bersiri sebanyak 13 episod arahan Along Kamaludin itu adalah satu penghormatan dan pengalaman bernilai bagi pendatang baru sepertinya.

"Saya sudah berada di lokasi drama bersiri Natrah sejak dua minggu lalu. Saya memegang watak utama sebagai Maria Huberdina Hertogh pada zaman mudanya.

"Sebagai orang baru, saya bersyukur dan gembira dengan peluang yang diberikan kerana ia adalah sebuah naskhah yang besar dan bersejarah," katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.

Gadis dari Sabah ini mula menceburi bidang seni selepas menyertai pencarian pelakon Pilih Kasih musim pertama, kira-kira tiga tahun lalu.

Diusik mengenai hubungannya dengan aktor Nazim Othman, Bella berkata sikap memahami dan mengambil berat aktor itu membuatkan dia berasa selesa menjalinkan hubungan sejak kira-kira enam bulan lalu.

"Kami pernah berlakon bersama dalam sebuah produksi drama kira-kira dua tahun lalu tetapi kami tidak rapat ketika itu. Kami mula rapat dan berhubung selepas menjalani penggambaran drama Inspirasi Varsiti pada hujung tahun lalu.

"Saya senang dengan sikap Nazim yang memahami dan melindungi saya dalam banyak perkara. Dia seorang lelaki yang matang dan banyak memberikan nasihat dan bimbingan berdasarkan pengalamannya," katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.

Pelakon drama bersiri Qalesya itu berkata, walaupun dia tidak keberatan untuk berkongsi mengenai kisah hubungan mereka kepada umum, fokusnya kini adalah untuk mengukuhkan namanya di persada lakonan tanah air.

"Hubungan kami memang diketahui oleh keluarga saya. Malah, saya juga tiada masalah berkongsi kisah hubungan kami dengan khalayak kerana ia tidak akan menjejaskan kerjaya.

"Cuma sebaiknya pada peringkat ini adalah lebih baik bercerita tentang kerjaya lakonan saya yang baru hendak berkembang ini," katanya baru menamatkan penggambaran filem versi baru Gila-Gila Remaja pada bulan lalu.

Isu MyPR: Aaron Aziz Enggan Bergurau Dengan Wartawan Lagi

Posted: 13 Apr 2012 08:07 PM PDT

Aaron Aziz

PETALING JAYA: Pelakon Aaron Aziz akan lebih berhati-hati dengan pihak wartawan untuk memperkatakan sesuatu kerana bimbang gurauan yang dikeluarkan daripada mulutnya disalah tafsir dan disiarkan menerusi media.

Aaron berkata dia enggan mengulangi kesilapannya seperti yang berlaku pada Isnin lalu dimana kenyataannya berhubung dengan isu permohonan taraf pemastautin tetap (MyPR) telah disalah tafsirkan.

"Saya kesal apabila kata-kata gurau bersama seorang teman wartawan disalah anggap dan terus menjadi satu berita yang besar di akhbar pada keesokan harinya.

"Oleh itu, pengajaran untuk saya di masa akan datang ialah, jangan bergurau dengan wartawan, kerana ia mungkin akan menjadi satu isu yang serius nanti," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.

Pada Rabu lalu, industri hiburan tempatan dikejutkan dengan satu berita gembira buat para peminat Aaron apabila pelakon kelahiran Singapura itu membuat kenyataan permohonan MyPR telah diluluskan dan ia akan diambil pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, pada hari yang sama, Aaron tampil membuat penjelasan dia belum mendapat sebarang kelulusan berkaitan MyPR lagi, namun, mengakui dia ada bercakap gurau seperti yang diperkatakan dengan seorang teman wartawan yang dikenalinya itu.

Kata Aaron, pada kejadian tersebut, dia dan temannya itu sedang rancak berbual mengenai kemenangannya sebagai Bintang paling popular ABPBH 2011 (Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian 2011) selain isu kritikan daripada aktor Zed Zaidi yang tidak puas hati dengan kemenangannya itu dan hal tersebut mungkin membuatkan dia teruja untuk berbicara mengenai isu permohonan MyPR itu.

"Tak sangka selepas kemenangan yang diperoleh, dua kontroversi tercetus sekaligus. Dan ia merupakan cabaran yang paling berat perlu dilalui sepanjang saya bergelar pelakon.

"Malah isteri saya turut terkena tempiasnya apabila ramai yang bertanyakan tentang hal itu," katanya yang kini sedang sibuk dengan penggambaran drama Adam dan Hawa.

Iamneeta, Kumpulan Baru NAR Records

Posted: 13 Apr 2012 08:06 PM PDT

Iamneeta

PETALING JAYA: Setelah berjaya mencungkil bakat Najwa Latif melalui youtube, NAR Records Sdn Bhd kini memilih sebuah kumpulan baru, Iamneeta, untuk bernaung di bawah label syarikat tersebut.

Bakat Iamneeta juga dikesan melalui laman sosial Youtube apabila video-video nyanyian mereka menarik perhatian pihak NAR, yang juga pernah menaikkan nama penyanyi Sarah Raisuddin pada awal tahun 2003.

Kumpulan yang dianggotai oleh 3 anak muda ini terdiri daripada Neeta selaku vokalisnya serta Anas dan Patrick sebagai gitaris .

Single pertama kumpulan ini berjudul Tuhan Tolong Aku akan dilancarkan tidak lama lagi .

Iamneeta mendapat sambutan baik dari peminat ketika siri jelajah sahabat lalu, meskipun single mereka belum di lancarkan, kumpulan ini telah banyak menerima undangan nyanyian di sekitar kuala lumpur dan di seluruh negara.

Satu kelebihan buat kumpulan iamneeta ini adalah vokalis utamanya Neeta merupakan gadis kacukan Cina, India dan Thailand yang begitu fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

Selain itu, Iamneeta juga mempunyai bakat dalam penulisan lagu, dan single pertama mereka, Tuhan Tolong Aku merupakan hasil karya pertama mereka.

Menurut kumpulan Iamneeta single ini sangat bermakna mereka, selain dapat merealisasikan cita-cita untuk merakam lagu mereka sendiri.

Lagu tersebut juga merupakan hadiah buat para peminat yang telah lama menantikan singlenya sendiri dan telah lama menyokong beliau dalam bidang seni.

Tuhan Tolong Aku kini sudahpun berkumandang di stesen-stesen radio bermula sejak awal bulan April.

Tergantung satu jam

Posted: 13 Apr 2012 08:04 PM PDT

MALANG...pasukan penyelamat melakukan pemeriksaan dan mengesahkan mangsa maut akibat renjatan elektrik.
MALANG...pasukan penyelamat melakukan pemeriksaan dan mengesahkan mangsa maut akibat renjatan elektrik.

KENINGAU: "Saya terdengar bunyi dentuman dan melihat kawan saya terpelanting selain percikan api turut kelihatan. Sejurus kemudian, saya lihat dia terkulai di atas tangga," kata Michael Gubongo, 32, mengenai kematian rakan sekerjanya akibat terkena renjatan elektrik, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika mangsa, Gilbert Santos Alani, 39, yang juga juruteknik penyelenggaraan menyelenggara sambungan lampu jalan di pencawang berhampiran Tamu Apin-Apin, di sini.


Mangsa mati di tempat kejadian dipercayai akibat terkena renjatan elektrik berkuasa tinggi dan mayat mangsa dibiarkan tergantung hampir sejam sebelum pasukan penyelamat tiba dan menurunkannya.

Michael berkata, sebelum itu, orang ramai yang berada di tempat kejadian tidak berani menurunkan mayat mangsa kerana takut terkena renjatan elektrik yang dipercayai masih mengalir di pencawang berkenaan.


"Saya berada berhampiran mangsa ketika kejadian dan menyedari sesuatu tidak kena apabila melihat dia seperti 'ditendang' arus kuat. Ketika kejadian dia cuba menyambung wayar lampu jalan ke kabel utama di pencawang itu," katanya.


Michael berkata, dia cuba membantu, tetapi membatalkan hasrat itu apabila melihat percikan api pada tangga digunakan mangsa.

"Walaupun sedih, saya hanya mampu melihat badannya terjuntai di atas tangga tanpa mampu memberi sebarang bantuan," katanya.


Menurutnya, mangsa yang sudah berkahwin dan memiliki tiga anak, menetap di Kampung Biah Tengah, di sini."Sebelum ini, dia sering bercerita mengenai hajatnya untuk berhijrah dan bekerja di Afrika sebagai penyelia elektrik. Dia tidak menunjukkan sebarang kelakuan ganjil dan kami sudah bekerja bersama sejak 12 tahun lalu," kata Michael.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, Janil Jaya berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 11.15 pagi sebelum mengarahkan dua jentera termasuk kenderaan utiliti bersama 11 anggota ke tempat kejadian.


"Sebaik tiba, kami mendapati seorang lelaki tergantung dalam keadaan terkulai di pencawang elektrik di tepi jalan berhampiran Tamu berkenaan.


"Kami mengambil masa kira-kira setengah jam sebelum menurunkan mayat mangsa yang dipercayai terkena renjatan elektrik," katanya.


Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mematuhi ciri keselamatan ketika melakukan penyelenggaraan elektrik.


"Kami mendapati mangsa hanya berseluar pendek, tidak memakai sarung tangan dan hanya berselipar ketika kejadian.


"Kecuaian sebegini sepatutnya tidak berlaku. Kemalangan boleh dielak jika semua pihak mengutamakan keselamatan, lebih-lebih lagi dalam pekerjaan berisiko tinggi seperti ini," katanya.

Muka diinjak anak VIP

Posted: 13 Apr 2012 08:01 PM PDT

PARAH...Mikael Adam parah di muka dan kepala dibelasah awal pagi semalam.
PARAH...Mikael Adam parah di muka dan kepala dibelasah awal pagi semalam.

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pemuzik hip hop, Mikael Adam Mohd Rafee Michel, 23, cedera di muka dan kepala selepas diserang seorang lelaki dikatakan anak VIP di luar kompleks beli-belah di Jalan Bukit Bintang, di sini awal pagi semalam.

Mikael Adam berkata sebelum kejadian pada jam 3.50 pagi itu, dia berada di dalam kereta bersama dua rakan sebelum suspek dikenalinya itu muncul dan menariknya keluar daripada kereta.

"Sebaik keluar, saya terus dipukul lelaki itu dengan tangan hingga saya terjatuh sebelum badan dan muka saya dipijak.

"Saya hanya mampu mempertahankan diri dengan menutup muka dan kepala bagi mengelakkan kecederaan lebih parah," katanya dalam satu sidang media semalam.Menurutnya, akibat pukulan bertubi-tubi daripada suspek berusia 20-an itu, mukanya berdarah sebelum dia tidak sedarkan diri.

Tugas berat menanti

Posted: 13 Apr 2012 07:59 PM PDT

Jennifer Lopez
Jennifer Lopez
GANDINGAN MANTAP...JLo bersama tiga juri American Idols.
GANDINGAN MANTAP...JLo bersama tiga juri American Idols.

JIKA sebelum ini, ramai yang meletak spekulasi kononnya bintang terkenal, Jennifer Lopez hanya bersandar pada wajah jelita dan penampilan yang memukau. Kononnya penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu If You Had My Love ini hanya 'menjual' kisah peribadi tanpa meletak bakat nyanyian mahupun lakonannya ke depan.

Namun rezeki buatnya sudah tersurat, Jennifer yang lebih dikenali sebagai J.Lo dipilih untuk menjadi pengkritik tetap program realiti paling popular, American Idol musim ke-10 dan terus dilanjutkan hingga musim yang terbaru ini.

Walau ada pihak yang mempertikai, namun hakikatnya penyanyi berusia 43 tahun ini punya pesona tersendiri. Vokalnya masih mampu menghimpunkan jutaan peminat seluruh dunia hingga meletakkan jualan albumnya antara paling tinggi selain berjaya menembusi carta-carta antarabangsa.

Usik si pemilik senyuman menggoda ini dalam satu temubual bersama media antarabangsa baru-baru ini, soal bakat tidak cukup bagi mengukur kredibiliti dan kemampuan seseorang penyanyi sebaliknya pesona dan ketrampilan adalah kunci yang meletak penghibur itu jauh melangit.


"Inilah rezeki dan saya fikirkan peluang berada di kerusi pengkritik American Idol sebagai ruang terbaik buat saya berkongsi ilmu, memperbaiki diri sendiri dan melihat sejauh mana anak-anak muda mampu mengukuhkan lagi empayar muzik hari ini," katanya.J.Lo berdiri di sebelah pemuzik profesional lain termasuk Randy Jackson dan vokalis kumpulan Aerosmith, Steven Tyler. Muncul buat kali kedua bagi musim yang ke-11 ini, Jennifer punya ceritanya sendiri.

"Saya seronok kerana dipilih menyertai keluarga American Idol sejak musim lalu kerana pengalaman yang diperoleh sangat berharga dan berbeza. Mana tidaknya, saya terbabit dalam proses pemilihan peserta sejak peringkat awal ketika sesi uji bakat. Jadi saya berpeluang melihat persembahan mereka dari awal lagi dan kemudiannya dibawa ke pentas yang lebih besar di Hollywood.

"Justeru apa yang membuatkan saya gembira adalah melihat perkembangan seseorang peserta itu dari amatur hingga menjadi seorang penyanyi profesional. Saya rasa itulah yang membuatkan saya gembira dan seronok," katanya.

Tambah J.Lo yang sudah mempunyai tujuh album studio setakat ini dan begitu dikenali dengan gerak nyanyiannya yang menggiurkan, American Idol musim ke-11 memberikannya peluang kedua untuk menjadi seorang pengkritik yang jauh lebih dinamik dalam soal pemilihan peserta dan memberikan komen yang boleh membantu setiap peserta untuk menjadi yang lebih baik.

Mengakui kerusinya itu menuntut tanggungjawab yang begitu besar dan komitmen tinggi, wanita kelahiran Bronx, New York yang menggantikan tempat Ellen DeGeneres pada musim kesembilan sebelum ini optimis melihat tugasannya sebagai sesuatu yang menyeronokkan tanpa memikirkan soal tekanan.

"Tahun lalu saya tampak masih baru dalam memegang posisi itu kerana tanggungjawabnya masih belum serasi dengan diri. Saya lihat kelemahan paling ketara adalah sikap positif dan mudah kasihan terhadap peserta, membuatkan saya sukar mengatakan tidak sedangkan saya tidak suka. Bayangkan adakalanya Randy dan Steven terpaksa menegur tindakan saya kerana menerima masuk peserta yang tidak sepenuhnya berbakat.

"Ketika itu saya lebih mengikut gerak hati dan rasa yakin mungkin mereka mampu dibentuk di peringkat seterusnya namun sebenarnya tidak. American Idol adalah pentas yang menjadi kegilaan seluruh anak muda di Amerika untuk mengejar impian menjadi penyanyi dan saya sepatutnya perlu lebih tegas dalam mengadili mereka.

"Bagaimanapun musim ini, kali kedua saya di kerusi yang sama, semua itu saya jadikan pengajaran dan pengalaman lalu saya simpulkan menjadi tanda aras bagi mengadili peserta musim ini. Beribu-ribu peserta kami nilai di lapan lokasi seluruh Amerika pada Januari dan Februari lalu. Justeru tugas saya memang berat kerana saya adalah penentu masa depan mereka untuk dibawa ke Hollywood.

"Apa yang saya lakukan adalah meletak diri saya di tempat mereka. Apa yang ingin saya dengar daripada juri mengenai persembahan dan kemampuan saya. Lantas itulah yang saya lakukan meskipun ada kalanya saya sendiri sedih dan tidak sanggup. Itulah cabaran dan �tekanan sepanjang berada di program realiti ini," katanya.

Bercerita soal American Idol 11 ini, J.Lo yang juga pelakon terkenal yang pernah membintangi banyak filem termasuk Selena, Anaconda, The Wedding Planner, Enough, Maid in Manhattan dan The Back-Up ini melihat program ini punya perubahan dan kelainan dalam bakat yang dibentangkan serta wajah-wajah yang datang mencuba nasib.

"Tahun ini berbeza berbanding tahun sebelumnya kerana saya perhatikan begitu banyak bakat yang jauh lebih dinamik diperkenalkan. Tidak sangka pula sebenarnya Amerika masih belum ketandusan bakat kerana mereka yang hadir dan terpilih hingga ke peringkat akhir ini semuanya hebat.

"Lebih menarik, ada yang gagal menembusi peringkat akhir pada musim sebelumnya datang semula mencuba nasib buat kali kedua. Saya masih kenal dan ingat akan penampilan mereka namun terharu dengan peningkatan vokal yang mereka berikan.
Maksudnya apa yang pernah saya komen sebelumnya itu dijadikan pengajaran dan terus mereka lakukan.

"Saya boleh katakan juara untuk musim kali ini akan memberikan sebuah perspektif yang berbeza kepada pentas seni hiburan dunia," katanya.

Jennifer juga turut gembira kerana barisan peserta di pentas akhir American Idol 11 ini lengkap dari setiap aspek bagi menjadi seorang penghibur terbaik.
Tidak hanya mereka yang hebat menyampaikan lagu country, malah musim ke-11 lebih luas dengan adanya peserta yang begitu syahdu menyanyikan lagu R&B, gospel, pop dan alternatif.

Pastikan anda jangan melepaskan peluang untuk mengikuti pertandingan paling dinantikan seluruh dunia ini dengan pertarungan tujuh lagi peserta, Colton Dixon, Elise Testone, Hollie Cavanagh, Jessica Sanchez, Joshua Ledet, Phillip Phillips dan Skylar Laine setiap Jumaat jam 10 malam dan Sabtu jam 10.30 malam hanya di 8TV.

Sorok pisau di pinggang

Posted: 13 Apr 2012 07:57 PM PDT

EDAR RISALAH...Abdul Razak (kanan) melawat premis di sekitar IOI Boulevard sempena Program Jiran Niaga Prihatin di Puchong, semalam.
EDAR RISALAH...Abdul Razak (kanan) melawat premis di sekitar IOI Boulevard sempena Program Jiran Niaga Prihatin di Puchong, semalam.

PUCHONG: Kebimbangan pekerja dan pemilik kedai serbaneka 24 jam di sekitar Bandar Kinrara, di sini, terhadap ancaman premis mereka disamun selepas beberapa siri kes berkenaan dilaporkan sejak Februari lalu berakhir apabila tertangkapnya enam lelaki termasuk dua masih di bawah umur, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias berkata, sejak dua bulan lalu lima kedai serbaneka kerugian lebih RM20,000 selepas disamun enam lelaki berusia lingkungan 17 hingga 20-an itu yang melarikan pelbagai barangan jualan serta wang tunai.


Menurutnya, kumpulan terbabit melakukan jenayah itu pada awal pagi ketika premis berkenaan tiada pelanggan dan mereka yang memakai topi keledar menutup muka mengancam mangsa menggunakan pisau pemotong daging.

"Suspek yang memakai topi keledar masuk ke kedai dan berpura-pura membeli barang manakala rakan subahat lain akan menunggu di luar.


"Mereka mengeluarkan pisau yang disembunyikan di pinggang mereka dan mengacukan senjata itu ke arah juruwang di kaunter serta mengarahkan mangsa menyerahkan wang dan pelbagai barangan jualan lain," katanya, semalam.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat premis perniagaan di IOI Boulevard, di sini, bagi mengedar risalah kempen keselamatan dan cegah jenayah sempena program Jiran Niaga Prihatin yang menggalakkan kerjasama antara peniaga melaporkan polis kegiatan mencurigakan di premis masing-masing.

Abdul Razak berkata, hasil risikan polis berjaya menahan seorang anggota kumpulan samun itu berhampiran sebuah restoran makanan segera di bandar berkenaan sebelum suspek terbabit mendedahkan identiti lima lagi anggota lain.


"Seorang daripada mereka ditahan pada 6 April lalu dan ini membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki pada hari yang sama manakala dua lagi ditahan pada keesokan hari dengan bantuan polis Sungai Besi."Ujian air kencing kesemua suspek didapati mereka negatif dadah, malah masing-masing turut tiada rekod jenayah lampau," katanya.


Katanya, kumpulan samun terbabit dipercayai cuba berjinak-jinak dalam kegiatan jenayah berkenaan sebagai mata pencarian utama dan menyamun kedai serbaneka bagi mendapatkan keuntungan mudah berikutan masing-masing menganggur.


"Semua suspek direman sehingga 14 hari dan akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Isnin ini mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan menggunakan senjata berbahaya," katanya.

Rona terang hiasi padanan

Posted: 13 Apr 2012 07:56 PM PDT

KEMBAN...gaun kemban memberikan sisi berbeza untuk majlis makan malam.
KEMBAN...gaun kemban memberikan sisi berbeza untuk majlis makan malam.

KESIHATAN menjadi asas kecantikan. Sejak berabad lamanya konsep ini digunakan sebagai merujuk kepada kesihatan badan dan minda yang membawa kepada kecantikan luaran.

Kecantikan pula bukan hanya menjurus kepada lakaran wajah menerusi solekan ceria dan menawan tetapi turut diabadikan menerusi penampilan segar dalam berpakaian.

  • Foto

    SANTAI...gaya santai menerusi blaus dan seluar pendek. Jangan lupa beg tangan.

  • Foto

    MENAWAN...ikatan tali pinggang pada gaun dengan cetakan buah-buahan unik dan menawan.

  • Foto

    MODEN...gaya moden terserlah menerusi aksesori leher.

  • Foto

    BERCUTI...jaket bersama tas tangan comel sesuai untuk percutian nan indah.

Inspirasi daripada cantik dan sihat, jenama antarabangsa Moschino tampil dengan koleksi Cheap and Chic untuk gaya musim panas dan bunga 2012 yang diketengahkan barisan model di Suria KLCC, baru-baru ini.

Deretan buah-buahan dan sayur-sayuran pelbagai warna diletakkan di dalam bakul sepanjang ruang peragaan menggambarkan ringkasan padanan yang ditonjolkan.


Memenuhi konsep alam semula jadi, setiap pakaian memberikan penampilan nyaman dan segar menerusi padanan gaun singkat berlatarbelakangkan unsur alam seperti laut, matahari, pelangi, buah-buahan seperti strawberi serta sayur-sayuran termasuk cili dan bawang putih.Cetakan sayuran dapat dilihat menerusi gaun singkat daripada fabrik sutera, strawberi menghiasi padanan gaun sifon sutera manakala kuntuman gandum tertera pada gaun linen dan kapas.


Lebih menawan, lakaran cili dan bawang putih memperindahkan tali blaus, hiasan butang berlatarbelakangkan sayur-sayuran manakala kasut baji dihiasi garfu menawan.

Selain gaun, turut ditampilkan blaus, kardigan mewah polos, seluar pendek, jaket dan gaun kemban yang sesuai digayakan untuk acara santai.

Menariknya, penggunaan rona terang menghiasi setiap padanan. Sesuai dengan alam semula jadi, rona hijau, krim dan putih melatari setiap pakaian sambil ditambah dengan cetakan berani rona terang seperti merah, jingga, merah jambu, ungu dan kuning.

Moschino bukan saja tampil unik dan berseni malah ranggi menerusi padanan aksesori yang pastinya menarik perhatian. Anda pasti terpesona dengan sandal dihiasi bunga daisi manakala beg dihiasi gambar bercetak rumput memberikan gaya segar kepada si pemakai.

Himpunan Cheap and Chic Moschino kini boleh diperoleh di semua butik Moschino seluruh negara.

Vokalis Maroon 5 Tersentuh Jennifer Love Hewitt Suka Padanya

Posted: 13 Apr 2012 07:55 PM PDT

Adam Levine

LOS ANGELES: Vokalis kumpulan Maroon 5, Adam Levine berkata dia tersentuh apabila mendapat tahu aktres jelita Jennifer Love Hewitt memendam perasaan terhadapnya.

"Ia sangat menyentuh perasaan. Ia sesuatu yang indah untuk didengar. Tapi saya tidak mahu perkara itu mengganggu fikiran," katanya seperti dipetik laman web femalefirst.co.uk.

Jennifer Love Hewitt

Hewitt yang dilaporkan putus cinta dengan aktor Jarod Einsohn pada bulan lalu, kini dikatakan mula meluahkan hasrat hatinya terhadap penyanyi itu pula.

"Saya baru terbaca pada dua hari lepas bahawa Adam kini berstatus solo... saya cuma meluahkan perasaan di dalam hati. Kalau benar kami menjalin hubungan, ia pasti menarik," kata aktres itu.

Brad Pitt Gagal Wakili Pasukan Bola Keranjang Sekolah

Posted: 13 Apr 2012 07:51 PM PDT

Brad Pitt

LOS ANGELES: Aktor Brad Pitt berkata dia pernah ditolak daripada menyertai pasukan utama bola keranjang ketika di sekolah tinggi dan menubuhkan pasukannya sendiri bersama pemain-pemain lain yang turut menerima nasib sepertinya.

Bintang berusia 48 tahun itu gagal layak pada pusingan pertama saringan di Cherokee Middle School di tempat asalnya, Springfield, Missouri pada 1977.

Brad yang pada ketika itu berusia 14 tahun menggelarkan pasukan bola keranjang itu 'Cherokee Rejects'.

"Kami adalah pasukan Cherokee Rejects. Kami berlima menubuhkan pasukan tersebut selepas gagal diserapkan ke pasukan utama bola keranjang gred lapan.

"Idea itu dicetuskan oleh Brad dan ayahnya Bill bertindak sebagai jurulatih pada ketika itu," kata salah seorang rakan sekolah Pitt.

"Brad memberikan nama pasukan itu. Saya tidak fikir kami terlalu ambil peduli mengenai kegagalan kami menyertai pasukan utama sekolah, kami anggap ia sebagai sesuatu yang lucu," lapor majalah usmagazine.com.

Selain itu, Brad juga kurang menyerlah dalam sukan besbol.

Misteri terungkai

Posted: 13 Apr 2012 07:50 PM PDT

  • Foto

  • Foto

Carissa Putri mengakhiri teka-teki apabila memperkenalkan suaminya, Navies Abdullah Naif selepas bernikah pada 31 Mac lalu

SEORANG yang agak tertutup dalam membicarakan isu peribadinya, bintang yang melonjak popularitinya lewat filem Ayat-Ayat Cinta, Carissa Putri mengakhiri segala teka-teki dengan memperkenalkan suaminya, Navies Abdullah Naif kepada wartawan pada petang Sabtu lalu.Berita mengenai aktres kelahiran Frankfurt, Jerman berusia 27 tahun itu bakal bernikah pernah menimbulkan keraguan dan tanda tanya kerana Carissa tidak pernah membuka mulut mengenainya."Ini suami saya, Navies. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar begitu juga dengan upacara pernikahan. Navies seorang yang baik dan kacak, dialah lelaki yang menjadi suami saya," kata Carissa kepada wartawan pada sidang media di Kelab Bimasena, The Dharmawangsa Hotel, Jakarta Selatan, Sabtu lalu.

Pada majlis pernikahannya, Carissa menerima mas kahwin iaitu sepersalinan kelengkapan solat dan gelang emas putih sembilan gram dan 3.6 karat berlian.

Gelaran isteri tidak menggugat keinginan pemain watak Maria Girgis dalam filem yang diangkat daripada novel tulisan Habiburrahman El Shirazy itu untuk terus menekuni dunia lakonan.

Navies sendiri memberi kebebasan kepada isterinya untuk meneruskan minatnya, malah akan setia menyokong sesuatu yang sudah sebati dalam diri Carissa.
"Saya tidak akan membataskan kariernya, dia bebas untuk meneruskan apa yang diminatinya," kata Navies.

Ditanya mengenai ciri yang ada dalam diri Carissa yang membuat pintu hatinya untuk menerima wanita itu sebagai isteri, Navies selesa membiarkan soalan itu berlalu tanpa jawapan.

Pasangan pengantin baru itu bagaimanapun, masih belum menetapkan destinasi bulan madu mereka.
Carissa berkata, selesai majlis resepsi dia terikat dengan komitmen yang terlebih dulu dipersetujui membuatkan rencana bulan madu terpaksa ditangguhkan.

"Belum tahu lagi bila kami akan berbulan madu kerana selepas ini saya kembali sibuk dengan kerja. Mungkin bulan depan baru perkara itu akan dibincangkan," katanya.

Carissa berkata, dia dan suami mempunyai beberapa pilihan lokasi yang ingin dituju namun masih belum menetapkan destinasi yang pasti.

"Belum tahu lagi mahu ke mana kerana lokasi masih dalam perbincangan. Kami pun tidak mahu tergesa-gesa, selesaikan dulu urusan kerja dan hanya selepas itu, kami akan luangkan waktu untuk berbulan madu," katanya.

Turut dikenali sebagai model komersial, Carissa berkata, fokusnya ketika ini lebih terarah kepada promosi kempen iklan yang dijayakannya dan belum berkeinginan untuk kembali berlakon sinetron.

"Belum masanya kerana berlakon sinetron itu menyita waktu. Jika diberi pilihan saya lebih selesa berlakon di layar lebar tetapi saya tidak terus pantas menerimanya.

"Apa juga tawaran yang datang, saya akan mempertimbangkan dulu skrip dan jalan cerita. Tiada salah saya bersikap selektif," katanya mengakui lakonan menuntut kekuatan luar biasa kerana ada ketika penggambaran dijalankan tanpa cuti.


Pernah sakit kerana diet


PENAMPILAN Carissa yang sebelum ini agak cengkung selepas beberapa lama menyepikan diri daripada dunia hiburan mengejutkan banyak pihak.

Wajah yang dulu segar serta bertenaga seolah-olah tidak bermaya dan ketika ditanya, Carissa tidak menafikan dia pernah merana kerana mengamalkan diet yang silap.

"Memang saya mahu berdiet tetapi tidak pula saya sangka lama kelamaan berat badan semakin merosot. Serik dengan apa yang saya lalui, saya enggan berdiet lagi," katanya.

Carissa berkata, dia mengamalkan diet biasa selain memperbanyakkan aktiviti olahraga untuk memastikan tubuhnya sentiasa segar.

Namun, disebabkan pola pemakanan yang diambil kurang bersesuaian membuatkan tubuhnya lemah dan akhirnya dia jatuh sakit.

"Mungkin juga kerana saya sering bertangguh apabila tiba waktu makan, lama-kelamaan badan saya tidak mampu menghadapinya lagi lalu saya sakit," katanya.

Carissa berkata, dia tidak menyalahkan sesiapa dalam hal itu kerana keputusan untuk berdiet atas kemahuannya sendiri.

Sempat menerima nasihat keluarganya supaya tidak melakukan diet berlebihan tetapi semua itu tidak diendahkan kerana mahu mencapai sasaran berat yang ditetapkan.

"Ramai yang menegah kerana bimbang, jika jatuh sakit nanti tiada apa yang boleh mengubahnya. Saya tidak mahu diet lagi, malah sudah menjamah nasi.

"Alhamdulillah diet ketat itu membuatkan saya berjaya menurunkan berat badan hampir 10 kilogram dalam tempoh enam bulan.

"Saya tidak melakukannya secara drastik. Saya dapat merasakan perbezaan yang pasti ketika menyarung jeans kegemaran. Ia semakin longgar dan selesa digayakan," katanya.

Kebal digosip

Posted: 13 Apr 2012 07:48 PM PDT

  • Foto

  • Foto

KEPULANGANNYA ke Jakarta, Indonesia awal April lalu kembali menghembus luka kepada Sophia Latjuba apabila persoalan mengenai rumah tangganya yang berantakan berterusan dibangkitkan.

Semua itu bagaimanapun, tidak membekas di hati aktres kelahiran Berlin, Jerman itu yang mengambil pendirian tegas menolak untuk tidak melayan sebarang pertanyaan mengenai rumah tangganya."Kebenarannya bagaimana, lihat saja nanti," jawab Sophia pendek, enggan mengesahkan berita mengenai rumah tangganya dengan lelaki warga Amerika Syarikat (AS) Michael Anthoni Villarea yang dikatakan sudah berakhir.Berita perceraian hangat diperkatakan apabila pada Ogos tahun lalu, Michael menerusi akaun Twitter peribadinya mengumumkan perpisahannya dengan aktres berusia 41 tahun itu.

"Dalam kesedihan yang dalam, saya mengumumkan pernikahan kami akan berakhir. Perkara ini sudah dibincangkan bersama dan kami sepakat untuk mengakhirinya. Namun ketika ini, kami masih suami isteri," kata Michael.

Perkahwinan yang berjalan selama tujuh tahun itu dikatakan sulit untuk diselamatkan apabila Sophia dikatakan berlaku curang hingga menyebabkan rumah tangganya dan Michael goyang.

Sophia dan Michael bernikah pada 30 April 2005 di Gereja Anglican All Saints, Jakarta ketika bekas isteri Indra Lesmana itu sedang hamil lima bulan. Mereka dikurniakan sebagai cahaya mata perempuan, Manuella.
Percintaan mereka sempat menuai kontroversi kerana ketika itu Michael masih bergelar suami kepada Louisa Ibbotson yang diceraikan ketika sedang hamil.

"Bagaimana mungkin saya digelar ibu tunggal sedangkan bapa kepada anak saya masih ada. Sama ada saya berpisah atau sebaliknya, itu soal rumah tangga saya.

"Tidak penting untuk saya kongsi di sini," kata Sophia yang kembali ke Jakarta untuk menjayakan Konsert Chrisye 2012: Kidung Abadi di Gedung Nyi Ageng Serang, Kuningan, Jakarta Selatan pada 2 April lalu.

Pelakon Bilur-Bilur Penyesalan, Catatan Si Boy V dan Kuldesak itu menegaskan, hubungannya dan Michael masih berjalan baik.

"Michael akan datang ke sini dua minggu lagi untuk menjemput Manuella ke AS. Dia terpaksa pulang dulu kerana masih sekolah sedangkan saya pula terikat dengan jadual kerja.

"Saya sudah kebal digosip, malah saya tidak peduli dengan apa yang diperkatakan. Ia tidak membuat saya terganggu," katanya menolak dipanggil ibu tunggal kerana merasakan bekas suaminya masih memainkan peranan dalam pendidikan anak mereka.

Berita perceraian mereka hangat diperkatakan apabila Sophia yang sudah tiga tahun menetap di AS mengambil keputusan untuk pulang ke Indonesia, Oktober tahn lalu.

Bagaimanapun, Sophia sehingga hari ini masih bungkam dan enggan berterus terang mengenai perkara itu sebaliknya, selesa membiarkan ia menjadi teka teki umum.

Riak wajah yang tadi keruh beransur ceria apabila diajak berbicara mengenai kehidupannya di Los Angeles (LA). Biarpun tidak lagi aktif dengan aktiviti seni, namun masanya terisi dengan beberapa kegiatan bermanfaat lain.

Selain menghabiskan masa di rumah dengan dua cahaya matanya, Eva Celia, 20 dan Manuella, 6, Sophia juga memanfaatkan waktunya dengan mengajar yoga.

"Saya tidak mempunyai pembantu rumah di LA, jadi masa saya dihabiskan dengan menjaga anak selain mengajar yoga. Saya tidak janggal menetap di LA, malah berasa seperti dialu-alukan setiap kali pulang ke sana.

"Saya datang ke Jakarta berdua dengan Manuella kerana Eva terikat dengan kuliah. Dia mengambil jurusan pendidikan muzik dan memilih untuk tinggal di LA.

"Bakatnya terarah ke muzik, saya tidak pernah menghalang. Dia sudah betah dengan cuaca di sana. Eva tetap rapat dengan bapanya, malah setiap hari dia akan berbual dengan Indra menerusi skype.

"Kali terakhir dia pulang ke Jakarta pada sambutan Krismas lalu. Eva cukup merindui makanan di sini, dia cukup suka masakan yang pedas," katanya.

Biarpun selesa menetap di LA tetapi Sophia tidak membiarkan dua anaknya terlalu bebas hingga lupa asal usul mereka.

Katanya, sedikit sebanyak dia berusaha memberikan pendedahan mengenai budaya Indonesia kepada mereka malah cuba mengaitkannya dalam kehidupan seharian di sana.

"Manuella boleh bertutur dalam bahasa Indonesia, cuma tidak terlalu fasih. Sampai sekarang ketika mendidik mereka, saya akan menerapkan sedikit budaya Indonesia supaya tidak lupa kepada tanah kelahiran," katanya.

Mengakui berulang alik antara LA dan Jakarta bukan masalah yang besar baginya, Sophia berkata, minatnya terhadap dunia seni tidak pernah bernoktah.

Sophia berkata, tidak akan menolak jika ada yang berminat untuk menawarkan peluang rakaman begitu juga dengan lakonan.

"Saya ada menerima tawaran merakamkan single. Tiada masalah kerana jika tidak terikat dengan sebarang urusan kerja, saya akan pulang ke LA.

"Anak saya sekolah, masih memerlukan perhatian. Saya akan berada di Jakarta sehingga akhir April, jadi saya jalani hari demi hari di sini tanpa perlu memikir jauh," katanya.

Turut diajukan tawaran bermain filem, namun Sophia enggan mengulas lanjut kerana segala butiran mengenai perkara itu masih dalam perbincangan.

"Saya akan ke lokasi penggambaran akhir bulan ini tetapi masih banyak yang boleh diperkatakan. Kebarangkalian untuk kembali berlakon itu 80 peratus.

"Saya hanya berkesempatan bertemu penerbit dan pengarah selepas selesai konsert. Hanya selepas kontrak ditandatangani, baru saya akan bercerita mengenainya," kata Sophia yang mengaku ditawarkan watak utama.

Mesti Tonton: Bumi diserang lagi

Posted: 13 Apr 2012 07:44 PM PDT

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Penonton cemas saksikan pertarungan manusia, makhluk asing

AKIBAT tersalah menghantar transmisi gelombang komunikasi ke angkasa lepas, pulau Hawaii berdepan masalah besar apabila isyarat yang dipancarkan menarik perhatian makhluk asing ke bumi.Seterusnya, objek yang terdampar di tengah lautan menjadi persoalan kepada angkatan tentera laut daripada 13 negara yang berkumpul di Pearl Harbor sempena latihan marin.Situasi semakin mendebarkan apabila objek seperti bangunan di tengah-tengah samudera itu berubah menjadi kapal angkasa dan bermulalah babak pertempuran antara Tentera Laut Amerika Syarikat dan Jepun dengan makhluk asing dalam filem arahan Peter Berg, berjudul Battleship.

Penonton sentiasa diletakkan dalam situasi genting menyaksikan pertempuran mendebarkan dalam garapan menarik Berg kali ini. Battleship ialah karya terbaru pengarah yang pernah menghasilkan Hancock dan The Kingdom ini, yang diangkat olehnya ke layar lebar daripada permainan video.

Bagaikan pertempuran sebenar dengan tentera musuh, teknik imej janaan komputer (CGI) yang digunakan menghidupkan lagi pergerakan kapal angkasa dan makhluk asing.

Walaupun jalan ceritanya dilihat tidak berpijak pada bumi nyata, namun ia masih mampu membuatkan penonton terpegun melihat setiap inci rekaan dan pergerakan kapal angkasa serta senjata yang digunakan.
Filem ini mengisahkan Alex Hopper lakonan Taylor Kitsch yang terpaksa mengikuti abangnya, Stone (Alexander Skarsgard) menyertai Tentera Laut Amerika Syarikat, yang kemudian mengheret sama dirinya dalam situasi mendebarkan ketika mengikuti sesi latihan marin.

Alex yang berpangkat Leftenan mempunyai sikap sukar untuk membuat keputusan dan berdepan masalah akan disingkirkan daripada pasukan selepas tamat latihan. Namun kerana keberaniannya, Alex berupaya mencipta nama dan sejarah kepahlawanannya sendiri.

Filem yang turut membariskan pelakon Brooklyn Decker, Liam Neeson dan Tadanobu Asano itu turut menampilkan lakonan mantap daripada penyanyi Rihanna yang memegang watak Cora Raikes.

Aksi lincah dan kelakar Rihanna membuatkan penonton terhibur melihatnya beraksi dalam seragam tentera, ketika yang sama mampu menjiwai watak dengan berkesan. Dia juga boleh melangkah jauh dalam lakonan, seperti yang ditonjolkan menerusi aksi tangkasnya dalam Battleship.

Walaupun hanya watak pelakon pembantu, penyanyi Unfaithful ini menunjukkan keupayaannya dalam membawakan watak pegawai kadet wanita, malah berupaya duduk berada sebaris dengan pelakon lelaki lain.

Filem yang menggegarkan pawagam mulai 12 April ini turut memaparkan kisah percintaan antara Alex dan Samantha Shane (Decker), pengorbanan seorang abang kepada adiknya, serta persahabatan antara Alex dan Kapten Nagata (Asano).

Hebat dari segi sinematografi dan garapan dalam penceritaan, filem fiksyen sains ini akan lebih mengagumkan jika ia dapat ditonton dalam bentuk tiga dimensi (3D). Lebih menarik lagi Jalur Gemilang dan nama Malaysia terpahat dalam filem ini.

INFO

Filem: Battleship
Genre: Aksi, Fiksyen Sains
Arahan: Peter Berg
Pelakon: Taylor Kitsch, Alexander Skarsgard, Brooklyn Decker, Liam Neeson, Tadanobu Asano, Rihanna
Tarikh tayangan: Mulai 12 April 2012
Durasi: 2 jam

Bayi dua minggu mati dipijak bapa

Posted: 13 Apr 2012 07:43 PM PDT

 AHLI keluarga mendukung mayat bayi di pekarangan Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, semalam.
AHLI keluarga mendukung mayat bayi di pekarangan Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, semalam.
Lelaki gaduh dengan isteri, ipar naik angin

IPOH: Seorang bayi lelaki yang baru berusia dua minggu meninggal dunia dipercayai selepas dipijak bapanya sendiri yang naik berang selepas bergaduh dengan isteri dan iparnya di rumahnya di Taman Bernam Jaya, berdekatan Tanjung Malim, awal pagi kelmarin.Sumber berkata, sebelum kejadian itu suspek berusia 40-an dan bekerja dengan syarikat mengumpul barang lusuh dikatakan bertengkar dengan isterinya berusia 30-an dan tindakannya ditegur adik iparnya."Teguran itu menyebabkan suspek bertambah berang hingga berlaku pergaduhan.

"Suspek yang tidak berpuas hati kemudian dikatakan mencapai parang lalu menyerang iparnya yang berusia 32 tahun.

"Selepas itu, suspek dikatakan memijak pula bayi lelakinya hingga menyebabkan bayi berkenaan mengalami kecederaan organ dalaman," katanya di sini, semalam.

Sumber berkata, bayi berkenaan kemudian dikejarkan ke Hospital Tanjung Malim (HTM) untuk mendapatkan rawatan tetapi disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk dibedah siasat.
Katanya, salah seorang keluarga terdekat suspek kemudian membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kubu Baru.

Difahamkan, empat ahli keluarga bayi, iaitu suspek dan beberapa ahli keluarganya ditahan polis untuk disoal siasat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim yang dihubungi berkata, siasatan kes bunuh itu dilakukan polis Selangor berikutan kejadian dilaporkan di Balai Polis Kuala Kubu Baru.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek, kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Beliau berkata, polis turut menahan seorang lelaki lain bagi membantu siasatan kerana memukul suspek ketika pergaduhan dalam keluarga berkenaan.

Bidor Station bangkit nostalgia

Posted: 13 Apr 2012 07:42 PM PDT


Suriyani Kamaruddin bersama beberapa sajian yang menjadi kegemaran pengunjung Bidor Station Kopitiam.


Selera

SIFAT berdikari yang kental dalam diri sejak usia remaja lagi sedikit sebanyak memudahkan lagi perjalanan wanita ini dalam memenuhi impian untuk memiliki restoran sendiri.

Apatah lagi dengan pengalaman yang dikutip ketika melakukan pelbagai jenis kerja termasuk membantu keluarganya mengusahakan kedai makan.

Kini, Suriyani Kamaruddin sudah boleh berbangga dengan Bidor Station Kopitiam, restoran idaman yang diusahakan bersama suaminya, Azhari Roslan.

"Saya dibesarkan dalam keluarga yang berniaga. Warung keluarga berdekatan dengan kawasan stesen kereta api lama di Bidor, Perak , tempat di mana saya selalu bermain bersama adik beradik dan rakan-rakan.

"Apabila usia meningkat remaja, selalu juga terutama ketika cuti sekolah emak meminta saya membantunya di warung.

"Dari situ saya mula minat berniaga dan menanam keinginan untuk memiliki restoran sendiri suatu hari nanti," katanya di temui di restorannya No 12, Jalan Seri Taming, Batu 9, Cheras, Selangor.

Malah katanya, nama Bidor Station dipilih bagi membangkitkan nostalgia silamnya ketika membesar di pekan Bidor, biarpun dilahirkan di Teluk Intan, Perak.

Beliau juga bertuah apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah sudi merasmikan restorannya pada 20 Januari lalu.

Menyentuh mengenai menu-menu yang disediakan restoran itu, kebanyakannya adalah ilham daripada hidangan yang disediakan oleh ibunya sewaktu membuka warung di kampung dulu.

Antara menu istimewa yang jadi tumpuan pengunjung adalah nasi goreng Bidor yang disaji bersama ikan kembung rebus digoreng. Rasa masam-masinnya, ditambah pula dengan ulaman petai segar dan sambal belacan, amat menyelerakan.

Pilihan popular lain seperti nasi goreng Mak Uya, mi rebus, laksa, mi kari, mi udang Nyonya, nasi lemak dan nasi goreng ayam Ringgo.

Sebagai pembasah tekak pula, pengunjung boleh merasai minuman pelbagai rasa dan warna seperti Shirley Temple, Blue Lagoon Pop, Strawberry Pop, Special Coconut Shake dan Lovely White Coffee.

Sebagai tambahan menu istimewa tahun ini, Suriyani menampilkan pelbagai jenis lempeng seperti lempeng aiskrim dan lempeng pisang bersama sambal ikan bilis, selain bubur pulut hitam dan kacang hijau.

Dalam pada itu untuk mencetuskan suasana selesa ketika menjamu selera, beliau memilih tata hias berkonsep tradisional dan klasik.

Konsep tersebut katanya, dipilih sendiri oleh suaminya.

Di setiap meja diletakkan nama sempena tempat dan stesen kereta api dari Kuala Lumpur hingga Taiping.

"Terdapat 20 nama yang disediakan bersama sedikit maklumat untuk bacaan pengunjung sementara menunggu makanan yang ditempah sampai," katanya.

Selain itu, perkhidmatan Wi-Fi turut disediakan bagi mereka yang ingin melayari Internet.

Bagi yang ingin mendapatkan maklumat l lanjut boleh hubungi 03-89587078.

Bunga ceriakan suasana

Posted: 13 Apr 2012 07:41 PM PDT


Gubahan bunga untuk ruang tamu kediaman.


GUBAHAN bunga yang cantik menjadikan sesuatu sudut dan ruang yang awalnya nampak suram kembali berseri. Malah bunga yang digubah dengan penuh kreativiti bagaikan memberi 'nyawa' kepada sesuatu kediaman mahupun bangunan.

Menariknya, bagi mereka yang mempunyai bakat mengubah bunga, ia bukan sahaja tinggal sebagai hobi semata-mata, sebaliknya kelebihan itu menjadi platform untuk menambah pendapatan dan membuka perniagaan pada masa akan datang.

Ini diakui sendiri oleh Pengurus Pentadbiran Ekonomi dan tenaga pengajar di Flora Academy, Adli Md Nor , yang menganggap kerja-kerja mengubah bunga sesuatu yang menyeronokkan dan memberi ketenangan.

"Setiap hari dikelilingi pelbagai jenis dan warna bunga sesiapa pun akan berasa ceria dan tenang.

"Malah bunga itu sendiri membawa aura positif, kalau tidak masakan ada istilah mandi bunga dan sebagainya," katanya.

Menurut Adli, menggubah bunga tidak boleh dilakukan secara semberono kerana hasilnya tidak akan cantik

Sebaliknya, seni menggubah bunga harus dipelajari sama ada berguru dengan mereka yang mahir atau mengikuti kursus yang ditawarkan oleh institusi atau akademi berkaitan.

Di Flora Academy contohnya, banyak kursus ditawarkan bagi melahirkan para penggubah bunga berkemahiran dan handal setanding pereka gubahan antarabangsa.

"Mereka yang mengikuti kursus di sini akan diajar cara menentukan jenis gubahan bersesuaian dengan ruang, jenis bunga, warna dan tema.

"Akademi ini juga akan menukar seseorang yang kurang mahir menjadi seorang penggubah bunga yang kreatif dan berani menghasilkan bentuk gubahan bunga berbeza dengan mengaplikasikan teknik-teknik yang tepat," katanya.

Tambahnya, pelbagai reka bentuk dan gubahan menarik akan diajar oleh tenaga-tenaga pengajar berpengalaman dalam suasana kondusif dan penuh menyeronokkan.

Pelajar yang mendapat khidmat belajar di akademi ini akan diajar dari peringkat permulaan mengenali jenis bunga hingga bunga siap digubah.

"Mereka yang datang belajar di sini terdiri daripada kalangan suri rumah, usahawan katering, ahli perniagaan kecil dan mereka yang terlibat dengan perniagaan andaman," katanya.

Beliau berkata, Flora Academy Sdn. Bhd. merupakan sebuah institusi milik bumiputera dan telah diilhamkan pada tahun 2008 oleh pengasasnya yang juga penggubah bunga profesional, Razak Ahmad.

"Razak merupakan pereka flora tersohor dan berpengalaman luas selama lebih 25 tahun dalam industri perancang dan dekorasi majlis.

"Selama 18 tahun di Amerika Syarikat, beliau pernah menggalas tugas sebagai ketua pereka flora di LA Premier, iaitu salah sebuah syarikat pengurusan majlis ternama di Beverly Hills, Los Angeles.

"Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai perunding reka bentuk dan pereka flora di Los Angeles dan Chicago," katanya.

Menurut Adli, sejak sebulan lalu akademi ini telah mula beroperasi di tempat baru di The Ampwalk, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, dan memperkenalkan lebih banyak kursus gubahan bunga untuk jangka pendek.

Antaranya gubahan bunga ruang kediaman, gubahan bunga majlis keraian, gubahan bunga tangan (hand bouquet), gubahan majlis perkahwinan dan gubahan hantaran.

"Bayaran yang dikenakan bergantung kepada kursus yang dipilih iaitu antara RM650 hingga RM2,000," katanya.

Dalam pada itu, Adli sempat berkongsi cara berkesan untuk menyimpan dan memastikan bunga segar yang digubah tahan lama dan tidak mudah layu.

"Sebelum memulakan proses menggubah, seeloknya bunga yang masih segar itu perlu direndam dahulu sekurang-kurangnya dalam tempoh dua jam.

"Seterusnya, bagi memastikan bunga sentiasa segar dalam jangka masa yang lama, batang bunga tersebut perlu dipotong serong sebelum direndam di dalam air. selain itu, air juga perlu ditukar sebanyak tiga kali sehari," katanya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai Flora Akademy boleh hubungi 03-21668090 atau di facebook Flora Academy.

Tidak tahan tabiat buruk suami

Posted: 13 Apr 2012 07:39 PM PDT

SEUMPAMA laut yang ada pasang surutnya, begitu juga hubungan suami isteri, pasti ada berlaku perselisihan faham.

Justeru untuk memastikan agar perhubungan ini sentiasa berjalan dengan aman, pihak suami mahupun isteri perlu saling faham-memahami dan tidak melakukan apa yang tidak disukai oleh pasangannya.

Sebagai contoh misalnya, ada si suami yang pada masa bujangnya suka melakukan suatu tabiat atau amalan yang buruk sehingga terbawa-bawa ke alam rumah tangga, mengakibatkan pasangannya tidak tahan dengan sikapnya.

Kalau setakat sekali dua tidak mengapa, tetapi sekiranya tabiat tidak baik itu dilakukan setiap hari, sudah tentu membuatkan pasangannya tidak senang duduk, berlaku leteran, bebelan dan akhirnya mengundang ke punca perbalahan yang teruk.

Kali ini kita melihat apakah tabiat suami yang tidak disukai oleh isterinya.

Kurang pembersih

Suami meninggalkan bilik mandi dengan pelbagai barangan buangan tanpa dibersihkan. Sebenarnya tidak dapat dibayangkan bagaimana seseorang itu tidak mengendahkan kebersihan di dalam tandas di rumahnya sendiri dengan tidak mengepam tandas selepas menggunakannya. Apatah lagi untuk meringankan tulang membersihkan tandas. Itu jauh panggang dari apilah...

Lama dalam bilik mandi

Ada suami yang merokok, membaca surat khabar dan majalah dalam bilik mandi tanpa mengendahkan perasaan isteri yang juga mahu menggunakan bilik air. Biarpun nampaknya perkara seperti ini bukanlah satu masalah yang besar namun ia tetap membuatkan hati isteri terbuku geram.

Tuala basah atas katil

Ini adalah masalah yang selalu dilakukan oleh suami yang pastinya akan disudahkan oleh isterinya dengan seolah-olah sengaja memberitahu, sebaik sahaja dia bersiap: ''Isteri ku tolonglah sidai tuala yang kugunakan".

Baju kotor merata tempat

Selepas balik kerja, suami dengan sengaja menanggalkan bajunya dan meninggalkan atas di sofa, atas lantai, atas baju yang telah siap dibasuh atau di mana sahaja sesuka hatinya dan mengharapkan isteri yang akan mengutip pakaian kotor itu nanti.

Suami gelojoh

Suami makan cepat-cepat dan tertumpahkan makanan di serata tempat dan dia tiada masa untuk mengelap atau mengemaskannya semula. Jadi sebagai isteri kita yang akan menjadi tukang lap apa sahaja yang tertumpah seolah-olah memberi makan kepada anak kecil.

Tak beri jawapan tepat

Apabila diajukan soalan seperti bila abang akan pulang, jawapan yang diberikan acuh tidak acuh sahaja. Ini pastinya mendatangkan masalah apabila si isteri mula mengesyaki sesuatu dan menimbulkan hubungan tidak percaya dalam rumah tangga.

Stokin busuk merata

Stokin busuknya tidak dikeluarkan dari kasut atau dibaling ke bawah almari menyebabkan bau yang tidak enak dalam rumah. Bila ditanya di mana stokin, jawapannya: ''Tidak tahu. Stokin ada dalam mesin basuh."

Pelupa

Biarpun seberapa banyak salinan kunci telah dilakukan, suami asyik menghilangkan kuncinya dan menghilangkan pula kunci yang dipinjam dari isterinya. Bukan setakat kunci malah barang-barang kecil lain juga suami boleh lupa di mana diletakkannya yang boleh menyebabkan isteri naik angin.

Pengotor

Suami merokok di dalam bilik tertutup dengan abu rokok bersepah-sepah atau 'ditadah' dalam gelas, mangkuk kesayangan isteri atau pinggan kaca yang perlu dibasuh semula.

Membantu 'mengecahkan' dapur

Suami menyatakan ingin membantu di dapur tetapi pasti pada akhirnya akan bertukar menjadi satu mimpi buruk apabila dia hanya 'membantu' memasak dan tidak pernah kata dia akan membantu untuk 'membersihkan' dapur yang disepahkannya.

Sisa buangan jadi sumber rezeki

Posted: 13 Apr 2012 07:38 PM PDT


Wayar dan besi buruk yang dikutip di tepi jalan dan pusat pembuangan menjadi sumber rezeki Mohd. Aris Mohd. Ali.


SEDANG insan lain hidup berlumba-lumba bekerja dan mengejar cita di ibu kota, siapa sangka di tengah kepesatan pusat bandar itu masih terdapat golongan yang hidup dalam serba kedaifan.

Tempat tinggal mewah, kereta besar, juadah yang enak sekadar menjadi ilusi buat golongan tersebut yang hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Hari-hari yang mendatang bagaikan mimpi ngeri bagi mereka kerana memikirkan punca rezeki yang halal untuk mendapatkan sesuap nasi demi kelangsungan hidup.

Hanya rumah usang tinggalan keluarga menjadi satu-satunya harta yang ada bagi meneruskan masa depan dan berumah tangga seperti keluarga lain.

Lebih menyedihkan, ada di antara mereka yang sudah lanjut umur, tetapi masih memaksa diri membanting tulang melakukan pekerjaan lebih daripada kudrat yang ada.

Walaupun begitu, mereka tetap mempunyai maruah dan harga diri yang tinggi untuk mencari rezeki dengan memerah tenaga tulang empat kerat daripada hidup meminta belas kasihan orang ramai.

Begitulah senario yang dapat digambarkan akan kesempitan hidup yang terpaksa dihadapi oleh golongan fakir dan miskin bandar.

Kendatipun, kesempitan hidup yang dihadapi sama sekali tidak pernah dijadikan alasan untuk memutuskan semangat dan keazaman segelintir golongan kurang bernasib baik itu untuk terus berusaha mengharungi cabaran hidup.

Seorang ketua keluarga, Mohd. Aris Mohd. Ali, ketika ditemui Mega, Utusan Malaysia meluahkan rasa sedih dan reda dengan ketentuan tuhan terhadap nasib yang dialami.

Warga emas berusia 65 tahun itu, hanya berbekalkan tenaga daripada tulang empat kerat yang ada. Dia menyara isteri dan dua lagi anaknya dengan mengutip bahan buangan dan besi buruk untuk dijual.

"Pendapatan bulanan saya tidak menentu, kadangkala mencecah RM600 dan adakalanya tidak sampai RM400 sebulan. Ia hasil daripada jualan besi buruk dan pelbagai barang buangan yang dikutip di tepi-tepi jalan berhampiran.

"Hasil daripada pendapatan inilah saya gunakan untuk menyara kehidupan keluarga. Mujur isteri bekerja di sebuah kilang berdekatan sedikit sebanyak membantu dalam menampung perbelanjaan keluarga.

"Bagaimanapun, saya reda dengan ketetapan tuhan dan ia membuatkan saya terus berusaha keras untuk mencari rezeki yang halal," katanya ketika dikunjungi Skuad Jejak Asnaf, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Selayang Lama, baru-baru ini.

Sebanyak 10 buah keluarga miskin dan memerlukan telah dikenalpasti skuad Jejak Asnaf turut diberikan bantuan dalam kunjungan tersebut.

Turut serta, Timbalan Pengurus Baitulmal, Mohd. Nizam Yahya. Nizam turut menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan rumah kepada rumah yang dikunjungi.

Mohd. Aris yang tinggal di Salayang Lama berkata, biarpun hidup susah dan terpaksa memerah sisa tenaga yang ada, dia tidak pernah terfikir untuk meminta-minta atau meraih simpati orang ramai dengan meminta sedekah di jalanan.

Dia yang sebelum ini bekerja sebagai tukang sapu tidak mempedulikan kata orang ramai asalkan memperoleh rezeki dengan cara yang halal.

"Saya tidak pernah rasa malu walaupun terpaksa mengutip bahan buangan di tepi jalan atau di tempat pembuangan. Biarlah apa orang kata, asalkan pendapatan itu daripada sumber yang halal. Bukan kita buat perkara yang salah untuk rasa malu.

"Selagi mampu, saya akan berusaha dengan sepenuh tenaga mencari rezeki daripada meminta belas kasihan orang ramai," katanya.

Menurutnya lagi, mengalami masalah kesihatan sejak kebelakangan ini turut menjadi cabaran dan kepayahan kepada Mohd. Aris untuk terus bekerja keras.

Skuad Jejak Asnaf yang diperkenalkan Februari lalu ternyata menjadi khabar gembira kepada Mohd. Aris dan harapan buat seluruh golongan yang memerlukan ini.

Skuad tersebut berperanan menjejaki golongan asnaf di seluruh Wilayah Persekutuan bagi membolehkan ahli skuad melihat sendiri keadaan dan kesempitan hidup yang dialami oleh masyarakat miskin bandar.

Jejak asnaf turut mendapat kerjasama erat daripada wakil penduduk kampung atau pegawai daerah masing-masing untuk mengenalpasti keluarga kurang berkemampuan bagi mendapatkan maklumat.

Ia bagi membolehkan pelbagai bantuan seperti barangan keperluan harian, bantuan perubatan dan wang tunai disalurkan mengikut keperluan dan masalah yang dikenalpasti skuad.

"Saya rasa sangat gembira kerana kesusahan hidup yang saya tanggung selama ini mendapat perhatian. Saya juga tidak pernah meminta bantuan kerana tidak tahu ke mana saluran yang boleh diminta.

"Skuad Jejak Asnaf berjaya menjejaki kesusahan saya sehingga datang ke pintu rumah. Kunjungan ini memberi semangat kepadanya sekeluarga untuk kembali tersenyum," ujarnya yang menerima bantuan bulanan.

Zakat barang perhiasan

Posted: 13 Apr 2012 07:37 PM PDT

SAYA amat suka mengumpul barang kemas, sama ada diperbuat daripada emas mahupun intan dan berlian. Soalan saya, apakah yang dimaksudkan dengan barang-barang kemas atau perhiasan itu?

Adakah semua barang yang dijadikan perhiasan perlu dizakatkan? Adakah harta perhiasan selain emas dan perak, seperti intan, berlian, mutiara dan sebagainya, wajib ditaksirkan nilainya dan dikeluarkan zakat ke atasnya?

Jawapan

Terima kasih kerana mengajukan pertanyaan. Mudah-mudahan Allah SWT mempermudahkan urusan puan dan memberkati niat dan usaha puan untuk membayar zakat.

Allah SWT telah menyatakan di dalam al-Quran pada surah Ali Imran ayat 14: Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, daripada emas dan perak.

Sesungguhnya, emas dan segala macam perhiasan dunia hari ini, bukan sahaja disukai oleh wanita; bahkan sudah ramai lelaki Islam yang memakainya. Sedangkan Nabi Muhammad SAW telah memberikan ingatan: "Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki (daripada kalangan) umatku dan dihalalkan kepada wanita-wanita mereka." (riwayat at-Termizi)

Bahkan, jika ditinjau pada kebiasaan manusia pun, sesungguhnya kedudukan wanita dan perhiasan amatlah rapat. Allah SWT memang menjadikan wanita itu indah dan sesuailah jika wanita menggemari keindahan dan mengenakan perhiasan pada dirinya. Bahkan, dengan barangan perhiasan yang dipakai oleh wanita, akan bertambah indahlah diri dan dapat melunakkan hati para suami hingga lahirlah mawaddah wa rahmah di antara mereka.

Nabi Muhammad SAW menyatakan: "Tiga perkara yang disukai olehku daripada dunia, iaitu wanita yang halal, wangi-wangian dan rasa seronok dalam solat." (riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi)

Merujuk kepada soalan puan di atas, iaitu apakah yang dimaksudkan dengan barangan kemas atau perhiasan? Dalam hal ini, ittifaq dalam kalangan fuqaha bahawa yang dimaksudkan dengan barangan perhiasan yang dikenakan zakat itu adalah segala item yang disandarkan kepada emas dan perak. Ia bermakna, semua barangan yang diperbuat daripada emas dan perak, sama ada dipakaikan di badan ataupun dijadikan perhiasan di rumah atau bangunan, ia adalah emas perhiasan.

Namun begitu, Rasulullah SAW telah menegah umat Islam daripada menggunakan perhiasan rumah daripada emas dan perak, seperti mana sabda Nabi SAW yang dilaporkan Huzaifah bin Yaman r.a: Janganlah kalian minum dalam bekas (yang diperbuat) daripada emas dan perak, dan janganlah mengenakan pakaian sutera, kerana pakaian sutera itu untuk mereka (orang-orang kafir) di dunia dan untuk kalian di akhirat kelak. (riwayat Muslim)

Walau bagaimanapun, fuqaha telah bersilang pendapat sama ada emas yang dijadikan perhiasan ini wajib dikeluarkan zakat ke atasnya atau tidak. Namun begitu, pandangan yang sederhana dan diterima pakai di negara ini ialah, semua emas perhiasan adalah tunduk kepada zakat seandainya ia berlebihan daripada uruf. Manakala, emas yang tidak dijadikan perhiasan (simpanan), wajib ke atasnya apabila beratnya mencapai nisab, yakni 85 gram.

Ini jelas, apabila emas perhiasan itu sudah berlebihan daripada uruf maka ia bermakna, emas yang dipakai itu sudah melebihi daripada kebiasaan dan termasuklah ia dalam kondisi bermewah-mewahan, maka wajarlah ia dizakatkan.

Manakala, segala perhiasan yang dihasilkan daripada bahan selain emas dan perak, seperti batu permata, intan, mutiara dan sebagainya, maka telah ittifaq para ulama fiqh bahawa tidaklah dikenakan apa-apa zakat ke atasnya. Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya: "Tidak terjadi perselisihan pendapat di antara para ulama mengenai perhiasan wanita selain emas dan perak, bahawa barang-barang tersebut tidak perlu dikeluarkan zakat; kecuali apabila untuk diperdagangkan." (Ensaiklopedia Fiqh Wanita, hal. 38).

Ini bermakna, seandainya barangan perhiasan daripada selain emas dan perak itu dijana hingga mendatangkan pendapatan atau penghasilan (seperti disewakan atau dijual), maka pada saat itulah ia menjadi takluk atau tunduk kepada zakat, iaitu dikenakan ke atas hasil yang dijana daripadanya sebagai zakat pendapatan atau zakat perniagaan.

Pandangan ini turut dilontar oleh seorang ulama Hambali, iaitu Abu Wafa' Ibn Akil seperti mana yang telah diterakan di dalam kitab Ibnu Qayyim dan kemudiannya dicuplik oleh al-Qaradawi di dalam kitabnya Hukum Zakat (hal. 442).

Suka juga ditambahkan di sini, biarpun Islam mengharamkan para lelaki Muslim memakai emas sebagai perhiasan; namun jika mereka masih memakainya sebagai perhiasan diri, hakikatnya ia masih wajib dizakatkan. Hukum memakainya adalah haram; namun kewajipannya tetap tidak terlepas dan masih juga wajib dizakatkan jika ia melebihi uruf.

Kesimpulannya, harta-harta perhiasan seperti emas dan perak adalah wajib dizakatkan, manakala perhiasan daripada batu-batu permata, intan, mutiara, ambar (sejenis batu dari perut ikan) dan sebagainya tidaklah wajib dizakatkan, kecuali ia dijadikan sewaan atau jualan hingga mendatangkan hasil. Wallahua'lam.

Perpustakaan IBFIM jadi rujukan pakar

Posted: 13 Apr 2012 07:33 PM PDT


Ruangan serta persekitaran perpustakaan yang tenang membantu pengguna melakukan ulang kaji dengan selesa.


WALAUPUN bersaiz tidak sebesar dan sehebat perpustakaan terkemuka lain, Pusat Pengurusan Maklumat, Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) kini menjadi sumber rujukan utama pakar perbankan di seluruh pelosok dunia.

walaupun baru ditubuhkan tujuh tahun, perpustakaan mini yang terletak di tingkat lima Bangunan Takaful itu telah mempunyai koleksi buku perbankan dan kewangan lebih daripada 20,000 tajuk.

Bidang perbankan dan kewangan Islam yang menjadi pengkhususan di pusat pengurusan maklumat itu menjadikan ia seperti pusat menyelesaikan masalah bagi pakar kewangan, penggiat industri, penyelidik dan juga pelajar dalam bidang ekonomi untuk mendapatkan rujukan.

Ruangan serta kemudahan yang lengkap dan kondusif juga pastinya membantu serta memudahkan lagi pengguna untuk 'berkampung' di dalam perpustakaan mini tersebut dengan selesa.

Pengurus Unit Jualan Buku, Pusat Pengurusan Maklumat, IBFIM, Muhammad Hanapiah Kudus berkata, kelebihan perpustakaan itu yang memfokuskan kepada perbankan dan kewangan Islam membolehkan pihaknya memilih buku-buku mengenai kewangan dari seluruh dunia mengikut kepentingan dan keperluan semasa.

"Pusat Pengurusan Maklumat, IBFIM mengumpulkan kira-kira 23,000 naskah buku yang diperoleh dari seluruh dunia. Daripada jumlah itu, ia dibahagikan kepada tiga pengkhususan utama, iaitu perbankan Islam, Takaful dan juga pasaran modal Islam.

"Buku dan bahan rujukan yang terdapat di perpustakaan ini adalah antara bahan yang terpilih mengikut sumber pakar serta rujukan kritikal seluruh dunia.

"Buku-buku tersebut juga boleh didapati dalam tiga bahasa utama di negara ini, iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab," katanya.

Hanapiah berkata demikian kepada Mega, Utusan Malaysia ketika ditemui di Pusat Pengurusan Maklumat, IBFIM, Dataran Kewangan Darul Takaful, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya lagi, selain itu Pusat Pengurusan Maklumat, IBFIM juga mengumpulkan tiga koleksi istimewa yang tidak terdapat di mana-mana perpustakaan di negara ini.

Koleksi tersebut adalah koleksi kitab klasik perbankan Eropah, koleksi kertas seminar dan kompilasi artikel daripada pelbagai jurnal kewangan.

"Koleksi kitab klasik perbankan Eropah diperoleh daripada koleksi peribadi sebuah bank di Jerman. Koleksi kitab klasik tertua yang terdapat di sini adalah pada tahun 1677.

"Koleksi kertas seminar pula mengumpulkan garis panduan, modul seminar dan hasil seminar yang dianjurkan oleh IBFIM kepada orang ramai yang menginginkan khidmat nasihat perniagaan dan pembangunan profesional bagi industri kewangan Islam.

"Manakala kompilasi artikel daripada pelbagai jurnal kewangan pula mengumpulkan pelbagai artikel dan penulisan mengenai penyelidikan ekonomi dan kewangan Islam yang dijalankan," jelasnya.

Orang ramai boleh mendapatkan sumber rujukan tersebut dengan hanya hadir ke Pusat Pengurusan Maklumat, IBFIM pada setiap hari waktu bekerja tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Mesra pengguna

Menurutnya, sejak ditubuhkan pada 2006, Pusat Pengurusan Maklumat, IBFIM terus meningkatkan perkhidmatan dengan menaik taraf dan menambah perkhidmatan yang sedia ada.

"Bermula dengan menubuhkan perpustakaan mini, kini kita telah mengembangkan perkhidmatan di Pusat Pengurusan Maklumat, IBFIM lebih dari sekadar fungsi perpustakaan.

"Di Pusat Pengurusan Maklumat, IBFIM juga kita mempunyai unit penerbitan sendiri. Ia ditulis oleh pakar kewangan dan perbankan daripada industri dan akademik.

"Selain itu juga, kita juga mempunyai kedai buku yang menawarkan kepada orang ramai buku-buku istimewa terpilih dan diterbitkan oleh IBFIM sendiri. Setiap naskah buku dijual dengan harga yang istimewa," katanya.

Hanapiah berkata, Pusat Pengurusan Maklumat, IBFIM turut mendapat kepercayaan daripada pakar kewangan dari seluruh dunia.

Ia dibuktikan daripada langganan tetap yang dibuat oleh sesetengah organisasi dan juga individu untuk mendapatkan buku terkini yang dibeli oleh IBFIM atau yang terdapat di Pusat Pengurusan Maklumat.

Pengurusan sistemnya yang mesra pengguna turut memudahkan orang ramai untuk mendapatkan sumber rujukan dengan pantas. Orang ramai hanya perlu menyemak status rujukan yang ingin didapati melalui perisian dalam talian (online) yang dibina oleh Pusat Pengurusan Maklumat, IBFIM.

"Dengan menggunakan sistem carian Online Public Access Catalog (OPAC), orang ramai yang ingin mendapatkan rujukan di sini boleh menyemaknya sendiri di mana-mana sahaja sebelum datang.

"Seperti kebiasaan perpustakaan khas tidak membenarkan orang awam meminjam daripada perpustakaan tersebut. Oleh itu, segala rujukan yang tertera di katalog OPAC tersebut pastinya terdapat di sini.

"Ini memudahkan orang ramai untuk membuat rujukan kerana tidak perlu bimbang ketiadaan buku rujukan tersebut," katanya.

Manakala menerusi laman web IBFIM, orang ramai tidak kira dari mana sahaja boleh membuat tempahan atau pembelian secara dalam talian.

"Jadi tiada masalah kepada orang ramai untuk mendapatkan bahan yang terdapat di Pusat Pengurusan Maklumat, IBFIM dengan hanya melalui talian," katanya.

Korban karier demi keluarga

Posted: 13 Apr 2012 07:31 PM PDT

Ceria.. Ainul diapit kedua orang tuanya yang setia memberi sokongan kepada kariernya.
Keluarga adalah segala-galanya bagi Ainul.

Suatu ketika dulu, wajahnya sering kali menghiasi kaca televisyen mahupun layar perak. Namun, sejak akhir-akhir ini, gadis berusia 27 tahun ini seakan hilang daripada dunia seni.

Malah ramai tertanya-tanya ke mana perginya pemilik nama Ainul Aishah ini. Ketika berada di sesi fotografi bersamanya dan keluarga di premis perniagaan, Tutti Frutti miliknya di Bandar Baru Bangi, Zass mengambil peluang mendalami rahsia hati gadis manis ini.

Mengimbas kembali perjalanan seninya, Ainul berkata, ia bermula sejak beliau berusia 14 tahun lagi. Pada waktu itu, ibunya sering memberikan sokongan kepadanya melibatkan diri dalam bidang nyanyian. Di sekolah lagi, gadis manis ini turut terlibat mengadakan persembahan. Beliau menyumbangkan suara di majlis keraian dan majlis korporat di sekitar tempat tinggalnya.

Pun begitu, bakatnya dilihat lebih menyerlah dalam bidang lakonan. Lamaran daripada penerbit dan pengarah terkenal, Profesor Madya Razak Mohaideen, membuka peluang kepadanya untuk mengorak langkah lebih jauh dalam bidang itu.

Bahkan, kemunculannya dalam filem Nana Tanjung, bergandingan bersama pelakon terkenal, Fasha Sandha, dilihat sebagai tiket baginya untuk mendapat tempat lebih baik dalam bidang lakonan.

Masih terbayang di matanya saat pertama kali bertemu dengan Razak. Meski pun ia sudah berlalu, namun bagi Ainul, kenangan manis itu tidak akan dapat dilupakan.

"Ketika itu, saya bersama ibu dan ayah sedang makan di sebuah restoran di Pulau Pinang, tiba-tiba kami sekeluarga didatangi Prof Razak. Dia memberikan nombor telefonnya kepada saya.

"Katanya, dia sedang mencari seorang pelakon untuk filem baru. Bagaimanapun, saya mengambil masa yang agak lama untuk menghubunginya, lebih kurang tiga minggu dan kemudian bersetuju untuk melibatkan diri di bawah produksinya," ujarnya ramah.


Keluarga beri sokongan

Ditemani ayah, Azizun Abdul Karim, 57, dan ibunya, Normadiah Mohamed Kunju, 56, sewaktu sesi fotografi berlangsung, Ainul berkata beliau beruntung kerana kedua orang tuanya sentiasa memberi sokongan padu kepada kegiatannya itu.

Ditanya mengenai pembabitan Ainul dalam bidang seni, Azizun berkata, dia tidak kisah apabila Ainul memilih bidang tersebut sebagai kariernya.

"Dalam keluarga kami, hanya Ainul dan kakaknya yang mempunyai bakat dalam bidang seni. Kelebihan yang ada padanya membuatkan dia pergi lebih jauh dalam bidang ini.

"Walaupun saya dan isteri tidak pernah menduga dia akan menjadi seorang selebriti, kami tetap menyokong bidang yang dipilihnya sepenuh hati. Apa yang penting, dia pandai menjaga maruah diri dan keluarga," katanya, yang turut disokong Normadiah.

Azizun bersyukur kerana biarpun Ainul masih muda, anaknya itu sentiasa memikirkan masa hadapannya.

"Alhamdulillah, kehidupan kami lebih senang sekarang. Keputusannya untuk membuka perniagaan ini nampaknya berjaya dan membawa keuntungan.

"Lama juga saya fikirkannya. Apabila saya tidak setuju, dia meminta ibunya memujuk saya. Akhirnya, saya memberi peluang kepadanya," ujarnya, bangga dengan pencapaian Ainul.

Turut serta dalam sesi fotografi itu, kakaknya, Noor Azadiah, 29, dan adiknya, Muhamad Azizuddin, 24, serta Azri Muzani, 20.


Fokus perniagaan

Sepi daripada dunia lakonan tidak bererti Ainul sudah melupakan minatnya terhadap bidang itu. Tetapi baginya, dia lebih senang memberikan perhatian kepada perniagaan Tutti Frutti yang diusahakannya bersama keluarga sejak setahun lalu.

"Buat masa sekarang, saya memang berhenti daripada dunia lakonan. Saya tidak yakin mampu memberikan komitmen kepada perniagaan sekiranya masih bergelar pelakon.

"Lagi pun, perniagaan saya masih di peringkat awal. Tidak elok rasanya saya biarkan ia terus di bawah seliaan keluarga sahaja.

"Saya yang beria-ia memulakannya, jadi lebih elok saya pastikan ia stabil terlebih dahulu, kemudian barulah saya boleh berfikir untuk kembali ke pentas lakonan," kata anak kedua daripada empat beradik ini.

Jelas Ainul, sebagai anak seni, beliau masih sedia menerima tawaran lakonan jika ia melibatkan filem atau telefilem.

"Kalau ada tawaran untuk drama bersiri, saya tidak akan ambil kerana penggambarannya memakan masa panjang. Filem atau telefilem lebih mudah," katanya.

Ainul juga turut membintangi filem, Untuk Tiga Hari terbitan Tarantella Pictures arahan Afdlin Shauki yang akan menjengah pawagam, tahun ini.


Hati milik Ben Daniel

Berkongsi mengenai cerita peribadinya pula, Ainul berkata, sebelum ini beliau pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan pemain bass kumpulan underground, Ojoe dan mengakui sudah mempunyai insan istimewa di hatinya masa ini.

Menurut Ainul, dia semakin selesa bersama jejaka yang bernama Ben Daniel. Jelasnya, hubungan mereka yang terjalin dua tahun itu diharap sampai ke jinjang pelamin.

"Mungkin masih awal bagi kami berbincang mengenai perkahwinan. Saya doakan hubungan kami mampu pergi lebih jauh. Syukur keluarga saya sangat menyukainya.

"Dia pandai mengambil hati keluarga saya, malah saya tidak pernah bimbang untuk membawanya bercuti bersama kami sekeluarga kerana peribadinya. Dia baru sahaja menamatkan pengajian dan saya merancang untuk menamatkan zaman bujang sebelum usia mencecah 30 tahun.

"Masih ada beberapa tahun untuk saya dan dia pergi ke peringkat lebih serius," katanya yang berkenalan dengan Ben melalui seorang teman.

Sementara itu, bapanya turut mengakui tidak pernah meletakkan sebarang syarat bagi anaknya itu memilih calon suami.

"Saya tidak kisah dengan pilihannya. Yang penting, dia mampu menjaga Ainul dengan baik, selain menghormati keluarga kami.

"Saya gembira kerana dia telah menggembirakan kehidupan anak saya," katanya mengakhiri perbualan.

Single terbaru Madonna

Posted: 13 Apr 2012 07:31 PM PDT

Single terbaru Madonna

USIA bukan penghalang buat penggiat seni Hollywood, Madonna daripada terus menyumbang suara buat peminatnya.

Biarpun umurnya sudah melepasi separuh abad, Madonna tetap aktif dalam bidang nyanyian.

Sebagai bukti, pengurus Madonna, kini mengumumkan single terbarunya yang bertajuk, Turn Up the Radio.

Single sebelumnya, Give Me All Your Love, telah ditonton hampir 34 juta pelayar Youtube.

Kejayaan itu menjadi dorongan buat penyanyi bertubuh seksi itu untuk terus tampil dengan karya baru.

Idea dari penjara

Posted: 13 Apr 2012 07:29 PM PDT

Idea dari penjara

Ternyata bintang rap Hollywood, Lil Wayne tidak mensia-siakan masa yang ada ketika terkurung di penjara sebelum ini.

Penyanyi itu dikatakan bakal mengumumkan pelancaran album terbarunya yang bertajuk, The Devol.

Mengulas mengenai album terbarunya, ikon rap itu menggubah kesemua lagu yang ada di dalam album tersebut semasa dia masih dipenjarakan kerana terlibat dengan kegiatan dadah.

"Devol adalah lagu-lagu yang mengisahkan tentang kisah percintaan namun ianya dalam versi rap," katanya.

Bagaimanapun, penyanyi ini masih belum mengumumkan tarikh pelancaran album itu dengan alasan masih dalam pembikinan.

Menjulang nama seni bela diri

Posted: 13 Apr 2012 07:26 PM PDT

Menjulang nama seni bela diri

Selain silat, mungkin ramai yang memilih untuk belajar seni mempertahankan diri lain seperti taekwondo, brazilian jiu-jitsu, judo, systema, aikido, karate, kendo, kyudo dan sumo. Md Nashriq Md Nassir, 27, adalah antara individu yang berani tempuhi cabaran dalam mempelajarinya dan seterusnya menjadikannya sebagai kerjaya tetap yang menjamin masa depan yang cerah.

Ketika ditemui penulis, anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, pada awalnya beliau tiada keberanian untuk belajar seni bela diri. Pepatah menyebut, tak kenal maka tak cinta. Entah mengapa secara tiba-tiba timbul rasa keyakinan diri Md Nashriq untuk menguasai ilmu pertahanan diri itu.

"Mungkin saya menaruh keyakinan tinggi bahawa mana-mana seni bela diri ini dapat membantu meningkatkan potensi dalam diri seseorang jika mendapat latihan betul dan pendedahan dari masa ke semasa," katanya dengan bersungguh-sungguh.

Menurutnya, semenjak dari kecil lagi dia sememangnya meminati seni bela diri terutamanya judo dan brazilian jiu-jitsu. Beliau tertarik dengan keunikan teknik yang ada pada kedua-duanya sehingga tidak perlu mengambil masa lama untuk jatuh cinta kepada sukan berkenaan.

Walaupun lasak dan kelihatan ganas, Md Nashriq tetap memilih bidang mempertahankan diri sebagai hobi utama. Baginya, jika tiada minat dan kesungguhan maka ia menjadi sukar dipelajari.

"Selain mendapat sokongan keluarga, saya melihat sukan jenis ini boleh dijadikan benteng dalam mempertahankan diri di samping membuktikan kebolehan diri dalam bidang tersebut," ujarnya.

Beliau memberitahu pada zaman kanak-kanaknya, tidak ramai yang mengikuti pembelajaran seni bela diri itu.

"Mungkin pandangan masyarakat pada ketika itu terbatas dan tidak melihat bahawa judo dan brazilian jiu-jitsu mampu membentuk jati diri dan meningkatkan disiplin. Sekiranya ramai remaja meluangkan masa menyertai aktiviti bela diri, ini mungkin dapat mengurangkan gejala sosial dan aktiviti melepak." kata Md Nashriq.


Belajar di luar negara

Dek fanatik Md Nashriq terhadap judo dan brazilian jiu-jitsu, beliau sanggup menimba ilmu dalam kedua-dua jenis pertahanan diri sehingga berjaya bergelar graduan dari International Budo University di Jepun. Setelah berjaya menggapai apa yang diimpikan, beliau memulakan langkah memperturunkan segala ilmu dipelajarinya kepada orang ramai.

"Saya mula mencorakkan kehidupan dengan ilmu yang ada. Jika dulu saya jadikan ini sebagai hobi, tapi sekarang saya merasakan perlunya kembangkan ilmu mempertahankan diri itu kepada mereka yang berminat. Saya cari lokasi bersesuaian, Akhirnya menjumpai Penang Budo Academy, di Pulau Pinang. Di sini saya menjadi tenaga pengajar kepada pelatih yang menggemari judo dan brazilian jiu-jitsu," ujarnya.

Beliau yang kini dilantik sebagai Jurulatih Judo Negeri Pulau Pinang berasa seronok dapat menceburi bidang tersebut kerana dapat melakukan aktiviti bersukan yang menyihatkan badan. Penerima Pingat Jasa Masyarakat itu berkata, judo adalah seni mempertahankan diri tradisional Jepun yang menguja dan penuh dengan disiplin. Judo bermaksud kelembutan atau kesantunan. Kunci utama kepada judo adalah kecekapan menggunakan berat dan kekuatan untuk mengalahkan musuh tanpa menggunakan senjata.

"Penyertaan saya dalam judo bertujuan melatih minda dan badan dan bukan sekadar untuk mengalahkan pihak lawan. Saya sering menekankan kepada pelatih bahawa peraturan judo agak rumit dan perlu menumbangkan lawan dengan penekanan pada sendi anggota atau bahagian leher. Walaupun agak agresif tetapi lebih menekankan serangan secara tidak langsung," katanya.


Serba boleh

Minat Md Nashriq dalam bidang sukan begitu menyerlah. Selain memiliki bakat dalam judo dan brazilian jiu-jitsu, dia juga aktif dalam sukan bola sepak, badminton dan boling.

"Sukan memberi ketenangan dalam hidup. Lebih menarik apabila dapat berkenalan dengan ramai kawan dan menimba ilmu baru. Apabila menjadi jurulatih judo pula saya gembira kerana dapat menolong orang yang lemah semangat untuk mempelajari seni mempertahankan diri," katanya.

Menurut Md Nasyriq, seni mempertahankan diri tidak hanya dipelajari kaum lelaki sahaja, malah wanita juga harus mempelajari seni berkenaan.

"Dalam dunia hari ini, remaja perempuan perlu memiliki seni mempertahankan diri berdasarkan pelbagai kisah negatif membabitkan golongan itu. Jika ilmu sudah ada, tentulah gejala tidak diingini berjaya ditepis," katanya yang menjadikan Kosei Inoe (judo) dan Marcos Escobar (brazilian jiu-jitsu) sebagai idola.

Penglibatan beliau dalam sukan judo sememangnya mengagumkan. Selain mendapat pengiktirafan peringkat negeri, beliau juga kerap kali menerima penghargaan pada peringkat kebangsaan. Antara kejayaannya, Kejohanan Judo Remaja Kebangsaan Kategori Shiai (emas), Kejohanan Judo Remaja Kebangsaan (1 litar), Kategori Tachiwaza (emas), Sukan Malaysia Sabah (Sukma Sabah) - Kategori 100kg (perak), Kejuaraan Judo Pulau Pinang (emas), Kejohanan Judo Pasukan Kebangsaan (gangsa).

Beliau turut mewakili Malaysia sebagai Pengarah di Kejohanan Judo Antarabangsa Vietnam dan Kejohanan Judo Asia Tenggara pada 2008. Pernah dilantik Sekretariat Sukan Asia Tenggara (Sea) Phnom Penh pertama Judo Kejohanan pada 2006, dan wakili acara Sukan Sea 2005.

"Saya tak sangka diiktiraf sebegitu rupa. Belajar seni bela diri sekadar hobi untuk menilai kemampuan diri. Mungkin kesungguhan menjadikan saya berupaya capai kejayaan," katanya yang turut menyertai World Professional Jiu- jitsu Championship 2012, Malaysia Trial pada 10 Mac lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu