Khamis, 5 April 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Siti tidak curigai Datuk K

Posted: 05 Apr 2012 07:11 PM PDT


MENARUH sepenuh kepercayaan terhadap suaminya ini, Siti enggan membiarkan emosi dirinya terganggu dengan gosip yang melanda.


BUKAN kali pertama, namun sudah dua kali gosip ini bertiup kencang. Gosip yang mengaitkan suami kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza iaitu Datuk Khalid Muhammad Jiwa atau Datuk K dengan aktres jelita, Rozita Che Wan.

Gosip yang mendakwa Datuk K menjalin hubungan sulit bersama Rozita kembali bersemarak setelah beberapa lama sunyi kerana tidak ada bukti kukuh.

Namun pada 17 Mac lalu, muncul gosip dalam blog-blog hiburan mendakwa anak bongsu Rozita iaitu Aniq Ezra Azuar Effendy,14, lari dari rumah sebelum ditemui beberapa jam kemudian di rumah rakannya di Subang Jaya tidak jauh dari rumah.

Insiden itu pada mulanya dikatakan ekoran Rozita sudah berkahwin dengan seorang Datuk. Spekulasi timbul kembali mendakwa Datuk yang dimaksudkan itu ialah Datuk K!

Isu itu selesai kerana semasa memberi keterangan kepada pihak polis, Aniq Ezra dikatakan mengakui lari kerana merajuk dan berkecil hati dengan sikap Rozita yang dilihat terlalu melebih-lebihkan abangnya iaitu Ammar Effendi, 15.

Biarpun begitu, apa yang jelas sekali lagi Rozita dan Datuk K dikaitkan, biarpun tiada bukti kukuh menunjukkan yang gosip yang disebarkan beberapa blog hiburan tersebut benar.

Pada masa yang sama ketika diminta mengulas gosip terbaharunya itu, Rozita menafikan sekeras-kerasnya fitnah tersebut dan berhasrat untuk menyaman pihak yang mengaibkan dirinya itu.

Namun apa pula yang bermain di benak perasaan Siti selaku isteri kepada Datuk K?

Kosmo! sempat meminta penjelasan dan menyelami perasaan Siti sendiri setelah dilanda gosip yang sama sebanyak dua kali.

Peluang menemu bual figura jelita ini terbuka sewaktu dia hadir dalam sidang akhbar di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada Isnin lalu sempena pengumuman majlis Hari Ibu Bersama Datuk Siti Nurhaliza 2012.

Kosmo!: Apa komen Siti apabila gosip Datuk K dan Rozita heboh diperkata sekali lagi. Kali ini lagi teruk kerana mereka didakwa telah berkahwin.

Siti: Kalau boleh Siti tidak mahu komen kerana jika ditulis, lagi orang akan bercakap. Siti pernah memberitahu rakan-rakan wartawan, Siti malas nak komen kerana akan besar lagi isu ini. Cuma Siti mahu cakap di sini, apa-apa pun fikir dulu sebelum kita buat gosip seperti ini.

Siti sudah tiada reaksi yang mahu diberikan. Siti pun langsung tidak bertanyakan tentang hal itu kepada suami kerana Siti tahu memang tiada apa-apa pun yang betul tentang cerita itu. Jadi tiada langsung sepatah perkataan menyebut tentang ini kerana kita tahu kenyataannya bagaimana. Siti tiada perasaan marah sedikit pun terhadap Rozita. Ini kerana bagi Siti cerita ini memang tidak betul dan sengaja diada-adakan.

Apa perasaan Siti ketika ini?

Biarlah mereka (penyebar gosip menerusi blog di Internet). Sekarang Siti seperti tiada perasaan terhadap perkara ini. Geram memanglah geram tetapi jika kita selalu layan orang begini, memang kita juga yang sakit hati dan pening kepala. Jika orang yang betul-betul tidak kuat dan terbawa-bawa emosi, mungkin mereka akan lakukan sebegitu. Namun bagi Siti, tiada apa pun. Siti percaya kepada suami.

Tapi Siti ada tak pergi berjumpa dengan Rozita atau sebaliknya?

Tidak sama sekali dan tiada sebab untuk kami berbuat begitu. (ketawa)

Adakah ia mengganggu hubungan Siti bersama Rozita sendiri?

Andai Siti dan Rozita bersua pada majlis Anugerah Bintang Popular (yang bakal berlangsung pada Ahad ini), kami akan bertegur sapa seperti biasa. Tiada sebab untuk Siti mahu memusuhi Rozita atau mengelak daripada berhadapan dengan dia. Tiada sebab langsung. Ini kerana Siti tahu memang ini semua (hubungan sulit Datuk K-Rozita) tidak berlaku.

Rozita ingin ambil langkah untuk saman individu tersebut, justeru adakah Siti juga akan mengambil tindakan yang sama?

Ada juga saya dan suami terfikir. Jika betul kami jumpa individu tersebut, memang akan kami lakukan. Namun orang yang di alam maya (penulis gosip blog) ini agak sukar untuk dicari siapakah sebenarnya mereka. Siti rasa kesabaran Siti dan suami hanya Allah sahaja yang tahu. Suami pun kecewa dan mengalami tekanan kerana rakan-rakannya sering bertanya tentang hal ini. Ia sehingga membuatkan fikiran dia benar-benar terganggu. Siti kenal suami Siti, insya-Allah dan rasanya tiada langsung perkara sebegini berlaku, apa lagi untuk mencurigai suami Siti.

Andai kata penyebar gosip itu sekali lagi menghebohkan tentang perkara itu di masa hadapan, adakah Siti akan ambil tindakan?

Biarlah, kita akan berdoa dan berserah kepada Allah supaya orang yang buat fitnah itu akan diampuni dosa oleh Allah dan kembali ke pangkal jalan. Itu Siti rasa jalan terbaik kerana Siti rasa dia pun tahu, fitnah itu lebih keji daripada membunuh.

Minta Allah tetapkan hati

Posted: 05 Apr 2012 07:10 PM PDT

Abby Abadi
Abby Abadi

SEKEMBALINYA dari mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah pada pertengahan Mac lalu, Abby Abadi kini tampil dengan imej bertudung yang sememangnya sudah lama disimpan hasrat untuk berubah menjadi muslimah yang lebih baik.

Sesungguhnya dia tahu menutup aurat adalah wajib. Bagaimanapun katanya, dia tidak mahu terburu-buru kerana mahu penghijrahannya itu kekal untuk selama-lamanya. Tidak henti dia mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi yang memudahkan urusannya ke Tanah Sudi dan sepanjang melakukan ibadah di sana.

  • Foto

  • Foto

"Sudah lama saya mahu bertudung tetapi saya perlu pastikan yang saya benar-benar bersedia untuk melakukan perubahan itu kerana kita tidak boleh mempermainkan hukum Allah s.w.t. Saya juga tidak mahu bertudung kerana desakan orang lain, biarlah setiap perubahan itu dilakukan seikhlas hati saya.

"Sepanjang berada di Tanah Suci, saya melihat kebesaran Allah s.w.t. Dia Maha Pengasih dan Penyayang terhadap hamba-Nya. Apabila berada di sana, kita dituntut menjaga aurat tanpa menampakkan walau sehelai rambut pun dan saya sendiri berasa sangat selesa apabila bertudung. Kini kembali ke tanah air, saya rasa sangat bersalah jika tidak bertudung. Seolah-olah saya tidak bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan-Nya kepada saya selama ini.


"Pada hari kedua di Makkah, saya beritahu rakan sebilik yang saya mahu bertudung. Katanya, baguslah kerana ia perkara yang baik tetapi fikirlah betul-betul. Katanya lagi, saya perlu berubah kerana Allah. Setiap kali bersolat, saya berdoa agar Allah tetapkan hati dan iman saya serta jangan membolak-balikkan hati saya," katanya.


Berada di rumah Allah juga mengingatkan saya kepada kematian yang akan datang pada bila-bila masa, tanpa mengira usia muda atau tua serta di mana kita berada. Kematian itu pasti tetapi sudahkah kita membuat persediaan untuk kembali kepada-Nya.

"Di tempat kita, saya selalu menziarahi orang yang meninggal dunia tetapi saya tidak pernah melakukan solat jenazah. Tetapi di Makkah setiap waktu solat saya dapat melakukan solat jenazah kerana setiap waktu ada kematian. Kalau bernasib baik kita boleh nampak orang mengusung jenazah lalu di tengah masjid.

"Bayangkanlah setiap hari saya melihat jenazah. Hati saya sangat terusik dengan rasa keinsafan menyelinap ke segenap ruang dalam tubuh ini. Janji Allah itu pasti bahawa setiap yang hidup pasti akan mati. Jadi kenapa kita perlu bertangguh untuk berubah ke jalan yang lebih baik.

"Belum pernah saya rasa sangat takut apabila teringatkan hari kematian tetapi kali ini perasaan saya amat berbeza. Tiba-tiba hati saya jadi gerun apatah lagi bila memikirkan sedikitnya amal ibadah yang dilakukan," katanya.

Tambah Abby, kita perlu ingat lima perkara sebelum datangnya lima perkara.
Rebutlah peluang itu, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin), masa lapang sebelum tiba masa sibuk, masa muda sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati." (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

"Ada kenalan saya yang sihat walafiat tiba-tiba terjatuh dan terus lumpuh. Saya mohon kepada-Nya supaya diberikan kesihatan yang baik supaya saya dapat melakukan ibadah tanpa halangan. Sejak balik umrah, saya berusaha menjaga solat. Tertinggal satu waktu saja, saya rasa sangat berdosa.

"Saya menginsafi diri kerana sebagai hamba-Nya yang kerdil, saya banyak melakukan kesilapan dan hati agak berdebar untuk pergi ke rumah-Nya.
Alhamdulillah, Allah permudahkan perjalanan saya ke sana.

"Di celah ribuan jemaah umrah, Allah menyediakan 'lorong' untuk saya mencium Hajarul Aswad, bukan sekali tetapi dua kali. Saya juga dapat mengerjakan tiga kali umrah, umrah ketiga saya buatkan untuk arwah ibu saudara saya. Rindunya hati untuk ke sana lagi. Kalau ada rezeki dan diizinkan oleh-Nya, setiap bulan saya mahu ke sana.

"Berada di sana, hati saya lapang dan tenang, tumpuan hanya kepada ibadah dengan melupakan segala yang mengganggu fikiran," katanya.

Menurut Abby, sebelum dia ke Makkah, ada tawaran berlakon tetapi dia sudah nekad mahu segera ke rumah Allah selepas beberapa kali hasrat untuk ke sana tertangguh.

"Saya pergi ke sana atas rezeki yang Allah beri pada saya dan anak-anak. Oleh itu tiada sebab dan alasan untuk saya menolak 'jemputan' daripada-Nya. Saya yakin pada ketetapan Allah. Apabila saya balik saja, ada beberapa tawaran berlakon dan ada dua tiga butik tudung yang mahu mengambil saya menjadi duta produk mereka. Serahkan saja urusan hidup kita kepada-Nya, insya-Allah selamat.

"Buat masa ini saya belum memberikan kata putus, masih dalam proses perbincangan. Dalam soal berlakon pula, memang tiada masalah kerana daripada dulu saya selalu dapat watak yang memerlukan saya memakai tudung.

"Bahkan dalam drama Gerak Khas pun saya bertudung. Saya tidak perlu bimbang mengenai itu kerana kalau kita niat ikhlas kerana Allah, pasti Dia akan membantu," katanya.

Hampir tiga tahun berpisah dengan pelakon Norman Hakim dan menjalin hubungan intim dengan pelakon baru, Zul Ariffin, Abby kembali bersendirian.

"Cukuplah sekali berkahwin dan selepas berpisah dengan Zul, saya juga tak mahu ada komitmen dengan sesiapa lagi. Bukan serik tetapi mulai hari ini saya perlu memberi ruang kepada diri sendiri dan bekerja keras mencari rezeki untuk saya serta anak-anak.

"Apa yang boleh saya lakukan sekarang, mohon yang terbaik daripada Allah. Soal jodoh juga saya serahkan kepada-Nya. Andai ada jodoh buat kali kedua, saya berharap dapat suami yang baik, dapat menjaga saya serta menyayangi anak-anak," katanya.

Pelakon Nana Tanjung, Ainul Berehat Dari Dunia Lakonan Kerana 'Truti Fruti'

Posted: 05 Apr 2012 07:09 PM PDT

Ainul Aishah.

PETALING JAYA: Pelakon Ainul Aishah mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia lakonan bukan kerana merajuk tetapi ingin menumpukan perhatian kepada perniagaan.

Ainul, 27, berkata, dia kini berpuas hati dengan perniagaan Truti Fruti dan jualan langsung yang diceburinya sejak setahun lalu.

"Alhamdulilah saya kini dah ada dua cawangan Truti Fruti yang terletak di Bangi (Selangor) dan Nilai (Negeri Sembilan) selain sedang giat aktif dalam jualan langsung produk kesihatan.

"Bidang perniagaan telah membuka prespektif baru dalam hidup saya kerana selain menguntungkan ia dapat menjamin masa depan saya," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.

Tambah Ainul, walaupun masih menerima tawaran berlakon dia mengambil keputusan untuk menolak kerana sedar tidak dapat memberikan komitmen jika membuat pelbagai perkara dalam satu masa.

Dia juga masih tidak pasti bilakah boleh kembali berlakon tetapi berjanji akan kembali selepas perniagaannya stabil.

"Kalau nak cerita pasal rindu memang teringin nak kembali ke set penggambaran tetapi saya sedar tidak boleh mengejar semua perkara dalam satu masa.

"Pengorbanan perlu dilakukan dan keputusan untuk mengundurkan diri seketika daripada dunia hiburan adalah pilihan saya sendiri tetapi bukanlah untuk selamanya," katanya.

Dalam pada itu, Ainul berkata dia kini tidak lagi terikat dengan syarikat pengurusannya iaitu Aquila Emas Management selepas kontraknya tamat baru-baru ini.

Ainul berkata, dia enggan menyambung kontrak kerana tidak mahu menyusahkan pihak pengurusan selepas mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia lakonan.

"Rasanya tidak adil saya menyusahkan mereka dengan menyambung kontrak dan terpaksa menolak tawaran yang datang.

"Kami juga tiada sebarang masalah dan keputusan itu disambut baik oleh mereka kerana tahu tumpuan saya kini," ujarnya.

Ainul sebelum ini pernah berlakon dalam beberapa buah filem seperti Nana Tanjung, Nana Tanjung 2, Otai dan Skrip 7707 dan juga drama selain tercalon dalam kategori Pelakon Harapan Wanita di Festival Filem Malaysia Ke-20.

Rekaan menyerlah, eksklusif

Posted: 05 Apr 2012 07:08 PM PDT

SELENDANG...selendang jahitan di bawah dagu mudah dipakai.
SELENDANG...selendang jahitan di bawah dagu mudah dipakai.

TARIKAN kepelbagaian corak, warna serta penggayaan tudung memberi pilihan kepada wanita memilih rekaan mengikut keselesaan serta acara yang akan dihadiri. Mungkin ada wanita gemarkan gaya eksklusif menerusi tudung bercorak atau polos manakala ada memilih padanan ringkas berselendang.

Namun tidak semua tudung dijual menepati cita rasa wanita serta sesuai dengan bentuk wajah. Ada yang sudah berkenan namun ukurannya terlalu longgar, ada pula yang cantik rekaannya namun fabriknya kurang menepati selera.

  • Foto

    TERANG...pilihan selendang kain kapas warna terang untuk mereka yang berani.

  • Foto

    REMAJA...corak polka dot sesuai gaya remaja.

  • Foto

    ANGGUN...tampil sopan dengan ikatan selendang untuk gaya kasual.

  • Foto

    ANGGUN...gaya Muslimah tudung bermanik eksklusif sesuai dipadankan jubah.

  • Foto

    UNIK...untuk tudung Syria, boleh digayakan dengan dua anak tudung corak berbeza.

Kesukaran memilih tudung bersesuaian, mendorong Nurhuda Khalid menghasilkan rekaan hijab yang bukan saja memenuhi kehendak wanita malah selesa dipakai.

Ujar wanita ini lagi, kebanyakan wanita moden kini gemar berpakaian cantik dan mereka semakin bijak bergaya, justeru peluang yang ada digunakan dengan menghasilkan rekaan yang bukan saja menyerlah malah sesuai untuk semua usia.


"Sebagai wanita saya cuba memahami apa yang diinginkan mereka. Selain warna dan corak, jenis fabrik juga mempengaruhi dalam pemilihan gaya tudung. Paling penting tudung selesa dipakai dan mereka tampil menyerlah walau dalam apa juga padanan," katanya.


Menggunakan label Huda's Hijab by Nur, Nurhuda tampil dengan rekaan tudung terkini termasuk tudung bersengkuap, Syria, selendang, anak tudung serta kelainan menerusi selendang dijahit separuh pada bahagian dagu.

Idea menghasilkan selendang ini terhasil kerana kerap mendengar rungutan rakan yang ingin tampil berselendang tetapi tidak tahu menggayakannya. Ada pula merasa sukar kerana mengambil masa lama disebabkan fabrik terlalu licin sehingga mengganggu kekemasan lilitan.

"Menerusi sedikit kajian, saya cuba hasilkan selendang yang senang dipakai dan praktikal. Dengan jahitan di bawah dagu, ia memudahkan wanita mengenakan lilitan mengikut kesesuaian mereka serta cepat dipakai.

"Selain itu fabrik memainkan peranan penting, sebab itu saya menggunakan material yang 'dekat' dengan wanita seperti lycra, kapas, denim dan sifon. Keempat-keempat fabrik ini ternyata menjadi pilihan ramai bukan saja kerana terletak cantik malah lembut, menyerap peluh dan tidak panas. "Lebih penting setiap rekaan sesuai dipakai semua golongan sama ada pelajar, berkerjaya atau suri rumah," katanya.

Keistimewaan koleksi Huda's Hijab juga pada jahitan manik dan batu permata yang sederhana dan tidak keterlaluan. Ini memberi rasa selesa kepada wanita yang ingin bergaya dengan padanan kasual.

Menjadikannya tampil eksklusif, setiap rekaan didatangkan dalam satu atau dua warna dalam ukuran S, M dan L saja. Malah Nurhuda menyediakan perkhidmatan menukar sengkuap mengikut jenis fabrik. Ini kerana kebanyakan tudung sedia dipakai tahan lasak cuma mengalami kerosakan pada bahagian sengkuap.

"Mungkin kerana kerap dibasuh, dilipat serta salah menggantung menyebabkan sengkuap patah. Namun jangan bimbang kerana setiap tudung boleh diganti sengkuap manakala tudung Syria boleh dijahit sengkuap bagi memudahkan pemakaian," tambahnya.

Mengenai penjualan, setakat ini koleksi Huda's Hijab hanya boleh dimiliki menerusi blog dan laman sosial pada harga di antara RM59 hingga RM70. Namun begitu ibu kepada tiga cahaya mata yang menjalankan perniagaan sepenuh masa ini mengakui berhasrat membuka butik suatu hari nanti.

Dia juga sedang merangka strategi bagi mewujudkan rangkaian pengedar eksklusif yang ingin menjual koleksi Huda's Hijab di seluruh negara. Ini bagi memberi peluang kepada wanita memulakan perniagaan secara kecil-kecilan bagi menambah pendapatan sampingan.

Dr Ezani Dilantik Duta Kelima Produk MyChef

Posted: 05 Apr 2012 07:07 PM PDT

Dr Ezani.

KUALA LUMPUR: Juara MasterChef Malaysia musim pertama, Dr Ezani Farhana menyifatkan pelantikannya sebagai duta produk makanan dalam pek, myChef sebagai peluang keemasan yang tidak mampu ditolak.

Graduan pergigian berusia 26 tahun ini berkata pelantikan itu adalah penghargaan buat dirinya yang baru tiga bulan menceburi bidang hiburan.

"Saya berasa rendah hati dan berbangga dengan pelantikan ini. Ia adalah penghargaan dan peluang yang sangat besar kepada saya.

"Ini sekali gus menjadi pembakar semangat untuk saya lebih mendalami bidang masakan pada masa akan datang," katanya kepada mStar Online.

Dr Ezani ditemui selepas majlis pelantikannya sebagai duta kelima produk myChef pada Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Malaysia ke-9 (MIHAS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, petang Khamis.

Sebelum ini, empat chef selebriti popular iaitu Datuk Chef Ismail, Chef Liza, Chef Florence dan Chef Zam dilantik sebagai duta produk berkenaan.

Ditanya mengenai kemungkinan timbulnya pertikaian segelintir pihak memandangkan dia tidak mempunyai kepakaran dalam bidang masakan, Ezani menganggap peluang itu sebagai rezekinya.

"Saya sedar pasti ada pertikaian segelintir pihak mengenai pelantikan ini kerana saya bukan chef terlatih, cuma kebetulan saya mempunyai bakat memasak.

"Jika dilihat pada aspek bisnes, pelantikan ini mampu memberikan impak berbeza pada produk myChef kerana MasterChef Malaysia ditonton ramai," katanya yang dilantik sebagai duta produk itu bagi tempoh setahun.

Bercerita mengenai peranannya itu Dr Ezani berkata dia dipertanggungjawabkan untuk mencipta tiga resepi yang boleh dipasarkan di bawah jenama tersebut.

"Saya perlu menghasilkan 10 resepi yang bersesuaian untuk dipilih oleh myChef. Mereka akan memilih tiga resepi terbaik yang berpotensi untuk dipasarkan pada tahun ini juga.

"Saya belum boleh umumkan apa resepi yang akan saya hasilkan tetapi ia berdasarkan resepi yang biasa saya masak atau sesuatu yang baru.

"Mereka mahu resepi yang fusion dan bertemakan buah-buahan berasid seperti limau yang sinonim dengan saya ketika dalam MasterChef Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Flavor Innovation selaku pengeluar myChef, Mohd Fairuz Abdullah berkata pelantikan Dr Ezani adalah sejajar dengan objektif syarikat itu untuk mendekati kelompok pengguna yang lebih luas berdasarkan populariti wanita berkenaan.

"Sebelum ini, produk kami nampak terlalu serius dan matang, kini dengan kehadiran Dr Ezani kami mahu luaskan sasaran pengguna kepada golongan muda pula.

"Populariti dan latar belakang Dr Ezani yang muda, segar dan unik ini boleh memberikan imej baru pada produk kami," katanya.

Setahun tertipu

Posted: 05 Apr 2012 07:06 PM PDT

BINCANG...Sri Wani ketika hadir ke prosiding mahkamah, semalam.
BINCANG...Sri Wani ketika hadir ke prosiding mahkamah, semalam.

KUALA LUMPUR: Selepas setahun melayari bahtera perkahwinan, barulah si suami mengesyaki isteri ketiganya, pengusaha butik kecantikan adalah seorang lelaki.

Ini menyebabkan bekas dekan di sebuah institusi pengajian tinggi awam, Dr Bahrom Sanugi, 61, memfailkan faraq (membubarkan perkahwinan) dengan Sri Wani Choo Abdullah, 37.

Peguam Syarie, Muhammad Hafiz Ab Rashid yang mewakili Bahrom memberitahu wartawan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, Bahrom selaku plaintif memfailkan permohonan faraq itu pada 17 Januari 2011 di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Katanya, anak guamnya juga hanya menyedari dia mengahwini seorang lelaki pada penghujung 2010 iaitu setahun selepas mereka berkahwin di Songkhla, Thailand, 19 Ogos 2009.


Anak guamnya turut mempunyai bukti, termasuk sijil lahir serta nombor kad pengenalan Sri Wani yang menyatakan dia adalah lelaki berdasarkan nombor terakhir iaitu nombor ganjil.

Tok Ayah ijab kabul tepi jalan

Posted: 05 Apr 2012 07:05 PM PDT

PALSU...sijil nikah yang dipalsukan sindiket untuk menipu pasangan.
PALSU...sijil nikah yang dipalsukan sindiket untuk menipu pasangan.

IPOH: Di tepi jalan pun boleh asalkan bayar. Khidmat jurunikah palsu ini bergiat aktif di Perak dan beberapa negeri lain untuk pasangan yang tidak mendapat restu ibu bapa atau suami yang ingin berpoligami tanpa kebenaran isteri.

Sindiket nikah palsu itu yang didalangi warga tempatan menawarkan khidmat berkenaan dengan bayaran RM2,000 hingga RM5,000 dan mengambil masa kurang 10 minit untuk proses pernikahan sebelum pasangan diberi sijil nikah.

Sumber Jabatan Agama Islam Perak (Jaip) berkata, khidmat jurunikah palsu itu dipercayai diiklankan sindiket melalui Internet menggunakan laman sosial dan iklan di kaki lima selain disebarkan individu yang pernah menggunakan perkhidmatannya.

Menurutnya, sindiket dikenali 'nikah 10 minit' itu didalangi seorang lelaki tempatan digelar 'Tok Ayah' berusia 50-an yang berperanan sebagai jurunikah.


"Tok Ayah dibantu beberapa individu lain dikesan menawarkan khidmat nikah itu bergerak dari satu lokasi ke lokasi. Malah, mengadakan majlis nikah itu di sebarang lokasi, termasuk di tepi jalan.


"Pelanggan diberikan taklimat seringkas mungkin sebelum ijab kabul dilakukan. Setakat ini, maklumat mendapati Tok Ayah yang berasal dari Kedah, aktif menjalankan kegiatan itu walaupun menyedari menyalahi undang-undang," katanya.

Zainal Abidin Jangka Konsert Legenda Bakal Hebat

Posted: 05 Apr 2012 07:04 PM PDT

Zainal Abidin.

PETALING JAYA: Penyanyi Zainal Abidin akan membuat kejutan pada kemuncak konsert The Legendary Concert 2012 di Stadium Merdeka pada 30 Jun depan dengan melancarkan album terbarunya.

Zainal berkata, hasrat itu dibuat selepas mendapat desakan daripada para peminat yang mahukan buah tangan terbaru selepas kali terakhir dia muncul dengan album Puteri kira-kira enam tahun lalu.

"InsyaAllah ini adalah perancangan saya untuk para peminat yang sentiasa menantikan album terbaru daripada saya.

"Album itu juga adalah sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang tidak pernah jemu menyokong karier nyanyian saya," ujarnya kepada mStar Online pada Khamis.

Zainal ditemui ketika hadir ke Menara Star untuk promosi konsert tersebut.

Dalam pada itu, Zainal berkata album berkenaan diterbitkan sepenuhnya oleh komposer terkenal iaitu Mac Chew dan dirinya dengan 10 buah lagu baru.

Zainal berkata, buat permulaan dia telah pun melancarkan dua buah single iaitu Kamu dan Alam untuk para peminatnya.

"Sebelum konsert jelajah itu berakhir, saya akan melancarkan single ketiga berjudul Tercipta Untukmu dan album penuh pada konsert akhir itu nanti.

"Lagu Kamu dicipta khas untuk semua para peminat saya dan Alam adalah kesinambungan kepada lagu Hijau," ujarnya.

Sementara itu, bercakap mengenai The Legendary Concert 2012, Zainal berkata, dia yakin persembahan itu nanti akan menjadi hebat seperti mana pernah dilakukan tahun 1993 menerusi konsert Ikhlas.

Zainal akan mengadakan persembahan bersama tiga lagi rakan artis iaitu Amy (Search), Datuk Sheila Majid dan Jamal Abdillah.

The Legendary Concert 2012 bakal menjelajah ke lima negeri bermula di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Mei depan, Pulau Pinang (19 Mei), Johor Baru (26 Mei), Kuching (23 Jun) dan berakhir di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur (30 Jun).

Untuk maklumat lanjut mengenai konsert dan pembelian tiket-tiket yang berharga RM100, RM200, RM300 dan RM600, layari laman web. www.legendary.com.

Lambakan Persatuan Artis Di Negara Ini Tidak Perlu - Suhaimi Baba

Posted: 05 Apr 2012 06:40 PM PDT

Suhaimi Baba.

KUALA LUMPUR: Lambakan persatuan filem, artis dan karyawan di negara ini adalah sesuatu yang tidak perlu memandangkan industri tersebut tidak sebesar mana berbanding Hollywood, Bollywood dan Korea.

Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Datin Paduka Suhaimi Baba sebaliknya berkata, apa yang lebih penting kini ialahperlu adanya lebih ramai pemimpin yang benar-benar komited terhadap tanggungjawab menguruskan persatuan yang dipimpinnya dengan baik.

Menurut beliau, bilangan persatuan-persatuan artis, filem dan karyawanyang benar-benar aktif di negara ini adalah lebih kurang 10 dan angka tersebut sebenarnya boleh dikurangkan kepada empat sahaja.

"Apa yang kurang dalam konteks ini buat masa sekarang ialah ketiadaan barisan pemimpin yang benar-benar berkemampuan untuk menguruskan sesebuah persatuan. Aspek inilah yang harus kita perbaiki."

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah dalam program "Dalam Radar" terbitan Bernama Radio24, baru-baru ini.

Suhaimi membuat penegasan itu sebagai mengulas lambakan persatuan-persatuan filem, artis dan karyawan tetapi dilihat tidak begitu berkesan dalam memperjuangkan nasib golongan sasar mereka.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Mahadi J. Murat pula berpendapat, soal sama ada sesebuah persatuan itu harus wujud atau tidak, bergantung kepada kehendak ahli-ahli yang mewakili bidang kerjaya mereka.

Jelas beliau, soal banyak atau sedikit persatuan bukan perkara pokok tetapiapa yang lebih penting ialah kemampuan dan keberkesanan persatuan berkenaan memainkan peranan masing-masing.

"Banyak sikit itu adalah soal relatif. Tetapi apabila ada sedikit persatuan tetapi dengan pengkhususan yang betul, sudah pasti lebih mudah untuk merundingkan hal-hal yang berkaitan dengan apa yang ingin diperjuangkan," ujarnya lagi.

Di sebalik lambakan yang dimaksudkan itu, Mahadi bagaimanapun memuji beberapa persatuan seperti PFM dan Persatuan Pengarah Filem (PPF) yang dilihat mempamerkan fokus perjuangan dan pengurusan yang kemas.

Biarlah ia berlalu

Posted: 05 Apr 2012 06:39 PM PDT

pix_gal0
Terkilan gagal temui peminat pada siri jelajah ABPBH2011

KELIBATNYA langsung tidak kelihatan dalam siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 yang sudah pun melabuhkan tirainya di Pasir Gudang, Johor Bharu, 25 Mac lalu. Ketika finalis lain berusaha merebut peluang itu untuk bertemu dan beramah mesra bersama peminat mereka di lima lokasi terpilih, namun ia tidak berlaku pada Nora Danish. Sebagai finalis kategori Pelakon TV Wanita Popular kali ini, kehadiran aktres jelita itu dinantikan peminatnya. Malangnya, tiada satu lokasi pun dihadiri Nora, walaupun pihak penganjur sudah memaklumkan berkenaan hal itu kepadanya sejak awal lagi.Pastinya tindakan Nora yang tidak menyertai acara promosi terbabit meninggalkan kesan kepada penganjur dan peminat, khususnya. Mana tidaknya, ruang yang membolehkan dia mendekati peminat, yang selama ini setia menyokong kerjaya seninya tidak digunakan oleh pelakon siri Puteri ini.

Sudahnya, ada hati yang kecewa dan terkilan dengan sikap Nora yang dianggap tidak menghargai usaha peminat selama ini. Lebih-lebih lagi apabila ada spekulasi menyatakan, keengganan Nora menyertai siri jelajah hanyalah kerana tidak mahu bertentang mata dengan seorang lagi pelakon lain yang turut tersenarai dalam kategori sama dengannya, iaitu Fasha Sandha.

Atas faktor itulah maka ibu kepada seorang cahaya mata lelaki ini memberikan pelbagai alasan supaya dia tidak terbabit dalam acara berkenaan. Bagaimanapun, saat diajukan pertanyaan itu kepada si empunya diri, Nora menafikan keengganan bertemu Fasha menjadi punca dia tidak mengikuti siri promosi ABPBH2011.

"Ingin saya tegaskan, ketidakhadiran saya dalam siri jelajah promosi bukan disebabkan tidak boleh berjumpa dengan pelakon dimaksudkan. Bagi saya, apa yang berlaku biarlah ia berlalu. Ia memang tiada kena mengena dengan isu itu. Lagipun, siri promosi itu membabitkan ramai artis, bukannya kami berdua saja.
"Pada awalnya, memang saya berhasrat mengikuti siri jelajah kali ini. Namun, apakan daya saya memang terikat dengan jadual penggambaran yang sangat ketat. Penggambaran itu pula turut membabitkan ramai pelakon senior. Saya tak mahu menyusahkan mereka jika terpaksa mengambil cuti ataupun menangguhkan penggambaran," jelas Nora sewaktu menghadiri sesi fotografi bersama Hip di Butik Rafflesia The Pearl Centre, Hotel Park Royal, petang semalam.

Jejai tak cerita apa-apa

Anggun dengan busana milik Innai Red serta solekan Anas Nakkal, keayuan pelakon berdarah kacukan Melayu-Myanmar ini semakin terserlah apabila dia menggayakan aksesori kalung mutiara mewah yang direka khas Pengarah Urusan Refflesia sendiri, iaitu Winnie Sin.

Kalung mewah bernilai RM250,000 yang bakal menjadi habuan pemenang Bintang Paling Popular ABPBH2011 itu dihiasi 144 mutiara putih air segar terpilih, 312 mutiara putih air segar terpilih, 73 butiran manik jed terpilih, bertatahkan 69 berlian bundar seberat 1.99 karat serta emas putih.

Tambah Nora, sepatutnya dia membuat kemunculan istimewa pada siri jelajah di Melaka. Namun hasrat itu terbantut apabila dia terpaksa memenuhi komitmen lain yang sudah dijanjikan lebih awal.

"Pada tarikh itu juga saya terpaksa ke Brunei kerana menghadiri majlis pelancaran sebuah kereta. Memang saya sudah berjanji dengan penganjur yang saya mahu ke Melaka, tetapi penganjur di Brunei menukar tarikh acara pada hari yang sama dengan siri jelajah promosi ABPBH.

"Memandangkan mereka sudah siapkan kain rentang dan menguar-uarkan kehadiran saya pada majlis itu, jadi saya terpaksa memenuhi undangan mereka," terangnya.

Meskipun mempunyai sebab kukuh mengenai ketiadaannya dalam acara itu, namun ia tidak bermakna Nora mengambil enteng perasaan peminatnya.

"Terus-terang, saya memang terkilan dan sedikit kecewa kerana tidak dapat bertemu peminat saya. Bukan senang untuk bertemu mereka, namun tuntutan kerja membuatkan saya terpaksa melupakan hasrat itu," ujarnya.

Sementara itu, meskipun belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai tarikh pernikahan Fasha dan bekas suaminya, Jejai, tentunya ramai yang ingin tahu apakah Nora akan menghadirkan diri pada majlis pasangan itu. Saat soalan itu berkumandang, Nora mendiamkan diri buat seketika sambil memikirkan ayat paling sesuai sebagai jawapan.

"Sebenarnya, sehingga ke saat ini, Jejai memang tidak pernah bercerita apapun mengenai perkahwinannya. Cuma apa yang boleh saya katakan, kehadiran saya tidak diperlukan di situ," katanya sambil menguntumkan senyuman.

Persembahan terbaik

Posted: 05 Apr 2012 06:20 PM PDT

Sesi latihan di Balai Berita NSTP di Bangsar, malam tadi.
Sesi latihan di Balai Berita NSTP di Bangsar, malam tadi.
Nama besar industri seni janjikan hiburan memukau Ahad ini

BARISAN vokalis terhebat tanah air bakal menghangatkan kedinginan puncak Genting pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, Ahad ini, dengan persembahan penuh bertenaga lagi menghiburkan. Gigih melakukan latihan sejak beberapa hari lalu, semua artis yang terbabit dalam segmen persembahan pada malam penuh gemilang itu, termasuk barisan penyanyi yang bakal diiringi muzik orkestra di bawah pimpinan pengarah muzik terkemuka, Datuk Ramli MS, pastinya menyajikan hiburan yang meninggalkan kesan amat mendalam buat penonton.Semalam, latihan bersama 46 pemuzik orkestra diadakan di Balai Berita, sejak jam 6 petang sehingga 11 malam, sebelum latihan seterusnya dilangsungkan di Arena of Stars, hari ini dan esok. Raptai penuh pula akan diadakan beberapa jam sebelum acara sebenar berlangsung, Ahad ini.

Latihan berkenaan membabitkan penyanyi dan pemuzik seperti Datuk Sheila Majid, Datuk M Nasir, Ziana Zain, Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Tam Spider, Aizat, Azlan Typewriter, Jaclyn Victor, Bob, Shi la Amzah, Black, Faizal Tahir, Ramlah Ram, Mas Idayu, Salma, Shiha, Hafiz, Adira, One Nation Emcees dan Man Kidal.

Ramli yang sudah lebih 10 tahun bekerjasama dengan ABPBH berkata, kepercayaan diberikan Berita Harian untuk mengiringi persembahan artis dianggap sebagai tanggungjawab yang harus disempurnakan dengan sebaiknya.

Dia yang mula membuat susunan baru terhadap lagu yang bakal dipersembahkan sejak sebulan lalu berkata, sesi latihan semalam berlangsung secara santai supaya tidak memberikan tekanan kepada artis dan pemuzik.
"Dalam muzik, kita tidak boleh berlatih beriyaiya, bimbang apabila tibanya acara sebenar, persembahan boleh menjadi kaku. Biasanya pada malam kemuncak nanti barulah kami akan bermain dengan sepenuhnya.

"Lagipun, dengan latihan yang dilakukan sejak semalam dan empat lagi latihan yang akan diadakan sehingga tibanya majlis sebenar, saya kira persiapannya amat memadai," katanya.

Sementara itu, Ziana yang bakal berduet dengan Azlan menerusi lagu Anggapanmu nyata tidak sabar untuk memukau penonton pada malam penuh berprestij itu.

Ziana yang juga akan mengalunkan lagu daripada Meet Uncle Hussain (MUH), Lagu Untukmu, mengaku dia sendiri berdebardebar pada mulanya apabila diminta menyanyikan lagu kumpulan berkenaan. Sebagai persediaan, sejak seminggu lalu dia gigih menghafal melodi dan lirik lagu popular terbabit.

"Selama ini saya tidak pernah terfikir akan menyanyikan lagu kumpulan MUH, tapi itulah yang dikatakan kejutan serta kelainan yang sering ditonjolkan dalam acara ini.

"Alhamdulillah, selepas latihan malam ini (malam tadi) perasaan berdebar itu berjaya diatasi. Saya memang sudah tidak sabar untuk beraksi bersama Lan pada malam kemuncak nanti," katanya yang kali akhir menjayakan ABPBH pada 2008.

Penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu Seandainya Masih Ada Cinta Dayang Nurfaizah, juga sependapat ABPBH sentiasa menampilkan kelainan pada setiap acara kemuncaknya.

Dia yang bakal berduet sekali lagi bersama Anuar Zain berkata, setiap tahun keterujaan membuat persembahan amat berbeza. Malah, dia memang sentiasa menantikan peluang untuk beraksi di pentas ABPBH.

"Apabila membabitkan persembahan secara duet, Dayang akan pastikan dapat menjalani latihan secukupnya kerana lirik dibahagikan mengikut bahagian masing-masing.

"Mujur Dayang biasa bekerjasama dengan Anuar, jadi keserasian itu sudah ada. Seingat Dayang, kali terakhir kami berduet menerusi lagu Dia pada ABPBH beberapa tahun lalu," katanya.

Selain barisan artis berkenaan, turut memeriahkan acara kemuncak itu ialah persembahan sketsa Ombak Rindu yang bakal dijayakan hero pujaan ramai, Aaron Aziz, di samping Maya Karin dan Lisa Surihani.

Turut membuat persembahan pada 8 April ini ialah Datuk Siti Nurhaliza, Ezlynn, Fauzi Nawawi, Lisdawati, Maria Farida, Najwa Latif, Stacy, VIP dan Watie Elite.

Diana Danielle ligat di pentas nyanyian

Posted: 05 Apr 2012 06:19 PM PDT


DIANA DANIELLE bakal membuat persembahan nyanyian pada esok, Sabtu sempena Festival Pengantin Malaysia Ke-11 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.


Artis kacukan Melayu-Inggeris Diana Danielle sememangnya dikenali sebagai pelakon, namun Diana juga sempat bergelar seorang penyanyi apabila dia muncul dengan lagu single berjudul Tak Pernah Ada.

Selain itu, kekasih kepada aktor Farid Kamil ini juga pernah berkolaborasi bersama Mawi menerusi lagu Penyembuh Rindu dan lagu Radio duet bersama Imran Ajmain serta pelawak terkenal, Nabil.

Disebabkan bakat yang ada pada Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 20, dia menjadi pilihan pihak penganjur, Dirich Vision Sdn. Bhd. untuk menjayakan persembahan sempena Festival Pengantin Malaysia ke-11 yang akan berlangsung pada 6 hingga 8 April ini di Dewan Tun Razak 2, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Selain Diana, festival yang bermula pukul 10 pagi hingga 9 malam itu turut mengundang penyanyi lain seperti Alif Satar, Ila Damia dan Altimet. Diana dan Alif dijangka menghiburkan bakal pengantin pada hari Sabtu iaitu 7 April, pada pukul 2 petang.

Penyanyi rap Altimet dan Ila Damia pula akan berkongsi pentas menghiburkan ribuan pengunjung pada keesokannya (Ahad), pada pukul 3 petang.

Diana berkata, inilah kali pertama dia menerima undangan Festival Pengantin Malaysia dengan kunjungan lebih 15,000 orang pengunjung setiap kali diadakan sekitar Lembah Klang.

"Mungkin saya lebih dikenali sebagai pelakon, tetapi saya juga meminati bidang nyanyian. Saya sudah memiliki dua lagu single, Penyembuh Rindu dan Radio. Menerusi dua lagu berkenaan, saya kerap menerima undangan pentas nyanyian.

"Saya juga pernah diundang sebagai artis pembuka tirai konsert peniup saksofon antarabangsa, Kenny G, tahun lalu. Alhamdulillah, rezeki nyanyian semakin terbuka luas," ujarnya.

Diana mengakui cukup terharu apabila diundang sebagai salah seorang penyanyi pada Festival Pengantin Malaysia. Undangan itu sebagai bukti bakat nyanyian diakui oleh pihak penganjur.

"Saya terharu diundang ke festival pengantin. Bagi saya, festival pengantin ini memudahkan bakal pengantin membuat pilihan dalam merancang majlis bersejarah mereka.

"Festival khas untuk mempelai itu juga akan menampilkan pakar dalam bidang perkahwinan bersatu di bawah bumbung yang sama untuk menyediakan perkhidmatan kepada bakal pengantin, sekali gus memudahkan mereka untuk merancang persediaan majlis yang bakal berlangsung secara gemilang kelak.

"Apa yang menarik, mereka boleh mendapat tawaran harga yang istimewa sepanjang festival pengantin ini berlangsung, yang tidak boleh dinikmati pada hari-hari biasa. Ini adalah peluang keemasan untuk mereka merancang perkahwinan mereka serta boleh berjimat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Dirich Vision Sdn Bhd, Nor Sharlina Abdul Rashid, berkata Festival Pengantin Malaysia, salah satu platform untuk usahawan yang terbabit dalam industri perkahwinan untuk menyertainya.

Dalam festival berkenaan, pihak penganjur menyediakan ruang pameran yang lengkap bagi pengusaha mempamerkan hasil reka cipta secara terus kepada bakal pengantin.

"Antara perkhidmatan disediakan ialah andaman pengantin, perancang perkahwinan, fotografi dan videografi, kad kahwin, cenderamata, perhiasan, aksesori, dewan majlis perkahwinan, ejen perancang industri perkahwinan, pusat penjagaan kecantikan dan perkhidmatan katering.

"Selain itu, penganjuran festival ini dapat dijadikan platform untuk usahawan tempatan mengembangkan lagi perniagaan mereka, yang mana pengusaha butik perkahwinan dapat memberikan khidmat nasihat di gerai pameran masing-masing, sekali gus menambah bilangan pelanggan.

Bagi keterangan lanjut, mereka yang berminat boleh layari laman sosial Facebook Festival Pengantin Malaysia.

Pengakuan terbuka Sheila Majid

Posted: 05 Apr 2012 06:18 PM PDT



RATU Jazz negara, Datuk Sheila Majid, 47, membuat pendedahan secara terbuka bahawa kebanyakan lagu yang dicipta pada zaman ini tidak melekat di jiwanya dan mudah dilupakan kerana melodinya kedengaran serupa dengan lagu-lagu yang lain.

Disebabkan itu dia mengakui perlu bersikap cerewet memilih lagu biarpun perlu mengambil masa terlalu lama untuk muncul dengan lagu baharu. Sikap cerewet Sheila itu juga menjadi bukti mengapa dia masih bertahan dalam industri muzik sehingga kini.

"Jika saya bawa kereta dari rumah ke destinasi sambil dengar radio, tak ada satu lagu pun yang boleh diingat. 'It's all can easily forgettable'. Bukan nak kata saya sudah tua tetapi lagu-lagu sekarang kebanyakannya tidak ada jiwa. Ia lebih kepada tempo semata-mata. Kenapa lagu-lagu dulu masih diterima sehingga kini sebab ia ada jiwa dan mampu memberi impak kepada pendengar sekali gus menyebabkan penyanyi itu bertahan sehingga kini.

"Sejak dua tahun lalu saya masih tercari-cari dan menunggu untuk dapatkan lagu yang benar-benar kuat dari segi melodi dan juga lirik tetapi tiada," ujarnya jujur selepas sidang akhbar sempena minggu setiausaha, A Day with Living Legend - Sheila Majid di Restoran Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur.

Akuinya, dia banyak menerima lagu daripada pelbagai komposer tetapi sukar untuk membuat pilihan kerana lagu yang diterima tidak begitu kena dengan jiwanya.

"Saya memang selektif dalam pemilihan lagu sejak dari dulu lagi. Ada yang lirik okey tapi tak kena dengan melodi. Kedua-dua perlu seimbang. Kalau boleh saya mahu lagu yang boleh menarik jiwa pendengar," jelasnya.

Yuna dan Najwa

Namun begitu, walaupun Sheila menyelar generasi masa kini dunia muzik tempatan, namun dia penuh berkeyakinan terhadap dua penggiat muzik muda, Najwa Mahiaddin dan Yuna.

Berkongsi cerita, Sheila mengakui pernah meminta lagu daripada dua komposer muda iaitu Najwa Mahiaddin dan Yuna kerana tertarik dengan kebolehan mereka menulis dan mencipta lagu dengan baik.

"Yuna dan Najwa terkejut apabila saya minta mereka buat lagu untuk saya. Mereka ingat saya bergurau. Hakikatnya mereka benar-benar berbakat dan sebab itulah saya ingin bekerjasama dengan mereka," ungkapnya.


Sheila Majid menyerahkan plak yang ditandatanganinya kepada Pengarah Urusan Restoran Atmosphere 360, Datuk Mohd. Sabri Mohd. Nadzir selepas majlis sidang akhbar A Day with Living Legend - Sheila Majid baru-baru ini.


Ujar Sheila, seseorang penyanyi itu juga tidak semestinya menerima bulat-bulat lagu yang diberikan oleh komposer, sebaliknya perlu dengar dan buat perubahan agar lagu tersebut menjadi lebih menarik.

Sheila juga menyelar penyanyi-penyanyi sekarang yang kebanyakannya lebih banyak menjerit daripada menyanyi.

"Cara nyanyian juga penting. Ia patut sedap didengar. Penyanyi sekarang bukan menyanyi tetapi menjerit-jerit," katanya yang bakal muncul dengan album terbaharunya tidak lama lagi.

Menurut Sheila lagi, terdapat sebuah lagu Indonesia yang akan diberikan nafas baharu turut dimuatkan dalam albumnya nanti. Sheila juga akan muncul dengan single terbaharunya sebelum kemunculan album penuh.

Lagu rezeki

Ditebak soalan adakah dia bosan menyanyikan lagu yang sama berulang kali seperti Sinaran atau Ku Mohon pada setiap persembahannya, akui Sheila dia memang bosan.

Hakikatnya dia sedar lagu tersebut merupakan lagu 'rezekinya' kerana ia menjadi pilihan pendengar peminat-peminatnya sehingga kini.

"Memang saya akui bosan menyanyikan lagu yang sama seperti Sinaran setiap kali persembahan tetapi terpaksa berbuat demikian demi peminat. Sinaran adalah lagu 'rezeki'. Saya tidak boleh kata tidak untuk menyanyikannya. Jika saya tak nyanyikan lagu tersebut peminat akan marah," akuinya.

Bercerita tentang konsert Legendary Concert 2012 yang akan berlangsung pada bulan Mei dan Jun ini, ungkap Sheila, dia sangat teruja untuk beraksi bersama tiga penyanyi hebat iaitu Amy Search, Jamal Abdillah dan Zainal Abidin.

"Saya sangat teruja untuk buat persembahan dengan mereka. Saya akui banyak belajar dengan Zainal. Ketika itu dia masih dengan Headwind. Dia memang seorang penghibur yang bagus. Dia tak takut untuk bercakap ketika persembahannya.

"Menariknya, setiap apa yang dituturkan dirinya membuatkan penonton suka dan terhibur. Dia sangat berpengalaman. Amy pula, walaupun dia tak bercakap banyak masa persembahan tetapi bila dia buat persembahan, dia boleh jadi raksasa. Jamal pula tak perlu menyanyi pun orang sudah teruja tengok dia," ungkapnya jujur.

Kongsinya, walaupun masa latihan suntuk kerana ia berlangsung pada hujung bulan ini namun dia tidak tertekan kerana pemuzik-pemuzik konsert tersebut sudah acap kali bersamanya ketika persembahan.

Konsert yang dinantikan untuk tahun ini juga dikatakan memberi keterujaan besar buat peminat empat legenda ini kerana hampir semua tiket VIP sudah habis dijual.

Konsert yang dibawakan oleh Afro Inang Worldwide dan Research Venture Lab Sdn. Bhd. itu telah memilih lima lokasi berbeza iaitu di Stadium Larkin, Johor Bahru (5 Mei), Kota Kinabalu, Sabah (19 Mei), Kuching, Sarawak (26 Mei), Pulau Pinang (23 Jun) dan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Jun ini.

Eksklusif Sheila


SHEILA akan berbabit dalam konsert Legendary Concert 2012 bersama Amy Search, Zainal Abidin dan Jamal Abdillah pada bulan Mei dan Jun ini.


Dalam perkembangan lain, Sheila cukup teruja untuk mengadakan persembahan sempena sambutan minggu setiausaha di Restoran Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur pada 25 April ini.

Bakal mengadakan persembahan selama 45 minit, turut berganding dengannya ialah pelawak dan pelakon Dee.

"Ini adalah kali pertama saya akan menyanyi di Menara Kuala Lumpur dan sudah ada beberapa idea untuk persembahan itu nanti," kongsinya yang merupakan artis kedua yang mengadakan persembahan untuk Minggu Setiausaha di situ selepas Jamal Abdillah.

Sheila juga optimis biarpun harga tiket yang dikenakan agak tinggi ia mampu menarik bukan sahaja bos dan setiausaha malah peminat-peminatnya sendiri.

Hanya eksklusif menerima satu tawaran sahaja untuk Minggu Setiausaha, Sheila juga memberitahu, akan menyanyikan sebanyak tujuh buah lagu pada hari itu.

Bermula pada pukul 12 tengah hari, tiket untuk menyaksikan A Day with Living Legend - Sheila Majid dijual pada harga bermula RM500 sehingga RM6,500 (berkumpulan).

Sebarang pertanyaan mengenainya boleh menghubungi Siti

di talian 013-337 7710 atau Jojo, 012-690 3058.

Memori muda-mudi The Cranberries

Posted: 05 Apr 2012 06:17 PM PDT




BAGI generasi yang lahir pada era 80-an, grup yang berasal dari Ireland yang dikenali sebagai The Cranberries adalah sebuah grup legenda.

Mereka memang tidak sebesar nama grup seperti Gun 'n Roses misalnya, tetapi bagi peminat yang menghargai indah sebuah muzik yang diadun bersama unik penggerak atau karakter sesebuah grup, The Cranberries adalah satu alternatif lain untuk menikmati untai lagu yang mengasyikkan.

Ditubuhkan pada tahun 1989, grup ini terdiri daripada Dolores O'Riordan (vokalis) Noel Hogan, (gitar) Mike Hogan (bass) dan Fergal Lawler (dram).

Melabelkan diri mereka sebagai sebuah grup yang membawa muzik alternatif rock, ironi The Cranberries juga begitu sinonim dengan muzik berentak indie pop, post-punk, Irish folk dan pop rock.

Hampir sudah tidak pernah kedengaran lagi berita tentang mereka selepas tahun 2003, The Cranberries tiba-tiba muncul kembali mengisi dahaga peminatnya pada tahun ini dengan album studio penuh yang diberi judul Roses.

Album tersebut kemudian telah membawa grup ini kembali menjelajah dunia untuk tujuan promosi dan Malaysia telah menjadi salah satu lokasi persinggahan The Cranberries untuk menghiburkan peminat mereka di sini.

Bertempat di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada tanggal 4 April, The Cranberries membuat persembahan dengan penuh energetik di hadapan lebih 8,000 peminat mereka.

Ironi, tak padahal mereka sudah masuk dalam kategori veteran. Namun kelincahan dan vokal Dolores yang masih konsisten serta sama seperti yang pernah direkodkan di dalam album membuatkan The Cranberries seperti kembali muda, sekali gus membawa semua peminatnya juga masuk ke alam muda remaja.

Lebih mengujakan apabila mereka mendendangkan hampir semua lagu malar segar mereka yang cukup hit satu ketika dahulu seperti Dreams, I Can't Be With You dan Ridiculous Thoughts.

Tidak banyak berkomunikasi tetapi tetap menghiburkan peminat dengan permainan pentas yang tangkas dan gaya tarian bebas oleh Dolores sendiri terus melarutkan peminat di dalam dunia mereka.

Malah saat lagu seperti Linger, Ode to My Family, Animal Instinct dan When You're Gone didendangkan, The Cranberries hampir tenggelam dengan jeritan dan sorak serta nyanyian daripada peminat yang sememangnya menunggukan saat lagu-lagu tersebut didendangkan secara langsung selepas sekian lama hanya mendengar ia menerusi kaset, cakera padat atau corong radio sahaja.




Berselang-seli dengan untaian lagu malar segar, grup tersebut turut mendendangkan lagu-lagu yang diambil daripada album baharu mereka, Roses. Biar ia masih belum mesra telinga, namun peminat tetap memberi sokongan.

Sengaja membiarkan peminat menanti sehingga lebih sejam setengah, barulah mereka melantunkan lagu yang cukup berhantu di seluruh dunia, Zombie. Dengan pukulan drum yang cukup mantap dan petikan gitar serta bass yang sama 'keras' Dolores kemudian menyempurnakan nyanyian dengan gaya santai tetapi cukup mengesankan. Sedikitpun tidak tergelincir vokalnya sewaktu mendendangkan lagu tersebut, sama seperti dia mendendangkan lebih 15 buah lagu lain sebelum itu.

Turun daripada pentas tanpa meninggalkan sebarang pesanan, The Cranberries naik semula ke atas pentas selepas peminat terus memanggil nama mereka. Sebagai penutup konsert, mereka mendendangkan empat buah lagu termasuk Salvation dan Promises yang memicu adrenalin peminat.

Usai konsert, walau meninggalkan peminat di Malaysia tanpa sebarang ucapan selamat tinggal, The Cranberries tetap akan dikenang kerana telah memberi sebuah persembahan yang mantap dan membangkit memori lama menerusi untaian lagu mereka.

Hal itu diakui oleh penyanyi, model dan pelakon Maya Karin yang menyifatkan dirinya sebagai kipas susah mati grup tersebut. "Saya sangat meminati mereka dan tahu semua lagu yang mereka mainkan tadi.

"Jika peminat saya ada perasaan untuk memeluk saya apabila mereka bertemu saya, saya mempunyai perasaan yang sama iaitu untuk memeluk vokalisnya, Dolores," ujar Maya yang hadir ke konsert tersebut bersama adik lelakinya.

8,000 peserta meriahkan larian

Posted: 05 Apr 2012 06:16 PM PDT


AHMAD SHABERY (tiga dari kiri) melancarkan gimik Standard Chartered Fun Run 2012 sambil diperhatikan oleh Osman (empat dari kiri) dan Zaidun (kiri) di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Sambutan Hari Belia Negara 2012 bakal dimeriahkan dengan penyertaan 8,000 peserta dalam acara Fun Run pada 26 Mei ini.

Acara yang diadakan buat kali kedua itu turut menyaksikan pertambahan jumlah peserta dan jarak larian yang akan berakhir di Dataran Gemilang di sini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pertambahan jarak daripada tiga kilometer kepada lapan kilometer membuktikan larian itu berjaya menarik pelbagai golongan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

"Larian itu bukan semata-mata pertandingan kerana melalui penyertaan dalam acara tersebut, belia boleh membina rangkaian komuniti dengan peserta lain," katanya selepas pelancaran gimik Standard Chartered Fun Run 2012 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini semalam.

Guna kapal seludup diesel RM1.4 juta

Posted: 05 Apr 2012 06:15 PM PDT


NORZAID (kiri) bersama Othman (kanan) memeriksa kapal tangki yang ditahan kerana cuba menyeludup diesel bersubsidi di Pelabuhan Klang semalam.


PELABUHAN KLANG – Cubaan satu sindiket untuk menyeludup hampir 500,000 liter minyak diesel subsidi bernilai RM1.4 juta dipercayai untuk dihantar ke Singapura berjaya ditumpaskan oleh Pasukan Polis Marin di Jeti Awal Idaman, Pulau Indah di sini kelmarin.

Ketika serbuan pada pukul 3 petang itu, sembilan orang lelaki sedang sibuk melakukan kerja-kerja memindahkan minyak diesel dari sebuah lori tangki ke sebuah kapal tangki yang berlabuh di jeti tersebut melalui saluran paip.

Mereka yang terdiri daripada tujuh anak kapal warga Myanmar dan dua pemandu lori tempatan berusia antara 30 hingga 40 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Operasi bersepadu itu turut melibatkan anggota daripada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Selangor.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi, Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said berkata, pemeriksaan mendapati 452,940 liter minyak diesel telah dipindah ke dalam tangki kapal terbabit.

Peniaga diburu ah long akibat hutang rakan

Posted: 05 Apr 2012 06:14 PM PDT


SAM (kiri) dan Keng Heng (tengah) mengadu masalah mereka yang diganggu ah long kepada Michael di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang peniaga kedai perabot menjadi sasaran ah long selepas rakan kongsinya meminjam wang RM360,000 tanpa pengetahuannya.

Mangsa, Tan Keng Heng, 42, berkata, rakannya yang dikenali sebagai Ying, 40, dipercayai menggunakan tiga cek milik syarikat yang bernilai RM200,000, RM100,000 dan RM60,000 sebagai cagaran untuk membuat pinjaman.

Katanya, dia menyedari perkara itu selepas lapan cek milik syarikatnya hilang pada 22 September lalu.

"Yong yang menjadi rakan kongsi saya sejak tahun 2004 telah melarikan diri pada Disember tahun lalu disebabkan hutang keliling pinggang.

"Saya kesal kerana dia turut meniru tanda tangan saya dan menandatangani ketiga-tiga cek bernilai RM360,000 untuk membuat pinjaman dengan ah long," katanya selepas membuat aduan kepada Ketua Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong di sini semalam.

220kg abu al-Quran dibuang ke laut

Posted: 05 Apr 2012 06:12 PM PDT


MUHAMMAD RAMLI (kanan depan) bersama kakitangan JHEAT membuang abu al-Quran ke laut ketika melupuskan naskhah ayat suci berkenaan di perairan Pulau Kapas, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Lebih 200 kilogram (kg) abu al-Quran dan bahan-bahan bercetak yang mengandungi teks ayat-ayat suci itu dibuang di tengah laut di sini semalam sebagai satu cara pelupusan naskhah suci tersebut.

Acara pelupusan itu dilakukan pada tepat pukul 10.37 pagi di perairan Kuala Terengganu yang terletak kira-kira sembilan batu nautika dari jeti Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur dekat sini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh berkata, pelupusan abu al-Quran itu dengan cara membuangnya ke tengah laut merupakan pendekatan terbaik untuk menjaga kesuciannya.

Menurut beliau, usaha tersebut telah dilakukan sejak empat tahun lalu oleh bahagian penyelidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) bermula dengan proses mengumpul al-Quran yang telah rosak dan salah cetak sehinggalah kepada proses membakar serta membuangnya ke laut.

"Kita biasa mendengar orang melupuskan al-Quran dengan cara menanamnya ke tanah selepas dibakar tetapi ramai yang tidak tahu bahawa melupuskan naskhah suci itu dengan membuangnya ke tengah laut adalah lebih baik," katanya selepas mengetuai rombongan JHEAT dan media pada acara pelupusan itu di sini semalam.

Suami dakwa isteri seorang lelaki

Posted: 05 Apr 2012 06:11 PM PDT


BAHROM yang curiga dengan status isteri, Sri Wani bawa kes ke mahkamah syariah.


KUALA LUMPUR - Terkejut dan tertipu! Itulah reaksi seorang bekas dekan sebuah universiti awam selepas menyedari isteri ketiga yang dinikahinya selama setahun di Songkhla, Thailand pada 19 Ogos 2009 rupa-rupanya seorang lelaki yang menyerupai wanita.

Curiga dengan status perkahwinan tersebut, Profesor Dr. Bahrom Sanugi, 61, bekas dekan Fakulti Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan membuat aduan ke Jabatan Agama Islam Gombak.

Semasa pernikahan ketiga berlangsung, Bahrom masih memegang jawatan dekan USIM.

Lanjutan aduan itu, pejabat agama pada 23 November 2010 mengarahkan Bahrom dan isterinya, Sri Wani Choo Abdullah, 37, seorang pengusaha butik kecantikan supaya berpisah sementara kerana berlaku keraguan mengenai pernikahan tersebut.

Pasangan itu juga difahamkan sempat mendapatkan sijil nikah palsu di Kedah sejurus mereka berkahwin di Songkhla untuk mengesahkan pernikahan tersebut.

Difahamkan, jabatan agama dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masih menyiasat mengenai status jantina Sri Wani.

Bagi segera menyelesaikan kemelut itu, Bahrom yang diwakili peguam syarie Muhammad Hafiz Ab. Rashid kemudian memfailkan permohonan faraq (memisahkan perkahwinan) di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini terhadap Sri Wani pada 17 Januari 2011.

Susulan itu, Bahrom membuat permohonan pada 18 Januari lalu supaya mahkamah mengeluarkan perintah supaya Sri Wani menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk menentukan jantina sebenar Sri Wani.

Drama cemas suami mahu kelar isteri

Posted: 05 Apr 2012 06:10 PM PDT

SAKDAWUT menghisap rokok sambil mengacukan pisau dekat leher isterinya di sebatang jalan raya di Bangkok semalam.


BANGKOK - Seorang lelaki, Sakdawut Hamsiri mengacukan pisau dekat leher isterinya dalam drama tebusan yang berlaku selama enam jam di Thailand.

Sakdawut yang bersenjatakan sebilah pisau menawan isterinya, Thawee Naiyanit di sebatang jalan raya di sini semalam.

Lelaki berusia 30 tahun itu nekad menjadikan wanita berkenaan sebagai tebusan dan berulang kali menolak permintaan polis supaya mangsa tersebut dibebaskan.

Insiden tersebut hanya berakhir apabila polis menggunakan pistol renjatan elektrik terhadapnya.

Dia ditangkap dan dibawa ke sebuah balai polis untuk disoal siasat selepas rebah terkena renjatan itu.

Polis kemudian memberitahu, Sakdawut berada di bawah pengaruh dadah ketika insiden tersebut berlaku.

Warga asing beri keterangan

Posted: 05 Apr 2012 06:09 PM PDT


MCCARTNEY menunjukkan bekas kecederaannya untuk dilihat oleh panel hakim di sebuah mahkamah di Jakarta semalam.


JAKARTA - Empat warganegara asing yang menjadi mangsa serangan bom di Bali pada 2002 telah memberi keterangan di sebuah mahkamah di sini semalam.

Mereka memberikan keterangan dalam perbicaraan seorang militan Indonesia, Umar Patek yang dituduh menghasilkan bom kereta untuk melakukan serangan tersebut.

Keempat-empat warga asing iatu ialah Jason McCartney, Peter Hughes dan Anstee Stuart dari Australia manakala seorang lagi warga Amerika Syarikat (AS), Steven William Cabler.

Mereka memberitahu mahkamah itu tentang bom kereta itu dan pengebom yang memusnahkan dua buah kelab malam.

Umar, 45, bakal menghadapi hukuman mati jika dia didapati bersalah berhubung pelbagai tuduhan berkaitan keganasan termasuk serangan bom di Bali.

Dalam kejadian itu, seramai 202 orang terbunuh, kebanyakannya warga asing.

Serbuk tanduk sumbu popular di Vietnam

Posted: 05 Apr 2012 06:08 PM PDT


TANGAN Giang menenyeh-nenyeh tanduk badak sumbu pada pinggang seramik.


HANOI, Vietnam - Seorang wanita, Nguyen Huong Giang gemar berparti tetapi dia benci kesan alkohol yang menyebabkan kepalanya berasa sakit.

Bagi menghilangkan kesakitannya, dia menenyeh-nenyeh tanduk badak sumbu di atas permukaan pinggan seramik sehingga menjadi serbuk dan meminum ramuan itu bersama air.

Giang memiliki tanduk berwarna coklat sepanjang 10 sentimeter itu yang diberikan oleh bapanya.

Ia dipercayai dapat menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk sakit kepala dan kanser.

"Saya tidak tahu harga sebenar tanduk ini," kata Giang, 24, selepas menunjukkan tanduk badak sumbu itu di apartmennya di sini.

"Saya cuma tahu ia mahal," tambahnya.

Tanduk badak sumbu terdiri daripada keratin, bahan protein yang turut ditemui dalam rambut dan kuku manusia.

Beberapa pakar menyatakan sebahagian tanduk badak sumbu yang dijual di Vietnam didapati palsu.

Giang meminum serbuk tanduk badak sumbu bersama air apabila dia mengalami alahan atau selepas mengambil terlalu banyak minuman keras.

Serbuk berkenaan popular dalam kalangan penduduk di Vietnam.

Seorang penjual ubat tradisional memberitahu bahawa setiap paket serbuk tanduk badak sumbu dijual pada harga 200,000 dong (RM30.65) di Vietnam.

Beberapa pegawai Amerika Syarikat pula menyatakan serbuk itu berharga sekitar AS$55,000 (RM168,575) bagi setiap satu kilogram di Asia sekali gus menjadikan ia lebih mahal daripada kokain.

Saintis Jepun cipta sut robot

Posted: 05 Apr 2012 06:07 PM PDT


SEORANG pekerja Cyberdyne mengangkat beg jerami yang mengandungi beras seberat 65 kilogram di sebuah pejabat di Niigata semalam.


NIIGATA - Seorang saintis Jepun telah mencipta sut robot yang boleh membantu pemakainya mengangkat beban berat.

Sut robot berkenaan yang dikenali sebagai Tangan Bantuan Hibrid (HAL) dihasilkan oleh seorang saintis Universiti Tsukuba, Profesor Yoshiyuki Sankai yang juga presiden syarikat Cyberdyne.

Keupayaan sut HAL terbukti apabila seorang pekerja Cyberdyne dapat mengangkat beg jerami yang mengandungi beras seberat 65 kilogram dengan mudah pada satu sesi demonstrasi di sini semalam.

Sut berkenaan yang bercantum dengan tangan robot akan diuji di beberapa buah hospital dan rumah orang tua di sini pada Jun depan.

Masa depan pelancongan samar

Posted: 05 Apr 2012 06:05 PM PDT



PERTAMA kali menjejak kaki ke Hatyai, Thailand pada tahun 2009, Randy Anak Daraman mahu melihat dengan mata sendiri keunikan bandar itu. Dengan tambang van berharga RM70, perjalanan sejauh 284 kilometer dari Komtar, Pulau Pinang bagai tidak terasa.

Perkara pertama yang bermain dalam mindanya sebaik menjejak kaki di Hatyai ialah bandar tersebut tidak begitu menarik seperti yang dikatakan.

Bangunan yang lusuh dibina rapat antara satu sama lain dengan kepadatan penduduk yang tinggi. Menurut mereka yang kerap ke sana, itu adalah pemandangan biasa bandar-bandar Thailand dengan kabel berselirat pada tiang elektrik.

Berbanding Jogjakarta, di Indonesia yang terkenal dengan Candi Prambanan dan Borobodur manakala di Angkor Wat di Kemboja, tiada tempat-tempat menarik atau kesan arkeologi yang boleh dinikmati di Hatyai.

Tetapi banyak aktiviti pelancongan yang boleh dilakukan seperti membeli-belah terutama di pusat bandar yang menempatkan hotel bertaraf lima bintang, Hotel Plaza Lee Garden.

"Barang jualan seperti seluar jean cetak rompak berkualiti gred A boleh dibeli pada harga lebih kurang RM50 berbanding di Kuala Lumpur yang mencecah RM190 sehelai.

"Baju T pula boleh didapati pada harga RM5 selepas proses tawar-menawar," kata lelaki yang berumur 24 tahun itu.

Berhadapan Hotel Plaza Lee Garden, terdapat sebuah kompleks beli-belah yang memiliki sebuah aras menempatkan penjaja barang-barang kraf tangan.

Makanan juga bukan satu masalah bagi pengunjung Malaysia yang beragama Islam kerana terdapat banyak restoran menjual makanan halal malah, gerai-gerai di bahu jalan tidak perlu diragui statusnya.

Bahasa pertuturan yang digunakan oleh rata-rata peniaga mudah difahami kerana mereka menggunakan bahasa Melayu dialek Kelantan dengan intonasi Thailand.

Paling menarik, kata Randy, makanan signatur Thailand, pulut mangga boleh dibeli pada harga murah iaitu RM2 semangkuk dan rasanya lebih sedap. Barangkali, kelainannya terletak pada jenis pulut yang digunakan.

"Selain pelancong mat saleh, ramai rakyat Malaysia dan Singapura melancong ke sana. Kadang-kadang terdengar perbualan dalam bahasa Melayu ketika bersiar-siar di kompleks beli-belah," ujar Randy menceritakan pengalamannya ke Hatyai.

Hujung minggu lalu, dunia dikejutkan dengan berita pengeboman di tempat yang menjadi tumpuan para pelancong yang pernah dilawati Randy iaitu Hotel Plaza Lee Garden dan kawasan beli-belah sekitarnya.

Siri serangan

Menurut ketua polis daerah, Kolonial Kritsada Kaewchandee, bom pertama meledak selepas sebuah trak pikap yang diletakkan bahan letupan meletup di kawasan yang sibuk dengan restoran dan pusat beli-belah di bandar Yala.

Selang 20 minit kemudian ketika orang ramai berkumpul di tempat kejadian, berlaku satu lagi letupan daripada sebuah kereta berdekatan hotel mengakibatkan tiga orang terkorban dan 230 orang cedera.

"Serangan kali ini adalah yang paling teruk dalam masa beberapa tahun kebelakangan. Pemberontak yang disyaki menyasarkan nyawa manusia.

"Mereka memilih kawasan komersial yang sibuk," kata jurucakap agensi keselamatan serantau, Kolonial Pramote Promin.

Dalam kejadian terbaharu itu, seramai 14 orang terbunuh dan mencederakan 340 orang. Sejak pemberontakan selatan Thailand tercetus pada Januari 2004, lebih kurang 5,000 orang telah terbunuh di tiga wilayah selatan Thai iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala.

Kebanyakan serangan adalah dalam bentuk pengeboman berskala kecil atau tembakan yang menyasarkan kepada askar, polis atau individu yang mewakili pihak berkuasa.


SEBANYAK tiga siri serangan bom berlaku di selatan Thailand pada hujung minggu lalu.


Menurut Ketua Polis daerah Songkhla, Leftenan Jeneral Jakthip Chaijinda, insiden yang berlaku di Hatyai mempunyai kaitan dengan apa yang berlaku di Yala.

Pihak berkuasa tidak menolak terdapat kebarangkalian kedua-dua kejadian dirancang oleh kumpulan pemberontak yang sama.

Letupan kecil

Hotel Plaza Lee Garden yang menjadi tumpuan pelancong asing itu bukan kali pertama menjadi sasaran pengebom, seramai empat orang termasuk seorang berbangsa Kanada terbunuh dalam enam letupan berbeza yang dipasang pada bahu jalan pada tahun 2006.

Serangan bom pada hari Sabtu itu dikejutkan sekali lagi apabila sebuah letupan berlaku di balai polis tempatan di Pattani, daerah Mae Lan dan mencederakan seorang pegawai polis.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak polis, Kolonial Tharet Kaewla-eiad, mereka yang disyaki terlibat telah meletakkan sebuah motosikal mengandungi bahan letupan di kawasan lebih kurang 50 meter daripada tempat kejadian.

Susulan darpada kejadian tersebut, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra mengarahkan polis dan tentera meningkatkan langkah-langkah keselamatan di Hatyai terutama apabila Festival Songkran bakal diadakan pada antara 11 hingga 13 April ini.

Bidang pelancongan amat penting dalam menjana ekonomi Thailand. Tidak mungkin pihak kerajaan akan memanjangkan tempoh situasi kecemasan di ketiga-tiga wilayah selatan.

Sebelum ini, dalam kenyataan Pengerusi Kesatuan Perniagaan Pelancongan Songkhla, Surapol Kampalanonwat, dia menjangkakan sebanyak Baht120 juta (RM11.83 juta) transaksi wang akan berlaku sepanjang musim cuti kali ini.

Pihaknya turut menjangkakan festival sempena kedatangan tahun baru Thai kali ini dapat menarik pelancong seramai 25,000 orang, lebih ramai berbanding tahun lalu.


KEDUDUKAN Hatyai yang dekat dengan Malaysia dan menawarkan hiburan murah mendorong rakyat negara ini ke sana.


Dalam laporan media tempatan, The Nation, Perbadanan Pelancongan Thailand (TAT) mengakui kejadian yang berlaku itu akan memberi sentimen buruk kepada pelancong dalam tempoh singkat.

Namun, TAT turut membuat jangkaan ia tidak akan mengancam industri itu dalam jangka masa panjang dan seterusnya mengekalkan status sebagai peneraju destinasi pelancongan yang telah menarik lebih kurang 20 juta orang pelancong asing pada tahun lalu.

Timbalan Pengarah TAT, Arnupap Gaesornsuwan dipetik sebagai berkata, jika tiada sebarang ulangan keganasan yang sama berlaku pada hujung minggu lalu, dia percaya tidak ada impak pada acara Songkran nanti.

Pandangan positif itu termasuklah dengan bilangan kemasukan pelancong asing kerana keyakinan mereka terhadap Thailand sebagai tempat yang selamat untuk dilawati masih utuh.

Bagaimanapun, organisasi yang mewakili sektor swasta seperti Persekutuan Industri Thai, Lembaga Perdagangan Thailand dan Persatuan Bank-Bank Thai menggesa pihak kerajaan supaya menyelesaikan isu selatan Thailand secepat mungkin kerana kejadian seperti serangan bom boleh mempengaruhi sentimen pelaburan di negara itu.

Ketua Konsultan Dewan Perniagaan Songkhla, Boonchuay Changsirivathana-thamrong berkata, serangan bom pada Sabtu lalu telah memberi kesan buruk pada industri pelancongan di wilayah terbabit.

Ujarnya, sebanyak 60 peratus bilik-bilik penginapan yang ditempah bagi meraikan Festival Songkran telah dibatalkan pada saat-saat akhir.

"Pada tahun ini dijangka jumlah pelancong asing akan menyusut lebih kurang separuh berbanding tahun lalu terutama dari Malaysia," ujarnya dalam laporan media yang sama.

Bilangan pelancong asing yang memasuki negara tersebut melalui daerah Sadao, Songkhla menurun sebanyak 1,212 orang pada hari Ahad berbanding pada hari sebelumnya iaitu seramai 11,316 orang (pelancong tempatan dan asing),

Pada hari yang sama, seramai 10,104 orang telah melepasi kaunter imigresen dengan hanya 3,978 pelancong asing masuk manakala 4,368 orang keluar.

Dilanda banjir

Salah seorang rakyat Malaysia yang pernah ke Hatyai, Muhammad Zainal Abidin Zainun, 23, berpendapat wilayah itu pasti kembali menjadi tarikan pelancong.

Dia pernah ke sana pada November 2010 iaitu sebaik sahaja bandar pelancongan tersebut mula pulih selepas dilanda banjir.

Suasana bandar tersebut sangat kotor dengan lumpur manakala orang ramai sedang sibuk mengeringkan barang-barang jualan seperti baju dan seluar.

Hampir tiada aktiviti perniagaan dijalankan, tetapi di sebuah bahagian yang terletak jauh sedikit daripada pusat bandar yang menempatkan Hotel Plaza Lee Garden terdapat daerah khas untuk operasi kelab malam.

"Di situ terdapat lebih kurang empat hingga lima buah kelab malam yang besar dibuka dengan tiada sebarang bayaran masuk," katanya kepada Kosmo!

Menurut Muhammad Zainal, kegiatan pelacur di sana sangat terbuka dan murah. Malah, dia turut dipelawa untuk melanggan pelacur ketika menaiki pengangkutan awam, tut-tut oleh pemandunya.

Dia menyifatkan Hatyai adalah lokasi yang tepat untuk merasai suasana kota raya Bangkok seperti menaiki tut-tut dan membeli-belah cuma ia berkeluasan kecil serta dekat dengan Malaysia.

Rekaan tepati kehendak syariah

Posted: 05 Apr 2012 06:04 PM PDT



MENGENALI peribadi usahawan wanita pemilik Butik Women 2 Women (W2W), Yasmin Sidek, banyak perkara menarik yang dikongsi bersama terutama mengenai konsep sebenar busana muslimah.

Wanita berusia 50 tahun ini ternyata mempunyai matlamat yang tersendiri apabila berniat melibatkan diri dalam dunia perniagaan sejak tahun 1992 melalui pengeluaran pakaian muslim dengan jenama LeCouture Musulman yang bermaksud Muslim dalam bahasa Inggeris kuno.

Menurut Yasmin dalam menghasilkan sesuatu rekaan, dia berpegang teguh kepada falsafah Islam itu indah bila berpakaian dan setiap rekaan dipenuhi unsur-unsur kesederhanaan, bukan keterlaluan.

"Sebagai umat Islam, kita semua sedia maklum bahawa agama telah menggariskan panduan paling sempurna tentang batas-batas aurat bagi setiap lelaki dan wanita yang wajib ditaati.

"Secara jujurnya, saya sentiasa memastikan bahawa apa sahaja koleksi busana atau rekaan yang dihasilkan oleh butik W2W menepati kehendak syariah terutama menutup aurat dalam erti kata sebenar.


SELAIN pakaian, Butik W2W juga mempunyai koleksi tudung bawal ekslusif sulaman tangan.


"Namun, ia bukan menghalang kami menyediakan rekaan yang mengikut trend dan menepati cita rasa wanita muslimah yang mahu tampil anggun tetapi sopan," ujar Yasmin ketika ditemui Kosmo! di butiknya yang terletak di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Trend pakaian

Bagaimanapun, apabila menyentuh tentang gaya fesyen wanita moden masa kini, Yasmin secara peribadi turut melahirkan rasa kecewa dan terkilan apabila melihat trend pemakaian mereka.

Jelasnya, rata-rata wanita Islam memandang remeh perkara melibatkan pemakaian menutup aurat yang menepati kehendak syariah.

"Maaf jika pandangan saya kurang digemari, tetapi itulah hakikatnya. Ada yang memakai tudung tetapi pakaian yang tersarung di badan terlalu ketat hingga menampakkan susuk tubuh. Ada yang elok memakai baju labuh, namun ia dipadankan pula dengan seluar ketat atau legging yang semakin popular ketika ini.

"Bahkan, ada juga yang hanya memakai t-shirt lengan pendek tetapi pada masa yang sama mengenakan tudung. Semua ini ternyata bukan konsep menutup aurat yang menepati kehendak syariah. Secara tidak langsung, ia boleh membuatkan penganut agama lain salah faham tentang istilah menutup aurat yang dituntut dalam Islam," luah wanita ini panjang lebar.


YASMIN mahu mendidik masyarakat supaya memahami konsep menutup aurat dalam erti kata sebenar.


Beroperasi di Seksyen 9, Shah Alam, Butik W2W menawarkan pelbagai koleksi rekaan yang terdiri daripada sut korporat untuk ke pejabat, kasual serta pakaian sukan untuk wanita.

Bagi sut korporat, koleksi tersebut menawarkan pilihan warna seperti hitam, kelabu, putih, biru dan merah jambu. Ia juga direka berkonsepkan dres wanita Muslim Eropah yang longgar dan labuh.

Tambah Yasmin, ketinggian tekstil Islam perlu dijaga dalam semua aspek termasuklah kejarangan fabrik, corak, warna dan rekaan sesuatu pakaian. Sehubungan itu, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menghasilkan rekaan yang mengambil kira aspek-aspek tersebut.

"Sebagai wanita muslim, kita wajib menjaga sahsiah diri. Justeru, biarlah cara kita berpakaian dikagumi dan dihormati setiap yang memandang.

"Apa yang lebih penting, setiap pereka perlu ingat bahawa rekaan busana muslimah harus berpaksikan pada agama, bukan pada kemasyhuran semata-mata kerana Islam tidak pernah meletakkan godaan dalam berpakaian," luah Yasmin dengan matlamat untuk mendidik generasi muda supaya memahami istilah menutup aurat dalam erti kata yang sebenarnya.


KOLEKSI beg tangan menarik turut dipamerkan di satu sudut Butik W2W untuk dijual.


Tegas Yasmin, falsafah berpakaian sebagai wanita Islam meletakkan keindahan pakaian bukan dilihat pada ukuran bentuk badan tetapi pada fabrik, rekaan serta hasil kerja tangan yang halus seperti sulaman dan jahitan.

"Dalam menghasilkan sesuatu rekaan, saya akan pastikan falsafah Islam seperti tidak membazir dan berjimat dipatuhi kerana mengikut sunah Rasulullah SAW. Ia juga secara tidak langsung menerapkan konsep zuhud dan mentarbiahkan diri bahawa walaupun betapa hebatnya kita dengan pakaian yang dimiliki, tetapi kita tetap kerdil di sisi Allah SWT," ungkapnya penuh makna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu