Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Bibit-bibit hitam Zara Zya
- Nora nafi beli barangan hantaran kahwin
- 100 buah lagu tunggu masa
- Natasha Elyzza idam watak antagonis
- Rakyat terkejut lihat kekayaan Presiden Ukraine
- Sejam bertarung tangkap buaya
- Penyakit ganjil belum ada penawar
- Kualiti kelas pertama Mango Mojito
- Lapan herba penawar cantik
- Bersatu di 'Medan' Pameran
| Posted: 23 Feb 2014 06:29 PM PST
JIKA hendak dibandingkan hayatnya dalam bidang lakonan dengan pencapaian yang digenggam setakat ini, pelakon genit, Zara Zya, 29, bukanlah seorang selebriti yang berpeluang mengecap nikmat populariti secara mendadak. Segala pengiktirafan yang diterima setakat ini membuktikan bahawa kehadirannya dalam industri adalah serius dan bukan bersifat sementara. Namun, perjalanan tuan empunya nama, Zainurul Razia Mohd. Zainuddin dalam dunia lakonan bukanlah semudah yang dijangka. Sepanjang tempoh sepuluh tahun bergelumang dalam bidang itu, aktres yang berasal dari Lenggong, Perak ini pernah melalui bibit-bibit hitam apabila ada sebilangan manusia yang bersifat keji cuba untuk mengambil kesempatan ke atas dirinya. "Saya masih ingat dengan jelas. Sewaktu mula-mula menceburkan diri dalam dunia lakonan, saya pernah diajak beberapa kali ke pusat hiburan karaoke untuk tujuan berhibur oleh orang-orang penting dalam industri. Sebagai balasan, mereka akan menawarkan saya peluang untuk berlakon. "Ketika itu, saya berasa sungguh terkejut. Tindakan seperti itu sedikit sebanyak membuatkan saya mempunyai tanggapan yang negatif terhadap orang-orang dalam industri hiburan. "Alhamdulillah, saya tidak terjerumus ke kancah tidak bermoral itu. Sejak peristiwa itu, saya nekad untuk terus positif dan terus mencuba untuk memperbaiki diri sebagai seorang pelakon," ujar Zara ketika ditemui pada majlis ramah mesra Rawk & Bowl bersama kelab peminatnya, LoveZaraZyaFC di Ampang Superbowl, Ampang Point, Ampang, Selangor, semalam. Dunia lakonan filem Bercakap mengenai mutu lakonannya setelah namanya mula meniti di bibir peminat, pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri I Love You Mr. Arrogant untuk watak Zaraa Amirah ini berkata, dia lebih gemar melakonkan watak yang bertentangan dengan personalitinya yang normal. "Menerusi watak Zaraa Amirah, karakter yang saya mainkan merupakan seorang wanita yang lemah lembut. Itu mungkin mencerminkan diri saya yang sebenar. Tetapi dalam drama Puteri Malam, watak Puteri pula digambarkan sebagai seorang wanita yang hilang pedoman hidup. Watak seperti itu lebih menampakkan sisi berbeza saya. POPULAR. Zara meluangkan masa bermain boling bersama ahli-ahli kelab peminatnya, LoveZaraZyaFC di Ampang Point, Ampang, Selangor semalam. "Justeru, saya amat suka jika peminat dapat meneliti dan membandingkan mutu lakonan saya antara dua drama tersebut. Jika mereka boleh menerima lakonan saya menerusi watak Puteri, maka, saya sudah mencapai satu tahap yang lebih tinggi dalam kerjaya saya," ujarnya. Ketika ditanya mengenai peluangnya dalam dunia lakonan filem, ujar Zara , dia tidak mahu terburu-buru mengambil sebarang tawaran jika dia sendiri masih tidak bersedia. "Saya ada juga ditawarkan untuk berlakon filem. Akibat kekangan masa dan jadual lakonan drama yang padat, saya terpaksa menolak tawaran tersebut. Saya tidak boleh menerima banyak tawaran dalam satu-satu masa. Susah mahu fokus," jelasnya sambil ketawa. Hargai peminat Tanpa sokongan padu daripada para peminat, kehadiran anak seni serta kerja keras yang cuba ditonjolkan mungkin tidak bermakna. Bagi Zara, dia amat beruntung kerana peminatnya tidak pernah putus-putus menyokong kerjayanya sebagai seorang pelakon. "Saya akui, sokongan peminat sangat penting dalam perkembangan kerjaya seseorang artis.Lebih-lebih lagi apabila mereka sanggup berusaha dengan gigih untuk membantu saya merangkul mana-mana anugerah yang memerlukan undian daripada para peminat," ujarnya yang tercalon dalam Anugerah Bintang Popular (ABP) menerusi kategori Artis Baharu Popular. Kelmarin, pada penganjuran Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, Zara dan hero I Love You Mr. Arrogant , Azlee Khairi diumumkan sebagai pemenang kategori Pasangan Hero & Heroin Pilihan, sementara I Love You Mr. Arrogant pula dinobatkan sebagai pemenang kategori Drama Pilihan. Dalam pada itu, Presiden LoveZaraZyaFC, Noor Haslinda Shaharudin, 34, berkata, dia mula memasang niat untuk membangunkan kelab peminat untuk Zara sewaktu mula-mula menonton lakonannya menerusi I Love You Mr. Arrogant. "Karakter Zara dalam drama tersebut sungguh bersahaja dan dia sangat rajin melayan peminat. Disebabkan itu, saya terus bercadang untuk menubuhkan kelab peminat rasmi untuknya," jelasnya. | |||
| Nora nafi beli barangan hantaran kahwin Posted: 23 Feb 2014 06:28 PM PST
PERNAH timbul desas-desus mendakwa pelakon sensasi, Nora Danish sudah bersiap-sedia untuk melangsungkan majlis perkahwinannya dengan teman rapatnya, Nedim Nazri. Cerita itu tersebar apabila Nora dan Nedim didakwa sudah membeli barang hantaran menjelang hari bahagia mereka lewat bulan lalu. Nora, 31, bagaimanapun menyangkal dakwaan itu dan memberitahu, dia masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat. Bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut berhubung khabar angin terbabit, ikuti temu bual Kosmo! bersama Nora yang ditemui pada majlis doa selamat dan pelancaran filem Hantu Bungkus Ikat Tepi di Wisma Metrowealth, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Kosmo!: Benarkah khabar angin yang mendakwa Nora dan Nedim sudah membeli barang-barang hantaran untuk perkahwinan kalian? NORA DANISH: Mana ada saya membeli barangan hantaran (ketawa). Kalau saya berkahwin pun, rasanya, saya tidak perlukan barang hantaran. Memandangkan saya sudah ada pengalaman, jadi perkahwinan kali kedua ini akan berlangsung dalam suasana yang sangat sederhana sahaja. Sederhana yang bagaimana? Sudi Nora jelaskan serba sedikit? Mungkin saya akan bernikah dahulu dalam majlis yang kecil, dan selepas itu bercadang mahu bawa keluarga saya keluar negara untuk acara makan-makan. Sebenarnya, memang sudah lama saya mengimpikan untuk mengadakan majlis di tepi pantai. Tapi tidaklah jauh sangat, mungkin dekat-dekat saja sebab kena pertimbangkan tetamu yang akan turut serta nanti. Jika sudi dikongsikan bersama, di manakah lokasi impian Nora? Saya sukakan Bali, Indonesia. Rasanya tempat itu sudah menjadi seperti rumah kedua saya. Pernah saya ke sana semata-mata untuk makan dan pulang pada hari yang sama. Saya juga sukakan Phuket, Thailand tapi untuk majlis ini saya belum terfikir lagi. NORA dan Nedim terbuka untuk berkongsi aktiviti harian mereka bersama di laman Instagram masing-masing. Nora dan Nedim terbuka untuk berkongsi aktiviti harian kalian bersama di laman Instagram masing-masing. Tidak takutkah perkara itu akan mengundang pelbagai pertanyaan dan spekulasi memandangkan selama ini Nora hanya menyifatkan Nedim sebagai teman baik sahaja? Memang dari dahulu lagi saya sudah cakap, jika semuanya sudah pasti baru saya akan berkongsi. Perkahwinan merupakan perkara yang baik jadi saya tidak akan rahsiakan. Saya tidak takut jika keterbukaan saya ini akan menyebabkan hubungan saya terjejas atau apa (sahaja impaknya). Jujurnya, keinginan saya untuk berkongsi setiap momen itu mengatasi kata-kata mereka tentang saya. Khabarnya Nora juga baru pulang daripada bercuti baru-baru ini. Memang sudah dirancang atau ia percutian suka-suka? Sepatutnya bulan Februari dan Mac, jadual saya sudah penuh, tetapi kedua-dua syarikat produksi tersebut menangguhkan penggambaran. Jadi, memang saya rugi sebab untuk dua bulan ini saya sudah tidak terima mana-mana tawaran. Sebenarnya percutian ini tidak dirancang, tetapi memandangkan untuk bulan dua ini saya tidak buat apa-apa, jadi saya bercuti bersama keluarga. Saya ada pergi ke Bali (Indonesia) dan Sabah. Mujur Metrowealth menawarkan saya untuk berlakon dalam filem Hantu Bungkus Ikat Tepi. Apabila timbul salah faham berhubung jadual penggambaran hingga merugikan pihak Nora, apakah langkah yang akan dipertimbangkan selanjutnya? Saya belajar daripada kesilapan. Sekarang saya sudah merasai apa yang pernah dirasa oleh pelakon lain sebelum ini. Tapi saya bersikap profesional dan tidak akan menolak sekiranya ada tawaran untuk bekerjasama lagi dengan produksi berkenaan selepas ini. Memang rugi sebab berlakon merupakan sumber pendapatan saya. Cuma mungkin selepas ini saya akan lebih berhati-hati. | |||
| Posted: 23 Feb 2014 06:25 PM PST BERCAKAP tentang karisma, barangkali itu yang dipunyai oleh penyanyi kelahiran Filipina yang menggunakan nama pentas Mark Adam. Langkah Mark atau nama sebenarnya Fikri Mark Adam, 34, tidak mudah kerana pada awalnya ramai tidak menyedari kehadiran penyanyi lelaki kacak itu. Single Sampai Nanti milik Mark yang dicipta oleh DJ Cza pada tahun 2012 bukti percubaan Mark untuk menembusi pasaran tempatan tidak berhasil. Bangkit kembali menerusi pertaruhan single keduanya berjudul Pencuri sekitar pertengahan tahun lalu, Mark membuka mata banyak pihak. Kemudian, dia menyusuri arus perdana, diangkat untuk menjadi pembuka beberapa acara berprestij tempatan dan menyerikan beberapa majlis besar menerusi lagu Pencuri, Mark kini meletakkan lagu baharunya, Si Katak untuk dinilai pendengar. Si Katak Si Katak mempunyai rentak yang mesra telinga dan lirik unik, yang sebenarnya hampir sama dengan lagu Pencuri. Begitu juga susur galur penciptaan lagu itu yang asalnya daripada lagu berbahasa Inggeris. "Lagu ini asalnya daripada lagu Pimples iaitu sebuah lagu yang dicipta dan ditulis dalam bahasa Inggeris, kemudian DJ Fuzz menyusun kembali melodinya dan lirik pula ditukar dalam bahasa Malaysia oleh Adeeb Nahar, manakala judulnya diubah menjadi Si Katak. "Jelas sekali kedua-dua judul itu mempunyai makna yang berbeza. Pimples menceritakan keadaan seorang gadis yang sudah bersedia untuk bertemu dengan jejaka idamannya setelah sekian lama memendam rasa. "Sementara Si Katak pula mengisahkan situasi seorang jejaka yang tidak yakin untuk berjumpa dengan gadis yang dicintainya kerana merasakan dia tidak kacak," ujarnya ketika sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pimples dicipta oleh Mark pada bulan Oktober tahun lalu setelah menyimpan lagu itu beberapa tahun sebelum berkahwin dengan isterinya pada 2003. "Lagu ini banyak menceritakan tentang kehidupan saya suatu ketika dulu dan bersangkut-paut dengan hubungan saya dan isteri. "Saya fikir setiap individu dalam dunia ini yang bercinta kadang-kala merasakan perasaan yang sama seperti saya. Jadi saya luahkan menerusi lagu dengan harapan orang lain pun dapat merasainya," katanya. Sebelum dialih bahasa, Pimples terlebih dahulu telah berjaya menembusi pasaran muzik Filipina apabila lagu itu disenaraikan antara lagu popular di MTV Asia 2013 dan sering diputarkan di negara kelahiran Mark itu. Sebutan Bercerita lebih lanjut mengenai koleksi lagu yang ditulis dan dicipta sendiri oleh Mark, guru vokal The Singing Shop itu memberitahu dia kini memiliki lebih 100 buah lagu yang disimpan sejak zaman remaja hingga sekarang. "100 buah lagu itu menunggu masa untuk dirakamkan dalam format studio. Setiap kali saya mempunyai idea untuk menulis atau berkarya, saya akan merakamkan lagu saya menerusi telefon saja. "Ia kemudian disimpan dalam bentuk digital, mana tahu suatu masa nanti boleh dipakai. Biasanya lagu-lagu yang saya cipta menceritakan mengenai kehidupan dan pengalaman saya sehari-hari. "Kadang-kadang kalau selalu berimaginasi pun boleh timbul idea untuk mencipta lagu," tambahnya. Selepas meninggalkan tanah airnya, Pulau Cebu, Filipina, untuk berhijrah ke Malaysia lebih 13 tahun lalu, Mark mengakui dia masih mempunyai masalah untuk bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih. "Guru saya adalah isteri saya. Selama ini saya tidak pernah mengikuti mana-mana kelas vokal. Malah sampai sekarang saya ada masalah untuk menyebut beberapa perkataan bahasa Melayu. "Paling sukar adalah untuk saya menyebut perkataan 'melekat' dalam lagu Pencuri. Walau diajar berulang-ulang kali pun memang susah untuk saya sebut perkataan itu," jelasnya.
Rosakkan lagu Bernaung di bawah syarikat rakaman Mixology Music yang dikelolakan oleh DJ Fuzz, Mark tidak merasakan kehadirannya dalam industri hiburan Malaysia berada dalam tahap selesa. Katanya, dia masih cuba untuk menyesuaikan diri dalam pasaran muzik arus perdana dan berusaha untuk menempatkan diri sebaris penyanyi popular lain. "Saya fikir, barangkali kalau saya bukan orang luar, mungkin saya tidak terlalu diberi perhatian. Namun, saya tidak pernah menggunakan kelebihan itu sebagai alat untuk meraih populariti. "Alhamdulillah, rezeki saya kini cukup untuk membuatkan hidup saya lebih selesa berbanding sebelum ini. Masih banyak yang perlu saya lakukan untuk masyarakat menerima genre muzik saya dan diri saya sendiri," kata Mark yang memperjuangkan genre pop alternatif. Lagu Pencuri yang banyak dinyanyikan semula oleh pelayar di laman sosial seperti YouTube bagaimanapun melihatkan satu perkembangan positif kepada karier Mark. "Saya tidak kisah kalau lagu Pencuri dinyanyikan semula dalam pelbagai versi malah ada macam-macam video yang dimuat naik di YouTube sangat melucukan. "Hal ini membuktikan lagu itu berjaya sampai ke telinga pendengar dan mereka menerimanya, ini satu perkembangan yang positif. Mereka tidak merosakkan lagu saya pun," jelasnya yang menggemari sepotong video nyanyian dua orang kanak-kanak sambil bermain ukulele. Mark kini dalam rangka promosi single terbaharunya bersama Ainan Tasneem dan Juzzthin berjudul Malunya. Lagu itu dicipta oleh DJ Fuzz dan Mark sendiri serta liriknya ditulis oleh Adeep Nahar. | |||
| Natasha Elyzza idam watak antagonis Posted: 23 Feb 2014 06:23 PM PST
MINAT yang mendalam terhadap bidang lakonan mendorong pendatang baharu, Natasha Elyzza atau lebih mesra disapa Tasha untuk berkecimpung dalam bidang lakonan seawal umur 20 tahun. Mula dikenali melalui drama Duri Di Hati yang pernah disiarkan menerusi slot Azalea di TV3 tidak lama dahulu, dia merasakan dirinya terlalu mentah dan masih banyak yang perlu dia pelajari untuk menjadi seorang anak seni dalam industri hiburan yang serba mencabar ini. Gadis kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu berkata, buat masa sekarang, dia tidak pernah memilih watak sekiranya diberi tawaran berlakon daripada pihak produksi. Ini kerana setiap watak dapat memberinya pengalaman dalam membentuk dirinya lebih matang dan dikenali ramai. "Buat masa sekarang, saya menerima apa sahaja tawaran yang datang. Bagaimanapun jika diberi pilihan, saya teringin memegang watak yang mencabar seperti watak antagonis, psiko atau penggoda. "Saya lebih suka melakonkan watak antagonis disebabkan ia mencabar dan memerlukan lebih ekspresi. "Usaha itu dirasakan berbaloi apabila watak yang dimainkan dapat memberi kesan kepada penonton," ujarnya yang bercita-cita untuk menyambung pengajian dalam bidang lakonan. Kawan rapat Emma Maembong Bercerita mengenai permulaan penglibatannya dalam bidang lakonan, Tasha berkata, pelakon genit, Emma Maembong merupakan salah seorang yang bertanggungjawab membawanya ke dunia lakonan. "Ketika kami mula berjinak-jinak dengan bidang lakonan setahun lalu sebagai pelakon tambahan, Emma masih belum terkenal seperti sekarang. "Tidak lama selepas mengenalinya, rezeki dalam bidang lakonan lebih memihak kepada Emma yang terus mencipta populariti menempa nama dalam bidang lakonan "Sejak Emma aktif berlakon, sesekali dia memperkenalkan saya kepada beberapa syarikat produksi untuk sesi uji bakat. Alhamdulillah, setakat ini bakat saya diterima untuk mengisi watak pembantu," katanya.
Projek Memikat Suami Mengulas mengenai pengalaman berlakonnya, Tasha berkata, sebagai pelakon tambahan drama Projek Memikat Suami, banyak mengajar dirinya memperbaiki mutu lakonannya. "Kru produksi banyak membantu saya dalam memberi pandangan dan nasihat sepanjang sesi penggambaran. Peluang untuk berlakon dengan dua bintang muda yang popular pada masa kini seperti Emma Maembong dan Aiman Hakim Ridza membuatkan saya tidak kekok setiap kali di set penggambaran. "Pengalaman sebegini yang saya kumpul sedikit demi sedikit untuk membaiki diri dan mutu lakonan pada masa akan datang," ujarnya yang menjadikan pelakon sensasi, Nora Danish sebagai idolanya. Tidak ketinggalan bercerita mengenai perkembangan terbaharunya, ujar Tasha, dia sedang menunggu tawaran untuk menjayakan sebuah drama pada bulan Mac nanti. Dalam masa yang sama, dia juga mencuba nasib dalam bidang peragaan sebagai model. | |||
| Rakyat terkejut lihat kekayaan Presiden Ukraine Posted: 23 Feb 2014 06:20 PM PST
KIEV - Para penunjuk perasaan yang menceroboh kediaman Presiden Ukraine, Viktor Yanukovich terpegun dengan gaya hidup mewah pemimpin berkenaan selepas mendapati hartanah itu mempunyai sebuah zoo, berpuluh koleksi kereta antik dan sebuah kapal layar, lapor akhbar Daily Mail semalam. Kediaman Yanukovich yang terletak di Mezhyhirya kira-kira satu jam perjalanan dari Kiev diserbu para penunjuk perasaan selepas pasukan keselamatan meninggalkan hartanah tersebut. Yanukovich melarikan diri ke sebuah lokasi rahsia selepas kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan menawan bangunan Parlimen dan beberapa institusi pentadbiran sebagai usaha menubuhkan sebuah kerajaan sementara. Para penunjuk perasaan hampir tidak percaya apabila melihat hartanah berkeluasan 140 hektar itu yang lengkap dengan sebuah zoo, sebuah garaj kereta antik, sebuah kapal layar, rumah tetamu, pad pendaratan helikopter dan padang golf. Kediaman milik pemimpin itu juga dilengkapi dengan perhiasan mewah sedangkan rakyat negara berkenaan hanya mempunyai pendapatan purata kurang £300 (RM1,600) sebulan. "Kami tidak sangka Yanukovich semewah ini dan beliau juga sangat melampau kerana menggunakan wang rakyat yang miskin seperti kami dengan sewenang-wenangnya,'' kata seorang penunjuk perasaan, Serhiy Remezovsky. Krisis di Ukraine bermula selepas kerajaan pimpinan Yanukovich enggan menandatangani Perjanjian Hubungan Ukraine-Kesatuan Eropah pada November lalu kerana beliau lebih berminat menjalinkan hubungan dengan Rusia. Siri protes antikerajaan semakin memuncak apabila beribu-ribu penunjuk perasaan bertempur dengan pihak polis pada minggu lalu mengakibatkan hampir 100 orang terbunuh. Dalam perkembangan terbaru, Parlimen negara itu semalam memecat Yanukovich kerana didakwa bertanggungjawab dalam kejadian terburuk dalam sejarah negara itu. | |||
| Posted: 23 Feb 2014 06:16 PM PST AZRIN (kiri) bersama rakan-rakannya bergambar dengan buaya tembaga yang ditangkap di Kampung Muara Tuang, Kota Samarahan, Sarawak kelmarin. KOTA SAMARAHAN - Sekumpulan penduduk kampung bertarung hampir satu jam untuk menangkap seekor buaya tembaga yang bersembunyi di dalam sebuah parit sedalam satu meter di Kampung Muara Tuang di sini kelmarin. Seorang pemuda yang terlibat dalam usaha menangkap sang bedal yang sering menghantui penduduk kampung itu juga hampir dibaham kakinya oleh reptilia itu yang berubah agresif apabila mahu ditangkap. Kehadiran buaya sepanjang 2.5 meter di dalam parit yang terletak kira-kira 50 meter dari Sungai Samarahan itu disedari oleh seorang pemuda yang secara kebetulan melalui kawasan tersebut pada pukul 11 malam. | |||
| Penyakit ganjil belum ada penawar Posted: 23 Feb 2014 06:13 PM PST MELIHATNYA daripada pandangan mata kasar, kanak-kanak berusia enam tahun itu tidak jauh berbeza seperti anak-anak kecil yang lain. Dia bijak bertutur, suka bermain dan menggemari gula-gula. Namun, apabila diteliti cara adik Harithshah Hazim Mohd. Dali berjalan, terzahir kelainan pada dirinya dengan keadaan kedua-dua pahanya melengkung ke luar. Menurut ibunya, Dzalinah Alimat, 46, keadaan pelik Harithshah mula dikesan sejak enam bulan dalam kandungan. "Ketika itu saya membuat ujian ultrasound dan doktor memberitahu bayi dalam kandungan saya tidak normal kerana kedua-dua pahanya patah. Doktor turut bertanya jika saya pernah terjatuh, namun perkara itu tidak pernah berlaku sama sekali. "Sejak itu saya dinasihati membuat ujian ultrasound sekali setiap dua minggu," jelasnya ketika ditemui di kediamannya di Petaling Jaya. Tambah Dzalinah, beberapa bulan selepas dilahirkan, tulang paha Harithshah kembali elok, namun patah semula ketika berusia setahun lebih kerana dia terjatuh. Sebagai salah satu kaedah rawatan, kedua-dua kakinya dimasukkan besi untuk meluruskannya kembali. Ujarnya, doktor hanya mengesahkan anak bongsunya itu menghidap Osteogenesis imperfecta (OI) apabila Harithshah berusia setahun lebih. Patah tulang "Selepas tulangnya patah pada tahun 2009, doktor kerap membuat ujian darah saya dan suami, Mohd. Dali Ibrahim, 53. Selepas hampir dua tahun melakukan ujian asiddeoksiribunukleik (DNA), barulah kami sekeluarga diberitahu tentang penyakit tulang rapuh. "Ketika itu perasaan pilu menyelubungi hati saya. Apatah lagi mengenang penderitaan anak kecil saya dalam keadaan dua kakinya berbalut dan tergantung dengan penarik pemberat," katanya yang kini sudah terbiasa dengan bau hospital.
OI merupakan sejenis penyakit yang tergolong dalam kategori penyakit Penyakit Jarang Jumpa (PJJ). "Penyakit PJJ merupakan sejenis penyakit ganjil yang terjadi kepada seorang bayi dalam 4,000 kelahiran. Ia berlaku disebabkan dua faktor iaitu genetik atau faktor persekitaran. Dalam kes Harithshah penyakit yang dihidapinya berpunca daripada faktor genetik yang dibawa oleh ibu bapanya. "Sehinga kini belum ada penawar untuk OI dan pesakit hanya diberi suntikan pamidronate dengan dos yang sesuai," jelas Pakar Genetik Hospital Perubatan Universiti Malaya, Dr. Meow-Keong Thong ketika di temui di Hospital Perubatan Universiti Malaya. Pamidronate ialah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat tahap kalsium dalam darah. Ia turut membantu merawat keadaan tulang yang lembut dan memperlahankan kerosakan tulang. Menurut Dzalinah, Harithshah juga menerima satu suntikan pamidronate setiap bulan, sejak umurnya dua tahun bagi menguatkan tulangnya. "Harithshah berkongsi kuantiti 10 mililiter pamidronate dengan seorang lagi pesakit yang mengalami masalah tulang tidak kuat. Ini kerana suntikan yang diberikan mengikut kepada keperluan dan lebihan pamidronate tidak boleh disimpan. "Justeru, kos untuk sebotol pamidronate sekitar RM305," jelas suri rumah sepenuh masa itu yang menampung bayaran perubatan anaknya dengan bantuan wang zakat. Rendah pengetahuan Tambah Thong, ubat bagi merawati PJJ masih belum dapat dihasilkan oleh pakar-pakar makmal perubatan ekoran persepsi salah sesetengah pihak yang menganggap penyakit ini tidak perlu diutamakan dalam penyelidikan sains atau pembiayaan. Kekurangan maklumat saintifik didakwa telah membawa kepada kesulitan untuk merawat dan membantu mengurangkan kadar kematian serta meningkatkan kualiti kehidupan pesakit PJJ. "Kesulitan ini berlaku ekoran tahap kesedaran dan pengetahuan yang rendah dalam kalangan barisan profesional kesihatan. "Di samping itu orang ramai pula memberi kesan sosial dan stigma negatif terhadap pesakit PJJ seperti mendiskriminasi individu dan keluarga pesakit PJJ," jelasnya. KELUARGA Harithshah berharap agar kanak-kanak itu dapat diterima pihak sekolah sebagai murid biasa menjelang tahun depan. Dalam pada itu, selain OI, antara penyakit ganjil yang menyerang kanak-kanak ialah sindrom Hamamy. Memetik artikel daripada New York Daily, ahli-ahli sains dalam kajian Nature Genetics menyatakan, penyakit ini berlaku disebabkan mutasi dalam genetik tunggal yang menyebabkan seorang kanak-kanak dilahirkan dengan keadaan mata lebar, telinga besar, bahu senget, tulang rapuh dan ketidakupayaan menghasilkan air mata. Mutasi itu juga merupakan kecacatan pertama yang ditemui dalam pembawakan genetik tertentu oleh manusia. "Kami percaya bahawa penemuan ini dapat memberi penyelesaian baharu dalam terapeutik untuk penyakit-penyakit biasa seperti osteoporosis, penyakit jantung dan anemia yang menjejaskan berjuta-juta orang di seluruh dunia. "Hasil kajian ini juga menyediakan rangka kerja untuk memahami soalan evolusi yang menarik, seperti mengapa manusia daripada etnik berbeza mempunyai ciri-ciri wajah berbeza dan bagaimana ia tertanam dalam genom kita," kata Pengkaji Kanan Institut Biologi Perubatan, Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan di Singapura, Dr. Bruno Reversade. Mengulas lebih lanjut tentang keadaan Harithshah, Dzalinah berkata, selain masalah tulang kaki yang rapuh, gigi anaknya itu turut meruncing dan akhirnya gugur. Kini, doktor telah memasang sebatang gigi besi sebagai gigi geraham menggantikan gigi yang gugur. Turut menerima kesan keguguran gigi kanak-kanak ini ialah guru tadikanya, Azian Abdullah, 46. Menurut Azian, dia kurang memahami apa yang dituturkan oleh Harithshah, selain menyifatkan kanak-kanak itu seorang yang pintar. Baginya, anak istimewa itu tidak ada bezanya dengan rakan sebaya yang lain kerana dia mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan tidak mahu ketinggalan dalam melakukan aktiviti dalam kelas. "Walaupun baru dua bulan menjadi pelajar, saya melihat Harithshah seorang yang cepat menerima pembelajaran. Cuma, ada sesetengah perkataan yang dikatakannya tidak dapat saya fahami. "Selain itu, saya juga terpaksa mengawal aktiviti senaman dalam kelas ekoran bimbang keselamatan Harithshah. Jadi, saya akan menggantikan dengan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan tangan seperti melukis dan mewarna," jelasnya ketika dihubungi Kosmo!.
Azian mengakui, pada mulanya dia takut untuk menerima Haritshah sebagai pelajar kerana masalah kesihatan kanak-kanak itu dan hanya bersetuju selepas Dzalinah menawarkan diri mengawasi anaknya sepanjang tempoh pembelajaran. Masa depan Walaupun anaknya kini telah bersekolah, masalah sama masih membelenggu Dzalinah apabila memikirkan nasib Harithshah yang akan genap tujuh tahun pada tahun hadapan. "Saya bimbang guru di sekolah rendah enggan menerima anak saya kerana masalah ini. Saya memahami pertimbangan mereka, tetapi pada masa yang sama Harithshah juga berhak menerima pendidikan seperti kanak-kanak lain. "Saya sangat berharap orang ramai, terutama guru-guru dapat memberikan peluang dan sokongan, bukan sahaja kepada Harithshah, tetapi juga kepada kanak-kanak PJJ yang lain untuk menjadi sebahagian daripada pelajar yang berjaya," ujarnya yang memberitahu anaknya tidak pernah segan silu untuk ke hadapan dalam menuntut ilmu. Masalah berhubung pendidikan merupakan salah satu aspek cabaran dalam kehidupan pesakit PJJ yang turut dinyatakan dalam buku tulisan Thong, Rare Journeys of Love, selain isu psikososial dan masalah tumbesaran pengawasan kesihatan. Terdahulu, berdasarkan statistik Institusi Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat, terdapat kira-kira 6, 800 jenis penyakit ganjil, namun dengan nisbah yang sedikit. | |||
| Kualiti kelas pertama Mango Mojito Posted: 23 Feb 2014 06:12 PM PST VARIASI sepatu Mango Mojito sesuai untuk pelbagai gaya harian setiap lelaki. STAIL kasut dari Jepun menjadi ilham kepada empat lelaki Thailand. Minat mereka terhadap kasut dengan campuran ciri klasik dan moden mendorong kepada penciptaan satu jenama. Lahirnya Mango Mojito bukan sekadar suka-suka, namun untuk mempertaruhkan karya sepatu Adam yang tinggi kualiti. Sekitar tahun 2009, Silratth Sukwatthanasiri, 27, bersama tiga sahabatnya mewujudkan Mango Mojito. Dua tahun anak-anak Bangkok, Thailand itu berhempas-pulas membangunkan jenama kasut mereka. Kini, ia telah menembusi pasaran antarabangsa termasuk Malaysia dan Australia. Pada awal pengenalan Mango Mojito, Thailand memang ketandusan kasut kasual klasik buat golongan lelaki. Apatah lagi kasut material kulit asli yang boleh ditempah khas. Namun kini, terdapat banyak pengusaha kasut di negara itu yang menggunakan konsep serupa. Begitupun Mango Mojito tidak terjejas. 13 rekaan klasik daripada rangkaian kasut jenis boat, sarung (loafer), oxford, but chukka dan beberapa lagi keluaran eksklusif terus menjadi keutamaan pengikut setia mereka. Penerapan teknik kemasan istimewa juga satu kelebihan buat jenama dari negara Gajah Putih itu. Kira-kira enam teknik rumit diaplikasikan bagi menghasilkan satu kasut Mango Mojito. Dianggarkan setiap teknik untuk satu kasut memakan masa selama 40 minit. Jika dicampur keseluruhan proses termasuk fasa pengeringan warna, sepasang kasut hanya boleh disiapkan secara sempurna dalam tempoh dua minggu.
Teknik Itali "Dalam sehari kami boleh hasilkan 10 hingga 20 pasang kasut sahaja. Teknik yang kami gunakan sama seperti pembuat kasut di Itali. Ia amat teknikal dan terperinci terutamanya ketika proses pewarnaan. "Untuk mendapatkan warna kasut kulit seperti yang kami tawarkan, setiap kasut perlu melalui lima hingga enam fasa. Jadi prosesnya memang memakan masa dan menelan kos yang agak tinggi," jelas Silratth bahawa Mango Mojito antara pengusaha kasut yang terawal menerapkan teknik Itali tersebut di Thailand. Pada dasarnya, harga setiap pasang sepatu Mango Mojito memang agak mahal berbanding kasut yang sedia ada dalam pasaran. RM499 adalah penawaran paling murah jenama itu untuk sepatu dengan rekaan paling asas. Bagi rekaan eksklusif termasuk tempahan khas (custom made), pelanggan perlu membelanjakan RM599 ke atas. Secara realistik, harga itu hampir setara dengan label-label kasut popular seperti Timberland dan Dr Martens. Bagaimanapun, Mango Mojito positif bahawa kualiti produk mereka juga setaraf dengan harga yang dilaburkan pengguna. Perbandingan dengan dua jenama antarabangsa itu pula dirasakan tidak wajar memandangkan mereka mengeluarkan produk yang amat berbeza. Silratth yang juga Pengurus Jenama bagi Charcoal Company Limited ketika ditemui Stailo di Kuala Lumpur baru-baru ini menjelaskan, masyarakat masih menanam skeptikal lapuk terhadap tingkat penjenamaan sesuatu produk. SETIAP tapak kasut jenama Thailand ini dijahit kemas untuk ketahanan berpanjangan. Pembangunan jenama Barangan berjenama popular sering menjadi pilihan berbanding produk kurang ternama, waima kualitinya hanya sederhana. Seperti Mango Mojito, kualiti kekal sebagai teras pembangunan jenama. Mereka mahu membina kepercayaan pelanggan daripada ketahanan dan individualiti produk yang ditawarkan. Kesungguhan jenama itu menyediakan sepatu lelaki berkualiti dapat dilihat pada kasut sarungnya. Kebanyakan jenama mengambil mudah kemasan pada tapak kasut jenis itu. Justeru, tapak kasut mudah tercabut walaupun baru beberapa kali dipakai kerana ia hanya digam. Setiap bahagian kasut Mango Mojito dijahit. Jadi pengguna tidak perlu gusar terhadap kerapuhan kualiti jenama tersebut. Dalam erti kata lain, membeli sepasang sepatu Mango Mojito adalah pelaburan yang bijak. Lebih istimewa, pelanggan diberi kuasa untuk terlibat secara langsung dengan proses rekaan kasut. Kebebasan memilih rekaan bagi membentuk kasut bersifat peribadi menjadikan Mango Mojito sebagai jenama eksklusif yang sangat progresif. Untuk setiap kasut, pelanggan diberi pilihan warna bagi membentuk stail individu. Gabungan tiga warna berpadanan yang tidak terlalu 'meriah' pula mengekalkan ciri klasik pada setiap pasang kasut mereka. Kasut sarung Mango Mojito merupakan item paling popular. Rekaan ringkas, mudah dipadankan dan selesa menjadikan ia pilihan kebanyakan orang. Variasi sepatunya juga tidak terhad terhadap sesuatu gaya. But chukka paras buku lali misalnya, sesuai disatukan bersama sut formal atau kasual. Setiap jenis kasut jenama itu boleh disesuaikan mengikut gaya harian yang pelbagai. Kasut sarung Mango Mojito dipecahkan kepada enam jenis iaitu simple, mojito, tassel, formal, penny dan formal penny. Kasut jenis oxford pula terbahagi dua dengan pilihan captoe dan oxford biasa. Kesukaran mencari saiz yang sesuai juga bukan masalah. Memandangkan majoriti kasut sering menggunakan saiz kaki lelaki Eropah, kaum Adam yang berkaki kecil dilanda masalah bagi mencari kasut dengan saiz yang sepadan. Jenama Thailand itu mengutamakan saiz orang Asia. | |||
| Posted: 23 Feb 2014 06:11 PM PST EKSTRAK haruman lavender yang dijadikan minyak urut selamat untuk disapu terus pada kulit. MENGAPA perlu membazir duit membeli produk kecantikan pada harga mahal sedangkan ia boleh dihasilkan sendiri. Hanya ubah suai laman rumah atau balkoni mini anda menjadi sebuah taman dengan tumbuh-tumbuhan yang berguna dalam rawatan kecantikan. Pelbagai herba dan bunga yang boleh digunakan sebagai penawar masalah kulit, cela, parut termasuk masalah melibatkan rambut. Di bawah ini, tersenarai jenis tumbuhan yang bukan sekadar cantik pada luaran, namun ia efektif bagi menyokong serta menyembuh kekurangan penampilan. 1. Kamomil: Tumbuhan ini mengandungi bahan antiradang yang sesuai untuk masalah kulit sensitif, kemerahan, kerengsaan, selaran matahari dan penyakit kulit yang melarat termasuk wajah kemerah-merahan (rosacea). Ia juga boleh merawat kulit bengkak atau mata sembap. Caranya ialah dengan mengambil bunga kamomil dan jadikan ia secawan teh. Rendam kain bersih atau putik kapas dengan air teh yang telah sejuk dan letakkan di atas kedua-dua belah mata. Bunga ini juga elok dijadikan toner dan dicampur ke dalam air mandian. 2. Clary sage: Bunga berwarna violet keputihan dengan campuran merah jambu ini boleh menjadi astringen muka yang hebat untuk kulit berminyak. Ekstrak sage bersama bahan pengecut kulit seperti witch hazel efektif dalam mengawal pengeluaran minyak berlebihan oleh kulit. Ia juga sesuai untuk merawat akne, seborea dan kelemumur serta boleh dijadikan deodoran dan pembilas rambut. DAUN pudina yang disapu pada wajah boleh mencegah pertumbuhan jerawat. 3. Komfrei: Pokok ini mempunyai bahan antiradang. Ia juga astringen dan bertindak sebagai emolien bagi merawat kulit rosak. Boleh digunakan dalam menangani masalah akne selain membantu pertumbuhan sel. 4. Pudina: Selain sifat semula jadinya yang sejuk dan menyegarkan, daun pudina juga amat berguna kepada kulit. Ia sering digunakan dalam toner, syampu, losen dan topeng muka. Amalan menyapu daun pudina pada wajah dapat mencegah jerawat dan merawat masalah ruam pada kulit. 5. Lavender: Sangat terkenal sebagai haruman yang menenangkan. Aroma relaks lavender menjadikan ia antara minyak urut popular di kebanyakan spa. Kandungan antibakteria dalam ekstrak tumbuhan ini selamat disapu terus pada kulit. Ia digunakan bagi mengatasi kulit kepala gatal, keradangan dan penyakit kulit seperti akne, psoriasis dan ekzema. 6. Serai: Merupakan sejenis tumbuhan antimikrob, antibakteria dan rintang kulat. Ia digunakan sebagai astringen bagi mengecilkan pori-pori, mengawal dan membersihkan minyak berlebihan pada kulit. Serai mampu mencegah pembentukan akne. Untuk tujuan melicin dan merawat kedut kulit pula, ekstrak serai sering ditemui dalam kebanyakan toner. SERAI adalah sejenis astringen bagi mengecilkan pori-pori pada kulit. 7. Lemon verbena: Mempunyai aroma menyenangkan dan mampu merangsang rasa positif dalam badan apabila dicampur ke dalam air mandian suam. Ia turut digunakan sebagai pengurang kesembapan di sekeliling mata. Boleh juga dijadikan minyak urut bagi membersih dan melembutkan kulit. 8. Rosemary: Sejenis herba yang sering digunakan sebagai pewangi. Mempunyai ciri antiradang, pembunuh kuman dan astringen. Kebolehannya memperbaiki kulit menggeleber dijadikan kekuatan untuk digunakan sebagai bahan utama dalam produk antipenuaan. Ia mengurangkan minyak berlebihan pada kulit dan digunakan bagi merawat akne, dermatitis dan ekzema. Rosemary juga efektif merawat kesembapan dan merangsang peredaran darah serta memperbaiki tekstur kulit. | |||
| Posted: 23 Feb 2014 06:10 PM PST CIKGU RAZAK menggunakan cara berbeza dalam meluahkan perasaan dengan menterjemahkannya menerusi karya lukisan khat. MENGGUNAKAN kanvas-kanvas putih, mereka melakari setiap sudut dengan warna-warna yang pelbagai. Lebih mengujakan, artis-artis seni ini pintar mengaplikasikan penggunaan warna-warna alam yang mengasyikkan dalam pelbagai idea dan subjek di atas kanvas masing-masing. Apabila disatukan, mereka sebenarnya mempunyai minat dan pandangan yang sama dalam melihat alam serta manusia di sekeliling sebelum diterjemahkan menerusi karya mengagumkan. Di Galeri Seni Universiti Malaya (UMAG) baru-baru ini, para artis terbabit bergabung menunjukkan kebolehan dan bakat dalam menghasilkan karya masing-masing menerusi pameran bertemakan Reflections. Antara artis yang terlibat ialah bekas guru dari Perak, Abdul Razak Osman; pereka kasut Bata dan Nike serta penyanyi, Adnan Othman: pereka grafik, Fauzi Rahim dan Hairul Azzahar Mahzan. Turut terlibat ialah pelukis potret mahkamah, Jimmy Khalil; guru muzik dan pencipta lagu keroncong, Mahzan Manan; Pengarah Seni dan Pereka Grafik, Mustaffa Mahmood serta Pereka Seni Filem dan pemenang Pengarah Seni Terbaik di Festival Filem Malaysia (tahun 2007 hingga 2009), Nazrul Asraff Mahzan. Pada pameran tersebut, UMAG menyediakan platform kepada semua artis yang tidak pernah dan tidak diberikan peluang untuk mengadakan pameran. Bukan itu sahaja, UMAG juga memberikan tunjuk ajar kepada mereka termasuk cara menyusun dan menetapkan harga sesuatu karya. Minat Bagi Abdul Razak yang dipanggil sebagai Cikgu Razak, 71, memberitahu, sebanyak 14 karya miliknya dipamerkan di galeri berkenaan bertemakan seni khat, air dan muzik. Menurut beliau, minatnya terhadap seni bermula sejak kecil dan menyedari bahawa setiap orang mempunyai cara yang berbeza-beza dalam meluahkan perasaan. MAHZAN menyelitkan mesej dalam menghasilkan setiap karya lukisannya. "Saya melihat seni lukisan ini mempunyai kaitan terhadap keadaan persekitaran dan kehidupan manusia itu sendiri. "Justeru, saya memilih untuk menterjemahkan elemen-elemen ini menerusi hasil karya bertemakan air, muzik dan khat," katanya kepada Kosmo baru-baru ini. Sementara itu, bekas penyanyi era pop yeh-yeh pada tahun 1968 hingga 1975, Adnan memberitahu, dia mula terlibat secara serius dalam menghasilkan lukisan beberapa tahun lalu meskipun bidang itu diminati sejak zaman remaja lagi. Menurut bekas pereka kasut Bata dan Nike itu, karya yang dihasilkannya memberi fokus kepada landskap, alam semula jadi, laut, potret dan abstrak menggunakan medium akrilik, minyak, arang dan sebagainya. "Kini saya menumpukan sepenuh masa dengan menghasilkan karya-karya lukisan di galeri sendiri di Ampang. "Biasanya saya mengambil masa kira-kira seminggu untuk menghasilkan sebuah karya bahkan ada yang sebulan, bergantung kepada jenis karya itu," ujarnya. Adnan memberitahu, kebanyakan hasil karyanya dibeli oleh rakan-rakan, golongan profesional dan Agensi Kaunseling and Pengurusan Kredit di Bank Negara. Sehubungan itu, beliau memuji langkah UMAG memberi peluang kepada artis-artis untuk membuat pameran di galeri Universiti Malaya yang secara tidak langsung membuka ruang kepada para pelukis mengetengahkan karya masing-masing. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan