Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Remy, Bront dan Maya serasi bersama
- Tiket tonton Rossa empat angka
- Perceraian kedua lebih menyakitkan - Erra
- Harta karun RM6.58 bilion diburu
- Medan selera tawar tarian ghairah
- Kambing ganjil bermata satu
- Suami 'hadiahkan' isteri HIV
- Suami Gosok Baju Sendiri - Farawahida
- Jihan Musa Tidak Letak Sasaran Untuk Berumah Tangga
- Shahrizal kahwini Redzwani hujung tahun ini
| Remy, Bront dan Maya serasi bersama Posted: 22 Feb 2014 06:11 PM PST BERCAKAP dalam bahasa anak wayang, tiga nama popular, Remy Ishak, Bront Palarae dan Maya Karin berkongsi banyak aspirasi dan semangat yang sama. Mereka memateri emosi dalam banyak naskhah besar dan karya kreatif, menggauli debu dan rasa di jalan seni yang sama bahkan diulit glamor dan api kontroversi pun di lembah yang sama. Mereka menjadi sahabat yang serius tentang fokus dan hala tuju. Dalam waktu yang seiring, mereka rakan usik-mengusik. Saling memuja dan berbahagi bangga atas pencapaian sesama sendiri. Bront, si tinggi lampai yang paling kuat mengusik. Mangsanya Remy yang persis keliru tambah lagi, saat gosipnya cinta bersama si wanita bernama Budi Citawan dipetik Bront mengisi canda. Remy ketawa bersahaja dan Bront menggeliat manja. Maya pula seperti biasa, bicaranya tidak banyak berdolak-dalik. Ketika Maya diusik tentang dia sudah ada lelaki istimewa bersemayam di hatinya, Bront pula yang berasa nyaman. Ya, dalam kalangan mereka bertiga hanya Bront yang 'stabil' statusnya. Maksud penulis, biarpun pernah dikejutkan dengan berita merahsiakan pernikahannya daripada liputan media, sekurang-kurang Bront sudah terlepas daripada diterpa gosip nakal. Bront mengakui sedang bahagia. Buktinya kata Bront, badannya sedikit berisi mungkin kerana rutin bujangnya sudah berubah sejak menjadi suami orang Ogos lepas. Bukan untuk bercanda cerita kosong atau mencantas perhatian tanpa berita, tiga pelakon pujaan ini ada buah tangan yang sedang dijaja. Mereka sedar, berlakon filem biarpun bukan atas dasar tangkap muat, sesebuah filem itu tiada jaminan kejayaan. "Saya masih merasakan, kalau filem aksi, sukar untuk filem lain menandingi KL Gangster, filem komedi seram pula milik Hantu Kak Limah Balik Rumah," itu pegangan Bront.
Aura komedi Dalam filem Sejoli karya dan arahan Osman Ali yang baru sahaja masuk panggung 20 Februari lalu, Bront muncul sebagai Joe. Dia seorang mekanik yang tidak begitu berjaya tetapi mengimpikan untuk kembali meraih cinta bekas kekasihnya, Nita lakonan Izara Aishah. Nita pula mengikat cinta mati bersama Hardy (Remy Ishak). "Filem ini sebenarnya mengimbau semula zaman berlakon naskhah komedi macam dalam Rona Roni Makaroni dahulu. Rasanya sudah hampir enam tahun saya tak berlakon dalam naskhah komedi romantik. Bagi saya komedi tetap salah satu bahagian penting dalam lakonan. Walaupun ia agak melanggar semua teknik, tapi fokus kami masih sama. Tambah pula bawah arahan Osman Ali. Muncul dalam Sejoli, boleh kembalikan ingatan penonton bahawa kami sebenarnya boleh layan cerita komedi," jelas Bront tentang Sejoli yang sedang memanggil penonton filem ke pawagam ketika ini. Banyak melontarkan pandangan tentang kreativiti pembikinan sesebuah filem, pelakon yang bermisi sebagai pengarah itu tidak mahu menyalahkan khalayak jika sesebuah filem tidak berjaya mendapat pulangan. Atas sebab itu juga, Bront sebenarnya sangat pemilih untuk meletakkan penglibatannya dalam sesebuah karya. "Memilih sangat tidak juga, tetapi membuat pertimbangan untuk berkata 'ya' memang ada. Saya lebih melihat kepada gambaran yang besar, bukan skrip sahaja tetapi siapa pengarah dan pelakon yang terlibat tetapi itu tidaklah bermakna saya ada menggariskan faktor penolak. "Untuk Sejoli, sebenarnya saya dipanggil untuk filem Anak Jantan, alang-alang berada di set uji bakat, saya diminta bacakan skrip Sejoli dan kemudian dapat tawaran, kebetulan jadual saya kosong. Saya cuma teragak-agak dengan Izara, dengan Remy dan Maya, memang dah selalu sangat," jelas Bront semakin rileks dengan huru-hara produksi kerana mengenal banyak pengalaman sejak terbabit dengan terbitan dan pengarahan filem pertamanya, Kolumpo. Anak emas pengarah Masuk judul keempat bawah arahan Osman Ali, mungkin ramai yang masih ingat, filem pertama Remy sendiri pun bermula dari pada tangan pengarah sama berjudul Anak Halal. Sesudah menggelegak dengan Nur Kasih, Remy beralih menjadi kesayangan Kabir Bhatia. Namun, sama juga seperti Bront yang menjadi nama wajib buat Osman, Remy juga tidak ketinggalan. "Dalam industri lakonan, saya percaya ikatan kimia antara pengarah dan pelakon kena kuat. Atas dasar suka dan selesa secara tak langsung orang gelarkan anak emas pula," jawab Remy diminta mengulas pengulangan kemunculannya begitu dengan Bront dan Maya dalam filem-filem Osman sebelum Sejoli. Menjadi Remy kelihatan beruntung. Meriah tawaran sepanjang tahun, solo dan digilai peminat setiap kali muncul dengan siri hebat di kaca televisyen, namun di layar perak nasib Remy sedikit terkebelakang berbanding impak drama televisyen. "Sampai satu ketika, saya sendiri tertanya-tanya, benarkah saya hanya laris untuk televisyen. Saya cuba jadi positif dan mahu beri keutamaan kepada filem tetapi dalam masa hendak menunggu filem yang bagus, karakter-karakter yang menarik ada dalam tawaran drama televisyen. Kecintaan saya kepada lakonan, juadah watak dan karakter sebenarnya yang sentiasa menolak saya menerima mana-mana tawaran," kata Remy yang berasa kecewa jika sesebuah produk bagus tidak mendapat sokongan yang selayaknya. Dalam banyak kemunculannya bersama Bront, Legenda Budak Setan 2 dan 3, Jwanita dan Anak Halal, Sejoli menjadi satu-satunya filem yang meletakkan Maya dan Bront sebagai pasangan kekasih. "Dalam filem-filem lain, ada sahaja yang menghalang kami jadi pasangan. Akhirnya kami jadi pasangan dalam Sejoli.
Bukan kerana duit "Untuk filem ini juga, saya dapatkan rasakan inilah kali pertama saya selesa untuk bermain dialog-dialog spontan. Dalam Cun! kiranya itu percubaan pertama saya dalam filem bergenre sedemikian. Ketika itu bahasa Melayu saya pun tidak selancar seperti sekarang. Selalu rasa ketinggalan dan kekok, sekarang bila berdialog dengan Remy, Bront serta Azad Jazmin, semua dah boleh pukul habis," jelas Maya yang masih bertahan sebagai heroin layar perak biarpun hanya muncul sekali dalam tempoh setahun. Tidak seperti pelakon wanita lain yang banyak menghiasi drama di kaca televisyen, Maya pula sebaliknya. Tidak pernah meletakkan nilai eksklusifnya hanya kepada filem, namun proses drama yang sering membuat tawaran saat akhir membuatkan dia hilang minat. "Sebenarnya, saya tidak perlu berlakon untuk duit, jadual saya boleh kosong dua tahun tanpa filem. Tahun lepas, sekurang-kurangnya empat-lima bulan juga saya tiada komitmen kerja. Saya tidak mahu bergantung kepada lakonan semata-mata," jelas Maya yang membawakan watak Gina, wanita yang terdesak merebut kembali cinta kekasihnya Hardy sehingga sanggup melakukan tindakan di luar jangkaan. Berbalik kepada Sejoli, istilah itu barangkali tidak hanya untuk sepasang manusia yang sedang berkasih-kasihan. Untuk tiga sekawan ini, mereka juga 'sahabat sejoli' yang selalunya sekepala. Selain bersatu dalam karya orang lain, tiga sekawan ini ada merancang kolaborasi bersama. Tunggu masa dan ketika yang sesuai, misi mereka untuk menghasilkan sebuah karya yang memenuhi cita rasa bersama mungkin akan tiba jua. | |||||
| Tiket tonton Rossa empat angka Posted: 22 Feb 2014 06:09 PM PST
KALI terakhir penyanyi tersohor dari Indonesia ini terlibat dengan sebuah persembahan Minggu Setiausaha sekitar tahun 2007 menerusi kolaborasi bersama Mawi. Bertempat di Sogo City, Kuala Lumpur mereka menghiburkan kira-kira 1,500 tetamu yang terdiri daripada setiausaha dan pengurus besar. Namun, setelah sekian lama terikat dengan jadual kerja yang padat. Kini, Datuk Rossa Roslaina Handiyani atau lebih mesra membahasakan diri Rossa kembali diundang sebagai pengisi persembahan sempena Minggu Setiausaha. Memilih Hotel The Royale Chulan Damansara, Kuala Lumpur sebagai lokasi kedua persembahan Minggu Setiausaha pada 9 April nanti, Rossa bakal membawa tema Atas Nama Cinta... A Tribute To Secretaries. "Saya jarang datang ke Malaysia untuk membuat persembahan. Mungkin dalam sebulan hanya dua kali diundang. Namun, untuk persembahan Minggu Setiausaha, ini merupakan penglibatan kali kedua. "Insya-Allah persembahan kali ini lebih santai supaya lebih dekat dengan peminat. Jika sebelum ini saya banyak berada di atas pentas tetapi untuk majlis yang tertutup ini saya mahu lebih mengenali tetamu yang hadir. "Jamuan makan tengah hari itu akan dipenuhi dengan koleksi lagu-lagu hit saya. Kira-kira 12 buah lagu yang akan dipersembahkan, tidak termasuk lagu medley yang akan saya nyanyikan atas permintaan peminat nanti," ujar Rossa yang kini berumur 36 tahun itu. Sementara itu, Rossa antara penyanyi dari Indonesia yang dilihat laris sepanjang melebarkan karier di Malaysia. Malah, kehadirannya di sini disambut baik daripada peminat mahupun rakan selebriti.
"Masyarakat di sini semuanya baik-baik. Karier nyanyian saya pula mendapat respons yang positif. "Malaysia sentiasa dalam fikiran. Apabila saya keluar dengan single lagu baharu, saya akan memastikan lagu itu akan turut diminati oleh pendengar di sini. "Selain itu, saya banyak dibantu oleh syarikat label Suria Record yang menyediakan jadual persembahan," jelas Rossa. Dalam pada itu, Minggu Setiausaha anjuran The Royale Chulan, Damansara ini merupakan kali pertama penganjurannya. Mengambil Rossa sebagai artis undangan berdasarkan permintaan ramai. Meskipun meletakkan harga tiket serendah RM500 sementara tiket termahal RM1,500 seorang untuk sebuah persembahan Minggu Setiausaha yang berdurasi 60 minit, ternyata ia merupakan percaturan yang bahaya tatkala melihat 'demam' acara sebegitu semakin berkurangan. "Alhamdulillah, setakat hari ini pihak kami sudahpun menerima tempahan daripada beberapa organisasi. Kami percaya setiap perniagaan itu pasti mempunyai risiko. "Namun, kami percaya dengan kehadiran Rossa serta artis jemputan Hafiz Suip ia akan menjadi sebuah majlis yang eksklusif," kata Pengarah Jualan dan Pemasaran The Royale Chulan Damansara, Badrul Rezal Baharudin. Menurutnya lagi, hotel itu turut menyediakan pelbagai hidangan di samping menyediakan hadiah-hadiah menarik yang boleh dibawa pulang oleh para tetamu. Antaranya tiket penerbangan pergi balik ke Amsterdam dan Jakarta. Tiket Atas Nama Cinta.... A Tribute To Secretaries boleh ditempah menerusi ticket@trcd.com.my atau boleh menghubungi talian 03-7959 9000. | |||||
| Perceraian kedua lebih menyakitkan - Erra Posted: 22 Feb 2014 06:08 PM PST BERKECAMUK dalam rasa yang lebih banyak ditelan daripada diluahkan, kekuatan yang terbina bertahun dahulu terpancar pada wajah Erra Fazira. Saat matanya berkaca, dia masih mampu tersenyum. Hambar atau tawar, manis dan kelat yang bersulam pahit, seboleh-bolehnya, segala yang dilalui mahu dikunci kemas. Kuncinya dibuang jauh ke gunung dan laut terbentang. Namun, sudah namanya selebriti tersohor, disebut orang sebagai primadona, Erra tidak boleh menolak tuntutan media. Setidak-tidaknya untuk seketika, dia harus juga bersemuka bagi merungkaikan persoalan biarpun apa yang tersimpan sekian tahun itu yang sudah terungkai di kamar mahkamah. Tanggal 18 Februari lalu, kira-kira sembilan hari selepas usianya genap 40 tahun, pelakon yang masih mahal di hati rakyat Malaysia itu menerima sebuah takdir. Barangkali takdir itu telah lama tertulis di Luh Mahfuz. Dia kembali menjunjung status janda, sebuah status yang semahu-mahunya dihindari banyak wanita. Erra dan suaminya Engku Emran Engku Zainal Abidin, sah bercerai talak satu. Hak penjagaan anak tunggal mereka, Engku Aleesya diberikan kepada Engku Emran manakala Erra pula diberi hak bermalam dan lawatan bersama. Sepintas lalu, keputusan itu jarang berlaku dalam mana-mana penceraian apabila Erra juga memohon untuk tidak diberikan nafkah sepanjang edah dan mutaah. Erra dikatakan tenang sedangkan sewaktu Emran melafazkan talak kepadanya, lelaki yang juga bapa kandung kepada anaknya itu kelihatan sebak. Seperti tinta nyanyiannya, Yang Terindah Hanya Sementara, Erra menghela nafas panjang kemudian kembali menyedutnya dalam-dalam. Reda dan pasrah yang berbutir di bibirnya kedengaran mudah, namun di jauh di sudut sanubari, ada sebak yang bersenandung hiba. "Tenang atau tidak, gelora atau berkecamuk, itu hal dalaman saya, dan kita tak boleh menghakimi perasaan orang lain dengan penglihatan mata kasar. Ada yang meraung kala sakit, ada pula yang sekadar bertahan, setiap orang ada cara dan saya dengan cara sendiri. ERRA bertegas tidak mahu soal anak dan perjanjian luar mahkamahnya bersama bekas suami diungkit pihak media. Perjanjian rahsia "Saya ada banyak benda saya harus difikirkan. Saya mungkin tidak perlu meratap tapi itu tidak bermakna saya tidak sedih. Kita tak tahu air mata itu di mana dan kapan keluarnya. Tetapi, saya berada di sini bukan untuk bercerita tentang air mata. Saya tak mahu kisah sedih diulang-ulang kerana saya juga memerlukan semangat. "Jadi, saya nak sibukkan diri saya, saya juga menantikan detik untuk bersama dengan anak saya dan tidak mahu diganggu ketika itu. Selebihnya tentang kerja," ungkap Erra yang ditemui sekitar pukul 11 malam, pada hari yang sama setelah statusnya sebagai isteri terlucut secara rasmi. Ketika dadanya bergelora banyak hala, Erra harus melunaskan sebuah lagi pengakuan. Dia rela isi jiwanya diluahkan namun tidak mudah ditelanjangkan atas nama keterbukaan. Hidup ini harus diteruskan. Sebab itulah, selang tidak sampai dua jam selepas sidang mahkamah selesai, Erra sudah bergegas masuk studio rakaman sebuah program bual bicara di Shah Alam. "Orang nampak di luar dan tidak tahu apa yang ada dalam hati saya. Apa yang saya lakukan sekarang ini kerana tugas. Agaknya kalau saya tiada kerja hendak dilakukan, saya akan melepak di rumah melayan perasaan. Ini semua bahagian saya, saya kena hadapi dengan reda," kata Erra yang kebetulan sedang sibuk sesi latihan sebuah konsert di Istana Budaya bermula 3 hingga 9 Mac ini. Pelakon yang juga bekas Ratu Cantik Malaysia itu bagaimanapun tidak berhasrat untuk bercerita lanjut tentang kata sepakat bersama bekas suami yang telah dipersetujui di luar mahkamah. "Semua sudah terlerai, kami telah berbincang dan kedua-dua pihak sudah bersetuju. Saya mohon agar terma-terma dan isi perjanjian kami itu tidak ditanya secara terperinci. "Jadi saya pun sudah tidak berhutang dengan masyarakat dan rakan-rakan media. Itu semua sebenarnya sudah berapa lama mengganggu saya, tapi saya ada alasan tersendiri kenapa perkara ini harus dipendamkan. Sekarang semua orang boleh teruskan kehidupan masing-masing, subjek ini telah ditutup," Erra tenang menjawab persoalan ketika ditemui usai rakaman Primadona di Shah Alam, pada malam 18 Februari lalu. Ditanya tentang tempoh berdalih itu dan ini dan kemudiannya mengunci mulut, menafikan tidak mengiakan pun tidak, jelas Erra setiap manusia harus ada batasan keterbukaan. Sebagai wanita, ibu, isteri bahkan selebriti yang beritanya diburu segenap inci, dia juga punya alasan tersendiri kenapa soal peribadi harus ditatang kemas-kemas. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.
"Saya ada alasan tersendiri, alasan yang bukannya mementingkan saya seorang sahaja tetapi alasan yang melibatkan banyak pihak. Orang ramai tidak perlu tahu apakah alasan itu kerana masalah dalaman dan keluarga adalah peribadi," kata Erra tidak mahu pekung di dada dibuka seluas-seluasnya hanya kerana dia bergelar selebriti. Menjadi artis, disayangi atau dibenci sudah menjadi lumrah. Keprihatinan peminat yang mahu melihat bahagianya berpanjangan amat difahami Erra, namun, retak perkahwinan yang dibina bersama Emran sejak 25 Oktober 2007 itu sudah tidak mampu disambung lagi. Menangis dua malam "Saya tidak mahu bercakap banyak dan harap ini yang terakhir saya bercerita begini. Orang boleh cakap macam-macam tetapi kita yang menghadapi. Jangan kata kami tidak berusaha untuk menyelamatkan keadaan. Siapa yang mahukan perpisahan tetapi kami akur dengan perpisahan ini kerana kami telah berusaha," kata Erra sambil menekap mata. Malam itu, tiada titis jernih jatuh ke pipinya, namun Erra mengakui, tangisannya sudah mencurah lebat ketika dua malam sebelum lafaz cerai berlangsung Selasa lalu. "Saya sebenarnya sudah lama reda, ikatan suami isteri boleh putus kerana perceraian, tapi bukan ikatan dengan anak," ujar Erra terhenti-henti. Mendapat kekuatan hasil dorongan keluarga dan rakan-rakan, kata Erra tanggal 18 Februari menjadi hari paling bersejarah buatnya namun tidak boleh lemah apatah lagi rebah. "Saya ada tanggungjawab terhadap keluarga, anak dan pekerja saya. Kalau saya rebah, kalau saya menangis, kalau saya lembik, siapa nak tolong saya nanti. "Kadang-kadang tanpa dinafikan, kita ini nampak kuat, tapi bila orang sudah tidak ada, saya akan lembik dan menangis tertonggeng juga, cuma orang tidak tahu," beritahu Erra lega. Banyak kekecewaan dalam hidup, pernah bercinta dan putus tunang, pernah berkahwin dan bercerai, berkahwin lagi dan bercerai lagi. Bukan sembarangan rasanya kekecewaan yang dihadapi Erra selama ini. "Saya pandang positif. Waktu zaman muda remaja dahulu, kita gila bila putus cinta, gila bila putus tunang, kenapa semua ini berlaku, rupa-rupanya Tuhan mahu melatih saya. Kalau tidak pernah merasa kekecewaan, bagaimana hendak melalui kekecewaan dan ujian lebih teruk pada masa akan datang. "Tuhan Maha Kaya, saya antara insan yang dipilih oleh Allah untuk diuji dan diuji lagi. Doa saya moga terus kuat pada masa hadapan. Terfikir juga apa lagi ujian yang bakal saya hadapi, tapi jujurnya, saya tak mahu terlalu berfikir soal itu, risau jadi takut," titip Erra yang sudah merasai dua detik perceraian dalam hidupnya. Pertama dia bercerai dengan Yusry Abd Halim pada tahun 2006 hanya setelah tiga tahun berumah tangga dan kali ini, perkahwinannya bersama Emran terlerai dalam tempoh enam tahun. "Dahulu saya tidak mempunyai anak, sekarang ada anak, lain keadaannya. Dalam perkahwinan pun, gagal yang pertama, kita mahu betulkan semasa perkahwinan kedua, tapi bila perkahwinan kedua pun hancur juga, sakitnya lain macam," tutup Erra. | |||||
| Harta karun RM6.58 bilion diburu Posted: 22 Feb 2014 06:05 PM PST
KULAIJAYA – Selepas lima kurun tenggelam di Selat Melaka dekat Aceh, Indonesia, kapal dagang Flor de la Mar yang mengandungi khazanah dianggarkan AS$2 bilion (RM6.58 bilion) kini menjadi buruan pencari harta karun. Kapal tersebut dipercayai tenggelam ketika membawa khazanah yang dirampas daripada Kesultanan Melaka yang jatuh ke tangan penjajah itu pada tahun 1511. Khazanah tersebut meliputi 22 peti wang emas dan perak, dua patung monyet emas bertatah batu permata yang dihadiahkan oleh kerajaan Thai kepada Melaka serta pelbagai manuskrip. Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras dan Penyelidikan bagi mengetuai eksplorasi untuk mencari harta karun itu. Beliau berkata, projek pengapungan kapal dagang Portugis itu akan menelan belanja AS$30 juta (RM98.7 juta). Katanya, ia akan dilakukan secara bersama oleh tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Portugal dan perkara itu telah diusulkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini. | |||||
| Medan selera tawar tarian ghairah Posted: 22 Feb 2014 06:04 PM PST SEBAHAGIAN daripada GRO yang ditahan dibawa turun dari pentas di sebuah medan selera di Serdang, Selangor malam kelmarin. SERDANG – Sebuah medan selera di Taman Perindustrian Bukit Serdang di sini bukan sahaja menawarkan makanan dan minuman tetapi turut menyajikan tarian ghairah yang dilakukan gadis pelayan pelanggan (GRO). Perkhidmatan yang ditawarkan secara terbuka sejak hujung tahun lalu itu menempatkan beberapa GRO berpakaian seksi menari di atas pentas untuk menarik pelanggan. Difahamkan, tarian itu dianjurkan salah sebuah permis yang terdapat di medan selera tersebut untuk menghiburkan pelanggan selain mengaut keuntungan dengan menjual kalungan bunga dan perhiasan kepala kepada pelanggan di situ. | |||||
| Posted: 22 Feb 2014 05:57 PM PST
LAHAD DATU – Seorang penternak terkejut selepas mendapati kelahiran seekor anak kambing ternakannya bermata satu di Kampung Busul, dekat sini Khamis lalu. Pemilik kambing berkenaan, Mohd. Ismail Abdullah, 55, berkata, anak kambing berwarna hitam itu lahir kira-kira pukul 2.30 petang dan mempunyai berat kurang daripada satu kilogram. Katanya, dia pada mulanya tidak menyedari mengenai keganjilan pada haiwan ternakannya sehinggalah kambing itu dibersihkan. "Saya terpaksa menunggu hampir setengah jam sebelum anak kambing dilahirkan. "Ketika membersihkannya, saya terkejut apabila mendapati anak kambing ini hanya ada satu mata yang terletak di bahagian tengah muka," katanya ketika ditemui di sini semalam. | |||||
| Posted: 22 Feb 2014 05:53 PM PST SEWAKTU dimaklumkan bahawa ujian darahnya menunjukkan dia positif HIV, air mata wanita ini mengalir deras. Perasaannya berbaur. Fikirannya dicengkam dengan pelbagai ketakutan. Entah apa dosanya, ujian datang bertubi-tubi. Berita itu diterima tidak lama selepas dia bercerai dan bersendirian membesarkan anak-anak. "Doktor panggil saya dan terangkan mengenai HIV. "Dia tunjukkan saya graf yang menerangkan apa yang akan terjadi kepada saya dalam tempoh 10 tahun akan datang. "Pada waktu itu, saya ingat mati sahaja," ujar penghidap HIV positif sejak 14 tahun lalu, Norlela Mokhtar. Dia disahkan menghidap HIV ketika berusia 36 tahun. Norlela memilih untuk mengunci mulut daripada berkongsi musibah tersebut dengan ahli keluarga yang lain sementelah dia masih sihat. Tiada tanda-tanda virus pencetus sindrom kurang daya tahan melawan penyakit (AIDS) itu sedang memamah tubuhnya. Namun, selepas tiga tahun, sistem imunisasi badannya semakin merosot mendadak. Daripada 50 kilogram (kg), berat badannya turun mendadak kepada 30kg. "Badan saya kurus sangat, tinggal kulit dengan tulang sahaja. "Muka cengkung, badan berasa lemah selain kerap demam," cerita Norlela yang pada masa itu bekerja sebagai kerani dengan gaji tidak sampai RM1,000 sebulan. Doktor menyarankan dia supaya mula mengambil ubat bagi mengekalkan sistem imunisasinya. "Tetapi saya tiada duit untuk beli ubat tersebut sebab harganya mahal iaitu antara RM700 hingga RM1,000 sebulan. Duit yang ada cuma cukup untuk perbelanjaan anak-anak," katanya. Pada tahun 2005, Norlela yang menetap di Dato Keramat, Kuala Lumpur terlantar selama tiga bulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya selepas dia diserang batuk kering. Sejak itulah, anak-anaknya tahu yang ibu mereka berdepan penyakit yang tiada penawarnya. Mujurlah semua ahli keluarga dapat menerimanya. HASIL kraf tangan yang dihasilkan oleh penghuni seperti gelang manik akan dijual sebagai pendapatan sampingan. Rumah perlindungan Malah, anak sulung perempuannya sanggup menangguhkan pengajian demi menjaga Norlela di hospital. "Masa itu terdetik dalam hati saya, mungkin sudah tiba waktunya ramalan doktor tiga tahun lalu menjadi kenyataan. "Saya berdoa kepada Allah, kalau Dia nak ambil nyawa saya, tunggulah sehingga anak-anak saya besar dan boleh berdikari dulu," cerita Norlela. Selepas pulih, bekas graduan Universiti Teknologi Mara Dungun, Terengganu itu banyak menyertai aktiviti sukarelawan melibatkan insan yang senasib dengannya. Memikirkan stigma dan diskriminasi masyarakat terhadap penghidap HIV, wanita ini kemudian menubuhkan sebuah pusat perlindungan wanita HIV. Terletak di penghujung Jalan Haji Baie di Kampung Paya Jaras Hulu, Sungai Buloh, Selangor, tersergam sebuah rumah lot berpagar. "Di sinilah kami tinggal menjalani kehidupan seharian," ujar Norlela, 50. Kelas harian Diberi nama sebagai Rumah Wahidayah, pusat perlindungan yang terletak di kawasan tanah seluas kira-kira 0.4 hektar itu diusahakan sepenuhnya oleh Persatuan Wahidayah Malaysia (Pewahim) yang diterajui oleh Norlela. SEHINGGA kini, seramai 46 orang telah menghuni di rumah Wahidayah di bawah Pewahim untuk mendapatkan bantuan dari segi fizikal dan mental. Biarpun baru beroperasi sejak Disember tahun lalu, usaha Pewahim untuk membantu golongan wanita dijangkiti HIV sudah bermula sejak awal tahun 2012. Pada waktu itu, pusat perlindungan tersebut menggunakan sebuah rumah teres dua tingkat yang disewa di Bandar Baru Sungai Buloh. "Tujuan rumah ini ialah untuk menyediakan penempatan asas yang selamat bagi wanita dan juga kanak-kanak yang terjejas oleh epidemik HIV. "Di sini kami berikan mereka perkhidmatan kesihatan, keperluan asas dan sokongan moral untuk mereka bangkit meneruskan kehidupan," ujar Norlela yang pernah berkhidmat untuk Majlis AIDS Malaysia (MAC). Menurut Norlela, penghuni Rumah Wahidayah memiliki jadual harian yang perlu diikuti. Antaranya, solat secara berjemaah, beriadah, serta mengikuti kelas agama dan motivasi. Penghuni juga diajar memasak, menjahit, dan membuat barangan kraf tangan seperti gelang manik. "Hasil kraf tangan itu akan dijual pada majlis atau pameran yang disertai Pewahim," ujar Norlela yang memberitahu, rumah tersebut mampu memuatkan kira-kira 20 penghuni pada satu-satu masa. Katanya, rata-rata individu penghuni rumah itu terdiri daripada kelompok suri rumah dan wanita yang pernah terjebak dengan gejala sosial sehingga dijangkiti HIV. Seperti Norlela yang mendapat HIV daripada bekas suami keduanya, sesetengah penghuni Rumah Wahidayah mengalami perkara yang sama. "Mereka bukan pekerja seks atau pengamal seks bebas, tetapi kita seringkali terlupa bahawa wanita yang bergelar isteri yang duduk di rumah juga berisiko untuk mendapat HIV menerusi suami sendiri," katanya. Rumah tersebut boleh dianggap sebagai pusat khas sementara bagi membina semula keyakinan diri golongan wanita HIV. "Di sini, kami hanya mahu pulihkan semangat mereka. Emosi mereka kadang-kadang tidak menentu sehingga tak mahu makan ubat dan menjejaskan kesihatan mereka," ujar Norlela yang banyak menerima penghuni yang dirujuk kepadanya oleh Hospital Sungai Buloh. Penghuni Sehingga kini, katanya seramai 46 orang wanita berumur antara 16 hingga 48 tahun telah mendapatkan perlindungan di situ. Bagi seorang penghuni yang mahu dikenali sebagai Nurul, 35, dia merasakan rumah tersebut banyak membantu mengembalikan semangatnya yang hilang. "Sewaktu mula-mula dihantar ke sini, keadaan saya agak teruk sehingga tidak boleh berjalan dan terpaksa pakai lampin. "Tapi selepas tinggal di sini saya diberi jagaan dan dipantau supaya makan ubat mengikut waktu yang tepat. Alhamdulillah, sekarang keadaan saya semakin baik," ujar anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu. Nurul terjebak dalam hubungan seks berisiko seawal usia 25 tahun. Namun, anak keempat daripada enam beradik hanya mengetahui dirinya positif HIV ketika berusia 30 tahun selepas menjalankan ujian saringan darah. "Waktu dapat tahu itu, saya rasa macam nak bunuh diri. "Tambahan pula, saya sudah merancang untuk berkahwin," katanya. Sememangnya stigma masyarakat Malaysia terhadap golongan HIV masih lagi menebal. "Sebagai contoh, kami masih menerima laporan bahawa terdapat keluarga yang meninggalkan anak-anak mereka yang hidup dengan HIV atau mengasingkan perkakas dan pakaian mereka jika tinggal serumah. "Ada juga insiden penghidap HIV dilayan buruk sewaktu mendapatkan rawatan," ujar Setiausaha Kehormat MAC, Hisham Hussein. Tambahnya prasangka negatif masyarakat sekeliling itulah yang menyebabkan mereka tidak mendapatkan rawatan sehingga tahap kesihatan merosot dan terlewat untuk dirawat. "Orang yang hidup dengan HIV berhak untuk mendapat layanan dan perlindungan daripada sebarang bentuk penindasan dan amalan prejudis," katanya yang mengakui golongan wanita khasnya suri rumah antara golongan yang mencatatkan jumlah kes HIV yang tinggi di negara ini. | |||||
| Suami Gosok Baju Sendiri - Farawahida Posted: 22 Feb 2014 04:42 AM PST PETALING JAYA: Penyanyi Farawahida mengakui dia tidak mahir dalam hal menggosok pakaian lebih-lebih lagi baju kerja suaminya, Abdul Shukur Mohd Zain, 30. Farawahida atau nama sebenarnya Farawahida Razali, 29, berkata, sejak kecil lagi dia lebih senang memberikan tugas itu kepada ibunya kerana risau jika pakaian tersebut hangus terbakar. "Saya memang malas nak gosok baju lebih-lebh lagi apabila melibatkan pakaian suami. Saya rasa kerja itu susah, tambah pula suami amat peka dengan garisan-garisan di baju. "Memandangkan suami tahu saya tidak pandai menggosok, dia tidak berani nak minta saya melakukan kerja itu dan baginya, lebih elok jikar dia sendiri yang menggosok baju-baju kemejanya," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Farawahida menambah, dia bersyukur apabila suaminya seorang lelaki yang tidak cerewet dalam apa saja perkara. Malah, dalam hidangan makanan harian juga, Shukur lebih senang memakan masakan lauk biasa dan ia memudahkan lagi untuk penyanyi itu menyediakan makanan. "Alhamdulillah suami saya tak cerewet lebih-lebih lagi bab makanan. Dia lebih suka kalau ada dua jenis lauk untuk dimakan dengan nasi. "Memandangkan saya suak memasak, rasa tak puas pula kerana tak dapat nak masak macam-macam," ujarnya. Farahwahida dan Shukur Mohd Zain telah bernikah di Sentosa Villa Resort, Taiping, Perak pada 16 Disember 2013. | |||||
| Jihan Musa Tidak Letak Sasaran Untuk Berumah Tangga Posted: 22 Feb 2014 04:41 AM PST PETALING JAYA: Pelawak Jihan Musa memberitahu enggan meletakan sasaran umur untuk membina rumah tangga biarpun mengakui mempunyai teman istimewa. Jihan atau nama sebenar, Nuur Jihan Musa 31, berkata, dia tidak mahu terlalu merancang ke arah itu dan bercerita tentang hubungan cinta tersebut sebelum semuanya pasti. "Tiada apa yang saya boleh beritahu kerana saya belum merancang untuk berkahwin lagi setakat ini. "Dulu memang ada sasaran berkahwin pada umur 23 tetapi sudah terlepas hingga umur sudah masuk 30an dan saya menyerahkannya pada takdir sahaja," katanya kepada mStar Online. Jihan mengakui sedang berkawan dengan bekas peserta program Pilih Kasih musim kedua, Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli, 29, sejak daripada bangku sekolah lagi. Tambahnya, buat masa ini, mereka lebih menumpukan perhatian dalam membina kerjaya terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga. Kata Jihan, dia bersyukur mempunyai keluarga yang tidak memberikan tekanan kepadanya untuk mengakhiri zaman bujang. "Alhamdulillah keluarga saya sangat memahami dan tidak pernah memaksa saya untuk berkahwin begitu juga keluarga lelaki," katanya. Dalam perkembangan lain, Jihan berkata kumpulan lawak SYJ yang dianggotainya bersama Yasin dan Shuk akan terus dikekalkan. Katanya, mereka dalam perancangan mengadakan program jelajah di beberapa negeri bersama beberapa pelawak lain. "Selepas tamat program Maharaja Lawak Mega, kami buat keputusan untuk terus mengekalkan kumpulan ini jika ada permintaan. "Isya-Allah kami dengan beberapa kumpulan lain dalam perancangan untuk mengadakan persembahan jelajah di beberapa negeri tidak lama lagi," katanya. | |||||
| Shahrizal kahwini Redzwani hujung tahun ini Posted: 22 Feb 2014 04:37 AM PST
KES khalwat dirinya dengan seorang wanita bernama Farah Nurizzati Salleh, 21, masih lagi dalam proses perbicaraan. Namun pelakon kacak, Mohd. Shahrizal Jaszle Jasmin, 26, atau lebih dikenali sebagai Shahrizal Jaszle tetap bertekad untuk menamatkan zaman bujangnya selewat-lewatnya hujung tahun ini. Shahrizal telah mengikat tali pertunangannya dengan Redzwani pada penghujung tahun 2012. Namun, hubungan mereka berdua pernah goyah seketika disebabkan kes khalwat tersebut yang berlaku pada Mei tahun lalu. Laporan akhbar sebelum ini menyebut bahawa mengikut pertuduhan kes, Shahrizal dan Farah telah ditahan Pegawai Penguat Kuasa Agama, Jabatan Agama Islam Selangor di sebuah unit kediaman di Taman Sri Subang, Selangor pada 16 Mei tahun lalu. Farah telah mengaku bersalah di atas pertuduhan itu, sementara Shahrizal sebaliknya mengaku tidak bersalah dan telah dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1,500. Anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu yang ditemui pada majlis pratonton drama mini bersiri, Dendam Lima Beradik di Kuala Lumpur baru-baru ini kelihatan tenang ketika pihak media mengajukan soalan berkaitan isu berkenaan. Ikuti temu bual Kosmo! selanjutnya bersama pelakon yang pernah membintangi filem Azura, arahan Aziz M. Osman itu. Kosmo!: Menurut sumber, anda dikatakan bakal melangsungkan perkahwinan pada tahun ini, benarkah dakwaan itu? SHAHRIZAL: Ya, saya akan berkahwin pada tahun ini, memandangkan tunang saya telah bersetuju. Kami bercadang akan berkahwin selewat-lewatnya akhir tahun ini, namun kami belum mendapat tarikh yang sesuai. Sesetengah pihak mengatakan, tunang anda seorang 'pak turut'. Apakah pandangan anda? Mereka di luar sana tidak mengetahui apa-apa mengenai hubungan kami. Bagi saya, tunang saya itu cukup memahami dan mengerti keadaan diri saya sebenarnya. Dia juga tidak pernah jemu memberi sokongan moral kepada saya agar sentiasa tabah melalui dugaan ini. SHAHRIZAL di samping tunangnya, Redzwani. Adakah Shahrizal sengaja ingin mempercepatkan perkahwinan untuk meredakan konflik yang melanda anda? Tidak, sepatutnya kami telah berkahwin pada majlis pertunangan saya dahulu. Namun, ia terhalang disebabkan tunang saya ketika itu masih lagi belajar dan akhirnya kami terpaksa menangguhkan niat tersebut dan menunggu sehingga tahun ini. Bagaimanakah pula dengan perkembangan kes khalwat anda? Insya-Allah, kalau tidak ada aral melintang, kes perbicaraan semula akan diadakan pada 8 April ini dan pihak pendakwa raya akan mengemukakan sembilan orang saksi. Saya berharap kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin agar dapat membuktikan saya tidak bersalah dalam kes tersebut. Kenapa anda tidak mengambil keputusan untuk mengaku bersalah dan lupakan segalanya memandangkan Farah sendiri telah mengaku bersalah? Tidak, saya berpegang kepada falsafah iaitu berani kerana benar, takut kerana salah. Saya tidak takut dan saya hanya mahukan keadilan ditegakkan kerana hal ini melibatkan maruah dan peribadi saya. Sebagai artis, saya perlu membersihkan nama saya. Adakah kes tersebut sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi dan menjejaskan karier lakonan anda? Sepanjang kes tersebut berlangsung, saya tidak merasakan ia mengganggu perjalanan karier saya. Malah, setakat ini tawaran lakonan yang diterima agak menggalakkan daripada pelbagai syarikat produksi. Apakah perkembangan terbaharu dan perancangan anda pada masa akan datang? Saya bercadang untuk menguruskan syarikat produksi sendiri, Jaszlework dengan bantuan adik saya yang baru sahaja menamatkan pengajiannya baru-baru ini. Saya juga ingin mengembangkan bakat dalam bidang pengarahan lakonan kerana ia merupakan lonjakan dalam karier saya ada masa akan datang. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan