Isnin, 17 Februari 2014

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Hanez Suraya Akui Bakal Suami Kuat Cemburu

Posted: 17 Feb 2014 07:21 PM PST


Hanez Suraya
PETALING JAYA: Pelakon Hanez Suraya memberitahu sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri dan membataskan aktiviti kerjaya lakonan selepas berumah tangga bagi menjaga perasaan suami.
Hanez, 29, berkata, biarpun belum membincangkan tentang perjalanan kerjaya seninya selepas berkahwin, namun dia akur andainya terpaksa menarik diri dari dunia seni.
"Lepas berkahwin nanti kenalah hormat keputusan suami, sekarang sahaja dia agak cemburu kalau ada sesi fotografi yang memerlukan saya bergambar mesra dengan lelaki, inikan pula berlakon berpelukkan.
"Sejak bercinta dengannya, saya juga sudah tidak boleh keluar malam, kalau keluar siang sekalipun kena balik awal.
"Setakat ini belum ada perbincangan tentang kerjaya, tetapi kalau dia tidak benarkan saya berlakon pasti dia akan gantikan saya dengan sesuatu yang lain untuk dilakukan," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Pelakon Autumn Di Hatiku ini mengakui bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan berasal dari Kuala Lumpur yang berusia 34 tahun pada tahun ini.
Tambah Hanez, dia kini sibuk menguruskan persiapan perkahwinan tersebut dan mencari lokasi yang sesuai untuk majlis 'raja sehari' itu.
"Insya-Allah pada tahun ini kami akan berkahwin, tarikh sudah ada tetapi belum boleh diumumkan kerana masih lagi mencari lokasi yang sesuai.
"Kalau boleh saya tidak mahu bertunang tetapi tengok macam mana keputusan keluarga nanti," katanya.
Dalam pada itu, Hanez berkata, dia mengimpikan untuk mengadakan majlis bertemakan perkahwinan dalam taman.
Sementara itu, ditanya tentang keistimewaan bakal suaminya itu, Hanez berkata, lelaki itu menunjukkan komitmen yang tinggi untuk mengambilnya sebagai isteri.
"Dia bukan sahaja menunjukkan tanggungjawab kepada saya, tetapi juga kepada keluarga saya.
"Dia seorang yang matang biarpun tidak romantik, namun saya rasa selamat berada di sisinya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Hanez bakal keluar dengan drama bersiri Autumn Di Hatikumusim kedua di Tonton tidak lama lagi.

Maya Karin Tak Rancang Kahwin Tahun Ini

Posted: 17 Feb 2014 07:19 PM PST


Maya Karin
PETALING JAYA: Pelakon Maya Karin mengakui pengalaman kegagalan rumah tangga lalu membuatkannya lebih barhati-hati dalam membuat keputusan kembali hidup berpasangan.
Maya atau nama sebenar Maya Karin Roelcke, 34, berkata, dia tidak meletakkan apa-apa sasaran untuk kembali semula membina rumah tangga.
"Saya sudah cukup melalui masa-masa yang memberi banyak pengalaman kepada saya, bagi saya perkara seperti ini tidak perlu dirancang.
"Saya hanya ikut sahaja apa yang terjadi dan jika ada rezeki Insya-Allah ia jadi, namun apa yang saya lihat ia tidak akan terjadi pada tahun ini," katanya kepada mStar Online.
Maya berkata demikian ketika ditanya tentang perancangan untuk berumah tangga dengan kekasih baharu yang masih dirahsiakan identitinya.
Sebelum ini, Maya pernah mendirikan rumah tangga bersama jejaka Inggeris iaitu Muhammad Ali atau nama sebenarnya Steven David Shorthose pada tahun 2008, namun berpisah pada 2010.
Dalam pada itu, Maya berkata, tahun ini, dia lebih fokus kepada kerjaya terutama dalam bidang nyanyian.
Maya yang keluar dengan single baharu berjudul Teka Teki ini juga bakal melancarkan album ketiganya dalam masa terdekat.
"Insya-Allah saya akan adakan sidang media untuk melancarkan album ini dalam masa terdekat.
"Selama setahun kebelakangan ini saya sepi kerana sibuk dengan proses rakaman dan cari bahan untuk album ini, ia juga memuatkan tujuh buah lagu," katanya.
Maya Karin bergandingan dengan Bront Palarae dalam filem 'Sejoli'.
Sementara itu, Maya yang turut terlibat dengan filem Sejoli mengakui tahap penguasaan bahasa Melayunya semakin baik.
Katanya, dia banyak belajar dan bercakap dalam bahasa tersebut dengan dibantu oleh pelakon-pelakon filem ini.
"Alhamdulillah bahasa Melayu saya semakin baik dan saya boleh buat lawak dalam bahasa Melayu.
"Azad Jasmin banyak mengajar saya untuk lebih fokus kerana dia selalu tidak ikut apa yang ditulis dalam skrip yang mengakibatkan saya perlu fokus untuk membalas lakonan tersebut," katanya.
Filem Sejoli turut mengandingkan dia dan pelakon Bront Palarae, Remy Ishak dan Zira Abu Zahar.
Tambahnya, filem yang mula berada di pawagam pada 20 Februari ini merupakan sebuah filem romantik ringan yang sesuai untuk semua golongan yang sedang bercinta.

Felixia jatuh hati pada busana Muslimah

Posted: 17 Feb 2014 07:17 PM PST

  • Felixia YeapGambar dari felixiayeap.blogspot.com

SHAH ALAM - Bekas model Playboy dari Ipoh, Felixia Yeap yang dulu hanya tertarik untuk mengenakan hijab, kini mula jatuh hati dengan pakaian yang lebih longgar dan menepati syariat Islam.

Jelas Felixia beliau kini sudah mula menyimpan pakaian yang bersaiz kecil, dan berharap selepas ini beliau tidak akan mengenakan lagi pakaian yang bersaiz 'kanak-kanak'.

 "Pada mulanya,saya jatuh hati pada hijab.

"...sekarang, saya sedar yang saya telah jatuh cinta dengan baju-baju yang longgar dan labuh... seperti jubah, abaya dan semestinya baju kurung.

"...lipat dan simpan skinny jeans, harap-harap tak payah nak pakai skinny jeans dah. (Ini pun sebab saya tak ada seluar lain buat masa ni, huhuhu...)," katanya di laman Facebooknya.

Tahun lepas, Felixia mengambil keputusan untuk memakai tudung sebagai fesyen tanpa memeluk Islam.

Felixia berkata, beliau mula jatuh cinta dengan fesyen tudung apabila beliau dipanggil untuk uji bakat iklan Raya Haji Celcom.

Jelitawan 27 tahun dari Ipoh yang memulakan karier sebagai model sejak usia 19 tahun itu bagaimanapun tidak mengendahkan sebarang kesangsian dan kritikan yang dilemparkan kepadanya sejak beliau mula memakai hijab beberapa bulan lalu.

"Mereka berkata saya lakukan ini bertujuan mencari Datuk Melayu kaya untuk berkahwin.

 "Jika saya mahu mencari seorang lelaki kaya, saya sudah lakukannya sejak dahulu lagi ketika saya masih aktif sebagai model yang sentiasa memberi pose seksi. Kritikan mereka tidak logik. Apa yang saya mahu lakukan ialah untuk lebih banyak menutup dan melakukan peragaan yang lebih sopan," kata beliau kepada sebuah laman portal.

Menjelaskan tindakan beliau lagi, Yeap berkata, walaupun ia satu kejutan kepada peminatnya, cinta beliau terhadap pakaian Islam telah bermula ketika di bangku sekolah lagi.

Beliau berkata, walaupun ada umat Islam mengkritik, kebanyakan komen negatif datang daripada bukan Islam.

Katanya beliau sangat suka dengan baju kurung dan pakaian tradisi masyarakat Melayu-Islam.

'Terpaksa pinjam duit orang'

Posted: 17 Feb 2014 06:27 PM PST

  • 'Terpaksa pinjam duit orang'Sebahagian pengawal keselamatan berhimpun secara aman bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap majikan mereka.

BATU RAKIT – Bagaikan peminta sedekah. Itulah perumpamaan sesuai yang sedang dihadapi kira-kira 50 pengawal keselamatan sekolah di sini, apabila terpaksa merayu-rayu untuk mendapatkan gaji mereka.

Segalanya bermula kira-kira enam bulan lalu apabila kontrak untuk pengawal keselamatan telah bertukar tangan kepada syarikat baharu yang berpangkalan di Sabah dan turut mempunyai pejabat cawangan di negeri ini.

Kesemua pengawal keselamatan yang berkhidmat di 13 sekolah yang dinaungi syarikat berkenaan bukan sahaja lewat mendapat gaji, malah bayaran turut dilakukan secara beransur-ansur.

Wakil pengawal keselamatan berkenaan, Muhammad Radzi Ibrahim berkata, mereka pernah meminta penjelasan daripada pihak majikan tetapi tidak diendahkan dan tiada sebarang tindakan diambil.

"Kami akui syarikat baru yang mengambil alih (majikan sekarang) menawarkan gaji lebih sedikit berbanding syarikat sebelum ini, namun apa yang menjadi masalah sekarang adalah gaji yang diterima setiap bulan adalah lewat sehingga telah masuk bulan baru..gaji bulan lepas baru dibayar.

"Keadaan ini sememangnya memberi tekanan kepada kami yang mempunyai tanggungan besar, di mana belanja anak sekolah, keperluan rumah dan sebagainya hingga ada antara kami yang terpaksa meminjam duit dengan orang lain," katanya.

Menurut Muhammad Radzi, apa yang sedang dilalui mereka kini terlalu berat.

"Belum lagi masuk soal gaji pokok yang tidak dibayar mengikut pelaksanaan gaji minimum RM900, sebaliknya kami dibayar mengikut berapa jam bekerja.

"Jadi, kami harap agar pihak yang berkenaan termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu menjadi orang tengah untuk menyelesaikan masalah kami dengan syarikat kawalan keselamatan," katanya.

Katanya lagi, sebelum ini, pihak sekolah pernah mengajukan permasalahan berkait bayaran gaji kepada syarikat kawalan yang terbabit, namun jawapan diterima amat mendukacitakan.

"Kita juga ingin berterima kasih kepada pihak sekolah yang banyak membantu dengan menghubungi syarikat kawalan keselamatan bertanyakan bayaran gaji kami, namun pihak sana (syarikat kawalan keselamatan) hanya memaklumkan akan membuat bayaran dalam masa terdekat, namun setiap kali itu jugalah mereka gagal menepati syarat perjanjian asal.

"Mengikut surat tawaran pekerjaan yang diterima sebelum ini, syarikat berjanji untuk membayar gaji pada 7 hari bulan untuk setiap bulan, namun ternyata sekadar janji manis semata-mata," katanya.

Muhammad Radzi berkata, ketiadaan persatuan atau organisasi khusus untuk membela nasib mereka jika berlaku perkara yang tidak diingini termasuk penindasan oleh majikan sememangnya amat mendukacitakan.

"Kami terpaksa ambil tindakan sendiri dengan membuat aduan di Pejabat Buruh atau Biro Pengaduan Awam dengan harapan masalah yang dihadapi ini dapat diselesaikan dengan cara terbaik," katanya.

Didakwa pukul, rantai leher isteri

Posted: 17 Feb 2014 06:25 PM PST

  • Didakwa pukul, rantai leher isteriSuspek (tengah) keluar dari mahkamah selepas dikenakan reman, semalam.

KOTA BHARU - Seorang lelaki berusia 26 tahun dikenakan perintah reman tiga hari oleh mahkamah majistret di sini, semalam, bagi membantu siasatan kes memukul dan merantai leher isteri, bulan lalu.

Perintah dikeluarkan Timbalan Pendaftar, Amni Mat Jahari terhadap suspek berkuat kuasa semalam dan berakhir 19 Februari ini.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azham Othman yang dihubungi semalam, mengesahkan perkara itu.

"Suspek yang juga suami mangsa ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan suspek yang diburu lebih dua minggu, ditahan sepasukan polis di sebuah rumah kosong di kawasan belukar berhampiran Kampung Tembisu, Pasir Tumboh, di sini, jam 5.30 pagi, kelmarin.

Dia kemudian dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Dalam kejadian di Kampung Temusu, Limbat, di sini, suspek bertindak kejam terhadap isterinya berusia 21 tahun selepas dikatakan tidak diberi wang seperti diminta. Kejadian berlaku pada jam 7 malam, 30 Januari lalu.

Mangsa yang baru habis berpantang kerana melahirkan anak kedua mengalami kecederaan di kepala, leher serta lebam di bahagian badan dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Tidak mahu besar kepala

Posted: 17 Feb 2014 06:18 PM PST

KEITH bukan sahaja menjadi tumpuan peminat tetapi juga pihak media.


LAKONAN yang ditampilkan oleh Keith Foo dalam drama bersiri Ariana Rose yang baru sahaja berakhir pada minggu lalu telah memberikan impak tersendiri buat dirinya di kala usaha gigihnya mencipta nama di negara kelahiran sendiri.
Buktinya, ketika berlangsungnya acara siri jelajah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) di pusat membeli belah One Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, kehadiran Keith menjadi tumpuan ramai sehingga pergerakannya terpaksa dikawal ketat.
Melihat kepada perjalanan seni pelakon yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan itu, bukan mudah buat dirinya menempa nama sebagai anak seni di negara kelahiran sendiri setelah satu tahun merantau ke Hong Kong dan lapan tahun merantau di Indonesia pada usia seawal 20-an.
Mengambil keputusan kembali bermastautin di Malaysia sejak dua tahun lalu, baru kali ini kehadirannya dalam industri hiburan tempatan semakin mendapat tempat lantaran wataknya sebagai Tengku Adam Kamil menerusi drama tersebut diminati penonton.
Dalam suasana cukup sesak dikelilingi orang ramai yang hadir pada acara tersebut, pelakon itu masih mampu memberikan kerjasama apabila diminta untuk ditemu bual oleh wartawan.
"Tidak sangka pula sambutan penonton terhadap drama Ariana Rose sangat menggalakkan. Sudah tentu ia cukup menggembirakan diri saya sepanjang bergelar pelakon di negara sendiri.
"Bukan mudah untuk memegang watak tersebut pada peringkat awal sehingga membuatkan saya cukup tertekan, tetapi apabila mengetahui tentang sambutan yang diterima pastinya ia sangat berbaloi," luah pelakon berdarah kacukan Cina (bapa) dan India (ibu) itu.
Memandangkan namanya yang kini semakin menjadi sebutan sehingga berjaya meletakkan namanya sebaris dengan pelakon lelaki popular lain, Keith menegaskan ia sesekali tidak akan membuatnya cepat lupa diri.
Sedar tentang populariti yang dikecapinya itu merupakan hasil sokongan peminat yang mula menerima kehadirannya sehingga namanya meniti di bibir peminat, ia akan dijadikan pembakar semangat untuk mengembangkan lagi karier lakonannya.
"Tiada perubahan ketara dalam kehidupan saya ketika mula-mula kembali ke Malaysia dahulu dan sekarang ini.
"Bezanya, kini saya sudah mula didekati peminat yang ingin bergambar dan ia satu pencapaian yang sangat menggembirakan dan menjadi bukti kehadiran saya diterima ramai.
"Sokongan peminat merupakan faktor paling utama terhadap kejayaan seseorang artis. Kalau saya bersikap besar kepala dengan peminat, pastinya diri saya tidak akan dikenali ramai seperti sekarang," tegasnya.
Menyambung cerita tentang populariti, Keith turut diminta pandangannya apabila ada dakwaan yang mengatakan keputusannya untuk kembali ke negara kelahirannya disebabkan namanya yang semakin tenggelam di Indonesia.
Tidak terkejut dengan dakwaan tentang popularitinya yang dikatakan semakin merudum di Indonesia, anak bongsu daripada empat beradik itu menjelaskan faktor utama dia pulang ke Malaysia kerana ingin dekat bersama ahli keluarganya.
"Pada usia yang sudah mencecah 31 tahun sekarang ini, sudah tiba masanya saya berdekatan dengan ahli keluarga setelah meninggalkan mereka dalam tempoh yang cukup lama.
"Kalau dikatakan saya sudah tidak laku lagi di Indonesia, sepanjang kepulangan saya masih banyak lagi tawaran lakonan yang diterima daripada penerbit dan pengarah di sana.
"Namun begitu, keutamaan saya kini lebih bertumpu di Malaysia sahaja," ujarnya.
Masalah pertuturan
Biarpun dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia sehingga meningkat usia remaja, pelakon kacak yang semakin digilai peminat wanita itu pernah berhadapan dengan masalah pertuturan ketika mula-mula berlakon dengan produksi tempatan.
Berada di negara seberang dalam tempoh yang cukup lama sehingga sudah terbiasa berbahasa Indonesia dikatakan sebagai punca utama, akui Keith, dia mengambil masa untuk membiasakan diri.
"Ketika berlakon dalam drama bersiri Love You Mr. Arrogant tahun lalu, pertuturan saya dalam bahasa Indonesia masih lagi terlalu pekat. Ia serba sedikit memberi tekanan kerana ia mengganggu tumpuan saya sewaktu berlakon.
"Bagi mengatasi masalah tersebut saya memaksa diri sendiri untuk bercakap bahasa Melayu dengan betul dengan bantuan rakan-rakan pelakon lain.
"Akhirnya, masalah tersebut telah dapat diatasi dan itu merupakan antara cabaran paling sukar," ujarnya yang kini semakin fasih berbahasa Melayu.
Meluahkan rasa gembiranya apabila tawaran berlakon yang diterima semakin mencurah-curah, Keith mendedahkan, dia akan tampil di layar perak pula dan bakal membintangi sebuah filem yang masih belum boleh diumumkan judulnya lagi buat masa ini.
Kontroversi
Di sebalik populariti yang dikecapinya apabila menjadi teraju utama drama bersiri Ariana Rose, timbul pula kontroversi kerana terdapat babak dia bersolat dan membaca al-Quran sehingga menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak.
Sudah dapat menjangkakan persoalan tersebut akan diajukan kepadanya, ujar Keith, apabila memegang watak sebagai seorang lelaki Muslim dalam sesebuah drama, ia sebenarnya memberi kelebihan buat dirinya untuk mengenali agama Islam secara lebih dekat.
"Mungkin ramai yang tidak tahu salah seorang kakak saya merupakan seorang mualaf dan sudah lama menganut agama Islam.
"Saya selalu bertanya tentang amalan yang dilakukan kepadanya sebagai seorang Muslim.
"Apabila saya diberi peluang menjadi muslim dalam sebuah drama pula, ia membuka peluang buat diri saya mendapat lebih banyak informasi tentang Islam," jelasnya.
Menurut Keith, dia juga tidak berasa terlalu janggal memegang watak lelaki Muslim memandangkan dia sudah pernah diberi peranan sedemikian ketika berlakon dalam beberapa buah sinetron di Indonesia dahulu.
"Biasanya, sebelum memulakan lakonan saya akan bertanya kepada individu yang arif terlebih dahulu supaya tiada sebarang kesilapan yang berlaku sehingga memberi gambaran yang salah kepada penonton," ujarnya.


Isu single baharu Siti tiru lagu Rihanna

Posted: 17 Feb 2014 06:17 PM PST

SINGLE Jaga Dia Untuk Ku begitu bermakna buat Siti.


PERTAMA kali Datuk Siti Nurhaliza menyanyikan single terbaharunya yang berjudul Jaga Dia Untuk Ku yang dicipta oleh Aubrey Suwito ketika konsert amal Live in KLCC Where The Heart Is pada minggu lalu.
Bagaimanapun, timbul kritikan bahawa lagu itu mempunyai rentak yang mirip lagu Russian Roulette milik penyanyi antarabangsa, Rihanna.
Menjawab tuduhan itu, tegas Siti, dia tidak beranggapan lagu itu diciplak bulat-bulat, sebaliknya ia mengambil inspirasi daripada lagu penyanyi popular masa kini termasuk Rihanna dan Pink.
"Siti tidak pernah mendengar lagu tersebut (Russian Roulette) sebelum ini dan adalah lebih baik untuk merujuk pada Aubrey Suwito berkenaan perkara ini kerana dia yang mencipta single Jaga Dia Untuk Ku.
"Mungkin secara kebetulan, rentak, tempo dan bunyinya kedengaran seakan sama tapi melodi berbeza. Bukan mahu tiru 100 peratus tapi dijadikan inspirasi.
"Rasanya tidak timbul isu berkaitan menciplak lagu-lagu penyanyi lain dan Siti tidak akan sesekali berbuat demikian," jelasnya yang ditemui pada majlis sidang akhbar Secretaries' Week Luncheon Lebih Indah di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Gosip Adib
Single Jaga Dia Untuk Ku, kata Siti, menceritakan tentang pahit maung sepanjang tempoh dia menjaga suaminya, Datuk Sri Khalid Mohamad Jiwa ketika terbabit dengan kemalangan motosikal di New Zealand pada bulan April dua tahun lalu.
Tambahnya, single itu juga akan dimuatkan dalam album terbaharunya yang dijangka akan dilancarkan pada bulan April nanti.
"Sebanyak lima buah lagu telah dirakam dan tinggal lagi lima lagu sebelum album ini siap sepenuhnya tidak lama lagi. Boleh dikatakan album kali ini lebih moden dan segar tapi masih mengekalkan gaya Siti," katanya mengenai album yang melibatkan komposer seperti Adi Sixth Sense, Awi Rafael dan Ade Govinda.
Dalam pada itu, Siti turut diminta mengulas mengenai hubungan anak tirinya, Adib Khalid yang kelihatan hadir bersama pelakon popular, Ummi Nazeera pada konsert amalnya di Plenary Hall, KLCC baru-baru ini.
"Mereka memang saling kenal-mengenali sejak dulu lagi, Ummi adalah seniornya ketika menuntut di Melbourne, Australia. Biasalah budak-budak nak berkawan dan Siti pun kena terbuka, belum tentu kita jatuh hati kalau berkawan pun.
"Sebelum ini pun, Adib pernah digosipkan dengan pelakon baharu di bawah Metrowealth, Nina Iskandar dan memang dia mengakui terkedu apabila terkena gosip juga.
"Lagipun, baru sekali dia menghadiri malam gala tayangan perdana filem bersama artis baharu itu, terus kena gosip," kata Siti yang banyak menasihatkan Adib mengenai selok-belok dunia hiburan.
Rai setiausaha
Sementara itu, Siti bakal menjayakan Secretaries' Week Luncheon Lebih Indah Bersama Datuk Siti Nurhaliza yang dijadualkan berlangsung pada pukul 12 tengah hari, 15 dan 16 April nanti di Dewan Tamingsari, Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Persembahan dua hari yang bertemakan Fantasy Garden itu akan menggabungkan seni dan budaya bersama landskap alam semulajadi dilengkapi dengan beberapa lukisan dan arca.
Kata Ketua Perhubungan Awam Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, Farah Halim, minggu setiausaha itu pernah dijayakan Siti pada tahun lalu di hotel yang sama dan mendapat sambutan luar biasa.
"Maka, tahun ini kami menjemput Datuk Siti Nurhaliza sekali lagi untuk menjayakan majlis yang akan berlangsung selama dua hari berturut-turut, semata-mata meraikan setiausaha bersama majikan masing-masing," katanya.
Jualan meja berharga RM400, RM500 dan RM600 bagi setiap individu sudah mula dijual. Maklumat lanjut hubungi 03-2688 9688 untuk tempahan.


Lelaki masuk kandang harimau

Posted: 17 Feb 2014 06:05 PM PST


AKSI lelaki itu dirakam pengunjung zoo tersebut.


CHENGDU, China - Seorang lelaki bertindak memasuki kandang harimau untuk memberi makan pada seekor harimau di sebuah zoo di sini, lapor akhbar MailOnline kelmarin.
Beberapa pengunjung merakam aksi lelaki yang dikenali sebagai Yang Jinhai itu memanjat kandang binatang buas tersebut dan mendekati seekor harimau Benggala.
Lelaki yang berusia 20 tahun itu dilaporkan berasa sedih kerana salah satu daripada harimau itu kelihatan lapar.
Dia kemudian membuat keputusan memanjat masuk ke dalam kandang harimau itu untuk memberi haiwan berkenaan makan nasi perang yang disimpan di dalam beg galasnya.
Berdasarkan laporan laman berita Shanghaiist.com, saksi-saksi berkata, dia menjerit ke arah harimau dan menari di sekeliling kandang itu.
Salah satu haiwan itu kelihatan cemas dan berundur manakala seekor harimau lagi menerkam ke arahnya.
Namun, Jinhai bernasib baik kerana seorang penjaga zoo berkenaan berjaya menghalang harimau itu dan membawa lelaki itu ke tempat selamat.
"Sekiranya harimau itu spesies harimau Siberia, saya tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku kepada lelaki itu,," kata seorang pekerja zoo tersebut kepada akhbar West China City Daily.
Seorang jirannya berkata, lelaki berkenaan pernah mengalami masalah mental sebelum ini.


Wanita ada janggut

Posted: 17 Feb 2014 06:02 PM PST

JANGGUT Harnaam mula tumbuh ketika dia berusia 11 tahun.


BERKSHIRE, Britain - Seorang wanita berketurunan Sikh sering dibuli di sekolahnya kerana wajahnya yang berjanggut, lapor akhbarMailOnline semalam.
Semasa bersekolah, wanita berkenaan, Harnaam Kaur digelar "wanita lelaki" kerana dia berpakaian seperti lelaki untuk menutup bulu pada dada dan tangannya.
"Saya tidak mahu keluar dari rumah kerana tidak tahan dengan ejekan orang ramai. Saya berkurung di dalam bilik dan berasa tidak mahu hidup lagi," katanya.
Wajah Harnaam mula ditumbuhi janggut ketika dia berusia 11 tahun disebabkan sejenis penyakit ganjil yang dikenali sebagai sindromovari polisistik.
Dia sebelum ini kerap bercukur dan menyapu krim pemutih untuk meredakan sindrom tersebut.
Namun, apabila memasuki usia 16 tahun, Harnaam mula membiarkan janggut pada mukanya kerana agama Sikh tidak membenarkan penganutnya membuang rambut dan bulu badan.
"Saya tidak akan membuang rambut pada muka lagi kerana ia adalah cara Tuhan membuatkan saya dan saya gembira dengan keadaan saya sekarang," jelasnya.


Kembar lahir anak pada hari sama

Posted: 17 Feb 2014 05:58 PM PST


SARAH bersama bayinya, Austin dan Heather mendukung Emelie.


LONDON - Sepasang kembar di Britain melahirkan bayi pada hari yang sama dalam peristiwa yang mempunyai kebarangkalian satu dalam setiap 400,000, lapor sebuah akhbar semalam.
Heather Richardson dan Sarah Fidler yang berusia 35 tahun menjadi ibu dalam tempoh selang beberapa jam di sebuah hospital di Newcastle Khamis lalu.
Akhbar Britain, Newcastle Chronicle melaporkan bahawa adik- beradik kembar itu turut mengetahui tentang kehamilan mereka pada hari yang sama.
Heather melahirkan seorang bayi perempuan, Emelie Frances pada pukul 1.20 pagi manakala anak lelaki Sarah, Austin Gibbs lahir 13 jam kemudian.


Et rentas dari China ke Pakistan

Posted: 17 Feb 2014 05:53 PM PST

Dalam tempoh 37 hari, Et yang berkelana sejauh 6,077 km merentas China hingga ke Pakistan hanya membelanjakan RM2,000, malah berjaya melewati lebuh raya paling bahaya di dunia.

GAMBAR wanita tua duduk di ruang tamu dalam sebuah gua yang menjadi tempat tinggalnya di Ghizer, Pakistan.


SEBAIK sahaja redup bayang-bayang senja melatari landskap gua batu dan padang gurun di bandar purba itu, Siti Noridah Ab. Rahman, 30, merasakan ada sesuatu yang tidak kena sewaktu dia berjalan kaki melewati kawasan tersebut.
Rupa-rupanya ada seekor anjing meluru ke arahnya membuatkan wanita itu berlari sambil menggalas beg seberat 12 kilogram (kg) untuk menyelamatkan diri.
Pengalaman lucu yang mendebarkan itu dialami di Dunhuang, China masih terpahat kemas dalam ingatannya ketika mengembara secara solo selama 37 hari merentasi bumi China hingga ke Pakistan. Pengalaman manis dan pahit disimpan kemas dalam lipatan kenangan agar menjadi pedoman bagi pengembaraan akan datang.
Siti Noridah yang selesa dipanggil Et merupakan pegawai teknologi maklumat di institusi swasta di ibu negara. Dia memulakan misi kembara solo melalui Laluan Sutera dari Chengdu di China merentasi beberapa bandar sebelum menamatkan perjalanan di destinasi terakhir iaitu Islamabad di Pakistan.
Apa yang memeranjatkan, wanita kental itu memberitahu, dia hanya menghabiskan kira-kira RM2,000 bagi kos perbelanjaan berkelana sejauh 6,077 kilometer (km).
Seperti pengembara lain, Et menyediakan perancangan rapi sebelum memulakan pengembaraan tersebut. Tidak ketinggalan, dia turut mendapatkan insurans perjalanan daripada syarikat AIA bagi perlindungan keselamatan.

ET merakam gambar kenangan dengan penduduk setempat di Gupis, Pakistan.


Tidak mudah
Namun, misi yang ditempuh tidak semudah yang diharapkan. Lebih-lebih lagi apabila maklumat mengenai laluan yang ingin diredah tidak banyak terdapat di internet terutamanya tentang Pakistan.
"Selain maklumat yang agak terhad, saya menghadapi masalah ketika membuat permohonan visa di Suruhanjaya Tinggi Pakistan (STP) yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
"Saya perlu melampirkan surat jemputan dan salinan pasport kenalan dari Pakistan bagi memastikan permohonan visa diluluskan. Ia melambatkan proses permohonan kerana syarat tersebut tidak dinyatakan secara jelas dalam borang yang disediakan," ujarnya yang perlu menghadiri sesi temu duga dikendalikan oleh STP bagi melengkapkan permohonan tersebut.
Pengembaraan Et bermula dengan penerbangan selama empat jam 25 minit ke Chengdu yang terletak di Wilayah Sichuan, barat daya China. Di Chengdu, dia menginap di rumah couchsurfer (CS), Jiang yang merupakan wanita tempatan.
CS merupakan gelaran kepada pemilik akaun laman sosial Couchsurfing. Laman tersebut menyediakan ruang kepada ahlinya untuk mencari atau menjadi hos penginapan kepada pelancong dari seluruh dunia secara percuma.

ET dijamu oleh masyarakat tempatan di Pakistan dengan hidangan capati dan ikan goreng ketika dipelawa ke rumah mereka.


Kebanyakan CS yang dikenalinya sangat arif dengan lokasi makanan halal dan banyak membantunya untuk bergaul dengan masyarakat setempat.
"Ada satu tempat yang saya kunjungi merupakan pekan kecil yang tiada komuniti Islam. Saya terpaksa makan makanan segera atau mi sahaja selama 12 hari," ceritanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bandar Chengdu dihiasi dengan landskap bandar yang moden seperti bandar-bandar utama dunia. Biarpun bandar tersebut besar dan maju, penduduknya kelihatan agak tenang dan santai. Mereka gemar melakukan senaman aerobik di taman-taman terutama pada waktu petang.
Laluan Sutera
Lain pengembara, lain cita rasa kembaranya. Et memilih untuk menjelajah Laluan Sutera kerana sangat berminat untuk melihat perbezaan etnik dan gaya hidup masyarakat terutama di kawasan pedalaman.

BEGINILAH pakaian yang dipakai wanita di Kashgar pada setiap hari.


Selepas Chengdu, Et meneruskan pengembaraan ke bandar Xi'an, wilayah Shaanxi, China dengan menaiki kereta api selama 16 jam. Setibanya di bandar yang didiami kira-kira 5.25 juta penduduk itu, Et memilih tempat penginapan ala asrama bagi menjimatkan kos.
Tatkala Et memberitahu pengalamannya berkunjung ke muzium Tentera Terracotta, Xi'an yang dibina sejak 2,222 tahun lalu, terbayang-bayang gerakan kung fu bintang ternama China, Jackie Chan yang beraksi di muzium tersebut menerusi filem The Myth pada tahun 2005.
Muzium tersebut dipenuhi 8,000 patung tentera, 520 kuda dan 150 pasukan tentera berkuda. Matanya seakan-akan terpaku melihat keunikan setiap patung yang dihasilkan daripada tanah liat kerana tidak ada satu pun patung yang serupa antara satu sama lain.
Menurut sejarah, sekumpulan pekerja menjalankan kerja mengorek perigi di luar bandar Xi'an pada 1974. Tanpa diduga, satu penemuan arkeologi terbesar di dunia terbenam di lokasi berkenaan. Ia tidak ubah seperti lautan askar yang sedia bertempur di medan perang.
Melalui tulisan sejarah mahkamah, Siam Qian, askar tanah liat itu dibina dengan kerahan tenaga 700,000 hamba atas titah Maharaja Qin Pertama. Titah tersebut bertujuan untuk melindungi maharaja berkenaan di alam akhirat selepas kemangkatannya.
Tambah Et, bandar Xi'an disifatkan sebagai kota penuh bersejarah dan ia dikelilingi dengan tembok lama sepanjang 13.74km dan setebal 12 hingga 16 meter (m).
"Selagi anda berada dalam kawasan yang dikelilingi tembok, itu bermakna anda masih di dalam bandar Xi'an," tambahnya yang gemar menjelajah ke kawasan terpencil berbanding pusat bandar.

MASYARAKAT di Kashgar, Xinjiang, China masih mengamalkan sistem perniagaan ala barter melibatkan haiwan ternakan, pakaian dan barangan kraf.


Wanita kelahiran Batu Pahat, Johor itu menggemari aktiviti mendaki semasa mengembara. Dia sentiasa membawa kelengkapan seperti kasut, sandal, selipar, beg tidur dan lampu kepala mengikut keperluan destinasi yang dituju.
Formasi gunung
Biarpun belum puas menerokai keunikan di segenap 'bandar tembok' tersebut, Et meneruskan jua pengembaraan Laluan Sutera sejauh 1,150 km (12 jam) ke bandar Zhangye. Di sana, terbentang luas pemandangan menakjubkan formasi gunung berwarna-warni yang dipanggil Batu Warna-warni Danxia.
Matanya terpaku melihat keindahan alam ciptaan Tuhan. Ia seolah-olah kanvas lukisan tiga dimensi yang dilimpahi ledakan warna terang pada gugusan gunung batu kapur seluas 73,945 hektar.
Sepanjang perjalanan merentasi beberapa bandar, Et menghadapi masalah komunikasi kerana rata-rata masyarakat di China tidak boleh berbahasa Inggeris terutama penduduk di kawasan pedalaman.
Menyedari hakikat tersebut, Et mencari jalan penyelesaian dengan meminta bantuan pekerja hostel untuk menulis perkataan atau nama tempat dalam bahasa Cina. Dia menunjukkan kertas tersebut kepada penduduk tempatan untuk memudahkan mereka berkomunikasi.
"Mereka memang tidak pandai langsung berbahasa Inggeris dan tidak memahami tulisan rumi. Pada masa sama, saya ada juga belajar perkataan-perkataan asas dalam bahasa Cina.
"Contohnya, ayat seperti 'berapa harga ini?' (barang atau tiket) dan perkataan stesen bas serta kereta api," jelasnya.
Seterusnya, Et menyambung kembara solonya ke lima bandar China lain iaitu Dunhuang, Urumqi, Kashgar, Karakul dan Taskurgan sebelum ke Pakistan.

Kualiti kelas pertama Mango Mojito

Posted: 17 Feb 2014 05:51 PM PST


VARIASI sepatu Mango Mojito sesuai untuk pelbagai gaya harian setiap lelaki.


STAIL kasut dari Jepun menjadi ilham kepada empat lelaki Thailand. Minat mereka terhadap kasut dengan campuran ciri klasik dan moden mendorong kepada penciptaan satu jenama. Lahirnya Mango Mojito bukan sekadar suka-suka, namun untuk mempertaruhkan karya sepatu Adam yang tinggi kualiti.
Sekitar tahun 2009, Silratth Sukwatthanasiri, 27, bersama tiga sahabatnya mewujudkan Mango Mojito. Dua tahun anak-anak Bangkok, Thailand itu berhempas-pulas membangunkan jenama kasut mereka. Kini, ia telah menembusi pasaran antarabangsa termasuk Malaysia dan Australia.
Pada awal pengenalan Mango Mojito, Thailand memang ketandusan kasut kasual klasik buat golongan lelaki. Apatah lagi kasut material kulit asli yang boleh ditempah khas. Namun kini, terdapat banyak pengusaha kasut di negara itu yang menggunakan konsep serupa.
Begitupun Mango Mojito tidak terjejas. 13 rekaan klasik daripada rangkaian kasut jenis boat, sarung (loafer), oxford, but chukka dan beberapa lagi keluaran eksklusif terus menjadi keutamaan pengikut setia mereka.
Penerapan teknik kemasan istimewa juga satu kelebihan buat jenama dari negara Gajah Putih itu. Kira-kira enam teknik rumit diaplikasikan bagi menghasilkan satu kasut Mango Mojito.
Dianggarkan setiap teknik untuk satu kasut memakan masa selama 40 minit. Jika dicampur keseluruhan proses termasuk fasa pengeringan warna, sepasang kasut hanya boleh disiapkan secara sempurna dalam tempoh dua minggu.
SEPATU ini membantu pembentukan gaya kasual klasik dengan sempurna.


Teknik Itali
"Dalam sehari kami boleh hasilkan 10 hingga 20 pasang kasut sahaja. Teknik yang kami gunakan sama seperti pembuat kasut di Itali. Ia amat teknikal dan terperinci terutamanya ketika proses pewarnaan.
"Untuk mendapatkan warna kasut kulit seperti yang kami tawarkan, setiap kasut perlu melalui lima hingga enam fasa. Jadi prosesnya memang memakan masa dan menelan kos yang agak tinggi," jelas Silratth bahawa Mango Mojito antara pengusaha kasut yang terawal menerapkan teknik Itali tersebut di Thailand.
Pada dasarnya, harga setiap pasang sepatu Mango Mojito memang agak mahal berbanding kasut yang sedia ada dalam pasaran. RM499 adalah penawaran paling murah jenama itu untuk sepatu dengan rekaan paling asas.
Bagi rekaan eksklusif termasuk tempahan khas (custom made), pelanggan perlu membelanjakan RM599 ke atas. Secara realistik, harga itu hampir setara dengan label-label kasut popular seperti Timberland dan Dr Martens.
Bagaimanapun, Mango Mojito positif bahawa kualiti produk mereka juga setaraf dengan harga yang dilaburkan pengguna. Perbandingan dengan dua jenama antarabangsa itu pula dirasakan tidak wajar memandangkan mereka mengeluarkan produk yang amat berbeza.
Silratth yang juga Pengurus Jenama bagi Charcoal Company Limited ketika ditemui Stailo di Kuala Lumpur baru-baru ini menjelaskan, masyarakat masih menanam skeptikal lapuk terhadap tingkat penjenamaan sesuatu produk.

SETIAP tapak kasut jenama Thailand ini dijahit kemas untuk ketahanan berpanjangan.


Pembangunan jenama
Barangan berjenama popular sering menjadi pilihan berbanding produk kurang ternama, waima kualitinya hanya sederhana. Seperti Mango Mojito, kualiti kekal sebagai teras pembangunan jenama. Mereka mahu membina kepercayaan pelanggan daripada ketahanan dan individualiti produk yang ditawarkan.
Kesungguhan jenama itu menyediakan sepatu lelaki berkualiti dapat dilihat pada kasut sarungnya. Kebanyakan jenama mengambil mudah kemasan pada tapak kasut jenis itu. Justeru, tapak kasut mudah tercabut walaupun baru beberapa kali dipakai kerana ia hanya digam.
Setiap bahagian kasut Mango Mojito dijahit. Jadi pengguna tidak perlu gusar terhadap kerapuhan kualiti jenama tersebut. Dalam erti kata lain, membeli sepasang sepatu Mango Mojito adalah pelaburan yang bijak.
Lebih istimewa, pelanggan diberi kuasa untuk terlibat secara langsung dengan proses rekaan kasut. Kebebasan memilih rekaan bagi membentuk kasut bersifat peribadi menjadikan Mango Mojito sebagai jenama eksklusif yang sangat progresif.
Untuk setiap kasut, pelanggan diberi pilihan warna bagi membentuk stail individu. Gabungan tiga warna berpadanan yang tidak terlalu 'meriah' pula mengekalkan ciri klasik pada setiap pasang kasut mereka.
Kasut sarung Mango Mojito merupakan item paling popular. Rekaan ringkas, mudah dipadankan dan selesa menjadikan ia pilihan kebanyakan orang.
Variasi sepatunya juga tidak terhad terhadap sesuatu gaya. But chukka paras buku lali misalnya, sesuai disatukan bersama sut formal atau kasual. Setiap jenis kasut jenama itu boleh disesuaikan mengikut gaya harian yang pelbagai.
Kasut sarung Mango Mojito dipecahkan kepada enam jenis iaitu simple, mojito, tassel, formal, penny dan formal penny. Kasut jenis oxford pula terbahagi dua dengan pilihan captoe dan oxford biasa.
Kesukaran mencari saiz yang sesuai juga bukan masalah. Memandangkan majoriti kasut sering menggunakan saiz kaki lelaki Eropah, kaum Adam yang berkaki kecil dilanda masalah bagi mencari kasut dengan saiz yang sepadan. Jenama Thailand itu mengutamakan saiz orang Asia.


Lapan herba penawar cantik

Posted: 17 Feb 2014 05:50 PM PST


EKSTRAK haruman lavender yang dijadikan minyak urut selamat untuk disapu terus pada kulit.


MENGAPA perlu membazir duit membeli produk kecantikan pada harga mahal sedangkan ia boleh dihasilkan sendiri.
Hanya ubah suai laman rumah atau balkoni mini anda menjadi sebuah taman dengan tumbuh-tumbuhan yang berguna dalam rawatan kecantikan.
Pelbagai herba dan bunga yang boleh digunakan sebagai penawar masalah kulit, cela, parut termasuk masalah melibatkan rambut.
Di bawah ini, tersenarai jenis tumbuhan yang bukan sekadar cantik pada luaran, namun ia efektif bagi menyokong serta menyembuh kekurangan penampilan.
1. Kamomil: Tumbuhan ini mengandungi bahan antiradang yang sesuai untuk masalah kulit sensitif, kemerahan, kerengsaan, selaran matahari dan penyakit kulit yang melarat termasuk wajah kemerah-merahan (rosacea). Ia juga boleh merawat kulit bengkak atau mata sembap.
Caranya ialah dengan mengambil bunga kamomil dan jadikan ia secawan teh. Rendam kain bersih atau putik kapas dengan air teh yang telah sejuk dan letakkan di atas kedua-dua belah mata. Bunga ini juga elok dijadikan toner dan dicampur ke dalam air mandian.
2. Clary sage: Bunga berwarna violet keputihan dengan campuran merah jambu ini boleh menjadi astringen muka yang hebat untuk kulit berminyak. Ekstrak sage bersama bahan pengecut kulit seperti witch hazel efektif dalam mengawal pengeluaran minyak berlebihan oleh kulit.
Ia juga sesuai untuk merawat akne, seborea dan kelemumur serta boleh dijadikan deodoran dan pembilas rambut.

DAUN pudina yang disapu pada wajah boleh mencegah pertumbuhan jerawat.


3. Komfrei: Pokok ini mempunyai bahan antiradang. Ia juga astringen dan bertindak sebagai emolien bagi merawat kulit rosak. Boleh digunakan dalam menangani masalah akne selain membantu pertumbuhan sel.
4. Pudina: Selain sifat semula jadinya yang sejuk dan menyegarkan, daun pudina juga amat berguna kepada kulit. Ia sering digunakan dalam toner, syampu, losen dan topeng muka. Amalan menyapu daun pudina pada wajah dapat mencegah jerawat dan merawat masalah ruam pada kulit.
5. Lavender: Sangat terkenal sebagai haruman yang menenangkan. Aroma relaks lavender menjadikan ia antara minyak urut popular di kebanyakan spa. Kandungan antibakteria dalam ekstrak tumbuhan ini selamat disapu terus pada kulit.
Ia digunakan bagi mengatasi kulit kepala gatal, keradangan dan penyakit kulit seperti akne, psoriasis dan ekzema.
6. Serai: Merupakan sejenis tumbuhan antimikrob, antibakteria dan rintang kulat. Ia digunakan sebagai astringen bagi mengecilkan pori-pori, mengawal dan membersihkan minyak berlebihan pada kulit.
Serai mampu mencegah pembentukan akne. Untuk tujuan melicin dan merawat kedut kulit pula, ekstrak serai sering ditemui dalam kebanyakan toner.

SERAI adalah sejenis astringen bagi mengecilkan pori-pori pada kulit.


7. Lemon verbena: Mempunyai aroma menyenangkan dan mampu merangsang rasa positif dalam badan apabila dicampur ke dalam air mandian suam. Ia turut digunakan sebagai pengurang kesembapan di sekeliling mata. Boleh juga dijadikan minyak urut bagi membersih dan melembutkan kulit.
8. Rosemary: Sejenis herba yang sering digunakan sebagai pewangi. Mempunyai ciri antiradang, pembunuh kuman dan astringen. Kebolehannya memperbaiki kulit menggeleber dijadikan kekuatan untuk digunakan sebagai bahan utama dalam produk antipenuaan.
Ia mengurangkan minyak berlebihan pada kulit dan digunakan bagi merawat akne, dermatitis dan ekzema. Rosemary juga efektif merawat kesembapan dan merangsang peredaran darah serta memperbaiki tekstur kulit.


Maritim aset kekuatan Esscom

Posted: 17 Feb 2014 05:46 PM PST


AKTIVITI pembanterasan kemasukan PATI ke negara ini turut menjadi tumpuan Maritim Malaysia.


TIDAK dinafikan laut boleh menjadi kawan kepada manusia apabila dijadikan sebagai laluan untuk urusan perdagangan mahupun perhubungan dua hala melibatkan negara.
Namun, laut juga boleh menjadi platform permusuhan misalnya, laluan utama anasir jahat untuk sampai ke darat sebelum mencetuskan pencerobohan.
Selepas insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 12 Februari tahun lalu, pelbagai cadangan disuarakan bagi mengatasi masalah tersebut.
Penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang meliputi kawasan sepanjang 1,400 kilometer di pesisir pantai Sabah dianggap sebagai langkah paling tepat dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang bertanggungjawab mengawal perairan negara.
Kesiapsiagaan
Ketua Pegawai Staff Operasi Maritim Malaysia di Esscom, Laksamana Pertama Maritim M. Karunanithi berkata, kesiapsiagaan pasukan tersebut terus kukuh melalui pembangunan lima buah posnya sebelum 1 Jun tahun ini.
Katanya, ia melibatkan pos di Kinabungan (Pitas), Beluran, Felda Sahabat, Kunak dan Inderasabah (Tawau).
"Sebelum ini, kita mempunyai lima pos utama iaitu di Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau.
"Tambahan lima pos ini akan memudah dan meningkatkan pemantauan keselamatan khususnya di setiap 60 batu nautika di sekitar Zon Selamat Pantai Timur Sabah di bawah Esscom.
"Ini termasuklah pemantauan dalam aspek pencemaran maritim oleh golongan tidak bertanggungjawab, pengedaran dadah, lanun laut serta pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya ketika ditemui di Pejabat Pentadbiran Esscom di Lahad Datu baru-baru ini.
Melalui pos kawalan itu, secara langsung menunjukkan bahawa kerajaan begitu serius dalam menonjolkan kekuatan dan mempamerkan keyakinan kepada penduduk di sekitar Pantai Timur Sabah selepas insiden pencerobohan pengganas Sulu.

DUA anggota Maritim Malaysia sedang melakukan rondaan di perairan Sabah.


Ujar Karunanithi, tumpuan penugasan maritim turut dikhususkan dengan melibatkan lima kawasan penumpuan dari Kudat ke Tawau.
"Sehubungan itu, kita telah mengatur gerak masing-masing tujuh buah kapal dan bot dalam mengawal perairan sepanjang Zon Selamat Sabah Timur (Esszone), 24 jam setiap hari.
"Pada masa sama, kita juga sentiasa menjalankan operasi bersepadu dan terkoordinasi bersama agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia dan Pasukan Polis Marin dalam menentukan keselamatan perairan negara terpelihara," katanya.
Sebagai rekod, Karunanithi berkata, pihaknya telah melakukan 3,042 pemeriksaan dengan 82 tangkapan meliputi PATI, penyeludupan dan kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu sepanjang Mac hingga Disember 2013.
Sesuai dengan tugasnya sebagai 'penjaga' maritim Esscom, elemen Pasukan Tindakan Khas (PTK) Maritim Malaysia atau dikenali Starteam turut diserapkan bagi memastikan kemantapan pengawalan dan penguatkuasaan.
Keupayaan PTK juga sememangnya telah dikenali setanding dengan pasukan khas lain dalam negara dengan menerima latihan sama seperti unit Pasukan Khas Laut (Paskal) dan Pasukan Khas Udara (Paskau).

KARUNANITHI (empat dari kiri) bersama anggota tentera di Pos Sahabat ketika menjalankan tugas bersama di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).


Tindakan pantas
Ia diakui oleh Laskar Kanan Maritim, Mohd. Farizal Che Harun yang memberitahu tugas mereka adalah berada di barisan hadapan dalam sesuatu operasi yang memerlukan tindakan pantas, cepat dan berkesan dalam memerangi keganasan, pencerobohan dan menyelamat.
"Sebagai anggota dalam PTK, kecekapan para anggota dari segi kemahiran dan fizikal harus berada di tahap optimum dengan pemilihan anggotanya dilakukan mengikut standard diguna pakai dalam pasukan elit lain.
"Kehadiran kami, secara langsung menunjukkan kesiapsiagaan seluruh pasukan keselamatan bagi memastikan kedaulatan negara terjaga," katanya yang diserapkan sejak tahun 2004.
Dalam memastikan sesuatu operasi lebih berkesan, ramai melupakan bahawa tugas selaku ketua bot pemintas turut memainkan peranan penting serta tidak keberatan dikatakan bertindak peninjau utama.
"Berada di laut lebih berbahaya berbanding daratan dengan risiko keselamatan anggota sangat tinggi melihat kepada aspek bantuan dan kawasan persembunyian agak terhad.
"Sekiranya diberikan penugasan, ketua bot mempunyai masa dua hingga tiga jam bagi mencari kawasan sesuai bagi tujuan pemantauan secara menyeluruh bergantung kepada operasi diberikan," kata Ketua Bot Pemintas Kilat Maritim Malaysia di Lahad Datu, Bintara Muda Maritim, Ahmad Zaharudin Baharudin.


Selera Indonesia di D'bakul

Posted: 17 Feb 2014 05:44 PM PST


KEPELBAGAIAN hidangan disediakan untuk pengunjung Restoran D'Bakul, Subang Jaya pada harga yang berpatutan.


SAAT melangkah masuk ke restoran D'Bakul di Subang Jaya, Selangor seperti berada di sebuah galeri seni yang penuh dengan hiasan dari kepulauan Indonesia.
Hiasan kain batik jawa, patung wayang kulit, lampu antik dan perabut kayu mewah pasti menjanjikan pengalaman seperti berada di negara seberang terutama kepada pelanggan yang pertama kali berkunjung ke restoran tersebut.
Restoran yang dibuka pada bulan Februari tahun lalu itu menyajikan pelbagai pilihan hidangan asli dari negara yang kaya dengan kepelbagaian jenis masakan itu.
Menurut seorang pelanggan yang mahu dikenali sebagai Eliza Ahmad, 26, yang menetap di Puchong, Selangor berkata, restoran berkenaan merupakan lokasi wajib yang akan dikunjunginya hampir setiap minggu.
"Saya gemar datang ke sini kerana hidangannya yang sedap dan asli ditawarkan pada harga sangat berpatutan. Antara menu yang menjadi pilihan saya sekiranya berkunjung ke sini ialah ikan talapia saus manja, gulai ayam, ayam panggang dan sup buntut," katanya ketika ditemui Kosmo! di restoran tersebut baru-baru ini.
RESTORAN D'Bakul dihias dengan hiasan bercirikan Indonesia.


Ujar ahli perniagaan itu, dia sering membawa rakan-rakan perniagaan berkunjung ke restoran itu untuk melakukan urusan perniagaan sambil menjamu selera kerana suasana di restoran tersebut yang eksklusif, bersih dan selesa.
Majlis keraian
Selain itu, dia turut memaklumkan bahawa restoran itu juga sesuai dijadikan lokasi untuk melakukan majlis keraian kerana harga setiap hidangan yang ditawarkan adalah sangat berpatutan dan berbaloi.
Menurut pengurus restoran D'Bakul, Dicky, kepuasan pelanggan merupakan keutamaan perniagaannya.
"Sehubungan itu, kualiti makanan amat dititik beratkan kerana kami percaya sokongan pelanggan merupakan tunjang perniagaan ini," katanya yang merupakan warganegara Indonesia.
Menurutnya, restoran D'Bakul menyediakan pelbagai hidangan masakan dari seluruh pelosok Indonesia seperti dari Jawa, Padang dan Bandung.
Antara menu yang sering menjadi pilihan pelanggan di restorannya ialah Nasi Goreng D'Bakul, Udang Sambal Petai, Nasi Ayam Penyet, Sup Buntut, Nasi Bakar dan Paket Gulai Ayam.
Dalam pada itu, dia turut memaklumkan menu-menu tersebut boleh didapati pada harga serendah RM7 sahaja.

MENU udang sambal petai ini pasti menyuntik selera sesiapa sahaja.


"Saya percaya antara sebab utama mereka ke restoran ini bukan sahaja disebabkan rasa dan kepelbagaian hidangan tetapi harga yang berpatutan," katanya sambil memaklumkan gerainya boleh menempatkan kira-kira 130 orang pelanggan pada satu-satu masa.
Dalam pada itu, dia turut memberitahu bahawa setiap peringkat penyediaan makanan dan minuman diambil berat. Ini termasuklah dari aspek keenakan setiap hidangan, penggunaan ramuan halal dan penjagaan kebersihan dapur dan persekitaran restoran.
"Sebagai langkah untuk terus memperbaiki dan mengekalkan mutu perkhidmatan, saya sentiasa memesan kepada kesemua 17 orang pekerja kami agar sentiasa melayan pelanggan penuh rasa hormat," katanya bahawa restoran tersebut dalam proses mendapat sijil halal.
Menurut Dicky, pelanggan di Restoran D'Bakul terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat antaranya termasuklah penduduk sekitar Subang Jaya dan warga Indonesia yang menetap di negara ini.
Di samping itu, dia turut memaklumkan bahawa restorannya juga sedia menerima tempahan secara bufet untuk pelanggan yang ingin mengadakan majlis keramaian.
Ujarnya, harga yang ditawarkan untuk setiap hidangan bufet adalah sangat berpatutan iaitu serendah RM45 sehingga RM120 seorang termasuk air kosong, teh panas dan buah-buahan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu