Khamis, 4 April 2013

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Emma Maembong Enggan Kontroversi Jadi Tumpuan Masyarakat

Posted: 04 Apr 2013 08:05 PM PDT

Emma tidak mahu kisah peribadinya menjadi tumpuan kerana bimbang masyarakat akan mula bosan dengannya.
PETALING JAYA: Pelakon Emma Maembong enggan kisah peribadi atau percintaannya menjadi tumpuan masyarakat seperti mana berlaku di awal pembabitannya dalam dunia lakonan.
Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 21, berkata, dia bukan serik kerana pernah terpalit dengan kontroversi sebaliknya tidak mahu kerjayanya dibayangi dengan kisah-kisah peribadi.
"Bukan takut dengan kontroversi tetapi bimbang orang akan mula muak apabila cerita peribadi saya lebih banyak dipaparkan daripada perihal kerjaya saya sebagai pelakon," ujarnya kepada mStar Online.
Sebelum ini beberapa keping fotonya bercium dan berpelukan mesra dengan seorang lelaki telah tersebar luas di beberapa laman web namun Emma memberitahu gambar berkenaan adalah daripada zaman silamnya ketika berusia belasan tahun dan masih bersekolah.
Malah Emma turut dikaitkan dengan pelbagai cerita kurang enak seperti gemar bersosial dan berpakaian seksi.
Dalam pada itu, Emma turut mengakui selektif dengan tawaran lakonan yang diterimanya kerana enggan kerap muncul dalam banyak drama pada masa sama di televisyen.
Jelas Emma, dia bukan mula 'demand' tetapi merasakan kekerapannya muncul di televisyen akan membuatkan penonton bosan.
"Seperti mana saya tidak mahu orang bosan kerana kisah peribadi saya juga tidak mahu perkara sama berlaku apabila wajah saya sering muncul di televisyen.
"Sekarang ini saya akan selesaikan sesuatu projek terlebih dahulu sebelum mengambil yang lain," jelasnya.
Sementara itu, Emma berkata, dia juga baru dipilih sebagai duta produk Silky Girl selama setahun dan menerima tawaran tersebut kerana memang menggunakan barangan jenama itu.
Emma bagaimanapun berkata, walaupun telah menjadi duta produk dia tetap akan menjadi dirinya sendiri yang tidak suka berhias dengan menggunakan solekan tebal.
"Sebelum ini saya memang menggunakan jenama tersebut kerana ia sesuai dengan cita rasa saya yang sukakan sesuatu yang ringkas dan tidak terlalu 'over'," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Emma berkata, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Kampung Girl.

Artis Bukan Melayu Mahu Pemimpin 'Tidak Cakap Kosong'

Posted: 04 Apr 2013 08:05 PM PDT

PETALING JAYA: Artis-artis bukan Melayu menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membubarkan Parlimen pada Rabu lalu bagi membolehkan PRU13 dijalankan.
Malah mereka juga tidak sabar untuk sama-sama menunaikan kewajipan sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi selain menganggap pilihan raya kali ini akan memberi tekanan yang kuat kepada semua pihak.
Alvin Anthons
Penyanyi Alvin Anthons, 37, berkata, media sosial seperti Facebook dan Twitter bakal memberikan impak kepada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) kerana ia sangat berpengaruh dan cepat dalam menyampaikan maklumat kepada pengundi.
Malah katanya, ia bakal memberi cabaran sengit kepada kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang dalam meraih undi daripada rakyat Malaysia menerusi medium itu.
"Kuasa media sosial sangat kuat pada hari ini dan perkara itu tidak dapat dinafikan. Ia pasti akan memberikan saingan kepada kedua-dua belah pihak untuk menyampaikan maklumat sekali gus memancing undi," jelasnya.
Bakal mengundi buat kali ketiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Siputeh bagi Parlimen Kuchai Lama, Alvin turut menyarankan pengundi yang layak terutama generasi muda supaya keluar membuang undi dan tidak hanya pandai berkata-kata menerusi laman sosial.
"Jangan jadi rakyat yang suka 'duduk atas pagar' kerana sebagai individu yang layak mengundi mereka patut menjalankan tanggungjawab mereka bagi memilih siapa pemerintah yang diinginkan," katanya.
Suki Low
Bagi penyanyi Suki Low, 23, dia bakal ditemani oleh suaminya, Jeremy Chong untuk mengundi buat kali pertama di tempat kelahirannya, Seremban, Negeri Sembilan.
Suki berkata, dia sangat teruja untuk membuang undi pada PRU-13 kerana sebagai seorang rakyat Malaysia perkara itu adalah satu tanggungjawab besar yang perlu dilunaskan demi masa depan negara.
"Saya sudah mendaftar sebagai pengundi sudah lama dan cukup teruja untuk membuang undi pada pilihan raya nanti. Memandangkan ini adalah kali pertama saya keluar mengundi saya akan ditemani suami pada hari berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, Suki berkata, sebagai pengundi baru, dia akan memastikan calon yang bakal dipilih dapat membantu meningkatkan kemajuan negara dan bukannya hanya memberikan janji-janji kosong.
"Adalah sangat penting penelitian terhadap calon itu dibuat sebelum sebarang keputusan dibuat kerana ia mungkin akan mengubah banyak perkara pada masa hadapan," ujarnya.
Thanuja
Bekas Miss World Malaysia 2009/2010, Thanuja Ananthan, 28, pula berkata kerajaan baharu yang bakal dibentuk selepas PRU-13 nanti harus mampu mengekalkan kestabilan ekonomi dan keharmonian di Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama.
Malah kata bekas peserta Masterchef Selebriti Malaysia musim pertama ini, pengundi juga perlu mempunyai semangat patriotik yang tinggi dan berfikiran rasional sebelum membuat sebarang keputusan pada hari penting tersebut.
"Keamanan dan keharmonian negara adalah yang paling utama sekali kerana itu adalah antara perkara paling istimewa tentang Malaysia," katanya.
Thanuja memberitahu dia bakal mengundi di Parlimen Puchong buat kali kedua dengan rasa penuh semangat.
Hans Isaac
Sementara itu, pengarah dan penerbit, Hans Isaac, 42, pula menegaskan Malaysia adalah sebuah negara yang cukup selesa dan mempunyai pelbagai peluang untuk terus membangun lebih pesat.
Jelasnya, penduduk di negara ini cukup bertuah dengan keadaan politik semasa berbanding dengan negara-negara lain yang masih berada di takuk lama.
"Berdasarkan keadaan semasa di Malaysia pengundi harus berfikir semasak-masaknya sebelum membuat sebarang keputusan kerana ia bukan perkara semudah yang disangka," katanya bakal mengundi buat kali kedua di Parlimen Ampang.
Dalam perkembangan sama, penyanyi Stacy, 23, yang bakal mengundi kali pertama di DUN Penampang bagi Parlimen Kota Kinabalu berkata, dia tetap akan memilih Barisan Nasional (BN) pada PRU-13 selepas membesar melihat pembangunan pesat yang terdapat di kawasannya.
Jelas Stacy, ini adalah masanya untuk dia membalas jasa kerajaan yang telah banyak menabur bukti demi kepentingan masyarakat.
"Selamanya saya akan menyokong BN kerana saya merasai perubahan yang mereka lakukan di kawasan saya dan cukup teruja untuk mengundi buat kali pertama," katanya.
Stacy turut menasihati semua pengundi muda sepertinya supaya meneliti sebaik-baiknya mengenai pilihan yang bakal dibuat.
"Jangan hanya pandai bercakap tetapi tidak mendaftar sebagai pengundi kerana ia tidak akan mengubah apa-apa," jelasnya.

Sarah Raisuddin Bakal Dapat Anak Perempuan Mei Ini

Posted: 04 Apr 2013 08:03 PM PDT

Sarah tidak sabar menantikan kelahiran anak keduanya. Foto milik Sarah.
PETALING JAYA: Penyanyi Siti Sarah Raisuddin dijangka akan melahirkan anak perempuan iaitu anak keduanya bersama Shuib (Sepah) pada pertengahan Mei depan.
Sarah, 29, berkata, dia yang akan bersalin di Hospital Pakar Ampang Puteri teruja dengan kelahiran anak keduanya itu dan percaya setiap kelahiran anak mempunyai pengalaman yang berbeza buat seorang ibu.
"Allah itu Maha Agung, Dia memberikan pengalaman yang berbeza-beza buat ibu mengandung merasai keterujaan setiap anak yang dilahirkan.
"Jika ketika saya mengandungkan anak lelaki sulung, Uwais Alqarni, saya sering mengalami masalah muntah-muntah. Berbeza pula dengan kandungan anak kedua, saya rasa pening-pening pula.
"Alhamdulillah, saya dan suami akan dapat anak perempuan. Isyak-Allah, sepasanglah anak kami nanti," katanya yang dihubungi mStar Online pada Khamis.
Shuib
Tambah Sarah, sehingga kini dia dan Shuib masih belum memikirkan nama sesuai buat anak perempuan yang bakal lahir itu.
Sarah dan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhahamad bernikah pada 27 Februari 2011 dan mempunyai seorang anak lelaki, Uwais, yang kini berusia setahun.
Sementara itu, beritahu Sarah, selepas selesai berpantang nanti, dia bakal kembali ligat dengan kerjaya nyanyiannya merakamkan lagu-lagu terbaharu di bawah Aidit Alfian Records.
"Habis sahaja berpantang, saya akan sibuk dengan rakaman lagu untuk album baru.
"Kebanyakan lagu-lagu yang dinyanyikan dicipta sendiri oleh Aidit. Semoga kemunculan semula saya ini dapat mengubat rindu para peminat, insya-Allah," ujarnya.

Pertandingan Akhir Lantai Cilik Di TV2 Sabtu ini

Posted: 04 Apr 2013 08:02 PM PDT


Kumpulan Langkah Cilik
PETALING JAYA: Lima kumpulan terpilih akan berentap pada peringkat akhir pertandingan Lantai Cilik pada Sabtu ini di Auditorium Perdana, Angkasapuri. Ia akan diadakan pada pukul 9 malam.
Lima kumpulan yang bertuah dan bakal bersaing ialah Kaki Nari Dancers (Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur), Langkah Cilik (Sekolah Kebangsaan Sembulan, Sabah), Ravan Dancers (Sekolah Rendah, Jenis Kebangsaan (Tamil) Masai, Johor), Seri Warisan (Sekolah Kebangsaan Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan) dan Kiawaian Dance Club (Sekolah Kebangsaan Kiawaian, Tambunan, Sabah).
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli, Lantai Cilik dapat menggalakkan generasi muda mencintai seni dan budaya negara dari kecil.
"Kita mengharapkan pertandingan akhir ini nanti juga akan menarik penonton ramai sekali gus melakar kejayaan program paling ditonton ramai ketika ini menerusi saluran RTM2.
"Dalam pada itu menerusi program ini juga ia dapat memupuk generasi muda untuk mencintai seni kebudayaan negara kita," katanya kepada mStar Online dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Selasa.
Lantai Cilik disifatkan sebagai program televisyen pertama di Malaysia yang mengetengahkan pencarian juara tarian tradisional dan kontemporari di kalangan kanak-kanak Sekolah Rendah berusia 12 tahun ke bawah (berkumpulan).
Kumpulan Kaki Nari
Pencarian bakat program ini disiarkan sejak Oktober tahun lalu bermula sesi uji bakat membabitkan enam zon. Lebih 80 buah kumpulan disaring daripada peringkat suku akhir dan separuh akhir.
Untuk peringkat akhir ini, ia mengetengahkan konsep taman fantasi kanak-kanak dan istana kayangan.
Para peserta akan mempersembahkan tarian mereka dalam dua segmen secara spontan mengikut kreativiti berdasarkan pilihan lagu selama dua minit.
Manakala segmen kedua pula, mereka dikehendaki membuat persembahan khas menerusi Citra Tari atau tarian bertema yang memetik kisah dari hikayat atau cerita rakyat serta legenda tempatan.
Juara Lantai Cilik musim pertama bakal menerima wang tunai RM40,000, trofi, sijil, peralatan Apple Ipad Mini 64GB dengan Wifi setiap seorang, barangan elektrik tajaan Noudi, baucar Pakaian Hari-hari dan tiket ke Taman Tema Sunway Lagoon.
Naib Juara pula akan yang memenangi wang tunai RM20,000, trofi, sijil dan telefon bimbit Blackberry HPH Bold setiap seorang.
Manakala tempat ketiga akan memenangi wang tunai RM10,000, trofi, sijil dan peralatan Apple Ipod Touch setiap seorang.
Malam kemuncak Lantai Cilik ini akan dipancarkan secara langsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri, di TV2 dan juga TVi (Astro 180).
Ia akan dikendalikan oleh Seri Nabilla dan Azrul (Raja Lawak) sebagai pengacara.
Klik laman sosial facebook 'fanpage' Lantai Cilik RTM untuk butiran lanjut.

Aeril Zafrel Kecewa Penyebaran Gambar Tidak Berbaju

Posted: 04 Apr 2013 08:02 PM PDT

Aeril Zafrel
PETALING JAYA: Pelakon Aeril Zafrel menganggap penyebaran gambar-gambarnya yang tidak berbaju dalam sebuah blog oleh individu tertentu adalah bertujuan untuk menjatuhkan kerjayanya yang sedang meningkat naik.
Aeril atau nama sebenarnya Suharil Suhari, 25, berkata, gambar-gambar itu dirakamkan oleh rakannya beberapa tahun lalu termasuklah ketika dia belum berhijrah untuk menjadi individu yang lebih baik pada ketika ini.
"Saya kecewa apabila ada orang cuba memfitnah saya dengan pelbagai cara termasuklah memuat naik foto-foto saya yang tidak berbaju ke laman blog lucah, sekali gus ia memburukkan lagi keadaan walaupun ia dilihat biasa sahaja.
"Bagaimanapun ia tidak menjejaskan diri dan maruah selagi saya bersama Allah, walaupun terdapat individu yang cuba menjatuhkan saya.
"Memang benar lelaki dalam foto itu adalah saya di mana ia diambil daripada sedutan filem Hacks. Manakala ada sekeping gambar yang diambil rakan ketika zaman jahiliah saya dahulu," katanya yang dihubungi mStar Online petang Khamis.
Foto-foto Aeril yang telah dimuat naik di sebuah lamab blog lucah.
Tambah Aeril, dia berharap agar penyebar foto-fotonya itu mendapat hidayah dengan segera agar tidak melakukan kerja-kerja yang tidak berfaedah tersebut.
Dalam pada itu Aeril juga mengakui sejak membuat pengakuan umum mengenai penghijrahan diri, ada segelintir pihak yang cuba memfitnah dia dengan pelbagai cara.
"Saya bersedia dengan segala kontroversi dan fitnah yang bakal muncul nanti.
"Yang penting, selagi saya bersama Allah, Dia akan melindungi saya walau apa sekalipun orang ingin memburukkan saya.
"Mungkin apa yang telah berlaku itu Allah mahu tunjukkan hikmahnya,' ujar Aeril.
Dalam perkembangan lain, Aeril kini sibuk dengan penggambaran telefilem Mungkin Itu Kasihmu yang bakal disiarkan di RTM dan Hafiz Tahfiz menerusi TV AlHijrah.

Yatt Hamzah kongsi pengalaman di bumi Anbia

Posted: 04 Apr 2013 08:00 PM PDT


Yatt Hamzah kongsi pengalaman di bumi Anbia kongsi pengalaman di bumi Anbia
Yatt Hamzah bersama anaknya Hanania Malika.
Yatt Hamzah kongsi pengalaman di bumi Anbia
Yatt Hamzah bersama suami dan anaknya.
Yatt Hamzah kongsi pengalaman di bumi Anbia
Yatt Hamzah kongsi pengalaman di bumi Anbia
PENGALAMAN menjejakkan kaki ke bumi Anbia meninggalkan kesan mendalam kepada pelakon jelita, Yatt Hamzah ketika melawat Mesir dan Gaza, baru-baru ini.

Selain suami, Abdul Mutalib dan anaknya, Hanania Malika, rombongan Kembara Suci Di Bumi Kinanah itu turut disertai beberapa artis seperti Siti Nordiana dan Heliza.

Lawatan selama lapan hari itu memberikan pelbagai pengalaman berharga buat Yatt dan keluarganya.

Berkongsi pengalamannya, Yatt berkata, pada hari pertama dia berpeluang menjejakkan kaki di Mesir. Keesokan harinya, dia bertolak ke Gaza dan menyaksikan sendiri kemusnahan yang dilakukan rejim Israel.

"Memang banyak bangunan dan rumah yang musnah. Namun ajaibnya, masjid di situ masih berdiri teguh dan tidak pula terkena sebarang kesan serangan.

"Subhanallah... padahal kawasan yang kena bom itu berdekatan antara satu sama lain," kata Yatt.

Selepas dua hari berada di situ, rombongan tersebut meneruskan perjalanan ke Mesir untuk ke Jabal Musa, tetapi perjalanan mereka dihalang ketika mahu melepasi sempadan Gaza-Mesir.

Atas sebab-sebab tertentu, pihak Mesir tidak membenarkan mereka keluar dari Gaza dan rombongan itu terpaksa berpatah balik ke hotel penginapan mereka di bandar Gaza.

"Kami terpaksa menunggu berjam-jam di dalam bas kerana pegawai keselamatan Mesir tidak membenarkan kami melepasi sempadan Gaza.

"Malah kami terpaksa patah balik ke hotel di Gaza untuk pulang ke Mesir keesokan harinya," kata Yatt sebak.

Keesokannya, Yatt berkata, rombongannya dibenarkan melepasi sempadan dan mereka meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya di Mesir.

Daki Gunung Sinai

Berpeluang menjejakkan kaki di Mesir, Yatt turut berkongsi pengalaman mendaki Gunung Sinai untuk ke Jabal Musa, tempat Nabi Musa AS bermunajat selama 40 hari dan 40 malam bagi menerima wahyu dan turunnya kitab Taurat.

Perjalanan sejauh tujuh kilometer dengan menaiki unta kemudian terpaksa mendaki bukit curam dan berbatu merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.
"Saya bersyukur diberikan kesihatan yang baik kerana kami perlu mendaki bukit berbatu yang curam.

"Dengan keadaan yang sejuk, ribuan anak tangga... Alhamdulillah kami berjaya melakukan," tutur Yatt.

Malah Yatt turut memanjatkan kesyukuran kerana sepanjang pendakian mereka tiada perkara diingini berlaku, apatah lagi dia turut membawa anak kecil bersama untuk mendaki bukit.

Amarra Sofea Rose buah hati Azad, Eira

Posted: 04 Apr 2013 07:59 PM PDT


Amarra Sofea Rose buah hati Azad, Eira
Azad Jazmin dan Eira Syazira
Amarra Sofea Rose buah hati Azad, Eira
Eira memotong rambut Amarra semasa majlis cukur jambul dan aqiqah anaknya itu.
Amarra Sofea Rose buah hati Azad, Eira
Majlis cukur jambul dan aqiqah Amarra
JIKA tahun lalu berdua, awal tahun ini pasangan selebriti, Azad Jazmin Lohn Louis dan Eira Syazira, menerima kehadiran puteri sulungnya, Amarra Sofea Rose, pada 11 Januari lalu.

Bakal memasuki usia tiga bulan, Amarra yang dilahirkan dengan berat 4.2 kilogram (kg), kini menunjukkan perkembangan tumbesaran yang positif.

Malah, momen indah dalam meniti kehidupan bergelar 'mummy dan daddy' digunakan sepenuhnya oleh Eira dan Azad.

"Kami sama-sama menguruskan Amarra. Biasalah, untuk kelahiran pertama, banyak perkara baru yang kami belajar dan cuba memahami mengenai cara penjagaan.

"Namun, saya bersyukur kerana Amarra tidak banyak ragam. Kalau saya keluar bekerja, Azad akan ambil alih tugas menjaga Amarra. Kami akan bergilir-gilir menjaganya.

"Tapi, jika kami sama-sama bekerja, saya tinggalkan Amarra kepada pengasuh," katanya yang baru sahaja mengadakan majlis cukur jambul dan aqiqah Amarra pada 31 Mac lalu.

Pada 11 Januari lalu, Eira atau nama sebenarnya, Syazira Shuhaimi, 29, selamat melahirkan Amarra melalui kaedah pembedahan di Hospital Columbia Asia, Puchong.
Azad dan Eira selamat diijabkabulkan pada 16 September 2011 di kediaman keluarga Eira di Putrajaya.

Penghargaan buat ibu

Bertanya mengenai pemilihan nama, Azad memberitahu, nama Amarra Sofea Rose, diilhamkannya dan isteri sempena nama kedua-dua ibu mereka.

Menurut Azad atau nama sebenarnya, Azad Jazmin John Louis Jeffri, 37, ibunya bernama Roshidah dan ibu Eira, Rohani yang masing-masing berpangkalkan perkataan 'Ro'.

"Jadi, kami sepakat untuk pilih Rose. Sofea Rose memang dah lama saya pilih, namun Amarra baru sahaja di tambah.

"Kami memilih untuk abadikan nama mereka berdua sebagai tanda penghargaan.

"Malah, hubungan mereka berdua juga dilihat sangat akrab sejak Eira mengandung," kata pelakon filem, Apa Celoq Toqq.. ini.

Pengorbanan Azad

Walaupun jadual kerjaya semakin padat, namun ia tidak menghalang Azad untuk membantu isterinya dalam melayan karenah Amarra.

Menurut Eira, Azad juga tidak kekok untuk melayan karenah Amarra, menukar lampin serta membancuh susu.

"Saya bersalin melalui kaedah pembedahan, jadi pergerakan saya amat terbatas ketika dalam tempoh berpantang.

"Jadi, selain ibu, Azad sentiasa membantu menguruskan anak. Malah, dia tidak keberatan untuk bangun malam setiap dua jam untuk membancuh susu dan menukar lampin.

"Malah, tugas itu tetap dipraktikkan sehingga kini. Walau sesibuk mana pun, apabila pulang dari kerja, dia tetap akan melayan Amarra," katanya yang bersyukur diberikan suami yang rajin dan bertanggungjawab.

Rezeki anak

Mengakui rezeki dalam bidang lakonan semakin mencurah-curah, Azad kini memahami, apa itu rezeki anak.

"Sebelum ini, saya tidak memahami apa yang dikatakan rezeki anak. Namun, selepas berkahwin dan memiliki anak, barulah saya faham.

"Betul kata orang, rezeki anak tetap ada walau banyak atau sikit. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan rezeki yang diterima.

"Saya tidak kisah untuk bekerja lebih keras dalam memberikan keselesaan dan yang terbaik untuk keluarga," katanya yang baru sahaja muncul menerusi filem, Gangster Celop, pada 21 Februari lalu.

Dalam perkembangan lain, Azad juga bakal terlibat dengan filem, Sejoli dan 10 filem bersama Grand Brilliance Sdn Bhd.

Selain itu, Azad juga turut diberi kepercayaan untuk mengacarakan program, Mimpi Ke Bintang di saluran TV2.

Sementara itu, Eira yang baru sahaja kembali aktif dalam industri selepas melalui tempoh berpantang juga telah menjalani penggambaran drama untuk rancangan TV Alhijrah.

"Alhamdulillah, perancangan saya untuk kembali aktif berjalan dengan lancar. Saya baru sahaja menyiapkan penggambaran drama, Ustazah Hanum, yang bakal disiarkan pada Hari Guru nanti di TV Alhijrah.

"Selain itu, saya juga tengah menjalani penggambaran drama bersiri, Ikhlas, untuk tayangan pada bulan puasa nanti," kata pelakon drama, Dingin Lavenda, ini.

Belum sedia tambah anak

Ditanya mengenai bilangan cahaya mata yang diingini, Eira berkata, dia belum bersedia untuk menambah anak buat masa terdekat ini.

Katanya, ruang yang ada ini digunakan sepenuhnya untuk membesarkan Amarra terlebih dahulu.

"Kalau boleh, dua atau tiga tahun lagi, baru saya mahu tambah anak. Buat masa ini, biarlah Amarra membesar dulu.

"Namun, kalau diizinkan Allah SWT, untuk saya memiliki cahaya mata dalam masa terdekat, saya dan Azad terima dengan tangan yang terbuka.

"Saya sebenarnya tak ada target bilangan anak, tak kisah berapa orang pun kerana kehadiran anak ni pun rezeki daripada-Nya," katanya mengakhiri perbualan.

'Mana ayah, kami lapar...'

Posted: 04 Apr 2013 07:57 PM PDT


'Mana ayah, kami lapar...'
Keadaan rumah usang yang didiami keluarga Nazula.
KUALA KURAU - Akibat ditinggalkan ayah, tiga anak yang masih kecil dan bersekolah terpaksa mengikat perut dan menahan lapar menanti sesuap nasi yang diberikan ibu mereka saban hari.

Lebih memilukan, kesempitan hidup yang terpaksa ditanggung ibu mereka, Nazula Osman, 34, memaksa anak sulung, Mohd Farid Ahmad Syukri, 10, dan adiknya, Noralia Faridah, 7, mengutip botol dan tin kosong demi membantu meringankan beban kewangan ibu mereka.

Nazula berkata, sekitar bulan April tahun lalu, suaminya mula meninggalkan mereka tanpa sebarang berita sehinggalah dia diberitahu suaminya sudah berkahwin dengan seorang perempuan dan memaklumkan mereka kini menetap di Ipoh pada bulan Ogos tahun lalu.

"Berita itu amat menyentap semangat saya sebagai seorang isteri yang setia menanti kepulangannya selama ini dan kecewa pengorbanan saya tidak dihargai suami.

"Sejak itu, saya terpaksa bekerja di sebuah kilang memproses telur masin dengan bayaran RM3 sejam dan hanya mampu mengambil masa lima hingga enam jam sehari untuk bekerja memandangkan saya bimbang memikirkan soal makan minum dan keselamatan anak-anak.

"Saya terpaksa bekerja keras untuk membesarkan anak-anak dengan melakukan pelbagai kerja, namun keadaan masih lagi sukar memandangkan suami langsung tidak pernah memberikan nafkah kepada anak-anak," katanya sewaktu ditemui media di rumahnya di Kampung Parit Haji Yusof, Simpang Tiga di sini.

Nazula berkata, anak-anaknya terpaksa ditinggalkan di rumah dan dia bergantung kepada simpati jiran-jiran untuk menjenguk keadaan mereka sekiranya keluar bekerja.

"Di sebalik rasa teramat kecewa dengan sikap suami, saya masih tekad untuk memastikan anak-anak saya diberi makan minum secukupnya demi masa hadapan mereka," katanya.

Sementara itu, anak kedua Nazula, Noralia Faridah berkata, setiap kali pulang sekolah, dia dan abangnya akan mencari tin dan botol kosong untuk dikumpulkan dan dijual di sekeliling kampung, hasilnya akan diberikan kepada ibu untuk meringankan beban menyara keluarga.

Menurutnya, dia tidak kisah dengan caci maki dan tohmahan dilemparkan orang ramai terhadap perbuatannya mengutip botol dan tin kosong, sebaliknya apa yang dilakukan semata-mata untuk membantu ibunya.

"Sejak ditinggalkan ayah, kehidupan kami amat susah dan keadaan memaksa kami untuk hidup berdikari.

"Kalau ayah baca (kisah ini), saya minta ayah pulang sebab kami sekeluarga amat perlukan ayah, terutama abang yang sering sakit dan pelajaran terabai sebab ingatkan ayah," katanya.

Sementara itu, Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari yang hadir menziarahi keluarga Nazula prihatin dengan masalah mereka dan menyalurkan sumbangan wang ringgit bagi meringankan penderitaan keluarga itu.

"PKR cabang Parit Buntar turut menyumbangkan sebuah basikal untuk kegunaan Mohd Farid dan Noralia ke sekolah dan saya berharap ia dapat meningkatkan motivasi mereka untuk berjaya dalam pelajaran kelak," katanya.

'Saya buta kerana cinta'

Posted: 04 Apr 2013 07:55 PM PDT


'Saya buta kerana cinta'
Mohd Affendi dibawa ke Mahkamah Sesyen, semalam.
KUALA TERENGGANU - "Yang Arif, saya mengaku semua silap saya, kerana cinta dan terlalu menyayangi dia, saya jadi 'buta', tidak dapat membezakan yang mana pahala dan dosa, saya insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi."

Itulah antara rayuan yang dibuat Mohd Affendi Ahmad, 26, di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Mohd Affendi membuat rayuan itu sebelum dia dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan enam sebatan selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan merogol seorang pelajar tingkatan empat, tahun lalu.

Mohd Affendi yang beralamat di Bandar Permaisuri, Setiu, berdepan tiga pertuduhan merogol mangsa iaitu satu kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun penjara dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama, dia yang bekerja sebagai pemandu mengaku bersalah merogol mangsa, semasa kejadian berusia 15 tahun 9 bulan, di sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Rhu Batil, Kuala Abang, Dungun, pada 7 Ogos 2012, kira-kira jam 10 malam.

Mohd Affendi turut mendakwa mangsa adalah teman wanitanya yang dikenali baru beberapa bulan itu mengaku bersalah mengulangi perbuatan sama di lokasi sama setengah jam selepas kejadian pertama iaitu kira-kira jam 10.30 malam.

Selain itu, berdasarkan pertuduhan ketiga, Mohd Affendi mengaku bersalah mengulangi perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa pada keesokan harinya iaitu 8 Ogos, jam 2.30 petang di lokasi sama.

Sejurus semua pengakuan bersalah itu direkodkan, Hakim Wan Fadhilah Noor Wan Idris menjatuhkan hukuman enam tahun penjara dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan serta mengarahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazlyza Mohamad Nazri, manakala Mohd Affendi tidak diwakili peguam.

Sorok kekasih demi rasa hormat

Posted: 04 Apr 2013 07:50 PM PDT



ADA sesetengah perkara perlu diletakkan dalam ruang privasi dan ada sebahagian hal boleh didedahkan untuk tatapan peminat dan orang sekeliling.
Harga yang perlu dibayar untuk bergelar seorang artis bagaimanapun tidak menggugat ketegasan Hafiz atau nama sebenarnya Mohd. Hafiz Mohd. Suip bercerita tentang kisah cintanya terbaharu.
Seperti diketahui umum, setelah hubungan Hafiz dan penyanyi kelahiran Sabah, Adira musnah pada awal tahun lalu, Hafiz khabarnya kini sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan seorang gadis yang juga berasal dari Sarawak.
Bagaimanapun, pemuda berusia 23 tahun ini tidak pernah membuka mulut bercerita mengenai hubungan istimewanya itu sebelum ini.
Semasa pertemuan bersama Kosmo! baru-baru ini, penyanyi lagu Ku Akui ini berkongsi kisah dirinya yang terkini.
"Saya tidak mahu menguar-uarkan identiti dia (kekasih) kepada orang ramai kerana saya menghormati peribadi dia. Lagipun, dia masih seorang pelajar di sebuah kolej. Kami sedang menjalinkan hubungan dan saya tidak mahu memberitahu siapa (identiti) dia. Biar saya simpan sendiri.
"Kerja adalah kerja dan peribadi adalah hak saya. Ada perkara yang saya boleh cerita dan tidak semua saya perlu ceritakan, begitu juga tempoh perkenalan kami yang saya mahu rahsiakan buat masa sekarang," ujarnya pada sesi fotografi di Mutiara Damansara, Selangor baru-baru ini.
Melanjutkan perbualan setelah digigit bahang mentari pada petang hari Rabu lalu, kata Hafiz, dia tidak ambil pusing pandangan masyarakat mengenai pendiriannya untuk menyembunyikan identiti kekasihnya.
Malah katanya, dia akur akan persepsi masyarakat yang mungkin melihat dia terlalu berjaga-jaga dan kelihatan seolah-olah bermain silang kata.
"Orang sekeliling akan memandang dengan sendirinya setiap gerak-geri kita dan itu adalah perkara biasa dan semula jadi. Semua orang berhak bercinta.
"Buat masa sekarang kami belum merancang untuk ke langkah seterusnya melainkan pernah berbincang untuk menjalankan bisnes bersama-sama," tutur Hafiz.

HAFIZ nekad untuk tidak mendedahkan identiti insan istimewa yang kini bertakhta di hatinya.


Konsert
Sementara itu, Hafiz turut berkongsi keterujaan menjelang konsert solo pertamanya yang akan mengambil tempat di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 3 Jun kelak.
Katanya, konsert itu bakal menceritakan kehidupan dan perjalanan seninya bergelar penyanyi dan Hafiz mengidamkan konsert itu menjadi sebuah kenangan terindah kepada dia dan peminatnya.
"Saya kini lebih fokus ke arah proses latihan vokal dan stamina menjelang konsert yang tempohnya kurang dua bulan lagi dari sekarang.
"Sebanyak 10 buah lagu termasuk medley dan lagu bahasa Inggeris serta lagu tradisional akan dipersembahkan pada malam itu.
"Seboleh-bolehnya saya inginkan sebuah konsert santai yang akan menjadi ingatan kepada peminat saya sekali.
"Ia sekali gus untuk berkongsi kenangan selain perjalanan saya sebagai anak seni selama empat tahun," ujarnya.
Masih muda dan sudah pun berjaya melangkahkan kaki untuk mengadakan konsert di pentas berprestij seumpama DFP pastinya menuntut banyak keringat dan dalam erti kata lain tuah.
Jelas Hafiz, konsert itu sebenarnya hasil sokongan peminatnya yang tidak pernah berbelah bagi sejak mula-mula dia memilih hala tuju bergelar penyanyi.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana mendapat sokongan peminat dan kepercayaan DFP. Saya sangat teruja kerana tidak pernah membuat persembahan sebegini sepanjang hidup saya.

HAFIZ menegaskan dirinya hanya manusia biasa.


"Peluang ini ibarat mendapat emas yang jatuh dari langit dan saya patut menghargainya. Saya teruja dalam masa yang sama gementar dan takut," luahnya mengenai konsert berdurasi 1 jam 30 minit itu.
Konsert itu melantik Aubrey Suwito selaku pengarah muzik dan Pat Ibrahim sebagai pengarah pentas selain diiringi 12 pemuzik handalan.
Album
Berbicara mengenai perjalanan kariernya yang dilihat semakin menyerlah, timbul tanda tanya adakah Hafiz bakal meletakkan label eksklusif terhadap karier nyanyiannya kelak?
Jawab Hafiz, dia seorang penyanyi yang ringkas tapi ada kalanya perlu menjaga nilai eksklusif.
Ungkapnya: "Saya seperti orang biasa dan hanya mengikut aliran hidup yang telah ditetapkan."
Terbaharu, Hafiz tampil dengan single terbaharu berjudul Bahagiamu Deritaku ciptaan sepenuhnya LY Baiduri yang bakal dimuatkan dalam album ketiganya yang akan menjengah pasaran penghujung bulan April ini.
"Bahagiamu Deritaku menceritakan kerelaan seorang lelaki melepaskan wanita yang dikasihinya pergi demi kebahagiaan," kongsi Hafiz sambil menguntumkan senyuman manis.
Album ketiganya diberi judul Hafiz Suip; Luahan Hati Anak Seni akan memuatkan sembilan buah lagu hasil ciptaan komposer terkenal antaranya Ajai, LY Baiduri dan Kuncidemak.
Menerusi album itu, Hafiz turut menyumbangkan bakat menulis lirik menerusi dua buah lagu iaitu Mungkinkah dan Deklamasiku.
Album itu juga kata Hafiz masih memfokuskan kekuatan vokalnya dalam genre pop balada alternatif dan akan menceritakan jalan cerita peribadi serta pahit manis bergelar anak seni.

Intan Ladyana nafi hina polis

Posted: 04 Apr 2013 07:49 PM PDT


INTAN LADYANA (kanan) dan Opie (tengah) pada sidang akhbar filem Kecoh! Hantu Raya Tok Chai di GSC Mid-Valley, Kuala Lumpur pada 2 April lalu.


BELUM sempat filem Kecoh! Hantu Raya Tok Chai ditayangkan di pawagam pada 18 April depan, media dikejutkan dengan perlambangan imej dan perwatakan anggota polis yang dilakonkan oleh Intan Ladyana bersama tiga pelakon lain dalam filem itu.
Menerusi filem pertama arahan Opie Zami itu, Intan melakonkan watak Koperal Lisa yang sering mengharapkan bantuan polis lelaki dan suka mengenakan pelembap bibir setiap masa.
Hal itu sedikit sebanyak memperlihatkan kredibiliti pasukan polis yang tidak menjalankan tugas dengan berhemah sekali gus dilihat seolah-olah memperlekehkan badan beruniform terbabit.
Menjawab tuduhan yang diajukan media, kata Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamad Yahaya, 31, beberapa orang anggota polis ditempatkan bersama sepanjang penggambaran dilakukan demi mengawal tatacara pelakon.
"Saya melakonkan watak seorang anggota polis wanita pada landasan yang betul, kalau orang nak kutuk saya tidak kisah. Pengarah mahukan watak seorang polis wanita yang kelakar dan adakalanya nampak hilang arah kerana itu sebenarnya yang disukai oleh penonton.
"Lagipun, sepanjang penggambaran beberapa orang anggota polis turut sama berada di lokasi untuk menjaga dan mengawal tertib percakapan dan perlakuan apabila memakai uniform berkenaan," ujarnya yang mengharapkan penonton menilai lakonannya dari sudut humor.
Selain Intan, watak anggota polis berbeza pangkat turut dijayakan oleh tiga orang pelakon lelaki lain termasuk pelawak Sathiya.

INTANLADYANAdan Saiful Apek dalam satu babak filem Kecoh! Hantu Raya Tok Chai.


Menerangkan lebih lanjut karakter polis yang diperlihatkan dalam Kecoh! Hantu Raya Tok Chai, pengarahnya, Opie Zami memberitahu dia mencorakkan watak-watak tersebut seperti drama kepolisan yang disiarkan di kaca televisyen sebelum ini.
"Anggota polis dalam filem ini sekadar watak saja, begitulah polis yang sering disiarkan di pawagam atau televisyen sebelum ini. Saya cuma potretkan semula menerusi filem saya ini," jelas Opie.
Kecoh! Hantu Raya Tok Chai bagaimanapun berdepan dengan beberapa kesulitan dan masalah dalaman yang enggan didedahkan lebih lanjut oleh Opie.
"Setiap penggambaran akan ada masalah dan disebabkan itu ada beberapa babak yang kelihatan panjang dan membosankan kerana terdapat babak yang mahu dibuat sebaliknya gagal. Harap penonton faham situasi kami.
"Begitu juga masalah dengan skrip, apabila saya menerima skrip filem ini pada awalnya saya tidak bersetuju hampir keseluruhan jalan cerita melainkan 'Tok Chai' saja. Jadi saya mengambil keputusan untuk mengubah jalan cerita yang difikirkan lebih sesuai.
"Bagaimanapun, penulis skrip memohon agar namanya tidak dikreditkan sekiranya skrip filem ini diubah," ujarnya.
Kecoh! Hantu Raya Tok Chai berkisar tentang kejadian selepas kematian seorang lelaki tua di sebuah kampung yang didakwa membela Hantu Raya.
Sepanjang proses pengkebumian, penduduk kampung berdepan dengan pelbagai kesulitan apabila sering diganggu Hantu Raya yang tidak bertuan.
Filem itu turut dibintangi oleh Saiful Apek, arwah Kuswadinata, Sobri Anuar (Maharaja Lawak), Azrul Raja Lawak, Amir Raja Lawak.

Artis meriahkan Karnival Himpunan Anak Muda Berkoperasi

Posted: 04 Apr 2013 07:48 PM PDT

FARAWAHIDA


BARISAN artis terkenal tanah air bakal memeriahkan Karnival Himpunan Anak Muda Berkoperasi yang dijadualkan berlangsung di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Pasir, Seberang Prai, Pulau Pinang pada Ahad, 7 April ini.
Mereka terdiri daripada Farawahida, Fazli Zainal, Ani Mayuni, Nashrin My Starz LG dan Roslan Shah
Karnival yang bermula pukul 9 pagi hingga 11.30 malam tersebut bakal dirasmikan oleh Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nik Ali Md. Yunus menerusi acara yang dijadualkan bakal berlangsung pada pukul 10 pagi.
"Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan acara Himpunan Anak Muda Berkoperasi ini yang diadakan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Pasir, Seberang Perai pada hari Ahad ini.
NASHRIN


"Banyak aktiviti telah disediakan sepanjang karnival berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 11.30 malam," ujar Nik Ali.
Tambahnya: "Selain pameran agensi-agensi kerajaan, khusus bagi pengunjung kanak-kanak, bakal berlangsung pertandingan melukis pada sebelah pagi selepas acara perasmian.
"Memeriahkan lagi acara perasmian yang dijadualkan pada pukul 10 pagi adalah penyertaan konvoi 100 buah motosikal berkuasa tinggi dan 200 buah basikal.
Ujarnya lagi, karnival itu dimeriahkan lagi dengan pelbagai acara lain seperti pertandingan ubah suai kenderaan Myvi dan Grand Lavina, senamrobik, sembang santai bersama pemimpin dan kenduri rakyat disediakan.
Sementara itu menurut pengerusi jawatankuasa penganjur Karnival Himpunan Anak Muda Berkoperasi, Zaidi Mohd. Said pula, pada sebelah malam bakal berlangsung cabutan hadiah bertuah yang menawarkan hadiah utama motosikal, televisyen, mesin basuh dan telefon bimbit.
ANI MAYUNI


"Acara pada malam hari Ahad itu juga nanti akan dimeriahkan lagi dengan showcase mini menampilkan barisan artis popular terdiri daripada Farawahida, Fazli Zainal, Ani Mayuni, Nashrin My Starz LG dan Roslan Shah yang bakal menghidupkan suasana dengan lawak spontannya," katanya.
Menurutnya lagi, pada sebelah petang karnival tersebut pula diadakan perkhidmatan servis percuma untuk 1,000 motosikal yang berkunjung ke situ.
"Tambah menarik, akan diadakan juga pertandingan memasak yang memerlukan 180 peserta untuk mendaftar yang bakal menyaksikan Ani Mayuni dan Fazli Zainal turut menjadi juri jemputan.
"Jadi, apa lagi, orang-orang utara Malaysia, sila datang beramai-ramai dan masuk adalah percuma, katanya lagi."

Sorok syabu di celah paha

Posted: 04 Apr 2013 07:47 PM PDT

SEPASANG suami isteri ditahan bersama syabu bernilai RM600 selepas polis menyerbu sebuah rumah di Limbang, Sarawak kelmarin.


LIMBANG – Taktik seorang wanita menyembunyikan dua paket syabu di celah pahanya terbongkar apabila dia ditahan di sebuah rumah di Kampung Batu Bekarang di sini kelmarin.
Polis turut menahan suami wanita tersebut bersama seorang bayi berusia enam bulan dalam serbuan pada pukul 5.54 pagi. Bayi itu kemudian diserahkan kepada waris terdekat suspek.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd. Bukhori Saffai berkata, wanita berusia 30 tahun itu dipercayai bergiat aktif mengedar dadah bersama suaminya yang berusia 42 tahun sejak beberapa bulan lalu.
Menurutnya, selain tangkapan, polis turut merampas syabu seberat 1.8 gram bernilai RM600 yang disembunyikan di celah paha wanita itu.
"Kita jangka menahan beberapa individu lagi yang menjadi orang tengah kepada pasangan ini," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, kedua-dua suspek didapati positif dadah selepas menjalani ujian air kencing dan semakan mendapati, pasangan itu turut mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Diberkas ketika hendak lari

Posted: 04 Apr 2013 07:46 PM PDT


ANGGOTA pasukan keselamatan yang sedang bertugas sempat bertanya khabar kepada penduduk Kampung Lok Buani, Lahad Datu semalam.


LAHAD DATU – Seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang dicari kerana disyaki mempunyai kaitan dengan pencerobohan pengganas Sulu di negeri ini diberkas tidak sampai enam jam selepas polis mengedarkan gambarnya kepada umum kelmarin.
Clarence Luing Karl @ Muhammad Khalil John L Karl, 57, diberkas pada pukul 10.30 malam bersama seorang wanita dipercayai isterinya berusia 55 tahun dan seorang lelaki yang merupakan kenalannya berumur 33 tahun.
Ketiga-tiga mereka diberkas di rumah pangsa Datuk Seri tersebut di Tanjung Aru, Kota Kinabalu kira-kira 401 kilometer dari sini.
Mereka diberkas bagi membantu siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
"Datuk Seri itu diberkas selepas kita menerima maklumat mengenai kedudukannya enam jam setelah kita mengedarkan gambarnya pada pukul 4.30 petang.
"Seorang wanita dan seorang lagi lelaki turut ditahan di dalam rumah itu ketika mereka bersiap sedia untuk melarikan diri," kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang pada sidang akhbar di sini semalam.

100 pelatih bomba keracunan makanan

Posted: 04 Apr 2013 07:44 PM PDT


SEBAHAGIAN daripada pelatih bomba yang mengalami keracunan makanan di HKKB, Kuala Kubu Bharu semalam.


KUALA KUBU BHARU – Kira-kira 100 pelatih berpangkat Penolong Penguasa Bomba di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia di sini dikejarkan ke hospital selepas mengalami keracunan makanan.
Komandannya, Haron Tahir berkata, kebanyakan pelatih terbabit mengadu sakit perut selepas makan malam di kantin akademi itu malam kelmarin.
"Ada pelatih mula mengalami sakit perut selepas makan malam manakala sebahagiannya pula pagi ini (semalam).
"Kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka dilaporkan stabil," katanya ketika ditemui Kosmo! di HKKB di sini semalam.
Menurut Haron, ekoran kejadian itu, beberapa kakitangan Kementerian Kesihatan telah datang ke akademi itu untuk membuat pemeriksaan lanjut.

Tok Mon mahu bertanding lagi

Posted: 04 Apr 2013 07:35 PM PDT

TOK MON dipimpin oleh kakitangan SPR selepas mengambil borang penamaan calon di pejabat SPR Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Seorang warga emas, Maimun Jusuh, 94, yang pernah bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada tahun 2008 sekali lagi berhasrat menawarkan diri sebagai calon di Parlimen Kuala Terengganu.
Lebih mesra dengan panggilan Tok Mon, beliau berkata, hasratnya untuk bertanding lagi adalah atas amanah 'orang lama' tetapi tidak mengulas lanjut mengenainya.
"Menang (atau) kalah, Tok bertanding sahaja sebab mengingatkan amanah 'orang lama'," katanya kepada pemberita ketika datang seorang diri dengan menaiki teksi untuk mengambil borang penamaan calon di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri di sini semalam.

"Tok nak bertanding banyak kali dah tapi Barisan Nasional (BN) kuat belaka... nak cari pencadang dan penyokong dua orang pun payah (sekarang)," katanya.
Tok Mon berkata, beliau bertanding atas dasar tanggungjawab untuk membela nasib rakyat seperti golongan miskin dan warga emas di Terengganu.
Bagaimanapun, Tok Mon tidak berhasrat menyertai mana-mana parti sekiranya ditakdir memenangi pilihan raya.
Ditanya mengenai modal untuk bertanding, Tok Mon berkata, beliau tidak risau kerana anak-anak buahnya akan membantu.
"Tok ini minta dengan orang. Untuk kempen nanti pandailah Tok buat. Anak tahu Tok bertanding tapi mereka tidak suka Tok habiskan pitih (wang)," katanya.
Mengenai lambang Bebas yang akan digunakan, katanya, SPR tidak membenarkan dia menggunakan simbol istana cadangannya.
"Kita tunggulah keputusan daripada SPR. Tok ada sijil dan diamanahkan pakai logo itu," katanya sambil mengeluarkan sijil perakuan Civics Course bertarikh tahun 1954 dari beg kanvas berwarna biru.
Pada PRU-12, beliau menggunakan lambang kunci dan bertanding menentang Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail yang mewakili BN serta Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu.
Tok Mon hanya mendapat 685 undi dan hilang wang pertaruhan.

Laluan KL-New Delhi mula Jun

Posted: 04 Apr 2013 07:33 PM PDT


PERKHIDMATAN Malindo Air kini semakin mendapat sambutan dan kadar kepenuhannya dijangka bertambah kepada 80 hingga 90 peratus pada tahun ini.


KUCHING – Malindo Air berhasrat untuk menawarkan perkhidmatan penerbangan secara terus dari Borneo ke China dan Hongkong menjelang akhir tahun ini atau awal tahun hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy berkata, syarikat juga akan mula menawarkan perkhidmatan penerbangan serantau pada bulan Jun ini dengan memperkenalkan laluan Kuala Lumpur (KL) - New Delhi.
"Kami berhasrat untuk menjadikan Borneo sebagai hab penerbangan kami kerana pelancong dari India biasanya melihat KL atau Singapura sebagai destinasi pilihan.
"Usaha ini akan memberi peluang kepada mereka untuk meneroka destinasi baharu ini," katanya pada sidang akhbar sempena perasmian laluan Malindo Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ke Kuching, Sarawak semalam.
Malindo Air merupakan syarikat kerjasama antara syarikat tempatan, Nadi Sdn. Bhd. dan syarikat penerbangan domestik terbesar di Indonesia, Lion Air.

Wanita buta huruf mahu jadi wakil rakyat

Posted: 04 Apr 2013 07:31 PM PDT


BADAM (kanan) duduk bersama seorang saudaranya di Khar, Bajaur pada 1 April lalu.


KHAR - Seorang suri rumah Pakistan yang tidak tahu membaca dan menulis mencipta sejarah di negara ini apabila dia akan bertanding menjadi wakil rakyat di kubu kuat Taliban pada 11 Mei depan.
Suri rumah itu, Badam Zari, 53 yang merupakan isteri seorang guru besar mempunyai peluang tipis untuk menang.
"Saya bertanding dengan penuh keterujaan dengan hati yang suci dan suara hati yang jelas.
"Keazaman saya adalah untuk mendidik generasi masa depan, kanak-kanak perempuan dan wanita serta berkhidmat untuk mereka," katanya kepada agensi berita AFP menerusi telefon dari daerah Bajaur.
"Saya mengetahui bahawa saya merupakan wanita pertama yang akan bertanding dan berharap akan menang," tambahnya.
Dia akan bertanding atas tiket bebas di daerah tersebut.
Daerah itu terletak di kawasan pergunungan dan merupakan antara yang paling miskin dan ramai penduduknya tidak berpendidikan.
"Saya tidak berasa takut. saya tidak pernah menerima ancaman daripada mana-mana pihak," katanya.
Beberapa pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya menyatakan kelmarin, permohonannya untuk bertanding telah diterima.
Undang-undang Pakistan tidak melarang calon yang buta huruf bertanding untuk menjadi wakil rakyat.
Bajaur merupakan kubu kuat kumpulan Taliban, Al-Qaeda dan beberapa pertubuhan militan lain.
Daerah tersebut menjadi lokasi pertempuran antara tentera Pakistan dengan kumpulan militan.

Harimau kumbang dilepaskan ke hutan

Posted: 04 Apr 2013 07:29 PM PDT


HARIMAU itu kemudian meninggalkan kurungan itu.


MIAMI - Beberapa kakitangan Suruhanjaya Pemuliharaan Hidupan Liar dan Perikanan Florida membebaskan seekor harimau kumbang jantan yang berusia dua tahun di sebuah kawasan hutan simpan di Florida kelmarin.
Harimau kumbang itu dilepaskan selepas ia dibesarkan di Pusat Pemuliharaan White Oak sejak berusia lima bulan.
Anggota-anggota suruhanjaya itu menangkap haiwan tersebut selepas mereka menemuinya di daerah Collier.
Anggota-anggota suruhanjaya itu menemui harimau kumbang tersebut bersama seekor lagi harimau betina.
Kedua-dua haiwan itu merupakan anak seekor harimau betina yang mati pada 2011.
Haiwan jantan tersebut dilepaskan dari kurungan ke dalam hutan di kawasan hidupan liar Rotenberger di sempadan Palm Beach dan daerah Broward.

Bangunan tertinggi di Grozny terbakar

Posted: 04 Apr 2013 07:29 PM PDT

SEORANG lelaki menyaksikan bangunan apartmen setinggi 40 tingkat terbakar di Grozny, Republik Chechen kelmarin.


MOSCOW - Bangunan tertinggi di bandar Grozny yang merupakan ibu negeri Republik Chechen di Rusia terbakar kelmarin.
Sejumlah anggota bomba mengambil masa selama tujuh jam untuk memadamkan kebakaran bangunan apartmen setinggi 40 tingkat itu yang tidak berpenghuni tetapi masih dalam pembinaan.
Menurut pemerintah republik itu, kebakaran tersebut berlaku akibat litar pintas pada sistem pendingin hawa.
Setakat ini tiada laporan tentang kematian dan kecederaan ekoran kebakaran itu.
Seorang penduduk, Temila Sagaipova berkata, bangunan itu menjadi simbol keamanan dan tamatnya peperangan di Chechen.
Dia menyatakan, bangunan tersebut merupakan satu-satunya daya tarikan di bandar ini.
"Saya berharap bangunan itu akan dibina semula dengan segera," katanya yang merupakan antara 600 orang yang menyaksikan kebakaran tersebut.
Republik itu sebelum ini dilanda peperangan melibatkan golongan pemisah dengan tentera Rusia sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1994 hingga 1995. Peperangan kedua bermula pada 1999 sebelum ia berakhir sepenuhnya pada tahun 2009.

Memperingati syahid Palestin 1976

Posted: 04 Apr 2013 07:27 PM PDT



SEKUMPULAN kanak-kanak Palestin melepaskan puluhan belon berwarna-warni di sebuah kawasan lapang perkampungan Nazlet Zeid yang terletak di daerah Jenin, utara Tebing Barat.
Sambil mendongak ke langit melihat belon yang terbang ditiup angin, riak wajah masing-masing jelas terpancar keriangan. Sebahagiannya turut mewarnakan muka dengan lambang bendera negara mereka.
Di satu sudut lain, kelihatan beberapa kanak-kanak lelaki bersemangat mengibarkan bendera Palestin yang berwarna merah, hitam, putih dan hijau. Meskipun berada di bawah panas terik mentari, mereka langsung tidak merungut atau mengeluh.
Sebaliknya, anak-anak kecil yang berusia lingkungan tiga hingga 12 tahun itu gembira untuk meraikan Hari Tanah yang disambut oleh rakyat Palestin pada 30 Mac setiap tahun.
Kampung Nazlet Zeid terletak berhampiran dengan penempatan haram Yahudi di Shaked. Sambutan yang dilakukan oleh penduduk di sana itu kelihatan ringkas tetapi signifikan kerana ia menyuntik semangat jati diri terhadap anak-anak kecil dalam mempertahankan tanah air tercinta.
Di Beit Hanun, sebuah bandar di pinggir timur laut Semenanjung Gaza pula, penduduknya berpakaian ala petani sebagai tanda mengingati hari berlakunya peristiwa berdarah tersebut.
Hari Tanah atau Land Day bertujuan untuk memperingati pembunuhan enam penunjuk perasaan berketurunan Arab Israel oleh tentera Zionis sewaktu demonstrasi besar-besaran pada tahun 1976 bagi membantah rancangan Israel merampas tanah Arab di wilayah Galilee.
Tunjuk perasaan
Bekas ahli politik Belanda yang juga aktivis hak asasi manusia, Arjan El Fassed pernah menulis artikel khas mengenai insiden ini yang bertajuk, What is it that Palestinians commemorate on Land Day?
Artikel yang disiarkan di laman web The Electronic Intifada pada 30 Mac 2001 itu menjelaskan secara terperinci insiden yang berlaku sekali gus menunjukkan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
SEKUMPULAN pemuda Palestin melaungkan slogan mengutuk Israel.


Menurut El Fassed, tindakan Israel yang mahu merampas 60,000 dunam tanah milik Arab di wilayah Galilee mengundang tunjuk perasaan oleh beribu-ribu penduduk minoriti Palestin di negara tersebut. Dunam ialah unit pengiraan kawasan tanah yang digunakan pada zaman Empayar Uthmaniyyah. Satu dunam merujuk kepada kawasan seluas 1,000 meter persegi.
"Konfrontasi yang berlaku antara penduduk dan polis Israel itu menyebabkan enam rakyat Palestin terbunuh, ratusan tercedera dan beratus-ratus lagi dipenjarakan. Dalam tahun-tahun berselang, peristiwa tersebut telah dikenang dalam memori rakyat Palestin sebagai Hari Tanah," ujar beliau.
Selepas bertahun-tahun dalam pemerintahan tentera dan politik kepatuhan, Hari Tanah 1976 merupakan tindakan pertama penentangan besar-besaran oleh rakyat Palestin di Israel terhadap polisi dalaman penjajah Zionis.
"Polisi itu sebenarnya satu proses rampasan sistematik yang mengurangkan pemilikan tanah Palestin daripada kira-kira 94 peratus bagi kesemua wilayah pra-Palestin 1948 kepada kurang daripada tiga peratus dalam apa yang kini dianggap sebagai Israel.
"Selepas beberapa tahun dipulaukan oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan negara-negara Arab, Hari Tanah mengesahkan minoriti rakyat Palestin di Israel sebagai satu bahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada negara Palestin dan Arab," jelas El Fassed, pengasas bersama The Electronic Intifada, laman web yang memaparkan tentang konflik Israel-Palestin dari kaca mata rakyat Palestin.
Penghormatan
Sementara itu, ribuan penduduk berarak membawa bendera gergasi dari pusat bandar Sakhnin di utara Israel sambil melaungkan slogan mengenang mereka yang terkorban serta tahanan Palestin yang dipenjarakan.
Datuk Bandar Sakhnin, Mazen Ghanaim turut memberi penghormatan kepada mangsa yang disifatkan sebagai syahid. Malah, Ghanaim juga menggesa penduduk Palestin terus berjuang dalam menuntut tanah dan hak mereka kembali.
Perarakan utama Hari Tanah diadakan di pekan Deir Hanna, Galilee. Ia diikuti dengan beberapa lagi demonstrasi jalanan di padang pasir dan persimpangan Shoket di wilayah Negev, selatan Israel.
Kumpulan tunjuk perasaan tersebut juga bertindak membantah rancangan rejim Zionis untuk menempatkan puluhan ribu kaum Arab Badwi yang menghuni padang pasir ke satu kawasan perbandaran tetap dengan mengambil ribuan hektar tanah penduduk Palestin.
Demonstrasi serupa turut berlangsung di kawasan Tebing Barat selepas solat Jumaat di tempat pemeriksaan utama di Baitulaham dan beberapa buah kampung.
Di Gaza pula, ratusan penduduk tidak ketinggalan menyertai perarakan dari pekan Jabaliya ke Beit Lahiya. Dalam pada itu, ketegangan tercetus antara penduduk Palestin dengan pihak berkuasa Israel.
Di tempat pemeriksaan Qalqiliya yang terletak di utara Baitulmuqaddis, sekumpulan pemuda Palestin bertindak membaling batu ke arah tentera rejim dan membakar tayar.

PULUHAN belon berwarna-warni dilepaskan di sebuah kawasan lapang di perkampungan Nazlet Zeid yang terletak di daerah Jenin, utara Tebing Barat.


Tindakan tersebut dibalas oleh tentera Israel dengan melepaskan gas pemedih mata, menembak peluru getah dan melempar bom untuk meleraikan penunjuk perasaan tersebut.
"Pihak tentera Zionis turut melepaskan tembakan cecair busuk yang dikenali sebagai skunk ke arah kumpulan pemuda Palestin yang menyertai demonstrasi terbabit," menurut koresponden agensi berita Associated France Press (AFP).
Rentetan daripada pertempuran itu, pegawai perubatan Palestin memberitahu, sekurang-kurangnya 30 orang mengalami kecederaan dan dirawat akibat terkena gas pemedih mata.
Sambutan Hari Tanah yang berlangsung sejak 37 tahun lalu itu sering mendapat perhatian para penyokong Palestin termasuk pelarian di Lebanon, Jordan, Syria dan Tunisia. Mereka turut berarak menuju ke sempadan sebagai sebahagian daripada perarakan global ke Baitulmuqaddis.
Pokok zaitun
Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad pula berkata, sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Tanah, beliau bersama delegasi 20 rakyat Palestin telah menanam pokok zaitun di kawasan Tebing Barat yang dikenali sebagai E1 atau Bab Al-Shams.
Menurut beliau, Israel telah mengenal pasti kawasan tersebut untuk dijadikan penempatan masa hadapan bagi penduduk Yahudi.
"Kehadiran kami di Bab Al-Shams dan di setiap sudut tanah Palestin akan kekal berakar umbi seperti pokok-pokok zaitun ini berakar umbi di tanah air kami," tegasnya melalui kenyataan yang dikeluarkan pejabat Perdana Menteri.
Di samping itu, sebanyak 200 anak pokok zaitun ditanam di pekan Al-Khader berhampiran bandar Baitulaham di Tebing Barat.
"Anak pokok zaitun telah ditanam di kawasan Shoshhala yang telah dirampas secara haram oleh tentera pada tahun 1967 selepas Israel menduduki seluruh Palestin.
"Israel berterusan dengan cubaan merampas tanah dalam usaha untuk mengembangkan penempatan haram di kawasan berhampiran," ujar Ahmad Salah, penyelaras Jawatankuasa Popular terhadap Tembok dan Penempatan di Al-Khader kepada Radio Baitulaham 2000.

Rutin padat pemilik Hawa Ghazzali

Posted: 04 Apr 2013 07:26 PM PDT



WANITA ini melihat dirinya sebagai seorang isteri dan ibu yang mahu melengkapkan keluarga sendiri terlebih dahulu lebih daripada hal lain.
Justeru, status dan kemewahan milik beliau sama sekali tidak menghalang dirinya meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, memasak untuk mereka, membuat tugas-tugas rumah dan dalam masa yang sama, mengembangkan perniagaan dalam industri fesyen.
Beliau ialah Datin Lynda Ghazzali, pemilik Hawa Ghazzali Collection (HGC) yang juga ibu kepada seorang bayi perempuan baru berusia 19 bulan.
Selain HGC, Lynda juga sangat dikenali dalam kalangan peminat porselin kerana sudah 15 tahun bergiat sebagai pelukis porselin. Beliau juga diberi gelaran Ratu Porselin kerana menjadi satu-satunya artis porselin di Asia yang mempunyai jenama sendiri di arena antarabangsa.
Di samping aktif dengan beberapa perniagaan seperti kosmetik, fesyen, hiasan porselin dan syarikat pengurusan acara, niat untuk tampil dengan jenama baharu, HGC katanya wujud apabila dia menjelajah negara Itali bersama suaminya.
Melihatkan batu-batu permata dan kemahiran beliau sendiri dalam mereka bentuk, menjadi titik tolak kepada kewujudan HGC hampir setahun lalu.
"Saya bermula dengan menghasilkan logo Hawa Ghazzali menggunakan emas dan berlian.
"Kemudian saya juga banyak mereka bentuk kafling, loket dan sebagainya untuk kegunaan sendiri. Melihat aksesori batu permata di Itali menjadikan saya lebih berminat," kata Lynda.
Beliau tampil dengan jenama HGC selepas penyelidikan dan pembangunan yang dilakukan sejak enam bulan lalu termasuk mempelajari secara lanjut tentang batu permata, perak, kaca dan rekaannya.
Jangan merungut
Kata-kata awal saat ditanya mengenai pembahagian masa dan tenaga antara kerjaya serta keluarga ungkap Lynda: "Saya tidak boleh merungut!"
Kata-kata itu cukup untuk membawa pengertian bahawa memiliki sebuah keluarga yang bahagia dan teman-teman tersayang, Lynda tidak akan memberi ruang kepada seorang amah untuk menjaga perihal rumah tangganya.
REKAAN polka dot antara pilihan kegemaran ramai.


"Saya perlu lakukan sendiri kerana ia keluarga saya. Kalau anda mempunyai sebuah ruang dapur yang cantik, adakah anda mahu orang lain yang menggunakan kemudahan itu?" tanya beliau.
Jelas daripada raut wajah dan emosi yang dipapar, Lynda amat peka dan sedar dengan keperluan keluarga.
Beliau sentiasa berusaha untuk menjadikan dirinya sebagai wanita terbaik buat keluarga.
"Sekejap lagi saya akan masak nasi lemak," kongsinya mengenai juadah makan tengah hari yang ingin dimasak sewaktu ditemui di banglo beliau di Taman U-Thant, Kuala Lumpur.
Sediakan jadual
Sebagai seorang isteri, ibu dan ahli perniagaan, kepadatan tugas menyebabkan Lynda menyediakan jadual khas yang akan menjadi rujukannya setiap hari.
Daripada bangun seawal pukul 5 pagi hingga melelapkan mata lewat malam sekitar 11 atau 12 malam, Lynda menerangkan rutin harian dan mingguan beliau termasuklah menggosok baju suami, membasuh, mengemas rumah, memasak dan bekerja di pejabat.
Sebagai pencinta seni porselin, wanita berdarah kacukan Arab itu juga banyak menghabiskan masa untuk melukis porselin sebagai hobi serta karya untuk peniagaannya.
"Saya tetapkan masa dan tidak akan beralih. Mungkin orang akan memandang saya sebagai bertuah, hidup mewah, mengusahakan perniagaan bertaraf antarabangsa dan memiliki suami yang juga seorang ahli perniagaan berjaya. Tetapi mereka tidak tahu saya perlu menggosok baju dan memasak sendiri untuk dia.
"Saya akan melakukan segala-galanya dan tidak suka menggunakan khidmat amah atau orang gaji," kata beliau merujuk kepada suaminya, Datuk Ali Ghazzali, seorang lelaki berketurunan Tunisia dari Perancis.
Bercakap lanjut mengenai tugas memasak, ternyata Lynda mengakui dia tidak pernah bosan memasak, malah selalu mengalu-alukan rakan-rakan dan ahli keluarga untuk menjamu selera di rumahnya.
KELUARGA bahagia Lynda bersama suami, Ali dan puteri mereka, Hawa.


Banglo beliau seakan-akan tempat hentian makan tengah hari dalam kalangan rakan-rakan, kakitangan dan keluarga.
"Saya berasa seronok melihat mereka makan bersama kami. Lagipun, di bandar raya besar ini, makan untuk dua orang sahaja boleh mencecah lebih seratus ringgit. Di sini saya hanya perlu berbelanja RM50 dan boleh memasak untuk 10 orang," katanya.
Masakan kegemaran Lynda yang juga sering mendapat pujian ramai termasuklah masakan Arab, kuskus.
"Saya belajar memasak termasuk masakan kuskus daripada ibu dan mertua. Dalam pada itu, jika makan di restoran, saya akan mengenal pasti bahan dan cara masakan seterusnya cuba memasak sendiri di rumah," katanya lagi.
Pertemuan pagi itu, Lynda sempat berkongsi mengenai puteri sulungnya yang juga pemilik sebenar jenama syarikat beliau, Hawa Ghazzali.
Bak kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya, walaupun baru berusia 19 bulan, Hawa sebenarnya sudah dihantar ke sebuah sekolah untuk memberi pendedahan pendidikan awal.
"Saya mahu melihat jenama HGC seiring dengan perkembangan anak saya. Setakat ini, Hawa juga memberi respons yang baik dan positif dengan fesyen.
"Hawa amat menyukai kasut, aksesori dan beg. Saya turut membuka akaun laman sosial untuk Hawa yang dikemaskini dengan foto-foto fesyen," kata Lynda.
Lynda memasang harapan untuk memperkenalkan koleksi fesyen pakaian kanak-kanak dan ibu pada masa akan datang.

Masak Maggi dalam periuk nasi

Posted: 04 Apr 2013 07:24 PM PDT


KAKITANGAN Maggi menunjukkan demo masakan Magic Meals menggunakan periuk nasi.


RUANG makan di sebuah restoran di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur bukan sahaja sesak dengan kehadiran media dan tetamu, bahkan periuk nasi di atas meja.
Pentas pelancaran juga turut dihiasi replika periuk nasi di samping dua set dapur. Dapur pertama sebuah periuk nasi dan dapur kedua dengan kuali.
Penyediaan peralatan tersebut sebenarnya sebahagian daripada gimik pelancaran Maggi Magic Meals, Cara Baharu Menyediakan Hidangan Lazat Dengan Periuk Nasi Anda, Bagaikan Magik.
Diperkenalkan oleh syarikat makanan, Nestle, Maggi Magic Meals merupakan satu lagi inovasi masakan terbaharu oleh Nestle menggunakan kaedah masakan mudah, cepat dan sihat.
Pada awal acara sebagai memperkenalkan produk Maggi Magic Meals, para pengunjung dipertonton dengan drama singkat berkenaan dua situasi masakan, menggunakan Maggi Magic Meals dan cara masakan tipikal.
Ternyata, drama tersebut membuktikan betapa Maggi Magic Meals bukan sahaja menjadi inovasi produk yang memuaskan selera, tetapi mudah dan sihat.
Maggi mahu para ibu memenuhi selera keluarga mereka dengan inspirasi resipi yang lazat melalui hidangan yang disediakan di rumah.
Beg masakan selamat
"Rangkaian baharu, Maggi Magic Meals menjadi satu-satunya produk di Malaysia yang direka khas untuk dimasak di dalam periuk nasi. Ia merupakan cara masakan yang unik apabila lauk diletakkan di dalam beg masakan Maggi dan dimasak bersama nasi di dalam periuk nasi.
"Beg masakan Maggi adalah selamat untuk dimasak serta mematuhi peraturan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) FDA serta tahan haba.
"Malah, masakan dengan beg masakan Maggi juga membantu mengekalkan rasa serta khasiat daging dan sayuran untuk menjadikan hidangan lebih lazat," kata Pengurus Jenama Unit Perniagaan Makanan, Nuraina Tajuddin.

DYNAS dan Sheahnee turut kelihatan teruja dengan cara masakan baharu oleh Maggi.


Beliau berkali-kali menekankan bahawa beg yang bakal diguna itu selamat dan para ibu khususnya, tidak perlu risau terhadap kesannya.
Nuraina berkata, pihaknya mahu para ibu yang sibuk, bapa yang mahu membuat kejutan kepada keluarga, anak-anak yang mahu berdikari memasak sendiri atau individu yang mahu memudahkan aktiviti memasak untuk mencuba produk baharu itu.
Menerangkan secara lanjut tentang khasiat dan cara penyediaan, satu demo khusus turut disediakan kepada para tetamu yang hadir pada majlis pelancaran tersebut.
Berbekalkan hanya ayam mentah, beberapa potongan hirisan bawang berbentuk bulat dan serbuk Maggi Magic Meals semuanya dimasukkan ke dalam plastik masakan Maggi.
"Langkah pertama adalah menambah daging dan bawang ke dalam beg masakan Maggi bersama dengan perencah Maggi Magic Meals. Kemudian ikat beg masakan dan gaulkan dengan sebati. Selepas itu, letakkan beg di atas beras di dalam periuk nasi dan masak. Kemudian, hidangan sedia untuk dinikmati," kata Nuraina.
Tiga jenis pilihan
Masakan itu mengambil masa 45 minit, seiring dengan masa memasak nasi sebelum dihidang kepada tetamu yang hadir.
Memperkenal tiga resipi kegemaran rakyat Malaysia, Maggi Magic Meals boleh didapati dalam perasa Kari Ayam Beraroma, Savouri Ayam Masak Merah dan Ayam Kicap Berempah. Setiap paket itu dijual pada harga RM3.95 sepaket.

SHEAHNEE mengakui Maggi Magic Meals kini memberinya lebih banyak peluang memasak untuk keluarga.


Turut kelihatan pada majlis pelancaran tersebut ialah pelakon, usahawan dan ibu kepada dua orang anak, Dynas Mokhtar.
"Saya berusaha meluangkan masa untuk menyediakan masakan di rumah untuk suami dan anak-anak walaupun jadual saya sibuk. Saya amat kagum dengan inovasi baharu yang dilancarkan oleh Maggi," kata Dynas.
Ditanya tentang rejim masakan baharu beliau bersama produk inovasi Maggi, Dynas mengakui dapat memasak untuk keluarga dengan lebih kerap kerana cuma perlu masukkan beg masakan Maggi di dalam periuk nasi bersama beras.
"Menariknya, ia juga menjadi pilihan berkhasiat kerana tidak perlu menggunakan minyak. Tambahan pula, sambil menunggu hidangan siap, saya dapat meluangkan masa untuk melakukan kerja lain," kata Dynas.
Seorang lagi selebriti, Sheahnee Iman Lee juga berpuas hari dengan produk inovasi, Maggi Magic Meals.
"Maggi Magic Meals dapat menjimatkan masa penyediaan untuk memasak, di samping resipi kegemaran saya menjadi lebih lazat dan penuh rasa," katanya pula.
Pihak Nestle turut mengadakan pertandingan pos istimewa dengan periuk nasi dan Maggi Magic Meals kepada para tetamu. Lima orang pemenang membawa pulang hamper produk Maggi.

Perlu berwuduk memegang al-Quran

Posted: 04 Apr 2013 07:24 PM PDT

ULAMA sepakat menyatakan seseorang haruslah berwuduk sebelum menyentuh dan membaca al-Quran.


SAYA pernah mendengar ceramah yang mengatakan kita tidak perlu berwuduk untuk membaca al-Quran, atas alasan seperti orang di Sudan membaca al-Quran sama seperti membaca buku-buku biasa di dalam bas. Apakah komen ustaz?
JAWAPAN:
Dalam masalah ini, ada dua pendapat yang muktabar. Pendapat pertama mengatakan bahawa wajibnya suci daripada hadas besar dan kecil.
Mereka mewajibkan serta menjadikan wuduk dan suci daripada hadas besar dan hadas kecil sebagai syarat untuk memegang al-Quran.
Pendapat ini adalah pendapat muktabar dalam keempat-empat mazhab iaitu pendapat jumhur ulama. Pendapat ini juga adalah pendapat yang dipegang oleh kebanyakan para sahabat Nabi Muhammad seperti Ali, Ibnu Abbas, Ibnu Mas'ud, Ibnu Umar dan lain-lain RA.
Ada pun terdapat juga pendapat para ulama yang mengharuskan untuk menyentuh al-Quran tanpa wuduk.
Namun, di sini hendaklah kita mengikut pendapat yang kuat dan disepakati oleh ulama untuk memuliakan Kalam Allah serta membezakan antara Kitabullah dan kitab karangan manusia.
Namun, jika berkehendak untuk sentiasa membawa dan membaca al-Quran, bolehlah digunakan kitab tafsir yang tidak diwajibkan kita berada dalam suci hadas kecil dan hadas besar untuk menyentuh serta membawanya.
Kita kena berakhlak dengan al-Quran, agar kita sentiasa berada dalam reda Allah.

Diapercake unik dan comel

Posted: 04 Apr 2013 07:23 PM PDT

DIAPERCAKE digubah oleh Azlin Huzaireen mengikut cita rasa pelanggannya.


APABILA menerima berita kelahiran bayi daripada ahli keluarga terdekat dan sahabat handai, pastinya otak ligat memikirkan hadiah yang mahu dibeli buat orang baharu.
Sudah menjadi kemestian majoriti daripada kita membeli pelbagai barangkeperluan bayi baik hamper mahupun kotak hadiah sepersalinan baju si comel yang banyak dijual di gedung-gedung barangan bayi.
Namun, bagi mereka yang mahu lari daripada pemberian hadiah yang klise dan mahukan kelainan, diapercake boleh dijadikan pilihan. Ia bukan sahaja comel dan unik, malah lain daripada yang lain.
Diapercake mula menjadi trend pemberian hadiah buat si comel sejak dua tahun lalu. Bagi yang tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan diapercake, ia merupakan diapers atau lampin bayi yang dibentuk menjadi kek ditambah dengan pelbagai keperluan bayi dan aksesori.
Suka-suka
Memandangkan ia sesuatu yang baharu di pasaran Malaysia, Azlin Huzaireen Mohd. Razaffli, 34, mula berjinak-jinak memasarkan diapercake hasil gubahan seni tangannya pada tahun 2011.
"Tidak terlintas untuk membuat bisnes kerana pada mulanya saya menjadikannya sebagai hobi sahaja.

AZLIN HUZAIREEN menjadikan laman sosial Facebook dan blog sebagai medium mempromosikan diapercake.


"Lama-kelamaan ia mendapat sambutan yang menggalakkan, jadi tidak salah untuk meneruskannya memandangkan ia dapat menjana pendapatan sampingan," katanya yang mencintai apa sahaja berkaitan kraf dan bayi.
Wanita berasal dari Kuantan, Pahang itu turut memasarkan diapercake melalui internet.
Anak pertama daripada empat beradik itu memberitahu, pada mulanya diapercake ciptaannya hanya mendapat sambutan dalam kalangan saudara-mara dan rakan-rakan rapat sebelum ia berkembang ke pasaran yang lebih luas.
Berbekalkan promosi daripada mulut ke mulut, semakin hari hasil gubahan diapercake Azlin Huzaireen mula mendapat tempat di hati pelanggan.
"Biasanya diapercake yang digubah mengandungi lampin pakai buang, rompers, washcloth musical soft toy, stokin, baby rattle, bedung dan soft book.
"Menggubah diapercake tidak susah, namun cabarannya adalah ketika memilih koordinasi warna. Ia perlu dipadankan dengan reka corak yang sedia ada dalam stok," ujarnya yang mengambil masa lebih kurang 30 minit bagi menggubah sebuah diapercake.
Permintaan pelanggan
Dia belajar seni gubahan diapercake melalui internet dan kaedah cuba jaya. Diapercake terbahagi kepada dua iaitu diapercake atau bakul hadiah digubah berdasarkan stok sedia ada dan tempahan pelanggan berdasarkan bajet, umur dan jantina bayi.
Diapercake biasanya untuk bayi baru lahir hingga berusia tiga tahun dijual serendah RM60 hingga RM300 bergantung kepada barang yang digunakan.
Masih bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat, Azlin Huzaireen memberitahu, tempahan diapercake diterima melalui panggilan telefon dan dalam talian.

AZLIN HUZAIREEN mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk menggubah sesebuah diapercake.


Setelah pembayaran dilunaskan, diapercake akan dihantar dengan menggunakan perkhidmatan pos laju atau diambil sendiri oleh pelanggan jika berada di sekitar Kuala Lumpur.
"Permintaan tidak terhad di sekitar Lembah Klang sahaja kerana diapercake gubahan saya turut mendapat permintaan dari seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.
"Modal permulaan perniagaan ini adalah sebanyak RM1,000. Perniagaan ini hanya dilakukan secara dalam talian memandangkan saya masih bekerja sepenuh masa," katanya yang mendapatkan stok pakaian kanak-kanak dari sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Menghasilkan 20 diapercake dalam tempoh seminggu tidak menjadi masalah, memandangkan dirinya sangat meminati seni gubahan.
Sebelum serius menggubah diapercake Azlin Huzaireen sering kali membantu rakan dan saudara-mara menyiapkan hantaran sama ada hantaran pertunangan, perkahwinan dan menghasilkan bunga telur.
Kini, dia mempelbagaikan produk perniagaan seperti bakul dan kotak hadiah.
Selain itu, Azlin Huzaireen turut menyediakan keperluan ibu selepas bersalin dan berpantang dengan menjual korset Premium Beautiful yang dikenali sebagai bengkung moden.
"Setiap perniagaan pasti ada cabarannya, dalam perniagaan diapercake ini, saya menghadapi kesukaran untuk mendapatkan stok.
"Begitupun, saya berharap bisnes ini berkembang maju dan mendapat tempat di hati pelanggan," ujarnya yang memasang impian untuk membuka kedai menjual pelbagai kelengkapan ibu dan anak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu