Jumaat, 26 April 2013

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Kehebatan Berganda Dalam 'Wings Rockestra 2013'

Posted: 25 Apr 2013 11:27 PM PDT

Kemantapan vokal Awie membuatkan penonton teruja pada Konsert Wings Rockestra 2013.
KUALA LUMPUR: Kumpulan rock Wings terus memukau peminat-peminat tegar mereka dengan memberikan persembahan mantap pada Konsert Wings Rockestra 2013 di Istana Budaya (IB) malam Khamis.
Tidak seperti konsert-konsert mereka sebelum ini, Wings tampil dengan lagu-lagu yang jarang dinyanyikan pada konsert kali ini.
Wings yang dibarisi oleh Awie, Joe, Black dan Eddie tampil dengan muzik yang lebih santai, sesuai dengan suasana penonton yang menyaksikan Wings Rockestra.
"Kali ini daripada segi pemilihan lagu, kami memilih lagu-lagu yang lebih santai, sesuai dengan suasana IB.
"Lagu-lagu yang dibawakan juga dirancang betul-betul agar pemilihan lagu kena dengan alunan muzik orkestra.
"Tak adalah macam tahun-tahun sebelum ni apabila peminat berdiri dan teruja dengan lagu-lagu yang agak keras sehingga pecah kerusi IB dibuatnya," seloroh Awie, vokalis kumpulan itu yang ditemui selepas konsert itu.
Kelainan yang ditampilkan pada set pentas juga cukup mengagumkan penonton.
Dalam konsert hampir tiga jam itu, Wings mempersembahkan lebih 20 buah lagu yang antaranya seperti Dari Tuhan, Ameringgo, Julang Timur Tengah, Taman Rashidah Utara, Kota Kemusnahan, Harapan, Opera Hidup dan Sejati.
Walaupun banyak lagu-lagu yang jarang dinyanyikan, namun ia tidak menghalang para penonton menyanyi bersama-sama dengan kumpulan yang sudah berusia 26 tahun itu.
Beritahu Awie lagi, lagu Harapan dan Dari Tuhan adalah antara lagu yang paling dia seronok ketika membuat persembahan konsert itu.
"Bayangkan, sudah 25 tahun saya tidak membawakan dua lagu tersebut."Ia memberikan kenangan yang cukup indah,mengimbas kembali kenangan-kenangan susah senang Wings dahulu," ujarnya.
Tidak hanya tampil berempat, persembahan mereka turut diserikan dengan dua gitaris hebat iaitu Hillary Ang dan Ang dan Ian Antonio, gitaris kumpulan God Bless yang diterbangkan khas dari Indonesia.
Hillary dan Ian bersama-sama dengan gitaris Wings, Joe tampil dalam sebuah segmen khas persembahan instrumental selama 20 minit.
Petikan gitar daripada Joe tetap mantap seperti kebiasaan.
Bukan itu sahaja, Ian turut memainkan beberapa buah lagu Wings melakukan kolaborasi bersama memeriahkan suasana pentas IB.
Membentuk suasana atmosfera 'rockestra', Wings bergandingan bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer, dipadukan lagi dengan Pengarah Muzik, Joe Wings dan penggubah muzik orkestra, Miss Lee Tse Wan
Hillary Ang juga menjawat tanggungjawab sebagai penyusun muzik pertama dan dibantu Rozario sebagai penyusun muzik untuk grup.
Konsert tersebut bermula dari 26 April hingga 30 April ini di Panggung Sari, IB.Tiket Konsert Wings Rockestra 2013 boleh dibeli menerusi www.ticket2u.biz pada harga RM499, RM399, RM299, RM249, RM199, RM149, RM99 dan RM69.

Fesyen antarabangsa Sazzy Falak

Posted: 25 Apr 2013 11:27 PM PDT



AWALNYA dia bergaya dengan baju penaja atau sendiri di kaca televisyen. Kemudian figura ini sentiasa dilihat, dibelek malah dijadikan salah satu rujukan dalam dunia fesyen tempatan. Sazzy Falak, selebriti yang tidak lekang dengan perkataan fesyen dan seni. Sekali gus dia membawakan dua item ini berjalan seiring menjadikan dirinya antara selebriti yang tidak pernah salah gaya.
Tuah seakan-akan datang bergolek. Cerita pemilik nama Sazlini Shamsul Falak, ibu kepada dua cahaya mata kembar ini, dia sentiasa mengangankan jenama miliknya menjejak tanah New York. Kota fesyen dunia itu menjadi sasaran dalam minda dan keinginan Sazzy yang sudah muncul dengan jenama fesyen Street Fashion by Sazzy Falak sejak Januari lalu.
"Syukur kerana saya akan ke Minggu Fesyen New York pada 7 hingga 9 September ini membawakan jenama saya. Ini memang sesuatu yang saya inginkan untuk masa depan. Rekaan saya sudah disahkan oleh Plitz.com," ujarnya sambil tersenyum seolah-olah sudah seakan-akan meletakkan sebelah kakinya di kota fesyen antarabangsa.
Muncul dengan jenama fesyen Street Fashion by Sazzy Falak pada awal tahun ini, Sazzy juga berazam membawa nama dan identiti Malaysia di mata dunia.
"Masih berteraskan street fashion, tetapi keistimewaannya kelak ialah saya memasukkan unsur batik dalam fesyen yang akan dibawa ke mata dunia. Ia merupakan gabungan unsur urban dan batik yang dikahwinkan menjadi sesuatu yang fusion," jelasnya yang memang dilihat sebagai seorang fashionista Malaysia.
Tambahnya lagi: "Satu kebanggaan buat saya apabila dipanggil ke minggu fesyen di sana. Menariknya beberapa minggu sebelum saya mendapat panggilan, saya memang berada di Amerika Syarikat dan berdoa agar saya dapat menjejakkan kaki ke New York berserta fesyen saya. Akhirnya, impian saya terlaksana. Saya dan pihak penganjur berkomunikasi melalui Skype dan September ini saya akan ke sana," jelasnya dengan nada penuh keterujaan.
SAZZY cukup teruja untuk mempersembahkan fesyen miliknya sendiri iaitu Street Fashion by Sazzy Falak di New York pada September ini.


"Sekarang saya dan pasukan sedang memberi fokus utama pada pertunjukan fesyen itu dan kita akan cuba memperkenalkan batik yang diberi nafas sesuai dengan jenama pakaian saya," katanya yang kini memberi perhatian penuh terhadap penglibatan perdananya dalam minggu fesyen luar negara.
Sebagai informasi, Minggu Fesyen New York Plitz diasaskan oleh Plitz Fashion Marketing pada tahun 2004. Berkolaborasi dengan pereka fesyen baharu yang muncul dalam dunia fesyen antarabangsa dan domestik, mereka menyediakan peluang serta platform bagi pameran serta pendedahan jenama.
Pihak Minggu Fesyen New York Plitzs telah mewujudkan rangkaian indipenden bagi para pereka fesyen. Manakala Plitz Fashion Marketing merupakan pakar dalam reka bentuk, pemasaran, latihan, pengeluaran, pengkomersialan fesyen dan sebuah platform pemasaran acara, dengan tujuan untuk mewujudkan kerjasama erat antara pelanggan dan dunia fesyen.
Mahu kelihatan seperti 20-an
Masih menyentuh soal gaya dan pemakaian, Sazzy ketawa apabila dipuji tentang sosok badannya yang kelihatan kekal langsing dan kecil persis zaman anak daranya dahulu.
Ironi, dia kini sudah berusia 32 tahun dan memiliki dua orang cahaya mata.
SAZZY cukup menitik- beratkan soal kesihatan dan kecergasan tubuh badan.


"Saya cuba menafikan usia kalau dalam berfesyen. Masih mahu kelihatan seperti zaman 20-an. Kalau khalayak lihat, stail saya berfesyen masih sama seperti waktu saya di usia tersebut," ketawanya yang mahu sentiasa kelihatan muda.
Namun yang menjadi perkara penting buat isteri Nazril Idrus ini ialah memiliki tubuh yang sentiasa cergas. Malah dia bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang turut mempunyai antusias terhadap sukan dan kehidupan yang cergas.
"Saya memang gemar ke gim, malah lebih rajin daripada saya solo dahulu. Kecergasan adalah penting buat saya. Bagi saya tidak perlu ada alasan untuk tidak melakukan sesuatu. Kebetulan suami saya juga memiliki minat yang serupa.
"Perlu selalu berada di hadapan kaca televisyen (tv) membuatkan saya menggunakan itu sebagai kelebihan. Saya perlu kelihatan kemas dan cergas di kaca tv. Saya juga mahu kelihatan seperti usia 20-an, sentiasa," ketawanya bersambung sebelum berakhirnya temuramah.

Pelakon Wajah 'Jambu' Tidak Gugat Iqram Dinzly

Posted: 25 Apr 2013 11:25 PM PDT

Iqram Dinzly
PETALING JAYA: Pelakon Iqram Dinzly berkata kemunculan artis remaja berwajah "jambu" yang semakin menguasai dunia seni pada ketika ini tidak sedikit pun menggugat kedudukan pelakon-pelakon senior lain.
Iqram atau nama sebenarnya Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 32, berkata, wajah "jambu" hanyalah satu kelebihan terhadap diri seseorang tetapi keupayaan pelakon dinilai kepada bakat dan kemampuan membawa watak.
"Saya tidak anggap mereka yang berwajah jambu itu akan menggugat pelakon-pelakon lain. Kalau wajah saja jambu tetapi tidak boleh berlakon, tak guna juga. Ia (wajah jambu) mungkin satu kelebihan tetapi bukan keperluan," katanya kepada mStar Online.
Jelas Iqram, walaupun menyedari kelompok berkenaan banyak memenuhi drama-drama televisyen tempatan tetapi ia adalah secara kebetulan kerana watak yang diwujudkan itu mungkin bersesuaian dengan penampilan mereka.
Bagi Iqram sendiri katanya, apabila seseorang itu sudah berada pada tahap "pelakon senior" mungkin watak-watak remaja sudah tidak lagi bersesuaian untuk dipikul seperti pelajar kolej ataupun remaja sekolah.
"Pelakon-pelakon senior mungkin memerlukan satu karakter yang berbeza berbanding mereka yang masih remaja.
"Secara kebetulan mungkin ketika ini banyak drama televisyen yang menyiarkan kisah remaja, sebab itulah kita sering melihat artis-artis baru muncul berbanding senior mereka," katanya.
Tambah Iqram, salah satu petua untuk kekal dalam dunia seni ini setiap pelakon tidak kiralah sama ada baru atau lama hendaklah bijak menjaga reputasi masing-masing dan mengelak menimbulkan masalah dengan pihak produksi.
Malah artis-artis sepertinya seharusnya tidak memilih untuk bergaul sesama sendiri agar sikap berkenaan disenangi oleh semua pihak.
"Sesetengah artis, mereka tak mahu bercampur dengan budak-budak baru. Mungkin mereka anggap mereka senior. Tapi saya tidak macam itu.
"Saya berkawan dengan semua orang tak kiralah artis baru ataupun lama. Dengan cara itu orang akan lebih senang dengan cara saya," ujarnya yang sudah lapan tahun bergiat dalam bidang lakonan.
Iqram juga berpendapat, setiap tawaran yang diberikan sesebuah syarikat produksi itu merupakan rezeki yang ditentukan Tuhan atas usaha gigih masing-masing sementara kemunculan artis-artis baru pula adalah satu persaingan sihat.

Adam Corrie Hilang Pendapatan Selepas Dituduh Sertai PAS

Posted: 25 Apr 2013 11:24 PM PDT

Adam Corrie ditemani isterinya, Fazema Mohd Fuad ketika membuat laporan di pejabat Persatuan Seniman pada Khamis.
KUALA LUMPUR: Pelakon Adam Corrie Lee Abdullah hilang mata pencarian sehingga kerugian RM40 ribu gara-gara terdapat laporan mengatakan kononnya dia menyertai parti pembangkang iaitu PAS.
Adam Corrie, 45, berkata, dia telah dianiaya oleh individu tidak bertanggungjawab yang merakamkan gambarnya dalam sebuah ceramah agama di Taiping, Perak yang disertai Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din.
"Salah ke saya menghadiri ceramah agama? Kenapa mereka perlu memanipulasikan gambar ketika saya berada di situ? Saya mahu berjumpa Haron Din untuk bertanya kepadanya petua mendapatkan anak cara Islam," katanya kepada mStar Online pada Khamis.
Adam Corrie ditemui di pejabat Persatuan Seniman Malaysia di Taman Melawati di sini selepas membuat laporan berhubung perkara itu kepada presiden persatuan berkenaan, Zed Zaidi.
Katanya, pada majlis agama itu, dia tidak sempat berjumpa dengan pemimpin PAS berkenaan tetapi agak terkejut apabila gambarnya telah dimanipulasikan di Internet oleh pihak-pihak tertentu sehingga menyebabkan syarikat produksi drama di negara ini enggan menawarkannya berlakon
Akibat insiden berkenaan dia juga terpaksa menganggur sejak empat bulan lalu yang mengakibatkan dia kehilangan pendapatan kira-kira RM40,000 dalam tempoh berkenaan.
Tambah Corrie, gambarnya dengan salah seorang ahli PAS itu turut dimanipulasikan.
"Apabila keadaan ini berlaku, ia sedikit sebanyak mengganggu pendapatan saya yang mana saya mengharapkan daripada sumber berlakon untuk menyara isteri dan keluarga.
"Saya mahu jelaskan di sini bahawa saya tidak berpihak kepada mana-mana parti politik kerana saya seorang yang neutral.
"Tujuan saya menghadiri ceramah hanya ingin mendapatkan ilmu sebagai seorang mualaf," ujarnya.

Stesen TV ‘Gam’ Artis, Seniman Mahu Penjelasan

Posted: 25 Apr 2013 11:23 PM PDT

Ezany (kiri) berkata sesuatu sambil diteliti oleh Zed Zaidi berhubung insiden dia 'digam' oleh RTM.
KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) akan menghantar surat untuk bertemu dengan pihak pengurusan semua stesen televisyen (TV) di negara ini selepas mendapat dakwaan beberapa ahlinya dipercayai 'digam' oleh beberapa stesen TV.
Presiden Seniman Zed Zaidi berkata, pihaknya bagaimanapun akan meneliti terlebih dahulu aduan pelakon berkenaan iaitu Adam Corrie Lee Abdullah, Man (Raja Lawak) dan Ezany Nizarif yang mendakwa diketepikan oleh stesen berkenaan.
"Pihak kami akan mengkaji setiap laporan yang diberikan oleh ketiga-tiga artis ini sebelum membuat surat untuk bertemu dengan semua pihak stesen TV.
"Saya perlukan penjelasan sebab-sebab mereka digam kerana tiada 'hitam putih' daripada pihak berkenaan mengatakan tiga artis ini digam.
"Difahamkan setakat ini Man dan Ezany mempunyai masalah dengan RTM manakala Corrie pula memberitahu dia tidak lagi menerima sebarang tawaran berlakon daripada kesemua stesen TV di Malaysia, " katanya.
Rita Rudaini (kiri) menunjukkan laporan aduannya kepada wakil Seniman.
Pertemuan dengan artis-artis berkenaan telah berlangsung pada Khamis di pejabat Seniman di Taman Melawati, di sini.
Selain pelakon berkenaan, aktres Rita Rudaini turut membuat laporan kepada Seniman kerana tidak puas hati dengan sebuah syarikat produksi yang didakwanya sebagai tidak profesional ketika melakukan penggambaran.
Dalam laporannya Rita mendakwa dia hanya menjalani penggambaran selama empat hari daripada keseluruhan penggambaran yang mengambil masa sehingga Julai depan dalam drama 40 episod itu.
Hal tersebut membuatkan syarikat itu mengeluarkan surat tuntutan ganti rugi terhadap Rita yang menarik diri sebelum penggambaran tamat.
Sementara itu Ezany pula merasakan dirinya telah digam oleh pihak RTM selepas dia membuat kenyataan mengkritik sebuah syarikat produksi yang bermasalah mengenai bayaran.
Ia menyebabkan 20 drama yang sepatutnya dia berlakon ditolak oleh stesen berkenaan.
Dalam pada itu. Corrie pula berasa dianiaya apabila gambarnya yang hadir ke sebuah ceramah agama telah dimanipulasikan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dengan menuduhnya menyertai parti pembangkang.
Perkara itu membuatkan tidak ada satu pihak stesen TV yang mahu memilihnya berlakon bagi mana-mana drama.

Lindsay Lohan Dikatakan Bercinta Dengan Lelaki Arab

Posted: 25 Apr 2013 11:23 PM PDT


Lindsay dikatakan kini bercinta dengan penerbit kaya Arab Saudi, Mohammed Al Turki.
PERPISAHAN Lindsay Lohan dan penyanyi rock Avi Snow sebelum ini ternyata tidak mengecewakan diri pelakon itu apabila dia didapati keluar bersama seorang penerbit kaya Arab Saudi, Mohammed Al Turki.
Menurut laporan portal Dailymail, terdapat gambar yang menunjukkan Lindsay dan Mohammed menuju ke panggung Broadway, New York bagi menyaksikan persembahan teater.
Walaupun bersama dengan lelaki Arab, Lindsay tetap dengan penampilan seksinya memakai blaus jarang menampakkan tubuh badannya dan Mohammed pula seperti tidak mempunyai masalah dengan pemakaian aktres itu.
Bagaimanapun, pada hari itu, wajah Lindsay dilihat tidak bermaya walaupun telah memakai solekan.
Lindsay akan berada di New York untuk beberapa hari untuk bertemu keluarganya sebelum ke pusat pemulihan pada 2 Mei depan.

Ada Pihak Ambil Kesempatan Kerana Dafi Anak Menteri

Posted: 25 Apr 2013 11:22 PM PDT

Dafi
PETALING JAYA: Penyanyi Dafi melahirkan rasa terkilan dengan sikap beberapa individu yang cuba berbuat baik dengannya untuk mendapatkan projek disebabkan dia anak seorang menteri.
Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi, 25, yang merupakan anak kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keadaan itu membuatkan dia benar-benar berasa dipergunakan oleh individu berkenaan.
"Saya sering didatangi individu yang mahu berkawan dengan saya atas sebab-sebab tertentu.
"Pada mulanya saya anggap mereka ikhlas. Tetapi lama- lama saya dapat rasakan mereka mempunyai niat tertentu.
"Mereka ingat, berkawan dengan saya akan memudahkan mereka mendapatkan projek-projek perniagaan daripada bapa saya?" katanya yang akan berhati-hati dalam memilih kawan.
Sementara itu, Dafi turut mendedahkan dia sudah lama hidup solo tanpa kekasih sejak enam tahun dahulu.
Dafi turut menyifatkan dirinya kurang romantik sehinggakan tidak ramai wanita yang senang untuk menjadikannya sebagai pasangan kekasih.
"Memang saya bukan seperti kebanyakan lelaki yang bersifat budiman dan romantik.Mungkin kerana itu saya tiada kekasih kut," selorohnya yang menjangkakan akan berkahwin dalam masa lima tahun lagi.

Faizal Joran tawar RM40,000

Posted: 25 Apr 2013 11:19 PM PDT


Faizal Joran tawar RM40,000
Pihak Faizal Joran dan kakitangan Jabatan Landskap Johor melepaskan sebahagian ikan keli ke dalam tasik di Taman Botani Johor, Sri Medan.
BATU PAHAT - Kaki pancing di daerah ini, sekali lagi berpeluang merebut  'durian runtuh' yang ditawarkan Faizal Joran pada pertandingan memancing di Taman Botani Johor, Sri Medan pada 1 Mei depan.

Pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai RM40,000 bagi juara itu adalah susulan pertandingan sebelum ini yang diadakan di Wet World Batu Pahat (Tasik Merdeka), 14 April lepas.

Penganjurnya, Ahmad Hamizan Mohd Din berkata, selain hadiah utama yang lumayan, penerima tempat kedua dan ketiga bakal membawa pulang wang tunai tidak kurang RM10,000 dan RM5,000.

"Manakala, pemenang sehingga tempat 70 bakal menerima wang tunai bermula RM250 hingga RM1,000, dan bagi 500 pendaftaran awal akan menerima sehelai 't-shirt' edisi terhad daripada kami selain 10 cabutan bertuah menanti pengunjung.

"Pendaftaran akan mula dibuka pada 30 April ini jam 3 petang dan setiap pertandingan akan dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM100. Mereka yang mempunyai pertanyaan berkaitan pertandingan boleh menghubungi kami di talian 019-982 8969, 019-9462777 dan 019-902 2777," katanya kepada Sinar Harian.

Pertandingan berkenaan telah mendapat kerjasama daripada Kelab Sukan dan Rekreasi, Jabatan Landskap Johor yang diketuai Pengarahnya, Abu Bakar Mohamed Salleh.

Sementara itu, menurut Abu Bakar, pemilihan Taman Botani Johor, Sri Medan ini sebagai  lokasi pertandingan memancing  adalah untuk memperkenalkan taman  berkenaan yang juga salah satu  daripada 12 taman botani seluruh negara.

Menurutnya, taman botani berkenaan yang satu-satunya berada di Johor ini dibuka secara rasmi pada 2006 dan ia mempunyai dua tasik utama dan ditumbuhi pelbagai tumbuhan herba yang dipelihara.

"Taman botani ini berfungsi  sebagai lokasi penyelidikan kepada beberapa universiti tempatan dan mempunyai kemudahan makmal selain terdapat dua tasik utama iaitu Tasik Bukit Besi juga Tasik Bukit Belah.

"Taman ini dibuka kepada umum setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, kecuali waktu cuti. Bagaimanapun, bagi aktiviti memancing dan rekreasi ia dibuka bermula jam 7 pagi sehingga 7  malam," katanya.

RM120,000 menanti pemancing

Posted: 25 Apr 2013 11:18 PM PDT


RM120,000 menanti pemancing
Rangka ikan paus 19 meter yang akan dipamerkan di lokasi memancing.
KUALA LUMPUR - Hadiah bernilai hampir RM120,000 menanti peserta dalam pertandingan memancing Perikanan-Belia 1 Malaysia sempena Hari Pekerja di Pantai Sungai Lang, Sabak Bernam, Selangor pada 1 Mei ini.

Juara pertandingan menerima RM70,000, kedua RM12,000 dan ketiga RM5,000.

Pemenang keempat hingga ke-80 pula masing-masing menerima wang tunai RM500 dan RM200.

Turut ditawarkan wang tunai RM200 setiap satu kepada 10 peserta yang menaikkan ikan sirat-sirat terawal.

Pertandingan anjuran bersama Jabatan Perikanan Malaysia dan Wakjali Event Management itu turut menawarkan wang tunai RM3,000 kepada peserta belia berumur antara 20 hingga 40 tahun yang menduduki ranking tertinggi pertandingan.

Pengarah Urusan Wakjali Event, Md Zali Kasran berkata, penganjur menyediakan 500 t-shirt untuk peserta yang mendaftar awal.

"100 set joran disediakan kepada 100 peserta belia pertama yang mendaftar di lokasi pertandingan.

"Paling menarik, pameran rangka ikan paus sepanjang 19 meter di lokasi pertandingan," katanya.

Pertandingan bermula jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari manakala yuran penyertaan RM100 satu joran.

Kaunter pendaftaran dibuka bermula jam 12 tengah, Selasa (30 April).

Pertanyaan lanjut hubungi 013-3588206 dan 012-6823479 atau lawati www.wakjali.com.

Juara Da'i milik Adibah

Posted: 25 Apr 2013 11:12 PM PDT


BERSYUKUR. Adibah tidak sangka mampu menewaskan dua finalis lelaki yang bersaing dengannya iaitu Mohamad Azamudin dan Muhammad Tajdid pada musim pertama program Da'i.


SELEPAS tiga minggu bersaing dengan dua peserta lelaki untuk merebut gelaran juara sulung program keagamaan Da'i, akhirnya Adibah Rozain telah dinobatkan sebagai pemenang program terbitan TV3 tersebut.
Membawa pulang RM50,000 termasuk pakej umrah serta beberapa hadiah sampingan lain, Adibah telah menewaskan dua orang pesaing yang tidak kurang hebatnya, Mohamad Azamudin Zainal dan Muhammad Tajdid Hadhari Romli.
Mengaku bukan gelaran juara yang ingin dikejar, bagaimanapun Adibah menerima hakikat itu dan menjadikan kemenangan tersebut sebagai pemangkin buatnya untuk lebih aktif berdakwah pada masa akan datang.
"Sejujurnya, bukan kemenangan menjadi fokus utama saya, sebaliknya, saya lebih mementingkan segala ilmu yang diperoleh dan dalam masa yang sama, saya mahu meyakinkan lebih banyak golongan pendakwah wanita di luar sana bahawa kita (wanita) juga boleh melakukan perkara ini dengan baik," ujar mahasiswi di UiTM Shah Alam, Selangor dalam jurusan Sarjana Muda Pendidikan TESL ini.
Barangkali, yang menjadi tuah buat Adibah pada malam tersebut adalah kepetahannya berhujah dalam tugasan kedua, selain cara dia mendidik dan berkongsi pengalamannya yang mengajar anak-anak keluarga angkatnya yang merupakan Orang Asli di Kampung Sungai Siput, Perak, cara solat lima waktu dan cara berwuduk. Adibah turut mengadakan aktiviti mewarna dan aktiviti mengemas surau bersama penduduk kampung.
ADIBAH membawa pulang RM50, 000, pakej umrah serta beberapa hadiah sampingan lain sebagai juara Da'i.


Paparan tugasan mereka tersebut yang diberi seminggu sebelum malam kemuncak itu dipaparkan pada malam final sebelum setiap finalis diberi kesempatan memberi hujah mengenai pencapaian mereka sepanjang berada di kampung tersebut selama tiga hari dua malam.
Malah, Adibah juga begitu cemerlang saat diuji tahap penguasaan berkaitan ilmu-ilmu Islam seperti ilmu Fiqah, Akidah dan Sirah Nabawiah
Menurut Penerbit Da'i, Shukri Ibrahim: "Pihak produksi amat berbangga dengan pencapaian para finalis Da'i pada musim pertama ini. Secara keseluruhannya, kualiti para finalis Da'i terus meningkat berdasarkan ujian teori, tugasan, pengucapan awam dan sahsiah diri.
"Pemilihan yang amat rumit terpaksa dilakukan untuk memilih para finalis ini memandangkan hampir kesemua finalis yang berada pada peringkat akhir mempunyai potensi yang seimbang. Semoga segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh dalam program ini dapat digunakan sebaik mungkin bukan sahaja untuk program Da'i ini, tetapi setelah keluar daripada program ini dan sekembalinya ke pangkuan masyarakat."
Sementara itu, acara kemuncak Da'i diserikan dengan penampilan istimewa daripada kumpulan nasyid UNIC dengan diiringi oleh adik-adik Qhasidah dari Kelab Berselawat Anak-Anak As Sidiq menerusi lagu Ya Hana Na sebagai pembuka tirai sebelum diselang-seli dengan persembahan penentuan juara Da'i Pendakwah Milenia.

Aaron tidak tertekan dengan isu FDAM

Posted: 25 Apr 2013 11:11 PM PDT


AARON yang pertama kali duduk di kerusi pengarah filem sentiasa berbincang dengan Ahmad Idham (kiri) dalam melancarkan penggambaran filem sulungnya, Romeo Kota.


DIBERI peluang untuk duduk di kerusi pengarah oleh syarikat Excellent Pictures Sdn. Bhd. bagi mengarahkah filem berjudul Romeo Kota merupakan satu anjakan buat Aaron Aziz yang lebih dikenali sebagai seorang pelakon.
Bagaimanapun, pelakon kelahiran Singapura itu berdepan pula dengan kontroversi apabila pihak Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) telah membuat serbuan di lokasi penggambaran filem berkenaan pada 3 April lalu.
Serbuan tersebut dilakukan gara-gara Aaron dikatakan telah melanggar peraturan kerana tidak mempunyai kebenaran untuk menjadi pengarah serta tidak mendaftar sebagai ahli FDAM.
Aaron yang ditemui di lokasi penggambaran filem berkenaan baru-baru ini, menjelaskan sepatutnya isu berkenaan boleh diselesaikan secara baik tanpa perlu menggembar-gemburkan kepada pihak media untuk menunjukkan dirinya bersalah dalam perkara tersebut.
"Kejadian diserbu sebegini bukanlah kali pertama kerana ia sudah berlaku sebanyak tiga kali ke atas diri saya. Sebelum ini pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pernah membuat pemeriksaan sama ada saya memiliki permit ketika berlakon dalam filem KL Gangster serta drama Adam Dan Hawa dahulu.
"Apabila kejadian diserbu di lokasi penggambaran ini berulang, saya melihatnya sebagai salah satu cabaran yang terpaksa dilalui, tetapi berasa lega apabila pihak penerbit banyak membantu saya untuk mengatasi segala masalah yang timbul," ujarnya tenang.
Ketika ditanya sama ada dia tertekan dengan permasalahan berkenaan, Aaron menyatakan dia tidak perlu berasa sedemikian kerana perkara yang lebih penting adalah terus menjalankan tanggungjawab yang diberi serta fokus untuk menyiapkan filem sulungnya itu.
"Sebelum ini saya pernah mengarahkan sebuah telefilem berjudul Kekasih Awal Dan Akhir pada tahun 2011, tetapi tiada pula mana-mana pihak yang datang membuat serbuan.
"Sudah tentu kejadian ini menimbulkan sedikit kehairanan, tetapi saya tidak mahu tuduh kalau ada orang yang ada hasad dengki. Lebih penting saya terus diberikan rezeki oleh Allah, meskipun berhadapan dengan pelbagai kontroversi selama ini," ujarnya.
Menjelaskan lebih lanjut tentang perkara sebenar yang berlaku, Ahmad Idham selaku penerbit menegaskan, pihaknya langsung tidak melakukan sebarang kesalahan kerana telah mengikut segala prosedur untuk proses menerbitkan.
Jelasnya: "Apabila memohon Sijil Perakuan Penggambaran daripada pihak Finas, antara syarat yang ditetapkan ialah seseorang yang menjadi pengarah perlu mendaftar sebagai ahli dalam salah satu persatuan sama ada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) atau FDAM.
"Sebenarnya Aaron sudah mendaftar sebagai ahli Seniman dan Profima, tetapi dia dikatakan telah melanggar syarat apabila tidak mendaftar dengan FDAM sebelum menjadi pengarah. Sedangkan syarat sebegitu tidak pernah diperkenalkan sebelum ini.
Menurut Idham lagi, apabila berjumpa dengan pihak FDAM, barulah dia diberitahu bahawa persatuan berkenaan telah mengemaskini syarat yang baharu, antaranya seseorang yang menjadi pengarah perlu berdaftar dengan FDAM terlebih dahulu sebelum dibenarkan mengarah drama, telefilem atau filem.
Bagaimanapun, penerbit berkenaan turut meluahkan kekecewaannya apabila tidak ada mana-mana pihak FDAM yang menjelaskan mengenainya sebelum ini sehinggalah timbul masalah tersebut.

PENGARAH Fotografi, Raja Mukhriz (baju merah) sedang menjelaskan sesuatu kepada Nabil, (kanan), Ahmad Idham dan Aaron.


"Saya juga merupakan salah seorang ahli FDAM yang sudah lama berdaftar dan sepatutnya kalau ada sebarang perubahan yang berlaku setiap ahli perlu diberitahu bagi mengelakkan sebarang kekeliruan," tegasnya.
Berhubung dengan kenyataan oleh Timbalan Presiden FDAM, Abdul Rahim Awang yang meminta pihak penerbit supaya mencari pengarah pengganti, Idham menyatakan ia tidak perlu dilakukan kerana Aaron sudah mendaftar sebagai ahli FDAM selepas seminggu serbuan dibuat.
"Yuran sebanyak RM1,500 yang dikenakan untuk menjadi ahli sudah pun dibuat, malah Aaron juga sudah diberi nombor ahli FDAM. Jadi, dia memang layak untuk meneruskan kerja-kerjanya dan tidak perlu mencari pengganti," ujarnya lagi.
Pada masa yang sama, Idham turut menjelaskan tidak timbul isu Aaron sebagai seorang pekerja asing memandangkan ketika ini dia sudah pun mendapat taraf Penduduk Tetap di negara ini.
Turut berlakon
Selain diberi peluang untuk menjadi pengarah filem Romeo Kota, Aaron berlakon dalam filem tersebut bersama beberapa pelakon lain seperti Nabil dan Hanis Zalikha.
Merupakan sebuah filem aksi komedi, Romeo Kota mengisahkan tentang dua orang detektif yang ditugaskan untuk menyamar di sebuah kolej bagi menyiasat tentang kegiatan penyeludupan dadah yang berlaku.
Menurut Aaron, segala proses penggambaran berjalan dengan lancar dan dia banyak dibantu oleh Pengarah Fotografi, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin dan Ahmad Idham.
"Walaupun penggambaran sudah selesai dilakukan, tetapi saya tidak boleh menarik nafas lega kerana masih ada beberapa perkara lagi yang perlu dilakukan termasuk proses penyuntingan.
"Apabila pihak penerbit memberikan tanggungjawab ini kepada saya, ia satu peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan dan merupakan satu landasan untuk saya pergi lebih jauh dalam bidang seni," ujarnya.
Sebelum mengakhir bicara, pelakon tersebut menyatakan dengan pengalaman yang diraih, dia kini bersedia menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pihak untuk menjadi pengarah.

Mati ditembak dalam Perdana

Posted: 25 Apr 2013 11:09 PM PDT

MAYAT Ragunathan yang mati ditembak ketika berhenti di Jalan Seremban-Tampin, Seremban semalam.


SEREMBAN – Seorang lelaki mati selepas ditembak dua lelaki menunggang motosikal di Jalan Seremban-Tampin berhampiran Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, mangsa, N. Ragunathan, 39, yang memandu kereta Proton Perdana maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, sebelum kejadian, mangsa yang dalam perjalanan ke Seremban berhenti di tepi jalan berhampiran Ibu Pejabat JPJ negeri tetapi tidak diketahui tujuannya berhenti di situ.
Menurut beliau, kereta mangsa kemudian dihampiri dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal sebelum pembonceng motosikal itu melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa dari jarak dekat.
"Semasa terkena tembakan, mangsa yang cedera parah cuba memandu kereta untuk melarikan diri tetapi tidak sampai 40 meter kenderaan dipandunya terbabas ke tepi jalan. Mangsa kemudian ditemui mati di tempat kejadian," kata beliau pada sidang akhbar di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu