Khamis, 25 April 2013

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Sasar lebih 100,000 pengunjung

Posted: 25 Apr 2013 11:08 PM PDT


MOHAMMAD menunjukkan sebahagian produk keluaran usahawan bumiputera dijual sempena Ekspo Windows To The World di Shah Alam semalam.


KUALA LUMPUR – Lebih 100,000 pengunjung dijangka membanjiri Ekspo Windows To The World Wilayah Persekutuan yang akan diadakan di Aras 2, Stesen Sentral di sini selama lima hari bermula hari ini.
Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Wilayah Persekutuan, Teh Arfah Kamarul Zaman (gambar kecil) berkata, ekspo itu bertujuan untuk membantu usahawan industri kecil dan sederhana memantapkan perniagaan masing-masing.
Selain itu, ekspo itu juga memainkan peranan sebagai 'jambatan' antara agensi-agensi kerajaan dengan usahawan.
"Ia juga satu platform untuk produk usahawan bumiputera ke pasaran tempatan dan antarabangsa. Ini adalah peluang usahawan kecil melebarkan sayapnya perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi," ujarnya di sini semalam.
Ekspo Windows To The World dianjurkan oleh Mara dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah manakala Kosmo! pula menjadi akhbar rasmi ekspo yang diadakan bermula pukul 7.30 pagi sehingga 7.30 malam.

SMK Derma juara CIP KPS

Posted: 25 Apr 2013 11:07 PM PDT


SMK DERMA dari Perlis menjuarai pertandingan CIP KPS anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang berlangsung di UPM semalam.


SERDANG – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, Perlis muncul juara keseluruhan dalam pertandingan Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP KPS) Peringkat Kebangsaan 2013 yang berakhir semalam.
Sekolah tersebut yang mengalahkan 15 buah sekolah lain pada peringkat akhir berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) membawa pulang sijil, piala pusingan, piala iringan dan wang tunai RM2,500.
Tempat kedua disandang oleh Sekolah Sultan Alam Shah dari Putrajaya manakala Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol, Negeri Sembilan menduduki tempat ketiga.
CIP KPS anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merupakan pertandingan ala explorace yang menguji pengetahuan, kecekapan dan kerjasama peserta dari pelbagai aspek kepenggunaan seperti pemakanan sihat, pengurusan kewangan, pemeliharaan alam sekitar serta asas perundangan pengguna.
Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Mohd. Arif Abd. Rahman berkata, cabaran kali ini menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan daripada 977 buah sekolah menengah dari seluruh negara dan melibatkan 3,908 orang pelajar.

Celcom tawar Samsung Galaxy S4 serendah RM588

Posted: 25 Apr 2013 11:06 PM PDT


ZALMAN AEFENDY menunjukkan telefon pintar Samsung Galaxy S4 di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Sempena pelancaran model telefon pintar baharu Samsung Galaxy S4 hujung minggu ini, Celcom Axiata Bhd. (Celcom) akan menawarkan pembelian gajet tersebut dengan harga menarik RM588 yang perlu dipadankan dengan sebarang pelan data suara yang ditawarkan.
Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Celcom, Zalman Aefendy Zainal Abidin, untuk meraikan kehadiran gajet terbaharu di pasaran tempatan, satu majlis pelancarannya akan diadakan di beberapa kedai Blue Cube dan Celcom Xclusive Partners di seluruh negara pada 27 April ini.
Tawaran pakej menarik itu boleh didapati di Blue Cube @ Sunway di sini, Blue Cube All Season Place di Ayer Hitam, Pulau Pinang dan Celcom Taman Molek di Johor Bahru.
"Pada majlis berkenaan, tawaran menarik menunggu pelanggan bertuah kerana mereka bakal memenangi baucar bernilai RM750 dan rebat masa berbual bernilai RM240.
"Pelanggan Celcom yang memilih pelan Samsung Galaxy S4 juga layak mendapat potongan harga sehingga 30 peratus bagi pembelian aksesori Samsung," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Presiden Uganda derma seguni wang tunai

Posted: 25 Apr 2013 11:04 PM PDT


Seorang pemuda (kanan) kelihatan gembira sambil menjunjung sejumlah wang di dalam satu guni di atas kepala selepas menerimanya daripada Museveni.


KAMPALA - Presiden Uganda, Yoweri Museveni mendermakan satu guni wang tunai kepada sebuah pertubuhan belia tempatan, Busoga Youth di timur negara itu.
Wang tunai berjumlah AS$100,000 (RM303,649) itu bertujuan untuk pelbagai aktiviti pembangunan belia.
Karung berisi wang itu diserahkan kepada Menteri Kebajikan Belia dan Kanak-Kanak, Ronald Kibuule sebelum disampaikan kepada wakil pertubuhan belia berkenaan pada satu majlis di ibu kota Uganda di sini.
Penyerahan derma itu pada hujung minggu lalu telah menjadi buah mulut di Uganda sekali gus meningkatkan populariti Museveni.
Bagaimanapun, pihak pembangkang menuduh Presiden itu menggunakan derma tersebut untuk membeli sokongan golongan belia pada pilihan raya akan datang.

Asia berjaga-jaga penularan selesema H7N9

Posted: 25 Apr 2013 11:03 PM PDT


RAMAI memakai penutup muka di sebuah stesen kereta api di Taipei, Taiwan semalam.


BEIJING - Pihak berkuasa di beberapa negara Asia mengetatkan saringan terhadap pelancong dari China dalam usaha mengekang penyebaran virus selesema burung H7N9 di negara masing-masing.
Sehingga kini, H7N9 telah menjangkiti 109 orang di China sejak virus itu mula dikesan pada Mac lalu dengan 23 orang maut.
Terkini, penyakit maut itu telah menjangkiti seorang warga Taiwan.
Susulan perkembangan tersebut, pihak berkuasa Taiwan memberitahu, mereka akan melakukan ujian kesihatan ke atas pelancong di pintu masuk lapangan terbang yang menunjukkan simptom seperti panas badan atau demam.
Pihak berkuasa Vietnam mula menyaring suhu badan penumpang di lapangan terbang negara itu manakala kerajaan Jepun akan membenarkan pihak berkuasa lapangan terbang dan pelabuhan memeriksa suhu badan pelawat dari China bermula bulan depan.
Di Thailand, Menteri Kesihatan Pradit Sintawanarong berkata, negara itu perlu meningkatkan langkah berjaga-jaga dengan pelan menangani wabak itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Yingluck Shinawatra tidak lama lagi.
"Berdasarkan pemerhatian kami, terdapat risiko virus H7N9 merebak ke Thailand," kata Sintawanarong.
Dalam pada itu, di Singapura, institusi-institusi kesihatan di pulau tersebut kini diletakkan dalam keadaan siapsiaga berhubung penularan wabak H7N9.
Langkah tersebut dilaksanakan sehari selepas seorang pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan, virus H7N9 merupakan virus selesema burung yang paling berisiko membawa maut kepada manusia.
Setakat ini, jangkitan virus berbahaya itu dilaporkan berpunca daripada unggas yang sakit manakala saintis-saintis semakin hampir untuk mengesahkan sama ada H7N9 turut merebak daripada manusia kepada manusia.

120 juta kondom buatan China ditarik balik

Posted: 25 Apr 2013 11:01 PM PDT


SEORANG wanita melihat barangan di sebelah rak yang menempatkan kondom di sebuah pasar raya di Beijing, China kelmarin.


ACCRA - Ghana menarik semula penghantaran 120 juta kondom buatan China yang diedarkan untuk tujuan kebajikan sempena kempen anti HIV/AIDS di negara tersebut, kata seorang pegawai kelmarin.
Pegawai itu berkata, penarikan semula itu dibuat selepas hasil ujian mendapati kondom tersebut dipenuhi lubang halus dan cenderung pecah.
Ketua agensi penguat kuasa kesihatan Ghana, Thomas Amedzro berkata, Pihak Berkuasa Ubat-ubatan dan Makanan Ghana sedang berusaha mendapatkan semula sebanyak 20 juta unit kondom tersebut yang telah diedarkan.
Menurutnya, kondom tersebut telah ditempah daripada sebuah syarikat China melalui orang tengah warga tempatan.

Rawatan awal selamatkan nyawa

Posted: 25 Apr 2013 10:59 PM PDT



RAUNGAN seorang penunggang motosikal di bahu jalan yang kesakitan akibat dilanggar sebuah kereta membuatkan ramai pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan masing-masing.
Luka teruk di dahinya membuatkan darah tidak berhenti mengalir, malah tangannya juga mungkin patah.
Ramai yang mula berkumpul di tempat kejadian, namun tiada seorang pun berani tampil memberikan bantuan kecemasan kepada lelaki tersebut.
Hanya seorang dua yang mendekati lelaki tersebut untuk menenangkannya sementara menunggu kehadiran ambulans untuk membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Mujur ambulans tiba awal ke lokasi kejadian. Jika lewat, mungkin sesuatu yang lebih buruk berlaku ke atas mangsa kemalangan tersebut.
Orang awam yang mengerumuni tempat kejadian sambil berpeluk tubuh menjadi penonton, tidak boleh dipersalahkan kerana kemungkinan mereka juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang rawatan kecemasan.
Ilmu pertolongan cemas
Insiden yang berlaku beberapa bulan lalu itu membuatkan penulis sedar mengenai kepentingan ilmu pertolongan cemas dalam diri setiap individu kerana tindakan awal mungkin boleh menyelamatkan nyawa mangsa.
Bukan sahaja ilmu asas pertolongan cemas perlu ditimba, malah kit pertolongan cemas juga perlu ada di dalam setiap kereta untuk memberikan rawatan awal kecemasan andai berlaku kemalangan sementara menunggu pasukan paramedik tiba.
"Sepatutnya semua orang perlu memiliki kit pertolongan cemas memandangkan kita sering berdepan dengan situasi yang memungkinkan terjadinya kecederaan atau kes kemalangan kecil.
SETIAP kit pertolongan cemas mengandungi barang-barang mengikut keperluan sesuatu tempat.


"Banyak kes yang dibawa ke hospital berdepan dengan komplikasi besar gara-gara kecederaan tersebut tidak diberikan bantuan kecemasan awal," kata Dr. Mohammad Hazimi Hamzah yang merupakan seorang pengamal perubatan.
Tambahnya, pendarahan banyak yang lambat dihentikan atau luka yang tidak dicuci dengan baik mendedahkan seseorang itu dengan jangkitan kuman.
Kit pertolongan cemas
Menurut Mohammad Hazimi, rawatan awal kecemasan sebenarnya lebih penting, namun ramai yang menganggap ia sebagai satu perkara yang remeh.
"Tidak dinafikan ramai yang khilaf mengenai ilmu bantuan kecemasan. Jadi, seseorang itu perlu mengambil inisiatif belajar mengenainya dengan mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan pihak Kementerian Kesihatan.
"Kit pertolongan cemas perlu ada dalam setiap rumah. Ia bukan sekadar untuk kegunaan kecemasan sahaja, malah boleh dijadikan tempat kita meletakkan dokumen dan rekod kesihatan supaya tidak hilang," katanya sambil memberitahu, kepentingan kad kesihatan diletakkan di dalam dompet bagi membolehkan seseorang itu membuat rujukan jika ada alergi terhadap ubat.
Mohammad Hazimi juga menyarankan supaya kit pertolongan cemas diletakkan di kawasan terbuka yang mudah diingat dan dilihat bagi memudahkannya dicapai apabila berlaku kecemasan.
"Ia perlu diletakkan pada ketinggian yang ditetapkan iaitu tidak terlalu rendah hingga mudah dicapai oleh anak-anak kecil," ujarnya sambil menyarankan kit pertolongan cemas wajib ada di dalam setiap rumah, pejabat dan kenderaan.
Dalam pada itu, ahli farmasi yang juga merupakan pemilik Farmasi Srisuria Sdn. Bhd., Azean Abdul Ghani, 35, memberitahu, kandungan yang perlu ada dalam sesebuah kit pertolongan cemas bergantung kepada tempat kerana keperluannya berbeza.

DENGAN adanya kit pertolongan cemas, segala ubat-ubatan dapat disimpan secara sistematik.


"Jika di kilang, kandungan di dalam kit pertolongan cemas mungkin berbeza dengan di rumah kerana kecederaan yang berlaku di kilang lebih serius berbanding di rumah.
"Sungguhpun begitu, keperluan asas yang perlu ada dalam sesebuah kit pertolongan cemas ialah pembalut luka, pencuci luka, gunting, forsep, kapas, sarung tangan, anduh, plaster dan kain kasa (gauze)," katanya sambil memberitahu, kit tersebut juga boleh ditambah dengan parasetamol atau tablet-tablet lain yang bukan dalam kategori dadah yang memerlukan nasihat ahli farmasi.
Periksa tarikh luput
Jelas Azean, apabila sudah ada kit pertolongan cemas, seseorang itu perlu memeriksa tarikh luput senarai barang-barang di dalamnya selain mengisi semula barang-barang yang telah habis digunakan untuk kegunaan pada masa akan datang.
"Biasanya, barang-barang dalam kit pertolongan cemas luput tempohnya dalam masa dua hingga tiga tahun. Jika seseorang itu langsung tidak pernah menggunakannya, pemeriksaan setahun sekali wajar dilakukan.
"Ia mungkin kedengaran tidak penting, namun dengan adanya kit pertolongan cemas ini, ia memudahkan kita apabila berlakunya kecemasan kerana dalam satu kotak, segala keperluan ada," ujarnya.
Menurut Azean, kit pertolongan cemas dijual antara harga RM70 hingga RM100.
"Kotak pertolongan cemas ini ada yang diperbuat daripada metal, plastik dan polyvinyl chloride (PVC) yang didatangkan dengan warna putih dan merah.
"Seseorang itu juga perlu ada ilmu asas tentang rawatan kecemasan. Pernah terjadi kepada seorang pelanggan lukanya tidak sembuh-sembuh kerana cara cucian luka yang salah," katanya sambil memberitahu, kebiasaannya dalam setiap kotak kecemasan terdapat manual merawat kecederaan mudah.

Temasya Gemilang Keris Mas

Posted: 25 Apr 2013 10:58 PM PDT


PARA pengunjung tidak melepaskan peluang menyaksikan dan mengambil gambar kereta Ferrari yang dipamerkan.


PENUH warna-warni. Itu kesimpulan yang dapat dibuat apabila menyaksikan kemeriahan Temasya Gemilang Kolej Keris Mas (TG2KM) yang melabuhkan tirainya penghujung bulan lalu.
Berlangsung di Dataran Kolej Keris Mas (KKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 18 hingga 31 Mac lalu, acara tahunan yang dianjurkan buat kali ke-12 itu berjaya menarik penyertaan 4,000 pelajar.
Ketua Pengarah Eksekutif TG2KM, Nur Fatin Adilin Mohamed Ashri berkata, temasya itu bertujuan untuk menyediakan platform kepada para pelajar khususnya warga kolej mengasah bakat dalam menguruskan program di samping meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan pihak luar.
"Sepanjang 14 hari temasya ini diadakan, pelbagai aktiviti menarik telah diatur. Antaranya, pameran teknologi maklumat, pesta buku, kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan, pertandingan lagu ketuhanan dan malam apresiasi wanita.
"Selain itu, terdapat juga acara explorace keusahawanan, Fear factor: food edition, pertandingan khat & kollam, kugiran rentak juara, pementasan teater Patung Patung, kejohanan bola sepak jalanan, konsert nasyid, pertandingan tudung dan busana muslimah serta pesta kebudayaanTinghua.
"Kami berharap melalui penganjuran TG2KM, ia dapat membuka mata ramai pihak terhadap keunggulan Kolej Keris Mas sekali gus menjulang nama kolej ini ke peringkat lebih tinggi," ungkap Nur Fatin Adilin.

ACARA pertandingan menghias kek cawan menguji kreativiti pelajar lelaki yang tidak ketinggalan menyertainya.


Tidak ketinggalan, Forum Bicara Cinta turut diadakan dengan menampilkan selebriti seperti Yatt Hamzah dan pendakwah muda, Fatimah Syarha Mohd. Noordin sebagai panel jemputan. Program tersebut telah disiarkan secara langsung menerusi media rasmi TG2KM, Radio Streaming Online Nasyid FM.
Aktiviti-aktiviti lain yang dianjurkan termasuklah rumah hantu, gerai mengambil gambar, pertunjukan kereta Ferrari, persembahan capoeira dan perkhidmatan sewa basikal baring.
Majlis penutup temasya itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Datuk Ir. Dr. Othman A. Karim. Ia turut dihadiri Pengetua KKM, Dr. Ruslin Amir, barisan felo dan Jawatankuasa Kebajikan Siswa/Siswi Kolej Kediaman.
Bertemakan Citra Budaya, Warna Perpaduan, majlis itu dimulakan dengan persembahan tarian Ulek Mayang oleh Kelab Tarian Pawana Mas.
Membina semangat kekitaan
Dalam ucapannya, Othman menyatakan bahawa temasya sedemikian dapat membina semangat kekitaan dan kekeluargaan dalam kalangan warga KKM yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
"Pemilihan tema ini juga diharap mampu menyemai semangat perpaduan antara kaum dalam diri setiap mahasiswa bagi mengekalkan keharmonian yang telah terbina sejak sekian lama.

PERTANDINGAN membuat kollam turut dimeriahkan oleh pelajar pelbagai kaum termasuk Melayu dan Cina.


"Apa yang lebih penting, jangan jadikan kolej kediaman sekadar tempat tidur semata-mata. Sebaliknya, libatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan kerana ia berfaedah terhadap pembinaan kebolehpasaran mahasiswa.
"Harus diingat, kehidupan di kolej ini dapat memberi banyak pengalaman untuk berjaya dalam kehidupan dan kerjaya pada masa hadapan selepas tamat pengajian kelak," tutur beliau.
Majlis penutup TG2KM diakhiri dengan persembahan hebat artis, Najwa Latif dan kumpulan band IamNeeta dengan lagu mereka bertajuk AdaMu dan Tuhan Tolong Aku.
Hakikatnya, temasya kali ini berjaya mencapai objektif utama dalam mewarnai hari-hari pelajar di KKM. Ini terbukti dengan lebih daripada 9,000 tweet yang dihantar oleh pengguna-pengguna laman sosial Twitter.
"Terima kasih pada Kolej Keris Mas sebab buat event #TG2KM dan terima kasih juga pada krew-krew #TG2KM kerana beri kami peluang untuk buka gerai," kata seorang pelajar yang menggunakan nama @9gageneral pada laman Twitter.
"Done with #TG2KM. It was such a great event. A beautiful opportunity and a great memory there," ujar @pangeran_lautan pula.

Tangani isteri atau suami yang sangat cerewet

Posted: 25 Apr 2013 10:57 PM PDT


GURAU senda dalam rumah tangga dapat 'menggebukan' lagi kasih sayang antara suami dan isteri.


MEMPUNYAI isteri yang cerewet bukanlah satu perkara yang luar biasa. Sememangnya kaum wanita sinonim dengan sikap mudah meluah rasa.
Mempunyai suami yang cerewet pula bukan takdir semua isteri tetapi hanya kepada sebahagian kecil sahaja. Sebabnya, makhluk Allah bernama lelaki ini sinonim dengan tidak bercakap banyak kerana lebih suka memendam rasa.
Biarpun itu fitrahnya, sudah namanya manusia yang mempunyai satu persamaan besar iaitu berbeza dengan orang lain, sikap cerewet seorang suami bukanlah perkara yang terlalu luar biasa malah bukan juga bebanan yang berat, Insya–Allah!
Rasa bersyukur
Kepada mereka yang ditakdirkan mempunyai pasangan yang cerewet, sama ada suami atau isteri, anda masih perlu rasa bersyukur atas kurniaan-Nya.
Kenapa perlu bersyukur? Sebabnya anda berpeluang mengetahui segala isi hatinya yang tidak puas hati dengan tindakan anda.
Khususnya buat para isteri kerana kajian membuktikan ramai isteri yang mempunyai suami diam dan tidak memberi sebarang maklum balas dalam apa juga tindakan hingga isteri tidak tahu kesilapan atau kelemahan sendiri.
Isteri hanya tahu ada yang tidak kena selepas cinta suami beralih arah kerana kononnya ada orang lain yang lebih memahami kehendak dan selera si suami.
Buat para suami pula, anda perlu bersyukur kerana cerewet isteri anda adalah satu hiburan yang anda tidak pernah jangka. Percayalah! Apabila sikap cerewet tersebut tiba-tiba hilang, anda akan merinduinya malah anda boleh faham sesungguhnya ada sesuatu yang tidak kena dengan isteri anda.
Perlu difahami juga bahawa isteri adalah wanita, sinonim dengan sikap seorang ibu yang akan bikin kecoh sebagai tanda sayang. Apabila tiada lagi kasih, biasanya anda akan tidak dipedulikan, tiada lagi cerewet sekali gus membuatkan anda rasa tersisih.
Usaha penuhi kehendaknya
Antara sebab seseorang itu jadi cerewet ialah apabila sesuatu yang dilakukan oleh orang lain gagal memenuhi kehendaknya.
KOMUNIKASI antara suami dan isteri penting bagi memastikan rumah tangga tidak dilanda badai. - Gambar hiasan


Lantaran, bagi mengelakkan cerewet pasangan anda berleluasa, anda perlu berusaha untuk memenuhi kehendak pasangan anda.
Jangan cepat putus asa biarpun usaha anda nampaknya seperti tidak berbaloi kerana sikap pasangan masih sama. Bagi menangani situasi yang masih sama ini, anda perlu kembali ke titik mula.
Contohnya, suami anda cerewet dalam hal makanan maka anda perlu tahu kehendak dan selera suami. Makanan kegemarannya, jenis hidangan kesukaannya dan bentuk hidangan tersebut.
Bagi suami pula, fahami juga kesukaan isteri seperti pakaian, susun atur rumah dan jadual perjalanan. Jika tahu isteri akan bising kalau kasut anda tidak disusun, lantas bagi mengelakkan isteri anda berceloteh dan buat kecoh, pastikanlah kasut anda tersusun kemas.
Bertanya dan berterus terang
Kebanyakan pasangan mengambil jalan mudah, merasakan diri difahami oleh pasangan kerana telah melalui hidup bersama dalam tempoh yang lama.
Realitinya, andai berkawan atau bercinta lama sebelum kahwin ataupun telah melalui tempoh perkahwinan yang lama, anda takkan mengenali pasangan anda sepenuhnya.
Sikap manusia umpama pasir di pantai, boleh berubah sepanjang masa, bezanya perubahan yang sedikit tanpa disedari atau perubahan besar dan mudah disedari.
Lantas, amalkan untuk sentiasa bertanya, berbincang dan berterus terang dengan pasangan anda apabila merancang sesuatu perkara berkaitan perjalanan hidup rumah tangga anda termasuk jadual kerja anda.
Bersabar dan berdoa
Di samping usaha dan tindakan perlu dilaksana, tidak dinafikan anda perlu lebih bersabar menghadapi kerenah pasangan sebegini.
Anda juga perlu berdoa agar pasangan anda menghentikan tabiatnya yang merimaskan itu.
Berubahlah. Mereka yang bersikap cerewet, jangan hanya harapkan pasangan memahami anda sebaliknya berubahlah demi keselesaan pasangan anda.

Bengkel bantu murid UPSR

Posted: 25 Apr 2013 10:54 PM PDT

AZHARUDDIN (lima dari kiri) dan Ahmad Taufik (tengah) bergambar bersama para guru dan murid-murid yang terlibat dalam Bengkel Bahasa Inggeris dan Sains di SK Taman Nusa Perintis 1, Gelang Patah, Johor baru-baru ini.


USAHA mendidik anak bangsa tidak sepatutnya dibebankan atas bahu guru-guru sahaja. Individu, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan boleh memainkan peranan masing-masing dalam membantu mendidik mereka.
Begitulah yang dilakukan pihak Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dengan mengambil pendekatan menganjurkan Bengkel Bahasa Inggeris dan Sains untuk murid-murid di sekitar Gelang Patah, Johor.
Program tahunan itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pelajaran Daerah Johor Bahru dengan pembabitan seramai 150 murid yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Bengkel tersebut diadakan sebulan sekali bermula pada bulan Mac lalu hingga Jun tahun ini bertempat di dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Perintis 1 dan SK Tanjung Kupang.
Pengurus Besar Kanan Bahagian Strategi PTP, Azharuddin Nordin berkata, sebelum ini bengkel tersebut hanya mengajar subjek Bahasa Inggeris tetapi mulai tahun ditambah subjek Sains.

AHMAD TAUFIK menyampaikan modul pembelajaran kepada salah seorang murid yang terlibat dalam bengkel.


"Sehubungan itu, kami turut melantik tenaga-tenaga pengajar yang pengalaman luas dalam teknik pengajaran subjek Bahasa Inggeris dan Sains.
"Kelas tersebut dijalankan secara intensif selama empat bulan selain bengkel sehari agar murid-murid terbabit dapat memahami dengan lebih baik dan meningkatkan pemahaman terhadap subjek tersebut," katanya.
Dalam pada itu, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Johor Bahru, Ahmad Taufik Hamzah berkata: "Inisiatif PTP patut dipuji dan dicontohi oleh syarikat-syarikat korporat yang lain."
"Penganjuran program-program seperti ini dapat membantu meningkatkan tahap pengetahuan murid-murid serta membantu mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
"Saya yakin bengkel ini akan memberi manfaat kepada murid-murid yang bakal menghadapi peperiksaan UPSR pada bulan September nanti," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu