Khamis, 28 Mac 2013

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Pengawal peribadi Datu Piah serang polis mati ditembak

Posted: 28 Mar 2013 09:58 PM PDT


BEBERAPA anggota polis mengangkat mayat Salib yang mati ditembak di sebuah rumah di Simunul, Semporna semalam.


LAHAD DATU - Seorang panglima yang juga pengawal peribadi kepada Datu Piah mati selepas ditembak oleh pasukan keselamatan ketika menyerang polis di sebuah rumah atas air di Simunul, Semporna semalam.
Lelaki yang dikenali sebagai Salib Sampang atau Imam Mas berusia 50-an itu dipercayai adalah orang kuat Datu Piah yang menetap di kampung tersebut.
Dalam operasi pada pukul 10 pagi itu, pasukan keselamatan turut menahan enam orang termasuk dua wanita dengan salah seorang daripadanya dipercayai isteri kepada Salib serta seorang lelaki lain dikenali sebagai Totok.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kejadian berlaku apabila sepasukan anggota keselamatan pergi ke perkampungan tersebut yang majoritinya didiami warga Filipina untuk melakukan operasi pemeriksaan.
Katanya, bagaimanapun, penghuni di salah sebuah rumah kayu di kampung itu enggan memberi kerjasama kepada pihak polis yang mahu memeriksa rumah tersebut.
"Apabila seorang pegawai berpangkat Deputi Superintendan memecahkan pintu, seorang lelaki yang bersenjata parang bertindak agresif menyerang dan cuba menetak pegawai itu bertubi-tubi.
"Ketika kejadian, pegawai polis itu bernasib baik kerana sempat mengelak manakala suspek yang enggan menyerah diri mati ditembak," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Cucu ragut rantai leher nenek dipenjara

Posted: 28 Mar 2013 09:46 PM PDT


POLIS membawa Khairul Azhar (kiri) keluar dari Mahkamah Sesyen Butterworth semalam selepas dijatuhi hukuman penjara kerana merompak nenek sendiri.


BUTTERWORTH - Seorang cucu yang merompak neneknya sendiri dengan meragut rantai leher milik warga emas itu menerima padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara 48 bulan dan dua kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi ketika menjatuhkan hukuman itu mengarahkan tertuduh, Khairul Azhar Osman, 26, dari Taman Pokok Sena Indah, Tasek Gelugor menjalani hukuman bermula dari tarikh ditangkap pada 30 Ogos lalu.
Khairul Azhar didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga 14 tahun atau disebat.
Meor Sulaiman dalam keputusan penghakimannya berkata, sebagai seorang cucu, tertuduh sepatutnya bertindak menjaga keselamatan nenek dan bukannya mengambil kesempatan meragut hingga mencederakan mangsa.

Ikan paus diburu untuk ditembak dengan alat pengesan

Posted: 28 Mar 2013 09:45 PM PDT

GAMBAR fail seekor ikan paus biru.


SYDNEY - Sekumpulan saintis Australia menaiki bot untuk memburu beberapa ekor ikan paus biru di Lautan Selatan, Antartika selama tujuh minggu.
Saintis-saintis dari Divisyen Antartika Australia memburu ikan paus itu dengan tujuan untuk menembaknya supaya sebuah alat pengesan kecil satelit tertanam pada badan haiwan tersebut.
Alat pengesan itu akan membolehkan para saintis mengetahui pergerakan haiwan mamalia tersebut.
Ikan paus itu yang merupakan haiwan yang paling besar di dunia telah dikategorikan sebagai spesies terancam.
Menteri Alam Sekitar Australia, Tony Burke berkata, ikan paus itu boleh membesar sehingga lebih 30 meter dan mencecah berat 180 tan.
Menurutnya, lidah mamalia itu lebih berat daripada seekor gajah manakala hati ikan tersebut sebesar sebuah kereta yang kecil.
Setakat ini, para saintis tidak banyak mengetahui tentang kehidupan ikan paus itu.

AS hantar pesawat kalis radar

Posted: 28 Mar 2013 09:44 PM PDT

GAMBAR menunjukkan pesawat B-2 Stealth terbang di sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Pyeongtaek, selatan Seoul semalam.


SEOUL - Tentera Amerika Syarikat (AS) menyatakan, sebanyak dua buah pesawat pengebom nuklear B-2 Stealth terbang di ruang udara Korea Selatan semalam.
Penghantaran pesawat itu adalah bagi memberi mesej kepada Korea Utara bahawa AS komited untuk mempertahankan Korea Selatan daripada sebarang serangan.
Pesawat-pesawat yang tidak boleh dikesan dengan radar itu dibuat selepas Korea Utara memutuskan talian komunikasinya dengan Korea Selatan.
Roket-roket milik Korea Utara juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk menyerang pangkalan-pangkalan AS di rantau Pasifik.
Tindakan Korea Utara itu dibuat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melakukan sekatan barang mewah ke negara itu selepas rejim Pyongyang melancarkan ujian nuklear ketiga pada bulan Februari lalu.
Pesawat-pesawat B-2 Stealth itu berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Whiteman di Missouri.
Ia terbang sejauh 20,800 kilometer ke Korea Selatan.
Menurut Tentera AS dalam satu kenyataan, sebutir bom palsu digugurkan dari pesawat itu di sebuah lokasi di selatan Korea Selatan sebagai sebahagian daripada latihan ketenteraan.
Kedua-dua pesawat itu menyertai latihan ketenteraan dengan tentera Korea Selatan yang telah mencetuskan kemarahan Korea Utara.
Korea Utara yang dipimpin Kim Jong-un yang berusia dalam lingkungan 30-an selepas kematian bapanya, Kim Jong-il pada April tahun lalu mengancam untuk melancarkan Perang Korea Kedua dan serangan nuklear ke atas Korea Selatan dan AS.

Lori arang batu rempuh enam kereta

Posted: 28 Mar 2013 09:41 PM PDT


SEORANG lelaki merakamkan gambar sebuah lori yang menghempap sebuah kereta di sebatang jalan raya di Atlas kelmarin.


ATLAS, Pennsylvania - Sebuah lori yang membawa serbuk arang batu terbalik dan hampir menghempap sebuah kereta di sebatang jalan raya di sini kelmarin.
Lori yang dipandu oleh Ronald Dowds, 44, itu hilang kawalan semasa menuruni bukit menyebabkan ia merempuh sebuah pusat perkhidmatan sebelum melanggar lima buah kenderaan lain.
Bagaimanapun, Dowds hanya mengalami luka pada muka dan mengalami kecederaan pada salah satu bahunya dalam nahas itu.

Lelaki Sikh pakai serban gergasi

Posted: 28 Mar 2013 09:39 PM PDT


SEORANG anggota Tentera Nihang Sikh memakai serban gergasi di Kuil Emas Amritsar semalam.


AMRITSAR - Seorang anggota tentera Nihang Sikh memakai serban gergasi di Kuil Emas di sini semalam.
Panjang kain serban itu lebih 325 meter.
Dia memakai serban itu sempena sambutan Hola Mohalla yang berlangsung selama tiga hari.Festival itu diadakan bagi menunjukkan kekuatan tentera Sikh.

Tersingkir kerana tiada hak kerakyatan

Posted: 28 Mar 2013 09:37 PM PDT

PELARIAN Rohingya dianggap sebagai golongan terdesak kerana mereka terpaksa menempuh perjalanan berbahaya untuk mencari perlindungan.


GELANDANGAN, kelaparan dan sarat hamil sembilan bulan. Itu antara kepedihan yang terpaksa dilalui Nuru ketika menaiki bot pancung yang dipenuhi oleh pelarian Rohingya sewaktu melarikan diri daripada kekejaman tentera di barat Myanmar.
Enam hari kemudian, dia selamat melahirkan anak jauh daripada hospital ataupun bantuan doktor.
Sejak pelampau agama antara Muslim-Buddha meletus Jun lalu di wilayah Arakan, beratus-ratus bot yang membawa pelarian Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak, telah meninggalkan negara yang diperintah oleh Junta tersebut.
Bagi pelarian yang tiba di kawasan kejiranan Thailand, mereka telah dibantu oleh tentera laut negara tersebut sebelum ditahan sebagai pendatang asing tanpa izin.
Bagaimanapun, beratus-ratus dikhuatiri lemas sepanjang perjalanan manakala sebahagian lagi ditemui selamat di kawasan sejauh Sri Lanka.
Golongan itu terpaksa meninggalkan negara mereka dalam usaha mencari tempat perlindungan kerana hak mereka untuk mendapat kerakyatan Myanmar telah dinafikan.
Malah, etnik Rohingya juga telah melalui satu tempoh penderitaan yang panjang selama lebih sedekad berkaitan diskriminasi dan penindasan.
"Saya tiada tempat tinggal dan hilang pekerjaan selepas rumah saya dibakar," kata Nuru, 24, kepada AFP ketika ditemui di pusat perlindungan sementara Thailand sambil mengendong anak lelakinya yang berusia sebulan.
Walaupun ketika itu dia sarat mengandung, namun Nuru nekad menempuh pengembaraan yang berbahaya dengan harapan untuk sampai ke Malaysia.
Selepas beberapa hari di laut, pelarian tersebut kehabisan bekalan makanan dan minuman yang dibawa.
"Kami terpaksa minum air laut, akibatnya kami mengalami cirit-birit yang teruk," jelas Nuru sambil memberitahu beberapa nelayan yang bersimpati telah memberi mereka air, ikan dan petrol.
Selepas dua minggu meninggalkan Arakan dan mengharungi perjalanan sejauh 1,500 kilometer, bot pancung mereka akhirnya tiba di sebuah pulau di perairan Andaman, Thailand. Namun, itu bukan destinasi penamat mereka.
Golongan lelaki terpisah dengan keluarga masing-masing dan dihantar ke pusat tahanan. Sementara itu, kaum wanita dan kanak-kanak dihantar ke tempat perlindungan di Khao Lak, sebuah kawasan pantai yang popular terletak di utara Phuket.

PELARIAN Rohingya yang tiba di kawasan kejiranan Thailand, dibantu oleh tentera laut negara tersebut sebelum ditahan sebagai pendatang asing tanpa izin.


Pengembaraan sukar
"Mereka kelihatan sangat teruk. Sebahagian kanak-kanak diserang cirit-birit kerana minum air laut. Muntah mereka dipenuhi dengan cacing. Mereka kelihatan takut dan kecewa," ujar pekerja penempatan sementara yang menempatkan kira-kira 70 orang wanita dan kanak-kanak.
"Pengembaraan tersebut begitu sukar terutama buat ibu hamil dan kanak-kanak. Mereka pasti berdepan dengan penderitaan yang hebat dalam perjalanan ke sini," kata seorang pekerja yang enggan dikenali.
Sebahagian kanak-kanak menyertai pengembaraan berbahaya itu tanpa saudara-mara, meninggalkan tanah air sendiri kerana mereka dianggap sebagai pelarian Bangladesh oleh kerajaan Burma.
"Bapa saya agak uzur dan saya perlu ke Malaysia. Saya mempunyai bapa saudara di Malaysia," kata seorang remaja yang hanya dikenali sebagai Abdul Azim, 12. Rumah Abdul Azim telah dibakar dan ibunya dibunuh di Arakan.
Remaja tersebut merupakan antara 1,700 pelarian Rohingya yang ditahan di Thailand termasuk 300 wanita dan kanak-kanak.
"Mereka merupakan golongan yang terdesak dan sebab itu kita melihat terdapat wanita dan kanak-kanak yang turut serta dalam perjalanan berbahaya ini," kata Timbalan Pengarah Hak Asasi Manusia Asia, Phil Robertson.
"Ini menunjukkan terdapat satu perkara yang begitu serius di Arakan yang perlu Myanmar ditangani segera. Bagi pendatang yang ditahan di Thailand, mereka akan disimpan selama enam bulan sementara menunggu rundingan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
"Ia bertujuan untuk mencari negara yang sanggup menerima mereka. Thailand mengesahkan mereka tidak sanggup menanggung beban itu," kata Menteri Luar Thai, Manasvi Srisodapol.
"Kami tidak mahu mereka mengambil risiko yang berbahaya dengan mengembara di laut setiap tahun. Kami mahu lihat suasana yang lebih baik bagi mereka di negara sendiri."
Di pusat tahanan Phang Nga dekat Phuket, seramai 275 pelarian Rohingya lelaki ditahan dalam keadaan bersesak-sesak dan dihalang untuk berjumpa dengan keluarga. Sebahagiannya telah dirawat kerana menghidapi malaria, cacar dan batuk kering.
Seorang pelarian berbisik kepada wartawan AFP yang mereka hendak pergi ke Amerika Syarikat atau Malaysia.

DUA lelaki pelarian Rohingya ini memikirkan masa depan mereka ketika berada di Pusat Tahanan Imigresen Thailand di Phangnga, Thailand.


Pemerdagangan manusia
Beratus-ratus lagi dihalang oleh tentera Thailand daripada memasuki negara itu selaras dengan peraturan baharu yang dibuat selepas tentera negara gajah putih itu dituduh melakukan pemerdagangan manusia ke atas etnik Rohingya.
Di Myanmar, lebih 100,000 telah terpisah ekoran peperangan di wilayah Arakan yang telah banyak berlaku pembentukan politik oleh pihak pemerintah sejak awal tahun 2011.
Pihak pemerintah memberitahu, kira-kira 180 orang telah terbunuh namun aktivis khuatir angka kematian sebenar lebih daripada itu.
Seramai 800,000 etnik Rohingya yang mendiami Myanmar disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai golongan minoriti yang terseksa di tanah air sendiri. Mereka berdepan dengan sekatan, buruh paksa, sukar mendapat rawatan kesihatan dan pembelajaran.
Bangladesh pernah dijadikan tempat untuk pelarian berlindung namun kerajaan negara itu telah menutup pintu sempadannya.
Sekarang mereka mahu pergi ke Malaysia di mana UNHCR telah mendaftar hampir 25,000 pelarian Rohingya walaupun pihak berkuasa tempatan menjangkakan jumlah mereka dua kali ganda telah menetap di negara Islam itu.
PBB menganggarkan seramai 13,000 individu telah belayar dari Myanmar ke Bangladesh tahun lalu. Sebahagian yang sampai ke Thailand mahu menetap di negara tersebut dan berharap dapat bertemu saudara-mara di situ.
"Saya tidak gembira di sini. Saya hanya gembira jika saya dapat pergi ke Malaysia," tutur Abdul Azim.

Suka duka penerima bantuan kewangan

Posted: 28 Mar 2013 09:36 PM PDT

YOLA kini mampu menarik nafas lega selepas pembukaan premis bakeri milik sendiri yang beroperasi di Kampung Baru, Kuala Lumpur.


PERNAH gagal dalam perniagaan sebanyak tiga kali sedikit pun tidak mematahkan semangat Yola Gusandra Abdul Rahman Saleh, 28, untuk meneruskan cita-cita. Kesukaran hidup menjadi 'guru' kepada anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu untuk mengubah nasib diri dan keluarga.
"Saya mula bekerja pada umur 16 tahun sebelum bekerja dengan ibu angkat di sebuah restoran makanan segera," ujar Yola mengimbas kisah lampau ketika ditemui Kosmo! di kedai bakeri miliknya, Yola Confectionaries di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Selepas berkhidmat beberapa tahun, dia dilantik sebagai pengurus restoran.
"Semasa bekerja di situ, saya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjadi pengedar coklat. Kios tersebut terletak di pusat beli-belah Plaza Metro Kajang, Selangor," kata Yola.
Ke luar negara
Yola kemudiannya merantau ke luar negara untuk mengikuti kursus selama tiga tahun di Akademi Coklat Barry Callebaut, Suzhou, China. Suzhou merupakan sebuah bandar yang sarat dengan bangunan bersejarah dan terletak 90 minit perjalanan dari Shanghai. Sekembalinya ke tanah air, Yola mendapat pekerjaan di sebuah syarikat pembuat makanan milik Bumiputera.
"Saya telah membuat perjanjian usahasama bagi mengeluarkan produk makanan bersama mereka tetapi gagal," luah Yola.
Ketika semangat Yola goyah kerana usahanya belum membuahkan hasil, perkenalan dengan seorang ahli perniagaan membawa sinar untuknya berniaga.
Melalui kerjasama tersebut, Yola menghasilkan produk coklat berkualiti tinggi setanding keluaran luar negara. Pada masa itu, keuntungan yang diperoleh Yola berlipat kali ganda sehingga produknya dipasarkan ke kios lapangan terbang dan beberapa pusat tumpuan pelancong.
"Sayangnya, dugaan datang kembali apabila syarikat pengeluaran kami mengalami kejatuhan sehingga menjejaskan kelangsungan perniagaan tersebut," jelas Yola.

KETABAHAN Natasha mengharungi pelbagai rintangan untuk berjaya dan setanding dengan pereka fesyen terkemuka.


Selama dua tahun, Yola terperuk tanpa sebarang pekerjaan kerana terikat dengan perjanjian syarikat sebelum ini. Atas takdir Allah, seorang temannya mengajak membuka premis bakeri yang menjual roti dan dihantar ke beberapa buah kantin sekolah serta hospital berdekatan. Namun, ia bertahan selama tiga bulan sahaja kerana teman niaganya menarik diri pada saat-saat akhir.
"Dalam merungkai permasalahan tersebut, saya diberitahu mengenai bantuan perniagaan yang diberikan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)," ujar Yola.
Selepas menunggu selama sebulan, Yola mendapat khabar gembira apabila menjadi salah seorang penerima Skim Bantuan Kewangan Baitulmal MAIWP. Modal tambahan sebanyak RM4,000 diguna pakai sebaik-baiknya untuk membeli bahan-bahan mentah dan keperluan harian.
"Dana itu sangat membantu kerana selama tiga bulan saya tidak mempunyai modal untuk membeli bahan mentah," luah Yola.
Jika sebelum ini tenaga kerja perniagaannya terdiri daripada ahli keluarga termasuk ibunya sendiri, kini Yola mempunyai dua pekerja tambahan.
Selain bantuan kewangan, MAIWP turut membantu pembelian beberapa mesin dan alatan bakeri selain mendapat peluang berniaga di majlis-majlis keramaian.
Berkongsi cerita hampir sama, Siti Natasha Saparuddin, 32, enggan menoleh ke belakang demi mengejar impiannya.
"Kalau setakat ditipu dan ditindas, saya sudah melaluinya," ujar Natasha ketika ditemui di butiknya, Natasha Al-Samini Mujmal yang terletak di Sri Kembangan, Selangor.
Jual nasi lemak
Wanita kelahiran Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur itu telah didedahkan kepada dunia perniagaan sejak umurnya 10 tahun. Natasha membantu meringankan beban keluarga dengan menjual nasi lemak ibunya selain alat-alat tulis kepada jiran tetangga.
"Selepas tamat sekolah, saya bekerja dalam bidang insurans selama tujuh tahun. Pada masa sama, saya menjual pakaian wanita secara sambilan," tambah Natasha.
Kesungguhan dan minat Natasha dalam dunia fesyen membuatkannya nekad berhenti kerja bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan busana muslimah.
"Keadaan berubah ketika saya mula berhijab dan perlahan-lahan menukar konsep jualan kepada pakaian muslimah.
"Tiga bulan pertama, modal keuntungan masih belum diraih tetapi ia tidak mematahkan semangat kerana saya percaya kesabaran dan kekuatan perlu ada dalam diri seorang usahawan," kata Natasha.
Sedikit demi sedikit bisnes Natasha mula mendapat perhatian. Kini dia mempunyai butik sendiri bagi menempatkan semua busana yang dijual.
"Sebelum ini, saya hanya beroperasi melalui laman sosial Facebook dan sesekali mengikuti jualan terbuka di majlis keramaian," tambah Natasha.
Menurutnya, kebanyakan busana yang dijualnya diperoleh daripada peniaga persendirian. Selain itu, beberapa rekaan turut dibeli terus dari Indonesia dan Asia Barat.
"Syukur ke hadrat Ilahi kerana bantuan daripada MAIWP banyak membantu saya dari segi kewangan dan khidmat nasihat.
"Sekurang-kurangnya, MAIWP membantu meringankan beban perniagaan seperti pembelian peralatan butik, barang keperluan semasa pameran dan baju-baju jualan," ujar Natasha.
Sama seperti Natasha, Yola juga mempunyai perancangan untuk memajukan kedai bakerinya dengan mewujudkan menu baharu seperti sandwic.
"Jika cukup dana, saya mahu meluaskan premis dengan kelengkapan sistem pendingin hawa untuk keselesaan para pengunjung," ujar Yola.
HARAPAN Sidirwan untuk memiliki teksi sendiri bakal tertunai apabila menerima bantuan daripada Baitulmal.


Yola sempat menitipkan nasihat kepada usahawan muda untuk terus menguasai bidang kerjaya mereka.
"Rasa tanggungjawab perlu ada dalam diri setiap peniaga untuk mengetahui secara jelas dan mendalam mengenai perniagaan yang bakal dijalankan.
Bagi Natasha, dia banyak membaca buku-buku motivasi dan mendengar ceramah daripada pakar-pakar untuk menguatkan diri.
"Usah takut untuk mengejar impian dan tidak perlu bertangguh-tangguh untuk menunaikan cita-cita," ujar Natasha.
Jika Natasha dan Yola sudah dapat merasai mempunyai premis dan perniagaan sendiri, berbeza pula dengan Sidirwan Osman, 35, yang masih menunggu teksinya yang dijangka dikeluarkan pada bulan depan.
Sidirwan merupakan salah seorang penerima Bantuan Deposit Sewa Beli Teksi pada majlis Perhimpunan Perdana Ulama-Umara dan Asnaf baru-baru ini.
"Saya menerima bantuan sebanyak RM5,000 daripada Baitulmal. Melalui dana yang diberikan, saya hanya perlu menambah sejumlah RM2,000 untuk membayar deposit membeli teksi baharu," ujarnya ketika ditemui Kosmo! ketika sibuk mencari penumpang di sekitar Cheras.
Bagi menambah deposit tersebut, Sidirwan menyewa teksi pada kadar sewaan sebanyak RM35 sehari.
"Saya perlu bekerja keras demi keselesaan pada masa akan datang," luah jejaka berasal dari Semporna, Sabah itu.
Berhijrah ke ibu kota seawal usia 18 tahun, pelbagai pekerjaan dilakukan Sidirwan untuk menampung kehidupan diri dan keluarganya.
"Saya memandu teksi sejak tujuh tahun lalu kerana hasilnya lebih tinggi berbanding berniaga makanan secara kecil-kecilan.
"Walaupun penat bekerja sehingga lewat malam, saya gagahkan diri demi menanggung anak-anak yang bersekolah," ujar Sidirwan yang mempunyai empat orang anak dan salah seorangnya merupakan anak istimewa.

Air kelapa bernilai komersial

Posted: 28 Mar 2013 09:35 PM PDT


KEBANYAKAN petani Filipina sebelum ini hanya memperoleh pendapatan hasil jualan isi kelapa.


SEORANG petani yang mengusahakan tanaman kelapa di Filipina, Liezl Balmaceda tidak pernah mengenali Madonna. Namun, sokongan Madonna terhadap minuman kelapa mungkin boleh mengubah kehidupan Balmaceda yang bergelut dengan kemiskinan.
Sehingga kini, air kelapa menjadi minuman kegemaran bagi warga Filipina. Minuman yang kaya dengan khasiat mineral itu mendapat promosi yang agresif daripada syarikat industri minuman untuk mengimbangi jualan minuman soda di negara itu.
Balmaceda, 33, dan suaminya memproses kira-kira muatan sebuah trak yang mengandungi kelapa di belakang rumah mereka setiap minggu. Mereka juga mempunyai kemahiran menukarkan isi kelapa kepada minyak sayur-sayuran.
Pasangan yang mempunyai tiga orang anak itu memperoleh pendapatan RM28 (AS$9) sebulan dan jumlah itu ternyata tidak mencukupi untuk mereka.
"Kami membuang air buah itu semasa kami mengekstrak kopra (kelapa kering). Kami akan mendapat pendapatan yang lebih sekiranya anda memberitahu sebenarnya orang ramai sanggup membayar untuk minum air kelapa," ujarnya yang tinggal di Bandar Mulanay terletak di selatan Manila.
Dalam kenyataannya Presiden Filipina, Benigno Aquino baru-baru ini mengakui, bahawa air kelapa merupakan salah satu komiditi eksport terbaik yang dimiliki negara itu.
Memetik kata-katanya, industri eksport air kelapa Filipina melonjak lebih sembilan kali ganda kepada 16.76 milion liter pada tahun 2011.
Fruits of Life merupakan salah sebuah syarikat yang diusahakan oleh anak tempatan dan mendapat penghargaan dari negara Barat kerana mencipta inovasi air kelapa sebagai alternatif lain kepada minuman berkarbonat.
Pasaran antarabangsa
Pengurus Jualan Fruits of Life, Phoebe de la Cruz memberitahu, orang ramai secara umumnya mementingkan kesihatan mereka.
Syarikat tersebut mula mengeksport produk minuman kelapa sejak 2006. Kini, Fruits of Life membawa kira-kira 240 tan minuman dalam kotak dan tin setahun ke rangkaian pasar raya di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
Jenama minuman terkenal di seluruh dunia seperti Coca-Cola dan Pepsi juga cuba untuk menjadikan air kelapa sebagai produk kesihatan sejak kebelakangan ini.
Jenama minuman koko di AS, ZICO yang juga dimiliki oleh Coca-Cola mendapat sokongan daripada model, Gisele Bundchen dan pemain bola keranjang, Kevin Garnett.
Sementara itu, bintang Pop seperti Madonna, Rihanna serta pemain bola keranjang, Alex Rodriguez merupakan antara selebriti yang memegang saham dalam Vita Coco iaitu salah satu jenama utama dalam produk itu.
Dengan harga RM9 (AS$3) sekotak, ia dianggap sebagai minuman alternatif kepada minuman tenaga dengan isipadu sebanyak 0.33 liter.

FILIPINA merupakan pengeksport kelapa terbesar dunia.


Kini, Filipina menjadi negara pengeksport kelapa terbesar di dunia.
Kilang kelapa terbesar di Filipina juga memproses isi kelapa menjadi tepung untuk memasak biskut, snek, kek dan pastri.
Selain itu, isi kelapa juga boleh diproses menjadi minyak sayur-sayuran yang digunakan untuk memasak dan produk yang digunakan dalam kehidupan seharian termasuk sabun mandi.
Bekalan kelapa tidak pernah menjadi masalah utama di Filipina. Menurut laporan Pihak Berkuasa Kelapa Filipina, dengan 350 juta pokok tumbuh di pesisiran pantai sehingga ke lereng bukit, ladang Filipina menghasilkan sebanyak 15 juta buah setahun.
Air kelapa masih kekal sebagai minuman paling popular di Filipina. Harga yang murah dan ia dijual terus kepada pelanggan selepas dipetik daripada pokok merupakan senario biasa di bandar dan juga desa.
Masalah logistik
Setiausaha Pertanian, Proceso Alcala pula memberitahu, sementara air kelapa mempunyai potensi untuk membantu petani miskin di Filipina, timbul pula isu-isu logistik yang kini mula diperkatakan.
"Permintaan kelapa adalah tinggi. Masalahnya adalah bagaimana untuk membawa air kelapa ke pusat pemprosesan sebelum ia rosak. Kebanyakan ladang kelapa terletak di kawasan berbukit dan tiada kemudahan jalan yang sempurna," ujarnya.
Sementara itu, ada dalam kalangan petani yang masih ragu-ragu bahawa mereka bakal menjadi mangsa kerakusan pihak Barat.
Mereka juga berpendapat akan terus kekal miskin untuk beberapa dekad lagi sementara perniagaan yang besar mendapat keuntungan hasil eksport buah kelapa.
Salah seorang daripada mereka, Rodolfo Aquino, 68, berkongsi cerita, dia dibayar oleh peniaga untuk membawa kelapa dengan menggunakan kereta lembu selama dua jam dari manila.
"Sama ada mereka mahu isi dan air atau isi sahaja, kami tetap menerima bayaran yang sama," ujarnya.

Diapercake unik dan comel

Posted: 28 Mar 2013 09:33 PM PDT

DIAPERCAKE digubah oleh Azlin Huzaireen mengikut cita rasa pelanggannya.


APABILA menerima berita kelahiran bayi daripada ahli keluarga terdekat dan sahabat handai, pastinya otak ligat memikirkan hadiah yang mahu dibeli buat orang baharu.
Sudah menjadi kemestian majoriti daripada kita membeli pelbagai barangkeperluan bayi baik hamper mahupun kotak hadiah sepersalinan baju si comel yang banyak dijual di gedung-gedung barangan bayi.
Namun, bagi mereka yang mahu lari daripada pemberian hadiah yang klise dan mahukan kelainan, diapercake boleh dijadikan pilihan. Ia bukan sahaja comel dan unik, malah lain daripada yang lain.
Diapercake mula menjadi trend pemberian hadiah buat si comel sejak dua tahun lalu. Bagi yang tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan diapercake, ia merupakan diapers atau lampin bayi yang dibentuk menjadi kek ditambah dengan pelbagai keperluan bayi dan aksesori.
Suka-suka
Memandangkan ia sesuatu yang baharu di pasaran Malaysia, Azlin Huzaireen Mohd. Razaffli, 34, mula berjinak-jinak memasarkan diapercake hasil gubahan seni tangannya pada tahun 2011.
"Tidak terlintas untuk membuat bisnes kerana pada mulanya saya menjadikannya sebagai hobi sahaja.

AZLIN HUZAIREEN menjadikan laman sosial Facebook dan blog sebagai medium mempromosikan diapercake.


"Lama-kelamaan ia mendapat sambutan yang menggalakkan, jadi tidak salah untuk meneruskannya memandangkan ia dapat menjana pendapatan sampingan," katanya yang mencintai apa sahaja berkaitan kraf dan bayi.
Wanita berasal dari Kuantan, Pahang itu turut memasarkan diapercake melalui internet.
Anak pertama daripada empat beradik itu memberitahu, pada mulanya diapercake ciptaannya hanya mendapat sambutan dalam kalangan saudara-mara dan rakan-rakan rapat sebelum ia berkembang ke pasaran yang lebih luas.
Berbekalkan promosi daripada mulut ke mulut, semakin hari hasil gubahan diapercake Azlin Huzaireen mula mendapat tempat di hati pelanggan.
"Biasanya diapercake yang digubah mengandungi lampin pakai buang, rompers, washcloth musical soft toy, stokin, baby rattle, bedung dan soft book.
"Menggubah diapercake tidak susah, namun cabarannya adalah ketika memilih koordinasi warna. Ia perlu dipadankan dengan reka corak yang sedia ada dalam stok," ujarnya yang mengambil masa lebih kurang 30 minit bagi menggubah sebuah diapercake.
Permintaan pelanggan
Dia belajar seni gubahan diapercake melalui internet dan kaedah cuba jaya. Diapercake terbahagi kepada dua iaitu diapercake atau bakul hadiah digubah berdasarkan stok sedia ada dan tempahan pelanggan berdasarkan bajet, umur dan jantina bayi.
Diapercake biasanya untuk bayi baru lahir hingga berusia tiga tahun dijual serendah RM60 hingga RM300 bergantung kepada barang yang digunakan.
Masih bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat, Azlin Huzaireen memberitahu, tempahan diapercake diterima melalui panggilan telefon dan dalam talian.

AZLIN HUZAIREEN mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk menggubah sesebuah diapercake.


Setelah pembayaran dilunaskan, diapercake akan dihantar dengan menggunakan perkhidmatan pos laju atau diambil sendiri oleh pelanggan jika berada di sekitar Kuala Lumpur.
"Permintaan tidak terhad di sekitar Lembah Klang sahaja kerana diapercake gubahan saya turut mendapat permintaan dari seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.
"Modal permulaan perniagaan ini adalah sebanyak RM1,000. Perniagaan ini hanya dilakukan secara dalam talian memandangkan saya masih bekerja sepenuh masa," katanya yang mendapatkan stok pakaian kanak-kanak dari sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Menghasilkan 20 diapercake dalam tempoh seminggu tidak menjadi masalah, memandangkan dirinya sangat meminati seni gubahan.
Sebelum serius menggubah diapercake Azlin Huzaireen sering kali membantu rakan dan saudara-mara menyiapkan hantaran sama ada hantaran pertunangan, perkahwinan dan menghasilkan bunga telur.
Kini, dia mempelbagaikan produk perniagaan seperti bakul dan kotak hadiah.
Selain itu, Azlin Huzaireen turut menyediakan keperluan ibu selepas bersalin dan berpantang dengan menjual korset Premium Beautiful yang dikenali sebagai bengkung moden.
"Setiap perniagaan pasti ada cabarannya, dalam perniagaan diapercake ini, saya menghadapi kesukaran untuk mendapatkan stok.
"Begitupun, saya berharap bisnes ini berkembang maju dan mendapat tempat di hati pelanggan," ujarnya yang memasang impian untuk membuka kedai menjual pelbagai kelengkapan ibu dan anak.

Segalanya tentang hijab

Posted: 28 Mar 2013 09:32 PM PDT


HIJAB Walk disertai oleh kanak-kanak serta gadis-gadis di sekitar taman KLCC untuk memberikan setangkai bunga ros dan tudung kepada kaum Hawa.


SEBUT sahaja hijab pasti semua dapat membayangkan wanita ayu menutup bahagian kepala bagi mengelakkan rambutnya kelihatan. Namun, definisi hijab itu meluas dan ia bukan sekadar menutup bahagian kepala sahaja, tetapi menutup aurat mengikut syariat Islam.
Tidak dinafikan ramai dalam kalangan anak-anak gadis kini, semakin cenderung mengenakan hijab atau tudung bagi memenuhi tuntutan Islam, namun hakikatnya ada antara mereka masih tidak faham mengenai istilah menutup aurat dalam konteks Islam.
Menyedari situasi tersebut, komuniti Facebook, We Are Beautiful, Allah Love Us dengan kerjasama Wanita Ikram Wilayah Persekutuan Malaysia mengambil inisiatif menganjurkan sebuah program iaitu Hijab Event 2013.
Program yang berlangsung Februari lalu bertempat di Masjid Asy-Syakirin, KLCC bertujuan memberikan pendedahan kepada masyarakat idea sebenar mengenai aurat menurut pandangan Islam.
Walaupun hijab bukan satu perkara baharu dalam kalangan masyarakat Malaysia, masih terdapat kekeliruan mengenainya.
Program yang bermula seawal pukul 8 pagi dan berakhir pada 1 tengah hari itu diisi dengan pelbagai aktiviti yang direncanakan pihak penganjur.
Antaranya ialah Hijab Walk, forum Hijab Talk, demonstrasi hijab dan pertandingan video.
Program yang dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris berikutan terdapat panel jemputan dan peserta berbangsa asing itu berjaya menarik minat 350 orang peserta walaupun sasaran asalnya adalah seramai 300 orang peserta sahaja.

DEMONSTRASI pemakaian hijab dilakukan sebagai selingan forum.


Bertudung kerana Allah
Apabila berbicara tentang hijab pastinya penyertaannya meliputi golongan Hawa sahaja dan terbuka kepada wanita Islam dan bukan Islam.
Ruang solat masjid tersebut hari itu dipenuhi dengan wanita pelbagai lapisan umur yang sedang khusyuk mendengar butir bicara ahli panel dan tidak kurang pula mencatat nota supaya pesanan sentiasa tersemat di ingatan.
Menurut Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj, ada segelintir wanita memakai tudung kerana suami dan ayah. Jika tidak, mereka tidak akan memakainya.
"Mereka pakai tudung kerana orang, bukannya kerana tuntutan agama dan suruhan Allah.
"Pakai tudung bukan kerana emak suruh, tetapi kerana Allah mahukan kita berbuat demikian dan lakukannya semata-mata kerana Allah," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat, Pertubuhan Ikram Malaysia.
Tambahnya, dengan menutup aurat, ia menimbulkan hubungan santun antara manusia berlainan jantina. Wanita yang menutup aurat akan berasa selesa, selamat, dihormati dan sejahtera.
Harlina mengumpamakan menutup aurat seperti bonggol jalan kerana orang akan berhati-hati apabila berinteraksi selain ia meningkatkan keyakinan diri.
"Harus diingat bahawa, hijab bukannya rambut palsu yang boleh ditukar-tukar. Banyak persepsi salah mengenainya dan menganggap memakai hijab sekadar menutup rambut sahaja.
"Topi juga bukan pengganti hijab, ada juga menggunakannya walhal ia tidak menutup aurat yang sepatutnya sama seperti gaya bertudung kini yang keterlaluan," ujarnya menggalakkan pemakaian tudung yang sederhana.
Bagi wanita yang berhijab Harlina mengingatkan supaya tidak 'menghukum' rakan yang tidak memakai hijab atau baharu sahaja yang mengenakannya kerana mereka mungkin lebih baik daripada diri si penilai.

PESERTA ini menarik perhatian hadirin turut menyuarakan pendapatnya mengenai hijab.


Bersederhana
Dalam pada itu, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Fadila Grine yang turut menjadi panel pada forum Hijab Talk memberitahu ada sebahagian wanita berhijab, tetapi sebenarnya 'berbogel' kerana memakai baju yang ketat sehingga menampakkan susuk tubuh.
"Ada pula yang mengambil masa terlalu lama untuk memakai tudung kerana mahu nampak cantik.
"Kenapa ini terjadi? Sebab mahu membuatkan orang tertarik kepadanya. Itu sudah salah sama sekali, kita seharusnya memakai hijab kerana Allah," katanya.
Fadila memberitahu, pemakaian hijab perlu selari dengan konsep haya' (malu) iaitu malu kepada Allah atas segala perbuatan yang melanggar perintah-Nya.
"Pakailah hijab secara sederhana dan tidak keterlaluan hingga tidak menepati syariat.
"Hijab bukan sekadar menutup luaran sahaja, malah dalaman (hati) juga perlu dititikberatkan juga dengan menunjukkan contoh yang baik," ujarnya.
Ketika forum berlangsung yang dikendalikan oleh selebriti terkenal, Wardina Safiyyah Fadlullah, pengunjung di taman KLCC didatangi oleh wanita dan kanak-kanak yang melakukan Hijab Walk.
Pengunjung di taman, baik wanita Islam mahupun bukan Islam diberikan sekuntum bunga ros dan sehelai hijab selain risalah mengenai menutup aurat secara sempurna.
Tidak mahu hadirin hanya mendengar forum, diadakan juga demonstrasi empat jenis gaya pemakaian tudung oleh label tudung, Jumana selain mengadakan gerai-gerai jualan di ruang legar masjid.

Rapatkan hubungan mertua berbeza agama

Posted: 28 Mar 2013 09:31 PM PDT


APABILA bergelar pasangan yang sah, seorang suami atau isteri juga harus menerima kehidupan baharu bersama keluarga mertua yang berbeza agama. - Gambar Hiasan


PERKAHWINAN antara dua individu yang mempunyai latar belakang agama dan budaya berbeza bukan lagi perkara luar biasa dalam kalangan masyarakat hari ini.
Begitupun, kajian membuktikan kebanyakan pasangan yang berkahwin dengan individu berbeza agama dan budaya mempunyai masalah dalam mewujudkan keharmonian hidup berumah tangga terutama dalam konteks interaksi bersama keluarga mertua.
Mungkin ada yang beranggapan, pedulilah dengan keluarganya kerana yang berkahwin dan diterima dalam hidup anda ialah si anak.
Mereka yang memegang prinsip sebegini perlu berusaha untuk menukar prinsip tersebut kerana perlu diingat, tanpa ibu bapanya, tidak mungkin anda dapat mengahwini pasangan anda.
Anda boleh merapatkan hubungan dengan keluarga mertua dengan syarat bersedia dan berusaha ke arahnya.
Antara perkara yang perlu dilaksanakan adalah menerima keluarga mertua seadanya, melayan mereka sebagai manusia biasa, meluangkan waktu dan melaksanakan komunikasi bijaksana.
Terima seadanya
Walaupun anda dan keluarga mertua berbeza agama serta budaya, itu bukan alasan untuk menolak mereka.
Fikirlah, mereka bersedia menerima anda sebagai menantu. Mungkin mereka juga perlu menerima keputusan si anak untuk menukar agama amalan mereka sekeluarga sebelum ini.
Jika mereka boleh menerima anda seadanya demi kebahagiaan anak mereka, pastinya anda juga boleh menerima mereka seadanya.
Hormatilah mereka sebagai ibu bapa pasangan anda. Ikhlaskan hati dalam menerima mereka, hormati prinsip hidup dan amalan agama mereka asalkan tidak bercanggah dengan prinsip agama anda. Jika berlawanan, berterus-terang secara berhemah agar tiada hati yang terasa.
Layan sebagai manusia biasa
Biar apa juga agama yang menjadi pegangan dan amalan seseorang, selagi dia manusia maka individu tersebut perlu dilayan sebagai seorang manusia. Fitrah seorang manusia mahu dilayan dengan baik sebagai manusia iaitu difahami, diterima, dihormati, disayangi, diberi perhatian dan dipercayai.
Setiap manusia sekeliling kita mahukan layanan sebegini termasuklah pasangan anda dan ahli keluarganya.
Prinsip asas setiap agama dan fahaman yang diamalkan di dunia ini juga menekankan kepada tingkah laku baik serta berperibadi mulia, cuma berbeza iktikad dan ketuhanan.
Luangkan masa
Usaha menerima dan melayan keluarga mertua sukar dilaksana andai anda gagal meluangkan masa untuk mereka.
Meluangkan masa bermaksud anda melakukan aktiviti bersama, menziarahi mereka pada hujung minggu, memasak atau makan bersama-sama.
Paling tidak pun, sentiasa berbual atau melayan mereka bersembang apatah lagi jika ibu bapa mertua anda warga emas yang memerlukan perhatian.
Mereka mungkin tidak boleh 'dilawan sembang' tetapi jika anda dapat menjadi pendengar yang setia maka ia pasti membibitkan keakraban silaturrahim.
Jika anda bermasalah dalam mengambil hati ibu bapa mertua, tetapi mampu menambat hati nenek mertua, hajat anda bakal kesampaian dalam tempoh terdekat.

BELAJAR budaya dan adat keluarga mertua untuk mengeratkan lagi hubungan dengan mereka. - Gambar hiasan


Komunikasi bijaksana
Dalam setiap hubungan, komunikasi memainkan peranan penting. Bersama tanpa interaksi mewujudkan komunikasi negatif yang tidak membantu usaha merapatkan hubungan.
Komunikasi yang diperlukan adalah komunikasi yang efektif, bijaksana dan mampu memberikan hasil yang positif.
Pelajarilah bahasa mereka jika berbeza dengan bahasa pertuturan anda. Sebagai permulaan, pasangan anda boleh bertindak sebagai jurualih bahasa atau penterjemah.
Situasi tersebut mungkin sedikit rumit, tapi boleh jadi lucu dan meriah. Jika perlu, boleh menggunakan bahasa isyarat, gambar atau apa saja yang dapat membantu anda.
Kesungguhan anda untuk berinteraksi menyebabkan mereka menyayangi anda. Jangan sesekali berasa putus asa untuk mendekati mereka terutama bagi anda yang tidak diterima oleh keluarga mertua.
Ada ibu bapa yang merasakan menantu merampas anak mereka apabila si anak bertindak menukar agama untuk bersama pilihannya dan mereka akan kecewa. Rasa kecewa dan sakit hati yang dialami oleh keluarga mertua merupakan perkara biasa.
Menjadi tanggungjawab anda untuk membuktikan kepada keluarga mertua bahawa anak mereka tidak tersalah apabila memilih anda. Ambil hati, pujuk dan curahkan kasih sayang yang ikhlas kepada mereka.
Sekeras-keras batu, masih mampu dilekukkan oleh titisan air tanpa jemu, apatah lagi hati manusia.

Hari Sarapan Malaysia bersama Milo

Posted: 28 Mar 2013 09:28 PM PDT


DARI kiri: Nurul Iliani, Pengurus Pemasaran Pengguna, Ng Su Yen, Hau Chieh dan Pengurus Kanan Penjenamaan, Ivy Tan Link Cheh melakukan simbolik Pelancaran Sarapan Pagi Milo yang diadakan di Hotel Westin, Kuala Lumpur baru-baru ini.


TERKENAL dengan produk minuman sejak 60 tahun lalu, jenama minuman Milo sentiasa mendidik serta memberi kesedaran mengenai kepentingan kesihatan fizikal dan keperluan makanan berkhasiat untuk seluruh rakyat Malaysia.
Dikenali sebagai peneraju minuman nutrisi di Malaysia, Milo melancarkan Hari Sarapan Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 5 Mei nanti di Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor.
Melalui sambutan yang julung-julung kalinya diadakan di Malaysia itu, pihak Milo cuba memecahkan rekod Guinness World Book of Records dengan pengambilan minuman malt coklat terbanyak dalam satu hidangan sarapan.
Dalam usaha itu, Milo telah melaksanakan Gerakan Sarapan Milo di seluruh negara bagi menyampai serta memperkukuhkan kefahaman rakyat Malaysia mengenai kepentingan pengambilan sarapan pagi.
Pengarah Eksekutif, Unit Perniagaan Tenusu Nestle Product Sdn. Bhd., Ho Hau Chieh memberitahu, bagi permulaan tahun 2013, pihaknya telah menetapkan satu misi iaitu memberitahu kepada umum mengenai sarapan pagi yang ideal bagi rakyat Malaysia.
"Kempen Gerakan Sarapan Milo memberi peluang kepada kami untuk menyebarkan maklumat mengenai kepentingan sarapan pagi melalui pelbagai cara.
"Menerusi laman web Milo, kami menyalurkan informasi mengenai objektif, fakta dan panduan bagi gaya hidup sihat serta memberi idea mengenai idea penyediaan sarapan pagi yang lebih menarik," ujarnya dalam ucapan majlis perasmian Hari Sarapan Malaysia bersama Milo di Hotel Westin Kuala Lumpur baru-baru ini.
Resipi sihat Milo

SABRI menunjukkan demonstrasi masakan sihat menggunakan Milo sambil diperhatikan Nurul Illiani.


Pada majlis itu, Chef Sabri Hassan telah diundang untuk menunjukkan demonstrasi penyediaan beberapa resipi mudah untuk sarapan pagi iaitu Swiss Muesli dan pankek dengan garapan produk Milo.
Resipi idea olahan Master Chef Sabri itu turut mendapat penjelasan maklumat kandungan nutrisi dan manfaat yang diperoleh daripada pengambilan sarapan yang penuh bertenaga oleh Pakar Nutrisi Nestle, Nurul Illani Ahmad.
Menurut Nurul Illani, pengambilan sarapan pagi merupakan amalan terbaik yang perlu diamalkan oleh setiap individu.
"Mengambil perumpamaan seperti sebuah kereta, ia perlu diisi minyak untuk memulakan perjalanan pada setiap hari. Sama seperti manusia, kita perlu mengambil sarapan sebelum memulakan hari untuk memberi tenaga kepada kita," ujarnya.
Sempena Hari Sarapan Malaysia nanti, Milo akan menyumbangkan 20,000 pek sarapan pagi secara percuma. Pengunjung yang hadir juga boleh menyertai Larian Sarapan sekitar UPM sebagai langkah sokongan jenama tersebut dalam amalan gaya hidup sihat.
Maklumat lanjut mengenai Hari Sarapan Malaysia dan aktiviti yang akan dijalankan, sila layari laman web www.milo.com.my/breakfast.

Sedia dihimpit kontroversi

Posted: 28 Mar 2013 06:57 AM PDT

NORA mengakui sudah biasa memanggil Adi dengan gelaran abang.


BUKAN berniat mahu mengungkit kembali kisah kontroversi hebat yang pernah melanda dua pelakon berbakat besar, Adi Putra dan Nora Danish pada penghujung tahun lalu, namun menjangkakan hal yang tidak dijangka barangkali relevan dalam isu ini.
Sekali lagi mengambil risiko untuk meletakkan Nora sebagai heroin filem, Suami Aku Ustaz yang akan memulakan penggambaran pada 20 April kelak, tidak mustahil isu aktres itu dikatakan penyebab keretakan rumah tangga Adi akan kembali bersuara.
Lebih 'panas' apabila pemilihan Nora selaku tonggak utama filem itu dibuat sendiri oleh Adi yang juga merangkap pengarah dan pelakon utama filem adaptasi novel terlaris tahun lalu itu.
Sementelah, filem itu diterbitkan syarikat Nur ADP Sdn. Bhd. milik Adi sendiri.
Menjawab kegusaran yang mungkin bakal kembali melanda dan mengaitkan nama mereka, balas Adi, 32, dia tidak khuatir untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan pada masa akan datang memandangkan tindakannya berlandaskan skop kerja semata-mata.
"Ramai tidak menafikan keserasian saya dan Nora malah watak Alisa sesuai dengan perwatakan Nora yang kecil molek, rileks, comel dan fizikalnya sesuai untuk menjayakan watak berusia 17 tahun.
"Saya senang bekerja dengan dia bukan atas kontroversi lalu tapi khusus atas dasar kerja," ujar Adi yang ditemui ketika pelancaran filem Suami Aku Ustaz di Hard Rock Cafe, Melaka pada Isnin lalu.
SKRIP dan jalan cerita yang menarik membuatkan Nora bersetuju membintangi filem Aku Bukan Ustaz yang diterbitkan syarikat milik Adi, Nur ADP Sdn. Bhd.


Elak kontroversi
Melanjutkan perbualan, Adi tidak melihat akan wujud kekangan untuk berlakon dengan aktres yang dia selesa bergandingan malah tegasnya tiada apa yang perlu dirisaukan kerana dia berada di pihak yang benar dan semua sudah sedia maklum.
"Bagaimana untuk saya berlakon dengan pelakon lain yang tiada keserasian dengan saya. Saya selesa berlakon dengan Nora, begitu juga dia.
"Ini asas kehidupan. Perkara berat kita mudahkan, kalau mudah kita ringankan dan saya melihat hubungan kami semata-mata soal kerja. Kalau letak sebagai pekerjaan kenapa perlu ada perkara yang mengganggu?
"Perkara yang nyata akan tetap nyata. Sesiapa sahaja akan cuba mengelakkan kontroversi daripada terjadi tapi itu lumrah. Saya tidak akan memikirkan perkara yang telah terjadi dulu dan saya mahu tetapkan diri untuk terus ke depan," katanya yang masih ingin mengelak daripada dilanda kontroversi.
Tegas pemilik nama sebenar Mohamed Hadi Putera Halim ini lagi, dia tidak pernah memikirkan risiko memilih Nora sebagai teraju utama untuk bergandingan bersamanya.
"Saya akan lakukan apa saja untuk kebaikan semua pihak dan saya tidak terfikir pun pasal risiko. Orang akan tetap mengata dan saya tidak terfikir orang nak kata apa. Saya tahu kalau perkara itu benar, maka ia benar. Begitu juga isteri dan keluarga saya," tambahnya.
NORA DANISH bakal mendampingi aktor kacak Randy Pangalila menerusi drama bersiri, Berlari ke Bintang.


Prioriti
Dalam pada itu, Adi masih meletakkan prioriti dalam bidang lakonan berbanding pengarahan. Ditanya mengenai peranannya sebagai pengarah bersama Ghaz Abu Bakar untuk filem Suami Aku Ustaz, jawab Adi, dia telah membahagikan tanggungjawab berkenaan.
"Tiada yang berbeza pun, sebaliknya, saya meletakkan keinginan dan harapan yang lebih besar daripada mengarah iaitu hasil filem ini kelak.
"Memang kutipan hasil tayangan antara perkara yang perlu dipertimbangkan tapi saya meletakkannya sebagai pemikiran akhir. Sebaliknya, pembawaan watak dan penceritaan itu lebih penting sebenarnya.
"Kalau ambil sebagai kewajipan, kita akan keliru tapi kalau letakkan sebagai tanggungjawab, kewajipan akan datang sendiri.
"Saya tidak pernah terfikir untuk fokus bidang lain selain berlakon kerana saya seronok melakukannya," ujarnya yang akan memfokuskan kepada penceritaan saja dan selebihnya adalah tugasan Ghaz.
Selama enam bulan mengkaji keseluruhan novel Suami Aku Ustaz nukilan Hannah Dhaniyah, jelas Adi dia yakin akan kekuatan penceritaan novel itu.
Suami Aku Ustaz mengisahkan Alisa yang dipaksa berkahwin dengan sepupunya merangkap guru agama di sekolahnya, Ustaz Hafiz apabila ibu bapanya ingin mengerjakan haji.
Dilema bermula setelah mereka berkahwin apabila Alisa perlu menyembunyikan identitinya sebagai seorang pelajar sekolah yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun itu.

Nafi demand, Zizan masih duta Drive M7

Posted: 28 Mar 2013 06:56 AM PDT

ZIZAN mengaku kesibukan bekerja membuat dia tidak sempat membelanjakan wang kemenangan RM500,000 menerusi program Maharaja Lawak Mega 2012 baru-baru ini.


SELEPAS setahun pelawak, pelakon dan penyanyi popular, Zizan atau nama sebenarnya Mohd. Razizan Abdul Razak, 29, menjadi duta kepada produk minuman isotonik Drive M7 bersama aktor Aaron Aziz, baru-baru ini dikatakan kontraknya sebagai duta produk tersebut tidak disambung.
Khabar angin yang bertebaran mendakwa, tempat Zizan akan digantikan oleh penyanyi Stacy kerana Zizan terlalu sibuk dengan kerja sehingga tidak dapat memberi komitmen terhadap kerja-kerja promosi produk minuman tersebut.
Kosmo! menghubungi Zizan semalam untuk mendapatkan pengesahan lanjut. Ikuti temu bual bersama Zizan.
Kosmo!: Adakah benar kontrak Zizan bersama produk minuman tersebut tidak disambung?
ZIZAN: Apa yang boleh saya beritahu, sebenarnya tiada masalah langsung antara pihak saya dengan pihak Drive M7. Pihak saya telah menghadiri mesyuarat bersama pihak mereka dan semuanya telah selesai. Tahun ini merupakan tahun kedua saya menjadi duta produk tersebut dan ia sekali gus menafikan kontrak saya telah ditamatkan seperti yang disebarkan.
Bagaimanakah berita tempat anda akan digantikan dengan Stacy boleh timbul?
Sebenarnya Stacy bukan menggantikan saya, cuma penambahan duta sahaja. Duta terkini, Aaron Aziz dan saya. Tidak lama lagi Stacy dan Fizo Omar akan menyertai kami sebagai duta seiring dengan perkembangan produk itu.
Adakah isu dilucut jawatan sebagai duta ini timbul kerana jadual kerja anda terlalu sibuk sehingga tidak dapat memberi komitmen kepada kerja promosi produk ini?
Itu tidak benar langsung. Walaupun saya sibuk, saya tetap akan berusaha memberi komitmen sebaik mungkin kepada produk yang saya wakili. Contohnya, saya pakai baju Drive M7 dalam program Maharaja Lawak dan program lain yang membenarkan saya pakai baju itu. Sejak saya dan Aaron pakai, baju itu laris dan tidak secara langsung mempromosikan produk minuman itu.
Apakah syarat utama Zizan untuk menerima tawaran sebagai duta?
Memang bayaran itu penting, tetapi saya juga lihat dari sudut adakah produk itu serasi dengan saya? Kalau saya sendiri memang sukakan produk yang diwakili, tidak sukar untuk saya membuat promosi. Selain produk minuman, saya juga duta kepada dua produk makanan serta telah mendapat tawaran daripada sebuah produk antarabangsa yang masih lagi tidak boleh diberitahu.
Sejak bergelar juara program Maharaja Lawak Mega 2012, populariti anda semakin meningkat, adakah Zizan semakin demand?
Saya rasa biasa sahaja, jika saya demand, tentu saya tidak ke mana. Bagaimanapun saya mengaku demand tentang kualiti kerja kerana saya harus menjaga kualiti lakonan dan persembahan jika ingin kekal lama dalam industri seni. Ada sesetengah persembahan saya tidak boleh lakukan lagi kerana penonton akan bosan. Demand seperti diva tidak adalah, nanti saya sendiri yang susah.
Adakah Zizan telah menyimpan aset untuk masa hadapan hasil pendapatan yang diperoleh?
Aset buat masa ini hanyalah rumah yang dibeli buat ibu bapa saya di Terengganu. Buat diri saya belum lagi kerana sejak tamat program Maharaja Lawak Mega saya terlalu sibuk. Bagus juga sibuk sebab tidak ada masa untuk saya menghabiskan duit (ketawa).
Perkembangan terbaharu Zizan?
Sekarang saya berada di lokasi penggambaran filem Abang Long Fardil yang merupakan watak saya dalam filem KL Gangster yang dikembangkan. Filem yang bakal keluar tahun ini ialah Tokan, Baikers Kental, KL Zombi dan KL Gangster 2.

Jamal menjiwai P. Ramlee

Posted: 28 Mar 2013 06:55 AM PDT


JAMAL dan Mohamed Juhari (tiga dari kiri) pada sidang akhbar Konsert Extravaganza Jamal Abdillah - P. Ramlee Dalam Kenangan yang dijadualkan berlangsung di Istana Budaya dari 30 Mei hingga 2 Jun ini.


KEMANTAPAN vokal Raja Pop Malaya, Jamal Abdillah memang tidak dapat disangkal lagi. Kemunculannya, tidak kiralah di mana-mana acara sekalipun, pasti ramai yang teruja ingin bertemu lelaki tinggi lampai ini.
Di Malaysia, sebut sahaja nama Jamal Abdillah, siapa yang tidak kenal dan pentas berprestij Istana Budaya pula bukanlah satu lokasi persembahan yang asing buatnya.
Terkini, dia bakal tampil buat kali keempat di Istana Budaya dalam sebuah persembahan yang cukup berbeza daripada sebelum ini.
Jamal kali ini tampil dengan idea untuk memberi penghargaan buat seniman teragung Malaysia, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Konsert yang diberi nama Extravaganza Jamal Abdillah - P. Ramlee Dalam Kenangan itu bakal diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula 30 Mei hingga 2 Jun ini.
"Saya merupakan peminat P. Ramlee dan amat mengagumi karyanya. Bagi konsert ini kelak, saya mahu penonton yang hadir merasai jiwa seni seniman itu menerusi lagu-lagu popularnya.
"Selain itu, saya juga ingin menyambung jiwa seni P. Ramlee melalui konsert ini. Ia memang tidak pernah dilakukan dan ia lain daripada yang lain kerana saya akan masukkan visual babak-babak jenaka lakonan seniman itu bagi mengimbau kembali kegemilangannya," jelas Jamal pada sidang akhbar yang diadakan di Istana Budaya baru-baru ini.
Walaupun tiada sebarang penaja bagi konsert ini, Jamal tetap akan meneruskan hasratnya mengadakan konsert ini.
"Saya tidak kisah untuk mengeluarkan bajet sendiri untuk menjayakan konsert ini. Biarlah walau apapun yang terjadi, konsert ini akan diteruskan. Namun, jika ada syarikat korporat yang ingin membeli tiket, ia amatlah dialu-alukan.
"Mengenai lagu, saya akan mendendangkan sebanyak 30 buah lagu popular nyanyian Tan Sri P. Ramlee. Saya juga akan membawa anak-anak dari rumah anak yatim Rawang untuk sama-sama saya di atas pentas bagi menyampaikan lagu Tolong Kami, Bantu Kami," bicara Jamal yang mengeluarkan bajet sebanyak RM500,000 khusus untuk konsert ini.
Konsert tersebut akan dibahagikan kepada lapan segmen dan beberapa orang artis juga akan ditampilkan untuk menyerikan lagi segmen-segmen tersebut. Antaranya ialah Isma Aliff, Musly Ramli, Azlina Aziz serta Nas Adila.
Selain itu, persembahan Jamal bakal diiringi oleh pemuzik orkestra yang terdiri daripada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor dan Leonard Yeap sebagai pengarah muzik.
Namun, ujar Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, konsert solo ketiga Jamal Abdillah sebelum ini, adalah antara konsert yang paling berjaya.
Konsert tersebut juga berjaya mendapat kutipan paling tinggi tahun 2011 di Istana Budaya iaitu mencecah hampir RM800,000.
Tambahnya, Jamal sering hadir dengan membawa persembahan yang berbeza setiap kali muncul di atas pentas Istana Budaya. Ini juga merupakan konsert bagi mengisi slot Hari Seniman, dan konsert ini merupakan yang pertama kali mengikut konsep yang dijalankan di pentas berprestij tersebut.
Untuk sebarang pembelian tiket, boleh layari laman web www.ticket2u.biz atau hubungi talian 03- 4147 8600. Selain itu, boleh juga hubungi talian di Istana Budaya Box Office, 03- 2161 8134. Tiket dijual pada harga bermula RM65 hingga RM455.

Gegaran Guns N' Roses

Posted: 28 Mar 2013 06:54 AM PDT

PADA usia 51 tahun, Axl Rose sebagai satu-satunya anggota asal band Guns N' Roses masih kelihatan mantap mengalunkan lagu-lagu hit band tersebut.


TEPAT pukul 8 malam selepas Sebastian Vettel daripada pasukan Red Bull muncul juara dalam perlumbaan F1 Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, kawasan Helipad pula bergema dengan ketukan drum daripada Frank Ferrer menandakan bermulanya konsert band rock terkenal Guns N' Roses.
Apabila logo kumpulan itu tertera pada skrin besar di kiri dan kanan pentas, peminat mula menjerit kegirangan. Band yang cukup terkenal di seluruh dunia itu menghiburkan peminat di Malaysia buat pertama kalinya sejak ditubuhkan pada tahun 1987.
Meskipun ahli asal band tersebut yang tinggal hanyalah vokalisnya, Axl Rose tanpa ahli asal seperti Slash (gitar), Izzy Stradlin (gitar), Duff McKagan (bass), Gilby Clarke (gitar) dan Steven Adler (drum) yang telah meninggalkan band itu, persembahan Guns N' Roses tetap hebat.
Kualiti persembahan daripada ahli baharu seperti Ron Bumblefoot Thal (gitar), DJ Ashba (gitar), Richard Fortus (gitar), Tommy Stinson (bass), Frank Ferrer (drum) dan Chris Pitman (keyboard) berjaya memukau 10,000 peminat yang membanjiri tapak konsert.
Sudah pasti ramai yang membandingkan antara pemain gitar terdahulu band Guns N' Roses dengan ahli baharu mereka.
Bagaimanapun gorengan gitar daripada DJ Ashba, Bumblefoot dan Fortus cukup memukau dan membuatkan penonton terlupa sebentar mereka bukannya ahli asal band itu. Keserasian antara mereka jelas kelihatan.
Suasana bertambah hangat apabila ketiga-tiga pemain gitar mula beraksi secara solo. Peminat menjerit penuh bangga apabila Bumblefoot mengalunkan lagu Negaraku dengan gitarnya. Difahamkan mengalunkan lagu sesebuah negara di mana konsert berlangsung sudah menjadi identiti buat Bumblefoot.
Axl memulakan persembahan dengan lagu Chinese Democracy dan sesekali berinteraksi dengan peminat. Aura pentas Axl tidak pernah luput, bagaimanapun vokalnya tidak seperti dahulu.
Jeritannya tidak sama seperti zaman kegemilangan band Guns N' Roses. Mungkin faktor usia yang sudah masuk ke angka 51 tahun menyebabkan prestasi vokal Axl sedikit menurun.
Ketepikan tahap vokal Axl kerana peminat tetap terhibur dengan persembahan band yang album mereka telah terjual sebanyak 100 juta unit di seluruh dunia itu.
Selama dua jam setengah, sebanyak 22 buah lagu telah dipersembahkan seperti Welcome To The Jungle, It's So Easy, Mr. Brownstone, Estranged, Better, Rock Queen, Live & Let Die, This I Love, Catcher, You Could Be Mine,Sweet Child O' Mine dan November Rain.
Mereka juga mendendangkan lagu Don't Cry, Used To Love Her, Knockin' On Heavens Door, Night Train, Patience, The Seeker dan Paradise City.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu