Khamis, 8 Disember 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Sara Ali Tidak Kisah Tumpang Populariti Shaheizy Sam, Syafie Naswip

Posted: 07 Dec 2011 04:39 PM PST


PETALING JAYA: Pelakon Sara Ali, 21, mengakui tidak ambil peduli dengan pandangan segelintir pihak yang melabelnya sebagai menumpang populariti dua pelakon filem Songlap iaitu Shaheizy Sam dan Syafie Naswip untuk lebih dikenali selepas ini.

Sara sebaliknya menyifatkan dirinya cukup bertuah kerana mendapat peluang tersebut yang boleh menjadi platform terbaik bagi pelakon baru sepertinya.

"Sejujurnya, saya tidak kisah atau peduli pun jika ada yang menganggap saya menumpang populariti Shaheizy Sam dan Syafie Naswip apabila terlibat dalam filem Songlap.

"Peluang ini adalah pintu atau platform yang baik. Saya begitu bertuah kerana mendapat kepercayaan ini," katanya yang ditemui selepas pra-tonton filem berkenaan, GSC One Utama, di sini, Rabu.

Tambah Sara, peluang beraksi di samping dua aktor itu adalah satu tarikan yang baik kepada peminat filem Melayu memandangkan kedua-duanya sudah membuktikan kredibiliti masing-masing menerusi kerja mereka.

Justeru itu, Sara berkata, dia tidak melihat isu menumpang populariti itu sebagai satu masalah atau perkara yang menjejaskan reputasi.

"Jelas sekali, mereka berdua lebih berpengalaman dan pelakon yang berkarisma. Mereka punya peminat dan tarikan yang kuat terhadap filem ini.

"Apabila penonton menyaksikan filem ini, orang yang belum mengenali saya pasti akan tertanya-tanya siapakah gadis yang melakonkan watak Hawa ini.

"Jadi apa salahnya saya menumpang populariti itu jika ia membolehkan penonton melihat bakat saya juga," katanya.
Syafie Naswip (kiri) dan Shaheizy Sam sebagai adik beradik Ad dan Am.

Filem bergenre aksi drama itu diarahkan oleh pasangan suami isteri Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Ishak yang pernah menghasilkan filem Kami The Movie sebelum ini.

Songlap memaparkan kisah kehidupan dua beradik iaitu Am lakonan Shaheizy Sam dan Ad (Syafie Naswip) yang terlibat dalam sindiket penjualan bayi.

Kehadiran salah seorang mangsa pemerdagangan haram, Hawa (Sara Ali) telah mengubah segalanya. Ad nekad untuk meninggalkan aktiviti yang menjadi punca rezekinya selama ini dan cuba meyakinkan Am untuk keluar daripada kehidupan hitam itu.

Selain Sara, Shaheizy dan Syafie, filem itu turut membariskan Omar Abdullah, Rozie Rashid, Normah Damanhuri, Fauzi Nawawi dan Lisdawati.

Ia bakal ditayangkan di 77 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei bermula 15 Disember ini.

Saiful Apek Ilhamkan ‘Aletotoit’ Sebagai Lagu

Posted: 07 Dec 2011 04:38 PM PST


SHAH ALAM: Pelawak Saiful Apek mengilhamkan slanga 'aletotoit' dalam lagu terbarunya yang turut menggunakan judul yang sama dengan slanga itu.

Menurut pelawak yang dikenali dengan gelaran Apek ini, lagu yang telah dirakam itu turut dinyanyikan secara duet dengan Bob Kuman dan akan disiarkan pada bulan Januari depan.

"Saya menggunakan slanga 'aletotoit' kerana mengingatkan kepada slanga yang popular sewaktu saya kecil dahulu.

"Lirik lagu ini dihasilkan oleh saya dan Bob Kuman manakala lagunya digubah oleh Salam dalam rentak raggae," katanya ketika ditemui di sidang media promosi tayangan filem Bujang Telajak Belum Terlanjur di Dewan Sri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, Selasa.

Katanya lagi, 'teaser' lagu tersebut boleh didengar di YouTube yang menggunakan judul Fullamak.

Menyentuh tentang filem Bujang Telajak Belum Terlanjur yang menggandingkan Apek dengan Nabil, Johan dan Fazura, dia akui kelainan cabaran dalam filem ini apabila dia perlu melakonkan watak orang buta.

"Saya rasa watak orang buta sangat berat kerana walaupun saya menyamar sebagai orang buta, saya tetap pejamkan mata untuk benar-benar menghayati watak itu.

"Disebabkan itu, saya melibas tongkat banyak kali tanpa mengikut koordinasi yang betul. Tetapi pada saya, watak orang buta yang dilakonkan oleh Mustapha Kamal dalam filem ini seharusnya dipuji kerana dia lebih memaparkan perwatakan itu dengan lebih mendalam," katanya lagi.

Tambahnya: "Saya juga memuji Fazura yang agak profesional apabila mampu menahan gelak sehingga penggambaran selesai. Selepas itu, baru dia akan lepaskan ketawanya.

"Apa pun, saya memandang cerita ini kepada mesejnya iaitu jika ingin melakukan sesuatu, jangan menipu dan lebih baik berterus-terang."

Selain Bujang Telajak Belum Terlanjur yang akan ditayangkan di pawagam bermula 11 Disember ini, dia juga bakal muncul dalam filem Rock 2, Sofazr The Movie…Jiwa Kacau dan Hantu Air.

Pada tahun depan, dia akan terlibat dengan sekuel akhir Cicakman 3D.

Selain itu, wajah Apek juga boleh ditonton menerusi sitkom Senario: Misteri BamBoo di TV3 pada setiap Selasa, pukul 10 malam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu