Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Mahu jadi ahli perniagaan
- Michelle Yeoh Sukar Berdialog Dalam Bahasa Burma
- Sam Yakin Tidak Abaikan Bunkface & The Azenders
- 'Detik Tragik' Papar Bencana Terburuk Dalam Negara
- Osman Ali Terima Jika 'Jiwa Taiko' Dibandingkan
- Megan Fox Mengaku Sedang Hamil
- Angelina Jolie Pilih Gaun Versace Pada Majlis Kahwin
- Gadai nyawa demi abang
- Bersih sampah haram
- Arena terbaik
- Usah had masa penyusuan
- Michelle Yeoh the Lady
- Kesan kurang zat besi ketika hamil
- Kecelaruan gender dilaknat Allah
- Kulit tegang, wajah lebih cerah
- Zuriati belajar daripada kesilapan
- Penuh dengan keluarbiasaan
- Guru lebih stres
- Persengketaan jadi tarikan pelancong
- Hadzwan pilih polis kerana sains forensik
- Mike Tyson hamilkan petugas penjara
- Adira nafi ambil suntikan
- Lelaki kes dera dicari
- Rogol remaja: Bekas imam dipenjara 15 tahun, 12 sebatan
- 80 sen karipap adalah biasa di Batu Feringgi
| Posted: 24 Apr 2012 09:00 PM PDT ANTARA pesona diri dan jenama dibina ketika menyertai satu program realiti, dia lebih dikenali ramai menerusi nama pentasnya. Memperkenalkan diri sebagai Keena Mentor, fikiran peminat pantas mengingat kembali populariti gadis ini bersama mentor, Awie ketika bersama mengharunginya tiga tahun lalu. Berbanding pengalaman awal ditimba di pentas nyanyian, Keena semakin mengatur langkah mencari pelbagai peluang untuk menempatkan dirinya agar tidak ketinggalan di kalangan artis baru yang sedang mencipta nama. Sebolehnya, dia tidak mahu istilah artis program realiti umpama mi segera dilupakan sejurus program disertai berakhir. Di kalangan peminat, Keena sebenarnya masih dekat di hati mereka kerana dia antara artis Mentor yang sibuk dengan aktiviti seni.
|
| Michelle Yeoh Sukar Berdialog Dalam Bahasa Burma Posted: 24 Apr 2012 08:59 PM PDT Aktres Datuk Michelle Yeoh kembali ke tanah air bagi mempromosikan filem The Lady.KUALA LUMPUR: Pelakon antarabangsa Datuk Michelle Yeoh mengakui berasa sukar untuk mengungkapkan dialog dalam bahasa Burma (kini Myanmar) bagi watak sebagai pejuang kebebasan demokrasi negara itu, Aung San Suu Kyi dalam filem The Lady. Menurut bintang filem kelahiran Ipoh, Perak itu, dia perlu mengingati dialog yang panjang bagi babak-babak ucapan pengasas parti politik Liga Demokrasi Kebangsaan itu ketika berkempen. "Saya akui persediaan untuk babak ketika Suu Kyi menyampaikan ucapannya di hadapan rakyat adalah paling mencabar kerana ia perlu dilakukan dalam bahasa Burma. "Bukan sahaja dialognya panjang, malah ia perlu dirakamkan hanya satu kali sahaja bagi mengekalkan impak emosi di kalangan watak masyarakat yang mendengar ucapan itu," katanya yang mendapat bimbingan guru bahasa Burma. Yeoh berkata demikian ketika ditemui pada sidang media filem epik biografi arahan pengarah Perancis, Luc Besson di Hotel Ritz-Carlton, di sini, petang Selasa. Aktres berusia 49 tahun itu berkata komitmen dalam filem itu juga menuntut persiapan fizikal yang menyeluruh bagi mendapatkan susuk tubuh yang seiras pemimpin itu. ![]() "Saya membuat latihan fizikal seperti seorang pelari maraton. Saya perlu berlatih selama satu jam setengah sebelum dan selepas penggambaran pada setiap hari. "Aspek persiapan fizikal sangat penting untuk tujuan stamina dan ketahanan sepanjang penggambaran. Apa yang lebih penting, ia bagi mengekalkan bentuk fizikal saya agar menyamai fizikal sebenar Suu Kyi," katanya. Sempat diusik adakah dia berminat untuk menceburi bidang politik selepas melakonkan watak pemimpin itu, Yeoh berkata ia adalah lapangan yang kompleks yang tidak mungkin termampu dilakukannya. "Saya tidak pernah mempertimbangkan untuk bergelar ahli politik. Menjadi pelakon pun sudah mencabar apatah lagi untuk menjadi pemimpin. "Saya sangat kagumi kekuatan ahli-ahli politik yang mampu berkompromi dalam segenap aspek kehidupan termasuk soal privasi. Kriteria seorang ahli politik tidak ada pada personaliti diri saya," ujarnya. Filem yang diinspirasikan daripada kronologi hidup pemenang Anugerah Keamanan Nobel (1991) itu turut dibintangi antaranya David Thewlis, Jonathan Woodhouse dan Jonathan Raggett. The Lady bakal ditayangkan di pawagam pada 3 Mei depan. |
| Sam Yakin Tidak Abaikan Bunkface & The Azenders Posted: 24 Apr 2012 08:58 PM PDT Sam (dua, kanan) bersama kumpulan The Azenders.KUALA LUMPUR: Penyanyi Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Bahrom yakin tidak mengabaikan Bunkface dan The Azenders selepas membuat keputusan menjadi vokalis dua kumpulan tersebut serentak. Sam berkata, setakat ini dia tidak mempunyai masalah memberikan komitmen kepada ahli kumpulan berkenaan kerana muzik itu sendiri telah mendisiplinkan dirinya. "Muzik adalah cinta saya dan saya sentiasa teruja apabila sesuatu perkara itu berkaitan dengan bidang tersebut. "Begitu juga dengan komitmen terhadap Bunkface dan The Azenders. Kedua-duanya sama penting dan saya tidak pernah mengabaikan mereka," ujarnya kepada mStar Online. Sam ditemui selepas majlis pelancaran muzik video lagu Bebas ciptaannya sebagai lagu tema filem Jiwa Taiko di sini, Selasa. Tambah Sam, ahli kumpulannya juga tidak pernah ada masalah dengan penglibatannya dalam dua buah kumpulan malah memberi sokongan padu. Ujar Sam, ahli dari Bunckface dan The Azenders saling mengenali dan telah berkawan sejak dahulu. "Mereka semua banyak memberi sokongan dan kerjasama malah sering lepak bersama kerana kami memang berkawan," katanya. Dalam pada itu, bercakap mengenai penglibatan The Azenders dalam menyumbangkan lagu tema untuk filem arahan Osman Ali itu, Sam berkata, mereka menghantar dua buah lagu kepada pengarah tersebut dan lagu Bebas telah menjadi pilihan. Sam memberitahu, lagu tersebut sudah lama ada dalam simpanannya dan kebetulan konsep lagu itu dengan tema filem berkenaan sesuai sehingga dipilih sendiri oleh Osman. "Saya sudah menulis lagu itu agak lama dan apabila ia dipilih kerana sesuai dengan tema ceritanya saya ada membuat sedikit perubahan supaya ia lebih kemas dari segi lirik dan susunan muzik," katanya. Dalam perkembangan lain, Sam berkata The Azenders sedang mengumpul beberapa material sebelum muncul dengan album penuh selewat-lewatnya pada hujung tahun ini. Sebelum itu, mereka akan memberikan tumpuan kepada single Bebas untuk promosi dan persembahan pentas. |
| 'Detik Tragik' Papar Bencana Terburuk Dalam Negara Posted: 24 Apr 2012 08:57 PM PDT Gambar fail menunjukkan orang ramai menghadiri pengebumian 93 penumpang dan tujuh orang anak kapal terbunuh apabila pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia terhempas di Tanjung Kupang, Johor pada 4 Disember 1977. PETALING JAYA: Stesen TV3 bakal menyiarkan sebuah dokumentari kisah benar yang memaparkan peristiwa cemas dalam negara termasuklah kejadian letupan kilang mercun dan bunga api Bright Sparklers di Sungai Buloh dekat sini pada tahun 1991. Penerbit Eksekutifnya, Mohd Said Abdullah Thani berkata, program Detik Tragik sebanyak 13 episod itu diterbitkan untuk memberi peluang kepada generasi hari ini menyaksikan peristiwa penting dan bencana yang telah meragut nyawa dan menggemparkan negara. "Kami menggunakan pendekatan penyiasatan secara serius yang melibatkan tinjauan ke lokasi kejadian sebenar dan menemu bual saksi serta mangsa yang terlibat. Zakiah Anas antara wartawan yang terlibat dalam 'Detik Tragik'."Banyak maklumat baru yang kami bongkar dalam Detik Tragik selain yang pernah disiarkan menerusi media," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Selasa. Antara peristiwa yang akan turut disiarkan seperti kebakaran di Terminal 1, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Ribut Greg di Keningau, Sabah, Tsunami di Pulau Pinang dan Kedah dan banjir lumpur di Pos Dipang, Perak. Turut dipaparkan kejadian terminal feri runtuh di Butterworth, pesawat terhempas di Tanjung Kupang, Johor yang turut meragut nyawa seorang menteri serta tanah runtuh di Genting Sempah, Pahang. Katanya, kejadian letupan kilang mercun dan bunga api yang berlaku pada 7 Mei 1991 itu pasti meninggalkan kenangan pahit kerana ia telah meragut 26 nyawa manakala 83 orang cedera. Letupan kilang bunga api dan mercun di Sungai Buloh pada tahun 1991."Letupan dahsyat itu turut digelar 'Hiroshima Sungai Buloh' berikutan gegaran ledakan seakan-akan bom atom. Berpunca daripada 200 tan belerang, gegaran ledakan tersebut dapat dirasai sehingga tujuh kilometer dari lokasi tragedi," ujarnya. Siri dokumentari itu menampilkan gabungan wartawan berpengalaman dan muka baru, seperti Zakiah Anas, Harris Mohd Farok Alex, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin, Mohd Raziff Zulkafli, Siti Hajar Rozli, Nurul Syafikah Abd. Masri dan Syazwan Syuwari Nordin Ia akan bersiaran selama setengah jam pada setiap hari Rabu pukul 9 malam bermula 2 Mei depan. |
| Osman Ali Terima Jika 'Jiwa Taiko' Dibandingkan Posted: 24 Apr 2012 08:57 PM PDT Pengarah filem Jiwa Taiko Osman Ali.KUALA LUMPUR: Pengarah filem Osman Ali tidak kisah jika karya terbarunya daripada genre aksi iaitu Jiwa Taiko akan dibandingkan dengan filem KL Gangster arahan Syamsul Yusof. Osman berkata, sebagai pengarah dia tidak dapat mengelak untuk filem itu dibandingkan-kerana banyak filem-filem aksi sebelum ini telah terlebih dahulu dihasilkan. "Rasanya jika filem Jiwa Taiko ditayangkan dahulu daripada filem aksi lain, pasti ia tetap dibuat perbandingan dengan KL Gangster. "Tapi saya harap perbandingan atau kritikan nanti biarlah yang positif dan membina," ujarnya kepada mStar Online. Osman ditemui ketika majlis pelancaran muzik video 'Bebas' nyanyian kumpulan The Azenders yang menjadi lagu tema filem tersebut. Jiwa Taiko bakal ditayangkan pada 14 Jun depan dan membariskan nama-nama besar seperti Remy Ishak, Bront Palarae, Diana Danielle, Nadiya Nissa, Fizz Fairuz dan Beto Khusyairi. Dalam pada itu, Osman berkata, pendekatan yang digunakan dalam filem tersebut sedikit berbeza dengan filem-filem aksi sedia ada menggabungkan banyak elemen dengan menitikberatkan jalan cerita. Tambah Osman, ia juga akan memaparkan lebih banyak seni mempertahankan diri seperti silat dalam babak-babak aksi. "Memasukkan elemen seni mempertahankan diri barangkali kelainan paling ketara dalam filem ini kerana kita tidak mahu babak pergaduhan menggunakan aksi yang sama seperti mana yang telah banyak dipaparkan dalam filem antarabangsa lain. "Sekali gus ia dapat membudayakan seni silat sebagai contoh kepada penonton," ujarnya. Filem terbitan Nuansa Sdn Bhd itu menelan kos sebanyak RM1.8 juta termasuk promosi. Osman berkata, dia tidak mahu meletak harapan terlalu tinggi dari segi kutipan seperti mana filem Ombak Rindu tetapi berharap Jiwa Taiko dapat mencecah sekurang-kurangnya RM4 juta apabila ditayangkan kepada umum kelak. Sementara itu, Osman menjelaskan dia sedar harapan masyarakat terhadapnya sangat tinggi selepas kejayaan filem cinta Ombak Rindu. Mengakui sedikit tertekan, Osman bagaimanapun optimis karya terbarunya akan diterima penonton. "Saya hasilkan Jiwa Taiko sebelum Ombak Rindu dan kejayaan filem itu di pawagam telah memberi satu tanggapan kepada peminat iaitu saya akan keluar dengan mutu filem yang setanding dengan filem tersebut. "Bagaimanapun, saya yakin filem ini akan memenuhi cita rasa penonton sekali gus diterima dengan baik," ujarnya. |
| Megan Fox Mengaku Sedang Hamil Posted: 24 Apr 2012 08:56 PM PDT Megan Fox dan suami, Brian. KHABAR angin mengenai kehamilan pelakon Megan Fox telah tercetus sejak bulan Mac lalu, namun tiada sebarang pengesahan dibuat oleh tuan punya badan kepada media. Bagaimanapun, bintang filem Transformers tersebut akhirnya membuat pengakuan itu kepada E! News bahawa dirinya sedang mengandung anak sulung dengan suaminya, Brian Austin Green. Selain membuat pendedahan itu, Megan turut memberitahu dia dan suami inginkan beberapa orang anak lagi kerana suka dengan keluarga yang besar. "Saya ingin mempunyai anak lagi selepas ini kerana suka kepada keluarga yang besar dan ingin menjadi ibu yang baik kepada mereka," ujarnya. Megan dan Brian berkahwin pada bulan Jun 2012. |
| Angelina Jolie Pilih Gaun Versace Pada Majlis Kahwin Posted: 24 Apr 2012 08:55 PM PDT Brad Pitt dan Angelina Jolie mengejutkan peminat apabila mengakui telah mengikat tali pertunangan dan bakal berkahwin. SELEPAS secara rasmi mengikat tali pertunangan baru-baru ini, pasangan Brad Pitt dan Angelina Jolie semakin rancak merencanakan hari pernikahan mereka. Perkara yang paling menarik perhatian peminat dan masyarakat adalah pilihan busana yang akan dikenakan oleh Angelina pada hari bahagianya itu nanti. Namun seperti dilaporkan oleh Dailymail, desas desus mengatakan wanita berusia 36 tahun ini akan mengenakan gaun pengantin daripada rekaan Versace. Jenama itu juga sememangnya menjadi kegemaran pelakon berbakat besar itu sejak sekian lama. Angelina juga dikhabarkan telah melantik seorang perunding imej untuk memberinya saranan berkaitan perkahwinannya nanti. Pasangan itu telah bercinta hampir lapan tahun dan mempunyai enam orang anak dan Angelina sebelum ini memberitahu dia tidak mahu merosakkan hubungannya dengan Brad dengan ikatan perkahwinan. |
| Posted: 24 Apr 2012 08:53 PM PDT DI SINI...tempat mangsa diserang sekumpulan lelaki di Desa Melawati. KUALA LUMPUR: Seorang lelaki nekad merempuh kepungan kira-kira 30 lelaki bagi menyelamatkan abangnya yang parah akibat dibelasah dan ditetak dengan parang oleh kumpulan lelaki itu dan terpaksa memapah abangnya sejauh lebih 20 meter untuk keluar dari tempat kejadian. Kejadian berlaku depan sebuah premis perniagaan di Desa Melawati, di sini, pada jam 1 pagi Ahad lalu selepas abang lelaki itu parah diserang kumpulan lelaki terbabit. Sumber berkata, sebelum itu mangsa berusia 40-an melihat berlaku pergaduhan membabitkan sekumpulan kira-kira 30 lelaki dan dia berniat ingin menyuraikan pertelingkahan terbabit kerana mengenali seorang daripada mereka yang terbabit dalam insiden itu.
|
| Posted: 24 Apr 2012 08:52 PM PDT KOTOR...Ahmad Shuib menunjukkan longgokan sampah haram di Kampung Sungai Pinang, Klang. KLANG: "Sejak enam bulan lalu, kami penduduk Kampung Sungai Pinang terdedah bau busuk dan bahaya yang berpunca daripada longgokan sampah haram yang dibuang di kawasan lapang kira-kira 50 meter dari kawasan rumah," kata Ahmad Shuib Ahmad Hariri, 33, semalam. Menurut Ahmad Shuib, dia dan keluarga bukan saja menghidu bau busuk setiap hari, malah berdepan masalah langau dan agas akibat pembuangan sisa pepejal itu.
"Saya risau sekiranya masalah ini tidak diatasi segera, ia akan memudaratkan kesihatan penduduk terutama anak kecil," katanya.
Katanya, keseluruhan longgokan sampah dianggarkan berjumlah 50 tan hingga 60 tan akan diangkut serta dihantar ke pusat pelupusan sampah di Jeram, Kuala Selangor.
Sementara itu, jurucakap PTD Klang ketika ditemui berkata, 18 pemilik tanah berkenaan tidak dapat dikesan sehingga kini.
"PTD sudah mengeluarkan notis di Balai Penghulu Rantau Panjang supaya pemilik dapat melihat nama mereka. Jika pemilik masih gagal tampil selepas tempoh notis berakhir, kami mengeluarkan notis 8A dengan tanah mereka akan dirampas," katanya. |
| Posted: 24 Apr 2012 08:51 PM PDT BANGGA...Mohd Radzi (kiri) menerima anugerah Meja Sukan Pilihan daripada pengulas sukan, Azlan Johar (tengah) dan Rosli Hussein di majlis Anugerah Astro Arena. AKHBAR nombor satu negara, Harian Metro menerusi bahagian sukan 'Arena' yang menyalurkan berita sukan tempatan dan luar negara menjadi pilihan orang ramai apabila mendapat pengiktirafan pada Anugerah Astro Arena 2011 (AAA). Anugerah yang dianjur rangkaian televisyen Astro Arena buat tahun kedua itu menobatkan ruangan sukan Harian Metro menerima anugerah Meja Sukan Pilihan menewaskan empat pesaing utama terdiri daripada The Star, Berita Harian, Kosmo dan New Straits Times.
"Kami akan berusaha dengan lebih gigih mempertingkatkan lagi mutu laporan yang diketengahkan untuk kepuasan pembaca," katanya.
Lapan kategori dipertandingkan pada tahun ini, Anugerah Atlet Pilihan Lelaki dan Wanita dalam Pasukan, Atlet Muda Pilihan, Kebangkitan Pilihan, Jurulatih Pilihan, Blog Sukan Pilihan, Perlawanan Pilihan dan Meja Sukan Pilihan. Kesemua pencalonan untuk tahun ini dipilih sepenuhnya oleh Astro Arena dengan kerjasama Majlis Olimpik Malaysia (MOM). |
| Posted: 24 Apr 2012 08:48 PM PDT SEPANJANG menyusukan anak, pengambilan makanan seimbang di kalangan ibu adalah penting bagi memastikan mereka dapat menyalurkan cukup zat dan khasiat kepada bayi bagi meningkatkan kekuatan tubuhnya selain membina daya ketahanan terhadap jangkitan penyakit. Walaupun ada pelbagai pendapat untuk memperbanyakkan susu, namun sebenarnya tiada pemakanan khusus perlu diikuti golongan ibu yang menyusukan anak, tetapi mereka harus mengamalkan gaya hidup sihat dan mengambil makanan seimbang seperti disarankan piramid makanan. Pun begitu, mereka dinasihatkan supaya melebihkan pengambilan sayur berdaun hijau yang kaya dengan zat besi bagi memastikan tumbesaran sempurna kepada bayi. Pakar laktasi, Che Aini Abdul Razak berkata, masih ramai ibu tidak mempunyai pengetahuan khusus mengenai pemakanan ketika menyusukan anak selain terikut-ikut sesetengah budaya yang mengehadkan pemakanan ibu mengandung termasuk mengelaskannya sebagai makanan 'sejuk' atau 'panas', sedangkan semua makan baik untuk mereka.
|
| Posted: 24 Apr 2012 08:47 PM PDT Sukar untuk mempercayai bahawa satu hari nanti peluang keemasan itu tiba juga akhirnya. Sebaik saja diberi mandat untuk membawakan watak sebagai pejuang kontroversi itu, aktres terkenal antarabangsa kelahiran Malaysia, Datuk Michelle Yeoh sememangnya menyimpan angan-angan untuk bertentang mata dengan Suu Kyi. "Lebih menyentuh perasaan apabila saya berpeluang menyaksikan sendiri pertemuan antara ibu dan anaknya yang sudah terpisah lebih 10 tahun. Sepanjang pembikinan skrip filem ini, kami banyak dibantu oleh anak Suu Kyi iaitu Kim dari segi mendapatkan maklumat selain kaji selidik yang kami buat sendiri. "Manakala anak sulungnya Alexander tidak mahu terbabit langsung dan kami amat menghormati pendiriannya itu," terang pelakon yang pernah muncul dalam filem James Bond: Tommorow Never Dies, Memoirs of Geisha, Crouching Tiger, dan Hiden Dragon ini. Berkongsi cabaran yang terpaksa dilalui bagi membawakan watak ini, Yeoh berkata selain perlu belajar bahawa Myanmar, beliau juga perlu mendapatkan bentuk tubuh yang sama dengan pemimpin itu. "Katalah saya perlu berada di lokasi dalam jam 6 pagi. Pukul 4 pagi saya sudah bangun untuk bersenam. Sepanjang tempoh itu juga menjalani diet dengan hanya memakan ikan kukus. Itu semua bagi mendapatkan bentuk tubuh dan postur yang sama dengan Suu Kyi. "Cabaran lain yang perlu saya hadapi adalah belajar bahawa Myanmar. Saya masih teringat babak yang memerlukan saya berucap di depan khalayak dan ia perlu dilakukan dengan sekali 'take' saja kerana isi kandung teks ucapan itu terlalu emosional buat rakyat Myanmar. "Tiba-tiba pengarah meminta saya mengulangi semula babak tadi kerana seorang lelaki yang berdiri di sebelah saya menangis tak henti-henti. Dari situ saya sedar bahawa kita bukan saja sekadar mempelajari bahasa tetapi perlu menghayatinya," katanya. Ditanya mengapakah memilih untuk membawakan watak itu, Yeoh berkata inilah masanya untuk membuktikan bahawa pelakon Asia juga mampu membuat sesuatu yang boleh membanggakan dunia. "Sebelum ini pelakon Asia sering dilabel sebagai stereotype. Jadi sebaik saja mendapat tahu ada pihak yang ingin menghasilkan sebuah filem mengenai Suu Kyi, saya menyuruh ejen saya di Los Angeles menghubungi pihak itu. "Sebagai idola, saya memang teringin membawakan watak itu. Takkanlah watak ikon Asia seperti itu perlu diberikan kepada Nicole Kidman? Memang tak sesuai,"tegasnya. Disebabkan filem ini mempunyai elemen politik di dalamnya, beliau turut ditanya apakah mempunyai kecenderungan untuk menceburi bidang itu? "Jiwa saya memang tidak ke arah itu (politik). Saya mahu kekal menjadi pelakon. Lagipun bukan mudah untuk menjadi ahli politik. Mereka perlu mendengar segala pendapat orang. "Biarlah tugas itu diberikan kepada mereka yang layak. Dunia saya lebih kepada alam sekitar dan sebagainya," katanya. Filem The Lady yang diarahkan oleh Luc Besson ini bukanlah semata-mata berkisar kepada pergolakan politik di Myanmar tetapi ia lebih kepada kisah cinta epik membabitkan pasangan yang terpaksa mengorbankan kebahagiaan mereka dan juga keluarga demi sebuah tujuan yang lebih murni. Ini adalah cerita mengenai Aung San Suu Kyi dan suaminya, Michael Aris. Walaupun jarak menjadi pemisah serta isu politik yang hampir meragut nyawa, namun cinta mereka tetap kekal dan utuh. Suu Kyi adalah lambang emansipasi seorang wanita yang sanggup mengenepikan kepentingan diri demi negara yang dicintainya. Turut membintangi filem ini ialah David Thewlis, Jonathan Raggett dan Jonathan Woodhouse. |
| Kesan kurang zat besi ketika hamil Posted: 24 Apr 2012 08:45 PM PDT Lazimnya wanita mengandung mengalami masalah anemia kekurangan zat besi. - Gambar hiasan RASA letih, sakit, mudah terganggu atau lemah ialah perkara biasa bagi kebanyakan wanita semasa mengandung. Golongan ini sering kali diberitahu agar mengabaikan gejala yang dialami memandangkan semuanya adalah kesan perubahan hormon dan badan yang dianggap biasa semasa hamil. Tapi jangan ambil mudah kerana ia mungkin petanda kepada keadaan lebih serius iaitu anemia kekurangan zat besi. Memandangkan satu daripada tiga wanita mengandung mengalami anemia kekurangan zat besi yang lebih lazim berlaku tetapi jarang disedari oleh kaum wanita. Ini menyebabkan ia sering tidak dirawat hingga memberi kesan kesihatan dalam jangka panjang kepada ibu dan bayi. Dalam usaha meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai tentang anemia dalam kehidupan harian wanita hamil dan juga selepas melahirkan anak, Merck Consumer Healthcare baru-baru ini menganjurkan bengkel pendidikan bersama Dr. Premitha Damodaran, pakar Obstetrik dan Ginekologi yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kepakarannya. Bertema Kehamilan dan Anemia: Lebih Lazim Daripada Yang Anda Jangka, Panduan Memastikan Ibu Sihat Sejahtera, Dr. Premitha berkongsi nasihat tentang cara untuk menangani anemia sebelum wanita mengandung, semasa mengandung dan selepas bersalin. Fungsi darah dan anemia Zat besi merupakan komponen utama dalam sel darah merah yang menghantar oksigen ke seluruh badan untuk memastikan kelangsungan hidup. Menurut Dr. Premitha, wanita yang menghadapi risiko anemia perlu merancang dan menjaga diri semasa hamil dan selepas melahirkan anak dengan mengawasi kandungan darah mereka. Apabila bilangan sel darah merah kurang daripada normal iaitu di bawah bacaan 12-15mg/dl, wanita menghadapi risiko mengalami anemia yang paling umum iaitu anemia kekurangan zat besi. Ini mungkin disebabkan kekurangan zat besi dalam badan kerana diet yang tidak cukup zat besi, penyerapan rendah oleh badan, kesan sampingan ubat tertentu, keadaan genetik, kehilangan darah teruk dan kehamilan. Memahami anemia dan kehamilan Wanita yang hamil memerlukan zat besi tambahan untuk menghasilkan lebih banyak darah bagi menyokong keperluan khasiat pemakanan diri sendiri dan juga tumbesaran bayi mereka. Dianggarkan bahawa wanita memerlukan kira-kira 50 peratus lebih banyak zat besi semasa hamil, bertambah daripada 15 kepada 27mg/dl sehari. "Malangnya, ramai wanita memulakan kehamilan tanpa simpanan zat besi yang secukupnya untuk memenuhi permintaan lebih tinggi badan terhadap mineral tersebut, menyebabkan anemia kekurangan zat besi yang berlanjutan walaupun selepas melahirkan anak. "Mereka yang menghadapi risiko anemia kekurangan zat besi selepas melahirkan anak ialah wanita yang disahkan menghidap anemia kekurangan zat besi semasa hamil, mereka yang mengalami kehilangan darah berlebihan semasa melahirkan anak, wanita yang telah melahirkan anak beberapa kali dan ibu yang sedang menyusukan bayi. "Gejala anemia mungkin mirip keadaan kehamilan lain atau anemia pada umumnya. "Lebih penting lagi, wanita hamil yang mengalami anemia kekurangan besi hendaklah sedar bahawa mereka bukan sahaja mengalami gejala seperti pucat, letih dan lesu, sesak nafas dan lain-lain. "Anemia semasa hamil dan selepas melahirkan anak sering dikaitkan dengan tahap kerumitan serius seperti keguguran, kelahiran pra-matang, berat lahir rendah, dan peningkatan kebarangkalian ibu meninggal dunia," katanya Dr. Premitha. |
| Kecelaruan gender dilaknat Allah Posted: 24 Apr 2012 08:43 PM PDT Program Liga Ilmu yang dihoskan oleh Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah pada rakamannya baru-baru ini telah membahaskan topik Lelaki Lembut, Perempuan Ganas. BUNGA bukan sekuntum, kumbang bukan seekor' merupakan pepatah Melayu yang biasa bagi memujuk hati yang ditinggalkan kekasih. Tetapi fenomena hari ini pula dikatakan, bunga banyak yang layu sebelum kembang dan kumbang pula banyak yang patah sayapnya sebelum terbang. Ini apabila gejala sosial melanda kalangan muda-mudi hari ini, seperti lelaki lembut dan perempuan ganas. Permasalahan yang begitu hangat diperkatakan dari dahulu hingga sekarang mengenai kecelaruan gender di antara kaum lelaki dan perempuan. Mereka tidak dapat menerima hakikat kejadian diri dengan alasan terperangkap dalam jasad yang berlainan dan untuk semua itu maka takdir tuhan dipersalahkan. Persoalan inilah yang menjadi satu topik perdebatan yang hangat dibicarakan antara barisan pendebat yang terdiri daripada peserta program televisyen popular, Astro Oasis, iaitu Ustazah Pilihan dan Imam Muda sebagaimana yang dirakamkan baru-baru ini. Rakaman berlangsung di Dewan Gemilang, Universiti Kuala Lumpur, Jalan Pusu, Gombak Selangor untuk rancangan Liga Ilmu, sebuah program debat agama yang akan bersiaran di Astro Oasis yang dihoskan oleh pendakwah dan penceramah terkenal, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah. Ustazah Pilihan terdiri daripada Nurul Hidayah Kamaruddin dan Siti Nor Hafidza Razali. Manakala Imam Muda diwakili Abdul Fattah Riddzwan dan Nazrul Izwan Zolkiflee. Kesemua mereka saling bertarung mempertahankan hujah masing-masing dan mematahkan hujah-hujah pihak lawan demi menegakkan dan menyebarkan kebenaran. Walaupun dikatakan masyarakat kita tidak dapat menerima kehadiran golongan kecelaruan gender ini, jumlah mereka tetap semakin bertambah. Ini kerana bagi golongan ini sendiri mendakwa kononnya kecelaruan yang menimpa mereka ini merupakan penyakit yang sukar untuk diubati dan masyarakat diminta menerima mereka tanpa menghalang apa juga perlakuan yang mereka tunjukkan. Apabila dikatakan terperangkap dalam jasad wanita misalnya, mereka akan memakai segala kelengkapan dan aksesori seperti seorang wanita dan masyarakat tidak boleh menahan ini daripada berlaku dan berleluasa kerana sudah menjadi hak mereka. Sedangkan sebagaimana Rasulullah SAW ada menyebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas: Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki. (riwayat al-Bukhari) Hadis ini tidak sahaja bermaksud soal pakaian tetapi turut menjurus aspek gaya rambut, perhiasan, penampilan, cara bercakap, gaya jalan dan sebagainya. Siti Nor Hafidza misalnya memulakan hujah bagaimana tindakan seorang tuan yang memelihara seekor itik bernama Ploppo tetapi cuba diubah untuk menjadi seperti seekor anjing. Serba serbi Ploppo cuba diajar mengikut perlakuan anjing seperti makan di dalam mangkuk anjing, menggoyang-goyangkan ekor, melompat, menggigit barang dan sebagainya. Walaupun begitu itik tetap itik, yang tidak akan boleh sama sekali menjadi haiwan lain walaupun mungkin sesetengah daripada perlakuan anjing itu dapat ditiru. Ini apabila akhirnya tuan Ploppo mengalah apabila sang itik gagal dan terus gagal, terutama dalam menjayakan tugasan membawa suratkhabar menggunakan mulut untuk diserahkan kepada tuannya. Satu tugas yang mudah dilakukan oleh seekor anjing tetapi bukan kepada Ploppo. "Ini menunjukkan bahawa apa pun asal kejadian kita, kita tidak akan boleh mengubahnya kerana ia sangat berlawanan dengan fitrah kejadian bahawa lelaki ingin menjadi perempuan dan begitu juga sebaliknya tidak akan pernah boleh dilakukan. "Bukan sahaja membabitkan soal fizikal tetapi juga membabitkan soal perasaan atau emosi, sebagaimana yang diatur dan diciptakan oleh Allah, ia tidak akan pernah berubah kerana sebarang perubahan hanya akan membawakan kemudaratan kepada tuan punya badan itu sendiri," terangnya. Siti Nor Hafidza turut mengemukakan fakta saintifik, iaitu istilah miosis, suatu keadaan kecelaruan gender dan lain-lain masalah gender yang berpunca daripada pencemaran persekitaran seperti pengambilan ubat yang salah, kesan daripada radiasi dan lain-lain pencemaran kimia dan sebagainya. Ini menyebabkan kehadiran mereka (celaru gender) ini perlu diterima dalam masyarakat. Namun kata-kata Siti Nor Hafidza ini dipatahkan oleh Abdul Fattah yang tidak mahu kenyataan itu disalah tafsir, kononnya golongan yang sering dipanggil sebagai pondan sebenarnya boleh diterima sepenuhnya dalam masyarakat. "Hukum dan penemuan sains itu tidak dinafikan memang ada kebenarannya tetapi kita perlu letak ia di bawah hukum Allah. Hukum Allah SWT tetap yang teratas. Ini hanya satu faktor kecil yang bukan menjadi satu tiket besar untuk seseorang itu berubah secara total, sehingga mengubah kejadian, menukar alat kelamin dan sebagainya. "Ini hanya faktor kecil yang boleh dipulihkan terutama melalui kaedah perubatan moden itu sendiri yang turut mengutamakan kaedah rawatan secara Islam terutama ibadah sebagai penawar yang paling berkesan untuk mereka kembali pulih," ujar Abdul Fattah. Pintu taubat sentiasa terbuka SEGELINTIR mungkin mendakwa bahawa Islam lebih suka menghukum, tidak memahami soal perasaan dan jiwa yang sukar diubah itu. Namun Abdul Fattah berkata, Islam bukan agama penghukum malah sebenarnya Islam adalah agama membawa berita gembira. "Di sebalik tanzir (hukuman), haram mengubah kejadian, adanya busra atau berita gembira, iaitu Allah sebenarnya membuka pintu taubat itu lebih luas dan banyak berbanding pintu hukum. "Seseorang yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat tidak perlu bimbang mengenai soal hukuman malah yang Allah janjikan syurga bagi mereka yang bertaubat dan kembali kepada hakikat kejadian. "Jangan sama sekali kita putus daripada rahmat Allah dan semua ini hanya merupakan satu ujian, untuk menguji kita dan berjaya melepasinya merupakan satu kemenangan," katanya. Namun rata-rata akhirnya bersetuju bahawa tidak adanya golongan yang terperangkap dalam jasad jantina lain kecuali ia hanya pengaruh negatif dari Barat yang memperjuangkan aktiviti seks antara lelaki dengan lelaki, iaitu gay dan perempuan dan perempuan iaitu lesbian. Justeru, jika masing-masing kembali kepada akidah dan tauhid yang mantap pastinya tidak timbul soal kecelaruan gender. Di samping, bimbingan dan didikan yang teguh daripada ibu bapa yang mencorakkan hala tuju kehidupan seorang anak ke jalan yang diredai Allah SWT. |
| Kulit tegang, wajah lebih cerah Posted: 24 Apr 2012 08:40 PM PDT CollaB'utee adalah salah satu produk kolagen terbaik terutamanya untuk golongan wanita kerana ia mengandungi komponen antioksidan dan vitamin C yang baik untuk kulit. KOLAGEN merupakan elemen penting dalam mengekalkan kecantikan seseorang terutama mereka yang mengidamkan kulit tegang, anjal, cerah dan menawan. Pengambilan kolagen merupakan pengganti kepada suntikan dalam mendapatkan wajah dan bentuk badan idaman. Selain itu, suntikan pula kadang-kadang boleh mendatangkan pelbagai kesan sampingan yang memudaratkan. Kini produk yang mengandungi kalogen boleh didapati secara meluas di pasaran di seluruh negara. Salah satunya ialah jenama CollaB'utee yang merupakan produk kolagen terbaik untuk golongan lelaki dan wanita. Ia mengandungi komponen antioksidan Vitamin C yang mampu mengelakkan kulit menjadi kering, mengurangkan kedutan dan menambahkan seri di wajah. Produk ini terbukti apabila kebanyakan pengguna dapat merasai sendiri perubahan positif kepada diri mereka kerana produk yang dirumus dari Jepun itu mempunyai pelbagai kelebihan. Antaranya memulihkan keanjalan dan keremajaan kulit, menghilangkan garis halus dan kedutan, membaikpulih sel kulit, menegang dan menggebukan kulit serta mengurangkan pigmentasi. Produk itu juga membantu mencerahkan kulit, menambahkan kelembapan kulit, melindungi kulit daripada radiasi UV yang berbahaya dan untuk wanita ia turut membantu menegangkan payu dara. Selain itu, CollaB'utee mengandungi oksidan yang meneutralkan serangan radikal bebas dan memelihara kulit dari dalam, merangsang pertumbuhan kolagen serta menghalang oksidasi sel. Minuman kolagen halal ini boleh diambil dengan cara mencampurkan satu paket kandungannya dengan air mineral sejuk dan minum sebelum sarapan dan sebelum tidur. Selain itu, ia juga boleh dicampur dengan jus buah-buahan bagi mempelbagaikan cara pengambilan. CollaB'utee merupakan minuman kecantikan dan kesihatan yang berasaskan hidrolisis kolagen laut yang mengandungi ramuan yang istimewa. Setiap pek 10 gram Collab'utee yang dirumus khas dari Jepun terdiri daripada kolagen, vitamin C dan berperisa strawberi. Golongan yang disarankan untuk mengambil CollaB'utee ialah wanita berusia 25 tahun ke atas, Wanita yang mengidamkan payu dara montok, ingin kulit muka yang berseri dan gebu serta mereka yang mahu menegangkan dan mengurangkan kedutan kulit. Selain itu wanita yang terdedah kepada pancaran matahari terik juga disaran mengamalkan produk ini selain mereka yang mengalami masalah hormon kurang stabil. Malah pengambilan produk ini juga boleh membantu mengatasi tona kulit yang tidak sekata dan membebaskannya dari pigmentasi dan jeragat. CollaB'utee dirumus daripada bahan aktif yang merupakan sumber kolagen dari ikan laut dalam dengan daya keterlarutan tinggi, mudah dihadam dan berdaya serapan kelembapan yang rendah. Ia turut mengandungi L-Arginine, iaitu bahan utama bagi pembaikpulih tisu dan tulang yang rosak. L-Lysine yang terdapat dalam CollaB'utee pula merupakan asid amino untuk pertumbuhan dan pemulihan tisu badan. Bahan aktif lain yang terdapat dalam produk ini ialah oligo bagi membersihkan usus dan melegakan sembelit. Protein soya yang terdapat di dalamnya pula bagi pembinaan semula sel badan sementara pati soya atau isoflavones membantu menegangkan payu dara dan menyeimbangkan hormon. Turut terkandung dalamnya ialah bahan antioksidan dan multivitamin yang melindungi tubuh dari radikal bebas, tekanan oksidatif dan membenarkan molekul kolagen terbentuk. Ia merupakan elemen penting dalam pembinaan semula tisu parut, salur darah dan pembentukan tulang rawan. Mereka yang berminat untuk mencuba produk ini atau menjadi pengedar boleh menghubungi 0133443700 dan 0133605700 atau layari www.SunFabulous.com. |
| Zuriati belajar daripada kesilapan Posted: 24 Apr 2012 08:28 PM PDT Zuriati Mohamed Yusoff berbincang sesuatu bersama sebahagian kakitangannya. KELUARGA pernah menyifatkan saya 'gila' apabila saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan melibatkan diri dalam perniagaan menjual insurans." Itulah antara reaksi awal Pengurus Wilayah AIA AFG Takaful Bhd., Zuriati Mohamed Yusoff, apabila ditanya mengenai sokongan keluarga apabila dia sanggup melepaskan pendapatan bulanan yang melebihi RM5,000 sebulan semata-mata ingin menceburkan diri dalam bidang insurans. Bagi Zuriati, walaupun perjalanan hidupnya selepas melepaskan jawatan sebagai pengurus akaun di sebuah syarikat swasta tidak selancar yang diimpikan, tetapi berkat usaha serta kegigihan yang disemat di dalam diri, dia akhirnya berjaya mengharungi segala kesulitan hidup. Menurut anak kelahiran Bidor, Perak, ini, walaupun enam bulan pertama pembabitannya di dalam bidang insurans tidak mendatangkan hasil, dia nekad ingin membuktikan kebolehannya selepas menyedari ia berpunca daripada dirinya sendiri. Malah Zuriati menegaskan, disiplin merupakan elemen penting yang harus ada di dalam diri setiap individu apabila ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan. "Kegagalan enam bulan pertama sebaik sahaja menjadi ejen insurans adalah disebabkan kelalaian saya sendiri kerana waktu itu buat sambil lewa sahaja. "Maklumlah, waktu itu dah bekerja sendiri, dah jadi bos, jadi segala-galanya dibuat tanpa memikirkan kebaikan ataupun keburukan, disiplin diri juga tidak ada. "Setelah menyedari kesilapan sendiri, saya akhirnya 'bangun daripada tidur' dan akhirnya di sinilah saya hari ini," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Dia yang kini merupakan agensi berdaftar untuk AIA AFG Takaful (Islamic) Insurans turut memberitahu, kejayaan yang ditempa hari ini bukanlah dikecapi dalam sekelip mata malah ia memerlukan pengorbanan serta kesungguhan yang jitu dalam diri. Mengimbas kembali pembabitannya di dalam bidang insurans, ujar ibu kepada seorang cahaya mata ini, dia inginkan kelainan dalam kehidupannya dan ingin keluar daripada kepompong lama. Dalam masa yang sama, Zuriati juga ingin menghabiskan masa bersama keluarga di mana dia merasakan selama 13 tahun menguruskan akaun, masanya bersama keluarga terhad. Disebabkan itulah, Zuriati nekad melepaskan jawatannya dan tanpa berfikir panjang dia memilih untuk menjadi agen insurans. Apabila ditanya mengapa memilih insurans sebagai sumber pendapatannya hari ini, jelas anak keempat daripada lapan beradik ini, selain meminati bidang perniagaan, dia turut berpendapat bidang insurans satu bidang yang mempunyai masa depan yang cerah. Bagaimanapun, bagi Zuriati, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Yang penting minat serta kesungguhan untuk mengusahakan sesuatu perniagaan tersebut dan insya-Allah, segala-galanya akan berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Hari ini setelah lapan tahun menerajui bidang insurans, Zuriati sudah boleh berbangga kerana dengan hanya bermula sebagai agen, dia kini sudah mempunyai syarikatnya sendiri, ZMY & Associate Sdn. Bhd., selain mempunyai 20 buah pejabat di Ipoh, Perak; Kuantan, Pahang; Seremban, Negeri Sembilan; Kota Bahru, Kelantan dan Terengganu. Selain itu, ZMY & Associate turut mempunyai 120 orang agen seluruh Malaysia dengan lapan orang pekerja dan tujuannya cuma satu untuk merekrut seramai mungkin agen di samping menjana pendapatan sampingan keluarga. "Bidang ini menjanjikan lebih pendapatan dan untuk mereka yang mencari pendapatan sampingan bolehlah mencuba. "Walaupun bidang insurans ini nampak susah dengan menduduki pelbagai peperiksaan tetapi jika bersungguh segala-galanya mudah. "Contoh saya sendiri di mana saya tidak mempunyai pengalaman apatah lagi pengetahuan di dalam bidang ini tetapi apabila kita sendiri berusaha untuk mempelajarinya, insya-Allah berjaya," tambahnya lagi. Ternyata pengorbanan Zuriati tidak sia-sia apabila dia berjaya 'menarik' suaminya, Mohd. Zubir Ismail untuk bersama-samanya 'berjuang' di dalam bidang insurans. |
| Posted: 24 Apr 2012 08:27 PM PDT Kilauannya yang mempesonakan telah menawan hati jutaan manusia di seluruh pelusuk dunia. Ramai yang ingin memiliki berlian tetapi tidak pasti tentang cara untuk memilihnya dengan betul. Untuk itu, Habib berkongsi beberapa maklumat yang berguna supaya pembeli mendapat nilai untuk wang yang dibelanjakan dengan setiap pembelian berlian. Institut Gemological Amerika (GIA) membangunkan skala penggredan untuk memastikan kualiti berlian. Skala ini dibahagikan kepada empat kriteria penggredan utama, yang lebih dikenali sebagai Cs 4 - (Cut, Carat, Clarity dan Colour), potongan, karat, kejelasan dan warna. Dua berlian yang sama saiznya boleh berbeza dari segi harga apabila diukur menggunakan keempat-empat ciri-ciri yang digabungkan di atas. Artikel ini bertujuan mendidik mengenai kriteria yang ketiga iaitu 'C', (Clarity) ataupun kejelasan sebutir berlian. Berlian terbentuk lebih daripada 160 kilometer di bawah permukaan bumi kerana haba yang hebat dan tekanan yang melampau. Proses penghasilan itu memungkinkan sebutir berlian mempunyai kemasukan bahan-bahan asing yang berada di sekeliling berlian yang terhasil pada ketika itu. Untuk penilaian kejelasan, skala penggredan GIA untuk kejelasan dibahagikan kepada enam bahagian iaitu 'Flawless (FL) - sempurna, 'Internally Flawless' (IF) - hampir sempurna, 'Very-Very Slightly Included (VVS1 dan VVS2) - sangat sangat sedikit kemasukan, 'Very Slightly Included' (VS1 dan VS2) - sedikit kemasukan, 'Slightly Included' (SI1 dan SI2) - sangat sikit kemasukan dan 'Included' (I1, I2 dan I3) - kemasukan. Sebutir berlian yang sempurna (FL) yang tiada apa-apa kelemahan dan kecacatan amatlah jarang berlaku dan dijumpai. Kebanyakan berlian yang berada dipasaran adalah dalam kategori yang berikut hampir sempurna (IF) ataupun sangat-sangat sedikit kemasukan (VVS1 dan VVS2). Hampir kesemua berlian mempunyai kemasukan tetapi ianya hanya boleh dinilai oleh seseorang pakar atau tukang emas yang mahir. Keempat pada skala GIA iaitu sedikit kemasukan (VS1 dan VS2) adalah berlian yang mempunyai kemasukan jelas dan nyata tetapi ia tidak menjejaskan kualiti berlian tersebut dan dipandang ringan dari mata kasar. Yang terakhir adalah kemasukan (I1, I2 dan I3), berlian yang mempunyai kemasukan jelas kelihatan dengan mata kasar dan boleh menjejaskan kecemerlangan batu ini. Kadang-kadang kecacatan dan kemasukan dalam sebutir berlian boleh menghasilkan kesan yang luar biasa. Biasanya terdapat kristal kecil berlian dalam berlian, selalunya begitu kecil bahawa mereka tidak boleh dilihat tanpa peranti pembesaran. Terdapat juga kejadian di mana terdapatnya satu lagi batu berharga di dalam sebutir berlian. Bayangkan satu batu delima berkarak di dalam sebutir berlian! Kemasukan ini boleh menambahkan watak bagi sebutir berlian. Berlian seperti ini sering menjadi bahan perbualan dan inilah keajaiban berlian. |
| Posted: 24 Apr 2012 08:23 PM PDT RAMAI yang pasti terkejut apabila mengetahui hasil kajian mendapati bahawa guru berada di kedudukan keempat dalam kerjaya yang paling mencetuskan tekanan atau stres terutama dari segi fizikal selepas polis, pegawai penjara dan jururawat. Malah kedudukan itu berada di atas daripada profesion tentera yang menduduki tempat ke lima. "Kedudukan guru sebelum askar agak mengejutkan. Ini menunjukkan seorang guru berdiri lama ketika mengajar di dalam kelas atau melakukan aktiviti sukan dan sebagai. Jadi tidak mustahil mereka mengalami tekanan seperti kesakitan anggota badan," kata Pengarah Urusan Great Life Physio and Rehabilation, Mohd. Rozaimi Che Kamaruddinata. Didorong perkembangan itu beliau berkata, sebagai syarikat yang mengendalikan pusat rawatan fisioterapi, pihaknya telah memperkenalkan program latihan fisioterapi khas untuk golongan guru di sekolah-sekolah seluruh negara. Katanya, program itu disediakan khas oleh pakar-pakar fisioterapi untuk para guru dalam memberi panduan bagaimana menguruskan stres dan kesakitan anggota badan semasa bertugas. "Matlamat program ini adalah untuk memperkenalkan kepada masyarakat bahawa rawatan terbaik dalam penyelesaian kesihatan terutamanya berkaitan stres dalam pekerjaan ialah melalui fisioterapi," katanya. Beliau mengakui, kekangan masa bagi mereka yang bekerja untuk bersenam atau melakukan aktiviti sukan boleh menyebabkan seseorang itu kelihatan lesu dan tidak bermaya. Ini ditambah pula dengan tekanan yang dihadapi sama ada ketika di tempat kerja mahupun di rumah. "Fisioterapi adalah salah satu rawatan atau kaedah yang boleh dilakukan oleh semua orang dalam menghadapi tekanan dalam kerja. "Secara umumnya fisioterapi merupakan kaedah rawatan penyakit atau kecederaan melalui penyembuhan semula jadi badan. Kaedah ini tidak menyakitkan dan tiada ubat digunakan, ia lebih kepada proses pemulihan dan pencegahan," katanya. Dalam pada itu program pertama latihan fisioterapi di sekolah berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading, Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini membabitkan 135 guru dan kakitangan sekolah. Pengetuanya, Siti Endon Mohamad Dahlan berpendapat program itu baik dalam membantu guru-guru dan sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada mereka. "Rawatan ini adalah mudah dan boleh dilakukan oleh semua lapisan masyarakat terutama yang bekerja. Sedikit sebanyak ia membantu melahirkan kualiti kerja yang bermutu," katanya. Melalui program tersebut, guru-guru telah didedahkan secara teori dan praktikal daripada aspek fisioterapi oleh kakitangan Great Life Physio and Rehabilation dengan kerjasama pelajar Masterskill. Sesi ceramah telah diberikan oleh Pakar Fisioterapi Great Life Physio and Rehabilation, Siti Fazilah Jamaluddin, yang menerangkan beberapa aspek mengenai stres yang boleh mengakibatkan seperti pening, sakit belakang, lemah sistem pertahanan badan, mengganggu mutu kerja dan juga boleh berlaku serangan jantung serta obesiti. Selain itu, tanda-tanda stres boleh dikenal pasti menerusi degupan jantung yang laju, ketegangan otot, proses pernafasan menjadi cepat, berpeluh dan terasa perut kurang selesa, loya dan cirit. Fazilah menjelaskan antara faktornya adalah disebabkan penat, kurang tidur, postur badan ketika bekerja, bebanan kerja, suasana tempat kerja, skop kerja dan sebagainya. Malah beliau berharap supaya masyarakat menerima rawatan fisioterapi ini sebagai satu alternatif perubatan dalam kehidupan. |
| Persengketaan jadi tarikan pelancong Posted: 24 Apr 2012 08:22 PM PDT Landasan keretapi yang dibina dari Seoul di Korea Selatan sehingga ke bandar berhampiran sempadan Korea Utara hasil sumbangan orang ramai, tetapi akhirnya kerajaan rejim komunis itu tidak membenarkan keretapi melalui negaranya. SELAIN Pulau Jeju yang diibaratkan sebagai Hawai Korea, pelancong yang berkunjung ke Korea Selatan pastinya tidak akan melepaskan peluang melihat sendiri keadaan sempadan dua buah negara yang tidak reda bersengketa. Jadi bila diberitahu saya ditugaskan membuat liputan berita di Seoul, Korea Selatan, perkara pertama yang terlintas difikiran adalah untuk melihat sendiri keadaan di sempadan Korea Selatan dan Korea Utara. Berada di sempadan mana-mana negara memang sesuatu yang agak membimbangkan. Apa sahaja boleh berlaku, apatah lagi Korea Selatan saling bermusuhan dengan Korea Utara mempunyai senjata pemusnah nuklear. Sebaik tiba di Seoul untuk membuat liputan Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear, saya mula bertanya-tanya cara untuk ke sempadan berkenaan. Seorang pemandu pelancong memberitahu, jika mahu menyewa kereta untuk perjalanan ke sempadan bayaran yang dikenakan adalah sekitar AS$50. Bayaran itu agak mahal, tetapi demi mencapai matlamat penulis sanggup lakukan apa sahaja. Namun saya bernasib baik setelah bertanya dengan pelbagai pihak termasuk pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Korea dan pegawai Kedutaan Besar Indonesia di Korea, penulis dimaklumkan terdapat agensi pelancongan yang membawa pelancong ke kawasan berkenaan. Setelah selesai membuat liputan sidang kemuncak itu, keesokan hari ketika wartawan Malaysia yang lain telah pulang, inilah peluang untuk untuk menjelajah ke kawasan sempadan. Seawal pukul 7 pagi saya bertanya kepada pihak hotel jika mereka ada menyediakan pakej pelancongan tersebut. Petugas di kaunter memberitahu hotel berkenaan tidak menyediakan pakej tersebut, tetapi bersedia memberi bantuan dengan memberi nombor telefon ejen yang berkenaan. Ejen berkenaan segera dihubungi dan dia memaklumkan saya perlu tunggu di hotel pada pukul 8 pagi untuk ke sempadan yang agak jauh perjalanannya. Memang dinasihatkan kepada mereka yang mahu ke sempadan tersebut perlu keluar pada awal pagi kerana ia akan mengambil masa kira-kira separuh hari. Dua perkara yang menarik perhatian ketika menyertai lawatan itu ialah terowong yang digali oleh Korea Utara untuk menyerang Korea Selatan, landasan keretapi yang dibina oleh rakyat Korea Selatan hingga ke Korea Utara dan perkampungan perdamaian di kawasan sempadan. Stesen keretapi itu atau dikenali sebagai stesen keretapi terakhir Korea Selatan terdapat papan tanda yang memaparkan senarai panjang pemberi sumbangan bagi pembinaan landasan keretapi dari Seoul iaitu ibu negara Korea Selatan hingga ke Pyongyang, ibu negara Korea Utara. Senarai yang begitu panjang dan tidak dapat dipastikan jumlahnya itu menunjukkan betapa bangsa Korea terus berharap bahawa suatu hari nanti kedua-dua buah negara melupakan perbezaan fahaman dan kembali bersatu sebagai satu bangsa seperti sebelum dua buah negara itu dipisahkan oleh fahaman Komunis di Korea Utara dan Demokrasi di Korea Selatan. Pembinaan landasan itu sebenarnya telah sampai ke bandar paling hampir dengan sempadan kedua-dua buah negara di Korea Utara. Bagaimanapun setelah pembinaan itu selesai rejim komunis itu tidak membenarkan keretapi masuk ke negara berkenaan. Pada masa ini stesen keretapi itu tinggal lengang dan hanya sesekali sahaja keretapi tiba dengan penumpang tidak sampai 10 orang dan kebanyakan masa stesen keretapi yang mungkin yang paling bersih di dunia itu hanya dikunjungi pelancong. Saya yang mengunjungi kawasan sempadan kedua-dua negara itu dapat merasakan bagaimana pedihnya apabila satu bangsa yang hanya dibezakan dengan fahaman terpaksa berbunuh antara sendiri. Di kawasan sempadan berkenaan juga terdapat sebuah perkampungan di mana terdapat kira-kira 500 penduduk yang menjalankan aktiviti pertanian seperti tanaman padi dan ginseng. Dikatakan ginseng yang dihasilkan dari kawasan berkenaan adalah yang paling bermutu tinggi dan dijual kepada kerajaan semuanya. Penduduk kampung berkenaan terdiri daripada anggota tentera yang telah pencen dan diberi sebidang tanah untuk mereka tinggal dan menjalankan aktiviti pertanian. Selain ia bertujuan bagi menghargai jasa anggota tentera, ia juga menjadikan kawasan atau zon penampan kepada serangan Korea Utara. Ini adalah kerana negara komunis itu amat benci tentera Amerika Syarikat dan tentera Korea Selatan dan serangan sering dilakukan kerana sentimen itu. Setelah kampung itu diwujudkan ia telah berjaya meredakan serangan Korea Utara. Justeru itu kampung tersebut lebih dikenali sebagai kampung perdamaian. Anak-anak di kawasan berkenaan hanya disediakan kemudahan persekolahan sekolah rendah sahaja dan mereka terpaksa keluar apabila memasuki sekolah menengah. Mereka pula tidak boleh memiliki tanah yang diberikan kerajaan selama-lamanya. Mereka perlu meninggalkan kampung tersebut apabila bapa mereka meninggal dunia. Antara barangan yang boleh dibeli di kampung berkenaan selain daripada arak yang terkenal dengan kadar alkohol yang tinggi dari Korea Utara, para pelancong boleh membeli kacang soya berkualiti tinggi yang bersalut coklat dan produk-produk makanan penduduk tempatan. Bagi pelancong yang mahu sampai ke kawasan di garisan sempadan kedua-dua buah negara mereka perlu membuat permohonan terlebih awal dan pasti mereka bukan warganegara Korea Selatan atau Amerika Syarikat kerana mereka tidak dibenarkan masuk. Seketika dahulu pelancong pernah dibenarkan masuk sehingga ke Korea Utara, tetapi ia dihentikan apabila seorang pelancong ditembak oleh tentera Korea Utara kerana disyaki seorang perisik. Jadi jika mahu sampai ke sempadan di mana kawalan kedua-dua dapat dilihat, kadangkala mereka saling memaki hamun dan meludah perlu diuruskan lebih awal untuk mendapatkan kebenaran. Bagaimanapun di kawasan itu warganegara Korea Selatan dan Amerika Syarikat tidak dibenarkan masuk. |
| Hadzwan pilih polis kerana sains forensik Posted: 24 Apr 2012 08:20 PM PDT Hadzwan di hadapan pejabat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. MESKIPUN dilahirkan di kalangan sanak saudara yang banyak menceburi bidang ketenteraan, namun ia tidak mendorong Asisten Supritendan Mohd. Hadzwan Zulkefle untuk memilih pasukan keselamatan berpakaian seragam hijau itu. Dalam keluarga Mohd. Hadzwan kedua-dua datuk serta bapa saudara serta sepupunya berkhidmat dalam pasukan tentera namun beliau sebaliknya memilih untuk menceburkan diri pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Artikel ini juga bukanlah untuk membezakan antara polis atau tentera namun ia hanya menggambarkan betapa kedua-dua pasukan keselamatan ini menjadi pilihan sebahagian daripada ahli keluarga Mohd. Hadzwan. Pegawai berusia 30 tahun itu memilih untuk menyertai PDRM pada tahun 2006 bagi memenuhi minatnya yang mendalam dalam bidang sains forensik. Selain berbakti kepada agama, bangsa dan negara, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ini memilih PDRM kerana pekerjaan sementara iaitu membekal bahan-bahan kimia sebelum ini masih belum memberi kepuasan buatnya. Namun baginya, cabaran dan kepuasan itu akhirnya tercapai selepas beliau menyertai PDRM. Tugasan pertamanya sebagai Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu sejurus tamat latihan kadet Asisten Supritendan di Maktab PDRM Cheras pada November 2006, telah digunakan sebaiknya untuk mengaplikasi pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki di UMT. "Dalam siasatan, saya mengaplikasi prinsip sains forensik seperti sesuatu objek yang bersentuh antara satu sama lain akan meninggalkan kesan. "Berdasarkan analogi, penjenayah dan mangsa akan meninggalkan bukti atau kesan yang boleh memberi petunjuk kes. "Bidang sains forensik merupakan antara praktis paling efektif dalam menyelesaikan kes-kes termasuk kes-kes jenayah siber dan merentasi sempadan," katanya yang kini bertugas di salah satu unit risikan di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ketika ditemui Gaya Polis baru-baru ini. Mohd. Hadzwan yang pernah ditugaskan sebagai Pegawai Turus Forensik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu selama setahun sejak 2009 diberi amanah untuk menyelesaikan kes ugutan membabitkan ahli politik. "Cabaran yang dihadapi ketika menyelesaikan kes tersebut ialah kerana ugutan yang dibuat menggunakan komputer untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menggunakan nombor telefon milik seorang pembantu menteri. "Saya terpaksa berulang-alik selama lebih sebulan dari Terengganu ke Kuala Lumpur kerana siasatan itu memerlukan saya berurusan dengan pusat telekomunikasi yang terletak di ibu negara. "Ia bukan satu kes jenayah biasa kerana memerlukan peralatan teknologi untuk membuktikan pesalah sebenar yang menghantar SMS berbaur ugutan tersebut. "Setiap kali menerima tugasan, saya pasang niat untuk menolong orang, jadi perasaan terbeban dan susah dengan kerja itu akan hilang dengan sendiri," katanya yang menerima surat penghargaan dari Ketua Polis Terengganu selepas berjaya menyelesaikan kes tersebut. Selain itu katanya, pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah ketika rusuhan yang dilakukan penyokong parti pembangkang di pantai Batu Buruk pada 2007 kerana salah seorang anggotanya cedera parah di kepala akibat dibelasah perusuh. Bapa kepada seorang anak ini pernah melalui pengalaman yang lebih berat apabila beliau dan isteri, Siti Nur Arnee Ismail, 30, kehilangan anak pertama yang mati akibat tersedak susu di rumah pengasuh. Kesedihan yang menyelubungi keluarganya itu akhirnya sedikit terubat dengan kehadiran permata kedua pada tahun ini baru berusia dua bulan. Mohd. Hadzwan banyak mengisi masa lapangnya dengan sukan paintball. Baginya, sukan ekstrem seperti itu mampu mengurangkan tekanan dan merapatkan silaturahim antara rakan-rakan yang bukan dari PDRM. |
| Mike Tyson hamilkan petugas penjara Posted: 24 Apr 2012 08:19 PM PDT Perjalanan hidup mantan petinju kelas berat, Mike Tyson, ini tidak pernah sunyi daripada kontroversi dan pengakuannya. Sering keluar masuk penjara, Mike mengakui dia pernah mempunyai hubungan sulit dengan seorang petugas penjara tempat tahanannya. Malah, petugas penjara itu telah mengandungkan anaknya tanpa pengetahuan sesiapa sehinggalah Mike sendiri membuka pekungnya. "Saya tidak pernah bercerita mengenai hal ini tetapi hakikatnya, perkara sebegini biasa berlaku. Tapi, anak itu tidak pernah lahir," katanya lagi. Kemungkinan besar, wanita petugas itu melakukan pengguguran sebelum bayi itu dilahirkan. Sebelum ini, Mike pernah dikenakan hukuman penjara selama 18 tahun kerana kesalahan memperkosa gadis 18 tahun, Desiree Washington pada 1992. Pada saat usia 13 tahun, Mike dimasukkan ke penjara sebanyak 38 kali. Namun, kerana kehebatannya dalam dunia sukan tinju, dia pernah menjadi juara dunia tinju kelas berat. |
| Posted: 24 Apr 2012 08:15 PM PDT Jika sebelum ini fenomena filem adaptasi, Ombak Rindu telah memberi populariti terhadap bakat kelahiran Akademi Fantasia musim ke 8, Adira. Kini perubahan kecantikan paras rupanya turut menjadi buah mulut daripada pelbagai pihak. Kecantikan yang dimiliki penyanyi remaja ini sering mendapat pujian terutama daripada peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan gadis ini sehingga ada yang mahu mengetahui rahsianya. Bagaimanapun, ada juga di kalangan pihak-pihak tertentu mengandaikan bahawa penyanyi comel ini mengamalkan suntikan untuk kelihatan cantik. Siti Adira Suhaimi, 21, mengakui kecantikan yang dimilikinya kini tidak ada sebarang kaitan dengan penggunaan suntikan tertentu malah dengan yakin dia mengatakan apa yang ada pada dirinya itu adalah semula jadi. "Kulit saya memang cerah begini sejak dari kecil lagi dan sehingga kini saya tidak pernah mengambil sebarang suntikan untuk kelihatan lebih gebu. Lagi pun, masyarakat di Kundasang ramai yang ada kulit seperti saya. "Dulu, saya banyak masa untuk ke pulau, mungkin sebab itu kulit saya tidak secerah sekarang. Oleh kerana jadual harian saya kini terlalu padat dengan aktiviti nyanyian, saya tidak ada masa untuk lakukannya malah, masa luang akan saya manfaatkan untuk berada di rumah bersama keluarga," katanya. Adira berkata, dia tidak memiliki sebarang rahsia kecantikan tertentu tetapi hanya mengamalkan pemakanan yang seimbang dan masa rehat yang secukupnya. "Saya juga ada mengamalkan pengambilan 'supplement' sebagai penjagaan kesihatan. Bagi saya, peredaran usia membuatkan saya kini lebih memandang berat terhadap penjagaan diri supaya dapat mengekalkan tahap kesihatan yang ada kalanya tidak menentu. "Khabar angin yang mengatakan saya ada ambil suntikan itu adalah tidak benar sama sekali. Walaupun mahu sentiasa kelihatan cantik, tetapi saya tidak akan melakukan suntikan itu," ujarnya. Teringin berlakon Memiliki wajah yang menarik bagaikan satu platform buat anak jati Kundasang, Sabah ini terus mengukir nama dalam dunia muzik tanah air malah jika diberi peluang dalam lakonan, mungkin wajahnya bakal memeriahkan industri itu. Namun, bagi Adira yang kini sibuk dengan persiapan program Mania berpendapat dirinya masih belum sesuai dengan bidang lakonan memandangkan pertuturannya masih lagi pekat dengan loghat Sabah. "Saya memang ada pasang niat untuk ceburkan diri dalam lakonan tetapi buat masa ini, ia bukan masa yang sesuai. Saya mahu fokuskan kerjaya dalam nyanyian terlebih dahulu. "Jika semua sudah stabil dan pertuturan saya juga sudah baik, tidak mustahil saya akan memulakan karier sebagai seorang pelakon pula," katanya. Penyanyi yang popular dengan lagu tema Ombak Rindu ini turut mengatakan, sejak bergelar penyanyi, hidupnya kini sudah berubah dan tidak seperti dahulu. "Sekarang, saya bekerja keras menjalankan karier sebagai seorang penyanyi dan kini, banyak masa saya tertumpu kepada bidang ini. "Kalau dahulu saya banyak masa untuk meluangkan masa bersama teman pergi bercuti, kini saya hanya akan menghabiskan masa yang terluang untuk berada di rumah supaya dapat rehat yang secukupnya," katanya. Tidak serik bercinta Sudah pasti, pakej lengkap yang dimiliki anak bongsu daripada lapan beradik ini menjadi tumpuan buat setiap jejaka. Namun, Adira yang menganggap diri dan bakatnya masih lagi hijau dalam industri nyanyian menolak tepi soal percintaan dan mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya seni suara. "Saya bukan fobia tapi belum masanya lagi untuk saya menjalinkan hubungan percintaan dengan mana-mana lelaki. Lagipun, usia saya masih muda dan banyak lagi yang perlu saya perbaiki dalam karier ini. "Tetapi, saya akui masa itu akan tiba dan saya tidak akan menolaknya. Jika ia datang pada masa yang tepat, saya tidak akan berselindung," katanya. Bertanyakan mengenai perkembangan semasa, Adira mengatakan sedang sibuk dengan persiapan single ke lima selain daripada program Mania yang disiarkan di saluran Astro Ria setiap minggu. "Selain single, kami juga masih lagi dalam perbincangan untuk pembikinan album pertama saya yang masih lagi berada dalam perbincangan," katanya. |
| Posted: 24 Apr 2012 08:12 PM PDT KUALA TERENGGANU - Polis kini sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes dera melibatkan anak teman wanitanya berusia dua tahun di Kampung Tualang, Manir, Jumaat lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, lelaki berusia 31 tahun dan tidak bekerja itu dipercayai memukul mangsa, Mohd Danish Aiman Abdullah selepas berang dengan kanak-kanak itu yang dikatakan terlalu aktif. Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustafa berkata, lelaki terbabit melarikan diri sebaik menyedari teman wanitanya yang berusia 22 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu. "Bagaimanapun, kami yakin lelaki berkenaan masih bersembunyi di negeri ini dan kini usaha menjejaki sedang dipergiatkan," katanya selepas melawat kanak-kanak malang itu di wad Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ), semalam. Menurut Jamshah, siasatan awal mendapati lelaki itu memiliki 10 rekod jenayah lampau termasuk rusuhan, culik, dadah dan lain-lain jenayah. Katanya, kerjasama orang awam menjejakinya amat dialu-alukan dan kepada mereka yang mempunyai maklumat terkini diharap dapat menghubungi balai polis berhampiran. Mohd Danish Aiman yang mengalami pendarahan otak dipercayai akibat ditampar kini dilaporkan stabil selepas selamat menjalani pembedahan pada petang Sabtu lalu. |
| Rogol remaja: Bekas imam dipenjara 15 tahun, 12 sebatan Posted: 24 Apr 2012 08:09 PM PDT JOHOR BAHRU – Seorang bekas Imam sebuah masjid di Johor Bahru hari ini dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 12 sebatan selepas didapati bersalah merogol seorang gadis di bawah umur tahun lalu. Hakim Mahkamah Sesyen Nu'aman Mahmud Zuhudi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Nur Akmal @ Basok Bakri Abdul Kader, 32, di akhir kes pembelaan. Dalam penghakimannya, beliau berkata, walaupun tertuduh pertama kali melakukan kesalahan seksual itu, namun kedudukannya sebagai seorang imam jelas menunjukkan dia benar-benar mengetahui hukum dan kesalahan yang dilakukan. |
| 80 sen karipap adalah biasa di Batu Feringgi Posted: 24 Apr 2012 08:08 PM PDT BATU FERINGGI – 'Harga 80 sen untuk karipap adalah biasa di kawasan Batu Feringgi," kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Batu Feringgi, Jamaluddin Hashim. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |









Tiada ulasan:
Catat Ulasan