Isnin, 23 April 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Akaun Twitter Zahida Rafik 'Panas' Dengan Sindiran

Posted: 23 Apr 2012 09:11 PM PDT

Zahida Rafik

PETALING JAYA: Aktres Zahida Rafik menjadi semakin popular selepas tersebar dakwaan dia menerima sejumlah wang daripada seorang menteri kanan sehingga mengundang pelbagai reaksi panas menerusi laman sembang Twitter milik pelakon itu.

Kebanyakan pengikut Twitternya iaitu di @zahida_rafik menghantar pesanan yang menyindir selain teguran pedas berhubung dakwaan kononnya dia menerima wang kira-kira RM1.5 juta daripada VIP berkenaan.

Salah seorang pengikut Twitter Zahida iaitu Fared Isa pada dua hari lalu menghantar mesej berbunyi: "Hi jutawan. Anda telah kantoi…Saya tidak pernah dengar nama anda sebelum ini hinggalah berita anda ini tersebar ke seluruh negara."

Zahida pula membalas dengan berkata; "Sabar!!Teruskan usaha anda! Saya perlu tido sekarang, selamat malam! Esok jangan lupa tweet lagi tau…Sekurang-kurangnya saya seorang jutawan, anda pula?

Seorang lagi pengguna, Mohd Firdaus menghantar pesanan kepada Zahida lima hari lalu berbunyi: "Untung laaa @zahida_rafik hidup senang-senang sahaja hujung minggu dapat RM200,000. Nak duit beritahu sahaja dekat menteri. Saya harap berita ini satu kebenaran."

Zahida pula membalasnya; "Maaf ye, saya bekerja keras untuk dapatkan duit. Jika kamu tak ada duit, saya boleh derma sedikit. Tidak apa, Allah akan tunjukkan kebenarannya."

Bagaimanapun trend tersebut berubah apabila pengikut Twitter milik Zahida mula memberi komen yang positif terhadap pelakon itu apabila terdapat mereka yang menyokong dan memberi galakan kepadanya.

Seorang pengikut Twitter Zahida iaitu Tengku Iskandar menghantar mesej berbunyi; "Harap cepat selesai masalah ini sebelum makin melarat. Faham-faham sahaja la di Malaysia ini, semua hendak jadi hakim."

Adlynn Jamlus pula menghantar mesej dengan meminta Zahida bersabar iaitu; "Bersabarlah dengan dugaan yang diberi... Insya-Allah ada hikmahnya.

Sehingga malam Isnin, akaun Twitter pelakon Anak Mami The Movie ini mempunyai 7,069 pengikut.

Rabu lalu, pemandu peribadi Zahida, Noor Azman Azemi membuat laporan polis mendakwa aktres berkenaan mendapat wang berjumlah RM1.5 juta daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Bagaimanapun, Zahida dan menteri berkenaan telah menafikan tuduhan itu dan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang cuba memfitnah mereka.

Fida Ibrahim Tepis Tuduhan Jadi Isteri Kedua VIP

Posted: 23 Apr 2012 09:08 PM PDT

Fida Ibrahim

PETALING JAYA: Pelakon Rafidah Ibrahim (Fida) menepis sekeras-kerasnya dakwaan terbaru kononnya dia sudah bernikah secara senyap-senyap dan menjadi isteri kedua seorang usahawan berstatus VIP pada awal bulan ini di Perlis.

Pelakon berusia 26 tahun itu berkata tuduhan tersebut adalah tidak berasas kerana pada waktu tersebut dia sedang berada di lokasi penggambaran sebuah drama.

"Tuduhan saya bernikah secara senyap-senyap adalah tidak betul sama sekali. Ini adalah fitnah kerana pada waktu yang dikatakan saya melangsungkan pernikahan itu, saya berada di lokasi penggambaran.

"Jujurnya, saya pun tidak tahu mengenai perkara sehingga ia kecoh diperkatakan di laman Twitter pada baru-baru ini tetapi ia (pernikahan) memang tidak berlaku," jelasnya ketika dihubungi mStar Online.

Terdahulu, pada Disember tahun lalu mStar Online pernah melaporkan pengakuan aktres itu menjalin hubungan dengan VIP tersebut yang sudah dikenalinya hampir dua tahun lalu menerusi jaringan perniagaan.

Difahamkan juga, Fida menyembunyikan hubungan mereka kerana enggan menimbulkan kekecohan memandangkan VIP itu sudah berkahwin.

Ditanya adakah dia cuba menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan umum, bekas kekasih kepada pelawak Mamat (Sepah) ini menganggapnya sebagai salah faham.

"Perkara ini timbul atas dasar salah faham. Mungkin ada orang yang seiras wajah saya melangsungkan pernikahan pada waktu dan lokasi yang dikatakan itu.

"Secara tidak langsung saya pula dikaitkan dengan perkara ini. Jika benar saya bernikah, tiada apa yang perlu disembunyikan," katanya.

Beralih kepada perkembangan kerjaya, impiannya untuk bergelar penyanyi akhirnya menjadi kenyataan apabila Fida mengesahkan bakal muncul dengan lagu single pertama berjudul Apo Kono Eh Jang yang pernah dipopularkan Ally Noor dan Mastura pada tahun 1980-an

"Lagu itu digubah semula dengan susunan baru yang sesuai dengan muzik semasa. Ia dijangka keluar pada hujung April atau selewat-lewatnya awal Mei depan.

"Menariknya, saya akan berduet dengan kumpulan Stellar Band dan diterbitkan oleh Sheikh Qalam," katanya yang bakal terlibat dalam telefilem Nasib Si Pemandu Limousin.

Rohana Jalil Akui Bertekak Dengan Kilafairy

Posted: 23 Apr 2012 09:07 PM PDT

Rohana Jalil.

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 80-an, Rohana Jalil sering bertekak dengan pelakon dan penyanyi, Kilafairy kerana kurang senang dengan sikap sambil lewa anaknya itu terhadap bidang seni.

Rohana berkata, Kilafairy yang baru berusia 18 tahun itu masih mentah dan ada masanya dia akan cepat bosan dengan apa yang dilakukannya.

"Dia masuk ke dunia seni tanpa perlu bersusah payah seperti mana zaman saya dulu dan kesenangan yang dimiliki kadang-kadang membuat dia lupa dan mula sambil lewa.

"Saya bertekak dengan dia tu bukanlah bermaksud kami bergaduh tapi lebih kepada nasihat kerana dia pun masih muda dan perlu ada orang tua seperti saya yang tahu selok-belok dunia hiburan.

"Saya sebagai ibu tidak mahu dia hanyut dengan glamor sehingga terlepas peluang atau melakukan sesuatu yang akan dia menyusahkan dia kemudian hari," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pelancaran Pertandingan Bintang RTM 2012 di Angkasapuri di sini, Isnin.

Dalam pada itu, Rohana berkata, dia sebenarnya mahu Kilafairy memberi tumpuan sepenuhnya kepada karier nyanyian tetapi minat anaknya itu lebih terhadap dunia lakonan.

Bagaimanapun kata Rohana, Kilafairy kini lebih berhati-hati dalam memilih watak kerana sering diberi peranan 'gedik' yang kurang sesuai dengan usianya yang masih muda.

"Lakonan adalah minat dia dan sebagai ibu, saya tetap sokong tetapi dia mesti bersungguh-sungguh dalam apa yang dilakukan. Setakat ini usaha itu sudah nampak cuma dia perlu tingkatkan lagi," katanya.

Kilafairy.

Sementara itu, Rohana berkata, dia bakal muncul dengan single duet bersama anak gadisnya itu dan memilih komposer Amylea (AF) untuk mencipta lagu itu nanti.

Kata Rohana, dia menyerahkan kepada komposer muda itu untuk memilih lagu sesuai untuk mereka kerana ingin muncul dengan sesuatu yang baru dan segar bersama anak.

"Saya teruja dengan projek terbaru ini dan ingin muncul dengan sesuatu yang boleh menambat hati peminat Kilafairy dan saya sendiri. Jadi rasanya orang baru seperti Amylea lebih mengetahui apa yang sesuai untuk lagu duet itu nanti," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Rohana berkata, dia bakal muncul dalam satu persembahan khas di Hotel UiTM di Shah Alam pada 28 April ini bersama dua rakan baiknya iaitu Nassier Wahab dan Zur Eda pada pukul tiga petang.

Farawahida Banyak Belajar Urus Diri Selepas Kontroversi

Posted: 23 Apr 2012 09:05 PM PDT

Farawahida.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Farawahida mengakui banyak belajar menguruskan kerjaya seninya secara sendirian selepas dilanda kontroversi dengan bekas pengurusnya kira-kira dua tahun lalu.

Farawahida berkata, dia lebih yakin selepas dapat belajar pelbagai perkara mengenai selok-belok bidang muzik sedirian yang sebelum ini hanya dipandang ringan.

"Sebelum ini saya hanya saya tahu pergi ke studio, rakamkan lagu dan balik. Selebihnya diserahkan kepada orang lain untuk menguruskannya.

"Insiden tersebut setidak-tidaknya telah mengajar saya banyak perkara terutamanya dalam mengukuhkan karier seni saya sendiri dan belajar membuat keputusan," katanya ketika ditemui mStar online.

Farawahida ditemui ketika hadir pada majlis pelancaran Pertandingan Bintang RTM di Angkasapuri di sini, Isnin.

Tambah penyanyi lagu Tanpamu ini, dia kini lebih selesa bergerak secara solo dalam bidang seni tanpa diuruskan sesiapa dan tidak bercadang untuk bernaung di bawah mana-mana syarikat pengurusan buat masa ini.

"Biarlah saya berdikari buat ketika ini kerana jika ada apa-apa urusan pihak penganjur atau media boleh berhubung saya terus tanpa perlu melalui pihak pengurusan.

Dalam pada itu, Farawahida memberitahu dia teruja apabila filem lakonannya berjudul Baik Giler yang telah menjalani penggambaran pada tahun 2010 akhirnya bakal ditayangkan pada bulan Jun depan.

Filem itu turut menampilkan pelakon seperti Zizan (Raja Lawak), Sharifah Shahira, Awie dan Abon.

Farawahida berkata, walaupun ada menerima beberapa tawaran berlakon selepas filem itu tetapi dia mengambil keputusan untuk menolaknya kerana ingin menunggu hasil akhir Baik Giler.

"Saya tidak mahu terlalu yakin dengan bakat lakonan yang ada kerana saya hendak tunggu dulu hasil pertama ini keluar dan tengok bagaimana maklum balas daripada penonton.

"Jika mereka menyukainya saya akan menerima tawaran lain yang diberikan selepas ini," katanya.

Sementara itu, Farawahida yang sedang hangat dengan lagu Jangan Tanya Aku Lagi memberitahu masih lagi mempromosikan lagu tersebut dan sedang merancang untuk muncul dengan buah tangan baru.

Namun dia tidak mahu terburu-buru kerana perlu mencari material dan muzik yang baik supaya dapat diterima oleh peminat.

"Oleh kerana kos itu nanti akan dikeluarkan sendiri oleh saya jadi perlu lebih berhati-hati dalam memilih lagu kerana banyak faktor yang perlu diambil kira," katanya.

'Iamneeta' Rasa Bertuah Dilamar Gara-Gara YouTube

Posted: 23 Apr 2012 09:04 PM PDT

Kumpulan Iamneeta bangga menjadi kumpulan pertama yang diketengahkan menerusi laman YouTube.

PETALING JAYA: Kumpulan baru Iamneeta (disebut I am neeta) percaya status sebagai anggota kumpulan muzik pertama yang "dilamar" menerusi laman YouTube untuk bergelar artis rakaman mampu melonjakkan populariti mereka di persada muzik tanah air.

Menurut vokalisnya Neeta Manisha (Neeta), 18, keunikan tersebut merupakan satu kelebihan buat orang baru seperti mereka untuk menonjol berbanding kumpulan-kumpulan yang sedia ada.

"Kami anggap platform YouTube satu kelebihan dan tuah buat kumpulan ini untuk ke depan dan lebih dikenali kerana setahu saya belum ada lagi kumpulan di Malaysia mahupun dunia yang diketengahkan sebagai artis rakaman menerusi laman YouTube.

"Kalau penyanyi solo memang sudah ramai. Jadi, ia adalah satu penjenamaan yang baik untuk mempromosikan kami, seiring dengan perkembangan muzik semasa," katanya ketika ditemui mStar Online di Menara Star, baru-baru ini.

Selain Neeta, kumpulan dari Sungai Petani, Kedah ini turut dianggotai Anas Zakwan atau Anas, 19, (pemain gitar bass) dan Patrick Anohada atau Patrick, 26, (pemain gitar utama).

Bercerita mengenai pemilihan nama kumpulan itu yang diinspirasikan daripada nama Neeta, Anas berkata ia tidak menimbulkan sebarang salah faham atau tidak puas hati kerana ia kedengaran unik dan mudah diingati.

(Dari kiri) Iamneeta dianggotai Patrick, Neeta dan Anas.

"Kami mengambil masa yang lama untuk memilih nama kumpulan ini. Ia adalah sesuatu proses yang sukar. Secara kebetulan, Neeta menggunakan nama "iamneeta" itu sebagai identitinya di laman YouTube ketika dia menaik muat rakaman nyanyiannya secara solo sebelum ini.

"Memandangkan ia kedengaran unik dan ringkas, kami bersetuju untuk gunakan saja nama itu.

Tegasnya, walaupun nama kumpulan itu diambil sempena nama Neeta, ia tidak mungkin dapat berdiri dengan sendirinya tanpa ketiga-tiga anggota.

"Setiap anggota mempunyai peranan dan kekuatan masing-masing. Neeta pada aspek vokal dan disokong oleh saya dan Patrick pada aspek muzik. Malah, semua lagu kumpulan ini dihasilkan oleh Patrick," katanya.

Neeta menambah: "Saya lebih selesa menyanyi bersama kumpulan. Saya tidak boleh bayangkan kalau jadi penyanyi solo kerana saya mudah gugup ketika berada di pentas, maka mereka adalah kekuatan saya."

"Iamneeta" yang bernaung di bawah label NAR Records sejak dua bulan lalu kini mempertaruhkan lagu pertama yang berjudul Tuhan Tolong Aku.

Mereka yang berpaksikan genre alternatif pop rock ini turut akan mengeluarkan lagu-lagu 'single' susulan selepas ini iaitu Terima Kasih, Marry Me dan Jatuh Cinta.

RTM Janji Peserta 'Bintang RTM 2012' Tidak Diabaikan

Posted: 23 Apr 2012 09:02 PM PDT

Sebanyak 16 peserta akan berentap untuk bergelar Bintang RTM 2012 yang akan bermula pada 5 Mei ini.

KUALA LUMPUR: Pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) memberi jaminan kesemua 16 peserta pertandingan Bintang RTM 2012 (BRTM 2012) yang akan berentap bermula 5 Mei ini akan mendapat ruang di dua stesen milik kerajaan tersebut selepas tamat program itu.

Ketua Program TV, RTM iaitu Suhaimi Jamalin berkata, pihaknya akan memastikan kesemua mereka diberi peluang untuk mengembangkan bakat tidak hanya dalam bidang nyanyian tetapi juga dalam lakonan dan pengacaraan.

"Kami di RTM sedang merangka pelbagai program bukan sahaja berbentuk hiburan dan jaminan daripada RTM selepas tamatnya BRTM 2012 mereka akan diberi peluang untuk mengisi pelbagai agenda di dua stesen tersebut.

"Ini kerana mungkin ada di antara mereka yang akan menyerlah dalam bidang seperti pengacaraan atau lakonan dan kita akan nilai kemudian potensi mereka," ujarnya kepada mStar Online.

Suhaimi ditemui ketika sidang media program itu di Angkasapuri di sini, Isnin.

Bercakap mengenai BRTM 2012, Suhaimi berkata, pada tahun ini pertandingan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai bangsa dan etnik di negara ini.

Menurut Suhaimi, pemilihan peserta itu telah dibuat bukan sahaja bagi mendukung gagasan 1Malaysia tetapi melalui bakat mereka supaya dapat menyemarakkan lagi industri muzik di negara ini.

"Tahun ini sebanyak tujuh peserta lelaki dan sembilan wanita ditampilkan dalam merebut gelaran juara BRTM 2012. Pemilihan mereka adalah berdasarkan penilaian profesional.

"BRTM 2012 juga turut menyaksikan banyak penglibatan daripada pelbagai kaum dan etnik yang ada di Malaysia dan nyata ramai yang mempunyai bakat terpendam," ujarnya.

Kesemua peserta tersebut adalah Lilienne (16), Firdaus (22), Christine (16), Charles (22), Dhila (17), Nabila (23), Arie Famree (23), Amira (17), Diandra (20), Fitri (19), Shalina (16), Hafsyam (25), Shazia (19), Darren (20), Aisha (23) dan Farid (25).

Para peserta lelaki memberikan persembahan mantap pada sidang media yang berlangsung pada Isnin di Angkasapuri.

BRTM 2012 bakal membuka tirai pentas pertandingan dengan Corat-Coret untuk memperkenalkan 16 peserta pada 5 Mei pukul 9 malam di TV2.

Manakala peringkat suku akhir pertama pada 12 Mei pada waktu sama dan pertandingan akhir akan diadakan pada 7 Julai depan.

Ia bakal dihoskan oleh Muaz daripada program Diva@1.

Dalam pada itu, penerbit BRTM 2012, Mohd Yusni Mohamed Ali berkata, musim kali ini adalah sebagai kesinambungan usaha stesen itu untuk menyemarakkan industri hiburan di samping mengetengahkan bakat-bakat terpendam.

Mohd Yusni berkata, untuk tahun ini, BRTM 2012 tidak banyak menampilkan kelainan sebaliknya yakin format sedia ada mampu untuk menarik perhatian penonton.

"Walaupun banyak program berbentuk pertandingan nyanyian sedang rancak ke udara di stesen lain tetapi pihak kami optimis BRTM akan mempunyai pengikutnya sendiri.

"Tambahan pula kita tidak menggunakan sebarang undian menerusi SMS sebaliknya seratus peratus penilaian daripada pihak juri profesional," ujarnya.

Juri profesional terdiri daripada Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail, Adnan Abu Hassan, Ahmad Asnawi, Leornard, Eddy Kismilardy dan Ali Shabdi.

Bintang RTM sebelum ini pernah mencungkil bakat nama-nama besar seperti Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Rohana Jalil, Juliza Adlizan, Dahlan Zainudin dan Allahyarham Datuk Sudirman.

Penyanyi 'Bee Gees' Beri Respons Ketika Koma

Posted: 23 Apr 2012 09:00 PM PDT

Robin Gibb

LONDON: Para doktor yang merawat penyanyi kumpulan legenda Bee Gees iaitu Robin Gibb mengakui terkejut dengan respons positif penyanyi yang berada dalam keadaan koma itu.

Robin, 62, dikatakan memberi tindak balas terhadap penyakit yang dialaminya walaupun sebelum ini para doktor meramalkan dia hanya akan hidup untuk beberapa hari sahaja.

Penyanyi yang menghidap kanser usus dan hati itu koma pada minggu lalu akibat pneumonia.

Sebelum ini, dia terpaksa ditempatkan di dalam ventilator selepas menghadapi masalah pernafasan.

Bagaimanapun, keajaiban yang ditunjukkannya pada malam Ahad memperlihatkan keadaan penyanyi itu beransur pulih dengan hanya menggunakan alat bantuan pernafasan.

Dia juga dikatakan sudah sedar sepenuhnya daripada koma dan mula berbual dengan ahli keluarga termasuk abangnya Barry, 65.

Para doktor berharap alat bantuan pernafasan itu dapat dialihkan sepenuhnya dalam masa terdekat bagi membolehkan Gibb menikmati makanan dan minuman semula.

Dr Andrew Thillainayam daripada Imperial College, di sini, berkata: "Ramalan mengenai keadaan penyanyi itu menunjukkan dia berada dalam keadaan yang nazak sebelum ini. Pada ketika itu, kami sudah menjangkakan dia tidak akan dapat bertahan.

"Namun, kekuatannya melawan penyakit itu adalah sesuatu yang berani, tegar dan menakjubkan."

Sejak berada dalam koma, ahli keluarga penyanyi itu mengawasi Gibb secara rapi dan memainkan muzik kegemarannya bagi memberikan semangat.

Malah, Barry turut dikatakan menyanyi kepada adiknya itu.

Dr Thillainayagam memuji ketabahan isteri Gibb iaitu Dwina dan tiga anak pasangan itu Robin-John, Spencer dan Melissa yang tidak berputus asa dalam situasi genting itu.

Katanya: "Keadaannya masih tidak dapat dijangkakan tetapi ia satu penghormatan buat saya kerana berpeluang untuk melihat kekuatan seorang pesakit yang sudah nazak melawan penyakitnya."

Penyanyi yang menghidap kanser usus dan hati itu jatuh koma pada minggu lalu akibat pneumonia.

Sebelum ini, dia terpaksa ditempatkan di dalam ventilator selepas menghadapi masalah pernafasan.

Bagaimanapun, keajaiban yang ditunjukkannya pada malam Ahad memperlihatkan keadaan penyanyi itu beransur pulih dengan hanya menggunakan alat bantuan pernafasan.

'Kemunculan' Tupac Shakur Kejutkan Penonton

Posted: 23 Apr 2012 09:00 PM PDT

Tupac Shakur.

"KEMUNCULAN" semula penyanyi rap popular era 90'an iaitu Tupac Shakur di sebuah Festival muzik baru-baru ini telah menimbulkan kekecohan di kalangan peminat kerana ada yang mengatakan penyanyi itu masih hidup.

Teka-teki itu terjadi kerana kematiannya pada tahun 1996 pernah diragui sehingga menjadi perbahasan hangat dan ada yang mengatakan penyanyi itu disembunyikan di satu tempat rahsia.

Daily Mail melaporkan, perkara itu telah diungkapkan sendiri oleh Presiden syarikat rakaman Death Row, Suge Knight bahawa kematian Tupac boleh dipertikaikan kerana jenazahnya tidak pernah dilihat oleh sesiapa pun sebelum ini.

"Mungkin Tupac belum benar-benar mati kerana dia ada di suatu tempat. Belum pernah ada yang melihat mayatnya," katanya.

Tahun lalu, Suge dan Sean Combs atau P.Diddy dituduh terlibat sama atas kematian Tupac dan Biggie Smalls. Namun mereka menganggap tuduhan itu sebagai mengarut.

Bagaimanapun kemunculan penyanyi berkenaan menerusi festival tersebut hanyalah dalam bentuk hologram ataupun imej fotografi di hadapan kira-kira 75,000 penonton.

Imej pada hologram itu menunjukkan ia seperti Tupac sebenar.

Kourtney Kardashian Diserang Klaustrofobia Di Lapangan Terbang

Posted: 23 Apr 2012 08:57 PM PDT

Kourtney Kardashian.

PERJALANAN bintang realiti, Kourtney Kardashian dari Mexico bersama kekasihnya, Scott Disick tidak berjalan dengan baik apabila dia diserang klaustrofobia semasa berada di lapangan terbang.

Penyakit itu menyebabkan penghidapnya berasa takut berlebihan ketika berada di tempat sempit dan berkunci. Kourtney sememangnya sering panik apabila berada di tempat sedemikian.

Kunjungan pasangan itu bersama anak mereka Mason yang berusia tiga tahun ke Mexico adalah bagi menyambut ulang tahun Kourtney yang ke-33 pada tahun ini.

Mereka mahu menghabiskan masa di sana tanpa diganggu oleh sesiapa sambil menunggu kelahiran anak kedua mereka.

Jalani latihan tentera demi filem

Posted: 23 Apr 2012 08:54 PM PDT

pix_middle

MENGENALI figura yang seorang ini sebelum dia punya apa-apa lagi. Kalau tidak silap, dia baru berusia 18 tahun atau lebih tepat pada 1999. Mohammad Zalimei Ishak (Remy Ishak), 30, ketika itu, seorang yang cukup pemalu dan tidak banyak bercakap (sekarang pun masih sama cuma lebih berkeyakinan).

"Dalam hidup saya cuba jadi seorang yang lebih bagus. Untuk mencapainya kita perlu berubah daripada terus berada di takuk lama. Saya ambil penghijrahan Rasulullah s.a.w sebagai inspirasi dan kekuatan. Penghijrahan yang saya lakukan untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik dan mengubah nasib keluarga.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

"Dalam bidang lain juga kita boleh mencari masa depan, namun seperti yang kita tahu pekerjaan di Malaysia agak terhad. Memasuki dunia seni, hajat yang sudah sekian lama terpendam sejak berada di kampung lagi. Apa yang saya peroleh hari ini hasil sahutan cabaran teman-teman yang pernah memandang remeh impian saya.

"Terima kasih kepada mereka, kalau tidak dicabar mungkin saya masih di takuk lama. Kekecewaan yang saya lalui dalam kehidupan dalam banyak perkara juga menguatkan lagi keinginan saya untuk menjadi bintang yang dikenali. Dulu, saya sering 'ditolak' wanita walaupun saya tahu saya mampu mencintai sepenuh hati.


"Apapun, kegagalan masa silam tidak bererti kita akan gagal selamanya. Saya rasa tidak salah seseorang mempunyai angan-angan dan impian tetapi perlukan kesabaran dan keazaman untuk mencapainya," katanya.


Untuk berada di tahap sekarang ini, Remy melalui pelbagai kesukaran dan apabila dirinya diterima, timbul rasa kecewa apabila ada pula pihak cuba menghancurkan kariernya dengan menabur pelbagai fitnah.

Apabila dia mengambil tindakan untuk tidak memberi sebarang 'respons' kepada setiap isu yang diperkatakan, dituduh pula dirinya seorang yang 'arrogant'.

"Bukan 'arrogant', saya cuma tak suka bercakap mengenai hal yang tidak tahu pucuk pangkalnya. Jika sesuatu cerita itu sendiri tidak benar, kenapa harus saya menjawab, sekali gus memanjangkan hal yang tak ada.

"Saya lebih suka seandainya fokus diberi kepada kerja yang saya lakukan. Bagaimanapun, sekarang ini saya sedang belajar untuk membiasakan diri dengan hal sebegini dan cuba menerima asam garam dunia seni yang penuh ragam," katanya.

Mula aktif pada 2006, Remy sudah membintangi lebih lima filem antaranya Anak Halal, Duhai Si Pari Pari, Cun, Nur Kasih The Movie termasuk Aku, Kau Dan Dia. Drama serta telefilem pula seperti Sindarella, Obsesi, Awan Dania, Arjuna, Suraya, Iktikaf, Jalan Pintas Ke Neraka, Takbiratul Ihram dan Sesuci Kasih.

Menghala topik pada bidang kerjaya, tanggal 14 April yang lalu buat pertama kali Remy memasuki set penggambaran filem Bravo 5 arahan Mohd Latiff Zami atau Yeop Hitler.

Bravo 5 adalah sebuah filem ketenteraan yang hadir mengisi kekosongan filem bergenre seumpamanya seperti Leftenan Adnan, arahan Aziz M Osman yang menghiasi pawagam pada 31 Ogos 2000.

"Saya tertarik menerima tawaran ini kerana terpaut pada jalan ceritanya. Sejak Leftenan Adnan, setahu saya tiada filem yang mengangkat kehebatan Komando Melayu yang berjuang demi bangsa dan negara. Ia bukan kisah benar, tetapi diinspirasikan daripada tragedi kisah benar sekitar 1980-an.

"Kalau kita bercakap mengenai filem aksi, selalunya yang dihidangkan kepada penonton adalah naskhah mempamerkan kehidupan gengster dan pacuan empat roda. Walhal, filem aksi itu boleh diperluaskan skop penceritaannya.

"Dalam cerita ini, saya memegang watak sebagai Leftenan Azri, ketua Ronda Kumpulan Kecil (RKK). Leftenan Azri seorang yang merendah diri, namun ada ketegasan dalam sifatnya yang lembut. Azri menghormati orang bawahannya.

"Lazimnya, seorang Leftenan digambarkan sebagai individu yang yang garang. Filem ini menawarkan satu lagi penghayatan yang berbeza buat saya khususnya dalam menjiwai perwatakan seorang askar," katanya.

Sebagai persediaan mental dan fizikal menghadapi tuntutan di set penggambaran, Remy mengikuti latihan asas ketenteraan di Kem Sungai Udang, Melaka.

"Selama seminggu saya di sana, kalau ikutkan tidak cukup. Tetapi bersyukur jugalah kerana asas ketenteraan tidak semudah disangka. Menerusi latihan yang turut disertai beberapa pelakon lain dapat membantu kami menjiwai perwatakan seorang tentera apabila memasuki set penggambaran.

"Seawal jam 7 pagi hingga 7 malam, kami yang lengkap berpakaian tentera sudah bersiap sedia menjalani latihan asas ketenteraan seperti taktik serang hendap dalam hutan dan cara memegang senjata 'cobain'. Pada sebelah malam pula diadakan demonstrasi cara penggunaan senjata dengan betul.

"Dari segi karakter, saya rasa tidak begitu sukar kerana ayah saya dulu seorang tentera. Jadi perwatakan seorang tentera dari segi bahasa tubuh dan percakapan, boleh dikatakan saya sudah faham.

"Selepas melalui semua proses yang sangat sukar ini, saya harap ia dapat membantu persembahan saya dalam Bravo 5," katanya.

Berkonsepkan 1Malaysia, selain Remy, filem ini turut dibintangi Beto Kusyairy, Shashi Tharan, Xavier dan pendatang baru, Farid.

Ia menelan belanja yang agak besar kerana kelengkapan penggambaran seperti kamera digunakan dua buah sekali gus.

Selesai penggambaran filem Bravo 5, Remy terikat pula dengan penggambaran drama episod terbitan Filmscape iaitu Cinta Jangan Pergi untuk siaran TV9.

Sebelum kedua-dua peluang berkenaan dilaksanakan, pemuda kelahiran Negeri Sembilan itu baru saja selesai penggambaran filem 13 episod, Cinta Dalam Hati yang bakal ditayangkan di RTM.

Malah, ada pihak meramalkan nama Remy kembali melonjak sebaik kemunculan filem Jiwa Taiko arahan pengarah filem pecah panggung, Ombak Rindu iaitu Osman Ali, yang menjengah pawagam 14 Jun ini.

Ditanya, apakah kepentingan antara filem dan drama sehinggakan Remy masih merebut peluang kedua-duanya walaupun namanya sudah layak memberi tumpuan pada filem saja, jejaka ini berkata, drama adalah ruang dia membina persediaan.

"Filem membawa kita meneroka dunia yang sedikit berbeza daripada drama. Drama saya gunakan sebagai 'platform' untuk belajar mendalami pelbagai karakter.

"Ia sebagai kelas atau persediaan sebelum saya melangkah ke filem. Filem pula ada 'nilai' berbeza daripada drama kerana apabila suatu hari nanti apabila kita sudah tiada, ia tetap dimainkan di televisyen.

"Maknanya, penat lelah dan hasil kerja kita dalam membangunkan industri perfileman masih dapat dikongsi dan dipertontonkan kepada masyarakat," kata duta jenama Dashing itu.

Sebelum mengakhiri perbualan, Remy yang baru saja menyambut ulang tahun ke-30 pada 11 April lalu, tidak meletakkan tempoh untuk mengakhiri zaman bujang.

"Apabila saatnya tiba saya pasti akan berkahwin kerana semua orang mahu mempunyai keluarga," katanya yang menjalinkan hubungan dengan pelakon putih gebu, Tiz Zaqyah.

‘Ambillah nyawaku’

Posted: 23 Apr 2012 08:53 PM PDT

SAKIT...Suraya menunjukkan kulit badan Noor Ashikin  yang melepuh dan berdarah.
SAKIT...Suraya menunjukkan kulit badan Noor Ashikin yang melepuh dan berdarah.

SUNGAI PETANI: "Saya sedih melihat keadaannya kerana setiap hari dia (Noor Ashikin) memohon kepada Tuhan agar ambil saja nyawanya kerana tidak tahan menanggung derita akibat kegatalan pada badannya yang dialami sejak Julai tahun lalu," kata Suraya Maidin, 45, ibu kepada Noor Ashikin Mohd Irwan, 17, yang kulitnya melepuh dan berdarah tanpa diketahui puncanya.

Keadaan itu menyebabkan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari (SMKKJ) di sini, tidak ke sekolah kerana sukar memakai pakaian berikutan kulit badannya tertanggal dan berdarah sehingga tidak mampu menahan kesakitan.


Suraya yang berniaga nasi lemak berkata, penyakit Noor Ashikin mula dikesan selepas dia mengadu gatal seluruh badan sepulang dari sekolah dan apabila membuka baju, mendapati seluruh kulit badannya menggelembung dan selepas itu pecah.

Menurutnya, sejak itu seluruh tubuh anaknya sentiasa berdarah dan Noor Ashikin tidak boleh terdedah kepada keadaan panas kerana kulitnya akan kembali menggelembung dan pecah serta berdarah menyebabkannya meraung kesakitan.


Noor Ashikin masih menerima rawatan susulan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sejak awal bulan ini.


Suraya yang juga ibu tunggal dan tinggal di Flet Paya Nahu di sini berkata, sejak mengalami penyakit itu, Nor Ashikin sudah beberapa kali dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan HSAH bagi menerima rawatan, tetapi doktor pakar gagal mengenal pasti penyakit anaknya.

"Sebelum ini, dia pernah dirawat selama sebulan di HSB dan rawatan susulan di HSAH selepas penyakitnya didapati berkurangan. Bagaimanapun, selepas seminggu keluar hospital, penyakit itu datang kembali menyebabkan anak saya dimasukkan semula ke hospital.


"Terbaru, 8 April lalu apabila dia dimasukkan ke HSAH akibat kulitnya tertanggal dan seluruh badannya berdarah.

"Dia kini masih dirawat di HSAH dan keadaannya semakin beransur pulih, tetapi beberapa bahagian tubuh yang tertutup seperti ketiak, pinggang dan kedua-dua paha masih berdarah.


"Saya sedih melihat keadaannya yang menanggung penderitaan. Tidurnya juga tidak lena kerana sakit, malah tempat tidurnya perlu dilapik dengan plastik bagi mengelak kulitnya yang tertanggal, melekat," katanya ketika ditemui di sini, kelmarin, yang memohon sesiapa saja membantu mencari cara menyembuhkan penyakit anaknya itu.

Hadapi risiko hilang upaya

Posted: 23 Apr 2012 08:52 PM PDT

KESAL...Mohammad Fauzi menunjukkan tangan dan laporan perubatannya.
KESAL...Mohammad Fauzi menunjukkan tangan dan laporan perubatannya.

PUTRAJAYA: Seorang lelaki mendakwa Hospital Putrajaya tidak memberikan rawatan sepatutnya selepas dia terbabit kemalangan, sekali gus menanggung risiko hilang upaya terhadap kecuaian itu.

Kakitangan swasta, Mohammad Fauzi Abdul Halim, 41, mendakwa kejadian itu berlaku pada 28 Ogos tahun lalu selepas dia mengalami kemalangan disebabkan motosikalnya melanggar besi di kawasan Lebuhraya Maju Expressway Putrajaya-Kuala Lumpur.

Menurutnya, ketika itu dia bersama anak sulungnya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menyelesaikan beberapa urusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Saya tak perasan ada besi di jalan dan melanggarnya menyebabkan saya dan anak perempuan jatuh di jalan. Kejadian itu menyebabkan tangan kiri saya luka dan berdarah dan menelefon ambulans untuk menghantar kami ke Hospital Putrajaya.


"Ketika rawatan, doktor meminta saya menjalani X-ray serta diberikan ubat tanpa memberitahu apa-apa masalah yang dihadapi. Saya dibenarkan pulang ke rumah pada hari sama," katanya yang mengadu perkara itu kepada Harian Metro di sini.


Mohammad Fauzi mendakwa, sebaik pulang ke rumah dia berasa sakit dan pedih pada bahagian luka berkenaan dan disebabkan tidak berpuas hati dia mendapatkan rawatan di dua klinik panel sebulan selepas kejadian.

"Bagaimanapun, saya dinasihatkan merujuk ke hospital untuk mengetahui lebih lanjut masalah dihadapi. Seterusnya, saya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Januari lalu untuk rawatan susulan.

"Selepas menjalani X-ray, doktor mengesahkan saya menghadapi masalah pada tangan kiri. Saya tidak berpuas hati dengan pihak Hospital Putrajaya kerana tidak memaklumkan masalah itu lebih awal ketika menerima rawatan di sana," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Putrajaya, Dr Mohd Anis Haron ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima aduan Mohammad Fauzi dan membuat siasatan lanjut mengenai perkara itu.

Detik Cameron jadi ibu

Posted: 23 Apr 2012 08:51 PM PDT

CAMERON dipasangkan dengan bekas kekasihnya, Morrison dalam filem komedi romantik ini.
CAMERON dipasangkan dengan bekas kekasihnya, Morrison dalam filem komedi romantik ini.

DIA menjadi ibu untuk kali pertama dalam kemunculan filem terbaru, What To Expect When You're Expecting.

Perkembangan itu pula nampaknya besar kemungkinan akan berlaku di alam nyata apabila Cameron Diaz dilaporkan bersedia menjadi ibu sebenar.

  • Foto

    UNTUK pertama kali, Cameron diberi watak wanita hamil berpasangan dengan bintang siri Glee, Matthew Morrison.

  • Foto

    CAMERON membawa watak wanita bernama Jules yang bercita-cita mahu menjadi penyanyi serta hos program kesihatan.

Aktres berusia 39 tahun itu membayangkan dia akan mula berkeluarga tidak lama lagi walaupun setakat ini namanya tersenarai sebagai selebriti Hollywood yang tidak pernah melahirkan zuriat.

Ditemui majalay InStyle, Cameron berkata, masyarakat meletakkan tekanan tertentu ke atas wanita bagi mendesak golongan terbabit bertindak mengikut corak tertentu.


"Saya tak pernah kata tidak mahu anak.


"Saya cuma belum ada anak sendiri, tetapi tiada sesiapa tahu apa yang akan berlaku dalam hidup saya," katanya.

Sebelum ini, Cameron pernah keluar dengan sejumlah nama besar dalam industri hiburan Hollywood, termasuk aktor Matt Dillon dan Jared Leto, penyanyi Justin Timberlake serta bintang sukan sofbol dari New York Yankees Alex Rodriguez.

Pun begitu, Cameron berkata, dia seakan-akan tidak percaya seleranya terhadap pasangan lelaki begitu rencam.

"Saya tak pernah menyangka akan menamatkan hubungan dengan semua lelaki yang menjadi pacar, tetapi perpisahan itu berlaku juga akhirnya," katanya.

Pernah membintangi filem The Mask, Cameron memang mencatatkan banyak kisah cinta gagal, selain tidak pernah berkahwin.

Katanya, dia masih yakin kepada cinta walaupun mengakui hatinya sering terluka apabila hubungan yang dibina tidak berakhir seperti diharapkan.

"Saya rela dikecewakan beribu kali daripada tidak dapat bercinta langsung," katanya.

Menurut Cameron, dia mempunyai begitu banyak cinta untuk diberikan kepada lelaki yang sesuai.

Dalam filem terbarunya, peminat dapat melihat bagaimana keadaan Cameron hamil kerana selama ini, dia tidak pernah begitu.

Dalam What to Expect When You're Expecting, Cameron dapat dilihat memeluk bayi yang baru dilahirkannya.

Beberapa pemerhati berkata, peranan itu memang sangat sesuai dengan Cameron.

Dia membawa watak Jules - seorang wanita yang bercita-cita mahu menjadi penyanyi dan hos program menghilangkan berat badan.

Barangkali Cameron memang seorang aktres yang benar-benar hebat.

Justeru, dalam filem berkenaan - yang turut memaparkan wajahnya tanpa mekap - ada adegan yang begitu meyakinkan dibawa Cameron.

Dengan rambut perangnya diikat ke belakang, wajah keibuannya terserlah ketika memandang bayi yang baru dilahirkannya, manakala si bapa begitu teruja melihatnya.

Ironisnya, watak bapa kepada bayi dalam filem berkenaan dibawa aktor serba boleh, Matthew Morrison, yang pernah dikaitkan sebagai kekasih Cameron satu ketika dulu.

Melalui klip promosi filem berkenaan, Morrison, 33, memberikan ciuman penuh kasih sayang ketika meraikan kedatangan anak mereka.

Pada 2009, Cameron kelihatan langsung tidak berminat untuk membesarkan anak apabila dipetik sebagai berkata: "Saya fikir wanita takut untuk mengatakan bahawa mereka tidak mahu anak kerana mereka akan dipulaukan."

Kata Cameron, dia mengenali ramai rakan wanita yang enggan membesarkan anak berbanding kelompok yang mahukan anak.

"Mahu tahu sejujurnya? Kita tak perlukan lebih ramai anak kerana manusia yang ada di dunia ini sudah cukup ramai," katanya.

Filem terbaru Cameron itu menceritakan kehidupan lima pasangan yang bersedia menjadi ibu bapa.

Selain Cameron dan Morrison, filem komedi romantik itu turut dibintangi ramai pelakon handalan, seperti Jennifer Lopez, Chris Rock, Chace Crawford dan Dennis Quaid.

Jennifer membawa watak Holly, seorang wanita yang mahu mengambil anak angkat bersama pasangannya, Alex (lakonan Rodrigo Santoro).

Bintang Gossip Girl, Chace Crawford, diberikan watak pemilik kedai makan bergerak, Marco, yang bertemu semula selepas terpisah sejak sekian lama.

Pasangannya dalam filem itu dibawa bintang Twilight, Anna Kendrick (sebagai Rosie).

Model majalah Sports Illustrated, Brooklyn Decker, membawa watak wanita hamil hasil hubungannya dengan "lelaki jauh lebih tua" bernama Ramsey (dilakonkan Dennis Quaid).

Penyanyi pop Britain, Cheryl Cole, membuat kemunculan istimewa sebagai dirinya sendiri bagi menghakimi pertandingan tarian.

Warga emas dibelasah

Posted: 23 Apr 2012 08:49 PM PDT

IMEJ daripada rakaman kamera tersembunyi menunjukkan Aquino menampar Maria yang terbaring di katil.
IMEJ daripada rakaman kamera tersembunyi menunjukkan Aquino menampar Maria yang terbaring di katil.
TINDAK-TANDUK kasar, termasuk menolak Maria oleh kakitangan pusat penjagaan warga emas di Ash Court, London Utara.
TINDAK-TANDUK kasar, termasuk menolak Maria oleh kakitangan pusat penjagaan warga emas di Ash Court, London Utara.

LONDON: Tindakan kejam seorang jururawat membelasah seorang wanita di rumah jagaan warga emas berjaya dirakamkan apabila sebuah kamera dipasang secara rahsia dalam bilik tidur mangsa.

Tindakan itu diambil Jane Worroll apabila dia mendapati ibunya, Maria, 81, mempunyai kesan lebam pada tangan dan lengan hanya enam minggu selepas ditempatkan di pusat penjagaan berkenaan.

Mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, Jane memasang kamera di bilik tidur Maria tanpa pengetahuan sesiapa.

Hasilnya, kamera itu merakamkan aksi Jonathan Aquino, 30, memukul Maria enam kali pada muka, lengan dan perut.


Rakaman lebih awal menunjukkan Maria - mengalami artritis serius - diurus secara kasar oleh kakitangan pusat jagaan itu.


Satu daripada rakaman itu menunjukkan dua kakitangan pusat penjagaan berkenaan menolak Maria dengan kasar.

Maria diletakkan ke katil pada jam 5.30 petang dan tidak dipedulikan sesiapa.

Aquino dihukum penjara 18 bulan pada 10 hari lalu kerana bersalah menyerang orang awam, manakala empat kakitangan rumah penjagaan itu dipecat apabila Jane menunjukkan rakaman berkenaan kepada pihak pengurusan.

Rakaman itu juga menunjukkan Jane langsung tidak dipedulikan kakitangan di situ.

Apabila masuk ke bilik Jane, mereka langsung tidak menyapanya, malah memasang televisyen dan menutupnya apabila keluar.

Kejadian berlaku di rumah penjagaan orang tua di Ash Court di Kentish Town, London Utara.

Menurut Jane, dia terkejut melihat rutin harian dilalui ibunya.

"Ketika kali pertama menyaksikan rakaman itu, saya tidak dapat mengawal diri daripada menjerit.

"Ibu saya lemah, tidak berdaya dan tidak mampu meminta tolong.

"Justeru, apa yang dilakukan ke atasnya sangat kejam," katanya.

Rakaman itu disiarkan dalam rancangan Panorama terbitan BBC1 malam tadi.

Ia ditayangkan setahun selepas rakaman menunjukkan penghuni rumah penjagaan warga tua Winterbourne View dikasari, dibelasah dan dicurah air di Hambrook, Gloucestershire.

Pusat itu ditutup Jun tahun lalu.

Jane berpindah ke Ash Court kerana pusat penjagaan itu diberikan penarafan "cemerlang" oleh Suruhanjaya Kualiti Penjagaan pada Julai 2010.

Berbekal modal RM500

Posted: 23 Apr 2012 08:46 PM PDT

SELIA...Norma menyediakan khidmat portal secara dalam talian produk Harmony untuk ibu tunggal.
SELIA...Norma menyediakan khidmat portal secara dalam talian produk Harmony untuk ibu tunggal.
PUTERI SHARRON...gigih berusaha meningkatkan taraf hidup diri dan keluarga.
PUTERI SHARRON...gigih berusaha meningkatkan taraf hidup diri dan keluarga.

PENGALAMAN membesarkan anak tanpa kehadiran insan bergelar lelaki sebagai pelindung sememangnya sesuatu yang cukup mencabar bagi mereka yang bergelar ibu tunggal.

Mereka sanggup bekerja keras siang dan malam tanpa mengira penat demi memastikan kebajikan anak sentiasa terjaga dan terbela hinggakan ada kalanya menyebabkan mereka menjadi mangsa keadaan demi kesejahteraan keluarga tercinta.

Mungkin pada pandangan umum perpisahan adalah satu perkara yang sungguh menyeksakan, tetapi ia juga satu permulaan bagi satu kehidupan baru yang pastinya memberikan pelbagai dugaan dan cabaran lebih mencabar kepada insan bergelar ibu tunggal.

Bagi pengasas perniagaan makanan berasaskan sambal dan serunding iaitu SambaRunding, Puteri Sharron Aldila Abd Shukor, 43, perpisahan yang berlaku sebelum ini walaupun perit untuk dilalui, tetapi ia mempunyai rahmat tersembunyi.


Katanya, empat tahun pertama selepas perpisahan adalah tempoh bertenang yang perlu dilaluinya dalam mengenal pasti keupayaan diri dan bangkit semula demi anak.


Jika sebelum ini, dia yang tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa hanya bergantung kepada suami dalam melakukan apa jua perkara, kini perlu berdikari dan menguruskan segala keperluan diri dan anak atas usaha sendiri.

"Saya melakukan pelbagai kerja sepanjang tempoh itu demi mencari rezeki untuk anak dan keluarga memandangkan semua anak berada dalam tanggungan saya. Malah, bekas ibu mentua pun lebih selesa tinggal bersama saya.

"Namun, disebabkan minat tidak terarah kepada semua pekerjaan yang dilakukan sebelum ini, maka ia hanya bersifat sementara saja sebelum berkecimpung dalam dunia perniagaan makanan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Permata, Hulu Klang.

Ibu kepada lima cahaya mata berusia antara enam hingga 16 tahun ini mengakui tidak mudah memulakan perniagaan sendiri memandangkan modal permulaan yang diperlukan amat tinggi.

Menurutnya, dia memulakan perniagaannya berbekalkan modal RM500 tanpa bantuan sesiapa pada ketika itu dan mula berniaga secara kecil-kecilan menjual brownie coklat.

"Selepas memerhatikan produk yang ada di pasaran, timbul ilham untuk menghasilkan hidangan sampingan harian orang Melayu. Dari situlah saya cuba mengetengahkan penjualan sambal dan serunding dan produk pertama yang diperkenalkan adalah serunding pucuk ubi.

"Mungkin ia agak pelik, tetapi ternyata maklum balas diterima amat memberangsangkan dan ia mendapat permintaan tinggi di pasaran. Saya sendiri tidak sangka ramai peminat pucuk ubi," katanya tersenyum.

Terdapat 11 produk yang dihasilkannya hingga kini iaitu serunding jantung pisang, sambal peria dan tempe, sambal petai garing, serunding pegaga, sambal belimbing buluh, serunding geragau, sambal garing putih, sambal geragau, sambal tomato ceri dan juga sambal ikan masin.

Puteri Sharron berkata, dia cuba mencari idea baru yang mampu memberikan kelainan dan belum pernah dipelopori secara meluas usahawan lain.

Cabaran yang dilalui sememangnya banyak terutama dari segi modal dan tenaga kerja. Selain itu, ia juga memerlukan komitmen tinggi sekiranya ingin menempatkan produk keluaran sendiri di pasaran untuk jangka masa lama.

"Saya pernah digelar perempuan gila kerana cuba melakukan kelainan dalam perniagaan yang diceburi, tetapi ia tidak sesekali mematahkan semangat untuk terus berjaya.

"Malah, saya cukup bersyukur kerana produk SambaRunding akan berada di pasaran antarabangsa dan negara yang bakal diterokai kali ini adalah Filipina," katanya.

Apa yang ingin diketengahkan kepada masyarakat terutama ibu tunggal, setiap perkara yang dibuat perlu dilakukan dengan kasih sayang dan bukan secara terpaksa kerana banyak keberkatan boleh diperoleh daripadanya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya boleh layari laman facebook.com/puteri.sharon.

Sebaliknya pula yang berlaku kepada Normazawati Wong Abdullah, 50, yang pernah menggemparkan negara sebelum ini selepas gagal pulang ke tanah air selagi tidak membayar denda VND373,965,810 (RM60,208.50) kepada kerajaan Vietnam selepas menjalani hukuman penjara sejak 2004.

Mengimbas kembali pengalamannya di sana, bekas pengurus kilang perabot itu mendakwa, pada ketika itu dia dianiaya sindiket klon kad kredit dan akhirnya menjalani hukuman di Penjara Thu Duc wilayah Binh Thuan, Ho Chi Minh selama tujuh tahun.

Bayangkan perasaannya ketika itu terpaksa berjauhan dengan anak dan berseorangan di bumi asing tanpa mengetahui nasib yang bakal berlaku terhadapnya kelak.

Menurutnya, ketika itu dia berharap dapat pulang ke tanah air untuk sekali lagi bersama anak-anak dan pada September lalu, doanya dimakbulkan Tuhan.

"Ketika itu perasaan gembira dan bersyukur apabila dapat memijakkan kaki ke tanah air. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan saya ketika itu.

"Perkara pertama yang saya hendak lakukan ialah menatap wajah anak-anak selepas sekian lama terpisah dan berharap mereka dapat memaafkannya kerana 'terpaksa' meninggalkan mereka sebelum ini," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Selepas tiga bulan berada di rumah tanpa melakukan sebarang pekerjaan, dia mula mencari kekuatan untuk kembali aktif menguruskan diri sendiri tanpa perlu lagi mengharapkan belas ehsan sesiapa.

Dia yang sudah 15 tahun menjadi ibu tunggal dan berhadapan dengan pelbagai dugaan hidup yakin mampu kembali berdiri atas kaki sendiri. Dia berazam membantu mereka memerlukan serta mengembalikan semangat mereka untuk terus berusaha walaupun selepas ketiadaan suami.

"Tiada siapa yang dapat menafikan hidup dengan membawa gelaran janda dan memelihara lima anak sendirian adalah satu tugas yang sukar, tetapi kesungguhan dan keyakinan diri perlu ada bagi memastikan keluarga tidak berpecah-belah.

"Saya tidak pernah menjadikan kegagalan rumah tangga sebelum ini sebagai penamat kepada segalanya, sebalik–nya berusaha memberikan hanya yang terbaik untuk anak. Bagaimanapun, tiada siapa menduga disebabkan tersilap langkah, ia memberikan kesan yang sungguh memeritkan," katanya.

Disebabkan itulah, dia bangkit dan mengumpulkan idea bagi menyediakan peluang perniagaan di rumah dengan tujuan dan fokus utama memberi bantuan kepada ibu tunggal agar tidak menerima nasib yang sama sepertinya sebelum ini.

Jika difikirkan daripada pe–ngalaman lalunya di Vietnam, dia kini mampu tersenyum kerana di sebalik segala kesusahan yang dihadapi, terselindung pelbagai pengalaman berharga yang dibawa pulang bersamanya ke tanah air.

"Saya cukup bernasib baik kerana walaupun berada di penjara, tetapi layanan yang diberikan warden dan tahanan di situ amat baik dan saya berada dalam keadaan cukup selesa sungguhpun secara realiti berada di penjara.

"Sepanjang enam tahun sembilan bulan berada di sana, saya fasih berbahasa Vietnam dan hingga kini masih boleh bertutur dengan lancar dalam bahasa berkenaan," katanya.

Di samping itu, untuk memastikan dia tidak lagi mengenangkan peristiwa lampau, dia kini menyediakan khidmat portal secara dalam talian bagi membolehkan ibu tunggal mengendalikan perniagaan mereka di rumah tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap anak dan keluarga.

"Produk asas perniagaan secara dalam talian ini banyak memfokuskan kepada set penjagaan bahagian keintiman rumah tangga kerana aspek terbabit adalah pelengkap dan pengukuh kerukunan rumah tangga setiap pasangan.

"Jika 'kekurangan', pelbagai reaksi ataupun masalah berkaitan boleh wujud sehingga boleh membawa kepada perpecahan hubungan kasih sayang suami dan isteri," katanya.

Menurutnya, walaupun perkara ini kelihatan remeh pada pandangan sesetengah pihak, tetapi ia adalah sesuatu yang sukar untuk diperjelaskan.

"Pada kebanyakan pasangan yang berkahwin, soal keintiman rumah tangga adalah sesuatu yang sukar untuk dikongsi bersama dan ini menyebabkan mereka lebih banyak memendam perasaan tanpa mendapat bantuan untuk mengatasinya.

"Keintiman suami isteri amat penting untuk memastikan kelangsungan rumah tangga. Malah, suami isteri yang bahagia, juga akan membahagiakan anak-anak," katanya.

Wanita yang lebih senang disapa Kak Norma ini mengakui, dia cukup bersyukur kerana berjumpa dengan ramai individu yang sudi memberinya peluang untuk merealisasikan impiannya membantu ibu tunggal. Malah, dia juga bersedia memberi khidmat nasihat kepada mereka yang ingin meningkatkan taraf hidup, tetapi tidak memiliki pengetahuan untuk melakukannya.

Norma berkata, perniagaan secara dalam talian ini bukan berbentuk jualan langsung menggunakan kaedah pemasaran berbilang tingkat (MLM) sungguhpun ia lebih memberikan penumpuan kepada jualan secara langsung.

"Disebabkan itulah saya mewujudkan produk Harmony yang dapat membantu mengatasi segala permasalahan keintiman yang berlaku kepada pasangan.

"Ia 100 peratus buatan tempatan dan turut diformulasikan atas usaha saintis terkemuka menggunakan bahan organik tanpa kesan memudaratkan," katanya.

Untuk mendapatkan maklumat boleh hantarkan e-mel kepada harmony.myinfo@gmail.com ataupun layari laman www.harmony.com.my.

Prema buka langkah

Posted: 23 Apr 2012 08:42 PM PDT

pix_gal0
Harap single terbaru, Superstar diterima baik peminat

GADIS lincah ini ketawa mendengar kelakar si penulis di sebuah restoran sambil mengusap matanya dengan mulut tersenyum lebar, menongkat dagu dan menumpu sepenuh perhatian kepada setiap soalan yang diajukan sambil menghirup kopi susu.

Prema Yin, pemenang Artis Wanita Terbaik Anugerah Voice Independent Music 2012 (VIMA), memang peramah. Dia juga pendengar yang sabar, mahu memahami keseluruhan soalan sebelum menjawab.
Dia antara penyanyi gelombang baru yang mula menyinar di persada seni tanah air dan antarabangsa.
Langkah Prema memang panjang.

Studio tempat dia berkarya bukan di sini, tetapi di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS). Dia ke AS hujung tahun lalu kerana syarikat pengurusannya yang ditubuhkan di LA mempunyai hubungan profesional dengan pengkarya di sana.

Apatah lagi lagunya, Eyo Eyo dimasukkan dalam runut bunyi filem A Novel Romance lakonan Steve Guttenberg, Shannon Elizabeth dan Doug E Doug.

Prema masuk studio bersama penerbit album dan komposer di AS iaitu Bill Grainer (penerbit penyanyi Jennifer Hudson), Michelle Vise (menulis untuk Ke$ha) dan Scott Krippayne (menulis untuk Kutless, Demi Lovato dan Jordin Sparks).
"Album baru mungkin keluar hujung tahun ini. Konsepnya amat pop, dengan serba sedikit pengaruh dance dan elektronika. Kebanyakan lagu dalam Bahasa Inggeris, tetapi saya masih mahu masukkan beberapa lagu Melayu," katanya.

Prema juga ke Bandung dan Jakarta baru-baru ini atas jemputan stesen radio yang menyiarkan lagunya sehingga masuk carta radio Indonesia, membuktikan lagu nyanyiannya mendapat perhatian pendengar di sana.

Walaupun mula mengukir nama di persada seni antarabangsa, hatinya masih kukuh bertapak di Malaysia. Dia juga akur kadangkala untuk mengecapi kejayaan, harus menempuh pelbagai dugaan.

Isu klip video muzik Marilah mendapat perhatian luar biasa tahun lalu apabila pengarahnya, Gambit Saifullah berbalas kata-kata kesat dengan beberapa pihak yang mengkritik hasil kerjanya itu.

Dia juga mendapat komen negatif kerana dikatakan melakukan aksi berahi dalam klip video muzik itu.

"Saya rasa simpati dengan Gambit yang 'diserang' di Malaysia.

Ketika itu saya di luar negara kerana bekerja. Saya terima kritikan dengan hati terbuka. Saya harap, karya saya berikutnya akan dapat memenangi hati peminat, walaupun saya faham agak sukar untuk memuaskan semua orang," jelasnya.

Karya Prema yang berikutnya tampak mampu mengetengahkan kualiti yang membanggakan atas kesungguhannya. Video muziknya yang terbaru, Superstar dilancarka bulan lalu, menunjukkan ahli keluarganya, termasuk dua abangnya iaitu bekas pemain hoki negara Kevan dan Logan Raj.

Video itu diarahkan Adrian Lai dan lagunya memperihalkan sinar yang ada dalam setiap insan, ditulis Prema sendiri.

Antara projek yang bakal diumumkan tidak lama lagi bersifat nasionalis dan Prema akan cuba membangkitkan semangat cintakan negara dalam arena dunia, setara dengan perkembangan kerjayanya di persada antarabangsa.

"Buat masa ini, biarlah saya rahsiakan dulu, sebab semua masih dalam perbincangan. Siapa tahu ke mana kita akan pergi lepas ini. Saya pasti akan ke Indonesia sekali lagi dan ke Amerika untuk beberapa perkara. Yang penting, keluarga dan semua sahabat saya kebanyakannya ada di sini, jadi hati saya tetap di Malaysia," katanya.

Dari dapur beralih ke laut

Posted: 23 Apr 2012 08:41 PM PDT

SELAM skuba dan Sherson memang tidak dapat dipisahkan.

Bagi empunya nama Sherson Lian ini, tidak dinafikan, jadual masa yang padat sememangnya menghalang dirinya untuk melakukan aktiviti kegemarannya itu.

Namun semua perkara tersebut tidak langsung menghalang pengacara rancangan masakan 5 Rencah 5 Rasa ini untuk meneruskan aktiviti kesukaannya itu.

"Saya pasti akan melakukan aktiviti selam skuba setiap tahun. Sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.

"Biasanya, saya akan pergi melakukan aktiviti ini bersama keluarga saya atau pun dengan rakan-rakan.

"Bagi saya, aktiviti ini merupakan salah satu aktiviti yang dapat menenangkan diri dan merupakan salah satu cara untuk melupakan kepenatan bekerja buat seketika.

"Dapat melihat keindahan di dasar laut merupakan salah satu perkara yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata," ujarnya yang sudah memiliki lesen untuk melakukan aktiviti tersebut seawal usia 17 tahun.

Pengalaman Sherson

Kerap memilih Pulau Perhentian, Terengganu sebagai destinasi selam skubanya, Sherson juga sempat berkongsi pengalaman sepanjang terlibat dalam aktiviti tersebut.

Menurut Sherson, antara perkara yang paling manis yang pernah dilalui sepanjang melakukan aktiviti tersebut adalah apabila dikelilingi oleh ikan alu-alu ( baracudda).

"Pengalaman dikelilingi ikan berkenaan merupakan salah satu perkara yang saya tidak dapat lupakan.

"Seingat saya, ketika itu saya pergi ke Pulau Sipadan yang terletak di Sabah bersama dengan seorang rakan pada tahun 2010.

"Aktiviti menyelam kami itu kemudiannya turut disertai oleh beberapa individu lain.

"Tanpa kami sedari, ketika kami sedang asyik menikmati keindahan bawah laut tersebut, sekumpulan besar ikan alu-alu yang masing-masing berukuran satu meter panjang telah datang dekat dengan kami.

"Kami kemudiannya merapatkan badan antara satu sama lain dan melihat mereka terus mengelilingi kami. Memang itu pengalaman pertama saya dikelilingi ikan dalam satu kumpulan yang cukup besar," cerita anak kelahiran Kuala Lumpur yang berusia 27 tahun itu.

Namun di sebalik kegembiraannya melakukan aktiviti tersebut, Sherson juga pernah melalui pengalaman yang nyaris meragut nyawanya.

"Dalam kejadian itu, alat kelengkapan selam saya telah mengalami sedikit masalah. Masalah itu menyebabkan saya naik dengan mengejut ke permukaan air.

"Perkara itu sangat bahaya kerana boleh mengakibatkan tekanan melampau sekali gus akan membuatkan hidung atau telinga berdarah malah jantung juga boleh meletup!

"Ada di antara individu yang terlibat dalam kejadian seperti yang saya hadapi itu, tidak dapat diselamatkan. Ketika itu, saya memang cuba sedaya upaya untuk kembali berenang.

"Memang semua perkara terbayang-bayang dalam fikiran saya ketika itu. Tetapi syukurlah kerana ada pengawal pantai yang berada berhampiran sempat menyelamatkan saya," cerita Sherson yang kini menetap di Melaka.

Namun walau apa pun kejadian yang menimpanya, kata Sherson, selagi termampu aktiviti selam skuba tidak dapat dipisahkan daripada dirinya, apatah lagi ia adalah impiannya sejak kecil.

Chef Garth gemar guna bahan tempatan

Posted: 23 Apr 2012 08:21 PM PDT

CHEF GARTH WELSH

Setiap promosi yang ditawarkan perlu menepati Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan 'Halal') 1975 tetapi masih ada premis yang ditemui menggunakan bahan mentah yang berasaskan alkohol, bahan ramuan yang diragui, bahan mentah yang tiada pengesahan halal, ayam daripada sumber yang tidak jelas dan percampuran di antara bahan mentah halal dengan tidak halal di kawasan penerimaan (loading bay) dan stor penyimpanan.

Barangan tempatan lebih segar

Minggu ini, S3 membawa pembaca ke dapur Restoran Prego yang terletak di Westin Kuala Lumpur bagi mendapatkan komen mengenai isu premis restoran yang menggunakan bahan masakan yang meragui.

Di sana, kami bertemu dengan Pengarah Bahagian Dapurnya, Chef Garth Welsh yang berasal dari Sydney, Australia.

Sejak Oktober 2011, Chef Garth mula bekerja di Malaysia dan mendapati hotel serta premis makanan yang terdapat di negara ini berhadapan dengan masalah seperti ini.

Bagaimanapun, bagi Chef Garth, isu tersebut boleh diselesaikan jika premis restoran atau hotel yang dimaksudkan menggunakan bahan-bahan yang dihasilkan oleh orang tempatan yang terjamin halal dan tidak meragukan.

"Saya pernah bertugas di tujuh negara berbeza iaitu Australia, England, Fiji, Filipina, Maldives, Malaysia dan Norway.

"Dalam pengembaraan sambil bekerja, saya dapati penggunaan bahan tempatan lebih memenuhi kehendak ramai.

"Selain rasanya lebih segar dan mudah didapati daripada bahan-bahan masakan yang diimport, bahan yang dihasilkan petani dan penternak tempatan lebih menepati piawaian Pensijilan Halal Malaysia," jelasnya.

Menurutnya, penggunaan bahan tempatan bukan sahaja berkualiti tinggi, malah mutunya juga sesuai digunakan sebagai masakan global.

"Bahan masakan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, daging dan rempah-ratus tempatan amat sesuai digunakan dalam apa jua juadah yang ingin dihasilkan sama ada masakan Eropah mahupun Asia," katanya.

Chef Garth berkata, beliau mula menceburi bidang masakan sejak berusia 15 tahun.

Selepas menamatkan pengajian, beliau bekerja di sebuah restoran berdekatan dengan rumahnya.

Sejak daripada itu, beliau meneruskan kerjayanya sehingga ke hari ini tanpa jemu.

"Walau di mana saya berada, semua tempat kerja saya memberikan pengalaman yang berbeza.

"Saya bawa apa yang pernah saya pelajari sebelum ini ke tempat baru. Biarpun saya hanya bekerja di restoran biasa yang tidak menyediakan masakan sehebat di hotel, namun apa yang saya pelajari banyak membantu saya.

"Pada pendapat saya, seorang chef bukan hanya memasak tetapi mereka juga perlu bijak melakukan kerja-kerja pengurusan dalam masa yang sama.

"Sebab itulah, saya berasa beruntung kerana berpeluang melihat kehidupan orang tempatan dan fahami budaya mereka. selain boleh belajar masakan tempatan," ujarnya.

Katanya lagi, setiap chef ada kekuatan tersendiri dan tidak kisah belajar daripada chef tempatan.

"Saya menyokong mereka sebab chef-chef tempatan inilah pakar sebenar masakan masing-masing.

"Seperti di Westin, terdapat enam restoran yang berbeza dan saya tidak kisah meluangkan masa di setiap restoran tersebut semata-mata mahu belajar masakan tempatan. Namun, apabila menyentuh mengenai masakan global, saya pula yang mengajar mereka.

"Di negara saya, kami tidak mempunyai masakan tersendiri seperti di Malaysia, Thailand, India dan Jepun. Namun, kami mempunyai pelbagai masakan kerana di Australia, pelbagai bangsa tinggal di sana," jelasnya.

Sebut mengenai idola dalam bidang masakan, Chef Garth mengagumi kebolehan ratu rempah ratus dari negara kelahirannya, Chef Christine Manfield.

"Beliau amat terkenal di tempat saya dan dia berkebolehan menguruskan restoran sendiri. Selain kehebatan masakannya, saya mengagumi personalitinya," katanya.

Arca konseptual evolusi moden

Posted: 23 Apr 2012 08:12 PM PDT

Mulut meriam dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan besi.

SENI arca mempunyai keistimewaan yang tersendiri berbanding dengan seni halus yang lain. Berbentuk tiga dimensi membuatkan bahan seni visual ini diminati ramai sehingga ia dikatakan berkait rapat dengan kerja-kerja senibina yang sering mengutarakan konsep arca berkaitan dengan alam kehidupan seharian.

Berasal dari bahasa Latin iaitu sculpere yang membawa makna proses mengukir, melarik, mencungkil dan mengguris, ia pada mulanya dibina dalam bentuk figura manusia yang berkaitan dengan sistem kepercayaan ataupun agama, selain arca ukiran daripada gading, tulang, tanduk dan tanah liat.

Bagaimanapun kaedah kesenian ini berevolusi daripada bahan tradisional seperti batu marmar, kayu, gangsa dan sebagainya kepada bahan plastik, fabrik dan bahan buangan.

Sekiranya diteliti dengan mendalam atau secara ilmiah, kita dapat mengesan daya kreativiti yang ada pada pengkarya yang mampu menggambarkan sesuatu entiti khusus, perlambangan mahupun yang ditempah untuk memperingati suatu peristiwa bersejarah dalam kehidupan seorang tokoh terkemuka.

Pengarca antarabangsa kebanyakannya merujuk kepada sejarah dan juga budaya masing-masing sebagai panduan berkarya tetapi dengan perkembangan yang ada, ia tidak lagi terhad kepada bentuk carving dan modeling sahaja.

Begitu juga dengan hasil tangan anak muda bernama Jamil Zakaria. Daripada garisan biasa, beliau membuktikan kemahiran dan kebolehan mengarca dalam cara yang tersendiri.

Berbekalkan dawai berwarna-warni yang dibentuk berdasarkan imaginasinya, Jamil yang pada mulanya banyak menghasilkan arca menggunakan jerami padi beralih kepada bahan yang lebih tahan lasak.

Menurut Jamil, dawai yang digunakannya itu kena dengan konsep arca berbentuk garisan.

"Saya suka menghasilkan arca berbentuk struktur kehidupan dan daripada kajian yang saya lakukan, saya dapati penggunaan dawai menepati cita rasa saya dalam penghasilan karya berbentuk acra.

"Dawai mudah dilentur dan hanya memerlukan perkakas biasa untuk menghasilkannya, selain ia mudah didapati," jelasnya.

Beliau berkata, sebelum penghasilan sesebuah arca, Jamil terlebih dahulu membayangkan dan seterusnya melakar bentuk acra tersebut di atas kertas kosong.

Dari imej tersebut maka terhasillah sebuah arca berbentuk abstrak bersesuaian dengan kehendak peminat seni arca moden.

"Saya pilih konsep arca konseptual kerana ia memerlukan daya pemikiran yang tinggi untuk menginterpretasikan bentuk dan maksud arca tersebut.

"Tidak ramai pengarca menggunakan konsep seperti ini, sebab itulah saya tertarik untuk menerokainya.

"Setiap karya mengambil masa yang panjang untuk dihasilkan. Ada yang mengambil masa sehingga sebulan. Setakat ini, rekod arca paling besar yang pernah saya hasilkan sebesar 1.5 meter (lima kaki)," katanya.

Maria si jurutera yang kental

Posted: 23 Apr 2012 08:11 PM PDT

MELIHAT wajahnya yang ayu dengan skarf dililit rapi menutupi auratnya, mungkin tidak ramai menyangka pemilik nama Maria Elena Zarul Ahmad, 25, ialah seorang jurutera - kerjaya yang didominasi oleh lelaki.

Menceritakan pelbagai pengalaman manis serta cabaran pekerjaannya, boleh dirasakan perasaan teruja wanita muda ini terhadap kerjaya yang dijawatnya kira-kira dua tahun ini.

"Bidang kejuruteraan ini lebih kepada penyelesaian masalah. Saya meminati subjek Matematik dan Fizik ketika zaman sekolah lagi membuatkan saya memilih kerjaya ini.

"Sebenarnya ia sama seperti kerja lain yang ada cabaran sendiri. Mungkin kerana kebanyakan jurutera ialah lelaki membuatkan orang ramai berpendapat pekerjaan ini kurang sesuai untuk wanita.

"Sebagai seorang jurutera perempuan, saya perlu pandai menyesuaikan diri dengan suasana yang dipenuhi dengan rakan sekerja dan klien lelaki.

"Alhamdulillah saya tiada masalah hubungan antara rakan sekerja dan mereka melayan saya seperti biasa tanpa diskriminasi," ujar siswazah Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang memegang Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia ini.

Kerjayanya sebagai jurutera juga memberikannya pengalaman baru apabila perlu menghadiri mesyuarat di dalam dan luar negara.

Fesyen

Walaupun melakukan pekerjaan yang 'kasar', Maria tetap gemar berfesyen seperti wanita lain.

Dia yang juga penulis blog http://peliks.blogspot.com ini sering memuat naik video tutorial cara memakai selendang dan ia menjadi ikutan ramai.

"Saya seorang yang sederhana dan berfesyen mengikut apa yang cantik di mata saya.

"Kadang-kadang saya ada juga mengikut trend fesyen terkini tetapi disesuaikan dengan imej saya yang bertudung dan saya akan pastikan ia tidak nampak canggung.

"Tidak semua fesyen terkini sesuai dengan kita. Oleh itu kita perlu pandai bereksperimen dan yang penting biar selesa," ujarnya yang turut gembira dengan perkembangan fesyen tudung sekarang.

Terangnya, bertudung tidak menghalang daripada berfesyen asalkan bersesuaian dan masih menjaga aurat.

Kulit sempurna aset model

Posted: 23 Apr 2012 08:09 PM PDT

Duta SK-II antarabangsa Sheila Sim.

MELIHAT kesungguhannya menjayakan sesebuah pertunjukan fesyen dengan ekspresi muka yang menawan, tidak hairanlah dia berjaya menempa kejayaan sebagai model Singapura yang berjaya.

Hakikatnya, Sheila Sim tidak pernah memasang impian untuk menjadi seorang model. Segala-galanya bermula apabila Sheila sering melihat makciknya, Ivy Chng, muncul di kaca televisyen.

"Semasa saya berusia 16 tahun, saya menjadi model pengiring majlis mak cik saya, Ivy. Kemudia saya jatuh cinta dengan karier ini dan bermulalah karier saya sebagai model," ujarnya yang mengembangkan kerjayanya di Hong Kong pada 2002.

Kini, dia melanjutkan pelajaran dalam bidang pengiklanan dan pemasaran serta bakal lahir dengan koleksi busana jenama sendiri.

KecantikanWanita berusia 27 ini percaya pada kecantikan semula jadi.

"Anda perlu yakin siapa diri anda. Terima segalanya dengan hati yang terbuka," ujarnya.

Bagi Sheila, kulit wajah yang sempurna adalah yang menyerlah walaupun tanpa solekan.

Justeru selain menggunakan rangkaian produk SK-II sebagai penjagaan asas kulit, dia mengurangkan penggunaan solekan dan tidak memicit jerawat supaya wajah kekal cantik.

"Saya mempunyai masalah kulit sensitif sejak remaja lagi. Sebab itulah saya amat teliti soal pemilihan produk," katanya yang dilantik duta SK II antarabangsa baru-baru ini.

Bukan sekadar aktiviti kokurikulum

Posted: 23 Apr 2012 08:08 PM PDT

Mohd. Nor Mansor (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli Kadet Polis di SMK Temerloh Jaya, Pahang, baru-baru ini.

Ahli pasukan Kor Kadet Polis yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah perlu menghayati peranan dan konsep penubuhan pasukan itu dan bukannya memenuhi aktiviti kokurikulum semata-mata.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nor Mansor berkata, selain menitik beratkan soal disiplin, mereka juga mereka boleh menjadi 'mata dan telinga' polis dengan peranan membantu pasukan keselamatan mengekang serta membendung aktiviti jenayah yang berkemungkinan berlaku di persekitaran mereka.

Katanya, penubuhan Kor Kadet Polis pada 2 Mac 1970 mempunyai signifikannya tersendiri kerana ia dapat mendedahkan tugas dan peranan sebenar polis kepada para pelajar selain membentuk disiplin diri, membina semangat kerjasama dan patriotik.

''Di samping memenuhi tuntutan kokurikulum menerusi aktiviti pasukan beruniform, para pelajar turut memainkan peranan penting bagi membantu polis dan masyarakat dalam soal-soal yang berkaitan dengan pencegahan jenayah.

''Saya berharap mereka dapat mempraktikkan setiap ilmu yang dipelajari dalam kadet polis ini pada setiap masa, sama ada sewaktu menjalani aktiviti pasukan, di sekolah, di rumah atau di mana-mana sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian hari Ulang Tahun Penubuhan Pasukan Kor Kadet Polis yang ke-42 peringkat Daerah Temerloh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temerloh Jaya, Temerloh, Pahang, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut beliau turut membaca perutusan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Menurutnya, jika semua ahli kadet polis memahami peranan dan tanggungjawab mereka, masalah disiplin sekolah dapat ditangani dan persekitaran sekolah menjadi lebih selamat.

Sementara itu, Ismail dalam perutusannya berkata, aktiviti kadet polis dapat melahirkan insan yang mantap dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek serta membentuk masyarakat yang mempunyai hubungan erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, pasukan beruniform itu ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan PDRM dengan keahliannya daripada 1,960 di awal penubuhannya kini telah meningkat kepada 110,740 orang di semua sekolah menengah di seluruh negara.

Beliau mewakili PDRM berbangga dengan peningkatan bilangan penyertaan Kor Kadet Polis ini yang menunjukkan bahawa pelajar mempunyai kecenderungan yang tinggi kepada badan beruniform.

Mini Olimpik pupuk semangat kesukanan, jayakan 1Murid 1Sukan

Posted: 23 Apr 2012 08:07 PM PDT

Gavin Anderson (tengah) dan Joachim Gunsalam (lima dari kiri) bersama para guru, jurulatih serta kakitangan Kementerian Pelajaran pada program Mini Olimpik di Ranau, Sabah, baru-baru ini.

SEMPENA 100 hari sebelum menjelangnya temasya Olimpik London 2012, British Council Malaysia baru-baru ini menganjurkan Mini Olimpik dalam usaha menerapkan semangat kesukanan yang tinggi di kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Pengarah Negara British Council Malaysia, Gavin Anderson berkata, program yang mendapat kerjasama Kementerian Pelajaran, Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Paralimpik Malaysia dan UNICEF itu dianjurkan selaras dengan matlamat kerajaan untuk melaksanakan dasar 1Murid 1Sukan.

"Sukan merupakan medium paling sempurna untuk mendidik pelajar mengenai kehidupan seperti kerja berpasukan, cara menghadapi tekanan dan pengurusan diri apabila berhadapan kegagalan atau kejayaan.

"Ini merupakan sebab yang menjadikan sukan sebagai platform ideal untuk mengajar serta melibatkan diri dengan generasi pemimpin pelapis masa hadapan," katanya ketika berucap pada program Mini Olimpik di Kompleks Sukan Ranau, Sabah, baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Dr. Joachim Gunsalam dan Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah, Dr. Muhyiddin Yussin.

Pada program Mini Olimpik itu, pelbagai acara sukan melibatkan kesemua kelima-lima sekolah itu antaranya acara padang dan balapan seperti lari 100 meter, lompat jauh, lompat tinggi dan merentas desa serta futsal dan bola baling.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Program British Council Malaysia, Clare Walker memberitahu, Mini Olimpik ini membuktikan bahawa nilai sukan mampu menyatukan semua orang dan menyokong matlamat utamanya untuk mendekati anak muda di seluruh dunia serta menghubungkan mereka dengan inspirasi temasya sukan tersebut.

"Ia juga menjadi harapan kami agar latihan dan pengalaman yang diperolehi oleh Pemimpin Muda Sukan melalui platform ini akan membolehkan mereka menjadi rakyat yang aktif di kalangan masyarakat, mempertingkatkan nilai kerja berkualiti dan memahami kepelbagaian budaya di kalangan mereka," ujar beliau.

Pada majlis itu, obor sukan Olimpik Beijing 2008 turut dinyalakan dan dibawa mengelilingi stadium sebagai simbolik Sukan Olimpik.

MRSM Terendak menang pingat emas dunia

Posted: 23 Apr 2012 07:43 PM PDT

Wan Rohila Wan Hassan (kanan) gembira berkongsi kegembiraan dengan pelajar yang memenangi pingat emas pada Pertandingan Cipta Remaja Antarabangsa di Azerbaijan, baru-baru ini.

MAKTAB Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, Melaka sekali lagi mengharumkan nama negara apabila tiga pelajarnya menang pingat emas dalam Pertandingan 6th International Environmental Project Olympiad-INEPO-EUROASIA, di Baku, Azerbaijan, baru-baru ini.

Pengetuanya, Noor Hassan Hussain berkata, kejayaan memenangi pingat emas di Pameran Reka Cipta Remaja Antarabangsa (IYIE) di Taiwan sebelum ini telah meningkatkan semangat pelajar mencuba nasib dalam pertandingan di Azerbaijan.

"Hasil reka cipta mereka yang menjadikan air garam atau air laut sebagai sumber tenaga pilihan turut mendapat perhatian luar biasa seluruh dunia," katanya.

Tajuk projek mereka yang turut disertai 90 peserta daripada 43 negara adalah 'Menggunakan Air Garam Ganti Bateri Kering dan Projek Pelita Sempena Perayaan Mengggunakan Air Garam Ganti Kerosin'.

Pelajar berkenaan, Muhammad Dhiyauddin Asyraf Abd Jalal dan Mohamad Nazmi Mohamad Norrizal masing-masing berumur 17 tahun bersama guru pengiring, Wan Rohila Wan Hassan berjaya menghasilkan sel garam yang mempunyai daya tahan lebih tinggi berbanding sel kering yang terdapat di pasaran.

Sementara itu, Noor Hassan berterima kasih kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana memberi sokongan dan membiayai pelajar menyertai pertandingan tersebut.

Pertandingan INEPO-EUROASIA AZERBAIJAN ini adalah yang ke-23 terbesar bermula pada 2007 dan penyertaannya sentiasa meningkat sehingga dapat mengumpulkan 400 pelajar dari 43 negara pada edisi 2012.

Ia melibatkan empat kategori iaitu tenaga, alam sekitar, kejuruteraan dan sosial.

BMCK terap konsep guru di sisi murid

Posted: 23 Apr 2012 07:41 PM PDT

HISSAMUDDIN Mohd. Amin bersama dengan sebahagian produk BMCK keluaran syarikatnya, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

BELAJAR Matematik Cara Kacang (BMCK) menerapkan konsep guru sentiasa di sisi murid menggunakan teknik mudah dan senang difahami merupakan salah satu alat bantuan pembelajaran selain kelas tambahan di sekolah serta pusat tuisyen.

Pengarah Urusan Aspati Sdn. Bhd., Hissamuddin Mohd. Amin berkata, produk BMCK adalah klip video penerangan konsep dan contoh penyelesaian soalan kesemua 11 topik matematik tingkatan empat dan 10 topik matematik tingkatan lima.

"BMCK menawarkan jumlah klip satu masa selama hampir 30 jam yang mana durasi penerangan setiap satu klip video mengambil masa lapan hingga 15 minit. Pelajar mengunakan konsep pembelajaran kendiri dalam mengatasi masalah memahami sub topik yang kurang dikuasai atau diingati.

"Dengan konsep ini, pelajar lebih mudah mengingati sesuatu kemahiran matematik kerana mereka berusaha sendiri untuk mencari jawapannya," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Kesemua bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang terkandung di dalam video BMCK merupakan silibus daripada Kementerian Pelajaran yang dikelolakan guru berpengalaman mengajar matematik tingkatan empat dan lima.

Pelajar boleh menggunakan video BMCK untuk belajar dengan guru khas matematik secara peribadi. Penerangan dalam video sangat mudah difahami walaupun disampaikan mengunakan bahasa Inggeris.

Menerusi BMCK, pelajar boleh membuat latihan dan mengulang video sekerap mungkin dan boleh menghentikannya pada bila-bila masa mengikut kesesuaian pelajar itu sendiri.

Hissamuddin berkata, BMCK bukan sahaja boleh digunakan oleh pelajar tetapi juga guru-guru sekolah atau pusat tuisyen bagi mempelbagaikan kaedah pengajaran seperti projek klinik matematik, projek bantu relief dan projek gilap potensi.

Teknik belajar BMCK ini didatangkan dalam dua versi iaitu atas talian (online) dan offline. Pembelajaran secara online adalah khusus untuk Internet yang berkelajuan tinggi (1MB ke atas) dan boleh juga di akses di iPad atau Android.

Versi offline pula adalah berbentuk data DVD bagi kawasan pedalaman yang tidak mempunyai capaian Internet.

Sebarang pertanyaan tentang produk BMCK atau mereka yang berminat mendapatkan atau menjadi pengedar produk boleh menghubungi talian 017-210 3873 atau 018-3128385.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu