Sabtu, 21 April 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Preve: Proton terima 2,800 tempahan

Posted: 21 Apr 2012 11:31 PM PDT

proton_preve

KUALA LUMPUR - Proton Holdings Bhd, yang setakat ini menerima 2,800 tempahan untuk kereta global pertama yang baru dilancarkan, Proton Preve, akan mula memasarkan kereta itu di Indonesia dan Thailand pada pertengahan tahun ini, kata Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir hari ini.

"Sejak dilancarkan, kami merekodkan tempahan sebanyak 2,800 unit. Kami mendapat sambutan yang sangat menggalakkan."

"Ramai yang berpuas hati terhadap reka bentuknya dan ini memberikan kami keyakinan bahawa Proton Preve dapat menembusi pasaran domestik, dan Insha-Allah ia akan berada dalam pasaran luar negara menjelang pertengahan tahun ini," katanya kepada pemberita pada pelancaran bilik pameran baharu Proton di Jalan Ampang di sini hari ini.

Beliau berkata, Proton Preve akan dipasarkan di Australia menjelang akhir tahun ini.

"Kami akan mulakan dengan Indonesia dan Thailand, dan menjelang akhir tahun, kami akan memasarkannya di Australia. Inilah strategi kami dalam memastikan ia dipasarkan di Malaysia sebelum ke luar negara," katanya.

Syed Zainal yakin Proton dapat mencapai sasaran jualan bulanan sebanyak 4,000 unit Proton Preve.

"Saya yakin kami dapat mencapai sasaran itu. Namun, kami mesti mendapat kerjasama daripada institusi kewangan bagi memberi pinjaman kepada mereka yang mahu membeli kereta. Setakat ini, kami memperoleh kerjasama daripada institusi kewangan untuk tujuan itu," katanya.

Syed Zainal juga berkata kira-kira RM2.5 juta dibelanjakan untuk menaik taraf bilik pameran Jalan Ampang kepada bilik pameran Platinum. Reka bentuk moden bilik pameran itu dengan muka bangunan menyerong dan dinding tanpa cermin, sinonim dengan gaya baharu bilik pameran Platinum Proton di Mutiara Damansara.

Beliau berkata, bilik pameran itu penting memandangkan ia terletak berdekatan kebanyakan kedutaan, dan oleh itu ia mesti berkualiti dan mencerminkan ciri-ciri Proton.

Beliau juga berkata, ubah suai bilik pameran itu merupakan sebahagian daripada pelan penyepaduan Proton yang diputuskan dua hingga tiga tahun lepas bagi memastikan kepuasan pelanggan.

Menurut Syed Zainal, Proton akan menaik taraf beberapa lagi bilik pameran ke tahap Platinum. Proton mempunyai 201 bilik pameran di seluruh negara.

"Kami sedang melakukan kajian. Kami mahu menaik taraf beberapa lagi bilik pameran dari semasa ke semasa. Setiap bilik pameran mesti sama. Untuk itu kami mesti melabur," katanya.

Mengenai sama ada beliau akan kekal sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Syed Zainal berkata: Saya tidak dapat mengulasnya sekarang. Masanya tidak tepat."

Penerbangan sewa khas ke Nanning bermula

Posted: 21 Apr 2012 11:28 PM PDT

Penerbangan sewa khas ke Nanning bermula

Syarikat penerbangan komuniti, Firefly memulakan penerbangan sewa khas sulung, dua kali seminggu ke Nanning, China Selatan bermula semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Ignatius Ong berkata, penerbangan itu adalah kerjasama Firefly dan Perkhidmatan Perjalanan Antarabangsa China Guangxi.

Menurutnya, penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Nanning dijadualkan setiap Ahad manakala dari Kuala Lumpur ke Nanning melalui Pulau Pinang setiap Khamis.

"Menggunakan pesawat B737-400, Firefly mampu menampung kapasiti 162 penumpang dan ia adalah penerokaan pertama mereka ke China sekali gus menjadi satu-satunya syarikat penerbangan yang menyediakan hubungan terus antara Malaysia dan Nanning," katanya.

Ignatius berkata, Firefly meramalkan permintaan penumpang terdiri daripada perjalanan percutian dan urusan perniagaan, malah sedang meneroka kemungkinan menawarkan lebih banyak penerbangan ke China menggunakan pesawat B737.

SukaSukan tepati cita rasa aktif

Posted: 21 Apr 2012 11:26 PM PDT

Yuskiahniza (tengah) bersama Pengarah Eksekutif SukaSukan, Zulkarnain Md Yusof dan Mohamad Nizam

Buka cawangan pertama esok di Glomac Saujana Utama, Sungai Buloh. Esok cawangan kedai sukan pertama, SukaSukan akan dibuka di Glomac Saujana Utama, Sungai Buloh.

Pembukaannya akan dirasmikan Pengerusi Glomac, Tan Sri FD Mansor.
Pengarah Urusannya, Datin Yuskiahniza Md Yusof berkata, SukaSukan boleh diibaratkan sebagai sebuah kedai sehenti yang menawarkan pelbagai kelengkapan dan aksesori sukan di bawah satu bumbung.
"SukaSukan menampilkan gaya hidup sukan pada harga berpatutan. Kami yakin pilihan barangan sukan di sini menepati cita rasa aktif, sesuai bagi setiap peringkat umur," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Jika peminat sukan mencari-cari barangan original yang berkualiti tinggi, sudah pasti cawangan SukaSukan mampu memenuhi cita rasa serta gaya hidup anda.
Berbekalkan minat yang mendalam terhadap produk sukan, Yuskiahniza sanggup mengeluarkan modal sekitar RM400,000 hingga RM500,000 untuk memulakan perniagaan tersebut.
"Kami menyasarkan tiga lagi cawangan akan dibuka dalam masa terdekat sebelum membuka peluang kepada usahawan secara francais mengembangkan perniagaan ke seluruh negara," katanya.
Sementara itu, katanya, acara perasmian pada Sabtu ini akan bermula pada jam 2 petang dengan kehadiran­ Upin dan Ipin, selebriti terkenal, cabutan bertuah, diskaun hebat, pertandingan menimang bola, peraduan mewarna dan pelbagai acara menarik.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan majlis di samping menikmati diskaun hebat dan memenangi hadiah menarik.
Maklumat lanjut, sila hubungi 03-6038 7002.

Taktik licik 'profesional', buka cermin hadapan kereta

Posted: 21 Apr 2012 11:23 PM PDT

Taktik licik 'profesional', buka cermin hadapan kereta

GUAR CHEMPEDAK (Yan) - 'Pencuri profesional'. Demikian pendapat penduduk di Kampung Banggol Lalang berhubung kejadian kereta seorang penduduk di sini yang menjadi mangsa kes kecurian, Jumaat lalu.

Pencuri terbabit dikatakan 'profesional' kerana berjaya membuka cermin hada-pan kereta jenis Perodua Kancil milik Hasnah Ariffin, 51, dan mengangkat cermin tersebut serta diletakkan di atas bumbung kenderaan itu tanpa memecahkannya.

Difahamkan, modus operandi yang digunakan untuk memecah masuk kereta itu amat licik tanpa melibatkan kerosakan teruk dan mangsa langsung tidak menyedari kehadiran si pencuri.

Suami Hasnah, Sirozi Mohd Noh, 52, berkata, dia menyedari keadaan kereta kancil itu yang di parkir di garaj hadapan rumahnya pada jam lapan pagi Jumaat lalu apabila ingin keluar menghantar anaknya ke kelas tuisyen.

"Semasa keluar dari rumah, saya terkejut apabila diberitahu oleh anak bahawa cermin kereta itu telah dileraikan daripada bingkainya dan diletakkan di atas bumbung kereta.

"Setelah diperiksa, saya dapati radio pemain cakera padat di dalam kereta itu telah tiada, dipercayai dikebas oleh pencuri terbabit," katanya.

Sirozi berkata, dia juga mendapati pintu kereta sebelah pemandu cuba dikopak, namun gagal, berdasarkan kesan kopak yang terdapat pada pintu terbabit.

Sementara itu, Hasnah berkata, dia tidak perasan keadaan cermin hadapan keretanya telah dileraikan dan diletakkan di atas bumbung kereta ketika membuka tingkap rumahnya pagi itu.

"Selepas bangun daripada tidur, saya membuka tingkap rumah dan menjenguk keluar rumah memerhatikan keadaan sekeliling. Saya perasan terdapat getah panjang berwarna hitam di atas lantai garaj.

"Saya sangka ular, namun setelah diperhatikan dengan teliti baru saya perasan itu getah. Namun tidak menyangka getah itu adalah getah yang dilekatkan antara cermin hada-pan kereta dan bingkai cermin itu. Saya langsung tidak perasan mengenai keadaan kereta itu sehingga diberitahu suami," katanya.

Sirozi kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Guar Chempedak dan nilai kerugian dianggarkan sebanyak RM1,200.

Nelydia pengsan dalam kubur

Posted: 21 Apr 2012 11:23 PM PDT




PERNAH tidak sedarkan diri selama beberapa jam, diusung keluar dari kubur oleh 10 hingga 12 orang kru pada pukul 12 tengah malam bagai satu igauan buat Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen. Ketika kejadian itu berlaku, dia berada di sebuah kawasan perkuburan Islam di Melaka kerana terbabit dalam penggambaran drama seram, Puaka Tanjung Bunga.

"Kawan-kawan beritahu, saya tidak sedarkan diri dan berkelakuan pelik sebaik dimasukkan dalam kubur. Kepala saya dikatakan berpusing ke belakang dan saya sendiri menghentak-hentakkan kepala ke tanah.

"Kru yang angkat saya mengakui, tubuh saya sangat berat sampai kena usung oleh 10 hingga 12 orang. Saya sendiri tak sedar apa-apa tetapi setelah diubati seorang pakar, keesokan harinya, saya boleh berlakon macam biasa. Mungkin saya jenis lemah semangat lagipun ketika itu saya didatangi haid," ceritanya yang lebih mesra dibahasakan Nely tentang pengalaman menyelesaikan drama seram yang mula disiarkan di TV9, pada Rabu lalu.

Menerusi drama Fairuz Loy itu, Nelydia diberi peranan memegang dua watak sekali gus iaitu sebagai watak gadis moden dan purba.

"Saya bawa watak Mayang dan Sanur. Mayang seorang wanita kampung berusia 30-an sementara Sanur pula wanita zaman silam yang bertukar menjadi puntianak. Membawa dua watak dalam satu drama nyata mencabar diri saya dan saya berazam memberikan yang terbaik kepada penonton," katanya yang menimba banyak ilmu daripada Faizal Hussein yang melakonkan watak kekasihnya manakala Namron pula sebagai bapa dalam drama berkenaan.

Belum meletakkan hala tuju dalam karier yang diceburi sejak berusia 13 tahun, Nelydia, 18, kini tidak berhenti menerima tawaran lakonan. Biarpun begitu, bintang drama Friday I'm in Love di TV9 itu sebenarnya tidak meletakkan bergunung harapan dalam bidang seni kerana percaya perjalanannya masih terlalu jauh.

"Walaupun orang selalu tak percaya yang saya baru berusia 18 tahun, mungkin sebab penampilan dan pergaulan saya.

"Saya meminati psikologi dan jika rancangan saya mahu sambung belajar di universiti tercapai, saya akan ambil bidang psikologi. Saya minat untuk kenal lebih dalam tentang perasaan orang lain.

"Dalam soal lakonan, saya tidak tahu sampai bila saya terus berlakon, saya cuma mahu ikut rentak karier ini," katanya yang kini sibuk di lokasi drama Chef Cinta, sebuah siri untuk RTM.

The Changcuters jelajah Asia

Posted: 21 Apr 2012 11:21 PM PDT


THE CHANGCUTERS (dari kiri) ialah Dipa, Alda, Tria, Qibildan Eric.


GRUP dengan muzik dan imej yang unik, The Changcuters akan menjelajah beberapa negara Asia. Selain mengadakan persembahan di Singapura, Malaysia dan Hong Kong, mereka juga akan tampil di Jepun.

"Kami akan mengadakan persembahan pada 30 April di Singapura sebelum ke Kuala Lumpur keesokan harinya. Destinasi seterusnya ialah di Hong Kong dan Jepun, tetapi kami belum ada tarikhnya," jelas Tria sang vokalis.

Tria kemudian menerangkan bahawa The Changcuters akan muncul dengan sebuah konsert tunggal sebelum mereka mengeluarkan album baharu.

"Kita mahu membuat konsert tunggal. Doakan semoga semuanya berhasil dan lancar," ujarnya.

"Kami mendapat idea dengan grup-grup luar negara. Mereka boleh mengadakan konsert di luar dan kenapa kita tidak boleh? Kami sebenarnya juga pernah mengadakan konsert tunggal di Bandung tetapi sekarang mahu tampil dengan sebuah konsert yang benar-benar sempurna," tutur Tria lagi.

Aura keras Amy Search

Posted: 21 Apr 2012 11:20 PM PDT




AMY SEARCH punya aura yang cukup besar walaupun dia berada di Pulau Bali, Indonesia.

Walaupun jarak antara Kuala Lumpur dan Bali hampir 2,000 kilometer, Amy tetap santai di sebalik kesibukannya merakam projek terbaharunya, MP3 Search.

Amy menggunakan masa sepenuhnya ketika di Bali untuk melempiaskan idea dan kreativiti untuk pembikinan biografinya kelak.

Namun kerana auranya yang besar dan imejnya yang terletak perkataan rock n roll, dia dengan mudah dikenali oleh warga Indonesia di sana.

Rata-rata ramai yang menegurnya, berpeluang berjabat salam dan bertanya khabar. Kata mereka, disangkakan Amy masih berimej rambut panjang. Tersenyum manis, Amy yang ditemani sang isteri, Norhasniza Hassan berkata, dia mahu kekal dengan imej rambut sekarang yang dirasakan selesa dan sesuai.

Itulah Amy Search, vokalis yang tidak pernah pudar aura mahupun aktiviti seninya. Sentiasa mendapat perhatian peminat dan promoter persembahan, vokal mantapnya masih menangkap jiwa yang mendengar dan mata yang memandang.

Baru sahaja selesai dengan rangkaian konsert Fenomena 30 Tahun Search yang berakhir di Stadium Negeri, Kuching pada 31 Disember lalu, Search sudah punya perancangan-perancangan terbaharu untuk tahun ini dan mendatang. Terbaru, mereka muncul dengan sebuah item premium iaitu MP3 yang mengandungi 101 buah lagu. Sebuah cenderamata yang seharusnya dimiliki oleh para peminat tegar Search.

Pilih Kasih berakhir malam ini

Posted: 21 Apr 2012 11:19 PM PDT


FINALIS Pilih Kasih 3, (dari kiri) Fareth, Marina, Hakim, Heri, Sura, Jalius, Nizen, Theera dan Reen bersaing sengit untuk merebut gelaran Juara Pilih Kasih 3 di TV2 malam ini.


BABAK rayuan dalam minit-minit terakhir pada episod separuh akhir Pilih Kasih musim ketiga minggu lalu seharusnya menjadi pembakar semangat kepada sembilan peserta akhir yang bakal bertarung merebut gelaran juara program itu malam ini.

Selepas sepuluh minggu bersiaran dan mempertaruhkan seramai 16 artis, program realiti seni lakon itu akhirnya tiba noktah terakhirnya. Berbanding musim sebelum ini, musim ketiga Pilih Kasih menyaksikan paling ramai peserta masuk ke peringkat akhir. Sembilan peserta yang berjaya ke peringkat akhir termasuklah lima peserta lelaki iaitu Fareth Agang, Hakim Yazid, Heri Aszmo, Jalius Jaibin dan Nizen Ayob. Turut memberikan saingan ialah Marina Jose, Reen Rahim, Sura Sojangi dan Theera Alias.

Semuanya gara-gara tindakan semua orang kuat program berkenaan termasuklah pengarah, penerbit dan pelakon tersohor, Erma Fatima yang merupakan tenaga pengajar dalam program tersebut yang bermati-matian menidakkan keputusan Penerbit Eksekutif Pilih Kasih, Rosyam Nor yang mahu menyingkirkan tiga peserta.

"Saya merasakan tidak salah jika saya berikan mereka peluang terakhir. Dalam tempoh satu minggu terakhir ini banyak yang mereka boleh pelajari. Memang mereka layak disingkirkan berdasarkan undian, tetapi saya menidakkan keputusan itu kerana saya percaya ketiga-tiga mereka punya bakat tersendiri," kata Erma yang turut mendapat sokongan penuh daripada orang kuat Pilih Kasih kali ini termasuklah Fauziah Nawi, Erra Fazira dan Datin Paduka Umie Aida.

Rosyam pula menyifatkan Pilih Kasih 3 menyuntik elemen segar yang mana kesemua artisnya lebih yakin dan dinamik, beliau amat berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan artis PK kali ini.

"Jujurnya saya melihat kesemua artis Pilih Kasih terutamanya sembilan yang tersenarai di pentas akhir ini mempunyai pakej yang sudah mampu ditolak ke hadapan. Saya tidak bimbang akan pakej yang ada kerana sejak di peringkat uji bakat kami amat menitikberatkan soal wajah dan penampilan," katanya yang berterima kasih kepada semua penaja program.

Tiga peserta yang mendapat undian terendah pada minggu lalu dan terselamat daripada penyingkiran ialah Fareth Agang, Jalius Jaibin dan Nizen Ayob.

Nizen yang sebelum ini pernah muncul dalam beberapa drama di kaca televisyen menganggap peluang akhir dalam Pilih Kasih sebagai sesuatu yang tiada ternilai. Mungkin pengalaman memberi markah besar untuk Nizen muncul juara.

"Ini peluang besar untuk saya buktikan bahawa undian serta ilmu daripada tenaga pengajar selama ini tidak sia-sia," ujar Nizen yang lebih berkeyakinan.

Juara Pilih Kasih 3 akan menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM10,000, naib juara (RM5,000), tempat ketiga (RM3,000) dan beberapa hadiah iringan sumbangan Bank Simpanan Nasional dan Telekom Malaysia Bhd. Siaran langsung Pentas Akhir Pilih Kasih 3 dari Pusat Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban boleh disaksikan di TV2 pada pukul 9 malam.

Mazlan tidak berkira bayaran

Posted: 21 Apr 2012 11:19 PM PDT


MAZLAN muncul dengan single pertamanya Ayumu Merisaukan Aku.


MAZLAN HAMZAH sedaya upaya mahu mencuri perhatian khalayak. Bajanya terus ditabur agar lekas tumbuh dan terus matang sebagai seorang penyanyi berjaya.

Agak terlewat tampil dengan lagu single pertama ketika berada pada usia 31 tahun, Mazlan bagaimanapun tidak menoleh ke belakang. Apa yang difikirkannya, pendengar harus cepat mesra dengan lagu nukilan komposer Saari Amri itu.

"Harap-harap orang ramai dapat terima single pertama saya yang berjudul Ayumu Merisaukan Aku. Lagu itu baru sahaja dikeluarkan pada penghujung Disember lalu.

"Melihatkan respons yang saya terima, ada yang memuji dan ada juga yang mengkritik," katanya membuka bicara.

Namun, usaha mempromosi diri menjadi sia-sia jika Mazlan tidak mampu berkerja. Belum sempat berasa dunia popular, Mazlan berdepan ujian besar. Nikmat suaranya tiba-tiba ditarik seketika.

Ketika itu, lagu pengenalannya baru sahaja sebulan diuar-uarkan kepada pendengar. Kelunakan suaranya tiba-tiba berubah menjadi serak sehinggalah Mazlan tidak dapat berdendang lagi.

"Masa itu lagu single tersebut baru sebulan dilancarkan. Selepas demam dan suara serak berterusan, akhirnya saya tidak dapat menyanyi. Suara tersekat, nak bercakap pun susah.

"Pada Februari dan Mac lalu saya terpaksa berehat kerana doktor mengesahkan terdapat ketumbuhan pada kotak suara yang mengganggu pertuturan saya. Banyak tawaran nyanyian terpaksa ditolak," cerita Mazlan yang mempertaruhkan lagu berentak balada.

Nyata semangat membuak-buak untuk menjenamakan diri Mazlan sedikit meluntur selepas pancaindera itu mengalami kecederaan.

Namun, pembedahan membuang ketumbuhan yang dijalankan pada penghujung Mac lalu memberi sedikit harapan buat Mazlan untuk terus memperkukuhkan jenamanya.

"Jujurnya, ketika itu saya memang berasa patah semangat kerana tidak dapat menyanyi. Tetapi saya bersyukur kerana pembedahan itu dapat mengembalikan suara saya.

"Apa pun saya jadikan ia sebagai pengajaran agar sentiasa berwaspada daripada sebarang ujian mendatang. Lagipun kesakitan itu hadir ketika saya baru beberapa bulan menjadi penyanyi," ujar anak kelahiran Pulau Pinang itu.

Membuka lembaran baharu selepas ditimpa kesakitan, Mazlan kini memacu momentum lebih kuat agar apa yang telah terlepas dikutip semula.

Tidak berkira soal bayaran yang diterima, Mazlan sebolehnya tidak menolak mana-mana tawaran persembahan. Sedar dengan status sebagai orang baharu, baginya nilai sebuah pengalaman mengatasi nilai wang ringgit yang diterimanya.

"Saya tetap menerima apa-apa tawaran daripada mana-mana penganjur walaupun menjemput saya dengan percuma ataupun diberikan token sahaja. Sebagai seorang yang baru bertapak, itulah yang harus saya telan.

"Tetapi saya harap agar penganjur sedar dengan apa yang telah saya lakukan itu, sekurang-kurangnya diberikan bayaran setimpal walaupun nama saya baru mula bertapak," katanya yang mempunyai pengalaman menjadi penari selama 14 tahun.

Bantu pesakit Talasemia

Posted: 21 Apr 2012 11:15 PM PDT

Bantu pesakit Talasemia

KUALA TERENGGANU – Persatuan Talasemia Terengganu menggerakkan ahli jawatankuasa untuk turun padang bertemu orang ramai bagi memberi pendedahan berhubung penyakit itu.

Yang Dipertua persatuan, Mohd Saharudin Mat Salim berkata, kebanyakan masyarakat memandang serong terhadap fizikal pesakit Talasemia yang terbantut akibat kesan tumbesaran yang tidak sempurna.

"Mereka hanya suka menilai seseorang itu dari segi fizikal tanpa bertanya masalah atau punca sebenar. Pendedahan dengan turun padang menerangkan punca serta sebab penyakit Talasemia terutama kepada anak muda yang belum mendirikan rumah tangga dilihat amat perlu.

"Kesedaran berhubung penyakit ini kurang dan sebab itu masyarakat di luar sana tidak mengetahui mengapa seseorang itu kelihatan berbadan kecil jika dibandingkan dengan umur sebenar," katanya pada Bengkel Talasemia Terengganu 2012 di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu (PPAT) semalam.

Hadir sama, Penaung Persatuan Talasemia Terengganu, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri, Federation Malaysia Thalassemia Society, Ramli Mohd Yunus, Datuk Dr Jimmy Lee Kok Foo dan pesakit serta ibu bapa.

Menurutnya, dengan keahlian 40 orang berusia 18 tahun ke atas yang terdiri daripada ibu bapa pesakit dan pesakit itu sendiri, persatuan yakin banyak lagi program seumpamanya dapat dijalankan kemudian hari jika peruntukan mencukupi.

"Program ini juga penting kerana sesetengah pesakit Talasemia suka bersendirian akibat tekanan penyakit yang dialami, dan faktor ejekan masyarakat luar. Bengkel seperti ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan keyakinan diri mereka untuk bergaul dengan orang ramai," katanya.

Saharudin berkata, bengkel yang julung kali diadakan oleh persatuan itu bakal memberi pendedahan kepada ibu bapa dan pesakit cara menggunakan ubat dengan betul.

"Bengkel ini akan memberi pendedahan satu persatu cara memasukkan ubat ke dalam badan dengan betul supaya ia selamat dan terhindar daripada jangkitan kuman," katanya.

Menurutnya, bengkel yang digerakkan ahli jawatankuasa terdiri daripada pesakit Talasemia itu, diharap dapat memenuhi kehendak peserta kerana jiwa dan impian insan senasib mereka adalah sama.

Dicekup bogel dengan nelayan

Posted: 21 Apr 2012 09:41 PM PDT

Dicekup bogel dengan nelayan

KUALA DUNGUN – Perbuatan tidak bermoral seorang pelajar perempuan sebuah institut kemahiran tempatan yang memadu asmara bersama teman lelaki di hotel murah, menerima padah apabila dia didenda RM2,800, atau dua bulan penjara kerana berkhalwat.

Pelajar berkenaan, Nurul Akmal Aishah, 19, dari Besut Terengganu menghadapi pendakwaan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001.

Dia dicekup sepasukan pegawai penguat kuasa syariah, bersama teman lelakinya, di sebuah bilik di rumah tumpangan, dekat sini, kira-kira jam 1.30 pagi, 10 Februari lalu.

Ketika serbuan dilakukan, Nurul Akmal ditemui dalam keadaan terbaring tanpa pakaian dalam selimut.

Lelaki terbabit, dikenali sebagai Mohd Firdaud Wadu, 30, pula, hanya memakai jeans tanpa baju ketika membuka pintu bilik.

Soal siasat mendapati mereka tiada hubungan muhrim.

Pasangan terbabit juga mengaku telah melakukan persetubuhan sebelum itu.

Turut dirampas, pakaian dalam milik Nurul sebagai bahan kes.

Kedua-duanya yang mengaku bersalah selepas fakta kes dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Shamsuddin Ngah kemudiannya menjelaskan denda masing-masing untuk mengelakkan dipenjara.

Dalam kes berasingan di Mahkamah Rendah Syariah, seorang pemandu lori, Md Zaid Abdullah, 33 dari Kuala Abang Dungun berhadapan satu waran tangkap kerana kegagalannya hadir untuk menghadapi pendakwaan pertudu­han khalwat.

Dia ditangkap pegawai penguatkuasa syariah ketika berada di sebuah bilik hotel di Jalan Baru Pak Sabah bersama seorang wanita bukan muhrim jam kira-kira 1.05 pagi, 10 Februari lalu.

Pasangannya, Noor Aishah Osman, 29, bagaimanapun hadir untuk mendengar pertuduhan lalu didenda RM2,700 atau dua bulan penjara setelah mengaku bersalah atas kesalahan mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.

Pendakwaan akan dijalankan semula terhadap Md Zaid pada 11 Jun depan.

Skandal hidup mewah Zahida terbongkar

Posted: 21 Apr 2012 09:40 PM PDT


MENERUSI akaun Twitter, Zahida Rafik menafikan dirinya terlibat dengan skandal seperti yang hangat diperkatakan ramai. Dia juga menyerahkan perkara itu kepada peguamnya. Tulis Zahida dalam Twitternya, dia mengasihani situasi bekas pemandu peribadinya itu kerana terdesak untuk mendapatkan wang dengan cara memfitnah orang lain.


SEJAK Rabu lepas, namanya hangat menjadi bualan di laman-laman web serta portal hiburan tanah air. Itu semua gara-gara satu pembongkaran hubungan terlarang Zahida Rafik dengan seorang VIP.

Pembongkaran skandal yang didakwa dilimpahi kemewahan itu didedahkan oleh sekumpulan politik di lobi Parlimen baru-baru ini.

Memetik laporan blog-blog di Internet, Zahida, 37, didakwa meraih habuan besar hasil hubungan sulitnya bersama seorang kenamaan. Mereka didakwa berjumpa di hotel-hotel sekitar Kuala Lumpur, dan Zahida dikatakan menerima wang sehingga RM200,000.

Wang itu bagaimanapun tidak dibayar terus ke tangan Zahida sebaliknya dibayar kepada pemandu yang juga pengawal peribadi Zahida. Lelaki berkenaan diupah oleh VIP tersebut sejak tiga tahun lalu.

Zahida dikatakan menerima wang sehingga RM1.4 juta dalam Oktober 2011 hingga Januari lalu.

Kepada pemerhati dunia hiburan, skandal Zahida bersama seorang VIP bertaraf Datuk itu sebenarnya bukan berita baharu.

Ramai yang curiga terhadap gaya hidup Zahida yang dianggap tidak seiring pencapaian karier lakonannya.

Sudah bertahun kisah Zahida itu cuba dirisik, namun dia sering menjelaskan kemewahannya itu adalah hasil keuntungan perniagaan yang diusahakan bersama ahli keluarganya.

Ramai yang mula mengerutkan dahi apabila Zahida membuat laporan polis setelah pemandu peribadinya melarikan wang tunai miliknya sebanyak RM200,000 baru-baru ini.

Pada 3 Mac lalu, sebuah akhbar bukan terbitan Kumpulan Utusan pernah melaporkan Zahida membuat laporan polis setelah wang tunai RM200,000 miliknya dilarikan.

Zahida yang popular menerusi filem komedi Anak Mami The Movie menyerahkan wang tunai berkenaan kepada pemandu lelaki berusia 37 tahun itu untuk dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya, namun sejak itu, suspek berkenaan gagal dihubungi serta dipercayai sudah melarikan diri.

Zahida kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin sendiri telah mengesahkan menerima laporan berkenaan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

"Sebelum ini sudah banyak kali dia (pemandu peribadinya) membantu saya dalam urusan memasukkan duit ke dalam akaun bagi urusan kerja, tapi tidaklah jumlah yang besar sebegini.

"Kebiasaannya saya akan turut sama pergi dan dia hanya menemani. Namun, kali ini saya benar-benar tidak sempat kerana ibu sakit dan saya agak kelam-kabut di rumah bagi menguruskan beberapa perkara," kata Zahida seperti yang dilaporkan.

Pemandu itu turut membuat laporan balas sebagai persediaan berdepan tuduhan Zahida. Menurut sumber, pemandu itu kemudian bertemu seorang peguam tanpa mengetahui latar belakang peguam berkenaan yang sebenarya ada kepentingan untuk menjatuhkan nama majikannya yang berstatus VIP.

Kosmo! menghubungi Zahida untuk mendapatkan ulasan daripadanya tetapi dia memilih untuk berdiam diri.

Ruangan Diva pada 18 Mac sebelum ini pernah menulis gosip berhubung kehidupan mewah yang diraih seorang artis tempatan sehingga mencecah ratusan ribu setiap kali mereka bertemu bagaimanapun tiada nama dikaitkan dalam artikel berkenaan.

Jo mahu jadi Melayu

Posted: 21 Apr 2012 09:39 PM PDT



KATA bidalan jangan hanya merenung dan menghakimi kulit luaran, sebaliknya dibelek untuk mengetahui isi sebenarnya. Begitu yang terlintas semasa pertama kali bertentang mata dengan Josiah Padilla Hogan. Saat pemuda ini masuk ke ruang temu ramah, penulis ragu-ragu tentang kebolehannya berbahasa Melayu.

Rupa-rupanya tebakan pertama salah. Josiah atau nama sebenarnya Mohamad Musleh malah boleh bertutur dialek Kelantan dengan baik. Katanya di Kota Bharu, dia dikenali dengan nama Mat. Nama gelaran yang senang disebut malah diingat khalayak.

Bukan hanya itu, kini dia memikul nama Kamil. Karakter yang menambat mata penonton siri Projek Pop yang kini disiarkan di saluran 8TV. Sebuah kisah kebenaran di belakang tabir. Ironinya dia jauh daripada sifat sebenar Kamil yang keras kepala, lupa diri dan bercakap slanga British.

"Kamil ialah orang hadapan grup Hot Snow yang merupakan grup besar di Malaysia. Sudah pernah jelajah satu dunia dengan grupnya yang membuatkan dia lupa diri. Saya seronok berada dalam produksi Projek Pop kerana cabarannya. Rata-rata pelakonnya ada asas lakonan. Jadi saya tercabar untuk jadi seperti mereka. Apa lagi saya perlu bercakap dalam slanga British dan banyak bermain emosi dalaman," ujarnya tentang Projek Pop yang disiarkan pada setiap Ahad pada pukul 10.30 malam.

Peluk Islam

Menurut Josiah, Projek Pop adalah satu landasan besar untuk mengembangkan bakat dan memperkenalkan namanya. Siri yang turut mengundang Adibah Noor, Sharifah Amani, Bront Palarae, Hasnul Rahmat dan Liyana Fiz sebagai cameo ini dirasakan pengalaman yang sangat menarik kerana bekerja dengan tenaga produksi yang hebat dan melatihnya berlakon secara semula jadi yang mungkin.

Wajah dan namanya cukup hijau dalam arena bidang lakonan. Namun buat khalayak yang masih tertanya siapa jejaka berusia 26 tahun ini, mungkin yang mengikuti siri Bicara Hati terbiasa dengan wajah kacak ini.

Cerita Josiah yang senang disapa Jo, dia menjejakkan kaki ke Kelantan ketika berumur tujuh tahun. Berkelana dari Kings Ville, Texas, Amerika Syarikat (AS) mengikut ibunya yang memeluk Islam dan berkahwin dengan jejaka Kelantan.

"Saya masuk Islam pada usia empat tahun kerana mengikut ibu saya yang ketika itu berusia 24 tahun.

"Asalnya ibu ialah penganut Katholik yang kemudiannya berminat untuk mendalami al-Quran. Ketika umur saya lima tahun, ibu berkenalan dengan ayah tiri saya dan berkahwin setahun selepas itu. Pada tahun 1993, saya ke Malaysia bersama mereka," Jo bercerita tentang ibunya, Carmen Hogan atau Siti Khatijah.

Kehidupan di Kelantan dilalui secara normal. Bukan hanya pernah menetap di situ, Jo juga pernah berpindah ke Johor Bahru dan kini tinggal di Kuantan, Pahang.

"Sampai di Malaysia, saya dibesarkan dalam suasana kampung. Dalam masa dua bulan saya sudah fasih berbahasa Melayu sewaktu di Kampung Kubang Kiat. Pandai makan budu dan kecek Kelate," katanya.

"Awalnya pada usia yang sangat muda, saya tidak rela meninggalkan kehidupan di AS. Tetapi bila sampai Kelantan, saya hargai kehidupan kampung. Bagi saya kalau duduk di luar negara, peratusan untuk mati lebih tinggi. Di AS, tembak-menembak dan membunuh itu normal," syukurnya yang gembira menetap di sebuah negara yang aman.

Pernah pulang ke kampungnya di Texas pada sekitar tahun 2000, dia sempat dihujani pelbagai pertanyaan perihal Malaysia.

"Orang Amerika lebih tahu sejarah mereka berbanding dunia. Mereka tidak ambil tahu perihal negara Asia. Sempat juga saya bercerita dengan sanak saudara di sana yang nyata ada interpretasi dan gambaran yang salah tentang Malaysia," luahnya.

Mahu watak Melayu

Ujar Jo, kalau tidak ada penggambaran drama atau kerja di Kuala Lumpur, dia lebih senang menghabiskan masa di Kuantan bersama keluarga.

"Itulah saya. Di sana lebih tenang, saya gemarkan suasana pagi di sana. Saya juga menjaga orang tua saya di sana," ujarnya yang tidak mengejar kehidupan moden di ibu kota.

Dalam selang waktu berulang-alik dari Kuantan ke Kuala Lumpur, dia mengaku pernah menganggur selama setahun pada tahun lalu. Tidak ada tawaran yang sampai kepadanya. Tidak kecewa, dia sedar akan kehendak industri namun itu bukan halangan untuk dia mencuba lagi.


JOSIAH gemar menghabiskan masa di Kuantan.


"Saya memang peminat filem dari dahulu. Saya juga gemar memerhati. Pada tahun 2009, saya sanggup jual kereta kerana mahu mencuba nasib di Hollywood. Saya sempat untuk uji bakat siri Mad Max arahan Goerge Miller namun bukan rezeki saya apabila pak cik saya yang tinggal di sana terpaksa berpindah. Saya akur," katanya yang kemudian muncul dalam siri Natrah di bawah payung KL Motion pada tahun 2010.

Daripada jejak itu, tunas minatnya terus bercambah. Membawa dia kepada rezeki Bicara Hati yang memberikan karakter Razif yang dianggapnya gabungan semua watak dalam satu.

"Razif orangnya emosional, psiko dan mudah menangis. Saya berterima kasih dengan kepercayaan Osman Ali kerana memberikan watak berat ini. Ini peluang saya menggilap bakat. Sebagai sutradara, Osman memang pentingkan emosi," ujarnya yang juga terlibat dengan beberapa drama dan telefilem sebelum ini.

Nasibnya juga baik apabila berpeluang muncul dalam produksi filem Penanggal arahan Ellie Suriaty. Bukan itu sahaja, Jo juga bakal muncul dalam filem Tyickoons bersama Aaron, Bront Palarae dan Remy Ishak.

"Saya mahu pastikan umum melihat bakat yang saya ada dan bukan kerana wajah. Sebab itu saya lebih mahukan watak Melayu dan saya pasti boleh melakukan kehendak karakter tersebut. Kurang gemar saya diberikan watak mat saleh kerana hakikatnya saya bukan mat saleh sebaliknya latino," jujurnya tentang karakter.

Grup sendiri

Tidak hanya melempiaskan ekspresi bakat dalam lakonan, Jo juga memiliki sebuah grup grunge yang dinamakan Maddame yang ditubuhkan pada tahun 2006.

"Maddame akan terus berada dalam dunia underground dan tidak akan pergi ke arus perdana. Kami sedang menyiapkan album dan mungkin dilancarkan pada Jun ini" ujar pemegang posisi gitaris dan vokalis ini.

Sudah siap sekitar 40 peratus, misi grup ini juga diletakkan berat pada penulisan lirik mereka.

"Saya banyak menulis lirik untuk menyeru peminat agar jangan terlalu terkejarkan keduniaan. Seperti dalam lagu kami yang bertajuk Fire Gate Borders saya bercerita tentang sempadan. Tidak usah ada sifat begitu kerana akhirnya semua perlu bersatu. Saya banyak bermain dengan metafora dan tidak ada kena-mengena dengan politik," ungkap Jo tentang pembikinan lagu dan album yang mahu dijadikan wasiat buat anak-anaknya kelak.

Satu persatu bidang sedang diterokai wajah baru ini dalam industri ini. Walau tidak laju namun memang dia memilih begitu. Bak kata pepatah, bagai tak dapat berjalan tegak, berengsot-engsot pun sampai juga.

Shah Rukh serik guna Twitter

Posted: 21 Apr 2012 09:38 PM PDT


SHAH RUKH KHAN


SHAH RUKH KHAN menamatkan penggunaan akaun laman sosial Twitter selepas serik dengan manipulasi di laman maya.

Raja Bollywood itu mendakwa komen-komennya sering disalah anggap oleh sesetengah pihak.

Menurut Digital Spy, Shah Rukh mula berasa tidak selesa dengan media baharu itu setelah ia banyak menimbulkan masalah yang lebih kompleks.

"Saya sendiri yang berperanan penting dalam mencipta isu dan masalah. Kerana fakta itu juga saya mahu menjadi lebih 'pendiam' di Twitter," kata pelakon filem Don 2 itu.

Menurut Shah Rukh yang hadir dalam acara Brits Bollywood pada minggu lalu, dia tidak mahu menimbulkan isu yang boleh menyakitkan hatinya kerana sering disalah erti oleh pihak media.

"Kamu menulis sesuatu yang lama-lama mungkin menjadi berita walaupun perkara jauh daripada maksud asal saya, ia tetap menjadi isu," katanya yang menyalahkan media.

Empat jam tercekik ikan puyu

Posted: 21 Apr 2012 09:37 PM PDT

ISMAIL menunjukkan bangkai ikan puyu yang melompat masuk ke dalam mulut cucunya di Machang, Kelantan semalam.


KOTA BHARU – Seorang budak lelaki berusia empat tahun terpaksa mengharungi detik-detik cemas apabila tercekik seekor ikan puyu selebar tiga sentimeter di rumah datuknya di Kampung Pulai Condong, Machang kelmarin.

Muhammad Akhif Danish Shamsuri terpaksa bertahan dalam kesakitan selama empat jam sebelum doktor di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) berjaya mengeluarkan ikan itu yang masih hidup dari dalam mulutnya.

Mangsa dipercayai cuba memegang ikan peliharaannya itu sebelum ia melompat ke dalam mulutnya.

Bapa mangsa, Shamsuri Shafie, 28, berkata, dia mendapat panggilan mengenai kejadian itu daripada adiknya sewaktu dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

"Ikan puyu itu dikatakan tersangkut di dalam mulut anak saya dan hanya nampak ekor. Adik saya sempat memegang ekornya bagi mengelak ia terus masuk ke dalam kerongkong," ujarnya ketika ditemui di hospital itu semalam.

Menurut Shamsuri, adiknya bergegas membawa mangsa ke Hospital Machang sebelum dipindahkan ke HRPZ II.

"Ketika itu mulut anak saya sudah berdarah terkena duri ikan itu. Nasib baik masih ada ruang untuk anak saya bernafas," katanya.

Kata Shamsuri, doktor HRPZ II pada mulanya mahu melakukan pembedahan kecil pada bahagian halkum anaknya untuk mengeluarkan ikan tersebut.

Budak koma ditampar teman lelaki ibu

Posted: 21 Apr 2012 09:36 PM PDT


MOHD. DANISH AIMAN (gambar kecil) koma akibat ditampar teman lelaki ibunya di sebuah rumah di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Seorang kanak-kanak berusia dua tahun, Mohd. Danish Aiman Abdullah koma selepas dipercayai ditampar teman lelaki ibunya di Kampung Tualang, Manir di sini kelmarin.

Suspek berusia 31 tahun itu dikatakan berang dengan kerenah mangsa lalu menamparnya sehingga tidak sedarkan diri dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam ketika mangsa dan ibunya yang merupakan bekas anggota tentera laut berusia 22 tahun berada di dalam bilik di rumah teman lelakinya.

Mereka tinggal di rumah suspek sejak tiga bulan lalu selepas wanita tersebut berselisih faham dengan suaminya dan kini dalam proses perceraian.

Rumah itu turut didiami beberapa ahli keluarga suspek, namun mereka tiada di rumah semasa kejadian.

Seorang ahli keluarga suspek yang enggan dikenali memberitahu, kejadian hanya disedari apabila ibu Mohd. Danish Aiman meminta bantuan adik perempuan suspek menghantar mangsa ke hospital.

Saya masih hidup - Bob Kuman

Posted: 21 Apr 2012 09:35 PM PDT


BOB KUMAN menunjukkan bukti dia masih hidup ketika ditemui di rumahnya di Kota Damansara, Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Berita kematian pelakon dan pelawak, Bob Kuman yang tersiar di laman sosial dan Twitter semalam ternyata khabar angin yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bob Kuman atau nama sebenarnya Husni Mohd. Rawi, 41, ketika ditemui di rumahnya di Seksyen 11, Kota Damansara di sini semalam berasa sedih dan kesal dengan penyebaran berita tersebut.

"Saya sedih kerana perkara sebegini terjadi kepada saya.

"Kepada para peminat, jangan cepat percaya kepada khabar angin dan doakan saya agar cepat sembuh," katanya yang mempunyai berat badan 219 kilogram.

Dia kini masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan kerana paru-parunya berair.

Sementara itu, pembantu perubatannya, Mohd. Farid Hamzah berkata, Bob dijangka pulih dalam tempoh sebulan lagi.

"Buat masa ini, dia tidak boleh mengambil makanan berkanji seperti nasi serta perlu minum banyak air.

Dadah biji gajus diseludup di KLIA

Posted: 21 Apr 2012 09:35 PM PDT


BIJI gajus tiruan (kanan) mengandungi dadah yang dirampas daripada seorang warga India di KLIA, Sepang semalam.


SEPANG - Taktik licik sindiket antarabangsa yang cuba menyeludup dadah ke negara ini dengan menyembunyikan bahan terlarang itu di dalam biji gajus tiruan berjaya dikesan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Khamis lalu.

Ia terbongkar selepas petugas Kastam yang melakukan imbasan terhadap sebuah bagasi pakaian curiga dengan isi kandungan enam paket plastik berisi biji gajus di dalam bagasi itu.

Pemeriksaan akhirnya mendapati biji gajus tiruan yang diperbuat daripada plastik itu mengandungi ketamin seberat 9.3 kilogram (kg) bernilai RM373,480.

Ketika pemeriksaan pada pukul 8.30 pagi itu, seorang pemuda berusia 23 tahun yang baru tiba dari Chennai, India membawa bagasi tersebut dan ia turut mengandungi bahan makanan lain seperti kacang hijau dan kacang dal.

Timbalan Pengarah Kastam KLIA, Siti Baya Berahan berkata, pemeriksaan mendapati biji gajus tiruan itu dicampur bersama biji gajus asli bagi memperdaya pihak berkuasa.

Konsert pertabalan Agong meriah

Posted: 21 Apr 2012 09:33 PM PDT


TUANKU ABDUL HALIM (berdiri di tengah) menerima watikah sumpah taat setia daripada Rais sambil diperhatikan oleh Tuanku Haminah (kanan) dan Najib (kiri) pada persembahan 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada' di Dataran Merdeka malam tadi.


KUALA LUMPUR - Persembahan kesenian 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada' yang diadakan sempena sambutan pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 berlangsung meriah di Dataran Merdeka di sini malam tadi.

Kira-kira 50,000 orang hadir menyaksikan persembahan tersebut.

Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan menteri.

Majlis dimulakan dengan Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun diarak dari Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menuju ke pentas diraja dengan didahului barisan panglima serta disusuli seekor gajah.

Lagu Negaraku dimainkan oleh pancaragam Angkatan Tentera Malaysia sebaik Seri Paduka tiba di pentas diraja.

Ia diikuti dengan sumpah taat setia untuk mendukung dan mempertahankan institusi raja diketuai oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Orang ramai kemudian dihiburkan dengan persembahan artis-artis terkenal tanah air antaranya Awie, Faizal Tahir dan Noraniza Idris.

Raja Perlis mahu mahasiswa USM kuasai ilmu

Posted: 21 Apr 2012 09:32 PM PDT


TUANKU SYED SIRAJUDDIN (dua dari kiri) memerhatikan ijazah yang diterima D. Gajaraj di USM Pulau Pinang semalam.


PULAU PINANG - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengingatkan graduan supaya menguasai ilmu pengetahuan kerana ia penting kepada pembangunan diri, masyarakat dan negara.

Baginda yang juga Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) bertitah, menerusi penguasaan ilmu pengetahuan akan menjadikan seseorang itu lebih baik dan seterusnya menjadikan masyarakat lebih sejahtera.

"Melalui ilmu pengetahuan, kita mampu mencipta sebuah kegemilangan akan tetapi kegagalan menguasai ilmu pengetahuan akan membuatkan sesebuah kegemilangan hancur sekelip mata," titah baginda pada Upacara Konvokesyen ke-45 USM di Dewan Tuanku Syed Putra di sini semalam.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Tuanku Syed Sirajuddin juga mengingatkan graduan supaya menghargai pengorbanan ibu bapa walaupun telah berjaya.

Baginda bertitah, adalah penting untuk setiap orang mengamalkan budaya timur dan nilai kekeluargaan bagi mengelak berlaku perkara negatif.

"Saya percaya inilah asas yang perlu diingat dan dipertahankan agar ilmu pengetahuan yang kita peroleh membawa makna sepanjang hayat.

"Biar siapa pun diri kita, biar di mana pun bumi dipijak, inilah asas yang saya harap sentiasa disimpan buat pedoman," titah baginda.

Presiden Afrika Selatan kahwin empat

Posted: 21 Apr 2012 09:32 PM PDT


Bongi Ngema menari dalam upacara tradisi dikenali sebagai Umgcagco di kediaman Jacob Zuma di Nkandla, dalam wilayah KwaZulu Natal kelmarin.


CAPE TOWN - Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma (gambar) mengahwini isteri keempat kelmarin yang menyaksikan pemimpin berusia 70 tahun itu mendirikan rumah tangga sebanyak enam kali sepanjang hidupnya.

"Presiden Jacob Zuma pada hari ini, 20 April 2012, berkahwin dengan Bongi Ngema dalam satu upacara tradisi dikenali sebagai umgcagco di kediaman beliau di Nkandla, KwaZulu-Natal selepas sekian lama bertunang," kata pejabat Presiden berkenaan dalam satu kenyataan.

Zuma yang telah memiliki 21 orang anak dikurniakan seorang seorang anak lelaki berusia tujuh tahun hasil hubungannya dengan Ngema.

Menurut kenyataan sama, tiga lagi isteri Zuma turut serta dalam majlis perkahwinan suami mereka.

Perkahwinan tersebut adalah yang ketiga buat Zuma dalam tempoh empat tahun dan kedua selepas memegang kuasa pada 2009.

Beliau merupakan Presiden Afrika Selatan pertama yang berpoligami ekoran undang-undang negara berkenaan yang membenarkan lelaki memiliki ramai isteri.

Pakistan janji siasatan menyeluruh nahas Bhoja Air

Posted: 21 Apr 2012 09:31 PM PDT

SEORANG askar melihat serpihan bertaburan di pinggir bandar raya Islamabad selepas nahas pesawat Boeing 737 milik Bhoja Air kelmarin.


ISLAMABAD - Pihak berkuasa Pakistan semalam berjanji satu siasatan menyeluruh akan dilakukan berhubung nahas penerbangan domestik milik syarikat Bhoja Air yang mengorbankan 127 orang.

Menurut pihak berkuasa, semua kemungkinan akan disiasat bagi mengenal pasti punca nahas.

"Kami sedang berusaha untuk mengenal pasti sama ada tempoh usia pesawat telah tamat, sama ada nahas berlaku akibat masalah teknikal, perbuatan sabotaj ataupun sebab lain," kata Menteri Dalam Negeri, Rehman Malik.

Menurutnya, pemilik Bhoja Air, Farooq Bhoja dilarang daripada meninggalkan Pakistan bagi memastikan beliau memberikan kerjasama dalam siasatan tersebut.

"Kami akan mengambil tindakan, saya berjanji kepada anda," ujarnya.

Semua 127 orang yang berada di dalam sebuah Boeing 737 Bhoja Air termasuk 11 kanak-kanak dan enam kru maut apabila pesawat berkenaan terhempas dan terbakar ketika ia cuba mendarat dalam cuaca buruk di lapangan terbang Islamabad di sini petang kelmarin.

Pesawat itu berkecai dengan sejumlah serpihan dan anggota badan manusia dilihat bertaburan di sepanjang kawasan ladang di pinggir bandar raya ini.

Menurut sebuah laman web, AviationSafety.net, pesawat jenis Boeing 737-200 itu berusia lebih 27 tahun ketika nahas berlaku.

Bhoja Air memulakan penerbangan pada 1993 tetapi menggantung operasi lapan tahun kemudian ekoran masalah kewangan.

Ia menyambung semula penerbangan domestik pada bulan lalu.

Pihak berkuasa menyatakan kotak hitam yang merekodkan data penerbangan tersebut telah ditemui pada malam kelmarin.

Dalam perkembangan berkaitan, saudara-mara yang tiba untuk menuntut mayat mangsa melahirkan perasaan sedih dan marah berhubung nahas udara tersebut.

"Saudara lelaki saya sudah tiada! Saudara lelaki saya sudah tiada!" jerit seorang pemuda, Mohammad Shahzad sebelum dia rebah di pintu masuk sebuah hospital di sini.

Pada Julai 2010, sebuah pesawat syarikat penerbangan AirBlue merempuh kawasan pergunungan di sini dalam cuaca berkabus dengan menyebabkan semua 152 penumpang dan kru terbunuh.

Dua lagi nahas udara yang berlaku pada tahun sama telah meragut nyawa 33 orang.

Pakistan berada dalam kategori 1 senarai Pihak Berkuasa Penerbangan Amerika Syarikat sekali gus menunjukkan negara itu memenuhi standard antarabangsa bagi keselamatan udara.

Ratusan ribu komputer berisiko hilang akses Internet Julai depan

Posted: 21 Apr 2012 09:29 PM PDT

WASHINGTON, Amerika Syarikat - Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) memberi amaran lebih 570,000 ribu komputer di seluruh dunia akan kehilangan akses Internet pada Julai depan.

Menurut satu kenyataan FBI, masalah itu bermula apabila penggodam antarabangsa menjalankan aktiviti penipuan pengiklanan di Internet untuk mengawal komputer yang dijangkiti virus.

Bagi menghalang gangguan Internet berlaku ke atas komputer yang digodam atau sakit, FBI telah mewujudkan satu jaringan keselamatan atas talian beberapa bulan lalu melalui komputer pihak berkuasa AS.

Namun, sistem keselamatan berkenaan akan ditutup tidak lama lagi.

Buat masa ini, pihak FBI menggalakkan pengguna supaya melayari sebuah laman web yang dikendalikan oleh sebuah badan keselamatan AS, www.dcwg.org.

Laman web berkenaan akan memaklumkan sama ada komputer mereka telah dijangkiti virus dan menerangkan cara-cara bagi menyelesaikan masalah itu.

Selepas 9 Julai depan, komputer yang dijangkiti virus tidak dapat digunakan bagi mengakses Internet.

Terbelah tangan cari mentarang

Posted: 21 Apr 2012 09:28 PM PDT



PAGI itu, sebaik sahaja siap menyarung dua lapis stoking separas lutut dan mengikat tali kasut getahnya, Khairiyanto Sahinek, 32, jelas sudah bersedia untuk memulakan pencarian rezekinya untuk hari tersebut.

Pandangannya dihalakan ke kawasan Pantai Remis di Kuala Selangor, yang baru dua jam surut airnya.

Bagi kebanyakan orang, pemandangan pantai yang surut mungkin tidak begitu menarik. Yang ada hanya tanah berselut dan beting pasir yang dipenuhi timbunan kulit kerang.

Namun, bagi pemuda yang mesra dipanggil Khairi ini, dia, bapanya serta beberapa pencari kerangan laut lain, tanah berselut itulah lubuk rezeki mereka.

Tanpa melengahkan masa, Khairi bersama bapanya yang hanya mahu dikenali sebagai Sahinek, 60-an, berhati-hati menuruni beting pasir sambil memikul tongkah kayu sepanjang dua meter sebelum diturunkan di kawasan lanyau.

"Tongkah ini akan menjadi kenderaan semasa kami meredah selut nanti. Caranya mudah saja.

"Kaki kiri dilipat dan diletakkan di atas tongkah sementara kaki kanan bertindak sebagai pendayung," katanya.


MENTARANG hanya boleh ditemui di kawasan pantai berlanyau di sekitar Kuala Selangor, Kuala Muda dan Kuala Perlis.


Tongkah yang dibahagikan kepada empat bahagian itu turut berfungsi sebagai bekas untuk mengisi mentarang dan kerangan yang diperoleh nanti.

"Setiap pencari mentarang mesti memiliki tongkah kerana mentarang hanya ada di kawasan tengah pantai.

"Kalau hendak berjalan seperti biasa juga boleh tetapi takut-takut semasa balik nanti, mentarang terpaksa ditinggalkan di tengah lanyau sebab kepenatan," ujar Sahinek pula.

Lanyau ialah sejenis lumpur yang nampak keras tetapi apabila dipijak, kaki akan terbenam hingga ke paras lutut.

Lanyau merupakan habitat semula jadi mentarang, sejenis kerang laut yang berbentuk bujur telur namun meruncing di bahagian hadapan.

Terbenam

Mempunyai kulit yang tajam dan nipis, mentarang memiliki rasa lemak-lemak manis, apatah lagi jika ia dihidang panas-panas selepas dibakar.

Selain di Pantai Remis, mentarang popular di Kuala Perlis, Perlis dan Kuala Muda di Kedah.

Khairi dan Sahinek merupakan pencari mentarang tetap yang menjadikan kerangan itu sebagai sumber rezeki mereka sekeluarga sejak lapan tahun lalu.

Dengan lafaz Bismillah, Sahinek memulakan langkah menuju ke kawasan mencari mentarang yang terletak kira-kira 100 meter dari daratan.

Biarpun jaraknya dekat, ia tetap memberi cabaran, khasnya kepada sesiapa yang tidak biasa berjalan di dalam selut. Bukan mudah untuk memijak permukaan tanah yang licin dan tidak rata. Hendak mengimbangkan diri pun susah.


SELAIN mentarang, Pantai Remis juga kaya dengan kerangan lain seperti ala-ala.


Kedalaman lanyau juga sukar dijangka. Ada yang separas buku lali, ada yang separas betis malah beberapa kali juga kaki penulis terbenam hingga ke paras paha.

Lebih menyukarkan, sesetengah kawasan selut memiliki timbunan kulit kerang di dalamnya. Bagi yang tidak mengenakan alas kaki yang tebal, keadaan itu sudah cukup untuk membuatkan kulit kaki seperti dihiris pisau.

"Mentarang biasanya mudah ditemui di kawasan berlanyau yang mempunyai sedikit tanah liat iaitu kira-kira 50 hingga 100 meter dari pantai," kata Khairi.

Mentarang gemarkan kawasan pesisir pantai kerana suhunya yang lebih rendah.

"Sebab itu kalau hendak cari mentarang, kena tunggu air surut dulu. Namun, berdasarkan pengalaman, bila air semakin pasang, lebih banyak mentarang boleh dijumpai," kata Sahinek pula.

Kerangan ini dipercayai membiak secara tidak menentu.

"Sukar untuk menjangka musim mentarang sebab ia berubah dari tahun ke tahun.

"Kita tahu musimnya yang akan tiba bila kita nampak banyak benih mentarang beberapa bulan sebelum musimnya yang datang setahun sekali," jelasnya.


MENTARANG diberus dengan lembut untuk menghilangkan lumpur yang menyaluti cengkerangnya.


Lubang udara

Tambahnya, ketika musim mentarang menjadi, Pantai Remis akan menjadi seperti tapak pesta.

"Bayangkan, kalau pada hari biasa kita cuma boleh dapat dalam 20 kilogram mentarang seorang, tetapi bila musimnya sampai, kita boleh dapat sampai bertan-tan.

"Beberapa tahun lepas, kami menjual sehingga lima tan mentarang sehari, sehinggakan peraih dari Kuala Perlis dan Kuala Muda datang memborong mentarang di Kuala Selangor," kata Sahinek.

Kerja mencari mentarang tidak mudah sebenarnya.

"Tak ramai yang sanggup turun mencari. Pencari kena tahu cara dan tekniknya.

"Jika tidak, sia-sia sahaja mengharung lanyau," ujar seorang penduduk tempatan, Mohd. Yusrizal Yusof, 26.

Mentarang tinggal di dalam tanah liat. Untuk mengenal pasti lokasinya, ia boleh dikesan melalui lubang udara yang memancutkan air secara berkala.

Kata Yusrizal lagi, mentarang tidak timbul di permukaan sebaliknya lebih suka tinggal di dalam selut yang lembap.

"Apabila sudah nampak lubang mentarang, kita perlu korek lubang tersebut menggunakan tangan yang sudah bersarung.

"Mentarang ini bijak juga. Kalau tangan kita tersentuh dengan muncungnya yang tajam, ia akan melarikan diri dengan menyorok ke dalam. Kadang-kadang kita perlu menyeluk lanyau sampai ke pangkal lengan.

"Biasanya mentarang akan duduk di dalam selut dengan muncungnya menghala ke atas.

"Jangan main-main, muncung mentarang cukup tajam. Kalau tak pakai sarung tangan, boleh terbelah tangan dibuatnya," katanya yang hanya mencari mentarang sekiranya mendapat tempahan daripada pelanggan.

Dalam kelompok kerangan laut, mentarang adalah antara spesies yang digemari ramai.


KEENAKAN hidangan mentarang kukus halia sememangnya tidak diragui.


Tidak hairanlah, sepanjang jalan dari Pantai Remis menuju ke Sabak Bernam, terdapat puluhan gerai menjual mentarang di tepi jalan.

Sama ada yang masih mentah, sudah direbus mahupun dibakar, semuanya tersedia untuk meladeni selera peminat mentarang.

"Sejak berpindah tempat kerja dari Melaka ke Rawang, hampir setiap minggu saya bawa keluarga ke sini.

"Kadang-kadang kami mencari remis di pantai dan beli mentarang yang baru naik untuk dimasak terus di sini," kata Andy Yau, 40-an, yang gemar menikmati hidangan mentarang tiga rasa dan kukus halia.

Dia yang pernah bekerja di pelantar minyak di beberapa negara berkata, makanan laut bukanlah sesuatu yang asing baginya namun dia amat meminati mentarang.

"Rasanya manis, lebih-lebih lagi kalau dibakar atau isinya digoreng dengan tepung rangup. Memang sangat sedap.

"Menariknya di Pantai Remis ini, kita boleh makan mentarang yang baru naik dari laut. Harganya pula sangat murah, cuma RM7 sekilogram," katanya yang belum pernah melihat mentarang di negara lain.

Kisah manusia dibela haiwan

Posted: 21 Apr 2012 09:28 PM PDT


P'NGIENG tidak dapat membiasakan diri dengan kehidupan manusia kerana telah hidup terlalu lama di dalam hutan.


CERITA manusia hidup dan membesar bersama haiwan cukup popular dalam siri Tarzan yang dihasilkan oleh 'penciptanya' Edgar Rice Burroughs yang berasal dari Illinois, Amerika Syarikat (AS).

Tarzan mengisahkan seorang lelaki yang diasuh sejak kecil oleh sekumpulan gorila di hutan Afrika. Budak itu mampu menyesuaikan diri dengan gorila yang dikenali dengan sifat agresif dan ganas. Tarzan juga bersahabat dengan haiwan lain seperti gajah, beruk dan ular.

Tetapi sisi kehidupan 'normal' Tarzan digugat dengan ketibaan sekumpulan pengembara dari Britain, Profesor Archimedes Q. Porter, anaknya Jane dan pembantu mereka, Clayton yang juga seorang pemburu.

Walaupun Burroughs telah lama meninggal dunia, bukunya, Tarzan of the Apes telah diterjemahkan ke dalam 58 bahasa.

Kisah mitos Tarzan sering menimbulkan persoalan sama ada bolehkah manusia hidup malah berinteraksi dengan haiwan? Hakikatnya, lebih 100 kes telah direkodkan di seluruh dunia membabitkan dakwaan seperti itu.

Antara cerita yang mendapat liputan meluas media adalah tentang seorang wanita bernama Oxana Malaya yang dilahirkan pada tahun 1983 di Ukraine. Malaya berkelakuan seperti anjing.

Ketika gadis itu ditemui oleh pihak berkuasa tempatan pada tahun 1991, dia hidup dengan sekumpulan anjing liar. Ibu bapanya menghadapi masalah ketagihan dadah yang kronik menyebabkan Malaya terabai sejak kecil.

Rumahnya terletak di kawasan pinggir bandar yang kotor dan dipenuhi anjing liar.

Semasa ditemui, kelakuannya sama seperti anjing. Dia menyalak serta berjalan menggunakan kedua-dua belah tangan dan kaki.

Curi beras

Malah, Malaya juga sukar berkomunikasi dengan manusia. Dia dihantar ke sebuah klinik mental di Ukraine sejak ditemui.

Kisah Malaya turut dialami oleh seorang wanita bernama Rochom P'ngieng yang hilang secara tiba-tiba dari kampungnya di Kemboja semasa berusia lapan tahun.

P'ngieng dikesan kembali semula ke kampungnya selepas hilang selama berpuluh-puluh tahun pada tahun 2007 semasa dia ingin mencuri beras milik seorang penduduk kampung.

Ibu bapa P'ngieng mendakwa, gadis itu ialah anak mereka yang hilang berdasarkan parut luka di badannya.

Walaupun telah berumur lebih 30 tahun, gadis itu tidak mampu bertutur dalam bahasa Kemboja. Akhirnya, dia lari semula ke hutan dan tidak ditemui sehingga kini.

Mungkin kisah lelaki bernama John Ssebunya paling menyayat hati. Ini kerana dia yang berumur empat tahun melarikan diri dari rumah ke hutan pada pertengahan tahun 1988 akibat trauma melihat ibunya mati ditembak bapanya sendiri.

Semasa ditemui oleh seorang wanita tiga tahun kemudian, fizikal lelaki itu begitu menyedihkan dengan rambut lebat tidak terurus, berjalan menggunakan kedua-dua tangan dan kaki serta tidak boleh menjamah makanan yang dimasak.

Dia bernasib baik kerana diambil sebagai anak angkat oleh sebuah keluarga. Uniknya, dia mampu menjadi ahli kumpulan koir.

Kelakuan

Pakar sakit mental dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Nor Zuraida Zainal, berkata, walaupun kisah manusia dipelihara oleh haiwan tidak berlaku di negara ini, manusia yang sejak kecil tinggal di habitat semula jadi mampu berkelakuan seperti haiwan tersebut.

Katanya, semasa manusia kecil mereka belajar dengan memerhatikan tindak tanduk individu atau haiwan yang mereka anggap sebagai ibu.

Proses itu juga dikenali sebagai etologi ataupun kajian tingkah laku haiwan. Sama seperti anak itik yang sebaik sahaja menetas mendapati ada seekor monyet di sebelahnya, ia akan menganggap monyet itu sebagai ibunya.

"Lebih-lebih lagi jika manusia itu terdedah selama bertahun-tahun. Haiwan kebiasaannya tidak menyerang budak kecil kerana mereka tidak mengancam keselamatan haiwan tersebut.

"Haiwan tidak boleh berfikir. Segala tindakannya berdasarkan pemerhatian dan kebiasaan semata-mata. Hasilnya, manusia yang hidup dengan binatang kurang cerdas mentalnya," ujarnya.

Namun, Zuraida memberitahu, sekiranya ditemui dan dipulihkan ketika masih kecil potensi untuk mereka sembuh adalah tinggi.

"Tetapi jika sudah meningkat dewasa, mungkin mereka akan memberontak dan melarikan diri ke hutan semula," katanya.

Beliau juga tidak menolak sebahagian besar cerita manusia hidup dengan haiwan adalah rekaan dan penipuan pihak tertentu.

"Mereka mungkin menghadapi masalah kekurangan fizikal sejak kecil ataupun berpenyakit, jadi mereka dibuang oleh keluarga.

"Kadangkala kekurangan fizikal itu juga digunakan untuk mencari keuntungan menerusi kutipan derma," katanya.

Pengarah Zoo Negara, Dr. Mohamad Ngah tidak menolak manusia boleh hidup bersama binatang tetapi kes tersebut jarang sekali berlaku.

"Haiwan sendiri mempunyai habitat dan cara hidup tersendiri sama seperti manusia. Lagipun mengapa kita ingin merendahkan martabat manusia sebagai makhluk yang paling bijak di muka bumi ini?" katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu