Rabu, 18 April 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Dewan Tok Kenali perlu sumbangan RM50,000

Posted: 18 Apr 2012 08:28 PM PDT

Dewan Tok Kenali perlu sumbangan RM50,000

KOTA BHARU- Dewan Tok Kenali yang bakal diubahsuai dan dibina tiga tingkat masih memerlukan sumbangan berbaki kira-kira RM50,000 dan mengalu-alukan penyertaan orang ramai.

Penaung Masjid Tok Kenali, Lokman Ahmad berkata, setakat ini, bangunan pejabat dewan sudah dibina dua tingkat dan tapak lama dewan kini dibersihkan untuk pembinaan yang baru.

Beliau berkata, usaha mengubahsuai dewan berkenaan dari satu tingkat kepada tiga tingkat sebagai mengenang sejarah ulama terkenal di Kelantan suatu masa dahulu, Muhamad Yusof Ahmad atau Tok Kenali.

"Kos sebenar dalam cadangan tambahan dan pengubahsuaian dewan ini adalah RM442,500 iaitu melibatkan kos bangunan (termasuk kerja elektrik) dan yuran perundingan arkitek dan jurutera struktur.

"Setelah beberapa tahun mengutip sumbangan dan derma daripada seluruh negeri juga daripada pemimpin masyarakat, sebanyak RM50,000 lagi peruntukan berbaki diperlukan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program realiti televisyen swasta di sini, semalam.

Pada program berkenaan, seramai hampir 100 pelajar Maahad Ar-Rahmah Kenali, Kubang Kerian memberi kerjasama bergotong-royong bersama finalis rancangan 'Perjalanan Tiga Solehah' di Masjid Tok Kenali, di sini.

Menurutnya, Dewan Tok Kenali yang lama (usang) sudah dirobohkan memandangkan kedudukannya di kawasan lembah menyebabkan air bertakung dan pembinaannya perlu dipercepatkan.

"Pada dewan ini, Pusat Tahpizul Quran akan digerakkan bagi mengimarah fungsi sebenar Dewan Tok Kenali," katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh datang sendiri ke Dewan Tok Kenali yang terletak di Pondok Tok Kenali, Lorong Tok Kenali, Jalan Wakaf Stan-Kubang Kerian, di sini.

Katanya, sumbangan wang juga boleh disalurkan melalui akaun Maybank 553104411293 atas nama Dewan Tok Kenali atau mereka yang prihatin boleh menghubungi talian di talian 012-9540237 dan 09-7654666.

Empat beradik tiada sijil lahir

Posted: 18 Apr 2012 08:20 PM PDT

Empat beradik tiada sijil lahir

KUALA KLAWANG – Bimbangkan masa depan empat anak buahnya yang tidak mempunyai sijil kelahiran, seorang wanita di sini sanggup mengeluarkan wang simpanan­ sebanyak RM8,000 untuk membayar upah kepada pihak yang berjanji mahu membantunya.

Bagaimanapun, usaha itu hanya sia-sia apabila wanita berkenaan, Siti Khalijah Sani, 63, rupanya ditipu pihak berkenaan.

"Sebelum ini ada pihak datang ke rumah saya kononnya mahu membantu anak buah saya mendapatkan sijil kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Namun, saya ditipu oleh mereka. Mereka meminta wang sebanyak RM8,000 dan saya memberikan wang simpanan saya kerana mengenangkan anak buah saya sukar duduki peperiksaan kerana tiada sijil lahir," katanya.

Masa depan empat beradik berusia 6 hingga 15 tahun itu kabur kerana tidak mempunyai sijil kelahiran sejak dilahirkan.

Lebih menyedihkan ibu kepada adik beradik malang, Masyati Idris, 35, menghilangkan diri sebaik saja bapa mereka meninggal dunia.

Siti Khalijah berkata, adiknya iaitu bapa kepada kanak-kanak berkenaan, Chik Sani, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan motosikal di persimpangan Kampung Sepri - Kuala Klawang pada 2007 ketika berusia 43 tahun.

"Selepas adik saya, Chik Sani meninggal dunia, lima bulan kemudian isterinya memberitahu saya bahawa dia mahu pulang menziarah keluarganya di Indonesia.

"Isterinya memang warganegara Indonesia dan saya mengizinkan kerana tidak mengesyaki apa-apa," katanya.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini setelah lima tahun, Masyati tidak lagi pulang ke rumah .

"Sejak Masyati menghilangkan diri, sayalah yang terpaksa memikul tugas menjaga empat beradik berkenaan," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Siti Khalijah mengakui dia tidak berusaha untuk mengesan Masyati yang berasal dari Sumatera, Indonesia.

"Keempat-empat beradik ini dilahirkan di Hospital Jelebu tetapi tidak mempunyai sijil kelahiran kerana kedua ibu bapa mereka gagal menunjukkan sijil nikah.

"Ini kerana, tanpa sijil nikah, pendaftaran kelahiran keempat-empat kanak-kanak ini berkenaan tidak dapat dibuat," katanya.

Ketika ditanya, Siti Khalijah tidak pasti arwah adiknya berkahwin di mana tetapi percaya ia dilakukan dalam negara.

Hasil perkahwinan Masyati dan Chik Sani, mereka dikurniakan empat anak iaitu Dayang Diana, 15; Muhammad Faiz, 14, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Undang Jelebu; Nor Azlinda, 12, bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK)

Seperi Tengah serta yang bongsu, Siti Nor Faizah, 6, bersekolah di Tadika Perpaduan Taman Naga Mas.

Padah terima rasuah RM5,000

Posted: 18 Apr 2012 08:18 PM PDT

Padah terima rasuah RM5,000

AYER KEROH - Dua kakitangan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian negeri, termasuk seorang bekas penolong pengarah, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, kerana menerima rasuah RM5,000 di dua lokasi berbeza, tahun lalu.

Danial Rahmad, 46, dan Lilyhanah Abdul Salam, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar terhadap dua pertuduhan, termasuk satu yang dituduh secara berasingan.

Berdasarkan pertuduhan, Danial sebagai Penolong Pegawai Tanah di Unit Pengambilan Tanah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian negeri, telah cuba memperoleh rasuah daripada Tee Seng Hoo melalui Battua Abd Rahman sebanyak RM5,000 sebagai dorongan membantu mengelakkan tanah milik Seng Hoo di Lot 2288 Mukim Sungai Udang Melaka diambil semula, daripada 16 hingga 31 Julai 20011.

Lilyhanah sebagai penolong pengarah di unit sama dituduh menerima suapan RM5,000 melalui Toh Meng Leng bagi urusan yang sama di hadapan Maybank Cawangan Cheng, Taman Cheng Baru, kira-kira jam 10.35 malam pada 8 Ogos 2011.

Kedua-duanya turut dituduh secara bersama-sama bersetuju menerima suapan RM5,000 daripada Seng Hoo melalui Meng Leng sebagai dorongan melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal iaitu membantu mengelak tanah milik Seng Hoo di Lot 2288 Mukim Sungai Udang diambil semula.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut nilai mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammed Heikal Ismail meminta mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, Danial yang diwakili peguam bela, Gan Seong Kim dan Lilyhana yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jaminan.

Selepas mendengar rayuan, Ahmad Sazali membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 seorang dan menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Lif rosak bebankan penghuni

Posted: 18 Apr 2012 08:17 PM PDT

Lif rosak bebankan penghuni

AMPANG CAMPURAN - Kira-kira 1,000 penghuni di Blok A Apartmen Mesra Ria, Taman Pandan Mesra, di sini berdepan kesulitan apabila hanya satu daripada tiga lif berfungsi di perumahan itu hingga menyebabkan aktiviti seharian mereka terganggu.

Difahamkan, keadaan lebih sukar apabila lif bomba juga tidak berfungsi dan membimbangkan mereka sekiranya berlaku kecemasan seperti kebakaran serta kematian.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartmen Mesra Ria, Mansor Shaari berkata, kerosakan lif bukanlah perkara baru dan penghuni sudah berdepan masalah itu hampir setahun

Menurutnya, paling dibimbangkan mereka kesukaran yang bakal dialami apabila berlaku kecemasan kerana lif bomba tidak berfungsi.

"Seandainya berlaku kebakaran dan kematian, pasti keadaan akan menjadi lebih sulit kerana hanya sebuah lif biasa berfungsi," katanya kepada Sinar Harian.

Mansor berkata, selain alasan pemaju yang mendakwa berdepan masalah kewangan untuk memperbaiki lif rosak, kegiatan vandalisme juga menjadi punca kepada masalah itu.

Katanya, penghuni berharap pemaju mengotakan janji untuk menyelesaikan masalah lif pada minggu ini memandangkan penghuni membayar yuran penyelenggaraan.

Sementara itu, Setiausaha JMB, Sulaiman Noh berkata, setiap pagi, penghuni akan bersesak menunggu lif, tidak kira untuk naik atau turun terutamanya apabila anak-anak hendak ke sekolah.

"Keadaan ini menyebabkan penghuni terpaksa menunggu antara 15 hingga 30 minit untuk menggunakan lif. Keadaan itu juga menyukarkan warga emas dan golongan orang kurang upaya OKU) yang kerap menggunakan perkhidmatan ini," katanya.

Sulaiman berkata, beliau berharap penghuni yang belum menjelaskan yuran penyelenggaraan dapat berbuat demikian kerana bayaran tersebut sudah tertunggak sebanyak RM175,000.

Bob Kuman terharu sumbangan peminat

Posted: 18 Apr 2012 08:16 PM PDT

Bob Kuman terharu sumbangan peminat

PETALING JAYA – Pelakon Bob Kuman terharu dengan sumbangan yang diberikan peminatnya menerusi akuan banknya selepas kisahnya tersiar di dalam sebuah laman blog baru-baru ini.

Bob atau nama sebenarnya Husin Mohd Rawi, 40, mengucapkan berbanyak terima kasih kepada para peminatnya yang sudi menyumbang bagi membantu meringankan beban yang dialaminya.

"Bayangkan bila saya semak akaun ada yang sanggup masuk RM5 mereka (peminat) bukannya orang senang, tapi sanggup tolong saya terima kasih banyak-banyak,"katanya.

Bob sewaktu ditemui dirumahnya semalam memberitahu dia kini terpaksa menerima bantuan penafasan melalui mesin khas.

"Syukur pagi tadi pihak Lembaga Zakat Selangor ada datang melawat ke rumah dan mereka akan cuba usahakan untuk membantu dapatkan bantuan bekalan gas oksigen,"katanya.

Katanya lagi, melalui sumbangan yang diterimanya, dia kini boleh membayar kosperubatan manakala bakinya boleh digunakan untuk membiayai kehidupannya ketika ini.

"Doktor nasihatkan saya supaya jangan minum air banyak takut kakinya yang cedera membengkak, jadi sekarang saya kena rehat banyak," katanya.

Kesihatan Bob mula terganggu selepas terjatuh ketika menjalani penggambaran drama Jangan Pandang Belakang Congkak pada akhir 2010 yang menyebabkan dia mengalami masalah sesak nafas.

Kereta mewah hanya RM7,600

Posted: 18 Apr 2012 08:01 PM PDT

Mariah menunjukkan maklumat yang diperoleh daripada internet berkaitan kes penipuan

KUANTAN - Seorang penjawat awam hampir membawa pulang sebuah kereta jenis Toyota Camry berharga lebih RM100,000 dengan bayaran hanya RM7,600 selepas memenangi 'hadiah' luar biasa yang ditawarkan dua jurujual dipercayai anggota sindiket gores dan menang, di sini, kelmarin.
Malah wakil syarikat terbabit bersedia memberi diskaun lebih 50 peratus apabila hanya meminta wanita itu membayar RM3,000 disebabkan ketidakmampuannya menyediakan RM7,600 seperti yang ditawarkan sebelum itu.
Mariah, 51 (bukan nama sebenar) yang nyaris tertipu mendakwa, bayaran kononnya untuk cukai dan kos proses itu perlu dijelaskan terlebih dahulu sebelum dia layak menuntut hadiah terbabit.
Menurutnya, dia terpaksa 'melepaskan' hadiah itu kerana tidak mempunyai wang seperti yang diminta bagaimanapun wakil syarikat terbabit mendesaknya supaya mencari jalan mendapatkan wang tersebut.
"Mereka mendesak saya meminjam wang daripada saudara mara dan rakan-rakan atau menggadai barang kemas yang dipakai untuk mendapatkan wang tersebut," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mariah berkata, dia terserempak dengan dua jurujual itu ketika meletakkan kereta di tempat letak kereta sebuah pusat membeli belah di sini, kira-kira jam 4 petang, Isnin lalu.
Dia berkata, dia bersama dua anaknya didatangi jurujual lelaki dan wanita itu sebelum mereka meminta saya membuka dua kupon cabutan bertuah yang kononnya menawarkan hadiah lumayan.
"Saya buka kupon pertama namun hanya tertera perkataan terima kasih namun setelah membuka kupon hadiah istimewa, jurujual lelaki berusia 28 tahun terus melompat kegembiraan sambil memberitahu saya bertuah kerana memenangi hadiah berupa sebuah kereta Toyota Camry.
"Mereka meminta saya datang ke pejabat mereka di Galing untuk proses menuntut hadiah itu," katanya.
Mariah berkata, dia bersetuju dan terus menaiki kereta untuk ke pejabat syarikat terbabit sambil ditemani dua jurujual tersebut yang turut menaiki keretanya.
"Apabila sampai di pejabat itu, saya agak curiga apabila melihat keadaan dalam premis agak kosong seolah-olah pejabat sementara.
"Seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pengurus bersama beberapa kakitangannya datang menemui saya dan menjelaskan syarat untuk saya penuhi sebelum layak menerima hadiah tersebut," katanya.
Menurutnya, dia memang tidak mempunyai wang sebanyak itu dan terpaksa menolak sebelum beredar.
"Sebenarnya saya tidak percaya dan mensyaki mereka sindiket gores dan menang yang banyak memperdaya hingga ada mangsa mengalami kerugian ribuan ringgit," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang, Mohd A Aruwan A Aziz berkata, pihaknya sentiasa mempergiatkan usaha memantau kegiatan itu dari masa ke semasa di kawasan yang dikenal pasti.
Menurutnya, PPDNKK juga ada menahan jurujual yang disyaki terlibat dalam kegiatan ini untuk membantu siasatan namun ada segelintir daripada terus berdegil apabila kembali meneruskan aktiviti itu.

Mawar Putih muncul sebelum histeria

Posted: 18 Apr 2012 07:59 PM PDT


GAMBARAN wajah Mawar Putih yang didakwa dilihat oleh pelajar SMK Syed Abu Bakar sebelum mereka dilanda histeria.


BALING – Beberapa orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Abu Bakar, Kupang di sini mendakwa mereka ternampak kelibat seorang wanita berwajah hodoh setiap kali berlaku kes histeria.

Pada tahun ini sahaja sekolah itu telah mengalami lima kejadian histeria.

Antara saksi kelibat wanita yang mendakwa dirinya bernama Mawar Putih itu ialah pelajar tingkatan dua yang hanya mahu dikenali Intan Kasim.

Menurut Intan, makhluk itu mempunyai susuk tubuh seperti wanita dewasa, memiliki raut wajah cantik di bahagian kanan tetapi hodoh pada sebelah kiri selain sekuntum bunga mawar terselit di telinga kanannya.

Katanya, bahagian wajah yang hodoh itu ditutup dengan kain selendang yang dipakainya.

Intan mendakwa makhluk itu bercakap menggunakan bahasa istana.

Anak sulung daripada lima beradik itu mendakwa dia terserempak dengan kelibat makhluk itu di sekitar kawasan tandas sekolah sejak beberapa minggu lalu.

"Selepas melihat dia, badan saya tiba-tiba jadi lemah dan pengsan.

Tanggungjawab besar Zizan

Posted: 18 Apr 2012 07:57 PM PDT


ZIZAN meniup lilin pada kek ulang tahun kelahirannya yang ke-28 tahun pada satu majlis yang diadakan oleh para peminat pada 15 April lalu.


IA merupakan kali kedua peminat Zizan Raja Lawak menerusi Zizan Fan Club (ZFC) mengadakan sambutan hari lahir buat pengacara popular itu. Kali pertama ia diadakan pada tahun lalu.

Berlangsung penuh meriah pada Ahad lalu di Restoran Bora Ombak, Kuala Lumpur, seramai 100 peminat hadir berpakaian hitam dan putih mengikut tema yang diberi presiden Zizan Fan Club, Hanif Hamid bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-28 Zizan.

"Ini kali kedua hari ulang tahun saya disambut oleh peminat. Saya cukup terharu kerana sentiasa mendapat sokongan yang tak pernah padam daripada mereka," ujar Zizan yang dilihat terkejut menerima lagu Selamat Hari Jadi tatkala melangkah masuk ke dalam restoran tersebut.

Dilahirkan pada 15 April 1984, Zizan cukup gembira kerana hari ulang tahunnya disambut bukan sahaja peminat di Malaysia tetapi juga peminat daripada Brunei dan Singapura.

"Saya tak sangka kerana ada satu keluarga dari Singapura sanggup turun untuk meraikan hari ulang tahun saya. Saya sangat menghargai peminat-peminat saya yang banyak memberi sokongan kepada saya selama ini. Tidak cukup dengan kemenangan saya sebagai pengacara popular yang tentunya disebabkan oleh undian peminat saya, kini mereka menyambut pula hari ulang tahun saya pada hari ini," ujarnya yang hadir memakai pakaian berwarna merah dan hitam kerana tidak mengetahui kelab peminatnya telah merancang untuk membuat majlis sambutan hari lahirnya pada hari itu.

Janji

Bercerita tentang kemenangannya merebut gelaran pengacara paling popular mengatasi Aznil Haji Nawawi pada satu anugerah yang berlangsung baru-baru ini, tutur Zizan, kemenangan tersebut menjadikan tanggungjawabnya sebagai pengacara mahupun selebriti tanah air semakin besar.


DIPILIH sebagai pengacara paling popular, Zizan memberitahu dia kini memikul tanggungjawab yang lebih besar kerana ingin membalas kepercayaan khayalak terhadap kemampuannya.


Akuinya, dia berjanji akan melakukan yang terbaik untuk peminat dan industri Malaysia.

Biarpun dihimpit dengan beberapa kontroversi seperti dialognya dalam filem Hantu Bonceng yang didakwa sebagai mempermainkan dua kalimah syahadah dan terbaharu menerusi lagu Bawaku Pergi ciptaan Malique yang liriknya didakwa mempunyai unsur untuk mendorong remaja lari dari rumah sehingga digam untuk diputarkan di corong radio milik RTM, bagi Zizan, dia tidak akan berputus asa untuk menyanyi. Ini kerana ujar Zizan, bidang nyanyian merupakan pilihan utama sebelum dia terlibat dalam industri seni.

"Sejujurnya, bidang nyanyian selalu menjadi keutamaan saya. Saya minat menyanyi dan disebabkan itu juga saya pernah pergi menghadiri uji bakat Akademi Fantasia tetapi tidak berjaya. Sekarang tengok pada permintaan kerana mengacara, berlakon dan melawak juga menjadi keutamaan saya untuk mencari rezeki," ujarnya.

Ditanya mengenai nasib lagu Bawaku Pergi, jelas Zizan, ia masih lagi dalam siasatan dan masih diputarkan di radio.

Tidak mahu menghampakan peminat yang ingin mendengarnya menyanyi lagu Bawaku Pergi, Zizan menyanyikan lagu tersebut bersama Kaka yang turut hadir pada sambutan hari ulang tahunnya.

Secara berseloroh, Zizan sempat memberitahu: "Selagi lagu ini masih dalam siasatan ia masih boleh dinyanyikan".

Ujarnya lagi, ia juga merupakan kali pertama dia menyanyikan lagu tersebut secara langsung kepada peminatnya.

Perlahan tapi pasti

Posted: 18 Apr 2012 07:57 PM PDT



TENGKU IEDIL PUTRA ALAUDIN memang nama yang masih asing untuk khalayak. Sementelah empunya badan juga tidak begitu kerap dilihat dalam kaca televisyen.

Ironi, dia bukannya baru bermain dalam satu atau dua naskhah, tetapi sejak empat tahun lalu telah memberi komitmen kepada banyak naskhah baik filem mahupun drama.

Malah dunia lakonan juga tidak asing baginya, kerana pada tahun 1997 lagi dia telah terbabit menjadi pelakon dalam filem hit Iman Alone. Hanya kerana kurang publisiti, dia kurang menonjol.

"Saya akui, publisiti itu penting. Namun keutamaan bagi saya adalah bagaimana penggiat seni dan penonton lebih mengenal dan menghargai bakat saya," kata jejaka berusia 28 tahun ini merendah diri.

Kata tuan punya badan yang senang dipanggil Iedil, dia mahu membuktikan dulu kredibilitinya dan kemudian dia percaya publisiti atau populariti akan datang seiring selepas khalayak melihat kemampuannya.

Hal itu telah ditonjolkan dalam lakonan bersahaja tetapi mengesankan menerusi drama rantaian yang sedang hangat ditayangkan di 8TV pada setiap hari Ahad pukul 10.30 malam, Project Pop.

Diberi tanggungjawab membawa karakter pengurus sebuah kumpulan terkenal Hujan, bernama Amad yang agak lurus bendul, dia sebenarnya merupakan tunjang utama drama yang memaparkan kisah di sebalik tabir tentang perjalanan sebuah konsert.

"Selain kerana jalan cerita yang menarik dan tidak pernah dipaparkan dalam mana-mana produksi sebelum ini iaitu tentang situasi sebenar yang berlaku di belakang tabir sebuah konsert, saya tertarik untuk menerima tawaran pengarah kerana karakter Amad yang nampak lurus bendul dan selalu berada dalam salah situasi.

"Ini kerana dalam karakter yang nampak tidak bersemangat, saya perlu bermain dengan banyak emosi kerana karakter Amad yang nampak tidak memberi impak pada awal episod akan berkembang menjadi sesuatu yang besar pada penghujungnya," jelas Iedil yang juga menyatakan dia bersetuju untuk terbabit dalam drama rantaian tersebut kerana begitu menggemari muzik.


BAGI Iedil setiap karakter sama ada ia besar atau pun kecil, harus dibawa dengan bersungguh-sungguh kerana itu adalah tugas seseorang pelakon untuk menghidupkan karakter yang diberi.


Cerita Iedil lagi, biarpun Project Pop hanya bersiaran untuk 10 episod sahaja, namun setiap episod mempunyai kekuatan tersendiri.

"Dalam episod pada minggu ini, konsert sudah bermula dan 'drama' terus terjadi seperti Noh masih hilang yang membuatkan Hujan tidak tahu mahu meneruskan persembahan atau tidak," ujarnya yang jatuh cinta dengan konsep penceritaan Project Pop yang mengambil latar senario yang terjadi dalam masa 24 jam sahaja.

Walaupun hanya sedang hangat di televisyen dengan sebuah naskhah sahaja, di layar perak, tetapi ramai yang menggunakan khidmat anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Baru sahaja tamat penggambaran filem KL Zombie bersama Siti Saleha dan Zizan Raja Lawak serta Faezah Elai, Iedil bakal muncul dalam sebuah filem yang pertama kali menggandingkannya bersama aktor popular Aaron Aziz dan aktres terkenal Erra Fazira pada bulan Julai ini.

"Saya pertama kali berganding dengan Erra dan Aaron untuk filem Ngorat. Ini juga merupakan filem pertama yang menampilkan saya sebagai watak utama.

"Ia sebuah filem komedi tentang bagaimana seorang jejaka menggunakan khidmat seorang pakar cinta untuk membantu dia bercinta," katanya yang sering terlibat sebagai pelakon pembantu dalam beberapa buah filem termasuk kali terakhir dalam filem Raya Tak Jadi.

Doktor

Mengajak dia berbicara tentang latar belakang keluarga dan perjalanan seninya, Iedil sebenarnya mempunyai perjalanan yang menarik.

Jika mengikut perjalanan yang mahu dilaluinya sebaik tamat sekolah menengah, dia sepatutnya masuk ke dalam lapangan kedoktoran. Malah dia sempat menjadi mahasiswa dalam bidang kedoktoran di Queen Mary, University of London (QMUL).


MEMBAWA watak Amad dalam drama rantaian Project Pop, Iedil meminta penonton drama tersebut menanti kejutan yang akan dibuat oleh Amad pada penghujung cerita.


Bagaimanapun perjalanan tersebut hanya separuh jalan apabila dia mengambil keputusan untuk memilih minat yang tidak pernah padam dalam dirinya iaitu bidang seni.

Mengaku pada awal keputusan diambil, terjadi sedikit pergeseran antara dia, ibu dan bapanya, namun hal itu terhapus pergi selepas ibu dan bapanya memberi restu setelah melihat kesungguhannya.

"Sebenarnya saya juga minat dalam bidang kedoktoran. Tapi pada masa yang sama, saya tidak boleh menipu diri sendiri kerana cinta saya lebih mendalam terhadap bidang seni.

"Bayangkan, sepanjang menuntut di sana, pada kebanyakan masa selepas kelas tamat, saya akan menghabiskan masa dengan pergi menonton teater," katanya sambil ketawa mengenang kenangan lalu.

Bagaimanapun saat Iedil bercerita tentang latar belakang keluarganya yang semua terbabit dalam bidang seni secara langsung dan tidak langsung, maka tidak hairan mengapa dia juga terheret sama untuk menghidupkan darah seni yang mengalir dalam tubuhnya.

"Ibu saya pernah menghasilkan sebuah buku kanak-kanak. Bapa saya pula seorang pelukis dan semakin aktif selepas dia bersara daripada kerjayanya. Kini, dua orang adik saya masing-masing sedang menuntut dalam bidang seni termasuk perfileman," beritahu Iedil.

Askar dapat ganti rugi RM140,000

Posted: 18 Apr 2012 07:56 PM PDT


TENGKU ROPIAH dan Zainol Rashid menunjukkan gambar anaknya, Khairil Azzuwan cedera yang di Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Seorang anggota tentera yang mendakwa dipukul dan ditoreh pada lengan bagi membuang tatu ketika bertugas di Rejimen Ke-13 Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Pakit, Sri Aman, Sarawak lima tahun lalu berjaya menuntut ganti rugi sebanyak RM140,000 di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Hakim Datuk Azman Husin memerintahkan kerajaan Malaysia membayar ganti rugi itu kepada Khairil Azzuwan Zainol Rashid, 24, selaku plaintif ketika membacakan keputusan kes tersebut.

Azman memutuskan supaya plaintif dibayar ganti rugi am sebanyak RM100,000, ganti rugi khas RM30,000 dan kos tindakan sebanyak RM10,000.

Khairil Azzuwan bagaimanapun tidak hadir pada prosiding semalam dan diwakili peguam Lucia Minta.

Ibu bapa plaintif, Zainol Rashid Mohamad Noor, 63, dan Tengku Ropiah Ku Ismail, 59, hadir pada prosiding tersebut.

Khairil Azzuwan dalam tuntutan difailkan pada 13 April 2008 menamakan tujuh defendan iaitu defendan pertama, Panglima Angkatan Tentera, defendan kedua, Pegawai Memerintah Kem 13 RAMD Pakit, Sri Aman, Sarawak, Leftenan Kolonel Ahmad Azni Akhbar Ali dan defendan ketiga, Koperal Nasrol Hasmee Mohd. Nasir.

Penjahat Geng Buyong terbunuh

Posted: 18 Apr 2012 07:54 PM PDT


ANAK panah menunjukkan lokasi Ahmad Izzudin dan Elezulhelmie terjun dari tingkap bilik hotel sebelum ditembak mati.


KOTA BHARU – Dua daripada 10 penjenayah anggota Geng Buyong yang bersembunyi di hotel bajet Kencana Lodge di Jalan Sri Cemerlang di sini ditembak mati polis kelmarin.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, Elezulhelmie Ilias, 24, yang dikenali sebagai Emi Lias dan rakannya, Ahmad Izzudin Che Deraman, 24, mati ditembak di hotel itu selepas mereka cuba melawan polis dengan melepaskan beberapa das tembakan.

Emi Lias dari Kampung Padang Lati, Bekelam, Bachok mempunyai rekod jenayah pecah rumah.

Rakannya, Ahmad Izzudin dari Jalan Merican dekat sini pula lebih dikenali sebagai Din Billion kerana rumahnya terletak berhampiran pasar raya Billion.

Semasa serbuan, Emi Lias dan Ahmad Izzudin sedang bersembunyi di hotel tersebut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, sebelum dua penjahat itu ditembak mati, polis menghantar pasukannya ke hotel itu bagi memeriksa dua lelaki mencurigakan yang berada di sebuah bilik hotel di tingkat dua.

Menurut beliau, anggota polis yang mengetuk pintu bilik hotel itu dan memperkenalkan diri sebagai polis terkejut apabila kedua-dua lelaki yang berada dalam bilik itu bertindak melarikan diri dengan terjun melalui tingkap bilik hotel dari ketinggian empat meter.

"Polis yang mengepung seluruh hotel itu kemudian cuba menahan kedua-dua suspek yang terjun namun salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan.

"Anggota polis terpaksa mempertahankan diri dengan membalas tembakan itu menyebabkan kedua-dua lelaki itu mati di tempat kejadian," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini semalam.

Jenayah seksual naik 36 peratus

Posted: 18 Apr 2012 07:54 PM PDT

LAMAN sosial seperti Facebook didakwa antara punca kes jenayah seksual terhadap remaja semakin berleluasa. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Jumlah kes jenayah seksual termasuk rogol membabitkan mangsa berumur di bawah 16 tahun meningkat sebanyak 36.1 peratus atau 642 kes pada tahun 2011 berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar kecil) berkata, statistik polis mendapati sebanyak 1,777 kes jenayah seksual terhadap remaja dilaporkan sepanjang 2010 sebelum naik kepada 2,419 kes pada tahun lalu.

"Sebanyak 924 kes telah dilaporkan pada 2005, 1,301 kes (2006), 1,653 kes (2007), 1,871 kes (2008) dan 2,049 kes (2009)," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Beliau memberitahu, banyak kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa penjenayah sewaktu mereka bersendirian di dalam atau di luar rumah.

"Antara faktor kes jenayah seksual ini meningkat ialah disebabkan kurang pendidikan dan agama, masalah dalam institusi kekeluargaan, pengaruh media massa dan media alternatif serta mangsa dan suspek melakukannya secara suka sama suka," katanya.

Rang Undang-Undang Mesin Cetak dibentang

Posted: 18 Apr 2012 07:52 PM PDT


PEMBENTANGAN Rang Undang-Undang Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012 bakal membawa nafas baharu kepada penerbitan akhbar di Malaysia.


KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012 yang bertujuan menggugurkan "kuasa mutlak" menteri dalam meluluskan atau tidak meluluskan lesen mesin cetak dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semalam.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop (gambar) membentangkan rang undang-undang itu bagi tujuan meminda lima Subseksyen Akta 301.

Ia termasuk meminda Subseksyen 3(3) Akta 301 untuk memansuhkan keperluan merujuk kepada "budi bicara penuh" menteri dalam memberi atau menolak pemberian lesen mesin cetak.

Rang undang-undang itu juga bertujuan menggugurkan kuasa menteri dalam menentukan tempoh sah lesen.

Ia juga bertujuan meminda Subseksyen 6(1) untuk memansuhkan keperluan merujuk kepada "budi bicara penuh" menteri dalam memberi kebenaran untuk mencetak atau menerbitkan akhbar di Malaysia atau mengeluarkan permit kepada mana-mana pemilik akhbar di Singapura untuk membolehkan akhbar terbitannya diimport, dijual atau diedar di Malaysia.

Tawaran hadiah wang tunai RM5,000

Posted: 18 Apr 2012 07:49 PM PDT




KUALA LUMPUR – Peserta-peserta peraduan Warkah Buat Ibu anjuran Resorts World Genting dengan kerjasama akhbar Kosmo! berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai tambahan berjumlah RM5,000.

Eksekutif Pengurusan Jenama Kosmo!, Tajul Ariffin Arsad berkata, untuk memenangi hadiah tambahan tersebut, peserta perlu menghantar salinan penyertaan Warkah Buat Ibu kepada Kosmo! selain dikirim melalui e-mel kepada Resorts World Genting.

Menurutnya, hadiah tambahan itu ditawarkan bagi meraikan pembaca lama dan baharu akhbar Kosmo!.

"Untuk setiap penyertaan, peserta perlu kepilkan lima keping kepala akhbar Kosmo! keluaran 6 hingga 30 April 2012 bagi melayakkan mereka memenangi hadiah tambahan ini.

"Peserta boleh melayari www.kosmo.com.my untuk mengetahui maklumat lanjut berhubung hadiah tambahan ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Resorts World Genting, Chen Pelf Yeen memberitahu, pihaknya menerima 224 penyertaan sehingga semalam.

"Walaupun tema sekarang adalah 'Ibu, kaulah yang terbaik', kami masih menerima penyertaan yang menggunakan tema sebelumnya dan respons yang diterima amat menggalakkan," katanya.

Prestasi jualan Perodua susut 11 peratus

Posted: 18 Apr 2012 07:47 PM PDT


PERODUA mendakwa sebahagian besar penurunan kadar jualan kenderaannya disumbangkan oleh pengenalan garis panduan amalan pembiayaan bertanggungjawab oleh BNM.


KUALA LUMPUR – Prestasi jualan kenderaan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) bagi bulan Mac 2012 menurun sebanyak 11 peratus kepada 16,000 unit berbanding 18,000 unit yang terjual pada bulan Mac tahun sebelum.

Jualannya untuk suku tahun pertama 2012 turut susut sebanyak 2.2 peratus kepada 44,700 unit berbanding 45,700 unit kenderaan yang dijual pada suku tahun pertama 2011.

Perodua mendakwa, sebahagian besar daripada penurunan tersebut berpunca daripada pengenalan garis panduan amalan pembiayaan bertanggungjawab oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang berkuat kuasa awal Januari lalu.

Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh (gambar kecil) berkata, model ViVA menerima kesan terbesar dengan mencatatkan penurunan jualan sebanyak 19 peratus pada suku tahun pertama 2012 kepada 13,000 unit berbanding 16,000 unit yang dicatatkan pada suku pertama tahun 2011.

Glock Gen4 ganti pistol PDRM

Posted: 18 Apr 2012 07:43 PM PDT


SEORANG model memegang model pistol Glock Gen4 pada pameran DSA 2012 di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Glock Gen4 dipilih Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai senjata terbaharu pasukan itu.

Ia merupakan generasi terkini dalam keluarga pistol bereputasi tinggi keluaran firma persenjataan global, Glock Ges.m.b.H Austria.

Wakil Glock di rantau ini, Sven de Souter berkata, Glock Gen4 merupakan revolusi terkini penciptaan pistol.

Ia juga mesra pengguna termasuk kepada penembak kidal.

Katanya, pistol ini memiliki ciri-ciri lebih baik seperti rekaan pemegang tangan yang boleh diubah suai.

"Ia juga menggunakan sistem dwi spring bagi mengurangkan kesan tendangan dan teknologi ini bukan sahaja menambahkan kelasakan pistol tetapi juga memanjangkan jangka hayatnya," ujar beliau.

Variasi Glock Gen4 yang dipamerkan pada Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2012 di sini menarik perhatian ramai.

Sistem komuter Singapura lumpuh dua jam

Posted: 18 Apr 2012 07:42 PM PDT


PENGGUNA laluan tren Utara Selatan SMRT tiba di stesen pertukaran tren Bishan di Singapura semalam.


SINGAPURA - Sistem tren metro baharu yang menelan kos beberapa bilion dolar di Singapura lumpuh untuk hari ketiga berturut-turut semalam.

Sistem komuter tersebut tergendala selama dua jam dan melibatkan lapan buah stesen di laluan baharu sepanjang 36 kilometer ketika orang ramai bergegas ke tempat kerja.

Ia berlaku dua hari selepas satu perbicaraan awam diadakan berhubung gangguan besar-besaran yang menyebabkan 127,000 pengguna tren di Singapura tergendala selama beberapa jam pada Disember tahun lalu, sekali gus menjadi gangguan terburuk sejak sistem metro dirasmikan pada 1987.

Gangguan melibatkan sistem komuter di Singapura semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini dengan kebanyakan masalah didapati berpunca daripada kerosakan mekanikal atau elektrik.

Sejak seminggu lalu, empat seksyen berlainan dalam sistem metro mengalami gangguan perkhidmatan.

Insiden terbaru berlaku sekitar pukul 8.05 pagi semalam apabila pengendali tren berkenaan, Perbadanan SMRT, mengumumkan di laman sosial Twitter bahawa "kerosakan landasan" menyebabkan perkhidmatan antara empat buah stesen telah dihentikan.

Sejam kemudian, SMRT memberitahu, perkhidmatan tren di lapan buah stesen lain turut tergendala.

Menurut media tempatan, laluan terbabit yang dinamakan Circle Line dibina dengan kos melebihi AS$6.40 bilion (RM19.6 bilion) dan mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan.

Bilionair AS dikesan hidap kanser prostat

Posted: 18 Apr 2012 07:41 PM PDT


GAMBAR 6 Julai 2011 menunjukkan pengerusi dan CEO Berkshire Hathaway, Warren Buffett bersiar-siar di Sun Valley, dalam negeri Idaho bersama isterinya, Astrid.


OMAHA, Amerika Syarikat (AS) - Bilionair AS, Warren Buffett kelmarin memberitahu, beliau dikesan menghidap kanser prostat peringkat awal.

Namun, Buffet cuba menyakinkan para pemegang saham syarikat pelaburan miliknya, Berkshire Hathaway Inc. bahawa keadaannya tidak mengancam nyawa.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Berkshire Hathaway Inc. berusia 81 tahun itu menyatakan dalam surat kepada pemegang saham bahawa beliau bakal menjalani rawatan kemoterapi selama dua bulan pada pertengahan Julai depan.

Menurut Buffet, rawatan tersebut akan menghadkan perjalanannya, namun tidak menjejaskan rutin beliau.

"Saya rasa hebat seolah-olah berada dalam keadaan kesihatan yang baik. Tahap tenaga saya ialah 100 peratus. Saya mendapat tahu mengenai kanser itu kerana tahap PSA (Antigen Spesifik Prostat) baru-baru ini naik melebihi tahap normal. Jadi saya perlu menjalani ujian biopsi," katanya.

Menurut Buffett, beliau didiagnosis pada 11 April lalu dan sudah menjalani ujian imbasan CAT, tulang serta pengimejan resonan magnetik (MRI).

Buffett terkenal kerana pendekatan luar biasa dalam pelaburan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau menjadi salah seorang dermawan paling pemurah.

Ahli perniagaan dari AS itu berada di tempat ketiga individu terkaya di dunia dalam senarai majalah Forbes dengan anggaran kekayaan berjumlah AS$44.6 bilion (RM136.7 bilion).

Discovery terbang untuk kali terakhir

Posted: 18 Apr 2012 07:40 PM PDT


KAPAL angkasa Discovery yang diangkut pesawat Boeing 747 terbang di ruang udara Washington kelmarin.


WASHINGTON - Kapal angkasa Discovery yang diangkut di atas sebuah pesawat Boeing 747, melakukan penerbangan simbolik sebelum ia mendarat berhampiran sebuah muzium, tempat ia disimpan di ibu kota AS di sini kelmarin.

Discovery yang melakukan penerbangan sulung pada 1984, terbang mengelilingi ibu kota AS berkenaan selama sejam sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles dengan disaksikan oleh orang ramai.

Kapal angkasa berwarna hitam dan putih milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (NASA) itu kelihatan lusuh selepas melakukan 39 misi ke angkasa lepas.

"Ia seperti menghantar ahli keluarga anda menetap di tempat lain," kata seorang angkasawan NASA, Nicole Stott.

Discovery melakukan misi terakhir ke angkasa lepas pada Februari dan Mac tahun lalu melibatkan perjalanan pergi balik ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) yang mengambil masa 13 hari.

Daripada tiga buah kapal angkasa milik AS termasuk Endeavour dan Atlantis, Discovery adalah yang tertua dan paling kerap terbang ke angkasa lepas.

Pusat kawalan NASA menyatakan, Discovery menghabiskan masa 365 hari di angkasa lepas dan terbang sejauh 241 juta kilometer sepanjang perkhidmatan kapal angkasa berkenaan.

100,000 orang berpindah dari kawasan Empangan Three Gorges

Posted: 18 Apr 2012 07:37 PM PDT


GAMBAR bertarikh 20 Julai 2010 menunjukkan air banjir dialirkan keluar dari Empangan Three Gorges di Yichang, tengah China.


SHANGHAI - Seramai 100,000 orang lagi perlu berpindah dari kawasan Empangan Three Gorges di China ekoran risiko tanah dan tebing runtuh di sekitar takungan elektrik hidro terbesar di dunia itu.

Beberapa media rasmi dalam laporan yang disiarkan di laman web pemerintah semalam memetik seorang pegawai Kementerian Sumber Tanah, Liu Yuan sebagai memberitahu, bilangan tanah runtuh dan bencana lain meningkat 70 peratus di kawasan Three Gorges.

Peningkatan tersebut katanya, berlaku selepas tahap air di empangan elektrik hidro itu meningkat sebanyak 70 peratus sejak 2010.

Lebih 1.3 juta orang telah dipindahkan disebabkan oleh projek mega berkenaan yang dibina di Sungai Yangtze, dalam wilayah Hube di tengah China.

Empangan Three Gorges yang dibuka pada tahun 2008, dibina dengan kos AS$26 bilion (RM79.7 bilion).

Spesies baharu seperti udang ditemui

Posted: 18 Apr 2012 07:36 PM PDT


SPESIES baharu menyerupai udang yang ditemui di dalam kolam sebuah gua di negeri New Mexico, AS pada bulan lalu. - Agensi


ALBUQUERQUE, Amerika Syarikat (AS) - Beberapa saintis menemui spesies baharu haiwan seperti udang yang buta, kecil dan hampir lutsinar di sebuah gua di negeri New Mexico.

Penemuan spesies berkenaan diumumkan oleh oleh Biro Pengurusan Tanah AS kelmarin.

Haiwan tersebut yang tergolong dalam kategori amphipod ditemui sekitar sebulan lalu di dalam sebuah kolam bawah tanah pada kedalaman kurang 24 meter daripada permukaan.

Lokasi penemuan tersebut terletak berhampiran Taman Negara Carlsbad Caverns di New Mexico.

"Ia mungkin hidup puluhan ribu tahun atau jutaan tahun dan hanya ditemui baru-baru ini," kata seorang pakar biro berkenaan tersebut, Jim Goodbar.

Menurutnya, spesies baharu itu yang masih belum diberi nama mungkin memakan bakteria, mineral atau cebisan tumbuhan yang jatuh di dalam air.

Kepupusan permata nilam Sungai Ilakaka

Posted: 18 Apr 2012 07:33 PM PDT


PELOMBONG batu nilam berhadapan krisis ekonomi ekoran kekurangan hasil batu nilam di Sungai Ilakaka serta kenaikan mendadak kos operasi.


SEAWAL pukul 7 pagi, bahang sudah pun terasa di pasar berdebu Ilakaka, Madagascar. Seorang wanita mengosongkan sebuah botol plastik vitamin yang diisi dengan berdozen permata nilam kecil.

Permata berkenaan pernah menguasai separuh daripada pasaran nilam global, namun pergolakan politik dan kekurangan pelaburan menyukarkan pasarannya.

Pada tahun 1998, nilam berkualiti tinggi telah ditemui di lembah Sungai Ilakaka iaitu 700 kilometer (km) ke selatan ibu negara di Antananarivo.

Manusia dari serata negara bergegas ke lembah berkenaan untuk mencari permata nilam, sekali gus meningkatkan populasinya daripada beberapa dozen sehingga 50,000 orang.

"Mereka datang ke sini kerana wang dan perniagaan, tidak seperti di Tana.

"Di Ilakaka, ada orang susah menjadi kaya dan ada orang kaya menjadi miskin," kata Celine, 24, ibu kepada dua anak masing-masing berumur sembilan dan tujuh tahun.

Eksport permata

Permata-permata berkenaan kebanyakannya dibawa ke Sri Lanka dan Thailand untuk dipotong dan digilap. Bagaimanapun, tiga tahun lalu, pihak pemerintah mengharamkan eksport batu permata mentah itu. Mereka mahu mewujudkan pusat menggilap tempatan untuk menawarkan peluang pekerjaan yang lebih baik.

Bagaimanapun masa tidak mengizinkan. Krisis kewangan global menghendaki dan memusnahkan keyakinan pelaburan baharu di negara itu.

Pengeksportan permata nilam yang diharamkan sebelum ini dimansuhkan pada tahun 2010, tetapi pelombongan masih belum dilaksanakan sepenuhnya. Kini, permata nilam sukar diperoleh. Para pelombong perlu menggali beberapa meter ke bawah tanah semata-mata untuk mencari permata nilam, sekali gus menjadikan kerja-kerja menggali semakin sukar dan membahayakan.

"Dengan kecairan global dalam tempoh beberapa tahun lalu, manusia tidak lagi membeli batu permata kerana wang diperlukan untuk keperluan asas berbanding kemewahan," kata Brian Norton, peniaga batu permata di Afrika Selatan.

Pemulihan yang perlahan menyebabkan proses mencari permata terus berjalan, bagaimanapun ramai pelombong sudah berhenti. Kekurangan pelombong menyebabkan kos perlombongan semakin mahal, sedikit bekalan permata dan harganya meningkat.

Di pinggir Ilakaka, padang-padangnya dipenuhi lubang-lubang yang dalam, tidak bertanda selepas ditinggalkan oleh para pelombong terdahulu.

Mereka yang kembali ke lombong akan membawa batu permata yang ditemui ke sungai. Golongan lelaki lazimnya bekerja secara berpasangan untuk mencuci batu-batu permata tersebut di dalam penapis berbentuk segi empat. Para wanita pula menggunakan penapis besi untuk cuba memerangkap batu nilam yang mungkin terjatuh ke dalam air.

Di dalam sebuah lubang besar, 30 orang pelombong mengukir tangga di tanah supaya mereka dapat masuk lebih jauh ke dalam lubang.

"Mereka tidak mengukir tangga sekiranya bekerja untuk diri sendiri," kata Muhamed Kone, seorang lelaki Guinea yang menunjukkan lombong nilam berkenaan kepada pelancong.

"Ia ibarat loteri! Kadangkala manusia bekerja beberapa hari dan tidak menemui apa-apa, tetapi mereka bekerja untuk diri sendiri," kata Kone.

Kebanyakan orang di Ilakaka tinggal di dalam pondok kayu tanpa bekalan air bersih. Bandar berkenaan mempunyai sebuah jalan utama dan kurang bangunan konkrit, tetapi banyak kereta mempunyai standard seperti di Madagascar.


POPULASI penduduk dekat Sungai Ilakaka, Madagascar meningkat sehingga 50,000 selepas batu nilam ditemui di sungai tersebut.


Pulau Madagascar yang terletak Lautan India itu merupakan salah sebuah negara termiskin di dunia. Dianggarkan 81.3 peratus populasinya hidup dengan pendapatan kurang AS$1.25 (RM3.83) sehari, menurut Bank Dunia.

Industri pudar

Ekonominya bertambah buruk selepas rampasan kuasa, ketika masa sukar, sinar permata nilam juga semakin pudar.

Celine meninggalkan sekolah 10 tahun lalu dan datang ke Ilakaka ketika permata permata nilam menjadi sebutan. Dia mengembara sejauh 230 km dari rumahnya di Ambalavao semata-mata mahu mencari ibu bapanya yang meninggalkannya untuk mencari permata batu nilam.

Celine bekerja di lombong, membersihkan permata nilam dan menjadi pembantu rumah. Lapan bulan selepas tiba di Ilakaka, Celine menemui ibu bapanya yang bekerja di lombong, tetapi pendapatan mereka jauh lebih kecil.

Celine kini bekerja dengan majikan dari Sri Lanka. Dia akan diberi beras untuk dimasak dan dihidangkan kepada para pelombong secara percuma, supaya mereka dapat berkongsi hasil dengannya. Dengan harapan, mereka akan menjual permata nilam itu kepada majikannya.

Sambil menunjukkan 10 butir batu nilam yang ditemui ibunya, Celine mengakui dia mampu memperoleh kurang satu dolar bagi setiap butir batu nilam berkenaan. Namun selepas permata tersebut dipotong dan digilap, sebutir nilam seberat 0.25 karat boleh dijual pada harga berkali-kali ganda.

Hasil akhir yang berkualiti tinggi dapat dijual lebih AS$1,000 (RM3,067.85) bagi setiap karat.

Bagaimanapun, Celine tidak boleh bergantung kepada permata nilam untuk menyara kehidupannya. Dia masih perlu bekerja sebagai pelayan, membuat persembahan di stesen radio tempatan dan menyambung pelajaran untuk memperoleh diploma di kolej.

"Saya juga pernah bekerja di lombong, tetapi ia sangat susah dan memenatkan. Lagipun, bukan selalu dapat permata nilam," katanya.

Boleh dilatih seperti kucing

Posted: 18 Apr 2012 07:31 PM PDT



LAZIMNYA apabila sebut sahaja haiwan peliharaan pasti orang akan terbayang seekor kucing Parsi yang comel untuk dijadikan teman. Kucing Parsi begitu diminati kerana faktor bulu tebalnya itu.

Namun, pernahkah anda terfikir hari ini terdapat arnab mempunyai ciri-ciri yang sama.

Bahkan, arnab eksotik itu bukan sahaja mula menarik minat ramai disebabkan bulunya, bahkan kerana ke pintarannya.

Disebabkan itu, harga arnab eksotik berbeza dengan harga arnab biasa atau arnab daging. Harga arnab eksotik boleh mencecah ribuan ringgit mengikut jenis yang dikehendaki.

Bagi sesetengah individu, memelihara arnab di dalam rumah sebagai hobi mungkin agak janggal. Bagaimanapun, sejak tahun 2008 hobi tersebut semakin diterima ramai dan mula mendapat perhatian.

Hobi membela arnab kemudian semakin berkembang dan kerana itulah tercetus idea membawa baka-baka arnab eksotik dari luar negara untuk dipelihara.

Bermula sejak tahun 2008

Bagi jejaka kelahiran Kuala Lumpur, Che Mahdhir Che Mohamad, 21, minatnya membela arnab bukanlah baru berusia sehari dua.

Sejak kecil sebenarnya Che Mahdhir sudah memelihara arnab daging. Cuma kecintaan Che Mahdhir terhadap arnab eksotik mula bercambah kira-kira empat tahun lalu selepas membaca mengenainya di Internet dan perbualan dengan kawan-kawan.


ARNAB eksotik atau arnab hiasan biasanya memiliki ciri-ciri seperti comel, berbulu cantik, manja, tertib dan mudah dilatih.


"Ketika itu saya baru tamat belajar tingkatan lima di sebuah sekolah teknik di Kuala Lumpur. Selepas mengetahui mengenai kewujudan arnab eksotik ini saya mula mencarinya dan membeli seekor arnab tersebut untuk dijadikan teman.

"Saya mula memelihara arnab eksotik daripada jenis Holland lops dan Netherland dwarf. Buat permulaan saya bela seekor arnab kemudian dua ekor dan sehingga kini saya mempunyai 30 ekor daripada pelbagai jenis arnab eksotik," katanya yang berasal dari Gombak, Selangor itu.

Menerangkan lagi mengenai arnab peliharaannya, jenis Holland lops dan Netherland dwarf merupakan arnab yang berasal dari Belanda dan mempunyai berat badan sekitar 1.1 hingga 1.8 kilogram.

Ciri-ciri arnab Holland lops selain bersaiz agak besar, ia juga mempunyai warna bulu yang cantik. Arnab itu memiliki telinga yang jatuh ke bawah, berlainan daripada arnab-arnab lain.

"Badan arnab ini sedikit berotot, dada yang sedikit ke dalam serta berkaki pendek dan tebal. Warna yang paling banyak untuk jenis ini ialah warna coklat serta putih, hitam serta putih dan pecahan jingga.


SEKUMPULAN peminat arnab tertarik dengan kecomelan arnab eksotik jenis Holland lops yang bersaiz agak besar.


"Selain itu, arnab eksotik jenis ini memiliki mata berwarna biru dan merah delima. Mukanya bulat dan comel. Arnab Holland lops ini mempunyai sikap yang lemah-lembut sepadan dengan saiznya," kata Che Mahdhir yang kini menukarkan hobinya itu kepada perniagaan.

Disebabkan sikapnya yang lemah-lembut itu, Che Mahdhir menjelaskan, arnab tersebut sesuai dijadikan haiwan peliharaan sama ada di luar ataupun di dalam rumah.

Tetapi jika diletakkan di dalam rumah, dia menasihati supaya pemiliknya memastikan arnab terbabit tidak terjerat dengan sebarang wayar yang berselirat, tumbuhan beracun dan haiwan peliharaan lain seperti kucing disebabkan saiznya yang agak besar.

Sementara itu, jelasnya lagi, arnab Netherland dwarf pula mempunyai saiz yang kecil antara 13 hingga 18 sentimeter, berbentuk seperti guinea pig, bermuka bulat dan pendek.

Bentuk kepala serta mata seimbang dengan saiz badannya. Keadaan ini adalah disebabkan kekerdilan dalam genetik arnab jenis itu. Telinganya yang kecil dan terletak sedikit tinggi di bahagian atas kepala membuatkan ia kelihatan comel.

Istimewanya arnab Netherland dwarf, saiznya yang lebih kecil menyebabkan ia mudah dipegang dan dibawa ke mana sahaja. Ia sangat jinak, tetapi sedikit takut dengan manusia pada peringkat awal.

Biak di Malaysia

Seorang peminat arnab eksotik, Ihsan Mukhlis Mohamad, 29, pula berkata, arnab eksotik sebenarnya sukar ditemui di negara ini dan pula diimport dari luar negara.

Arnab-arnab tersebut terdiri daripada spesies seperti anggora, lion head, hotot, lion king, caroliner dan New Zealand white.


IBU arnab akan mencabut bulunya sendiri untuk dijadikan sarang ketika melahirkan anak bagi memastikan anaknya itu tidak kesejukan.


Selain itu, terdapat juga arnab daripada jenis jersey wooly, Californian, American fuzzy lop dan mini rex. Kebanyakan arnab yang terdapat di sini ialah arnab baka New Zealand, Amerika Syarikat dan Australia.

Bagaimanapun jelas Ihsan Mukhlis, sejak kebelakangan ini semakin ramai individu di negara ini memberanikan diri menjadi pembiak arnab eksotik mengikut kepakaran masing-masing.

Hasilnya, lebih banyak arnab eksotik dapat dibiakkan di Malaysia, sekali gus dijual pada harga yang lebih berpatutan berbanding arnab yang diimport dari negara asalnya.

Arnab eksotik yang dijual di pasaran tempatan boleh dibeli pada harga antara RM100 hingga RM3,600.

"Sebelum anda jatuh cinta untuk memiliki arnab yang comel dan manja ini, anda bagaimanapun perlulah menitikberatkan beberapa perkara penting mengenai arnab.

"Arnab sebenarnya mempunyai jangka hayat lima tahun atau lebih. Ia memerlukan pemerhatian yang lebih dan tempat tinggal yang selesa atau habitat yang menepati keadaan semula jadinya," kata Ihsan Mukhlis.

Menurutnya, arnab eksotik ini beretika dan mudah dilatih seperti kucing. Daripada jadual pemakanannya sehingga kepada tempat pembuangan najis arnab tersebut dapat didik mengikut kehendak pemilik.

"Untuk pengetahuan anda, air kencing arnab sebenarnya berbau hancing dan sangat kuat.

"Sehubungan itu anda perlu membersihkannya setiap hari. Jika tidak kemungkinan lalat akan mudah menghurung sangkar arnab anda," katanya.

Merawat untuk tatapan generasi hadapan

Posted: 18 Apr 2012 07:30 PM PDT



MUHAMAD FAIZ AZIZAN, 30, tekun memerhati anak buah di bawah seliaannya membersihkan sarung bilah keris yang telah mengalami proses pengoksidaan di Makmal Konservasi, Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Kuala Lumpur.

Pembantu Muhamad Faiz itu menggunakan sejenis bahan pembersih yang dipanggil sebagai Silver Wax. Bahan kimia itu memastikan ukiran kerawang dapat dipelihara tanpa menjejaskan bahagian keris yang lain.

Bertugas sebagai konservator dan pakar bahagian bukan organik, Muhamad Faiz telah melakukan penyelidikan terlebih dahulu bersama-sama konservator lain bagi memastikan pilihan kaedah pemuliharaan yang tepat dapat dilakukan.

"Kami akan memilih bahan kimia yang paling lemah supaya tiada efek pada mana-mana bahagian keris," terang Muhamad Faiz ketika ditemui di Kuala Lumpur.

Keris merupakan antara artifak yang dianggap rumit untuk dilakukan kerja-kerja konservasi kerana ia terhasil daripada gabungan dua jenis bahan berbeza iaitu logam dan bukan logam.

Berbanding keris, artifak patung orang asli yang keseluruhan diperbuat daripada kayu lebih mudah kerana menggunakan teknik dan penumpuan satu bahan sahaja.

Pada artifak patung tersebut, pembantu konservator menggunakan teknik wood filler (pengisi kayu) bagi menutup lubang atau rekahan yang terhasil akibat proses pereputan.

Kaedahnya adalah dengan memasukkan campuran habuk kayu dan gam yang dikenali sebagai fish glue. Selepas kering, tampalan akan dibuat lagi jika hasilnya tidak rata dengan permukaan asal.


TUGAS konservator menuntut ketelitian dan kesabaran yang tinggi kerana bertugas di bawah tekanan.


Tegas Muhammad Faiz, mereka akan mendapatkan habuk kayu yang sama dengan bahan asal atau sekurang-kurangnya paling hampir dan sesuai dengan artifak.

Teknik kedua pula adalah dengan melakukan suntikan bahan yang mengandungi gam polivinil asetat (PVA). PVA merupakan sejenis polimer getah sintetik yang kerap digunakan sebagai pelekat pada bahan yang mempunyai liang seperti kayu, kertas dan kain.

Bagi konservator pula, gam yang dipilih mesti tidak memberi sebarang kesan kepada artifak.

Kerja-kerja konservasi bahan logam dimulakan dengan menentukan bahan asas sama ada menggunakan satu bahan sahaja seperti tembaga atau campuran (komposit).

Bahan kimia yang digunakan untuk pembersihan pula akan dilarut dalam air supaya kesan yang terhasil tidak terlalu kasar sekali gus mengelakkan kerosakan lebih teruk ke atas artifak.

Tekstil

Di sudut lain yang dikhaskan untuk kerja-kerja konservasi tekstil, Nirmala Sharipiddin sedang meneliti artifak yang baru diterima dengan berhati-hati kerana kebanyakannya sudah mula mereput.

Terangnya, pihak konservasi tidak akan mencuci artifak sebaliknya menggunakan pembersih vakum yang bertindak menyedut segala kekotoran pada artifak tekstil.

Langkah kerja juga perlu sentiasa berwaspada. Mereka tidak menyedut secara terus, tetapi bahagian yang mahu dibersihkan terlebih dahulu dilapik sehelai kain berongga.

"Sedutan secara terus boleh menyebabkan sulaman atau jahitan boleh tertanggal sekali gus merosakkan artifak," ujar wanita berusia 35 tahun itu.


Konservator perlu memilih gam yang tepat agar ia tidak memberi kesan buruk ke atas artifak.


Bagi tujuan penyimpanan pula, banyak perkara yang perlu diambil kira seperti kertas yang menjadi pelapik malah, artifak seperti lembaran kain tidak akan dilipat.

Tuturnya, melipat kain dalam satu tempoh yang panjang boleh menyebabkan hujung kain menjadi hitam dan tekstur seperti kain songket boleh patah.

Alas tekstil menggunakan bahan paling asli seperti kain yang diperbuat 100 peratus daripada linen atau kain Tyvek. Kos penyimpanan menjadi agak mahal kerana bagi setiap 80 helai kain itu, ia berharga lebih RM100.

Kertas membalut artifak tekstil juga wajib bersifat bebas asid. Dikenali sebagai acid free paper, ia berharga RM150 untuk satu rim kertas yang mengandungi lebih kurang 500 keping.

Ketika kerja-kerja pemuliharaan dilakukan pula, kertas keras berasaskan bahan polikarbonat digunakan sebagai pelapik kerja.

Pada artifak pula terutama untuk pameran seperti hiasan kepala dan kasut perlu dibuat sokongan seperti bantal supaya bentuk asal artifak dapat dikekalkan.

Paling penting dalam kerja-kerja konservasi adalah menentukan teknik yang betul dan tepat supaya tiada kesan negatif terhadap artifak.

Ketelitian

Sebelum kerja pemuliharaan dilakukan, satu perbincangan membabitkan pakar-pakar dalam bidang masing-masing seperti logam, bukan logam dan tekstil diadakan.

Perbincangan melibatkan artifak sejarah terutama yang diperbuat daripada pelbagai jenis bahan atau komposit. Kemungkinan berlaku kesan tidak diingini dan tidak sesuai pada bahan organik walaupun sesuai pada logam.

Proses yang dikenali sebagai Analisis Kondisi itu akan merekodkan setiap perincian yang terdapat pada artifak termasuk kerosakan yang ada.

Perkara yang diperhatikan pada artifak adalah bahan buatan, komposit dan jenis kerosakan seterusnya menjana idea untuk kerja pemuliharaan.

Tidak semua kerosakan perlu dibuang. Sebagai contoh, kesan karatan berwarna hijau hasil tindak balas pengoksidaan pada ukiran logam hulu kering perlu diteliti dahulu.

Jika ia dalam keadaan berdebu maka perlu dibuang kerana proses tindak balas masih lagi aktif, manakala bagi yang sudah mengeras, tidak perlu ditanggalkan kerana sudah stabil.

Tujuan pemuliharaan juga memainkan peranan pada tahap pembersihan dilakukan. Jika ia bagi tujuan pameran, artifak tidak perlu dibersihkan sepenuhnya kerana akan hilang nilai antik pada mata pengunjung.

Kemudian, ujian bintik (spot test) dilakukan bagi mengetahui dengan jelas bahan mentah dan teknik pemuliharaan yang tepat untuk digunakan.

Contoh ujian yang dijalankan ialah ujian bakar (burn test) iaitu dengan membakar sedikit pada bahagian hujung tekstil. Jenis bahan sebenar dapat diketahui dengan melihat gumpalan dan bau yang terhasil.


ARTIFAK lama perlu dipulihara untuk memastikan ia mampu kekal lama.


Menurut Ketua Penolong Pengarah Pusat Konservasi, JMM, Zamrul Amri Zakaria, 34, teknik konservasi perlu bersifat reversible (boleh dipatah balik).

"Ia bagi mengelakkan sebarang kerosakan lebih teruk kepada artifak selain teknologi konservasi sentiasa berkembang dan kaedahnya semakin baik," katanya kepada Kosmo!

Sebagai contoh, bagi menampal pecahan seramik, perincian jenis gam yang digunakan perlu direkod dan ia boleh ditanggalkan semula.

Jika pada masa hadapan, terdapat konservator yang menemui kaedah yang lebih baik untuk memulihara sesuatu artifak, dia dapat menanggalkan semula kerja-kerja konservasi dibuat sebelum ini.

Konservasi terbahagi pada dua bahagian iaitu kuratif dan preventif. Kuratif adalah langkah merawat dan menyembuhkan sesuatu artifak.

Kata Zamrul, tempoh jangka hayat sesuatu artifak dapat dipanjangkan dengan melakukan kerja konservasi bergantung pada tahap kerosakan dan jenis rawatan yang diberikan.

Preventif pula adalah proses yang tidak perlu melalui kerja-kerja merawat sebaliknya langkah-langkah pemeliharaan dilakukan secara berterusan.

Banyak faktor yang perlu ditimbang dalam kerja-kerja preventif seperti tahap sensitiviti artifak pada suhu persekitaran, jumlah pencahayaan dan kelembapan.

Contohnya, langkah preventif yang dibuat untuk memelihara tekstil atau lukisan adalah dengan tidak membenarkan pengunjung merakam gambar artifak.

"Cahaya flash (denyar) yang dipancar pada kain memberi efek buruk kepada warna kain. Kilauan cahaya yang berterusan dalam satu tempoh panjang boleh menyebabkan tekstil berubah warna dan menjadi putih.

"Cahaya lampu sekeliling juga perlu malap dengan bacaan 50 lux ke bawah," terang Konservator Bahagian Preventif, Hamidah Kusnan, 54, sekali gus menolak andaian lampu malap di muzium bertujuan untuk menaikkan mood pengunjung.

Penyelidikan dan kajian mengenai sejarah sesuatu barang juga diteliti. Konservasi artifak bukan hanya melibatkan kesesuaian sains, tetapi setiap konservator wajib mempunyai rasa cinta dan tanggungjawab terhadap sesuatu artifak.

Misi perang menakluk dunia

Posted: 18 Apr 2012 06:46 PM PDT


COMMAND & CONQUER RED ALERT 2 pasti mengujakan peminat permainan video kerana selain sangat mencabar ia juga boleh dimainkan dalam talian.


SEMENJAK penerimaan luar biasa terhadap permainan video Command & Conquer Red Alert pada tahun 1996, Westwood Studios kembali dengan sequel terbaharu iaitu Command & Conquer Red Alert 2.

Permainan video yang menampilkan genre real-time strategy sangat diterima ramai kerana menawarkan cabaran sukar dan memerlukan daya konsentrasi tinggi daripada pemain.

Red Alert 2 boleh didapati untuk platform PC dan pemain boleh pilih antara dua mod permainan iaitu pemain perseorangan atau multiplayer.

Plot

Permainan itu terbahagi kepada dua kumpulan iaitu Allied dan Soviet Union. Plot cerita sama sekali berbeza bagi setiap kumpulan. Motif utama bagi setiap pihak adalah untuk meraih kemenangan dalam peperangan dunia.

Bagaimanapun, pemain akan mengambil watak sebagai seorang komander bagi kedua-dua belah pihak.

Plot Allied

Allied bermula apabila seorang ejen khas, Tanya bersama pasukannya diberi tugasan untuk melumpuhkan serangan Soviet Union di New York, Amerika Syarikat (AS).

Dengan kejayaan tersebut, pemain akan dibawa pula ke Colorado Springs untuk mengambil semula Akademi Tentera Udara dan pangkalan udara.

Keadaan menjadi huru-hara apabila Allied mengetahui bahawa Soviet Union mempunyai sebuah peranti yang mampu mengawal minda sesiapa sahaja dikenali sebagai, Psychic Beacon.

Bimbang dengan potensi alat tersebut, pemain ditugaskan untuk menghapuskan Psychic Beacon bagi mengakhiri kawalan minda dikenakan ke atas pegawai tertinggi AS.

Tanpa disedari, ia hanya permulaan oleh Soviet Union menakluk dunia.

Plot Soviet Union

Soviet Union bermula dengan taklimat Premier Alexander Romanov yang bercadang untuk menyerang dan menakluki AS.

Antara usaha dilaksanakan dalam merealisasikan perancangan tersebut adalah memusnahkan pangkalan askar AS iaitu Pentagon.

Dengan kejayaan Soviet Union itu, secara senyap-senyap mereka menghantar satu lagi pasukan memasang alat Psychic Beacon untuk menakluk keseluruhan bandar New York.

Bagaimanapun, dengan kejayaan tersebut, kuasa kawalan minda Yuri semakin bertambah kuat. Dengan kekuasaan semakin memuncak Soviet Union jatuh di bawah kawalan Yuri dan pemain bertanggungjawab menghapuskan Yuri dan Allied.

Mekanisme permainan

Sepanjang permainan, pemain akan diberi peruntukan wang untuk menubuhkan sebuah pasukan askar dalam memerangi kuasa jahat.


PEMAIN perlu bijak mengatur strategi dalam permainan ini kerana ia melibatkan peperangan dengan pelbagai senjata.


Bagi memastikan ia terlaksana, pemain terlebih dahulu perlu mempunyai utiliti kerana ia amat penting untuk kegunaan pangkalan pemain.

Mekanisme pertahanan seperti sentry gun dan tenaga adalah penting untuk mengelakkan pangkalan pemain terdedah kepada serangan musuh.

Kekurangan bekalan tenaga juga akan menyebabkan kegagalan peta radar untuk berfungsi.

Barracks bertanggungjawab untuk melatih askar-askar. Sepanjang permainan, pemain akan diberi lebih banyak pilihan askar untuk dilatih.

War Factory pula bertanggungjawab dalam membina aset peperangan seperti kenderaan untuk tujuan peperangan.

Cabaran permainan video itu tertumpu kepada penubuhan sebuah regimen askar yang besar. Pemain juga perlu mempertahankan pangkalan daripada serangan musuh, malah harus mempunyai bajet mencukupi.

Senjata kuat

Dalam Command & Conquer Red Alert 2 setiap pihak mempunyai kekuatan senjata tersendiri. Setiap senjata tersebut sangat efektif kepada keadaan tertentu, Allied mempunyai Chronosphere dan Weather Control Device.

Ia mampu memindahkan askar Allied ke mana-mana lokasi di seluruh dunia dalam sekelip mata dan kemampuan mengawal cuaca khususnya untuk melepaskan ribut petir ke atas pihak musuh.

Pihak Soviet Union pula mempunyai Nuclear Silo yang mampu melancarkan peluru berpandu nuklear dan menyebabkan kehancuran pihak musuh mereka.

Multiplayer

Command & Conquer Red Alert 2 menawarkan mod multiplayer yang membolehkan pemain mencabar pemain lain dalam sesi perlawanan melalui Rangkaian Kawasan Setempat (LAN) dan dalam talian. Bagaimanapun, hanya mod permainan Skirmish yang boleh dimainkan.

Mod multiplayer merupakan satu platform yang sangat baik bagi pemain menguji kemahiran mereka dalam mengatur strategi peperangan.

Secara keseluruhannya, Command & Conquer Red Alert 2 merupakan sebuah permainan video genre real time strategy yang sangat mencabar.

Dengan kemampuan untuk bermain secara multiplayer, pemain diberi pilihan untuk menguji kemahiran mereka dalam peperangan.

Pembangunan grafik yang kemas dan landskap peperangan moden ditawarkan pasti menarik minat ramai pemain permainan video.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu