Sabtu, 14 April 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Luka masih berdarah

Posted: 14 Apr 2012 07:04 PM PDT

pix_middle

HATI mana yang tidak terguris apabila segala rasa cinta dan sayang dicurahkan kepada kekasih hati dipersiakan. Pelakon muda sedang mencipta nama, Miera Leyana Kasmi atau Miera Liyana, 19, cukup terluka apabila cintanya dengan pelakon Shahz Jaszle atau nama sebenar, Mohd Shahrizal Jaszle Jasmin putus, tujuh bulan lalu.

Walaupun enggan mengulas apa sebenarnya yang berlaku, tetapi menerusi penjelasan dibuat Miera sebelum ini, seakan mengetahui bahawa hati dan perasaannya dipermainkan. Jika tidak, mana mungkin gadis bertubuh lampai itu menjadi begitu marah setiap kali menjawab soalan perihal hubungan cintanya bersama Shahz Jaszle.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Hadir di sesi fotografi khas bersama Selebriti Metro Ahad baru-baru ini, Miera yang mula membabitkan diri dalam bidang lakonan seawal usia 15 tahun, kelihatan agak tenang berbanding sebelum ini. Katanya, dia sudah boleh menerima kenyataan.

Di sebalik rasa kecewa dan marah sebelum ini, akui Miera, sebenarnya kini baru dia sedar segala terjadi ada rahmatnya. Peristiwa dilalui dijadikan pengalaman untuk mengenali sisi sebenar lelaki.Ia boleh dijadikan bekalan untuk lebih berhati-hati sebelum mengungkapkan rasa cinta. Apatah lagi dia masih muda dan banyak lagi perkara membabitkan soal hidup yang perlu dilalui untuk dipelajari.


Akuinya, soal marah kini sudah tiada tetapi kesan luka akibat dikecewakan akan terus kekal. Begitupun, dalam berusaha berhadapan dengan situasi itu, hatinya sekali lagi dicuit. Kali ini pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Luna Fantasiku dan Apa Itu Cinta, bakal bergandingan dengan orang yang melukakan hatinya dalam drama terbaru terbitan Astro, Harapan.

"Sewaktu tawaran datang pihak produksi memberitahu mereka belum bertemu dengan hero yang akan digandingkan bersama saya dalam drama 26 episod itu, sehinggalah selepas menandatangani kontrak, mereka memberitahu bahawa saya bakal digandingkan dengan Shahz Jaszle.

"Mendengarkan namanya, hati saya berderau. Pelbagai soalan bermain di kepala tetapi saya sedar dunia hiburan di Malaysia kecil, hendak lari ke mana pun pasti akan bertemu. Saya harus bersikap profesional kerana ini kerja. Mahu atau tidak, saya harus lalui juga," katanya.

Kata Miera, sebagai pelakon dia sangat mementingkan mutu produksi terutama jalan cerita menarik. Atas alasan itu, dia menerima tawaran membintangi Harapan. Sayang sekiranya watak bagus itu ditolak hanya kerana mahu melayan jiwa rawan, sedangkan watak yang bagus tidak selalu datang kepada pelakon sepertinya.

"Selepas menandatangani kontrak, saya tidak mahu melayan segala bisik hati. Segala pengalaman yang dilalui sewaktu bersama dulu harus dilupakan dan berfikir secara positif. Sebenarnya, segala pahit manis yang pernah kami lalui bersama boleh digunakan untuk menjayakan drama ini.

"Kami akan memegang watak sebagai pasangan kekasih. Pastinya pelbagai plot ada dalam skrip drama terbabit termasuklah saat manis berkasih, marah dan bergaduh. Semuanya ada. Jadi segala perasaan yang ada dalam diri saya terhadapnya boleh saya salurkan untuk watak bakal dijayakan.

"Itu juga harapan saya, agar apabila penonton menyaksikan Harapan nanti, mereka melihat kami berjaya membawakan watak masing-masing. Saya tidak mahu mewujudkan rasa kekok apabila bekerja dengan bekas kekasih. Itu bukan prinsip saya. Apabila bekerja, saya akan bekerja bersungguh-sungguh. Soal peribadi harus diletak ke tepi," katanya.

Kemungkinan cinta yang putus kembali bertaut apabila kembali menjayakan Harapan, Miera melihatnya dari sudut positif dan tidak mahu memberikan komen sehingga boleh menimbulkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak.

Jelasnya, soal jodoh dan pertemuan ketentuan Tuhan. Dia tidak berani hendak mengatakan perkara itu tidak berlaku kerana bimbang jika hati berubah nanti, dikatakan tepuk air dalam dulang, terpercik ke muka sendiri.

"Pengalaman bersamanya banyak mengajar saya dan seharusnya saya berterima kasih kepadanya atas pengalaman itu. Sekarang saya tidak mahu fikir soal cinta. Bohonglah kalau saya kata tidak sedih dengan apa yang terjadi.

"Kadang-kadang hati terasa sunyi tanpa insan bergelar kekasih. Tapi saya masih muda, memiliki kekasih bukanlah keutamaan sebaliknya saya mahu fokus kepada kerjaya terlebih dulu. Satu lagi perkara yang saya belajar dari semua ini, jangan kita mencari cinta sebaliknya biarlah ia datang dengan sendiri," katanya.


Tonton dulu lakonan saya

SEJAK awal kemunculan mewarnai industri perfileman tempatan, Miera terkenal dengan imej seksi. Melihat aksi dan gambar-gambar yang dipaparkan media, mampu membuatkan ramai hati lelaki bergetar.

Melihat perkembangan itu, ada pihak menyatakan seksi dan Miera sangat sinonim. Begitupun, gadis kelahirn Johor Bahru, Johor ini, dia tidak mahu peminat mengingatinya kerana imej ditampilkan sebaliknya mengharapkan bakatnya lebih dilihat orang.

"Gambar seksi yang tersebar sebelum ini tidak disengajakan. Mengenai penampilan saya pula, sebenarnya ia perkara normal bagi orang muda seperti saya yang gemar berfesyen. Begitupun, saya tidak mahulah kerana penampilan dan kehidupan sosial saya lebih diberikan keutamaan.

"Sebagai insan seni, saya tahu yang saya hak milik masyarakat, tetapi dalam waktu sama saya tidak mahu sehingga orang berkata saya sengaja mencipta kontroversi, beraksi seksi semata-mata mahu mencari populariti. Pesan saya, tonton dulu filem atau lakonan saya.

"Saya lebih suka sekiranya orang mengkritik mengenai kerjaya lakonan saya. Kalau ada orang kata saya berlakon macam kayu pun, saya terima kerana itu lebih baik kerana saya tahu kelemahan saya dan boleh diperbaiki," katanya.

Tambah Miera lagi, sepanjang pembabitannya dalam dunia lakonan, dia bertuah kerana diberi kepercayaan oleh pengarah prolifik dan terbaik. Seperti contoh, filem pertamanya Apokalips diarahkan Mamat Khalid. Pengarah itu juga turut melamarnya untuk membintangi Rentaz sebagai pelakon utama bergandingan dengan aktor hebat seperti Awie dan Khir Rahman.

"Selain itu filem saya, Jangan Pandang Pandang arahan Ahmad Idham sedang ditayangkan, saya juga turut terbabit dalam filem Cinta Atas Tar dan Pecah. Terbaru, saya akan memulakan penggambaran filem Tingkat 4 diterbitkan KRU Studios.

"Sekiranya benar saya hanya bersandarkan kepada kontroversi, imej seksi dan bukan bakat, tidak mungkin saya akan diambil berlakon. Tidak mungkin juga pengarah hebat seperti yang saya nyatakan tadi akan memberi ruang untuk saya mengenengahkan bakat yang ada," katanya.

Cerita Miera lagi, dia terjun ke bidang lakonan kerana minat dan bukan semata-mata sebagai sumber pendapatan. Kerana itu dia tidak pernah meletak harga apabila diberikan satu-satu tawaran sebaliknya perkara diambil kira adalah skrip dan pengarah yang bagus dan mampu membimbingnya menjadi seorang pelakon yang baik.

"Walaupun saya seorang pelakon tetapi sekiranya berada di lokasi, saya akan cuba belajar perkara lain terutama dari sudut teknikal. Ia penting sebenarnya kerana ilmu yang ada mampu membentuk saya menjadi yang terbaik. Tambahan pula sebelum ini saya sudah berjanji dengan kedua ibu bapa saya. Saya tidak mahu sambung belajar kerana mahu mendalami bidang lakonan.

"Mereka membenarkan tetapi dengan syarat saya harus buktikan dengan menjadi pelakon yang benar-benar bagus. Kerana itu apabila bekerja saya sangat serius kerana tidak mahu mengecewakan kedua ibu bapa yang sebelum ini ­banyak beralah dengan kehendak saya," katanya.

Gejala sosial makin serius

Posted: 14 Apr 2012 06:56 PM PDT

pix_middle

KUALA LUMPUR: Bukit Bintang yang terkenal sebagai 'Segi Tiga Emas' ibu kota bukan saja dianggap lubuk emas kepada ekonomi negara, tetapi juga menjadi tumpuan utama pelancong ke negara ini kerana memiliki pelbagai kemudahan dan destinasi menarik.

Bagi menyelami nadi kehidupan di Bukit Bintang, wartawan Metro Ahad yang tinggal seminggu di kawasan terbabit menyaksikan kawasan yang memiliki pelbagai premis perniagaan itu menjadi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Bagi yang ingin membeli-belah, mereka mempunyai pilihan sama ada Berjaya Times Square, Pavilion, Lot 10, Sungai Wang atau BB Plaza, manakala bagi yang mahu mendapatkan gajet serta alat ganti komputer, Plaza Low Yat dan Plaza Imbi pilihan tepat.

Kewujudan banyak pusat hiburan, kelab malam, disko dan pusat karaoke juga menjadi sebab mengapa kawasan Bukit Bintang tidak pernah 'tidur'.Tidak ketinggalan, Bukit Bintang turut dirancakkan dengan lambakan pelbagai jenis penginapan, daripada hotel bertaraf lima bintang hinggalah rumah tumpangan dan hotel bajet, selain premis perniagaan, pusat beli-belah, perniagaan francais dan kedai makan yang dibuka 24 jam setiap hari.


Bagi yang mahu bermalam, pelancong tidak perlu khuatir kerana lebih 90 hotel bajet dan 70 hotel mewah disediakan, antaranya Hotel JW Marriott, Hotel Royal Chulan, Hotel Vistana, Grand Millenium dan Swiss Garden Residences.

Melalui pemerhatian hujung minggu lalu, kira-kira 20,000 pengunjung membanjiri Bukit Bintang, menjadikan kawasan itu sebagai 'pesta beli-belah' dengan setiap ruang dipenuhi orang ramai.

Rata-rata pengunjung ditemui berpuas hati dengan pembangunan di Bukit Bintang kerana bagi mereka, infrastruktur dan kemudahan asas disediakan serba lengkap, termasuk pengangkutan awam seperti bas, teksi dan monorel.

Di BB Walk pula, deretan perniagaan di setiap premis dan jalanan memeriahkan suasana, di mana kehadiran pelukis tempatan, jualan aksesori, jualan makanan tepi jalan, persembahan muzik dan jualan anak patung memikat hati pengunjung.

Meninjau keadaan lalu lintas, kira-kira 10,000 kenderaan keluar masuk ke Bukit Bintang setiap malam, menyebabkan jalan menjadi sesak namun berjaya dikawal polis trafik.

Di sebalik kemajuan ekonomi dan pembangunan, pelancong pasti mahu mencuba makanan tempatan dan mereka memilih ke Jalan Alor dan Changkat Bukit Bintang berikutan deretan kedai makan di situ menawarkan pelbagai jenis makanan tempatan yang lazat.

Tinjauan mendapati pelancong tidak melepaskan peluang menikmati makan malam dengan mencuba makanan laut dan masakan Cina.

Pembangunan di Bukit Bintang sememangnya diakui dan terbaru, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) bercadang membina Transit Aliran Massa secara berperingkat-peringkat bermula suku kedua tahun depan, manakala kerja penerowongan laluan sejauh 51 kilometer dari Sungai Buloh ke Kajang bermula suku kedua 2014.

Tidak dapat dipertikaikan bahawa Bukit Bintang kini sungguh maju, tidak seperti era 1970-an, namun di sebalik pembangunan dikecapi, ia turut membawa masalah sosial yang semakin merebak, terutama di kalangan orang muda.

Tinjauan mendapati, lebih 50 pusat urut yang menawarkan urutan batin turut beroperasi dengan sebahagian besar pekerjanya warga China, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Myanmar serta sedikit orang tempatan.

Wartawan turut menyaksikan pergerakan 'bapa ayam' di deretan bangunan yang menawarkan khidmat seks kepada pelancong yang melalui setiap jalan.

Pemerhatian juga mendapati, seawal jam 8 malam, wanita tukang urut warga China berdiri di depan premis dan mempromosikan khidmat urut dengan harga RM60 sejam sebelum merayu-rayu memberikan khidmat urutan batin dan lebih daripada itu.

Selepas jam 12 tengah malam pula, premis urut bertukar perkhidmatan apabila kegiatan pelacuran mengambil alih dan ia ternyata mendapat sambutan lelaki buaya darat.

Mengejutkan apabila siasatan mendapati, di Bukit Bintang saja lebih 20 spa dan kebanyakan hotel murah dikesan menjalankan kegiatan pelacuran dengan harga sekitar RM268 sehingga RM500.

Selain kegiatan pelacuran, masalah sosial lain yang wujud adalah kehadiran kumpulan mat rempit yang mengganggu lalu lintas, menyebabkan jalan bertambah sesak.

Di sekitar Jalan Bukit Bintang, lebih 20 'mak nyah' juga dikesan menawarkan perkhidmatan seks kepada pelancong Arab dan Eropah dengan bayaran hanya RM50 dan kegiatan itu ternyata mencemarkan budaya ketimuran.

Keburukan lain yang dikesan di sebalik pembangunan di Bukit Bintang adalah golongan gay menjadikan satu lorong di Jalan Bukit Bintang sebagai 'port' berkumpul dan mendapatkan pasangan, selain pelajar sekolah menjadikan hujung minggu sebagai medan melepak sehingga ke subuh.

Selain itu, kewujudan kumpulan 'skin head' dan kongsi gelap dikhuatiri menyebabkan peningkatan kes jenayah di situ.

Rabbani Tidak Kecewa Kurang Menyerlah Pada Anugerah Nasyeed.com

Posted: 14 Apr 2012 06:49 PM PDT

Aksi Rabbani pada malam Anugerah Nasyeed.com.

KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan nasyid Rabbani, Azadan Abdul Aziz (Azadan) menganggap kejayaan kumpulan-kumpulan nasyid muda yang mendominasi malam Anugerah Nasyeed.com sebagai perkembangan yang sihat terhadap genre muzik itu di negara ini.

Azadan berkata, walaupun mereka sering mendominasi kebanyakan majlis-majlis anugerah sebelum ini, kemenangan bagi kategori Nasyeed Perjuangan dan Vokal Terbaik bagi lagu Inikah Petanda (menampilkan Mawi) dan anugerah Juara Carta menerusi lagu Bebas Palestin (bersama Inteam, Saujana dan Nowseeheart) adalah memadai dan membanggakan.

"Kami tidak kecewa atau terkilan kerana kami masih menang tiga kategori. Ia adalah ruang terbaik untuk kami renungkan sebarang kekurangan dalam hasil kerja kami.

"Kejayaan majoriti kumpulan nasyid yang lebih baru dan muda membuktikan irama ini semakin berkembang, di mana setiap kumpulan mempunyai peluang cerah untuk menang," katanya ketika ditemui selepas malam anugerah itu di Dewan Muktamar, Pusat Islam, di sini.

Azadan (belakang, dua dari kanan) bersama kumpulan Rabbani.

Malam Anugerah Nasyeed.com yang julung kali dianjurkan itu mempertandingkan 11 kategori yang memartabatkan para penggiat nasyid tanah air.

Pada malam itu, lagu Bebas Palestin nyanyian Rabbani, Inteam, Saujana dan Nowseeheart dipilih sebagai Juara Carta Nasyeed.com bagi tahun ini.

Lagu Dia Muhammad nyanyian Inteam pula dinobat pemenang kategori Lagu Terbaik. Kumpulan itu turut merangkul trofi Susunan Muzik Terbaik menerusi lagu tersebut.

Satu lagi kategori utama yang dinilai oleh juri iaitu Lirik Terbaik pula memihak kepada lagu Menanti Di Barzakh nyanyian kumpulan Far East.

Kategori-kategori lain yang dinilaikan berdasarkan undian peminat di laman Facebook Nasyeed.com didominasi oleh kumpulan-kumpulan nasyid muda.

Jeff Hazimin dan Irma Hasmie sebagai hos.

Anugerah Khalifah Nasyeed yang memartabatkan sumbangan penggiat nasyid diberikan kepada penulis lirik nasyid, Sahibul Fadhil Sabikin.

Malam anugerah itu diwarnai dengan persembahan daripada Akhil Hayy, kumpulan Algebra, Al Farabi Band, Hijjaz dan Rabbani.

Tirai acara dibuka oleh persembahan selawat medley oleh Du'a, Mestica dan Wildan, sementara lagenda nasyid tanah air Raihan melabuhkan tirai dengan rangkaian lagu popular mereka seperti Puji-Pujian, Allahu, Thank You Allah dan Cing Ai Ching Ai.

Acara yang berlangsung dalam suasana ringkas tetapi gemilang itu diacarakan oleh Jeff Hazimin dan Irma Hasmie.

Majlis diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad, yang mewakili Menteri Pertahanan selaku penaung Nasyeed.com, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ia dianjurkan oleh Nasyeed.com dengan kerjasama Chevrolet, Yayasan Bina Insan Malaysia (YBIM) dan Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid).

Stesen TVAlHijrah bertindak sebagai penyiar rasmi.

Senarai penuh pemenang setiap kategori:

Anugerah Nasyeed Cinta: Saat Lafaz Sakinah (Far East)

Anugerah Nasyeed Perjuangan: Bebas Palestin (Rabbani, Inteam, Saujana & Nowseeheart)

Anugerah Nasyeed Sirah: Sumaiyah (Hijjaz)

Anugerah Nasyeed Amar: Berjalan Tanpa Henti (Devotees)

Anugerah Nasyeed Munajat: Menanti di Barzakh (Far East)

Anugerah Nasyeed Selawat: Binnabil Huda (Unic)

Anugerah Susunan Muzik Terbaik: Dia Muhammad (Inteam) - Penggubah: Along Exist

Anugerah Video Muzik Terbaik: Pedoman (Nora menampilkan Voices of Ummi) - Pengarah: Erama Creative Sdn Bhd

Anugerah Vokal Terbaik: Rabbani menampilkan Mawi - (Inikah Petanda)

Anugerah Lirik Terbaik: Menanti Di Barzakh (Far East) - Penulis lirik Ito Lara

Anugerah Lagu Terbaik: Dia Muhammad (Inteam) - Komposer & Penulis lirik: Frizdan

Anugerah Khalifah Nasyeed.com: Sahibul Fadhil Sabikin

Anugerah Juara Carta 2012: Bebas Palestin (Rabbani, Inteam, Saujana & Nowseeheart)

Makanan atas ‘badan’

Posted: 14 Apr 2012 06:47 PM PDT

ALBUM... pelanggan boleh pilih tukang urut gagah yang diingini.
ALBUM... pelanggan boleh pilih tukang urut gagah yang diingini.

KUALA LUMPUR: Mereka berasal dari Timur Tengah dan memiliki wajah kacak dan bertubuh sasa serta bergaya. Malah, ada antaranya sudah berumah tangga, namun maruah mereka hanya RM600 kerana dengan bayaran sebanyak itu, apa saja boleh dilakukan terhadap mereka, termasuk melihat 'anu'.

Bayaran untuk menonton lelaki Arab bernafsu songsang itu jauh lebih mahal berbanding caj dikenakan terhadap lelaki tempatan yang hanya bernilai RM75 seperti di pusat istirahat dan urut yang menyediakan tukang urut lelaki.

Sekali imbas, tiada kesalahan boleh disabitkan terhadap pusat rawatan itu kerana ia menyediakan kemudahan urutan sesama jantina, namun yang membezakannya ialah perkhidmatan urutan secara bogel dan badan ke badan (B2B) sesama lelaki.

Mendedahkan perkara itu, seorang pegawai perhubungan awam syarikat swasta di ibu negara yang mahu dikenali sebagai Harry, 28, berkata, dia pernah menonton pakej itu ketika menghadiri majlis hari jadi eksklusif seorang kenalan di sini bersama rakannya, beberapa bulan lalu."Ketika itu kami menempah 10 lelaki dari Timur Tengah dan semuanya dibaringkan dalam satu bilik tanpa seurat benang dengan makanan diletakkan di atas badan mereka.


"Saya tak tahu bagaimana mereka berada dalam majlis kami ketika itu. Mereka tak banyak bercakap, tapi saya mendapat tahu mereka dibawa khas kerana ditempah dengan bayaran RM600 seorang.

"Tiada adegan terlarang berlaku sepanjang majlis itu kecuali adegan pegang-pegang kerana kebanyakan lelaki berkenaan mendakwa bukan pengamal seks songsang, sebaliknya hadir sebagai pelayan kerana dibayar untuk 'menghibur," katanya kepada Metro Ahad.

Bayi atas but

Posted: 14 Apr 2012 06:45 PM PDT

COMEL... bayi perempuan yang ditemui dalam kotak atas but kereta.
COMEL... bayi perempuan yang ditemui dalam kotak atas but kereta.

MUAR: 'Nama Ayah, Khairulanam, nama ibu, Sri Susanti dan nama anak, Salamiah Hasanah'. Itu nota ditemui di dalam beg sukan mengandungi bayi perempuan baru dilahirkan yang diletak di atas but sebuah kereta milik Pengerusi Masjid Kampung Parit Pechah, Parit Jawa, Abdul Rashid Sirat, 72, di sini, semalam.

Menurut Rashid, nota berkenaan itu tertulis 'Kami tak mampu untuk menguruskan dan akan menunggu dia di Jakarta kelak'.


"Saya baru selesai menunaikan solat Subuh dan mahu menghidupkan enjin kereta apabila terpandang kotak gabus diletakkan di atas but.

"Saya sangka ada orang tercicir kotak itu sebelum tergerak untuk membukanya. Apabila dibuka, ia mengandungi beg dan saya terdengar suara bayi menangis," katanya.


Menurut Rashid, dia terus membuka zip beg dan menemui bayi perempuan cukup sifat yang dibersihkan dan dibalut tuala namun masih bertali pusat.


Katanya, sebelum itu, dia serta jemaah lain terdengar deruan enjin motosikal masuk ke kawasan masjid, namun menyangka ia penduduk yang mahu bersolat."Namun sejurus penemuan itu, kami terus menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian," katanya.


Bayi perempuan itu sempat diazankan jemaah masjid, Ustaz Sulaiman Sarip, 50-an, sebelum dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


"Kami masih mengesan ibu bapa bayi berkenaan dan pada masa sama meminta kerjasama orang ramai yang ada maklumat supaya tampil membantu siasatan," katanya.

Sakit tiga jam dek cincin RM5

Posted: 14 Apr 2012 06:44 PM PDT

SAKIT.... Devika menunjukkan cincin yang menyebabkan jari telunjuknya membengkak.
SAKIT.... Devika menunjukkan cincin yang menyebabkan jari telunjuknya membengkak.

SEBERANG JAYA: Seorang ibu terpaksa menahan sakit hampir tiga jam selepas cincin dipakainya gagal dikeluarkan sehingga menyebabkan jari tangan kanannya membengkak di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam, A Devika, 22, menahan kesakitan selepas kakitangan hospital turut gagal membantunya sehingga mereka terpaksa minta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat.


Devika berkata, dia memakai cincin itu sejak seminggu lalu sebelum jari telunjuknya membengkak empat hari kemudian.

"Selepas jari membengkak, saya cuba menanggalkan sendiri cincin itu dengan pelbagai cara tetapi gagal," kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.


Menurutnya, tidak mampu menanggung kesakitan, dia ke HSJ jam 4 petang kelmarin untuk mendapatkan rawatan, namun kakitangan hospital juga gagal menanggalkan cincin sehingga terpaksa meminta bantuan bomba.


Katanya, cincin berharga RM5 itu dibeli di pasar malam berhampiran rumahnya di Butterworth dan dia tidak menyangka kejadian itu berlaku akibat memakainya."Mula-mula pakai cincin ini, saya rasa selesa, jadi saya tidak sangka lama-kelamaan jari saya membengkak," katanya.


Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba Perai, Ismail Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.15 malam dan tiba beberapa minit kemudian.

"Kita terpaksa menggunakan 'ring cutter' untuk memotong cincin dan jari mangsa juga membengkak," katanya.

Pakar karate makan mayat

Posted: 14 Apr 2012 06:42 PM PDT

Da Silveira bersama-sama seorang wanita  ditangkap atas tuduhan membunuh.
Da Silveira bersama-sama seorang wanita ditangkap atas tuduhan membunuh.

PERNAMBUCO (Brazil): Seorang pakar karate dan dua wanita ditangkap kerana membunuh sekurang-kurangnya dua orang sebelum memakan daging mangsa untuk 'membersihkan jiwa.'

Menurut polis, ketiga-tiga warga Brazil yang ditangkap di Pernambuco, timur laut negara itu, adalah anggota yang mempercayai fahaman 'menyucikan dunia.' Pakar karate, Jorge da Silveira, 51, ditangkap bersama-sama Isabel Pires, 51, dan Bruna da Silva, 25, kerana merancang membunuh tiga wanita setiap tahun.


Seorang jurucakap polis berkata, rancangan mereka terbongkar apabila polis menemui buku 50 muka milik da Silveira yang mengandungi lukisan dan maklumat mengenai memakan daging manusia.

Polis juga menemui dua mayat di laman rumah kumpulan terbabit.


Mereka percaya mayat itu milik Alexandra Falcao, 20, dan Gisele da Silva, 30, yang dilapor hilang di kawasan itu baru-baru ini.


Kedua-dua mangsa dilapor dilihat berhampiran rumah suspek sejurus sebelum hilang.Jiran membakar rumah terbabit, tempat mayat itu ditemui Khamis lalu, menurut laporan media Brazil.


Pesuruhjaya Polis, Wesley Fernandes berkata, ketiga-tiga suspek merancang membunuh seorang lagi mangsa berhampiran bandar itu.

Dia percaya suspek sudah membunuh lebih ramai mangsa.

Sel otak mula mati dari remaja

Posted: 14 Apr 2012 06:40 PM PDT

BADAN SIHAT... aktiviti bersama rakan dan jiran boleh cegah serangan demensia.
BADAN SIHAT... aktiviti bersama rakan dan jiran boleh cegah serangan demensia.
ASUH DARI KECIL... aktiviti merangsang minda, jika kerap diamal, boleh bantu memperlahankan kemerosotan sel otak.
ASUH DARI KECIL... aktiviti merangsang minda, jika kerap diamal, boleh bantu memperlahankan kemerosotan sel otak.

"SIAPA nama kamu tadi?" soal nenek Syafiq kepadanya meskipun masuk kali ini, sudah lebih lima kali pertanyaan itu diajukan. Reaksinya seolah-olah baru kali pertama bertemu cucu kesayangannya.

Mungkin ramai pernah melalui situasi ini tetapi menyangkakan ia masalah biasa dihadapi individu apabila mencapai usia emas.

Sebenarnya, anggapan itu tidak benar kerana demensia atau dalam bahasa mudahnya, nyanyuk boleh menyerang sesiapa saja, termasuk golongan muda.

Pakar Psikiatri Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Dr Zainal Abdul Rahman, berkata demensia ialah penyakit berkaitan daya ingatan disebabkan kematian sel otak secara tidak normal.Ia diambil daripada istilah Latin 'demens' yang bermaksud kemerosotan dalam fungsi kognitif akibat kecederaan atau penyakit pada otak melebihi jangkaan dalam proses penuaan biasa.


"Banyak faktor boleh menyumbang kepada demensia, antara gejala biasa ialah peningkatan usia, keturunan, latar belakang pendidikan rendah, selain disebabkan kegagalan kelenjar tiroid berfungsi dan penyakit lain seperti strok.

"Pesakit juga biasanya sukar mengingati tarikh dan terlupa tempat sesuatu barang diletakkan, terpaksa menggunakan senarai untuk mengingat, terlupa nama, perbualan terbaru atau maklumat penting seperti tarikh lahir dan alamat," katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Menurutnya, sel otak biasa mula mati ketika individu berusia 18 tahun dan sel itu terus mati secara berperingkat-peringkat sehingga akhir hayat seseorang, manakala demensia berlaku kerana sel otak seseorang manusia mati lebih awal daripada tempoh sepatutnya.

"Jika sel otak mati lebih cepat daripada biasa, ia mendedahkan seseorang kepada demensia. Mereka yang sering terlupa ketika masih muda berisiko tinggi mengalami gejala ini apabila usia semakin meningkat.

"Demensia biasa menyerang individu berusia 60 tahun ke atas, namun individu berusia 40 tahun yang mengadu sering terlupa perlu membuat pemeriksaan rapi bagi mengelak keadaan tidak terkawal," katanya.

Ramai menganggap demensia perkara normal bagi orang berusia jika sering terlupa. Ini tidak benar dan tahap lupa itu perlu dikenalpasti supaya tidak menjadi lebih teruk sehingga menyusahkan.

"Lupa tidak normal sering diiringi masalah lain seperti sukar mengingat sesuatu perkara walaupun ia masih baru. Tanda pesakit demensia dikesan melalui ujian memori, ujian psikologi merangkumi ujian orientasi (soalan mengenai tarikh, hari, bulan, tahun dan tempat tinggal), ingatan, pemerhatian, kira-kira dan bahasa.

"Sebaik-baiknya, lakukan aktiviti yang merangsang minda bagi mengelak diserang demensia.

"Ini termasuklah menyertai jaringan sosial dengan masyarakat, selalu berfikiran positif, amalkan hidup dan pemakanan sihat seperti bersenam aerobik, berjalan pantas dan berjoging yang merangsang salur darah dalam otak terbuka yang baik untuk pengaliran darah.

"Mereka yang hidup di sekeliling masyarakat yang teguh di segi sosial dan kejiranan juga lebih terlindung daripada gejala ini," katanya.


Simptom demensia

  • Hilang daya ingatan (lupa temu janji, tidak boleh mengimbas semula perbualan atau kegiatan terkini)

  • Silap meletak objek dan memikirkan barang terbabit dicuri

  • Mengelamun (keliru di tempat baru, terlupa tarikh, masa dan lupa arah pulang ke rumah)

  • Percakapan (terlupa nama objek umum, penggunaan perkataan tidak sesuai dan sering mengulangi ayat dan kenyataan)

  • Hilang minat pada hobi dan kegiatan kegemaran, mengelak melakukan kegiatan yang pernah disukai

  • Sukar mengingati sahabat, rakan sekerja dan ahli keluarga, terlupa nama cucu dan kadangkala kawan dianggap orang asing

  • Sukar melakukan kegiatan kompleks atau rumit (menyimpan buku cek, mengira wang dan menggunakan telefon)

  • Berkelakuan ganjil (bersiar-siar pada waktu malam dan bersikap agresif)

  • Tahap kebersihan diri rendah (terlupa gosok gigi, lambat pakai pakaian dan tidak berpakaian sewajarnya serta terlupa mandi)

    Berikut beberapa fakta serta gejala yang wajar anda ketahui berkaitan penyakit demensia:

  • Sejenis penyakit otak yang berlaku secara progresif. Dianggarkan 24 juta orang di seluruh dunia mengalaminya.

  • Berlaku secara perlahan, malah ada kalanya langsung tidak disedari sehingga mencapai peringkat teruk.

  • Menyebabkan kesukaran mengingat sesuatu, malah boleh menjejaskan keupayaan berfikir sehingga mengganggu rutin harian seperti memandu!

  • Di Asia Pasifik, dianggarkan 18 juta penduduk menghidapinya dan 60,000 daripadanya rakyat Malaysia. Angka ini dijangka meningkat sekali ganda menjelang 2020.

  • Di New South Wales, Australia, setiap pemandu berusia 70 tahun ke atas diwajibkan menjalani pemeriksaan dan penilaian kesihatan bagi memastikan kesihatan mental mereka baik dan mampu mengendalikan kenderaan. Bagaimanapun, hal ini belum dipraktikkan di negara kita.

  • Pesakit demensia tahap sederhana boleh memandu. Namun begitu, pemantauan perubatan harus kerap dilakukan.

  • Penilaian dan pemantauan pesakit demensia dalam keupayaan memandu bukan mudah kerana gejala dialami setiap penghidapnya berbeza-beza.

  • Pesakit tidak digalakkan memandu berdasarkan beberapa situasi seperti:

  • Terlupa di mana mereka memandu dan mengapa memandu kenderaan

  • Sesat di laluan yang biasa dilalui

  • Mengalami gangguan konsentrasi

  • Mengalami masalah penglihatan


    Punca demensia:

  • Penyakit strok atau angin ahmar yang berulang

  • Penyakit Alzheimer, terutama di kalangan warga emas

  • Kekurangan vitamin B12

  • Jangkitan sifilis atau penyakit kelamin

  • Hipotirodism iaitu kekurangan hormon tiroid, iaitu toksin

  • Terlalu banyak minum minuman keras

  • Penyakit Parkinson

  • Jangkitan HIV

  • Faktor keturunan

  • Tumor atau ketumbuhan sama ada di belakang atau depan otak

  • Penyakit campak. Selepas lima tahun mengalami campak, segelintir individu menjadi mangsa demensia

  • Penyakit hidrosefalus. Pesakit mengalami masalah untuk berjalan, kencing tidak terkawal dan ruang cecair dalam otak menjadi bengkak


    Tanda demensia:

  • Lupa. Individu terlupa peristiwa baru berlaku, contohnya menu sarapan pagi, bagaimana pesakit ke hospital dan isu besar yang baru berlaku atau perayaan utama. Pesakit juga kadangkala tidak ingat nama isteri atau suami dan nombor kad pengenalan.

  • Pesakit juga hilang sifat pemalu. Contohnya, mereka tidak segan silu bercakap hal memalukan dan kadangkala telanjang di tengah jalan.

  • Hilang kawalan ketika membuang air kecil atau besar. Individu terbabit terkencing atau membuang air besar di merata tempat seperti dalam bas dan tengah jalan.

  • Tidak mampu menjaga diri dengan betul. Rambut tidak disikat, gigi tidak diberus dan tidak memakai butang baju dengan betul.

  • Pesakit tidak mampu berjalan sehingga terpaksa menggunakan tongkat atau kerusi roda. Kadangkala ada pesakit hanya terlantar di katil dan tidak mampu bergerak seperti sedia kala.


    Pemeriksaan:

    Tanda pesakit demensia dikesan melalui ujian psikologi. Pesakit menjalani ujian fungsi korteks yang diseragamkan di seluruh dunia seperti mengatur kiub, ujian ingatan dan pemeriksaan mata.

    Pada peringkat awal, doktor menjalankan ujian tahap kecerdasan otak. Pesakit kadangkala menjalani ujian skan CT untuk mengesan ketumbuhan pada otak dan mengenal pasti jangkitan HIV.

    Doktor memeriksa paras hormon tiroid dan memastikan tahap vitamin B12 dalam otak. Pesakit menjalani pemeriksaan untuk mengenal pasti penyakit sifilis iaitu VDRL.
  • Cabaran mental, fizikal

    Posted: 14 Apr 2012 06:39 PM PDT

    ADUH...seorang ahli kelab terjatuh ketika melalui laluan lumpur berbatu.
    ADUH...seorang ahli kelab terjatuh ketika melalui laluan lumpur berbatu.

    SUNTIKAN adrenalin ketika melalui laluan berbatu sempit sambil mengelak terjatuh ke dalam gaung di kiri dan kanan jalan menjadi inspirasi semangat ahli kelab 'CRANKers Xtreme 1Malaysia' (CX1M).

    CX1M memilih basikal bukit kerana aktiviti sukan ini menawarkan cabaran tersendiri yang mampu memenuhi kepuasan diri setiap kali turun berkayuh.
    Yang menarik, ahli kelab meliputi pelbagai latar belakang kerjaya, termasuk pengarah, pengurus besar dan eksekutif syarikat.

    • Foto

      CEKAP...aktiviti berbasikal bukit memerlukan skil untuk mengawal keseimbangan badan dan cepat bertindak balas.

    • Foto

      LASAK...aktiviti berbasikal bukit memerlukan ketahanan mental dan fizikal.

    • Foto

      REDAH...anak sungai antara laluan rintangan mencabar buat peminat basikal bukit.

    • Foto

      BIMBINGAN...Ahmad Hashimi memberi nasihat dan tunjuk ajar setiap kali aktviti bermula dan berakhir.

    • Foto

      CABARAN...memikul basikal menjadi perkara biasa buat peminat basikal lasak.


    Namun setiap kali keluar rumah untuk menyertai aktiviti, ahli turut meninggalkan jawatan dan status diri masing-masing, sebaliknya hanya semangat setiakawan menjadi keutamaan.Bagi pengasas merangkap pengurus CX1M, Ahmad Hashimi Abdul Manap, 48, beliau mendapat ilham menubuhkan kelab itu lima tahun lalu selepas menyertai konvoi berbasikal anjuran sebuah persatuan berbasikal tempatan di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

    Hashimi berkata, selain sambutan memberangsangkan apabila disertai lebih 150 peserta dari seluruh negara, dia tertarik kerana berbanding laluan di jalan raya biasa, konvoi berkenaan melalui trek 'off road' iaitu di dalam kawasan ladang kelapa sawit, laluan berbatu dan berlumpur serta denai di hutan.

    "Biarpun aktif berbasikal lebih 10 tahun lalu, ia sekadar suka-suka dan di atas jalan raya. Saya tak pernah berkayuh di laluan seperti itu.

    "Pengalaman kali pertama menunggang basikal bukit di trek berkenaan sungguh mencabar dan ada ketika menggerunkan, terutama ketika melalui laluan sempit di tepi gaung," kata bapa kepada dua anak itu.

    Susulan itu, Hashimi mengajak beberapa rakan sepejabat yang berkongsi minat sama untuk melakukan aktiviti berkenaan secara berkumpulan pada hujung minggu sebelum mereka sepakat menubuhkan kelab ini.

    Katanya, selain fizikal dan mental, penunggang basikal bukit juga perlu memiliki kemahiran seperti mengawal keseimbangan diri, skil menukar gear dengan cepat dan pada masa sesuai serta keberanian ketika melalui laluan mencabar.

    Pengurus besar syarikat swasta beribu pejabat di Selangor ini berkata, selain rakan sepejabat, kelab CX1M disertai ahli luar kerana ia terbuka untuk
    sesiapa saja yang meminati sukan ini.

    "Ada rakan sejawatan, termasuk daripada syarikat lain, mentertawakan saya apabila memilih aktiviti ini kerana anggap ia tidak 'eksklusif' dan kotor seperti sukan tertentu. Bagi saya, setiap individu mempunyai minat berbeza.

    "Saya minat berbasikal lasak kerana ia memerlukan ketahanan mental dan fizikal serta bagus untuk kesihatan diri. Lumpur dan debu mungkin mengotori pakaian anda, tapi inilah sebahagian cabaran yang memberikan kepuasan kepada saya," katanya.

    Dia yang menggunakan basikal bukit jenis Merida TFS 300 berkata, berbasikal bukit menjadi aktiviti mingguan kelab dengan beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor menjadi pilihan.

    Katanya, antara lokasi pilihan ahli kelabnya ialah di Hulu Yam Bharu, Kemensah, Putrajaya, Melawati, Kepong, Shah Alam, Kuala Kubu Bharu dan Putrajaya Extreme Park.

    Menurutnya, kecuali Putrajaya Extreme Park, lokasi lain menawarkan laluan semula jadi iaitu di dalam ladang kelapa sawit, hutan, bekas lombong
    dan kawasan berbukit.

    Sementara itu, ahli kelab, Azam Fairuz Mohd Zin, 49, tidak bersetuju dengan pandangan segelintir pihak bahawa berbasikal bukit sukan 'kelas bawahan'.

    Kata bapa kepada tiga anak itu, berbasikal bukit memiliki kelebihannya tersendiri dan daripada satu aspek, ia lebih baik daripada sukan tertentu yang dikatakan eksklusif dan sesuai untuk individu berjawatan sepertinya.

    "Berbasikal bukit memberikan kepuasan diri kepada saya kerana selain baik untuk kesihatan, cabaran mentalnya mampu menajamkan minda, sekali gus berfikiran lebih kreatif apabila bekerja.

    "Paling bagus ialah, ia boleh meningkatkan ketahanan dan stamina diri secara keseluruhan, terutama buat individu berusia seperti saya," katanya yang juga pengurus operasi penyelenggaraan syarikat swasta.

    Bagi Mior Shah Rizan Mior Bashah, 44, aktiviti berbasikal bukit sesuai untuk setiap lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan bangsa kerana ia tidak memerlukan modal besar.

    Katanya, ia bergantung kepada kemampuan seseorang, sama ada untuk tujuan riadah bersama keluarga atau aktiviti ekstrem.

    "Basikal bukit pertama saya berharga RM300 dan hanya digunakan untuk kegiatan riadah sekitar taman perumahan tempat tinggal bersama ahli keluarga.

    "Namun selepas menyertai kelab CX1M, saya membuat keputusan membeli basikal jenis Giant XTC buatan khas kerana ia lebih ringan dan tahan lasak," katanya.

    Wan Saiful Izudin Abdullah, 32, berkata berbasikal bukit kini antara aktiviti sukan lasak popular dan memiliki peminat hampir di seluruh negara.

    "Kami bertemu ramai penunggang basikal bukit, masing-masing daripada latar belakang kerja berbeza, setiap kali menjalankan aktiviti kayuhan mingguan di lokasi berlainan.

    "Saya memilih aktiviti ini kerana kesibukan kerja membuatkan saya tiada masa untuk bersenam. Justeru, saya menggunakan kesempatan berkayuh setiap hujung minggu untuk menjaga kesihatan diri," kata juruteknik syarikat swasta itu yang menggunakan basikal jenis Avanti Montari 264.

    Pendapat sama turut dikongsi eksekutif pemasaran, Hamdan Hassan, 35, apabila kesihatannya semakin baik sejak mula kembali aktif berbasikal tiga tahun lalu dengan menyertai CX1M.

    "Yang menarik mengenai kelab CX1M ialah, ia tidak mengutamakan penyertaan dalam pertandingan, sebaliknya hanya menjadikan berbasikal bukit bersama sebagai aktiviti mingguan.

    "Sebelum ini, keadaan fizikal saya kurang baik apabila mudah letih dan cepat hilang tumpuan ketika bekerja. Alhamdulillah, selain kualiti kerja meningkat, saya dapat meluangkan lebih banyak masa bersama ahli keluarga ketika pulang ke
    rumah apabila tidak terus tidur akibat keletihan," kata bapa kepada tiga anak itu.



    PROFIL

    NAMA: Ahmad Hashimi Abdul Manap
    UMUR: 48 tahun
    STATUS: Berkahwin
    ANAK: Dua
    KARIER: Pengurus besar
    PENGALAMAN BERBASIKAL: Lima tahun
    MODEL BASIKAL: Merida TFS 300


    NAMA: Mior Shah Rizan Mior Bashah
    UMUR: 44 tahun
    STATUS: Berkahwin
    ANAK: Dua
    KARIER: Artis grafik
    PENGALAMAN BERBASIKAL: Tiga tahun
    MODEL BASIKAL: Giant XTC


    NAMA: Azam Fairuz Mohd Zin
    UMUR: 49 tahun
    STATUS: Berkahwin
    ANAK: Tiga
    KARIER: Pengurus operasi penyelenggaraan PENGALAMAN BERBASIKAL: Lima tahun
    MODEL BASIKAL: Merida Matts 70


    NAMA: Wan Saiful Izudin Abdullah
    UMUR: 32 tahun
    STATUS: Berkahwin
    ANAK: Dua
    KARIER: Juruteknik PENGALAMAN BERBASIKAL: Dua tahun
    MODEL BASIKAL: Avanti Montari 264


    NAMA: Hamdan Hassan
    UMUR: 35 tahun
    STATUS: Berkahwin
    ANAK: Tiga
    KARIER: Eksekutif pemasaran
    PENGALAMAN BERBASIKAL: Tiga tahun
    MODEL BASIKAL: Merida

    Bagai di dunia fantasi

    Posted: 14 Apr 2012 06:36 PM PDT

    MESRA...karakter Disney sentiasa mesra melayan pengunjung.
    MESRA...karakter Disney sentiasa mesra melayan pengunjung.

    TERASA bagai dalam dunia fantasi! Hanya itu yang difikirkan penulis tatkala melangkah masuk ke Disneyland Hong Kong ketika memenuhi jemputan syarikat berkenaan sempena pembukaan Toy Story Land, baru-baru ini.

    Walaupun pada awalnya terasa berat melakukan tugasan itu berikutan penulis kurang berminat dengan cerita animasi atau fantasi, namun selepas menjejakkan kaki ke Disney's Hollywood Hotel, rasa teruja dan kagum mula terbit di hati.

    • Foto

      PELBAGAI...tarikan di Toy Story Land memukau pengunjung.

    • Foto

      TINGGI...permainan Toy Soldier Parachute Drop menjadi kegilaan pengunjung.

    • Foto

      MERIAH...pengunjung dihiburkan dengan persembahan 'stomp' oleh pekerja Disney.

    • Foto

      INDAH...pemandangan Hong Kong Disney Hotel pada waktu malam.

    • Foto

      KENANGAN...penulis bersama rakan media mengabadikan kenangan di depan Toy Story Land.

    • Foto

      MEWAH...kemasan sebuah bilik di Walt Disney Suite.

    • Foto

      CANTIK...puteri dalam cerita fantasi Disney turut berarak.

    Apa tidaknya, bukan hanya struktur bangunan hotel persis bangunan dalam siri animasi terbitan Disney, segala perhiasan termasuk kerusi, kertas dinding dan kelengkapan di bilik mandi memaparkan karakter Mickey Mouse yang menjadi ikon Disney.

    Lebih menarik, karakter Mickey Mouse tersembunyi di sepanjang permaidani hotel selain penghuni dibenar membawa pulang selipar terukir karakter berkenaan dan perhiasan sapu tangan pelbagai bentuk diletakkan di atas meja sebagai hadiah daripada Disney.Belum sempat melabuh punggung di bilik hotel untuk melepaskan penat selepas penerba­ngan hampir empat jam, penulis bersama tiga wakil media dan majalah Bahasa Melayu dibawa melawat ke Hong Kong Disneyland Hotel.


    Tepat jam 4 petang, kami dibantu pegawai perhubungan awam yang dilantik syarikat Disney, Crystal Poon bergerak ke hotel itu yang terletak kurang 10 minit perjalanan dengan menaiki 'shuttle bus'.

    Struktur bangunan hotel lima bintang berwarna putih itu tidak ubah seperti istana yang digambarkan dalam cerita fantasi Disney.

    Sebaik masuk di pintu utama hotel, penulis disambut dua patung tembaga Mickey Mouse. Langkah terhenti dan mata tidak berkelip apabila menatap dua lampu chandelier yang tergantung di tengah-tengah lobi hotel.

    Kedua-duanya punya kelainan apabila satu berbentuk tiara manakala sebuah lagi berbentuk mahkota. Lebih indah, dari sudut sama, penulis boleh melihat kehijauan dan keindahan maze di luar hotel menghadap ke pantai.

    Menjenguk beberapa jenis bilik di hotel itu, penulis teruja melihat dekorasi dan kelengkapan di dalamnya. Rasa diri sungguh bertuah kerana jika tidak kerana jemputan, tidak mungkin penulis mampu menginap di bilik jenis Garden View, Sea View, Sea View with Balcony, Fantasia Room, Kingdom Club Room mahupun Kingdom Suite yang ditawarkan hotel lima bintang itu.

    Manakan tidak, pada hari biasa, harga bilik paling rendah iaitu Garden View mencecah RM828 semalam, manakala Kingdom Suite pula RM2,563. Jika mahu menginap di hotel berkenaan pada waktu musim cuti, harga setiap bilik naik kira-kira RM394 berbanding harga asal.

    Keterujaan penjelajahan kami yang bermula di bilik Sae View With Balcony memuncak apabila dibawa masuk ke Walt Disney Suite yang terletak menghadap laut dan beberapa pulau kecil berhampiran.

    Tidak ubah seperti sebuah rumah, suite itu dilengkapi ruang tamu, dapur dan tiga bilik tidur yang semua perhiasan di dalamnya tidak sempurna jika tidak mempunyai karakter Disney dan Mickey Mouse.

    Suite ini tidak dikhaskan untuk tetamu kehormat atau mana-mana pihak, sebaliknya sesiapa yang mampu boleh menginap di sini kerana bayaran semalam mencecah hampir RM10,000 (HK25,000).

    Hari kedua, kami menaiki 'shuttle bus' ke taman tema Disneyland. Tepat jam 9.30 pagi kami tiba di pintu gerbang taman tema dan pandangan tertumpu di air pancut yang mempunyai replika Mickey Mouse berhampiran pintu masuk.

    Bagi yang ingin ke taman tema ini, tiket masuk untuk sehari adalah HK399 (RM156) bagi dewasa, HK285 (RM112) bagi kanak-kanak, HK100 (RM39) untuk warga emas 65 tahun ke atas dan percuma bagi kanak-kanak di bawah tiga tahun.

    Bagi tiket untuk dua hari ialah HK499 (RM196) untuk dewasa, HK355 (RM139) bagi kanak-kanak dan HK170 (RM67) untuk warga emas serta percuma bagi kanak-kanak bawah tiga tahun.

    Bagi melancarkan 'pengembaraan', penulis dan rakan media diberi pelekat media bagi membolehkan kami mencuba sesuatu permainan menggunakan laluan khas tanpa perlu beratur menunggu giliran.

    Kami turut diberikan lencana Star Guest bagi membolehkan kami merasakan momen magik ketika di taman tema itu.

    Untuk makluman, setiap hari pekerja Disney memilih secara rawak sebuah keluarga bertuah untuk menyempurnakan simbolik pembukaan taman tema tepat jam 10 pagi.

    Lokasi pertama dikunjungi ialah Toy Story Land, taman tema eksklusif yang hanya dibuka di Disneyland Hong Kong. Menghampiri laluan masuk ke situ, kami disambut dengan teguran mesra Woody. Taman dibuka pada 18 November 2011 ini penuh keceriaan dan diadaptasi daripada filem Toy Story.

    Sebagai 'memanaskan badan', kami mencuba permainan Slinky Dog Spin. Penulis teruja mencuba Toy Soldier Parachute Drop yang tidak ubah seperti terjun menggunakan payung terjun.

    Adrenalin semakin memuncak apabila kami mencuba RC Racer. Manakan tidak, hampir luluh jantung apabila kereta itu turun dan mengundur laju dari treknya. Biarpun ada yang pening, kepuasan dirasai tidak terhingga.

    Kami juga ke Barrel of Fun untuk mengabadikan kenangan bergambar bersama Woody dan Jessie. Langkah kami juga terhenti di Toy Soldier Boot Camp untuk menyaksikan gelagat askar melayan pengunjung.

    Kami kemudian dibawa menjamu selera makan tengah hari di Tahitian Terrace, satu-satunya restoran halal di taman tema itu. Di sini pengunjung boleh merasai pelbagai menu seperti Malaysia Korma Chicken Curry With Rice, Thai Chicken Curry With Rice, Singaporean Laksa Rice Noodle Soup dan Middle East Chicken Steak With Rice.

    Selepas mengisi perut, pengembaraan diteruskan di Tomorrowland dan kami mencuba Space Mountain untuk menaiki roller coaster dalam keadaan gelap dan menikmati pemandangan seolah-olah berada di angkasa.

    Selepas itu kami dibawa ke Main Street USA untuk menikmati keindahan struktur bangunan ala Disney yang menjadi deretan kedai di sana, dan penulis membeli cenderahati untuk dibawa pulang.

    Usai membeli, kami bergegas ke ruangan khas disediakan untuk menyaksikan Flights of Fantasy Parade. Biarpun perarakan bermula jam 3.30 petang, setengah jam sebelum itu pengunjung membanjiri sepanjang Main Street USA.

    Bagi yang meminati cerita fantasi dan watak Disney, perarakan itu menjadi momen indah buat mereka kerana berpeluang me­nyaksikan semua watak berarak.

    Kami seterusnya ke Mickey Philharmagic di Fantasyland. Di sini kami kagum menyaksikan animasi 4D Mickey kerana wataknya seolah-olah dekat di mata dan mampu digapai, malah tubuh terasa basah terkena percikan air biarpun air berkenaan disimbah dalam animasi.

    Destinasi seterusnya adalah Golden Mickey untuk menyaksikan teater gabungan beberapa cerita fantasi dan animasi Disney seperti Beauty and the Beast, Tarzan, The Little Mermaid, Mickey and Minnie dan Toy Story.

    Selepas itu, kami dibawa merasai pengalaman menyusuri sungai di Jungle River Cruise. Biarpun hanya sungai dan hutan buatan, ia seolah-olah hidup, ditambah pula dengan pulau kecil yang menempatkan rumah Tarzan.

    Sebagai penutup pengembaraan dan tanda berakhirnya operasi Disneyland untuk hari itu, kami menyaksikan persembahan bunga api 'Disney In The Star'.

    Persembahan 15 minit itu memukau pandangan dengan percikan bunga api berlatar belakangkan istana Sleeping Beauty.

    Keseronokan kami tidak berakhir di situ apabila keesokan harinya dibawa bersarapan di Hong Kong Disney Hotel untuk merasai pengalaman menjamu selera sambil dihiburkan oleh Mickey, Pluto dan Daisy.

    Seni ukiran pasir

    Posted: 14 Apr 2012 06:34 PM PDT

    KREATIF... seramai 15 pengukir mencipta pelbagai arca bertema Britain sempena kedatangan Sukan Olimpik 2012 tidak lama lagi.
    KREATIF... seramai 15 pengukir mencipta pelbagai arca bertema Britain sempena kedatangan Sukan Olimpik 2012 tidak lama lagi.

    JIKA seniman yang menghasilkan arca ini berbangga dengan hasil tangan mereka, ia memang mudah untuk difahami. Sejumlah arca mengagumkan dicipta apabila 15 seniman dari seluruh dunia dibawa ke Tottori, Jepun, untuk berkarya atas kelolaan sebuah pusat pelancongan negara itu.

    Ia diadakan menjelang Sukan Olimpik yang dijadual berlangsung akhir Julai depan di London.


    Sesuai dengan tema itu, 15 seniman terbabit mencipta pelbagai arca yang berkaitan London atau Sukan Olimpik, termasuk Menara London dan pub Great British.

    • Foto

      MACAM SEBENAR... Belcher mengukir suasana sebuah pub di London.

    • Foto

      SIMBOL... pelbagai mercu tanda London, sama ada dari zaman silam atau moden diukir daripada pasir.

    • Foto

      UNIK... sejumlah arca dipamerkan di muzium pertama dunia yang mengkhusus kepada seni berasaskan pasir.

    • Foto

      TEKUN... Ugolinim menyiapkan replika Big Ben di Westminster.

    Semua karya itu ditempatkan di sebuah muzium pertama yang dibuka untuk seni ukir pasir.


    Pameran itu kini berlangsung sejak kelmarin hingga Januari, tahun depan.


    Binaan lain yang dipamerkan di muzium berkenaan ialah suasana jalan di tengah London yang turut dihiasi teksi hitam, imej Ratu Elizabeth I, William Shakespeare serta Charles Darwin dan Isaac Newton.Seniman Itali, Leonardo Ugolini, menggunakan kemahirannya mencipta binaan berbentuk Big Ben - jam besar yang menjadi satu daripada mercu tanda London.


    Katanya, dia juga menyiapkan Istana Westminster dengan menggunakan 3,000 tan pasir.

    "Inilah kali pertama saya mencipta arca daripada pasir di tempat tertutup. Ia memang menarik kerana saya tak perlu bimbang mengenai perubahan cuaca," katanya.


    Pengukir dari AS, Dan Belcher, menyiapkan imej beberapa pelaut yang berseronok menikmati minuman dalam sebuah pub.


    "Saya harap pelawat dapat menikmati suasana gembira ini seolah-olah mereka melawat England," katanya.


    Muzium pasir ini terletak berhampiran bandar Tottori yang terkenal dengan bukit pasirnya yang luar biasa.


    Muzium ini pernah membuat pameran mengenai ikon Zaman Pembaharuan Itali, selain tapak Warisan Dunia Unesco di Asia.


    Penganjur berkata keunikan arca itu dapat dilihat dengan lebih menarik apabila lampu dipasang pada waktu malam.

    Kapal layar RM45 juta

    Posted: 14 Apr 2012 06:32 PM PDT

    MODEN... kapal layar Adastra dianggap binaan membawa ciri era angkasa lepas.
    MODEN... kapal layar Adastra dianggap binaan membawa ciri era angkasa lepas.

    AKTIVITI perkapalan kini memasuki era baru dengan terbinanya kapal layar mewah bernilai AS$15 juta (RM45 juta) yang memakan masa lima tahun untuk disiapkan.

    Dianggap satu daripada kapal layar paling mengagumkan di dunia, Adastra sepanjang 42 meter itu pasti menarik perhatian sesiapa saja ketika ia dilancarkan secara rasmi di China beberapa hari lalu.


    Ditempah Anto dan Elaine Marden dari Hong Kong, Adastra adalah hasil ciptaan daripada perancangan dan pembinaan selama lima tahun. Ia dilihat satu-satunya kapal layar yang mampu mencabar koleksi bilionair Russia, Roman Abramovich.

    • Foto

      BENTUK UNIK... pandangan belakang Adastra.

    • Foto

      SEDIA BERLAYAR... selepas melalui tempoh lima tahun merancang dan membina, Adastra berjaya disiapkan dan bersedia untuk berlayar di laut.

    • Foto

      SERBA MEWAH... kemasan di ruang dalam Adastra.

    • Foto

    • Foto

    Adastra dibina hasil ilham pereka kapal layar terkenal di dunia yang berpangkalan di Sussex Barat, John Shuttleworth. Ia dibina dengan lebar 16 meter dan berat 52 tan.


    Kata Shuttleworth, pembinaan Adastra memerlukan kajian terhadap konsep trimaran yang lebih canggih berbanding yang pernah ada sebelum ini.


    "Cabaran mengubah konsep ini menjadi kapal layar mewah memaksa saya membuat kajian lebih dalam bagi membangunkan pemikiran baru mengenai kestabilan dan keselesaan di laut," katanya.Badan Adastra dibina daripada kaca dan Kevlar. Saiznya membolehkan kapal layar berkenaan memuatkan sehingga sembilan tetamu dan enam anak kapal.


    Ruang dalam Adastra dipastikan selesa dan membolehkan penghuninya menikmati pemandangan indah di sekeliling, manakala kokpit terbuka dipasang sofa di kedua-dua sisi.

    Dek terbuka di bahagian belakang pula menyediakan landasan untuk penghuninya mandi.


    Kelajuan maksimum Adastra boleh mencecah 22.5 knot dengan jarak sejauh 4,000 batu nautika (7,408 kilometer) pada kelajuan 17 knot. Jarak itu mencukupi untuk perjalanan dari United Kingdom ke New York.


    Majalah Boat International berkata, Adastra boleh mendorong pembinaan kapal layar untuk jarak jauh yang lebih efisyen pada masa depan.


    Sebagai langkah keselamatan, Adastra dipasang dengan sistem pemantauan kapal dan boleh dikawal dengan seunit iPad Apple dalam jarak 50 meter.


    Adastra digerakkan dengan seunit enjin Caterpillar C18 yang memiliki kekuatan 1,150 kuasa kuda dan dua unit Yanmar 110 kuasa kuda.


    Di ruang dalam Adastra dibina kawasan lounge, meja makan dan pusat kawalan. Pusat kawalan utamanya - mempunyai dua tempat duduk - berada di kawasan lebih tinggi di antara dek belakang dan kawasan rehat.

    Harta intelek Abd Latif

    Posted: 14 Apr 2012 06:29 PM PDT

    PELBAGAI...anugerah diterima FRIM.
    PELBAGAI...anugerah diterima FRIM.

    APABILA bulan jatuh ke riba, pasti si penerima tidak akan sesekali menolak tuah yang datang namun berbeza bagi bekas graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Abd Latif Mohmod.

    Kini menyandang tanggungjawab besar memartabatkan industri penyelidikan perhutanan sebagai Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), lelaki berusia 52 tahun ini pernah mengetepikan tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang pembedahan di Dublin, Ireland pada 1985 dengan tajaan sepenuhnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

    • Foto

      ISTIMEWA...antara anugerah istimewa dan antarabangsa diterima Abd Latif.

    • Foto

      MESRA...tiada istilah birokrasi antara pekerja.

    • Foto

      IKTIRAF...antara pengiktirafan terbesar diterima Abd Latif.

    • Foto

      BAHAGIA...Abd Latif bersama keluarga meraikan perkahwinan anak sulungnya.

    Sebaliknya, Abd Latif mengambil keputusan mengabdikan diri bersama FRIM sejak 1985 biarpun berbeza bidang yang diambil ketika di universiti.

    Sebaik tamat pengajian dalam bidang mikrobiologi di UKM pada 1984, JPA memaklumkan bahawa beliau terpilih untuk melanjutkan pelajaran dan diberi tempoh masa setahun sebelum berangkat ke negara terbabit."Siapa yang tidak gembira apabila ditawarkan peluang sedemikian, namun tempoh setahun itu terlalu lama untuk dibazirkan.


    "Saya dibesarkan arwah ibu, Satiah Abd Jalal selepas kematian bapa ketika berusia dua tahun. Jadi, sejak kecil saya dididik supaya sentiasa memanfaatkan masa.

    "Percaya atau tidak, seawal usia enam tahun, saya mengambil upah membersihkan ladang dan estet serta mengutip getah sekerap. Ia dilakukan bukan atas desakan ibu, tetapi keinginan memiliki wang sendiri untuk membeli sesuatu yang dihajati.

    "Lantas, saya meminta JPA memberi peluang pekerjaan terlebih dulu tiba masa keberangkatan ke Dublin. Kemudian, saya diminta menghadiri sesi temuduga bagi jawatan pegawai penyelidik di FRIM yang ketika itu dikenali sebagai Institut Penyelidikan Perhutanan (FRI) pada awal 1985.

    "Berjaya dalam temuduga itu, saya dipanggil untuk berkhidmat secara kontrak dan saya akui seronok melakukan sesuatu yang baru.

    "Sebulan bertugas di FRI, saya berkesempatan mengunjungi perpustakaan dan dikejutkan dengan penemuan yang menyatakan, seorang pegawai penyelidik harus menghasilkan sekurang-kurangnya dua kertas kerja setahun.

    "Apabila saya membuat kajian dan pengiraan, menyedihkan apabila mengetahui kuota kertas kerja dihasilkan tidak sepadan dengan usia FRI.

    "Lantas, saya yakin sesuatu harus dilakukan untuk memartabatkan institut penyelidikan ini," katanya ketika berkongsi rahsia penolakan tawaran ke luar negara.

    Menjadi satu-satunya penyelidik perhutanan yang menerima Anugerah Saintis Muda pada 1993, Abd Latif mengakui dia bermula dari bawah sebagai pegawai penyelidik sebelum dinaikkan pangkat menjadi Ketua Program Hasil Hutan Bukan Kayu FRIM mulai 1988 hingga Januari 1999.

    Beliau kemudian dilantik sebagai Koordinator Kebangsaan Projek Perintis Buluh Negara pada 1998, inisiatif Jabatan Perdana Menteri.

    Membanggakan apabila 50 ciptaan berkaitan pemprosesan rotan, buluh dan palma dikeluarkan serta didaftarkan selain 59 latihan industri dan kursus teknikal membabitkan 1,500 peserta.

    Ketika menjalankan program terbabit, beliau banyak menghabiskan masa berkongsi ilmu dengan orang ramai mengenai teknik mengkomersialkan hasil hutan, terutama buluh dan rotan.

    Malah, beliau pernah tinggal bersama penduduk di kawasan berbukit dan pergunungan di sekitar Pahang dan Perak semata-mata ingin mengajar mereka mengenai kraftangan yang diyakini dapat membantu golongan berkenaan menyara diri.

    Diiktiraf sebagai European Manager of The Year Award (Science) oleh The Socrates International Committee, European Business Assembly, Oxford, teknologi ciptaan Abd Latif turut dipatenkan sebagai harta intelek, sekali gus menjadi rujukan agensi penyelidikan tempatan mahupun antarabangsa.

    Antaranya adalah mesin rotan piuhan, mesin penggulungan rotan, mesin pembalut rotan, mesin ukiran buluh dan rotan serta pelbagai lagi.

    Menariknya, ketika memegang jawatan penting dalam institut penyelidikan terbabit, bapa kepada dua cahaya mata ini tidak melepaskan peluang menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi secara sambilan hingga bergelar doktor falsafah di Universiti Putra Malaysia pada 1995.

    Berkongsi rahsia kejayaan, Abd Latif berkata, sejak zaman persekolahan dan universiti, dia mengamalkan sistem ulangkaji pelajaran sekurang-kurangnya dua minggu sebelum memasuki kelas.

    Sistem dirangka memudahkan beliau memahami dengan cepat ilmu disampaikan guru mahupun pensyarah. Sebagai persediaan menghadapi peperiksaan, Abd Latif mengulangkaji dan menghafal semua subjek sebanyak 25 kali.

    "Pemergian ibu tersayang yang menjadi inspirasi perjalanan ilmu saya ketika tahun pertama di UKM sesungguhnya memberi kesan sangat hebat terhadap saya.

    "Saya pernah tidak makan dua minggu akibat terlalu tertekan, malah pelajaran turut diabaikan. Syukur, Allah Maha Besar, Dia berikan saya kesedaran lantas kesungguhan untuk menuntut ilmu kembali," katanya.

    Menurutnya, sepanjang tempoh perkhidmatan bersama FRIM, lebih 300 jurnal ihasilkan dan setiap kajian dilaksanakan memberi manfaat kepada industri perhutanan negara mahupun luar.

    Terbaru, 4 April lalu, FRIM menerima Anugerah Sains dan Teknologi Bank Pembangunan Islam (IDB) 2012 di Khartoum, Sudan, yang disampaikan presiden republik berkenaan, Omar Hassan Ahmed al-Bashir.

    Enggan menyifatkan satu-satu anugerah sebagai istimewa, Abd Latif menganggap setiap pengiktirafan diterima, sama ada tempatan mahupun antarabangsa, memiliki erti besar dan tersendiri.

    "Saya memasang angan-angan supaya FRIM akan menerima anugerah bertaraf Noble dengan kepelbagaian pengiktirafan yang diperoleh. Dengan itu, pada masa depan, kita boleh berbangga bahawa sistem perhutanan yang kita miliki gagal dicabar negara lain," katanya mengakhiri perbualan.


    FRIM ibarat rumah kedua

    Siapa anda?

    Saya cuma manusia biasa kepunyaan Allah SWT. Bagi saya, pangkat bukan ukuran kehidupan. Saya boleh dikatakan peramah dan mesra, terutama antara kakitangan, hubungan tidak dihadkan dengan istilah birokrasi mahupun protokol. Di situ juga, saya memperoleh idea baru dan bagus daripada segenap lapisan.


    Pendorong anda?

    Semestinya arwah ibu selain adik-beradik saya. Tujuan saya belajar sebelum ini pun kerana ingin melihat kebahagiaan ibu, tapi menyedihkan dia tidak berpeluang menyaksikan siapa saya hari ini.


    Tokoh dikagumi?

    Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


    Hobi waktu lapang?

    Mengaji dan menghafal al-Quran. Setiap hari, saya akan pastikan saya menghafal satu surah walaupun sibuk, sama ada di rumah, pejabat mahupun dalam kereta.


    Waktu untuk keluarga?

    Saya akan meluangkan masa bersama keluarga sejurus berakhir waktu bekerja dan tentunya pada hujung minggu.


    FRIM untuk anda?

    FRIM adalah rumah kedua saya dan setiap hari saya menghabiskan masa menghayati keindahan hutan. Justeru, saya berharap setiap pengunjung dapat menghormati alam sekitar kerana hutan adalah khazanah warisan negara.


    Prinsip anda?

    Kita boleh berhenti berharap kepada orang lain, tetapi jangan sesekali berhenti berharap kepada Allah SWT.



    PROFIL

    NAMA: Datuk Dr Abd Latif Mohmod
    JAWATAN: Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia
    LAHIR: 29 Ogos 1960
    ASAL: Simpang Renggam, Johor
    ISTERI: Halidah Kasmin
    ANAK: Mohd Danial (26) dan Muhammad Ismail (8)
    PENDIDIKAN: Ijazah Doktor Falsafah, Hasil Hutan Bukan Kayu, Universiti Putra Malaysia

    Beto Kusyairy Pantang Pada Kesilapan Ejaan Namanya

    Posted: 14 Apr 2012 06:27 PM PDT

    Beto Kusyairy berasa sensitif apabila melihat kesilapan pada ejaan namanya.

    PETALING JAYA: Aktor berpotensi Beto Kusyairy berkata dia akan berasa geram dan pantang apabila melihat namanya dieja dengan salah oleh segelintir pihak.

    Pemilik nama sebenar Nurkusyairy Zakuan, 32, itu berkata, meskipun ia bukan perkara yang besar atau serius kerana menyedari kesilapan itu sering terjadi pada mana-mana artis, dia menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang sensitif.

    "Saya akan berasa geram dan bengang setiap kali melihat nama saya tidak dieja dengan betul. Ia kerap terjadi pada kredit nama saya dalam drama televisyen atau filem. Walaupun, saya sering memaklumkan ejaan nama yang sebenar kepada pihak produksi, ia tetap berlaku.

    "Mungkin ia perkara remeh bagi sesetengah orang tetapi saya sensitif pada soal ejaan nama. Saya amat hargai jika mana-mana pihak tidak kira produksi atau media menyemak terlebih dahulu ejaan nama yang tepat sebelum diterbitkan," katanya ketika ditemui mStar Online di Menara Star, baru-baru ini.

    Berkongsi mengenai pandangannya mengenai populariti diri selepas lapan tahun menceburi bidang lakonan, Beto berkata dia selesa dengan kedudukannya yang berprofil rendah dan kurang popular.

    "Saya tidak kisah kalau kurang popular dan dianggap under dog kerana itu lebih baik sebenarnya. Biar orang menyukai saya kerana kerja lakonan dan bukan kerana siapa saya dan cerita-cerita panas.

    "Terus-terang, saya bersyukur dengan kedudukan diri dalam industri lakonan tanah air pada hari ini. Kesusahan saya untuk mengukuhkan nama selama ini semakin membuahkan hasil.

    "Mungkin saya tidak sepopular aktor-aktor lain tetapi tawaran lakonan itu konsisten, cukup untuk membuatkan kehidupan saya berasa selesa," katanya yang mendapat ilham nama Beto daripada salah satu karakter dalam drama Mexico.

    Dalam pada itu, Beto yang bakal muncul dengan filem Chow Kit pada 3 Mei depan turut terlibat dalam beberapa filem yang masih menantikan slot tayangan iaitu Jiwa Taiko, Jalan Pintas dan Istanbul Aku Datang.

    Lakonan terbarunya boleh ditonton dalam drama bersiri 13 episod iaitu Jangan Ambil Padang Kami bermula 9 April lalu pada setiap Isnin pukul 9 malam ini di Astro Ria (saluran 104).

    Robin Gibb (Bee Gees) Koma Akibat Kanser

    Posted: 14 Apr 2012 06:26 PM PDT

    Robin Gibb

    LONDON: Anggota kumpulan Bee Gees, Robin Gibb yang kini berada dalam keadaan koma akibat kanser pada peringkat terakhir.

    Difahamkan, ahli keluarga bintang berusia 62 tahun itu sudah mula berkumpul dan berdoa agar penyanyi itu akan dapat bertahan selama mungkin.

    Menurut laporan The Sun, Gibb berjaya pulih daripada penyakit kanser usus dan hati pada tahun lalu tetapi para doktor yang merawatnya percaya bahawa terdapat ketumbuhan kedua pula pada ususnya.

    Dia juga kini dilaporkan mula menghidap penyakit radang paru-paru.

    Isteri kepada penyanyi itu Dwina, abangnya Barry, 65, anak perempuan Melissa, 37 serta dua anak lelakinya Spencer, 39 dan Robin-John, 29 kini berkumpul di keliling katil penyanyi itu di sebuah hospital swasta di Chelsea, barat London.

    Robin (tengah) bersama dua lagi anggota Bee Gees, saudara kembarnya mendiang Maurice (kiri) dan abang mereka Barry.

    "Kami mendoakan kesejahteraan Robin kerana dia sentiasa bersikap positif dan percaya dapat mengatasi penyakit itu.

    "Malangnya, dia kini mula menghidap radang paru-paru pula dan ia memburukkan lagi keadaan," kata salah seorang rakan keluarga itu seperti dipetik Daily Mail.

    Gibb mendedahkan dia menderitai penyakit itu pada Oktober 2010. Dia pernah menjalani pembedahan bagi merawat masalah usus yang tersumbat dan sebuah lagi pembedahan kerana masalah usus berpintal.

    Sejak itu, dia mula didiagnosis dengan kanser usus yang kemudiannya merebak ke bahagian hati.

    Saudara kembarnya, Maurice meninggal dunia kerana masalah usus berpintal pada 2003 pada usia 53 tahun.

    Cincin Pertunangan Angelina Jolie Bernilai RM764 Ribu

    Posted: 14 Apr 2012 06:24 PM PDT

    Brad Pitt bersama tunangnya, Angelina Jolie.

    WASHINGTON: Cincin yang kelihatan di jari manis aktres Angelina Jolie, dipercayai cincin pertunangannya dengan aktor Brad Pitt dianggarkan bernilai RM764,000 (ASD 250,000).

    Difahamkan, aktor berusia 48 tahun itu menempah khas cincin berlian dengan potongan baru zamrud itu daripad pembuat jauhari Robert Procop sebagai cincin pertunangan mereka.

    Jolie, 36, dilihat menyarung cincin enam karat itu ketika pasangan berkenaan menghadiri sebuah majlis tertutup di LACMA, baru-baru ini.

    "Cincin berlian yang bertatahkan potongan batu zamrud mempunyai beberapa segi, ia tidak bersinar seperti potongan batu yang lain tetapi itu bermakna ia perlu dihasilkan dengan kualiti terbaik.

    Cincin berlian bertatahkan potongan batu zamrud dianggarkan bernilai RM764,000 menjadi cincin pertunangan pasangan kekasih itu.

    "Kilauan batu zamrud ini putih dan suci. Memandangkan Brad dan Angelina sering memilih unsur-unsur yang simbolik dan emosi dalam hubungan mereka, maka tidak hairanlah Brad memilih cincin itu sebagai simbolik cinta mereka yang tidak akan pudar.

    "Cincin itu akan menjadi harta pusaka yang bernilai tinggi. Saya menganggarkan ia bernilai ASD250,000," kata pakar jauhari Michael O'Connor kepada majalah Us Magazine.

    Scarlett Johansson Paranoid Gambar Bogelnya Tersebar

    Posted: 14 Apr 2012 05:57 PM PDT

    Scarlett Johansson

    LONDON: Pelakon Scarlett Johansson mendedahkan dia berasa sangat malu selepas insiden gambar bogelnya tersebar di Internet pada September tahun lalu.

    Dalam satu temu ramah bersama majalah Vogue baru-baru ini, aktres itu mengakui gambar kontroversi berkenaan membuatkan dirinya paranoid.

    Gambar-gambar bogel yang diambilnya sendiri untuk kekasih yang juga aktor Ryan Reynolds itu, bagaimanapun tersebar luas sehingga memaksa aktres itu membuat laporan kepada pihak berkuasa.

    "Apabila gambar-gambar itu tersebar, saya tahu orang ramai akan mula bercakap di luar sana kerana mereka sudah melihat bahagian sulit tubuh saya.

    "Ia sangat memalukan. Anda tentu tahu apa yang saya rasakan. Kalau pun mereka belum melihatnya, sudah tentu saya berasa paranoid," katanya seperti dipetik Daily Mail sebagai berkata kepada majalah tersebut.

    Bagaimanapun, pelakon berusia 27 tahun itu menegaskan dia tidak menagih simpati atau meletakkan diri sebagai mangsa keadaan.

    "Saya tidak mahu menganggap diri saya sebagai mangsa keadaan dan menanggung perasaan malu itu. Seseorang telah mencuri telefon saya... ia tidak patut berlaku," tambahnya.

    Mengaku sudah bertunangan

    Posted: 14 Apr 2012 05:53 PM PDT

    Remaja lelaki ini menggunakan peluang ketika cuti minggu

    LEDANG – Helah pasangan kekasih mengaku sudah bertunang bagi mengelak ditahan tidak menjadi selepas mereka dicekup berkhalwat di sebuah hotel bajet di bandar Tangkak di sini, semalam.

    Remaja lelaki berusia 19 tahun yang juga penuntut sebuah kolej di sini ditahan bersama kekasihnya dalam serbuan yang dijalankan Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL) selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen sah hubungan suami isteri.

    Remaja lelaki itu juga difahamkan mengambil peluang ketika minggu ulang kaji pelajaran untuk bersama kekasihnya yang datang dari Pontian.

    Tambah mengejutkan, teman wanitanya yang sebaya usia itu tergamak menipu keluarganya dengan menyatakan mahu ke Muar untuk mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah maktab di sini, namun sebenarnya datang ke Ledang bagi menemui kekasih.

    Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, penguat kuasa menjalankan serbuan selepas menerima aduan daripada orang awam.

    Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang remaja perempuan yang baru bangun tidur membuka pintu.

    "PPADL menunggu hampir lima minit sebelum remaja berkenaan membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.

    "Sebaik memasuki bilik hotel ini, kita menjumpai pakaian dan minyak wangi dipercayai milik lelaki," katanya kepada Sinar Harian.

    Katanya, pemeriksaan lanjut di sekitar bilik hotel itu menemui seorang lelaki sedang tidur dalam keadaan separuh bogel.

    "Pasangan ini kemudian ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

    "Mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.

    Menurutnya, mereka antara tiga pasangan berusia di antara 23 dan 40 tahun yang dicekup dalam serbuan di dua hotel berasingan serta rumah bermula jam 12.30 pagi, semalam.

    60 kaki nombor ekor dicekup

    Posted: 14 Apr 2012 05:50 PM PDT

    ops maisar

    KAJANG – Seorang anggota sebuah badan beruniform antara 60 individu ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dalam Ops Maisir (Judi) di sekitar kawasan Kajang dan Semenyih, semalam.

    Ketika dicekup, individu berkenaan lengkap berpakaian seragam dan merayu-rayu agar dilepaskan bimbang bakal dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak atasan.

    Lain pula bagi seorang tukang kebun salah sebuah sekolah di sini apabila memaklumkan tindakan membeli nombor ramalan tersebut hanya untuk suka-suka dan kerap mengulanginya kerana sudah menjadi tabiat.

    Bapa kepada tiga orang anak itu sanggup menghabiskan RM30 untuk aktiviti haram itu walaupun sedar ia adalah salah di sisi Islam.

    Ketua Penguatkuasa Agama Pejabat Agama Daerah (Paid) Hulu Langat, Norhisham Mohd Idris berkata, Operasi Bersepadu Siri 1/2012 Peringkat Negeri Selangor ini melibatkan 143 anggota dan penguat kuasa daripada Jais dan MPKj.

    Menurutnya, sembilan lokasi yang telah dikenal pasti menjadi lokasi panas kaki judi tegar di kalangan segelintir masyarakat Islam Hulu Langat iaitu di sekitar kawasan Semenyih dan Pekan Kajang berdasarkan maklumat dan pemantauan yang dibuat penguat kuasa.

    "Untuk serbuan pertama 22 tahi judi berumur 19 hingga lewat 50 an ditahan dan selebihnya dicekup pada serbuan kedua. Mereka semua ditahan di bawah Seksyen 17 (1) dan 17 (2) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 9/1995 atas kesalahan berjudi.

    "Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

    Misteri tengkorak dalam dusun

    Posted: 14 Apr 2012 05:47 PM PDT

    Mohd Salleh menunjukkan lokasi di mana tulang dan tengkorak manusia ditemui.

    PONTIAN - "Pada mulanya saya sangka sekumpulan remaja itu bergurau, namun setelah melihat dengan mata kepala sendiri, barulah saya percaya cerita mereka bertemu tulang manusia di dusun buah itu benar," demikian beritahu Abd Halim Abd Ghani, 41, yang terkejut dengan penemuan tidak disangka-sangka itu.

    Menceritakan detik-detik awal sebelum menjumpai tulang manusia itu, Abd Halim yang juga seorang penjual burger di Kampung Pasir, Pekan Nenas, berkata, segala-galanya bermula setelah mendengar cerita sekumpulan remaja yang datang berkunjung ke gerainya.

    "Ada empat remaja belasan tahun datang ke gerai burger saya yang terletak betul-betul di hadapan sebuah dusun buah-buahan itu kira-kira jam 7 malam Khamis lalu.

    "Mereka memberitahu saya yang mereka terjumpa tulang manusia di dalam dusun berkenaan, namun saya tidak ambil peduli kerana menyangka mereka hanya bergurau. Lagipun dusun itu memang sering menjadi lokasi tumpuan remaja mengambil buah mempelam dan jering," katanya.

    Bagaimanapun, Abd Halim berkata, hatinya berasa gusar sebaik sahaja tiba di rumah selepas habis berniaga.

    "Saya tidak boleh tidur mengenangkan cerita sekumpulan remaja tersebut. Kata-kata mereka menyebabkan saya jadi tidak sedap hati," katanya.

    Berikutan itu, keesokan harinya Abd Halim bertekad memberitahu salah seorang sahabatnya, Mohd Salleh Marim, 65, tentang perkara tersebut.

    "Kira-kira jam 4 petang Jumaat, saya dan Mohd Salleh pergi ke dusun berkenaan untuk memastikan kebenaran cerita yang diberitahu remaja tersebut.

    "Alangkah terperanjatnya kami apabila ternyata mereka bercakap benar. Kami jumpa tulang-temulang manusia berserakan di bawah pohon mempelam di dalam dusun tersebut," katanya.

    Menurut Abd Halim, pada mulanya dia mengesyaki tulang yang berserakan itu adalah tulang haiwan, namun mengakui ia tulang manusia setelah menemui tengkorak yang masih mempunyai gigi.

    "Hampir keseluruhan tulang tersebut telah tertimbus ke dalam tanah. Tulang-tulang yang berserak dipercayai akibat dimakan biawak," katanya yang turut menemui sehelai baju-T berwarna kelabu di kawasan tersebut.

    Dia kemudian mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Nenas pada hari yang sama.

    Sementara itu, Mohd Salleh yang juga Ketua Umno Cawangan Kampung Pasir pula berkata, dia amat terperanjat dengan penemuan itu kerana tidak ada penduduk yang bercerita mengenai bau busuk di dalam dusun berkenaan sebelum ini.

    Menurutnya, kawasan dusun terbabit berhampiran dengan kawasan perumahan di Taman Sri Bahagia 2 dan juga beberapa rumah penduduk Kampung Pasir.

    "Kemungkinan tulang terbabit milik warga asing kerana tidak ada orang kampung ini yang mengadu kehilangan ahli keluarga," katanya.

    Ketua Polis Daerah, Superintendan Zahliman Jamin berkata, pihaknya terus berkejar ke lokasi kejadian setelah menerima maklumat orang awam.

    Katanya, berdasarkan pakaian yang ditemui, dipercayai tulang terbabit milik seorang lelaki dan ia dibawa ke Hospital Pontian sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk tindakan selanjutnya.

    "Pihak polis masih menjalankan siasatan dan berdasarkan tulang yang dijumpai, kemungkinan ia telah lama berada dalam dusun terbabit," katanya.

    Nikah bukan alasan bertudung - Natasha

    Posted: 14 Apr 2012 05:46 PM PDT


    NATASHA dan Carleed bernikah hari ini di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur pada pukul 11 pagi.


    "SAYA bertudung bukan kerana mahu berkahwin lagi," itu luah Natasha Hudson, 30, saat hatinya diketuk mengenai hijrahnya yang kini memilih untuk berhijab.

    Pelakon popular itu baru pulang daripada mengerjakan umrah pada 21 Mac lalu. Berada di Tanah Suci selama hampir dua minggu, sekembalinya ke tanah air pada 4 April baru-baru ini, pelakon drama bersiri Pulau itu membawa lebih daripada satu berita.

    Mula-mula dengan pengumuman tarikh perkahwinannya dengan komposer muzik, Carleed Khaza, 33, pelakon yang mesra dibahasakan Tasha itu kemudian menutup akaun Twitter miliknya.

    Hari ini, (15 April) Natasha kembali bergelar isteri kepada seorang suami setelah lebih dua tahun hidup menjanda. Dia dan Carleed atau nama penuhnya, Khalid Kamal bernikah di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur pada pukul 11 pagi.

    Melihat imejnya yang kini tampil bertudung, Tasha diminta berkongsi perasaan. Dia menyifatkan setiap manusia ada cerita berbeza, namun selagi Tuhan itu ada, setiap insan pasti akan mendapat hidayah-Nya.

    Kepada sesiapa juga, perjalanan ke Mekah adalah titik kembara spiritual yang sukar diterjemah secara konkrit.

    Begitu juga dengan Natasha. Dia nekad untuk ke daerah yang diberi panggilan 'rumah Allah' itu dengan hati yang gementar. Bergagah dengan niat dan doa yang dipanjatkan untuk menjadi manusia yang lebih baik dalam kehidupan, karier dan keluarga, dia kembali dengan hati yang lebih tenang.

    Sensasi Bintang: Boleh kongsikan sedikit mengenai penghijrahan drastik ini (bertudung).

    NASTASHA: Persoalan begini sering buat saya sebak. Saya tak tahu bagaimana nak jelaskan tapi ia berlaku tanpa dirancangkan. Saya tiada niat apabila balik umrah saya mahu bertudung, ia terjadi secara sendiri. Saya selalu dengar macam-macam pengalaman orang ke Mekah dan Tuhan bukakan hati saya untuk ke sana. Saya pergi dengan hati yang gementar, banyak berdoa untuk diberikan kehidupan yang lebih baik, dalam karier dan keluarga.

    Di sana pun saya tak terfikir sama ada balik nanti mahu bertudung atau tidak, tapi bila balik ke rumah dan tiba masa untuk bertemu keluarga dan rakan-rakan, saya rasa macam nak letak sesuatu atas kepala. Saya tak cakap pun bahawa saya nak bertudung.

    Bila saya pakai tudung, ibu saya orang paling gembira, semua bagi sokongan dan Carleed sangat gembira lihat saya bertudung. Syukurlah, sampai hari ini hati saya kuat untuk terus bertudung.

    Bertudung setelah selama ini orang tengok anda yang hidup sebagai selebriti popular yang agak banyak kisah sensasi, penghijrahan ini agak mengejutkan bukan?

    Rasanya semua orang macam benih. Ia satu perjalanan spiritual yang bersifat epidemik. Wanita yang tak bertudung bukannya jahat. Bila sudah bertudung pula saya tidak akan sesekali buat penghakiman terhadap orang lain. Semua orang berhak untuk dapat hidayah. Saya pula kembali bergelar isteri tapi saya bertudung bukan kerana perkahwinan ini.

    Bagaimana kalau ada yang pandang sebelah mata atau mengata, konon-kononnya awak nak tunjuk insaf dengan bertudung?

    Hanya orang yang berfikiran cetek sahaja yang cakap begitu. Tapi sekarang, saya elakkan diri daripada ambil tahu hal-hal begitu. Dahulu kalau ada yang mengeji saya, saya akan sedih, menangis dan tertekan tapi sekarang, saya boleh ketawa dan tergelak sendiri. Biarlah apa orang nak kata, saya tak hidup atas duit mereka, sekarang saya cuma berikan terbaik untuk keluarga dan suami saya sahaja.

    Pengajaran paling besar daripada Tanah Suci?

    Islam itu mudah, cuma kita sahaja yang menjadikan ia susah.

    Anda seorang yang berfesyen, jadi bila berpenampilan baru begini, pasti banyak macam idea fesyen bertudung bagaimana yang hendak digayakan, komen sikit.

    Saya seorang sederhana sahaja, sebelum ini pun, saya bukannya seksi sangat. Dalam bab tudung juga, sebenarnya dah lama saya ada koleksi tudung untuk pakai ke majlis tertentu. Cuma lakonan sahaja, saya tak pernah dapat watak bertudung. Jadi tak sukar untuk saya menggayakan fesyen bertudung, bertudung pun boleh berfesyen asalkan menutup aurat. Sekarang pun sudah ada beberapa orang kawan yang menawarkan diri untuk bantu saya untuk pilih fesyen yang sesuai dengan imej baru.

    Apa jadi dengan pakaian-pakaian lama?

    Ada yang masih disimpan sebab macam singlet pun, ada yang boleh disuai-padankan dengan cardigan atau jaket berlengan panjang. Sebenarnya, masa sebelum pergi umrah, saya sudah berikan baju-baju lama kepada sepupu-sepupu saya. Tak sangka itu petanda awal.

    Kilafairy tolak label gedik

    Posted: 14 Apr 2012 05:44 PM PDT

    KILAFAIRY berasakan sudah tiba masanya untuk dia memilih watak yang memberi pengaruh positif kepada penampilan dirinya sebagai seorang selebriti.


    NAMA Kilafairy tumbuh bersama sensasi. Satu demi satu terpalit dengan cerita yang menjengkelkan, pemilik nama penuh Syakila Nisha Jangir Khan, membidik pertanyaan ramai. Siapa Kilafairy, apa kerjanya dan kenapa dia begitu mendadak mendapat publisiti?

    Semua itu dilayan anak sang penyanyi, Rohana Jalil itu penuh tenang. Dia baru berusia 19 tahun ketika bertubi-tubi ditembak peluru kontroversi. Ketika itu, dia masih terlalu rapuh dan hijau dengan permainan dunia hiburan. Mujurlah, ibunya seorang bintang, mungkin dari situ, dia mendapat pedoman untuk tidak pernah berasa patah semangat.

    Hasilnya, Kilafairy sudah tidak lagi dihambat cerita hangat. Tiada lagi yang galak mengapi-apikan cerita suntikan botox pada wajah, bibir serta tubuhnya sehingga dia kelihatan seksi seperti hari ini.

    "Ya, dahulu macam-macam orang tuduh saya. Lepas cerita botox dan pembedahan plastik, ada pula kata saya berimej matang, seksi tak padan usia, wajah nampak tua dan macam-macam.

    "Saya sudah dianugerahkan bentuk rupa yang begini, apa boleh saya buat. Saya cuma mampu untuk mengelak daripada bersolek terlalu tebal. Sebab itulah saya akan guna khidmat jurusolek peribadi, Jepun setiap kali ada fotografi atau apa sahaja acara. Dia sudah enam tahun dengan saya dan mama, jadi dia faham macam-mana hendak beri sentuhan kepada saya untuk tidak kelihatan keterlaluan," katanya yang mengakui kepanasannya kini tidak sehebat setahun lalu.

    Menyepi sedikit tidak mengapa, kerana baginya, suhu seperti hari ini memberikan banyak ruang untuk dia mengemaskini diri. Sekadar dibahasakan Kila, dia sedang berdikit mahu mengubah skeptikal ramai yang selama ini banyak melihat dirinya dari sudut kurang menyenangkan.

    "Sekarang saya mahu bertegas dalam soal tawaran. Kalau boleh saya mahu tolak tawaran watak gedik, watak penggoda atau watak wanita yang kurang baik. Sudahlah selama ini, ramai yang bencikan lakonan saya yang selalu bawa watak gedik, saya tidak mahu skeptikal itu melekat dan mengekori saya sampai ke luar bidang kerja.

    "Mama saya ada nasihatkan, supaya jangan terlalu memilih, ambil sahajalah tapi saya fikir, kalau bukan sekarang, bila lagi saya mahu ubah pandangan orang terhadap saya," katanya yang mencuri perhatian dengan watak gadis mengada-ngada dalam filem Karak dan drama bersiri, Hotel Mania.

    Perasan cantik

    Dalam hendak membuang watak mengada-ngada, manja dan geletis, akan datang dia bakal muncul dengan filem terbaharunya, Hoore! Hoore! arahan Saw Teong Hin yang bakal ditayangkan 24 Mei nanti. Ironinya, dalam filem berkenaan, Kila masih tampil dengan imej yang hampir sama dengan pandangan sesetengah orang terhadap dirinya.

    "Dalam Hoore! Hoore!, saya bawa watak Rita, konon-kononnya gadis paling cantik dan paling popular di sekolah yang menaruh hati dengan Johari (Akim AF), tapi Akim pula menaruh hati dengan gadis lain sangat sederhana. Rita tak jahat, cuma kuat cemburu.

    "Saya berlakon cerita itu pun sebab Teong Hin, dia sutradara yang pernah arahkan filem Puteri Gunung Ledang dulu. Lagipun ramai juga nama besar seperti Fauziah Nawi, Adibah Noor dan Harun Salim Bachik terlibat dalam filem berkenaan. Sebenarnya, itu lakonan saya yang terakhir setakat ini," katanya yang mahu kembali fokus kepada karier selepas berjaya menjadi graduan Diploma Lanjutan dalam bidang Pemasaran Fesyen di Kolej Antarabangsa Raffles Ampang, dua minggu lalu.

    Tambah Kila: "Saya baru sahaja selesai majlis konvokesyen. Jadi sekarang, saya tak perlu fikirkan soal jadual kuliah tapi itu tak bermakna saya goyang kaki. Saya kena uruskan bisnes saya juga, selain sibuk dengan perancangan promosi untuk single sulung tidak lama lagi."

    Single sulung

    Kila kini meletakkan dirinya sebagai pelakon dan penyanyi sepenuh masa.

    "Orang sudah tahu saya pelakon, tapi bukanlah pelakon yang boleh digelar pelakon sebenar selagi tidak ada filem atau drama yang benar-benar angkat bakat saya. Saya mahu juga mahu berguru atau ambil kelas lakonan satu masa nanti. Dalam masa yang sama, saya juga mahu dikenali sebagai penyanyi. Alhamdulillah, single pertama saya kini sedang tunggu masa untuk dilancarkan. Judulnya masih belum diputuskan, setakat ini judulnya Pasti. Lagu itu berentak R&B," ujarnya yang percayakan sentuhan Amelia AF sebagai komposer serta penulis lirik single berkenaan.

    Sanggup berhabis duit sendiri untuk menghantar single berkenaan untuk menjalani proses mixing di Australia, Kila mahu membuktikan bakat nyanyiannya bukan sekadar suka-suka.

    "Kalau tidak berlakon, sekarang pun saya selalu dapat tawaran menyanyi untuk acara korporat. Rezeki saya dalam nyanyian pun ada. Jadi saya ada dua pilihan," katanya yang mampu menyanyikan lagu-lagu Bollywood sejak di sekolah rendah lagi.

    Pernah digosipkan dengan Yusry KRU yang kini bergelar suami kepada Lisa Surihani, selepas itu Kila tidak dikaitkan dengan mana-mana lelaki. Entah dari mana angin bertiup, Kila tiba-tiba dikatakan ada hubungan istimewa dengan seorang pemuda dari seberang, Hardy Hartono.

    Jejaka seberang

    Ketawa saat menafikan gosip yang sengaja diperbesar-besarkan itu, kata Kila, hubungannya dengan Hardy tidak lebih sebagai kawan.

    "Saya kenal Hardy ketika dia datang ke Kuala Lumpur berlakon drama Kitab Cinta arahan Erma Fatima. Kami sekadar berkenalan dan hubungan itu hanyalah seperti kawan biasa sahaja. Sudah tentulah bila Hardy sudah kembali ke Jakarta kami ada berhubungan menerusi Twitter, tapi sekadar bertanya khabar sahaja," katanya berderai tawa.

    Belum masa untuk memikirkan soal berkasih, kata Kila, perjalanannya sebagai seorang pelakon begitu juga dengan nyanyian masih terlalu baru. Masih terlalu banyak selok-belok yang harus dipelajari.

    "Saya tidak boleh takbur bercakap tentang mana-mana lelaki sebab jodoh itu kerja Tuhan," katanya menutup perbualan.

    Rita sedia menjanda semula

    Posted: 14 Apr 2012 05:43 PM PDT


    RITA RUDAINI memangku anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin yang keletihan semasa menjawab pertanyaan media semasa parti hari jadinya, Rabu lalu.


    HADIAH hari lahir Rita Rudaini yang ke-36 pada tahun ini barangkali menjadi hadiah paling perit yang pernah diterima sepanjang hayatnya. Tiada jambangan bunga atau kad kecil bertulis 'aku cinta padamu,' jauh sekali kucupan kasih tanda sayang oleh sang suami, semua itu kini tinggal kenangan.

    Sehari sebelum sambutan hari lahir yang diraikan di sebuah hotel lima bintang di ibu negara, Rita menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada suaminya, Aidil Zafuan Abdul Radzak, 25, yang menyatakan permohonan cerai mereka sudah dihantar ke mahkamah syariah.

    Sepahit mana sekalipun dugaan yang datang, semuanya harus ditelan. Rita juga begitu, walaupun kelat, tetap bibirnya cuba senyum setenang yang boleh. Momen nekad menyeberang ke Songkhla, Thailand untuk bernikah tanpa restu ibu bapa daripada pihak lelaki pada 25 Februari 2008 pasti menyelinap di fikiran.

    Semuanya kerana cinta dan kerana cinta juga, mereka kini bertukar menjadi dua insan yang saling menyalahkan antara satu sama lain. Cinta itu indah, manis dan berani tapi ketika ini, cinta itu sudah menjadi racun yang sedang menghukum dia anak kecil Airit Rayyan Rizqin, 3, dan Airit Rafiqa Arjuna, 1, yang belum faham erti perceraian.

    Pergelutan rumah tangga Rita dan Aidil Zafuan bermula pada Oktober tahun lalu apabila pemain bola sepak tersebut membuat tuntutan hak penjagaan kekal terhadap Rayyan dan permohonan kembali taat terhadap Rita Rudaini di Seremban.

    Tanggal 10 Januari lepas, Rita dikejutkan dengan SMS daripada Aidil Zafuan yang keluar meninggalkan rumah semasa dia berada di kampungnya di Arau, Perlis.

    Bersama media yang berkerumun mahu tahu status perkahwinannya pada Rabu lalu, Rita mengakui, dia sudah menerima dokumen permohonan perceraian yang difailkan Aidil. Ketika ini, pasangan tersebut menunggu tarikh perbicaraan.

    Tidak cukup dengan sidang media semasa majlis hari lahirnya, Rita dihubungi untuk membuat beberapa penjelasan.

    Kenapa masalah kalian boleh sampai ke tahap ini?

    RITA RUDAINI: Saya tidak tahulah, masalah rumah tangga kami ialah masalah keluarga Aidil sendiri. Saya tahu dia masih muda, tapi tua atau muda, yang penting minda. Sejak mula kahwin sampai sekarang, saya yang sara diri sendiri. Bukannya saya tak boleh dibawa berbincang tapi kalau dia berkeras dengan saya, saya juga boleh berkeras dengan dia.

    Bagaimana hubungan Rita dengan suami sebenarnya?

    Saya sudah tawar hati dengan dia. Saya perlukan seseorang yang tegas untuk melindungi saya dan anak tetapi itu tidak berlaku. Walaupun berdepan dengan pelbagai masalah sekalipun saya mahu lelaki (suami) matang dan tegas untuk selesaikannya dan jangan lari daripada masalah. Buat masa ini saya memang sangat berkecil hati dengan tindakan dia. Saya tidak sanggup tengok orang buat macam ini kepada anak-anak saya.

    Bagaimanakah keadaan rumah tangga Rita sepanjang empat tahun bersamanya?

    Bahagia itu ada, cuma boleh dikira dengan jari. Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya. Saya bertahan sebab saya mahukan yang terbaik untuk hidup kami semua. Tetapi saya reda kalau ini ialah takdirnya. Saya tidak menyesal. Sudah beberapa kali kami hampir bercerai, tetapi kami baik kembali kerana mahukan yang terbaik.

    Jika perceraian terus berlaku, hak penjagaan anak pula macam mana?

    Saya akan mempertahankan anak-anak saya habis-habisan. Walau susah sekalipun anak-anak akan tetap bersama saya dan Allah sahaja yang boleh pisahkan kami. Selepas ini saya akan utamakan anak-anak dan besarkan mereka dengan sempurna. Dia pernah tinggalkan saya dan anak-anak tanpa satu sen pun dan sekarang dia nak rebut hak anak. Kalau dia berani, rebutlah!

    Bagaimana hubungan anak- anak dengan bapa mereka?

    Anak yang paling kecil masih tak tahu apa-apa. Tetapi anak sulung memang rapat dengan saya. Jadi dia tak tanya langsung tentang ayah dia selepas empat bulan tak berjumpa. Sepanjang empat bulan dia keluar dari rumah, dia bukannya tinggal di rumah keluarga sahaja, dia ada rumah di Kuala Lumpur. Dua minggu sekali dia akan datang tengok anak-anak dan SMS saya tanyakan anak sedang buat apa. Ada masa saya balas, ada masanya saya tak balas. Saya bukannya tinggal di India sampai dia boleh tak datang jumpa saya.

    Jika bapa mereka mahu berjumpa macam mana?

    Dua minggu lepas dia datang nak jumpa Rayyan, 10 minit dia pujuk Rayyan supaya datang kepadanya tapi Rayyan sembunyi belakang saya tak nak jumpa dia.

    Sudah bersedia menjanda sekali lagi?

    Sejak hari pertama berkahwin saya sudah bersedia. Apatah lagi rumah tangga sering tidak aman sejak berkahwin walaupun saya sering berusaha menjernihkan keadaan.

    Selama ini anda yang banyak memberikan kenyataan, kenapa? Ada Aidil beri nafkah?

    Demi Allah saya tak tipu dan saya berani bersumpah. Masa dia tinggalkan rumah, satu sen atau sekotak susu pun dia tidak beri kepada anak-anak. Lepas tiga bulan tinggalkan rumah, barulah dia bagi RM1,500, cukup ke duit sebanyak itu untuk perbelanjaan dua orang anak.

    Dia mungkin boleh menipu masyarakat tetapi dia tidak boleh menipu diri sendiri dan paling penting tidak boleh menipu Allah. Jika RM1,500 itu yang didakwa sebagai tidak mengabaikan nafkah, bagaimana dengan nafkah untuk tiga bulan sebelum itu?

    Rossa tiru Katy Perry

    Posted: 14 Apr 2012 05:42 PM PDT


    ROSSA


    JAKARTA pernah kecoh dengan isu kumpulan Trio Macan yang dikatakan memplagiat lagu Iwak Peyek yang sebelum itu pernah dinyanyikan oleh Arek Band. Bagaimanapun, plagiat di sana tidak hanya dikenal pasti berlaku dalam penciptaan lagu.

    Masih dalam dunia muzik, portal hiburan KapanLagi.com menyiarkan sebuah artikel tentang isu plagiat fesyen pula. Terkini, baju berwarna merah jambu yang dipakai oleh Rossa dalam satu konsert yang berlangsung, Rabu lalu di Gandaria City, Jakarta dikatakan telah ditiru daripada fesyen baju yang pernah disarungkan oleh penyanyi antarabangsa, Katy Perry dalam acara pertunjukan fesyen Victoria Secret, pada November 2010.

    Fesyen baju kedua-dua penyanyi hampir sama kecuali pada warna. Selain itu, baju yang dipakai oleh Katy tanpa menggunakan penutup dada, sedangkan Rossa tampak mengenakan sedikit lace hitam yang bahagian atas payu daranya.

    Pengikut Priyanka paling ramai

    Posted: 14 Apr 2012 05:40 PM PDT


    PRIYANKA CHOPRA


    AKTRES Priyanka Chopra disebut-sebut sebagai selebriti paling popular di Bollywood. Pelakon filem Ra One itu mempunyai jumlah pengikut paling ramai dalam laman sosial Twitter, lapor sebuah akhbar. Priyanka sekali gus mengatasi rekod pemain kriket India, Sachin Tendulkar yang pernah mencatatkan pengikut seramai 2,208,617 orang.

    Menurut One India, aktres berusia 29 tahun itu mencatatkan jumlah pengikut di Twitter seramai 2,256,139 pada awal minggu lalu.

    Priyanka bukan sahaja popular di Twitter tetapi turut mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat India seperti yang dilaporkan menerusi satu kaji selidik.

    Menurut kaji selidik tersebut, Priyanka dikatakan sebagai orang paling berpengaruh di laman sosial dengan mengenepikan banyak nama popular lain.

    Kaji selidik itu yang menyenaraikan 99 nama selebriti lain di Bollywood termasuk Aamir Khan, Salman Khan dan Taran Adarsh.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan

    Label

    Senarai Lagu