Selasa, 10 April 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Maria Farida Sudah Serik Kongsi Kisah Cinta

Posted: 10 Apr 2012 09:47 PM PDT

Maria Farida

PETALING JAYA: Pelakon Maria Farida enggan mengulangi kesilapan dengan mendedahkan kisah cintanya kepada umum selepas laporan mengenai hubungannya dengan aktor kacak, Shahrizal Jaszle mendapat perhatian umum.

Maria, 42, berkata, dia serik untuk berbuat demikian kerana sebelum ini kisah cintanya mendapat liputan meluas selain pelbagai cerita negatif menjadi perbualan masyarakat.

"Saya tidak mahu mengulangi kesilapan lalu seperti mana berlaku sebelum ini. Dengan siapa saya berkawan atau bercinta bukan lagi untuk tatapan umum," ujarnya kepada mStar Online.

Tambah Maria, dia tidak mahu lagi mengenang semua kisah lalu yang pernah berlaku kepadanya dan terus optimis terhadap kehidupan dan kerjayanya sebagai pelakon.

Dia senang dengan kehidupannya kini di samping anak tunggalnya iaitu Mizan Ashley yang berusia 15 tahun.

"Semua kisah lama tidak perlu diingat kerana ia telah menjadi sejarah. Apa yang penting kita belajar daripada kesilapan dan cuba memperbaiki diri untuk lebih berjaya," katanya.

Dalam pada itu, bercerita mengenai kerjayanya, Maria berkata dia lebih selektif terhadap tawaran berlakon yang diterima bersesuaian dengan usianya.

Maria berkata, dia perlu berbuat demikian kerana tidak mahu membawa watak yang tidak sesuai dengan usianya selain ingin memberikan tumpuan kepada kehidupan peribadinya.

"Bukannya saya berlagak atau 'demand' tetapi usia saya kini mungkin tidak lagi sesuai untuk peranan wanita muda atau perempuan jahat.

"Jadi perlu lebih memilih supaya lakonan itu tidak nampak pelik dan dapat diterima oleh penonton," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Maria berkata dia juga mengehadkan projek yang diterimanya kerana bimbang gagal menyempurnakan amanah yang diberikan.

Ujar Maria, dia hanya mengambil satu tawaran setiap bulan dan melunaskannya sebelum menerima tawaran lain.

"Usia begini selalu penat dan tak dapat nak kejar semua benda dalam satu masa. Sebelum menimbulkan masalah lebih baik saya buat satu perkara itu mengikut kemampuan saya," katanya.

Lakonan terbaru Maria boleh ditonton menerusi drama bersiri berjudul Pesona Kasih di TV1 setiap hari Khamis pukul tiga petang.

Luar jangkaan

Posted: 10 Apr 2012 09:45 PM PDT

pix_gal0
Maya, Fasha janji pamer lakonan lebih hebat puaskan hati peminat

PENANGAN Ombak Rindu sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Mana tidaknya, bukan setakat penyanyi runut bunyi filem itu, Hafiz, membawa pulang trofi Penyanyi Lelaki Popular, malah dua pelakon utamanya, Aaron Aziz dan Maya Karin, masing-masing berjaya menjulang pulang trofi bagi kategori Pelakon Filem Popular.Aaron juga dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita (ABPBH) 2011, yang berlangsung penuh gemilang di Arena of Stars, Genting Highlands, 8 April lalu.saya juga sangat bersyukur dan berpuas hati dengan kemenangan ini. Saya berasakan, tahun ini amat menarik bagi perjalanan kerjaya seni saya. Walaupun tahun lalu saya tidak banyak berlakon, tapi rezeki tetap berpihak kepada saya. Semua ini memang di luar jangkaan. - Maya Karin Maya yang ditemui di belakang pentas sejurus diumumkan pemenang dengan mengetepikan empat finalis lain, Diana Danielle, Eja, Lisa Surihani dan Yana Samsudin, mengaku kemenangannya disebabkan impak watak Izzah yang dijayakannya.

"Saya berterima kasih kepada penerbit dan pengarah Ombak Rindu kerana menghasilkan skrip dan naskhah yang begitu hebat, sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada orang ramai. Ombak Rindu filem yang hebat dan sudah memenangi hati ramai orang, sehinggakan saya sendiri jatuh hati pada naskhah berkenaan.

"Saya sangat gembira dengan kemenangan ini, dan sememangnya saya berdebar saat Syamsul Yusof ingin mengumumkan pemenang. Nasib baik dia menyebutnya dengan cepat. Lega rasanya apabila semuanya berlalu dengan pantas.

"Pada masa sama, saya juga sangat bersyukur dan berpuas hati dengan kemenangan ini. Saya berasakan, tahun ini amat menarik bagi perjalanan kerjaya seni saya. Walaupun tahun lalu saya tidak banyak berlakon, tapi rezeki tetap berpihak kepada saya. Semua ini memang di luar jangkaan," katanya sambil menyifatkan, 2012 ialah tahun yang bagus buat kerjayanya apabila menerima paling banyak tawaran.
Melihat pencapaiannya itu, Maya akui dia agak cerewet dalam memilih watak serta karakter yang akan dibawanya selepas ini. Dia mahu watak dilakonkan olehnya mampu meninggalkan impak mendalam.

Cintanya yang kuat terhadap lakonan pastinya akan memacu wanita jelita ini lebih jauh dalam dunia seni tempatan, apatah lagi dengan kejayaan yang baru dikecapi, tentu membuatkan Maya ingin memberikan persembahan lebih baik buat peminat.

Inilah kejayaan ketiga Maya menggenggam trofi Pelakon Filem Wanita Popular selepas dia melakukannya pada ABPBH2005 dan ABPBH2008.

Sementara itu, Pelakon TV Wanita Popular, Fasha Sandha menganggap kemenangan kali ini sebagai hadiah terindah buat hari jadinya yang ke-28, begitu juga buat perkahwinannya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Kata Fasha, kejayaan pada ABPBH2011 sememangnya di luar jangkaan. Malah dia langsung tidak menyediakan sebarang teks ucapan kerana berasakan, peluangnya untuk menang agak tipis berbanding tahun sebelumnya.

"Saya bersyukur sangat dan inilah yang dikatakan rezeki. Kemenangan ini juga hadiah paling bermakna untuk saya dan semua peminat yang mengundi. Saya ingatkan, saya hanya datang sebagai penonton. Tapi tidak sangka saya akan membawa pulang trofi lagi pada tahun ini.

"Semestinya saya akan membuat yang lebih baik sebagai penghargaan kepada peminat yang setia memberikan sokongan. Sejujurnya, saya tidak pernah puas hati dengan diri sendiri, oleh itu anugerah ini memangkin semangat saya untuk berusaha lebih kuat pada masa akan datang," katanya yang mengungguli kategori sama pada ABPBH2005, 2006 dan 2010.

Fasha juga pernah memenangi trofi Pelakon Filem Wanita Popular pada ABPBH2006 dan 2007.

Impak Hatimu Milikku

Posted: 10 Apr 2012 09:42 PM PDT

Nera
Nera

GOSIP ini sudah lama bertebaran cuma ia belum pernah diperjelaskan oleh gadis cantik yang dipilih sebagai penghias muka depan Rentak Artis Popular (RAP) hari ini.

Perihal yang lama membungkam itu menyorot kisah mistik yang membelenggu persekitaran hidupnya. Nera dikatakan mewarisi saka dan terikat dengan pantang larang di mana jika dia berkeinginan memotong rambut, hal itu harus dilakukan di kubur nenek moyangnya.

  • Foto

  • Foto

Terbeliak bebola matanya saat mendengar perkhabaran itu sebelum menafikan.

"Gosip itu mengarut! Saya tidak pernah mendengar gosip itu sebelum ini dan ini adalah kali pertama saya diajukan mengenainya. Jika ada yang mendakwa bintang Akademi Fantasia (AF) 9 yang mempunyai saka itu adalah saya, rasanya mereka mungkin tersalah orang atau terdengar khabar angin yang belum tentu benar.


"Apa yang pasti, keluarga saya tidak mempunyai saka dan tidak mempercayai amalan sebegitu. Kalau ada yang tidak percaya, bolehlah ke salun rambut yang sering saya kunjungi."Yang pasti bukan di kubur (ketawa). Saya penakut, tak mungkin saya memotong rambut di kubur," tegasnya.

Kehadirannya di pejabat RAP Jumaat lalu bukan sekadar untuk memperjelaskan isu berkenaan, sebaliknya usaha menjejak gadis 20 tahun kelahiran Likas, Sabah itu lebih sebulan yang lalu lantaran namanya semakin menjadi sebutan ramai seiring single pertamanya, Hatimu Milikmu yang mendaki carta dan menggila putarannya di radio.

Akui pemilik nama cukup indah, Queennera Francine Francis Kitingon, Hatimu Milikku membawa makna besar dalam hidupnya sehingga mula merasakan kehangatan bergelar artis.

"Sejauh mana lagu itu membawa nama Nera? Rasanya setinggi Kota Kinabalu (ketawa) kerana walaupun AF9 sudah lama berakhir, lagu itulah yang membuatkan sampai hari ini orang masih kenal Nera.

"Mana-mana Nera pergi pasti ada yang memperkatakannya. Nera sangat bersyukur kerana Astro memberi kepercayaan kepada Nera untuk menyanyikan lagu itu malah Nera turut rasa berbangga dapat bekerjasama dengan komposer yang berkebolehan seperti Kuncidemak.

"Nera sukakan lagu-lagu tulisannya dan salah satu daripadanya adalah Ombak Rindu. Kerana lagu Hatimu Milikku juga sedikit demi sedikit pandangan orang terhadap Nera mula berubah. Sewaktu di AF9 dulu ramai yang mendakwa Nera hanya menjual rupa selain merendah-rendahkan vokal Nera.

"Rezeki lagu berkenaan, sekarang Nera berpeluang membuat pelbagai persembahan dan melaluinya Nera gunakan untuk membuktikan kemampuan. Kalau bolehlah, Nera mahu merakamkan semula lagu itu untuk memberi penghayatan yang lebih baik.

"Masa rakamannya dibuat, Nera masih di AF9. Dalam keadaan sangat letih, sakit tekak serta kurang persediaan Nera merakamkan lagu itu dan ia juga adalah pengalaman pertama Nera masuk studio," katanya.

Besarnya impak lagu Hatimu Milikku sehingga namanya dicalon dalam kategori Artis Wanita Popular Online yang diperkenalkan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011, berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, Ahad lalu.

Mengakui AF9 adalah pertandingan nyanyian terbesar pernah disertainya, anak sulung daripada dua beradik itu adalah pemenang tempat kedua dalam pertandingan Miss Earth-Water Sabah 2010. Pertandingan bersempena Pesta Menuai itu, dalam bahasa orang Sabah dipanggil Pertandingan Unduk Ngadau.

Menuntut penuntut tahun akhir jurusan Diploma In Tourism di Asian Tourism International College, yang bercita-cita menjadi pramugari semasa kecilnya tekad untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang.

"Ikutkan ini tahun akhir Nera tetapi kerana bercuti satu semester ketika menyertai AF9 tahun lalu, pengajian Nera berbaki satu tahun lagi. Kesibukan sebagai pelajar juga membataskan aktiviti nyanyian Nera namun tetap berusaha memenuhi jika kelapangan.

"Boleh dikatakan hampir setiap bulan Nera akan turun ke Kuala Lumpur untuk memenuhi sesi fotografi, rakaman program, undangan persembahan serta promosi yang diaturkan pihak Astro.

"Apapun jua yang Nera lakukan sekarang ini, pelajaran tetap di tangga pertama.
Nera mahu menjadi artis yang berilmu bukan sekadar berbakat atau rupa saja.
Ilmu bagi Nera adalah jaminan masa depan yang tidak boleh dijual beli," katanya.

Masih dalam proses membiasakan diri dengan kehidupan glamor sebagai artis, akui Nera kebebasannya kini terbatas. Kadang-kadang di kuliah juga dia berasa aneh apabila teman-teman yang dulunya menyapa dengan panggilan Queen kini memanggilnya Nera.

"Dulu kawan-kawan panggil Queen. Tetapi sekarang semua menyapa dengan nama Nera. Memang rasa janggal namun, paling penting sama ada Queen ataupun Nera, orangnya tetap sama tidak pernah berubah walau seinci pun," katanya.

Barangkali ramai yang tidak tahu Nera adalah anak saudara kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Panglima Joseph Pairin Kitingan. Bapa Nera adalah adik kandung kepada tokoh politik itu.

Walaupun, nama keluarga sangat berpengaruh di Sabah, Nera lebih gemar menjalani kehidupan dengan penuh kesederhanaan.

"Nera tidak pernah membangga-banggakan latar belakang keluarga tetapi ada kalanya tidak boleh disorok kerana Kitingan itu adalah nama keluarga kami.

"Pun begitu, terus-terang Nera lebih senang memilih kehidupan seperti orang kebanyakan dan bersederhana dalam serba-serbi. Cara amalan orang tua Nera juga tidak mewah, biasa-biasa saja," katanya.



Trivia Nera

  • HOBI...Menyanyi dan membaca

  • CIRI-CIRI PERIBADI...Sederhana, gembira, emosional, lembut hati dan sayang haiwan

  • KELEMAHAN...Sambil lewa dan suka fikir negatif

  • TIDAK PERNAH JEMU MAKAN...Spaghetti

  • KALAU DAHAGA CARI AIR...Teh lemon

  • SUKA DENGAR MUZIK...Jazz

  • SANGAT MEMINATI PENYANYI...Jaclyn Victor, Stacy AF, Siti Nurhaliza, Celine Dion dan John Legend

  • SUKA MENONTON LAKONAN...Hans Isaac, Baim Wong, Linda Jasmay dan Marsha Londoh

  • MERONTA HENDAK KE PANGGUNG WAYANG...Untuk menonton filem Harry Potter

  • RASA CERIA BILA MEMAKAI WARNA...Merah jambu , putih dan coklat
  • Dengarnya... Zed ada masalah peribadi dengan Aaron ke?

    Posted: 10 Apr 2012 09:41 PM PDT

    SEBELUM Cik Normah membebel panjang lebar mengenai sikap kebudak-budakan seorang pelakon ini, Cik Normah ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 yang melabuhkan tirainya malam Ahad lalu.

    Seronok melihat penonton serta pembaca akhbar tempat Cik Normah bekerja ini gembira dan terhibur dengan persembahan yang kami sajikan. Walaupun ada cacat-cela di sana sini, tapi tak kisahlah itu. Dalam hidup ini mana ada yang sempurnakan? Macam orang selalu kata, yang baik datang dari Tuhan, yang buruk datang daripada diri kita sendiri. Tapi ada juga yang perasan dirinya selalu sempurna dan orang lain semua tak bagus. Contohnya, apabila seorang pelakon memburukkan artis lain di laman sosial miliknya. Terkejut Cik Normah apabila membaca Twitter milik pelakon Zed Zaidi yang secara terang-terangan mempertikaikan kemenangan aktor Aaron Aziz sebagai Bintang Paling Popular ABPBH2011.Meskipun tidak menulis nama Aaron, tapi rasanya semua orang tahu siapakah orang yang dimaksudkannya itu. Bukan main lagi Zed menyindir dengan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mengundi pelakon itu.

    Lebih mengejutkan Cik Normah apabila Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) itu menyifatkan tindakan peminat seperti menggalakkan artis luar merosakkan industri seni tempatan.

    Apa yang dimaksudkan Zed dengan merosakkan industri seni tempatan? Cik Normah hendak tanya pada Zed, tidakkah dia membuat kaji selidik terlebih dulu sebelum membabi buta mengeluarkan kenyataan?

    Seandainya Zed terlupa, cuba semak balik susur galur sejarah pelakon kita yang hebat-hebat zaman dulu, semuanya berasal dari Studio Jalan Ampas, Singapura. Jadi, apa masalahnya dengan status kewarganegaraan dengan industri seni? Masing-masing nyata hendak hidupkan lagi industri seni hiburan Melayu.
    Datuk M Nasir, yang juga warga Singapura pernah memenangi anugerah itu sebelum ini. Apakah dia seorang yang merosakkan industri seni tempatan seperti yang didakwa? Kalau iya pun dia ada masalah peribadi dengan Aaron, tak perlulah sampai melemparkan tuduhan seperti itu. Tak baik! Lagipun kemenangan Aaron diputuskan peminat dan pada pandangan Cik Normah, dia memang layak berdasarkan fenomena yang diciptanya itu.

    Cik Normah rasa, tak perlulah nak diperbesarkan perkara kecil seperti ini. Sudahlah industri kita tak sebesar mana, tak ada kerja lain asyik nak bermasam muka. Cik Normah risau pula nanti bila benda ini menjadi kecoh, akan ada sidang media dari pihak Seniman menuduh media pandai-pandai membuat cerita palsu seperti yang berlaku sebelum ini.

    Pesan Cik Normah, henti-hentikanlah membuat gimik murahan seperti ini kerana popular dengan cara sebegini lazimnya jangka hayat dalam industri tak lama. Okay, bye!

    Seramai 5.3 juta tonton ABPBH2011

    Posted: 10 Apr 2012 09:39 PM PDT

    • Foto

      PERSEMBAHAN Azlan dan Ziana Zain memukau penonton.

    • Foto

      GANDINGAN Black dan Najwa Latif.

    Finalis, artis persembahan buat penonton melekat depan TV

    KEGEMILANGAN Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 yang berlangsung Ahad lalu terbukti apabila acara kemuncak yang dipancarkan secara langsung menerusi TV3 meningkat sehingga 5.3 juta penonton antara jam 10.50 hingga 11 malam.Secara purata, ABPBH 2011 yang menyaksikan gabungan penyanyi hebat seperti Datuk M Nasir, Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Ziana Zain, Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Alyah dan ramai lagi itu mencatat 4.7 juta tontonan.Tahun lalu, ABPBH mencatat sebanyak 4 juta. Peningkatan berkenaan sekali gus membuktikan acara berprestij yang memasuki usia 25 tahun penganjurannya kian matang dan semakin mendapat tempat di hati peminat industri hiburan tanah air.

    Kredit seharusnya diberikan kepada barisan artis yang menjayakan persembahan pada malam itu apabila masing-masing berlumba-lumba memberikan persembahan terbaik bagi menghangatkan lagi acara kemuncak yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands itu.

    Bagaimanapun, populariti finalis juga tidak harus diketepikan. Mereka antara sebab utama penonton melekat di depan kaca televisyen, bagi mengetahui siapa yang pulang dengan trofi yang menjadi rebutan ramai terbabit.

    Sementara itu, kemenangan yang diraih lebih awal pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-26 yang berlangsung Januari lalu, dilihat mempengaruhi kuasa undian peminat apabila Hafiz Suip yang dijulang sebagai pemenang vokal dan juara keseluruhan menerusi lagu Awan Nano sekali lagi mencatat gemilang apabila peminat memilihnya sebagai Penyanyi Lelaki Popular.
    Selain Hafiz, turut mengulangi kejayaan pada malam itu ialah penyanyi lagu Tiga Suara, Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah, apabila pemenang Naib Juara AJL26 itu membawa pulang trofi Penyanyi Duo/Berkumpulan Popular.

    Bukan saja AJL memberi impak kepada keputusan undian peminat, populariti filem drama romantis arahan Osman Ali yang berjaya mengutip kira-kira RM11 juta turut membawa tuah kepada tunjang utamanya, Aaron Aziz dan Maya Karin.

    Ketampanan dan lakonan berkesan Aaron sebagai Hariz melayakkan pelakon berasal dari Singapura itu membawa pulang trofi Pelakon Filem Lelaki Popular dan Bintang Paling Popular, manakala Maya Karin dengan trofi Pelakon Filem Wanita Popular.

    Rahsia lokasi majlis

    Posted: 10 Apr 2012 09:37 PM PDT

    SIAP...kad jemputan perkahwinan Fasha dan Rizal Ashram sedia untuk diedarkan.
    SIAP...kad jemputan perkahwinan Fasha dan Rizal Ashram sedia untuk diedarkan.

    KUALA LUMPUR: Majlis perkahwinan pelakon Fasha Sandha, 28, dengan Toh Muda Rizal Ashram Ramli akan diadakan di sebuah hotel di ibu negara pada 27 April ini, sebagaimana tercatat dalam kad undangan perkahwinannya yang akan mula diedarkan dalam masa terdekat.

    Fasha yang dinobatkan Pelakon TV Wanita Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) buat kali keenam, Ahad lalu berkata, majlis perkahwinannya akan diadakan secara tertutup membabitkan anggota keluarga serta kenalan rapat sahaja.


    "Majlis ini kami lakukan secara tertutup membabitkan 300 jemputan termasuk keluarga dan teman rapat saja. Saya bersyukur dengan segala limpahan rezeki dan alhamdulillah akhirnya apa yang kami rancang dapat juga direalisasikan.

    "Kad undangan kahwin sudah pun siap dan insya-Allah ia akan diedarkan tidak lama lagi, tapi saya minta maaf kerana masih tidak dapat memberitahu lokasi majlis diadakan kerana saya menghormati permintaan ibu bapa Rizal dan ibu bapa saya," katanya kepada Harian Metro, semalam.


    Awal bulan lalu, Fasha selepas sekian lama berteka-teki, akhirnya mengesahkan mengenai perkahwinannya dengan Rizal selepas gambar mereka berdua menghadiri kursus perkahwinan tersebar di portal berita hiburan di Internet.


    Namun, ketika itu pelakon yang baru pulang dari Paris selepas selesai penggambaran drama Seindah Sakura, masih enggan memaklumkan mengenai tarikh perkahwinan mereka.

    Sementara itu, Rizal ketika ditanya perasaannya menjelang persiapan majlis perkahwinan mereka berkata, dia hanya inginkan sebuah majlis sederhana, tetapi meriah.


    "Persiapan kami lakukan perlahan-lahan memandangkan jadual kerja masing-masing yang padat namun alhamdulillah semuanya hampir selesai. Insya-Allah kami akan mengedarkan kad dalam masa terdekat," kata usahawan berusia 36 tahun yang menyifatkan Fasha seorang wanita yang melengkapkan hidupnya.Ketika ditanya mengenai khabar angin mengatakan pasangan glamor ini akan mengadakan majlis resepsi gilang gemilang sama ada di Jakarta atau Pulau Bali, Indonesia pada Jun depan, Rizal berkata: "Biarlah kita lakukan mana yang wajib dulu. Majlis bersanding atau majlis lain kemudian," katanya.

    Tasha Shila atasi Neelofa, Izara

    Posted: 10 Apr 2012 09:35 PM PDT

    Tasha Shila atasi Neelofa, Izara

    Mula dikenali melalui drama Gemilang pada awal 2011, Tasha Shila kini melangkah lebih setapak memperjuangkan bidang lakonannya setelah diangkat sebagai Artis Baru Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular (ABP2011) yang berlangsung Ahad lalu.

    Kemenangan dalam menyandang gelaran Artis Baru Wanita Popular sememangnya tidak pernah dijangka olehnya kerana pelakon seperti Neelofa dan Izara Aishah yang merupakan saingan hebat turut tercalon dalam kategori sama.

    Sebelum diumumkan sebagai pemenang, anak jati Kuala Lumpur ini mengatakan tidak pernah meletakkan harapan tinggi untuk memenangi anugerah tersebut.

    Bagaimanapun, pelakon yang senang dipanggil Tasha ini mengakui kejayaan yang diperoleh kali ini hasil usaha keras peminat yang sering memberi sokongan dan dorongan yang tidak pernah putus.

    "Saya memang tidak sangka dengan kemenangan ini. Tapi ianya tidak mustahil kerana kemenangan ini bergantung kepada undian peminat sepenuhnya.

    "Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada peminat yang sering memberi sokongan dan mengundi saya sehingga berjaya memenangi anugerah ini. Kemenangan ini terlalu berharga buat saya dan amat membantu saya meneruskan karier ini dengan lebih baik.

    Menurutnya, kemunculan lakonannya yang bermula pada 2011 menerusi beberapa drama dan telefilem ternyata membuahkan hasil apabila berjaya merangkul gelaran Artis Baru Wanita Popular ini.

    "Selepas ini saya akan lebih bekerja keras dalam memastikan kemenangan ini berbaloi dan sebagai tanda terima kasih saya kepada peminat yang menjadi inspirasi dan tulang belakang saya.

    "Tanpa sokongan mereka, saya akui agak sukar untuk mencapai kejayaan yang sudah saya peroleh hari ini," katanya.

    Lebih selektif

    Mengakui masih lagi hijau dalam bidang lakonan, pelakon yang lebih mesra dipanggil Tasha ini, mengatakan mahu lebih selektif dalam memilih watak yang ditawarkan kepadanya.

    Menurut Tasha, keputusan yang diambil tidak ada kaitan dengan kemenangannya pada ABP2011, malah dia mengatakan tindakan itu diambil semata-mata untuk memelihara kariernya sebagai seorang pelakon yang berkebolehan.

    "Sebelum ini saya kerap diberi watak antagonis dan saya tidak mahu ianya berterusan kerana risau peminat akan bosan dengan lakonan saya yang hanya diberi watak yang sama.

    "Saya mahu lakukan pembaharuan dalam lakonan dan lebih selektif dalam menerima watak yang diberi kepada saya. Kalau boleh saya mahu lebih versatil dengan lakonan supaya lakonan saya dapat memberi impak kepada penonton," ujarnya.

    Pelakon berusia 25 tahun ini mengatakan, kemenangannya itu dianggap sebagai satu tanggungjawab yang diberi kepadanya untuk lebih serius terhadap karier diceburinya.

    "Saya ada menerima tawaran lakonan beberapa drama dan sebuah filem, tetapi buat masa ini saya masih meneliti tawaran tersebut.

    "Saya mahu lakukan yang lebih baik untuk memantapkan lagi lakonan saya sekali gus dapat memberi kesan yang lebih besar kepada penonton," katanya.

    Sementara itu, Tasha memberitahu, dia bakal muncul dalam telefilem dan drama Friday I'm In Love, Takdir Yang Tertentu dan Landasan Cinta yang akan disiarkan di kaca televisyen tidak lama lagi.

    Ke peringkat antarabangsa

    Apabila ditanya hala tuju dan perancangan masa depannya, Tasha berkata, dia ingin mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan ke peringkat luar negara.

    Menurutnya, cita-citanya itu memerlukan kerja keras dan sokongan padu daripada peminat untuk merealisasikannya kerana mengakui ianya tidak mudah untuk dicapai.

    "Kalau Yuna boleh bawa bidang nyanyiannya ke peringkat antarabangsa, saya juga mahu harumkan nama negara dengan lakonan saya ke peringkat yang sama," katanya.

    "Selama bergelar seorang pelakon, saya tidak pernah berputus asa walaupun terpaksa menjalani pelbagai cabaran demi mencapai kejayaan dalam bidang lakonan ini. Selagi terdaya, saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk menjadi seperti yang saya impikan," katanya.

    Rozita nafi manipulasi Zain

    Posted: 10 Apr 2012 09:35 PM PDT


    MESRA. Rozita diiringi Zain pada acara karpet merah majlis Anugerah Bintang Popular 2011, Ahad lalu.


    AKTRES popular, Rozita Che Wan, 38, tidak pernah sunyi daripada kontroversi dikaitkan dengan lelaki. Selepas seorang lelaki, seorang lelaki lain pula dikaitkan bercinta dengan dirinya.

    Di sebalik sering dikaitkan dengan lelaki muda termasuk Shahir AF7 dan Zain Saidin, terbaharu kecoh seketika dunia seni tempatan apabila ibu tunggal kepada dua orang anak lelaki itu dikatakan telah bernikah dengan suami penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza iaitu Datuk Khalid Muhammad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K.

    Biarpun Rozita, Siti Nurhaliza dan Datuk K masing-masing sudah mengeluarkan kenyataan sebelum ini bahawa perkara itu tidak benar sama sekali, namun persoalan itu masih menjadi perbualan hangat masyarakat.

    Pada majlis Anugerah Bintang Popular 2011 yang berlangsung di Genting Highlands, Pahang malam Ahad lalu, Rozita dilihat intim di samping aktor muda yang sering digosip dengannya, siapa lagi kalau bukan Zain Saidin. Mereka dilihat beriringan mesra pada acara karpet merah.

    Malah, selepas sahaja tamat majlis tersebut Rozita dikatakan terus pulang untuk mengejar penerbangan ke Itali untuk bercuti. Mungkinkah untuk melarikan diri daripada pihak media?

    Ikuti temu bual Kosmo! bersama Rozita semalam menerusi telefon sewaktu aktres jelita itu sedang berada di Monte Carlo, Monaco.

    Kosmo!: Pada majlis Anugerah Bintang Popular 2011 baru-baru ini, adakah Rozita memang sudah rancang untuk berpasangan dengan Zain pada acara karpet merah? Siapa yang ajak siapa terlebih dahulu?

    ROZITA: Gandingan saya dengan Zain untuk acara karpet merah majlis Anugerah Bintang Popular 2011 Ahad lepas sememangnya sudah dirancang sebab saya tanya Zain, dia membuat penampilan pada acara itu dengan siapa? Jadi apabila dia mengatakan tidak mempunyai teman dan saya pun seorang diri, lalu saya ajak dia untuk mengiringi saya pada acara tersebut. Sekurang-kurangnya saya tidaklah tampil seorang diri pada acara karpet merah itu.

    Adakah Rozita sengaja memilih Zain untuk mengiringi pada acara karpet merah majlis Anugerah Bintang Popular itu kerana ingin menutup gosip bernikah dengan Datuk K?

    Saya tiada niat apa-apa pun. Rasanya tidak perlu dijadikan sebarang kontroversi apabila saya berpasangan dengan Zain pada acara karpet merah sebab umum mengetahui saya dengan Zain memang rapat, tidak ada yang pelik. Lainlah kalau tiba-tiba saya muncul pada acara karpet merah dengan Remy Ishak, mesti semua orang pelik (ketawa).

    Sebelum ini sudah ada gosip mengaitkan Rozita dan Zain, kenapa Rozita berani menunjukkan hubungan yang rapat itu secara terbuka?

    Sama ada secara terbuka atau sorok-sorok, saya dengan Zain memang baik, jadi tidak ada apa yang perlu kami sorokkan.

    Melihat rentetan gosip cinta Rozita yang terdahulu sehingga kini, adakah Rozita memang suka lelaki yang lebih muda?

    Suka atau tidak, saya cuma selesa dengan lelaki bujang.

    Apa pula kata anak-anak Rozita apabila ibu mereka rapat dengan Zain?

    Anak-anak saya kenal siapa kawan ibu mereka, jadi tiada apa yang perlu dibimbangkan tentang hal itu.

    Kenapa pada majlis Anugerah Bintang Popular 2011 Rozita pulang awal, adakah kerana bimbang dikejar pihak media?

    Saya pulang awal kerana saya perlu berada di lapangan terbang pada pukul 10.30 malam kerana saya ada penerbangan ke Itali pada malam itu juga.

    Percutian ke Itali ini sudah lama dirancang atau Rozita bercuti untuk tenangkan fikiran kerana gosip bernikah dengan Datuk K?

    Saya memang sudah lama rancang percutian bersama keluarga. Saya tidak pergi sendirian tetapi bersama ibu, dua adik saya, Ayu Raudhah dan Rubytah, Lan Pet Pet (suami Rubytah) serta seorang kakak saya. Kami semua akan berada di Itali selama dua minggu.

    Gosip (berkahwin dengan Datuk K) yang tidak berasas pada saya bukan isu besar walaupun itu adalah fitnah yang memalukan saya. Diharapkan orang ramai faham bahawa saya yang menjadi mangsa keadaan.

    Orang yang memfitnah saya bernikah dengan Datuk K itu perlu bertanggungjawab. Jika orang yang menabur fitnah itu tidak ada rasa bersalah kerana memfitnah saya sekurang-kurangnya dia perlu rasa bersalah dengan Allah kerana dosanya itu.

    Watie (Elite) Mahu Timang Anak Tahun Depan

    Posted: 10 Apr 2012 09:33 PM PDT

    Watie (Elite)

    PETALING JAYA: Pelakon Norwati Sadali (Watie Elite) dan suaminya, Zulkifli Daud (Joey) merancang untuk menimang cahaya mata pada tahun hadapan.

    Watie berkata, dia dan Joey buat masa ini ingin memberi tumpuan kepada rumah tangga terlebih dahulu sebelum menerima kehadiran orang baru dalam keluarga mereka.

    "Insya-Allah tahun depan nak timang anak jika diberikan rezeki kerana tahun ini nak 'honeymoon' dulu dengan suami.

    "Bagaimanapun kalau dapat awal kami terima dengan gembira," ujarnya kepada mStar Online.

    Sebelum ini, Watie dan Joey dilaporkan bernikah secara senyap pada penghujung tahun lalu sebelum membuat pengakuan rasmi kepada pihak media.

    Majlis yang diadakan secara ringkas itu dihadiri oleh keluarga terdekat masing-masing.

    Tambah Watie, dia gembira dengan kehidupannya kini dan Joey telah banyak berubah dari segi sikap dan lebih peka terhadap keadaan sekeliling.

    Watie berkata, Joey juga turut rapat dengan anak lelakinya iaitu Ahmad Afif Danial, 6, dan mereka sering menghabiskan masa bersama.

    "Keputusan untuk menerima Joey dalam hidup saya adalah kerana anak saya dapat menerimanya dengan baik dan dia cukup pandai mengambil hati kanak-kanak.

    "Malah mereka kini tidak boleh dipisahkan dan kadang kala saya pula yang berjauh hati," ujarnya.

    Dalam pada itu, Watie berkata, dia dan suaminya akan mengadakan majlis resepsi perkahwinan mereka di Bangi, Selangor pada bulan Mei nanti untuk pihak media dan ahli keluarga terdekat sahaja.

    "Pada majlis itu nanti boleh kami jelaskan perkara sebenar mengenai hubungan kami kepada pihak media," ujarnya.

    Pun begitu, tarikh sebenar majlis berkenaan masih belum ditetapkan.

    Sementara itu, Watie berkata dia masih aktif berlakon dan bersyukur rezekinya masih ada walaupun sudah berkahwin.

    Malah dia juga turut menerima banyak undangan nyanyian untuk majlis-majlis tertutup pada hujung minggu.

    "Alhamdulillahlah rezeki masih diberikan Allah kepada saya dan suami untuk meneruskan kehidupan. Paling saya tak sangka banyak pula undangan nyanyian semenjak berkahwin ni," katanya.

    Dr Siti Hasmah Dipujuk Setahun Untuk Terlibat Dalam Teater

    Posted: 10 Apr 2012 09:32 PM PDT

    Dari kiri: Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan dan Adlin Aman Ramli.

    KUALA LUMPUR: Pihak produksi Teater Tun Dr Siti Hasmah mengambil masa setahun untuk memujuk bekas isteri Perdana Menteri ke empat itu bagi mendapat persetujuan daripadanya untuk mengadakan pementasan berkenaan.

    Pengerusi World Islamic Network Television Sdn Bhd, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan berkata, kesukaran mendapat persetujuan daripada Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali itu adalah disebabkan beliau merasakan tiada perkara menarik mengenai dirinya untuk dipentaskan buat tatapan umum.

    "Bukan sukar untuk mendapat kerjasama daripadanya tetapi beliau adalah seorang wanita yang cukup pemalu dan merendah diri merasakan tiada benda menarik untuk dipaparkan.

    "Bagaimanapun selepas melihat kesungguhan kami di pihak produksi, beliau bersetuju. Malah beliau memberi kebenaran untuk menggunakan barang peribadi miliknya seperti baju, perhiasan untuk kegunaan pementasan itu nanti," ujarnya kepada mStar Online.

    Tun Siti Hasmah

    Khairuddin yang juga suami kepada pelakon Datin Umie Aida ditemui pada majlis sidang akhbar teater itu di sini pada Selasa.

    Teater Tun Siti Hasmah bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 30 Ogos sehingga 8 September depan.

    Dalam pada itu, Khairuddin berkata, teater itu nanti akan mengupas mengenai sisi Siti Hasmah sebagai seorang wanita, ibu dan isteri kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Katanya, tujuan pementasan ini diadakan adalah untuk menghargai jasa wanita tersebut yang turut banyak menyumbang kepada pembangunan negara terutamanya dalam bidang kebajikan.

    "Sebelum ini, banyak teater yang diadakan untuk menghargai Tun Mahathir tetapi tidak kepada isterinya.

    "Jadi penerbitan teater ini adalah sebagai salah satu tanda penghargaan kepadanya atas sumbangan beliau selama ini," ujarnya.

    Sementara itu, pengarah dan penulis skrip teater berkenaan, Adlin Aman Ramlie berkata, pementasan itu nanti akan membawa penonton menyusuri sisi lain bekas wanita pertama negara itu dengan mengangkat pelbagai peristiwa yang tidak pernah diketahui oleh umum sebelum ini.

    Adlin bagaimanapun memberitahu, dia masih di peringkat awal menghasilkan draf skrip teater itu sebelum dibentangkan kepada Siti Hasmah untuk mendapatkan persetujuannya selain melakukan penambahbaikan terhadap skrip akhir nanti.

    "Banyak peristiwa menarik mengenai diri beliau yang ingin ditonjolkan dalam pementasan itu nanti dan Tun memberikan kebebasan kepada kami untuk memilih apa yang terbaik untuk teater itu.

    "Bagaimanapun pihak kami akan membentangkan skrip tersebut kepadanya bagi mendapatkan restu," ujarnya.

    Tambah Adlin, selain Siti Hasmah, pihaknya mendapat maklumat dan kajian mengenai diri beliau daripada ahli keluarga, sahabat karib selain fakta dari Arkib Negara.

    Ditanya mengenai pemilihan pelakon, Adlin memberitahu, pihak produksi sebulat suara memilih Erra Fazira bagi mendukung watak utama.

    Adlin berkata, Erra yang telah berpengalaman dalam menyelidik personaliti Siti Hasmah dilihat calon paling sesuai untuk memegang peranan itu.

    "Maklum mengetahui Erra sebelum ini pernah memegang watak beliau dalam pementasan teater Tun Dr Mahathir sebelum ini dan dia adalah calon paling sesuai.

    "Tambahan pula, beliau adalah seorang yang pendiam dan pemalu jadi agak sukar memahami karakternya dan untuk Erra itu tidak menjadi masalah kerana dia pernah mengkaji personaliti Tun Hasmah," katanya.

    Adlin berkata mereka turut bercadang untuk mengambil pelakon, Aaron Aziz sebagai watak Dr Mahathir tetapi masih di peringkat perbincangan.

    "Selain Erra, nama-nama lain masih belum diputuskan untuk terlibat sama dalam teater ini kerana pihak kami masih membuat pilihan berdasarkan watak," katanya.

    Dalam perkembangan sama, Adlin berkata pihaknya yakin teater ini akan mendapat sambutan daripada para peminat yang kebanyakannya memang ternanti-nantikan kemunculan sebuah teater yang mengangkat kisah hidup wanita yang digelar 'ibu' oleh rakyat Malaysia.

    Penganjur Bimbang Penganjuran 'Metal Camp' Dapat Tentangan

    Posted: 10 Apr 2012 09:31 PM PDT

    PETALING JAYA: Syarikat THY Sindicate dan Nebiula Production berasa bimbang konsert yang bakal dianjurkan mereka iaitu Metal Camp pada 29 April ini ditentang oleh segelintir pihak.

    Wakil penganjurnya, Amir Hamzah Arshad berkata, berdasarkan pengalaman penganjuran konsert yang lalu, terdapat golongan yang anti muzik metal muncul dengan membuat kecaman kononnya ia boleh merosakkan masyarakat terutamanya yang beragama Islam.

    "Saya harap, perkara seperti kecaman atau tentangan tidak akan berlaku kerana ia boleh menjejaskan perjalanan persiapan konsert.

    "Lagipun muzik metal bukanlah satu perkara yang negatif untuk disukai. Lihatlah sejarah konsert metal yang terdahulu, kami tidak menimbulkan sebarang masalah.

    "Yang penting pihak kami dapat menghiburkan para penonton dan pada masa sama dapat menyampaikan mesej berguna menerusi lirik-lirik lagu yang disampaikan itu," katanya pada sidang akhbar konser Metal Camp di Restoran Switchblade, di sini, Selasa.

    Konsert Metal Camp yang merupakan penganjuran kelima itu bakal tampil dengan kumpulan-kumpulan metal tempatan seperti Koffin Kanser, Bloodshed, Infectious Maggots, Sarjan Hassan, Hayagriva dan Lobotomy.

    Menarik mengenai konsert kali ini, kumpulan legenda "heavy metal" dari Amerika Syarikat (AS), D.R.I turut di undang mempersembahkan nyanyian hebat mereka.

    "Selepas empat kali penganjuran konsert Metal Camp bermula tahun 2008, persembahan kali ini akan diiringi oleh kumpulan hebat di AS.

    "Bukan mahu membanggakan kumpulan itu semata-mata, tetapi ia sekadar permulaan untuk menggabungkan kumpulan metal tempatan dan luar negara dalam sebuah konsert kami di masa akan datang," ujarnya.

    Metal Camp yang juga di bawah kerjasama Bsync Production bakal menggegarkan pentas Stadium Chinwoo, Kuala Lumpur, bermula pada pukul 3 petang hingga ke 12 tengah malam.

    Tiket berharga RM75 dan RM90 boleh dibeli menerusi kaunter Nebiula Heavy Metal Shop, Kuala Lumour (013-2193383), Khakan Production, Ipoh, Perak (013-4962511), RDL Distro, Johor Bahru (012-7814198) dan Dead Beat Shop, Pulau Pinang (012-4460316).

    TV3 Mohon Maaf Kesilapan Penyiaran Adegan Bogel Emile Hirsch

    Posted: 10 Apr 2012 09:30 PM PDT

    Kristen Stewart and Emile Hirsch merupakan pelakon utama filem 'Into the Wild'.

    PETALING JAYA: Stesen televisyen TV3 pada Selasa memohon maaf kepada penonton negara ini terhadap penyiaran adegan kurang sopan dalam filem Into The Wild yang disiarkan menerusi saluran itu pada 24 Mac lalu.

    TV3 dalam satu kenyataannya kepada mStar Online di sini Selasa berkata, pihaknya akur terhadap kesilapan yang berlaku sehingga menimbulkan bantahan beberapa pihak.

    "Pihak kami memandang serius insiden ini dan TV3 akan berusaha memastikan kandungan dan paparan yang disajikan kepada para penonton bukan sahaja sarat dengan elemen hiburan dan "infotainment" semata-mata, malah turut memastikan ia dapat memberi impak positif dan kesan moral bersesuaian dengan cita rasa penonton," kata kenyataan itu.

    Pertubuhan yang dikenali Allied Coorodinating Committee of Islamic NGO's (ACCIN) melalui Pengerusinya Datuk Zainal Abidin Ab. Kadir dalam sebuah akhbar pada Selasa membantah tindakan TV3 kerana menyiarkan adegan bogel terlampau filem berkenaan sehingga menampakkan kemaluan pelakon Emile Hirsch.

    ACCIN turut kesal dengan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) kerana kegagalan menapis adegan seperti itu dan juga filem-filem lain dari luar negara.

    Sementara itu LPFM yang dihubungi mStar Online memberitahu pihaknya telah membuat 24 pemotongan adegan "panas" dalam filem berkenaan sebelum dibenarkan untuk disiarkan oleh stesen televisyen itu.

    Pengerusinya, Datuk Raja Azhar Raja Abdul Manap berkata, TV3 sepatutnya perlu membuat penyuntingan semula lebih-lebih lagi pada adegan bogel yang dilakonkan oleh Emile Hirsch.

    "Selepas pemotongan dilakukan oleh LPFM, pihak kami telah meminta TV3 untuk membuat penyuntingan semula. Tak sangka ia boleh terlepas begitu sahaja," katanya.

    Dalam pada itu, tambah Raja Azhar, apabila sesebuah filem atau drama yang telah ditapis dan disiarkan itu mempunyai isu-isu sensitif, ia akan dilaporkan terus kepada Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia (SKMM) untuk diselidik.

    "Pihak kami akan menghantar laporan tentang isu berkenaan kepada pihak SKMM untuk membuat tindakan lanjut dan berharap semua stesen televisyen di negara ini mengikut garis panduan yang telah ditetapkan," katanya.

    Alleycats Beraksi Di Singapura Sabtu Ini Selepas 36 Tahun

    Posted: 10 Apr 2012 09:28 PM PDT

    Alleycats

    PETALING JAYA: Buat julung kalinya, peminat kumpulan legenda, Alleycats, akan dihiburkan dengan himpunan lagu terbaik mereka di Dewan Konsert, Esplenade, Singapura, Sabtu ini pukul 7.30 malam.

    Sejak ditubuhkan pada tahun 1969, ini kali kedua kumpulan yang popular dengan lagu Andainya Aku Pergi Dulu ini melakukan konsert solo di Seberang Tambak selepas kali terakhir pada tahun 1976.

    Penyanyi utamanya Datuk David Arumugam berkata, konsert itu adalah peluang dinanti-nantikan olehnya kerana sudah lama tidak beraksi di negara berkenaan.

    "Kali terakhir saya mengadakan konsert besar-besaran adalah pada tahun 1976 iaitu kira-kira 35 tahun lalu di National Theater, malah bangunan itu juga sekarang ini sudah tiada.

    "Walaupun sering berkunjung ke Singapura untuk mengadakan persembahan di kelab dan tempat terbuka tetapi konsert kedua ini sungguh istimewa," katanya.

    Bersempena penganjuran itu, Universal Music Malaysia akan menerbitkan sebuah album khas berjudul Alleycats – Istimewa Buat Singapura yang mengandungi dua cekera padat himpunan 22 lagu yang bakal dipersembahkan pada malam tersebut.

    Antara lagu popular yang bakal dinyanyikan termasuk Hingga Akhir Nanti, Nota Terakhir, Seribu Bintang, Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi, Berjuta Batu, Sampaikan Salam Cintaku, Senandung Semalam dan Layang Layang Terputus Talinya. Dalam pada itu, tambah David, dia tidak akan menolak jika peminat memintanya menyanyikan lagu yang tiada di dalam senarai pada acara itu.

    "Tiada masalah, saya boleh menyanyikan beberapa lagu yang diminta pada konsert itu nanti," katanya dengan penuh semangat. Sementara itu, menurut penganjurnya, Fahmi Rais, mereka cukup berbesar hati kerana dapat membawa Alleycats ke Singapura memandangkan kumpulan itu mempunyai ramai peminat berdasarkan satu tinjauan yang dilakukan.

    "Alleycats adalah sebuah kumpulan yang hebat dan sudah tentu ramai yang menantikan persembahan mereka dan rata-rata ingin melihat Alleycats beraksi di Singapura.

    "Persembahan tersebut juga merupakan pengiktirafan buat mereka kerana pihak pengurusan di tempat itu tidak sewenang-wenangnya membenarkan mana-mana artis membuat persembahan di lokasi berkenaan melainkan seseorang itu benar-benar mempunyai pengaruh kuat," ujarnya.

    Apek malang

    Posted: 10 Apr 2012 09:27 PM PDT

    INI DIA...Tham menunjukkan kecederaan dialaminya ketika kejadian samun, semalam.
    INI DIA...Tham menunjukkan kecederaan dialaminya ketika kejadian samun, semalam.

    MANTIN: Malang menimpa seorang lelaki warga emas apabila wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diterimanya bukan saja disamun malah turut dibelasah penjenayah menyebabkan dia terpaksa menerima 10 jahitan di kepala di Kawasan Merah di sini, Ahad lalu.

    Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, Pan Tham Khoi, 79, dipukul suspek menggunakan objek keras dipercayai topi keledar menyebabkannya rebah dan hampir tidak sedarkan diri. Menurut Tham, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menemui rakannya di sekitar kawasan berkenaan. "Ketika membuka pintu rumah, saya terkejut apabila dihampiri seorang lelaki dipercayai berusia lingkungan 40-an yang terus menyerang menggunakan objek keras.


    "Saya diserang pada bahagian kepala dan muka sehingga terjatuh ke lantai serta nyaris pengsan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam, ketika kunjungan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Nilai (MPN) merangkap Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Nilai, Yee Hee Long.

    Tham yang tidak berkahwin berkata, suspek merampas dompetnya yang mengandungi wang BR1M berjumlah RM400 diterimanya bulan lalu.


    "Saya meminta bantuan saudara untuk dihantar ke hospital berdekatan," katanya.


    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

    "Kes berkenaan masih sedang disiasat dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

    300 tatu bendera pada tubuh

    Posted: 10 Apr 2012 09:25 PM PDT

    GUINNESS ada 305 bendera pelbagai negara di tubuhnya.
    GUINNESS ada 305 bendera pelbagai negara di tubuhnya.

    NEW DELHI: Seorang lelaki yang terlalu obses untuk memecahkan rekod dunia akhirnya terpaksa berhenti melakar tatu bendera pada tubuh dan kepalanya selepas isterinya mengancam meninggalkannya.

    Guinness Rishi, 70, dari Delhi dilitupi 305 bendera pelbagai negara, 185 peta negara, 165 bendera mini dan 2,985 karektor.

    Isterinya yang sudah sekian lama menderita akhirnya memujuknya supaya berhenti selepas meyakinkan Guinness bahawa tidak ada orang yang ingin memecahkan rekodnya.

    Rekod rasmi yang dipegangnya ketika ini dicatat pada 2009 dengan 220 tatu bendera.


    "Saya memecahkan rekod sendiri dan akan mempelawa pegawai Buku Rekod Dunia Guinness untuk mengemaskinikan catatan mereka supaya pencapaian terbaru saya diiktiraf," kata Guinness yang nama asalnya Har Prakash.Dia menukar namanya itu apabila mula berusaha mencatatkan sebanyak rekod dunia yang mungkin lima tahun lalu.


    Dua puluh dua rekodnya termasuk menulis wasiat paling panjang di dunia, sebanyak 489 muka dan menghantar piza dari New Delhi ke San Francisco.

    Isteri Guinness, Bimla begitu berang dengan sikap suaminya yang suka untuk menarik perhatian hinggakan enggan keluar bersamanya.

    Wanita itu juga mensabotaj usaha Guinness untuk memecahkan rekod calon politik paling buruk dengan berjanji untuk mengundinya.

    "Saya hanya mahu dikenang selepas mati. Tetapi isteri saya begitu berang hingga mahu meninggalkan saya," kata Guinness.

    Dia juga sanggup mencabut semua giginya supaya dapat memasukkan 750 penyedut minuman ke dalam mulutnya bagi mencatatkan rekod baru.

    "Orang kata saya gila, tetapi saya tak peduli," katanya.

    Perlunya makanan sihat, seimbang

    Posted: 10 Apr 2012 09:21 PM PDT

    TELITI...baca kandungan nutrisi sebelum membeli makanan untuk anak.
    TELITI...baca kandungan nutrisi sebelum membeli makanan untuk anak.
    TERBAIK...pemakanan anak perlu seimbang untuk tumbesaran sempurna.
    TERBAIK...pemakanan anak perlu seimbang untuk tumbesaran sempurna.

    MENJADI ibu bapa moden kini bukan setakat menyediakan keperluan dan memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak tetapi apa yang penting memastikan pemakanan berkhasiat yang akan menentukan tahap tumbesaran mereka.

    Ada ibu bapa lebih memberi penekanan kepada keperluan lahiriah seperti pakaian, permainan serta mendapatkan sekolah terbaik. Memang diakui kesemuanya sangat penting namun ibu bapa jangan terlupa pada sumber dan khasiat pemakanan yang bukan saja menentukan pertumbuhan fizikal malah perkembangan mereka di sekolah.

    Dalam hal ini, ibu bapa harus melengkapkan ilmu dalam bidang kesihatan supaya dapat diperturunkan kepada anak-anak. Mereka harus sedar keperluan pemakanan kanak-kanak berbeza mengikut peringkat usia. Kebanyakan proses tumbesaran termasuk perkembangan mata, minda, pertumbuhan fizikal dan pembelajaran berlaku ketika kanak-kanak berumur di antara satu hingga tujuh tahun dan ini boleh diperoleh menerusi pengambilan pemakanan.

    Di peringkat ini, tabiat pemakanan yang sihat dan seimbang sangat penting bukan saja untuk fizikal tetapi minda anak-anak.


    Dalam satu kaji selidik di kalangan 300 ibu di Malaysia yang mempunyai anak berusia satu hingga tiga tahun dipilih secara rawak, menunjukkan 74 peratus ibu tidak biasa dengan amalan membaca panel maklumat pada produk makanan yang dibeli untuk anak-anak mereka. Kebanyakannya tidak tahu betapa pentingnya untuk mendapatkan gabungan nutrisi yang betul untuk anak-anak.Malah ketika ditanya jenis minuman yang diberikan kepada anak-anak mereka, semua ibu menjawab mereka memberikan susu untuk membesar. Bagaimanapun, lebih tiga perempat atau 80 peratus daripada ibu tidak menyedari mengenai ramuan yang terdapat di dalam susu itu. Namun hanya 55 peratus daripadanya kerap membaca label produk makanan dan mempercayai kandungan yang tinggi bagi satu ramuan di dalam susu untuk membesar adalah lebih baik untuk anak mereka.

    Sesuatu yang positif hasil daripada kaji selidik terbabit adalah kebanyakan ibu tahu makanan segera bukan diet terbaik untuk anak mereka. Kira-kira 81 peratus daripada ibu jarang atau tidak pernah memberi makanan segera atau minuman berkarbonat kepada anak mereka.

    Hal ini didedahkan oleh Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Dr Tee E Siong ketika membentangkan mengenai hasil keputusan kaji selidik baru-baru ini bagi mengetahui sejauh mana tahap pengetahuan pemakanan ibu dan amalan membaca label makanan menjadi keutamaan ibu bapa.

    Menurut Dr Tee, sebagai ibu bapa penyayang, seharusnya mereka memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Ini bukan saja meliputi kasih sayang dan perhatian, memastikan pakaian mereka terjaga serta mendapat semua keperluan asas sebaliknya memberi perhatian kepada keperluan nutrisi mereka.

    "Ibu bapa harus memberi khasiat pemakanan mencukupi kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Ini kerana peluang yang ada untuk berbuat demikian adalah singkat, iaitu ketika mereka sedang membesar. Malah keperluan ini sangat tinggi untuk perkembangan fizikal dan emosi mereka. Jangan tunggu sehingga anak-anak sudah membiasakan diri dengan tabiat pemakanan yang tidak sihat baru ibu bapa ingin mengubahnya kerana sudah terlambat," ujarnya.

    Dr Tee menjelaskan, tiada nutrien terbaik yang secara sendirinya dapat memberi jaminan terhadap perkembangan mental dan fizikal. Ia memerlukan gabungan nutrisi yang betul, semuanya diberikan dalam kandungan yang seimbang untuk menyokong perkembangan keseluruhan fizikal dan mental mereka.

    Ada pula ibu bapa yang hanya bergantung sepenuhnya kepada saranan ahli keluarga dan kawan-kawan tanpa mengetahui kebaikan setiap produk yang sudah dibeli. Pada hal ini sangat penting bagi setiap makanan yang masuk ke dalam perut kerana memberi sumbangan yang besar kepada tahap fizikal dan mental. Dalam erti kata lain, baik dan berkhasiat makanan yang diberikan maka eloklah perangai anak-anak.

    Oleh itu, Dr Tee menasihatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap keperluan pemakanan anak-anak dan tidak hanya bergantung kepada keluarga, rakan atau iklan untuk memastikan kebaikan pada setiap produk yang dibeli.

    "Kepada semua ibu bapa, apabila anda pergi membeli-belah di pasar raya, perhatikan dengan terperinci apa yang ingin dibeli. Baca panel pemakanan pada label. Selain itu, fahami bagaimana semua ramuan digunakan boleh memberikan khasiat yang betul kepada anak-anak. Biarlah diri anda sendiri yang menentukan bagaimana anak-anak anda harus dibesarkan dengan cara yang sihat," kata Dr Tee.

    Menurut Pengurus Besar Abbott Nutrition, Leah Hung, kerjasama yang dijalin bersama NSM itu bagi memberi kesedaran mengenai pemakanan dan minuman, faedah dan potensi risiko kesihatan kepada anak-anak.

    Dengan menggabungkan sains nutrisi dan teknologi maju, Abbott mencipta inovasi yang sebenar dan akan terus bekerjasama dengan komuniti penjagaan kesihatan bagi menyokong kesihatan dan kesejahteraan komuniti.

    "Di Abbott, kami fokus kepada usaha untuk menghasilkan produk bernutrisi yang terbukti secara saintifik bagi menyokong kesihatan dan perkembangan kanak-kanak. Menyokong usaha Persatuan Pemakanan Malaysia penting kerana kami berbangga untuk turut terbabit dalam perkongsian pengetahuan bagi mendidik ibu bapa meningkatkan kesedaran dalam mengamalkan pemakanan secara sihat di kalangan kanak-kanak," katanya.

    Untuk maklumat lanjut mengenai kesihatan, pembaca boleh melayari laman Persatuan Pemakanan Malaysia menerusi laman sesawang www.nutriweb.org.my.

    Tip ketika membaca label produk:

    1. Jangan membeli makanan hanya kerana anda suka pembungkusannya. Sebagai ibu bapa prihatin, sentiasa membandingkan produk dengan membaca panel maklumat makanan.

    2. Apabila anda membandingkan kandungan nutrisi, anda boleh mengetahui yang mana satu mempunyai kadar nutrien yang lebih tinggi atau rendah.

    3. Bandingkan berdasarkan jumlah nutrien yang terkandung dalam setiap 100 gram atau 100 mililiter produk. Ukuran hidangan mungkin tidak sesuai dijadikan perbandingan kerana ia mungkin berbeza antara jenama.

    4. Untuk tambahan, jangan membuat pemilihan membeli jenama tertentu berdasarkan satu nutrien saja (contohnya jumlah tenaga atau kandungan lemak), tetapi pertimbangkan juga nutrien lain (seperti protein atau kalsium) yang disenaraikan di panel maklumat nutrisi.

    5. Sekiranya anda memerlukan maklumat lanjut mengenai panduan menggunakan label maklumat pemakanan, orang yang paling sesuai memberi nasihat ialah pakar nutrisi atau pakar diet.


    Panduan untuk ibu bapa:

  • Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan pemakanan anak-anak.

  • Tabiat makan yang sihat di kalangan kanak-kanak bermula dari rumah.

  • Ibu bapa perlu memupuk tabiat makan yang sihat ketika tahun awal anak-anak mereka.

  • Ibu bapa seharusnya memimpin melalui teladan.

  • Ibu bapa perlu memperkasakan diri mereka dengan memahami piramid makanan dan mengamalkan cadangan ini untuk keluarga.

  • Ibu bapa juga perlu memantau berat badan dan ketinggian serta mengira BMI anak-anak setiap enam bulan bagi memastikan anak-anak membesar dengan ideal.
  • Beratur 3 Jam Hanya Untuk Makan Burger

    Posted: 10 Apr 2012 09:15 PM PDT

    Daging-daging burger yang dibakar dengan perisa istimewa daripada Burger Bakar Kaw Kaw.

    KUALA LUMPUR: Sanggupkah anda beratur selama kira-kira tiga jam hanya untuk menikmati burger di sebuah gerai di tepi jalan?

    Dan adakah anda juga pernah membeli sebiji burger pada harga yang mencecah sehingga RM150?

    Namun pengalaman itulah yang dialami ribuan penggemar burger bakar yang mengunjungi sebuah gerai burger yang beroperasi di tepi jalan di Seksyen 2, Wangsa Maju di sini.

    "Sistem order (pesanan) kami bermula pada pukul 7.45 petang. Nombor giliran akan diberi semasa order diambil," demikian pengumuman yang tertera pada sekeping papan putih (white board) di hadapan gerai "Burger Bakar Kaw Kaw."

    Bagaimanapun, tempoh menunggu yang terlalu lama dengan purata dua jam malah boleh mengambil masa sehingga 3 jam, hampir menyamai durasi filem box office Titanic itu bukan berpunca daripada sistem operasigerai tersebut yang tidak cekap.

    Namun sebaliknya, ia disebabkan oleh sambutan luar biasa daripada orang ramai, tanpa mengira umur, bangsa dan kaum.

    Pelanggan berbaris panjang untuk mendapatkan Burger Bakar Kaw Kaw.

    Siapa sangka Burger Bakar Kaw Kaw yang kini menjadi ikutan ramai dimiliki dua usahawan muda, Mohd Faizul Baharudin (Zul), 26, dan Nini Haznita Muhammad (Nita), 25, yang menguruskan perniagaan itu di bawahsyarikat Protalis Enterprise.

    Mengenai apakah keistimewaan Burger Bakar Kaw Kaw sehingga mendapat sambutan di luar jangkaan, Zul berkata, selain menggunakan daging segar yang padat dan besar, konsep burger bakar merupakan sesuatu yangbaru di kalangan masyarakat tempatan.

    "Orang kita menyukai sesuatu yang baru. Mereka tertanya-tanya dan mahu mengetahui apakah rasa sebenar burger bakar. Apatah lagi ia dijual digerai tepi jalan," katanya kepada mStar Online di sini, baru-baru ini.

    Menurut Zul, pelanggan tidak membuat perbandingan antara gerainyadengan gerai-gerai burger jalanan lain tetapi sebaliknya membandingkannya dengan restoran di pasaran termasuk yang menjual makanan segera.

    "Perbandingan antara Burger Bakar Kaw Kaw dengan restoran-restoran daging amat berbeza kerana kami adalah gerai jalanan yang menawarkan burger bakar pada harga lebih murah.a.

    "Kami menawarkan burger pada harga yang lebih kurang sama dengan restoran makanan segera tetapi dengan saiz hidangan (portion) burgerkami adalah dua kali ganda. Ini membuatkan apa yang pelanggan beli adalah berbaloi.

    "Burger Bakar Kaw Kaw diperbuat daripada daging segar home-made yang penuh dengan perisa, pelbagai rasa yang istimewa dan tersendiri,"katanya.

    Zul (kiri) dan Nita di hadapan gerai Burger Bakar Kaw Kaw.

    Secara purata, Burger Bakar Kaw Kaw menerima sebanyak 250 pesanan (order) sehari, tetapi pernah mencatatkan jumlah paling tinggisehingga 300 pesanan.

    "Bilangan pelanggan adalah lebih daripada itu kerana ada juga yang membeli untuk rakan-rakan dan ahli keluarga," kata Zul sambilmemberitahu seorang pelanggan pernah memesan sebanyak 30 biji burger.

    Rakan niaga Zul, Nita pula berkata, harga menu di Burger Bakar Kaw Kaw adalah serendah RM7.50 dan setinggi RM18.50, namun ia bergantung kepada citarasa dan permintaan pelanggan sekiranya mahu tambahan pattydaging burger dan set hidangan istimewa.

    Gerai Burger Bakar Kaw Kaw beroperasi di tepi jalan Seksyen 2, Wangsa Maju.

    "Kami pernah menjual burger yang dipanggil "Tower 20", mengandungi 20 patty daging burger beserta keju dan bakon, berharga kira-kira RM150," katanya.

    Mengenai sistem pesanan Burger Bakar Kaw Kaw, para pekerja akan mengambil pesanan daripada pelanggan sebaik sahaja nombor gilirandiberikan kepada mereka.

    Nita berkata: "Berapa panjang barisan, berapa ramai yang datang, kamitetap akan memberikan nombor giliran supaya sistem pesanan lebih lancar dan memudahkan kami menyiapkan pesanan," katanya.

    Setiap pesanan yang dibuat akan diteliti oleh garnisher iaitu pekerja yang menyediakan burger seperti yang dipesan oleh pelanggan.

    "Mereka akan mengikut senarai pesanan (order sheet). Kami telah menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi setiap pesanan adalah selama 1 minit dan 25 saat," katanya tanpa mengira bilangan dan jenis untuk sesuatu pesanan.

    "Kira-kira 50 pesanan dapat disiapkan dalam tempoh sejam," kata Nita, sambil menambah, burger yang paling digemari pelanggan Burger Bakar Kaw Kaw adalah beef burger cheezy with bacon atau menggelarkannya sebagai "Baconizer."

    Ketika mula-mula berpindah ke lokasi baru di Seksyen 2, Wangsa Maju pada akhir Disember tahun lalu, Nita berkata, hanya 100 patty daging burger yang disediakan untuk sehari.

    "Namun setelah beroperasi di sini lebih tiga bulan, jumlahnya meningkat kepada 1,000 patty sehari ekoran permintaan yang amat menggalakkan," kata Nita.

    Burger Bakar Kaw Kaw beroperasi dari pukul 7.45 petang sehingga 2 pagi setiap hari kecuali Isnin.

    Bentuk semula vagina

    Posted: 10 Apr 2012 09:13 PM PDT


    Stefano Salvatore (kanan) dan Jimmy Ang pada majlis memperkenalkan teknologi laser V2LR di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


    PENGECUTAN vulva-vagina atau juga dikenali sebagai atrofi vullva-vagina merupakan sebahagian simptom biasa pada wanita yang sedang melalui tempoh menopaus.

    Kelemahan tisu sekitar vagina, kerengsaan, kekeringan dan rasa sakit di sekitar tisu vagina merupakan antara gejala yang dirasai akibat dari pengecutan tersebut.

    Keadaan itu menimbulkan ketidakselesaan terutama ketika hubungan kelamin yang secara tidak langsung menjejaskan keintiman antara suami dan isteri.

    Pakar Runding Bidang Uroginekologi di Klinik Obstetri dan Ginekologi Universiti Insubria di Varese, Itali, Profesor Stefano Salvatore, berkata, atrofi vagina berlaku disebabkan kekurangan kolagen pada lapisan kulit dalam vagina yang dikenali sebagai membran mukosa pada bahagian vagina.

    Katanya, keadaan itu menyebabkan vagina kering sehingga menimbulkan ketidakselesaan ketika hubungan intim suami dan isteri.

    Begitupun katanya, gejala itu kini boleh diatasi menerusi cara biostimulasi iaitu menggunakan teknologi laseri Vulvo-Vaginal Laser Reshaping (V2LR).

    Teknologi tersebut berupaya mengembalikan fisiologi vulva-vagina kepada keadaan asal sebagaimana ketika usia muda.

    "V2LR digabungkan dengan teknologi laser unggul yang baru, iaitu teknologi Pulse-Shape-Design (PSD) yang direka khas untuk merangsang penghasilan kolagen dalam mukosa vagina.

    "Selain itu, teknologi ini juga boleh memulihkan keadaan tisu vagina melalui sistem pengimbas HiScan V2LR dalam keadaan yang selamat lagi selesa," katanya.

    Beliau berada di Kuala Lumpur bagi memperkenalkan V2LR di negara ini hasil kerjasama antara syarikat tempatan NeoAsia (M) Sdn. Bhd. dan DEKA, sebuah syarikat dari Florentine, Itali.

    Menurut Salvatore, V2LR merupakan rawatan tidak invasif iaitu rawatan yang tidak membabitkan pembedahan serta penggunaan sutur atau kokot.

    Teknologi ini boleh membaiki ciri estetik yang telah berkurangan akibat perubahan pada vulva-vagina.

    "Rawatan ini tidak menyakitkan cuma pesakit berasa sedikit tidak selesa. Malah mereka boleh kembali kepada kehidupan seperti biasa sejurus selepas rawatan

    "Lebih penting rawatan ini pasti akan menjadikan hubungan intim antara suami dan isteri dapat ditingkatkan," katanya.

    Beliau menambah, V2LR juga merupakan satu alternatif yang baik kepada terapi penggantian hormon yang diambil oleh wanita bagi merawat kekecutan mukosa akibat menopaus.

    Ia juga sebagai alternatif bagi pembedahan vagina konvensional yang bertujuan membetulkan morfologi vulva-vagina dan perubahan yang berlaku selepas kelahiran anak serta kesan-kesan penuaan.

    Dalam pada itu Pengasas dan Pengarah Urusan NeoAsia (M) Sdn. Bhd., Jimmy Ang berkata, teknologi V2LR direka untuk mengembalikan ciri estetik vagina dan mengatasi masalah-masalah membabitkan fungsi vagina serta simptom-simptom menopaus yang biasa dialami.

    Katanya, industri kosmetik dan kecantikan sentiasa berkembang dan berubah di mana kini kepentingannya menjangkau peningkatan rupa fizikal seseorang.

    Katanya, perkembangan teknologi pada masa sekarang bertumpu pada usaha untuk mengatasi dan mencegah masalah yang memberi impak kepada kehidupan seperti penuaan.

    "Sehubungan dengan itu, pengenalan V2LR melambangkan evolusi dan revolusi industri ini. Saya berasa berbesar hati kerana NeoAsia diamanahkan oleh DEKA untuk mengalas tanggungjawab sebagai pengedar tunggal untuk V2LR di Malaysia," katanya.

    BLT penjana transformasi infrastruktur PDRM

    Posted: 10 Apr 2012 09:12 PM PDT


    REKABENTUK terbaru bahagian dalaman Balai Polis Sikamat, Negeri Sembilan.


    SEPERTI negara lain di seluruh dunia, anggota dan pegawai polis di Malaysia juga tidak terlepas daripada menghadapi pelbagai cabaran getir dan halangan ketika menjalankan tugas.

    Mereka bukan sahaja menghadapi kesukaran di dalam menyelesaikan kes jenayah yang semakin rumit apatah lagi melibatkan kes berprofil tinggi, malah turut berdepan dengan risiko dicederakan atau dibunuh penjenayah.

    Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan hanya perlu mengerahkan tenaga dan memberikan komitmen sepenuhnya semasa menjalankan siasatan dan membanteras jenayah.

    Malah, mereka juga perlu mempunyai kemahiran di dalam pelbagai bidang di samping memiliki kelengkapan peralatan dan teknologi moden bagi memastikan perkhidmatan dapat diberikan dengan cekap dan berkesan.

    Seiring dengan perubahan dalam perkhidmatan yang diberikan, infrastruktur dan kuarters kediaman PDRM turut mengalami transformasi bagi memberikan keselesaan dan kemudahan kepada anggotanya.

    Sebilangan besar fasiliti PDRM yang dibina hari ini merupakan hasil daripada sumbangan idea dan kreativiti sebuah syarikat tempatan, Pembinaan BLT Sdn. Bhd. (PBLT).

    Pembinaan infrastruktur dan kuarters polis yang serba moden itu dilaksanakan PBLT menerusi model bina, pajak dan tukar.

    Menerusi model yang dilaksanakan itu, PBLT berjaya menawarkan penyelesaian inovatif dan membantu menyegerakan projek pembangunan sekali gus meningkatkan kualiti kemudahan dan keberkesanan perkhidmatan PDRM pada masa depan.

    Kemampuan serta kredibiliti kumpulan itu tidak dinafikan lagi apabila sehingga tahun ini sebanyak 46 projek daripada 74 projek keseluruhannya berjaya disiapkan manakala selebihnya dijangka siap pada 2015.

    Antara projek yang telah disiapkan adalah Balai Polis Sikamat di Negeri Sembilan; Maktab Teknik PDRM Bakri dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di Johor; Balai Polis Bandar Hilir, Melaka; Perumahan PDRM Alor Akar, Pahang dan Pusat Latihan Polis Kuching di Sarawak.

    Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PBLT, Mohammed Redza Mohd. Yusof, kerajaan tidak perlu mengeluarkan modal besar secara serentak untuk membiayai sesuatu projek dan hanya melakukan pembayaran menerusi pajakan.

    "Menerusi model Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang dilaksanakan, kerajaan tidak lagi dibebani dengan peruntukan modal yang besar kerana pihak PBLT sendiri yang akan membuat pinjaman untuk membina projek-projek berkenaan seterusnya menerbitkan sukuk.

    "Apabila projek pembangunan dan infrastruktur berkenaan telah siap dibina, kerajaan hanya perlu membayar pajakan dengan pembiayaan dibuat dalam jangka masa panjang," katanya kepada Gaya Polis baru-baru ini.

    Menurut Mohammed Redza, kerajaan telah melakukan satu tindakan yang tepat dalam meningkatkan standard PDRM melalui perubahan ke arah penyediaan infrastruktur yang serba lengkap dan moden.

    "Semua ini dilakukan demi keselesaan dan kemudahan anggota PDRM yang telah bekerja keras melindungi negara dan memastikan persekitaran masyarakat selamat," ujarnya.

    Keserasian 3 Temujanji

    Posted: 10 Apr 2012 09:11 PM PDT


    DarI kiri: Diana Amir, Hashim Rejab, Pierre Andre, Yana Samsudin dan David Teo semasa majlis perasmian filem tersebut.


    BUKAN mudah untuk mencari kelainan dalam setiap pembawaan sesebuah cerita cinta apatah lagi genre tersebut sudah biasa diketengahkan di kaca televisyen mahupun layar perak.

    Malah pemilihan pelakon yang tepat dan serasi juga turut menyumbang kepada untung rugi sesebuah karya.

    Jujurnya penulis tidak meletakkan harapan tinggi menggunung untuk melihat hasil tangan ke-58 Metrowealth ini menampilkan kelainan mahu pun mencipta sesuatu yang baru. Namun karya Hashim Rejab kali ketiga ini boleh sedikit dibanggakan.

    Masih membawakan tema cinta, filem bergenre komedi romantik ini berjaya membuatkan penonton turut terbawa dengan emosi sepanjang menontonnya.

    Menggabungkan Pierre Andre (Mukhsin) dan juga Yana Samsudin (Riana), ternyata pilihan tersebut 'menjadi' dan mampu mengundang gelak tawa dan tangis penonton.

    Menurut Hashim, 3 Temujanji merupakan satu kisah percintaan biasa, sekali gus berbeza dengan karyanya sebelum ini, Sekali Lagi dan juga Papa I Love You.

    "Cerita yang saya tampilkan pada kali ini merupakan satu kisah cinta biasa yang dialami oleh kita hampir setiap hari.

    "Saya juga cuba paparkan penerimaan cinta masyarakat kita dengan lebih dekat dan jujurnya apa yang saya bawakan kali ini memang berbeza dengan karya saya sebelum ini," ujarnya ketika ditemui pada sesi pratonton filem berkenaan yang diadakan di Sunway Pyramid baru-baru ini.

    Memilih Pierre dan Yana sebagai tunjang utama dalam filem ini juga sebenarnya merupakan langkah yang bijak bagi mengelakkan kitaran muka yang sama setiap kali filem MIG ditayangkan.

    Pernah mengikat jalinan cinta sebelum ini, ternyata lakonan Pierre dan Yana sememangnya nampak hidup dan tidak terlalu kekok.

    Kata Hashim, dia memilih dua pelakon berkenaan adalah untuk mendapatkan keserasian yang sememangnya pernah wujud antara mereka sebelum ini.

    "Filem ini sememangnya tiada langsung perkaitan dengan kisah cinta mereka.

    "Apa yang saya perlukan daripada mereka adalah keserasian supaya apabila ditafsirkan melalui layar perak ia nampak natural dan berkesan.

    "Apa-apa pun, 3 Temujanji adalah sebuah filem yang sesuai untuk ditonton dalam keadaan santai dan tidak mempunyai plot yang berbelit-belit.

    "Malah saya juga berharap agar kutipan filem ini nanti adalah lebih baik daripada dua filem saya sebelum ini," jelasnya yang mengakui semakin matang setelah mengarahkan tiga filem tersebut.

    Sementara itu, bagi pelakon Aku Masih Dara yang kini sudah bertudung, Diana Amir, wataknya dalam filem tersebut sememangnya memerlukan dia untuk selalu menangis namun dalam masa yang sama bersifat kebudak-budakan.

    "Watak yang saya bawakan tidaklah terlalu berat cuma saya perlu jadi terlebih aktif dan kena banyak menangis.

    "Watak Amanda yang saya bawakan merupakan watak penyokong kepada karakter Yana kerana kami merupakan kawan baik.

    "Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar malah semua menjadi lebih senang kerana kebanyakan individu yang terlibat dalam pembikinan filem ini adalah orang yang saya kenal," katanya.

    Dadali Band bukan pengganti Peterpan

    Posted: 10 Apr 2012 09:10 PM PDT


    ANGGOTA dadali band dari kiri rickarjd, oq, dyrga, yuda dan rix.


    MUNGKIN bagi sesetengah orang ia merupakan satu penghormatan jika vokal atau wajah mereka dikatakan mirip orang popular atau ternama.

    Bagaimanapun pujian itu umpama racun kepada Dyrga, vokalis Dadali Band dari Indonesia yang popular dengan lagu Di Saat Aku Mencintaimu ketika ini.

    Dyrga tidak dapat menerima kata-kata itu, walaupun vokalnya pada halwa telinga orang lain kedengaran sama seperti Aril, vokalis Peterpan.

    Namun dia tetap menolak dan mempertahankan bakatnya dengan alasan lenggok nyanyian mereka berbeza.

    "Aku sedih apabila orang kata suara aku seperti penyanyi Peterpan. Aku ada gaya tersendiri dan tidak pernah cuba meniru Aril. Lagipun Peterpan sudah popular berbanding Dadali Band yang masih hijau dalam bidang seni.

    "Bagi aku, itu lumrah. Orang baru sering dibandingkan dengan yang lama. Malah gara-gara vokal aku dikatakan mirip Aril sewaktu muncul dalam program Inbox, aku ditawar untuk mengikut Peterpan mengadakan tour yang telah dipersetujui sebelum itu," ceritanya.

    Katanya, ada beberapa vokalis daripada kumpulan lain yang turut serta tapi dia menolak kerana tidak mahu dibandingkan dengan Aril.

    Vokalis yang ditemui pada sidang akhbar di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini berkata, dia lebih senang jika peminat mengenalinya sebagai Dyrga penyanyi Dadali Band, bukan sebagai pengganti Aril.

    Lagipun lagu Disaat Aku Mencintaimu sudah cukup untuk memperkenalkan Dyrga dan anggota band yang lain di persada seni ini.

    Mereka juga menafikan, populariti lagu tersebut berikutan kerinduan peminat pada vokal Aril Peterpan yang kini di dalam tahanan.

    Lagu ciptaan Yuda, gitaris kumpulan itu berkisar tentang kisah cintanya yang tidak kesampaian dengan seorang gadis.

    Namun kata Dyrga, sewaktu merakam lagu tersebut ingatannya bukan kepada kekasih tetapi kepada ayah yang sudah lama tidak ditemui.

    "Mungkin lagu itu dianggap sebagai lagu cinta sang kekasih tapi bagi aku lagu tersebut dituju khas untuk allahyarham bapa ku yang sudah lama meninggal dunia.

    "Sudah rezeki aku, tatkala kami mengadakan persembahan di satu daerah, aku dapat menziarah kubur bapa yang selama ini tidak aku ketahui," bongkarnya.

    Populariti lagu tersebut secara tidak langsung mengubah kedudukan Dadali Band menjadi sebuah kumpulan yang seiring dengan pemuzik lain.

    Biarpun Disaat Aku Mencintaimu membawa tuah kepada Dadali Band, yang turut disertai oleh Rickarjd (gitar), Oq (drum), Rix (keyboard) dan Fadel (bass), namun mereka sedikit pun tidak berubah.

    "Memang bangga apabila karya kami dikenali umum, kemana sahaja pergi orang mengenali. Namun secara peribadi, kami tetap seperti biasa tidak ada bezanya.

    "Anggota Dadali Band tidak mudah lupa daratan. Kami sentiasa kenang saat sebelum berjaya menapak dalam bidang ini betapa susahnya kami untuk mencari syarikat rakaman," kata Dryga tentang kumpulan yang berasal dari Bogor, Indonesia itu.

    Tambahnya, nasib Dadali yang bermaksud garuda berubah apabila wakil pihak Nagaswara berminat untuk membantu mereka meraih impian.

    Lagu Disaat Aku Mencintaimu turut mendapat penghargaan dari Muzium Rekor Indonesia (MURI) kerana berjaya mengumpul lebih dua juta pelawat untuk klip video yang disiarkan di Youtube.

    Malah lagu yang dipilih sebagai single pertama daripada album sulung itu juga menjadi pilihan ramai untuk dimuat turun sebagai nada dering pemanggil.

    "Kami harap single kedua, Cinta Bersemi Kembali juga akan mendapat sambutan hangat seperti mana Disaat Aku Mencintaimu. Kami optimis, lagu itu mampu menarik perhatian ramai," katanya.

    Lagu-lagu lain yang terdapat dalam album sulung Dadali Band adalah Beauty And the Beast, Katakan Cinta, Kau Yang Menghilang, Hilang, Usai, Buku Diary, Rahasia Cinta dan Berharap Aku Kembali.

    Siti: Tak wajar pertikai anugerah Aaron Aziz

    Posted: 10 Apr 2012 09:08 PM PDT

    DATUK SITI NURHALIZA

    JOHOR BAHRU - Penghibur nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin menyelar kenyataan rasa tidak puas hati Zed Zaidi dalam akaun twitternya berhubung kejayaan Aaron Aziz merangkul gelaran Anugerah Bintang Paling Popular 2011, kelmarin.

    Selaku anak seni dan penyanyi tersohor dan berpengalaman dalam dunia seni, Siti Nurhaliza menyifatkan tindakan pelakon utama Sembilu 2005 itu adalah tidak wajar.

    "Setahu saya, anugerah ini boleh disertai oleh mana-mana artis yang menyumbang kepada peningkatan industri seni tanah air tanpa mengira kerakyatan.

    "Anugerah ini juga adalah hasil daripada undian peminat-peminat. Dari bermula pemilihan 'lima terbaik' sehinggalah keputusan pemenang dibuat.

    "Soal kerakyatan tidak perlu jadi isu, kalau kita menitikberatkan sangat pun, sampai bila kita harus berbuat sedemikian kerana dunia seni muzik ini adalah universal," kata beliau, yang turut menerima Anugera Sri Perak pada majlis itu, kepada pemberita selepas majlis Minggu Setiausaha 2012 bertemakan 'Afternoon of Elegance' di Pusat konvensyen Persada Johor di sini, hari ini.

    Pada majlis itu, Kira-kira 1,500 tetamu yang terdiri di kalangan pekerja berjawatan setiausaha terhibur dengan aksi persembahan dan nyanyian memukau diva nombor satu tanah air itu.

    Antara lagu yang dipersembahkan oleh penyanyi tersohor itu adalah Cindai, Medley Balada menghimpunkan tajuk Purnama Merindu, Kau Kekasihku, Percayalah dan Bukan Cinta Biasa menerima tepukan gemuruh semua tetamu.

    Siti berkata, semua karyawan di negara ini diharapkan supaya saling bergabung dan bersaing secara sihat dalam industri seni dan hiburan tanah air sekali gus mempertingkatkan kualiti masing-masing.

    "Jika ada artis dari luar negara yang berjaya, jadikan ia sebagai pendorong untuk kita. Artis negara ini perlulah menjadi pesaing yang sihat dengan mempertingkatkan kualiti sendiri," katanya.

    Media melaporkan kenyataan Zed Zaidi dalam akaun Twitternya yang tidak berpuas hati dengan kejayaan artis kelahiran Singapura, Aaron Aziz selepas merangkul anugerah ABPBH 2011 di Genting Highlands, kelmarin.

    Luahan berkenaan menimbulkan kontroversi berikutan kenyataannya yang lebih bangga jika artis tempatan merangkul artis berprestij berkenaan dan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menggalakkan artis luar merosakkan industri seni tanah air.

    Masih berahsia nama anak

    Posted: 10 Apr 2012 09:07 PM PDT

    Masih berahsia nama anak

    Jika sebelum ini, pasangan Hollywood sering membikin tanda tanya mengenai nama anak mereka, kini perkara itu turut diikuti oleh pasangan terkenal Bollywood, Aishwarya Rai dan Abhishek Bachchan.

    Biarpun bayi yang dilahirkan telah berusia beberapa bulan, namun nama anak sulung pasangan mereka ini masih belum didedahkan.

    Terbaru, sumber mengatakan pasangan ini sepakat untuk menamakan anak mereka sebagai Aaradhya tetapi nama tersebut masih belum mencapai kata sepakat seluruh ahli keluarga.

    Sewaktu ditanya media, Amitabh Bachchan bijak 'mengalih' soalan tatkala ditanya mengenai hal itu.

    "Kami akan beritahu mengenai hal ini pada lain masa, bukannya sekarang," kata Amitabh semasa ditemui di Festival Filem Vidhu Vinod Chopra di Mumbai.

    Walaupun Beti B kini dipanggil Aaradhya, namun masih tiada sebarang pengesahan atau penafian daripada keluarga Bachchan.

    Khabarnya, nama tersebut masih lagi dirahsiakan atas beberapa sebab.

    Aaron, aktor kedua Singapura raih Bintang Paling Popular

    Posted: 10 Apr 2012 09:04 PM PDT

    Aaron, aktor kedua Singapura raih Bintang Paling Popular
    Aaron, aktor kedua Singapura raih Bintang Paling Popular

    PENGHIJRAHAN Aaron Aziz dari Singapura ke Malaysia lapan tahun lalu, hanyalah dengan niat mencari rezeki untuk menyara keluarganya.

    Namun siapa sangka, Aaron kini berada di puncak populariti setelah dinobatkan Bintang Paling Popular 2011, Anugerah Bintang Popular (ABP) yang diadakan di Arena of Stars Genting Highlands, malam tadi.

    Lebih manis, kemenangan Aaron menyaksikan aktor itu menjadi artis kedua Singapura yang merangkul gelaran tersebut, selepas Datuk M Nasir pada tahun 1994.

    Menjangkakan Zizan atau pun Shaheizy Sam yang akan membawa pulang gelaran itu, Aaron berkata, dia berasa gembira, namun kesal dengan satu perkara.

    "Saya rasa kesal sebab tak puas memberi ucapan selepas diumumkan sebagai pemenang semalam. Kalau boleh saya mahu diberi masa lebih dari 30 saat.

    "Jadi, di kesempatan ini, saya mahu menyampaikan ucapan terima kasih tidak terhingga buat isteri saya; Diana, keluarga saya, rakan-rakan, rakan-rakan media, produksi Ombak Rindu, produksi KL Gangster, produksi Badai Semalam, dan Lord Tailor," katanya yang ditemui selepas tamat rancangan tersebut.

    Aaron berkata, biarpun tidak menjangka sebarang kemenangan, namun, 'hint' yang diberikan oleh beberapa rakan membuatkan dia tidak terkejut dengan kemenangan ini.

    "Kemenangan ini memang di luar jangkaan kerana saya tahu, bukan mudah untuk mendapat undian ramai. Saya lebih suka diberi kejutan, tetapi sejak seminggu lalu, ramai kawan-kawan yang bertemu saya, mengatakan saya akan menjadi Bintang Paling Popular.

    "Saya tak rasa apa-apa debaran, cuma isteri saya yang rasa gemuruh sehingga tidak boleh tidur. Saya sendiri tak tahu apa perasaan saya sekarang. Cuma saya rasa bersyukur yang tak terhingga," katanya.

    Aaron berkata, gelaran yang diraihnya bukan menjadi peluang buatnya mendabik dada. Sebaliknya, Aaron sudah merasakan tekanan kerana selepas ini tumpuan akan dialihkan kepadanya.

    "Menang gelaran ini, saya rasa tanggungjawab saya semakin berat. Namun saya tetap akan menjadi Aaron yang dulu. Tentang tawaran pula, saya tak akan memilih. Cuma saya lihat juga kesesuaian watak dan skrip yang diberikan.

    "Namun, paling penting, apa yang saya harapkan, nama saya tidak tenggelam dan terus hilang selepas mendapat anugerah ini," katanya.

    Tambah Aaron, hadiah paling bermakna yang diharapkan kini adalah mendapat status penduduk tetap (PR) di negara ini.

    "Saya memang dah lama memohon untuk mendapatkan PR. Mengikut permohonan ia akan diluluskan tahun depan. Jadi kalau dapat lebih awal, mungkin lebih bermakna," katanya.

    Menyentuh tentang perkembangan terkininya, Aaron berkata, dia bakal keluar dengan filem Taycoon, Kl Gangster 2, Kerat 14 dan drama bersiri Adam dan Hawa.

    Aaron turut menerima trofi Pelakon Lelaki Filem Popular pada malam itu.

    Kemenangan sebagai Bintang Paling Popular membolehkan Aaron membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta Nissan Teana 2.5 sumbangan Tan Chong Motor Sdn Bhd dan barangan kemas sumbangan Rafflesia bernilai RM250, 000.

    Sementara itu, Datuk Siti Nurhaliza melakar sejarah tersendiri apabila membawa pulang Anugerah Seri Perak sempena ulang tahun ke-25 anugerah berprestij itu.

    Siti yang sebelum ini telah memenangi gelaran Bintang Paling Popular dari 1996 sehingga 2001, 2004, dan kali terakhir pada 2009, menewaskan nama besar lain seperti Datuk M Nasir, Datin Sofea Jane, Ziana Zain, Eman Manan, Nabil (Raja Lawak) dan Shahiezy Sam.



    SENARAI PEMENANG ABP2011

    BINTANG PALING POPULAR: Aaron Aziz

    PENYANYI LELAKI POPULAR: Hafiz

    PENYANYI WANITA POPULAR: Yuna

    ARTIS DUO/ BERKUMPULAN POPULAR: Jaclyn Victor/Ning Baizura/Shila Amzah

    ARTIS BARU LELAKI POPULAR: Johan Ariff As'ari

    ARTIS BARU WANITA POPULAR: Tasha Shilla

    PELAKON FILEM LELAKI POPULAR: Aaron Aziz

    PELAKON FILEM WANITA POPULAR: Maya Karin

    PELAKON TV LELAKI POPOLAR: Fizz Fairuz

    PELAKON TV WANITA POPULAR: Fasha Sandha

    ARTIS KOMEDI LELAKI POPULAR: Johan Raja Lawak

    ARTIS KOMEDI WANITA POPULAR: Didie Alias

    PENGACARA TV LELAKI POPULAR: Zizan Razak

    PENGACARA TV WANITA POPULAR: Fara Fauzana

    PENYAMPAI RADIO LELAKI POPULAR: Faizal Ismail

    PENYAMPAI RADIO WANITA POPULAR: Fara Fauzana

    ANUGERAH KHAS PENCAPAIAN SEPANJANG HAYAT: Datuk Sheila Majid

    Pekerja Utusan Melayu disamun dalam pejabat

    Posted: 10 Apr 2012 09:02 PM PDT

    Polis sedang memeriksa pejabat Utusan Melayu cawangan Negeri Sembilan yang diselongkar penjenayah, s

    SEREMBAN – Seorang kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad, di sini menghadapi saat mencemaskan dalam kejadian samun yang berlaku di pejabatnya, dekat Taman AST, di sini semalam.

    Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, Syed Mahdzar Al Mahjab Wan Hasan, 24, yang bertugas di jabatan pemasa­-ran baru memulakan tugas seorang diri di kaunter yang terletak di tingkat bawah pejabat berkenaan.

    Menurutnya, dia terkejut apabila dua lelaki bersenjatakan parang meluru masuk ke pejabat berkenaan menerusi pintu depan.

    "Sebaik sahaja dua lelaki itu masuk ke dalam pejabat, mereka terus menerpa ke arah saya sambil mengacukan parang dan meminta supaya saya tidak bising.

    "Dalam keadaan kelam-kebut, salah seorang daripada penjenayah mengikat tangan saya dengan wayar tetikus komputer. Manakala, mulut saya dililit dengan baju sebelum mereka mengurung saya dalam bilik surau di belakang pejabat," katanya.

    Menurutnya, penjenayah berkenaan melarikan wang tunai berjumlah RM4,850 yang diambil dari laci.

    Selain itu, katanya, turut diambil, telefon bimbit miliknya serta wang tunai yang berada dalam dompetnya berjumlah RM170.

    "Sejurus penjenayah itu melarikan diri, saya bergegas keluar ke pejabat dengan tangan masih terikat meminta pertolongan," katanya.

    Ketika itu, katanya, jurugambar Utusan Malaysia, Abdul Razak Aid yang kebetulan berada di pejabat tingkat atas mendengar jeritannya, lalu turun membantu membuka ikatan.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan kejadian.

    Menurutnya, polis sedang mengesan kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata dan berkumpulan.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan

    Label

    Senarai Lagu