Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- 12 Selebriti Lelaki Buat Persiapan Akhir ABPBH2011
- Maher Zain Lebih Matang Dengan Kehadiran Aya
- Prahara cinta Tamara
- Drama Pertama Idea Ahmad Izham Di TV9
- Noreen Noor Muncul Selepas 20 Tahun Menjadi Ibu Tunggal
- Bersikap optimis, pasrah
- ‘Saya digelar makhluk asing’
- Lan (Kristal) Jadi Pengacara
- Lily Allen Mahu Tambah Anak
- Warna kekal sepanjang zaman
- Pemain keyboard jadi pengurus hotel
- Karya Nobel di BSVN
- Kisah percintaan Mufti Kelantan
- Resipi kasih sayang
- Transformasi kerjaya setiausaha
- Mengaji di rumah semakin popular
- Maradona legenda penuh kontroversi
- Keaslian rasa gulai tempoyak ikan patin SZ Rahmah
- Jeti nelayan tumpuan dinihari
- Taiwan miliki rahsia Asia
- Menginap di dusun buah
- Gua Damai taman ekstrem lengkap
- Debaran dan keterujaan Intan-Neelofa
- Dipenjara akibat bertindak kejam pada kekasih
- Sri Wani dan Dr. Bahrom wajib dipisahkan sementara
12 Selebriti Lelaki Buat Persiapan Akhir ABPBH2011 Posted: 06 Apr 2012 08:34 PM PDT KUALA LUMPUR: Menjelang acara kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) pada Ahad ini, seramai 12 selebriti lelaki membuat persiapan terakhir memilih dan mengubah sut masing-masing di butik Lord's Tailor di Bangsar Shopping Complex (BSC). Para selebriti yang antaranya seperti Fizo, Shaheizy Sam, Aeril Zafrel, Kamal Adli, Iqram Dinzley, Adam AF, Aaron Aziz dan Fizz Fairuz akan menggayakan sut tajaan butik tersebut pada acara ABPBH itu yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang. Menurut jurucakapnya iaitu Bill Bora, sut yang menggunakan fabrik berkualiti itu akan digayakan pada acara permaidani merah ABPBH2011 oleh selebriti-selebriti berkenaan. "Tujuan majlis ini diadakan adalah bagi menyemarakkan lagi penantian detik ABPBH2011. "Dan memandangkan tinggal sehari lagi detik acara berpestij itu, kesemua artis yang ditaja oleh Lords Tailor membuat persiapan terakhir dengan melihat semula mana-mana bahagian sut mereka untuk diubah," katanya. Sementara itu, Aeril mengakui dia begitu teruja untuk melalui permaidani merah ABPBH2011 kerana ia merupakan kali pertama dia menghadirkan diri ke acara berprestij itu. "Ini merupakan pertama kali saya tercalon dalam ABPBH, mengenakan busana Lord's Tailor dan pertama kali juga saya menjejakkan kaki di acara tersebut. "Satu pengalaman yang unik untuk saya lalui nanti. Berada di butik ini juga membuatkan saya berbesar hati kerana sudi menaja saya bersama rakan-rakan artis lain untuk mengenakan sut rekaan terkenal ini. "Tak sabar rasanya untuk berada dalam suasana ABPBH2011. Apa-apa pun, saya tidak mengharapkan kemenangan, tetapi cukuplah kita dapat meraikan beramai-ramai," kata pencalon Top 5 Artis Baru Popular Lelaki itu. | ||
Maher Zain Lebih Matang Dengan Kehadiran Aya Posted: 06 Apr 2012 08:33 PM PDT KUALA LUMPUR: Kehadiran anak perempuan sulung, Aya yang baru berusia setahun kini melengkapkan kehidupan penyanyi terkenal Maher Zain dan menjadikan dirinya lebih matang. Malah, penyanyi kelahiran Lubnan itu mengakui dirinya menjadi lebih sensitif, emosional, teruja dan mengagumi keajaiban ciptaan Yang Maha Esa. "Ketika Aya dilahirkan, saya melihat ke dalam matanya...sungguh ajaib sekali. Saya bersyukur dengan kurniaan Allah ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album keduanya, Forgive Me di ibu negara, Jumaat. Menurut penyanyi berusia 31 tahun ini, kehadiran Aya yang bermaksud keajaiban dalam bahasa Arab memberi inspirasi kepada dirinya untuk mencipta lagu 'My Little Girl' yang dimuatkan dalam album terbarunya. "Pada suatu hari, saya duduk dan mula mengatur melodi untuk lagu itu. Saya turut memasukkan suara kecil Aya di dalam lagu tersebut," katanya. Maher berkata, lagu itu dihasilkan untuk melahirkan rasa terima kasih kepada Allah di atas kehadiran Aya. "Saya turut berdoa agar Allah sentiasa membimbing dia ke jalan yang benar dan memberkati kehidupannya," katanya. Sementara itu, mengulas mengenai album terbarunya, Maher berkata album tersebut lebih unik kerana menampilkan dua buah lagu bahasa Melayu iaitu Ku Milik Mu dan Tuntunku Kepada Mu yang ditujukan khas kepada peminatnya di Malaysia. "Dua buah lagu ini merupakan buah tangan saya kepada peminat-peminat di Malaysia yang sentiasa menyokong dakwah saya. "Lirik lagu tersebut digubah kepada bahasa Melayu dan saya teruja dapat menyanyikannya," katanya. Graduan Sarjana Kejuruteraan Aeronautik itu mencatat sejarah tersendiri dalam industri hiburan apabila mempunyai 3.7 juta pengikut di laman sosial, Facebook dan 60 peratus daripadanya merupakan peminat dari Malaysia. Selain dua lagu tersebut, album yang memuatkan 14 buah lagu kesemuanya turut menampilkan lima lagu dalam bahasa Arab manakala tujuh lagu Inggeris. Dalam majlis pelancaran album berkenaan, Maher turut mempersembahkan single terbarunya berjudul Number One For Me. Album keluaran Awakening Records dan edaran bersama Inteam Records Sdn Bhd dan Warner Music sudah berada di pasaran negara ini sejak 2 April lalu dengan harga RM29.90. | ||
Posted: 06 Apr 2012 08:32 PM PDT BARANGKALI prahara yang menerjah adalah sesuatu yang di luar jangkauan umum, apatah lagi sebelum ini tidak pernah tercuit kebahagiaan yang mereka jalani sejak berumah tangga dua tahun lalu. Bagaimanapun, Isnin lalu, aktres kelahiran Bandung, Indonesia, Tamara Bleszynski mengejutkan media di negara kelahirannya apabila mengajukan permohonan cerai daripada suaminya, Mike Lewis.Permohonan cerai itu dibuat atas kesepakatan bersama dan akui Tamara, 37 serta Mike, 30, hal itu sudah mereka bincangkan semasak-masaknya sebelum diajukan ke Pengadilan Agama. "Cukup jika kami umumkan sudah membuat permohonan cerai di Pengadilan Negeri Jakarta Selatan. Terlalu peribadi untuk kami kongsi apa punca perceraian ini tetapi kami yakin ini adalah keputusan terbaik buat saya dan Mike. "Kami berpisah secara baik, malah akur menerima apa saja impak daripada keputusan yang diambil ini," kata Tamara pada sidang media yang diadakan di Rolling Stones, Jakarta Selatan, petang Isnin lalu. Aktres yang pernah membintangi filem terbitan KRU Studios, Cicakman 2 - Planet Hitam dan Mike, beberapa kali mengulangi pendirian bahawa perceraian itu tidak akan menjarakkan hubungan mereka. Bahkan, Tamara dan Mike tetap akan bersahabat justeru berharap perceraian yang bakal ditempuhi diakhiri dengan baik tanpa perlu bermasam muka. "Kami mahu perpisahan ini berakhir dengan baik, malah saya dan Tamara tetap akan bersahabat walaupun antara kami berdua sudah tiada ikatan lagi," kata Mike yang muncul dalam filem Hafalan Shalat Delisa, tahun lalu. Menyerahkan segala keputusan perceraian mereka kepada pengadilan, Tamara dan Mike akur, perpisahan itu mengundang pelbagai kemungkinan tetapi mereka sudah bersedia menanggung impak yang bakal datang. Mike dan Tamara bernikah pada 2 Februari 2010 di Bali dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Kenzou Leon Blezynski Lewis yang dilahirkan pada 22 Disember 2010. Tamara sebelum ini pernah menempuh kegagalan dalam perkahwinan apabila mahligai cinta yang dibina bersama jejaka Aceh, Teuku Rafli Pasya juga berakhir dengan perpisahan. Bersama Teuku Rafli, Tamara dikurniakan anak lelaki, Rasya Islamy Pasya. Menyentuh masa depan Kenzou, Tamara berkata, perkara itu turut diserahkan kepada undang-undang. "Saya yang mengemukakan permohonan itu, malah ia dibuat atas keputusan matang selepas perbincangan panjang. Mengenai anak, kami menyerahkan kepada undang-undang," kata wanita yang bermula sebagai model komersial sebelum menekuni dunia lakonan sinetron dan filem. Awal Februari lalu, Mike yang dilahirkan di Tokyo, Jepun tetapi membesar di Kanada hadir pada tayangan perdana filem, Malaikat Tanpa Sayap sendirian tanpa ditemani Tamara. Ketika ditanya mengenai ketiadaan Tamara, jejaka yang mencipta nama selepas membintangi filem, Suster Ngesot pada 2007 ralit bercerita mengenai hobi terbaru isterinya iaitu memasak. Mike bahkan tidak menafikan, sudah mula terikut-ikut dengan minat Tamara yang cenderung di dapur malah mengakui, fokus wanita itu lebih terarah kepada anak dan menguruskan rumah. Langsung tidak terkesan riak keretakan dalam rumah tangga apabila Tamara tidak pernah lupa menitipkan air tangannya ketika Mike sibuk di lokasi penggambaran. "Dia punya bakat terpendam. Mungkin dulu ketika mula berpindah Tamara jarang memasak tetapi dia belajar dan akhirnya menguasai bidang baru itu. "Ketika anak di sekolah, Tamara akan menghabiskan masa di dapur memasak sebelum dititipkan kepada saya yang sibuk di lokasi. Sempat ia mengundang iri pelakon lain yang ada bersama," imbas Mike mengenai detik kebahagiaan singkat yang dijalaninya bersama wanita berdarah campuran Sunda-Poland itu. Pernikahan Tamara dan Mike dulu pernah menimbulkan perdebatan terutama jurang usia mereka yang agak jauh, namun kedua-duanya mempertahankan cinta mereka bersandarkan logik, bukan hanya mengikut perasaan. Hubungan manusia bagi mereka, tidak seharusnya dibatasi usia dan selagi seseorang itu selesa ia tidak wajar dijadikan titik yang menghalang kesucian sebuah percintaan. "Saya berkali-kali melamar Tamara dan dia menolak. Saya sudah terbiasa hidup dikelilingi wanita cantik kerana tuntutan karier memerlukan saya berdamping dengan mereka. "Tetapi ketika melihat Tamara, saya juga seperti orang lain yang menilainya sebagai seorang bintang besar jadi saya tidak menaruh harapan terlalu tinggi," kata Mike. Bukan kerana orang ketiga: TAMARA mempertahankan badai yang melanda rumah tangga mereka bukan kerana hadirnya orang ketiga atau berlaku kekerasan hingga membuatkan dia dan Mike memilih untuk membawa haluan sendiri. Sebelum ini sempat bertiup khabar mengatakan Mike berlaku curang dengan pelakon lain tetapi perkara itu berlalu begitu saja apabila kesahihannya tidak dapat dibuktikan. "Saya dan Mike lebih sesuai menjadi sahabat dan teman, bukan lagi sebagai suami dan isteri. Ia sesuatu yang terlalu peribadi untuk dikongsi tetapi kami berpisah bukan kerana keganasan rumah tangga atau adanya orang ketiga," kata Tamara. Ketika ditanya apakah mereka masih tinggal bersama sementara perceraian belum disahkan, Tamara dan Mike memilih untuk tidak memberikan jawapan. "Ia sesuatu yang terlalu privasi, jadi tidak mungkin kami akan bercerita mengenainya. Yang pasti, kami menghormati undang-undang," katanya lagi. Jurucakap mereka berdua, Malvin Barinding ketika diminta kepastian mengenai punca perpisahan itu berkata, perkara itu terlalu peribadi untuk dikongsi bersama khalayak. "Mereka sudah memilih untuk mengajukan permohonan cerai. Lebih baik mereka menjadi sahabat, malah tiada hal besar yang berlaku. "Tiada orang ketiga, juga tiada keganasan rumah tangga sebaliknya apa yang berlaku dibuat atas kesepakatan mereka bersama," katanya. | ||
Drama Pertama Idea Ahmad Izham Di TV9 Posted: 06 Apr 2012 08:30 PM PDT PETALING JAYA: Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima, Ahmad Izham Omar mendapat idea penghasilan drama bersiri Friday I'm In Love (FIIL) selepas mendengar lagu kumpulan rock antarabangsa, The Cure, dengan judul yang sama ketika sedang memandu pada 2008. Ahmad Izham berkata dia gembira dan berbangga drama mengenai cerita cinta muda-mudi itu adalah konsep drama pertama cetusan ideanya yang berjaya direalisasikan di kaca televisyen. "Drama ini sangat istimewa kerana ia adalah konsep drama televisyen pertama yang berjaya diterbitkan daripada empat konsep drama yang saya miliki. "Saya menunggu selama empat tahun mencari platform paling sesuai bagi merealisasikan drama ini sehingga TV9 menunjukkan minat mereka pada idea tersebut," katanya ketika ditemui selepas pelancaran drama berkenaan di Damansara Perdana, di sini, Jumaat. FIIL yang diarahkan Faizul Abdul Rashid dibintangi barisan pelakon muda iaitu Qushairi Razali (Qi), Nellydia Senrose, Ryzal Jaafar, Aiman Hakim Ridza, Zoey Rahman dan Bella Daly. Drama sebanyak 13 episod ini akan disiarkan bermula 19 April pada setiap Khamis pukul 8.30 malam menerusi slot Aurora di TV9. Ahmad Izham berkata penyiaran drama tersebut di stesen itu bukan disebabkan kedudukannya sebagai ketua bagi bahagian televisyen dalam kumpulan media terbabit. "Saya sendiri yang bentangkan idea dan konsep drama ini seperti penerbit dan pengarah lain juga. Tiada istilah kronisme atau kedudukan menjadi kelebihan dan jaminan kepada pemilihan konsep yang dicadangkan. "Kebetulan, tema drama ini bertepatan dengan konsep dan objektif TV9 yang kini menumpukan pada pengisian segar dan moden untuk penonton belia," katanya. Dalam pada itu, Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin pula berkata sebagai kelainan, stesen tersebut bakal menyiarkan kesudahan drama itu dalam format telefilem berdurasi dua jam di slot Skrin di 9 pada 18 Julai depan. "Slot Aurora yang menghidangkan drama-drama bersiri tempatan mendapat respons yang sangat menggalakkan daripada penonton khususnya belia. "Untuk itu, kami tampilkan pendekatan baru buat julung kalinya dengan menyiarkan kesudahan drama ini dalam bentuk telefilem selepas episod terakhir ditayangkan nanti," katanya. | ||
Noreen Noor Muncul Selepas 20 Tahun Menjadi Ibu Tunggal Posted: 06 Apr 2012 08:28 PM PDT KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon era 80-an, Noreen Noor yang menyepikan diri selama 12 tahun meluahkan hasrat untuk kembali aktif dalam bidang hiburan tanah air pada tahun ini. Penyanyi yang popular dengan lagu Siang Terbayang Malam Merindu ini berkata selama tempoh itu dia terpaksa mengetepikan bidang seni demi memberi tumpuan kepada keluarga. "Sejak menjadi ibu tunggal pada 1992, keutamaan saya adalah kepada dua anak yang sedang membesar, masalah kesihatan sendiri dan menjaga ibu bapa yang sakit. "Kini orang tua sudah tiada, saya mahu aktif semula dalam bidang seni kerana minat itu tidak pernah lenyap," katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini. Penyanyi yang kali terakhir muncul dengan album pada 1999 ini berkata, perancangan untuk mengeluarkan album sering tertangguh sebelum ini kerana dia berdepan kesukaran untuk mendapatkan lagu yang sesuai. "Kini saya sedang mencari lagu-lagu daripada beberapa komposer. Susah sebenarnya untuk mendapatkan lagu yang saya berkenan dan sesuai dengan selera pendengar hari ini. "Saya perlu ikut trend muzik semasa. Kalau diikutkan saya sudah ada sebuah lagu tetapi perlu digubah oleh komposer yang sesuai agar ia menjadi lagu yang menarik," katanya. Diusik mengenai status janda yang digalasnya hampir 20 tahun itu, Noreen berkata dia selesa bersendirian tanpa kekasih atau suami baru. "Sejak jadi ibu tunggal saya jarang keluar atau berjumpa orang lain. Hidup saya hanya untuk keluarga sahaja. "Memang ada juga yang cuba mendekati tetapi saya tidak mahu layan kerana lebih selesa dengan kehidupan begini. Walaupun sunyi tapi saya ada anak-anak," katanya. | ||
Posted: 06 Apr 2012 08:26 PM PDT Aaron Aziz dan Shaheizy Sam MEMANDANGKAN tidak mudah bagi menyatukan dua wajah popular ini dalam satu sesi fotografi, peluang bertemu mereka pada Siri Jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) di Pasir Gudang, Johor Bahru, kira-kira dua minggu lalu, tidak dibiarkan begitu saja. Bukan sekadar ingin berkongsi cerita dan perkembangan, namun melihatkan populariti mahupun pencapaian kedua-duanya sepanjang tahun lalu, tidak mustahil salah seorang dari mereka bakal membawa pulang trofi Bintang Paling Popular, ABPBH2011, malam esok. Baik Aaron Aziz mahupun pemegang trofi itu tahun lalu, Shaheizy Sam, masing-masing punya pandangan dan perspektif sendiri.
Aaron yang dianggap mencetus fenomena sepanjang tahun lalu sehingga ketika ini, disebut-sebut calon paling layak bagi merangkul gelaran Bintang Paling Popular. Mengakui ia boleh mengundang 'beban' dan rasa gusar, aktor kacak berusia 36 tahun kelahiran Singapura ini akui rasa terharu apabila dicalonkan dalam anugerah tahunan yang kini mencecah edisi ke-25 itu. "Pertamanya saya mengucapkan terima kasih kerana saya terus diterima sebagai calon dalam anugerah besar ini. Bagi saya, pihak penganjur nampak akan kehadiran saya dalam bidang lakonan ini dan memberi ruang sama rata kepada calon-calon lain untuk dipertandingkan. "Namun saya sedar harapan yang diletakkan ke bahu saya oleh banyak pihak untuk menang apa-apa trofi adalah sesuatu yang berat. Bagi saya, semuanya terletak kepada peminat di luar sana dan terserahlah kepada mereka untuk memilih siapa yang mereka suka. "Tugas saya adalah untuk terus berlakon dan memberikan yang terbaik. Selama ini saya berhijrah ke Kuala Lumpur semata-mata ingin mencari rezeki dan menunjukkan bakat saya. Pengiktirafan untuk artis akan datang dengan sendiri dan bukan hak saya untuk meminta. "Kalah menang, ia tidak akan mengubah niat saya untuk terus berlakon namun saya tetap ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang memangkah nama saya," katanya yang sebelum ini membintangi filem Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Pisau Cukur, Datin Ghairah dan filem fenomena Ombak Rindu. Drama Nora Elena lakonan Aaron tayangan TV3 juga mencatatkan jumlah penonton antara yang tertinggi bagi drama bersiri selain teater lakonannya, Badai Semalam. Teater itu mengukir sejarah tersendiri apabila Istana Budaya (IB) penuh sesak dengan peminat yang ingin menonton. Kemuncak kerjaya Aaron setakat ini pastinya menerusi filem arahan Osman Ali, Ombak Rindu selain KL Gangster yang meraih kutipan pecah panggung melebihi RM10 juta. "Tidak adil memberikan kesemua kredit itu kepada saya sedangkan setiap filem, drama dan teater itu adalah hasil kerjasama ramai pihak di depan dan belakang tabir. "Kalau bukan kerana skrip yang baik, arahan serta gandingan pelakon-pelakon handalan, belum tentu sesebuah karya itu akan menjadi kegilaan ramai," katanya. Tambah Aaron, andai rezeki berpihak kepadanya malam esok, trofi itu adalah kemenangan untuk dikongsi bersama peminat. "Saya rasa Shaheizy Sam ada potensi sangat besar untuk terus memegang trofi itu sekali lagi kerana peminatnya sangat ramai dan kesemua filem lakonannya yang masih membuatkan panggung wayang sesak," ujar Aaron ditemani isteri tersayang yang juga pengurus kerjayanya, Diana Halik. Dalam suasana riuh-rendah di belakang pentas pada Siri Jelajah ABPBH itu, Shaheizy yang mesra disapa Sam, masih gigih berkongsi perasaannya yang begitu seronok bertemu peminat dalam kembara tahun ini. Bayangkan, meskipun tahun lalu, dia tidak berkesempatan langsung mengunjungi mana-mana destinasi Siri Jelajah ABPBH kerana terikat dengan jadual penggambaran ketata, namanya dia masih menjadi Bintang Paling Popular. Lantas jelasnya, tahun ini adalah peluang terbaik untuknya membalas tanda sokongan peminat dan tidak pernah tertekan untuk memikirkan soal menang buat kali kedua. "Kalau boleh, saya ingin bertemu setiap seorang peminat untuk bersalaman dengan mereka kerana saya masih terharu dan seronok dengan kemenangan tahun lalu. Bayangkan, peminat masih mengundi saya walaupun tidak berpeluang bertemu mereka. Justeru kali ini saya curi peluang untuk hadir ke setiap destinasi siri jelajah ini untuk mendekati peminat dan mengucapkan terima kasih atas sokongan. "Saya tak pernah langsung terfikir soal nak memancing undi kerana sejak kecil lagi saya sudah berlakon kerana minat dan kesungguhan. Lakonan dan mencuba menghidupkan sesebuah watak dengan sebaik mungkin. Namun setiap trofi itu adalah satu bonus yang membuatkan saya jadi lebih bersemangat. "Insya-Allah kalau ada rezeki, saya terima dengan penuh rasa syukur atas sokongan peminat yang memangkah! Saya sendiri ada gerak hati bahawa Aaron akan menjulang trofi terhebat itu," katanya merendah diri. Sam mula muncul sebagai pelakon pada usia 13 tahun menerusi filem Sama Tak Serupa dan kemudiannya membintangi drama popular yang melonjakkan namanya, Pa'e, tiga tahun kemudian. ABPBH2011 dengan tema 'Larger Than Life' bakal menggegarkan Arena of Stars, Genting Highlands, mulai 9 malam esok, secara langsung melalui TV3 dan Hot FM. | ||
Posted: 06 Apr 2012 08:24 PM PDT GERUN...Hisham memegang bahagian hadapan kepalanya. PASIR MAS: Pelbagai gelaran diberikan terhadap dirinya, termasuk 'makhluk asing', namun, ia tidak mematahkan semangat Mohd Izanuddin Hisham Muhamad, 24, dari Kampung Kubang Panjang, Jalan Rantau Panjang Lama, dekat sini, untuk meneruskan kehidupannya. Bayangkan, bahagian hadapan kepalanya yang berbeza berbanding insan normal menyebabkan ada kanak-kanak menangis apabila terserempak atau melihatnya dari dekat.
Anak sulung daripada tiga beradik itu mampu menceritakan secara terperinci kemalangan menimpa dirinya tiga tahun lalu yang menyebabkan separuh tempurung kepalanya dibuang doktor.
"Sebaik tiba di Kangkong, tiba-tiba, sebuah Honda Jazz dari arah Pasir Mas dipandu seorang warga Thailand cuba memotong sebuah kenderaan lain, namun, gagal lalu bertembung motosikal saya.
Katanya, sebaik sedar, dia hairan melihat pesakit lain termasuk pengunjung wad memandangnya, seolah-olah ada benda pelik berlaku ke atas dirinya.
| ||
Posted: 06 Apr 2012 08:23 PM PDT PETALING JAYA: Buat pertama kalinya, vokalis daripada kumpulan Kristal, Lan atau nama sebenarnya Razlan Mohamed Yosof, akan mengacarakan program berbentuk pengembaraan (travelog), Wisata, menerusi saluran TVi (Saluran 180 Astro). Wisata, disiarkan setiap Sabtu bermula 7 April ini, pukul 5.30 petang. Sebanyak 13 episod yang disiarkan, Lan akan menjelajah ke setiap pelusuk negara untuk mengenali tempat-tempat menarik dan kepelbagaian budaya yang terdapat di Malaysia. Program ini membawa penonton mengenali dengan lebih dekat lagi lokasi menarik dan budaya tersendiri masyarakat setempat di Semenanjung Malaysia termasuklah negeri Sabah dan Sarawak. Episod pengenalannya bermula di Kuching, Sarawak yang mana masyarakat setempatnya mengadakan aktiviti Sarawak Regatta, acara tahunan sukan air bertaraf antarabangsa yang mempunyai sejarah tersendiri dan diadakan setiap tahun di Sarawak. Kunjungan di Sarawak turut mendekati jejak warisan Sarawak dan Muzium Tekstil Sarawak yang penuh bersejarah. Sementara itu, kepada yang berminat menerokai beberapa buah pulau di Sabah, program travelog berjudul 13 Hari mampu memberi pengetahuan kepada anda tentang'rahsia' menarik di Pulau Mabul, Sipadan dan Kapalai yang terletak di perairan Sabah. Penonton pastinya teruja untuk melihat keindahan batu karang yang berada di dasar laut selain turut memaparkan cara hidup dan aktiviti harian masyarakat tempatan bersama pengacara Azura Zainal dalam 13 episod siarannya. 13 Hari, akan disiarkan di saluran TVi mulai 8 April ini, setiap Ahad, pukul 8 malam. | ||
Posted: 06 Apr 2012 08:22 PM PDT DIANUGERAHI seorang anak benar-benar membuatkan penyanyi Inggeris, Lily Allen bahagia dan untuk menambahkan lagi kebahagiaannya, Lily merancang untuk menambah seorang lagi anak dengan segera. Menurut sumber, Lily yang pernah keguguran untuk beberapa kali sebelum ini cukup bahagia menjaga anak perempuan sulungnya, Ethel Maria, sehinggakan dia tidak merasakan satu bebanan untuk menjaga anaknya sendiri tanpa bantuan pembantu rumah. "Lily cukup bahagia. Walaupun terpaksa melalui bahagian mengasuh yang paling susah iaitu tidak tidur malam, dia tidak kisah dengan semua itu. "Ethel pula sudah boleh tidur pada waktu yang ditetapkan. Lily begitu seronok dan teruja menjadi seorang ibu dan merancang ingin menambah anak lagi. malah, kalau boleh dia ingin memenuhi ruang rumahnya bersama suami, Sam Cooper, dengan anak-anak mereka," kata sumber kepada majalah Closer. | ||
Posted: 06 Apr 2012 08:16 PM PDT KONTEMPORARI...sentuhan memikat kebaya pendek dipadankan kain labuh berlipat. KEISTIMEWAAN rekaan pereka ini pada jahitan manik yang begitu berseni dan halus pada fabrik yang dilakar menjadi busana indah. Malah sentuhan jari-jemari anak muda yang menggunakan nama Qudyn ini sukar ditandingi kerana dia begitu teliti bukan saja daripada segi jahitan malah pemilihan manik dan warna digunakan. Setiap susunan manik nampak kemas bagaikan tiada kekurangan apabila padanan indah itu disarungkan ke tubuh tinggi lampai mempelai. Semua ini diadun cantik bukan saja menerusi pembelajaran di kelas tetapi pengalaman selama lapan tahun berguru dengan pereka tersohor Datuk Radzuan Radziwill ketika bekerja di butiknya yang terletak di Kompleks Daya Bumi, Kuala Lumpur.
"Saya akui rekaan banyak dipengaruhi ilham sentuhan sifu, Radzuan Radziwill terutama dari segi perincian manik. Saya mengagumi hasil kerjanya yang teliti serta tiada tolak bandingnya. Radzuan akan melakukannya sehingga dia benar-benar berpuas hati dengan hasilnya," kata Qudyn. Berkonsepkan moden kontemporari, Qudyn menampilkan rekaan busana daripada warna pastel seperti putih, kelabu, krim dan rona keemasan. Menurutnya, warna sebegini kekal sepanjang zaman dan masih menjadi pilihan mempelai. Ini kerana sifat rona itu sendiri yang mudah dan serasi apabila digabungkan dengan sebarang warna. Malah mempelai tidak sukar memilih kombinasi pelamin dan hantaran menggunakan rona ini. "Sebelum menghasilkan rekaan, saya berbincang dengan mempelai mengenai tema perkahwinan mereka dengan mengambil kira warna kulit, bentuk potongan badan serta ketinggian. Ini sangat penting bagi memastikan setiap padanan terletak cantik pada tubuh si pemakai," katanya yang pernah menghasilkan pakaian perkahwinan pelakon Ayu Raudhah serta beberapa selebriti tanah air untuk acara permaidani merah. Qudyn juga menghasilkan rekaan tradisional menerusi potongan kebaya moden dipadankan kain. Baginya, walau moden bagaimana sekalipun busana dihasilkan, potongan tradisional tetap menjadi asas dalam menghasilkan rekaan. "Bagi saya, potongan tradisional masih unggul dan mempunyai tempat tersendiri. Gabungan tradisional dan moden akan memberikan sentuhan berbeza terutama apabila menggunakan perincian manik pada busana," katanya. Bagi menyembunyikan kekurangan terutama wanita yang agak berisi, Qudyn menggunakan fabrik lembut dan beralun cantik pada tubuh wanita iaitu sifon, renda dan satin duchess. Gabungan dua fabrik renda dan sifon memperlihatkan mempelai lebih langsing serta terletak cantik pada tubuh si pemakai. Bagi mempelai bertudung pula, busana yang menutupi keseluruhan tubuh serta tidak seksi menjadi pilihan. Qudyn juga menghasilkan rekaan tudung dan selendang untuk majlis pertunangan dan pernikahan. "Kebanyakan pengantin saya bertudung, justeru saya perlu menghasilkan rekaan yang sesuai dengan imej Muslimah. Biasanya potongan yang tidak terlalu ketat, jarang dan labuh menjadi pilihan mereka," katanya. Bagi mempelai yang ingin melangsungkan perkahwinan Qudyn memberikan tip memilih padanan sesuai: - Pilih pakaian mengikut bentuk tubuh. Ini sangat penting bagi memastikan busana dipilih bersesuaian dengan bentuk tubuh serta penampilan. Mempelai terlalu kurus tidak sesuai memakai pakaian terlalu ketat kerana akan menampakkan badan lebih kurus. Sebaliknya pilih gaun sedikit longgar serta kembang bagi menampilkan gaya semula jadi. Pengantin gempal pula tidak sesuai memakai pakaian terlalu pendek kerana akan menampakkan tubuh lebih pendek sebaliknya pilih gaun menutupi pinggul manakala wanita berbadan langsing sesuai dengan apa juga jenis potongan. - Pilih fabrik polos. Untuk wanita gempal, pilih kain renda berjalur dan berwarna gelap bagi menampakkan tubuh sedikit kurus. Sebaliknya pilih yang tidak terlalu sarat perincian manik kerana lebih segar dan sederhana. - Pilih tudung yang tidak sarat. Untuk pengantin bertudung, teknik ikatan, jenis fabrik dan warna memainkan peranan penting. Sebaiknya pilih gaya ikatan yang tidak sukar dipakai, selesa dan kemas. - Perhiasan yang tidak sarat. Sekiranya pakaian sudah dipenuhi manik serta batu permata, kurangkan penggunaan perhiasan. Bagi yang tidak bertudung, sepasang anting-anting comel sudah memadai. Jangan terlalu sarat dengan rantai kerana ini akan menenggelamkan keanggunan. | ||
Pemain keyboard jadi pengurus hotel Posted: 06 Apr 2012 08:15 PM PDT AHMAD Satiman Ismail mengetengahkan bakatnya dalam bidang muzik tanah air sebagai pemain keyboard dan piano bersama kumpulan rock, The Boys yang banyak mengiringi persembahan dua penyanyi terkenal, Ella dan Shima dari tahun 1983 hingga 1991. Meskipun telah mula bermain piano pada usia 11 tahun dan kemudian menjadikan bidang muzik sebagai kerjayanya tetapi pemuzik berusia 48 tahun ini tidak menduga dia akhirnya memilih Pengurus Sumber Manusia di Hotel Adamson, Kuala Lumpur sebagai kerjayanya pada hari ini. Menurut Satiman, sungguhpun jawatan yang disandang sejak Januari lalu itu kerjaya baru buatnya tetapi dia dapat merasakan banyak kelainan dan perubahan dalam hidupnya apabila mencuba sesuatu yang berbeza dengan apa yang telah dilakukannya selama 29 tahun lalu. | ||
Posted: 06 Apr 2012 08:13 PM PDT MALAH mereka juga menentang fahaman kolot sesetengah masyarakat di sana menjadikan keluarga itu yang asalnya dikenali sebagai Banerjees dihormati dengan gelaran Thakur atau Tagore dalam bahasa Inggeris pada abad ke-17. Dari nisab keluarga yang dihormati lahirnya ahli penyair terbilang bernama Rabindranath Tagore pada 6 Mei 1861 di bangunan tua purba di Jorasanko kota Calcutta. Sejak dari kecil, Rabindranath dan ayahnya selalu mengembara ke merata tempat. Hal ini menjadi batu loncatan buatnya memperhalusi pancaindera yang ada dengan pemandangan indah yang terdapat di sekitar India. Sejak mengembara, Rabindranath mula mengubah rangkap syair sehingga karangannya telah dicetak sebelum beliau berumur 15 tahun dan ketika beliau berumur 18 tahun hampir 7,000 rangkap syair dan karangan beliau telah dicetak diseluruh India. | ||
Kisah percintaan Mufti Kelantan Posted: 06 Apr 2012 08:12 PM PDT UNGKAPAN jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan memang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa sahaja apabila berbicara tentang penyatuan dua hati dan jiwa. Meskipun dicari di sebalik gunung yang tinggi, kadang-kala pasangan hidup yang ditakdirkan sehidup semati dengan kita, rupa-rupanya sudah lama berada di hadapan mata dan menghirup udara yang serupa. Hanya menanti waktu dan alasan sesuai untuk setiap pasangan itu diijabkabulkan. Begitulah kisah cinta yang berlaku antara Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, 67, dan isterinya, Datin Salmiah Mohd Zain, 65. Kedua-duanya berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Pasangan yang berkahwin tanggal 25 Jun 1972 ini asalnya adalah rakan sekuliah ketika menuntut di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK), Nilam Puri dalam bidang syariah dan undang-undang sebelum menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir. | ||
Posted: 06 Apr 2012 08:10 PM PDT Orang dulu-dulu ada menyebut rahsia menyimpul hati suami adalah melalui makanan kerana kerana hasil 'air tangan' isteri adalah lambang kasih sayang. Malah sesetengah aroma masakan mampu membawa kita kepada yang disayangi dan tempat yang kita idamkan. Kadang kala, menikmati hidangan bersama keluarga terutama ketika musim perayaan mampu mencetuskan kenangan yang terindah kerana melalui hidangan ia dapat merapatkan hubungan kekeluargaan. Segala kenangan tersebut membuatkan kita ingin menzahirkan keenakan rasa hidangan yang membuatkan hati kita sentiasa dekat kepada keluarga. Seiring dengan itu Lee Kum Kee, jenama pengeluar sos dan perasa asli terulung bercadang untuk memenangi ruang kecil hati masyarakat melalui kempen Tunjukkan Sayang Anda Melalui Rasa. Pengarah Jualan Lee Kum Kee Malaysia, Singapura dan Brunei, Leong Chee Kang berkata, melalui kempen tersebut, pihaknya akan mengadakan pameran bergerak ke seluruh negara bersama 'dapur bergerak' yang direka khas bagi menyampaikan mesej bahawa perkara baik dalam hidup harus dikongsi bersama dan perkongsian itu adalah lambang kasih sayang'. Katanya, kempen ini dilancarkan dengan objektif untuk berkongsi keunikan dan kepelbagaian rangkaian sos Lee Kum Kee di dalam setiap hidangan yang disediakan di rumah. "Kepelbagaian rasa produk Lee Kum Kee bakal dinikmati oleh penduduk setempat dengan hidangan oleh chef terpilih di lokasi-lokasi jelajah dan resipi istimewa untuk dicuba sendiri di rumah akan diberikan," katanya pada majlis pelancaran kempen di Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Menurut Chee Kang, kempen tersebut akan menjelajahi lebih 70 lokasi termasuk bandar-bandar utama seperti Pulau Pinang, Ipoh, Melaka, sekitar Lembah Klang dan Johor Bahru. Di setiap lokasi 'dapur bergerak' tersebut akan ditampilkan demonstrasi masakan selama 60 minit dengan menampilkan enam variasi hidangan. Chef undangan juga akan berkongsi tip-tip masakan istimewa buat pengunjung. "Antara chef pilihan yang bakal menemui pengunjung sepanjang kempen tersebut berlangsung ialah Chef Wilson Ngew, seorang chef muda yang sedang meningkat naik," katanya. Sementar aitu pada majlis pelancaran dapur bergerak tersebut, duda chef selebriti terkenal Datuk Chef Wan dan Datuk Chef Ringo Kaw turut mempamerkan bakat masing-masing kepada pengunjung. Chef Wan yang terkenal dengan karakter ceria dan bersahaja telah memulakan sesi demonstrasi masakan ayam masak kicap soya. Sementara Chef Ringo pula menyediakan hidangan nasi goreng bulan purnama. | ||
Transformasi kerjaya setiausaha Posted: 06 Apr 2012 08:08 PM PDT SETIAUSAHA yang mahukan lebih daripada sekadar hiburan patut mendaftarkan diri pada seminar setiausaha yang dianjurkan oleh Utusan Publication and Distributors (UPND). Seminar yang bertemakan Transformasi Tingkat Prestasi itu bakal memberikan 1,001 maklumat dan mampu mengubah seseorang setiausaha sekali gus organisasi yang diwakilinya. Penganjuran seminar untuk setiausaha oleh UPND yang memasuki tahun ke-11 itu pastinya memberikan banyak nilai tambah kepada pesertanya tahun ini. Menurut Pengarah Eksekutif UPND, Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar, kelainan yang dibawakan kali ini adalah mereka menjemput penceramah terkenal, Datuk Ustazah Siti Nor Bahiyah Mahmood untuk menerajui sesi utama yang bakal membincangkan tajuk Transformasi Diri Ke Arah Kecemerlangan Organisasi. "Setiausaha memerlukan ilmu pengetahuan yang tinggi dan berinovatif untuk melakukan transformasi diri dan organisasi. "Isu keselamatan akan turut dikongsi oleh panel kedua iaitu Kamal Affendi Hashim yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang tersebut. "Kamal Affendi juga akan mengupas mengenai isu gangguan seksual di tempat kerja dan cara menanganinya," jelas Dr. Ahmad Hairi. Seminar itu juga akan diadakan di dua tempat iaitu di Hotel Marriott, Putrajaya dan juga pada tarikh 30 April di Paradise Sandy Beach Resort, Pulau Pinang. Menurut Dr. Ahmad Hairi, penyertaan yang diterima amat menggalakkan dan setakat ini 500 peserta telah mendaftar. "Dengan pengalaman hebat ustazah Siti Nor Bahiyah beliau bakal memberikan input yang bukan sahaja berkisar teori malah yang lebih utama menekankan aspek rohani khusus untuk setiausaha yang hadir. "Selain ustazah, peserta seminar ini juga akan dihiburkan oleh penyanyi Sohaimi Mior Hassan dan majlis akan diacarakan oleh Roslan Shah. Penceramah lain ialah Datuk Dr. Mohamad Azmie Zakaria. "Peserta yang bertuah juga akan membawa pulang hadiah rantai mutiara Rafflesia bernilai RM25,000, baucar bilik percuma di Permaisuri MITC Hotel Melaka, tiket penerbangan ke Jakarta, Indonesia, barangan kecantikan dan baucer pelangsingan badan," tambahnya. | ||
Mengaji di rumah semakin popular Posted: 06 Apr 2012 08:02 PM PDT MASIH segar dalam ingatan bagaimana satu ketika dahulu pada waktu petang anak-anak kampung akan berbondong-bondong ke rumah guru al-Quran. Ada juga yang pulang sahaja dari sekolah di sebelah petang, terus capai al-Quran dan berlari-lari anak ke rumah ustaz atau ke madrasah untuk mengaji. Pada waktu itu, ibu bapa berani melepaskan anak-anak berjalan sendirian atau dalam kumpulan kecil untuk mengaji al-Quran termasuk pada waktu malam. Di kampung-kampung yang belum ada bekalan elektrik pula, anak-anak terbabit dengan bertemankan lampu suluh atau pelita ayan berulang-alik saban malam demi mendapatkan ilmu al-Quran. Pada masa itu, tidak ada kebimbangan di kalangan ibu bapa kalau-kalau anak mereka diculik atau diperlakukan dengan perkara tidak elok. Bagi kanak-kanak pula, mereka lebih takut dimarahi ustaz atau tok guru walaupun kadang-kadang terpaksa lari lintang pukang di kejar anjing atau bulu roma meremang bila teringat kisah-kisah seram ketika pulang dari mengaji pada waktu malam. Seperkara lagi, mengaji pada ketika itu, soal bayaran atau upah mengajar bukanlah topik utama sangat. Ia terpulang kepada ibu bapa, padahal boleh dikatakan setiap hari mengaji kecuali hari Jumaat. Bila disingkap pengalaman mengaji bagi generasi yang hidup lingkungan tahun 40-an pula. Lain pula suasana mereka dan paling unik apabila upah yang dibayar ialah bukan dalam bentuk wang ringgit tetapi dengan cara membantu ustaz mengaji melakukan kerja-kerja seperti memenuhkan air di tempayan, mencarikan kayu api atau melipat dan mengangkat kain di jemuran. Hari ini terdapat pelbagai kemudahan untuk belajar al-Quran. Ada yang boleh diperoleh menerusi kelas-kelas pengajian al-Quran yang ditawarkan pelbagai pusat atau masjid. Yang paling ketara sudah menjadi trend ketika ini di mana para guru pula datang mencari murid. Ini ekoran trend mengupah ustaz atau ustazah mengajar anak-anak mengaji di rumah semakin popular. Pelbagai alasan digunakan oleh ibu bapa untuk merasionalkan tindakan itu dan yang paling sering ialah faktor keselamatan. Sebab itu, sudah menjadi perkara biasa sekarang apabila guru-guru al-Quran bergerak di rumah ke rumah tanpa mengira hujan dan panas dalam memberikan ilmu al-Quran kepada generasi muda Islam. "Zaman kini sudah berubah. Ini sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan masyarakat terutamanya penghuni kota. Ramai yang sibuk bekerja sehari suntuk dan tiada masa untuk mempelajari al-Quran. "Lebih menyedihkan jika individu tersebut telah berkeluarga dan mempunyai anak-anak. Anak-anak ini yang mempunyai hak untuk mempelajari al-Quran tetapi terabai kerana kesibukan ibu bapa," kata Presiden Akademi Al-Jazari, Ahmad Arshad Ezhar. Oleh itu kata Arshad, dengan adanya guru yang sanggup datang mengajar di rumah tiada alasan lagi bagi mereka yang sibuk atau malu untuk pergi belajar al-Quran. Beliau yang merupakan presiden akademi yang menawarkan perkhidmatan pengajian al-Quran ke rumah menolak persepsi negatif orang ramai terhadap kewujudan sistem baru tersebut malah meyakini ia memberikan hasil yang berkesan dalam masa singkat dan pantas. "Ada yang menyatakan sistem ini seperti berorientasikan perniagaan dan 'menjual agama' untuk kepentingan diri semata-mata. Ada juga yang mendakwa ia hanya mengambil kesempatan di sebalik kesusahan orang lain. "Sebenarnya ia hanyalah mentaliti orang yang tersalah tafsiran terhadap institusi agama. Jika kita lihat, dalam institusi negara juga mempunyai seorang menteri penasihat agama. Mengapa ia perlu ada, adakah ia juga dikatakan sebagai menjual agama. "Ia sebenarnya adalah satu perkhidmatan yang ditawarkan dalam usaha mendidik masyarakat untuk celik al-Quran serta melahirkan pakar-pakar bertaraf dunia Islam. "Tambahan lagi, sistem ini membolehkan pengajar memberikan tunjuk ajar dan tumpuan secara terus kepada pelajar tersebut. "Pengajar juga akan mengajar mengikut peringkat atau tahap yang sesuai dengan kebolehan pelajar," jelasnya Arshad. Tambahnya, setiap kesalahan dapat diperbaiki terus oleh guru kepada pelajar tanpa merasai perasaan malu lagi. | ||
Maradona legenda penuh kontroversi Posted: 06 Apr 2012 08:00 PM PDT
BIARPUN zamannya sudah lama berlalu dan dia telah merentasi pelbagai era, namun kehebatan Diego Maradona pada zaman bergelar pemain mengekalkan bekas penggempur Argentina ini sebagai legenda. Usianya sudah mencecah 51 tahun, namun dia masih aktif melibatkan diri dalam sukan yang amat dicintainya itu apabila membimbing kelab Liga Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al Wasl. Begitupun Maradona tidak dikenang kerana kehebatannya semata-mata, apa yang menjadikan dia begitu popular adalah kisah hidupnya dan kontroversi yang sering menyelubungi. Dari zaman pemain, hingga bergelar jurulatih dan kemudian bapa, dia terus dihimpit kontrovesi. Ketika membantu Argentina menjulang Piala Dunia 1986, insiden 'Tangan Tuhan' menghantui kemenangannya selepas dia menolak bola menggunakan tangan. | ||
Keaslian rasa gulai tempoyak ikan patin SZ Rahmah Posted: 06 Apr 2012 07:59 PM PDT SEMASA Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kerdau, Pahang pada Februari tahun lalu, negara digemparkan dengan cerita sensasi mengenai harga gulai tempoyak ikan patin Temerloh berharga RM13,000 untuk hidangan 56 orang. Walaupun cerita tersebut tidak tepat ekoran salah faham tetapi ia memberi gambaran kurang baik terhadap imej peniaga makanan di sekitar Temerloh. Namun di sebalik berita sensasi itu, ia memberi impak positif apabila secara tidak langsung telah meningkatkan populariti ikan tersebut sebagai hidangan istimewa di daerah Temerloh. Sejak itu, minat orang ramai untuk menikmati keenakan gulai tempoyak ikan patin telah bertambah, menyebabkan permintaannya meningkat berkali ganda. | ||
Posted: 06 Apr 2012 07:58 PM PDT BERSANTAI bersama keluarga di tepi pantai pada waktu malam adalah aktiviti yang sangat mengujakan. Suasana damai dan tenang bertemankan panorama malam merupakan nikmat yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata. Sebab itulah, ramai orang mencari masa terluang untuk melakukan aktiviti itu terutama ketika musim cuti sekolah atau hujung minggu. Ia bukan sahaja dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim, malah ia boleh menenangkan fikiran daripada bebanan sewaktu bekerja. Tinjauan S2 di Pangkalan Nelayan Batu Empat, Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini mendapati, menjelang detik 12 malam, ternampak kelibat pengunjung di sekitar pantai peranginan itu menikmati keindahan alam ketika bot-bot nelayan meninggalkan jeti bagi mencari hasil tangkapan ikan. | ||
Posted: 06 Apr 2012 07:58 PM PDT
BAGI yang tidak pernah mengunjunginya pasti tertanya-tanya mengapa Taiwan menjadi buah mulut serata dunia sebagai Pulau Cantik atau 'Ilha Formosa' oleh kelasi Portugis serta diiktiraf salah satu daripada rahsia Asia yang masih terpelihara dengan baik. Kedudukan muka buminya yang dikelilingi pulau-pulau indah, Taiwan jelas mempunyai daya pesona luar biasa itu kerana memiliki ratusan lokasi magis yang mampu memukau pandangan, khazanah antik tertua dunia, monumen dan senibina bangunan mengagumkan serta keunikan budayanya cukup untuk menggambarkan identitinya. Oleh itu, bagi mereka yang gemar melancong, Taiwan seharusnya menjadi negara wajib untuk dilawati kerana kunjungan ke sana pasti memberi pengalaman berbeza apatah lagi bagi mereka yang kali pertama menjejakkan kaki ke negara berkenaan. | ||
Posted: 06 Apr 2012 07:56 PM PDT KEDAMAIAN alam sekitar dengan aliran sungai dan dusun buah-buahan pasti membuatkan setiap pengunjung terpukau apabila menjejakkan kaki di Keda Resort Bendang Man, Sik Kedah. Berlatarkan bukit-bukau menghijau, resort seluas 58 hektar itu menawarkan kepuasan bagi pengunjung yang mahu berehat dan lari daripada hiruk-pikuk serta kesibukan kota. Landskap resort ini begitu cantik kerana berada di Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik sekali gus mengandungi pakej semula jadi iaitu anak sungai Chepir yang mengalir jernih dan rangkaian jeram mempersonakan. Ia juga mempunyai kawasan dusun buah-buahan melibatkan tanaman campuran durian, rambutan, dokong dan manggis. Resort yang merupakan destinasi pelancongan berkonsepkan agrotourism itu turut menawarkan pelbagai kemudahan dan aktiviti pada harga berpatutan. | ||
Gua Damai taman ekstrem lengkap Posted: 06 Apr 2012 07:55 PM PDT
JIKA anda impikan sebuah ekspedisi mencabar tetapi tidak sanggup merentasi padang pasir Sahara ataupun mendaki ke puncak gunung Everest, bolehlah merancang ataupun bermula di lokasi Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves, Selangor. Sesuai dengan namanya sebagai taman ekstrem, Gua Damai kini dibuka kepada pengunjung yang ingin mencabar perasaan gayat dan darah gemuruh ketika menyertai aktiviti yang melibatkan ketinggian. Namun setelah mencubanya, anda pasti tidak lagi 'ketar lutut' ketika berhadapan dengan halangan yang memerlukan anda mencabar kebolehan diri sendiri. Selain terkenal sebagai lokasi trek semula jadi untuk aktiviti memanjat tebing (rock climbing), Gua Damai turut menawarkan aktiviti sukan ekstrem yang lain seperti flying fox, abseiling, jelajah gua dan merentas hutan. | ||
Debaran dan keterujaan Intan-Neelofa Posted: 06 Apr 2012 07:50 PM PDT SEMPENA penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia 2012 oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC), baru-baru ini, penganjur memberi peluang kepada pihak media dan artis untuk merasai sendiri pengalaman kelajuan kereta F1 X2 yang dipandu oleh bekas pelumba F1, Alex Yoong dan Patrick Friesacher. Dengan kerjasama daripada rakan meja Sukan, Aizawati Ahmad, S3 berjaya membawa pelakon Intan Nurladyana Mohamat Yahaya, 30, dan Noor Neelofa Mohd. Noor, 23, ke litar Sepang pada 30 Mac lalu. Nyata kedua-dua pelakon popular itu teruja untuk merasai pengalaman tersebut lebih-lebih bukan mudah dan murah untuk mendapatkan peluang seumpama itu. | ||
Dipenjara akibat bertindak kejam pada kekasih Posted: 06 Apr 2012 07:43 PM PDT KUALA TERENGGANU - Walaupun hubungan mereka baru berstatus kekasih, namun seorang pemandu lori sudah berani bertindak kejam dengan menampar dan menolak teman wanitanya itu sehingga cedera di muka dan lengan kanan dalam satu kejadian di sebuah inap desa, di sini, hujung bulan lalu. | ||
Sri Wani dan Dr. Bahrom wajib dipisahkan sementara Posted: 06 Apr 2012 07:41 PM PDT KUALA LUMPUR – Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menegaskan bahawa perkahwinan antara pasangan sesama jantina adalah dilarang dan tidak diiktiraf sama sekali dalam Islam. Menurut beliau, mengikut hukum syarak, setiap perkahwinan perlu meliputi lima rukun nikah yang wajib dituruti iaitu suami (lelaki), isteri (perempuan), wali, dua orang saksi serta akad nikah. Justeru, katanya, jika salah satu daripada kelima-lima rukun itu tidak dipenuhi, perkahwinan tersebut adalah tidak sah. "Walaupun secara luarannya, seseorang itu kelihatan seperti seorang wanita tetapi hakikatnya, dia masih kekal sebagai seorang lelaki. Oleh itu, dia tidak boleh bergelar isteri. "Mana-mana individu sama jantina yang berkahwin boleh didakwa mengikut Seksyen 11 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan jika sabit kesalahan, mahkamah berhak membatalkan perkahwinan tersebut," katanya ketika dihubungi semalam. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan