Selasa, 10 April 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Kamal Adli Kagum Intan Ladyana Sanggup Menanti Dilamar

Posted: 10 Apr 2012 01:18 AM PDT

Kamal Adli
PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli, 25, sangat kagum dan menghargai pengorbanan kekasihnya iaitu Intan Ladyana, 29, yang sanggup menunggu untuk dilamar sebagai isteri.
Kamal berkata, dia faham dengan situasi Intan yang sedang menanti untuk dipinang apatah lagi ketika keluarga dan saudara-mara mula berkata-kata mengenai perhubungan mereka, namun dia belum bersedia dalam soal kewangan.
"Saya hormat pada Intan dan hargai pengorbanannya kerana sabar menunggu saya yang masih lagi membina karier untuk lebih kukuh.
"Malah dia juga tidak kisah dengan persoalan orang di sekeliling yang bertanyakan tentang bilakah tarikh perkahwinan kami," katanya.
Bagaimanapun tambah Kamal, dia akan menamatkan zaman bujangnya sebelum berusia 30 tahun dan akan mengukuhkan sumber kewangannya sebelum bergelar suami.
Kamal kagum dengan Intan yang sanggup menunggu untuk dilamar.
"Kita nak jaga anak orang, jadi kalau boleh biarlah kita ada aset sedikit seperti rumah terutamanya, demi keselesaan bakal isteri.
"Saya juga mahu meyakinkan keluarga Intan yang saya boleh menjaganya," ujar Kamal.
Walaupun pelbagai gosip cinta yang melanda dirinya dengan pelakon-pelakon wanita lain, Kamal bersyukur kerana Intan bukanlah seorang yang mudah melenting kerana dia memahami tidak semua gosip itu benar.
"Memang kita tidak boleh nak elak daripada cakap-cakap orang, tetapi Alhamdulillah, kami saling mengenali antara satu sama lain dan faham dengan situasi yang berlaku," ujarnya.

----

Zed Zaidi Tidak Matang Pertikai Kemenangan Aaron Aziz

Posted: 10 Apr 2012 01:17 AM PDT

Aaron Aziz.
PETALING JAYA: Bintang Paling Popular, Aaron Aziz menegur aktor Zed Zaidi yang mempersoalkan kemenangannya dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) Ahad lalu.
Aaron berkata Zed yang menjadikan faktor kenegaraan bagi mempertikaikan kemenangannya adalah satu pemikiran yang tidak matang apatah lagi ia datangnya daripada Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).
"Saya tak boleh nak halang dia untuk menulis apa sahaja dalam entri Twitter miliknya kerana itu hak masing-masing.
"Cuma jika begitulah pemikiran dia yang juga merupakan orang penting dalam Seniman, saya rasa, dia tak cukup matang. Apa-apa komennya itu tidak menjejaskan saya," katanya yang dihubungi di sini, Isnin.
Aaron diminta mengulas mengenai entri menerusi Twitter milik Zed pada Ahad lalu yang dilihat seperti kecewa di atas kemenangan Aaron, seorang warga negara Singapura.
Antara komen Zed Zaidi menerusi Twitter miliknya yang mempersoalkan kemenangan Aaron Aziz. 
Zed secara menyindir turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang mengundi pelakon itu kerana ia dilihat seperti menggalakkan artis luar merosakkan industri seni tempatan.
Dalam pada itu, Aaron menambah, dia percaya seni lakonan tiada sempadan dan isu kenegaraan sebenarnya tidak perlu dibangkitkan apatah lagi dia tidak pernah mengganggu "periuk nasi" Zed Zaidi selama ini.
"Apa juga jenis seni sekalipun, ia sebenarnya tiada sempadan. Lagipun kemenangan ini adalah pilihan orang ramai. Kalau saya kacau periuk nasi dia, lainlah. Insya-Allah, kalau dia masuk pertandingan saya akan undi dia," sindir Aaron.
Sementara itu, Aaron berharap permohonannya untuk mendapat taraf penduduk tetap negara ini dapat diluluskan dengan segera bagi membolehkannya melebarkan sayap sebagai pelakon di negara ini.
"Insya-Allah kalau dah ada kerakyatan nanti boleh dicalonkan dalam Festival Filem Malaysia (FFM) atau anugerah lain yang dinilai secara profesional. Dari situ nanti barulah kita tahu sama ada saya sebenarnya adalah seorang pelakon yang baik atau tidak," katanya lagi.
Zed Zaidi
Dalam perkembangan lain, Aaron bakal muncul dengan beberapa buah tangan terbaru untuk para peminatnya iaitu filem KL Gangster 2, Kerat 14, Taikun dan Taicoon serta drama bersiri Adam dan Hawa untuk Astro Prima.
Selain itu, Aaron memberitahu, pada bulan Jun depan dia bakal berangkat ke Brunei bagi menjalani penggambaran filem pertama terbitan syarikat produksi negara itu dan juga dipilih oleh KRU Studios untuk terlibat dalam Cicakman 3.
"Tahun ini adalah tahun yang cukup sibuk untuk saya kerana banyak projek yang perlu dilunaskan dan ini semuanya rezeki daripada Allah untuk saya dan keluarga," katanya.
Aaron diumumkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 2011 yang diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands dengan undian sebanyak 87,669.
Kemenangan itu membolehkan Aaron membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta Nissan Teana 2.5 sumbangan Tan Chong Motor Sdn Bhd dan barangan kemas sumbangan Rafflesia bernilai RM250,000.
Dia turut memenangi anugerah Pelakon Filem Lelaki Popular menerusi acara itu.

----

Ryzal Jaafar Enggan Kenang Semula Kontroversi Homoseksual & Gambar Bogel

Posted: 09 Apr 2012 11:02 PM PDT

Ryzal Jaafar
PETALING JAYA: Aktor kacak Ryzal Jaafar enggan menoleh ke belakang dan mengenangkan semula kontroversi hitam berhubung penyebaran gambar bogel dan fitnah yang menuduhnya sebagai seorang homoseksual pada tahun lalu.
Ryzal atau nama sebenarnya Mohd Shahrizal Jaafar, 30, berkata walaupun periuk nasinya tidak terjejas, dia tetap berasa trauma dan tertekan dengan kontroversi yang pertama kali memalit dirinya sepanjang lapan tahun bergelar artis.
"Saya tidak mahu kenang lagi peristiwa yang sangat memalukan itu. Alhamdulillah, kerjaya saya sebagai pelakon tidak tergugat walaupun maruah saya tercalar dengan fitnah tersebut.
"Tidak pernah saya alami kontroversi sebegitu sepanjang menjadi artis. Ia adalah satu tamparan buat saya.
"Mujurlah, saya masih mendapat kepercayaan rakan-rakan, stesen televisyen dan peminat yang menjadi penguat semangat untuk saya terus melangkah," luahnya  baru-baru ini.
Pelakon dari Alor Setar itu berkata, sehingga hari ini dia masih terfikir apakah kesalahan yang sudah dilakukan kepada pihak yang menyebarkan fitnah itu sehingga dia diperlakukan sedemikian.
"Bukan mahu mengungkit atau memeningkan kepala tetapi sampai ke hari ini, saya sering tertanya-tanya apakah kesalahan yang sudah saya lakukan kepada pihak tersebut sehingga tergamak menganiaya saya sebegitu teruk?
"Kalau diperhatikan, senario fitnah yang mendakwa segelintir aktor di Malaysia ini kononnya homoseksual semakin menjadi-jadi. Bukan saya sahaja mengalami, malah ramai lagi artis lain turut berdepan dilema yang sama.
"Kejadian ini mengajar saya agar lebih berhati-hati dan lebih selektif dalam bersahabat. Kita tidak boleh sewenangnya mempercayai orang lain sepenuhnya kerana apa sahaja kemungkinan boleh berlaku pada hari ini," katanya.
Terbaru, drama bersiri sebanyak 13 episod lakonannya berjudul Friday I'm In Love (FIIL)akan disiarkan bermula 19 April ini pada setiap Khamis pukul 8.30 malam menerusi slot Aurora di TV9.
Selain Ryzal, drama bertemakan kisah percintaan anak muda itu turut membariskan Qi Razali, Zoey Rahman, Aiman Hakim Ridza, Bella Dally dan Nellydia Senrose.

----

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu