Sabtu, 29 Oktober 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Sensasi haruman Pure Mediterranean

Posted: 29 Oct 2011 06:54 PM PDT


ENIGMA Tech memperkenalkan rangkaian minyak wangi, Pure Mediterrranean. Selain berkonsepkan produk halal, ia boleh dijadikan hadiah untuk tetamu di majlis perkahwinan.


BUKAN sesuatu yang keterlaluan jika ada beranggapan bahawa wangian mampu menebarkan aroma yang melengkapkan personaliti atau karakter.

Menginginkan sesuatu yang menyerlah diri anda? Enigma Tech mempunyai sesuatu yang hebat untuk wanita dan lelaki.

Jenama tempatan itu mengeluarkan produk wangian, minyak wangi Pure Mediterranean.

Wangian ini khas untuk mereka yang ingin mencari minyak wangi tanpa alkohol yang memberi kesegaran, boleh dibawa solat dan tahan lama.

Sedikit sebanyak aroma ilham antarabangsa tersebut berusaha menafsirkan gaya seorang wanita yang menawan, elegan dan bersedia untuk menyerlah dalam apa saja yang ingin dilakukan.

Manakala si lelaki tampil segak dengan haruman yang berani dan segar.

Justeru, Enigma Tech percaya wangian melambangkan personaliti dan aromanya terlalu peribadi buat si empunya diri.

"Haruman keluaran kami berbeza dari segi tahap kepekatan kerana produk kami tiada campuran alkohol atau white oil.

Pati haruman yang tahan lebih lama berbanding sesetengah yang produk di pasaran hanya mampu bertahan untuk beberapa jam sahaja. Aromanya semakin lama dipakai semakin wangi," jelas Pengurus Enigma Tech, Furyna Azmeer.

Kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan adunan pati gred A inspirasi jenama terkenal antarabangsa .

Selain itu, tahap kepekatannya menjadi fenomena luar biasa apabila haruman ini kekal pada pakaian lebih dari 48 jam memberikan impak si pemakai untuk tampil lebih berkeyakinan.

Rangkaian Pure Mediterranean terdiri daripada lima set eksklusif yang mengandungi empat botol setiap kotak.

Set Macho dan Elegant untuk lelaki manakala 3 Sweet,Sexy dan Gorgeous untuk wanita.

Dengan harga hanya RM 28 sekotak, ia mengandungi 35 variasi haruman. Antara haruman inspirasi adalah dari rangkaian Paco Robanne, Giorgio Armani,Calvin Klein, Hugo Boss, Ralph Lauren, Guess, DKNY, Lancome, Paris Hilton dan sebagainya.

Minyak wangi ini juga mempunyai pek individu botol besar dengan wajah baru kotak kayu eksklusif yang berharga RM 25 sekotak.

Kini promosi untuk mereka yang inginkan menambah pendapatan hanya dengan bermodal RM 200 layak menjadi agen. Selain itu, Enigma Tech menyediakan pakej khusus untuk mereka yang ingin menjadikan minyak wangi ini sebagai hadiah untuk tetamu di majlis perkahwinan.

Dominasi jubah Arab

Posted: 29 Oct 2011 06:44 PM PDT


Model busana Muslimah, Jazrina Jasni selesa menggayakan jubah hitam dari Dubai ini kerana fabrik lembut dan perincian yang tidak terlalu sarat.


TREND memakai jubah hitam mungkin popular di kalangan pelancong Arab yang bercuti ke negara ini setiap tahun. Namun gaya mereka yang selesa berjubah menarik perhatian di kalangan Muslimah tempatan.

Melihat gaya mereka yang tampil selesa dan anggun biar pun berjubah, ramai mula menggayakan jubah hitam yang semakin mendominasi fesyen Muslimah.

Berpotongan menarik, jubah hitam menutupi wanita bertubuh besar dan gempal manakala mereka yang tinggi lampai tentunya lebih menarik dan cantik.

Gaya jubah dari Dubai misalnya, menjadi pilihan wanita yang ingin bergaya elegan dan eksklusif tetapi menutup aurat.

Istimewanya, perincian jubah Dubai dapat dilihat pada manik dan sulaman yang didatangkan sekali dengan selendang.

Kebanyakan pemilik butik tempatan menjadikan Dubai tumpuan bagi mendapatkan rekaan jubah yang menarik.

Menarik

Butik Norlina di bawah syarikat Teguh Maju Enterprise tidak ketinggalan menampilkan jubah dari Dubai dengan rekaan dan perincian menarik.

Menurut pemilik Butik Norlina dan pengasas Persatuan Kebajikan Anak-anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (Pernim), Norlina Alawi, keistimewaan jubah-jubah butiknya adalah pada potongan dan perincian yang eksklusif.

Rekaannya dihiasi batu permata beraneka warna dan sulaman benang emas.

Kelainan juga dapat dilihat pada potongan tangan yang diberi sentuhan moden sekali gus menjadikannya tampak elegan dan pilihan mereka yang mahukan kelainan.

Berbeza dengan jubah berwarna lain, hitam paling disukai kerana warnanya sesuai dipadan dengan apa jua aksesori dan majlis yang dihadiri.

Bercerita lanjut tentang Butik Norlina, ia turut menawarkan produk seperti tudung, kerongsang, minyak wangi, gelang kristal, pelbagai jenis aksesori dan produk kecantikan berasaskan ramuan semula jadi.

Butik tersebut yang terletak berdekatan bangunan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), bukannya bertujuan mengaut keuntungan semata-mata tetapi lebih kepada menjaga kebajikan anak-anak yatim Pernim.

Dalam masa yang sama, dia kini sedang mencari pengedar dan stokis untuk memasarkan produknya dan mereka yang berminat boleh menghubungi Norlina di talian 017-8860208 atau 03-42950775.

Hioxy bantu cegah penyakit

Posted: 29 Oct 2011 06:43 PM PDT


Pengguna turut diuji untuk memastikan mereka memiliki tenaga selepas seminit meminum Hioxy.


SETIAP kali bercakap tentang rawatan kesihatan, ramai yang mahukan keselesaan, jaminan dan kos berpatutan. Namun kerana kos semakin meningkat, rawatan yang diperoleh biasanya mengikut kemampuan kewangan. Situasi ini mendorong anda untuk mencari rawatan alternatif bagi merawat sakit yang dihidapi.

Prinsip inilah yang cuba diketengahkan Pengarah Urusan Debella, Puziah Saad supaya masyarakat memilih untuk mencegah daripada merawat.

"Ramai yang merungut apabila giliran menunggu untuk dibedah lewat jika berada di hospital kerajaan. Kos di hospital swasta pula dikatakan mahal. Namun tidak pula mereka memilih kaedah untuk mencegah penyakit.

''Justeru kami di De Bella memperkenalkan Hioxy , minuman kesihatan bertenaga tinggi untuk merawat dan memulihkan fungsi tubuh badan," katanya.

Produk ini terhasil selepas Puziah melihat cara hidup masyarakat yang terdedah kepada penyakit berbahaya. Melalui penyelidikan, Puziah mendapati cara menangani situasi ini adalah dengan mengamalkan khasiat semula jadi buah-buahan.

Hioxy terdiri daripada campuran 20 jenis buah-buahan seperti acai beri, anggur dan kiwi yang kaya dengan antio ksida, vitamin serta air tenaga yang mampu memberikan tenaga.

Katanya, agak mustahil untuk seseorang makan semua jenis buah-buahan bagi mendapatkan khasiat.

Oleh itu, beliau menggabungkan kesemua buah-buahan yang berkhasiat untuk dijadikan minuman tambahan untuk membantu memulihkan fungsi tubuh badan dan membaiki tisu-tisu yang rosak," ujarnya.

Tenaga

Selain membantu memulihkan fungsi tubuh akibat pengambilan ubat yang terlalu lama dan membaiki tisu-tisu yang rosak, ia dicampur dengan energy water untuk peningkatan tenaga pengguna hanya beberapa minit selepas meminumnya.

Dengan mengamalkan 30 milimeter setiap pagi secara berterusan, masalah pengguna akan berkurangan.

Selepas diperkenalkan sejak pertengahan Julai lalu, produk ini mendapat reaksi positif daripada beberapa pengguna yang bermasalah radang kulit yang kronik (ekzema), alahan, gastrik, lenguh-lenguh sendi dan keletihan.

" Hioxy diperkenal untuk bertindak dengan produk Litchin bagi memberikan hasil terbaik kepada pelanggan.

''Kebanyakan pengguna dengan berat badan berlebihan turut mengidap kencing manis dan darah tinggi, menyebabkan pengambilan Litchin menjadi kurang sesuai.

''Hioxy mampu memperbaiki tahap kesihatan dan fungsi tubuh pengguna, jadi mereka bukan sahaja mampu mengawal berat badan tetapi juga menjadi lebih sihat dan bertenaga berbanding sebelumnya," katanya.

Puziah menambah, Hioxy telah didaftarkan di bawah Kementerian Kesihatan dan dijual dengan harga RM290 satu set di Semenanjung Malaysia dan RM310 di Sabah dan Sarawak.

Fizikal, minda peserta diuji

Posted: 29 Oct 2011 06:43 PM PDT




CABARAN Sihat 6 Minggu Bersama Kevin Zahri & iSihat (Cabaran Sihat) memulakan episod pertama pada 8 Oktober lalu. Bagi cabaran minggu pertama, peserta menjalani latihan senamrobik selama dua jam di bawah kendalian Pengurus Kanan Celebrity Fitness, David Thoong, 38.

"Sesi pertama dipanggil Sh'Bam iaitu lebih kepada langkah-langkah tarian. Sesi kedua pula, body combat menumpukan teknik berbentuk martial art.

''Ia bukan hanya mengeluarkan peluh, tetapi yang penting sekali peserta terhibur kerana pergerakan mereka diiringi alunan muzik up to date," ujar David yang sudah lapan tahun bergiat aktif di Celebrity Fitness, Bangsar Village, Kuala Lumpur.

Berikutnya iaitu pada 15 Oktober lalu, kecergasan fizikal dan mental 22 peserta 'dicabar' dengan aktiviti jungle tracking di Institut Penyelidikan & Perhutanan Malaysia (FRIM).

Dipimpin pemandu arah, Nizam sejauh 1.5 km sebelum menaiki jambatan gantung, para peserta perlu memanjat dan melalui segala halangan baik akar kayu yang melintang di tengah perjalanan, meredah anak sungai hinggalah memanjat batu-batu dengan kecerunan antara 20 sehingga 45 darjah.

Sementara itu, pada 22 Oktober lalu, bertempat di Sports Planet Ampang, acara minggu ketiga Cabaran Sihat diteruskan dengan pertandingan futsal. Para peserta dan lima selebriti iaitu Putri Mardiana, Zain Saidin, Amar, Nisha Dirr dan Fida Ibrahim dibahagikan kepada enam kumpulan (tiga lelaki dan tiga wanita).

Tiga jam memerah keringat, juara pertandingan sah menjadi milik kumpulan Tulang (wanita) dan Hati (lelaki). Hadiah pertandingan berupa hamper sumbangan Temasek Growth Sdn. Bhd. Manakala Arora Sports menaja bip peserta dan bola futsal serta sepasang pakaian untuk dua pengadil pertandingan.

Program Cabaran Sihat 6 Minggu Bersama Kevin Zahri & iSIHAT bertujuan membantu golongan obesiti mendapatkan berat badan ideal dan memberi pendedahan amalan cara hidup sihat. Cabaran mengambil masa selama enam minggu bermula 2 Oktober 2011.

Dijalankan pada setiap Sabtu, program dimulakan dengan majlis pelancaran serta bengkel dan bimbingan yang dikendalikan sendiri oleh Kevin Zahri, Pakar Pemakanan & Kecergasan sebelum diteruskan dengan acara senamrobik, jungle tracking, futsal, amazing race dan aktiviti sukan air.

Bedak padat punca jerawat?

Posted: 29 Oct 2011 06:42 PM PDT

JERAWAT merupakan masalah yang sering dilalui oleh remaja, perempuan mahupun lelaki. Jerawat pada kulit muka boleh menyebabkan seseorang itu rasa rendah diri kerana ia mengganggu penampilan diri.

Namun begitu, jerawat boleh diubati. Sekiranya anda menghadapi masalah jerawat, penjagaan kulit muka harus diutamakan kerana jerawat akan meninggalkan parut berlubang dan kesan hitam yang lebih sukar dirawat.

Sebab-sebab terjadinya jerawat

1. Faktor yang menyebabkan jerawat terjadi berpunca daripada proses pembaharuan sel kulit berlebihan oleh sel keratinosit yang melitupi liang pori-pori dan mengakibatkan liang tersebut tersumbat yang dikenali sebagai "microcomedo".

2. Apabila mencapai umur remaja, hormon androgen yang tinggi akan mengaktifkan pengeluaran sebum iaitu minyak.

3. Akibatnya, kolonisasi bakteria Propionibacterium acnes bertambah kerana keadaan sangat sesuai untuk pembiakannya.

4. P. acnes akan menyebabkan radang dan penghasilan sel keratinosit yang berlebihan.

Cara merawat jerawat

1. Penggunaan produk penjagaan muka yang tidak sesuai akan memburukkan keadaan. Gunalah produk penjagaan muka sedikit berasid yang mengandungi PHA (Poly Hydroxy Acid) atau Lactobionic Asid dari Neostrata menyebabkan eksfoliasi minimum dan tidak merengsakan kulit. Triclosan di dalam pencuci muka ini dapat membunuh bakteria pada muka. Selepas mencuci muka, perlulah menggunakan pelembap. Walaupun kulit muka berminyak, penggunaan pelembap pada muka masih diperlukan untuk mengawal pengeluaran sebum supaya muka tidak berminyak.

2. Penggunaan antibiotik pada permukaan muka juga dapat membantu membunuh bakteria yang ada pada kulit. Sekiranya jerawat tidak banyak, memadai dengan antibiotik sapuan sahaja. Sekiranya perlu, doktor akan menasihatkan supaya pesakit mengambil antibiotik dalam bentuk pil untuk ditelan dan perlu diteruskan untuk sekurang-kurangnya enam minggu seperti minocycline, tetracycline, doxycycline. Penggunaan krim tretinon atau retinol pada waktu malam juga dapat merawat jerawat. Jerawat yang tidak terkawal boleh dirawat dengan Ro-Accutane tetapi boleh menyebabkan kesan sampingan dan memerlukan pemantauan pakar kulit.

3. Rawatan "peel" dengan glikolik asid, salicylic asid atau Jessner's mampu merawat jerawat yang aktif. Rawatan ini dapat membunuh bakteria pada muka, mengurangkan pengeluaran sebum, membersihkan liang pori-pori dan melakukan exfoliation. Bagi salicylic asid dan jessner's peel, kulit akan merasa panas sedikit semasa rawatan, jerawat akan kering dan kulit mengelupas sedikit beberapa hari selepas rawatan dilakukan. Sapu pelembap kulit supaya kulit cepat sembuh. Rawatan peel boleh dilakukan sebulan sekali sehingga masalah jerawat dapat dikawal. Rawatan peel selamat jika dilakukan atas nasihat doktor.

4. Pastikan kesemua produk penjagaan muka tidak menyebabkan muka berminyak. Gunalah krim penghalang matahari yang berasaskan gel supaya muka tidak berminyak atau makan pil penghalang matahari seperti heliocare oral (dari sejenis paku pakis polypodeum leucotomus) untuk mengelak parut kehitaman akibat radang dari jerawat.

5. Elak mengguna bedak padat kerana span yang lembap, digunakan berkali-kali, terperap di dalam bekas menggalakkan pembiakan bakteria. Gunalah bedak berasaskan mineral seratus peratus tanpa sebarang campuran bendasing yang mempunyai sifat anti-inflammatori, tidak menutupi liang pori-pori kerana molekulnya besar dan bedak yang kering tidak menggalakkan pembiakan bakteria seperti Kiss mineral mekap.

6 Selain itu, makanlah lebih sayur-sayuran dan buah-buahan untuk zat dan vitamin pada kulit muka. Perbanyakkan minum air kosong, ambil probiotik untuk mengimbangkan bakteria dalam badan.

7. Sesetengah kaedah perancangan keluarga boleh menyebabkan hormon tidak stabil dan masalah jerawat. Pil perancang kehamilan Diane-35 boleh diambil untuk mengawal jerawat ataupun boleh merancang keluarga dengan alat cegah kehamilan IUCD Cu250, yang tidak berasaskan hormon.

8 Jangan sesekali memicit atau menekan jerawat, ini akan menyebabkan bakteria tersebar dan kulit luka akan meninggalkan parut hitam dan berlubang.

Pada peringkat awal rawatan, jerawat mungkin akan bertambah dahulu sebelum ia berkurangan. Ini merupakan perkara biasa, janganlah cemas, lakukan penjagaan muka dengan tekun dan ikutilah nasihat doktor. Jangan hentikan pengambilan antibiotik sesuka hati. Percayalah, setiap penyakit itu ada penawarnya.

Cantik dengan sel stem

Posted: 29 Oct 2011 06:42 PM PDT

Sejak kebelakangan ini ramai wanita bertanya kepada saya mengenai rawatan "stem cell". Ini kerana terdapat pelbagai rawatan sel stem yang ditawarkan seperti rawatan sel stem buah-buahan atau rawatan sel stem manusia. Tetapi apakah sebenarnya sel stem?

Sel stem adalah sel asas organisme. Ini bermakna ia boleh berubah menjadi apa-apa sel lain di dalam badan. Oleh itu ia sangat berguna dalam merawat dan memperbaiki tisu-tisu . Sebagai contoh jika kita mengalami kecederaan otot atau sel otak, sel stem akan membahagi dan bertukar kepada sel otot atau sel otak untuk merawat dan menggantikan sel tercedera agar organ terlibat sembuh.

Sel stem manusia terbahagi kepada dua. Sel stem embryonic dan sel stem dewasa. Sel stem embryonic diambil dari embrio dan berupaya berubah menjadi apa-apa sel organ seperti jantung atau otak. Banyak kajian sel stem embryonic dilakukan di dalam makmal untuk perubatan moden. Di antara penyakit yang berpotensi dirawat dan disembuhkan dengan sel stem embryonic adalah penyakit parkinson, diabetes, kerosakan saraf tunjang, duchenne's muscle dystrophy, pekak dan buta.

Namun begitu, di bidang kecantikan, sel stem yang kita berminat adalah sel stem dewasa. Berbeza dengan sel stem embryonic yang boleh bertukar menjadi apa-apa sahaja sel organ, sel stem dewasa hanya boleh bertukar menjadi sel-sel tertentu bertujuan merawat sel-sel yang telah rosak atau pupus. Sebagai contoh, apabila sel stem ini disuntik ke bahagian muka, ia boleh memudakan wajah dengan menggantikan sel-sel yang telah tercedera dan rosak. Jika ia disuntik di kulit kepala, ia mampu membuatkan rambut kita lebih lebat dan sihat.

kecantikan

Stem sel dewasa terdapat banyak di sel-sel lemak, sum-sum tulang dan darah. Dalam bidang kecantikan, doktor menggunakan darah sebagai sumber untuk mendapatkan sel stem. Ia lebih mudah untuk diproses daripada sumber dari lemak atau sum-sum tulang. Doktor selalunya akan mengambil 10cc ke 30cc darah dan diletakkan di dalam tabung uji khas untuk memisahkan serum dan sel-sel darah merah. Setelah menjalani beberapa tahap pemprosesan, serum yang mengandungi sel stem, platelet, dan hormon dihasilkan. Serum ini akan di suntik kembali ke bahagian kulit muka. Apabila kulit muka menerima serum yang mengandungi sel stem dan pelbagai bahan lain, ia akan mula menyembuh dan memudakan kulit muka secara semula jadi. Kulit akan menjadi lebih gebu, bersinar, bersih dan tegang. Untuk mendapatkan hasil yang berkekalan, proses rawatan perlulah diulang setiap dua ke empat bulan.

Adakah ia selamat? Ya, sudah semestinya kerana kita menggunakan sumber sel stem dari badan kita sendiri. Oleh itu tidak timbul masalah alahan atau kesan samping yang lain.

Adakah ia berkesan? Sudah semestinya. Ini kerana hanya sel stem manusia sahaja boleh digunakan untuk merawat dan memudakan sel manusia. Sel stem buah-buahan contohnya sel stem durian tidak boleh bertukar dan merawat sel manusia. Satu lagi faktor penting adalah sel stem tidak boleh dibotolkan atau disimpan di bawah suhu biasa. Sel stem sama ada disimpan di makmal dengan persekitaran dan suhu tertentu atau diproses dan digunakan serta merta. Ini dijelaskan oleh seorang profesor di sebuah universiti di Korea baru baru ini.

Manusia

Saya ada terbaca bahawa sel stem tumbuhan boleh "merangsang" sel manusia untuk memperbaiki diri sendiri. Di pasaran sebenarnya sudah ada krim krim yang mengandungi tretinoin yang sudah terbukti boleh merangsang sel-sel kulit untuk memudakan kulit tersebut. Ini bukan sesuatu penemuan baru di bidang kosmetik.

Ada juga kajian yang menunjukkan sebenarnya sel stem tumbuhan ini mengandungi anti oksida yang tinggi untuk memudakan kulit.

Walau apa pun, ada juga yang mengaku bahawa rawatan sel stem tumbuhan berkesan kepada mereka, tetapi kurang pasti kesannya sama ada daripada "bahan" yang merangsang sel atau kesan anti oksida.

Namun begitu yang pasti, sel stem yang terbaik untuk manusia adalah sel stem manusia dan untuk merawat diri sendiri, sel stem terbaik adalah sel stem diri sendiri. Kini banyak klinik kecantikan menawarkan rawatan sel stem. Namun begitu ada yang memproses 10cc darah dan ada yang memproses sehingga 30 cc darah. Lagi banyak darah diproses, lagi banyak sel stem akan dihasilkan. Lagi banyak sel stem digunakan di dalam rawatan kecantikan, hasilnya pasti lebih memuaskan dan cantik. Oleh itu berbincang dahulu dengan doktor anda mengenai rawatan sel stem sebelum melakukannya. Dapatkan rawatan yang paling berkesan dan paling selamat.

Sindrom carpal tunnel berterusan

Posted: 29 Oct 2011 06:41 PM PDT

PERNAHKAH anda rasa berdenyut-denyut dan kebas pada bahagian pergelangan tangan? Jika sakit yang dialami berpanjangan, anda mungkin mengalami keadaan yang dipanggil sindrom Carpal Tunnel (CTS).

Perunding Ortopedik, Artoroskopi dan Pembedahan Kecederaan Sukan dari Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, Kol (B) Dr. Azmi Abdul Latiff berkata, CTS terjadi apabila saraf median yang terletak pada pergelangan tangan tersepit.

"Ia menyebabkan rasa kebas dan sakit pada ibu jari, jari telunjuk, jari hantu dan setengah bahagian pada jari kecil," katanya.

Terowong yang terletak di bahagian tengah pergelangan tangan katanya memberi laluan dan perlindungan kepada saraf median ke bahagian tangan. Tekanan yang berlaku menyebabkannya tidak berfungsi dengan normal serta menimbulkan rasa sakit dan kebas, seterusnya melemahkan bahagian tangan.

Menurutnya, simptom CTS bermula secara perlahan-lahan dengan rasa sakit pada bahagian pergelangan tangan yang boleh melarat ke bahagian tangan dan lengan.

Sekitar dua hingga 15 peratus daripada populasi dunia dikatakan mengalami keadaan CTS dan ia biasanya lebih meluas di kalangan wanita berbanding lelaki.

Antara simptom yang biasanya terjadi adalah:

1. Kebas - pada bahagian tangan dan jari-jari tangan terutamanya ibu jari, jari telunjuk, jari hantu dansebahagian jari manis tetapi tidak pula berlaku pada jari kecil kerana berlainan saraf. Rasa kebas ini akan menjadi lebih kuat terutamanya semasa memandu, semasa memegang objek seperti telefon atau surat khabar atau semasa bangun dari tidur.

2. Sakit dan berdenyut - yang terjadi pada sendi pergelangan tangan sehingga ke lengan atas, bahu atau ke tapak tangan dan jari, terutamanya selepas menggunakan tangan secara berterusan atau menggunakan tangan dengan kuat.

3. Rasa lemah - pada bahagian tangan dan boleh menyebabkan objek yang dipegang akan jatuh.

Risiko

Menurut Dr. Azmi, mereka yang berisiko menghidap sindrom ini adalah golongan yang mengalami tekanan pada tangan atau penggunaan tangan yang berlebihan dalam pekerjaan, terutamanya melibatkan penggunaan tangan atau pergelangan tangan secara berlebihan, berulang-ulang dan dengan kuat.

Contoh pekerjaan yang melibatkan pergerakan adalah seperti bekerja di kilang pemasangan yang menggunakan jentera berat. Selain itu, kerja berulang yang melibatkan menaip, memandu kereta, menjahit dan melukis turut dikaitkan dengan masalah itu.

Mereka yang melibatkan diri dengan sukan yang menggunakan pergelangan tangan seperti pemain bola baling dan badminton turut tidak ketinggalan menghidapi masalah CTS, begitu juga dengan pemain muzik profesional.

Faktor-faktor lain yang meningkatkan risiko menghidap sindrom ini adalah:

1. Penyakit artritis iaitu penyakit sendi mudah diserang sakit pada sendi pergelangan tangan.

2. Penyakit lain yang melibatkan gangguan hormon seperti diabetes, gangguan tiroid dan menopaus atau keadaan yang menyebabkan takungan cecair badan seperti wanita hamil.

3. Kegemukan. Apabila berat badan bertambah, maka lemak-lemak turut bertambah pada bahagian tertentu seperti tangan menyebabkan saraf median menyempit.

4. Wanita mengalami tiga kali lebih risiko berbanding dengan lelaki. Kebanyakannya berlaku selepas menopaus.

5. Wanita yang hamil dan mereka yang menggunakan pil perancang keluarga. CTS yang berlaku semasa hamil biasanya akan hilang selepas melahirkan anak.

6. Mereka yang merokok juga akan mengalami simptom CTS yang lebih teruk berbanding mereka yang tidak merokok.

Diagnosis

Sekiranya ada simptom dan tanda CTS, doktor akan mencadangkan untuk melakukan beberapa ujian seperti:

1. Electromygram: Untuk menentukan bahawa kerosakan otot pada bahagian tangan sudah berlaku atau tidak.

2. Nerve conduction study: Untuk melihat sama ada impuls elektrik saraf menjadi perlahan atau tidak.

Saraf median yang menyebabkan terjadinya simptom CTS tidak memberikan perubahan deria rasa pada jari kecil tangan.

Tanda lain seseorang menghidap sindrom ini adalah masa berlakunya simptom tersebut.

Masa simptom CTS timbul adalah semasa memegang objek seperti telefon, surat khabar, memegang stereng ketika memandu atau ketika bangun dari tidur pada waktu pagi.

Doktor juga akan memeriksa deria rasa pada jari dan kekuatan otot-otot pada tangan.

Dengan menekan tangan secara membongkokkan pergelangan tangan (phalen's sign) atau mengetuk pada bahagian pergelangan tangan (tinel's sign) turut akan menyebabkan simptom CTS semakin jelas dan teruk.

Pesakit yang mendapatkan rawatan perlu memastikan dan memaklumkan doktor tempat di mana simptom dan tanda-tanda CTS berlaku sekitar bahagian tangan.

Rawatan

Pesakit yang mengalami simptom yang tidak teruk boleh mengurangkan rasa sakit dan kebas dengan mengambil lebih banyak masa untuk merehatkan tangan atau membuat pek ais untuk mengurangkan bengkak pada tangan.

Terdapat juga kaedah rawatan lain yang melibatkan pembedahan atau tanpa bedah.

Kaedah tanpa pembedahan melibatkan:

Anduh: mengurangkan pergerakan pada pergelangan tangan akan mengurangkan simptom terutamanya pada waktu malam (layari laman web futuro.com.my). Namun alat ini hanya berkesan untuk keadaan CTS pada peringkat awal.

non-steroidal anti-inlammatory drug (NSAIDs): Menggunakan ubat mengurangkan bengkak untuk mengurangkan rasa sakit terutamanya mereka yang mengalami kesakitan disebabkan oleh keadaan yang berkaitan dengan pembengkakan bahagian tangan.

steroid: Suntikan ubat jenis steroid ke dalam bahagian carpal tunnel boleh mengurangkan kesakitan. Pengambilan steroid secara oral pula mungkin tidak dapat mengurangkan simptom.

Kaedah pembedahan pula mungkin terpaksa dilakukan dalam keadaan di mana simptom tidak dapat dirawat menggunakan cara lain atau simptom terus berlarutan dan bertambah teruk.

Pembedahan boleh dilakukan dengan cara endoskop atau dengan membuat pembedahan kecil di bahagian pergelangan tangan.

Doktor akan membuat hirisan pada ligamen carpal yang memberi tekanan pada saraf median.

Pembedahan boleh memberi perubahan yang ketara pada simptom Sindrom Carpal Tunnel tetapi kadangkala kesan seperti kebas, lemah tangan dan kesakitan mungkin akan berlarutan untuk satu tempoh masa tertentu. Menurut Dr Azmi, walaupun begitu, pembedahan diyakini mampu mengatasi masalah CTS daripada berulang lagi. Lebih 70 peratus pesakit mengakui kesakitan mereka hilang selepas pembedahan.

Perubahan di tempat kerja boleh membantu mengatasi masalah CTS anda. Cuba:

1. Peralatan khas termasuk papan menaip, tetikus yang berlainan jenis dan alas tetikus yang empuk.

2. Pastikan papan menaip idak terlalu rendah untuk memastikan tangan anda tidak membengkok ke atas semasa menaip.

3. Pastikan juga kedudukan siku diampu ketika menaip bagi menggalakkan sokongan pada seluruh tangan. Ergonomik ketika melakukan kerja mampu mengelakkan masalah CTS.

4. Lakukan senaman pada kawasan pergelangan tangan dengan kerap. Ambil masa untuk merehatkan tangan selepas melakukan sesuatu untuk tempoh yang lama dan berterusan.

Keasyikan kota Paris

Posted: 29 Oct 2011 06:16 PM PDT


Kesemua wakil media dan krew tv3 bergambar kenangan di Hippodrome de Deauville, Paris.


MENGIKUTI rombongan Travelog AirAsia ke Paris bersama hosnya, Edd Radze - Pembantu Khas kepada Pengerusi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia dan Maya Karin meninggalkan kenangan manis

Rombongan disertai dua jurukamera, dua penerbit dari TV3, lima wartawan serta Pengurus Penajaan dan Acara AirAsia X, Mohd. Fairuz Abd. Majid, Pengurus Komunikasi Korporat Tune Talk, Fara Hassan dan jurusolek tetap Travelog, Zulfazli Suhadi mengadakan rakaman Travelog selama lima hari di sana.

Sepanjang penggambaran empat hari di Paris, antara tempat yang dilawati Menara Eiffel, bandar tepi pantai di utara Paris yang jauhnya dua jam perjalanan menaiki kereta, Deauville, pusat beli-belah barangan berjenama bersebelahan Disneyland, La Vallee Village dan istana lama yang menerima kunjungan 15,000 pengunjung setiap hari Chateau de Versailles. Begitu juga pusat beli-belah popular di tengah bandar seperti Champ Ellysees serta bandar lama di tengah kota Paris, Le Marais.

Pesawat Airbus A340-300 berlepas dari Kuala Lumpur 1.30 pagi (24 September) dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Orly, Paris pada 9.00 pagi (25 September). Setiba di lapangan terbang kami disambut wakil promosi AirAsia X, dari syarikat Asia Regional Marketing & Development Agency, Adlina Borhan untuk terus ke Hotel Holiday Villa di Lafayette.

Setiba di hotel dan diberi masa selama sejam untuk membersihkan diri, sebelum dibawa ke Murano Urban Resort untuk menikmati sarapan lewat tengahari (brunch).

Memandangkan penerbangan ke Paris mengambil masa 13 jam, kesemua 16 ahli rombongan kami agak kelaparan.

Maya Karin juga tidak melepaskan peluang menikmati hidangan enak bufet di hotel tersebut. Antara hidangan Peranchis yang dinikmatinya ialah cream brulee dan juga roti croissant.

Setelah menikmati juadah sarapan lewat tengahari, kami dibawa bersiar-siar dengan berjalan kaki di sekitar kota lama di Paris. Le Marais adalah sebahagian bandar lama yang terletak di tengah-tengah kota Paris. Berjalan dua jam sekitar bandar agak memenatkan juga, tapi hati terhibur kerana dapat menikmati keindahan Paris dengan lebih dekat.

Dengan cuaca bersuhu 24 darjah selsius, ia tidak membuatkan kami berpeluh. Sambil bersiar-siar di situ, krew penerbitan sempat juga menjalankan penggambaran Maya Karin dan Edd Razhe untuk rancangan Travelog.

Luar bandar

Hari kedua kami dibawa ke kawasan luar bandar, Deauville yang mengambil masa dua jam perjalanan menaiki van.

Bandar kecil di utara Paris itu pernah menjadi tempat percutian tepi bukit pinggir laut bagi kaum bangsawan Peranchis. Bandar unik dengan reka bentuk rumah dan kedai-kedai masih mengekalkan senibina lama itu tidak begitu sibuk.

Di situ kami menikmati makan siang di sebuah restoran yang menyajikan hidangan enak tiram segar disusuli, salmon panggang dan diakhiri dengan cream brulee.

Setalah menghabiskan masa selama tiga jam di bandar itu kami dibawa pula ke La Vallee Village bersebelahan Disneyland. La Villa Village adalah kedai barangan berjenama yang popular.

Kawasannya begitu luas sehingga boleh menempatkan hampir 200 kedai barangan berjenama.

Pada sebelah malamnya kami diraikan di restoran Thai, Blue Elephant, di Leon Bruxelles, Montparnasse oleh Pengarah Pelancongan Malaysia, Abdul Rahim Haron.

Keesokan harinya pada sebelah pagi kami berkunjung pula ke pejabat Kedutaan Besar Malaysia untuk bertemu Duta Besar Malaysia ke Peranchis, Portugal & Monaco, Jeneral (B) Tan Sri Aziz Zainal di Rue Benouville.

Pada pukul 11.00 pagi kami dibawa menyaksikan pertunjukan fesyen yang dibawa oleh Guy Laroche di Paris. Kebetulan sewaktu kunjungan kami Paris sibuk dengan Paris Fashion Week.

Kemudian kami dibawa pula makan tengah hari di salah sebuah restoran ternama yang berusia 100 tahun. Makan tengah hari di Bofinger pada hari itu diraikan oleh Patricia Barthelemy dan Veronique Potelet dari Paris Tourism.

Kota Paris yang terkenal dengan barangan jenama dan fesyen sudah pasti menjanjikan sesuatu. Untuk itu ada di antara ahli rombongan tidak mahu melepaskan peluang membeli-belah di sekitar kawasan Champ Ellysees. Di situ terletaknya butik Louis Vuitton dan banyak lagi jenama terkenal.

Oleh kerana terlalu ramai pengunjung, untuk memasuki butik tersebut anda perlu beratur.

Kebetulan butik Louis Vuitton ditutup pada pukul 7.00 malam, jadi kami tidak mempunyai masa yang banyak untuk membuat pilihan.

Hari keempat kami dibawa melawat istana lama yang begitu popular di kalangan pelancong. Istana lama, Chateu de Versailles menerima seramai 15,000 pengunjung setiap hari. Istana peninggalan Raja Louis pada abad ke-17 itu begitu besar dan menghabiskan masa selama dua jam di situ amat memenatkan.

Istana itu mempunyai ratusan bilik yang dihiasi indah dengan ukiran dan gambar lukisan di bumbung dan dinding.

Selepas itu rombongan dibawa pula ke mercu tanda Paris, Eiffel Tower. Memang tidak lengkap jika kunjungan ke Paris tidak bergambar di situ.

Kami diberi dua jam di situ dan peluang yang ada dihabiskan dengan merakamkan gambar. Travelog juga berkesempatan mengadakan penggambarannya di situ. Kami didatangi penjual cenderahati berbangsa Bangladesh yang boleh berbahasa Melayu. Di situ banyak cenderhati yang dijual dan anda hendaklah menawar serendah mungkin. Tigabelas gantungan kunci Eiffel Tower dijual dengan harga 5 Euro jika anda bijak menawar.

Kami sempat membeli kentang, cili dan telur di kedai runcit di sekitar hotel dan masak di dapur hotel. Chef Razif yang bekerja dengan hotel tersebut memberikan dua tin sardin untuk kami masak selain menikmati bekalan yang dibawa..

Travelog akan mula ditayang di TV3 pada pertengahan bulan depan setiap Ahad pukul 7.30 petang di TV3, menampilkan hos barunya,

Bagi episod pertama, Travelog AirAsia menampilkan Maya Karin sebagai hos undangan berganding dengan Edd dalam menyampaikan pelbagai info menarik mengenai kota Paris.

Travelog AirAsia selepas ini akan berkunjung ke Bangkok dan Thailand melibatkan barisan artis tanah air seperti Fara Fauzana, Ella, Fauziah Latiff, Intan Ladyana, Nora Danish, Juliana Evans dan ramai lagi. Tempat-tempat yang bakal dikunjungi Travelog Air Asia adalah Korea Selatan, London, Australia, New Zealand, Indonesia, China, Filipina, Vietnam, Kemboja dan juga Jepun.

Selain AirAsia X dan AirAsia, Tune Talk, Tune Hotel dan AirAsia Go juga antara produk yang ditengahkan dalam rancangan ini.

Giliran Faezah Elai mengamuk

Posted: 29 Oct 2011 06:15 PM PDT




ARTIS mengamuk di Twitter bukan perkara asing bagi masyarakat kita. Setakat nak tulis bermacam-macam perkara yang tak baik tu dah jadi lumrah pada golongan anak seni kita yang hebat ni.

Terbaru pelakon Faezah Elai pula menggunakan Twitter sebagai tempat meluah perasaan. Tak pasti pula Joyah apa yang dah berlaku kepada Faezah. Apa yang bersarang di hatinya sampai sanggup twit ayat yang kurang enak didengar.

Itu hak Faezah nak luah perasaan. Itu Twitter dia dan ikut suka hati dia nak tulis apa pun. Dia juga manusia biasa dan ada perasaan. Lalu, apa yang pengikut Faezah baca, itulah dirinya yang sebenar.

Tapi pada pada pandangan Joyah sedikit berbeza. Maaf cakaplah, kalau twit perkara yang kurang elok sedikit sebanyak tempiasnya kena batang hidung kita balik. Artis yang bijak tidak akan buat perkara yang tak elok memandangkan dia tahu impaknya pada diri sendiri.

Joyah tak kata Faezah tak bijak. Hanya tindakannya sahaja yang nampak tak bijak. Nak mengamuk sakan macam mana pun janganlah sampai nak beritahu satu dunia. Ala, bukan dia sahaja yang dah buat macam ni, ramai lagi artis kita berperangai sama. Tak gitu?

Farahdhiya mengamuk di hotel

Posted: 29 Oct 2011 06:15 PM PDT




BETUL ke Farahdhiya mengamuk di hotel? Terkejut juga Syed dengar cerita yang disampaikan oleh peminat daripada Pantai Timur ni.

Kata mereka penyanyi yang popular dengan lagu Bertakhta Di Hati tu memang cukup marah dengan layanan yang diterimanya dalam satu pertunjukan fesyen di sana.

Kata mereka Farahdhiya memang dijemput ke satu pertunjukkan fesyen di sana. Tapi berlaku salah faham yang menyebabkan penyanyi itu terpaksa menunggu di lapangan terbang sampai satu jam.

Alamak, lama tu. Kalau Syed di tempat Farahdhiya pun Syed akan marah. Tapi yang tak sedapnya bila sampai sahaja di hotel dia terus mengamuk dan memarahi petugas yang sedia ada di situ.

Kalau mengikut sumber yang memberitahu Syed macam-macam perkataan yang tak sedap didengar keluar daripada mulut Farahdhiya sampaikan semua orang yang ada terdiam begitu sahaja.

Mujur ada orang yang berjaya mententeramkan dia dan bawa masuk bilik. Lepas tu berlaku lagi satu insiden yang sepatutnya tak patut berlaku. Ketika sesi nak cuba baju, dia hanya mengenakan seluar jeans dan baju yang sedikit seksi.

Iyalah, kalau dah berada di negeri yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah tu, memang perkara macam ni akan menjadi satu isu. Lantas menyebabkan pihak penganjur rasa kecewa dengan tindakannya itu.

Entahlah, Syed yang mendengar cerita ni pun rasa serba salah. Bukan apa sebab tak sangka Farahdhiya sanggup buat macam tu. Harap-harap cerita yang disampaikan oleh sumber Syed ini tak benar sebab rasanya dia tak macam tu.

Syed: Selalu amuk nyamuk.

Pesona Jauhar di DFP malam ini

Posted: 29 Oct 2011 06:14 PM PDT


TARIAN zapin dan lagu ghazal bersatu di Dewan Filharmonik Petronas.


SEBAGAI sebuah pusat kegiatan seni bertaraf dunia, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) meneruskan kelangsungan pesta keraian ini dengan mempersembahkan muzik ekstravaganza perayaan seni dan budaya selama satu minggu menerusi KLCC Seni Festival 2011 bulan ini.

Malam ini akan berlangsung konsert yang ditunggu-tunggu bertemakan Johor Head North oleh Yayasan Warisan Johor bermula pukul 8.30 malam. Konsert yang dinamakan Pesona Jauhar itu bakal menyaksikan irama zapin dan ghazal bersatu, dalam satu pentas yang sama.

Terdapat empat segmen yang akan dipersembahkan termasuklah Tika Dinihari, Terbitnya Suria, Cahaya Mega dan Berlabuhnya Malam Permata Tetap Bersinar.

Bagi koreografer konsert malam ini, Onn Jaafar ini merupakan kali pertama mereka menggabungkan irama zapin dan ghazal di atas satu pentas memandangkan sebelum ini ia akan dibuat secara berasingan.

"Kedua-dua ini merupakan elemen yang sangat berbeza memandangkan ghazal banyak dipengaruhi oleh unsur Parsi dan India manakala zapin pula terarah kepada elemen Arab.

"Warisan yang kita pelihara ini masih lagi mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai pihak. Kita cukup bersyukur kerana masih berpeluang mempersembahkan Pesona Jauhar di pentas yang cukup istimewa malam ini.

"Lagu-lagu yang akan dipersembahkan juga merupakan seleksi lagu-lagu terbaik yang digubah semula oleh Omar Taib," kata Onn Jaafar lagi.

Pada malam ini, Pesona Jauhar akan diiringi 20 pemuzik dan 30 orang penari Yayasan Warisan Johor yang sudah ditubuhkan sejak 15 tahun yang lalu.

Antara lagu-lagu yang bakal dipersembahkan termasuklah Penawar Rindu, Kuala Sedeli, Seri Mersing dan banyak lagi yang akan diselang-selikan antara persembahan zapin dan ghazal.

Apa yang menarik, kebanyakan penari yang mengiringi Konsert Pesona Jauhar merupakan penari profesional yang pernah mengiringi konsert Siti Nurhaliza di Royal Albert Hall, London.

Bagi mereka yang berminat untuk turut serta boleh terus datang ke DFP dan mendapatkan tiket ada di sana.

Berdebar tunggu 11.11.11

Posted: 29 Oct 2011 06:13 PM PDT




Apatah lagi setelah mengetahui kewujudan perbezaan status dan jarak usia selama 18 tahun pasangan ini yang pasti menjadi modal bualan sepanjang zaman.

Perbandingan tersebut juga turut mengaitkan kisah rumah tangganya dahulu bersama bekas isteri, Marcella Casissi Shariff atau Cella, wanita kacukan yang cukup jelita dan pernah bertugas sebagai pramugari penerbangan Royal Brunei.

Selepas cerita 'sebenar' mengapa Cella meninggalkan Lan dan kembali ke sisi keluarganya di England bersama tiga anak mereka iaitu Puteri Nur Aqmar,11, Puteri Nur Syafiqah, 10, dan Puteri Nur Farhana, 4 tahun didedahkan di media.

"Terus terang, saya dah lali apabila orang nak bercakap tentang saya. Mulut tempayan bolehlah ditutup tapi kalau mulut manusia, saya tak ada kuasa.

"Sebab itu, saya buat 'persiapan' awal-awal. Pekakkan telinga kalau ada masih ada orang yang skeptikal tentang saya. Biarlah mereka nak cakap sampai penat. Bila nak penat, senyaplah mereka," hujah artis yang pernah digilai ramai satu ketika dahulu.

Pemilik nama Norazlan Abdul Aziz ini juga enggan menyingkap kisah silam kerana apa yang berlaku tidak wajar diungkit kembali buat dirinya yang bakal membina kehidupan baru bersama Ain.

"Saya sendiri mencari-cari di mana penghujung kehidupan ini selepas solo lebih kurang empat tahun. Adakah saya akan terus sebegitu atau bina kehidupan baru?

"Tapi semua igauan ngeri itu terhenti selepas pulang dari membuat persembahan bersama Datuk A. Rahman Hassan dengan isteri (Datin Azizah Mohammad) di Perth, Australia pada Mei lalu. Kemesraan mereka telah membuka mata dan hati saya untuk kembali berumah tangga.

"Sekembali pulang ke tanah air, saya terus hubungi Ain dan ajak dia kahwin. Alhamdulillah, dia tak menolak. Saya cukup gembira dan berdoa setiap hari agar keputusan ini adalah yang terbaik dan direstui semua pihak," dedah lelaki ini satu persatu.

Penyanyi Darjat dan Itik Gembo-Gembo ini turut mengkhabarkan berita baik itu kepada Cella yang tumpang bahagia dengan pertimbangannya tersebut. Rasa teruja apabila tiga puteri Lan dengan Cella turut menerima merestui kehadiran Ain dalam kehidupan bapa mereka.

"Cella ada cakap, 'Ini adalah masa Ain. Saya tak nak kacau' bila saya jemput dia datang kenduri kahwin kami pada 11 November ini. Saya terharu dengan sikap dia yang cukup memahami dan mendoakan kebahagiaan kami.

"Ain juga tak jadi masalah untuk berkomunikasi dengan anak-anak menerusi Facebook. Jarak umur bukan alasan mereka untuk bertanyakan khabar antara satu sama lain.

"Begitu juga dengan ibu bapa saya (Abdul Aziz Suratman dan Kamsini Abu Bakar) serta bakal mentua (Zainon Mat) yang tidak henti-henti memberi nasihat berguna buat saya yang bakal jadi ketua keluarga untuk kali kedua.

"Semuanya mahu saya untuk tidak membuat perbandingan antara kisah rumah tangga saya sebelum (bersama Cella) dan selepas ini," jelas Lan yang disusuli dengan senyuman penuh pengertian.

Ditanya rancangan Lan selepas bergelar suami menyebabkan kedengaran nada bahagia sewaktu penjelasan tersebut dibuat.

"Kami merancang menziarah anak-anak dan keluarga Cella di England pada April tahun depan. Saya nak mereka berkenalan lebih rapat antara satu sama lain. Itulah impian saya.

"Boleh juga bawa Ain berbulan madu dan lihat keindahan negara orang. Pun begitu, masih dalam perbincangan. Saya tak berani cakap panjang takut tak jadi," katanya berterus terang.

Pasangan ini bakal bernikah di Masjid Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 11 November 2011 pada pukul 11 pagi. Majlis persandingan dilakukan pada keesokan harinya di Kelab Kebajikan Dan Sosial Tun Teja Malaysia, Rawang Selangor bermula pukul 11 pagi.

Pasangan ini bakal mengangkat adat Melayu sepenuhnya sepanjang majlis persandingan mereka yang menggunakan tema Pembentukan Tradisional Melayu.

Memori lagu cinta Foster

Posted: 29 Oct 2011 06:13 PM PDT


Aksi Phillip, Russell dan Ashanti ketika menyampaikan lagu penutup konsert, Earth Song.


DIA merupakan lelaki yang menjadi tulang belakang kepada kekuatan lagu The Power of Love, Unbreak My Heart, I Have Nothing dan I Will Always Love You.

Itu baru secebis rangkaian lagu yang mendapat sentuhannya sebagai penulis lirik dan komposer yang dipetik.

Dalam industri muzik Hollywood, nama David Foster bukan calang-calang orangnya.

Malah, sepanjang 30 tahun menghambakan diri dalam dunia muzik, Foster boleh diandaikan sebagai antara individu penting yang bertanggungjawab menaikkan nama penyanyi terkenal seperti Celine Dion, Whitney Houstan, Madonna, kumpulan Chicago, Mariah Carey dan ramai lagi.

Hebat bukan?

Membawa janjinya yang disimpan sejak 17 tahun lalu, Foster kembali semula menjejakkan kakinya ke Malaysia dan Sabtu lalu, dia mengotakannya menerusi konsert sulungnya yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Menerusi David Foster & Friends Live in Concert, komposer terkenal itu turut ditemani lima artis antarabangsa berprofil tinggi.

Kelima-lima mereka ialah, Michael Bolton, Ashanti, Charice Pempengco, Phillip Bailey dan Russell Watson.

Gabungan mereka sebagai satu kumpulan nampaknya memberi senyuman buat penganjur, JAG Concerts and Events dan Enrich Malaysia Airlines.

Mana tidaknya, sukar sekali untuk mengesan tempat duduk yang kosong kerana hampir keseluruhan stadium terisi dengan kehadiran 10,000 peminat yang cukup teruja untuk menyaksikan persembahan mereka.

Tirai persembahan dibuka oleh Foster dengan dendangan lagu St Elmos Fire yang ditulis olehnya sekitar tahun 1985 yang juga merupakan lagu tema kepada sebuah filem dengan tajuk yang sama.

Usai bermain piano, seisi stadium menyorak hangat apabila Foster kemudiannya membuat pembuka kata dengan berkongsi sedikit cerita bersama peminat.

Satu sisi menarik yang dapat dilihat biarpun konsert baru 15 minit bermula, Foster rupa-rupanya turut berbakat dalam bidang pengacaraan!

Tidak terikat dengan sebarang skrip, dia santai bertindak sebagai pengacara dan mengendalikan konsert dengan baik diselang-seli dengan elemen humor yang cukup bersahaja sehingga ke sudah.

Memanggil si genit Charice naik ke pentas, Foster yang setia bermain piano mengiringi nyanyian bertenaga gadis yang berasal daripada Filipina ini menerusi lontaran lagu Louder, Stand Up For Love, Unbreak My Heart dan The Power of Love.

Tepukan gemuruh kedengaran di segenap pelosok stadium apabila Charice selesai mendendangkan lagu.

Ia sekali gus menunjukkan bahawa penonton begitu mengkagumi kemampuan suaranya yang begitu memukau.

Maka tak hairanlah mengapa artis berusia 19 tahun itu boleh mengecap kejayaan selepas dinobatkan sebagai artis Asia pertama yang menduduki carta 10 lagu terbaik di Amerika Syarikat (AS).

Foster juga turut membuat kejutan apabila menjemput penyanyi tempatan, Dayang Nurfaizah dan Ann untuk berkongsi pentas dengannya.

Menyanyikan lagu Love Look What You've Done, Dayang memukau penonton menerusi lantunan vokalnya yang mantap setanding artis antarabangsa.

Sementara itu, Ann pula menyanyikan lagu berjudul Through The Fire nyanyian asal Chaka Khan yang popular sekitar tahun 1984.

Konsert diteruskan dengan persembahan daripada penyanyi kelahiran United Kingdom (UK), Russell Watson, 44, yang terkenal dengan keupayaannya membawakan lagu-lagu genre klasikal dan Operatic Pop.

Menerusi lagu Because We Believe, Volare, You Raise Me Up dan Nessun Dorma, Watson berjaya memikat penonton untuk bersama-sama menyanyi dengannya.

Medley berjudul What's Love dan Always On Time kemudiannya dihidangkan kepada penonton apabila penyanyi Ashanti pula mengambil alih pentas.

Berbanding penyanyi Rihanna misalnya, Ashanti mungkin dikatakan sudah hilang taring dari segi populariti.

Namun malam itu, penyanyi R&B ini membuktikan bahawa auranya masih kuat dan ternyata dia juga boleh membawakan lagu Whitney Houstan, I Have Nothing dan I Will Always Love You dengan baik.

Selepas Ashanti, penyanyi Phillip Bailey pula menyusul menghiburkan penonton dengan koleksi lagu menggamit memori seperti In the Stone, Fantasy, After The Love dan September.

Kehangatan malam juga kian terasa apabila penyanyi bersuara emas, Michael Bolton muncul mengalunkan lagu When A Man Loves A Woman nyanyian asal Percy Sledge.

Bergetar rasa di jiwa setiap kali Bolton melantunkan vokalnya apalagi menerusi lagu How Am I Supposed To Live Without You dan Georgia On My Mind.

Suara 'mahalnya' itu diperdengarkan lagi kepada penonton dan kali ini melalui duetnya dengan Charice menerusi lagu The Prayer.

Tirai persembahan berakhir dengan alunan lagu Earth Song yang menyaksikan paduan suara kelima-lima artis tadi di atas satu pentas sebagai tribute kepada mendiang Michael Jackson.

Ternyata Foster dan rakan-rakannya berjaya menyajikan persembahan yang begitu melekat di hati walau cuma pada satu malam sahaja.

Biarpun cuma seketika, impak lagu-lagu cinta ciptaan Foster dianggap mampu kekal sebagai koleksi karya sepanjang zaman yang akan terus hidup.

Tenyata, karya Foster begitu menggamit memori dan boleh diterima ramai.

Tahniah Foster dan rakan-rakan!

Shafiq suka aktiviti lasak

Posted: 29 Oct 2011 06:12 PM PDT




Anak muda penghias ruangan Kacak Bergaya minggu ini Raja Shafiq Mohar Raja Chulan sangat suka menjadi pengacara lebih-lebih lagi acara yang ada sentuhan lasak.

Sebab itu apabila guru kelasnya bertanya apakah projek kelas yang mahu dijalankan, dia segera mencadangkan satu majlis berkaitan Orang Asli yang ada unsur pendidikan.

Cadangannya dipersetujui dan kelas kertas perhubungan awam yang diambilnya mengadakan satu projek pendedahan kesenian kepada anak-anak orang Asli di sebuah perkampungan Orang Asli di Puchong, Selangor baru-baru ini.

Dia yang masih menuntut di tahun pertama jurusan Komunikasi di Kolej Segi, Petaling Jaya itu yang dilantik menjadi penganjur kepada acara tersebut.

"Saya memang suka menganjurkan majlis serta menjadi pengacara. Sebab itu saya seronok sangat apabila dapat menganjurkan satu acara yang memberi manfaat kepada anak-anak Orang Asli.

"Kami mengajar mereka bidang seni seperti melukis dan sebagainya," kata Shafiq kepada Pancaindera.

Aktiviti yang dilakukan itu akan dinilai oleh pensyarah sebagai kerja berkumpulan mereka.

Syafiq juga sukakan aktiviti lasak seperti meredah hutan dan mendaki. Minatnya pernah membawa dia ke Pulau Pinang apabila ada satu acara meredah hutan di sana.

"Sebenarnya saya juga minat dalam bidang lakonan. Terasa juga mahu mencuba. Tapi saya rasa jiwa saya lebih cenderung dalam bidang pengacaraan.

"Saya pasti akan mencuba nasib dalam bidang pengacaraan selepas ini. Saya minat dengan aktiviti sosial terutamanya yang berkaitan dengan dunia remaja," jelas anak kedua daripada tujuh beradik itu penuh semangat.

Taxi pandu arah sendiri

Posted: 29 Oct 2011 06:12 PM PDT


Program Twisties Bingit telah memberi laluan mudah buat Taxi untuk mencipta nama dalam industri muzik.


KUMPULAN Taxi mungkin masih belum mampu membina ruang jenamanya setanding dengan kumpulan Hujan, Meet Uncle Hussein (MUH) mahu Pop Shuvit sekali pun.

Tetapi, percayalah. Biarpun masih baru, Taxi sebenarnya mempunyai kelompok pemuja mereka yang tersendiri.

Menjadi juara bagi program Twisties Bingit anjuran Hot FM dan Krafts Malaysia hujung tahun lalu sudah cukup membuktikan bahawa kumpulan ini mampu meraih populariti berdasarkan pilihan pendengar.

Dianggotai oleh empat anak muda, Cidin (vokalis), Iwan (gitar utama), Suki (bass) dan Amin (drum), Taxi memasang hajat untuk memeriahkan industri seni tanah air.

Bersatu memandu misi perjuangan itu, keempat-empat mereka juga mengaku tidak mahu bersaing dengan mana-mana band sementelah menganggap kehadiran mereka cuma untuk berkongsi muzik semata.

"Kami tak pernah terfikir nak menyaingi sesiapa. Kami cuma mahu kekalkan muzik yang kami bawa dan buat yang terbaik.

"Sebab pada kami, sebagai anak seni, muzik adalah untuk dikongsi dan bukan untuk digunakan sebagai senjata untuk bersaing dengan sesiapa.

"Cukuplah asalkan semua masyarakat, tak kira usia, apa bangsa dan keturunan sekali pun dapat menerima kami," kata Iwan merangkap personel dan wakil kumpulan tersebut.

Cerita Iwan lagi, selepas muncul dengan dua single berjudul Angkubah dan Warna, Taxi mara mengukir langkah menerusi penghasilan album sulung mereka yang berjudul Langkah Pertama yang kini sudah dipasarkan di seluruh Malaysia.

Mempertaruhkan lagu Mimpi Semalam dan Ku Emosi, Langkah Pertama diyakini mampu membawa nama Taxi lebih jauh dalam genre muzik rock moden.

Untungnya Taxi, mereka bertulang belakangkan Iwan yang banyak menyumbang idea sebagai pencipta lagu dan penulis lirik untuk kebanyakan lagu yang mereka hasilkan.

Bagaimanapun, dalam kerendahan hati, kata Iwan, semua itu turut dilakukan dengan bantuan anggota kumpulannya yang lain.

"Rasanya tak adil kalau saya cakap saya seorang sahaja yang menghasilkan lagu untuk Taxi. Sebenarnya, apa pun yang dilakukan, kami banyak bergerak sebagai satu kumpulan.

"Tak kiralah dari apa jua aspek, kami akan saling bekerjasama. Macam buat lagu contohnya, setiap dari kami akan memberikan pandangan.

"Bukan apa, ia demi memastikan lagu yang kami hasilkan ada kualiti dan tak menjemukan telinga pendengar," katanya lagi.

Cukup-cukuplah rock kapak - Aweera

Posted: 29 Oct 2011 06:11 PM PDT


Imej sekarang banyak dipengaruhi oleh teman senior.


MASIH terngiang-ngiang vokal hebatnya melantunkan lagu She's Gone nyanyian asal kumpulan Steelheart.

Tapi itu cerita lama. Cerita ketika dia sedang mencipta nama menerusi platform program realiti One In a Million (OIAM) musim ketiga sekitar dua tahun 2009.

Tentu sekali anda masih ingat akan jejaka bernama Nasharul Aweera Norhissham, 20, atau lebih selesa dipanggil Aweera ini.

Anak kelahiran Kangar, Perlis ini cukup terkenal di kalangan peminat kerana memiliki vokal bernada tinggi.

Malah, kebanyakan lagu yang dibawanya juga tak pernah lari jauh dari genre rock 80-an atau rock kapak kata orang.

Mungkin merasakan itu sahaja lagu yang sesuai dengan jiwanya, Aweera kemudiannya kekal dengan imej begitu.

Bagaimanapun, selepas dua tahun berlalu, Aweera keluar dari persembunyiannya dengan membawa prinsip baru.

Menjelaskan bahawa diamnya selama ini bukan kerana merajuk, kata penyanyi ini, dia sebenarnya masih mencintai dunia muzik.

Namun katanya, untuk membuat kemunculan semula bersandarkan genre yang sama, itu bukanlah satu idea yang bernas.

"Selama ini, saya dikenali dengan imej rock sebab itulah imej yang dicipta untuk saya sejak saya berada dalam program realiti OIAM.

"Memang rock sentiasa dalam jiwa saya, itu bukan satu pembohongan. Tapi tak akanlah saya nak kekal dengan imej rock kapak sampai ke sudah.

"Jadi saya nak ubah persepsi orang. Saya dah tak nak dilabel sebagai penyanyi rock ketinggalan zaman, cukup-cukuplah," katanya.

Menurut Aweera, pendiriannya itu kemudiannya dizahirkan menerusi single terbarunya yang berjudul Bintang.

"Walaupun saya kata tak mahu bawa muzik genre rock kapak, tapi itu bukan bererti saya sudah mengkhianati jiwa saya untuk tidak membawakan lagu-lagu rock.

"Jangan salah faham pula. Menerusi single Bintang, genrenya masih rock, cuma ia lebih kepada eksperimen rock moden.

"Saya gubahnya sendiri dan sesuaikan dengan perkembangan zaman," terangnya lagi.

Sementara itu, kongsi Aweera, dia juga teruja kerana Bintang juga akan menjalani proses pembikinan klip video dan akan menemui peminat dalam masa terdekat.

Enggan terkongkong

Dalam pada itu, mengulas mengenai status dirinya yang tidak berada di bawah mana-mana pengurusan artis, jelas Aweera, dia lebih selesa menggerakkan kariernya secara sendiri.

Ini kerana kata jejaka ini, dia tidak mahu terkongkong dengan mana-mana label syarikat melainkan syarikat Bandit ART Network yang dikendalikannya bersama seorang sahabat sejak empat tahun lalu.

"Sebagai artis baru, saya faham akan ada naik turunnya sepanjang perjalanan karier seni saya. Banyak susah daripada senang.

"Malah, saya akui, selepas keluar daripada program OIAM, saya pernah dilamar oleh beberapa syarikat rakaman dan pengurusan namun saya tolak.

"Alasannya, saya tak mahu terikat dengan sesiapa dan lebih senang bergerak sendiri di bawah Bandit ART Network.

"Saya percaya, bila segala perkara diuruskan sendiri, ia secara tak langsung memberikan pengalaman yang matang untuk saya," ujarnya mengakhiri perbualan.

Kim Kardashian tangguh hamil

Posted: 29 Oct 2011 06:11 PM PDT




SETELAH lebih dua bulan berkahwin, bintang realiti televisyen, Kim Kardashian mengakui masih dalam mood berbulan madu dengan suaminya Kris Humhriesan.

"Ada yang bertanya bila saya akan mengandung anak kami. Buat masa sekarang, saya kena tangguh terlebih dahulu.

"Saya mahu tunggu sampai setahun kerana buat masa ini belum tahu Kris akan bermain untuk pasukan mana.

"Saya pastinya akan tinggal di Los Angeles kerana semua perniagaan saya di sana tetapi jika Kris terpaksa berpindah ke tempat lain, saya akan berulang-alik," ujar Kim.

Tiada layanan istimewa

Posted: 29 Oct 2011 06:10 PM PDT




Agensi kumpulan T-ara menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menuduh Jiyeon berjaya menempatkan diri di Universiti Sungkyunkwan kerana mendapat layanan istimewa.

Jurucakap agensi itu bertegas menafikan perkara itu selain menyifatkan dakwaan itu sebagai sesuatu yang tidak berasas.

Ia timbul selepas hampir setengah daripada jumlah pelajar di universiti tersebut menyebarkan khabar angin di Internet mengenai Jiyeon yang dikatakan menggunakan kelebihannya sebagai seorang selebriti untuk menyambung pengajiannya di universiti terbabit.

Difahamkan, Jiyeon sedang memohon untuk menyambung pengajian dalam bidang seni di universiti berlainan selepas gosip tersebut timbul.

"Permohonan itu dibuat berdasarkan kebolehan dan usahanya sendiri dan bukannya menerusi layanan istimewa," kata jurucakap lagi.

Dalam pada itu, kumpulan T-ara dijangka akan membuat kemunculan semula awal bulan depan.

Line Clear tak promosi saya – Bkay

Posted: 29 Oct 2011 06:09 PM PDT


Punya cita-cita besar dalam industri seni.


PELAKON Bkay Nair sekali lagi mengundang kontroversi dengan mendakwa syarikat pengurusan yang dinaungi, Lineclear Motion Pictures (Lineclear) tidak bijak mempromosikan dirinya hingga kurang mendapat tawaran berlakon.

Sepanjang menandatangani perjanjian dengan syarikat berkenaan pada Oktober 2009, Bkay hanya berlakon sebuah filem iaitu Ratu The Movie dan satu babak untuk tiga filem di bawah Lineclear pada tahun ini.

Tambahan pula, bebanan tugas sebagai Pegawai Perhubungan dan Pengurus Koordinasi Wayang Studio International (WSI) banyak mengekang potensi diri untuk terlibat dalam dunia lakonan sepenuh masa.

Justeru, anak kelahiran Kulai, Johor itu memutuskan untuk 'bebas' dari ikatan syarikat pengurusan tersebut sekitar April lalu. Tindakan diambil setelah mendapati dirinya terikat dengan terma syarikat sedangkan masih banyak potensi diri yang belum diterokai sebagai anak seni.

"Saya buat keputusan ini dengan mengambil kira masa depan saya dalam dunia lakonan. Bukan kerana mahu cepat terkenal. Apa yang dilakukan ini semata-mata kerana rasa minat mendalam dan mahu mengukuhkan nama di persada seni," hujah Bkay.

Wanita berusia 29 tahun ini juga mengakui bahawa jawatan yang dipegang di WSI kadangkala mengelirukan pihak penerbit untuk menawarkannya berlakon.

"Tak sesuai kalau seorang pelakon itu membuat dua kerja dalam satu masa. Terutama buat artis pelakon baru macam saya. Tugas terdahulu saya buat ramai orang salah anggap.

"Saya ada dengar orang cakap saya ambil kesempatan dengan posisi jawatan saya. Katanya, memudahkan saya untuk mendapat tawaran berlakon. Tapi sebenarnya, sama sekali salah," sambungnya lagi.

Sehingga pada hari ini, Bkay sudah berlakon watak penting dalam empat buat drama bersiri sejak 'bebas' iaitu Gerak Khas untuk TV2, Dewa Cinta (TV3), Musim Kirana (TV2) dan Suara Banduan (TV2).

Begitu juga dengan dua buah drama yang bakal memulakan siri penggambaran pada bulan depan iaitu sambungan Musim Kirana dan filem Skandal. Dia juga mendapat tawaran pengacaraan untuk siri dokumentari 13 episod berjudul Sifu untuk TV2.

Ditanya adakah Bkay menyesal dengan tindakan meninggalkan syarikat Lineclear terlalu awal sedangkan dalam kontrak termaktub tempoh tamat setahun lagi, wanita ini pantas menggelengkan kepala.

"Saya tak menyesal kerana saya menjual bakat sepenuh masa. Siapa yang nak tanggung kehidupan saya kalau berterusan tiada tawaran berlakon. Lagi pun rezeki ada di mana-mana bukan. Apa yang penting adalah usaha kita sahaja," katanya penuh optimis mengakhiri perbualan.

Semua guru tabika Kemas miliki diploma 2015

Posted: 29 Oct 2011 06:07 PM PDT

KOTA KINABALU 29 Okt. - Dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan prasekolah, kerajaan menyasarkan kesemua guru taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara memiliki diploma menjelang 2015.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, setakat ini seramai kira-kira 2,000 daripada 9,824 guru Tabika Kemas telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma.

"Dalam hubungan ini kita bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk mempastikan tenaga guru kita dapat ditingkatkan keupayaannya.

"Jadi untuk murid-murid tabika mendapat ilmu pengetahuan mencukupi, kita perlu mempunyai tenaga guru berkebolehan dan berkeupayaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 Jabatan Kemas Negeri Sabah di Dewan Saadah Wisma Majlis Ugama Islam (MUIS) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kemas, Hassan Mohd. Amin dan Pengarah Kemas Negeri, Anisah Saidin.

Pada majlis itu, seramai 94 warga kerja Kemas Sabah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Menurutnya, pada masa ini guru-guru Tabika Kemas dihantar menjalani kursus dalam cuti di institusi perguruan di seluruh negara.

Dalam pada itu beliau berkata, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pendidikan prasekolah kementerian itu telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.

"Pada tahun ini sasaran 9,816 kelas Tabika Kemas telah berjaya dicapai sejak Julai lalu dengan bilangan kanak-kanak seramai 215,834 orang.

"Selain itu, menjelang 2015 kesemua guru-guru tabika dijangka bergred S27," ujarnya.

Konsert Gemilang 50 Okestra RTM

Posted: 29 Oct 2011 06:07 PM PDT

Keunggulan Orkestra RTM menyambut ulang tahun Jubli Emas tahun ini diterjemahkan dengan penganjuran Konsert Gemilang 50 Orkestra RTM yang menyaksikan 35 pemuzik orkestra berpengalaman memberikan persembahan bertenaga di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur pada 1 November ini.

Kebanyakannya pemuzik yang berkelulusan sarjana muzik dari universiti dalam dan luar negara itu mempamerkan persembahan hebat di bawah pimpinan beberapa tokoh berpengalaman dalam bidang orkestra seperti Datuk Johari Salleh, Datuk Mokhzani Ismail, Mohd Asnawi Mutaal, Leon Yap, Azman Mustafa dan Lokman Abdul Aziz.

Ia dibahagikan kepada sepuluh segmen iaitu Overture Merentasi Zaman, Titik Permulaan, Varsiti Pelbagai Irama, Dari Malam Irama Malaysia ke Malam Putrajaya, Ilham Rasa, Dari Rakyat Untuk Rakyat, Patah Tumbuh Hilang Berganti, medley Tanah Air, Orkestra dan Bintang dan Gemilang 50.

Antara artis yang membuat persembahan adalah Jamal Abdillah, Shafinaz Selamat, Datin Paduka Julie Sudiro, Norynn Aziz dan Andre Goh.

Mengimbas kembali sejarah penubuhannya pada 1961, orkestra ini berjaya merentasi zaman dan melakar kisah suka dukanya tersendiri. Di pentas sama juga dapat disaksikan pemuzik dahulu memerah keringat dan tenaga untuk menghasilkan muzik-muzik terbaik.

Orkes Radio Malaya berkonsepkan 'big band' di mana keanggotaannya seramai 13 orang tertumpu kepada kelompok keluarga brass, saxes dan rhythm. Keanggotaannya dikembangkan kepada 25 orang mulai 1965 dengan penambahan ahli muzik yang bermain peralatan bertali. Dari 1967 hingga 1969 pula, keanggotaannya berkembang kepada 38 orang dengan berkonsepkan studio orkestra.

Ternyata muzik adalah bahasa antarabangsa yang mampu merentas sempadan kaum dan bangsa. Dalam semangat 1Malaysia yang tidak mengira warna kulit dan rupa, sejarah membuktikan semangat kerjasama inilah yang mengekalkan Orkestra RTM selama 50 tahun dan terus relevan hingga kini.

Dalam meraikan sambutan ke-50, Orkestra RTM diperkenalkan logo baru dan juga tagline Reaching Out yang antara lain merakyatkan orkestra kepada orang ramai di samping memperkenalkannya ke peringkat antarabangsa.

Sempena sambutan itu juga, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim turut menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Orkestra RTM kepada 11 pemuzik yang pernah terlibat dalam Orkestra tersebut iaitu Zainal Abu, Akhbar Nawab, Datuk Dr Ahmad Nawab, T Anggapan, Ahmad Kassim, Ruslan Imam, Richard Hoon, Eow Yeo Jin, James Boel, Alfonso Sulian dan Datuk Ahmad Dasillah.

Persembahan konsert bakal menemui penonton di saluran TV2, jam 9 malam.

Aksi bersahaja Tan Sing

Posted: 29 Oct 2011 06:06 PM PDT

Sebut sahaja nama-nama Angeline Tan, Louisa Chong dan Tan Ting, penonton akan mengenali mereka menerusi lakonan dan lawak mereka walaupun di pentas yang berbeza. Bukan sahaja pelawak berbangsa Melayu, malah pelawak Cina turut mewarnai pentas hiburan tanah air.

Bagi Tan Ting, 63, perbezaan bangsa tidak pernah menjadi penghalang untuknya melangkah bersama pelawak lain. Mengakui lebih selesa bekerjasama dengan pelakon dan produksi Melayu, Tan Ting berpendapat budaya dan sikap orang Melayu jauh berbeza dengan masyarakat Cina.

"Saya suka bekerjasama dengan orang Melayu. Mereka baik dan selalu memberi teguran serta tunjuk ajar jika ada kesalahan. Sejak mula hingga hari ini, banyak pengalaman yang saya kutip.

"Bagi saya, tidak kira apa bangsa, asalkan ada kemahuan dan sentiasa mahu majukan diri, pasti ada pihak yang sudi memberi tunjuk ajar," katanya.

Jika ada pelawak lain yang menceburkan diri dalam dunia seni hanya kerana mengikut kawan atau secara tidak sengaja, tetapi baginya, minat pada bidang ini sudah dipupuk sejak kecil lagi.

Namun, minat hanya minat. Tiada siapa tahu minat mendalam Tan Ting untuk menjadi penghibur. Tidak ada sekelumit ayat terkeluar dari mulutnya. Pun begitu, langkahnya bermula sebagai pemain kugiran adalah detik awal dirinya mengumpul keyakinan diri.


Bermula dengan kugiran

Mengimbau sejarah penglibatan awal, Tan Ting mula menceburi bidang nyanyian bersama kumpulan kugiran Cina, May Flower sekitar 1977. Ketika itu, kumpulannya sering membuat persembahan di kelab malam sekitar ibu kota.

"Kami pernah buat persembahan bersama artis terkenal ketika itu seperti Uji Rashid, Datuk DJ Dave dan Hamid Gurkha di Kulim, Kedah. Ketika itu, saya masih belum dikenali di kaca televisyen. Saya seronok melihat penyanyi berdiri di depan kamera, sedangkan saya hanya bermain gitar di belakang sahaja. Tapi, seorang penerbit Radio Televisyen Malaysia (RTM) menawarkan saya untuk berlakon.

"Bagi saya, inilah peluang yang tidak harus dilepaskan. Saya diberikan satu watak untuk drama Si Luncai pada 1981. Saya memang minat berlakon dan menunggu untuk mendapatkan peluang seumpama itu. Tawaran itu terus saya terima walaupun hanya watak picisan sahaja.

"Saya sentiasa memperbaiki mutu lakonan saya. Tidak sangka percubaan saya untuk bergelar anak seni berlanjutan selama dua tahun. Ketika itu, saya ditawarkan berlakon dalam filem Hong Kong berjudul Pendatang Ribut Pagi. Saya terus menerimanya," katanya.

Selepas itu, Tan Ting terus diberi peluang muncul dalam drama tempatan. Drama Hikayat Hang Setia pada 1992 merupakan drama yang meletakkan namanya terus gah di persada seni. Berlakon di samping Ruminah Sidek, Norlia Ghani, Hamdi Gurkha dan Mendiang Param, drama 200 episod terus melonjakkan namanya.

"Dulu, saya tidak fasih berbahasa Melayu. Memang sukar nak berkomunikasi. Tapi berkat pertolongan pengarah dan juga rakan pelakon, akhirnya saya berjaya ke peringkat lebih baik.

"Ada juga produksi yang tidak mempercayai bakat saya untuk membawa watak serius kerana saya lebih sinonim dengan watak komedi. Tapi, saya buktikan kepada mereka yang saya mampu lakukannya," katanya yang pernah menjayakan rancangan Hiburan Minggu Ini dan drama Pening lalat, Impian Abadi, Impian L dan Pak Kaduk.


Pelbagai cabaran

Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, pelbagai liku ranjau ditempuhi anak kelahiran Kuala Kangsar ini. Pengalaman tidak mendapat bayaran acap kali terjadi. Beranggapan itulah asam garam dunia seni, itu juga mematangkan dirinya untuk terus aktif dalam bidang seni.

Biar nama jadi sanjungan, namun Tan Ting pernah ditipu beberapa syarikat produksi termasuk dari antarabangsa.

"Apabila sudah terjun dalam bidang ini, semua perkara seperti ditipu, difitnah atau digunakan sudah menjadi sebahagian diri artis. Mungkin dulu, saya sedih dan pernah rasa putus asa, tapi memikirkan ini jalan yang saya pilih, saya perlu telan sahaja.

"Saya juga pernah dijanjikan dengan bayaran tinggi oleh sebuah syarikat produksi dari Hong Kong, malangnya apabila selesai, janji itu hanyalah mainan dan saya ditipu.

"Ketika itu, saya rasa diri saya tidak dihargai. Kerja dari pagi hingga malam,tetapi keringat kita tidak dikira. Saya anggap ia bukan rezeki saya. Saya terus berkarya dan mempelbagaikan bakat. Orang kata, jangan hanya berpandukan satu aliran sahaja, jadi saya boleh juga berlakon watak serius apabila dikehendaki," katanya.

Lebih gemar membawakan watak komedi berbanding watak serius, Tan Ting berasakan watak seperti itu dekat dengan dirinya.

"Saya versatil. Tapi, kelebihan saya adalah membawakan watak komedi. Saya suka melihat penonton ketawa melihat aksi saya. Lagi pula, ia mudah dibawa dan memerlukan komitmen tinggi," katanya.


RTM hargai jasa

Mengakui tidak pernah menerima anugerah di sepanjang penglibatan, Tan Ting tetap berbangga dengan kebolehannya dengan penghargaan yang diberikan oleh RTM.

Menurut Tan Ting, Persatuan Veteran RTM telah memberi Sijil Penghargaan kepadanya sebagai tanda terima kasih di atas segala jasa ketika menjayakan program di bawah anjuran RTM.

"Walaupun tak dapat anugerah, saya gembira dapat penghargaan sebegini. RTM adalah produksi pertama yang memberi peluang untuk saya berlakon.

"Penghargaan ini seumpama pembakar semangat saya untuk terus bergiat dalam industri seni tempatan. Saya berjanji pada diri saya, saya akan berlakon selagi masih ada yang mahukan khidmat lakonan saya," katanya yang bakal menjalani penggambaran drama India pada bulan depan.

Walaupun bergelar anak seni, Tan Ting turut terlibat dalam bidang perniagaan dan jualan lansung, E Cosway. Selain aktif berlakon, Tan Ting juga sentiasa menghadiri persembahan pentas bersama pelawak yang lain seperti Rama, Pak Lah, Angeline Tan dan Sathia.

Minggu pertama MLM gamat

Posted: 29 Oct 2011 06:06 PM PDT

Persembahan minggu pertama sahaja, semua 'otai' raja lawak begitu menghiburkan. Pentas Maharaja Lawak Mega (MLM) yang dihangatkan dengan persembahan komedi daripada 15 pelawak berkumpulan dan solo berjaya menambat hati penonton. Gabungan pelawak dari tiga negara serumpun iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia ini membuka satu lembaran baru dalam pentas komedi serantau.

Minggu pertama memperlihatkan kehebatan kumpulan dari Malaysia yang berjaya mendominasi penonton. Tuah malam pertama menyebelahi kumpulan Boboi yang dianggotai Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik dengan berjaya memperoleh jumlah undian tertinggi daripada penonton sebanyak 61 peratus.

Manakala kumpulan Bawal Power gandingan Bob Kuman dan Sobri pula mendapat jumlah undian kedua tertinggi sebanyak 59 peratus. Percubaan kumpulan Lanun (Jegan, Elyas dan Saiman Al Farisi) dan Caer (Adeteo, Mister Ibo dan Lugiana) kumpulan dari Indonesia mendapat jumlah undian terendah sebanyak 30 peratus.

Pembuka tirai malam itu, kumpulan Anje iaitu Achong dan Joey berjaya menggamatkan pentas. Namun, persembahan mereka gagal menambat hati juri tetap, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih popular dengan panggilan Chef Wan, Datuk Siti Nurhaliza, Zainal Abidin Hassan serta juri jemputan, Imran Ajmain.

Rancangan pertama seumpama ini, dilihat sebagai medan untuk para penghibur bersaing merebut hati peminat dengan lawak mereka.

Disiarkan secara langsung pada setiap Jumaat, jam 10 malam, peserta paling menyerlah dan berjaya memikat hati juri dan penonton bakal dinobatkan sebagai juara dan akan membawa pulang tunai RM350,000 pada minggu akhirnya, 30 Disember depan.

Keupayaan Perkeso catat untung diiktiraf

Posted: 29 Oct 2011 06:05 PM PDT

KUALA LUMPUR - Keupayaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mencatat keuntungan RM18.4 bilion dalam pelaburannya pada 2010 menyebabkan agensi itu diiktiraf dalam Laporan Audit Negara bagi tahun lalu.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, keuntungan itu berpunca daripada kejayaan Bahagian Risiko dan Penyelidikan Perkeso menganalisa dan mengenal pasti pelaburan berisiko tinggi sekali gus membantu mereka membuat keputusan tepat dalam sesuatu tindakan.

"Keuntungan dicatatkan sebanyak 4.3 peratus pada 2009 meningkat kepada 10.4 peratus pada 2010 adalah sesuatu yang hebat. Kami boleh mengatakan mereka telah melakukan yang terbaik. Keuntungan itu dapat digunakan untuk membayar pampasan pekerja dan bayaran faedah kepada pencarum yang ditimpa bencana.

"Sebagaimana pengauditan dilakukan November 2010 hingga Januari 2011 didapati, bahagian itu melakukan pelaburan ekuiti dengan cekap dan teratur," katanya.

Menurutnya, semakan terhadap 46 kaunter saham mendapati Perkeso memperoleh keuntungan RM36.56 juta daripada keseluruhannya RM40.54 juta, setelah diasingkan kerugian RM3.98 juta.

Katanya, analisa dilakukan di 40 kaunter yang mengalami kerugian berjumlah RM285.26 juta pada Disember 2008 dan dua tahun kemudian, berkura-ngan RM42.84 juta.

"Perkeso rugi dalam pelaburan dalam kategori barangan pengguna, industri, teknologi, pembinaan, dagangan dan perkhidmatan serta kewangan. Ini kerana, bahagian berkenaan tidak mengikut prosedur apabila menganalisa dan mengeluarkan laporan tahunan kepada Lembaga Pengarah selepas pembelian dan penjualan saham dilakukan," katanya.

Industri insurans masih praktikal

Posted: 29 Oct 2011 06:04 PM PDT



Insurans, dalam perundangan dan ekonomi ad:alah bentuk pengurusan risiko terutamanya digunakan bagi jaminan terhadap risiko kemungkinan kerugian kewangan.

:Ia juga ialah sejenis alat kewangan yang boleh dibeli untuk melindungi anda, ahli keluarga anda atau barang kepunyaan anda daripada sebarang kemalangan.

Insurans berfungsi dengan cara membayar premium rendah dan sebuah syarikat insurans berlesen akan membayar pampasan harta barang yang hilang atau rosak bergantung kepada kadar risiko yang ditanggungnya.

Industri insurans di Malaysia dikawal Bank Negara Malaysia. Terdapat dua jenis insurans iaitu insurans hayat yang mempertanggungjawabkan anda dan nyawa terhadap risiko kematian, kesakitan, ketidakupayaan dan memasuki hospital.:

Jenis yang kedua, insurans am yang melindungi anda terhadap kerugian daripada kecurian atau kerosakan harta peribadi milik anda seperti kehilangan kereta dan kebakaran: rumah.:


Industri kekal teguh

Industri insurans kekal teguh dengan pengembangan perniagaan yang mampan dan peningkatan solvensi. Jumlah pendapatan premium industri meningkat 19.5 peratus kepada RM15.6 bilion dalam separuh pertama 2008 (Januari-Jun 2007, 10 peratus atau RM13 bilion).

Sektor insurans hayat mencatatkan bila-ngan premium perniagaan baru lebih rendah, berkurangan 12.8 peratus kepada RM3.4 bilion (Januari-Jun 2007, 19.7 peratus atau RM3.9 bilion).

Bagaimanapun, polisi berkaitan pelaburan terus memberi sumbangan tinggi, iaitu 36.4 peratus daripada premium perniagaan baru.

Daripada segi saluran pengagihan, bank asurans mencakupi 39.3 peratus daripada premium baru yang dijana, manakala sumbangan pasaran oleh perniagaan agensi meningkat 52.5 peratus (Januari Jun 2007, 43.6 peratus).

Penembusan pasaran insurans hayat meningkat kepada 40.1 peratus pada akhir Jun 2008 (akhir Jun 2007, 39.2 peratus).

Premium langsung kasar sektor insurans am meningkat 8.2 peratus kepada RM5.6 bilion (Januari-Jun 2007, 2.5 peratus; RM5.2 bilion).

Premium kasar motor meningkat 9.9 peratus kepada RM2.4 bilion dalam tempoh separuh pertama 2008 (Januari-Jun 2007: -1.3 peratus; RM2.2 bilion).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu