Rabu, 20 Julai 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Rozita Che Wan Tolak Tuduhan Kongkong Shahir

Posted: 20 Jul 2011 09:26 PM PDT

Rozita Che Wan tampil anggun memperagakan kebaya rekaan Ezuwan Ismail pada acara The Blue Kebaya Showcase di The Weld, Selasa.

KUALA LUMPUR: Pelakon Rozita Che Wan yang terus dikatakan menjalin hubungan cinta dengan penyanyi Ahmad Shahir Zawawi (Shahir AF8) menolak tuduhan kononnya dia terlalu mengongkong penyanyi itu sehingga menyebabkan Shahir membatalkan aktiviti seninya pada saat-saat akhir.

Kata Rozita, walaupun berasa rimas kerana terus dikaitkan dengan penyanyi berusia 24 tahun itu, dia cukup terbuka dan memberikan kerjasama sebaik mungkin setiap kali diajukan pertanyaan tersebut.

"Kalau diikutkan saya memang rimas dan letih kerana terus dikaitkan dengan cerita-cerita begini yang tidak pernah berkesudahan. Tuduhan itu sebagai sesuatu yang tidak berasas.

"Namun, saya memberikan kerjasama dengan menjawab sebarang pertanyaan kontroversi yang mengaitkan diri saya dengan sebaik mungkin," katanya yang ditemui pada acara The Blue Kebaya Showcase di pusat beli-belah The Weld, di sini, Selasa.

Rozita memberitahu, tuduhan terbaru itu adalah sesuatu perkara yang tidak benar sama sekali kerana tiada sebab untuk dia mengongkong kerjaya seni orang lain.

Malah menurut Rozita, dia sendiri tidak mengetahui jadual kesenian Shahir selain tidak pernah masuk campur dalam apa juga urusan yang berkaitan dengan aktivitinya.

"Secara logiknya, kenapa pula saya hendak kawal atau kongkong dia? Saya pun tidak tahu-menahu tentang jadual kerjanya, apatah lagi untuk mengongkong dia.

"Saya tidak pernah kawal Shahir, kehidupan atau kerjayanya. Itu adalah urusan peribadinya dan tiada kena-mengena dengan saya pun," katanya lagi.

Ditanya tentang perkembangan kerjayanya, Rozita berkata, dia akan terus sibuk dengan beberapa komitmen lakonan menjelang bulan Ramadan pada awal bulan depan.

"Saya akan memulakan penggambaran drama untuk TV9 mulai esok dan ada beberapa projek drama lain lagi.

"Sepanjang Ramadan ini, saya akan terus sibuk dengan beberapa komitmen lakonan juga," katanya yang bakal muncul dengan beberapa drama Raya termasuk Pontianak Baru Kampung Batu, Kiah Pekasam dan Jaguh Kampung.

Nasha Aziz tak dimakan usia

Posted: 20 Jul 2011 09:21 PM PDT

pix_middle

SETIAP kali muncul dalam mana-mana acara permaidani merah atau majlis membabitkan selebriti tempatan, pasti kelibat model dan pelakon terkenal Nasha Aziz yang mencuri tumpuan ramai.

Bukan saja menjadi artis kegemaran lensa jurugambar, malah kelibat Nasha juga menarik perhatian tetamu yang tidak lepas daripada menatap wajahnya yang memang tidak dimakan usia itu.

  • Foto

    BERGABUNG...Nasha bersama pereka bajunya, Iszal.

  • Foto

    MENARIK...salah satu babak Nasha dalam drama bersiri Supermak.

Itulah aura dan pesona pelakon berkaliber Nasha Aziz atau pemilik nama sebenarnya, Noraishah Abd Aziz, 40. Tampil jelita dan menawan dengan busana rona biru firus rekaan pereka terkenal Iszal dari butik Citra, Nasha tidak pernah kalah gaya dalam apa acara dan majlis sekalipun.

Selain karier seni, soalan wajib pihak media sudah pasti ingin mengorek kisah cintanya dengan kekasih hati, Nur Iman Tang Abdullah yang hangat diperkatakan ketika ini.


Justeru, pada majlis Showcase The Nyonya Blue Kebaya anjuran Rafflesia The Pearl Centre yang berlangsung di Concourse, The Weld Shopping Centre bersama 40 selebriti, petang kelmarin, Nasha tetap dikerumuni pihak media yang membuat liputan sekali lagi.


Nampaknya, Nasha tidak dapat mengelak apabila ditanya bila dia dan Iman akan mengakhiri hubungan mereka ke arah perkahwinan. Jawapan Nasha juga ringkas dan padat petang itu.

"Hubungan kami masih okay dan saya juga melihat tali silaturahim kami sebagai saudara seagama itu tidak akan putus sampai bila-bila pun. Apa yang boleh saya katakan, buat masa ini, ada beberapa halangan buat kami menuju ke arah perkahwinan," katanya.

Ditanya sama ada dia kini ingin mengelak bercerita soal peribadi, Nasha menafikannya.

Katanya, dia faham apa yang wartawan mahu, tetapi biarlah cerita yang dilaporkan di akhbar membantu menaikkan lagi karier seni serta menguntungkan kedua-dua belah pihak.

"Janganlah cerita itu hanya untuk melariskan akhbar saja," katanya.

Namun, apabila diminta berkongsi perkembangan karier seninya, Nasha juga lebih selesa untuk bercerita lanjut mengenai perkara berkenaan.

Kata Nasha, dia sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Supermak untuk stesen TV3 bermula 19 Jun lalu.

Cerita berkenaan mula disiarkan jam 9 malam, setiap Isnin bermula 25 Julai ini.

"Saya memang suka dengan karakter Amy Salim, ibu dan suri rumah yang memiliki kekuatan dan kelajuan seorang adiwira ini. Watak ini memerlukan banyak tenaga dan aspek fizikal. Amy mewarisi keistimewaan itu dari nenek moyangnya Thani yang berasal dari kepulauan Riau.

"Watak ini agak berat kerana ia memerlukan tenaga dari hujung rambut ke kaki dari aspek fizikal dan emosi.

"Saya juga perlu melihat hasil lakonan bila ia di siarkan di kaca TV nanti. Bagi saya watak orang gila dan psiko paling mudah dijiwai berbanding karakter dalam Supermak," katanya.

Drama ini turut dibintangi barisan pelakon iaitu Azhan Rani, Zul Yahya, Rosli Sako, Zara Zya, Syawal AF dan Henzy Andalas.

Nasha juga bakal beraksi dalam filem baru arahan Din CJ berjudul Skandal pada September nanti.

Dia pegang watak pramugari atau 'mak ayam' dalam filem ini.

Berkongsi pandangannya mengenai kemunculan artis baru pula, kata Nasha, dia juga pernah menjadi artis baru sebelum menempa nama seperti hari ini.

"Saya juga bermula dari dunia peragaan dan terus bertahan selama 25 tahun dalam industri. Bukan mudah untuk terus bertahan dalam industri seni kerana anda perlu berikan yang terbaik mengikut kemampuan.

"Anda perlu ada bakat besar, minat mendalam dan kerja keras untuk mendapat tempat dalam industri seni.

"Maklumlah, kita bukanlah bintang seperti di Hollywood yang ada kedudukan yang stabil," katanya.

Mengulas aktiviti pada Ramadan pula, kata Nasha, dia juga masih terbabit dengan penggambaran drama Supermak pada bulan yang mulia itu.

"Nampaknya, saya akan berpuasa dan berbuka di lokasi bersama pelakon dan kru drama ini. Sebenarnya, saya juga tidak tahu drama ini bakal menjalani penggambaran sehingga memasuki Ramadan ketika menandatangani kontrak cerita ini dulu.

"Seperti yang kita tahu, waktu solat Maghrib juga singkat pada Ramadan. Apapun, ia terpulanglah pada budi bicara sesebuah produksi untuk beri peluang pada pelakon dan kru mereka buat ibadah di lokasi.

"Sebagai pelakon, saya sendiri sedia maklum waktu penggambaran memang tidak tentu masa apatah lagi cerita Supermak membabitkan banyak aspek teknikal dan elemen futuristik.

"Terus-terang, selepas lima tahun, ini kali pertama saya terbabit berlakon pada Ramadan. Apapun, saya tetap mencuri peluang untuk beribadah bagi sama-sama memperoleh keberkatan pada Ramadan yang bakal tiba ini," katanya.



PROFIL:

NAMA SEBENAR:
Noraishah Abdul Aziz
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
TARIKH LAHIR: 14 Mei 1971
STATUS: Bujang
KERJAYA: Model dan pelakon

ANTARA DRAMA: Duit Free, Drama Cik Mala Janda Berhias, Inspirion, Inikah Cinta, Diari Datin dan Kasih Tercipta

TEATER: Lantai T Pinkie

FILEM: Sepi, Otai, Puaka Tebing Biru, Buli Balik, Kemarau Cinta, Tak Ori Tapi Ok, Cinta Luar Biasa, Buli, Trauma, Laila Isabella, Gerak Khas The Movie, Bara, Burung Besi, Puteri Impian, Kad Cinta

PENCAPAIAN: Festival Filem Malaysia ke-17 (2004): Pelakon Wanita Terbaik dan Festival Filem Malaysia ke-14: Bintang Harapan Wanita Terbaik (1999)

Bertarung nyawa selamat lembu

Posted: 20 Jul 2011 09:16 PM PDT

TUMPAS...Faizul (kanan) dan Mohammad Ean  bersama bangkai buaya berusia dua tahun.
TUMPAS...Faizul (kanan) dan Mohammad Ean bersama bangkai buaya berusia dua tahun.

SARATOK: Operasi besar-besaran pihak berkuasa memburu buaya di Sungai Sebelak di sini, sejak dua hari lalu mengembalikan ingatan seorang penduduk, Rashid Abu, 45, kejadian dia berdepan maut apabila terpaksa bertarung kira-kira setengah jam dengan haiwan itu, dua tahun lalu.

Menurut penduduk Kampung Emplam itu, pertarungannya dengan reptilia sepanjang kira-kira empat meter di tebing Sungai Sebelak berlaku ketika dia cuba menyelamatkan lembu peliharaan daripada dibaham seekor buaya.


"Meskipun peristiwa itu sudah dua tahun berlalu, ia tetap segar di ingatan saya," katanya yang ditemui Harian Metro, semalam.

Rashid berkata, ketika kejadian itu dia langsung tidak menyangka sedang 'berebut' dengan reptilia ganas yang menjadi ketakutan penduduk di sepanjang sungai berkenaan.


Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia berusaha membawa keluar ternakannya dari kandang yang dimasuki air sungai yang melimpah ke tebing akibat air pasang besar.


Katanya, pada awalnya, dia menyangka kaki lembu jantannya itu tersangkut pada celah akar pokok menyebabkan dia nekad masuk ke dalam air untuk menarik haiwan terbabit.

"Saya cuba memeluk tengkuk lembu dengan harapan dapat dibawa ke atas namun gagal. Tarikan buaya itu cukup kuat dan saya mencuba sekali lagi termasuk menarik kaki lembu itu.


"Selepas beberapa kali mencuba, tetapi masih gagal sebelum saya menggunakan tali dan akhirnya berjaya membawanya naik ke atas dan ketika itu saya ternampak kelibat seekor buaya sedang menggigit kaki lembu," katanya.Rashid berkata, menyedari buaya terbabit cuba menarik lembunya kembali ke dalam air, dia nekad 'bertarung' bagi menyelamat haiwan itu sehingga berlaku tarik menarik selama beberapa minit.


"Saya tidak tahu apa lagi perlu dilakukan bagi menyelamatkan lembu saya melainkan menariknya sedaya upaya sehingga menyebabkan reptilia terbabit mengalah dan melepaskan gigitan sebelum menghilangkan diri," katanya.


Mengimbau kembali tindakannya memasuki kandang lembu yang digenangi air paras dada, dia langsung tidak terfikir bahawa reptilia itu turut berada di dalam air dan menanti saat membaham lembunya itu.


"Memang saya tidak akan masuk ke kandang itu jika saya tahu ada buaya di dalam air," katanya.


Rashid berkata, dua kejadian sebelum ini menyebabkan empat lembu peliharaannya menjadi habuan reptilia ganas itu yang menyebabkannya kerugian kira-kira RM14,000.


"Kejadian pertama berlaku pada 2002 apabila dua lembu saya dibaham. Kali terakhir kejadian sama berlaku iaitu dua tahun lalu," katanya yang memiliki 14 lembu.


"Oleh kerana lembu yang diselamatkan itu cedera teruk pada paha kirinya, saya mengambil keputusan menyembelihnya sebagai hidangan kenduri kesyukuran kerana saya terselamat daripada menjadi korban buaya berkenaan," katanya.


Sementara itu, operasi besar-besaran digerakkan pihak berkuasa yang masuk hari kedua semalam, dipercayai hanya berjaya membunuh seekor anak buaya yang bangkainya ditemui terdampar di tepi Sungai Sebelak di sini.


Bangkai haiwan berusia lebih dua tahun itu ditemui penduduk kira-kira jam 2.30 petang, tidak jauh dari jeti pusat operasi, dipercayai ditembak pada malam pertama operasi dijalankan.


Penduduk, Mohd Faizul Abu Bakar, 25, berkata dia menemui bangkai buaya itu ketika menaiki sampan menyusuri sungai berkenaan.


"Berdasarkan saiz bangkai buaya berkenaan dipercayai berusia dua tahun atau lebih dan kami yakin buaya ini bukan yang sering membaham penduduk," katanya.


Bangkai buaya berkenaan dibawa menaiki sampan sebelum diangkat ke jeti menyebabkan penduduk berpusu-pusu mahu melihat reptilia yang didakwa menimbulkan ketakutan selama ini.


Sungai Sebelak terus menjadi tumpuan berikutan operasi besar-besaran pihak berkuasa memburu reptilia yang didakwa menyebabkan beberapa penduduk menjadi mangsa, termasuk kejadian terkini dua bulan lalu.

Derita amah didera berakhir

Posted: 20 Jul 2011 09:14 PM PDT

SELAMAT...Mimi dibawa keluar dari kurungan majikannya.
SELAMAT...Mimi dibawa keluar dari kurungan majikannya.

KUALA LUMPUR: Penderitaan seorang pembantu rumah warga asing yang mendakwa dikurung, dipukul dan didenda menjunjung sebaldi air penuh dalam tandas jika membuat kesalahan berakhir selepas diselamatkan sepasukan polis di sebuah kondominium di Cheras di sini, kelmarin.

Sebelum operasi menyelamat itu dilancarkan, wartawan Harian Metro menerima e-mel mengenai penderitaan pembantu rumah warga Indonesia terbabit sejak lebih setahun lalu dihantar individu mendakwa jiran mangsa.

Berdasarkan alamat diberikan, wartawan bergegas ke lokasi dimaksudkan pada jam 5 petang kelmarin dan berbual dengan pembantu rumah itu dikenali sebagai Mimi Suciyanti, 28, berasal dari Jakarta Timur.

Ketika itu, majikannya tiada di rumah dan Mimi kelihatan cemas dan takut kerana khuatir perbuatannya bercakap dengan orang tidak dikenali diketahui majikannya. Terdapat juga kesan lebam pada bawah pipi kanannya.


Menurut Mimi, dia mula bekerja dengan majikannya Februari tahun lalu dan sejak itu, bermula episod hitam dalam hidupnya apabila dia dikurung di dalam rumah dan langsung tidak dibenarkan keluar.

Samun 10 rumah dalam sebulan

Posted: 20 Jul 2011 09:09 PM PDT

KAWAL...sebahagian penduduk memantau lokasi  pecah masuk.
KAWAL...sebahagian penduduk memantau lokasi pecah masuk.

KAJANG: Bukan satu atau dua rumah sebaliknya 10 rumah sudah menjadi sasaran 'geng pukau' dalam tempoh kurang dari sebulan di Bandar Bukit Mahkota, di sini.

Dalam kejadian antara jam 2 hingga 4 pagi itu, suspek dikatakan menggunakan ilmu pukau memastikan mangsa tidak sedar sekali gus memudahkan mereka menyelongkar setiap bilik rumah mangsa.

Kejadian terbaru pagi kelmarin, apabila seorang mangsa, Abd Ghani Mohd Zain, 48, menyedari rumahnya dipecah masuk kira-kira jam 6 pagi ketika bangun menunaikan solat Subuh.

"Saya lihat dapur berselerak manakala peralatan memasak pula disusun di luar rumah bagi memudahkan mereka masuk melalui tingkap.


"Ketika itu, saya mendapati pintu pagar besi turut dipotong dan dibengkokkan dipercayai menjadi laluan masuk mereka," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

AVB ‘Special 12’

Posted: 20 Jul 2011 09:05 PM PDT

Andre Villas-Boas
Andre Villas-Boas
pix_topright

BELIAU sudah dianggap sebagai 'Special One' baru. Namun perlawanan pertamanya mengendalikan Chelsea membuktikan segala-galanya dan Andre Villas-Boas mungkin tidak lama lagi akan dikenali sebagai 'Special 12'.

Bos baru Blues itu, yang sudah dibandingkan dengan Jose Mourinho, memulakan kempennya menerusi kemenangan 3-0 ke atas Wycombe pada satu perlawanan persahabatan minggu lalu diikuti dengan kemenangan 1-0 ke atas Portsmouth.

Beliau kini bersama skuadnya dalam Jelajah Asia berdepan skuad Pilihan Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini diikuti menentang Bintang-bintang Thailand (Ahad) sebelum bertanding pada Trofi Asia Barclays menentang Kitchee (27 Julai) dan sama ada Aston Villa atau Blackburn (30 Julai) di Hong Kong.

Tiada seorang pun peminat atau wartawan dibenarkan untuk menonton perlawanan sulung Villas-Boas yang dilangsungkan secara tertutup di pusat latihan kelab itu, Cobham di Surrey.


Namun seorang sumber berkata: "Villas-Boas bagaikan orang ke-12 Chelsea.


"Beliau menghabiskan sepanjang perlawanan itu berdiri di tepi garisan, memberikan pemainnya galakan dan arahan.

"Jika beliau nampak pemainnya tidak dikawal, beliau akan memberitahu pemainnya supaya menghantar bola kepada pemain itu. Beliau tidak menjerit-jerit atau berteriak, beliau hanya memberikan arahan jelas dan ringkas. Pemain patuh kepada apa yang diperkatakannya.

"Ia jelas sepanjang perlawanan itu mereka sudah menghormati pengurus baru itu, sekalipun beliau agak muda."

Villas-Boas, 33, mengambil alih bulan lalu selepas mengemudi FC Porto
memenangi liga Portugal, Piala Portugal dan Liga Europa musim lalu.

Pengurus baru itu berkata beliau gembira dengan skuad yang diwarisinya daripada pengurus terdahulu, Carlo Ancelotti dan tidak bercadang untuk melakukan rombakan besar.

"Datang ke sini bukannya dengan tugas untuk melakukan perubahan besar atau radikal.

"Saya teruja dengan cabaran menanti saya dan staf teknikal. Namun cabaran itu kebanyakannya akan diselesaikan oleh pemain dan kualiti mereka.

"Setiap orang tahu jangkaan dan harapan yang ditetapkan buat kelab sebesar ini. Saya fikir kami akan berdepan satu musim yang hebat."

Menariknya, pada usia 16 tahun, Villas-Boas (seorang penyokong fanatik Porto) tinggal di blok apartmen sama dengan pengurus Porto masa itu, Bobby Robson.

Berikutan satu perdebatan antara kedua-duanya, Robson melantik Villas-Boas ke jabatan pemerhatian Porto. Di bawah bimbingan Robson, yang kagum dengan kefasihan pertuturan bahasa Inggerisnya, beliau mendapat lesen kejurulatihan C Uefa pada usia 17 tahun di Scotland.

Beliau kemudian bertugas seketika sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan British Virgin Islands pada usia 21 tahun sebelum beliau meneruskan karier sebagai penolong jurulatih di Porto di bawah kendalian Mourinho. Ketika Mourinho berpindah kelab ke Chelsea dan Inter Milan, Villas-Boas menurutinya sebelum beliau sendiri menjadi jurulatih Academica dan kemudian Porto.


PROFIL

NAMA PENUH: Luis Andre de Pina Cabral e Villas-Boas
TARIKH LAHIR: 17 Oktober 1977
TEMPAT LAHIR: Porto, Portugal
TINGGI: 1.82 meter
PENGALAMAN PENGURUSAN:

  • 2000-2001 British Virgin Islands
  • 2009-2010 Academica de Coimbra
  • 2010-2011 FC Porto
  • 2011-kini Chelsea
  • Usahawan taraf dunia

    Posted: 20 Jul 2011 09:04 PM PDT

    LANCAR...Nor Mohamed (tengah) merasmikan majlis pelancaran Teras sambil ditemani Husni (kiri) dan Hafsah di Kuala Lumpur, semalam.
    LANCAR...Nor Mohamed (tengah) merasmikan majlis pelancaran Teras sambil ditemani Husni (kiri) dan Hafsah di Kuala Lumpur, semalam.

    UNIT Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) akan mengenal pasti 1,100 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera yang berpotensi untuk dibangunkan menjadi generasi usahawan Bumiputera bertaraf dunia menerusi program PKS Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras).

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Husni Salleh berkata, sebagai permulaan, seramai 100 PKS Bumiputera dan 100 syarikat kecil teratas akan dipilih berdasarkan kriteria yang jelas serta proses terbuka dan telus.


    Pemilihan itu termasuk syarat yang menghendaki mereka untuk tidak hanya bergantung kepada kontrak kerajaan, sebaiknya memiliki penarafan minimum tiga bintang di bawah program penambahbaikan penarafan kompetitif PKS (Score).

    "Calon juga harus memiliki penarafan kredit yang baik yang dinilai Biro Kredit Malaysia dan mesti menunjukkan potensi untuk menjadi perniagaan menguntungkan serta boleh berkembang," katanya selepas majlis perasmian Program SME Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di Kuala Lumpur, semalam.


    Hadir sama pada majlis pelancaran Ketua Eksekutif Teraju, Husni Salleh dan Ketua Eksekutif SME Corporation, Datuk Hafsah Hashim. Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi Malaysia Venture Capital Management Bhd, Tan Sri Dr Abdul Samad Alias.


    Katanya, Program Teras memerlukan PKS yang tercalon meningkat menjadi perusahaan besar serta mencapai sasaran dalam tempoh lima tahun dan jika gagal, mereka akan digugurkan daripada program.

    Husni berkata, proses pemilihan dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga bulan dan calon terpilih dijangka diumumkan pada Oktober ini.


    Teraju ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bertujuan meneraju, mengurus dan memacu penyertaan ekonomi Bumiputera disamping bertindak sebagai Sekretariat Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB).

    Teknik warna 3D makin digemari

    Posted: 20 Jul 2011 08:59 PM PDT

    BERLAINAN...gaya rambut artistik menarik perhatian.
    BERLAINAN...gaya rambut artistik menarik perhatian.

    SERAMAI 10 pendandan rambut mencipta gaya tersendiri apabila melakukan teknik dandanan paling menyerlah dengan sentuhan elegan dan klasik.

    Hadir dengan ilham dandanan pada era 80-an, semua model tampil memukau apabila muncul di pentas utama menerusi gaya rambut terpacak, sanggul tinggi serta panjang berjurai.

    • Foto

      TERPACAK...teknik rambut terpacak era 80-an semakin mendapat tempat di hati wanita.

    • Foto

      ANGGUN...teknik sanggul atau bun mampu menyerlahkan kejelitaan wanita.

    • Foto

      KELAINAN...adakah ini gaya rambut imaginasi pendandan menjelang 2020 nanti?

    • Foto

      ANGGUN...antara model yang mempersembahkan gaya dandanan rambut terkini daripada salun e3.

    • Foto

      UNIK...lain daripada lain gaya dandanan imaginasi daripada pelajar salun e3.

    • Foto

      UBAH...selain warna pendandan harus menentukan teknik potongan sesuai mengikut bentuk wajah.

    Semua gaya dandanan terkini ini dipersembahkan pada majlis makan malam dan pertunjukan fesyen bersama 16 pemilik salun e3 di seluruh negara, pelanggan dan pelajar salun.

    Antara pendandan yang menyerlahkan kreativiti mereka ialah Reny Janssens, Ko Ching Wee, Foon Kwai Kam, Chang Ching Lee, Wong Kok Yew, Jim Tze How, Lim Khai Boon, Yang Seng Chuan, Lam Chee Wai dan Chan Po Lin.


    Menurut pemilik dan pencetus idea salun e3 di Malaysia, Eden Er, malam penghargaan berkenaan diadakan bagi meraikan semua pendandan rambut di seluruh negara yang lahir daripada kumpulan latihan e3 sejak 10 tahun lalu yang menjadi pencetus kepada gaya dandanan terkini di Malaysia termasuk penggayaan warna artistik rambut, produk rambut serta teknik potongan.


    "Semua pendandan rambut berpengalaman ini dapat dilihat kreativiti mereka menerusi teknik potongan serta gaya dandanan yang tentunya memberi imaginasi kepada penonton mengenai kedatangan gaya dandanan pada masa akan datang," nyatanya.

    Pertunjukan fesyen rambut bertemakan Baru Bermula ini adalah serlahan gaya terkini yang lebih elegan dan moden sama ada daripada segi warna dan potongan rambut.

    Menurut Er, dua warna rambut ditampilkan iaitu teknik 3D dan warna penuh yang semakin mendapat tempat di hati seluruh wanita Asia serta lelaki.

    "Rambut yang diwarnai dengan ton ungu iaitu cerah, sederhana dan gelap semakin mendapat tempat. Warna tidak terlalu menonjol ini mampu menyerlahkan gaya moden wanita masa kini.

    "Begitu juga dengan teknik 3D yang mula digemari remaja, walaupun nampak terlalu ranggi apabila menggunakan teknik pewarnaan yang betul ia mampu menyerlahkan penampilan seseorang," katanya.

    Tambahnya, daripada segi teknik potongan, gaya rambut pendek ala 80-an semakin mendapat tempat.

    Dengan mengambil gaya artis terkenal pada tahun itu iaitu David Bowie, potongan pendek paras bahu dengan sedikit terpacak dan diberi sentuhan klasik menyerlahkan gaya moden dan membuatkan seseorang itu tampil anggun dan muda.

    "Potongan cara ini bukan saja sesuai untuk lelaki, malah wanita turut menggemarinya.

    Gaya sebegini sentiasa melangkaui zaman serta tampak versatil sepanjang masa.

    "Namun teknik ini akan lebih menyerlah dan 'kena' bergantung kepada bentuk wajah seseorang sama ada bulat atau bujur," katanya.

    Selain itu, bagi wanita berambut panjang teknik spotongan beralun dengan sentuhan segar masih mendapat perhatian.

    Gaya sebegini bukan saja sesuai untuk menghadiri majlis, tetapi juga untuk acara kasual. Cuma tambahkan nilai sama ada pada sanggul kemudian biarkan rambut terurai cantik cukup menyerlahkan gaya feminin mereka.

    Pada majlis itu juga, Pengarah Urusan e3 yang mempunyai 300 cawangan salun di Taiwan, Huang Fu Hsi turut hadir bagi menyampaikan anugerah kepada pemilik salun paling menyerlah dan berjaya di Malaysia.

    Penghargaan juga diberikan kepada kakitangan e3 yang bekerja keras memastikan salun e3 menjadi salun terbaik bukan saja di Malaysia, malah di Singapura serta mampu membuka 100 cawangan di rantau Asia Tenggara untuk beberapa tahun akan datang.

    Pada hari berkenaan, turut dipersembahkan pertunjukan fesyen artistik daripada pelajar di bawah kumpulan salun e3.

    Kes Khalwat Tangguh Lagi, Raja Azmi Terus Kecewa

    Posted: 20 Jul 2011 08:59 PM PDT

    Raja Azmi (kanan) bersama Roslin Hashim ketika hadir ke pejabat Jawi tidak lama dulu. Gambar fail

    KUALA LUMPUR: Penerbit filem kontroversi ... Dalam Botol, Raja Azmi Raja Sulaiman pada Rabu, memberitahu bahawa hidupnya tidak akan tenteram selagi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tidak menyelesaikan siasatan kes khalwat dirinya dengan pemain badminton negara, Roslin Hashim dengan segera.

    Isteri kepada bekas jaguh badminton negara, Jailani Sidek itu juga menambah, dirinya akan bergelumang dengan rasa malu selagi kes itu yang telah berjalan selama empat bulan tidak diputuskan oleh pihak berkuasa terbabit selepas beberapa kali tertangguh.

    "Saya benar-benar berharap keputusan mengenai perkara ini berjalan dengan secepat mungkin, sama ada kami akan dituduh berkhalwat atau tidak.

    "Hidup saya memang diselubungi dengan pelbagai perkara sensasi, tetapi saya tidak boleh menerima apabila diri saya diaibkan," katanya semasa ditemui di luar pejabat Bahagian Penguatkuasaan Jawi, di sini.

    Wanita berkulit cerah itu hadir pada pukul 8 pagi dengan memakai baju kurung berbunga merah dan ditemani oleh Jailani.

    Raja Azmi sekali lagi tidak dapat menahan esakan apabila menerima berita bahawa keputusan siasatan tersebut akan ditangguhkan kepada 22 Ogos ini ekoran pegawai pengendali kes menghadiri majlis tilawah Al-Quran.

    Roslin yang hadir selang beberapa minit selepas Raja Azmi juga meluahkan rasa kecewa kerana mendakwa, pegawai yang mengendalikan kes itu akan mempunyai urusan lain setiap kali mereka hadir ke pejabat tersebut.

    "Kesabaran saya juga ada hadnya. Sampai bila kami harus menunggu? Kenapa setiap kali tarikh yang ditetapkan, pegawai terbabit tiada?

    "Kakitangan bahagian tersebut juga memberitahu bahawa dia tidak boleh melakukan apa-apa kerana hanya mengikut arahan," kata Roslin yang berada di pejabat berkenaan selama hampir sejam.

    Sebelum ini Raja Azmi, Roslin dan Jailani dipanggil memberi keterangan di hadapan pegawai penyiasat bertugas berhubung laporan kesalahan berkhalwat tanpa tangkapan mengikut Seksyen 58 sub seksyen 1 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560).

    Selepas memberi keterangan, Raja Azmi dan Roslin kini menunggu kata putus daripada Jawi untuk mengetahui sama ada mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah atas tuduhan tersebut.

    Sekiranya berlaku pendakwaan, Raja Azmi dan Roslin boleh didakwa mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Pada 7 Ogos 2010, Raja Azmi dituduh berkhalwat dengan Roslin sewaktu serbuan dilakukan ke atasnya oleh bekas isteri Roslin, Norhayati Othman, 39, bersama dua adiknya serta Jailani di bilik bernombor 533, Hotel Corus, Jalan Ampang, di sini kira-kira jam 8.30 malam.

    Norhayati membuat laporan kepada pihak Jawi berhubung perkara itu untuk membolehkan Raja Azmi dan Roslin dikenakan tindakan khalwat. Dakwaan khalwat itu juga dinyatakan oleh Norhayati pada prosiding pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini pada 18 Ogos 2010.

    Erra Fazira Teruja Duet Dengan Sohaimi Mior Hassan

    Posted: 20 Jul 2011 08:58 PM PDT

    Erra Fazira

    KUALA LUMPUR: Lagu terbaru berjudul Dalam Rumah Tangga nyanyian Erra Fazira dan Sohaimi Mior Hassan mempunyai "mood" seperti gandingan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Puan Seri Saloma.

    Penyanyi Erra yang telah lama tidak beraksi dalam bidang nyanyian akui teruja dengan projek terbarunya itu.

    "Lagu Dalam Rumah Tangga telah siap dirakam dan diperdengarkan kepada pendengar. Nyanyian saya dengan abang Sohaimi lebih kurang seperti "mood" nyanyian Saloma dan P.Ramlee," kata Erra dalam satu sidang media di rakaman program Mari Berdansa Aidilfitri di Astro Bukit Jalil, di sini, Selasa.

    Jelasnya, "single" tersebut dapat mengubat rindunya kepada bidang nyanyian.

    Malah kata Erra, dia tidak menolak untuk bekerjasama dengan bekas protegenya, Salma yang menjuarai program Mentor baru-baru ini.

    Sohaimi Mior Hassan

    Erra turut mengakui agak rugi kerana gagal menghasilkan album ketika bernaung di bawah syarikat rakaman Suria Record (SRC) tidak lama dulu.

    "Saya sudah habis kontrak dengan SRC dan hanya sempat merakamkan lima buah lagu. Saya memang rindu untuk tampil dengan lagu baru tetapi saya sibuk dengan dunia lakonan saya," katanya.

    Tambahnya:"Kalau mahu menghasilkan album baru, saya akan memilih lagu yang luar biasa. Saya gemarkan genre balada dan irama rancak."

    Sekali-sekala, ibu kepada seorang anak ini masih memenuhi undangan nyanyian di majlis korporat dan tertutup.

    Beralih kepada dunia lakonan, Erra akan sibuk untuk pementasan teater "Badai Semalam" selepas Hari Raya Aidilfitri depan.

    Selain itu dia dijangka akan berlakon sebagai pembunuh upahan dalam sebuah filem pada hujung tahun ini.

    Sara Ali Menggigil Sebelum 'Ditampar' Yasmin Hani

    Posted: 20 Jul 2011 08:57 PM PDT

    PETALING JAYA: Pelakon Sara Ali mengakui menggigil apabila melakonkan babak yang memerlukannya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pelakon Yasmin Hani dalam drama Wasiat yang bakal disiarkan di Astro Prima 27 Julai ini.

    Kata Sara, kakinya berasa kaku apabila melontar kata-kata itu sebelum ditampar oleh Yasmin Hani yang memegang watak ibu tiri kepada kekasihnya lakonan Farid Kamil.

    "Saya tidak tahu kenapa saya rasa sangat takut sehingga menggigil dan kaku untuk melakonkan watak tersebut, mungkin kata-kata tersebut terlalu kasar yang pernah saya ungkapkan, tapi Alhamdulillah babak tersebut berjaya dilakukan dengan baik.

    "Dalam babak tersebut, selepas melontarkan kata-kata kesat, Yasmin menampar saya, mungkin babak tersebut juga antara babak yang saya dapat menjiwainya," katanya ketika majlis pra tonton drama Wasiat dan Hantu Motel, di sini, Isnin.

    Turut hadir barisan pelakon drama Wasiat dan Hantu Motel seperti Yasmin Hani, Beto Kusyairi, Azharani, Bell Ngasri dan Faisal Ishak.

    Tambah Sara, dia juga terpaksa mengambil masa untuk mendapatkan keserasian dengan pelakon-pelakon yang lain terutamanya Farid Kmail dan Yasmin Hani kerana kali pertama bergandingan.

    "Pada mulanya memang agak risau dan perasaan kurang keyakinan untuk berlakon bersama pelakon-pelakon senior yang sudah ada nama ini.

    "Saya mengaku terpaksa ambil masa untuk mendapat keserasian dengan mereka, tapi lama kelamaan kami sudah seperti adik beradik," ujarnya.

    Dalam pada itu, Sara berkata cabaran utamanya apabila melakonkan watak Hanna yang merupakan seorang gadis bersifat lemah lembut.

    "Saya seorang yang kasar, jadi apabila disuruh bawa watak gadis lembut dan ayu saya rasa sangat sukar kerana bertentangan dengan karakter sebenar saya.

    "Apa yang saya buat ialah membuat kajian terhadap kawan baik saya yang juga seorang model, saya lihat bagaimana dia berjalan dan bercakap," katanya.

    'Supermak' Bakal Tandingi Rating 'Juvana'

    Posted: 20 Jul 2011 08:55 PM PDT

    Zul Yahya, Nasha Aziz dan Azhan Rani

    PETALING JAYA: Drama bersiri Juvana yang berjaya memecahkan rekod penonton tertinggi 4.2 juta bakal digantikan dengan drama pertarungan berjudul Supermak bermula pada Rabu (semalam) pukul 9 malam di TV3.

    Menurut pengarahnya Prem Anand Pallai, dia yakin drama tersebut mempunyai kelebihan tersendiri yang mampu menarik penonton untuk terus menonton slot aksi.

    "Saya tidak tertekan dengan rating Juvana kerana bagi saya drama Supermak ini mempunyai kelebihan tersendiri untuk menarik perhatian penonton.

    "Drama ini mempunyai nilai kekeluargaan di samping aksi seorang ibu yang cekap menguruskan hal rumah tangga dan masalah jenayah. Saya yakin drama ini akan mempunyai pengikut terutamanya seisi keluarga," ujarnya ketika ditemui di sidang media drama Supermak, di sini, Rabu.

    Dari segi pemilihan pelakon, Prem mengakui Nasha Aziz dan Zul Yahya adalah calon yang paling tepat memegang kedua-dua watak tersebut.

    Prem Anand Pallai

    "Nasha mempunyai perwatakan dan bentuk badan seorang adiwira terutamanya apabila dia mengenakan sut yang direka khas untuk watak Supermak itu.

    "Manakala Zul Yahya juga adalah pelakon yang sememangnya mengetahui watak yang akan dilakonkan dan dia mempunyai karakter tersendiri yang boleh membawakan watak antagonis tersebut," jelasnya.

    Selain itu, menurut Prem kekuatan drama ini adalah pada jalan cerita yang asli dan dekat di hati penonton berbanding cerita adiwira lain.

    "Cerita ini tidak sama dengan cerita lain seperti Superwomen atau Catwomen, cerita ini lebih dekat dengan kehidupan seorang suri rumah dalam menguruskan hal rumah tangganya, namun dia mempunyai keistimewaan tersendiri," tuturnya.

    Drama terbitan Filmscape ini mengisahkan tentang seorang suri rumah yang bernama Amy lakonan Nasha Aziz yang mempunyai kekuatan dan kuasa istimewa.

    Bagaimanapun, kekuasaan tersebut terpaksa disorokkan daripada suaminya yang bertugas sebagai anggota polis. Pelbagai aksi menarik yang bakal dipaparkan dalam drama 13 episod ini.

    Deejay Ramsey Juara Astro Hitz Spin Master 2

    Posted: 20 Jul 2011 08:55 PM PDT

    DJ Ramsey

    PETALING JAYA: Selepas hampir dua bulan bertarung, akhirnya juara Astro Hitz Spin Master 2 dimenangi oleh deejay Ramsey Matthew Westwood di kelab Zouk Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

    Kemenangan itu membuatkan Ramsey menerima hadiah berupa perbelanjaan yang ditanggung sepenuhnya ke London dan akan membuat persembahan di sebuah kelab yang dikenali Ministry of Sound London.

    "Sebenarnya saya terkejut apabila mendapati saya mampu memenangi pertandingan ini kerana saingan terdekat saya iaitu deejay Ben Cracko juga berbakat.

    "Lebih-lebih lagi perbezaan markah kami kurang satu sahaja dalam mengejar gelaran juara itu. Apa-apa pun, saya bersyukur dengan kemenangan dan kepercayaan yang diberikan oleh juri pertandingan ini, Blink, Goldfish dan Gabrielle," kata Ramsey selepas keputusan pemenang diumumkan.

    Persembahan yang akan diadakan di kelab tersebut nanti merupakan satu peluang yang bagus buat Ramsey di mana bakatnya akan ditonjolkan di kalangan penggiat muzik Hollywood.

    Malah kata deejay profesional di Ministry of Sound London, Gavyn Mytchel, persembahan yang akan dilakukan di kelab terkemuka itu nanti juga merupakan satu platform bagi mereka untuk mengembangkan bakat mereka di luar negara.

    Pada malam pertandingan itu, Ramsey bukan sahaja berkemahiran dalam mengendalikan "turntable" sebaliknya dia mempunyai pakej lengkap yang mampu menarik perhatian ramai yang turut serta menari mengikut rentak muzik yang dimainkan olehnya.

    Sementara itu pengurus Saluran Astro Hitz, Cheong Cheng Vei berkata Astro Hitz Spin Master 2 merupakan musim yang terbaik kerana menerima banyak bakat-bakat deejay yang hebat dan saingannya juga agak sengit.

    "Tahun ini, kami menerima peserta-peserta yang sangat berbakat dan kegagalan mereka tidak bermakna mereka tidak bagus. Saya percaya peluang menyertai pertandingan ini memberi satu pengalaman buat mereka," ujarnya.

    Selain itu, pengacara Joey G bertindak sebagai pengacara sepanjang pertandingan Astro Hitz Spin Master 2 itu berlangsung.

    Sibuk Dengan Konsert, Justin Bieber Tidak Ke Sekolah

    Posted: 20 Jul 2011 08:47 PM PDT

    SEJAK bergelar penyanyi dan sibuk dengan konsert jelajah, Justin Bieber tidak lagi pergi ke sekolah seperti remaja lain.

    Namun, Justin masih lagi menyimpan keinginan untuk menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi.

    "Kalau pengajian berkaitan dengan karier sudah semestinya saya akan melakukannya. Tetapi ia bukan menjadi fokus saya buat sementara waktu ini.

    "Bagaimanapun saya mempunyai seorang tutor yang mengikuti saya ke mana-mana sahaja. Ada juga beberapa mata pelajaran yang tidak saya sukai seperti matematik, tetapi terpaksa juga belajar kerana ia merupakan sebuah ilmu yang harus kita ketahui," katanya.

    Tambah Justin, jika diberi peluang untuk menyambung pelajaran, dia ingin mengambil bidang yang diminatinya iaitu muzik serta ingin belajar bermain alatan muzik untuk menguatkan kariernya sebagai orang seni.

    "Orang mungkin menganggap saya sebagai produk dan mesin pencetak wang, tetapi ia tidak benar. Saya adalah seorang seniman yang ingin mempelajari segala benda berkaitan dengan muzik.

    "Saya juga sedang bekerja keras bersama pelatih vokal saya untuk menjaga vokal yang semakin berubah," katanya yang mempelajari bermain piano, dram dan trompet sejak kecil.

    Marc Anthony Tak Suka Jennifer Lopez Seksi

    Posted: 20 Jul 2011 08:46 PM PDT

    PENYANYI Latin, Marc Anthony khabarnya tidak suka dan benci jika isterinya, Jennifer Lopez mengenakan pakaian seksi ketika beraksi di atas pentas mahupun depan kamera untuk tujuan komersial.

    Malah pasangan yang sedang dalam proses penceraian itu pernah bertengkar hebat ketika menjalani sesi fotografi bagi sebuah majalah pada tahun lalu.

    Beberapa sumber yang rapat dengan pasangan tersebut memberitahu US Weekly bahawa Mark agak keberatan untuk membenarkan isterinya beraksi seksi bagi sesebuah sesi fotografi dan baginya ia kelihatan tidak sesuai bagi seorang ibu beranak dua yang berusia 40 tahun.

    Sumber-sumber lain pula memberitahu, sepanjang tujuh tahun pernikahan mereka, Mark yang menguruskan semua pakaian yang dikenakan Jennifer.

    "Mark membuatkan Jennifer berasa kurang selesa setiap kali isterinya itu mahu berimej seksi.

    "Dan dia hanya mahu isterinya berpakaian sopan, sesuai dengan status isteri yang dibawanya. Dia benci Jennifer menjadi simbol seks umum," kata sumber tersebut.

    Difahamkan Mark sering menjadi suami yang dominan dan mahu mengawal setiap perkara yang dilakukan Jennifer.

    Beyonce Menangis Kerana Kanye

    Posted: 20 Jul 2011 08:37 PM PDT

    PENYANYI Beyonce Knowles mengaku menangis apabila mendengar lagu baru daripada Kanye West berjudul Runaway.

    Penyanyi lagu Irreplaceble ini berkata bahawa dia tersentuh dengan kejujuran Kanye apabila menyanyikan lagu tersebut.

    Tambahnya, dia turut mempunyai kenangan tentang lagu tersebut yang mana Kanya sempat menyanyikan lagu itu untuknya di hari ulang tahun Kanye tahun lalu.

    "Saya sangat tersentuh dengan caranya mengekspresikan rasa sakit, kebingungan, kemarahan dalam lirik yang ditulisnya.

    "Dia bernyanyi sepenuh hati selama. Saya suka ketika seorang penyanyi yang menyampaikan karyanya dengan jujur," ujarnya.

    "Eina belum minta maaf"-Bkay Nair

    Posted: 20 Jul 2011 08:36 PM PDT

    Masih terasa pedihnya difitnah menjalinkan hubungan bersama Penerbit Eksekutif, Lineclear Motion Pictures (Lineclear), Abdul Latiff Mohaideen, pelakon yang sedang popular dengan drama Dewa Cinta di tv3 ini mengakui agak sukar untuk dia bergandingan dengan pelakon Eina, yang menurutnya menjadi punca fitnah itu tersebar.

    Bkay yang juga merupakan Pengurus Koordinasi dan Perhubungan Awam, anak syarikat Lineclear, Wayang Studios International (WSI) ini turut mengakui sudah ada tindakan undang-undang dilakukan keatas Eina namun oleh kerana usia Eina yang masih muda, maka segala urusan itu dilakukan oleh bapanya sendiri.

    "Sekarang ini segala urusan berkaitan fitnah itu masih berada dalam proses mahkamah. Namun, memandang usia Eina yang masih kecil dan dibawah umur maka segala urusan berkaitan dengan perkara ini diuruskan oleh bapanya.

    "Pihak dia tidak mempunyai peguam sendiri, jadi pihak kami terus berhubung pada bapanya beberapa bulan lalu. Setelah berbincang, mereka bersetuju untuk mengeluarkan surat memohon maaf kepada kami sebagai langkah pendamaian, namun hingga kini kami masih belum menerima sebarang permohonan maaf.

    "Dia ada keluar dalam satu program, bersetuju untuk memohon maaf kepada kami, tapi sehingga sekarang perkara itu tidak juga dilakukan. Kenapa dia perlu keluar di media dan mengatakan perkara itu, sedangkan dari segi undang-undang mereka langsung tidak melakukannya.

    "Secara peribadi, memang saya rasa kecil hati, saya bukan sengaja mahu menuduhnya tapi kenyataan sebelum ini benar-benar menerang apa yang berlaku,"luah Bkay Nair kecewa.

    Mahu Lebih Profesional

    Berlaian dengan prinsip Eina, Bkay nampaknya begitu terbuka apabila di minta untuk berlakon bersama Eina.

    "Saya tidak ada masalah untuk berlakon dengannya, sebagai seorang pelakon tugas saya adalah berlakon sahaja. Jika itu sudah permintaan pengarah, saya tidak akan menolak untuk berlakon dengan sesiapa sahaja,"jelas Bkay.

    Murah Rezeki

    Nama Bkay masih terlalu kecil dalam ruang industri hiburan ini, namun walaupun masih baru dua tahun menceburkan dalam industri ini, kedudukannya sekarang seharusnya dibanggakan.

    "Sebagai pelakon yang bukan dikalangan orang melayu, sudah tentu ia agak sukar bagi saya. Malah, sebelum saya memulakan kerjaya pun, banyak yang cakap, orang bukan melayu sukar untuk membina kerjaya lakonan di Malaysia ini.

    "Namun, saya bersyukur masih ada ruang untuk saya terus berlakon dalam industri ini dan dari hari ke hari, orang semakin mengenali diri saya,"jelas Bkay Nair.

    Perang Eina & Bkay belum selesai!

    Posted: 20 Jul 2011 08:27 PM PDT

    Bermasam muka selepas terjerat dalam satu kontroversi, hubungan dua orang pelakon baru, Eina dan Bkay Nair dikatakan masih lagi belum pulih. Kedua-dua masih teguh mempertahankan diri masing-masing membuatkan tiada jalan perdamaian ditemui buat ketika ini.

    Biarpun sudah lebih lima bulan filem Ratu yang dikatakan menjadi punca perbalahan ini tamat tayangannya di seluruh panggung, namun perang dingin antara kedua-dua artis ini masih lagi belum tamat.

    Eina akan keluar dengan single sulungnya tidak lama lagi

    Ia berikutan beberapa perbalahan yang berlaku sewaktu filem Ratu mula ditayangkan pada Februari lalu, selepas Eina dikatakan cuba mencetuskan kontroversi apabila dikhabarkan menjadi dalang yang bertanggungjawab menyebarkan gosip, Abd Latiff mempunyai skandal dengan Pengurus Koordinasi dan Perhubungan Awam, anak syarikat Lineclear, Wayang Studios International (WSI), Tryambikay Vendages Nair (Bkay) yang heboh diperkatakan orang di persada seni tanah air ketika itu.

    Biarpun masing-masing sudah mengeluarkan kenyataan di media-media, namun hubungan itu nampaknya tidak juga menemui penyelesaian.

    Bertembung dalam majlis The Blue Kebaya Showcase yang diadakan di The Weld semalam, Eina dan Bkay kelihatan tidak betah untuk beraksi dihadapan satu lensa yang sama, masih terpancar kedinginan yang tidak dapat disorokkan oleh wajah dan aksi mereka ketika itu, Bkair dan Eina kemudiannya mengaku, mereka masih belum bertegur sesama sendiri.

    "Selepas apa yang terjadi, tidak ada sebarang bentuk perhubungan antara pihak saya dan dia. Biarpun sebelum ini, ada pihak ketiga cuba menjernihkan hubungan antara saya, dia dan pihak Ratu The Movie, tapi tidak juga berjaya.

    "Memang filem sudah lama keluar panggung, namun perkara ini masih belum selesai, dan saya juga masih belum menerima bayaran yang sepatutnya lagi.

    Eina masih belum bersedia berlakon semula bersama Bkay

    "Tentang saya dan Bkair, sememangnya saya sudah agak kami akan bertembung di mana-mana majlis, kerana industri kita bukanlah terlalu besar untuk menyorok antara satu sama lain, tapi setakat ini jika bertembung sekali pun, kami tidak pernah bertegur siapa dan biasanya, kami hanya buat hal masing-masing,"jelas Eina.

    Enggan berlakon bersama

    Selepas apa yang berlaku pada dirinya, jelas Eina, hatinya masih belum bersedia untuk bekerjasama dengan Bkay. Namun, setiap yang berlaku pada masa lalu tetap menjadi pengajaran untuknya di masa akan datang.

    "Serik untuk berlakon itu memang tidak ada dalam diri saya, apa yang berlaku sebelum ini saya jadikan pengajaran untuk saya terus berusaha dimasa akan datang.Saya berterima kasih pada mereka yang banyak menasihati agar saya lebih berhati-hati selepas ini.

    "Untuk berlakon dengannya (Bkay) itu saya rasa tidak. Kalau ada yang tahu situasi antara kami, mereka mesti faham. Saya tidak boleh memaksa perasaan untuk berbaik sedangkan dalam hati masih terasa pedihnya, jadi untuk itu, saya rasa eloklah jika kami tidak lagi bergandingan,"jelas Eina.

    Menyanyi

    Baru berusia 16 tahun, Eina bukan sahaja mahu menceburi bidang lakonan, tetapi gadis cantik ini juga sedang dalam proses untuk menghasilkan single pertamanya yang akan mula dirakamkan selepas raya nanti.

    "Saya baru saja selesai penggambaran drama Pucuk Muda Kerabu Tauge, dan selepas ini saya akan berehat sementara ramadhan. Sepanjang ramadhan saya akan tumpukan sepenuhnya untuk meneliti single terbaru saya yang bakal dirakamkan selepas raya nanti.

    "Saya memang meminati bidang nyanyian, malah dari awal lagi saya masuk kedunia hiburan ini, saya sudah memilih untuk menjadi penyanyi, namun entah bagaimana rezeki dalam bidang lakonan nampak lebih mendahului.

    "Untuk single ini saya memilih lagu daripada Adnan Abu Hassan, sebab saya memang meminati lagu-lagu hasil sentuhannya,"jelas Eina yang tidak menggunakan mana-mana syarikat rakaman untuk menghasilkan singlenya ini.

    Ceriakan Ogos, raikan merdeka

    Posted: 20 Jul 2011 08:26 PM PDT


    Semangat cintakan negara dan menghargai kemerdekaan perlu disemai dari peringkat kanak-kanak.


    MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! Itulah laungan keramat Bapa kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos, 54 tahun lalu di Dataran Merdeka. Ia menandakan negara ini bebas dariapda belenggu penjajahan.

    Peristiwa itu tersimpan rapi menjadi sejarah yang cukup penting bagi setiap individu yang berbangsa Malaysia. Ini terbukti kerana sebulan sebelum tanggal 31 Ogos, seluruh Tanah Melayu termasuk Sabah dan Sarawak akan membuat pelbagai persiapan bagi menyambut hari tersebut.

    Pihak kerajaan sentiasa merancang pelbagai agenda bagi mengimbau kembali sejarah tersebut supaya ia tidak terus ditelan zaman, sekali gus melenyapkan perjuangan wira-wira negara terdahulu dalam membebaskan negara dari takluk penjajah.

    Ini kerana semangat patriotisme dan nasionalisme dalam diri generasi masa kini sudah tidak begitu terasa.

    Baik di kalangan orang ramai, sektor awam mahu pun swasta, inisiatif mahu mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara kelihatan tidak begitu bersemarak.

    Sehubungan den gan itu, Jabatan Penerangan Malaysia telah melancarkan program keceriaan sempena bulan kemerdekaan sebagai langkah meningkatkan semangat kemerdekaan di kalangan masyarakat negara ini.

    Program tersebut telah dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf di Anjung Komuniti 1Malaysia AU3, Setiawangsa pada 16 Julai lalu.

    Program yang berbentuk pertandingan itu akan mula diadakan dari tarikh ia dilancarkan hingga 31 Ogos 2011 bertujuan menggalakkan cetusan kreativiti di kalangan masyarakat selain usaha mewujudkan suasana ceria sempena hari kemerdekaan pada tahun ini.

    Mungkin ramai yang tertanya-tanya adakah sambutan kemerdekaan itu sekadar mengibarkan Jalur Gemilang atau menyanyikan lagu berunsurkan patriotik semata-mata?

    Sudah semestinya, kemerdekaan adalah sesuatu yang jauh lebih besar dan bermakna daripada itu.

    Sekiranya tindakan seperti mengibarkan bendera dan memutarkan lagu serta menonton program berunsurkan patriotik boleh menyuntik perasaan cintakan negara, mengapa tidak diperhebatkan sehingga menjadi satu budaya?

    Usaha yang mungkin kelihatan kecil dan remeh ini sebenarnya jika dihayati dengan betul, ia mempunyai pengaruh serta kesan yang sangat besar pada setiap diri individu itu.

    Sejajar dengan itu, program ini merupakan salah satu usaha pihak kerajaan dalam membangkitkan semangat patriotik selain memberi peluang kepada mereka yang kreatif sehingga mampu menarik perhatian para panel untuk memenangi hadiah berupa wang tunai.

    Ganjaran tersebut bersifat sebagai saguhati kepada mereka yang betul-betul berusaha dalam memberi nilai tambah melalui pengibaran Jalur gemilang di bangunan, kawasan dan premis masing-masing.

    Kamaruddin turut menyatakan program itu diadakan untuk melihat kesedaran rakyat Malaysia dalam usaha menghayati kemerdekaan negara dengan mengibarkan Jalur gemilang secara sukarela tanpa tujuan sebaliknya.

    Jelasnya, keunikan negara ini adalah terletak pada perbezaan budaya dan agama serta bahasa menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbeza berbanding negara-negara lain.

    Tambahan pula dengan kemampuan Malaysia yang mampu mengekalkan keharmonian di kalangan semua kaum cukup dikagumi dan dicemburui oleh pihak luar.

    "Oleh yang demikian, sebagai tanda kita menghayati semangat kemerdekaan, kibarkanlah Jalur Gemilang di mana-mana sahaja, tidak kira di pejabat, rumah, premis perniagaan, sekolah dan kenderaan.

    "Masyarakat Malaysia harus menyedari bahawa Jalur Gemilang bukanlah sekadar sehelai kain berwarna dan bercorak yang dinamakan bendera, tetapi ia merupakan lambang perpaduan dan simbol kedaulatan negara.

    "Dengan itu, kita wajar untuk menghormati Jalur Gemilang selain memahami simbolik pada setiap corak dan jalurnya.

    "Ia adalah tentang pengorbanan tenaga, darah dan air mata yang merentasi usaha perjuangan dalam tempoh yang terlalu panjang.

    "Tetapi pengorbanan seperti itu tidak dilalui oleh sebahagian besar daripada kita yang merupakan generasi selepas merdeka," kata Kamaruddin.

    Rai Merdeka tanda bersyukur

    Posted: 20 Jul 2011 08:26 PM PDT


    ORANG ramai digalakkan menghias kediaman sempena sambutan Bulan Kemerdekaan sebagai tanda menghargai nikmat merdeka yang dikecapi selama ini.


    TAHUN ini merupakan kali kedua program keceriaan sempena bulan kemerdekaan dianjurkan bagi menyemarakkan kesedaran dan semangat cintakan negara.

    Namun program ini tidak akan memberi apa-apa makna jika ia tidak mendapat sambutan daripada rakyat berbilang kaum di negara ini.

    Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Ibrahim Abdul Rahman berkata, ekoran kejayaan pada tahun lalu, pihaknya meneruskan lagi program itu dengan harapan mendapat penyertaan yang lebih banyak selain mampu memangkin semangat kemerdekaan dalam diri setiap individu di negara ini.

    "Oleh kerana tahun ini bulan kemerdekaan jatuh pada bulan Ramadhan, maka saya berharap pertandingan ini akan diadakan secara seimbang tetapi tetap meriah.

    "Orang ramai mungkin boleh menghias lampu pelita pada malam tujuh likur dengan bendera merdeka atau menghias rumah masing-masing dengan motif yang mempunyai unsur patriotik apabila menjelang 1 Syawal nanti," katanya.

    Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia Bahagian Wilayah Persekutuan, Datuk Muslim Yusof berkata, masyarakat wajar menyambut hari kemerdekaan sebagai tanda syukur dapat berada di bumi yang bertuah ini secara bebas.

    "Tanggungjawab menjaga keharmonian negara adalah tugas semua pihak termasuk generasi muda.

    "Sikap tidak mengendahkan dan lepas tangan mengenai pentingnya keselamatan negara adalah satu tindakan yang cukup mengecewakan.

    "Saya sebagai generasi yang hidup di zaman penjajahan, melihat sendiri betapa sukarnya wira-wira terdahulu berusaha mendapat kemerdekaan untuk dinikmati oleh mereka yang ada pada hari ini.

    "Jadi, saya berasa sedih sekiranya hari kemerdekaan hanya dipandang sepi tanpa penghayatan yang sebenar," katanya.

    Dalam nada yang sama, wakil dari Malaysian Hindu Sangam Bahagian Wilayah persekutuan, Chandran Perisamy berkata, beliau cukup kagum dengan usaha kerajaan dalam menyemarakkan sambutan kemerdekaan walaupun menyedari tarikh itu jatuh pada bulan puasa bagi masyarakat beragama Islam.

    "Usaha kerajaan itu membuktikan bahawa bangsa lain seperti India, Cina, Sikh dan lain-lain tidak dilupakan.

    "Bagaimanapun, kami gembira sekiranya sambutan kemerdekaan tahun ini diadakan dalam situasi yang sederhana bagi menghormati rakan-rakan yang beragama Islam.

    "Saya juga berharap selepas ini kita akan lebih sensitiviti dengan bangsa lain sebagai tanda menghormati.

    "Misalnya, minuman keras seperti arak dan daging babi khususnya adalah dilarang menjadi hidangan sekiranya terdapat jemputan berbangsa Melayu.

    "Begitu juga hidangan daging lembu tidak sesuai dihidang kepada kami yang berbangsa India," katanya.

    Manakala, berbeza pula pandangan daripada tiga pelajar kolej swasta, Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) ini dalam menilai makna kemerdekaan.

    Alvin Teoh,18, berkata, program keceriaan ini dilihat sebagai satu perspektif baru bagi seluruh masyarakat negara ini mengekspresikan rasa cinta terhadap tanah air.

    "Dahulu saya tidak begitu menghayati erti kemerdekaan dan melihat hari tersebut serupa dengan hari-hari yang lain.

    "Tetapi setelah mempelajari subjek sejarah di sekolah, sedikit sebanyak ia mengubah tanggapan tersebut dengan menghargai hari ini.

    "Selain itu, program ini juga boleh dijadikan batu loncatan kepada mereka yang berbangsa Melayu untuk merebut ganjaran yang ditawarkan.

    "Sekiranya mereka memenangi pertandingan ini, ganjaran wang tunai itu boleh dijadikan wang persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri kelak," selorohnya.

    Remaja yang berasal dari Ipoh, Perak ini, Prem Naidu,19, berpendapat, masyarakat boleh menyambut hari kemerdekaan tahun ini dengan sederhana tetapi unik.

    Jelasnya, terdapat segelintir orang kampung di daerah Kuala Kangsar menyalakan panjut (lampu minyak tanah) apabila tiba bulan Ramadhan.

    "Mereka boleh adaptasikan idea tersebut dengan mencipta semula tiang lampu tersebut dengan hiasan bendera bagi membangkitkan semangat kemerdekaan," katanya.

    Maka, makna kemerdekaan itu sendiri adalah berbeza-beza. Pemahaman generasi lama dan baru sudah tidak lagi sama dan perlu ditafsir dari sudut serta dimensi yang berbeza.

    Apa sekalipun, matlamat dan pelaksanaannya mestilah menjurus kepada penyemaian semangat mempertahankan kemerdekaan yang bebas daripada elemen yang menghasut dan memisahkan.

    Ini mungkin sesuatu yang terlalu bercita-cita tinggi kerana apa yang mungkin masih gagal tetapi tidak mustahil untuk dicapai oleh semua pihak adalah penyatuan semua bangsa Malaysia dalam erti kata sebenar selepas 54 tahun.

    Beli baju anak di Internet

    Posted: 20 Jul 2011 08:25 PM PDT


    Anak-anak pasti mahu bergaya dengan pakaian baru.


    RAMAI ibu bapa memilih untuk tidak membawa anak kecil ketika membeli belah lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan seperti Hari Raya.

    Tidak sanggup rasanya mendengar raungan anak kecil yang kegelisahan akibat bersesak-sesak ketika membeli-belah.

    Akibat kekalutan tersebut ada ibu bapa memilih pakaian yang tidak sepatutnya dipilih agar semua urusan pembelian cepat selesai.

    Aternatif kepada masalah itu, pembelian menerusi internet mungkin pilihan paling mudah dan berkesan.

    Bukan mahal atau murah menjadi ukuran dalam memilih pakaian anak. Sebaliknya keselesaan menjadi faktor utama apabila membuat keputusan dan pilihan.

    Penjual pakaian kanak-kanak Kidz Stlye, Suhana Jameela Yusof berkata, berdasarkan pengalaman lebih 10 tahun dalam perniagaan pakaian, dia mendapati ibu bapa semakin bijak dan berhati-hati memilih pakaian untuk anak mereka.

    "Kebanyakan ibu bapa mahukan anak mereka berasa selesa dengan pakaian baru yang dibeli," jelasnya.

    Aspek utama harus diberikan penekanan sudah semestinya bahan yang digunakan bagi menghasilkan pakaian itu.

    "Selain keselesaan, ibu dan bapa zaman ini mahukan penampilan anak-anak mereka bergaya mengikut arus perkembangan moden," jelasnya ketika ditemui di studionya yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Untuk memudahkan pilihan, laman web suhanajameela.blogspot.com menyediakan menu mesra pengguna supaya mereka boleh membuat pilihan dengan lebih mudah dan cepat.

    "Tidak perlu risau tentang perniagaan internet kerana keselamatannya terbukti," katanya.

    Menariknya tentang pakaian yang dibeli di Internet, kata Suhana, kebanyakannya berjenama dan boleh didapati dengan harga yang lebih murah setanding pilihan di pusat membeli belah.

    Kebanyakannya juga dihasilkan daripada fabrik kain kapas adalah paling sesuai untuk kanak-kanak, khususnya berusia bawah 12 tahun kerana ia tidak panas dan memberikan keselesaan untuk bergerak.

    Penggunaan fabrik seumpama itu juga sesuai seiring dengan ragam diri kanak-kanak seusia itu yang ada kala agak lasak dan sukar duduk diam sehingga cepat berpeluh.

    Lebih-lebih lagi dalam keadaan atau suasana cuaca panas.

    "Kita faham baju Melayu dan baju kurung dipakai pada pagi raya saja. Ketika melawat saudara mara atau ke rumah terbuka anak-anak lebih selesa memakai pakaian kasual dari fabrik kapas, jadi mudah dengan buat pilihan di Internet, tidak perlu menghadapi kesesakan lalu lintas.

    "Anak juga tidak perlu meragam dengan suasana riuh rendah yang pastinya mengundang ketidakselesaan pada mereka," ujarnya.

    Uptrend perkenal dua produk baru

    Posted: 20 Jul 2011 08:24 PM PDT


    Seorang kakitangan Uptrend menunjukkan salah satu produk syarikat tersebut, Lumiglow.


    BAGI yang mengutamakan kesihatan dalam kehidupan seharian pengeluaran produk baru di pasaran sekurang-kurangnya ia dapat memberikan pilihan terbaik untuk dicuba.

    Uptrend2U yang merupakan sebuah syarikat e-dagang juga telah melancarkan produk baru keluaran syarikat itu di pekarangan Wisma Uptrend2U di pusat membeli-belah Jaya One, di Petaling Jaya, baru-baru ini.

    Produk terbaru kesihatan itu adalah Nutri Gamat Gold dan One Drop Sweetener.

    Pelancaran itu telah dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Susie Yeoh dan disaksikan oleh Presiden Pemasaran Antarabangsa, Gary Gan dan juga duta produk itu, penyanyi Amy Search.

    Upacara pelancaran produk itu dilakukan penuh dengan simbolik apabila diadakan perarakan ala raja-raja Melayu apabila seorang gadis kecil diarak atas usungan bagai seorang puteri raja.

    Gadis itu kemudiannya turun menyerahkan kunci kepada Susie untuk membuka kunci kotak besar harta karun yang di dalamnya berisi produk terbaru keluaran Uptrend2U.

    Turut hadir pada majlis itu ialah dua pencipta produk terbaru tersebut iaitu Prof. Dr. Ridzuwan Hashim yang mencipta Nutri Gamat Gold dan Prof. Dr. Sofie Marzuki pencipta One Drop Sweetener.

    Keduanya diberikan hadiah dan sijil penghargaan atas sumbangan penghasilan dua produk tersebut.

    Jelas Susie, dengan produk terbaru keluaran Uptrend2U itu, ia akan dapat memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna.

    Malah katanya, Uptrend2U memang sentiasa berusaha memberikan produk yang terbaik supaya kepercayaan pengguna tidak berbelah bahagi.

    Sehingga kini antara produk keluaran Uptrend2U yang mendapat permintaan ramai ialah minuman kesihatan Kopi Beras Merah dan Kopi X'sotica, produk penjagaan peribadi Lumi Glow serta, haruman Confidenz.

    Sempena pelancaran produk itu turut diadakan pameran produk yang dikeluarkan oleh Uptrends.

    Ia boleh dibeli dengan potongan harga yang istimewa di kalangan ahlinya.

    185 Masjid sekitar Bangkok

    Posted: 20 Jul 2011 08:23 PM PDT


    Keunikan dan ketinggian seni pertukangan masyarakat Thailand terpampang pada mihrab dan mimbar Masjid Bangluang, Bangkok.


    ISLAM itu indah. Justeru ia turut menghargai nilai estetika terutama dalam senibina masjid. Sememangnya, kita tidak boleh menafikan pengaruh budaya dalam senibina masjid. Ini dapat diperhatikan pada masjid-masjid di sekitar Bangkok, Thailand.

    Sebagaimana yang kita maklum, Thailand adalah negara yang majoriti rakyatnya beragama Buddha. Namun begitu, terdapat 4,000 masjid di seluruh negara tersebut.

    Malah, di Bangkok sahaja terdapat 185 masjid. Daripada jumlah tersebut, 110 daripadanya mengendalikan sekolah untuk para pelajar yang dioperasi sepenuhnya oleh pihak masjid.

    Ini antara lain menjadi petunjuk kepada keterbukaan kerajaan Thailand terhadap kebebasan beragama di negara gajah putih ini.

    Seorang pakar perkembangan Islam Thailand di Universiti Thammasat, Prof. Madya Dr. Jaran Maluleem menganggarkan umat Islam di Thailand kini mencecah 6.5 juta iaitu 10 peratus daripada populasi penduduk negara itu.

    Untuk itu, masjid-masjidnya tidak dapat lari daripada pengaruh ciri-ciri masyarakat majoriti Buddha iaitu pagoda. Selain itu, ketinggian hasil kerja tangan pengukirnya turut terserlah pada mimbar dan mihrabnya.

    Masjid Bangluang yang terletak di barat tebing Sungai Chao Phraya misalnya menggabungkan ketiga-tiga ciri senibina iaitu tradisional Thai, Eropah dan China.

    Ia dibina pada zaman pemerintahan King Rama I (tahun 1782-1809. Bagaimanapun, ia masih mempunyai ciri-ciri Islam iaitu 30 tiang dan 12 tingkap iaitu menggambarkan jumlah 30 juzuk al-Quran dan 13 rukun sembahyang.

    Ruang solatnya tidak banyak berbeza dengan masjid-masjid di Malaysia. Cuma, mimbarnya agak unik (lihat gambar).

    Imamnya, Ramadan berkata, ada kira-kira 1,500 penduduk Islam di kawasan tersebut yang kebanyakannya berhijrah dari Ayuthayya.

    Katanya, selain masjid, turut dibina sekolah agama yang digunakan oleh 100 pelajar setiap hari untuk mendalami ilmu agama.

    "Alhamdulillah, masjid kita sentiasa diimarahkan oleh para jemaah setiap kali solat lima waktu. Keadaan bertambah meriah apabila tiba bulan Ramadan," katanya.

    Ramadan turut menunjukkan koleksi al-Quran tulisan tangan 30 juzuk yang disimpan dengan elok di masjid tersebut.

    Ia adalah hasil tulisan ulama menggunakan biji padi di Ayuthayya.

    Sementara itu, Masjid Tonson pula adalah satu lagi masjid tumpuan umat Islam di Bangkok. Sebabnya, selain solat jemaah ia diimarahkan dengan pelbagai majlis ilmu.

    Imamnya, Datuk Paduka Dr. Fauzan Faizal berkata, masjid itu kini sedang dalam fasa akhir kerja-kerja pengubahsuaian.

    Ia bagi memberi lebih keselesaan kepada para jemaah terutama menjelang bulan Ramadan tidak berapa lama lagi.

    Malah, katanya, sembilan Sheikhul Islam di Thailand semuanya 'anak didik' masjid tersebut yang dikatakan dibina sebelum pemerintahan Kong Song Tham pada tahun 1610-1628.

    Oleh itu, masjid yang terletak di Jalan Wang Doem ini dianggap masjid tertua di Bangkok. Ia pernah diubah suai kali pertama pada tahun 1954.

    Di luarnya terdapat tanah perkuburan Islam yang turut menempatkan jenazah ibu King Rama II serta jenazah orang kenamaan Thailand.

    Selain itu, terdapat masjid Jamiul Khoiriyah dan Sulukul Mustaqim di bawah Yayasan Muslim Ban Khrua.

    Masjid Jamiul Khoiriah yang dibina sejak 200 tahun lalu boleh memuatkan kira-kira 1,500 jemaah pada sesuatu masa. Ia turut dilengkapi dengan sekolah agama.

    Sementara itu, Imam Masjid Sulukul Mustakim, Yaakob Nakshom berkata, terdapat kira-kira 500 keluarga Islam di sekitar kawasan tersebut.

    "Masjid ini asalnya dibuat daripada kayu tetapi diubahsuai kepada keadaan sekarang iaitu bangunan tiga tingkat kira-kira 24 tahun lalu," katanya.

    Tingkat bawahnya adalah ruang lapang yang digunakan sebagai dewan dan juga lokasi indoor games seperti karom serta dilengkapi televisyen.

    Kepelbagaian etnik menurut Islam

    Posted: 20 Jul 2011 08:22 PM PDT


    Umat islam disaran menjaga hubungan baik sesama manusia walaupun dengan orang berlainan agama. - Gambar hiasan


    PENCIPTAAN manusia oleh Allah SWT adalah sesuatu yang amat menakjubkan. Walaupun hanya diciptakan daripada tanah liat dan seterusnya ditiupkan roh namun manusia adalah makhluk yang terbaik.

    Allah SWT berfirman yang bermaksud: (Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia daripada tanah. Maka apabila telah Ku sempurnakan kejadiannya dan Ku-tiupkan kepadanya roh (ciptaan)Ku; maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya. (Sad: 71-72)

    Selepas kejadian Adam, diciptakan pula ibu bagi sekelian manusia iaitu Hawa sebagai teman hidup kepada Adam. Daripada kedua-duanya dikembangbiakkan keturunan manusia.

    Allah menyatakan perkara ini melalui firman-Nya dalam ayat 1 surah al-Nisa'.

    Sayyid Muhammad Qutb, seorang pemikir Islam yang terkenal menghubungkan kejadian manusia secara keseluruhannya dengan beberapa gambaran yang boleh menyentuh perasaan.

    Antaranya keperluan manusia kembali kepada ajaran Allah, hakikat kejadian manusia yang berasal daripada rahim yang satu, akhirnya berkembang biak menjadi pelbagai golongan.

    Mereka sepatutnya kembali bersatu dalam tunduk dan patuh kepada-Nya dalam urusan kehidupan.

    Semua manusia diciptakan Allah daripada keturunan yang satu, iaitu Adam. Justeru mereka perlulah berusaha untuk menjadi hamba Allah yang taat dan patuh kepada-Nya.

    Manusia diciptaka dalam kepelbagaian sebagai sunnah Allah. Kepelbagaian itu patut diterima sebagai sesuatu yang baik. Walaupun ada golongan yang cenderung mentafsirkannya secara negatif dan menjadikannya alasan untuk terus berselisih.

    Sesungguhnya Islam sejak mula diturunkan mengiktiraf secara eksklusif maruah dan martabat manusia. Islam juga menerima hakikat manusia itu hidupnya berlainan agama, sistem kepercayaan dan nilai.

    Islam memberi garis panduan tatacara hubungan sesama Muslim dan menjalin hubungan bersama dalam membina kehidupan.

    Manusia memiliki akal, personaliti, kesedaran diri, justeru mereka mampu membezakan dirinya berbanding makhluk-makhluk yang lain. Dengan akallah mereka dapat mencapai peradaban yang tinggi.

    Kaum dan warna kulit dalam Islam tidak dijadikan dasar untuk diberikan sokongan atau bantuan, tetapi yang menjadi dasar dalam Islam ialah kebenaran dan keadilan.

    Jika memperjuangkan kebenaran, maka mereka hendaklah disokong, meskipun daripada kaum dan menggunakan bahasa yang berbeza. Demikianlah sebaliknya.

    Di alam ini ada pelbagai etnik atau kaum yang menghuni seluruh pelosok muka bumi dengan pelbagai budaya, bangsa, warna kulit dan agama.

    Manusia sebagai makhluk sosial selalunya lebih menekankan hak-hak peribadi dan membangunkan sifat ego, autoriti dan lain-lain yang berpusat kepada kepentingan diri dan mengabaikan kepentingan orang lain. Ini adalah sifat yang tercela dalam pandangan Islam.

    Oleh itu sifat terbuka, berlapang dada dan kesudian untuk saling memaafkan adalah sangat dipuji. Justeru gabungan antara hak peribadi dan kepentingan sosial itu menghasilkan jalan tengah seperti wasat, qist dan 'adl yang sering diungkapkan dalam al-Quran.

    Islam tidak menafikan semangat kepelbagaian yang melibatkan masyarakat pelbagai etnik, agama dan budaya hidup aman damai dan saling berdampingan.

    UPM lancar produk tumbesaran ternakan

    Posted: 20 Jul 2011 08:21 PM PDT


    Johari Baharum melihat dari dekat ayam yang diberi makanan aditif menggunakan sistem fermentasi sempena Pameran Rekacipta Penyelidikan dan Inovasi 2011 UPM di Serdang, semalam.


    KUALA LUMPUR 20 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini melancarkan produk makanan haiwan, 'Monogastric Animal Feed' yang dapat membantu pembesaran ternakan secara konsisten.

    Majlis pelancaran produk itu disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum di Dewan Besar UPM, Serdang dekat sini.

    Pada sidang akhbar kemudiannya, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Ir Dr. Mohd. Saleh Jaafar berkata, pembesaran yong konsisten berlaku apabila bahan metabolit yang terkandung dalam produk tersebut dapat meningkatkan asid laktik dalam sistem pencernaan haiwan ternakan.

    "Asid laktik penting bagi mengurangkan cirit-birit dan memperbaiki sistem pertahanan badan haiwan ternakan.

    "Selain itu, metabolit juga berperanan memastikan organ penghadaman dan proses pembesaran berada dalam keadaan yang baik," katanya.

    Majlis pelancaran produk berkenaan berlangsung sempena Pameran Reka Cipta, Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) Kesembilan UPM yang berakhir esok.

    Pameran selama tiga hari itu disertai 570 pensyarah, felo penyelidik, pelajar program pasca doktoral dan siswazah serta pegawai penyelidik universiti tersebut.

    Sementara itu, menurut Mohd. Saleh, 'Monogastric Animal Feed' boleh menggantikan penggunaan antibiotik yang biasa digunakan penternak untuk mempercepatkan pembesaran haiwan.

    "Penggunaan antibiotik memberi risiko kepada haiwan ternakan antaranya meningkatkan kandungan kolestrol dalam darah.

    "Oleh itu, kami di pihak UPM menyeru supaya pengilang makanan haiwan ternakan dan penternak menggunakan produk ini kerana ia dijamin berkualiti tinggi," katanya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan

    Label

    Senarai Lagu