Isnin, 4 Julai 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Artis Askar Wataniah bakal beri semangat

Posted: 04 Jul 2011 10:43 PM PDT


SITI Nurhaliza bersama selebriti dan anggota Platun Seni menjalani latihan kawad di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 4 Julai - Sebahagian daripada artis tempatan yang menyertai Rejimen Askar Wataniah atau tentera simpanan akan dibawa ke Lebanon bagi meninjau penugasan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sana seterusnya membekalkan semangat buat para wira negara tersebut.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rombongan yang akan diketuainya pada akhir bulan depan itu merangkumi lawatan ke kawasan penugasan anggota Batalion Malaysia (Malbatt) di sektor selatan negara itu di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil).

"Rombongan (lawatan) akan pergi akhir Ogos dan harap perkara ini akan menarik minat ramai anak seni serta lain-lain warga Malaysia terutama masyarakat Cina dan India untuk sama-sama menyertai Askar Wataniah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan latihan ketenteraan 24 artis yang menyertai perkhidmatan Askar Wataniah di bawah Platun Seni di sini, hari ini.

Ahmad Zahid menambah, beliau juga akan meminta kerjasama artis-artis berkenaan untuk berbuka puasa bersama para anggota serta pegawai ATM pada Ramadan ini.

"Anggota Platun Seni (artis) ini juga akan dibawa ke semua kem Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia,'' jelasnya.

Beliau juga memberitahu, ATM akan memberikan keahlian kehormat kepada penerbit dan pengarah filem, Datuk Yusof Haslam serta ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa iaitu suami kepada Siti Nurhaliza ke dalam Rejimen AW.

Terdahulu pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan pagi ini, Ahmad Zahid memakaikan pangkat Brigedier Jeneral (Kehormat) kepada Pengerusi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail selaku Komander Ke-60 Rejimen Pakar Pengendalian Air ATM.

Supari bongkar kekejaman ah long

Posted: 04 Jul 2011 10:42 PM PDT


TIDAK lokek membantu anggota menjalankan tugas di pejabat.


PADA 28 Mei 2009, akhbar Utusan Malaysia menyiarkan gambar muka hadapan dua lelaki dengan leher dan kaki masing-masing dirantai seperti anjing.

Kedua-dua lelaki itu merupakan mangsa ceti haram atau ah long yang dikurung dalam sebuah lokap buatan sendiri oleh kumpulan dikenali sebagai 'Geng Kristal 9' di sebuah bangunan rumah kedai lima tingkat di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Seri Kembangan, Selangor.

Bukan sahaja Utusan Malaysia, hampir semua akhbar tempatan menyiarkan gambar dua lelaki berantai di leher dan kaki ini di muka depan, sekali gus menjadikan ia berita paling hangat dan mendapat perhatian pada hari tersebut dan beberapa minggu yang seterusnya.

Insiden kekejaman itu juga menyebabkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien mengarahkan kementeriannya menghidupkan semula jawatankuasa yang pernah dibentuk bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Penerangan bagi menangani isu ah long secara menyeluruh.

Setelah lebih dua tahun berlalu, ramai sudah melupakannya peristiwa tersebut kecuali Asisten Supritendan Supari Muhammad kerana beliau adalah pegawai penyiasat bagi kes terbabit dan seterusnya menyelamatkan mangsa.

Supari, 38, kini merupakan Pegawai Penyiasat Jenayah Kanan di Zon Sungai Buloh, Petaling Jaya memberitahu, beliau bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah Bersindiket di Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Selangor ketika berjaya membongkarkan kegiatan Geng Kristal 9.

"Kewujudan lokap khas untuk mengurung mangsa ah long ini terbongkar apabila saya dan anggota memberkas dua lelaki dipercayai ah long hasil maklumat orang awam di sebuah bank di Desa Jaya, Kepong, Selangor pada 27 Mei 2009.

"Hasil siasatan lanjut terhadap dua lelaki terbabit, kita mendapat maklumat bahawa ada mangsa dikurung di sebuah rumah kedai di Seri Kembangan tetapi suspek sendiri tidak pasti alamat sebenar tempat tersebut," kata Supari menceritakan antara pengalaman menarik ditimba sepanjang 17 tahun berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka ini memberitahu, berbekalkan maklumat tersebut, beliau menjalankan siasatan sehingga membawa kepada penemuan lokasi mangsa dikurung iaitu satu unit kedai di tingkat bawah yang sudah diubah suai dengan lantainya boleh dinaik dan diturunkan dengan menggunakan alat kawalan jauh.

Supari berkata, tujuan lantai kedai itu diubah suai adalah bagi membolehkan kereta yang membawa mangsa masuk terus ke dalam premis supaya tiada siapa nampak mereka dibawa ke situ.

Tambahnya lagi, beliau yang mengintip melalui lubang kecil pada pintu masuk semakin pasti bahawa rumah kedai terbabit adalah tempat mengurung mangsa setelah ternampak penutup hidung beroksigen di dalamnya.

"Apabila benar-benar sudah pasti ada mangsa dikurung di situ, saya bersama anggota mengambil keputusan menyerbu masuk dan menemui ada pintu jeriji dibina di satu sudut dalam premis tersebut.

"Setelah berjaya memecah jeriji, kami temui pula dua bilik berkunci yang gelap di dalam sudut yang tersorok itu dan alangkah terkejutnya kami apabila menemui tiga lelaki dikurung dengan leher dan kaki dirantai," ujarnya sambil memberitahu dua mangsa ditempatkan dalam satu bilik, manakala seorang di bilik berasingan.

Supari berkata, kehadiran mereka tanpa memakai uniform menyebabkan mangsa menggigil ketakutan kerana menyangka mereka adalah anggota kumpulan ah long berkenaan, meskipun sudah dimaklumkan mereka polis dan ditunjukkan kad kuasa.

Polis mengambil masa kira-kira tiga minit untuk menyakinkan mangsa dan sebaik sahaja menyedari mereka sudah selamat, dua lelaki yang dikurung dalam bilik sama terus 'menyembah' Supari sambil mengucapkan terima kasih kerana menyelamatkan mereka.

Kata Supari, beliau berasa amat hiba apabila melihat keadaan mangsa yang diperlakukan seperti haiwan dan geram dengan perbuatan kumpulan ah long yang tidak berperikemanusiaan itu.

"Keadaan mangsa sewaktu ditemui memang menyedihkan. Kulit mereka pucat lesi kerana mengalami hidrasi dan sudah lama tinggal dalam keadaan gelap serta tidak terkena cahaya matahari.

"Mangsa juga kelaparan kerana tidak diberi makan dan hanya kelihatan beberapa botol air mineral kosong, tandas untuk membuang air kecil dan besar serta kepala paip di dalam bilik tersebut," katanya sambil memberitahu mangsa dikurung antara 17 hari hingga dua bulan.

Dalam serbuan itu, polis terpaksa meminta bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat dari Seri Kembangan untuk memecahkan mangga 'lokap' dan rantai dipasang pada mangsa.

Supari berkata, tugasnya tidak selesai selepas berjaya menyelamatkan mangsa kerana beliau seterusnya perlu bekerja keras menyiapkan kertas siasatan untuk mendakwa tujuh suspek yang ditangkap dalam kes tersebut agar mereka mendapat hukuman setimpal dengan perbuatan kejam yang dilakukan terhadap mangsa.

Ujar Supari, beliau berpuas hati apabila hasil penat lelahnya membuat siasatan dan penyelidikan terhadap kes fail, enam tertuduh akhirnya dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat (EO) manakala seorang lagi Akta Kediaman Terhad.

Mengenai kerjaya dalam PDRM, bapa kepada Nurul Wahidatul Syazwa, 12, dan Muhammad Sharul Safaraz, 8, ini memberitahu, beliau memulakan perkhidmatan sebagai Inspektor Percubaan pada 1994 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

"Tamat tingkatan enam, saya diterima menjalani latihan perguruan di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang di Gelugor tetapi tidak menamatkan latihan kerana memilih menyertai PDRM yang dirasakan lebih sesuai dengan minat saya yang gemar aktiviti lasak," katanya.

Tamat latihan, Supari dihantar bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di Sabah sebelum berpindah ke IPD Kota Kinabalu di Karamunsing juga di Sabah mulai 1996 hingga 2003.

Selepas IPD Kota Kinabalu, beliau dipindahkan pula ke IPD Petaling Jaya Selatan sekarang dikenali IPD Serdang sebagai Pegawai Penyiasat Komersial selama lebih setahun sebelum dilantik menjadi Ketua Balai Polis Sunway yang pertama.

Supari kembali menjalankan tugas penyiasatan apabila ditukar ke D7, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor selama lebih dua tahun dan dinaikkan pangkat ASP dengan jawatan sekarang.

Dominasi filem Melayu

Posted: 04 Jul 2011 10:41 PM PDT


DARI kiri: Filem KL Gangster, Kongsi dan Khurafat antara filem Melayu yang mencatat kutipan tiket melebih RM7 juta sewaktu tayangannya baru-baru ini.


INDUSTRI perfileman Melayu memperlihatkan peningkatan bukan sahaja daripada segi jumlah kutipan tiket tetapi juga bilangan penonton yang menyaksikan filem-filem Melayu di pawagam.

Dalam perkembangan itu, Skop Productions dan MIG Production antara syarikat produksi terpenting yang menyumbang ke arah itu.

Terbaru, filem KL Gangster yang mengutip kutipan tiket RM11.6 juta sehingga 30 Jun lalu berjaya menarik 1.2 juta penonton ke pawagam.

Menurut Pengarah Urusan dan penerbit Skop Productions Datuk Yusof Haslam, perkembangan sihat itu berdasarkan kepercayaan para penonton terhadap filem-filem Melayu yang diterbitkan sejak lima tahun kebelakangan ini.

"Perkembangan itu kerana adanya dominasi daripada kalangan penerbit filem tempatan seperti saya dan David Teo melalui syarikatnya, MIG Production. Walaupun dia bukan bumiputra tetapi bilangan penerbitan filemnya yang mencecah 10 filem setahun menambahkan lagi jumlah filem-filem Melayu.

"Saya lihat hampir 70 peratus dominasi itu dikuasai penerbit bukan Melayu termasuklah David.

"Tetapi saya yakin sekarang semakin ramai penerbit bumiputra yang serius dan berjaya menerbitkan banyak filem berkualiti terutamanya KRU Studios. Saya harap dominasi itu akan seimbang dalam masa dua atau tiga tahun lagi," katanya.

David Teo yang ditanya tentang isu itu tidak tersinggung dengan kenyataan Yusof sebaliknya, dia berfikiran positif.

Pada pandangannya, pembabitannya dalam bidang perfileman bukan setakat memenuhi poketnya semata-mata tetapi demi kebaikan semua pihak.

Justeru, dia berharap semua pihak berfikiran terbuka dalam membawa persaingan dalam bidang yang menguntungkan ini.

Isu paling kerap ditimbulkan ialah pembabitan David yang pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Finas sehingga mencetuskan pertikaian banyak pihak.

Namun, itu cerita lama kerana dia kini bukan lagi berada di kerusi panas tersebut. Sebagai rekod, David pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Finas dari tahun 2008 sehingga 2010.

"Saya berada dalam Ahli Lembaga Pengarah Finas atas pelantikan dan ia dipersetujui oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

"Saya masuk bukan kerana mahu mendominasi industri ini tetapi kerana mahu menyumbang pengalaman dan kepakaran saya dalam bidang ini. Saya mahu kongsi dengan semua orang termasuklah penerbit Melayu.

"Saya pun bukannya hebat sangat. Saya pernah gagal dalam beberapa filem, contohnya filem Syukur 21 pada tahun 2001.

"Kos penerbitan filem itu mencecah RM3.8 juta tetapi akhirnya saya hanya dapat pulangan RM1 juta sahaja.

"Itu adalah pengalaman pahit bagi saya kerana saya kerugian waktu itu. Jadi, saya tidak mahu ia berlaku kepada penerbit lain. Kalau boleh saya mahu kita semua untung," ujarnya.

Namun, pendirian David itu berlainan dengan prinsip yang dipegang oleh Yusof.

Ini kerana Yusof lebih banyak menumpukan perhatian kepada bidang pengarahan dan penerbitan berbanding pesaingnya itu yang 100 peratus berpaksikan kepada urusan untung rugi perniagaan.

Bukan lokek berkongsi pengalaman tetapi Yusof tidak mahu ia dipersoalkan oleh pihak lain.

Ini kerana, jika diukur dari segi pengalaman Yusof dalam dunia perfileman bukan kepalang, malah beliau juga sudah layak untuk memberi buah fikiran mahupun duduk dalam Ahli Lembaga Pengarah Finas sama seperti peluang yang telah dikecapi oleh ramai pembikin mahupun pemain-pemain dalam bidang itu.

Apa pun bekas pelakon yang pernah membintangi filem popular tahun 1970-an, Melati Putih ini lebih senang duduk di kerusi pengarahan dan di syarikat produksi miliknya itu.

"Kalau boleh saya cuba elakkan daripada duduk atas kerusi yang ada kepentingan di Finas. Nanti orang akan mengata macam-macam termasuklah untuk menggunakan kedudukan itu bagi kepentingan diri sendiri.

"Biarlah saya dengan kedudukan sekarang. Kalau saya mahu mendominasi penerbitan filem di negara ini pun biarlah dengan usaha saya sendiri. Saya bukan cemburu atau menafikan rezeki orang lain tetapi para penerbit filem Melayu harus buka mata seluas-luasnya.

"Sekarang semakin ramai pembikin filem bukan Melayu yang tertarik untuk menerbitkan filem Melayu kerana pasaran dan sambutannya yang semakin luas. Saya cakap macam ini untuk membakar semangat para penerbit Melayu," jelasnya.

Selain dominasi dua penerbit terkenal tanah air itu, penerbitan filem di Malaysia juga memperlihatkan peningkatan apabila setiap tahun lebih 50 buah filem cereka diterbitkan.

Ia dikatakan mengatasi bilangan filem yang diterbitkan di negara pesaing di rantau ini iaitu Thailand yang sebelum ini cuma menerbitkan sekitar 40 filem setahun.

Statistik peningkatan itu adalah yang terbaik dalam industri perfileman tempatan setakat ini jika dibandingkan dengan Thailand yang sebelum ini merupakan negara pengeluar filem paling aktif di rantau Asia Tenggara.

Pada masa sama, menurut sumber Finas, sehingga Jun tahun ini sahaja lebih 20 filem Melayu telah ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara dengan kutipan tiket melebihi RM50 juta.

Malah, perbadanan itu mensasarkan tiket kutipan keseluruhan filem-filem Melayu yang akan ditayangkan di pawagam menjelang hujung tahun ini mampu mencecah RM100 juta.

Saingan dua tauke filem

Posted: 04 Jul 2011 10:40 PM PDT


DAVID Teo dan Yusof Haslam merupakan penerbit filem tempatan paling berjaya pada hari ini.


DALAM industri perfileman tanah air hari ini, Datuk Yusof Haslam dan David Teo adalah dua penerbit filem yang paling menyerlah. Yusof bergelumang dalam dunia perfileman menerusi syarikat produksi miliknya, Skop Productions dan David pula dengan MIG Production.

Walaupun dua penerbit itu berbeza bangsa dan agama, tetapi matlamat mereka adalah sama iaitu menerbitkan filem yang mampu menarik ramai penonton ke pawagam.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya jumlah kutipan tiket filem-filem terbitan mereka menjadi penanda aras atas persaingan tersebut.

Persaingan paling sengit berlaku apabila filem Yusof berjudul KL Gangster mencatat kutipan RM11.6 juta sehingga 26 Jun lalu. Sementara filem Kongsi terbitan David pula mengaut kutipan tiket RM8.4 juta selepas tamat tayangannya pertengahan bulan lalu.

Setakat ini, dua jumlah kutipan itu adalah yang tertinggi buat jualan tiket filem Melayu di negara ini.

Ekoran persaingan yang sengit itu juga, dua tauke filem ini dikatakan bersaing sesama sendiri bagi terus mendominasi jumlah kutipan tiket filem terbitan masing-masing.

Mega buat pertama kalinya berpeluang mempertemukan Yusof dan David pada satu sesi fotografi yang diadakan di pawagam Golden Screens Cinema, Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini. Pada pertemuan itu, mereka merungkai persaingan yang diperkatakan itu.

Tiada unsur perkauman

SEBAGAI penerbit merangkap ahli perniagaan, David Teo tidak menafikan persaingan tetap ada di mana pesaing terdekatnya dalam bidang perfileman tempatan ketika ini adalah Yusof Haslam dan Skop Productions. Malah, ramai orang yang memperkatakan perkara tersebut.

Bagaimanapun, penerbit berasal dari Segamat, Johor ini menyahut cabaran dan persaingan itu daripada sudut yang positif.

Katanya, persaingan sihat itu kelak akhirnya akan memberi manfaat kepada kedua belah pihak dan industri perfileman keseluruhannya.

"Saya dan Datuk (Yusof) berada dalam 'satu kapal'. Kami berniaga produk yang sama. Kalau filem dia laku, saya juga tumpang gembira. Kalau penonton filem Melayu suka menonton filem dia, maka penonton yang sama juga akan menonton filem-filem terbitan saya. Kita berkongsi penonton yang sama.

"Sebab itu, tidak timbul soal dengki mendengki. Ini adalah satu persaingan yang sihat. Saya dan Datuk sepatutnya boleh bekerjasama supaya jumlah penonton bertambah daripada satu juta kepada dua juta orang. Kami harus bersatu bagi mencapai matlamat itu.

"Kalau kami dapat menarik dua juta penonton ke pawagam, saya optimis kutipan tiket sebuah filem Melayu boleh mencecah RM16 juta.

"Jadi, tidak timbul isu negatif kerana saya dan Datuk bersaing bagi mencapai matlamat masing-masing dengan menghasilkan filem-filem yang lebih bermutu," katanya.

Pada masa sama, David yang mula menerbitkan filem pertamanya berjudul Syukur 21 pada tahun 2001 berkata, soal perkauman juga tidak seharusnya dibangkitkan dalam isu itu.

Ini kerana, dia turut memperjuangkan survival filem-filem Melayu sama seperti yang dilakukan oleh Yusof.

Malah, David yang telah menerbitkan 61 filem Melayu sejak 10 tahun lalu berasa bertuah kerana biarpun bukan penerbit bumiputra, tetapi semua pihak memberi sokongan kepadanya. Lagi sekali katanya, bangsa dan agama tidak seharusnya menjadi isu dalam persaingan itu.

"Walaupun saya orang Cina, tetapi saya terbitkan filem Melayu. Filem-filem terbitan saya juga diterima dengan baik oleh para penonton filem Melayu.

"Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) juga tidak pilih bulu walaupun saya orang Cina. Saya mendapat layanan yang adil daripada mereka. Bagi saya persaingan, untung dan rugi perkara biasa dalam perniagaan. Saya sudah lama melaluinya.

"Saya pernah menerbitkan filem bertajuk No Problem pada tahun 2002 yang hanya berjaya mengutip kutipan tiket RM100,000 biarpun kos pembikinannya RM650,000.

"Tetapi saya juga pernah mendapat kutipan tiket yang baik melalui filem terbitan saya yang bertajuk Kongsi berjumlah RM8.4 juta dengan kos RM2.5 juta sewaktu tayangannya bulan lalu.

"Semua itu adalah persaingan dan nasib yang menentukan sama ada sambutan filem itu bagus atau tidak," ujarnya.

David kini sedang sibuk membuat promosi dan strategi ke atas filem-filem terbarunya seperti Flat 3A yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 14 Julai ini, manakala filem seterusnya Senario Opocot pula bakal menyusul pada 21 Julai ini.

David bukan pengacau

Sementara itu, Yusof Haslam juga bukan orang baru dalam bidang perfileman. Bersama Skop Productions, beliau sudah 30 tahun menerbitkan filem dan drama televisyen.

Sebab itu, anak kelahiran Datuk Keramat, Kuala Lumpur ini sudah biasa dengan sepak terajang dalam bidang ini.

Lantas, beliau tidak gentar dengan persaingan termasuklah apabila munculnya 'pemain-pemain baru' dalam gelanggang perniagaan filem seperti David Teo dan ramai lagi penerbit lain.

Baginya, persaingan seperti itulah yang akan menguji jatuh bangunnya dalam dunia penerbitan filem selama ini.

"Saya anggap David bukan pengacau, sebaliknya dia membuka mata penerbit filem lain supaya tidak leka tetapi bekerja keras.

"Ramai orang buka mata atas kejayaan David selama ini. Saya sendiri rasa terkejut dengan pencapaiannya itu. Ia membuatkan saya semakin kuat bekerja.

"Bayangkan Skop Productions yang ditubuhkan 20 tahun lalu hanya mampu menerbitkan 30 filem setakat ini.

"Sedangkan David yang baru 10 tahun dalam bidang ini telah menerbitkan 61 buah filem. Itu memang tamparan hebat bagi saya dan saya harus bekerja keras dalam persaingan ini," katanya.

Kata Yusof, meskipun kejayaan yang diraih oleh David dan MIG Production itu amat drastik tetapi beliau tidak menafikan penerbit bukan Melayu itu juga pernah melalui pengalaman jatuh bangun dalam menerbitkan filem.

Kegigihan David itu katanya, harus dicontohi oleh penerbit-penerbit Melayu lain.

Namun, pada masa sama penerbit merangkap pengarah yang pernah mendapat gelaran Six Million Dollar Man itu turut berbangga kerana David pernah menjadikannya sebagai inspirasi dalam bidang perniagaan yang glamor itu. Tambahnya, itu adalah antara sikap positif David dalam bersaing.

"David sebenarnya melihat perkembangan filem-filem terbitan saya dan dia pernah menganggap kejayaan saya sebagai inspirasinya.

"Itu adalah antara ayat yang pernah diucapkannya dalam suatu majlis tidak lama dulu. Dia terus berjuang walaupun pernah gagal dalam bidang ini.

"Itulah pengajaran yang saya cuba tekankan kepada anak saya, Syamsul supaya dia bekerja lebih keras. Saya mahu dia mencontohi sikap David itu.

"Bagus juga ada pesaing seperti David kerana tanpanya, kita semua (penerbit Melayu) akan leka. Secara tidak langsung David pencetus semangat kita semua.

"Di kalangan penerbit Melayu, David juga sebenarnya penyumbang kepada pertambahan bilangan penerbitan filem-filem Melayu. Ia memberi peluang lebih luas kepada para pelakon dan pekerja filem tempatan," jelasnya.

Bagaimanapun, Yusof layak untuk mendabik dada biarpun pesaingnya itu kini dikategorikan sebagai penerbit paling aktif menerbitkan filem Melayu.

Ini kerana, filem terbitan Skop Productions yang diarahkannya berjudul Sembilu berjaya mengutip kutipan tiket lebih RM6 juta pada awal tahun 1990-an.

Itu adalah filem Melayu pertama yang berjaya mengutip kutipan tiket paling tinggi pada dekad tersebut.

Selepas lebih 20 tahun mengarah, Yusof kini lebih banyak menyerahkan tugas mengarahkan filem-filem terbitan Skop Productions kepada anaknya, Syamsul dan Syafiq.

Hassan sensitif, Nazrul tabah

Posted: 04 Jul 2011 10:40 PM PDT


HASSAN (kiri) dan Nazrul selepas dinobatkan sebagai juara dan naib juara program pencarian Imam Muda musim kedua, Jumaat lalu.


DI SEBALIK senyuman yang tidak pernah lekang di bibirnya tatkala bersua dengan media, juaraImam Muda musim kedua (IM2), Mohd. Hassan Adli Yahaya @ Yahuza, 26 atau Hassan rupa-rupanya seorang yang sensitif jika berbicara mengenai ibu bapanya.

Tanpa segan silu, Hassan mengakui, dia akan mudah menitiskan air mata kerana mengenangkan pengalaman yang ditempuhi kerana dibesarkan oleh ibu tunggal, tanpa kehadiran seorang bapa di sisinya.

Hassan yang dinobatkan sebagai juara IM2 pada malam Jumaat lalu memberitahu, sejak dia kecil, seawal umur tujuh tahun, bapanya telah pergi meninggalkannya sekeluarga buat selama-lamanya.

Bermula detik itu, ibunya, Arpah Mohd. Nor, 60, mengambil peranan arwah bapanya sebagai ketua keluarga dan bersusah-payah memastikan anak-anaknya berjaya walaupun tanpa rasa kasih seorang lelaki bergelar bapa.

Jadi, tidak hairanlah klip-klip video yang ditayangkan ketika final IM2 banyak memaparkan adegan Hassan menangis ketika dia pulang ke kampung halamannya yang terletak di Ayer Tawar, Perak untuk bertemu dengan keluarga tercinta.

Usai tamatnya program akhir IM2 yang disiarkan secara langsung oleh Astro Oasis (saluran 106), Hassan ketika ditemui memberitahu, pengorbanan ibunya demi anak-anak tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

"Bahkan, kemenangan ini juga belum mampu untuk membalas jasa ibu yang telah banyak berkorban untuk kami sekeluarga.

"Bagi saya, dialah ibu dan dia jugalah bapa saya. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas segala kebaikan yang telah dilakukan kepada kami adik-beradik.

"Sebagai anak, saya melakukan yang terbaik untuk menjaga nama baik keluarga dan alhamdulillah, kejayaan ini adalah salah satu daripadanya," cerita Hassan sambil air mata mula berkaca di kelopak matanya.

Merancang untuk berkahwin

DALAM pada itu, Hassan yang merupakan pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa, Taman Batu Muda, Batu Caves itu mengumumkan, dia bakal menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi.

Sebagai seorang imam, jelas Hassan, dia perlu berkahwin awal bagi menjaga peribadinya daripada segala kata-kata kurang manis masyarakat sekeliling.

"Biarlah saya lekas mempunyai isteri supaya kehidupan peribadi saya lebih terjaga dan sempurna.

"Lagi pun, perkahwinan dapat mengelak daripada sebarang prasangka tidak baik terutamanya maksiat

"Malahan, jika bergelar suami, ia mendidik saya tanggungjawab 'imam' (ketua) terhadap keluarga saya sekali gus memberi pengajaran dalam membentuk sahsiah diri sebagai imam," kata Hassan sambil melirik senyuman manisnya tatkala ditanya adakah dia sudah memiliki buah hati.

Menyentuh siapakah gerangan insan bertuah yang bakal menjadi suri di hatinya, Hassan menambah, hal itu biarlah hanya diketahui buat keluarga terdekatnya terlebih dahulu.

Katanya, apabila sudah sampai masanya nanti, insya-Allah dia akan maklumkan kepada umum.

"Mulai hari ini, saya menerima hakikat bahawa saya bukanlah milik keluarga semata-mata.

"Namun saya sedar apabila menyertai IM2, sebahagian kisah peribadi saya juga harus dikongsi dengan masyarakat.

"Jadi, saya tidak akan lupa untuk menguar-uarkan kepada umum tarikh keramat yang bakal menyaksikan perkahwinan saya dengan bakal isteri kelak," katanya ringkas menutup perbualan mengenai perancangan perkahwinannya.

Tomok matang layari bahtera rumah tangga

Posted: 04 Jul 2011 10:39 PM PDT




SETELAH lapan tahun menjalin kasih, akhirnya pasangan merpati dua sejoli ini selamat diijabkabul Jumaat lalu.

Antara debar dan gembira, dengan sekali lafaz, Shah Indrawan Ismail, 27, atau lebih dikenali sebagai Tomok sah bergelar suami kepada bidadari hatinya, Siti Rahayu Abas, 32.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh Pegawai Pentadbir Agama Pendaftar Kanan Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, Daim Jajuli, dalam suasana yang cukup meriah di Dewan Serbaguna AU2 Taman Sri Keramat, tepat pukul 9.20 malam.

Sebaik sahaja selesai upacara akad nikah, Tomok terus mendirikan sembahyang sunat dua rakaat sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Tuhan.

Jelas terpancar cahaya kegembiraan pasangan suami isteri ini sebaik sahaja Tomok menyarungkan cincin di jari manis Rahayu.

Dalam majlis akad nikah itu, Tomok menyerahkan mas kahwin RM300 kepada mempelai perempuan yang berwalikan bapanya, Abas Mohd Saidon.

Di samping itu, Rahayu atau mesra dipanggil Ayu, menerima sembilan dulang hantaran termasuklah wang hantaran sebanyak RM12,697.11, senaskhah al-Quran, telekung, set barang kemas dan minyak wangi, cincin, sirih junjung, sepersalinan baju, jam tangan, beg dan kek.

Pihak lelaki pula menerima 11 dulang hantaran iaitu al-Quran, sejadah, jam tangan, coklat, kek, sepasang kasut, set minyak wangi, dompet, sepersalinan baju Melayu dan sirih junjung.

Pasangan pengantin yang mengenakan pakaian nikah berwarna krim rekaan Hatta Dolmat itu juga tidak henti-henti melemparkan senyuman kepada tetamu yang hadir.

"Alhamdulillah, saya gembira sangat kerana setelah lapan tahun kami menyulam cinta, akhirnya, kami selamat diijab kabul.

"Apa yang lebih penting, tanggungjawab sebagai suami akan saya pikul sebaiknya dan saya akan pastikan Ayu dijaga dengan baik," kata vokalis kumpulan New Boyz ini sambil tersenyum.

Dari peminat ke jenjang pelamin

Bagi juara One In A Million musim ketiga ini juga, dia tidak menyangka perkenalan yang bermula dari insiden bertukar nombor telefon sebagai peminat dan artis akhirnya membawa mereka ke jenjang pelamin

"Saya ingat lagi, saya bertukar nombor telefon dengan Ayu ketika saya terlibat dalam satu penggambaran.

"Bermula dari situ, kami kerap berhubung dan alhamdulillah, sekarang kami sah bergelar suami isteri.

"Selain dari sifat penyayang Ayu, dia memang pandai memasak. Bab memasak, serahkan saja pada Ayu.

"Asam pedas, kek, biskut dan macam-macam lagi masakan yang dia buat, memang sedap. Itu yang buat hati saya terpaut sangat pada dia," ujar Tomok sambil melirik memandang wajah isterinya yang berada di sisi.

Bagi Ayu pula, soal usia bukanlah penghalang bagi mereka mengenali hati budi masing-masing.

Katanya, dia percayakan jodoh dan jika Tomok adalah jodoh bagi dirinya, dia terima dengan hti yang terbuka.

"Soal umur tidak pernah terlintas di fikiran kami sepanjang perkenalan kerana yang penting, saya senang dengan sikap dan keperibadian dia.

"Bak kata orang, kalau sudah jodoh tidak akan ke mana. Saya bersyukur kerana dia kini adalah suami saya.

"Satu lagi perkara yang membuatkan hati saya terpaut kepada dia ialah sikapnya yang matang.

"Dia sentiasa mengambil berat tentang diri saya. Dan kalau ada masalah, kami berbincang kerana setiap masalah itu, pasti ada jalan penyelesaian," katanya.

Ramai anak

Selepas majlis persandingan, Tomok berkata, buat masa ini, dia belum merancang untuk membawa isterinya menikmati bulan madu.

Jelasnya, ini disebabkan jadualnya amat padat dan sukar baginya untuk mengambil cuti.

"Buat masa sekarang, saya kena tumpukan pada kerjaya seni. Lagi pun, saya kini ada lebih tanggungjawab.

"Soal berbulan madu, memang belum difikirkan lagi kerana seminggu selepas majlis resepsi ini, saya akan memulakan penggambaran telemovie Diari Kampus Biru pula," ujarnya

Menyentuh tentang zuriat, terus terang Tomok berkata, dia sememangnya mengimpikan anak yang ramai bagi memeriahkan keluarganya nanti.

"Saya memang suka budak-budak. Jadi, kalau boleh saya memang nak anak yang ramai," ujarnya sambil berdoa, perkahwinan mereka berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Di sebalik kontroversi ESQ

Posted: 04 Jul 2011 10:38 PM PDT


Pengacara dan penerbit Halaqah Sentuhan Qalbu, Ahmad Noor Sulaiman.


MULAI hari ini, program bual bicara Islamik terbitan TV9, Halaqah Sentuhan Qalbu (HSQ) disiarkan di saluran tersebut pada pukul 10 malam.

Sebelum ini, HSQ hampir-hampir menerima tempias apabila modul motivasi yang dirangka oleh ESQ Leadership Centre Sdn. Bhd., (ESQ) dikatakan bercanggah dengan akidah dan syariat Islam memandangkan ESQ bekerjasama dengan TV9 bagi menerbitkan HSQ.

Tidak cukup setakat bertentangan dengan akidah dan syariat, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh turut mengharamkan modul ESQ daripada digunapakai dalam mana-mana pengisian program berbentuk motivasi.

Setelah reda dengan kontroversi tersebut, rakaman musim kedua HSQ diteruskan kerana Majlis Fatwa Kebangsaan telah memberi kebenaran kepada stesen televisyen itu untuk berbuat demikian.

Penerbit HSQ, Ahmad Noor Sulaiman ketika ditemui mengakui, dia agak khuatir dengan isu pengharaman tersebut kerana bimbang ia akan memberi kesan terhadap penerbitan rancangannya.

"Bagaimanapun, saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan merujuk kepada pihak yang lebih arif mengenai isu terbabit.

"Mujur Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan kebenaran bertulis yang mengizinkan rakaman musim kedua HSQ boleh diteruskan.

"Tambahan lagi, isi kandungan rancangan ini juga mendapat pelepasan daripada Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) untuk disiarkan kepada khalayak," ulas Ahmad Noor yang juga bertindak selaku pengacara HSQ.

Guna Facebook cari responden

Mengulas mengenai perbezaan yang diketengahkan berbanding musim pertama HSQ, Ahmad Noor menjelaskan, responden untuk musim ini terdiri daripada kalangan penonton setia rancangan tersebut yang mengikutinya sebelum ini.

Musim lalu, menurut Ahmad Noor, para ulama diundang sebagai panel untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan akidah manusia zaman sekarang.

Namun, kali ini HSQ menggunakan teknologi moden dengan mencari responden yang ingin berkongsi kisah hidup mereka melalui laman sosial Facebook.

Katanya, TV9 menguar-uarkan pemilihan melalui laman sosial tersebut yang mempunyai ramai pengikut.

"Kami membuat saringan berdasarkan cerita yang ingin dikongsi oleh mereka yang berminat.

"Selain itu, kami juga bekerjasama dengan alumni ESQ untuk mencari responden bersesuaian yang mempunyai nilai cerita dan boleh dijadikan topik perbincangan," jelas Ahmad Noor mengenai rancangan yang memperoleh rating sebanyak 4.3 juta penonton pada musim lalu.

Konsep syurga dan cakerawala

Pada masa yang sama, Ahmad Noor turut diajukan soalan mengenai konsep rekaan set dan pentas yang diperkenalkan pada musim terbaru HSQ.

Menggunakan pendekatan penceritaan, set direka bak berada di ruang angkasa raya.

Kata Ahmad Noor, ia dibuat sebegitu agar individu yang terlibat dalam rancangan ini berasakan diri mereka berada pada satu tahap yang tinggi dan kemudiannya tunduk ke bawah dan tidak bongkak.

"Kemudian, saya menerapkan elemen syurga dengan meletakkan prop juraian air di skrin kaca yang dipancarkan dengan paparan kalimah Allah SWT.

"Aliran bunyi air yang mengalir di skrin kaca tersebut mewujudkan suasana kedamaian dan ia cukup tenang seumpama berada di syurga idaman," ulas Ahmad Noor sejurus tamat rakaman episod lima HSQ yang diadakan di Studio ntv7, Glenmarie, Shah Alam, Selangor.

Terpesona salam perkenalan Frank

Posted: 04 Jul 2011 10:38 PM PDT


FRANK dalam salah satu babak klip video Terpesona.


TEKAD merealisasikan imaginasi yang telah lama terpendam di sanubari membuatkan pendatang baru industri hiburan tanah air ini berani untuk tampil dengan klip video Terpesona yang canggih.

Berbekalkan kreativiti dan bakat yang ada dalam diri serta sandaran dan sokongan kuat daripada rakan-rakan, Frank Scott Hew yakin dirinya mampu untuk mengharungi liku-liku kehidupan sebagai seorang penyanyi.

Siapa sangka biarpun namanya masih lagi janggal di pentas seni, Frank berjaya menarik minat penyanyi bersuara soprano, Syafinaz Selamat untuk berduet bersamanya menerusi single sulungnya, Terpesona.

Ternyata usaha dan semangat yang ditonjolkan oleh anak kelahiran Ipoh, Perak ini, tidak mengecewakan.

Klip video singlenya itu menunjukkan kematangan dan kesungguhan walaupun ia cubaan pertamanya untuk memperkenalkan diri kepada peminat.

Aplikasi teknologi imej janaan komputer (CGI) yang digunakan sewaktu menghasilkan klip video tersebut jelas menunjukkan, Frank begitu komited dalam menghasilkan sesuatu yang terbaik.

Dia juga mahu lari daripada kebiasaan yang dilakukan oleh penerbit lain apabila klip video Terpesona, memang mempesonakan.

"Saya rasa bertuah kerana dikelilingi oleh mereka yang arif dan pakar untuk bersama-sama menjayakan klip video ini.

"Biarpun mengambil masa lapan bulan untuk menyiapkannya namun saya amat berpuas hati dengan hasilnya.

"Ternyata kerja keras saya dan semua krew yang terlibat membuahkan hasil yang cukup mempersonakan," ujar Frank ketika berkunjung ke pejabat Mega baru-baru ini.

Tambah penyanyi berbangsa Tiong Hua itu lagi, apa yang ditonjolkan melalui klip video Terpesona itu merupakan khayalan yang sudah lama terpendam dalam dirinya.

Katanya, sebagai seorang lelaki, dia mengimpikan untuk menyelamat dan menempatkan kekasih hatinya di sebuah mahligai indah.

"Itulah yang cuba saya tonjolkan melalui video ini agar ia dapat dikongsi bersama-sama dengan peminat.

"Tambahan pula, sebagai lelaki, pastinya saya mahu melindungi insan yang saya sayangi dan memastikan dia dapat menikmati kehidupan bersama-sama saya," luah Frank.

Tambahnya, Terpesona telah pun diterbitkan pada 26 Jun lalu dan mengharapkan sambutan yang menggalakkan daripada peminat.

Selain itu, apabila ditanya apakah punca yang membuatkan dirinya berani untuk bersaing dengan bakat-bakat baru yang semakin membanjiri industri hiburan tanah air dewasa ini?

Jawapan Frank, "tidak pernah terlintas di fikiran saya sebelum ini untuk menjadi penyanyi biarpun didedahkan dengan muzik sejak kecil lagi.

"Pada usia lima tahun, saya telah mula mengikuti kelas piano dan minat pada muzik dan seni semakin membuak-buak apabila melangkah ke menara gading.

"Apabila pulang dari England tahun lalu dan berjumpa dengan kawan-kawan, mereka meyakinkan saya untuk cuba mengetengahkan bakat yang ada.

"Dari situlah hati saya mula terbuka dan yakin untuk menghasilkan Terpesona," katanya yang merancang untuk menyiapkan single keduanya, Chase yang akan dirakamkan dalam tiga versi iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Mandarin.

Bintang WWE tolak definisi ganas

Posted: 04 Jul 2011 10:36 PM PDT


WALAUPUN kali pertama berkunjung ke Malaysia, John Morrison dan Melina Perez cukup teruja untuk bertemu dengan peminat mereka.


BIARPUN sering dilabelkan sebagai 'sukan' yang mempromosikan keganasan, namun, tiada siapa yang dapat menafikan hakikat bahawa gusti sebenarnya mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Begitu juga dengan pendapat segelintir pihak yang merasakan program gusti yang ditayangkan di kaca televisyen sudah tidak lagi popular seperti dulu memandangkan ramai nama-nama besar sudah mengundurkan diri daripada arena itu.

Salah seorang bintang WWE Superstar, John Morrison memberitahu dia kurang bersetuju dengan pendapat yang mengatakan gusti menggalakkan keganasan di kalangan masyarakat.

Ini kerana katanya, program gusti yang ditayangkan di kaca televisyen adalah lebih kepada hiburan yang dapat ditonton oleh seisi keluarga.

"Saya tidak percaya gusti membawa keburukan kepada mana-mana pihak dan mempengaruhi seseorang individu itu untuk menjadi seorang yang ganas.

"Jika diperhatikan di Amerika Syarikat (AS) sendiri, sebenarnya adalah lebih banyak medium yang mempamerkan keganasan seperti filem, permainan video mahupun muzik video daripada program hiburan seperti WWE.

"WWE merupakan sebuah program yang tidak lebih daripada memberikan hiburan semata-mata kepada audiens.

"Itulah yang saya rasakan sejak kecil sewaktu kali pertama menonton WWE bersama bapa saya. Kalau benarlah WWE ini dikatakan mempromosikan keganasan, mengapakah ia berjaya bertahan hampir 60 tahun?" jelas John memberikan buah fikirannya.

John atau nama sebenarnya John Randall Hennigan berkata demikian dalam sidang akhbar ringkas sempena siri jelajah WWE Promotional Tour yang berlangsung di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Kehadiran John ke negara ini tidak keseorangan. Sebaliknya, dia ditemani kekasihnya yang juga bintang WWE yang dikenali dengan gelaran WWE Diva, Melina Perez.

Kedua-duanya yang diterbangkan khas dari AS oleh TV3 sebagai salah satu acara sempena ulang tahun ke-27 stesen televisyen swasta pertama negara itu.

Pendapat John itu juga disokong oleh Melina yang merasakan program sukan hiburan WWE seharusnya dilihat daripada sudut yang positif di mana ia menyatukan sebuah keluarga untuk sama-sama menontonnya.

Katanya lagi, hampir 60 tahun WWE menjadi salah sebuah program hiburan terkemuka, minat terhadap program itu juga berjaya dibawa turun-temurun dari seorang datuk, bapa dan kemudian kepada anak-anaknya.

"Ia berdasarkan pengalaman saya sendiri sewaktu bertemu dengan peminat apabila mereka memberitahu sendiri pengalaman menonton WWE.

"Jadi, daripada situ sudah cukup membuktikan bawa program WWE ini sebenarnya ada pengikut tersendiri.

"Kalau ada yang tidak menggemarinya, itu adalah hak masing-masing kerana kami sebagai penghibur, tidak berupaya untuk memaksa mereka untuk menyukai kami," jelas Melina atau nama sebenarnya Melina Nava Perez itu bersungguh.

Dalam masa yang sama, Melina yang berusia 31 tahun itu juga mahu memberitahu ramai yang telah salah anggap tentang definisi program WWE itu sendiri.

Ujarnya, WWE bukanlah sebuah sukan sebaliknya ia adalah sukan hiburan dan di kalangan penghibur seperti mereka juga tidak menggelarkan diri masing-masing sebagai ahli sukan.

"Kami sebenarnya adalah penghibur dan elemen yang ditampilkan dalam WWE pun lebih kepada berbentuk hiburan," kata Melina lagi.

Ketika diminta untuk berbicara mengenai penglibatan mereka dalam WWE, John menjelaskan sedari kecil dia begitu taksub dan minat dengan sukan hiburan WWE.

Dia sendiri tidak menafikan banyak didedahkan oleh bapanya yang sering membawanya menonton persembahan WWE.

Sementelah dari kecil lagi John juga mahu menjadi seorang adi wira dan menjadikan karakter Superman sebagai inspirasinya.

"Daripada situ saya berazam untuk menjadi salah seorang WWE dan impian itu akhirnya tercapai apabila saya menyertai pertandingan realiti, Tough Enough III.

"Perlahan-lahan saya membina nama saya dan berdepan dengan pelbagai cabaran sebelum saya dapat menikmati apa yang saya dapat seperti hari ini.

"Sudah pasti saya mahu mencapai kegemilangan dalam karier saya dengan menjuarai beberapa kejohanan akan datang untuk melengkapkan profil saya," katanya yang juga pernah menggunakan nama pentas Johnny Nitro sebelum ini.

Melihat kepada beberapa nama besar WWE sebelum ini yang telah meninggalkan arena tersebut dengan mengorak langkah dalam bidang seni lain, John tidak menolak kemungkinan dia juga akan mengikut jejak langkah itu.

Menjadikan Dwayne Johnson atau The Rock sebagai contoh terbaik, John menjelaskan dia mahu mencari peluang untuk melebarkan lagi sayap seninya.

"Bukan hanya mahu menjadi seorang pelakon, seboleh-bolehnya saya teringin juga hendak menjadi seorang produser filem ataupun televisyen.

"Memandangkan saya memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang perfileman, jadi, ia adalah langkah terbaik untuk saya," katanya sambil disokong oleh Melina.

Walau bagaimanapun, Melina lebih selesa untuk meneruskan minatnya dalam arena itu dan mahu menjadi seorang jurulatih di masa hadapan.

Sempat diusik dengan pertanyaan tentang hubungan cinta mereka yang mendapat perhatian peminat WWE, Melina memberitahu semuanya berjalan dengan baik.

Walaupun hubungan mereka pernah terputus di pertengahan jalan, namun, ia dapat diperbaiki kerana masing-masing sedar akan minat dan keserasian dalam bidang yang sama.

"Apabila dalam bidang ini, kami sudah faham dengan tugas masing-masing. Jadi, soal cemburu itu tidak wujud dan apabila dapat bersama dalam siri jelajah seperti ini, ia mengeratkan lagi hubungan kami," ujarnya sambil memandang ke arah John.

Biarpun pertama kali hadir ke Malaysia, baik John mahupun Melina, masing-masing ternyata teruja dengan sambutan yang diberikan.

Malah, mereka sendiri terkejut apabila diberitahu pengikut setia WWE begitu ramai di negara ini ketika berpeluang menikmati santapan tengah hari eksklusif bersama lima orang peminat bertuah pada hari yang sama.

"Apabila mereka bercerita tentang perihal WWE, kami begitu kagum sehinggakan ada beberapa perkara kami sendiri tidak pernah tahu (ketawa). Ternyata, ia masih lagi memberikan impak besar kepada peminat WWE," ujar John yang berusia 31 tahun itu.

Kesemua pemenang dipilih menerusi kuiz WWE yang dianjurkan menerusi facebook.com/TV3MALAYSIA dan facebook.com/tontonMY yang berlangsung selama empat hari bermula 21 Jun lalu.

Pada majlis itu juga, John dan Melina sempat meluangkan masa dengan melayan hampir 1,000 peminat yang tidak mahu melepaskan peluang beramah mesra dengan bintang pujaan mereka itu.

WWE Smackdown yang mula ditayangkan di TV3 sejak lapan tahun lalu itu kini ditayangkan pada setiap hari Khamis pukul 11 malam.

Gula-gula K-Pop Malaysia

Posted: 04 Jul 2011 10:35 PM PDT

Semanis gula-gula! Itulah perumpamaan yang sesuai untuk lima gadis cantik yang menggelar diri mereka sebagai Gula Gula ini.

Sebenarnya, sudah lama Zass menjejaki kumpulan ini lantaran terlalu banyak mulut bercerita mengenai mereka.

Lantas, satu pertemuan diatur dengan Nurfarahin Mohamed Khosaini (Rara), Erwina Lenny Niusan (Erwina), Joyce Antonius (Joy), Jenny Lim Mei Mei (Mei Mei) dan Rozalia Siteo (Achie) yang ditemani pengasas dan komposer mereka, Hadi Hassan.

Seorang lagi anggota Gula Gula, Noor Aishah Ibrahim atau Chacha bagaimanapun tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.

Lalu peluang yang ada digunakan untuk menyelami hati kelima-lima gadis ini, memandangkan kemunculan mereka dalam industri hiburan mencetuskan kontroversi.

Bukan saja dikatakan meniru muzik Korean Pop atau K-Pop yang melanda seluruh dunia ketika ini, malah imej seksi mereka dianggap keterlaluan dan tidak bersesuaian dengan budaya tempatan.

Lebih menyakitkan, ada yang sanggup menubuhkan 'page' khas 'Anti Gula Gula' di laman Facebook.

Menjelaskan isu itu, menurut Rara, tidak salah sekiranya mereka mengikut peredaran muzik semasa di mana genre pop menjadi pilihan.

"Kami memperjuangkan konsep K-Pop 'fusion' tetapi tidak sepenuhnya mengikut bunyi muzik dari sana.

"Sebaliknya, kami menjadikannya sebagai inspirasi dan menggabungkan dengan elemen tempatan agar lebih bersesuaian dengan pendengar Malaysia," katanya.

Mengenai imej seksi Gula Gula, Mei Mei berkata, mereka bersedia menerima pandangan dan mengubah penampilan agar lebih bersesuaian dan sopan.

"Kritikan banyak membantu kami mengenal pasti kelemahan dan memperbaikinya. Misalnya, pemakaian kami yang dipertikaikan membuatkan kami lebih peka dengan sensitiviti masyarakat dan berhati-hati dalam pemilihan pakaian selepas ini," katanya.


Dua 'single' bukti kemampuan

Lupakan seketika soal kontroversi, kerana Gula Gula yang bernaung di bawah syarikat Eight Tones Communications milik Hadi ini benar-benar serius dengan kerjaya mereka.

Mereka semua dipilih Hadi untuk membentuk Gula Gula selepas melepasi uji bakat yang dibuat akhir tahun lalu.

Kriteria yang dicari bukan sekadar rupa, sebaliknya mereka dinilai berdasarkan kebolehan menyanyi, menari dan komitmen.

Kesemua ahli Gula Gula mempunyai asas dalam bidang nyanyian, malah ada antara mereka yang mengambil kursus vokal di universiti.

"Kelebihan kami adalah setiap anggota mempunyai 'range' vokal yang berlainan namun harmoni.

"Kami juga mempunyai kebolehan bermain alat muzik seperti gitar, tabla, 'keyboard' dan piano, selain mampu menari dengan baik ketika persembahan," jelas Erwina.

Dalam tempoh enam bulan sejak ditubuhkan, Gula Gula bekerja keras menyiapkan diri sebagai artis serba boleh, termasuk mencipta koreografi mereka sendiri tanpa bantuan pereka tarian terkenal.

Hasilnya, 'single' mereka berjudul Suka Gitu ciptaan Hadi dan lirik oleh J.Looy yang dilancarkan bulan lalu sudah mula berkumandang di corong radio.

"Lagu ini berentak rancak dan mengisahkan pahit manis dalam sesebuah hubungan percintaan.

"Sementara, single kedua Kongkong akan dikeluarkan dalam masa terdekat, " kata Achie.

Sejujurnya, Gula Gula wajar dikagumi kerana mereka tidak mudah melatah dengan segala kritikan kerana sedari awal sudah mengetahui akan cabaran perlu ditempuhi apabila menceburi bidang hiburan.

"Mahu tidak mahu, kami perlu kerja keras dan teruskan apa yang diperjuangkan sejak mula lagi.

"Kami mohon masyarakat tidak terlalu cepat membuat penilaian negatif, sebaliknya beri peluang kepada kami bukti bakat," kata Joy, yang dipersetujui rakan lain.

Filem pertama Bront Palarae

Posted: 04 Jul 2011 10:34 PM PDT

Nama Bront Palarae sudah tidak asing lagi dalam persada seni hiburan tempatan. Anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini semakin menunjukkan kehebatannya sebagai anak seni. Lapan tahun bernafas sebagai anak seni, tiada satu perkataan 'menyerah' muncul dalam diari hatinya tatkala dia kurang mendapat publisiti berbanding artis lelaki yang lain.

Baginya bidang lakonan bukan hanya tempat meraih publisiti, tetapi dunia lakonan adalah segala-galanya buat dirinya. Bekas pengacara rancangan Beat TV sekitar tahun 2003 begitu optimis untuk menjadi yang terbaik.

Langkahnya dalam bidang seni menunjukkan hasil apabila diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-23 dan anugerah yang sama menerusi Anugerah Skrin 2010.

Kini, dia mula melebarkan sayapnya apabila bakal muncul dengan filem pertamanya berjudul 3 Rasa berganding bersama Sharifah Amani, Azma Yusoof dan Dira Abu Zahar dan mereka boleh dianggap sebagai rakan baik Bront sendiri.

"Saya bukan ambil pelakon semberono. Walaupun mereka ini kawan-kawan baik saya, tetapi mereka memang sesuai dengan watak-watak untuk filem saya.

"Saya sendiri sangat teruja dan tidak sabar untuk memperlihatkan hasil karya saya. Insya-Allah jika tiada kelapangan, filem ini akan ditayangkan pada awal tahun hadapan," katanya kepada Sinar Harian.

Bercerita mengenai 3 Rasa, penonton akan disajikan dengan kelainan filem ini mengikut skrip oleh Bront sendiri.

"Buat masa ini sukar untuk saya ceritakan jalan cerita filem ini. Filem saya bukan hanya semata-mata untuk komersial, saya sendiri lebih menekankan kepada nilai-nilai yang terdapat dalam filem ini.

"Tak popular tak semestinya tak bagus. Jadi, menggunakan khidmat pelakon yang benar-benar hebat ini saya berharap masyarakat tahu mengenai sesebuah filem," katanya.

Biarpun sibuk dengan filemnya, Bront mengakui jadual sebagai pelakon juga semakin padat. Sentiasa mahu memajukan diri dalam bidang lakonan, Bront mengakui lebih gemarkan watak-watak yang boleh mencabar dirinya berbanding hanya membawakan watak lelaki romantis dan baik.

Maxis, kerajaan rapat jurang digital

Posted: 04 Jul 2011 10:33 PM PDT

Peneraju perkhidmatan telekomunikasi bersepadu Malaysia, Maxis Berhad (Maxis), komited mengadakan kerjasama dengan kerajaan untuk merapatkan jurang digital dalam program Kunjungan Mesra Rakyat 1Malaysia di Kampung Chennah, Jelebu, Negeri Sembilan.

Maxis telah melatih 20 peserta dari komuniti Kampung Chennah termasuk masyarakat Orang Asli dan 33 peserta di Kuala Klawang dalam program Train the Trainer Maxis.

Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda berkata, Maxis bertuah kerana berpeluang menjalankan perniagaan yang dapat memberi manfaat kepada kehidupan orang ramai.

"Dengan akses Internet diberi, kami menyumbang ke arah mengurangkan halangan pendidikan, maklumat, kesihatan, perdagangan dan perkhidmatan lain," katanya.

Menurutnya, hasrat Maxis adalah membawa teknologi ke kawasan pedalaman terutama kepada mereka yang kurang berkemampuan atau tinggal di kawasan yang tidak boleh diakses.

"Tahun lalu Maxis melabur lebih RM80 juta di Sabah dan Sarawak sahaja. Namun, kami akan terus melabur dalam meningkatkan kualiti hidup dengan menyediakan sambungan ke kawasan geografi yang tidak mendapat perkhidmatan sepenuhnya," katanya.

Dalam pada itu, Maxis berbesar hati apabila berpeluang terlibat dalam projek Kampung Tanpa Wayar, yang juga merupakan inisiatif yang dikenal di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) yang dijangka dapat membantu mempercepatkan sasaran penembusan jalur lebar negara.

AirAsia X tawar promosi eksklusif

Posted: 04 Jul 2011 10:33 PM PDT

Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia X, sekali lagi mengadakan promosi menawarkan tambang terendah ke semua rangkaiannya kecuali Tehran bermula dari Kuala Lumpur.

Penumpang boleh menikmati pengembaraan di Timur Asia dengan penerbangan ke China (Hangzhou, Tianjin, Cheng�du), India (Bombay, Delhi), Korea (Incheon) dan Jepun ( Haneda) serendah RM255 sehala.

Ketua pegawai eksekutifnya, Azran Osman Rani (gambar) berkata, kurang empat tahun, AirAsia X berjaya menerbangkan lebih lima juta penumpang ke-10 negara seluruh dunia.

"Pencapaian ini tidak mungkin dimiliki tanpa sokongan penumpang. Kami menjangka jumlah penumpang akan berganda dua tahun setelah menggunakan lima pesawat Airbus A330s terbaru," katanya.

Tawaran kelas ekonomi dan premium dibuka menerusi tempahan dalam talian dari 4 hingga 8 Julai ini bagi tempoh penerbangan dari 6 hingga 20 Jun 2012.

Brahim’s lancar nasi beriani dua minit

Posted: 04 Jul 2011 10:22 PM PDT

Dewina Food Industries Sdn Bhd (Dewina), pengeluar produk jenama Brahim's memperkenalkan dua produk terbaru berasas nasi sempena ulang tahun ke-25 syarikat itu.

Pengarah Eksekutif Kumpulan, Nur Fatin Ibrahim berkata, kedua-dua produk itu berasaskan nasi, memberi penjimatan masa kepada pengguna menikmati hidangan nasi dalam masa singkat menjelang Ramadan.

"Antara produk diperkenalkan, nasi beriani kambing dan nasi tomato yang hanya memerlukan masa dua minit dengan kaedah penggunaan ketuhar gelombang mikro.

"Kandungan nasi beriani kambing, dilengkapi daging kambing dan nasi tomato disertakan dengan kismis serta gajus sebagai penambah perasa," katanya pada majlis pelancaran produk terbaru itu.

Nur Fatin berkata, produk keluaran syarikat tidak menggunakan sebarang bahan monosodium glutamate (MSG), perasa tiruan atau pengawet.

"Produk terbaru ini dapat membantu pengguna yang mempunyai masa terhad menyediakan makanan terutama ketika bersahur. Produk ini akan berada di pasaran penghujung Julai ini," katanya sambil memberitahu syarikat menyasarkan pasaran jualan di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Terdahulu, Brahim's t melancarkan pes nasi tomato, tandoori dan beriani serta sos percik, tiga rasa dan tandoori di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bukti peguam rancang bunuh Sosilawati

Posted: 04 Jul 2011 10:21 PM PDT


PATHMANABHAN (kanan), Matan (depan), Khatavarayan (kanan) dan Thilaiyagan (belakang) dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor semalam.


SHAH ALAM - Pihak pendakwaan semalam mengemukakan keterangan bagi membuktikan bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya telah melakukan pembunuhan ke atas jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya berdasarkan penemuan DNA milik mangsa-mangsa pada barang-barang kes.

Bukti itu akan dikemukakan melalui keterangan saksi yang menemui DNA milik seorang daripada mangsa iaitu pegawai bank, Noorhisham Mohammad pada kayu kriket dan DNA peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin pada zink-zink yang digunakan sebagai alas untuk membakar mayat-mayat mangsa.

Dua pekerja ladang Pathmanabhan, U. Suresh dan T. Sarawanan akan dipanggil memberi keterangan bagi membuktikan bagaimana perancangan oleh Pathmanabhan dan tertuduh keempat, R. Khatavarayan bersama yang lain untuk melakukan pembunuhan ke atas keempat-empat mangsa.

Kemuncak keterangan itu, Suresh dan Sarawanan akan memberi keterangan mengenai peranan setiap tertuduh dan bagaimana tertuduh kedua, T. Thilaiyagan membunuh setiap mangsa. Suresh dan Sarawanan sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana melupuskan mayat Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin. Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, R. Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, Noorhisham, 38, Ahmad Kamil, 32, dan Kamaruddin, 44.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff berkata demikian dalam ucapan pembukaannya pada permulaan perbicaraan kes bunuh itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir. Ishak dalam ucapannya memberitahu, antara saksi yang akan memberi keterangan termasuk Erni Dekritawati Buhari, anak Sosilawati. Erni akan memberi keterangan berhubung khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima daripada Sosilawati bertulis: "Jangan bagi Kamal masuk rumah, jika datang hubungi Bisah dia ambil gambar mak."

Perbadanan PR1MA ditubuh

Posted: 04 Jul 2011 10:20 PM PDT


NAJIB (tiga dari kanan) bersama Raja Nong Chik dan Nor Mohamed (kiri) melihat model perumahan PR1MA Fasa I selepas melancarkannya di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Perbadanan Program Perumahan 1Malaysia atau PR1MA akan ditubuhkan bagi merancang dan menyelaras pembinaan projek di bawah program tersebut di seluruh negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, perbadanan khas yang diletak di bawah Pejabat Perdana Menteri itu juga akan membuat pengagihan rumah kepada pemohon yang layak.

Sehubungan itu katanya, akta khas digubal mengenai penubuhannya dan akan diluluskan Parlimen pada sidang akan datang.

"Ini kerana (penubuhannya) kita melihat bahawa unit ini akan memberi satu peluang yang cukup baik untuk kita membangunkan sebuah industri secara besar-besaran.

"Mudah-mudahan dengan tertubuhnya perbadanan khas ini, PR1MA akan menjadi program yang sangat penting selaras dengan konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya ketika melancarkan PR1MA di sini semalam.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Najib berkata, dasar baharu itu akan dapat melonjakkan ruang pemilikan rumah untuk rakyat.

Suami isteri pertaruh tat kerang, kek sukun

Posted: 04 Jul 2011 10:18 PM PDT


MOHD. ZAIN dan Zurliyani menunjukkan tat kerang Tanjung Puteri di Pasir Gudang semalam.


JOHOR BAHRU - Bagi pasangan suami isteri dari Bandar Seri Alam di sini, penyertaan mereka pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 bagi Zon Selatan pada Ahad ini adalah peluang terbaik untuk memperkenalkan resipi biskut dan kek masing-masing.

Mohd. Zain Jaafar, 35, akan mempersembahkan biskut tart kerang Tanjung Puteri manakala isterinya, Zurliyani Mohd. Abdul Aziz, 35, dengan kek buah sukun.

Menurut Mohd. Zain, untuk menyertai cabaran berkenaan, dia meminta pandangan ibu mertuanya agar dapat menghasilkan resipi yang terbaik.

Dia yang bekerja di sebuah syarikat kenderaan di bandar raya ini memberitahu, tat tersebut istimewa kerana ia berbentuk kerang manakala intinya dihasilkan daripada campuran kismis dan halwa, sekali gus memberikan tat rasa masam-masam manis.

"Sudah 10 tahun saya buat biskut secara sambilan di rumah dan menjualnya kepada rakan-rakan sekitar Johor selain Singapura," katanya ketika ditemui di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang semalam.

Bagi Zurliyani pula, pemilihan buah sukun dilihat lain daripada kebiasaan orang membuat kek.

Katanya, biasanya orang menggunakan pisang, strawberi atau buah-buahan lain tetapi hasil cubaan dengan buah sukun, kek menjadi lebih sedap.

Sasar perolehan RM2 bilion

Posted: 04 Jul 2011 10:18 PM PDT


RAMLY (dari kanan) bersama Jumat dan Chef Liza Zainol pada majlis pelancaran rancangan masakan di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Ramly Food Processing Sdn. Bhd. (Ramly Food Processing) yang terkenal dengan jenama Ramly Burger menyasarkan perolehannya bertambah kepada RM2 bilion menjelang tahun 2012 berbanding RM1 bilion pada tahun ini.

Statistik itu mampu dicapainya ekoran kompleks pengeluaran terbaharunya di Taman Halal Selangor di Pulau Indah mula beroperasi pada tempoh tersebut.

Pengarah Urusannya, Datuk Ramly Mokni berkata, kompleks pengeluaran seluas 8.8 hektar itu menelan kos sebanyak RM250 juta.

"Operasi pengeluaran sedia ada kami di kawasan perindustrian Mukim Batu di sini tidak dapat menampung permintaan pasaran yang semakin bertambah dari semasa ke semasa meskipun kilang kami beroperasi selama 24 jam sehari," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran rancangan masakan Enak Bersama Ramly Daripada Chef Liza di sini semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Berita Ehwal Semasa RTM, Datuk Jumat Engson.

Menurut Ramly, kapasiti pengeluaran produk hariannya adalah kira-kira 150 tan metrik.

Syarikat yang telah beroperasi selama 30 tahun itu kini mengeluarkan 30 jenis produk dan antaranya ialah burger, nugget, ayam, makanan laut, daging kisar dan juga produk baharunya iaitu burger oblong klasik, burger rasa panggang, bebola sotong, Tasty Chili dan Tasty Black Pepper.

Selain itu, mengulas lanjut, beliau berkata, 30 peratus daripada perolehannya disumbangkan oleh pasaran eksport khususnya dari rantau Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

"Melalui kompleks pengeluaran tersebut, kami berharap dapat menembusi pasaran Eropah dan ia dijangka dapat meningkatkan penguasaan pasaran eksport kami kepada 50 peratus dalam tempoh berkenaan.

"Lebih menarik lagi, kami akan dapat memperkenalkan lebih banyak produk terbaharu bagi memenuhi permintaan pasaran," ujarnya.

Merana ditipu pelaburan ikan patin

Posted: 04 Jul 2011 10:16 PM PDT


SYED IDRIS menunjukkan dokumen perjanjian pelaburan ikan patin buah dan laporan polis di Klang semalam.


KLANG – Impian seorang lelaki yang baru mendirikan rumah tangga untuk mendapat habuan sebanyak RM1,440 sebulan dalam satu skim pelaburan ternakan ikan patin buah berkecai selepas mendapati dia ditipu syarikat pengendali ternakan berkenaan.

Bukan itu sahaja, Syed Idris Syed Ishak, 28, kini terpaksa membayar balik pinjaman bank berjumlah RM80,000 termasuk faedah selama 15 tahun yang telah dijadikan sebagai modal pelaburan tersebut.

Syed Idris berkata, dia terjebak dalam skim pelaburan itu setelah diperkenalkan oleh rakan-rakannya dan terpedaya dengan janji manis syarikat terbabit.

"Saya sebelum itu pergi ke syarikat tersebut di Bukit Tinggi di sini dan mereka menasihati saya supaya membuat pinjaman bank untuk menyertai pelaburan itu," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Syed Idris yang berkhidmat di sebuah syarikat swasta di Temerloh memberitahu, dia kemudian menandatangani surat perjanjian dengan syarikat terbabit pada Januari tahun lalu.

Berdasarkan perjanjian, jelasnya, semua urusan perniagaan akan diuruskan oleh syarikat terbabit dan dia sebagai pelabur hanya menunggu bayaran bulanan.

"Saya juga diberikan sebuah sangkar yang mempunyai 1,800 benih anak ikan patin," ujarnya.

Menurutnya, dia mula menerima habuan sebanyak RM1,020 pada Mac tahun lalu dan RM1,140 pada bulan berikutannya.

Bagaimanapun, kata Syed Idris, pada bulan Mei sehingga kini, dia tidak lagi menerima bayaran dan apabila syarikat terbabit dihubungi, pelbagai alasan tidak munasabah diberikan.

"Mereka mendakwa syarikat telah berhadapan dengan masalah, banyak ikan mati dan kesukaran pasaran," katanya.

Syed Idris berkata, tidak lama selepas itu dia cuba menghubungi pihak terbabit namun tiada jawapan sehingga dia terpaksa pergi ke pejabat syarikat berkenaan.

"Saya terkejut apabila mendapati pejabat syarikat itu sudah ditutup menyebabkan saya bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada 23 Jun lalu sebelum merujuk kes tersebut kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

"Difahamkan terdapat lebih 20 pelabur lain terdiri daripada kakitangan kerajaan yang telah ditipu syarikat yang sama," ujarnya.

Artis bersatu perjuang hak intelek

Posted: 04 Jul 2011 10:15 PM PDT




HARI ini kira-kira 300 anak seni tanah air berkumpul di bawah satu bumbung untuk mendengar dan berkongsi pandangan yang sekian lama membelenggu mereka. Barisan karyawan ini hadir ke majlis Simposium Hari Suara Bintang Kosmo!-MyiPO yang mengangkat tema Pertahankan Hak, Perkukuhkan Seni Melalui Perlindungan Hak Harta Intelek untuk mengetahui dengan lebih dalam mengenai kefahaman harta intelek milik mereka di bawah Akta Hak Cipta 1987.

Akta Hak Cipta telah diwartakan pada tahun 1987. Tujuan ia ditubuhkan adalah untuk melindungi hak-hak insan seni tanah air tidak kira penyanyi, pelakon mahupun pemuzik. Barangkali, banyak artis yang sudah bosan dengan anjuran simposium seumpama ini kerana sejak 24 tahun akta tersebut diwujudkan, sudah beratus-ratus simposium diadakan, termasuk dialog bersama pihak berwajib yang bertanggungjawab. Malangnya, sehingga ke hari ini, tiada sebarang anjakan yang terjadi dan keputusan positif yang sekurang-kurangnya dapat membantu kemelut yang dihadapi karyawan seni ini berakhir.

Mereka memerlukan mekanisme atau satu reformasi yang boleh membela mereka. Ini termasuklah isu royalti yang tidak pernah berpenghujung, isu cetak rompak yang tidak pernah mati, isu karya diplagiat, muat turun lagu secara percuma serta banyak lagi isu yang membuat mereka terus mundur kerana masih tidak dapat dibantu dengan secara agresif terhadap hak-hak mereka. Namun satu hal yang telah hampir membuat mereka semua terlupa adalah sebelum meluahkan ketidakpuasan hati atau menggesa bantuan tentang hak-hak mereka yang seperti dipijak dan dipandang enteng, ia sebenarnya berbalik kepada diri masing-masing.

Benar, para karyawan memerlukan badan, organisasi atau kementerian untuk berdiri berjuang membela nasib mereka menerusi akta yang telah dipinda. Bagaimanapun satu hal yang perlu mereka perbetulkan atau sedar sebelum meminta pertolongan daripada pihak lain adalah kefahaman tentang hak-hak mereka di dalam akta tersebut. Kefahaman dan profesionalisme - itu yang akan menjadi topik utama yang bakal dibangkitkan oleh dua artis generasi muda, Aizat Amdan dan Diana Danielle yang memikul tanggungjawab besar untuk duduk di atas pentas sebagai panel dalam usaha memberi kesedaran sesama rakan artis yang lain tentang kepentingan mengetahui hak-hak mereka.

Bagi penyanyi Aizat, dia berdebar untuk duduk sebagai panel pada simposium yang dihadiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu. Mengaku berasa tidak layak untuk bercakap secara terbuka terutama di hadapan para senior dalam bidang hiburan tanah air, namun apabila memikirkan soal tanggungjawab berkongsi ilmu dan kefahaman tentang hak-hak intelek artis, dia bersetuju untuk menjadi panel. "Saya tidak mahu berkhutbah. Saya mahu menyentuh isu ini bermula dari asas iaitu dengan memberi penekanan terhadap kefahaman dan profesionalisme seseorang artis itu sendiri untuk melindungi hak-hak mereka.


KEDUA-DUA artis muda ini berasa terpanggil untuk bersetuju menjadi panel kerana mahu membela nasib rakan artis yang lain.


"Adakah kita sendiri tahu apa hak kita dan apa yang kita perjuangkan? Itu yang ingin saya tegaskan. Saya ingin mengingatkan diri sendiri dan rakan artis lain juga bahawa sikap dan profesionalisme seseorang artis itu akan dapat banyak membantu mereka pada masa hadapan," ujar Aizat penuh semangat. Selain isu royalti, penyanyi yang juga komposer itu turut mahu setiap artis menilai dan memahami kontrak yang diberikan sebelum ia dipersetujui. Ini kerana, apabila sesuatu kontrak telah ditandatangan, ia bermakna semua yang terkandung sudah dipersetujui, sekali gus menimbulkan kesukaran untuk seseorang artis bersuara apabila mereka tertindas.

Katanya lagi, memang kontrak selalu tidak akan menyebelahi pelaku seni, namun sebagai seorang 'pekerja' yang telah bersetuju untuk memberi khidmat kepada sesebuah produksi atau pihak, dia juga mempunyai hak untuk meminta bahagian yang dirasa setimpal dengan servis yang bakal diberikan. "Ia sebenarnya berbalik kepada sikap artis itu sendiri iaitu jangan memandang remeh terhadap kontrak yang mahu ditandatangan. Kita sendiri perlu memahami hak sebagai seorang pelaku seni," ujarnya yang cukup teliti soal kontrak yang ditandatangani sebelum membuat persetujuan untuk memberi khidmatnya.

Diana mahu hak saraan

Sementara itu, pelakon Diana Danielle pula akan cuba memberi penekanan terhadap kepentingan insurans untuk sesebuah produksi dan waktu kerja yang harus dipantau. Pelakon berusia 20 tahun itu juga mahu hak saraan pelakon mendapat pembelaan yang sewajarnya. "Saya pernah meminta hak saraan daripada pihak produksi. Bagaimanapun saya kemudian dikecam kerana demanding. Secara jujur, ia bukan soal saya demanding, tapi ia soal hak saya sebagai seorang pelakon apabila produk yang menggunakan khidmat saya terus diulang tayang dan hanya satu pihak yang mendapat keuntungan, tetapi tidak bagi pelakon seperti kami.

"Sebagai pekerja industri yang tidak mempunyai skim simpanan wang pekerja (KWSP) kos saraan seperti ini adalah jaminan masa hadapan kami. Jadi soal hak saraan pelakon memang wajib diberikan kepada setiap pelakon," ujarnya bersungguh-sungguh. Diana turut menegaskan, seseorang pelakon perlu bekerja dalam tempoh waktu yang dikawal. Jika mereka perlu bekerja selama 12 jam sehari misalnya, jam ke-13 perlu dibayar lain dan begitu juga untuk jam seterusnya. Ini penting kerana menurut Diana, rumah produksi seperti di Eropah menggunakan sistem sedemikian bagi membela hak karyawan mereka. Sehubungan itu juga, Aizat dan Diana mencadangkan kepada pihak MyiPO dan kementerian menyediakan satu garis panduan yang ringkas tetapi lengkap agar ia mudah difahami semua karyawan. Peka bahawa buku akta Hak Cipta 1987 dijual di kedai-kedai buku, namun mereka berpendapat, adalah lebih baik jika satu lagi bentuk risalah yang lebih efisien disediakan untuk pemahaman para pelaku seni.

Fasha jadi penyanyi dalam Dewa Cinta

Posted: 04 Jul 2011 10:14 PM PDT


PROFESIONAL. Walaupun dikatakan mempunyai sedikit konflik antara satu sama lain, namun Fasha Sandha dan Iqram Dinzly tetap dapat menjayakan karakter sebagai pasangan kekasih dalam drama bersiri Dewa Cinta dengan baik.


AKTRES Fasha Sandha yang sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila bersengketa dengan pasangannya dalam drama Dewa Cinta, aktor Iqram Dinzly, apabila aktor itu dikatakan lewat datang ke lokasi penggambaran telah berusaha keras belajar bermain gitar demi wataknya dalam drama terkini tersebut. Drama sebanyak 24 episod yang menghiasi slot Akasia di TV3 itu memerlukan Fasha belajar asas bermain gitar kerana wataknya sebagai June seorang pemuzik dan penyanyi di pub.

"Watak dalam drama ini sangat berbeza dengan watak yang pernah saya bawakan sebelum ini dan juga diri saya sendiri. "Ini kerana hakikat sebenarnya saya tidak pandai bermain gitar, tetapi demi memberikan lakonan yang berkesan selama sebulan lebih saya belajar main gitar. "Alhamdulillah, sekarang saya sudah boleh memetik gitar secara asas. Kiranya, kalau saya main gitar, bolehlah dengar muziknya tetapi saya masih dalam peringkat belajar. Saya seronok kerana dapat mempelajari perkara yang baharu sepanjang menjalani penggambaran drama Dewa Cinta," kata Fasha yang ditemui pada majlis pelancaran drama itu di Restoren Bora Ombak, Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Meskipun dirinya tidak pernah surut dihambat kontroversi dan kemunculan pelakon baharu yang ramai, Fasha tetap menjadi pilihan pengarah dan penerbit untuk drama terbitan mereka. Kini, wajah Fasha antara wajah aktres yang paling kerap ditonton di kaca televisyen. Bersyukur dengan rezeki yang diterimanya, Fasha meluahkan rasa terharunya kerana dirinya masih menjadi pilihan. "Memang saya penat kerana sibuk bekerja tetapi saya tidak sampai hati untuk menolak tawaran drama yang bagus kerana kalau ikutkan ramai pelakon baharu yang muncul setiap hari. "Saingan bertambah sengit, tetapi penerbit dan pengarah masih memilih saya. Saya berterima kasih atas sokongan semua, sebab itu saya selesa berlakon drama, tambahan drama bersiri memberi pulangan lumayan," ujarnya tidak berselindung.

Iqram yang menjadi pasangan Fasha dalam drama ini mengakui dia mempunyai masa yang seronok sepanjang berlakon drama ini walaupun pernah berperang sebentar dengan Fasha. Katanya, selepas kontroversi itu, hubungannya dengan Fasha kembali pulih seperti biasa. Malah, ketika majlis pelancaran, Fasha dan Iqram masing-masing dilihat profesional dan menjiwai watak mereka sewaktu diminta untuk bergambar bersama.

Sambung Iqram mengenai wataknya dalam Dewa Cinta: "Watak Iqbal lebih kurang sama dengan diri saya. Masih tak kahwin-kahwin dan sedang mencari. Pada usia 29 tahun, Iqbal masih tidak fikir pasal kahwin tetapi bila berjumpa dengan June, Iqbal mula menagih cinta wanita tersebut."

Drama Dewa Cinta yang diarahkan oleh pengarah, Haris Fadzillah itu telah mula disiarkan pada 20 Jun lalu di Slot Akasia TV3 setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 7 malam. Dewa Cinta mengisahkan tentang Iqbal (Iqram Dinzly) yang dibesarkan dengan penuh kemewahan oleh keluarga angkatnya, Norhan (Hafizuddin) dan Rohaya (Aida Khalida). Memori hitam pada zaman kanak-kanak akibat sikap ayah kandung yang sangat garang dan tegas terhadapnya selepas ibu dan kakaknya menghilangkan diri menyebabkan jiwa Iqbal mula memberontak dan selesa menyembunyikan sikap panas barannya sebalik penampilannya yang elite. Selain Iqram dan Fasha, drama ini turut dibintangi oleh pelakon, Aida Khalida, Nabila Huda, Lana Nordin, Bkay Nair, Hafizuddin dan penampilan istimewa, penyanyi, Black.

Penggodam hantar mesej Obama mati dibunuh

Posted: 04 Jul 2011 10:13 PM PDT




WASHINGTON - Akaun Twitter stesen FoxNewspolitics milik syarikat penyiaran Fox digodam semalam dengan menyatakan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (gambar) sudah mati ditembak.

Menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, laporan mengenai kematian Obama adalah tidak benar kerana presiden berkenaan menghabiskan masa bersama keluarganya semalam.

"Para penggodam telah menghantar beberapa mesej yang menyatakan Obama dibunuh," kata kenyataan daripada syarikat Fox.

Menurut syarikat itu, penggodaman itu sedang disiasat.

Parti adik Thaksin akan bentuk kerajaan campuran

Posted: 04 Jul 2011 07:37 PM PDT


YINGLUCK SHINAWATRA (kanan) disambut oleh beberapa penyokongnya sebelum dia mengadakan mesyuarat dengan para pemimpin empat parti politik di sebuah hotel di Bangkok semalam.


BANGKOK - Parti Pheu Thai akan membentuk kerajaan campuran dengan empat parti politik lain bagi memastikan kerajaan stabil, kata calon perdana menteri, Yingluck Shinawatra daripada parti berkenaan semalam.

Pheu Thai yang memenangi 265 kerusi pada pilihan raya umum kelmarin, akan bekerjasama dengan Chart Thai Pattana yang mendapat 19 kerusi parlimen, Chart Pattana Pueu Pandin (tujuh kerusi), Phalang Chon (tujuh kerusi) dan Mahachon (satu kerusi).

"Dengan 299 kerusi, kerajaan campuran stabil sepenuhnya untuk bekerjasama dan berkhidmat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan parti-parti itu di sini semalam.

Pemimpin Pheu Thai, Yongyuth Wichaidit, penasihat Chart Thai Pattana, Mejar Jeneral Sanan Kajornprasart, pemimpin parti Chart Pattana Puea Pandin, Wannarat Charnnukul dan pemimpin Phalang Chon, Chao Maneewong hadir pada mesyuarat itu.

Yingluck berkata, agenda segera kerajaan baharu ialah untuk bekerja ke arah mencapai penyatuan rakyat dan menangani masalah ekonomi khasnya mengenai kenaikan harga barang dan komoditi.

"Kita juga akan memulihkan hubungan dua hala dengan negara jiran kita," katanya yang jelas merujuk pada hubungan Thai-Kemboja.

Hubungan kedua-dua negara agak renggang kebelakangan ini akibat konflik sempadan.

Beliau berkata, kesemua lima parti komponen berkongssi aspirasi yang sama untuk membawa negara ini ke mercu pembangunan baharu dan kestabilan untuk manfaat rakyat.

Mengikut Perlembagaan Thai, Parlimen perlu mengadakan sesi sidang pertamanya dalam masa 30 hari dari hari pilihan raya dan kemudian akan memilih perdana menteri menerusi proses pengundian di parlimen sebelum kerajaan baharu boleh dibentuk.

Astora Jabat sudah jangka kalah

Posted: 04 Jul 2011 07:36 PM PDT


ASTORA JABAT


KOTA BHARU - Bekas wartawan Utusan Malaysia, Asae Toramae atau lebih dikenali sebagai Astora Jabat kalah dalam pilihan raya umum Thailand yang menyaksikan Parti Demokrat pimpinan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva tumbang.

Beliau sudah menjangkakan kekalahan tersebut kerana pencalonannya bagi kawasan Parlimen Ruso/Jabat iaitu kawasan majoriti Melayu-Islam dalam Wilayah Narathiwat di selatan Thailand hanyalah satu permulaan baginya menceburi dunia politik.

"Saya sudah jangka akan kalah kerana menjadi orang terakhir mendaftar sehari sebelum tamat pencalonan.

"Tetapi saya tidak anggap kalah kerana saya seorang yang tidak akan mengalah dalam perjuangan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau yang mewakili Parti Harapan Baru (NAP) pimpinan bekas Perdana Menteri, Jeneral Chawalit Yongchaiyud, tewas dalam pertembungan tujuh penjuru.

Astora menjelaskan, banyak faktor menyebabkan kekalahan antaranya kerana beliau tidak dapat berkempen lebih lama.

Beliau yang berasal dari Ruso masih belum cukup dikenali masyarakat tempatan.

"Masyarakat belum cukup mengenali saya kerana selama 35 tahun saya berada di luar negara seperti Mesir, Maghribi dan Malaysia.

"Saya anggap ini pengalaman baharu yang bagus dan ia percubaan saya untuk mengenali dunia politik di sini,'' katanya.

Paip gas ke Israel meletup

Posted: 04 Jul 2011 07:35 PM PDT


SEBATANG paip gas ke Israel meletup di Bir al-Abd, Mesir semalam.


BAITULMUQADDIS - Seorang pegawai Israel semalam menolak kebimbangan bahawa bekalan bahan api terputus selepas satu serangan bom ke atas paip gas Mesir menyebabkan penyaluran gas ke negara Yahudi berkenaan terhenti untuk kali ketiga sejak Februari lalu.

"Pada masa ini tiada bekalan gas dari Mesir," kata pegawai itu yang merupakan jurucakap Kementerian Infrastruktur Nasional, Maya Etzioni.

"Bagaimanapun, kami (Israel) sentiasa bersedia dengan penyelesaian alternatif, bekalan alternatif. Terdapat gas dari Yam Thetis," katanya yang merujuk kepada bekalan gas di pesisir pantai Israel.

Mesir menyalurkan sekitar 40 peratus bekalan gas asli Israel yang digunakan untuk menghasilkan kuasa elektrik.

Selepas serangan pada Februari lalu, Israel membenarkan stesen jana kuasa elektrik menggunakan petrol atau arang batu sebagai bahan api untuk mengelakkan bekalan elektrik terganggu.

Pasukan keselamatan Israel menyatakan, pihaknya menerima maklumat perisikan sekitar sepuluh hari lalu bahawa sebuah kumpulan jihad merancang untuk menyerang saluran paip di Semenanjung Sinai Mesir.

Namun, ia memberitahu, masih terlalu awal untuk menuding jari ke arah kumpulan berkenaan bertanggungjawab melakukan serangan semalam itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu