Ahad, 3 Julai 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Neelofa Tidak Gusar Dihimpit Kontroversi

Posted: 03 Jul 2011 07:35 PM PDT

BAGAI sudah menjadi trend pula, asalkan ada rupa dan berpotensi pasti akan diasak kontroversi melalui gosip-gosip yang muncul berbanding hasil kerja.

Untuk kesekian kalinya, pola yang sama turut berlegar dalam diri pendatang baru Noor Neelofa Mohd Noor (Neelofa).

Belum pun genap setahun bergelar pelakon, gadis yang mesra disapa Lofa ini bagai sudah jenuh dibelit rantaian kontroversi.

Segala macam dakwaan liar hinggap ke tubuh mulusnya termasuklah ditohmah sebagai perampas, penipu, kaki berangan, menagih publisiti murah, gemar bersengketa dan tidak berdisiplin.

Bukan satu dua kata nista yang terpaksa ditelan tetapi menerusi pengakuannya kepada OopStarz! baru-baru ini, Neelofa cukup tenang mendepani kekalutan itu.

"Gosip dan kontroversi yang melanda adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Apa yang terjadi berada di luar kawalan dan bukannya salah saya.

"Saya adalah mangsa keadaan dan hasad dengki orang yang tidak boleh melihat kesejahteraan dan pencapaian orang lain," terangnya.

Sebagai muka baru, Lofa berkata, bukan dipintanya segala kontroversi melanda diri. Jauh sekali untuk dia menjadikan cerita buruk itu sebagai strategi melonjakkan nama.

"Sering kali orang bertanya sejauh mana kebenaran setiap dakwaan itu namun apa yang boleh dikatakan kenapa pula saya harus mencipta kontroversi semata-mata untuk popular?

"Saya masih lagi waras untuk membezakan tindakan yang wajar dan sebaliknya. Tidak mungkin saya sanggup mencalar maruah dan reputasi hanya untuk dikenali dengan cepat," katanya.

Hikmah di sebalik gosip

Mendengarkan jawapan itu, pelakon filem Azura 2011 ini lantas diaju pertanyaan apakah dia melihat segala kecaman itu sebagai sesuatu yang adil buatnya?

Jawabnya, "Memang saya pernah terfikir mengapa diri ini kerap diuji dengan cerita-cerita negatif. Namun, apabila saya renungkan dari sudut lain, banyak hikmah yang berlaku pada kerjaya saya yang baru berkembang ini.

"Makin hebat dugaan dan gosip singgah, semakin banyak tawaran dan peluang lakonan pula diterima. Jadi saya menerima ujian ini dengan redha."

Seoptimis pendiriannya, Neelofa selesa memilih pendekatan untuk bersikap tenang dan bijak mengatasi tekanan yang menghimpit.

"Saya belajar untuk tidak mudah mempercayai orang dan peka serta berhati-hati dengan persekitaran. Walaupun kontroversi itu pedih tetapi ia adalah guru terbaik yang membuka lembaran baru dalam kehidupan saya.

"Selepas enam bulan menceburi bidang ini, percaya atau tidak segala kontroversi ini sebenarnya menjadikan saya lebih kuat dan dapat melihat warna sebenar kehidupan," katanya.

Shahz Jaszle hanya teman rapat

Diimbas semula enam bulan yang lalu, gosip hubungannya dengan aktor Shahz Jaszle adalah punca awal yang mengheret nama Lofa ke lembah kontroversi.

Susulan daripada jolokan perampas yang dihamburkan kerana menjadi punca keretakan hubungan cinta aktor kacak itu dengan aktres Maria Farida, Lofa terus dihujani pelbagai cerita kurang enak.

Kini, selepas setengah tahun cerita itu meletus, penafian Lofa terhadap hubungannya dengan aktor itu terus dianggap sebagai omong kosong.

Apa yang berlaku depan mata adalah keintiman dan kemesraan mereka di majlis-majlis hiburan dan di khalayak seakan mengiyakan persepsi bahawa mereka sedang menjalin hubungan.

Tika perkara itu diajukan, Lofa dengan gestur bersahaja sempat tergelak sebelum membalas.

"Saya sudah tidak kisah dengan apa juga persepsi dan telahan orang terhadap kisah saya dan Shahz. Saya akui kami rapat sebagai rakan karib kerana keserasian itu.

"Namun, tidak sampai ke tahap bercinta seperti yang disangkakan. Hanya kami saja yang mengetahui cerita sebenar, jadi terpulanglah kepada orang sama ada untuk mempercayainya atau tidak," jawabnya.

Tidak akan mengalah

Akuinya lagi, pada fasa ini dia sebenarnya sudah jelak dan bosan dengan tohmahan yang dikaitkan dengan namanya.

Namun, atas niat yang tulus untuk mencanai potensi diri dalam bidang seni serta sokongan keluarga dan peminat, dia takkan mengalah untuk terus berjuang.

Semua cerita yang sudah berlaku atau mungkin berulang pada hari muka tidak akan menggugat objektifnya menceburi bidang seni.

"Saya tidak akan pernah mengalah atau berputus asa. Ini jalan yang saya pilih dan saya benar-benar serius dalam bidang ini.

"Sebenarnya, semua kesulitan itu lebih mudah dilalui apabila saya mengambil pendekatan tidak kisah dan menganggapnya sebagai perkara remeh-temeh.

"Setiap yang berlaku itu ada baik buruknya. Jika benar ada salah saya di mana-mana, saya akan perbaiki. Namun, apabila gosip itu tidak benar, saya hanya mampu pasrah dan berserah saja," luahnya.

Berganti laki kikis wang

Posted: 03 Jul 2011 07:33 PM PDT

KESAL...Alaa menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
KESAL...Alaa menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.

KUALA LUMPUR: Menggunakan taktik tipu, kahwin, curi dan menghilangkan diri, seorang wanita dikatakan mengaut keuntungan jutaan ringgit daripada beberapa 'suaminya' dengan mangsa terbaru seorang ahli perniagaan Palestin yang mendakwa kerugian hampir RM1 juta.

Alaa A M Aldunna, 32, berkata perkahwinannya dengan wanita tempatan berusia 29 tahun itu berlangsung November tahun lalu selepas berkenalan dengannya di sebuah hotel, di sini.

"Selepas ditipu dan wang saya dicuri, saya dimaklumkan pihak tertentu, rupa-rupanya saya suaminya yang ketujuh. Enam lagi suaminya sebelum ini warga Malaysia dan mereka juga ditipu," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Alaa berkata, ketika berkenalan, wanita itu memperkenalkan diri Datuk Nazatul, malah turut mendakwa dia seorang kerabat diraja.


"Saya percaya dia menggunakan ilmu hitam kerana selepas berkenalan saya mengikut segala kata-katanya. Perkahwinan saya dengannya juga dilakukan tergesa-gesa dan segala-galanya diuruskannya."Kami berkahwin di bilik hotel. Jurunikah dan saksi semuanya dibawa Nazatul, malah ibu dan abangnya bersubahat untuk menipu saya," katanya.

Kumpulan 'Dhuha' Tak Pergi Sekolah

Posted: 03 Jul 2011 07:32 PM PDT

Kumpulan Dhuha.

KUALA LUMPUR: Kumpulan kanak-kanak, Dhuha, mengamalkan konsep pembelajaran di rumah dan tidak ke sekolah seperti rakan-rakan seusia mereka.

Dhuha dianggotai oleh tujuh orang adik beradik iaitu Nusaybah, 16, Nasihah, 14, Rumman, 12, Zaidan, 10, Ajwah, 8, Hamied Kishk, 5 dan Safinatunnaja, 3.

Menurut ibu mereka selaku pengurus kumpulan itu, Aidahaniza Abdul Wahab, dia dan suami, Shazly Abdullah ingin anak-anak mereka menggunakan teknik pembelajaran yang berbeza berbanding di sekolah.

"Bukan tidak percaya dengan pengajaran di sekolah tetapi kami mahu mendidik mereka belajar kerana ilmu bukan mahu lulus dalam peperiksaan.

Aidahaniza dan Shazly mahu mendidik kumpulan Dhuha dengan cara yang berbeza.

"Cuma apabila tibanya peperiksaan PMR (Penilaian Menengah Rendah) dan SPM (Sijil Pelajaran Sekolah), mereka akan ke sekolah hanya untuk menduduki peperiksaan tersebut," katanya yang merupakan seorang guru di Kolek Universiti Insaniah, Alor Setar, Kedah.

Tambah Aidahaniza, dengan cara ini juga mereka mudah membahagikan masa sebagai seorang penyanyi berkumpulan dan pelajar.

Dhuha kini muncul dengan album terbaru Mari Belajar Bahasa Arab yang berkonsepkan pendidikan belajar sambil berhibur.

Jom Menyanyi Bahasa Arab memuatkan sebanyak 14 buah lagu popular yang mudah dihafal seperti Selamat Hari jadi, Di Rumah Kami, Hari-Hari, Tubuh Badan Saya dan Alatan Belajar.

"Dalam album ini, lirik pada setiap lagu-lagu tersebut sama sahaja seperti yang dinyanyikan dalam Bahasa Malaysia, cuma ia dialih bahasakan ke bahasa Arab," ujar Aida.

Dalam pada itu, kumpulan tersebut turut didedahkan dengan penggunaan alatan muzik seperti gitar, piano dan biola.

"Sebelum ini suami saya pernah belajar di Universiti Al-Azhar di Mesir jurusan dakwah.

"Dia sendiri melihat keperluan hiburan untuk berdakwah mendidik masyarakat adalah cara yang paling efektif. Sebab itu kami ingin Dhuha turut mengusai ilmu muzik juga," katanya.

Awi Rafael Ada Cara Elak ‘Jatuh’

Posted: 03 Jul 2011 07:30 PM PDT

RASANYA, baru awal tahun ini penyanyi Awi Rafael melangkah masuk ke bidang muzik tempatan dengan memperkenalkan single lagu pertamanya, Pulanglah.

Dalam masa empat bulan saja, namanya terus dikenali dan tanpa membuang masa, Awi keluar dengan single lagu seterusnya, Bila Ku Jatuh Cinta.

Bersyukur dengan permulaan kerjaya yang baik, Awi menganggap rezeki yang diterima itu berkat daripada kesabarannya menempuh dugaan sepanjang merantau di Australia selama setahun pada tahun lalu.

"Alhamdulillah, selepas puas merantau di negara orang, saya mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia pada hujung tahun lalu dan dengan bantuan Dimas (kumpulan Hujan), saya bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music.

"Kemudian, dalam jangka masa selama empat bulan, lagu Pulanglah mendapat tempat di kalangan peminat-peminat muzik tempatan. Tak sangka segala dugaan yang dilalui sebelum ini berubah sekelip mata tanpa sedar.

"Maklumlah, bila di negara orang, kehidupan lebih banyak susah daripada senang. Tetapi saya tidak kesal sebaliknya ia satu pengajaran dan pengalaman yang mematangkan diri sendiri," tuturnya.

Walaupun popularitinya pantas berada di tangga atas, pasti terdapat pendapat skeptikal oleh segelintir orang iaitu jika seseorang itu cepat popular, maka cepatlah dia tersungkur.

Namun, penyanyi berusia 25 tahun ini menganggap perkara itu sebagai satu cabaran dan kemestiannya ialah mengekalkan kualiti muzik yang dihasilkan agar tidak mudah jatuh.

"Saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan kerana semua ini adalah kuasa Tuhan. Tetapi tidak bermakna saya akan duduk selesa tanpa berbuat apa-apa.

"Tambah pula, saya berdiri dalam bidang ini tanpa perlu menyertai program realiti. Insya-Allah, saya akan pastikan, kedudukan saya selari dengan kerja yang saya buat dan akan melakukan yang terbaik," tegas bekas vokalis kumpulan muzik Bumi Band ini.

10 soalan Awi Rafael

1. Kalau rumah bersepah?

Rumah mesti kemas. Rimas matamemandang kalau sepah.

2. Berapa kali putus cinta dan siapa namakekasih terakhir?

Dah dua kali putus cinta sebelum merantauke Australia. Biarlah rahsia namanya.

3. Pernah memasak?

Yes! Saya suka masak nasi ayam, nasi gorengdan semestinya mi segera. Makanan orangbujanglah katakan...

4. Pernah Menangis?

Manusia mana yang tak pernah menangis.Kali terakhir saya menangis ketika berjumpadengan ibu pada minggu lalu. Selaluberjauhan membuatkan saya rindu sangatdengannya.

5. Sudah berapa kali Awi hilang telefonbimbit?

Alhamdulillah, belum pernah. Jangan lalaikawan-kawan!

6. Antara Inang, Zapin dan Keroncong, apapilihan Awi?

Zapin. Dulu masa tinggal di Pontian, Johor,saya suka lihat orang kampung buatpersembahan joget Zapin.

7. Awi berasa hebat apabila...

Saya rasa hebat apabila saya jatuh cinta.

8. Suka wanita kurus atau gemuk?

Suka wanita yang yakin dengan diri sendiri.Bak kata Bruno Mars, "Cause your amazing,just the way you are,"

9. Awi akan berkaki ayam apabila...

Sudah tentu berkaki ayam di rumah!

10. Pernah tidak mandi kerana terlewatuntuk ke kelas, persembahan atau keluarbersama kekasih?

Hahahaha! Tak pernah! Paling teruk pun saya akan mandi kerbau!

Sayang & Cinta Kesederhanaan Dayang

Posted: 03 Jul 2011 07:29 PM PDT

Artis: Dayang Nurfaizah

Album: Sayang & Cahaya

Lagu Pilihan: Rahsia Cinta, Sabarlah & Life With You

Edaran: Warner Music Malaysia

MUNCUL dengan album ketujuh selepas 20 07, Dayang Nurfaizah mempertaruhkan Sayang & Cinta, iaitu sebuah album yang lebih segar dengan persembahan nyanyian pelbagai.

Masih kekal dengan konsep muzik R&B, album yang memuatkan sebanyak 12 buah lagu ini turut menyuntik elemen rhythm & blues.

Warna hijau yang ditonjolkan pada kulit albumnya sahaja memperlihatkan nilai produk baru milik anak kelahiran Sarawak ini yang ingin tampil segar seiring dengan perubahan muzik semasa.

Mendengar lagu-lagunya juga menunjukkan betapa bernilainya album Sayang & Cinta yang digarap bersama komposer-komposer kepercayaannya iaitu Syed Zain Almohdzar, Afdlin Shauki, Zuriani Zonevolde, Choker Boiley dan Audi Mok.

Ternyata aroma R&B dan pop masih menebal di jiwa Dayang dan ia tidak menunjukkan perubahan ketara yang dibawakan tetapi masih membuatkan anda tidak jemu melayan kesemua 12 lagu tersebut.

Dalam pada itu, harus diakui, vokal matap Dayang merupakan senjata paling kuat album ini. Bermaksud, jika satu atau dua lagu mungkin kurang berkenan di hati, ia kemudiannya bertukar menjadi lagu pilihan apabila mendengar buat kali kedua dan kali seterusnya.

Mainan muzik rancak dalam lagu Kau Bintangku dan Perlukah Cinta selari dengan permainan muzik dan melodi pantasnya dan kedua-dua lagu tersebut pasti membuatkan pendengar akan menari mengiringi lagu-lagu itu.

Pilihan OopStarz! semestinya lagu Sabarlah dimana permainan muzik yang hanya bergantung kepada piano sahaja cukup serasi dengan melodinya.

Selain itu, lagu berjudul Life With You juga mempunyai keunikannya tersendiri. Jika ada segelintir pihak mengatakan Dayang sering menerapkan gaya nyanyian seperti penyanyi Hollywood, Beyonce, setiap kali membawakan lagu Inggerisnya, lagu ini ternyata tidak. Life With You menonjolkan kelainan dalam diri Dayang.

Antara lagu lain dalam album ini termasuklah Mulanya Di Sini, Sayang (Duet bersama Marcell), Rahsia Cinta, Sempurna Selamanya, Hingga ke Akhirnya, Saat itu, Stay dan Ku Temu Cinta.

Selama 13 tahun bergelar penyanyi, album ini menunjukkan kematangan yang berganda pada muzik dan vokal Dayang dan secara ringkasnya, lagu yang ditampilkan segar dengan elemen nilai kesederhanaan. Boleh dikatakan hampir semua karya dalam album ini terbaik.

Bkay Nair Menari Untuk Hilang Tekanan

Posted: 03 Jul 2011 07:28 PM PDT

SEJAK membintangi filem Ratu The Movie arahan Profesor Madya A Razak Mohideen yang ditayangkan pada Mac lalu, wajah pelakon Tryambikay Vengades (Bkay Nair) semakin menjadi perhatian beberapa pengarah dan penerbit televisyen tempatan.

Dek kerana itu dia mendapat tawaran berlakon antaranya untuk drama bersiri Gerak Khas (Skop Production), Dewa Cinta (Grand Brilliance Sdn Bhd) dan Musim Kirana (RTM).

Walaupun pada mulanya dia menganggap agak sukar mendapat tempat dalam dunia perfileman dan drama Melayu, namun perasaan tersebut mula terhakis sedikit demi sedikit setelah melihat penerimaan tersebut.

Biarpun begitu, wanita yang hampir dua tahun melibatkan diri dalam industri seni ini tidak mudah berpuas hati dan selesa dengan apa yang dikecapnya. Sebaliknya dia akan terus berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita bergelar anak seni yang berjaya.

Segala pahit dan maung telah ditempuhinya sepanjang bertatih dalam industri ini, bagaimanapun dia tidak akan sekali-kali berpatah balik kepada asalnya.

Baginya, cabaran dan masalah yang dilalui itu sekurang-kurangnya memberikan pengalaman dan pengajaran baru kepadanya agar lebih cekal pada masa akan datang.

"Apabila cerita buruk tentang saya disebarkan, sudah pasti saya akan kecewa dan sedih. Saya juga mempunyai perasaan yang sama seperti orang lain dan sekuat mana pun diri ini berhadapan dengan cakap orang, hati saya tetap akan luluh.

"Tetapi biar apa pun berlaku, buat masa sekarang, saya tidak akan berputus asa dan nekad untuk berlakon," katanya kepada OopStarz!.

Dia yang kini memilih untuk berlakon sepenuh masa bersyukur kerana keluarga dan rakan-rakan sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap kariernya.

Bkay yang turut membintangi dua buah filem arahan A Razak Mohideen iaitu Bujang Terlajak dan Raya Tak Jadi ini akui tidak mahu bergantung kepada kecantikan semata-mata untuk bergelar seorang artis.

Bagaimanapun dia tidak menolak bahawa kecantikan perlu dititikberatkan oleh seseorang artis mahupun selebriti yang dikenali umum.

Berkongsi tentang amalan kecantikannya, Bkay hanya mengamalkan secara sederhana dan tidak terlalu terdesak untuk sentiasa nampak cantik.

Tarian 'salsa'

Dalam banyak-banyak perkara yang diceritakan, OopStarz! seronok berkongsi tentang amalan tarian 'salsa' yang dilakukan setiap dua hingga tiga kali seminggu untuk gaya hidup sihat.

"Saya memilih menari tarian 'salsa' untuk mengeluarkan peluh dan menganggapnya seperti senaman. Saya mengambil masa 45 minit hingga satu jam setiap kali melakukannya.

"Selain itu, saya juga menjadikan tarian sebagai cara untuk mengurangkan tekanan kerana tarian sudah sebati dalam jiwa saya.

"Saya mula menari sejak usia lima tahun dan pernah menyertai pelbagai pertandingan tarian. Saya masih aktif menari sehingga sekarang di sebuah studio bersama-sama kawan," katanya yang turut gemar membaca buku di waktu lapang.

Menariknya, bekas graduan undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini pernah memasuki pertandingan tarian zapin ketika bersekolah di Kulai, Johor.

Berbelanja untuk cantik

Sewaktu di alam persekolahan, Bkay rajin mengamalkan petua tradisional di rumah. Setelah sibuk mengukuhkan kerjayanya kini, dia akui agak sukar untuk melakukan semua itu sendiri sebaliknya perlu menghabiskan masa di spa.

Menyentuh tentang petua tradisional dia kerap menampal muka dengan kisaran kacang hijau di campur dengan bijirin dan susu atau melakukan kaedah yang sama dengan menggunakan timun dan tomato yang dikisar halus.

Ia bertujuan untuk membolehkan kulit wajah kelihatan lembut secara semula jadi.

"Sekarang saya tidak mempunyai banyak masa untuk melakukan rawatan sendiri di rumah. Kadangkala apabila pulang ke rumah, badan sudah penat, jadi saya hanya menggunakan masa terluang untuk ke spa dan salun.

"Saya memilih rawatan lulur dan mandi rempah untuk seluruh badan di spa setiap sekali dalam sebulan dan kerap mencuci rambut di salun kerana saya tidak melakukannya di rumah.

"Dalam sebulan, saya menganggarkan RM1,000 akan dikeluarkan apabila berbelanja. Wang itu termasuk membeli produk kosmetik yang kadangkala boleh digunakan dalam beberapa bulan.

"Apabila ke spa dan salun, saya memilih rawatan berpakej dan mendapat diskaun. Jadi, saya rasa berbaloi juga untuk berbelanja lebih asalkan diri sentiasa cantik, segar dan bersih," ujarnya.

Selain itu, dia mengamalkan pemakanan sihat seperti makan yogurt, buah-buahan, minum tujuh gelas air putih setiap hari dan mengelakkan minuman berkarbonat.

Beralih kepada produk kosmetik, wanita berasal dari Johor ini mengekalkan penggunaan produk New York Skin Solution sejak lebih setahun lalu.

"Saya mempunyai kulit yang sensitif dan kering. Jika saya tersalah menggunakan produk, kulit muka saya akan menjadi lebam dan kemerah-merahan.

"Apabila menggunakan kosmetik, saya perlu cepat-cepat membersihkan muka. Biarpun kulit saya tidak mempunyai masalah dengan jerawat, tetapi saya risau akan keluar bintik pada muka," ujarnya.

Untuk mengelakkan kulit menjadi kering, Bkay turut membawa krim tangan dan pelembap kulit Vaseline dalam beg tangannya setiap masa untuk disapukan pada bibir, siku dan tangan yang digunakan sejak di bangku sekolah lagi.

80% tak daftar

Posted: 03 Jul 2011 07:27 PM PDT

SOAL...seorang penduduk bertanyakan soalan dalam sesi dialog, semalam.
SOAL...seorang penduduk bertanyakan soalan dalam sesi dialog, semalam.

KUALA LUMPUR: Lebih 80 peratus Pusat Asuhan Kanan-kanak (taska) di ibu negara ini belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disebabkan pelbagai faktor antaranya kerenah birokrasi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tidak mendapat kebenaran jiran.

Daripada 285 taska membabitkan institusi, rumah, tempat kerja dan komuniti, hanya 30 yang berdaftar, sementara itu 18 masih dalam proses mendapatkan permohonan berlesen.


Pengarah JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Noormah Abdul Rauf, berkata statistik itu semakin membimbangkan kerana jumlah itu bakal meningkat setiap tahun jika dibiarkan berterusan.

Menurutnya, kebanyakan taska bukan sengaja tidak mahu mendaftar, tetapi terpaksa berdepan pelbagai kerenah birokrasi PBT untuk meluluskan permohonan lesen selain masalah kebenaran daripada jiran untuk wujudkan taska di rumah.


"Pelbagai prosedur perlu dipatuhi pengusaha seperti pelan bangunan dan tahap keselamatan bagi melayakkan mereka mendapat lesen pendaftaran menyebabkan prosedur itu menjadi susah dan lambat.


"Bagi pengusaha taska di rumah, mereka berdepan masalah kebenaran daripada jiran untuk operasi itu selain perlu mematuhi pelbagai perancangan bagi penukaran status kediaman kepada premis perniagaan," katanya kepada sidang media selepas sesi dialog JKM bersama pengusaha taska dan penghuni kuarters Kerajaan Jalan Duta, di sini, kelmarin.

Noormah berkata, JKM tidak dapat memberi sokongan kepada pengusaha sekiranya taska yang tidak berdaftar mengalami kemalangan dan keadaan ini menyukarkan mereka menangani masalah itu.


"Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap taska yang tidak berdaftar dan didakwa di mahkamah serta denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara. Pengusaha juga boleh dikompaun maksimum RM5,000 bagi setiap kesalahan dan taska mereka ditutup."Sehingga kini, JKM menutup sebuah taska dan dua pusat jagaan kanak-kanak di WPKL," katanya.


Katanya, pengasuh perlu mengikuti kursus asuhan kanak-kanak kerana pengasuh yang tidak bertauliah bukan saja membahayakan keselamatan kanak-kanak, malah boleh membawa kepada kematian dan menasihati ibu bapa lebih peka memilih taska bagi mengelak kejadian buruk berlaku.

Pontianak baik

Posted: 03 Jul 2011 07:25 PM PDT

  • Foto

  • Foto

    PENGARAH bersama barisan pelakon filem Tolong Awek Aku Pontianak.

Sazzy teruja menanti tarikh 7 Julai 2011

CERITA pasal pontianak kembali lagi ke pawagam. Kalau sebelum ini Maya Karin tampil sebagai pontianak menerusi Pontianak Harum Sudal Malam, tetapi untuk versi Tolong! Awek Aku Pontianak pula menampilkan Sazzy Falak sebagai hantu yang jelita lagi menggoda.
Namun, antara Maya dan Sazzy, karektor pontianak dalam filem mereka memang agak berbeza. Maya dalam Pontianak Harum Sundal Malam bangkit untuk membalas dendam di atas lelaki yang membunuhnya sekaligus memperlihatkan karektor jahat.
Sebaliknya, Sazzy dalam Tolong! Awek Aku Pontianak arahan James Lee adalah pontianak baik.

"Saya pun pada awalnya memang agak keliru dengan watak pontianak yang dibawakan kerana menerusi filem ini (Tolong! Awek Aku Pontianak), saya jadi hantu yang baik, bukan pembunuh atau penghisap darah.

"Sebab itulah saya mengambil masa agak panjang juga untuk memahami karektor ini," katanya.

Begitupun, dia bersyukur kerana dapat bekerja dengan insan profesional, terutama James yang memberikan banyak panduan input selain menjadikan dirinya faham sepenuhnya untuk menghidupkan watak Maya.
Sazzy juga menjelaskan dia beruntung kerana digandingkan dengan Zahiril Adzim yang dianggap sebagai berbakat besar dan tidak mengambil masa lama untuk membentuk keserasian sepanjang menjayakan watak masing-masing.

"Di set penggambaran kami cepat mesra malah punya keserasian sebagai teman gandingan. Apa pun pengalaman di set begitu menyeronokkan.

"Walaupun Maya nampak seperti kayu, hakikatnya itulah yang membuatkan dirinya unik kerana di sebalik sifat luaran yang keras, Maya punya hati yang putih salju selain mengharapkan cinta sejati daripada seorang insan. Seboleh-bolehnya saya cuba bersikap seperti biasa untuk menjadikan watak itu lebih hidup," katanya yang turut berdebar menanti maklum balas penonton.

Bercerita lanjut mengenai wataknya sebagai hantu pontianak bernama Maya, Sazzy berkata, untuk watak itu selain memenuhi kehendak pengarah, dia perlu berlakon tanpa ekspresi yang banyak.

"Watak Maya ini sebenarnya bertentangan dengan keghairahan lakonan saya yang lebih menitikberatkan ekspresi. Tapi demi mencabar diri, saya lakukannya juga. Maya ialah hantu dari era 50-an yang sangat baik dan naif. Dia disumpah menjadi pontianak.

"Wataknya agak kontra berbanding lakonan adiknya, Liyana (lakonan Liyana Jasmay). Liyana lebih ceria dan gila-gila. Watak Maya menuntutnya untuk menyembunyi status dirinya sebagai pontianak daripada pengetahuan masyarakat," katanya yang turut menanti tayangan filem Dari Kerana Mata.

Tambah pelakon wanita berdagu cantik semula jadi ini, dia bersyukur kerana tarikh tayangan serta jadual mempromosikan filem Tolong! Awek Aku Pontianak dibuat selesai menjalani berpantang melahirkan anak.

"Selain mempromosikan filem ini, tumpuan utama saya tetap pada keluarga dan anak-anak. Saya juga akan memperlahankan sedikit kerjaya lakonan dan memberi tumpuan kepada bidang pengacaraan. Lagipun pengacaraan tidak mengambil masa yang lama berbanding lakonan.

"Mungkin saya akan kembali aktif selepas anak kembar saya berusia enam bulan ke atas. Tapi andai ada kata ada tawaran berlakon yang berbaloi untuk diterima, saya sedia mempertimbangkan sekali gus tidak ralat untuk berenggang dengan anak," katanya.

Populariti pelakon bukan pelaris

HANYA dua bulan masa diambil untuk menyiapkan skrip Tolong! Awek Aku Pontianak manakala penggambarannya sekitar 25 hari namun filem komedi seram yang mengisahkan percintaan anak muda dari dua alam berbeza tampil penuh bergaya apabila sarat dengan aneka rencah - penuh drama, kejutan dan humor hingga penghujung cerita.

Di tangan James Lee selaku pengarah dan penulis skrip, kisah anak muda bernama Bob lakonan Zahiril Adzim yang ditinggalkan kekasih dan kemudian terpaut hati terhadap gadis depan rumah, Maya (Sazzy Falak) yang tanpa disedari adalah pontianak jelmaan manusia diolah sebegitu cantik kerana mampu membuatkan penonton tertunggu-tunggu babak seterusnya.

Melihat senarai pelakon, penerima Anugerah Filem Terbaik Asean di Festival Filem Antarabangsa Bangkok 2005 itu tidak kisah membariskan wajah baru dalam penerbitannya malah dia enggan menjadikan populariti sebagai pelaris sebaliknya 'bersenjatakan' keseluruhan pakej untuk memancing khalayak ke pawagam terutama menyediakan plot yang bagus.

"Setiap pengkarya punya alasan tersendiri apatah lagi saya sendiri suka bereksperimentasi. Bagi saya tidak perlu penonton digula-gulakan kerana dalam sesebuah filem, setiap elemen memainkan peranan penting termasuk lakon layar, sinematografi dan pemilihan pelakon apatah lagi kita sebagai penonton mesti mahu mengikuti cerita yang bagus sebelum membeli tiket.

"Bagi saya bakat baru mudah dibentuk. Lagipun mereka ini memang berbakat besar cuma tiada peluang lagi. Kita juga membantu industri dengan menggilap bakat baru. Filem ini contohnya, saya yakin tidak salah pilih kerana selain barisan bintang sedia ada, kehadiran beberapa muka baru mewarnakan kisah. Mereka memang berbakat, saya sendiri masih ketawa walau berulang kali menontonnya," katanya selepas prebiu Tolong! Awek Aku Pontianak.

Filem terbitan Tayangan Unggul yang dijadualkan masuk panggung bermula 7 Julai ini berkisar kehidupan lelaki lurus bendul, Bob yang berpindah ke pangsapuri baru bersama teman baiknya, Pian (Sufian Mohamed) untuk membina hidup baru selepas percintaannya dengan Ina (Faezah Elai) berkecai namun sebenarnya mereka berjiran dengan dua bersaudara pontianak, Liyana (Liyana Jasmay) dan Maya.

Walau pada awalnya si adik kurang menyenangi kehadiran mereka kerana khuatir identiti terbongkar, selepas pasti kejujuran lelaki itu, mereka berempat menjadi rakan baik malah ketua Bob, Faizal (Rashidi Ishak) yang sering membulinya turut menawarkan peluang pekerjaan kepada Maya dan pada masa sama secara terbuka menyambut cinta Bob.

Selepas melalui insiden menakutkan, Faizal dan sekutunya, Kamal (Yus Waisar) cuba mendedahkan siapa Maya dan Liyana yang sebenar hingga mereka berusaha mendapatkan bantuan bomoh ulung bernama Aaron Slam Bach (Harun Salim Bachik) malah keadaan semakin kelam kabut apabila kakak sulung yang ganas, Nadia (Nurul Wahab) muncul.

Antara muka baru yang membuatkan penonton tidak kering gusi melihat telatah mereka adalah watak Pian dan Kamal kerana punya daya penarik yang mewarnakan keseluruhan cerita terutama Sufian selaku teman karib Bob. Tidak perlu dialog berlebihan atau aksi slapstik, melihat memek mukanya sudah mampu membuatkan panggung bergema dengan gelak tawa.

Gelisah di sisi bintang besar

Yus yang mengakui baru pertama kali bekerja dengan James juga tidak wajar diketepikan apabila dalam keadaan tertentu wataknya menyemarakkan lagi sikap nakal anak majikannya, Faizal sekali gus bertindak sebagai orang suruhan malah secara simbolik menunjukkan orang kecil dapat merasa kuasa dengan 'menghimpit' orang besar.

Watak sampingan lain juga dilihat begitu 'menjadi' terutama perwatakan Faizal yang suka menggunakan hasil kerja Bob untuk menaikkan nama sendiri malah sampai suatu tahap disebabkan tidak dapat menakluk perasaan Maya, dia cuba memerangkap gadis itu dengan helah kotor tetapi akhirnya turut berjaya membongkar sisi menakutkan Maya.

"Saya tidak pernah bekerja dengan James namun mengagumi karyanya. Apabila diminta membawakan watak lelaki kasanova di bawah arahan sutradara istimewa ini, sudah tentu saya teruja. Paling mencabar tentu saja ketika parti kostum. Saya dan Sufian memakai kostum dari filem Avatar hingga terpaksa disolek lebih empat jam," katanya yang menanti peluang bekerja lagi dengan sutradara itu.

Paling menggamit tumpuan sudah pasti kecomelan watak Bob dan Maya yang menunjangi Tolong! Awek Aku Pontianak kerana masing-masing punya keunikan yang membuatkan khalayak geram dan suka kepada dua karektor ini dalam satu masa.

Menyingkap latar belakang kedua-dua pemegang watak ini, masing-masing secara kebetulan pernah membawa pulang trofi di Festival Filem Malaysia meskipun berlainan musim namun bukan kejayaan itu yang membuatkan James terpanggil untuk menggandingkan mereka sebaliknya keyakinan terhadap bakat mereka.

Bagi Zahiril Adzim, peranan yang diajukan James memang tidak mungkin dilepaskan kerana menonjolkan watak berbeza berbanding beberapa produk terdahulu sekali gus berusaha mengorek sisi lain dalam dirinya.

"Saya terkejut apabila dia menawarkan watak dalam filem komedi hingga membuatkan saya meminta pandangan daripada beberapa individu walau cukup berminat bekerja sekali lagi di bawah arahannya. Apabila masuk ke set, saya banyak belajar daripadanya malah boleh dikatakan James insan yang bertanggungjawab mencungkil karektor yang lebih lucu untuk filem ini.

"Sudah pasti saya gelisah kerana bekerja dengan nama besar termasuk Sazzy Falak, Rashidi Ishak, Datuk Jalaluddin Hassan, Jehan Miskin, Syanie dan ramai lagi, mereka nyata turut sedia berkongsi ilmu. Sazzy misalnya, saya tidak sangka suatu hari nanti berganding bahu dengan aktres pujaan dalam filem," katanya tanpa berselindung.

Supermodel, bilionair bercerai

Posted: 03 Jul 2011 07:24 PM PDT

PORTMAN dan Natalia berpisah selepas sembilan tahun berkahwin.
PORTMAN dan Natalia berpisah selepas sembilan tahun berkahwin.
PASANGAN itu mempunyai tiga anak, dua lelaki dan seorang perempuan.
PASANGAN itu mempunyai tiga anak, dua lelaki dan seorang perempuan.

NATALIA Vodianova adalah antara supermodel paling berjaya di dunia sementara Justin Portman pula ialah aristoktrat Inggeris, mewarisi harta berjumlah berbilion-bilion paun.

Namun, kisah cinta antara Portman, yang keluarganya memiliki 110 ekar tanah di tengah London dan Natalia, wanita yang dulunya miskin dan berasal dari Russia dan kini menjadi kaya raya, sudah berakhir.

Pasangan itu yang mempunyai tiga anak hasil perkongsian hidup mereka - Lucas, sembilan, Neva, lima dan Viktor, tiga, berpisah selepas sembilan tahun mendirikan rumah tangga.

Meskipun menafikan mereka akan bercerai sebelum ini, Natalia yang mempunyai harta peribadi berjumlah �15 juta (RM75 juta), akhirnya mengesahkan khabar angin itu dalam satu wawancara.


Wanita berusia 29 tahun itu memberitahu majalah ES: "Ia sungguh memilukan. Kami tidak bercakap mengenainya. Anak kami menyedari perkembangan itu. Saya tidak fikir saya akan bercakap mengenainya."Portman, 41, ialah adik tiri Viscount Portman, lelaki ke-53 paling kaya di Britain dengan harta berjumlah kira-kira �1.2 bilion (RM6 bilion).


Portman dan Natalia memiliki rumah di seluruh dunia, termasuk kediaman mewah di London, ladang seluas 3,000 ekar Herefordshire, rumah abad ke-14 di Sussex Barat, sebuah kediaman di New York dan sebuah rumah percutian di Uruguay.

Apabila ditanya sama ada dia kini bercinta dengan lelaki lain, Natalia mengaku: "Ya. Sudah tentu."

Dia bagaimanapun enggan menamakan kekasih barunya.

Sejak beberapa bulan lalu dia dikaitkan dengan pelakon bermasaIah, Jonathan Rhys-Meyers, yang berlakon bersama-samanya dalam filem Belle du Seigneur.

Dia juga dikatakan rapat dengan bekas jurugambar perang, Scott Douglas yang bercerai dengan artis, Tracey Emin tahun lalu selepas tujuh tahun hidup bersama.

Beberapa laman web Russia juga mendakwa Natalia semakin intim dengan pengarah televisyen Russia, Andrey Boltenko. Dakwaan itu sebelum ini dianggap karut.

Dan yang terbaru, dia dikaitkan dengan pakar kewangan, Alexander Peshko.

Keretakan pada rumah tangga Natalia dan Portman mula berlaku pada akhir 2009.

Jelitawan itu menghabiskan musim perayaan di Antigua sementara Portman pula memberi lebih banyak tumpuan pada rumah mereka di Punta del Este, Uruguay, mengawasi pembangunan tempat percutian baru.

Sumber ketika itu mendedahkan bagaimana kecewanya lelaki itu tanpa orang disayangi di sekelilingnya. Dia menyambut Krismas bersendirian dan amat merindui Natalia dan anak-anaknya.

Natalia kini hidup kaya raya, jauh berbanding dengan kemiskinan yang dilaluinya di Gorky, sebuah bandar pendalaman yang kini dikenali sebagai Nizhny Novogorod, di Russia.

Ketika berusia belasan tahun, dia membantu ibunya menjual buah-buahan di tepi jalan dan kemudian mendirikan gerai sendiri, berkongsi dengan seorang rakan.

Pada usia 15 tahun, Natalia menyertai sebuah akademi modeling dan dua tahun kemudian menjadi model untuk Viva Models di Paris.

Sejak itu dia muncul sebagai antara supermodel paling berjaya di dunia.

Tidak hairanlah dia dikenali sebagai Cinderella Russia di negaranya sendiri dan tahun lalu, Natalia meraih pendapatan lebih �2.5 juta, menjadikannya model berpendapatan paling tinggi.

Dia berkahwin dengan Portman pada November 2001 di London.

Pada September 2002, mereka mengadakan jamuan tiga hari berturut-turut di St Petersburg.

Hadiah Peminat Koleksi Istimewa Daus

Posted: 03 Jul 2011 07:23 PM PDT

DAUS atau nama sebenarnya Muhd Shahril Firdaus Eli, 23, mula mendapat tempat dalam persada muzik tempatan selepas menjadi finalis Akademi Fantasia musim kelapan (AF8). Single lagu pertamanya Kenapa mula menjadi kegemaran ramai.

Dan terbaru, Daus mengorak selangkah lagi dengan menghasilkan sendiri single keduanya berjudul, Akhir Waktu.

Setahun 'meneroka' dunia hiburan tempatan, terlalu banyak kenangan manis yang dikumpul Daus dengan peminat-peminatnya.

Kerana itu, ketika hadir ke studio di Menara Star baru-baru ini untuk merakamkan barangan kesayangannya, kebanyakan barangan tersebut ada kaitan dengan peminat-peminatnya.

"Saya baru setahun dalam industri ini. Dalam jangka masa itu, saya perlu mengembangkan kerjaya saya dengan bantuan peminat.

"Oleh itu, antara barangan yang ingin saya tunjukkan adalah hasil pemberian peminat-peminat saya. Dan juga hadiah seseorang yang istimewa kerana dia juga merupakan pemberi semangat terhadap kejayaan saya selama ini. Selain itu, kamera dan komputer riba saya juga merupakan barang terpenting buat saya dalam mengharungi kerjaya sebagai seorang penyanyi," kata Daus.

Apalagi, lihatlah barang-barang yang dipaparkan ini!

Kamera Sony DSC-H50

Daus seorang yang gemar mengambil video ketika berada di lokasi yang menarik dan pada masa yang sama dia juga seorang yang gila bergambar. Sebab itulah kamera kesayangannya itu mesti dibawa ke mana-mana sahaja.

Sarung tangan

Kalau nak tahu, Daus hanya ada dua helai sarung tangan ini sahaja. Ia digunakan khas ketika sesi fotografi. Kata Daus, dia membeli sarung tangan tersebut sebelum menyertai AF8 lagi.

Tamborin

Bagi Daus, alat muzik ini merupakan 'perencah' dalam persembahan yang dibawanya. Lebih-lebih lagi apabila membuat persembahan secara akustik, tamborin menjadi pilihan Daus. Katanya, tamborin itu dibeli selepas keluar daripada AF8. Ia berharga RM39.90.

Aksesori tangan (wrist band)

Aksesori tangan yang dibawa Daus ini baru sedikit. Kata Daus, dia mempunyai koleksi lebih daripada 10 barang tersebut. Aksesori tangan seperti ini akan menjadi barang pertama yang akan dibelinya jika ke pusat membeli belah.

Cawan

Cawan comel ini merupakan pemberian daripada peminat dan ini merupakan antara barang yang paling disayangi. "Mereka telah memberi sokongan kepada saya dan saya mahu menghargainya sebaik mungkin. Saya sayang mereka dan saya akan simpan barang-barang ini sebagai koleksi yang berharga," kata Daus.

Tali pinggang

Sekali pandang macam tali pinggang askar! Inilah tali pinggang pertama yang dibelinya selepas keluar AF8. Tali pinggang ini mempunyai kenangan yang tersendiri ketika Daus mengenali seseorang yang diminatinya dahulu. Hubungan mereka agak serius dan individu itu hampir-hampir menjadi kekasihnya pada ketika itu.

Tali leher

Mungkin bagi pandangan mata orang lain, tali leher bukanlah suatu perkara yang istimewa untuk dijadikan kenangan. Tetapi, dua tali leher ini merupakan aksesori pakaian yang paling kerap dipakainya dan kalau tidak ada tali leher tersebut, perasaan tidak selesa mula menghantui Daus.

Telefon bimbit Nokia

Nampak macam dah tak boleh pakai telefon bimbit ini tetapi ia masih berfungsi. kata Daus, dia menggunakan telefon ini ketika belajar di Politeknik Kuching, Sarawak, tidak lama dulu.

Komputer Riba Acer

Komputer ini baru saja dibelinya dan ia merupakan tempat Daus menyimpan gambar-gambar yang dirakamkannya. Walaupun sentiasa dijaga dengan rapi, Daus agak risau jika komputer riba itu hilang. Maklumlah banyak benda istimewa tersimpan dalam komputer itu.

Jam tangan Fossil

Bak kata orang, masa itu emas. Tanpa jam, agak sukar untuk Daus melakukan kegiatan hariannya. Menarik lagi tentang jam ini, ia diberikan oleh seseorang teman yang sangat istimewa buat Daus. Siapakah orang itu? Hanya Daus yang tahu...

Industri francais tumbuh 220%

Posted: 03 Jul 2011 07:21 PM PDT

ISMAIL...pelbagaikan skop
ISMAIL...pelbagaikan skop

INDUSTRI francais negara dilihat semakin berkembang apabila sepanjang tahun lalu saja sebanyak 96 syarikat francais sudah berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berbanding hanya 30 syarikat pada 2009.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peningkatan sebanyak 220 peratus itu amat memberangsangkan dan daripada Januari hingga Jun tahun ini, kementerian meluluskan 46 syarikat francais menjadikan keseluruhan pendaftaran setakat ini kepada 538 syarikat.


Beliau berkata, pihaknya turut menyasarkan 80 syarikat francais lagi akan didaftarkan menjelang akhir tahun ini.

"Ini menunjukkan industri francais mempunyai potensi cerah untuk terus mencatat kejayaan seterusnya mengembangkan perniagaan ini ke peringkat antarabangsa.


"Setakat ini, sebanyak 35 syarikat francais negara kita sudah berjaya mengembangkan perniagaan mereka ke 53 negara asing termasuk negara Asia dan Timur Tengah. "Kita juga adalah negara pendahulu daripada jumlah francaisor di China (16 francaisor) dan Indonesia (18 francaisor)," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan sesi dialog bersama francaisor dan francaisi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ismail Sabri berkata, sektor pendidikan dan pembelajaran seperti pusat asuhan kanak-kanak serta taska kini dilihat sektor yang paling berpotensi untuk berjaya selain pusat rawatan kecantikan.


"Usahawan paling banyak membabitkan diri dalam perniagaan makanan dan minuman di mana 32 peratus (174 usahawan) daripada 538 francaisi berdaftar memilih bidang itu."Ia diikuti dengan sektor pakaian dan aksesori (14 peratus), pusat pembelajaran dan asuhan kanak-kanak (11 peratus), perkhidmatan dan penyelenggaraan (10 peratus), pusat rawatan kecantikan (10 peratus), teknologi maklumat dan komunikasi (5 peratus) dan kedai serbaneka atau pasar raya (3 peratus)," katanya.


Beliau turut menasihati peniaga yang berminat dan usahawan sedia ada agar mempelbagaikan skop perniagaan mereka selain daripada makanan dan minuman saja supaya mampu bersaing dengan francaisi lain di dalam mahupun luar negara.

Anggun Tidak Lupa Asal Usul

Posted: 03 Jul 2011 07:21 PM PDT

SELAMA 13 tahun penyanyi dari Indonesia, Anggun Cipta Sasmi menetap di Perancis dan membina nama sebagai seorang penyanyi di negara tersebut, tidak terlintas langsung di fikirannya untuk cuba menembusi pasaran Amerika Syarikat (AS) seperti yang cuba dilakukan segelintir penyanyi Asia lain.

Senang saja katanya, dia langsung tidak tertarik dengan negara yang disanjung ramai itu.

"Sungguh, tidak pernah ada American dream dalam kotak fikiran saya. Walaupun ada yang mengkritik bahawa saya sebenarnya belum cukup terkenal kerana gagal menembusi AS.

"Ini kerana apabila meninggalkan Indonesia, niat saya ialah mahu ke Eropah. Kalau tak, sudah lama saya tinggal di sana (AS).

"Di Eropah, kita boleh lihat pelbagai budaya dan boleh mempelajari macam-macam. Tetapi jika di AS, nak belajar apa? Rasanya mereka yang perlu belajar macam-macam perkara dengan kita," katanya ketika ditemubual menerusi telefon dari Perancis.

Sesi berkenaan diatur oleh pihak Sony Music Malaysia.

Tambah Anggun, penghijrahannya ke Perancis juga menimbulkan pandangan skeptikal daripada segelintir orang bahawa dia semakin melupakan bangsa dan budaya asalnya.

Sehingga kini, ibu kepada Kirana Cipta Montana Sasmi yang berusia empat tahun itu dipertikaikan nilai-nilai ketimurannya.

"Pada pendapat saya tidak kiralah berada di mana-mana sekalipun, kita perlulah hidup sederhana dan normal.

"Saya berkomunikasi menggunakan bahasa Indonesia dengan anak saya kerana itu adalah nilai kekayaan yang ada dalam jati dirinya. Malah saya sering tekankan identiti kami bahawa ia tidak mungkin akan hilang walaupun kita tinggal jauh dari negara kelahiran asal," ujarnya yang meminati kata-kata falsafah daripada Plato dan Socrates.

Terbaru, penyanyi itu muncul dengan kelahiran album terbaru berjudul Echoes yang memuatkan lagu-lagu dalam versi bahasa Inggeris dan Indonesia.

Menariknya, Echoes merupakan album pertama yang diterbitkan sendiri oleh Anggun di bawah labelnya, April Earth dan pertama kali menulis lirik dalam album tersebut.

"Album ini begitu dekat dengan jiwa saya dan ia mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan. Saya memandang setiap kehidupan ada gema yang tersendiri dan seiring dengan usia saya yang kini berumur 37 tahun, penghasilan lirik dan muzik yang dibawakan berbeza.

"Saya menulis lirik mengikut pengalaman sebagai seorang ibu dan wanita. Walaupun mengambil tempoh masa yang lama untuk menyiapkannya, saya berpuas hati dengan hasilnya," kata Anggun.

Uniknya mengenai Echoes, album ini memainkan 100 peratus pembikinan tanpa menggunakan teknologi canggih sebaliknya lagu-lagunya itu dimainkan sepenuhnya oleh pemuzik orkestra.

"Jujur saya katakan, kos penerbitan album ini cukup mahal tetapi saya puas dengan hasilnya kerana inilah muzik yang saya inginkan.

"Dan saya tidak kisah jika muzik yang saya bawakan tidak mengikut trend atau kehendak pasaran," katanya.

Dalam album tersebut, Anggun menampilkan sebanyak 12 lagu dengan tambahan trek bonus sebanyak lima buah lagu.

Antara lagu yang dimuatkan adalah Buy Me happiness, Hanyalah Cinta, Weapons, Yang Terlarang, Impossible, Eternal, Rollercoaster, My Addiction, A Stranger, Cold War, Year of Snake dan Silent Vow.

Kaedah Roche lebih berkesan

Posted: 03 Jul 2011 07:19 PM PDT

DR R KUNASEEGARAN...ujian baru lumuran Pap lebih sensitif kerana ia mengesan kehadiran virus HPV.
DR R KUNASEEGARAN...ujian baru lumuran Pap lebih sensitif kerana ia mengesan kehadiran virus HPV.
DR ABDUL RAZAK...usah bertangguh untuk jalani ujian.
DR ABDUL RAZAK...usah bertangguh untuk jalani ujian.

16 + 18 = 70 peratus. Eh, kira-kira apa ini? Jangan terperanjat. Ini sebenarnya kira-kira kanser pangkal rahim. Virus papiloma manusia (HPV) jenis 16 dan 18 (ditulis HPV16 dan 18) adalah penyebab kepada 70 peratus kes kanser pangkal rahim di dunia.

Wanita yang mengalami jangkitan HPV16 dan 18 mempunyai risiko 35 kali lebih tinggi berbanding wanita lain untuk mendapat kanser pangkal rahim.

Secara umumnya jangkitan ini tidak menunjukkan sebarang gejala, jadi ramai wanita tidak sedar virus ini ada dalam badan mereka. Inilah sebabnya pemeriksaan berkala seperti ujian lumuran Pap (Pap smear) sangat penting untuk mengesan sebarang tanda tidak normal pada sel di pangkal rahim.

Sejak ia diperkenalkan berpuluh tahun lalu, ia memang dapat membantu mengurangkan kes kanser pangkal rahim. Bagaimanapun, ujian lumuran Pap yang sedia ada kurang sensitif kerana kajian mendapati kira-kira 50 peratus kes prakanser tidak dapat dikesan.


Antara faktor yang menye�babkan perkara ini ialah berlaku perbezaan pada penilaian ujian lumuran Pap kerana keputusan ujian bergantung kepada kepakaran ahli patologi untuk melihat perubahan pada sel. Pendapat dua pakar patologi mungkin berbeza bagi satu sampel sel Malah, kerap juga berlaku pakar patologi tidak dapat membezakan antara sel normal dengan sel tidak normal dan kelewatan mengesan peringkat prakanser.


Bahkan, ujian lumuran Pap yang sedia ada kini hanyalah untuk melihat perubahan atau ketidaknormalan sel, tetapi ia tidak boleh mengesan kehadiran virus HPV.

Inilah sebabnya kes kanser pangkal rahim masih tidak menunjukkan penurunan walaupun kebanyakan wanita menjalani ujian lumuran Pap.

Ketua Jabatan Patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kolonel Dr R Kunaseegaran berkata, walaupun di Eropah ada sistem ujian lumuran Pap yang sangat baik, tetapi kajian mendapati kadar kanser pangkal rahim masih tidak berubah.

Apabila membaca laporan ini, janganlah ada wanita yang membatalkan hasrat menjalani ujian ini kerana ia masih sangat penting.

Bahkan kini ada ujian lumuran Pap baru yang lebih tepat dan sensitif kerana ia mengesan kehadiran asid deoksiribonukleik (DNA) virus HPV sebelum ia menyebabkan sebarang perubahan pada sel rahim.

Ujian DNA HPV ini lebih sensitif (95 peratus) berbanding ujian lumuran Pap biasa (55 peratus).

"Ujian ini direka untuk me�ngesan DNA virus HPV terutama HPV16 dan 18. Lebih menarik ia juga boleh mengesan kehadiran 12 lagi virus HPV yang berisiko tinggi secara berkumpulan.

"Wanita yang dikesan mengalami jangkitan HPV16 dan 18 akan disarankan untuk berjumpa doktor pakar bagi rawatan selanjutnya.

"Wanita yang didapati me�ngalami jangkitan HPV lain juga akan dirujuk kepada doktor pakar, tetapi rawatan diberikan kurang agresif berbanding kumpulan yang ada HPV16 atau 18," katanya.

Berdasarkan kajian dilakukan di negara kita baru-baru ini, satu daripada 10 wanita yang diuji menggunakan ujian HPV Roche menunjukkan positif HPV16 atau 18 dan sudah mengalami peringkat prakanser walaupun keputusan ujian lumuran Pap mereka normal.

Kaedah ujian HPV baru ini sama seperti ujian lumuran Pap biasa, cuma ia menggunakan kit ujian yang lebih sensitif; secara tidak langsung dapat mengurangkan kesilapan manusia dalam proses pengecaman dan pengesanan. Ia mudah, cepat (keputusan boleh diperoleh dalam masa lima jam) dan pakar patologi berupaya menganalisis sehingga 280 sampel sehari.

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Kementerian Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Dr Abdul Razak, kanser pangkal rahim adalah kanser kedua paling lazim di kalangan wanita Malaysia.

Setiap tahun ia meragut lebih 600 nyawa di seluruh negara - kadar yang dua kali lebih tinggi berbanding negara maju seperti United Kingdom dan Belanda. Penyakit ini menyebabkan negara terpaksa menanggung beban perubatan sebanyak RM52 juta setahun.

HPV adalah jangkitan yang sangat biasa dan sehingga 75 peratus wanita mengalami jangkitan pada satu masa dalam hidup mereka. Kebanyakan jang�kitan dihapuskan oleh sistem imun badan sendiri, tetapi tahap penghapusan ini bergantung kepada kekuatan sistem setiap individu. Inilah sebabnya ada virus HPV yang mampu terus hidup dan menyebabkan perubahan pada sel pangkal rahim.

"Ada lebih 100 jenis HPV yang sudah ditemui dan 14 daripadanya dianggap berisiko tinggi untuk menyebabkan kanser pangkal rahim.

"Daripada 14 jenis ini, dua daripadanya iaitu HPV16 dan 18 paling berisiko menyebabkan penyakit yang meragut nyawa hampir 250,000 wanita di seluruh dunia setiap tahun dan 52 peratus kematian berlaku di Asia.

"HPV berisiko rendah yang tidak dapat dihapuskan badan boleh menyebabkan kutil atau ketuat pada kemaluan atau dubur (biasanya pada lelaki).

"Setiap wanita yang pernah melakukan hubungan seks atau mempunyai kehidupan seks yang aktif terdedah kepada HPV, terutama jika aspek kebersihan diri kurang dititikberatkan. Malah wanita yang hanya ada seorang pasangan pun boleh mendapat jangkitan HPV," katanya.

Kanser pangkal rahim peringkat awal biasanya tidak mempunyai sebarang gejala dan inilah sebabnya ia dipanggil pembunuh senyap.

Apabila penyakit sudah merebak melampaui kawasan pangkal rahim, barulah gejala mula timbul seperti:

  • Pendarahan faraj.

  • Haid yang panjang dan lebih banyak berbanding biasa.

  • Kedatangan haid menjadi tidak teratur.

  • Pendarahan selepas menopaus atau ada lelehan faraj.

  • Sakit ketika mengadakan hubungan kelamin (biasanya kanser sudah sampai ke pering�kat kedua).


    Peringkat kanser pangkal rahim

    Menurut Persekutuan Ginekologi dan Obstetrik Antarabangsa (FIGO), kanser pangkal rahim ada lima peringkat:

  • Peringkat 0 - Karsinoma in situ (bentuk kanser paling awal yang ditakrifkan dengan ketiadaan serangan dari tisu sekeliling).

  • Peringkat 1 - Sel kanser menyerang pangkal rahim tetapi masih belum merebak.

  • Peringkat 2 - Kanser sudah merebak ke tisu sekeliling tetapi masih dalam kawasan pelvik.

  • Peringkat 3 - Kanser sudah merebak ke bahagian bawah faraj.

  • Peringkat 4 - Kanser sudah merebak ke organ berhampiran (dipanggil metastasis).


    Mengapa pengetahuan m�engenai HPV16 dan 18 penting?

  • Pengesanan awal dapat mencegah wanita mendapat kanser pangkal rahim (kerana kehadiran virus HPV dikesan sebelum ia menyebabkan perubahan pada sel). Kadar pe�nyembuhan sangat tinggi iaitu 98 peratus jika rawatan awal diberi secepat mungkin.

  • Melalui ujian lumuran Pap biasa, pendekatan yang diambil jika didapati ada perubahan kecil pada sel pangkal rahim ialah 'tunggu dan lihat' - sama ada perubahan ini berlaku cepat atau perlahan-lahan.

    Jika cepat, barulah rawatan akan diberikan.

  • Ia dapat mengurangkan keresahan wanita kerana mereka tidak perlu menunggu ujian lumuran Pap seterusnya. Jika didapati positif HPV16 atau 18, pesakit akan dirujuk kepada doktor pakar untuk rawatan selanjutnya.


    Tidakkah vaksin HPV men�cukupi?

    Tidak. Vaksin HPV memang boleh membantu melindungi gadis dan wanita daripada kanser pangkal rahim. Bagaimanapun, suntikan vaksin ini paling berkesan jika ia diambil sebelum wanita mengadakan hubungan seks buat kali pertama.

    Ia tidak melindungi wanita daripada jangkitan virus HPV yang sudah sedia ada ketika suntikan vaksin diambil. Malah wanita yang aktif seks diingatkan untuk menjalani ujian lumuran Pap secara berkala.

    "Langkah mengenal pasti kanser pangkal rahim peringkat awal sangat penting kerana dengan rawatan yang betul, kadar penyembuhan ialah 98 peratus. Apabila penyakit sudah menular menjadi kanser dan merebak ke organ lain, tidak sampai 20 peratus pesakit dapat hidup melebihi lima tahun. Jadi jangan bertangguh untuk jalani ujian kerana sikap itu hanya akan merugikan diri sendiri," kata Dr Abdul Razak.

    Setakat ini, ujian baru HPV Roche dilakukan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dan sebuah pusat perubatan swasta serta beberapa rangkaian makmal di seluruh negara termasuk Clinipath, Lablink dan Biolife Lab.
  • Parti Kostum Hantu Simbolik Filem ‘Tolong! Awek Aku Pontianak’

    Posted: 03 Jul 2011 07:17 PM PDT

    Antara tetamu yang hadir ke majlis Parti Kostum filem Tolong! Awek Aku Pontianak.

    KUALA LUMPUR: Parti kostum hantu bersempena dengan kemunculan filem Tolong! Awek Aku Pontianak pada 7 Julai ini telah berlangsung sebagai simbolik kepada salah satu adegan dalam filem itu.

    Filem lakonan Zahiril Adzim, Sazzy Falak, Liyana Jasmay, Sufian Mohamed, Nurul Wahab, Bell Ngasri dan Harun Salim Bachik itu akan menemui penonton di 51 buah pawagam seluruh Malaysia.

    "Majlis ini diadakan sebagai simbolik kepada salah sebuah babak dalam filem Tolong! Awek Aku Pontianak dan selama dua minggu saya dan pihak Tayangan Unggul Sdn Bhd berbincang untuk menjayakan majlis ini.

    "Hasil perbincangan, saya telah menganjurkan penyertaan ini kepada pembaca Budiey.com serta meminta mereka mengantar emel yang mengandungi slogan, jenis pakaian mengikut tema dan sebab ingin menonton filem ini," kata Budiey, blogger dari portal hiburan Budiey.com selaku salah seorang penganjur di Megaview 1, Menara Kuala Lumpur.

    Budiey.

    Menurutnya, seramai 180 tetamu yang hadir termasuk para pelakon filem tersebut dan rakan artis lain seperti Shila Amzah, Farawahida dan Farina AF8 yang membuat persembahan dalam majlis itu.

    "Majlis seperti ini memberikan sedikit kelainan dan lebih meriah berbanding majlis yang pernah dianjurkan sebelum ini.

    "Jika ada peluang bekerjasama dengan pihak penganjur lain, saya akan mengadakan parti kostum lagi," katanya yang turut menganjurkan majlis ulang tahun Budiey.com pada 7 Januari setiap tahun.

    Selain berpeluang memenangi hadiah pakaian terbaik mengikut tema, penonton turut dihidangkan dengan permainan dan menonton secara eksklusif tayangan 30 minit pertama dalam filem ini.

    Turut diadakan adalah cabutan bertuah dan peluang memenangi 30 hadiah di mana hadiah utama sumbangan Canon berupa kamera video Canon Legria HFR16 manakala hadiah Kostum Lelaki Terbaik dan Kostum Wanita Terbaik masing-masing adalah kamera digital Canon PowerShot A3300IS.

    Bintang filem Tolong! Awek Aku Pontianak sempat menghiburkan tetamu.

    Dalam pada itu, Tayangan Unggul turut menjalinkan kerjasama dengan Kelab Motor Keicarmania di mana pelekat kereta berlogo filem Tolong! Awek Aku Pontianak dilekatkan di 100 buah kenderaan milik ahli kelab motor ini di seluruh negara ini.

    Malah 10 buah kenderaan dari kelab ini turut hadir memeriahkan majlis ini.

    Jangan nak menunjuk

    Posted: 03 Jul 2011 07:16 PM PDT

    pix_gal0
    Penghijrahan di kalangan artis wajar dilihat positif bukan menganggap mereka sudah tidak laku

    MENGIMBAU kembali zaman kegemilangannya ketika bergelar artis, Azmil Mustafa mengakui banyak kesilapan dilakukan ketika terbabit dalam dunia glamour itu namun tidak terdetik di benak hatinya untuk menyalahkan bidang yang pernah menjadi lubuk rezekinya.
    Apapun yang berlaku dulu adalah atas kesilapan diri sendiri yang alpa dan lalai sehingga gagal menjalankan tanggungjawab sebagai hamba-Nya tetapi kehidupannya kini jauh berubah setelah memilih jalan untuk berhijrah mencari kedamaian dan keinsafan diri.
    Meskipun telah berubah, pelakon filem Ali Setan dan Mekanik ini mengakui sukar untuk mendekatkan diri dengan golongan artis bagi berkongsi pengalaman dan pendedahan tentang tanggungjawab sebagai insan-Nya.

    Setiap kali ditanya tentang tanggungjawabnya untuk berdakwah kepada golongan artis, Azmil hanya mampu tersenyum dan sukar untuk memberikan pandangan.

    "Saya rasa takut untuk mendekatkan diri dengan artis sebab saya faham senario golongan ini kerana saya pernah lalui. Memang payah untuk menjadi mukmin sebagai artis kerana banyak imbuhan dan kelebihan serta keseronokan dalam dunia seni.

    "Saya takut gagal atau kalah kerana golongan artis mudah terdedah dengan pelbagai dugaan seperti dadah, arak, zina dan sosial. Saya lebih gemar bergaul dengan orang-orang yang ada ilmu agama atau orang biasa," katanya.
    Tidak bermaksud untuk menuding jari kepada golongan bergelar anak seni, Azmil akui ada di antara artis yang mahu mendekatkan diri dengan agama, malah kini sudah ramai golongan artis yang mula berhijrah kembali ke pangkal jalan.

    Disebabkan setiap gerak geri yang dilakukan golongan artis menjadi perhatian masyarakat, perubahan yang dibuat turut memberi impak kepada masyarakat dan tidak hanya dipandang dari sudut negatif saja.

    "Alhamdulilah kita tengok kini sudah banyak golongan artis berhijrah daripada kehidupan glamour kepada kehidupan lebih baik dan dekat dengan Allah.

    "Ini bukan trend, tetapi inilah yang dikatakan penghijrahan dalam mencari keredaan-Nya dan bukan nak menunjuk-nunjuk atau mencari publisiti tetapi berhijrah kerana sudah sampai masanya untuk berubah.

    "Jangan ingat golongan artis yang berhijrah ini kerana tidak lagi menjadi perhatian media atau masyarakat mahupun kekurangan tawaran, kita kena pandang dari sudut positif dan memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki diri," jelasnya.

    Walaupun tidak mempunyai pekerjaan tetap, Azmil tidak menyalahkan jalan yang dipilihnya malah mengakui dunia artis jauh lebih susah berbanding kehidupannya kini yang tenang dan damai.

    Berkongsi ilmu kefahaman Islam

    Setelah lima tahun menetap di Syria bersama keluarganya bagi mendalami ilmu agama, kepulangannya ke tanah air kini lebih kuat dan utuh untuk berdakwah disamping berkongsi pengalamannya selama menetap di negara itu.

    "Perancangan saya balik sini untuk menyebarkan ilmu agama dan tidak akan ke sana lagi kerana saya merasakan sudah sampai masanya untuk saya menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah.

    "Saya nak lakukan kegiatan membantu umat manusia terhadap kefahaman Islam dari pelbagai sudut untuk diterapkan dalam kehidupan sekarang," katanya.

    Meskipun kini sudah mempunyai sebuah badan khas dalam memberi kefahaman tentang agama Islam, Azmil, 58, ingin mewujudkan sebuah badannya sendiri untuk menyebarkan kefahaman Islam yang tiada kaitan dengan mana-mana pihak kerajaan mahupun swasta.

    "Saya ingin mewujudkan badan yang bebas bagi membantu orang ramai memahami agama Islam agar tidak disalah anggap atau dipandang serong oleh orang bukan Islam.

    "Niat saya ikhlas dan tahu walaupun tidak mempunyai sumber kewangan tetap, tidak menghalang saya untuk berdakwah, malah kehidupan saya sebagai artis dulu lagi susah," katanya.

    Walaupun kesihatannya terbatas akibat masalah jantung, namun kekuatan dalaman dirinya mendorong Azmil untuk terus berbakti dalam berdakwah kepada masyarakat.
    Setelah 13 tahun meninggalkan bidang seni, Azmil mengharapkan ada sinar baru dalam kehidupannya dan rakan-rakan artis yang seangkatan dengannya mahupun golongan artis kini.

    Makna tersirat RM12, 697.11

    Posted: 03 Jul 2011 07:14 PM PDT

    SEPADAN...Tomok dan Ayu bergambar depan pelamin yang dihias indah.
    SEPADAN...Tomok dan Ayu bergambar depan pelamin yang dihias indah.

    LAPAN tahun adalah tempoh cukup menduga bagi pasangan berkasih mempertahankan cinta dan selalu kita dengar berakhir dengan perpisahan sebagaimana judul lagu Pelamin Anganku Musnah dendangan penyanyi kelahiran Sarawak, Azie.

    Namun, berbeza bagi Tomok atau Shah Indrawan Ismail, 27, serta pasangannya Siti Rahayu Abbas (Ayu), 32, yang menjadikan kesetiaan, kejujuran serta sifat sabar sebagai teras dalam perhubungan yang akhirnya membawa mereka sehingga ke jenjang pelamin.

    • Foto

      SAAT INDAH...gambar imbas perkenalan Tomok dan Ayu turut dipaparkan di skrin.

    • Foto

      AKAD NIKAH...Tomok mencium dahi Ayu ketika acara membatalkan air sembahyang.

    • Foto

      MERIAH...pasangan pengacara Didie Alias dan Along Raja Lawak ketika menemubual pasangan artis Zizan Nin dan isterinya.

    • Foto

      KELUARGA BAHAGIA...kakak Tomok Isma bersama kedua-dua ibu bapa mereka.

    Syukur dipanjatkan kedua-dua mempelai, usai majlis pernikahan mereka yang berlangsung malam Jumaat lalu bertempat di Dewan Serbaguna AU2 Taman Keramat, Kuala Lumpur yang dihiasi indah sentuhan Nas Great Idea.

    Keyakinan dan kesediaan Tomok memperisterikan Ayu jelas terpancar apabila lafaz akad nikah diucapkannya sekali saja.


    "Saya sangat-sangat gembira sebaik lafaz akad nikah selesai tadi kerana akhirnya dapat memperisterikan Ayu selepas lapan tahun kami bercinta."Sepanjang tempoh itu pelbagai dugaan kami tempuhi, melalui susah senang bersama namun hasrat murni kami tercapai. Kenapa saya mengambil masa lapan tahun, menurut saya semua ini adalah soal jodoh.


    "Kalau ikutkan kami rancang berkahwin tahun lalu tetapi terpaksa menundanya kerana sibuk dengan karier masing-masing. Bagaimanapun, sejak tujuh bulan lalu kami secara serius merancang perkahwinan ini," katanya.

    Ayu, wanita manis berlesung pipit dan persis wajah pelakon sensasi, Rozita Che Wan, yang tidak lokek dengan senyuman juga merasai perasaan yang sama sebagaimana suaminya, Tomok.

    "Seronok dan gembira. Sudah lama saya menantikan saat ini dan akhirnya kami disatukan," katanya.

    Bagi seorang wanita, menanti terlalu lama mungkin ada kalanya mudah membuatkan mereka berubah hati. Namun, Ayu sempat ditanya apakah keistimewaan Tomok sehing�ga dirinya rela dan sabar menung�gu Tomok.

    "Satu perkataan mampu mentafsirkan hubungan kami adalah serasi bersama. Dia (Tomok) seorang yang penyabar dengan sikap saya, mengambil berat selain jujur pada cintanya," ujar anak bongsu daripada dua beradik ini.

    Bertemankan kekasih seorang artis menuntut kesabaran yang tinggi apabila menyedari Tomok mempunyai ramai peminat wanita. Namun, Ayu amat menghormati kerjaya Tomok dan memberi kelonggaran padanya asalkan tidak dipersia dan disalah guna.

    Tomok yang terharu dengan kata-kata indah ungkapan isterinya itu berkata, mencari calon isteri bukan mudah apatah lagi bagi orang seni sepertinya.

    "Sebagai selebriti waktu kerja kami sering saja tidak tentu masa. Jadi mencari isteri ini perlu yang benar-benar memahami cara kerja saya. Sama juga dia cukup sabar misalnya dengan gosip-gosip liar dikaitkan dengan saya.

    "Walau ada kalanya perkara itu membuatkan kita berdua tertekan, namun masalah apa-apa pun yang kami hadapi akan diselesaikan dengan cara yang baik.

    "Keistimewaan lain yang ada pada Ayu, selain dia seorang yang cantik, penyayang, dia pandai memasak dan buat kek. Itu lagi satu tarikan yang menambat hati saya.

    "Saya berharap perkahwinan kami berkekalan, biarlah ia menjadi perkahwinan pertama dan terakhir saya. Dengan kehadiran seorang isteri, saya juga mengharapkan dapat menghasilkan karya muzik yang lebih baik selepas ini," katanya.

    Tomok juga sempat menjelaskan tindakannya sebelum ini merahsiakan percintaannya dengan Ayu atas alasan tidak gemar berkongsi kisah peribadi, sebaliknya lebih suka meuar-uarkan soal kerjaya.

    Pada temu bual yang sama juga, dia memanjatkan rasa syukur dan gembira apabila melihat peminatnya serta peminat New Boyz sangat menyokong keputusan untuk berkahwin.

    Menyingkap perkenalan Tomok dan Ayu, pasangan ini berkenalan pada 2003 dalam satu pertemuan tidak disengajakan. Ketika itu Tomok yang baru berusia 19 tahun terbabit dalam penggambaran telemovie bersama New Boyz di Cheras.

    "Ayu yang melalui kawasan penggambaran itu dan saya memulakan langkah untuk berkenalan dengannya.

    Kami bertukar-tukar nombor telefon. Namun, hubungan persahabatan dijalin bertukar menjadi cinta sehingga membawa ke jenjang pelamin," kata Tomok lagi.

    Pasangan merpati dua sejoli yang mengenakan persalinan rekaan Hatta Dolmat itu dinikahkan Pegawai Takbir Agama Pendaftar Kanan Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, Haji Daim Haji Jajuli, tepat jam 9.10 malam.

    Tomok menyerahkan mas kahwin bernilai RM300 kepada mempelai perempuan yang berwalikan bapa kandung, Haji Abas Mohd Saidon.

    Termasuk wang hantaran RM12, 697.11 berserta sembilan dulang hantaran iaitu cincin, set barang kemas, sepersalinan baju, kek, pewangi dan alat solek, tas tangan, sirih junjung dan al-Quran.

    Sebagai pelengkap adat, pengantin perempuan membalas 11 dulang berisikan al-Quran, sirih junjung, cincin, baju Melayu, kasut, kaca mata, jam tangan, beg duit, pewangi, kek dan sejadah.

    Tomok, sempat berkongsi pemilihan jumlah wang hantaran yang memperkenankan angka cukup unik, RM12, 697.11.

    "1a adalah simbolik kepada tarikh pernikahan kami iaitu 1 Julai, 2 atau 2 Julai persandingan sebelah isteri (Ayu), 6 (6 Julai) majlis persandingan tertutup di Saloma Bistro khas untuk rakan artis dan media.

    "Manakala 9 (9 Julai) majlis resepsi keluarga saya akan dilangsungkan pada 9 Julai di rumah ibu bapa saya di Alam Damai, Cheras. 7 pula adalah simbolik kepada bulan Julai sementara 11 membawa maksud 2011," katanya.

    Sebelum mengakhiri perbualan, vokalis kumpulan New Boyz juga Juara One In A Million musim ke-3, sempat ditanya mengenai destinasi bulan madu serta perancangan mempunyai anak. Ter�nyata dia inginkan anak segera manakala lokasi bulan madu belum diputuskan.

    "Nak sangat cepat-cepat sebab saya memang sukakan budak-budak. Kalau boleh saya mahu anak tiga atau empat, jika ada rezeki lebih tidak kisah.

    "Mengenai bulan madu, kami berdua belum putuskan kerana selesai keempat-empat majlis resepsi, saya akan berangkat ke Jakarta untuk menjalani penggambaran telemovie, Diari Kapas Biru," katanya.

    Sukar Menjadi Mukmin Sejati Dalam Dunia Artis - Azmil Mustafa

    Posted: 03 Jul 2011 07:13 PM PDT

    Wajah Azmil sewaktu tahun 1994.

    PETALING JAYA: Pelakon Azmil Mustafa mendakwa sukar bagi seseorang itu untuk menjadi mukmin sejati sekiranya mereka bergelar artis.

    Dia berkata selama bergelar artis dia mengakui banyak dosa yang telah dilakukan.

    "Saya rasa agak susah untuk menjadi seorang mukmin apabila hidup sebagai seorang artis kerana seperti yang kita tahu kehidupan artis lebih terdedah kepada keseronokan.

    "Saya akui pelbagai dosa yang telah saya lakui sepanjang menjadi artis. Sehingga sekarang, ada yang masih menganggap saya sebagai artis dan mengenali saya dengan nama Ali Setan," ujarnya dalam satu temubual di Hotel De Palma, Ampang ketika meraikan mangsa Madrasah At-Taqwa, Hulu Langat.

    Tambahnya: "Saya menganggap situasi ini sebagai lumrah hidup. Jadi, saya perlu berhati-hati dalam menjaga tingkah laku.

    "Saya juga gemar bergaul dengan rakan artis yang suka berkongsi tentang kehebatan Rasulullah seperti kumpulan Rabbani."

    Bagaimanapun, Azmil belum bersedia untuk berdakwah kepada rakan artis lain kerana bimbang sekiranya timbul konflik pada masa hadapan.

    "Saya sudah faham dan lalui pengalaman menjadi artis, jadi saya takut untuk berdakwah di kalangan mereka.

    "Lagipun saya belum cukup kuat untuk bergaul dengan mereka semula. Saya rasa halangannya terlalu berat dan bimbang andai saya gagal untuk berdakwah kepada mereka," ujarnya lagi.

    Sejak berubah, dia membawa diri ke Syria dan menetap di sana bersama-sama keluarga selama lima tahun.

    Menyentuh tentang perancangan masa depan, Azmil yang kembali ke negara ini sejak lima bulan lalu memilih untuk menetap di sini selama-lamanya.

    "Saya akan melakukan kerja yang menjurus ke arah kebaikan dan terlibat dengan pertubuhan yang bergerak secara bebas.

    "Saya merancang untuk melakukan sebuah majlis dengan media untuk menceritakan tentang pengalaman saya selama berada di Syria," ujarnya yang turut mengakui hilang punca pendapatan sepanjang lima bulan kembali ke negara ini.

    Dia yang baru menjalani pembedahan jantung akui sering menghadapi masalah kesihatan.

    "Saya tetap bersyukur dengan kurniaan Allah dan setelah menjalani pembedahan jantung, doktor menasihatkan saya agar tidak terlalu aktif dan banyak berehat di rumah.

    "Bagaimanapun, saya akan meluangkan masa jika dijemput memberikan usrah dan berkongsi pengalaman yang dilalui sebelum ini. Saya akan cuba bawakan perspektif yang kontemporari seiring dengan dunia sekarang," jelasnya.

    Bukan niat berahsia

    Posted: 03 Jul 2011 07:12 PM PDT

    Sekitar majlis perkenalkan pelakon.
    Sekitar majlis perkenalkan pelakon.
    Tiara umumkan barisan pelakon The Secret Life of Nora apabila semua urusan sudah beres

    KECEKAPAN Datin Seri Tiara Jacquelina dalam menyimpan rahsia barisan pelakon utama teater muzikal terbitannya, The Secret Life On Nora memang cukup bijak.
    Bukan sahaja media, tetapi pelakon sendiri masih sama-samar apakah bentuk karakter yang akan di bawa mereka, seperti yang dikatakan Aznil Nawawi ketika diwawancara media sejurus selepas majlis memperkenalkan pelakon itu berakhir.
    Mengulas perkara itu, Tiara berkata bukanlah niatnya untuk terlalu berahsia mengenai senarai pelakon. Cuma katanya, biarlah semuanya selesai, barulah wajar perkara itu diumumkan kepada khalayak.

    "Bukanlah mahu terlalu berahsia tetapi biarlah selepas kami umumkan senarai pelakon yang sudah disahkan bakal; membintangi teater. Kami cuma tak mahu berlaku perkara yang tidak diingini jika terlalu awal mendedahkan semua maklumat sebelum tiba waktunya.

    "Selepas ini kami akan menerangkan watak dan perwatakan mereka dalam teater ini, jadi tidak akan sebarang kekeliruan yang timbul," kata Tiara sambil tersenyum.

    Melihat kepada barisan pelakon yang dipilih, tentu ada yang tertanya apakah kriteria yang dikehendaki wanita ini. Ia sudah menjadi resam Tiara, kebanyakan pelakon yang dipilih bukan calang-calang orangnya.
    Selain Tiara sendiri memegang watak sebagai ejen perisik bernama Nora, tiga watak lain yang akan menerajui teater itu ialah Aznil Nawawi, Adibah Noor serta pelakon Broadway, Ryan Silverman. Mereka terpilih untuk disenaraikan sebagai pemegang watak utama pementasan itu.

    "Tidak dinafikan, memang pening memilih pelakon untuk membintangi teater Nora ini. Kami memerlukan pelakon yang memang sesuai dengan karakter yang kami cipta. Contohnya, untuk watak Roger, memang agak sukar untuk mencari pelakon yang layak.

    "Namanya muncul apabila dicadangkan oleh Azimy dan selepas melihat lakonannya dalam Youtube, kami menawarkan watak itu kepadanya. Pun begitu, kami tetap mengadakan sesi uji bakat. Terima kasih kepada teknologi kerana kami menjalankan uji bakat itu menerusi Skype," katanya.

    Disebabkan tidak mahu media dapat meneka, Tiara juga turut melarang pelakon terbabit menggunakan laman sosial milik mereka untuk bercerita mengenai tawaran yang diterima itu.

    "Memang saya sudah berpesan supaya mereka tidak menulis sebarang cerita mengenai watak mereka dalam Facebook, Twitter kerana tidak mahu ia didedahkan sebelum majlis pengumuman yang sebenar.

    "Malah saya juga menegah diri saya dari berkawan dengan Ryan di dalam Facebook atau Twitter supaya tak nampak ketara. Hanya selepas ini saja baru kami boleh berkawan di laman sosial," katanya sambil tertawa.

    Cabaran besar Aznil

    KALAU diikutkan jadualnya yang ketat, memang Aznil tidak akan sanggup untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan. Bayangkan, dengan jadual hariannya yang bermula dari jam 4 pagi serta kesibukannya menjalankan tugas harian seperti pengacaraan tentunya amat sukar untuk Aznil memberikan komitmen terhadap teater The Secret Life Of Nora.

    Namun, terdetik dalam hatinya kalau jika tawaran ini ditolak, bererti dia menolak rezeki serta peluang yang amat ditunggu-tunggunya sejak dulu lagi.

    "Saya memang ada keinginan untuk berlakon di bawah produksi Tiara. Siapa yang tidak mahu beraksi di dalam produksi milik Tiara yang semuanya sudah ketahui cukup hebat. Justeru, apabila telefon bimbit saya dihubungi Tiara, saya terus berkata setuju sebelum Tiara membuka mulut.

    "Walaupun terpaksa memberi komitmen yang jitu kerana terbabit dengan bengkel, latihan, dan pementasan tapi saya sanggup kerana saya mahu mencuba dan merasa berlakon di bawah produksi yang cukup gah ini," katanya.

    Mengenai wataknya dalam teater muzikal itu, Aznil berkata sehingga kini dia sendiri masih tidak jelas apakah watak dan perwatakannya dalam teater arahan Steven Dexter ini.

    Bagaimanapun, dia berharap dapat membawakan watak sebagai penjahat itu dengan baik tanpa dipengaruhi watak jahat yang pernah dibawanya sebelum ini.

    "Apa yang merisaukan saya adalah orang akan tetap menyamakan watak saya dengan Profesor Klon dalam filem Cicakman. Disebabkan itulah saya harap mungkin untuk karakter ini nanti, penampilan fizikal saya diubah supaya nampak perbezaannya," kata Aznil yang nyata tidak sabar untuk menanti kemunculan teater itu.

    Modenas CTric bakal pilihan orang ramai - CEO Modenas

    Posted: 03 Jul 2011 07:10 PM PDT

    Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Abdul Halim Ismail bercerita tentang motosikal elektrik pertama negara, Modenas CTric.

    MOTOSIKAL elektrik Modenas CTric bakal menjadi pilihan orang ramai pada masa depan kerana ia bukan sahaja tidak menggunakan bahan api sekali gus mesra alam bahkan menjimatkan kos penyelenggaraan.

    Ketua Pegawai Eksekutif Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas), Abdul Halim Ismail berkata, beliau yakin ia menjadi pilihan penunggang motosikal kerana kosnya kurang satu sen untuk sekilometer.

    Lebih-lebih lagi, katanya, harga petrol yang semakin meningkat di seluruh dunia naik membebankan orang ramai terutama golongan sederhana dan miskin.

    "Untuk CTric, kita tidak perlu tukar minyak hitam dan servis palam pencucuh. Kos elektrik dianggarkan sebanyak satu sen untuk setiap km. Penyelenggaraannya biasa. Ini sudah tentu berupa suatu penjimatan.

    "Jika kebanyakan e-basikal tidak dapat mendaki bukit, CTric ini mampu berbuat demikian malah dapat mencapai had laju 70 kilometer sejam," katanya kepada Mingguan MStar.

    Modenas menjalankan ujian kecuraman dan ia berjaya mendaki Gunung Jerai, Kedah sehingga ke puncak.

    Buat kali kedua, pada 30 Jun lalu, Abdul Halim mengetuai pasukan pandu uji CTric di Genting Highlands.

    Abdul Halim berkata, orang ramai mungkin mengambil masa untuk menerima penggunaan motosikal elektrik buat masa ini kerana ia masih baru di pasaran.

    Jabatan Standard Malaysia menetapkan setiap kenderaan elektrik mempunyai penanda EV yang diletakkan di depan dan belakang kenderaan.

    "Mereka mungkin masih ragu tentang keupayaan motosikal elektrik untuk memenuhi keperluan mereka terutama bagi golongan pengguna motosikal berkuasa enjin.

    "Apatah lagi motosikal biasa lebih mudah digunakan kerana petrol boleh diisi di stesen minyak yang terdapat di mana-mana. Jadi mungkin sambutan (orang ramai terhadap motosikal elektrik) tidak sebaik motosikal berenjin di peringkat awal," katanya. Abdul Halim memberitahu, pihaknya sedar langkah mengeluarkan motosikal elektrik berdepan dengan risiko tidak mendapat permintaan tinggi.

    "Namun kita harus mula melakukan sesuatu dari satu titik permulaan. Jadi Modenas mengambil insiatif untuk membuat Modenas CTric.

    "Pihak pengurusan Modenas telah mengambil langkah mitigasi dengan mengeksportkan unit-unit ke luar negara," katanya yang mensasarkan volum pengeluaran berbeza-beza mengikut pasaran domestik dan antarabangsa.

    Buat masa ini, Modenas mensasarkan jualan CTric sebanyak 500 unit sebulan untuk pasaran domestik selain dilengkapkan dengan permintaan dari luar negara.

    "Kita telah eksport 100 unit ke Iran." katanya sambil menambah Modenas sedang dalam proses melantik pengedar bagi CTric di Korea.

    Lain-lain negara yang berminat mengimport CTric termasuk Australia dan Belanda. Ini sudah tentu merupakan suatu pengiktirafan terhadap teknologi yang direka cipta secara seratus peratus oleh orang tempatan.

    CTric mengguna pakai motor jenis Motor Arus Terus Tanpa Sesentuh berkuasa 3.60kW @ 80 kilometer/sejam (km/j) dan kalis air. Ia juga direka dengan alat pengesan Honeywell Hall dan Brakeless Rotor.

    Pada kelajuan purata 30km/j, motosikal tersebut mampu mencapai jarak sejauh 60km untuk setiap cas penuh. Ia juga berupaya mencapai had laju sehingga 80km/j.

    Unit Kawalan Motor jentera itu dilengkapi dengan Programmed Torque Syncronizer, Overload Protection System, Smooth Digitised Sequential Power Switching dan pengecas pintar.

    Mengenai kemungkinan Modenas membina infrastruktur pengecasan semula bateri Nano Gel yang digunakan CTric di tempat-tempat tertentu di seluruh negara, Abdul Halim berkata, pihaknya pernah terfikir untuk melakukannya tetapi kosnya adalah terlalu tinggi.

    "Memang ada idea-idea begitu. Misalnya pengecasan mod laju (3.5 jam) di stesen petrol mendapat bekalan elektrik jenis satu fasa. Ia memerlukan masa."Jika kita menukar kepada saluran elektrik jenis tiga fasa yang biasa digunakan dalam industri, ia akan menelan kos tinggi," katanya.

    Modenas CTric dijangka bakal menjadi pilihan rakyat Malaysia sebagai kenderaan utama untuk kegunaan di bandar dan kawasan luar bandar.

    Abdul Halim berkata, pihaknya mengetahui kebanyakan premis terutama flat tidak sesuai untuk kereta atau motosikal elektrik kerana tidak disediakan soket di luar premis.

    "Ini bergantung kepada kreativiti penghuni rumah dalam menyediakan infrastruktur bagi menggunakan motosikal elektrik.

    "Kita berharap pada masa depan, rumah dengan infrastruktur untuk kenderaan elektrik dapat disediakan," katanya.

    Berhubung dengan cadangan menggunakan bateri lithium ion polimer yang lebih tahan lama pada CTric, Abdul Halim berkata, pihaknya ingin menggunakannya tetapi ia akan meningkatkan kos.

    CTric berharga RM4,888 seunit sekarang.

    "Bateri lithium-ion 1 kW berharga USD1,000. Motor CTric berkuasa 3.6kW jika digantikan dengan bateri jenis tersebut akan melonjakkan harga CTric," katanya.

    Abdul Halim turut berharap kerajaan akan menjadikan pembinaan infrastruktur pengecajan semula untuk kenderaan elektrik di rumah-rumah sebagai satu standard.

    Penemuan luar biasa di New Guinea

    Posted: 03 Jul 2011 07:05 PM PDT

    Litoria sauroni. Spesies katak baru.

    MANILA: Seekor katak bertaring, ular buta dan dolfin berkepala bulat adalah antara lebih daripada 1,000 spesies baru yang ditemui baru-baru ini di kepulauan Melanesia di New Guinea.

    Turut ditemui ialah yu sungai dan berdozen-dozen rama-rama.

    Laporan terbaru kumpulan alam sekitar Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) mengenai habitat semula jadi pulau itu menyatakan saintis membuat penemuan menakjubkan itu pada kadar dua spesies seminggu dari 1998 hingga 2008.

    "Laporan ini menunjukkan New Guinea mempunyai hutan dan sungai yang antara lain berbiodiversiti paling kaya di dunia," kata wakil program Barat Melanesia WWF, Neil Stronach.

    New Guinea yang terpisah antara Indonesia di barat dan Papua New Guinea di timur mempunyai salah satu ekosistem yang paling menarik dan tidak tercemar.

    Hutan hujan tropikanya merupakan ketiga terbesar di dunia selepas Amazon dan Congo.

    Walaupun pulau tersebut meliputi hanya 0.5 peratus daripada daratan bumi, WWF melaporkan ia menghimpunkan sehingga lapan peratus daripada spesies-spesies dunia.

    Sebelum ini pun, umum mengetahui New Guinea sudah mempunyai biodiversiti yang amat menarik seperti rama-rama terbesar dunia yang memiliki sayap berukuran 30 sentimeter (12 inci) dan tikus gergasi yang boleh membesar sehingga satu meter panjang.

    Para saintis, menurut WWF, percaya satu kilometer persegi (247 ekar) tanah rendah di hutan hujan tropika itu mempunyai sebanyak 150 spesies burung.

    Sebanyak 1,060 spesies yang disahkan penemuan baru oleh saintis antara 1998 dan 2008 dipercayai hanya merupakan sebahagian kecil bilangan spesies di New Guinea.

    "Begitulah hebatnya biodiversiti New Guinea kerana penemuan baru dikira perkara biasa hingga ke hari ini," menurut laporan WWF yang bertajuk, "Final Frontier: Newly Discovered Species of New Guinea (Sempadan Akhir: Spesies Terbaru Ditemui di New Guinea)".

    Salah satu penemuan paling menarik yang direkodkan dalam laporan WWF itu ialah dolfin berkepala bulat, bersirip, pendek dan terjungkit.

    Ikan istimewa tersebut berenang di perairan pantai yang terlindung dan cetek serta berdekatan sungai dan muara anak sungai kecil.

    Ditemui pada 2005 di Papua New Guinea, ia adalah spesies pertama dolfin baru yang direkodkan di dunia dalam tempoh tiga dekad.

    Spesies luar biasa ini menjadi gambar muka depan laporan terbaru kumpulan alam sekitar Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) mengenai penemuan haiwan luar biasa di New Guinea.

    WWF berkata, ia juga ditemui di Australia.

    Antara lain-lain 12 mamalia yang ditemui pada dekad ini ialah tenggiling yang diberi nama mengikut nama ahli alamiah Britain, Sir David Attenborough atau nama saintifiknya Zaglossus attenboroughi.

    Salah seekor134 katak yang ditemui digelar sebagai Litoria sauroni kerana matanya berbintik merah dan hitam.

    Ia mengingatkan kita kepada karakter jahat, Sauron dalam filem 'Lord of the Rings'.

    Seekor lagi katak baru amat menarik kerana saiznya yang kecil. Panjangnya hanya satu sentimeter, sementara seekor lagi mempunyai taring macam puntianak.

    Sembilan spesies siput yang sangat berwarna-warni adalah antara 580 invertebrat baru yang ditemui.

    Salah seekor siput berwarna kuning terang manakala seekor lagi hijau dan hijau.

    Lain-lain invertebrat baru ditemui ialah udang krai berwarna aprikot yang terang.

    Ia adalah sebahagian daripada famili haiwan bernama "yabbies" di Australia dan sesetengah tempat di dunia.

    Ia berkepanjangan antara sembilan hingga 12 sentimeter.

    Ikan baru yang ditemui berjumlah 71. Ia datang dalam pelbagai warna, termasuk sejenis ikan yang memancarkan kilauan warna biru.

    Para saintis mengagumi ikan tersebut yang ditemui pada batu karang di Milne Bay, Papua New Guinea.

    WWF berkata, penemuan paling luar biasa ialah seekor yu sungai berukuran 2.5 meter di Papua New Guinea.

    Orcaella heinsohni.Spesies ikan lumba-lumba baru.

    Spesies itu kemudiannya turut dikesan di bahagian utara Australia.

    Daripada 43 jenis reptilia yang ditemui, seseorang boleh mendakwa ular paling tidak berbahaya di dunia ialah seekor ular yang panjangnya hanya 12-14 sentimeter, matanya bersisik sehingga ia tidak boleh melihat, tidak boleh mematuk dan tidak mempunyai bisa.

    WWF memberitahu, tindakan manusia memusnahkan habitat semula jadi New Guinea pada kadar yang cepat.

    Antara ancaman yang disenaraikan dalam laporan itu ialah pembalakan haram dan tidak terancang, pembukaan hutan untuk tujuan perladangan, perlombongan, pembinaan jalan raya dan penangkapan ikan yang tidak terancang.

    Solah bercita-cita jadi askar

    Posted: 03 Jul 2011 07:04 PM PDT

    Datuk Solah Mat Hassan

    SEBAGAI pegawai nombor 1 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan amat sibuk dengan tugasan.

    Ketika Mingguan MStar berkunjung ke pejabatnya di Putrajaya, beliau sibuk melayan stafnya dan orang luar.

    Beliau sesekali dicelah dengan deringan telefon bimbit serta siri khidmat pesanan ringkas (SMS). Lumrah bagi seorang pemimpin.

    Dalam keadaan sibuk itu, Solah meminta wartawan ini tunggu sebentar agar dapat membereskan kerja-kerja satu persatu.

    Walaupun sibuk, Ketua Pengarah JPJ itu tidak pernah menghampakan wartawan serta sesiapa sahaja yang ingin menemuinya.

    Sifat-sifat mesra beliau begitu mendekatkan diri dengan orang ramai termasuk wartawan ini.

    Apabila peluang tiba untuk menemuramah Solah, soalan pertama terpacul dari mulut: "Adakah ini merupakan cita-cita Datuk sejak kecil lagi?

    Solah menidakkannya. "Saya ingin menjadi askar kerana saya suka berlawan, semangat mahu berlawan dan suka berjuang," katanya secara spontan sehingga wartawan ini tergamam mendengar jawapan itu.

    Solah Mat Hassan (dua, kiri) bersama anggotanya turut turun padang menjalankan operasi berkaitan kenderaan terutamanya pada musim perayaan.

    Lantas ditanya kenapa beliau tidak merealisasikan cita-citanya itu. Solah terdiam seketika.

    Jawapan awalnya amat ringkas iaitu "Amat menyentuh perasaan". Agaknya beliau tengah menyusun butiran penjelasannya.

    Bila penjelasan lanjut diberikan, segala misteri di sebalik cita-citanya yang tidak tertunai itu beransur-ansur terungkai satu persatu.

    Titik peralihan, jelas Solah, ialah apabila beliau lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan gred satu. Malah beliau merupakan pelajar terbaik di daerah Pasir Puteh ketika itu.

    "Saya cuba masuk ke Universiti Pertanian Malaysia kerana ingin menjadi petani moden. Namun, saya kena sahkan sijil-sijil (peperiksaan) dulu dan hanya Pegawai Daerah (DO) yang boleh lakukan," katanya.

    Solah dibesarkan dalam sebuah keluarga petani yang miskin di Kampung Gaal, Pasir Puteh, Kelantan. Beliau ialah anak kampung sejati yang menanam tembakau, menanam padi serta menjala, menjual ikan dan menjual buah-buahan tempatan.

    Beliau bijak orangnya dan menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik sejak sekolah rendah lagi.

    Untuk mendapatkan pengesahan sijil-sijil tersebut, Solah berkata, dia menyediakan telur ayam, kelapa yang dibersihkan dengan daun mempelas, beras pulut yang dituai dari bendang sebagai buah tangan kepada pegawai terbabit nanti.

    "Selepas solat Maghrib, saya bersama ibu bapa saya menaiki beca roda tiga dari Kampung Gaal ke pusat bandar di Pasir Puteh.

    "Perjalanan sehala adalah kira-kira dua batu dan memakan masa sejam. Saya berdiri sepanjang perjalanan sementara ibu bapa duduk kerana ruang terhad," katanya sambil menambah bapa saudaranya yang bekerja sebagai tukang kebun di rumah Pegawai Daerah itu membuat temu janji tersebut.

    Pertemuan itu bagaimanapun meninggalkan kesan yang amat mendalam terhadap jiwanya.

    Memori lampau itu amat mengusik hati Solah sehingga beliau yang tabah serta bengis bagi mereka yang tidak mengenalinya "tewas" apabila mengimbaunya.

    Air mata yang berlinangan turun membasahi pipinya. Tangannya menyeluk poket untuk mendapatkan sapu tangan cepat-cepat bagi menyeka air mata yang berguguran.

    "Terdapat dua perkara yang mengganggu emosi saya. Pertama, Pegawai Daerah terbabit tidak menghargai kejayaan saya memperolehi Gred 1 kerana dia langsung tidak mengucapkan tahniah.

    "Keduanya, dia tidak usik pun buah tangan tersebut sebaliknya menyuruh saya meletakkannya di anak tangga," ujarnya dengan suara yang terketar-ketar kerana kesedihan yang teramat sangat.

    Apa tidak sedihnya, Solah membuat persiapan buah tangan itu sejak seminggu. Perjalanan sejam pergi, dan sejam balik.

    Solah ketika memancing di Air Terjun Sauk, Tasik Kenyir.

    Tetapi perjumpaan hanya kurang daripada lima minit. Lebih mengaibkan, Pegawai Daerah itu tidak menjemput mereka masuk ke rumah.

    Semasa dalam perjalanan pulang, Solah masih ingat ibu bapa dan dirinya diam membatu sepanjang perjalanan kerana terpukul dengan layanan tersebut.

    "Dalam benak saya, okey, anda tidak menghormati ibu dan bapa saya kerana saya orang kampung."

    Bermula dari detik itu, beliau berjanji tidak akan jadi askar.

    "Pertamanya, saya berikrar akan melanjutkan pelajaran ke universiti. Keduanya, bila saya bekerja, saya akan berada di kerusi pegawai daerah itu atau lebih tinggi dan akan buka pintu kepada sesiapa sahaja," tegas Solah.

    Justeru, mulai hari pertama bekerja, Solah mengakui beliau tidak pernah menolak sesiapa yang ingin berjumpa dengannya.

    Patutlah pintu pejabatnya di Putrajaya sentiasa terbuka luas kepada pengunjung!

    Jika diselak zaman persekolahan menengah lagi, semangat berkobar-kobar untuk melawan situasi sudah terbit.

    Solah berkata, beliau tidak dapat memohon biasiswa persekutuan kerana borang permohonan hanya diberikan kepada anak-anak cikgu, polis dan kerani.

    Katanya, dia mengetahui perkara itu selepas kawan-kawan serta kenalannya yang berjaya mendapat biasiswa itu merupakan anak-anak inspektor polis, kerani dan guru.

    Ini menguatkan lagi azamnya untuk 'menewaskan' mereka dalam bidang pendidikan. Biasiswa tersebut bernilai RM15 sebulan yang dimasukkan dalam buku akaun.

    "Kawan yang mendapat biasiswa pernah belanja tengok wayang 25 sen untuk filem kelas ketiga ketika itu," katanya.

    Akhirnya, Solah mendapat gred pertama manakala kawan-kawannya mendapat gred dua.

    Analisis Pantun dari Pak Ungku

    Posted: 03 Jul 2011 06:53 PM PDT

    Buku Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu oleh Ungku Abdul Aziz

    Kapal layar dipukul arus

    Terus belayar ikut pedoman

    Pantun Melayu hidup terus

    Tidak kalah dilambung zaman

    DARI jejak sejarah, pantun sudah wujud dan diguna pakai secara meluas sejak bermulanya zaman kegemilangan Melayu Melaka yang berusia beratus tahun dahulu.

    Malah warisan asli ini telah wujud lebih lama daripada hasil-hasil sastera dari William Shakespeare yang diagung-agungkan.

    Bibit-bibit rangkap pantun yang dialunkan mempunyai gambaran kehidupan seharian yang disampaikan dalam satu cara yang penuh ringkas namun cukup indah dan mempunyai maksud yang mendalam untuk pemikiran.

    Kekayaan nilai budaya dan bahasa yang terdapat dalam pantunlah yang membuatkan tokoh ilmuwan negara, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz atau dikenali sebagai Pak Ungku jatuh cinta terhadap warisan unggul bangsa Melayu ini.

    Ungku Abdul Aziz menerangkan tentang kandungan bukunya yang mengambil masa selama dua tahun untuk dihasilkan.

    Tidak mahu kesusasteraan indah ini jatuh tersungkur lalu diletakkan di belakang benak minda seperti yang terjadi kepada kegemilangan kerajaan Melayu Melaka, Pak Ungku membukukan puitis rakyat ini melalui satu naskah dalam penyampaian terkini.

    Melalui Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu, Ungku Aziz membawa semula tradisi ini yang diangkat oleh saterawan terdahulu iaitu Raja Ali Haji dan berkongsi ilmu yang diperolehinya sejak lebih 20 tahun lalu dengan bahasa yang mudah difahami.

    Rangkaian pantun pertama yang dipersembahkan dalam naskhah ini membawa pembaca ke zaman perdagangan Melayu dahulu kala melalui beberapa pantun yang menceritakan kehidupan orang dagang dan perantau yang punya semangat tinggi.

    Pantun kanak-kanak juga mendapat tempat di hati cendiakawan ini, di mana beliau juga mengulas beberapa pantun yang relevan untuk dikenali oleh golongan muda mahupun yang lebih dewasa.

    Walaupun bahasa yang digunakan dalam pantun kanak-kanak adalah ringkas dan mudah difahami, maksud yang disampaikan merangkumi pengajaran bermakna untuk diaplikasikan sepanjang hayat seseorang itu dan kerana inilah beliau membawa dan mengulasnya dalam buku ini mengikut peringkat umur tertentu.

    Ilmu pantun yang ingin dikongsi Pak Ungku dalam naskhah ini tidak berhenti di situ sahaja, beliau memberi analisis tentang kriteria, tema dan sifat sesebuah pantun itu secara ringkas di dalam lembaran terakhir buku ini iaitu variasi dalam pantun.

    Dalam bab ini, beliau telah membuktikan bahawa ritma dan tema sesebuah pantun Melayu itu membolehkan kita menjadi lebih kreatif dengan menggunakan kiteria yang sama untuk membentuk pantun yang pelbagai namun mempunyai nuansa dan tekstur yang sama.

    "Orang Melayu patut memberi nilai yang tinggi kepada pantun kerana ia merupakan satu warisan yang hebat dari segi sejarahnya malah pantun juga mengambarkan semangat Melayu.

    "Kita tidak sepatutnya hanyut dengan arus kemodenan dan tidak membiarkan ia menentukan nasib bangsa sendiri," katanya.

    Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu boleh didapati di kedai-kedai buku terpilih di seluruh negara.

    Kem Cyberkids rapat jurang digital

    Posted: 03 Jul 2011 06:52 PM PDT


    DR. RAIS Yatim dan Musa Aman bersama murid Sekolah Kebangsaan Kampung Moyog, Sabah, yang mengikuti Kem Maxis Cyberkids di sekolah itu, baru-baru ini.


    MURID Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Moyog, Sabah bertuah kerana berpeluang mengikuti Kem Maxis Cyberkids yang memupuk pengenalan kepada eksplorasi Internet, penggunaan e-mel dan pelbagai perkhidmatan multimedia awam.

    Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Sandip Das berkata, dengan memberikan akses kepada Internet dan mendedahkan komuniti kepada peralatan Internet, kami menyumbang ke arah mengurangkan halangan kepada pendidikan, maklumat, kesihatan, perdagangan, dan perkhidmatan lain yang sepertinya.

    Menurut beliau, Projek Kem Maxis Cyberkids bertujuan merapatkan jurang digital dengan menggunakan kuasa teknologi dan pendidikan kepada masyarakat luar bandar sejajar dengan pertumbuhan arus perdana dan pembangunan negara.

    "Hasrat kami adalah untuk membawa teknologi kepada golongan muda, terutama kepada mereka yang tidak mampu atau yang tinggal di kawasan yang tidak boleh diakses," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

    Pada kem selama dua hari itu, murid mengikuti latihan berkaitan pengenalan kepada Portal Maxis Cyberkids, yang kini boleh dilayari melalui peranti mudah alih.

    Portal ini menyediakan pelbagai aplikasi interaktif, yang memudahkan penulisan blog serta penyertaan di dalam forum atau memanipulasi kandungan yang padat, di samping menyediakan suatu sumber yang kaya dengan permainan dan pelbagai lagi bahan-bahan e-pembelajaran yang menarik.

    Kem Maxis Cyberkids yang pertama telah diadakan pada tahun 2002, sebagai sebahagian dari usaha jangkau luar USP (Universal Service Provision) Kerajaan bersama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, untuk merapatkan jurang digital di kalangan 220 buah sekolah di Malaysia Timur.

    Hadir pada akhir sesi latihan ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

    Perkhemahan kokurikulum suntik motivasi

    Posted: 03 Jul 2011 06:51 PM PDT


    Guru dan pelajar SMK Penghulu Saat pada perkhemahan bersepadu unit badan beruniform di Kem Kaizen, Gunung Pulai, Pontian, Johor, baru-baru ini.


    SERAMAI 80 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penghulu Saat, Batu Pahat, Johor telah menyertai perkhemahan bersepadu unit badan beruniform di Kem Kaizen, Gunung Pulai, Pontian, baru-baru ini.

    Guru Penolong Kanan Kokurikulum sekolah, Mustaffa Siraj berkata, kem itu berjaya menyuntik semangat dan keyakinan diri kepada pelajar dalam suasana kehijauan pinggir Gunung Pulai.

    "Selain aktiviti lasak dan menguji ketahanan fizikal, para peserta turut diberikan ceramah bagi meningkatkan motivasi dan juga kuliah agama bagi muhasabah diri mereka," katanya.

    Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang perkhemahan selama tiga hari dua malam itu termasuklah kembara malam, sungai asid, blind fold, menempuh halangan air, kembara hutan, persembahan kebudayaan dan sarang labah-labah.

    Peserta dibimbing oleh fasilitator Kem Kaizen di bawah pimpinan Sheikh Said Abdullah Al-Jabri yang juga jurulatih Biro Tatanegara (BTN).

    Perkhemahan itu turut disertai oleh sembilan orang guru.

    Sementara itu, seorang peserta perkhemahan, Nurul Farhah Yusof berkata, dia berpuas hati dengan perkhemahan kali ini kerana berjaya memberinya input berguna dalam memantapkan diri bagi menghadapi cabaran semasa.

    "Aktiviti yang dijalankan amat menyihatkan selain memberi keyakinan baru kepada saya untuk berusaha ke arah kejayaan dalam hidup," kata pelajar tingkatan lima ini.

    Seorang lagi peserta, Sharul Mumtaza, 16, memberitahu, dia begitu gembira kerana dapat mengikuti perkhemahan serta menjalankan aktiviti lasak yang menguji ketahanan diri.

    "Aktiviti fizikal, mental dan kerohanian yang digarapkan dalam perkhemahan ini memberi banyak faedah kepada saya dan para peserta lain," ujarnya bersemangat.

    Lima graduan TESL terima biasiswa ELS

    Posted: 03 Jul 2011 06:50 PM PDT


    Robert Brander (tiga kiri) bersama penerima biasiswa Tun Dr. Mahathir ELS-TESOL Internship Scheme di Pusat Bahasa ELS Subang, Selangor, baru-baru ini.


    PUSAT Bahasa ELS menganugerahkan biasiswa Tun Dr. Mahathir ELS-TESOL Internship Scheme kepada lima penutut jurusan TESL institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang bakal menjadi guru bahasa Inggeris di Subang, Selangor, baru-baru ini.

    Naib Presiden Operasi ELS Malaysia, Robert Brander berkata, mereka dipilih berdasarkan kelayakan akademik yang cemerlang, penyertaan dalam aktiviti-aktiviti sekolah, mendapat sokongan pensyarah universiti serta lulus sesi temuduga oleh barisan jawatankuasa program itu.

    "Skim ini bertujuan memberi latihan yang mencukupi dan peluang pekerjaan kepada golongan muda, yang juga merupakan guru bahasa Inggeris yang berpotensi.

    "Ia merangkumi biasiswa yang bernilai RM4,500, latihan mengajar selama tiga bulan di Pusat Bahasa ELS serta menjadi tenaga pengajar bahasa Inggeris setelah berjaya menamatkan program biasiswa berkenaan," katanya.

    Penerima terdiri daripada Alia Diyana Hosni dan Siti Nur Farahin Hamdan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Farahani Mohd. Zakaria dari Universiti Selangor (Unisel), Devan A/L Gunaseelan dari Universiti Malaya (UM), dan Mohammad Khairul Firdaous Fadzil dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

    Menurut Brander, para penerima biasiswa ini merupakan graduan yang baru menamatkan pengajian mereka dan telah memulakan latihan selama tiga bulan di Pusat Bahasa ELS bermula Jun lalu.

    "Pada bulan pertama latihan, mereka diberi pendedahan menyeluruh dari segi penulisan tatabahasa dan fonologi bagi meningkatkan kemahiran mereka selain membantu dalam sesi pengajaran semasa di bilik darjah kelak.

    "Para pelatih juga diajar bagaimana untuk melakukan ujian penempatan bahasa Inggeris, sesi kaunseling bersama pelajar dan terlibat sama dalam menganjurkan aktiviti ko-kurikulum untuk pelajar ELS," jelasnya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan

    Label

    Senarai Lagu