Sabtu, 2 Julai 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Kunci bebas di tangan Fara

Posted: 02 Jul 2011 06:27 PM PDT

pix_middle

SELEPAS kehidupannya dirantai, kini Farawahida Razali (Fara), 26, terasa dirinya lepas bebas bak burung terbang di langit biru. Tiada siapa lagi dapat menghalang langkahnya dan memutuskan apa yang perlu dilakukan. Dia berhak melakukan apa saja mengikut kemahuan hati.

Pun begitu, Fara tidak menyesal dengan apa yang berlaku kerana banyak hikmahnya. Baginya pengalaman lalu adalah pengajaran terbaik buatnya apabila dia mahu memulakan buku baru hidup dan kerjaya seni. Walaupun sudah lima tahun berada dalam arena seni suara namun apabila terpaksa bergerak sendirian sekarang, Fara terasa seperti orang baru kerana perlu belajar segalanya mengenai industri ini.

  • Foto

  • Foto

"Dulu semua orang buatkan, saya menurut saja tanpa banyak cerita. Mulut ini bagaikan terkunci. Sekarang saya buat semua sendiri dan memang agak susah tetapi saya bebas memilih jalan hidup sendiri, hendak menyanyikan lagu apa dan hendak pakai baju apa. Ke mana saya hendak pergi, dengan siapa saya berkawan dan saya juga bebas memilih jurusolek untuk mana-mana sesi fotografi.

"Kalau dulu saya juga masih tercari-cari imej tetapi sekarang saya tahu apa yang dimahukan. Gaya apa yang perlu dicuba dan pereka fesyen mana yang saya suka. Bukan seorang dua tetapi ramai yang kata, penampilan saya sudah lain dan wajah juga semakin berseri serta kelihatan lebih segar.


"Saya tunjuk gambar yang saya rakam pada sesi fotografi hari ini (minggu lalu), emak pun kata rupa saya nampak lain, ceria dan bersemangat. Saya juga semakin yakin diri dan bebas bercakap apa saja dengan media. Saya boleh membeli-belah bila-bila masa saya suka. Leganya sekarang."Walaupun saya hanya menerima undangan menyanyi di persembahan yang biasa saja tetapi saya bersyukur kerana dapat pegang duit sendiri. Paling utama dapat beri duit pada orang tua serta adik-adik. Sebelum ini ada bagi juga saya bagi pada emak tetapi tidaklah seberapa.


"Alhamdulillah, saya juga sudah mampu bawa keluarga pergi bercuti dan melayan kemahuan adik-adik. Ini semua berkat doa emak," katanya.

Tambah Fara, ibu adalah orang yang paling rapat dengannya. Bak kata pepatah, kalau cubit paha kiri, paha kanan turut terasa sakitnya. Selama ini katanya, ibu yang tinggal bersama di Kuala Lumpur (KL) dan amat memahami apa yang dilaluinya.

"Emak sanggup temankan saya di KL dan tinggalkan ayah bersama adik di Taiping. Hati ibu mana yang sanggup mendengar pelbagai fitnah dan tohmahan yang dilemparkan sewenang-wenang terhadap anaknya? Emak sentiasa bersama, tahu saya macam mana dan aktiviti seharian saya. Tetapi apa daya emak untuk menahan orang lain daripada terus mencerca anaknya.

"Perkara itu sudah pun berlalu dan saya tidak berdendam dengan sesiapa. Asal saja hidup saya tidak diganggu lagi, ia sudah cukup baik. Hikmah dengan apa yang terjadi, saya menjadi manusia yang penyabar dan Allah SWT beri saya kekuatan untuk menghadapi hari muka," katanya.

Antara yang Fara tak boleh lupa, dek kerana kontroversi panas itu, buat kali pertama wajahnya terpampang pada muka depan akhbar ini. Disebabkan cerita sensasi itu juga, wartawan mencarinya sampai ke rumah orang tuanya di kampung.

"Saya tidak pernah melarikan diri daripada sesiapa, cuma saya perlukan ketenangan. Waktu itu saya masih menyanyi dan langsung saya tidak menyusahkan emak dan ayah kerana masih ada pendapatan sendiri.

"Dengan duit sendiri juga saya ambil lesen memandu dan sampai sekarang saya menyewa rumah di KL dengan duit persembahan nyanyian. Apabila saya memperoleh 'kebebasan' dan berdikari, emaklah orang yang paling gembira. Doanya dimakbulkan Allah SWT.

"Sekarang saya tinggal bersama adik dan dapatlah emak duduk lama sedikit di kampung. Bagaimanapun, emak baru dapat cucu iaitu anak kakak yang bekerja di RTM (Radio Televisyen Malaysia). Sekarang emak ada di sini menjaga cucunya itu dan kalau kakak terpaksa bertugas di luar kota, emak bawa cucunya duduk di rumah saya.

"Dengan kehadiran cucunya itu, emak terpaksa berjauhan lagi dengan ayah. Emak dan ayah sanggup berkorban demi kami adik-beradik. Sewajarnya saya membalas kepayahan dan pengorbanan mereka selama ini. Syukur, tanpa menyanyikan lagu sendiri pun saya masih boleh mencari makan dalam industri ini, " katanya.

Selepas berdikari, Farawahida dapat mengumpul wang. Maka terhasillah single pertamanya yang berjudul Jangan Tanya Aku Lagi. Lagu ciptaan Manusia Putih dan lirik oleh Naufal.

"Dua tahun saya tiada lagu baru. Apabila terbitnya single ini, ramai jemput saya membuat persembahan. Tidak boleh jarak terlalu lama, kini saya sedang mencari bahan untuk single kedua.

"Walaupun terpaksa mengeluarkan bajet sendiri, saya puas kerana dapat menyanyikan lagu yang disukai. Jangan Tanya Aku Lagi juga menjadi lagu tema drama Mata Air yang mengisi slot Lagenda TV3.

"Jika pada awal 2009, saya dilanda kontroversi tetapi pada penghujung tahun itu pula saya dapat tawaran berlakon teater Sinbad. Diikuti dengan filem Baik Gila arahan Mansor Yaakob yang akan ditayangkan penghujung tahun ini.

"Selepas itu ada lagi tawaran berlakon tetapi saya tidak mahu terima dulu kerana menunggu maklum balas penonton terhadap lakonan sulung saya itu. Andai kata maklum balasnya positif, barulah saya akan mempertimbangkan tawaran seterusnya.

"Namun begitu, tengok juga watak apa dan saya pun tidaklah mengimpikan watak yang luar biasa seperti orang gila atau mangsa rogol. Sebagai percubaan, saya mahukan watak yang hampir sama dengan karakter saya yang sebenarnya. Saya rela belajar dari bawah sebelum mampu mengambil watak yang lebih mencabar," katanya yang baru saja menyiapkan klip video single itu.

Menyentuh perkara yang agak peribadi, Fara masih berkawan dengan buah hatinya dan berharap hubungan mereka berakhir dengan kebaikan.

"Kebanyakan kawan sekolah saya semuanya sudah berkahwin dan beranak-pinak. Insya-Allah moga perkara yang baik itu akan segera terjadi," katanya.

Hidup kontang-kanting

Posted: 02 Jul 2011 06:19 PM PDT

DERITA... anak turut menjadi mangsa dera suami.
DERITA... anak turut menjadi mangsa dera suami.
KENANGAN... saat bahagia sewaktu bergelar isteri.
KENANGAN... saat bahagia sewaktu bergelar isteri.

KUALA LUMPUR: Mereka bahagia pada awal perkahwinan, namun segala-galanya bertukar menjadi 'neraka' buat seorang wanita apabila suaminya bukan saja melanggan pelacur berdekatan sempadan Thailand di utara tanah air, malah menjalin hubungan serius dengan perempuan jalang itu.

Selepas hanyut dalam belaian pelacur, suami Norsiah Ramli, 33, berubah perwatakan menjadi kejam dan bacul.

Dia yang bertugas di utara bukan saja tergamak mendera Norsiah setiap kali pulang ke ibu kota, malah membiarkan wanita itu terkontang-kanting bersama dua anak yang masih kecil dengan hutang keliling pinggang, sedangkan dia leka berfoya-foya.

Hutang sewa rumah saja mencecah RM5,300 selepas lebih satu tahun tertunggak hingga premis milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mereka diami itu bila-bila masa saja akan ditarik balik.


Itu tidak termasuk tunggakan bil elektrik dan air, ada kala dia dan anak di rumah terpaksa bergelap dan terputus bekalan air kerana bil tidak berbayar sehingga tiga bulan.Mengimbas kisah hidupnya, Norsiah berkata, dia mendirikan rumah tangga dengan suaminya pada Ogos 2008. Sebagaimana pasangan lain yang baru melayari alam rumah tangga, semuanya bermula manis baginya dan suami.


Pun begitu, ia tidak lama. Suaminya yang juga anggota keselamatan dalam sebuah agensi kerajaan mula menunjukkan belang sebenar.

Daripada penyayang, suami Norsiah menjadi tidak berhati perut dengannya. Beberapa lama selepas melahirkan anak pertama, suaminya kerap memukul dan menderanya tanpa belas kasihan.

"Semuanya berubah selepas suami mula 'menggatal' dengan perempuan lain. Bila belangnya terbongkar, dia tidak dapat menerima hakikat dan saya dijadikan mangsa," katanya.

Mei lalu, Norsiah bercerai dan tinggalkan suaminya. Ia juga bukan perceraian pertama bersama lelaki itu, sebelum ini mereka pernah bercerai namun rujuk semula.

Bagaimanapun, status perceraian itu masih tergantung kerana ia tidak laporkan secara sah kepada pihak berkuasa, sebaliknya hanya secara lisan.

Ikuti lanjut kisah duka Norsiah selama tiga tahun bergelar isteri yang dianggap umpama neraka dalam hidupnya.


Dari 2008 hingga 2009

"Pada awal perkahwinan, saya mengikuti suami yang bertugas di utara tanah air. Perkahwinan kami bermula bahagia, namun saya tidak nafikan terlalu banyak kesukaran yang kami terpaksa lalui berikutan halangan keluarga.

Semua itu tidak penting bagi saya, asalkan dapat mendampingi orang yang saya suka dan sayang. Namun, ia (perkahwinan) tidak seperti yang saya impikan.

Selepas anak pertama dilahirkan, saya bagaikan hidup dalam neraka. Saban hari ada saja yang tidak kena dan menjadi pertengkaran antara saya dan suami. Jika dia (suami) rasa tercabar sangat, mulalah dia memukul saya.

Kami mula bertengkar selepas mengetahui suami bermain kayu tiga. Saya dapat tahu suami melanggan pelacur berdekatan sempadan tanah air. Suami menafikannya, tetapi semua itu terbongkar daripada mulut rakannya.

Tidak lama selepas itu, saya dapat tahu dia mula menjalin hubungan dengan pelacur dari Siam. Hancur hati saya apabila dapat tahu suami menjalin hubungan serius dengan perempuan jalang.

Kami bergaduh teruk selepas itu, tapi apakan daya saya perempuan yang tidak mampu melawan apabila dipukul. Saya dipukul bukan saja dengan tangan dan kaki, malah diperlakukan seperti binatang.

Saya tidak dapat bertahan lagi selepas itu. Kemuncaknya, kami bercerai pada September 2009. Saya pulang semula ke Kuala Lumpur (KL) dan tidak mahu bertemu suami lagi.

Namun, entah bagaimana selepas itu, hubungan kami bertaut kembali. Suami datang ke rumah di KL dan saya pula bagaikan cair dengan pujuk rayunya.

Kami rujuk semula hanya selepas lima hari bercerai. Mungkin kerana sayangkan dia, saya lupa diri dan sanggup mengikut telunjuk suami semula."


Dari 2009 hingga 2010

"Selepas rujuk dengan suami, saya ingatkan dia akan berubah. Lebih-lebih lagi selepas saya melahirkan anak kedua.

Perangainya bertambah teruk, dia bukan saja masih memukul saya, bahkan berkelakuan ganjil. Isteri mana yang tidak syak jika suami berubah kelakuan, walaupun baru masuk dua tahun bersama, tetapi saya kenal kelakuan suami.

Suami boleh berubah angin bila-bila masa dan seperti biasa saya menjadi mangsa. Pernah sekali, saya membeli-belah bersamanya, entah bagaimana 'mood'nya (angin) berubah dan memarahi saya. Ketika itu saya mengikut semula suami menetap di utara.

Dia tidak bercakap apa-apa, tiba-tiba saja saya ditinggalkan begitu saja. Masalahnya, rumah kami bukan dekat, satu jam setengah perjalanan baru sampai rumah.

Puas saya menghubungi (melalui telefon bimbit) tidak dijawab. Saya terpaksa meminta bantuan rakannya, tetapi itu pun tidak dilayan suami.

Mujur ada rakan mahu menumpangkan saya tinggal di rumah mereka malam itu, kalau tidak saya hilang arah dan tidak tahu hendak ke mana.

Sebenarnya, saya syak suami mengambil dadah. Mungkin dia menagih syabu, tetapi sukar pula saya hendak membuktikannya. Jika saya persoalkan, saya dipukul, terasa azab sungguh hidup saya.

Menjelang 2010 pula, sekali lagi suami buat hal dengan 'betina' lain. Kali ini bukan dengan pelacur, tetapi penuntut kolej swasta. Hubungan sulitnya sekali lagi menyebabkan pertengkaran antara saya dan suami.

Merajuk dengan kelakuan suami yang tidak mahu berubah-ubah, saya kembali semula ke rumah (di KL).

Pada awal Januari, saya dan suami bergaduh besar ketika dia datang ke KL bertemu saya. Saya dipukul dengan teruk masa itu lalu membuat laporan polis kerana tidak tahan lagi.

Bagaimanapun, saya tidak tahu mengapa selepas saya membuat laporan polis, tidak lama kemudian saya kembali bersamanya.

Hubungan kami kembali pulih, namun itupun tidak lama."


2011

"Saya bagaikan terpukau dengan pujuk rayu suami. Entah mengapa, walaupun dilayan seperti binatang, saya masih ingin bersama suami yang dayus.

Mungkin memikirkan anak masih kecil, saya tidak mahu berpisah dengannya sekalipun tahu hidup saya akan menderita selagi bersamanya.

Pada Mac lalu, saya bersama suami berkunjung ke rumah seorang rakan di sekitar KL. Ketika saya menggunakan telefon bimbitnya untuk menghubungi rakan lain, tidak lama selepas itu saya menerima SMS (khidmat pesanan ringkas) daripada seorang wanita tidak dikenali.

Daripada lenggok bahasa (dari SMS itu), ia bukan SMS biasa. Saya marah dan tanya suami siapa wanita yang menghubunginya.

Akibatnya, saya dipukul di depan rakan. Dia menumbuk saya bertubi-tubi dan menendang saya tanpa belas kasihan.

Mulut saya cedera dan mata kiri saya lebam. Atas nasihat rakan, saya membuat laporan polis.

Tidak lama selepas itu, pada Mei lalu kami bergaduh besar. Cukuplah... ia adalah kemuncak selepas tiga tahun kami bersama.

Saya tidak dapat bertahan lagi, selain dipukul sehingga lebam di muka, tangan dan kaki, saya ditumbuk hingga gigi patah. Bayangkan, betapa seksanya saya masa itu.

Sekali lagi saya membuat laporan polis. Selepas pergaduhan itu, kami bercerai lagi dan kali ini saya nekad tidak mahu bersamanya lagi.

Sekarang saya sedar, hanya saya yang sayangkan suami. Buat apa saya teruskan hidup bersama orang yang bukan hendak membelai saya, sebaliknya hanya tahu memukul dan mencari perempuan lain.

Hidup saya kini bertambah sukar, saya terpaksa membesarkan anak dan tidak memiliki pekerjaan. Lebih memeningkan, sewa rumah yang saya duduki sekarang banyak tertunggak.

Suami tidak pernah membayarnya, dan tertunggak lebih satu tahun berjumlah lebih RM5,000. Itu tidak termasuk tunggakan bil air dan elektrik.

Terlalu sukar untuk meneruskan hidup tetapi saya reda, mungkin inilah dugaan hidup untuk saya."

Tragedi cari emas

Posted: 02 Jul 2011 06:16 PM PDT

BERLUMPUR... pasukan bomba dan penyelamat bersama orang ramai mengeluarkan mangsa yang tertimbus.
BERLUMPUR... pasukan bomba dan penyelamat bersama orang ramai mengeluarkan mangsa yang tertimbus.

KUCHING: Keghairahan sekumpulan lelaki menceroboh kawasan larangan semata-mata untuk mencari emas berakhir tragedi apabila seorang maut dihempap batu seberat 400 kilogram manakala seorang lagi parah dalam kejadian di sebuah terowong di kaki Gunung Tabai, Jalan Taiton, malam kelmarin.

Ini kejadian kedua dalam tempoh empat bulan ketika mangsa, Phil Gojiak, 19, bersama empat lagi rakan ke lokasi itu untuk melombong emas sebelum seketul batu tiba-tiba menggelongsor lalu menghempap mangsa, jam 11.30 malam.


Rakannya, Tomothu Dalia Goded, 37, parah dan terpaksa menanggung kesakitan enam jam sebelum dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat Bau, jam 5.30 pagi.

Difahamkan, kedua-dua mangsa berasal dari Kampung Pisa, Kronkong, di sini, dikatakan melombong pada kedalaman enam meter dan ketika kejadian, tiga rakannya cuba mengeluarkan batu itu namun gagal.


Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama beberapa rakan lain baru memasuki terowong sebelum seketul batu besar menghempapnya.


Beliau berkata, berdasarkan maklumat, rakan mangsa cuba membantu namun gagal berikutan batu terlalu berat sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

"Kita mendapati lubang terlalu sempit dan hanya boleh dimasuki seorang. Sebab itu mangsa tidak dapat mengelak ketika batu menghempapnya.


"Terowong ini pernah ditutup sebuah syarikat geologi dari Australia yang menjalankan kajian di kawasan terbabit selepas mendapati berlaku pencerobohan individu tertentu untuk melombong emas secara haram."Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau mengambil masa empat jam untuk mengeluarkan Phil dari terowong selepas memulakan operasi jam 11.40 malam," katanya.


Beliau berkata, usaha membawa keluar mayat mangsa mengambil masa lama memandangkan terowong itu berada enam meter di bawah tanah selain ruang sempit.


Menurutnya, mangsa meninggal di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan lain.


"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bau untuk bedah siasat dan polis masih menjalankan siasatan berhubung punca kejadian. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut." katanya.


Mohd Sabri berkata, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak memburu kekayaan semata-mata tanpa memikirkan keselamatan.


"Jangan sampai nyawa tergadai kerana terlalu ghairah memburu sumber lebih bernilai. Lokasi kejadian berbahaya. Kami bercadang meningkatkan pengawalan, termasuk meminta pihak berkuasa tempatan menyediakan pagar yang lebih berkesan," katanya.

Hattan Mahu Kahwin, Sedia Terima Bekas Isteri

Posted: 02 Jul 2011 06:14 PM PDT

Hattan tidak menolak seandainya ditakdirkan bersatu kembali dengan bekas isterinya, Arianie selepas enam tahun bercerai.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin, 46, mengakui tidak kisah seandainya ditakdirkan bertaut kembali dengan bekas isterinya Arianie Mohd Abidin selepas enam tahun bercerai.

Hattan berkata, dia kini telah bersedia untuk berumah tangga semula tetapi masih belum menemui calon yang sesuai untuk disunting sebagai isteri.

"Kesibukan saya dengan perniagaan dan cabang seni menjadi penghalang untuk mencari pasangan. Namun, saya akui sejak kebelakangan ini hubungan dengan bekas isteri menjadi bertambah rapat.

"Kami seperti malu-malu apabila berjumpa macam pasangan baru bercinta pula. Namun, tiada apa yang serius kerana kami tidak pernah berbincang apa-apa," katanya yang turut mendapat restu daripada anak tunggal mereka, Adam Eiman sekiranya mereka menjadi suami isteri semula.

Jelas penyanyi lagu Mahligai Syahdu ini lagi, antara doa utama yang dipohonnya ketika mengerjakan umrah di Mekah baru-baru ini adalah untuk bertemu jodoh.

"Ketika menunaikan umrah baru-baru ini, saya berdoa agar ditemukan seorang isteri yang baik dan solehah. Kalau diizinkan saya mahu berkahwin pada tahun ini.

"Terus-terang saya tidak kisah pun siapa calonnya tetapi masalahnya memang tiada. Seandainya ada jodoh, saya sudah bersedia tetapi seandainya tiada saya reda," katanya.

Hattan dan Arianie berkahwin pada 17 Disember 1996 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Adam Eiman, 13.

Pasangan itu bercerai talak satu secara rasmi pada 10 Mac 2005 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Hattan dan Heliza bakal bergabung dalam majlis Makan Malam Amal anjuran Yayasan Bina Insan Malaysia pada 17 Julai ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Beralih ke perkembangan terbaru, Hattan dan penyanyi Heliza (AF5) bakal terlibat dalam projek Makan Malam Amal anjuran Yayasan Bina Insan Malaysia (YBIM) pada 17 Julai ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Hattan yang teruja dengan projek tersebut berkata, dia menerima tawaran itu kerana terpanggil untuk bersama-sama membantu mengumpulkan dana untuk golongan yang memerlukan.

"Saya sememangnya sering terlibat dengan aktiviti sebegini cuma ia tidak dicanangkan. Pada majlis YBIM nanti, saya akan membuat persembahan antara 5 hingga 10 lagu bagi mengumpulkan dana.

"Pada usia begini, sudah tiba masanya untuk saya berhijrah pada perkara-perkara kebaikan. Hijrah itu memadailah dalam diri saya iaitu menjaga tanggungjawab sebagai Muslim dan ketua keluarga.

"Saya masih Hattan yang dulu dan tidak perlu berlaku perubahan drastik pada imej pula," katanya yang sudah menghentikan bisnes produk Adam kerana lebih menumpukan perniagaan berkaitan dunia hiburan.

Lanie Amysha Juara Pertandingan Bintang Kecil Zon Sarawak

Posted: 02 Jul 2011 06:13 PM PDT

Lanie Amysha Mohamad Nor.

KUCHING: Dorongan dan didikan ibu dalam bidang nyanyian, akhirnya membuahkan hasil apabila pelajar berusia 11 tahun, Lanie Amysha Mohamad Nor, muncul juara Pertandingan Bintang Kecil RTM zon Sarawak 2011.

Pelajar Tahun Lima dari Sekolah Pulo, Petra Jaya di sini mengalahkan tujuhfinalis dengan dendangan lagu berjudul "Memori Tercipta" di sini Sabtu.

Lanie Amysha, yang pernah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian sejakbeusia lima tahun, akan mewakili zon Sarawak pada Pertandingan Bintang KecilKebangsaan 2011.

Juara Bintang Kecil RTM 2011 Lanie Amysha Mohamad Nor (tengah) bersama naib juara, Muhammad Shahrezza Abu Samah (kiri) dan pemenang tempat ketiga, Siti Norsenasiah Mohd Aderus (kanan).

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyampaikan hadiah wangtunai berjumlah RM2,000, piala dan sijil kepada Lanie Amysha.

Naib juara disandang oleh pelajar Tahun Tiga Sekolah Encik Buyong di sini,Muhammad Shahrezza Abu Samah, dengan lagu berjudul "Samudera".

Beliau menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,500, piala dan sijilmanakala tempat ketiga dimenangi oleh Siti Norsenasiah Mohd Aderus, 11, dariSekolah Abang Abdul Kadir, Betong, dengan lagu "Tolong Ingatkan Aku".

Beliau menerima hadiah wang tunai RM1,000, piala dan sijil.

Abang Mohd Fhazlly Abang Abd Manaf, 11, yang menyanyikan lagu "MemburuImpian" memenangi anugerah persembahan terbaik.

Pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Abdul Kadir, Betong, itu membawapulang wang tunai RM500, piala dan sijil.

Salih Yaccob Kendalikan 'Salih Yaccob Show, I Follow'

Posted: 02 Jul 2011 06:12 PM PDT

PETALING JAYA: Selepas tiga tahun tidak mengendalikan sebarang program bual bicara, kini pelawak Salih Yaccob muncul dengan program barunya, Salih Yaccob Show, I Follow.

Menurut Salih, tag line 'I Follow' diambil daripada slot Sinar Pagi yang dikendalikannya di Sinar FM dan apabila ia semakin dikenali, pihak Astro menerbitkan pula slot tersebut versi program bual bicara pula.

"Sebenarnya saya pun tidak sangka bahawa 'I Follow' mempunyai ramai pengikut da ia mampu menjadi fenomena buat pendengar-pendengar setia Sinar FM.

"Jadi saya percaya dengan kemunculan Salih Yaccob Show, I Follow, program ini dapat merapatkan lagi peminat-peminat dengan saya menerusi watak-watak yang sering saya bawakan dalam radio seperti Abang Jem, Mak Neng dan Wak Jawa," katanya.

Salih Yaccob Show, I Follow membincangkan topik-topik menarik secara santai dan bersahaja bersama tetamu-tetamu undangan bagi setiap episod dan pelakon Nik Sayyidah Fatiha (Mek) turut membantu dalam menjayakan program berkenaan.

Ia dibahagi kepada lima segmen menarik dimana segmen pertama dikenali sebagai I Follow iaitu sebuah persebahan pembuka tirai bagi setiap episod.

Segmen Betul Tak akan mewarnai segmen kedua program itu dimana Salik akan berceloteh dengan Mek mengenai topik-topik semasa yang dibincangkan yang antaranya seperti Rezeki Ramadhan, Susah Cari Kerja, Tiba-tiba Popular, Jarak Usia, Kaki Shopping dan Wanita Susah Cari Pasangan.

Selain itu, tiga lagi segmen yang ada pada program tersebut ialah Kembang Sa-Taman, Corat Coret dan Lagu Merapu.

"Harap-harap saya dapat menjayakan program ini dengan baik kerana ia satu tigas yang mencabar. Maklumlah, dah tiga tahun tak kendalikan program temubual sendiri.

"Bagaimanapun, saya gunakan peluang ini sebalik-baik mungkin untuk menghiburkan penonton. Alhamdulillah, apa yang lebih menyenangkan saya, pihak Astro memberi kebebasan kepada saya dalam mencari idea dan topik-topik yang ingin dibicarakan," katanya.

Progrm Salih Yaccob Show, I Follow ditayangkan setiap Jumaat, pukul 9 malam bermula 8 Julai menerusi saluran Astro Warna.

'Pintu Neraka' Bakal Beri Kesan Luar Biasa

Posted: 02 Jul 2011 06:12 PM PDT

Yvonne, pengidap barah otak membantu mempromosikan filem Pintu Neraka.

AMPANG: Biarpun mempertaruhkan barisan muka-muka baru, namun filemberjudul Pintu Neraka terbitan Cahaya Karya Warna Sdn Bhd dijangkabakal memberi impak luar biasa dalam industri filem tempatan.

Penerbit merangkap pelakon utama, Jefri Jefrizal berkata, filem tersebut memiliki kekuatan tersendiri dan mempunyai mesej yang berat untuk disampaikan kepada masyarakat.

"Filem ini bukan filem seram, tetapi mengisahkan tentang kekuatan dalaman dan keimanan seseorang yang berhadapan dengan maut.

"Jalan cerita yang bakal dipamerkan berbeza berbanding filem-filem yang biasa di Malaysia dan saya yakin ia memberi kesan dalam industri filem tempatan," ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Filem Pintu Neraka, di sini, Jumaat.

Tambahnya, watak-watak dalam filem tersebut juga mempunyai kekuatan tersendiri walaupun dilakonkan oleh pelakon baru.

"Setiap watak ada kekuatan dan mesej yang disampaikan, semua karakter dalam filem ini adalah penting.

"Saya yakin pelakon-pelakon baru dan lama yang membintangi filem ini dapat membawakan watak yang diberi," jelasnya.

Kata Jefri, pihaknya sedang merancang untuk membawa filem tersebut ke Singapura dan Asia Tenggara.

"Kita mengambil pelakon utama iaitu Raffi Khan yang mana dia popular di Singapura untuk membolehkan filem ini boleh diterima di sana.

"Sementara itu, kami juga merancang untuk memasarkannya di beberapa negara lain," katanya.

Filem ini akan memulakan penggambaran di sekitar Lembah Klang bermula 5 Julai ini dijangka akan ditayangkan pada penghujung tahun ini.

Filem ini mengisahkan tentang seorang ahli perniagaan kongsi gelap yang menghidap kanser dan berhadapan dengan kematian.

Dalam mengharungi sisa-sisa hidupnya, dia berjuang dengan semangat dan penuh keimanan. Dia akhirnya kembali kepada pegangan asal iaitu agama.

Filem ini dibintangi oleh Raffi Khan, Jefri Jefrizal, Fadzlie Rahim, Sherie Merlis, Roshfaizal Ariffin, dan Saddiq Raffali.

Emma Watson Tak Pandai Marah

Posted: 02 Jul 2011 06:11 PM PDT

WALAUPUN sudah 10 tahun melakonkan watak Hermione Granger dalam filem Harry Porter, rupa-rupanya Emma Watson mengalami masalah untuk memainkan emosinya lebih-lebih lagi bila diminta melakonkan perasaan marah.

Aktres yang kini menyambung pengajiannya di University Rhode Island, Kingston, Amerika Syarikat (AS) itu tidak menyangka dunia lakonan Hollywood yang disertainya sejak tahun 2001 tidak membantu langsung dalam kelas lakonan yang diambil.

"Guru lakonan saya berkata. Saya mempunyai masalah dalam menjiwai watak seorang pemarah. Dan saya hampir menangis ketika disuruh beremosi seperti itu kerana langsung tidak boleh melakukannya," katanya kepada laman portal aceshowbiz.com.

Tambah Emma dia juga mengakui bahawa dia sangat takut untuk melakonkan watak negatif seperti wanita seksi atau gadis nakal.

"Saya sering menyimpan emosi negatif di 'sebuah tempat' dan agak takut untuk 'mengeluarkannya.

" Dan jika saya membiarkan diri menjadi seksi dan kuat, terasa semacam pula dibuatnya. Bagi saya watak itu mampu menimbulkan perasaan yang aneh," ujarnya.

William (Black Eye Peas) Selamat Dari Kebakaran

Posted: 02 Jul 2011 06:07 PM PDT

SALAH seorang ahli Black Eyed Peas, Will.I.am (gambar), hampir terbakar apabila hotel yang dikunjunginya di Hotel London, England mengalami kebakaran pada Jumaat lalu .

Pada ketika itu dia diminta untuk menyelamatkan diri bersama seramai 1500 tetamu hotel yang lain.

"Pada kejadian itu, William keluar terburu-buru bersama tetamu yang lain.

"Mereka diperintahkan untuk keluar dari hotel sebelum pihak bomba datang memadamkan api," kata sebuah sumber.

Tambah sumber itu lagi, difahamkan, kejadian kebakaran bermula dari dapur hotel tersebut.

Will.iam yang memakai bandana hijau pada kejadian tersebut menutup mulut dan hidungnya supaya tidak terkena asap kebakaran itu

Penyanyi tersebut berada di London untuk memenuhi undangan persembahan pada Festival Wireless di Hyde Park.

Setakat ini Will.I.am belum membuat sebarang kenyataan lagi berhubung dengan kejadian itu.

Hidangan sihat cara Itali

Posted: 02 Jul 2011 06:06 PM PDT


Pai epal dan sos vanila.


APA agaknya rasa masakan tanpa garam, gula atau serbuk perasa? Pasti ramai yang menganggap ia tawar kerana bahan-bahan ini antara yang wajib dan kita sudah terbiasa menggunakannya sejak dulu lagi.

Namun sebenarnya terdapat banyak cara untuk menghasilkan masakan enak tanpa bahan tersebut, kata chef Azizi Abdul Aziz dari Kitchen Art Brasserie, Hotel Empire Subang.

"Paling penting bahan yang digunakan mesti segar dan terdapat banyak rempah yang boleh membantu meningkatkan rasa bahan utama," kata Eksekutif Chef itu.

Seperti hidangan ikan merah yang disediakannya. Walaupun tanpa garam atau lada sulah, hidangan itu terasa enak dan cukup rasa gabungan bahan-bahan segar yang digunakan.

Chef Azizi memasak ikan tersebut dengan cara pan-fry tanpa menggunakan banyak minyak. Dengan cara itu katanya, kesegaran rasa daging ikan tidak hilang malah ia lebih menyihatkan lagi. Beliau kemudian menumis bawang putih sehingga berbau harum dam kemudian memasukkan tomato segar yang dicincang, cili benggala dan buah zaitun. Tanpa menunggu lama, ia terus dihidang bersama ikan bagi mengekalkan kesegaran hidangan. Hasilnya satu hidangan yang bukan sahaja enak malah berkhasiat dan rendah kalori.

Ingin mencuba? Anda boleh sediakan sendiri di rumah kerana ia tidak sukar atau mahu menikmati suasana yang lebih istimewa, kunjungi Kitchen Art Brasserie sepanjang Julai ini. Melalui hidangan Antipasti Bufffet Dinner yang berharga cuma RM39++ untuk dewasa, bukan sahaja ikan merah sebagai hidangan utama, anda juga boleh menikmati udang cajun berempah (pembuka selera), sup kacang kuda dan rosemary, kaki kambing papilotte serta desert tat epal dan almond bersama sos vanila.

Disediakan dalam hidangan yang kecil, namun ia cukup mengenyangkan tambahan lagi bila dinikmati dalam suasana santai di situ. Panorama indah kawasan Subang Jaya yang pesat membangun menjanjikan satu pengalaman menjamu selera istimewa buat semua pengunjung.

Daripada hobi jadi galeri

Posted: 02 Jul 2011 06:05 PM PDT


HIMPUNAN tembaga antara koleksi kesayangan Edwin.


SEMAKIN lama usianya, semakin jarang diperoleh maka semakin tinggilah nilainya. Itulah prinsip yang dipegang seorang anggota tentera, Edwin Mario Christie Netto.

Edwin, 29, tidak pernah menyangka minat mengumpul barang lama secara kecil-kecilan sebagai hobi sewaktu berusia 8 tahun boleh mencetuskan idea untuk mewujudkan sebuah muzium mini di rumahnya di Taman Baru, Jalan Bakar Sampah, Sungai Petani, Kedah.

Bermula dengan menyimpan pinggan mangkuk zaman penjajahan British, lama-kelamaan banyak barang antik menyusul. Edwin tidak lagi mampu menyimpan barangan tersebut di dalam almari perhiasan di rumah. Dia terpaksa meletakkan himpunan koleksinya di ruang tamu dan merebak jauh ke bahagian depan rumah.

"Mula-mula hanya kumpul untuk buat barang perhiasan tapi lama-kelamaan sudah terlalu banyak, terpaksa saya buka satu mini galeri di rumah," katanya.

Edwin yang bertugas di Rejimen 513 Askar Wataniah, Kem Jalan Kolam Air, Sungai Petani mengumpul lebih 1,000 jenis barang antik - paling lama adalah kayu cengal batu landasan kereta api berusia lebih 100 tahun.

Dia sudah menghabiskan ribuan ringgit untuk membeli barang-barang terbabit tetapi tidak mencatatkan nilai sebenar kerana tidak menyangka ia boleh menjadi banyak sedemikian rupa.

Ada antara barang-barang antik itu diperoleh secara menukar suka sama suka dengan pengumpul barang antik lain. Ada juga sesetengahnya diwarisi oleh mendiang bapanya, Francis Edwin Netto.

Antaranya yang ada dalam simpanannya kini adalah tembikar, periuk tembaga, radio lama, seterika lama, gergaji papan, gantang, sagat ubi, gobek api, kapak Jerman, pemain rekod, televisyen lama, acuan makanan, jam, penimbang padi, radas dan balang perubatan lama dan batu giling.

Dua benda yang paling disayangi Edwin adalah tanduk rusa Raindeer dan kad pengenalan sebelum merdeka milik bapanya.

"Saya juga mempunyai set perabot yang diperbuat daripada kayu landasan kereta api dan meja batu penggiling seberat 700 kilogram. Ia memerlukan hampir 10 orang untuk mengangkatnya," katanya yang memperoleh kayu tersebut melalui tender daripada Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Edwin memberitahu, dia pernah mendapat tawaran untuk menjual kesemua koleksi simpanannya dengan harga RM250,000 tetapi ditolak kerana berpegang kepada prinsip menghargai barangan lama.

Bagi menggalakkan orang ramai mempelajari sejarah dan melihat barangan tersebut, dia membuka muzium mini itu untuk tontonan orang ramai secara setiap hari.

"Saya namakan muzium mini ini sebagai Antique Station dan tiada sebarang bayaran dikenakan. Saya percaya orang ramai yang mengunjungi akan dapat sedikit sebanyak pengetahuan,'' katanya.

Jangan bodoh kerana cinta

Posted: 02 Jul 2011 06:05 PM PDT

''SAYA masih tertanya-tanya mengapa wanita apabila dilanda gelora cinta mereka jadi bodoh, tak boleh berfikir, tak makan nasihat, jadi buta, pekak, bisu dan cuma percaya kekasihnya saja. Itulah yang terjadi pada saya dahulu, sehingga hampir memusnahkan hidup saya.'' Demikian cerita FaraNajwa dalam emelnya.

''Walaupun peristiwa itu berlaku 10 tahun lalu, tetapi bila melihat gelagat wanita kini yang tak boleh berfikir kerana cinta membuat saya teringat peristiwa pahit yang pernah saya lalui. Walaupun saya lulusan universiti tetapi ketika bercinta saya jadi bodoh.

''Saya kenal Joe ketika sama belajar, dia menyayangi saya sepenuh hati, sanggup buat apa sahaja untuk saya. Dia tak benarkan saya keluar sendirian apa lagi naik bas. Saya ditatang macam putri. Dan saya menikmati saat-saat bercinta paling menyeronokkan.

''Ketika bercinta kami berkongsi segalanya, masalah, duit makanan dan nota pelajaran. Tetapi satu masalahnya dia panas baran dan tak mahu mengalah. Ada masanya dia mengongkong saya hingga membuat hubungan kami jadi panas.

''Dipendekkan cerita hubungan kami bertahan enam tahun, walaupun sering bergaduh kerana saya tahu dia playboy dan baran. Ramai kawan tahu dia ada ramai teman wanita, tetapi nasihat mereka saya anggap tomahan dan fitnah.

''Akhirnya hubungan kami sampai ke tahap 'terlarang,' namun Joe berjanji akan bertanggung jawab dan berkahwin setelah tamat pengajian. Saya menangis dan kesal kerana terlanjur, kerana saya terdidik soal agama, namun kerana terlalu sayangkan Joe saya ikut sahaja kemahuannya. Memang saya bodoh.

''Joe kenal keluarga saya, ibu ayah saya melayan Joe seperti anak sendiri. Lebih-lebih lagi Joe pandai ambil hati orang tua dan menghormati mereka. Dan keluarga saya menunggu saat dan ketika untuk kami segera kahwin.

''Setelah enam tahun bercinta kami pun bertunang. Tetapi perubahan sikap Joe jelas apabila kami berkhidmat di negeri berjauhan. Dia jadi semakin sukar dihubungai. Saya dapat tahu dia bercinta dengan teman sepejabat. Beberapa kali kawan kami terserempak mereka pergi menonton dan makan malam, mereka cuba nasihatkannya. Tapi Joe tak peduli.

''Setiap kali dengar berita, saya hubungi Joe sudah pasti dia menafikan, akhirnya dia tuduh saya suka dengar fitnah. Joe lebih berang bila saya hubungi teman wanitanya untuk kepastian. Saya terpaksa, kerana tarikh perkahwinan tinggal tiga bulan lagi.

''Untuk menyejukkan kemarahan saya, Joe minta saya butikan kasih sayang saya padanya, dan sudah pasti ketika itu saya terpaksa membenarkan tubuh saya diratah. Saya tak berani membantah permintaan Joe kerana banyak sebab. Pertama saya terlalu sayangkannya, kedua tarikh perkahwinan semakin hampir, ketiga saya takut ditinggalkan, keempat malu jika kahwin tak jadi, kelima saya takut siapalah mahukan saya jika tak jadi kahwin, kerana saya bukan gadis lagi. Saya ikut kehendaknya disebabkan lima perkara tadi.

''Malangnya Joe masih teruskan sikapnya. Saya jatuh sakit. Bila diberitahu, Joe kesal dengan perbuatannya, dia berjanji akan setia. Tetapi janji tinggal janji. Sekali lagi kami bergaduh. Kata Joe, ''Apa awak nak jadi jika saya tinggalkan awak?

''Tamparan kata-katanya membuka mata saya mengenali siapa Joe sebenarnya. Kata Joe pertunangan hanya adat. Dia masih berhak mencari calon isteri lebih sesuai. Lagipun dia tidak selesa dengan sifat saya yang teratur, kemas dan bersopan kerana dia mahukan wanita yang 'sempoi' dan 'rock'. Dia juga tidak selesa dengan ketertiban keluarga saya kerana keluarganya biasa bercakap 'kau dan aku'. Rumah kami yang kecil juga membuatkan dia tidak betah tinggal.

''Seribu satu alasan Joe berikan menghina saya dan keluarga. Paling mendukacitakan dia merasakan perbuatannya meratah dan meniduri saya adalah perbuatan normal bagi pasangan bercinta, dan dia tidak mahu berkahwin atas dasar tanggungjawab saja kerana dalam jiwanya langsung tidak wujud perasaan cinta terhadap saya.

''Kerana terlalu marah, mungkin sakit hati dan amat sedih, saya terpaksa menerima keputusan Jo yang mahu pertunangan kami diputuskan.

''Sebulan selepas putus tunang, dengan izin Allah dan takdirNya juga seorang kenalan lama menyatakan hasratnya mengambil saya jadi isterinya. Saya yang masih dihantui sejarah hitam berterus-terang kepadanya keadaan diri saya yang tidak suci lagi. Saya sendiri tak tahu bagaimana saya berani memberitahu sejarah hitam saya yang tersimpan rapi selama ini. Alhamdulillah, dia terima saya seadanya katanya saya baik cuma tersilap langkah.

''Dia terpikat dengan personaliti dan perilaku saya. Dia terus berjumpa keluarga melamar saya. Ibu dan ayah terkejut besar, dan menerimanya sebagai ketentuanNya.

''Saya terima lamarannya bukan mahu jadikan beliau kambing hitam. Tetapi saya mahu buktikan saya mampu bangkit semula, dan musibah ini tidak memusnahkan hidup saya dan tidak mahu meratapi nasib sepanjang hayat.

''Kami berkahwin beberapa bulan kemudian. Dan saya gunakan semua barangan yang telah saya siapkan sebelum ini. Saya belajar mencintainya selepas berkahwin. Alhamdulillah, Allah telah membuka hati dan perasaan saya untuk menerima cintanya.

''Kini saya anggap sayalah manusia paling bertuah dan bahagia di dunia ini kerana diberi peluang kedua untuk merasa nikmat kasih sayang yang sebenar. Suami membimbing saya jadi isteri sempurna dan tidak putus-putus mengatakan betapa bertuahnya dia mendapat isteri seperti saya. Beliau tidak pernah mengungkit kisah silam saya.

''Selepas berkahwin, Joe menghantar SMS menyatakan kekesalannya dan hasratnya untuk kembali kepada saya. Tetapi dia terkejut saya mendapat pengganti begitu cepat. Dan dia kesal dengan apa yang terjadi. Pada saya itu hanya omong kosong.

Saya bersyukur dan berusaha jadi isteri terbaik untuk suami tercinta sambil menunggu kelahiran anak kedua kami.'' Demikian nasihat FaraNajwa.

‘Syurga’ kecil Emma Mustafa

Posted: 02 Jul 2011 06:04 PM PDT


Melalui tutur bicaranya ini, dapat ditafsirkan bahawa kesibukan jurusolek ini memberi ilham untuk dia memilih hiasan studio yang ada stail tetapi ringkas dan cantik.


DUNIA artis dan fesyen tempatan mengenali Emma Mustafa sebagai jurusolek yang cukup kreatif dan versatil dengan idea-idea segar yang jarang mengecewakan.

Sebagaimana cita rasa mewahnya terhadap solekan, begitu juga ilham rasa jurusolek berasal dari Perak ini dalam menata rais studionya yang menjadi 'syurga' kecilnya di pinggiran kota metropolitan itu.

Penulis baru-baru ini berkesempatan 'mengintai' dan mengagumi hiasan dalaman studio Emma yang mempunyai cita rasa dekorasi ringkas dan elegan.

Indah

Terletak di Jalan Cahaya 2/2, Pandan Cahaya Ampang, Selangor, Emma mengeluarkan belanja hampir RM 20 ribu untuk menghias studio yang diberi nama Studio M.

Hiasan dalaman diatur begitu indah dengan pilihan perabot dan hiasan moden yang kebanyakan dibelinya di IKEA.

Menurut Emma, tema dekorasi yang dipilih ini bukan semata-mata tampil moden tetapi menghasilkan pandangan serta suasana ringkas kerana keluasannya yang terhad.

"Apabila saya memulakan kerja pada pagi hari, persekitaran studio memberi ketenangan kepada saya," ujarnya.

Melalui tutur bicaranya ini, dapat ditafsirkan bahawa kesibukan jurusolek ini memberi ilham untuk dia memilih hiasan studio yang ada stail tetapi ringkas dan cantik.

Melangkah ke ruang tamu studio , kita dapat melihat kerlipan lampu yang unik digantung di bahagian hujung meja kerja utamanya.

Ruang ini turut dihiasi dengan potret gambar hasil kerjanya di beberapa buah majalah yang berbingkai moden. Barangan solekan, andaman serta rambut palsu disusun rapi dengan gabungan warna latar putih pada hampir keseluruhan bahagian studio,

Warna putih menjadikan studio ini lebih luas dan cerah.

Moden

Di tepi ruangan ini terdapat sudut berehat sambil menonton televisyen.

Katanya pelanggan yang datang untuk mendapat khidmat solekannya boleh membawa teman kerana terdapat ruang duduk dan rehat yang cukup.

Sofa merah sudah cukup menyerlahkan ruangan ini walaupun keluasan yang terhad.

Melengkapkan fungsi studio ini sebagai rumah kedua Emma, sebuah bilik tidur disediakan menampilkan katil moden dengan cadar merah samar menimbulkan suasana romantik. Bahagian rak hiasan pula diserikan dengan koleksi perhiasan perkahwinan perak.

Kesemuanya tampil ringkas dan bersih kerana pemilihan warna putih cukup sesuai untuk mereka yang meminati konsep ini. Malah ia semakin serasi apabila Emma memilih tikar lantai bambu yang berwarna coklat.

"Saya tidak suka bawa balik hasil kerja ke rumah. Semuanya saya simpan di studio. Ini dapat mengelakkan suasana rumah daripada menjadi sempit dan semak.

Kebetulan ramai jurusolek lain yang tinggal berdekatan sini boleh membeli peralatan solekan yang kebanyakannya saya dapatkan dari Indonesia. Di sini juga tempat saya mengajar kelas solekan orang perseorangan," katanya yang mempunyai dua pembantu setia, Embun dan Ps Mansur.

Ujarnya, walaupun studionya kelihatan seperti muzium tetapi yang penting ia menjadi destinasi menghasilkan kerja kreatif dan perniagaan paling baik untuk dirinya.

Dulu obes kini pelari marathon

Posted: 02 Jul 2011 06:03 PM PDT


Syahril percaya, tiada apa yang terlambat dalam hidup ini andai kita bersungguh untuk mendapatkannya.


MEMBESAR sebagai kanak-kanak montel dan remaja obes pastinya bersukan adalah perkara terakhir yang difikirkan oleh Syahril Nizam Kamarudin.

Beliau yang mesra dipanggil Syahril berkata, sebagai cucu manja yang dipelihara nenek sejak lahir, dia bebas melakukan apa sahaja tanpa ada yang melarang.

"Tiada siapa yang akan tegur atau marah jika saya makan dengan banyak, tidur hingga ke tengah hari dan tidak pernah bersukan. Lagi pun ketika itu saya fikir bersukan perlukan duit yang banyak untuk membeli kasut, pakaian dan sebagainya. Jadi saya tidak mahu menyusahkan nenek," kata lelaki berusia 36 tahun itu mengimbau kenangan masa silamnya.

Dengan gaya hidup yang sebegitu, tidak hairan ketika baru memasuki sekolah menengah beratnya sudah mencecah 110 kilogram.

Sikap itu terus dibawa Syahril sehingga berumah tangga. Mujur dengan ketinggian 6 kaki 2 inci membuatkan tubuhnya tidak kelihatan terlalu gemuk walaupun beratnya ketika itu sudah melebihi 120 kilogram.

Selepas memperoleh anak kedua manakala anak pertama pula sudah pandai minta ditemani ketika bermain, lelaki bergelar arkitek itu mula sedar dengan keadaan fizikalnya.

"Saya cepat rasa penat dan termengah walaupun hanya sekadar mengejar anak berlari. Oleh sebab itu saya rasa seperti perlu lakukan sesuatu bukan hanya untuk diri sendiri tapi untuk keluarga juga," katanya.

Lantaran itu Syahril bertekad untuk menguruskan badan dengan cara bersenam bukan melalui program yang ditawarkan di pusat kecantikan. Namun ada sahaja usikan nakal yang berkata dia sudah tua untuk melakukan perkara seperti itu (usianya 32 tahun ketika itu).

Tidak berpuas hati, Syahril akhirnya melantik seorang jurulatih peribadi dalam usaha menurunkan berat badan ke tahap yang ideal.

Berlari

Atas beberapa faktor, jurulatih menyarankan agar Syahril bermula dengan senaman paling mudah dan tidak berisiko seperti berjalan.

"Pada mulanya saya terfikir, saya mengupah jurulatih dan dia hanya minta saya berjalan. Bolehkah menurunkan berat?" soalnya.

Namun begitu beliau tetap mencubanya tanpa sebarang bantahan. Pada peringkat permulaan dia berjalan pada jarak dekat bersama jurulatih.

Semakin lama jarak itu ditambah dan jurulatih turut mengajar bagaimana untuk berjalan lebih laju atau lebih mudah dengan berlari secara perlahan.

Memang agak sukar kerana dia yang tidak pernah bersukan ketika zaman kanak-kanak dan remaja kini terpaksa berlari pula.

Selain berjalan kaki dan berlari, beliau juga diperkenalkan dengan diet bagi membantu menurunkan berat badan.

"Diet yang diberi sebenarnya bukan terlalu menyeksa seperti ramai sangkakan. Jika dulu saya makan tiga atau empat kali sehari, tapi kini menjadi lima hingga enam kali sehari. Syaratnya tiada nasi tapi lebihkan bijirin, sayur dan buah," katanya.

Walaupun begitu, setiap seminggu sekali iaitu pada hari Sabtu Syahril boleh menikmati apa sahaja hidangan yang dia mahu tanpa ada sekatan.

Selepas beberapa bulan mencuba, dia semakin rasa seronok dan bertenaga. Perkara itu berterusan selama dua tahun dan dia berjaya mendapatkan berat ideal iaitu 80 kilogram.

Sertai pertandingan

Selepas dua tahun berlari secara suka-suka, pada suatu hari jurulatih mengajak Syahril mencuba menyertai pertandingan larian berjarak 10 kilometer bersama-sama.

"Baru pertama kali mencuba saya terus jatuh cinta. Sebab bila berlari kita tidak lari sendirian apatah lagi jurulatih turut menemani ketika larian pertama saya," katanya.

Bermula dari situ, beliau pula yang akan mencari pertandingan larian sehingga ia menjadi rutin amalannya. Tahun lalu sahaja dia telah menyertai 10 acara dan yang terakhir adalah Standard Chartered KL Marathon 2011 yang berlangsung baru-baru ini. Walaupun tidak menang, namun katanya semangat dan keseronokan berlari beramai-ramai sukar diungkapkan.

Bagi Syahril, rutin hidupnya kini berubah hampir 100 peratus. Daripada seorang kanak-kanak dan remaja yang obes serta tidak pernah bersenam, kini larian antara perkara yang cuba dilakukannya walaupun bukan setiap hari.

Dia kini berasa lebih sihat dan bertenaga, malah lebih seronok kerana mampu melayan anak-anak bermain tanpa rasa penat atau lelah.

Syahril percaya, tiada apa yang terlambat dalam hidup ini andai kita bersungguh untuk mendapatkannya.

Nota Da Vinci dijual RM92.4 juta

Posted: 02 Jul 2011 06:02 PM PDT


Codex Leicester.


BILA kita membicarakan mengenai acara lelongan, terbayang berbagai perkara di benak fikiran. Ada yang terbayang rumah atau kereta yang ditarik dari pemiliknya angkara gagal membayar hutang maka terpaksalah ia dilelong.

Ada yang membayangkan acara lelongan yang dijalankan oleh syarikat pelelong ternama seperti Christie, Sotheby's, Bonhams, Lyon & Turnbull sekadar menyebut beberapa nama. Apabila melibatkan syarikat sebegini acara lelongan anjuran mereka selalunya melibatkan barangan mewah dan antik yang pastinya bernilai jutaan ringgit.

Kini dalam era teknologi maklumat urusan lelongan sudah menjadi semakin mudah, hanya masukkan gambar item yang mahu di jual ke dalam syarikat lelongan Internet, contoh mudahnya eBay atau mudah.com.

Bernilai

Itemnya pula dari sekecil-kecil barang yang murah harganya hinggalah kapal persiaran mewah bernilai ratusan juta dolar. Sebagai perbandingan, tiada perbezaan yang ketara antara lelongan dengan urus niaga lain.

Cuma ia melibatkan syarikat tertentu yang menjadi orang tengah dan melibatkan sekelompok manusia yang akan membida pada harga tertinggi. Namun ia menjadi lebih menarik bilamana melibatkan barangan mewah, antik dan jarang ditemui.

Walau apa pun kisahnya lelongan sebegini adalah antara sebahagian daripada aktiviti ekonomi yang mampu menjana keuntungan lumayan jika kena pada tempat dan barangannya. Melihat kembali kepada sejarah panjang acara lelongan, berdasarkan rekod ia dikatakan telah wujud sekitar 500 tahun Sebelum Masihi.

Jodoh

Berdasarkan catatan Herodotus, kerajaan Babylon lampau pernah menjalankan acara lelongan wanita untuk dijadikan jodoh. Ketika itu dikhabarkan lelongan seperti itu bukan satu kesalahan malah terdapat ibu bapa yang sanggup datang dari jauh untuk 'menjual' anak mereka. Malah adalah dianggap satu kesalahan bagi sesiapa yang menjual anak mereka tanpa melalui proses lelongan.

Dalam catatan lain berdasarkan sejarah empayar Rom, mereka yang ditawan dalam peperangan pula akan menerima nasib malang kerana akan dijual dalam satu lelongan untuk dijadikan hamba abdi. Lebih menarik lagi ketika zaman Rom juga sudah ada kaedah merampas rumah mahupun harta benda jika seseorang tidak mampu membayar hutang.

Malah salah seorang maharaja Rom, Marcus Aurelius pernah menjual perabot dan barangan mewahnya untuk membayar hutang sebelum beliau dipilih menjadi maharaja.

Lebih mengejutkan, kerajaan Rom pernah dilelong kepada pembida tertinggi pada tahun 193 Selepas Masihi. Ini berikutan tindakan askar elit Rom ketika itu yang digelar Pegawai Praetorian telah membunuh maharaja Pertinax berikutan rancangan beliau mahu mendisiplinkan mereka.

Pancung

Akibatnya salah seorang golongan bangsawan, Didius Julianus berjaya membida harga tertinggi dianggarkan 6,250 drachmas untuk setiap seorang Pegawai Praetorian. Beliau hanya berjaya memerintah selama tiga bulan sebelum digulingkan dan kemudian dihukum pancung. Kejadian ini telah mengakibatkan perang saudara yang berlanjutan selama empat tahun. Berdasarkan kisah lampau adalah tidak menghairankan kenapa acara lelongan sebegini begitu mendapat sambutan sehingga kini.

Namun yang pasti golongan kaya akan terus mendapat faedah dari lelongan barangan mewah dan antik kerana hanya mereka yang mampu membelinya dan kemudian disimpan sehinggalah harganya naik berlipat kali ganda.

Jika sebuah kerajaan pun boleh dilelong apatah lagi barangan-barangan lain yang mungkin bernilai berkali ganda dari harga asal. Seterusnya dinyatakan beberapa barangan yang dilihat pelik, mahal dan mungkin juga mempunyai nostalgianya yang tersendiri.

1. Codex Leicester

Buku ini berkisar kepada kajian saintifik yang pernah dilakukan Leornado da Vinci. Walaupun beliau banyak menulis nota kajian dalam pelbagai buku namun buku ini paling berharga berdasarkan teori dan pemerhatian beliau mengenai astronomi, jenis batu, fosil dan kajian mengenai cahaya di cakerawala. Buku setebal 72 muka surat ini pernah dimiliki oleh Thomas Coke yang juga Earl of Leicester pertama pada 1717. Pengasas Microsoft, Bill Gates telah membeli buku ini pada 1994 pada harga AS$30.8 juta (RM92.4 juta) menjadikan ia buku paling mahal di dunia. Setiap tahun Bill Gates akan menayangkan buku ini di muzium yang berbeza untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat dan menilai buku ini.

2. Berlian Wittelsbach

Berlian biru seberat 35.56 karat telah dibeli pada harga AS$23.4 juta (RM70.2 juta) pada 2008 di London oleh seorang lelaki bernama Lawrence Graff. Berlian ini bukanlah paling besar di dunia tetapi tarikan utamanya adalah kejernihan dan kilauan warna birunya begitu memukau. Berlian ini dikatakan berasal dari kerajaan Golkonda di India namun berdasarkan perkembangan terbaru berlian ini telah dipotong kepada tiga bahagian menyebabkan ramai pengkaji sejarah kecewa kerana telah kehilangan keasliannya.

3. Gaun Marilyn Monroe

Gaun berwarna putih gading yang dipakai aktres Marilyn Monroe dalam filem The Seven Year Itch telah dijual pada harga AS$4.6 juta (RM13.8 juta) dalam satu acara lelongan kostum Hollywood. Gaun tersebut yang memaparkan aksi gaun terangkat ditiup angin merupakan rekaan William Travilla dan dikumpul sebelum dijual oleh Debbie Reynolds yang juga seorang pelakon veteran.

4. Painting No. 5

Lukisan bertajuk No. 5, yang dilukis pada 1948 oleh Jackson Pollock telah dinobatkan sebagai lukisan termahal dunia dalam satu acara lelongan pada 2006 dengan harga AS$140 juta (RM420 juta). Lukisan itu bersandarkan kepada teknik splattered paint dengan ukuran lapan kaki lebar dan empat kaki panjang hanya dilengkapi beberapa warna menjadikan ia kelihatan seperti sebuah sarang burung. Pemiliknya sekarang masih menjadi rahsia namun desas-desus mengatakan ia kini dimiliki David Martinez, yang memiliki syarikat Fintech Advisory Ltd.

5. The Walking Man

Arca termahal dunia yang diberi nama L'Homme qui marche I atau The Walking Man merupakan arca termahal dunia dengan harga 58 pound. Arca tersebut dicipta oleh Alberto Giacometti pada 1961. Arca bersaiz manusia ini mempunyai ukuran 183 sentimeter digelar sebagai 'imej rendah diri manusia biasa' telah dijual pada 2010 oleh syarikat lelongan Sotheby di London dan kini ia menjadi milik balu ahli perbankan ternama dari Lebanon, Lily Safra.

6. Badminton Cabinet

Mungkin agak pelik namanya namun ia merupakan almari termahal di dunia. Duke of Beaufort, Henry Scudam yang hidup dari 1707 hingga 1745 telah mengarahkan pembinaan almari ini ketika berusia 19 tahun. Almari ini diperbuat dari kayu ebony dan dilengkapi puluhan batu permata bernilai dan ia diperbuat di Florence, Itali. Almari ini merupakan antara karya paling dihargai di dunia dengan ketinggian 386 sentimeter dan lebar 232.5 sentimeter. Ia kini dimiliki oleh Hans-Adam II, yang juga Putera Raja Liechtenstein pada 2004 pada harga AS$35 (RM105 juta). Ia mendapat nama dari bangunan Badminton House di Gloucestershire, England.

7. 1936 Bugatti 57SC Atlantic

Kereta klasik keluaran 1936 telah mencatat sejarah sebagai kereta paling mahal di dunia. Kereta tersebut yang dimiliki oleh ahli keluarga mendiang Dr. Peter Williamson sebelum dijual kepada Muzium Automatif Mullin yang berpengkalan di Oxnard, California dalam satu lelongan melalui firma lelongan Gooding & Company. Sehingga kini hanya terdapat dua kereta jenis berkenaan, salah satunya dimiliki oleh pereka fesyen terkenal, Ralph Lauren. Harga sebenar penjualan kereta berkenaan tidak didedahkan. Namun menurut sumber kereta tersebut dijual pada harga antara AS$30 juta (RM96 juta) hingga AS$40 juta (RM 128 juta).

8. Eileen Gray Dragon Chair

Direka oleh seorang pereka Ireland, Eileen Gray yang turut diiktiraf sebagai antara pengasas gerakan moden dalam senibina. Kerusi ini pernah dimiliki oleh pereka terkenal Yves Saint Laurent

Namun pada 2009, dalam satu lelongan oleh rumah lelongan Christie di Paris, kerusi ini telah dilelong pada harga AS$28 juta (RM84 juta) menjadikannya kerusi termahal dunia.

9. 1794 American Silver Dollar

Duit syiling termahal dunia ini telah dijual pada harga AS$7.85 juta (RM23.5 juta). Duit syiling satu dolar ini merupakan antara yang paling sukar ditemui dan unik berbanding syiling lain kerana ia menampilkan gambar seorang lelaki berambut panjang. Duit syiling ini telah dibeli oleh The Cardinal Collection Educational Foundation of California dan ia telah dipamerkan di pelbagai muzium di seluruh dunia.

10. Ex-Vieuxtemps Violin

Alat muzik ini merupakan yang termahal di dunia dan direka oleh Giuseppe Guarneri yang juga pereka biola termasyhur dunia sebelum dibeli komposer Belgium, Henri Vieuxtemps. Pada 2008 biola ini telah dibeli oleh seorang peguam dan pemuzik Rusia, Maxim Viktorov pada harga AS $3.9 juta (RM11.7 juta).

11. Treskilling Yellow

Pada 1855 kerajaan Sweden telah melancarkan setem pertama yang hanya dikeluarkan sebanyak lima keping. Pada 1886 hanya satu setem ini ditemui menjadikan ia sebagai antara barang paling berharga di dunia. Setem ini telah banyak kali berpindah tangan dan pada 2010 ia telah dilelong pada harga yang tidak dinyatakan.

Pemiliknya kini hanya dinyatakan sebagai sebuah konsortium antarabangsa dan pemilik sebelumnya adalah sebuah syarikat kewangan yang berhadapan dengan masalah kewangan dan ia terpaksa dijual untuk melangsaikan hutang. Malah semua pembida dan mereka yang terlibat telah diarah untuk mengangkat sumpah bagi merahsiakan semua urusniaga yang berlaku.

Wajah bayi 3 dimensi

Posted: 02 Jul 2011 06:00 PM PDT


Teknologi imbasan terkini mampu menghasilkan imej 3D dan 4D.


KESERONOKAN dan rasa teruja apabila seorang wanita disahkan hamil merupakan perasaan yang biasa dialami pasangan suami isteri. Walaupun kehamilan itu berlaku seratus tahun atau seribu tahun yang lalu, namun rasa tidak sabar-sabar mahu melihat paras rupa bayi yang dikandung tetap sama.

Nenek moyang kita dahulu tidak mempunyai pilihan selain menunggu bayi dilahirkan untuk melihat bagaimana paras wajahnya. Sebarang kecacatan juga tidak dapat dikesan kerana teknologi ketika itu amat terbatas untuk melihat proses perkembangan janin.

Maka terpaksalah pasangan suami isteri bersabar menunggu saat kelahiran, sambil meneka-neka jantina bayi menerusi cara tersendiri. Misalnya kalau perut wanita hamil itu bulat, maka anak yang dikandung dikatakan lelaki.

Apabila teknologi ultrasound imbasan diperkenalkan, maka era berteka-teki semakin kurang mendapat tempat. Menerusi imbasan, jantina bayi dapat dilihat. Namun tidak seratus peratus tepat lantaran hasil paparan pada skrin komputer tidak begitu memuaskan. Selalunya jika jantina bayi dikenal pasti lelaki, maka ia boleh dianggap 99.9 peratus tepat. Hasil imbasan yang dicetak pula hanya berwarna hitam dan putih.

Selain menentukan jantina, teknologi imbasan juga membantu mengesan kecacatan jika ada. Begitu juga kehamilan kembar atau masalah-masalah lain dapat dilihat secara kasar. Teknologi tidak membataskan rasa teruja manusia untuk mengetahui lebih terperinci lagi akan makhluk ciptaan Tuhan.

Maka lahirlah ultrasound imbasan 3 dan 4 Dimensi (3D dan 4D) yang memberi lebih kepuasan dari segi penampilan rupa dan bentuk anggota bayi. Poliklinik Penawar Semenyih antara klinik yang menawarkan teknologi imbasan 3D buat ibu-ibu mengandung yang ingin mengetahui tentang bayi yang dikandung.

Bukan itu saja teknologi canggih itu membantu meredakan kebimbangan ibu-ibu yang mempunyai masalah kesihatan semasa mengandung.

Misalnya, ibu yang mengalami masalah kandungan gula tinggi semasa mengandung tentunya ingin memastikan saiz bayi tidak terlalu besar atau terlalu kecil.

Begitu juga dengan ibu yang mempunyai sejarah melahirkan bayi tidak sempurna seperti sumbing. Dengan adanya imbasan 3D, mereka dapat melihat sama ada masalah tersebut turut berlaku pada bayi yang dikandung. Jika keadaan itu dapat dikenal pasti lebih awal, ibu bapa boleh membuat persediaan mental dan fizikal untuk menyambut kelahiran bayi itu.

Tentunya bagi pengendali poliklinik tersebut, Dr. Rushmini Maris Ismai teknologi yang mula memasuki Malaysia tahun lepas memberi kelebihan kepada doktor sakit puan untuk membuat analisis jika terdapat sebarang keperluan berbuat demikian.

``Imej janin atau bayi juga boleh dilihat dari 3 dimensi oleh itu sebarang masalah atau keadaan yang luar biasa dapat diakses dengan lebih tepat,'' katanya.

Malah, dengan imbasan 3D, ukuran yang lebih tepat seperti anggaran berat bayi dapat dibuat.

Menurut beliau, bermula dengan minggu kehamilan ke-13, imbasan 3D boleh dilakukan, manakala ada juga pendapat ia sesuai dimulakan pada minggu ke-22 hingga ke-30 kehamilan.

Dengan imbasan 3D dan 4D, anda akan dapat melihat kulit bayi melitupi organ dalaman bayi selain bentuk mulut, hidung selain gerak menguap atau menggeliat.

Ia juga selamat seperti imbasan biasa kerana paparan imej dihasilkan menerusi bahagian-bahagian pada imej dua dimensi yang ditukar dalam bentuk gambar.

Imej yang lebih menyakinkan dan mampu diagnosis sebarang tanda-tanda luar biasa seperti sumbing pada bibir atau kecacatan pada telinga dan wajah. Begitu juga jika terdapat ketidaksempurnaan pada tulang belakang selain kecacatan jantung.

Yang pasti, imbasan 3D turut mewujudkan ikatan psikologi antara ibu bapa dan bayi yang belum dilahirkan. Semasa imbasan dilakukan, mereka boleh melihat pelbagai ekspresi wajah bayi seperti sedang menghisap ibu jari dan membuka mulut. Untuk maklumat lanjut hubungi 03-8723 1719.

Medan terbaik mengukir nama

Posted: 02 Jul 2011 05:59 PM PDT


Arziba (belakang, dua dari kiri) bersama 16 peserta pusingan awal.


MELIHAT foto milik si kecil molek Arziba Iba, ramai yang terpikat dengan raut wajah serta solekan natural sentuhan pasukan jurusolek The Magical Touch Of Ian Sham.

Di depan lensa jurufoto yang semakin mengukir nama, Annas Easkey, dia beraksi penuh yakin. Tidak hairan di antara lapan finalis program Projek 'X' anjuran jurufoto bebas itu, dia menjadi pilihan sehingga mendapat undian tertinggi daripada pelayar laman sosial Facebook.

"Gaya semula jadi dan tidak kaku menjadikan Arziba pilihan ramai. Dia bukan model profesional, namun dia mempunyai bakat untuk pergi lebih jauh," kata Annas ketika dihubungi.

Menurut pemuda berusia 23 tahun itu, Projek X, adalah terjemahan minatnya yang mendalam terhadap dunia fotografi.

Pelajar jurusan Pentadbiran Perniagaan Universiti Teknologi Mara, Segamat, Johor ini sanggup mengeluarkan duit poket dan mencari penaja sendiri bagi merealisasikan impiannya.

Tujuannya cuma satu, memberi peluang kepada model-model baru mengembangkan bakat-bakat mereka melalui penghasilan satu gambar yang berkualiti.

"Projek ini ada tiga kategori iaitu lelaki, wanita bertudung dan wanita tidak bertudung. Kini ia sudah memasuki pusingan keempat di mana hanya lapan peserta yang tinggal. Sebenarnya saya mendapat penyertaan lebih daripada seribu ketika peringkat awal pertandingan," katanya.

Bagi Arziba pula, penglibatan dalam Projek 'X' pada mulanya hanya sekadar suka-suka. Tidak disangka pula gambar yang dihantarnya menjadi pilihan. Namun dia tetap bersyukur dan menganggap ia satu platform dalam mengembangkan lagi kariernya yang baru berjinak-jinak dengan dunia peragaan.

"Nampak senang, tapi sebenarnya bukan mudah. Annas banyak mengajar tentang bagaimana untuk menghasilkan satu foto yang baik. Bukan sahaja teknik gambar malah model perlu memberi yang terbaik," katanya.

9dara terjemahan Jamu Mak Dara

Posted: 02 Jul 2011 05:58 PM PDT


Rangkaian penjagaan wajah 9dara.


SIAPA yang tidak menginginkan kulit wajah yang sempurna. Wanita hari ini lebih bijak mengenali yang terbaik dalam mendapatkan kesempurnaan wajah .

Ramai yang semakin peka bahawa memiliki kulit yang sihat adalah paling utama dalam memastikan wajah cantik menawan. Ia bukan mustahil lagi dengan kehadiran banyak produk penjagaan wajah di pasaran yang kebanyakannya dihasilkan melalui penyelidikan inovatif.

Penyelidikan tersebut antaranya melibatkan pelbagai penemuan bahan dalam merawat wajah secara semula jadi. Itu termasuk rangkaian produk penjagaan wajah Jamu Mak Dara yang sebelum ini terkenal dengan pelbagai produk jamu kecantikan berasaskan herba..

Sejak berdekad yang lalu, resipi herba yang unik dan istimewa Jamu Mak Dara yang dicipta oleh Sharifah Aishah mendapat sambutan daripada orang ramai.

Memenuhi permintaan orang ramai, jenama ini menghasilkan produk baru khusus membersihkan solekan dan kekotoran dan mengatasi masalah kulit berminyak.

Rangkaian produk 9dara ini merupakan inovasi terbaru yang turut menggunakan bahan kesihatan seperti vitamin E dan ekstrak herba.

Terdiri daripada pembersih, penyegar, losen, serum, krim jerawat, topeng wajah (mask), krim pelindung cahaya matahari dan krim asas wajah, 9dara sesuai untuk semua jenis kulit.

Selain pembungkusan dan botol berkonsepkan kontemporari, rangkaian produk ini dijangka mendapat sambutan kerana harga jualannya yang berpatutan.

Selain itu, ia mudah digunakan tanpa kesan kulit sensitif.

Penjagaan rambut

Tidak ketinggalan, 9dara turut menghasilkan rangkaian penjagaan rambut berasaskan pati kelapa dara.

Berbeza dengan produk yang sedia ada, 9dara hadir dengan empat langkah mudah iaitu syampu, perapi, tonik dan serum.

Sesuai untuk semua jenis kulit kepala, hasilnya rambut akan lebih lurus, lembut dan bersinar.

Kini anda tidak perlu lagi ke salon untuk mendapatkan rawatan rambut sebaliknya anda boleh melakukan sendiri di rumah.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang produk-produk ini atau berminat menjadi stokis dan pengedar boleh menghubungi 03-41060299 atau layari laman web, www.jamumakdara.com.

Pesona busana Muslim di Astana

Posted: 02 Jul 2011 05:57 PM PDT


Satu lagi persembahan rekaan Kuralai Nurkadilova.


PEMBANGUNAN pesat bandar futuristik Astana, Kazakhstan dengan keunikan senibinanya menjadi saksi perjalanan Festival Fesyen Islam (IFF) ke-13 sempena Forum Ekonomi Dunia Islam (WIEF) baru-baru ini.

Terpilih sebagai perhentian pertama di Asia Tengah, debut IFF di negara kesembilan terbesar di dunia itu merupakan kejayaan besar penganjur apabila mampu mengatasi cabaran dalam dua pertunjukan untuk tempoh singkat.

Kehangatan musim panas yang baru menjengah, rata-rata bagaikan berpesta berpakaian mini dan terdedah sekali gus menjadi busana muslim agak asing di bumi Kazakhstan.

Pengerusi IFF, Datuk Raja Rezza Shah mengakui fesyen Islam atau busana muslim amat baru di Kazakhstan meskipun 70 peratus rakyat negara itu beragama Islam bermazhab Imam Hanafi.

Itu antara sebab negara itu dipilih sebagai misi untuk mendekatkan masyarakatnya dengan keindahan Islam bermula dengan cara berpakaian.

''Mungkin ada yang mempertikaikan pemilihan seperti Monte Carlo dan juga Kazakhstan yang merupakan negara sekular, tetapi inilah cara kita mendekatkan Islam kepada mereka melalui fesyen.

''Sekurang-kurangnya mereka yang tidak tahu tentang Islam diberikan pendedahan apa itu fesyen Islam berbanding dengan negara atau masyarakat yang sudah sedia maklum serta mengamalkan ajaran Islam,"jelasnya.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa IFF yang sepatutnya sudah memasuki era matang dalam selok-belok penganjuran pertunjukan fesyen terpaksa menghadapi cabaran seperti seolah-olah baru bermula di Kazakhstan.

Bagaimanapun, berbekalkan pengalaman lalu serta keinginan jitu untuk memartabatkan busana muslim, kesukaran berkomunikasi ditambah dengan pelbagai masalah lojistik mampu diatasi menjadikan majlis berjalan dengan sempurna.

''Misi IFF adalah melebarkan sayap seluas mungkin tanpa mengira bangsa dan agama. Melalui IFF diharap dapat mengetengahkan sesuatu yang kurang didedahkan sebelum ini, iaitu keindahan dan kelembutan Islam,'' katanya.

Bertemakan 'Discover The Beauty of Modesty' pertunjukan selama tiga jam di Hotel Rixos President turut diserikan dengan kehadiran Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta anak presiden Kazakhstan yang juga Ketua Pengarah Tabung Presiden, Dariga Nursultanovna Nazarbayeva.

Menyaksikan lebih 60 rekaan daripada tujuh pereka dengan tema masing-masing, penonton termasuk kerabat diraja, diplomat dan selebriti buat seketika bagaikan terpukau dengan santapan mata yang begitu mempersona.

Bagi mereka yang baru dalam industri busana muslim, tiga pereka dari Kazakhstan perlu diberi pujian berikutan kemampuan menghasilkan rekaan yang kontemporari serta punyai gaya serta cita rasa tersendiri.

Kuralai Nurkadilova, pereka dari Almaty yang mula berjinak-jinak dengan fesyen Islam menampilkan himpunan Nisa, iaitu gabungan hijab dengan rekaan terkini dengan pelbagai gaya, paten, warna yang mampu membantu wanita untuk tetap bergaya dengan cara yang dibenarkan agama.

Wanita yang pernah memegang jawatan Pengarah Eksekutif Majlis Fesyen Kebangsaan Republik Kazakhstan itu mengkaji tema serta tuntutan syarak dalam berpakaian apabila permintaan untuk busana muslim yang diterima Fashion House Kuraila semakin bertambah.

''Koleksi busana muslim Nisa memenuhi tuntutan menutup aurat di samping bergaya dengan sulaman dan hiasan yang menyerlahkan lagi keindahan busana muslim," katanya.

Berbeza dengan Kuraila, Balnur Assanova yang juga dari Almaty tampil dengan gabungan rekaan moden berinspirasikan elemen dahulu kala dalam koleksi bertemakan East Bazaar.

Pereka ini mengangkat ukiran patung, geometri serta tumbuh-tumbuhan Asia kuno sebagai hiasan ditambah dengan sulaman tangan mewah dengan manik serta batu permata yang dijahit menggunakan teknik lama.

Pereka dari Astana, Kapiya Kadyrovna Narikbayevna pula tampil dengan koleksi musim panas 2011 bertemakan 'Nurhayat" atau 'Cahaya kehidupan' untuk ke pejabat, majlis kasual serta pakaian pengantin berasaskan sutera, benang bulu, linen dan fabrik campuran Itali.

Pereka dari Indonesia, Itang Yunazs menghasilkan rekaan bertema 'Illumination' dengan koleksi berinspirasikan jubah dengan permainan warna asli seperti hijau pokok, biru laut, unggu bunga dan merah jambu buah.

Datuk Tom Abang Saufi yang terkenal dalam rekaan corak batik dan etnik pula muncul dengan koleksi Zahir, iaitu Islam yang berkembang mekar dalam dunia moden hari ini.

Berlandaskan keindahan dalam kesederhanaan melalui cara berpakaian sebagai permulaan, Zahir menampilkan himpunan berasaskan sutera dengan memilih warna unggu, magenta, hitam dan merah yang merupakan warna laluan sutera.

Pereka yang tidak kurang hebat di Malaysia, Melinda Looi pula mempersembahkan 20 rekaan bertemakan The Colours Of Bejewelled Mahajara dengan mengangkat warna putih sebagai lambang kesucian.

Persis pakaian dalam 'Hikayat 1001 Malam', himpunan berinspirasikan persalinan raja dan para isteri yang jelita ini menggunakan fabrik sutera Eropah dengan hiasan swarovski digabungkan fabrik songket diraja Terengganu dengan sulaman serta campuran warna terang.

Tidak ketinggalan, koleksi baju renang muslim untuk wanita, lelaki serta kanak-kanak rekaan Nuraini Mohd. Ariffin dari Aktif Bestari turut dipertontonkan sebagai kelainan untuk masyarakat Kazakhstan.

Belajar daripada kesilapan yang mengundang kontroversi sebelum ini, penganjur begitu teliti dari segi penjagaan aurat oleh model-model Kazakhstan pastinya tidak pernah mengayakan busana muslim.

Ia terbukti oleh kesungguhan Andrew Tan daripada Andrews Models membuat persediaan dengan pelbagai kelengkapan yang dibawa sendiri seperti stokin, anak tudung, tudung dan suit badan.

Majlis berprestij ini dikendalikan oleh pengacara popular, Henry Golding dilengkapi dengan persembahan bertenaga oleh ratu saprano Malaysia, Shafinaz Selamat.

IFF yang bakal berlangsung di London pada 25 Julai ini, selepas Kazakhstan dan Bandung, Indonesia dijangka meneruskan debut di Arab Saudi pada tahun depan.

Emmett Apparel cetusan tempatan

Posted: 02 Jul 2011 05:55 PM PDT




SELEPAS lima tahun membuka bisnes bunga, Zul Mohd, 34 mengorak langkah dengan mereka kasut selebriti. Kemudian Zul mengambil keputusan untuk melakar nama dalam fesyen kasut menerusi Emmett Apparel.

Mahu mencipta nama di persada antarabangsa, jenama ini semakin mendapat tempat di hati beberapa selebriti seperti Ana Rafali dan Sharifah Shahira.

Siapa tahu jenama ini mungkin terkenal seperti Jimmy Choo yang menjadi kebanggaan Malaysia.

Gandingan bakat, kreativiti dan kerja keras dalam industri ini ternyata membuahkan hasil apabila Zul meluaskan empayar perniagaan dengan membuka sebuah butik di Tingkat Satu, Maju Junction Mall, Kuala Lumpur..

Menghasilkan kasut sebagai kepuasan dalam fesyen, Zul meletakkan harapan agar sesiapa saja yang menyarung kasut itu kelak gembira.

Antara misi Emmett Apparel adalah memberi keselesaan agar pelanggan nampak cantik, berkeyakinan dan tampil menarik.

"Ramai yang menganggap kasut hanya untuk dipakai di kaki. Sebenarnya, dengan pemilihan kasut yang betul, ia boleh mengubah bentuk badan berjalan. Bahkan, ia memberi keyakinan pada diri ketika berjalan.

''Misalnya, tumit tinggi boleh memberi keyakinan ketika berjalan kerana ia menjadikan bentuk badan lebih langsing dan tinggi. Selain solekan dan pakaian, kasut merupakan bahagian paling penting. Kasut yang baik boleh menjaga kesihatan kaki," jelasnya.

Selain menghasilkan kasut yang berkualiti, Zul turut menjual baju kurung sedia pakai di butiknya. Bagi kepuasan pelanggan, mereka boleh memilih kasut yang sedondon dengan baju kurung yang dipilih.

Antara trend kasut yang masih popular ialah kasut baji ( wedges ) yang padan digayakan bersama baju kurung.

Gaya ini memberi keselesaan di samping menyerlahkan penampilan wanita anggun.

Koleksi Emmett boleh dibeli serendah harga RM 19.90 (kilang) sehingga RM 300 ke atas (bagi kasut rekaan buatan tangan).

Orang ramai yang inginkan maklumat lanjut mengenai koleksi Emmett, boleh melayari http://www.emmett-boutique.blogspot.com.


Kaedah selamat atau tidak?

Posted: 02 Jul 2011 05:54 PM PDT


Kesakitan semasa proses bersalin mendorong ibu menggunakan teknologi atau kaedah yang mengurangkan rasa sakit.


MENERUSI penyebaran dokumentari dan maklumat tentang bersalin dalam air yang semakin meluas di internet, trend ini semakin mendapat perhatian orang ramai.

Tidak ketinggalan isteri Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, Dr. Halina Mohd. Yunos menyatakan keinginannya untuk bersalin dalam air pertengahan Julai ini.

Melahirkan anak sulung tentu sahaja menyuntik rasa teruja Dr. Halina tetapi dia mahu bersalin dalam keadaan lebih tenang dan selesa.

Justeru itu, Dr. Halina menyuarakan hasratnya untuk memilih kaedah ini kerana ia dapat mengurangkan rasa sakit sekali gus tidak memberi sebarang tekanan.

Popular

Kaedah bersalin dalam air sebenarnya satu perkara biasa dan popular di Amerika Syarikat dan United Kingdom sejak tahun 1980-an lagi.

Ramai yang beranggapan kaedah ini dapat memberi ketenangan kerana suhu air yang agak suam memberi kelegaan kepada sakit bersalin.

Jika ia menjadi trend di Malaysia, mungkin banyak perubahan segera perlu dilakukan termasuk memberi maklumat tepat kepada pakar-pakar yang terlibat, melahirkan golongan doktor atau bidan yang mahir kaedah ini dan kemudahan bersalin dalam air di setiap hospital.

"Kebanyakan maklumat yang ada kini menerangkan kaedah ini selamat, mengurangkan rasa sakit dan kadar kematian disebabkan bersalin. Tetapi satu kelahiran yang selamat menerusi kaedah ini belum cukup melengkapkan data bahawa ia benar-benar selamat. Banyak kajian serta langkah perlu dilakukan sekiranya permintaan kaedah bersalin cara ini meningkat," ujar Pakar Sakit Puan Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Dr. Suhaimi Isa.

Menurut Dr. Suhaimi, terdapat dua kaedah bersalin cara ini iaitu bersalin sepenuhnya di dalam air dan yang kedua, mengawal sakit di dalam air dan bersalin di luar.

Terdapat beberapa aspek yang perlu dititikberatkan sewaktu prosedur ini seperti penyediaan tab atau kolam air dengan suhu 37 darjah Celcius (tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas).

Air steril

Selain itu, air yang digunakan perlu terpelihara daripada kuman atau steril dan tidak boleh digunakan semula.

Apa akan terjadi sekiranya air ini tidak bebas daripada kuman kemudian memasuki ruang vagina ibu?

"Kemungkinan ini masih lagi belum diketahui umum kerana mereka melihat daripada sudut proses bersalin menjadi mudah tanpa memikirkan risikonya. Air yang tercemar boleh memudaratkan kesihatan ibu. Bahkan kebarangkalian anak yang dilahirkan lemas masih belum diketahui. Ini kerana perkara pertama yang diperlukan seorang anak ialah udara," ujar Dr. Suhaimi.

Dalam pada itu, Dr. Suhaimi menjelaskan air yang suam semasa berada dalam kolam tempat bersalin itu dikatakan memberi keselesaan kepada ibu seperti ketika melakukan rawatan spa.

Kaedah ini juga dapat mengurangkan penggunaan vakum, ubat tahan sakit seperti epidural dan kadar bersalin dalam tempoh yang singkat.

Penjagaan atau kesan pada vagina masih sama kerana masih terdapat kesan koyakan seperti bersalin normal.

"Saya tidak menolak mungkin ia menjadi trend atau pilihan pada masa akan datang. Namun, masih banyak kajian atau penyelidikan perlu dilakukan untuk memastikan ia benar-benar selamat untuk ibu dan anak. Selain itu, golongan wanita masih banyak pilihan lain untuk memudahkan proses bersalin," ujarnya.

Vitamin dan mineral

Posted: 02 Jul 2011 05:53 PM PDT

SAYA berusaha untuk mengamalkan pemakanan sihat untuk mengekalkan tahap kecergasan dan kesihatan, terutamanya apabila saya perlukan prestasi mental dan mental yang baik demi kerjaya, keluarga dan diri sendiri.

Namun, saya sering keletihan menjelang petang dan seringkali tidak berkesempatan untuk menyediakan hidangan malam keluarga. Apakah vitamin untuk membantu saya untuk menangani cabaran seharian?

Jawapan: Puan sebenarnya tidak sendirian. Masalah seperti ini banyak diluahkan dan dihadapi oleh ramai wanita berkerjaya hari ini. Bukanlah asing bagi ibu bekerja mengalami tekanan untuk menangani cabaran di tempat kerja dan juga tanggungjawab di rumah. Kebergantungan kepada makanan luar dan juga makanan segera dibimbangi tidak mampu membekalkan vitamin dan mineral yang cukup untuk keperluan tubuh serta untuk menangani stres dan kelesuan. Manakala pengambilan makanan proses dan segera yang tidak terkawal samada dewasa atau kanak-kanak boleh menyumbang kepada masalah seperti berat badan berlebihan dan masalah kesihatan lain seperti penyakit kardiovaskular.

Untuk mengekalkan paras tenaga yang tinggi, meningkatkan kesihatan mental dan mengelakkan kekurangan nutrien (terutamanya vitamin dan mineral), kita perlu memastikan diet adalah seimbang dan bekalan nutrien yang mencukupi. Tetapi, agak mencabar bagi kebanyakan kita untuk makan secara sihat disebabkan desakan masa dan pilihan makanan sihat yang terhad di luar. Di samping itu, pemprosesan berlebihan, penapisan dan makanan terlebih masak serta penghasilan tanaman secara besar-besaran di atas tanah yang kekurangan nutrien juga menyukarkan lagi pembekalan nutrien yang mencukupi kepada tubuh.

Bagi anda yang inginkan sedikit bantuan bagi memperbaiki keletihan ataupun memperbaiki masalah ini, pengambilan suplemen seperti formula multivitamin dengan campuran mineral boleh dijadikan pilihan. Ia menjadi pilihan ramai sebagai amalan harian terutamanya bagi individu yang risau akan kekurangan nutrien atas sebab gaya hidup yang sibuk.

Pengambilan multivitamin dan mineral adalah antara cara alternatif untuk memastikan tubuh memperolehi nutrien-nutrien penting untuk kesihatan dan kecergasan serta membolehkan tubuh membaiki kerosakan ataupun kecederaan. Kandungan seperti vitamin A, kepelbagaian vitamin B, C, E, dan mineral utama yang penting termasuk zink, zat besi, kalsium, magnesium, iodin serta selenium penting untuk keperluan tubuh seharian. Memperolehi vitamin dan nutrien yang cukup juga perlu untuk memperkuatkan daya tahan tubuh daripada jangkitan dan penyakit.

Tubuh kita perlukan vitamin-vitamin tertentu untuk fungsi tertentu. Apabila kita kekurangan salah satu atau lebih, masalah kesihatan akan timbul. Sebagai contohnya, tubuh memerlukan vitamin A untuk mengekalkan sistem imun yang sihat selain penting untuk mengekalkan mata yang sihat.

Seperti juga kecergasan fizikal, kecerdasan mental juga perlukan tenaga untuk membolehkan ia berfungsi dengan baik. Malah kedua-duanya saling berkaitan, dimana kelesuan fizikal turut menjejaskan prestasi mental. Dengan itu, vitamin dan mineral yang mencukupi akan membantu tubuh dan otak berkerja dengan baik.

Terapi getaran warna

Posted: 02 Jul 2011 05:51 PM PDT


ZURINA memasukkan ais ke dalam mandian yang ingin dicuba pesakit.


PERCAYA atau tidak bahawa setiap warna mempunyai kuasa tersendiri dan anda tidak sepatutnya menyukai warna yang salah.

"Ada yang tidak sedar bahawa warna kesukaan mereka menyebabkan mereka menjadi lebih lemah dan tidak bersemangat," kata Pengamal Perubatan Alternatif Terapi Getaran Warna (CVT), Zurina Zakariya.

Pemakaian warna yang tidak sesuai, katanya, menyebabkan antibodi di dalam badan seseorang lemah lalu menjadikan individu terbabit tidak bermaya.

Menceritakan lebih lanjut, katanya, CVT merupakan suatu kaedah rawatan penyakit berasaskan sains fizik dan berkonsepkan Islamisasi ilmu yang menilai tahap-tahap spiritual, emosional, mental dan fizikal seseorang ke arah keseimbangan semulajadi secara tepat dan menyeluruh.

Rawatan yang diasaskan oleh Prof. Dr. Norhisham Wahab itu, menurutnya, mengesan penyakit dan masalah melalui kaedah kinesologi yang menggunakan otot tangan. Melalui pengesanan tersebut, pengamal akan mengesan warna diri atau aura seseorang bagi mengenalpasti tahap keperibadian yang menjelaskan ciri-ciri atau personaliti, pemikiran dan corak penghidupan.

Dengan mengenali diri, seseorang itu akan lebih bersemangat dalam kehidupan, lebih tenang dalam segala ruang yang dilalui dan menikmati keharmonian sepanjang masa.

Kata Zurina, di bawah CVT terdapat beberapa kaedah perawatan penyakit seperti penawar aroma terapi pati bunga dan yang paling popular konsep mandian atau rendaman ais (hidroterapi ais).

"Mungkin ada yang takut untuk mencuba kerana menganggap berendam dalam tab yang penuh ais adalah sesuatu yang tidak wajar, tetapi selepas mencuba anda akan merasai kesannya," kata beliau.

Pada peringkat permulaan, jelasnya, pesakit akan merasa sejuk namun selepas beberapa minit suhu badan mereka akan sebati dengan air di dalam tab. Bukan air biasa yang digunakan, sebaliknya ia mengandungi air beralkali yang diyakini mampu melegakan banyak penyakit ditambah dengan beberapa titisan aroma terapi mengikut keperluan individu.

Warna diri

"Apabila hendak mengenali diri, anda dinasihatkan bermula dengan mengenali konsep warna dalam kehidupan.

''Anda juga boleh mengetahui kelebihan, kekurangan, masalah kesihatan, ragam, perangai, tingkah laku, cara berfikir, perasaan, semangat, kelakuan dan tindak tanduk anda yang berkait rapat dengan inspirasi warna," kata Zurina.

Namun, katanya, pemakaian warna mengikut hari pula akan membantu menyerlahkan penampilan seseorang.

Bercerita lebih lanjut tentang warna harian, katanya, warna putih elok dipakai pada hari Isnin kerana ia mengandungi rahsia roh yang melambangkan kesucian bagi memulakan kerja pada minggu tersebut.

Warna merah jambu dan ungu pula sesuai dipakai pada hari Selasa di mana ia menggambarkan kasih sayang.

"Hari Rabu sesuai berwarna biru yang menggambarkan kekuatan vokal dan jika anda ingin mengadakan sebarang temu janji, elok diadakan pada hari ini," kata wanita itu.

Warna oren atau kuning pula katanya mampu merangsang bahagian perut dan ia sesuai dipakai pada hari Khamis manakala hari Jumaat cocok dengan warna hijau.

Hari Sabtu kata Zurina digambarkan dengan penyucian darah dalam tubuh badan melalui warna merah manakala hari Ahad sesuai dengan warna hitam.

CVT, kata beliau, sehingga kini telah membantu ramai pesakit pulih daripada sebarang masalah yang mereka hadapi secara perlahan-lahan melalui terapi yang ditawarkan. Bukan sahaja penyakit yang boleh dilihat dengan mata kasar, penyakit lain seperti sihir malah penyakit yang berkaitan dengan mental juga katanya mampu dipulihkan seandainya pesakit benar-benar mengikuti rawatan yang disyorkan. Namun begitu katanya, CVT bukanlah sejenis rawatan yang boleh pulih serta-merta, ia mengambil masa.

"Mereka yang sihat juga boleh menjadikan rawatan CVT sebagai satu terapi untuk kesejahteraan secara menyeluruh," katanya lagi.

Selain daripada itu, pihaknya juga membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk mendalami ilmu CVT dengan mengikuti kursus yang ditawarkan. Yuran yang dikenakan RM1,000 manakala 100 pendaftaran awal hanya dikenakan RM300.

Fara Fauzana semakin laku

Posted: 02 Jul 2011 05:50 PM PDT


Fara Fauzana


JIKA sebelum ini kita sering mendengar celotehnya di corong radio dan juga turut tampil sebagai pengacara beberapa program hiburan televisyen terkenal, kini penyampai radio wanita popular ini beralih pula ke bidang teater.

Mengakui bidang teater ini memerlukan kesabaran, Fara Fauzana ingin membuktikan kepada umum bahawa dirinya juga setanding dengan pelakon-pelakon teater tanah air.

"Terus-terang saya katakan berlakon teater adalah satu perkara yang amat sukar, ia begitu menguji tahap lakonan seseorang itu.

"Saya cuba memberanikan diri saya untuk berlakon dalam teater ini, ternyata team ini juga turut memberi sokongan dan tunjuk ajar kepada saya," ujar penyampai tersebut ketika ditemui Pancaindera pada sesi latihan teater Mak Dara Nyonya baru-baru ini.

Tambahnya, setelah diberi watak 'Isteri' kepada 'Tuan' dalam teater ini, dia merasakan dirinya sendiri boleh memegang watak tersebut namun pengarah teater, Rosminah Mohd Tahir berkata dia masih tidak menjiwai watak tersebut.

"Walaupun babak saya tidak banyak, namun watak ini adalah satu watak yang besar, ia memerlukan saya untuk mencari satu jiwa yang baru. Dengan latihan yang dijalankan saya rasa saya mampu untuk memegang watak ini, dan saya akan cuba selagi termampu.

"Sebelum ini memang saya pernah berlakon dalam beberapa filem, ternyata banyak perbezaan yang terdapat dalam lakonan teater.

"Jika filem saya boleh ulang kembali lakonan jika terdapat kesalahan, namun dalam teater ini adalah satu lakonan secara langsung, semestinya saya perlu lakukan sesuatu yang terbaik," ujarnya.

Ditanya berkenaan laporan yang mengatakan pihak Astro menawarkan kontrak sebanyak RM1 juta seperti yang diuar-uarkan ketika ini, Fara ternyata menafikan hal tersebut.

Wow, nampaknya semakin kaya wanita yang seorang ini. Tawaran melibatkan kontrak bernilai jutaan ringgit bukan mudah untuk diperolehi kalau bukan benar-benar popular dan mempunyai nama yang kukuh dalam bidang seni.

Pun begitu, Fara menafikan tawaran berkenaan sambil menyifatkan ia sebagai satu spekulasi semata-mata.

"Saya sebenarnya tidak pernah bercakap mengenai kontrak ini, saya sendiri pun tidak tahu dari mana datangnya berita mengenai hal ini.

"Kali pertama saya tengok berita ini pun dari akhbar, setahu saya memang pihak yang terlibat tidak pernah menawarkan kontrak sebanyak itu.

"Jika perkara ini difikirkan baik untuk pelbagai pihak, tidak berkemungkinan jika kontrak ini betul-betul ditawar, saya tidak akan menolak pelawaan itu," katanya lagi.

Terbaru, Fara sedang menjalani proses penggambaran rancangannya sendiri yang berjudul Fara Fauzana dibawah terbitan Fafau Intertainment.

Selain Fara, beberapa pelakon lain turut menjayakan teater ini, antaranya, Juhara Ayob, Sherry Abdullah, Sarimah Ibrahim, Zaifri Husin, Misha Omar dan Norzizi Zulkifli.

Teater Mak Dara Nyonya ini akan diadakan di pentas Matic, Jalan Ampang selama enam hari bermula 6 hingga 12 Julai ini.

Pementasan akan

bermula pada pukul 8.30 malam, segala pertanyaan serta pembelian tiket

boleh menghubungi, 03-41478600 atau kunjungi laman sesawang www.ticket2u.biz.

Harga tiket dijual pada harga RM32 sehingga RM82.

Kecil hati dengan Tiz Zaqyah

Posted: 02 Jul 2011 05:50 PM PDT


Tiz Zaqyah


MACAM biasa, bila berjumpa dengan beberapa wartawan senior macam-macam cerita yang kami bualkan. Tapi Syed cukup tertarik dengan cerita tentang pelakon filem Nur Kasih The Movie yang cantik tu.

Dengar khabarnya Tiz Zaqyah sudah pandai buat hal dengan orang media, betul ke?

Bukan isu besar pun sampai nak saman menyaman. Cuma wartawan majalah senior ni dah kecil hati dengan Tiz. Katanya sampai ke sudah dia masih belum dapat nak buat temujanji dengan Tiz walaupun dah hampir tiga bulan berlalu.

"Kau bayangkan aku telefon dia dulu dalam bulan April. Dan masa tu dia cakap okey dia akan buat fotografi dengan majalah aku bila dia free. Tunggu sampai bulan Mei masih tak dapat jawapan.

"Bila aku telefon dia tak angkat, bila aku SMS langsung dia tak balas. Sebab aku sabar, aku tunggu juga sampai bulan pun dah berganti. Amboi, sibuk sangat ke Tiz tu sampai tak boleh nak jawab telefon dan SMS aku ni?

"Sekarang sudah masuk bulan Julai, masih tak ada jawapan daripada dia. Kalau betul dia tak mahu buat sesi fotografi dengan aku tak apa, janji dia cakap.

"Kalau tak nak, cakap je tak nak. Tak le aku tertunggu-tunggu macam orang bodoh. Kalau dia rasa majalah aku ni tak sesuai dengan dia, tak mengapa, janji cakap terang-terang.

"Kalau kau jumpa Tiz nanti tolong sampaikan salam pada dia yer, bagitahu sikit kalau nak terus berjaya, perangai kena jaga," kata rakan media Syed yang cukup penyabar lagi.

Syed pun tak faham kalaulah benar sebegini perangai Tiz sekarang. Atau mungkin dia sibuk sangat kot maklumlah orang tengah naik daun.

Tetapi pesanan Syed, nak jadi artis tak boleh buat jual mahal macam tu, orang telefon kenalah angkat, SMS kenalah balas. Sibuk sangatpun, carilah masa untuk membina hubungan yang baik dengan orang lain, barulah boleh kekal lama.

Syed: Ada yang mencari Fazura dan Neelofa. Panas!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu