Khamis, 27 Februari 2014

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Terkilan sikap petugas lebuh raya

Posted: 27 Feb 2014 11:18 PM PST


  • Terkilan sikap petugas lebuh rayaKereta Mohd Sabri yang tersadai di tepi lebuh raya dalam keadaan panas terik. Gambar kecil: Cucu Mohd Sabri yang berusia setahun lebih mengalami muntah-muntah dan lesu akibat kepanasan.

KUANTAN – Seorang pengguna Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), Mohd Sabri Abd Malek, 55, terkilan dengan sikap peronda lebuh raya dan polis peronda lebuh raya yang didakwanya tidak dapat menghulurkan bantuan sewajarnya ketika dia memerlukan pertolongan.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Malaysia mendakwa, anggota petugas berkenaan gagal menjalankan tugas dengan baik dan tidak mementingkan keselamatan pengguna.

Sabri berkata, pada 23 Februari lepas dia bersama keluarga dari Melaka menuju ke Kemaman atas urusan keluarga.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan berhampiran kawasan rehat dan rawat (RnR) Kuantan, kenderaan dipandunya rosak secara tiba-tiba.

"Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang dan ketika itu cuaca panas terik, sekali gus menimbulkan keadaan yang tidak selesa.

"Malah, cucu saya yang berusia lebih setahun mengalami muntah-muntah kerana kepanasan.

Katanya, ketika itu dia menahan sebuah kereta peronda lebuh raya untuk meminta bantuan menunda kereta yang rosak ke RnR yang hanya berjarak kira-kira 1 kilometer sahaja.

"Ketika saya sedang berbincang dengan peronda LPT, sebuah kereta peronda polis lebuh raya datang dan mereka berbincang sebelum meninggalkan kami di tepi lebuh raya berkenaan.

"Walaupun telah diletak kon atau tanda amaran, keadaan itu masih berbahaya kerana kebanyakan pengguna lebuh raya memandu dalam keadaan laju," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, memandangkan petugas yang sepatutnya enggan membantu, dia terpaksa meminta bantuan orang ramai.

"Kami bernasib baik kerana ada sebuah kereta yang berhenti dan menolong tunda kereta ke kawasan rehat.

"Sepatutnya pihak pengurusan LPT dan pihak berkuasa dapat memastikan anggota mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih baik," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian mendapatkan maklum balas pihak pengurusan LPT bagi mendapatkan kepastian berhubung perkara ini.

Senior Eksekutif, Bahagian Komunikasi Korporat ANIH Berhad, Hafizah  Mohd Sabri berkata, segala perkhidmatan di LPT mengikut prosedur syarikat yang ditetapkan dan menjadi satu kesalahan
sekiranya ada warga kerja melanggarnya, sekali gus tindakan disiplin boleh dikenakan.

"Kami di ANIH Berhad memohon maaf dan kesal di atas kejadian yang berlaku kepada pengguna tersebut.

"Sekiranya terdapat apa sahaja aduan atau masalah, pengguna boleh menghubungi  LPT-Line di  talian 09-5479111 atau Bahagian Komunikasi Korporat di 03-61951111," katanya.

'Spiderwoman' tak serik mencuri

Posted: 27 Feb 2014 11:14 PM PST


  • 'Spiderwoman' tak serik mencuriWook dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam, kerana memecah masuk kediaman seorang warga emas.

KUALA TERENGGANU - Sebelum ini, dia pernah digelar 'Spiderwoman' selepas tindakan nekadnya memanjat tingkat tiga sebuah asrama sekolah menengah di bandar raya ini semata-mata ingin mencuri kabel besi tembaga.

Susulan perbuatan itu, dia telah dijatuhi hukuman penjara seminggu dan denda RM1,500, namun ibu beranak satu itu seolah-olah tidak pernah serik apabila memecah masuk pula rumah milik seorang warga emas di Jalan Haji Abdul Rahman Limbong Kuala Ibai, di sini, jam 11 malam, 17 Februari lalu.

Wook@ Murniyati A Rahman, 34, dari Perumahan Kos Rendah Kampung Bukit Tunggal, di sini, mengaku salah melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah semasa dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Berikutan pengakuan salah itu, dia dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Majistret Abdul Hayyi Salim.

Wook mengaku salah melakukan pecah rumah dengan memasuki rumah milik seorang warga emas, Arisah Abdullah, 62, sebelum mencuri pelbagai jenis barangan seperti sebuah televisyen Samsung
42 inci, gelombang mikro jenama Vidigo, pengisar roti, pakaian dan beg pakaian, enam keping permaidani, set pinggan mangkuk, cadar dan langsir, kerusi lipat plastik, kain samping benang emas,
mesin senaman jenama Osim dan pembesar suara.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda manakala Wook tidak diwakili peguam.

Terdahulu dalam rayuannya, Wook merayu mahkamah meringankan hukuman terhadapnya kerana mendakwa dia terpaksa melakukan jenayah itu kerana memerlukan wang untuk menyara anak dan ibu yang sudah uzur.

Berdasarkan fakta kes, mangsa meninggalkan rumahnya dalam keadaan baik jam 11 pagi pada 1 Disember tahun lalu untuk ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, pada 17 Februari lalu, mangsa menerima panggilan daripada jirannya yang memaklumkan rumahnya dipecah masuk dan mangsa yang tiba di rumahnya pada keesokan harinya mendapati pelbagai jenis barangan hilang sebelum membuat laporan polis.

Konsert Pray 4 kedua 8 Mac ini

Posted: 27 Feb 2014 11:04 PM PST



KUMPULAN Unic antara kumpulan nasyid yang akan menghiburkan penonton pada Konsert Pray 4 siri kedua ini.


SELEPAS kejayaan konsert pertama yang diadakan pada 7 September tahun lalu, pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) dengan kerjasama Muslim Care, Sinergi Ilmu, Perbadanan Putrajaya (PPJ) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi Konsert Pray 4 kembali dengan siri kedua.
Masih menggunakan nama Konsert Pray 4, konsert kali kedua ini akan berlangsung di Dataran Dewan Cempaka Sari, Presint 3, Putrajaya pada 8 Mac, pukul 8 hingga 11 malam.
Secara umumnya, konsert tersebut bertujuan untuk memberikan kesedaran dan meneruskan usaha murni rakyat Malaysia bagi sama-sama membantu umat Islam di Syria, Mesir, Rohingya dan Gaza yang masih memerlukan bantuan.
Antara artis yang akan memeriahkan Konsert Pray 4 pada kali ini ialah kumpulan nasyid Inteam, Far East, UNIC dan artis Usrah Fitrah yang terdiri daripada Heliza Helmi, Salima Habibi, Diana Amir dan Yatt Hamzah.
Seperti sebelum ini, orang ramai yang hadir dapat berhibur sambil beramal dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman yang sebenar; tujuan untuk membantu umat Islam di Syria, Mesir, Rohingya dan Gaza khususnya.
ILMAM mengambil inisiatif meneruskan hasrat penganjuran Konsert Pray 4 ini sebagai batu loncatan dan usaha ambil tahu rakyat Malaysia secara amnya terhadap isu-isu yang sedang berlaku di negara umat Islam seperti Syria, Mesir, Gaza dan etnik Rohingya.
HELIZA antara artis perempuan yang akan memeriahkan Konsert Pray 4.


Konsert Pray 4 ini juga akan dibawa secara langsung menerusi TV Online di www.tvikim.my dan IKIMfm bertindak sebagai penyiar rasmi.
Naib Presiden ILMAM, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre berpandangan bahawa isu yang berlaku di Mesir bermula pada bulan Ogos tahun lalu memberi gambaran bahawa keprihatinan ILMAM terhadap isu umat Islam di Mesir.
ILMAM telah menubuhkan Prihatin Mesir melalui pautan Facebook dan rakyat Malaysia telah menyumbang lebih daripada RM200,000 sebagai tanda sokongan.
Sebanyak RM80,000 daripadanya dikumpulkan melalui Konsert Pray 4 yang pertama pada September tahun lalu.
Justeru, beliau mengharapkan agar Konsert Pray 4 pada 8 Mac ini akan mengumpulkan jumlah sumbangan yang besar dan dapat disalurkan melalui Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia (Muslimcare) sebagai NGO yang bertindak khusus dalam menangani isu yang berlaku di Syria.
Orang ramai dijemput untuk sama-sama menghadiri konsert ini secara percuma dan menyumbang di dalam tabung yang akan diedarkan pada malam tersebut.
ILMAM juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang sanggup turun melaksanakan persembahan amal ini untuk memeriahkan acara pada malam tersebut.
Konsert ini juga diadakan sempena Ekspo Buku Islam Putrajaya yang diadakan bermula 28 Februari hingga 9 Mac 2014.


Popular cara Intan, Shah, Shukri

Posted: 27 Feb 2014 11:03 PM PST




SABAN tahun, industri seni tempatan sering menerima kehadiran bakat-bakat baharu terutamanya dalam bidang lakonan. Walaupun masing-masing cuba mengetengahkan bakat yang dimiliki, namun, tidak semua dikurniakan nasib yang baik dalam usaha untuk menempa nama serta mengapai status populariti dalam bidang tersebut.
Ada dalam kalangan mereka yang cukup bernasib baik apabila naskhah drama atau filem pertama yang dimainkan mendapat sambutan hangat daripada peminat.
Dalam sekelip mata sahaja, pelbagai anugerah dan pengiktirafan berjaya dirangkul. Tetapi, ada juga yang masih termanggu menanti peluang untuk menonjolkan diri agar diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar.
Berkongsi kisah hampir serupa, tiga pelakon berbakat besar yang masih utuh melestarikan kelangsungan karier dan bakat mereka, Intan Ladyana, Shah Iskandar dan Shukri Yahaya yakin dengan percaturan yang dilakukan sewaktu mula-mula mahu bergelar sebagai seorang anak seni.
Ikuti temu bual bersama ketiga-tiga mereka tentang istilah populariti sewaktu berkesempatan singgah ke lokasi penggambaran drama bersiri Jika Itu Takdirku di Hospital Umra, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Percaya rezeki
Kira-kira lapan tahun yang lalu, tuan empunya nama Intan Nurladyana Mohamad Yahaya atau Intan Ladyana, 32, muncul buat pertama kalinya sebagai pelakon menerusi filem Tipah Tertipu The Movie.
Kemudian, dia mencuba nasib sebagai pelakon televisyen menerusi drama komedi Puteri dan Bio-Nik sebelum popular dengan filem Jangan Pandang Belakang dan Adnan Sempit.
Sepanjang tempoh tersebut, pelakon berdarah campuran Melayu-Thailand ini tidak pernah menerima sebarang pengiktirafan mahupun anugerah walaupun mutu lakonan yang ditampilkan agak memberangsangkan.
Percaya dengan rezeki dan ketentuan, kekasih kepada pelakon Kamal Adli ini tidak pernah berputus asa dalam mengejar cita-cita dan impian sebagai seorang pelakon serba boleh.
SHAH dilihat cukup serasi bergandingan dengan Intan dalam drama bersiri Jika Itu Takdirku yang sudah mula ditayangkan di TV3 sejak 17 Februari lalu.


"Walaupun sudah lama menceburkan diri dalam dunia lakonan, saya masih belum menerima sebarang anugerah. Bagaimanapun, saya pernah tercalon dalam Anugerah Skrin serta Festival Filem Malaysia beberapa tahun lalu menerusi kategori Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
"Pada pendapat saya, berpeluang dicalonkan dalam anugerah yang dinilai oleh juri profesional sudah cukup memadai. Berbanding dengan anugerah-anugerah yang meletakkan kuasa pemilihan kepada para peminat, anugerah seperti ini mampu untuk mengukur sejauh mana pencapaian kita sebagai seorang pelakon.
"Saya percaya kepada rezeki. Dalam masa yang sama, saya akui populariti itu juga satu elemen yang sangat penting. Tetapi, jika kita mahu terus kekal dalam bidang lakonan, bakat dan populariti perlu berjalan dengan seiring," ujar Intan yang kini lebih selektif dalam pemilihan watak untuk dilakonkannya.
Percaya dengan karakter Seri Umairah yang didukungnya menerusi drama terbaharu slot Akasia, Jika Itu Takdirku, Intan begitu yakin dengan kekuatan serta keaslian jalan cerita drama 24 episod arahan Eoon Suhaini itu.
"Saya akui, ramai peminat drama bersiri di luar sana lebih meminati drama yang diadaptasi daripada novel. Lebih-lebih lagi apabila drama lakonan saya ini menggantikan drama bersiri pujaan ramai, Ariana Rose.
"Tetapi, saya yakin kekuatan jalan cerita Jika Itu Takdirku mampu untuk berdiri setanding dengan drama-drama yang lain," jelas Intan yang begitu menginginkan watak-watak adiwira yang melibatkan babak pertarungan dan seni mempertahankan diri.
Watak tempelan
Bagaikan sudah menjadi lumrah dalam bidang seni, tidak semua pelakon baharu diberi kepercayaan untuk memegang watak penting sebagai teraju utama sesebuah filem.
Bagi anak jati Singapura, Shah Iskandar, 32, insiden diminta untuk menukar watak utama kepada watak tempelan sememang masih segar terpahat dalam ingatannya.
"Selepas menerima tawaran berlakon dalam drama bersiri Roda-Roda Kuala Lumpur daripada Datuk Yusof Haslam, saya ditawarkan pula untuk melakonkan watak utama dalam filem Khurafat yang diarahkan oleh anaknya, Syamsul Yusof.
SHUKRI mula dikenali ramai ketika berlakon dalam filem Jiwa Taiko.


"Tetapi, atas sebab-sebab tertentu, nama saya terpaksa digugurkan dan diganti dengan watak tempelan iaitu Orang Kampung 1.
"Saya masih ingat sehingga sekarang, dengan berbekalkan dialog: Pak Imam, Pak Imam, Tok Ali kena rasuk, saya berjaya untuk melakonkan satu babak dalam filem tersebut. Walaubagaimanapun, saya tidak pernah berputus asa.
"Saya masih berusaha untuk membina karier di Malaysia agar tidak dilabel sebagai bakat dari sebarang yang masuk hanya sekadar untuk tempelan sahaja. Alhamdulillah, bertitik tolak daripada insiden itu juga saya sudah mula dikenali," katanya.
Melanjutkan perbualan mengenai drama Jika Itu Takdirku, pelakon yang pernah membintangi drama bersiri popular Nora Elena itu mengakui berasa sedikit tertekan sepanjang membawakan watak Hakimi Ehsan.
"Watak Hakimi digambarkan sebagai seorang pemuda nakal yang mengalami amnesia. Jika diteliti secara halus, watak tersebut tidaklah terlalu berat. Sepanjang penggambaran berlangsung, pengarah telah memperuntukkan dua sesi dalam sehari untuk saya.
"Pada sebelah pagi, saya melakonkan watak Hakimi yang berada dalam keadaan sihat. Pada waktu petang pula saya terpaksa mengubah fokus lakonan saya kepada watak Hakimi yang dilanda Amnesia. Proses ini memerlukan mainan jiwa yang mendalam.
"Tetapi, saya berasa sangat beruntung kerana pengarah sangat membantu saya dalam usaha untuk merealisasikan watak Hakimi," ujar Shah Iskandar yang turut dikenali sebagai pengacara ketika berada di Singapura.
Populariti datang sendiri
Sudah hampir dua tahun Shukri Yahaya, 26, mengorak langkah sebagai seorang pelakon. Tetapi, nama Shukri tidaklah segah seperti nama pelakon-pelakon lain yang seangkatan dengannya.
Walaupun begitu, momentum perkembangan bakat lakonannya yang dicungkil oleh pengarah Osman Ali menerusi filem Jiwa Taiko itu dilihat tidak menghampakan.

DARI kiri: Shukri, Intan dan Shah mempunyai percaturan tersendiri untuk menempa nama dalam bidang lakonan.


Dilabel sebagai tidak popular, pelakon yang pernah tercalon dalam Anugerah Skrin 2013 ini percaya bahawa status itu akan datang dengan sendirinya apabila sampai waktu dan ketika.
"Saya terjebak dalam dunia lakonan secara tidak sengaja. Disebabkan itu, saya tidak pernah meletakkan sebarang penanda aras dalam kerjaya saya sebagai seorang pelakon.
"Saya juga percaya, jika lakonan seseorang pelakon itu hebat, pasti bakatnya akan dihargai oleh peminat. Dari situ, populariti akan muncul dengan sendirinya," jelas Shukri yang mula dikenali menerusi drama bersiri Menjinak Ombak.
Ternyata semakin serius dalam bidang lakonan, Shukri yang memegang watak sebagai Azri dalam Jika Itu Takdirku berkata, dia bersedia untuk mencuba watak-watak baharu yang lebih mencabar pada masa akan datang.
"Dalam drama ini, watak yang saya mainkan tidaklah begitu berat berbanding karakter Firhad dalam Menjinak Ombak. Cuma, saya perlukan masa yang lebih untuk serasi dengan karakter Seri Umairah kerana ini merupakan kali pertama saya bergandingan dengan Intan," jelasnya sambil ketawa.
Selain watak antagonis, Shukri turut menyimpan hasrat untuk membawakan watak yang tidak pernah dibawa olehnya sebelum ini.
Tambah Shukri: "Saya mahukan satu watak yang mencabar. Mungkin satu hari nanti saya boleh melakonkan watak seorang polis, siapa tahu?" ujarnya yang kini muncul menerusi telemovie berepisod (super-tele) berjudul Dendam 5 Beradik.


Planet Joget medan pertempuran tari Melayu

Posted: 27 Feb 2014 11:02 PM PST



LUMAYAN. Program Planet Joget menawarkan hadiah wang tunai secara keseluruhannya bernilai RM500,000.


KEKAYAAN seni Melayu tradisional tiada tolok bandingnya. Namun demikian, disebabkan kurang pendedahan dan pengetahuan mengenai seni agung itu, ia kian pupus ditelan arus pembangunan masa kini.
Tidak hairanlah jika muda-mudi sekarang ini tidak pernah mengenal langsung jenis tarian Melayu tradisional termasuk zapin, joget dan inang.
Dalam usaha memartabatkan semula seni tarian melayu tradisional terutamanya tarian joget, kini muncul sebuah rancangan televisyen berbentuk program realiti TV, Planet Joget.
Planet Joget merupakan sebuah program rancangan TV enam episod yang melibatkan kira-kira 66 pasangan daripada seluruh negara mencuba nasib merebut gelaran Raja Tari Melayu.
Selepas melalui beberapa penyingkiran, hanya lapan pasangan sahaja yang berjaya dipilih untuk ke peringkat akhir malam kemuncak Planet Joget yang berlangsung di Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Semua pasangan diuji dengan empat segmen yang terdiri daripada segmen Tradisional, Tempur Menti, Tempur Tari dan Tempur Tari Secara Rawak (Joget Lambak).
Lapan pasangan tersebut dinilai melalui disiplin tarian termasuk elemen lentuk, liuk badan, gerak tangan kaki dan pemakaian kostum.
Program yang diacarakan oleh deejay Nasional FM, Muaz Ahmad dan pelakon baharu, Dazrin Kamaruddin menggamatkan lagi suasana sepanjang dua jam konsert tersebut berlangsung.
Menang RM100,000
Pada malam yang penuh gemilang tersebut, tuah menyebelahi pasangan dari Sarawak, Sayang Sarawak apabila muncul juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100, 000.

KUMPULAN Sayang Sarawak memonopoli program Planet Joget dengan menjuarai kategori Menti (pasangan kiri) dan (pasangan kanan).


Salah seorang pasangan kepada kumpulan tersebut, Safa Ghaffa, 56, yang memenangi anugerah kategori mentor mengakui kesuntukan masa dan saingan yang sengit daripada peserta lain merupakan antara cabaran sepanjang pertandingan tersebut berlangsung.
"Kami hanya diberi masa dua minggu untuk mencari idea dan menggubah rentak tarian joget mengeteh yang agak sukar untuk dipelajari. Kami sangat teruja kerana segala yang diaturkan menjadi.
"Antara cabaran lain yang dihadapi oleh kami ialah berkenaan faktor usia dan pernafasan memandangkan usia yang agak lanjut kami sukar untuk mengawal pernafasan dan cepat letih," katanya.
Ketika ditanya mengenai perancangan masa hadapan kumpulannya, Ghaffa berkata, mereka berhajat untuk membuka kelas tarian di Sarawak bagi kanak-kanak dan orang dewasa.
"Dengan wang RM100,000 yang diperoleh daripada kemenangan ini. saya dan ahli kumpulan bercadang untuk membuka kelas tarian tradisional Sarawak untuk kanak-kanak.
"Hal ini kerana, kami rasa ia merupakan tanggungjawab kami untuk mendidik dan memupuk semangat cintakan tarian tradisional. Sekurang-kurangnya kami mempunyai pewaris suatu hari nanti," katanya yang bekerja sebagai pembuat batik di Kampung Budaya Sarawak.
Dalam pada itu, johan bagi kategori menti yang juga daripada kumpulan Sayang Sarawak bersyukur dengan kemenangan yang diperolehi.
"Ia merupakan pembakar semangat untuk golongan belia seperti kami, saya rasa pengorbanan yang ditaburkan selama ini berbaloi. Ia juga merupakan satu pengiktirafan kepada seni tari terutamanya dari Sarawak.
"Saya juga berterima kasih kepada mentor yang banyak memberi panduan kepada kami dan juri yang menilai dengan baik cara penyampaian tarian kami," ujarnya yang mula menceburkan diri dalam bidang ini seawal umur 15 tahun.
Program yang berlangsung selama dua jam itu, dimeriahkan lagi dengan penampilan istimewa penyanyi tersohor tanah air, Ziana Zain.
Tambah istimewa, acara kemuncak itu turut menampilkan pertembungan suara daripada ratu soprano negara, Syafinaz Selamat dan tokoh Mak Yong, Rosnan Rahmah yang diiringi oleh kumpulan koir kebangsaan Malaysia.


Shiera nasihatkan Sakinah

Posted: 27 Feb 2014 11:01 PM PST

SHIERA akui sudah beberapa kali menolak tawaran berlakon ekoran kesibukan dirinya sebagai penyampai radio.


SEBAGAI kakak kepada pelakon sensasi, Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar atau popular disapa Shiera tetap memerhatikan perkembangan karier adiknya, Sharifah Sakinah.
Shiera mengakui adakalanya dia risau apabila pelbagai tohmahan negatif dilemparkan kepada Sakinah yang sering terbabit dengan pelbagai isu sensasi itu.
Hal yang maksudkan melibatkan keterbukaan personaliti dan luahan pandangan Sakinah menerusi media sosial terutamanya Instagram miliknya sendiri.
Shiera yang ditemui pada majlis tayangan filem Pompeii bersama pendengar stesen radio Ultra FM di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur baru-baru ini turut mengulas mengenai naik turun kerjayanya.
Ikuti temu bual Shiera bersama Kosmo! selanjutnya.
Kosmo!: Sharifah Sakinah sebelum ini pernah memuat naik foto bahagian abdomen badannya menerusi Instagram yang mengundang reaksi negatif para pelayar laman sosial itu. Sebagai kakak Sakinah, apakah pandangan Shiera tentang perkara itu?
SHARIFAH SHAHIRAH: Itu cuma luaran. Saya tahu personaliti sebenar adik saya. Di rumah, dia anak kesayangan dan dia paling baik antara adik-beradik kami. Dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu dan kita tidak layak untuk mengadili perbuatan seseorang. Cuma, kalau ada orang menghentam, saya pun ada menasihatkan Sakinah. Kadang-kadang tertekan menjadi seorang artis. Selagi orang bercakap, selagi itu kita akan sakit hati. Cuma kalau berdiam diri, dia pun akan baik-baik sahaja.
Sakinah juga kini menganjurkan program kesihatan Fitness Sakinah pada setiap petang. Apakah bentuk sokongan Shiera terhadap program Sakinah itu?
Saya pernah beberapa kali menyertai aktiviti riadah tersebut tapi dia selalu marahkan saya sebab saya banyak main-main. Biasanya Fitness Sakinah akan berlangsung pada pukul 5 petang dan pada waktu itu, saya perlu ke udara di radio. Saya sokong apa yang dia lakukan memandangkan saya pun suka bersenam.
MENURUT Shiera, dalam kalangan adik-beradik, Sakinah merupakan anak yang paling baik di rumah.


Bercerita mengenai kerjaya Shiera sendiri, adakah kini fokus anda tertumpu semata-mata untuk menjadi penyampai radio sahaja?
Bulan Mac ini, genap setahun saya menjadi penyampai radio Ultra FM. Buat masa sekarang, saya teringin menerima tawaran lain tetapi saya rasa tidak perlu tamak. Mungkin saya akan kembali berlakon walaupun di luar sana ramai pesaing yang lebih handal daripada saya. Cuma, jadual saya sekarang tidak mengizinkan. Ultra FM pun hanya dapat didengari di Kuala Lumpur sahaja, tetapi saya tidak mengejar populariti. Saya buat selagi orang menghargai dan mahukan khidmat saya.
Pernahkah Shiera menolak tawaran berlakon sepanjang menjadi penyampai radio di Ultra FM?
Ada beberapa kali termasuk tawaran daripada pengarah tersohor, Datuk Paduka Shuhaimi Baba. Namun, kerja sampingan contohnya, menjadi pengacara pada hari Sabtu dan Ahad serta acara korporat saya masih buat. Saya buat selagi saya mampu buat.
Perbezaan menjadi penyampai radio di Ultra FM dan Sinar FM sebelum ini?
Di radio Ultra FM saya perlu mengendalikan semua peralatan yang belum pernah saya sentuh sebelum ini. Secara tidak langsung, kerjaya ini mendidik saya untuk berdikari dan bermula daripada bawah balik.
Kalau di Suria FM dulu, saya cuma melawak. Perkara penting saya belajar, susah sebenarnya untuk hiburkan orang dan risau kadang-kadang pendengar tidak puas hati. Saya pula bukan seorang pandai berbahasa, selalu pakai bahasa pasar saja. Sekarang ini, saya perlu mantapkan pengetahuan bahasa, berita dan pengetahuan am saya.
Selepas populariti jatuh baru terima tawaran menjadi penyampai radio. Apakah komen Shiera?
Sekurang-kurangnya apabila jatuh saya tidak hilang arah, ada juga tawaran untuk menjadi penyampai radio. Memang setiap kerjaya ada peringkat tertentu dan mungkin menjadi penyampai radio pun tidak kekal lama tapi sekurang-kurangnya ada pengalaman.


Budak perempuan 9 tahun tinggal bersama anakonda

Posted: 27 Feb 2014 10:51 PM PST



KRISTA bermain dengan anakonda peliharaannya.


WARREN, Michigan - Seorang budak perempuan berusia sembilan tahun yang taksub terhadap haiwan reptilia menjadikan rumahnya di sini sebagai tempat tinggal 30 spesies tersebut, lapor akhbar Miror News kelmarin.
Kanak-kanak berkenaan, Charming Krista tinggal bersama spesies reptilia seperti anakonda dan ular sawa sepanjang 3.6 meter selain mempunyai hobi memberi makan aligator yang dibela di kediaman keluarganya.
Ayah Krista yang juga seorang pakar ular, Jamie, 33, mula memperkenalkan ular pada Krista semasa usianya dua tahun.
Anak sulung daripada tiga beradik itu turut memuat naik beberapa klip video berhubung minatnya di laman perkongsin video YouTube.
"Semua orang takut pada ular tetapi saya menganggap ular sebagai haiwan yang menakjubkan.
"Saya bercita-cita untuk membina sebuah zoo kecil apabila dewasa kelak," katanya.


Lelaki China buang tumor seberat 10 kilogram

Posted: 27 Feb 2014 10:50 PM PST



YANG diberitahu oleh doktor-doktornya bahawa dia mempunyai peluang yang cerah untuk sembuh.


XI'AN, Shaanxi - Seorang lelaki di China, Xiao Yang, 27, menjalani pembedahan bagi membuang tumor seberat 10 kilogram yang tumbuh di belakang tengkuknya sejak 15 tahun lalu, lapor akhbar Metro.co kelmarin.
Xiao mula sedar ada bonjolan kecil bersaiz sebiji telur di tengkuknya 10 tahun lalu yang kemudian semakin membesar.
Pada tahun 2007, dia telah pergi ke sebuah hospital di sini untuk mendapatkan rawatan. Yiang kemudian diberitahu bahawa sdia telah menghidap ketumbuhan yang dinamakan fibromatosis.
Doktor yang merawatnya ketika itu memberitahu, pem bedahan untuk membuang ketumbuhan itu sangat sukar dan risikonya amat tinggi dengan menyebabkan bapanya, Jigao membuat keputusan untuk membiarkan sahaja ketumbuhan tersebut.
Namun pada penghujung tahun 2013, Xiao membuat keputusan untuk menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan itu selepas ia membesar sehingga 45 sentimeter dengan berat 10 kilogram.
Kos pembiayaan pembedahan itu telah dikumpul melalui kutipan derma orang awam dan pinjaman yang dibuat oleh bapanya.
Doktor yang melakukan pembedahan ke atas Xiao memberitahu, lelaki itu mempunyai peluang cerah untuk pulih.


Makanan signatur Manja's Kitchen

Posted: 27 Feb 2014 10:46 PM PST



SIAPA sangka pesanan yang dititipkan oleh arwah ayah sewaktu dirinya dalam berpantang selepas melahirkan anak pertama, Muhammad Mateen menjadi azimat berharga buat Farah Nadia Manja Abdul Rahman dalam meneruskan kehidupan.
Ketika itu, dia hanya berbual-bual kosong bersama ayahnya, Abdul Rahman Abu Bakar mengenai beberapa perkara termasuk minatnya dalam bidang masakan.
Kemudian, sebelum perbualan itu berakhir, ayahnya berkata dalam nada perlahan: "Lakukan perkara yang kita sukai agar tidak tertekan dengan kehidupan yang dijalani."
Bertitik tolak dari situlah, Farah Nadia akhirnya membuat keputusan untuk memulakan perniagaan Manja's Kitchen yang diusahakan secara dalam talian sejurus selesai berpantang.
"Saya masih ingat sekitar bulan Julai 2011, perbualan bersama ayah sangat mengujakan. Namun, siapa sangka dua bulan kemudian bersamaan dengan tarikh 25 September 2011, ayah pergi dijemput Ilahi.
"Meskipun sedih, tetapi saya tetap bersyukur kerana telah melaksanakan pesanan ayah agar membuat perkara yang digemari iaitu membuat kek dan biskut untuk dijual.
"Perniagaan Manja's Kitchen sudah memasuki tahun ketiga penubuhannya. Alhamdulillah, saya anggap ia sebagai jihad keluarga dalam bidang ekonomi," ungkap Farah Nadia, 29, ketika ditemui Kosmo! di Taman Melati, Kuala Lumpur baru-baru ini.
PERNIAGAAN wepang yang diusahakan Farah Nadia dan suaminya ini dianggap sebagai jihad keluarga.


Produk terbaharu
Dalam usaha mengembangkan perniagaan, Manja's Kitchen kini tampil dengan produk terbaharu yang dinamakan wepang iaitu sejenis makanan berkhasiat untuk tenaga dan perkembangan minda.
Pada mulanya, wepang tersebut dibuat berdasarkan permintaan daripada pelanggan tetap Manja's Kitchen ketika bulan Ramadan tahun lalu.
Justeru, Farah Nadia bersama kakak dan adiknya berusaha menyiapkan lebih 100 balang wepang sepanjang bulan puasa.
"Melihat sambutan yang amat memberangsangkan itu, saya yakin produk wepang ini boleh pergi lebih jauh. Oleh itu, kami menggunakan medium laman sosial Facebook untuk mempromosikannnya.
"Kini, setiap hari kami boleh menghasilkan 600 peket wepang dengan berat kira-kira 25 hingga 27 gram bagi setiap bungkusan," ujar Farah Nadia yang kini sarat mengandung anak kedua.
Tempahan
Sementara itu, suami Farah Nadia, Mahathir Rahmat, 32, memberitahu, selain menerima tempahan secara dalam talian, pihaknya turut memasarkan wepang Manja's Kitchen di restoran-restoran sekitar Kuala Lumpur.
Biasanya, Mahathir akan meletakkan satu atau dua balang di restoran yang terlibat. Setiap balang mengandungi 30 peket wepang yang dijual pada harga RM90 atau RM3 sepeket.
"Setakat ini, wepang yang kami letak di kedai atau restoran habis dijual. Malah, ada peniaga yang membeli secara borong antara 30 hingga 50 balang sekali gus.
"Kami juga mempunyai pelanggan sejauh dari Singapura yang menunjukkan minat terhadap produk wepang ini. Insya-Allah, kami masih dalam proses untuk memasarkan produk ini di Kota Singa itu," jelas Mahathir yang mengakui adakalanya tidak menang tangan dengan tempahan yang diterima terutama ketika musim perkahwinan.

LAMAN Facebook menjadi medium untuk Manja's Kitchen mempromosikan produk mereka.


Dalam pada itu, bagi Nur Illyana Manja Abdul Rahman, 20, peluang membantu perniagaan kakak dan abang iparnya tidak mahu dilepaskan begitu sahaja.
Seronok
Walaupun mempunyai kelulusan dalam Diploma Pastri dari Universiti Tun Abdul Razak yang membolehkannya bekerja di hotel atau restoran terkemuka, tetapi Nur Illyana membuat keputusan sebaliknya.
"Seronok apabila bekerja dengan ahli keluarga sendiri. Skop tugas saya adalah menggaul bahan-bahan untuk membuat wepang dan membakarnya mengikut suhu yang ditetapkan. Tambahan pula, apabila menggunakan oven baharu yang lebih besar dan mudah diselenggara.
"Waktu mula-mula dulu, memang selalu wepang yang dibakar hangus dan tidak dimasak sempurna. Tetapi lama-kelamaan perkara ini boleh dielakkan," tutur Nur Illyana sambil menyatakan wepang perlu dibakar pada suhu 180 darjah Celcius selama kira-kira 12 minit.
Menggunakan badam sebagai bahan utama iaitu sebanyak 90 peratus, diikuti biji kuaci, bijan hitam dan campuran gula, wepang Manja's Kitchen semakin mendapat tempat di hati pelanggan.
Perkara ini diakui Mohd. Nazim Mohamad, 34, yang merupakan antara pelanggan setia produk wepang Manja's Kitchen sejak kali pertama menikmatinya di rumah ibu mertua di Setapak.
"Boleh dikatakan kali pertama merasai wepang tersebut, hati saya sudah tertawan. Apatah lagi kandungannya terdiri daripada badam yang berkhasiat untuk meningkatkan daya ingatan dan memberi tenaga.
WALAUPUN mempunyai diploma dalam bidang pastri, Nur Illyana memilih untuk bekerja dengan kakaknya melalui jenama Manja's Kitchen.


"Kini, setiap minggu saya dan isteri pasti akan memesan 10 balang wepang untuk dijual kepada rakan-rakan sepejabat. Tidak ketinggalan, ia turut dijadikan kudapan harian di rumah atau untuk menjamu tetamu," kata Nazim, seorang ahli perniagaan dalam bidang minyak dan gas yang kini bergelar ejen jualan wepang Manja's Kitchen.
Sementara itu, individu yang mengusahakan bisnes produk serupa atau dikenali sebagai wepang secara kecil-kecilan, Nurul Izza Rosly, 32, berkongsi pengalaman mengenai populariti produk tersebut.
Menurutnya, rutin membuat wepang dilakukan secara sepenuh masa sejak berhenti kerja pada November tahun lalu.
"Saya mula cuba membuat produk ini pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu dan ternyata ramai pula yang menggemarinya. Sekarang setiap hari memang ada tempahan untuk membeli wepang.
"Walaupun penat kerana saya menyiapkan tempahan seorang diri, tetapi kepuasan itu akan terasa apabila berjaya melakukannya dan menerima pujian daripada pelanggan," ungkap Nurul Izza.

Pameran inovasi tarik minat belia

Posted: 27 Feb 2014 10:45 PM PST


FASILITATOR dari Universiti Putra Malaysia membuat demonstrasi menguji kepantasan semasa latihan badminton.


SEGEROMBOLAN demi segerombolan pelajar menjelajah setiap ruang pameran untuk menyaksikan produk-produk inovasi di Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2014. Acara tersebut berlangsung selama tiga hari bermula 20 Februari lalu, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Sebanyak 100 ruang pameran dibuka oleh pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah dengan memaparkan produk inovasi masing-masing.
Majlis anjuran Persatuan Penyelidik Sains Malaysia (MARS) itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohd. Diah.
Acara tersebut bertujuan memberi ruang kepada pencipta inovasi baharu dan pengunjung bertukar pendapat sesama mereka.
Seorang pengunjung yang merupakan pelajar semester dua di Maktab Rendah Sains Malaysia Taiping, Perak, Kursiah Ahmad Sani, 16, berkata, dia amat tertarik dengan rekaan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
"Mereka telah mencipta sejenis alat yang berfungsi seperti pendingin hawa. Alat ini akan menyejat udara panas melalui molekul sejuk yang ada pada pad basah dan melepaskan haba berlebihan ke udara.
"Produk ini bersifat mesra alam kerana tidak melepaskan gas klorofluorokarbon yang menipiskan lapisan ozon. Selain itu, penggunaan elektrik lebih rendah," jelasnya yang datang bersama rombongan sekolahnya.
Membantu
Tambahnya, idea yang dicetuskan oleh pelajar SMJK Jit Sin itu mungkin dapat membantunya dalam tugasan penggayaan produk sekolah.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Am, Politeknik Sultan Azlan Shah, Siti Fazlina Isnin, 42, memberitahu, pameran anjuran kali ke-14 itu membantu membina kecerdasan minda pelajar.
"Pameran seperti ini dapat memberi pendedahan kepada para pengunjung, terutama pelajar sekolah untuk menjadi lebih kreatif dalam menghasilkan reka cipta produk terbaharu.
"Pengunjung bukan sahaja dapat memegang dan melihat rekaan, malah turut diberi penjelasan oleh fasilitator," jelasnya yang datang dari Tanjung Malim, Perak.

SEKUMPULAN pelajar mendengar penerangan fasilitator tentang basikal lipat menggunakan lapisan buluh.


Pengunjung
Acara berkenaan turut mengumpulkan seramai 700 pereka tempatan dan antarabangsa yang membawa bersama produk, rekaan dan idea untuk dikomersialkan sekali gus berjaya menarik kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung.
Antara yang menjadi input utama perbincangan di rata-rata ruang pameran berkenaan ialah reputasi, cara mewujudkan kesedaran jenama, mengkomersial produk-produk baharu untuk pasaran global dan kerjasama sektor swasta serta awam bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan.
Bagi siswi Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Siti Nur Shafina Shawalludin, 22, pameran inovasi yang dibuat tidak hanya terhad kepada rekaan kepelbagaian penggunaan, tetapi juga mengambil kira nilai estetika seni di Malaysia.
"Saya amat tertarik dengan kerusi kaedah pasak rekaan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin yang menggunakan bakul anyaman rotan untuk dijadikan tempat duduk.
"Kita banyak melihat rekaan dalam rumah menggunakan kaedah pasak.
"Saya yakin produk ini mampu menembusi pasaran antarabangsa," jelasnya yang merupakan pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda seni seramik.
Dalam pada itu, sebagai dorongan kepada penciptaan produk baharu negara, MARS turut memberikan Anugerah Inovasi Belia dan Ekspo 2014 untuk 23 jenis kategori meliputi semua jenis produk penggunaan harian.


Kekasih Hafiz Suip Penuntut Universiti, Kenal Empat Tahun Lalu

Posted: 27 Feb 2014 01:33 AM PST


Hafiz mengakui sedang berkawan rapat dengan seorang wanita yang dikenalinya sejak empat tahun lalu.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz Suip membuat pengakuan sedang berkawan rapat dengan seorang wanita yang dikenalinya sejak empat tahun lalu namun masih belum bersedia mendedahkan identiti individu berkenaan.
Hafiz atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Mohd Suip, 24, berkata, dia terpaksa merahsiakan individu itu kerana menghormati privasi wanita tersebut selain mengambil kira statusnya yang masih seorang penuntut di sebuah universiti tempatan.
"Apa yang boleh saya katakan kami sedang berkawan malah telah mengenali sejak empat tahun lalu tetapi demi menghormatinya dan keluarga saya tidak dapat mendedahkan identiti dia buat masa ini," katanya kepada mStar Online.
Hafiz ditemui pada majlis doa kesyukuran bersempena kejayaannya sepanjang 2013 yang diadakan di Hotel Hilton di sini pada malam Rabu.
Penyanyi lagu Ku Akui itu mengulas gosip yang mengatakan dia dan wanita berkenaan hadir sewaktu pertandingan akhir Maharaja Lawak Mega 2013 baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, Hafiz berkata, buat masa ini masih terlalu awal untuk dia bercakap mengenai perkembangan hubungan mereka kerana ia masih di peringkat awal.
Penyanyi berusia 24 tahun itu berhasrat untuk mengadakan sebuah konsert solo berskala besar tahun ini.
Malah kata Hafiz, dia tidak mahu mengganggu tumpuan temannya itu terhadap pengajian selain ingin memberikan tumpuan kepada kariernya pada tahun ini.
"Kami rapat tapi belum serius sebagai pasangan dan rasanya kisah ini tidak perlu diperbesar-besarkan dan Insya-Allah kalau ada jodoh mungkin saya sedia berumah tangga sebelum mencapai usia 30 tahun.
Sementara itu, Hafiz berkata, bersempena dengan sambutan hari lahirnya pada 27 Februari, dia berazam untuk mengembangkan karier nyanyiannya seperti mana dilakukan oleh Datuk Siti Nurhaliza, Yuna dan Shila Amzah di luar negara.
Malah kata Hafiz, dia juga berhasrat untuk mengadakan sebuah konsert solo berskala besar pada tahun ini khas buat para peminatnya.
"Masih banyak perkara yang saya mahu lakukan dalam mengembangkan lagi karier saya dan harap-harap semua impian itu terlaksana pada tahun ini," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Hafiz berkata, dia akan diraikan dalam satu acara santai bersama 50 peminatnya pada 2 Mac ini bersempena sambutan hari lahirnya itu.
Acara itu bakal diadakan di Bukit Cerakah, Shah Alam dan ibu bapanya iaitu Mohd Suip dan Halizawati Salleh akan turut memeriahkan majlis.
"Majlis itu diadakan secara santai sahaja sambil kami menikmati keindahan alam semula jadi di Bukit Cerakah," katanya.

Arja Lee Mengaku Sukakan Pelakon Baharu

Posted: 27 Feb 2014 01:33 AM PST


Arja mengakui sedang berkawan rapat dengan pelakon baharu, Shima Anuar. 
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi Arja Lee mendedahkan sedang berkawan rapat dengan aktres Shima Anuar seperti mana digembar-gemburkan sebelum ini.
Arja atau nama sebenarnya Azharudin Ramli, 30, berkata, mereka telah berkenalan sejak setahun lalu dan dia mengaku menyukai wanita berkenaan.
"Benar kami sedang berkawan rapat dan saya menyukai dia malah yakin dia juga mempunyai perasaan sama terhadap saya.
"Bagaimanapun saya tidak berani untuk mengatakan kami bercinta tetapi dia adalah wanita yang rapat dengan saya ketika ini," katanya kepada mStar Online.
Arja ditemui selepas pelancaran single pertamanya berjudul Cerita Pada Mereka di Lambang Sari, Istana Budaya di sini pada Rabu.
Kemunculan Arja dengan single pertamanya berjudul Cerita Pada Mereka bukti dia serius dalam bidang nyanyian.
Tambah Arja, buat masa ini dia tidak mahu memfokuskan kepada soal cinta kerana ingin memberi tumpuan kepada kerjaya seni yang sedang meningkat naik.
Bagaimanapun kata pelakon drama Ariana Rose itu dia menyasarkan untuk menamatkan zaman bujangnya pada usia 33 tahun.
"Sebelum berkahwin saya mahu mencapai semua cita-cita saya dan membina nama dalam bidang hiburan sebelum berkahwin.
"Sekarang umur saya 30 tahun dan ada masa tiga tahun untuk saya betul-betul memberi fokus kepada kerjaya sebelum berkahwin.
"Bukan tidak mahu kahwin memandangkan usia pun semakin meningkat tetapi saya ada tanggungjawab terhadap keluarga dan diri sendiri selain mengukuhkan ekonomi terlebih dahulu," jelasnya.
Arja Lee menitiskan air mata mengenangkan arwah ibunya.
Dalam pada itu, Arja berkata, kemunculan single pertamanya itu bukan untuk membuktikan kepada mana-mana pihak bahawa dia boleh menyanyi sebaliknya ia merupakan impian sejak kecil.
Kata Arja, dia tidak kisah tentang pandangan orang lain terhadapnya kerana dia bekerja keras untuk memastikan kerjaya seninya terus berkembang.
"Mungkin saya beberapa kali mencuba nasib dalam beberapa program realiti tetapi nampaknya rezeki tidak menyebelahi saya.
"Tetapi ini adalah usaha bahawa saya serius untuk bergelar penyanyi dan penghasilan single ini adalah buktinya," ujarnya.
Tambah Arja, arwah ibunya yang meninggal dunia tahun lalu adalah pemangkin semangat terbesarnya untuk terus bertahan dalam industri ini.
"Saya mengalirkan air mata kerana teringatkan arwah ibu kerana dia tidak sempat melihat kejayaan saya. Ketika menyanyi lagu pertama saya itu, saya membayangkan dia berada di hadapan saya," katanya.
Bercerita lanjut mengenai Cerita Pada Mereka, Arja berkata, lagu tersebut dicipta khas oleh komposer dan penulis lirik Keroz Nazri dua tahun lalu.
Bagaimanapun Arja tidak mahu terburu-buru mengeluarkan single berkenaan dan memilih 2014 untuk melancarkan karier nyanyiannya.
Sementara itu, Arja berkata, dia tidak akan meninggalkan dunia lakonan kerana cabang seni itu yang menaikkan namanya dalam industri hiburan tempatan.
Malah jadual lakonannya sudah penuh sehingga penghujung tahun ini dan bersyukur bakatnya semakin diterima baik oleh produksi dan peminat.
"Minat sebenar saya adalah nyanyian tetapi lakonan yang telah menaikkan nama saya.
"Apa yang penting pembahagian masa dan Insya-Allah semuanya akan berjalan dengan baik," katanya.

Siti Nurhaliza Bakal Duet Dengan Cakra Khan

Posted: 27 Feb 2014 01:31 AM PST


Siti kagum dengan kemerduan suara penyanyi Indonesia, Cakra Khan.
PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza mengakui bakal berkolaborasi dengan penyanyi Indonesia popular Cakra Khan.
Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 34, berkata, lagu duet tersebut akan dimuatkan dalam album solo terbaharu penyanyi itu namun proses rakaman belum dijalankan kerana masih lagi mencari lagu yang sesuai.
"Pihak pengurusan Cakra meminta saya berduet dengan penyanyi itu dan ia adalah satu penghargaan buat diri saya.
"Tambah pula sebelum ini saya pernah membuat persembahan duet dengan Cakra pada Anugerah Planet Muzik (APM) tahun lalu. Saya cukup mengkagumi suaranya yang unik dan merdu.
Siti bersama salah satu lukisan potrait dirinya pada pameran ikon pop negara di Galeri Artelier KL.
"Buat masa ini kami mencari lagu yang bersesuaian daripada komposer Indonesia," katanya.
Siti ditemui pada majlis pameran lukisan yang menandakan dia sebagai ikon pop negara di Galeri Artelier KL di sini pada Rabu.
Tambah Siti, selepas mendapat lagu bersesuaian, penyanyi itu akan ke Indonesia merakamkan lagu di sana sekali gus menyiapkan klip video bersama Cakra di negara itu.
Mengenai pameran tersebut, sebanyak 17 lukisan hasil karya pelukis tempatan dan luar negara dipaparkan di galeri tersebut.
Siti bersama para pelukis yang terlibat dalam projek berkenaan.
Antara nama-nama pelukis yang terbabit ermasuklah Adrian Torres (Sepanyol), Azizi Latif, Faiz Yunus, E.M. Nightwatcher (Iran), Haffendi Anuar, Zizan Rosman dan Nazmi Ismail.
Lukisan tersebut akan dijual bermula daripada harga serendah RM1500 sehingga RM75,000.
Sebanyak 30 peratus daripasa hasil jualan lukisan itu akan disalurkan ke Yayasan Nurjiwa.

Malaysia Distro Fiesta Kumpul Artis Popular

Posted: 27 Feb 2014 01:30 AM PST


Antara artis yang terlibat dalam Malaysia Distro Fiesta.
KUALA LUMPUR: Seramai 30 selebriti tempatan termasuklah pemuzik-pemuzik 'undergroud' bakal melibatkan diri pada acara Malaysia Distro Fiesta 2014 yang akan berlangsung bermula 29 dan 30 Mac depan.
Acara anjuran Postoman Industries ini akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.
Pengarah Urusan Postoman iaitu Sharill Mohamad, berkata, sebahagian selebriti akan melibatkan diri dalam persembahan nyanyian selain mereka akan bermesra bersama para peminat bagi menjayakan acara tersebut.
"Sebahagian daripada artis-artis ini mempunyai peminat-peminat tersendiri di mana mereka akan berjumpa dan bercerita tentang muzik apabila berkumpul di sesebuah acara.
"Jadi menerusi Malaysia Distro, kami ingin mengumpulkan peminat-peminat di satu kawasan di mana mereka dapat bersantai dengan artis kesukaan masing-masing.
"Dalam pada itu para artis dan peminat turut akan terlibat dengan beberapa aktiviti yang bakal dianjurkan," katanya
Sharill ditemui pada majlis pelancaran Malaysia Distro Fiesta 2014 di VCR Cafe di sini pada petang Rabu.
Acara tersebut turut mendapat kerjasama daripada Malaysian Buskers Club, Achtung KL, Youth Buzzr, Underboss, Alibi Music, Terbang Concept dan Fotografia De Lyzard & Switchbox Development.
Antara artis-artis yang akan menyertainya termasuklah Monoloque, Tilu, Caprice, Reza Salleh, Yuka Kharisma, Lokman Aslam, Mafarikha, Daly Filsuf dan Delisha.
Malaysia Distro Fieata 2014, merupakan sebuah acara bagi mengumpulkan pengusaha muda yang baru memulakan perniagaan tetapi menjual barangan buatan tempatan eksklusif.
Dalam pada itu, Sharill berkata, acara tersebut juga akan menjadi platform kepada peniaga-peniaga baharu memperkenalkan produk masing-masing.
"Kami mahu membantu para peniaga mempromosikan produk eksklusif yang dikeluarkan sendiri oleh mereka.
"Sebab itu untuk menarik lebih ramai pengunjung, kami membawakan artis-artis seperti yang diperkatakan tadi untuk mengumpulkan peminat mereka dalam acara ini.
"Ada juga selebriti popular yang turut terlibat menjual produk-produk mereka seperti ialah penyanyi Mizz Nina," ujarnya.
Bagi sesiapa yang berminat mahu mencari peluang berniaga pada acara ini, hubungi Aszuad Zakaria di talian 016-6838444

Mira Fana Tinggalkan 'Velvet' Kerana Rock

Posted: 27 Feb 2014 01:29 AM PST


Mira Fana berkata jiwanya lebih kepada genre rock.
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan gitaris, Mira Fana meninggalkan kumpulan Velvet kerana tidak serasi dengan genre muzik diperjuangkan kumpulan berkenaan yang lebih kepada irama pop rock.
Mira atau nama sebenarnya, Amirah Farhanah Daud Ahmad, 21, berkata, jiwanya lebih kepada genre rock selain selesa bergerak sendiri untuk membina nama sebagai penyanyi dan pemuzik.
"Saya tinggalkan Velvet bukan kerana masalah peribadi tetapi tidak serasi dengan perjuangan muzik yang diketengahkan dan lebih senang dengan rock," katanya kepadamStar Online.
Mira bakal mengiringi persembahan Awie pada Konsert Teaterikal Suara Kita yang akan berlangsung pada 3 hingga 9 Mac depan di panggung Sari, Istana Budaya di sini.
Selain Awie, penyanyi dan pelakon Ziana Zain dan Erra Fazira turut terlibat dalam persembahan itu.
Dalam pada itu, Mira berkata, dia cukup teruja apabila dihubungi oleh pihak pengurusan Awie untuk hadir ke uji bakat atas permintaan penyanyi itu sendiri selepas menonton video persembahannya di laman YouTube.
Mira Fana (dari kiri) Erra, Awie dan Ziana Zain bakal bergandingan dalam konsert Suara Kita yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada Mac.
Kata Mira, dia berbangga terpilih bersama-sama menjayakan konsert itu dan mengakui gementar untuk berkongsi pentas dengan Awie.
"Ia seperti mimpi menjadi kenyataan akan bermain gitar mengiringi nyanyian Awie pada malam itu nanti," katanya.
Sementara itu, Awie berkata, dia tertarik dengan kebolehan Mira kerana kemampuannya memetik gitar setanding pemain profesional selain yakin wanita itu mampu pergi jauh dalam bidang seni.
"Tidak ramai wanita yang mampu bermain gitar dengan baik seperti Mira dan bakat itu yang ingin saya ketengahkan.
"Mira akan mengiringi persembahan saya sebanyak dua lagu pada malam itu nanti," katanya.
Tambah Awie, dia juga mempunyai perancangan besar untuk karier nyanyian dan muzik Mira selepas tumpuan kepada teater itu berakhir.

Debaran Teaterikal Suara Kita

Posted: 27 Feb 2014 01:28 AM PST


  •  Teaterikal Suara Kita

KIRA-KIRA empat hari lagi, Panggung Sari, Istana Budaya bakal digegarkan dengan pementasan yang julung kalinya menggabungkan tiga nama besar iaitu Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain menerusi 'Konsert Teaterikal Suara Kita'.

Sudah pasti persembahan ini amat dinanti-nantikan peminat yang sudah lama merindui kemunculan mereka bertiga seperti mana yang popular hampir 20 tahun lalu.

Apa yang menariknya, persembahan ini juga bakal membawa penonton mengimbau nostalgia lama menerusi beberapa babak menarik dalam lima filem popular seperti Sembilu, Sembilu II, Merah,
Tragedi Oktober dan Maria Mariana.

Masih rancak menjalani sesi latihan di Istana Budaya, ketiga-tiga nama besar ini nyata komited dan mengharapkan yang terbaik pada malam persembahan yang julung kalinya menggandingkan mereka di pentas berprestij itu.

Awie percaya Erma Fatima

Akui masih berdebar, kata Awie membawa tiga watak dalam satu pementasan bukanlah sesuatu perkara yang mudah buat dirinya.

"Saya pegang tiga watak di mana setiap satunya berbeza karakter, tapi ia digarap menjadi satu persembahan dan ia memang bagi cabaran buat saya.

"Bagaimanapun, dengan adanya kepakaran Erma Fatima selaku pengarah, saya percaya persembahan ini akan menjadi sangat menarik untuk ditonton," katanya.

Awie yang juga bertindak sebagai penerbit persembahan memberitahu secara keseluruhan persiapan untuk konsert ini telah dijalankan sebanyak 70 peratus.

"Apa yang boleh saya katakan penonton yang hadir tidak akan rugi kerana dengan satu tiket mereka akan dihiburkan dengan dua persembahan iaitu nyanyian dan juga lakonan.

"Saya menyeru kepada peminat yang membesar dengan lakonan kami sebelum ini untuk hadir kerana Insya-ALLAH ia akan menjadi satu persembahan yang baik untuk tatapan halwa telinga mereka,"
ujarnya.

Erra menyanyi demi peminat

Biarpun sudah lama tidak muncul dalam karier nyanyian, demi menjayakan pementasan ini, Erra bakal menyampaikan beberapa lagu untuk menghiburkan penonton yang hadir.

Menurutnya, dalam pementasan kali ini, peranannya lebih kepada persembahan lakonan berbanding nyanyian.

"Sebenarnya, saya lebih rela jika diberi tanggungjawab menghafal dialog berbanding menyanyi.

"Tapi dalam pementasan ini, saya ada juga menyanyi. Cuma tidak sebanyak Awie dan Ziana yang akan menyampaikan lagu-lagu popular mereka.

Tambahnya, dalam persembahan lakonan, dia akan memegang dua karakter iaitu sebagai 'Watie' dan juga 'Maria'.

"Saya sangat teruja melakonkan semula watak-watak ini kerana kalau diikutkan pada zaman inilah karier saya bermula.

"Banyak kenangan yang boleh dikongsi bersama penonton. Jadi saya memang tidak sabar untuk lakukannya," ujarnya.


Ziana kerja keras

Rindu dengan zaman kegemilangannya sebelum ini, membuatkan Ziana begitu komited  menyampaikan persembahan yang terbaik buat penonton.

"Boleh dikatakan, sehari lebih 12 jam kami bekerja. Bangun setiap pagi untuk buat promosi dan sebelah petang pula kami akan berlatih untuk persembahan lakonan dan juga nyanyian.

"Tapi disebabkan rindu dan minat, saya lakukannya dengan penuh tanggungjawab dan mengharapkan penonton akan terhibur dengan apa yang kami lakukan," katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai lakonan, Ziana memberitahu, pementasan itu tidak lari daripada skrip asal.

"Persembahan ini tidak terlalu serius kerana ada beberapa elemen menarik seperti komedi turut diselitkan supaya penonton lebih terhibur.

"Bagaimanapun, ia tidaklah begitu berbeza dengan skrip asal kerana itulah kekuatan dan nostalgia yang melekat dalam hati peminat selama ini," katanya.

Impian Shaheizy Sam jadi realiti

Posted: 27 Feb 2014 01:27 AM PST


  • Shaheizy SamShaheizy Sam

NESCAFE  baru-baru ini merealisasikan impian Shaheizy Sam dengan pelancaran showcase single terbaharunya, Bangun yang terhasil daripada pemilihan inspirasi peminat setianya.

Keunikan lagu itu terserlah apabila ia dihasilkan berdasarkan cetusan idea daripada 50,000 peminat pelakon terbabit yang dihantar kepada Nescafe dalam satu kempen produk minuman itu, baru-baru ini.

Kempen tersebut berjaya merealisasikan impian Sam untuk kembali ke studio rakaman bagi menghasilkan lagu tersebut.

Selepas berduet dengan Yana Samsuddin bagi lagu Begini Caranya, dia kembali berduet bersama Liyana Jasmay dengan sentuhan Audi Mok selaku produser.

Menurut Sam, dia berasa sangat bersyukur kerana Nescafe merealisasikan impiannya dan berterima kasih kepada semua yang berkongsi inspirasi, seterusnya mendekatkan lagi Sam bersama
peminatnya.

"Alhamdulillah... Saya sangat gembira dan teruja dengan peluang yang diberikan oleh Nescafe kepada saya.

"Single ini merupakan impian saya sejak dari dulu lagi selepas sekian lama bergelar pelakon.

"Saya mahu meluaskan cabang kerjaya saya dan nyanyian pilihan utama kerana minat mendalam dalam bidang ini," ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Eksekutif Perniagaan, Minuman Nestle Malaysia dan Singapura, Jasmmine Wong, berkata kolaborasi ini membawa makna tersendiri kepada Sam dalam meneruskan
perjuangan muzik dan saya juga berasa bersyukur Nescafe dapat menganjurkan aktiviti yang kreatif menerusi cetusan idea yang diterima hanya dalam masa dua bulan.

Penyertaan penghantaran lagu itu dibuat melalui laman sosial seperti Facebook, Youtube dan Twitter ketika kempen Nescafe On Sam berlangsung, baru-baru ini.

Ana Dahlia nafi bakal kahwin

Posted: 27 Feb 2014 01:26 AM PST


FOTO yang dimuat naik ke dalam Instagram Ana Dahlia menunjukkan dia ditemani Ubai Zulkiflee pada sesi pertemuan dengan Ezuwan Ismail yang mencetuskan spekulasi.


LUMRAH menjadi insan yang dikenali dalam dunia glamor seni, pelakon Ana Dahlia turut tidak dapat lari daripada perhatian umum, biarpun ia sekadar membabitkan kisah peribadinya.
Apa sahaja yang dilakukan bekas isteri Chef Riz yang juga anak kepada chef selebriti tersohor, Chef Wan ini pantas menarik perhatian umum.
Justeru, apabila sekeping foto Ana bersama seorang pemuda kacak dan sasa yang berjumpa dengan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail di muat naik menerusi Instagram milik Ana sendiri, ia segera menimbulkan spekulasi.
Gara-gara itulah, timbul khabar angin mendakwa Ana bakal berkahwin lagi selepas perkahwinannya pada 11 Disember 2011 dengan Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan, 31, hanya mampu bertahan selama 11 bulan.
Ana yang pernah membintangi filem Mantra itu ketika dihubungi Kosmo! bagaimanapun menafikan spekulasi tersebut.
"Tujuan sebenar saya berjumpa dengan dia (Ezuwan) adalah untuk berbincang mengenai persiapan baju saya menjelang Anugerah Bintang Popular (ABP) yang bakal berlangsung pada bulan Mac ini.
"Ia juga tidak ada kaitan langsung mengenai ura-ura yang saya akan berkahwin dalam masa terdekat.
"Namun sebagai seorang manusia saya juga ingin mempunyai teman hidup seperti orang lain," ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Akui Ana: "Pemuda yang menemani saya berjumpa dengan Ezuwan itu namanya ialah Ubai Zulkiflee.
"Dia biasa menemani saya apabila saya ada urusan kerja. Namun, (hubungan) kami belum sampai ke tahap teman istimewa."
Pemilik nama sebenar Diyana Mastura Jaafar itu juga memberitahu, jadual penggambaran yang padat telah menyebabkan dia tidak mempunyai masa yang sesuai untuk memikirkan soal untuk berkahwin lagi.
"Biarlah saya tumpu perhatian kepada karier dahulu, jodoh akan datang dengan sendirinya. Saya akui mempunyai ramai teman tetapi belum ada yang boleh dianggap sebagai teman istimewa," kata pelakon berusia 31 tahun itu.
Berbicara dengan bekas peserta program realiti TV, Pilih Kasih ini, nama Chef Wan tidak sah kalau tidak turut disebut.
Kata Ana, sehingga sekarang, hubungan bersama kedua-dua bekas ibu dan bapa mertuanya masih utuh dan mereka tetap memberi sokongan moral kepada Ana.
"Alhamdulillah, kedua-dua bekas ibu dan bapa mertua saya sangat menyokong dan tidak pernah memusuhi saya. Sehingga sekarang, saya masih menjalinkan hubungan baik dengan mereka," kata anak kedua daripada enam adik-beradik tersebut.
Mengulas mengenai perkembangan terbaharunya, ujar Ana, dia kini sibuk menjalani penggambaran untuk drama terbaharu terbitan Suhan Movies.
"Drama 13 episod tersebut masih lagi dalam proses penggambaran dan setelah selesai, insya-Allah ia akan ditayangkan selewat-lewatnya tahun ini.
"Saya juga baru selesai daripada penggambaran bersama drama, Janji Jasmine terbitan Orangetree Production untuk siaran TV3, selain sebuah drama berjudul, Cinta Kedua yang masih belum ditentukan tarikh tayangannya.
Tambah Ana: "Buat masa sekarang, saya hanya ingin menumpukan sepenuh perhatian kariernya dalam bidang lakonan."


'Sharnaaz buanglah perangai Gangster'

Posted: 27 Feb 2014 01:26 AM PST


  • Fauzi NarwawiFauzi Narwawi

NAMPAKNYA perang dingin antara pasangan suami isteri, Fauzi Nawawi, Lisdawati bersama aktor Sharnaaz Ahmad, masih belum menemui jalan penyelesaian.

Menerusi sebuah akhbar (bukan Sinar Harian), Sharnaaz telah memberi kata dua agar Lisda dan Fauzi memohon maaf dalam tempoh seminggu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika pasangan itu gagal berbuat demikian.

Bagaimanapun, Fauzi tetap dengan pendiriannya dan tidak akan akur dengan permintaan pelakon Juvana itu.

"Kenapa saya perlu minta maaf, ada sebab saya keluarkan kata seperti itu, tahap kesabaran saya pun ada batasnya. Tetapi saya tak pernah memaki hamun serta mengaitkan keluarganya," kata Fauzi.

Tegasnya, Sharnaaz juga sepatutnya berhenti mengugutnya dan membawa kes tersebut ke muka pengadilan. Jelasnya, Sharnaaz yang terlebih dahulu memulakan persengketaan dengan memaki serta memarahi isterinya di lokasi penggambaran drama Bukan Aku Tak Cinta, minggu lalu.

Kata Fauzi, dia tidak menghalang sekiranya Sharnaaz berkeras membawa kes ini ke mahkamah.

"Jika dia mahu teruskan juga, silakanlah, sebab saya rasa saya tak buat salah, untuk apa dia nak saman? Saman malu atau apa?," soal Fauzi kembali.

Tegas Fauzi, dia juga tidak pernah melibatkan keluarga Sharnaaz dalam perseteruan mereka, apatah lagi untuk memaki hamun mereka yang tidak bersalah.

"Saya cuma cakap, apa perasaan dia jika saya tengking ibu dia seperti mana dia tengking isteri saya. Itu sahaja. SMS (khidmat pesanan ringkas) itu saya boleh 'print' sebagai bukti. Saya pun waras juga, takkanlah saya nak maki hamun keluarga dia," katanya.

Ditanya, tidakkah ada jalan damai antara mereka, Fauzi berkata, dia pernah menghubungi Sharnaaz untuk berbincang dan menyelesaikan perseteruan mereka, namun tidak diendahkan Sharnaaz.

"Saya bagi tempoh sehari untuk dia minta maaf pada 20 Februari lalu, namun dia tak minta maaf. Saya ambil keputusan maafkan sahaja tindakannya, tapi dia macam tak puas hati.

"Saya minta dia jumpa untuk berdamai tapi dia tak mahu dan abaikan panggilan saya. Kalaulah dia nak minta maaf, saya boleh maafkan. Tapi saya minta lepas ni dia tinggalkan sikap gangster dia.

"Saya tak nafikan peminat Sharnaaz ramai, tapi rasa dia tak perlu kekalkan sikap gangster yang ada dalam diri dia kerana ia tiada jalan penyelesaian," kata Fauzi.

Lisda jatuh sakit

Fauzi, berkongsi keadaan Lisda yang dipercayai mengalami masalah kesihatan akibat pergaduhan ini.

"Dia mengalami tekanan darah tinggi dan saya sangat risau dengan keadaannya yang hamil. Jika berterusan saya tak teragak-agak ambil tindakan lebih tegas selepas ini," katanya.
Sebelum ini, Fauzi dan Lisdawati membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas mendakwa Sharnaaz menghantar satu SMS berbaur ugutan terhadapnya.

Katanya, kiriman SMS diterima 21 Februari lalu, kira-kira jam 9.42 pagi dan dia percaya ia berkaitan insiden Sharnaaz mengamuk serta cuba menyerang isterinya, Lisdawati Nazaruddin, 35.

Tegas Fauzi, keputusanmembuat laporan polis bukanlah kerana mahu mencari publisiti murahan atau kontroversi. Sebaliknya kerana mahu melindungi Lisda selepas ditengking dan diserang Sharnaaz.

Sementara itu, Ziela Jalil yang merupakan penerbit drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta, mengaku akan cuba bertanggungjawab mendamaikan pertelingkahan antara Lisda dan Sharnaaz Ahmad.

Ziela Jalil berkata, dia pasti apa yang berlaku hanya salah faham kecil kerana sebelum ini selama lebih 3 bulan penggambaran, kedua-dua pelakon itu tidak menunjukkan sebarang masalah.

Bukan Kerana Aku Tak Cinta, turut dibintangi Nelydia Senrose dan kini sedang ditayangkan di Astro Mustika HD.

Madhuri puji Salman

Posted: 27 Feb 2014 01:24 AM PST


  • Madhuri puji Salman

AKTRES terkenal Bollywood, Madhuri Dixit memuji rakan seangkatannya, Salman Khan kerana lakonan aktor itu yang semakin matang.

"Saya melihat Salman lebih memberi komitmen dalam lakonannya kini dan sudah  ada kematangan dalam lakonannya.

Bukan sahaja dari sudut lakonan bahkan tariannya juga sudah mempunyai gaya tersendiri," ujarnya kepada Oneindia.

Bahkan Madhuri juga sebelum ini pernah beberapa kali bekerjasama dengan Salman menerusi beberapa buah filem seperti Saajan, Hum Aapke Hain Hum dan Hum Tumhare Hai Sanam.

Ariel, Sophia bercinta?

Posted: 27 Feb 2014 01:22 AM PST


  • Ariel, Sophia bercinta?

KEHADIRAN Ariel Noah bersama Sophia Mueller pada tayangan perdana filem The Right One di XXI Epicentrum, Kuningan, Jakarta Selatan baru-baru ini seperti mengesahkan khabar angin percintaan mereka berdua.

Tidak lagi berselindung, pasangan ini juga dilihat berpegangan tangan di hadapan media dan juga tetamu yang lain.

Bagaimanapun usaha media di sana untuk menemu bual kedua-dua selebriti terbabit tidak berhasil apabila mereka mengelak untuk ditemu bual.

"Nanti ya, kami mahu makan dulu," kata Ariel sambil disambut senyuman Sophia sebelum berlalu.

'Cetus fenomena': Fuh FM khas untuk peminat rock

Posted: 27 Feb 2014 01:21 AM PST


  • 'Cetus fenomena': Fuh FM khas untuk peminat rock

SEIRING dengan perkembangan teknologi yang semakin giat dibangunkan di negara kita, siaran radio bukan sahaja dapat didengari di corong-corong radio sebaliknya di hujung jari anda.

Bertepatan dengan tagline 'Mencetuskan Fenomena', radio online Fuh FM yang ditubuhkan pada Mac 2012 mencipta satu lagi sejarah dalam dunia penyiaran.

Sebagai alternatif kepada radio dahulu, pendengar boleh mendengar lagu menerusi Internet dalam sesawang www.fuhfm.com secara percuma.

Menurut Pengarah Fuh Network Resources, Zamrudul Ahmar Mohd Ruslan atau lebih dikenali sebagai DJ Zack, radio online itu ditubuhkan berdasarkan permintaan orang ramai.

Katanya, dunia hujung jari membolehkan setiap lapisan masyarakat dapat mendengar lagu pilihan mereka di mana jua berada.

"Malah, kami beroperasi selama 24 jam seminggu tanpa henti untuk pendengar. Kebanyakan genre lagu yang diputarkan adalah rock kapak ketika era 70 an lalu.

"Ianya boleh didengari melalui alam maya atau Internet yang dipancarkan bukan sahaja dalam negara bahkan seluruh dunia," katanya.

Permintaan pendengar

Menceritakan di awal penubuhan radio online itu, DJ Zack berkata, ia dibina dengan kekuatan empat petugas yang juga dalam masa sama mengendalikan segmen-segmen bermula seawal jam 8 pagi sehingga keesokan harinya.

"Setelah dua tahun berlalu, kami kini mempunyai beberapa tambahan staf yang membantu melancarkan perjalanan radio kami.

"Kami juga merupakan radio rasmi kepada program Rockers Apa Khabar yang menjelajah seluruh Malaysia," katanya.

Ujarnya, selain lima penyampai radio atau DJ, mereka turut dibantu dengan dua staf sokongan iaitu Adarul Azila Zainal Abidin (Juru Foto) dan Norshila Mior Rahimi (Admin).

Sedikit mengenai Fuh FM, Zack berkata, ia adalah 100 peratus syarikat yang dimiliki Bumiputera yang dibangunkan secara tidak rasmi pada tiga tahun lalu.

"Fuh FM adalah salah satu projek di bawah Fuh Network Resources dan atas permintaan pembaca-pembaca blog kami iaitu, www.fuh.my maka terciptalah radio online Fuh FM.

"Nama Fuh FM diambil berdasarkan nama blog kami iaitu Fuh Dot MY dipancarkan ke serata dunia.

"Pendengar boleh mendengar suara kami sama ada melalui website mahupun telefon pintar. Ia merupakan permulaan kami dalam satu skop yang baru iaitu persembahan melalui suara dan pendengar," ujarnya.

Sementara itu, terdapat 11 segmen yang ditawarkan kepada pendengar termasuklah Fuh Santai, Fuh Cintan, Fuh Interhtz, Madah Pujangga, Retro dan sebagainya.

Perkhidmatan terbaik

Dalam masa sama, Zack berkata selain radio online mereka turut menyediakan perkhidmatan karaoke dan sistem audio untuk sebarang majlis atau karnival.

"Kelebihan pada kami berbanding syarikat lain ialah kami mampu membawakan suasana majlis tersebut secara langsung melalui sistem radio kami iaitu FuhFM.

"Kami juga memberi perkhidmatan deejay dan pengacaraan yang terbaik untuk sesebuah majlis dan karnival.

"Kesemua pengacara dan deejay dari Fuh FM adalah yang terlatih," katanya.

Selain itu, Zack berkata,  dia mahu radio menjadi medium penyebaran informasi dan menubuhkan sebuah blog yang dikenali sebagai Fuh Dot My.

"Dari situ kami memberikan informasi tulus dan mendapatkan dari sumber boleh dipercayai mengikut akta media komunikasi," ujarnya.

Berat mata memandang...

Posted: 27 Feb 2014 01:19 AM PST


  • selebriti cerai

MENGGALAS status ibu tunggal atau janda bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dilalui.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Cabaran dan dugaan yang terpaksa ditempuhi bukanlah berdasarkan fizikal sahaja.

Tidak kurang juga yang terpaksa menelan kata-kata nista daripada masyarakat yang mudah menilai dan membuat andaian yang bukan-bukan.

Malah, ayat 'pilih ibu atau janda itu!' juga merupakan ayat yang sinonim dengan situasi apabila seorang pemuda mula mendekati golongan ini.

Bukan sahaja wanita biasa, malah dugaan untuk selebriti yang menerima nasib sama juga tidak kurang hebatnya.

Lumrah sebagai selebriti, apa jua yang berkaitan dengan dirinya pasti menjadi buah mulut masyarakat, apatah lagi jika ianya melibatkan hal peribadi.

Di saat mereka gusar memikirkan masa depan tanpa iringan ketua keluarga, mereka juga terpaksa menerima cercaan dan tohmahan daripada orang luar yang tidak tahu apa-apa.

Tambahan pula, teknologi di zaman moden ini yang tidak membataskan perhubungan membuatkan golongan ini mudah mendapat pelbagai cercaan daripada 'keyboard warriors'.

Lebih mengecewakan, ada di antara pelayar laman maya turut mempersendakan perpisahan yang terjadi dalam kehidupan selebriti dan mencipta pelbagai 'bahan' untuk mengejek.

Walaupun golongan selebriti sememangnya sinonim dengan dunia glamor, populariti, kontroversi dan kisah penceraian, namun mereka hanyalah manusia biasa yang miliki hati serta perasaan.

Malah, setiap perpisahan yang terjadi bukanlah sesuatu yang menjadi pintanya ketika menerima lafaz akad di satu masa dahulu.

Dalam sebilangan selebriti, ada juga yang bernasib baik seperti Rozita Che Wan, Fiza Elite, Sharifah Aleya dan Dira Abu Zahar apabila mereka berjaya membina kembali hubungan baharu.

Namun, bagi selebriti cantik seperti Maya Karin, Nabila Huda, Nora Danish dan Wan Sharmila, yang sudah lama memegang status 'J', sering disogok pertanyaan mengenai pengganti.

Tidak terkecuali Datin Ziela Jalil, Siti Nordiana (Nana), Noniswara, Rita Rudaini, Ana Dahlia, Shasha Saidin, Norish Karman, Raja Azura (Kak Engku) dan terbaharu Erra Fazira, mungkinkah ada sinar untuk mereka nanti?

SH : Cinta masih menebal...

Terpaksa menerima takdir ALLAH SWT apabila kehilangan suami, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub pada 2008, sehingga kini, ibu tunggal ini masih sendiri.

Penerbit drama dan pelakon, Ziela Jalil, 43, mengakui terpaksa berdepan dengan kesukaran untuk menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal pada awal kematian suaminya.

Tambahan pula, ketika itu, dia perlu membesarkan dua anaknya, Puteri Julia Nabilah, 21, dan Megat Jufri Nasrullah, 19, yang masih kecil.

"Pada awalnya, memang sangat terasa kesukarannya untuk membesarkan anak seorang diri. Namun, ketika itu saya sedar bahawa tiada orang yang dapat membantu.

"Saya perlu bangkit dan kuatkan semangat demi masa depan anak-anak yang sedang membesar," katanya.

Tidak pernah terlintas untuk berkahwin lain, pemilik syarikat produksi, Zeel Production ini, turut mengambil anak angkat, Ibrahim Junid Abdullah, pada tahun lalu, untuk mengubati kerinduan terhadap arwah suaminya.

SH : Sukar cari pengganti

Mendirikan rumah tangga pada 2006, namun penyanyi, Siti Nordiana, terpaksa akur dengan ketentuan Ilahi apabila dia dan bekas suami, Faizal Yusof, bercerai setelah tiga tahun bersama.

Sehingga ke hari ini, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, masih keseorangan dalam membesarkan anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie, yang kini berusia lima tahun.

Walaupun pernah menyatakan kesediaan untuk berkahwin lagi, namun Nana menetapkan syarat kepada lelaki yang bakal menjadi suaminya itu.

"Saya dan arwah Faizal Yusof, berpisah ketika anak masih kecil lagi. Jadi, sebagai ibu tunggal, saya terpaksa membesarkan anak seorang diri.

"Walaupun saya sudah bersedia untuk berkahwin lagi, namun individu itu harus menerima anak saya, bukan semata-mata diri saya sahaja.

"Kalau boleh saya tidak mahu pisang berbuah dua kali," katanya.

Nana dan Faizal mendirikan rumah tangga pada 2006 dan bercerai pada 2009. Namun, pada 2011, Faizal meninggal dunia akibat serangan jantung.


SH : Lelaki takut dekati saya!

Penyanyi lagu, Elegi Sepi, Azharina mengakui lelaki takut mendekatinya selepas bergelar janda sejak enam tahun lalu.

Menurut Azharina atau nama sebenarnya Azharina Azhar, 28, disebabkan perkara itu juga dia masih solo sehingga kini.

"Ramai yang menyangka saya terlalu memilih ataupun sudah serik untuk berumah tangga, namun hakikatnya ramai yang takut nak mendekati saya.

"Saya ada berkawan dengan beberapa lelaki sebelum ini, namun hubungan itu tidak bertahan lama.

"Kebanyakan daripada mereka tidak memahami kerja seni saya yang sentiasa berhadapan dengan kekangan masa," katanya yang lebih mengutamakan kerja berbanding hal peribadi.

Namun, tambah Nina, dia lebih berfikiran positif dan menganggap jodoh belum sampai.

"Buat masa ini, saya tidak melihat perkahwinan menjadi satu keutamaan kerana sudah lama hidup seorang.

"Namun, bukan selamanya saya akan menjalani kehidupan seorang diri. Malah, kalau tengok adik beradik yang berkahwin dan punyai anak, terasa cemburu juga," katanya.

Perkahwinan Nina dan bekas suami, Datuk Syukri, diadakan secara rahsia apabila Nina bertindak menyembunyikan pernikahan mereka atas permintaan bekas suami.

SH : Hati belum terbuka

Sering terpalit dengan kontroversi dan khabar angin negatif, pelakon drama, Spa Q, ini tidak pernah mengalah dalam menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal.

Pernah dituduh cuba meruntuhkan rumah tangga kawan baik sendiri, Norish Karman, 40, tidak cepat melatah dengan khabar angin seumpama itu.

"Biasalah dalam industri, penuh dengan liku-liku. Tetapi kalau orang nak tutup periuk nasi saya, itu tidak menjadi masalah besar sebab rezeki di tangan Tuhan.

"Alhamdulillah, saya dipilih ALLAH SWT untuk menjadi mangsa, bukan saya yang buat orang. Cuma, sebagai ibu tunggal, kita nak kena bertungkus-lumus jugalah.

"Saya perlu kuat untuk menjadi contoh kepada ibu-ibu lain, sama ada ibu tunggal atau tidak," katanya yang mengakui belum bersedia untuk berkahwin lagi.

Walaupun pernah dilamar beberapa individu, namun ruang hatinya masih belum terbuka untuk bersuami lagi.

"Dah dua kali mendirikan rumah tangga cukup. Dah ada empat anak, dua meninggal, kira dah enam kali mengandung dan melahirkan," katanya.

Norish kini bahagia bersama empat anaknya, Muhammad Haqiem Armany, 15, Muhammad Hardy Amieran, 11, Puteri Hany Amanda, 10 dan Haq Lutfie Alexander, 3.

PALING MENJADI TUMPUAN
ERRA FAZIRA


Enam tahun bersama, akhirnya pelakon cantik, Erra Fazira dan bekas suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin, sah bercerai pada 17 Februari lalu.

Terpaksa berdepan dengan masyarakat yang sentiasa dahagakan penjelasan, kisah penceraian ini juga turut menjadi bahan cerita.

Tidak kurang juga yang mengejek dan cuba mempersendakannya di Internet dan laman-laman sosial.

Akui Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 40, gelora, kecamuk, tenang atau gusar, hanya empunya diri yang rasai.

Katanya, dia turut kesal dan kecewa dengan sikap masyarakat yang keterlaluan dalam membicarakan mengenai perpisahannya.

Lebih memilukan, penceraian itu juga menyaksikan Engku Emran diberi hak jagaan terhadap anak tunggal mereka, Engku Aleesya.

Erra dan Engku Emran berkahwin pada 25 Oktober 2007 setelah bertunang pada 7 September tahun yang sama.

Sebelum ini, Erra pernah berkahwin dengan penerbit terkenal, Yusry Abd Halim, pada 15 Jun 2003 namun, hubungan itu hanya bertahan tiga tahun sahaja setelah mereka sah bercerai pada 16 Jun 2006.

Pada 1996, Erra juga pernah bertunang dengan penyanyi rock Awie, namun mereka memutuskan pertunangan itu pada penghujung 1998.

RITA RUDAINI

Terlalu kontroversi dan banyak masa yang dihabiskan untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga pasangan ini.

Namun, selepas hampir dua tahun prosiding perceraian dibicarakan, Aidil Zafuan telah menceraikan pelakon cantik, Rita Rudaini Mokhtar, 37, dengan talak satu.

Sebelum ini, Aidil dan Rita telah menikah pada Februari 2008 di Songkla, Thailand, tanpa pengetahuan keluarga.

Terpaksa 'naik turun' mahkamah berulang kali, konflik rumah tangga pasangan ini mula retak sejak tahun 2010 lagi.

Akui Rita, rumah tangganya terus parah apabila ia melibatkan campur tangan keluarga yang dikatakan tidak menyukainya.

Biarpun telah bercerai, konflik mereka dilihat masih berterusan apabila Rita kini menuntut nafkah yang sepatutnya daripada Aidil.

Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan dua anak lelaki, Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Rafqa Arjuna, 2.

NORA DANISH

Hanya dua tahun melayari rumah tangga bersama, Rizal Ashram Ramli, akhirnya, pelakon comel, Nora Danish diceraikan pada Julai 2008.

Lebih memilukan, ketika lafaz cerai dibuat, Nora sedang hamil anak tunggal mereka, Putera Raykal, tiga bulan.

Konflik rumah tangga pasangan ini mendapat liputan meluas apabila ada yang mengaitkan nama aktres, Fasha Sandha, sebagai orang ketiga.

Menurut Nora pada prosiding mahkamah, bekas suaminya itu telah menceraikannya sebanyak dua kali iaitu pada Februari dan Jun, tahun yang sama.

Spekulasi mengenai hubungan Jejai dan Fasha terjawab apabila mereka berkahwin pada 2012.

Namun, sehingga kini, Nora masih belum membuat keputusan untuk berkahwin walaupun dikatakan mempunyai perancangan ke arah itu, apatah lagi, dia kini dikaitkan dengan anak VIP, Nadeem Nazri.

ANA DAHLIA

Tak sampai setahun, akhirnya mahligai yang dibina pelakon, Ana Dahlia bersama, chef selebriti, Chef Riz, kecundang di tengah jalan.

Hanya bertahan 11 bulan, Chef Riz yang juga anak kepada chef terkenal, Chef Wan, mengakui penceraian itu berpunca daripada tiada persefahaman antara mereka.

Memegang status janda sebelum ini, ramai yang melemparkan kesalahan terhadap Ana Dahlia apabila pelakon ini didakwa mula rapat dengan bekas teman lelakinya.

Walaupun Ana tidak terlalu terbuka dalam berkongsi masalah dalaman rumah tangga mereka, namun Chef Wan menafikan tuduhan Ana berlaku curang.

Malah, Ana turut memberitahu bahawa bapa mertuanya itu lebih tahu apa yang berlaku.

Ana bergelar isteri kepada Chef Riz pada 11 Disember 2011.

MAYA KARIN

Tujuh tahun bercinta dan dua tahun bersama sebagai suami isteri, pelakon cantik, Maya Karin terpaksa akur dengan ketentuan dari-Nya.

Sehingga kini, punca penceraian antara pasangan ini kekal misteri kerana masing-masing bertindak mengunci mulut dari terus berbicara lebih lanjut lagi.

Ada yang mendakwa, keretakan rumah tangga Maya bersama Mohamed Ali @ Steven David Shorthose, berpunca daripada Maya yang mempunyai kekasih dari golongan VIP dan juga hubungan mesra bersama Remy Ishak.

Menafikan perkara itu sekeras-kerasnya, Maya akhirnya terpaksa akur perkahwinan yang terbina pada 14 Ogos 2008 di Itali itu gagal diselamatkan lagi.

NABILA HUDA

Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba sahaja, pelakon, Nabila Huda, dilaporkan memohon cerai daripada suaminya, Zaidi Zailaini selepas tiga tahun berkahwin.
Walaupun ketika itu, puteri mereka, Keisha Laila baru sahaja berusia setahun, namun Nabila nekad untuk berpisah apabila perkahwinan atas dasar cinta ini tidak mampu diteruskan lagi.

Berkahwin pada Disember 2008, Nabila hadir ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membuat permohonan perceraian.

Bagaimanapun, ketika itu dia tidak berjaya memfailkan tuntutan perceraian kerana tertinggal surat nikah.

Namun, sehingga ke hari ini, baik Nabila mahupun Zaidi, mereka tidak mendedahkan sebarang masalah dalaman mereka sehingga mengakibatkan penceraian pada 2011.

Anak dara tua?

Posted: 27 Feb 2014 01:17 AM PST


  • Marsha Milan Londoh

"DIA hanya bergurau semata-mata. Perkara itu tidak benar sama sekali," ulas heroin Laga, Marsha Milan Londoh mengenai rakaman video yang dimuat naik oleh pengarah, Michael Ang di Instagram.

Rakaman berserta kapsyen 'Marsha putus cinta sekali lagi sebab BF EGO sgt semua nak tahu tapi bila masa dia semua tak bagitahu! Kesian! ANAK DARA TUA LA!' ternyata menimbulkan pelbagai tanda tanya apatah lagi apabila ia melibatkan kisah cinta aktres berusia 29 tahun itu.

Enggan membiarkannya terus menjadi tanda tanya, Marsha lantas menafikan mengenai perkara itu dan memberitahu, dia kini sedang berbahagia di samping yang tersayang.

Difahamkan, Marsha kini sedang dilamun cinta dengan jejaka Melayu iaitu ahli perniagaan yang berasal dari Pulau Pinang dan hanya dikenali sebagai Mr.S.
Tambahnya, dia juga sedang menunggu rakaman video baharu daripada Michael untuk dimuat naik di laman sosial itu bagi menjelaskan situasi sebenar mengenai status dirinya itu.

"Sepanjang saya mengenali dia, Michael memang seorang yang gemar mengusik dan menyakat.

"Apatah lagi kami berkawan baik. Dia hanya main-main. Saya dah biasa dengan gurauannya.

"Lagipun dah empat tahun kami berkawan baik. Saya tahu Michael macam mana orangnya," kata Marsha lagi kepada Zass.

Ketika ditanya adakah teman lelakinya selesa dengan gurauan sebegitu, Marsha hanya berkata:

"Dia (teman lelaki) agak terkejut mungkin kerana tak biasa.

"Tapi, hubungan saya dengan dia masih lagi baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Marsha kini sedang menunggu tiga filem lakonannya, 7UJUH, Juanita dan Pak Pong untuk ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.

Bukan tak laku, Jihan serah pada takdir

Posted: 27 Feb 2014 01:16 AM PST


  • Jihan

BIARPUN usianya tahun telah mencecah 31 tahun, pelakon dan pelawak Jihan tidak pernah meletakkan sasaran umur untuk mengakhiri zaman bujangnya walaupun mengakui mempunyai teman istimewa iaitu peserta program Pilih Kasih musim kedua, Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli, 29.

Jihan yang juga merupakan anggota kumpulan S.Y.J ini juga memberitahu dia tidak mahu terlalu memikirkan hal itu dan hanya akan berserah pada takdir.

"Sebenarnya kami sudah berkawan sejak dari sekolah lagi dan hubungan ini sekarang jadi lebih rapat.

"Tapi buat masa ini perancangan untuk berkahwin belum ada lagi. Memang sengaja tidak mahu rancang sebab semuanya belum pasti.

"Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan, jadi biarlah ia berlaku dengan sendirinya," ujarnya.

Ditanya bagaimana reaksi keluarganya mengenai perkara ini, Jihan memberitahu dia bersyukur kerana dikurniakan sebuah keluarga yang amat memahami dirinya.

"Alhamdulillah, keluarga saya terutamanya ibu tidak kisah dengan perkara ini. Mereka sentiasa beri dorongan kepada saya.

"Lagi pun, perkara seperti ini tidak boleh paksa-paksa," katanya.

Sh : Sering diperlekeh?

Di soal mengenai perjalanan kariernya, Jihan yang merupakan generasi pelapis sebagai pelawak wanita akui tidak pernah terbeban dengan status kerjayanya itu.

"Sebenarnya saya tidak meletakkan diri sebagai satu-satunya pelapis pelawak wanita, tapi lebih selesa menjalankan karier itu bersama pelawak lelaki.

"Bila seiring dengan pelawak lelaki, saya tidak rasa ditindas atau diperlekehkan," jelasnya.

Pada masa sama, Jihan turut menafikan tawaran kerjayanya kini begitu lumayan dan sering diberi keutamaan oleh pihak produksi.

"Sebenarnya tawaran yang saya dapat biasa-biasa sahaja. Bila saya tidak dapat buat, pihak produksi juga ada beri tawaran kepada artis lain dan ada juga tawaran yang saya buat untuk gantikan artis lain.

"Tapi mungkin disebabkan saya terlibat dengan beberapa program yang memang orang menonton, jadi mungkin sebab itu mereka hanya nampak saya sahaja," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Jihan bakal mengacarakan sebuah majlis sambutan Hari Ibu yang bakal menampilkan penyanyi bersuara emas, Jamal Abdillah dan Nas Adila di Shah Alam.

1 ulasan:


  1. Mereka yang mencari bantuan keuangan atau di mana untuk mendapatkan pinjaman bulan suci Ramadan ini, periksa Clara Pinjaman, karena saya baru saja pinjaman saya dari mereka sekarang. Saya bertemu mereka melalui Linkedin (Clara Pinjaman), dan saya mengikuti arahan mereka dan saya mendapat pinjaman saya hanya setelah membayar biaya penerimaan saya, yang bagian dari itu digunakan untuk membayar sedekah untuk anak-anak muslim pengungsi dari Suriah. Conact mereka untuk pinjaman Anda saat Anda membantu anak Suriah juga.

    Email: Claraloan@financier.com
    Website: Claraloans.wordpress.com

    BalasPadam

Label

Senarai Lagu