Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Hormat Tempoh Edah, Adegan Intim Awie & Erra Fazira Dikurangkan
- Nur Fathia Ulas Peristiwa Dirasuk Ketika Pementasan
- Kos Klip Video Kumpulan Tiga Tiada Kaitan Kes Jenayah
- Rebah: A Rahman Hassan Stabil Di HKL
- Padah jual motosikal bapa
- Anak derhaka terima balasan
- Empangan Gemencheh hampiri tahap kritikal
- Kerana RM7.10, duda dua anak dipenjara enam tahun
- Luahan Julia Zeigler
- Profima martabat pelakon lagak ngeri
- SRK, Madhuri teruja di Malaysia
- Ramli Sarip jelajah satu negara
- Sharnaaz mungkin buat laporan polis
- Nasib malang penyamun Indonesia
- Premis kopi beracun diserbu
- Harimau bintang jantan berkeliaran di bandar
- Sumber ilmu bukan konvensional
- Kartun comel imbau alam persekolahan
- Peminat Desak Nur Fathia & Keith Foo Bercinta
| Hormat Tempoh Edah, Adegan Intim Awie & Erra Fazira Dikurangkan Posted: 25 Feb 2014 05:04 PM PST KUALA LUMPUR: Pengarah Konsert Teaterikal Suara Kita Erma Fatima menghormati permintaan Erra Fazira agar adegan intim melibatkan dia dengan Awie dikurangkan dalam teater berkenaan. Erma berkata, dia memahami situasi Erra yang sedang dalam tempoh edah selama tiga bulan selepas perceraiannya selain dia juga tidak mahu beraksi secara berlebihan pada pementasan itu nanti. "Sebagai pengarah saya mahu melihat mereka ikut semua babak-babak daripada filem asal dalam pementasan ini termasuk adegan romantik supaya penonton dapat merasai seperti mana mereka menonton filem Sembilu 20 tahun lalu. "Bagaimanapun dengan tempoh edah yang sedang dilalui Erra, saya hormati permintaannya untuk mengurangkan babak intim kerana ingin menjaga batas sepanjang tempoh itu," katanya kepada mStar Online. Erma ditemui ketika sesi latihan teater tersebut di Istana Budaya pada Selasa. Selain Erra dan Awie, Konsert Teaterikal Suara Kita turut menampilkan Ziana Zain dan ia bakal berlangsung pada 3 hingga 9 Mac depan di Panggung Sari, Istana Budaya. Pada 18 Februari lalu Erra, 40, mengejutkan peminat dunia hiburan apabila dia dan suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 39, bercerai dengan talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, dekat sini selepas tujuh tahun hidup bersama. Dalam pada itu, Erra berkata, dia lega apabila Erma memahami keadaan itu walaupun pada mulanya dia sukar untuk berbuat demikian kerana bimbang permintaan itu akan menyusahkan semua pihak yang telah menyusun perancangan. Jelas Erra, selain ingin menjaga batas selepas bercerai dia juga tidak mahu ada sesetengah pihak tersalah anggap berhubung aksinya dengan Awie di atas pentas nanti. "Sebelum membuat keputusan itu kami duduk berbincang terlebih dahulu dan mujur Erma memahami," katanya. Dalam pada itu, Erra mengakui agak penat sepanjang menjalani latihan teater berkenaan kerana perlu mempersiapkan diri dari segi lakonan, nyanyian dan tarian. Bagaimanapun dia yakin dapat memberikan persembahan terbaik untuk peminat mereka pada pementasan itu nanti. "Paling saya bimbang kerana perlu menyanyi secara 'live' dan sudah lama tidak berbuat demikian membuatkan saya sedikit gementar," ujarnya. Antara lagu yang bakal dipersembahkan oleh Erra adalah Pasrah, Jendela, Cinta Abadidan Yang Terindah Hanya Sementara. | |||
| Nur Fathia Ulas Peristiwa Dirasuk Ketika Pementasan Posted: 25 Feb 2014 05:03 PM PST PETALING JAYA: Pelakon Nur Fathia tidak pasti apakah punca yang menyebabkan dia tidak sedarkan diri ketika pementasan teater Bidasari di Panggung Sari, Istana Budaya dekat sini minggu lalu. Fathia atau nama sebenar Nur Fathia Latiff, 26, berkata dia hanya mengetahui apa yang berlaku selepas diberitahu oleh pelakon lain yang turut berada di tempat kejadian. "Saya sendiri kurang pasti apa yang berlaku tetapi apa yang saya tahu saya pengsan dan tidak sedarkan diri dan apabila tersedar ada dua orang ustaz di hadapan saya. "Saya tidak pasti apa yang terjadi sama ada saya dirasuk atau pun sebaliknya. Tapi, menurut kata kawan-kawan saya yang lain, mereka ada ternampak saya di lokasi berbeza ketika saya pengsan itu," jelas kepada mStar Online. Fathia berkata demikian ketika diminta mengulas apabila dia dikatakan dirasuk ketika pementasan Bidasari yang berlangsung 11 hingga 17 Februari lalu di Panggung Sari, Istana Budaya. Disebabkan kejadian itu, tempat Fathia telah digantikan dengan seorang pelakon lain untuk beberapa babak sebelum dia kembali ke pentas. Tambah Fathia, dia turut tidak menolak kemungkinan faktor kepenatan sebagai penyebab dia jatuh pengsan. Sementara itu, pihak Istana Budaya menggalakkan mana-mana produksi supaya melakukan upacara tahlil dan bacaan doa terlebih dahulu sebelum memulakan sesuatu pementasan. Ketua Pengarahnya Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, ia bukan sahaja untuk mendapatkan berkat bagi melancarkan perjalanan pementasan tersebut, malah bagi mengelak daripada gangguan yang tidak diingini berlaku. "Kita memang menasihatkan produksi untuk mengadakan kenduri atau bacaan doa bagi mengambil berkat dan memohon segala perjalanan pementasan lancar sebelum memulakan pementasan. "Malah kita juga minta dijauhkan daripada sebarang gangguan yang tidak diingini berlaku yang melibatkan pelakon terutamanya apabila melakukan pementasan berkaitan kisah-kisah alam ghaib," katanya. Tambahnya, kejadian yang melibatkan makhluk halus boleh terjadi di mana-mana terutama apabila ia menggunakan dialog yang ada menyeru sesuatu atau menggunakan bahan-bahan yang selalunya dikaitkan dengan perkara berkenaan. Katanya, beberapa kejadian sebelum ini melibatkan gangguan teknikal turut pernah terjadi kepada pementasan 'P.Ramlee The Musical' dan 'Puteri Gunung Ledang'. | |||
| Kos Klip Video Kumpulan Tiga Tiada Kaitan Kes Jenayah Posted: 25 Feb 2014 05:01 PM PST KUALA LUMPUR: Kumpulan Tiga tidak mahu pembikinan video muzik single pertama mereka berjudul Pengakuan yang bernilai hampir RM30,000 dikaitkan dengan jenayah pecah amanah yang dilakukan bekas ahli kumpulan itu. Seorang ahli kumpulannya, Zack Marican, 21, berkata, modal itu dikeluarkan oleh ketiga-tiga mereka dengan menggunakan wang simpanan peribadi. "Bajet agak tinggi mungkin kerana kualiti dan penggunaan beberapa orang artis untuk tampil dalam video muzik ini, namun bagi saya ia lebih murah berbanding harga sebenar kerana kami menggunakan khidmat kawan sendiri selain mendapat beberapa tajaan. "Bagaimanapun, ia tidak melibatkan bekas ahli kumpulan kami yang ditangkap itu, malah kami tidak menggunakan duit dia langsung untuk menerbitkan video muzik ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video Pengakuan, di Red Box, Sogo, di sini, pada Selasa. Kumpulan Tiga dianggotai oleh Zack Merican, 21, Syed Alfrizal, 26, Mohd Qhairol Iqhssan, 29, dan Maya Haryanto, 22. Bagaimanapun, pada 29 Januari lalu salah seorang anggotanya, Mohd Qhairol Iqshssan didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas tuduhan pecah amanah yang melibatkan wang tunai RM235,400. Jelas, Zack, sebelum perkara tersebut berlaku, Mohd Qhairol hampir tiga bulan tidak menghubungi mereka. "Kejadian itu beri kesan kepada kumpulan kami terutama baru ingin bertapak dalam industri seni ini. "Ada segelintir yang pandang serong dan berbisik-bisik bila terlihat kami dan mengetahui kami daripada kumpulan Tiga, ia sangat melukakan hati," katanya. Dalam pada itu, Zack berkata, pengalaman tersebut turut memberi pengajaran kepada mereka agar lebih berhati-hati dalam memilih kawan. Tambahnya, buat masa ini, mereka lebih selesa bergerak secara bertiga bersesuaian dengan nama kumpulan itu. Sementara itu, video muzik Pengakuan yang menampilkan Nad Zainal, Arja Lee dan Sara (My Star LG) menjalani penggambaran selama tiga hari di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang. | |||
| Rebah: A Rahman Hassan Stabil Di HKL Posted: 25 Feb 2014 05:00 PM PST KUALA LUMPUR: Penyanyi era 60-an Datuk A. Rahman Hassan berada dalam keadaan stabil selepas ditahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat pengsan semasa menghadiri majlis pelancaran DVD Asas Gerak Melayu yang diadakan di Istana Budaya di sini petang Selasa. Menurut menantunya Siti Jasmina Ibrahim, keadaan bapa mertuanya itu stabil dan beliau akan menjalani pemeriksaan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian rebah itu. "Doktor akan buat ujian sinar x pada bahagian kepala bapa saya untuk mengetahui punca dia rebah. "Bagaimanapun keadaan jantung dan tekanan darahnya dalam keadaan normal," katanya ketika ditemui di HKL di sini pada Selasa. Siti Jasmina juga isteri kepada pelakon Khir Rahman. Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, A. Rahman rebah ketika sedang duduk di kerusi di dalam dewan sebelum sempat disambut oleh tetamu yang berada di sebelahnya. Ketika kejadian, mantan Timbalan Ketua Pengarah Artistik Istana Budaya, Datuk Mohd Bisharuddin Mohd Nor Bhasa, sedang menyampaikan ucapan perasmian acara tersebut. Penyanyi itu dikejarkan ke HKL apabila sebuah ambulan tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian. A. Rahman sepatutnya bertindak sebagai moderator program berkenaan bersama-sama Datuk Zulkifli Zain, Datuk Ramli Ibrahim dan Norzizi Zulkifli. | |||
| Posted: 25 Feb 2014 04:57 PM PST
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dengan riak selamba mengaku salah menjual motosikal milik bapanya semasa dihadapkan di mahkamah majistret, semalam. Zulkifli Abidin, 38, membuat pengakuan itu di hadapan majistret, Abdul Hayyi Salim selepas pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan harta dengan curang, dibacakan jurubahasa mahkamah. Dia mengaku salah kerana secara tidak jujur menjual sebuah motosikal Honda C90 milik bapanya, Abidin Sulong, 75, di sebuah kedai membaiki motosikal di Kampung Titian Baru, Kedai Buluh, di sini, jam 2 petang antara Januari hingga Februari lalu. Dengan itu, dia yang tidak bekerja didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan dengan sebat, serta boleh juga dikenakan denda. Bagaimanapun, nasibnya bakal ditentukan pada 13 Mac depan selepas Abdul Hayyi menetapkan tarikh berkenaan sebagai tarikh jatuh hukum. Mahkamah turut membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin. | |||
| Posted: 25 Feb 2014 04:56 PM PST
KOTA BHARU - Perlakuan biadab seorang anak yang membaling botol kaca dan memanggil bapanya dengan nama, akhirnya terbalas apabila dihukum penjara dua tahun oleh mahkamah majistret, di sini, semalam. Hukuman diputuskan, Majistret, Nik Habri Muhamad terhadap Muhamad Sabri Cik Mat, 29, selepas tertuduh mengaku bersalah mendatangkan cedera pada muka dan kaki Cik Mat Zakaria, 74, di Kampung Lanchang, Ketereh, di sini, pada jam 6 petang, 20 Februari lalu. Dua beranak tersebut sebelum itu berselisih faham apabila tertuduh meminta rokok daripada mangsa tetapi warga emas terbabit mengungkit mengenai hutang tertuduh. Akibat tidak tahan dengan bebelan tersebut, tertuduh yang berada di luar rumah, mengambil botol sos kosong lalu membaling ke arah mangsa. Mangsa yang berada berhampiran pintu sempat menutup pintu gril, namun botol tersebut kena pada besi pintu menyebabkan pecah dan serpihannya mengenai mangsa hingga luka. Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku bergaduh dengan bapanya tetapi menafikan berpunca daripada rokok, sebaliknya memberitahu mahkamah bapanya marah selepas dia memanggil warga emas itu dengan panggilan 'Cik Mat'. "Saya sendiri juga berang selepas dia enggan dengar masalah saya yang ada mendengar bisikan syaitan dan iblis di telinga, selain dia lebih dahulu menampar saya," katanya. Nik Habri bagaimanapun tidak bersetuju dengan tertuduh dan menegaskan, apa sahaja asalan diberikan, tertuduh tidak patut memukul bapanya. "Kalau ayah pukul anak, biasalah tu, yang tidak normal apabila anak pukul ayah," katanya sebelum mengarahkan hukuman penjara tersebut berkuat kuasa daripada tarikh tertuduh ditahan. | |||
| Empangan Gemencheh hampiri tahap kritikal Posted: 25 Feb 2014 04:55 PM PST
TAMPIN – Empangan Gemencheh di sini mencatat penurunan paras air dengan bacaan 99.82 semalam, sekali gus menghampiri tahap kritikal iaitu 98 meter. Paras empangan itu semalam mencatat bacaan terkini 99.82 meter berbanding paras kritikal 98.00 meter dan paras minimum 86.00 meter. Pengurus Besar Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Zulkifli Ibrahim berkata, pihaknya mendapati empangan Gemencheh agak menurun parasnya dan perlu diberi perhatian. "Empangan Gemencheh membekalkan air kepada 15,000 pengguna di kawasan Tampin dan Rembau. Buat masa ini, kita sudah mengambil langkah alternatif bagi mengurangkan pergantungan sumber air Empangan Gemencheh kepada kira-kira 15,000 pengguna air di Tampin dan Rembau di mana sebahagian pengguna di daerah Rembau kini dibekalkan sumber air dari Loji Air Sawah Raja. "Jika sebelum ini, hanya 8.5 juta gelen air yang disalurkan dalam sehari oleh Loji Air Sawah Raja, kini kita sudah maksimumkan penggunaannya kepada 10 juta gelen air sehari bagi mengurangkan pergantungan sumber air Empangan Gemencheh, yang dianggarkan cuma mampu bertahan kira-kira 25 hari sahaja," katanya ketika ditemui ketika melawat Empangan Gemencheh, di sini, semalam. Turut serta dalam lawatan itu, Adun Gemencheh, Mohd Isam Mohd Isa dan Pengarah Unit Badan Kawal Selia Air Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Nor Halim Aludin. Zulkifli berkata, berdasarkan rekod, Empangan Gemencheh menyalurkan kira-kira 7.5 juta gelen air sehari kepada pengguna, manakala, sebahagian lagi pengguna di daerah Tampin menggunakan sumber air dari tiga buah loji air iaitu di Gemas, Pasir Besar dan Dangi yang menggunakan sumber air sungai. Zulkifli berkata bekalan air empangan Gemencheh kini hanya mampu bertahan dalam tempoh 25 hari sahaja lagi, sekiranya tiada hujan dalam masa terdekat. Sementara itu katanya, bekalan air di tujuh empangan di Negeri Sembilan setakat ini masih dalam keadaan terkawal namun Sains sentiasa memantau keadaan. Katanya, bekalan air di empat empangan iaitu Sungai Terip, Kelinchi, Talang dan Gemencheh berada di paras berjaga-jaga manakala di tiga lagi empangan iaitu Sungai Beringin, Ulu Sepri dan Triang berada di paras melimpah. Menurutnya, pihaknya sentiasa memantau paras air empangan serta sungai di negeri ini dan akan mengetengahkan cadangan kepada Kerajaan Negeri Sembilan dan juga Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) untuk melaksanakan kaedah catuan air sekiranya perlu. Sementara itu, Mohd Isam berkata, berikutan cuaca panas berterusan, kebanyakan masjid dan surau sudah mula melaksanakan solat hajat bagi memohon hujan. | |||
| Kerana RM7.10, duda dua anak dipenjara enam tahun Posted: 25 Feb 2014 04:53 PM PST
KOTA BHARU - Hanya kerana RM7.10, seorang duda dua anak dihukum penjara enam tahun oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam, selepas mengaku salah merompak seorang remaja di tempat letak kereta sebuah pasar raya, di sini, tahun lalu. Kumaramoorthy Ramamurthy, 44, didakwa merompak Nurul Izzati Mohd Rathilan, 19, dengan mengambil beg tangan mangsa di tempat letak kereta tingkat tiga bangunan pasar raya berkenaan, pada jam 3.50 petang, 2 September 2013. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin. Mangsa ketika itu sedang berjalan bersama tiga kawannya, sebelum tertuduh datang dari arah belakang dan meragut beg tangan yang disandang di bahu kanan. Beg tersebut mengandungi dompet bersama-sama pelbagai kad dan empat RM1 serta duit syiling yang bercampur-campur berjumlah RM3.10. Pada prosiding semalam, tertuduh melalui peguam Yayasan Bantuan Guaman Kelantan, memohon hukuman ringan kenakan berikutan tertuduh menghidap penyakit asma dan bergantung pada ubat. "Tempoh berada dalam tahanan sejak ditahan pada hari kejadian sudah banyak memberi pengajaran dan keinsafan kepada tertuduh atas kesalahannya itu," katanya. Pekerja kedai servis penyaman udara itu turut dilihat beberapa kali menyedut ubat lelah sebelum hukuman diputuskan oleh Hakim, Mohd Yusoff Yunus, semalam. | |||
| Posted: 25 Feb 2014 04:49 PM PST
KETIKA industri filem tempatan dilambakkan dengan puluhan filem bergenre seram, ada pula beberapa naskhah yang dibikin seperti melepaskan batuk di tangga. Impak negatifnya sudah tentu terhadap industri perfileman tanah air. Hal ini nyata disebabkan sikap sambil lewa yang diambil penerbit dan pengarah yang dilihat hanya mahu mengaut keuntungan dalam masa yang singkat, tanpa memikirkan kesan buruk yang bakal tercetus di kemudian hari. Perkara ini jelas menggambarkan situasi yang berlaku selepas menonton filem Aku Akan Muncul di Cathay Cineplex e@Curve, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini. Sepanjang filem tersebut ditayangkan, banyak kelemahan dikesan. Baik dari segi mutu lakonan para pelakon baharu yang terlibat sehinggalah kesan khas yang cuba disuntik untuk menaikkan mood seram sepanjang filem tersebut ditayangkan, tetapi kelihatan tidak menjadi. Pelakon utama filem itu, Julia Ziegler, 30, turut berkongsi rasa yang sama. Dia yang memegang watak sebagai Kesuma seperti kurang berpuas hati dengan hasil akhir filem tersebut. Katanya, dia tidak menjangkakan bahawa filem itu ditayangkan tidak seperti apa yang telah dijanjikan. Ikuti temu bual selanjutnya antara Kosmo! dan Julia. Kosmo!: Kenapa anda kelihatan kurang gembira dengan hasil akhir filem Aku Akan Muncul? JULIA: Sejujurnya, saya kurang berpuas hati dengan filem tersebut. Sebelum bersetuju untuk berlakon dalam filem ini, saya ada membaca skripnya terlebih dahulu. Jalan cerita yang cuba disampaikan cukup kuat dan menarik. Tetapi entah di mana silapnya, hasil akhir filem ini seperti tidak sama dengan skrip asalnya. Jadi, anda mendakwa bahawa skrip tersebut ditukar sepanjang penggambaran filem tersebut berlangsung? Saya enggan memberikan sebarang komen. Pihak produksi tahu apa yang mereka lakukan. Mungkin, ini salah satu cara mereka untuk menambah baik perjalanan cerita tersebut. Apakah yang menyebabkan anda menerima tawaran tersebut? Seperti yang saya katakan tadi, skrip awal hasil tulisan Qash Aris begitu menarik. Lagipun, pihak produksi menjanjikan barisan pelakon yang mempunyai nama dan dikenali ramai untuk berlakon bersama. Dari situ, saya mula yakin bahawa filem ini mampu untuk pergi jauh. Anda telah lama menyepikan diri daripada dunia hiburan. Kali terakhir anda muncul menerusi teater Asmara Songsang. Adakah perkara ini sedikit sebanyak mencacatkan reputasi anda sebagai seorang pelakon? Ya, benar. Ia sedikit sebanyak memberi tempias yang kurang elok terhadap reputasi saya. Tetapi, saya pernah mengalami perkara yang lebih teruk sebelum ini. Jadi, buat masa ini, saya harus sentiasa berfikiran positif. Anda rasa, di mana silapnya percaturan karier sehingga anda tidak pernah diberi peluang untuk mendukung watak yang mencabar? Saya pun tidak tahu. Saya sudah berusaha sedaya upaya untuk menonjolkan bakat yang ada tetapi masih kurang mendapat perhatian. Mungkin rezeki saya bukan sekarang. Adakah anda pernah mengambil keputusan untuk berhenti berlakon? Pernah terlintas dalam fikiran saya suatu ketika dahulu bahawa dunia lakonan tidak sesuai untuk saya. Tetapi, saya cekalkan diri untuk terus mencuba. Anda pernah menyatakan bahawa anda sedang mengenali hati budi kawan lama. Adakah anda mahu menamatkan zaman bujang buat masa terdekat ini? (Sambil tertawa) Saya masih berkawan dengannya dan kami saling mencintai. Tetapi, saya belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat. Apakah perkembangan terbaharu anda? Saya terbang ke Jakarta, Indonesia pada 24 Februari lalu untuk memulakan penggambaran sebuah filem seram bersama produksi di sana. Selain itu, saya juga telah ke Kuching, Sarawak pada 22 Februari lalu bagi memenuhi undangan peragaan pentas fesyen bagi jenama MO Couture. Saya dan Sasha Saidin menggayakan koleksi kasut baharu mereka. | |||
| Profima martabat pelakon lagak ngeri Posted: 25 Feb 2014 04:49 PM PST YANK KASSIM (berdiri tiga dari kiri) bersama antara pelakon lagak ngeri yang hadir pengumuman program Road To Hollywood di PWTC, Kuala Lumpur, baru-baru ini. DALAM setiap penerbitan filem atau drama, kru yang terlibat di belakang tabir merupakan tonggak utama dalam menentukan kejayaan sesebuah produksi. Lebih-lebih lagi, jika cerita yang cuba ditampilkan adalah bergenre aksi dan banyak menuntut lagak ngeri daripada para pelokon serta kesan-kesan khas menggunakan prop. Bagaimanapun, pelakon-pelakon lagak ngeri dan kru-kru yang terlibat dalam memantau bahagian teknikal di negara kita tidak didedahkan dengan pembelajaran yang khusus oleh tenaga pengajar profesional. Justeru, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) bakal menerbangkan seramai 11 orang ahli-ahli persatuan tersebut ke Australia dan Amerika Syarikat (AS) menerusi program yang diberi nama Road To Hollywood. Presiden Profima, Khir Mohd. Noor berkata, tujuan utama program ini diadakan adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan yang secara formal kepada pelakon-pelakon serta kru-kru mengenai proses-proses yang terlibat dalam pembikinan filem bergenre aksi. Sering dibandingkan "Sejak akhir-akhir ini, produksi tempatan gemar menghasilkan filem-filem bergenre aksi. "Namun, apa yang kita tampilkan sering dibandingkan oleh peminat dengan produksi-produksi luar negara terutamanya di Hollywood. "Ada yang mengatakan aksi lagak ngeri tempatan tidak sehebat seperti di Hollywood. "Bagaimanapun, perbandingan itu ada benarnya. Produksi di sana mempunyai kru-kru yang telah dilatih secara profesional menerusi pembelajaran formal berkenaan aksi lagak ngeri. Tambahan, mereka turut mempunyai tenaga-tenaga yang terlatih dalam bidang yang tersendiri serta melakukan kerja-kerja berdasarkan kemahiran yang ada pada mereka. "Sebagai contoh, pengarah di Malaysia turut mengarahkan aksi lagak ngeri yang melibatkan props dan letupan. Tetapi di Hollywood, mereka mempunyai pengarah lagak ngeri tersendiri yang begitu terlatih dan mahir untuk menghidupkan lagi babak yang dikehendaki," katanya pada sidang akhbar pengumuman program Road To Hollywood di Restoran Riverside, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini. Kongsi ilmu Melanjutkan perbualan, Khir menambah, kumpulan pertama yang bakal memulakan pengajian mereka di Stunt Academy, Gold Coast, Australia pada 28 Februari depan bakal berkongsi ilmu sebagai mentor kepada ahli-ahli Profima yang lain. "Setelah mendapat pengalaman selama tiga bulan di Australia dan kemudiannya ke California, AS untuk latihan teori dan praktikal, mereka akan kembali ke Malaysia dan berkongsi ilmu yang ada dengan rakan-rakan yang lain. "Seperti kita sedia maklum, hampir 75 peratus penggiat filem di Malaysia bukan datang daripada sekolah seni. Justeru, dengan adanya program seperti ini, mereka yang telah ke sana mampu berkongsi ilmu dengan yang lain," jelasnya lagi. Mereka yang disenaraikan untuk mengikuti program ini dipilih berdasarkan beberapa kriteria. Antaranya, mereka perlu mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya tiga tahun dalam bidang lagak ngeri atau telah terlibat dalam pembikinan lebih 15 buah filem. Belajar semua bidang Sementara itu, pelakon Yank Kassim yang cukup terkenal dengan drama dan filem aksi berkata, penglibatannya dalam program Road to Hollywood dilihat mampu memberikannya peluang mendalami dunia lagak ngeri dengan lebih terperinci. "Selama 15 tahun menceburkan diri dalam bidang ini, saya tidak pernah mendapat sebarang pembelajaran secara formal. "Justeru, apabila diberi peluang untuk menyertai program Road to Hollywood, saya akan buktikan bahawa pekerjaan pelakon lagak ngeri juga merupakan sebuah kerjaya yang perlu diberi pendedahan secara formal," katanya. Tambah Yank, ketika berada di sana nanti, dia turut mengambil semua kursus yang ditawarkan termasuklah pengarahan aksi, koordinator aksi dan koordinator keselamatan. | |||
| SRK, Madhuri teruja di Malaysia Posted: 25 Feb 2014 04:47 PM PST MEMANG tidak sia-sia gelaran Datuk yang diberikan kerajaan Melaka terhadap Shah Rukh Khan (SRK). Ikon tersohor Bollywood ini bukan sahaja pandai memikat hati rakyat negara ini, malah kemesraan serta keserasian dirinya dengan Malaysia makin terserlah. Malah, sempena kunjungan SRK khusus untuk Konsert Temptation Reloaded in Malaysia di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini juga merupakan peluang buat figura berusia 48 tahun ini melepaskan kerinduan terhadap makanan kegemarannya, Sate. "Saya suka dengan semua makanan Malaysia terutama sekali ayam yang dicucuk menggunakan lidi itu (sate)," ujar SRK dalam sidang akhbar yang berlangsung di Hotel The Ritz-Carlton, Kuala Lumpur baru-baru ini. SRK yang menzahirkan keterujaannya sekali lagi menjejakkan kaki ke negara ini turut mengakui banyak benda yang dirindui sejak kali terakhir ke negara ini pada Disember tahun lalu iaitu ketika meraikan hari lahir Tun Mahathir Mohamad. "Paling sukar saya lupakan, sudah tentu keindahan Malaysia, kemesraan penduduknya dan juga makanan-makanannya terutama sekali, sate. Sungguh, saya memang suka makan sate," ujarnya. "Saya berasa selesa dan disayangi apabila datang ke Malaysia. Perasaannya adalah seperti apabila saya keluar dari rumah (tetapi tetap selesa), walaupun tidak memahami apa yang dituturkan oleh orang di sekeliling," selorohnya yang disambut dengan tepukan dan gelak ketawa daripada pihak media yang hadir pada hari itu. Terdahulu, dalam sidang akhbar bersempena konsert tersebut, hero filem pecah panggung, Kuch Kuch Hota Hai itu mengundang persoalan media tentang keupayaannya untuk beraksi pada konsert tersebut. SHAH RUKH KHAN dan Madhuri menguasai pentas Konsert Temptation Reloaded in Malaysia. Ia ekoran kecederaan kaki yang dialaminya ketika menjalani penggambaran filem terbaharu arahan Farah Khan, Happy New Year di Mumbai, India sebelum ini. Namun, semangat dan daya profesionalisme SRK ternyata cukup tinggi. Dia hadir dengan bertongkat pada sidang akhbar tersebut, namun itu tidak sedikit pun memperlihatkan dirinya sedang menanggung kesakitan. Malah, wajahnya kelihatan cukup ceria. Aura seorang bintang mega dalam dirinya ternyata tetap bersinar penuh gemilang, biarpun dirinya dilanda musibah. "Walaupun kaki saya sakit dan masih belum sembuh sepenuhnya, saya akan menghiburkan anda semua sebaik mungkin. Saya akan melakukan apa sahaja untuk peminat saya di sini," katanya. Tambah SRK, kecederaan itu bukan alasan untuk memberikan persembahan terbaik dalam konsert yang sudah dirancang sejak tahun lalu. Konsert tersebut turut mengundang dua aktres tersohor Bollywood, Madhuri Dixit dan Rani Mukherji. Namun, hanya Madhuri yang hadir pada sidang akhbar tersebut bersama SRK. Sementara Rani, menurut SRK, belum tiba di Malaysia pada ketika itu. Madhuri tolak pujian Keterujaan jelas sekali turut dirasai Madhuri, sementelah ini merupakan pengalaman kali pertama dia menjejakkan kaki di Malaysia. "Saya sungguh teruja dapat datang ke Malaysia. Sebelum ini, saya pernah mendengar tentang Malaysia daripada suami saya. Dia pernah datang ke Malaysia sekitar 15 tahun lalu. "Namun, saya pasti Malaysia sekarang sudah banyak berubah berbanding cerita yang saya dengar daripada suami," ujarnya.
Berkesempatan bercuti selama dua hari di Pulau Pinang, ujar Madhuri, negeri itu sangat cantik dan dia juga teruja untuk melihat Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur serta tempat-tempat menarik lain di Malaysia. Madhuri juga melahirkan rasa kagum kerana negara ini masih mengekalkan kehijauan hutan dan itu baginya, merupakan lambang dan kekuatan Malaysia. Heroin filem Dil To Pagal Hai juga mengakui teruja kerana dapat membuat persembahan di Malaysia disebabkan ia merupakan gandingan pertama kalinya bersama SRK dan Rani. "Shah Rukh Khan juga merupakan aktor idola saya dan saya teruja dapat bergandingan dengannya di atas pentas," luahnya. Disoal mengenai wajahnya yang tidak dimamah usia biarpun kini umurnya mencecah 47 tahun, Madhuri menolak pujian itu. Ujarnya: "Saya ada kedutan pada bahagian mata. Tetapi saya terharu dan gembira dengan peminat-peminat yang sentiasa menyokong saya daripada dahulu sehingga kini. "Saya teruja apabila peminat melaung-laung nama saya selepas saya turun daripada kapal terbang tempoh hari. Macam mana anda menyayangi saya, kalian juga akan disayangi seperti itu oleh saya." | |||
| Ramli Sarip jelajah satu negara Posted: 25 Feb 2014 04:46 PM PST
TAK lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Perumpamaan ini sesuai menggambarkan perjalanan karier seni lagenda rock tempatan tanah air, Datuk Ramli Sarip. Lebih empat dekad Ramli memperjuangkan genre rock Melayu yang pernah gah pada era 1980-an dulu. Vokalis kumpulan Sweet Charity itu tidak pernah jemu menjalankan tugasnya sebagai penghibur. Walaupun kini perubahan dunia nyanyian dipenuhi dengan alunan muzik moden dan kontemporari, namun namanya masih segar dalam ingatan peminat tegar rock tanah air. Baginya, perubahan tersebut bukan batu penghalang bagi dirinya untuk terus memperjuangkan apa yang dilakukan selama ini. Bercerita mengenai perjuangannya dalam bidang seni, akui Ramli, perubahan arus muzik tanah air sedikit sebanyak memberi impak kepada orang lama sepertinya. Namun bagi beliau, ia bukan alasan baginya untuk berundur daripada terus berkarya dan memberi yang terbaik kepada peminat. "Ya, arus perubahan muzik sekarang memang cepat seiring dengan kemunculan teknologi moden, namun, saya merasakan ia bukan satu alasan kepada kami orang lama untuk putus asa dengan mengatakan zaman sekarang bukan macam dulu. "Saya terima dengan hati yang terbuka dan cuba beradaptasi dengan perubahan tersebut. Apa yang penting bagi saya dan teman-teman ialah prinsip kami untuk terus mempertahankan perjuangan rock sedia ada. "Pengalaman sepanjang bergelar penyanyi memang banyak mengajar kami. Perjuangan kami tidak akan terus terhenti di sini sahaja," katanya pada majlis pelancaran Konsert Blues Buat Teman yang diadakan di Hotel Hatten, Melaka baru baru ini. Bagi yang sudah lama merindukan suara gemersik pelantun lagu Teratai ini, sebuah konsert yang berkonsepkan makan malam akan diadakan di Ballroom Hotel Hatten, Bandaraya Melaka pada 3 Mac ini. Menurut Ramli, konsert tersebut merupakan kesinambungan daripada jelajah Blues Buat Teman Tour 2014. Persinggahan di Melaka merupakan antara yang menarik disebabkan konsert tersebut menyaksikan kolaborasi bersama kelab penyokong pasukan bola sepak Melaka (Melaka Troopers). "Memandangkan saya meminati bola sepak dan terpanggil untuk mengangkat imej bola sepak Melaka, saya dan pihak penganjur telah bersetuju menggabungkan peminat bola sepak Melaka dan peminat saya untuk memeriahkan konsert ini. "Saya rasa ia merupakan satu kombinasi yang menarik untuk menggabungkan dua peminat ini, sementelah pula konsepnya yang lebih santai dan bersahaja, suasana akan menjadi lebih rileks. "Pada konsert yang bakal berlangsung selama dua jam itu, saya berhasrat untuk memberi sedikit kelainan dari segi susunan muzik berbentuk eksperimental dan diiringi oleh pemuzik latar secara langsung," ujarnya. Konsert di Melaka merupakan sebahagian daripada perancangan konsert siri jelajah Blues Buat Teman Tour 2014 yang berlangsung bermula Januari hingga April ini. Jelajah yang menampilkan pemuzik tersohor seperti Man Kidal, Tom Anuar, Fauzie Zain, Roza Rasul dan Paang Zaman itu juga akan meneruskan penjelajahannya ke Kinta Riverfront Hotel, Ipoh, Perak 22 Mac ini sebelum berakhir di Dewan Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, pada 5 April ini. Antara lokasi lain yang terlibat dalam jelajah tersebut termasuk di Persada Johor, Johor, 28 Mac dan Kelantan, 4 April ini. Ramli menambah, beliau merancang untuk meneruskan jelajah ke negeri Kedah dan Sarawak menjelang Mei ini. Tolong kawan Disoal mengenai tujuan konsert siri jelajah tersebut diadakan, Ramli berkata, beliau terpanggil untuk mengadakan konsert ini ekoran daripada sikap keprihatinnya untuk membantu rakan seperjuangannya yang tidak bernasib baik. "Bagi orang seni macam kami, muzik merupakan punca rezeki utama, namun ia tidak selamanya kekal dan berpanjangan. "Melalui jelajah ini ia sedikit sebanyak dapat membantu rakan seperjuangan saya dalam membantu mereka dari segi bantuan kewangan," katanya yang berhasrat untuk mengadakan persembahan yang berkonsepkan rock opera jika diberi peluang. | |||
| Sharnaaz mungkin buat laporan polis Posted: 25 Feb 2014 04:44 PM PST
TIDAK dinafikan drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta lakonan mantap Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose mendapat sambutan yang cukup baik daripada penonton. Cuma, Mizz Lahar agak terkejut apabila terdapat pelbagai cerita yang kurang baik membabitkan para pelakon yang membintangi drama berkenaan. Selepas reda seketika kisah intim antara Sharnaaz dan Nelydia sehingga menimbulkan rasa cemburu kekasihnya, pelakon, Qi Razali, apabila Sharnaaz terlibat pula dalam kancah kontroversi dengan seorang lagi pelakon drama itu, Lisdawati. Lebih mengejutkan apabila Lisdawati bersama suaminya, pelakon Fauzi Nawawi telah membuat laporan polis gara-gara mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan daripada Sharnaaz. Menurut Lisdawati, semuanya berpunca daripada tindakan Sharnaaz yang telah menengkingnya tanpa sebarang alasan ketika sedang menjalani penggambaran drama tersebut pada 19 Februari lalu. Kemudian, Fauzi dan Sharnaaz saling berbalas SMS apabila Fauzi inginkan penjelasan daripada Sharnaaz tentang tindakannya itu sehinggalah laporan polis dibuat. Kemudian, rakan Mizz Lahar, wartawan Roni Hidayat Ridwan telah menghubungi Sharnaaz pada Isnin lalu, tetapi pelakon itu masih enggan memberikan sebarang komen. Namun, mengejutkan apabila Sharnaaz mengakui sedang mempertimbangkan untuk turut membuat laporan polis bagi mempertahankan dirinya. Sebenarnya, Mizz Lahar masih tertanya-tanya tentang punca bagaimana masalah tersebut boleh timbul. Rasanya, perkara ini boleh diselesaikan dengan cara baik, asalkan kedua-dua pihak bertemu dan berbincang mengenainya. MIZZ LAHAR: Harap bertemu jodoh seorang jejaka yang romantik dan penyayang. | |||
| Nasib malang penyamun Indonesia Posted: 25 Feb 2014 04:41 PM PST
SHAH ALAM – Hasrat sekumpulan penjenayah warga Indonesia berjoli dengan hasil rompakan dari banglo seorang juruterbang di Seksyen 13 di sini semalam tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka mati ditembak polis manakala barangan disamun tercicir bersama suspek yang mati itu. Suspek itu mati di Kilometer 7.8, Lebuh Raya Klang Baru (NKVE) selepas dua jam dia dan kumpulannya merompak. Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, semasa rompakan pukul 4 pagi berhampiran Kelab Golf Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, keempat-empat penjenayah mengikat anak lelaki juruterbang yang berusia 24 tahun. | |||
| Posted: 25 Feb 2014 04:38 PM PST ANGGOTA penguat kuasa Jabatan Farmasi Kuala Lumpur memeriksa premis yang dipercayai menghasilkan kopi campuran mengandungi racun berjadual di Cheras, Kuala Lumpur semalam KUALA LUMPUR - Jabatan Farmasi Kuala Lumpur merampas pelbagai jenis minuman kopi campuran yang dipercayai mengandungi racun berjadual bernilai RM1 juta selepas menyerbu sebuah premis dekat Jalan Desa, Cheras di sini semalam. Ketika serbuan dilakukan pada pukul 11.30 pagi itu, beberapa pekerja sedang giat menjalankan aktiviti memproses serta membungkus kopi yang dipercayai mengandungi racun di stor dan pejabat premis terbabit. | |||
| Harimau bintang jantan berkeliaran di bandar Posted: 25 Feb 2014 04:34 PM PST HARIMAU itu melompat dari sebuah bangunan yang dalam pembinaan di Meerut. MEERUT, India - Seekor harimau bintang jantan yang berkeliaran telah mencederakan enam orang di sini pada Ahad lalu. Beberapa pegawai berkata, haiwan itu dilihat berkeliaran di sebuah hospital, pawagam dan kompleks apartmen. Binatang buas itu juga melompat menerusi tingkap yang pecah di sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan. Menurut pihak berkuasa, orang ramai dinasihatkan agar tidak keluar dari rumah selepas usaha menangkap harimau itu gagal dilakukan oleh beberapa anggota polis. "Kami melancarkan satu operasi besar-besaran untuk memburu binatang buas itu," kata seorang pegawai perhutanan dalam wawancara bersama akhbar India Times. Menurut seorang pegawai perhutanan kepada portal berita dna, harimau itu tiba di bandar ini selepas ia memanjat sebuah trak yang mengangkut kayu dari Uttarakhand pada Ahad lalu. | |||
| Sumber ilmu bukan konvensional Posted: 25 Feb 2014 04:03 PM PST BELAJAR memasak menerusi internet kini menjadi satu kebiasaan dalam kalangan masyarakat memandangkan medium tersebut boleh dilakukan di rumah, malah mampu memberikan hasil yang diingini dengan mudah. Internet yang dilihat sebagai satu wadah ilmu tanpa sempadan ini memberi manfaat bukan sahaja bagi golongan wanita yang biasanya dikaitkan dengan kerja-kerja dapur, tetapi juga kaum lelaki dan kanak-kanak yang ingin mempelajari teknik-teknik masakan dan resipi enak yang pelbagai. Bagi Norsyahirah Jamaludin, 24, ataupun mesra disapa Sera, internet merupakan sumber rujukan utamanya untuk menghasilkan hidangan harian, di samping kek dan pastri yang menjadi hobinya. Wanita yang berasal dari Selangor dan kini menetap di Johor Bahru itu memberitahu, pada peringkat permulaan dia sekadar suka-suka mencari beberapa resipi ringkas di internet demi mengisi masa lapang. Juadah terawal Antara juadah terawal berjaya dihasilkan melalui rujukan internet ialah kek keju dan manisan pavlova. Sejak itu, ia bertukar menjadi minat yang mendalam dan menaikkan semangatnya untuk menghasilkan pelbagai jenis pencuci mulut. Lebih-lebih lagi, apabila semuanya mendapat pujian keluarga dan rakan-rakan setelah gambar yang diambil dimuat naik ke laman sosial seperti Facebook dan Instagram. "Semuanya boleh didapati dengan mudah di internet. Hanya taip sahaja resipi yang kita inginkan kemudian terpampang cara-cara, gambar dan video berkenaan. Kemudahan ini amat berguna bagi mereka yang baru berjinak-jinak memasak seperti saya. "Saya tidak mengambil kelas masakan atau menghadiri mana-mana forum tetapi hanya merujuk beberapa laman web tempatan sahaja," kata graduan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media (Pengiklanan) di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu sambil memaklumkan laman web utama yang dikunjungannya ialah www.azlitamasammanis.com.
Sera memberitahu, selalunya dia akan mengikut 100 peratus apa yang dipaparkan pada satu-satu resipi yang dirujuk. Bagaimanapun, apabila sudah memahami teknik yang betul, dia mengolah resipi mengikut cita rasanya. "Sama ada memasak atau membuat pastri, ia memerlukan teknik-teknik yang tersendiri. Untuk cepat mahir, kita harus sentiasa berlatih untuk membiasakan diri dengan teknik yang dipelajari," ujarnya. Selain hidangan pencuci mulut, membuat roti juga memberi keseronokan kepadanya sungguhpun, ia mengambil masa yang lebih lama untuk dihasilkan. "Walaupun begitu, menghidu aroma roti yang sedang dibakar atau dihidangkan semasa panas sememangnya mengundang selera. Kepuasan melihat hasil kerja sendiri menyuntik semangat saya untuk terus memasak," akui Sera yang mempunyai perancangan membuka perniagaan makanan suatu masa nanti. Belajar memasak Dr. Ezani Farhana Md. Monogo, 29, yang pernah menjuarai program realiti masakan, MasterChef Malaysia musim pertama melontarkan pendapatnya dengan berkata, setiap individu boleh belajar memasak menggunakan sumber yang pelbagai, bukan sahaja daripada internet, asalkan berani mencuba. "Biarpun pernah memegang gelaran tersebut, namun saya tidak sesekali menggelar diri sebagai cef. Ketika itu, saya baharu sahaja tamat pengajian dalam bidang pergigian dan hanya ingin mengasah bakat semata-mata. "Minat saya terhadap bidang kulinari dipupuk ibu, Bidah A. Hamid, seawal usia lima tahun telah mendorong saya menyertai program televisyen berkenaan," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Ditanya mengenai perbezaan antara tukang masak biasa dan seorang cef, Ezani menjelaskan, bahawa kedua-duanya gelaran tersebut mempunyai definisi yang tersendiri. "Tukang masak bekerja di sesuatu tempat contohnya, di sekolah atau restoran dengan bahan-bahan untuk masak dan menu sajian telah disediakan.
"Kerjaya cef pula bukan mengenai soal masak semata-mata, mereka juga perlu menyiapkan senarai barangan yang diperlukan, menu dan sabar melayan kerenah pelanggan," ujarnya lagi. Ezani mengakui, dia menghormati individu yang sudah bertahun-tahun bergelar cef. Ini kerana proses untuk mendapatkan gelaran itu bukannya mudah kerana ia melibatkan kelulusan, pengalaman bekerja dan juga pengorbanan yang tinggi. "Tidak semua individu mempunyai kelulusan dalam bidang masakan berpeluang menjadi cef. Bagi saya, seorang cef seharusnya mempunyai semangat dan kemahiran tinggi dalam penyediaan hidangan enak sekali gus memberikan kepuasan kepada pelanggan," tuturnya. Walaupun kini memberi tumpuan kepada kerjaya sebagai doktor pergigian di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Ezani masihi menerima undangan untuk program-program masakan tempatan selain menjadi cef undangan dalam sebuah program televisyen yang akan disiarkan mulai bulan Mac depan. Sementara itu, Oliez Academy yang terletak di Skudai, Johor Bahru, menyediakan kursus masakan bagi jangka masa pendek meliputi pelbagai jenis masakan Melayu dan kuih-muih, masakan Barat serta dekorasi kek. Akademi masakan Pemiliknya, Siti Zaleha Mohmi, 42, berkata, perniagaannya yang kini berusia empat tahun bermula secara kecil-kecilan di rumah dengan penyertaan awal dua orang pelajar. Ekoran pertambahan bilangan pelajar, Siti Zaleha dengan bantuan suaminya, Khairul Jamlli Khalid, 45, telah membuka akademi masakan itu di sebuah lot kedai di Taman Sri Pulai Perdana. Para pelajarnya bukan sahaja sekitar Johor malah ada yang datang dari Singapura, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Terengganu. BISKUT mentega ini dihasilkan oleh Sera yang dihias mengikut kreativitinya sendiri. Mengulas mengenai kelas-kelas masakan yang dikelolakannya, beliau berkata, Oliez Academy sering menjalinkan kerjasama dengan beberapa cef terkemuka tempatan yang turut dijemput sebagai tenaga pengajar jemputan ekoran peningkatan permintaan dan penyertaan pelajar. "Bermula tahun 2011, kami telah mengadakan usaha sama dengan cef Amer Hamzah dan mengendalikan kelas beliau di Johor Bahru, manakala tahun 2012 dengan cef Ustazah Wan Habsah untuk kelas masakan nasi Arab. Beberapa cef jemputan turut terlibat dalam kelas-kelas dekorasi kek, kuih-muih tradisional dan penghasilan kek lapis Sarawak," jelasnya. Katanya, yuran penyertaan adalah berbeza mengikut kelas. Contohnya, kelas kek komersial bersama Amer dikenakan yuran RM290 setiap seorang manakala kelas kuih-muih tradisional sebanyak RM230 seorang. "Setakat ini, sambutan terhadap kelas-kelas tersebut amat baik, khasnya kelas Amir yang sentiasa penuh. Malah, adakalanya kami tidak sempat membuka pendaftaran kepada umum kerana pelajar sedia ada telah mendaftar untuk kelas seterusnya," kata beliau. | |||
| Kartun comel imbau alam persekolahan Posted: 25 Feb 2014 04:00 PM PST
SEBELUM bergelar wartawan, penulis agak rajin menulis di blog dan pada masa sama mengikuti beberapa blog penulis tempatan. Pada ketika itu, penulis begitu tertarik dengan blog milik Mohd. Fadhli Hamdan, 27, yang memuat naik lakaran-lakaran yang melucukan. Setelah mengikuti blognya selama empat tahun, seperti diduga, pemilik laman web www.contengconteng.com itu semakin dikenali oleh penggemar komik di Malaysia. Mengapa? Mohd. Fadhli bukan sahaja menyampaikan ilustrasi dengan jenaka kosong tetapi ada mesej tersirat diselitkan dalam setiap karyanya. Bapa kepada seorang anak itu mula melukis sejak di bangku sekolah dan sedang meneruskan pengajian di peringkat doktor falsafah dalam bidang bioteknologi di Universiti Manchester, England. Bermula dengan watak kucing nakal yang digambarkan suka mengusik, kini lukisan-lukisannya berkembang kepada watak kanak-kanak lelaki bernama Jimi. Gaya penceritaannya cukup ringkas tapi disampaikan dalam lakaran yang comel biarpun sekadar bercerita tentang kenangan lama. Rata-rata pembaca memberikan ulasan bahawa lukisan Mohd. Fadhli mampu mengimbau memori alam kanak-kanak.
"Saya amat berpuas hati apabila dapat memerah idea dan kreativiti untuk menghasilkan setiap karya. Ia haruslah mempunyai tema dan mesej yang santai serta positif terhadap pembaca. "Setakat ini, sudah terdapat enam buku saya yang sudah diterbitkan. Tiga daripadanya berformat indie dan dijual di blog saya," katanya yang berasal dari Kuala Lumpur. Sepanjang pembabitannya dalam dunia lukisan, Mohd. Fadhli berjaya meraih beberapa pengiktirafan di peringkat kebangsaan. Antaranya, johan peraduan anjuran World Wide Fund untuk Alam Sekitar (Malaysia) pada tahun 2012 dan Blogger pilihan Utusan (2013). Sejak dua tahun lalu, beliau banyak mengikuti karya Gavin Aung Than yang merupakan kartunis dari Australia. Kartunis tersebut menghasilkan ilustrasi dengan mengadaptasi petikan-petikan ayat motivasi daripada individu terkenal dari seluruh dunia. Mohd. Fadhli cukup mengagumi kebolehan dalam teknik penceritaan kartunis berkenaan. Kesibukannya bergelar pelajar di negara orang dan komitmen kepada keluarga membuatkan beliau membataskan aktiviti menulis dan melukis diluangkan pada hujung minggu sahaja. Menurut Mohd. Fadli, idea untuk komiknya datang daripada komen yang dikongsikan oleh pembaca di laman web beliau, hasil bacaan buku, tontonan di internet dan pengalaman sendiri. Melalui karya terbaharunya, Buku Conteng: Jimi dan Kertas Ajaib, Mohd. Fadhli melukis tentang sekumpulan pelajar sekolah yang ingin memenangi pertandingan projek Sains Kreatif dengan menghasilkan 'kertas ajaib'.
Tema "Buku ini adalah gabungan penceritaan novel dan komik ala Diary of Wimpy Kid oleh Jeff Kinney dari Amerika Syarikat dan Kampung Boy oleh Datuk Lat (Malaysia). "Latar tempat pula merupakan suasana sekolah rendah di negara kita," katanya yang mengambil masa tiga bulan untuk menghasilkan buku tersebut. Kisah di sebalik tema yang diangkat menceritakan tentang pentingnya kreativiti dan semangat setia kawan dalam menghadapi cabaran dalam mengejar impian masing-masing. Jimi adalah seorang pelajar yang kreatif dan berimaginasi tinggi serta mempunyai dua misi baharu yang sangat mencabar. Pertama, dia ingin membantu sahabat baiknya, Ganesh membuat persiapan bagi pertandingan lontar peluru yang akan berlangsung pada Hari Sukan biarpun sahabatnya itu dari rumah sukan berbeza. Pencabarnya pula bukan calang-calang orang iaitu Laksamana Lui. Cabaran kedua, Jimi dan kumpulannya memasuki pertandingan projek Sains Kreatif yang memerlukan kumpulannya melaksanakan satu projek sains yang belum pernah dibuat oleh sesiapa di sekolahnya. Mereka memanggilnya sebagai kertas ajaib. Bagi mengetahui kisah selanjutnya, buku tersebut boleh dibeli secara terus daripada Mohd. Fadhli di laman webnya dan dijual pada harga RM12.90 senaskhah. | |||
| Peminat Desak Nur Fathia & Keith Foo Bercinta Posted: 25 Feb 2014 03:50 AM PST PETALING JAYA: Pelakon Nur Fathia mengakui keserasiannya bergandingan dengan aktor Keith Foo dalam drama bersiri Ariana Rose membuatkan ramai peminat drama tersebut mendesak mereka agar menjalinkan hubungan cinta. Fathia atau nama sebenarnya Nur Fathia Latiff, 26, berkata, peminat-peminat memberi pelbagai reaksi dan komen di laman sosial mereka yang ingin melihat mereka mempunyai hubungan yang serius. "Ramai peminat yang meminta kami bercinta di luar set penggambaran, mungkin kerana keserasian kami dalam Ariana Rose itu membuatkan peminat mahu melihat ia menjadi kenyataan di luar drama. "Tetapi mereka seharusnya dapat membezakan antara lakonan dan dunia nyata, saya sedang menjalinkan hubungan cinta dengan Aiman Hakim Redza, manakala Keith pula seorang yang sangat setia dengan kekasihnya," katanya kepada mStar Online. Tambah Fathia, biarpun lakonan romantiknya dengan Keith Foo dilihat 'menjadi', namun dia mengakui ia bukan perkara yang mudah untuk dilakukan. Katanya, Keith seorang yang sangat pemalu sehingga membuatkannya kekok untuk melakonkan beberapa babak mesra dalam drama tersebut. "Penonton mungkin nampak kami serasi tetapi ketika di set penggambaran ia sangat susah untuk dilakukan. "Ada babak mesra yang kami jadi segan dan kekok, Keith pula memang seorang yang pemalu," katanya. Sementara itu, Fathia tidak menafikan kejayaannya merangkul anugerah Pelakon Wanita Pilihan di Anugerah Festival Kuala Lumpur pada Sabtu lalu turut di pengaruhi oleh populariti drama tersebut. Tambah Fathia, dia tidak pernah menjangkakan kemenangan tersebut, malah tidak menganggap dirinya popular. "Biarpun saya dicalonkan untuk drama Diandra, namun saya tidak menafikan kemenangan tersebut adalah kerana populariti drama Ariana Rose," katanya. Drama Ariana Rose yang bersiaran menerusi slot Akasia TV3, pada pukul 7 malam telah melabuhkan tirainya pada 13 Februari lalu dan berjaya mencecah 4.5 juta penonton. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan