Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Norish Karman Halang Anak Bongsu Jumpa Bapa Kandung
- Anne Ngasri Utamakan Keluarga Berbanding Kejar Populariti
- Azlan (The Typewriter) Kurang Menonjol Untuk Kekal Lama
- 253 Pemohon Dapat Dana Bikin Video Muzik
- Misteri kubur tempayan berusia lebih 200 tahun
- Antara takut atau tercabar
- Rosyam jadi doktor masalah cinta
- Misi sabotaj mantan kekasih
- Artis Britain bina arca mercu tanda guna jejari kentang
- Kurangkan beban bawa buku
- Penjenayah siber ancam pengguna komputer
- Tanam sayur jimatkan kos
- 550 jenama produk penjagaan bayi
| Norish Karman Halang Anak Bongsu Jumpa Bapa Kandung Posted: 19 Feb 2014 05:10 PM PST KUALA LUMPUR: Pelakon Norish Karman tidak akan membenarkan bapa kepada anak bongsunya iaitu Haq Lutfie Alexander yang berusia dua tahun bertemu dengan kanak-kanak itu. Norish atau nama sebenarnya Nor'asikin Karman, 39, berkata, dia tidak melihat sebarang keperluan untuk mereka ditemukan kerana sejak awal lagi keluarga bekas suaminya itu tidak menerima kehadiran kanak-kanak berkenaan. "Mereka pernah memberitahu saya anak saya itu tiada kena mengena dengan mereka jadi saya tidak melihat Haq Lutfie perlu berjumpa dengan bapa kandungnya," katanya kepadamStar Online. Bagaimanapun Norish masih dengan pendirian enggan mendedahkan identiti bekas suaminya itu kerana lebih senang ia dirahsiakan namun mengakui lelaki berkenaan lebih muda daripadanya. Dalam pada itu, Norish berakta, hubungannya dengan bekas suami pertama, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir tidak mempunyai masalah malah mereka akrab sebagai sahabat. Jelas Norish, bekas suaminya itu sangat mengutamakan keperluan tiga anak-anak mereka yang lain iaitu Muhammad Haqiem Armany, 14, Muhammad Hardy Amieran, 10, dan Putri Hany Amanda, 9. "Sejak bercerai kami tiada masalah dan saya tidak pernah menghalang bekas suami untuk berjumpa dengan anak-anak kerana beliau menjalankan tanggungjawab dengan baik," katanya. Pasangan itu berkahwin pada 11 Januari 1998 di Perlis dan bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya di sini pada 15 Julai 2008. Sementara itu, Norish berkata, buat masa ini dia masih belum terfikir untuk mencari pengganti walaupun ada lelaki yang cuba mendekatinya kerana ingin memberi tumpuan kepada anak-anak dan perniagaan. Kata Norish, dia bagaimanapun mengakui kadang-kala berasa sunyi tanpa seseorang di sisinya namun dia kini lebih bahagia. "Ada yang menghantar rombongan meminang tetapi saya tolak dengan cara baik kerana buat masa ini saya sibuk dengan kerjaya dan anak-anak. "Sunyi itu menang ada tetapi kesibukan dengan pelbagai aktiviti membuatkan saya lupa mengenai perkara itu dan saya lebih bahagia sekarang," katanya. Pun begitu kata Norish, jika ditakdirkan bertemu jodoh, dia mahu mencari seorang lelaki yang bukan sahaja boleh menerimanya tetapi keempat-empat anakya dengan penuh kasih sayang. Malah kata Norish, dia juga tidak mahu bergantung harap kepada bakal suaminya nanti dan ingin berjaya terlebih dahulu dalam bidang perniagaan. "Saya pernah berkahwin dengan lelaki berusia dan muda yang mana kedua-duanya tidak kekal lama. Kini apa lebih penting calon itu nanti mestilah dapat menerima anak-anak saya dengan sepenuh hati. "Jika ada lelaki yang dapat berbuat demikian mungkin saya akan terbuka hati untuk berkahwin semula," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Norish berkata, dia kini semakin aktif dalam bidang nyanyian selain berlakon serta memberikan tumpuan kepada perniagaan katering yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu. | ||
| Anne Ngasri Utamakan Keluarga Berbanding Kejar Populariti Posted: 19 Feb 2014 05:10 PM PST PETALING JAYA: Pelakon Anne Ngasri atau nama sebenar, Nasriah Ngasri, 30, mengakui tidak lagi mengejar populariti sebagai selebriti seperti yang pernah dilaluinya sebelum ini. Anne, 30, berkata, populariti bukan keutamaan tetapi sudah memadai bakat lakonannya masih diminati orang. "Bagi saya populariti bukan ukuran. Apa yang penting adalah bakat kita masih diminati. Itu sudah cukup. "Saya juga mahu lakonan saya menjadi contoh kepada orang lain. Saya bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang," katanya kepada mStar Online. Anne mendirikan rumah tangga dengan Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda Umno, Mohd Sumali Reduan, 42, pada 22 Disember 2012. Menerusi perkahwinan itu, Anne dan Sumali dikurniakan seorang anak lelaki Sufi Harraz yang kini berusia lima bulan. Hasil perkahwinan terdahulu bersama bekas suami, Abdul Wafi Hassan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Abdul Warits, 8, Abdul Wafri, 6, dan Nazharah Afrozah, 4. Sumali pula mempunyai seorang anak lelaki, Sufian Hakim, 9, hasil perkahwinan terdahulunya. Dalam pada itu menurut Anne, dia kini meletakkan keluarga sebagai keutamaan dalam hidup berbanding untuk terlibat secara serius dalam bidang seni. "Kerjaya jatuh nombor dua, apa yang lebih penting adalah beri fokus kepada keluarga terlebih dahulu. Lagipun, anak-anak saya semakin membesar dan sudah bersekolah. Saya perlu sediakan segala kelengkapan mereka. "Kehidupan sekarang lebih indah. Saya bahagia di samping suami dan anak-anak. Suami pula seorang yang memahami dan sentiasa menyokong saya. "Alhamdulillah, anak-anak saya semua sihat. Anak yang keempat sekarang sudah berusia lima bulan manakala tiga lagi sudah bersekolah," katanya. Bukan saja bergelar pelakon, Anne turut memegang jawatan Ketua Puteri Umno Bahagian Bukit Bintang selepas memenangi pemilihan bahagian tersebut tahun lalu. "Saya sebenarnya sudah lama terlibat dalam politik iaitu sejak 2003 lagi. Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menerajui pergerakan Puteri Bahagian Bukit Bintang pada kali ini," katanya. Ketika ditanya bagaimana dia membahagikan masa untuk kerjaya dan tugas sebagai ibu dan isteri, Anne berkata, dia tidak mempunyai masalah dari segi pengurusan masa. Mengenai perkembangan terbaharu, Anne kini sedang menjalani penggambaran telefilem berjudul Nota Untuk Sang Awan yang bakal menemui penonton tidak lama lagi. Anne turut menjadi duta produk kesihatan dan kecantikan, Glutacell sejak Oktober tahun lalu. | ||
| Azlan (The Typewriter) Kurang Menonjol Untuk Kekal Lama Posted: 19 Feb 2014 05:09 PM PST PETALING JAYA: Penyanyi Azlan (The Typewriter) mengaku dia semakin kurang menonjolkan diri di khalayak sejak akhir-akhir ini. Azlan atau nama sebenarnya Nor Azlan Rosle, 32, berkata, dia lebih selesa dengan keadaan itu kerana ia merupakan strategi untuk kekal lama dalam industri hiburan. "Saya hanya akan keluar di khalayak apabila ada produk terbaharu untuk dikongsi dengan menampilkan lagu-lagu yang berkualiti. "Berdasarkan kajian dan pemerhatian yang dibuat mengenai artis-artis tempatan dan antarabangsa, saya nampak, mereka akan kekal lama jika jarang berada di khalayak melainkan tampil dengan produk muzik terkini mereka. Jadi saya pun ingin menggunakan konsep itu," katanya kepada mStar Online. Tambah Azlan lagi, sudah tiba masanya dia mengubah haluan dan gaya muzik mengikut genre yang disukai agar dapat diterima oleh peminat yang lebih luas. Sebagai strategi baharu, Azlan merancang mahu mengeluarkan dua album berbeza di mana album terbaharunya berjudul Akuarium akan dijual buat peminat-peminat yang menggemari muzik underground. Sebanyak lima buah lagu yang dimuatkan iaitu Akuarium, Bukan Ugutan, Pasar Karat, Analisa dan Ohh Ooo. Manakala untuk pasaran komersial pula, Azlan akan muncul dengan single lagu terbaharu iaitu Kunci Jiwa. "Saya sengaja cuba memperkenalkan konsep muzik yang berbeza bersama kumpulan The Typewriter menerusi album Aquarium dan ia khas buat peminat-peminat yang menggemari muzik underground. "Selain itu, dalam album Aquarium, ia juga merupakan muzik yang saya terokai dengan cara penyampaian yang tersendiri manakala Kunci Jiwa akan menjadi sebuah lagu yang lebih komersial. Sesuai buat pendengar-pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat," tuturnya. | ||
| 253 Pemohon Dapat Dana Bikin Video Muzik Posted: 19 Feb 2014 05:07 PM PST PETALING JAYA: Sebanyak 253 syarikat rakaman berjaya mendapat geran pemadanan bagi penerbitan Video Muzik (MTV) yang dipohon pada tahun lalu melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM). Pengerusi RIM, Norman Abdul Halim, berkata, ia merupakan dana yang diperkenalkan dalam bentuk geran di mana 50 peratus daripada kos keseluruhan pembikinan MTV akan dibiayai oleh pihak kerajaan. "Geran ini juga merupakan sebahagian dana RM6.5 juta yang diberikan kepada industri muzik tempatan oleh pihak kerajaan di mana ia dapat digunakan bagi menghasilkan produk-produk muzik tempatan yang berkualiti. "Dan setakat ini sebanyak 253 permohonan mendapat kelulusan itu. Setiap pemohon akan menerima RM15 ribu (untuk klip video tiga buah lagu). "Ia meliputi kos pembikinan MTV seperti pengarahan, artistik, teknikal, set, kostum, penggunaan teknologi, suntingan serta perkara-perkara berkaitan," katanya. Norman ditemui pada majlis penyerahan geran enam projek utama yang dilaksanakan di bawah Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) di Hotel Royale Chulan Damansara di sini pada petang Selasa. Enam projek tersebut adalah penganjuran delegasi perdagangan ke Marche International du Disque et de I'Edition Musicale (MIDEM) DI Cannes, Perancis, Penganjuran Dua Anugerah Industri Muzik (AIM) Mengikut Bahasa Cina dan India, Pemberian Geran Pembikinan MTV, Geran Sokongan Lawatan ke Luar Negara, Program Akreditasi Muzik dan penganjuran Forum Muzik. Tambah Norman, di bawah Geran Sokongan Lawatan ke Luar Negara, sebanyak RM30,000 disediakan bagi memasarkan serta mempromosi produk muzik tempatan ke tahap antarabangsa di mana ia meliputi kos penerbangan, tempat tinggal, acara persembahan promosi dan sesi fotografi. "Semua ini adalah untuk perkembangan industri muzik ke arah yang lebih berkualiti. "Menerusi Forum Muzik juga, pihak kami bersama barisan pengamal muzik lain membincangkan isu-isu seperti Muzik Digital dan Pengedaran, Era Baru Percetakan Muzik, Media dan Muzik serta kekerapan anjuran konsert. "Kesemua perbincangan tersebut akan dibukukan untuk dijadikan sebagai dasar industri muzik negara," ujarnya. Sementara itu, majlis tersebut turut dihadiri oleh wakil-wakil pihak syarikat rakaman serta beberapa penggiat muzik dan artis tempatan. | ||
| Misteri kubur tempayan berusia lebih 200 tahun Posted: 19 Feb 2014 04:59 PM PST
Malah, kerana saiznya yang panjang ia dikenali sebagai Kubur Tok Panjang, namun yang menjadi perhatian, terdapat sebiji tempayan berada di tepi kubur berkenaan. Difahamkan, kubur terbabit didakwa milik seorang pedagang yang datang berniaga ketika era kegemilangan Kuala Berang sebagai pusat perdagangan dan pelabuhan utama suatu masa dahulu. Bekas Ketua Kampung Tapu, Ahmad Salleh, 79, berkata, identiti sebenar pemilik kubur panjang itu tidak diketahui dan kerana saiznya yang panjang menyebabkan ada segelintir individu menjadikannya tempat memohon hajat. "Dulu, ada orang minta nombor ekor dan macam-macam hajat di Kubur Tok Panjang ini. Ada juga datang ambil air daripada tempayan di tepi kubur ini untuk buat minum kerana dikatakan dapat ubati sakit tertentu seperti sakit kepala. Sejauh mana kebenarannya, saya tidak pasti. "Malah, cerita di sebalik kewujudan tempayan di tepi kubur ini juga saya tidak tahu walaupun ada yang mengatakan ia diletakkan individu yang datang memohon hajat," katanya. Bagaimanapun Ahmad berkata, perbuatan khurafat itu tidak lagi berlaku sejak lebih 20 tahun lalu kerana tanah perkuburan berkenaan sering dibersihkan, selain terdapat rumah penduduk dibina di kawasan berhampiran. Pengerusi JKKK Tapu, Mat Bidin Abdullah berkata, sekitar 10 tahun lalu pihak berkaitan iaitu Muzium Negeri pernah datang melihat kubur berkenaan, namun beliau tidak pasti perkembangan daripada hasil lawatan tersebut sama ada kubur terbabit mempunyai nilai sejarah ataupun tidak. "Walaupun pernah dengar cerita pelik mengenai Kubur Tok Panjang ini, tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenarannya. Cuma hanya sekali berlaku depan mata dan mungkin ia kebetulan sahaja," katanya. Bercerita lanjut, Mat Bidin berkata, kejadian berlaku sekitar 1990-an ketika selesai menguruskan pengebumian seorang saudara apabila sebuah kereta milik saudara yang lain gagal dihidupkan walaupun hampir 15 minit mencuba. "Sebelum itu saudara saya itu bergurau mahu mengambil tempayan di Kubur Tok Panjang. Selepas teringat gurauannya itu, dia pergi semula ke Kubur Tok Panjang dan beritahu tidak jadi berbuat demikian dan apabila kembali ke keretanya, terus enjin dapat dihidupkan," katanya. | ||
| Posted: 19 Feb 2014 04:47 PM PST SERAMAI 32 individu diikumpul untuk menghadapi dan mengharungi ketakutan menerusi program Fear Factor Malaysia. Mereka kemudian dibahagikan kepada 16 pasangan dengan masing-masing terdiri daripada seorang selebriti dan seorang peminat. Kesemua pasangan tersebut kemudian dibahagikan kepada dua kumpulan, A dan B. Ia diadakan di Capetown, Afrika Selatan selama tiga minggu. Kumpulan A menampilkan pasangan Ungku Ismail & Fify, Syed Ali & Tatt, Norman Hakim & Zarina, Nas T & Kairul, Ryzal Jaafar & Sam, Sari Yanti & Anbia, Dira & Azura serta Erin Malek & Redha. Kumpulan B pula terdiri daripada pasangan Izzue Islam & Emri, Shuib Sepahtu & Zakaria, Zain Saidin & Akmal, Bambang Soteto & Faisal, Shah Iskandar & Kartini, Yana Samsudin & Janice, Azura Zainal & Rechel dan tidak ketinggalan, Thanuja & Joy. Pasangan juara Fear Factor Malaysia bakal memenangi wang tunai sebanyak RM200,000, manakala pemenang cabaran mingguan akan membawa pulang RM10,000. Sebanyak 26 episod akan ditayangkan berselang-seli menerusi dua rangkaian program iaitu Fear Factor Malaysia dan Akses Fear Factor Malaysia secara eksklusif pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Program ini telah mula bersiaran pada setiap hari Sabtu pukul 9 malam selama satu jam mulai 15 Februari lalu. Sebagai manusia biasa, kesemua peserta Fear Factor Malaysia tidak dinafikan sekurang-kurangnya mempunyai satu ketakutan atau fobia dalam diri, sama ada timbul secara semula jadi mahupun selepas berdepan sesuatu situasi. Ikuti cerita tentang fobia dan pengalaman empat selebriti yang terbabit dalam program tersebut - Nas T, Erin Malek, Bambang Soteto dan Thanuja. Nas T fobia kambing Bagi salah seorang peserta kumpulan A, Nas T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasrudin, 30, ketakutan terhadap tempat tinggi atau dikenali sebagai Acrophobia telah berjaya diatasi sepanjang melakukan cabaran Fear Factor Malaysia. Berbeza pula baginya kerana kini dia berdepan dengan fobia terhadap bau dan haiwan daripada spesies kambing atau lebih dikenali dengan Ovinaphobia. "Saya ada ketakutan saya sendiri iaitu takut dengan ketinggian tapi sepanjang latihan menjelang Fear Factor Malaysia saya sering melakukan cabaran rock climbing, sedikit sebanyak perasaan itu telah berjaya saya atasi. "Tapi yang peliknya, program TV ini mencabar kita melakukan perkara yang tidak terduga untuk kita buat. Cabaran makanan paling saya tidak boleh terima. Memang menjijikkan! "Kalau dahulu saya boleh makan kambing tapi sekarang selepas habis rakaman rancangan ini saya langsung tidak boleh terhidu bau kambing. "Bukan itu sahaja, saya tidak boleh makan atau tengok daging kambing depan mata, terus akan teringat balik cabaran ketika terbabit dengan program ini," katanya yang ditemui pada majlis sidang akhbar Fear
Factor Malaysia di Talent Lounge, Menara Mustapha Kamal, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Selain itu, kata Nas T lagi, cabaran utama sepanjang penggambaran program tersebut, sudah tentu daripada segi keadaan cuaca yang tidak menentu di Cape Town, Afrika Selatan yang adakalanya terlalu sejuk. "Saya sudah bulatkan fikiran tidak mahu bertanding dengan sesiapa sebaliknya diri sendiri kalau tidak kita akan ketinggalan. Kelemahan saya adalah diri saya sendiri. "Jujur saya katakan, Fear Factor Malaysia sangat mencabar minda dan stamina," tambahnya yang berpasangan dengan pegawai Telekom dari Ipoh, Perak, Kairul Nizam Abdul Malek, 36. Erin takut ular Pelakon Erin Malek dalam pada itu, mengakui dia bagaimanapun tidak berdepan sebarang masalah untuk melakukan aktiviti ekstrem sepanjang menyertai Fear Factor Malaysia. "Banyak sangat pengalaman menarik sepanjang rancangan ini, saya suka aktiviti ekstrem dan pantang dicabar untuk melakukan sesuatu. Apabila dicabar, kita akan tahu sejauh mana keupayaan kita. "Saya tidak takut dengan air, ketinggian atau lain-lain tetapi lebih kepada haiwan bersisik terutama ular. Mungkin kerana kulitnya yang menggelikan. "Malah, kalau melawat zoo pun saya tidak akan sesekali tengok ke kawasan yang ada ular," ujarnya mengenai fobia yang dinamakan Ophidiophobia itu. Menurut Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek, 19, pengalaman yang paling sukar dilupakan dalam rancangan itu adalah ketika dia hampir lemas dan diselamatkan dalam satu cabaran ketika nyawa-nyawa ikan. "Ramai yang lihat fizikal saya gadis yang lemah-lembut tapi saya ada sifat kejantanan dalam diri sedikit sebanyak. Saya gemarkan aktiviti lasak tetapi apabila takut, saya akan menangis. "Saya tahu saya kuat dan sebab itu saya sahut cabaran sertai rancangan ini, saya buat kerana saya mahu menang dan boleh buat lebih bagus daripada orang lain," katanya yang berpasangan dengan pegawai perkhidmatan pelanggan yang berasal dari Kuantan, Pahang, Mohd. Redha Rozlan, 25. Popularkan Bambang Bambang Soteto mungkin selama ini dikenali sebagai pendandan rambut selebriti namun, rancangan yang telah disertainya kali ini telah mengubah landskap popularitinya. Kata Bambang atau nama sebenarnya Bambang Sutrisno Soteto, 32, setelah menyertai Fear Factor Malaysia, dia kini mengumpul jumlah pengikut mendadak dalam akaun Instagram dan menjana peningkatan bisnes salon rambutnya. "Saya bukan mahu buktikan kepada sesiapa tetapi saya lebih kepada mencabar keupayaan diri saya sendiri. Ini memandangkan usia sudah makin bertambah saya mahu melihat sejauh mana kemampuan saya. "Saya juga antara orang bukan selebriti dalam kalangan selebriti yang menyertai Fear Factor Malaysia. Dalam rancangan ini, saya banyak bermain emosi dan kebanyakan cabaran yang saya lakukan telah menukarkan perasaan trauma menjadi berani. "Rancangan ini telah menonjolkan personaliti saya. Saya menerima tawaran ini bukan untuk popular tapi tidak dinafikan, saya dapat rasa tempias populariti itu. "Daripada pengikut 7,000 di Instagram kini menjadi 20,000 dan bisnes pun bertambah maju sampai tak menang tangan. Itu perkembangan positif!" katanya. EMPAT selebriti (dari kiri), Thanuja, Bambang, Nas T dan Erin berkongsi pengalaman berharga sepanjang terbabit dengan program Fear Factor Malaysia. Selain itu, Bambang berdepan fobia terhadap ayam dan organ dalaman haiwan itu yang dikenali Alektorophobia. Rancangan ini bagaimanapun sekali lagi berjaya mengatasi perasaan itu. "Sebelum ini saya fobia makan ayam, sejak usia lapan tahun lagi saya tidak makan organ dalaman haiwan spesies burung seperti ayam tapi kali ini, saya diwajibkan makan untuk menyempurnakan satu cabaran. "Alhamdulillah berjaya! Tapi dalam satu cabaran makanan juga secara tidak langsung telah mencederakan rahang kiri saya. Sampai sekarang, saya susah nak makan," katanya yang berpasangan dengan juruteknik dari Selangor, Mohd. Faizal Mohd. Yusoff, 27. Thanuja takut sejuk Seorang lagi peserta dari kumpulan B, Thanuja Ananthan, 28, mengakui Fear Factor Malaysia telah mengubah dia menjadi lebih berani dan mengatasi dua ketakutan utamanya iaitu kesejukan (Cryophobia) dan kedalaman air (Aquaphobia). "Saya takut sejuk dan air yang dalam. Ketika melakukan cabaran pertama, saya terfikir semula, kenapakah perlu saya terima tawaran ini? "Tapi selepas itu saya kuatkan diri dan melakukan semua cabaran sampai hampir mati lemas. Saya bangga dengan diri sendiri kerana saya sudah berjaya atasi ketakutan saya tapi paling penting rancangan ini telah membina sebuah keluarga baharu buat saya," katanya. Thanuja, 28, yang berpasangan dengan pegawai bank dari Johor Bahru, Johor, Noor Saliza Zaini, 32, membuktikan komunikasi antara pasukan penting untuk mengatasi setiap cabaran. Sering dilihat di pentas peragaan, di bawah simbahan lampu denyar dan disolek cantik, itu tidak mendefinisikan bekas Ratu Cantik Malaysia 2009 itu secara total. "Saya suka peragaan tapi sejujurnya saya suka cabar diri dan melihat sejauh mana kemampuan saya. "Saya aktivis haiwan dan menyelamatkan haiwan terbiar merupakan salah satu daripada tanggungjawab saya. "Bukan untuk membuktikan apa-apa tapi saya tegaskan saya bukan antara pasukan terawal yang tersingkir. "Saya menyertai Fear Factor Malaysia kerana saya suka dan memang mahu masuk program Fear Factor sejak dari kecil," tambahnya. | ||
| Rosyam jadi doktor masalah cinta Posted: 19 Feb 2014 04:46 PM PST
TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Setelah berpuluh tahun aktif dalam bidang lakonan, pelakon dan pengarah popular, Datuk Rosyam Nor, 47, maju setapak ke hadapan apabila dia dilamar untuk menggalas tugas sebagai penyampai radio jemputan di stesen radio Hot FM. Pertama kali ke udara pada 12 Februari lalu, Rosyam yang menggunakan nama samaran sebagai Dr. R mengendalikan sebuah segmen soal jawab yang melibatkan para pendengar bagi menyelesaikan masalah cinta yang dihadapi oleh mereka. Selain itu, pelakon yang terkenal dengan karakter Tailong menerusi filem pecah panggung, KL Gangster 2 ini bakal meluangkan masa berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan berkenaan dunia perfileman dalam sebuah bengkel khas yang dianjurkan oleh Media Prima bersempena dengan penganjuran Drama Festival KL (DFKL) pada 22 Februari depan. Pelakon yang pernah menerima sebanyak dua pengiktirafan pada Festival Filem Asia Pasifik ini bercerita tentang kisah perkongsian ilmu, cabang seni baharu serta perancangan akan datang dalam temu bual yang diaturkan oleh Kosmo! baru-baru ini. Kosmo!: Bagaimanakah pihak Hot FM boleh melamar anda untuk mengelolakan sebuah segmen kendalian sendiri? ROSYAM: Sewaktu datang ke stesen radio berkenaan untuk mengadakan promosi filem Balistik, saya diberi peluang oleh Fara Fauzana untuk menjawab panggilan dan menyelesaikan masalah cinta para pendengar. Ketika itu, dia meminta saya untuk menggunakan nama samaran Dr. R. Jadi, setelah dipantau oleh pihak Hot FM, mereka nampak potensi yang ada pada percubaan itu lalu menawarkan saya untuk mengelolakan segmen tersebut. Bagaimanakah penerimaan para pendengar setakat ini? Setakat ini, sambutan yang diterima cukup baik. Tidak semua masalah yang diajukan oleh pendengar dapat diselesaikan. Lagipun, apabila menggunakan nama samaran Dr. R, saya mengibaratkan tugas saya ini hanyalah sebagai satu lakonan. Adakah anda akan terus menjadikan tugas penyampai radio ini sebagai salah satu cabang utama karier anda? Pada pendapat saya, tugas ini merupakan salah satu cabang seni yang berlainan. Justeru, saya akan melihat perkembangannya terlebih dulu. Jika pendengar suka dengan celoteh saya, mungkin kontrak selama tiga bulan ini akan disambung. Bagaimanakah pendengar boleh mengikuti segmen soal jawab cinta itu? Saya ke udara bersama Farah, Fizie dan AG pada setiap hari Rabu pukul 7.30 hingga 8.30 pagi. Anda juga telah terpilih untuk menjadi penceramah bagi bengkel pengarahan yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Boleh ceritakan serba sedikit mengenai bengkel tersebut? Bengkel itu dianjurkan pada 20 hingga 21 Februari ini. Saya diberi tanggungjawab untuk mengendalikan kelas lakonan yang diberi judul Lakonan Itu Perniagaan. Selain itu, terdapat banyak lagi bengkel yang dikendalikan oleh nama-nama besar dalam industri hiburan termasuklah Kabir Bhatia, Fauziah Nawi, Eirma Fatima dan Habsah Hassan. Apakah keistimewaan bengkel-bengkel ini? Penganjuran bengkel ini mampu mendedahkan orang awam khususnya golongan muda untuk mempelajari selok-belok dunia perfileman dan muzik dengan tunjuk ajar daripada individu yang berpengalaman. Sama ada mereka mempunyai latar belakang dalam bidang seni atau tidak, peluang ini boleh digunakan sebaik mungkin untuk menunjukkan bakat yang terpendam. Lebih-lebih lagi yuran penyertaan yang dikenakan adalah begitu rendah iaitu RM100 sehari untuk dewasa dan RM60 untuk pelajar. Maklumat lanjut boleh didapati di www.dfkl.com.my. Bagaimana dengan kutipan keseluruhan filem Balistik yang baru sahaja tamat tayangannya di pawagam? Alhamdulillah, jumlah kutipan dianggarkan berjumlah RM2.5 juta. Apakah perkembangan terbaharu anda? Saya bakal berlakon dalam sebuah filem yang diarahkan Syamsul Yusof. Filem itu nanti bakal menampilkan watak Tailong sebagai watak utama dan jalan cerita yang akan ditampilkan adalah berbeza dengan jalan cerita KL Gangster 2. Selain itu, filem terbitan saya, Isyarat Cinta yang diarahkan oleh Bade Azmi akan menjengah pawagam dalam tahun ini. Pada 16 Mac nanti, telemovie berjudul Perjalanan yang menggandingkan saya dengan Dian P. Ramlee dan Fimie Don bakal menemui penonton. | ||
| Posted: 19 Feb 2014 04:43 PM PST SEJOLI cuba memasukkan elemen sukan muay thai sebagai pelengkap cerita. Naskhah ketujuh filem arahan Osman Ali, Sejoli bersifat komedi romantik yang boleh diterima akal. Ada ketika penonton ditampar dialog menusuk kalbu hingga bergenang air mata dan ada ketikanya dihidangkan humor pecah perut. Cun boleh dianggap pertaruhan sulung pengarah itu melahirkan cerita berkisar romantik komedi. Untuk meletakkan filem Sejoli sebagai cukup rencah, rasanya Cun masih mengisi setiap ruang dan kualiti sebuah filem bergenre sedemikian. Permulaan Sejoli adalah pengakhiran kisah cinta antara dua pasangan iaitu Joe (Bront Palarae) dan Nita (Izara Aishah) serta Gina (Maya Karin) dan Hardy (Remy Ishak) yang berpisah atas kehendak masing-masing. Joe dan Gina bertemu di Phuket, Thailand setelah membawa diri akibat ditinggalkan kekasih, namun selepas beberapa insiden mereka mendapati bahawa mantan kekasih mereka, Hardy dan Nita pula sedang bercinta. Sejoli mempersembahkan dua lapisan masyarakat yang disatukan atas dasar cinta. Joe dan Gina mewakili golongan sederhana sementara Hardy dan Nita dipertontonkan selaku kasta masyarakat kelas tinggi. Helah demi helah dilakukan Joe dan Gina untuk merebut semula bekas kekasih mereka yang merancang untuk berkahwin. Usaha untuk mensabotaj itu akhirnya membuahkan kejayaan apabila Hardy dan Nita memilih untuk kembali semula kepada mereka. Kasar sebenarnya langkah yang diambil oleh Gina dan Joe yang sanggup berkomplot dengan seorang penari, Monica Belacak (Suhaili Micheline Ahmad Kamil) untuk menggoda Hardy sampai memutuskan pernikahannya bersama Nita. LAKONAN Remy Ishak dan Izara Aishah dalam filem ini menampakkan kredibiliti masing-masing. Osman berjaya memberikan perasaan teraniaya dan kasihan terhadap pasangan yang disabotaj hingga memperlihatkan Bront dan Maya pemain watak antagonis dalam filem itu. Sebagai pelaku watak jurufoto bebas daripada golongan pertengahan, Maya masih tidak berjaya dizahirkan secara total. Masih ada pelat dan aksen orang putih daripada beberapa lontaran dialog. Pujian harus diberikan kepada Izara Aishah yang berjaya melakonkan watak Nita yang gedik tapi tidak menjengkelkan cuma, corak tutur kata pelakon paling 'hijau' dalam filem itu masih stereotaip seperti lakonannya dalam drama. Azad Jasmin dan Dira Abu Zahar masing-masing melakonkan watak Tompy (pembantu bengkel cuci kereta milik Joe) dan Lola (perancang perkahwinan merangkap sepupu Gina) berjaya mencuit hati penonton. Loghat Pulau Pinang Azad sememangnya melucukan manakala lakonan bersahaja Dira harus diakui kelakar. Dalam rasa serba salah bersekongkol membantu Joe dan Gina, Tompy dan Lola adalah penyeri Sejoli sebenarnya. Sejoli mengangkat tema kepercayaan, persefahaman dan pada masa sama mengisahkan cinta yang tidak disengajakan. Ada masanya cinta tidak boleh dipaksa-paksa, begitu juga takdir dan persoalan jodoh yang tidak boleh diubah. | ||
| Artis Britain bina arca mercu tanda guna jejari kentang Posted: 19 Feb 2014 04:36 PM PST TAPAK bersejarah Stonehenge merupakan antara mercu tanda Britain yang dihasilkan oleh artis seni berkenaan. LONDON - Seorang artis seni telah menghasilkan ukiran beberapa mercu tanda ikonik di Britain menggunakan jejari kentang dan pes kacang hijau. Prudence Staite, 33, dan beberapa angggota pasukannya menggunakan 10 kilogram jejari kentang untuk membina buaian London Eye, ukiran Stonehenge, patung Angel of the North dan Cenuram Putih Dover. Wanita berkenaan memerlukan 240 jejari ubi kentang dan masa 12 jam untuk menghasilkan patung Angel of the North. Mercu tanda Cenuram Putih Dover pula dibuat menggunakan 70 jejari kentang dan mengambil masa empat jam untuk disiapkan. Wanita itu turut menghasilkan raksasa Loch Ness menggunakan hanya tujuh jejari kentang. Semua ukiran itu dihasilkan sempena Minggu Jejari Kentang 2014 anjuran Majlis Ubi Kentang Britain. | ||
| Posted: 19 Feb 2014 04:34 PM PST APABILA bercakap tentang buku teks ketika di alam persekolahan, pasti setiap individu mempunyai pengalaman tersendiri. Sama ada sengaja meninggalkannya di rumah atau terpaksa berhempas-pulas mengangkat beg yang berat. Bayangkan, hampir kesemua mata pelajaran mempunyai buku teks dengan purata dua jenis setiap satu subjek. Disebabkan itu, ramai yang mengambil pendekatan berbeza bagi mengurangkan mengendong 'beban' itu. "Pada kebiasaannya, saya akan berkongsi bersama rakan yang duduk bersebelahan. Contohnya, jika saya membawa buku teks Sejarah, dia akan membawa buku Matematik," ujar Nur Dania Arifah Mohd. Rashidi, 17. Dia menambah, langkah 'bijak' itu terpaksa diambil memandangkan dalam sehari, sebanyak enam ke tujuh buah buku yang akan dibawa mengikut jadual sekolah harian. "Ia belum lagi ditambah buku-buku latihan yang akan digunakan untuk menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun in," tambah gadis yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Cheras, Kuala Lumpur itu. Namun, situasi itu bakal berubah melalui pengenalan buku teks digital yang dilancarkan di bawah Kementerian Pendidikan baru-baru ini. Inovasi baharu Inovasi baharu dunia pendidikan itu memberi satu anjakan positif kepada guru dan pelajar yang dilihat membantu sistem pengajaran dengan lebih efektif. Buku teks digital tersebut merupakan versi elektronik buku bercetak yang boleh diakses secara dalam talian. Ia mengandungi teks dan grafik serta mempunyai ciri flip seperti buku teks bercetak. Menurut Pengarah Bahagian Buku Teks, Kementerian Pendidikan, Abdul Ghani Mohamad Niza, ia adalah lanjutan daripada penggunaan Platform Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) 1BestariNet yang diperkenalkan pada tahun 2012. PARA pelajar membawa beg sekolah berat bakal menjadi sejarah apabila pengenalan buku teks digital diperkenalkan di sekolah-sekolah. "Sehubungan itu, kementerian berusaha supaya buku-buku teks dapat dimuat naik ke VLE. Melalui usaha itu, pelajar boleh mengakses buku teks secara maya selain terus menggunakan buku teks bercetak," ujarnya ketika ditemui Infiniti di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini. Dia menambah, pada peringkat awal, bahan buku teks bercetak didigitalkan dalam format Electronik Publishing 2 (ePub2) dan seterusnya dimuat naik ke platform VLE. "Dengan adanya buku teks digital ini, pelajar dan guru yang telah dibekalkan dengan kata laluan akan dapat mengakses buku teks melalui internet pada bila-bila masa," jelas Abdul Ghani. Sebanyak 300 judul buku teks bercetak telah didigitalkan mengikut tindakan gelombang pertama di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Mudah Menyambut baik pembaharuan itu, guru subjek Teknologi Maklumat (IT) dan Matematik, Norhaniza Abd. Jamil, 35, berpendapat, pengenalan buku teks digital memudahkan proses pengajaran guru kerana ia lebih interaktif dan menarik. "Buku teks biasa yang statik kadangkala membuatkan pelajar mudah hilang tumpuan. Pendigitalan tersebut sedikit sebanyak memudahkan pemahaman pelajar malah lebih cepat dan pantas," ujarnya yang mengajar di SMK Cheras. Dia menambah, menggunakan buku teks digital menerusi laman VLE memudahkan pelajar ketika membuat latihan ulang kaji kerana jawapan boleh diperoleh dengan cepat. "Selain itu, animasi-animasi yang terdapat dalam pendigitalan itu juga membolehkan pelajar memahami subjek-subjek tertentu dengan lebih baik," jelas Norhaniza yang berasal dari Kulim, Kedah. PENGENALAN buku teks digital memudahkan proses pengajaran kerana ia lebih interaktif dan menarik. Lebih menarik Berkongsi pendapat yang sama, Norliza Borhan, 42, berkata pendigitalan buku teks adalah satu pembaharuan berinovatif. "Rugi jika kita tidak bergerak selari dengan kepesatan teknologi maklumat yang semakin meluas pada hari ini. Mereka sendiri sudah biasa menggunakan komputer, maka proses pembelajaran dan pengajaran akan lebih menarik," ujarnya yang turut mengajar subjek IT dan Matematik. Berdasarkan Laporan Ciri-Ciri Pendidikan dan Sosial Penduduk 2010 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar celik komputer bagi penduduk warganegara Malaysia berumur lima hingga 69 tahun di semua negeri telah mencapai lebih daripada 45 peratus. Kepekaan dalam bidang ICT itu memyebabkan generasi muda lebih peka dengan kemunculan teknologi-teknologi baharu. Pendedahan pada usia yang muda membolehkan pelajar menggunakan komputer tanpa sebarang masalah. "Saya sendiri tahu menggunakan komputer pada usia tujuh tahun. Melalui pengenalan buku teks digital itu, cara pembelajaran saya turut berubah ke arah yang lebih baik," ujar pelajar tingkatan lima, Tsen Wen Liang, 18. Tambah pelajar dari Cheras, Kuala Lumpur itu, walaupun baru diperkenalkan, cara penggunaannya tidak terlalu rumit kerana ia disediakan dalam Platform VLE yang telah digunakan sejak dua tahun lepas. Beberapa negara telah beralih kepada penggunaan buku teks digital untuk digunakan dalam sektor pendidikan umum. Antaranya, Korea Selatan, Poland dan Singapura. Korea Selatan telah merencana transformasi sistem pendidikan ke arah pendigitalan sejak lima tahun lepas. Penggunaan buku teks digital baharu itu akan dirintis oleh 150 sekolah rendah dan 300 sekolah menengah. PELAJAR boleh mengakses pembelajaran mereka menggunakan peranti mudah alih. Masalah Namun, pakar bidang pendidikan di negara yang mempunyai sambungan internet antara terlaju di dunia itu, menyatakan pendigitalan buku sekolah membawa kepada beberapa masalah. Mereka berpendapat, ia akan menyebabkan kebergantungan melampau generasi muda terhadap gajet dan teknologi baharu. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh kerajaan Korea Selatan mendapati, satu daripada 12 pelajar berumur lima hingga sembilan tahun terdedah kepada ketagihan internet. Mengulas situasi itu, pengetua SMK Cheras, Juahir Mondakir berkata, pihak kementerian sudah semestinya telah mengambil kira perkara tersebut sebelum pelaksanaan ke seluruh sekolah awam. "Contohnya, sambungan internet yang terhad untuk ke laman-laman web bersesuaian. Disebabkan itu, pelajar tidak boleh melayari internet untuk memasuki laman sosial dan berkaitan," ujarnya. | ||
| Penjenayah siber ancam pengguna komputer Posted: 19 Feb 2014 04:33 PM PST LINDUNGI maklumat diri anda daripada pihak yang menyamar sebagai individu lain. KEPESATAN arus teknologi telah membawa kepada pertumbuhan pelbagai jenis perkhidmatan dalam talian, sekali gus memudahkan kita melakukan urusan seharian. Namun, di sebalik semua kemudahan ini, ia turut membawa kesan buruk kepada pengguna sekiranya mereka tidak mempunyai kesedaran terhadap pentingnya keselamatan maklumat, terutamanya ketika menggunakan internet. Kemunculan gajet yang mempunyai akses internet seperti tablet dan telefon bimbit turut meluaskan lagi golongan sasaran penjenayah siber. Kegagalan melindungi maklumat boleh mengakibatkan kesan buruk yang perlu dibayar dengan harga yang amat tinggi. Berikut disenaraikan empat cabaran utama pengguna komputer hari ini dan langkah yang harus diambil bagi menanganinya: 1. Serangan malware dan virus: Malware dan virus bukanlah sesuatu yang baharu. Ia telah muncul hampir seiring dengan kewujudan komputer. Serangan malware dan virus bukan sahaja boleh merosakkan sistem operasi komputer, malah ia boleh merosakkan fail dan juga mendapatkan maklumat sensitif yang tersimpan dalam komputer. Bagaimana mengekangnya? - Elakkan memuat turun fail dari sumber yang diragui. - Pastikan komputer atau peranti mobil anda mempunyai perisian antivirus dan firewall. - Kemas kini definisi virus pada perisian antivirus anda sekurang-kurangnya sebulan sekali. - Sentiasa mengemas kini sistem operasi anda dengan sistem sekuriti terkini. JANGAN berikan maklumat kad debit atau kad kredit anda kepada pihak yang mencurigakan terutamanya yang memintanya menerusi panggilan telefon. 2. Kejuruteraan Sosial: Kejuruteraan sosial turut menjadi penyumbang kepada jenayah siber yang semakin menular hari ini. Lazimnya penjenayah siber akan melakukan kejuruteraan sosial bagi mendapatkan maklumat yang boleh digunakan untuk mendapatkan akses kepada sistem rangkaian mahupun aplikasi pengguna. Penyamaran merupakan teknik yang sering digunakan penjenayah bagi mendapatkan maklumat daripada mangsa. Bagaimana mengekangnya? - Sekiranya anda dihubungi melalui telefon oleh individu yang memperkenalkan diri sebagai pihak bank, pastikan anda tidak memberikan sebarang butiran perbankan. Sebaliknya hubungi kembali bank tersebut berdasarkan nombor yang terdapat pada kad bank ataupun dari laman web bank itu sendiri. - Jangan tertekan oleh pihak yang mengaku mereka adalah pihak bank yang memberitahu sekiranya anda tidak memberikan butiran yang diminta, kad atau akaun anda disekat. Maklumkan kepada mereka, anda akan menghubungi pihak bank kembali atau berkunjung ke bank untuk menyelesaikan sebarang isu. - Sekiranya anda menerima panggilan yang mencurigakan dan mengesyaki anda merupakan sasaran percubaan kejuruteraan sosial, laporkan kepada pihak berkuasa dengan kadar segera. 3.Kecurian identiti: Kecurian identiti berlaku apabila seseorang menyamar sebagai individu lain dengan menggunakan identiti tersebut bagi tujuan mendapatkan akses atau mendapatkan manfaat daripada mangsanya. Salah satu kes yang sering dilaporkan adalah membuat pinjaman atau mendaftar sesebuah perkhidmatan menggunakan identiti orang lain sehingga menyebabkan mangsanya terpaksa menanggung tuntutan hutang daripada pihak tertentu. Bagaimana mengekangnya? - Elakkan daripada mengakses perbankan dalam talian, e-mel atau apa juga aplikasi atau laman web yang memerlukan anda memasukkan ID pengguna dan kata laluan ketika menggunakan komputer awam ataupun ketika menggunakan WiFi di tempat awam. - Pastikan anda membuat garisan pada salinan kad pengenalan dan tuliskan untuk kegunaan yang spesifik sahaja. Contohnya, sekiranya anda perlu memberikan salinan kad pengenalan untuk pendaftaran talian internet, tuliskan "Untuk kegunaan - Jangan sesekali memberitahu kata laluan atau maklumat peribadi kepada sesiapa, termasuklah rakan ataupun teman sekerja. - Dokumen sulit yang mengandungi maklumat peribadi anda atau dokumen yang mengandungi butiran perbankan dan perubatan hendaklah dilupuskan dengan cara membakar atau menggunakan mesin pencarik kertas. - Jangan mendedahkan maklumat peribadi yang mungkin anda anggap tidak berisiko kepada pihak yang tidak dikenali. Maklumat seperti tarikh lahir, tempat lahir dan alamat e-mel sering dianggap tidak membahayakan tetapi sebenarnya boleh digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan maklumat yang lebih berharga bagi tujuan mencuri identiti mangsa mereka. KEMAS kini definisi virus pada perisian antivirus sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi mengekang serangan malware dan virus. 4. Phishing: Phishing boleh ditakrifkan sebagai percubaan untuk mendapatkan maklumat seperti ID pengguna, kata laluan dan butiran perbankan dengan menggunakan e-mel yang mempunyai logo bank dan laman web palsu yang menyerupai laman web perbankan yang sebenar dengan tujuan memperdayakan mangsa untuk memasukkan ID pengguna dan kata laluan. Bagaimana mengekangnya? - Sentiasa berwaspada apabila menerima e-mel yang zahirnya kelihatan dihantar oleh pihak bank, penyedia khidmat kewangan dalam talian seperti PayPal atau syarikat perisian yang menawarkan kemas kini kepada perisian anda. - Jangan sesekali memuat turun fail atau melakukan instalasi aplikasi yang dihantar melalui e-mel oleh pihak yang mencurigakan. - Sekiranya anda menerima e-mel yang mengaku pihak bank meminta anda memasukkan ID pengguna dan kata laluan kononnya bagi tujuan verifikasi, Jangan sesekali mengikut arahan tersebut kerana pihak bank tidak akan sesekali meminta pelanggan mereka memasukkan butiran menerusi e-mel. Hubungi pihak bank bagi mengesahkan e-mel yang diterima. - Gunakan laman web yang boleh memeriksa kesahihan dan kebolehpercayaan sesebuah laman web seperti www.scamadviser.com. - Jika anda menerima e-mel yang mengandungi pautan yang kelihatan seperti pautan kepada institusi perbankan dalam talian yang lazim anda gunakan, jangan terus klik kepada pautan tersebut. Sebaliknya, gerakan penunjuk tetikus kepada pautan tersebut dan periksa bahagian bawah sebelah kiri pelayar web anda untuk memeriksa alamat penuh pautan tersebut. - Periksa dengan teliti alamat laman web yang ingin dibuka. Sebagai contoh sekiranya anda ingin membuka laman web www.kosmo.com.my, pastikan ejaan tersebut betul dan menyamai nama entiti laman web tersebut. Terdapat penjenayah yang mendaftarkan alamat laman web yang sekali imbas kelihatan sama, contohnya; www.kosmo.com.my. | ||
| Posted: 19 Feb 2014 04:30 PM PST
DALAM usaha kerajaan menangani peningkatan kos sara hidup yang kini menjadi isu nasional, ada pengguna mengambil inisiatif menanam sayur-sayuran dan herba untuk keperluan sendiri di rumah. Rata-rata pengguna terutama suri rumah mengakui, usaha itu sedikit sebanyak membantu mereka menangani beban sara hidup yang kian meningkat. Aktivis alam sekitar, Ahmad Kamal Mohd. Ali berkata, pengguna yang mengamalkan aktiviti penanaman sayur di rumah dapat mengurangkan 20 peratus perbelanjaan bulanan. "Aktiviti menanam sayur di rumah bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan, tetapi turut membantu memulihkan tanah bebas daripada bahan kimia. "Pada masa sama, kegiatan menanam sayur untuk keperluan sendiri turut membantu melahirkan masyarakat berdikari yang menghasilkan sendiri tanaman mereka dan tidak bergantung kepada faktor luar untuk mendapatkan sayur-sayuran," katanya ketika dihubungi. Beliau yang pernah mengikuti program Pertanian Asli anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggalakkan lebih ramai suri rumah mengamalkan menanam sayur di rumah kerana ia juga boleh dijadikan sebagai aktiviti senaman. Tambah pendapatan Suri rumah, Dalila Md. Dahalan, 40, berkata, aktiviti menanam sayur dan herba di rumah turut membantu menambah pendapatan bulanan hasil jualan sayur-sayuran itu. Ibu kepada seorang anak itu berkata, beliau bersama tujuh jirannya yang lain mengusahakan tanaman sayur seluas 0.4 hektar di kawasan perumahan mereka sejak empat tahun lalu. "Kami belajar cara-cara menanam sayur daripada seorang kenalan yang pernah mengikuti program CAP. Dialah yang mengajar kami cara-cara tanam sayur secara organik dan menghasilkan baja sendiri. "Memang tidak memerlukan modal yang besar. Sayur yang kami dapat pun bukan hanya untuk kegunaan sendiri malah kami boleh menjualnya kepada jiran setempat. Dalam sebulan kami boleh memperoleh RM20," katanya. Dalila berkata, antara sayur yang ditanam ialah bayam, sawi, terung, bendi dan cili. Pada setiap Rabu mereka akan berkumpul membersih dan memantau kawasan kebun itu. Sementara itu, pegawai pendidikan CAP N.V. Subbarow berkata, CAP mengambil inisiatif mengadakan program itu untuk menggalakkan masyarakat menanam sayur-sayuran dan herba sendiri di rumah. Program yang diperkenalkan sejak lapan tahun lalu itu pada mulanya bertujuan mendidik petani mengamalkan pertanian semula jadi dan organik yang lebih sihat. Bagaimanapun, program itu mendapat perhatian daripada golongan suri rumah, pihak sekolah dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu mempelajari cara-cara menanam sayur-sayuran dan herba di rumah. "Kami bukan sahaja mengajar peserta cara-cara menanam sayur malah mengajar mereka menghasilkan baja kompos daripada sisa dapur dan pertanian. Ia bukan sahaja menjimatkan kos malah menghasilkan sayur-sayuran yang lebih segar dan bebas bahan kimia.
"Program ini tidak terhad di Pulau Pinang, kadangkala kami menjelajah ke negeri lain atas jemputan pihak tertentu," katanya. Hakikatnya, mengusahakan kebun secara kecil-kecilan di kediaman sendiri boleh menjadi alternatif bagi masyarakat bandar untuk meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat kebelakangan ini. Tanggapan sukar untuk berkebun di bandar mungkin tidak relevan kerana terdapat beberapa laman web dan akaun Facebook yang menyediakan tip bagi masyarakat bandar berkebun. Antara laman web yang menawarkan panduan dan menyediakan ruang untuk berkongsi maklumat dan bertukar-tukar fikiran bagi mereka yang tinggal di bandar mengusahakan kebun sendiri ialah http://kebunbandar.com, Kelab Kebun Keliling Rumah dan semuamenjadi.blogspot.com. Laman web kebunbandar.com dikendalikan pelajar sarjana muda Sains Hortikultur Universiti Putra Malaysia (UPM) Izham Alias. Laman blog dan akaun facebook berkenaan diwujudkan tahun lalu itu kini mempunyai lebih 640 anggota melalui akaun laman sosial Facebook, Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri. Tanam bawang "Kumpulan sokongan Jom Tanam Sendiri mengumpulkan para peminat yang suka bercucuk tanam di rumah, sama ada rumah teres, banglo, apartmen mahupun kuarters. Kumpulan ini adalah ruang bagi mereka mendapatkan maklum balas, tip dan pandangan berkenaan hortikultur dan perkebunan di Malaysia," kata Izham dalam akaun Facebook itu. Antara maklumat bergambar yang dipaparkan dalam laman web dan akaun Facebook berkenaan ialah kaedah mudah menanam bawang merah di dalam pelbagai bekas di rumah dan menghasilkan sayur tauge di dapur sendiri dengan mencambah kacang hijau. Tip lain yang dimuatkan pelbagai langkah untuk menanam sayur iaitu menyemai benih pada bekas semaian, memastikan pancaran matahari yang bersesuaian untuk pelbagai jenis sayur dan menentukan tanah campuran terbaik untuk menanam sayur di dalam bekas. Satu lagi akaun Facebook yang menggalakkan masyarakat berkebun iaitu Kelab Kebun Keliling Rumah kini mempunyai lebih 4,600 anggota. Antara gambar yang dikongsi di akaun Facebook itu mengenai tip menggunakan bekas kertas meletak telur sebagai tapak semaian benih jagung serta menanam kucai dan terung di rumah. Laman web semuamenjadi.blogspot.com pula mempunyai maklumat bergambar mengenai tanaman kunyit dan sayur bayam. | ||
| 550 jenama produk penjagaan bayi Posted: 19 Feb 2014 04:29 PM PST EKSPO Keibuan yang berlangsung selama tiga hari akan menampilkan beberapa seminar yang bermanfaat untuk ibu bapa, permainan interaktif dan peraduan. EKSPO bayi terbesar di Asia Tenggara, Ekspo Keibuan anjuran HareNet Communications Sdn. Bhd. kembali menghangatkan acara tahunan mereka bermula 28 Februari hingga 2 Mac 2014. Dikenali sebagai ekspo paling pantas berkembang, ia akan merangkumi kawasan pameran seluas 23,469 meter persegi dengan lebih 350 gerai jualan. Seramai lebih 200 peniaga mengambil bahagian mewakili 550 jenama terkemuka dalam produk penjagaan bayi dan kehamilan. Ekspo Keibuan terus memainkan peranan penting sebagai platform sumber yang komprehensif di Malaysia meliputi keseluruhan spektrum penjagaan kelahiran bayi daripada konsep keibubapaan. Ekspo selama tiga hari itu akan menampilkan beberapa seminar yang bermanfaat untuk ibu bapa, permainan interaktif dan peraduan selain menawarkan pelbagai pameran untuk bayi baru lahir, kanak-kanak dan ibu-ibu mengandung. Antara produk yang dijual termasuklah pakaian dan kasut bayi, kereta sorong bayi, produk mandian dan penjagaan kulit. Selain itu, katil, perabot, permainan, cenderamata, produk makanan bayi dan peralatan menyusu serta banyak lagi yang pasti memenuhi keperluan kehamilan dijual di bawah satu bumbung. Hakikatnya, melalui ekspo ini, para pengunjung boleh mendapatkan pelbagai maklumat terkini dan trend pasaran mengenai produk yang diingini. Malah, setiap pempamer yang mengambil bahagian akan melancarkan inovasi dan ciptaan terkini dalam produk dan perkhidmatan bayi. Selain peraduan dan permainan menarik untuk si kecil, pihak penganjur turut menjemput mereka yang pakar dalam bidang masing-masing untuk memberi taklimat dan nasihat berkaitan penyusuan bayi, magis urutan bayi dan tip sihat selepas bersalin. Bagi mereka yang mencari peluang perniagaan secara francais, jangan ketinggalan untuk menghadiri sesi ceramah yang akan diadakan. Sementara itu, bagi pengunjung yang membelanjakan RM100 ke atas dalam satu resit dengan mana-mana pempamer, jangan lupa mendapatkan tiket untuk menyertai cabutan bertuah yang dilaksanakan dua kali hari. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan