Rabu, 9 Januari 2013

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


'Bintang Mencari Bintang' Program Realiti Komedi Di TV3

Posted: 09 Jan 2013 03:54 AM PST

Kumpulan Senario dari kiri Azlee, Lan Pet Pet dan Wahid.
PETALING JAYA: Program terbaharu terbitan TV3 berjudul Bintang Mencari Bintang yang menggilap bakat baru berdasarkan sketsa komedi dan nyanyian tidak mempunyai persamaan dengan program komedi sedia ada.
Penerbit eksekutifnya, Muhamad Suffian Isa berkata, walaupun program berbentuk komedi telah banyak diketengahkan oleh stesen lain namun pihaknya memberi jaminan rancangan realiti itu akan memberikan kelainan.
"Program ini diterbitkan bukan untuk meniru sesiapa dan pengisiannya nanti akan memberikan kelainan kepada penonton.
"Malah pada tahun 2007 kami pernah merancang untuk menerbitkan program pencarian pelawak namun kurang mendapat sambutan," jelasnya.
Suffian ditemui ketika majlis pelancaran program itu dan memperkenalkan barisan para artis yang akan membimbing peserta dalam program tersebut di sini pada Selasa.
Seramai enam orang artis yang dipanggil "sifu" akan menerajui program itu seperti Raja Azura, Senario, Harun Salim Bachik, Zizan Razak, Sabri Yunus dan Afdlin Shauki.
Muhamad Suffian Isa
Dalam pada itu, Suffian berkata, sudah tiba masanya Media Prima mencari pelapis pelawak baru selepas berjaya mencukil nama-nama besar seperti Yassin, Kumpulan Senario dan Saiful Apek.
Kata Suffian, elemen komedi dan nyanyian digabungkan bagi memberikan kelainan selain mencari peserta yang benar-benar berkebolehan dan tidak hanya tertumpu kepada sesuatu perkara sahaja.
Ditanya mengenai pemilihan sifu, Suffian menjelaskan ia dibuat berdasarkan kualiti dan pengalaman luas mereka dalam kedua-dua bidang tersebut.
"Peranan mereka adalah untuk memberikan tunjuk ajar kepada peserta berkaitan bidang seni persembahan, sketsa komedi, nyanyian dan memperlengkapkan diri sebagai penghibur," ujarnya.
Bintang Mencari Bintang bakal memperlihatkan setiap sifu mempunyai dua orang peserta yang dibahagikan kepada dua kumpulan dan mereka akan bersaing antara satu sama lain bagi merebut gelaran juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM200,000.
Bagi uji bakat yang bakal bermula pada 19 Januari ini, dua nama besar iaitu Fauziah Ahmad Daud dan Ajai akan memilih peserta yang berkelayakan ke pusingan seterusnya sebelum dipilih oleh enam sifu sebagai anak didik mereka.
Afdlin Shauki
Peserta hendaklah berusia 18 hingga 28 tahun, lelaki atau perempuan, solo atau berkumpulan (tidak melebihi dua orang). Mereka yang memiliki bakat melawak dan menyanyi digalakkan hadir untuk uji bakat.
Berikut adalah tarikh dan lokasi uji bakat:
1) 19 & 20 Januari 2013 - AEON Seberang Prai City, Pulau Pinang.
2) 26 & 27 Januari 2013 - Centerpoint Kota Kinabalu, Sabah.
3) 2 & 3 Februari 2013 - Boulevard Kuching, Sarawak.
4) 8 & 9 Februari 2013 - Kota Bharu Trade Centre, Kelantan.
5) 16 & 17 Februari 2013 - Plaza Angsana, Johor Bahru
6) 23 & 24 Februari 2013 - AEON AU2 Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Pelawak Wanita Kurang Kerana Tiada Keyakinan - Raja Azura

Posted: 09 Jan 2013 03:54 AM PST

Raja Azura
PETALING JAYA: Penyampai radio Sinar FM dan pengacara Raja Azura berpendapat kaum wanita di negara ini tiada keyakinan dan bimbingan yang menjadi punca pelawak golongan itu berkurangan.
Katanya, walaupun pelbagai platform telah disediakan bagi mencungkil lebih ramai pelawak tetapi ia tetap tidak mendapat sambutan kaum wanita.
"Apabila saya diminta menjadi salah seorang "sifu" rancangan Bintang Mencari Bintang, ia amat membuatkan saya teruja kerana saya benar-benar mahu melihat lebih ramai wanita menjadi pelawak.
"Zaman kehebatan pelawak wanita seperti Yusni Jaafar, Kartina Aziz dan beberapa nama besar lain perlu dibangkitkan semula," katanya pada pelancaran program realiti terbaharu terbitan TV3 iaitu Bintang Mencari Bintang di sini pada Selasa.
Selain Raja Azura, lima lagi artis yang turut dipilih untuk membimbing peserta program itu adalah Sabri Yunus, Harun Salim Bachik, Senario, Afdlin Shauki dan Zizan Razak.
Dalam pada itu, Raja Azura berkata, dia turut berasa gementar dengan tanggungjawab tersebut kerana ia merupakan tugas berat.
Bagaimanapun dia yakin dapat melahirkan seorang bintang yang bukan sahaja boleh melakukan komedi pentas dan menyanyi sebaliknya seorang penghibur berkaliber.
"Tugas saya sangat berat kerana perlu mendidik seorang pelapis baru yang saya mahu suatu hari nanti bukan sahaja boleh buat lawak dan menyanyi tetapi juga berlakon dan mengacara.
"Malah saya mahu individu itu nanti bukan sahaja berbakat tetapi juga akan diingati dalam jangka masa panjang di dalam industri," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Raja Azura diberi tanggungjawab sebagai pengacara musim terbaharu Kilauan Emas yang akan diadakan pada Mac depan.
Dia juga merupakan pengacara Primadona terbitan Astro.

Hetty Koes Endang Akui Terlalu Cintakan Malaysia

Posted: 09 Jan 2013 03:53 AM PST

Hetty Koes Endang
KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor Indonesia, Hetty Koes Endang mengakui terlalu mencintai Malaysia sehingga menganggap negara ini sebagai rumah keduanya.
Hetty atau nama sebenarnya Hetty Madewy Endang, 55, berkata, hampir setiap bulan dia berulang alik dari Indonesia ke Kuala Lumpur untuk bertemu rakan-rakan artis selain memenuhi undangan persembahan nyanyian.
"Malaysia sudah menjadi rumah kedua saya. Negara ini terlalu banyak memberikan kenangan serta pelbagai nostalgia kepada saya.
"Bayangkan, saya sanggup terbang ke Malaysia apabila terasa rindu atau teringin mahu datang.
"Lebih-lebih lagi saya juga mempunyai ramai rakan karib dalam industri muzik untuk kami bertemu dan berborak mengenai kerja-kerja seni," katanya.
Tambah Hetty, anak sulungnya iaitu Ameer Mahmed, 18, juga dilahirkan di Malaysia dan ia lebih mendekatkan jiwanya di negara ini.
Sementara itu, Hetty mengakui di Indonesia sudah hampir empat tahun dia menolak undangan mengadakan persembahan kerana terlalu sibuk menguruskan perniagaan galeri perabot antik.
"Sudah tiba masanya saya mengurangkan aktiviti seni dan menceburi bidang lain pula.
"Alhamdulillah, perniagaan perabot kami mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Ia merupakan perabot keluaran kayu yang melebihi usia 100 tahun," ujarnya.
Bagaimanapun, Hetty belum merancang untuk memasarkan perabot antiknya itu di negara ini.

Anzalna punya azam baru 2013

Posted: 09 Jan 2013 03:52 AM PST


Anzalna
Anzalna
TIDAK pernah berhasrat untuk mencipta kontroversi untuk menapak dalam industri hiburan, namun itulah yang harus ditempuhi pelakon Anzalna Nasir.

Namun, kontroversi demi kontroversi yang menghambat dirinya berjaya meletakkan Anzalna sebagai pendatang baru yang digeruni.

Menganggap kontroversi yang timbul sebagai rencah dalam dunia seni, Anzalna berharap agar lembaran tahun baru ini lebih bermakna tanpa kontroversi.

Malah, tegas Anzalna yang memiliki darah kacukan Cina Punjabi ini, peristiwa pahit manis di tahun lalu dijadikan sebagai pengajaran dan lipatan kenangan.

Enggan ulangi kesilapan lalu, pelakon filem Sepah The Movie, ini juga mempunyai perancangan dan azam tersendiri di lembaran 2013.

"Alhamdulillah, syukur dengan rezeki yang diterima. Untuk tahun ini, saya ingin mencapai beberapa perkara yang saya idamkan.

"Selain memperbanyakkan kerja amal, saya berimpian untuk menghantar ibu bapa menunaikan haji di Kota Suci.

"Ia adalah tanda penghargaan kepada ibu bapa saya yang banyak menyokong saya setiap masa. Jika ada rezeki lebih, saya ingin kumpul harta misalnya memiliki rumah," katanya yang fasih berbahasa Perancis.

Nilai bakat , buka kontrovers i

Tidak menafi kan, tawaran dan perhatian yang diperoleh sedikit sebanyak berkaitan kontroversi, namun Anzalna enggan dilabel sebagai artis kontroversi.

"Saya tidak mahu dikenali sebagai artis yang bermasalah dan meraih cerita yang menimbulkan kontroversi.

"Sejak awal lagi, saya berjanji dengan diri sendiri yang saya tidak akan sesekali terlibat dalam perkara yang tidak mendatangkan kebaikan.

"Namun, tanpa dipinta, ia turut  mengheret saya dalam situasi ini. Saya berharap, masyarakat tidak menilai saya dari sudut itu, namun berbicaralah mengenai bakat saya dalam industri," katanya yang enggan membuka dan bercerita mengenai kisah lama.

"Biarlah ia menjadi pengajaran buat saya dan apa yang pasti, setiap yang berlaku, pasti ada hikmahnya," tegas Anzalna.

Peniaga runcit cedera ditetak dua penyamun

Posted: 09 Jan 2013 03:48 AM PST


Peniaga runcit cedera ditetak dua penyamun
Aksi dua suspek menyerang mangsa yang berjaya dirakam oleh CCTV yang dipasang di kedai runcit dalam kejadian samun di Taman Sungai Siput, kelmarin.
Peniaga runcit cedera ditetak dua penyamun
Aksi dua suspek menyerang mangsa yang berjaya dirakam oleh CCTV yang dipasang di kedai runcit dalam kejadian samun di Taman Sungai Siput, kelmarin.
SUNGAI SIPUT – Seorang peniaga runcit cedera di kepala akibat ditetak dua lelaki dalam satu kejadian samun di Taman Sungai Siput di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa, H Cheng, 63, bersama isterinya yang enggan dikenali didatangi dua lelaki yang memasuki kedai sambil memegang parang berpura-pura membeli sekotak rokok dan bertanyakan arah jalan di kawasan Sungai Siput.

"Leka melayan pertanyaan lelaki itu, rakannya tiba-tiba mengacu parang dan mengugut mencederakan kami jika enggan serahkan wang tunai.

"Saya beritahu tidak ada banyak wang. Berang dengan jawapan saya, mereka menyerang dengan parang dan memaksa kami serahkan wang yang ada," katanya di sini, semalam.

Cheng berkata, panik dengan keadaan itu, mangsa ditumbuk penjenayah terbabit menyebabkan berlakunya pergelutan di dalam kedai.

"Ketika itulah, kepala saya di tetak sebelum pengsan. Sebelum melarikan diri, mereka sempat mengambil wang di kaunter jualan," katanya.

Mangsa dibantu oleh jirannya mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Siput dan menerima 20 jahitan di kepala.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Azman Salim berkata, dua suspek sedang dikenal pasti berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Gerakan mengesan suspek yang berusia lingkungan antara 20-an itu sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 935/937 kanun Keseksaan iaitu samun mendatangkan kecederaan," katanya.

Imran lebih selesa solo

Posted: 09 Jan 2013 03:43 AM PST

IMRAN mahu mengharungi tahun 2013 dengan penuh semangat jitu.


PERCINTAAN yang pernah terjalin antara penyanyi Imran Ajmain dengan Siti Saerah kira-kira tiga tahun lalu sudah tersimpan dalam lipatan sejarah masing-masing.
Imran yang pernah menjalin hubungan cinta dengan adik kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza itu telah berumah tangga, manakala Imran pula terus kekal solo sehingga kini.
Sewaktu ditemui semasa majlis pelancaran single dan MTV Karaoke lagu berjudul Dikalung Kasihan menjelaskan dia seboleh-bolehnya tidak mahu lagi terus mengenang apa yang telah berlaku dahulu.
"Rasanya saya tidak perlu terus menanamkan rasa kecewa dalam diri terhadap peristiwa lalu memandangkan matlamat utama saya sekarang mahu fokus dan serius dalam kerjaya.
"Biarlah ia menjadi sebahagian daripada sejarah dalam hidup saya. Buat masa ini saya lebih selesa dengan kehidupan sekarang tanpa memiliki teman wanita," ujar penyanyi kelahiran Hougang, Singapura itu.
Ketika ditanya sama ada kegagalan percintaan lalu membuatkan dirinya sudah serik bercinta, Imran menyatakan ia bukanlah menjadi penyebab untuk dia langsung tidak menjalinkan sebarang hubungan cinta dengan mana-mana wanita.
Ujarnya, selepas putus cinta dengan Siti Saerah dahulu pernah juga dia menjalinkan percintaan dengan gadis lain. Namun begitu, hubungan mereka tidak berkekalan lama.
"Sebenarnya saya pernah bercinta dengan seorang gadis Malaysia, tetapi semakin lama kami mengenali diri masing-masing saya sedar kami tidak sesuai untuk terus menjalinkan hubungan ke peringkat yang lebih serius.
"Sejujurnya saya tidak ada masalah menjalinkan hubungan dengan mana-mana wanita, cuma buat masa ini saya masih lagi dalam proses mencari seseorang yang sesuai dengan diri saya," jelasnya yang bakal mencecah usia 32 tahun pada April ini.
Bagaimanapun, penyanyi berkenaan menjelaskan dia tidak meletakkan sebarang sasaran usia untuk mendirikan rumah tangga dan menganggap usia itu tidak lebih daripada sekadar angka.
"Kalau boleh saya ingin memiliki anak sebelum usia saya menjelang tua. Saya tidak mahu orang tersalah anggap dan menyangka saya menghantar cucu pula ke sekolah nanti," selorohnya.
Menurut Imran, ketika ini dia tidak mahu terlalu memikirkan sangat mengenai kehidupan peribadi dan mahu terus berusaha mengembangkan kerjaya nyanyiannya.
"Kerjaya saya sebagai penyanyi bermula agak lewat iaitu ketika usia saya sudah mencecah 26 tahun. Jadi, saya perlu berusaha dengan lebih keras kerana terpaksa bersaing dengan penyanyi yang lebih muda.
"Lagipun nyanyian merupakan sebahagian daripada kehidupan saya memandangkan banyak pengorbanan yang harus saya lalui seperti meninggalkan tanah air, keluarga dan rakan-rakan semata-mata mengejar impian menjadi penyanyi yang hebat," ujarnya.
Berhenti merokok
Ditanya mengenai kejayaan yang pernah diraihnya sepanjang tahun lalu, Imran memberitahu salah satunya ialah apabila akhirnya dia berjaya berhenti merokok.
Mengakui mula merokok sejak berusia 14 tahun, penyanyi itu menyatakan kali terakhir dia merokok adalah pada 28 Februari 2012 selepas membuat persembahan di sebuah acara di Pavilion.
"Pada tarikh tersebut saya tidak dapat menyanyi dengan sempurna kerana kurang sihat, namun saya masih tetap menerima ajakan seorang rakan untuk merokok selepas membuat persembahan.
"Kemudian setelah asyik terbatuk-batuk semasa merokok, tiba-tiba terdetik di hati saya supaya terus berhenti. Jadi, itulah kali terakhir saya merokok," jelasnya.
Ujar Imran, sebelum ini sudah beberapa kali cuba berhenti merokok, tetapi selalu sahaja gagal. Dia hanya berhenti sementara apabila kurang sihat dan akan sambung semula dua atau tiga hari selepas sembuh.
Bagaimanapun, pada peringkat awal dia merahsiakan tindakannya itu daripada pengetahuan ramai terutama peminat dan mendedahkannya selepas 100 hari.
"Menerusi laman sosial Twitter saya akan menulis 'hari pertama', 'hari kedua' sehinggalah 'hari ke-100' sehingga menimbulkan pertanyaan ramai pihak.
"Sehinggakan ada yang sangka saya sedang mengira hari untuk tarikh pelancaran album. Lebih kelakar lagi ada juga yang menyangka saya mengira hari mendirikan rumah tangga," ujarnya.
Album amal
Sempena dengan kehadiran tahun 2013, sudah terdapat beberapa perancangan yang akan dilakukan oleh Imran dalam usahanya untuk terus bertapak kukuh dalam industri nyanyian.
Antaranya, dia akan melancarkan dua buah album pada tahun ini dan salah satu daripadanya sudah pun siap sepenuhnya dan kini sedang menunggu tarikh yang sesuai untuk dilancarkan.
"Saya meletakkan judul album tersebut iaitu Alunan Kasih (Menghargai Wanita) dan mengandungi sebanyak lapan buah lagu. Ia merupakan sebuah lagu pop dan lirik-lirik lagu tersebut ditujukan khas kepada mereka yang bergelar ibu, kakak atau adik.
"Bagi saya album ini sangat istimewa kerana ia terhasil dengan kerjasama Masjid An-Nur di Woodlands, Singapura. Sebahagian daripada kos penerbitannya turut disumbangkan oleh masjid berkenaan," jelasnya.
Menurut Imran, dia juga tidak mengambil sebarang keuntungan daripada penjualan album berkenaan kerana ia akan digunakan sepenuhnya untuk perbelanjaan baik pulih masjid tersebut.
"Album ini saya anggap sebagai satu hadiah tersendiri kepada para peminat saya terutama yang berada di Singapura memandangkan saya kini sudah bermastautin secara tetap di Malaysia," ujarnya.

Saya tidak letak harga - Najwa

Posted: 09 Jan 2013 03:43 AM PST


NAJWA gagal membebaskan dirinya daripada berterusan dilanda gosip-gosip negatif.


PENYANYI yang popular dengan lagu Cinta Muka Buku ini nampaknya tidak dapat membebaskan dirinya daripada dilanda kontroversi bersiri.
Selepas isu dirinya digelarkan sebagai anak derhaka oleh bapanya sendiri, Abdul Latif Ismail seperti yang tersiar dalam sebuah akhbar baru-baru ini, timbul pula pelbagai tanggapan negatif kepada penyanyi kelahiran YouTube ini.
Terkini, Najwa Latif, 17, terpalit lagi dengan isu bahawa dia sudah pandai meletakkan harga tertentu untuk membuat persembahan di mana-mana majlis.
Selain itu, dia juga dikatakan tidak lagi mahu membuat persembahan yang mempunyai bajet kecil di samping meletakkan syarat-syarat tertentu sebelum menerima tawaran yang memerlukan dia membuat persembahan. Turut menjadi isu apabila Najwa juga dikatakan kini sudah mempunyai teman lelaki.
Ketika ditemui selepas membuat persembahan pada Festival Pengantin Malaysia di Setia City Convention Centre, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Najwa menjelaskan mengenai beberapa kontroversi terbaharu mengenai dirinya itu.
Kosmo!: Benarkah dakwaan bahawa Najwa sekarang sudah letak harga untuk setiap persembahan anda?
NAJWA: Dakwaan itu tidak benar sama sekali. Saya tidak pernah buat begitu.
Jadi, apakah yang sebenarnya berlaku?
Saya pun tidak tahu macam mana orang boleh cakap begitu, sebab memang saya tidak pernah buat macam itu.
Berapakah nilai Najwa untuk membuat persembahan sebenarnya?
Saya tidak pernah letak sebarang harga setakat ini. Saya bukan jenis macam itu, sesiapa yang hendak jemput saya menyanyi, saya ikut bajet mereka. Kami sedia berunding, bajet RM500 pun saya ambil.
Adakah selama ini, Najwa tidak pernah meletakkan sebarang harga seperti yang dilakukan oleh kebanyakan penyanyi lain?
Ya, sesiapa yang mahu jemput saya, mereka boleh bincang, saya tiada masalah. Saya akan membuat persembahan ikut bajet mereka, jadi tidak timbul isu saya letak harga.
Mengenai kontroversi lain pula, adakah benar dakwaan bapa Najwa dalam sebuah program hiburan baru-baru ini bahawa anda menipu tidak mahu ke sekolah sebaliknya pergi tengok wayang sehingga awal pagi?
Tahun 2013 saya mahu buka buku baharu hendak lupakan perkara lepas, ini hal keluarga, saya tidak mahu cerita apa-apa.
Namun disebabkan Najwa seorang penyanyi yang sudah mencipta nama, ia telah menjejaskan nama baik anda, bolehkah jelaskan sedikit?
Apa yang boleh saya cakapkan, dakwaan itu tidak benar.
Selepas kontroversi tersebut, apakah penerimaan Najwa apabila ada peminat yang melabelkan anda seorang yang jahat?
Pada saya jahat adalah subjektif, biarlah apa orang nak cakap, cukup apabila ibu dan ayah saya tahu apa yang berlaku.
Bagaimana pula dengan gosip yang mendakwa Najwa kini sudah mempunyai teman lelaki sekarang?
Saya ramai kawan lelaki tetapi tiada yang istimewa. Saya lebih suka berkawan dengan semua orang, lagi pun ibu saya tidak galakkan lagi sebab umur saya masih muda lagi.
Adakah tahun 2013 akan ada album atau single baharu Najwa?
Saya sedang mengumpul bahan untuk album baharu. Lagu-lagu saya nanti akan berbentuk lebih matang berbanding lagu sebelum ini tetapi imej Najwa Latif masih ada.

Empat polis pengiring disiasat

Posted: 09 Jan 2013 03:42 AM PST


ANGGOTA polis melakukan sekatan jalan di Lunas semalam bagi memburu penjenayah yang melarikan diri.


BUTTERWORTH – Empat anggota polis pengiring yang membawa sembilan orang kena tahan (OKT) termasuk tujuh daripadanya berjaya meloloskan diri di Butterworth kelmarin sedang disiasat berhubung kejadian itu.
Keempat-empat anggota polis Unit Pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara itu diperlukan untuk membantu siasatan termasuk jika berlaku eleman kecuaian sehingga menyebabkan tujuh daripada sembilan penjenayah yang diklasifikasi sebagai berbahaya itu lari.
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan ke atas keempat-empat anggota polis yang berpangkat Koperal dan Konstabel itu.
"Buat masa ini anggota polis terbabit belum ditahan kerja tetapi jika sah ada elemen mereka cuai mereka akan ditahan kerja," kata beliau.
Difahamkan semasa kejadian empat anggota polis terbabit tidak membawa pistol.
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi kelmarin, sembilan tahanan yang dalam perjalanan ke Kompleks Mahkamah Butterworth menaiki sebuah van untuk dituduh dan direman melarikan diri selepas membelasah empat anggota polis yang mengiringi mereka.
Kejadian itu berlaku dua kilometer dari Kompleks Mahkamah Butterworth.
Setakat semalam, belum ada OKT yang melarikan diri berjaya ditahan. Tujuh OKT yang ditahan itu ada antara mereka membabitkan kes bunuh, rompakan berkumpulan dan mendatangkan cedera.
Terdahulu, Abdul Rahim berkata, gerakan memburu penjenayah itu membabitkan 220 anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Udara Polis Diraja Malaysia.
Operasi memburu penjenayah itu meliputi kawasan seluas kira-kira 30 kilometer persegi dari lokasi kejadian dengan melibatkan kawasan sekitar Sungai Dua, Kepala Batas, Bukit Mertajam dan Lunas.
Kata beliau, tumpuan kawasan pemburuan meliputi kawasan ladang-ladang kelapa sawit serta kampung-kampung.
"Polis yakin OKT yang lari itu masih berada di sekitar Tasek Gelugor dan kita membuat sekatan jalan di seluruh kawasan itu sejak semalam (kelmarin) bagi memeriksa setiap kenderaan," kata beliau kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Li Tek A di sini.
Abdul Rahim berkata, polis juga masih menyiasat bagaimana OKT terbabit mendapat serbuk kari yang dilemparkan ke muka anggota polis pengiring.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! di beberapa kawasan perumahan tidak jauh dari lokasi penjenayah melarikan diri rata-rata menyuarakan rasa bimbang dengan kejadian tersebut.
Seorang penduduk, Mohd. Hamid Idris, 45, dari Padang Menora di sini berkata, sejak kejadian itu, dia tidak berani keluar jauh dari rumahnya kerana bimbang terserempak dengan penjenayah yang melarikan diri itu.
"Saya juga takut jika penjenayah itu memecah masuk rumah saya untuk mencari perlindungan," kata Hamid.
Pekerja ladang, M. Mohan pula berkata, sejak kejadian itu dia dan keluarganya lebih berhati-hati dan berharap polis segera dapat memberkas penjenayah itu.

Tarian lucah cemari majlis polis

Posted: 09 Jan 2013 03:41 AM PST


GAMBAR menunjukkan tiga individu berpakaian menjolok mata sambil melakukan tarian lucah pada satu majlis anjuran polis Shah Alam di sebuah hotel Jumaat lalu kini tersebar di laman sosial Facebook dan blog.


SHAH ALAM – Majlis tertutup untuk meraikan bakal pesara, pegawai dan anggota polis berpangkat rendah daerah ini yang akan bertukar dicemari insiden memalukan apabila tiga lelaki yang memakai pakaian dalam wanita melakukan aksi tarian separuh bogel Jumaat lalu.
Kejadian itu mengejutkan warga polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Shah Alam kerana difahamkan persembahan yang sepatutnya diadakan di sebuah hotel terkemuka di Selangor itu berbentuk tarian tradisional.
Bertemakan Majlis Malam Mesra, Sekalung Budi, Segunung Intan, majlis itu hanya dihadiri oleh anggota dan pegawai polis Shah Alam dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah itu sebagai orang kenamaan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, insiden itu telah mencetuskan kontroversi apabila gambar memalukan itu tersebar di laman sosial Facebook dan blog sehingga mendapat kritikan pelbagai pihak.
Katanya, siasatan mendapati, tarian separuh bogel itu bukan sahaja langsung tidak termasuk dalam aturcara majlis malah, ia tidak ditempah dan tidak diadakan ketika sesi raptai serta latihan.
"Tarian itu dipersembahkan secara tiba-tiba dan penari terbabit pula merupakan golongan lelaki yang memakai pakaian dalam wanita. Ia berlaku secara mengejut dan spontan tanpa izin penganjur.
"Kita sedang menyiasat mengapa dan bagaimana ia boleh berlaku dan siapa yang bertanggungjawab. Penganjur telah membuat aduan kepada pihak pengurusan hotel pada malam itu juga dan saya sedang membuat pertanyaan sulit mengenainya," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, majlis tertutup itu diadakan untuk meraikan bakal pesara, pegawai dan anggota polis pangkat rendah daerah ini yang akan bertukar tempat bertugas.
Menurut Zahedi, Polis Diraja Malaysia selama ini tidak pernah menganjurkan acara tidak bermoral seperti itu yang nyata bertentangan dengan agama Islam dan budaya pasukan keselamatan itu.
Tinjauan Kosmo! mendapati, gambar tersebut jelas memaparkan imej tiga individu memakai rambut panjang, seluar dalam dan coli sedang menari dalam aksi ghairah berlatarbelakangkan tulisan Majlis Malam Mesra, Sekalung Budi, Segunung Intan Polis Shah Alam.
Gambar tersebut menerima kecaman pelbagai pihak. Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah melalui akaun Facebook peribadinya melahirkan rasa terkejut melihat gambar itu.
Tun Hisan menyatakan polis tidak sesekali menyokong kemungkaran sebegitu dan akan menyiasat kejadian berkenaan.

Dua penjenayah Geng Zawa dipenjara, sebat

Posted: 09 Jan 2013 03:40 AM PST

ENGKU ASMAWI dan Azman dijatuhi hukuman penjara dan sebat oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas semalam.


PASIR MAS - Dua anggota penjenayah Geng Zawa dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan merompak seorang pekerja sebuah stesen minyak menggunakan sepucuk pistol di sini pada November lalu.
Hakim Irwan Suainbon menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Engku Asmawi Engku Harun, 25, dan Azman Mat Yusoff, 38, selepas kedua-dua tertuduh itu mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Engku Asmawi dan Azman didakwa melakukan rompakan secara berkumpulan ke atas Rosmalinda Ahmad, 27, dengan melarikan sebuah telefon bimbit Samsung Galaxy Y milik mangsa dan wang tunai hasil jualan minyak sebanyak RM2,800 menggunakan sepucuk pistol revolver .38 di sebuah stesen minyak di sini pada pukul 2.30 petang, 23 November lalu.
Engku Asmawi dari Pasir Mas dan Azman dari Bachok didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebat.
Mengikut fakta kes, semasa kejadian, mangsa sedang bekerja di pam minyak sebelum didatangi sebuah kereta Proton Wira dinaiki dua lelaki yang berhenti di pam minyak tempat mangsa bertugas sebelum merompak mangsa dan wang di kaunter minyak itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mariah Omar manakala tertuduh-tertuduh tidak diwakili peguam.
Irwan memerintahkan tertuduh-tertuduh menjalani hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh semalam.
Engku Asmawi dan Azman merupakan penjenayah yang menganggotai Geng Zawa yang banyak terlibat dalam kes-kes rompakan dan curi kenderaan di negeri ini.
Ketua penjenayah kumpulan itu yang dikenali sebagai Zawa Abd. Halim, 34, dari Pasir Mas yang mempunyai sembilan rekod jenayah mati ditembak polis di Kilometer 45 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Kampung Kemuning, Machang pada 31 Oktober tahun lalu.
Zawa menjadi buruan polis selepas dia mencederakan seorang anggota polis di Paloh, Gua Musang ketika kereta Perodua Myvi milik sepasang suami isteri yang dilarikan cuba diperiksa oleh anggota polis terbabit sehari sebelum itu.

Penduduk berang lori guna jalan perumahan

Posted: 09 Jan 2013 03:37 AM PST


PENDUDUK Taman Desa Aman dan Taman Sungai Lalang berkumpul
secara aman membantah penggunaan jalan oleh lori-lori di taman
perumahan mereka di Sungai Petani kelmarin.


SUNGAI PETANI - Seramai 200 penduduk Taman Desa Aman dan Taman Sungai Lalang di sini mengadakan bantahan secara aman kelmarin kerana marah dengan tindakan sebuah kilang memproses kelapa sawit membenarkan lori-lori miliknya berulang alik di jalan taman berkenaan setiap hari yang didakwa membahayakan keselamatan mereka.
Penduduk mendakwa, lori muatan 10 tan itu menggunakan jalan di taman perumahan terbabit mulai awal pagi hingga ke petang mengangkut keluar hampas kelapa sawit dan kayu sejak lima tahun lalu.
Menurut penduduk, masalah itu berlaku sejak lima tahun lalu tetapi semakin buruk apabila berlaku kemalangan membabitkan kematian anak seorang penduduk di situ dengan lori berkenaan baru-baru ini.
Wakil penduduk, Azizan Darus (gambar kecil), 53, mendakwa, penduduk bimbang dengan keselamatan mereka memandangkan lori-lori terbabit dipandu secara laju setiap kali melalui kawasan perumahan itu.
"Sepatutnya masalah ini sudah lama diselesaikan oleh pihak berkuasa dan apabila berlaku kematian anak seorang penduduk baru-baru ini, kami terpaksa mengadakan bantahan ini.
"Perkara begini tidak boleh lagi dibiarkan. Pihak kilang dapat untung lumayan daripada perniagaan yang dijalankan tetapi penduduk hidup dalam kebimbangan," katanya ketika ditemui.
Menurutnya, selain isu keselamatan penduduk, penduduk juga terpaksa menghidu bau busuk daripada bahan-bahan yang dikeluarkan oleh kilang tersebut setiap kali musim hujan.
Tegasnya, penduduk memberi tempoh sehingga 13 Januari ini kepada pengusaha kilang terbabit agar mencari jalan lain dan tidak membenarkan lagi lori-lori melalui jalan perumahan tersebut.
Penduduk Taman Desa Aman, Abdul Rahman Abdullah, 46, pula berkata, pihak berkuasa mesti mengambil tindakan segera dengan tidak membenarkan lagi kenderaan berat melalui kawasan perumahan mereka.
"Penduduk tidak puas hati sebab perkara ini sudah lima tahun berlaku tetapi semakin lama semakin teruk.
"Kalau boleh carilah laluan lain. Kami tidak larang pihak berkenaan untuk menjalankan perniagaan tetapi kawasan perumahan adalah tempat kediaman," tegasnya.
Sementara itu, pengusaha kilang terbabit yang mahu dikenali sebagai Lim berkata, dia bersimpati dengan masalah yang dihadapi penduduk dan berjanji akan berusaha menyelesaikannya segera.
Jelasnya, dia tidak mempunyai pilihan selain menggunakan laluan taman perumahan terbabit memandangkan tiada jalan alternatif untuk ke kilangnya yang terletak berhampiran taman berkenaan.
"Memang tiada jalan lain untuk ke kilang saya tetapi saya akan fikir kemungkinan untuk memindahkan kilang ke tempat lain," katanya.

Aktivis tentang cadangan undang-undang membonceng

Posted: 09 Jan 2013 03:35 AM PST



DUA orang wanita membonceng dua buah motosikal di Banda Aceh semalam.


JAKARTA - Seorang anggota kumpulan hak asasi manusia semalam menggesa pemerintah Indonesia untuk menyekat cadangan pelaksanaan undang-undang yang melarang wanita daripada duduk seperti lelaki ketika membonceng motosikal bersama kaum Adam di bandar Lhokseumawe, Aceh.
Wanita-wanita yang duduk dengan mengangkang kaki mereka itu dianggap sebagai posisi yang tidak sopan.
Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang syariah.
Datuk Bandar Lhokseumawe, Suaidi Yahya pada Isnin lalu mengedarkan surat penjelasan tentang perlunya undang-undang tersebut dilaksanakan.
Menurutnya, ia bertujuan untuk mengelak perbuatan yang tidak bermoral.
Bagaimanapun, seorang aktivis hak-hak wanita, Roslina Rasyid berkata, pelaksanaan itu akan menyebabkan ciri-ciri keselamatan semasa menunggang motosikal telah diabaikan.
Beliau merupakan anggota Persatuan Bantuan Guaman Wanita Indonesia.

Australia alami suhu terlalu panas

Posted: 09 Jan 2013 03:34 AM PST



SEORANG lelaki mandi untuk menyejukkan dirinya di sebuah air pancut di tengah Sydney semalam.


SYDNEY - Suhu panas ekstrem di Australia memaksa biro cuaca kerajaan meningkatkan skala suhunya semalam dengan beberapa warna baharu digunakan dalam peta iklim untuk ramalan cuaca pada minggu depan.
Kawasan Australia Tengah dilitupi warna ungu dalam peta ramalan cuaca untuk Isnin depan dengan warna tersebut membayangkan suhu diramal melonjak lebih 50 darjah Celsius.
Ketua Ramalan dan Pemantauan Iklim Biro Meteorologi, berkenaan, David Jones berkata, skala itu yang turut menampilkan merah jambu untuk suhu antara 52 darjah Celsius hingga 54 darjah Celcius.
Ramalan itu membayangkan rekod lama suhu panas akan dipecahkan.
"Skala ini meningkat pada Selasa lalu manakala ramalan cuaca menunjukkan suhu akan meningkat melebihi 50 darjah Celcius," kata Jones kepada akhbar tempatan, Fairfax.
Suhu paling panas pernah direkodkan di Australia ialah 50.7 darjah Celsius yang dicatat pada Januari 1960 di Oodnadatta, di negeri Australia Selatan.
Keseluruhan negara ini mengalami hari yang paling panas kelmarin dengan purata suhu maksimum mencecah 40.33 darjah Celcius sekali gus mengatasi rekod catatan 40.17 darjah Celcius pada tahun 1972.
Ekoran cuaca panas itu, lebih 100 kebakaran dilaporkan berlaku di New South Wales.

Teleskop NASA kesan 461 planet baharu

Posted: 09 Jan 2013 03:33 AM PST



LAKARAN artis menunjukkan beberapa planet yang dikesan teleskop kapal angkasa Kepler.


CAPE CANAVERAL, Florida - Teleskop kapal angkasa Kepler milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengesan 461 lagi planet baharu, kata seorang saintis, Christopher Burke kelmarin.
Menurutnya, kebanyakan planet itu menyamai saiz Bumi.
Bagaimanapun, katanya, terdapat sebahagian planet itu yang mempunyai saiz beberapa kali ganda lebih besar berbanding Bumi.
Pengumuman itu menjadikan sebanyak 2,740 planet mungkin boleh diduduki manusia.
"Dua tahun lalu, kami mempunyai sekitar 1,200 calon planet (yang mungkin boleh diduduki). Setahun kemudian, kami menambah sejumlah besar planet baharu," kata Burke pada satu sidang media di Long Beach, California.
Antara penemuan baharu itu termasuk sebuah planet bersaiz 1.5 kali ganda lebih besar berbanding Bumi.
Planet itu mengelilingi matahari dalam kitaran orbit lengkap 242 hari.

Termometer tertinggi di dunia menanti pembeli

Posted: 09 Jan 2013 03:32 AM PST



SEBUAH trak melintasi termometer tertinggi di dunia di Baker, California kelmarin.


BAKER, Amerika Syarikat - Sebuah termometer paling tinggi di dunia yang terletak di sini kini ditawarkan kepada orang ramai yang berminat untuk membelinya pada harga AS$1.75 juta (RM5.32 juta).
Pemilik termometer itu, Matt Pike dari daerah Orange membelinya daripada seorang rakan perniagaan restoran Bun Boy pada tahun 2005.
Termometer itu dibina oleh Willis Herron yang juga pemilik bersama restoran tersebut pada tahun 1991.
Pike yang merupakan pemilik restoran Bob's Big Boy menyatakan, bil lampu termometer itu ialah AS$8,000 (RM24,336) sebulan.

Kereta elektrik Kemboja dipamerkan

Posted: 09 Jan 2013 03:32 AM PST



kereta Angkor EV 2013 dipamerkan di sebuah bilik pameran di Phnom Penh semalam.


PHNOM PENH - Sebuah kereta elektrik buatan Kemboja yang diberi nama Angkor EV 2013 dipamerkan di sebuah bilik pameran di sini semalam. Kereta itu dikeluarkan sebuah firma tempatan, Syarikat Pembangunan Heng di daerah Takhmao, dalam wilayah Kandal. Ia mempunyai kelajuan maksimum 60 kilometer sejam. Reka bentuk kenderaan tersebut dihasilkan seorang penduduk tempatan, Nhean Phaloek.


BUTANG menghidupkan enjin terletak berhampiran stereng kereta.


Menurut Ketua Pengarah Syarikat Pembangunan Heng, Sieng Chan Heng, kereta elektrik itu bakal popular dalam kalangan pembeli tempatan kerana harganya yang berpatutan. "Harga kereta itu kurang AS$10,000 (RM30,430)," kata Chan Heng. Menurutnya, kereta itu juga akan membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar. Beliau berkata, kereta tersebut juga akan dapat mengurangkan penggunaan minyak.

Polis rampas senjata disaluti emas, berlian

Posted: 09 Jan 2013 03:31 AM PST



SEORANG anggota polis menunjukkan selaras senjata api AK-47 bersalut emas yang dihiasi batu berlian dan zamrud di Ciudad Jardin de Choloma pada Sabtu lalu.


TEGUCIGALPA, Honduras - Pihak berkuasa merampas selaras senjata api AK-47 yang disaluti emas, batu berlian dan zamrud, kata seorang pendakwa raya kelmarin.
Senjata itu merupakan antara barang yang dirampas di sebuah ladang dekat Ciudad Jardin de Choloma di utara bandar raya ini.
Menurut pendakwa raya itu, Marlen Banegas, senjata tersebut dipercayai milik kumpulan penyeludupan dadah Zetas di Mexico.
Senjata itu dianggarkan berharga AS$50,000 (RM152,114).

Pusat pembimbing memurnikan akidah

Posted: 09 Jan 2013 03:30 AM PST

Pusat Pemurniaan Akidah Baitul Iman antara yang berusaha memulihkan kembali akidah umat Islam yang terpesong kerana kekurangan ilmu agama, ajaran sesat dan murtad.
KAEDAH rawatan Islam digunakan bagi memulihkan akidah individu yang murtad atau terbabit dengan ajaran sesat.


KISAH Abdul Kahar Ahmad yang mengaku sebagai Rasul Melayu pernah menggemparkan negara beberapa tahun lalu.
Intipati ajarannya seperti mengaku diri sebagai Rasul dengan menerima wahyu di Bukit Kemensah, mempunyai mukjizat, tidak wajib sembahyang lima waktu, tidak percaya pada al-Quran, menolak hadis dan tidak perlu menunaikan haji nyata menyeleweng daripada ajaran Islam.
Akibatnya, lelaki berkenaan yang kini berusia 63 tahun ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman selama 10 tahun dan enam kali sebatan serta denda RM16,500 selepas dia mengaku salah atas lima pertuduhan berhubung penyebaran ajaran sesat yang diasaskannya pada tahun 2006.
Dia turut diperintah dihantar ke Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman untuk tempoh enam bulan terakhir hukuman tersebut.
Bagaimanapun, hukuman terhadap lelaki yang berasal dari Hulu Klang, Selangor itu gagal menjadi teladan dalam membanteras ajaran sesat yang subur di negara ini.
Di Selangor sahaja, pihak berkuasa telah mengenal pasti lebih daripada 70 ajaran sesat. Ia sukar dibendung kerana perbuatan tersebut dilakukan secara tersembunyi.
Pengikut-pengikut juga dilarang menceritakan segala yang berlaku dalam kumpulan mereka kepada pihak luar menyebabkan gejala itu sukar dikesan pihak berkuasa.
Difahamkan, kekurangan kakitangan penguatkuasaan juga antara faktor ajaran sesat sukar dibendung kerana ia memerlukan siasatan yang rapi dan masa yang panjang.
Selain itu, masyarakat yang kurang ilmu agama mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran sesat. Tidak mendirikan solat atau sekadar belajar agama di sekolah tanpa memahami ilmu yang dipelajari antara penyumbang ajaran sesat berkembang di negara ini.
Penceramah bebas, Mohd. Salahuddin Mohamed berkata, terdapat tiga faktor yang menyumbang kepada gejala tersebut seperti belajar agama tetapi secara menghafal bukannya menghayati, tidak mengetahui atau belajar agama Islam serta tidak kenal Rasulullah dan Nabi.
"Hasil pergaulan dan program yang saya anjurkan dengan golongan yang bermasalah mendapati mereka ini belajar agama di sekolah sahaja. Itupun secara menghafal tanpa menghayati ilmu tersebut.
"Bahkan, tidak mengetahui Rukun Islam, Rukun Iman dan asas-asas agama serta tidak mendirikan solat. Penganjuran sambutan Maulidur Rasul setiap tahun juga hanya dilakukan di masjid dan apabila keluar dari masjid kebanyakan orang tidak mengikuti ajaran tersebut," kata Pengarang Kanan Majalah di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu.
Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan ibadah solat perlu dititikberatkan dalam kehidupan harian kerana jika tidak bersolat akidah mudah diselewengkan.
"Rasulullah mengajar para sahabatnya menunaikan solat secara berjemaah dan menyatakan bahawa solat berjemaah dapat mengeratkan hubungan sekali gus mengelakkan perselisihan dalam masyarakat. Solat juga tiang bagi segala-galanya," ujarnya.
Jelasnya lagi, umat Islam juga perlu diajar mengenal Allah melalui penciptaan alam semesta yang dicipta Allah dengan penuh kehebatan. Dengan mengenal kehebatan Allah barulah umat Islam dapat mendekatkan diri dengan yang Maha Esa.

ABDUL KAHAR merupakan individu pertama berkaitan ajaran sesat yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah.


Mendapat pengaruh
Seorang lagi penceramah bebas, Daud Che Ngah berkata, orang ramai mudah terpengaruh kerana pengamal ajaran sesat biasanya mempunyai motif tersendiri seperti mendapatkan pengaruh atau kuasa, wang dan wanita.
"Ketua pengamal ajaran sesat kebanyakan memberitahu pengikutnya bahawa dia mendapat 'wahyu' daripada mimpi dan diangkat menjadi orang yang hebat. Dia menjadi insan yang terpilih bagi membimbing masyarakat.
"Sebenarnya, syaitan yang memasuki mimpi ketua mereka dan mengajar benda syirik. Pengikut pula tidak mempunyai ilmu al-Quran dan apabila tiada ilmu maka sesatlah mereka," katanya.
Pusat pemurnian
Bagi memulihkan individu-individu yang terbabit dengan ajaran sesat di negara ini, mereka akan dihantar ke Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Pusat pemurnian yang pertama seumpamanya di negara ini menyediakan khidmat bimbingan kaunseling kepada individu atau kumpulan Islam yang memerlukan pemulihan akidah.
Pusat yang ditubuhkan pada tahun 2000 itu setakat ini masih belum menerima pelatih bagi kes ajaran sesat. Kes Rasul Melayu merupakan kes pertama setelah mahkamah memerintahkan Abu Kahar menjalani tempoh enam bulan terakhir hukumannya di pusat tersebut.
"Tempat ini merupakan satu-satunya pusat pemurnian akidah di Semenanjung Malaysia yang beroperasi 24 jam," kata Penguasanya, Izhar Ismail.
Sebelum ini, pusat berkenaan beroperasi di bangunan Kem JPG Markas II Briged Tengah Ulu Yam Bharu. Ia berpindah di Kuala Kubu Bharu sementara menanti Kompleks Baitul Iman yang baharu di Jalan Sungai Tua Ulu Yam, Selangor siap.
Meskipun masih belum menerima sebarang kes berkaitan ajaran sesat, pusat berkenaan tetap berusaha memantapkan satu modul bagi menangani kes berkenaan.
"Apabila menerima kes, kita akan gunakan rawatan Islam, kenal pasti dulu pelatih itu ada kaitan dengan sihir atau tidak. Kalau ada masalah mental, kita kena pulihkan selain mengikuti Bengkel Istitabah bagi meminta mereka bertaubat.
"Bagi kes tertentu kita beri khidmat kaunseling, perbincangan atau adakan debat bersama pelatih berkenaan," katanya lagi.

Peladang obses mencipta tasik

Posted: 09 Jan 2013 03:28 AM PST


SELEPAS hampir 14 tahun barulah Tonu berjaya menyiapkan tasik binaan impiannya.



KEINDAHAN tasik buatan Tonu menggamit ribuan pengunjung untuk mengadakan pelbagai aktiviti.



TONU dan Tiiu-Mall mendedikasikan hidup mereka untuk membina tasik semula jadi yang indah dan mendamaikan.


MENGAKUI obses dengan setiap tasik semula jadi yang pernah dilawatinya, seorang lelaki berbangsa Estonia yang berumur 71 tahun telah mendedikasikan separuh umurnya bagi membina tasik buatan sendiri.
"Mungkin ramai yang berpendapat agak sukar untuk membina tasik buatan sendiri, namun apa yang anda perlukan adalah keadaan landskap yang sesuai serta sedikit pengetahuan," ujarnya.
Cerita Tonu Tamm, segalanya bermula pada musim bunga pada tahun 1981, selepas menghabiskan 14 tahun mengembara dan menjalankan rakaman dokumentari televisyen di Siberia bersama isterinya, Tiiu-Mall.
"Ketika itu, saya dan isteri bercadang membeli sebuah kotej musim panas di Estonia dan menjadikannya sebagai tempat persinggahan waktu senggang dan hujung minggu.
"Kami juga bercadang mahu menjadikannya sebagai tempat tinggal tetap selepas kami bersara kelak.
"Walau bagaimanapun, kerana terpegun dek kecantikan alam semula jadi dan kawasan di persekitarannya, kami bercadang untuk terus menetap di sana," ujar Tonu.
Setiap kali melawat tasik-tasik semula jadi ketika mengembara pada usia mudanya, Tonu sering menyimpan angan-angan untuk membina tasik buatannya sendiri.
"Jadi, saya pun mengambil keputusan untuk membinanya tanpa ragu-ragu dan ia telah menjadi sebahagian daripada hidup saya," ungkap lelaki itu lagi.
Kupon pertukaran
Disebabkan Estonia terikat di bawah pemerintahan Soviet, ramai penduduk berhijrah ke kawasan pedalaman pada ketika itu kerana enggan mengikut fahaman politik yang disebarkan oleh kerajaan.
Selepas mendapat kemerdekaan pada tahun 1991, setiap keluarga diberikan sejumlah rebat dalam bentuk kupon dengan jumlah nilainya bersamaan dengan tempoh masa era pemerintahan Soviet di Estonia.
Secara beransur-ansur, Tonu mula menambah pegangan tanah miliknya kepada 250 hektar dan menukarkan 39 hektar daripadanya kepada 14 buah tasik buatan.
Tasik buatan terbesar binaannya berukuran 10 hektar dengan kedalaman 400 meter dan kini telah dipenuhi dengan ikan.
Pentas konsert
Salah satu tarikan di kawasan tasik buatan Tonu adalah dua buah pentas konsert yang dibina pada tahun 1998 yang kini menjadi perhatian ramai penggemar muzik serta menjadi lokasi banyak acara tahunan.
Antara penggiat seni yang pernah membuat persembahan secara percuma di atas pentas itu ialah Neeme dan Paavo Jarvi.
Tonu kini meraih pendapatan hasil daripada lawatan orang awam ke tasik buatan suaminya bagi menyambut sesuatu acara atau meraikan sesuatu festival.
"Walaupun kami sering mengendalikan acara-acara besar seperti festival muzik, tetapi pulangan yang kami terima adalah sangat kurang.
"Tetapi, apabila melihat kegembiraan yang terukir pada wajah penonton yang hadir memberikan makna kepada kami berdua," katanya sambil memberitahu mempunyai perancangan untuk membina pentas di bawah permukaan air.
Sementara itu, menurut seorang kosmetologis yang berasal dari bandar Tallinm, Sirje Laansoo, 50, binaan tasik buatan milik Tonu dan keluarganya menjadi bahan bualan ramai kerana semangat mereka yang kuat dan mampu 'bekerja' dengan alam semula jadi.
Sirje menambah, setiap kali dia dan keluarganya datang melawat tasik buatan Tonu, satu perasaan luar biasa akan wujud yang membuatkan kami ingin datang ke situ lagi.

Penulis skrip drama pilihan Zabidi

Posted: 09 Jan 2013 03:27 AM PST


ZABIDI


PERTEMUAN penulis bersama Zabidi Mohamed, 50, bekas pemimpin kanan kumpulan al-Arqam di sebuah pusat beli-belah di ibu negara baru-baru ini telah menyingkap kembali kisah silamnya semasa menyertai kumpulan tersebut suatu masa dahulu.
Dalam pertemuan singkat itu, Zabidi tidak begitu teruja menceritakan pembabitan beliau dalam al-Arqam yang dianggapnya telah dilupakan orang ramai.
"Kini saya lebih selesa menjalani kehidupan sebagai penulis skrip drama. Namun, saya masih mengikuti perkembangan ajaran-ajaran sesat di negara ini yang saya lihat sukar dibendung," katanya.
Beliau pernah menghasilkan buku, Tersungkur Di Pintu Syurga pada tahun 1998 yang membongkar kehidupannya sepanjang menyertai kumpulan al-Arqam.
Dalam bukunya, Zabidi menyatakan kejahilan diri membuatkan dirinya buta tentang agama Allah malah sepanjang mengikuti al-Arqam, beliau dan ahli kumpulan menyanjung pengasas al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad yang dikatakan mendapat mesej daripada Rasulullah.
Ashaari dikatakan bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia pada zaman Daulah Islamiah sebelum Ashaari menyerahkan tampuk pimpinan kepada Imam Mahadi.
Kemampuan dan strategi Ashaari dalam menyebarkan dakwah termasuk di luar negara seperti di Indonesia, Filipina dan Thailand juga membuatkan Zabidi menyanjung ketuanya itu.
Namun sekitar tahun 1994 mencatatkan satu detik keruntuhan al-Arqam apabila kumpulan tersebut dikatakan menubuhkan tentera Badar di Thailand.
Pada 5 Ogos tahun sama, al-Arqam telah diharamkan kerajaan. Malah, pemimpin-pemimpin kanan dan Ashaari telah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Negara (ISA) sekali gus membawa kepada kehancuran al-Arqam.



"Dalam tahanan ISA, saya berdoa kepada Allah agar diberi petunjuk. Saya kemudian bertemu ramai ulama dan guru-guru agama selain membuat kajian tentang ajaran sesat.
"Setelah benar-benar yakin saya kembali ke pangkal jalan, tiga tahun kemudian," kata Zabidi yang aktif memberikan ceramah berkaitan ajaran sesat di negara ini.
Menurutnya, masyarakat mudah terpengaruh dengan ajaran sesat kerana terdapat pihak yang mentafsir hadis mengikut cara masing-masing tanpa merujuk kepada hukum Islam.
"Terdapat empat sumber yang disepakati oleh ulama untu menjadi panduan hidup mereka iaitu al-Quran, al-Hadis, ijmak dan qias.
"Masyarakat yang kurang ilmu mudah terpengaruh dengan ajaran sesat. Ini kerana ajaran sesat ini turut membabitkan sihir yang berselindung di sebalik pengamal perubatan Islam," katanya yang banyak menghasilkan skrip-skrip drama berkaitan Islam.

Warga INTI ringan tulang

Posted: 09 Jan 2013 03:26 AM PST


PASUKAN bola baling Inti IU menyusun batu-bata untuk dijadikan dinding rumah seorang penerima bantuan.


PELBAGAI cara boleh dilakukan untuk membantu golongan yang memerlukan. Sekumpulan 20 pelajar dan warga kerja Inti International University (Inti IU), Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini memilih untuk membantu membaiki dan membina semula kediaman keluarga yang berpendapatan rendah.
Mereka yang terpilih ialah rumah Hassam Mogot dan Sapparuddin Abd. Hamid dari perkampungan Orang Asli Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Selangor.
Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pertama yang disertai Naib Presiden, Perkhidmatan Pelajar, Inti IU, Dr. Sia Ah Hiok yang membantu mengecat rumah milik Hassam dan isterinya, Gipah Noor.
Kumpulan kedua pula disertai pasukan bola baling Inti IU dengan tugasan membaiki rumah Sapparuddin. Walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam pembinaan, kumpulan tersebut berjaya menggantikan dinding lama bahagian ruang tamu kediaman tersebut. Dinding kayu itu diganti dengan batu-bata.
Ketua pasukan bola baling, Go Kah Hou nyata gembira apabila usahanya memaparkan aktiviti itu di laman Facebook mendapat sambutan daripada semua ahli pasukan bola baling.
"Saya tidak sangka semua ahli pasukan bola baling sanggup turun padang melakukan kerja-kerja yang tidak pernah mereka lakukan sebelum ini.
"Kami berjaya membancuh simen dan menyusun batu-batu, meskipun tidak mempunyai pengalaman. Usaha ini sangat berbaloi dan kami sangat gembira kerana dapat membantu golongan yang memerlukan," katanya.

WALAUPUN tanpa pengalaman membina rumah, ia bukan penghalang untuk para pelajar menghulurkan bantuan.


Dalam pada itu, Ah Hiok turut gembira dengan sokongan para sukarelawan yang sanggup meluangkan masa dan tenaga dalam menjayakan program berkenaan.
"Usaha mereka merupakan kesinambungan daripada projek kami yang terdahulu. Diharapkan ia dapat diteruskan pada masa depan.
"Sebelum ini, para pelajar turut menganjurkan malam amal dan berjaya mengumpul dana sebanyak RM6,000.
"Dana tersebut diserahkan kepada Living Hope Malaysia yang kemudiannya menyalurkannya kepada pusat sumber khusus untuk anak-anak Orang Asli di Kampung Gebok dan Kampung Kedat di Mantin, Negeri Sembilan," kata Ah Hiok.

Ford menghargai alam

Posted: 09 Jan 2013 03:25 AM PST


FORD menunaikan tanggungjawab sosial dengan menyumbangkan RM150,000 untuk pelbagai pertubuhan bagi menjalankan projek pemuliharaan alam sekitar.


SYARIKAT pemotoran, Ford Motor Company mengumumkan pemenang grogram Geran Pemuliharaan dan Alam Sekitar 2012 di Malaysia dengan menerima RM150,000 pada pertengahan Disember lalu.
Pemberian geran itu membolehkan pihak penerima melaksanakan program hijau masing-masing.
"Program ini merupakan salah satu daripada cara Ford berusaha memulihara alam sekitar dan meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat di tempat kami beroperasi," ujar Pengurus Serantau Asia Pasifik, Bahagian Operasi Eksport dan Pertumbuhan, David Westerman.
Tambahnya, ciri paling menarik mengenai program tersebut adalah ia secara tidak langsung dapat menyatukan semua pihak yang terdiri daripada kakitangan Ford, pelanggan dan kumpulan masyarakat.
Dana geran yang diberi akan digunakan dalam projek sebenar dan positif terhadap alam sekitar sekali gus dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Sebuah panel juri bebas ditubuhkan bagi menentukan penerima geran tersebut. Antara ahlinya ialah Pengarah Pemuliharaan WWF-Malaysia, Dr. Sundari Ramakrishna, Pengurus Besar Wild Asia, Gonthong Lourdesamy dan Pengarah Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar di Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM), Dr. Ismail Harun.
Wakil daripada Ford pula ialah Pengurus Jualan Kebangsaan, R. Veemala.
Program Geran Pemuliharaan dan Alam Sekitar dilancarkan pada peringkat global pada tahun 1983. Ford telah menyampaikan geran berjumlah lebih AS$2 juta (RM6.09 juta) kepada pelbagai projek alam sekitar di 60 buah negara.
Negara-negara yang pernah mendapat manfaat tersebut selain Malaysia ialah Carribean, Puerta Rico dan juga negara-negara yang berada di rantau Asia Pasifik, Amerika Tengah serta Asia Barat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu