Gosip Artis Malaysia |
Faizal Tahir Tak Lepas Tangan - Anas Ridzuan Posted: 10 Jan 2013 04:52 PM PST PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Anas Ridzuan menolak dakwaan segelintir pihak kononnya penyanyi Faizal Tahir bersikap lepas tangan terhadap perkembangan kerjayanya selepas program Mentor musim keenam berakhir. Anas, 23, berkata, tuduhan itu tidak sepatutnya timbul kerana Faizal sebenarnya sedang sibuk dengan proses rakaman album terbaharunya. Pemenang tempat ketiga Mentor 6 terbitan TV3 itu berkata, sebagai orang baharu dia menghormati bekas mentornya itu dan perlu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. "Saya bukan diabaikan atau Faizal lepas tangan terhadap perkembangan kerjaya saya. Saya perlu hormati dia yang sedang sibuk dengan rakaman albumnya. "Hakikatnya, ramai lagi orang berbakat di luar sana, tetapi rezeki saya berpeluang menyertai industri, jadi saya kena bersabar dahulu," katanya ketika dihubungi di sini, petang Khamis. Anas berkata, dia juga bersedia mengambil inisiatif sendiri untuk mengedarkan lagu pertamanya Hanya Padamu ke stesen radio kerana menyedari kesibukan pihak pengurusannya. "Saya tidak terkilan atau salahkan mana-mana pihak. Mungkin mereka (pengurusan) terlepas pandang atau sibuk dengan komitmen lain. "Selepas berbincang dengan beberapa rakan industri, saya bersedia untuk edarkan sendiri lagu pertama itu ke stesen radio kerana sudah agak lama juga sejak Mentor 6berakhir," katanya. Ditanya mengenai perkembangan kerjaya yang masih terumbang-ambing, Anas berkata, dia bersyukur dan masih boleh meneruskan kelangsungan hidup dalam dunia seni ini. "Terus-terang saya katakan, buat masa ini saya tidak rasa diabaikan mana-mana pihak. Saya masih cukup makan dan boleh mencari peluang menyanyi dan berlakon serba sedikit. "Memadailah dengan beberapa tawaran yang ada untuk saya meneruskan kelangsungan hidup sebagai anak seni yang baharu," katanya yang baharu menamatkan penggambaran filem Sunti @ Facebook.com arahan James Lee. - --- |
Zed Zaidi Dapat Pangkat Dalam RELA Posted: 10 Jan 2013 04:50 PM PST PETALING JAYA: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi akan menerima penghargaan daripada Kementerian Dalam Negeri dalam bentuk pangkat dalam Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela). Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil,33, berkata, majlis pemakaian pangkat dan watikah pelantikan itu akan dilakukan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pada Ahad ini. "Saya sudah dimaklumkan mengenai pelantikan itu tetapi saya tidak pasti pangkat apakah yang akan diberikan kepada saya," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis. Zed berkata, majlis itu akan diadakan di Pejabat Rela Wilayah Persekutuan, di Jalan Hartamas 1 dekat sini. Tambah Zed, pemberian pangkat itu adalah kerana sumbangan beliau terhadap aktiviti sukarela yang dilakukan melibatkan artis menerusi Persatuan Seniman yang diterajuinya selama ini. Katanya, ia adalah satu penganugerahan yang amat besar kerana ia sebuah penghargaan kerajaan terhadapnya melebihi anugerah seni yang diterima oleh artis-artis tempatan. "Saya bersyukur kerana pihak kerajaan menghargai kerja-kerja sukarela yang saya lakukan selama ini menerusi medium seni," katanya. - --- |
You are subscribed to email updates from Gosip Artis Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan