Selasa, 23 Oktober 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Nabil Ahmad Sertai 'Boboi' Bukan Kerana Hilang Populariti

Posted: 23 Oct 2012 07:10 PM PDT

Nabil (kanan) bersama dua ahli kumpulan Boboi iaitu Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik (kiri) sudah bersedia untuk menghangatkan pentas Maharaja Lawak 2 yang bakal berlangsung pada 16 November depan.
PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM dan pelawak, Ahmad Nabil Ahmad menolak dakwaan popularitinya sebagai artis komedi semakin tenggelam sehingga memaksanya menyertai kumpulan Boboi untuk bertanding dalam program Maharaja Lawak 2 (MLM 2). Nabil, 28, sebaliknya berkata, penyertaannya dalam kumpulan yang disertai oleh Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik itu dibuat secara sukarela selepas mendapati mereka mempunyai keserasian sejak bekerjasama dalam pementasan Lawak Ker Der 2 baru-baru ini.
"Tidak timbul soal populariti saya sudah tenggelam kerana apa yang saya lakukan ini adalah kehendak diri sendiri memandangkan kami mempunyai keserasian dalam satu kumpulan.
"Malah Afdlin dan Harun setuju dengan cadangan saya bergabung bersama mereka dalam MLM 2 pada tahun ini," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada sidang media pelancaran program itu, di sini, Isnin lalu.
Bakal Juara MLM 2012 bakal menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 manakala tempat kedua dan ketiga akan membawa pulang hadiah RM250,000 dan RM150,000.
MLM 2012 akan bersiaran secara langsung bermula 16 November depan, pada setiap Jumaat di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).
Ia akan di adakan Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dekat sini.
Dalam pada itu, Nabil mengakui keputusannya menyertai kumpulan Boboi kerana tertekan apabila terpaksa melakukan sketsa komedi secara solo seperti sebelum ini.
Nabil berkata, bukan mudah untuk menghiburkan penonton secara seorang diri terutamanya dalam pertandingan besar seperti MLM 2.
"Saya pernah masuk pertandingan Maharaja Lawak secara solo. Walaupun mendapat tempat ketiga tetapi sebenarnya ia bukanlah mudah seperti yang disangka kerana tekanannya sangat hebat," ujarnya.
Tidak menganggap kredibilitinya sebagai pelawak tercalar, Nabil berkata, gabungan itu adalah sebagai salah satu tanda kerjasama di antara pelawak-pelawak di negara ini.

Belum berpuas hati

Posted: 23 Oct 2012 07:09 PM PDT

PROFESIONAL...aksi Wincci ketika pembikinan klip video Terus Teranglah.
PROFESIONAL...aksi Wincci ketika pembikinan klip video Terus Teranglah.
DEMI mengejar cita-cita, Soo Wincci sanggup meninggalkan teman lelakinya kerana dia tidak mahu jejaka itu terus menunggunya demi sebuah impian yang belum dilaksanakan. Daripada membiarkan terus menanti, bimbang ada yang patah hati.
Cerita Wincci, kini bekas kekasihnya itu akan berkahwin dan Wincci pula semakin deras memacu langkahnya untuk menguasai industri seni. Ternyata impian si jelita itu bukan sekadar angan-angan kerana dia sudah pun mengambil langkah dengan mencuba nasibnya sebagai penyanyi dan pelakon di Taiwan. Sebahagian dari masanya, dia akan berada di negara itu.
   
  • Foto
  • Foto
  • Foto
"Ketika saya sibuk merancang ke Taiwan, dapat pula tawaran menyertai Masterchef Selebriti Malaysia dan pada masa sama menghasilkan mini album lagu Melayu.
Selepas setahun lebih mengadakan perancangan untuk ke sana, baru sekarang saya berpeluang.
"Sedang album ini masih pada peringkat promosi, saya dapat lampu hijau untuk memulakan projek di Taiwan menghasilkan album penuh memuatkan 10 lagu dalam bahasa Mandarin. Sejak dua minggu lalu saya berulang-alik antara Taiwan-Kuala Lumpur kerana saya tidak boleh mengabaikan kerjaya seni dan peminat saya di Malaysia. Lama menghilang, nanti mereka lupakan saya.
"Isnin hingga Jumaat saya di Taiwan. Pada hujung minggu saya balik ke Kuala Lumpur untuk melakukan aktiviti seni dan memenuhi undangan persembahan di sini pula. Proses rakaman album di Taiwan hampir siap yang menyisipkan dua lagu baru dan bakinya kompilasi lagu daripada album Mandarin saya yang terdahulu. Album itu dijangka akan keluar di pasaran pada Disember ini.

"Menghasilkan dua album serentak, cabaran yang besar kerana saya terpaksa memberikan sepenuh komitmen. Saya tidak boleh mengabaikan salah satu daripadanya kerana kedua-dua adalah impian saya.

"Jarak antara dua negara pula tidak menjadi halangan kerana mudah direntasi dengan pengangkutan udara. Saya berada dalam industri hiburan tempatan sudah tiga empat tahun dan saya lihat laluan saya bukanlah mudah. Saya tidak puas hati dengan apa yang saya ada dan saya perlu bekerja keras lagi," katanya.

Jelas Wincci, dia memilih mengembangkan kerjayanya di Taiwan kerana negara itu adalah pusat pop muzik terbesar untuk pasaran di China.

"Industri muzik di Taiwan sangat besar dan saya perlu mencipta nama di negara itu sebelum boleh mengembangkan kerjaya di negara lain seperti Hong Kong. Bakat saya perlu dikenali dan diiktiraf di Taiwan sebelum membolehkan saya merintis jalan ke negara lain.

"Di Taiwan, saya bekerjasama dengan syarikat rakaman bebas berpengaruh di sana selepas saya menghubungi mereka dan menghantar kertas kerja. Ia bukan proses yang senang kerana selepas setahun setengah barulah terjadinya kerjasama itu.

"Sebagai pengenalan diri kepada peminat seni di sana, saya tampil dengan imej baru berambut paras bahu. Saya terpaksa mengorbankan rambut panjang saya.
Walaupun penat dengan jadual kerja yang padat, tetapi saya menyukainya dan dengan kesibukan itu tiada masa untuk saya memikirkan perkara lain.

"Sebab itulah saya sanggup korbankan cinta saya kerana saya tidak mahu si dia terus menunggu. Impian saya bukan hanya mahu terkenal di Malaysia dan Taiwan, tetapi juga di Hollywood. Sebelum itu, saya akan menguasai pasaran di Asia dulu. Kalau saya mahu berjaya, saya kena harungi satu persatu dan melakukan semua perkara.

"Di Taiwan persaingan sangat sengit dan saya ke sana dengan persediaan yang lengkap," katanya.

Wincci mengagumi kejayaan Shila Amzah yang berjaya menjuarai pertandingan Asian Wave 2012 di Shanghai, China, sekali gus membuka peluang kepada artis Malaysia yang ingin mencari ruang di sana.

"Dia bagus dan sebutannya ketika menyanyikan lagu Mandarin sangat sempurna.
Saya tidak cemburu dengan kejayaannya bahkan bangga dengannya. Sekurang-kurangnya mereka di sana tahu artis Malaysia juga berkebolehan," katanya.

Menurut bekas Ratu Malaysia 2008, dia juga akan berlakon di Taiwan dalam drama 30 episod yang bakal disiarkan di stesen televisyen paling popular di negara itu, Set TV.

"Perancangan dan strategi mesti tepat. Saya menghasilkan album dulu dan selepas orang di sana mengenali saya sebagai penyanyi, barulah saya akan berlakon.
Kalau terus berlakon, nanti mereka tertanya-tanya siapa saya," katanya.

Aktiviti dan perjalanan seninya di Taiwan akan direkodkan dalam tesis pengajian PhDnya. Wincci akan mengupas tajuk bagaimana mahu mengembangkan bakat artis Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Dia sudah pun memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Reading, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Kolej Segi, Kota Damansara dan kini mendapat biasiswa melanjutkan pengajian PhD (Pentadbiran Perniagaan) dari Open University Malaysia (OUM).

Dia juga ada sijil vokal, bermain piano dan menggubah lagu.

"Saya menggunakan diri sendiri sebagai bahan uji kaji kerana lebih senang merekodkan perjalanan kerjaya seni sendiri dan saya sanggup belajar lagi sebagai contoh kepada remaja. Saya tidaklah pandai, tetapi saya kena belajar untuk jadi orang pandai.

"Untuk melakukan semua kerja pada satu masa, saya kena korbankan masa tidur saya," katanya.

Wincci ditemui pada pelancaran klip video single Terus Teranglah, lagu ciptaan Ajai dan lirik oleh Ajai serta Joe Flizzow.

"Saya gembira kerana berjaya menghasilkan album Melayu yang pertama. Album ini akan dipasarkan pada November ini yang memuatkan lima lagu," katanya.

Lagu lain terdapat dalam album itu, Musim Asmara, Jangan Risau, Nombor 1 dan Terus Teranglah (minus one).

Klip video itu diarahkan oleh Jin dari New Stream Production dan dirakamkan di Museum Restoran Bar, Setia Walk Puchong, Sentimas Auto, Jalan Gombak dan Bluwater Bungalow, The Mines Seri Kembangan.

"Saya puas hati dengan pembikinan klip video walaupun rakamannya dibuat di Malaysia, tetapi dengan kreativiti Jin, ia nampak seperti di Hollywood," katanya.

Jihan Jaga Imej Untuk Nampak Cantik

Posted: 23 Oct 2012 07:06 PM PDT

Wajah terbaru Jihan yang kelihatan lebih anggun.
PETALING JAYA: Pelawak Jihan mengakui perkembangan karier lakonan sebagai pelawak sehingga memperoleh pendapatan lumayan membuatkan dia mula peka untuk menjaga kecantikan wajah.
Jihan atau nama sebenarnya Nuur Jihan Musa berkata, keadaan itu memaksanya melakukan langkah awal dengan menjalani rawatan membetulkan susunan giginya.
"Alhamdulillah, kerjaya seni saya berkembang sedikit demi sedikit. Dan saya tahu sebagai seorang yang dikenali, penampilan diri amatlah penting.
"Bermula pada penghujung tahun lalu, tawaran lakonan sudah mula memenuhi jadual kerja dan pendapatan saya juga semakin stabil.
"Sebab itu saya mula membetulkan gigi saya untuk mendapatkan wajah yang lebih kemas dan cantik," katanya.
Jihan pada awal kemunculannya pada tahun 2009.
Tambah naib juara rancangan Raja Lawak musim ketiga pada tahun 2009 itu, walaupun dia mula melaburkan wangnya untuk tujuan kecantikan, namun pelakon itu enggan terlalu berboros.
Malah Jihan juga berharap agar dia tidak melakukan perkara yang lain seperti pembedahan plastik semata-mata ingin kelihatan lebih cantik.
Sementara itu, bekas juruteknik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu juga bersyukur kerana tawaran yang diterima juga disebabkan dia kurang mendapat saingan daripada pelawak wanita lain.
"Bagi pihak produksi, kekurangan pelawak wanita menyukarkan mereka untuk mencari pelakon yang sesuai untuk sesebuah program yang diterbitkan.
"Tetapi daripada sudut saya pula, ia adalah rezeki kerana kehadiran saya tidak ada banyak saingan," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Jihan bakal muncul menerusi sebuah telefilem Landasan Korban yang akan disiarkan di TV3 bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Pelakon ini juga bakal muncul dalam Elak-Elak, sebuah rancangan komedi berkonsepkan keagamaan yang akan disiarkan setiap Khamis bermula 20 Disember depan, pada pukul 10 malam.

Angkat Pelawak Dengan Hadiah Setengah Juta

Posted: 23 Oct 2012 07:05 PM PDT

Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani (Kiri) dan Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai yakin MLM 2012 akan mendapat sambutan daripada penonton.
PETALING JAYA: Hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 yang ditawarkan kepada bakal juara program Maharaja Lawak Mega 2012 yang akan berlangsung pada November depan adalah sebagai satu carauntuk menaikkan martabat pelawak dan industri komedi di negara ini.
Pengurus saluran Astro Warna, Bob Azrai berkata, sudah tiba masanya bidang itu mula diletakkan di tahap tinggi kerana komedi bukan lagi sesuatu yang tidak membawa faedah sebaliknya memberi manfaat kepada masyarakat.
"Industri lawak di Malaysia sudah bergerak pantas tidak seperti dahulu apabila ia dianggap tidak penting namun itu semua sudah berubah dan ganjaran itu adalah bersesuaian untuk diberikan kepada mereka yang bergelar juara.
"Tambahan pula bukan mudah untuk menghasilkan kualiti lawak yang baik dan jumlah wang tunai itu adalah sesuai berdasarkan usaha mereka dalam memberikan terbaik untuk program itu nanti," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Pada musim lalu kumpulan Osbon yang dianggotai oleh Mohd Yusof Abdul Hamid (Os) dan Sharizan Ahmad (Abon) bergelar juara sehingga membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM350,000.
Musim kali ini, MLM 2 bakal menampilkan barisan pelawak iaitu Pi Mai (Imuda dan Mat Over), Boboi (Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik dan Nabil), Jozan (Johan dan Zizan), Sabon (Abon dan Sathia), Jambu (Taukeh dan Yus), R2 (Rahim dan Wan Lopez) dan Shiro (Shahrol dan Ajak).
Orang lama...Kumpulan Dadidu yang dianggotai oleh AR Badul dan Ariff Sudin berjanji akan memberi persembahan mantap di MLM 2.
Manakala tiga kumpulan iaitu Saywho (Eko, Bocil dan Vicha), The Bandung Jokers (Dodon, Amin dan Aman) dan Dadidu (Bobo, AR Badul dan Arif Sudin) masing-masing mewakili Indonesia dan Singapura.
Dalam pada itu, Bob menjelaskan, saluran Astro Warna juga akan memastikan rancangan-rancangan yang disiarkan dapat memberi faedah kepada penonton supaya komedi yang dihasilkan bermutu.
Bob berkata, dalam menghidangkan program lawak, pihaknya juga perlu memastikan ia mengandungi unsur-unsur yang baik supaya rancangan yang disajikan bermanfaat.
"Kita banyak menghasilkan program-program seperti Kembang Sa-Taman, Karut Komedia X, Betul Ke Bohong dan sebagainya yang jika dilihat secara teliti ia banyak menyelitkan informasi dan pengajaran kepada penonton.
Walaupun baru, kumpulan Shiro (Shahrol dan Ajak) mampu memberikan persaingan sengit kepada peserta lain.
"Kita tidak mahu menghidangkan program komedi yang kosong semata-mata kerana secara dasarnya ia bukan lagi begitu," katanya.
Sementara itu, Bob berkata, pihaknya yakin MLM 2 akan menjadi fenomena seperti mana yang berlaku pada musim pertama dengan menyajikan lawak bermutu dan saingan sengit antara peserta.
Sistem penghakiman masih dikekalkan dengan format 70 peratus daripada juri tetap dan 30 peratus daripada undian penonton.
Selain juara, tempat kedua dan ketiga juga akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM250,000 dan RM150,000. MLM 2012 akan bersiaran secara langsung bermula 16 November depan, pada setiap Jumaat di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).
Ia akan di adakan Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dekat sini.

A.Aida Hilang Fokus Gara-Gara Kes Cerai

Posted: 23 Oct 2012 07:03 PM PDT

Barisan para pelakon 'Putera Rayyan'.
PETALING JAYA: Penerbit drama A.Aida mengakui kes penceraiannya dengan suami Deputi Superintenden (DSP) Suffian Sulaiman yang masih lagi dalam proses perbicaraan mahkamah membuatkan tumpuan kerjanya terganggu.
Aida atau nama sebenar Zaidah Awang, 42, berkata, masalahnya itu juga membuatkan dia tidak boleh fokus pada drama yang diterbitkan bawah produksinya iaitu A.Aida Production termasuklah dalam penulisan skrip.
"Bayangkan jika skrip drama yang saya hasilkan biasanya mengambil masa dalam satu atau dua hari, tetapi sejak kebelakangan ini ia mengambil masa sehingga dua bulan.
A. Aida - gambar fail
"Kalau boleh saya tak mahu memikirkan tentang masalah rumah tangga ini, tetapi ia agak sukar. Harap-harap kes (penceraian) ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.
Aida ditemui pada pelancaran drama Putera Rayyan di Restoran Rebung, di sini, petang Selasa.
Pada 18 Oktober lalu, pelakon itu telah mengemukakan permohonan fasakh terhadap Suffian selepas tidak dapat mencapai persetujuan untuk berpisah secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Jalan Duta, dekat sini.
Aida berkahwin dengan Suffian yang bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Logistik, Bukit Aman Kuala Lumpur, pada 20 April 2007.
Antara bintang utama Putera Rayyan.
Mengenai Putera Rayyan drama itu dibarisi pelakon-pelakon popular seperti Kamal Adli (Putera Rayyan), Nad Zainal (Arisa), Miera Liyana (Anisa), Aida Aris (Nora), Zila Bakarin (Tengku Mariam), Lutfia (Tengku Suraya) dan Razali Hussin (Zul).
"Sebenarnya cerita asal drama ini adalah mengenai Bawang Putih Bawang Merah, tetapi ia di olah dengan memberi fokus pada kisah Putera Rayyan yang ada dalam kisah hikayat itu.
"Jadi penulis skripnya Wan Mahani mengembangkan plot cerita Rayyan yang terpaksa mengharungi cabaran dalam perkahwinannya bersama Arisa," tuturnya.
Drama bersiri 23 episod itu bakal menemui penonton setiap hari Selasa dan Rabu bermula 31 Oktober ini.
Ia akan disiarkan pukul 10.30 malam menerusi slot Samarinda di TV3.

Kerja Amal Rabbani Untuk Bina Hospital Di Gaza

Posted: 23 Oct 2012 07:02 PM PDT

Ahmad Maslan (dua dari kanan) bersama ahli kumpulan Rabbani melihat buku mengenai Gaza sambil dibantu oleh Mohd Nazri Sahat (kanan) pada sidang media kerja amal kumpulan nasyid itu di Petaling Jaya, Selasa.
PETALING JAYA: Kumpulan nasyid terkenal Rabbani berhasrat mengadakan persembahan untuk rakyat Palestin di Gaza bagi menghiburkan masyarakat di bandar itu yang menderita akibat perbuatan kejam Zionis.
Ahli kumpulan itu, Azadan Abd Aziz berkata, walaupun menyedari sukar untuk memasuki kawasan tersebut namun mereka percaya akan diberi laluan bagi membolehkan hasrat tersebut terlaksana.
"Tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata apakah penderitaan masyarakat yang terseksa di tanah air mereka sendiri dan ia membuatkan kami insaf.
"Sudah lama kami merancang untuk ke sana dan menghiburkan mereka dengan lagu-lagu nasyid dan berharap impian itu akan terlaksana suatu hari nanti," ujarnya kepada mStar Online.
Azadan ditemui selepas majlis pelancaran Makan Malam Amal Hospital For Gaza (H4G) yang diadakan di Hotel Singgahsana di sini pada Selasa.
Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan isteri, Datin Noraini Sulaiman serta Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) , Mohd Nazri Sahat.
Azadan
Pada pelancaran itu, kumpulan Rabbani dan penyanyi tersohor negara, Datuk Sharifah Aini dilantik menjadi duta H4G.
Sharifah Aini bagaimanapun tidak hadir pada majlis tersebut.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pelantikan Rabbani sebagai duta malam amal itu, Azadan berkata, mereka berfungsi untuk menyebarkan maklumat mengenai projek membangunkan hospital tersebut di Gaza bagi memudahkan rakyat Palestin.
Mereka juga akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara untuk membangkitkan kesedaran selain memupuk tanggungjawab di kalangan umat Islam mengenai kesusahan masyarakat di negara tersebut.
"Kita bukan nak minta derma tetapi lebih kepada menyedarkan masyarakat tentang nasib malang penduduk di Gaza dan kepentingan untuk membina hospital di sana.
"Namun apa yang lebih penting kesedaran di kalangan masyarakat dapat disalurkan," ujarnya.
Azadan memberitahu projek yang turut menggabungkan 10 buah negara itu menyasarkan untuk mengutip AS$5 juta (RM15 juta) bagi menampung kos pembinaan fasa pertama hospital itu yang dianggarkan bernilai RM100 juta.
Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama bersama Mapim, Azadan berkata, sebagai anak seni ia menjadi tanggungjawab mereka untuk menghulurkan bantuan mengenai isu-isu penting berkaitan agama Islam.
Azadan memberitahu, menerusi majlis makan malam amal itu juga ia dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat Gaza yang memerlukan.
Katanya, makan malam amal itu akan diadakan di Hotel Singgahsana pada 26 Januari tahun depan dan turut menyaksikan Sharifah Aini yang akan membuat persembahan bersama.
Harga meja yang dijual pada majlis makan malam amal itu adalah RM5,000, RM2,500 dan RM1,500.
Untuk tempahan dan keterangan lanjut sila hubungi 03-62721225 atau layari Facebook carian Rabbani.

Daniel Craig Sambung Kontrak Dua Lagi Filem James Bond

Posted: 23 Oct 2012 06:59 PM PDT


Daniel Craig memehang watak James Bond dalam Skyfall.
JAMES BOND atau lebih dikenal Daniel Craig mendedahkan dia telah menandatangani kontrak untuk muncul dalam dua lagi filem perisik tersebut selepas filem terbaru 007 berjudul Skyfall yang akan ditayangkan di seluruh dunia Jumaat ini.
Ketika ditanya bilakah waktunya untuk dia pencen sebagai Bond, Craig secara berseloroh berkata, apabila umurnya mencecah 44 tahun dan tiga suku.
Dalam satu temu ramah eksklusif dengan akhbar Britain, The Sun, sejurus sebelum tayangan Skyfall di Royal Albert Hall, London malam Selasa, Craig berkata, walaupun dia telah menandatangani kontrak untuk muncul dalam dua filem Bond tetapi ada kemungkinan dia akan meneruskan watak itu untuk seketika lagi.
"Tetapi saya tidak akan kekal selama-lamanya sebagai Bond. Tentu ada calon lain yang akan menggantikan saya bila tiba masanya," ujar Craig.
Daniel Craig yang dilabelkan sebagai Bond yang berwajah "moody" dan tidak pernah senyum berbanding watak Bond yang dilakonkan oleh pelakon sebelumnya kelihatan sangat relaks dan bersahaja sepanjang temu ramah tersebut.
Berbeza dengan lakonannya sebagai Bond, sepanjang temu ramah itu dia sentiasa berjenaka dan ketawa riang. Pada satu ketika dia duduk bersantai sambil berkata;
"Saya nak longgarkan tali leher saya, kamu tak akan merakamkan ini bukan?"
Namun begitu, Craig akhirnya wajar kelihatan relaks dan bersantai kerana selepas berlakon dalam tiga filem Bond, dia kini boleh memahat namanya sebagai salah seorang 007 terhebat yang pernah dilahirkan dalam siri itu.
Dan Skyfall — siri ketiganya sebagai Bond —telah disifatkan sebagai filem James Bond yang terbaik pernah dihasilkan.
Tetapi sebelum itu, salah seorang yang pernah meragui kemampuan Craig untuk membawa watak James Bond ialah pengarah filem itu sendiri iaitu Sam Mendes.
Mendes pernah bekerja dengan Craig pada tahun 2002 menerusi filem Road To Perdition.
"Dia telah memohon maaf kepada saya kerana pernah meragui kemampuan saya untuk membawa watak Bond...selepas itu kami hanya memandang ke hadapan tidak ke belakang," kata Craig sambil ketawa.
Sebaik sahaja mereka menyelesaikan masalah salah faham itu, Craig sendiri yang bertanya kepada Mendes sama ada dia mahu mengarahkan filem Skyfall dan tawaran itu diterimanya tanpa banyak soal.
Craig juga mengakui, walaupun tanggungjawab menentukan siapakah yang sepatutnya mengarahkan filem Bond seterusnya bukanlah tugasnya tetapi pihak penerbit juga turut bersetuju Sam Mendes sebagai calon yang sesuai.
Kini Sam Mendes sangat seronok sepanjang proses pembikinan filem Skyfall sehinggakan dia berhasrat untuk mengarahkan filem Bond yang seterusnya. Dan ini dipersetujui Craig.
Katanya: "Walaupun ini sekali lagi bukan tanggungjawab saya untuk menentukannya tetapi saya ingin berkata yang saya mahu bekerjasama dengan Sam Mendes semula.
"Filem Bond kadang kala mengambil masa sehingga enam atau lapan bulan untuk siap tetapi Sam memiliki tenaga yang sangat luar biasa untuk melakukannya... kerana dia adalah peminat sejati James Bond."
Sementara itu, filem Skyfall menyuntik lebih banyak elemen humor berbanding dua filem Bond yang terdahulu - Casino Royale dan Quantumn of Solace.
Ini dilakukan untuk mengendurkan rasa tegang penonton sebagaimana yang mereka lalui ketika menonton kedua-dua filem itu.
Jarak antara Quantum of Solace dan Skyfall adalah empat tahun dan Craig berpendapat, penonton tidak perlu jarak sedemikian untuk menonton filem Bond sebaliknya dua tahun adalah yang terbaik.
Craig juga percaya, terdapat satu elemen yang harus kekal dalam watak Bond iaitu walaupun sejauh mana sekali pun emosi yang terlibat, Bond tidak harus menunjukkan emosinya kerana Bond tidak wajar patah hati.
"Jika kita berpegang kepada elemen tersebut, filem ini akan terus kekal selama-lamanya. Untuk menjadi Bond, dia harus menjadi lebih daripada seorang askar... dia harus cuba untuk menyembunyikan perasaan dan emosinya," kata Craig lagi.
Maka tidak hairanlah sepanjang lakonannya sebagai 007, Craig tidak langsung memperlihatkan sebarang emosi pada wajahnya kerana dia percaya James Bond tidak harus menunjukkan perasaan tersebut.
Di dalam Skyfall, satu-satunya emosi yang ditunjukkan oleh Bond ialah kesetiaan kepada majikannya iaitu MI6 serta bosnya 'M', yang dilakonkan oleh Judi Dench.

Madonna Alami Gangguan Kerongkong

Posted: 23 Oct 2012 06:58 PM PDT


Kesibukan memenuhi persembahan pentas membuatkan kesihatan Madonna terjejas.
SENTIASA beraksi lincah tidak semestinya menjamin kesihatan seseorang selebriti.
Sebuah khabar buruk datang daripada penyanyi Madonna apabila dia disahkan menghidap penyakit laringitis iaitu gangguan kepada saluran paru-paru menuju ke kerongkong.
Menurut laporan Digital Spy, penyanyi itu mula menyedari dia mengalami masalah kerongkong selepas berasa sakit di bahagian itu di samping merasakan suaranya kedengaran pelik.
"Doktor memberitahu bahawa penyakit laringitis yang dihidap Madonna sangat serius dan dia disarankan untuk berehat serta berhenti daripada segala aktiviti seninya buat sementara waktu," kata sumber.
Tambah sumber tersebut, penyakit itu berpunca daripada kesibukan kerja Madonna yang sangat intensif sehingga ia telah menjejaskan kesihatannya.
Penyakit seperti itu bukanlah yang pertama pernah dihidapi bagi selebriti Hollywood. Pada tahun lalu, penyanyi Adele juga mengalami penyakit yang sama sehingga membuatkan dia perlu berehat lama daripada dunia muzik.

Memperbaiki kekurangan diri

Posted: 23 Oct 2012 06:57 PM PDT

KOMUNIKASI DUA HALA...jangan kongkong kebolehan anak untuk berkembang.
KOMUNIKASI DUA HALA...jangan kongkong kebolehan anak untuk berkembang.
TAKUT...elak menggunakan perkataan ugutan terhadap anak.
TAKUT...elak menggunakan perkataan ugutan terhadap anak.
BAGAIMANA agaknya komunikasi secara efektif antara ibu bapa dan anak?
Kaedah komunikasi ini ternyata boleh membantu namun apa yang penting, ia perlu difahami dan dipraktikkan secara konsisten.
Kebiasaannya budaya berkomunikasi di rumah mungkin hanya membabitkan arahan daripada ibu bapa sedangkan si anak hanya mendengar tanpa diberi peluang meluahkan pandangan sendiri.

Lama-kelamaan, tidak mustahil ia hanya meningkatkan jurang perhubungan antara ibu bapa dan anak di rumah. Apapun belum terlambat kerana ia boleh dibendung sejak awal lagi.

Menurut Penasihat Psikiatri Pusat Perubatan Prince Court, Dr Nor Hamidah Mohd Salleh, kebanyakan ibu bapa berasa mereka mempunyai kemahiran berkomunikasi yang bagus dengan anak, tetapi ternyata kesibukan kerjaya adakalanya membuatkan komunikasi kian berkurangan.

Komunikasi bukan saja mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dibuat oleh anak kerana jika itu yang berlaku, ia boleh dianggap membesarkan anak secara 'diktator'.

Malah, jika ibu bapa terlalu melindungi anak, ia juga boleh mengakibatkan kesan yang tidak baik terhadap perkembangan keyakinan diri anak.

"Bayangkan dengan menetapkan setiap perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan anak, kebolehupayaan kendiri serta perkembangan mental dan fizikal si anak juga akan tersekat.

"Ibu bapa perlu menetapkan had untuk perkara terbabit, bukan 'melaksanakan' semua perkara hingga mengongkong kebolehan anak untuk berkembang," katanya ditemui, baru-baru ini.

Selain itu, kesibukan kerjaya ibu dan ayah juga adakalanya turut memberikan kesan kepada bentuk komunikasi di rumah.

Dr Nor Hamidah berkata, disebabkan faktor ini juga masa anak lebih banyak terluang bersama pembantu rumah atau di pusat jagaan harian hinggakan hubungan yang seharusnya erat terjalin antara ahli keluarga seolah-olah ada jurang pemisah.

"Walaupun ibu bapa berada di rumah, anak ini lebih gemar menyendiri dan melakukan hal masing-masing kerana bagi mereka sudah bersua muka pun sudah memadai.

"Untuk mengelakkan keadaan ini bertambah parah, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mengeratkan kembali hubungan antara mereka sebelum terlambat," katanya.

Menurutnya, tidak kiralah berkomunikasi dengan sesiapa saja termasuk dengan anak sendiri, ia sememangnya memerlukan teknik dan cara yang betul.

Hal ini penting agar nasihat serta pesanan ibu bapa itu dapat diterima dengan baik oleh si anak.

Malah, kemahiran berkomunikasi amat penting ketika berhadapan dengan anak remaja kerana pada peringkat umur ini mereka selalunya lebih agresif dan mempunyai pendapat sendiri.

Oleh itu, ibu bapa perlu mengenal diri sendiri serta memperbaiki kekurangan yang ada ketika berkomunikasi dengan anak remaja.

"Kebiasaannya masalah dalam berkomunikasi berlaku disebabkan ibu bapa kurang memahami perasaan si anak. Justeru, tingkatkan kemampuan dan cuba memahami perasaan anak sebagai lawan dan kawan berbicara.

"Perasaan juga memainkan peranan penting ketika berkomunikasi. Ini kerana jika kita gembira, ia akan memudahkan sesiapa saja untuk berbicara atau meluahkan perasaan," katanya.

Bagi memastikan hubungan kekeluargaan itu kekal erat sepanjang masa, si ibu perlu memainkan peranan sebagai 'duta pengaman' dan mencari jalan untuk memupuk dan mengisi kembali kekosongan dalam perhubungan sesama ahli keluarga.

Ini kerana lebih daripada 90 peratus individu lebih dekat dengan ibu mereka berbanding si ayah. Gerak hati dan kasih sayang ditonjolkan ibu lazimnya lebih lembut dan mesra sekali gus memberikan rasa selamat kepada anak.

"Walaupun tidak dinafikan golongan ibu kini ramai yang berkerjaya, kesibukan kerja tidak membataskan perhubungan mereka dengan si anak.

"Mereka perlu membuka ruang untuk terus memupuk semangat kekeluargaan dan mengeratkan kembali perhubungan dalam pelbagai situasi," katanya.

Terdapat beberapa cara berkomunikasi dengan anak untuk membina bentuk komunikasi berkesan tanpa mengira peringkat usia anak. Antaranya:


Jadi pendengar yang baik.

Cuba menjadi pendengar yang teliti terutama dalam apa yang ingin diperkatakan si anak. Ia amat penting kerana si anak akan bercerita melalui perspektif mereka.

Pada saat ini, ibu bapa perlu berhenti menilai serta menunjukkan rasa hormat dan minat dalam apa yang ingin disampaikan dalam perbualan.

Ini juga akan membuatkan si anak bersedia meluahkan perasaan mereka dan secara tidak langsung mencambah kepercayaan mereka terhadap ibu bapa.

  • Elak daripada menggunakan perkataan yang menjatuhkan air muka anak-anak kerana ia boleh menyebabkan anak berasa tidak selamat, tidak disayangi, marah atau terancam.
  • Beri peluang kepada anak untuk bercakap dan meluahkan perasaan. Apabila mereka bercakap, ibu bapa mestilah mendengar dengan penuh minat.
  • Jangan timbulkan rasa prejudis terhadap anak. Sentiasa bersangka baik.
  • Sentiasa wujudkan suasana anak boleh mempercayai kita, begitu juga sebaliknya.
  • Sentiasa memberinya galakan dan rangsangan untuk berjaya.
  • Berilah nasihat dan teguran membina dan tidak menjatuhkan maruah anak itu.
  • Teguran atau pujian perlu diarahkan kepada perbuatan dan bukan personaliti mereka.
  • Usah membanding-bandingkan si anak dengan individu lain. Ia boleh menyebabkan rasa rendah diri.


    Tip untuk berkomunikasi dengan anak remaja:
  • Wujudkan suasana menyeronokkan dan menarik dalam perbincangan.
  • Sentiasa konsisten dalam apa yang diperkatakan.
  • Sentiasa positif apabila berurusan dengan mereka.
  • Buat pertimbangan terhadap apa yang anak inginkan sebelum mengatakan 'tidak' kepada mereka.
  • Tunjukkan rasa minat atau mengambil berat dalam kerja sekolah dan rakan mereka.
  • Tingkatkan keyakinan diri mereka dan sentiasa memberi semangat atau motivasi pada diri mereka.
  • Jangan terlalu menunjukkan atau menggunakan kuasa veto sebagai ibu bapa.
  • Ibu bapa juga perlu belajar bertolak ansur dengan perubahan persekitaran anak.
  • Bekas Lelaki Tergugat Kerana Kehebatan Taylor Swift

    Posted: 23 Oct 2012 06:55 PM PDT


    Taylor Swift.
    PENYANYI Taylor Swift mendedahkan hubungan cintanya tidak menjadi sebelum ini kerana bekas kekasihnya gagal untuk menerima hakikat Taylor lebih berjaya berbandingnya.
    Taylor, 22, memberitahu dia percaya bekas kekasihnya itu mempunyai sikap untuk bersaing sehingga ia menjejaskan hubungan mereka.
    "Saya mendapati lelaki yang pernah bercinta dengan sebelum ini sangat mahu bersaing sehingga mereka berasa tergugat dengan saya.
    "Itu adalah cabaran paling nyata yang pernah saya belajar setakat ini," ujarnya kepada majalah You.
    Dalam pada itu, Taylor berkata, dia tidak pernah memikirkan perkara tersebut kerana baginya seseorang lelaki itu hendaklah menerimanya seperti manusia biasa yang lain.
    "Saya juga seorang wanita yang ingin dicintai disebabkan diri saya yang sebenar dan bukannya kerana apa yang saya miliki," katanya.

    120 penampar dalam 1/2 jam

    Posted: 23 Oct 2012 06:53 PM PDT

    RAKAMAN video menunjukkan guru wanita (membelakangkan kamera) menampar seorang daripada muridnya.
    RAKAMAN video menunjukkan guru wanita (membelakangkan kamera) menampar seorang daripada muridnya.
    BEIJING: Seorang guru prasekolah didapati mendera muridnya dengan menampar serta menendang mereka berkali-kali.
    Perbuatan kejam itu terbongkar selepas aksi guru terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebuah pusat pendidikan di Taiyuan, utara Shanxi.

    Melalui rakaman video selama 30 minit itu, guru terbabit dilihat menampar empat muridnya lebih 120 kali apabila mereka gagal menjawab soalan diberi. Insiden itu disiasat selepas seorang daripada bapa murid terbabit - cuma dikenali sebagai Han kehairanan apabila muka anak perempuannya merah dan bengkak. Media semalam melaporkan, Han pergi bertemu pentadbiran prasekolah berkenaan dan menuntut untuk melihat rakaman CCTV di situ.
    Menurut Han, melalui rakaman berkenaan, dia melihat anaknya serta tiga kanak-kanak lain menjadi mangsa dera seorang guru.

    "Dalam tempoh setengah jam, guru wanita terbabit menampar anak saya 43 kali, selain menendangnya dua kali," katanya. Mengenai tiga kanak-kanak lain, Han berkata, mereka masing-masing ditampar 43, 27 dan 10 kali dalam tempoh sama. "Wanita itu tidak sepatutnya menjadi guru. Dia bukan manusia, tetapi jembalang!" katanya. Menurut Han, bukan sekali anak perempuannya pulang dengan muka merah dan membengkak tetapi menyangka ia disebabkan kecederaan ketika bermain. Melalui rakaman itu, Han berkata, guru matematik terbabit meminta anaknya mencampurkan dua angka lebih daripada 10.

    Apabila anaknya mengaku tidak tahu, guru terbabit menamparnya. Sementara itu, media China melaporkan, guru wanita itu kini dipecat dari sekolah berkenaan.

    Doktor Kasut Kampung Pandan

    Posted: 23 Oct 2012 06:49 PM PDT

    Shahrom Abd. Aziz tekun menjahit kasut yang dihantar pelanggannya ke bengkel yang terletak di hadapan rumah di Kampung Pandan, Dalam, Kuala Lumpur.
    MEMULAKAN kerja hanya di pekarangan rumah yang tidak seluas mana, malah, tanah tapak rumah itu juga sebelum ini merupakan sebuah perhentian bas sebelum dijadikan gerai minuman dan kini diubah suai kepada sebuah rumah kecil oleh Shahrom.
    Shahrom yang hanya menamatkan persekolahan setakat tingkatan dua memberitahu, kerja barunya itu kini mampu menampung kehidupannya bersama isteri, Yulianis Syarom, 46, dan anaknya, Zakirah, 20, yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Arkitek di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.
    ''Kerja macam ini pendapatan memang tidak tetap, namun memandangkan keluarga saya tidak ramai dan isteri pula bekerja sebagai tukang masak, cukuplah untuk hidup.
    ''Selepas berhenti dari Telekom Malaysia pada tahun 1976 saya melakukan banyak kerja iaitu despatch, pemandu lori, bawa teksi, bawa van, dan memandu bas mini. Akhirnya sekarang saya jadi tukang baiki kasut," katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Bersih 1, Kampung Pandan Dalam, baru-baru ini.
    Jelasnya, dia berminat menjadi tukang kasut sejak beberapa tahun lalu apabila sering melihat hasil tangan kerja-kerja tukang kasut yang berada di tepi-tepi jalan.
    Shahrom yang juga berminat dengan kerja-kerja seni seperti itu mengakui, kemahiran membaiki kasut pelanggan didapati hanya menerusi pemerhatian sahaja sebelum dia cuba membuatnya sendiri.
    ''Mula-mula baiki kasut saya, isteri dan anak. Kemudian adik-beradik dan seterusnya jiran-jiran. Kini, pelanggan saya juga samakin ramai," katanya.
    Tidak seperti tukang kasut lain yang bekerja di tepi-tepi jalan atau di bawah-bawah bangunan, Shahrom mengambil keputusan menggunakan pekarangan rumahnya sebagai tapak tempat dia bekerja kerana lebih rasa selesa.
    Ini katanya, bagi memudahkan untuk menjaga anak pada waktu itu yang masih kecil apabila isterinya keluar bekerja.
    ''Lagipun rumah saya ini tepi jalan, pelanggan pun senang cari saya dan mereka memang tahu saya berada di sini.
    "Biarpun tidak berapa selesa kerana kawasan yang agak kecil dan bila hujan tempias pun masuk ke dalam tempat saya bekerja, namun itu semua sudah biasa.
    ''Perkhidmatan yang saya berikan juga tidak terhad pada masa itu sahaja. Apabila mereka mahu membaiki kasut walaupun pada satu pagi pun saya akan bersedia memberikan perkhidmatan itu memandangkan saya memang sentiasa berada di sini," katanya yang bertemankan sebuah kipas meja menahan daripada bahang kepanasan.
    Shahrom memberitahu, dia menambah pengalaman dalam bidang kasut menerusi kerja-kerja yang dilakukan secara tidak langsung.
    Melalui kerja-kerja itu dia boleh mengenal jenis kasut sama ada diperbuat daripada kulit asli atau tidak dan bagaimana untuk membaikinya.
    Kata Shahrom, dia bersyukur kerana setakat ini hasil kerjanya tidak pernah menerima sebarang aduan daripada pelanggan, malah seringkali menerima kasut daripada pelanggan yang sama.
    Shahrom memberitahu ada juga pelanggannya yang tidak menuntut kasut-kasut mereka kembali setelah dibaiki.
    ''Banyak juga kasut-kasut pelanggan yang masih saya simpan dalam stor sehingga kini. Saya berharap satu hari nanti mereka akan datang untuk mengambil kasut mereka.
    ''Itu juga merupakan salah satu perkara yang saya hadapi sepanjang pengalaman saya menjadi tukang kasut sudah baiki kasut.
    "Tuan punya kasut tidak datang kembali ataupun apabila sudah baiki kasut mereka mengatakan tiada duit kecil untuk membayarnya dan berjanji akan datang semula, namun sehingga ke sudah mereka tidak datang," kata Shahrom yang juga berkemahiran dalam menjahit langsir dan mengubah suai seluar mahupun jeans.
    Namun tambahnya, pada musim perayaan dia akan menerima kedatangan pelanggan yang agak ramai untuk meminta dia membaiki kasut.
    Shahrom berkata, ada juga dia menasihati pelanggan yang menghantar kasut mereka agar membeli sahaja kasut baru yang ternyata lebih murah belanjanya daripada membaiki kasut.
    ''Namun ada dalam kalangan kita yang memang sayangkan sesebuah kasut itu biarkan buruk dan setelah dibaiki mereka akan memakainya kembali kerana lebih selesa," katanya yang memberitahu setiap bulan dia membelanjakan RM160 hingga RM200 untuk membeli benang, jarum dan barang-barang lain yang diperlukan untuk membaiki kasut.
    Shahrom yang tidak pernah menerima bantuan daripada mana-mana pihak berhasrat untuk membuka sebuah kedai capal namun tidak cukup modal.
    Katanya, untuk memulakan sebuah kedai capal dia memerlukan sebuah mesin grinder, gergaji, clamping dan beberapa alatan lagi.
    ''Saya memang minat membuat capal kerana ia juga memerlukan satu kemahiran seni halus. Kalau ada modal yang cukup saya akan cuba membuka sebuah kedai capal sendiri biarpun secara kecil-kecilan.
    ''Capal yang dibuat boleh saya edar di kawasan kejiranan di sini ataupun saya letakkan di masjid-masjid.
    ''Lagipun capal yang cantik dan berkualiti boleh menarik minat orang untuk memakainya dan secara tidak langsung menyebabkan pemakaian capal tidak akan pupus ditelan zaman," katanya yang boleh dihubungi di talian 019-2584255.

    Hubungan semakin hambar

    Posted: 23 Oct 2012 06:48 PM PDT

    PERNAHKAH anda sebagai isteri merasakan ada hari-harinya anda berasa hambar dengan sikap suami anda.
    Mungkin anda merasakan sikap suami anda sudah tidak seperti dahulu, banyak mengelak diri dan enggan pula berkomunikasi dengan anda.
    Sekiranya terjadi sedemikian pasti ada sebabnya suami anda beraksi begitu. Mungkin dia mengalami masalah yang berat di pejabat, berhadapan dengan masalah kesihatan mahupun ingin berseorangan.
    Bagaimanapun adalah malang sekiranya sikap suami berkeadaan demikian disebabkan dia sudah tidak menyayangi atau memerlukan anda lagi, namun dia sukar pula untuk meluahkan kenyataan itu kepada anda, manakala anda pula tidak mengetahui puncanya.
    Berikut diberikan enam cara tanda mengenal pasti adakah suami anda sebenarnya memang sudah tidak menyayangi anda dan sekiranya perbezaan watak ini dapat dihidu dari awal mungkin anda sebagai isteri boleh memulihkan keadaan.
    1Dia jarang ada di rumah
    Ramai di kalangan lelaki menggunakan alasan banyak kerja di pejabat menyebabkan mereka balik lambat ke rumah. Bagi mereka apa guna balik ke rumah awal sekiranya dihimpit dengan rasa kebosanan, tiada berperasaan, terasa menyampah mahupun terasa tiada makna sebaik sahaja sampai di rumah.
    Hakikatnya di sebalik keadaan ini menyebabkan mereka banyak menghabiskan masa di tempat kerja dan tanpa disedari mereka akan menjalinkan hubungan dengan rakan sekerja yang kini dirasakan lebih menarik daripada anda di rumah.
    2Tiada lagi kata-kata pujian darinya
    Bilakah kali terakhir anda mendengar pujian daripada suami anda atau menghargai sesuatu yang anda lakukan. Lelaki tidak akan mengucapkan kata-kata pujian kepada individu itu apabila dia fikir si dia tidak layak untuk mendapatkan pujian berkenaan.
    Apabila suami anda sudah mula kurang tumpuan kepada anda dan percaya semua yang anda lakukan adalah tidak berbaloi bagi dirinya, lambat-laun perhatiannya kepada anda mula hilang.
    3Dia suka menyalahkan anda
    Tuduhan demi tuduhan dan suka menyalahkan anda adalah salah satu babak yang paling ditakuti dalam hubungan suami isteri. Ini juga menunjukkan tanda besar sebenarnya suami anda sudah tidak mahukan anda lagi dalam perhubungan berkenaan. Apatah lagi sekiranya dia sudah mempunyai wanita lain dan pastinya dia mula membuat perbandingan antara anda dan si dia. Akhirnya, anda yang akan menjadi tempat untuk dia melepaskan segala yang terbuku di hati dengan maki hamun dan sumpah-seranahnya.
    4Kebanyakan aktiviti yang dilakukan oleh pasangan terhenti
    Ini termasuklah dia tidak lagi membawa anda untuk pergi jamuan makan bersama-sama, enggan bersama anda di mana-mana majlis ataupun tidak mahu makan bersama biarpun di rumah.
    Ini disebabkan dia tidak lagi mendapati anda menarik buatnya dan apabila bersama anda dia tidak terasa keseronokan sebagaimana waktu mula bercinta dahulu.
    Begitu juga dia terasa mahu berjauhan daripada anda setiap masa kerana berasa bebas sekiranya berbuat demikian.
    Tambahan pula sekiranya dia sudah ada pasangan yang lain menyebabkan semua aktiviti yang lebih menyeronokkan boleh dilakukan bersama teman barunya.
    5Komunikasi selalunya hambar
    Jika pasangan itu dalam keadaan bercinta selalunya semua komunikasi yang dilakukan adalah menyeronokkan dan menarik sehinggakan apa sahaja isu boleh dijadikan bahan.
    Namun apabila kasih sayang sudah semakin menurun kesukaran untuk bercakap antara satu sama lain juga akan berlaku malah suami anda akan mengelak daripada bertentang mata dengan anda. Sepatah yang ditanya, sepatah yang dijawab.
    Hanya isu utama yang dicakapkan itupun beberapa patah perkataan sahaja. Akhirnya tiada lagi ucapan dan kata-kata keluar dari mulut suami anda kerana dia berasa tidak lagi seronok untuk berbual dengan anda.
    6Kasih sayang dan aktiviti seks mula menghilang
    Ini adalah saat kebahagiaan akan hilang dan terus luput dari sanubari seorang yang bergelar suami kepada isterinya.
    Hilangnya kasih sayang dan tiadanya rasa ghairah kepada pasangan menyebabkan hubungan suami isteri itu sudah tiada makna lagi terutama ketika di ranjang.
    Biarpun sesudah bertahun mungkin hubungan seks antara suami isteri sudah tidak serancak selalu namun hubungan akan berkekalan selagi ada rasa kasih sayang. Tetapi apabila semuanya hilang hubungan akan renggang dan akhirnya putus.
    Apabila hubungan seks dilakukan pula hanya terasa hambar dan dingin sedangkan si isteri menanti dengan penuh rasa harap.
    Si suami ketika itu kasih sayangnya pula sedang berbunga maka keghairahan pun menjelma berbanding anda yang telah lama dikenalinya.

    Pilihan terbaik

    Posted: 23 Oct 2012 06:45 PM PDT

    Pengurus Negara Intel Electronics (M) Sdn. Bhd., Prakash Mallya (tiga dari kiri) bersama Pengarah Operasi Perniagaan Asia Tenggara, Ivan Ong, Yap Hui Hui dan Pengurus Produk Fujitsu PC Asia Pacific Ltd., Edmund Lim (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran model baharu komputer riba Fujitsu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
    FUJITSU berbangga berada di Malaysia dengan rangkaian Lifebooks yang paling nipis dan ringan!
    Dengan Generasi Teras 3 terbaru Intel, Lifebooks terkini mempertahankan kualiti yang mempersonafikasi Made in Japan dengan ciri-ciri keselamatan yang canggih, prestasi dan ketepatan yang sempurna
    Justeru, Fujitsu telah sekali lagi menakjubkan pasaran notebook dengan pelancaran model baru Lifebooks di bawah siri-siri S, U, L, A, E, dan P.
    Rangkaian terkini itu menunggang di atas Generasi Teras 3 terbaru proses Intel yang sesuai bagi pelbagai keperluan pengkomputeran, gaya dan pilihan warna.
    Sebanyak 11 model Lifebooks yang akan memenuhi kehendak pelbagai pelanggan, sama ada eksekutif perniagaan, peminat gadget, remaja bergaya ataupun pelajar rajin.
    Model terkini Lifebooks bukan sahaja notebook yang paling ringan dan nipis, ia juga menyampaikan prestasi yang dinamik dan selamat, dapat memberikan pengalaman pengguna yang lebih baik dengan bateri yang lebih lasak.
    Rangkaian siri itu menawarkan prestasi cemerlang, digabungkan dengan ciri-ciri hiburan unggul yang menunggang pada Lifebooks reka bentuk Takumi.
    Pengurus Negara Malaysia, Fujitsu PC Asia Pacific Ltd., Yap Hui Hui berkata, rangkaian baru notebook Fujitsu membolehkan pelanggan menikmati gaya pengkomputeran zaman baru dan Fujitsu memahami anjakan paradigma itu.
    ''Berpegang teguh kepada falsafah Takumi Jepun reka bentuk Lifebooks untuk ini adalah karya-karya seni sendiri - merangkumi identiti yang tersendiri dan seragam, sementara mengimbangkan gaya dan prestasi
    ''Kami di Fujitsu sentiasa memberi tumpuan untuk mengukuhkan portfolio produk kami dengan menggunakan teknologi terkin
    ''Barisan produk terbaru kami menawarkan fleksibiliti yang menakjubkan dan mudah alih tanpa menjejaskan prestasi, keselamatan dan kecantikan," katanya pada majlis pelancaran tersebut.
    Oleh itu, Lifebooks menjadikan pelanggannya lebih baik lagi, menyampaikan teknologi terkini untuk hampir setiap keperluan pengguna.

    Kanji ubi gajah hasilkan plastik

    Posted: 23 Oct 2012 06:43 PM PDT

    Amir Abul Hasan Ashari menunjukkan bagaimana produk penyangkut baju bioplastik terbiodegradasikan dihasilkan melalui mesin acuan.
    Banyak gesaan supaya cawan dan mangkuk makanan atau seumpamanya yang diperbuat daripada polisterin tidak digunakan lagi dalam sajian makanan kerana bimbang boleh membahayakan kesihatan.
    Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan supaya cawan dan mangkuk makanan atau seumpamanya yang diperbuat daripada polisterin tidak digunakan lagi dalam sebarang majlis baginda kerana bimbang boleh membahayakan kesihatan.
    Baginda juga berharap jabatan dan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan sekolah akan menghentikan penggunaan produk tersebut.
    Pada 24 Julai lalu ketika bertitah melancarkan Kempen Kesedaran Kesihatan di Istana Arau, Raja Muda Perlis mencadangkan barangan plastik mudah urai atau terbiodegradasi dan kertas yang mudah dilupuskan digunakan segera.
    Negara maju tidak menggunakan polisterin sebaliknya menjadikan kertas sebagai pembalut bahan makanan.
    Hasil penyelidikan menunjukkan sterin dan benzin dalam produk polisterin mendatangkan kesan penyakit melibatkan rasa berdebar dan mencemarkan alam.
    Begitu juga kesan amalan penggunaan beg plastik pada masa kini untuk membungkus atau membalut makanan.
    Beg plastik konvensional yang berasaskan bahan petroleum tidak mudah mereput apabila ditanam di dalam tanah dan akan menyebabkan masalah kepada alam sekitar.
    Akibatnya ia boleh mencemarkan alam sekitar termasuk saliran air, merosakkan tanaman dan kehidupan haiwan.
    Jika dilupuskan, produk plastik mengandungi bahan beracun.
    Sebaliknya produk bioplastik atau plastik terbiodegradasi (mereput) apabila dilupuskan akan bertindak balas cepat kesan aktiviti bakteria dalam tanah dan bertukar bentuk menjadi unsur bahan karbon secara kitaran semula jadi.
    Oleh itu penggunaan produk plastik terbiodegradasi yang mudah dilupuskan bersama sampah merupakan penyelesaian kepada masalah pencemaran plastik konvensional yang sukar untuk dilupuskan..
    "Teknologi moden telah menemukan kita dengan resin bioplastik daripada kanji jagung, ubi kentang dan ubi gajah. Bahan-bahan asas ini mudah hancur di dalam tanah," kata Pengarah Urusan Indochine Bio Plastiques (ICBP) Sdn. Bhd. Amir Abul Hasan Ashari.
    Beliau yang telah menubuhkan syarikat ICBP memberitahu, lebih 10 tahun lalu resin bio untuk pembuatan bioplastik adalah berasaskan daripada jagung dan ubi kentang.
    Kanji daripada jagung dan ubi kentang itu telah menimbulkan tanggapan 'makanan untuk plastik' dan perdebatan hebat turut ditimbulkan kerana kedua-dua tanaman itu daripada sumber tanaman yang telah diubah suai genetiknya, beracun, berbahaya kepada persekitaran dan bermusim.
    ''Pada masa kini kebanyakan pengeluar resin bio untuk produk bioplastik di dunia menggunakan kanji daripada jagung dan ubi kentang. Keadaan ini memberi kelebihan kepada pengeluaran resin bio daripada kilang ICBP di Malaysia," jelas Amir.
    Resin bio ICBP mesra alam sekitar. Faedah untuk alam sekitar dengan mengurangkan kesan karbon hasil penggunaan bioplastik mendorong kerajaan Malaysia menyediakan insentif dan undang-undang yang mempercepatkan penerimaan bioplastik.
    "Sebagaimana ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Ke-15 di Copenhagen, Denmark pada Disember 2009, Malaysia komited dan sedaya upaya menangani perubahan cuaca.
    "Ini termasuk menerima secara sukarela mengurangkan karbon dioksida sehingga 40 peratus menjelang 2020 berbanding dengan cadangan awal pada 2005.
    "ICBP sealiran dengan inisiatif yang diambil oleh Perdana Menteri terhadap kesan korbon dioksida apabila syarikat ini diberi Sijil Teknologi Hijau daripada Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air," kata Amir.
    Sijil yang dianugerah pada Julai 2010 itu di bawah Skim Kewangan Teknologi Hijau yang mengiktiraf ICBP dalam usaha menggalakkan projek hijau di negara ini melalui pengurangan CO2 dan kesan gas rumah hijau.
    Harga atau kos pengeluaran bioplastik terbiodegradasikan bukan satu halangan jika dipertimbangkan kesan 'positif' terhadap alam.
    Jadi kerajaan perlu galak dan bantu pengilang tempatan untuk membuat produk plastik terbiodegradasikan daripada kanji dan bahan yang bersesuaian.

    Resin dengan sijil halal

    Posted: 23 Oct 2012 06:43 PM PDT

    Kilang ICBP dilengkapi makmal penyelidikan dan pembangunan terkini.
    SYARIKAT Indochine Bio Plastiques (ICBP) Sdn. Bhd. ialah pembuat resin bioplastik terbiogradasikan telah ditubuhkan pada 4 Oktober 2005 dan 100 peratus ilik bumiputera.
    Pengarah Urusan ICBP, Amir Abul Hasan Ashari berkata, resin bio ICBP berasaskan kanji daripada ubi gajah, sumber yang diperbaharui bagi memenuhi asas teknologi hijau.
    Bahan tersebut mesra alam dan genetiknya tidak diubah suai.
    "Kami juga dianugerahi sijil OK Biobased oleh AIB-Vincotte, Belgium iaitu sijil yang diiktiraf mengikut standard Eropah yang memenuhi standard Amerika Syarikat yang berprestij ASTM-D 6866.
    ''Resin bio ICBP satu-satunya di dunia mempunyai sijil Halal di samping itu juga dianugerahi Sijil Projek Hijau oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA)," katanya ketika ditemui di kilang ICBP di Zon Bebas Cukai, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor.
    ICBP ialah syarikat pertama di rantau ini menerima sijil berprestij AIB-Vincotte Certification (tanda 'OK Biobased') yang mengesahkan ICBP memiliki keupayaan teknologi yang setaraf dengan pembuat resin berasaskan bio yang terkenal dari negara seperti Amerika Syarikat, Eropah, Jepun dan negara lain.
    Persijilan OK Biobased yang diterima membuka masa depan ICBP untuk menjadi perintis pembuat resin bioplastik daripada ubi gajah.
    Pada masa kini resin terbiodegradasikan digunakan sebagai bahan tambahan pada produk plastik berasaskan petroleum.
    Bagaimanapun peningkatan kesedaran alam sekitar dan mengurangkan pergantungan bahan api fosil, maka resin plastik terbiodegradasikan telah menjadi produk pengganti, bermodalkan 'Sijil Teknologi Hijau' dan faedah alam sekitar bagi menyelamatkan bumi tanpa menolak ciri-ciri plastik daripada kehidupan moden.
    Resin bio ICBP mesra alam sekitar. Faedah untuk alam sekitar dengan mengurangkan kesan karbon hasil penggunaan bioplastik mendorong kerajaan Malaysia menyediakan insentif dan undang-undang yang mempercepatkan penerimaan bioplastik.
    Sijil yang dianugerah pada Julai 2010 itu di bawah Skim Kewangan Teknologi Hijau yang mengiktiraf ICBP dalam usaha menggalakkan projek hijau di negara ini melalui pengurangan CO2 dan kesan gas rumah hijau.
    Penerimaan sijil Halal daripada Jabatan Agama Islam Johor membuka peluang ICBP meneroka pasaran dunia Islam terutama berkaitan penyediaan makanan seperti peralatan sudu dan garpu untuk katering, syarikat penerbangan dan sebagainya.
    Pada masa kini ICBP mempunyai 16 staf tetap yang sedia bertugas 12 jam sehari memandangkan sistem pengeluaran hanya ada satu dan separuh automatik. ICBP juga mempunyai pusat penyelidikan dan pembangunannya sendiri, lengkap dengan peralatan makmal bernilai lebih RM2 juta.
    Bio resin daripada syarikat ICBP dihasilkan daripada sumber diperbaharui kanji ibu gajah dengan tambahan plasticizers dan compatibilizers.
    Bio resin ini berasal daripada alam semula jadi, kesan karbon yang sangat rendah dan mesra penjagaan alam sekitar.
    ICBP mengeluarkan resin bioplastik terbioderadasikan berasaskan ubi gajah yang sesuai untuk penyuntikan gred, penggunaan membuat acuan. Resin bio boleh digunakan untuk produk beracuan bagi bungkusan makanan, sudu garpu pakai buang, komponen casing elektronik, komponen automotif dan lain-lain.

    Satelit tingkat taraf hidup

    Posted: 23 Oct 2012 06:41 PM PDT

    Data-data daripada satelit berguna untuk meramal atau menganalis kejadian bencana.
    PADA tahun 1945, seorang penulis sains fiksyen dan pereka berbangsa British, Arthur C. Clarke telah menerbitkan sebuah artikel yang menerangkan teori mengenai sistem komunikasi bumi menggunakan pemancar frekuensi radio yang diletakkan di sebuah stesen angkasa.
    Menerusi artikel tersebut, beliau menerangkan sebuah stesen angkasa yang diletakkan di satu orbit yang mempunyai halaju yang sama dengan putaran bumi dipaksinya, akan membuatkan stesen tersebut berada pada satu lokasi tetap pada satu rujukan lokasi di bumi.
    Fenomena ini akan membolehkan frekuensi radio bagi tujuan komunikasi dipancarkan melalui stesen tersebut dari satu lokasi ke lokasi lain di atas muka bumi tanpa memerlukan wayar fizikal.
    Artikel tersebut merupakan rencana rasmi pertama yang mencadangkan penggunaan angkasa lepas sebagai medium bagi sistem komunikasi di bumi.
    Dua belas tahun kemudiannya dengan kemajuan teknologi roket di negara-negara barat, satelit pertama dunia dilancarkan ke orbit oleh Russia.
    Satelit tersebut yang dikenal sebagai Sputnik 1 yang membawa antena pemancar radio telah berjaya dikesan oleh pengguna radio amatur di bumi.
    Hasil penemuan tersebut, bidang angkasa lepas berkembang dengan pesat dan kini merupakan salah sebuah industri yang membantu menjana pendapatan kepada keluaran kasar negara.
    Industri angkasa lepas antarabangsa kini bernilai RM830 bilion (USD276 billion) dan diterajui lebih 80 buah syarikat antarabangsa yang menawarkan pelbagai perkhidmatan di dalam industri tersebut.
    Perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah sektor mereka bentuk, pembuatan, pelancaran, pengoperasian, insurans dan pembiayaan kewangan.
    Aktiviti hiliran hasil daripada penggunaan teknologi satelit memberi pelbagai manfaat yang membantu meningkatkan taraf hidup.
    Industri angkasa lepas kini telah diperluaskan penggunaannya ke pelbagai cabang seperti telekomunikasi, cerapan astronomi, ramalan cuaca, pengurusan hasil bumi, penentuan lokasi, pendidikan dan ketenteraan.
    Sebanyak 61 peratus daripada jumlah nilai industri angkasa lepas dunia adalah dipelopori oleh industri satelit.
    Mengikut kajian yang dijalankan oleh Persatuan Industri Satelit (SIA 2011), pendapatan industri satelit dunia mengalami peningkatan purata tahunan sebanyak 11.2 peratus dari tahun 2005 hingga ke tahun 2010.
    Industri satelit boleh dibahagikan kepada empat sektor utama iaitu pembuatan satelit, khidmat pelancaran, stesen pemancar dan perkhidmatan melalui satelit.
    Antara empat sektor utama termasuklah sektor stesen pemancar bumi dan perkhidmatan melalui satelit yang telah mencatatkan peningkatan progresif sepanjang tahun 2005 hingga 2010.
    Ini menunjukkan permintaan terhadap kualiti perkhidmatan satelit meningkat dengan pembinaan dan penaiktarafan infrastruktur stesen pemancar bumi.
    Pada tahun 2010, pendapatan sektor perkhidmatan melalui satelit buat pertama kalinya melepasi kadar RM300 bilion (USD100 billion).
    Peningkatan itu disebabkan kadar permintaan yang tinggi untuk perkhidmatan Direct To Home (DTH).
    DTH merupakan perkhidmatan yang membolehkan pengguna menerima siaran televisyen secara terus ke rumah melalui penggunaan antena penerima isyarat satelit yang berdiameter besar (1.7 meter).
    Berlainan pula untuk sektor pembuatan satelit yang mengalami penurunan kerana permintaan yang perlahan bagi pelancaran satelit kerajaan yang berkos tinggi kesan daripada kelembapan ekonomi dunia.
    Negara maju kini mengalihkan perbelanjaan negara ke sektor yang dapat memberikan kesan jangka masa panjang.
    Beberapa projek mega dalam industri angkasa lepas seperti kapal angkasa, Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan Teleskop Hubble kini mengalami sama ada pemberhentian ataupun pengurangan pembiayaan.
    Menerima kesan yang sama seperti sektor pembuatan satelit adalah sektor pelancaran.
    Pada tahun 2010, pendapatan sektor pelancaran mencatatkan penurunan sebanyak empat peratus berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan perkembangan sebanyak 18 peratus
    Penurunan itu dicatatkan kerana pelancaran bagi satelit kerajaan, yang merupakan sumber pendapatan utama sektor terbabit, berkurangan.
    Pada tahun 2010, sebanyak 49 pesanan di seluruh dunia bagi pelancaran satelit telah direkodkan.
    Daripada jumlah tersebut, syarikat dari Amerika Syarikat menerima 20 pesanan, syarikat dari Eropah menerima 14 pesanan, syarikat Russia menerima 11 pesanan dan selebihnya dari China dan syarikat kerjasama antarabangsa.
    Secara purata pesanan yang diterima oleh syarikat-syarikat terbabit mencatatkan penurunan jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya.
    Industri angkasa lepas dunia dikuasai oleh negara-negara barat yang rata-rata membelanjakan dan melabur jumlah wang yang besar setiap tahun bagi menampung industri tersebut di negara mereka.
    Amerika Syarikat mengetuai senarai dari segi pembelanjaan bagi industri angkasa lepas.
    Pada tahun 2009, negara itu telah membelanjakan sejumlah USD48.8 billion untuk industri angkasa lepas yang meliputi sektor awam dan pertahanan.
    Angka perbelanjaan tersebut meliputi 72 peratus daripada perbelanjaan dunia untuk industri angkasa lepas pada tahun tersebut.
    Gabungan negara-negara Eropah merupakan pihak kedua dalam senarai tersebut dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM22 bilion (USD7.9 billion) .
    Jepun yang telah melakar posisi baru bagi industri angkasa lepas telah membelanjakan RM9 bilion (USD3billion) pada tahun tersebut dan diikuti pula dengan Russia yang telah membelanjakan sebanyak RM8 bilion (USD2.8 billion).
    Mengikut rekod China dan India, masing-masing telah membelanjakan USD2 billion dan USD900 juta pada tahun tersebut.
    Industri angkasa lepas merupakan bentuk pelaburan jangka panjang yang berterusan demi membina kapasiti pembangunan modal insan yang berpendapatan tinggi menerusi ekonomi berasaskan penghetahuan .
    Justeru, setiap pelaburan seperti projek angkasawan yang turut membabitkan saintis dan penyelidik tempatan yang terlibat termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ada manfaatnya.
    Sebagai contoh, penyelidikan melibatkan sel kanser yang dijalankan oleh Prof Datuk Dr. A. Rahman A. Jamal; bakteria oleh Prof. Dr. Ramelah Mohamed dan penghabluran protein oleh Prof. Dr. Raja Noor Zaliha Raja Abd. Rahman dari Universiti Putra Malaysia (UPM) kini mendapat perhatian dunia.
    Hasil penemuan daripada penyelidikan mampu memberikan faedah pada masa hadapan demi masa depan yang lebih sempurna sama ada dari segi kesihatan, kemudahan asas mahupun gaya hidup masyarakat.

    Lima tahun, menyanyi Stacy bukti kemampuan

    Posted: 23 Oct 2012 06:30 PM PDT


    Stacy
    Stacy
    NAMA gadis kelahiran Sabah ini bukanlah asing dalam industri seni suara tempatan. Malah, bintang kelahiran rancangan realiti popular Akademi Fantasia (AF) musim keenam ini dikenali ramai peminat muzik di sini.
    Kelincahan menari serta keunikan suaranya menerusi irama yang rancak dan bertenaga pastinya memberi kelainan kepada penyanyi berusia 22 tahun ini untuk menempa nama dalam bidang yang diceburi.
    Turut tercalon dalam Anugerah Industri Muzik Ke-19 (AIM19) merupakan satu penghargaan buat Stacie Angie Anam atau lebih dikenali sebagai Stacy setelah 5 tahun bergelar penyanyi.
    Jelasnya, dia tidak menyangka tahun ini, dia tercalon dalam tiga kategori .
    "Apabila mendapat tahu mengenai pencalonan ini, memang saya rasa bersyukur sangat.
    "Apa pun, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana pencalonan lain serta saingan saya juga semuanya hebat," katanya yang tercalon bagi kategori Album Terbaik (Stay-C), Video Muzik
    Terbaik (Pelangi Senja arahan Ghaz Abu Bakar) dan Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu menerusi lagu Kasanova.
    Berkongsi lanjut mengenai pencalonan itu, jelas Stacy, dia sebenarnya sangat teruja apabila video muzik Pelangi Cinta dicalonkan.
    "Video muzik bagi lagu ini sangat unik, malah lagunya juga menyentuh emosi kerana melodinya yang mendayu," katanya yang kini sedang dalam proses menghasilkan album mini.
    Bercerita mengenai album mininya, Stacy memberitahu album tersebut bakal dimuatkan lagu-lagu yang berentak lebih santai dan juga rancak.
    "Ini adalah projek khas saya untuk peminat semua. Bagaimana pun, saya masih dalam proses menyiapkannya dan belum mempunyai waktu yang tepat untuk melancarkannya," katanya.
    Bukan hanya lagu catchy
    Diaju pertanyaan mengenai kecenderungannya menyanyikan lagu balada, kata Stacy, dia ingin membuktikan kemampuan vokalnya.
    "Saya akui dikenali dengan lagu berentak rancak dan catchy, tetapi saya juga semakin selesa menyanyikan lagu-lagu balada.
    "Lebih-lebih lagi, apabila lagu Kisah Dongeng dan Pelangi Senja mendapat sambutan, ia membuatkan saya bersemangat untuk terus tampil dengan lagu sebegini," jelasnya yang turut memasang impian bergelar pelakon.
    Menyentuh mengenai impiannya, ujar Stacy, dia bagaimana pun bukanlah seorang yang boleh melakukan pelbagai kerja dalam satu masa.
    "Memang teringin berlakon, tetapi perlu juga lihat kepada keadaan, jika waktu itu saya sibuk dengan nyanyian, saya terpaksa menolaknya," katanya.
    Menurutnya, untuk menjadi pelakon, dia juga harus memperbaiki loghat Sabah yang masih tebal dalam dirinya.
    "Saya tinggal bersama ibu di sini, dan apabila dengan adik-beradik, saya menggunakan loghat Sabah, jadi sukar untuk saya buang loghat tersebut," katanya yang mahu fokus kepada bidang nyanyian buat masa sekarang.
    Matang jadi ibu
    Dalam pada itu, Stacy juga sempat berbicara mengenai kehidupan peribadinya.
    Mempunyai seorang anak angkat diberi nama Bella Valentina, 9 bulan, dia mengakui semakin matang dalam menjalani kehidupan.
    "Bella banyak mengajar saya menjadi lebih baik, walau pun saya masih muda dan dia masih bayi, tetapi kerana dia, saya mula berubah sedikit demi sedikit.
    "Jika dulu kehidupan saya banyak dihabiskan di luar tetapi sekarang tidak lagi, habis kerja saya pasti akan pulang dan melayan dia sahaja," katanya yang turut meminta bantuan ibunya menjaga
    Bella apabila dia tiada di rumah.
    Ditanya apakah dia sudah mempunyai teman istimewa, jelas Stacy buat masa sekarang, dia lebih senang bersama keluarga sahaja.
    "Saya belum fikir untuk mencari teman istimewa lagi dan saya tidak kisah mengenai semua ini," katanya.

    Clearpath perkenal pendakap gigi lutsinar

    Posted: 23 Oct 2012 06:29 PM PDT


    Clearpath Marketing Sdn Bhd
    Madzurah menunjukkan pendakap gigi Clearpath Aligners.
    CANTIK itu menyakitkan. Begitu la ungkapan sering didengari apabila seseorang terutamanya wanita yang mendambakan kecantikan, apatah lagi apabila menggunakan pendakap gigi yang digunakan selama setahun bagi tujuan meluruskan gigi agar tampak lebih kemas dan cantik.
    Kini, dengan adanya teknologi baru yang diperkenalkan oleh sebuah syarikat Bumiputera tempatan, Clearpath Marketing Sdn Bhd menjadikan revolusi rawatan gigi dengan membawakan pendakap gigi lutsinar tanpa besi dan wayar, Clear Aligners.
    Clearpath Marketing Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 1 Ogos lalu adalah pengedar tunggal di Malaysia, Singapura dan Indonesia, bagi produk keluaran syarikat induk ClearPath Orthodontics yang berpangkalan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
    ClearPath Orthodontics Clear Aligners adalah pendakap gigi berkualiti tinggi dan telah melalui proses pembuatan yang unik kerana menawarkan jalan penyelesaian untuk meluruskan gigi menerusi teknik yang bersih, mudah dan jernih (lutsinar).
    Teknologi baru tanpa menyakitkan 
    Pengarah Urusannya, Mazdurah Mohd Zin berkata, Clear Aligners adalah satu-satunya teknologi sedemikian yang telah dipasarkan sejak 10 tahun lalu di pasaran Timur Tengah, Afrika, Rusia, Eropah dan kini bakal memasuki pasaran Asia Tenggara melalui syarikatnya.
    "Dengan pelancaran produk ini di pasaran tempatan dan Asia Tenggara akan membuka laluan lebih luas untuk mempromosikan sekali gus memperkenalkan rawatan  gigi ini secara menyeluruh kepada semua pengguna.
    "Kami membawakan produk yang berkualiti, senang digunakan, bersih dan mudah di pakai menjadikan penyelesaian dalam membetulkan gigi bermasalah tanpa wayar dan besi yang menyakitkan," katanya, ketika ditemui Sinar Harian.
    Menurutnya, teknologi Aligners ClearPath 3D memberikan manfaat keselesaan, estetika dan kebersihan kepada pengguna dengan pembabitan doktor bertauliah dalam tempoh rawatan di antara enam hingga 18 bulan menggunakan 12 hingga 30 aligners. 
    Katanya, Clear Aligners menawarkan pilihan terbaik kepada pengguna untuk menikmati kebebasan makan dan menggosok tanpa menggunakan flos gigi tanpa sekatan daripada pendakap logam.
    Promosi secara agresif
    Madzurah berkata, ClearPath akan bergerak secara aktif bagi tujuan promosi dan penerangan produk kepada seluruh masyarakat tempatan dan luar negara dengan menyasarkan kira-kira 4,700 doktor gigi sedia ada dari ketiga-tiga negara untuk menggunakan teknologi itu.
    "Setakat ini, lebih 150 pakar perubatan pergigian tempatan dan lebih 100 pakar gigi dari Singapura telah bersetuju untuk bekerjasama dengan kami.
    "Sejak pelancaran di Singapura, kami menerima sambutan yang menggalakkan dalam tempoh dua minggu kemudian," katanya.
    Menurutnya, dengan sambutan yang positif itu, Clearpath yakin untuk mencapai sasaran pendapatan RM8 juta dalam tempoh setahun menerusi pasaran tempatan, Singapura dan Indonesia.
    Katanya, syarikatnya turut merancang untuk bekerjasama dengan klinik kerajaan dan Kementerian Kesihatan bagi membantu menawarkan produk kepada pelajar dan masyarakat yang tidak berkemampuan mendapatkan produk keluarannya.
    Clearpath Marketing Sdn Bhd turut menyasarkan untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak kerajaan menjelang suku kedua tahun depan.
    Bakal ke Filipina dan Thailand
    Bagi mengembangkan syarikat dan memperluaskan pasaran ke segenap rantau Asia Tenggara, Mazdurah berkata, syarikatnya bakal memasuki pasaran Indonesia pada Disember ini diikuti Filipina dan Thailand.
    "Walaupun belum memasuki pasaran negara itu, kami telah menerima permintaan yang tinggi dan positif daripada kedua-dua negara itu untuk membawakan produk ke sana.
    "Setakat ini, kira-kira 50 doktor pergigian dari Filipina bertauliah telah menawarkan diri untuk mengikuti latihan yang dianjurkan," katanya.
    Clear Aligner ditawarkan harga purata sekitar RM7,000 dan ke atas bergantung kepada situasi dan keadaan gigi pesakit.
    Clearpath Marketing Sdn Bhd turut memberikan tawaran harga hebat kepada 100 pengguna pertama yang mendaftar sehingga 50 peratus.

    Dipedaya 'ustaz', 6 suri rumah tak dapat tunai umrah

    Posted: 23 Oct 2012 06:27 PM PDT


    Dipedaya 'ustaz', 6 suri rumah tak dapat tunai umrah
    Suri rumah yang diperdaya 'ustaz' membuat laporan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia
    JOHOR BAHRU – Hajat enam suri rumah menunaikan umrah bukan sahaja tidak kesampaian, malah terpaksa menanggung kerugian selepas terpedaya dengan tawaran seorang bergelar 'ustaz'.

    Salah seorang mangsa, Noriah Alias, 55, berkata, 'ustaz' itu dikenali mereka sekitar Mac lepas ketika menghadiri kelas agama.

    "Dia kelihatan jujur dan menawarkan pakej umrah dengan harga RM3,540 seorang. Ketika itu kami teruja kerana harga ditawarkan lebih murah daripada pasaran.

    "Atas dasar percaya, kami membayar RM1,100 bagi yuran keahlian dan RM400 bagi bayaran tambahan kerana membuat tempahan sempena cuti sekolah bulan Mei," katanya sambil menjelaskan mereka masing-masing membayar sebanyak RM4,950 kepada 'ustaz' berkenaan.

    Bagaimanapun, menurutnya, sebulan sebelum tarikh berlepas, 'ustaz' terbabit memaklumkan bahawa perjalanan ke tanah suci itu ditunda dan kemudian ia dibatalkan kerana masalah visa.

    "Agensi pelancongan yang diwakili 'ustaz' itu juga berjanji akan memulangkan semula duit kami, namun gagal,"  katanya di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), di sini, hari ini.

    Menurut Noriah, pembatalan itu menyebabkan mereka berasa malu kerana masing-masing telah membuat kenduri untuk ke tanah suci.

    "Bagaimanapun kami tetap meneruskan niat dan mendaftar dengan agensi pelancongan lain. Alhamdulillah kami berjaya menunaikan umrah Ramadan lalu dengan pakej berharga RM5,000," katanya.

    Sementara itu, Presiden TTPM, Badius Zaman Ahmad kemudiannya membenarkan empat daripada lima tuntutan yang dikemukakan mereka mendapat pulangan wang RM4,950 setiap seorang kerana satu dokumen yang dikemukakan tidak lengkap.

    Noriah dan tiga lagi rakanya dibenarkan mendapat wang mereka semula dalam tempoh 14 hari.

    Lelaki belasah ibu mertua

    Posted: 23 Oct 2012 06:25 PM PDT


    Lelaki belasah ibu mertua
    Tertuduh sempat tersenyum ketika gambarnya dirakam sewaktu keluar dari mahkamah, semalam.
    KOTA BHARU – Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan membelasah ibu mertuanya hingga mangsa patah tulang rusuk, September lalu.
    Hukuman terhadap Azmi Zahari, 37, bagaimanapun ditangguhkan berikutan menunggu laporan perubatan warga emas terbabit.
    Azmi dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Meriam Deraman, 80, iaitu patah dua tulang rusuk kiri kerana ditumbuk di pinggang dan pipi kiri selain menghantukkan kelapa mangsa ke dinding.
    Kejadian berlaku pada jam 8.30 pagi, 23 September di hadapan sebuah rumah di Kampung Che Deris, Jalan PCB di sini.
    Tertuduh dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding semalam, Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

    Kes tersebut bersambung pada 28 November depan.

    Diganggu kelibat 'pocong'

    Posted: 23 Oct 2012 06:23 PM PDT


    Diganggu kelibat 'pocong'
    Laluan keluar masuk penduduk yang dikelilingi hutan bakau dan nipah.
    KERIAN - Penduduk kampung tersusun Raja Bashah Kuala Kurau, di sini gempar dengan gangguan kelibat lembaga berkain putih atau dikenali sebagai hantu 'pocong' sehingga menyebabkan sebahagian besar mereka takut keluar rumah terutama waktu malam.
    Seorang saksi kejadian, Mohd Desa Ahmad, 52, berkata, cerita kewujudan hantu itu mula tersebar di seluruh kampung sejak tiga bulan lalu apabila sebanyak tiga kes penemuan lembaga berkenaan dilaporkan sehingga kini.
    Menurutnya, pengalaman terserempak dengan lembaga menyerupai hantu pocong benar-benar memberi igauan buruk setelah sebelum ini menganggap dakwaan beberapa penduduk sebagai tidak berasas.

    "Kejadian itu berlaku semasa saya sedang mengambil angin di luar rumah baru-baru ini dan tercium bau aneh seakan-akan bau tanah kubur sewaktu sedang menghisap rokok.

    "Pada masa sama, saya mendapati terdapat sebuah motosikal sedang melintasi hadapan rumah dan alangkah terkejutnya apabila terdapat satu objek berbungkus kain putih sedang 'membonceng' motosikal itu tanpa disedari penunggangnya," katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini semalam.

    Mohd Desa berkata, dia tergamam melihat objek berbungkus itu buat seketika, bagaimanapun keadaan menjadi lebih mengerikan apabila muncul di hadapannya secara tiba-tiba.
    "Sedang saya tergamam melihat kejadian itu, tiba-tiba objek itu hilang dan paling memeranjatkan, lembaga itu muncul di hadapan saya dalam jarak 10 meter.
    "Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika ini dan saya segera meluru masuk ke dalam rumah dan menutup semua tingkap serta pintu tanpa berfikir panjang," katanya.
    Seorang lagi saksi kejadian, Salleh Mat, 58, berkata, semasa kejadian dia bersama isteri dan anak-anaknya sedang berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen pada jam 11 malam.
    "Pada masa itu saya hendak menutup pintu belakang rumah kerana sudah lewat malam. Saya perasan ada kelibat seseorang di luar rumah berpakaian serba putih namun tidak berapa jelas kerana keadaan pada masa itu terlalu gelap.
    "Saya pun turun dari rumah dan memberanikan diri untuk melihat dengan lebih dekat. Bagaimanapun, kelibat lembaga itu merupakan sebuah objek berbungkus yang menyerupai tubuh mayat yang dikafankan," katanya.
    Salleh yang terperanjat dengan kejadian itu terus memasuki rumah dan mengunci semua pintu dan tingkap sehingga menimbulkan kehairanan isteri dan anak-anaknya.

    "Saya yakin lembaga yang saya lihat merupakan hantu pocong berdasarkan bentuk sama seperti manusia yang dikafankan di mana kain yang membaluti tubuh amat pudar selain mempunyai satu ikatan di atas kepala," katanya.

    Sementara itu, sumber dari penduduk asal kampung menceritakan kejadian ini dikatakan sering berlaku semasa pembukaan kampung ini sekitar tahun 1980-an sebelum isu itu lenyap beberapa tahun kemudian.

    Bagaimanapun, kejadian penduduk 'diganggu' hantu pocong berulang kembali dipercayai berpunca perlaksanaan projek penempatan semula penduduk kampung yang dikatakan 'mengganggu' kediaman asal makhluk halus di sini.

    "Berdasarkan cerita orang tua sebelum ini, kampung ini sebelum dibuka dipenuhi hutan nipah dan hutan paya bakau. Dikatakan pelbagai perkara buruk berlaku semasa pembukaan kampung.

    "Ia disebabkan di kawasan hutan nipah ini terdapat banyak kubur-kubur lama yang tidak bertanda selain sebuah kubur 'keramat' yang dikatakan turut terletak di kawasan kampung kami," katanya.

    Seorang lagi penduduk yang ingin dikenali sebagai Radhi berkata, lokasi pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kurau dan kawasan sekitarnya dikatakan berasal dari tapak perkuburan lama yang banyak terdapat di kawasan itu.

    "Semasa pembinaan pangkalan itu, terdapat gangguan sebegini dialami penduduk kampung sebelum perkara sama berulang kembali sejak tiga bulan.

    "Kami tidak menolak kemungkinan 'kemunculan' kembali makhluk berkenaan disebabkan kerja pembinaan penempatan semula penduduk kampung yang sedang dijalankan yang dipercayai menyebabkan makhluk itu 'marah' dan mengganggu kami," katanya.

    'Kerabat' Kedah ditahan polis

    Posted: 23 Oct 2012 06:20 PM PDT


    Abdul Rahim Hanafi
    Abdul Rahim menunjukkan logo yang digunakan oleh lelaki menyamar sebagai kerabat diraja Kedah.
    GEORGETOWN - Polis menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang disyaki menyamar sebagai anggota kerabat diraja Kedah dalam satu majlis di sebuah hotel terkemuka di sini petang semalam.
    Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, tangkapan itu dibuat hasil maklumat orang awam yang mencurigai kehadiran kumpulan kerabat diraja itu ke satu majlis yang dianjurkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini kira-kira jam 3 petang, semalam.
    Menurutnya, lelaki bukan Bumiputera itu turut menggunakan logo yang tidak sepatutnya pada kenderaannya dan hasil siasatan polis mengesahkan tiada kerabat diraja kedah di dalam majlis berkenaan.
    "Majlis itu dihadiri kira-kira 120 orang dan ia dianjurkan oleh sebuah NGO Islam. Kita mencurigai apakah tujuan mereka untuk berjumpa dengan kumpulan bukan Melayu yang fokus kepada pusat hiburan.
    "Dalam serbuan itu, kita turut menahan 12 lelaki untuk membantu siasatan dan kesemuanya berusia antara 38 hingga 61 tahun," katanya ketika ditemui media di sini semalam.
    Abdul Rahim berkata, pihaknya turut merampas sebuah kereta mewah milik lelaki berkenaan, selempang dan beberapa dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.
    Menurutnya, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Seksyen 413 Kanun Keseksaan kerana penyamaran dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
    Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut.

    Almy kurus selepas dibedah

    Posted: 23 Oct 2012 06:17 PM PDT




    PELAKON Almy Nadia yang sebelum ini hangat dengan kontroversi cintanya bersama aktor Fizz Fairuz mengakui dirinya kurang popular berbanding pelakon seangkatannya yang lain.
    Almy atau nama penuhnya Almy Nadia Aminuddin Shah yang ditemui pada program Jelajah Anugerah Skrin (ASK) 2012 di pusat beli-belah e@Curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini juga sudah hampir setahun lebih tidak muncul di khalayak ramai.
    Bukan merajuk ataupun mengelak daripada bertemu pihak media dan peminat, kata Almy, dia sudah lama dia tidak meraih tawaran lakonan mahupun acara bertemu peminat daripada mana-mana pihak.
    Selepas kontroversi cintanya dengan Fizz, akui Almy, dia telah banyak berubah dan kini berusaha keras untuk kembali diterima dalam bidang lakonan. Ikuti temu bual Kosmo! bersama pelakon berusia 26 tahun ini.
    Kosmo!: Boleh dikatakan sudah lama pihak media tidak bertemu Almy pada acara-acara hiburan, ke mana anda menghilangkan diri?
    ALMY NADIA: Sebenarnya sudah setahun lebih saya tidak muncul pada acara bertemu peminat seperti ini, bukan tidak mahu tetapi tiada jemputan. Saya rasa diri tidak popular dan kurang keyakinan diri, mungkin sebab itu saya kurang mendapat tawaran.
    Kalau Almy tak popular, kenapa pula drama Cinta Buat Emelda meraih sambutan hangat daripada penonton sebelum ini?
    Popular ketika drama itu ditayangkan sahaja, selepas itu semuanya kembali seperti biasa. Saya pun tidak tahu di mana silapnya, cuma saya masih menganggap diri saya sebagai pelakon baharu dan masih banyak perkara yang harus dipelajari.
    Apakah tindakan Almy untuk mengekalkan kerjaya lakonan?
    Sebelum ini, saya sedikit berisi dengan berat badan mencecah 75 kilogram (kg), namun selepas menjalani pembedahan apendiks sekarang berat saya berkurangan kepada 51kg. Saya berusaha untuk kembali kurus untuk meraih tawaran lakonan.
    Almy sedih dengan perjalanan kerjaya lakonan sekarang ini?
    Rezeki terletak di tangan Allah, saya sedaya upaya cuba berfikiran positif dan berusaha keras. Saya percaya ada hikmah sebalik apa yang berlaku.
    Selepas kontroversi cinta dengan Fizz Fairuz, bagaimana dengan hubungan kalian sekarang ini?
    Bagi saya, tidak elok untuk bercakap lagi tentang perkara lalu. Ibu saya merupakan orang pertama yang akan marah jika saya bercakap lagi tentang soal cinta. Pasti orang ramai juga sudah muak dengan kisah itu. Sekarang ini, fokus saya untuk kerjaya sahaja.
    Apakah yang dipelajari Almy daripada kontroversi cinta itu?
    Banyak yang saya belajar daripada apa yang telah berlaku. Saya banyak berubah dan menjadi lebih kuat. Rasanya Almy hari ini bukan lagi Almy yang dahulu. Saya lebih terbuka tetapi dalam masa yang sama masih menyimpan apa yang perlu disimpan daripada khalayak. Bukan semua benda kita boleh kongsikan dengan orang ramai.
    Andai ada lelaki yang ingin memperisterikan Almy, apakah syarat utamanya?
    Lelaki itu harus menerima saya seadanya dan juga sayangi anak angkat saya, Nurafrina Darwisyah yang kini berusia tiga tahun.

    Diana, Farid berpisah selepas kahwin

    Posted: 23 Oct 2012 06:16 PM PDT



    BERPISAH selepas berkahwin. Itu realiti yang bakal dihadapi aktres jelita, Diana Danielle selepas selamat melangsungkan pernikahannya dengan tunangnya, aktor Farid Kamil.
    Perkahwinan antara Diana dan Farid dijadualkan berlangsung pada 3 November ini.
    Menurut pemilik nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson, yang ditemui pada program Anugerah Skrin 2012 (ASK 2012) di pusat beli-belah e@Curve baru-baru ini, perpisahan itu disebabkan dia mahu menyambung pelajaran di luar negara.
    "Saya berasa cemburu apabila melihat rakan seusia yang dapat menimba ilmu di negara orang. Saya lantas telah membincangkan tentang perkara tersebut bersama Farid. Dia nyata amat menyokong niat saya untuk menyambung pelajaran," ujarnya.
    Diana bakal menimba ilmu di National Institute of Dramatic Art (NIDA), Australia dalam jurusan produksi siaran langsung selama setahun.
    "Sebenarnya saya hanya mengambil kursus intensif. Selepas kami berkahwin, saya akan menyambung pelajaran sekitar awal tahun hadapan.
    "Butirannya masih terlalu awal untuk dikongsi. Namun, nampaknya, kami terpaksa berjauhan buat sementara selepas kahwin nanti. Itu pengorbanan yang harus dilakukan demi masa depan kami berdua," luahnya.
    Meskipun berat hati untuk berpisah, namun kata Diana, bakal suaminya itu juga akan melanjutkan pelajaran pada peringkat doktor falsafah di Malaysia pada waktu yang sama.
    "Kami berdua sama-sama melanjutkan pelajaran, rasanya tidak akan ada masalah. Bukanlah saya tidak akan pulang langsung ke Malaysia, masih ada kerja yang harus diselesaikan di sini.
    "Jika ingin berjumpa, jarak antara Malaysia dan Australia tidaklah jauh sangat. Kami akan berulang-alik. Pada waktu itu kami sudah sah sebagai suami isteri, jadi tiada masalah untuk Farid datang melawat saya," tuturnya.
    Menyentuh soal kenapa dia ingin menimba ilmu di Australia sedangkan banyak lagi pusat pengajian tinggi berprestij di Malaysia, ketika karier lakonannya kini sedang berkembang maju, Diana melontarkan alasannya.
    Ujarnya: "Pengalaman (belajar) di negara orang tidak sama dengan negara sendiri, dan menyambung pelajaran (di luar negara ) sememangnya merupakan impian saya.
    "Sementelah, ilmu yang saya timba itu nanti amat berguna untuk kerjaya dan kehidupan saya pada kemudian hari. Sampai bila saya mahu bergantung hidup kepada pendapatan sebagai pelakon?"
    Tambah Diana: "Saya sudah mengalami bagaimana rasanya diri berada dalam zaman popular dan kejatuhan. Ada masa pendapatan yang diperoleh lumayan dan ada masanya tidak.
    "Jadi, ilmu yang bakal ditimba nanti adalah sebagai persediaan kerana saya dan Farid merancang untuk menubuhkan produksi kami sendiri pada masa hadapan."
    Tinggalkan zaman remaja
    Usianya yang bakal mencecah 21 tahun pada 22 November ini dirasakan terlalu muda untuk mendirikan rumah tangga.
    Bagaimanapun, Diana mempunyai pandangan yang tersendiri, malah, berkahwin awal merupakan pilihannya tanpa ada unsur paksaan daripada mana-mana pihak termasuk Farid.
    "Tiada siapa yang paksa untuk saya kahwin awal, sedangkan ketika bertunang pada 2 September lalu, kedua-dua belah pihak keluarga memberi masa dalam tempoh setahun untuk kami berkahwin.
    "Tempoh setahun diberikan kerana pihak keluarga tidak mahu kami menghadapi kesukaran. Mereka tahu proses untuk berkahwin bukan satu hal yang mudah, pelbagai perkara harus diambil kira.
    "Kami berdua sama-sama membuat keputusan untuk segera berkahwin. Cepat atau lambat tiada bezanya, jadi lebih baik dipercepatkan. Sementelah, hubungan kami sudah mencecah tiga tahun, jadi buat apa tunggu lama-lama," katanya sambil tertawa manis.
    Tambah Diana, perkahwinan dan bertemu jodoh adalah ditetapkan Allah dan juga merupakan pilihan setiap individu.
    "Saya secara peribadi sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Usia muda atau tua bukan satu ukuran.
    "Apabila saya sudah berjumpa dengan lelaki yang baik dan serasi dengan saya, saya sedia untuk mempunyai komitmen. Orang lain mungkin mempunyai pandangan berbeza, tetapi dalam keluarga saya, ramai yang berkahwin awal," ujarnya.
    Walaupun muda, tiada istilah belum puas menikmati zaman remaja untuk Diana. Terlibat dalam bidang seni dalam usia belasan tahun lagi dan dilimpahi kehidupan penuh glamor sudah memadai buatnya.
    "Memang saya bukan jenis yang suka menghabiskan masa di luar rumah dan dengan kehidupan glamor, tetapi saya lebih berasa cukup puas menghabiskan masa senggang dengan rakan-rakan.



    "Selepas ini, biar suami pula yang menemani saya ke mana-mana (ketawa). Alhamdulillah, Farid amat memahami saya, jadi tiada masalah untuk saya teruskan kerjaya yang saya minati," ungkapnya.
    Diana minat Farid
    Membuka cerita bagaimana cinta mereka mula berputik, kata Diana, sebelum menceburi bidang seni, dia langsung tidak mengenali siapakah Farid Kamil.
    Akuinya, sebelum ini, cita-citanya lebih terarah kepada bidang nyanyian. Disebabkan itu, Diana tidak berminat untuk mengambil tahu mengenai dunia lakonan tempatan.
    "Waktu itu saya masih budak-budak lagi, memang saya gila sangat menyanyi. Sebaliknya kini, saya bukan bergelar penyanyi tetapi lebih dikenali sebagai pelakon. Sejak itulah baru saya mengenali Farid Kamil.
    "Kami berkenalan ketika sama-sama membintangi filem Evolusi KL Drift. Pada ketika itu, saya suka cara dia bertutur dan sikap dirinya. Tidak lebih daripada itu," luahnya.
    Minat Diana yang bercambah terhadap bakat lakonan Farid tercetus selepas Diana menonton filem Anak Halal lakonan Farid bersama Maya Karin.
    "Selepas menonton filem Anak Halal, saya mula meminati Farid. Bagi saya, dia seorang pelakon yang bagus. Sekarang, bila fikir saya bakal berkahwin dengan orang yang saya minati, rasa diri ini amat bertuah," tutur Diana.
    Harapan Diana hanya satu iaitu agar perkahwinannya bersama Farid kekal sehingga ke akhir hayat.
    "Walaupun ramai yang kata perkahwinan selebriti banyak dugaannya, bagi saya semua orang mempunyai dugaannya yang tersendiri. Saya cuma berharap, Farid merupakan jodoh saya sehingga saya menutup mata," katanya dalam senyuman yang bahagia.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan

    Label

    Senarai Lagu