Rabu, 17 Oktober 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Microsoft lancar Tablet Surface, harga RM1,514

Posted: 17 Oct 2012 07:35 PM PDT


Microsoft lancar Tavlet Surface, harga RM1,514
Tablet Surface dilancar oleh Microsoft semalam.
REDMOND - Microsoft yang terkenal dengan perisian Windows kini memiliki tabletnya sendiri.
Spekulasi atau pertanyaan seperti harga, bila mula dijual dan penyambungan tablet Surface Microsoft kini terjawab susulan pengumuman, semalam.
Bermula hari ini, jam 9 pagi (9 malam waktu tempatan), pengguna boleh mula menempah Tablet Microsoft 10.6-inci di Surface.com dengan harga bermula dari AS$499 (RM1,514) bagi versi 32GB dan AS$699 (RM2,121) untuk versi 64GB. Kedua-dua tablet Wi-Fi sahaja.
Sementara itu, tablet Windows RT (versi mesra ARM Microsoft Windows 8, yang akan dipasarkan pada 26 Oktober ini) menawarkan terbina Kickstand, tidak termasuk Touch 3mm Cover pad.

Touch Cover yang mempunyai papan kunci sebenar pula ditawarkan pada harga AS$129 (RM391). Pengguna boleh menjimatkan sehingga AS$20 (RM60) jika membeli AS$599 (RM1,817) Surface/Touch Cover bundle, edisi AS$699 (RM2,121)  yang didatangkan bersama Touch Cover).
Pengguna kini juga akan lebih tahu tentang apa yang di berada dalam permukaan Titanium dan rangka Wap Magnesium (VaporMG).
Bersama-sama dengan Nvidia Tegra 3 CPU (pada kelajuan 1.5 GHz), Microsoft telah meningkatkan kelajuannya kepada 2GB RAM pada Surface.
Surface turut dilengkapi dengan 802.11N Mimo radio Wi-Fi, Bluetooth 4.0, pecutan, giroskop, kompas, dwi mikrofon, pembesar suara stereo, port HD-out, port USB 2.0 bersaiz penuh dan slot mikro SD.
Selain itu, Surface turut disertakan dengan dua kamera 720p, satu di depan dan satu di belakang.
Microsoft berkata, Surface turut dimuatkan dengan perisian Microsoft Office Home dan Student 2013 edisi RT Preview untuk menampung antara muka skrin sentuh.
Seperti kebanyakan tablet lain yang bersaiz sederhana yang berada di pasaran hari ini, Surface hanya mempunyai peranti Wi-Fi sahaja. Namun begitu, ia bakal menjadi pilihan ramai jika dibandingkan dengan peranti 9.7 dan 8.9-inci LTE dari Apple dan Amazon.
Ketua Microsoft Windows 8, Steven Sinofsky berkata, beliau tidak bimbang tentang kekurangan ciri selular Surface sambil menambah: "Ia masih boleh menjadi satu pilihan terakhir."
"Mungkin ya, mungkin tidak," katanya.
Microsoft kini mula memenuhi hampir 50 peratus ruang lantai kedai bagi memberikan persaingan kepada iPad.
Surface juga akan menembusi lapan lokasi pasaran antarabangsa termasuk China, Hong Kong, United Kingdom, Jerman, Perancis dan Australia.

Gempar motosikal terbang

Posted: 17 Oct 2012 07:31 PM PDT


Motosikal yang ditunggang remaja terbabit tersangkut di atap rumah milik Ramlah.
Motosikal yang ditunggang remaja terbabit tersangkut di atap rumah milik Ramlah.
JENGKA 4 - Penduduk Felda Jengka 4 digemparkan dengan kejadian motosikal terbang dan tersangkut di atas atap garaj salah sebuah rumah milik peneroka tanah rancangan terbabit, petang kelmarin.

Motosikal terbabit yang dinaiki tiga remaja berusia 16 tahun itu dikatakan terbabas sebaik sahaja keluar dari satu simpang kerana gagal mengawal brek lalu merempuh atap garaj rumah milik Ramlah Seman, 55, yang berada dalam kedudukan kira-kira tiga meter lebih rendah dari jalan tersebut.

Ramlah berkata, ketika kejadian, dia dan anak serta cucunya sedang berehat di dapur rumahnya.

"Tiba-tiba saya terdengar satu dentuman kuat seakan-akan bunyi guruh namun tidak mengesyaki apa-apa.

"Tidak lama kemudian saya mendengar riuh rendah di luar rumah memanggil nama saya dan memberitahu ada motosikal tersangkut di atap garaj rumah saya," katanya.

Sebaik sahaja keluar rumah, Ramlah memberitahu, orang ramai sedang berkerumun di hadapan rumahnya menyaksikan kejadian yang belum pernah terjadi sepanjang tinggal di tanah rancangan terbabit.

"Saya meminta jiran-jiran untuk menurunkan dua orang remaja yang tercampak di atas atap rumah saya," katanya yang memberitahu jiran-jiran turut membantu menurunkan motosikal tersebut dari bumbung rumahnya.

Suaminya, Mat Yusuf Noh, 66, berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 4.30 petang itu menyebabkan sebahagian atap garaj rumahnya rosak.

"Kejadian ini sebenarnya bukan kejadian pertama menimpa keluarga saya di mana sebelum ini, rumah ini pernah dilanggar sebuah kereta yang terbabas di simpang di hadapan rumah saya ini.

"Sebahagian dinding batu roboh, namun bernasib baik kerana secara kebetulan, tiada kereta diletakkan di bawah garaj tersebut," katanya.

Penunggang motosikal terbabit, Muhammad Fikri Saridan, 16, yang patah kaki dan tangan, sempat terjun dari motosikal tersebut sebelum tercampak ke atas atap.

Sinar Harian dimaklumkan, dua rakan sebaya Muhammad Fikri yang membonceng motosikal tersebut turut tercampak ke atas atap.

Salah seorangnya patah tangan dan masih di rawat di Hospital Jengka manakala seorang lagi cedera ringan.

Konsep kasih kawan

Posted: 17 Oct 2012 07:12 PM PDT



LETUSAN api cinta antara Afiq Hakim Ahmad dan Stracie Angie Anam sudah lama bermula usai kedua-dua mereka menyertai program realiti TV, Akademi Fantasia masing-masing untuk musim keenam dan ketujuh.
Bagaimanapun, baik Akim mahupun Stacy tidak pernah mengakui hubungan rapat terjalin antara mereka yang jelas kelihatan pada pandangan orang luar itu sebagai cinta.
Sebaliknya, mereka lebih selesa melabelkan hubungan mereka dengan istilah, berkawan rapat.
Kata Akim, 21, dia tidak pernah mengiakan hubungan yang terjalin antara dirinya dan Stacy berlandaskan konsep cinta. Ini kerana, ujar Akim, sejak dulu lagi tahap kemesraan mereka berdua hanya sekadar berkawan.
"Bukan bosan apabila diajukan soalan yang sama mengenai kisah saya dan Stacy, cuma penjelasan yang sama akan kami berikan iaitu kami berkawan baik.

STACY mengakui selesa berkolaborasi dan bertukar-tukar pandangan dengan Akim.


"Untuk meneruskan hubungan ke peringkat yang lebih tinggi (bercinta atau berkahwin) saya rasa belum sampai masa lagi, memandangkan kami masih muda dan karier pula masih jauh untuk dikembangkan," jelas anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu.
Celah Stacy, hubungan kimia yang mudah terjalin antara dia dan Akim banyak membantu menaikkan nama mereka, apatah lagi perkembangan karier. Maka, dia juga lebih selesa meluangkan masa bersama Akim.
"Gosip kami bercinta membantu melariskan produk atau lagu yang menggabungkan kami berdua. Asalkan ia bukan gosip negatif, maka saya tidak perlu melenting.
"Saya selesa bekerja dengan Akim dan kami banyak berkongsi pendapat. Saya tidak menolak andai gosip kami bercinta diperkatakan semula kerana memang semua sudah tahu kami hanya berkawan," tegas Stacy.
Pasangan itu pernah mencipta fenomena menerusi duet dalam lagu Jahatnya Cinta sempena iklan aiskrim Wall's Cornetto tahun lalu dan terbaharu, mereka juga merakamkan sebuah single berjudul Kembali yang dimuatkan dalam album terbaharu Akim yang berjudul, Akim Ahmad.

HUBUNGAN kimia yang mudah terjalin antara Akim dan Stacy dikatakan banyak membantu menaikkan nama mereka.


Tambah Akim, pada mulanya tidak terlintas dalam fikirannya untuk merakamkan lagu itu bersama Stacy.
"Lagu Kembali merupakan pilihan terakhir untuk dimuatkan dalam album pertama saya dan ketika proses rakaman sebenarnya tidak terfikir pun untuk berduet dalam lagu itu.
"Untuk memberikan sedikit kelainan, saya hanya terfikir Stacy ketika itu yang saya rasa hanya dia mampu berduet dengan saya memandangkan kami sudah mempunyai pengalaman berkolaborasi sebelum ini. Jadi, saya cadangkan kepadanya (untuk berduet) dan dia bersetuju.
"Stacy berjaya menghayati lagu itu dengan penuh perasaan malah tiada siapa meragui vokalnya yang sempurna," ujar Akim.

IU nafi kembali berlakon

Posted: 17 Oct 2012 07:11 PM PDT


IU


PENYANYI solo terkenal Korea Selatan, IU, menafikan khabar angin mengenai kemunculan semula dirinya dalam dunia lakonan.
Pada 13 Oktober lalu, IU menulis dalam laman web kelab peminatnya, Uaena's dengan mengatakan: "Hampir setiap hari ada sahaja cerita mengenai saya akan kembali berlakon. Namun sebenarnya, saya sendiri tidak memutuskan apa-apa dan tidak ada sebarang tawaran daripada mana-mana syarikat produksi buat masa ini."
Tambahnya: "Saya tidak menipu dan memang benar, saya belum membuat sebarang keputusan lagi (terjun semula ke dunia lakonan)."
IU sebelum ini pernah muncul dalam drama, Dream High melakonkan karakter utama sebagai Kim Pil Sook.
Menerusi drama tersebut, IU telah meraih banyak pujian.
Sebelum itu, IU juga pernah muncul sebagai bintang undangan khas dalam beberapa buat drama seperti Welcome to the Show dan Salamander Guru and The Shadows.
Sebelum ini banyak laporan media menyebut, penyanyi yang memenangi pelbagai anugerah nyanyian tersebut sedang meneliti beberapa skrip drama yang bakal menampilkan dirinya sebagai teraju utama. Dia dikatakan hanya akan memilih salah satu daripada tawaran tersebut.

Filem angkasawan Sheikh Muszaphar

Posted: 17 Oct 2012 07:11 PM PDT



PENGALAMAN berada di angkasa ingin dikongsi Sheikh Muszaphar dengan para peminat filem.



TANGGAL 10 Oktober 2007, seorang rakyat Malaysia telah dipilih mewakili negara untuk bergelar angkasawan pertama yang naik ke angkasa lepas.
Selepas lima tahun bergelar pakar motivasi dengan memberi ceramah di sekolah-sekolah tentang pengalaman di angkasa lepas, kini tiba masanya untuk mendedahkan gambaran sebenar Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie ketika berada di ruang yang masih dipenuhi pelbagai misteri itu.
Filem berbentuk rencana itu bakal menemui penonton di Malaysia secara eksklusif pada tahun hadapan.
Diberi judul No 1 - 10 Hari: 21 Jam: 14 Minit Di Pintu Ajal, ia digarap oleh pengarah, Imran Ismail.
"Cerita ini adalah berdasarkan pengalaman dan kisah benar angkasawan negara pertama kita, yang dirakamkan ketika berada dalam kapal SOYUZ TMA-11.
"Rakaman selama 10 jam itu akan disunting menjadi 90 minit mengikut format sebuah filem.
"Kami juga membuat penambahbaikan sebanyak 30 peratus dan menyelitkan elemen suspen, seram dan juga emosi. Itulah sebabnya, kami memilih untuk membuat filem berbentuk rencana dan bukan dokumentari," tutur Imran ketika ditemui pada sidang akhbar yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Jalan Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.
Idea asal penghasilan filem ini merupakan hasrat arwah bapa Sheikh Muszaphar sendiri iaitu Datuk Sheikh Mustapha Abdul Shukor untuk menunjukkan kepada dunia tentang bagaimana perjalanan angkasawan pertama ini ketika berada di angkasa.
Bagi Sheikh Muszaphar sendiri, setelah lima tahun menyimpan rakaman video tersebut, sudah tiba masanya untuk dia menunjukkan kepada dunia, khususnya masyarakat di Malaysia tentang segala persoalanan yang sering diajukan kepadanya.

SHEIKH MUSZAPHAR (enam dari kanan) dan Amran Ismail (enam dari kiri) bersama kru teknikal yang terlibat dengan projek filem, No 1 - 10 Hari: 21 Jam: 14 Minit Di Pintu Ajal.


"Apabila saya mengadakan motivasi serta ceramah, ramai yang bertanyakan saya tentang perasaan dan apa yang saya lihat ketika berada di atas sana.
"Sejujurnya, memang ia sesuatu yang sukar dijelaskan. Namun melalui filem ini, mereka bakal melihat apa yang dapat saya lihat semasa berada di angkasa selama 10 hari itu," jelas Sheikh Muszaphar.
Tambahnya, ia merupakan janjinya terhadap rakyat Malaysia dan hasratnya yang ingin menyebarkan mesej kepada dunia tentang kebesaran Allah.
"Saya harap selama 90 minit itu, penonton akhirnya akan sedikit sebanyak merasai perasaan yang selama ini saya gambarkan melalui ucapan-ucapan saya.
"Semasa saya menjadi angkasawan, ramai yang mendoakan kejayaan saya. Maka, inilah masa saya membalas semula jasa mereka dengan memberikan tontonan eksklusif kepada rakyat Malaysia.
"Selepas ini, memang kami ada menyasarkan untuk membawa filem ini untuk ditayangkan di luar negara, khususnya di negara-negara Islam kerana mereka ingin mengetahui banyak perkara, sebagai contohnya, cara bersolat di ruang angkasa," tutur Sheikh Muszaphar yang ingin memberikan paparan terbaik buat rakyat Malaysia melalui filem tersebut.
Buat masa ini, No 1 - 10 Hari: 21 Jam: 14 Minit Di Pintu Ajal masih lagi dalam proses pembikinan. Ia bakal menggabungkan rakaman asal Sheikh Muszaphar sendiri serta eleman tiga Dimensi (3D) dan teknik imej janaan komputer (CGI).
Dijangka siap sepenuhnya pada bulan Disember ini, filem tersebut bakal menemui penonton di pawagam tempatan pada awal tahun 2013.

Neelofa mengakui selesa dengan Hans

Posted: 17 Oct 2012 07:10 PM PDT


NEELOFA


PETALING JAYA – Pelakon jelita Noor Neelofa Mohd. Noor, 23, mengakui selesa berkawan dengan aktor terkenal, Hans Isaac, 41, yang disifatkannya antara rakan rapat yang sentiasa dihubungi jika ada kelapangan.
Pengacara rancangan Nona terbitan TV3 itu menjelaskan, Hans merupakan kawan lelakinya yang akan dihubungi apabila tidak terlibat dengan sebarang penggambaran.
Justeru Neelofa tidak menafikan memang ada keluar bersiar-siar dengan aktor itu jika ada masa terluang.
"Saya tidak mahu mengiyakan atau menafikan apa-apa tetapi Hans adalah kenalan rapat saya antara beberapa kawan yang saya ada," jelasnya ketika ditemui pada sidang akhbar Anugerah Skrin 2011 di Mutiara Damansara di sini semalam.

Bayi didera mati di pangkuan ibu

Posted: 17 Oct 2012 07:08 PM PDT


ANGGOTA keluarga mengangkat jenazah Nur Irisyafida Balkis untuk dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tambak, Batu Pahat, Johor semalam.


BATU PAHAT – Setelah enam hari bertarung nyawa, seorang bayi berusia lapan bulan yang mengalami keretakan di tempurung kepala dipercayai akibat didera, meninggal dunia dalam dakapan ibunya di sini kelmarin.
Bayi malang itu, Nur Irisyafida Balkis Abdul Azim, meninggal dunia pukul 2.30 petang di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini setelah dimasukkan ke hospital itu pada 11 Oktober lalu.
Bayi itu yang turut mengalami patah tangan kanan dan kaki kiri dipercayai didera teman lelaki ibu mangsa, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tambak di sini, pukul 5 petang semalam.
Ibu mangsa, Rafidah Mohd. Ashak, 29, berkata, ketika dimasukkan ke hospital Khamis lalu, doktor memberitahu anaknya itu tidak mempunyai peluang untuk hidup.

Dipukau wanita berjubah hitam

Posted: 17 Oct 2012 07:04 PM PDT


SITI SHAMSHIAH menunjukkan beg tangan yang menjadi tempat dia menyimpan barangan kemas di Kulim semalam.


KULIM – Seorang bekas pekerja Telekom Malaysia kerugian lebih RM20,000 selepas barang kemas dan jam tangan miliknya dilarikan oleh seorang wanita berjubah hitam di Padang Serai di sini Jumaat lalu.

Mangsa, Siti Shamshiah Ahmad, 60, mendakwa, dia tidak menyedari kehilangan barangan tersebut kerana telah dipukau oleh wanita tersebut.

Ceritanya, ketika kejadian, dia bersama suami serta beberapa ahli keluarga lain keluar untuk membeli barangan keperluan di pekan Padang Serai kira-kira pukul 10.30 pagi.

Ujarnya, ketika singgah di sebuah gerai menjual ubat tradisional, dia tiba-tiba dihampiri oleh seorang wanita yang tidak dikenalinya.
"Wanita itu mendakwa dia mengalami sakit mata dan meminta saya melihat ke arah matanya yang merah.

"Saya mengikut arahannya dan sebaik melihat mata wanita itu secara dekat, saya tidak sedar apa yang berlaku selepas itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Keladi Lambok di sini semalam.

Helikopter tentera Syria ditembak jatuh di Idlib

Posted: 17 Oct 2012 07:01 PM PDT


KOMBINASI gambar menunjukkan sebuah helikopter tentera ditembak jatuh oleh kumpulan penentang di wilayah Idlib semalam.


DAMSYIK - Para penentang Presiden Bashar Al-Assad menembak jatuh sebuah helikopter dalam satu pertempuran sengit ketika pihak tentera berusaha untuk menawan sebuah bandar di Syria semalam.
Helikopter itu ditembak jatuh di wilayah Idlib.
Kejadian itu berlaku semasa Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Lakhdar Brahimi memberi amaran bahawa konflik yang berlaku di Syria boleh merebak menjadi semakin serius.
Beberapa pertempuran masih tercetus di Damsyik dan Aleppo walaupun Brahimi meminta gencatan senjata dilaksanakan antara pihak penentang dengan tentera Presiden Bashar Al-Assad bagi menghormati kedatangan Hari Raya Aidiladha.
"Saya berharap pihak pemerintah Syria dan puak penentang bersenjata dapat memberikan reaksi positif untuk melakukan gencatan senjata dan berhenti daripada melakukan kekejaman ketika sambutan hari raya," katanya.
Menurut Brahimi, beliau tidak mahu pergolakan di Syria berterusan seperti Lebanon yang mengambil masa selama 19 bulan bagi mengakhiri tragedi pertumpahan darah.
"Krisis ini tidak boleh dibiarkan berterusan berlaku di Syria," katanya kepada media di Beirut.
Konflik tersebut yang bermula pada Mac 2011 di Syria itu telah meragut lebih 30,000 orang.
Para penentang tersebut mahu Bashar meletakkan jawatan kerana beliau gagal melaksanakan pembaharuan politik dan kebebasan bersuara.
Ketegangan juga semakin meningkat antara Damsyik dan Ankara apabila lima warga Turki terbunuh dalam bedilan meriam tentera Syria pada 3 Oktober lalu.

Lelaki 96 tahun jadi bapa tertua di dunia

Posted: 17 Oct 2012 07:01 PM PDT


LAMAN YouTube semalam menunjukkan Raghav dan isterinya mendukung kedua-dua anak mereka.


HARYANA, India - Seorang lelaki berusia 96 tahun menjadi bapa paling tua di dunia selepas isterinya yang telah dikahwininya selama 17 tahun melahirkan anak kedua mereka pada awal bulan ini, lapor portal berita Indian Today semalam.
Lelaki itu, Ramajit Raghav dan isterinya, Shakuntala, 54, tidak pernah dikurniakan cahaya mata untuk tempoh 15 tahun pertama perkahwinan mereka.
Pasangan yang bertemu jodoh di sebuah perkampungan Kharkhosa di daerah Sonepat itu menerima kehadiran cahaya mata sulung lelaki dua tahun lalu.
Bagaimanapun, anak kedua mereka, Ranjit dilahirkan 5 Oktober lalu.
"Tuhan mungkin mahukan kami memiliki lagi anak. Saya sangat gembira," katanya yang juga seorang petani.
Raghav yang berasal dari Azamgarh berhijrah ke Sonepat 20 tahun yang lalu bagi mendapat pekerjaan.
Dia merupakan bekas ahli gusti ketika zaman mudanya.
Raghav memecahkan rekod sebagai bapa tertua di dunia buat kali pertama pada 2007.
Petani tersebut menewaskan rekod yang dipegang oleh lelaki dari Rajasthan, Nanu Ram Jogi yang berusia 90 tahun apabila memperoleh anaknya yang ke-21.
Raghav kini memecahkan rekodnya sendiri apabila dia memperoleh anak keduanya.
Menurut petani tersebut, dia mahu kedua-dua anaknya menjadi pegawai tinggi pentadbiran.
Akhbar dalam talian MailOnline melaporkan, Raghav mengamalkan diet dengan meminum susu, memakan buah badam dan mentega.
Petani itu berkata, jiran-jirannya berasa cemburu kerana dia berjaya memperoleh dua anak yang sihat.
Raghav berkata, jiran-jirannya kerap bertanya rahsia kesihatan dirinya.
Lelaki tersebut berkata, dia mengambil berat tentang isterinya dan memenuhi keperluannya.
"Dia seorang wanita yang amat gembira," katanya.
Ketika Shakuntala melahirkan anaknya di sebuah hospital di sini, petani tersebut diketawakan oleh doktor-doktor kerana dia menyatakan bayi itu ialah anaknya.
Shakuntala menyatakan dia amat sayang suaminya itu.
"Saya menyayanginya walaupun dia kadangkala menjerit ke arah saya," katanya.
Menurut portal berita International Business Times, dia tidak mahu anak lagi selepas memperoleh dua cahaya mata.

Psy menari tarian kanggaru

Posted: 17 Oct 2012 06:59 PM PDT


PSY menghiburkan para peminatnya dengan tarian baharunya di Sydney semalam.


SYDNEY - Penyanyi rap Korea Selatan, Psy menghiburkan para peminatnya pada pagi semalam, lapor akhbar The Herald Sun.
Beribu-ribu peminat membanjiri Martin Place di sini untuk menyaksikan persembahannya selepas dia popular dengan tarian kuda menerusi muzik video Gangnam Style di laman YouTube.
Kebanyakan peminat mula berada seawal pukul 1 pagi pada waktu tempatan.
Psy membuat persembahan itu ketika dia menghadiri program Sunrise terbitan stesen televisyen Channel 7.
Bagaimanapun, Psy tidak membuat tarian kuda.
Sebaliknya, dia membuat tarian beruang panda dan kanggaru.
"Ini (tarian itu) merupakan tarian yang baharu (buat peminat-peminat di luar negaranya) tetapi di Korea Selatan, ia merupakan rentak tarian Psy yang lain.
"Saya membuat tarian itu pada setiap masa," kata Psy.
Menurutnya, dia menghabiskan banyak masa dengan pereka tarinya untuk menghasilkan tarian tersebut.
Muzik video Gangnam Style telah ditonton lebih 480 juta kali di YouTube sejak ia dimuat naik pada 15 Julai lalu.
Sebelum ini dia pernah membuat konsert percuma di Seoul, Korea Selatan bagi menghargai sokongan para peminatnya.

Buah labu terbesar dunia milik Wallace

Posted: 17 Oct 2012 06:59 PM PDT


WALLACE (kiri) bercakap kepada Kelly dan Michael (kanan) tentang buah labu gergasi miliknya pada program Live with Kelly and Michael di New York kelmarin.


NEW YORK - Seorang penanam labu, Ron Wallace dari Greene, Pulau Rhode, Amerika Syarikat diundang menghadiri program bual bicara Live with Kelly and Michael di sini kelmarin.
Dia diundang bagi menceritakan tentang buah labunya yang seberat 849 kilogram (kg).
Buah labu itu direkodkan sebagai yang terbesar di dunia.
Ia mengatasi rekod Guinness World Records hampir 90.71kg.
Wallace memenangi pertandingan buah labu terbesar pada pertandingan hasil pertanian di Topsfield, Massachusetts baru-baru ini.
Dia menenangi hadiah wang tunai sebanyak AS$5,500 (RM16,694) ekoran kemenangannya.
Wallace juga memperoleh wang tunai sebanyak AS$10,000 (RM30,353) kerana berjaya memecahkan rekod dunia.

Antara fenomena, populariti dan kuasa bertahan

Posted: 17 Oct 2012 06:57 PM PDT



TERCETUSNYA sesuatu fenomena dalam industri hiburan khususnya, adalah disebabkan oleh khalayak yang terlalu minat mahupun obses terhadap seseorang selebriti.
Ia adalah ekoran kejayaan mereka melalui bidang muzik mahupun lakonan dan tidak kurang juga menerusi pakej bakat dan rupa.
Walaupun masih hijau dalam lapangan seni, namun arus populariti mereka merebak bagaikan satu virus sehingga membuatkan peminat hiburan tempatan terus 'terjangkit' dengan aura mahupun pesona penyanyi atau pelakon tersebut.
Penyanyi - Datuk Siti Nurhaliza Tarudin
Datuk Siti Nurhaliza atau lebih mesra disapa sebagai Siti, mula menempah nama sebagai artis dalam bidang seni pada tahun 1995.
Ketika usianya baru 16 tahun, dia telah menjuarai pertandingan Bintang Hiburan Minggu Ini.
Berbekalkan rupa dan suara yang merdu, Siti terus menjadi igauan peminat di Malaysia ketika bakatnya mula mendapat perhatian ramai semasa mendendangkan lagu Kau Mawarku bersama kumpulan 2 By 2.
Bukan itu sahaja, sebagai seorang penyanyi baharu pada waktu itu, Siti juga berjaya mengalahkan penyanyi-penyanyi senior dalam beberapa anugerah muzik yang diadakan.
Saban tahun, setiap pertandingan yang menampilkan dirinya, hampir semua kemenangan menjadi milik Siti.
Sehingga pada satu tahap, Siti dengan rela hati menarik diri daripada menyertai sebarang pertandingan untuk memberi laluan kepada artis lain.
Siti menjadi tokoh terkenal dalam budaya pop Melayu. Kombinasi wajah wanita Melayu asli dan suara merdu bak buluh perindu membuatkan Siti digemari oleh peminatnya.
Tidak dinafikan, sehingga kini selepas 15 tahun, Siti masih menjadi idola peminat seni muzik tempatan.
Setakat ini, Siti telah memenangi lebih 200 anugerah muzik, dianugerahkan gelaran Datuk pada tahun 2006 kerana sumbangan terhadap industri seni, melakar nama sehingga ke pentas Royal Albert Hall London membuat konsert tersohornya di sana serta memiliki empayar perniagaan SimplySiti yang semakin berkembang.
Dalam kebanyakan temu bual, kata Siti tentang rahsia kejayaannya: "Sentiasa merendah diri, menghargai peminat, kerja keras dan tidak mudah putus asa."
Bintang Akademi Fantasia - Mawi
Juara Akademi Fantasia 3)
Siapa yang tidak mengetahui tentang program realiti TV popular, Akademi Fantasia yang ditayangkan di Astro selama sembilan musim.

MAWI mencipta fenomena mega sebaik diumumkan sebagai juara Akademi Fantasia musim ketiga pada tahun 2006.


Sejak dari musim pertama kemunculannya iaitu pada tahun 2003 hingga ke musim penamatnya pada 2010, khalayak bagaikan dijangkiti demam untuk menunggu dan melihat siapakah pelajar yang seterusnya dipilih bagi mempertaruhkan bakat pada setiap musim.
Tidak dinafikan setiap musim Akademi Fantasia ditayangkan, ia pasti meraih rating yang tinggi.
Populariti program tersebut mencapai kemuncaknya ketika musim ketiganya ditayangkan pada tahun 2006, ekoran kemunculan seorang peserta yang bersifat naif, Asmawi Ani.
Kemudian dikenali dengan nama komersialnya, Mawi, anak kelahiran Felda Taib Andak, Johor Bahru ini sememangnya mendapat perhatian peminat kerana penampilan diri yang naif tersebut.
Tidak mempunyai kelebihan vokal, namun dia pernah tersingkir tetapi diserap kembali, Mawi menang di hati peminatnya menerusi cerminan dirinya yang dikatakan berpengetahuan agama.
Dia lantas mewujudkan fenomena yang digelar Tsumawi sewaktu bertanding dalam program tersebut, sebelum dinobatkan sebagai juara.
Mawi kemudian digelar sebagai Raja SMS (khidmat pesanan ringkas), diiktiraf kerana popular selepas dia mendominasi hampir semua kemenangan yang berbentuk populariti sejak tahun 2005 hingga 2007.
Walaupun masih wujud dalam industri seni, namun fenomena Mawi tidak kekal lama dan hanya bertahan selama beberapa tahun sahaja.
Aaron Aziz - Pelakon
Bersandarkan pakej lengkap, aktor kacak kelahiran Singapura ini berjaya menambat hati peminat tempatan khususnya wanita melalui watak lakonannya iaitu Seth Tan menerusi drama bersiri, Nora Elena pada tahun lepas.
Sejak itu, dia telah berjaya melonjakkan nama sebagai seorang aktor yang harus diberi perhatian kerana bukan sahaja dengan rupa yang kacak, namun bakat yang ditampilkan.
Pemilik nama Aaron Mustapha Aziz ini lantas menempa kejayaan demi kejayaan yang yang mana dua naskhah lakonannya, KL Gangster dan Ombak Rindu masing-masing meraih kejayaan kutipan pecah panggung melebihi RM11 juta.
Jejak bertapak Aaron begitu teguh dalam industri hiburan tempatan sehinggakan dia dipilih untuk mengikat kontrak dengan banyak produk dan kalender karier Aaron dari tahun 2011 sehingga saat ini masih lagi bersinar cerah.

POPULARITI Raihan sebagai kumpulan nasyid yang mengalunkan lagu-lagu merdu dan menenangkan hati, melangkau hingga ke luar negara.


Sehinggakan, apa sahaja yang menampilkan Aaron Aziz, pasti produk tersebut dilihat berpotensi besar meraih sambutan daripada masyarakat.
Rezekinya semakin mencurah-curah dan namanya disebut-sebut oleh segenap lapisan masyarakat.
Namun sebagai aktor yang berjaya, Aaron bagaimanapun tidak pernah melupakan asal usulnya dan sentiasa memberikan yang terbaik buat peminat tempatannya.
Terkini, namanya kembali menjadi igauan ramai menerusi lakonannya untuk watak Adam Mukhriz, seorang juruterbang yang digilai kaum wanita dalam drama bersiri, Adam dan Hawa.
Raihan - Kumpulan Nasyid
Raihan bukan lagi sebuah nama yang asing bagi peminat muzik tenpatan. Raihan yang bermaksud wangian dari syurga, telah ditubuhkan pada tahun 2006.
Ketika itu, kumpulan nasyid ini dianggotai oleh Azhari Ahmad sebagai ketua, Nazrey Johani, Che Imran Idris, Abu Bakar Md. Yatim dan Amran Ibrahim.
Melalui album sulung mereka, Puji-Pujian yang diterbitkan pada tahun 2006, Raihan telah mencipta fenomena tersendiri dalam dunia seni suara tempatan yang didominasi oleh pasaran muzik pop.
Album-album nasyid dan lagu-lagu dakwah mereka telah diterima dengan baik sehingga mencatat rekod jualan album terlaris di Malaysia mencecah 750,000 unit - satu pencapaian luar biasa untuk sebuah album nasyid yang gagal disaingi album genre muzik lain sehingga ke hari ini.
Selepas kejayaan Raihan berdakwah melalui muzik, maka muncul banyak kumpulan nasyid yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Bagaimanapun, populariti Raihan tidak dapat digugat dan mereka terus bertahan. Raihan bukan sahaja mendapat pengiktirafan dalam negara, namun mereka terus mengharumkan nama Malaysia di persada seni antarabangsa.
Antaranya, Raihan berjaya meraih anugerah nasyid antarabangsa yang julung-julung kalinya diadakan di Binayas Ballroom, Hotel Grand Hyatt, Dubai pada 26 Oktober 2006.
Anugerah yang diberi nama Almahabba Awards Art of Love turut diraih beberapa kumpulan nasyid terpilih dari seluruh dunia termasuk dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Eropah dan Afrika Selatan.
Apa yang menariknya, Raihan merupakan satu-satunya kumpulan nasyid dari benua Asia yang berjaya memperoleh anugerah antarabangsa tersebut.
Ia membuktikan bahawa genre nasyid juga kini telah diterima bukan sahaja oleh peminat tempatan, namun oleh peminat di seluruh dunia.
Lebih membanggakan, setelah 10 tahun berkorban untuk memperjuangkan irama nasyid, Raihan berpeluang mengadakan persembahan di hadapan Putera Charles pada tahun 1999.
Sehingga kini, nama Raihan masih teguh dan mereka tetap memperjuangkan nasyid walaupun anggota kumpulannya sudah bertukar ganti.
Pada hakikatnya, banyak lagi kejayaan dalam pelbagai genre muzik oleh pelbagai artis yang berjaya dalam arus perdana industri hiburan tempatan.
Tidak kurang artis tempatan yang berjaya mencipta nama di luar negara seperti Yuna dan baru-baru ini, Shila Amzah yang menjuarai Asian Wave 2012 di Shanghai, China.
Kesimpulannya, untuk mengecapi kejayaan dalam tempoh masa yang lama, ia harus diiringi bakat dan minat ingin berjaya.
Tidak dinafikan rupa sememangnya mampu menaikkan nama seseorang namun jika tidak disulam dengan bakat yang bagus, lama-kelamaan populariti yang dikecapi tidak kekal lama.

Fenomena seni takluk dunia

Posted: 17 Oct 2012 06:56 PM PDT


WONDER GIRLS antara nama popular yang muncul daripada penularan fenomena budaya K-Pop.


GELOMBANG fenomena artis luar negara lebih terasa kerana bukan sekadar menempa nama dalam bidang nyanyian di negara sendiri, malah menggegarkan industri muzik di seluruh dunia.
Apa sahaja yang dipakai, dilakukan dan dibicarakan pasti ingin diketahui peminat dan tidak kurang juga yang meniru gaya yang ditampilkan mereka.
Para figura berikut iaitu Lady Gaga, Justin Bieber, Psy dan artis-artis K-Pop kini sedang menjadi fenomena global, tidak terkecuali di Malaysia.
Lady Gaga
Stefani Joanne Angelina Germanotta atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Lady Gaga menemui kejayaannya yang tersendiri apabila dia dikenali menerusi penampilan dan cita rasa fesyen yang unik serta bersifat provokatif.
Antara busana pelik yang pernah disarungkan Gaga merupakan baju yang diperbuat daripada daging. Dia juga selesa menyarung kasut tumit tinggi berukuran 10 inci (25 sentimeter).
Sejak awal pembabitannya dalam industri seni, nama Gaga terus melonjak dan dikenali di seluruh dunia menerusi lagu hit, Born This Way.
Dalam kebanyakan klip video serta kemunculannya menerusi album, Gaga menampilkan idea pelik serta menggelarkan dirinya sebagai anak raksasa.
Kemashyuran wanita berusia 26 tahun itu nyata mencetus fenomena yang berlarutan dengan impak hebat.
Dilihat sisi positifnya, dia menjadi artis nombor satu dunia dari segi bilangan pengikut paling ramai di laman sosial Twitter yang kini melebihi 30 juta orang.
Sisi negatifnya pula, Gaga telah menerima bantahan daripada banyak pihak, terutama yang berkaitan dengan persatuan agama. Dia telah disekat daripada muncul untuk siri jelajah konsertnya di Indonesia dan Filipina baru-baru ini dan ia dibatalkan pada saat-saat akhir.
Justin Bieber
Lain pula kisah remaja lelaki yang bakatnya mula menarik minat penyanyi terkenal, Usher menerusi video yang dimuat naik ke dalam laman YouTube.
Justin Drew Bieber yang ketika itu berumur 14 tahun telah berjaya menawan hati peminat dunia, khususnya gadis remaja kerana dia dikurniakan wajah yang comel.
Mula membina nama dengan lagu pertamanya yang berjudul Baby, ternyata Bieber mempunyai bakat dalam seni suara dan tarian.

LADY GAGA meraih perhatian global dengan gaya unik dan lagu-lagunya yang senang menangkap fokus peminat muzik rancak dan segar.


Semakin hari semakin panas termometer populariti Bieber sehingga dirinya kini dikenali di seluruh dunia dan antara remaja terkaya.
Setiap pergerakan atau kehidupan yang dijalani Bieber pasti diikuti.
Setiap kali muncul di pentas untuk membuat persembahan, kemunculan Bieber disambut dengan jeritan dan tidak kurang juga ada yang menangis kerana dapat melihat idola mereka berdiri di depan mata.
Gangnam Style
Tarian yang dikenali sebagai Gangnam Style antara fenomena baharu dan masih segar yang berlegar dalam industri hiburan antarabangsa.
Apa yang menariknya tentang klip video Gangnam Style, sehingga awal Oktober tahun ini, ia telah ditonton sebanyak 400 juta kali menerusi laman YouTube.
Sebenarnya Gangnam Style merupakan tarian ala kuda yang ditarikan oleh seorang penyanyi kelahiran Korea Selatan, Psy (Park Jae Sang) untuk lagu berjudul, Oppa Gangnam Style.
Sejak fenomena muzik video lagu tersebut dimuat naik ke dalam laman YouTube, ia sememangnya telah mencetus kegilaan ramai.
Dalam temu ramah dengan media Korea Selatan, ujar Psy, dia sendiri tidak menyangka tarian ala kuda yang dipersembahkan itu telah menjadi fenomena di seluruh dunia.

TAHUN 2012 akan diingati kerana kemunculan tarian Gangnam Style yang diperkenalkan Psy sehingga kini menjadi fenomena global.


Pada mulanya, kehadiran Psy dalam persada seni Korea Selatan tidak menonjol lantaran fizikalnya yang tidak kacak, berbadan gempal dan hanya jadi bahan gurauan.
Namun kini, seluruh dunia telah mengenali lelaki berumur 34 tahun ini. Maka benarlah peribahasa yang berbunyi, 'tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia, siapa yang tahu'.
K-Pop
Fenomena artis Korean Pop atau K-Pop sememangnya kini sedang merasuk peminat muzik, khususnya di Malaysia.
Mungkin kerana fizikal dan rupa barisan anggota kumpulan K-Pop ini yang 'jambu' (comel), maka ia khususnya, menjadi kegilaan remaja.
Walaupun mereka berasal dari Korea, namun populariti budaya K-Pop ini bukan sahaja menular di negara Asia, malah hingga ke negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Brazil turut terkena tempiasnya.
Tidak kurang juga, peminat dan selebriti muda yang meniru fesyen serta gaya yang ditampilkan para bintang K-Pop ini. Antara kumpulan yang mendapat perhatian ialah Wondergirls, Big Bang, 2PM, Super Junior dan banyak lagi.
Ada yang mengakui sanggup berhabis ratusan ringgit untuk aksesori pelengkap gaya K-Pop.
Ia termasuklah aksesori lengkap dengan nama artis pujaan seperti tag nama, baju, skaf dan lain-lain apabila hadir ke konsert idola mereka itu.

Bunker imbau era perang Vietnam

Posted: 17 Oct 2012 06:55 PM PDT


BUNKER konkrit bersaiz 20 meter persegi ini digunakan ketika era peperangan Vietnam.


BUNKER konkrit era komunis Vietnam yang terletak di bawah hotel di bandar Hanoi kini menjadi tumpuan pelbagai tetamu daripada bintang Hollywood hinggalah delegasi persatuan perdagangan yang berpakaian selekeh.
Selepas peperangan tamat pada tahun 1975, bunker atau bilik bawah tanah yang terdapat di hotel tersebut dikunci dan kewujudannya dilupai. Namun apabila pihak hotel melakukan kerja-kerja menaiktaraf baru-baru ini, ia ditemui tersembunyi di bawah tanah.
"Saya rasa seperti Indiana Jones yang menjumpai Temple of Doom," kata Kai Speth, Pengarah Urusan Hotel Metropole ketika menggambarkan perasaannya yang pertama kali memasuki bunker tujuh bilik itu.
Bunker sebesar 20 meter persegi itu dibina pihak hotel pada tahun 1968. Hotel itu kemudiannya dikenali sebagai Thong Nhat.
Pelakon seperti Jane Fonda dan penyanyi, Joan Baez juga pernah menggunakan bunker tersebut. Baez pernah merakamkan lagu di dalam bunker itu pada Disember 1972 ketika sambutan Krismas yang dihujani kira-kira 20,000 ton bom dalam tempoh 11 hari oleh Amerika Syarikat (AS).
Lebih daripada 1,600 orang awam mati dalam serangan itu. Lagu yang dirakam Baez Where Are You Now My Son di dalam konkrit itu turut memuatkan bunyi letupan bom.
"Kamu boleh mendengar bunyi letupan bom dan bunyi tembakan mesingan antikapal perang yang terletak di Opera House berhampiran hotel ini," kata Speth.
Selepas pengeboman itu, Fonda tiba dan melakukan satu jelajah di negara tersebut yang menimbulkan kontroversi lalu beliau ditahan pihak berkuasa. Beliau kemudiannya digelar Hanoi Jane.
"Bunyi letupan bom boleh didengari dari jarak jauh dan mereka (Fonda dan tetamu hotel lain) turun ke bunker. Bom tentera udara AS tidak mengenai hotel. Ketika itu, Fonda dilihat sangat tenang dan dia tidak menunjukkan perasaan takut," kata Speth lagi.

TOPI keselamatan disediakan pihak hotel sebagai jaminan keselamatan para pengunjung bunker.


Bunker di hotel berkenaan dipelihara dalam bentuk asalnya dan dibuka kepada pelancong. Bunker seumpama itu merupakan salah satu daripada beribu bunker yang dibina oleh penduduk pada era peperangan Vietnam.
Kebanyakan bunker telah tertimbus, namun bunker yang pernah dihuni oleh Jeneral Vo Nguyen Giap dan Presiden Ho Chi Minh masih utuh di sebalik dinding batu di Thang Long Citadel.
Ketika kebanyakan industri pelancongan berkaitan peninggalan peperangan Vietnam bertumpu di selatan, pelancong di bandar Ho Chi Minh pula boleh mengunjungi muzium perang dan laluan bawah tanah di Cu Chi.
Wajah baharu
Di Tasik Truc Bach, Hanoi turut terpahat sejarah kapal tentera udara Senator AS, John McCain ditembak jatuh sekali gus beliau dijadikan tahanan perang. Kapal terbang tersebut antara 10 buah kapal AS yang ditembak jatuh oleh pasukan penembak antikapal terbang dalam tempoh sehari pada tahun 1967.
Pelancong juga boleh melawat penjara yang dikenali sebagai Hanoi Hilton. Meskipun sebahagian besar Penjara Hoa Lo musnah, beberapa bahagian masih lagi masih kekal seperti pintu masuk.

BUNKER seumpama ini antara beribu bunker yang dibina penduduk pada era peperangan Vietnam.


Bagaimanapun, tidak semua tinggalan perang masih kekal seperti dahulu. Sebagai contoh, sebuah pangkalan yang terletak di Tasik Barat yang sebelum ini menjadi stor penyimpanan senjata Perancis telah diubah menjadi kafe.
"Kafe ini istimewa kerana mempunyai kesan sejarah lampau. Apabila pelanggan datang, mereka amat berminat tentang sejarahnya," kata pemilik kafe, Vu Thi Huong.
Di beberapa tempat di bandar Hanoi, kesan peninggalan perang juga telah dijadikan sebagai landskap sesuatu kawasan.
Di pasar Yen Hinh-Hang Bun, pada 1946 berlaku kejadian seorang askar Perancis melakukan tembakan terbuka yang membunuh sedozen manusia.
Hari ini, kawasan yang dianggap keramat itu terkenal dengan hidangan mi yang lazat.
"Penduduk di sini menggelarnya gerai mi keramat," kata pemiliknya, Do Thi Yen.

Portal gajet bahasa Melayu

Posted: 17 Oct 2012 06:53 PM PDT



PADA usia 18 tahun, Aman Firdaus Abul Hassan begitu obses terhadap pelbagai gajet canggih yang berada di pasaran ketika itu. Justeru, bagi mengetahui sejauh mana fungsi dan keberkesanan produk tersebut, internet menjadi medium untuknya mendapatkan jawapan.
Dari satu blog ke satu blog dan dari satu laman web ke laman web yang lain, anak muda yang mesra disapa Aman ini tidak pernah jemu menimba ilmu tentang inovasi gajet terkini yang dipaparkan.
Namun, kebanyakan laman web tersebut membuat ulasan dalam bahasa Inggeris dan sudah tentu ia mengundang rasa kurang senang apabila tidak memahami dengan jelas akan perkara yang dimaksudkan oleh penulis blog atau laman web tersebut.
Menyedari hakikat itu, Aman pantas mengatur strategi untuk mewujudkan satu laman web berkaitan dunia teknologi dalam bahasa Melayu sepenuhnya. Ia dianggap sebagai khidmat secara tidak rasmi atau dalam erti kata lain, tanggungjawab sosial buat pengguna yang dahagakan informasi sedemikian.
Ketika usaha itu bermula, bilik tidur remaja tersebut menjadi saksi terhadap segala tindak-tanduknya ketika mula menjadi 'pengulas amatur' tentang sesuatu gajet dan peralatan teknologi yang dimiliki melalui laman web Amanz.net yang dibina sendiri.
Matlamatnya hanya satu iaitu untuk berkongsi tentang dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bersama khalayak.
Itu antara kisah awal yang berlaku lapan tahun lalu iaitu pada 2005. Kini, Aman sudah boleh berbangga apabila laman web yang diasaskan, Amanz.net yang telah ditukar kepada Amanz.my semakin mendapat tempat dalam kalangan pencinta ICT serta dijadikan rujukan bagi mereka.
Tidak percaya
"Jujurnya, saya seperti tidak percaya dengan kejayaan yang telah dikecapi melalui laman web ini. Tetapi, Alhamdulillah, objektif kami dalam usaha meningkatkan minat masyarakat terhadap dunia ICT melalui penulisan dalam Bahasa Melayu yang mudah difahami dapat dicapai.
"Rentetan daripada itu, saya telah menubuhkan syarikat Amanz Media Sdn. Bhd. yang didaftarkan secara rasmi pada awal tahun ini bagi melancarkan gerak kerja kami secara lebih profesional," ujar Aman, 25, graduan lulusan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Industri Selangor (Unisel) ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

KOMITMEN dan kerja keras yang dilakukan oleh kumpulan remaja ini untuk membangunkan laman web berkaitan dunia teknologi dalam Bahasa Melayu perlu dicontohi ramai pihak.


Menurut Aman, antara kelebihan laman web tersebut adalah penggunaan Bahasa Melayu tinggi sepenuhnya dalam setiap artikel yang dihasilkan.
"Kami menyediakan ulasan yang adil dan saksama untuk setiap peranti, aplikasi atau projek berkaitan ICT. Ia secara tidak langsung membolehkan kami membantu syarikat ICT tempatan dalam menyampaikan maklumat berkenaan aktiviti dan produk mereka.
Buat masa ini, Amanz Media mempunyai tiga kakitangan tetap yang menjadi tunjang utama kepada kelancaran laman web tersebut selain beberapa penulis jemputan.
Jenama
Bagi Ikhwan Nazri Mohd. Asran, 27, dia bertuah kerana pada usia yang masih muda dirinya sudah berpeluang memegang jawatan besar dalam sebuah syarikat.
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amanz Media, Ikhwan mengakui banyak cabaran yang dihadapi sebelum jenama mereka dikenali ramai dan menarik minat pelbagai pihak untuk menjalin kerjasama.
"Mendapatkan kepercayaan sesuatu pihak bukan perkara yang mudah. Apatah lagi bagi kami yang tidak mempunyai latar belakang perniagaan yang kukuh.
"Namun, apabila kita menghasilkan satu produk yang berkualiti, lama-kelamaan kepercayaan pihak lain akan datang sendiri.
"Begitu juga dengan syarikat kami. Kerjasama yang terjalin antara Amanz.my dan syarikat-syarikat besar yang lain berlaku tanpa dirancang. Pada mulanya kami hanya membuat ulasan dengan tujuan untuk berkongsi dengan pembaca.
"Bagaimanapun, apabila laman web kami mendapat sambutan yang amat memberangsangkan, mereka (pihak syarikat tertentu) tampil untuk bekerjasama seperti Google, YouTube dan sebagainya," jelas Ikhwan.
Tambahnya, di peringkat awal, antara cabaran yang mereka hadapi termasuklah untuk mendapatkan lebih ramai pembaca bagi laman web Amanz.my.
Pengunjung bertambah
Jika dahulu, laman tersebut hanya dilayari kira-kira 5,000 pelayar pada setiap bulan, kini jumlahnya sudah meningkat kepada lebih 600,000 sebulan.
"Amanz.my berjaya menarik lebih ramai pembaca dan pelayar apabila kami mengubah gaya penulisan dan memperbanyakkan lagi skop berkaitan teknologi," terang Ikhwan sambil memberitahu laman web tersebut direka seumpama laman berita.
Ini kerana sebaik sahaja masuk kepada paparan pertama, pembaca atau pelayar akan dapat melihat lapan berita terkini yang boleh dibaca sekali gus membantu mereka melihat berita yang diinginkan.

REKA bentuk laman web Amanz.my mudah untuk diterokai dan menggunakan Bahasa Melayu tinggi sepenuhnya dalam setiap ulasan yang dibuat.


Menggunakan sistem perisian WordPress bagi penghasilan artikel dan sistem analisis pelawat Google Analytics serta Effective Measure, Amanz.my akan menyalurkan sehingga 10 berita berkaitan sains dan teknologi pada setiap hari. Ia termasuk paparan berita dari dalam dan luar negara.
Selain berita, portal itu juga komited menghasilkan segmen tutorial dalam usaha untuk mendidik para pengguna tempatan mendapatkan pelbagai info dan tip semasa berkaitan teknologi.
Dalam pada itu, setiap bulan terdapat sekurang-kurangnya 30 pertanyaan yang diterima pihak Amanz.my merangkumi gajet, peralatan teknologi, perisian, tutorial dan startup.

Cita rasa kopi premium McCafe

Posted: 17 Oct 2012 05:38 PM PDT


MCCAFE menawarkan kopi premium bagi memenuhi cita rasa masyarakat tempatan.


BUDAYA minum kopi yang semakin meluas dalam kalangan masyarakat di negara ini mendorong McDonald's Malaysia memperkenalkan McCafe.
Konsep McCafe diilhamkan di Melbourne, Australia dengan McDonald's membuka kafe pertamanya di dalam restoran sedia ada pada tahun 1993.
Pada tahun 2006, McDonald's Malaysia berjaya memperkenalkan kopi panggang premium dalam menunya. Kopi premium ini diadun segar dengan gabungan McCafe. Tahun ini, syarikat berkenaan buat julung-julung kalinya memperkenalkan McCafe di Restoran McDonald's di Kota Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.
"Pembukaan McCafe selari dengan permintaan kopi berkualiti tinggi yang semakin meningkat pada harga berpatutan dalam suasana persekitaran yang selesa. Justeru, McCafe menyediakan pengalaman menikmati kopi dan nilai lebih hebat tanpa berkompromi baik dari segi kualiti, kesegaran dan kemudahan.
Selera rakyat Malaysia
"Konsep McCafe beroperasi dalam restoran sedia ada, ia membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk menikmati kopi premium," kata Sarah Casanova, Pengarah Urusan McDonald's Malaysia dan Pengurus Serantau McDonald's Malaysia & Singapura.
Menurutnya, McCafe menyasarkan untuk memenuhi selera rakyat Malaysia dengan rangkaian kopi premium yang terdiri daripada kapucino ke latte dan mocha ais ke frappes.
Jelasnya, perbezaan kopi di rangkaian restoran berkenaan ialah minuman tersebut diperbuat daripada biji kopi Arabica berkualiti tinggi.
"Setiap kopi espreso McCafe diperbuat daripada 100 peratus biji kopi premium Arabica yang ditanam di sekitar bukit-bukau Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Biji kopi itu kemudiannya dipanggang sederhana sehingga sempurna, sebelum dikisar untuk mengekalkan rasa asli, kualiti yang konsisten dan segar.
"Diadun oleh barista profesional, campuran espreso McCafe menghasilkan espreso yang halus, harum, pekat dan mewah," katanya ketika ditemui.
Barista merupakan panggilan kepada pembuat kopi khusus seperti espreso. Ia berasal daripada bahasa Itali.

SARAH menunjukkan secawan kopi yang dihasilkan oleh barista profesional.


Turut ditawarkan di McCafe termasuk macchiato, coklat panas, hidangan pencuci mulut seperti pastri, kek dan mufin. Harga yang ditawarkan bermula daripada RM4.50 untuk secawan kapucino atau latte manakala segelas frappe (RM6.20). Kesemua minuman dan pencuci mulut itu boleh dinikmati setiap hari mulai 7 pagi hingga 12 tengah malam.
Sarah berkata, bagi membuka McCafe pertama itu, syarikat tersebut membelanjakan sebanyak RM450,000. Konsep berkenaan akan diperluaskan kepada 10 lagi cawangan dalam tempoh beberapa bulan tahun ini dan 50 cawangan tahun depan.
"Ketika ini, McCafe hanya dibuka dalam tempoh tertentu dan tidak ditawarkan untuk pembelian di kaunter pandu lalu atau khidmat penghantaran. Kami yakin McCafe bakal mendapat sambutan ekoran budaya kopi yang semakin meluas di negara ini," katanya yang mampu menjual antara 350 hingga 400 cawan kopi di cawangan berkenaan selepas dua minggu dibuka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu