Selasa, 16 Oktober 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Cerpen lucah telefon bimbit

Posted: 16 Oct 2012 05:21 PM PDT

BUKTI...Rosli menunjukkan gambar lucah laman web terbabit.
BUKTI...Rosli menunjukkan gambar lucah laman web terbabit.
IPOH: Kecanggihan aplikasi di dalam telefon bimbit masa kini disalahgunakan segelintir remaja untuk membaca cerpen lucah lengkap bergambar dari Indonesia dengan bayaran langganan RM17 seminggu.
Mendedahkan aktiviti tidak bermoral itu, seorang pelajar dikenali sebagai Rosli, 15, berkata, dia dan ramai rakan kini seronok, malah ada yang mula ketagih membaca cerpen lucah dari negara jiran itu.
Menurutnya, ada ratusan cerpen lucah boleh dilayari dan dibaca dengan mudah menerusi skrin telefon bimbit yang setiap satu turut memaparkan gambar pornografi wanita dari negara berkenaan.

"Dengan bayaran Internet RM17 seminggu, tidak sukar untuk memasuki laman web menawarkan bahan bacaan lucah itu kerana pautannya boleh dicapai dengan perkataan tertentu.

"Walaupun kebanyakan laman web lucah tempatan sudah disekat, kami masih boleh menikmati cerita lucah dari Indonesia dengan menggunakan perkataan tertentu menggunakan bahasa Indonesia," katanya.

ELAK kahwin suami orang

Posted: 16 Oct 2012 05:17 PM PDT



MELIHAT kehidupan penyampai radio popular Rozlinda Onn atau nama glamornya Linda Onn, semuanya kelihatan serba lengkap.
Bekerja tetap sebagai penyampai radio Suria FM, memiliki bakat dalam bidang pengacaraan dan lakonan bahkan juga memiliki deretan perniagaan yang berjaya.
Namun dalam kesibukan dirinya, Linda sedar usianya yang kini menjangkau angka 34 tahun sedang mengejarnya untuknya segera menamatkan zaman bujang.
Bahkan Linda yang ditemui ketika Kosmo! mengikuti rombongan Suria FM dalam program Santai Sabah bersamanya dan Farish Aziz pada awal bulan ini, dia amat berharap supaya jodohnya tiba dalam masa terdekat.
"Saya tidak meletakkan sebarang sasaran bila saya harus kahwin, tetapi saya amat berharap dalam masa terdekat. Jika jodoh itu tiba, memang saya akan berkahwin juga," jawabnya.
Getus Linda, dia bukanlah seorang wanita yang cerewet dalam mencari calon suami. Malah tidak meletakkan sebarang piawaian yang ketat namun syarat utamanya, lelaki itu haruslah bukan suami orang.
"Rasanya semua wanita ingin elakkan mengambil suami orang, itu syarat yang paling penting. Selain itu, saya mencari lelaki yang sedap mata memandang, baik hati budi, beragama dan rapat dengan keluarga," katanya.
Disoal sudahkah hatinya ditambat oleh mana-mana jejaka, hanya senyuman yang terukir di bibirnya, lantas menggelengkan kepala.
"Saya ada berkawan dengan beberapa orang (lelaki), tetapi yang serius belum ada lagi. Bukan tidak mahu, tetapi selepas apa yang pernah berlaku terhadap saya sebelum ini, membuatkan saya lebih berhati-hati.
"Saya akui bimbang jika dikecewakan dan harus bersedih lagi kerana lelaki. Kalau boleh saya tidak mahu menangis lagi, cukuplah dengan apa yang saya sudah lalui," balasnya dalam nada serius.
Belum berkahwin pada usia 34 tahun tidak membuatkan Linda berasa terasing atau berbeza daripada wanita lain kerana dia kini cukup bahagia dengan kehidupannya.
"Bila tengok rakan seusia sudah berkeluarga, saya tidak pernah rasa kasihan pada diri sendiri kerana saya cukup bahagia dengan apa yang saya miliki hari ini, kerja, perniagaan dan keluarga.
"Kadangkala, saya pula berasa kasihan kepada rakan saya yang dilihat sempurna daripada segala segi. Mereka ada keluarga dan anak-anak, tetapi mempunyai masalah dengan rumah tangga. Apa pun saya tetap akan berkahwin, bila dan dengan siapa, saya sendiri tidak tahu," tuturnya.
Buang kontroversi

LINDA tidak ketinggalan menikmati keenakan juadah masyarakat Kadazan Dusun di Kampung Budaya Mari-Mari.


Nama Linda sebelum ini memang sarat dengan kontroversi namun sejak berhijrah ke Suria FM tiga tahun yang lalu, namanya kini bersih daripada sebarang kontroversi negatif.
Katanya, kehidupan yang dilaluinya kini cukup tenang, namun, sebagai seorang selebriti dia juga sedar kontroversi itulah yang membuatkan dirinya popular.
Saya sedar hakikat, baik buruk publisiti yang diterima, ia tetap publisiti. Bagaimanapun kerja dalam bidang hiburan kadangkala saya tidak dapat elakkan daripada kontroversi itu terjadi.
Jika kontroversi datang lagi, saya terpaksa harunginya ,tetapi sekarang ia umpama kacang (senang) kerana saya telah melalui kontroversi yang sangat besar dan membebankan. Harap kontroversi tidak akan berlaku lagi," katanya.
Bercakap soal kerjayanya, Linda yang ke udara setiap petang dalam segmen Ceria Petang pada pukul 4 petang hingga 8 malam di Suria FM, mengaku kerjayanya sebagai pengacara dan pelakon tidak serancak dahulu.
Jelas Linda, dia bukan menolak tawaran, tetapi disebabkan kesibukan kerja serta tiada tawaran lakonan yang berkenan di hatinya. Itu yang membuatkan dirinya memperlahankan kerjaya lakonan buat sementara waktu.
"Sebenarnya saya ada dapat beberapa tawaran berlakon, tetapi selepas membaca skrip, saya dapati wataknya tidak sesuai dan skripnya tidak menarik. Itu yang membuatkan saya tidak berlakon.
"Kalau boleh saya mahukan watak tidak kira baik atau jahat, tetapi saya menjadi punca segala yang berlaku dalam filem itu," luahnya yang telah berlakon dalam lima buah filem dan beberapa buah drama.
Selain itu, Linda juga menjadi pengacara untuk sebuah program penjagaan kecantikan berjudul Belaian Jiwa yang sedang dalam proses rakaman dan bakal ditayangkan di TV3.
Santai Sabah
Saban tahun, Linda akan memastikan dirinya berehat dengan bercuti di dalam atau luar negara. Justeru, tawaran untuk melancong sekitar Sabah dalam program Santai Sabah disambut baik olehnya.
Program yang turut disertai oleh penyampai radio Suria FM Sabah, Farish Aziz bermula pada 4 Oktober sehingga 7 Oktober lalu ditaja sepenuhnya oleh pihak Sabah Tourism Board.
Meskipun melancong, Linda dan Farish akan membuat lintas langsung daripada setiap lokasi lawatan. Antara destinasi menarik yang dilawati sepanjang di Sabah seperti Taman Kinabalu, Kundasang, Poring Hot Spring, Pulau Sapi, Pulau Manukan, Kampung Budaya Mari-Mari, Pasar Filipina dan Pasar Ahad Gaya Street.
"Saya seorang yang suka melancong. Kali ini, walaupun berkesempatan berehat tetapi program Santai Sabah merupakan kerja.
"Bagi saya, Sabah mempunyai banyak destinasi pelancongan yang menarik. Destinasi paling saya suka sudah tentunya lawatan ke pulau-pulau," katanya yang telah beberapa kali melancong ke Eropah.

LINDA dan Farish serta kru Suria FM yang menyertai mereka berdua untuk program Santai Sabah bergambar bersama kaum Kadazan Dusun di Kampung Budaya Mari-Mari, di Kota Kinabalu, Sabah.


Tidak hanya menikmati keindahan Pulau Sapi dan Pulau Manukan yang mengambil masa 15 minit perjalanan dari jeti Sutera Harbour Marina, Linda, Farish dan pihak media berpeluang melakukan aktiviti snorkeling dan berjalan di dalam laut.
"Laut di Sabah memang sangat cantik, saya suka snorkeling, sekarang kulit sudah hitam sedikit sebab berjemur di laut. Selain itu, ketika berada di sekitar Gunung Kinabalu, saya terasa seperti bercuti di luar negara kerana keadaan cuacanya yang sungguh sejuk dan pemandangan yang sangat cantik.
"Jika diberi peluang dan masa, saya akan melawat Sabah lagi dan menjelajah ke destinasi lain pula," katanya yang pernah ke Pulau Redang, Langkawi, Tioman dan Pangkor.

Raja Azura Tidak Akan Hidup Bermadu

Posted: 16 Oct 2012 05:17 PM PDT

Raja Azura
KUALA LUMPUR: Penyampai radio Sinar FM dan pelakon Raja Azura tidak akan mencari pengganti di kalangan suami orang kerana prinsipnya enggan hidup bermadu.
Raja Azura, 40, berkata, walaupun dalam agama Islam tidak menghalang kehidupan bermadu namun perkara itu haruslah hadir dengan keikhlasan hati kerana ia bukanlah sesuatu yang mudah.
"Terus terang jika ingin mencari pengganti, saya tidak mahu cari di kalangan mereka yang sudah berkahwin dan saya tidak mahu hidup bermadu.
"Ia telah menjadi prinsip hidup saya dan rasanya saya bukan insan yang terpilih untuk hidup berpoligami," ujarnya ketika ditemui pada pelancaran program bual bicara Primadona di Astro, di sini pada Selasa.
Selain Raja Azura, program tersebut turut menampilkan Erra Fazira, Ziela Jalil dan Rozita Che Wan sebagai pengacara gandingan.
Ia akan menemui penonton bermula 2 November depan setiap hari Jumaat pukul 9 malam menerusi Astro Prima.
Dalam pada itu, Raja Azura tidak menafikan ada lelaki yang cuba mendekatinya sejak dia berpisah dengan Adzmin Osman. Bagaimanapun dia lebih selesa dengan kehidupan solonya kini.
Malah tumpuannya adalah kepada anak-anak selain kerjaya sebagai penyampai radio Sinar FM.
Raja Azura dan Adzmin berpisah pada 28 September 2010 selepas hampir sepuluh tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Megat Muhammad Raziq,10, Megat Luqman Hakim,9, dan Puteri Mkia Maizurah, 6.
Adzmin merupakan anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof.
Sementara itu, Raja Azura memberitahu gembira dapat bekerjasama dan berkongsi pentas bersama tiga lagi rakan artis dalam Primadona.
Walaupun terkenal dengan kepetahan sebagai penyampai radio dan pengacara televisyen, itu tidak bermakna dia akan menguasai program itu.
"Memang saya banyak bercakap tetapi untuk Primadona kita banyak melakukan latihan sebelum membuat rakaman supaya semua pengacara tidak "tenggelam" di antara satu sama lain," katanya.

Cantik, tak cantik boleh berentap

Posted: 16 Oct 2012 05:12 PM PDT


DAPAT sambutan. Ramai peserta hadir untuk mencuba nasib dalam Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua baru-baru ini.


LEBIH 2,000 orang peserta hadir mencuba nasib untuk merealisasikan impian mereka bergelar seorang penghibur pada sesi uji bakat Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua terbitan TV3.
Pencarian yang berlangsung hampir sebulan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, Kuching, Sarawak serta Kota Kinabalu, Sabah itu telah melabuhkan tirainya minggu lalu apabila sesi uji bakat terakhir dijalankan di Sri Pentas TV3, Petaling Jaya.
Menariknya, semua gelagat para peserta yang mencuba nasib untuk menjadi sebahagian daripada anak seni generasi baharu akan mula disiarkan pada malam ini pada pukul 9.30 malam di TV3.
Seperti biasa, terdapat banyak 'drama' barisan peserta selain ketegasan dan sikap dua orang juri program realiti tersebut iaitu komposer, Azmeer dan penyanyi, Mas Idayu dapat disaksikan dalam saringan untuk mencari peserta yang benar-benar berkualiti.
Secara umumnya, Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua masih mengekalkan konsep lama iaitu pemilihan vokal diutamakan selain daripada rupa paras peserta.
Bagaimanapun, menurut Penerbit Eksekutif rancangan tersebut, Ahmad Shaifullizam Arshad, kali ini ia memberi sedikit kelainan apabila terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira paras rupa serta fizikal peserta berbanding musim yang lalu.
"Kalau musim lalu kita hanya tumpu kepada mereka yang tidak mempunyai rupa, tetapi kali ini, cantik atau tidak, mereka tetap diberi peluang untuk beradu nasib sebab kami nak cari vokal yang mantap sahaja" ujarnya.
Justeru, adakah ini bermakna bakal berlaku keputusan berat sebelah dalam pemilihan peserta kali ini seperti faktor fizikal dan paras rupa lebih menjadi daya tarikan, sedangkan matlamat asal program itu adalah untuk mencungkil peserta yang berpotensi namun kurang menonjol dari segi penampilan?
Ahmad Shaifullizam bagaimanapun menepis persepsi itu.
"Kali ini kita akan gunakan tabir atau tirai pada sesi uji bakat. Maka, juri tidak akan dapat melihat rupa fizikal peserta yang sedang diuji. Hanya suara peserta yang akan kedengaran di sebalik tabir tersebut.
"Jika peserta berjaya memukau juri dengan vokal mereka yang mantap, barulah kita akan buka tabir itu untuk mempamerkan wajah mereka" ujarnya mengenai konsep uji bakat peserta.
Program tersebut akan menampilkan Azmeer sebagai juri tetap manakala deejay, Faizal Ismail masih dikekalkan sebagai pengacara majlis.
Pemenang tempat pertama untuk Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000.00 berbanding RM50,000.00 tahun lepas, manakala tempat kedua akan membawa pulang sejumlah wang bernilai RM30,000.00 sama seperti musim pertama.
Sambutan yang diterima untuk sesi pencarian bakat kali ini sememangnya mengejutkan apabila orang ramai berasak-asak untuk menghadirkan diri ke sesi uji bakat.
Namun menurut juri profesional yang terlibat sepanjang sesi uji bakat tersebut, Mas Idayu, kehadiran peserta pada kali ini amat tidak memuaskan, lebih-lebih lagi apabila ramai yang dilihat seperti tidak bersedia, malah tidak menunjukkan ciri-ciri seorang peserta yang ingin bertanding.
"Sukar untuk juri kali ini membuat pemilihan sebab semua yang datang sama sahaja. Setakat ini kami masih tidak ketemui peserta yang mampu buat kami terpukau dan terpegun apabila mereka melontarkan suara," katanya yang perlu memilih lapan peserta wanita dan lapan lelaki untuk berentap dalam program realiti tersebut.

Pensyarah UTHM didakwa tipu

Posted: 16 Oct 2012 05:09 PM PDT


Mohd. Effendi selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam atas pertuduhan menipu.


JOHOR BAHRU - Seorang pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Awam, Alam Sekitar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menipu wang seorang pengusaha resort sebanyak RM16,000.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Effendi Daud, 39, dituduh menipu Paridah Husin, 46, pada 29 Julai tahun lalu di UTHM dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayainya akan mengadakan majlis penyampaian sijil untuk pelajar UTHM sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tersebut.
Paridah yang terpedaya dengan tertuduh menyerahkan wang tunai tersebut melalui akaun CIMB Bank bernombor 01050117958521 di Batu Pahat pada pukul 3.30 petang, 29 Julai tahun lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 19 November ini.

Superbug mampu membunuh

Posted: 16 Oct 2012 05:08 PM PDT



TIONG LAI menyampaikan poster kepada wakil-wakil Jabatan Kesihatan Negeri sempena kempen pengawalan AMR di Putrajaya semalam.



PUTRAJAYA - Rakyat diberi amaran mengenai ancaman bakteria Superbug yang boleh membawa maut jika mereka mengambil ubat antibiotik dengan cara yang tidak betul.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pengambilan ubat antibiotik secara tidak betul bakal meningkatkan kes Antimicrobial Resistance (AMR) atau kebal terhadap ubat antibiotik dan ia sekali gus membentuk bakteria Superbug dalam tubuh pesakit.
Beliau berkata, pihaknya bimbang dengan ancaman Superbug yang boleh menyerang bila-bila masa berikutan peningkatan penggunaan antibiotik dalam kalangan masyarakat sejak kebelakangan ini.
"Terdapat rakyat negara ini mengambil antibiotik secara salah seperti menggunakan bahan itu tanpa mendapat rujukan doktor atau tidak menghabiskan antibiotik yang dibekalkan mengikut masa ditetapkan.
"Oleh itu amat penting untuk orang ramai menyedari kepentingan mengawal pengambilan antibiotik kerana pengambilannya secara tidak tepat boleh menyebabkan kes AMR meningkat dan mewujudkan bakteria Superbug," katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran Kempen Pengawalan AMR Peringkat Kebangsaan di sini semalam.

Jet pejuang tentera Indonesia terhempas

Posted: 16 Oct 2012 05:06 PM PDT


BEBERAPA anggota penyelamat memeriksa bangkai jet Hawk 200 yang terhempas di sebuah kampung di Kampar, semalam.


JAKARTA – Tentera Udara Indonesia semalam menggantung operasi 32 buah jet pejuang Hawk 200, lapor agensi berita Xinhua.
Ketua tentera udara negara itu, Imam Sufaat berkata, keputusan itu dibuat selepas salah sebuah jet tersebut terhempas di Pekanbaru, wilayah Riau.
Jet itu terhempas pada pukul 9.30 pagi waktu tempatan semalam semasa satu latihan ketenteraan.
Bagaimanapun, juruterbang jet tersebut berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan kerusi anjal.
Tiada laporan mengenai kecederaan dan kematian akibat kejadian tersebut.
Menurut Imam, penggantungan itu merupakan prosedur biasa jika terdapat sebuah jet yang terhempas sehingga siasatan tentang punca nahas selesai dilakukan oleh sebuah pasukan penyiasat.
Jet tersebut terhempas di kampung di Kampar dekat sebuah pangkalan tentera udara di Pekanbaru.
Imam berkata, jet tersebut dibeli dari Britain.
Jet-jet tersebut ditempatkan di pangkalan tentera di Pontianak, Kalimantan Barat dan Pekanbaru.
"Kami menerima jet-jet itu dari Britain pada 1994," kata Imam.

Waris Raja Richard III tunggu keputusan ujian DNA

Posted: 16 Oct 2012 05:05 PM PDT


GAMBAR fail menunjukkan dua lelaki yang memakai kostum askar pada zaman pertengahan berdiri di lokasi tempat rangka tulang dipercayai milik Raja Richard III ditemui di Leicester pada 12 September lalu.


LONDON - Sekumpulan ahli arkeologi kini menunggu dengan penuh debaran hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan menentukan sama ada rangka tulang yang ditemui di dalam lubang di sebuah tempat meletak kereta di Leicester milik bekas pemerintah England, Raja Richard III.
Baginda mangkat pada 1485 semasa menyertai pertempuran menentang tentera Henry Tudor yang kemudian menggantikannya sebagai Raja Henry VII.
Generasi ke-17 anak saudara raja berkenaan, Michael Ibsen, 55, turut menunggu dengan penuh debaran keputusan tersebut kerana dia terlibat dalam ujian itu.
Ibsen yang dilahirkan di Kanada dan berpindah ke London 27 tahun lalu berkata, kekecewaan pastinya akan berlaku jika keputusan ujian tersebut tidak sepadan.
Beliau yang kini bekerja sebagai tukang kayu berharap jika identiti tulang itu sah milik Raja Richard, ia akan membantu memulihkan reputasi baginda.
Sebelum ini, raja itu pernah digambarkan oleh dramatis terkenal, mendiang William Shakespeare sebagai seorang yang suka dengan kuasa dan pernah membunuh dua anak saudaranya bagi membolehkan baginda menjadi pemerintah.
Pendedahan tentang penemuan rangka tulang itu disiarkan media pada September lalu.
Beberapa saintis menyatakan bahawa rangka tulang itu mempunyai kesan kecederaan di tengkorak dan tulang belakang.
Keputusan ujian DNA itu akan diketahui pada Disember depan.
Rangka tulang tersebut ditemui oleh pasukan arkeologi Universiti Leicester.
Beberapa pakar sebelum ini berpendapat bahawa mayat raja tersebut dikebumikan di sebuah gereja di Leicester selepas baginda terbunuh dalam pertempuran itu.
Bagaimanapun, terdapat cerita yang disebarkan pada abad ke-17 bahawa makam raja tersebut digali dan rangka tulangnya dibuang ke sungai.

Penduduk pekan kecil dipindah kerana gas beracun

Posted: 16 Oct 2012 05:05 PM PDT


BEBERAPA anggota bomba menyemburkan air ke arah kilang Kraft Foods bagi menghalang pergerakan 'awan' yang mengandungi gas beracun di pekan Bad Fallingbostel semalam.


BERLIN - Kira-kira 1,400 orang yang tinggal di pekan Bad Fallingbostel, utara Jerman terpaksa berpindah selepas sebuah kilang mengeluarkan 'awan' yang mengandungi gas beracun.
Pihak berkuasa semalam menyatakan penduduk tersebut dipindahkan selepas beberapa pekerja melakukan kesilapan di kilang Kraft Foods di pekan tersebut.
Semua sekolah dan tadika juga ditutup.
Setakat ini tiada laporan tentang kecederaan dilaporkan.
Kejadian tersebut berlaku apabila asid dicampurkan ke dalam sebuah tangki mengandungi natrium hidroksida yang digunakan untuk kerja-kerja pembersihan.
Bagaimanapun, campuran itu menyebabkan gas tersebut dihasilkan.
Pakar-pakar di kilang berkenaan cuba untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Rai kelihatan langsing

Posted: 16 Oct 2012 05:04 PM PDT


BENTUK badan Rai kelihatan gemuk semasa menghadiri Festival Filem Cannes di Cannes, Perancis pada 25 Mei lalu.


NEW DELHI - Pelakon Bollywood terkenal, Aishwarya Rai kelihatan langsing ketika dia menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-180 jam tangan jenama Longines di sini semalam.
Dia yang juga duta produk tersebut membuat penampilan dengan mengenakan gaun hitam Dolce & Gabbana selain menyarung jaket pendek yang menampakkan potongan badannya yang baharu.
Sebelum ini, pelakon jelita itu pernah menjadi perhatian umum apabila dia mengalami masalah berat badan selepas melahirkan anak perempuan sulungnya, Aaradhya yang berusia 11 bulan.
"Perkara itu (berat badan) tidak pernah menjadi isu kepada saya. Jika berat badan saya menjadi isu, saya akan menyamar," katanya yang dipetik portal berita NDTV.com.
Pada 25 Mei lalu, tubuhnya kelihatan gemuk ketika dia menghadiri Festival Filem Cannes di Cannes, Perancis.
Rai, 38, mengakui dia teruja dengan kehidupannya sebagai seorang ibu.
"Saya berasa bertuah kerana dapat meluangkan banyak masa untuk menguruskan anak," katanya.
Rai turut menjelaskan, dia tidak pernah berniat untuk menyembunyikan anaknya itu daripada pihak media.
"Apabila anak bersama saya, saya akan bertindak mengikut naluri keibuan. Jika anak saya membuka mata atau terkejut, saya akan cuba melindungi dia. Ia tidak bermaksud saya mahu menjauhkannya (daripada mendapat liputan media)," ujarnya yang pernah mendapat gelaran wanita tercantik di dunia.
Rai berkata, dia turut mendapat beberapa tawaran untuk berlakon.
Bagaimanapun, dia masih meneliti skrip filem yang ditawarkan kepadanya.
Rai berkahwin dengan aktor Abhishek Bachchan pada 2007.

Lima dekad hidup dengan bertukang

Posted: 16 Oct 2012 05:02 PM PDT



LELAKI yang hampir mencecah usia satu abad itu khusyuk menggergaji beberapa bilah kayu. Selepas beberapa kali memberi salam, barulah dia tersentak lalu tersenyum-simpul di pondok usangnya.
Urat kaki dan tangannya jelas kelihatan dengan pandangan mata kasar. Mata yang cengkung, wajahnya penuh dengan seribu kedutan dan tubuh badan yang kurus langsung tidak menterjemahkan kekuatan dan kegigihannya untuk terus bertukang.
Ali Jamuk yang kini meniti umur 95 tahun memanjatkan kesyukuran kerana dikurniakan kesihatan, pendengaran dan penglihatan yang baik sehingga sekarang.
Berbicara mengenai pekerjaannya, Ali dengan nada perlahan berkata: "Walau sehari pun, saya tidak mampu meninggalkan kerja membuat sarung parang kerana kerja dan pondok inilah yang banyak berjasa membantu saya menyara keluarga sejak tahun 1965."
Ali atau mesra dengan panggilan Tok Ali segera meninggalkan gergajinya lalu mencapai rokok paipnya. Katanya, dia mahu bersembang lanjut dalam keadaan santai.
"Nak buat kerja ini perlukan ketelitian dan kena banyak sabar, tak boleh terburu-buru, hanya orang yang betul-betul minat saja mampu melakukannya.
"Kalau nak ikutkan memang dah hampir lima dekad Tok Ali buat benda ini, kalau makan gaji dengan kerajaan, dah dua kali Tok Ali pencen rasanya," selorohnya sambil sesekali memicit betisnya yang barangkali lenguh disebabkan terlalu lama duduk bersila.
Warga emas ini mendongak ke langit seketika. Sambil tersenyum dia berkongsi cerita tentang zaman kegemilangannya.
Ujarnya, sewaktu zaman remaja ketika otot masih kental dan tenaga masih kuat, dia berupaya menghasilkan 20 bilah sarung parang sekali gus dalam sehari.
Harga sarung parang pada ketika itu antara RM80 hingga RM350 bergantung kepada bentuk dan saiz.
Bercerita tentang harga, Tok Ali memberitahu, sekitar tahun 1960-an, dia hanya diberi sekotak rokok dan setin susu cair sebagai upah. Namun, itu sudah cukup untuknya. Bagi lelaki itu paling penting ialah pelanggan berpuas hati dengan hasil kerja tangannya.
"Itu cerita dulu, tapi sekarang dah berubah, ada yang bayar Tok Ali sampai RM500 untuk satu sarung parang.
"Sesuailah dengan umur Tok Ali yang mampu buat antara tiga hingga lima bilah sarung sehari saja. Namun Tok Ali bersyukur kerana mendapat tempahan tidak putus-putus dari Johor, Perak, Selangor, Kedah, Terengganu termasuk Indonesia," katanya.
Warisi bakat datuk
Namun, memori paling manis sepanjang menjadi tukang membuat sarung parang ini ialah apabila dia menerima tempahan dari Majlis Daerah Labis untuk dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar sewaktu program Kembara Mahkota Johor beberapa tahun lalu.
Kepakaran Tok Ali membuat sarung parang sebenarnya diwarisi daripada arwah datuk dan bapanya.
Bezanya pembuatan zaman dahulu dan kini ialah gam yang digunakan.

KERJA-KERJA membuat lubang pada kayu hulu parang dilakukan oleh Tok Ali menggunakan pengerudi tangan.


"Dulu, kami guna beras pulut yang ditanak selama enam jam atas dapur kayu. Gam yang diperbuat daripada pulut itu pula hanya bertahan selama sebulan sebelum basi, menjadi keras dan tidak lagi melekat pada kayu," imbaunya yang juga mahir membuat perahu kolek dan mata parang.
Pada hari ini, Tok Ali lebih selesa mengguna gam kayu yang dijual di pasaran.
Sedang rancak berbual, bekas peneroka itu meminta izin untuk meneruskan kerjanya dan sekali-sekala berbual mengenai pembuatan sarung parang.
Prosesnya amat rumit. Ia bermula dengan mencari pelbagai jenis kayu seperti sepetir, kayu arang, penaga, sena, ciku, kemuning atau limau. Kemudian, kayu-kayu itu dibelah dengan saiz dua inci tebal, empat inci lebar dan 24 inci panjang setiap satu.
Kayu-kayu berkenaan kemudiannya disimpan di bawah teduhan matahari selama beberapa bulan untuk mengeringkannya dan mengelakkan kayu daripada pecah dan bengkok.
"Selepas itu, barulah kita membuat kerja-kerja membentuk bahagian hulu, pemegang dan badan.
"Bila hulu dah siap, tanduk atau tembaga yang berbentuk cincin dipanggil temin disarungkan di pangkalnya," jelas Tok Ali sambil memberitahu, gergaji yang digunakan merupakan hasil ciptaannya sendiri.
Kemudian ia disusuli dengan kerja-kerja mengukir dan mengilat sebelum sarung parang tersebut disapu minyak supaya urat-urat kayu jelas kelihatan.
Kata Tok Ali, dalam banyak jenis kayu, kayu arang dan kayu sepetir antara kayu yang paling disukai pelanggan kerana warna dan coraknya yang cantik.
Seperti sedang merenung masa depan, warga emas yang sudah selayaknya berehat sepenuh masa itu hiba kerana tiada seorang pun generasi muda termasuk cahaya mata dan cucu-cicitnya mahu mewarisi pekerjaannya.
"Demi kelangsungan pekerjaan sebagai seorang pembuat sarung parang, saya sanggup mengajar sesiapa sahaja yang berminat asalkan dia ikhlas," luah Tok Ali.
Sementara itu, Talib Yaacob, 54, menantu Tok Ali mengakui dia tidak sanggup melihat bapa mertuanya, bersendirian melakukan kerja-kerja berat.
Justeru, Talib bertanggungjawab untuk membantu bapa mertuanya menghasilkan mata parang yang memerlukan seseorang menempa dan membentuk besi di dapur yang mencecah kepanasan melebihi 100 darjah Celcius.
Bantu bapa mertua
Di samping mempelajari ilmu membuat mata parang daripada Tok Ali, lelaki ini memberitahu, dia berusaha ke sana ke mari untuk mempelajari membuat mata parang daripada tukang besi di sekitar Labis.

TOK ALI pernah menerima tempahan sarung parang untuk dihadiahkan kepada Sultan Ibrahim ketika baginda membuat lawatan di sekitar Johor sempena program Kembara Mahkota Johor beberapa tahun lalu.


"Sebenarnya saya memang tak minat buat kerja-kerja ini sebab saya merupakan peneroka yang mengusahakan kebun getah, tapi sedar tak sedar sudah 15 tahun saya menolong bapa mertua," katanya ketika ditemui di dapur pembakaran yang terletak berdekatan dengan pondok Tok Ali bertukang.
Bercerita serba sedikit tentang mata parang buatannya, Talib menjelaskan, dia menggunakan besi spring lori sebagai bahan asas.
"Parang yang diperbuat daripada besi spring lori lebih keras berbanding besi lain.
"Selain itu, ia lebih tajam dan tahan lasak untuk kerja-kerja seperti berkebun," jelas Talib yang boleh menyiapkan tiga bilah parang dalam masa sehari.
Talib mengakui, meskipun mampu membuat mata parang, tetapi sehingga ke hari ini, dia masih belum menguasai cara membuat sarung parang.
"Memang sukar tapi saya mesti menggagahkan diri mempelajarinya kerana tidak ada sesiapa yang minat mewarisinya kecuali saya," kata Talib.
Menurut Talib, mereka sekeluarga sering menasihati Tok Ali supaya berehat di rumah. Bagaimanapun, keghairahan bapa mertuanya menghasilkan sarung parang sentiasa membara.

Ambil risiko seludup barang

Posted: 16 Oct 2012 05:01 PM PDT



BOT-BOT gentian kaca berkelajuan tinggi meninggalkan perairan Iran sebelum berhenti ketika menghampiri kawasan tebing berbatu yang terletak di Semenanjung Musandam, Oman itu. Di atas dek, kelihatan sekumpulan penyeludup warga Iran, sebahagian besarnya merupakan golongan remaja yang sering berulang-alik melalui laluan sempit di Selat Hormuz.
Mereka menyeludup apa sahaja yang bernilai melalui pelabuhan di selatan negara itu bagi mengelak proses duti import. Situasi itu terus berlarutan sehingga ke hari ini, kelibat bot-bot penyeludup boleh dilihat hampir setiap hari di perairan negara berkenaan.
Ia membawa pelbagai barangan daripada minuman ringan sehingga ke telefon bimbit dan kosmetik yang dibeli dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebelum dijual kepada pedagang di Iran.
Kedudukan Iran yang terletak berdekatan Oman dan UAE, sejarah hubungan perdagangan serta kewangan sedikit sebanyak merancakkan aktiviti penyeludupan. Ia juga merupakan salah satu ikhtiar hidup dalam kalangan warganya bagi meneruskan kehidupan selepas sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya ke atas Tehran.
Ekonomi Iran rancak seketika selepas sekian lama tunduk kepada tekanan masyarakat antarabangsa ekoran program-program nuklear yang menyaksikan pertumbuhannya berada pada paras sifar. Impak sekatan itu turut menjejaskan mata wang Iran, rial yang susut dua per tiga daripada nilai asalnya sejak tahun lalu berbanding dolar AS, sekali gus melumpuhkan kuasa membeli sebahagian besar rakyatnya.

PARA penyeludup dari Iran menggunakan negara-negara jiran seperti Oman untuk memasarkan barangan mereka.


"Kami tidak membawa banyak barang hari ini," jerit Ismael, remaja berusia 17 tahun dari atas sebuah bot enjin sangkut berkeupayaan 200 kuasa kuda itu.
Peralatan yang digunakan sahaja sudah mencecah ribuan dolar AS sekali gus membuktikan aktiviti penyeludupan lebih bernilai berbanding risiko cuaca buruk, kapal tangki minyak yang bertali-arus dan ketegasan polis peronda Iran yang melakukan rondaan.
"Sebelum ini kami mampu menyeberang perairan tiga kali sehari. Sekarang, hanya sekali sehari," katanya ketika memusing stereng bot sambil mencari lokasi sesuai untuk berlabuh di kawasan pelabuhan Khasab yang terletak di semenanjung Musandam, utara Oman itu.
Saluran kastam
Beberapa kotak produk pencuci, fabrik dan pakaian diletakkan di atas dok sementara menunggu kenderaan untuk mengangkutnya ke pulau milik Iran, Qeshm, kira-kira 48 kilometer merentasi Selat Hormuz. Selat itu menjadi jalur minyak terpenting dan paling sibuk di dunia yang membekalkan satu pertiga keperluan minyak dunia.
Bagaimanapun para pedagang pula berkata, jumlah kotak yang dihantar berkurangan mendadak berbanding tahun lalu.
Menurut seorang ahli perniagaan tempatan, sebahagian barangan yang hendak dieksport perlu didaftarkan mengikut saluran pihak kastam di Oman, namun tidak semuanya.
"Sebentar tadi berlaku ribut," kata Hossein, pemuda Iran berusia 21 tahun, sejurus tiba selepas dua jam menyeberangi lautan dari sebuah pelabuhan di Bandar Abbas, Iran.
"Pihak polis juga turut kelihatan. Mereka sangat tegas dan mengamalkan rasuah," ujarnya ketika duduk di atas bot sambil melihat laut yang luas di hadapannya.
Selain isu rasuah, para penyeludup turut diancam peluru pasukan keselamatan dan adakalanya terpaksa membuang barangan yang dibawa ke dalam laut, tetapi pertumbuhan ekonomi yang semakin meningkat menyebabkan tugas yang dilakukan lebih berisiko biarpun ia untuk kebaikan.
Pertelingkahan antara Iran dan Barat berpusat di tengah-tengah Selat Hormuz. Ketika ketegangan meningkat tahun ini, terdapat peningkatan kehadiran kapal-kapal perang tentera AS di selat itu di samping kapal-kapal tentera Iran yang memantau pergerakannya.
Sehingga kini, Washington belum mengarahkan tindakan ketenteraan berikutan program nuklear Iran yang dipercayai digunakan untuk penghasilan senjata nuklear. Iran bagaimanapun, berulang kali menafikannya.
Para diplomat Barat berkata, mereka tidak mahu menarik balik sekatan yang dilakukan terhadap perdagangan bagi keperluan barangan asas dan minyak kerana ia merupakan senjata paling berkesan memaksa Iran ke meja rundingan.
Biarpun begitu, rakyat Iran terus bertahan. Para analisis berkata, ekonomi Iran akan terus meningkat pada tahun ini selepas meningkat dua peratus tahun lalu, inflasi kekal sebanyak 25 peratus dan pengangguran pula sehingga 20 peratus.

SEKATAN ekonomi yang dikenakan AS dan sekutunya hampir melumpuhkan ekonomi Iran.


Walau bagaimanapun, ahli-ahli ekonomi berpendapat setakat ini mereka tidak melihat berlakunya kekurangan bahan keperluan asas di negara itu.
Di Oman, sebuah pasar lama di Khasab juga dikenali sebagai pasar Iran, aktiviti perdagangan yang bergantung kepada pengeksportan semula terhadap Iran kini terjejas teruk.
"Kami kehilangan lebih 90 peratus daripada perniagaan," kata seorang ahli perniagaan veteran berbangsa India yang enggan dikenali. Dia telah berniaga di Khasab sejak dua dekad lalu.
"Ia menjejaskan kami. Nilai rial semakin menurun setiap hari dan kami hampir menutup perniagaan," katanya.
Penyusutan riyal
Perniagaannya beroperasi secara sah di Oman. Pengangkutan perniagaan mereka dikendalikan oleh para pedagang yang berpangkalan di Iran dan mempunyai bot-bot laju serta pekerja khusus bagi tujuan itu.
Katanya, mereka membuat tempahan menerusi telefon dan membuat pembayaran di Dubai.
Sebelum kelembapan ekonomi bermula kira-kira enam bulan lalu, secara purata syarikatnya mampu memperoleh keuntungan AS$130,000 (RM399,000) seminggu melalui penjualan barangan makanan dan peralatan elektronik.
Situasi pada hari ini menyebabkan syarikatnya terpaksa bergantung jualan kepada beberapa pejabat kerajaan Oman di wilayah Musandam.
Riyal mengalami penyusutan berterusan sejak beberapa minggu lalu walaupun kerajaan berusaha mengekangnya melalui penubuhan pusat pertukaran yang direka untuk menyalurkan dolar AS kepada pengimport beberapa barangan asas kepada kadar yang lebih murah daripada pasaran.
Biarpun kebimbangan mengenai kemampuan dolar AS semakin berkurangan, kehadiran pusat itu telah menggalakkan perlumbaan mata wang utama yang menyebabkan nilai rial susut sebanyak 30 peratus sejak seminggu lalu.
"Majikan kami tidak boleh menjual barang-barang di Iran mengikut harga sekarang," kata Nader, 32, ketika berdiri di hadapan syarikat ahli perniagaan itu di Khasab.
"Saya tidak boleh mengambil apa-apa ketika ini," katanya.
Pengeksport utama di Iran yang menghantar bot-bot ke Dubai dengan bertan-tan barangan ke Qeshm atau Bandar Abbas juga berhadapan masalah yang sama. Seorang kru warga Iran berkata, mereka terpaksa menunggu sehingga 10 hari sebelum bot mereka penuh berbanding sebelum ini.

LEBIH 35 peratus perdagangan minyak dunia menggunakan laluan di Selat Hormuz.


Di Khasab, warga Iran mengendalikan dok dari dalam pelabuhan utama yang ditutup dengan pagar keselamatan sejak setahun yang lalu, kata seorang penduduk tempatan. Tidak seperti Khasab, ia tidak boleh diakses tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa Oman.
Bagaimanapun, ia tidak menghalang bot-bot dari Iran yang memasuki bandar itu pada waktu siang, tetapi bukan untuk berlabuh tanpa tujuan. Walaupun aktiviti penyeludupan semakin berkurangan, terdapat perniagaan lain yang berkembang, yang turut menjanjikan pendapatan lumayan.
"Mari lihat kambing-kambing saya," jerit Ismail, sambil menunjukkan lebih 30 ekor kambing biri-biri yang berhimpit-himpit di dalam botnya. Dia dijangka memperoleh kira-kira 2 juta rial (RM500) daripadanya.

Masakan terbaik penulis blog

Posted: 16 Oct 2012 05:00 PM PDT

PARA peserta tidak melepaskan peluang bergambar dengan chef-chef selebriti terkenal yang hadir pada pertandingan akhir Gourmet Blog Challenge 2012 baru-baru ini.


MEREKA bukan chef terkenal yang bertugas di dapur hotel, jauh lagi chef selebriti yang sering dilihat mengendalikan program rancangan masakan di stesen-stesen televisyen.
Persamaan yang ada adalah setiap daripada mereka memiliki blog masakan. Di situlah, mereka berkongsi segala kisah dan tip terkini mengenai bidang masakan baik dari segi resipi, teknik persembahan, kebersihan dan kesihatan.
Menyedari sumbangan besar para blogger itu khususnya dalam memartabatkan bidang kulinari di negara ini, produk makanan sedia, myChef menganjurkan Gourmet Blog Challenge 2012 yang diadakan di laman sosial Facebook, MyChef-Ready Meals/Dishes bermula Ogos hingga September lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Flavor Innovation Sdn. Bhd., Mohd. Fairuz Abdullah berkata, objektif pertandingan adalah untuk memperkenalkan jenama myChef dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Katanya, pertandingan yang terbuka kepada pemilik blog masakan dan pengguna Facebook itu mendapat sambutan yang menggalakkan dengan lebih 50 penyertaan.
"Syaratnya mudah, peserta hanya perlu mengubah suai mana-mana resipi produk myChef yang terdapat di pasaran dengan menggunakan kreativiti masing-masing. Seterusnya mereka dikehendaki memuat naik ke MyChef-Ready Meals/Dishes lengkap dengan gambar dan resipi hidangan.
"Selepas beberapa proses tapisan, kami telah memilih 12 peserta untuk memasuki pertandingan akhir bagi merebut hadiah keseluruhan sebanyak RM18,000 yang ditawarkan," katanya.
Menariknya, pada pertandingan akhir yang diadakan pada 29 September lalu di Restoran Rebong Chef Ismail, ia menggunakan konsep ala siri program realiti masakan popular, Masterchef.
Barisan juri yang terlibat terdiri daripada empat chef selebriti terkenal tanah air merangkap duta-duta produk myChef seperti Chef Florence Tan, Chef Liza, Chef Zam dan Chef Izani Farhana.
Tambah Mohd. Fairuz, pada pertandingan akhir itu, para peserta dibahagikan kepada empat kumpulan mengikut kategori iaitu kategori Chef Florence Tan, kategori Chef Liza, kategori Chef Zam dan kategori Chef Ismail.
"Kesemua peserta bebas menyediakan hidangan di rumah, namun proses akhir perlu dipersembahkan di hadapan juri. Antara kriteria pemarkahan meliputi rasa masakan (40 peratus), persembahan hidangan (30 peratus) dan kebersihan (30 peratus)," katanya.
Hadiah tempat pertama bagi setiap kategori terdiri daripada wang tunai sebanyak RM2,500, sebuah ketuhar mikro gelombang dan produk myChef bernilai RM200.
Pemenang sagu hati pula berkongsi hadiah yang sama iaitu wang tunai sebanyak RM500 dan produk myChef bernilai RM80.
Rezeki ayam kalio
Sementara itu, pemenang tempat pertama kategori Chef Ismail, Siti Sarah Ismail, 32, berkata dia tidak menyangka resipi nasi serai ayam kalio berjaya menarik perhatian juri.
Mewarisi bakat memasak daripada ibunya, Dalilah Ab. Hamid, 56, Siti Sarah berkata, dia menghantar sebanyak empat penyertaan bagi kategori Chef Ismail dan Chef Liza.
"Saya hanya mengetahui mengenai Gourmet Blog Challenge 2012 daripada seorang rakan di Facebook, itu pun di saat-saat akhir. Mungkin ini rezeki, saya tidak sangka akan menang kerana ramai peserta lain yang lebih berpengalaman dan menyediakan hidangan yang tidak kurang hebat," katanya yang berasal dari Bukit Tinggi, Klang, Selangor.
Bagi Fadilah Nahar, 33, pula, dia bersyukur kerana muncul sebagai juara kategori Chef Liza dan hadiah sagu hati bagi kategori Chef Ismail.
"Saya menghantar sembilan penyertaan secara keseluruhan sebelum dua daripadanya layak ke peringkat akhir.
"Kedua-dua resipi iaitu chicken mini quiche (juara) dan pizza semur daging Betawi (sagu hati) merupakan ciptaan saya sendiri yang digabungkan dengan produk myChef," ujarnya yang mempunyai blog masakan delimazamrud79.blogspot.com.

Ricoh lawat anak pokok bakau

Posted: 16 Oct 2012 04:59 PM PDT


KAKITANGAN Ricoh bersama pelanggan dan sukarelawan gembira kerana dapat melihat progres pokok bakau yang ditanam setahun lalu.


SELEPAS setahun melakukan aktiviti menanam pokok bakau bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia melalui program Segala-galanya Mengenai Pokok Bakau, Ricoh sekali lagi bersama pelanggan dan pembekalnya bertandang ke Taman Alam Kuala Selangor untuk melihat hasilnya.
Lawatan kali kedua itu bertujuan untuk melihat perkembangan anak pokok bakau yang ditanam tahun lalu di samping mengenal pasti kawasan yang masih boleh ditanam dengan anak pokok bakau.
"Kehidupan di kota metropolitan membuatkan kita terlupa mengenai kepentingan menjaga alam semula jadi. Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menguar-uarkan kepentingannya.
"Peserta tahun lalu begitu teruja untuk menyertai aktiviti ini. Justeru, kali ini kami mengalu-alukan sesiapa yang ingin menyertai aktiviti penanaman pokok secara sukarela," kata Timbalan Pengurus Besar Pemasaran Ricoh Malaysia, Lim Choon Weng.
Hasil aktiviti penanaman lalu, anak pokok bakau itu kini telah mencecah ketinggian 20 sentimeter. Kesemuanya subur di bawah seliaan pakar bakau walaupun pada awalnya mereka menjangkakan ia sukar membesar.
Bantu habitat
Menyasarkan sebanyak 500 pokok bakau dalam tempoh dua tahun, Ricoh akan meneruskan aktiviti berkumpulan ini untuk memastikan habitat haiwan liar seperti burung air berkekalan.
Pada program tersebut, sebanyak 375 batang anak pokok bakau telah berjaya ditanam di tapak semaian berlumpur.
Di Semenanjung Malaysia, hutan pokok bakau sering ditemui di kawasan Pantai Barat. Kajian mendapati, nilai pasaran bagi pokok bakau mencecah nilai RM5.5 juta.
Dikenali sebagai tempat yang sesuai untuk pembiakan haiwan liar, pokok bakau menyumbang kepada ekonomi negara dalam bentuk sumber dan produk seperti arang, balak, kertas pulpa dan makanan laut.
Secara tidak langsung, ia menggalakkan industri pelancongan tempatan selain menjadi benteng kepada tebing pantai daripada impak tsunami.
Selain itu, ia juga menjadi penapis semula jadi kepada pencemaran air. Tambahan pula, pokok bakau Malaysia menyediakan sarang yang selamat kepada burung-burung yang berhijrah.
"Pokok bakau mengalami kemusnahan teruk ekoran pencemaran dan pembangunan yang tidak terancang di sepanjang perairan Malaysia. Selama 24 tahun lalu, lebih 14 peratus hutan pokok bakau telah musnah.
"Ia menjadi petanda tidak baik kepada hutan pokok bakau yang kaya dengan biodiversiti warisan semula jadi kita akan turut musnah dan mengganggu ekonomi jika hutan pokok bakau tidak dipelihara dengan sewajarnya," kata Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam, Shah Redza Hussein.
Inisiatif berterusan
Program Ricoh Malaysia selama dua tahun yang menelan belanja RM200,000 itu melibatkan rakan niaga dan usaha mendidik pelanggan selain pemuliharaan pokok bakau bersama Persatuan Pencinta Alam. Penanaman semula anak pokok bakau merupakan salah satu inisiatif yang dilakukan untuk menjaga alam sekitar.
"Di Ricoh, kami mengenal pasti kepentingan kestabilan dan kesannya kepada perniagaan. Ketika kami menandatangani perjanjian selama dua tahun bersama Persatuan Pencinta Alam, kami memahami bahawa usaha memelihara ekosistem bukanlah kerja semalaman tetapi ia menuntut komitmen yang panjang.
"Kami konsisten untuk mengharmonikan perniagaan tumbuh-tumbuhan kami dengan alam sekeliling di samping meminimumkan kesan jangka panjang kepada pelanggan.
"Tambahan pula, kami mengawal alam sekitar menerusi produk dan perkhidmatan. Kami berbangga jika ada pelanggan yang menggunakan barangan dan perkhidmatan Ricoh dan ini bermakna mereka menyokong usaha kami mengekalkan kestabilan alam sekitar," kata Lim.

Final Piala Malaysia: Tiket dijual mulai Khamis

Posted: 16 Oct 2012 04:58 PM PDT


Hamidin Mohd Amin
Datuk Hamidin Mohd Amin bersama ahli jawatankuasa pertandingan pengelola perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam hari ini 
TIKET final Piala Malaysia 2012 antara Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dijual mulai Khamis ini, di Stadium Shah Alam.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kaunter tiket  akan mula dibuka mulai Khamis sehingga hari perlawanan, bermula jam 9 pagi hingga 7 petang.

Manakala penyokong Kelantan boleh mendapatkan tiket di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bahru.

Katanya, FAM menyediakan sebanyak 60,000 tiket bagi perlawanan akhir dan setiap pasukan diperuntukkan 30,000 tiket.

"Seperti yang diputuskan awal musim lalu, tiket akan dijual dengan  harga RM40 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak," kata Hamidin ketika Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola akhir Era Piala Malaysia 2012, hari ini.

Hamidin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM turut berkata, mesyuarat memutuskan ATM sebagai tuan rumah manakala Kelantan pula pelawat.

"Penyokong ATM akan masuk memalui pintu A manakala Kelantan pula menggunakan pintu C yang akan dibuka mulai jam 4 petang.

"Pada masa sama, saya juga menasihatkan agar penyokong tidak membeli tiket pada saat-saat akhir kerana tiket amat terhad," katanya lagi.

‘Demam' final warnai Kementah

Posted: 16 Oct 2012 04:56 PM PDT


ATM
Antara penyokong ATM di Wisma Kementah - Foto Sinar Harian Online
BOLA...bola... bola!

Suasana Wisma Kementah (Kementerian Pertahanan) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, agar lain berbanding hari-hari biasa.

Kelainan dapat dirasai. Bukan kerana majlis keramaian atau perhimpunan luar biasa, tetapi kehangatan bicarakan tentang 'hari besar' – final Piala Malaysia - bagi anggota keluarga Kementerian Pertahanan.

Di sana sini, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bercakap tentang perlawanan akhir Piala Malaysia. Dari jalan masuk ke Wisma Kementah, di lif, di kafe, hinggalah tempat letak kereta.

"Yakin, ATM akan menang," kata seorang pegawai kepada rakannya.

"Kita sudah lama menanti," balas rakannya. "Kita kena pergi stadium, tengok sendiri," kata seorang lagi pegawai berpangkat kapten.

Mengapa tidak!

Ini kali pertama dalam tempoh lebih empat dekad, ATM turun gelanggang akhir Piala Malaysia.

Sabtu ini, ATM selaku tuan rumah Piala Malaysia bakal menerima kunjungan Kelantan di Stadium Shah Alam.

Kegairahan warga ATM kian terserlah di wajah setiap anggotanya yang yakin pasukannya akan menjulang piala kejohanan tahun ini.

Bagi mendapatkan gambaran sebenar kemuncak penantian ATM selama 46 tahun, kru Sinar Harian Online membuat tinjauan di kementerian tersebut.

Menurut seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Mohd Nasrun Ismail, "kemenangan akan berpihak kepada ATM kerana corak permainan ATM yang mantap dibawah penyeliaan jurulatih B Sathianathan."

"Dua tonggak utama Kelantan yang digantung perlawanan memberi peluang cerah untuk ATM menjadi juara dengan jaringan 1-0," katanya.

Berbeza pula reaksi seorang pegawai Tentera Darat Diraja Malaysia, Kapten Shaifun Johari Meat memberi kata-kata semangat untuk pasukan ATM.

"Saya yakin dan bersemangat ATM akan memenangi Piala Malaysia tahun ini dengan adanya lapan pemain Liga Super, dua pemain import dan barisan pemain yang sedia ada.

"Dengan ketiadaan Ghaddar dan Farhan sedikit sebanyak akan menumpulkan jentera serangan Kelantan dan saya yakin ATM akan menjadi juara 2-1," jelasnya.

Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, LK 1 PNK, Mohd Azrul Naim Aziz mengharapkan kemenangan berpihak kepada pasukan ATM.

"ATM layak untuk menjulang piala setelah penantian selama 46 tahun, sememangnya ATM layak untuk menang.

"Semangat juang dan kerjasama yang tinggi di bawah pimpinan Panglima Angkatan Tentera menamba semangat ATM untuk berjuang dan ATM akan menang 2-0," ujarnya.

Kejohanan musim ini sememangnya satu penantian buat julung kalinya sejak ATM melangkah ke peringkat akhir pada 1966.

Perlawanan akhir Piala Malaysia antara ATM dengan Kelantan akan berlangsung Sabtu ini di Stadium Shah Alam jam 8.45 malam.

Akui pernah merajuk

Posted: 16 Oct 2012 05:30 AM PDT



BIARPUN tampil dengan imej bertudung sejak awal kemunculannya dalam bidang seni, ternyata pelakon Rafidah Ibrahim tidak dapat mengelak daripada terjebak dengan kisah-kisah panas yang menjadi lumrah dalam kehidupan seorang artis.
Kontroversi Rafidah atau mesra dipanggil Fida bermula apabila gambarnya yang tidak bertudung tersebar di internet yang berpunca daripada perbuatan bekas kekasihnya iaitu Mamat Sepah sehingga mengakibatkan hubungan mereka berakhir.
Tidak lama kemudian, pelakon yang berusia 28 tahun itu dikatakan pula sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan bertaraf VIP serta menjadi isteri kedua.
Terkini, menerusi akaun Twitternya pelakon itu membuat pengakuan bahawa dia mahu berhijrah ke Indonesia, sekali gus membuatkan para peminatnya terkejut dengan keputusan yang dibuatnya itu.
Berkesempatan bertemu Fida sewaktu siri jelajah Anugerah Skrin 2012 yang berlangsung di Gurney Plaza, Pulau Pinang baru-baru ini, dia lantas menjelaskan maksud di sebalik kenyataan tersebut.
"Ya, saya pernah berhasrat untuk berhijrah ke Indonesia semasa bulan Ramadan yang lalu dan itu yang menyebabkan saya membuat kenyataan di laman Twitter.
"Apabila difikirkan semasak-masaknya serta dinasihatkan oleh beberapa orang rakan, akhirnya saya membatalkan hasrat tersebut. Lagipun pada masa itu Hari Raya Aidilfitri juga semakin hampir dan seelok-eloknya saya terus bersama keluarga," jelasnya.
Ditanya apakah punca dia membuat keputusan sedemikian, pelakon yang membintangi drama bersiri Runtun Qalbu itu mengakui bahawa dia sebenarnya merajuk sehingga mahu membawa diri ke Indonesia.
Bagaimanapun, Fida tidak mahu membuka mulut serta enggan menjelaskan perkara yang sebenar punca membuatkan dirinya merajuk, meskipun diasak berulang-ulang kali.
"Tidak perlulah ditanyakan punca saya merajuk memandangkan saya masih belum bersedia untuk bercerita mengenainya buat masa sekarang. Apa yang boleh saya katakan, rajuk saya itu tidak berkaitan dengan industri hiburan, sebaliknya ia lebih bersifat peribadi.
"Kalau boleh biarlah ia terus menjadi rahsia dan saya anggap semua yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Kini, biarlah saya memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya seni," ujarnya sambil menafikan segala yang terjadi berpunca daripada insan bergelar lelaki.
Namun begitu, Fida memberitahu hasrat untuk ke Indonesia masih lagi ada terutamanya untuk melebarkan sayap perniagaan minuman kesihatan Teh Misai Kucing yang sedang dijalankannya sekarang.

SELAIN sedang hangat dengan drama rantaian Runtun Qalbu, Fida kini muncul dengan sebuah single bersama Datuk AC Mizal dan Stella Band menerusi lagu yang disusun semula, Apo Kono Eh Jang.


Menurut Fida, dia mula menjalankan perniagaan tersebut sejak bulan Mei lalu ketika menyertai program Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya dan kini dia berusaha mengembangkan lagi perniagaannya itu.
"Sebelum ini saya pernah menjalankan perniagaan tudung, tetapi ia tidak dapat diteruskan setelah berdepan beberapa masalah. Kini saya beralih pula dengan perniagaan sekarang.
"Pada mulanya saya sekadar menjadi pengguna biasa minuman Teh Misai Kucing ini, namun setelah mendapati minuman tersebut mengandungi pelbagai khasiat, saya membuat keputusan untuk menjualnya pula," ujarnya.
Masih berkawan
Sebelum ini Fida pernah menjalinkan hubungan cinta dengan pelawak Mamat Sepah pada tahun lalu, tetapi kini kisah cinta mereka sudah berakhir dan tinggal menjadi sejarah buat mereka berdua.
Walauapun tidak lagi menjalinkan sebarang hubungan istimewa dengan pelawak berkenaan, Fida menyatakan hubungan mereka sekarang tidak lebih daripada seorang kawan.
"Rasanya tidak salah kalau kami terus berkawan seperti biasa, meskipun dia sekarang merupakan bekas kekasih saya. Lagipun tidak guna kalau kami terus bergaduh dan bermusuh.
"Sekarang ini kami lebih selesa dalam hubungan sebagai kawan dan apa yang berlaku antara saya dan Mamat dahulu biarlah menjadi pengalaman dan pengajaran yang berguna," ujarnya.
Mengenai status dirinya sekarang setelah menafikan pernah mendirikan rumah tangga, pelakon berkenaan menyatakan dia sekarang masih lagi tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki.
"Biarlah saya beri lebih tumpuan kepada kerjaya sekarang memandangkan rezeki dalam bidang seni semakin banyak. Lagipun, jadual harian saya bertambah padat kerana kini saya sudah mula berjinak-jinak dengan nyanyian dan baru sahaja menghasilkan single terbaharu," ujarnya.
Nafas baharu
Bercerita dengan lebih lanjut mengenai single terbaharunya iaitu Apo Kono Eh Jang, Fida menyatakan dia baru selesai menjalani penggambaran klip video lagu tersebut pada 13 Oktober lalu.
Menurut Fida, menerusi lagu yang pernah dipopularkan oleh Ally Noor dan Mastura itu, dia turut menjalinkan kerjasama dengan Datuk AC Mizal dan Stella Band.
"Komposer Sheikh Qalam merupakan individu yang telah memberi idea untuk merakamkan semula lagu ini setelah kami melakukan perbincangan bersama apabila saya menyatakan hasrat mahu menghasilkan single baharu.
"Beliau juga memainkan peranan membuat susunan muzik semula dan memberi nafas baharu dan lagu ini sudah siap dirakamkan dua bulan lalu. Secara keseluruhannya, saya sangat berpuas hati dengan hasilnya dan ia memberi kelainan berbanding lagu asal," jelasnya.
Ujarnya, single terbaharunya itu sudah pun mula diputarkan di beberapa buah stesen radio popular dan gembira kerana ia mendapat maklum balas yang positif daripada para peminatnya.

FIDA tidak mahu memikirkan soal cinta selepas putus cinta dengan pelawak Mamat Sepah. Dia mahu memberi fokus terhadap kariernya yang semakin berkembang.


"Ada peminat saya yang memberikan pujian kerana saya mampu menyanyikan lagu berkenaan dengan baik, walaupun mereka tahu saya bukan berasal dari Negeri Sembilan. Ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk mempromosikan lagu ini," ujarnya.
Jelasnya, menerusi single yang akan datang, dia sudah berbincang dan akan terus bekerjasama dengan komposer berkenaan untuk merakamkan sebuah lagu lama yang turut diberi nafas baharu.

Pocong tanah kubur

Posted: 16 Oct 2012 05:28 AM PDT

BUKTI...Pandak melihat objek menyerupai pocong dicampak   di depan rumahnya, semalam.
BUKTI...Pandak melihat objek menyerupai pocong dicampak di depan rumahnya, semalam.
JOHOR BAHRU: Seorang pengamal perubatan tradisional tercampak sejauh tiga meter ketika cuba mengambil objek seakan-akan pocong yang dicampak di depan rumah Ahli Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Pandak Ahmad, 49, di Taman Mutiara Rini, di sini, semalam.
Bagaimanapun, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, selepas membaca ayat suci al-Quran selama beberapa minit baru pengamal perubatan Islam terbabit berjaya mengangkat objek yang dipercayai menjadi medium ilmu hitam itu.
"Saya tidak menyangka sihir digunakan terlalu kuat sehingga tubuh saya boleh tercampak," kata pengamal perubatan berusia 50-an itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ustaz.

Menurutnya, selepas mengangkat objek sepanjang 45 sentimeter itu dan melakukan pemeriksaan, ia didapati penuh dengan serbuk pewarna merah, dicucuk jarum dan tulisan Siam.

Katanya, objek pocong itu dipercayai diisi menggunakan tanah kubur dan diwarnakan merah melambangkan darah manakala tulisan Siam yang tertera adalah sebahagian mantera.

Tapir sesat dikejar anjing

Posted: 16 Oct 2012 05:18 AM PDT


Tapir yang ditemui sesat ke perkampungan Orang Asli Bukit Payung, kelmarin.
Tapir yang ditemui sesat ke perkampungan Orang Asli Bukit Payung, kelmarin.
ALOR GAJAH – Penduduk di perkampungan Orang Asli Bukit Payung, Taboh Naning, di sini, gempar apabila seekor tapir dewasa lari lintang-pukang masuk ke kampung itu akibat dikejar sekumpulan anjing, pagi kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, tapir berkenaan ditemui dalam keadaan cedera di badan dipercayai dicederakan binatang buas sebelum tersesat di kebun getah penduduk.

Penduduk, Mohd Erwan Ridwan Abdullah, 26, berkata, dia yang berada di rumah ketika itu terdengar bunyi riuh rendah dan mendapati seekor tapir dikejar sekumpulan anjing.

"Melihat tapir berkenaan dalam ketakutan, kami segera mengejarnya yang lari ke arah projek pembinaan landasan kereta api dan menghalau anjing dari terus mengejarnya.

"Kami mengepung tapir yang terperangkap di sebalik tembok pagar landasan namun tidak berani menangkap nya sebelum saya mengambil tali di rumah untuk menjerat kakinya," katanya.

Menurutnya, sejurus kaki belakang sebelah kiri tapir itu masuk ke dalam jerat, penduduk segera menariknya namun kedudukan jalan yang bercerun mengakibatkan haiwan itu tergelincir dan tidak boleh naik ke atas.

"Melihat keadaan tapir yang tidak berupaya bergerak, kami ikat kedua belah kakinya dan menggunakan kayu untuk dijadikan kandar sebelum cuba membawanya naik dengan kekuatan 12 penduduk.

"Kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membawanya naik ke atas sebelum dimasukkan ke dalam pacuan empat roda dan ditambat di kawasan balai raya," katanya.

Menurutnya, pada mulanya penduduk sepakat untuk melepaskan semula tapir itu ke dalam hutan namun setelah melihat keadaannya yang cedera mereka segera menghubungi pihak berkenaan.

Ketua Operasi JPAM Alor Gajah, Hamidah Puteh berkata, tapir berkenaan diberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada Perhilitan.

Jumpa emas dalam sampah

Posted: 16 Oct 2012 05:17 AM PDT


Siew Chin enggan wajahnya dirakam, membawa guni yang dipenuhi botol.
Siew Chin enggan wajahnya dirakam, membawa guni yang dipenuhi botol.
PERSIARAN GURNEY – Pengalaman terjumpa rantai emas dalam timbunan sampah tidak mungkin akan dilupakan seorang pemungut barangan terpakai, Boon Siew Chin, 65, dari Tanjung Tokong di sini.

Dia yang melakukan pekerjaan itu selama 12 tahun, berkata, ia adalah barangan berharga pertama dijumpainya di Pantai Persiaran Gurney.

"Setiap pagi saya akan ke sini untuk kutip botol, kotak dan juga barang-barang yang boleh digunakan semula, tetapi pada hari yang bertuah itu saya terjumpa kotak kecil dalam selut dan sampah.

"Selepas membukanya saya amat terkejut kerana ada rantai emas dan saya segera membawanya ke kedai emas untuk bertanyakan jika ia tulen atau tidak, rupa-rupanya memang emas tulen," katanya.

Punca pendapatannya itu pernah dianggap gila oleh sesetengah sanak saudaranya kerana biasanya orang mengutip siput ataupun kerang di tepi-tepi laut ketika air surut, berbeza bagi Siew Chin yang lebih suka mengutip sampah.

Siew Chin memaklumkan rutinnya bermula setiap pagi iaitu seawal jam 7 hinggalah 10 pagi ketika air sedang surut.

"Ini kerja yang saya buat kalau orang tidak panggil saya untuk cat rumah atau baiki paip air. Kalau datang sini memang saya boleh punggah dua guni botol.

"Botol yang saya kutip ini banyak di permukaan selut. Daripada air laut telan botol ini, lebih baik saya ambil dulu dan jual. Boleh buat duit," katanya.

Pantai di sepanjang Persiaran Gurney sememangnya menjadi tempat paling popular dikunjungi orang ramai, khasnya pada waktu malam.

Namun mendukacitakan apabila pada waktu siang keadaan lautnya begitu kotor dan menjijikkan dengan selut dan taburan sampah yang dibuang orang ramai.

Wanita lebih pandai bercinta - Shah Rukh Khan

Posted: 16 Oct 2012 05:15 AM PDT


SHAH RUKH KHAN mempunyai definisi tersendiri apabila memperkatakan tentang istilah cinta dan wanita.


TERKENAL dengan variasi filem romantik, menurut pandangan bintang terkenal, Shah Rukh Khan, golongan wanita lebih memahami emosi dalam bercinta berbanding lelaki.
Tambahnya, cinta merupakan sebuah emosi yang ringkas dan perlu disimpan rapi dalam hati.
"Apabila bercinta, kita perlu jadi diri sendiri. Perkara-perkara kecil perlu diambil kira seperti menjadi pendengar setia antara satu sama lain dan memberikan pelukan.
"Wanita tahu bagaimana untuk bercinta berbanding lelaki dan ia adalah perkara personal yang tidak perlu digembar-gemburkan," katanya kepada laman web BollywoodCelebden.com.
Shah Rukh banyak melakonkan karakter utama dalam filem romantik antaranya Veer Zara, Dil To Pagal Hai, Mohabbatein dan Kuch Kuch Hota Hai.

Sama tapi tak serupa

Posted: 16 Oct 2012 05:14 AM PDT


ADI menegaskan keintimannya dengan Nora sekadar untuk merealisasikan produksi lakonan mereka.


FILEM Aku Terima Nikahnya lakonan Adi Putra dan Nora Danish kini sedang hangat ditayangkan di pawagam. Sebaik ia ditayangkan, ada beberapa perkara yang dibangkitkan pihak media serta audiens.
Ia adalah tentang persamaan filem tersebut dengan sebuah filem Hollywood berjudul, The Vow serta adegan yang agak intim antara Adi dan Nora.
Aku Terima Nikahnya mengisahkan Johan (lakonan Adi Putra) dan Arlisa (Nora Danish) yang baru sahaja mendirikan rumah tangga telah berhadapan dugaan terbesar apabila Johan mengalami kemalangan.
Akibat kemalangan tersebut, Johan telah hilang ingatan dan disahkan mengalami sejenis penyakit yang dikenali sebagai Selective Amnesia. Ia menyebabkan Johan sekadar mengingati perkara yang berlaku sehingga usianya 31 tahun, iaitu dua tahun sebelum dia mengenali isterinya itu.
Jalan cerita tersebut didakwa mempunyai persamaan yang begitu ketara dengan filem The Vow lakonan Rachel McAdams dan Channing Tatum.
Perbezaannya, dalam The Vow yang ditayangkan pada Februari tahun ini, bukan watak suami (lakonan Tatum) tetapi sebaliknya karakter si isteri (McAdams) yang hilang ingatan.
Menjawab persoalan tersebut, pengarah Aku Terima Nikahnya, Eyra Rahman dengan tegas berkata, jalan cerita kedua-dua filem berkenaan jauh berbeza. Bagaimanapun, dia mengakui persamaan yang wujud adalah dari segi konsep cerita.
"Saya tahu mereka yang menonton filem ini pastinya akan membandingkan dengan filem The Vow. Saya akui konsep cerita memang sama, tetapi bukanlah meniru keseluruhan jalan ceritanya.
"Menerusi The Vow, yang hilang ingatan ialah watak isteri. Dalam Aku Terima Nikahnya pula, si suami yang mengalami hilang ingatan. Namun, jalan cerita yang dipaparkan memang jauh berbeza," jelasnya tentang filem yang menjalani penggambaran selama 18 hari dengan kos sekitar RM1.8 juta di beberapa buah lokasi seperti Kuala Lumpur, Seremban dan Port Dickson, Negeri Sembilan itu.
Gandingan mantap
Menurut Eyra lagi, biar apa sahaja pandangan khalayak, dia menerima dengan hati terbuka kerana ia merupakan buah tangan sulungnya di layar perak.
Malah, dia sangat berpuas hati dengan hasil cerita tersebut selain yakin mampu menambat hati penonton dengan lakonan para pelakon yang memberangsangkan.
Ditanya tentang pemilihan Adi dan Nora sebagai teraju utama filem tersebut, Eyra menjelaskan ia dibuat berdasarkan perbincangan yang telah dilakukan dan menganggap ia merupakan gandingan yang cukup mantap.
"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan lakonan yang ditampilkan memandangkan kedua-duanya telah membawakan watak yang diberikan dengan baik," ujarnya yang pernah menjadi penolong pengarah beberapa buah filem seperti Rempit V3, Sekali Lagi dan Senario Beach Boy.
Sementara itu, Adi dengan penuh terbuka menjawab persoalan tentang adegan intim dan romantik antara dirinya dengan Nora.
Menganggap sudah begitu serasi dengan pelakon jelita tersebut, termasuk untuk adegan romantik kerana mereka pernah membawa watak sebagai suami isteri dalam drama rantaian Tentang Dhia, kata Adi, dia melihat adegan romantik mereka itu sekadar satu lakonan.
"Saya melihat ia (adegan romantik) sebagai satu keperluan cerita dan sudah menjadi tanggungjawab buat saya melaksanakannya dengan baik.
"Malah, salah satu sebab saya menerima tawaran berlakon dalam filem ini juga adalah kerana jalan cerita romantiknya yang lain daripada lain," ujar Adi yang mengaku pada awalnya tidak tahu siapa heroin filem tersebut.
Tambahnya, selain menganggap ia sebagai satu tanggungjawab pelakon, paling utama, isterinya, Aida, faham dengan tanggungjawabnya sebagai pelakon yang perlu terbabit dengan adegan romantik dalam filem ke-66 terbitan Metrowealth Sdn. Bhd. itu.
"Apabila berlakon dalam filem ini semua pihak terutamanya isteri faham dengan watak yang dibawakan dan saya sekadar menjalankan tugas sebagai pelakon. Jadi, tidak timbul sebarang isu termasuk membabitkan cinta di lokasi," jelasnya yang sebelum ini didakwa hampir bercerai dengan isterinya kerana Nora.

Secret Recipe buka 50 kafe lagi

Posted: 16 Oct 2012 05:13 AM PDT


ORANG ramai beratur panjang untuk mendapatkan kek promosi Secret Recipe di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Secret Recipe Cakes & Cafe Sdn. Bhd. (Secret Recipe) menyasarkan untuk membuka 50 buah cawangan baharu di dalam dan luar negara pada tahun depan dengan melibatkan pelaburan RM500,000 setiap satu.
Pada masa ini, syarikat yang menyambut ulang tahunnya ke-15 semalam memiliki sebanyak 230 cawangan Secret Recipe dalam negara dan 85 buah rangkaian di luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Datuk Steven Sim berkata, pihaknya optimis untuk merealisasikan misi berkenaan untuk menambah lebih banyak rangkaian baharu ekoran permintaan memberangsangkan yang diterima terhadap produk yang ditawarkan selama ini.

Pengetua dituduh rasuah

Posted: 16 Oct 2012 05:10 AM PDT


BACHOK @ ABDUL SAMAD (bersongkok) diiringi keluar dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Seorang pengetua sekolah menengah agama dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas 14 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan lebih RM1 juta bagi syarikat milik isterinya sendiri antara Julai 2011 hingga Julai lalu.
Pengetua Sekolah Menengah Agama (Arab) An-Nur, Bachok @ Abdul Samad Abdul Latip, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua tuduhan tersebut di hadapan Hakim Mohd. Nasir Mohd. Nordin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pengasas kepada sekolah agama yang dulunya dikenali sebagai Al-Madrasah Al-Arabiah An-Nur yang sudah 30 tahun bertapak di Jalan Jaafar, Benut, Pontian, didakwa mengarahkan kakitangan dan guru sekolah tersebut untuk mengeluarkan 14 baucar dan 14 cek Maybank Islamic yang berbeza nilai sepanjang tempoh berkenaan.
Tertuduh didapati telah menandatangani baucar dan cek itu untuk membuat bayaran kerja membekal makanan bermasak di asrama sekolah tersebut kepada Syarikat Hajah Zainab Enterprise yang merupakan syarikat milik isterinya, Zainab Yahya, 60-an dengan nilai keseluruhan mencecah RM1,120,462.40.
Bapa kepada tiga orang anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabatnya di sekolah itu di Jalan Jaafar, Benut, Pontian.
Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama kerana menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk apa-apa suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudaranya atau sekutunya.
Jika disabit atas semua kesalahan, tertuduh boleh didenda RM5 juta dan 20 tahun penjara.

Pelajar UMS rugi RM8,000 kena pukau

Posted: 16 Oct 2012 05:10 AM PDT


NADZIRAH menunjukkan laporan polis dan barangan yang diberikan oleh dua lelaki yang didakwa melarikan wang tunai dan barang kemas miliknya di Pasir Gudang, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendakwa menjadi mangsa pukau menyebabkan dia kerugian lebih RM8,000 ketika membeli-belah di pasar raya Giant, Plentong di sini pada 9 Oktober lalu.
Ketika kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Nadzirah, 22, mengunjungi pasar raya berkenaan seorang diri untuk membeli kasut yang akan dipakai pada majlis konvokesyennya Sabtu ini.
Menurut pelajar Ijazah Sains Perhutanan itu, dia pada mulanya didatangi dua lelaki berusia dalam lingkungan 40-an yang mendakwa pelajar sekolah pondok dari Brunei dan meminta bantuannya menunjukkan kedai buku agama di pasar raya berkenaan.
Ujar Nadzirah lagi, salah seorang daripada mereka kemudian memberikannya sebiji batu berwarna merah sebagai tanda terima kasih.
"Mereka selepas itu mengajak pula saya ke sebuah restoran makanan segera berhampiran untuk berbicara mengenai agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu