Ahad, 14 Oktober 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Hans Isaac Dedah Hubungannya Dengan Neelofa Serius

Posted: 14 Oct 2012 10:59 PM PDT

Hans Isaac
PETALING JAYA: Aktor dan produser Hans Isaac mengakui hubungannya dengan pelakon Neelofa adalah serius tetapi mengambil pendekatan untuk tidak mendedahkan kisah tersebut kerana berasa serik dengan kegagalan hubungan cintanya sebelum ini.
Pemilik nama sebenar Gerald Hans Isaac, 41, ini berkata, sudah tiba masanya dia menyimpan sebahagian kisah peribadi untuk dirinya sendiri kerana dia sudah banyak berkongsi perkara peribadi dan kisah cinta sepanjang 20 tahun bergelar anak seni.
Hans berkata, atas dasar itu dia lebih selesa untuk tidak bercerita lebih lanjut mengenai hubungannya dengan aktres muda itu demi kebaikan semua pihak.
"Saya tidak nafikan kami memang berkawan secara serius pada waktu ini. Cuma, saya tidak mahu bercerita lanjut mengenai sejauh mana perkembangan hubungan kami kerana ia terlalu peribadi buat saya.
"Cukuplah, saya sudah serik untuk berkongsi kisah peribadi kerana selama 20 tahun bergelar artis, terlalu banyak saya berkongsi cerita hubungan cinta dengan kekasih-kekasih terdahulu tetapi akhirnya saya juga yang dipertikaikan itu dan ini," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini.
Ditanya reaksinya berhubung gosip yang mengatakan dia pergi bercuti dengan kekasihnya itu ke Koh Samui, Thailand, secara rahsia pada hujung bulan lalu, Hans berkata, dia enggan mengambil pusing mengenai perkara itu kerana sudah terbiasa dengan permainan dunia hiburan.
Neelofa
"Tiada apa yang hendak saya katakan mengenai gosip itu. Biarlah kerana saya sudah lalui macam-macam gosip sebelum ini.
"Hakikatnya, saya pergi ke Koh Samui bersama sepupu dan rakan-rakan. Kalau pun saya hendak pergi bercuti dengan dia, tentulah kami akan pergi secara berkumpulan dan bukan berduaan sahaja.
"Saya bukan bodoh dan tidak peka dengan sensitiviti agama dan budaya," hurainya.
Mengenai hasrat mendiang ibunya, Carmina Anciano Isaac, 74, yang tidak sempat ditunaikan untuk melihat dia berkahwin, Hans berkata, soal berumah tangga bukan perkara remeh yang boleh diambil mudah dan ia memerlukan persiapan dan keputusan yang tepat.
"Memang saya terkilan mengenai perkara itu tetapi saya tidak boleh tergesa-gesa dan gelojoh mengenai persiapan perkahwinan.
"Dalam hal ini, saya perlu bersikap memilih dan sepenuh hati kerana saya hanya mahu berkahwin sekali sahaja dalam seumur hidup.
"Sama ada saya mempunyai perancangan ke arah itu dengan Neelofa atau sebaliknya, biarlah saya simpan dahulu," luahnya.
Terbaru, usahawan filem ini sedang sibuk dengan proses pasca produksi dua filem terbitan syarikatnya iaitu Lemak Kampung Santan dan sebuah judul yang masih lagi dirahsiakan.

Hajat Kamal tercapai berlakon filem aksi

Posted: 14 Oct 2012 08:11 PM PDT

Kamal Adli dan Diana Amir
Kamal Adli dan Diana Amir
SELEPAS kejayaan filem Kongsi yang mencatat kutipan RM8.2 juta pada 2011, aktor dan pengarah muda berbakat besar, Farid Kamil kembali lagi dengan garapan terbarunya iaitu genre aksi komedi yang lebih segar berjudul Pe3, sekali gus diharapkan memenuhi cita rasa penggemar filem di luar sana.
Selain Farid selaku teraju utama dan penulis skripnya, ia turut menampilkan pelakon popular, Kamal Adli dan Diana Amir untuk memantapkan lagi filem ke-67 terbitan Metrowealth (MIG) ini.
  • Foto
  • Foto
  • Foto
  • Foto
  • Foto
Secara peribadi, Kamal mengakui tidak sabar menanti Pe3 di pawagam tanah air kerana penggambarannya sudah lama berakhir iaitu kira-kira dua tahun lalu.

"Terus terang, saya memang minat berlakon dalam filem aksi dan akhirnya ia kesampaian apabila ditawarkan beraksi dalam filem ini. Pada masa sama, saya memang suka bekerja dengan pengarah muda seperti Farid kerana kami sama-sama muda dan 'sekepala'. Dia juga banyak idea dan mempunyai misi yang tinggi dalam bidang pengarahan filem.

"Walaupun dia memegang kerusi pengarah dan pada masa sama watak utama dalam filem ini, Farid tetap 'cool' ketika di lokasi. Dia juga boleh menerima idea dan pandangan pelakon lain untuk memantapkan lagi jalan cerita filem ini," katanya.

Mengenai wataknya dalam filem itu, juara Hero Remaja 2008 ini berkata, dia membawa watak Fumi, seorang jurugambar bebas yang jatuh hati dengan Lina, adik kepada ketua gengster, Megat.

"Megat juga mengajar Fumi untuk berjinak-jinak dalam dunia gengster dan menjadi jahat sepertinya. Karakter Fumi adalah gengster yang penakut kerana dia takut pegang senapang seperti yang biasa dilakukan kumpulan gengster," katanya.

Pelakon berasal dari Pekan, Pahang yang juga kekasih kepada pelakon jelita, Intan Ladyana ini turut menimba pengalaman berharga ketika berlakon dalam filem itu.

"Antara pengalaman menarik ialah ketika melakonkan babak Fumi pergi merompak dengan menaiki jet ski di bawah jambatan Pulau Pinang. Justeru, sepanjang sehari suntuklah saya menaiki jet ski dan menikmati keindahan kawasan sekitarnya di pulau itu.

"Sudah namanya filem aksi, sudah pasti kecederaan tidak dapat dielakkan dan tangan kanan saya terkoyak ketika tertumbuk kamera dalam salah satu babak dalam filem ini. Selepas darah berhenti mengalir, kami teruskan penggambaran sehingga babak itu selesai.

"Sekalipun cedera, saya tidak serik berlakon dalam filem aksi kerana jiwa saya serasi dengan filem sedemikian. Impian saya untuk bawa watak yang lebih mencabar dalam filem aksi selepas ini," katanya.

Bagi Diana pula, dia sudah bersedia menerima kritikan daripada peminat kerana belum berhijab ketika berlakon dalam filem itu, dua tahun lalu.

"Ia adalah filem terakhir lakonan saya ketika belum berhijrah dulu. Saya harap peminat faham dan dapat terima Pe3 adalah filem lakonan ketika belum bertudung.
Justeru, melalui penjelasan ini, tidak akan timbul isu yang saya sudah buka tudung untuk berlakon dalam filem ini," katanya.

Seperti Kamal, Diana juga serasi bekerja dengan Farid kerana sudah beberapa kali bergandingan dalam filem sebelum ini.

"Sebab itu, kami tiada masalah untuk mencari keserasian termasuk melakonkan babak abang dan adik seperti dikehendaki dalam filem ini. Begitu juga berlakon babak bercinta dengan Kamal kerana kami juga pernah bekerjasama sebelum ini.

"Saya juga menganggap diri bekerja sambil bercuti ketika terbabit dalam penggambaran filem ini dulu. Maklumlah, filem ini juga memaparkan banyak tempat menarik yang juga tarikan dari segi pelancongan di sekitar Pulau Pinang," katanya.

Bercerita lanjut wataknya sebagai gadis seksi sebagai Lina, kata Diana, watak adik kepada ketua gengster, Megat juga lebih sebagai penyeri dan tarikan pada filem itu.

"Sebenarnya, Lina tidak tahu kegiatan abangnya sebagai ketua gengster. Apa yang dia tahu abangnya memiliki kedai menjual kereta mewah.

"Sebagai adik, hubungan Lina dengan abangnya, Megat cukup rapat dan dia sangat disayangi abangnya itu. Lina juga bercinta dengan Fumi dan mereka juga akhirnya berkahwin selepas itu.

"Apa yang dapat disimpulkan, peminat yang meminati filem genre aksi, Pe3 pasti memenuhi cita rasa dan menambahkan lagi koleksi mereka," katanya yang baru selesai penggambaran telefilem Mati Hidup Kembali untuk saluran Astro Oasis.

Filem yang membabitkan kos mencecah RM2 juta ini mengisahkan geng perompak yang terkenal di Pulau Pinang yang diketuai Megat. Megat seorang yang cekap dalam merancang strateginya sehingga pihak polis tidak berjaya menangkapnya.

Barisan pelakon yang turut membintangi filem ini ialah Along Eyzendy (Along), Taiyuddin Bakar (Chat), Soya (Chendol), bakat baru di bawah pengurusan MIG Talent, Fyza Kadir (Fyza), Tauke Raja Lawak (nelayan 1), Yus Raja Lawak (nelayan 2) dan ramai lagi. Ia bakal menjengah pawagam seluruh tanah air bermula 18 Oktober ini.

Masih fokus Kelantan

Posted: 14 Oct 2012 08:10 PM PDT

Khairul Fahmi Che Mat
Khairul Fahmi Che Mat
KOTA BHARU: Penjaga gawang skuad bola sepak Kelantan dan kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat kini menjadi sebutan apabila dikatakan mendapat tawaran RM3 juta oleh pasukan lain dan bayaran itu termasuk RM800,000 bagi menebus kontraknya dengan Kelantan yang masih berbaki tiga tahun.
Sekiranya khabar angin itu menjadi kenyataan, Khairul Fahmi, 23, atau lebih dikenali dengan panggilan Apek bakal menjadi pemain bola sepak tempatan termahal, mengatasi bekas penyerang Selangor, Safee Sali yang menerima bayaran lebih RM2 juta untuk mewakili kelab Indonesia, Pelita Jaya FC.
Khabar angin mengenai tawaran RM3 juta untuk Apek itu tersebar di Internet terutama laman sosial, facebook dan tawaran berkenaan dikatakan dibuat pasukan Johor.

Ketika diminta komennya mengenai khabar angin itu, Apek enggan mengulas lanjut, namun mengakui ada pasukan dari negeri lain yang cuba 'memancingnya'.

"Saya perlu menghormati kontrak (bersama skuad Kelantan) yang masih ada. Saya tidak tahu bagaimana cerita ini timbul dan enggan memikirkannya," katanya.

Ahli KK Merah

Posted: 14 Oct 2012 08:09 PM PDT

TUMPAS...Sharifuddin menunjukkan pistol dan parang yang ditemui dalam kereta dipandu Muhamad Azirywan.
TUMPAS...Sharifuddin menunjukkan pistol dan parang yang ditemui dalam kereta dipandu Muhamad Azirywan.
KUANTAN: Suspek utama kes bunuh warga emas dalam kejadian samun di Kampung Baru Simpang Sanggang, Temerloh, pada 14 September lalu, Muhamad Azirywan Mohd Azlan, 21, yang ditembak mati oleh polis, awal pagi semalam, dipercayai menganggotai satu kumpulan penjenayah yang dikenali sebagai KK Merah yang sering terbabit dalam pelbagai siri jenayah samun bersenjata dan kekerasan di sekitar Pahang.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, ketua kumpulan KK Merah, Mohd Hairie Abdul Malik, 28, beralamat di Kampung Tebing Tinggi, Temerloh, masih diburu dan dipercayai dalang utama semua kegiatan jenayah kumpulan berkenaan.

"Polis kini masih memburu dua lagi ahli geng terbabit iaitu Mohd Hairie dan Mohd Ridzuan Khaidir, 22, yang alamatnya tidak dapat dipastikan," katanya.
Sharifuddin berkata, pada jam 1.30 pagi, 7 Oktober lalu, polis menahan seorang daripada ahli geng terbabit, Mohamad Ashraf Nordin, 16, beralamat di Kampung Sungai Dingin, Batu 2, Jalan Temerloh, Temerloh.

"Dia ditahan di Jalan Panjang, Pekan Awah, Maran. Hasil siasatan lanjut terhadap suspek itu membolehkan polis mengenal pasti identiti anggota KK Merah. Suspek yang ditahan itu mempunyai lapan rekod jenayah membabitkan samun berkawan bersenjata dan satu kes bunuh di Temerloh," katanya.

Menurut Sharifuddin, Muhamad Azirywan yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang peniaga di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh, Abdul Talib Yadin, 56, pada jam 2.30 pagi, 14 September lalu, mempunyai lapan rekod jenayah lampau, dikehendaki polis kerana dipercayai terbabit dalam beberapa siri rompakan bersenjata.
Sebelum kejadian, Muhamad Azirywan yang menaiki Proton Waja berwarna perak yang menggunakan nombor pendaftaran PET 8048, dikesan sepasukan anggota polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9) di persimpangan lampu isyarat menghala ke Jerantut, jam 1.30 pagi semalam.

Apabila diarah berhenti, suspek memecut laju menghala ke dalam ladang sawit di Sanggang 1 dan 2 sebelum terbabas.
"Anggota polis menghampirinya untuk membuat pemeriksaan namun suspek melepaskan tembakan dari dalam kenderaan itu. Polis membalas tembakan dalam usaha mempertahankan diri dan selepas pemeriksaan lanjut dilakukan di dalam kereta itu, anggota polis mendapati seorang lelaki mati terkena tembakan," katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, petang semalam.

Sharifuddin berkata, turut ditemui di dalam kereta yang dinaiki Muhamad Azirywan ialah sepucuk pistol revolver .38 dengan tiga peluru hidup serta tiga kelongsong peluru dan satu komputer riba disyaki barang samun.

"Kami menemui ketulan mampat ganja dan sebilah parang di dalam kereta berkenaan. Semakan lanjut ke atas kenderaan digunakan suspek mendapati ia dicuri di Sungai Buloh, Selangor," katanya.

Cegah penularan bakteria, virus

Posted: 14 Oct 2012 08:05 PM PDT

CARA BETUL...tangan perlu dicuci sekurang-kurangnya selama 15 saat dengan sabun dan air.
CARA BETUL...tangan perlu dicuci sekurang-kurangnya selama 15 saat dengan sabun dan air.
"EH, hendak ambil kuih tu, abang dah cuci tangan?" soal rakan penulis kepada anak sulungnya yang baru berusia sembilan tahun pada perjumpaan santai minum petang di rumahnya.
"Jangan lupa ye...," sambungnya sambil tersenyum. Eh, jangan lupa apa? Rupanya ini adalah peringatan supaya anaknya itu menyanyi lagu kegemarannya ketika mencuci tangan. Tujuannya supaya anaknya itu mencuci tangan mengikut cara yang sudah diajar. Malah dia turut menampal poster kecil yang dimuat turun dari Internet di singki dan bilik mandi sebagai rujukan anak-anaknya.
  • Foto PERLU BERSIH...pastikan tangan anak dicuci dengan betul dan bersih sebelum menjamah hidangan.
  • Foto KOTOR...tangan mesti dicuci dengan air dan sabun selepas mengendalikan sampah.
Tangan kita sebenarnya menjadi 'pengangkutan' paling cekap untuk bakteria dan virus berpindah kerana apabila kita menyentuh muka terutama mata, hidung atau mulut, organisma halus ini akan terus sampai ke 'pintu masuk' badan.

Inisiatif pertama Hari Mencuci Tangan Global bermula pada Rabu, 15 Oktober 2008 yang ditetapkan pada Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu. Pada asalnya ia diilhamkan untuk kanak-kanak dan pelajar sekolah tetapi kini sasarannya lebih meluas merangkumi semua peringkat umur.

Kini pada 15 Oktober setiap tahun, lebih 200 juta orang di hampir 100 negara di seluruh dunia terbabit dalam sambutan yang menekankan kepentingan penjagaan kebersihan tangan.

Mengapa perlu diadakan sambutan secara global (seluruh dunia) hanya untuk mencuci tangan? Tidakkah semua orang tahu caranya kerana sejak kecil sudah diajar? Ini hanya sangkaan kita kerana hakikatnya ramai masih kurang arif kaedah mencuci tangan yang betul.

Namun pengetahuan mungkin sudah bertambah berikutan adanya pelbagai kempen kesedaran. Malah ketika tercetusnya jangkitan influenza A (H1N1), boleh dikatakan semua orang berwaspada dan sangat mengambil berat mengenai kebersihan tangan.

Bagaimanapun, mengetahui dan mengamalkannya adalah dua cerita berbeza kerana ramai tahu tetapi memandangnya sebagai perkara remeh. Tahukah anda menjaga kebersihan tangan dengan mencucinya menggunakan sabun dan air bersih bukan saja cara paling mudah dan murah tetapi amat berkesan untuk mencegah penularan penyakit berjangkit?

Kajian menunjukkan kadar masalah cirit-birit di kalangan kanak-kanak yang tinggal di rumah yang mengamalkan kaedah pencucian tangan dengan baik 50 peratus lebih rendah berbanding rakan sebaya yang dibesarkan tanpa menitikberatkan soal kebersihan tangan.

Mencuci tangan dikatakan lebih berkesan dalam pencegahan penyakit berbanding vaksin. Malah ada yang menganggap mencuci tangan umpama vaksin buatan sendiri kepada setiap individu.

Kuman (bakteria, virus dan fungus) boleh dipindahkan melalui banyak cara antaranya:

  • Menyentuh tangan yang kotor.
  • Menyentuh permukaan kotor.
  • Menukar lampin bayi.
  • Melalui makanan dan minuman tercemar.
  • Melalui titisan cecair mulut dan hidung ketika batuk atau bersin.
  • Melalui permukaan yang tercemar.
  • Sentuhan dengan cecair badan individu yang sakit.


    Kanak-kanak adalah ejen yang sangat cekap untuk menyebarkan jangkitan. Apabila tangan terkena permukaan tercemar, tanpa disedari mereka boleh dijangkiti dengan hanya menyentuh mata, hidung dan mulut. Biasanya selepas kanak-kanak dijangkiti, ahli keluarga juga akan turut mendapat jangkitan yang sama.

    Inilah sebabnya kalau anak anda batuk, selesema dan demam, jangan hantar si kecil ke pusat jagaan harian. Anda hanya akan membahayakan kanak-kanak lain.
    Ambillah cuti untuk menjaga anak di rumah. Jangan pentingkan diri kerana tindakan menghantar anak yang menghidap selesema ke pusat jagaan seolah-olah membuka pintu seluas-luasnya untuk penyakit menjangkiti semua kanak-kanak comel di pusat berkenaan.

    Ada pakar menganggap mencuci tangan dengan sabun dan air bersih adalah vaksin yang boleh mencegah jangkitan. Mengapa?

    Najis manusia adalah sumber utama kepada kuman yang menyebabkan cirit-birit. Ia adalah 'pembekal' kepada jangkitan gastro usus yang lazim seperti syigelosis (jangkitan akut bakteria pada lapisan dalam usus), taun dan demam kepialu. Satu gram najis manusia dianggarkan boleh mengandungi 10 juta virus dan satu juta bakteria!

    Virus dan bakteria berbahaya ini boleh berpindah dan menjangkiti seseorang melalui pelbagai cara. Jadi dengan mencuci tangan selepas keluar dari tandas atau menukar lampin bayi menggunakan sabun dan air bersih boleh mencegah perpindahan mikro organisma yang tidak diingini ini khususnya kepada orang tersayang, kanak-kanak kecil di bawah usia lima tahun dan orang tua.

    Selain itu, mencuci tangan juga menjadi kaedah penting dalam pencegahan penularan jangkitan penyakit saluran pernafasan seperti selesema. Malah ia juga menjadi benteng pertahanan bagi penyakit yang lebih serius contohnya meningitis, bronkiolitis, influenza dan hepatitis A.

    Malah Ketua Unit Kawalan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Dr Christopher Lee pernah menyebut, jika kita sakit dan ditahan di hospital, kita berhak meminta petugas perubatan seperti doktor dan jururawat yang hendak merawat kita untuk mencuci tangan mereka terlebih dulu.

    Ini kerana tangan petugas juga boleh tercemar melalui pelbagai cara termasuklah ketika mengambil darah pesakit, memeriksa tekanan darah atau nadi pesakit, membantu pesakit bergerak, menyentuh pakaian atau cadar tilam pesakit, memegang peralatan dalam wad termasuklah katil, lampu meja mahupun pam intravenus (bagi memasukkan cecair ke dalam salur darah).

    Jurnal Perubatan New England 2006 melaporkan ramai doktor dan jururawat 'terlupa' untuk mencuci tangan mereka sebelum menyentuh pesakit. Walaupun kajian ini dilakukan di luar negara tetapi tidak mustahil turut berlaku di kalangan kakitangan perubatan di sini. Jadi, sebagai pesakit, kita berhak meminta doktor atau jururawat untuk membersihkan tangan mereka terlebih dulu sebelum memberi rawatan atau membuat pemeriksaan terhadap pesakit.

    Dalam Soal Selidik Kebersihan Antarabangsa 2009 untuk mengetahui sikap penduduk Malaysia terhadap kebersihan; 31 peratus responden berkata, mereka mencuci tangan selama lima saat selepas keluar dari tandas. Responden lain memberitahu mereka mencuci tangan selama 10 saat (34 peratus); 20 saat (15 peratus) dan 60 saat (18 peratus).

    Lima saat adalah tempoh yang sangat singkat, besar kemungkinan mereka
    hanya membasahkan tangan saja dan berasakan ia sudah bersih. Seperti
    yang sering diulang, tangan perlu dicuci sekurang-kurangnya selama 15 saat dengan sabun dan air. Murid sekolah di Hong Kong digalakkan menyanyi lagu tertentu ketika mencuci tangan bagi memastikan tangan mereka dicuci dengan betul.


    Bila perlu cuci tangan?

    Bila-bila dirasakan perlu, terutama apabila tangan kelihatan kotor. Namun sebagai panduan umum, cucilah tangan apabila berada dalam keadaan seperti yang disenarai di bawah:
  • Sebelum, ketika dan selepas menyediakan makanan.
  • Sebelum makan.
  • Apabila tangan terkena darah.
  • Sebelum dan selepas menyentuh orang sakit.
  • Selepas menggunakan tandas.
  • Selepas menukar lampin atau membersihkan kanak-kanak yang buang air.
  • Selepas kita batuk, bersin atau membuang hingus.
  • Selepas menyentuh haiwan atau membersihkan najis haiwan.
  • Selepas mengendalikan makanan haiwan peliharaan.
  • Selepas mengendalikan sampah.
  • Selepas menyentuh permukaan yang kerap disentuh seperti susur tangan dan tombol pintu.
  • Sebelum memberus gigi.
  • Selepas tidur dan selepas bangun tidur.


    Cara mencuci tangan
  • Basahkan tangan dan lumurkan dengan sabun.
  • Gosok kedua-dua tangan selama sekurang-kurangnya 15 saat dengan tumpuan kepada tapak tangan, celah jari, kuku, bahagian belakang dan pergelangan tangan.
  • Bilas dengan air bersih dan lap hingga kering.


    Perlukah menggunakan air suam untuk mencuci tangan? Tidak perlu kerana air hangat tidak cukup panas untuk membunuh bakteria. Kajian menunjukkan penggunaan air suam tidak memberi kesan lebih baik daripada air pada suhu bilik dalam mengurangkan jumlah bakteria di tangan.

    Bakteria membiak dengan lebih cepat pada suhu badan (37∞C). Bagaimanapun, jika tangan anda berminyak, air suam dan sabun dapat membersihkan tangan dengan lebih baik.

    Perlukah menggunakan sabun antibakteria? Juga tidak perlu kerana sabun mandi yang biasa sudah cukup dan ia boleh membersihkan tangan sebaik sabun antibakteria. Namun, tidak salah jika mahu menggunakan sabun antibakteria, cuma ada sesetengah pihak bimbang kekerapan menggunakan sabun antibakteria boleh menimbulkan masalah berlakunya kerintangan bakteria iaitu keadaan
    di mana kita memerlukan sabun yang lebih kuat untuk membunuh bakteria.

    Perkara penting yang perlu anda ingat selepas mencuci tangan ialah mengelap tangan hingga kering sama ada menggunakan kertas tisu atau tuala bersih.
    Penggunaan tisu didapati lebih baik daripada mesin pengering tangan seperti yang tersedia di kebanyakan pusat komersial.

    Kajian Universiti Westminster London pada 2008 mendapati jumlah bakteria pada tangan yang dikeringkan dengan mesin pengering (menggunakan udara panas) meningkat 254 peratus pada tapak tangan dan 194 peratus di hujung jari).

    Tangan yang dikeringkan dengan mesin pengering jet udara (lebih moden) didapati menunjukkan peningkatan jumlah bakteria sebanyak 15 peratus pada tapak tangan dan 42 peratus di hujung jari. Sebaliknya, tangan yang dikeringkan dengan tuala kertas menunjukkan pengurangan jumlah bakteria sehingga 77 dan 76 peratus pada tapak tangan dan hujung jari.


    Bagaimana jika jauh dari sumber air bersih dan tiada sabun?

    Walaupun air dan sabun adalah kaedah terbaik membersihkan tangan, tetapi jika tiada, kita boleh menggunakan cecair pembasmi kuman berasaskan alkohol (mengandungi 60 peratus alkohol). Jika tangan kotor dan jauh dari sumber air, lap dengan tisu lembap dan gunakan cecair pembasmi kuman. Untuk lebih mudah, bawalah tisu lembap yang dilengkapi dengan ciri antibakteria ke mana saja kita pergi.

    Ada yang bertanya, adakah kandungan alkohol dan bahan antikuman itu mendatangkan kesan sampingan jika seseorang itu makan sejurus selepas itu?
    Jawapannya tidak. Ia tidak berbahaya kerana alkohol dalam cecair pembasmi kuman ini meruap (sejat) dalam 20 hingga 30 saat.

    Selain itu, penggunaan tisu lembap juga pilihan baik (kini sudah ada tisu lembap antibakteria) terutama ketika anda jauh dari punca air dan sabun. Namun begitu, pastikan tangan anda benar-benar kering sebelum menyentuh orang lain.


    Cara menggunakan cecair pembersih tangan antibakteria:
  • Letak beberapa titis cecair pembersih di tapak tangan kiri.
  • Rapatkan kelima-lima jari kanan dan gosokkan hujung jari (supaya ia mengenai kuku).
  • Dengan segera gosokkan kedua-dua belah tangan (depan, belakang dan pergelangan tangan) sehingga cecair pembersih kering.
  • Ulang untuk tangan sebelah lagi. Mulakan kerja selepas tangan benar-benar kering.


    Kebersihan kuku

    Perbincangan mengenai kebersihan tangan tidak lengkap jika tidak menyentuh mengenai kuku. Semua orang tahu kuku yang panjang sangat mudah menyimpan kekotoran dan ia boleh menjadi punca sesetengah jangkitan.
  • Pastikan kuku dipotong pendek dan kemas.
  • Gosok bahagian bawah kuku dengan sabun dan air (atau gunakan berus lembut) setiap kali mencuci tangan.
  • Bersihkan alat merias kuku termasuklah pemotong kuku terutama jika ia turut digunakan orang lain.
  • Jika anda mendapatkan perkhidmatan merias kuku di salun, pastikan semua peralatan disteril terlebih dulu.
  • Elakkan menggigit kuku.
  • Elak memotong kutikel kerana ia bertindak sebagai benteng mencegah jangkitan.
  • Jangan gigit kuku yang terkopek, sebaliknya gunakan pemotong kuku yang bersih.

    Jadi sempena Hari Mencuci Tangan yang disambut pada setiap 15 Oktober (hari ini), marilah kita bersama-sama memberikan 'vaksin' paling mudah, murah dan terbaik kepada diri sendiri dengan mengamalkan kaedah mencuci tangan yang
    betul demi kebaikan semua pihak terutama orang tersayang.
  • Joe Flizzow Sangkal Musuhi Malique

    Posted: 14 Oct 2012 08:04 PM PDT

    Joe menjelaskan hubungannya dengan Malique masih baik malah sering bertemu untuk menghabiskan masa bersama.
    PETALING JAYA: Penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow menyangkal dakwaan hubungannya dengan Malique renggang selepas beberapa tahun tidak muncul dengan album baru bersama menerusi kumpulan Too Phat.
    Joe berkata, hubungan mereka masih baik malah sering bertemu untuk menghabiskan masa bersama jika mempunyai masa terluang.
    "Macam mana pun bak kata pepatah air jika dicincang tidak akan putus dan begitu juga hubungan saya dengan Malique yang saya anggap seperti saudara sendiri.
    "Saya hormati keputusannya yang ingin membawa haluan sendiri namun kami masih bersama sebagai Too Phat," ujarnya kepada mStar Online.
    Joe menjelaskan, Malique kurang menonjol sejak akhir-akhir ini mungkin kerana ingin memberikan tumpuan kepada keluarganya dan banyak menfokuskan kepada penciptaan lagu untuk artis lain.
    Gandingan Joe dan Malique menerusi kumpulan Too phat telah mencipta fenomena dikalangan peminat.
    "Jika dilihat banyak juga lagu dihasilkan oleh Malique untuk artis-artis lain dan mungkin dia lebih selesa dengan cara itu," jelasnya.
    Dalam pada itu, Joe berkata dia masih memasang hasrat untuk bergabung kembali dengan Malique menerusi kumpulan Too Phat namun masih menunggu persetujuan rakan baiknya itu.
    Malah Joe berkata, dia pernah menyebut perkara itu menerusi salah sebuah lagunya tentang keinginan bergabung kembali dengan Malique.
    "Saya memang berhasrat untuk merakamkan album terbaru bersama Malique dan pernah menyebut perkara itu dalam lirik lagu saya," ujarnya.
    Sementara itu, Joe berkata, buat masa ini dia tidak berhasrat untuk merakamkan album solo kerana ingin memberikan fokus kepada program Hip Hoppin'Asia yang sudah pun ditayangkan di saluran 8TV.
    Negara yang sempat Joe kunjungi adalah Thailand, Sri Lanka, Jepun, Hong Kong, Indonesia, Taiwan dan Filipina.
    Tampil dengan 10 episod, 'Hip Hoppin' Asia disiarkan setiap hari Khamis pada pukul 9.30 malam.

    Dr Sheikh Muszaphar Rancang Edar Filem Lakonannya Ke Luar Negara

    Posted: 14 Oct 2012 08:00 PM PDT

    Dr Sheikh Muszaphar berkata, perjalanannya ke angkasa lepas lima tahun lalu telah menarik minat masyarakat di negara Islam untuk mengetahui mengenai keajaiban yang terdapat di sana.
    PETALING JAYA: Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor merancang untuk mengedarkan filem pertama lakonannya iaitu No.1 - 10 Hari: 21 Jam: 14 Minit Di Pintu Ajal ke pasaran luar negara terutamanya di negara Timur Tengah selepas ia ditayangkan di Malaysia tahun hadapan.
    Dr Sheikh Muszaphar berkata, perancangan itu dibuat selepas perjalanannya ke angkasa lepas lima tahun lalu telah menarik minat masyarakat di negara Islam untuk mengetahui mengenai keajaiban yang terdapat di sana.
    "Selepas kembali ke bumi saya banyak berkunjung ke negara Islam bagi menceritakan pengalaman saya seperti cara bersembahyang dan kebesaran Allah S.W.T. yang saya lihat dan sempat rakamkan telah membuatkan mereka cukup kagum.
    "Ini telah membuatkan saya berhasrat untuk memasarkan filem itu nanti di negara Timur Tengah bagi memberi peluang kepada masyarakat di sana untuk melihat sendiri rakaman yang dibuat semasa berada di luar orbit bumi," katanya kepada mStar Online.
    Filem itu bakal menggabungkan elemen imej janaan komputer (CGI) dan 3D bersama visual asal yang dirakamkan sendiri oleh Dr Sheikh Muszaphar semasa berada di angkasa lepas.
    Ia dijangka akan ditayangkan kepada umum pada Mac tahun hadapan.
    Dalam pada itu, Dr Sheikh Muszaphar berkata, beliau berharap filem berkenaan dapat memberi pemahaman kepada masyarakat tentang kesukaran berada di luar orbit bumi selain memberi mereka peluang untuk melihat sendiri keajaiban yang terdapat di angkasa.
    Tambah Dr Sheikh Muszaphar, menerusi filem berkenaan ia sekaligus dapat menceritakan tentang kebenaran apa yang tertulis di dalam Al Quran.
    "Selain ingin memaparkan apa yang teknologi dan sains boleh lakukan, filem ini juga turut membuktikan apa yang yang tertulis di dalam Al Quran adalah benar.
    "Jadi adalah kerugian jika filem ini hanya dapat ditonton oleh masyarakat di Malaysia sahaja," katanya.
    No.1 - 10 Hari: 21 Jam: 14 Minit Di Pintu Ajal adalah sebuah kisah benar yang dirakamkan Sheikh Muszaphar di dalam kapal angkasa SOYUZ TMA-11 milik Russian Federal Space Agency yang mengorbit di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dari 10 Oktober 2007 sehingga 21 Oktober 2007.

    Heidi Klum Semakin Intim Dengan Pengawal Peribadi

    Posted: 14 Oct 2012 07:59 PM PDT


    Martin membawa Heidi dan anak-anaknya bersiar-siar di Disneyland California baru-baru ini.
    MODEL terkenal dunia, Heidi Klum dilaporkan semakin intim dengan pengawal peribadinya, Martin Kristen yang didakwa sebagai punca keretakan rumah tangganya dengan penyanyi Seal.
    Heidi dan Martin dilihat semakin mesra dan bahagia malah telah menjadi sebahagian daripada keluarga besar model terkenal itu.
    Sempat menonton konsert Justin Bieber baru-baru ini bersama empat anak Heidi, Martin juga sempat membawa mereka berjalan-jalan ke Disneyland di California.
    Heidi dan Martin semakin mesra.
    Sumber yang melihat mereka memberitahu, Martin dan Heidi kelihatan cukup gembira dan seolah-olah mereka telah bersama bertahun lamanya.
    "Anak-anak mereka juga kelihatan cukup selesa dengan kehadiran Martin yang juga pengawal peribadi mereka semua," kata sumber itu.

    Victoria Beckham Nafi Hamil Anak Kelima

    Posted: 14 Oct 2012 07:59 PM PDT


    Victoria dan anak bongsunya, Harpes.
    ANAK bongsu kepada pasangan Victoria Beckham dan David Beckham baru menganjak usia setahun dan kini timbul khabar bahawa bekas anggota kumpulan Spice Girls itu sedang hamil anak kelima.
    Khabar angin mengenai kehamilan itu timbul apabila mereka sekeluarga dilaporkan akan kembali ke London untuk membolehkan Victoria melahirkan anaknya di sana.
    Namun berita itu dinafikan oleh jurucakap Victoria apabila memberitahu E! Online bahawa berita tersebut adalah tidak benar.
    "Tidak benar dia hamil, itu cuma khabar angin," ujarnya.
    Pasangan itu telah dikurniakan empat anak iaitu Brooklyn, Romeo, Cruz dan Harper.
    David sebelum ini pernah memberitahu selepas kelahiran Harper mereka tidak bercadang untuk menambah bilangan cahaya mata.

    Mempererat hubungan dua negara

    Posted: 14 Oct 2012 07:57 PM PDT

    WALAU di mana pun manusia yang mengucap dua kalimah syahadah itu berada, mereka adalah saudara seagama. Saya berharap kunjungan ini bukan sahaja dapat mengukuhkan ikatan ukhuwah tetapi memberi kefahaman tentang sejarah orang Islam Thailand di peringkat akar umbi."
    Begitu kata Imam Masjid Fathu Islami, Pekan Danok, Thailand, Sufian Ismail, 54, ketika menyambut rombongan imam dan jawatankuasa masjid dari Sungai Petani, Kedah yang tiba di pintu sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah untuk memulakan lawatan ke wilayah selatan negara itu pada awal Oktober lalu.
    Kata-kata berkenaan menggambarkan lawatan tersebut cukup bermakna bagi mengeratkan tali persaudaraan antara umat Islam di dua buah negara bersempadan tetapi berbeza tahap cabaran yang perlu ditempuhi itu.
    Selepas bacaan doa selamat oleh Sufian, lawatan melibatkan seramai 32 imam dan jawatankuasa masjid dari seluruh Parlimen Sungai Petani di bumi Thailand bermula dengan menuju ke wilayah selatan - Yala, Pattani dan Narathiwat yang majoriti penduduknya beragama Islam.
    Yang turut serta dalam lawatan selama dua hari anjuran Kumpulan Anak Sungai Petani Prihatin (KASPP) itu ialah 12 ahli jawatankuasa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut dengan menaiki sebuah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
    Idea untuk mengadakan lawatan tersebut diilhamkan oleh Pengerusi KASPP, Adnan Abdullah Sabil yang berpandangan banyak boleh dipelajari daripada penduduk di wilayah bergolak berkenaan dalam meningkatkan lagi syiar Islam selain merapatkan kesepaduan ummah.
    Selain itu, ia bertujuan merapatkan ukhuwah Islamiah di kalangan peserta dan saling bertukar pendapat apabila berkumpul bersama.
    "Ini adalah kunjungan kenal dan kasih kerana kalau tidak kenal maka kita tidak kasih. Bukan mudah untuk mengumpul imam-imam kerana mereka amat sibuk dengan tugas. Mungkin inilah kali pertama rombongan imam dan pegawai masjid dari Malaysia melakukan lawatan ke wilayah selatan Thailand.
    "Kesediaan mereka untuk menyertai lawatan amat dihargai. Semoga perjalanan ini dapat membuka minda dan memberi pendedahan berguna agar ia dapat dikongsi bersama masyarakat setempat apabila kembali ke kariah masing-masing," katanya kepada penulis mengenai tujuan penganjuran lawatan tersebut.
    Menurut Adnan lagi, rakyat Malaysia bertuah kerana hidup dalam keadaan aman dan makmur tanpa pergolakan atau pertumpahan darah seperti yang dialami oleh saudara-saudara Islam di negara gajah putih berkenaan.
    Oleh itu katanya, masyarakat Islam Malaysia perlu menginsafi nasib rakan seagama mereka di negara lain yang terpaksa menempuh kesukaran akibat pergolakan dan rasa bersyukur dengan mempertahankan keamanan, keharmonian serta kestabilan yang dikecapi.
    Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), Pol. Col. Thawee Sodsong (berkot gelap) bersama rombongan imam dan jawatankuasa masjid dari Sungai Petani, Kedah di perkarangan Masjid Wadi Al-Hussein di Pattani, Thailand.
    Mengambil tauladan
    "Kita wajar mengambil tauladan menerusi kecekalan dan kesungguhan penduduk Islam Thailand mengembangkan syiar Islam walaupun dalam keadaan serba kekurangan," ujarnya.
    Destinasi pertama yang disinggahi ialah Universiti Islam Yala - sebuah pusat pengajian swasta yang ditubuhkan 14 tahun lalu dalam keadaan sumber terhad tetapi kini semakin berkembang dengan mempunyai kira-kira 4,000 pelajar termasuk lebih 200 pelajar antarabangsa, antaranya dari China, Kemboja, Laos dan Vietnam.
    Para peserta rombongan diberi penerangan menerusi tayangan video sebelum sesi taklimat oleh Rektor Universiti Islam Yala, Dr. Ismail Lufti mengenai sejarah penubuhan dan perkembangan universiti terbabit.
    Seterusnya rombongan menuju ke Kampung Telok Manok, Bachok di Narathiwat untuk melihat sendiri keunikan dan keindahan peninggalan warisan Islam iaitu sebuah masjid binaan kayu yang dianggarkan berusia hampir 400 tahun dikenali sebagai Masjid Wadi Al-Hussein.
    Ketibaan rombongan ke kampung itu setelah menempuh dua jam perjalanan disambut meriah bukan sahaja oleh penduduk setempat tetapi turut menanti ialah Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), Pol. Col. Thawee Sodsong.
    Masjid kayu tertua
    Masjid Wadi Al-Hussein dibina secara bergotong royong oleh pengasasnya yang bernama Wan Hussein bersama penduduk Kampung Telok Manok dan masih digunakan seperti biasa.
    Ia terkenal sebagai sebuah masjid yang dibina daripada kayu cengal dan tidak menggunakan paku dengan ukiran dinding yang rapi. Pembinaannya juga melibatkan campuran kesenian Melayu, Siam dan China.
    "Masjid ini bukan hanya milik penduduk di sini tetapi ia adalah milik kita semua sebagai umat Islam," kata Adnan yang terpesona dengan keunikan dan keindahan masjid kayu tertua di Thailand itu.
    Dalam perjalanan pulang ke Pattani, para peserta rombongan singgah di Masjid Besar Pattani untuk menunaikan solat Maghrib sebelum makan malam bersama Pegawai Daerah Muang Pattani, Apierat Samail.
    Bersempena dengan majlis makan malam itu, Apierat turut memberikan taklimat mengenai pentadbiran Islam di Thailand dan membawa rombongan meninjau pejabat pentadbiran daerah di situ.
    Antara yang diberitahunya ialah; golongan imam di Thailand menerima elaun sejak 2002 bermula 500 baht (kira-kira RM50) sebelum meningkat kepada 1,200 (RM120) baht dan kini dinaikkan kepada 3,000 baht (RM300) bagi imam di lima wilayah iaitu Songkhla, Pattani, Narathiwat, Yala dan Satun.
    Bahgian dalam Masjid Wadi Al-Hussein yang merupakan masjid binaan kayu tertua di Thailand.
    Tragedi berdarah
    Keesokkan harinya, lawatan ke wilayah selatan Thailand diteruskan dengan mengunjungi Masjid Krue Se, Pattani - masjid berusia kira-kira 300 tahun yang menyimpan pelbagai cerita termasuk tragedi berdarah pada 2004 yang mengorbankan 32 nyawa.
    Di pekarangan masjid berdindingkan bata tidak disimen itu, para peserta rombongan diberi taklimat mengenai sejarah masjid tersebut oleh Pengerusi Pusat Pemulihan Seni Budaya Tempatan Dan Alam Sekitar Wilayah Sempadan Selatan Thailnad (Pusta), Ismail Benjasmith.
    Setelah meninjau dan merakamkan gambar kenangan, rombongan seterusnya bergerak ke Kampung Barahom yang merupakan antara tempat awal perkembangan sejarah Pattani Darussalam pada masa silam. Penolong Gabenor Wilayah Pattani, Ku Ramli Ku Jalal turut meluangkan masa meraikan rombongan.
    Ekoran masa yang singkat, rombongan bertolak dari kampung berkenaan menuju terus ke Yala sebelum berhenti di Masjid Yala untuk menunaikan solat Jumaat. Selesai makan tengah hari di sebuah restoran berhampiran masjid tersebut, mereka bergerak pulang ke sempadan imigresen Danok.
    Lokasi terakhir yang disinggahi ialah Masjid Fathu Islami Pekan Danok. Selepas makan malam, rombongan melepasi pintu sempadan Malaysia Thailand di Bukit kayu Hitam, Kedah kira-kira pukul 10 malam dengan membawa pulang 1001 pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
    Sepanjang lawatan tersebut, komunikasi bukan penghalang biarpun berada di negara asing kerana penduduk Melayu Islam di sana fasih bertutur dalam bahasa Melayu.
    Para pegawai kerajaan dan penduduk juga memberikan layanan terbaik di samping rombongan diberi jaminan dari segi keselamatan.

    Bukan pertama, terakhir

    Posted: 14 Oct 2012 07:56 PM PDT

    Imam dan jawatankuasa masjid dari Sungai Petani, Kedah melawat sekitar kawasan Masjid Krue Se, Pattani, Thailand.
    Pol. Col. Thawee Sodsong (kanan) ketika menyambut rombongan imam dan jawatankuasa masjid dari Sungai Petani, Kedah di perkarangan Masjid Wadi Al-Hussein di Pattani, Thailand.
    Rombongan imam dan jawatankuasa masjid dari Sungai Petani, Kedah bergambar kenangan di hadapan Masjid Krue Se, Pattani, Thailand.
    BAGI yang tidak pernah mengunjungi selatan Thailand, laporan berita mengenai pergolakan dan konflik berdarah di situ pasti menimbulkan persoalan sama ada wilayah tersebut selamat untuk dilawati.
    Persoalan itu juga sedikit sebanyak bermain di fikiran 45 peserta yang mengikuti lawatan ke wilayah berkenaan anjuran Kumpulan Anak Sungai Petani Prihatin (KASPP) selama dua hari pada 4 dan 5 Oktober lalu.
    Apatah lagi program itu diadakan selepas beberapa hari media melaporkan sekurang-kurangnya enam orang terbunuh manakala 27 yang lain cedera ekoran beberapa insiden letupan dan tembakan di tiga wilayah bergolak; Pattani, Yala dan Narathiwat.
    Di sebalik pergolakan berpanjangan di wilayah selatan negara gajah putih itu, kerajaan Thailand cuba meyakinkan bahawa kawasan tersebut masih selamat untuk dikunjungi.
    "Lawatan kali ini jangan jadi kali yang pertama dan terakhir anda datang ke sini. Mudah-mudahan apabila pulang ke Malaysia nanti dapat mengatur keluarga untuk mengunjungi kami di sini.
    "Ini kerana sudah sembilan tahun iaitu sejak 2004, wilayah selatan Thailand ini dihebohkan di media yang mana kalau dilihat tidak akan ada orang akan sampai ke sini kerana takut.
    "Tetapi anda dapat melihat sendiri keadaannya. Ini adalah hakikat, sebenarnya situasinya adalah seperti biasa. Negara atau tempat lain lebih kacau daripada wilayah ini.
    "Oleh itu besar harapan saya supaya terus datang lagi ke sini," kata Pengerusi Pusat Pemulihan Seni Budaya Tempatan Dan Alam Sekitar Wilayah Sempadan Selatan Thailnad (Pusta), Ismail Benjasmith kepada peserta rombongan yang terdiri daripada imam dan pegawai masjid dari Parlimen Sungai Petani ketika mereka melawat Masjid Krue Se, Pattani.
    Ucapan Ismail itu menggambarkan komitmen kerajaan Thailand yang mengalu-alukan semua pihak mengadakan lawatan bagi menyaksikan sendiri suasana sebenar masyarakat di negara tersebut khususnya di wilayah selatan.
    Ia dibuktikan apabila kerajaan negara itu memberikan kerjasama penuh selain jaminan daripada segi keselamatan kepada peserta rombongan.
    Mereka yang menaiki sebuah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) menerima penghargaan daripada kerajaan dan penduduk tempatan yang memberikan layanan kelas pertama.
    Sepanjang perjalanan selama 36 jam di bumi Thailand, kenderaan yang dinaiki peserta rombongan diiringi pasukan keselamatan negara itu dan turut diawasi oleh pihak tentera serta polis.
    Pemimpin dan masyarakat setempat di kawasan yang dikunjungi juga sememangnya menantikan ketibaan rombongan dengan memberikan sambutan mesra.
    Sementara itu, hasil tinjauan dan temuramah yang diadakan bersama penduduk setempat, penulis mendapati umat Islam di wilayah tersebut menjalani kehidupan seharian tanpa masalah atau sekatan.
    Tiada larangan
    "Setakat ini umat Islam bebas beribadat atau mahu belajar agama. Tiada larangan laungan azan menggunakan pembesar suara dan penduduk bebas ke masjid untuk menunaikan solat," kata seorang penduduk dari Muang Pattani yang dikenali sebagai Ahmad.
    Kerajaan Thailand juga dilaporkan cuba membantu membangunkan wilayah berkenaan termasuk menerusi bantuan pembinaan bangunan dan lain-lain.
    Ketika berada di Universiti Islam Yala, peserta rombongan dimaklumkan oleh Rektor universiti itu, Dr. Ismail Lufti bahawa kerajaan kini membantu mendirikan sebuah bangunan di dalam pusat pengajian swasta itu.
    "Bagi membangunkan universiti ini, kami terpaksa bangun dan rebah, berlari dan berjalan. Dalam keadaan serba kekurangan dan sangat terhad kami perlu berdiri di atas kaki sendiri.
    "Kerajaan pun sudah tolong dengan memberi sebuah bangunan yang sedang hendak letak batu asas. Sebelum ini kerajaan belum tolong kita sebab asasnya kita adalah swasta," katanya.
    Begitu juga semasa di Kampung Telok Manok, Bachok di Narathiwat apabila Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), Pol. Col. Thawee Sodsong menyatakan akan memperbaiki sekitar kawasan Masjid Wadi Al-Hussein yang merupakan masjid binaan kayu tertua di negara berkenaan.
    Melihat kepada usaha kerajaan dan kehendak masyarakat selatan Thailand yang mengharapkan keamanan, tidak mustahil konflik di wilayah berkenaan dapat diredakan jika semua pihak dapat bersabar dan memberi komitmen penuh ke arah itu.

    Cabaran golongan remaja

    Posted: 14 Oct 2012 07:54 PM PDT

    pelajar baru UUM bersama artis Aaron Aziz, Selebriti Sokongan Riben Merah yang juga jurucakap program Remaja & HIV
    JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis AIDS Malaysia (MAM) telah bersama-sama menyampaikan maklumat yang tepat tentang HIV & AIDS kepada mahasiswa sempena minggu orientasi pelajar baru bertempat di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok Kedah, September lalu.
    Bersempena dengan program tersebut turut dilancarkan Kelab Belia Riben Merah (Red Ribbon Youth Club), yang mensasarkan golongan remaja dan belia di antara umur 19 tahun hingg 40 tahun sebagai platform untuk mereka menyalurkan sumbangan terhadap usaha-usaha kemasyarakatan dalam menangani epidemik HIV di peringkat akar umbi.
    Dalam satu dapatan kajian, mengesahkan kumpulan remaja dan belia adalah golongan peringkat umur kes terkumpul jangkitan HIV tertinggi dilaporkan. Lebih 76 peratus atau 69,747 daripada jumlah keseluruhan kes HIV sehingga akhir 2010 adalah di kalangan belia berusia antara 20 dan 39 tahun. Manakala, pada 2011, bagi setiap empat kes baru jangkitan HIV, satu dilaporkan di kalangan orang muda dan belia dalam lingkungan 13 hingga 29 tahun.
    Pertama menyahut seruan Majlis AIDS Malaysia ini ialah Aaron Aziz, Selebriti Sokongan Riben Merah yang juga adalah jurucakap program Remaja & HIV.
    "Pengetahuan yang tepat tentang HIV asas kepada tingkah laku yang bertanggungjawab. Inilah peranan saya sebagai Selebriti Sokongan Riben Merah untuk memastikan mesej pencegahan HIV disebarkan seluas mungkin kepada golongan sasaran ini, khasnya mereka yang berisiko tinggi," jelas Aaron yang turut bimbang perihal kadar jangkitan HIV yang tinggi di kalangan belia.
    Menerusi kempen kesedaran HIV, Kelab Belia Riben Merah berharap agar stigma dan diskriminasi terhadap orang yang hidup dengan HIV dapat dihapuskan. Hal ini menyebabkan ramai yang enggan untuk tampil menjalani ujian saringan dan rawatan HIV yang disediakan secara percuma. - Jakim
    Aktiviti-aktiviti teras Kelab Belia Riben Merah:
    1. Menyampaikan maklumat yang tepat tentang pencegahan serta pengurangan risiko jangkitan HIV kepada belia.
    2. Melancarkan kempen 'Sayangi Diri. Jauhi HIV. Hentikan AIDS' di kalangan remaja dan belia.
    3. Meningkatkan kesedaran remaja dan belia tentang HIV & AIDS untuk menghapuskan stigma dan diskriminasi terhadap orang yang hidup dengan HIV.
    4. Menggalakkan penyertaan remaja dan belia sebagai sukarelawan dalam program sokong bantu dan kempen kesedaran HIV.

    Keistimewaan Yasin

    Posted: 14 Oct 2012 07:53 PM PDT

    Sebahagian ulama berpendapat bahawa sentiasa membaca surah Yasin pada semua waktu boleh memudahkan sebarang urusan.
    - Gambar hiasan
    ALHAMDULILLAH, selepas kita selesai membincangkan Juzuk 29, maka kali ini penulis ingin menumpukan kepada surah-surah pilihan untuk ditafsirkan. Ia bermula dengan surah Yasin yang sentiasa dibaca dan dilazimi oleh masyarakat Islam, khususnya di Malaysia.
    Surah ini termasuk dalam golongan surah Makiyyah, kecuali ayat: Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka daripada keterangan Tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya). (Yasin: 46) yang termasuk dalam ayat Madaniyyah.
    Surah Yasin ini mengandungi 83 ayat dan ia turun selepas surah al-Jin. Hubungan surah ini dengan surah sebelumnya, Allah SWT berfirman: .......Dan kamu pula telah didatangi oleh rasul (Kami) yang memberi amaran….. (Fatir: 37), dan juga dalam ayat lain: Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan bersungguh sumpahnya. Demi sesungguhnya jika datang kepada mereka seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran… (Fatir: 42)
    Namun, tatkala pemberi peringatan itu datang kepada mereka, mereka mendustakannya dan tidak mahu mengikutnya. Dengan demikian, Allah SWT pun memulakan surah ini dengan sumpah tentang kebenaran kerasulan Muhammad SAW dan menjelaskan bahawa Baginda berada di jalan kebenaran. Penjelasan ini adalah untuk memberi peringatan kepada suatu kaum yang sebelumnya belum pernah diberi peringatan.
    Dalam surah yang lepas, Allah SWT berfirman: …dan Dia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhluk-Nya)? Tiap-tiap satu daripada kedua-duanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan… (Luqman: 29), sedangkan dalam surah ini Allah S.W.T. berfirman: Dan (sebahagian daripada dalil yang tersebut ialah) matahari, ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya… (Yasin: 38), dan firman-Nya juga: Dan bulan pula Kami takdirkan ia beredar melalui beberapa peringkat… (Yasin: 39)
    Sebahagian ulama berkata: Antara keistimewaan surah Yasin ini, di mana tidak dibaca dalam keadaan sukar kecuali Allah mempermudahkannya. Begitu juga bacaan surah Yasin ketika berada dalam sakaratul maut, akan diturunkan rahmat dan berkat serta dipermudahkan keluarnya roh.
    Memudahkan
    Sebahagian ulama berpendapat bahawa sentiasa membaca surah Yasin pada semua waktu boleh memudahkan sebarang urusan tetapi mereka berpendapat sunat dibaca pada hari Khamis kerana keluasan rezeki, hari Selasa menolak daripada kezaliman dan selamat daripada musuh seterusnya hari Ahad untuk mencapai kedudukan yang terpuji.
    Walaupun begitu, ramai ulama telah mengamal bacaan Yasin dan didapati cukup mujarab berkenaan dengan permintaan dan hajat yang diajukan kepada Allah Rabb al-Alamin.
    Firman Allah SWT: Yaa, siin. Demi al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh. Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad adalah seorang Rasul) daripada Rasul-rasul yang telah diutus, yang tetap di atas jalan yang lurus (agama Islam). (Yasin: 1-4)
    Firman Allah SWT: Yaa, siin. (Yasin: 1)
    Ibnu Kathir berkata: Huruf yang terputus telah dibicarakan pada permulaan surah al-Baqarah dengan panjang lebar. Pendapat yang paling kuat bahawa Allah sahaja yang mengetahui maksudnya.
    Justeru, wajib kita beriman dan ini juga sebagai bukti kalam Allah sehingga lemah manusia untuk menafsirkannya.
    Firman Allah SWT: Demi al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh. Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus, yang tetap di atas jalan yang lurus (agama Islam). (Yasin: 2-4)
    Syed Qutub berkata: Al-Quran yang amat bijaksana mendidik manusia dengan penuh kebijaksanaan mengikut metodologi akal dan psikologi yang membebaskan seluruh tenaga manusia serta membimbingnya ke arah jalan yang baik dan lurus. Allah SWT bersumpah dengan Yasin dan dengan al-Quran untuk menegaskan wahyu dan kebenaran risalah yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.
    Al-Maraghi berkata: Allah SWT bersumpah dengan al-Quran yang penuh hikmah dan tidak mengandungi unsur kebatilan sama ada dari depannya ataupun dari belakang. Wahai Rasul! Sebenarnya engkau benar-benar tergolong bersama orang yang diutus untuk menyampaikan agama yang lurus. Al-Quran menegakkan satu sistem hidup yang membenarkan manusia melakukan segala aktiviti yang berkait dengan matlamat kehidupan.
    Penutup
    Sebenarnya ayat-ayat yang dibincangkan jelas menunjukkan betapa mulianya surah Yasin dan hubungan antara al-Quran dengan rasul amat kukuh, begitu juga kedua-duanya memandu dan memimpin ummah ke arah jalan yang benar-benar lurus dengan manusia akan mendapat hidayat serta petunjuk selama mana berpegang kepada kedua-duanya tanpa berpaling kepada yang lain.
    Semoga kita sentiasa menjadi hamba Allah yang mendapat keredaan-Nya. Amin.

    Keutamaan Jumaat

    Posted: 14 Oct 2012 07:52 PM PDT

    hari Jumaat sebagai penghulu hari dan hari yang penuh keberkatan kepada umat Islam.
    - Gambar hiasan
    DALAM kehidupan sehari-hari, umat Islam harus melaksanakan segala kewajipan dan tanggungjawab, baik kewajipan seorang hamba terhadap Allah mahupun tanggungjawab sesama insan.
    Sebagai manusia, kita sering terlepas pandang akan hakikat kehidupan dalam menjalankan segala perintah Allah dan meninggalkan segala yang dilarang-Nya. Sehingga dalam menjalankan tanggungjawab terhadap Allah dan sesama manusia, semuanya menjadi tidak stabil dan harmoni.
    Sebagai contoh keutamaan hari Jumaat kepada umat Islam. Rasulullah SAW telah menjelaskan kepada umatnya tentang keutamaan hari Jumaat. Malah turut menegaskan tingginya kedudukan hari tersebut berbanding dengan hari-hari lain.
    Sebagaimana baginda menceritakan tentang kemurahan, keberkatan dan kurnia yang diberikan oleh Allah SWT pada hari itu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Kita (ini adalah kaum) yang terakhir (dikeluarkan oleh Allah tetapi kita) akan mendahului (kaum-kaum yang lain) pada hari Kiamat nanti, hanya sahaja mereka lebih dahulu mendapatkan kitab sebelum kita. Lalu (hari Jumaat) ini adalah hari yang diwajibkan bagi mereka (untuk beribadah kepada Allah) tetapi mereka berselisih pendapat tentang hari itu, kemudian Allah SWT memberikan petunjuk pada kita (tentang hari tersebut). Maka orang-orang pun menjadi pengikut kita dalam hal ini, (menjadikan hari Jumaat sebagai patukan hari ibadah mereka), orang-orang Yahudi mengambil keesokan harinya (Sabtu), sementara orang-orang Nasrani pada hari (Ahad). (riwayat al-Bukhari, Muslim dan an-Nasa'i).
    Dalam hadis lain, Baginda juga bersabda: Sebaik-baik hari yang pada saat itu terbit matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan, pada hari itu dia dimasukkan ke dalam syurga dan pada hari itu pula dia dikeluarkan dari syurga, dan tidak akan terjadi kiamat kecuali pada hari Jumaat. (riwayat Ahmad, Muslim dan at-Tirmidzi).
    Jelaslah hari Jumaat sebagai penghulu hari dan hari yang penuh keberkatan kepada umat Islam.
    Sementara dalam hadis yang lain baginda bersabda: Solat lima waktu, juga hari Jumaat (yang satu) ke hari Jumaat (yang lain) akan dapat menghapuskan dosa-dosa yang ada waktu-waktu tersebut (dengan syarat) apabila dosa-dosa besar tidak dilakukan. (riwayat Ahmad dan Muslim).
    Selain itu, Rasulullah SAW telah memberikan kepada umatnya bahawa pada hari Jumaat itu ada waktu mustajab untuk berdoa, dan bahawa seorang Islam akan mendapat ganjaran yang besar apabila dia lebih awal mendatangi solat Jumaat.
    Larangan
    Daripada Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.a, kedua-duanya mendengar Rasulullah SAW bersabda dari atas mimbar yang bermaksud: Akan berhenti orang-orang itu meninggalkan solat Jumaat atau Allah akan mengunci dan menutup hati mereka, lalu mereka pasti akan termasuk kelompok orang-orang yang lalai. (riwayat Muslim).
    Kewajipan solat Jumaat juga disebutkan oleh Allah dalam al-Quran firman-Nya yang bermaksud: Apabila diseru untuk solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kalian kepada mengingati Allah dan tinggalkan jual beli.
    Diriwayatkan juga dari Abul Ja'ad adh-Dhumari r.a, Nabi SAW bersabda: "Barang siapa meninggalkan solat Jumaat kerana mengambil mudah (malas) tanpa ada alasan (yang dapat diterima) nescaya Allah SWT akan menutup hatinya." (riwayat Ahmad, at-Tirmidzi dan an-Nasa'i).
    Rasulullah SAW juga telah menganjurkan kepada para sahabat dan menyuruh mereka agar memperbanyak membaca selawat untuk baginda pada hari Jumaat. Selain itu, baginda juga menganjurkan para sahabat membaca surah al-khafi pada hari tersebut.
    Seterusnya Rasulullah SAW juga memerintahkan dan menekankan kepada para sahabat supaya mandi pada hari Jumaat. Diriwayatkan daripada Umar bin Khattab r.a, bahawa ia berkata: Tidakkah kalian mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya; Apabila akan pergi seseorang di antara kalian ke solat Jumaat maka hendaklah kalian mandi. (riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud).
    Daripada al-Farisi r.a dari Nabi SAW bersabda: Tidaklah seseorang itu mandi pada hari Jumaat dia bersuci sebaik mungkin, kemudian memakai sedikit dari minyaknya atau memakai sedikit dari minyak wangi yang ada di rumahnya kemudian ia keluar (ke masjid) dan tidak memisahkan antara dua orang, lalu dia melakukan solat yang disyariatkan padanya, tentu dia akan mendapat pengampunan (terhadap dosa) yang ada di antara Jumaat itu ke Jumaat yang akan datang. (riwayat al-Bukhari).
    Sesungguhnya Ibnu Umar r.a telah memotong kuku dan kumisnya setiap kali hari Jumaat sebagai penghormatan beliau terhadap hari tersebut. Riwayat ini telah diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam al-Kubra (3/344) dengan sanad hasan.
    Kesimpulannya, hari Jumaat adalah hari istimewa yang sarat dengan maghfirah dan ampunan daripada Allah. Dalam hal ini, Rasulullah SAW sebagai utusan Allah, telah memberi banyak petunjuk tentang amalan di hari Jumaat dan malam hari-harinya.

    UNA pilih kejururawatan

    Posted: 14 Oct 2012 07:50 PM PDT

    RAUT wajahnya yang manis dan lembut pasti membuatkan pesakit yang dijaga lupa sebentar kesakitan mereka. Tambahan pula dengan layanan mesra daripada si jururawat bernama Husnahayah Ahmad Nazir ini ternyata memberi keceriaan kepada pesakit.
    Namun, tugas jururawat tidaklah semudah yang disangka. Bukan sekadar menyediakan ubat dan membantu doktor merawati pesakit.
    Ujar Husnahayah yang mesra dipanggil Una, kesabaran yang tinggi adalah sifat terpenting dalam kerjaya sebagai seorang jururawat.
    "Antara cabarannya apabila berhadapan dengan pesakit yang mempunya pelbagai masalah, penyakit dan juga perangai.
    "Bila seseorang itu sakit, pelbagai perangai yang keluar dan ada yang dalam keadaan mereka tidak sedar.
    "Kita perlu banyak bersabar dengan memahami situasi mereka dan memberikan bantuan terbaik untuk membuat mereka rasa selesa," ujar pemilik Diploma Kejururawatan dari Kolej Universiti Mahsa.
    Cerita Una, dia memilih bidang tersebut kerana minat yang tinggi untuk menolong orang serta dapat membantu keluarga ketika mereka sakit.
    Peragaan
    Menurut gadis berbintang Gemini ini, kehadirannya dalam bidang peragaan sekadar aktiviti sambilan.
    Namun, dia mahu serius melakukannya dengan menimba pengalaman sebanyak yang mungkin.
    "Pada mulanya, saya ingat menjadi peragawati suatu yang senang, hanya perlu bergaya di hadapan kamera.
    "Pertama kali melakukannya, baru saya tahu ia amat susah dalam memberikan gaya dan ekspresi muka," ceritanya yang sentiasa mengamalkan meminum segelas air suam setiap kali bangun tidur sebagai rutin penjagaan tubuh badan.
    Anak sulung daripada empat beradik ini turut berkongsi rahsia penjagaan badannya dengan tidak mengamalkan makanan berat pada waktu malam serta mengurangkan makanan berminyak, manis dan berlemak.
    Dari segi berfesyen pula, Una gemar memerhati orang sekeliling ketika berada di pusat beli-belah.
    Dia mendapat inspirasi berfesyen daripada pemerhatian sekelilingnya selain majalah dan Internet.
    Hasil pemerhatiannya, dia akan mengadaptasikan menjadi gayanya sendiri yang bersesuaian dengan imejnya yang bertudung.

    Sekolah Muzik Mariachi

    Posted: 14 Oct 2012 07:49 PM PDT

    Mariachi terkenal dengan peralatan muzik, pakaian dan topi besarnya yang unik.
    ALFONSO Reyes kelihatan sedikit gugup ketika mula meniup trompet sewaktu menjalani uji bakat itu. "Jangan bimbang, bertenang dan lakukannya dengan selesa," kata guru pakar alat muzik itu, Federico Torres, ketika Reyes bermula dengan bunyi yang agak canggung.
    Dengan tunjuk ajar daripada Torres, lelaki berusia 28 tahun tersebut akhirnya berjaya melakukannya dengan baik. Reyes mempunyai sebab mengapa dia sedikit gugup ketika menjalani uji bakat tersebut.
    Sekiranya dia berjaya melakukan dengan baik dan tepat, Reyes akan menjadi antara kumpulan pelajar ulung yang dipilih menyertai sekolah Mariachi pertama di Mexico City.
    Mariachi merupakan muzik rakyat dari Mexico yang wujud sejak abad ke-19 di negeri Jalisco, barat Mexico. Perkataan Mariachi itu sendiri merujuk kepada muzik, pemuzik dan kumpulan yang membawakan genre berkenaan.
    Tahun lalu, Mariachi diisytiharkan sebagai Warisan Kebudayaan Kemanusiaan oleh Pertubuhan Kebudayaan, Sains dan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
    Selama beberapa generasi, pemuzik Mariachi menurunkan minat dan bakat kepada anak-anak dan pewaris mereka secara tidak formal dengan mengajar lagu-lagu klasik seperti "El Rey" atau "Cielito Lindo".
    Namun, Sekolah Muzik Mariachi Ollin Yoliztli mahu mengubah keadaan dengan menganugerahkan ijazah profesional kepada pelajarnya, dengan harapan membawa nafas baharu dalam muzik yang terkenal dengan alat muzik sombrero gergasi dan pakaian khas 'charro' yang dipakai dengan butang berwarna perak itu.
    "Sekolah ini mahu mengubah stigma yang mengatakan Mariachi hanya untuk sambutan perayaan tertentu atau terkenal dengan pakaiannya yang unik. Ia akan menjadikan pemuzik Mariachi lebih profesional dan melengkapkan muzik tersebut secara tidak langsung," kata Reyes.
    Dia antara 113 pelajar berusia antara 12 hingga 70 tahun, yang akan mempelajari cara yang betul bermain gitar, gitar akustik, biola, trompet dan viheula (sejenis alat muzik seakan gitar).
    "Di sini kita akan cuba memperhalusi muzik tersebut, namun sesekali kita tidak akan membuang semangat dan keasliannya, jika tidak, kita akan kehilangan bahagian paling penting muzik Mexico itu," kata jurulatih biola sekolah itu, Aaron Jimenez.
    Sekolah yang terletak di Garibaldi, Mexico City itu akan dibuka esok dengan menawarkan program ijazah teknikal profesional selama tiga tahun.
    Institusi itu juga merancang untuk menawarkan program diploma pertama, peringkat universiti dalam bidang Mariachi di negara itu.
    "Ramai pemuzik mahu memperbaiki teknik mereka. Kami juga mahu melakukan ini melalui muzik Mexico," kata Pengarah sekolah, Leticia Soto Flores.

    Panduan menghadapi peperiksaan

    Posted: 14 Oct 2012 07:46 PM PDT

    Sebelum peperiksaan mintalah ibu bapa dan guru-guru menghalalkan makan minum dan ilmu yang telah mereka berikan kepada kita. - Gambar hiasan
    MUSIM peperiksaan datang lagi. Hampir semua pelajar mula stres apabila menjelangnya peperiksaan. Sedikit stres itu bagus sebab ia membolehkan pelajar berada pada puncak prestasi bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Tetapi jika stres itu keterlaluan ia menjadi sesuatu yang negatif pula. Tanda-tanda stres pada anak boleh dikenalpasti melalui perubahan tingkahlaku dan tahap kesihatan mereka. Jika tidak dikawal ia boleh membawa kepada panik dan bimbang yang melampau.
    Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil oleh para pelajar agar mereka lebih bersedia untuk menghadapi peperiksaan.
    1) Berfikir secara positif.
    Sama ada anda bersedia atau tidak bagi menduduki peperiksaan, anda perlu berfikir secara positif. Jika berfikir yang anda tidak boleh menjawab soalan-soalan, anda tetap perlu menghadapi peperiksaan tersebut. Begitu juga, jika anda fikir anda boleh menjawab dengan baik, anda juga perlu menghadapinya. Sebagai pelajar, anda tidak boleh lari daripada peperiksaan itu. Oleh itu elakkan daripada berfikir yang anda belum bersedia, tidak layak, gagal, bimbang apa yang dibaca tidak keluar dan seumpamanya. Sebaliknya, fikirkan anda boleh lakukan yang terbaik mengikut kemampuan dan persediaan yang ada, kerana sedikit pencapaian lebih baik daripada tiada pencapaian langsung.
    2) Jaga pemakanan.
    Pastikan bersarapan sebelum ke dewan peperiksaan. Sarapan memberikan tenaga kepada tubuh badan dan terutamanya otak. Amalkan pemakanan sunah seperti susu, bijirin, kurma dan madu. Penting bagi ibu bapa memastikan rezeki yang diberikan kepada anak-anak adalah halal dari segi sumber pendapatan dan kandungannya. Rezeki yang haram menggelapkan hati dan membuatkan anak lambat faham, susah ingat dan cepat lupa.
    3) Tidak perlu menyemak kertas jawapan.
    Sudah menjadi tabiat segelintir pelajar iaitu apabila pulang ke rumah selepas peperiksaan mereka terus menyemak jawapan yang telah diberikan. Kalau jawapannya betul, memanglah seronok. Tetapi bagaimana pula kalau jawapannya salah? Sedikit sebanyak ia pasti mengganggu dan memberi kesan terhadap prestasi dalam menghadapi kertas peperiksaan untuk subjek-subjek yang lain selepas itu.
    4) Banyakkan pembelajaran output.
    Sekiranya pelajar mahu cemerlang dalam peperiksaan dia semestinya perlu melatih diri menjawab soalan-soalan sama soalan-soalan peperiksaan tahun-tahun sebelumnya atau pun soalan-soalan ramalan. Membiasakan diri dengan pelbagai bentuk dan helah soalan membina keyakinan dalam diri pelajar. Lebih banyak latihan dan latih tubi yang dilakukan lebih tinggi keyakinannya.
    5) Minta restu ibu bapa dan guru-guru.
    Sebelum peperiksaan mintalah ibu bapa dan guru-guru menghalalkan makan minum dan ilmu yang telah mereka berikan kepada kita. Apabila ilmu itu berkat, membaca akan cepat faham, menghafal pula cepat ingat dan menjawab soalan menjadi mudah.
    6) Meminta maaf dan memaafkan semua orang.
    Ada waktunya kita melakukan kesalahan pada orang lain sama ada secara sengaja atau pun tidak. Oleh itu, bersihkan hati agar ia bukan menjadi sebab pada pencapaian yang kurang cemerlang kelak. Maafkan dengan hati yang ikhlas bukan hanya kerana akan berhadapan dengan peperiksaan.
    7) Banyakkan berdoa.
    Allah memakbulkan doa sesuai dengan kesungguhan kita meminta setiap sesuatu itu. Kalau kita berdoa tidak sepenuh hati maka hasilnya juga tidak sepenuhnya.
    8) Latih minda menuju kejayaan.
    Setiap tingkahlaku ada kaitannya dengan cara fikir atau program yang ada dalam minda. Sebelum ini, minda telah diprogramkan oleh ibu bapa, guru, rakan, media, pengalaman, sangkaan dan sebagainya. Jika program ini negatif maka negatiflah kita. Kalau positif maka positiflah kita. Apa yang perlu dibuat ialah gambarkan secara positif dalam minda seolah-olah anda berada dalam dewan peperiksaan dan dapat menjawab semua soalan dengan cemerlang. Dengarkan suara hati yang positif bahawa anda boleh melakukannya. Rasakan sekarang perasaan yakin diri yang tinggi. Lakukan semua ini dalam masa lima hingga 10 minit setiap hari dan ia dapat membantu meningkatkan keyakinan bagi menghadapi peperiksaan.

    Enak Rawang Burger Bakar pada arang

    Posted: 14 Oct 2012 07:45 PM PDT

    BURGER dibakar di atas arang.
    EMAM burger bakar masih berterusan di seluruh Malaysia terutamanya di Lembah Klang dengan kemunculan pelbagai versi hidangan daging kisar tersebut.
    Namun ada sesuatu yang menarik perhatian penulis serta pelanggan-pelanggan yang sanggup datang dari jauh terhadap Rawang Burger Bakar yang beroperasi di Seksyen 5, Pusat Bandar Wangsa Maju ini.
    Aroma daging kisar yang dibuat sendiri oleh pemilik gerai lalu dibakar menggunakan kayu arang membuatkan penulis tidak sabar menikmatinya.
    Sekali gigitan pada daging lembu berserta daging salai yang diberi nama Ombak Rindu, terasa kepadatan daging tersebut yang kurang tepung berbanding sesetengah daging burger lain.
    Teksturnya yang tidak kering membuatkan rasa daging itu masih kuat, umpama menikmati potongan stik lembu, berbaloi dengan harganya.
    Cerita pengasas serta pengusaha Rawang Burger Bakar, Fadzil Mohd Halime, antara rahsia keenakan daging burger di tempatnya ia dibakar menggunakan bara kayu arang.
    "Majoriti penjual burger menggunakan dapur gas iaitu 'hot plate' atau 'larva stone' yang membuatkan ia sedikit kering.
    "Penggunaan kayu arang membuatkan jus daging masih banyak sekali gus mengeluarkan aroma berbeza yang menyelerakan.
    "Sama seperti konsep ikan bakar, ia lebih enak dibakar menggunakan kayu arang berbanding dapur gas," ujarnya yang bakal mempunyai 30 francais Rawang Burger Bakar di serata Malaysia tidak lama lagi termasuk di Melaka, Kuantan dan Terengganu.
    Selain itu, keistimewaannya turut terletak pada daging import berkualiti yang dikisar sendiri setiap hari menggunakan resipi sendiri.
    Kesemua pengusaha francais Rawang Burger Bakar yang disertai dengan bayaran hanya RM1,500 akan mengambil ramuan daging kisar yang segar ini daripadanya.
    Kesemua 10 jenis burger bakar tersebut dijual pada harga dari RM7 hingga RM20 iaitu burger bakar KLCC yang merupakan tiga lapis daging burger bakar.
    Antara yang istimewa di Rawang Burger Bakar, Madu Tiga iaitu burger yang mengandungi ayam, daging serta udang yang memberikan rasa unik pada campuran tersebut.
    Gabungan rasa daging ayam dan udang menerusi burger Isabella turut bakal membuatkan anda ketagih dengan rasa hidupan laut dan darat dalam bentuk burger itu.
    KLCC turut menarik perhatian melihat kepada ketinggian burger yang dilapisi dengan tiga lapis daging burger. Jangan lupa menggembirakan perut anda dengan kehangatan rasa Burgembira yang disaluti sos lada hitam.

    Nilai cinta warga asing

    Posted: 14 Oct 2012 07:44 PM PDT

    SELAMA ini saya hanya membaca kisah yang dipaparkan di ruangan ini, langsung tak terfikir akan turut menyumbang. Tetapi apabila diri sendiri terkena baru saya sedar betapa tenteramnya jiwa setelah mencurahkan isi hati di sini.'' Cerita Fikri yang berkhidmat di bahagian teknikal dengan sebuah kementerian di KL.
    ''Berusia dekat 40 tahun, 18 tahun berkahwin dan ada tiga anak, saya ingin berkongsi pengalaman pahit agar rakyat Malaysia khususnya lelaki tidak mudah tertipu dengan cinta plastik wanita warga asing. Sebab kisah 30 September lalu ada menyebut 'Trend lelaki sekarang suka kahwin dengan wanita asing.' Jadi di sini saya ingin nasihatkan jangan mudah tertipu akhirnya jadi mangsa seperti saya.
    ''Kisah percintaan saya bermula apabila kerap dihantar bertugas ke Tawau, Sabah. Di sana pasti bertemu ramai wanita Filipina, orangnya cantik, peramah dan senang didampingi. Pertemuan pertama dengan Bella pertengahan tahun lepas berakhir dengan perjumpaan berulang-ulang kali.
    ''Dari mula berkenalan akhirnya beberapa kali kami terlanjur hingga Bella ditangkap oleh Imigresen Sabah kerana tiada pasport dan dihantar balik. Dua bulan selepas itu dia datang semula, kami berjumpa dan saya jatuh cinta dengan kelembutan dan keramahannya.
    ''Bermula dengan berkenalan akhirnya timbul niat baik saya hendak menyelamatkan Bella dengan berkahwin dengannya. Walaupun dia baru berusia 24 tahun tapi sudah mempunyai seorang anak kerana dipermainkan kekasihnya. Kerana kecewa dia lari ke Tawau mencari pekerjaan menyara hidupnya dua beranak.
    ''Atas dasar simpati saya hulurkan bantuan ribuan ringgit supaya dia balik ke kampungnya di Molave, Zamboanga Del Sur. Dia balik secara haram dengan bot. Demi cinta saya berjanji akan ambil anaknya sebagai anak sendiri. Beribu ringgit duit saya terbang untuk membiayainya kerana dia setuju nak masuk Islam.
    ''Walaupun berjauhan, kami sentiasa berhubung melalui telefon. Kegilaan saya membuat isteri dan anak-anak curiga. Saya terus-terang pada isteri, saya nak kahwin dengan wanita Filipina. Hanya Allah sahaja tahu perasaan isteri saya, walaupun dia bekerja, tapi dia sabar dengan kerenah saya, tak melawan, tak mengamuk, apa lagi memarahi saya, hanya air mata jadi teman setia.
    ''Kerana cinta, saya ke Cebu City bertemu Bella. Tapi dia tak tinggal di sana, dia tinggal dengan datuknya di Molave. Akhirnya kami berjumpa di Mactan International Airport, Cebu. Saya berjumpa dengan ibu bapa dan anaknya. Empat hari saya di sana.
    ''Keluarga Bella dan kehidupan penduduk di sana amat daif dan miskin. Itu membuatkan saya berjanji akan pelihara Bella dan anaknya. Saya sempat solat di rumahnya! Di rumah orang Kristian. Mereka hairan, tapi niat saya semoga satu hari nanti Allah bukakan pintu hati mereka. Amin!
    ''Banyak saya berbelanja untuk keperluan mereka, beribu ringgit saya habiskan sebelum kembali ke KL. Semuanya demi cinta. Tak lama kemudian Bella beritahu dia jatuh sakit, saya hantar duit untuk dia berubat.
    ''Ketika itu saya langsung tak peduli perasaan isteri saya. Pertama kerana tengah mabuk cinta, kedua, hati saya ikhlas nak bawa Bella masuk Islam.
    ''Tak lama lepas itu datuk Bella mati, saya korban duit ringgit untuk terbangkan keluarganya dari Cebu ke Molave. Untuk pengetahuan, sepanjang hidup mereka tak pernah naik kapal terbang.
    ''Saya baiki rumah buruk mereka supaya hidup mereka lebih selesa, saya pasangkan Internet. Saya carikan kerja untuk Bella dan sediakan rumah di KL.
    ''Diri saya juga turut berubah, kalau dulu gila motor besar, sejak bercinta saya jual motor besar, sebab saya fikir tak ada masa untuk itu semua. Saya turun naik pejabat imigresen dan kedutaan Filipina di KL bertanya cara membawa Bella. Pendek kata semua sudah sedia kecuali restu isteri.
    ''Untuk urusan perkahwinan, saya ke Clark City memujuknya segera nikah, lepas tu kami makan angin ke Manila. Akhirnya Bella setuju nikah dan masuk Islam. Tapi syaratnya saya tidak boleh ceraikan isteri saya. Dalam masa sama, saya siapkan tempahan baju dan hotel untuk resepsi perkahwinan kami.
    ''Tetapi manusia hanya merancang, Allah maha mengetahui, mungkin Allah makbulkan doa saya di depan Baitullah sewaktu menunaikan umrah bersama isteri saya. Dalam doa saya memohan agar Allah bukakan pintu hati Bella menerima Islam.
    ''Entah macam mana tiba-tiba saya rasa curiga. Belek punya belek gambarnya dalam facebook, akhirnya saya terjumpa gambar terbaru Bella dengan bekas teman lelakinya. Terkejut saya. Saya tanya Bella. Dia cuba berbohong, tapi dia tidak berjaya menipu saya.
    ''Tak sangka dia sanggup tipu saya, sedangkan saya korbankan segalanya. Akhirnya dia mengaku, dia belum bersedia masuk Islam dan tak cintakan saya. Dia mengaku gunakan saya untuk kikis duit demi kesenangan hidupnya. Sakitnya hati!
    ''Saya rasa diperbodohkan. Alasannya dia boring dan sepi sebab saya jauh di Malaysia, sedangkan dia di sana. Punyalah hangin saya, inikah kesetiaan? Memang dasar perempuan penipu! Jerit saya.
    ''Saya kesal. Nasib baik isteri saya penyabar dan setia, walaupun saya hancurkan hatinya, hanya Allah tahu betapa remuknya perasaannya selama ini. Saya tak salahkan sesiapa, hanya Allah yang tahu. Pengalaman pahit ini sukar saya terima. Duit habis lebih RM30,000 tapi itu saya tak kisah, namun masalah kena tipu paling sakit!
    ''Buat semua lelaki warga Malaysia yang berhasrat berkahwin dengan warga Filipina atau warga seberang, fikir masak-masak. Cantik memang cantik, menarik dan menawan, tetapi racun di dalamnya sangat berbisa...they just a liar!!! Jangan percaya bulat-bulat, selidik dan periksa dulu, kalau perlu buat serbuan mengejut.
    ''Saya rasa mungkin bukan saya seorang terkena, ramai lagi lelaki lain sudah terkena, terutama yang sering ke Princess, Tawau, cuma mereka tak mengaku. Tawau ada ramai gadis Filipina bekerja di sarang pelacuran, kerana itu sumber hidup, sebab mudah cari duit.
    ''Jabatan Imigresen Sabah lebih faham, sebab mereka buat operasi, namun saya harap operasi lebih keras dan kerap. Sebab kalau dihantar balik dua tiga bulan kemudian mereka datang lagi.'' Itu pengakuan Fikri panjang lebar tentang pengalaman pahit bercinta dengan warga asing, bukan murah tapi mahal, bukan mudah tetapi susah.

    Suami makin galak selepas dibuang kerja

    Posted: 14 Oct 2012 07:39 PM PDT

    SAAT yang paling gembira di hati seorang wanita adalah apabila bergelar isteri dan ibu. Terasa sempurna dilahirkan sebagai wanita kerana telah berkorban untuk membahagiakan dan membesar sebuah keluarga yang tercinta.
    Amanah yang digalas amat besar dan berat, jika tersalah langkah akan kecundang dan merana sepanjang hayat. Pun begitu ada kalanya manusia terlupa akan amanah ini apabila telah dapat apa yang mereka mahu.
    Tidak kira isteri atau suami, jika leka membahagiakan rumah tangga, anak-anak akan menjadi mangsa. Bapa sibuk dengan dunianya sendiri, mengejar mimpi yang tidak pasti. Isteri pula merajuk hati dan lari membawa diri.
    Bagaimana jika suami yang buat hal? Tentu isteri yang tertekan, namun hidup mesti diteruskan dengan doa agar satu hari nanti suami akan berubah fikiran dan kembali ke pangkuan keluarga.
    Demikian inti pati kisah yang dikirim oleh Mas (bukan nama sebenar) untuk dikongsi dengan pembaca. Nak tahu cerita Mas seterusnya, ikuti pengakuannya ini.
    "Saya, berusia lewat 30-an, bernikah dengan suami yang saya panggil Asri (bukan nama sebenar) kira-kira 15 tahun lalu. Kami dikurniakan sepasang cahaya mata berusia 13 dan 11 tahun. Kami suami isteri adalah penjawat awam.
    "Pada awal pernikahan, kami amat bahagia kerana tiada masalah kewangan, jika ada pun masih boleh ditangani dengan baik. Perbelanjaan kami sederhana dan itu sudah cukup, tidak perlu bermewah memandangkan kedua-dua anak kami masih bersekolah.
    "Di luar pengetahuan saya, suami telah melakukan kesalahan yang serius sehingga dibuang kerja. Menurut laporan yang diterima kesalahan tersebut tidak boleh dimaafkan kerana telah berulang kali berlaku.
    "Berita tersebut tentu menghancurkan hati saya sebagai isteri, terutama apabila mengenangkan suami seorang yang tegas dengan saya dan anak-anak. Dalam tempoh beberapa bulan Asri menjadi penganggur.
    "Perbelanjaan kami bertambah merosot sehingga anak-anak pun terpaksa dicatu perbelanjaan sekolah mereka. Puas mencari pekerjaan yang sesuai, namun kesemuanya mendukacitakan.
    "Sehinggalah akhirnya mungkin rezeki anak-anak, Asri diterima bekerja di sebuah syarikat swasta. Selepas tiga tahun bertugas, perangainya yang lama berulang kembali. Dia jatuh cinta dengan seorang gadis bernama Anita (bukan nama sebenar) yang bekerja sebumbung dengannya.
    "Maklumat yang saya terima, suami saya hanya bertepuk sebelah tangan, maksudnya cintanya terhadap Anita tidak berbalas. Tetapi ego lelaki tinggi apabila ditanya saya akan dimarahi dan terus keluar dari rumah dan pulang hampir subuh.
    "Begitulah perangainya sehingga kini. Dia tidak mahu berubah dan tidak mahu menerima hakikat yang gadis bernama Anita itu tidak menerima cintanya.
    "Pelbagai cara dilakukan oleh suami untuk mendekati gadis itu. Perkara ini menjadi sebutan ramai. Ada dalam kalangan kawan-kawannya menjadi penasihat tidak bertauliah dengan menyuntik semangat supaya dia berusaha mendapatkan gadis tersebut dengan apa cara sekali pun.
    "Hidup jika lupa asal usul memang sukar untuk mencapai sesuatu yang dihajati. Kesalahan silam yang pernah meragut kerjayanya sepatutnya menjadi peringatan untuk berubah sikap demi masa hadapan keluarga tetapi sebaliknya pula yang berlaku.
    "Saya cuba menasihatinya, namun umpama mencurah air di daun keladi. Sia-sia sahaja. Di penghujungnya saya dipersalahkan kerana tidak bersyukur dengan apa yang ada. Bagaimana harus bersyukur jika suami masih mencari di luar, sedangkan saya harus berkorban untuk rumah tangga?
    "Perbelanjaan rumah, saya yang banyak keluar dan dahulukan. Pendek kata segala-galanya saya yang harus dahulukan. Dia buat tidak tahu sahaja dan sibuk dengan aktivitinya mengurat Anita yang tidak berkesudahan.
    "Apa muslihat lelaki yang menjadi suami saya ini? Apa yang ingin dia lakukan sedangkan dia tahu, hasilnya bagaimana?.
    "Anak-anak pernah bertanya saya mengapa ayah selalu pulang lewat dan hujung minggu tidak pernah ada di rumah. Saya malu dengan anak-anak, bagaimana hendak saya jelaskan kepada mereka.
    "Nak berbohong? Mereka sudah dewasa untuk memahami apa yang terjadi dalam hubungan saya dengan bapa mereka.
    "Apa yang saya dengar daripada kenalannya, Asri memang sentiasa mengganggu Anita. Dia mendera perasaan gadis itu, dicabarnya Anita supaya melaporkan kepada pihak berkuasa jika benar ada bukti dia diganggu. Memang susah nak dapatkan bukti sebab semua itu dibuatnya dengan teliti sehingga sukar untuk dikesan.
    "Sebagai isteri, saya malu pada masyarakat dan teramat malu kepada diri sendiri seolah-olah saya tidak tahu menjaga suami yang menjadi liar yang luar biasa. Saya juga pelik dengan sikapnya tidak sedar diri dan tidak mahu cermin diri sendiri.
    "Sepatutnya dia menjaga maruah dirinya sebagai lelaki. Dia juga harus sedarkan diri, mesti faham bila orang tak mahu maknanya lebih baik angkat kaki, jangan nak hadap lagi. Ini tidak, terhegeh-hegeh juga nak ganggu orang. Jika saya di tempat Anita, saya juga akan melakukan perkara yang sama.
    "Saya tahu Anita bukan gadis yang suka merampas hak orang lain. Dia mungkin beranggapan buat apa diganggu rumah tangga orang, sedangkan ramai lagi yang masih bujang!!!. Biarlah menjadi andartu daripada menjadi kutu malam yang sentiasa buat kacau sana sini. Di mata saya, Anita seorang gadis yang bijak, sebab itu dia bertindak macam itu.
    "Saya berasa masih belum terlambat untuk suami saya menoleh ke belakang dan melihat saya dan anak-anaknya yang terabai selama ini. Beri perhatian kepada anak-anak, sebab itu amanah daripada Allah. Bukan mengejar Anita ke sana-sini.
    "Saya pelik kenapa suami apabila buat hal tidak pernah langsung nak ingat akan janji-janji di hadapan tok kadi tentang peranan dan tanggungjawab suami terhadap isteri dan anak-anak. Ini bukan soal sehari dua tetapi sepanjang hayat.
    "Sekarang masanya untuk melunaskan segala yang belum terlaksana. Apa yang kurang diperbetulkan, malah ditingkatkan segala-galanya agar hidup isteri dan anak-anak terpelihara di dunia dan akhirat.
    "Saya sudah letih menasihati dan menegur. Bukan didengarnya, sebaliknya saya pula dipersalahkan. Saya tidak mahu lagi menambah dosa. Saya hanya mampu berdoa agar suatu hari nanti suami akan sedar dan kembali ke pangkal jalan.
    "Jika dia terbaca ruangan ini, saya amat berharap dia lupakan hasratnya untuk mendapatkan Anita kerana tidak semua perempuan suka hak orang, malah mereka malu untuk dilabel sebagai perempuan perampas!
    "Peliharalah maruah keluarga dan maruah orang lain kerana kita semua adalah makhluk yang dikurniakan dengan akal yang sempurna untuk berfikir. Fikir dengan waras sebab isteri, anak-anak dan keluarga adalah amanah Allah.
    "Jangan ikut hati dan perasaan. Jangan ikut perangai kawan-kawan yang suka melihat orang lain hidup susah dan menderita. Mereka hanya mencabar tapi kalau suruh buat, tentu mereka tak berani. Sebab lelaki macam itu hanya pandai bercakap tetapi tidak ada keberanian. Mereka juga takutkan isteri.
    "Saya amat berharap, satu hari nanti Allah akan makbulkan doa saya untuk melihat semula suami kembali menjadi Asri yang pertama kali saya kenal dahulu. Asri yang bertanggungjawab dan penyayang. Mudah-mudahan Allah akan makbulkan doa saya. Amin!'' begitu Mas menutup ceritanya.     
    Syabas Mas kerana menjadi seorang isteri yang tabah dan sabar melayan kerenah suami. Apa yang Mas lakukan patut dicontohi isteri-isteri yang menghadapi masalah yang sama seperti Mas. Elak daripada melatah dan bertindak mengikut hati tetapi gunakan akal untuk berfikir dan utamakan anak-anak dalam apa juga keputusan yang diambil.
    Saya turut mendoakan kebahagiaan untuk Mas dan anak-anak. Insya-Allah, kesabaran akan menghasilkan kebahagiaan. Ingatlah, Allah sentiasa mendengar doa hamba-Nya.
    Sebagai penamat catatan, sepatah pesanan daripada saya, dekatilah Allah dalam suka, insya-Allah Dia akan mengenalmu dalam susah.
    Salam

    Nilai estetika rekaan Bernard

    Posted: 14 Oct 2012 07:38 PM PDT

    CIPTAAN kali ini walaupun ringkas tetapi penuh inovasi dan nilai elektisisme.
    BERGAYA luar biasa tanpa perlu berbelanja besar dengan gaya ikonoklasisme, konsep terbaru daripada pereka tersohor Datuk Bernard Chandran.
    Pereka tempatan yang telah bertapak di kota London ini, menampilkan koleksi terbaru sempena musim luruh/sejuk 2012 yang ringkas, namun dilihat sebagai satu inovasi dan elektisisme yang merentasi seni dan fesyen.
    Bernard menghasilkan sesuatu yang unggul dalam rekaannya yang menggabungkan seni dan fesyen dengan gaya tersendiri dari segi potongan, fabrik yang digunakan dan penambahan perhiasan pada fabrik.
    Reka bentuk dan potongan yang ringkas dengan nilai estetika dalam rekaan fabrik, menonjolkan lagi hasil rekaan Bernard dengan sentuhan yang segar.
    Muncul dengan rekaan garis di bahagian leher, bahu dan lengan yang halus dan garisan lengkung membangkitkan keberanian dan keyakinan kepada pemakainya.
    Untuk stail yang menjadikan orang ramai mengenali jenama ini, koleksi kali ini didatangkan dengan kombinasi corak, bentuk dan perubahan dalam penghasilan rekaan fabrik.
    Menghasilkan kot luar yang menarik dengan padanan fabrik dan perhiasan, menjadikan fabrik tersebut kelihatan penuh dengan nilai seni yang kreatif.
    "Kebanyakan fabrik koleksi ini menggunakan plastik hiasan, renda, organza, jersi, bulu dan kain yang juga sesuai untuk lelaki," kata Bernard.
    Gabungan warna yang sarat dengan hitam, kelabu gelap, kelabu perak dan mainan warna seni seperti biru diraja, coklat emas dan gangsa dalam koleksi kali ini juga menyerlahkan lagi kreativiti Bernard.
    Malah, koleksi kali ini turut menampilkan penambahan pada aksesori 'wajib' seperti kalung leher, tali pinggang berbentuk hati, bibir dan bunga ros serta kolar untuk kelihatan lebih artistik.
    Dalam pada itu, Bernard menambah, setiap fesyen dan gaya rekaannya mempunyai nilai tersendiri, manakala penambahan hiasan sekadar untuk menyerikan koleksi tersebut.
    "Saya inginkan sesuatu koleksi pakaian yang boleh memberi kelebihan kepada pemakai yang mana ini mampu berubah mengikut kesesuaian keadaan seperti daripada pakaian di tempat kerja ke majlis makan malam atau daripada pakaian formal ke pakaian santai," katanya.
    Rekaan yang menggunakan garisan itu juga memperlihatkan sikap tenang yang melambangkan kekuatan dan keyakinan bagi wanita yang memakainya serta mencerminkan personaliti tanpa perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk kelihatan anggun dalam berfesyen.

    30 peratus lepasan SPM cemerlang diserap sebagai guru pelatih

    Posted: 14 Oct 2012 07:35 PM PDT

    Muhyiddin Yassin melayari laman Facebook Guru Muda 1Malaysia (GM1M) sambil diperhatikan oleh Abdul Ghani Othman dan Ketua Pengerak GM1M Negeri Johor, Alias Sogok (dua dari kanan) pada Perhimpunan GM1M Zon Selatan di Johor Bahru, semalam.
    JOHOR BAHRU 13 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, 30 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan cemerlang dan berminat dengan bidang perguruan akan diserapkan sebagai guru pelatih mulai tahun depan.
    Menurut Timbalan Perdana Menteri, sebelum ini, mereka yang dipilih adalah dalam kalangan mereka dengan keputusan 6A atau 7A, namun kelayakan itu akan dinaikkan kepada 9A.
    "Hampir 400,000 menduduki SPM dan kita ambil yang terbaik sekiranya mereka berminat. Hanya 30 peratus yang cemerlang akan dipilih dengan syarat lebih ketat.
    "Ini sasaran baru supaya guru-guru yang terlatih adalah yang terbaik, kita akan mulakan kriteria ini tahun depan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Perhimpunan Guru Muda 1Malaysia (GM1M) peringkat Zon Selatan di sini hari ini.
    Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud dan Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Md. Hasidin Zaini.
    Muhyiddin turut merasmikan laman Facebook GM1M sebagai medium untuk semua guru muda di negara ini berhubung selain berkongsi pendapat mengenai perkara-perkara berkaitan.
    Sementara itu, pada sidang akhbar selepas majlis berkenaan, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya sudah memperoleh data daripada pembentangan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang akan digunakan sebagai asas peningkatan kualiti tenaga pendidik.
    "Satu perkara yang kita akan tumpukan adalah meningkatkan kualiti pengajaran guru bahasa Inggeris yang kini berjumlah hampir 70,000 orang. Latihan-latihan tertentu telah dibuat dan kita ada piawaian yang akan kita gunakan berdasarkan Cambridge Placement Test sebagai ukuran," katanya.
    Muhyiddin turut mengumumkan penambahan 25 pembantu guru bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat tahun hadapan sebagai tambahan kepada 50 sukarelawan sedia ada di sekolah-sekolah terpilih.

    Kerjasama bentuk kurikulum 3 bidang

    Posted: 14 Oct 2012 07:34 PM PDT

    Salmah Hayati Ghazali menyampaikan hadiah kepada peserta Giatmara Kuala Lumpur yang memenangi Pertandingan Fotografi sambil diperhatikan Wahid Hashim (kanan) di Pasir Gudang, Johor Bahru, semalam.
    JOHOR BAHRU 13 Okt. - Utusan Malaysia dan GiatMara akan bekerjasama bagi membentuk kurikulum modular dalam tiga bidang bagi memantapkan Kelab Teknologi Bumiputera di bawah GiatMara.
    Pengurus dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim berkata, tiga bidang tersebut ialah Kemahiran Interpersonal, Komunikasi Keusahawanan Bahasa Inggeris dan Perundingan Media.
    Beliau berkata, kerjasama itu dilihat mampu menjadi platform kepada kedua-dua pihak mewujudkan skim latihan kemahiran khusus untuk golongan lepasan sekolah yang kurang cemerlang dalam bidang akademik.
    "Kurikulum modular itu akan dirangka secara bersama dan pihak GiatMara sudah menyatakan persetujuan mereka dalam perkara tersebut.
    "Kerjasama itu juga bermatlamat untuk memartabatkan bidang pendidikan vokasional dalam kalangan masyarakat umum," katanya kepada Mingguan Malaysia selepas majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Karnival Inovasi GiatMara & Bike Skills Fest (BSF) di GiatMara Pasir Gudang, dekat sini hari ini.
    Majlis penyampaian hadiah tersebut disempurnakan oleh Pengarah Kanan Sektor Pelaburan Mara, Salmah Hayati Ghazali selaku wakil rasmi kepada Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad dan turut dihadiri Pengurus Besar GiatMara Johor, Khairuddin Hashim.
    Karnival anjuran GiatMara Malaysia dengan akhbar Utusan Malaysia sebagai rakan strategik itu disertai seramai 193 peserta dalam pelbagai kategori pertandingan inovasi dengan jumlah peserta paling ramai adalah dari Perak seramai 29 orang, diikuti Johor (22), Negeri Sembilan (17), Pulau Pinang (16), Selangor dan Wilayah Persekutuan masing-masing 15 penyertaan.
    Antara pertandingan inovasi yang disediakan termasuk Pertandingan Kemahiran Motosikal (kategori pelatih dan usahawan), Pertandingan Fotografi, Pertandingan Air Brush Topi Keledar, Pertandingan Apple E-Book dan Pertandingan Dell Alienware.
    Bagaimanapun, hadiah utama bagi setiap kategori pertandingan akan disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Majlis Perasmian GiatMara Pasir Gudang esok.
    Wahid berkata, pihaknya juga akan membantu menyediakan modul dan penceramah yang bersesuaian bagi ketiga-tiga bidang tersebut selain menyediakan atur cara program, bahan ceramah serta fail setiap program.
    Beliau berkata, pihaknya juga akan menyediakan perkhidmatan perundingan media, menyediakan pangkalan data bagi setiap peserta selain beberapa perkara lain.

    Graduan isi 1,000 jawatan Inspektor

    Posted: 14 Oct 2012 07:31 PM PDT

    Ismail Omar bersalaman dengan sebahagian Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi pada program Bersatu Memerangi Jenayah di Kuala Lumpur, semalam.
    KUALA LUMPUR 12 Okt. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil secara terus golongan mahasiswa yang bakal menamatkan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tidak lama lagi bagi mengisi kekosongan 1,000 jawatan Inspektor seperti diumumkan dalam Bajet 2013 baru-baru ini.
    Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, sebagai langkah permulaan, pasukan itu akan membuka gerai-gerai di majlis konvokesyen untuk menawarkan kerjaya tersebut kepada mereka yang mempunyai bakat dan berminat menyertai PDRM.
    "Mahasiswa yang baru tamat pengajian tidak perlu mengemukakan ijazah mereka untuk menyertai polis kerana PDRM bakal melaksanakan proses pengambilan di universiti sejurus mereka tamat pengajian.
    "Proses pemilihan dan temu duga itu akan dijalankan Jabatan Pengurusan Bukit Aman bagi memastikan tenaga muda yang diperoleh di institusi berkenaan mampu meningkatkan prestasi PDRM.
    "Langkah itu dilakukan bagi mengisi kekosongan 1,000 jawatan Inspektor seperti dalam pembentangan Bajet 2013 terutama golongan pegawai wanita yang masih kurang. Kita mahu capai sasaran 15 peratus pegawai wanita dalam PDRM," katanya.
    Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri program Bersatu Memerangi Jenayah yang dihadiri 192 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) dari Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Bukit Aman, di sini hari ini.
    Mengulas lanjut, Ismail berkata, beliau percaya kaedah pemilihan terus di institusi pengajian tinggi (IPT) boleh menemukan bakat baru dalam kalangan mahasiswa dalam bidang kepolisan.
    Beliau menjelaskan, pihaknya akan turut melakukan pengambilan jawatan itu di IPT swasta kerana mahukan kemahiran yang pelbagai.
    "Syarat untuk menyertai PDRM bagaimanapun tetap sama iaitu berusia 18 tahun ke atas, mempunyai ketinggian serta berat badan yang mencukupi serta berijazah bagi jawatan Inspektor," katanya.

    Note 10.1 bukan sekadar tablet

    Posted: 14 Oct 2012 07:29 PM PDT

    Kerja-kerja melukis graf juga boleh dilakukan dengan menggunakan tablet model Samsung Note 1 ini.
    ENGGUNAAN komputer tablet kadang-kala tidak dapat menandingi keupayaan komputer biasa yang lazimnya memberi kemudahan dalam melakukan aktiviti seperti melukis graf dan membuat pembentangan di kelas.
    Namun, dengan menggunakan komputer tablet model Samsung Note 10.1 yang mana kerja-kerja tersebut amat mudah dilakukan dengan hanya menggunakan komputer jenis tablet.
    Model yang dibina melalui model asalnya Galaxy Note, Samsung mengambil langkah berani dengan membesarkan paparan dan ciri-ciri tambahan kepada tabletnya ini.
    Walaupun ketika ini pengeluar tablet rancak membina gajet yang lebih kecil namun Samsung berani dalam memberi keselesaan kepada pengguna dengan paparan yang lebih besar.
    Model Note sememangnya popular dengan penggunaan S Pen yang seakan-akan pen sebenar untuk menulis di tablet ini. Ia bukan sahaja dapat mengenal pasti tulisan bahkan juga gambarajah yang dilukis dengan aplikasi pemadanan bentuk.
    Jadi bagi pelajar yang mempunyai pembentangan di kelas yang memerlukan masa yang sedikit, tablet Note 10.1 adalah gajet yang paling mudah untuk membantu pelajar dalam menyiapkan tugasan mereka.
    Bukan itu sahaja, formula matematik, fizik dan kimia juga dapat dikenal pasti dengan mudah apabila pengguna hanya menulis formula dan komputer akan memberikan struktur formula yang lengkap.
    Selain itu, Samsung Note 10.1 ini juga menyediakan aplikasi seperti Photoshop Touch yang membolehkan pengguna mengedit gambar terus daripada tablet tanpa memuat turun ke dalam komputer.
    Penggunaan kamera berkuasa lima megapiksel, aplikasi S Note dan skrin pelbagai guna sememangnya memberi kemudahan kepada pengguna komputer tablet ini.
    Boleh dikatakan, tablet ini bukan sekadar tablet biasa dan sememangnya sebuah komputer mudah alih yang sangat memahami kehendak pengguna yang kian dikekang oleh masa.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan

    Label

    Senarai Lagu