Ahad, 27 November 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Lisa serah kepada Yusry

Posted: 27 Nov 2011 04:14 PM PST


SECOCOK... Gaya Lisa Surihani dan Yusry sewaktu menghadiri Festival Filem Malaysia Ke-24 di Putrajaya, minggu lalu.


LEWAT kebelakangan ini memang cukup heboh diperkatakan tentang perkahwinan pasangan kekasih, Yusry Abdul Halim dan Lisa Surihani yang dikatakan akan berlangsung pada Februari depan.

Bukan itu sahaja, Astro juga dikatakan bakal menjadi stesen rasmi majlis perkahwinan yang bakal diadakan dalam suasana gilang-gemilang. Dalam erti kata lain, perkahwinan mereka itu bakal menjadi wedding of the year.

Atas alasan itu, Lisa dan Yusry juga dikhabarkan sibuk membuat persiapan perkahwinan mereka termasuk menempah barangan serta pakaian untuk hari bersejarah nanti.

Apakah benar desas-desus yang sedang hangat diperkatakan ketika ini? Peluang bertemu dengan Lisa usai majlis pratonton filem Ombak Rindu di Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Hits mengambil kesempatan untuk bertanyakan perihal tersebut.

Dalam nada penuh diplomasi, Lisa menafikan dirinya dan Yusry kini sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan seperti mana yang digembar-gemburkan.

"Saya sendiri tidak tahu bagaimana cerita itu timbul kerana kami memang tidak membuat sebarang persiapan ketika ini.

"Abang (panggilan manja untuk Yusry) sedang sibuk dengan penggambaran filem Vikingdom dan saya juga ada agenda sendiri. Jadi, mana mungkin kami membuat persiapan ketika ini.

"Seperti mana yang pernah saya katakan sebelum ini, adalah lebih baik jika abang yang jelaskan semuanya tentang perkara selanjutnya. Kalau saya yang asyik bercerita, memang tidak manis.

"Insya-Allah, abang akan menamatkan penggambaran Vikingdom pada 20 Disember ini. Jadi, selepas itu, bolehlah mendapatkan sebarang pengesahan daripadanya," ulas Lisa yang tidak mahu berlebih-lebihan bercerita tentang kisah cintanya bersama Yusry kerana bimbang menjadi bahan cemuhan masyarakat.

Dalam perkembangan lain, pemilik nama penuh Lisa Surihani Mohamed ini memberitahu, dia tidak mahu dikaitkan dengan sebarang kisah silam Yusry.

Baginya, apa yang pernah berlaku dalam hidup Yusry adalah kenangan silam dan sebagai orang baru dalam hidup Yusry, Lisa tidak mahu mencampuri cerita lama kekasihnya itu.

Apa yang penting, kehadirannya dalam hidup Yusry bagi menempuh perjalanan mereka di masa akan datang.

"Saya tidak kisah dengan status Yusry sebagai seorang duda. Bagi saya, dalam perhubungan, masa bukanlah penentu untuk kita layak atau tidak bersama dengan orang yang kita sayangi itu.

"Sebagai contoh, saya sendiri pernah menjalinkan hubungan selama lapan tahun tetapi ia berakhir juga. Walaupun saya bersama Yusry tidak sampai setahun, tetapi kami memiliki keserasian.

"Saya fikir saya tidak mahu ulas lanjut tentang hubungan dengan Yusry. Biarlah masa yang menentukan dan apabila tiba waktunya nanti, barulah kita menerangkan perkara yang sepatutnya," kata pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 menerusi filem Lagenda Budak Setan.

Peluang terbaik

Menyentuh tentang lakonannya dalam Ombak Rindu, Lisa menjelaskan ia adalah peluang terbaiknya untuk bekerjasama dengan pengarah dan pelakon hebat.

Apatah lagi, dia sendiri mengagumi karya Osman Ali sebelum ini dan sebagai bakat baru, adalah menjadi impiannya untuk berlakon di bawah arahan Osman.

Begitu juga apabila dia berpeluang bergandingan bersama Maya Karin dan Aaron Aziz dalam filem yang diadaptasi daripada novel karya Fauziah Ashari itu.

Membawakan watak Mila yang obses meskipun mengetahui Hariz (Aaron) tidak lagi mencintainya, Lisa menyifatkan watak tersebut memberi dimensi baru kepada lakonannya.

"Saya lebih suka mengatakan Mila bukan watak antagonis tetapi karakternya sukar diramal dan banyak dipengaruhi senario sekelilingnya.

"Malah, saya percaya dalam diri kita sendiri pun ada watak sedemikian apabila ada sesuatu yang membuatkan kita marah dan tidak puas hati kerana tidak mendapat apa yang diinginkan," katanya yang mengakui, tiada masalah ketika di lokasi .

Lisa sempat berkongsi cerita lucu sewaktu melakonkan adegan atas katil bersama Aaron.

"Sebelum adegan itu, saya baru sahaja memakan lebih kurang 10 ulas petai dan telah meninggalkan bau yang sangat kuat. Dalam masa yang sama, saya baru dapat tahu bahawa Aaron tidak sukakan petai.

"Dengan pantas saya mengunyah gula-gula getah dengan banyak untuk menghilangkan bau mulut tetapi nampaknya ia tidak hilang.

"Penggambaran perlu dilakukan dan ketika itulah wajah Aaron berubah yang memberikan hasil yang menarik seperti mana dapat ditonton di layar," kata Lisa dalam derai tawa.

Ombak Rindu terbitan Tarantella Pictures, kerjasama Astro Shaw itu akan mula ditayangkan pada 1 Disember ini.

Mengharap sinar tahun baru

Posted: 27 Nov 2011 04:13 PM PST


SITI Nurhaliza meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk melihat kempen SimplySiti Di Hati berjaya mencapai sasarannya.


APABILA penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mengambil inisiatif untuk menerbitkan album Inggeris pertamanya, All Your Love, ada segelintir pihak seolah-olah memperlekeh-lekeh usaha penyanyi itu.

Namun, bagi penyanyi kesayangan ramai itu, dia sedikit pun tidak ambil hati mahupun peduli akan kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya.

Apa yang penting bagi Siti Nurhaliza, dia melihat kelahiran All Your Love sebagai satu cabaran selain memperbaiki skil komunikasinya di dalam bahasa Inggeris.

"Segala apa yang diperkatakan tentang usaha itu, saya lebih selesa untuk melihatnya dari sisi positif demi kebaikan diri sendiri.

"Saya sendiri mencabar diri saya untuk ke depan apabila menerima undangan daripada rancangan berbahasa Inggeris seperti Bella dan Hello On Two (HOT) untuk mempromosikan album All Your Love.

"Walaupun ada ketikanya dalam butir bicara saya ketika itu tergagap dan tersangkut, tetapi setidak-tidaknya saya mencuba. Alhamdulillah, saya mendapat maklum balas yang sangat baik terutama daripada peminat," kata wanita yang mesra disapa Siti ini sambil ketawa kecil sewaktu ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Menyentuh tentang All Your Love, Siti meningkah dakwaan yang mengatakan All Your Love sudah mencatatkan jualan melebihi 40,000 salinan seperti mana yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Katanya, jumlah penjualan album yang sebenar hanya akan diketahui selepas enam bulan ia berada di pasaran.

"Disebabkan itu, saya sendiri pelik bagaimana berita tentang All Your Love yang dikatakan terjual melebihi 40,000 salinan itu boleh tersebar.

"Walhal album itu baru berada di pasaran sekitar dua bulan sejak September lalu. Tetapi apa yang saya diberitahu, All Your Love sudah pun terjual melebihi 10,000 unit.

"Syukur Alhamdulillah, dengan jumlah itu, ia membuktikan percubaan pertama saya melahirkan album Inggeris diterima baik oleh peminat dan pencinta muzik secara amnya.

"Sehinggakan ada beberapa buah lagu sudah pun ditukar muziknya kepada lebih rancak (remix) dan dimainkan di kelab-kelab hiburan. Secara tidak langsung, mereka menerima baik lagu-lagu Inggeris saya," jelas penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang ini dalam nada gembira.

Dalam perkembangan lain, Siti juga berkongsi cerita apabila lagu kolaborasinya bersama Sean Kingston, Remember You mendapat tempat di hati pencinta muzik di Indonesia.

Apa yang membanggakan kata Siti, lagu tersebut berjaya menduduki carta lima lagu teratas dalam beberapa buah carta stesen radio di sana.

Ternyata ia berita yang cukup menggembirakan kerana belum pun album itu berada di pasaran republik itu, ia sudah pun mendapat perhatian meluas.

"Insya Allah, jika tiada aral melintang, All Your Love akan berada di pasaran Indonesia dalam waktu terdekat ini. Berkemungkinan besar pada bulan Disember atau awal tahun depan.

"Dalam masa yang sama, pihak What's Up Entertainment juga kini sedang merancang untuk mengadakan siri persembahan istimewa sepanjang tahun depan bagi mempromosikan lagi album ini," ujar Siti tentang perancangan yang telah diatur untuk meluaskan lagi pasaran album yang mendapat edaran Warner Music Malaysia itu.

Melihatkan kepada sambutan hangat yang diberikan kepada album studio ke-15 miliknya, jelas Siti tidak mustahil untuknya menerbitkan album Inggeris keduanya di masa depan dengan sentuhan yang berbeza berbanding album All Your Love.

Konsert tradisional

TAHUN 2011 akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi dan sebagai penyanyi yang tidak betah duduk diam, Siti sudah pun mempunyai agenda tersendiri sepanjang tahun 2012.

Salah satunya adalah untuk mengadakan sebuah konsert tradisional yang sudah lama diimpikannya sejak sekian lama.

Bukan itu sahaja, Siti juga kini sedang menyiapkan dirinya dengan mengumpul material terbaik bagi menerbitkan album Melayunya yang dijangka berada di pasaran selewat-lewatnya sebelum penghujung tahun depan.

"Alhamdulillah, rezeki untuk saya membuat persembahan tidak pernah putus dan saya sendiri mendapat jemputan untuk mengadakan konsert di Singapura terutama konsert tradisional untuk tahun 2012.

"Selain itu juga, saya juga merancang untuk menerbitkan buku biografi bergambar sempena ulang tahun ke-17 pembabitan saya dalam bidang seni.

"Saya hanya mampu berdoa agar semuanya dapat disempurnakan dan berjalan lancar seperti mana yang diharapkan," ujar pemilik trofi Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak 11 kali ini penuh mengharap.

Tidak putus berdoa

SEBAGAI penyanyi pujaan ramai, sudah semestinya apa sahaja yang dilakukan oleh Siti akan meraih perhatian meluas dan semuanya mahu diambil tahu oleh peminat serta masyarakat.

Salah satu soalan yang sering dibangkitkan dan diajukan kepada Siti adalah tentang cahaya mata sementelah usia perkahwinannya sudah pun mencecah lima tahun pada 21 Ogos lalu.

Sambil tersenyum dan tidak pernah lelah untuk menjawab soalan berkaitan tentang anak, jelas Siti, sebagai seorang isteri dia sendiri tidak pernah putus berdoa kepada Yang Maha Esa untuk dikurniakan zuriat sendiri.

Meskipun ada yang mengesyorkan kepadanya untuk mengambil anak angkat atau mencuba proses pensenyawaan tabung uji (IVF), namun kata Siti, dia mahu mencuba kaedah normal selagi termampu.

"Bukan tidak pernah terfikir untuk mengambil anak angkat atau mencuba kaedah IVF, tetapi biarlah buat masa ini saya berusaha sendiri dan berdoa kepada Allah.

"IVF misalnya, ia bukanlah proses yang mudah dan tidak semestinya percubaan kali pertama akan membuahkan hasil. Semuanya bergantung juga kepada rezeki," jelas Siti memberikan hujahnya.

Projek amal Siti

BIARPUN sibuk dengan tugas hariannya sebagai seorang penyanyi, Siti tidak melupakan tanggungjawab sosialnya dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Menerusi produk kecantikannya, SimplySiti, penyanyi yang masyhur dengan lagu Biarlah Rahsia dan Bukan Cinta Biasa itu telah melancarkan kempen SimplySiti Di Hati.

Menerusi kempen yang akan berlangsung selama tujuh minggu bermula 1 Disember hingga 15 Januari 2012 itu, ia bertujuan untuk mengumpul dana sebanyak RM70,000 bagi membantu dua kanak-kanak penghidap penyakit jantung.

Dengan bantuan Institut Jantung Negara (IJN) menerusi Yayasan IJN, pihak SimplySiti telah mengenal pasti dua kanak-kanak yang memerlukan pembedahan segera pada bulan Disember ini.

Mereka yang terpilih ialah Siti Nur Syahira dan Tan Jia Yong, masing-masing berusia enam dan tiga tahun yang turut hadir pada majlis pelancaran SimplySiti Di Hati di Hotel Marriott, Putrajaya, baru-baru ini.

"Memang dari awal kempen ini digerakkan, saya mahu membantu golongan kanak-kanak daripada keluarga yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban mereka.

"Alhamdulillah, dengan bantuan Yayasan IJN sebagai rakan projek ini, semuanya berjalan lancar dan jika kempen ini mendapat dana yang lebih banyak lagi, maka, ramai kanak-kanak lain yang dapat dibantu," kata Siti dalam nada penuh optimis mengenai kempen yang turut mendapat kerjasama Watson's itu.

Turun padang

Menyentuh tentang idea tersebut, jelas Siti, selama hampir dua tahun SimplySiti berada di pasaran, pihaknya telah menganjurkan aktiviti berbentuk hiburan seperti sesi bertemu peminat dan konsert.

Apatah lagi, Siti sendiri pernah menjadi duta bagi projek amal untuk sebuah gedung membeli-belah sebelum ini lalu ia mencetuskan idea untuk Siti menerusi SimplySiti bagi kempen SimplySiti Di Hati.

Bagi melancarkan kempen ini, Siti juga akan turun padang dan bertindak sebagai perunding kecantikan SimplySiti di tiga cawangan Watson's terpilih iaitu Kuala Terengganu pada 3 Disember; Kangar, Perlis (10 Disember) dan Semua House, Kuala Lumpur (30 Disember).

Selain Watson's, IJN dan Hotel Marriott, Putrajaya, kempen ini turut mendapat kerjasama daripada syarikat penerbangan Air Asia menerusi Air Asia X.

Misi kerja amal Kak Pah

Posted: 27 Nov 2011 04:12 PM PST


KAK Pah menerima tiket penerbangan Oman Air daripada wakil syarikat penerbangan itu, Kathleen Leong pada sidang akhbar di kediaman biduanita itu di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.


BIDUANITA Datuk Sharifah Aini antara penyanyi tanah air yang bukan sahaja telah 42 tahun berkecimpung menerusi bidang nyanyian tetapi dia juga masih aktif dalam bidang yang telah sebati dalam dirinya itu sehingga ke hari ini.

Penyanyi yang mesra dengan panggilan Kak Pah ini turut tidak pernah melupakan kerja-kerja amal termasuklah dengan menganjurkan persembahan Majlis Makan Malam Amal Tiga Sahabat yang akan diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 17 Disember ini.

Menurut Kak Pah persembahan amal yang akan dijayakannya bersama dua penyanyi Indonesia, Grace Simon dan Dewi Yull itu bertujuan mengisi tabung Madrasah Tahfiz Tahsin al-Quran, Puchong, Selangor dan Baitul Ehsan, Taman Maluri, Kuala Lumpur.

"Ini bukan kali pertama saya mengadakan persembahan amal tetapi sejak 42 tahun menjadi penyanyi saya telah terbabit dalam hampir 3,000 persembahan dan kerja amal.

"Kali ini ia lebih kepada inisiatif saya dengan kerjasama Seri Dewi Production Sdn. Bhd., Hotel Royale Chulan dan Lime Events Management," katanya kepada Hits.

Pada pertemuan selepas sidang akhbar Makan Malam Amal Tiga Sahabat di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, Kak Pah berkata, dia terpaksa bekerja bagi menjayakan persembahan itu termasuklah mendapatkan pihak-pihak yang sudi tampil sebagai penaja.

Jelas penyanyi yang popular dengan lagu Seri Dewi Malam itu, dia antaranya berjaya mendapatkan tajaan daripada syarikat penerbangan Oman Air dan Jamu Mak Dara untuk menaja pelbagai barangan termasuklah hadiah cabutan bertuah pada persembahan itu kelak.

"Bagi menjayakan persembahan itu, saya melakukan sendiri kerja-kerja, daripada menulis surat dan mengetuk pintu pejabat banyak pihak bagi mendapatkan tajaan.

"Saya juga menjemput sendiri Grace dan Dewi bagi menjayakan persembahan ini. Apabila saya terangkan kepada mereka akan hasrat saya itu, mereka bersetuju untuk menjayakan persembahan itu bersama-sama saya.

"Selepas sekian lama menyanyi, sudah sampailah masanya saya lebih menumpukan kepada kerja-kerja amal seperti ini," ujarnya.

Selain membantu sekolah agama dan rumah kebajikan, penyanyi bersuara lemak merdu ini menyatakan impiannya mahu menubuhkan sebuah sekolah agama tahfiz al-Quran pada masa depan.

Jelas Kak Pah, waktunya telah tiba baginya berkecimpung dalam kerja-kerja amal yang boleh membawa bekalan pahala di akhirat dengan menggunakan sepenuhnya bakat serta popularitinya dalam bidang nyanyian.

"Sejak kebelakangan ini kerja-kerja amal saya lebih kepada membantu anak-anak yatim.

"Selain itu, saya juga aktif membantu membiayai perjalanan sekolah-sekolah agama terutamanya sekolah tahfiz al-Quran. Saya juga ada menaja pembiayaan pengajian beberapa pelajar di Afrika Selatan, Yemen dan Jordan," katanya.

Penyanyi berusia 57 tahun ini berkata, majlis makan amal itu nanti mengenakan bayaran daripada jualan meja yang berharga dari RM3,500 hingga RM10,000 untuk sebuah meja dengan 10 orang penonton.

"Selain daripada dua penyanyi terkenal itu, saya juga akan mengadakan persembahan pada malam itu.

"Kami bertiga juga akan berduet dalam sebuah lagu lama bertajuk Sepanjang Jalan Kenangan pada persembahan selama dua jam 45 minit itu nanti.

"Para tetamu yang hadir berpeluang memenangi cabutan bertuah antaranya dua tiket penerbangan ke mana-mana destinasi ke Eropah tajaan Oman Air.

"Sebarang pertanyaan berhubung tempahan meja ke majlis itu sila hubungi talian 019-2495277," ujarnya.

Tambah Kak Pah lagi, dia akan menghulurkan kesemua kutipan daripada jualan meja pada persembahan Makan Malam Amal Tiga Sahabat itu selepas ditolak kos penganjuran dan juga bayaran kepada Grace Simon dan Dewi Yull.

Mujurlah jelasnya lagi, banyak pihak yang sudi menaja persembahan itu terutamanya Oman Air di mana itu adalah kali pertama dia menyediakan hadiah cabutan bertuah dalam persembahan yang dianjurkannya itu.

Batman mahu bersara

Posted: 27 Nov 2011 04:07 PM PST




LOS ANGELES 27 Nov. – Pelakon Christian Bale (gambar) menyatakan bahawa dia akan 'bersara' daripada memegang watak superhero Batman.

"Saya tidak akan menyarung lagi kostum Batman dan era saya bersama superhero pujaan ramai itu bakal berakhir.

"Saya percaya seluruh produksi turut berakhir dan telah melakukan kerja yang terbaik," katanya yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem sorotan terbaru Batman, The Dark Knight Rises.

Era kegemilangan pelakon tersebut dalam filem Batman di bawah arahan pengarah Christopher Nolan bermula pada 2005.

Pelakon Adam West, Michael Keaton, Val Kilmer dan George Clooney adalah antara muka-muka yang pernah membintangi filem Batman.

Pelakon berusia 37 tahun tersebut menyatakan bahawa watak sebagai Batman lebih mudah diingati berbanding watak Catwoman yang dipegang oleh pelakon Anne Hathaway.

The Dark Knight Rises bakal memasuki pawagam pada 20 Julai tahun depan.

Penghuni Sekolah Harapan lahir bayi

Posted: 27 Nov 2011 04:05 PM PST


NORPIPAH Abdol (empat dari kiri) meraikan bayi yang baru dilahirkan di Hospital Melaka semalam.


MELAKA – Beberapa buah hospital kerajaan dan swasta di sini melahirkan seramai 24 bayi ketika sambutan tahun baru Maal Hijrah 1433 semalam termasuk seorang daripadanya adalah bayi lelaki yang dilahirkan oleh penghuni Sekolah Harapan di sini.

Bayi seberat 2.3 kilogram itu dilahirkan oleh seorang remaja perempuan berusia 18 tahun pada pukul 10.09 malam menerusi kaedah vakum.

Pengerusi Sekolah Harapan, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, pihaknya bersyukur remaja itu selamat melahirkan anak walaupun mengalami kesukaran melahirkan bayinya.

"Saya amat berharap remaja ini dapat melihat kelahiran bayinya pada sambutan Maal Hijrah tahun ini sebagai satu anugerah yang amat bernilai dan dijadikan pegangan hidup untuk menjalani kehidupan lebih baik," katanya.

Fina kini trauma dengan lelaki

Posted: 27 Nov 2011 04:03 PM PST

FINA menunjukkan kesan kecederaan pada lengannya akibat diikat dengan wayar seterika.


KOTA BHARU – Seorang gadis yang hampir menjadi mangsa ke-20 perogol bersiri tidak menyangka penjenayah terbabit sudah menunggu untuk merogolnya ketika dia keluar dari bilik air dalam keadaan berkemban dengan kain batik di sebuah asrama pekerja di sini kelmarin.

Gadis berusia 20-an itu yang dikenali sebagai Fina menegaskan, dia berasa sangat terkejut kerana sebaik sahaja terserempak, penjenayah terbabit terus mengacu pisau di leher sambil mengikat tangannya dengan wayar seterika.

Lebih mencemaskan, gadis yang berasal dari Tumpat itu berkata, lelaki itu terus menarik dia ke arah biliknya yang terletak paling hujung di asrama berkenaan sambil berkata: "Diam-diam saya cuma nak cari budak nama Yati.''

Keadaan asrama pekerja tempat dia tinggal ketika itu sangat sunyi kerana penghuni lain sudah pergi bekerja manakala jarak tandas dari biliknya kira-kira 30 meter.

"Selepas sampai ke bilik, dia suruh saya duduk atas tilam dan ikat tangan saya lebih kuat.

"Saya meronta dan bergelut dengannya sampai terbaring sehingga terlucut separuh kain batik,'' katanya kepada Kosmo! ketika menceritakan semula kejadian yang menimpanya kelmarin.

Korban kemarahan adik

Posted: 27 Nov 2011 04:01 PM PST


SUSPEK (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam sebelum ditahan reman selama lima hari.


PETALING JAYA – Gara-gara tidak tahan dengan desakan si abang yang menuntut hutang, seorang adik yang dipercayai terlalu marah bertindak menikam mati saudara kandungnya itu dalam kejadian di Taman Dato Harun di sini kelmarin.

Kejadian itu berlaku pada pukul 6 petang semasa dua beradik itu berada di tingkat atas rumah teres itu manakala ibu bapa mereka berada di ruang tamu rumah.

Difahamkan sebelum tercetus tragedi berdarah itu, kedua-dua beradik terbabit berperang mulut kerana isu hutang RM50.

Mangsa, Kamarul Azhar Nazi, 28, mendesak adiknya yang berusia 21 tahun supaya membayar semula hutang sebanyak RM50.

Tidak tahan dengan desakan si abang, si adik yang terlalu marah mengeluarkan pisau dan menikam dada dan paha kiri mangsa.

Kamarul yang cedera parah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan meninggal dunia selepas dua jam menerima rawatan.

Wanita lumpuh mati dikelar anak

Posted: 27 Nov 2011 03:59 PM PST


BEBERAPA anggota polis mengusung mayat seorang wanita warga emas yang dibunuh di sebuah rumah di Jalan BS 14/2A Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan semalam.


SERDANG – Seorang wanita warga emas yang uzur dan lumpuh dikelar sampai mati oleh anak sendiri sebelum pemuda itu kemudian cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya dalam kejadian menyayat hati di sebuah rumah teres tiga tingkat di Jalan BS 14/2A Taman Bukit Serdang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, semasa kejadian pada pukul 10.45 pagi, hanya warga emas berusia 74 tahun dan anak lelakinya yang berumur 35 tahun berada di rumah.

Bagaimanapun, menurut beliau, tanpa diketahui apa puncanya pemuda yang dipercayai mempunyai masalah mental itu bertindak di luar dugaan dengan mengelar leher ibunya yang berada di ruang tamu rumah menggunakan sebilah pisau.

"Selepas melihat ibunya cedera, suspek kemudian dipercayai mengelar leher sendiri," kata beliau ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.

Restoran Maju Junction meletup

Posted: 27 Nov 2011 03:57 PM PST


PUSAT beli-belah Maju Junction di Jalan Sultan Ismail yang meletup dan terbakar malam kelmarin.


KUALA LUMPUR – Restoran Noodle Station di tingkat bawah pusat membeli-belah Maju Junction di sini meletup dan terbakar akibat kebocoran gas memasak di premis itu malam kelmarin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Chow Kit bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pukul 11.25 malam.

"Bomba yang memeriksa tempat kejadian mendapati berlaku letupan pada saluran gas di dapur restoran yang berada di tingkat bawah bangunan tersebut.

"Letupan itu menyebabkan berlaku kebakaran di bahagian stor restoran malah pintu kaca dan syiling premis itu turut pecah akibat letupan tersebut," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

CAT lepasi sasaran keahlian

Posted: 27 Nov 2011 03:55 PM PST


WAN HUSBI (kiri) diiringi Kok Liang (dua dari kiri) bersalaman dengan peserta Kem Interaktif kepimpinan CAT 2011 di Tuaran, Sabah semalam.


TUARAN – Inisiatif penubuhan Pasukan Pencegahan Jenayah (CAT) dalam usaha melibatkan belia dalam pencegahan jenayah telah menunjukkan prestasi membanggakan apabila melepasi sasaran keahlian yang ditetapkan.

Pengarah Institut Pembangunan Penyelidikan Belia Negara (IPPBN), Zakariah Mad Sam berkata, sehingga November tahun ini, sebanyak 8,135 ahli CAT didaftarkan berbanding sasaran sebanyak 6,660 orang pada tahun ini.

"Ia menunjukkan sambutan menggalakkan di mana pada 2010 hanya seramai 2,226 orang telah didaftarkan melibatkan 149 pasukan di empat negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.

"Pada masa ini, sebanyak 638 pasukan telah ditubuhkan di seluruh negara dengan sebanyak 2,118 aktiviti telah dijalankan berbanding sasaran 1,500 aktiviti," katanya selepas Majlis Penutup Kem Interaktif Kepimpinan CAT 2011 Zon Sabah di Pusat Peranginan Mimpian Jadi di sini semalam.

Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia dibuka

Posted: 27 Nov 2011 03:54 PM PST


KEDAI Ikan Rakyat 1Malaysia di Setiawangsa, Kuala Lumpur akan mula dibuka Jumaat ini.


KUALA LUMPUR – Jika Kedai Rakyat 1Malaysia popular dengan jualan pelbagai barangan keperluan harian pada harga murah dan berkualiti, kini satu lagi cabang perniagaan yang menjurus kepada jualan pelbagai barangan basah bakal memenuhi keperluan rakyat khususnya di kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Kemunculan Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia buat pertama kalinya di Centrum, Setiawangsa di sini bakal menawarkan produk runcit termasuk barangan basah yang segar. Kira-kira 80 peratus daripadanya terdiri daripada pelbagai jenis ikan.

Premis yang dimiliki oleh Restoran Sekinchan Ikan Bakar itu akan dibuka kepada orang ramai bermula Jumaat ini.

Pusat pameran Proton di Medan

Posted: 27 Nov 2011 03:53 PM PST


KEMUDAHAN pusat pameran Proton Edar di Medan yang baru dibuka bakal memenuhi keperluan pelanggan Proton di Indonesia.


KUALA LUMPUR – Proton Edar Indonesia memperkukuhkan lagi kehadirannya di republik itu dengan pembukaan pusat pameran platinum pertama Proton di Medan, Sumatera.

Pusat bertaraf 3S (jualan, perkhidmatan dan alat ganti) itu mempunyai keluasan 1,200 meter persegi serta dilengkapi ruang menunggu yang selesa, kemudahan Internet tanpa wayar (Wi-Fi) dan televisyen.

Ia turut menawarkan perkhidmatan bantuan kerosakan 24 jam dan mempunyai lima ruang membaik pulih kenderaan yang menawarkan perkhidmatan menyeluruh termasuk penyenggaraan berkala, kerja-kerja membaik pulih, perkhidmatan tayar serta sistem penghawa dingin.

Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Bhd., Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, Indonesia merupakan pasaran yang amat penting bagi Proton dan pihaknya akan menumpukan perhatian untuk membangunkan dan mengukuhkan kedudukan Proton di Indonesia.

Amalkan kesederhanaan sosial – Tuanku Mizan

Posted: 27 Nov 2011 03:51 PM PST


ABDUL SHUKOR dan isterinya, Puan Sri Ramah Abd Manan berkongsi kejayaan bersama anak-anak selepas menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1433H di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah menasihati semua rakyat negara ini agar sentiasa mengamalkan kesederhanaan sosial dalam setiap amalan mereka.

Baginda bertitah, kesederhaaan sosial dalam pelaksanaan sesuatu perkara secara berhemah, tidak bertindak secara melulu dan tidak pula menzalimi orang lain.

"Rakyat tidak sepatutnya memperbesarkan perselisihan yang kecil sebaliknya menyelesaikannya dengan cara yang terbaik," titah baginda pada majlis sambutan Maal Hijrah 1433 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini semalam.

Kontroversi tidak lemahkan semangat

Posted: 27 Nov 2011 03:50 PM PST



BOLEH dikatakan selama ini Anuar Zain dilihat sebagai antara artis lelaki yang mampu mengekalkan identiti tersendiri sebagai seorang penyanyi yang kurang dilanda dengan kontroversi.

Menariknya, sejak akhir-akhir ini nama adik kepada penyanyi popular Ziana Zain itu semakin menjadi sebutan ramai. Bukan disebabkan produk terkini yang dihasilkan, sebaliknya peminat lebih memperkatakan tentang kisah peribadinya.

Ia bermula dengan cerita penyanyi tersebut yang kini tidak lagi menggunakan khidmat pengurusnya, Rohila Tahir bermula pada bulan Oktober lalu setelah lebih 10 tahun bekerjasama.

Ternyata perkara tersebut menjadi tanda tanya ramai pihak terutama di dalam industri sehingga ada yang mengatakan ia berpunca daripada pergaduhan sejak sekian lama.

Anuar jika boleh tidak menjawab perkara yang sepatutnya tidak menjadi satu isu. Namun untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan, dia memberitahu tidak lagi menggunakan khidmat pengurus lamanya itu kerana mereka bersetuju untuk membawa haluan masing-masing selepas lama bekerjasama.

"Kami mempunyai hala tuju yang berbeza sekarang ini," katanya ringkas sambil memberitahu dia kini cuba menggunakan khidmat pengurus lelaki pula.

Kemudian timbul pula cerita yang mengatakan penyanyi berkenaan tidak mahu menyertai pertandingan Separuh Akhir Muzik-Muzik untuk membawakan lagu Sedetik Lebih dan diakui sendiri olehnya dan perkara tersebut telah diberitahu kepada pihak KRU.

Terkini pula apabila kisah tentang dirinya yang langsung tidak berkecil hati walaupun tidak diendahkan oleh pihak penganjur sewaktu berlangsung sidang akhbar selepas tamat acara Anugerah Industri Muzik Ke-18 (AIM 18) pada 12 November yang lalu.

Biarpun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cerita kontroversi yang turut membabitkan peribadinya, Anuar menganggap bahawa ia bukanlah satu masalah yang besar buat dirinya.

Mengakui adakalanya sedikit terasa apabila orang ramai lebih gemar memperkatakan tentang dirinya berbanding produk baharu yang dihasilkan, tidak bermakna dia perlu cepat lemah semangat untuk mengharunginya.


WALAU sedang dihimpit banyak dugaan, Anuar yakin ada hikmah yang sedang menanti hidupnya di hadapan.


"Bagi saya apa yang telah berlaku ini tentu ada hikmah di sebaliknya. Tidak mustahil di sebalik kontroversi yang melanda itu pasti akan ada membawa kebaikan kepada diri saya.

"Apa yang lebih penting, saya perlu mengharungi semuanya dengan lebih tenang dan tidak perlu rasa tertekan untuk menghadapinya. Malah, saya sangat menghargai sokongan peminat yang tidak jemu-jemu untuk terus memberikan sokongan," ujarnya.

Anuar kemudian menjelaskan tentang isu tidak mahu bertanding dalam anugerah lagi. Katanya: "Saya tidak kisah untuk mendendangkan lagu Sedetik Lebih dalam mana-mana acara kerana saya dan komposer iaitu Edry tidak mempunyai sebarang masalah. Cuma, saya mengambil prinsip untuk tidak lagi masuk bertanding dalam mana-mana anugerah dan saya harap isu ini tidak diperbesarkan lagi."

Tambah Anuar, dia tidak mahu terlalu memikirkan sangat kisah-kisahnya yang diperkatakan orang dan merasakan adalah lebih baik sekiranya dia terus memberi tumpuan kepada kerjaya nyanyian.

"Tidak dinafikan dengan status sebagai seorang artis, sebarang kontroversi sukar memang untuk dielakkan. Namun, segala yang berlaku itu seharusnya dijadikan iktibar untuk menjadi lebih baik," jelasnya.

Ditanya tentang rahsia dirinya yang mampu bertahan selama 13 tahun setelah mula serius sebagai penyanyi pada tahun 1998, Anuar memberitahu prinsip hidupnya adalah melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan ikhlas.

Ujarnya, walaupun dirinya kini berada di kelas tersendiri, dia tetap berfikiran terbuka dan bersedia untuk menerima sebarang pandangan daripada peminat serta orang-orang di dalam industri sendiri.

"Untuk menjadi seorang penyanyi yang bagus, kita perlu mendengar apa sahaja kritikan dan idea yang diberikan. Seharusnya dalam diri ini tidak boleh ada sifat yang terlalu ego sekiranya mahu lebih lama bertahan," jelasnya.

Sambutan baik

Setelah kali terakhir menghasilkan album solo pada tahun 2007, kali ini Anuar Zain telah tampil dengan album baharu yang juga merupakan album solonya yang keempat.


ANUAR ZAIN tidak gemar menerima publisiti murahan. Dia lebih senang cerita kerjaya menjadi bualan khalayak.


Menurut Anuar, album tersebut sudah mula berada di pasaran sejak 19 September yang lalu dengan mengandungi lapan buah lagu baharu dan mendapat sambutan yang cukup baik daripada peminat.

"Alhamdulillah, walaupun saya tidak membuat sebarang majlis pelancaran untuk album baharu saya ini, tetapi sambutan yang diterima memang sangat menggalakkan serta peminat turut memberi maklum balas yang positif.

"Setakat ini ia telah dihasilkan sebanyak 11,000 unit untuk cetakan pertama. Sehinggakan ada peminat yang mengadu tidak mendapat album tersebut kerana ia telah habis dijual di kebanyakan tempat di sekitar Lembah Klang," ujarnya.

Untuk album solo keempat yang menggunakan judul Anuar Zain 2011, antara lagu-lagu yang dimuatkan adalah seperti Ku Berjanji Karna Cinta, Nadi Terhenti, Ajari Aku, Pernahkah, Simpati Cintamu, Sempurnakan Aku dan Terindah.

Jelas Anuar, untuk memberitahu tentang kemunculan album terbaharunya itu kepada peminat, dia telah merangka beberapa rancangan promosi dan semuanya akan dimulakan pada awal tahun hadapan.

Hot FM di Kelatan, Terengganu

Posted: 27 Nov 2011 03:48 PM PST


KETUA Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio MPB, Seelan Paul (baju merah) bergambar dengan deejay Hot FM yang bertugas di Kuala Lumpur serta Kelantan dan Terengganu.


SEBAGAI salah sebuah stesen radio yang cukup popular di negara ini, saluran Hot FM dilihat terus agresif untuk menambahkan jumlah bilangan pendengar serta gigih memberikan saingan kepada stesen radio yang lain.

Terkini, stesen radio yang terletak di bawah rangkaian Media Prima Berhad (MPB) itu telah mengorak langkah dengan memperincikan pengisian mengikut dua negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio MPB, Seelan Paul berkata, pengkhususan pengisian di kedua-dua negeri berkenaan akan bermula pada 2 Januari 2012 dan akan dikenali sebagai Hot FM Klate dan Hot FM Tganu.

"Antara sebab utama kami melaksanakan langkah sebegitu kerana berpendapat bahawa Kelantan dan Terengganu adalah dua buah negeri yang agak unik dari segi budaya serta latar belakang berdasarkan kajian serta maklum balas yang diterima.

"Untuk pengisian pula, lagu-lagu yang disiarkan nanti adalah pilihan pendengar di negeri masing-masing dan penyampai pula akan menggunakan loghat negeri masing-masing ketika ke udara," jelasnya.

Ujarnya lagi, biarpun intipati program memberi tumpuan kepada kehendak masyarakat di kedua-dua negeri itu, tetapi segmen pagi pilihan ramai iaitu Hot FM AM Krew masih lagi terus bersiaran seperti biasa.

Ditanya tentang jumlah pendengar setia saluran tersebut di negeri Pantai Timur itu, Seelan menjelaskan setakat ini mereka sudah mempunyai seramai 600,000 pendengar setiap hari.

"Sudah tentu kami mengharapkan jumlah pendengar akan bertambah sekurang-kurangnya 15 peratus dengan pelaksanaan yang diambil ini agar bersesuaian dengan pelaburan yang telah dibuat," ujarnya.

Bagi memperkuatkan lagi jentera Hot FM di negeri Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu, seramai lapan orang penyampai baharu telah dipilih untuk kedua-dua negeri dan dikenalpasti cukup berbakat untuk menggalas tugas menarik lebih ramai pendengar.

Antara penyampai yang telah dipilih untuk memperkuatkan saluran Hot FM Klate adalah Shazwani Mohamad Shakeri (Shaz), 26, Syed Mohd. Farid Mohd. Nor (Farid), 24, Mohamad Hafizie Roslan (Fizie), 23, dan Wan Zuraini Wan Hasan (Renny), 23, serta seorang Eksekutif Muzik iaitu Mohd Izzul Nazmi Mazri, 23.

Untuk Hot FM Tganu pula, ia diperkuatkan empat orang penyampai yang terdiri daripada Mohd. Rafly Rahamat (Rafly), 25, Mohd. Hermansani Aminudin (Bell), 28, Nurul Ain Omar (Ain), 22, dan Muhammad Azri Ismail (Azri), 23, serta seorang Eksekutif Muzik, Ahmad Zulhilmie Zainal (Zul), 25.

"Mereka yang terpilih ini adalah kerana mereka mempunyai personaliti yang menarik, mempunyai minat yang mendalam dalam bidang penyiaran dan mampu bertutur dalam loghat Pantai Timur hasil tapisan seramai 500 orang yang telah menghadiri uji bakat yang telah diadakan pada bulan Oktober lalu di Kelantan dan Terengganu serta di Sri Pentas, Damansara," jelasnya.

Menurut Seelan, pihaknya bakal mengadakan konsert mini yang digelar Hot FM Klate Yeah Yeah Tour dan Hot FM Tganu Yeah Yeah Tour bersempena dengan pelancaran kedua-dua buah konti tersebut di Kuala Terengganu (6 Januari 2012) dan Kota Bharu (7 Januari 2012).

Berhenti kerja

Salah seorang penyampai yang terpilih untuk memperkuatkan Hot FM Tganu, Mohd. Hermansani Aminudin atau Bell berkata, dia memang sudah lama meminati bidang penyiaran dan kerap menjadi pengacara di pelbagai majlis secara separuh masa.

Ujarnya, selama ini dia memang menunggu peluang untuk menjadi penyampai radio kerana mahu mengasahkan lagi bakat yang dimiliki dan bersyukur kerana terpilih untuk menyertai sebuah stesen radio yang cukup popular.

"Disebabkan minat yang mendalam ini, saya sanggup mengambil keputusan untuk berhenti kerja dalam tempoh 24 jam semata-mata mahu mengejar cita-cita yang saya impikan selama ini.

"Sudah tentu ini adalah peluang yang tidak harus dilepaskan sama sekali, apatah lagi dapat bekerja dengan sebuah saluran radio yang mempunyai pendengar yang cukup ramai," ujar bekas Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Melaka itu.

Menurut Bell, memandangkan dia sudah mempunyai banyak pengalaman dalam mengacarakan pelbagai majlis, dia berasa tidak sukar untuk dirinya menyesuaikan diri memandangkan pihak Hot FM juga turut memberikan latihan khusus sebelum mereka memulakan tugas.

Sementara itu, seorang lagi bakal penyampai Hot FM Kelate, Wan Zuraini Wan Hasan atau Renny tidak menyangka menjadi orang terakhir yang menjalani uji bakat di Seri Pentas tempoh hari telah memberi tuah kepada dirinya.

"Sebenarnya saya adalah pelajar praktikal bersama Hot FM sebelum ini dan turut menjadi pembantu sewaktu sesi uji bakat diadakan di Sri Pentas. Kemudian ada beberapa orang rakan telah menyarankan saya supaya turut mencuba dan seperti tidak percaya apabila terpilih.

"Walaupun saya dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur, tetapi saya tetap bersedia untuk menjadi penyampai Hot FM Klate memandangkan kedua ibu bapa saya memang berasal dari negeri Kelantan di rumah kami sering bertutur loghat Kelantan," jelasnya.

Menurut bekas pelajar dalam bidang penyiaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu lagi, dengan peluang yang diberikan ini akan digunakan sepenuhnya untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajari semasa di universiti dahulu.

Nicole bidadari bogel

Posted: 27 Nov 2011 03:47 PM PST


NICOLE SCHERZINGER


MANTAN anggota The Pussycat Dolls, Nicole Scherzinger kembali hadir dengan berita sensasi. Selepas dilaporkan sudah mempunyai kekasih baharu walau baru sahaja putus cinta, dia kini menghangatkan dunia hiburan dengan sekeping gambar bogel! Gambar tersebut menunjukkan bahagian belakang badannya tanpa seurat benang.

Gambar bogel tersebut dirakamkan oleh jurugambar Raphael Mazzucco menyaksikan badannya hanya dihiasi mahkota dan kalung bunga-bunga pada bahagian atas badan seperti menjadikan dia seorang bidadari dalam keadaan berbogel yang tidak sengaja dirakam gambarnya.

Sementara itu pada bahagian pinggang, punggung dan paha juri program realiti X Factor ini pula, ia seakan dilukis dengan gambar bertema etnik.

Gambar ala bidadari bogel itu kemudian dipamerkan dalam sebuah buku berjudul Culo by Mazzucco. Selain Nicole, sebenarnya ada ramai selebriti lain yang gambarnya pernah dirakamkan oleh Mazzucco dimuatkan di dalam buku tersebut. Mereka termasuklah Lady Gaga, Fergie, Sarah McLachlan, Alessandra Ambrosio, Pamela Anderson dan Stacy Keibler. Hanya gambar Nicole yang berbogel ala bidadari itu yang menjadi perhatian.

Empat maut jambatan runtuh di Kalimantan

Posted: 27 Nov 2011 03:45 PM PST

BEBERAPA anggota polis Indonesia memeriksa tapak jambatan runtuh di bandar Samarinda, Kalimantan Timur semalam.


JAKARTA, Indonesia - Sebuah jambatan sibuk di Kalimantan runtuh dengan menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh manakala 19 yang lain cedera selepas sebuah bas, beberapa kereta dan motosikal terjatuh ke dalam sungai, kata polis dan saksi.

Seorang pegawai polis, Kapten Syafii Nafsikin berkata, pasukan pencari dan penyelamat bergegas ke tempat kejadian selepas nahas berlaku kelmarin.

Jambatan gantung Kutai Kartanegara sepanjang 700 meter itu dibina menyerupai Jambatan Golden Gate di San Francisco, Amerika Syarikat. Ia menghubungi bandar Tenggarong dan Samarinda di wilayah Kalimantan Timur.

Dalam wawancara bersama stesen televisyen TVONE, saksi kejadian, Syaiful berkata, insiden berlaku ketika jambatan berkenaan sesak dengan kenderaan.

Menurutnya, dia melihat sekurang-kurangnya sebuah bas dan hampir 12 buah motosikal terjunam ke dalam Sungai Mahakam. Beberapa buah kereta turut terjunam ke dalam sungai

"Ramai orang menjeritmeminta tolong ," kata Syaiful.

Jurucakap polis Kalimantan Timur, Kolonel Col. Antonius Wisnu Sutirta berkata, punca jambatan berusia 10 tahun itu tiba-tiba runtuh masih belum dapat dipastikan.

Katanya, semua mangsa yang cedera kini dirawat di beberapa buah hospital berdekatan di wilayah berkenaan.

Elvis Afghan pujaan wanita Kabul

Posted: 27 Nov 2011 03:44 PM PST


PENYANYI Farhad Darya (tengah) beraksi semasa mengadakan konsert di Kabul pada 24 November lalu.


KABUL, Afghanistan - Digelar Elvis Afghanistan, Farhad Darya mungkin satu-satunya lelaki di negara paling konservatif itu yang dapat membangkitkan gelora wanita sehingga mereka menjerit, melambai dan bersiul semasa menonton kosertnya.

Dalam sebuah negara yang mana hak wanita diabai dan muzik diharamkan oleh Taliban hingga 10 tahun lalu, Darya dianggap sebagai ikon di negara itu.

Populariti penyanyi berkenaan terserlah semasa dia mengadakan konsert yang terhad kepada penonton wanita di sini pada minggu lalu.

Konsert itu berlangsung secara rahsia berikutan kebimbangan ia menjadi sasaran serangan bom kumpulan Taliban.

"Saya sentiasa memberitahu semua orang bahawa dia lelaki idaman saya, dia menyanyi dengan baik, personalitinya cukup menarik, dia hebat," kata seorang pelajar wanita berusia 18 tahun Meetra Alokozay.

Populariti Darya di Afghanistan menyebabkan dia dipilih sebagai Duta Muhibbah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut Darya, konsert pada Khamis lalu itu adalah sebahagian kempen memerangi keganasan domestik yang berleluasa di Afghanistan.

"Terdapat masalah besar dalam negara ini. Mereka yang bertanggungjawab dalam politik, kerajaan cuma pandai bercakap tetapi tidak melaksanakannya," kata Darya.

Penyanyi berambut hitam, bermata biru itu masih kacak walaupun usianya kini mencecah 49 tahun.

Dia telah menghasilkan 35 buah album setakat ini dengan kebanyakannya bertemakan politik keamanan.

Lagunya, Kabul Jaan (Kabul yang Dicintai) merupakan lagu pertama dimainkan radio Afghanistan selepas Taliban diusir tentera Amerika Syarikat (AS) dalam tahun 2001.

Elvis Presley ialah antara penyanyi paling popular pada abad ke-20. Lebih 400 juta album penyanyi yang mendapat jolokan Raja Rock&Roll itu dijual di seluruh dunia setakat ini.

Penyanyi dari AS itu meninggal dunia pada 1977.

Kareena Kapoor wanita Asia paling seksi

Posted: 27 Nov 2011 03:43 PM PST


GAMBAR fail pada 8 November 2011 menunjukkan Kareena Kapoor bergaya untuk satu sesi iklan
di Mumbai.


MUMBAI, India - Bintang filem Bodyguard dan Ra.One, Kareena Kapoor muncul wanita Asia paling seksi di dunia, menurut satu kaji selidik terbaharu seperti dilaporkan sebuah akhbar kelmarin.

Aktres berkenaan mengatasi pemenang tahun lalu, Katrina Kaif dengan kelebihan cuma 1 peratus undi.

Katrina yang memenangi gelaran tersebut sejak tiga tahun lalu kini jatuh di tempat kedua.

Seorang lagi aktres Bollywood Priyanka Chopra berada di tempat ketiga diikuti Bipasha Basu yang menduduki tempat keempat.

Tempat kelima pula menjadi milik aktres filem Slumdog Millionaire, Freida Pinto.

Kaji selidik tersebut dijalankan oleh akhbar mingguan Britain, Eastern Eye, menerusi beberapa laman jaringan sosial termasuk Facebook dan Twitter.

Responden diminta memilih selebriti kesukaan mereka daripada senarai mengandungi bintang pop, personaliti televisyen, model dan bintang filem dari seluruh dunia.

'Zombi' mengganas di Mexico

Posted: 27 Nov 2011 03:42 PM PST


ORANG RAMAI berpakaian seperti zombi bergaya di depan kamera semasa menyertai perarakan zombi di Bandar Raya Mexico kelmarin.


BANDAR RAYA MEXICO - Beribu-ribu orang memakai kostum dan mekap menyerupai mayat hidup berhimpun di pusat bandar raya ini sempena acara Jalan Kaki Zombi bertujuan untuk mencatat rekod dunia.

Penganjur acara berkenaan, Pablo Guisa berkata, acara tahunan tersebut yang berlangsung semalam disertai seramai 9,860 peserta.

Selain mencatat rekod dunia, para peserta turut mengumpul derma untuk disumbangkan kepada bank makanan tempatan.

Banyak bandar raya di seluruh dunia mengadakan acara serupa dengan rekod dunia Cities Guinness World Records mengiktiraf Asbury Park, New Jersey, sebagai pemegang rekod dunia dengan 4,093 peserta pada 30 Oktober 2010.

Sebuah kumpulan di bandar raya Brisbane, Australia telah memohon untuk rekod dunia kategori berkenaan apabila mendakwa ia berjaya mengumpulkan seramai 8,000 'zombi' pada bulan lalu.

Aktivis Greenpeace rantai diri di landasan

Posted: 27 Nov 2011 03:41 PM PST


SEORANG aktivis Greenpeace menghalang landasan kereta api dekat bandar Lueneburg.


LUENEBURG, Jerman - Sekitar 50 aktivis kumpulan Greenpeace cuba mensabotaj landasan yang dilalui sebuah keretapi mengangkut sisa nuklear ke sebuah loji simpanan di utara Jerman semalam.

Seorang jurucakap polis, Stefan Kuehm-Stoltz berkata, beberapa aktivis merantai diri mereka di landasan untuk menghalang perjalanan kereta api tersebut.

Menurutnya, polis terpaksa menggunakan meriam air untuk menyuraikan mereka.

Kereta api yang membawa 11 kontena berisi sisa nuklear yang telah diproses di Loji La Hague, Perancis itu memasuki Jerman pada Jumaat lalu selepas mengalami kelewatan di Perancis.

Tenaga nuklear tidak popular di Jerman sejak sisa kebocoran loji nuklear Chernobyl di Ukraine pada 1986 memasuki negara itu kerana tiupan angin.

Buaya berkeliaran selepas banjir

Posted: 27 Nov 2011 03:40 PM PST


SEEKOR buaya yang ditangkap di wilayah Nonthaburi, utara Bangkok diletakkan dalam sebuah bot.


BANGKOK - Banjir besar yang semakin surut di Thailand membawa bersama ratusan ekor buaya dari kawasan paya bakau ke kawasan penempatan penduduk di sini.

Berpuluh-puluh ekor reptilia itu termasuk spesies ular berbisa dilihat berkeliaran di beberapa kawasan di ibu kota Thailand tersebut.

Kehadiran tetamu tidak diundang itu mendorong pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menangkap buaya yang terlepas.

Beberapa pasukan khas Jabatan Perikanan Thai menerima banyak laporan kehadiran reptilia buas itu seperti kejadian yang menimpa seorang penduduk di sini, Anchalee Wannawet.

Lelaki berkenaan melihat seekor buaya sepanjang satu meter dengan mulut terganga luas berada di tepi tandas di luar rumahnya baru-baru ini.

"Saya terus cabut lari," kata pemuda berusia 23 tahun itu.

Selain buaya liar banjir terburuk dalam tempoh separuh abad itu turut menyebabkan ratusan ekor buaya yang menghuni ladang-ladang buaya di pinggir bandar raya ini terlepas.

Penerbangan terjejas akibat awan abu

Posted: 27 Nov 2011 03:39 PM PST


SEBUAH helikopter terbang melintasi awan debu dari gunung berapi Puyehue, Chile.


MONTEVIDEO, Chile - Abu Gunung Berapi Puyehue Chile menyebabkan kelewatan serta pembatalan penerbangan keluar dari Uruguay semalam sekali gus mengecewakan para pelancong yang menggunakan pengangkutan udara di sini, kata beberapa pegawai.

Penerbangan masuk dan keluar dari Buenos Aires telah dibatalkan manakala penerbangan dari Sepanyol berdepan kelewatan berikutan risiko awan abu gunung berapi.

Sejak gunung berapi itu meletus pada 5 Jun lau, perjalanan udara di selatan rantau Amerika Selatan hingga ke Australia terganggu secara berkala berikutan pengeluaran awan abu yang dibawa angin dari gunung berapi Puyehue di banjaran Andes.

Perkhidmatan Geologi dan Perlombongan Kebangsaan Chile menyatakan, gunung berapi Puyehue yang berterusan mengeluarkan abu boleh menjejaskan perjalanan udara selama beberapa bulan.

Pihak berkuasa penerbangan turut bimbang awam abu itu boleh merosakkan pesawat.

Pertembungan Gendang

Posted: 27 Nov 2011 03:38 PM PST



JIKA di Brazil, konsep batucada yang bererti bermain gendang beramai-ramai cukup terkenal dalam kalangan masyarakat mereka. Kebiasaannya ia akan melibatkan jumlah pemain muzik yang ramai mencecah 20 orang dan menghimpunkan pelbagai jenis alat perkusi (percussion).

Konsep muzik yang diklasifikasikan dalam kumpulan samba Brazil itu sudah mula berkembang di beberapa buah negara termasuk Singapura tetapi pengetahuan tentang muzik itu belum begitu mekar di Malaysia.

Lima tahun lalu, sebilangan anak muda lulusan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) tanpa diduga menubuhkan kumpulan pertama di Malaysia yang membawa konsep muzik batucada Brazil.

Busking di Bukit Bintang

Diketuai Mohd. Hisharudy Mahmud, 26, kumpulan yang mahu digelar WPU itu bermula dengan melakukan persembahan jalanan (busking) di Bukit Bintang setiap Jumaat.

"Ketika baharu berjinak-jinak dengan batucada, kami tidak mempunyai instrumen khas sendiri dan bagi mendapatkan bunyi yang hampir serupa, kami pecahkan set-set dram.

"Selepas menerima jemputan mengadakan persembahan pertama di Borneo Baruk Club untuk satu majlis pada tahun 2007, kumpulan kami mula diberi perhatian dan duit hasil setiap persembahan kami kumpul bagi membeli instrumen sebenar," jelas Hisharudy.

Mula membeli instrumen wajib batucada, surdo pada tahun 2009 di Singapura, bilangan ahli WPU juga semakin bertambah kepada 13 orang berbanding asal seramai 10 orang.

"Bayangkan sebelum memiliki surdo asli, kami membuat surdo sendiri menggunakan besi murah bagi mendapatkan bunyi seakan-akan serupa. Tanpa surdo dan snare, persembahan berkonsep batucada kurang menjadi kerana kedua-dua alat ini merupakan asas dalam batucada," tambah Hisharudy yang memberitahu harga bagi satu surdo bernilai RM1,200.

Elemen Malaysia

Selepas bertahun-tahun menjalankan percubaan bagi menggabungkan beberapa gendang dan instrumen tradisional tempatan ke dalam batucada, WPU akhirnya berjaya mengenal pasti barisan instrumen tradisional yang sesuai digunakan.


WALAUPUN sibuk dengan undangan persembahan, kumpulan ini masih lagi melakukan basking di Bukit Bintang jika ada masa terluang.


Nik Mohd. Izzham Che Man, 23, menyatakan bahawa tujuan mereka menggabungkan gendang Brazil dan Malaysia adalah bagi menunjukkan bahawa gendang tempatan mempunyai keistimewaan sama tinggi dengan gendang-gendang negara lain.

Sehingga kini, rebana Melayu, rebana dikir barat, gendang dua muka, dhol (gendang India) dan serunai merupakan antara instrumen tempatan yang menjadi kewajipan dalam persembahan mereka.

"Negara kita sahaja mempunyai lebih 20 jenis gendang tetapi ramai yang tidak tahu menyebabkan ia sekadar dimainkan golongan berusia sahaja sementara anak muda lebih tertarik kepada instrumen moden seperti gitar, dram dan lain-lain.

"Matlamat kami adalah bagi mengkomersialkan instrumen tempatan ke peringkat antarabangsa. Tetapi untuk sampai ke tahap itu, masyarakat kita sendiri perlu memberi peluang kepada instrumen-instrumen ini untuk berkembang," kata Izzham.

Seorang lagi ahli WPU, Abdullah Firlany Abdul Malik, 24, mendedahkan bahawa walaupun Malaysia kaya dengan pelbagai jenis gendang, namun tiada satu pun daripadanya tersenarai dalam alat perkusi global.

Setiap kali WPU melakukan persembahan, mereka akan memastikan instrumen tempatan diberi perhatian sewajarnya terutama penonton warga asing.

"Ketika melakukan basking di Bukit Bintang, majoriti penonton di situ merupakan pelancong asing dan ada dalam kalangan mereka begitu tertarik dengan kombinasi instrumen dua benua itu.

"Serunai contohnya, mungkin kelihatan tidak sesuai digabungkan dengan batucada tetapi kami telah membuktikan ia tidak mustahil," ujar Firlany.

Perahu Kayuh

Keunikan batucada WPU boleh dilihat pada lagu-lagu ciptaan mereka yang bertemakan nasihat serta perjuangan kaum Melayu untuk bangkit dalam menongkah arus global yang semakin sukar.

Dengan alat perkusi Brazil seperti surdo, repenique, malacacheta, snare, pandeiro, chocalho, agogo bell ditambah dengan instrumen tempatan iaitu rebana dikir barat dan kesi serta alat muzik Afrika seperti timbau dan djembe, WPU mampu menciptakan nukilan muzik global dengan lirik bahasa Melayu.

Lagu berbentuk dikir barat bertajuk Perahu Kayuh sudah menjadi kegemaran pengikut setia kumpulan WPU dan seringkali menjadi permintaan setiap kali mengadakan persembahan.


WPU sanggup belajar bahasa Portugis bagi memastikan sebutan dan penggunaan bahasa yang digunakan dalam lagu tersebut lebih sempurna.


Menggunakan loghat Kelantan, Perahu Kayuh ciptaan bersama WPU itu cuba menyampaikan mesej keamanan serta peneguhan iman dalam diri.

Cuba mengikut acuan golongan muda hari ini yang begitu taksub terhadap muzik yang dibawa band-band indie, WPU bagaimanapun mahu membentuk identiti sendiri bagi memancing perhatian masyarakat tempatan.

"Band indie rata-rata memiliki lagu dalam standard serupa dan instrumen yang digunakan juga sudah biasa didengar orang.

"Muzik WPU berbeza kerana kami satu-satunya kumpulan perkusi di Malaysia yang menjadikan alat perkusi sebagai instrumen utama dalam persembahan dan juga lagu.

"Durasi setiap lagu itu sama dengan konsep muzik lain dan untuk tahun ini, kami cuba fokus kepada lagu berbentuk komersial namun, masih mengekalkan ketulenan batucada campuran Brazil dan Malaysia itu," luah Khairul Azwan Abdullah yang berusia 33 tahun.

Bahasa Portugis

Mengikut pemerhatian anak-anak muda itu, punca gendang tradisional tidak dikenali ramai adalah disebabkan cara pembawaan instrumen itu masih lagi berada ditakuk lama.

Memang tidak disangkal, muzik asli itu lebih baik kerana ia merupakan identiti yang seharusnya dijaga tetapi dalam era serba moden ini, ia juga perlu meniti pembaharuan agar dipandang ramai pihak.

Mohd. Azzam Che Manir, 25, berpendapat penciptaan lagu-lagu moden dengan alat muzik tradisional dapat memberi ruang kepada alatan tersebut terus berkembang mengikut peredaran zaman.

"Lagu samba, rap dan reggae yang kami hasilkan mungkin kedengaran muda dan moden tetapi komposisi muzik lagu itu merupakan hasil cantuman instrumen Brazil dan tempatan menjadikan ia satu karya yang menarik untuk didengar," ujar Azzam.

Bagi memantapkan kefahaman mereka terhadap batucada yang dikatakan dibawa dari Afrika ketika sistem penghambaan masih dijalankan, WPU turut mendapat tunjuk ajar daripada pemuzik Brazil bernama Baldinho yang memberi kursus pendek kepada kumpulan itu pada awal 2009.

Bukan itu sahaja, WPU juga cuba belajar bahasa rasmi Brazil iaitu bahasa Portugis daripada guru capoeira, Armando Soldado. Dengan sedikit pengetahuan itu mereka nyanyikan semula sebuah lagu Brazil berjudul Taj Mahal yang digubah semula mengikut kesesuaian genre muzik mereka.

Sengsara ibu tunggal Iraq

Posted: 27 Nov 2011 03:36 PM PST


RAMAI wanita Iraq terpaksa menjadi ibu tunggal dan menyara keluarga selepas kematian suami di medan perang.


HALIMA AD DAKHIL yang kehilangan suaminya akibat serangan Amerika Syarikat terhadap Iraq pada tahun 2003 kini dilanda kebimbangan kerana mengetahui gaji yang diterimanya sebanyak AS$250 (RM795) sebulan itu tidak mampu membayar sewa rumah dan menanggung perbelanjaan makan minum bersama lima orang anaknya.

Selain itu, beliau yang turut mengambil upah sebagai tukang cuci di sebuah klinik juga bergantung kepada ehsan jiran-jirannya yang menghulurkan bantuan makanan kepada keluarganya.

Menurut Ad Dakhil, ketika suaminya terbunuh pada tahun 2006 anak bongsunya Ridha masih kecil.

"Kini saya mengambil peranan sebagai ibu dan bapa. Saya menyara dan membayar sewa. Kadar sewa memang membebankan saya," ujarnya.

Ad Dakhil berkata, militan telah memancung kepala suaminya bersama abang dan anak saudaranya. Ketika itu, mereka mengembara untuk menjual kereta di Wilayah Diyala.

"Suami saya dibunuh kerana militan puak Sunni menggangap dia merupakan puak Syiah kerana kad pengenalan dia (suami) telah dikeluarkan dari perkampungan Syiah, Bandar Sadr," jelasnya.

Tentera Amerika Syarikat yang telah menduduki Iraq selama sembilan tahun dengan hampir sedekad pemerintahan telah menyebabkan golongan miskin sukar dibantu. Banyak mangsa tercedera, manakala janda-janda pula banyak yang berparut akibat peperangan tersebut.

"Saya berharap peperangan ini tidak berlaku dan suami saya mungkin hidup lagi. Apa salah suami saya?" soalnya.

Berpuluh-puluh ribu askar, polis, pejuang, pemberontak dan orang awam terbunuh dalam peperangan yang meragut lebih daripada 100,000 rakyat Iraq.

Menunggu pampasan

Menteri Hal Ehwal Wanita , Ibtihal Gasid al-Zaidi menganggarkan sebanyak dua juta wanita yang merupakan pencari nafkah di Iraq dan rata-ratanya menjadi janda selepas peperangan yang berlaku pada tahun 2003.

Pada masa yang sama, Kumpulan Kemanusiaan Antarabangsa menganggarkan mungkin terdapat 1.5 juta janda di Iraq yang kini menjadi ketua keluarga selepas kematian suami.

"Kita melihat pada hari ini wanita yang menjadi ketua isi rumah merupakan golongan yang paling lemah di Iraq," jelas Gasid al-Zaidi.

Beliau menambah, kira-kira 7 juta rakyat di Iraq hidup di bawah paras kemiskinan dan lebih daripadanya merupakan golongan wanita.

"Banyak ibu tunggal yang terpaksa berjuang dengan kehidupan yang baharu demi membesarkan anak-anak dengan menggunakan wang yang sedikit.

"Penderitaan wanita semakin besar dalam keadaan yang sukar kerana mereka adalah bapa, ibu, penjaga dan pencari nafkah. Mereka juga menggalas tanggungjawab yang besar baik di dalam rumah mahupun luar. Kami akan cuba membantu seberapa yang boleh," ujarnya.

Ketika pemerintahan Saddam, golongan ibu tunggal perlu membayar faedah secara bulanan dan mereka akan diberi tanah dan kereta yang sekurang-kurangnya dapat membantu mereka. Saddam juga memberi ganjaran kepada anggota tentera yang berkahwin dengan balu.

Kesemua faedah tersebut terhenti apabila Saddam digulingkan.

Diminta beri rasuah

Ketua jawatankuasa sebuah pertubuhan ibu tunggal, Hazem al-Haidari berkata, pada tahun 2009, undang-undang baharu telah diluluskan untuk membantu mangsa-mangsa peperangan.


SEORANG ibu tunggal menyara hidupnya dengan menjahit melalui skim sokongan NGO Ibn Sina.


"Pampasan standard sebanyak RM12,718 diberikan kepada pekerja kerajaan yang terbunuh manakala pekerja bukan kerajaan pula menerima sebanyak RM9,351 beserta dengan tanah dan pencen bulanan.

"Setakat ini, jawatankuasa itu telah menyalurkan RM138 juta dan tanah telah diberikan di beberapa wilayah tetapi tidak lagi di Baghdad," katanya.

Seorang balu akan menerima bayaran sebanyak RM250, manakala kanak-kanak pula RM38 sebulan.

Seorang profesor di Universiti Kufa di Najaf, Hassan al-Zubaidi berkata, wanita Iraq bagaimanapun mendakwa mendaftarkan diri untuk mendapat pencen kerajaan merupakan satu mimpi yang ngeri disebabkan banyak kakitangan yang meminta rasuah untuk menyiapkan kertas kerja.

"Seorang janda berkata dia menghabiskan masa hampir setahun untuk mendaftar dan apabila beliau telah berjaya menyelesaikan proses, pejabat pencen memberitahunya bahawa fail telah hilang. Dia berputus asa.

"Kerajaan telah memperuntukkan RM1.2 bilion setahun untuk mengurangkan paras kemiskinan kepada 16 peratus menjelang tahun 2014," katanya.

Ad Dakhil yang membesarkan anak-anak di rumah yang berkeluasan 75 meter persegi itu tidak mempunyai kaca di tingkap. Penyejuk udaranya pula rosak menyebabkan mereka hidup dalam kepanasan.

"Anak-anak saya tidur tanpa makan malam. Saya mahu pampasan daripada kerajaan. Saya mahu mereka membina sebuah rumah," katanya.

Di sebuah kem berhampiran perkampungan kumuh Kota Sadr, Iraq, nasib ibu tunggal di situ lebih baik daripada Ad Dakhil.

Ibn Sina yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), membantu balu mendapat pekerjaan.

Kumpulan itu telah membeli sebuah mesin jahit dan peti sejuk supaya mereka dapat mencari sumber pendapatan.

Seorang ibu kepada lima orang anak, Kadhmiya Mohammed, 35, berkata, walaupun telah menjual barang-barang yang ada di dalam rumahnya namun, ia tidak memenuhi keperluan keluarganya.

Suaminya telah hilang pada tahun 2005 walaupun dia telah mencarinya di hospital dan penjara namun, semua usaha itu gagal.

Mahkamah telah mengisytiharkan suaminya mati dua tahun yang lalu.

"Suami saya telah pergi tetapi saya mempunyai anak-anak. Siapa yang harus membesarkan mereka? Keadaan kami amat tragis. Untuk berapa lama kami akan kekal seperti ini?" keluhnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu