Sabtu, 26 November 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Panahan emosi Izara Aishah

Posted: 26 Nov 2011 05:22 PM PST



SEINDAH nama dan semanis orangnya, pesona Izara Aishah, 19, mudah mengingatkan khalayak kepada gadis emosional menerusi drama rantaian Keranamu Laila. Begitu juga dengan drama Soffiya yang menghadirkan Izara dalam watak antagonis sehingga karakter itu berjaya menimbulkan kebencian ramai.

Dua naskhah yang sudah menemui penonton pada waktu perdana itu cukup untuk membuktikan bahawa Izara mampu memburu sasaran yang lebih besar. Kurang setahun dalam dunia lakonan, rezekinya mencurah-curah. Biarpun sedikit terkebelakang dari segi populariti, Izara perlahan-lahan mengumpul pengikut bukan atas dasar sensasi murahan.

"Fokus saya sekarang hanyalah tentang diri saya. Tentang lakonan tapi saya mengakui ada satu kelemahan yang tidak mampu saya tangani seorang diri. Saya tidak pandai memilih atau menolak tawaran yang datang ketika ini. Saya jenis yang tidak sampai hati hendak kata 'tidak'. Sebab itulah, saya masih perlukan tunjuk ajar, saya masuk dalam industri dengan tak tahu apa-apa, syukur pengurus saya banyak membantu," kata pelakon yang lahir menerusi pertandingan Dewi Remaja 2010 itu.

Penampilan serta lontaran karakternya juga mula dikritik tetapi sudah ramai yang memuji-muji impak lakonannya. Watak penuh tipu daya, pemarah serta keras kepala seperti sudah sebati benar dengan renungan tajam pelakon berdarah kacukan Melayu-Pakistan itu. Dia kelihatan selesa dalam zon antagonis, satu sisi karakter yang sebenarnya banyak membuka ruang kepada mana-mana pemeran untuk bermain panah emosi.

"Sebelum ini saya banyak berlakon karakter lain, watak komedi dalam Jejaka J, watak baik dalam Kasih Najihah, serta Selumbar Kasih tapi orang kurang perasan.

"Bila buat watak jahat sahaja, baru orang nampak. Jujurnya, saya tidaklah begitu selesa dilabelkan pelakon antagonis. Tapi bila bermain watak antagonis, saya kena banyak bermain dengan ekspresi muka, macam-macam mimik muka, dari situ saya banyak belajar," ujarnya mengaku banyak menerima kritikan saat ditebak tentang intonasi suaranya yang kurang disenangi segelintir penonton.

Rendah diri dan menyifatkan itu antara kelemahan yang sememangnya dirasai, Izara bersifat terbuka mengambil kritikan sebagai asam garam dalam kehidupan seseorang pelakon.


IZARA AISHAH sedar dirinya sedang diperhatikan. Dia juga sedar kelemahannya dalam aspek sebutan dan nada suara kurang jelas sehingga ada yang menyifatkannya pelakon yang gemar 'menelan' perkataan.


"Saya tahu ada orang kurang puas hati dengan intonasi percakapan saya. Saya sedar semua ini, lagipun saya jenis yang bercakap dengan suara yang perlahan, kalau dalam perbualan seharian, ramai yang kata, sebutan saya kurang jelas dan tidak dapat didengari. Bila masuk set, selalu kena ingatkan diri supaya kena lontarkan suara.

"Lepas tu, ada pula yang kata saya 'telan' perkataan. Sebenarnya, saya tak sedar pun bagaimana ia berlaku tapi dalam situasi tertentu, seseorang pelakon itu kena 'telan' perkataan yang diucapkan atas tuntutan emosi. Mungkin sebab saya bawa watak jahat, orang benci, jadi ada sahaja komen buruk tentang saya," getus sedikit merajuk.

Kelihatan naif dalam setiap bicara namun ada ketegasan yang cuba ditekankan. Ternyata Izara mencari ruang terbaik untuk mengelak disalah erti, sedang belajar meletakkan diri dalam trek populariti yang ada kalanya boleh memakan diri.

"Kalaulah ada kontroversi atau cerita sensasi tentang saya nanti, saya sedang persiapkan diri untuk menerima semua itu dengan bijak. Lagipun, saja bukan jenis orang yang pendiam, kalau marah saya lebih suka berdiam dan pendam dalam hati," ujarnya selamba.

Hati sudah dimiliki

Tidak banyak berselindung atau bermain ayat untuk memaniskan mulut, soal hati peminat lagu Bollywood ini juga bukan lagi satu rahsia. Cuma pintanya, biarlah identiti jejaka yang bukan dari kalangan orang seni itu tidak menjadi bahan tatapan umum.

"Cukuplah dengan pengakuan bahawa saya sudah ada kekasih. Siapa, tak perlulah identitinya didedahkan, lagipun dia bukan artis," ujarnya mengambil jalan selamat.

Cinta sang jejaka sudah kemas bertakhta di hati, jadi apa lagi yang dimahukan pucuk muda yang lengkap pakej jelita dan berbakat itu selain menjejak cita-cita bergelar primadona.

"Memang cita-cita mahu jadi pelakon, saya masuk Dewi Remaja sebab mahu cari ruang untuk masuk ke dunia seni. Saya pilih untuk belajar dalam bidang seni walaupun awalnya ada mendapat tentang daripada keluarga, jadi saya kena buktikan kepada keluarga bahawa saya memang benar-benar serius mahu menjadi pelakon," kata Izara.

Bukan sekadar memasang angan-angan, barangkali atas kerja ikhlas serta komitmen yang ditumpah, namanya semakin menjadi sebutan. Sebuah blog juga pantas melabelkan Izara di kedudukan lima teratas dalam senarai bintang hangat yang sedang menjadi buruan rumah produksi ketika ini.

"Itu pandangan penulis berkenaan dan ia menjadi penghargaan kepada saya. Saya masih terlalu baru dan terlalu panjang perjalanan yang harus ditempuh untuk berdiri sebaris dalam kelompok popular," terima kasih, bisiknya perlahan sebelum beralih ke topik lain.

Bukan pelarian daripada karakter antagonis, si bintang Libra itu bakal memunculkan kelainan yang mungkin sesuatu yang ditunggu-tunggu kepada peminatnya.

Selepas Soffiya mencuri tumpuan, kelibatnya kembali ke lokasi Vanila Coklat, sebuah drama bersiri yang lebih santai berkisarkan percintaan dalam kampus yang penuh warna.

"Kali ini saya bawa watak baik, seorang pelajar cemerlang di sebuah kolej. Karakternya menarik dan saya dipaksa berkahwin dengan pemuda di kolej yang sama sedangkan kami membenci antara satu sama lain.


SEDANG sibuk di lokasi Vanila Coklat, impian Izara untuk tidak statik dengan watak antagonis bakal disaksikan tidak lama lagi.


Dedah keburukan

"Jadi macam-macam helah dilakukan supaya keluarga tahu keburukan masing-masing, malangnya tidak berjaya menghalang perancangan perkahwinan. Kami berpakat untuk berkahwin dan berpura-pura bahagia demi keluarga dan merancang untuk bercerai selepas enam bulan. Dalam tempoh berkenaan kami mula kenal erti kasih dan sayang," cerita Izara tentang drama terbaharu yang memulakan penggambaran sehari lalu.

Bercakap lagi tentang sasaran, nama besar Datuk Siti Nurhaliza dipetik sebagai teladan.

"Saya sangat kagum dengan Siti Nurhaliza, dia fokus dengan satu bidang yang dia cintai iaitu menyanyi dan menyanyi sehingga mendapat gelaran 'Datuk.' Dia masih lagi menyanyi walaupun sudah masuk ke dunia bisnes.

"Bagi saya, fokus itu penting dan saya takkan buat benda lain, menyanyi atau mengacara sebab cinta saya hanya kepada lakonan. Saya suka filem, saya suka perhatikan dan fikir apa ada di sekeliling saya, sampai ada orang kata saya gila. Bagi saya itu salah satu cara untuk dapatkan ilmu lakonan," katanya yang turut memenuhkan dada dengan jurusan persembahan di sebuah kolej swasta di Subang Jaya.

Turut mendefinisikan pelajaran sebenar ialah pengalaman dan ilmu yang ditimba dari lokasi, apa pun itu bukan sebab untuknya mengabaikan pengajian. Anak pertama daripada tiga beradik ini memaklumkan, buat sementara waktu dia terpaksa menangguhkan pengajiannya kerana mahu memberi laluan kepada rezeki lakonan yang sedang bersinar.

Yana cantikkan lakonan

Posted: 26 Nov 2011 05:21 PM PST

Norliana Samsudin
Norliana Samsudin

LAPAN tahun lalu, langkahnya bermula sebagai editor produksi. Setahun dia berada di posisi itu dan pada masa sama mencuba nasib sebagai penyanyi hingga terhasil album berjudul Yana Ceria.

Fokusnya terhadap kerja kreatif terpaksa dihadkan apabila melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Muda di Universiti Teknologi Mara selama tiga tahun.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Pemilik nama Norliana Samsudin atau mesra membahasakan diri Yana ini hanya memikul tugas sebagai penyunting pada cuti semester dan pada 2007, dia diberi peluang oleh Metrowelth Pictures mengarah filem Selamat Pagi Cinta yang dibintangi Nur Fazura, Pierre Andre, Que Haidar dan Sharifah Amani.

Tahun sama juga dia menjayakan filem Histeria sebagai penutup sementara kerjaya seninya untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran. Usai menggenggam segulung ijazah, gadis kelahiran Yong Peng, Johor ini ditawarkan membintangi filem Adnan Sempit dan itulah permulaan pintu rezeki sebagai pelakon terbuka luas.


Tawaran datang mencurah-curah baik di layar kaca mahupun perak. Syukur...

berulang kali frasa itu dipanjatkan ke hadrat Ilahi, kerja keras dan kesabarannya selama ini akhirnya membuahkan hasil. Biarpun terpaksa menunggu, manisnya tidak terucap dengan kata-kata.

"Alhamdulillah, sepanjang tahun ini jadual saya penuh dengan penggambaran filem, drama dan telefilem. Ada yang sudah ditayangkan, selebihnya keluar tahun depan. Boleh dikatakan saya berpuas hati kerana tahun ini saya dapat merasa pelbagai karakter dan kelainan.

"Berdebar kerana tahun depan lima filem lakonan saya akan ditayangkan bermula dengan Adnan Sempit 2 pada 23 Februari diikuti Tiga Temujanji (5 April), 8 Jam, Aku Ada Kau Ada dan Minyak Dagu.

"Saya bahagia usaha keras selama ini berbaloi dan pada usia muda, saya bekerja di belakang tabir, berlakon, mengarah, menulis skrip filem serta menyanyi.
Syukur, rezeki Allah," kata gadis berjiwa periang ini.

Dipuji lakonannya semakin mantap, dengan merendah diri Yana berkata, andai itu disuarakan penonton, dia berbesar hati namun bagi dirinya apa yang dipersembahkan belum capai tahap piawaian yang disasarkan. Masih banyak yang perlu diperbaiki malah proses pembelajaran tidak pernah bernoktah.

Ulasnya, bermula dari bawah mendidiknya menjadi anak seni berjiwa penyabar, gigih berusaha, tahu apa itu makna bersyukur serta menghargai peluang yang hadir depan mata. Masih segar di kanvas memori, awalnya dia hanya diberi peranan pelakon tambahan. Ketika itu hanya 'baju' yang nampak di kaca TV, siapa sangka dia kini pelakon utama.

"Umpama mimpi kerana saya tak pernah terfikir akan dapat peluang ini. Awal pembabitan, saya diberitahu susah naik kerana tidak ada pakej. Bagaimanapun selepas bertemu mereka yang menjelaskan apa sebenarnya makna berlakon, persepsi saya terhadap diri mula berubah. Frasa berlakon tak perlu cantik tetapi lakonan yang menampakkan pelakon cantik memberi 1001 makna kepada saya. Sejak itu keyakinan diri mula bertambah dan syukur Adnan Sempit melonjak nama saya.

"Kalau nak tahu gigi saya pun pernah jadi isu. Kata mereka kalau nak berlakon kena gigi cantik dan pada ketika itu saya nekad mahu pakai pendakap gigi. Saya sudah berjumpa doktor gigi dan ukuran sudah diambil. Fikir punya fikir, akhirnya saya batalkan hasrat itu. Gigi saya bukan jarang, cuma tidak rata.

"Nasib baik tak buat sebab ramai peminat cakap gigi saya 'cute'. Alhamdulillah saya suka dengan apa yang saya ada dan terima seadanya. Tak perlu ubah atau tambah," katanya seraya ketawa.

Mengulas perkembangan terkini, sehingga penghujung bulan depan Yana terbabit dengan penggambaran Santau Merasuk arahan Azhari Zain untuk slot Seram TV3.
Menerusi siri yang diadaptasi dari filem Santau ini, Yana menggantikan Puteri Mardiana.

"Ini bukanlah projek seram pertama saya kerana sebelum ini saya pernah menjayakan Jangan Tegur Lagi dan Minyak Dagu. Pun begitu inilah kemunculan sulung saya sebagai teraju utama menerusi genre seram. Cabarannya memang berbeza kerana dalam projek terdahulu saya cuma melihat hantu tetapi kali ini saya yang terkena santau dan dirasuk.

"Ketika menelaah skrip, saya sedar perlu persediaan lebih baik dari segi mental mahupun fizikal kerana ada banyak babak yang babitkan darah. Mengenali Abang Zack (Azhari Zain), filem seram garapannya pasti ada lintah, cacing dan ulat.
Saya geli dengan semua itu dan tidak tahan dengan bau darah buatan. Jika masih segar, boleh tahan lagi tetapi andai disimpan sehari dua saya memang tak lalu.

"Apabila terhidu baunya saya akan rasa mual. Dalam siri ini ada banyak babak muntah darah, bayangkan saya kena letakkan darah itu dalam mulut. Suka atau tidak saya kena lalui kerana itu adalah tugas seorang pelakon.

"Untuk menjiwai watak ini, saya buat rujukan dengan menonton filem Santau, Paranormal Activity, Anti Christ, Exorcist dan Laddaland (Thailand). Jika filem Santau mengisahkan pasangan suami isteri mengalami kejadian menakutkan akibat di santau jiran menerusi drama ini ada penambahan anasir lain seperti penunggu pokok," katanya memaklumkan penggambaran itu mengambil masa 40 hari sekitar Sijangkang dan Kuala Lumpur.

Ditanya bilakah dia akan kembali duduk di kerusi pengarah sambil tersenyum Yana berkata sejak dua tahun lalu hasrat itu bermain di tangkai hatinya namun belum ada kesempatan lantaran terikat dengan jadual penggambaran yang ketat.

Pernah dia cuba mencari ruang tahun ini namun tidak betah menolak tawaran beraksi depan kamera. Bukan sikapnya tergamak menghampakan harapan pihak yang percayakan kemampuannya demi mengejar sasaran peribadi.

"Sejak tahun lalu saya cakap mahu mengarah tetapi hingga ke hari ini belum berkesempatan. Kalau ikutkan skrip, sudah ada cuma masa tidak mengizinkan.
Tawaran berlakon tidak putus-putus dan bagi saya selagi ada permintaan saya harus penuhi.

"Maklumlah untung nasib pelakon tidak menentu. Ada masanya banyak tawaran dan ada ketikanya langsung tidak ada. Sementara ada permintaan ini, kita buat habis-habisan.

"Mengarah bila-bila masa pun boleh. Insya-Allah, tengoklah tahun depan macam mana. Harap-harap menjadi," katanya.

Beralih ke perihal cinta, sepantas kilat Yana menjelaskan belum ada insan istimewa di hatinya. Bukan tidak ada cuba mendekati tetapi berat hatinya untuk menerima berikutan bimbang rutinnya yang padat akan menjadi punca ketegangan di kemudian hari.

Justeru ada baiknya, dia menumpukan sepenuh perhatian kepada karier terlebih dulu daripada ada hati terluka. Andai memahami tidak mengapa namun akal warasnya memintanya menimbang perkara ini sedalam-dalamnya kerana apabila ada rasa sayang pasti tinggi harapan yang disandarkan.

"Bukan semua orang faham cara kerja anak seni yang tidak menentu masa. Tambahan dalam keadaan sekarang, saya belum bersedia kerana masa sangat terhad.
Bayangkan jika ada insan istimewa di hati, pasti dia terkilan apabila saya tidak dapat melapangkan banyak masa dengannya.

"Lagipun dalam soal hati dan perasaan, saya tidak mahu tergesa-gesa. Apabila tiba masanya nanti, saya pasti bertemu seseorang yang akan membuat saya ketawa dan tersenyum bahagia," katanya.

Mayat berulat atas siling

Posted: 26 Nov 2011 05:21 PM PST


POTONG... anggota bomba memotong besi penghadang bumbung bagi membolehkan mayat dibawa keluar.
POTONG... anggota bomba memotong besi penghadang bumbung bagi membolehkan mayat dibawa keluar.

SEBERANG JAYA: "Daripada mula lagi saya berdebar, memang sejak awal seperti dapat dirasakan ada orang di bumbung rumah.

"Telahan saya terbukti benar, tetapi mengejutkan apabila terjumpa sekujur tubuh seorang lelaki dalam keadaan tertiarap," kata seorang pekerja syarikat pendawaian elektrik.


Pekerja syarikat pendawaian elektrik yang tidak mahu dikenali itu menemui mayat berkenaan berhampiran kotak penyambung utama bekalan elektrik di bumbung sebuah rumah di Kampung Jalan Baru, dekat sini, jam 12 tengah hari semalam.

Dia kemudian menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan mayat tidak dikenali itu.


Menurutnya, dia ke rumah yang baru siap pembinaan itu selepas dimaklumkan oleh kontraktor mengenai ketiadaan bekalan elektrik di kediaman terbabit, jam 11 pagi.


Katanya, dia memeriksa bekalan elektrik dari tiang bekalan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tetapi didapati ada arus elektrik disalurkan ke rumah berkenaan.

"Saya mula mengesyaki ada masalah pada kotak sambungan bekalan di bumbung rumah dan ketika itu juga saya mula merasakan sesuatu perkara buruk berlaku.


"Bagi memastikan masalah yang berlaku, saya naik ke bumbung sebelum menemui mayat itu," katanya.

Difahamkan, lelaki berkenaan yang berusia 20 hingga 30-an adalah penduduk berhampiran dan ditemui dalam keadaan berulat, berbau dan kehitaman, dipercayai terkena renjatan elektrik.


Polis mendapatkan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi membawa turun mayat lelaki terbabit.


Difahamkan juga, turut ditemui berhampiran mayat lelaki berkenaan adalah beberapa gulungan wayar yang dipercayai baru dipotong dari rumah dalam proses akhir pembinaan itu.


Mayat mangsa akan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Tertarik kerana sabar

Posted: 26 Nov 2011 05:18 PM PST

pix_middle

HULU LANGAT: Kehangatan berpacaran dengan lelaki bergelar warga emas tidak pernah pudar di hati Noraida Abdul Saman, 36, walaupun perkenalannya dengan suami, Abdul Aziz Uteh, 76, hanya dua minggu ketika mereka bertemu di Kampung Ketumbar, Ampalas, Medan, Indonesia.

Ketika berjumpa dalam pertemuan diuruskan keluarga, Noraida terpaksa membuat keputusan sama ada menerima atau tidak lamaran lelaki itu yang pada mulanya dianggap main-main kerana menyangka dia sudah berumah tangga.


"Bagaimanapun, selepas dia membawa dua daripada lima anaknya ketika itu, baru saya menyedari dia bersungguh-sungguh, malah lebih mengharukan apabila kedua-dua anaknya sibuk menguruskan perkahwinan kami di kampung saya dan menerima saya seadanya.

"Saya berkahwin ketika berusia 27 tahun manakala abang (suami) pula 67, sebenarnya saya tidak mempunyai ibu bapa dan bapa saudara saya memberitahu ini mungkin jodoh saya, manakala adik beradik lain pada mulanya risaukan keselamatan saya jika pulang ke Malaysia.


"Saya pada mulanya risau, mana tahu saya dijual atau tidak dilayan sebagai isteri, namun selama setahun kami hidup bersama saya akhirnya berasa selesa, malah hingga kini sering berulang-alik ke Medan, menyebabkan kebimbangan adik-beradik hilang," katanya.


Kini, selepas sembilan tahun berkongsi hidup dengan Abdul Aziz, Noraida yang bunting pelamin ketika perkahwinannya mempunyai dua cahaya mata yang menyerikan hidup mereka iaitu Mohd Ashraf, 9, dan Siti Nurasnida, 5.

Ditanya apa yang membuatkannya tertarik kepada Abdul Aziz, Noraida berkata, ketika awal pertemuan mereka, dia dapat merasakan suaminya penyabar tetapi menyangka ia mungkin sekadar untuk mengambil hatinya, namun selepas hampir 10 tahun hidup bersama, telahan itu terbukti tepat.


Sementara itu, Abdul Aziz ketika ditanya sama ada dia mengamalkan pemakanan atau senaman tertentu memberitahu, tiada amalan atau rahsia yang diamalkannya kecuali melakukan senaman ringan pada awal pagi dan mengelak minuman sejuk, selain sentiasa tenang dalam menghadapi sebarang keadaan.

"Tiada apa petua atau amalan, cuma kita kena jaga kesihatan sendiri, malah saya juga mempunyai penyakit, iaitu darah tinggi dan sakit lutut, jadi saya ikut arahan doktor dan melakukan senaman setiap pagi," katanya yang masih berniaga sekitar daerah ini sambil dibantu isteri.


Menurutnya, perkahwinan terbarunya adalah yang ketiga. Perkahwinan pertama pada 1960 dan dikurniakan lima anak kini berusia 49, 48, 46 dan 44 tahun (anak bongsu meninggal dunia pada usia 17 tahun dalam nahas jalan raya).


"Isteri saya meninggal dunia sebelum saya mendapat pengganti, tetapi perkahwinan kedua tidak bertahan lama dan akhirnya kami berpisah. Kami juga tidak ada zuriat sebelum saya berasa kesunyian lalu bertemu jodoh dengan wanita dari seberang ini.


"Sebenarnya jodoh kami adalah hasil usaha keluarga saya yang masih ada di sana kerana saya berketurunan Mendeling dan merekalah yang menemukan kami berdua.


"Alhamdulillah sehingga hari ini saya sentiasa bahagia dengannya, malah anak saya juga menerima perkahwinan ini," katanya.


Menceritakan mengenai sambutan Aidilfitri atau Aidiladha, beliau berkata, anaknya pulang menyambut lebaran di rumahnya dan ada kalanya ke Medan menyambut hari raya di sana.


"Kalau ada rezeki lebih, kami akan beraya di sana, malah Aidiladha lalu, anak saya turut mengadakan korban di kampung ibu tiri mereka dan ia sangat mengharukan saya," katanya.


Abdul Aziz yang masih boleh membaca tanpa memakai kanta mata berkata, dia mempunyai 19 cucu dan dua daripadanya bakal berkahwin tahun depan.


Ditanya sama ada dia bercadang menambah zuriatnya dalam masa terdekat, katanya, tiada cadangan ke arah itu setakat ini dan kehadiran sepasang cahaya mata sebagai pengikat kasih dalam rumah tangga mereka sudah memadai kerana mempunyai tujuh anak sebelum ini.


"Kami kini lebih menumpukan pada persekolahan anak dan perniagaan, namun kita hanya merancang, tuhan juga yang menentukan," katanya.

Proton tambah bilik pameran

Posted: 26 Nov 2011 05:17 PM PST

Proton Holdings Bhd

Proton Edar Indonesia melancarkan bilik pameran platinum pertama di Medan, sebagai usaha mengukuhkan pasaran.

Proton Holdings Bhd berkata, bilik pameran itu akan menjadi cawangan penting di Indonesia.

"Kami yakin bilik pameran baru ini akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan akan menyumbang peningkatan ketara kepada jualan keseluruhan di Indonesia," katanya.

Bilik pameran seluas 1,200 meter persegi itu, menempatkan lima ruang servis dan dilengkapi perkhidmatan termasuk penyelenggaraan biasa, baik pulih dan pembaikan am sehingga servis tayar serta membaik pulih sistem pendingin hawa.

PKS mampu tingkat ekonomi

Posted: 26 Nov 2011 05:17 PM PST

PKS mampu tingkat ekonomi

Ekosistem kondusif diwujudkan untuk transformasi PKS domestik jadi kompetitif.

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dijangka memainkan peranan lebih besar mengemudi negara di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

SME Corp Malaysia berkata, peranan baru itu akan membawa bersama cabaran termasuk langkah liberalisasi dalam sektor perkhidmatan, yang memerlukan syarikat berkenaan melaksanakan pendekatan baru bagi pembangunan PKS sekali gus mempercepatkan pertumbuhan PKS.

Dalam hubungan ini di bawah pelan induk kerajaan, katanya, ia akan melakar hala tuju dasar PKS hingga tahun 2020 dengan mewujudkan satu ekosistem yang kondusif untuk mentransformasikan PKS domestik menjadi kompetitif pada peringkat global bagi meningkatkan kemakmuran serta kesejahteraan negara.

Dalam melaksanakan tanggungjawab itu, SME Corp baru-baru ini mengumumkan Laporan Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana 2010/11 pada Mesyuarat Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Kebang-saan (MPPK) ke-12.

"Laporan itu adalah salah satu inisiatif signifikan majlis tersebut dengan matlamat menyediakan penilaian semasa mengenai prestasi PKS dan program pembangunan PKS pada tahun berkenaan," kata SME Corp.

Laporan yang mengumumkan satu siri data semasa mengenai penyediaan peluang pekerjaan dan produktiviti, menunjukkan prestasi pertumbuhan yang baik PKS disertai peningkatan dari segi produktiviti.

"Bagi tahun ketujuh berturut-turut, pertumbuhan itu dicatatkan lebih tinggi berbanding pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) secara keseluruhan, sekali gus menghasilkan peningkatan sumbangan PKS kepada KDNK daripada 28.1 peratus pada 2003 kepada 31.9 peratus pada 2010," katanya.

SME Corp berkata, laporan itu turut memasukkan input daripada kementerian dan agensi terlibat dalam pembangunan PKS bagi semua sektor ekonomi.

Kak Ani, Primadona!

Posted: 26 Nov 2011 05:15 PM PST

KAK ANI

Nama Noraniza Idris sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri nyanyian tempatan kerana gelaran Ratu Irama Malaysia yang disandangnya.

Sejak tampil dengan album Awal Dondang pada 1997, muzik etnik kreatif terus melonjak naik dan mendapat tempat dalam kalangan pendengar.

Seolah-olah sudah sinonim dengan irama itu, Noraniza yang lebih dikenali sebagai Kak Ani bagaimanapun muncul dengan sedikit kelainan menerusi album terbarunya, Primadona.

Dalam album yang bakal dipasarkan Mei tahun depan itu, Kak Ani menyanyikan semula enam lagu nyanyian penyanyi popular 70-an iaitu Datuk Sharifah Aini, Allahyarhamah Rafeah Buang dan Sanisah Huri.

"Sebenarnya sudah lama saya mengimpikan untuk muncul dengan album ini, cuma baru sekarang peluang itu tiba.

"Saya sememangnya meminati ketiga-tiga penyanyi dan membesar dengan lagu mereka. Maka, album ini adalah sebagai penghargaan saya kepada mereka yang telah banyak memberi sumbangan kepada industri," katanya ketika sidang media Santai Primadona Noraniza Idris 2012, baru-baru ini.

Menurut Kak Ani, lagu yang telah dipilih adalah Dekatlah Padaku, Kekasih Pujaan (Datuk Sharifah Aini), Pengorbanan, Perpisahan (Rafeah Buang), Sejak Bertemu Padamu dan Kerana Kau (Sanisah Huri).

"Saya pilih lagu bukan berdasarkan lagu yang saya suka sahaja, tetapi lagu yang sesuai dengan pendengar juga.

"Dalam hal ini, saya banyak berbincang dengan suami, Jeffri Huri, dan secara kebetulan minat dan idea kami seiring. Kami yakin lagu yang dipilih mampu mengembalikan nostalgia pendengar," katanya yang tidak kekok untuk menyanyikan lagu pop.

Sebagai permulaan, Kak Ani berkata, peminat boleh mendapatkan cakera padat single pertama Dekatlah Padaku yang mengandungi fulltrack, minus one dan instrumental apabila dilancarkan 25 Disember ini sempena program Santai Primadona Noraniza Idris 2012 di Msuite Hotel, Johor Bahru, Johor.

"Dalam program ini, kita akan mengisi ruang persembahan dengan lagu klasik popular 70-an dengan suntikan nilai komersial.

"Lagu ini juga akan digunakan sebagai penggerak promosi untuk menarik minat pelancong menyertai program yang mempromosikan budaya dan kesenian melalui pelancongan," katanya.

Acara anjuran syarikatnya, Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd (NIPV) dengan kerjasama A&A World Vacation Sdn Bhd dan Fontana Cafe & Catering itu mempromosikan tawaran pakej perkahwinan, makanan dan percutian keluarga di lokasi seluruh negara sepanjang tahun depan.

Mereka yang berminat boleh mendapat maklumat lanjut di www.noranizaidris.com.

Mahu anak perempuan

Berkongsi sedikit kehidupannya setelah mendirikan rumahtangga buat kali ketiga, Kak Ani mengakui rezekinya semakin murah.

"Alhamdulillah, abang (panggilan buat suami) tidak pernah menghalang saya bergiat aktif dalam bidang seni.

"Malah, dia sendiri yang mahu saya menghasilkan album setiap tahun dan dia turut terlibat dari segi pemasaran album terbaru saya," katanya.

Pasangan ini juga tidak merancang untuk menimang cahaya mata, namun mahu memiliki anak perempuan jika ada rezeki.

"Anak-anak perkahwinan kami terdahulu semuanya lelaki, kalau dapat anak perempuan itu adalah rezeki.

"Namun, ini semua terserah kepada rezeki dan kami pun tidak terlalu mengharap," katanya.

Perogol bersiri licik tumpas

Posted: 26 Nov 2011 05:11 PM PST

Perogol bersiri licik tumpas

KOTA BHARU - Hasrat seorang perogol bersiri yang ingin melampiaskan nafsu serakahnya tidak kesampaian apabila dia diberkas oleh orang ramai selepas cuba merogol seorang jurujual, kelmarin.

Tindakan licik perogol bersiri yang diburu polis dipercayai terlibat hampir 20 kes itu akhirnya kecundang setelah dia ditangkap antara jam 12 tengah hari.

Suspek yang tidak bekerja itu juga difahamkan dikehendaki polis selepas dipercayai menjalankan kegiatan terkutuk berkenaan di beberapa jajahan lain.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, suspek berusia 29 tahun itu dikatakan memasuki bilik yang disewa oleh jurujual tersebut terletak berhampiran sebuah pasar raya di Lembah Sireh, dekat sini.

Bagaimanapun, mangsa yang berusia 20-an itu tidak sempat dirogol oleh suspek selepas salah seorang daripada rakan mangsa menyedari terdapat bunyi bising seolah-olah ada lelaki bergaduh di dalam bilik berkenaan.

Seorang penjaga bilik yang enggan dikenali memberitahu, dia mengetahui kejadian terbabit selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada salah seorang penyewa bilik menyuruhnya naik ke tingkat tersebut kerana mendengar suara lelaki.

"Pada mulanya saya mengingatkan penyewa ini membawa masuk teman lelaki masuk bilik tanpa pengetahuan saya, namun dalam masa sama saya mendengar bunyi suasana tegang berlaku dalam bilik tersebut.

"Setelah bimbang dengan keselamatan wanita tersebut, saya memberitahu dua pekerja lelaki yang lain dan setelah lelaki terbabit menyedari kedatangan kami, dia cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada polis," katanya ketika ditemui, semalam.

Penjaga terbabit juga menceritakan dia tidak dapat melihat kejadian itu secara jelas dan hanya melihat tangan mangsa diikat dengan wayar, yang ketika itu memakai tuala kerana difahamkan baru selesai mandi.

Suspek yang berasal dari Kampung Dusun Muda, dibawa ke Mahkamah Majistret di sini dan Majistret, Muhammad Hafiz Mohd Noor mengeluarkan perintah tahanan reman selama empat hari bermula semalam.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang daripada tempoh lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan.

Pada 25 Ogos lalu, media menyiarkan laporan mengenai seorang perogol bersiri dikehendaki polis kerana dipercayai terbabit dalam 19 kejadian rogol dan cubaan merogol sejak tahun lalu menggunakan modus operandi mengikat tangan dan mengacukan pisau sebelum merogol.

AIM18 bunuh kepercayaan

Posted: 26 Nov 2011 05:11 PM PST


SUASANA sidang media khas penyerahan semula trofi Lagu Terbaik AIM18 sedikit tegang apabila Rosmin (dua dari kiri) dihujani perbagai persoalan.


POLEMIK penjurian dalam penganjuran AIM oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang sepatutnya ditutup dengan penuh gilang-gemilang pada 12 November lalu berakhir dengan tragedi yang menghancurkan prestij acara itu. Ia disifatkan sebagai detik paling memalukan dalam sejarah hampir dua dekad AIM dianjurkan.

Sudah 18 kali dianjurkan, insiden salah faham tentang kriteria utama dalam pemilihan sesebuah Lagu Terbaik AIM sepatutnya tidak harus berlaku. Sudah sah tertulis dalam 'piagam' AIM sendiri bahawa lagu terbaik haruslah dipilih daripada salah satu pemenang lagu terbaik daripada setiap genre muzik. Jadi kenapa harus lagu yang tidak memenangi mana-mana subkategori diumumkan sebagai Lagu Terbaik AIM 18?

Mulanya lagu Penakut karya dan nyanyian Yuna diangkat sebagai Lagu Terbaik, selang dua minggu kemudian, ralat AIM diperbetulkan apabila lagu Sedetik Lebih nyanyian Anuar Zain dan karya Edry Abd. Halim pula diumumkan sebagai pemenang sebenar.

Sebagai penganjur yang mengambil alih kuasa AIM daripada Persatuan Akademi Industri Muzik (Akademi), RIM ternyata mempamerkan pekung di dada. Meletakkan kesalahan itu atas bahu firma juruaudit Ernst & Young dalam mentafsirkan pemenang dan hasil penjurian dianggap alasan paling pincang yang diberikan oleh Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur AIM 18, Rosmin Hashim.

"Penjurian untuk lagu terbaik bagi empat kategori muzik, pop, rock, etnik kreatif dan nasyid dinilai oleh 23 orang panel juri, manakala untuk lagu terbaik pula, dinilai oleh 10 juri lain. Juri untuk lagu terbaik tidak mengetahui lagu mana yang dipilih sebagai pemenang setiap kategori.

"Itu adalah teknik penjurian yang diguna pakai sejak beberapa AIM terdahulu, cuma tahun ini sahaja, keputusan lagu terbaik tidak selari dengan apa yang diputuskan dalam penjurian lagu terbaik di peringkat kategori muzik," tegas Rosmin tentang penarikan semula trofi lagu terbaik daripada Penakut kepada Sedetik Lebih.

Ernst & Young meletakkan lagu Penakut sebagai Lagu Terbaik AIM berdasarkan markah tertinggi daripada 20 lagu yang dinilai oleh 10 orang juri dalam pemilihan lagu terbaik.

Tersiratnya, lagu karya Yuna itu sudah menang sebagai lagu terbaik di mata 10 juri malangnya ia tidak menang sebagai Lagu Pop Terbaik AIM dalam penjurian di peringkat subkategori yang dinilai 23 juri. Jadi secara rasminya, Penakut tidak boleh menyandang trofi Lagu Terbaik AIM 18.

Dari satu sudut yang lain pula, kenapa harus ada dua penjurian berasingan, kenapa tidak salah satu lagu terbaik dari peringkat subkategori sahaja yang dinilai untuk diangkat sebagai lagu terbaik keseluruhan. Persoalan-persoalan sebegitu sedikit sebanyak menyumbang kepada kepincangan strategi RIM sendiri yang sengaja menimbulkan punca konflik.

Tindakan RIM yang sengaja mahu bermain teka-teki itu akhirnya merosakkan kepercayaan umum bahawa aspek penjurian dalam mana-mana anugerah sebenarnya bukan satu keputusan mutlak, tidak muktamad dan boleh dipertikaikan kredibilitinya.

Episod penyerahan semula trofi daripada tangan Yuna kepada Anuar Zain dan Edry berlangsung dalam suasana tenang dan terbuka di ibu negara, Khamis lalu. Sedikit mencemar maruah tetapi masih boleh disifatkan sebagai jalan penyelesaian terbaik, sama ada Yuna, Anuar Zain atau Edry, keputusan terbaharu AIM itu harus diterima walaupun kelatnya menjerat kerongkong masing-masing.

"Saya sudah rasa pelik bila diumumkan penerima lagu terbaik pada malam AIM baru-baru ini. Bila diminta menyerahkan semula trofi itu kepada Edry dan Anuar, saya harus akur walaupun rasa janggal dan terkilan.

"Orang akan kata, kasihannya Yuna, malunya Yuna, tapi bagi saya apa yang berlaku ini ada hikmahnya. Perkara ini juga sedikitpun tidak menjejaskan saya tetapi lebih teruk ia memberi impak terhadap kredibiliti semua orang industri muzik sendiri," ujar Yuna yang menyifatkan setiap pihak melakukan kesilapan.

Ditanya adakah dia masih mahu bertanding lagi dalam AIM, sebagai orang baharu Yuna optimis terhadap perjuangan kariernya yang baru mencecah usia dua tahun.

"Saya takkan serik untuk bertanding lagi kerana saya seorang pemuzik Malaysia, ini periuk nasi saya. Saya tidak perlu rasa kecewa, saya perlu sokong industri," ujarnya berhemah yang memenuhi permintaan penganjur.

Rasional yang ditunjukkan Yuna menyebabkan Anuar dan Edry seperti malu alah untuk menerima trofi Lagu Terbaik AIM 18.

"Kami semua (Anuar, Edry dan Yuna) adalah mangsa dalam soal ini. Perkara ini tidak patut berlaku dan tidak harus berulang pada masa akan datang. Ia soal maruah dan saya sebenarnya malu untuk mengambil anugerah ini daripada tangan Yuna," ujar Anuar Zain secara terbuka.

Tambahnya sedikit beremosi: "Ini kesilapan paling besar dalam sejarah industri hiburan tanah air dan malangnya saya terpalit dalam sejarah ini. Tapi saya menerima penghargaan ini dengan fikiran positif agar industri seni dapat berkembang baik pada masa hadapan. Bagusnya, penganjur berani untuk mengakui dan memperbetulkan kesilapan itu secara terbuka, ini juga satu tindakan yang tidak mudah."

Menyentuh soal pembabitan KRU iaitu Norman Abd. Halim sebagai tunjang RIM, sebagai adik, Edry menafikan wujudnya campur tangan Norman dalam hal itu.

"Memang orang mudah mengaitkan Norman, dalam FFM (Festival Filem Malaysia) juga begitu, tapi dengan rendah serendah hatinya, saya boleh kata yang Norman tiada kaitan dalam soal ini," ungkap Edry berdiplomasi secukupnya tidak mahu mencalar perasaan sesiapa.

Awanband berarak laju

Posted: 26 Nov 2011 05:10 PM PST


GRUP Awanband mempertaruhkan album berkonsep pop alternatif rock.


KELIMA-LIMA anak muda ini mempunyai misi yang sama. Mereka mahu melihat nama Awanband pantas berdiri di arena hiburan arus perdana.

Ully selaku gitaris utama, Boboi (gitaris kedua), Ijan (drum), Hassan (bass) dan Faris (vokalis) sebelum ini sama-sama meniup angin Awanband di arena indie.

Diberi peluang untuk menjengah ke dunia hiburan dengan menghasilkan sebuah album komersial merupakan sesuatu yang mereka idamkan.

Maka tanggal penghujung September lalu lengkaplah permulaan kitaran penjenamaan Awanband di dunia muzik komersial. Itu juga sebagai tangga mula buat Awanband untuk mendaki ke peringkat global.

Mereka tampil dengan sebuah album berjudul Awanband. Album tersebut menampilkan enam buah lagu termasuklah yang berjudul Lintasan Bintang, Tunggu, Oh My Love, Kartita, Dramatik dan Roda Khayalan.

"Syukur kerana kami diberi peluang untuk sama-sama memeriahkan dunia hiburan mainstream. Target Awanband adalah untuk ke luar negara. Justeru kami perlu meletakkan kekuatan di arena mainstream dahulu.

"Namun begitu, tidak kiralah sama ada di dunia mainstream atau indie kita semua sebenarnya sama. Masing-masing memperjuangkan muzik kerana muzik adalah universal," kata Faris kepada Sensasi Bintang.

Dengan mempertaruhkan album bergenre pop alternatif rock, Awanband tidak mahu sekadar menghasilkan lagu sebagai penyedap telinga tetapi ingin menyampaikan mesej.

Awanband komited untuk terus memperjuangkan lagu-lagu mereka demi menggembirakan orang ramai.

"Kami mahukan orang yang mendengar lagu-lagu Awanband memperoleh jalan penyelesaian tidak kira dalam apa-apa jua perkara yang mereka dihadapi kerana muzik adalah satu cabang kehidupan.

"Muzik dengan impak yang positif buat pendengar dan peminat adalah apa yang ingin Awanband sampaikan," kata Ully.

Tidak mahu terpesong daripada matlamat asal band yang ditubuhkan sejak tahun 2007 itu, Awanband tidak pernah memikirkan soal perpecahan grup.

Biarpun dimomokkan dengan kisah-kisah band lain yang pernah terkubur, kelima-lima mereka nekad untuk terus bersama-sama sampai bila-bila.

"Kami tidak pernah fikir soal untuk berpecah. Lagipun kami masih di peringkat permulaan dalam perjuangan yang sama-sama kami cari.

"Sebagai langkah untuk tidak mengecilkan hati sesiapa, kami sentiasa menjadikan komunikasi yang baik sebagai asas kepada penyelesaian masalah.

"Nama Awanband lebih penting. Jadi, kami tidak akan berkecil hati jika tidak semua daripada kami popular di mata peminat," kata Faris lagi.

Biarpun belum sampai dua bulan album tersebut dikeluarkan, lagu Lintasan Bintang dan Kartita kini mula mendaki carta di stesen radio tempatan.

"Sebagai permulaan, album ini seperti sebuah eksperimen kami terhadap penerimaan peminat.

"Jika peminat menyukainya, kami akan meneruskan cara ini," kata mereka yang mengikat kontrak selama tiga tahun bersama Warner Music.

Bukan sahaja menampilkan lagu-lagu berentak segar, Awanband kini pantas mencipta nama kerena telah mempunyai hampir 10,000 pengikut di laman sosial Facebook.

Kualiti atasi populariti

Posted: 26 Nov 2011 05:09 PM PST


TIGA anak seni berjiwa besar milik persada lakonan tanah air, sama ada Sam, Noor dan Eman, mereka disanjung kerana kredibiliti bukannya sekadar populariti.


TIGA anak seni kesayangan ramai Eman Manan, Noorkhiriah Shapie dan Shaheizy Sam bergandingan secara tidak sengaja sempena meraikan sambutan jubli perak penganjuran Anugerah Bintang Popular, baru-baru ini.

Memanfaatkan ruang serta peluang yang bukan mudah untuk menyatukan bintang berjiwa besar itu, secara santai mereka diajak bersembang. Bercerita soal populariti dan kualiti yang berlingkar dalam rutin seni masing-masing, ketiga-tiga mereka saling menyanjung sesama sendiri.

Lebih manis, Eman, Noor dan Sam, mereka itu jatuh dalam kelompok artis yang bersinar di layar seni lebih awal sebelum popular di mata ramai.

Ceritakan detik terawal tatkala anda mula dilimpahi populariti?

EMAN MANAN (E): Masa tahun pertama menyambut hari raya sebagai artis, waktu itu sekitar 1984 masa saya berlakon filem Matinya Seorang Patriot. Masa awal-awal puasa, bila balik rumah, ada kad raya untuk saya, setiap hari pasti ada kad raya tapi setakat sekeping atau dua keping, jadi saya rasa saya tak popular macam artis yang dapat berguni-guni kad raya. Masuk dua atau tiga hari sebelum raya, saya terkejut besar apabila ada seguni kad raya depan pintu rumah saya, masa itu baru saya sedar, ini barangkali impaknya daripada kredibiliti filem itu.

SHAHEIZY SAM (S): Sejak 3 April lalu, selepas menang Anugerah Bintang Popular tapi saya tetap percaya bahawa saya hanya dikenali bukan bermaksud semua orang kenal saya.

NOORKHIRIAH (N): Memang saya pernah menang anugerah Pelakon Komedi Wanita Popular tiga tahun berturut-turut tapi sebelum itu saya tak pernah rasa bahawa saya ini pelakon popular. Cuma selepas tersiarnya drama Kerana Cintamu Saerah, saya rasa impak yang besar, dapat buka mata orang, orang mula tegur saya, saya dapat banyak respons serta lebih murah rezeki selepas itu.

Bila sudah popular, bagaimana pembawaan diri serta keyakinan berdepan umum?

S: Saya masih sama seperti Sam yang dikenali sebelum ini. Sebelum ini pun ramai artis sudah melalui zaman populariti masing-masing, saya cukup sedar hakikat itu jadi tak selamanya kita akan akan berada di mana kita berada sekarang. Saya cukup sayangkan penyokong saya jadi saya akan sesuaikan diri dengan apa sahaja situasi. Bagi saya peminat itu ikhlas jadi saya juga ikhlas.

N: Tak ada apa yang berubah, selagi orang tegur, pandang dan berikan senyuman, saya akan buat buat perkara yang sama. Kalaulah ada yang tidak berkenan tengok saya pun, saya tetap kena terima. Saya seorang yang simple tapi dalam masa yang sama cepat paranoid, terlalu memikirkan sesuatu secara lebih-lebih.

Kontroversi paling memuncak barangkali bila?

E: Mungkin semasa pernikahan saya dengan bekas isteri, Fauziah Ahmad Daud dulu. Ketika itu terlalu banyak hati yang harus dijaga, hormat perasaan keluarga sementelah Ogy anak orang besar-besar, tapi mujur media zaman itu belum banyak seperti sekarang. Saya juga tidak ambil pusing tentang gosip dan majalah. Saya hanya baca surat khabar.

S: Sejak kecil saya hidup dalam dunia saya sendiri, dan selalu rasa diri saya tidak menarik, jadi tiada apa untuk dihebohkan.

N: Suam-suam sahaja, tak ada yang besar. Kalau ada cerita panas pun masa awal-awal dululah, zaman pakai skirt pendek dalam majalah Mangga.

Pernah terasa hilang privasi akibat populariti?

E: Dulu bila sudah popular, saya jadi tidak selesa. Saya hilang kawan baik dan kawan sekolah sebab masing-masing ada kehidupan berbeza, saya pula jadi seorang yang eksklusif. Bila fikirkan semua itu, saya mula buka ruang untuk bergaul dan dekat dengan pelbagai lapisan masyarakat kecuali media. Sebab itu dulu, apa sahaja hebahan tentang saya, banyak tentang kerjaya, bukan hal peribadi.

S: Paling saya jaga ialah perasaan orang lain, jadi sedaya upaya saya bercerita tentang kerja sebab bukan semua orang mahu tahu hal peribadi kita. Kalau kerap sangat baca tentang kisah peribadi artis lain, terdetik juga, baik simpan sahaja kisah begitu.

N: Tak ada sangat, tak ramai pun orang teruja nak tahu kisah peribadi saya.

Populariti artis terdahulu dan artis sekarang pula bagaimana?

E: Dulu acara-acara penganugerahan tidak banyak, tidak sebesar hari ini. Acara penganugerahan dulu juga lebih ikhlas, tiada penyelewengan, artis juga tidak perlu melobi diri sendiri untuk menang.

S: Saya lebih pandang tinggi usaha artis terdahulu, mereka lebih patut dipuji. Orang dulu popular kerana hasil kerja dan ketika itu mereka tidak terdesak pun untuk popular. Saya sendiri lebih baik tidak popular jika tiada hasil kerja yang berkualiti.


RIAK teruja terpancar daripada wajah Noorkhiriah apabila diajak oleh Eman (kanan) untuk berlakon bersama. Sam yang berada dalam situasi berkenaan turut berbangga jika mereka dapat berkolaborasi dalam dunia lakonan.


Pentingkah populariti itu?

E: Kalau populariti itu hanya kerana kisah peribadi, saya jadi kasihan.

S: Kerja yang baik akan mendatangkan dan mengekalkan populariti.

N: Bila popular, rezeki seseorang itu lebih lebat, makin banyak tawaran. Tapi saya bersyukur sangat, walaupun bukan artis 'panas' saya diterima baik oleh media. Popular memang boleh tambah rezeki jadi murah, tapi rezeki itu daripada Allah.

Nilai sentimental di sebalik sebuah trofi?

E: Ada orang kata, dapat anugerah bukan dapat duit, tapi trofi itu mustahak. Momen diberi dan menerima trofi itu seolah-olah, 'inilah detiknya'. Tapi trofi itu menjadi lebih berharga jika sehabisnya sesebuah pesta penganugerahan tidak berlaku apa-apa kekecohan.

S: Trofi hanya penghargaan diberikan tanda kenangan tetapi tidak menjanjikan saya untuk kekal dalam liga terbaik atau popular.

N: Trofi itu pengiktirafan, bernilai tapi suami dan anak-anak lebih bernilai rasanya buat saya. Trofi itu bukti saya kepada keluarga bahawa saya pernah dihargai dalam kerja lakonan ini. Ada lima trofi dalam almari saya, tapi ia tidak menjanjikan apa-apa, terutama dalam bab bayaran berlakon.

Jangka hayat dalam bidang lakonan?

E: Saya tiada jawapan untuk soalan itu, tapi kalau seseorang itu pemimpin yang hebat, dia sendiri tahu di mana titik 'matinya', tahu waktu harus undur. Pengertian heroism di Malaysia tidak sama dengan pengertian heroism di Barat.

S: Saya setuju dengan pegangan abang Eman. Bagi saya berundur tidak bermaksud hilang daripada dunia seni itu, mungkin harus beralih ke perjuangan lain, sebab, di mana kita berhenti, di situlah orang akan mengingati kita.

N: Soal hayat dalam industri, rasanya sudah tinggal tak berapa lama lagi. Saya sudah ada sasaran lagipun saya sudah berhijrah begini (bertudung), kalau rezeki lakonan bukan untuk saya lagi, saya reda. Sebenarnya saya rindu hendak berteater, cuma masa dan peluang belum ada.

Jambatan muzik Bunkface

Posted: 26 Nov 2011 05:09 PM PST


BUNKFACE sewaktu muncul dalam program Bukan Empat Mata di Stesen Trans7.


MUZIK ialah elemen universal tetapi ia mampu menjadi jambatan perhubungan sesama individu. Kali ini muzik didatangkan oleh anak-anak muda berjiwa besar. Satu grup dengan tiga ahli tetap, satu impian dan satu destinasi serta satu jambatan. Bukan emas ataupun gangsa tetapi jambatan berbentuk gubahan muzik dan persahabatan sesama pemuzik. Bunkface melebarkan sayap membawa harapan dan impian menggunakan pasport muzik untuk terbang ke Jakarta, Indonesia.

Anak-anak muda dengan nama Youk, Sam dan Pa'an menjadi duta kecil di negara orang. Yakin dengan siri jelajah kecil ini untuk membina suatu yang besar di masa hadapan, kedatangan Bunkface ke negara pimpinan Susilo Bambang Yudhoyono itu disambut mesra para peminat mereka yang sudah boleh menyanyi bersama lagu-lagu Bunkface. Terdahulu, Bunkface pernah mendapat sambutan meriah di Padang, Indonesia.


GRUP asal Klang ini berkesempatan mengambil gambar bersama Tukul ( dua dari kiri).


Dijemput Festival Urban

"Promosi melalui laman Internet memang laju dan efektif. Lagu-lagu kami yang dimainkan di laman YouTube dan Facebook memberi kesan positif kepada perkenalan grup Bunkface terhadap khalayak. Malah para peminat di Indonesia mengetahui lagu-lagu daripada EP kami, Lesson Of The Season yang terdahulu," ujar Youk, pemain bass Bunkface sewaktu sesi temuramah di Apartemen Aston Rasuna, Kuningan, Jakarta.

Bunkface dijemput ke acara Festival Urban yang diadakan di Ancol, Jakarta pada Ahad lalu. Berkumandanglah lagu-lagu Bunkface di taman keriangan Ancol, disambut nyanyian bersama terutamanya lagu hits grup itu, Situasi. Tidak hanya itu, para peminat yang menantikan mereka turut menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Inggeris grup yang ditubuhkan sekitar empat tahun lalu.

"Festival Urban ialah sebuah acara yang tidak menjurus kepada grup-grup mainstream. Lebih kepada grup underground atau bebas. Kami berbesar hati dapat jemputan mengadakan persembahan di sini," ujar Pa'an, anggota paling kecil dan diminati ramai dalam Bunkface.

Diletakkan dalam barisan pemuzik di Pentas Speedy, Bunkface tanpa gagal membuahkan kekaguman ramai terhadap muzik dan tenaga mereka sebagai grup muda dengan lagu-lagu perjuangan.

Antara lagu yang diperdengarkan ialah Situasi, Bunk Anthem, Ekstravaganza dan Revolusi.

Selesai persembahan dengan tambahan dua pemuzik tambahan di bahagian dram (Ijam) dan keyboard (Wawa), anggota grup ini menjadi sasaran peminat untuk sesi fotografi. Menunjukkan pada satu sisi, mereka sedang membina rangkaian persahabatan bukan sahaja sesama pemuzik tetapi juga peminat.


BUNKFACE menunjukkan kemantapan grup mereka dengan muzik yang segar dan lirik bermakna.


Jajah Hard Rock

Tidak habis memberi peluru berupa muzik dan lirik yang padu, Bunkface kemudian muncul dalam satu showcase yang diadakan di Hard Rock Cafe, Jakarta pada tarikh 21 November lalu.

Memberi penghormatan kepada kumpulan tempatan, Vegan untuk menjadi pembuka acara, grup tersebut turut menyanyikan lagu Situasi sebagai tanda hormat dan persahabatan. Sebanyak 11 buah lagu dinyanyikan dengan penuh tenaga oleh Bunkface termasuk tiga buah lagu baharu iaitu Panik, Bunk Not Dead dan Kita Perang Kita Menang.

Bunkface bukan hanya disaksikan oleh para peminat dan rakan artis tetapi turut mendapat perhatian lima buah label rakaman dan edaran di Indonesia yang masing-masing menyatakan minat untuk mengambil mereka bernaung di bawah bumbung mereka.

Pengurus Bunkface, Rafi berkata, terdapat lima label memberi tawaran. Itu antara tujuan Bunkface ke sini.

Semuanya masih dalam perbincangan dan perancangan kerana kita mahu melihat tawaran mana yang paling sesuai dengan perjalanan Bunkface.

"Bunkface pentingkan jelajah, itu yang menjadi fokus. Pendedahan secara maksimum dan promosi terhadap lagu-lagu," kata Rafi.

"Kita anggap perjalanan Bunkface ini macam main permainan video. Mesti mahu berjuang untuk ke fasa yang seterusnya. Begitu juga penjelajahan muzik Bunkface. Kita mahu membawa kumpulan yang ditubuhkan di Klang ini ke luar. Kita bukan hanya bawa muzik tetapi juga maruah dan nama negara," ujar Pa'an sekali lagi.

Tidak hanya menangkap mata khalayak belasan dan remaja, Bunkface turut mendapat jemputan menyanyi di sebuah program popular atau lebih tepat program bual bicara nombor satu di Indonesia iaitu Bukan Empat Mata kendalian Tukul Arwana. Tarikh 22 November, Bunkface menjejak stesen televisyen Trans TV untuk acara ini.

Berpeluang untuk menyanyikan lagu Situasi, kesempatan ini digunakan sebaik mungkin untuk memperkenalkan muzik mereka ke seluruh pelosok Indonesia.


SESI fotografi pihak media dan penganjur bersama Bunkface di Ancol, Jakarta.


Grup Bunkface merupakan grup Malaysia pertama yang keluar melalui program ini selepas Datuk Siti Nurhaliza dan Amy Search. Memasuki program popular ini bukan mudah tetapi portfolio kemas Bunkface memungkinkan situasi ini.

Perancangan dan kelebihan

Berbual tentang perancangan masa hadapan, Sam mewakili grup memberitahu bahawa mereka sudahpun mempunyai studio sendiri yang dinamakan Studio Bunkface Rock Station yang terletak di SS15, Subang Jaya. Selain itu, mereka juga turut berhasrat untuk mengeluarkan album pada tahun hadapan dan mengadakan jelajah Malaysia dengan kudrat dan inisiatif sendiri.

"Kami berterima kasih kepada pihak penaja yang menaja penerbangan dan kemudahan kami di Jakarta. Begitu juga kepada pihak Indigital yang banyak membantu perjalanan kami ke Jakarta," ujar Sam.

Nama anak Aishwarya daripada peminat

Posted: 26 Nov 2011 05:07 PM PST


SUASANA di Hospital Seven Hills di Mumbai pada 22 November lalu selepas Aishwarya Rai melahirkan puteri pertamanya.


PASANGAN sensasi Bollywood, Abhishek Bachchan dan isterinya, Aishwarya Bachchan sentiasa memikirkan para peminat termasuk dalam berkongsi kegembiraan menyambut cahaya mata sulung mereka.

Bagi menghargai sokongan peminatnya, Abhishek memberi peluang kepada peminat untuk mencadangkan nama yang sesuai buat puterinya.

Portal berita Internet Apunkachoice melaporkan, Abhishek menerusi laman sosial Twitter meminta peminatnya agar mencadangkan nama untuk anaknya yang lahir pada 16 November lalu.

Bagaimanapun, Abhishek memberi syarat bahawa ejaan nama anaknya itu mestilah bermula dengan huruf A.

Antara nama-nama yang dicadangkan oleh peminatnya termasuklah Ava, Aadya, Avisha, Aaliya dan Anaya.

Menurut satu sumber lain, pasangan itu khabarnya bakal mengumumkan dan memberi nama bayi tersebut pada sambutan Hari Natal ini.

Ekspatriat Mesir mula mengundi

Posted: 26 Nov 2011 05:06 PM PST

SEORANG penunjuk perasaan yang cedera dibantu beberapa rakannya berhampiran Dataran Tahrir, Kaherah, Mesir semalam.


KAHERAH - Lebih 100,000 warga Mesir yang menetap di luar negara buat pertama kalinya mengundi dalam pilihan raya Parlimen dengan membuang undi di pejabat kedutaan konsulat Mesir, kata pemerintah semalam.

Proses pengundian tersebut dijalankan menjelang pilihan raya Parlimen Mesir esok. Pilihan raya tersebut diadakan bagi memilih anggota Parlimen Mesir.

Sebelum ini, rejim yang dipimpin Presiden Hosni Mubarak melarang berjuta-juta rakyat Mesir yang menetap di luar negara daripada mengundi dalam mana-mana pilihan raya di negara itu.

Namun, selepas rejim Mubarak tumbang pada Februari lalu, larangan tersebut ditarik balik oleh pentadbiran baharu Mesir.

"Lebih 100,000 ekspatriat Mesir telah membuang undi hari ini manakala proses pengundian berjalan lancar," kata pemerintah dalam laman Facebooknya.

Menurut laman berita Ahram, cuma 300,000 daripada sejumlah 8 juta penduduk Mesir di luar negara telah mendaftar sebagai pengundi.

Negara berkenaan memiliki sekitar 80 juta penduduk.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang pemuda berusia 19 tahun terbunuh semalam semasa polis menyerbu kumpulan penunjuk perasaan yang menuntut pemerintahan tentera di Mesir ditamatkan segera.

Kumpulan-kumpulan penunjuk perasaan bergerak dari Dataran Tahrir di sini dan menghalang pintu masuk ke ibu pejabat Kabinet.

Mereka memprotes perdana menteri baharu yang dilantik oleh Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir, Kamal Al-Ganzuri.

NASA hantar kenderaan penjelajah ke Marikh

Posted: 26 Nov 2011 05:05 PM PST


ROKET Atlas V yang membawa kenderaan penjelajah Makmal Sains Marikh di pusat pelancaran di Cape Canaveral, Florida kelmarin.


CAPE CANAVERAL, Amerika Syarikat (AS) - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (NASA) bersedia untuk melancarkan kenderaan robotik paling canggih dan berkuasa pernah dibina ke planet Marikh semalam.

Pelancaran tersebut adalah untuk meneroka sekali gus mencari tanda-tanda wujudnya kehidupan di planet merah itu.

Kenderaan enam roda berkenaan yang dinamakan Makmal Sains Marikh (MSL), dijana bahan api nuklear. Ia dijadual dilancarkan pukul 10.02 pagi waktu AS dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral di negeri Florida dengan menggunakan roket Atlas V.

"Inilah mesin idaman saintis-saintis yang mengkaji Planet Marikh," kata timbalan projek MSL, Ashwin Vasavada.

"Ini ialah kenderaan penjelajah yang paling berkeupayaan pernah dihantar, kami amat teruja," tambahnya.

Berharga AS$2.5 bilion (RM7.9 bilion), kenderaan itu mampu menghantar maklumat terperinci mengenai batu-batan di permukaan Marikh dan petanda sama ada kehidupan pernah wujud di planet berkenaan.

Hari Black Friday dicemari keganasan

Posted: 26 Nov 2011 05:04 PM PST


SEORANG wanita berehat bersama barangan yang dibelinya selepas penat membeli-belah di Dataran Herald, New York kelmarin.


NEW YORK, AS - Hari membeli-belah dikenali sebagai Black Friday terpalit sejarah hitam buat pengguna di AS kelmarin selepas banyak pergaduhan tercetus ekoran orang ramai berebut-rebut mendapatkan pelbagai barangan seperti permainan video dan tuala pada harga runtuh.

Insiden di luar jangkaan berlaku di sekitar Los Angeles apabila 20 orang cedera selepas seorang wanita di sebuah pasar raya Walmart menggunakan semburan lada untuk mengusir pembeli-pembeli lain dalam perebutan untuk mendapatkan konsol permainan video Xbox.

Rangkaian pasar raya Walmart kecoh setiap kali jualan Black Friday tiba berikutan perilaku tidak bermoral pengunjung yang saling menjerit, menolak dan menyiku semata-mata kerana mahu menjimatkan beberapa dolar.

Selain Walmart, kekecohan turut direkodkan di sebuah kedai di negeri Michigan. Pembeli bergaduh untuk mendapatkan tuala dengan insiden tersebut mencetuskan sensasi di laman web YouTube.

Perebutan tuala murah turut menimbulkan kekecohan di kedai Walmart di bandar Oregon, Negeri Ohio.

"Mereka bergaduh kerana berebutkan tuala mandi yang dijual semurah AS$1.88 (RM6), sungguh tidak munasabah," kata seorang anggota polis, Sarjan Jason Druckenmiller.

"Seorang wanita cuba mendapatkan beberapa helai tuala apabila dia ditolak dari belakang, dia kemudian berpaling dan melepaskan beberapa pukulan," tambahnya.

Black Friday menandakan bermulanya musim membeli-belah sempena perayaan Hari Krismas di AS.

Chavez bawa pulang simpanan emas negara RM35.1 bilion

Posted: 26 Nov 2011 05:03 PM PST


BEBERAPA kereta perisai membawa jongkong emas melintasi Istana Miraflores di Caracas kelmarin.


CARACAS - Venezuela kelmarin menerima penghantaran pertama simpanan jongkong emas negara berkenaan yang berada di seberang laut, kata Presiden Hugo Chavez.

Chavez berkata, penghantaran tersebut dibuat selepas Venezuela meminta semua simpanan emasnya di luar negara dipulangkan.

Simpanan emas Venezuela itu di beberapa buah bank Eropah termasuk Britain itu dibawa dengan sebuah penerbangan dari Paris.

Askar-askar kemudian mengawal emas tersebut yang diisi ke dalam sekurang-kurangnya lima buah kereta perisai menuju ke Bank Pusat di Caracas.

Pada Ogos lalu, Chavez mengumumkan rancangan mendapatkan kembali simpanan emas Venezuela di luar negara berjumlah 211.35 tan dan bernilai AS$11 billion (RM35.1 bilion).

Beliau juga mengisytiharkan hasratnya untuk memindahkan aset cair Venezuela berjumlah AS$6.2 (RM19.5 bilion) bilion yang disimpan di Bank Switzerland, Britain, Perancis dan Amerika Syarikat (AS) ke negara rakan seperti China, Rusia dan Brazil.

Manusia penghuni Antartika

Posted: 26 Nov 2011 05:01 PM PST



BERDIRI seketika di atas gurun ais Antartika yang memutih sambil menikmati saujana langit yang membiru sudah cukup untuk menzahirkan rasa takjub dengan kebesaran Ilahi.

Apa tidaknya, suhu pada musim sejuk di situ mampu mencecah -89 darjah Celcius.

Dengan kelembapan udara yang sangat rendah dan kelajuan angin yang tinggi sepanjang tahun iaitu mencecah sehingga 321 kilometer sejam, bukan calang-calang manusia boleh bertahan dengan keadaan cuaca ekstrem sebegitu.

Malah, pernah timbul persoalan, mengapa manusia mahu ke Antartika sedangkan ia tempat yang paling sejuk di muka bumi, kurang produktif, tidak diusahakan, tiada tamadun dan kesejukannya boleh membawa maut.

Sungguhpun begitu, keadaan Antartika yang belum dicemari muntahan sisa buangan pepejal dan toksik, landskap konkrit yang dipenuhi lampu serta isyarat elektromagnet yang tidak terkawal, menjadikan benua putih ini bagaikan syurga kepada golongan penyelidik dan saintis.

Malah, kebanyakannya berpendapat, mengkaji Antartika yang memiliki persekitaran unik ibarat mengkaji planet Marikh.

Walaupun berdepan dengan cabaran terutamanya cuaca dan terpaksa berjauhan daripada keluarga, ia bukan halangan besar untuk kumpulan penyelidik bertapak di situ.

Bumi Antartika yang belum terjamah seluas 8.7 juta kilometer persegi itu cukup menawarkan pelbagai khazanah saintifik yang menanti untuk dirungkai.


ANTARTIKA belum sesuai didiami manusia buat masa ini.


Fosil

Menurut penyelidik dari Pusat Penyelidikan McMurdo, Paul Doherty, keterujaan melihat dataran yang kosong menimbulkan pelbagai persoalan untuk dikaji.

"Apabila mendongak ke langit yang cerah tanpa pencemaran cahaya, ia suatu perasaan yang sangat mengasyikkan.

"Di sini juga kami dapat melihat bukti penciptaan zarah-zarah subatom.

"Selain itu, kami mengkaji mengenai mikrob eksotik yang boleh hidup dalam kesejukan," katanya yang teruja untuk memeriksa lapisan fosil ais yang berusia belasan ribu tahun.

Mengimbas kenangan semasa mula-mula menyertai program persediaan ke Antartika, Doherty yang berasal di Amerika Syarikat (AS) datang bersama tiga lagi rakannya, iaitu Mary Miller, Julie Konop dan Noel Wanner. Mereka membuat persediaan bertahun-tahun sebelum boleh mennyertai pasukan penyelidik di situ.

"Kami berempat adalah antara 600 penyelidik yang dihantar ke Stesen McMurdo setiap tahun.

"Untuk ke sini, pelbagai ujian dan latihan yang dilakukan.

"Selain mahir dalam bidang kajian, kesihatan dan kecergasan adalah perkara penting yang perlu diambil berat, termasuklah kesihatan gigi dan gusi," kata Doherty.

Stesen penyelidikan saintifk McMurdo milik AS itu adalah yang terbesar di Antartika. Ia boleh menempatkan 1,000 pegawai penyelidik pada musim panas.

"Pada musim sejuk pula hanya 250 pegawai yang tinggal di sini.

"Selain itu, stesen ini juga mempunyai 2,000 kakitangan sokongan seperti tukang masak, pemandu, jurutera, pengurus projek, pekerja penyelenggaraan dan binaan," ujar Merry Miller.

Stesen McMurdo yang terletak di selatan Pulau Ross mula beroperasi pada tahun 1956.

Kini ia mempunyai lebih 100 struktur bangunan didirikan termasuk tiga landasan ais, dermaga terapung, makmal sains, bangunan pentadbiran, bengkel, garaj, bangunan perubatan, dormitori, dapur, kantin dan kemudahan rekreasi.

Pusat penyelidikan ini merupakan pusat bagi semua program dan uji kaji saintifik.

Ia juga berjiran dengan Stesen Pangkalan Scoot, sebuah fasiliti penyelidikan kendalian New Zealand di Antartika yang dilawati oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin awal minggu ini.

Siri lawatan selama empat hari tersebut adalah gambaran kesungguhan dan komitmen negara susulan daripada penyertaan dalam Triti Antartik 1959 baru-baru ini.


Benua Antartika juga sebenarnya mempunyai gunung berapi, tetapi tidak ada satu pun yang aktif.


Terlepas kapal

Saintis dan penyelidik Malaysia mula aktif dengan misi penyelidikan di Kutub Selatan pada tahun 1997.

Sejak itu, sebanyak 62 ekspedisi dilaporkan telah dijalankan sehingga tahun lepas melibatkan 60 penyelidik dan saintis dari tujuh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara.

Selain McMurdo dan Pangkalan Scott, terdapat 74 stesen penyelidikan lain yang dibuka di Antartika. 42 daripadanya dibuka sepanjang tahun dan 32 stesen lagi dibuka hanya pada musim panas.

Sehingga kini belum ada lagi rekod menunjukkan ada manusia yang tinggal secara tetap di Antartika.

Siapa yang tinggal di sana hanyalah pasukan penyelidikan dari 30 negara yang menjalankan tugas di stesen masing-masing.

Dianggarkan seramai 4,000 orang akan tinggal di benua itu pada musim panas iaitu daripada bulan Oktober hingga April.

Jumlah tersebut akan berkurangan sehingga 1,000 orang sahaja pada musim sejuk yang tiba pada bulan Mei.

"Untuk keluar dari Antartika pada musim sejuk adalah perkara yang mustahil kerana kapal tidak boleh memasuki dataran ais.

"Sesiapa yang terlepas kapal terakhir pada musim panas, mereka perlu tinggal di sini sehinggalah musim sejuk berakhir," jelas Mark William, Ketua Stesen Mawson milik Australia yang terletak di Dataran Tinggi Antartika.

Dia yang pakar dalam bidang pertanian hidroponik cuba menghasilkan tomato terbesar di Antartika.

"Memandangkan tanah tidak dibenarkan dibawa masuk ke sini, kami menggunakan kaedah hidroponik untuk menanam sayura.

"Ia sangat penting untuk bekalan pada musim sejuk nanti," katanya yang dibekalkan dengan makanan untuk tempoh beberapa minggu setiap kali kapal logistik datang ke stesennya.


SULTAN Mizan melawat artifak yang dijaga rapi di dalam Kabin Scott ketika di Cape Evans.


Untuk memastikan keselamatan dan keselesaan kumpulan penyelidik, hampir semua stesen dilengkapi fasiliti komunikasi dan rekreasi.

Kemudahan Internet, telefon, menonton filem, radio, gimnasium dan meja snuker ada disediakan.

Jika inginkan aktiviti lasak, masih banyak perkara menarik yang boleh dilakukan seperti menjelajahi kawasan baharu, berkhemah di luar, bermain ski, serta menikmati dan merakam keindahan landskap alam dan hidupan liar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu