Rabu, 23 November 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Dia tetap di hati

Posted: 23 Nov 2011 09:01 PM PST

  • Foto

  • Foto

  • Foto

    Pada sidang media filem Azura.

Shahz Jaszle, Neelofa intim dalam Azura 2012

ANTARA persembahan yang diselitkan ketika malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) pada Ahad lalu adalah menampilkan aksi memaparkan sedutan babak dalam filem Azura 2012 arahan Aziz M Osman.
Babak selama kira-kira dua minit itu, menampilkan dua bintang muda yang semakin mendapat perhatian, Shahz Jaszle dan Neelofa. Shahz mendokong watak Zack yang asalnya dilakonkan oleh Jamal Abdillah, manakala Neelofa sebagai Azura iaitu peranan yang dimainkan oleh Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy.
Keintiman dua pelakon sebagai pasangan kekasih ini nampak terserlah ketika Shahz Jaszle dan Neelofa apabila mereka digandingkan untuk sesi fotografi ini.
Adakah jejaka yang setakat ini menonjol dalam dunia lakonan akan mampu menyerap roh Zack dalam filem Azura pada awal 1984 ke dalam versi Azura 2012 tidak lama lagi.

Melihat kepada gambar yang dipaparkan, adakah juga keintiman mereka sepanjang penggambaran Azura 2012 terbawa-bawa sehingga ke luar lokasi? Ini kerana aksi mereka tidak kelihatan sebarang kejanggalan, malahan sangat mesra sekali.

Persoalan itu bermain di fikiran sesiapa saja termasuk pelakon utama filem arahan Aziz yang akan menemui peminat pada Februari tahun depan. Jika Jamal Abdillah diangkat sebagai pelakon dan juga penyanyi lagu yang menjadi kegilaan ketika itu, Azura, adakah Shahz juga akan mengikut rentak Jamal dalam menguasai filem itu sehingga kesan lakon layarnya mampu diingati sehingga hari ini.
Bertemu pelakon yang dikatakan sedang hangat menjalinkan cinta bersama pelakon seksi, Miera Liyana pada pelancaran filem Azura 2012 baru-baru ini, dia tidak menafikan berdebar menanti reaksi penonton namun sudah memberikan yang terbaik kepada filem itu.

Indahnya lagi apabila perjalanan seni anak muda ini sentiasa diapit si kekasih. Buktinya, Miera turut berada di majlis itu. Begitu juga ketika sesi temubual dijalankan. Ini sekali gus membuktikan hubungan dengan Neelofa tidak lebih daripada 'pasangan kekasih' dalam filem semata-mata.

Realitinya, Mira sentiasa melekat di sebelah kekasihnya itu dan ibarat belangkas hubungan mesra itu dapat ditafsirkan kala mata memandang keakraban yang terpamer.

Sesekali mata Shahz dilihat terarah kepada Miera yang kelihatan begitu manja di sebelahnya dan melemparkan senyum mesra kepada kekasih hati. Apa yang dapat dinoktahkan cinta mereka cukup hangat.

"Saya bersedia menerima pandangan penonton jika dibandingkan watak Zack yang dibawakan saya dan juga Jamal Abdillah tetapi saya membawakan perwatakan Zack dari sudut pandang yang berbeza.

"Di bawah arahan Aziz M Osman, cerita juga dilihat pengarah melalui sudut pandang seorang pengarah yang berbeza. Saya menjadi diri saya dan tidak terikat kepada watak Zack yang dibawa oleh Jamal sebelum ini," katanya.

Tak tengok, takut terikut-ikut

Shahz berterus terang memberitahu, jika orang lain menonton filem cinta penuh melankolik itu berpuluh kali sepanjang hayat, tidak baginya yang hanya menonton filem itu hanya sekali saja. Itu pun beberapa tahun yang lalu atas dasar tidak ada rasa terpanggil untuk menontonnya.

"Sekali saja saya pernah tonton. Rasanya lima tahun lalu. Apabila memegang peranan sebagai Zack, saya terus ambil keputusan untuk tidak menonton filem ini. Bukan apa, saya tidak mahu terpengaruh dengan cara lakonan Jamal.

"Lagipun saya perlu membawa watak Zack yang saya perlu imaginasi sendiri dan mengikut kehendak skrip," katanya yang berharap tidak akan menjadi bahan perbandingan sebaik filem itu ditayangkan kepada umum kelak.

Berkali-kali meluahkan rasa bimbang jika mendapat kritikan hanya disebabkan dirinya bukan seperti bakat seni bernama Jamal Abdillah, Shahz berkata antara kelainan yang bakal dilihat penonton adalah dari segi Zack berpakaian yang menjurus ke alam moden.

"Selain watak Zack yang banyak bermain dengan emosi, mungkin cara berpakaian Zack yang ditampilkan dalam Azura lalu dan Azura kini adalah berbeza," katanya.

Mengusik Shahz yang dicap sebagai artis cinta lokasi apabila sebelum ini pernah menjalinkan hubungan dengan pasangannya dalam drama mahupun filem, Shahz ada jawapannya.

"Saya tidak ada masalah berlakon dengan Neelofa. Sejujurnya dari A hingga Z, saya banyak membimbing dia. Jika ditanya, adakah saya jatuh cinta kepadanya jawapannya adalah tidak.

"Sikap, perangai dan cara kami berfikir adalah berbeza. Mungkin jika bercinta tidak akan kekal lama kerana tidak ada keserasian akan dicapai," katanya jujur.

Berbicara soal kerjaya pula, Shahz berkata dia banyak menerima tawaran untuk berlakon dan terbaru dia akan menjalani penggambaran di Australia.

"Saya akan menjalani penggambaran drama di Australia dengan salah sebuah stesen televisyen swasta Disember ini. Selepas itu akan ada tawaran di lokasi yang sama tetapi di bawah produksi yang berbeza," katanya yang memberitahu sudah lima tahun berada di dalam bidang lakon serta berharap akan bergelar pengarah filem satu hari nanti kerana ia impian hatinya selain mengakui lebih gemar berlakon filem daripada drama

Yuna terkilan

Posted: 23 Nov 2011 08:59 PM PST

YUNA...kewibawaan AIM terjejas
YUNA...kewibawaan AIM terjejas

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer muda, Yuna yang ditarik kemenangannya dalam kategori utama Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18) menganggap ada hikmah di sebalik apa yang berlaku dan tidak bercadang mengambil sebarang tindakan undang-undang.

Dia yang bakal memasarkan album Inggeris untuk pasaran Amerika Syarikat berkata, penjelasan sepatutnya bukan daripada pihaknya sebaliknya Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selaku penganjur perlu mengadakan sidang akhbar dan menjelaskan dengan terperinci bagaimana masalah itu berlaku.


"Pada saya perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana ia membabitkan majlis anugerah berprestij. Apatah lagi AIM itu sendiri mempunyai tanggungjawab besar untuk mengangkat industri muzik tempatan.

"Saya membesar dengan mengagumi penganjuran AIM sebelum ini. Apabila memenangi anugerah yang amat saya hargai dan ditarik balik atas kesilapan yang dikatakan sudah tentu rasa terkilan," katanya ketika dihubungi, semalam.


Harian Metro difahamkan RIM dijadualkan mengadakan sidang media bagi menjelaskan mengenai kesilapan teknikal yang berlaku itu pada petang ini. "Saya diberitahu mengenai kesilapan itu dua hari lalu," kata Yuna.


Pada AIM18 yang berlangsung 12 November lalu Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai diumumkan pemenang Lagu Terbaik menerusi singlenya, Penakut.

Selain Lagu Terbaik, pada majlis anugerah berprestij yang mengiktiraf karya terbaik karyawan muzik tempatan itu, Yuna turut memenangi anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) dan Anugerah Kembara.


Yuna berkata, kesilapan yang berlaku akan menyebabkan ramai pihak akan hilang keyakinan terhadap RIM dan penganjuran AIM itu sendiri.

Menurutnya, lebih membimbangkan kemenangan bagi kategori lain dimenangi penggiat muzik tempatan turut dipertikaikan kerana mungkin kesilapan berlaku. Katanya, sejak awal lagi dia mengikuti segala syarat diberikan RIM untuk mempertandingkan karya dihasilkan dalam AIM, terutama membabitkan pencalonan karya dihasilkan harus 100 peratus anak tempatan.


Syarat ditetapkan juga menyebabkan albumnya tidak dipertandingkan kerana tiga daripada lagu dihasilkan dikatakan tidak layak kerana ia untuk pasaran luar.


"Saya akur dengan setiap syarat diberikan, tetapi apabila kemenangan ditarik balik sudah tentu timbul kekeliruan. Bukan saja kepada saya, tetapi seluruh penggiat industri muzik tempatan.


"Tidak keterlaluan jika dikatakan ada pihak melihat apa yang berlaku sinis dan kelakar. Apatah lagi penganjuran AIM membabitkan dua entiti besar iaitu RIM sendiri dan jabatan audit diiktiraf," katanya.


Kata Yuna lagi, sebenarnya sewaktu diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Lagu Terbaik, dia sudah berasakan ada sesuatu yang tidak kena berlaku, kerana syarat untuk memenangi anugerah utama itu, lagu dihasilkan dan didendangkan haruslah menjuarai kategori dipertandingkan.


"Ketika majlis sidang akhbar perkara sama turut ditanya wakil media, bagaimanapun pihak penganjur mengatakan untuk kategori Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik dinilai juri berbeza. Perkara itu sudah dimaklumkan dan semua pihak faham.


"Saya sendiri akur dengan penjelasan itu memandangkan untuk tahun ini ada beberapa perubahan dari sudut syarat dibuat RIM mahupun Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi)," katanya.

Imam Muda Asyraf Umum Nama Anak Selepas 7 Hari

Posted: 23 Nov 2011 08:55 PM PST

Asyraf dan isteri menyambut kelahiran anak sulung mereka pada 18 November lalu.

PETALING JAYA: Imam Muda Asyraf yang menyambut kelahiran anak sulungnya pada 18 November lalu bersedia untuk mengumumkan nama anaknya selepas tujuh hari bayi lelaki itu dilahirkan.

Menurut Asyraf, lebih elok jika nama anaknya diumumkan pada hari ketujuh memandangkan dia dan isteri, Nurhusna Yusof merancang untuk melakukan majlis aqiqah anak mereka.

"Bagi yang tidak merancang untuk membuat aqiqah hari ketujuh, sunat memberi nama pada hari kelahiran tetapi bagi yang merancang membuat aqiqah pada hari ketujuh, sunat memberi dan mengisytiharkan nama pada hari ketujuh.

Wajah ceria Asyraf dan isteri di samping putera mereka.

"Jadi, saya akan mengisytiharkan nama anak kepada semua pada esok (Khamis). Tetapi kemungkinan saya akan mendaftar nama anak di Jabatan Pendaftaran Negara pada hari ini," kata Asyraf ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Asyraf akan membuat majlis aqiqah untuk anaknya secara kecil-kecilan di surau berdekatan rumahnya di Sungai Besi.

Bayi seberat 2.5 kilogram itu dilahirkan di Hospital Pakar An-Nur, Bandar Baru Bangi.

Asyraf berkahwin dengan Nurhusna hampir dua tahun.

Nafi tinggalkan anak sendirian

Posted: 23 Nov 2011 08:54 PM PST

TERTUDUH...Hii dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
TERTUDUH...Hii dibawa keluar dari mahkamah, semalam.

MELAKA: Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tuduhan dengan sengaja menganiaya anak perempuannya sendiri dengan meninggalkan mangsa sendirian di tandas pusat beli-belah Mahkota Parade, dekat sini, pada 5 November lalu.

Tertuduh, Hii King Kit, 23, yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran dan beralamat di Lorong 3, Jalan Pisang Barat, Kuching, Sarawak, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan meminta dibicarakan di depan Hakim Harmi Thamri Mohamad@ Shaharuddin.


Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Haslinda Abu Bakar, sementara tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mengikut kertas pertuduhan, Hii sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan iaitu bapa kepada Anna yang berusia setahun dan 11 bulan didapati sengaja menganiaya iaitu dengan meninggalkan dia seorang diri di tempat awam.


Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pada 5 November lalu, kira-kira jam 8.48 malam di dalam tandas lelaki Tingkat 1, Mahkota Parade, Jalan Merdeka, dekat sini.


Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Haslinda mencadangkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.


Hakim yang menimbangkan rayuan tertuduh menetapkan jaminan RM5,000 dan syarat melapor diri di balai polis.

Kes itu akan disebut semula pada 14 Disember depan untuk lantikan peguam bela.


Sementara itu, suasana sedikit kecoh sebelum prosiding bermula apabila bapa tertuduh melarang jurugambar dan media merakam gambar Hii dan menulis namanya di dalam akhbar.


Lelaki terbabit juga sanggup merayu dan menyembah wartawan dan jurugambar daripada pelbagai agensi termasuk meminta nombor telefon untuk berhubung dengan editor akhbar.


Isteri tertuduh yang ditemui di luar pula menyatakan dia belum menemui Anna yang kini masih ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di rumah Taman Sinar Harapan Tunku Ampuan Najihah, Seremban, Negeri Sembilan.


Sejurus selepas membayar denda, tertuduh kemudiannya ditahan anggota polis sebelum dibawa menaiki van ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.


Harian Metro sebelum ini melaporkan kontinjen negeri memberkas seorang lelaki yang juga bapa kandung kanak-kanak perempuan berusia setahun yang disifatkan tidak berhati perut dan kejam apabila meninggalkan mangsa di tepi tandas pusat beli-belah Mahkota Parade, dekat sini, pada 5 November lalu.

Irfan Makki Tolak Dakwaan Dirinya Klon Maher Zain

Posted: 23 Nov 2011 08:53 PM PST

Penyanyi kelahiran Pakistan, Irfan Makki pada pelancaran album keduanya, I Believe di Hotel Quality, di sini, Rabu.

KUALA LUMPUR: Penyanyi nasyid dan kerohanian Irfan Makki, 36, menyifatkan dakwaan yang melabelnya klon kepada penyanyi Maher Zain sebagai tidak tepat kerana mereka memperjuangkan muzik yang berbeza dan mempunyai kekuatan masing-masing.

Penyanyi yang menetap di Kanada itu berkata sebagai penyanyi yang baru menembusi pasaran Malaysia selepas fenonema yang dicetuskan Maher Zain sebelum ini, dia tidak mampu menolak persepsi itu dan berharap agar peminat dapat menilaikan sendiri kelainan yang ditawarkan dalam muziknya.

"Mungkin konsep muzik saya dan Maher Zain kedengaran seakan sama iaitu lagu nasyid dan kerohanian kontemporari. Namun lagu-lagu saya lebih menonjolkan isu sosial dan masalah sejagat seperti di Palestin, isu ketidakadilan dan motivasi diri.

"Album ini diterbitkan pada standard yang tinggi dan berbeza. Malah, Maher sendiri turut bertindak sebagai penerbit bersekutunya, jadi sudah tentu muzik kami berbeza," katanya yang ditemui sejurus pelancaran album keduanya, I Believe di Hotel Quality, di sini, Rabu.

Irfan mahu dikenali khalayak kerana perjuangan muziknya yang tersendiri.

Irfan berkata sebelum tampil dengan album tersebut, dia dan Maher Zain sebenarnya sering bekerjasama dalam penerbitan lagu dan persembahan pentas di merata tempat.

"Saya sudah menceburi bidang nyanyian sejak 1997 lagi. Hakikatnya, saya dan Maher sudah lama mengenali antara satu sama lain. Malah, kami sering berkolaborasi dalam penerbitan lagu dan pertunjukan pentas.

"Selepas mengeluarkan album pertama iaitu Salam pada 2003, saya terpaksa berehat seketika atas urusan peribadi. Hanya pada tahun ini saya mahu kembali aktif dan mula menembusi pasaran Malaysia dan serantau," katanya.

Album terbitan Awakening Records itu memuatkan 13 trek lagu termasuk I Believe (menampilkan Maher Zain), Mabrook dan You & I.

Sejak ia mula dipasarkan oleh wakil pengedar tempatan, Inteam Records dan Warner Music Malaysia kira-kira tiga bulan lalu, album I Believe sudah terjual lebih 10 ribu unit.

Album tersebut kini berada di pasaran dan juga boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web www.inteammobile.com dengan harga RM27.90.

Irfan bertandang ke Malaysia buat julung kalinya ketika menjayakan konsert Maher Zain Live in Concert di Stadium Malawati, Shah Alam pada 25 dan 26 Februari lalu.

Penyampai Hot FM Kelate & T’ganu Tidak Kejar Populariti

Posted: 23 Nov 2011 08:52 PM PST

Penyampai Hot FM Kelate. Dari kiri: Shaz, Farid, Fizie dan Renny.

KUALA LUMPUR: Penyampai Hot FM Kelate dan Hot FM T'ganu akui menyertai stesen radio tersebut kerana minat dan bukan kerana mahu mengejar populariti semata-mata.

Kebanyakannya mempunyai pengalaman mengendalikan stesen radio dan ada yang masih menuntut di universiti.

Menurut Syed Mohd Farid Mohd Nor (Farid), 24, dan Mohamad Hafizie Roslan (Fizie) yang akan bertugas di Hot FM Kelate, 23, walaupun mereka pernah bekerja di stesen radio lain, namun mereka tidak melihat 'perubahan angin' itu sebagai langkah mudah untuk cepat dikenali dan popular.

"Saya pernah bekerja di Kelantan FM selama dua tahun dan Fizie di Manis FM selama empat tahun.

"Bagaimanapun, niat kami lebih kepada untuk mengembangkan bakat dalam bidang penyiaran. Kami yakin populariti akan datang sendiri kelak dengan hasil tunjuk ajar insan-insan yang berkualiti di Hot FM," ujar Farid yang akan bergandingan dengan Fizie.

Penyampai Hot FM T'ganu. Dari kiri: Azri, Bell, Ain dan Rafly.

Mereka akan mengendalikan segmen Hot FM Kelate Gu Kito pada pukul 3 petang hingga 7 malam, setiap Isnin hingga Jumaat.

Semasa bertugas di Kelantan sebelum ini, Farid dan Fizie merupakan teman serumah dan tidak mempunyai masalah dari segi mencari keserasian kerana saling mengenali antara satu sama lain.

"Kami sama-sama menyertai ujibakat dan tidak sangka berjaya terpilih serta bakal ke udara bersama-sama. Alhamdulillah, kami bersyukur dengan rezeki ini.

"Semasa mengendalikan segmen tersebut, saya akan menggunakan bahasa Malaysia seperti biasa manakala Farid akan bertutur dalam loghat Kelantan," ujar Fizie yang berasal dari Taiping, Perak.

Sementara itu, Shazwani Mohamad Shakeri (Shaz), 26, dari Hot FM Kelate dan Mohd Hermansani Aminudin (Bell), 28, dari Hot FM T'ganu sanggup meninggalkan kerjaya lama mereka yang berlainan bidang daripada penyiaran untuk bekerja sebagai penyampai radio.

"Sebelum ini, saya bekerja sebagai pentadbir laman sesawang di syarikat mesin jahit. Tetapi sebelum ini saya pernah menjadi juruhebah sambilan semasa belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM)," kata Shaz yang meminati penyiaran sejak di bangku sekolah lagi.

Bagi Bell pula, biarpun sudah lima tahun menjawat jawatan penolong pegawai perubatan di Hospital Melaka, pemuda ini sudah biasa terdedah dalam pengacaraan.

"Saya sudah fikir masak-masak untuk berhenti dari kerja lama kerana minat saya untuk menjadi penyampai radio.

"Berbekalkan pengalaman sebagai pengacara majlis sambilan, saya akan memanfaatkan pengalaman itu untuk mengendalikan Hot FM T'ganu," ujarnya yang berasal dari Kemaman, Terengganu.

Dalam pada itu, Nurul Ain Omar (Ain), 22, yang bakal bertugas di Hot FM T'ganu bakal menamatkan pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Komunikasi Media.

Dia yang bakal menamatkan pengajiannya pada Januari tahun depan akan menggunakan peluang itu sebaik mungkin sekaligus menjalani praktikal di stesen radio itu.

Selain daripada Bell dan Ain, Hot FM T'ganu turut diterajui oleh Mohd Rafly Rahamat (Rafly), 25, dan Muhammad Azri Ismail (Azri), 23, sebagai penyampai manakala Ahmad Zulhilmie Zainal (Zul), 25, sebagai eksekutif muzik.

Sementara seorang lagi penyampai Hot FM Kelate adalah Wan Zuraini Wan Hasan (Renny), 23, dan eksekutif muziknya adalah Mohd Izzul Nazmi Mazri (Izzul), 23.

Mereka akan mula bertugas 2 Januari depan dan konti kedua-dua saluran itu akan berpengkalan di Kota Bahru dan Kuala Terengganu.

Biarpun begitu, Hot FM masih mengekalkan segmen Hot FM AM Krew pada pukul 6 pagi hingga 11 pagi melibatkan penyampai Fara Fauzana, AG, Usop dan Faizal Ismail.

Bermula pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam, segmen bagi setiap negeri bakal berkumandang pada frekuensi 105.1 di Kelantan dan 105.0 di Terengganu di mana ia hanya boleh didengar di negeri-negeri itu sahaja.

ABPBH 25 Perkenal Anugerah Seri Perak Sempena 25 Tahun

Posted: 23 Nov 2011 08:51 PM PST

SUBANG JAYA: Sempena 25 tahun ulangtahun penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), mengumumkan satu anugerah khas iatu Anugerah Seri Perak pada ABPBH 25 yang bakal diadakan pada 8 April 2012.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2011, Zainuri Misfar, berkata anugerah khas tersebut adalah bagi meraikan ulangtahun ke 25 ABP.

"ABPBH 25 kali ini mempunyai kelainan, keunikan dan keistimewaan tersendiri sempena sambutan Jubli Perak iaitu tempoh 25 kali penganjurannya sejak mula diperkenalkan Berita Harian pada 1987.

"Satu kategori khas, Anugerah Seri Perak akan dipertandingan antara 12 pemenang Bintang Paling Popular sepanjang 25 tahun ABPBH," katanya ketika ditemui pada sidang media Bintang Popular, di sini, Rabu.

Dalam pada itu, borang pencalonan pusingan awal akan dikeluarkan di Berita Harian dan Berita Minggu bermula 25 November hingga 29 Disember depan kepada pembaca memilih calon lima teratas.

Selain itu, beberapa kategori sampingan secara online turut diadakan bermula pada Januari 2012 iaitu Anugerah Muat Turun Mobile, Artis Paling Popular Wanita Online, Artis Paling Popular Lelaki Online, Pakaian Selebriti Terbaik Sepanjang ABPBH 25 Tahun, dan Artis Asia Popular Online.

Antara tetamu yang hadir pada majlis tersebut ialah Datuk Mior Kamarul Sahahid, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali, dam Pengarang Bersekutu Edisi Mingguan Berita Harian, Hanizam Abdullah.

Chris Brown Beli Rumah Berdekatan Dengan Rihanna

Posted: 23 Nov 2011 08:50 PM PST

Chris Brown.

PENYANYI R&B, Chris Brown dilaporkan telah membeli sebuah kediaman mewah berharga USD1.5 juta hanya lapan kilometer daripada rumah bekas kekasihnya, Rihanna.

Chris sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila telah memukul bekas kekasihnya itu pada malam sebelum majlis anugerah Grammy berlangsung pada 2009.

Bagaimanapun menurut satu laporan lain, Rihanna yang popular dengan lagu Umbrella itu bakal menjual kediamannya kini di Beverly Crest yang dinilaikan sebanyak USD4.5 juta.

Sumber terdekat Chris memberitahu, dia gembira akan berpindah ke rumah barunya itu malah tidak mempedulikan bekas kekasihnya itu turut akan berpindah ke tempat lain.

Giuliana Rancic Terbuka Mengenai Barah Payudara

Posted: 23 Nov 2011 08:49 PM PST

Giuliana Rancic.

PENGACARA saluran E!, Giuliana Rancic secara terbuka memberitahu kepada umum mengenai keadaan dirinya selepas menjalani pembedahan membuang sel kanser payudara yang dihidapinya pada bulan lalu.

Giuliana, 37 memberitahu dia bertuah dapat mengesan kanser tersebut awal kerana jika terlambat ia mungkin membahayakan dirinya.

"Saya dalam keadaan baik sekarang selepas pembedahan tersebut dan terima kasih kepada semua peminat yang sentiasa mendoakan kesihatan saya," ujarnya kepada majalah Parade.

Isteri kepada Bill Rancic itu memberitahum dia berjaya mengesan kanser pembunuh nombor satu wanita itu setelah dinasihati oleh doktornya ketika sedang menjalani proses in-vitro.

Dia menjalani pembedahan selama dua jam untuk membuang sel kanser tersebut di kedua-dua belah payudara.

Giuliana berkata, dia berharap dengan kejadian menimpanya dapat membuka mata wanita di seluruh dunia kepentingan menjalankan pemeriksaan payudara sebelum terlambat.

"Sejujurnya tiada apa yang perlu dimalukan dan atas dasar itu juga saya begitu terbuka menceritakan mengenai pengalaman saya selain dapat menyampaikan mesej kepada wanita di luar sana untuk sama menjalankan pemeriksaan," ujarnya.

‘Gangster’ menangis jadi Hariz

Posted: 23 Nov 2011 08:47 PM PST

TUNJANG...(dari kiri) Maya, Aaron, Lisa dan Bront Palarae ketika previu Ombak Biru, baru-baru ini.
TUNJANG...(dari kiri) Maya, Aaron, Lisa dan Bront Palarae ketika previu Ombak Biru, baru-baru ini.

BUKAN mudah untuk menggigit emosi penonton. Namun baik Lisa Surihani, Aaron Aziz mahupun Maya Karin Roelcke, setiap seorang mereka bakal meragut perasaan penonton menerusi Ombak Rindu - karya terbaru Osman Ali.

Malah jika penonton mengandaikan pelakon kacak seperti Aaron Aziz sukar menitiskan air mata, persepsi itu harus ditolak ke tepi apabila menyaksikan filem melankolik itu mulai 1 Disember ini.

  • Foto

    MELANKOLIK...Maya bersama Aaron menghayati keserasaian watak Izzah dan Hariz.

  • Foto

    MEMBUAI PERASAAN...sinematografi cantik memberikan kesan pada penonton.

  • Foto

    KONFLIK...Lisa memainkan watak Mila berdepan kecewa cinta dirampas Izzah.

Aaron yang pernah tampil dengan watak 'gangster' dalam filem Evolusi KL Drift dan KL Gangster jelas berjaya menunjukkan sisi lakon berbeza dalam filem drama berat itu.

Bergandingan bersama dua aktres terbaik iaitu Lisa dan Maya sudah tentu keserasian antara dua pelakon ini menjadi sandaran penting.


Menariknya, ini pertama kali mereka bertiga dipertemukan sebagai bintang utama.

Aaron menjadi sandaran terbaik selepas bergelar Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem pada Anugerah Skrin 2010 menerusi Evolusi KL Drift 2.

Memberi tarikan, lakonan cemerlang dua pelakon utama itu turut dibantu pelakon handalan Bront Palarae, Aizah Mahzan, Normah Damanhuri dan Zaidi Omar.

Nyata mereka menjadikan Ombak Rindu sebuah karya yang sarat dengan lakonan yang cemerlang dan meninggalkan impak.

Bagi Aaron, dia akui pengalaman melakonkan watak Hariz iaitu anak Datuk Sufiah lakonan Azizah Mahzan suatu mencabar dirinya sebagai pelakon.

Lebih sekadar menghayati karakter lelaki romantik mencintai dua wanita, Izzah (Maya) dan Mila (Lisa), Aaron berkongsi penghayatan cinta mendalam terhadap gadis yang jujur pada dirinya.

Mengikut plot cerita ini, Hariz bertemu Izzah selepas wanita itu dijual bapa saudaranya. Izzah diselamatkan Hariz sebelum mereka berkahwin secara rahsia tanpa pengetahuan kekasihnya, Mila dan ibunya.

"Saya tidak membaca novel ini kerana saya tidak suka apabila membacanya, ia mempengaruhi lakonan. Ini novel kelima yang saya lakonkan dan saya percaya ada perubahan dilakukan pengarah untuk menterjemah cerita itu lebih menarik.

"Sebagai pelakon, saya tidak mahu keliru dan mencampur aduk karakter dalam novel dengan lakonan saya dalam filem ini. Saya berlakon mengikut skrip dan lokasi juga memainkan peranan penting dalam mencetuskan mood.

"Apa yang mencabar adalah menghidupkan sesuatu adegan agar sampai pada penonton seperti mana yang digambarkan peminat novel ini.

"Tidak ketinggalan, aspek penyampaian dan sinematografi banyak membantu.

"Memang filem ini menonjolkan saya banyak menangis dan saya tidak tahu mengapa, mungkin kerana terlalu taksub dengan watak yang dilakonkan.

"Bagi saya, filem ini suatu yang segar kerana selalu peminat melihat watak antagonis pada diri saya sendiri," kata Aaron ketika tayangan previu Ombak Rindu diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Maya pula memberi kelainan watak imej bertudung merujuk gadis kampung sebagai Izzah, berpandangan positif terhadap lakonannya kali ini.

Dia sangat menghormati ketika diberi kepercayaan membawa watak itu selepas membaca novel itu tujuh tahun lalu.

"Saya suka watak Izzah dan jatuh cinta terhadap watak Hariz. Apabila mendapat peluang berlakon filem ini, saya rasa ia suatu menyeronokkan apatah lagi melalui pengalaman menjalani penggambaran selama tiga minggu di Langkawi termasuk seminggu di Cameron Highlands.

"Saya suka cerita ini mungkin kerana saya berjiwa romantik. Saya suka apabila perasaan Izzah dan Hariz yang sangat mencintai satu sama lain tetapi sukar untuk nyatakan.

"Apa yang dilalui ketika penggambaran suatu yang mencabar di samping pengarah hebat dan setiap pelakon berupaya memberikan lakonan yang mantap," katanya yang pernah bekerjasama dengan Osman menerusi Anak Halal dan Cun.

Pengalaman mencabar juga dirasakan Lisa melakonkan watak Mila yang teruja berlakon di bawah arahan Osman. Mendapat latihan bersama Osman dan pelakon berpengalaman, Ellie Suriati, Lisa berpandangan watak kali ini memberi kelainan pada penampilannya.

"Saya sendiri perlu baca novel ini untuk memahami karakter Mila. Selalunya, setiap filem mempunyai watak baik dan jahat tetapi Mila bukan jahat sebaliknya mempunyai sisi putih dan hitam.

"Bagi saya, melakonkan watak ini sebagai satu proses yang menarik dan saya berterima kasih pada Osman atas peluang yang diberikan. Malah, bekerjasama dengan pelakon lain banyak membantu dalam menyampaikan lakonan itu berkesan," katanya.

Cabaran memberikan lakonan berkesan dikongsi Osman yang bertanggungjawab menterjemah novel asal diadaptasi ke layar perak. Sangat menghargai peluang diberikan produser, Sharad Sharan dari produksi Tarantella Pictures, peluang yang ditawarkan dianggap sangat berharga.

"Sudah lama saya impikan mahu mengarah filem yang diadaptasi novel tetapi belum dapat dan jarang diperolehi. Selepas ditawarkan projek ini, saya menghubungi penulis sebenar untuk berkongsi rasa dan saya fikir lebih selesa jika mendapat restunya kerana itu lebih bermakna.

"Skrip asal ditulis Arman Tono tetapi saya mengolah agar memenuhi budaya negara ini. Ikut skrip asal banyak watak yang diceritakan tetapi ia diringkaskan dalam filem.

"Seperti watak Izzah, saya gambarkan dia dengan karakter bertudung yang sesuai sebagai gadis kampung. Begitu juga, banyak latihan lakon dijalankan kerana pelakon harus bersedia berdepan persepsi peminat novel ini.

"Apabila menangani skrip yang bukan karya saya, perkara pertama harus saya lakukan adalah mencintai cerita itu sendiri dan paling penting ia sebati dengan jiwa saya," katanya.

Kata Osman, olahan pada skrip asal penting yang disesuaikan dengan penonton tempatan. Malah, struktur asal plot cerita ini dikekalkan termasuk watak utamanya manakala beberapa adegan ditambah seperti lokasi di sawah padi.

Di sebalik debaran menantikan tayangan filem ini bermula 1 Disember, penulis novelnya Fauziah Ashaari meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap hasil filem ini.

"Saya tidak berpuas hati apabila melihat skrip ini ada campur tangan orang lain. Jika pembaca menghabiskan masa empat hingga lima jam membaca novel, filem pula hanya dua jam dan sub plot dipendekkan.

"Saya berharap mudah-mudahan karya ini menjadi filem terbaik dan saya tidak berhak menghakimi lakonan dalam filem ini.

"Apa yang saya harapkan sekiranya sesebuah novel itu mahu diadaptasi kepada filem, produser harus ringan mulut dan melantik penulis novel sebagai penasihat bersama," katanya.

Definisi berbeza rias wajah

Posted: 23 Nov 2011 08:45 PM PST

CERIA...Shahrum (kanan) dan Lye menyampaikan hadiah kepada Intan Shafinaz (kiri), Wan Nur Latifah dan Huriah (tengah).
CERIA...Shahrum (kanan) dan Lye menyampaikan hadiah kepada Intan Shafinaz (kiri), Wan Nur Latifah dan Huriah (tengah).

KESUNTUKAN masa, tampak pelik dan tidak biasa melakukannya sering menjadi alasan di kalangan wanita negara ini jika diajukan soalan mengenai aplikasi solekan dalam kehidupan seharian.

Bagi mereka, solekan ringkas dengan bedak dan gincu sudah memadai kerana enggan menghabiskan masa terlalu lama di depan cermin serta tidak mahu menjadi topik perbualan jika bersolek rapi.

  • Foto

    TUNJUK...Shahrum (kiri) melakukan demonstrasi solekan kepada peserta dan pengunjung karnival.

  • Foto

    MERIAH...Lye (kiri) memantau dan membantu peserta pertandingan solekan di Karnival Gegaria, Kepala Batas, Ahad lalu.

  • Foto

    TRANSFORMASI...(dari kiri) Wan Nur Latifah, Huriah dan Intan Shafinaz tampil lebih menarik dengan solekan ringkas daripada Mac.

  • Foto

    LANGKAH AWAL...semburkan Fix+ pada wajah sebelum memulakan solekan untuk kesan segar pada kulit.

  • Foto

    PENTING...jangan abaikan penggunaan bedak asas kerana tanpanya boleh memberikan impak ton yang tidak sekata.

  • Foto

    MEMADAI...penggunaan pengilat bibir semata-mata sudah cukup kerana ia mampu hasilkan efek bibir mungil dan lembap.

Akhirnya, wajah yang hanya disapu bedak dan dicalitkan gincu itu tampak kusam, berbelak malah tidak bermaya hingga perlu dirapi semula beberapa jam selepas itu.

Menurut Jurusolek Acara Khas Mac Cosmetics Malaysia, Shahrum Mohd Nor, teknik dan penggunaan produk yang betul dapat membantu wanita menyiapkan solekan dalam tempoh singkat.


"Penggunaan bedak asas yang betul serta memilih rona sesuai dengan warna kulit amat penting bagi memastikan solekan seimbang dan tidak terlalu menonjol untuk aktiviti siang.


"Tapi Mac percaya bahawa tiada peraturan dalam solekan. Anda bebas memilih apa jua warna serta gaya solekan yang digemari, asalkan ia sekata dengan ton kulit serta sesuai dengan aktiviti yang akan dilakukan," katanya.

Ketika sesi pertandingan solekan di Karnival Gegaria, Kepala Batas, Ahad lalu, Shahrum yang dibantu jurusolek Mac cawangan Pulau Pinang, Chris Lye, menunjukkan cara menghasilkan solekan yang bukan saja ringkas tetapi memberi definisi berbeza pada riasan wajah.

"Untuk solekan harian yang mudah, beri tumpuan satu persatu pada kawasan khusus yang mengikut keutamaan - keseluruhan kulit, mata, pipi dan bibir.
"Kenal pasti zon yang perlukan perhatian khusus dan mulakan daripada situ," ujarnya.

Untuk langkah pertama, semburkan Fix+ pada wajah bagi memberi kesan segar pada kulit. Semburan jenis cecair ini kaya vitamin dan mineral serta diadun bersama bahan yang boleh menenangkan kulit seperti teh hijau, timun dan kamomil.

Menariknya, semburan ini bukan saja digunakan untuk prasolekan tetapi boleh disembur selepas wajah lengkap dirias bagi memastikan wajah kekal segar dan berseri.

Seterusnya, sapukan bedak asas sama ada jenis cecair atau bedak untuk hasil kulit sekata. Tambah Shahrum, penggunaan bedak asas amat kritikal dalam solekan kerana ia boleh menjejaskan riasan lalu membuatkan struktur kulit tampak tidak licin, berbelak dan ton tidak sekata.

"Sebaik-baiknya gunakan berus atau span ketika meratakan bedak asas pada kulit kerana sapuan akan lebih sekata berbanding menggunakan jari," tegasnya.

Riasan seterusnya dibawa ke zon mata, di mana hanya satu atau dua rona sudah memadai. Biasanya sapu warna terang di bahagian kelopak dalam dan rona gelap di hujungnya bagi menghasilkan gaya kontras.

Tidak lengkap solekan mata tanpa penggaris mata dan maskara. Dua perkara ini juga amat penting bagi solekan harian kerana ia boleh membuatkan wajah tampak berbeza.

"Ketepikan pembayang mata jika tidak gemar menggunakannya, tapi mesti digantikan dengan maskara dan penggaris mata. Penggaris mata dan maskara amat penting dalam solekan kerana ia mampu 'membuka' mata, sekali gus mencipta ilusi segar di kawasan itu.

"Penggaris mata juga boleh dipelbagaikan penggunaannya. Ia bertindak sebagai pembayang mata dengan hasil riasan smokey. Buat garisan sederhana pada garis bulu mata dan 'comotkannya' dengan berus atau jari.

"Cara ini bukan saja menggantikan pembayang mata malah memberikan efek solekan yang tidak keterlaluan," katanya.

Seterusnya, pilih pemerah pipi rona lembut seperti pic-merah jambu dan perang tanah. Elakkan menyapu terlalu banyak rona merah jambu atau merjan kerana ia membuatkan pipi seakan-akan terkena selaran matahari.

Selain itu, elakkan pemerah pipi daripada jenis pigmen berkilau, sebaliknya pilih jenis yang menghasilkan kesan semula jadi.

Bagi melengkapkan gaya solekan harian, lapisi bibir dengan pengilat warna lembut. Seeloknya sapukan dulu gel rawatan atau pelembap bibir sebelum meneruskannya dengan pengilat.

Andai mahu bergincu, pilih rona sederhana gelap dan lapisinya dengan pengilat bibir rona lembut atau jernih.

"Penggunaan pengilat bibir sebenarnya lebih ringkas berbanding kombinasi bersama gincu. Penggunaan pengilat bibir Mac Lipglass juga sudah cukup kerana ia turut membantu memberi lembapan pada bibir menerusi minyak jojoba. Bibir juga akan tampak lebih mungil," katanya.

Sementara itu, Huriah Abdul Shukor dari Ipoh, Perak muncul juara pertandingan solekan yang membolehkannya membawa pulang produk solekan tajaan Mac.

Jelas Shahrum, Huriah yakin kala menata wajahnya dan antara yang berani menggunakan rona gelap untuk hasil mata smokey.

"Dia bijak menggabungkan warna perang dan kelabu pada kelopak matanya dan riasan keseluruhannya sesuai dengan ton kulit. Bedak asas diratakan dengan baik, tidak berdebu dan tampak semula jadi," katanya.

Intan Shafinaz Mohamed Noor dari Kepala Batas, Pulau Pinang pula tampil selaku naib juara manakala Wan Nur Latifah Mohamad Shah dari Kulim, Kedah di tempat ketiga.


Huriah Abdul Shukor, 29 tahun.

"Saya sememangnya meminati riasan smokey dan pernah belajar asas solekan daripada rakan beberapa bulan lalu. Tapi saya jarang bersolek kerana tidak yakin dengan penampilan diri serta tidak suka habiskan banyak masa untuk berdandan.

"Menerusi pertandingan ini, saya belajar banyak teknik ringkas tapi padat dalam menata rias wajah, apatah lagi ia dikendalikan jurusolek profesional.

"Saya kini mula menggunakan berus sejak melihat hasil yang lebih sekata ketika pertandingan itu serta makin berani mencuba gaya solekan berbeza."


Intan Shafinaz Mohamed Noor, 24 tahun.

"Ini kali pertama saya melakukan solekan lengkap pada wajah kerana selama ini saya selasa bersolek ringkas kerana bimbang dilihat pelik oleh rakan dan jiran.

"Menariknya, saya kini mula berani menggunakan pembayang mata dan tidak sangka adunan warna lembut dan terang dapat menghasilkan riasan berbeza pada keseluruhan penampilan wajah saya.

"Paling saya gemari ialah sesi demonstrasi oleh Shahrum dan Chris yang banyak memberi tip penggunaan bedak asas dan pembayang mata."


Wan Nur Latifah Mohamad Shah, 17 tahun.

"Sebagai pelajar, saya memang tidak biasa bersolek dan hanya menggunakan bedak padat bagi mengurangkan kesan cela pada wajah. Biasanya, saya cuma bersolek tebal ketika terbabit dalam aktiviti teater. Itu pun disolek oleh rakan.

"Pada awalnya saya malu untuk menyertai pertandingan ini tapi selepas didorong ibu, saya beranikan diri walaupun sedar tiada asas dalam solekan."

Wanita ketagih bibir tebal

Posted: 23 Nov 2011 08:41 PM PST

KRISTINA dengan bibir asal (kiri) dan selepas mendapatkan 100 suntikan. Gambar kanan adalah watak kartun Jessica Rabbit.
KRISTINA dengan bibir asal (kiri) dan selepas mendapatkan 100 suntikan. Gambar kanan adalah watak kartun Jessica Rabbit.

ST PETERSBURG: Seorang wanita Kristina Rei yang tidak suka memiliki bibir nipis membelanjakan 4,000 pound (RM20,000) untuk suntikan bibir.

Bagaimanapun, dia masih tidak berpuas hati dengan suntikan itu. Wanita berusia 22 tahun itu percaya bibirnya kelihatan hodoh dan dia cemburu dengan bentuk bibir penuh yang dimiliki kakaknya.


Kristina yang juga seorang juruteknik kemudian melakukan 100 kali suntikan silikon bagi membolehkan dia memperoleh bibir yang tebal dan muncung.

Kristina yang mengagumi karakter kartun Jessica Rabbit berkata: "Saya rasa saya nampak hebat.


"Saya sukakan bibir tebal Jessica Rabbit. Pada pandangan saya, dia adalah wanita sempurna," katanya.


Kristina yang mengakui ketagih dengan suntikan itu kini ingin bibir yang lebih muncung, telinga dan hidung yang runcing dan payu dara lebih besar.

Kristina berkata: "Ia membuatkan saya gembira. Kadangkala orang lain mengejek saya mempunyai bibir tebal tetapi saya tidak hiraukannya.


"Saya inginkan sesuatu yang ekstrim. Saya mahu kelihatan seperti karakter kartun. Saya sudah ketagih dan saya sukakannya. "Beberapa rakan memberitahu saya tidak patut menyuntik bibir menjadi lebih tebal dan besar tetapi saya belum berpuas hati.

"Saya belum memutuskan berapa besar yang saya inginkan, tetapi setakat ini, ia masih kecil," katanya.

Ikan darat rezeki musim tengkujuh

Posted: 23 Nov 2011 08:36 PM PST

CHE ALI (kanan) menjual ikan darat di Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang.
CHE ALI (kanan) menjual ikan darat di Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang.
RANTAU PANJANG: Kedatangan musim tengkujuh membawa limpahan rezeki kepada sesetengah penduduk berikutan kemunculan ikan air tawar yang dibawa air bah.

Ikan air tawar atau dikenali 'ikan darat' seperti lambak, keli, puyu, haruan dan baung memberikan sumber pendapatan sampingan bagi yang gemar mencarinya memandangkan ia sangat digemari orang ramai.
Che Ali Che Daud, 50, tidak pernah melepaskan peluang menjala ikan pada musim tengkujuh menganggap aktiviti berkenaan sebagai pekerjaan sambilan bagi menampung hidup keluarga selepas tidak dapat menoreh getah pada ketika ini.
"Bila tiba musim hujan, saya pasti akan turun ke sungai bagi menjala ikan darat dan hasilnya terus dijual di tepi jalan.

"Musim ini, ikan laut susah didapati dan ikan darat menjadi pilihan untuk dijadikan hidangan, tambahan pula ia mudah diperoleh," katanya yang berasal dari Kampung Gual Mesa, di sini.

Che Ali mengakui waktu paling menyeronokkan sepanjang menjalankan aktiviti itu ialah pada musim banjir kerana permintaan terhadap ikan darat akan meningkat berbanding musim biasa.

"Kalau hendak dibandingkan dengan hari biasa, pada musim banjir ramai yang cari ikan darat dan pembeli juga bertambah pada musim ini. Memang pada musim banjir ramai yang cari ikan darat. Bolehlah untung sikit-sikit," katanya yang turut mengajak tiga anak lelakinya turut serta.
Biarpun pelbagai cara dilakukan dalam menangkap ikan darat seperti menahan pukat, bubu atau candat, tetapi Che Ali lebih berminat menggunakan jala.

Katanya, jala yang digunakannya juga mencecah harga antara RM250 hingga RM450 serawan dan digunakan bagi menangkap spesies ikan darat berlainan.

"Walaupun jala mahal, ia tetap balik modal jika digunakan untuk menangkap ikan pada musim banjir," katanya.

Sementara itu, bagi Jalil Wahab, menangkap ikan pada musim tengkujuh bukan saja memberi pulangan kepada pencarinya, malah memberi pendapatan sampingan kepada peraih di samping memudahkan penggemarnya mendapatkan bekalan ikan darat.

Jalil mengakui, jika dulu ikan darat hanya popular dalam kalangan penduduk kampung, tetapi tidak lagi kini kerana ia menjadi menu alternatif bagi kebanyakan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Shahir tangguh album kerana terganggu

Posted: 23 Nov 2011 08:31 PM PST

Penyanyi yang juga merupakan juara bintang realiti, Akademi Fantasia, Shahir mengakui sedang sibuk menjalani proses penghasilan album bagi membalas jasa peminat-peminat yang selama ini banyak membantu kerjayanya.

Shahir yang selama ini sering dikaitkan dengan pelbagai kontroversi termasuk sering menghilangkan diri, mengakui proses mengumpul material ini sering terganggu dengan aktiviti-aktiviti luar, dan kini dia kembali untuk fokus pada penghasilan album ini.

"Sekarang album saya sudah pun hampir 70 peratus siap, dan Insya-Allah akan dilancarkan pada bulan Disember depan.

"Untuk album ini, saya muatkan enam buah lagu yang mana tiga daripadanya adalah single saya yang pernah dimainkan di radio iaitu, Kebahagiaan Dalam Perpisahan, Pendam dan Luar Biasa, dan tiga lagu lagi lagu baru adalah sentuhan daripada komposer, Kunci Demak, Sham Kamikaze dan saya sendiri.

"Tak dinafikan setelah dua tahun, saya masih belum mempunyai sebarang album. Sebenarnya perancangan album ini memang sudah dirancang sejak awal lagi, tapi ianya banyak terganggu dengan aktiviti-aktiviti luar.

"Saya rasa sekarang sudah tiba masanya untuk saya fokus, saya perlu memberikan sesuatu pada peminat-peminat saya yang selama ini banyak menyokong, mengundi dan memberikan kata-kata semangat,"jelas Shahir.

Bercerita tentang kontroversi yang tidak pernah putus-putus menghantui dirinya, jelas Shahir ada sesetengah kontroversi menjatuhkan maruah dirinya.

"Apabila kontroversi timbul, perkara ini akan merumitkan keadaan. Ada yang melibatkan maruah saya dan keluarga dan ia member kesan kepada kami.

"Tak dinafikan ada juga kontroversi sekadar mengusik, namun sekiranya ia menjejaskan kepercayaan keluarga pada saya, itu yang membuatkan saya sedikit terkesan.

"Saya lebih kepada menjaga hati keluarga, apa pun yang saya lakukan, keluarga adalah yang utama,"jelas Shahir.

Hijrah membina penghayatan Islam

Posted: 23 Nov 2011 08:29 PM PST

AHAD ini umat Islam seluruh dunia menyambut tahun baru hijrah 1433. Di negara kita sambutan tahun baru hijrah atau sambutan Maal Hijrah adalah salah satu kebesaran Islam rasmi peringkat negara. Tema sambutan pada tahun ini adalah 'Persefahaman Asas Perpaduan Ummah'.

Tarikh 1 Muharam atau sambutan tahun baru hijrah adalah perkara yang telah sedia maklum dan difahami oleh kebanyakan orang. Telah banyak perkara berkaitan dengan sejarah hijrah dan juga sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW diperbincang setiap kali sambutan Maal Hijrah.

Namun demikian tidak dinafikan juga kemungkinan kita terlepas pandang atau tidak menyedari tentang peristiwa sejarah yang berlaku itu mempunyai pengajaran dan iktibar yang amat bermakna.

Perlu kita sedari bahawa Allah SWT tidak menjadikan sesuatu peristiwa itu dengan sia-sia bahkan ada pengajaran atau ibrah di sebalik peristiwa tersebut dengan tujuan dijadikan pengajaran dan iktibar serta panduan kepada umat yang berikutnya.

Ini seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam yang bermaksud, Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman. (Yusuf: 111)

Begitu juga dengan apa yang terjadi kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, sebagai pemimpin dan pembawa kebenaran kepada seluruh umat. Banyak peristiwa sejarah atau sirah yang telah berlaku kepada Nabi Muhammad dan salah satu sejarah penting dalam perjalanan Nabi Muhammad sebagai nabi utusan Allah untuk membimbing dan membawa jalan kebenaran kepada umat manusia ialah peristiwa hijrah dari kota Mekah ke kota Madinah.

Peristiwa hijrah nabi dari kota Mekah ke Madinah sarat dengan perjuangan, pertentangan serta cabaran. Ketika hendak meninggalkan kota Mekah, baginda ada menyatakan, "Aku cinta padamu wahai kota Mekah, tempat aku dilahirkan, namun aku yang dapat aku katakan, aku diusir oleh penduduk kota Mekah sendiri".

Penghijrahan yang dilakukan secara diam-diam dan bersembunyi itu dilakukan agar tidak dapat diketahui dan dihidu oleh para musuh yang terdiri dari pelbagai puak dan bangsa yang mungkin boleh katakan sebagai pasukan musuh dari pelbagai pihak (multinasional). Ini menyebabkan Nabi dan Abu Bakar terpaksa bermalam di Gua Thur sebagai tempat persinggahan yang pertama.

Ketika di Gua Thur, Nabi SAW sempat memberi nasihat dan kata-kata rangsangan kepada sahabatnya Abu Bakar dengan kata-kata, la takhaf wa la tahzan innallaha maana (jangan takut dan jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita).

Berdasarkan peristiwa yang penuh tragis, cabaran dan penuh bermakna itu, Khalifah Umar al-Khattab memilih bulan Muharam sebagai bulan permulaan tahun Islam setelah menerima pandangan dari Ali Ibn Talib.

Berdasarkan itu juga bulan muharam merupakan salah satu dari empat bulan (Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) yang dimuliakan dalam Islam iaitu bulan-bulan yang diharamkan berperang dan melakukan kekerasan.

Perkataan 'hijrah' adalah daripada perkataan Bahasa Arab. Ia bermaksud berpisah atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain, atau dalam konteks yang lain hijrah juga boleh dikaitkan dengan perubahan sikap atau tingkah laku.

Dalam hal ini Allah SWT berfirman menyarankan umat Islam berhijrah ke arah iman yang lebih kukuh dan mantap dan hijrah juga sebagai satu ujian dalam hidup.

Ini kerana setiap manusia yang hidup pasti akan menerima ujian, lebih-lebih lagi orang-orang yang beriman. Semakin tinggi darjat keimanan seseorang itu, maka semakin tinggilah ujian keimanan yang akan dihadapinya.

Manusia diuji dalam pelbagai bentuk

Posted: 23 Nov 2011 08:28 PM PST

ANTARA ujian-ujian yang disebut oleh Allah adalah berkaitan dengan ujian berkaitan dengan harta, keluarga dan berhubung dengan negara.

Ini seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: Kemudian, Sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada orang-orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnahkan (oleh kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar; Sesungguhnya Tuhanmu - sesudah mereka menderita dan bersabar Dalam perjuangan - adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (an-Nahl: 110)

Selain itu, hijrah juga dapat dikaitkan dengan aspek pengorbanan dan jihad, kerana hijrah merupakan salah satu cara untuk mempertahankan akidah Islam yang suci dan menjaga kehormatan diri.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

* Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 218)

* Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. dan (ingatlah) Allah Maha melihat akan apa yang kamu lakukan. (al-Anfal: 72)

Sempena sambutan tahun baru hijrah 1433 ini, sewajarnya setiap individu muslim melakukan muhasabah diri atau tindakan pembetulan serta melakukan sesuatu amalan atau kegiatan yang tidak bertentangan dengan syariat Islam agar sambutan yang diadakan agar lebih bermakna.

Ini selaras dengan persetujuan para ulama yang memahami peristiwa hijrah nabi merupakan satu titik perkembangan dakwah Islamiah bagi membina masyarakat yang lebih bermakna bagi membawa seluruh umat Islam melakukan transformasi ke arah lebih berjaya.

Dalam konteks umat Islam di Malaysia pada hari ini, peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW yang sarat dengan pengajaran dan iktibar itu perlu difahami dan diserap segala pengajaran dan hikmatnya.

Ia merangkumi aspek hijrah pembinaan masyarakat yang lebih harmoni, penghayatan Islam yang lebih bermakna dan juga mengajak diri masing-masing meninggalkan perbuatan yang kotor dan maksiat dengan berhijrah ke arah memperbaiki diri, hati dan jiwa menjadi suci dan bersih dengan menghayati dan mengamalkan ajaran Islam.

Ini menepati firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka Sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (an-Nisa': 100)

Selain dari itu semoga kita sama-sama dapat menghayati maksud doa awal tahun yang sering kita baca bagi menyambut tahun baru hijrah yang bermaksud,

"Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim, yang awal dan ke atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan-Mu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepada-Mu Wahai Tuhan yang Maha Agung dan Maha Mulia.

"Wahai Tuhan yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka."

Semoga kehadiran 1 Muharam 1433 akan membawa kita ke arah lebih baik dalam segala aspek kehidupan diri dan masyarakat seluruhnya bagi mewujudkan manusia yang terbaik.

Memahami asas hak asasi manusia

Posted: 23 Nov 2011 08:27 PM PST

HAK asasi manusia adalah sesuatu yang penting bagi menjamin keperluan dan kepentingan asasi setiap insan. Penakrifan hak asasi manusia berbeza dari satu negara ke satu negara lain.

Namun hak asasi seperti kebebasan menjalani kehidupan yang mengikut lunas undang-undang, agama dan budaya, hak untuk mendapat pelajaran dan mencari pekerjaan, hak bersuara dan hak beribadat misalnya adalah sesuatu yang asasi dan fitrah bagi setiap individu.

Hak kemanusiaan kadangkala dianggap sebagai tanggapan moral yang didukung oleh masyarakat dan sebahagian besarnya dilaksanakan dengan undang-undang.

Justeru, hak-hak yang digariskan oleh setiap perlembagaan sesebuah negara dan agama pelu diakui dan perlu ditegakkan secara adil, berhemah dan bijaksana.

Namun apabila disebut tentang hak asasi manusia, Barat sering dijadikan rujukan mutlak. Cara berfikir dan cara hidup orang Barat dijadikan penimbangtara mengenai jenis hak asasi manusia yang harus digunapakai.

Negara seperti Malaysia tidak sama dengan Sweden atau Amerika Syarikat yang perlu dijadikan rujukan mutlak mengenai gaya hidup dan cara berfikir masyarakatnya. Para remaja tidak harus menentang untuk menjadi negara maju tetapi biarlah maju dalam acuan kita sendiri.

Acuan kita sendiri tidak bermaksud untuk menolak faktor maju daripada Barat tetapi binaan negara Malaysia yang memiliki kepelbagaian budaya, agama dan system kepercayaan memungkinkan hak asasi ditegakkan atas faktor-faktor berkenaan.

Kemajuan ilmu pengetahuan serta kemajuan yang diperolehi daripada Barat misalnya, harus dijadikan sebagai faedah berbanding yang baik bagi Malaysia.

Walaubagaimanapun, para remaja harus sedar bahawa Barat kini sedang mengalami pengaruh pasca-modenisme dan neoliberalisme yang sifatnya anarki.

Krisis genetik yang mereka alami, penolakan terhadap sistem kekeluargaan, berkembangnya amalan gay dan lesbian, kebebasan tanpa batas yang berlaku di kalangan remaja dijadikan kriteria penting dalam menentukan hak asasi manusia.

Mereka tidak lagi dipandu oleh etika agama jauh sekali aliran falsafah yang membawa ke arah kemurnian. Hak asasi banyaknya hanya dihubungkan dengan faham individualistik, konsumeristik dan hedonisitik.

Hak asasi adalah fitrah

Islam menghubungkan hak asasi dengan sesuatu yang amat fitrah. Fitrah kejadian manusia tidak boleh sebebas-bebasnya berjalan tanpa pedoman nilai dan etika.

Kerana itulah Islam meletakkan kesejahteraan hidup manusia dengan batas pedoman yang terbaik supaya kehidupan manusia berjalan secara manusiawi dan mempunyai etika dan nilai yang sentiasa menjaga kepentingan adab dan kesantunan dalam kehidupan.

Justeru, apabila ada pihak ingin menganjurkan kegiatan Seksualiti Merdeka 2011 di Malaysia, ia adalah suatu kesongsangan dalam memahami makna kebebasan dan hak asasi dalam realiti Malaysia.

Setiap agama di Malaysia tidak mengizinkan kesongsangan seperti ini terjadi kerana ia sesuatu yang bertentangan dengan fitrah.

Kerosakan yang dibawa oleh budaya popular Barat terhadap generasi muda sudah cukup meresahkan banyak pihak, apatah lagi dengan budaya songsang ini.

Ibrah yang diperolehi daripada kisah hubungan sejenis oleh kaum Nabi Lut a.s yang termaktub dalam al-Quran memberi pedoman jelas kepada para remaja tentang kesan-kesan akibat kesongsangan dan pelanggaran terhadap hak-hak yang fitrah.

Pada masa itu, kaum Lut dibinasakan akibat kedegilan mereka. Pada hari ini budaya sedemikian yang berkembang di Barat antara lain menyebabkan musibah AIDS/HIV yang menjadi episod bencana yang belum terlerai yang berpunca daripada kerosakan oleh manusia sendiri.

Remaja harus peka bahawa antara agenda globalisasi yang sedang berjalan ialah mengembangkan faham liberal dan neo-liberalisme ke negara-negara Islam supaya perubahan yang dibawa ialah ke arah pembebasan diri dari ikatan agama.

Islam dengan strategi Islamophobia Barat dilihat sebagai ancaman kepada kelangsungan dunia Barat. Mereka tahu Islam yang dikembangkan dalam bentuk ketamadunan menjadi penggugat kepada tamadun Barat yang sudah berlangsung lebih 700 tahun.

Mereka tahu bahawa kekuatan tamadun Barat pernah terhutang ilmu kepada kekuatan tamadun Islam suatu ketika dulu di Andalusia yang juga berkembang lebih 700 tahun.

Kebangkitan kesedaran Islam di Barat hari ini menjadikan mereka bimbang tentang kemungkinan Islam dengan potensi yang ada padanya muncul sebagai order baru dunia masa depan.

Hak asasi islami

Hak asasi dalam Islam mengambil pendekatan syarie dalam memberikan batas dan pedoman terhadap sesuatu yang manusia lakukan.

Ia tidak sama dengan pendekatan Barat yang menjadikan faham liberal dan neo-liberalisme yang mengabaikan pertimbangan agama dan etika sebagai landasan mengungkapkan hak asasi manusia.

Pendekatan integratif dalam proses pengilmuan dan pendidikan ini amat dituntut supaya corak modal insan yang bakal dilahirkan mampu menjadikan landasan syariah sebagai rujukan utama.

Terdapat aspek positif dalam binaan hak asasi yang terdapat di Barat boleh diambil dan disesuaikan dengan iklim beragama dan berbudaya dan tradisi berfikir masyarakat Malaysia.

Kebebasan bersuara, berfikir, melakukan interaksi sosial, menentukan keadilan dan kesaksamaan tegak secara beretika adalah sumber hak asasi yang baik dan patut dicontohi.

Menghormati perbezaan anutan agama dalam masyarakat Malaysia, kelainan amalan tradisi dan budaya adalah sesuatu yang menepati maksud hak asasi manusia.

Secara dasarnya, hak asasi yang Islami atas asas maqasid syariah (maksud hukum syarak) mempunyai enam dasar atau usul. Enam dasar atau usul itu menjadi tunjang kepada pemahaman terhadap hak asasi yang Islami.

Pertamanya, pentingnya hak asasi yang dikembangkan atas maksud memelihara agama. Dalam erti kata yang luas hak asasi menjadi kepentingan akidah, ibadah, syariah dan akhlak supaya pembangunan dan pengurusan diri insan berlaku dengan menjadikan akidah sebagai ikatan manusia dengan Allah.

Kedua, kepentingan nyawa manusia yang melibatkan hukum dan perundangan supaya sistem kehidupan manusia diatur atas rasa saling menghormati faktor nyawa yang dikurniakan Allah yang dipedomankan atas asas syariah supaya tidak berlaku kacau bilau dan melampaui batas.

Ketiga, pentingnya dipelihara akal supaya akal menjadi sihat dan tangkas. Maksud memelihara akal ialah supaya akal itu diberikan ilmu yang benar yang bakal membangun suatu peribadi.

Ia menghasilkan insan yang mempunyai pertimbangan yang waras dan bijaksana dalam pemikiran dan juga amalan.

Para remaja mesti menyedari bahwa akal yang positif, sihat serta tangkas menjadi asas pembinaan etika dan tamadun. Kerana itulah pengharaman Islam terhadap arak, dadah serta perkara-perkara yang merosakkan adalah untuk memelihara akal manusia supaya kewarasan dalam diri dapat menghasilkan tindakan serta amalan yang bijak dan beretika.

Keempat, hak menjaga harta kerana ia adalah kurniaan Allah yang amat berharga supaya kecenderungan eksploitasi tidak berlaku dan manfaat harta apabila diurus mengikut pedoman syarak akan membawa kesejahteraan kepada umat manusia.

Kelimanya adalah mengenai keturunan yang perlu dipelihara supaya sistem keluarga terurus dengan baik dan memberi manfaat kepada umat manusia.

Faktor syarak dalam pertimbangan tentang pentingnya keturunan dijaga sangat ditekankan supaya hubungan sesama manusia berjalan dengan baik, tidak berlaku kemungkaran yang menyebabkan perkembangan keturunan menjadi rosak.

Misalnya, perintah Allah supaya jangan mendekati zina adalah kata kunci terbaik dalam memelihara keturunan yang baik.

Tuntutan keenam pula adalah menjaga maruah supaya jati diri manusiawi tidak hilang. Jati diri Islami memberi gambaran tentang imej dan kekuatan Islam itu sendiri.

Islam dan orang Islam menjadi sumber dakwah dan sumber contoh kepada orang lain.

Jika keindahan dan kesyumulan agama Islam tidak terlihat pada contoh pemeluknya dalam percakapan dan perbuatan, maruah Islam akan tercalar.

Justeru, menjaga maruah Islam adalah dengan menjaga maruah diri dan maruah diri terbina dengan kekuatan ilmu, pemikiran dan amalan agar selari dengan fitrah insan yang ingin menjadikan faktor manusiawi sebagai refleksi kehidupan.

Mengemis untuk sara keluarga

Posted: 23 Nov 2011 08:27 PM PST


Yong Mae meraih simpati daripada setiap orang yang lalu lalang di hadapannya.


Pertemuan dengan Yong Mae, seorang pengemis kanak-kanak yang cacat kaki tangannya mengingatkan penulis kepada babak-babak menyayat hati tentang kehidupan pengemis kanak-kanak yang digarap oleh pengarah terkenal, Danny Boyle dalam filem Slumdog Millionaire.

Babak-babak dalam filem tersebut memang masih segar dalam kotak fikiran biar sudah beberapa tahun ditonton dan tidak sangka pula senario sama juga wujud di Malaysia - sebuah negara yang begitu pesat membangun.

Pasar malam Rabu di Bukit Belimbing, Seri Kembangan, Selangor menjadi medan Yong Mae menagih simpati orang yang lalu lalang. Hujan lebat sejak dari petang sudah mula renyai-renyai, lantas kesempatan yang ada tidak dilepaskan untuk menghampiri kanak-kanak tersebut.

Dia kelihatan tidak selesa apabila dihampiri apatah lagi melihatkan jurukamera yang lebih lima kali lalu-lalang di situ sambil menghalakan lensa kamera ke arahnya.

"Boleh cakap Melayu?," tanya penulis yang disambut dengan anggukan perlahan daripada kanak-kanak tersebut.

"(Kaki) Kena potong oleh sindiket ke?," soal penulis lagi.

Yong Mae sedikit gelisah dengan soalan penulis, namun masih mampu memberikan senyuman kelat sebelum mula membuka mulut.

Sejak usianya sembilan tahun dia telah merantau ke negara orang, namun pengembaraannya bukanlah seperti pelancong yang bercuti riang bersama keluarga.

Sebaliknya dia membawa bersama harapan agar nasib diri dan keluarga berubah menjadi lebih baik berbanding ketika berada di negara sendiri.

Itulah erti kehidupan bagi kanak-kanak semuda Yong Mae, yang dia sendiri tidak pasti berapakah usianya lantaran tidak memiliki dokumen kelahiran yang sah.

Kecacatan pada kaki dan tangan telah menjadikan 'kerjaya' peminta sedekah selayaknya untuk kanak-kanak ini.

Wajah Yong Mae memang cantik, dengan kulit kuning langsat dan air muka lembut yang mampu meruntun hati insan melihatnya.

Tambahan pula, kedua-dua belah kaki gadis sunti ini kudung dan jari-jemari tangannya pula tidak tumbuh sempurna seperti manusia normal, yang pasti mengundang belas pengunjung pasar malam untuk menyumbang ke dalam raga kecil tadahan Yong Mae.

"Ini kudung sejak lahir kak....," pantas Yong Mae memberitahu ketika mata saya meliar melihat kecacatan yang ada pada tangan dan kakinya.

Tutur kata Yong Mae tetap dipengaruhi loghat negara asalnya, Kemboja.

Negara yang mempunyai 13 juta penduduk ini beribu negara di Phnom Penh, merupakan antara negara termiskin di rantau ini.

Kanak-kanak itu telah menetap di Malaysia sejak sembilan tahun lalu dan mempunyai rakan sekampung dari kalangan orang Melayu membuatkan dia fasih bertutur bahasa Melayu.

Mudahlah kami berbual dan banyak juga cerita yang ingin diluahkan oleh anak itu.

Anak sulung daripada enam beradik tersebut adalah punca sumber pendapatan utama ibunya yang menghidap penyakit kencing manis.

"Bapa sudah ikut perempuan lain... ibu dan adik di rumah dan kami semua tak sekolah.

"Duit yang saya dapat ini buat belanja kami makan dan ibu untuk beli ubat kencing manis," tutur Yong Mae yang bibir mulusnya sesekali menguntum senyum.

Bagi penulis susah untuk tidak berfikiran negatif dengan membuat tafsiran sendiri sama ada anak itu menyatakan kebenaran atau tidak.

Hakikatnya dia membesar dalam keadaan yang tidak sempurna seperti remaja lain.

Haknya untuk mendapat ilmu dan kemudahan memang sudah pasti diketepikan kerana dia bukanlah warga tempatan. Kehadirannya yang boleh diterima oleh penduduk negara ini umpama rahmat besar dalam diri ahli keluarganya yang lain.

Bila ditanya kenapa berhijrah ke Malaysia, Yong Mae berkata, kerana di negaranya dia tidak mendapat makanan.

"Sana miskin, tak ada duit, tak ada makan, semua susah, mak tak kerja, bapa ikut perempuan lain, adik ramai," katanya.

Memang jawapan yang agak klise, namun agaknya inilah hakikat kehidupan mereka yang mungkin sukar untuk diselami dan difahami oleh mereka yang hidup jauh lebih bernasib baik.

Apabila ditanya apa yang dimahukan dalam hidup, Yong Mae berkata: "Saya mahu pakaian yang cantik!"

Maka fikirkanlah, jika kanak-kanak semuda Yong Mae juga mahukan pakaian yang cantik, makan minum dan tempat tinggal sempurna, apalah erti hidup jika berterusan bergelar peminta sedekah?

Siapa lelaki mata keranjang?

Posted: 23 Nov 2011 08:26 PM PST

LELAKI mata keranjang merupakan takrifan kepada mereka yang pantang melihat wanita-wanita cantik. Ia membuatkan hati mereka bergejolak untuk menegur dan berbual-bual dengan lebih dekat atau paling kurang memandang dengan sorotan mata ingin menggoda.

Lelaki mata kerajang lazimnya sinonim dengan gelaran kaki perempuan. Tetapi tidak semua lelaki mata keranjang begitu.

Menurut Pakar Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Hazli Zakaria, mata keranjang merupakan sifat dan perbuatan seseorang itu dan lazimnya ia kerap digunakan kepada lelaki.

Katanya, ia sudah menjadi sebahagian daripada personaliti sesetengah lelaki kerana kelakuan itu sudah lama terbentuk dan menjadi sebahagian daripada diri mereka.

Oleh itu sebahagian daripada mereka yang bermata keranjang tidak sedar akan kelakuan mereka.

Ini kerana, menurut Dr. Hazli, sekiranya mereka sedar mereka tidak dapat mendalami kesan-kesan yang berlaku berpunca daripada kelakuan mereka sendiri.

"Kebanyakan lelaki mata keranjang percaya perbuatan mereka tidak membawa keburukan. Ia hanya sekadar untuk suka-suka dan tidak memberi apa-apa makna.

"Di sebabkan itu mereka tidak dapat memahami kenapa perbuatan ini (mata keranjang) menjadi isu utama kepada pasangan mereka.

"Selalunya lelaki bermata keranjang ini mempunyai sifat-sifat lain seperti peramah, pandai mengambil hati, periang, pandai membuat orang ketawa, pandai memikat hati dan tahu bagaimana memujuk dengan kata-kata manis," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah beliau, lelaki mata keranjang juga selalunya sering menjadi perhatian dalam apa jua majlis.

Tetapi menurut Dr. Hazli, ada juga orang jenis pendiam yang bermata keranjang. Tetapi mereka ini mempunyai sifat-sifat lain yang menyenangkan di samping sifat-sifat mata keranjang yang dinyatakan.

Mengulas lanjut, Dr. Hazli yang juga pensyarah di Jabatan Psikitari, Pusat Perubatan UKM, memberitahu, mata keranjang bukanlah sejenis penyakit psikiatri. Tetapi ia lebih kepada sifat watak individu tersebut.

Tidak susah untuk mengenali lelaki bermata keranjang kerana pasangan mereka pasti mengetahuinya.

Yang menjadi persoalannya kini apa tindakan seterusnya sekiranya didapati pasangan bermata keranjang. Patutkah bertanya secara bersemuka ataupun buat tidak kisah?

Adakah akan memutuskan hubungan atau terus bersama?

Yang pasti menurut Dr. Hazli, jawapannya ada pada pasangan tersebut.

Cuma terserah, sejauh mana seseorang itu sanggup menerima kekurangan diri pasangan masing-masing.

Ia juga sebenarnya bergantung kepada tahap self esteem pasangan masing-masing.

Ini kerana sekiranya pasangan berasa selamat dengan keadaan diri sendiri dan juga pada hubungan mereka, pasangan itu tidak akan mengambil kisah tentang sifat mata keranjang pasangannya.

Pada mereka asalkan hati dan cinta tetap pada mereka, sama ada suami memandang orang lain, mereka tak kisah.

"Setakat mana pasangan itu dapat menerima kesan daripada perbuatan pasangan yang bermata keranjang akan menentukan tindakan seterusnya.

"Lazimnya pelaku akan menafikan yang mereka memandang wanita lain kerana sekiranya mengaku, mereka akan mengatakan perbuatan mereka itu adalah 'tidak berdosa' dan tidak membawa apa-apa makna," ulas Dr. Hazli lagi.

Apabila ditanya apakah cara serta bagaimana sekiranya ingin melepaskan diri daripada lelaki mata keranjang itu, Dr. Hazli berkata, memutuskan hubungan adalah jalan terbaik sekiranya masih di peringkat awal hubungan.

Itupun setelah perbincangan dibuat untuk masing-masing cuba memahami pandangan masing-masing.

Sekiranya pasangan lelaki tidak mengaku dan tidak sanggup untuk berubah, keputusan terletak pada pasangan perempuan.

Menurut Dr. Hazli lagi, mata keranjang bukanlah sifat yang diingini, sama ada normal atau tidak.

Kebanyakannya ia ditentukan oleh pandangan masyarakat dan budaya setempat dan selalunya ia merupakan kombinasi pelbagai faktor.

Contohnya ada ahli keluarga yang mempunyai sifat yang sama, kelakuan amat mudah untuk ditiru dan selalunya kanak-kanak akan meniru apa yang orang dewasa lakukan melalui proses pemerhatian.

Selain itu, faktor self esteem juga merupakan salah satu faktor yang menjadikan seorang lelaki itu mata keranjang.

Ini kerana mereka merasakan diri mereka hebat apabila berada di khalayak dan perasaan menjadi teruja apabila mendapat maklum balas sama ada baik atau tidak dan ini menyebabkan mereka terus melakukan aktiviti tersebut.

Menurut Dr. Hazli, apa sebenarnya yang mereka inginkan adalah sukar untuk ditentukan kerana tiada sebab-sebab yang khusus mendorong mereka untuk meneruskan aktiviti tersebut.

Jawapan akan diperoleh sehingga individu terbabit di temu bual untuk mencari punca sebenar yang menyebabkan sifat mata keranjang ini menjadi sebahagian daripada personaliti mereka.

"Sekiranya ini adalah cara mereka untuk merasakan baik untuk diri sendiri, kita perlu mencari cara lain yang lebih produktif untuk mereka berasa bagus tentang diri mereka.

"Sekiranya aktiviti tersebut merupakan cara untuk mereka berasa seronok dan teruja, perbincangan akan di buat untuk mencari aktiviti-aktiviti lain," katanya lagi.

Secara ringkasnya kalau ada perasaan hormat dan selamat di antara pasangan, masalah pasangan mata keranjang ini boleh diatasi.

Tidak pernah puas dengan satu wanita

Posted: 23 Nov 2011 08:24 PM PST


Lelaki kasanova sememangnya bijak memikat wanita. - Gambar hiasan


AWAL bulan ini masyarakat gempar dengan kemunculan seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Shah Bunga.

Hebatnya lelaki ialah dia memiliki 21 isteri yang dikahwininya dalam tempoh sembilan tahun biarpun realitinya dia adalah bekas banduan dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

Setiap kali berkahwin, lelaki yang digambarkan sebagai bertubuh sasa itu tidak menceraikan isteri terdahulu sebaliknya ditinggalkan begitu saja tanpa ingin mengambil tahu nasib wanita-wanita tersebut.

Lelaki berimej perkasa yang gemar memakai seluar jean dan singlet itu mengahwini wanita terbabit dengan ada niat terselindung.

Wanita yang dikahwini Shah Bunga merupakan sumber pendapatannya. Caranya ialah dengan melacurkan para isterinya dan hasilnya digunakan untuk dia berjoli dan hidup mewah.

Shah Bunga merupakan cerita klise yang telah wujud sejak zaman silam dalam semua masyarakat di dunia ini dengan membawa pelbagai gelaran berbeza.

Tidak kira apa juga panggilannya sama ada lelaki mata kerajang, kasanova, romeo, don juan, playboy dan sebagainya, golongan ini memiliki kelebihan yang sama - sebagai penggoda wanita.

Golongan ini bijak mengumpan dengan kata-kata manis. Mereka cekap menonjolkan sikap mengambil berat yang merupakan salah satu kelakuan lelaki mata keranjang atau kasanova.

Ini diakui sendiri salah seorang lelaki mata keranjang, Joe (bukan nama sebenar).

Katanya, dia suka mencari wanita-wanita cantik untuk dijadikan teman ketika inginkan keseronokan.

Walaupun begitu, menurut Joe, kelakuannya itu tidak bermakna dia seorang lelaki terdesak.

Pada hakikatnya dia merupakan seorang bapa yang bertanggungjawab kepada tiga orang cahaya mata.

Katanya lagi, rumah tangga yang dibina kira-kira 16 tahun lalu juga tidak goyang. Sebaliknya dia merupakan seorang lelaki yang perlukan belaian manja selain daripada isteri sendiri.

"Berbicara mengenai lelaki mata keranjang ini susah hendak dihuraikan. Ia merupakan satu topik yang terlalu umum.

"Saya sendiri tidak tahu saya dalam kategori mana. Tetapi terus terang saya katakan, saya sukakan belaian manja seorang perempuan lain selain daripada isteri sendiri.

"Dalam erti kata lain, saya juga sebenarnya memerlukan teman untuk berbicara, dibawa berjalan-jalan dan juga tempat untuk bermanja," ujarnya dalam satu pertemuan yang dirancang di sebuah kafe di ibu negara baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai pengalamannya, jelas Joe, dia bukanlah seorang lelaki yang pandai berkata-kata apatah lagi memujuk rayu mana-mana wanita.

Tetapi bidang kerjanya menuntut dia bergaul dengan pelanggan-pelanggan yang terdiri daripada pelbagai jenis manusia.

Bermula sebagai pelanggan ataupun rakan sekerja, pertemuan yang kerap untuk membincangkan hal-hal kerja secara tidak langsung menjadikan mereka bertambah rapat.

Lama-kelamaan, hubungan menjadi serius dan Joe tanpa selindung mengakui pernah menjalinkan hubungan serius dengan tiga orang wanita serentak.

Malah dua daripadanya pernah dibawa berjumpa dengan isterinya untuk dijadikan isteri kedua.

Bagaimanapun ujar Joe, mungkin tiada jodoh antara mereka maka perhubungan tersebut terputus begitu sahaja.

Tidak terhenti setakat itu, menurut Joe lagi, dia juga ada kalanya akan melanggan wanita pelayan pelanggan (GRO) sekiranya mengunjungi kelab-kelab malam mahupun pusat karaoke.

Begitupun, mereka hanyalah sekadar teman untuk bersuka ria untuk tempoh waktu tertentu dan tidak lebih daripada itu.

Sementara itu, berlainan pula bagi Lan (bukan nama sebenar). Ini kerana walaupun tiada rupa, dia kini mempunyai tiga orang isteri.

Mengakui rupa bukan ukuran, Lan sememangnya pandai bermain dengan kata-kata.

Ini dibuktikan apabila menemubualnya menerusi telefon, dapat ditangkap setiap bait kata-kata yang diungkapkan oleh Lan mampu meruntun jiwa wanita yang mendengarnya.

Bagi Lan, rupa bukanlah tiket untuk memiliki wanita idaman. Malah dia mengakui hanya dengan mengungkapkan kata-kata manis, dia dapat memegang jiwa seseorang wanita.

Ia diperkuatkan lagi dengan faktor selalu berdekatan dengan wanita tersebut menyebabkan mereka senang ditundukkan.

"Jiwa seseorang wanita itu lembut sebenarnya. Tidak payah disogokkan dengan wang ringgit. Cukup dengan belaian serta sentuhan yang mampu menggugat jiwa mereka.

"Tambahan pula apabila kita sudi menjadi pendengar setia dan memberi lebih sedikit perhatian, dijamin mereka jatuh ke dalam genggaman," katanya.

Tanpa segan silu, Lan turut mengakui kini dia rapat dengan seorang gadis yang baru dikenalinya dua bulan lalu.

Ternyata seorang lelaki mata keranjang tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki.

Mereka tidak akan melepaskan peluang yang ada untuk memikat mana-mana gadis ataupun wanita untuk dijadikan pendamping ketika diperlukan.

Dalam masa yang sama, lelaki mata keranjang akan terasa diri mereka hebat kerana mampu mengumpul dan menjadikan wanita-wanita tersebut sebagai koleksi peribadi mereka.

Bagaimanapun, Lan sempat menasihatkan wanita-wanita dan gadis-gadis agar tidak mudah terpedaya dengan kata-kata manis lelaki yang akhirnya akan menjerat diri mereka sendiri.

"Bagi golongan wanita, mereka dinasihatkan agar berhati-hati ketika berkawan dengan mana-mana lelaki kerana tidak semuanya jujur dan berhati mulia.

"Jika terperangkap dengan lelaki mata keranjang, saya percaya kehidupan mereka akan merana," katanya mengakhiri perbualan.

100 murid SK Tebrau terima bantuan persekolahan MRCB

Posted: 23 Nov 2011 08:22 PM PST


SHAHARUDDIN Mohamed (berdiri belakang, kiri) dan Mok Chek Hou (baju biru) bersama murid SK Tebrau Bakar Batu di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 23 Nov. - Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) menyumbang beberapa peralatan sekolah berupa beg dan kasut kepada 100 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tebrau, Bakar Batu, di sini hari ini.

Sumbangan itu diserahkan pada Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang Tokoh Murid dan Projek Pemimpin Muda MRCB 2011 bagi meringankan beban keluarga murid-murid tersebut.

Ia disampaikan Pengarah Projek MRCB, Shaharuddin Mohamed. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Mok Chek Hou dan guru besar sekolah berkenaan, Kamilan Elias.

Selepas majlis itu, Chek Hou turut merasmikan gelanggang futsal sekolah tersebut yang dibina dengan kos RM150,000 sumbangan MRCB untuk kegunaan dan kemudahan murid-murid.

Shaharuddin berkata, gelanggang itu diharap dapat dimanfaatkan untuk aktiviti sukan dan kokurikulum sekolah tersebut yang sebelum ini tidak mempunyai kemudahan berkenaan.

"Kita berharap murid-murid SK Tebrau bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga pencapaian sukan," katanya yang juga Pengarah Program Tanggungjawab Sosial Korporat MRCB.

Sementara itu, Chek Hou meminta MRCB yang menjadikan sekolah tersebut sebagai anak angkat agar menaik taraf kemudahan dan peralatan di situ yang berada dalam keadaan daif.

Beliau berharap bantuan dan sumbangan itu akan berterusan walaupun projek MRCB akan siap tidak lama lagi kerana sekolah tersebut masih memerlukan banyak perhatian.

Kelab untuk kanak-kanak asma

Posted: 23 Nov 2011 08:20 PM PST


Berkunjung ke Jabatan Bomba dan Penyelamat antara aktiviti yang didedahkan kepada kanak-kanak KAKK.


APA yang anda akan lakukan sekiranya anak tiba-tiba diserang asma? Saat itu langkah paling penting ialah jangan panik.

Namun bagi ibu bapa yang tidak mempunyai pengalaman dalam menguruskan asma, pastinya saat-saat itu amat menggusarkan.

Waktu itu mungkin akan timbul persoalan siapa yang perlu dihubungi untuk meminta bantuan dan berkongsi pengalaman serta masalah.

Menyedari pentingnya kumpulan sokongan bagi pesakit asma atau mereka yang terbabit dalam menguruskan penyakit ini secara langsung, Kelab Asma Kanak-Kanak (KAKK) Selangor dan Wilayah Persekutuan telah ditubuhkan pada tahun 1997.

Ia ditubuhkan oleh sekumpulan ibu bapa yang mempunyai masalah berhubung anak-anak mereka yang menghidap asma.

Bermula dengan hanya sekadar pertemuan biasa di kalangan ibu bapa pada hari klinik di sudut minum kopi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), akhirnya kelab ini menerima jumlah ahli yang ramai seterusnya menjalankan pelbagai aktiviti dalam mengembangkan kelab yang satu-satunya terdapat di negara ini.

Hasilnya, pertemuan demi pertemuan diadakan di kalangan ahli kelab yang kemudiannya mencetuskan idea untuk melantik presiden kelab yang diterajui oleh Roslizawati Hashim ketika itu.

Selepas beberapa tahun kini kelab ini ditadbir oleh Datin Ferida Inolil Mustapha, 42.

''Ramai di kalangan ibu bapa dan ahli keluarga menyatakan betapa pentingnya kumpulan sokongan dalam menghadapi ahli keluarga yang berhadapan dengan masalah asma.

''Bagi anak-anak yang sudah dewasa mereka sudah pandai menguruskan asma, namun ibu bapa yang mempunyai anak kecil pasti akan menggelabah berhadapan dengan keadaan panik apabila anak diserang penyakit itu," katanya.

Ujar Ferida Inolil, setakat ini terdapat lebih 200 keluarga yang menyertai kelab itu.

Apa yang penting penubuhan kelab bertujuan mendidik dan memberi bimbingan kepada para peserta (terdiri daripada ahli keluarga, adik-beradik dan ibu bapa) yang perlu tahu apa yang harus dilakukan sekiranya anak atau ada di antara ahli keluarga mereka diserang asma.

''Kadang-kadang dalam saat seperti ini kita mudah panik dan tercari-cari apakah ubat yang diperlukan.

''Setiap orang yang mengalami masalah asma akan berbeza punca alahannya antara satu dengan lain.

"Justeru seseorang atau ahli keluarganya perlu tahu apa yang menjadi alahan kepada penghidap asma itu agar ia sentiasa menjauhi perkara berkenaan.

"Selain itu penghidap asma juga biasanya berpunca daripada keturunan," jelas bekas peguam yang memilih untuk menjadi suri rumah bagi menjaga anak-anaknya yang asma.

Bercerita lanjut, Ferida Inolil mengakui, dirinya juga merupakan seorang pesakit asma kronik sejak kecil lagi. Namun berkat dengan kemahiran menguruskan diri dan ubat-ubatan yang sesuai, Ferida Inolil kini bukan sahaja boleh menyertai pelbagai aktiviti malah bergiat aktif dalam pelbagai lapangan.

''Saya tahu kerana saya juga seorang pesakit asma merasa betapa sengsara rasanya apabila diserang oleh penyakit ini dahulu, begitu juga saya rasakan apabila melihatkan dua daripada lima orang anak saya yang turut menghidap asma.

''Asma tidak akan hilang tetapi ia dapat dikawal berpandukan penggunaan ubat-ubatan yang betul," katanya ketika ditemui di PPUM, baru-baru ini.

Ferida Inolil mempunyai anak berusia antara lapan hingga 16 tahun. Anak ketiga dan yang paling kecil adalah penghidap asma. Namun memandangkan pengalaman yang dilaluinya, Ferida Inolil tidak pernah menyekat apa sahaja aktiviti yang ingin dijalankan oleh anaknya malah memberi mereka perangsang.

Katanya, selalunya apabila ibu bapa mengetahui anak mereka asma, mulalah mereka menyekat segala pergerakan dan aktiviti anak.

Namun penghidap asma juga sebenarnya boleh bergembira dengan kehidupan dan bergiat aktif asalkan mereka tahu alahan yang perlu dijauhi.

Tambahnya, mereka yang dialu-alukan menjadi ahli KAKK ialah mereka yang dari bayi hingga 18 tahun. Antara kegiatan yang dijalankan kelab itu ialah bersukan, bercuti dan mengadakan kem yang mempunyai pelbagai aktiviti seperti permainan luaran, berenang, berjalan memerhatikan keindahan alam, aktiviti menggembirakan, kraf dan lukisan serta pendidikan menguruskan asma.

''Sudah beberapa kali kelab mengadakan aktiviti berbentuk kem dan pada kali ini dijangka kelab akan membawa ahli menyertai Kem Asma KAKK Tahunan 2011 di De Palma Inn, Kuala Selangor.

''Mungkin ramai yang tidak percaya melihat betapa aktifnya anak-anak ini ketika berada dalam kem berkenaan, sambil bermalam mereka ternyata lebih ceria dan cergas. Mereka pastinya dipantau oleh doktor, ahli jawatankuasa (AJK) dan jururawat yang turut mengikut kita," katanya.

Tambahnya, menghantar anak-anak ke kem seperti itu adalah langkah terbaik yang dilakukan oleh ibu bapa untuk anak-anak asma kerana selain dapat berhibur, anak-anak tersebut boleh belajar bagaimana untuk berkawan dengan rakan-rakan lain, belajar mengurus dan mengawal asma, mampu berhadapan dengan cabaran dan boleh berhadapan dengan ketakutan serta berkeyakinan dan kemudian apabila pulang, anak-anak asma ini akan membawa satu harapan dan kemahiran baru.

Bagi mereka yang mahu bertanya mengenai KAKK ini boleh melayari kakkswp@gmail.com atau hubungi talian 012-3905318 atau 012-421 1177 (sekretariat).

Belum sampai tahap Playboy

Posted: 23 Nov 2011 05:47 PM PST


MENGAKUI teruja untuk membintangi filem Khon Malay, Zarina Anjoulie sudah pun mengikuti latihan intensif sejak tiga minggu lalu.


TIDAK habis-habis aktres muda ini dihambat kontroversi sehingga ada yang sudah jelik dengan cerita-cerita panas yang dicetuskan dirinya sejak awal menceburkan diri dalam dunia seni.

Sehinggakan ada yang beranggapan Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul atau lebih mesra disapa Anju ini tidak layak untuk berada di dalam industri lantaran tiada apa pencapaiannya yang boleh dibanggakan.

Beberapa minggu lalu, sekali lagi nama Anju menjadi perhatian ramai gara-gara gambar seksi dan mengghairahkan miliknya tersebar luas di alam maya yang dipetik daripada majalah FHM versi Indonesia.

Mana tidaknya. Foto-foto tersebut menjadi kecaman dan kutukan ramai pihak apabila ia memperlihatkan sebahagian besar payu daranya.

Dengan tindakan beraninya itu yang menambahkan lagi koleksi cerita kontroversi, secara automatik Anju telah dilabelkan sebagai ratu kontroversi.

Namun, bagi anak jati Kuala Lumpur itu, dia tidak kisah dengan apa yang diperkatakan tentang dirinya kerana sudah menjadi resmi masyarakat yang pasti akan terus memandang serong kepadanya waima apa keadaan sekali pun.

Malah, dengan penuh tegas juga Anju memberitahu, dia sama sekali tidak menyesal dan tidak akan meminta maaf kepada mana-mana pihak.

"Kalau saya tak buat, orang tetap akan kata, saya buat juga. Jadi, lebih baik saya buat walaupun bukan saya yang mencipta kontroversi itu. Pernah saya meminta maaf sebelum ini tetapi orang tetap menuding jari kepada saya.

"Sebelum ini pun, ada juga kontroversi yang berlaku yang tiada kena-mengena dengan saya tetapi saya tetap dipersalahkan dan dikaitkan.

"Bukan itu sahaja, kalau saya duduk diam-diam di rumah, tetap ada juga cerita yang kurang enak dan tidak betul tentang diri saya yang keluar.

"Jadi, dalam konteks cerita terbaru yang dijaja ramai pihak ini, saya tidak kisah dengan apa yang orang mahu katakan terhadap saya. Malah, saya juga menafikan sengaja mencari publisiti murahan kerana itu bukan strategi saya," jelas Anju ketika ditemui pada sidang akhbar pelancaran filem terbarunya, Khon Malay di ibu negara, baru-baru ini.

Tidak kisah

Mengenai jolokan ratu kontroversi yang diberikan kepadanya, Anju sedikit pun tidak kisah tentangnya kerana sebelum ini pun katanya, dia sudah dilabelkan dengan pelbagai hinaan dan cacian.

Sehinggakan dia sendiri sudah lali dengannya dan tidak mengambil peduli tentang apa yang mahu diperkatakan oleh masyarakat tentang dirinya.

Namun, satu yang pasti tegas Anju, dia tidak kisah dihina mahupun dicaci tetapi dia cukup pantang apabila nama ibu dan bapanya turut dikaitkan sekali.

"Cakaplah apa sahaja tentang diri saya. Memang saya tidak kisah tetapi jangan sampai melibatkan ibu dan ayah saya. Ini sebenarnya penyakit masyarakat kita yang suka mencaci orang sewenang-wenangnya walhal diri mereka juga tidak sempurna.

"Saya sendiri pelik mengapa orang luar mahu bising-bising dan membuat kecoh apabila membabitkan diri saya.

"Sedangkan kalau diperhatikan, ada juga artis wanita yang seksinya tidak kurang daripada saya tetapi tidak pula menjadi mangsa cemuhan dan kritikan. Bukankah itu sesuatu yang tidak adil?

"Saya lebih selesa menjadi diri saya sendiri dan sama sekali tidak akan menjadi orang lain hanya kerana mahu memuaskan hati semua pihak.

"Saya tahu ada artis yang boleh buat begitu tetapi tidak saya. Maaf, saya bukan orang hipokrit," jelas anak kelima daripada lapan beradik ini memberikan hujahnya.

Dibayar

Begitu juga dengan sesi fotografi dengan FHM apabila Anju mendedahkan dia telah menolak tawaran majalah tersebut sebanyak dua kali.

Alasannya, Anju tidak mahu bergaya seksi seperti mana yang dimahukan oleh pihak majalah tersebut.

Lalu, apabila gambar-gambar seksinya dalam majalah tersebut sudah tersebar, apakah sebenarnya yang ingin cuba dibuktikan oleh Anju?

"Saya dibayar untuk bergambar di majalah itu dengan bayaran yang boleh saya katakan sangat memuaskan. Jadi, saya menerima tawaran itu.

"Namun, sewaktu menjalani fotografi dengan mereka di Jakarta, Indonesia dua bulan lalu, berat badan saya naik mendadak.

"Secara tidak langsung, ia menjadikan tubuh dan payu dara saya berubah bentuk. Ditambah pula dengan pakaian yang mereka sediakan, semuanya ketat.

"Hasilnya, gambar-gambar itu nampak sangat seksi dan itu pun saya sudah berusaha untuk menutup bahagian-bahagian tertentu. Dalam beratus-ratus gambar yang diambil, gambar-gambar itu yang menjadi pilihan mereka.

"Bagi saya, tiada apa yang hendak dikecohkan tentang gambar-gambar itu. Bagi saya, ia hanyalah seksi sahaja bukannya sampai saya bogel pun.

"Orang lain yang mencetuskan kontroversi itu, bukannya saya yang memuat naik gambar itu di internet," jelas Anju panjang lebar sambil enggan mendedahkan bayaran yang diterimanya untuk sesi fotografi itu.

Alasan

Apabila Anju memberitahu dia dibayar untuk beraksi berani dan panas sedemikian di hadapan kamera, tidak hairanlah seandainya dia sanggup bergambar bogel selepas ini jika ada tawaran yang mahukan dirinya berbuat begitu seperti majalah Playboy misalnya?

Sambil menghela nafas, kata Anju, dia tidak pernah memikirkan sampai ke tahap mahu menelanjangkan dirinya di hadapan kamera.

Malah, dia tidak mahu ada pihak yang salah faham dan menganggap dirinya sengaja mahu menjual tubuh apabila mengatakan sesi fotografi tersebut dibayar.

Seperti mana yang dikatakannya, alasan dia menerima tawaran FHM adalah kerana mereka memberitahu, hasilnya tidak keterlaluan.

"Saya sendiri pelik dengan masyarakat kita ini yang suka mencari salah orang lain. Apa yang dilakukan oleh artis, ada sahaja yang tidak kena di mata mereka.

"Apabila ada yang cuba seksi sikit, mulalah mereka hendak melenting dan mengecam tidak tentu pasal. Bukan itu sahaja, apabila ada artis bertudung dan memakai hijab seperti penyanyi Waheeda, dituduh pula sengaja mahu mencari publisiti murah.

"Lantaklah apa yang orang nak kata. Kehidupan saya biarlah saya kemudinya sendiri. Saya tidak mampu menutup mulut orang. Saya selesa dengan cara saya begini," kata Anju yang mula dikenali menerusi drama rantaian Anak Pontianak pada tahun 2007 ini lagi.

Tidak hanya dengan kontroversi itu, Anju juga dikatakan melancarkan perang dingin di Twitter bersama aktor dan pengacara kacak, Awal Ashaari.

Ketika diminta mengulas tentang insiden itu, Anju hanya menjawab: "Maaf, saya tidak mahu lagi komen tentang isu itu. Anggap sahaja semuanya sudah selesai. Saya dan Awal juga sudah berbincang. Kami tidak mahu memanjangkan cerita tersebut."

Tiada jodoh bersama Fazura

Posted: 23 Nov 2011 05:39 PM PST


TIGA serangkai (dari kiri) Rafidah Abdullah, Bernard Chauly dan Lina Tan meneruskan kesinambungan kejayaan dua filem terdahulu dengan kelahiran filem ketiga mereka, Istanbul, Aku Datang!.


SETIAP kali pengarah ini muncul dengan filem terbaru, ia pasti akan meraih perhatian yang cukup meluas.

Tidak keterlaluan dikatakan, Bernard Chauly antara pembikin filem tempatan yang sering tampil idea baharu dan segar.

Selain itu, salah satu faktor utama yang sering menjadi perhatian apabila memperkatakan tentang Bernard adalah barisan pelakon yang dipilih membintangi filem-filemnya.

Antara nama yang cukup sinonim dengan Bernard ialah Nur Fazura Sharifuddin atau lebih dikenali sebagai Fazura yang mula diperkenalkan dalam filem cereka pertama arahan Bernard, Gol & Gincu pada tahun 2005.

Kemudian, Fazura sekali lagi menjadi pilihan pengarah itu untuk membintangi Pisau Cukur pada tahun 2009 sehingga melayakkan pelakon jelita itu menjulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Filem Terbaik Anugerah Skrin 2010.

Namun, apabila Bernard mengarahkan filem ketiganya, Istanbul, Aku Datang! (IAD) tanpa Fazura sebagai bintang utamanya, ada segelintir pihak yang mula membuat andaian yang bukan-bukan.

Walhal di awal perancangan untuk projek itu, sememangnya nama Fazura menjadi pilihan pertama dan dikhabarkan juga pelakon itu bersedia untuk membintangi IAD.

Malangnya, di saat-saat akhir, Fazura dikatakan menarik diri atas sebab-sebab peribadi. Lalu watak Dian dalam filem itu berpindah milik kepada Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23, Lisa Surihani.

"Saya harus akui watak Dian memang saya ciptakan khas untuk Fazura. Apatah lagi, dia sudah membintangi dua buah filem bersama saya dan kami mempunyai hubungan yang sangat akrab.

"Kerjasama kami akan menjadi lebih manis seandainya Fazura membintangi IAD kerana saya berjaya mencipta trilogi untuk Fazura dan diri saya sendiri.

"Tetapi, saya akur dan percaya dengan kehendak takdir bahawa kali ini bukan rezeki saya untuk bekerjasama dengan Fazura. Apa sahaja keputusan yang dilakukan oleh Fazura saya amat menghormatinya.

"Mungkin siapa tahu di masa hadapan, saya dan Fazura akan kembali bersatu dalam mana-mana filem," jelas Bernard dalam nada yang cukup optimis tanpa sekelumit rasa kecewa dalam butir bicaranya.

Kejayaan

Pengarah berdarah kacukan Sikh dan Cina itu berkata demikian sewaktu ditemui pada majlis tamat penggambaran filem IAD di Kota Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir penerbit eksekutif dan penulis skrip IAD, Lina Tan dan Rafidah Abdullah serta barisan pelakon filem yang diterbitkan oleh Red Films dengan kerjasama Primeworks Studios itu.

Meskipun tidak mendapat sentuhan bintang kesayangannya untuk IAD, namun bagi pengarah kelahiran Taiping, Perak itu dia cukup berpuas hati dan berbangga dengan lakonan Lisa dalam filem tersebut.

Mungkin ramai yang tidak tahu, Lisa juga merupakan antara bintang yang dicungkil bakatnya oleh Bernard sewaktu membintangi siri 3R dan sebuah lagi filem arahan Bernard, Goodbye Boys.

Namun, ketika itu kata Bernard, watak Lisa hanyalah kecil. Apabila berpeluang bekerja dengan Lisa kembali, dia dapat melihat perubahan serta kematangan aktres popular itu.

"Lisa berjaya membawakan watak Dian dengan gaya dan caranya tersendiri. Walaupun dia tahu watak itu untuk Fazura tetapi, dia sedikit pun tidak terpengaruh sebaliknya berusaha untuk mencipta Dian dalam acuannya sendiri.

"Setiap kali saya mencipta sesuatu watak itu saya mengharapkan pelakon yang membawakannya mendapat sesuatu yang positif daripadanya.

"Fazura misalnya pernah memberitahu saya watak Putri dan Intan yang dibawakannya dalam filem Gol & Gincu dan Pisau Cukur telah banyak mematangkan dirinya sebagai seorang individu.

"Begitu juga dengan Lisa yang menyatakan kepada saya bahawa watak Dian itu telah banyak membuka matanya tentang dunia sekelilingnya. Jika itu yang dirasakan oleh setiap pelakon, ia adalah satu kejayaan buat saya," jelas Bernard yang merupakan graduan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dalam jurusan komunikasi ini lagi.

Cabaran

Selain Lisa, IAD turut dibintangi oleh aktor muda yang semakin meningkat naik, Beto Kusyairy selain juara One In A Million musim ketiga, Shah Indrawan Ismail atau Tomok dan penyanyi serta komposer muda popular, Aizat Amdan.

Mengulas lanjut tentang IAD yang menelan kos sebanyak RM1.7 juta itu lagi, Bernard tidak menafikan ia adalah filem yang paling mencabar untuknya sepanjang bergelar pengarah.

Mana tidaknya. Hampir 90 peratus penggambaran filem bercorak komedi romantik ini dijalankan di Istanbul, Turki pada Oktober lalu.

Malah, Bernard juga menjelaskan rintangan dan cabaran yang perlu ditempuhinya bukan kecil-kecil anak.

"Masalah utama kami sudah tentu dari aspek komunikasi kerana sebahagian besar mereka tidak fasih berbahasa Inggeris. Bukan itu sahaja, cuaca dan juga keadaan lalu lintas di sana yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada penggambaran.

"Di sebalik masalah itu semua, kami semua berbangga kerana dapat menghabiskan penggambaran ini hampir sebulan dan dalam lingkungan bajet yang telah ditetapkan (ketawa).

"Memang seronok apabila berpeluang menjalani penggambaran di luar negara kerana ia memberi pengalaman baru bukan hanya untuk saya tetapi juga kepada semua pihak yang terlibat," jelas pemilik nama penuh Bernard Surinder Chauly Junior itu yang telah melawat Istanbul sebanyak empat kali dalam tahun ini untuk mencari lokasi terbaik sebelum memulakan penggambaran.

Fokus kepada lakonan

Meskipun sedar bahawa dia adalah pelakon pilihan kedua, namun Lisa tidak mahu memandangkan perkara itu sebagai ssuatu yang serius.

Malah, dengan penuh jujur dan terbuka dia menjelaskan seandainya watak Dian di tangan Fazura, ia akan menjadi lebih menjadi dan memberikan impak seperti mana dalam filem Gol & Gincu dan Pisau Cukur.

"Saya anggap semuanya ini sebagai satu rezeki untuk saya bekerja dengan Bernard yang sudah lama saya idamkan selepas siri 3R dan Goodbye Boys.

"Bukan itu sahaja, saya menyifatkan diri saya begitu bertuah kerana dapat berlakon di samping barisan pelakon hebat seperti Beto, Tomok dan Aizat meskipun mereka masih baru.

"Pengalaman membintangi IAD hakikatnya telah memberi peluang saya bertemu dengan orang dan mempelajari benda-benda baru," jelas Lisa yang mula dikenali menerusi filem I'm Not Single arahan Pierre Andre pada tahun 2008.

IAD yang kini di peringkat pasca produksi bakal ditayangkan di pawagam tempatan sekitar pertengahan tahun hadapan.

Tomboy samar emosi

Posted: 23 Nov 2011 04:05 PM PST


KONFLIK mula tercetus apabila Isha (Scha AlYahya) menjadi rebutan dua lelaki, Harry (Shaheizy Sam) dan Burn (Syamsul Yusof).


SELEPAS berjaya dengan filem aksi dan seram, di pawagam mahupun di festival, Syamsul Yusof mencuba pula genre komedi.

Pengarah muda ini memilih subjek yang agak tabu sebagai tema penceritaan iaitu kisah wanita yang berkelakuan lelaki dengan gelaran tomboy atau pengkid.

Aku Bukan Tomboy mengisahkan Farisha atau Isha, gadis penghantar pizza yang dibesarkan oleh seorang bapa tunggal. Kerana sikapnya yang kasar dan lasak, dia menjadi buruan wanita lesbian seperti Sam dan Bell.

Namun begitu, Isha sejak awal menolak cinta sejenis kerana masih mempunyai perasaan terhadap lelaki.

Dia bersahabat baik dengan seorang jurujual bernama Harry. Jejaka itu meminati Isha dalam diam, tetapi berasa serba salah. Harry tidak mahu perhubungan platonik mereka terjejas akibat cinta, apatah lagi mereka sudah lama berkawan.

Isha kemudian berkenalan dengan seorang eksekutif muda, Burn secara tidak sengaja. Daripada benci, perasaan bertukar menjadi sayang.

Burn yang lurus bendul melihat Isha sebagai gadis yang berpewatakan tulen. Dia menerima Isha seadanya, seperti mana Isha menerima Burn dengan sifat 'lelaki lembik'nya.

Konflik tercetus apabila percintaan mereka dihalang keluarga Burn yang datang dari golongan berada. Bukan saja disebabkan darjat, tetapi kerana Isha bukanlah contoh menantu yang diangankan.

Dalam masa yang sama Harry patah hati, sementara Sam dan Bell saling bertengkar kerana gagal memiliki hati Isha.

Dalam filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009), Syamsul cuba mencari sebab dan faktor mengapa karakter utamanya menjadi gadis gelandangan. Aspek sosiologi cuba dibedah biarpun tidak mendalam.

Berlainan dengan Aku Bukan Tomboy, sisi psikologi serta latar wataknya tidak dibentangkan. Barangkali kerana filem ini dilabelkan sebagai naskhah romantik yang ringan, Syamsul tidak mahu membuang masa memperincikan setiap karakter.

Dia terus bercerita tentang hubungan di antara watak-watak tersebut, tanpa menyedari pembangunannya sedikit terabai, terutamanya watak Isha.

Bagi saya, sesuatu karakter itu tidak semestinya memerlukan alasan untuk menjadi sebegitu atau sebegini. Saya boleh menerima jika Isha secara semulajadi dilahirkan berpewatakan demikian.

Namun, kesilapan berlaku apabila di dalam satu babak, Isha mengakui ada sebab dia berpenampilan seperti lelaki.

Persoalan itu dibiarkan tergantung sehingga filem selesai. Isha lakonan Scha AlYahya seolah tidak mempunyai pengenalan diri yang kukuh.

Justeru, penonton tidak dapat menangkap emosinya secara jelas, kecuali seorang gadis yang celaru identiti.

Bukanmenidakkan lakonan Scha, karakter Isha sememangnya sangat cocok, seolah dicipta khusus untuknya. Sebagai pelakon, Scha berjaya menutup kekurangan sifat Isha dengan persembahannya yang selamba.

Namun, saya mengharapkan lebih empati untuk Isha kerana filem ini tentang dia.

Saya mengerti jika Syamsul berniat untuk bikin filem sambungan, tetapi penamatnya membuatkan penonton terkejut. Tontonan selama sejam setengah tidak memberikan apa-apa jawapan.

Kemuncak babak Isha dipandang rendah ibu Burn juga gagal membawa impak. Adakah kerana dialog Didie Alias yang melucukan atau kerana adegan itu sengaja untuk tidak membuat penonton bersimpati, saya kurang pasti.

Bagaimanapun, Aku Bukan Tomboy masih seronok ditonton kerana persembahan cemerlang Shaheizy Sam. Watak Harry hidup kerana Sam tidak nampak seperti berlakon.

Dialog-dialog yang dilafazkan seperti kepunyaannya sendiri, dibantu keserasian yang baik dengan Scha. Syamsul juga memberikan warna yang tepat untuk karakter Burn.

Dia bijak menzahirkan sifat lurus bendul kerana tersilap pembawaan, ia mampu menjadi keanak-anakan dan menjengkelkan. Syamsul yang pernah dilabelkan pelakon kaku dan 'kontrol macho' nampak semakin selesa di depan kamera.

Walaupun Salina Saibi berjaya mengubah imej menjadi wanita pengkid secara fizikal, tidak banyak yang boleh diulas mengenai lakonannya.

Pola persembahan dan riak wajah watak antagonis masih serupa. Eira Syazira bagaimanapun menyerlah sebagai setiausaha Burn yang over-the-top.

Sebagai karya ringan, pengarahan Syamsul ringkas. Penonton boleh mengikut cerita dengan mudah, komedinya boleh diterima, tidak menghina dan tidak memperbodohkan penonton.

Cuma pemilihan lokasi semakin predictable kerana kebanyakannya sama dengan filem-filem Syamsul yang lain.

Jika ada ruang untuk diperbaiki dari segi teknikal, mungkin penataan muzik perlu ditekankan dengan lebih serius. Terdapat beberapa skor yang dirasakan sama seperti filem Hollywood, bukan dari segi kualiti tetapi keasliannya. Juga, elakkan efek bunyi slapstik di tengah-tengah dialog kerana sudah tidak relevan.

Mungkin Syamsul sendiri tidak berhasrat meletakkan Aku Bukan Tomboy sebagai material untuk festival. Filem ini sekadar medan uji untuk dia bergelar pengarah versatil. Dari segi hiburan, filem ini tetap lulus untuk tontonan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu