Isnin, 21 November 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


RM1,000,000 Money Drop Beri peluang Jadi Jutawan

Posted: 21 Nov 2011 11:19 PM PST

AC Mizal bersama peserta RM1,000,000 Money Drop.

KUALA LUMPUR: Saluran Astro Ria bakal membawakan sebuah program permainan terbaru berjudul RM1,000,000 Money Drop yang memberi peluang kepada peserta untuk menjadi jutawan.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, penerbitan program itu bukan sahaja sebagai hiburan malah ia bakal menguji pengetahuan para peserta melalui soalan-soalan yang bakal diajukan dalam rancangan itu nanti.

Azlin berkata, pihaknya yakin program berkenaan bakal menarik minat penonton berikutan kejayaan program-program bercorak permainan sebelum ini yang berjaya menambat hati penonton.

"Kami amat komited dalam menyusun strategi untuk terus membekalkan program-program hiburan berpengetahuan untuk tontonan seisi keluarga.

"Lihat sahaja program-program hiburan berpengetahuan seperti Roda Impian, Kunci Khazanah, Famili Sarjana (Astro Oasis), Teksi Tunai (Astro Prima) dan sebagainya, ia berjaya menarik perhatian penonton," katanya ketika majlis pelancaran program tersebut di sini.

Dalam pada itu, Azlin berkata, program tersebut merupakan sebuah rancangan permainan yang memberikan RM1 juta kepada setiap pasangan peserta dan mereka perlu menjawab kesemua lapan soalan diberikan bagi mengekalkan wang tersebut.

"Secara asasnya peserta yang berjaya menyertai program ini telah pun memenangi wang tersebut cuma mereka perlu menjawab soalan bagi mengekalkan jumlah itu," katanya.

Katanya, peserta diberikan 60 saat untuk melaburkan wang mereka dipetak jawapan yang betul dan sekiranya tidak pasti mereka boleh membahagikan kepada beberapa bahagian.

"Jika jawapan betul pelaburan mereka selamat dan boleh digunakan pada pusingan berikutnya tetapi jika salah pelaburan tersebut akan hilang," ujarnya.

Bakal dihoskan oleh pengacara berbakat, Datuk AC Mizal, RM1,000,000 Money Drop bakal bersiaran pada setiap sabtu dan Ahad bermula pada 3 Disember depan di Astro Ria (104).

‘Nama saya S’

Posted: 21 Nov 2011 11:18 PM PST

UNIK...S bersama ibu, Rosnah Sutaman,  Rusli, anaknya, Yani, 3, dan dua adiknya menunjukkan nama unik S yang tertera pada lesen memandu dan sijil lahirnya.
UNIK...S bersama ibu, Rosnah Sutaman, Rusli, anaknya, Yani, 3, dan dua adiknya menunjukkan nama unik S yang tertera pada lesen memandu dan sijil lahirnya.

GELANG PATAH: "Walaupun nama saya hanya satu huruf, S, namun pelbagai kenangan manis dilalui terutama ketika akad nikah apabila suami, Nuzrul Hassan, 31, terpaksa melafazkan tujuh kali dan pengalaman itu tidak dapat dilupakan seisi keluarga dan saudara-mara yang hadir pada majlis yang diadakan pada 7 Julai 2007," kata S, 24, menceritakan pengalamannya berdepan beberapa keadaan unik disebabkan namanya itu.

Menurutnya, sepanjang hidupnya, semua kenalan mulanya menyangka S nama timangan, namun apabila diberitahu ia nama sebenar, semua terdiam sebelum berkata ia sesuatu yang pelik.


"Bukan saja kenalan, malah suami sendiri terkejut apabila diberitahu nama saya S ketika kami bertunang empat tahun lalu.

"Apapun, saya bersyukur dengan nama diberikan bapa dan tidak pernah merungut apabila berdepan pelbagai keadaan menghairankan kerana memang sesuatu yang jarang berlaku.


"Memandangkan perkataan susah dan senang bermula huruf S, bapa kerap menasihatkan saya supaya bersusah-susah dulu supaya senang kemudian.


"Malah, tiga adik perempuan saya turut diberikan nama pendek seperti Liz, 22, Maz, 11, dan Hani, 9," katanya yang tinggal di Taman Perumahan Rakyat Lima Kedai, di sini.

Sementara itu, bapanya, Rusli Ahmad Abdul Karim, 50, berkata, pemilihan satu huruf sebagai nama anak sulung daripada empat beradik itu berikutan pengalaman hidupnya sendiri.


"Arwah ayah memiliki tiga nama (tiga suku kata) hingga ia menjadi bahan ejekan ramai termasuk menyatakan saya mempunyai tiga bapa. Pengalaman itu menyebabkan saya mengambil keputusan memberikan nama paling pendek kepada anak saya iaitu hanya huruf 'S'.

"Namun bak kata pepatah, rezeki anak terletak pada namanya, S kini berusia 24 tahun menjalani kehidupan rumah tangga bahagia dan berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang diminati biarpun mempunyai seorang cahaya mata," katanya.


Rusli berkata, sebelum menamakan anaknya, dia pernah merujuk nama pilihannya itu dengan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) sebelum pendaftaran nama anak sulungnya itu diluluskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


"Biarpun tidak menghalang, Jaij tidak menggalakkan pemberian nama seumpama ini kerana bimbang menjadi ikutan masyarakat selain tidak mempunyai maksud.


"Namun, saya menerangkan tujuan dan niat memberikan nama sedemikian kepada mereka bagi mengelak salah faham," katanya.


Katanya, walaupun nama anaknya terlalu pendek dan unik, dia dan isterinya pernah beberapa kali berdepan kesulitan termasuk ketika membawa S berurusan di klinik apabila seorang jururawat menganggap dia leka mengisi borang kerana hanya mencatatkan huruf S.


"Namun, selepas saya memberitahu perkara sebenar, mereka pelik dan tidak kurang menyatakan pilihan nama itu sesuatu yang baru kerana tidak pernah didengar sebelum ini," katanya.


Menurutnya, walaupun tidak mengetahui sama ada nama S mempunyai maksud tertentu, dia sentiasa berdoa supaya nama itu membawa rezeki kepadanya termasuk berjaya dalam hidup.


"Saya bersyukur kerana S dapat melanjutkan pengajian peringkat diploma dalam bidang Teknologi Seni Bina di Institut Teknologi Perindustrian Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) sejak setahun lalu kerana itu adalah impiannya," katanya yang mengusahakan gerai Pisang Misai Corner di Lima Kedai, di sini.

MonoloQue Ambil Masa Dua Tahun Siapkan 'Jejak Tanah'

Posted: 21 Nov 2011 11:17 PM PST

Monoloque telah melancarkan album pertama mereka pada Isnin.

KUALA LUMPUR: Kumpulan MonoloQue yang popular dengan lagu Kekanda Adinda duet bersama Atilia memberitahu mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan album pertama mereka.

Penyanyi utama kumpulan itu, Khairil Annuar Ridzwan Alias atau Loque berkata, rakaman album berjudul Hikayat Halimunan Abad Ke-21 Jejak Tanah itu tidak mengambil masa lama tetapi proses pengumpulan bahan, pembentukan identiti dan ciri-ciri bunyian MonoloQue yang memakan masa selama dua tahun.

"Proses ini termasuklah transformasi MonoloQue daripada projek solo saya kepada sebuah kumpulan yang kemudian melalui pelbagai proses keluar masuk anggota sehingga lengkap," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran album pertama mereka di Hard Rock Cafe di sini pada Isnin.

Selain Loque (vokal utama, gitar dan piano) MonoloQue turut dianggotai oleh Ijoo (gitar utama), Dax (bass), Apex (gitar).

Dalam pada itu, Loque memberitahu, mereka turut menjemput penyanyi Azlina Aziz menyanyikan sebuah lagu berjudul Batu Belah Batu Konkrit.

Ujarnya, Azlina yang berperanan sebagai watak bonda di dalam album tersebut dipilih kerana selain mempunyai suara yang lunak, pemilihan penyanyi popular pada era 80-an itu adalah kerana dia adalah anak kepada Allahyarham Seniwati Normadiah.

"Jika diamati album ini kami begitu terpengaruh dengan elemen-elemen muzik daripada Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Allahyarham R.Azmi dan lain-lain.

"Pemilihan Azlina Aziz adalah kerana dia mewakili darah daripada ibu dan bapanya yang cukup hebat ketika zaman kegemilangan muzik dan filem sebelum merdeka.

"Jadi kami ingin abadikan sesuatu istimewa dalam album ini," ujarnya.

Loque memberitahu, selain sebuah lagu bersama Azlina, album 'Jejak Tanah' turut memuatkan tujuh lagi lagu termasuk Tiada Kata Secantik Bahasa.

Perkahwinan Katy Perry Dan Russel Brand Goyah?

Posted: 21 Nov 2011 11:12 PM PST

Katy Perry.

RUMAH tangga pasangan penyanyi Katy Perry dan Russel Brand dilaporkan sedang mengalami masalah.

Masih tidak dikurniakan anak, pasangan itu dikatakan cuba tidak mendedahkan keretakan yang dialami tetapi menurut sumber terdekat pasangan itu perkahwinan yang baru mencecah dua tahun itu mula goyah.

Daily Mail melaporkan penyanyi berusia 27 tahun juga dilihat banyak menghabiskan masa dengan Tore Nissen dan sumber tersebut memberitahu Tore adalah tempat dia meluahkan masalah.

"Tore adalah orang yang sering dia jumpa untuk mengadu mengenai masalah dan mereka begitu rapat sehingga kekasih Tore curiga dan mengekorinya," kata sumber tersebut.

Kedai internet 'lubuk' kaki judi

Posted: 21 Nov 2011 11:11 PM PST

SEBUAH kedai internet  bercermin gelap menawarkan permainan dalam  talian yang berunsurkan perjudian.
SEBUAH kedai internet bercermin gelap menawarkan permainan dalam talian yang berunsurkan perjudian.
Premis perjudian dalam talian sekitar Relau tarik pelajar, warga tua

GEORGETOWN: Kawasan sekitar Relau di sini, bukan saja dibanjiri ramai pekerja asing, malah turut menjadi 'lubuk' kepada kaki judi dalam talian berikutan semakin banyak kedai internet menawarkan perkhidmatan perjudian.
Premis berkenaan dikatakan bertambah secara mendadak sejak empat tahun lalu dan lebih membimbangkan kegiatan itu turut menarik pelajar untuk melepak di situ, sekali gus terbabit dalam kegiatan perjudian.
Premis berkenaan turut menjadi tumpuan ramai remaja Melayu yang berusia seawal 13 tahun serta warga tua.

Tinjauan mendapati lebih tujuh premis menawarkan perkhidmatan perjudian internet di kawasan itu yang beroperasi 24 jam sehari.

Beberapa premis didapati menggelapkan cermin pintu hadapan dan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah berjaga-jaga khususnya bagi mengawasi kehadiran pihak berkuasa.

Setiap pelanggan juga perlu memasukkan kata laluan atau nombor pengenalan diri di pintu masuk premis. Jika pelanggan kelihatan mencurigakan, penjaga premis tidak akan membenarkannya masuk.
Meskipun tindakan penguatkuasaan oleh polis sering kali dilakukan tetapi pengusaha kegiatan itu seolah-olah tidak gentar dengan meneruskan operasi.

Seorang penduduk tempatan, Mohd Haniff Mokhtar, 25, berkata semua premis itu dipasang pintu kaca gelap bagi menghalang pandangan orang awam serta dipasang CCTV di pintu masuk.

Katanya, dengan membayar RM10, pelanggan boleh berjudi yang memungkinkan mereka memenangi sejumlah wang jika bernasib baik.

"Pihak berkuasa perlu lebih tegas dalam menangani kegiatan itu kerana perjudian akan membawa lebih banyak kesan buruk kepada masyarakat," katanya.

Haniff yang mendakwa dia adalah bekas pelanggan tetap premis itu, berkata beberapa pergaduhan pernah berlaku apabila pelanggan yang kalah gagal mengawal rasa marah masing-masing.

"Malah, ada juga ada anggota pasukan beruniform turut sama mencuba nasib untuk mencari wang segera," katanya sambil menambah premis perjudian juga banyak beroperasi sekitar Sungai Ara dan Bukit Jambul.

Suami pelanggan pertama

Posted: 21 Nov 2011 09:53 PM PST

SELESA...Norhafiza melakukan urutan kepala kepada pelanggan yang ingin mendapatkan rawatan  rambut.
SELESA...Norhafiza melakukan urutan kepala kepada pelanggan yang ingin mendapatkan rawatan rambut.

SUNGGUHPUN memiliki kerjaya tetap namun disebabkan minat untuk menceburi bidang rawatan kecantikan mereka sanggup mengorbankan masa dan berpanas bagi menjalankan perniagaan perkhidmatan dari rumah ke rumah.

Malah, mereka juga menjadikan kediaman sendiri sebagai pusat untuk menjalankan perkhidmatan rawatan kecantikan sama ada membabitkan rambut, kulit wajah ataupun andaman dan ia sememangnya adalah satu perkara yang tidak mudah untuk dilakukan.

Selain itu, peralatan digunakan untuk memberikan rawatan kecantikan diingini tidaklah secanggih seperti pusat kecantikan ternama tetapi ia sedikit sebanyak membuka ruang kepada golongan suri rumah ini menambahkan pendapatan keluarga.

Bagi Norhafiza Ahmad Tajudin, 32, dia memfokuskan rawatan kepada rambut dan walaupun hanya menggunakan peralatan asas dalam memberikan rawatan tetapi ia masih mampu memenuhi kehendak dan keinginan pelanggan.


Sungguhpun baru tiga bulan menjalankan perniagaan salun dari rumah ini tetapi sambutan diberikan amat menggalakkan terutama di kalangan rakan sekerja dan jiran terdekat.


"Walaupun peralatan digunakan ringkas kerana membabitkan barangan asas saja tetapi saya memberikan perkhidmatan menyeluruh dalam merawat permasalahan dihadapi pelanggan.

"Proses rawatan rambut yang disediakan adalah selama 30 minit yang dimulakan dengan urutan kepala bagi memberikan kelegaan daripada tekanan dihadapi dan kemudian barulah diikuti rawatan seterusnya," katanya ditemui di rumahnya di Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dia yang bekerja sebagai pegawai bank mengakui tidak mudah untuk membahagikan masa di awal pembabitannya dalam dunia perniagaan perkhidmatan salun di rumah ataupun dari rumah ke rumah.

Menurutnya, pada peringkat awal dia menyertai program yang dianjurkan pusat latihan usahawan JomCantik disebabkan mahu merawat permasalahan rambut yang dihadapinya sendiri.

"Saya mengalami masalah rambut yang agak teruk sama ada kelemumur, rambut kering, rapuh dan tidak terurus. Disebabkan itulah tujuan utama menyertai program sebegini adalah untuk mempelajari cara untuk mengurangkan permasalahan dihadapi.

"Akhirnya ia membuka peluang kepada saya untuk menambahkan pendapatan bulanan keluarga selain memberikan perkhidmatan rawatan kepada pelanggan yang ingin mendapatkan bantuan sampingan," katanya.

Dia bernasib baik kerana mendapat sokongan penuh daripada keluarga terutama suami dan anak-anaknya kerana proses rawatan diberikan membabitkan penggunaan ruangan di rumah.

Malah, Norhafiza berkata, pelanggan pertamanya sebelum dia menawarkan khidmat rawatan rambut ini kepada orang luar adalah suaminya sendiri.

"Suami menjadi pelanggan pertama saya dalam mencuba sendiri keberkesanan proses rawatan diberikan malah dia juga turut memberikan komisen seperti sepatutnya kerana perkhidmatan diberikan.

"Saya bersyukur kerana latihan yang dilalui selama ini mampu memberikan kebaikan kepada pelanggan memerlukan serta pastinya keluarga terutamanya," katanya.

Sementara itu, Siti Elmiza Mazlan, 29, pula mengikuti dua bidang pengkhususan iaitu dalam perawatan kulit wajah dan juga rawatan rambut.

Katanya, dia menekankan bidang perawatan kulit wajah kerana ingin membantu golongan wanita yang mengalami permasalahan dengan kulit berjerawat, jeragat, bintik hitam serta bukaan liang roma besar hingga menyebabkan mereka berasa rendah diri.

"Saya ingin membantu mengembalikan keyakinan diri kepada mereka dengan cara tersendiri tetapi pada harga berpatutan.

"Malah produk yang digunakan juga adalah sekata dan tidak mempelbagaikannya sesuka hati hingga menimbulkan kesangsian untuk menggunakannya," katanya.

Dia yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan berkata, perniagaan dari rumah yang dilakukannya kini adalah sebagai cabang untuk memperkembangkan lagi perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

Antara cabaran yang perlu dilalui jika menyediakan perkhidmatan dari rumah ke rumah ataupun salun di rumah adalah faktor keselamatan.

"Disebabkan itu saya memulakan proses rawatan ini dengan menawarkannya kepada kenalan terdekat serta rakan sebelum mengambil temu janji dengan orang luar.

"Ia sebagai proses pengenalan untuk lebih memantapkan diri bagi menghadapi kerenah pelanggan yang lebih pelbagai pada masa akan datang," katanya.

Selain itu, katanya dia banyak menggunakan laman sosial facebook dan e-mel untuk membuat pemasaran bagi mendapatkan pelanggan baru serta menyebarkan perkhidmatan disediakan kepada umum.

"Proses ini lebih mudah kerana kita boleh berinteraksi secara langsung dan memberikan penerangan mengenai perkhidmatan disediakan dengan lebih telus.

"Walaupun bukan mudah untuk meyakinkan pelanggan tetapi saya yakin ia sedikit sebanyak membuka ruang kepada usahawan baru seperti kami untuk menapak lebih jauh dan mengembangkan perniagaan perkhidmatan dari rumah ke rumah ini," katanya.

Di samping itu, menurut pengasas JomCantik, Huzalfah Shamsudin, 37, sebagai pusat latihan JomCantik akan sentiasa memantau perjalanan perniagaan golongan wanita ataupun usahawan yang menceburi bidang kecantikan ini di bawah Program Rakan Kursus agar perniagaan kecantikan yang dilakukan dapat memberikan pulangan lebih kepada golongan berkenaan.

Malah, peluang ini juga terbuka kepada mereka yang berminat dalam bidang kecantikan walaupun tanpa pengalaman kerana latihan secara teori dan praktikal disediakan bagi memberikan kemahiran secara menyeluruh dan sudah pastinya ia bermula daripada asas.

Selain itu, sokongan yang diberikan melalui kerjasama dengan Pusat Latihan Keusahawanan (PROSUKSES) menambahkan lagi kemahiran yang diberikan dalam memajukan perniagaan diusahakan golongan terbabit.

Risiko kanser perokok pasif

Posted: 21 Nov 2011 09:52 PM PST


Selepas merokok.


APAKAH perasaan anda bila doktor memberitahu bahawa anda disahkan menghidap kanser paru-paru? Tambah memeritkan, kanser paru-paru anda kini berada di tahap empat - peringkat akhir di mana sel kanser dari tempat asal tumor telah merebak ke bahagian lain badan.

Mungkin ia sesuatu yang tidak menghairankan sekira anda adalah seorang perokok tegar. Penyakit berkenaan sememangnya dikenalpasti mudah dihidapi oleh mereka yang gemar merokok.

Namun, bagi mereka yang tidak merokok atau daripada komuniti perokok pasif, ia sesuatu yang agak mengejutkan.

Itulah yang dialami oleh Goh Sai Wah yang tidak pernah merokok seumur hidupnya. Namun, wanita berusia 58 tahun itu begitu terperanjat bila dikesan menghidap penyakit itu di tahap empat pada tahun lepas.

"Kanser paru-paru selalunya dihidapi oleh orang yang suka merokok. Tetapi, ini tidak bermakna mereka yang tidak merokok boleh selamat daripada penyakit ini (kanser paru-paru)," kata Pengarah Perubatan Pusat Perubatan Antarabangsa Mahameru, Dr. Beh Chor Khim kepada Bernama baru-baru ini.

Tidak kenal siapa

Ia adalah antara punca utama kematian dalam kalangan penduduk di seluruh dunia, dianggarkan 221,130 kes baru kanser paru-paru setiap tahun dengan angka kematian 156,940 di Amerika Syarikat pada tahun ini mengikut laman sesawang http://www.cancer.gov.

Manakala, statistik di negara ini pula menunjukkan penyakit berkenaan menjadi kanser yang paling kerap berlaku dan menyebabkan jumlah kematian paling ramai kira-kira 12 peratus daripada kesemua penyakit kanser dalam negara.

Ini berdasarkan maklumat yang dipetik daripada www.infosihat.gov.my.

Ini jelas menunjukkan penyakit ini tidak boleh dipandang ringan termasuklah bagi golongan perokok pasif.

Biarpun tidak merokok, tetapi kebarangkalian mereka mendapat penyakit berkenaan tidak dapat dinafikan terutama bagi individu yang tinggal di kawasan yang mempunyai tahap kualiti udara yang rendah.

Malah, dipetik dalam satu sumber berita individu berkenaan dilihat 20 peratus lebih berisiko diserang penyakit kanser paru-paru berbanding mereka yang tinggal di kawasan udara bersih.

Ini dapat dilihat apabila dianggarkan 3,000 kematian akibat kanser paru-paru dalam kalangan perokok pasif berlaku setiap tahun di Amerika Syarikat.

Senario ini jelas menunjukkan kanser paru-paru yang secara amnya terbahagi kepada dua jenis utama, kanser sel kecil paru-paru dan kanser sel bukan-kecil paru-paru, berupaya menyerang sesiapa sahaja.

Mengakui tabiat merokok sebagai faktor utama, Dr. Beh berkata pencemaran alam sekitar turut menyumbang kepada risiko penyakit berkenaan.

Ini kerana, mereka yang terhidu asap yang mengandungi asbestos (satu daripada enam mineral silikat digunakan secara komersial kerana ciri fizikalnya) menghadapi risiko yang lebih tinggi mendapat kanser paru-paru dan ia dikenali sebagai mesothelioma.

Selain asbestos, individu yang terdedah kepada persekitaran radon (gas radioaktif) juga berisiko mendapat serangan penyakit berkenaan.

Di samping itu, Dr. Beh berkata mereka yang lahir dari keluarga yang pernah menghidap penyakit berkenaan turut mempunyai risiko mendapat kanser paru-paru.

"Terdapat kemungkinan sebanyak 30 peratus golongan yang tidak merokok mempunyai risiko untuk mendapat kanser paru-paru.

"Antara faktornya adalah seperti tekanan, cara pemakanan yang tidak sihat, penyakit jangkitan virus serta mereka yang terdedah kepada kesan radiasi," katanya.

Gejala

Mengakui agak sukar mengesan kanser paru-paru dengan lebih awal, kata Dr. Beh, kebanyakan yang datang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan selalunya berada di tahap empat .

Bagaimanapun, seseorang itu boleh mengambil langkah pencegahan awal dengan melakukan pemeriksaan kesihatan komprehensif apabila mengalami batuk berpanjangan, kesesakan nafas, sakit dada, belakang, bahu, bengkak muka dan suara garau.

Tidak sekadar itu, gejala seperti sakit tulang, lemah atau kebas di kawasan tangan dan kaki, hilang selera makan, penurunan berat badan, lemah dan kekurangan tenaga juga perlu diambil perhatian.

Atas faktor itu, Dr. Beh menegaskan pemeriksaan kesihatan secara komprehensif amat penting dan bukan sekadar bergantung kepada ujian darah sahaja.

"Ujian darah sahaja tidak berkesan untuk mengesan sel-sel kanser. Disebabkan itu, perlu ada pemeriksaan menyeluruh seperti x-ray, ataupun menggunakan kaedah endoskopi untuk memeriksa bahagian dalam tubuh seseorang.

"Goh menjalani pemeriksaan darah secara rutin yang menunjukkan peningkatan petunjuk kanser dan beliau membuat keputusan menjalani PET CT yang menunjukkan beliau mengalami kanser pada peringkat empat," kata Dr. Beh.

Dr. Beh juga berkata, adalah lebih baik bagi seseorang individu itu melakukan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh sekali bagi setiap tiga tahun apabila umur mereka menjangkaui 40 tahun.

Bila berada di tahap empat, selalunya dikatakan sudah terlambat untuk merawat kanser paru-paru.

Bagaimanapun, keadaan Goh berubah apabila wanita ini menjalani terapi Human Initiated Therapeutic Vaccine (HITV) di Jepun tahun lepas.

"Saya diberitahu tentang terapi HITV melalui Dr. Beh, dan kami pergi ke Tokyo untuk mencubanya," cerita Goh

Mengulas mengenai rawatan ini, Dr. Beh berkata, keputusan yang diperoleh amat mengejutkan apabila mendapat tahu bahawa kesemua sel kanser dalam badan wanita itu telah hilang.

IJN bimbing urus diabetes

Posted: 21 Nov 2011 09:51 PM PST


Pesakit dibenarkan menikmati makan tengah hari di dalam hidangan buffet yang disediakan sempena Kempen Makan dan Uji di Institut Jantung Negara.


SETIAP pesakit diabetes perlu menjaga kawalan gula dalam darah kerana ia menentukan paras kesihatan masing-masing.

Sehubungan itu, setiap pesakit perlu memahami dengan jelas setiap makanan yang telah diambil.

Ini penting supaya setiap apa yang dimakan tidak akan meningkatkan paras gula dalam darah atau terlalu rendah kerana ia akan memberikan kesan tidak baik terhadap pesakit diabetes.

Berikutan itu, Institut Jantung Negara (IJN) telah berkerjasama dengan Novo Nordisk Pharma (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Johnson & Johnson menganjurkan Kempen Makan dan Uji sebagai cara untuk mengawal penyakit diabetes baru-baru ini.

Kira-kira 50 pesakit diabetes telah menghadiri majlis yang pertama kali dianjurkan oleh IJN.

Penasihat Diabetes IJN, Siah Guan Jian memberitahu, IJN mengambil pendekatan berbeza dalam mendidik pesakit diabetes kali ini supaya mereka tidak dibebankan dengan ceramah sepanjang masa.

''Cara ini memberi peluang kepada pesakit untuk menjaga sendiri pemakanan di samping tidak melupakan ubat yang telah ditetapkan untuk diambil setiap hari,'' katanya.

Katanya, setiap pesakit yang mendaftar akan melalui ujian darah untuk mengukur kandungan gula dalam darah masing-masing.

Selepas itu pesakit dibenarkan menikmati makan tengah hari yang disediakan.

''Kita memberikan peluang pesakit ini untuk makan dengan sepuas-puasnya,'' katanya.

Bagaimanapun katanya, selepas itu semua pesakit akan menjalani ujian gula dalam darah masing-masing.

Beliau memberitahu, semua pesakit tersebut akan melihat sendiri perbandingan kandungan gula masing-masing pada sebelum dan selepas makan di dalam bengkel.

Daripada situ, katanya, pesakit akan dapat menilai sendiri mana makanan yang sesuai dengan diri mereka supaya kandungan gula stabil.

''Sebelum itu pesakit juga telah digalakkan memberikan anggaran paras gula yang mereka jangkakan selepas mereka makan,'' katanya.

Beliau memberitahu, secara tidak langsung latihan amali untuk pengambilan makanan yang sepatutnya kepada pesakit kencing manis seperti yang dianjurkan itu lebih menarik dan tidak membosankan.

Tambahnya, kaedah itu lebih memberi peluang kepada pesakit untuk menjalankan uji kaji pada diri sendiri supaya dapat mengawal pemakanan agar kandungan gula sentiasa stabil.

Sukar kawal kencing

Posted: 21 Nov 2011 09:50 PM PST


VIBRANCE Kegel Device, alat peranti untuk menguatkan otot lantai pelvis.


Kajian oleh Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat mendapati kira-kira 30 peratus wanita pernah mengalami kesukaran mengawal kencing.

Kajian sama yang dilakukan di Malaysia menunjukkan wanita di negara ini juga berdepan dengan situasi yang sama.

Kesukaran mengawal kencing sebenarnya bukan sahaja memalukan, malah sering membuatkan kaum wanita berada dalam keadaan serba-salah.

Sebenarnya masalah ini berpunca daripada otot lantai pelvis yang lemah.

''Kehamilan, melahirkan bayi, berat badan berlebihan, usia tua dan tabiat merokok biasanya akan menyebabkan kaum wanita terdedah kepada masalah seperti ini,'' kata Presiden Continence Foundation Malaysia, Dr. Peter Ng.

Katanya, wanita yang memiliki otot lantai pelvis yang kuat akan memberikan pelbagai kelebihan kepada mereka.

''Ia yang membolehkan seseorang wanita itu melalui tempoh mengandung dengan selamat kerana dapat menanggung tambahan berat bayi dan kelahiran juga akan berjalan dengan lancar,'' katanya.

Selain itu, katanya, otot lantai pelvis yang kuat juga akan membuatkan seseorang wanita yang sudah putus haid mampu mengawal kencing.

Secara keseluruhan ia juga turut membantu meningkatkan tahap kecergasan dan kesihatan wanita serta meninggikan keyakinan diri.

''Kaum wanita juga akan memiliki pengalaman seksual yang lebih tinggi dan hubungan yang sihat dengan pasangan mereka,'' katanya.

Menurut Dr. Ng, masalah otot lantai pelvis yang lemah tidak semestinya bersifat kekal. sebaliknya ia masih boleh diatasi terutama melalui senaman Kegel.

Katanya, senaman Kegel yang diperkenalkan oleh Dr. Arnold Kegel sekitar tahun 1940-an telah terbukti mampu menguatkan dan mengentalkan otot lantai pelvis yang lemah antaranya disebabkan faktor penuaan, melahirkan anak dan sebagainya.

Senaman itu melibatkan pergerakan regangan dan merehatkan otot lantai pelvis yang kadang kala juga dipanggil otot Kegel.

Untuk menjadikan senaman itu berkesan, satu alat peranti canggih yang dikenali sebagai Vibrance Kegel Device telah diperkenalkan.

Pengarah Pembangunan Pemasaran Bioinfinity (M) Sdn. Bhd., Ng Shea Kang, berkata, ia merupakan peralatan sokongan bagi senaman Kegel yang merupakan pilihan yang selamat untuk menguatkan otot lantai pelvis.

Selain itu, katanya, alat peranti ini paling berkesan untuk menyokong senaman Kegel kerana ia dapat menentukan sama ada otot yang betul telah diberikan senaman.

''Pengguna dapat merasai getaran maklum balas bio yang lembut dengan menghasilkan rangsangan positif terhadap otot,'' katanya.

Katanya, alat peranti itu direka untuk meningkatkan kekuatan pengecutan otot vagina, menguatkan otot cerut pundi kencing, membantu memperbaiki kualiti kehidupan, menambah baik postur tubuh, mencantikkan tona otot abdomen dan mengembalikan bentuk badan.

''Peranti yang mesra pengguna ini direka dengan mengutamakan aspek keselamatan dan keselesaan,'' tambahnya.

Selain itu, ia berbentuk kompak, ringan dan sesuai bagi golongan wanita yang sentiasa bergerak cergas kerana mereka bebas untuk menggunakannya pada bila-bila masa tanpa rasa malu,'' katanya.

Malah jelasnya, alat peranti ini yang berharga RM598 ini boleh didapati daripada ahli urologi dan pakar ginekologi di seluruh negara yang mampu dimiliki berbanding pembedahan yang mungkin mendatangkan komplikasi.

Baghdad bekas pusat ilmu Islam

Posted: 21 Nov 2011 09:49 PM PST


Istana Al-Faw iaitu tempat tinggal Presiden Iraq, Saddam Hussein sebelum ini dijadikan kem tentera sementara Amerika Syarikat sebelum diserahkan kepada kerajaan Iraq, akhir tahun ini.


DAHULU, wilayah Iraq disebut Mesopotamia, salah satu tempat lahirnya peradaban paling tua. Nama Mesopotamia berasal daripada sebutan orang Yunani bagi wilayah itu.

Di negara itu pernah bertapak kerajaan besar seperti Assyria, Babylon dan Parsi. Setelah ditakluki oleh orang Islam, kawasan itu menjadi tempat pendudukan kekhalifahan Abbasiah (750-1258) sebelum jatuh ke tangan orang Mongol, Turki dan Inggeris.

Ketika Iraq di bawah kekuasaan Abbasiah, ia mengalami kemajuan yang cukup pesat seperti dalam bidang ekonomi, ilmu pengetahuan, pembinaan dan teknologi, kesenian, sastera serta politik.

Kemajuan dalam bidang ekonomi dan perdagangan membawa kesan kepada kemajuan ilmu pengetahuan, falsafah dan kebudayaan Islam.

Arab dan Kurdis

Penduduk Iraq terdiri daripada beberapa kumpulan etnik. Antara kumpulan etnik terbesar termasuklah Arab (75 peratus-80 peratus) dan Kurdis (15 peratus-20 peratus). Kumpulan etnik kecil lain seperti Tukorman dan Assyria.

Selain bahasa Arab (bahasa rasmi), penduduk Iraq juga menggunakan bahasa Turki Kurdis, Parsi, Assyria dan Armenia. Kira-kira 25 peratus daripada penduduk Iraq tinggal di kawasan perkampungan sebagai petani.

Syiah dan ahli sunnah

Sebanyak 97 peratus rakyat Iraq menganut agama Islam, 60-65 peratus daripadanya berfahaman Syiah, 32-37 peratus lagi ahli sunnah, tiga peratus menganut agama Kristian dan lain-lainnya.

Dahulu, agama menjadi punca keretakan hubungan. Konflik sering terjadi antara aliran Ahli Sunnah dengan Syiah. Laungan yang mengungkap luapan perasaan dalam upacara keagamaan boleh memanaskan suasana, bahkan perarakan dapat mencetuskan rusuhan.

Namun pada masa ini, permusuhan antara golongan Syiah dengan ahli sunnah telah berkurangan. Hubungan persahabatan antara kedua-dua kumpulan semakin baik.

Pemerintahan

Iraq adalah sebuah negara republik. Pemerintahannya diketuai oleh seorang presiden. Presiden menjadi panglima tertinggi angkatan bersenjata dan ketua Majlis Revolusi.

Dewan itu terdiri daripada para pimpinan dewan. Setiap wilayah dipimpin oleh gabenor yang dilantik oleh Menteri Dalam Negeri.

Di samping kehakiman umum, terdapat juga kehakiman agama yang menangani masalah status perseorangan dan masalah agama berdasarkan hukum Islam tradisional.

Selain itu, terdapat kehakiman agama bagi penganut Kristian dan Yahudi.

Pada zaman Bani Abbasiyah, Baghdad merupakan salah satu pusat ilmu yang banyak melahirkan ulama. Wilayah Iraq ditakluki tentera Arab Islam pada 633-637. Mereka membawa ajaran Islam dan bahasa Arab.

Musanna bin Harithah

Penaklukan Iraq pertama kali berlaku pada zaman Khalifah Abu Bakar al- Siddiq melalui angkatan yang dipimpin oleh Musanna bin Harithah. Tentera Islam di bawah kepimpinannya menakluki wilayah barat Sungai Furat.

Kemudian Abu Bakar sekali lagi mengirim tentera yang jumlahnya lebih besar di bawah pimpinan Khalid bin al-Walid. Khalid yang menyerang dari arah utara dan menguasai kota Hirah dan pelabuhan al-Ubullah di Teluk Arab.

Sa'ad bin Abi Waqqas

Penaklukan kedua dan ketiga ke wilayah Iraq berlaku pada zaman Khalifah Umar bin al- Khattab. Semasa penaklukan kedua, serangan diarahkan ke utara Baghdad yang disebut Ard al-Sawad. Pertempuran itu disertai banyak panglima tentera Islam terbaik, antara lain Sa'ad bin Abi Waqqas (panglima paling berjaya dan paling luas taklukannya).

Semasa penaklukan ketiga, tentera Islam dipimpin oleh Iyad bin Ganam yang menyerang daerah yang dikuasai oleh bangsa Rom, yang disebut Ard al-Jazirah (tempat pertempuran antara tentera Parsi dengan Rom).

Ketika itu, tentera Islam menguasai kota-kota penting, seperti al-Raqqahdan al-Ruha. Setelah itu, mereka menyerang wilayah Armenia dan sekitarnya.

Pengembangan ilmu pengetahuan

Ketika Bani Abbasiah memerintah Iraq, wilayah itu mengalami kemajuan dalam bidang ekonomi dan perdagangan. Hal itu memberikan kesan kepada pengembangan ilmu pengetahuan.

Pengembangan ilmu pengetahuan di Iraq dilakukan dengan beberapa cara. Cara pertama adalah penterjemahan buku-buku Yunani, Parsi, Syria, India dan Qibti ke bahasa Arab.

Selepas itu, para sarjana Islam membuat ulasan terhadap buku-buku yang diterjemahkan itu. Cara selanjutnya adalah menubuhkan pusat pendidikan dari peringkat dasar hingga peringkat tinggi, seperti Madrasah Nizamiyah.

Kursus Pemandu Pelancong di Masjid Negara

Posted: 21 Nov 2011 09:48 PM PST


Azhar Tuarno (kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta Kursus Pemandu Pelancong di Masjid Negara, baru-baru ini.


PELANCONGAN terbukti boleh menjana ekonomi negara. Lebih-lebih lagi bagi Malaysia yang kaya dengan flora dan fauna serta mempunyai masyarakat yang pelbagai budaya.

Kesempatan itu harus dimanfaatkan oleh pihak berkuasa agama dalam usaha memperkenal dan mempromosi masjid-masjid yang terdapat di seluruh negara.

Usaha itu juga adalah strategi dakwah yang dilihat berkesan bagi menunjukkan akhlak dan kesatuan umat Islam terutama ketika solat berjemaah di mana tidak ada seorang pun jemaah yang menyalahi perbuatan imam.

Menyedari hal itu, Unit Perhubungan Awam dan Pusat Sumber, Masjid Negara menganjurkan Kursus Pemandu Pelancong (Sukarelawan Masjid) Siri 2/2011 Modul Mesra Malaysia di masjid itu, baru-baru ini.

Kursus dua hari bermula 2 November itu adalah dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Malaysia dan Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Antara tajuk ceramah yang disampaikan adalah Anda dan Malaysia, Nilai Hospitaliti Malaysia, Personaliti Mesra Malaysia, Kaedah untuk meningkatkan Kecemerlangan dalam Perkhidmatan Pelanggan dan Komunikasi berkesan.

Ia disertai oleh 72 petugas dan sukarelawan yang bertugas sebagai pemandu pelancong di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Masjid Jamek Bandaraya Kuala Lumpur, petugas Pensera Sdn. Bhd., petugas Uniayu Sdn. Bhd. dan petugas dan sukarelawan masjid daripada Masjid Negara dan Islamic Outreach ABIM.

Objektif utama kursus adalah memberi pendedahan dan pengetahuan melalui maklumat terkini dan berguna berkaitan bidang tugas pemandu pelancong.

Selain itu, ia dapat mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan untuk merancang dan mengurus berkaitan dengan bidang tugas dan tanggungjawab sebagai pemandu pelancong (sukarelawan masjid).

Perasmian kursus disempurnakan oleh Penolong Pengarah Unit Penyelarasan, Dakwah dan Ibadah, Ehsan Mohd. Hosni yang mewakili Imam Besar Masjid Negara.

Majlis penutup dan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta dilakukan bersama oleh Penolong Pengarah Perhubungan Awam dan Pusat Sumber, Masjid Negara, Azhar Tuarno dan Naib Pengerusi Islamic Outreach ABIM, Normah Sulaiman.

Khatam al-Quran pada usia muda

Posted: 21 Nov 2011 09:45 PM PST


KEMAMPUAN kanak-kanak khatam al-Quran pada usia muda mencabar golongan dewasa terutama yang masih belum sekalipun khatam kitab suci teragung itu.


MELENTUR buluh biarlah daripada rebungnya. Begitulah perumpamaan yang perlu diamalkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak bagi memulakan langkah kehidupan mereka di dunia ini.

Setiap ibu bapa pastinya mengimpikan cahaya mata yang soleh dan solehah yang dapat menjaga mereka apabila sudah tua dan mampu mendoakan apabila sudah tiada.

Hakikatnya, ia terletak di tangan ibu bapa itu sendiri. Ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkan dan menentukan masa depan anak-anak sama ada baik atau buruk.

Jika baik acuannya maka baiklah peribadi anak tersebut. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Setiap anak yang dilahirkan di atas fitrah (suci), maka ibu bapanya yang menjadikan mereka Yahudi, Nasrani atau Majusi. (riwayat Muslim)

Oleh itu, salah satu pendekatan berkesan dalam mendidik anak-anak adalah melalui pendedahan ilmu agama dan al-Quran sejak mereka kecil.

Ia merupakan langkah terbaik dalam memastikan generasi muda tersebut dapat menjadikan al-Quran dan ilmu agama sebagai panduan hidup.

Sekurang-kurangnya ilmu agama mampu menjadi asas pengetahuan untuk anak-anak membezakan perkara yang baik atau buruk. Seterusnya, melindungi mereka daripada terjebak dengan persekitaran gejala sosial yang semakin berleluasa masa ini.

Seorang tokoh yang merupakan ulama terkemuka dunia Islam, Abu Abdullah Muhammad ibn Idris atau lebih dikenali sebagai Imam As-Syafie harus dijadikan contoh terbaik oleh setiap ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

Seawal usia tujuh tahun beliau telah menghafal al-Quran dan pada usia 10 tahun Imam As-Syafie menghafal kitab hadis Al-Muwatha karangan Imam Malik. Semasa berusia 15 tahun beliau telah mampu memberi fatwa.

Pendekatan inilah yang ditekankan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam mendidik dan mendedahkan murid sekolah tadika Islam di bawah kendaliannya di seluruh Wilayah Persekutuan.

MAIWP baru-baru ini menganjurkan Majlis Khatam al-Quran Perdana 2011 di Masjid Khalid Al-Walid, Kuala Lumpur.

Seramai 900 murid daripada 71 Tadika Islam MAIWP yang terdiri daripada lima zon iaitu Zon Bandar Tun Razak, Zon Batu, Zon Bangsar, Zon Setapak dan Zon Titiwangsa menyertai majlis khatam al-Quran tersebut.

Perkarangan dewan solat masjid bergema dengan alunan bacaan Juz Amma oleh murid berumur antara 5 dan 6 tahun itu sebagai simbolik khatam al-Quran.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dr. Muhammad Yamin Ismail; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali dan Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera, Brigedier Jeneral Mustafa Abdul Manaf.

Jamil Khir berkata, penganjuran majlis seperti ini adalah inisiatif yang cemerlang dan usaha pintar penganjur dalam mendedahkan murid dengan ayat-ayat al-Quran pada usia muda sebagai pedoman pada masa depan.

"Lumrah bagi setiap kanak-kanak seawal usia 5 dan 6 tahun menghabiskan masa dengan bermain dan berseronok bersama rakan-rakan. Malah pada usia itu, terdapat segelintir kanak-kanak yang belum dapat membezakan baik dan buruk (mumaiyiz), apatah lagi mengenal erti kehidupan.

"Namun, majlis khatam al-Quran anjuran MAIWP ini adalah satu usaha transformasi dakwah pihak penganjur yang cemerlang dalam mendorong murid untuk berjaya khatam al-Quran pada usia seawal 5 tahun," katanya.

Waktu pembelajaran di Tadika Islam MAIWP bermula daripada pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari dan murid-murid memulakan kelas dengan membaca al-Quran setiap hari.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamil Khir berkata, kerajaan meluluskan RM442,000 kepada MAIWP untuk menyediakan i-Iqra' kepada setiap kelas tadika Islam MAIWP bermula Disember ini.

I-Iqra' adalah proses pembelajaran al-Quran menggunakan teknologi yang terdiri daripada tiga komponen iaitu pen digital, mesin interaktif, dan buku i-Iqra' yang diaktifkan menggunakan cip elektronik.

Sementara itu, Dr. Muhammad Yamin berkata, program itu adalah inisiatif bagi memastikan generasi akan datang memartabatkan al-Quran sebagai panduan hidup.

"Melihat gejala sosial dan keruntuhan akhlak segelintir anak muda dan remaja masa kini, MAIWP yakin pendekatan yang dilaksanakan ini mampu melahirkan generasi muda yang mempunyai nilai dan sahsiah peribadi berlandaskan ajaran Islam," katanya.

Bagaimanapun, kata Dr. Muhammad Yamin, usaha membudayakan pengajian al-Quran tidak boleh terhenti sekadar di sekolah atau program sedemikian.

Katanya, ibu bapa memainkan penting dalam mendidik dan sentiasa mengajar anak-anak mengenai ilmu al-Quran di rumah.

"Salah satu cara terbaik adalah mendedahkan ajaran ilmu agama yang sempurna kepada anak-anak supaya dapat menjadi panduan bagi melindungi mereka daripada dipengaruhi oleh persekitaran yang boleh menjejaskan fitrah mereka," katanya.

Sejak tahun 2009 hingga 2011, sebanyak 53 Tadika Islam MAIWP telah ditambah baik dengan kos sebanyak RM2 juta.

Usaha itu akan diteruskan pada tahun 2012 dengan peruntukan RM790,000 sebagai penambahbaikan prasarana tadika Islam MAIWP.

51 ibu tunggal terima sijil I-Kit

Posted: 21 Nov 2011 09:43 PM PST


Wan Hasmah Wan Mohd. (empat dari kiri) beramah mesra dengan para peserta pada majlis penyampaian sijil Program I-Kit anjuran Jabatan Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat di Kuala Lumpur baru-baru ini.


BERGELAR ibu tunggal tidak semestinya hanya tahu merintih mengenang nasib ditinggalkan suami.

Sebaliknya ramai ibu tunggal yang gigih berusaha menyara keluarga melalui pelbagai aktiviti yang membolehkan mereka meraih pendapatan.

Malah selagi ada kudrat golongan itu sanggup membuat apa sahaja demi memastikan makan dan pakai anak-anak tidak terabai.

Melihat potensi tersebut Jabatan Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, telah mengenal pasti pelbagai kursus kemahiran untuk dimasukan dalam Program Inkubator Ibu Tunggal (I-Kit).

Antara kursus tersebut jahitan pakaian kurung dan kanak-kanak, bengkel perbidanan dan penjagaan ibu bersalin , kursus jahitan busana muslimah dan tudung.

Kursus lain ditawarkan di bawah program itu ialah bengkel pembuatan kek, pastri dan kuih tradisional.

Kesemua program berkenaan diperkenalkan bagi membantu golongan ibu tunggal dan suri rumah mendapatkan kemahiran sekali gus mengusahakan perniagaan sendiri.

Baru-baru ini 51 orang ibu tunggal telah berjaya menamatkan program I-Kit dan menerima sijil masing-masing daripada Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Wan Hasmah Wan Mohd. di sebuah hotel di ibu negara.

Salah seorang peserta, Norizalizah Isa, 33, menyifatkan program I-Kit umpama 'tongkat' kepada golongan ibu tunggal untuk bangun semula selepas kehilangan tempat bergantung apabila kematian atau diceraikan suami.

"Saya bersyukur kerana berpeluang untuk menyertai program ini. Ia sedikit sebanyak telah memberikan semangat kepada saya untuk meneruskan kehidupan dan menyara anak-anak," katanya.

Biarpun pada awalnya tidak boleh menerima kenyataan status ibu tunggal yang digalasnya, kini dia bersyukur kerana status tersebut memberi sinar baru.

Keperitan membesarkan anak berseorangan membuatkan dia semakin tabah dalam mengharungi kehidupan.

Malah kekuatan untuk terus berjaya dalam kehidupan semakin membara, tambahan anak-anak pula sudah semakin membesar dan pandai berdikari.

"Alhamdulillah, daripada perkahwinan dahulu saya dikurniakan tiga anak perempuan.

"Jika boleh, saya enggan mengenang kembali kesusahan hidup saya pada masa dahulu," katanya.

Norizalizah berhasrat untuk membuka butik pakaian muslimah dengan menggunakan segala kemahiran yang diperoleh ketika kursus tersebut.

Seorang lagi peserta, Rajeswary Thara Malingan, berazam untuk mengusahakan perniagaan berkaitan kecantikan selepas tamat mengikuti kursus terapi kesihatan alternatif dan kecantikan

Selepas enam bulan menyertai program I-Kit dan berjaya dengan cemerlang, dia semakin yakin dengan kebolehan diri untuk terus berjaya dalam bidang yang diceburi.

Malah kini, dia dalam persediaan terakhir untuk membuka butik kecantikan yang menawarkan rawatan keseluruhan kepada golongan wanita.

"Memang pada awalnya sedih dengan apa yang menimpa tetapi selepas menyertai program ini baru saya tahu bahawa lebih ramai yang lebih menderita daripada saya sekeluarga,'' ujarnya dengan ceria.

Sementara itu seorang lagi peserta, Latifah Ab. Rahman pula menyifat program I-Kit adalah sesuatu yang memberi sinar kepada golongan ibu tunggal sepertinya.

"Sebelum ini ramai yang sedih dengan apa yang menimpa diri tetapi melalui perkongsian ilmu seperti ini memberikan sinar baru untuk meneruskan kehidupan," ujarnya yang menjanda lebih 10 tahun.

Dia bersyukur program tersebut telah berjaya membantu golongan ibu tunggal untuk mencari hala tuju kehidupan mereka.

Malah melalui program ini juga ia dapat berkongsi maklumat selain dapat berkongsi pengalaman perit yang pernah dilalui.

Labu perlu banyak air

Posted: 21 Nov 2011 09:42 PM PST


Labu merupakan antara tanaman yang sentiasa mendapat permintaan tinggi di pasaran.


Persediaan tanah dan kawasan

LABU akan mengeluarkan hasil yang tinggi jika ditanam pada tanah yang gembur berpasir, mengandungi banyak bahan organik dan mempunyai saliran yang baik.

Nilai pH yang sesuai ialah antara 5.5-6.5. Jika pH tanah kurang dari yang disyorkan pengapuran perlu dilakukan tidak kurang 14 hari sebelum penanaman dilakukan.

Kadar pengapuran antara tiga dan lima tan/hektar bagi tanah mineral.

Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam antara 20 dan 30 sentimeter (sm) untuk memudahkan pertumbuhan akar.

Batas disediakan menggunakan jentera atau secara manual mengikut saiz yang disyorkan, biasanya lebar batas antara satu hingga 1.2 meter, tinggi batas di antara 20 dan 30 sm dan panjang batas mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialah satu meter.

Batas ditambak dengan bahan organik tahi ayam atau kompos antara satu dan tiga kg/meter persegi. Bahan ini hendaklah digaulkan ke dalam tanah satu minggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok atau antara tiga hingga enam tan/hektar bagi tanah mineral.

Penanaman

Labu boleh ditanam terus ke batas dengan meletakkan dua biji benih bagi setiap lubang yang telah dikorek sedalam satu atau dua sm, selepas itu biji benih dikambus nipis dengan tanah halus atau disemai dahulu ditapak semaian sebelum diubah ke ladang.

Selepas seminggu anak benih bercambah, ia perlu dijarangkan dengan mencabut anak benih yang kurang segar dan tidak sihat.

Tinggalkan satu pokok sahaja setiap lubang penanaman bagi mengelakkan persaingan dari segi makanan, ruang, cahaya dan air.

Tanah di keliling anak benih dipadatkan supaya pokok lebih kuat dan akar tidak terdedah Jarak tanaman yang disyorkan ialah antara 60 dan 100 sm antara barisan pokok dan digalakkan ditanam dalam satu barisan sahaja.

Keperluan biji benih antara 0.8 dan satu kg/hektar.

Pengairan

Tanaman labu memerlukan air yang banyak untuk kelembapan yang cukup bagi pertumbuhan yang lebih subur.

Penyiraman dibuat dua kali sehari di peringkat awal penanaman dan dikurangkan sekali sehari bila pokok besar dan sehingga memungut hasil.

Pengairan dibuat secara manual atau menggunakan sistem pengairan.

Perparitan diperlukan bagi kawasan yang menghadapi masalah saliran. Parit ladang dibina bagi menyalirkan air yang berlebihan ke parit utama.

Pengawalan rumpai

Merumput dilakukan secara manual atau menggunakan bahan sungkupan seperti lalang, rumput kering atau agrosheet, sebarang penyemburan rumpai hendaklah dilakukan sebelum pokok labu berbuah.

Pembajaan

Baja yang disyorkan ialah 70 kg N:140 kg P2O5:200 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada jenis tanah di sesuatu kawasan, keperluan nutrien tanaman, masa dan cara pembajaan .

Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh di gunakan dengan kadar 30g/pokok dan ditabur keliling dengan jarak antara 15 dan 20 sm dari rumpun pokok serta dikambus.

Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar 40-50 g/pokok diselangkan setiap dua minggu, dan sebelum tanaman berbunga.

Kawalan perosak dan penyakit

Penyakit utama ialah kulapuk berdebu (Erysiphe cichoracearum) yang menyebabkan tompok putih dan berdebu di permukaan daun dan merebak pada keseluruhan daun dan bertukar menjadi kuning, perang dan kering dan berkedut.

Pokok yang diserang kurang berbuah dan kecil bentuknya. Jika terdapat tanda serangan musnahkan daun yang diserang dan sembur dengan racun kulat yang sesuai.

Serangan kulapok downy (Pseudopereronospora cubensis) ialah pada daun, terdapat bintik berbentuk bersiku siku, berwarna hijau pucat kekuningan di atas daun. Lapisan bawah diselaputi spora dan akhirnya menjadi perang dan mati, buah akan terbantut. Pastikan daun yang diserang dimusnahkan.

Jika serangan teruk sembur dengan racun kulat yang sesuai.

Perosak utama ialah kumang labu (Aulacophora sp.) akan menyebabkan pokok layu dan mati dan menyebabkan daun rosak.

Serangan kutu daun (Aphids sp) menyebabkan daun berkerekot dan pokok terbantut.

Gunakan racun serangga yang sesuai bagi serangan yang teruk.

Penuaian

Hasil labu lemak boleh dituai selepas antaar 60 dan 80 hari penanaman, kematangan boleh dikesan melalui perubahan warna pada kulit buah dari hijau ke kuning sekurangnya 80 peratus warna kekuningan pada buah.

Tangkai buah dipotong antara lima hingga tujuh sm dari pangkal buah dan dimasukkan ke dalam bakul hasil.

Dalam tempoh 90 hari pertumbuhan labu boleh mengeluarkan lima hingga enam biji labu bagi setiap pokok.

Buah labu yang kotor terkena tanah perlu dilap dengan kain yang lembap bagi menghilangkan kotorannya sebelum dijual.

Berat setiap buah labu antara satu dan dua kg sebiji. Ia boleh disimpan selama satu dan dua bulan pada suhu bilik. Hasil sehektar ialah antara 20 dan 25 tan/hektar.

Promosi khasiat delima batu

Posted: 21 Nov 2011 09:41 PM PST


Delima batu merupakan herba kuno yang semakin dilupakan.


Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan,
Sungguh jauh di negeri satu,
Hilang di mata di hati jangan.

Sudah tentu ramai yang pernah mendengar pantun tersebut. Tetapi jika ditanya mengenai buah delima batu yang terdapat di dalam pantun berkenaan, pasti ramai yang tidak mengetahuinya.

Pasti ramai yang tahu mengenai buah delima tetapi jika ditanya buah delima batu mungkin tidak ramai yang kenal.

Menurut pengusaha Herba Pusaka Alam Enterprise, Ahmad Norfaizal, buah delima batu merupakan herba kuno yang semakin dilupakan.

"Buah delima batu yang berbuah sekali setahun merupakan tumbuhan yang banyak terdapat di hutan khatulistiwa terutama di Pahang, Perak dan Kelantan.

"Di beberapa negara jiran pokok delima batu ditanam di dalam ladang," katanya ketika ditemui semasa Pameran Herba yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Buah delima juga adalah di antara salah satu daripada makanan sunah yang terbukti sejak turun temurun bagi merawat pelbagai jenis penyakit.

Antara penyakit yang boleh dirawat menggunakan buah delima batu adalah resdung, asma, batuk berdarah, buasir, najis berdarah, batu karang, gastrik, migran, usus lemah, usus bengkak dan alahan pemakanan.

Ahmad berkata, mereka yang menderita penyakit hanya perlu merendam sekeping buah delima batu dengan satu liter air sebelum meminumnya.

"Bagi membantu mereka yang mempunyai masalah kesihatan, kami telah memproses delima batu dengan kopi, halia dan habatussauda.

"Halia bagi membuang angin manakala habatussauda bagi meningkatkan antibodi yang sesuai bagi warga emas," katanya.

Buat masa ini Ahmad Nofaizal berkata, pihaknya mempunyai kilang bagi mengeluarkan kepingan delima batu kering dan kopi delima batu di Perak.

Bagaimanapun mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai delima batu boleh terus berhubung terus dengan Ahmad Norfaizal di 017-5793602 atau 019-9883812.

KUD 2011 promosi produk usahawan desa

Posted: 21 Nov 2011 09:39 PM PST


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melihat akar tongkat ali selepas melancarkan KUD 2011 di Putrajaya baru-baru ini.


Karnival Usahawan Desa 2011 (KUD 2011) anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berlangsung 21 hingga 25 September lalu di Laman 1Malaysia Presint 2, Putrajaya menampilkan banyak kelainan berbanding tahun sebelumnya.

Karnival yang menjadi acara dwitahunan kementerian terbabit bukan bukan sahaja menghimpunkan kira-kira 500 usahawan luar bandar dan produk keluaran mereka tetapi juga akan membantu usahawan mencari pasaran baru hingga ke peringkat global.

Seperti tahun sebelumnya, kementerian terbabit menerima sambutan yang amat menggalakkan mengenai tapak gerai pameran dan jualan produk.

Pengusaha yang dipilih terdiri daripada usahawan bimbingan jabatan dan agensi di bawah kementerian berkenaan dengan mereka mempamer dan menjual empat kategori utama iaitu makanan, kraftangan, herba dan perkhidmatan.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengupayaan Ekonomi, kementerian berkenaan, Zazali Salehudin berkata , penganjuran KUD 2011 kali ini turut menjemput 13 agensi pemasaran yang terdiri daripada pasar raya besar dalam usaha menarik perhatian mereka untuk menjalin kerjasama dengan pengusaha desa.

"Selain itu, terdapat lima pembekal termasuk teknologi maklumat, bahan mentah, rekaan pembungkusan dan pelabelan.

"Semuanya sebagai langkah membantu usahawan untuk memasuki pasaran yang luas seperti pasar raya besar serta pasaran global," katanya.

Usahawan yang dipilih menyertai KUD merupakan mereka yang mempunyai produk yang berpotensi untuk pergi lebih jauh.

Misalnya mereka mempunyai GMP, HACCP dan HALAL yang boleh dipasarkan di luar negara.

"Ini selaras dengan objektif penganjuran KUD 2011, iaitu membuka ruang pasaran produk luar bandar bersama pihak pasar raya besar melalui padanan perniagaan.

KUD 2010 juga membuka ruang untuk pengusaha mengadakan Perkongsian Strategik iaitu melalui kluster usahawan dengan agensi awam yang terlibat dalam R&D dan pemasaran seperti SIRIM, MARDITech dan SMIDEC.

"Kami mendapati beberapa usahawan desa memiliki produk yang amat berkualiti.

"Dan jika mereka yang terpilih berjaya memasarkan produk mereka di dalam negara, mereka masih memerlukan bimbingan dan pendedahan untuk membawa produk itu ke pasaran luar negara," jelas Zazali.

Dalam usaha itu, pihak penganjur turut menjemput beberapa institusi kewangan seperti Bank Rakyat, AgroBank dan Bank SME untuk memberi peluang kepada usahawan desa yang ingin menjalin kerjasama bersama institusi kewangan.

Menurut Zazali, pihaknya turut mengharapkan kewujudan jalinan kerjasama dalam lingkungan komuniti usahawan itu sendiri.

Menyedari bahawa para usahawan desa menghadapi masalah untuk terus berdaya maju dan melangkah ke peringkat antarabangsa, Zazali berpendapat perkara ini bukan sahaja berlaku kepada usahawan luar bandar bahkan berlaku juga kepada usahawan di bandar-bandar.

Menurut beliau, antara kekangan yang dihadapi ialah kualiti produk yang masih rendah atau tidak memenuhi kehendak pasaran.

Mereka juga sukar mendapat pengiktirafan GMP, HACCP dan Halal selain lokasi premis yang tidak strategik serta kekurangan modal untuk mengembangkan perniagaan.

"Peluang untuk pengusaha ini sangat besar kerana terdapat banyak pasaran di negara-negara Islam.

"Sayangnya, pengusaha tidak mempunyai kapasiti untuk menghasilkan produk dalam kuantiti yang banyak.

Bagaimanapun, saya yakin jika pengusaha desa ini mula menjalin kerjasama dalam kalangan komuniti mereka sendiri, mereka mampu menembusi pasaran eksport," ulas Zazali.

Karnival yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan hanya tertumpu kepada usahawan desa, tetapi juga penyertaan masyarakat.

Menurut Zazali, KUD 2011 memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat dan mencuba sendiri produk terbaik dari setiap daerah di seluruh negara.

Di sinilah orang ramai dapat melihat sendiri kepelbagaian produk tempatan yang berkualiti bukan sahaja dari segi produk tetapi juga pembungkusannya.

Mereka pasti mengagumi keupayaan usahawan desa yang berjaya mencapai satu standard pemasaran yang mengubah rupa produk industri desa.

Sepanjang berlangsung, terdapat pelbagai acara menarik antaranya persembahan artis terkenal seperti Amy Search, Adam AF dan Mas Idayu serta demonstrasi masakan 14 negeri dari seluruh negara.

Selain itu KUD dimeriahkan dengan KUD Idol, forum perdana, pertandingan menjahit baju pengantin, pertandingan memasak ikan air tawar dan pameran kenderaan.

"Ini merupakan peluang keemasan bagi masyarakat melihat dan mendapatkan produk keluaran desa yang berkualiti dari seluruh negara pada harga yang berpatutan.

Bahkan ia juga sebagai sokongan kepada usaha meningkatkan penjanaan pendapatan industri desa," jelas Zazali.

Tragedi tanah runtuh matangkan Ab. Rashid

Posted: 21 Nov 2011 09:37 PM PST


Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab.


INSIDEN tanah runtuh yang meragut nyawa 16 mangsa di Rumah Anak-Aanak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat, Selangor sudah enam bulan berlalu.

Namun, insiden ngeri itu masih segar dalam ingatan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab.

Ini kerana bencana itu merupakan kes pertama dan paling mencabar pernah dikendalikannya sepanjang bertugas dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketika kejadian itu Ab. Rashid, 52, belum sampai seminggu melaporkan diri sebagai ketua polis daerah.

"Saya baru memulakan tugas di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kajang pada hari Isnin 16 Mei 2011. Kejadian tanah runtuh itu pula berlaku pada hari Sabtu iaitu 21 Mei.

"Bayangkan, saya ketika itu belum mengenali selok belok daerah Kajang, tetapi diuji dengan satu musibah yang menyayat hati dan mendapat perhatian rakyat negara ini," jelas beliau ketika ditemui baru-baru ini.

Sambil mengimbau kembali detik-detik mencemaskan itu, Ab. Rashid menganggap tragedi buruk itu sebagai satu cabaran terbesar apabila menyaksikan ramai mangsa yang terkorban.

Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian tersebut, beliau segera mengarahkan anggota dan pegawainya di IPD Kajang untuk mengawal keadaan di sana.

"Keadaan ketika itu kelam-kabut. Orang awam turut cuba membantu mengeluarkan mangsa namun kita terpaksa menghalang mereka daripada berbuat demikian.

"Ini kerana mereka tidak dibenarkan masuk ke tapak lokasi tanpa kebenaran disebabkan kawasan itu diklasifikasikan sebagai lokasi berbahaya.

"Polis juga tidak tahu sejauh mana keselamatan dan pergerakan tanah serta risiko yang dihadapi ketika itu," katanya.

Pada mulanya, beliau mengakui agak kekok bila berada di tapak tragedi tanah runtuh itu namun hasil bantuan para pegawai yang sudah lama bertugas di IPD Kajang, tugas itu mampu dilaksanakan.

"Pelbagai cabaran terpaksa ditempuh. Namun, dengan sokongan dan kerjasama daripada seluruh warga IPD Kajang dan agensi-agensi lain, operasi mengeluarkan mangsa berjalan lancar walaupun kami berdepan pelbagai kesukaran," jelasnya.

Ab. Rashid turut memegang teguh kepada prinsip andai takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Untuk itu, beliau komited melaksanakan tugas dengan mementingkan hubungan pasukan dengan masyarakat.

Katanya, masyarakat dan polis perlu saling mengenali antara satu sama lain bagi memudahkan pihaknya mengetahui masalah mereka sekali gus menanganinya secara bersama.

"Sebab itu, IPD Kajang aktif melaksanakan program kepolisan komuniti bersama penduduk di sesuatu kawasan bagi memastikan tahap kesedaran di dalam menangani jenayah dapat dipertingkatkan.

"Selain itu, sektor-sektor seperti pendidikan dan perkilangan turut menjalinkan kerjasama dengan pihak polis bagi bersama-sama membanteras jenayah di lokasi berkenaan," katanya.

Azura sentuhan Aziz

Posted: 21 Nov 2011 09:35 PM PST


Sebahagian barisan pelakon dan tenaga produksi filem Azura.


PEMINAT filem tempatan pastinya masih mengingati filem Azura yang diterbitkan oleh Sabah Film Productions pada tahun 1984 yang mencipta fenomena tersendiri apabila membariskan pelakon handalan waktu itu.

Filem tersebut dilakonkan oleh Jamal Abdillah, Fauziah Ahmad Daud, Maria Arshad, A.Galak, Allahyarham M.Rajoli dan ramai lagi yang sehingga kini dikenali sebagai antara bintang dalam industri seni tempatan.

Bukan hanya filem tersebut yang masih diingati, tetapi juga lagu-lagu ciptaan Datuk M. Nasir untuk filem itu yang sehingga kini masih segar dimainkan, antaranya Sandarkan Pada Kenangan.

Bagi mereka yang ingin membangkitkan semula nostalgia lama dan juga mereka yang tidak pernah menonton filem tersebut, kini filem Azura bakal kembali menemui peminat industri perfileman negara dengan nafas yang lebih segar.

Filem Azura ini mendapat sentuhan pengarah, Aziz M. Osman yang telah lama menyepi dalam menghasilkan karya untuk dibawa ke layar lebar kerana lebih aktif menghasilkan drama komedi seperti Puteri dan Dunia Anita.

"Setelah hampir lima tahun tidak menerbitkan filem, saya rasa sudah masanya untuk saya kembali aktif setelah berehat lama sejak filem terakhir saya, Senario Pemburu Emas Yamashita iaitu pada tahun 2006.

"Saya aktif semula mengarah filem juga atas galakan daripada sahabat yang sudah lama ingin melihat karya saya kembali ke layar perak," jelasnya pada sidang akhbar pelancaran filem tersebut, baru-baru ini.

Ketika ditanya mengapa memilih untuk mengangkat kembali filem Azura, Aziz berkata, ketika filem Azura dihasilkan pada tahun 1984, beliau baru sahaja memulakan tugas sebagai penolong penerbit di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

"Saya baru sahaja bertugas di RTM ketika filem tersebut ditayangkan kepada umum. Ia adalah antara naskhah filem yang dekat di hati saya dan sehingga kini, saya masih meminati filem tersebut.

"Filem ini juga berjaya mengangkat nama pelakonnya yang sehingga kini masih mempunyai peminatnya yang tersendiri oleh kerana lakonan yang mantap, skrip yang baik dan jalan cerita yang menarik.

"Saya juga suka kepada jalan cerita yang mengangkat wanita sebagai seorang ikon yang kental dan tabah dalam menghadapi cabaran hidup," katanya lanjut.

Filem Azura arahan Aziz itu membariskan gandingan pelakon baru dan lama antaranya, Neelofa sebagai Azura, Shah Jaszle (Zek), Afdlin Shauki (Tan Sri Putih), Erma Fatimah (Yusni) dan Afida Es sebagai Nek Wan.

Ia mengisahkan Azura, seorang gadis yang gigih menghadapi cabaran hidup bertemu dengan Zek, anak kepada orang kaya yang hidupnya dimanjakan dan dikelilingi kemewahan.

Mereka kemudian bercinta tetapi mendapat halangan daripada bapa Zek, iaitu Tan Sri Putih. Zek dan Azura kemudian mengambil keputusan untuk ke London dan berkahwin di sana.

Untuk menyara kehidupan mereka, Zek terpaksa bekerja di stesyen minyak manakala Azura terus cemerlang dalam bidang akademik dan ditawar untuk bekerja di luar negara. Akibat daripada tekanan kerja, emosi Zek terganggu dan bermulalah segala konflik antara mereka.

Filem ini sekali lagi mendapat khidmat M. Nasir bagi menyuntik sedikit kelainan untuk lagu Azura dan juga Sandarkan Pada Kenangan.

Filem ini turut dijayakan dengan penampilan khas oleh, Fauziah Ahmad Daud, Faizal Hussein, Jaafar Onn, Aman Shah dan pereka fesyen, Calvin Thoo.

Filem yang menelan belanja RM1.8 juta ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei pada 2 Februari 2012.

Pikul tanggungjawab baru

Posted: 21 Nov 2011 09:34 PM PST


Pasangan bahagia ini tidak kisah sekiranya dalam masa terdekat ini dikurniakan cahaya mata.


SETIAP di antara kita mempunyai tanggungjawab yang harus dipikul, sama ada dalam bidang pekerjaan ataupun dalam hal-hal keluarga.

Mungkin bagi mereka yang masih bujang, tanggungjawab yang dirasakan tidaklah terlalu berat tetapi bagi mereka yang telah berkahwin, pastinya tanggungjawab yang perlu dipikul kini bertambah.

Bukan untuk mengadu tetapi itulah hakikat yang harus dihadapi bagi setiap insan yang baru mendirikan rumah tangga.

Tidak terkecuali juga pasangan pelakon, Azad Jazmin dan Eira Syazira yang baru mendirikan rumah tangga pada 16 September, lepas.

Walaupun telah diijabkabulkan lebih kurang dua bulan yang lalu tetapi majlis persandingan mereka hanya dapat diadakan Jumaat lalu di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Disebabkan kedua-duanya terikat dengan jadual penggambaran yang padat sehingga menyukarkan mereka untuk mencari masa yang sesuai, maka majlis resepsi Azad dan Eira diadakan sedikit lewat.

Eira yang ditemui setelah majlis persandingan kelihatan manis sekali. Apatah lagi dia memakai baju berkonsepkan kebaya moden, bersesuaian dengan tema majlis resepsi mereka iaitu Melayu-Inggeris.

Ketika menemubualnya, Eira berkata, tanggungjawab sebagai seorang isteri itu lebih terasa, apatah lagi apabila masing-masing sibuk dengan urusan penggambaran yang berbeza masanya.

"Sebelum berkahwin, apabila kami berjauhan saya tidak terasa apa-apa tetapi itu semua berubah setelah bergelar seorang isteri.

"Saya baru sahaja pulang daripada Melbourne, Australia setelah dua minggu berada di sana untuk menjalani penggambaran drama terbaru saya.

"Sepanjang menjalani penggambaran di luar negara, sedikit sebanyak timbul juga rasa bersalah dalam hati kerana terpaksa meninggalkan suami.

"Saya bersyukur kerana Azad amat memahami diri saya dan jadual kerja saya. Jadi, itu memudahkan saya sedikit untuk fokus kepada perjalanan seni walaupun telah mendirikan rumah tangga," ceritanya.

Azad dan Eira sependapat, komunikasi amat penting dalam menjalin hubungan suami isteri.

Pasangan ini juga bukan sahaja jujur antara satu sama lain tetapi saling percaya mempercayai.

Justeru, kata kedua-dua pasangan pengantin baru ini, walaupun seharian tidak bersama, mereka saling berhubungan.

"Mungkin masing-masing sibuk dengan aktiviti harian tetapi kami akan pastikan komunikasi antara kami sentiasa baik.

"Setiap malam sebelum tidur, kami akan meluangkan masa untuk berbual dan bercerita tentang apa yang kami buat sepanjang hari.

"Ini penting kerana kami hanya berjumpa pada waktu malam. Pada sebelah siangnya pula, biasalah, berada di lokasi penggambaran," kata Eira panjang lebar.

Bulan madu di Melbourne

Seperti pasangan pengantin baru yang lain, pastinya mereka mempunyai destinasi idaman untuk berbulan madu dan pelakon wanita yang dilahirkan di ibu kota ini memilih Melbourne sebagai destinasi bulan madu.

"Ketika menjalani penggambaran di sana, saya merasakan ia suatu tempat yang sangat cantik dan mempunyai pelbagai tempat menarik yang boleh dilawati.

"Walaupun telah menghabiskan masa selama dua minggu di sana tetapi kerana jadual padat dengan penggambaran, saya tidak berpeluang untuk bersiar-siar. Jadi, saya teringin untuk kembali ke sana bersama Azad untuk bulan madu kami," katanya.

Azad yang hanya membiarkan isterinya berceloteh dengan wartawan, akhirnya bersuara dengan menyatakan, destinasi idamannya untuk berbulan madu adalah Gold Coast, Australia.

"Memang saya sudah lama ingin ke sana dan rasanya, sekaranglah masa yang sesuai untuk pergi bersama dengan isteri tersayang," jelasnya dengan senyuman.

Menjawab soalan apakah Eira sudah berbadan dua?

Sambil ketawa, pasangan ini memberitahu, setakat ini, tiada tanda-tanda yang menunjukkan Eira hamil.

"Memang kalau boleh, kami mengharapkan agar Tuhan kurniakan rezeki secepat mungkin.

"Oleh itu, kami tidak merancang. Soal cepat atau lambat, itu semua terserah kepada Allah," katanya yang mahu empat orang cahaya mata sebagai penyeri dalam rumah tangganya.

Keunikan The Kitchen Musical

Posted: 21 Nov 2011 09:33 PM PST


Dua pelakon Filipina, Christian Bautista dan Karylle Tatlonghari (kanan) turut tampil dalam The Kitchen Musical.


RANCANGAN berbentuk muzikal sering menjadi pilihan ramai. Ia ditonton mungkin kerana memiliki pelbagai elemen yang bukan sahaja drama dan lakonan tetapi juga diselitkan dengan nyanyian dan tarian yang mengasyikkan.

Selain muzik, ramai antara kita yang suka makan dan masakan yang enak tentu menjadi pilihan. Tidak hairanlah jika masyarakat kita dikenali menerusi pelbagai resipi masakan yang enak lagi menyelerakan.

Itu antara elemen yang ditampilkan oleh drama 13 episod, The Kitchen Musical yang mula disiarkan di ntv7 sejak 4 November lalu.

Selain gabungan lakonan, nyanyian, tarian dan makanan, drama itu memiliki satu lagi elemen istimewa yang pasti membezakannya dengan drama lain yang disiarkan di kaca televisyen.

The Kitchen Musical dibarisi pelakon handalan yang dikumpulkan daripada beberapa negara.

Antara yang membintangi drama muzikal itu ialah aktor kacukan Inggeris-Melayu, Stephen Rahman-Hughes, pelakon handalan dari Filipina, Karylle Tatlonghari dan Christian Bautista serta ramai lagi seperti Arthur Acuna dan Rosemary Vandenbroucke.

Drama bersiri itu mengisahkan Madie Avilon lakonan Karylle Tatlonghari yang baru sahaja menamatkan pengajiannya di sebuah sekolah memasak ternama di Paris dan kini bekerja di restoran milik ayahnya, The Avilon.

Kehadiran Madie di The Avilon kurang disenangi oleh ketua chef di situ, Alex Marcus lakonan Stephen Rahman-Hughes.

Ini kerana Alex seorang yang mementingkan kesempurnaan dalam tugasnya. Manakala Madie sering memberikan idea-idea masakan baru yang tidak dapat diterima.

Karylle yang merupakan seorang penyanyi dan pelakon di Filipina berkata, bekerja di set penggambaran The Kitchen Musical memberinya kepuasan kerana sudah lama dia ingin terlibat dengan sebuah rancangan berbentuk muzikal.

"Apabila terpilih untuk melakonkan watak utama dalam drama ini, ia umpama mimpi menjadi kenyataan kerana saya menyukai kedua-dua bidang tersebut.

"Apabila dapat suatu tugas yang menggabungkan kedua-duanya, saya rasasangat gembira," katanya.

Gadis yang sudah mempunyai empat album itu juga berkata, dia tidak terlalu mengharap untuk mendapat tawaran berlakon dalam drama tersebut kerana latarbelakangnya lebih kepada seorang penyanyi.

"Selepas selesai ujibakat, saya memang tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi apatah lagi Madie Avilon merupakan watak utama dalam drama muzikal tersebut.

"Saya terkejut apabila terpilih. Mungkin ini rezeki dan saya gembira melakonkannya," jelasnya.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Pengarah Kreatif The Group Entertainment, CheeK berkata, siri The Kitchen Musical berkisar kepada minat mendalam warga Asia pada makanan.

"Rasanya belum pernah ada rancangan muzikal khususnya drama bersiri yang berkisar tentang makanan dan menggabungkan pelakon daripada beberapa negara yang berbeza.

"The Kitchen Musical ini bukan sahaja menampilkan pelakon dari luar tetapi tenaga produksi juga kita gandingkan dengan orang tempatan.

"Ada tenaga produksi daripada Filipina, Singapura, Australia, Amerika Syarikat dan Itali.

"Ini adalah sesuatu yang baru dan mengujakan. Hasil kolaborasi ini, kita tampilkan satu rancangan yang segar dan asli untuk penonton global dantetap mengekalkan ciri-ciri tempatan," jelasnya.

Antara tenaga produksi yang turut terlibat menjayakan drama muzikal ini ialah koreografer terkenal Australia, Jason Coleman yang merupakan seorang juri bagi rancangan So You Think You Can Dance, pengarah muzik Filipina, Gerard Salonga dan jurusolek artis antarabangsa dari Itali, Massimiliano Della Maggesa.

Bezakan lawak dan lakon lawak

Posted: 21 Nov 2011 09:32 PM PST


Lawak Adlin Aman Ramli pada minggu lepas tidak 'menangkap'.


RAMAI yang tidak puas hati apabila pelawak, Jalil Hamid disingkirkan pada minggu lepas, minggu keempat Maharaja Lawak Mega (MLM).

Perjalanan Jalil yang terkandas itu dianggap tidak sepatutnya berlaku kerana jika diukur kemampuan lawak yang dipamerkan, dia harus beraksi pada minggu kelima.

Pada minggu lepas, selain Jalil, dua lagi peserta menduduki tiga tempat terbawah iaitu kumpulan Syok dan Hiro. Tetapi kedua-dua kumpulan itu terselamat.

Sebaik sahaja nama Jalil diumumkan sebagai peserta yang tersingkir pada minggu keempat MLM Jumaat lalu, pelawak tanah air itu tenang dan tersenyum lalu mengangkat tangannya.

Sejak minggu pertama MLM bersiaran, sebagai peserta solo atau stand up comedian, Jalil sebenarnya telah melawak dengan baik.

Lawaknya mampu membuatkan penonton ketawa. Tetapi Jumaat lepas, pada minggu yang menghendaki peserta melawak dengan tema cinta, Jalil tersingkir.

Di atas pentas penyingkiran, dia diberi peluang untuk memberikan ucapan di hadapan juri yang terdiri daripada Zainal Abidin Hassan, Datuk Siti Nurhaliza dan seorang juri jemputan daripada Indonesia manakala Chef Wan tidak duduk di kerusi juri MLM minggu lepas.

Dengan jujurnya, Jalil selaku pelawak dan pelakon yang disegani ramai berkata: "Keupayaan seorang berfikir adalah berbeza dengan tiga orang berfikir.

"Keupayaan dua orang berfikir dengan seorang berfikir, saya rasa jauh bezanya.

"Cuma saya harap satu sahaja dalam mencari lawak ini. Kita perhatikan semula... lawak dengan lakon lawak adalah benda yang berbeza.

"Antara lakon lawak dengan lawak itu, saya rasa dapat difikirkan semula semoga ia menjadi satu bahan yang baik sebab antara komedi dengan komedi pun ada bezanya."

Kenyataan Jalil itu perlu diberikan perhatian kerana 70 peratus markah peserta diberikan oleh para juri.

Bukan mahu mempertikaikan keputusan juri yang dilihat bijak sana tetapi apakah para juri mampu membezakan di antara lawak dengan lakon lawak kerana seorang pelawak, dia melawak dan bukannya berlakon lawak.

"Bagi saya, melawak berseorangan ini sesuai untuk persembahan tapi untuk dibawa bertanding, memang ia membebankan.

"Saya pula bergerak secara seorang. Cara penyampaian juga adalah berbeza dengan mereka yang datang secara berkumpulan.

"Cara tiga orang berfikir atau cara dua orang berfikir adalah berbeza dengan cara seorang berfikir," kata Jalil ketika ditemui selepas pertandingan.

Ia membawa maksud yang cukup dalam untuk direnungkan sama ada oleh penonton mahupun juri pertandingan.

Jalil menambah, sejak dari minggu kedua menyertai MLM, dia merasakan satu tekanan kerana menyedari kehadirannya melawak secara solo, bukan satu perkara mudah.

"Cabaran memang hebat sehinggakan saya sukar untuk melelapkan mata pada waktu malam. Apa pun, keputusan juri malam ini adalah muktamad.

"Saya kini rasa lega sebab sudah tersingkir," kata Jalil yang masih boleh mengukir senyuman biarpun ada di kalangan penonton MLM tetap tidak puas hati kerana beliau tersingkir pada minggu keempat.

Penyingkiran bukan dirancang

Melihatkan persembahan kesemua 11 peserta pada minggu keempat MLM, persembahan Adlin Aman Ramli tidak mencuit hati.

Jika dilihat daripada persembahan pada malam tersebut, rata-rata penonton tidak dapat 'menangkap' apa yang cuba disampaikan oleh Adlin.

Timbul persoalan, mengapa Adlin tidak disingkirkan? Apakah penyingkiran peserta itu dirancang?

Selaku penerbit MLM, Khairul Nizam Jamaludin berkata, tidak timbul sebarang isu penyingkiran peserta yang dirancang kerana pihak Astro benar-benar telus dalam sistem pemarkahan.

"Kami mempunyai pasukan audit yang betul-betul telus dalam sistem pemarkahan yang diambil daripada pihak luar.

"Ini bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah tepat dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

"Lagipun, 70 peratus keputusan terletak di tangan juri dan 30 peratus datangnya daripada undian penonton.

"Jadi isu penyingkiran yang dirancang ini tidak timbul kerana keputusan terletak di tangan juri.

"Ini melibatkan kredibiliti Astro itu sendiri dan bukan perkara main-main," ujarnya.

Pada minggu keempat, kumpulan Boboi menduduki tempat teratas (70 markah) manakala kumpulan 3G dan Osbon berkongsi markah (66 markah), diikuti Bawal Power (BP) dan Saehu (62 markah).

Lain-lain, kumpulan dari Bandung, Indonesia, Bawel (61 markah), Pimai (60 markah), Adlin (53 markah), Hiro (53 markah) dan kumpulan Syok (49 markah).

Top 5 tidak semestinya ke AJL26

Posted: 21 Nov 2011 09:29 PM PST


LIMA peserta Top 5 bahagian pertama yang layak diketengahkan pada peringkat yang seterusnya pada pertandingan tersebut.


PERTANDINGAN Muzik-Muzik 26 yang sudah sampai ke peringkat separuh akhir membahagikan peringkat itu kepada tiga bahagian di mana lima peserta dalam top 5 daripada setiap bahagian layak untuk persaingan seterusnya.

Bagaimanapun menurut Penerbit Muzik-Muzik 26, Nurul Huda Khalid, tidak semua peserta dalam kelompok lima teratas pertandingan itu akan beraksi di akhir iaitu Anugerah Juara Lagu 26 (AJL26). Sebaliknya ada yang akan disingkirkan.

"Setiap bahagian separuh akhir Muzik-Muzik 26 akan menampilkan lima teratas. Keseluruhannya 15 peserta akan ditampilkan di peringkat ini. Sedangkan kami hanya akan menampilkan 12 peserta pada Anugerah Juara Lagu 26," katanya.

Pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 26 bahagian pertama itu, 11 peserta bertanding dan lima yang terbaik ialah 3 Suara , Yuna, Alyah, Hafiz dan Nubhan.

Anam pesertanya iaitu kumpulan Hujan, Iqa, Akim, Sofaz, Stacy dan Drama telah disingkirkan kerana mendapat markah terendah.

Rata-rata peserta yang disenaraikan dalam kelompok lima teratas separuh akhir Muzik-Muzik 26 bagaimanapun tidak berani meletakkan harapan yang tinggi untuk bersaing ke Anugerah Juara Lagu 26 kerana persaingan boleh dikatakan agak sengit.

Alyah misalnya, kini bergelut dengan penyakit apendiks yang dihidapinya dan masih terlalu awal untuk dia meletakkan harapan tinggi pada pertandingan itu.

"Malam ini pun saya terpaksa menahan sakit apendiks yang saya hidapi semata-mata bagi meneruskan saingan peringkat separuh akhir pertama ini.

"Ada ramai lagi peserta yang akan bertanding pada bahagian dua dan tiga nanti.

"Saya bukan sahaja terpaksa mengetepikan nasihat doktor agar berehat daripada menyanyi, tetapi turut menahan sakit bagi memastikan lagu nyanyian saya Kisah Hati dapat dipertandingkan dalam pertandingan ini.

"Saya terpaksa makan ubat penahan sakit. Itu pun untuk sementara waktu di mana beberapa jam selepas itu perut saya akan akan sakit semula.

"Ini kerana menyanyi ada kaitan dengan perut yang membantu vokal," jelasnya.

Berbaloi

Namun, pengorbanan Alyah berbaloi kerana lagu Kisah Hati ciptaan Manusia Putih itu berjaya disampaikannya dengan penghayatan yang baik biarpun berdepan dengan kesakitan.

Empat peserta lagi ialah Nubhan (Mata Hati), Yuna (Gadis Semasa), Hafiz (Awan Nano) dan 3 Suara yang dianggotai Ning Baizura, Shila dan Jaclyn Victor (Beribu Sesalan).

Jika Alyah layak ke Anugerah Juara Lagu maka itu adalah kejayaan keduanya.

Pertama kali dia layak sehingga ke peringkat itu ialah dua tahun lepas melalui lagu Tak Mungkin Kerana Sayang.

Para juri yang mengadili peserta Muzik-Muzik 26 ialah Azhar Borhan, Hazami, Yasin, Dr. Lim Swee Tin dan Azlan Abu Hassan.

Kebanyakan peserta yang terpilih dalam itu berharap agar mereka mampu meneruskan saingan, misalnya Nubhan yang sebelum ini pernah kecundang.

"Ini kali keempat saya mencuba nasib dalam Muzik-Muzik. Contohnya, pada tahun lepas lagu nyanyian saya, Seadanya Aku gagal ke akhir pertandingan ini.

"Saya harap lagu ini diterima oleh para juri untuk terus dipertandingkan," komennya.

Bagi 3 Suara yang dianggotai Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah, mereka juga tidak berani untuk terlalu yakin biarpun kekuatan vokal serta populariti mampu membawa lagu Beribu Sesalan ke Anugerah Juara Lagu 26.

"Ini adalah sejarah buat kami bertiga dan juga Muzik-Muzik kerana pertama kali sebuah lagu yang dinyanyikan tiga penyanyi dipertandingkan dalam pertandingan ini. Harap lagu ini boleh pergi lebih jauh," kata Ning.

Sementara itu, Hafiz yang bertanding atas tiket lagu Awan Nano juga tidak meletakkan harapan menggunung berdasarkan saingan yang lebih sengit daripada 19 lagi peserta pada bahagian dua dan tiga peringkat separuh itu.

"Saya mengharapkan lagu Awan Nano ke akhir. Tetapi bukanlah harapan yang tinggi menggunung kerana saingan semakin sengit termasuklah dalam kelompok lima terbaik pada minggu ini terutamanya 3 Suara," ujarnya.

Pada bahagian dua dan tiga peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 26 nanti, antara peserta yang akan bersaing ialah Najwa Latif, Hazama, Aizat, Tomok, Adira, Projek Pistol, Shahir, Yuna, Anuar Zain, Faizal Tahir, Shiha, Salma dan Ana Raffali.

Syabas Malaysia!

Posted: 21 Nov 2011 08:29 PM PST


Pemain-Pemain Malaysia meraikan kejayaan memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA XXVI selepas menewaskan Indonesia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi.


JAKARTA - Tiada apa yang lebih sempurna daripada merangkul pingat emas Sukan SEA; 'ibu' kepada segala pingat sebagai penutup tirai temasya kali ke XXVI buat kontinjen Malaysia.

Setelah berjuang habis-habisan di Stadium Gelora Bung Karno untuk lebih dua jam, skuad Harimau Muda kebanggaan kita memakbulkan harapan setiap rakyat Malaysia yang menyaksikan kelibat mereka di kaca televisyen malam tadi.

Tidak mengapa kita ketinggalan pada awal permainan.

Wira-wira kita tidak mengalah, sebaliknya mereka bangkit dengan segera untuk menyamakan kedudukan dan seterusnya mengawal permainan, sekali gus membuatkan kira-kira 100,000 penyokong fanatik tuan rumah terdiam.

Bermula dari saat itu, perlawanan berlangsung agak seimbang menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencari gol pada waktu sebenar permainan, malah 30 minit tambahan pun tidak berkesudahan.

Setiap kali penjaga gol sensasi kita, Khairul Fahmi Che Mat diperlukan, dia tidak pernah mengecewakan dan semalam dia membuktikan keupayaannya sekali lagi, komitmen yang sering kali ditunjukkannya apabila dengan tenang menyelamatkan sepakan penalti Ferdinan Sinaga.

Dan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar; salah seorang anggota skuad yang menjuarai temasya Vientianne dua tahun lalu melaksanakan tugasnya untuk mempertahankan pingat emas buat kali pertama sejak 1979 yang mana ketika itu turut dilakar di Jakarta.

Tangisan para penyokong Laskar Garuda adalah difahami. Bukan saja tewas di bumi sendiri, malah sudah dua dekad tidak mengecapi kejayaan sejak mereka menang di Manila 1991.

Indonesia mungkin telah meraih 170 pingat emas (setakat pukul 12 tengah malam semalam dan jumlah itu dijangka terus bertambah pada hari terakhir hari ini), namun terlepas pingat emas bola sepak sudah tentu sesuatu yang mendukacitakan.

Andai mampu merangkul 200 emas sekali pun, luka mereka tidak akan terubat

Bagi kontinjen negara pula, sasaran baru 60 pingat emas yang diletakkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dua hari lalu sepatutnya dalam jangkauan jika petinju kita, Muhamad Farkhan Mohd. Harun mampu meraih pingat emas ke-59 kita.

Malangnya, dia ditumbangkan secara kontroversi oleh peninju tuan rumah, Alex Tatontos di Palembang.

Terdahulu Malaysia, dipimpin Fatehah Mustapa, membuktikan kejaguhannya dalam arena berbasikal trek yang tiada tolok bandingnya dengan menambah empat pingat emas di Velodrom Ramawangun. Begitu juga dengan gadis- gadis kolam renang kita yang menyapu bersih kesemua lima emas dipertandingkan dalam sukan renang berirama di Pusat Akuatik Kompleks Jakabaring.

Kontinjen negara dijangka tidak akan menambah pungutan pingat emas untuk menggenapkan angka 60 kerana hanya tinggal sukan paragliding yang bukan merupakan sukan harapan pada hari terakhir temasya .

Ia sudah lebih daripada memadai, syabas diucapkan!

Pelan rangsangan baru U Mobile

Posted: 21 Nov 2011 08:26 PM PST

Pelan rangsangan baru U Mobile

U Mobile Sdn Bhd, yang telah memperkenalkan jalur lebar mudah alih terpantas di Malaysia pada kelajuan 42Mbps pada September memperkenalkan pelan rangsangan terbaru bagi pelanggan prabayar dan pasca bayar.

Pelan rangsangan baru U Mobile itu direka bentuk untuk memberi pengguna opsyen u terus menikmati kelajuan Internet mudah alih tanpa gangguan sebaik mereka melepasi peruntukan data bulanan masing-masing.

"Pelan rangsangan baru itu usaha inovatif U Mobile memenuhi keperluan penggunaan data yang semakin berkembang dalam pasaran dan pada masa sama mengukuhkan lagi kedudukan sebagai peneraju jalur lebar mudah alih dan data," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Kaizad Heerjee dalam satu kenyataan.

Selain bagi kefleksibelan, pelan rangsangan itu juga membolehkan pengguna jalur lebar mudah alih baru menguji corak penggunaan masing-masing. Mereka boleh bermula pada kadar rendah dan bertukar kepada pelan lebih tinggi apabila mereka telah benar-benar faham keperluan data masing-masing.

Dengan hanya RM10, para pelanggan pasca bayar U Mobile boleh menikmati 1.5GB manakala para pelanggan prabayar 1.0GB bagi pakej data masing-masing bagi tempoh tiga hari.

Berbasikal trek sumbang 7 emas

Posted: 21 Nov 2011 08:24 PM PST

Berbasikal trek

Atlet berbasikal negara menyapu tiga lagi pingat emas, menerusi acara berbasikal trek, menjadikan empat pingat emas pada hari terakhir Sukan Sea 2011 dan jumlah tujuh emas berjaya ditawan dalam acara ini.

Dalam perlumbaan di Velodrom Rawamangun, Jalur Gemilang berkibar dan lagu Negaraku berkumandang empat kali menerusi kategori pecut individu wanita dan lelaki, pecut berpasukan wanita dan omnium lelaki pada sebelah pagi.

Pelumba berpangkalan di Melbourne, Australia Fatehah Mustapa, 22, mempamerkan aksi bertenaga untuk meraih emas dalam pecut individu, menewaskan pelumba Filipina Apryl Eppinger yang mendapat perak, sementara pelumba tuan rumah, Santia Tri Kusuma meraih gangsa.

Fatehah, menggunakan pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa ternyata memberi kelebihan, apabila gandi-ngan bersama Ju Pha Som Net dalam cara pecut berpasukan wanita membuahkan pingat emas buat negara.

Pingat perak diraih atlet Thailand Chanakan Sricha Um-Jutatip Maneephan, sementara atlet tuan rumah, Santia Tri Kusuma-Riska Agustin mendapat gangsa.

"Sangat puas hati, saya terpaksa kerahkan semua keringat bagi memastikan kita berjaya bawa pulang pingat, dan ia sa-ngat berbaloi," katanya.

Acara turut menyaksikan Muhd Idros Md Yunos dan Mohd Fattah Amri Zaid, mendominasi pingat emas dan perak menerusi pecut individu, menewaskan pesaing ketiga dari Thailand Satjakul Sianglam di tempat ketiga.

Hasrat Malaysia menambah pungutan pingat dalam 30 kilometer perlumbaan mata lelaki tidak berhasil, apabila Muhamad Adiq Husainie Othman terpaksa berpuas hati di tempat kedua setelah tewas kepada Renee Mier Lohn dari Filipina.

Pingat gangsa diraih pelumba Indonesia, Faroka Rully Ifnu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu