Jumaat, 18 November 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Alex Yoong lakar sejarah

Posted: 18 Nov 2011 11:27 PM PST

ALEX YOONG (belakang, kiri) meraikan kejayaan memenangi pingat emas ke-40 buat negara di Kompleks Luncur Air, Stadium Jakabaring, Palembang semalam.


PALEMBANG - Peluncur air lelaki negara, Alex Yoong melakar sejarah tersendiri apabila menjadi atlet negara yang berjaya meraih emas yang ke-40 semalam.

Kejayaan tersebut melengkapkan sasaran yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini.

Selepas lawan pedang meraih emas ke-38 di Jakarta dan Phillipa Yoong yang ke-39, Alex Yoong yang juga bekas pelumba Formula Satu (F1) negara tampil meraih emas keramat itu dengan menjuarai acara keseluruhan yang menggabungkan disiplin jumping, tricks dan slalom.

Alex Yoong menewaskan dua peluncur air dari Indonesia, Muhammad Zahidi di tempat kedua dan Fajar Eka Samudra, ketiga.

"Saya tidak memikirkan langsung tentang angka 40 itu dan hanya beraksi sebaik mungkin untuk menang pingat emas walaupun hanya berlatih sejak lima bulan lalu.

"Saya hadiahkan pingat emas ini kepada semua warga permotoran termasuk yang telah meninggal dunia baru-baru ini. Ia sesuatu yang hebat dapat menang emas di sini," katanya.

Sebelum ini dalam acara slalom, Alex Yoong memenangi perak, manakala adiknya, Phillipa Yoong meraih emas. Ini tidak termasuk adik tirinya, Aalliyah Yoong Hanifah yang memenangi emas acara tricks.

Sementara itu, Phillipa turut menyumbang pingat emas semalam dengan menjuarai acara keseluruhan wanita dengan menewaskan peluncur Singapura, Christian Sasha di tempat kedua dan P. Sareeya dari Thailand, ketiga.

Walaupun berdepan masalah kecederaan lutut, ia ternyata tidak menghalang ibu kepada dua anak ini untuk menambah pingat emas buat kontinjen negara.

Dengan kejayaan itu, ski air telah berjaya menyumbang empat pingat emas setakat ini pencapaian yang boleh dianggap mengejutkan dan merupakan emas bonus buat Malaysia di Palembang.

'Ikrar' Khairul Fahmi

Posted: 18 Nov 2011 11:27 PM PST


KHAIRUL FAHMI tidak rela gawang Malaysia dibolosi pemain Myanmar hari ini.


JAKARTA - Khairul Fahmi Che Mat sekali lagi tampil cemerlang ketika mengemudi benteng terakhir Harimau Muda pada aksi menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno malam kelmarin.

Ketangkasan menjaga gawang Harimau Muda wajar diberi pujian sehingga Indonesia terpaksa menggigit jari apabila tewas 0-1 di hadapan hampir 100,000 penyokong sendiri.

Malah, kecemerlangan Khairul Fahmi atau lebih mesra di panggil 'Apex', mendapat pujian pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee yang jelas sekali berpuas hati dengan prestasi penjaga gol Kelantan itu dalam empat perlawanan yang di harungi setakat ini.

Biarpun baru berusia 22 tahun, ternyata 'Apex' dilihat semakin matang ketika berada di tengah padang, lantaran pengalaman yang ditimbanya bersama skuad senior negara kendalian Datuk K. Rajagobal.

Mengimbas kembali 'gelora' yang terpaksa dihadapinya bersama barisan Harimau Muda pada pertemuan menentang Indonesia kelmarin, 'Apex' berkata: "Sebelum perlawanan lagi kesemua pemain sudah tahu dan sedar apa yang akan berlaku di stadium.

"Tetapi mujur para pemain fokus dan memberi tumpuan sepenuhnya di tengah padang dan menghiraukan provokasi yang dicetuskan penyokong Indonesia sepanjang perlawanan berlangsung.

"Walaupun menerima sorakan boo daripada penyokong Indonesia, tetapi ia tidak melemahkan semangat para pemain negara tetapi kami lebih bersemangat dan mahu membuktikan Malaysia mampu mencipta kemenangan," kata 'Apex' kepada Kosmo! semalam.

Selain ketangkasan 'Apex' mengemudi benteng terakhir skuad negara, kekentalan empat tonggak pertahanan Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Fadhli Shas, Mohd. Asraruddin Putra Omar dan Mahali Jasuli juga menjadi antara faktor kekuatan Harimau Muda pada temasya Sukan SEA kali ini.

"Saya akui empat pemain pertahanan negara itu banyak membantu saya menjaga pintu gol. Kami telah bersama sejak Sukan Asia 2010 dan ini memudahkan kami untuk membentuk keserasian antara satu sama lain," katanya.

Menjelang aksi separuh akhir menentang Myanmar hari ini, 'Apex' berkata, dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menjaga gawangnya daripada dibolosi pihak lawan.

"Semangat para pemain semakin berkobar-kobar selepas kami layak ke separuh akhir dan saya mahu meneruskan semangat ini pada perlawanan itu nanti. Namun, kami tidak boleh pandang rendah keupayaan Myanmar.

"Saya lihat mereka mempunyai kekuatan yang hampir seimbang dengan Vietnam, jadi kami harus bersedia sepenuh- nya bagi menghadapi perlawanan itu nanti," jelasnya.

Ujian Harimau Muda

Posted: 18 Nov 2011 11:26 PM PST


KIM SWEE (dua dari kanan) dan pembantunya, Hassan Sazali berbincang sesuatu ketika mengendalikan sesi latihan skuad Harimau Muda di Jakarta semalam.


JAKARTA - Pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee sah tidak akan berada di bangku simpanan pemain ketika skuad bola sepak bawah 23 (B-23) tahun negara membuat perhitungan dengan Myanmar pada aksi separuh akhir temasya Sukan SEA di Stadium Gelora Bung Karno di sini hari ini.

Ia gara-gara penggantungan satu perlawanan yang dikenakan ke atas Kim Swee selepas beliau diarah keluar padang ketika barisan Harimau Muda membenam Indonesia 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan A malam kelmarin.

Insiden itu berlaku selepas Kim Swee didakwa cuba mempertikai keputusan pengadil perlawanan, Fahad Alkasssar dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Kim Swee ternyata berang dengan tindakan Fahad yang hanya melayangkan kad kuning kepada pemain Indonesia, Ramdani Lestaluhu selepas melakukan terjahan keras terhadap Syahrul Azwari Ibrahim penjaring gol tunggal Harimau Muda kelmarin.

Pada mulanya, Kim Swee dilihat bertikam lidah dengan penjaga garisan dari Korea Selatan, Kim Sung-il di tepi padang sebelum Fahad terus mengarahkannya meninggalkan bangku simpanan pemain.

Ketiadaan Kim Swee di tepi padang hari ini menyaksikan pembantunya, Hassan Sazali bertindak sebagai perantara bagi menyalurkan setiap arahan kepada para pemain Harimau Muda.

"Untuk melancarkan setiap arahan yang diberikan kepada pemain, saya akan menggunakan walkie-talkie yang lebih berkesan dan efektif. Yang paling mustahak para pemain dapat mesej yang jelas daripada saya.

"Apa yang disampaikan oleh Hassan sudah pasti berpandukan kepada setiap arahan dan perancangan saya. Jadi saya harap para pemain faham dengan situasi esok (hari ini)," jelas Kim Swee semalam.

Biarpun tidak dapat menemani para pemainnya di bangku simpanan, Kim Swee tidak mahu menjadikan ia sebagai satu alasan buat mereka gagal menampilkan persembahan yang baik.

"Walaupun saya tidak akan berada di tepi padang atau bangku simpanan pemain, para pemain harus memberikan tumpuan sepenuhnya ketika beraksi menentang Myanmar nanti.

"Saya akan melihat permainan mereka dari atas (tempat duduk penonton) dan jika ada apa-apa arahan yang perlu disampaikan, saya akan terus memaklumkan kepada Hassan," kata Kim Swee.

Difahamkan, kem Harimau Muda yang diketuai pengurus, Datuk Hamidin Mohd. Amin akan mengemukan rayuan kepada Jawatankuasa Pertandingan acara bola sepak Sukan SEA 2011 pagi ini berhubung hukuman yang dikenakan terhadap Kim Swee.

Mengulas mengenai lawan yang akan ditentang Harimau Muda hari ini, Kim Swee berkata, skuad kenda- liannya tidak boleh memandang rendah keupayaan Myanmar.

"Saya sudah melihat video rakaman perlawanan membabitkan Myanmar dengan Timor Leste. Pada perlawanan itu, mereka menampilkan corak permainan secara menyerang.

"Pada perlawanan menentang Vietnam pula, apa yang saya lihat mereka mengamalkan corak permainan bertahan. Jadi melalui video rakaman yang telah saya saksikan, Myanmar merupakan sebuah pasukan yang bergerak secara berpasukan.

"Sudah tentu, jika kita mahu menembusi benteng Myanmar, saya perlu menampilkan corak permainan pantas, bukan sahaja larian, malah hantaran juga harus pantas," katanya.

Kim Swee juga berharap aksi hari ini tidak berlanju- tan hingga masa tambahan atau sepakan penalti.

"Melihatkan jadual yang agak padat, saya bimbang jika perlawanan terpaksa dilanjutkan pada masa tambahan, ia akan memberi kesan kepada para pemain.

"Bagaimanapun, saya tetap bersedia dengan sebarang kemungkinan jika perlawanan itu nanti berakhir dengan penentuan sepakan penalti," jelas Kim Swe.

Di sebalik hukuman terhadap Kim Swee, kem negara mampu menghela nafas lega kerana lapan pemain yang menerima satu kad kuning pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini kembali 'bebas'.

Lapan pemain terbabit ialah kapten, Baddrol Bakhtiar, Izzaq Faris Ramlan, Mahali Jasuli, Mohd. Fadhli Shas, Mohd. Fandi Othman, Syahrul Azwari, Muhd. Nazmi Faiz Mansor dan K. Gurusamy.

Skuad lawan pedang cemerlang

Posted: 18 Nov 2011 11:25 PM PST


DARI kiri, Min Chang, Peng Kean, Mohd. Radhi dan Nurul Ariezzat yang memenangi pingat emas acara lawan pedang bagi kategori sabre berpasukan lelaki semalam.


JAKARTA - Skuad lawan pedang negara boleh mendabik dada selepas mengakhiri misi mereka pada temasya Sukan SEA 2011.

Dengan kutipan dua pingat emas dan lima gangsa, ia dianggap suatu pencapaian yang boleh dibanggakan kerana sebelum hadir ke Jakarta, mereka hanya meletakkan sasaran satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Pada hari terakhir acara lawan pedang yang dilangsungkan di Universiti Balairung Indonesia, Depok di sini semalam, skuad negara tidak pulang dengan tangan kosong.

Sebaliknya, mereka berjaya memenangi pingat emas yang diperoleh dalam kategori sabre berpasukan lelaki.

Dengan dibarisi Muhammad Radhi Hasim, Yu Peng Kean dan Liong Min Chang, trio negara itu menyingkirkan gandingan Vietnam dengan kiraan mata 45-37 dalam saingan final.

Terdahulu, mereka membenam cabaran trio Indonesia 45-33 di peringkat suku akhir sebelum menewaskan gandingan Vietnam 45-38 pada aksi separuh akhir.

Kejayaan trio negara itu memenangi emas, sekali gus mengikut jejak langkah Joshua Koh yang terlebih dahulu muncul juara dalam kategori epee individu lelaki.

"Syukur alhamdulillah... skuad lawan pedang negara berjaya merangkul dua pingat emas pada Sukan SEA kali ini. Kejayaan Joshua meraih emas ternyata telah membuka peluang untuk kita meraih emas kedua hari ini (semalam).

"Memang pada awalnya, kami meletakkan harapan untuk meraih emas dalam kategori ini (sabre berpasukan lelaki) dan saya amat gembira kerana berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan," kata pengurus skuad lawan pedang negara, Mohd. Riduan Abdul kepada Kosmo! semalam.

Beliau berkata, kejayaan skuad lawan pedang negara meraih dua pingat emas pada Sukan SEA kali ini bukan satu kejutan.

"Ini disebabkan kita menampilkan ramai atlet-atlet yang berpengalaman dan mereka ini telah beraksi pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand. Pada Sukan SEA di Korat, mereka masih muda dan kurang pengalaman.

"Tetapi kini mereka telah menunjukkan mutu persembahan serta prestasi yang baik sehingga membolehkan skuad lawan pedang menyumbang dua pingat emas pada Sukan SEA di Jakarta," katanya.

Sebagai rekod, acara lawan pedang tidak dipertandingkan pada Sukan SEA 2009 di Vientianne, Laos.

Kali terakhir skuad lawan pedang meraih emas Sukan SEA adalah pada edisi 1989 di Kuala Lumpur.

Kejayaan Joshua meraih pingat emas pada Ahad lalu sekali gus mengakhiri penantian skuad lawan pedang negara selama 22 tahun bagi meraih emas pada temasya dwitahunan itu.

Sementara itu, skuad boling negara terus menuai pingat emas apabila gandingan Adrian Ang, Alex Liew, Zulmazran Zulkifli, Aaron Kong, Muhd. Nur Aiman Khairuddin, Muhd. Syafiq Ridhwan Abdul Malek mengungguli kategori berpasukan lelaki.

Pada saingan yang berlangsung di Pusat Boling Ancol Jaya semalam, mereka merekodkan keseluruhan 6,241 jatuhan pin bagi meninggalkan Filipina (6,032) dan Indonesia (5,873) yang masing-masing memenangi perak dan gangsa.

Bagaimanapun, Gandingan wanita negara Sin Li Jane, Zandra Aziela Ibrahim Hakimi, Jacqueline Sijore, Sharon Koh dan Zatil Iman Abdul Ghani pula menyumbang gangsa apabila melakukan 5,788 jatuhan pin.

Emas kategori berpasukan wanita dimenangi Singapura (6,332), manakala Indonesia meraih pingat perak dengan 5,846 jatuhan pin.

Tanah Kubur diteruskan

Posted: 18 Nov 2011 11:24 PM PST


RASHID SIBIR (lima dari kanan) bersama barisan karyawan Tanah Kubur musim kedua.


WALAUPUN ada menerima tanggapan negatif dan juga mendatangkan ketidakselesaan kepada sesetengah penonton, drama Tanah Kubur terbitan saluran 106, Astro Oasis tetap diteruskan untuk musim kedua ini bagi memberi iktibar kepada masyarakat.

Malah, ia diteruskan setelah drama arahan Rashid Sibir itu mendapat rating tertinggi di kalangan drama-drama terbitan Astro Oasis.

"Saya buat drama Tanah Kubur bukan bertujuan untuk menakutkan orang. Ia hanyalah cerita yang memberi pengajaran dan mesej berguna kepada orang ramai," kata Rashid yang merangkap penerbit untuk drama Tanah Kubur.

Menjelaskan Tanah Kubur musim dua lebih sarat dengan mesej, Rashid juga mengetengahkan kisah-kisah sebenar yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

"Selain kisah-kisah yang berlaku di zaman sekarang, Tanah Kubur juga akan memaparkan kisah yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Antara kisah-kisah yang terkandung adalah mengenai seorang bekas imam yang menerima balasan mengambil duit surau, mayat tidak diterima bumi kerana bunuh diri, bapa yang merogol anak gadis sendiri, angkara tidak berlaku adil dalam poligami dan tidak membayar zakat.

"Isu yang dikupas menerusi drama ini berdasarkan kajian, bacaan buku dan kisah benar. Paling penting, drama ini mendapat kelulusan sepenuhnya daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Tanah Kubur musim kedua di Rumah Malaysia, Bukit Jalil baru-baru ini.

Rashid yang gemar menghasilkan cerita berdasarkan kisah kemanusiaan memberitahu, penggambaran yang ber langsung di tanah kubur Hulu Langat, Selangor itu juga tidak berdepan sebarang masalah sensitiviti masyarakat di sana.

Sementara itu, wakil Astro Oasis yang juga Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, melahirkan rasa gembira dengan sambutan dan maklum balas penonton sejak drama Tanah Kubur disiarkan.

"Sejak ia disiarkan, drama ini mendapat respons yang positif daripada penonton. Ini membuktikan sokongan penonton terhadap usaha Astro Oasis dalam menyuntik elemen dakwah menerusi drama siri yang sarat dengan pengajaran," katanya.

Drama itu menceritakan pengalaman penggali kubur, Tok Adi lakonan Nasir Bilal Khan yang melalui pelbagai peristiwa aneh ketika menguruskan jenazah yang pasti menyentuh hati serta mampu membuka minda pelbagai lapisan penonton.

Tanah Kubur musim kedua akan bersiaran selama 13 episod dan masih menceritakan pengalaman seorang penggali kubur dan mengekalkan Nasir sebagai peneraju utamanya.

Drama ini turut menampilkan lakonan Talha Harith, Jasmin Hamid, Amyza Aznan dan Zulkefli Zain.

Dalam pada itu, Rashid juga mengambil peluang mengadakan majlis tahlil buat arwah Zami Ismail ketika pelancaran Tanah Kubur musim kedua. Ini kerana, arwah Zami turut membuat penampilan menerusi drama Tanah Kubur musim kedua.

"Biarpun hampir enam bulan arwah menyahut seruan Ilahi, bakat seni dan karyanya akan terus dihargai dan dikenang. Sebagai antara barisan pelakon drama Tanah Kubur ini, arwah dilihat antara guru dan contoh terbaik dalam dunia lakonan.

"Malah, sumbangan terakhir arwah menjayakan Tanah Kubur musim kedua masih meninggalkan kesan," katanya yang turut menjemput salah seorang anak arwah Zami, Opie Zami ke majlis pelancaran Tanah Kubur musim kedua dan sekali gus menganjurkan majlis tahlil untuk arwah Zami.

Arroyo ditangkap polis

Posted: 18 Nov 2011 11:23 PM PST

ARROYO duduk di atas kerusi roda semasa beliau dilarang meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Paranaque, Metro Manila pada Selasa lalu.


MANILA - Polis Filipina semalam menangkap bekas presiden, Gloria Macapagal Arroyo kerana didakwa berkomplot dengan seorang panglima perang untuk menipu dalam pilihan raya.

Beliau boleh dipenjarakan seumur hidup kerana kesalahan tersebut.

Penangkapan itu berlaku selepas pihak berkuasa menghalang Arroyo, 64, daripada meninggalkan Filipina setibanya beliau di lapangan terbang Manila di sini dengan memakai alat penyokong leher.

Ketika itu, Arroyo mahu meningglakan Filipina untuk menjalani rawatan perubatan sakit tulang di luar negara.

Menurut polis, Arroyo bersama suami dan peguamnya semasa waran tangkap dihantar ke biliknya di Pusat Perubatan St. Luke di bandar Taguig, Manila tempat bekas presiden tersebut dirawat kerana sakit tulang.

Keputusan mendakwa Arroyo oleh Suruhanjaya Pilihan Raya semalam kerana menipu dalam pilihan raya senator pada 2007 turut menandakan kemuncak kempen Presiden sekarang, Benigno Aquino untuk mendakwa pemimpin itu kerana jenayah rasuah.

"Aquino berikrar untuk membawa Arroyo ke muka pengadilan selepas beliau memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya pada tahun lalu.

"Arroyo akan berada dalam negara dan berdepan dakwaan mensabotaj pilihan raya" kata Setiausaha Kehakiman, Leila de Lima dalam satu kenyataan selepas sebuah mahkamah di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas presiden berkenaan.

"Adalah menjadi hasrat kami supaya rakyat Filipina mendapat keadilan yang sepatutnya," tambah kenyataan sama.

Arroyo yang merupakan seorang bekas profesor universiti dan presiden wanita kedua Filipina didakwa melanggar banyak akta rasuah dan penipuan pilihan raya semasa era pemerintahan beliau dari 2001 hingga pertengahan tahun lalu.

Beliau beberapa kali menggagalkan usaha Parlimen untuk memecatnya ekoran dakwaan melakukan penipuan dalam pilihan raya semasa memerintah Filipina.

Beberapa pembantu Arroyo menyatakan beliau dirawat di hospital kerana menghidap sejenis penyakit tulang yang jarang berlaku.

Arroyo juga telah menjalani tiga pembedahan tulang belakang sepanjang tahun ini.

De Lima berkata, pemerintah tidak membantah Arroyo ditangkap ketika beliau dirawat di hospital.

Namun, pihak berkuasa tidak bertindak segera untuk menangkap Arroyo.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada bekas pemimpin itu akan ditahan sehingga perbicaraan berlangsung.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, penipuan undi itu berlaku di wilayah Maguindanao, selatan Filipina yang diperintah oleh keluarga Ampatuan.

Sekutu-sekutu Arroyo rapat dengan keluarga Ampatuan.

Keluarga Ampatuan mempunyai reputasi sebagai penglima perang dan melaksanakan pemerintahan di wilayah itu selama satu dekad dengan satu kumpulan tentera peribadi yang ganas.

Bakar mercun kerana marahkan banjir

Posted: 18 Nov 2011 11:22 PM PST


SEBUAH bot melalui sebuah kawasan banjir di Bangkok semalam.


BANGKOK - Polis menyatakan sekumpulan penduduk yang berang telah bertindak dengan membuat satu letupan kuat berhampiran sebuah terusan banjir di sempadan bandar raya ini.

Ia dilakukan untuk meluahkan kekecewaan berhubung penderitaan berterusan yang mereka alami akibat banjir.

Letupan yang mencetuskan bunyi kuat tetapi tidak menyebabkan kecederaan itu berlaku malam kelmarin di sebuah penghadang yang memisahkan bandar raya ini dengan wilayah Pathum Thani.

Seorang pegawai polis, Kolonel Harn Lertthaweesap berkata, polis mengesyaki perbuatan itu dilakukan penduduk Pathum Thani yang kecewa kerana komuniti mereka ditenggelami air bah disebabkan terusan tersebut.

Terusan itu dibina untuk melindungi kota metropolitan ini daripada bencana banjir.

Harn memberitahu, letupan itu berpunca daripada pembakaran mercun dan bukan bahan letupan.

Banjir akibat hujan lebat sejak hujung Julai lalu menenggelami 19 daripada 77 wilayah termasuk ibu kota Thailand di sini.

Sekurang-kurangnya 594 orang terkorban dalam bencana tersebut.

Moore berpisah dengan suami muda

Posted: 18 Nov 2011 11:10 PM PST


GAMBAR fail menunjukkan Demi Moore dan Ashton Kutcher pada 4 Mei tahun lalu di New York.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Aktres terkenal, Demi Moore dengan rasa sedih mengumumkan kelmarin bahawa perkahwinannya dengan Ashton Kutcher telah berakhir selepas aktor tersebut dilapor curang dengan seorang wanita yang jauh lebih muda daripada isterinya.

Pengesahan tersebut dibuat selepas laporan mengenai keretakan rumah tangga mereka disiarkan media AS sejak beberapa bulan lalu. Pasangan selebriti itu berkahwin pada 2005 ketika usia Moore 42 dan Kutcher, 27 tahun.

Moore yang kini berusia 49 tahun sebelum ini pernah berkahwin dengan aktor Bruce Willis selama 13 tahun. "Dengan perasaan sedih dan hati yang berat saya telah memutuskan untuk menamatkan perkahwinan enam tahun saya dengan Kutcher," kata aktres tersebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh publisisnya.

Moore pernah berlakon dalam beberapa filem blockbuster termasuk Ghost (1990), A Few Good Men (1992), Indecent Proposal (1993) dan G.I. Jane (1997), mungkin perlu menukar nama akaun Twitternya iaitu @mrskutcher.

Cipta rekod berada dalam seluar dalam gergasi

Posted: 18 Nov 2011 11:10 PM PST


SERAMAI 57 orang berdiri di dalam seluar dalam gergasi di daerah Canary Wharf, London semalam.


LONDON - Seramai 57 orang berjaya mencipta rekod dunia apabila mereka berdiri di dalam sehelai seluar dalam gergasi yang berukuran 5 meter x 1.5 meter di daerah Canary Wharf, London kelmarin.

Mereka memperoleh sijil Guinness World Records selepas berjaya melakukan aksi itu.

Kepulauan Raja Ampat digelar syurga dunia

Posted: 18 Nov 2011 11:09 PM PST


BEBERAPA Tapak Sulaiman berada di dasar Pulau Mansuar, Kepulauan Raja Ampat di timur Indonesia pada 22 Oktober lalu.


WAISAI, Indonesia - Kepulauan Raja Ampat di wilayah Papua, timur Indonesia digelar sebuah pejabat pelancongan tempatan sebagai syurga dunia yang terakhir. Ia terletak di antara Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.

Raja Ampat mengandungi pulau-pulau indah yang ditumbuhi pokok palma dengan perairannya dipenuhi batu karang serta pelbagai jenis hidupan laut.

Laporan pada tahun 2002 oleh agensi Pemuliharaan Antarabangsa (CI) menyatakan, perairan Raja Ampat memiliki potensi kepelbagaian marin terkaya di dunia dengan hampir 1,400 jenis ikan dan 603 spesies batu karang.

Sebanyak 610 pulau kecil yang membentuk Kepulauan Raja Ampat terletak bertaburan dalam perairan seluas 4.5 juta hektar.

Pada 2007, pemerintah Indonesia mengenakan bayaran 500,000 rupiah (RM175.88) untuk pelancong asing dan 250,000 rupiah (RM87.96) ke atas penduduk negara ini untuk memasuki kepulauan tersebut.

Asah kemahiran atas air

Posted: 18 Nov 2011 11:08 PM PST



PETANG hujung minggu itu, deruman enjin jentera jet ski memecah keheningan Tasik Biru di Kundang, Rawang, Selangor yang menjadi salah satu destinasi riadah dan memancing penduduk setempat.

Meskipun hujan membasahi bumi, namun cuaca itu tidak sedikitpun melunturkan semangat penggiat jet ski mengendalikan jentera kesayangan mereka.

Satu persatu jentera empat lejang mengelilingi tasik yang tersergam indah itu semata-mata ingin merasai sekelumit perasaan rembesan kelenjar adrenalin di dalam sanubari apabila jentera ditunggang dengan pantas.

Pernah satu ketika, sukan air jet ski cukup popular dalam kalangan penggiat sukan air tempatan sehingga melahirkan pelumba profesional sehingga berjaya menempa nama di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, ia bagaikan terkubur seketika sekitar tahun 2004 apabila tiada pelapis-pelapis muda digilap untuk mewarisi kemahiran dan bakat pelumba terdahulu yang mengharumkan nama negara.

Sejak itu, secara perlahan-lahan ia mula bertapak semula dalam persada arena tempatan tiga tahun lalu apabila pelbagai usaha dilakukan oleh penggemar sukan tersebut untuk mempopularkan sukan air jet ski.

Kini, setelah hampir tiga tahun berlalu, sukan air jet ski kembali mencuri tumpuan penggemar sukan air bahkan pelbagai kejohanan tempatan dan antarabangsa diadakan di negara ini untuk membangkitkan semula minat terhadap sukan mewah itu.

Salah seorang penggiat sukan air jet ski tempatan, Aina Syazwani Mohamed Saffian, 27, berkata, dia akan mengunjungi tasik berkenaan pada setiap hujung minggu untuk memahirkan diri dalam pengendalian jet ski.

"Selain memiliki jentera jet ski, faktor penting yang perlu ditekankan dalam menceburi bidang ini adalah persediaan dari segi fizikal, mental dan kemahiran.

"Tiga faktor ini amat penting apatah lagi apabila kita ingin menyertai sebarang kejohanan untuk memastikan dapat mengharungi perlumbaan dengan baik," katanya yang juga pelumba pasukan Sea Doo Malaysia Racing itu.

Pecutan


SUKAN jet ski turut digemari oleh wanita.


Graduan Universiti Teknologi Curtin, Perth, Australia itu menambah, dalam mempelajari selok-belok mengendali jentera jet ski, tiada kelas khusus yang ditawarkan kepada penggemar sukan jet ski tetapi ia lebih banyak bergantung kepada pengalaman di dalam air.

Dia yang mula berjinak-jinak dalam sukan jet ski seawal usia 14 tahun banyak mempelajari teknik pengendalian dengan bertanya kepada otai ataupun pelumba profesional untuk memperbaiki tunggangan jet ski.

"Ahli keluarga juga memainkan peranan penting terutama apabila menyertai kejohanan kerana mereka akan memaklumkan kesilapan yang telah dilakukan.

"Kadangkala kita tidak perasan pecutan ataupun pengendalian yang dilakukan pada selekoh membahayakan diri sendiri ataupun pelumba lain," ujarnya.

Dia yang mula serius dalam sukan berkenaan sejak dua tahun lalu memberitahu, ahli keluarga yang akan memberi tip ataupun nasihat apabila selesai perlumbaan kelak.

Kalau dilihat memang mudah mengendalikan jentera jet ski tetapi ia memerlukan kemahiran yang tinggi agar ia dapat bergerak lancar.

Pelumba yang berada dalam ranking kedua kategori wanita tempatan itu menegaskan, aspek keselamatan menjadi keutamaan dalam sebarang kejohanan.

"Penganjur kejohanan tidak akan berkompromi apabila pelumba tidak memenuhi syarat kelengkapan keselamatan walaupun tidak memakai sarung tangan.

"Apabila tidak memenuhi syarat kelengkapan keselamatan pengarah perlumbaan akan menaikkan bendera merah dan secara automatik membatalkan penyertaan pelumba," ujarnya lagi.

Jelas Aina, semua ini dilakukan untuk memastikan pelumba tidak terdedah kepada bahaya dan mengelak mereka daripada tercedera apabila perlumbaan berlangsung.

Antara kelengkapan keselamatan wajib semasa perlumbaan termasuk topi keledar, gogal, sarung tangan, sokongan belakang dan banyak lagi.

Aina Syazwani menambah, sungguhpun pelbagai kelengkapan keselamatan dipakai pelumba tetapi mereka masih terdedah kepada kecederaan.

"Sebagai contoh, saya pernah patah tulang rusuk kiri apabila dilanggar pelumba lain semasa perlumbaan akibat dia tidak dapat melihat ketika arus ombak kuat.

"Saya juga sudah banyak kali tercampak daripada jet ski yang ditunggang semasa perlumbaan. Patah tangan, kaki dan tulang rusuk sudah menjadi asam garam pelumba jet ski," katanya.


MENERUSI latihan yang berterusan, nasihat dan tunjuk ajar dapat membantu pelapis sukan jet ski mengharungi perlumbaan.


Bagaimanapun, dia yang masih mengalami kecut perut setiap kali perlumbaan sedikit pun tidak lemah semangat untuk terus berjuang dalam sukan air jet ski.

Latihan

Seorang lagi pelumba sukan air jet ski, Bryan Chia Wai Yuen, 14, berkata, dia akan berlatih selama dua kali seminggu bagi memantapkan lagi kemahiran dan pengendalian jentera jet skinya.

"Pada kebiasaannya, saya akan menghabiskan masa selama hampir empat jam sehari untuk mempersiapkan diri dalam menghadapi pelbagai pertandingan sama ada di dalam dan luar negara.

"Ia amat penting untuk memastikan persediaan rapi dapat dilakukan apatah apabila menyertai sebarang pertandingan," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kepong Baru, Kuala Lumpur itu.

Walaupun baru menceburi sukan air jet ski secara serius sejak setahun lalu, dia merupakan antara permata muda negara yang perlu digilap dalam menyinari pentas antarabangsa.

Anak kedua daripada tiga beradik itu telah dinobatkan sebagai juara bagi kategori Novice Terbuka dalam kejohanan yang dilangsungkan di Makasar, Indonesia, baru-baru ini.

Selain itu, anak muda yang mengimbangkan masa belajar dan sukan air jet ski itu turut melakar kejayaan dalam beberapa kejohanan tempatan sejak setahun lalu.

Apabila menyertai kejohanan, Bryan Chia berkata, dia akan sentiasa berhati-hati dan tidak memandang rendah keupayaan pelumba lain kerana apa-apa sahaja boleh berlaku ketika berlumba.


BRYAN (tengah) dinobatkan sebagai juara bagi kategori Novice Terbuka dalam kejohanan yang berlangsung di Makasar, Indonesia.


Ujarnya, melalui latihan berterusan, nasihat dan tunjuk ajar daripada pelumba berpengalaman turut membantu dia dalam mengharungi perlumbaan.

"Bapa merupakan sumber ilham dan pencetus minat saya dalam menceburi bidang sukan air jet ski yang penuh dengan cabaran itu secara serius.

"Saya sering mengikuti bapa bermain jet ski sehingga menimbulkan minat untuk bergiat secara aktif dalam sukan air jet ski ini," ujarnya yang bakal berentap dalam pertandingan Jet Ski King's Cup 2011 di Pattaya, Thailand pada bulan Disember ini.

Sementara itu, Roslee Ahmad, 57, tidak menjadikan usia sebagai penghalang dalam terus bergiat aktif dalam sukan air jet ski.

"Saya mula menceburi sukan air jet ski ini sejak tahun 1996 dan sehingga kini masih meminatinya.

"Dalam pada itu, sekiranya mempunyai kelapangan saya akan menyertai kejohanan dalam kategori veteran ataupun ketahanan," katanya yang cukup terkenal dengan gelaran sebagai Superman dalam kalangan pelumba-pelumba tempatan.

Roslee ingin melihat lebih ramai pelapis-pelapis menceburi bidang sukan air jet ski dalam menyemarakkan kegemilangan sukan berkenaan.

Pertama di Asia Tenggara

Posted: 18 Nov 2011 11:07 PM PST



HONDA sememangnya suka mencipta sejarah. Inovasi-inovasi entiti yang dilahirkan oleh Soichiro Honda itu seringkali mengejutkan. Tidak keterlaluan juga jika dikatakan produk keluarannya mengubah bagaimana manusia melihat sesuatu teknologi.

Mahu bukti? Honda merupakan syarikat pertama yang berjaya memenuhi piawaian ketat emisi Amerika Syarikat (AS) tahun 1970 menerusi enjin CVCC. Enjin bersih dan menjimatkan minyak itu kemudian menjadi tunjang ke arah pembinaan model sedan Civic yang diterima hangat di pasaran dunia.

Robot humanoid Honda, Asimo pula membuatkan pemerhati teknologi dunia ternganga kekaguman. Dengan tinggi 130 sentimeter, generasi kedua Asimo nyata memiliki beberapa kemampuan baru yang signifikan.

Misalnya, ia mampu berlari selaju 9 kilometer sejam (sebelum ini 6 km/j), melompat mengguna sebelah atau kedua-dua belah kaki dan berdiri dengan stabil di permukaan tidak rata. Asimo juga boleh membuka penutup botol minuman dan menuang air ke dalam gelas.

Compact Renaissance Zero

Itu hanya sekelumit daripada pencapaian Honda. Kalau hendak ditulis semuanya, jadi buku sejarah Honda pula rebiu saya pada minggu ini.

Awal bulan lalu, pengedar dan pengeluar kenderaan jenama Honda di Malaysia, Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia) sekali lagi mencipta sejarah menerusi pengenalan model hibrid CR-Z. Kalau hendak tahu, CR-Z ialah jentera hibrid ketiga yang diperkenalkan oleh Honda Malaysia selepas model Civic Hybrid dan Insight.

Apa istimewanya CR-Z? Tidak dibina berinspirasikan kepada model hot-hatch popular Honda tahun 1980-an, Honda CR-X, CR-Z merupakan jentera hibrid pertama yang dipasang dengan transmisi manual enam kelajuan di dunia. Memang sports habis!


REKAAN kabin yang moden dan futuristik.


Honda Malaysia juga menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di Asia Tenggara untuk menawarkan hibrid hot-hatch tersebut.

"Selaku perintis dalam memperkenalkan teknologi hibrid di Malaysia, kami berbangga untuk mengetengah satu lagi pilihan kenderaan hibrid kepada pengguna Malaysia. Selepas menyaksikan kejayaan model Honda Insight sejak dilancarkan pada tahun lalu, kami yakin dengan penerimaan teknologi hibrid yang kian meningkat di Malaysia, sekali gus mengambil keputusan untuk melancarkan CR-Z," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno.

CR-Z merujuk kepada "Compact Renaissance Zero" yang membuktikan komitmen Honda untuk kembali kepada asas dan menerima cabaran membina sebuah kereta kompak, tanpa terikat dengan nilai-nilai sebuah kenderaan hibrid tradisional.

Di pentas dunia, CR-Z telah dinobat sebagai kereta terbaik (Car of the Year, COTY) di Jepun untuk tahun 2010/2011 dan anugerah Kereta Hijau Terbaik pada tahun 2010 (2010 Top Gear Green Car of the Year) di United Kingdom.

Sistem Hibrid IMA

Ketua Projek Honda CR-Z, Norio Tomobe menyatakan jentera yang menawarkan keterujaan pemanduan itu sebenarnya dibina atas tiga nilai utama iaitu emosional, keterujaan dan pintar.


DILENGKAPI dengan beg udara hadapan dan sisi.


Konsep rekaan CR-Z secara efektif menggabungkan estetika sebuah kenderaan dengan imej bersih serta maju sebuah jentera hibrid. Selari dengan konsep keseluruhannya, rekabentuk CR-Z yang penuh gaya, aerodinamik dan seperti peluru itu memudahkan aliran udara untuk mengurangkan kadar seretan.

Kuasa pada CR-Z dijana oleh unit enjin 1.5L SOHC i-VTEC yang berupaya menghasilkan kuasa sehingga 114PS dan motor elektrik berkuasa 14PS. Di samping Intelligent Power Unit (IPU) yang sofistikated. Fleksibiliti Sistem Hibrid IMA membolehkannya digunakan bersama kotak gear manual enam kelajuan untuk pemanduan responsif.

Transmisi manual pada CR-Z juga dilengkapi dengan fungsi Hill-Start Assist (HSA). HSA mampu mengenal pasti darjah kecondongan dan meningkatkan keyakinan pemandu dengan membantu mengelakkan kenderaan daripada terundur ketika hendak memulakan perjalanan di laluan berbukit.

Demi meningkatkan lagi pengalaman pemanduan, CR-Z menjadi model pertama yang menampilkan Sistem Pemanduan 3 Mode (3-Mode Drive System) Honda yang versatil.

Sistem itu membolehkan pemandu memilih dan menukar mode dengan mudah berdasarkan kepada gaya pemanduan dan situasi jalan raya.

Tiga mode pada CR-Z mengubah maklum balas pendikit, stereng, pemasaan melahu ketika berhenti, kawalan suhu dan tahap bantuan yang disediakan oleh Sistem Hibrid IMA. Mode-mode individual itu juga ditunjukkan menerusi nyalaan lampu berwarna pada gelung Illuminated Advance Sports Meter.

Dari segi standard keselamatan, CR-Z serba baharu dinilai sebagai salah sebuah kereta paling selamat di Jepun pada tahun 2010 apabila dianugerahkan dengan enam bintang dalam penarafan JNCAP.


REKAAN luaran CR-Z yang mementingkan aspek aerodinamik.


CR-Z dilengkapi dengan Vehicle Stability Assist (VSA) yang menawarkan pemanduan lebih stabil dan mantap. Sementara kerangka tubuh Advanced Compatibility Engineering (ACE) pula meningkatkan tahap perlindungan. CR-Z turut menepati Keperluan Impak Pejalan Kaki (Pedestrian Impact Requirements) yang membolehkan kecederaan kepala dan dada pejalan kaki diminimumkan jika berlaku kemalangan.

Ueno turut menyambut baik pengumuman kerajaan Malaysia dalam Bajet 2012 baru-baru ini untuk meneruskan pengecualian sepenuhnya duti import dan eksais ke atas model-model hibrid hingga Disember 2013. Sebab itu jugalah CR-Z dapat ditawarkan pada harga yang cukup kompetitif. Lebih tepatnya, RM115,000 seunit.

CR-Z hadir dalam warna putih sahaja. Honda Malaysia menyasarkan jualan sebanyak 100 unit CR-Z menjelang akhir tahun 2011. Maklumat lanjut, sila hubungi nombor Honda Toll Free di talian 1-800-88-2020 atau layari laman web: www.honda.com.my

Mahu tahu bagaimana karekter pemanduan CR-Z, tunggu laporan saya selepas memandu ujinya di Tokyo, Jepun hujung bulan ini.

Nissan Navara Calibre

Posted: 18 Nov 2011 11:07 PM PST


WARNA emas pada tubuh Navara Calibre membuatkannya lebih menyerlah di atas jalan raya.


SELAIN Isuzu, Nissan sebenarnya menawarkan produk trak pikap yang agak lengkap untuk dipilih oleh para pelanggannya. Selepas memberi impak positif menerusi model Frontier sebelum ini, Nissan tampil pula dengan rangkaian trak pikap Navara yang telah menerima banyak penambahbaikan dari pelbagai aspek termasuklah teknologi dan rekabentuk bagi menjadikannya lebih premium.

Mula diperkenalkan di pasaran sejak awal tahun lalu, varian yang dikenali sebagai Nissan Navara Calibre boleh dianggap sebagai model level entry yang ditawarkan oleh pihak Edaran Tan Chong Motor (ETCM).

Apabila bercakap mengenai model entry level atau asas, anda semestinya tahu bahawa banyak aksesori yang akan hilang. Tidak terkecuali pada model Navara Calibre. Namun, kekurangan itu tidak bermakna ia sebuah trak yang tidak bagus atau membosankan.

Diimport dalam bentuk CBU dari kilang Nissan di Thailand, Navara Calibre menjadi pesaing kepada model asas seperti Mitsubishi Triton Lite. Jika dilihat pada luarannya, Calibre nampak sedikit kosong. Tetapi ia tetap menampilkan reka bentuk Navara yang tahan lasak dan maskulin.

Jangan menilai Navara Calibre menerusi penampilan luarannya. Ini kerana sepanjang beberapa hari saya memandunya, trak pikap itu nyata berupaya menawarkan kualiti pemanduan yang memuaskan.

Sebelum terlupa, Navara Calibre ialah trak pikap pacuan dua roda (2WD) atau 4x2. Jadi, kalau anda tersekat di dalam lumpur yang dalam atau hendak beraksi seperti sebuah 4x4 sebenar, kemampuannya pastilah terhad.

Selaku sebuah trak pikap moden, Navara Calibre didatangkan dengan transmisi automatik lima kelajuan. Kotak gear yang lancar itu mengagihkan kuasa daripada unit enjin diesel buatan Nissan yang terbukti boleh diharap.

Enjin bersesaran 2.5 liter itu disertakan bersama unit intercooler dengan Variable Nozzle Turbocharger (VNT). Ya, memang betul ia kurang berkuasa berbanding enjin sama yang dipasang pada model Navara 4x4. Lebih tepat lagi, kurang 30PS bersamaan catatan kuasa 144PS. Sementara tujahan torknya pula 356Nm.

Lebih ringan, menjimatkan

Nissan membuat talaan semula terhadap enjin diesel berkod YD25DDTi commonrail tersebut memandangkan Navara Calibre cuma sebuah jentera pacuan 4x2. Kekurangan kuasa itu bagaimanapun diseimbangkan dengan tubuhnya yang lebih ringan.


UNIT audio dan butang kawalan pendingin hawa yang mudah dioperasi.


Sebenarnya, Navara Calibre adalah 120 kilogram lebih ringan jika dibandingkan dengan varian Navara 4x4. Gabungan pacuan 4x2, kuasa yang sederhana dan kurang berat nyata memberi kesan atas penggunaan bahan api. Navara Calibre terbukti sebuah trak pikap asas yang menjimatkan minyak.

Apabila enjin dihidupkan, satu badan boleh bergegar. Bunyi enjin dapat didengar dengan jelas. Namun, sebaik sahaja ia meluncur di atas jalan raya, bunyi bising enjin dan angin semakin perlahan. Itu pun jika anda memandu dalam kelajuan yang mengkut had laju kebangsaan.

Apabila pedal minyak ditekan, anda akan dapati enjin melahu kuat sebelum kuasa terasa mula dihantar ke roda hadapan. Setelah mendapat momentum, Navara Calibre tidak ada banyak masalah untuk memotong atau mendaki laluan berbukit.

Ruang kabin trak pikap itu menawarkan rekaan papan pemuka yang sangat ringkas. Itu saya boleh terima. Cuma, aplikasi warna cerah pada keseluruhan ruang dalamannya memang tidak praktikal. Warna itu pastinya amat mudah kotor, apatah lagi kenderaan sebegini digunakan untuk tujuan kerja dan bukannya bersantai sepanjang masa.

Dilihat pada aspek keselamatan pula, jentera itu tetap dilengkapi dengan sistem brek ABS dan EBD. Tetapi sistem LSD (limited-slip differential) yang ada pada model Navara manual dan lebih berkuasa telah ditiadakan. Ia juga tidak dilengkapi dengan beg udara SRS dan lampu utama jenis xenon.

Jadi berapa harganya? ETCM menawarkan Navara Calibre pada harga RM89,900 seunit (di atas jalan termasuk insurans). Harga itu murah RM15,000 berbanding model Navara yang lain. Jumlah itu pastinya agak signifikan terutamanya bagi mereka yang mahu memulakan perniagaan.

Saya boleh katakan bahawa Navara Calibre mungkin pilihan terbaik untuk mereka yang sekadar mahukan sebuah pikap trak dan digunakan di bandar.

Bayangan Land Rover Defender baharu

Posted: 18 Nov 2011 11:06 PM PST


MODEL DC100 sport dengan imej bebas, bumbung kanvas dan cermin hadapan boleh lipat.


TIDAK lama dahulu ada sebuah kereta, lebih tepat kereta itu dikenali dengan nama Proton Saga. Sejarah hidupnya bermula pada tahun 1985 dan sehingga kini masih lagi dijual di bilik pameran.

Sepanjang tempoh 26 tahun itu, hanya dua generasi yang diperkenalkan, generasi pertama ditamatkan pada tahun 2008 dengan pengenalan model baharu sepenuhnya. 23 tahun untuk sebuah model adalah suatu tempoh yang sangat panjang dan merupakan rekod yang saya fikir mustahil dapat dipecahkan oleh model Proton lain.

Begitu juga dengan pengeluar kereta nasional lain, memang tidak mampu terkejar rekod tersebut. Saya tidak pasti sama ada Proton Saga tersenarai atau tidak di dalam Malaysia Book of Records.

Walau bagaimanapun di arena global, produksi yang berlanjutan sehingga berpuluh tahun bukanlah perkara yang aneh. Sudah namanya ekonomi, selagi laris dan diminta oleh pasaran, selagi itulah wujudnya justifikasi kenapa ia tidak harus dihentikan.

Volkswagen Beetle misalnya diproduksikan selama 65 tahun bermula 1938. Antara contoh lain ialah Citroen 2CV yang dihasilkan selama 42 tahun dan Mini pula menjangkau 41 tahun. Kebiasaannya model-model yang malar segar sebegitu mempunyai teknologi yang ringkas. Maka, menjadikannya tahan lasak dan senang diselenggara.

Satu lagi contoh signifikan ialah Land Rover Defender. Model itu begitu banyak digunakan oleh agensi keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga digelar sebagai Black Maria.

Defender mula diperkenalkan pada tahun 1983 dan begitu dipercayai oleh pelanggan setianya. Jika tidak, mustahil agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Kementerian Kesihatan dan Jabatan Pertahanan Awam menggunakannya sampai sekarang. Sedangkan banyak lagi opsyen lain terutama sekali daripada pengeluar Jepun.

Andai diperhatikan trend sekarang pula, Defender kini menjadi buruan peminat 4X4. Disebabkan kegilaan tersebut, harga terpakai model itu sudah pun berada dalam kategori mahal.

Untuk model gantian Defender, Land Rover telah siap membina dua buah model konsep iaitu DC100 dan DC100 Sport. Kedua-dua model itu ditampilkan buat pertama kali di Amerika Utara pada Pameran Kenderaan Los Angeles (LA) 2011 yang berlangsung pada 16 November 2011.

Land Rover membawa kedua model konsep itu dengan hajat besar iaitu untuk meninjau maklum balas pasaran serta kemungkinan untuk memasarkan kembali Defender ke pasaran Amerika Syarikat (AS).

Dengan mengambil ciri-ciri pada Defender lama seperti rugged, boleh dipercayai serta mesra pengembaraan, kedua-dua model DC 100 Concept dibina untuk mempamerkan potensi kebolehan famili Defender baharu nanti.

Berbeza dengan model pengenalan pada Pameran Kenderaan Frankfurt pada September lalu, model di LA nanti dipasangkan roda off road bersaiz 20 inci yang digabungkan dengan tayar all-terrain Cooper. Model itu juga turut dilengkapi dengan corong udara snorkel serta rak bumbung.

Model DC100 dihias dengan warna Heritage Blue pada badan dan Candy Weiss pada bumbung. Ciri-ciri rekaan yang menarik seperti overhang singkat bagi menampakkan pendekatan yang ekstrem.

Rekaan panel menegak, cermin hadapan yang hampir lurus dengan garisan bahu yang dominan serta wajah tradisi Defender dengan lampu bulat dan gril yang menonjol dengan winch juga diteruskan pada model ini.

Model DC100 Sport mengambil ciri-ciri utama DC100, tetapi menampilkan imej bebas dengan bumbung kanvas dan cermin hadapan yang boleh dilipat bagi menampilkan gayaan bersahaja California.

Selain ciri-ciri rekaan tersebut, DC100 mempunyai teknologi canggih seperti Terrain Response System untuk mengoptimumkan keupayaan kenderaan tanpa memerlukan pra-seleksi daripada pemandu.

Sistem Terrain-i pula mampu untuk mempamerkan peta pintar di dalam format 3D. Sistem itu boleh mengenal pasti bahaya dan akan mencadangkan laluan alternatif. Pada persekitaran bandar pula, sistem sama berupaya mengesan pejalan kaki dan bahaya dengan ketepatan yang tinggi.

Selain dua sistem tersebut, DC 100 mempunyai Wave Aid System yang menggunakan alat pengesan (sensor) sonar pada bahagian hadapan bampar dan cermin sisi bagi mengukur kedalaman air.

Seperti sistem Terrain Response, Wade Aid akan mengoptimumkan kemampuan kenderaan ketika melalui laluan berair dengan menuntup corong-corong pada badan, meninggikan kenderaan, memilih gear rendah dan memberi nasihat untuk kelajuan yang selamat.

John Edwards, Pengarah Jenama Global Land Rover berkata: "Defender sentiasa berada di hati jenama Land Rover. Ia melambangkan semangat boleh pergi ke mana sahaja.

"Cita-cita kami adalah untuk menghasilkan Defender serba baharu untuk pasaran global yang mengekalkan DNA asalnya iaitu lasak, versatil, tahan lama dan berkeupayaan. Pada masa yang sama, ianya akan dibangunkan bersesuaian dengan abad ke-21 dan keperluan generasi akan datang."

Monster untuk pasaran ASEAN

Posted: 18 Nov 2011 11:05 PM PST


VALENTINO ROSSI turut hadir untuk memeriahkan majlis pelancaran Ducati Monster 795.


TAHUN 1992 menyaksikan pengeluar Ducati menayangkan jentera naked iaitu Monster 900. Pengenalannya menerusi Cologne Motor Show nyata mengejutkan industri motosikal pada ketika itu.

Pereka jentera bersesaran 904 cc itu ialah Miguel Angel Galluzzi. Menerusi Monster, Galluzzi berjaya merealisasikan konsepnya iaitu 'anda hanya memerlukan tempat duduk, sebuah tangki, enjin, dua roda dan hendal.' Ia dikatakan bukan sekadar sebuah motosikal tetapi sebagai satu gaya hidup yang lengkap.

Nama sebenar Monster bukan berasal daripada perkataan Inggeris. Sebaliknya,ia berasal daripada perkataan Mostro (dialek Bolognese) yang bermaksud raksasa (monster). Nama itu diberikan oleh pekerja-pekerja Ducati.

Sejak itu, hampir setiap tahun Ducati memperkenalkan varian-varian baharu Monster. Ketua Pegawai Eksekutif Ducati Asia Pasific, Mirko Bordiga menyatakan Monster mencatat jualan tertinggi model Ducati di seluruh dunia. Ia sebuah ikon dan memainkan peranan penting dalam sejarah Ducati.

Tarikh 10 Oktober, di hadapan pintu masuk pusat beli-belah Lot 10 di Kuala Lumpur, tersadai sebuah kotak kayu dengan logo Ducati dengan catatan pengumuman satu kejutan bertarikh 20 Oktober 2011. Kotak itu kemudiannya muncul pula di Seksyen 13 Shah Alam, Selangor sewaktu program Bikepalooza.

Ia sengaja ditempatkan di kawasan tumpuan ramai oleh Naza World. Tujuannya untuk membolehkan pengunjung mengintai apa yang ada di dalamnya. Ketika mengintai, hanya kelihatan lampu hadapan sebuah motosikal. Keseluruhan jentera diselimuti dengan sehelai kain. Itulah Monster 795.

Tanggal 20 Oktober lalu, model yang dinantikan itu akhirnya dilancarkan. Pelancaran jentera naked tersebut bukannya pelancaran seperti sebelum ini. Ia merupakan pelancaran global! Inilah model Ducati khas untuk pasaran ASEAN.

Enjin Desmodue 796


LAMPU hadapan dengan rekabentuk klasik.


Pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Naza, Datuk SM Zulkifli SM Amin, Naib Presiden dan Pengarah Komersial Ducati Motor Holding, Cristiano Silei, Ketua Pegawai Eksekutif Ducati Asia Pacific, Mirko Bordiga, juara dunia sembilan kali MotoGP, Valentino Rossi dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen.

Bordigo menyatakan pemilihan Malaysia sebagai lokasi pelancaran adalah kerana negara ini memiliki ramai peminat Ducati dan perlumbaan MotoGP. SM Faisal pula optimis model baharu itu mampu menyumbang kepada peningkatan Ducati di negara ini.

Model bersesaran 803cc itu menggunakan khidmat enjin Desmodue 796 yang berupaya menjana kuasa dan tork maksimum masing-masing sebanyak 87 kuasa kuda @ 8,250rpm dan 78Nm @ 6,250rpm. Jeda servis Monster itu ialah setiap 12,000 kilometer.

Model itu sedikit berbeza dengan Monster 796. Antaranya ialah aspek ketinggian tempat duduk dan memiliki dua tempat duduk (model 796 hanya ada satu tempat duduk). Selain penggunaan double swing arm serta hendal 20 milimeter (mm) lebih tinggi. Ia sesuai untuk tunggangan dalam bandar-bandar di negara-negara Asia Tenggara.

Tugas menghentikan jentera naked itu diserahkan kepada dua set brek cakera pada roda hadapan dan belakang. Bahagian hadapan dilengkapi angkup empat omboh dan dua omboh pada roda belakang jenama Brembo.


EKZOS berkembar yang melengkapkan lagi penampilan Monster 795.


Meter instrumen Monster 795 berlatar belakang pencahayaan putih dan memaparkan pelbagai data. Antaranya ialah kelajuan, rev, masa, jadual penyelenggaraan, suhu minyak enjin, status minyak petrol, lampu amaran untuk tekanan minyak rendah, takat minyak, lampu membelok, lampu tinggi dan pemilihan gear neutral.

Sewaktu pelancaran model berkenaan, SM Faisal menyatakan terdapat lebih 1,400 pemilik Ducati di negara ini. Malah pengenalan varian Monster baharu pasti akan melonjakkan bilangan motosikal jenama Itali itu.

Buktinya, selepas hanya tiga minggu diperkenalkan, tempahan yang diterima sudah melepasi paras 200 unit. Bayaran pendahuluan hanya RM1,000. Harga bersih jualan Monster 795 ialah RM59,900. Ternyata ia jentera berkuasa tinggi yang mampu milik.

Permainan di dunia khayalan Hollywood

Posted: 18 Nov 2011 11:04 PM PST



PETANG itu, saya cuma ada lima jam. Ya, hanya lima jam untuk merasai keseronokan kembali menjadi kanak-kanak di taman tema paling mengagumkan di Asia Tenggara, Universal Studios Singapore (USS).

Terletak dalam kawasan gabungan empat buah hotel di Resort World Sentosa (RWS) Singapura seluas 49 hektar, USS menggamit semua pengunjungnya dengan glob biru tulisan Universal Studios berwarna emas yang gah itu.

Lengkap dengan asap di bahagian bawahnya, ia berjaya membangkitkan rasa kagum dan dramatik. Bagaikan satu ritual pula, semua pengunjung pasti merakamkan gambar di sana. Mungkin sebagai tanda bahawa mereka pernah menjejakkan kaki ke taman tema yang sudah menarik lebih dua juta pengunjung walaupun baru dibuka pada Januari 2010.

Melepasi tempat pemeriksaan tiket, saya berdiri tegak meneliti kota khayalan yang dibina penuh teliti. Bangunan di kiri dan kanannya berwarna-warni mengangkat tema Hollywood Boulevard pada era 1970-an dengan struktur seni bina yang dinamik bersama pohon-pohon palma.

Kalau mahu berangan seperti berada di Walk of Fame Hollywood, majukan langkah ke sebelah kiri. Di sana, nama-nama bintang seperti Audrey Hepburn disimen di lantai dalam ruang berbentuk bintang berwarna merah jambu. Satu pengiktirafan yang sangat didambakan oleh golongan selebriti di Hollywood.


BERGAMBAR dengan lelaki bertubuh sasa di kawasan Ancient Egypt merupakan antara satu aktiviti wajib di USS.


Laluan sepanjang 21 meter dari pintu masuk itu turut menempatkan beberapa kedai menjual cenderamata, coklat dan restoran. Harganya? Masih boleh dianggap berpatutan, jika anda pejam mata dan tidak terlalu kerap mengira tukaran mata wang dolar Singapura kepada Ringgit Malaysia (RM) di dalam kepala.

Lokasi wajib

Saya memilih untuk meneruskan penerokaan USS dengan berjalan ke arah bangunan yang memaparkan kota New York pascamodenisasi pula. Di sana, ada beberapa lokasi yang wajib dikunjungi.

Antaranya ialah studio Lights! Camera! Action! Hosted by Steven Spielberg. Pengunjung pasti terpegun dengan kehebatan sebuah studio kecil yang sarat dengan pelbagai kesan khas dan diubah dengan sempurna untuk menjadi satu latar belakang suasana ribut hurikan akan melanda bandar raya New York.

Bagi mereka yang sukakan lagu-lagu lama pula, tunggu persembahan nyanyian secara langsung yang diadakan di Stage 28. Kalau lapar dan ingin merasa hidangan burger yang enak dengan dekorasi tahun 1950-an, masuk sahaja ke dalam Mel's Drive-in. Sebelah Stage 28 sahaja.

Selesai menjamu selera, kalau bernasib baik, anda akan terserempak dengan karekter-karekter filem terkenal. Si beruang panda Po, dari filem Kung Fu Panda, Woody Wood Pecker, makhluk Frankenstein, aktres Marilyn Monroe, Charlie Chaplin, Beetlejuice dan Betty Boop sudah bersedia untuk bergambar dengan anda.

Mahu menguji kemampuan vokal hingga ke tahap lapan oktav? Apa kata cuba roller-coaster yang terletak dalam wilayah Battlestar Galactica. Sama ada Battlestar Galactica: Human atau Battlestar Galactica: Cyclon, kedua-duanya pasti membuatkan sesiapa sahaja kecut perut.

Boleh dikatakan bahawa roller-coaster itu adalah yang terbaik pernah saya naiki setakat ini. Jadi, ia adalah lokasi paling ideal untuk melepaskan tekanan selepas dimarah bos atau sekadar mahu mengubat hati yang lara. Biarpun begitu, permainan tersebut tidak dicadangkan kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan. Bukti paling nyata, seorang rakan muntah hijau selepas mencubanya.


WATAK-WATAK penguin yang comel dari filem Madagascar sedang asyik menari.


Memandangkan ia merupakan roller-coaster berkelajuan tinggi atau lebih tepatnya boleh mencecah sehingga 90 kilometer sejam, aspek keselamatan amat diambil berat. Pengunjung tidak dibenarkan untuk memakai selipar, cermin mata, beg atau benda-benda yang berkemungkinan boleh tercabut ketika sedang sibuk menjerit.

Jangan bimbang jika anda tidak berteman dan tiada orang yang boleh menjaga beg. Tidak jauh dari situ ada lokar-lokar yang dikunci secara elektronik. Hanya perlu masukkan nombor tarikh lahir dan pilih warna kegemaran untuk mengunci dan membukanya.

Namun, pastikan tempoh setiap kali penggunaannya tidak melebihi 45 minit. Jika terlebih, caj sebanyak $3 dolar Singapura (RM7.30) akan dikenakan.

Jika ternampak lelaki ala-ala Arab tidak berbaju dan tingginya lebih sekali ganda manusia biasa, itu bermakna anda sudah sampai ke kawasan Ancient Egypt. Mengangkat tema Zaman Emas Eksplorasi rakyat Mesir sekitar tahun 1930-an, pengunjung boleh merasai sendiri keterujaan pengembaraan dalam filem francais, The Mummy menerusi roller-coaster yang diberi nama Revenge of the Mummy: The Ride.

Pada hujung minggu khususnya, jumlah pengunjung USS berlipat kali ganda berbanding hari biasa. Jadi menunggu untuk mencuba sesuatu permainan kadangkala boleh mencecah satu jam. Jadi, ada dua cara boleh anda aplikasikan.

Pertama, berjalan seorang atau kalau bersama pasangan sekali pun beritahu sahaja anda datang seorang. Kalau taktik itu masih tidak berjaya sepenuhnya, beli sahaja tiket Express yang berharga $48 dolar Singapura (RM118). Percayalah, ia sangat berbaloi.

Teruskan fantasi anda dengan memasuki istana di Far Far Away. Di sana, anda berpeluang menonton tayangan empat dimensi (4D) Shrek 4-D Adventure.

Ia bukan tayangan filem 4D biasa kerana lengkap dengan semburan air apabila watak si keldai dalam animasi Shrek itu bersin. Malah, kaki anda terasa dirayap oleh labah-labah apabila makhluk menggelikan itu muncul di atas skrin.


GLOBE berwarna biru dengan tulisan emas yang membuatkan orang ramai tidak sabar untuk masuk ke dalam Universal Studios Singapore.


Itu hanya sebahagian kecil daripada keseronokan yang boleh diperoleh pengunjung jika bertandang ke USS. Pendek kata, kalau masa yang ada begitu, terhad baik lupakan sahaja. Datang sahaja awal pagi keesokan harinya dan cuba semua permainan yang ada.

Ini kerana USS ditutup pada pukul 7 malam. Memang agak awal untuk sebuah taman tema yang mempunyai begitu banyak tarikan. Apatah lagi bayaran yang dikenakan adalah sekitar $32 (RM78) hingga $72 dolar Singapura (RM177) untuk pas satu hari bergantung kepada waktu puncak atau tidak, selain kategori umur.

Jika anda masih enggan meninggalkan RWS, hadirkan diri menonton pertunjukan animatronik yang dipanggil crane dance (tarian kren).

Keliru? Ia sebenarnya merupakan gabungan persembahan skrin gergasi, kren dengan pancuran air, muzik serta pancaran lampu. Jangan main-main. Ia adalah hasil karya pemenang empat kali Anugerah Emmy, Jeremy Railton dan direka khas untuk RWS.

Mengekalkan kuasa penyembuhan Laut Mati

Posted: 18 Nov 2011 11:03 PM PST


LUMPUR berwarna perang kehitam-hitaman di sekitar Laut Mati ini dipercayai berkhasiat untuk merawat pelbagai jenis penyakit yang berkaitan dengan kulit.


PELANCONG datang berduyun-duyun memenuhi perairan laut biru yang tenang itu. Penghidap penyakit kulit juga hadir untuk mendapat manfaat daripada kandungan mineral di dalamnya.

Pada tahun 1970-an dan 80-an, terdapat sebuah hotel besar dibina di sepanjang pantai Israel malah, beberapa hotel terkemuka seperti Movenpick Resort & Spa turut dibuka baru-baru ini di bahagian sebelah Jordan.

Bagaimanapun paras airnya kini berubah mendadak. Selepas lima dekad, paras air di pantai itu menyusut lebih daripada 18 meter apabila Israel, Syria dan Jordan mula menggunakan sumber air di Sungai Jordan. Tujuannya bagi mengairi kawasan pertanian, sumber minuman dan mandi, sekali gus menyebabkan air sungai itu mengalir lesu sebaik sahaja tiba di Laut Mati.

Kemerosotan paras air juga menjejaskan keunikan ekosistemnya. Antaranya, jutaan burung yang tidak lagi berhenti di situ ketika proses migrasi dari Eropah dan Afrika. Begitu juga ratusan tumbuhan asal serta kambing gurun dan harimau haiwan yang menjadi penghuni setianya.

Situasi yang berlaku juga turut mengancam industri pelancongan yang bernilai berbilion-bilion dolar dan rangkaian hotel mewah yang semakin berkembang di kedua-dua perairan.

Biarpun begitu, Hilton Wordwide baru-baru ini mengumumkan untuk meneruskan projek pembinaan hotel baharu berkapasiti 285 bilik di perairan timur laut Jordan pada 2013 nanti.

Sebagai langkah penyelesaian, negara-negara yang terlibat seperti Israel, Jordan dan Palestin kini mempertimbangkan perlaksanaan pelan kontroversi bernilai jutaan dolar, membabitkan pembinaan terusan sejauh 110 kilometer bagi mengalirkan air dari Laut Merah ke Laut Mati.

Bagaimanapun, sesetengah pakar alam sekitar melahirkan kebimbangan mereka terhadap cadangan pembinaan terusan itu.


SEBAHAGIAN besar pelancong tidak melepaskan peluang bermain lumpur sambil menikmati terapi semula jadi yang ditawarkan di sekelilingnya.


Mereka berpendapat ia boleh membawa bencana yang lebih buruk terhadap pantai yang semakin kering itu, mengubah warna biru laut menjadi susu dan mengeluarkan bau yang merbahaya. Sehingga kini, tiada tindakan dilakukan sehingga Bank Dunia melengkapkan kajian menyeluruh mengenainya.

Perubahan pesisir pantai

Tekanan juga meningkat terutama membabitkan cadangan bilionair hartanah Israel, Yitzhak Tshuva, yang terkenal di Amerika Syarikat disebabkan penglibatannya dalam projek pengubahsuaian New York's Plaza Hotel.

Beliau dan beberapa pelabur lain sebelum ini mencadangkan pembangunan yang seakan-akan Dubai di sepanjang terusan itu, lengkap dengan hotel-hotel, taman, lagun, pantai dan pusat hiburan.

Gidon Bromberg, Pengarah EcoPeade Israel secara terbuka bercakap mengenai impak alam sekitar ketika kami memandu ke arah selatan di sepanjang perairan Israel, melepasi Khirbet Qumran iaitu gua di mana kitab suci Hebrew Dead Sea Scrolls didakwa ditemui pada tahun 1947.

Ketika kami meneruskan perjalanan ke Kibbutz Ein Gedi, berhampiran pantai barat perairan itu, kami melihat garam-garam kristal membentuk batuan kristal berwarna-warni disebabkan tahap kemasinan air laut.

Di kawasan itu terdapat sebuah bangunan spa yang luas dibuka berhampiran laut sekitar tahun 1982 dahulu. Selepas 28 tahun, kedudukan bangunan itu berubah hampir satu kilometer dari pantai. Kini, terdapat trem khas yang membawa pengunjung-pengunjung dari bangunan itu ke pantai.

Jauh ke selatan, kami tiba ke kawasan menempatkan hotel-hotel yang menghadap pantai di pusat peranginan, dikenali sebagai Ein Bokek.

Sementara semua hartanah di situ dilihat seakan-akan menghadap ke arah Laut Mati, ia sebenarnya merupakan sebuah tasik buatan manusia dipenuhi air yang dipam dari hujung bahagian utara laut itu.

Lembangan itu sedalam 1.8 meter, oleh yang demikian, ia membolehkan proses penyejatan air tasik berlaku dengan pantas.

Dalam usaha melombong mineral-mineral yang terkumpul di bawahnya, paras air perlu di sentiasa ditambah, sehingga menyebabkan pinggir laut semakin hampir dengan hotel-hotel.

Pada masa yang sama, proses itu juga menghakis kandungan garam di dalam tanah, sekali gus menjejaskan binaan bangunan-bangunan di atasnya. Masalah itu dilihat semakin parah sehingga kerajaan Israel berhasrat untuk memindahkan sebahagian hotel terbabit ke seberang jalan.


LAUT Mati memiliki keindahan alam semula jadi yang menakjubkan khusus kepada pasangan yang memadu kasih.


Terdapat isu lain yang mendasari hotel-hotel yang baru dibina di sebelah bahagian laut di Jordan. Di Movenpick Resort & Spa, bekas pengurus perhubngan awamnya, Helene Leuenberger memberitahu penulis: "Pasir-pasir di sini sentiasa bercambah disebabkan perubahan paras air laut."

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tembok penghadang telah dibina bagi menghalang segala bahan binaan di pantai itu daripada terus dihakis air.

Saya mendapat tahu semua kerja-kerja dilakukan pada sebelah malam bagi mengelakkan daripada mengganggu pelancong. Panel-panel plastik dipasang bertujuan melindungi penglihatan terhadap jengkaut yang melakukan kerja-kerja mengangkut pasir.

Menurut penyelidik dari Jabatan Geologi Israel, Nadav Lensky, sekurang-kurangnya 200 juta gelen air diperlukan setiap tahun atau bersamaan satu pertiga daripada jumlah air yang digunakan di Israel untuk menghentikan kemerosotan air laut dan memastikan ia kekal pada paras semasa.

Sesiapa yang berpengalaman menikmati keindahan Laut Mati sebelum ini pastinya merasakan perlunya usaha segera dilakukan bagi menghalang kepupusannya.

Gema muzik klasik di ibu kota

Posted: 18 Nov 2011 11:02 PM PST

ALISSA FITRI (tiga dari kiri) bersama ahli Persatuan Chopin Malaysia dan para peserta piano sempena Festival Muzik Klasik Antarabangsa.


BERMULA semalam hingga 25 November ini, minggu ini adalah masa untuk penggemar muzik klasik berhimpun di ibu negara apabila berlangsungnya Festival Antarabangsa Muzik Klasik anjuran Persatuan Chopin Malaysia.

Berbeza dengan festival muzik biasa, festival muzik klasik dianjurkan untuk mencungkil bakat golongan muda di negara ini sekali gus mempopularkan muzik klasik di arena antarabangsa.

Merangkumi tiga bahagian, festival itu akan dibuka dengan persembahan Konsert Gala bertemakan Dedikasi dan Konsert Gala Royal yang bertemakan Inspirasi di Plenary Theatre di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Ia bermula dari pukul 8.30 malam pada 18 dan 19 November ini.

Konsert Friendship pula diadakan di Panggung Eksperimen Universiti Malaya (UM) pada 20 November pukul 2 petang. Acara itu disusuli dengan forum master class untuk peserta piano, biolai, cello dan muzik chamber di Hotel Maya Kuala Lumpur dari 21 hingga 25 November 2011.

Festival tersebut diakhiri dengan Konsert Gala Presiden di lokasi yang sama pada 25 November mulai pukul 8.30 malam.

Ahli Persatuan Chopin Malaysia, Datin Sarina Shah berkata, tujuan festival itu diadakan untuk mengumpul bakat pemuzik dalam kalangan muda dari negara ini dan mengetengahkan bakat mereka di persada antarabangsa.

"Apa yang lebih menarik, festival itu akan menjadi satu lembaran baharu dalam senario muzik klasik di Malaysia," katanya pada sidang akhbar Festival Antarabangsa Muzik Klasik baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Presidennya, Datin Alissa Fitri Hisham dan pengarah muzik, Profesor Snezana Panovska.

Persatuan Chopin Malaysia ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada 2 September 2002 untuk mengasah bakat anak-anak muda tempatan dan mempromosikan budaya Malaysia melalui aktiviti berkaitan muzik.

Festival yang julung-julung kali diadakan di Kuala Lumpur itu bakal menampilkan pemuzik terkenal dari Rusia, Kazakhstan, Vietnam, Indonesia, China, Hong Kong, Jerman, Perancis, Macedonia dan England termasuk Malaysia.

Antaranya termasuklah Profesor Dr. Arbo Valdma (Jerman-Estonia), Natalia Troul (Rusia), Song Siheng (China), Biljana Gavrilska (Perancis-Macedonia), Miranda Harding (England), Dr. Tomislav Dimov (Amerika Syarikat-Macedonia) dan Ng Chong Lim (Malaysia) yang akan mengadakan kelas di Hotel Maya Kuala Lumpur.

Sementara itu, pensyarah Jabatan Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Mohd. Kamrulbahri Hussin yang akan mempersembahkan wayang kulit berkata, beliau akan menggabungkan elemen muzik tempatan dan Barat.

Bagi seorang peserta muda konsert itu, Itrisyia Dayini Kamarul Baharin, 11, dia berasa amat bertuah kerana berpeluang membuat persembahan bersama pemain-pemain piano dari luar negara.

"Saya telah melakukan persiapan rapi dan berharap dapat melakukan persembahan terbaik," katanya yang aktif dengan muzik piano sejak empat tahun lalu.

Indonesia ‘boo’ Malaysia!

Posted: 18 Nov 2011 03:47 AM PST

image KEBENCIAN peminat Indonesia terhadap Malaysia nampaknya memang tiada sempadan. Bukan saja atlet, jurulatih, pegawai serta wartawan kita diejek dan dicemuh, malah mereka sanggup mengecam orang mereka sendiri jika mereka berpihak kepada pasukan negara.

Itu yang berlaku di Pusat Akuatik Jakabaring, Palembang. Sekumpulan pelajar sekolah Indonesia yang disediakan penganjur untuk memberi sokongan kepada Malaysia menjadi sasaran ejekan dari rakan-rakan senegara mereka sendiri hanya kerana diarah memberi sokongan kepada atlet kita.

Sebelum ini, perenang negara, Siow Yi Ting terpaksa 'memekakkan telinga' ketika naik ke podium menerima pingat emas 200 meter kuak dada kelmarin apabila ejekan, suasana riuh serta kutukan mengiringi lagu Negaraku dan upacara menaikkan bendera. Lebih kurang sopan, kebanyakan penonton enggan berdiri ketika lagu kebangsaan kita dimainkan.

Jual maruah rebut RM600

Posted: 18 Nov 2011 12:45 AM PST

SEKSI...seorang peserta melakukan aksi ghairah bagi meraih undian penonton.
SEKSI...seorang peserta melakukan aksi ghairah bagi meraih undian penonton.

KUANTAN: Hadiah ditawarkan selaku juara hanya RM600 serta sebotol minuman keras, tetapi sudah cukup membuatkan 20 gadis sebahagian besarnya Melayu, tampil menyertai pertandingan separuh bogel di sebuah pusat hiburan di Jalan Beserah, awal pagi semalam.

Sambil mengenakan pakaian seksi, sebahagian besar peserta berusia antara 15 hingga 18 tahun dan berasal dari Maran, Kemaman dan Kuantan itu sanggup menayangkan coli dan seluar dalam jenis G-string dipakai semata-mata mahu meraih sorakan penonton yang bakal menentukan sama ada mereka menang atau sebaliknya.

Difahamkan, acara itu pertama kali dianjurkan di pusat hiburan berkenaan sempena 'Lady's Nite' dan setiap peserta dikenakan bayaran RM50.

Peserta yang meraih sorakan paling kuat daripada penonton dan pengunjung pusat hiburan berkenaan berpeluang memenangi pertandingan yang dimulakan jam 12 tengah malam itu.


Peserta juga bebas menari dengan gaya tersendiri, tetapi perlu dalam keadaan seksi dan ghairah sambil diiringi muzik tekno yang dimainkan DJ. Setiap peserta dikehendaki memperkenalkan diri dan hanya dibenarkan membuat persembahan selama dua minit.

Miera Liyana Tak Cemburukan Neelofa

Posted: 18 Nov 2011 12:44 AM PST

KUALA LUMPUR: Pelakon Miera Liyana yang kini hangat bercinta dengan aktor kacak Shahz Jazle menafikan kehadirannya di pelancaran filem Azura adalah kerana cemburu kepada pelakon wanita filem tersebut Neelofa.

Kata Miera, dia hadir adalah bagi memberi sokongan terhadap filem pertama kekasihnya itu dan bukan kerana faktor cemburu.

"Shahz yang ajak saya datang ke majlis ini dan minta saya beri sokongan kepada filem pertamanya ini dan bukan kerana saya cemburu.

"Saya tahu sejauh mana hubungan dia dan Neelofa dan saya bukan seorang yang cemburu buta," katanya ketika ditemui mStar Online, di sini, Rabu.

Sebelum ini, ketika penggambaran filem Azura 2012, pasangan kekasih dalam filem ini iatu Shahz dan Neelofa pernah tersebar.

Malah, Shahz mengakui hubungan antara dia dan Neelofa pernah rapat suatu ketika dahulu.

Sementara itu, bercerita tentang hubungan cinta mereka, Miera berkata dia belum membuat sebarang perancangan kearah itu.

"Saya sendiri terperanjat bila keluar cerita kami mahu bertunang, tapi kalau betul pun bukan dalam masa terdekat ini,

"Tapi mungkin juga tahun depan jika kedua-dua belah pihak bersedia, bagi saya tiada masalah untuk kahwin muda," katanya.

Neelofa Tumpu Filem & Pengacaraan

Posted: 18 Nov 2011 12:43 AM PST

Neelofa

KUALA LUMPUR: Pelakon jelita Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa mengakui tidak dapat mengambil tawaran drama bagi menumpukan perhatian kepada lakonan filem dan pengacaraan.

Kata Neelofa, ia berikutan kesibukan dan komitmennya kepada beberapa buah filem dan menjadi penyampai bagi dua buah program televisyen.

"Bukan saya menolak untuk berlakon drama tetapi memberi komitmen kepada filem dan tanggungjawab baru sebagai penyampai program.

"Tapi jika ada tawaran drama yang baik dan mempunyai skrip yang kuat saya akan mempertimbangkannya," ujarnya pengacara program Nona musim akan datang.

Dalam pada itu, dia berkata pembabitan awal dalam drama sebelum ini bagi memberitahu khalayak tentang kehadiran dalam industri ini.

"Saya ambil beberapa tawaran drama sebelum ini kerana ingin memberitahu penonton bahawa saya boleh berlakon dan bakal berada di industri ini.

"Saya tidak mahu mereka mempertikaikan bakat saya kerana gosip-gosip yang keluar terlebih dahulu sebelum filem saya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Azura, di sini, Rabu.

Bagaimanapun, Neelofa kini dalam proses perbincangan untuk menjayakan sebuah drama bersama pengarah terkenal Erma Fatimah.

"Saya ada berbincang dengan Erma Fatimah untuk bekerjasama berlakon dalam sebuah drama dan kini masih lagi dalam peringkat awal," katanya.

Dalam perkembangan lain, Neelofa telah membintangi beberapa buah filem yang bakal ditayangkan tahun depan antaranya Azura 2012, Hantu kapcai, Lemak Kampung Santan, Saya Amat Mencintaimu (SAM) dan Taiko.

Tubuh panas dengar azan

Posted: 18 Nov 2011 12:42 AM PST

KESAL...Zaki kesal dengan perbuatannya.
KESAL...Zaki kesal dengan perbuatannya.

KUALA LUMPUR: "Niat saya hanya untuk mendalami agama dan melakukan ibadat. Tidak sangka pula jalan yang saya ambil bukan cara yang sebenarnya, sebaliknya memesongkan akidah," kata Zaki, 34, yang memakai 'susuk kuat sembahyang' kira-kira setahun lalu, diperoleh daripada seorang individu mendakwa sebagai ustaz di Kelantan.

Menurutnya, dia ditemukan dengan lelaki itu oleh seorang rakan selepas mendengar cadangan daripada sahabatnya itu yang didakwa turut menggunakan susuk berkenaan.

Tambahnya, ustaz itu memasukkan serbuk campuran tertentu pada tapak kakinya, di bahagian belakang badan dan tapak tangan menggunakan bacaan tertentu seperti mantera yang sukar difahami kononnya untuk merawat hatinya yang dipenuhi dosa.

Katanya, selepas ustaz itu memasukkan serbuk campuran berkenaan, dia merasakan kelainan pada tubuh badannya dan setiap kali ingin menunaikan ibadat, dia berasakan seperti ada suara ghaib membisikkan ke telinganya supaya melakukan ibadat.


Zaki berkata, susuk itu juga mempunyai larangan tertentu yang perlu dipatuhi sepanjang tiga bulan pertama pemakaiannya, termasuk tidak boleh menjejakkan kaki di tanah perkuburan dan sekiranya dia tidak mematuhi syarat itu, ustaz terbabit mendakwa dia akan menghidap penyakit misteri yang sukar diubati.

Qalisha Tidak Mahu Dibayangi Kim Kardashian

Posted: 18 Nov 2011 12:41 AM PST

Pendatang baru, Qalisha Ray.

PETALING JAYA: Penyanyi baru, Noor Qalisha Ahmad atau nama komersialnya, Qalisha Ray tidak mahu kerjaya nyanyiannya dibayangi bintang Hollywood, Kim Kardashian, hanya disebabkan memiliki wajah seiras wanita itu.

Bagaimanapun Qalisha, 20, tetap menghargai pandangan peminat yang melihatnya mempunyai persamaan rupa paras bintang realiti TV tersebut.

Menurut penyanyi lagu Satu Januari itu, dia lebih senang jika dikenali dengan bakatnya dalam bidang nyanyian.

Kim Kardashian

"Secara jujurnya, saya tidak pula merasakan diri kelihatan seperti Kim namun tetap menghormati pendapat peminat yang melihat kami mempunyai sedikit persamaan.

"Mungkin hanya kebetulan dan ia terpulang kepada mereka untuk memberikan pendapat," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Nama Qalisha mula dikenali di dalam industri hiburan setelah melancarkan mini album bertajuk Qalisha beberapa bulan lalu dan sering dikatakan mempunyai wajah seiras Kim oleh majalah-majalah fesyen tempatan.

Qalisha yang dicungkil bakat nyanyiannya oleh komposer dan penyanyi terkenal, Ajai, juga gembira kerana menerima respons yang baik daripada peminat selepas pelancaran albumnya.

"Saya bersyukur kerana selepas melancarkan album, saya menerima tawaran untuk membuat persembahan di Persidangan Majlis Raja-Raja ke-225 bersama penyayi Jay Jay dan beberapa persembahan lain," katanya yang juga boleh menyanyikan lagu dalam bahasa Arab.

Gadis berdarah kacukan Arab itu menganggap peluang membuat persembahan di Istana Negara sebagai satu penghormatan untuk dirinya yang masih baru dalam industri seni suara.

Zee Avi Sebak Dihadapan 2,000 Peminat

Posted: 18 Nov 2011 12:40 AM PST

Zee Avi sebak dihadapan 2,000 peminatnya di KL Live pada Khamis.

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang mencipta nama di Amerika Syarikat, Zee Avi sebak semasa mengakhiri konsert jelajahnya di Kuala Lumpur pada malam Khamis.

Zee Avi atau nama sebenarnya Izyan Alirahman, 25, terharu dengan kehadiran lebih 2,000 peminat yang memenuhi ruang KL Centre untuk siri konsert jelajahnya di Malaysia.

"Saya benar-benar terharu dengan sokongan semua peminat di Malaysia, terima kasih kerana datang," ujarnya.

Memulakan persembahan tepat pada pukul 10 malam, Zee Avi muncul dipentas sambil menari tarian tradisional tempat kelahirannya, Sarawak dan mendapat sorakan gemuruh daripada peminat.

Nyata Zee Avi tidak melupakan asal usulnya kerana pada tiga lagu pertama yang didendangkan iaitu Milestone Moon, 31 Days dan Swell Window, Zee turut menyelitkan beberapa elemen muzik tradisional Sarawak bagi memberi rencah tempatan pada lagu-lagunya.

Persembahan bertenaganya telah memukau para peminat setia penyanyi kecil molek ini.

Bernaung di bawah label Jack Johnson's Brushfire Records & Ian Montone's, dia kembali ke Malaysia selepas kali terakhir berada di negara ini pada tahun lalu.

Kemantapan vokal penyanyi genit itu juga tidak perlu dipertikai kerana Zee Avi berjaya menyampaikan sebanyak 13 lagu dengan baik.

Zee Avi juga sempat menyampaikan sebuah lagu daripada Foster The People berjudul Pumped Up Kicks yang nyata berjaya menarik perhatian para peminatnya.

Antara lagu lain yang dipersembahkan adalah Just You and Me, Madness, Mojo, Siboh, Bitter Heart, Concrete Wall, Honey Bee, Clouds, Roll Your Head dan single yang telah mempopularkannya, Kantoi.

Secara keseluruhannya, Zee Avi berjaya menonjolkan identitinya sebagai seorang penyanyi bertaraf antarabangsa kepada peminatnya di Malaysia yang berkumpul seawal pukul tujuh petang.

Narmi memberikan persembahan pembukaan yang cukup mantap.

Keupayaannya mengalunkan pelbagai alat muzik memberikan kelebihan kepadanya untuk menarik minat penonton menyaksikan aksinya yang lincah di pentas.

Dibawakan oleh Livescape Asia, penyanyi baru, Narmi atau lebih dikenali sebagai Imran (pemain drum kumpulan One Buck Short) terlebih dahulu menghiburkan penonton dengan lima buat lagu iaitu Tweet In Defiance, Cair, Chasing, Trying to Sleep, Whril dan The Roada Home sebagai pembuka tirai konsert.

Selain Kuala Lumpur, anak jati Sarawak itu bakal mengadakan dua lagi konsert di Straits Quay Convention Centre, Pulau Pinang pada 18 November dan Former Dewan Undangan Negeri pada 26 November untuk di Kuching, Sarawak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu