Khamis, 17 November 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Lagu Negaraku DI Maki Cerca Di Indonesia!

Posted: 17 Nov 2011 11:09 PM PST

Wang RM50 dikembalikan segera

Posted: 17 Nov 2011 07:14 PM PST


INILAH Sekolah Kebangsaan Datuk Keramat 2 di Kuala Lumpur yang mencetuskan kontroversi kerana memotong RM50 daripada peruntukan bantuan RM100 yang diberi oleh kerajaan kepada para pelajar sekolah.


KUALA LUMPUR - Akur dengan teguran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan mengarahkan guru besar Sekolah Kebangsaan Datuk Keramat 2 di sini supaya memulangkan serta-merta wang RM50 yang dipotong daripada bantuan persekolahan RM100 yang diberi kepada para pelajar sekolah tersebut.

Pengarahnya, Datuk Khairil Awang berkata, sekolah berkenaan adalah satu-satunya sekolah di Wilayah Persekutuan yang membuat pemotongan sebanyak RM50 daripada bantuan persekolahan RM100 yang sepatutnya diterima pelajar.

Beliau menegaskan, masalah tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan semua sekolah telah dimaklumkan supaya tidak membuat sebarang pemotongan menerusi satu taklimat baru-baru ini.

Guru Besar SK Datuk Keramat 2 ketika ini ialah Abd. Hadi Mohamed Zin.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan saya sendiri telah menghubungi guru besar sekolah tersebut semalam supaya memulangkan wang RM50 itu dengan segera.

"Saya jangka pelajar sekolah itu akan menerima wang mereka semula yang dipotong untuk yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu hari ini," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Shahz terpikat dengan Neelofa

Posted: 17 Nov 2011 07:13 PM PST



FILEM Azura yang menggandingkan penyanyi Jamal Abdillah dan Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy telah mencetuskan satu fenomena baharu dalam industri perfileman tempatan sekitar era 80-an.

Memaparkan sebuah kisah tentang cinta antara dua darjat yang digarap cukup menarik, maka tidak hairanlah filem arahan Deddy M. Borhan itu terus diminati dan menjadi tontonan ramai setiap kali ditayangkan di televisyen.

Namun begitu, selepas 27 tahun filem terbitan Sabah Film Production itu dihasilkan, ternyata ia telah menarik minat seorang pengarah yang cukup terkenal iaitu Aziz M. Osman mengadaptasi filem Azura untuk versi 2011.

Biarpun jalan ceritanya agak berbeza berbanding versi terdahulu, namun ia masih lagi mengekalkan tema yang sama iaitu mengenai kisah cinta yang terjalin di antara seorang gadis miskin dan lelaki yang dilimpahi dengan kemewahan.

Untuk versi baharu, ia mengisahkan tentang Azura, seorang gadis yang gigih hadapi cabaran hidup untuk mencapai cita citanya. Dia tinggal bersama ibu saudaranya, Yusni, setelah kedua-dua ibu bapanya terkorban ketika tragedi terowong Mina di Mekah pada 1990.

Sementara Zek pula membesar sebagai anak orang kaya sehinggakan kemanjaan dan kemewahan membuat Zek tidak mampu menahan diri daripada godaan. Dia sentiasa dikelilingi dengan manusia yang mahu mengambil kesempatan.

Selain menampilkan jalan cerita berbeza, ia turut menampilkan dua orang pelakon baharu yang semakin meningkat naik dan dikenali ramai iaitu Shahz Jaszle dan Neelofa yang memikul tanggungjawab sebagai watak utama.

Bagaimanapun, apa yang menarik sepanjang penggambaran filem Azura berlangsung, terdapat khabar angin yang mengatakan tentang wujudnya kisah cinta lokasi yang membabitkan Shahz dan Neelofa.

Mangsa keadaan


SHAHZ dan Neelofa tidak kekok untuk digandingkan bersama dalam sesi fotografi.


Sememangnya Shahz dan Neelofa dilihat cukup mesra bersama dan digosip bercinta sebelum ini, tetapi ia mencalar kontroversi apabila tiba-tiba Shahz yang sebelum itu dikatakan bercinta dengan aktres veteran jelita, Maria Farida dengan mudah beralih cinta pula kepada seorang lagi pelakon baharu, Miera Liyana.

Percintaan antara Shahz dan Miera digosip bercinta selepas mereka sama-sama membintangi filem Rentaz dan kedua-dua Shahz dan Miera tampil mengesahkan sememangnya mereka kini sedang bercinta!

Malah, pada majlis pelancaran filem Azura di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur kelmarin, Shahz sebaliknya mengakui sememangnya dia terpikat kepada Neelofa ketika mereka sama-sama menjalani penggambaran filem tersebut.

Namun kata Shahz, hatinya terpikat kepada Neelofa atas dasar karakter Azura yang dilakonkan Neelofa dalam filem itu.

Shahz tidak mahu peminat salah sangka kerana apa yang dimaksudkannya itu adalah dia terpikat dengan karektor Azura itu sendiri yang berhasil dibawakan dengan baik sekali oleh aktres jelita itu.

"Memang saya sangat tertarik dengan watak Azura itu dan saya puji Neelofa kerana dia mampu menjiwai watak tersebut dengan berkesan. Sehinggakan saya rasa tidak sukar untuk mencari keserasian walaupun kali pertama bergandingan bersama," jelasnya.

Shahz lantas menegaskan dia dan Neelofa tidak pernah menjalinkan hubungan cinta sekali gus menafikan gosip percintaan mereka yang tersebar selama ini.

"Sebenarnya saya ingin menyatakan yang memang kami tidak pernah menjalinkan hubungan percintaan seperti yang didakwa sesetengah pihak. Hubungan kami pada masa itu agak rapat, tetapi tidaklah sampai bercinta.

"Lagipun kami hanya rapat di lokasi dan tidak pernah keluar berdua bersama. Sebaik sahaja selesai menjalani penggambaran filem Azura, kami terus membawa haluan masing-masing dan agak jarang berhubung," katanya.

Neelofa tidak ketinggalan meluahkan rasa tentang isu gosip cintanya dengan Shahz itu.

Dia menganggap gosip tentang percintaan mereka sebelum ini adalah disebabkan kerana ketika itu dia tidak mempunyai kekasih, manakala Shaz pula sedang berhadapan dengan masalah bersama bekas kekasihnya iaitu Maria Farida.

Jelasnya, dia yakin gosip cintanya dengan Shaz yang pernah ditimbulkan sebelum ini tidak akan berlaku seandainya dia sudah mempunyai kekasih sewaktu mereka berdua menjalani penggambaran filem Azura.

"Saya sendiri tidak tahu hendak cakap macam mana, mungkin juga saya adalah mangsa keadaan kerana status saya yang solo. Namun, saya memang menganggap Shaz tidak lebih daripada rakan sesama artis.


SHAHZ JASZLE turut ditemani kekasihnya, Miera Liyana ketika majlis pelancaran filem Azura kelmarin.


"Malah, sekarang ini pula saya digosipkan bercinta pula dengan Hans Isaac. Sebagai seorang artis baharu saya akui perkara sebegini memang sukar untuk dielak, tetapi kalau terus berlaku boleh membuatkan saya rimas," tegasnya.

Ujarnya, buat masa sekarang ini sebagai langkah yang terbaik buat dirinya adalah terus memberi fokus kepada kerjayanya yang semakin meningkat naik tanpa mempedulikan sebarang kisah hangat yang melanda dirinya.

Miera Liyana cemburu?

Ketika ini pastinya ramai yang sudah mengetahui tentang hubungan percintaan yang telah terjalin di antara Shahz dengan seorang pelakon muda yang pernah dikaitkan dengan isu kontroversi iaitu Miera Liyana atau nama penuhnya Miera Liyana Kasmi.

Biarpun baru menjalinkan ikatan kasih bersama, tetapi sudah ada ura-ura yang mengatakan bahawa kedua-dua pelakon itu bakal mengikat tali pertunangan dalam tempoh yang terdekat ini.

Pada majlis pelancaran filem Azura tersebut, Shahz turut ditemani Miera biarpun Meira tiada langsung kaitan dengan filem itu.

Diminta mengulas mengenai perkara berkenaan, Shahz menafikan dia dan kekasihnya itu akan bertunang tidak lama lagi.

"Memang kami berdua ada berbincang bersama-sama tentang hal pertunangan, tetapi tidak pernah meletakkan sebarang tarikh tertentu. Lagipun buat masa ini kami masih lagi sibuk dengan kerjaya masing-masing.

"Bagaimanapun, saya sebenarnya memang ada keinginan untuk mendirikan rumah tangga pada usia yang muda memandangkan ayah saya sendiri semakin tua dan dalam usia sebegini rasanya sudah sesuai untuk bergelar suami," jelas pelakon yang baru berusia 23 tahun itu.

Ditanya adakah dia tidak menyesal sekiranya mereka berkahwin pada usia yang muda, dia menganggap soal umur bukanlah satu masalah yang besar memandangkan ibunya sendiri mendirikan rumah tangga ketika berusia 18 tahun.

"Pada saya usia bukanlah penentu kepada kebahagiaan dalam sesebuah ikatan perkahwinan. Lagipun apa yang paling penting adalah persefahaman yang terjalin di antara satu sama lain agar perhubungan dapat terus berkekalan," tegasnya.

Sementara itu, Miera menjelaskan dia menemani kekasihnya itu bukanlah semata-mata disebabkan perasaan cemburu.

"Sebenarnya Shaz sendiri yang ajak saya datang ke majlis ini. Lagipun sebagai kekasih, ini adalah sebahagian daripada tanda sokongan saya memandangkan Azura merupakan filem sulung lakonan Shahz," ucapnya.

Pengacara


BARISAN tenaga produksi yang menjayakan filem Azura. Dari kiri, Aziz M. Osman, Efida Es, Neelofa, Shahz Jaszle, Afdlin Shauki, Puteri Lily Lokman, Izwan Malik dan Datuk M. Nasir.


Di sebalik namanya yang kini semakin meningkat naik sebagai seorang pelakon, kali ini Neelofa telah mengejutkan ramai pihak apabila menjadi pilihan pihak TV3 untuk menjadi pengacara rancangan Nona bersama Fara Fauzana.

Menurut Neelofa, dia sendiri sangat teruja untuk menjadi pengacara bersama dalam rancangan tersebut dan menganggap ia adalah satu pencapaian yang cukup besar dalam kariernya sebagai anak seni.

"Sebenarnya memang sejak dari dahulu lagi saya pernah bercita-cita untuk menjadi seorang pengacara, tetapi ternyata rezeki yang saya peroleh terlebih dahulu menerusi bidang lakonan.

"Yang menariknya, selepas kenyataan saya keluar dalam sebuah majalah baru-baru ini tentang impian dan hasrat mahu menjadi pengacara Nona, tidak sangka pula ia tiba-tiba telah menjadi kenyataan," ujarnya.

Menurut Neelofa, selain gembira dengan tawaran yang diterima dia sendiri tidak sabar untuk menjalani rakaman untuk rancangan tersebut yang dijadualkan bermula pada pada akhir bulan ini.

Pada masa yang sama, pelakon tersebut memberitahu meskipun selepas ini dia agak sibuk tugas baharunya itu, tetapi ia langsung tidak mengganggu perjalanan kariernya dalam dunia lakonan.

"Buat masa ini saya memang tidak menerima sebarang tawaran berlakon drama kerana mahu memberi tumpuan kepada filem dan mengacara. Saya hanya akan berlakon dalam drama yang menampilkan jalan cerita dan watak yang betul menarik dan bagus," jelasnya.

MLM singkir enam kumpulan

Posted: 17 Nov 2011 07:13 PM PST


KUMPULAN Anje yang dianggotai Achong Sweet Child (kanan) dan Joey Daud.


SETELAH dua minggu berturut-turut tiada sebarang penyingkiran dilakukan, program realilti Maharaja Lawak Mega (MLM) telah mengumumkan seramai lima kumpulan sekali gus yang terkeluar pada awal rancangan pada minggu ketiga.

Namun, seperti kebiasaan, pihak Astro Warna telah membuat kejutan dengan menyingkirkan satu lagi kumpulan yang gagal mengumpul mata di akhir program. Keenam-enam kumpulan yang tersingkir adalah Gebu, Comel, Lanun, Rap, Caer dan Anje.

Pada minggu ketiga ini, kumpulan 3G yang dianggotai oleh Yassin, Didie Alias dan Enot antara yang menjadi kegemaran ketiga-tiga pengkritik tetap iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan dan bekas pemain bola sepak Zainal Abidin Hassan serta seorang pengkritik jemputan dari Singapura, pemuzik Art Fazil.

Menurut chef selebriti terkenal, Chef Wan, ada peserta yang mempersembahkan lawak yang berulang namun ada juga peningkatan dari beberapa kumpulan contohnya 3G dan PiMai.

"Ada juga sesetengah kumpulan yang gagal membuat lawak, mereka tidak punya pengisian di dalam lawak mereka. Apabila momentum dan mood itu hilang jadi, bahaya bagi pelawak apabila tidak dapat memberikan saat lawak itu sendiri kepada penonton.

"Ia seperti tidak dapat menepati standard dalam pertandingan ini kerana saya harapkan yang lebih lagi kerana mereka ini semua merupakan pelawak profesional dan yang terbaik di antara yang terbaik," jelasnya sewaktu sidang akhbar yang diadakan selepas program itu berakhir di Royal Theater Selangor, Shah Alam, Selangor.

Sementara itu, komen penyanyi tersohor negara, Siti pula, kehadiran dirinya sebagai pengkritik tetap adalah di atas nama penonton, maka ia untuk berhibur dan ketawa.

"Maka, apa yang saya komen adalah mengikut apa yang saya rasa dan mengikut cara saya sendiri. Setiap minggu saya sentiasa ingin menonton persembahan lawak dari semua peserta. Kadangkala, minggu pertama dan kedua mereka antara yang terbaik, namun mungkin minggu seterusnya mereka kekal baik," ucap Siti.

Namun, penyingkiran sebanyak enam kumpulan sekali gus dilihat terlalu banyak dan pihak Astro ada jawapan tersendiri bagi persoalan tersebut yang mana Pengurus Saluran Astro Warna, Azrai Kamaruddin ketika diminta mengulas tentang hal tersebut berkata, ia sebenarnya telah pun dirancang dari awal.

"Jika kita mahu bandingkan perbezaan dengan rancangan realiti yang lain, kita boleh lihat bahawa rancangan lain tidak pernah ada sebanyak 17 kumpulan yang terpilih untuk masuk bertanding.

"Jadi untuk format MLM ini, kita mahu beritahu rakyat yang mana ini semua adalah cita rasa komedi yang ada di rantau ini iaitu di Malaysia, Singapura dan Indonesia. Maknanya kesemua peserta harus berikan yang terbaik, dan seperti yang dikatakan Chef Wan, ini merupakan pertandingan mega, jadi mereka perlu tonjolkan diri setiap minggu untuk kekal di dalam program ini," tegas Azrai.

MLM disiarkan secara langsung di Astro Warna (saluran 132) pada setiap Jumaat, pukul 10 malam.

Pitbull saman balas Lohan

Posted: 17 Nov 2011 07:12 PM PST


PITBULL


PITBULL yang sebelum ini disaman oleh Lindsay Lohan bertindak memfailkan saman balas terhadap bintang kontroversi itu.

Lohan sebelum ini menyaman Pitbull ekoran seni kata lagu popular rapper terkenal itu, Give Me Everything mengandungi lirik berbunyi, 'aku dipenjarakan seperti Lindsay Lohan' yang didakwa telah mempersenda, menghina, memperlekeh dan mendatangkan fitnah sehingga boleh menjejaskan reputasi Lohan.

Dalam kenyataan saman balasnya, Pitbull mendakwa lirik tersebut dijustifikasikan berdasarkan permasalahan undang-undang berterusan yang dihadapi Lohan, dan dia juga menimbulkan persoalan sama ada Lohan layak untuk memfailkan saman terhadap dirinya di New York, sedangkan dia menjalani kebanyakan tempoh penahanan dirinya di penjara negeri California.

"Berdasarkan kepada kes mahkamah berterusan yang dihadapinya, ternyata Lindsay Lohan bukan warga asal New York tetapi warga California.

Lohan pada Ogos lepas memfailkan saman terhadap Pitbull di New York sebelum ini mendakwa dia adalah warga asal New York iaitu di daerah Nassau County.

Konsert di Petaling Jaya

Namun, di sebalik kontroversi yang dihadapinya peminat Pitbull di Malaysia pasti gembira apabila Pitbull dijadualkan membuat konsert di Malaysia pada 1 Disember ini.

Rapper berusia 30 tahun itu bakal muncul untuk Live In Concert di Sunway Surf Beach di Sunway Lagoon, Petaling Jaya menjelang pukul 7 malam dengan artis pembukaan konsert tersebut termasuklah penyanyi Malaysia, Mizz Nina yang baharu muncul dengan lagu hit dendangannya bersama rapper tersohor, Flo-rida, Take Over.

Merupakan kunjungan buat julung-julung kalinya ke Malaysia, dia yang dikenali dengan gelaran Mr. Worldwide pernah berkolaborasi dengan banyak penyanyi tersohor termasuklah dengan Jennifer Lopez untuk lagu On the Floor, Enrique Iglesias (I Like It) dan Usher (DJ Got Us Fallin' in Love).

Tiket untuk konsert tersebut yang berharga RM398, RM298, RM198 dan RM138 boleh dibeli di cawangan Victoria Music, Rock Corner outlets, Guitar Stores dan DiGi Retail Centre, Sunway Pyramid atau layari www.ticketpro.com.my.

46,012 calon UPSR dapat semua A

Posted: 17 Nov 2011 07:11 PM PST


SEBAHAGIAN 90 murid Sekolah Kebangsaan Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang meraikan kejayaan memperoleh keputusan 5A dalam UPSR semalam.


PUTRAJAYA – Keputusan keseluruhan calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 adalah yang terbaik sejak empat tahun lalu berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud berkata, peratusan calon yang mendapat pencapaian Baik iaitu minimum C bagi semua mata pelajaran meningkat daripada 54.38 peratus tahun lalu kepada 55.45 peratus tahun ini.

"Calon yang mendapat semua mata pelajaran bawah tahap pencapaian minimum iaitu D, E atau kedua-duanya pula berkurangan daripada 3.39 peratus tahun lalu kepada 2.88 peratus tahun ini," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Abdul Ghafar berkata, pencapaian calon cemerlang semua A tahun ini menurun berbanding tahun lalu.

21 tahun menanti jalan baharu

Posted: 17 Nov 2011 07:11 PM PST


BEBERAPA penduduk menunjukkan jalan yang rosak dan berdebu di Kampung SKC Timah di Bukit Beruntung semalam.


BUKIT BERUNTUNG – Siapa boleh bersabar jika mengharungi jalan yang rosak dan terpaksa menyedut habuk setiap hari sejak 21 tahun lalu.

Itulah yang dialami kira-kira 100 penduduk Kampung SKC Timah di sini yang terpaksa menggunakan sebatang jalan dipenuhi pasir, batu kerikil tajam dan berlubang.

Mereka tidak mempunyai pilihan selain melalui jalan tersebut yang merupakan satu-satunya 'pintu masuk' ke kampung berusia lebih separuh abad itu yang didiami oleh 38 keluarga India, tujuh keluarga Cina dan empat keluarga Melayu.

Seorang penduduk, G. Venggadasalam, 41, berkata, mereka sukar untuk melakukan urusan harian terutama ketika hendak keluar ke pekan Bukit Beruntung ekoran jalan rosak.

Penduduk tolak pelawaan PKNS

Posted: 17 Nov 2011 07:10 PM PST


PADANG ini adalah antara kemudahan yang akan terjejas ekoran cadangan membangunkan projek komersial di tapak Kompleks Sukan PKNS di Kelana Jaya.


PETALING JAYA - Penduduk Kelana Jaya di sini menolak pelawaan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Othman Omar untuk berdialog mengenai isu pembinaan projek komersial yang akan dibangunkan di tapak Kompleks Sukan PKNS Kelana Jaya.

Bagi mereka, apa yang dimahukan adalah satu tindakan proaktif daripada PKNS dalam memastikan agar kemudahan tersebut tidak tergadai dan kekal dalam bentuk sekarang..

Wakil penduduk, Datuk Bahador Shah Mat Isa berkata, perbincangan telah diadakan dengan PKNS dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya sebelum ini, namun pihak terbabit didapati lebih berminat meraih keuntungan daripada projek hartanah di situ.

"Untuk apa berbincang atau berdialog lagi jika isu utamanya adalah tetap sama iaitu keuntungan kepada PKNS. Jadi, kami tidak berminat dengan pelawaan itu," katanya.

Baju hujan, topi keledar suspek dihantar ke makmal

Posted: 17 Nov 2011 07:09 PM PST


Eko Setio yang ditahan kerana disyaki terlibat membunuh Adrian.


KUALA LUMPUR – Sehelai baju hujan dan sebuah topi keledar yang menyerupai baju hujan dan topi keledar yang dipakai dua lelaki yang didakwa terlibat membunuh Adrian Jay Pereira sudah dihantar ke Makmal Forensik Markas Besar Kepolisan Republik Indonesia cawangan Surabaya, Indonesia kelmarin.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Daerah Kota Malang, Ajun Komisaris Pertama Anton Prasetyo berkata, kedua-dua bahan bukti tersebut diperoleh daripada seorang suspek, Eko Setio Budi, 24, yang ditahan pada 11 November lalu di Dusun Karangjambe, Jamberejo, Kecamatan Tajinan juga di daerah Malang.

Menurut beliau, siasatan mengesyaki lelaki itu pernah terlibat dengan beberapa kegiatan jenayah mencuri motosikal dan sanggup mencederakan mangsanya.

"Baju hujan dan topi keledar yang ditemui di rumah suspek sedang kita teliti dengan menghantar ke makmal untuk mengenal pasti sama ada terdapat kesan percikan darah Adrian," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Tebusan dua minit

Posted: 17 Nov 2011 07:08 PM PST


AMIRUDDIN (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian barang yang dirampas daripada tiga lelaki pada sidang akhbar di Ampang Jaya semalam.


AMPANG JAYA – Cubaan tiga penjenayah warga Indonesia yang menjadikan dua daripada lima beranak sebagai tebusan untuk melarikan diri daripada kepungan polis gagal apabila kesemuanya diberkas manakala mangsa pula dapat diselamatkan.

Kejadian mencemaskan dalam tempoh kurang dua minit itu berlaku pukul 4.30 pagi di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan berusia lingkungan 50-an di Kampung Indah Permai di sini kelmarin.

Difahamkan, suspek berusia di antara 27 dan 36 tahun yang bersenjatakan parang dan pisau memasuki banglo tersebut dengan memotong pintu jeriji besi belakang rumah sebelum memecahkan pintu dengan tong gas seberat 14 kilogram.

Selain ahli perniagaan tersebut, turut berada dalam rumah ketika kejadian itu ialah isteri dan tiga anaknya.

Hutang AS cecah RM47.39 trilion

Posted: 17 Nov 2011 07:07 PM PST

AHLI-AHLI Kesatuan Jururawat Kebangsaan dan penyokong mereka mengadakan tunjuk perasaan di Washington DC pada 3 November lalu yang menuntut hutang Amerika Syarikat dikurangkan.


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Beban hutang pentadbiran AS melepasi takat AS$15 trilion (RM47.39 trilion) kelmarin ketika ahli-ahli politik terus bertelagah berhubung langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengurangkan perbelanjaan negara.

Agensi berita AFP melaporkan, angka daripada Perbendaharaan AS menunjukkan beban hutang persekutuan yang ditanggung rakyat negara itu kini berjumlah AS$15,033,607,255,920.32 (RM47,490,698,234,988.44), meningkat sebanyak AS$55.8 bilion (RM176.28 bilion) sejak Selasa lepas.

Jumlah tersebut dianggarkan menyamai 99 peratus saiz keseluruhan ekonomi AS untuk tahun 2011 yang disifatkan amat tidak sihat oleh pakar-pakar ekonomi.

TM sasar pasang sejuta UniFi

Posted: 17 Nov 2011 07:07 PM PST


AZIZ (lima dari kanan) bersalaman dengan Zamzamzairani ketika bergambar bersama eksekutif Utusan Malaysia, Kosmo! dan pegawai kanan TM selepas majlis makan tengah hari di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Telekom Malaysia Berhad (TM) optimis dengan bisnes perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi UniFi yang ditawarkannya dan menyasarkan sebanyak 1.1 juta premis sedia dipasang di seluruh negara dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif TM, Datuk Seri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, perkhidmatan UniFi yang bermula pada Mac tahun lepas kini sudah mencecah kira-kira 200,000 pelanggan.

"TM menyasarkan menerima 300,000 pendaftaran baru menjelang akhir tahun ini," ujarnya pada majlis makan tengah hari bersama Kumpulan Utusan di sini semalam.

Urusan bayar zakat dimudahkan

Posted: 17 Nov 2011 04:54 PM PST


MAHDI (kiri, dalam kenderaan) pada majlis pelancaran perkhidmatan terbaharu pembayaran zakat di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Orang ramai kini berpeluang untuk membuat pembayaran zakat menggunakan sebarang kad kredit berlandaskan konsep syariah di kaunter bergerak Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui penyediaan perkhidmatan bayaran zakat tanpa wayar atau Zakat@AmIslamic Bank oleh AmIslamic Bank Bhd. (AmIslamic Bank).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AmIslamic Bank, Datuk Mahdi Murad berkata, terminal pembayaran tanpa wayar itu memberikan kemudahan kepada pihak LZS membuat pungutan pembayaran zakat di mana-mana lokasi khususnya di kawasan tumpuan ramai seperti di pusat beli-belah.

"AmIslamic Bank telah bekerjasama dengan pihak LZS sejak bulan Disember 2002 dalam usaha untuk memudahkan pembayaran zakat melalui kemudahan perbankan yang kami sediakan termasuk juga oleh Kumpulan AmBank.

"Para pelanggan boleh membuat pembayaran zakat melalui perkhidmatan perbankan dalam talian AmOnline atau mudah alih AmGenie atau di kaunter cawangan daripada akaun simpanan, semasa ataupun kad kredit AmIslamic Bank mengikut kesesuaian diri mereka," katanya pada majlis pelancaran Zakat@AmIslamic Bank di sini semalam.

Harimau Muda tunjuk kejaguhan

Posted: 17 Nov 2011 04:53 PM PST

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (duduk dua dari kanan) bersorak gembira di bilik penginapannya di Nusa Dua, Bali malam tadi ketika menyaksikan perlawanan secara langsung antara Malaysia dan Indonesia. Najib berada di Bali kerana menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN.


JAKARTA – Panas, dramatik dan penuh mendebarkan!

Itu yang berlaku di Stadium Gelora Bung Karno malam tadi yang menyaksikan Harimau Muda berjaya membenam ego Indonesia hasil kemenangan 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan A temasya Sukan SEA 2011.

Kemenangan tersebut menyaksikan Harimau Muda mara ke saingan separuh akhir apabila mengungguli Kumpulan A dengan mengumpul sepuluh mata – satu mata di hadapan Indonesia yang turut menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik pada temasya kali ini.

Namun yang paling mencuri tumpuan pada aksi malam tadi ialah apabila jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee diarahkan meninggalkan bangku simpanan pemain pada minit ke-68 selepas beliau didakwa mempertikaikan keputusan pengadil perlawanan, Fahad Alkassar dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Tampil di hadapan hampir 100,000 penyokong fanatik Indonesia, Kim Swee menurunkan kesebelasan terbaiknya dengan Mahali Jasuli, Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Fadhli Shas, Mohd. Asraruddin Putra Omar terus diberi kepercayaan berada di benteng pertahanan, manakala Khairul Fahmi Che Mat kekal menjaga gawang Harimau Muda.

Bahagian tengah pula dijana kapten Baddrol Bakhtiar sambil dibantu empat pemain – Mohd. Irfan Fazail, Mohd. Fandi Othman, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, Muhd. Nazmi Faiz Mansor sementara Izzaq Faris Ramlan bergerak solo di jentera serangan.

Sang Garuda Muda pula tidak menurunkan beberapa tonggak utamanya dalam kesebelasan utama seperti penggempur berbisa, Patrich Wanggai dan Octovianus Maniani.

Seawal minit keempat, Baddrol terlebih dahulu menguji benteng Sang Garuda Muda yang diterajui penjaga gol, Andritany Ardhiyasa. Bagaimanapun, rembatan Baddrol dari luar kotak penalti berjaya dinafikan Andritany.

Ketika perlawanan baru memasuki minit ke-14, pemain sayap lincah, Wan Zaharul Nizam terpaksa dikeluarkan ekoran kecederaan dan tempatnya digantikan oleh Syahrul Azwari Ibrahim.


PENYERANG Malaysia, Izzaq Faris Ramlan dikawal rapi oleh pertahanan Indonesia, Seftia Hadi (kiri) pada pertemuan di Jakarta malam tadi.


Baru tiga minit berada di tengah padang, Syahrul mula menunjukkan bisanya apabila berjaya merobek gawang Indonesia menerusi satu serangan balas pada minit ke-17.

Gol tersebut ternyata menyemarakkan barisan Harimau Muda menggempur kubu tuan rumah. Pada minit ke-22, pemain tengah, Muhd. Nazmi Faiz Mansor berpeluang menguji benteng Indonesia, namun percubaannya gagal menghasilkan gol.

Dengan sesekali Indonesia mengacah kubu Harimau Muda, Baddrol dan rakan-rakan sepasukannya jelas sekali berjaya menyerap tekanan dengan terus melancarkan beberapa serangan ke gawang Indonesia. Namun, tiada sebarang tambahan gol dicipta kedua-dua pasukan.

Pada minit ke-56, Izzaq dilayangkan kad kuning selepas mengasari Andritany dalam kawasan penalti. Dua minit kemudian, Kim Swee membuat pertukaran dengan memasukkan pemain tengah, K. Gurusamy dan digantikan dengan Irfan.

Biarpun beberapa percubaan dihasilkan kedua-dua pasukan, namun tiada gol dijelmakan sehingga wisel penamat ditiup oleh Fahad.

Dengan kemenangan itu, Harimau Muda akan membuat perhitungan dengan naib juara Kumpulan B, Myanmar, manakala Indonesia berdepan juara Kumpulan B, Vietnam pada aksi separuh akhir esok (19 November).

Dalam pada itu Kim Swee ketika ditemui berkata, dia gembira dengan karaktor yang ditunjukkan skuad muda negara pada perlawanan tersebut.

"Mereka bukan sahaja berdepan dengan pemain Indonesia tetapi juga ribuan penyokong fanatik tuan rumah. Kemenangan ini tidak bermakna jika kita gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangai pada Sukan SEA 2009 di Laos," katanya.

Silat lenyapkan sorakan Indonesia

Posted: 17 Nov 2011 04:51 PM PST


AHMAD SHAHRIL dijulang rakan sepasukan selepas menempa emas dengan mengalahkan pesilat Indonesia, Sapto di Jakarta semalam.


JAKARTA - Sorakan daripada penyokong Indonesia ternyata tidak menggentarkan pesilat lelaki negara, Ahmad Shahril Zailudin bagi memburu pingat emas Sukan SEA 2011.

Sebaliknya, Shahril tampil bagai wira apabila mengetepikan cabaran pesilat Indonesia, Sapto Purnomo dalam acara silat olahraga Kelas D 60-65 kilogram lelaki semalam.

Ternyata kejayaan Shahril membawa pulang pingat emas sedikit sebanyak 'meragut' impian tuan rumah untuk mendominasi acara tersebut yang dibelenggu kontroversi berhubung pemilihan juri.

Tanpa belas ehsan, Shahril mudah 'meratah' lawannya itu sehingga mampu memukau penyokong tuan rumah dan pihak juri yang menghadiahkannya kemenangan 5-0.

Shahril berkata, dia telah menanamkan tekad untuk meraih emas, sekali gus memastikan lagu Negaraku berkumandang buat kali pertama di Padepokan Pencak Silat, Taman Mini Indonesia Indah (TMII) Jakarta Timur.

"Dalam pertarungan pertama dan kedua, memang jelas pihak juri memihak kepada pesilat tuan rumah.

"Bagaimanapun, pada perlawanan ketiga, rezeki memihak kepada saya kerana juri tidak dapat menafikan serangan yang saya lakukan memang berhak diberi mata dan akhirnya menang 5-0," kata Shahril semalam.

Shahril berkata, kejayaannya meraih emas itu dianggap lebih bermakna kerana dapat menumbangkan pesilat tuan rumah yang mendapat sokongan padu daripada penyokong sendiri.

"Saya amat berpuas hati kerana berjaya membalas dendam ke atas Sapto kerana saya kalah hanya satu mata kepadanya pada peringkat separuh akhir Kejohanan Dunia di venue sama tahun lalu.

Di sebalik kegembiraan meraih emas, Shahril mengakui, dia kini sedang memikirkan untuk mengakhiri kariernya di peringkat antarabangsa," jelasnya yang membuat lima penampilan di Sukan SEA.

Sejurus kejayaan Shahril, skuad silat negara terus berpesta apabila menambah dua lagi koleksi emas.

Dua pingat emas tersebut hadir menerusi Mohd. Al Jufferi Jamari dalam Kelas E 65kg-70kg lelaki dan Mohd. Fauzi Khalid (Kelas F 70-75kg lelaki).

Mohd. Al Jufferi menyingkirkan pesilat Vietnam, Nguyen Duy Chien, manakala Mohd. Fauzi membenam cabaran atlet Thailand, Katahat Raksapon pada saingan akhir.

Kuartet emas terima pingat di KL

Posted: 17 Nov 2011 04:50 PM PST


GANDINGAN kuartet 4 X 400 meter negara, dari kiri Mohd. Yunus, Kannathasan dan Schezuan ceria selepas menerima pingat emas masing-masing di Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur semalam.


AKHIRNYA dapat pingat. Setelah gagal untuk menerima pingat emas di Palembang disebabkan masalah menukar tiket penerbangan tempoh hari, barisan kuartet emas 4X400 meter negara menerima pingat masing-masing semalam.

Tiada sebarang majlis gilang-gemilang atau iringan nyanyian lagu Negaraku kedengaran, S. Kannathasan, Schezuan Ahmad Rosely dan Mohd. Yunus Lasaleh hanya menerima pingat yang disampaikan jurulatih, Hamberi Mahat di Majlis Sukan Negara (MSN), Kuala Lumpur semalam.

Selepas menerima pingat masing-masing, gandingan kuartet tersebut menerima tepukan daripada pengurus skuad olahraga negara ke Sukan SEA, Rajmah Sheikh Ahmad serta kira-kira 10 orang wartawan dan jurugambar yang hadir.

Malangnya, seorang lagi pelari negara, P. Yuvaraj sekali lagi terlepas untuk menerima pingat yang menjadi haknya kerana telah pulang ke Pulau Pinang untuk menghadapi peperiksaan.

Hamberi ternyata tidak dapat menyembunyikan kekecewaan berhubung insiden tersebut sambil menyifatkan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) terutamanya Pengerusi Kejurulatihannya, Karim Ibrahim wajar dipersalahkan.

Kenyataan bahawa KOAM silap kerana memandang rendah kemampuan atlet tidak dapat diterimanya sama sekali.

Pasukan tersebut tidak hanya mendapat penerbangan lewat ke Palembang iaitu pada 12 haribulan yang menyukarkan mereka membuat persiapan, mereka juga tidak diiringi oleh jurulatih mereka, Hamberi, Tambukrishnan dan S. Jayabalan.

"Pengerusi kejurulatihan KOAM sepatutnya memiliki statistik yang kuat, perlu ada data-data, catatan masa dan kemampuan atlet.

"Bagi saya, jurulatih Tambukrishnan dan S. Jayabalan, kami sudah mengenal pasti kemampuan atlet kami. Sebelum sukan SEA, catatan terbaik (larian 400 meter) atlet Asia Tenggara 47.6 (saat) sahaja, sedangkan dua daripada atlet pasukan ini telah mencatatkan 47.7, seorang 47.8 dan 48.1 saat.

"Pasukan ini sepatutnya tidak boleh dipinggirkan, sekiranya dibandingkan dengan atlet kategori B yang lain, itu yang menjadi persoalan dan pengerusi kena jawab perkara ini," katanya.

Hamberi turut berpendapat pihak KOAM wajar untuk meminta maaf berhubung insiden tersebut.

"Kalau dia nak minta maaf, memang wajar. Bagaimanapun dia sepatutnya lebih telus, ini untuk negara bukan peribadi.

"Saya harap empat orang atlet ini diberi pendedahan lebih, walaupun mereka berlari dalam keadaan tertekan, mereka boleh buat sesuatu yang membanggakan negara.

"Ini termasuk juga dengan atlet lain seperti Roslinda Samsu dan Noraseela Khalid sentiasa dalam keadaan tertekan disebabkan pengurusan KOAM, namun masih boleh menyumbangkan sesuatu untuk negara," katanya.

Atlet termuda menang emas

Posted: 17 Nov 2011 04:47 PM PST


AALIYAH (dua dari kiri) diapit kakaknya, Phillipa (kiri) Alex (dua dari kanan) dan bapanya, Hanifah selepas menang emas bagi acara tricks wanita dalam sukan ski air di Palembang semalam.


PALEMBANG - Pada usia 8 tahun, Aaliyah Yoong Hanifah muncul atlet paling muda negara memenangi pingat emas pada Sukan SEA Ke-26 kali ini selepas menjuarai acara tricks wanita dalam sukan ski air di Palembang semalam.

Apa yang paling membanggakan, murid tahun 2 Sekolah Kebangsaan Bandar Seri Putera, Bangi, Selangor itu menewaskan peluncur yang lebih berusia daripadanya sekali gus menjadi tumpuan bukan sahaja media Malaysia tetapi juga dari negara tuan rumah.

"Ini kali pertama saya menyertai Sukan SEA dan apabila menang emas memang rasa seronok sangat. Saya gembira dan merasa amat teruja dengan kejayaan ini," katanya yang masih kekok ketika bercakap kepada media.

Anak daripada isteri kedua Hanifah Yoong ini menewaskan peluncur dari Thailand di tempat kedua dan Indonesia (ketiga).

Terdahulu, Aaliyah sudah menunjukkan tanda awal dia mampu memenangi emas apabila mengungguli pusingan pertama dengan mengumpul jumlah mata tertinggi.

Ini sekali gus memberi kelebihan kepadanya untuk beraksi dengan lebih baik pada final ketika dia turun sebagai peluncur paling akhir untuk membuat persembahan.

Sementara itu kakak tiri Aaliyah, Philippa Yoong turut menyumbang emas buat kontinjen negara semalam apabila menjuarai acara slalom wanita sukan ski air.

Phillipa, 33, anak daripada isteri pertama Hanifah dan adik kepada Alex Yoong menewaskan peluncur Singapura, Sasha Christian di tempat kedua dan Thoyibhatus Ummu Sholika dari Indonesia, ketiga.

Ibu kepada tiga anak itu turut mencatat rekod baharu Sukan SEA bagi acara tersebut iaitu 1bouy @55kph 13m line. Kali terakhir acara ski air dipertandingkan ialah pada 1997 di Jakarta.

"Saya agak tertekan ketika beraksi kerana diletakkan harapan untuk menang emas di sini. Syukur saya akhirnya berjaya juga," katanya.

Ski air juga menyumbang pingat perak semalam menerusi Alex dalam acara slalom lelaki.

Parlimen Kuwait diserbu

Posted: 17 Nov 2011 04:46 PM PST

SEBAHAGIAN daripada ribuan penduduk menyerbu bangunan Parlimen di Kuwait kelmarin.


KUWAIT - Beribu-ribu rakyat di sini menyerbu bangunan parlimen kelmarin selepas polis dan pasukan elit membelasah penunjuk perasaan yang berarak menuntut Perdana Menteri, Sheikh Nasser Mohammad al-Ahmad Al-Sabah meletakkan jawatan, kata seorang ahli parlimen pembangkang.

Penunjuk perasaan itu memecahkan pintu masuk bangunan parlimen dan memasuki ruang utama dan menyanyikan lagu negara mereka.

"Kini kami telah memasuki bangunan milik rakyat ini," kata Mussallam al-Barrak yang mengetuai tunjuk perasaan itu.

Bagaimanapun, kumpulan ini beredar selepas beberapa minit.

Terdahulu pihak polis telah menggunakan baton untuk menghalang kumpulan perusuh ini ketika sedang berarak.

Saksi-saksi menyatakan sekurang-kurangnya lima penunjuk perasaan cedera.

Beberapa aktivis berkata, mereka akan terus mengadakan tunjuk perasaan di luar parlimen sehingga perdana menteri itu dipecat.

Ia adalah keganasan politik yang pertama sejak Disember tahun lalu, apabila pasukan elit membelasah para penunjuk perasaan dan ahli parlimen pada perhimpunan awam.

Ketegangan telah bermula dalam tempoh tiga bulan yang lalu selepas kira-kira 16 orang ahli parlimen didakwa menerima rasuah kira-kira AS$350 juta (RM1105.79 juta).

Pada Rabu lalu, seramai 20 ahli parlimen pembangkang telah memboikot sesi parlimen sehari selepas pihak kerajaan dan para penyokongnya menolak kenyataan perdana menteri telah menerima rasuah.

Tiga anggota parlimen juga memfailkan permohonan supaya perdana menteri berusia 71 tahun itu disoal berhubung dakwaan rasuah melibatkan ahli-ahli parlimen dan pemindahan wang ke luar negara secara haram.

Parti Republikan kritik hutang Amerika Syarikat

Posted: 17 Nov 2011 04:45 PM PST


RICK PERRY (kanan) yang mengkritik hutang pentadbiran Presiden Barack Obama berucap dalam kempen pemilihan sebagai calon Presiden Amerika Syarikat (AS) di Nashua, AS kelmarin.


WASHINGTON - Wakil-wakil rakyat daripada Parti Republikan memberikan reaksi berhubung laporan mengenai beban hutang pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang mencecah lebih AS$15 trilion (RM47.39 trilion).

Pengerusi Jawatankuasa Bajet Parti Republikan, Paul Ryan menyifatkan jumlah itu tersebut menandakan hari yang popular dalam sejarah AS.

Beliau membuat kenyataan itu dalam laman Twitternya kelmarin.

Gabenor Texas, Rick Perry turut menyatakan dalam Twitter tersebut dengan menyalahkan dasar-dasar sosialis Obama kerana sedang memufliskan negara.

Perry bertanding untuk menjadi calon Presiden AS bagi mewakili Parti Republikan untuk menentang Obama.

Seorang lagi anggota Parti Republikan, Michele Bachmann pula menyifatkan negara ini seperti sebuah bot yang sedang menuju ke arah air terjun.

Kesimpulan yang dicapainya ialah: "Kita perlu hentikan perbelanjaan, berhenti menjadi negara kebajikan."

Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Parti Republikan, Reince Priebus berkata: "Amerika telah melintasi angka yang dapat difikirkan, hutang negara sekarang melebihi AS$15 trilion (RM47.39 trilion)," katanya.

Menurutnya, hutang besar itu akan merencatkan ekonomi serta merugikan rating kredit.

Hutang AS ialah AS$10.62 trilion (RM33.55 trilion) ketika Obama mengambil alih tugasnya dan ia meningkat kepada AS$14.304 trilion (RM 45.193 trilion) pada bulan April lalu.

Perbendaharaan AS kelmarin mendedahkan hutang negara ini ialah AS$15,033,607,255,920.32 (RM47,490,698,234,988.44).

Terowong dadah ditemui di sempadan AS

Posted: 17 Nov 2011 04:43 PM PST


SEORANG askar Amerika Syarikat (AS) meninjau sebuah terowong dadah di sempadan AS-Mexico di Tijuana kelmarin.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Pihak berkuasa AS mengumumkan kelmarin sebuah terowong utama yang digunakan bagi tujuan penyeludupan dadah di sempadan AS-Mexico telah ditemui.

Susulan penemuan tersebut, anggota-anggota pihak berkuasa AS dan Mexico merampas sekurang-kurangnya 14 tan ganja dan menangkap dua orang yang memiliki terowong canggih itu.

Terowong itu bersambung dengan beberapa buah gudang di Tijuana, Mexico dan Otay Mesa, selatan California di sebelah AS.

Terowong sepanjang 365 meter itu yang dilengkapi bekalan elektrik dan pengudaraan ditemui pada Selasa lepas oleh pihak berkuasa San Diego selepas beberapa anggota melihat sebuah trak yang mencurigakan meninggalkan sebuah gudang di Otay Mesa.

"Kartel-kartel dadah tersilap apabila mereka percaya dapat mengelak daripada dikesan dengan menyeludup dadah di bawah tanah. Kami dapat mengesan terowong seperti ini dan menutupnya," kata seorang anggota pihak berkuasa, Derek Benner.

Operasi pada Selasa lepas bermula apabila polis lebuh raya menahan trak yang mencurigakan itu dan menemui tiga tan ganja.

Dua lelaki ditangkap dan satu waran dikeluarkan untuk menggeledah gudang berkenaan dengan pihak berkuasa menemui lagi 6.5 tan ganja lagi.

"Laluan terowong itu yang berukuran 1.2 meter kali 0.9 meter dilengkapi bekalan elektrik dan pengudaraan," tambah Benner.

Menurutnya, pihak berkuasa percaya terowong berkenaan siap dibina baru-baru ini.

Pihak berkuasa Mexico yang dimaklumkan oleh AS bertindak menyerbu sebuah gudang di bandar Tijuana dan menemui beberapa tan lagi ganja.

Cooper dipilih lelaki paling seksi

Posted: 17 Nov 2011 04:43 PM PST




LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Aktor Hollywood, Bradley Cooper (gambar) dilabel sebagai lelaki paling seksi yang masih hidup di dunia oleh majalah hiburan AS, People.

Dalam ulasannya, majalah People menyatakan, pelakon berusia 36 tahun itu bersikap sederhana walaupun dia memiliki senyuman memikat dan sepasang mata biru yang menakjubkan.

Menurut majalah berkenaan, Cooper juga seksi kerana amat rapat dengan ibunya terutama selepas bapanya, Charles meninggal dunia pada Januari lalu.

"Saya fikir ia hebat untuk seorang lelaki yang tidak memiliki wajah seorang model diberikan penghormatan sebegini," kata Cooper yang popular menerusi filem komedi, Hangover dalam satu wawancara bersama People.

"Saya fikir saya memiliki rupa paras yang baik. Kadang-kala saya kelihatan hebat dan sebahagian lagi saya nampak teruk," katanya.

Pelakon kacak itu bercinta dengan aktres Renee Zellweger selama dua tahun sebelum mereka berpisah pada Mac lalu.

Dia juga pernah dilihat intim bersama penyanyi Jennifer Lopez, tetapi Cooper menegaskan bahawa dia bukan seorang lelaki kasanova.

Antara pemenang terdahulu ialah aktor Ryan Reynolds, George Clooney, Brat Pitt dan Mel Gibson.

Bercerai lepas kahwin pada 11.11.2011

Posted: 17 Nov 2011 04:40 PM PST


SHAWKAT ALI KHAN duduk di sebelah isterinya, Farzana Yasmin dalam majlis perkahwinan di Borguna, Bangladesh pada 11.11.2011.


DHAKA - Seorang lelaki Bangladesh yang berkahwin pada 11.11.2011 pada pukul 11.11 pagi akhirnya bercerai dengan isterinya beberapa minit selepas majlis perkahwinan mereka berlangsung.

Lelaki Bangladesh itu, Shawkat Ali Khan berkata, dia tidak mengetahui kenapa isterinya itu bertindak keluar dari majlis perkahwinan mereka.

Namun, pasangannya itu, Farzana Yasmin berkata, dia berasa marah ekoran permintaan keluarga Shawkat yang mahu hantaran perkahwinan termasuk sebuah peti sejuk dan sebuah televisyen.

Amalan hantaran perkahwinan oleh pengantin wanita telah dilarang di Bangladesh.

"Untuk menjadikan majlis tersebut istimewa, saya mengeluarkan kad mahal, mengundang rakan dan saudara-mara untuk menyertai majlis perkahwinan," kata Shawkat yang berusia 32 tahun.

Menurutnya, majlis itu diadakan pada pukul 11.11 pagi pada 11.11.2011.

"Majlis itu berlangsung di sebuah masjid tepat pada waktu itu," katanya yang merupakan seorang guru besar.

Dia percaya 11 merupakan nombor yang bertuah.

"Kami telah merancang parti selepas perkahwinan dua hari kemudian.

"Saya menunggu majlis yang mempunyai nombor tersebut selama bertahun-tahun lamanya.

"Saya tidak mengetahui bahawa ia akan berakhir," tambahnya.

Farzana yang berusia 27 tahun dipuji oleh ramai penduduk Bangladesh kerana pendiriannya berhubung hantaran perkahwinan itu.

Amalan hantaran dalam perkahwinan itu dikritik kerana keluarga pengantin perempuan perlu memberikan hadiah yang mewah kepada si suami.

Ketua polis tempatan, Babul Akhter menyokong dakwaan Farzana dengan menyatakan perkahwinan tersebut berkecai berhubung ekoran tuntutan hantaran yang dibuat oleh ibu saudara Shawkat semasa majlis perkahwinan berlangsung.

Namun, Shawkat menafikan dakwaan tersebut dengan menyatakan dia berkemampuan untuk tidak menerima hantaran itu.

Tandas, kereta kecil sertai perlumbaan

Posted: 17 Nov 2011 04:38 PM PST


EDD CHINA menunggang tandas bergerak di London semalam.


LONDON - Seorang pencipta Britain, Perry Atkins menyertai hari Guinness World Records kelmarin di sini dengan berlumba dengan kereta kecil ciptaannya.

Kereta yang dicipta Atkins itu berukuran 66.04 lebar dan 132.08 sentimeter panjang.

Para pemegang rekod Guinness itu akan menyertai pertandingan berlumba dengai menaiki ciptaan mereka seperti tandas yang paling laju bergerak.


PERRY ATKINS duduk di dalam kereta paling kecil di London semalam.


Edd China dari Britain merupakan pencipta tandas bergerak itu.

Seorang lagi pencipta dari Britain, Colin Furze juga menyertai perlumbaan itu dengan ciptaannya, skuter kecil paling laju di dunia.

Pencalonan lokasi cetus kontroversi

Posted: 17 Nov 2011 04:36 PM PST



PIRAMID Agung Giza sudah berusia lebih 3,800 tahun. Namun, kekukuhan struktur ciptaan manusia tertua yang masih wujud itu menjadi salah satu monumen yang paling diingati oleh setiap generasi.

Tanyalah sesiapa sahaja, pasti mereka kenal dengan piramid yang dibina pada tahun 2540 Sebelum Masihi itu dan siap dua dekad kemudian.

Walhal, ketika Piramid Agung Giza disenaraikan, terdapat enam buah seni bina purba lain yang melakar sejarah sebagai monumen penting yang turut melakar sejarah manusia zaman purba ketika itu.

Antaranya ialah taman tergantung Babylon, Kuil Artemis di Ephesus, patung berhala Zeus di Olympia, makam Maussollos di Halicarnassus, patung raksasa Rhodes dan rumah api Iskandariah.

Orang Yunani sejak zaman purba percaya bahawa tujuh membawa maksud atau melambangkan kesempurnaan, sehinggakan kepercayaan itu diteruskan sehingga kini.

Dari situlah wujudnya pelbagai senarai keajaiban lain yang meletakkan tujuh nama-nama seni bina atau monumen, alam semula jadi sebagainya.

Baru-baru ini, sebuah organisasi, Yayasan New7wonders telah menyenaraikan sebanyak tujuh keajaiban alam sekitar dunia yang dipilih berdasarkan undian penduduk dunia.

Kawasan yang dipilih ialah Hutan Hujan Amazon di Amerika Selatan, Teluk Halong di Vietnam, Air Terjun Iguazu di Argentina dan Brazil, Pulau Jeju di Korea Selatan, Pulau Komodo di Indonesia, sungai bawah tanah Puerto Princesa di Filipina dan Gunung Table di Afrika Selatan.

Pengasas Yayasan New7Wonders, Bernard Weber dalam laman webnya berkata: "Kami mengucapkan tahniah kepada peserta-peserta yang telah berjaya mendapat status sementara ini dalam melengkapkan proses mengesahan dalam majlis khas yang akan diadakan awal tahun 2012 nanti.

"Keputusan akhir bakal diumumkan awal tahun 2012 ini dengan amaran kemungkinan berlakunya perubahan keputusan pemenang sementara berbanding senarai akhir," katanya.


PULAU gunung berapi, Pulau Jeju terletak kira-kira 130 kilometer dari Korea Selatan.


Keputusan akhir tersebut diperoleh selepas satu proses yang lama, bermula dari Disember 2007 hingga Julai 2009. Dalam tempoh itu, warga dunia diminta mengundi lokasi yang mereka fikir sebagai keajaiban alam sekitar.

Lebih satu juta undian diterima untuk menyenarai pendek 440 lokasi di 220 buah negara kepada 77 lokasi sahaja. Senarai itu kemudian dipendekkan kepada 28 finalis oleh satu panel pakar.

Tujuh keajaiban alam sekitar yang baru menunjukkan penyertaan beberapa nama-nama tempat pelancongan popular seperti Great Barrier Reef di Australia dan Grand Canyon di AS yang terkeluar daripada senarai akhir pertandingan tersebut.

Pulau Jeju

Walaupun menganjurkan kempen besar-besaran untuk mendapatkan undi, tempat tarikan pelancongan berkenaan tewas dengan lokasi pelancongan kurang popular seperti Pulau Jeju di Korea Selatan, sungai bawah tanah Puerto Princesa dan Pulau Komodo di Indonesia.

Gabenor Jeju Woo Geun Min berkata, penyenaraian itu telah membuka lembaran baharu dalam industri pelancongan kepulauan berkenaan.

"Keputusan ini pastinya akan menarik kehadiran ramai pelancong ke Pulau Jeju, meningkatkan pelaburan dan kesedaran mengenai produk pertanian pulau ini," katanya mengenai pulau yang terkenal dengan limau tangerin itu.

Peneraju kemenangan berkenaan ialah Yang Won-chan. Beliau merupakan setiausaha agung jawatankuasa kebangsaan Jeju untuk Yayasan New7Wonders bagi keajaiban alam semula jadi yang bertungkus-lumus menarik undian sejak setahun lalu.


BINAAN unik dan sejarah yang dipahat Colosseum di Rom Itali telah menarik jutaan pelancong ke negara itu sejak berdekad lalu.


Won-chan yang memiliki klinik ortopedik di selatan Seoul mengambil keputusan menyertai kempen Pulau Jeju pada Oktober tahun lalu selepas Gabenornya, Woo Geun Min memintanya berbuat demikian.

Won-chan juga telah menarik penyertaan individu berpengaruh dan dihormati masyarakat iaitu bekas Perdana Menteri, Chung Un-chan untuk mengetuai organisasi yang belum dilancarkan ketika itu.

Selepas Un-chan bersetuju, jawatankuasa itu ditubuhkan secara rasmi pada 13 Disember 2010.

Won-chan membenarkan jawatankuasa berkenaan menjalankan operasi di tingkat empat bangunan klinik lapan tingkat miliknya secara percuma. Beliau juga mengembara ke Jepun, China dan beberapa negara luar beberapa kali untuk menjalankan kempen berkenaan menggunakan wangnya sendiri.

Yuran

Won-chan juga cuba untuk mengajak ramai selebriti termasuk aktres kelahiran Pulau Jeju, Ko Doo-sim sebagai duta kebudayaan jawatankuasa berkenaan bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Korea dan bukan Korea untuk mengundi.

"Kami tidak menerima sebarang dana daripada kerajaan negeri. Tapi saya mengeluarkan duit poket sendiri untuk menguruskan jawatankuasa ini. Sumbangan daripada penyokong kempen di seluruh negara turut membantu kewangan kempen Pulau Jeju," kata Won-chan.

Pertandingan anjuran Yayasan New7wonders itu yang meletakkan sungai bawah tanah Puerto Princesa di dalam peta pelancongan dunia telah dicemari kontroversi membabitkan jutaan dolar yang didakwa sebagai yuran penyertaan.

Maldives dan Indonesia dikatakan menarik balik penyertaan daripada pertandingan itu dan menuduh pihak penganjur memaksa mereka membayar yuran mengejutkan berjumlah AS$500,000 (RM1,574,500) berdasarkan laporan The Guardian.


PENGUNJUNG menikmati keindahan sungai bawah tanah Puerto Princesa di Filipina.


Bagaimanapun, menerusi e-mel yang dikirim oleh jurucakap Yayasan New7wonders, Eamonn Fitzgerald berkata dakwaan itu tidak berasas.

"Kata kuncinya ialah dakwaan," katanya.

Fitzgerald turut mengemukakan kenyataannya untuk saluran berita Maldives iaitu Minivan News. Beliau memberitahu bahawa New7Wonders terperangkap di dalam politik kedua-dua negara berkenaan.

Ketika diminta memberi kenyataan balas, Setiausaha Kerajaan Tempatan dan Pedalaman Filipina, Jesse Robredo yang mengepalai kempen untuk tarikan pelancongan di Palawan berkata, tuduhan itu mengarut.

"Tidak ada dana atau wang akan dikumpulkan semata-mata untuk menyertai pertandingan ini, apatah lagi membabitkan wang jutaan dolar," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saluran berita berkenaan.

Sabtu lalu, yayasan yang berpangkalan di Zurich, Switzerland itu mengumumkan sungai bawah tanah Puerto Pricesa di Palawan sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban alam sekitar berdasarkan keputusan undian sementara melalui SMS dan Internet.

Dalam pada itu, kerajaan Filipina menjangkakan status baharu itu akan membangunkan industri pelancongan negara berkenaan. Presidennya, Benigno Aquino sendiri menerajui kempen mengundi tapak pelancongan tersebut.

Sungai bawah tanah Puerto Princesa terkenal dengan ciri-ciri saintifik, biologikal dan geologikal telah diumumkan sebagai tapak bersejarah dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1999.

Ia juga dinamakan sebagai Monumen Geologikal Kebangsaan pada Disember 2003.

Dalam perkembangan lain, senarai keajaiban alam sekitar berkenaan telah menimbulkan kejutan apabila menyingkirkan beberapa tempat pelancongan popular seperti Laut Mati di Israel dan Grand Canyon di Amerika Syarikat (AS) walaupun kedua-dua tempat berkenaan berada dalam senarai 10 finalis yang diumumkan Jumaat lalu.

Dalam pada itu, American Society of Civil Engineering (ASCE) pada tahun 1994 telah menyenaraikan tujuh keajaiban dunia moden bagi menghargai pencapaian kejuruteraan awam terhebat pada abad ke-20.


ISTANA Potala yang terletak di Lhasa, ibu kota Wilayah Autonomi Tibet China digelar sebagai mutiara di bumbung dunia kerana keagungan seni binanya.


Kawasan menyelam

Mereka menyenaraikan Terowong Channel di Strait of Dover yang terletak di antara the United Kingdom (UK) dan Perancis, Menara CN di Toronto, Ontario, Canada, Empire State Building di New York, AS, Jambatan Golden Gate di California, AS, Itaipu Dam di Sungai Parana di antara Brazil dan Paraguay, projek pembinaan Delta/Zuiderzee di Netherlands dan Terusan di Isthmus, Panama.

Pada tahun 1989, sebuah organisasi CEDAM membawa panel saintis marin termasuk Dr. Eugenie Clark untuk memilih kawasan-kawasan menyelam yang dianggap paling layak untuk perlindungan.

Keputusan yang diumumkan di The National Aquarium di Washington DC oleh pelakon Lloyd Bridges menyenaraikan tujuh kawasan menyelam iaitu Palau, Belize Barrier Reef, Great Barrier Reef, Laut Dalam Vents, Pulau Galapagos, Tasik Baikal dan Laut Merah Utara.

Penulis British, Deborah Cadbury menulis mengenai tujuh keajaiban dunia industri iaitu sebuah buku yang menceritakan mengenai kejuruteraan terhebat abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Buku itu mendedahkan pembinaan SS Great Eastern, rumah api Bell Rock, Jambatan Brooklyn, sistem pembentungan London, landasan rentas benua pertama, terusan Canal dan empangan Hoover.

Muzik dan tari jadi sahabat

Posted: 17 Nov 2011 04:34 PM PST



SEJAK di bangku sekolah, Jamilah Salihin, 52, menceburkan diri dalam bidang tarian dan muzik bagi mengikuti jejak langkah ayahnya yang juga merupakan seorang pemuzik.

Wanita yang berasal dari Johor Bahru itu memiliki kemahiran bermain violin dan jodoh juga mempertemukan dirinya dengan lelaki yang berkecimpung dalam kancah muzik.

Perkahwinan yang dibina mengurniakan Jamilah dan suami, Shafei Ali, 59, tujuh orang cahaya mata. Setiap daripada mereka dilatih sejak kecil untuk mengikut darah seni kepunyaan ibu bapa mereka.

Jamilah memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan seimbang, baik dari segi ilmiah mahupun kemahiran hidup yang lainnya. Keputusan membentuk anak-anaknya ke arah bidang seni mungkin kedengaran sedikit mendesak tetapi bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebung.

Hasil kesabaran dan usaha Jamilah serta suami membimbing setiap langkah putera dan puteri mereka kini dirasakan berhasil. Impian melihat anak-anak mereka berjaya dalam bidang seni telahpun dijelmakan.

"Bukan niat saya memaksa anak-anak menjadi seperti saya dan suami tetapi ia merupakan satu cara untuk melatih mereka menjadi individu yang memiliki kemahiran tersendiri di samping pencapaian dalam pelajaran.

"Pada awalnya, memang ada dalam kalangan mereka yang degil dan enggan mengikuti kelas-kelas muzik dan tari. Tetapi sebagai ibu, saya harus bijak memujuk dan menerangkan sebaiknya di sebalik keputusan tersebut.

"Alhamdulillah, kini mereka semua tidak lagi merasakan paksaan. Mungkin dulu mereka rasakan sebagai bebanan buat diri mereka, namun sekarang masing-masing telah menunjukkan kecintaan dalam bidang seni," teratur sahaja bait-bait ayat suri rumah sepenuh masa itu saat ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Mengimbas kembali detik-detik awal menghantar anak-anaknya ke kelas tarian di Swatari milik komposer terkenal, Suhaimi Mohd. Zain atau lebih mesra dengan panggilan Pak Ngah, hampir kesemua anaknya terutamanya yang lelaki menolak sekeras-kerasnya pilihan Jamilah.

Biarpun keberatan pada mulanya, lama-kelamaan mereka mula berasa seronok dan semakin mahir melakukan pelbagai gerak tari tradisional dan moden.

Menari di AS


PERASAAN terpaksa yang dirasakan ketika mula menyertai aktiviti seni dulu kini berganti cinta dan membentuk kepuasan dalam hidup anak-anak ini.


Buktinya, anak bongsu Jamilah, Abd. Malik Shafei, 14, terpilih sebagai salah seorang peserta daripada 10 kanak-kanak yang terlibat mewakili Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) bagi mempromosi pelancongan negara di sana tahun lalu.

Berkampung selama 10 hari di negara itu, Malik berasa cukup bertuah kerana penglibatannya itu juga memberikan kesempatan buat dirinya bertemu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang mengetuai program tersebut.

"Sekarang saya telah menguasai gerak tarian zapin, joget, inang dan beberapa lagi tarian tradisional lain.

"Tetapi minat saya lebih kepada bidang muzik dan cita-cita saya adalah menjadi seorang pemain trompet profesional," jelasnya yang memegang posisi sebagai pemain trompet untuk pancaragam sekolahnya, SMK St. John, Bukit Nanas, Kuala Lumpur.

Sementara itu, abangnya, Mohd. Arif Shafei, 15, yang memulakan perjalanan seni seawal umur lapan tahun, turut meminati trompet dan bercadang untuk meningkatkan kemahiran meniup instrumen itu ke peringkat yang lebih tinggi.

Dunia tarian dirasakan agak janggal bagi Arif pada awal penglibatannya. Dia mengakui, minat terhadap jurus kesenian itu tidak datang dengan sendirinya.

"Memang kena paksa masuk kelas tarian tetapi selepas saya dapat menguasai beberapa jenis tarian, saya mula rasa seronok terutama sekali ketika melakukan persembahan.

"Setakat ini saya telah mengiringi persembahan Aizat ketika malam Anugerah Juara Lagu (AJL) tidak lama dahulu untuk lagu Kau Dan Aku yang memenangi Persembahan Terbaik. Saya juga perah menjadi penari cilik untuk mengiringi penyanyi Syazliana ketika AJL pada tahun 2002," ujarnya yang juga mempunyai hobi memancing.

Anak keempat Jamilah, Mohd. Rizdwan Shafei, 21, kini berkhidmat sebagai pemuzik di Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di samping ayahnya.

Sejurus tamat persekolahan, Ridzwan bekerja sebagai artis budaya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama tiga tahun sebagai pemuzik.

Menyeronokkan

Pendedahan awal terhadap bidang seni memudahkan Ridzwan diterima mana-mana organisasi yang memerlukan kumpulan kebudayaan. Dia seringkali dijemput melakukan persembahan tarian dan bermain alat muzik bersama-sama ahli keluarganya.


PENDEDAHAN seni sejak kecil membuatkan adik-beradik ini tidak kekok berada di atas pentas dan bijak berinteraksi dengan penonton.


"Kami sekeluarga pernah menjayakan persembahan di beberapa majlis dan yang terbaharu adalah pada hari raya lalu di Dewan Perdana Felda.

"Ketika itu, ayah bermain muzik dan kami mengiringinya dengan tarian tradisonal. Ia merupakan momen paling menyeronokkan dan amat berharga," kata Ridzwan yang amat menghargai momen kebersamaan dengan keluarga sebegitu.

Berbeza dengan adik-beradiknya yang lain, Siti Saadiah Shafei, 19, memberitahu bahawa minatnya condong kepada bidang tarian kerana menerusi bidang itu, dia dapat menyertai pelbagai majlis-majlis besar dan pergi ke tempat-tempat menarik.

Sejak kecil, anak-anak seni itu telah menerima pelbagai pujian dan sindiran daripada teman-teman sekolah terutama lelaki yang menganggap bidang tarian hanya sesuai dilakukan budak perempuan sahaja.

Pun begitu, ia tidak menjejaskan disiplin mereka untuk terus mendalami bidang muzik dan tari dan hari ini majoriti sahabat mereka cukup mengagumi kelebihan serta kebolehan yang mereka miliki.

Anak-anak Jamilah yang telah tamat persekolahan kebanyakannya melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik. Ridzwan dan Saadiah umpamanya, memiliki sijil muzik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Nur Fazilah Shafei, 26, selaku anak sulung keluarga itu pula kini selesa bekerja di luar bidang seni yang telah menjadi darah dagingnya sejak kecil lagi.

Walaupun tidak lagi aktif, Fazilah tidak boleh mengelak kerinduannya terhadap alatan muzik kegemarannya, violin dan masih lagi mengasah bakatnya itu di saat-saat tertentu.


BAKAT seni keluarga ini sering membuatkan mereka dijemput bagi menjayakan persembahan.


"Tidak mudah membuang perkara yang kita gemari macam itu sahaja, jadi saya masih tetap meluangkan masa bermain violin bersama-sama ibu dan ayah di rumah," tuturnya yang pernah menyertai beberapa teater di Istana Budaya satu ketika dulu.

Melihatkan anak-anak yang sudah besar, Jamilah merasakan keputusan untuk masa depan anak-anaknya telah pun dilaksanakan dan kini terpulang kepada mereka untuk membawa diri dan memilih yang terbaik dalam kehidupan.

"Saya tidak marah jika ada dalam kalangan mereka yang mahu bekerja di luar bidang seni kerana tujuan utama saya menghantar mereka ke kelas-kelas seni itupun bagi mengisi masa lapang mereka.

"Sekurang-kurangnya apabila mereka habis kelas di sekolah, masa mereka akan diisikan pula dengan kelas seni di luar dan menjelang malam, mereka perlu mengulang kaji pelajaran.

"Jadi tiada masa bagi mereka untuk merayau dan melakukan aktiviti tidak berfaedah ketika itu. Saya gembira kerana hari ini mereka mengerti tujuan sebenar saya berbuat demikian," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu