Selasa, 15 November 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Peluang rebut hadiah lumayan

Posted: 15 Nov 2011 10:45 PM PST

Peluang rebut hadiah lumayan

Pelanggan setia Johnson & Johnson, kini boleh merebut peluang memenangi hadiah lumayan bernilai RM36,500, menerusi peraduan Im a Johnson Golden User.

Peraduan itu bermula awal bulan lalu, dan boleh disertai dengan pembelian sebanyak RM15, untuk rang­kaian jenama produk Johnson & Johnson yang terpilih.

Setiap keluarga dengan penyertaan paling banyak bagi setiap minggu, akan berpe­luang membawa pulang baucar emas bernilai RM1,500 setiap satu.

Pengarah Urusan Johnson & Johnson, Joyce Lee berkata, Johnson sentiasa berusaha mencapai standard dalam memberikan perkhidmatan terbaik menerusi jenama dan produk bagi keselamatan, keberkesanan dan memenuhi keperluan pengguna.

"Peraduan ini diadakan khas untuk menghargai pelanggan dengan tawaran ha­diah yang hebat," katanya.

Antara jenama yang turut serta termasuklah Johnson's baby; Johnson's Essential; Johnson's pH5.5; Johnson's Body Care; Neutrogena; Clean & Clear; Listerine; Carefree dan Stayfree.

Aksi seksi, Zarina Anjoulie, dibayar RM11,000!

Posted: 15 Nov 2011 10:45 PM PST

Zarina-Anjouli

Siapa yang tidak kenal dengan model dan pelakon kontroversi, Zarina Anjoulie? Dia yang pernah mengejutkan industri dengan gambar bogelnya yang tersebar di internet sekitar tahun 2008 lalu, kembali 'menghangatkan' alam maya, apabila tampil dengan gambar seksi dengan mendedahkan sebahagian payudaranya, di majalah FHM Indonesia. Meskipun dikecam teruk, Zarina tetap 'kebal' menghadapinya.

Dia yang ditemui ketika majlis pelancaran filem Khon Malaya, berkata, dia dibayar ASD3,500 (RM11,000) untuk fotografi tersebut dan melakukannya demi minat dalam bidang modelling.

"Saya bukan nak jual badan, tapi dibayar untuk kerja. Daripada saya asyik kena kutuk, baik saya kerja dan buat duit.

"Selama ini pun, apa yang saya buat kena kutuk. Saya pakai baju apa pun, kena kutuk, sedangkan ramai lagi artis lain terdedah sana-sini,"katanya.

Berpelukan dalam kereta

Posted: 15 Nov 2011 10:44 PM PST

berpelukan dalam kereta

KULIM - Sebuah kereta jenis Perodua Viva yang berada di kawasan bangunan tinggal di Bukit Putera menarik perhatian polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim berikutan berada dalam keadaan yang mencurigakan, kira-kira jam 3 petang semalam.

Hasil intipan yang dilakukan, polis mendapati pasangan remaja sedang berpelukan di dalam kereta berkenaan.

Polis kemudiannya memaklumkan kepada Pegawai Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) untuk tindakan selanjutnya.

Dari pemeriksaan dibuat, PADK mendapati pasangan perempuan masih bersekolah serta memakai pakaian kokurikulum manakala pasangan lelaki berusia 20 tahun bekerja di sebuah kilang automotif di Karangan.

Ketua Penguat kuasa PADK, Azmi Rejab berkata, ketika soal siasat dijalankan pasangan perempuan menangis dan tidak mahu bekerjasama.

"Bagaimanapun setelah dinasihatkan, kedua-dua mereka akur dengan kesalahan yang dilakukan.

"Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan," katanya.

Menurutnya, masalah remaja terlibat dalam maksiat semakin menjadi-jadi.

"Perkara ini sangat serius. Jika tidak dibendung dari awal, maka rosaklah anak-anak muda kita.

"Bagaimana sekali pun kes yang melibatkan anak-anak ini, ibu bapalah pihak yang pertama perlu bertanggungjawab.
"Anak-anak adalah anugerah ALLAH, maka pikullah tanggungjawab dengan sebaik-baiknya," katanya.

Sementara itu, pasangan terlibat diarah hadir ke ke pejabat PADK untuk diambil kenyataan. Sekiranya gagal berbuat demikian, PADK akan mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka.

Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 9 Enekman Jenayah Syariah 1988 kerana berkelakuan kurang sopan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Jodoh imam dengan gadis muda

Posted: 15 Nov 2011 10:42 PM PST

Jodoh gadis muda

TANAH MERAH - Perarakan 60 kereta dan 40 motosikal dengan 11 das tembakan ke udara mencipta kelainan sempena meraikan majlis perkahwinan Imam Bechah Laut bersama gadis yang 37 tahun lebih muda.

Mat Ibrahim, 64, berkata, jodoh pertemuan ditentukan ALLAH SWT dan perkahwinan keduanya itu akhirnya ditakdirkan bersama gadis 37 tahun lebih muda, Normahayu Shamsudin, 26.
Menurutnya, majlis akad nikah dilangsungkan pada tarikh 11.11.11 tepat jam 11 malam di Masjid Batu 11 dengan hantaran RM5,011.

"Kami tidak pernah berjumpa, cuma saya pernah menyatakan hasrat hati untuk mendirikan rumah tangga kepada rakan baik yang kemudiannya memperkenalkan saya kepada anak saudaranya.

"Perkongsian hidup bersama arwah isteri yang meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang awal Syawal lalu, selama 40 tahun tidak kurniakan dengan zuriat membuatkan saya tegar untuk menikah kali kedua dengan harapan impian untuk memiliki anak sendiri tercapai nanti," katanya kepada Sinar Harian pada majlis kesyukuran sempena meraikan majlis perkahwinannya yang dihadiri 1,000 penduduk sekitar.

Mat berkata, hasratnya itu pasti jadi kenyataan apabila mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati dengan restu kedua-dua keluarga.

"Walaupun sudah berumur, namun keluarga isteri dapat menerima saya seadanya dan merestui perhubungan ini.

"Selepas ini saya tidak lagi sunyi apabila sudah ada yang menemani setiap masa jika dulu hanya menumpang kasih anak saudara dan adik beradik," katanya.

Chef Wan tidak layak jadi juri?

Posted: 15 Nov 2011 10:40 PM PST

Datuk Redzuan Ismail atau Chef Wan

Sejak bermulanya program Maharaja Lawak Mega (MLM), pelantikan chef selebriti terkenal, Datuk Redzuan Ismail atau Chef Wan sebagai juri tetap, mengundang pelbagai reaksi di kalangan pihak.

Walaupun minggu ketiga baru sahaja berakhir pada Jumaat lalu, program ini menjadi semakin 'panas' apabila ramai berpendapat komen Chef Wan terlalu 'pedas' sehingga menyinggung perasaan peserta.

Sebagai contoh pada minggu lalu, kumpulan yang tersingkir, Anje menyifatkan komen yang diberikan Chef Wan sangat 'pedas'.

Anggota kumpulan itu, Acong Sweet Child dan Joey kelihatan tidak berpuas hati dengan kelantangan Chef Wan sehingga mengheret isu tersebut ke dalam sidang media.

Tidak menunggu lama untuk menjelaskan keadaan sebenar, Chef Wan mengatakan bahawa dia memang patut berkata demikian, setelah kumpulan tersebut gagal mempamerkan aksi menghiburkan.

"Saya terpaksa menolak beberapa program masakan untuk hadir ke MLM. Saya datang dengan harapan tinggi untuk melihat persembahan peserta yang menghiburkan.

"Ini bukan rancangan biasa, takhtanya lebih tinggi daripada Raja Lawak dan Maharaja Lawak (ML) kerana barisan peserta bukan calang-calang.

"Jadi, harapan saya turut menggunung untuk lihat sesuatu yang baru dan berharap agar lawak yang dihasilkan tidak pernah kita lihat sebelum ini. Namun, hasilnya gagal kerana komitmen peserta tidak seperti yang saya harapkan.

"Saya kecewa dengan apa yang mereka hasilkan," katanya ketika ditemui di sidang media MLM baru-baru ini.

Chef Wan turut menyatakan bahawa dia tidak kisah jika komen tersebut mengundang kemarahan sebilangan pihak dan dihujani dengan kritikan di laman Twitter atau Facebook miliknya.
"Saya tidak kisah kalau ada yang 'bantai' saya kerana komen tersebut kerana saya bercakap berdasarkan mata penonton. Kalau saya sebagai juri pun sudah 'muak' dengan aksi mereka, bagaimana pula dengan penonton?

"Mereka bersengkang mata untuk melihat program ini di lewat malam, tetapi ia seakan tidak berbaloi jika hanya ini yang peserta dapat berikan.

"Komen saya, berdasarkan persembahan yang dihasilkan. Saya tidak 'kejam' untuk memberi komen negatif jika persembahan mereka memenuhi cita rasa," katanya yang mengharapkan agar minggu keempat lebih baik dari minggu sebelumnya.

Mana insentif baja, racun

Posted: 15 Nov 2011 10:39 PM PST

safa

SEBERANG PERAK - Akibat tidak menerima insentif baja dan racun, petani kawasan Seberang Perak mendakwa terpaksa menanggung kerugian kerana tanaman mereka tidak berapa menjadi.

Antara kawasan yang terlibat adalah, Kampung Sungai Jejawi, Kampung Sungai Ke­rang, Kampung Sungai Timah, Kampung Sungai Buaya dan petani Blok A.

Petani, Azhar Ibrahim, 43, berkata, pihak bertanggungjawab tidak menyerahkan insentif yang sepatutnya mereka terima walaupun padi sudah hampir masak.

Menurutnya, petani rugi kerana hasil padi yang diterima tidak seberapa akibat kekurangan baja dan racun.

"Jika dahulu bagi 1.2 hektar padi kebiasaannya kami boleh memperoleh pendapatan sebanyak RM7,000 hingga RM10,000 tetapi kini hanya meraih sebanyak RM4,000.

"Perkara ini merugikan kami kerana kebanyakan penduduk di sini hanya bergantung pada hasil padi," katanya kepada Sinar Harian.

Azhar berkata, kelewatan itu berlaku sejak penanaman padi bagi tiga musim yang lalu.

Jelasnya, sebelum ini, tiada kelewatan penyerahan baja dan racun berlaku.

"Kami tertanya-tanya apa yang berlaku dan memohon kerjasama pihak berkaitan bagi memberi penjelasan.

"Bagi petani yang mempunyai kewangan, mereka menyediakannya sendiri tetapi bagi yang tidak mampu sudah tentu terpaksa menanggung kerugian," katanya.

Bagi petani, Nok Ahmad, 45, selain itu, subsidi baja organik untuk musim lalu juga masih belum diterima.

Katanya, petani tertanya-tanya bagaimana pihak pengurusan mengendalikan perkara itu dan jangan membuat mereka berharap kepada perkara yang tidak pasti.

Sementara itu, petani, Ismail Nayan, 52, berkata, baru-baru ini dalam sidang Parlimen mengatakan ada insentif peningkatan padi dalam jumlah tertentu.

Namun, katanya, apa dikesalkan petani yang mempunyai peningkatan hasil tidak menerima insentif itu.

"Ini juga menimbulkan persoalan kepada kami mengenai insentif berkenaan sama ada berlaku penyelewengan ataupun sekadar omong kosong sahaja," katanya.

Tidak pulang lebihan bayaran

Posted: 15 Nov 2011 10:37 PM PST

Tidak pulang lebihan bayaran

KAMUNTING – Lebihan bayaran yang didakwa tidak dikembalikan oleh sebuah bank, di sini, menyebabkan seorang pengguna, Abu Hassan Abdul Hamid, 48 merasa tidak puas hati.

Abu Hassan berkata, masalah berkenaan bermula ketika dia menghadapi masalah kewangan sehingga gagal menunaikan perjanjian sewa beli yang telah ditandatangani dengan bank berkenaan.

Menurut Abu Hassan, anak-anaknya masih bersekolah ketika itu menyebabkan keretanya telah dilelong oleh pihak bank.

"Pada 15 September lalu, saya menerima surat daripada pihak bank yang menyatakan hutang tertunggak saya berjumlah RM9,000 dan perlu dibayar sekali gus yang mana tempoh bayarannya sah sehingga 30 Oktober 2011.

"Selepas sebulan surat berkenaan diterima, saya telah menerima sepucuk lagi surat daripada bank berkenaan yang bertarikh 23 September 2011," katanya ketika ditemui di Wisma Padu, di sini.

Katanya, dalam surat kedua yang diterima, pihak bank telah menyatakan hutangnya berjumlah RM10,945.99 dan tempoh sah surat adalah sehingga 30 September 2011 sahaja.

Dalam masa yang sama, menurut Abu Hassan, dia telah membuat pinja­man­ peribadi dengan sebuah bank lain untuk melangsaikan semua hutang tertunggak dan telah diluluskan.

"Dalam pada itu saya telah menerima sepucuk lagi surat daripada bank sama yang menawarkan pembayaran hutang tertunggak sebanyak RM5,182.91 dan sah sehingga 31 Disember tahun ini.

"Saya tidak puas hati kerana telah membuat ara­han­ kepada sebuah lagi bank untuk membayar semua hutang secara terus kepada bank berkenaan melalui 'Cashier Order' sebanyak RM9,000," katanya.

Penasihat Pengguna, Dr Billy Toh memaklumkan akan membawa aduan Abu Hassan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Bank Negara Malaysia.

152,182 anak luar nikah dalam 2 tahun

Posted: 15 Nov 2011 10:37 PM PST

Senator Heng Seai Kie

KUALA LUMPUR - Seramai 152,182 anak luar nikah direkodkan Kementerian Pemba­ngunan Wanita, Ke­luarga dan Masyarakat dari 2008 hingga 2010.

Timbalan Menterinya, Heng Seai Kie berkata, dari pada jumlah itu, Sabah mencatat angka tertinggi dengan 41,490 orang, diikuti Selangor (18,983) dan Sarawak (17,570).

Beliau berkata, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), telah menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara bagi mengintegrasikan pendidikan kesihatan reproductive dan sosial.

"Program itu melibatkan 64,000 remaja mengenai pendidikan dan risiko yang terpaksa ditempuhi kerana tindakan mereka," katanya semasa menjawab soalan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Mohd Jidin ingin tahu jumlah anak luar nikah direkodkan sejak 2008, punca masalah dan inisiatif kementerian membendung gejala itu.

Seai Kie berkata, enam pusat remaja ditubuhkan untuk golongan sasar berumur antara 13 dan 24 tahun, bagi memberi maklumat berkaitan isu psikososial termasuk menyediakan khidmat kaunseling dan kemahiran hidup.

"Program outreach yang dilakukan di sekolah dan komuniti setempat itu berjaya mendekati 257,147 remaja, melalui 4,698 program dari November 2005 hingga September 2011," katanya.

Timbalan Menteri Ke­sihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula memberitahu dewan bahawa 24,813 orang, dimasukkan ke hospital kerajaan kerana masalah berkaitan mental tahun lalu.

"Setakat ini, kita ada empat institusi mental di seluruh negara, 42 hospital kerajaan yang menyediakan perkhidmatan rawatan mental dan 124 pakar dalam bidang tersebut," katanya kepada soalan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (Pas-Pengkalan Chepa).

Rosnah berkata, usaha sedang dijalankan bagi meningkatkan kesedaran awam serta kepekaan masyarakat untuk mengenal pasti tanda-tanda awal dan mereka yang berpotensi mendapat rawatan awal.

Dira Helmi saling melengkapi

Posted: 15 Nov 2011 10:36 PM PST



KELEGAAN dan kegembiraan jelas terpancar pada wajah pelakon dan pengacara rancangan popular Melodi, Dira Abu Zahar sebaik sahaja sah menjadi isteri kepada pengarah fotografi, Mohd. Helmi Mohd. Yusof tanggal 11.11.11 lalu.

Manakan tidak, pada tarikh yang dianggap ramai sebagai amat unik malah 'keramat' buat sesetengah individu kerana ia tidak lagi akan muncul di masa hadapan itu adalah hari penuh bermakna buat Dira.

Ini kerana, tarikh itu menandakan figura berusia 27 tahun itu kini kembali menjejakkan kaki ke alam rumah tangga dan bergelar isteri, selepas perkahwinan pertamanya selama tiga tahun bersama salah seorang anggota kumpulan Bau, Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd. Shahid atau Ash, 28, berakhir dengan episod perceraian pada 8 April tahun lepas.

Ditemani zuriat tunggal hasil perkahwinannya bersama Ash, Tengku Anggun Deandra yang sudah mencecah usia dua tahun, Dira dan Helmi dinikahkah oleh Imam 1 Masjid Merlimau Pasir, Mat Yamin Long menjelang pukul 4.16 petang dengan tiga kali lafaz nikah.

Majlis resepsi serba sederhana itu diadakan di kediaman keluarga pemilik nama lengkap Khaidirah Abu Zahar di Batu Gajah, Merlimau, Melaka yang menyaksikan kedua-dua mempelai kelihatan bak pinang dibelah dua apabila menggayakan persalinan serba putih rekaan Anizam Yusof, manakala solekan Dira hasil sentuhan Zamri Zainol.


HELMI tiada halangan andai Dira ingin meneruskan aktiviti seninya.


Dira yang merupakan anak bongsu kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin menerima mas kahwin sebanyak RM7,777.77 dan wang hantaran berjumlah RM17,171.71 daripada Helmi. Sememangnya cukup unik. Sudahlah memilih tarikh 11.11.11 untuk melangsungkan perkahwinan, angka wang hantaran dan mas kahwin masing-masing pula diwakili nombor satu dan tujuh.

Apa yang menarik, biarpun pengantin perempuan lebih dikenali umum atas dasar kerjayanya sebagai hos Melodi dan pelakon, namun pengantin lelaki juga tidak betah untuk beramah mesra dan melayan kerenah pihak media yang mengajukan soalan demi soalan bertubi-tubi kepada mereka.

Setiap topik yang dibincangkan, bukan sahaja menyaksikan Dira yang membuka mulut tetapi Helmi turut tidak ketinggalan memberikan info menjadikan sesi temuramah dengan pasangan pengantin ini agak meriah!

Kata Dira, dia dan Helmi memilih nombor satu dan tujuh sebagai mas kahwin dan hantaran kerana kedua-dua nombor berkenaan merupakan nombor kegemaran mereka berdua.

Mengenai 11.11.11 sebagai hari pernikahan pula, akui Dira, tarikh itu dipilih memandangkan ia cantik dan mudah diingati selain jatuh pada hari yang mulia dalam Islam iaitu hari Jumaat.

"Harapan saya ialah rumahtangga yang dibina ini juga cantik secantik tarikh hari ini (11.11.11) dan berkekalan hingga ke akhir hayat. Itu harapan setiap insan yang berkahwin tidak kira apa tarikh sekalipun," luah Dira yang pernah membintangi drama Tower 13, Akinabalu dan Arjuna.

Helmi, 33, pula berkata, dia dan Dira sebenarnya merancang untuk bernikah pada 1 Julai tahun ini namun kesibukan tugas masing-masing menyebabkan ia terpaksa ditangguh dan mereka akhirnya bersetuju memilih 11.11.11.

Air dan Api

Helmi dalam pada itu mengakui betapa dia sangat gembira bergelar suami kepada Dira kerana apa yang dirancang selama ini berjalan lancar walaupun perkenalan mereka singkat, tidak sampai setahun.

Boleh dikatakan ia merupakan cinta kilat antara Dira dan Helmi.

Namun, impak daripada kelancaran dalam perhubungan itu sebagaimana dijelaskan Helmi, dan takdir pula mengatakan jodoh mereka kuat untuk bergelar suami isteri, lantas segala-galanya itu lalu bersatu menjadi pencetus kepada penyatuan Dira dan Helmi untuk melayari bahtera rumahtangga.

"Saya sudah lama simpan niat nak kahwin dan Alhamdulillah bertemu Dira kami tak ambil masa yang lama untuk bercinta. Mungkin seru dah sampai dan jodoh kami kuat. Umur saya sudah mencecah 33, kawan-lawan cakap tunggu apa lagi. Dira pelengkap hidup saya," bicara bekas tunang aktres dan model popular Nasha Aziz itu.

Dalam senyuman yang cukup manis, Dira yang berada di sisi Helmi lantas menjelaskan hubungannya dan Helmi mula rapat ketika mereka terbabit dengan penggambaran drama arahan Afdlin Shauki, Untuk Tiga Hari pada penghujung tahun lepas sebelum mereka kemudian mengambil keputusan untuk bertunang 15 Februari lalu.

Bukan itu sahaja, tambah Dira, Helmi juga merupakan seorang yang tenang dan menyifatkan lelaki itu sebagai air yang dapat menyejukkan dirinya setiap kali dia berada dalam keadaan marah.

Ditambah pula dengan keserasian dan kemesraan antara Helmi dan Anggun membuatkan Dira benar-benar terharu dan tersentuh lalu yakin dengan keputusannya untuk hidup bersama Helmi adalah tepat selepas Helmi melamarnya selepas kira-kira enam bulan tempoh perkenalan mereka.


UNIK. Topi keledar putih dan kek berbentuk tangki minyak motosikal kuasa tinggi antara barangan hantaran daripada Helmi khusus buat Dira.


"Saya bersyukur kerana abang Helmi menerima Anggun seadanya dan mengatakan dia sangat menyayangi saya dan Anggun. Bukan saya yang pinta, tetapi dia sendiri yang mahu membina keserasian dengan Anggun," ucap Dira.

Sementara Helmi pula mencelah, katanya: "Sememangnya, saya seorang yang gemar pada kanak-kanak-kanak dan mempunyai ramai anak saudara. Anggun akan saya anggap seperti anak sendiri. Tentang sikap Dira yang ada kalanya boleh diibaratkan seperti api khususnya ketika dia sedang marah, saya sememangnya menyukai sikapnya itu. Ini kerana kami boleh bertolak ansur dan mudah menyelesaikan segala masalah yang timbul."

Menyentuh mengenai kerjaya pula, Helmi berkata, dia tiada halangan jika Dira meneruskan penglibatannya dalam bidang seni.

"Saya juga terlibat dalam bidang sama seperti Dira. Sejak bertunang lagi kami dah pandai susun masa untuk bersama," katanya yang merancang untuk berbulan madu di Eropah penghujung tahun ini selepas berbulan madu di Bali dalam tempoh terdekat ini.

Motosikal kuasa tinggi

Majlis resepsi yang berlangsung di kediaman Dira di Melaka itu bukan sahaja dimeriahkan dengan kunjungan sanak saudara dan sahabat handai tetapi juga rakan-rakan artis Dira dan Helmi termasuklah Afdlin Shauki, Reizman Khuzaimi dan Harun Salim Bachik.

Namun, antara elemen yang memeriahkan lagi majlis perkahwinan Dira dan Helmi ini sudah tentu barangan hantaran mereka yang ternyata unik, sama unik dengan tarikh perkahwinan dan angka wang hantaran serta mas kahwin mereka.

Pihak pengantin perempuan menerima sembilan dulang hantaran daripada pengantin lelaki yang termasuklah beg tangan, minyak wangi, telekung, iPad 2, topi keledar berwarna putih, kek berbentuk tangki minyak motosikal kuasa tinggi.


DIRA sedang memangku Anggun sambil memerhati Helmi pada upacara akad nikah yang berlangsung di kediaman Dira di Melaka, Jumaat lalu.


Khusus buat pihak pengantin lelaki pula, pengantin perempuan membalas dengan 11 dulang hantaran antaranya komputer riba Apple Macbook Air, senaskhah al-Quran, dompet, kurma, coklat, buah-buahan, minyak wangi, kasut dan topi keledar berwarna hitam.

Menariknya, topi keledar dan kek berbentuk tangki minyak motosikal kuasa tinggi ternyata berjaya membezakan dan menjadikan barangan hantaran Dira dan Helmi unik dan lain daripada pengantin yang lain.

Sementelah berhampiran pintu utama kediaman Dira, lokasi berlangsungnya majlis perkahwinannya itu turut dihiasi dengan tiga keping foto bersaiz mega yang menunjukkan Dira dan Helmi bersama motosikal kuasa tinggi. Apakah kisah di sebaliknya?

"Dira dan Helmi sememangnya gemar menunggang motosikal kuasa tinggi dan kami berkongsi hobi ini," akui Dira ringkas. Namun, pada majlis resepsi tersebut, Helmi muncul ke lokasi majlis dengan menaiki kereta Lamborghini dan bukan dengan menunggang motosikal kuasa tinggi.

Ini kerana acara menunggang motosikal kuasa tinggi sudah ditetapkan untuk dilakukan pada majlis resepsi kedua Dira dan Helmi yang bakal berlangsung di Lanai@Matic, di Kuala Lumpur malam Ahad lepas.

Acara gilang-gemilang yang turut dimeriahkan dengan percikan bunga api di udara itu menyaksikan rombongan tujuh buah motosilkal berkuasa tinggi termasuk yang ditunggang Dira dan Helmi secara berasingan tiba di lokasi majlis resepsi yang bertemakan rock-chic dengan kostum pengantin hasil kombinasi warna hitam dan putih.

Memeriahkan lagi majlis resepsi tersebut adalah kemunculan rakan-rakan artis termasuklah Nabil Raja Lawak, Bront Palarae, Sharifah Amani dan ibunya, Fatimah Abu Bakar, Sharifah Shahira dan suami, Ijoy serta tidak ketinggalan pasangan pelakon muda yang bakal melangsungkan perkahwinan menjelang 20 November ini, Zahiril Adzim dan Shera Aiyob.

Henry Golding teruja pergi New Zealand

Posted: 15 Nov 2011 10:35 PM PST


HENRY GOLDING sememangnya terkenal sebagai hos program berbentuk pelancongan. Terkini, dia diberi kepercayaan mengendali program Now Everybody Can Fly To New Zealand.


SELEPAS mengacarakan program Welcome To The Rail World dan Without Boundaries - Islands and Beaches, Henry Golding sekali lagi diberi kepercayaan pihak 8TV untuk mengemudi program terbaharu mereka iaitu Now Everybody Can Fly To New Zealand.

Program terkini 8TV itu akan membawa penonton menerokai negara yang terkenal dengan jolokan middle earth yang mempunyai pelbagai aktiviti lasak dan menarik.

Telah bersiaran sejak 6 November lalu pada setiap hari Ahad, pukul 10.30 malam, Henry ketika ditemui melahirkan rasa gembira kerana diberi peluang merasai pengalaman melancong ke negara yang belum pernah dijejakinya.

"Sejujurnya, pengalaman melancong ke New Zealand merupakan satu pengalaman bermakna buat diri saya. Saya tidak dapat menjangkakan apa yang ada di sana sehingga ia berada di depan mata.

"Setiap hari saya melalui pengalaman yang berbeza di sana. Saya telah melakukan pelbagai aktiviti di luar imaginasi seperti bungy jumping, menunggang kuda dan pelbagai lagi. Malah, saya berjaya mengatasi ketakutan untuk melakukan aktiviti-aktiviti lasak seperti itu," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran program Now Everybody Can Fly To New Zealand di Sri Pentas, Petaling Jaya.

Sementara itu, menurut Pengurus Pemasaran Kreatif dan Komunikasi 8TV, Farah Shamsudin, program itu bakal membuatkan penonton teruja untuk melihat keindahan dan keistimewaan destinasi-destinasi menarik di New Zealand.

"Dalam program lapan episod ini, anda juga dapat menyaksikan perbezaan budaya dan cara hidup sekali gus melancong tanpa perlu mengeluarkan bajet yang banyak," katanya.

Bakat hebat si kecil Greyson

Posted: 15 Nov 2011 10:33 PM PST


GREYSON bukan sahaja mempunyai vokal yang baik, tetapi juga boleh bermain alat muzik.


SEKADAR ingin membuktikan kehebatan bermain piano sambil menyanyi kepada kawan-kawannya pada tahun 2009, Greyson Michael Chance, 14, tidak sesekali menyangka videonya sewaktu membuat persembahan di sekolah ditonton lebih 300,000 orang di laman YouTube selepas dua hari dimuat naik.

Tambah mendebarkan selepas seminggu videonya yang menyanyikan lagu Paparazzi (nyanyian asal Lady Gaga) memperoleh lebih 2 juta tontonan dan kini videonya itu mendapat hit sebanyak 44 juta dan angkanya kian bertambah.

"Saya tidak suka melihat diri sendiri menyanyi, sampailah saya terkejut dan tidak menyangka video yang saya muat naik di YouTube ditonton sebegitu ramai," katanya ketika pertemuan kali pertama di hotel JW Marriot, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Akademik atau karier

Kehadirannya ke Malaysia selama seminggu dari 11 hingga 17 November ini untuk mempromosikan album terbaharunya berjudul Hold On 'Till The Night telah direalisasikan oleh Tunetalk Mobile Prepaid dan Universal Music Malaysia.

Maka, kesempatan bersua dengan bintang sensasi YouTube ini sedikit sebanyak membuka peluang mencari sisi lain dalam diri remaja kelahiran Oklahoma, Amerika Syarikat itu.

Bagi figura yang terpaksa berdepan dengan dua prioriti iaitu belajar dan berkarier, pasti ada perancangan tersendiri untuk memastikan kedua-duanya berjalan sealiran.

"Saya suka matematik dan mengembara, dalam pada saya sibuk dengan promosi album dan sebagainya saya terpaksa mempunyai tutor peribadi dan sekolah dalam talian.

"Mujurlah ibu atau bapa saya sentiasa menemani saya ke mana saja demi memastikan saya tidak ketinggalan dalam pelajaran," bicara anak bongsu daripada tiga beradik itu.


PEMINAT setia Greyson hadir bersama kata-kata semangat yang dicatat pada sepanduk.


Dia tidak mudah melatah apabila ada ketikanya dia disamakan dengan Justin Bieber memandangkan popularitinya turut dirangsang atas faktor YouTube.

"Saya dan Bieber kawan rapat, kami ada aliran muzik yang berbeza malah suaranya juga tidak kurang hebatnya," tegasnya yang menghasilkan album mengambil inspirasi daripada grup Paramore.

Teman YouTube

Berbicara mengenai album sulungnya yang memuatkan 11 buah lagu dan separuh daripadanya ditulis sendiri oleh Greyson, katanya menulis lirik lagu menjadi impiannya dari awal lagi.

"Saya ingin jadi seorang artis serba boleh dan berjaya, semahunya itu impian yang ingin dicapai 10 tahun lagi," tuturnya yang menggemari lagu Take A Look At Me Now dalam albumnya.

Seandainya diberikan pilihan untuk berduet dalam album, Greyson juga sudah punyai senarai sendiri.

"Saya teringin untuk berduet dengan Lady Gaga kerana dia seorang yang unik dan tidak normal, penyanyi berbakat besar Charice Pempengco dan Bruno Mars," singkapnya yang melabelkan diri sebagai kelakar dan berani.

Dalam pada itu, Greyson benar-benar teruja saat dipertemukan dengan bintang YouTube tanah air, Najwa Latif untuk sesi latihan menjelang Anugerah Industri Muzik (AIM 18) baru-baru ini.

"Dia manis orangnya dan saya kagumi bakat yang dia ada, sebelum ini saya cuma melihatnya di YouTube dan akhirnya sekarang dapat berduet dengannya," katanya yang menyanyikan medley lagu Waiting Outside The Lines dan Paparazzi bersama Najwa Latif ketika AIM 18 pada hari Sabtu lalu.

Eksperimental komedi sulung Syamsul

Posted: 15 Nov 2011 10:32 PM PST


TIGA sekawan. Dari kiri: Shaheizy Sam, Scha Al-Yahya dan Syamsul.


SEBAGAI seorang pengarah muda yang berumur 27 tahun, Syamsul Yusof memang terkenal dengan sikapnya yang gemar mencuba perkara yang lari daripada kebiasaan yang dilakukannya sebelum ini.

Jika sebelum ini, filem seram pertama arahannya, Khurafat berjaya menduduki senarai pecah panggung, kini Syamsul mengambil langkah berani untuk mencuba genre yang jauh berbeza daripada apa yang dilakukannya iaitu filem romantik komedi.

Sememangnya ia genre yang jelas berbeza dengan sebelum ini. Syamsul sebelum ini lebih banyak menggarap filem-filem berbentuk aksi.

Namun ingin memberi kelainan dan mencuba sesuatu yang baharu, dengan menggembleng tenaga bersama bapanya yang bertindak sebagai penulis skrip, Syamsul mengambil inisiatif untuk melangkah ke fasa baharu di dalam karier pengarahan dan juga lakonan.

Filem bergenre romantik komedi ini diberi judul Aku Bukan Tomboy yang menampilkan Scha Al-Yahya diangkat sebagai pelakon utama sebagai seorang tomboi serta bergandingan dengan dua orang jejaka yang merupakan pelakon berbakat, Shaheizy Sam dan dirinya sendiri.

"Filem Aku Bukan Tomboy sangat istimewa kerana ini merupakan kerjasama pertama saya bersama ayah. Idea asal filem ini datangnya daripada ayah saya namun dibuat pengolahan semula untuk menjadikan ia lebih mudah dan tidak terlalu berat untuk tatapan penonton.

"Sebagai pembikin filem, saya harus yakin dengan apa yang saya lakukan dan bagi saya, ia merupakan filem romantik komedi yang lain daripada yang lain," tutur Syamsul semasa sidang akhbar majlis pratonton yang bertempat di panggung Golden Screen Cinemas (GSC), Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ini merupakan filem keenam arahan Syamsul di bawah terbitan syarikat produksi bapanya sendiri iaitu Skop Productions selepas Evolusi KL Drift, Bohsia…Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift 2, Khurafat serta KL Gangster.

Sementara itu, sebagai penerbit dan juga bapa kepada pengarah muda ini, Datuk Yusof Haslam menyokong tindakan berani anaknya itu dalam percubaan komedi sulung yang ingin tampilkan kelainan dan lari daripada filem-filem komedi yang ada.

Mengenai penghasilan skrip pula, cerita Yusof, kebanyakan filem-filem yang dihasilkannya sebelum ini adalah melalui pengupasan dari zaman yang telah dilaluinya.

"Paksi cerita ini tidak lari daripada apa yang saya gambarkan, namun, ingin menyesuaikan dengan keadaan dan zaman kini, Syamsul telah mengolah bagi mencantikkan lagi perjalanan cerita di dalam filem ini," tuturnya mengenai penghasilan skrip filem Aku Bukan Tomboy ini.

Ditebak persoalan mengapa membuat keputusan untuk mengeluarkan filem berkisar kehidupan seorang tomboi, jawab penerbit Skop Productions ini, fenomena tomboi telah banyak berlaku di dunia hari ini, namun filem ini bukanlah ingin memperlekehkan mana-mana pihak yang terlibat.

"Jauh sama sekali jika dikatakan kami ingin memperlekehkan mana-mana pihak. Tujuannya adalah kita ingin memberi mesej kepada masyarakat bahawa jangan kita memandang serong seseorang yang berperwatakan begini melalui luaran mereka walaupun pada zahirnya mereka kelihatan seperti lelaki.

"Di samping itu juga, kita ingin mengupas isu-isu semasa yang berlaku kini dan dari situ semoga penonton dapat memikir di mana mesej yang boleh diambil di dalam filem ini," ujar Yusof.

Apa yang pasti, menurut Syamsul, ini bukan merupakan filem komedi terakhir daripadanya kerana dia masih lagi akan berusaha menghasilkan filem genre begini di masa akan datang dan juga berkemungkinan Aku Bukan Tomboy akan ada sambungannya jika filem ini mendapat sambutan ramai.

Filem Aku Bukan Tomboy mengisahkan tentang si gadis tomboy yang dibesarkan oleh bapanya selepas kehilangan ibunya sejak kecil. Di sebalik hati seorang gadis tomboi ini, dia turut menyimpan hati terhadap seorang lelaki, sama seperti perempuan normal yang lain. Akhirnya, tanpa disedari dia berada dalam percintaan tiga segi di antara dua jejaka iaitu Harry dan Burn.

Selain Scha, Sam dan Syamsul, filem yang akan menemui penonton di pawagam tanah air pada esok 17 November ini turut menampilkan lakonan Harun Salim Bachik , Eira Syazira, Sheera Iskandar, Salina Saibi dan Zarina Zainordin.

Payah nak cari makan

Posted: 15 Nov 2011 10:31 PM PST


MOHD. RIDZUAN (depan tengah) bersama para peniaga yang memprotes larangan DBKL di Danau Kota malam kelmarin.


KUALA LUMPUR - Sebahagian besar daripada kira-kira 600 peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan harian di Up Town Danau Kota di sini mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengkaji semula arahan menutup premis mereka selama dua hari setiap minggu.

Rata-rata peniaga membantah arahan penutupan setiap hari Isnin dan Selasa sejak 1 November lalu kerana ia menyebabkan pendapatan mereka terjejas.

Salah seorang peniaga, Shaari Yusof, 46, berkata, tindakan DBKL itu menyekat periuk nasi mereka.

Menurutnya, sekiranya peniaga diminta supaya bercuti ia hanya akan memberi tekanan kerana peniaga terpaksa menanggung beban hutang.

Bagi rakannya, Mohd. Ibrahim Marican, 52, dia hairan dengan tindakan DBKL itu.

"Kami sudah berniaga sejak enam tahun yang lalu dan mengapa baru sekarang buat arahan," soalnya.

Seorang lagi peniaga, Hashim Yunus, 46, pula berkata, arahan DBKL itu dilihat tidak adil.

"Peniaga ada yang membuat pinjaman daripada pihak bank. Sekiranya cuti dua hari, ia beri kesan negatif," jelasnya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia, Mohd. Ridzuan Abdullah pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan DBKL berhubung perkara itu.

'Dia bukan suami saya'

Posted: 15 Nov 2011 08:55 PM PST


HO (kanan) dan Michael menunjukkan gambar Keng Hong kepada pemberita pada sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Seorang wanita memohon pihak berkuasa berbuat sesuatu terhadap empat ah long yang kini memaksanya membayar hutang seorang lelaki yang menyewa rumahnya dan mendakwa dia adalah isterinya.

"Saya cuma menyewakan rumah kedai saya di Seri Kembangan, Selangor kepada lelaki itu yang dikenali sebagai Mei Keng Chong, 39, sejak tiga bulan lalu dan tidak pernah mengenalinya sebelum ini.

"Dia cuma membayar sewa satu kali sahaja dan terus menghilang sehingga hari ini. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan panggilan ah long yang mengatakan 'suami' saya itu telah membuat pinjaman dan minta saya bayar segera," kata wanita itu yang mahu dikenali sebagai Ho.

Menurut Ho, akibat perbuatan Keng Cheong, rumahnya pernah beberapa kali disimbah cat merah selain edaran poster yang memintanya menjelaskan hutang lelaki itu.

"Saya dan suami saya kini hidup dalam ketakutan kerana kumpulan ah long itu sering menghubungi kami tanpa mengira waktu.

"Berapa banyak yang dia berhutang saya pun tidak tahu dan tidak mahu tahu kerana saya bukan isterinya malah tidak pernah kenal siapa dia," katanya pada sidang media di pejabat Pengerusi Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Michael Chong di Jalan Ampang di sini baru-baru ini.

Maklumat bocor, peniaga lari

Posted: 15 Nov 2011 08:53 PM PST


AB. GHANI (kanan) bersama kakitangannya memeriksa pakaian sukan tiruan yang dirampas daripada premis jualan di hentian bas MBKT di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Tingkat satu Hentian Bas Majlis Daerah Kuala Terengganu (MBKT) yang menempatkan kedai jualan pakaian tiba-tiba lengang apabila 20 premis ditutup awal semalam.

Ia dipercayai ekoran kebocoran maklumat serbuan oleh pihak Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri selepas mendapat aduan aktiviti menjual pakaian berjenama Adidas tiruan.

Timbalan Pengarahnya, Ab. Ghani Harun berkata, serbuan itu dilakukan ekoran aduan daripada pihak Adidas tentang penjualan pakaian tiruan jenama itu secara berleluasa di lima buah premis perniagaan di hentian itu.

Namun begitu, katanya, 15 premis menjual pakaian berjenama tiruan lain turut menutup perniagaan mereka kerana bimbang diserbu.

"Aduan kita terima daripada pihak Adidas yang menjalankan pemantauan sebelum ini dan lengkap dengan nama kedai dan alamat.

"Ia membolehkan kita terus menyerbu premis yang disasarkan namun mereka menutup pula kedai hari ini (semalam)," katanya ketika ditemui.

Bagaimanapun katanya, kelima-lima premis berkenaan tetap diserbu dan pihaknya melaksanakan prosedur standard operasi (SOP) mengikut peraturan yang telah ditetapkan bagi membolehkan premis berkenaan dipecah masuk.

Banjir besar di negeri pantai timur

Posted: 15 Nov 2011 08:52 PM PST


FENOMENA air pasang besar di pantai timur Semenanjung Malaysia diramal berlaku pada 25 Disember ini dan 23 Januari tahun depan. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Beberapa negeri di pantai timur Semenanjung dijangka mengalami banjir besar ekoran fenomena air pasang besar yang diramal berlaku pada 25 Disember dan 23 Januari tahun depan.

Pakar Oseanografi, Prof. Dr. Kamaruzaman Yunus berkata, kawasan pantai timur dan Sarawak lebih terdedah kepada fenomena tersebut selain didorong oleh faktor tiupan angin Monsun Timur Laut yang dikaitkan dengan musim tengkujuh.

"Fenomena air pasang besar ini berlaku disebabkan oleh tarikan graviti bulan dan bumi.

"Jika sesebuah kawasan atau negeri menerima hujan yang luar biasa dan pada masa yang sama fenomena air pasang berlaku, banjir besar akan melanda," katanya ketika dihubungi semalam.

Kamaruzaman yang juga Dekan Fakulti Sains Universiti Islam Antarabangsa (UIA) cawangan Kuantan memberitahu, banjir tersebut dijangka lambat surut ekoran paras air laut yang tinggi.

Istana Negara kini di Jalan Duta

Posted: 15 Nov 2011 08:51 PM PST

BENDERA Peribadi Yang di-Pertuan Agong dinaikkan di pekarangan Istana Negara di Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Upacara pemindahan Istana Negara dari istana yang lama di Bukit Petaling ke istana yang baharu di Jalan Duta di sini dilakukan secara penuh istiadat di sini semalam.

Ia bermula dengan upacara menurunkan bendera peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di istana lama yang berusia 83 tahun di tepi Bukit Petaling kira-kira pukul 9 pagi.

Upacara yang dilakukan oleh sekumpulan 10 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu menandakan penutupan rasmi bangunan yang tersergam indah dan ditandai dua kubah emas itu.

Bendera itu kemudiannya diarak keluar dari kawasan istana pada pukul 9.15 pagi dan diserahkan kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil di hadapan pagar masuk istana dan dibawa ke Istana Negara yang baharu di Jalan Duta.

Tengku Farok Hussin kemudiannya mengarahkan Bentara Istana Negara, Rosli Asri mengunci pintu masuk utama istana lama menandakan segala tugas telah tamat di Istana Negara sebelum mengorak langkah ke Istana Negara yang baharu di Jalan Duta bagi istiadat menaikkan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong.

Kawalan itu dilaksanakan Batalion Pertama RAMD dan Skuadron Istiadat Berkuda melibatkan seramai tiga pegawai, 69 anggota lain-lain pangkat dan 12 ekor kuda.

Selepas itu, Istiadat Menaikkan Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di kompleks Istana Negara baharu bernilai kira-kira RM800 juta itu menandakan pemindahan rasmi tersebut.

Istiadat itu dimulakan dengan perbarisan oleh 52 anggota RAMD serta 12 Skuadron Istiadat Berkuda.

Kuartet 4x400 meter dilayan macam pelarian

Posted: 15 Nov 2011 08:51 PM PST

KECERIAAN kuartet 4x400m negara (dari kiri) Mohd. Yunus, Kannathasan, Schezuan dan Yuvaraaj yang memenangi pingat emas kelmarin direntap selepas dihantar pulang sebelum dapat mencium pingat emas yang mereka menangi.


PALEMBANG - Kuartet 4x400m yang melakukan kejutan meraih emas kelmarin dilayan seperti orang pela- rian apabila segera dihantar pulang semalam tanpa sempat menerima pingat yang dimenangi mereka.

Gandingan S. Kannathasan, P. Yuvaraaj, Schezuan Ahmad Rosely dan Mohd. Yunus Lasaleh sepatutnya perlu menghadiri majlis penyampaian hadiah semalam selepas ditangguhkan kelmarin.

Malangnya, perancangan kelam-kabut yang dibuat Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) menyaksikan detik manis yang sepatutnya di- nikmati mereka selepas penyertaan mereka dianiaya, tidak kesampaian.

Penerbangan mereka telah ditentukan lebih awal gara-gara KOAM menjangkakan gandingan ini tiada harapan pingat untuk dimenangi.

Antara yang lantang membidas tindak tanduk dan kelemahan KOAM itu ialah atlet olahraga negara, Noraseela Khalid yang menegaskan, rombakan segera perlu dibuat supaya lebih ramai lagi atlet tidak menjadi mangsa.

"Mereka datang lewat tetapi pulang awal kerana KOAM tidak percaya mereka boleh menang pingat. Inikah persatuan yang memperjuangkan nasib atlet?

"Sepatutnya mereka diberi peluang menerima hadiah dulu, barulah pulang. Ini tidak, dah jadi macam orang pelarian pulak. Di Malaysia ramai lagi telah menjadi mangsa seperti kuartet 4x400m ini.

"Jadi, bantulah kami melakukan perubahan dalam KOAM sekiranya kita tidak mahu melihat atlet terus menjadi mangsa. Harap presiden KOAM juga dapat membantu," katanya.

Kuartet 4x400m lelaki negara pulang pada pukul 2.50 petang semalam selepas 17 jam memenangi pingat emas dengan menewaskan Thailand di tempat kedua dan Indonesia ketiga.

Chu Sian lakar hatrik

Posted: 15 Nov 2011 08:50 PM PST


CHU SIAN (kanan) memerhatikan Khairul Anwar melakukan panahan pada aksi akhir acara recurve individu lelaki semalam.


JAKARTA - Ada cerita suka dan duka di sebalik kejayaan pemanah elit negara, Cheng Chu Sian ketika meraih pingat emas kategori recurve individu lelaki pada Sukan SEA 2011 di Lapa- ngan Memanah Senayan semalam.

Sejurus disahkan selaku pemenang selepas mengetepikan cabaran rakan senegaranya, Khairul Anuar Mohamad 6-2 pada aksi final, Chu Sian telah diberitahu oleh jurulatihnya, Lee Jae Hyung bahawa pemanah paralimpik negara, Mohd. Salam Sidek meninggal dunia di Kuala Lumpur.

Berita itu ternyata mengejutkan Chu Sian dan juga skuad memanah negara yang baru sahaja membuka saingan.

"Selama saya mengenali Salam, dia seorang atlet yang baik. Jika ada kela- pangan masa, kami sering bersembang bersama.

"Tetapi kami banyak bercerita tentang kamera kerana Salam begitu meminati kamera. Jadi bila diberitahu Salam meninggal dunia, saya benar- benar terkejut. Saya ucap takziah kepada keluarganya," jelas Chu Sian ketika ditemui semalam.

Chu Sian berkata, berita tersebut pasti menjadi tamparan hebat buat skuad memanah paralimpik negara.

"Salam sudah melayakkan diri ke Sukan Paralimpik 2012 dan ketiadannya, sudah pasti dirasai oleh seluruh warga memanah negara.

"Kemenangan saya hari ini (semalam) juga adalah kemenangan buat Salam," jelas Chu Sian yang turut me- layakkan diri ke Sukan Olimpik 2012 di London.

Selain Chu Sian, Khairul dan seorang lagi pemanah muda negara, Haziq Kamarrudin juga akan membuat penampilan pada temasya di London dalam kategori recurve berpasukan.

Pada aksi final semalam, Chu Sian membuktikan betapa dia berada dalam kelas tersendiri bagi merangkul pi- ngat emas ketiga berturut-turut pada temasya Sukan SEA sejak edisi 2007 di Korat, Thailand.

"Sebenarnya, keadaan saya tidak begitu baik hari ini (semalam). Saya seperti rasa nak demam sejak pagi tetapi saya tetap fokus sehingga aksi final menentang Khairul.

"Saya datang ke sini (Jakarta) untuk membantu rakan-rakan sepasukan lain kerana mereka membuat penampilan pertama pada Sukan SEA.

"Saya lihat prestasi Khairul dan pemanah-pemanah muda yang lain semakin baik dan ini satu petanda yang cukup baik kepada skuad memanah negara. Secara tidak langsung, ia juga akan meningkatkan reputasi kami."

Sementara itu, Khairul mengakui, dia tidak berasa tertekan ketika berde- pan Chu Sian yang memiliki pengala- man lebih luas berbandingnya.

"Bagi saya, tekanan tidak ada tetapi saya sendiri tidak dapat melakukan pa- nahan yang baik, sebagaimana ketika sesi latihan.

"Tetapi saya tetap berpuas hati kerana masih mampu menyumbang pingat untuk Malaysia. Saya harap dapat memperbaiki prestasi saya dalam kategori recurve berpasukan selepas ini," kata Khairul.

Terdahulu, dua pemanah wanita negara - Shahira Abd. Halim dan Nurul Syafiqah Hashim - gagal meraih seba- rang pingat apabila terkandas di peringkat suku akhir.

Bryan, Jun Hoong tambah koleksi

Posted: 15 Nov 2011 08:49 PM PST


JUN HOONG menewaskan menewaskan rakan senegara, Yan Yee untuk memenangi pingat emas dalam acara 3 meter papan anjal.


PALEMBANG – Penerjun negara, Bryan Nickson Lomas menunaikan janji untuk menambah koleksi pingat emas buat kontinjen Malaysia apabila mengungguli acara 10 meter platform lelaki di Kompleks Sukan Jakabaring di sini semalam.

Anak kelahiran Sarawak itu mengumpul 500.80 mata menerusi enam terjunan untuk menewaskan rakan senegara, Ooi Tze Liang (445.25) di tempat kedua dan Nasrullah Muhammad (420.85) dari Indonesia, ketiga.

Kejayaan Bryan itu menjadikan acara terjun kini berjaya meraih lima daripada enam emas yang telah dipertandingkan setakat ini dan hari ini ada dua lagi emas yang ditawarkan.

"Persembahan saya biasa sahaja tetapi yang penting tetap menang emas seperti yang saya janjikan. Saingan tidak begitu sengit sepanjang pertandingan," katanya.


BRYAN menunjukkan pingat emas yang dimenanginya bagi acara 10 meter platform semalam.


Turut membantu kontinjen negara menyapu bersih emas hari ketiga acara terjun semalam adalah Cheong Jun Hoong yang mengungguli acara 3m papan anjal.

Jun Hoong, 21, yang mengumpul 310.7 mata juga menewaskan rakan senegara, Ng Yan Yee (290.10) di tempat kedua dan penerjun Indonesia, Sari Ambarwati Sup, ketiga (270.6) .

"Saya masih perlu banyak berlatih walaupun menang emas di sini.

"Ini kerana prestasi saya perlu diperbaiki lagi," kata- nya yang turut beraksi di Laos dua tahun lalu."

Peralatan pelik musim banjir laris di Bangkok

Posted: 15 Nov 2011 08:48 PM PST

DUA remaja menjual but dan seluar kalis air di Bangkok pada 2 November lalu.


BANGKOK - Banjir yang melanda ibu kota Thailand di sini memberi durian runtuh kepada peniaga-peniaga kecil yang menjual pelbagai barang yang digunakan semasa banjir.

Antara barangan tersebut termasuk but getah beraneka warna, jet ski, pam air, kipas bot dan pembalut plastik.

Malah, mekanik-mekanik di sini menawarkan perkhidmatan mengapungkan kenderaan yang ditenggelami air dengan menggunakan bahan styrofoam.

Mereka juga melakukan modifikasi khas dengan memasang snorkel enjin dan ekzos yang diubah suai bagi membolehkan kereta, trak dan motosikal meredah jalan raya yang ditenggelami air.

Mekanik-mekanik itu di bandar raya ini sibuk dengan peralatan khas yang diubah suai bagi membolehkan kereta, trak dan motosikal melalui kawasan yang dilanda banjir.

Seorang mekanik berusia 24 tahun, Thong Dechapak berkata, bengkel kereta keluarganya mengenakan caj AS$333 (RM1,049) untuk memasang dua alat berkenaan.

Gajet enjin itu dipacak tegak melepasi bumbung kereta seperti snorkel selaman.

Ia berfungsi untuk menyedut udara bagi membolehkan pembakaran enjin terus berlaku ketika kenderaan melalui air banjir.

"Permintaan untuk alat ini tinggi. Kami menerima tempahan pelanggan sekitar dua bulan lalu apabila wilayah-wilayah di utara bandar raya ini mula ditenggelami air banjir," kata Thong.


Gambar yang dirakamkan pada 7 November lalu menunjukkan sebuah jet ski diletakkan di atas sebuah trak untuk dijual di Bangkok.


Seorang peniaga lain, Wiweena Boonsanong, 27, pula menjual beraneka but getah yang didatangkan dalam pelbagai warna.

"Wanita mahu gemar berfesyen walaupun dalam suasana banjir, kami mahu sentiasa kelihatan comel," kata Boonsanong.

Dalam tempoh sejam, peniaga wanita itu berupaya menjual enam pasang but getah pada harga AS$12 (RM37) sepasang.

Selain but getah, mesin kipas yang boleh digunakan sebagai kipas untuk menggerakkan rakit buluh turut mendapat permintaan menggalakkan.

Sebuah mesin berkenaan dijual pada harga sekitar AS$315 (RM993).

Wichra Lertrasamee yang menjual peralatan itu menyatakan, seorang pembeli membelinya untuk menggerakkan rakit buluh.

Keluarganya mula menjual peralatan untuk musim banjir itu di rumahnya di wilayah Chachergsao, timur Bangkok.

Apabila banjir itu melanda dari utara, dia mendirikan kedai sementara di kawasan berdekatan dengan Pathum Thani.

Apabila wilayah itu juga dilanda banjir, dia memindahkan perniagaannya ke Bangkok.

Menurutnya, dia bangun daripada tidur pada pukul 3 pagi supaya dapat tiba di bandar raya ini menjelang pukul 5 pagi bagi mendapatkan tempat strategik di pasar. Beberapa kawasan di Bangkok kini masih dilanda banjir.

Erdogan bidas Presiden Syria

Posted: 15 Nov 2011 08:48 PM PST


Recep Tayyip ERDOGAN


ANKARA - Turki kini hilang keyakinan terhadap rejim pemerintah Syria, kata Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam.

Kenyataan tersebut merupakan amaran kepada Presiden Syria, Bashar Al-Assad bahawa penggunaan kekerasan oleh tenteranya terhadap para penentangnya meletakkan beliau dalam senarai pemimpin yang dahagakan darah.

Erdogan mendesak Bashar supaya menghukum mereka yang bertanggungjawab menyerang misi-misi diplomatik Turki di Syria.

Dalam ucapannya, Erdogan tidak menghormati Bashar apabila beliau memanggil pemimpin Syria itu dengan menggunakan nama pertamanya.

"Bashar, anda mesti mencari mereka yang bertanggungjawab dan menghukum mereka," kata Erdogan

Sejumlah penyokong Bashar cuba menceroboh misi diplomatik Turki pada Sabtu lepas untuk mengecam keputusan Liga Arab yang menggantung keanggotaan Syria dalam pertubuhan itu ekoran penggunaan kekerasan oleh pemerintah Libya bagi mematahkan kebangkitan rakyatnya sejak lapan bulan lalu.

Dipenjara kerana tembak anak tiri

Posted: 15 Nov 2011 08:47 PM PST


ROLA EL-HALABi duduk di dalam sebuah mahkamah di Berlin, Jerman kelmarin.


BERLIN, Jerman - Bapa tiri petinju wanita Jerman, Rola El-Halabi dipenjara enam tahun kerana berulang kali menembak petinju berkenaan di bilik persalinan ketika dia bersiap sedia untuk perlawanan merebut kejuaraan.

Rola ditembak di tangan, lutut dan kaki oleh bapa tirinya itu, Hicham El-Halabi, 44, yang juga pengurusnya ketika dia menunggu untuk menentang Irma Balijagic Adler dari Bosnia bagi merebut gelaran juara lightweight Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF).

Kelmarin, sebuah mahkamah di sini menyatakan bahawa Hicham El-Halabi sengaja menembak petinju berusia 25 tahun itu pada 1 April lalu untuk menghalangnya daripada meneruskan kerjaya tinjunya.

Namun, wanita berkenaan tidak mengalami kecederaan yang boleh mengancam nyawanya.

Turut ditembak ialah dua pengawal keselamatan yang berada di tempat kejadian.

Mahkamah yang sama menyatakan Hicham sebelum ini pernah menyerang tunang Rola pada Disember 2010.

Rola merupakan juara dunia Persekutuan Tinju Antarabangsa Wanita (WIBF) dan Persatuan Tinju Wanita Antarabangsa (WIBA) pada 2009.

Timberlake tunai janji

Posted: 15 Nov 2011 08:47 PM PST


JUSTIN TIMBERLAKE (kanan) menepuk tangan semasa dia menghadiri majlis tari-menari bersama Koperal Kelsey De Santis (tengah) di Pusat Konvensyen Greater Richmond di Virginia pada Sabtu lalu.


RICHMOND, Amerika Syarikat (AS) - Pelakon terkenal, Justin Timberlake mengotakan janjinya untuk membawa seorang anggota askar marin wanita AS ke majlis tari-menari tahunan.

Penyanyi dan aktor tersebut menyiarkan sekeping gambar bersama sepucuk surat di laman webnya pada Ahad lalu untuk memberitahu bahawa majlis tari-menari itu sebagai yang paling meriah buatnya.

Anggota askar marin berkenaan, Koperal Kelsey De Santis mempelawa Timberlake menerusi YouTube untuk menghadiri majlis tarian itu bersamanya.

Timberlake kemudian menerima undangan tersebut.

Stesen televisyen WTR-TV melaporkan Timberlake memakai tuxedo dalam majlis tersebut di Pusat Konvensyen Greater Richmond di sini.

Majlis Tari-Menari Kor Marin itu diadakan di sini pada Sabtu lepas.

Pada awal bulan ini, rakan Timberlake yang turut berlakon bersamanya dalam filem Friends With Benefits, Mila Kunis turut menerima undangan yang sama ke satu lagi majlis tari menari Kor Marin di negeri Carolina Utara.

Jam tangan filem James Bond dibeli pada harga RM612.364

Posted: 15 Nov 2011 08:46 PM PST


JAM tangan Rolex yang digunakan Roger Moore dalam filem James Bond, Live and Let Die.


GENEVA, Switzerland - Seutas jam tangan Rolex yang dipakai oleh Roger Moore sebagai ejen perisik James Bond dalam filem Live and Let Die dijual pada harga 176,917 euro (RM612,364) dalam satu lelongan di sini kelmarin.

Jam tangan itu dilengkapi dengan gergaji yang boleh membuat putaran dan digunakan untuk memotong seutas tali bagi menyelamatkan Solitaire yang dilakonkan oleh Jane Seymour daripada menjadi mangsa ikan jerung yang lapar dalam filem tersebut.

Medan magnet yang terlampau aktif pada jam itu digunakan untuk membantu Moore mengelak terkena peluru.

Namun, medan magnet tersebut sebaliknya digunakan perisik tersebut untuk menurunkan zip seorang wanita pada permulaan filem keluaran 1973 itu.

Lelongan itu turut menampilkan seutas jam tangan emas berwarna merah jambu buatan tahun 1968 oleh pembuat jam Switzerland, Patek Philippe yang mencatat harga jualan 21.2 juta euro (RM90.8 juta).

Moore yang kini berusia 84 tahun pernah berlakon dalam tujuh filem James Bond bermula pada tahun 1973.

Kali terakhir dia membawa watak ejen perisik yang memiliki lesen untuk membunuh itu ialah menerusi filem A View to a Kill pada tahun 1985.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu