Isnin, 14 November 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Sesuai dengan jiwa

Posted: 14 Nov 2011 07:39 PM PST

pix_gal0
Semangat tak pernah luntur

BARANGKALI apabila namanya disebut, ramai masih tertanya-tanya siapakah gerangan di sebalik orang itu walaupun sudah beberapa kali muncul di layar perak.
Pernah membintangi filem hit seperti Castello dan Maut kedua-duanya arahan Badarudin Azmi, tetapi ia tidak cukup mengukuhkan nama pelakon wanita di persada dunia hiburan.
Meskipun begitu, pemilik nama Noreminadiya Ramli atau Nuremy Ramli terus memacu langkah di dalam bidang lakonan yang cukup diminatinya dan kini bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, Nuremy disunting oleh Metrowealth Pictures (MIG).

Tekad meninggalkan kerjayanya yang terdahulu sebagai perunding kewangan di sebuah bank, gadis yang berusia 25 tahun ini gembira kerana diberi peluang membuktikan kebolehannya berlakon, yang mana bukan saja diberi percubaan membintangi empat filem juga sebagai tunjang utama dalam filem Super Duper Lover bersama Aeril Zafrel.

Kala pertemuan di Johor Bahru sewaktu menjayakan aktiviti jelajah sempena Festival Filem ke-24 baru-baru ini, gadis ini tanpa henti menceritakan selok-belok yang dilaluinya dalam mengecapi nama sebagai anak seni.

Namanya diakui lambat naik jika mahu dibandingkan dengan pelakon wanita yang lain seperti Liyana Jasmay. Dia pernah bergandingan bersama Liyana dan Zain (Ruffedge) dalam filem Castello pada 2004, namun ketika itu tuah tidak berpihak kepadanya.
"Selepas membintangi Castello pada 2004 dan Maut (2007), saya berhenti sebentar selama tiga tahun, iaitu sehingga tahun lalu, yang mana dalam masa tiga tahun itu saya menyambung pelajaran dan kemudian bekerja di sebuah bank.

"Pada masa itu, saya terikat dengan badan kerajaan. Saya tidak dibenarkan muncul di layar perak, dan pekerjaan ini juga dilakukan demi menjaga hati ibu bapa saya. Namun selepas dua tahun saya dapat merasakan kerja itu tidak sesuai dengan jiwa saya, dan dari situ saya mula mencari apa yang sebenarnya saya mahu.

"Ternyata jiwa saya lebih di dalam bidang lakonan, serta demi minat yang mendalam saya berusaha mencari peluang berlakon kembali. Bukan senang nak mendapat kepercayaan dan meyakinkan orang, kerana orang ramai semakin lupa lakonan saya yang terdahulu," katanya.

Menurut gadis ini lagi, walaupun memang meminati lakonan, tetapi sebelum membuat sesuatu keputusan, dia akan mendapatkan nasihat dan pandangan daripada mereka rakan pengarah dan rakan artis yang lebih berpengalaman untuk memastikan dapat mengurangkan risiko tersilap langkah.

"Tidak putus semangat, saya mula kembali dari bawah dengan menghadiri pelbagai uji bakat, bertanya pendapat orang seni yang lebih berpengalaman dan pengarah, Osman Ali. Abang Osman adalah individu yang menasihati saya mencuba nasib di 'talent agency', dan dari situlah saya menemui MIG, serta bersyukur rezeki saya lebih terbuka di situ.

"Mulanya saya tidak yakin kerana saya pernah menemui David Teo pada Anugerah Skrin 2009, tapi selepas dipertimbangkan, pintu hati saya terbuka untuk meneruskan kesungguhan sebagai pelakon," katanya yang baru lima bulan menandatangani kontrak bersama MIG dan selesa bergerak di bawah tinjauan syarikat tersebut.

Lambat tapi puas

WALAUPUN dikatakan agak lambat melangkah, Nuremy tidak terasa hati, sebaliknya menerima rezekinya dengan tangan terbuka, lantas bersyukur kerana setidak-tidaknya dia diberi kesempatan menonjolkan bakatnya kerana bukan senang untuk menjadi terkenal dan diterima ramai.

Menjadikan filem Castello sebagai daya sokongan dan inspirasi, kini dirinya mampu tersenyum kerana impiannya kembali berlakon sudah termakbul.

Sementara itu, publisiti dan promosi diletakkan di tempat kedua selepas bakat, kerana menurut gadis kecil molek ini dirinya tidak mengejar populariti, dan mahu berdiri kerana bakat yang dipertaruhkan. Dengan adanya produk iaitu filem, barulah dirinya selesa untuk tampil ke hadapan.

Terbaru, anak kelahiran Sungkai, Perak ini baru saja selesai dengan aktiviti penggambaran filem Super Duper Lover di sekitar Kuala Lumpur dan Pantai Morib. Menerusi filem ini, dia menjayakan watak Murni iaitu pasangan kepada Mukhriz, watak yang dibawa oleh Aeril.

Akui karakter yang dibawanya adalah sesuatu yang baru baginya, menurut Nuremy itu adalah kali pertama dia berlakon di samping Aeril, lantas perlu benar-benar menyelami unsur cinta platonik yang menjadi tema dalam filem itu.

Demi menjayakan wataknya, Nuremy mencuba sebaik mungkin untuk membina keserasian bersama Aeril apabila mereka juga sering mengada pertemuan di luar set penggambaran, supaya tidak kelihatan kekok di hadapan kamera.

Namun, apabila ditanya mengenai cinta lokasi, dengan pantas gadis ini menolak andaian di antara mereka wujud bibit-bibit cinta, sebaliknya mereka hanya menjayakan watak masing-masing. Dalam pada itu, dirinya bersyukur kerana dapat mewujudkan kerjasama yang erat di antara mereka.

Selain itu, Nuremy juga membintangi empat filem lain terbitan MIG, iaitu filem Halimunan, Nonkrong, Aji Noh Terbang dan 3 Temujanji, serta filem pertamanya bersama MIG akan ditayangkan awal tahun depan, iaitu 'X'.

Masih lagi dalam tempoh pembelajaran dan proses memperbaiki diri, Nuremy menyimpan hasrat berlakon di bawah arahan Osman Ali, Soffi Jikan dan Yusry Abdul Halim serta bekerjasama dengan pelakon hebat seperti Elly Suriati, Fauziah Nawi dan Sharifah Amani.

PROFIL

NAMA: Noreminadiya Ramli
UMUR: 25 tahun
TARIKH LAHIR: 7 April 1986
ASAL: Sungkai, Perak
ADIK-BERADIK: Anak keempat daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan, Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL)
FILEM: Castello dan Maut
DRAMA: Gerak Khas, Delima Wanita dan Atas Nama Cinta

Tenang terima 'kekalahan'

Posted: 14 Nov 2011 07:39 PM PST

NADIA (kanan) ketika penggambaran filem Aji Noh Motor.
NADIA (kanan) ketika penggambaran filem Aji Noh Motor.
Nadia tidak kisah digandingkan dengan Lisdawati

MELIHAT aksinya memakai tudung litup selepas itu membawa motosikal dengan wajah yang tenang, seolah-olah tiada apa yang berlaku kepada pelakon bernama Nadia Mustafar ini.
Lagaknya cukup bersahaja. Dia memberikan tumpuan sepenuhnya dengan setiap arahan yang diberikan. Sesekali Nadia kelihatan ketawa apabila ditegur oleh pembantu pengarah atau pelakon lain yang bergandingan dengannya.
Itulah gelagat Nadia ketika dalam set penggambaran filem terbarunya, Aji Noh Motor arahan Mohd Razif Rashid atau Ajib di Beranang, Selangor, baru-baru ini.

Hakikatnya, beberapa minggu sebelum penggambaran filem ini dimulakan, Mahkamah Sesyen mengarahkan dia membayar saman sebanyak RM50,00 kepada Lisdawati. Di atas nasihat peguamnya, Nadia tidak memberikan sebarang ulasan panjang lebar.

Percaya bahawa lumrah alam ada turun naik dan cukup bersedia dengan situasi menang atau kalah, pelakon drama dan filem ini menerima keputusan mahkamah baru-baru ini dengan hati yang terbuka.

"Saya tidak mempertikaikan. Bagaimanapun, saya masih mempunyai hak memfailkan rayuan. Ini keputusan saya sendiri dan atas nasihat peguam. Lagipun, sebelum perkara ini dibawa ke mahkamah, saya sudah pun bersedia dengan segala kemungkinan," katanya ketika diminta mengulas kekalahannya dalam kes saman fitnah yang difailkan Lisdawati terhadapnya.
Nadia sememang begitu tenang menjawab soalan membabitkan perkara itu.

Katanya, kekalahan itu tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk hidup bahagia disamping dua anaknya, Hazil Izham Qaliff Izham berusia dua tahun setengah dan Mia Qaisara Qaliff Izham berusia tiga tahun setengah.

"Saya tidak terperanjat dengan keputusan itu. Rasa tenang dan sudah adat dunia menang atau menerima 'kekalahan'. Sebenarnya saya tidak mahu komen lagi berkenaan isu ini kerana sudah dinasihati peguam. Saya juga sudah bersedia menerima keputusan ini. Jika tidak menang, saya perlu menerima 'kekalahan' dan begitulah sebaliknya.

"Selepas menerima keputusan ini, saya menjalani kehidupan seperti biasa. Berlakon seperti biasa dan tidak tertekan," katanya.

Ditanya tidakkah selepas menerima keputusan itu, dia bimbang peminat akan menganggapnya sebagai bersalah, Nadia tetap positif mengatakan pada dirinya sendiri bahawa dia tidak rasa bersalah atau malu kerana selama ini memang tidak pernah mengambil duit orang mahupun membuat kehidupan sesiapa susah.

"Saya hanya tuntut kebenaran. Sebenarnya hal ini hanya saya dan dia (Lisdawati) saja yang tahu kebenarannya. Jadi saya terima saja apa yang berlaku. Kalau dia berada di tempat saya, dia juga akan lakukan perkara yang sama," katanya.

Bertanya berkenaan sejauh mana tahap profesionalisme dirinya jika digandingkan bersama Lisdawati, Nadia ada jawapannya tersendiri.

"Selama ini selepas kejadian yang berlaku, saya dan dia tidak pernah digandingkan dalam mana-mana produksi. Mungkin semua produksi sudah tahu apa yang berlaku dan tidak menggandingkan kami. Jika ada tawaran bersama dia, saya ok saja.

"Dalam Suria Di Cardobo juga saya dan dia berlakon tetapi melalui masa penggambaran yang tidak sama," katanya sambil memberitahu perkara itu sudah lapan tahun berlalu.

Membawa Nadia kembali semula kepada soal kerjayanya, dia memberitahu setakat ini rezeki hadir mengiringi hidupnya.

Katanya, dia akan berlakon drama di bawah arahan Hans Isaac berjudul Lemang Kampung Santan dan filem Penanggal terbitan Tayangan Unggul dan supertele berjudul Isnin, Selasa, Rabu di bawah arahan James Lee.

"Sekarang ini saya menjalani penggambaran filem Aji Noh Motor di bawah arahan Muhamad Razif Abdul Rashid. Bekerja dengan pengarah ini membuatkan saya cukup selesa dan bebas memberikan idea.

"Lagipun sebelum ini saya dan pengarah sudah pernah bekerjasama. Saya melihatnya cukup berbakat dan penuh dengan idea baru," katanya yang membawakan watak sebagai Datin Zalzlina yang cukup garang.

Katanya, dia juga masih aktif dalam perniagaan makanannya dan berharap rezeki itu terus menyuburkan dia sekeluarga.

" Saya masih buat perniagaan tempahan makanan. Cuma yang terbaru saya sudah mula memperkenalkan tempahan makanan saya di set lokasi dan sambutan yang diterima menggalakkan.

"Dulu saya ada buka kedai makanan tetapi kerana tidak ada siapa boleh menguruskan dengan baik, saya tutup saja dan menumpukan kepada bidang tempahan makanan," katanya.

Bukan tua, tapi matang

Posted: 14 Nov 2011 07:38 PM PST

DARI kiri; Jamal, Zaidi, Rostam dan Najman di konti Sinar FM.
DARI kiri; Jamal, Zaidi, Rostam dan Najman di konti Sinar FM.
SinarFM tetap diikuti pendengar muda walaupun siarkan lagu retro

TIGA penyampai radio SinarFM, Jamal Jamaluddin, Najman Mohamad, Zaidi Zainal dan Pengurus Saluran radio ini, Rostam Said memang kelakar orangnya sehingga suasana temu bual bersama mereka dipenuhi dengan ketawa.
Ada saja yang mahu diceritakan dan semuanya menarik didengar. Bagaikan sepakat dalam mentakrifkan usia masing-masing, mereka menggelarkan usia mereka sebagai 'matang' dan bukan tua.
"Kami sudah matang dan bukan tua ya," itulah antara kata-kata setiap kali usia mereka ditimbulkan.

Jiwa mereka juga cukup retro apabila nada dering telefon bimbit milik Najman juga adalah lagu Dara Pujaan nyanyian penyanyi 60-an, A Ramlee. Ada ketikanya mereka macam peserta program Raja Lawak kerana sentiasa menceriakan suasana tetapi sebaik disoal berkenaan kerjaya, semua menjadi agak serius.

Masing-masing mengakui mereka perlu terus memperbaiki kekuatan diri dan gaya penyampaian bagi mengekalkan 4.2 juta pendengar seterusnya meletakkan Sinar FM sebagai radio bahasa Melayu nombor satu negara.
Namun, apakah keistimewaan mereka ini?
Jamal Jamaluddin

Bukan baru di dalam dunia penyiaran, Jamal Jamaluddin, 48, ini cukup terkenal dengan suara romantisnya.
Mengendalikan segmen Seleksi Sinar, Arena Rock dan Cetusan Hati, setiap Isnin hingga Jumaat, dari pukul 8 malam hingga 12 tengah malam, Jamal tampak begitu sinonim dengan radio nombor satu negara ini.

Berkelulusan Sains Komputer dari Kolej Knox, Illinois, Amerika Syarikat, Jamal berkata, radio adalah media yang mempunyai hubungan intim dengan pendengar, dan seorang penyampai tidak perlu berpura-pura dalam penyampaiannya.

Minatnya dengan gandaan 23 iaitu nombor jersi idolanya, bola keranjang terkenal, Micheal Jordan, membuatkan Jamal selesa menggunakannya sebagai 'trademark' dalam segmen kendaliannya itu.

"Nombor 23 itu sebagai gambaran istimewa kepada ucapan yang ingin disampaikan oleh pendengar kepada insan tersayang. Kadang-kadang kita mempunyai perasaan rindu yang meluap-luap, dan oleh itu nombor 23 dan bunyi guruh yang ke udara itu menggambarkan betapa istimewanya insan tersebut serta sebagai kesan khas serta unsur dramatik yang saya selitkan," katanya.

Menurutnya, segmen Cetusan Hati ini bukan sekadar memutarkan lagu tapi membolehkan orang ramai berkomunikasi serta melahirkan apa saja emosi terpendam untuk orang yang tersayang, sekadar pasangan kekasih tetapi juga ibu bapa dan rakan baik.

"Dulu, Cetusan Hati ini ke udara dari pukul 10 malam hingga 2 pagi, tapi disebabkan ramai yang mendengar hingga ke penghujung rancangan, kami menganjakkan dua jam lebih awal," katanya.

Jamal memulakan kerjayanya sebagai penyampai radio di stesen Light & Easy, dan kemudian mengangkat namanya di Era FM.

Tidak hanya bertugas di konti Era FM selama lima tahun sebelum bertukar ke Sinar FM, sebelum itu Jamal juga pernah menceburkan diri di dalam dunia lakonan, yang mana dia menjadi pelakon tambahan di dalam filem Dendang Remaja, pada 1987 yang turut dibintangi Mustapha Kamal, Erma Fatima, Connie Ahmad, Rashidah Jaafar dan Allahyarham Datuk Mahmud June.

* Najman Mohamad
Najman cukup dikenali dengan segmen Seleksi Sinar jam 6 hingga 8 malam. Siapa sangka, penyampai yang sudah hampir 21 tahun dalam dunia penyiaran radio ini pernah menjadi guru sebelum menetapkan hatinya memilih kerjaya sebenar yang diinginkan."Saya memulakan kerjaya sebagai penyampai di Best 104 sebelum menjadi penyampai Sinar FM," katanya yang cukup ramah berbicara.

Najman berkata, pengiktirafan radio Sinar FM sebagai radio nombor satu tidak sesekali membuatkan dia lupa diri malah membakar semangat kepadanya untuk memberikan yang lebih terbaik.

"Seleksi Sinar segmen yang membuka peluang kepada pendengar memilih lagu melalui sistem pesanan ringkas (sms) atau panggilan telefon. Setiap hari beratus SMS kami terima dan saya pastikan pemilihan lagu dijalankan secara adil," katanya.

Dia yang berasal dari Johor Bahru ini, berkata, semangatnya mengendalikan program itu tidak pernah surut dan bersyukur tidak pernah tergagap, tergamam dan kering idea.

"Saya mempunyai tujuh anak termasuk daripada perkahwinan kedua saya. Anak perempuan kedua saya ada menunjukkan bakat sebagai penyampai dengan menyertai kelab radio di sekolah dan saya akan memberikan galakan kepadanya," katanya.

Najman berkata, ketenangan adalah asas kepada perjalanan suasana dan kelancaran membuat penyampaian.

"Sebaik melangkah kaki ke dalam konti, semua masalah itu ditinggalkan dan hanya diambil semula selepas keluar dari konti. Hanya itu yang saya amalkan dan tidak terlalu terikat dengan pemakanan tetapi masih menjaga kesihatan dengan aktiviti menyihatkan," katanya.

Zaidi Zainal

Zaidi Zainal, 41 tahun yang mengendalikan segmen Sinar Petang yang ke udara jam 1 hingga 4 petang ini. Pada mulanya suasana temubual sedikit hambar apabila satu soalan dijawab kembali dengan satu soalan tetapi semakin lama Zaidi semakin ramah berbicara.

Zaidi yang ternyata lebih banyak ketawa daripada berkata-kata ini, akhirnya sudi berkongsi pengalamannya pernah digilai seorang peminat wanita. Maklumlah penyampai radio satu ketika dulu menjadi sasaran cinta anak gadis yang menjadikan radio sebagai teman setia walaupun wajah mereka tidak langsung dikenali.

"Ya. Saya ada pengalaman itu sehingga peminat itu menunggu saya habis bertugas. Saya akui memang tidak selesa. Akhirnya dia akur dan tidak lagi mengganggu saya. Bagi saya untuk mengawal keadaan ini adalah dengan tidak mengambil kesempatan yang ada dan bersikap jujur kepada peminat," katanya.

Zaidi dari Batu Pahat ini berkata, dia menceburi bidang penyampaian selama 18 tahun dan bermula di radio Best 104 di Johor Bahru.

"Sebelum jadi penyampai, saya kerja macam-macam. Sehinggalah sebuah stesen radio membuat pengumuman mengisi jawatan itu. Akhirnya saya menjadi apa yang saya inginkan selama ini," katanya.

"Saya tidak amalkan apa-apa. Mungkin ia anugerah tuhan. Saya makan apa saja, ais atau makanan pedas. Alhamdulillah suara saya tetap begini," katanya.

Berbicara soal kerjaya pula, Zaidi berkata sepanjang bergelar penyampai yang berhak meluluskan lagu pilihan pendengar, dia tidak mahu menghampakan impian peminat atau pendengar untuk mendengar lagu kegemaran mereka.

Sudah mempunyai seorang anak, Zaidi berpendapat kehidupan penyampai kini dan dulu adalah berbeza. Dulu penyampai radio dikenali melalui suara tetapi wajah penyampai kini sudah mampu dirakam memori peminatnya kerana peranan media dalam memperkenalkan barisan penyampai radio.

Rostam Said

Rostam atau selesa dipanggil Pak Tam yang memulakan kerjanya pada 2008 di Sinar FM. Ketika itu, dia melihat kemunculan SinarFM sebagai tepat dengan masanya.

"Ia disebabkan kekuatan penyampaian, gaya lagu lama yang mampu memikat hati dan persembahan lagu yang sesuai dengan jiwa pendengar. Kami memutarkan lagu dari era 70an hingga 90 an dan ditambah dengan kekuatan segmen yang mencorakkan radio ini.

"Kenapa lagu lama menjadi menu utama kerana ia diminati dan mempunyai peminat yang besar," katanya yang meletakkan sasaran umur pendengar antara 35 hinga 49 tahun tetapi tidak menafikan sudah mempunyai pendengar berusia 15 tahun.

Menurutnya, ada beberapa pembaharuan yang akan dijalankan dan paling penting memperkukuhkan segmen yang sedia ada.

Tempurung Pecah: Mat! Kamu nak memerdekakan seksualiti ya?

Posted: 14 Nov 2011 07:37 PM PST

FILEM '....Anu Dalam Botol' dikatakan mempromosi kehidupan gay, walhal isi sebenar dan niat pembikinnya adalah untuk menunjukkan betapa seksanya jiwa seorang 'transvetite' yang keliru dengan kehendak dirinya.
FILEM '....Anu Dalam Botol' dikatakan mempromosi kehidupan gay, walhal isi sebenar dan niat pembikinnya adalah untuk menunjukkan betapa seksanya jiwa seorang 'transvetite' yang keliru dengan kehendak dirinya.
DEWASA ini (sudah berkurun lamanya tidak menggunakan ungkapan ini), kita dikejutkan dengan peristiwa yang mengajak kita membuka minda ke dalam satu isu yang rumit.

Isu mengenai tuntutan sesetengah golongan di dalam masyarakat kita yang serba majmuk ini untuk dibebaskan belenggu seksualiti pilihan mereka Mereka meminta supaya kebebasan mereka memilih cara mengadakan hubungan jenis sesama jenis atau dua-dua jenis ini dimerdekakan oleh rakyat dan kerajaan Malaysia.
Sememangnya satu isu yang memerlukan pengamatan serius dan aku pula perlu melihatnya dari kaca mata seorang pengarah filem. Jika aku melihatnya dari kaca mata seorang tok lebai, sudah tentu lain nahunya.
Perkara pertama yang timbul di dalam mainan otak aku apabila isu ini timbul, (isu seksualiti merdeka bukan isu dari kaca mata tok lebai), adalah kepada seorang pemain wayang gambar di awal tahun 50-an dahulu. Kacak putih gebu orangnya menjadi hero di dalam filem Melayu. Dia gagah di layar perak, tetapi lembut di dunia sebenar. Tidak berkahwin dan tidak mempunyai zuriat sehingga akhir hayatnya. Di tahun 50-an sudah tentu genre seksualiti yang berlainan seseorang itu dikepit kuat tiada boleh dipertunjukkan. Superstar Hollywood Rock Hudson pun mula keluar dari almari gelapnya pada awal 80-an, inikan pula di negara kita yang belum lagi merdeka ketika itu.

Apabila kelompok ini meminta supaya mereka diterima masyarakat secara terbuka di negara ini, maka ramailah yang menghulurkan bantuan 'kemanusiaan' dan tak kurang juga yang mengutuk habis-habisan akan niat mereka itu. Sebagai pengarah filem yang memerhati dan diperhatikan, aku turut ingin menghulurkan pendapat di dalam isu ini. Pendapat dua sen, kata arwah Yasmin Ahmad.

Apa yang dilaungkan mereka adalah hak asasi sebagai manusia untuk bebas melayari kehendak mereka berpasangan. Cukup umur dan rela merelai. Di negara Barat yang maju, isu hak memilih cara berpasangan sudah lama selesai. Kerajaan mereka membenarkan kahwin sejenis dan bebas mengajak orang ramai berkumpul dan berarak mengenangkan peristiwa Rusuhan Stonewall di San Francisco itu meraikan kejayaan mereka. Bill Clinton dan Barrack Obama turut berarak, tetapi kehadiran mereka itu sebaliknya memalukan penganjur kerana kedua-duanya bukanlah tokoh yang disegani dewasa ini.

Sokongan terhadap golongan ini bukannya perkara baru. Dari penghujung kurun ke-19, seorang pengkaji seksualiti Eropah, Magnus Hirshfeld cuba mencabar perenggan 175 yang tidak menyokong homoseksualiti di Jerman dengan menulis dan meminta sokongan tokoh ilmu dunia supaya membubarkan akta itu. Ramai yang menyokong termasuk Albert Einstein, namun dengan kemunculan parti Nazi pada awal tahun 30-an melenyapkan tuntutan itu, malah Hitler terus menyeksa kaum gay dengan galaknya.
Kini mereka sudah bosan dengan penindasan kehendak mereka itu. Mereka mahu tidak dipandang serong oleh masyarakat dunia dengan gaya hidup mereka yang wujud dari zaman Nabi Lut lagi. Mereka minta kelompok minoriti mereka diterima pakai oleh manusia sejagat menerusi institusi pemerintah, keluarga dan individu. Aktifkan hak asasi mereka sebagai manusia. Mereka ingin bebas berlari-lari berpegangan tangan di taman bunga, tidak dijelir oleh pengunjung taman yang lain. Mereka ingin diserap masuk ke dalam jawatan atau majlis rasmi dengan jubah peribadi mereka yang sebenarnya.

Tidak mahu berfikir lama apabila mengisi borang gender lelaki atau perempuan. Harus disediakan kotak 'yang lain-lain' di dalam setiap borang rasmi.

Mereka mahu hidup seperti manusia biasa apabila bermasyarakat. Seperti yang difilemkan dalam biografi Harvey Milk, gay pertama menjawat jawatan awam sebagai ahli majlis perbandaran San Francisco itu. Walaupun dia mati ditembak, warisan semangatnya menjadi tunjang utama kepada keberkesanan asakan puak LGBT serata dunia.

Sebagai manusia, filem juga aku melihat dari sudut hak asasi manusia beragama di negara ini yang majoritinya masih mengamal kuat pegangan keagamaan yang dituntut. Bukan semudah itu mana-mana pihak boleh mengubah dan merombak surah dan hadis yang diamalkan.

Mengapa harus menuntut kebebasan milik minoriti yang sudah tentu akan membakar kemarahan ramai yang tidak melanggan fahaman mereka itu? Adakah dengan tidak menyokong itu bermakna masyarakat majoriti yang mengamal kehidupan normal ini melanggar hak asasi manusia lain?

Perlulah kita tunduk kepada tuntutan yang tidak didukung oleh agama kita? Kekuatan umat terletak kepada kekuatan iman umat itu sendiri. Kekuatan yang kadangkalanya menjangkau budi bicara yang lembut. Apabila laungan dan asakan yang semakin berani itu membingitkan telinga umat, tolak ansur semakin tipis.

Apabila filem '....Anu Dalam Botol' ditayangkan, ada yang menjebik mengatakan itu filem mempromosikan kehidupan gay, walhal isi sebenar dan niat pembikinnya adalah untuk menunjukkan betapa seksanya jiwa seorang transvetite yang keliru dengan kehendak dirinya. Satu pengisian cerita yang tinggi nilai naratifnya. Boleh diambil iktibar dan pengajian mengenai kehidupan kaum minoriti itu melalui filem ini kerana ia berdasarkan kisah benar.

Mungkin kita perlu mengatasi isu ini dengan lebih ilmiah dari menghukum mereka dengan kata-kata kesat. Mungkin kita perlu mendengar dan berbincang dengan mereka membuka akal dengan perkara yang dituntut oleh agama rasmi negara ini.
Menghormati agama dan umat yang menganutinya. Jika saling membawa isu ini ke arah hangat dan sensasi, percayalah ada pihak ketiga yang bertepuk tangan sambil menangguk di air keruh.

Untuk menjaga hak asasi kita sebagai manusia Islam kita harus merenung isu ini dengan gembira kerana mendapat peluang mengerjakan fardu terhadap golongan ini.
Harus bertolak ansur menegur dengan cara yang dituntut oleh agama. Bukan terlalu kelat sehinggakan kedatangan Elton John tidak direstui. Lagunya tiada satu pun mempromosikan sek bebas. Namun....

Tak taulah Mat! Miker duduk diam pasang kaset Datuk M Daud Kilau dengor lagu Cik Mek Molek dah ler...

Badai Semalam menusuk jiwa

Posted: 14 Nov 2011 07:35 PM PST

  • Foto

    BABAK pembukaan di stesen kereta api.

  • Foto

    UMIE Aida dan Aaron Aziz papar lakonan berkesan.

Cinta suci Mazni porak peranda kerana perbezaan dua darjat

HUJAN, bunyi guruh dan kilat sambar- menyambar yang 'membelah' isi dalam Istana Budaya bagai menyerlahkan gelora perasaan Mazni yang melalui suka duka kehidupan demi mengejar cita-cita menggenggam segulung ijazah.
Detik di stesen kereta api yang menjadi babak pembukaan teater Badai Semalam mencambahkan keinginan penonton menyelami isi hati anak bekas tukang gaji yang kehilangan ibu kemudian mengorbankan cinta dan seterusnya dipersiakan suami.
Jika sebelum ini novel popular nukilan Khadijah Hashim pernah dijadikan drama, naskhah melankolik itu sekali lagi diangkat ke medium berbeza, teater yang menyemarakkan semangat pembacanya untuk melihat karakter Mazni secara lahiriah.

Di tangan Khairunazwan Rodzy selaku pengarah, watak anak dara berjiwa besar itu yang dilakonkan Erra Fazira tampak begitu bernyawa, dalam kelembutan gadis Melayu sekitar 1970-an, sisi peribadinya cukup jelas iaitu tegas dan yakin terhadap kemampuan diri.

Seperti diluahkan penulisnya, Mazni dan ibunya, Cik Bibah (Ziela Jalil) mewakili wanita pada era berkenaan yang terhimpit dek pandangan skeptikal masyarakat apabila ditujahi pendapat golongan hawa tidak perlu belajar tinggi.

Walau hanya orang gaji, selain menumpang di rumah bekas majikan, Cik Bibah mahu anak tunggalnya belajar sampai ke universiti – sesuatu perkara janggal yang tidak mampu dilaksanakan wanita ketika itu – sedangkan jika melihat kudrat, dia tidak berwang.
Sudah lumrah, miskin dipandang hina. Itu yang berlaku kepada dua anak-beranak terbabit apabila ada mulut mendesak Mazni berhenti sekolah demi menyara keluarga, malah cakap belakang semakin membara tatkala dia akrab dengan anak majikan, Karim (Aaron Aziz).

Tidak hairan apabila sejak awal lagi, orang kuat Istana Budaya, Mohamed Juhari Sharaani sudah ternampak bayangan Erra Fazira yang paling sesuai membawakan karakter Mazni dalam produksi terbitan Istana Budaya dengan kerjasama Frensis Sdn Bhd itu.

Begitu juga mainan emosi dan ego dalaman seorang ibu yang kurang menyukai anak bujangnya menjalin cinta bersama anak orang gaji sendiri ditonjolkan Umie Aida dengan cemerlang ,manakala Fizz serta Aaron juga tidak kalah menampilkan gaya kelelakian watak masing-masing.

Barangkali karakter Fizz Fairoz tidak jauh berbeza kerana membawakan watak lelaki budiman, namun kemunculan julung kali dalam pementasan tampak cemerlang, begitu juga karakter Karim kerana Aaron mengolahnya dengan bersederhana, disuntik sedikit unsur kelakar. Antara yang menyerlah juga adalah watak antagonis, Cik Mahani (Emelda Rosmila) yang suka mengapi-apikan ibu Karim, Cik Rohana (Umie Aida) sekali gus melambangkan sikap segelintir manusia pendengki cuma ditonjolkan secara bersahaja dengan karakter melucukan.

Sememangnya, setiap watak dan perwatakan yang diterjemah daripada novel berkenaan amat kena termasuk Fizz Fairuz sebagai teman lelaki Mazni bernama Karim, Iqbal Taufik selaku ayah Karim (Encik Haris) serta Jasmin Hamid bersama watak Dora si penggoda.

Titik tumpu penonton di dewan gah dengan kapasiti 1,200 tempat duduk itu turut terarah kepada pentas yang memukau membabitkan peralihan 11 props besar yang melatari babak bermula di stesen kereta api dan berakhir di lokasi sama.

Nyata pereka set bukan hanya bijak menggunakan teknik hujan bagi membuai emosi ramai, malah peralihan set besar dari satu babak ke babak lain memperlihatkan kronologi episod duka gadis berkenaan hingga saat dia meninggalkan bumi Tanjong Puteri, juga di lokasi terawal yang ditonjolkan iaitu stesen kereta api.

Seperti era berkenaan, hiasan dalam rumah banglo, suasana di kelab malam, hospital, sekolah, kostum serta alunan lagu digabungkan sebaik mungkin untuk menonjolkan realiti ketika itu.

Meskipun ada sedikit kekurangan apabila ketika peralihan babak tertentu kelihatan pembantu pentas menarik atau menolak set, ia tidak mencacatkan pandangan kerana pengisian dan paparan pentas itu sendiri sudah cukup untuk menutup kelemahan kecil.

Bagi Mohamed Juhari, pelbagai faktor membolehkan teater Badai Semalam meraih sambutan di luar dugaan apabila hingga kini hampir 90 peratus tiket berjaya dijual dengan kebanyakannya dibeli orang perseorangan.

"Novel popular, kronologi yang menyuntik rasa, skrip mantap, pelakon hebat, set menakjubkan adalah kombinasi yang menghidupkan naskhah ini di mata penonton terutama peminat setia novel ini khususnya golongan wanita.

Khadijah puas hati

BAKAL dipentaskan 14 kali sepanjang tempoh itu, akuinya persembahan hujung minggu termasuk matinee paling laris dijual, malah hingga kini tiket berharga RM50 sudah habis ditempah sekali gus membuktikan karya daripada novel yang pernah dijadikan teks bagi sekolah menengah itu peminat tegar.

Sementara itu, Khadijah berkata, berpuas hati dengan garapan semula Badai Semalam di pentas teater yang dikatakan seperti yang ditonjolkan di dalam naskhah novelnya termasuk gambaran di lokasi penting seperti di stesen kereta api.

"Saya paling suka menyaksikan babak di stesen kereta api ketika Mazni mengucapkan selamat tinggal kepada Zaki. Latar tempatnya, suasana dengan hujan dan guruh, dialog serta mainan emosi mereka cukup mengharukan.

"Sebagai pelakon, mereka dan seluruh tunjang pementasan ini sudah melakukan yang terbaik. Lihat saja set bersama pentas hidrolik dan set seperti saiz asal, ia menvisualkan sesuatu yang digambarkan dalam naskhah novel ke alam realiti," katanya.

Penulis tersohor itu mengakui menyaksikan latihan terakhir selain hadir mengikuti pementasan pembukaan Jumaat lalu, malah satu pameran lukisan yang dihasilkannya sendiri turut berlangsung di ruang legar Istana Budaya sepanjang tempoh pementasan.

Katanya, Mazni adalah lambang harapan masyarakat 70-an ketika itu yang diharap mampu menjadi contoh kepada generasi seterusnya supaya meminjam semangat kental gadis berkenaan dalam menggapai cita-cita.

"Produksi ini melalui cabaran besar, sebagai penulis, tulisan serta gambaran mendalam sudah mencukupi untuk memusatkan perhatian pembaca namun di pentas teater mereka perlu menterjemahnya dengan sokongan semua elemen termasuk skrip, set, lakonan, muzik, sistem bunyi, penataan cahaya dan sebagainya.

"Saya sendiri tidak menyangka selepas dibawa ke kaca TV sebanyak dua kali, kini ia dipentaskan pula di sini. Dalam naskhah panjang, kronologi kisahnya digarap menarik dari satu babak ke babak seperti dalam novel," katanya lagi.

INFO

* Teater Badai Semalam dipadankan daripada novel Khadijah Hashim
* Dipentaskan di Istana Budaya dari 11 November lalu hingga 20 November 2011.
* Tiket berharga RM30, RM50, RM70, RM100, RM150 dan RM300.

Tuntutan China tingkat konflik

Posted: 14 Nov 2011 07:34 PM PST

PEMANDANGAN di Pagasa   satu daripada 190 pulau kecil di  Spratly yang menjadi rebutan.
PEMANDANGAN di Pagasa satu daripada 190 pulau kecil di Spratly yang menjadi rebutan.
Filipina tolak permintaan Beijing dakwa kepulauan dalam perairan Manila

MANILA: China menuntut wilayah baru kurang 80 kilometer dari sebuah wilayah di Filipina, sekali gus meningkatkan tekanan di kawasan yang dipercayai kaya dengan sumber di Laut China Selatan itu, tetapi Filipina menolak tuntutan berkenaan.
Setiausaha Rendah Tenaga negara itu, Jose Layug Jr memberitahu Associated Press bahawa China membantah rancangan Filipina untuk mencari gali gas dan minyak di kawasan itu pada Julai lalu. Ia adalah kawasan paling hampir dalam perairan kepulauan Filipina di mana China menuntut wilayah yang menjadi pertikaian itu.
Beijing semakin agresif dalam membuat tuntutan berikutan ekonomi dan kedudukan tenteranya semakin kukuh. Tuntutan terbarunya itu mungkin bertujuan memperkukuhkan penyelesaian Filipina bagi mendapatkan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pertikaian jangka panjang itu yang membabitkan China, Filipina dan empat negara lain.

Antara kawasan yang menjadi tuntutan ialah Spratly, satu rangkaian dengan lebih 190 pulau, terumbu karang dan pulau yang dipercayai berada di kawasan gas semula jadi dan minyak, yang dibimbangi boleh menjadi konflik terbaru Asia masa depan.

Isu itu dijangka dibincangkan pada Rabu bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton yang bakal melawat Filipina.

"Kedua-dua kawasan baru itu dituntut China bukan sebahagian dari Spratly," kata Layug.
Kedutaan China menghantar satu bantahan kepada Kerajaan Filipina pada 4 Julai selepas Manila mengundang syarikat asing dalam usaha untuk mendapatkan hak bagi mencari gali minyak dan gas di 15 kawasan. Pihak berkuasa China menentang campur tangan kawasan 3 dan 4 di barat laut wilayah Palawan, mendakwa bahawa ia berada dalam kedaulatan China yang bukan menjadi pertikaian, kata satu laporan Kerajaan Filipina.

Wilayah Palawan, kira-kira 820 kilometer ke barat laut Manila, menghadap Laut China Selatan yang dituntut China.

China meminta Filipina membatalkan cari gali minyak di dua kawasan terbabit, kira-kira 79 kilometer ke Barat luat Palawan.

Layug berkata, bahawa Kerajaan Filipina memberitahu China bahawa kawasan itu berada dalam perairan Filipina.

"Kawasan terbabit yang kami cuba dapatkan adalah dalam wilayah Filipina," kata Layug. "Tiada keraguan mengenainya."

Kedua-dua kawasan itu lebih 800 kilometer dari kawasan pantai paling hampir dengan China, kata Layug.

Kira-kira 50 pelabur asing, termasuk sebilangan dari syarikat terbesar minyak dunia menyatakan minat untuk mencari gali minyak dan gas di Filipina, separuh daripada mereka adalah di kawasan baru yang dituntut China, kerana petanda yang kukuh bahawa ada minyak di sana, katanya.

Tiada syarikat asing terbabit melahirkan kebimbangan mengenai pertikaian wilayah itu, katanya.

"Pastinya isu mereka adalah untuk memastikan keselamatan dan sokongan Kerajaan Filipina apabila mereka diberikan kontrak," katanya.

Banjir di Thailand surut, 562 maut

Posted: 14 Nov 2011 07:33 PM PST

PERDANA Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra mengagihkan bantuan makanan    kepada penduduk sekitar Bangkok, semalam.
PERDANA Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk sekitar Bangkok, semalam.
BANGKOK: Ibu negara Thailand, Bangkok kelihatan sudah mulai surut daripada banjir yang melanda beberapa wilayah dan sekitarnya di utara, tetapi arahan berpindah masih dikeluarkan setiap hari di daerah luar manakala penduduk masih lagi berhadapan dengan minggu-minggu yang sukar.

Jabatan Saliran dan Pencegahan Bencana semalam berkata, seramai 562 penduduk maut dalam banjir yang melanda sejak Julai lalu dan sejumlah 22 daripada 77 wilayah di Thailand masih lagi terjejas.
Banjir mulai surut di beberapa bahagian di Bangkok, tetapi disifatkan masih lagi tinggi di tebing barat sungai Chao Phraya, yang mengalami air pasang besar di Teluk Thailand serta di timur ibu negara itu di mana pihak berkuasa mengalihkan aliran banjir dari utara untuk melindungi kawasan tengah Bangkok daripada tenggelam.

'Mat motor' tak tahu lesen palsu

Posted: 14 Nov 2011 07:32 PM PST

ANGGOTA trafik memeriksa penunggang motosikal   di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
ANGGOTA trafik memeriksa penunggang motosikal di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Polis syaki sindiket didalangi 'orang dalam', serah kepada JPJ untuk tindakan

KUALA LUMPUR: Seorang penjawat awam antara 22 'mat motor' yang ditahan kerana memiliki lesen palsu serta melakukan pelbagai kesalahan lain dalam operasi membanteras samseng jalan raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, malam kelmarin.
Pemuda berusia 20 tahun itu mendakwa tidak mengetahui lesen miliknya itu palsu selepas hampir lapan bulan menggunakan lesen itu yang dibeli daripada seorang lelaki yang menawarkan lesen 'segera' tanpa perlu mengikuti kelas atau mengambil ujian komputer dan jalan raya pada harga RM300.
Pemuda terbabit mendakwa tertarik dengan tawaran lelaki berkenaan yang ditemui ketika menemani seorang rakannya ke sebuah pusat latihan memandu di Selayang pada Mac lalu kerana tidak perlu bersusah payah mengikuti proses sah mengambil lesen.

"Ketika menunggu rakan, saya didatangi lelaki itu berusia sekitar 40-an dan menawarkan saya lesen segera tanpa perlu menggunakan sekolah memandu dan mengikuti ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kos hanya RM300.

"Saya bersetuju dan membayar wang diminta dan dalam tempoh dua minggu, saya memperoleh lesen itu tetapi saya tidak sangka lesen itu palsu," katanya ketika ditemui pemberita di sini, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Unit Penguatkuasaan Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K), Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, lesen berkenaan jelas palsu kerana berbeza dengan yang tulen seperti tulisan besar dan kedudukan lambang tidak berada di tempatnya.
"Selepas pemeriksaan dilakukan, kita dapati nombor siri lesen itu tidak wujud atau didaftarkan dalam sistem polis dan JPJ.

"Kita akan serahkan maklumat ini kepada JPJ untuk tindakan selanjutnya kerana kita percaya ada sindiket menggunakan 'orang dalam' sebagai dalang menghasilkan lesen palsu," katanya.

Azmi berkata, pemuda itu akan disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan atas kesalahan memalsukan dokumen dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih setahun.

Selain itu, katanya, sebuah motosikal dipercayai dicuri turut ditemui ditinggalkan di tepi jalan menuju ke Karak selepas penunggangnya melarikan diri daripada sekatan polis.

"Pada mulanya penunggang motosikal itu dengan berani melakukan aksi 'wheely' di depan anggota trafik di Jalan Raja Laut dan selepas dikejar, dia memecut hingga ke arah Karak dan meninggalkan motosikalnya," katanya.

1,500 unit rumah sewa PRISMA

Posted: 14 Nov 2011 07:32 PM PST

RUMAH sewa awam Perumahan Rakyat Iskandar Malaysia  di Gelang Patah  hampir siap.
RUMAH sewa awam Perumahan Rakyat Iskandar Malaysia di Gelang Patah hampir siap.
Peluang kepada rakyat berpendapatan rendah di Iskandar Malaysia

JOHOR BAHRU: Sebanyak 1,500 unit rumah sewa awam Perumahan Rakyat Iskandar Malaysia (PRISMA) di Gelang Patah, di sini ditawarkan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) kepada pemohon warga Malaysia yang memenuhi syarat ditetapkan.
Ketua Pegawai Eksekutif IRDA, Ismail Ibrahim, berkata warga Malaysia yang berminat untuk memohon mesti berusia antara 20 hingga 60 tahun dan sudah berkahwin dengan pendapatan kasar bulanan keluarga kurang RM3,000 sebulan.
Katanya, mereka yang memiliki seorang anak, mesti berpendapatan kasar tidak melebihi RM3,100 sebulan, keluarga mempunyai dua anak (RM3,200) dan mempunyai tiga anak (RM3,300).

Bagi keluarga yang mempunyai empat anak, pendapatan mesti tidak melebihi RM3,400 sebulan dan mereka yang mempunyai lima anak dengan pendapatan kasar RM3,500 sebulan juga layak memohon untuk menyewa di rumah terletak di Lima Kedai, Gelang Patah itu.

"Syarat lain termasuk mesti bekerja di dalam kawasan Iskandar Malaysia dengan tidak melebihi 20 kilometer dari tapak perumahan PRISMA, tidak memiliki rumah atau tanah dalam lingkungan 30 kilometer dari tapak sama dan tidak memiliki rumah awam kerajaan Johor di Iskandar Malaysia," katanya.

Projek perumahan PRISMA antara lain dirancang secara menyeluruh dan holistik yang menyediakan kawasan perumahan dan kemudahan awam sebaik mungkin kepada penghuninya. Rekaan adalah untuk menyediakan keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk mengikut Teknologi Hijau dan Pencegahan Jenayah Melalui Reka Bentuk Alam Sekitar (CPTED).
Ismail berkata, projek itu menyediakan 1,350 unit apartmen dengan tiga bilik tidur berkeluasan 900 kaki persegi dan 150 unit dengan empat bilik berkeluasan 1,200 kaki persegi, selain apartmen mesra orang kurang upaya (OKU) turut disediakan di tingkat bawah.

Katanya, harga sewa rumah adalah bergantung kepada kedudukan tingkat rumah dengan bilangan bilik tidur serta tidak termasuk bil elektrik, air dan kumbahan.

Beliau berkata, penyewa perlu membayar deposit sebanyak dua bulan sewa serta sebulan wang pendahuluan, selain deposit air, api dan kumbahan masing-masing sebanyak RM100.

Harga sewa bulanan di tingkat bawah untuk tiga bilik tidur adalah RM420 manakala empat bilik sebanyak RM560.

Sewa di tingkat satu untuk tiga bilik adalah RM400 dan empat bilik tidur (RM530); tingkat dua untuk tiga bilik (RM380) sebulan dan empat bilik (RM505), manakala tingkat atas untuk tiga bilik (RM360) dan empat bilik (RM480) sebulan.

Orang Asli abai kebersihan

Posted: 14 Nov 2011 07:29 PM PST

KAWASAN perumahan masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu dipenuhi sampah.
KAWASAN perumahan masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu dipenuhi sampah.
Najis, sampah cemari Sungai Berua

KUALA BERANG: Walaupun sudah dimaklumkan air sungai antara punca utama 24 orang termasuk seorang kanak-kanak Orang Asli di perkampungan Sungai Berua, di sini menghidap demam kuning berpunca daripada virus kencing tikus, bulan lalu, sumber itu tetap menjadi pilihan penduduk untuk mencuci pakaian, mandi serta minum tanpa dimasak.
Air Sungai Berua berhampiran penempatan masyarakat itu tetap jadi pilihan biarpun dicemari sampah sarap dan tebingnya menjadi sarang pembiakan tikus, atas alasan bekalan air bersih dibekalkan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dipotong kerana penduduk gagal membayar tunggakan bil.
Kekotoran sungai itu adalah akibat masyarakat di perkampungan itu membuang sampah di kawasan kediaman dan di tebing sungai, manakala beberapa lokasi di tebingnya dijadikan tandas oleh kanak-kanak masyarakat Orang Asli walaupun kerajaan negeri menyediakan tandas di setiap kediaman.

Justeru, Timbalan Ketua Kampung Sungai Berua, Ibrahim Awang, tidak menuding jari menyalahkan kerajaan negeri berikutan 24 anak buahnya, termasuk sembilan pelajar terpaksa dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) disebabkan virus kencing tikus, kerana masyarakat sendiri mengabaikan kebersihan selain menggunakan airnya untuk minum dan memasak.

Katanya, pegawai Jabatan Kesihatan Daerah Hulu Terengganu kerap mengunjungi perkampungan itu untuk mengadakan pameran kesihatan dan memberi nasihat agar memasak air sungai sebelum menggunakannya.

"Punca utama penduduk diserang penyakit demam kuning dan dijangkiti Hepatitis A sebelum ini juga disebabkan kawasan perumahan dan tebing serta air sungai terlalu kotor.
"Walaupun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kerap menganjurkan gotong-royong membersih kawasan, tetapi tidak mendapat sambutan masyarakat," katanya.

Ibrahim berkata, masyarakat Orang Asli di penempatan Sungai Berua tidak dipinggirkan kerajaan negeri, malah bekalan air bersih sudah disediakan di setiap kediaman sejak 10 tahun lalu, tetapi keengganan mereka menjelaskan bil menyebabkan kemudahan itu terpaksa dipotong.

"Masyarakat Orang Asli sudah sebati dengan air sungai, sebab itu mereka tetap menggunakannya untuk mandi, mencuci pakaian dan memasak, biarpun bekalan air bersih disediakan," katanya.

Ibrahim berkata, beliau difahamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Rozi Mamat sudah menjelaskan bil tertunggak September lalu, tetapi SATU belum membuat penyambungan semula.

Jurucakap SATU berkata, tindakan memotong bekalan air bersih terpaksa dilakukan berikutan kegagalan penduduk perkampungan itu menjelaskan bil tertunggak melebihi RM30,000, termasuk tunggakan paip individu berjumlah RM20,000, manakala jumlah hutang tertunggak untuk meter bersama sebanyak RM5,662.

"Bekalan air bersih ke kediaman perkampungan itu akan disambung semula selepas mereka menjelaskan bil tertunggak," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai bayaran yang dijelaskan Rozi.

Sementara itu, Rozi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri ketika ditemui berkata, beliau mengarahkan Pejabat Daerah Hulu Terengganu menggunakan peruntukan di bawah bantuan am disediakan kerajaan negeri kepadanya untuk menjelaskan bil tertunggak sebanyak RM16,000.

Dira & Helmi meniti bahagia

Posted: 14 Nov 2011 07:27 PM PST

Lega! Itu perkataan yang keluar daripada mulut pelakon dan pengacara, Dira Abu Zahar sebaik sahaja tamat majlis resepsi perkahwinan antara dia dan suaminya, Mohd Helmi Mohd Yusof di Lanai, Matic, malam tadi.

Melahirkan syukur kerana selamat bergelar isteri kepada Helmi, Dira mengakui dia mengambil masa enam bulan untuk bertungkus lumus menjayakan majlis ini.

Hadir ke majlis dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi, Dira dan suaminya diiringi oleh tujuh buah motosikal lain dan kedatangan mereka juga dimeriahkan lagi dengan letupan bunga api.

Cantik menggayakan pakaian rekaan, Anizam Yusof, menurut Dira, dia bersyukur dan gembira melihat apa yang dirancangnya dapat direalisasikan dengan begitu baik sekali pada malam itu.

"Lega majlis telah selesai dengan baik, saya mengambil masa enam bulan untuk majlis ini dan Alhamdulillah, saya lihat semua gembira malam ini,"jelas Dira.

Bertanyakan tentang penerimaan anak tunggal Dira, Tengku Anggun Deandra, dengan perkahwinannya ini, jelas Dira, dia dapat merasai Anggun sangat memahami keadaan ini.

"Saya percaya dia faham, saya ada bercakap dengannya tentang perkara ini, nampaknya dia sudah mengerti.

"Saya lihat dia juga menyayangi Helmi dan sudah mula cemburu sekiranya Helmi bersama dengan kanak-kanak lain.

"Anggun panggil Helmi dengan gelaran uncle, tapi tak kisahlah apa pun panggilannya, yang penting Anggun boleh menerima kehadiran Helmi dalam kehidupan kami,"luah Dira.

Helmi Air, Dira Api

Seperti mana Dira, Helmi juga melahirkan rasa syukur apabila majlis mereka selamat dilangsungkan dengan jayanya.

Mengakui mencintai Dira kerana sifat mereka yang berbeza, jelas Helmi, Dira banyak memberi cabaran dalam kehidupannya.

"Saya suka cabaran, dan apabila bertemu Dira, saya dapat rasakan Dira banyak memberi cabaran pada saya.

"Kami berdua umpama air dan api, saya air dan dia pula api. Banyak perkara yang dia buat menjadikan saya banyak bersabar.

"Saya suka dia, dan Anggun, saya tidak pernah menghalang dia untuk terus berada dalam industri ini, dan saya tidak pernah kacau apa sahaja yang dia mahu lakukan,"jelas Helmi.

Yuna Semakin Dihargai

Posted: 14 Nov 2011 07:24 PM PST

Menyambut hari lahirnya yang ke 25 hari ini, penyanyi yang popular dengan lagu, Dan Sebenarnya ini bertuah apabila dia dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Kembara, di malam Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18) Sabtu lalu.

Turut memenangi dua lagi anugerah iaitu, Lagu Terbaik dan Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu Wanita, Yuna berbesar hati mengatakan bakat dan penat lelahnya kini telah dihargai.

"Syukur Alhamdulillah, segala penat lelah, usaha, kerja keras saya untuk industri ini dihargai oleh semua. Kejayaan ini meningkatkan semangat saya untuk terus berkarya.

Persembahan Zamani antara yang dinanti

"Saya memang tidak sangka akan menang, lebih-lebih lagi, lagu Penakut dibuat agak berlainan kerana korus dan lagunya agak berlainan. Namun, Alhamdulillah ia dipilih menjadi lagu terbaik pada malam AIM ini,"jelas Yuna.

Sementara itu, bagi Shiela Majid, kejayaannya pada malam itu membuktikan bahawa bukan sahaja penyanyi dan bakat baru dihargai oleh AIM, namun ia turut meraikan bakat yang ada dalam diri penyanyi-penyanyi lama.

"Saya bersyukur masih mendapat tempat di hati juri, saya harap gabungan artis dalam majlis seperti ini dapat mengeratkan lagi silaturahim sesama kami.

"Saya suka melihat apa yang berlaku pada malam AIM ini, semua pemuzik bersatu untuk meraikan majlis ini,"jelas Sheila Majid yang memenangi kategori, Album Terbaik menerusi album The Malaysian Philharmonic Orchestra Celebrate 25 Years of Sheila Majid dan kategori Susunan Muzik Terbaik.

Corat-coret sepanjang AIM18 berlangsung:

1) Stadium mula dipenuhi peminat bermula 5 petang dan acara karpet biru dimulakan daripada pukul 7 Malam.

2) Karpet biru dimeriahkan oleh pengacara Awal Ashaari dengan dibantu oleh Diana Danielle. Pertama kali mengacarakan majlis secara live, membuatkan Diana kelihatan gementar sehingga beberapa kali tersasul menyebut 'red carpet'.

3) Diana juga tersilap memperkenalkan Hazama dengan menyebut nama Nashrin, namun secara keseluruhannya, dia telah menjayakan program karpet biru itu dengan baik.

4) Persembahan pembukaan dibuat dengan begitu baik sekali oleh Najwa Mahiaddin dengan membawakan lagu-lagu terbaik sepanjang zaman.

5) Sobri muncul menghiburkan penonton di stadium setiap kali apabila rancangan berhenti rehat dengan gaya berbeza, dan ternyata Sobri sangat laser dan menghiburkan.

6) Anuar Zain menepuk tangan dan berdiri setelah persembahan 3 Suara selesai dinyanyikan oleh Jac, Shila dan Ning Baizura. Sememangnya persembahan ini memang terbaik!

7) Kemunculan penyanyi-penyanyi otai seperti Zamani, Elly, Ezad dan Rahmad memeriahkan lagi stadium apabila seluruh penonton sama-sama menyanyikan lagu bersama-sama mereka.

8) Ternyata semua persembahan yang dipersembahkan di malam AIM ini memukau penonton termasuklah persembahan dua bintang Youtube, Greyson dan Najwa Latif. Tahniah AIM18!

Senarai Pemenang-pemenang AIM18

Album Terbaik – Produser
Magada Entertainment Sdn. Bhd. - The Malaysian Philharmonic Orchestra Celebrate 25 Years of Sheila Majid - Sheila Majid

Lagu Terbaik
Penakut -Yuna - Yuna

Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu Lelaki
Anuar Zain – Sedetik Lebih

Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu Wanita
Yuna – Penakut

Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Lagu
Jaclyn Victor, Shila Amzah & Ning Baizura – Beribu Sesalan

Artis Baru Terbaik
Najwa Mahiaddin

Lagu Pop Terbaik
Sedetik Lebih – Edry Abdul Halim – Anuar Zain

Lagu Pop Etnik Terbaik
Joget Tak Senang Hati – Mohariz Yaakup/Azalea - Adibah Nor

Lagu Rock Terbaik
Pelita – Loque - Loque & A.P.I.

Lagu Nasyid Terbaik
Pedoman VOU – Johan Nawawi/Shah Mohamed, Hafiz Tarmizi, Johan Nawawi – Nora feat VOU

Lagu Inggeris Tempatan Terbaik
Got To Go – Najwa Mahiaddin – Najwa Mahiaddin

Kulit Album Terbaik – Pereka
Kasi Gegar Entertainment Sdn. Bhd. - Urusan Aizat Amdan – Aizat

Video Muzik Terbaik – Pengarah
Ahmad Faris – Susun Silang Kata - Aizat Amdan

Rakaman Album Terbaik – Jururakam
Keith Yong - Realize – Reza Salleh

Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkanlah oleh Artis Luar Negara – Artis
Ku Menunggu – Rossa

Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu – Pengubah
Syed Shahril Faizal Syed Hussain – Jeritan Batinku – Sheila Majid

Artis Mobile Celcom Terbaik
Sixth Sense (1.8 juta muat turun)

Anugerah Kembara
Yunalis Zarai

Anugerah Wirama
Beh Suat Pheng

Gangguan ritma sirkadian punca murung

Posted: 14 Nov 2011 07:24 PM PST


Individu yang mengalami gangguan ritma sirkadian harus mendapatkan rawatan psikiatri. - Gambar hiasan


L aporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 1999 menyebut, kemurungan adalah penyakit keempat di dunia yang boleh menyebabkan hilang keupayaan dan menambahkan kesengsaraan.

Di Malaysia, penyakit tersebut menduduki tangga keempat paling kerap dihidapi. Ia memberi kesan tehadap kira-kira 10 peratus penduduk negara ini.

Hakikatnya, sesiapa saja boleh mengalami masalah kemurungan tanpa mengira usia, jantina atau bangsa. Lebih menyulitkan, kemurungan merupakan penyakit yang tidak mempunyai simptom-simptom khusus.

Oleh yang demikian, kegagalan individu tersebut mengenali simptom kemurungan akibat kurang kesedaran dan pengetahuan menyebabkan ramai tidak dapat dirawat dari awal.

Menurut bekas Presiden Persekutuan ASEAN Berkaitan Psikiatrik dan Kesihatan Mental (AFPMH), Prof. Dr. Mohamad Hussain Habil, kesilapan ketika diagnosis atau rawatan yang tidak optimal terhadap masalah kemurungan dilihat terus mengganggu proses rawatan penyakit itu.

Ini diburukkan lagi dengan kurangnya perhatian kepada perubahan ritma sirkadian yang mengawal fizikal, mental dan corak serta tingkah laku seseorang secara kasar mengikut kitaran 24 jam

Tambah beliau, gangguan ritma sirkadian yang berlaku akibat perubahan kitaran tidur juga dikenal pasti sebagai antara punca utama kemurungan.

"Sebanyak 82 peratus pesakit yang mengalami kemurungan masih belum dirawat disebabkan stigma masyarakat, tersalah diagnosis serta tidak mendapat rawatan sepenuhnya.

"Semakin ramai pesakit yang mengalami kemurungan dirawat oleh doktor biasa dan bukannya pakar psikiatri.

"Malah, kebanyakan mereka tidak didiagnos manakala baki 18 peratus lagi diberi ubat anti kemurungan dan cuma 10 peratus dirawat dengan sewajarnya," katanya ketika ditemui pada bengkel media anjuran Servier Malaysia Sdn. Bhd., di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Justeru, katanya, pemahaman mengenai kaitan antara gangguan ritma sirkadian dan kemurungan mesti dipertingkatkan agar dapat meningkatkan tahap mengenal pasti dan pengurusan penyakit ini.

Pada masa yang sama, menurut Dr. Mohamad Hussain, kemurungan menjadi antara alasan paling biasa bagi orang ramai berjumpa pengamal perubatan awam.

Diagnosis jitu dan lebih fokus terhadap gangguan ritma sirkadian mampu menyediakan platform berkesan untuk merawat gangguan perasaan.

Gangguan ritma sirkadian adalah kecelaruan dalam jam dalaman tubuh seseorang yang mengawal proses biologikal seperti aktiviti gelombang otak, penghasilan hormon dan penjanaan semula sel serta aktiviti-aktiviti biologikal lain yang mempunyai hubungan dengan kitaran itu.

Ia juga boleh mengubah kitaran tidur jaga, pembebasan hormon, suhu badan dan fungsi penting tubuh yang lain.

Ritma biasa waktu malam dan siang mengawal kehidupan kita.

Ia dikaitkan dengan perubahan biasa terhadap suhu utama badan, tahap hormon, kadar degupan jantung, perkumuhan ginjal dan pergerakan usus.

Ciri-ciri kemurungan yang menunjukkan gangguan ritma sirkadian termasuk terjaga awal, tiada mood waktu pagi, perubahan corak tidur, perubahan suhu badan dan aktiviti hormon.

Dalam pada itu, menurut Perunding Psikiatri Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar Md. Zain, gangguan ritma sirkadian ditemui di kalangan pesakit yang mengalami masalah kemurungan teruk.

"Tekanan juga adalah faktor utama penyumbang ke arah kemurungan disebabkan pelbagai peristiwa hidup yang traumatik (kesedihan akibat kematian, konflik perkahwinan, penyakit serius, tanggungjawab sosial, tekanan di tempat kerja, peperiksaan selain masalah kesihatan dan kewangan), persekitaran psikososial hinggalah penyakit somatik.

"Pelbagai peristiwa ini menyebabkan ritma sirkadian tidak lagi selari dan menyebabkan berlakunya gangguan biologikal, fisiologikal dan tingkah laku di kalangan pesakit yang mengalami kemurungan.

"Sebagai contoh, tekanan di tempat kerja yang disebabkan kegagalan menguruskan prestasi dan jangkaan mungkin membawa kesukaran memula dan mengekalkan tidur," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keadaan ini menyebabkan kesukaran sewaktu bangun dan perubahan mood di waktu pagi, kekurangan tenaga dan semangat, tiada selera serta konsentrasi terganggu.

Selain itu, individu berkenaan kemudian secara perlahan-lahan akan menyisihkan diri dan dalam jangka panjang, ia bukan sekadar memberi kesan terhadap keadaan mental, malah tahap kesihatan dan kesejahteraan secara keseluruhannya.

Sementara itu, menurut Perunding Psikiatrik, Dr. Ting Joe Hang, ada beberapa jenis gangguan tidur seperti insomnia, apnea tidur, sindrom kaki resah dan narkolepsi yang mempunyai hubungan dengan gangguan ritma sirkadian.

Katanya, tidur mempunyai kesan pemulih terhadap proses fizikal dan mental malah tidur juga adalah komponen penting dalam kesihatan fizikal dan mental yang baik, di samping penting bagi fungsi kognitif yang optimum.

"Menurut kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, dianggarkan 10 hingga 35 peratus populasi awam mungkin mengalami beberapa bentuk gangguan tidur dan malangnya, lebih separuh daripada yang mengalami masalah tidur langsung tidak mendapatkan nasihat perubatan.

"Gangguan ritma sirkadian tidak semestinya berkaitan dengan kemurungan dan ia sering disalah diagnos sebagai insomnia atau kondisi psikiatri.

"Bagaimanapun, gangguan ritma harian (jet lag) atau kerap mengembara merentasi zon waktu, bekerja syif bagi tempoh lama dan sindrom fasa tidur yang ditangguh (tidur dan jaga, terjaga pada tengah malam) boleh mengubah ritma sirkadian kita dan menyebabkan kemurungan," katanya.

Tambahnya, kebanyakan pesakit yang mengalami kemurungan menghadapi masalah tidur, tetapi, tidak semua yang mempunyai masalah tidur mengalami kemurungan malah penilaian berhati-hati penting untuk merangka rawatan termasuk ubat-ubatan, kaunseling dan terapi.

Ketawa buka minda

Posted: 14 Nov 2011 07:23 PM PST


Ketawa merupakan cara terbaik untuk membuka minda. - Gambar hiasan


MENYAKSIKAN komedi Mr. Bean terlebih dahulu merupakan cara terbaik dalam memastikan mesyuarat syarikat anda produktif, berkesan dan inovatif.

Ini kerana ketawa, antara lain membantu membuka minda, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Mind Unzipper, Dr. Yew Kam Keong, semasa persidangan mengenai inovasi anjuran Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM), baru-baru ini.

Penceramah antarabangsa, jurulatih dan perunding berkenaan merujuk kepada sebuah tinjauan Wall Street Journal yang mendapati sesi-sesi mesyuarat mewakili waktu paling tidak produktif, berbanding perbualan telefon, e-mel, perjalanan dan gosip pejabat.

Bagaimanapun, mengadakan mesyuarat tidak dapat dielakkan. Dengan itu perlu ada cara untuk menjadikannya lebih berkesan. Satu daripada caranya ialah melalui pendekatan jenaka.

"Ketawa merupakan cara terbaik untuk membuka minda hadirin sebelum sesuatu mesyuarat. Kajian mengesahkan ketawa sebelum mesyuarat akan menjadikan minda lebih produktif dalam menjana idea.

"Tempoh lima hingga 10 minit yang dihabiskan dalam bersiap dan membuka minda memang berguna," kata Dr. Yew kepada 150 orang perserta di acara sehari itu.

Bagaimana untuk mencetuskan ketawa

Antara cara untuk mencetuskan ketawa semasa mesyuarat adalah seperti mengadakan satu sesi berseloroh dengan setiap orang mengambil giliran untuk menceritakan kisah lucu.

Selain itu, menyaksikan tayangan komedi melalui televisyen atau cakeran padat video (VCD) komedi seperti Mr Bean dan bermain permainan yang mencetuskan ketawa juga boleh dilakukan.

Cara lain untuk menggalakkan aliran kreativiti termasuk menggunakan alatan, menjemput orang luar ke mesyuarat, menukar tempat, melayan idea-idea yang tidak masuk akal dan memperuntukan sehari dalam seminggu sebagai 'hari tanpa mesyuarat '.

"Pada keseluruhannya, mesyuarat mestilah sesuatu yang menyeronokkan. Mereka yang menghadiri mesyuarat perlu diterapkan dengan minat terlebih dulu.

"Syarikat anda akan dikenali sebagai 'syarikat menyeronokkan' dan anda akan mampu memikat pekerja-pekerja hebat yang sebaliknya akan mendorong syarikat ke arah kemakmuran lestari", katanya.

10 ciri menarik wanita Malaysia

Posted: 14 Nov 2011 07:22 PM PST


Selebriti tempatan iaitu penyampai radio, Nana, Fara Fauzana dan penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza bersama Christine Fellowes pada majlis pelancaran High Heeled Warriors, di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KAJIAN yang dilakukan oleh Universal Networks International bersama rakan penyelidik Synovate terhadap wanita Malaysia mendapati terdapat 10 ciri menarik yang dimiliki oleh mereka.

Kajian unik psikografik yang dinamakan High Heeled Warriors mengenai wanita di Asia Tenggara ini mendapati, wanita Malaysia berpendidikan tinggi, bercita-cita besar, ingin berjaya , berkerjaya dan berdikari daripada segi kewangan.

Selain itu mereka juga berani melakukan apa sahaja bagi mencapai cita-cita, ingin dilihat sebagai wanita berkebolehan, inginkan perlindungan dan keselesaan, bertanggungjawab terhadap keluarga serta masyarakat dan masih berpegang kepada tradisi namun dalam masa yang sama adalah pembuat keputusan yang aktif.

Wanita Malaysia didapati sanggup melabur dalam pendidikan kerana menganggap kejayaan akademik bermakna kejayaan dalam karier dan dihormati oleh semua orang.

Golongan ini juga optimistik dan pada masa yang sama bercita-cita tinggi, ingin kehidupan yang lebih baik dan masa depan yang lebih cerah.

Pengarah Urusan Asia Pacific of Universal Network International, Christine Fellowes berkata, wanita High Heeled Warrior Malaysia berusaha untuk berjaya dalam semua aspek kehidupan, iaitu berjaya dalam karier dan mempunyai kestabilan kewangan.

''Dia juga berusaha untuk berjaya dalam kehidupan berkeluarga seperti mencari suami yang sesuai, mendidik anak dengan baik dan memberikan mereka pendidikan yang baik.

''Wanita ini akan memperoleh kepuasan dengan menjadi wanita berkerjaya moden yang berjaya juga sebagai ibu dan ingin menyumbang kepada keluarga.

''Mereka bekerja keras untuk berdikari daripada segi kewangan dan merancang masa depan. Mereka tidak mahu terlalu bergantung kepada suami kerana yakin mereka mampu,'' ujarnya.

Tambah Fellowes, wanita itu ingin dilihat sebagai wanita berkerjaya yang berjaya dan pada masa tertentu ingin menonjolkan gaya peribadi dengan memiliki jenama digemari. Kemewahan baginya adalah prestij, status dan eksklusif.

Beliau menjelaskan, selain Malaysia, tiga buah negara lain yang turut terlibat dalam kajian ini ialah Filipina, Singapura dan Indonesia.

Tiga perkara yang diberikan perhatian dalam kajian berkenaan ialah mengenai tabiat gaya hidup, motivasi psikografik dan identiti peribadi wanita urban kontemporari.

Beliau berkata, hasil kajian mendapati lapan kunci motivasi yang mempengaruhi keputusan yang diambil oleh wanita-wanita ini ialah riang, dimiliki, jaminan keselamatan, kawalan, pengiktirafan, kuasa, ketahanan dan kegembiraan.

Wanita Asia ujarnya, didapati memiliki semuanya, iaitu berpendidikan, berdikari dan berjaya, mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap diri mereka dan karier namun dalam masa sama masih berpegang pada ciri-ciri keluarga tradisional.

''Di Malaysia sahaja, sebanyak 47 peratus wanita negara ini bekerjaya. Manakala di Filipina dan Singapura masing-masing sebanyak 51 peratus dan Indonesia 53 peratus,'' katanya pada majlis pelancaran High Heeled Warriors, kajian psikografik unik mengenai wanita Asia Tenggara di The Gardens, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, terdapat satu bilion wanita High Heeled Warriors di seluruh dunia dengan memperoleh pendapatan AS$12 trilion (RM37.2 trilion) .

Mereka turut membuat atau mempengaruhi keputusan terhadap sesuatu pembelian. Selain itu mereka juga mengawal perbelanjaan untuk seluruh dunia berjumlah AS$ 20 trilion (RM 62 trilion).

Universal Networks yang mempunyai beberapa saluran hiburan termasuk DIVA Universal, Universal Channel, E! Entertainment dan Style, melabur dalam kajian psikografik terhadap penonton-penonton wanita bagi mengukuhkan saluran tersebut sebagai media unik kepada para pengiklan dan pemasaran.

Fellowes berkata, dengan pelbagai rancangan khusus untuk wanita di Universal Network, pihaknya komited untuk lebih mendalami pasaran rancangan untuk wanita. High Heeled Warriors akan memberi lebih kefahaman mengenai penonton-penonton wanita kepada para pengiklan dan pemasaran.

Turut membuat penampilan istimewa pada majlis tersebut ialah model dan tokoh fesyen, Kimora Lee Simmons.

Debaran hari pertama

Posted: 14 Nov 2011 07:21 PM PST


LIMA pelajar meneliti soalan Bahasa Melayu 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru, Melaka, semalam.


KUALA LUMPUR 14 Nov. – Seramai 468,808 pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 di 3,533 buah pusat peperiksaan seluruh negara mulai hari ini hingga 14 Disember depan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati calon-calon menggunakan masa terluang mengulang kaji pelajaran buat kali terakhir sebelum memasuki dewan sekolah masing-masing bagi mengikuti peperiksaan Bahasa Melayu kertas 1 bermula pukul 8 pagi.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cochrane, Shamsiah Ahmad berkata, pihaknya membuat persediaan sejak Februari lalu bagi membantu pelajar menghadapi peperiksaan tersebut.

"Saya minta calon-calon supaya tidak gugup dan yakin dengan diri sendiri," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu di PAHANG, seramai 22,490 calon termasuk 23 calon keperluan khas menduduki peperiksaan tersebut di 201 pusat peperiksaan.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Yahya Zainal Abidin berkata, jumlah tersebut turut merangkumi 450 calon daripada kalangan Orang Aslidi Kuantan, Rompin dan Pekan.


empat calon orang kurang upaya (OKU) memasuki dewan bagi menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Lintang, Kuching, Sarawak, semalam.


Di KEDAH, Jabatan Pelajaran negeri akan menyediakan pusat peperiksaan alternatif jika sekolah-sekolah yang terlibat dengan peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dilanda banjir.

Pengarahnya, Mansor Lat berkata, berdasarkan banjir tahun lalu, pihaknya telah mengenal pasti 18 sekolah di Pendang, Kota Setar, Kubang Pasu dan Padang Terap yang berisiko tinggi dinaiki air.

Di MELAKA, seramai 15,534 pelajar tingkatan lima menduduki peperiksaan berkenaan di 112 pusat peperiksaan seluruh negeri.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mohd. Yusuff Osman berkata, jumlah pelajar pada tahun ini meningkat sebanyak 114 orang berbanding 15,420 orang tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, seramai 13,334 calon daripada sekolah di bawah Kementerian Pelajaran, 804 calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), 116 calon sekolah swasta dan 1,132 calon persendirian," katanya.

Di KELANTAN, seramai 36,333 calon SPM menduduki peperiksaan tersebut di 282 pusat bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, daripada jumlah tersebut seramai 28,087 merupakan calon sekolah kerajaan, MRSM (650 calon), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) (136 calon) dan sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) 4,935 calon.

Keluarga terharu jasa, sumbangan P. Ramlee dihargai

Posted: 14 Nov 2011 07:20 PM PST


SEBAHAGIAN daripada murid sekolah mengibarkan Jalur Gemilang di hadapan Sekolah Kebangsaan Tan Sri P. Ramlee di Georgetown, Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 14 Nov. - Tiada apa yang paling menggembirakan keluarga Allahyarham Tan Sri P. Ramlee apabila jasa dan sumbangan seniman agung itu dalam arena seni negara mendapat pengiktirafan.

Semalam, Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa di Jalan Gudwara di sini dengan rasminya dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Tan Sri P. Ramlee.

Perasmian pengisytiharan penukaran nama sekolah itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dalam satu majlis yang diadakan di sekolah tersebut.

Walaupun tiada air mata yang mengalir, beberapa ahli keluarga Allahyarham yang hadir dilihat sebak sebaik pengisytiharan sekolah itu selamat disempurnakan.

Sepupu P. Ramlee, Abdul Rahim Rejap, 74, melahirkan rasa syukur kerana masyarakat tidak melupakan jasa yang telah dicurahkan oleh P. Ramlee semasa hayatnya.

Katanya, sebagai ahli keluarga Allahyarham yang masih hidup, dia bangga melihat usaha itu mendapat pengiktirafan masyarakat.

''Walaupun sudah 38 tahun dia meninggalkan kita, masih ramai yang tidak jemu menonton filem dan mendengar lagu P. Ramlee. Sudah pasti saya terharu kerana generasi muda yang tidak pernah bersama P. Ramlee juga meminatinya.

''Hari ini, perasaan saya bertambah gembira kerana sekolah pertama beliau kini dinamakan atas namanya. Jika beliau masih hidup, pasti beliau amat gembira dengan pengiktirafan yang diberikan ini," katanya yang pernah tinggal serumah dengan P. Ramlee ketika zaman kanak-kanak.

Sementara itu, bagi Rosli Abdul Rahim, 50, dan adiknya Azman, 46, tidak banyak kenangan yang mampu diingat memandangkan bapa saudara mereka itu sudah tiada ketika mereka masih kecil.

Namun, kata mereka, jauh di lubuk hati masing-masing sebenarnya mereka amat kagum dengan penghormatan yang diberikan oleh semua pihak terhadap seniman itu.

''Ayah selalu bercerita tentang P. Ramlee terutama ketika mereka masih kecil. Dari kecil sehingga besar, kami memang telah didedahkan dengan cerita-cerita tentang Allahyarham.

''Setiap kali 29 Mei, hati saya sedih. Tarikh itu merupakan tarikh pemergian bapa saudara saya itu. Namun, cerita-cerita lakonannya yang masih ditayangkan di televisyen ketika ini sedikit sebanyak mengubat perasaan kami," kata Azman.

Dedah realiti kehidupan sebenar

Posted: 14 Nov 2011 07:18 PM PST


Jamil Khir Baharom bersama johan Pertandingan Debat Bahasa Arab IPT ASEAN dari Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Indonesia di Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, semalam.


NILAI 14 Nov. - Penglibatan pelajar universiti dalam program-program yang memerlukan interaksi dengan masyarakat di luar kampus perlu dipertingkatkan kerana ia mampu mendedahkan mereka dengan realiti kehidupan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pendedahan seperti itu penting kerana selain menimba ilmu akademik di kampus, ia juga membolehkan mahasiswa membina hubungan baik dengan masyarakat sebaik sahaja menamatkan pengajian.

"Kehidupan mahasiswa tidak cukup hanya dengan ilmu akademik semata-mata, mereka perlu juga diberi pendedahan kehidupan sebenar di luar kampus.

"Semakin banyak pengalaman yang diperoleh, semakin tinggi nilai diri dan pasaran kerja yang bakal menanti mereka," katanya pada sidang akhbar selepas menutup Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ASEAN 2011 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM, Profesor Dr. Musa Ahmad.

Seramai 225 peserta dari 22 IPT termasuk dari Brunei, Indonesia dan Thailand mengambil bahagian dalam ihtifal selama lima hari itu.

Program anjuran USIM dengan kerjasama Bahagian Dakwah Jakim itu menampilkan empat acara utama iaitu tilawah al-Quran, pertandingan nasyid, debat dan Persidangan Belia Islam Sedunia.

Jamil berpuas hati dengan penganjuran program itu terutamanya penyertaan pelajar dari universiti sekitar ASEAN.

Beliau berharap ia akan dapat diadakan dalam skala lebih besar pada tahun depan.

Dikepung 12 samseng

Posted: 14 Nov 2011 07:17 PM PST


MOHD. Zulkhaimi (dua dari kiri) bersama rakan setugas di hadapan Balai Polis Sri Damansara.


MUNGKIN ada yang menganggap tugas sebagai anggota unit peronda atau MPV mudah kerana hanya menjalankan rondaan semata-mata.

Namun, bagi Konstabel Mohd. Zulkhaimi Abd. Rahman, 31, atau lebih mesra dikenali sebagai Khaimi, tugas tersebut merupakan satu amanah yang perlu dipikul dengan sebaiknya.

Kali pertama berjumpa dengan Khaimi ialah dalam majlis penghargaan kepada unit peronda MPV setelah berjaya menyuraikan satu kes pergaduhan antara kumpulan samseng pada Julai lalu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya.

Meskipun menyedari risiko tinggi terpaksa dihadapi, Khaimi menganggap tugas itu sebagai tanggungjawab besar yang diberikan kepada barisan hadapan pasukan keselamatan bagi menjaga keamanan dan mencegah jenayah.

Bagi Khaimi, sebagai anggota unit peronda, dia adalah pasukan yang pertama tiba di lokasi kejadian dan perlu membuat tindakan dan pertimbangan sewajarnya bagi mengawal keadaan.

"Anggota pertama tiba di lokasi memainkan peranan penting dalam mengawal situasi cemas seperti pergaduhan dan juga rompakan," jelas Khaimi yang bertugas di Unit Logistik selama dua tahun sebelum ditukarkan ke unit MPV.

Pernah satu ketika semasa melakukan rondaan, dia dan rakan setugas hampir ditetak dengan parang ketika cuba meleraikan pergaduhan kumpulan samseng.

"Bayangkan, ketika itu terdapat lebih kurang 12 ahli kumpulan samseng bersenjatakan parang cuba menyerang dan melanggar kami sehingga saya terpaksa melepaskan tembakan amaran," ujarnya.

Nampak mudah di mata umum, namun hakikatnya tugas sebagai anggota peronda memainkan peranan besar dalam usaha mencegah dan menyelesaikan kes jenayah.

Ini kerana, sebagai anggota terawal tiba di lokasi kejadian, segala maklumat perlu dikumpul dengan cepat dan betul sebelum dilaporkan kepada pegawai atasan.

Sebagai anggota peronda yang tiba di tempat kejadian, mereka bertanggungjawab mengesan barang kes dan juga suspek serta membuat laporan sebelum diserahkan kepada pegawai atasan.

Anak sulung daripada tujuh beradik ini berkata, sepanjang empat tahun menyertai unit tersebut, dia berhadapan dengan pelbagai situasi dan keadaan getir yang meletakkan dirinya di dalam bahaya.

Sepanjang tempoh itu juga, dia menerima tiga sijil penghargaan daripada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya termasuk yang terbaru daripada Timbalan Ketua Polis Selangor pada Julai lalu.

Walaupun sibuk menjalankan tugas sebagai anggota peronda namun, dia telah bertemu jodoh dengan isteri kesayangan yang dikenalinya sebelum menyertai pasukan polis.

"Saya mengenali isteri saya hampir 10 tahun lalu ketika masih bekerja di Kelantan," jelasnya sambil tersenyum.

Mujurlah isteri Khaimi memahami kerjayanya dan tidak banyak membantah walaupun terpaksa mengorbankan masa cuti, malah anggota polis ini bersyukur mendapat seorang isteri yang memahami tugasnya.

Raja Muda sertai Sidang Komander Wataniah

Posted: 14 Nov 2011 07:16 PM PST


TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (duduk, empat dari kiri) dan Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi (duduk, lima dari kanan) menyertai Sidang Komander-Komander Askar Wataniah di Hotel Marriot Putrajaya, kelmarin.


RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyertai Sidang Komander-Komander Askar Wataniah Siri Ke-23/2011 di Hotel Marriot Putrajaya, kelmarin.

Selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Brigadier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menghadiri sidang itu yang dipengerusikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi.

Persidangan untuk menghasilkan resolusi-resolusi bernas demi kebaikan dan pembangunan Askar Wataniah itu bertujuan diseiringkan dengan matlamat Tentera Darat Malaysia.

Karya tulus dari hati

Posted: 14 Nov 2011 07:15 PM PST


FILEM Bunohan juga mendapat sentuhan pelakon hebat, Wan Hanafi Su sebagai Pok Eng.


ADA seorang teman bertanya, apakah istimewanya filem Bunohan sehingga ia mampu menjelajah dunia walaupun belum ditayangkan di negara ini.

Bukan itu sahaja, Bunohan juga mencipta rekodnya sendiri apabila ia mendapat hak pengedaran oleh Universal Pictures untuk menayangkan filem itu hampir ke seluruh dunia tidak lama lagi.

Apa yang membanggakan, Bunohan juga kini sudah mendapat tempat di beberapa festival filem antarabangsa sehingga mendapat ulasan yang sangat positif daripada pengkritik filem asing.

Sebagai contoh, sewaktu Bunohan ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Toronto 2011 di Kanada sekitar September lalu, ia merupakan antara filem asing yang mendapat perhatian meluas.

Tidak cukup dengan itu, Bunohan juga mendapat ulasan positif dari majalah hiburan ternama, Variety dan The Hollywood Reporter yang menyifatkan filem itu sebagai sebuah karya yang cukup menakjubkan.

Malah, pujian melambung juga telah diberikan kepada semua barisan pelakon yang telah memberikan lakonan hebat dan mantap sehinggakan salah seorang pelakon utamanya, Faizal Hussein yang membawakan watak Ilham dalam filem itu dilabelkan sebagai Jack Palance Malaysia.

Memang sukar untuk memberikan jawapan itu kerana penulis sendiri belum pernah menonton filem tersebut melainkan sedutannya sahaja seperti mana yang terdapat di YouTube.

Bertemu dengan pengarahnya, Dain Said untuk membicarakan tentang kejayaan awal Bunohan, dia sendiri tidak pernah menyangka bahawa filem kedua arahannya itu akan mendapat tempat di peringkat dunia.

Seperti mana pengkarya yang lain, tujuannya hanya satu iaitu mahu menghasilkan filem yang bermutu tinggi dan berkualiti agar ia dapat dinikmati oleh masyarakat.

"Saya cukup sedar di sebalik kejayaan yang saya kecapi menerusi Bunohan, ada juga pihak yang melemparkan kata yang kurang manis dengan mengatakan saya lebih mengutamakan pasaran antarabangsa berbanding negara sendiri.

"Jujurnya, bukan itu matlamat saya. Sebaliknya, saya menganggap kejayaan Bunohan sebagai satu rezeki yang saya sendiri tidak pernah terfikir.

"Bukannya saya tidak mahu menayangkan Bunohan di negara sendiri. Saya perlu ikut giliran Syarat Wajib Tayang sama seperti deretan filem lain yang perlu menunggu tarikh tayangan.

"Berkat kesabaran menunggu, insya- Allah, Bunohan akan ditayangkan di pawagam tempatan bermula Mac tahun depan. Saya harap penantian itu akan berbaloi untuk penonton di negara ini," jelasnya dalam nada penuh mengharap sewaktu ditemui di kediamannya di Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sekadar berkongsi cerita, Dain memberitahu peluang Bunohan untuk berkelana ke festival antarabangsa sebenarnya datang tanpa diduga.

Semuanya bermula dengan hubungan rapatnya dengan seorang kenalan baik, Tim Kwok yang mempunyai rangkaian dengan beberapa pihak dan agen pemasaran filem di Amerika Syarikat (AS).

Kebetulan kata Dain, sewaktu mereka ke Hong Kong, pertemuan dengan seorang agen dari Easternlight Films yang berpangkalan di Los Angeles (AS) telah membuka pintu untuk Bunohan.

"Jadi, bermula daripada situ, saya membina rangkaian itu dan Alhamdulillah, Bunohan mendapat tempat di peta perfileman dunia. Semua ini tidak datang bergolek. Semuanya adalah berkat usaha keras dan kesungguhan untuk menghasilkan filem ini.

"Bukan mahu mendabik dada dan merasakan diri saya seorang yang hebat tetapi apabila ada pihak yang menghargai filem tempatan seperti ini, bukankah itu satu kejayaan dan penghargaan?

"FILEM kita sebenarnya mampu untuk menongkah arus perfileman antarabangsa dengan berbekalkan iltizam serta mutu kerja yang mampu membuka mata orang luar," itu kata Pengarah Bunohan Dain Said yang masih lagi tidak percaya dengan sambutan dan penghargaan yang diberikan oleh penonton antarabangsa sewaktu di Toronto tempoh hari.

Bukan hanya di Toronto, Bunohan juga telah mendapat undangan untuk ditayangkan di Fantastic Fest, Austin, Texas, Amerika Syrikat (AS) pada September lalu.

Terbaru, Bunohan menjadi satu-satunya pilihan filem dari Malaysia untuk ditayangkan di Festival Filem ASEAN yang akan berlangsung selama dua hari bermula esok (16 November).

Benar. Industri kita begitu kecil dan kerdil tetapi Dain telah membuktikan bahawa kuasa filem tempatan juga sebenarnya besar dan gah di mata karyawan luar.

Dengan ini, secara tidak langsung Bunohan telah meneruskan legasi seni filem-filem tempatan selain menempatkan diri Dain dengan pengarah filem lain yang mana karya mereka mendapat perhatian di luar negara.

Dalam kesempatan itu juga, Dain atau nama penuhnya, Dain Iskandar Said turut ditanya tentang keistimewaan filem Bunohan yang pada awalnya menggunakan judul Bunga Lalang itu.

Sambil merenung jauh sebelum memberikan hujahnya, sebagai pembikin filem, Dain menyifatkan Bunohan adalah naskhah yang dilahirkan dari hati yang tulus serta dekat di hatinya.

Apatah lagi, dibesarkan di Tumpat, Kelantan, Dain begitu tertarik dengan aktiviti tomoi yang menjadi aktiviti wajib dan menjana ekonomi daripada kelab-kelab tomoi.

"Boleh dikatakan Bunohan lahir daripada pengamatan dan pengalaman saya sewaktu kecil yang melihat bagaimana aktiviti tomoi juga sebenarnya mempunyai metafora di sebalik definisi ganas yang sering dilabelkan.

"Ia sebenarnya menghubungkan ikatan kekeluargaan mereka menerusi perniagaan yang dijalankan sekali gus memberi idea kepada saya untuk menulis naskhah ini.

"Mungkin ada yang tidak tahu, Bunohan itu juga merupakan sebuah tempat di Kelantan," katanya yang memberitahu kisah Bunohan sudah berada dalam mindanya sejak lima tahun lalu sebelum dia mengarahkan filem pertamanya, Dukun.

Namun kata Dain, bukanlah kisah tomoi yang menjadi tunjang kepada penceritaan Bunohan tetapi ia sebenarnya memaparkan kisah hubungan kekeluargaan antara tiga adik-beradik yang dilakonkan oleh Faizal, Zahiril Adzim dan Pekin Ibrahim.

Ternyata Dain boleh dianggap sebagai seorang pengarah yang cukup bertuah kerana mendapat barisan pelakon yang mantap dan berkaliber sekali gus meletakkan filem ini sebagai antara yang terbaik dan wajar menjadi tontonan wajib kelak.

Jelas Dain, dia begitu tertarik untuk mendapatkan pelakon yang mempunyai bakat lakonan hebat yang mampu diketengahkan dalam filem ini selain menghidupkan watak masing-masing.

Boleh dikatakan Bunohan sebuah filem lelaki kerana hampir kesemua pelakonnya adalah pelakon lelaki dan hanya model terkenal, Tengku Azura sahaja satu-satunya pelakon wanita dalam filem ini.

"Saya cukup kagum dengan persembahan setiap pelakon dalam filem ini. Sebagai pengarah, saya tahu di manakah kekuatan mereka dalam membawakan watak yang dicipta untuk mereka.

"Pekin misalnya, pada awalnya watak untuknya adalah kecil sahaja tetapi mungkin sudah menjadi rezekinya, watak Bakar menjadi miliknya.

"Begitu juga dengan Zahiril yang saya rasakan mempunyai aura yang sangat kuat sewaktu menontonnya beraksi di pentas teater. Ternyata watak Adil cemerlang di tangannya," ujarnya yang berpuas hati dengan mutu lakonan setiap pelakonnya.

Selain mereka, Bunohan turut dibintangi oleh Namron, Bront Palarae, Wan Hanafi Su, Hushairy Husin, Amerul Affandi dan Soffi Jikan.

Bunohan bukan penebus kekecewaan

Posted: 14 Nov 2011 07:14 PM PST


Satu babak menarik daripada filem Bunohan.


DALAM pertemuan dengan Dain Said itu juga, pengarah yang mudah didekati ini sempat ditanya apakah Bunohan dibikin bagi menebus kekecewaannya.

Manakan tidak. Filem pertamanya, Dukun yang dihasilkan lebih lima tahun lalu sehingga kini masih belum menampakkan bayang bahawa ia akan ditayangkan.

Sememangnya ramai yang menunggu dan masih lagi menyimpan perasaan teruja untuk menonton hasil sentuhan Dain menerusi filem Dukun yang dicanang sebagai antara filem terbaik Malaysia yang pernah dihasilkan.

Sehinggakan menonton sedutan filem itu sewaktu ditayangkan di pawagam tempatan ketika itu sudah berupaya membangkitkan rasa tidak senang duduk untuk terus menonton filem itu.

Ditunjangi barisan pelakon hebat negara seperti Datin Umie Aida, Faizal Hussein, Adlin Aman Ramli, Soffi Jikan, Namron, Hasnul Rahmat dan Elyana, Dukun dilihat sebagai sebuah naskhah agung Dain yang mampu mencipta sejarah dan berpotensi untuk berkelana ke seluruh dunia menyertai gelanggang filem antarabangsa.

Namun, entah di mana silapnya, filem terbitan Astro Shaw itu senyap dan sehingga kini untung nasib Dukun masih belum diketahui.

"Jujurnya, saya tidak terkejut apabila Dukun sehingga kini tidak dapat ditayangkan hanya kerana disebabkan faktor-faktor yang tidak perlu dihuraikan di sini.

"Sebagai pengkarya, saya tidak boleh terus meratapi kesedihan itu. Hidup dan perjuangan perlu diteruskan.

"Ya, siapa yang tidak sedih apabila segala penat lelah menghasilkan yang terbaik tetapi akhirnya tidak dapat ditunjukkan. Tetapi, adakah dengan bersedih dan bermuram durja sepanjang masa akan mengubah segala-galanya?.

"Tetapi, saya percaya kepada takdir dan rezeki bahawa di penghujung jalan yang gelap, masih ada sinar terang untuk kita meneruskan perjalanan. Alhamdulillah, semuanya dapat dibuktikan dengan Bunohan," jelasnya tanpa selindung.

Dalam konteks Dukun kata Dain, dia lebih kasihankan dan tumpang simpati kepada barisan pelakonnya yang telah memberikan komitmen serta disiplin kerja yang cukup hebat.

Bukan 100 peratus sebaliknya jelas Dain, setiap seorang daripada pelakon filem itu mencurahkan tenaga sebanyak 150 peratus bagi memastikan Dukun mencapai piawaian yang dikehendaki.

Bukan sengaja mahu memuji melangit, tetapi dia cukup kagum dengan lakonan yang diberikan oleh Umie sebagai Diana dalam filem itu.

Begitu juga dengan Faizal yang membawakan watak peguam yang mana diakui sendiri oleh aktor itu sebagai watak terbaik sepanjang bergelar anak seni.

"Apa pun yang terjadi saya menganggap semuanya ada hikmah. Saya sendiri tidak tahu apakah nasib Dukun adakah ia akan dapat ditayangkan atau diperap sampai bila-bila.

"Tetapi, tidak mengapa. Saya suka mengambil sikap optimis dalam kerjaya saya sebagai pengarah dan mahu terus menghasilkan karya dapat diterima dengan baik oleh masyarakat.

"Sudah pasti saya juga mahu bekerja dengan lebih ramai pelakon di Malaysia seperti Rosyam Nor misalnya. Saya percaya setiap pelakon ada kelebihan dan keistimewaan mereka sendiri," ujarnya bersungguh.

Ditanya apakah dia sudah memiliki idea mahupun naskhah terbaru selepas Bunohan, seraya tersenyum Dain hanya memberitahu: "Ada beberapa cerita yang sedang berlegar di minda saya ketika ini. Tetapi biarlah kita fokus kepada Bunohan dulu. Apabila tiba masanya, saya akan umumkan apakah projek saya seterusnya."

Jual kereta demi konsert

Posted: 14 Nov 2011 07:14 PM PST


NING Baizura tidak sabar lagi untuk beraksi dalam konsert Ning@KL Live pada 2 Disember ini.


SEMEMANGNYA agak mengejutkan sewaktu penghibur popular ini membuka ceritanya demi merealisasikan konsert yang bakal berlangsung di KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada 2 Disember ini.

Tanpa selindung, Ning Baizura memberitahu dia sanggup menjual dua buah keretanya semata-mata untuk menampung kos penerbitan konsertnya, Ning@KL Live itu yang dikhabarkan menelan belanja hampir setengah juta ringgit.

Namun, bagi penyanyi yang mesra disapa Ning ini sedikit pun tidak berasa ralat apabila perlu melakukan pengorbanan sebesar itu.

Apa yang penting baginya untuk memberikan mutu persembahan terbaik menerusi konsertnya itu demi kepuasan peminat yang telah banyak memberi sokongan kepadanya selama ini.

"Saya cukup sedar dalam zaman yang penuh mencabar hari ini, memang sukar untuk mendapat penajaan dan saya sendiri tidak berasa sedih apabila tidak ada pihak yang mahu menaja konsert saya ini.

"Apa yang saya harapkan agar ada pihak yang akan membuka mata apabila konsert Ning @ KL Live ini berlangsung nanti. Saya menganggap ini sebagai satu permulaan kerana selepas ini ada dua buah konsert lagi yang akan menyusul pada tahun depan dan 2013," kata Ning yang enggan memberitahu jenama kereta yang telah dijualnya itu.

Pemilik nama penuh Ning Baizura Sheikh Hamzah ini ditemui pada sidang akhbar Ning@KL Live yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir suami Ning, Omar Sharif Christopher Layton Dalton merangkap penerbit eksekutif konsert berkenaan selain Aylwin Santiago selaku pengarah muzik dan Anthony Chow (pengarah bunyi dan cahaya).

Berbicara lanjut mengenai konsertnya itu, anak kelahiran Kajang, Selangor ini mengakui pelaburan bagi menjayakan konsert itu sememangnya cukup besar.

Sehinggakan Ning memberitahu walaupun kesemua tiket habis dijual, ia hanya mampu menampung 40 peratus sahaja daripada kos keseluruhan perbelanjaan konsert itu.

Meskipun perlu berdepan dengan risiko yang cukup tinggi, namun ia sedikit pun tidak menggoyahkan niat Ning untuk memberikan persembahan yang akan dapat dikenang peminatnya kelak.

Malah, dia sendiri sudah tidak sabar lagi untuk menghiburkan peminatnya di pusat hiburan terkemuka negara itu.

"Sebenarnya ada sebab mengapa saya pilih KL Live kerana mungkin ada yang tidak tahu bahawa perjalanan seni saya bermula di lokasi tersebut menerusi pertandingan Voice of Asia.

"Lalu, saya fikir mengapa tidak untuk saya mengadakan konsert di situ bagi memperingati semula 'kelahiran' anak seni bernama Ning Baizura," kata pemenang Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik 1994 ini sambil ketawa.

Walaupun konsertnya itu tidak mendapat penajaan yang besar tetapi Ning boleh tersenyum puas dan bangga apabila sebanyak 80 peratus tiket sudah pun habis dijual.

Dengan harga yang boleh dianggap cukup eksklusif dan 'mewah' iaitu dari RM150 hingga RM300, ternyata itu bukan satu halangan untuk peminatnya melaburkan wang semata-mata mahu menonton persembahan istimewa Ning itu.

Sementelah ia merupakan konsert pertamanya selepas beraksi dalam Konsert Teguh di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada tahun 1996, Ning juga tidak mampu lagi menyembunyikan gelodak dalam jiwanya menjelang tarikh 2 Disember.

Tidak mahu membuatkan dirinya terlalu tertekan, Ning hanya mahu fokus kepada persembahannya terutama dari aspek vokal agar dia mampu berjuang di pentas sehingga ke garis penamat.

Apatah lagi konsert tersebut bakal memakan masa sehingga dua setengah jam, sudah pasti Ning mahu mengekalkan stamina.

Untuk itu, Ning bakal menjalani latihan vokal dengan teman seperjuangannya sewaktu di Akademi Fantasia musim kesembilan iaitu Syafizawati Shariff atau lebih dikenali sebagai Cikgu Syafi.

"Mengenai pemilihan lagu-lagu pula, saya telah bekerjasama dengan Aylwin dan untuk peminat saya, usah khuatir kerana saya akan menyanyikan kesemua lagu-lagu popular dari album pertama, Dekat Padamu sehingga Dewa.

"Setiap lagu akan diberi susunan muzik baru dan segar oleh Aylwin yang dibahagikan dalam lima segmen mengikut konsep persembahan yang telah ditetapkan.

"Malah, ia juga akan diberi sentuhan bertaraf internasional yang pastinya menampilkan sisi lain saya sebagai seorang penghibur," ujar Ning lagi yang memberitahu konsert itu akan dilengkapi dengan sistem bunyi digital terkini selain rekaan set pentas yang direka oleh pereka set terkenal, Raja Maliq.

Hampir 20 buah lagu bakal disampaikan oleh Ning secara solo dan medley antaranya Curiga, Dugaanku, Kau dan Aku, Pasti, Teguh, Asmara, Ke Sayup Bintang, Human, Always, Antara Mungkin dan Curiga, Sayang Disayang, Kembali, Selagi Ada...Cinta, Awan Yang Terpilu dan Bila.

Menariknya tentang konsert itu juga apabila ia mengenengahkan konsep bunga yang menjadi simbolik dalam kerjaya Ning hampir dua dekad itu.

Lima jenis bunga yang menjadi pilihan Ning dalam konsert ini ialah bunga teratai, matahari, melor, mawar dan anggerik.

"Bunga-bunga ini banyak memberi inspirasi dan menggambarkan kehidupan serta perjalanan seni saya selama ini selain menggambarkan siapakah diri Ning Baizura yang sebenar.

"Lalu, apabila dicadangkan oleh Raja Maliq untuk mengambil bunga sebagai konsep persembahan, saya merasakan itu idea yang sangat sempurna dan tepat bagi konsert ini.

"Dalam konsert ini, setiap segmen akan mengikut jenis bunga ini baik dari segi busana, muzik serta permainan cahayanya," jelas Ning yang akan menyarungkan lima busana rekaan Michael Ong dan Jovian Mandagie sepanjang konsert itu nanti.

Bagi mereka yang belum mendapatkan tiket Ning@KL Live, bolehlah berbuat demikian dengan melayari laman web, www.tickethotline.com.my.

Ia juga boleh didapati di semua rangkaian toko muzik Rock Corner di The Curve, Subang Parade, The Gardens, KLCC, 1 Utama dan Ampang Point selain butik Ed Hardy di KLCC, Empire Gallery, Subang dan Lot 10.

Pengembaraan Anthony Morse

Posted: 14 Nov 2011 07:13 PM PST


Anthony Morse bakal membawa anda menjelajah dalam rancangan Hidden Cities, History Channel saluran 555 Astro.


PERTEMUAN secara empat mata dengan pengacara rancangan Hidden Cities, Anthony Morse di sebuah restoran eksklusif di Kuala Lumpur baru-baru ini, merupakan satu peluang keemasan bagi penulis untuk mengenali lebih jauh tentang diri pengacara ini.

Pengacara yang mempunyai darah kacukan Amerika dan Asia ini dilahirkan di Amerika Syarikat tetapi kini menetap di negara kelahiran ibunya, Thailand.

Rancangan Hidden Cities adalah percubaan pertamanya dalam bidang pengacaraan tetapi kerana bakat dan kebolehan yang ditonjolkan, rancangan penjelajahan ini menyambung khidmat Anthony sebagai pengacara bagi musim kedua.

Jejaka yang fasih berbicara dalam bahasa Thai dan Inggeris ini berkata, beliau gembira kerana dapat melakukan pekerjaan yang memberi peluang kepadanya untuk belajar tentang keunikan sejarah negara yang berbeza.

"Pengalaman yang saya dapati daripada musim pertama sangat berharga, lebih menggembirakan apabila rancangan tersebut mendapat sambutan yang sangat baik dan kini disambung untuk musim kedua," ujarnya bersahaja.

Rancangan Hidden Cities yang disiarkan di History Channel, di saluran 555, Astro kembali untuk musim kedua di mana ia mengandungi lapan episod yang bakal meneroka negara-negara Asia antaranya, Indonesia, China, Filipina dan semestinya Malaysia.

Pada musim pertama, rancangan ini telah singgah di Malaysia dan menjelajah ke Pulau Pinang serta Perak, tetapi kali ini, penonton akan dibawa menjelajah ke Bumi Kenyalang, Sarawak.

"Bagi musim kedua, saya rasa persediaan yang saya lakukan lebih baik. Saya kini tahu babak-babak tertentu yang memerlukan saya lebih bertenaga dan babak manakah yang lebih santai.

"Ini berbeza dengan musim pertama yang mana setiap babak saya memberikan sepenuh tenaga dan akhirnya, saya sendiri yang kepenatan," jelas Anthony sambil ketawa.

Musim kedua siri penjelajahan ini akan bersiaran pada setiap Rabu bermula 23 November pada pukul 9 malam.

Setiap episod bakal membawa kita mengembara ke kawasan-kawasan menarik yang menyimpan seribu satu kisah misteri dan mitos yang sehingga kini menjadi bualan sejarah.

Anthony yang kini berusia 30 tahun dengan jujur mengatakan bahawa beliau bukanlah seorang pakar sejarah tetapi lebih kepada seorang pencerita yang menceritakan kisah-kisah menarik berhubung sejarah silam sesuatu negara.

"Rancangan ini bukan sahaja berbentuk informatif, tetapi ia juga memberikan penghargaan dan penghormatan yang lebih tinggi kepada sejarah silam yang kita sama-sama miliki.

"Selain mengenali sejarah berkaitan negara kita, kita juga dapat mengenali sejarah-sejarah yang dimiliki oleh negara jiran kita di Asia," ujarnya.

Dengan bantuan pakar-pakar tempatan seperti penulis, pengkaji sejarah, saintis dan penduduk asal kawasan tersebut, kata beliau, penonton akan dibawa menyelami sejarah silam yang telah lama menjadi misteri.

Bagi musim kedua, jelas Anthony, elemen utama rancangan tersebut masih dikekalkan bagi meneruskan momentum.

Jelas beliau lagi, bagi musim kedua nanti penonton bakal menyaksikan sisi lain dirinya yang dikatakan lebih santai ketika melibatkan diri dalam beberapa aktiviti bersama masyarakat tempatan termasuk menyaksikannya memasak dan juga menari.

Selain itu, Hidden Cities musim kedua ini juga bakal menerangkan dengan lebih mendalam kesan kisah-kisah sejarah dan kaitan mereka dengan kehidupan masyarakat tempatan di zaman sekarang.

Anthony yang telahpun menjelajah hampir ke seluruh pelosok dunia berkata, rancangan ini berjaya menjadi inspirasi kepada ramai orang khususnya negara yang dipaparkan dalam musim pertama untuk lebih menghargai khazanah peninggalan negara mereka.

"Biasanya kita tidak pernah mengambil kisah akan sejarah-sejarah negara yang kurang dikenali tetapi dengan adanya rancangan seperti ini, orang ramai lebih menyedari dan mula mengambil tahu," katanya.

Badai Semalam kembalikan nostalgia

Posted: 14 Nov 2011 07:10 PM PST


Sebuah babak pementasan teater Badai Semalam yang sedang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 14 Nov. - Teater Badai Semalam yang dipentaskan di Istana Budaya (IB) di sini bermula 11 November lalu mendapat sambutan baik daripada penonton yang hadir menyaksikannya.

Rata-rata penonton yang hadir menyaksikan pementasan teater itu berusia lingkungan 40-an dan 50-an kerana teater itu mengembalikan nostalgia dan kenangan sewaktu zaman remaja mereka.

Suraya Harun, 46, berkata, dia menonton teater Badai Semalam bagi mengembalikan nostalgia dan kenangan manisnya ketika di zaman remaja.

"Novel Badai Semalam memang cukup popular suatu ketika dahulu dan ini antara sebab yang menarik minat saya untuk datang menyaksikan naskhah tersebut di pentas teater.

"Ditambah pula dengan barisan mantap pelakon, bukan sahaja yang memegang peranan utama bahkan pembantu, nyata teater ini pasti menjadi fenomena seperti juga novelnya," ujarnya.

Walaupun Badai Semalam dipentaskan di IB, ia tidak menghalang peminat teater dan novel tersebut untuk sama-sama meluangkan masa datang menonton walaupun dari jauh.

Harwita Santi Abdul Raup, 38, yang berasal dari Johor Bahru berkata, dia datang ke Kuala Lumpur khusus untuk menyaksikan persembahan teater itu kerana meminati novel karya novelis Khadijah Hashim.

"Saya datang ke Kuala Lumpur kali ini memang untuk menyaksikan pementasan ini dan sememangnya perjalanan saya ke sini berbaloi.

"Persembahan yang diberikan oleh setiap pelakon terutamanya Erra Fazira dan Aaron Aziz nyata tidak mengecewakan," jelasnya.

Walaupun karya asal Badai Semalam berlatar belakangkan 1960-an, ia tetap tidak menghalang teater itu mendapat sambutan daripada segenap lapisan generasi.

Ekhwan Harith Zainudin, 25, berkata, dia dan rakannya berpuas hati dengan pementasan teater itu kerana telah menunggu lama untuk menyaksikannya.

"Bukan sahaja lakonan yang mantap, tetapi juga penggunaan prop menambahkan lagi mood menonton selain alunan muziknya cukup memikat.

"Saya dan rakan-rakan memang terhibur dengan pementasan teater itu kerana nyata, persembahan yang diberikan sangat baik," katanya.

Teater Badai Semalam yang akan dipentaskan sehingga 20 November ini, dibarisi oleh ramai pelakon handalan selain Erra dan Aaron ialah Datin Umie Aida, Fizz Fairuz, Emelda Rosmila dan ramai lagi.

Untuk pembelian tiket dan pertanyaan lanjut, boleh layari laman web www.ticket2u.biz atau hubungi talian 03-4147 8600.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu