Rabu, 9 November 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Sedang bahagia

Posted: 09 Nov 2011 08:42 PM PST

pix_gal0
TIDAK keterlaluan jika dikatakan belum ada pelakon yang mampu merampas gelaran Ratu Drama daripada Fasha Sandha. Biar aneka genre produk dihidangkan kepada khalayak dengan diwarnai 1001 wajah, bingkisan yang menonjolkan aksi pelakon jelita ini tetap memancing tumpuan. Tidak hairan apabila drama rantaian terbarunya, Cinta Elysa, turut meraih tempias bersama catatan 2.8 juta penonton, walaupun baru beberapa episod disiarkan.

Fenomena yang dicipta pemilik nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan, 27, bukan terhasil sekelip mata. Disiplin, kerja keras dan mengkaji watak sedalam-dalamnya sebelum menjejakkan kaki ke lokasi ialah kunci yang meletakkannya ke tahap sekarang. Walau perlu bertatih dari bawah, dia mengakui kesenangan tidak mungkin datang bergolek.
Berkat kesungguhan diiringi doa restu keluarga serta peminat setia, gadis yang tidak lekang diulit kontroversi itu semakin ampuh berdiri di persada seni, malah kini boleh berbangga dengan pencapaiannya. Tidak hanya berada dicemburui sebagai pelakon versatile, sebaliknya tegar membina rangkaian salun sendiri, Chinta, yang bakal melebarkan sayap ke Johor dan Perlis sedikit masa lagi.
"Ya... Saya bertuah menjadi Fasha Sandha. Jika masa boleh ditukar semula pun, rasanya tidak ada apa yang perlu saya pinta atau ubah lagi. Hidup dilingkari kasih sayang keluarga yang tidak bersempadan, doa peminat, kerjaya seni serta bisnes yang semakin berkembang membuatkan saya menghargai setiap detik. Cukuplah apa yang saya kecapi kini, segala-galanya tidak berlebih atau terkurang," ucapnya ringkas namun penuh bermakna.

Mencuri waktu demi memenuhi sesi fotografi bersama Hip, masa yang diperoleh itu turut digunakan untuk melepaskan lelah seketika sambil bersembang dengan teman media. Banyak yang dikongsi, dari soal kerjaya hingga sisi peribadi. Dalam gelak tawa diusik soalan nakal, dia bijak menangkis sekali gus menonjolkan kematangan diri.

Sudah pasti umum mahu berkongsi rahsia hatinya. Siapa insan bertuah yang mampu menakluk hati Fasha selepas kisah cintanya yang tidak kesampaian bersama duda terhangat, Jejai, hebat dibicarakan ramai. Enggan menyelak diari lalu, Fasha menyimpan kemas gelodak jiwa biar dijolok bermacam persoalan. Begitupun, seri pada wajah tidak mampu menutup aura bahagia yang sedang dikecapi kini.

"Tiada apa yang mahu saya sembunyikan. Saya bahagia begini. Sebagai wanita, sudah pasti saya mahu ditemani insan istimewa hingga ke akhir hayat saya. Kalau ikut perancangan diri, saya mahu bergelar isteri pada usia 30 tahun dan tidak mahu menunggu lama untuk bergelar ibu. Saya sangat sukakan kanak-kanak. Rasa sungguh bahagia dikelilingi mereka.
"Namun ia sekadar perancangan. Soal jodoh itu semua kerja Allah, kita cuma merancang. Cuma jika ditakdirkan jodoh saya sampai, dunia lakonan akan saya tinggalkan bagi memberikan tumpuan penuh terhadap suami dan anak. Saya tidak ralat mengorbankan minat saya demi keluarga kerana mereka yang lebih utama. Kerana itu saya menubuhkan Chinta sebagai persediaan masa depan," katanya lagi.

Menjadikan Datin Sofia Jane sebagai idola, baginya aktres terbabit punya aura tersendiri yang belum mampu ditandingi pelakon lain, malah pengorbanan mengundurkan diri sebaik berumahtangga semata-mata untuk keluarga dan hanya tampil sesekali dalam projek khas cukup dikaguminya. Tidak hairan dia ingin mengikuti jejak langkah ibu kepada empat cahaya mata itu.

Sambil membelek telefon bimbitnya yang sentiasa berada di sisi, katanya mungkin agak pelik jika dikatakan dia jarang menggunakan kemudahan itu untuk menghubungi si dia, sebaliknya hanya akan berbuat demikian selepas dihubungi atau sekadar membalas pesanan khidmat ringkas (SMS). Bukan sombong, cuma dedahnya sebagai gadis, jangan terlampau menunjukkan kasih sayang.

"Saya bukan jenis yang suka menghubungi kekasih sekadar untuk bertanya dia di mana atau mahu menyatakan saya cintakan si dia. Bagi saya, apabila berkasih secara peribadi kita sendiri dapat sama-sama merasai perasaan halus itu. Cinta tidak perlu dipaksa. Jika setiap hari meluahkan cinta sayang pun tak bererti jika ia bukan secara ikhlas.

"Prinsip saya mudah, jangan mengongkong. 'Lepaskan' mereka (lelaki) atas dasar percaya. Selebihnya kita serahkan kepada Yang Berkuasa. Jika ditakdirkan kasih mereka beralih kepada wanita lain, reda saja. Letakkan di dalam hati, sudah tertulis di Luh Mahfuz bahawa Allah punya perancangan lebih baik untuk kita. Fikirkan perkara positif, itu yang mampu membuatkan kita terus jalan ke hadapan," katanya panjang lebar seakan memberi petanda rasa hatinya tika ini.

Ditanya lagi siapa yang sedang bertakhta di sanubari, dengan pantas dia memintas, malah meletakkan persoalan kembali ke landasan asal iaitu berkisar perjalanan kerjayanya bersama rentetan satu persatu tawaran telefilem dan drama berantai yang masih diteliti. Bukan cerewet sebaliknya Fasha mahu lakonannya meninggalkan impak terhadap penonton.

Enggan ulas fasal Johan

SEKEKALI matanya terarah ke telefon bimbit model terbaru yang diakui hadiah seseorang, seakan menanti panggilan penting. Bagai mengetahui apa yang bersarang di fikiran, pantas katanya selain menghubungi terus pengurus peribadinya, Kak Min, untuk berbincang mengenai tawaran lakonan, kadangkala dia sendiri turun padang bertemu produksi jika diperlukan.

Mengenai Cinta Elysa yang kini disiarkan di slot Lestary terbitan Suhan Movies bermula 13 September lalu, galak dia berkongsi cerita mengenai hasil kerjanya di bawah garapan Along Kamaludin yang disifatkan sangat teliti hingga membangkitkan perasaan ingin tahu khalayak terhadap episod seterusnya, begitu juga dengan mainan emosi bakat pelakon muda, Johan As'ari yang dikatakan bersungguh-sungguh mendalami watak.

Memahami dari drama itu juga tercetus kontroversi membabitkan bintang Juvana itu yang sedikit sebanyak mengheret dirinya, dengan pantas Fasha menegaskan tidak akan menjawab sebarang pertanyaan berhubung perkara terbabit kerana enggan membiarkan ia terus meleret sekali gus meletakkan dirinya ke kancah yang lebih merumitkan.

"Saya enggan mengulas. Cukuplah, itu masalah antara dirinya dan pihak satu lagi. Saya tiada kaitan dan tidak perlu dikaitkan dengan kisah mereka," tegasnya. Tambah Fasha, sepanjang melewati kerjaya seni yang sudah memasuki tahun ketujuh, aneka liku sudah dilalui malah ini bukan satu-satunya cerita sensasi yang mengaitkan dirinya cuma kali ini dia tidak mahu namanya dijaja sama.

Bukan melatah sebaliknya mahu menjaga hati insan tersayang terutama ibunya, Hatijah Tehman, 48, bagi anak kedua daripada lima bersaudara itu, mereka antara penyokong terkuat yang membuatnya terus ampuh melayari perjuangan dan ketika bergelut mendepani isu sensasi yang muncul tiba-tiba, mereka juga yang menyemarakkan semangatnya.

‘Zara rasa bersyukur sebenarnya’

Posted: 09 Nov 2011 08:41 PM PST

IZARA...dikutuk dalam Twitter dan facebook serta jelingan tajam  gara-gara watak Fiona dalam Soffiya.
IZARA...dikutuk dalam Twitter dan facebook serta jelingan tajam gara-gara watak Fiona dalam Soffiya.

SIAPA Fiona yang membuatkan ramai membenci Izara Aishah? Fiona juga membuatkan ramai ingin mengenali bintang baru ini.

Siapa gerangan di sebalik watak Fiona yang membuatkan ramai yang tidak berganjak walau seinci pun dari televisyen untuk menyaksikan siri Soffiya yang bersiaran di TV3 sejak 21 September lalu?

  • Foto

    MENYERLAH...Izara sebagai Fiona bersama bintang utamanya, Tiz Zaqyah sebagai Soffiya.

  • Foto

    KENANGAN MANIS...ketika menjadi penyampai trofi bersama Umie Aida di ASK2011, 4 November lalu.

Malah atas desakan seorang rakan yang taksub dengan watak Fiona ini sebagaimana dipaparkan dalam Soffiya menarik minat Harian Metro untuk menjejaki gadis di sebalik watak itu.

Usaha menjejakinya tidak sukar kerana dibantu pengurusnya, Ayu dan pada 1 November lalu, gerangan gadis cantik itu muncul memenuhi sesi fotografi khas untuk Rentak Artis Popular (Rap).


Izara Aishah Hisham, 19, seindah namanya begitulah juga rupa paras gadis bertubuh kecil molek ini. Sekali-sekala, ketika beraksi di hadapan kamera, beberapa bahagian wajahnya kelihatan persis pelakon terkenal Filipina, Kristine Hermosa.


Mukadimah bermula dengan topik mengenai wataknya yang begitu dibenci. Pertanyaan itu disambut Izara dengan tawa, tanpa sedikit pun tercalar perasaannya. Izara yang mesra disapa Zara mengakui gara-gara Fiona, ramai yang membencinya.

"Zara kena kutuk macam-macam dalam Twitter dan facebook. Iya, tidak dinafikan mulanya memang berasa agak bimbang dengan tindakan segelintir penonton drama Soffiya. Bayangkan ada satu kejadian di tempat makan, seorang lelaki menjeling kepada Zara, tapi bila Zara senyum kepadanya, dia nampak tidak keruan.

"Apa pun, Zara memandang positif setiap kritikan dan kutukan. Apabila memikirkan semula tujuan mereka membenci Zara kerana tidak suka pada Fiona, Zara rasa bersyukur sebenarnya.

"Itu menandakan watak Fiona yang dilakonkan Zara menjadi. Zara percaya apabila mereka yang menonton drama itu menemui Zara di luar, mereka akan dilihat perbezaan yang ketara antara Fiona dan Zara.

"Hakikatnya, di alam realiti Zara bukan seorang yang kejam seperti Fiona. Zara sendiri benci kalau individu semacam Fiona itu wujud di muka bumi ini.

"Namun, melihat watak itu sebagai satu cabaran berat buat pelakon baru seperti Zara, Zara menerimanya," katanya petah berkata-kata.

Ada yang menyifatkan lakonan Izara dalam drama Soffiya terbitan Filmscape Sdn Bhd ini lebih menyerlah berbanding pelakon lama yang menjayakan drama itu seperti Fizo Omar (Ilyas), Azhar Sulaiman (Kamal) dan Syazwan Zulkifli. Malah, lakonannya dikatakan menenggelamkan pelakon popular, Tiz Zaqyah (Soffiya) selaku teraju utama.

"Iya ke? Zara rasa drama itu tidak akan diminati ramai atau jadi bagus kalau ia hanya kerja seorang. Semua pelakon ada kekuatan dan tarikan masing-masing untuk membawa sesebuah drama itu ke satu level yang lain.

"Zara juga tidak mungkin dapat memberi lakonan yang baik tanpa bantuan semua pelakon senior yang terbabit. Mereka banyak memberi bimbingan dan nasihat kepada Zara termasuk pengarah, Joeza Rasidi.

"Mungkin ada yang beranggapan watak Zara menyerlah kerana rasanya semua watak jahat orang lebih mudah ingat. Perlu diberikan kredit jalan cerita dipaparkan Soffiya sememangnya sangat menarik," katanya.

Kemuncak kebencian penonton terhadap Fiona bakal berakhir hari ini apabila Soffiya mengakhiri siaran menerusi slot Akasia selama 28 episod.

Pemenang tempat kedua Dewi Remaja 2009/2010 itu mengakui Fiona adalah watak paling sukar pernah dilakonkan walaupun sembilan drama sudah dibintangi.

Bukan saja diminta menjadi jahat, malah gadis kelahiran Bakar Batu, Johor Bahru, Johor itu perlu menghayati watak wanita hamil, sedangkan usianya baru menginjak 19 tahun pada 28 September lalu. Tentu saja semua itu belum pernah dilaluinya lebih-lebih lagi bagi bagi pelakon baru sepertinya.

"Perlu Zara akui Fiona adalah watak paling mencabar setakat ini. Diminta memainkan karakter jahat namun, bukan secara terang-terangan kerana Fiona ini orangnya penuh muslihat.

"Untuk benar-benar memahami dan menjiwai watak Fiona ini, Zara membuat kajian dengan memerhati cara pergerakan orang mengandung supaya di set Zara tak nampak kekok. Zara juga sering menonton watak antagonis lakonan pelakon tempatan dan barat di YouTube.

"Pun begitu, pengalaman membintangi drama ini adalah yang terindah buat Zara. Zara sering dihambat perasaan rindu untuk kembali di set walaupun penggambaran sudah tamat. Kami bekerja bagaikan sebuah keluarga. Kami makan bersama dan ke mana-mana juga bersama. Zara bertuah kerana terpilih menjadi sebahagian daripada produksi Soffiya," katanya.

Berstatus penuntut Seni Persembahan di Sunway College, sememangnya impian untuk menjadi pelakon terkenal sudah tertanam sejak kecil. Lihat saja jurusan pengajian pilihannya jelas membongkar kecenderungan minat Zara.

Malah sewaktu berusia 12 tahun, anak sulung daripada tiga beradik itu pernah mendapat bimbingan Fauziah Nawi dalam pementasan teater Tok Rimau. Di situ jugalah, bercambah kecintaannya untuk terus menerokai dunia seni persembahan secara serius.

"Ketika masih bersekolah, mama tak benarkan Zara berlakon kerana mahu Zara tumpukan pada pelajaran. Bagaimanapun, masa di tingkatan lima, pak cik Zara bagi dorongan untuk menyertai Dewi Remaja.

"Memang tidak sangka selepas dua tahun terikat dalam pertandingan itu, Zara muncul naib juara manakala Neelofa pemenangnya. Selepas pertandingan itu, Zara masih tidak berkeyakinan untuk terbabit secara aktif dalam bidang lakonan kerana selalu gagal menghadiri uji bakat.

"Bagaimanapun, Lofa (Neelofa) memperkenalkan Zara kepada Erma Fatima dan akhirnya Zara diterima membintangi drama Kasih Najiha. Memang seronok dapat bekerjasama dengan pengarah hebat seperti Kak Erma.

"Nampak saja garang dan serius tapi kak Erma tidak lokek ilmu. Bertitik-tolak daripada Kasih Najiha, Zara ditawarkan membintangi Hantu Gigi, Keranamu Laila, Masih Membara Cintaku, Selumbar Kasih, Jejaka J, Cikaro, Pusing Beraya dan Soffiya," katanya.

Lebih manis bagi Izara apabila diberi penghormatan oleh penganjur Anugerah Skrin 2011 sebagai penyampai trofi bersama Umie Aida pada 4 November lalu.

Katanya, jadual seninya kembali rancak apabila dia kini dalam persediaan memasuki set penggambaran drama Vanila Coklat untuk siaran TV3. Menerusi drama ini, Zara akan memegang watak menggunakan namanya sendiri jika tidak berlaku sebarang pertukaran.

Drama ini mengisahkan pelajar perempuan dan lelaki yang saling membenci antara satu sama lain tetapi dipaksa berkahwin. Atas permintaan keluarga, mereka akur, tetapi menetapkan perjanjian selepas enam bulan berkahwin mereka akan bercerai.

"Apakah mereka akan jatuh cinta, terus membenci, memutuskan untuk bercerai atau bersama? Penonton perlu menyaksikan konflik yang akan dipaparkan menerusi drama ini," katanya.


PROFIL

Nama sebenar: Izara Aishah Hisham
Tarikh lahir: 28 September 1992
Usia: 19 tahun
Bintang: Libra
Asal: Bakar Batu, Johor Bahru
Adik-beradik: Sulung daripada tiga beradik
Pencapaian: Tempat kedua Dewi Remaja 2009/2010
Drama/Telefilem: Kasih Najiha Hantu Gigi, Keranamu Laila, Masih Membara Cintaku, Selumbar Kasih, Jejaka J, Cikaro, Soffiya, Pusing Beraya, Soffiya dan Vanila Coklat.

Tentang Dhia, Drama Terbaru Di Slot Akasia

Posted: 09 Nov 2011 08:40 PM PST

Tentang Dhia menampilkan Nora Danish dan Ako Mustapha sebagai pelakon utama.

PETALING JAYA: Drama terbaru Tentang Dhia bakal mengisi slot Akasia di TV3 pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7 malam di TV3 bermula 9 November ini.

Tentang Dhia mengenai sebuah kisah cinta menggamit emosi dan penuh dramatik terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd hasil nukilan dan arahan Azlina Pa'wan dan dijayakan oleh barisan pelakon hebat seperti Nora Danish, Adi Putra, Ako Mustapha, Irfan Roslan, Tasha Shilla, Izreen Azminda dan Puteri Sarah.

Cinta dan simpati tiada ukurannya bagi Dhia (Nora Danish), yang berdiri di antara dua lelaki yang sangat dikasihinya. Percintaan tiga segi ini turut menjadi mimpi ngeri apabila dia dicemburui Melly (Izreen Azminda), yang mengganggap dirinya lebih anggun dan sesuai.

Raffi (Irfan Roslan) dan Azmi (Ako Mustafa), dua lelaki berbeza daripada dua latar belakang yang berbeza. Hanya memikul tugas sebagai seorang kerani biasa, Azmi yang merupakan anak seorang Imam di kampung tersebut disukai ramai kerana sifat rendah diri dan pandai mengambil hati. Hati Dhia sudah lama terpaut pada perwatakan Azmi, walaupun Raffi, seorang jejaka daripada keluarga berada mempunyai kelulusan luar negara merupakan teman rapat Dhia sejak kecil lagi.

Tergamam apabila melihat Azmi menjadi pilihan hati Dhia dan bakal melangsungkan majlis pertunangan, Raffi yang baru pulang dari luar negara merenung keseorangan di dalam kesedihan dan kekecewaan.

Namun, hatinya ikhlas menyintai Dhia, lalu Raffi mengambil keputusan untuk redha dengan apa yang berlaku.

Melly mengambil kesempatan ini untuk mendekati Raffi dan menidurinya ketika dia di dalam keadaan mabuk demi membuktikan perasaan cintanya.

Tetapi, 'jerat' yang dipasang Melly memakan diri sendiri apabila Raffi tidak mengendahkannya. Melly juga mendapati bahawa dirinya sedang mengandungkan anak Raffi. Tertekan dan terdesak, Melly mengenakan Azmi.

Azmi dan Melly ditangkap basah oleh penduduk kampung dan ditahan di lokap balai polis. Sejurus mengetahui tentang berita ini, hati Dhia bagaikan dipanah halilintar, mengenangkan majlis pertunangan mereka yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Namun, berkat ketabahan hatinya, Dhia mampu memaafkan Azmi dan majlis pertunangan tetap akan berlangsung seperti yang dirancang.

Walaubagaimanapun, majlis mereka diserang oleh keluarga Melly yang ingin menuntut keadilan daripada Azmi.

Mereka mahukan Azmi supaya bertanggungjawab di atas perbuatannya sehingga Melly didapati mengandung. Sekali lagi, Dhia diuji dan ujian kali ini bakal mengubah hidupnya sampai bila-bila. Azmi dan Melly disatukan tanpa kerelaan Dhia yang hanya mampu mengalirkan air mata.

"Bagaikan pelangi selepas hujan", hidup Dhia didatangi Zikir (Adi Putra), seorang arkitek daripada sebuah firma di Kuala Lumpur.

Zikir mempunyai seorang rakan baik bernama Fendi, dan mereka bekerja di firma yang sama. Zikir sangat diminati oleh Rose (Tasha Shilla) yang juga salah seorang pekerja di firma milik beliau.

Malang tidak berbau, Fendi meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya yang turut dialami Zikir ketika hendak pergi mengerjakan solat Jumaat.

Zikir datang ke kampung halaman Fendi untuk majlis pengebumian yang terletak di Pulau Pinang dan ditemani oleh isteri arwah Fendi, Suraya.

Ketika menjamah nasi lemak di sebuah gerai di kampung tersebut, Zikir terlihat Dhia. Mata bertentang mata, Zikir terpesona dengan keayuan Dhia.

Patung sihir pesaing

Posted: 09 Nov 2011 08:39 PM PST

KESAL...Ahmad menunjukkan patung sihir yang ditemui di tepi pintu masuk kedainya.
KESAL...Ahmad menunjukkan patung sihir yang ditemui di tepi pintu masuk kedainya.

JOHOR BAHRU: Dengan matlamat mahu menewaskan saingan dalam perniagaan, ada usahawan bertaraf VIP menggadai akidah apabila menggunakan ilmu sihir 'bersenjatakan' patung diperbuat daripada tanah kubur yang dibeli daripada bomoh dengan harga RM1,000 hingga RM2,000.

Patung sihir yang dikafan dan diikat dengan benang itu dikatakan mempunyai kuasa untuk 'menghilangkan' sesebuah premis daripada pandangan orang ramai jika objek terbabit diletak atau ditanam di dalam kawasan premis.

Taktik kotor dalam perniagaan itu didedahkan seorang usahawan yang hanya mahu dikenali sebagai Datuk Ahmad, 55, selepas dia menjadi mangsa pesaingnya yang menggunakan patung sihir terbabit.

Ahmad yang terbabit perniagaan herba sejak 20 tahun lalu berkata, dia tidak menyangka pesaingnya yang turut bergelar Datuk bertindak sejauh itu hanya kerana ingin menjatuhkan perniagaannya.


"Segala-galanya bermula apabila saya mahu mengembangkan perniagaan dengan menyewa sebuah premis di bandar raya ini sejak sebulan lalu.


"Pada jam 4.30 petang kelmarin, seorang rakan usahawan bergelar Datuk menghubungi saya dan memberitahu ada kejutan menanti saya di depan pintu kedai sebelum dia memutuskan panggilan secara tiba-tiba," katanya.

Pencalonan "Hikayat Merong Mahawangsa" Bakar Semangat KRU

Posted: 09 Nov 2011 08:38 PM PST

Norman Abdul Halim

PETALING JAYA: Penerbit filem, Norman Abdul Halim mengakui pencalonan sebanyak 12 kategori untuk filem Hikayat Merong Mahawangsa pada pertandingan Festival Filem Malaysia ke-24 membakar semangatnya.

Katanya, dia pernah berasa tawar hati untuk bertanding FFM24 setelah kemenangan filem terbitannya Magika pada FFM 23 dipertikaikan banyak pihak.

"Saya bersyukur filem Hikayat Merong Mahawangsa mendapat pencalonan luar biasa dalam pertandingan FFM24 ini.

"Ia seperti pengulangi pencapaian Magika tahun lalu yang mana saya nggap seperti satu pengiktirafan kepada kami," ujarnya yang ditemui pada sidang media majlis pelancaran filem Cinta Kura-Kura, di sini, Rabu.

Norman bersama pengarah dan barisan pelakon filem "Cinta Kura-Kura"

Norman diminta mengulas pencalonan filem Hikayat Merong Mahawangsa yang mendominasi pencalonan pada FFM24 akan datang.

Bagaimanapun, Norman berkata dia tidak meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap kesemua pencalonan tersebut.

"Pencalonan ini telah membakar semangat saya untuk menghasilkan lagi filem-filem bermutu. Ia juga secara tidak langsung mengubat kekecewaan dan rasa tawar hati saya selepas kemenangan filem Magika tahun lalu dipertikaikan

"Saya tidak mahu menyasarkan mana-mana kategori dan menyerahkan segalanya kepada rezeki dan juri yang memilih," katanya.

Dalam pada itu, Norman juga mengumumkan bahawa KRU Studio menyasar untuk menerbitkan sebanyak 50 buah filem berkualiti dalam masa tiga tahun.

"Kami memang meletakkan sasaran mengeluarkan 50 buah filem dalam masa tiga tahun, ini termasuk filem bergenre bahasa Inggeris, Cina dan Tamil.

"Justeru itu, kami dalam proses menubuhkan sebuah unit khas untuk mengumpul metarial dari segi skrip," katanya.

Bercerita tentang filem Cinta Kura-Kura, Norman berkata ia sebagai salah satu filem yang diterbitkan untuk tujuan komersial.

"Kita mempunyai beberapa strategi antaranya menerbitkan filem untuk tujuan pertandingan atau komersial.

"Filem-filem seperti Magika, Hikayat Merong Mahawangsa dan 29 Februari meruapakan filem yang mempunyai kretaria tertentu untuk pertandingan.

"Manakala kita juga menerbitkan filem-filem seperti Cinta Kura-kura, Karak, dan Duyong untuk tujuan box office," katanya.

Syamsul Yusof Terkejut Dua Filem Arahannya Terima 17 Pencalonan

Posted: 09 Nov 2011 08:36 PM PST

Syamsul Yusof.

KUALA LUMPUR: Pengarah muda berbakat, Syamsul Yusof tidak menyangka dua buah filem arahannya iaitu KL Gangster dan Khurafat terbitan Skop Productions meraih 17 pencalonan secara keseluruhan sempena Festival Filem Malaysia (FFM24) pada 20 November ini.

Syamsul yang terkejut dengan pengumuman tersebut bagaimanapun bersyukur dan gembira dengan pencalonan tersebut selain menganggap ia sebagai bukti usaha kerasnya dalam menaikkan mutu penerbitan filem tempatan.

"Saya betul-betul tidak menyangka akan menerima banyak pencalonan begitu dan masih terkejut. Bagaimanapun saya bersyukur kerana pihak juri memilih dua buah filem saya dalam senarai pendek ini.

"Menang atau tidak bukan keutamaan saya kerana pencalonan yang banyak ini telah memberikan kemenangan buat saya. Tambahan pula filem lain yang tercalon adalah hebat-hebat belaka," ujarnya ketika ditemui selepas majlis pengumuman lima calon terbaik FFM24 di sini, Selasa.

Antara pencalonan yang diterima oleh kedua-dua filem itu adalah Penyunting Terbaik, Penata Bunyi Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Pembantu Wanita Terbaik, Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Dalam pada itu, Syamsul berkata, dia tidak meletakkan sebarang sasaran untuk memenangi sebarang anugerah tetapi jika diberi rezeki di ingin melihat filem KL Gangster menerima penghargaan.

"Filem berkenaan memberi pelbagai kenangan kepada saya kerana kami bekerja sebagai satu keluarga dan terdapat pelbagai momen istimewa semasa pembikinan filem itu," ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai pencalonannya dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem KL Gangster, Syamsul berkata dia tidak mengharapkan pencalonan itu tetapi menerimanya sebagai rezeki.

Katanya, dia lebih senang jika pelakon-pelakon daripada kedua-dua filemnya yang tercalon itu menerima pencalonan kerana mereka telah memberi persembahan terbaik.

"Bukan tidak menghargai dengan pencalonan itu tetapi alangkah seronoknya saya jika pelakon-pelakon saya dapat pencalonan tetapi alhamdulilah ada juga yang tercalon untuk kategori lain," ujarnya.

ASK 2011 Cecah Rekod 4.6 Juta Penonton

Posted: 09 Nov 2011 08:35 PM PST

Ally Iskandar dan Rozita Che Wan diamanahkan sebagai pengacara ASK2011.

PETALING JAYA: Stesen TV3 sekali lagi mencatat sejarah apabila berjaya meraih 4.6 juta penonton semasa tayangan Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011) yang ditayangkan secara langsung pada Jumaat minggu lalu.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, semasa ASK 2011 ditayangkan ia juga telah memecah rekod kadar tontonan jika dilihat dari minit ke minit sepanjang program dua jam itu ke udara.

Ahmad Izham berkata, perancangan teliti selama enam bulan ternyata membuahkan hasil kerana bukan mudah untuk mencapai kadar jumlah tontonan mencecah hampir lima juta penonton.

"ASK 2011 bukan sahaja semata-mata meraikan pengiat dan karyawan seni tanah air malah ianya juga sebagai batu loncatan untuk mereka yang memenangi anugerah tersebut untuk terus maju ke hadapan.

"Maklum balas yang diterima daripada para penonton juga amat menggalakkan dan menyuntik semangat kepada kami untuk terus berusaha lebih gigih untuk menerbitkan produk yang lebih bermutu di masa akan datang," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Izham berkata, ASK 2011 ukan sahaja mendapat perhatian penonton di kaca televisyen, malah ia juga dipancarkan menerusi laman web rasmi www.tv3.com.my/ask2011.

Katanya, rekod menunujukkan hampir 50,000 mendaftar untuk kemudahan live streaming menerusi online menonton siaran eksklusif red carpet, di sebalik tabir dan keseluruhan majlis anugerah.

Jumlah ini juga menunjukkan kenaikan sebanyak tiga kali ganda lebih tinggi berbanding tahun 2010 dan merupakan rekod terbaik live streaming untuk Media Prima secara keseluruhan.

"Daripada jumlah tersebut hampir 20% penonton dicatatkan terdiri dari pelayar-pelayar web dari luar negara seperti Singapura, Brunei, United Kingdom, Mesir, Australia dan banyak lagi.

"ASK 2011 juga berjaya mendapat hampir satu juta pelayar mengikuti perkembangan terkini melalui laman web rasmi sejak ia dilancarkan pada bulan Oktober lalu," ujarnya.

Hujan Teruja Klip Video ‘Kotak Hati’ Dapat Premier Di TV9

Posted: 09 Nov 2011 08:35 PM PST

Hujan ketika majlis 'A Special Collaboration With TV9 presenting Hujan- Kotak Hati' di pejabat Warner Music Malaysia, Petaling Jaya, Rabu.

PETALING JAYA: Klip video single terbaru kumpulan Hujan berjudul Kotak Hati akan disiarkan secara eksklusif di TV9 menerusi dua rancangan hiburan terbitan stesen televisyen tersebut.

Vokalis Hujan, Noh akui sangat teruja dengan kolaborasi ini lebih-lebih lagi Hujan merupakan artis pertama yang terpilih untuk mendapat siaran premier ini.

"Walaupun klip video Kotak Hati dihasilkan secara sederhana untuk sesuaikan dengan lagu yang berkonsep balada itu, namun kami merasakan ia agak istimewa apabila diberi peluang untuk menyiarkan secara eksklusif di TV9," kata Noh ketika majlis 'A Special Collaboration With TV9 presenting Hujan- Kotak Hati' di pejabat Warner Music Malaysia, di sini, Rabu.

Menurut wakil penjenamaan TV9, Tengku Mohd Azmi Tengku Azhar, klip video tersebut akan disiarkan dalam rancangan HIP TV pada 24 November ini dan juga menerusi rancangan Galaksi pada 25 November ini.

"TV9 memilih artis-artis muda seperti Hujan dan Aizat untuk mendekati penonton muda. Secara kebetulan, Hujan baru sahaja menghasilkan klip video lagu Kotak Hati.

"Jadi, sebab itu kita memilih untuk menyiarkan klip video tersebut atas persetujuan bersama antara pihak TV9 dan anggota Hujan. Selain itu, kami turut menjemput Hujan untuk ditemubual dalam program-program tersebut," kata Azmi.

Lagu dan lirik yang dihasilkan sendiri oleh vokalis Hujan, Noh itu menggambarkan tentang keikhlasan pasangan kekasih yang bercinta sehingga mereka sanggup berkongsi segala suka duka bersama-sama dan berharap untuk terus setia bersama.

Klip video lagu ini diarahkan oleh Tengku Mona Riza Tengku Khalid dan menjalani penggambaran semasa bulan Ramadan. Selain menampilkan anggota Hujan sendiri, video tersebut juga memaparkan beberapa babak dalam telefilem Uri lakonan Tengku Norhanis dan Beto Kusyairi yang pernah disiarkan di saluran Astro Box Office.

Arja Lee Akui Guna Kabel Naikkan Nama

Posted: 09 Nov 2011 08:34 PM PST

Arja Lee.

KUALA LUMPUR: Pelakon Arja Lee, 28, mengakui menggunakan 'kabel' bagi membantu menaikkan nama sebagai seorang pelakon.

Arja bagaimanapun berkata, walaupun mempunyai sokongan daripada beberapa pihak yang dianggap sebagai tulang belakang dalam kerjayanya, dia tidak mendapat jalan mudah untuk mencipta nama.

"Walaupun ada 'kabel' membantu tetapi tidak bermakna saya tidak berusaha untuk mengecap kejayaan.

"Saya masih pergi uji bakat untuk mendapatkan sesuatu peranan," ujarnya ketika ditemui pada majlis ditemui selepas majlis pengumuman lima calon terbaik Festival Filem Malaysia 24 di sini, Selasa.

Dia berkata, sebagai pelakon baru, masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan diperbaiki bagi memastikan namanya akan terus kukuh untuk masa panjang.

"Saya mahu menjadi seorang pelakon berkaliber dan tidak hanya mahu dikenali kerana cerita-cerita kontroversi sahaja," ujarnya.

Dalam pada itu, Arja memberitahu dia tidak akan berlakon dalam filem atau drama yang menkehendaki dirinya menjadi seorang wanita atau seorang lelaki homoseksual.

Ujarnya, cukup sekali dia membawa peranan sebegitu dalam filem ...Dalam Botol arahan Raja Azmi yang mengundang pelbagai kontroversi.

"Saya tidak mahu menerima watak sedemikian bukan kerana takut ia akan menjadi kontroversi tetapi tidak mahu dilabel pelakon stereotype," katanya.

Sementara itu, Arja memberitahu dia gembira apabila menerima pencalonan dalam FFM24 dalam kategori Pelakon Harapan Lelaki Terbaik.

"Tidak sangka akan menerima pencalonan itu memandangkan itu adalah filem pertama lakonan saya dan sesungguhnya penghargaan perlu diberikan kepada penerbit filem itu, Raja Azmi kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada bakat saya sehingga mendapat pencalonan ini.

"Jika tidak menang pun saya tidak kecewa kerana pencalonan ini adalah sudah dikira kemenangan kepada saya," ujarnya.

Berkongsi perkembangan semasa, Arja berkata dia kini sedang sibuk menumpukan perhatian pada pengajiannya dalam jurusan seni persembahan di Universiti Sains Malaysia.

Justeru itu, katanya dia tidak dapat bergiat aktif dalam memenuhi tawaran lakonan sehinggalah pengajiannya tamat pada Jun tahun depan.

"Semester baru pengajian saya baru bermula. Saya perlu menumpukan perhatian kerana ini adalah semester terakhir.

"Insya-Allah saya akan kembali aktif sepenuh masa selepas pengajian berakhir pada Jun tahun depan," katanya.

Arja Lee mula dikenali umum selepas menjayakan watak transeksual bernama Ruby dan berbogel dalam filem kontroversi ...Dalam Botol terbitan JAS Production Sdn Bhd, milik penerbit sensasi Raja Azmi Raja Sulaiman.

Filem yang ditayangkan pada 24 Mac lalu itu turut dibintangi Wan Raja, Diana Danielle, Fauziah Ahmad Daud, Normah Damanhuri dan Jalil Hamid. Ia diarahkan oleh Khir Rahman.

Kim Kardashian Jumpa Kris Agar Tidak Sebar Keburukannya

Posted: 09 Nov 2011 08:31 PM PST

Kim Kardashian dan Kris Humpries.

PELAKON Kim Kardashian, 30, nekad berkunjung ke rumah suaminya, pemain bola keranjang NBA, Kris Humpries, 26, di Minnesota untuk berbincang tentang hubungan mereka.

Menurut sumber kepada hollywoodlife, tujuan Kim melakukan perkara tersebut hanyalah untuk menutup mulut Kris kerana Kim bimbang sekiranya Kris akan menceritakan keburukannya kepada media.

"Kim mengunjungi Kria agar Kria tidak membuka mulut kepada media. Dia ingin memastikan suaminya itu tidak membuat 'perkara bodoh' dan 'tidak beretika' sehingga memberitahu kepada media tentang hubungan mereka," kata sumber tersebut.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Kim telah menfailkan penceraiannya terhadap Kris selepas berkahwin selama 72 hari.

Berita tersebut disahkan oleh pengacara E! News, Ryan Seacrest melalui laman Twitter miliknya pada 31 Oktober lalu yang memberitahu Kim sendiri telah memberitahu perkara itu kepadanya selepas laman gosip TMZ mendedahkan mengenai perkara itu.

Kim dikatakan menfailkan perceraian mereka dengan alasan tidak mempunyai persefahaman dengan suaminya itu.

Amuk nenek tutup suis komputer

Posted: 09 Nov 2011 08:30 PM PST

KUALA LUMPUR: Seorang cucu yang bengang selepas neneknya menutup suis ketika dia asyik bermain permainan komputer bukan saja bersikap kurang ajar apabila bertengkar dengan neneknya, malah remaja lelaki berusia 15 tahun itu juga cuba menetak bapa saudaranya dengan parang.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam kelmarin di rumah remaja itu di Batu 4, Jalan Gombak, Setapak di sini, neneknya yang berusia 70-an sebenarnya mahu menutup alat pendingin hawa, namun tidak menyangka suis itu bersambung dengan komputer milik cucunya yang ketika itu leka bermain permainan komputer.

Kesilapan nenek itu menimbulkan kemarahan cucunya kerana permainannya tergendala lalu mengamuk dan menghamburkan kata-kata kesat terhadap neneknya itu.

"Nenek berkenaan yang tersentak dengan tindakan cucunya itu memarahi sikap biadab remaja terbabit yang tidak menghormati orang tua, namun teguran itu langsung tidak diendahkannya," katanya.


Sumber polis berkata, tidak cukup dengan itu, sikap panas baran cucunya semakin menjadi-jadi apabila merentap wayar penghawa dingin dalam bilik itu hingga terputus.

Usung awek guna motosikal curi

Posted: 09 Nov 2011 08:28 PM PST

PERIKSA...Azmi  memeriksa lesen lelaki terbabit sambil disaksikan kekasihnya.
PERIKSA...Azmi memeriksa lesen lelaki terbabit sambil disaksikan kekasihnya.

KUALA LUMPUR: Niat seorang lelaki untuk bersiar-siar bersama-sama kekasihnya dengan menunggang motosikal curi tidak terlaksana apabila dia dicekup malam kelmarin di Dataran Merdeka di sini.

Difahamkan, dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, lelaki berusia 25 tahun berkenaan bersama kekasihnya berusia 22 tahun ditahan di kawasan berkenaan ketika pasukan Unit Kuatkuasa Khas (U3K) Trafik Kuala Lumpur menjalankan pemeriksaan Ops Samseng Jalan Raya di kawasan itu.


Ketua Unit Penguatkuasaan Khas Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Wahid, berkata pasangan itu berada dalam keadaan mencurigakan ketika anggota polis mendekati mereka dan pemeriksaan awal ke atas motosikal Kawasaki RR 150 berwarna merah ditunggangi lelaki itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan berkenaan milik seorang juruteknik makmal dan dilaporkan hilang di kawasan Batu 9, Cheras Jun lalu.


"Selepas disoal siasat, suspek mengaku motosikal berkenaan bukan miliknya dan dicuri di kawasan Sri Hartamas serta digunakan untuk kegunaan sendiri," katanya, di sini.


Menurutnya, motosikal yang dicuri itu disita sebelum pasangan itu dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk diambil keterangan sebelum mereka ditahan di Balai Polis Kajang untuk siasatan lanjut.

Serlahkan anugerah kecantikan

Posted: 09 Nov 2011 08:27 PM PST

TRANSFORMASI...wajah pelbagai lapisan masyarakat yang diubah Mac menerusi kempen Mac Me Over di New York, baru-baru ini.
TRANSFORMASI...wajah pelbagai lapisan masyarakat yang diubah Mac menerusi kempen Mac Me Over di New York, baru-baru ini.
HARITHA...Mac Me Over diwujudkan bagi membantu mengubah penampilan seseorang.
HARITHA...Mac Me Over diwujudkan bagi membantu mengubah penampilan seseorang.

TANYALAH mana-mana wanita mahupun lelaki, siapa yang tidak suka dirinya didandan cantik apatah lagi jika diberi peluang tampil lebih menarik.

Bak kata pujangga, kecantikan itu sendiri adalah daya penarik sebenar pada diri seseorang dan suatu entiti yang dikagumi hinggakan diangkat sebagai ciri utama dalam kehidupan sesebuah masyarakat mahupun budaya.

Biarpun kecantikan dalaman amat dititikberatkan dalam menghakimi seseorang individu, aspek luaran sama sekali tidak boleh diketepikan tambahan ia mampu meningkatkan keyakinan diri menerusi penampilan zahir yang lebih cantik dan menarik.

Menurut Jurusolek Kanan Mac Cosmetics Malaysia (Mac), Haritha Shan, kecantikan adalah anugerah utama untuk manusia cuma perlu bijak menggunakannya.


"Setiap manusia dikurniakan kecantikan tersendiri, tetapi ramai yang tidak menggunakan sebaik-baiknya anugerah itu kerana kekangan masa, dihimpit masalah dan pelbagai lagi perkara yang perlu diharungi setiap hari.


"Ia kemudian membuatkan ramai antara kita mula mengabaikan penampilan diri lalu anugerah kecantikan yang ada itu makin tenggelam hingga lama kelamaan pudar ditelan masa," katanya.

Atas faktor itu, Mac tampil memberikan 'bantuan' kepada wanita juga lelaki, yang memerlukan sedikit suntikan semangat daripada segi penampilan gaya wajah.

"Bagi Mac, apa yang boleh kami lakukan ialah membantu mereka dengan mengubah gaya solekan sebagai salah satu cara mengembalikan semula keyakinan diri, sekali gus memberi peluang untuk mereka menghargai semula anugerah yang ada pada diri masing-masing.

"Siapa yang tidak suka wajahnya dibelai dan disolek cantik? Jika tanya pada sesiapa pun, pasti majoriti yang mahu diri mereka didandan anggun walaupun solekan itu hanya untuk sejam.

"Menerusi kempen Mac Me Over yang berlangsung di seluruh dunia baru-baru ini, kami berusaha membantu mereka yang ingin menjalani transformasi dan mencuba sesuatu yang baru.

"Misalnya, jika anda sebelum ini tidak gemarkan pembayang mata rona hijau, inilah masanya untuk berubah dan berani bereksperimen dengan perkara baru.

"Tiada istilah salah atau betul dalam solekan, cuma kita perlu tahu sama ada ia sesuai atau tidak mahupun seiring atau sebaliknya pada penampilan kita," tegasnya.

Idea melakukan perubahan ke atas wanita biasa ini bermula beberapa bulan lalu di New York, Amerika Syarikat apabila Mac membuka penyertaan kepada umum bagi mencari enam wajah biasa yang boleh mewakili setiap lapisan masyarakat.

"Semuanya kembali kepada prinsip asas Mac iaitu semua usia, semua agama dan semua jantina.

"Mac Me Over tidak terhad kepada wanita apabila seorang pemenangnya ialah jejaka dari New York, Ian Marc Saisselin.

"Di Malaysia, Mac Me Over bukanlah berteraskan pertandingan, tetapi lebih kepada antara satu medium bantuan untuk masyarakat tempatan menyerlahkan lagi kecantikan yang dianugerahkan pada mereka.

"Apa yang diperlukan cuma kunjungi mana-mana kaunter Mac seluruh Malaysia dan
jurusolek Mac sedia membimbing mereka mendapatkan solekan yang diingini," ujar Haritha.


Fakta

  • Mac Me Over menampilkan dua produk bintang - Shadestick dan Fluidline yang pelbagai guna dan tahan lama.

  • Pembayang mata Shadestick bersifat kalis air dan sesuai untuk keadaan cuaca panas dan lembap seperti Malaysia. Boleh digunakan begitu saja atau sebagai asas solekan mata. Rona Cake Shop (piuter kabut) misalnya, boleh digunakan sebagai asas dan kemudian diadun bersama pembayang mata untuk lebih impak.

  • Fluidline bukan saja bertindak sebagai penggaris malah pembayang mata. Untuk menjadikannya sebagai pembayang mata, adunkan dengan berus 227 untuk kesan comot dan smokey yang tidak begitu ketara. Buat pertama kali, Mac hadir dengan beberapa pilihan warna bagi Fluidline yang mana sebelum ini hanya biru dan hitam.
  • Padah melaram dengan kereta curi

    Posted: 09 Nov 2011 08:25 PM PST

    KEEGAN bergaya di depan sebuah daripada kereta yang dicurinya.
    KEEGAN bergaya di depan sebuah daripada kereta yang dicurinya.
    GAMBAR Wilhelm bersama kenderaan seorang mangsa yang dicurinya menjerat diri sendiri.
    GAMBAR Wilhelm bersama kenderaan seorang mangsa yang dicurinya menjerat diri sendiri.

    LONDON: Dua pencuri dipenjarakan selepas memuat naik gambar mereka dalam Facebook bersama kereta yang dikebas.

    Damon Keegan, 20, dan Aaron Wilhelm, 18, melakukan beberapa kecurian dengan mensasarkan kenderaan mewah di bandar raya Manchester.


    Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar apabila gambar yang menjadi bukti jenayah dilakukan mereka dan maklumat yang mengaitkan mereka dengan kecurian itu ditemui polis.

    Pasangan itu ditahan Krismas tahun lalu selepas dikaitkan dengan tapak kaki yang ditinggalkan di permukaan bersalji dalam satu kejadian pecah rumah.


    Namun ketika diikat jamin, mereka masih melakukan jenayah, mengambil gambar kereta yang dicuri oleh mereka.


    Polis mendapat maklumat selepas mangsa kecurian menunjukkan mereka mengenai laman Facebook Wilhelm.

    Wilhelm mengubah gambar profil dirinya dengan imej menunjukkan dia bergaya di hadapan kereta mangsa yang dicuri.


    Daripada imej yang ditemui polis daripada telefon bimbit dan Facebook menyebabkan mereka turut dikaitkan dengan kehilangan kereta di beberapa kediaman di kawasan berkenaan antara Februari dan Mei tahun lalu.

    Kenderaan itu termasuk Mercedes, tiga kenderaan iaitu Audi, sebuah Volkswagen Scirocco dan Renault Clio dengan jumlah 200,000 pound (RM1 juta).


    Maklumat yang dihantar kepada Keegan di Facebook menunjukkan dia mencuri kereta untuk dijual semula.


    Keegan dan Wilhelm yang tidak mempunyai alamat tetap mengakui melakukan lapan perbuatan jenayah termasuk tiga pecah rumah, tiga dakwaan menjual barang curi dan dua kes curi.


    Keegan yang sebelum ini disabitkan dengan sembilan kesalahan lampau dihantar ke institusi pemulihan belia selama 50 bulan, manakala Wilhelm yang disabitkan dengan 10 kesalahan sebelum ini akan dipenjarakan selama 40 bulan.


    Timbalan Komisioner polis, Paul Jackson berkata: "Keegan dan Wilhelm menyusahkan ramai orang dan melakukan banyak insiden pecah rumah dan mencuri kereta dalam tempoh singkat yang berjumlah RM1 juta.


    "Mereka percaya mereka boleh lari dengan jenayah yang dilakukan dan begitu sombong untuk memuat naik gambar mereka bergaya dengan kenderaan curi di Facebook.


    Bagaimanapun, sebenarnya mereka hanya menunggu masa ditangkap dan diadili," katanya.

    Kawasaki lancar tiga model baru

    Posted: 09 Nov 2011 08:24 PM PST

    KAWASAKI Versys 1000 antara model baru dijangka dilancarkan.
    KAWASAKI Versys 1000 antara model baru dijangka dilancarkan.
    KAWASAKI Malaysia akan melancarkan tiga model terbaru motosikal berkuasa tinggi pada Karnival NST-Maybank COTY2U Autoshow yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Matrade, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

    Pengeluar motosikal itu bagaimanapun masih belum mendedahkan jenis model baru terbabit dan hanya memaklumkan genre motosikal masing-masing bagi tiga model berkenaan adalah dalam kategori Super Sports, Sports dan Dual Purpose.
    Berita Harian difahamkan, ketiga-tiga model itu berkemungkinan besar adalah versi terbaru ZX14, W800 dan Versys 1000.
    Bagi model Versys 1000, ia baru saja dilancarkan globalnya di Eropah Selasa lalu dan pengenalannya di Malaysia hujung minggu ini adalah yang pertama di Asia.

    Pengeluar motosikal itu tidak dapat dihubungi bagi mengesahkan perkara itu, bagaimanapun Pengerusi Panel Hakim COTY 2011, Yamin Vong, berkata majlis pelancaran ketiga-tiga model terbaru Kawasaki itu dijadual dibuat pada jam 3 petang di Dewan C, Bangunan Matrade, Kuala Lumpur sempena pameran itu.

    "Selain itu, terdapat juga pelbagai aktiviti yang akan berlangsung sepanjang dua hari pameran itu antaranya seminar berkaitan peluang pekerjaan dalam industri automotif, hak pengguna dalam insuran automotif, bual bicara anti kecurian dan kualiti udara kabin kereta.

    "Pengunjung juga berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik seperti GPS Gophers, baucar J-Glaze, barangan premium Peugeot dan PROTON menerusi permainan 'Wheel of Fortune' anjuran akhbar New Straits Times," katanya di Kuala Lumpur, semalam.
    Katanya, kepada pembaca sisipan CBT dan BH Auto, terdapat juga aktiviti khusus seperti sesi bertemu pembaca, selain daripada berpeluang menyaksikan perhimpunan kereta klasik Asia pada hari Ahad dari iaitu dari jam 10 pagi sehingga 6 petang.

    Bersempena dengan karnival itu juga, sebanyak 50 model kereta dalam 14 kategori akan bertanding dalam persaingan menentukan siapa paling berhak mengungguli anugerah New Straits Times (NST)-Maybank Car of The Year 2011 (COTY 2011) yang dijadualkan berlangsung pada 25 November ini, di Hotel Saujana, Petaling Jaya.

    Antara 14 kategori yang dipertandingkan ialah kompak, kompak premium, keluarga, eksekutif, eksekutif premium bawah RM300,000, eksekutif premium melebihi RM300,000, prestasi, coupe atau cabriolet, mesra alam, limosin, kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan utiliti sukan (SUV) bawah RM150,000, SUV melebihi RM150,000 dan trak.

    Daripada keseluruhan kategori, pengeluar tempatan, PROTON mengetengahkan model Saga FLX (kategori kompak) dan Inspira (kategori keluarga) manakala Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) dengan model Myvi 1.5 dan Myvi 1.3 (kategori kompak) untuk bersaing bersama model keluaran import.

    Antara model import yang turut bersaing termasuk Honda, Toyota, Peugeot, KIA, BMW, Mercedes, Nissan, Chevrolet dan Audi. Tahun lalu, Volkswagen Passat CC dinobatkan sebagai juara, manakala Peugeot 308 Turbo adalah juara 2009.

    Berdasarkan senarai juara bermula acara ini diperkenalkan sembilan tahun lalu, Perodua menerusi model Kelisa menjadi pengeluar kenderaan tempatan pertama menjuarai COTY iaitu pada 2002 sebelum ia dikuasai sepenuhnya model import.
    Bagi pertanyaan berkaitan COTY2U Autoshow, boleh hubungi CBT di talian 03-22876320.

    Sasar jadi pengeluar getah utama dunia

    Posted: 09 Nov 2011 08:21 PM PST

     JACOB  bersama Presiden Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia,  Lim Kok Boon (kanan) dan Pengarah Urusan Messe Dusseldorf Asia, Gernot Ringling (tengah) melihat mesin produk berasaskan plastik  dan getah Syarikat Top Glove  di pameran M-Plas di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Danial Saad
    JACOB bersama Presiden Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia, Lim Kok Boon (kanan) dan Pengarah Urusan Messe Dusseldorf Asia, Gernot Ringling (tengah) melihat mesin produk berasaskan plastik dan getah Syarikat Top Glove di pameran M-Plas di Kuala Lumpur, semalam.
    Negara buka lebih banyak ladang baru untuk dahului Indonesia, Thailand

    MALAYSIA menyasar untuk kembali menjadi pengeluar getah terbesar dunia dengan memberi tumpuan membuka lebih banyak ladang baru terutama di Sabah dan Sarawak.

    Negara yang pernah menjadi pengeluar getah terbesar dunia sehingga 1987, kini berada di tempat ketiga di belakang Thailand dan Indonesia.
    Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan, berkata kerajaan kini berusaha memulihkan industri getah dengan menjalankan penyelidikan berterusan seperti membangunkan klon getah baru yang mampu meningkatkan hasil dan cepat ditoreh.
    Beliau berkata, selain memberikan tumpuan kepada Semenanjung, kerajaan turut memberikan tumpuan kepada Sabah dan Sarawak yang masih mempunyai banyak tanah sesuai untuk dijadikan ladang getah baru.

    "Ia akan mengambil masa untuk kembali menjadi nombor satu, mungkin beberapa tahun selepas ia terabai sejak negara mengamalkan dasar peralihan tanaman daripada getah kepada kelapa sawit," katanya selepas merasmikan Pameran Perdagangan Plastik dan Getah Antarabangsa Malaysia (M-Plas) 2011 kelima di Kuala Lumpur, semalam.

    Selain itu, Jacob berkata, dalam Bajet 2012 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada bulan lalu, turut mengumumkan peruntukan skim penanaman pokok getah di kawasan baru serta skim penanaman semula getah.

    "Peruntukan itu akan menyediakan peluang bagi pekebun kecil untuk menanam lebih banyak pokok getah pada masa depan," katanya.
    Beliau berkata, berdasarkan harga getah masa kini, pihaknya yakin masa depan getah adalah cerah.

    "Harga getah akan terus meningkat, yang akan menterjemahkan kepada lebih banyak perolehan bagi negara ini," katanya.

    Sebelum itu, Jacob dalam ucapannya berkata, industri getah menyumbang RM12.8 bilion kepada pendapatan eksport negara pada tahun lalu dengan produk getah mencatatkan dua peratus daripada eksport keseluruhan Malaysia.

    Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Pengilang Produk Getah Malaysia (MRPMA), Kong Ping Yee, berkata kedudukan Malaysia turun dari tempat teratas dari segi pengeluaran getah berikutan perubahan minat terhadap aktiviti hiliran dan pulangan lebih tinggi minyak sawit.

    Beliau berkata, sebelum ini, harga getah tidak begitu baik dan memerlukan tenaga buruh yang ramai menyebabkan banyak pihak beralih kepada tanaman kelapa sawit yang lebih menguntungkan.

    "Saya melihat sasaran untuk kembali menjadi pengeluar terbesar sebagai sesuatu yang realistik terutama melalui pembukaan lebih banyak ladang getah di Sabah dan Sarawak," katanya.

    Isu PPSMI: Pilih sekolah

    Posted: 09 Nov 2011 08:19 PM PST

    MUHYIDDIN bersama Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar (kanan) dan Ahmad selepas sesi rakaman rancangan Soal Jawab di Sri Pentas.
    MUHYIDDIN bersama Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar (kanan) dan Ahmad selepas sesi rakaman rancangan Soal Jawab di Sri Pentas.
    Ibu bapa boleh semak sekolah ajar dalam bahasa Inggeris Disember

    KUALA LUMPUR: Mulai bulan depan, ibu bapa pelajar Tahun Enam yang mengikuti program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) boleh menyemak sekolah yang menawarkan program sama di Tingkatan Satu bagi sesi persekolahan 2012.

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar.
    Beliau berkata, proses semakan itu hanya membabitkan pelajar yang mengikuti program PPSMI sepenuhnya iaitu kira-kira lima peratus daripada jumlah kelas di 7,495 sekolah rendah.
    Ibu bapa pelajar boleh memindahkan anak mereka ke sekolah lain jika sekolah yang ditawarkan tidak melaksanakan program atau dasar berkenaan.

    Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pelajar yang tidak mengikuti PPSMI atau menggunakan dwibahasa dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) Matematik dan Sains, tidak perlu membuat semakan kerana dijangka tiada masalah berbangkit.

    "Saya sudah arah kementerian dan Ketua Pengarah supaya semakan dibuat bermula Disember ini. Kita mengambil tempoh lebih awal sikit. Biasanya mereka masuk Januari, kita minta mereka menyemak di sekolah mana dan guru akan beritahu untuk memastikan tidak ada kejanggalan.

    "Kita akan maklumkan semua sekolah. Pegawai Pendidikan Daerah akan memanggil pengetua dan guru besar untuk memaklumkan cara mengelakkan masalah tadi (kejanggalan)... kalau ibu bapa tidak membawa anak pun tak apa, cuma untuk menyemak kesesuaian sekolah menengah yang mengamalkan dasar yang sama," katanya.
    Beliau berkata demikian dalam rancangan Soal Jawab yang dihoskan Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib melalui TV3, malam tadi.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi murid Tahun Satu yang memulakan sesi persekolahan awal tahun ini, dasar PPSMI sudah dimansuhkan dan digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

    Katanya, proses berperingkat atau dikenali sebagai 'soft landing' itu akan berterusan sehingga murid Tahun Satu tahun ini menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada 2016, manakala Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2021.

    Menjawab soalan sama ada MBMMBI mampu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, Muhyiddin berkata, kementerian melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan termasuk aspek perguruan dan pengisian kandungan kurikulum mata pelajaran berkenaan.

    Katanya, seramai 47,887 guru Bahasa Inggeris sentiasa diberikan kursus bagi memastikan kualiti pengajaran ditingkatkan, di samping latihan kepada 6,000 guru di institut perguruan seluruh negara dan pengambilan secara kontrak guru bersara yang kini 200 orang.

    Di samping itu, katanya, kementerian turut membawa masuk 360 'master teacher' pakar Bahasa Inggeris daripada 10 negara termasuk United Kingdom, Kanada, Denmark dan Australia untuk memerhati dan memberikan pandangan untuk menambah baik kualiti P&P guru Bahasa Inggeris serta pengambilan 50 tenaga pengajar dari Amerika Syarikat bermula awal tahun depan.

    "Cabaran kita, bagaimana nak tentukan ada peningkatan lebih ketara dalam penguasaan bahasa Inggeris... satu yang tak ada ialah ukurannya... saya fikirkan adakah wajar kita wujudkan satu lembaga untuk memberi penanda aras untuk mata pelajaran ini.

    "Mungkin kita boleh bekerjasama dengan Universiti Cambridge cara mengukur pencapaiannya... bila kata di sekolah penguasaan bahasa Inggeris baik, adakah baik yang setanding dengan antarabangsa.

    "Saya percaya cabaran besar tetapi harapan untuk melihat MBMMBI berjaya tidak mungkin berlaku jika tidak ada kesungguhan ibu bapa dan komitmen pelajar," katanya.

    Bak kut teh halal diragui

    Posted: 09 Nov 2011 08:17 PM PST

    YUSMARIATI menunjukkan mi bak kut teh dengan logo halal yang dibelinya di sebuah pasar raya di Damansara Damai, Pataling Jaya.
    YUSMARIATI menunjukkan mi bak kut teh dengan logo halal yang dibelinya di sebuah pasar raya di Damansara Damai, Pataling Jaya.
    Pengurus syarikat pengeluar dakwa produk disahkan tiada babi

    PETALING JAYA: Seorang pengguna yang mengunjungi sebuah pasar raya di Damansara Damai di sini, terkejut apabila mendapati Mi Segera Sayuran 'bak kut teh', yang sering dikaitkan dengan penggunaan babi sebagai salah satu ramuan, dijual secara terbuka, dua minggu lalu.

    Tambah mengelirukan pengguna terbabit, Yusmariati Yusof, 32, mi segera jenama A1 yang dikilang sebuah syarikat dari Johor itu bukan saja dipamerkan bersama produk halal lain oleh pengurusan pasar raya berkenaan, malah turut mempunyai tanda halal dikeluarkan Islamic Food Research Centre Asia (IFRCA)
    "Saya kesal dengan tindakan pengurusan pasar raya berkenaan yang dilihat tidak sensitif dengan isu ini sedangkan umum mengetahui 'bak kut teh' sinonim dengan babi.
    "Bagaimana makanan dengan ramuan haram dimakan umat Islam boleh mendapat sijil halal serta dijual secara terbuka tanpa sebarang pemberitahuan kepada pengguna," katanya ketika ditemui Sentral di sini.

    Kesal dengan kejadian berlaku, Yusmariati kembali semula ke pasar raya itu keesokannya untuk membeli mi segera berkenaan sebagai bukti tetapi mendapati ia tidak lagi dipamerkan diatas rak, sebaliknya disimpan di dalam stor oleh pengurusan pasar raya.

    "Pengurusan pasar raya itu berkeras tidak mahu menjual produk berkenaan tetapi apabila saya berkeras, mereka akhirnya bersetuju, itu pun pembelian dilakukan tanpa resit, tanda harga serta plastik yang tertera nama pasar raya itu," katanya.

    Tinjauan Sentral mendapati, stok mi segera sayuran bak kut teh itu, kini tidak lagi dijual di pasar raya dimaksudkan.
    Pengurus A K Koh Enterprise Sdn Bhd, (A K Koh) Law Teng How ketika dihubungi mendakwa produk mi segera sayuran bak kut teh yang dikilangkan syarikat itu, tidak mempunyai ramuan babi seperti dikatakan pengguna.

    "Kami sedia maklum dengan kekeliruan yang timbul disebabkan nama produk ini tetapi ingin saya jelaskan, mi segera sayuran bak kut teh keluaran A K Koh tidak mengandungi babi, sebaliknya hanya resipi sup herba daging.

    "bak kut teh sebenarnya membawa maksud sup daging tulang, dan boleh dimakan sama ada dengan daging lembu atau kambing dan tidak semestinya babi seperti disangkakan kebanyakan pengguna.

    "Produk kami disahkan tidak mengandungi ramuan terlarang, termasuk babi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan A K Koh sendiri kini dalam proses memohon sijil halal daripada badan itu sejak Julai lalu.

    "Kami juga dalam proses menukar nama serta pembungkusan bagi produk ini kerana menurut JAKIM ia menimbulkan kekeliruan di kalangan pengguna, terutama sekali umat Islam," katanya.

    Sementara itu, wakil JAKIM ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan memberi maklum balas segera berhubung produk keluaran A K Koh itu.

    Hazama segan bergandingan bersama Amy Search

    Posted: 09 Nov 2011 08:15 PM PST

    Hazama dan idolanya, Amy Search

    Pernah bekerjasama bersama sewaktu di dalam Akademi Fantasia musim kesembilan yang lalu, ternyata ia bukan satu alasan utama termeterainya kolabirasi antara pemenang pertama musim itu, Hazama bersama pengetuanya, Amy Search dalam lagu terbarunya, Simetri.

    Mengakui sangat berminat dengan bakat yang ada di dalam diri legenda rock ini, menurut Hazama, biarpun dia pernah bekerjasama bersama semusim yang lalu, namun didalam dirinya, dia masih segan untuk bermesra dengan lelaki penuh bakat ini.

    "Saya memang masih segan dengan Amy, dan sewaktu kali pertama rekod lagu ini, saya hamper tidak boleh menyanyi kerana terlalu segan dengannya.

    "Dia idola saya, pertama kali diberitahu akan berkolabirasi dengannya, saya memang teruja sehingga tidak dapat tidur kerana memikirkannya, tapi bila berjumpa saya jadi segan.

    "Biarpun begitu ada saya tetap ambil peluang ini untuk menuntut ilmu yang ada padanya, dan biarpun dia agak pendiam tapi saya dapat banyak ilmu muzik daripadanya,"jelas Hazama.

    Bercerita tentang Simetri, jelas Hazama dia kini selesa untuk mengeluarkan single terlebih dahulu berbanding mengejar pembikinan album.

    "Perancangan untuk album itu ada dibuat, tetapi saya tidak terlalu terkejar-kejar. Jika ada album sekalipun, belum tentu ianya terjual kerana pasaran album sekarang kelihatan sukar.

    "Tambahan pula, pihak Astro sendiri banyak artis di bawah mereka, jadi perlu menunggu giliran untuk menghasilkan album lengkap, jadi saya rasa pilihan untuk keluar single terlebih dahulu merupakan pilihan yang terbaik di kala ini,"jelasnya lagi.

    lawat hospital risiko bagi si kecil

    Posted: 09 Nov 2011 08:14 PM PST


    Peraturan yang dikenakan terhadap waktu melawat di hospital adalah demi keselesaan dan privasi pesakit. - Gambar hiasan


    Di semua hospital dan pusat perubatan sama ada swasta atau awam, terdapat papan kenyataan 'Kanak-kanak bawah umur 12 tahun dilarang masuk' di pintu masuk utama dan wad.

    Penulis yang kerap mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan di sini telah bertanya seorang pegawai keselamatan sama ada ibu bapa dibenarkan membawa bersama anak kecil ketika melawat keluarga atau rakan yang dimasukkan ke hospital.

    "Sudah tentu hospital mengamalkan konsep mesra pelawat. Kanak-kanak memang dibenarkan masuk jika mereka ditemani orang dewasa setiap masa. Tetapi untuk kesejahteraan pesakit, anak kecil yang tidak sihat memang tidak digalakkan melawat pesakit di hospital," kata beliau.

    Pegawai itu (yang enggan namanya disiarkan) menjelaskan bahawa hospital tetap memberi keutamaan kepada pesakit dan sebab itulah anak-anak berumur bawah 12 tahun tidak dibenarkan melawat pesakit di wad.

    Bagaimanapun jururawat boleh menggunakan budibicara mereka bergantung pada situasi, kata beliau.

    Terdapatkah had bagi bilangan pelawat pada satu-satu masa?

    Pegawai keselamatan itu berkata, peraturan yang sedia ada hanya membenarkan dua pelawat pada satu-satu masa dan ini hanya boleh dilakukan ketika waktu melawat.

    "Bagaimanapun kakitangan keselamatan boleh mengguna budi bicara mereka tetapi membenarkan terlalu ramai pelawat boleh menyebabkan pesakit cepat letih.

    "Kami (hospital) tidak mahu situasi di mana pesakit akan menjadi cepat letih kerana terpaksa melayan ramai pelawat," tambah beliau.

    Ada kalanya kakitangan yang bertugas terpaksa meminta pelawat untuk beredar.

    Ini kerana doktor dan jururawat mahu memastikan privasi dan keselesaan pesakit dan membenarkan mereka meneliti serta membuat laporan kesihatan pesakit dengan tepat, kata pegawai itu lagi.

    Kenapa wujudnya peraturan sebegini?

    Seorang pegawai kejururawatan, Wan Norida (bukan nama penuh) berkata, anak bawah 12 tahun biasanya nakal dan ibu bapa mungkin sukar untuk mengawal gelagat mereka bila berada dalam wad. Lagipun wad di hospital bukan sama dengan taman permainan.

    "Anak kecil biasanya tidak boleh duduk diam dan mungkin lari ke sana sini. Mereka juga mungkin menarik tiub atau mengganggu saluran intavena atau kelengkapan yang lain.

    "Anak kecil juga mudah menangis. Jika ini berlaku, tangisan kuat mereka boleh mengganggu pesakit lain. Kehadiran anak kecil juga boleh mengganggu jururawat daripada menjalankan tugas," kata Wan Norida.

    Beliau juga menasihati individu yang mempunyai penyakit mudah berjangkit seperti selesema menghindari daripada melawat pesakit di hospital.

    "Jika keadaan anda mudah berjangkit adalah tidak digalakkan melawat pesakit di wad. Jika ada selesema atau simptom yang menyamai selesema, rujuk dulu kepada jururawat bertugas," tambah beliau.

    Wan Norida menasihati ibu bapa seboleh-bolehnya tidak membawa anak kecil ketika memasuki wad untuk melawat, melainkan jika tiada pilihan lain.

    Risiko jangkitan

    "Kalau boleh rujuk dulu dengan petugas. Hospital punya peraturan tertentu berhubung pelawat bersama kanak-kanak," jelas beliau lagi.

    Pegawai perubatan, Dr. Junie Sng berkata: "Bukannya kami sengaja mengenakan peraturan ketat berhubung isu anak kecil. Ada kalanya jururawat membenarkan ibu bapa membawa bersama anak kecil mereka bila melawat keluarga yang sakit dalam wad.

    "Tapi apa yang kami takutkan adalah dari segi risiko jangkitan. Anak kecil termasuk bayi mempunyai imuniti badan yang lebih rendah berbanding orang dewasa.

    "Ibu bapa tidak sedar tindakan mereka membawa anak kecil akan mendedahkan kepada risiko dijangkiti.

    "Dalam wad sebenarnya terdapat pelbagai kuman dan jika seorang pesakit menyentuh anak yang kecil, beliau dengan tidak sengaja memindahkan jangkitan kepada anak kecil itu.

    "Ketika berada dalam wad, anak kecil juga boleh menerima jangkitan daripada pesakit lain dan tidak semestinya daripada pesakit yang mereka lawati. Sungguh menyedihkan jika ibu bapa membiarkan anak mereka menghadapi risiko jangkitan sedangkan situasi ini boleh dielakkan," kata beliau.

    Beliau menasihati para pelawat mematuhi peraturan membasuh tangan serta peraturan keselamatan hospital yang lain. Menurut Dr. Sng lagi, pelawat mungkin membawa masalah kepada pesakit di wad.

    Antaranya kecederaan berbentuk fizikal selain mental dan emosi.

    Doktor itu juga menasihati agar pelawat tidak mengambil masa yang lama untuk melawat pesakit.

    "Meluangkan masa melawat pesakit adalah sesuatu yang baik tetapi tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama.

    "Lebih baik kerap melawat dengan mengambil masa singkat berbanding mengambil masa yang terlalu panjang. Sebaiknya janganlah melebihi satu jam pada setiap masa.

    "Segeralah beredar jika doktor atau jururawat datang dan mahu memeriksa pesakit.

    "Juga penting agar tidak melawat jika mempunyai sesuatu yang mudah berjangkit. Pesakit dan kakitangan hospital tidak perlu terkena jangkitan yang dibawa dari luar," kata beliau.

    Subjek Sejarah dorong Drury peluk Islam

    Posted: 09 Nov 2011 08:13 PM PST


    Abdullah Drury ketika sambutan Aidil Fitri bersama dua orang anak lelakinya, Yusuf (kiri) dan Ismail baru-baru ini.


    SEBELUM mengenal dan memeluk Islam, Abdullah Drury hidup di tengah-tengah keluarga yang menganut pelbagai aliran dan mazhab dalam Kristian.

    Ibunya menganut aliran Jehovah Witness. Bapanya pula seorang Khatolik. Seorang daripada bapa saudaranya penganut Apostolic dan beberapa anggota keluarga yang lain pula penganut Kristian Anglican.

    Meskipun begitu, Drury yang berasal dari New Zealand dibesarkan dalam atmosfera yang toleran yang tidak menghalang beliau untuk mengenali apa juga bentuk agama lain.

    Terutama pada era tahun 1990an minat Drury terhadap Islam tumbuh segar sejak saat mula beliau mengambil jurusan sejarah ketika melanjutkan pengajian di universiti.

    "Begitu sahaja saya mula menyentuh apa sahaja mengenai sejarah pasti ada kaitan dengan Islam, sama ada dari aspek agama Islam itu sendiri.

    "Mahupun sejarah yang ditempuhi oleh agama itu tanpa mengira di mana sahaja. Malah ke mana pun saya pergi, saya selalu bertemu dengan Islam. Semua ini membuatkan saya semakin tertarik terhadap Islam," ujar Drury.

    Sejak itu tiada perkara lain yang dilakukan oleh Drury di masa lapang kecuali membaca dan terus membaca mengenai Islam.

    Banyak buku-buku mengenai Islam habis dibacanya satu persatu. Hasilnya membuatkan beliau begitu yakin dan percaya bahawa Islam adalah agama yang benar.

    Maka langkah beliau seterusnya ialah melafazkan dan mengucap dua kalimah syahadah sebagai tanda rasmi memeluk Islam.

    Ia adalah langkah Drury yang paling tepat yang pernah dilakukannya sejurus hatinya terbuka untuk menerima agama itu.

    Pada Ogos 1996, beliau ditemani dan dibimbing oleh dua tokoh Muslim yang terkemuka di New Zealand bertempat di Bandar Hamilton, iaitu Dr. Mustafa Farouq dan Dr. Anis Ar Rahman serta disaksikan oleh beberapa umat Islam yang lain, Drury akhirnya tanpa kekok malah lancar melafazkan dua kalimah syahadah.

    Oleh kerana Drury tidak pernah berahsia mengenai minat mendalam terhadap Islam, malah sering berkongsi minat itu dengan ramai orang terutama ahli keluarga, maka tidak ada pihak yang memandang negatif apatah lagi menentang beliau memeluk Islam itu.

    "Rasanya tiada siapa pun yang terkejut. Malah mereka telah menjangka pastinya saya akan memeluk Islam. Alhamdulillah semua ini membuatkan mereka masih menerima saya dengan baik." ungkap Drury.

    Ini membuatkan beliau rasa sangat beruntung dan bersyukur berbanding ramai mualaf yang menerima pelbagai reaksi negatif dan ditentang hebat dari ahli keluarga dan anggota masyarakat apabila mendapat tahu telah keluar dari agama asal mereka.

    "Setiap kali saya pulang ke rumah ibu saya misalnya, pasti ibu menyediakan hidangan yang halal dengan membeli bahan-bahan yang halal. Sama sekali saya tidak menghadapi sebarang masalah apabila bergelar Muslim," katanya.

    Drury mengakui Islam telah membantunya menjadi seorang yang mempunyai pandangan hidup yang jelas. Terutama dalam memahami konsep bahawa dunia ini bukanlah segala-galanya dalam hidup.

    "Sedangkan dahulu bapa saya selalu berkata bahwa manusia ini cuma adalah komponen dari sel-sel nukleus! Iaitu manusia (sel) hidup, kemudian mati, lalu dikuburkan, habis setakat itu sahaja.

    "Islam mengajarkan kita untuk melakukan sesuatu di dunia ini, yang bukan hanya untuk tujuan material, tetapi kita juga mesti melakukan hal-hal yang lebih baik untuk menghadapi kehidupan selanjutnya di alam selepas mati dalam makna yang spiritual, " ujar Drury.

    Jadi, daripada memusatkan keinginan hidup yang hanya untuk mengumpulkan wang dan harta benda, sehingga menjadi taksub menjadi kaya raya, kita sepatutnya juga memfokuskan pada hal-hal yang bersifat spiritual.

    "Ini termasuklah melakukan kegiatan bermanfaat sesama muslim di masjid, membantu mereka yang susah atau sekurang-kurangnya banyak meluangkan waktu bersama keluarga. Dan saya selalu menekankan hal ini, bahwa Islam menjadikan hal kebajikan keluarga sebagai hal yang sangat penting," kata Drury yang selalu berusaha meluangkan banyak waktunya bersama keluarga dan anak-anaknya.

    Pengubatan daripada perspektif Islam

    Posted: 09 Nov 2011 08:12 PM PST


    pusat rawatan Islam semakin mendapat perhatian masyarakat terutamanya pesakit yang menghadapi masalah berkaitan alam ghaib atau penyakit rohani.


    KEBELAKANGAN ini pusat-pusat rawatan pengubatan Islam semakin bertambah bilangannya seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

    Kebanyakannya mendakwa mereka mengamalkan rawatan yang selari dengan syarak serta berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.

    Namun, ada sebilangannya menggunakan topeng agama dengan alasan merawat secara Islam tetapi sebenarnya bermotifkan keuntungan.

    Tindakan mengaut keuntungan atas kesusahan orang lain adalah perbuatan yang sangat keji dan berdosa besar.

    Kesempatan diambil apabila pesakit-pesakit yang buntu dengan rawatan moden beralih kepada rawatan atau pengubatan secara Islam.

    Kadar bayaran rawatan yang kadangkala tidak munasabah kepada para pesakit selain mereka dijanjikan akan sembuh.

    Namun setelah ribuan ringgit dibelanjakan, penyakit yang dihadapi masih tidak sembuh. Bahkan lebih teruk lagi, pesakit seolah-olah bersubahat melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak.

    Justeru, sedikit kajian ringkas harus dilakukan kepada institusi-institusi pengubatan Islam sebelum berkunjung untuk mendapatkan rawatan pengubatan Islam.

    Latarbelakang penubuhan pusat rawatan, sumber rujukan serta bacaan yang digunakan, kaedah rawatan yang digunapakai serta teknik rawatan seperti ubatan yang bakal digunakan boleh dijadikan kriteria dalam menentukan sama ada ia benar-benar berlandaskan syariat ataupun tidak.

    Jika latarbelakang penubuhannya tidak jelas, rujukan dan bacaan yang tidak bersumberkan al-Quran dan al-hadis, menggunakan bahasa yang tidak difahami, kaedah rawatannya meragukan serta menggunakan medium yang dilarang dalam syariat Islam, maka haram bagi umat Islam mendapatkan rawatan pihak berkenaan.

    Antara pusat pengubatan Islam yang boleh dijadikan contoh adalah Darussyifa' yang diasaskan oleh pengamal perubatan Islam iaitu Datuk Dr. Haron Din sejak tahun 1980-an.

    Rawatannya menggunakan kaedah bersumberkan al-Quran dan al-hadis, bacaan yang jelas maknanya serta kaedah yang selari dengan syariat Islam.

    Pendekatan dan kaedah rawatan perubatan Islam yang digunakan di sini boleh dijadikan kayu ukur dan contoh dalam memilih pusat-pusat rawatan pengubatan Islam.

    Ia menjadi pelopor kepada usaha menghidupkan kembali rawatan Islam yang semakin dilupakan ataupun bercampur aduk dengan amalan-amalan khurafat.

    Ilmu pengubatan Islam adalah salah satu ikhtiar dalam menyembuhkan penyakit menggunakan cara yang khusus berpandukan kepada al-Quran, al-sunnah serta ijtihad al-Salafussoleh iaitu ulama-ulama muktabar yang terdahulu.

    Prinsip asas dalam pengubatan Islam adalah meletakan sepenuhnya kuasa penyembuhan terhadap sesuatu penyakit hanya kepada Allah SWT.

    Keyakinan yang disandarkan kepada kuasa Allah yang Maha Menyembuhkan tersebut disusuli dengan ikhtiar hasil kombinasi beberapa kaedah perawatan seperti menggunakan air, tumbuhan herba serta bahan-bahan halal lagi baik yang dibenarkan oleh syarak.

    Konsep pengubatan Islam sebenarnya amat luas dan boleh diaplikasikan kepada semua jenis penyakit sama ada penyakit yang bersifat jasmani mahupun rohani.

    Namun, masyarakat awam lebih cenderung menggunakan kaedah pengubatan Islam jika menghadapi masalah berkaitan alam ghaib seperti gangguan makhluk halus, disampuk jin, santau dan pelbagai lagi istilah yang digunakan bagi merujuk kepada penyakit rohani.

    Al-Quran dan al-hadis adalah rujukan utama dalam mendapatkan panduan pengubatan Islam. Allah SWT menegaskan di dalam al-Quran bahawa ayat-ayat al-Quran itu sendiri mengandungi kuasa penyembuhan dengan izin Allah.

    Allah SWT berfirman yang bermaksud : Dan Kami turunkan dari al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman. (al-Israk: 82)

    Ayat di atas menjadi petunjuk kepada keberkesanan al-Quran sebagai antara faktor kepada penyembuhan. Malahan Allah SWT sendiri menyuruh manusia supaya berdoa memohon kepada-Nya sekiranya ditimpa sakit.

    Firman-Nya yang bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman, berdoalah kamu kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan doa permohonan kamu. (al-Mukmin: 60)

    Seterusnya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku. (al-Syu'ara': 80)

    Lima hilang dalam sehari

    Posted: 09 Nov 2011 08:11 PM PST


    Kejadian anak hilang di pusat membeli-belah kerap berlaku disebabkan ibu bapa leka memilih barangan. - Gambar hiasan


    "SAYA sanggup beri apa saja hatta nyawa saya sekali pun untuk mendapatkan kembali anak saya yang hilang."

    Tragedi yang berlaku kira-kira enam tahun lalu menjadi memori yang pasti tidak akan dilupakan sepanjang hayat Zarina Yusof, 37, apabila anak ketiganya, Farhan Ikmal, yang ketika itu berusia tiga tahun hilang dari pandangannya.

    "Bayangkan ketika itu kami berkunjung ke sebuah ekspo antarabangsa di Serdang. Jumlah pengunjungnya memang amat ramai, tempatnya pula terbuka dan Farhan hilang ketika kami sekeluarga sedang bersiar-siar melihat pelbagai jualan pada hari itu," cerita Zarina mengimbas memori yang disifatkan paling mengerikan pernah berlaku pada dirinya.

    Ketika itu mereka sekeluarga ralit melihat pameran yang diadakan di ruang pameran dan tiba-tiba Farhan hilang daripada pegangan.

    "Umur Farhan baru tiga tahun, dia merupakan anak keempat daripada enam beradik. Lemah lutut saya, mati akal tak tahu macam mana hendak mencarinya memandangkan ekspo itu terlalu besar.

    "Waktu itu rasanya seperti mahu tercabut nyawa kerana teramat bimbang tidak bertemu dengan anak saya lagi," jelas Zarina yang masih lagi trauma apabila mengimbas kejadian tersebut.

    Dalam keadaan cemas, bantuan pengawal keselamatan diminta serentak dengan pengumuman melalui sistem pembesar suara.

    Lebih tiga jam usaha tersebut diteruskan namun Farhan masih gagal ditemui.

    "Memang saya amat panik, namun Alhamdulillah akhirnya Farhan ditemui seorang pengawal keselamatan yang terus membawanya ke khemah urus setia.

    "Menurut pengawal tersebut, Farhan terpinga-pinga pada satu pameran binatang. Peliknya dia tidak menangis, cuma ketakutan kerana tiada ahli keluarga bersamanya. Apa pun saya amat bersyukur dan mengambil iktibar atas kejadian tersebut," jelas Zarina lagi.

    Pasti ramai yang mempunyai kisah tersendiri tentang anak hilang.

    Tidak kiralah hilang seminit atau beberapa jam, impak paniknya tetap sama terutama bagi ibu bapa yang menghadapinya.

    Nama kanak-kanak hilang yang dipaparkan di media seperti Nurin Jazlin, Sharlinie, Lee Xin Rue, Adam Shah dan ramai lagi adalah antara kisah sedih yang kalau boleh tidak mahu lagi kita dengar dan baca.

    Memang sedih kehilangan cahaya mata namun apakah iktibar yang boleh diambil dari kisah segelintir kanak-kanak ini.

    Ini hanya satu kisah di sebalik beribu-ribu kisah kanak-kanak hilang di negara ini.

    Cuai! mungkin perkataan paling mudah dituding pada ibu bapa yang kehilangan anak di pusat membeli belah.

    Namun hakikatnya sebagai manusia biasa, insiden sedemikian memang kadang kala sukar dielak. Dalam keadaan orang terlalu ramai dan membawa anak ramai pula, ibu bapa boleh terlepas pandang, biar pun antara suami dan isteri itu saling memerhatikan pergerakan anak mereka.

    Tinjauan MEGA ke sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur, baru-baru ini, seorang pegawai khidmat pelanggan yang hanya ingin dikenali sebagai Suhana Shahril, berkata dalam sehari sekurang-kurangnya lima kali pengumuman mengenai kes kehilangan anak ketika membeli-belah dibuat, khususnya di hujung minggu.

    Katanya, antara sebab bukan saja ibu bapa leka malah kerana anak juga ralit melihat barangan menarik terutama di bahagian mainan hingga tidak sedar ibu bapa sudah bergerak jauh.

    "Selalunya kami mempunyai pengawal keselamatan yang akan meronda. Kalau kami dapati anak kecil berkeliaran sendirian, menangis dan sebagainya, kami bawa mereka ke bahagian khidmat pelanggan untuk membuat pengumuman," jelas Suhana lagi.

    Kejadian kanak-kanak hilang ketika bersama ibu bapa membeli-belah, kes terpencil tetapi perlu diambil serius.

    Beberapa tahun lalu, kita pernah digemparkan dengan kehilangan Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, (ketika itu berusia lima tahun) yang hilang ketika ibu bapanya membeli-belah di Kompleks membeli belah Sogo.

    Yin hilang ketika bapanya mencuba pakaian di bilik persalinan dan ibu pula mengawasi adiknya. Yin dijumpai selepas dua minggu dan sepanjang kehilangannya itu, dia dipelihara keluarga pasangan Myanmar.

    Akhbar tempatan juga pernah melaporkan bahawa secara purata 3.5 kes kanak-kanak hilang dilaporkan sehari pada tahun 2008 dan hampir 80 peratus kes tersebut membabitkan kanak-kanak perempuan.

    Untuk tahun 2011 pula purata itu meningkat kepada empat kanak-kanak hilang sehari. Angka ini sudah tentu bukan sedikit kerana ia melibatkan satu kehilangan nyawa yang bukannya boleh ditukar ganti.

    Memang mana-mana ibu bapa pun pasti tidak mahu anak mereka tergolong dalam statistik tersebut.

    Justeru apakah yang boleh diambil sebagai usaha untuk mengelakkan kejadian seperti itu.

    Salah satunya ialah dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat dan globalisasi.

    Zhu Chi juara mengeja

    Posted: 09 Nov 2011 08:09 PM PST


    Wong Zhu Chi (tengah), Yashin a/l Anil Kumar (kanan) dan Audrie Au Yue Min bersama trofi kemenangan masing-masing.


    Siapa sangka dengan hanya mengeja secara tepat perkataan 'Edifice' membawa kejayaan kepada murid tahun lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Beruang, Melaka, Wong Zhu Chi, 11, yang dinobatkan Sebagai Juara Mengeja Kebangsaan 2011, baru-baru ini.

    Pada pertandingan anjuran bersama majalah Knowledge Discovery dan Kementerian Pelajaran Malaysia bersama Champs, Zhu Chi menewaskan 48 peserta lain dari seluruh negara.

    Manakala tempat kedua dan ketiga pula menjadi milik dua peserta dari Kuala Lumpur iaitu Yashin Kumar a/l Anil Kumar dari Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya dan Audrie Au Yue Min dari SJKC Taman Connaught.

    Hadir merasmikan majlis yang berlangsung di SJKC Kuen Cheng 2, Kuala Lumpur, tersebut ialah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Kah Siong.

    Ketika ditemui, Zhu Chi memberitahu, dia tidak menyangka dirinya terpilih dan dinobatkan sebagai pemenang.

    "Melihat peserta-peserta lain yang hebat-hebat membuatkan saya tidak yakin dengan diri sendiri,'' ujarnya.

    Kata anak sulung daripada empat beradik ini, mengakui hampir putus asa apabila juri memberikan perkataan tersebut.

    "Memang di pentas tadi saya kecewa kerana tidak yakin dengan jawapan yang diberikan, lagipun perkataan yang diberikan tidak diketahui maksudnya,'' ujarnya.

    Bagaimanapun, terangnya dia cuba meyakinkan juri dengan jawapan yang diberi dan terbukti ejaan yang diberi betul.

    Kejayaan tersebut telah melayakkan Zhu Chi membawa pulang sebuah trofi kejohanan, sijil, Geran Pendidikan Knowledge Discovery bernilai RM1,000, pakej percutian, hamper Champs, telefon bimbit, kamera digital, set alat tulis serta langganan majalah Knowledge Discovery selama dua tahun.

    Ditanya persediaan untuk menghadapi pertandingan, Zhu Chi memberitahu, dia hanya mengambil masa seminggu untuk menghafal perkataan-perkataan yang susah untuk dihafal.

    "Dalam tempoh seminggu sebelum ini, saya banyak menghabiskan masa bersama kamus untuk menghafal dan mencari perkataan yang sukar,'' ujarnya yang suka membaca buku cerita dan bermain piano.

    Malah setiap hari selepas pulang dari sekolah, kamus dan buku cerita adalah peneman setianya dan setiap hari dia akan memastikan untuk menghafal 100 perkataan yang susah .

    "Setiap hari saya akan pasti antara lima atau tujuh buku dihabiskan untuk dibaca, keadaan ini penting bagi memastikan saya banyak mengetahui perkataan-perkataan penting,'' ujarnya tenang.

    "Biasanya setiap bulan ibu akan membelikan buku-buku baru kepada saya untuk di baca,'' ujarnya yang berminat untuk menjadi chef terkenal suatu hari nanti.

    Sementara itu, Ka Siong dalam ucapannya memberitahu, pertandingan tersebut memberi motivasi kepada murid untuk meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris mereka dengan belajar untuk mengeja dengan betul.

    "Pertandingan ini sejajar dengan matlamat KPM untuk meningkatkan standard bahasa Inggeris di kalangan murid di negara kita," katanya.

    katanya lagi, program tersebut boleh menggalakkan kanak-kanak untuk meningkatkan penguasaan perbendaharaan kata dan kefahaman, mengeja juga boleh menanam minat membaca sejak kecil.

    "Penganjuran pertandingan mengeja ini menjadi penggalak bagi murid untuk meningkatkan keupayaan mengeja dan membaiki kefasihan bahasa Inggeris mereka dalam usaha untuk melahirkan generasi muda yang minat membaca," katanya.

    Penguasaan bahasa Inggeris amat penting pada masa kini kerana ia merupakan elemen utama untuk anak-anak kita mengembangkan pengetahuan mereka di peringkat global.

    Sementara itu, Pengarah Bahagian CCM Pharmaceuticals, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, pertandingan tersebut menawarkan saluran terbaik kepada murid-murid bagi menguji kemahiran mengeja dan membaiki penguasaan bahasa Inggeris selain memperkuatkan keyakinan diri dalam menghadapai persaingan.

    "Peserta perlu mempunyai ketekunan, disiplin dan juga keyakinan untuk naik ke pentas berdepan dengan penonton dan pesaing lain.

    "Menerusi cabaran ini, kami berharap untuk menerapkan nilai dan tabiat yang baik di kalangan murid dan meningkatkan keupayaan pembelajaran mereka sambil memberi permulaan yang baik dalam segala usaha mereka pada masa hadapan," katanya.

    KiddyTrack GPS untuk setiap anak kecil

    Posted: 09 Nov 2011 08:06 PM PST


    Model menunjukkan set Kiddy Track yang baru dilancarkan.


    Sempat berkongsi pengalaman, Pengurus Besar KiddyTrack Sdn. Bhd., Simon Lim juga pernah melalui detik-detik kehilangan anak.

    "Ketika itu saya sekeluarga bercuti ke Pulau Pangkor. Saya mempunyai tiga anak perempuan. Saya membawa anak bongsu yang ketika itu berehat di chalet kerana dia mengantuk dan akhirnya saya pun tertidur sama.

    "Namun betapa paniknya saya apabila bangun dari tidur mendapati Anya, 3, tiada di sisi saya. Ketika itu saya sanggup menyerahkan apa saja asalkan anak saya ada di depan mata kembali," cerita Simon pada awal sesi perkenalan KiddyTrack kepada pihak media.

    Bertitik tolak daripada kejadian yang menimpa dirinya itu, Simon telah menghasilkan KiddyTrack iaitu satu penyelesaian pengesan kanak-kanak yang pertama seumpamanya.

    Inovasi itu menggunakan teknologi GSM/GPS yang dikuasakan oleh teknologi mesin-ke-mesin (M2M) Maxis.

    "KiddyTrack telah dicipta untuk memenuhi keperluan ibu bapa yang ingin mengawasi anak-anak mereka tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana jadual yang amat sibuk.

    "Pengguna KiddyTrack akan dapat berbuat demikian kerana jadual yang sibuk. Pengguna akan dapat menggunakan perkhidmatan rangkaian 3G Maxis iaitu yang terluas di Malaysia untuk mengesan anak-anak mereka atau orang yang tersayang dengan hanya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS).

    Sistem tersebut akan menyediakan pengguna dengan sambungan URL peta Google yang menunjukkan lokasi setepat hingga lima meter di mana kanak-kanak itu dikesan.

    "Apabila tidak terdapat isyarat GPS maklumat berasaskan sel platform M2M Maxis boleh menyediakan lokasi anak anda dengan ketepatan radius 50 meter.

    "Di samping itu, ahli keluarga boleh memantau anak-anak mereka dan orang tersayang dengan mudah melalui alat komputer atau telefon mudah alih dengan log masuk ke dalam portal web KiddyTrack.

    "Dalam kes kecemasan, peranti ini juga boleh memberi amaran kepada pengguna sehingga lima nombor pra dail dengan hanya menekan butang SOS," ujarnya.

    Peranti ini bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak malah orang tua, pekerja, haiwan peliharaan, kenderaan dan barang-barang berharga anda," jelasnya.

    Saiznya yang kecil boleh diletak dalam beg sekolah atau digantung di leher untuk memastikan ia sentiasa berada pada anak atau orang yang anda sayangi.

    Sementara itu, Pengurus Besar dan Ketua Perniagaan Korporat Maxis, Sekar Shanmugam berkata, wawasan Maxis adalah untuk membawa masa depan dengan memanfaatkan teknologi yang cekap dan kreatif.

    "KiddyTrack adalah penyelesaian pengesan kanak-kanak hilang yang pertama seumpamanya di Malaysia.

    "Kami berharap dengan penyelesaian inovatif ini akan membantu membawa ketenangan fikiran kepada ibu bapa di Malaysia," jelasnya.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan

    Label

    Senarai Lagu