Ahad, 6 November 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


DiGi perkenal stor BlackBerry

Posted: 06 Nov 2011 09:17 PM PST


STOR DiGi 360 Center di SoHo, Bukit Kiara bakal menyediakan operasi sokongan BlackBerry menyeluruh kepada para pengguna.


SEGALA-GALANYA BlackBerry. Itu yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi terkenal negara DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) menerusi stor konsep pertama mereka, DiGi BlackBerry.

Bermatlamat menyediakan pengguna talian mereka dengan pengalaman operasi BlackBerry terbaik, stor tersebut menawarkan perkhidmatan sokongan dan aksesori bagi telefon pintar berkenaan.

Stor tersebut yang diberi nama DiGi 360 Center, terletak di tingkat Mezzanine, pusat perniagaan SoHo, Bukit Kiara mempunyai keluasan kawasan 1,100 kaki persegi

Menerusi stor itu, DiGi bekerjasama dengan syarikat teknologi Research In Motion (RIM) menyediakan pusat sokongan BlackBerry setempat berfungsi membantu para pengguna telefon pintar BlackBerry serta tablet BlackBerry PlayBook.

Menurut Ketua Peruncitan DiGi, Patrick Er, DiGi akan sentiasa berusaha menyokong komuniti pengguna BlackBerry di negara ini daripada segi perkongsian pengalaman dan pengetahuan.

''Terdapat seramai 1.5 juta pengguna BlackBerry di Malaysia dan DiGi akan terus mengukuhkan pasaran produk ini untuk para pengguna talian kami.

''Untuk itu, kita turut menganjurkan pertemuan di kalangan pengguna secara bulanan untuk menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan,'' katanya.

Er memberitahu lagi, menerusi stor itu, DiGi turut memperkenalkan inisiatif tambah nilai produk untuk memberi lebih kepuasan kepada pengguna memperolehi segala perkhidmatan di bawah satu bumbung,'' jelasnya.

AIM lancar Strategi Inovasi Nasional

Posted: 06 Nov 2011 09:16 PM PST


Kemahiran dan pengetahuan luas disamping tenaga kerja yang mencukupi juga dapat menjamin pengembangan budaya inovasi selaras dengan kemajuan negara. - Gambar hiasan


BAGI mencapai cita-cita menjadi negara maju pada tahun 2020 pastinya sektor pembangunan dan pengembangan teknologi perlu dititikberatkan.

Seiring dengan kemajuan yang semakin berkembang pesat di negara maju, Malaysia juga tidak seharusnya ketinggalan malah perlu bergerak dengan lebih pantas.

Justeru itu, kerajaan di bawah Agensi Inovasi Malaysia (AIM) telah mewujudkan pelan khas bagi mempromosikan inovasi sebagai komponen penting dalam memacu Malaysia ke arah Wawasan 2020.

Dikenali sebagai Strategi Inovasi Nasional (NIS), ia akan dijana oleh AIM, sebuah badan berkanun yang ditubuhkan oleh Parlimen untuk menguatkan ekosistem inovasi negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Datuk Dr. Kamal Jit Singh, pelan tersebut dapat memastikan agar negara dapat menjana pendapatan dan kekayaan dalam pelbagai aliran melalui inovasi.

"Untuk mencapai matlamat ini, AIM akan melaksanakan NIS melalui tiga teras utama di mana setiap teras dibahagikan kepada tiga mekanisma," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman NIS kepada media di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.

Jelas Kamal, tiga teras utama tersebut bermula daripada usaha untuk memperkukuhkan asas inovasi melalui pembinaan Kemahiran Masa Hadapan Hari Ini.

"Untuk membina tenaga kerja masa hadapan yang mempunyai kemahiran , kualiti dan kebolehan untuk menghasilkan inovasi ia perlu dimulakan hari ini," katanya.

'Futureskills' ini membolehkan rakyat menjadi lebih kritikal, analitikal, konstruktif dan kreatif apabila mereka memasuki pasaran kerjaya.

Seterusnya berusaha memupuk dan membangunkan modal intelek baru seperti mentransformasikan pengurusan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

NIS akan mengenalpasti penyelidikan yang mempunyai potensi nilai komersial dan menghasilkan kekayaan melalui komersialisasi.

Ia dapat dijalankan melalui Model Quadruple Helix yang melibatkan empat pihak iaitu para akademik, industri, kerajaan, dan rakyat dalam projek-projek inovasi.

Selain itu, NIS juga akan mewujudkan saluran pelaburan yang berpanjangan untuk inovasi bertujuan memastikan hanya inovasi dan aplikasi yang terbaik dan meyakinkan akan diberi pembiayaan awam.

"Ini adalah satu amalan normal di negara-negara yang mempunyai inovasi yang berjaya, di mana sumber wang hanya akan dibelanjakan untuk aplikasi yang bermanfaat.

"AIM akan menyelaraskan operasi agensi-agensi pembahagian pembiayaan ini," kata Kamal Jit.

Teras kedua adalah untuk mengerakkan pemangkin menggunakan platform teknologi dan ICT dalam meningkatkan sistem penyampaian.

Di bawah teras kedua ini ia turut melibatkan rakyat melalui teknologi informasi sekali gus untuk menghubungkan pihak industri dan pusat penyelidikan.

Ia bertujuan agar pihak industri sentiasa mendapat maklumat terkini berkenaan sebarang penyelidikan di universiti dan pusat penyelidikan awam (PRI) agar ia dapat dikomersialkan dengan pantas.

Terakhir adalah teras ketiga iaitu memupuk semangat cemerlang melalui penubuhan PRI dan Pusat Kecemerlangan Bertaraf Dunia (COE) di dalam bidang yang lebih khusus.

"NIS mensasarkan 33 buah PRI yang menyelesaikan apa jua isu pentadbiran untuk membolehkan mereka menjadi lebih relevan kepada semua yang mempunyai kepentingan dalam bidang inovasi," ujar Kamal Jit.

NIS juga akan menggalakkan firma agar lebih fokus ke atas bidang di mana mereka mempunyai kelebihan kompetitif dan mampu bersaing dipasaran terbuka biarpun tanpa bantuan kerajaan.

"Syarikat-syarikat 'middle tier' akan digalakkan untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan jika inovasi diterapkan didalam 'value chain' mereka," katanya.

AIM akan menjadi fasilitator atau pemangkin namun syarikat-syarikat ini harus menjana sumber pendapatan daripada inovasi yang dihasilkan melalui kebolehan mereka sendiri.

Terakhir adalah untuk merangsang rakyat agar berusaha sebaik mungkin dalam bidang inovasi melalui pemberian ganjaran.

Di bawah NIS, cabaran di peringkat kebangsaan, sektor khusus dan khas akan diadakan bagi merangsang budaya inovasi di kalangan rakyat negara ini.

Kata laluan Mozilla Firefox

Posted: 06 Nov 2011 09:15 PM PST

BOLEHKAH saya meletakkan kata laluan dalam program Mozilla Firefox di komputer? Bagaimana caranya?

SECARA umumnya kebanyakan pelayar web seperti Mozilla Firefox tidak mempunyai fungsi yang membolehkan kata laluan dikonfigurasikan untuk penggunaannya. Namun begitu terdapat cara yang boleh digunakan untuk membolehkan sesebuah pelayar web itu mempunyai kata laluan.

Kebanyakan pengguna memerlukan kata laluan tersebut untuk mengawal penggunaan pelayar web dalam melayari Internet. Ia juga digunakan untuk menjaga kerahsiaan privacy dalam penggunaan sesebuah program pelayar web tersebut. Dengan adanya kata laluan penggunaannya terkawal dan rahsia.

Bagi membolehkan sesebuah pelayar web mempunyai fungsi kata laluan, ia memerlukan pemasangan program komputer tertentu kepada pelayar web tersebut yang di kenali sebagai add on program. Di sini akan saya bincangkan beberapa pelayar web utama yang popular digunakan.

Bagi pelayar web Mozilla Firefox, boleh dipasang kepadanya program tambahan Master Password+. Ia boleh dimuat turun di alamat URL, https://addons.mozilla.org/en-US/firefox/addon/master-password/.

Bagi pelayar web Google Chrome pula, boleh dipasang kepadanya program tambahan Simple Startup Password.

Ia boleh dimuat turun di alamat URL, https://chrome.google.com/webstore/detail/ojoalkffommhmdmbohjphohoejjmgepc.

Mungkin ada program tambahan lain yang boleh digunakan untuk fungsi kata laluan seperti Internet Lock dan lain-lain. Cara yang sama juga bagi program-program pelayar web yang lain.

Bagi pelayar web Internet Explorer pula, ia boleh dikonfigurasikan dengan kata laluan dengan pergi ke Tools > Internet Option > Content > Content Advisor > General. Seterusnya pergi ke ruangan Supervisor Password dan klik butang create. Seterusnya masukan kata laluan yang dikehendaki dan klik OK.

Sekiranya sesebuah komputer digunakan dalam persekitaran rangkaian dan Windows, boleh digunakan program untuk polisi komputer seperti Group Policy untuk mengawal penggunaan sesebuah pelayar web dengan menggunakan kata laluan.

Kereta terbang bakal jadi pengangkutan masa depan

Posted: 06 Nov 2011 09:13 PM PST


Thomas Senkel bersama kereta terbang ciptaannya yang dibina bersama-sama dua rakannya sedang diuji buat pertama kali di London baru-baru ini. Semasa ujian kenderaan itu mampu terbang selama 1 minit 30 saat.


LONDON 6 Nov. - Impian untuk memiliki sebuah kereta terbang bakal direalisasikan tidak lama lagi apabila seorang jurutera Jerman berjaya mencipta sebuah kenderaan elektrik yang boleh terbang, E-Volo seberat 80 kilogram yang mampu berada di udara selama 20 minit.

Kenderaan tersebut menggunakan 16 enjin rotor yang dijana oleh bateri litium dan ia dikawal menggunakan alat kawalan serta berupaya berlegar di udara tanpa juruterbang.

Pencipta kenderaan terbabit, Thomas Senkel, yang turut dibantu dua rakannya, berkata, ia mungkin boleh menjadi revolusi kepada industri pengangkutan.

Katanya, ciptaan tersebut boleh digunakan untuk memeriksa laluan paip, sebagai ambulans udara atau mengambil gambar dari udara serta sekadar berseronok.

Malah jelasnya, E-Volo boleh menggantikan fungsi helikopter, sekiranya mereka berjaya membuatkan kenderaan itu terbang lebih lama dan mampu menampung lebih ramai penumpang.

"Ciptaan kami ini lebih mudah untuk dikendalikan berbanding helikopter biasa kerana ia menggunakan kelajuan rotor yang dikawal oleh komputer.

"Juruterbang hanya perlu menggunakan alat kawalan seperti bermain permainan video tanpa memerlukan pengendalian yang kompleks," katanya.

Malah ia masih boleh mendarat sekiranya empat daripada 16 rotor gagal berfungsi.

Katanya, E-Volo akan diubahsuai menggunakan teknologi yang lebih maju agar berupaya terbang lebih lama.

ARTS menoreh getah dengan satu sentuhan

Posted: 06 Nov 2011 09:12 PM PST


Dr. Salmiah berbincang dengan kumpulan E-Team mengenai mesin ARTS yang bakal digunakan oleh pekebun kecil getah.


SETIAP pagi Pak Mat bangun seawal pukul 4 pagi untuk menoreh getah. Kenapa seawal pukul 4 pagi? Sebabnya ketika itu tekanan tinggi dan susu getah mengalir lebih banyak.

Biasanya Pak Mat menoreh selang sehari dan kadang kala terpaksa menanggung risiko susu getah hilang atau tercemar dengan benda asing semasa pengumpulan.

Ada ketikanya apabila musim tengkujuh Pak Mat tidak dapat keluar melakukan kerja-kerja menoreh.

Beginilah senario kehidupan pekebun kecil getah yang terpaksa mengerah kudrat bangun seawal pagi untuk menoreh.

Selain itu para penoreh diibaratkan terpaksa 'menyembah' dari satu pokok lain untuk menoreh. Masa yang diambil untuk selesaikan kerja tersebut bergantung kepada keluasa kebun yang dimiliki.

Keadaan itu bagaimanapun bakal berubah tidak lama lagi. Penoreh tidak perlu lagi bangun awal pagi untuk menoreh. Ini ekoran kejayaan inovasi dalam penghasilan alat menoreh getah secara automatik. Ia tidak lagi memerlukan penoreh menyembah dari satu pokok ke pokok yang lain. Alat ini boleh diibaratkan seperti robot yang bertenggek di pokok getah. Dengan hanya menekan satu butang, ia melaksanakan semua tugas termasuk menoreh dan mengumpulkan susu.

Hasil penyelidikan dan pembangunan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) bersama syarikat inovasi terkemuka Zull Design Autotronic (ZDA) maka terhasil Sistem Menoreh Getah Automatik atau dalam bahasa Inggerisnya Automatic Rubber Tapping System dan ringkasnya ARTS.

Tidak sama seperti mesin toreh getah lain yang pernah dihasilkan sebelum ini, penyelenggaraan ARTS cukup minimum.

Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr. Salmiah Ahmad berkata, alat itu terhasil daripada pemerhatian terhadap susah payah pekebun kecil getah.

"Biasanya ladang getah diusahakan oleh pekebun-pekebun kecil yang rata-ratanya warga emas yang tidak larat lagi bangun awal pagi untuk menoreh. Jika mereka tidak menoreh ia akan menyebabkan bekalan susu getah tidak menentu di pasaran," katanya semasa ditemui di Pameran dan Persidangan Antarabangsa Komoditi Malaysia (MICCOS) 2011 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor baru-baru ini.

Justeru ARTS adalah penyelesaiaannya. Pekebun kecil boleh mengatur masa untuk menoreh dan susu getah akan terus mengalir ke pusat pengumpulan sebelum dibawa ke kilang.

Apa yang lebih menarik, ARTS akan menoreh secara serentak. Pekebun hanya perlu menentukan masanya sahaja. Dalam masa lima jam segalanya selesai dan susu getah sudah berada di kilang untuk diproses.

Dengan teknologi itu juga, pokok getah boleh ditoreh walaupun pada musim hujan.

"Sistem ARTS yang tertutup memberikan kelebihan kepada pengilang mendapatkan susu getah tulen tanpa benda asing selain bekalan yang berterusan," katanya.

Beliau menambah, dengan ARTS juga pekebun kecil tidak perlu ke ladang untuk menoreh tetapi hanya untuk meracun rumpai.

"Jadi penggantungan kepada tenaga buruh asing dapat dikurangkan sehingga lebih 50 peratus. Bagi pekebun kecil, mereka boleh menggunakan masa terluang untuk menjana pendapatan sampingan lain," katanya.

ARTS hanya perlu diselenggarakan setiap enam bulan sekali bagi menukar pisau toreh dan menukar atau mengecas bateri. Ia boleh digunakan oleh sesiapa saja dan tidak memerlukan kemahiran.

"Ini secara tidak langsung dapat menjimatkan kos," kata Dr. Salmiah.

Biasanya menoreh perlu kemahiran kerana jika pokok ditoreh terlalu dalam akan menyebabkan kecederaan pada pokok dan produktiviti berkurangan.

ARTS akan hanya menoreh pada kedalaman yang ditetapkan dan tidak merosakkan lapisan dalam, memelihara pokok dan secara tidak langsung dapat memanjangkan lagi hayat pokok sehingga 20 tahun.

Dari segi ekonomi, Dr. Salmiah berkata, pengumpulan getah secara sistematik dan berterusan akan menjamin industri berasaskan getah di negara ini.

Pengilang akan lebih yakin dengan bekalan bahan mentah yang berterusan.

"Malahan industri kecil dan sederhana (IKS) akan tumbuh bagi mengeluarkan komponen bagi menghasilkan ARTS.

"Ini secara tidak langsung dapat menjana ekonomi IKS dan memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar kebun kecil getah," kata Dr. Salmiah.

Menyentuh mengenai harga bagi satu unit ARTS, Dr. Salmiah berkata, pihaknya yakin dengan pengeluaran secara besar-besaran, kosnya boleh dikurangkan.

"Pihak kami percaya jika harga ARTS rendah kurang daripada RM150, ramai pekebun kecil berminat menggunakannya.

"Pengilang juga boleh mengambil bahagian dengan memberikan subsidi kerana susu getah yang dihasilkan bersih tanpa pencemaran," katanya.

Selain itu katanya, ARTS boleh dipecahkan kepada tiga komponen yang boleh dipilih oleh para pekebun.

Katanya, mereka boleh memilih bahagian toreh saja, bahagian toreh dan mangkuk atau kesemua pakej lengkap sehingga pengumpulan di bagi seluruh ladang.

Setakat ini hanya Malaysia satu-satu negara yang menghasilkan alat torehan automatik itu dan ia mempunyai potensi untuk di eksport ke negara-negara pengeluar getah lain seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Sri Lanka, India, China, Vietnam dan Cameroon.

Dorper sumber rezeki baru

Posted: 06 Nov 2011 09:11 PM PST


MOhd. Nasir menternak pelbagai jenis kambing dan biri-biri untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan.


PERTANIAN bagaikan sudah menjadi darah daging Mohd. Nasir Samat. Bermula dengan ladang sayur yang terletak di Astana Raja, Negeri Sembilan ia kemudian berkembang kepada ladang ternakan dan sayuran di Kota Rembau dan ladang ternakan biri-biri di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Hasil kerja keras kini ladangnya di Kota, Rembau mempunyai 200 ekor induk biri-biri, 30 ekor induk kambing, 80 ekor induk lembu, lebih 20,000 ekor ikan keli dalam enam buah kolam tanah dan 25 ekar ladang sayuran.

Apa yang menarik ladang yang diusahakan Mohd. Nasir Samat itu melaksanakan sistem integrasi sepenuhnya segala bahan yang terdapat di dalam ladang.

Semua sisa pertanian digunakan semula melalui amalan kitar semula dengan sasaran sisa sifar. Misalnya, sisa ternakan diproses menjadi baja sebelum diletakkan di kebun sayur-sayuran di ladangnya.

Ini bagi mengurangkan penggunaan baja kimia selain ternakan kambing dapat mengawal rumpai dan mengurangkan penggunaan racun.

Apa yang menarik, bekas kontraktor itu kini berjaya mengisi ladangnya dengan pelbagai jenis biri-biri.

Malah, dia sedang mencongak untuk mengubah ternakan biri-biri tersebut kepada baka Dorper.

Amat mementingkan kepuasan pelanggan, Mohd. Nasir sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk ternakan terutama dalam makanan yang bermutu dan berkhasiat bagi mendapatkan karkas yang terbaik bagi pelanggan.

Untuk tujuan itu, dia menanam jagung sebagai makanan biri-biri selain memproses makanan sendiri sebagai satu kaedah mengurangkan kos makanan

Dia bertekad menghasilkan makanan ternakan sendiri selepas belajar daripada pengalaman awal dahulu ketika memulakan projek ternakan.

Ketika itu, terdapat ternakannya mati akibat makanan yang tercemar.

Kajian ke atas bangkai ternakan yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mendapati palet yang digunakan telah berkulat mungkin terlalu lama disimpan.

Kes tersebut mendorong Mohd. Nasir menggunakan formula sendiri bagi menghasilkan makanan ternakan menggunakan campuran palet hancur, soya, molases, bawang putih, halia, kunyit dan mas cotek.

"Ini merupakan makanan utama selain rumput Napier sebagai makanan sampingan dan rumput di sekitar kawasan ladang," katanya.

Makanan biri-biri daripada rumusan sendiri dan rumput Napier sebanyak empat kilogram (kg) seekor sehari dapat meningkatkan berat badan biri-biri sehingga 300 gram sehari seekor.

Sementara itu bagi meningkatkan pembiakbakaan, Mohd. Nasir mendapatkan khidmat nasihat dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang mana anak biri-biri jantan berusia dua hingga empat bulan yang telah bercerai susu dihantar ke ladang penggemuk dan diberi makan palet (creep feed) 100 gram seekor sehari.

Pada mulanya, Mohd. Nasir memelihara 42 ekor biri-biri pada peringkat pertama yang hampir matang dengan formulasi makanan menghasilkan peningkatan berat badan antara 150 hingga 200 gram seekor sehari.

"Kebanyakan Dorper betina yang saya pelihara ketika itu telah bunting dan hanya menunggu masa untuk beranak.

"Kebiasaannya ibu biri-biri bunting akan dibiarkan meragut sebagai satu senaman," katanya.

Anak-anak yang dilahirkan mempunyai berat badan purata lima kg dengan peningkatan berat badan 250 gram sehari seekor.

Mohd. Nasir berkata, biri-biri Dorper menjadi pilihan kerana karkasnya meliputi 48 hingga 50 peratus berat badannya.

Bagi melicinkan operasi ladangnya di tanah seluas 51 ekar dengan 80 peratus merupakan padang ragut, dia menggajikan enam orang pekerja iaitu empat pekerja asing dan dua orang rakyat tempatan yang bekerja sepenuh masa serta tiga orang separuh masa.

Di atas tanah tersebut terdapat sebuah kandang transit seluas 20 kaki x 30 kaki bagi tujuan kuarantin atau biosekuriti sebelum biri-biri yang baru sampai dilepaskan ke ladang ternakan umum.

Kapasiti penuh ladang boleh memuatkan sehingga 7,000 ekor biri-biri dengan lebih 400 ekor satu kandang.

Anak baru lahir akan berada dengan ibu sekurang-kurangnya selama 72 jam bagi mendapatkan susu awal atau kolostrum manakala pembiakan boleh dijalankan sebanyak tiga kali setahun.

Selepas itu anak biri-biri akan diberikan makanan khas (creep feed) dengan 20 peratus lebih protein.

Biasanya biri-biri berusia enam bulan telah mula dijual untuk sembelihan kerana kandungan kolestrol dan lemak yang rendah serta tinggi kandungan protein.

Manakala harga yang berpatutan memberikan peluang kepada masyarakat kelas menengah dan tinggi menikmatinya.

Kini ladang ternakan milik Mohd.Nasir berupaya mengeluarkan sehingga 60 ekor biri-biri sembelihan sebulan.

Memandangkan sambutan terhadap biri-biri Dorper semakin menggalakkan, beliau merancang membuat pusat latihan untuk orang kampung dalam kumpulan kecil.

Nasir meminati biri-biri kepada Dorper kerana saiz karkas lebih besar, peningkatan berat badan lebih tinggi boleh dijual pada usia enam bulan, pengurusan ternakan mudah dan jimat daging yang lunak dan lembut

Bagi tujuan pemasaran Nasir mempunyai kedai konsep yang menjual makanan berasaskan daging di Senawang, Negeri Sembilan dan beliau sedang merancang membina sebuah lagi kedai konsep di kawasan Damansara, Selangor.

MARDI giat ganda dorper

Posted: 06 Nov 2011 09:11 PM PST


Biri-biri Dorper mula dibawa masuk ke negara ini pada tahun 2006.


SEJARAH biri-biri di negara ini bermula sejak 50 tahun lalu. Tetapi biri-biri yang biasa terdapat di negara empat musim tidak sesuai dengan persekitaran negara yang panas dan lembap.

Ketika itu banyak biri-biri di negara ini yang berpenyakit malah mati akibat tidak dapat bertahan dengan cuaca di negara ini.

Pada awal tahun 1980-an, penternak menternak biri-biri baka rerambut seperti Barbados, Black Belly, Santa Ines, Bali-Bali, St. Croix dan Novada yang sesuai dengan keadaan cuaca tropika kerana tidak mempunyai bulu yang tebal.

Baka rerambut (Hair sheep) seperti Barbados Black Belly dan Bali-Bali dapat bertahan tetapi sukar didapati kerana hanya terdapat di negara asalnya kepulauan Barbados dan Afrika Barat selain kos pengangkutan yang tinggi serta regulasi gen yang terkawal ketika itu.

Bagaimanapun selepas berakhirnya rejim Aparteid, baka kambing dan biri-biri Afrika Selatan telah mula dibawa keluar seperti kambing baka Boer dan biri-biri baka Dorper ke Australia dan dibiakkan dengan cepat.

Kambing dan biri-biri dibawa ke Australia dalam bentuk ternakan hidup (diawal pengimportan), embrio dan semen sejuk beku.

Dorper banyak didapati di Australia tetapi di sana juga terdapat baka Merino dan kacukan Dorper Merino yang tidak sesuai diternak di negara ini kerana mempunyai bulu yang tebal dan tidak tahan ketegasan haba.

Timbalan Pengarah Pusat Pemindahan Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mohmad Mustafa berkata, Dorper yang dikacukkan dengan Damara dipanggil Damper lebih sesuai dibanding dengan Dorper Merino kerana kedua-dua baka asal adalah biri-biri rerambut.

"Biri-biri Dorper mula dibawa masuk ke negara ini pada tahun 2006 dan dikacukkan dengan biri-biri tempatan bagi meningkatkan berat badan dan prestasi sehingga 30 peratus.

"Pada 2008, MARDI telah membawa masuk 300 ekor biri-biri Dorper tulen dari Afrika Selatan bagi menguji kesesuaian baka terhadap persekitaran di negara ini," katanya yang menjalankan penyelidikan kambing dan biri-biri lebih 20 tahun.

Kajian yang dijalankan selama tiga tahun mendapati Dorper sesuai diternak di negara ini memandangkan kadar kelahiran dengan kenaikan berat badan yang tinggi, kadar kematian rendah sementara ketahanan terhadap penyakit.

Pada tahun yang sama Projek Agropolitan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Pekan, Pahang telah membangunkan ternakan biri-biri Dorper bertujuan menjana ekonomi Orang Asli.

Fasa pertama telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 4 Ogos 2008 dengan kemasukan 960 ekor Dorper kacukan betina dan 40 ekor jantan tulen. Manakala fasa kedua pula pada 24 Februari melibatkan 2,800 ekor Dorper kacukan.

Dianggarkan tahun ini 6,000 ekor biri-biri Dorper akan ditempatkan di sana selain pihak MARDI akan terus memperkenalkan biri-biri berkenaan kepada penternak.

Sehingga kini terdapat tiga orang penternak yang mula menternak biri-biri Dorper secara komersial sejak tahun lepas. Satu daripadanya ialah Ladang Semosa.

MARDI bercadang membangunkan ladang pengganda Dorper berasaskan teknologi bagi penternak terpilih seperti yang telah dijalankan untuk baka Boer.

Dr. Mohmad giat menjalankan penilaian baka untuk mengeluarkan baka yang tidak produktif bagi memulakan pembiakbakaan dengan pejantan Dorper tulen.

Biasanya 20 peratus ternakan akan dipilih bagi dijadikan baka.

Ladang Semosa akan dibangunkan bagi menghasilkan baka biri-biri Dorper dan ternakan yang tidak sesuai dijadikan baka akan dijual untuk sembelihan.

Beberapa data awal menunjukkan peningkatan berat badan yang baik antara 200 hingga 300 gram sehari seekor.

Makanan dengan formula sendiri menggunakan campuran herba dan hampas soya dapat membantu meningkatkan prestasi berat badan serta mengurangkan kos makanan.

Sebenarnya ramai penternak terpaksa gulung tikar kerana bergantung dengan makanan ternakan atau palet yang sangat mahal.

Peluang sertai kursus walet

Posted: 06 Nov 2011 09:10 PM PST


Suzana Jasmin menunjukkan beberapa produk berasaskan burung walet di Alor Gajah, baru-baru ini.


MEREKA yang berminat dalam industri burung walit berpeluang menceburi bidang tersebut dengan menyertai kursus lanjutan yang dianjurkan AQ Walit Training Centre di Alor Gajah, Melaka pada 12 dan 13 November ini.

Kursus berkenaan merupakan susulan daripada beberapa siri sebelum ini yang bertujuan memberi pendedahan kepada peserta yang mahu berjinak-jinak dalam bidang berkenaan.

Menurut Pengurus Syarikat, Suzana Jasmin, bengkel berkenaan melibatkan beberapa sesi yang akan membincangkan pelbagai topik penting dalam perusahaan walit.

Antara topik tersebut ialah potensi dan senario industri walit di negara ini, perancangan pembinaan perumahan burung walet dan teknik teknik pelaksanaan yang terkini.

Topik yang tidak kurang penting ialah kawalan musuh walit, kaedah memasak sarang burung dan produk hiliran.

Topik lain termasuk skop kerja dan reka bentuk bangunan walit, kerja-kerja pengurusan rumah burung walit dan teknik bancuhan white hormone dan black hormone.

''Peserta juga akan didedahkan dengan amalan perladangan walit yang baik ( GAHP ) dan penyediaan kertas kerja projek,'' katanya.

Selain Suzana, turut terlibat sebagai penceramah dan fasilitator ialah Pengarah Syarikat, Jasmin Jasin dan bekas pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr. Azizol Md. Sharun.

Suzana berkata, penganjuran kursus tersebut bertujuan melahirkan lebih usahawan baru dalam industri walit terutama di kalangan bumiputera.

FAMA selepas 46 tahun

Posted: 06 Nov 2011 09:09 PM PST


Mohd. Hashim Abdullah (tengah) bersama Pengerusi FAMA, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin (kiri) dan Ahmad Ishak pada majlis perasmian Seminar Tahunan FAMA 2011 di Kuala Lumpur baru-baru ini.


TANGGAL 1 September 2011 lalu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) genap 46 tahun ditubuhkan.

Mengimbas tarikh sama pada 1965, FAMA telah dibuka secara rasmi oleh Tun Abdul Razak yang merupakan Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar ketika itu.

Penubuhannya waktu itu antara lain menyasarkan beberapa matlamat seperti mengendali pasaran hasil pertanian negara, memantau harga produk pertanian serta melindungi hak petani dan pengguna.

Hari ini, FAMA telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif serta projek sokongan pemasaran pertanian secara menyeluruh merangkumi aspek keusahawanan, promosi, jualan dan penjenamaan.

Kesemuanya mempunyai kaitan yang sangat rapat antara satu sama lain demi memastikan keseimbangan serta keberkesanan usaha pembangunan bidang pemasaran pertanian negara.

Antara yang sukses dilaksanakan adalah seperti projek Pasar Tani, Program Pembangunan Industri Asas Tani, penjenamaan 1Malaysia Best, Agrobazaar, Kedai Rakyat, Gerai Buah-buahan Segar dan banyak lagi.

Menurut Ketua Pengarah FAMA, Ahmad Ishak, pihaknya akan terus mengorak langkah cemerlang dan mengekalkan kestabilan integriti dalam memajukan sektor pertanian negara.

"Tumpuan utama FAMA ketika ini adalah untuk mengawalselia urusniaga melalui pelaksanaan di pusat-pusat operasi supaya transaksi belian dan jualan dapat dijalankan secara lebih teratur mengikut sasaran,'' katanya pada Majlis Perasmian Seminar Tahunan FAMA 2011 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Hashim Abdullah.

Sementara itu, Mohd. Hashim memberitahu, FAMA sentiasa berusaha memberi perkhidmatan pasaran terbaik agar rakyat tidak terjejas atau terbeban dengan kenaikan harga produk pertanian.

Katanya, bagi memenuhi hasrat itu, FAMA telah melaksanakan pendekatan kolaborasi serta bekerja secara pasukan bersama jabatan-jabatan dan agensi yang terlibat.

Sesuai dengan era teknologi moden hari ini, FAMA mengambil pendekatan mengemaskini segala maklumat berkaitan mereka melalui laman web dan laman sosial Facebook.

Daripada segi pemasaran pula, FAMA ada memperkenalkan platform Informasi Maya Permintaan dan Pengeluaran (SDVI) sebagai pangkalan data lengkap untuk membantu para peniaga dan pembeli.

Tidak cukup dengan itu, FAMA juga baru-baru ini ada memperkenalkan program penggalakkan projek pertanian di kalangan generasi muda institusi pengajian tinggi (IPT) dikenali sebagai MyClub MyAgrosis.

Sebanyak 19 IPT akan terlibat secara langsung dalam program berkenaan dengan sasaran 1,000 penyertaan pelajar menjelang penghujung 2011.

Bagi mengukuhkan lagi peranannya, FAMA juga ada merangka beberapa strategi baru seperti menjual produk pertanian terus kepada pengguna melalui outlet FAMA selain meningkatkan bekalan menerusi program ladang kontrak.

Dalam perkembangan lain, FAMA turut menyertai program Strategi Laut Biru Kebangsaan (NBOS) dengan memberi fokus kepada elemen Transformasi Pusat Luar Bandar (RTC).

Secara asasnya, RTC berperanan sebagai penghubung antara masyarakat luar bandar dengan aktiviti ekonomi bernilai tambah bertujuan menyediakan peluang pekerjaan selain meningkatkan pendapatan mereka.

Di bawah program itu, FAMA akan mengetengahkan tiga projek utama mereka iaitu Pertanian Berimpak Tinggi (HVF) seperti Terminal Makanan negara (TEMAN), aktiviti pemprosesan agro dan pengurusan rantaian bekalan bagi pasaran eksport dan domestik.

Tip tanam terung panjang

Posted: 06 Nov 2011 09:08 PM PST


TERUNG panjang mempunyai tekstur rasa yang sangat lembut sesuai disediakan dalam masakan seperti digoreng, rebus atau dikukus. - Gambar hiasan.


TERUNG boleh ditanam diberbagai jenis tanah asalkan ia subur, gembur, mempunyai saliran yang baik dan kaya dengan bahan organik.

Jenis tanah yang paling sesuai ialah bertekstur lom yang baik dalam membekalkan nutrien, air dan udara kepada akar tanaman, pH yang sesuai antara 5.0 dan6.5. Ia juga boleh ditanam di tanah gambut, tanah BRIS dan tanah bekas lombong.

Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam antara 20 dan 30 sentimeter (sm) untuk memudahkan pertumbuhan akar.

Batas disediakan menggunakan jentera atau secara manual mengikut saiz yang disyorkan, biasanya lebar batas antara 0.6 dan satu meter, tinggi batas 23 sm dan panjang batas mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialah 0.6 meter.

Batas di tambak dengan bahan organik tahi ayam atau kompos antara 1-3 kg/meter persegi, bahan ini hendakklah digaulkan kedalam tanah satu minggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok atau antara tiga dan enam tan/hektar bagi tanah mineral

Semaian

Terung perlu disemai dahulu sebelum dipindah ke ladang. Semai biji benih dalam dulang penyemaian. Gunakan peat grow sebagai media percambahan atau campuran kompos dan bahan berkenaan dan letak biji benih setiap sel dan diletak di rumah semaian yang mempunyai sekurangnya 50 peratus lindungan antara empat dan lima minggu, disiram setiap hari.

Anak semaian boleh disembur dengan baja foliar setiap minggu bagi menambah kesuburan. Pembesaran pokok semaian juga boleh dibuat di polibeg hitam kecil atau kotak semaian, gunakan campuran media percambahan 2:1:1 (tanah atas:bahan organik:pasir).

Isikan media campuran tanah dan letak satu atau dua biji benih. Anak benih dijarangkan atau dipindah ke polibeg lain bila telah ada dua helai daun

Penanaman dan penyenggaraan

Anak benih diubah ke ladang bila berumur empat minggu, telah ada empat atau lima helai daun sebenar, tinggi antara 10 hingga 15 sm. Aktiviti mengubah lebih sesuai dibuat sebelah petang kerana redup yang panjang berbanding mengubah disebelah pagi.

Jarak tanaman yang sesuai ialah 60 hingga 90sm antara barisan dan 60 sm antara pokok. Penanaman dalam satu barisan lebih sesuai kerana memudahkan pengurusan tanaman. Jika terdapat anak benih yang mati atau kurang sihat ia perlu diganti semula dengan yang baru.

Selepas tiga hingga empat minggu mengubah, pokok terung perlu diberi kayu sokongan bagi mengelak daripada rebah dan buah terkena tanah.

Cantasan perlu dibuat ke atas tanaman terung bagi membuang dahan dahan kecil yang berlebihan terutama di bahagian bawah pokok, lakukan ketika pokok masih muda, tinggalkan hanya tiga hingga empat cabang sahaja. Gunakan gunting pemangkas atau pisau yang tajam sebagai alat cantasan

Pengairan

Pokok terung memerlukan air yang banyak untuk kelembapan yang cukup bagi pertumbuhan yang lebih subur, Penyiraman dibuat dua kali sehari di peringkat awal penanaman dan dikurangkan sekali sehari bila pokok besar dan sehingga memungut hasil.

Pengairan dibuat secara manual atau menggunakan sistem pengairan. Pengairan yang berkesan memerlukan maklumat tentang tanah, pertumbuhan akar, jenis tanaman dan kandungan air dalam tanah.

Pengawalan rumpai

Pengawalan rumpai adalah penting untuk menjamin hasil yang tinggi, kawasan tanaman perlu sentiasa bersih bagi mengelakkan persaigan dalam mendapatkan zat makanan, air, cahaya dan ruang. Rumpai juga menjadi perumah bagi perosak dan penyakit tanaman. Kerja merumpai perlu dilakukan setiap minggu

Pembajaan

Baja yang disyorkan ialah 70 kg N:140 kg P2O5:200 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada jenis tanah disesuatu kawasan,keperluan nutrien tanaman,masa dan cara pembajaan . Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh di gunakan dengan kadar 30gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak antara 15 dan 20 sm dari rumpun pokok serta dikambus Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar 40 hingga 50 gm/pokok diselangkan setiap dua minggu dan sebelum tanaman berbunga.

Kawalan perosak dan penyakit

Serangan Kumbang kutu (Epilachna indica) anak atau dewasa menyebabkan bahagian lapisan atas daun dan meninggalkan lapisan lutsinar.

Pengorek pucuk dan buah (Leucinodes orbonalis) akan mengorek ke dalam pucuk dan buah dan mengakibatkan pucuk layu dan buah berlubang halus dan dipenuhi sisa najis. Kutu daun (Aphis sp)menyerang semua peringkat (daun, bunga, buah muda) kutu akan menghisap cecair dari bahagian yang diserang dan menyebabkan buah berparut dan pokok terbantut, daun yang diserang akan berkerekot.

Jika serangan melebihi 10 peratus semburan racun perlu dibuat menggunakan racun yang sesuai, daun dan buah yang diserang perlu dikutip dan dimusnahkan dan kawasan tanaman perlu dibersihkan dari rumpai yang menjadi perumah bagi perosak .

Penyakit layu bakteria (Pseudomonas solanacearum) biasanya menyerang pangkal dan akar tanaman, pokok akan menjadi layu dan bermula dari daun muda dan mengakibatkan batang dan ranting kecut dan kering.

Kawalan dibuat dengan menggilirkan tanaman, gunakan jenis tahan penyakit dan cabut dan bakar pokok yang terkena jangkitan

Penuaian

Terung akan mula mengeluarkan hasil selepas sembilan atau 10 minggu selepas mengubah ke ladang. Hasil dituai dua kali seminggu dan berterusan hingga dua atau tiga bulan dan anggaran hasil 20 hingga 30 tan/hektar.

Kerja penuaian dibuat waktu pagi atau petang, tangkai dipotong dengan gunting dan pastikan tidak terpisah dari buah sekurangnya dua atau tiga sm dari tampuk buah. Terung akan tahan empat atau lima hari pada suhu bilik,tetapi dengan penyejukan, hasil boleh disimpan sehingga dua minggu.

Kenali punca sakit

Posted: 06 Nov 2011 09:07 PM PST


MEREKA yang mengalami sakit tulang belakang yang teruk atau berpanjangan, lemah atau kebas bahagian kaki, perlu segera berjumpa doktor.


APABILA mengangkat barang, ramai yang melakukannya secara membongkokkan badan, padahal mereka sepatutnya membengkokkan kaki bagi gerak mengusung yang diperlukan. Pekerja pejabat duduk di meja dan menghadap komputer berjam-jam tanpa regangan. Setelah penat bekerja dan pulang ke rumah ada yang terlena di atas sofa ketika menonton televisyen. Adakah senario itu menyamai rutin harian kehidupan anda? Semua itu adalah bukti bahawa insiden sakit belakang semakin meningkat.

Sakit otot dan penuaan

Pakar Perunding Pembedahan Ortopedik Tulang Belakang Pusat Perubatan Pakar Sri Kota Klang, Dr. John Ooi Tzen Chuong memberitahu, terdapat enam punca utama sakit tulang belakang kronik.

Katanya, 90 peratus sakit tulang belakang berpunca daripada kecederaan pada otot rangka yang kronik disebabkan tabiat posisi, ergonomik dan biomekanik.

"Kebiasaannya, sakit otot berpunca daripada postur duduk atau mengangkat barang dengan cara yang tidak betul. ''Akibatnya, otot pada bahagian belakang berasa sakit disebabkan tekanan. Selalunya kesakitan akan bertambah baik dengan rawatan konservatif seperti fisioterapi, rehat dan ubat" katanya.

Selain itu, sakit sendi disebabkan oleh proses penuaan spondylosis pada tulang belakang juga menjadi punca.

Kebanyakan pesakit warga emas sering mengalami masalah ini.

Diska tergelincir

Sebahagian golongan ini juga mengalami saraf terhimpit atau diska tergelincir (slipped disc).

"Diska tergelincir adalah satu masalah kecederaan pada tulang lembut atau diska yang juga dikenali sebagai diska intervertebral. Masalah ini kerap berlaku pada peringkat umur 30 hingga 50 tahun. Mereka yang memandu lama ( bekerja sebagai pemandu), merokok dan obesiti merupakan golongan yang berisiko," jelas Dr. John.

Tambah beliau, bengkak pada diska akan menekan urat saraf di belakangnya. Keadaan menjadi lebih serius apabila ia pecah menyebabkan isinya atau nucleus polposus keluar dan menekan urat saraf.

Ini menyebabkan sakit belakang teramat sangat dan akan turun ke kaki. Pesakit juga akan berasa kebas dan lemah kaki.

Rawatan untuk diska tergelincir pula bergantung kepada tahap kecederaannya seperti rehat sepenuhnya dengan berbaring untuk mengurangkan tekanan pada diska intervertebral.

Lain-lain termasuklah ubat-ubatan dan fisioterapi serta pembedahan untuk kes-kes yang teruk ataupun tidak pulih selepas dirawat.

Dr. John menambah, Pembedahan Invasif Minimum (MIS) adalah kaedah yang baru diperkenalkan bagi merawat sakit tulang belakang.

Kanser dan jangkitan

Mereka yang mempunyai sejarah kanser, kemungkinan berisiko diserang kanser tulang belakang yang menyebabkan sakit kronik.

Berbeza dengan sakit tulang belakang lain, kanser menyebabkan kesakitan walaupun pesakit hanya tidur atau baring.

Ia biasanya dikategorikan sebagai kanser tahap empat kerana telah merebak daripada satu bahagian lain ke tulang .

Berhubung rawatan, Dr. John memberitahu, bagi kanser tulang belakang, rawatan sebaiknya ialah pembedahan, kimoterapi dan radioterapi

Walaupun jarang berlaku, sakit tulang belakang juga boleh disebabkan keradangan inflammatiion atau jangkitan kuman pada tulang belakang.

Kesakitan kebiasaannya disusuli demam dan sakit dapat dirasai walaupun pesakit tidak bergerak.

"Pada peringkat awal rawatan, doktor akan memeriksa dan melakukan ujian untuk memastikan jenis kuman yang menjangkiti pesakit.

''Sekiranya serius, pesakit mungkin akan dibedah atau sebaliknya, hanya diberi antibiotik,'' katanya..

Skoliosis

Sakit tulang belakang kronik, menurut Dr. John juga boleh berpunca akibat pertumbuhan tulang tidak normal yang dikenali sebagai skoliosis.

Keadaan ini banyak berlaku pada remaja perempuan dan sehingga kini puncanya masih menjadi misteri

"Skoliosis boleh dianggap masalah pertumbuhan tulang tidak normal yang biasa berlaku pada remaja, terutama perempuan. Ini bermakna tulang belakang seseorang pesakit menjadi bengkok ke kiri atau kanan menyebabkan bahu tidak sama tinggi.

''Gangguan pertumbuhan tulang belakang boleh berlaku disebabkan jangkitan, kemalangan atau tanpa sebab tertentu. Skoliosis idiopatik biasanya berlaku pada awal usia remaja (baligh)," katanya.

Ibu bapa boleh mengenal pasti penyakit ini dengan melihat bahu atau pelvis seseorang pesakit tidak sama tinggi, tulang rusuk pada sebelah badan tertonjol ke depan menjadi lebih tinggi, manakala badan kiri dan kanan menjadi tidak simetri.

Namun jika masih tidak pasti, bawa anak ke hospital untuk menjalani pemeriksaan fizikal atau ujian sinar-x untuk pengesahan.

Walaupun skoliosis tidak mendatangkan rasa sakit, ia perlu dirawat seawal mungkin.

Tanpa rawatan, tulang belakang menjadi semakin bengkok dan menimbulkan pelbagai komplikasi . Antara kaedah popular ialah menggunakan racing dan pembedahan.

Dalam pada itu, Dr. John menasihati orang ramai yang mengalami sakit tulang belakang yang teruk atau berpanjangan, lemah atau kebas bahagian kaki supaya segera berjumpa doktor.

Mengulas tentang rawatan alternatif termasuk urutan, Dr. John mengakui ia baik untuk mengurangkan kesakitan tetapi pesakit perlu mendapatkan nasihat doktor. Ini kerana sekiranya pesakit menghidap kanser atau jangkitan pada tulang belakang, urutan boleh menambah komplikasi.

Panduan menghindar sakit tulang belakang

Mengangkat barang

* Bengkokkan kaki, bukan tulang belakang anda. Bawa beban rapat pada tubuh. Keraskan otot perut sewaktu mengangkat.

* Dapatkan bantuan orang lain sekiranya anda sukar untuk mengangkat berseorangan.

Duduk

* Rapatkan punggung dan sandarkan belakang pada penyandar tempat duduk sepenuhnya untuk mengurangkan tekanan pada cakera tulang belakang.

* Pastikan ketinggian tempat duduk sesuai dan kedudukan paha selari dengan lantai.

* Campurkan aktiviti dengan senaman/regangan/berjalan.

Memandu

* Duduk tegak dan gerakkan tempat duduk ke hadapan supaya lutut selaras dengan pinggang.

* Sokong bahagian bawah belakang menggunakan tuala yang digulung atau penyokong jika perlu.

Tidur

* Tidur di atas katil yang tidak terlalu lembut dan tidak terlalu keras.

* Apabila tidur mengiring, bengkokkan sedikit lutut supaya bersentuhan atau apabila tidur menelentang, letakkan bantal di bawah lutut.

Berdiri dan Berjalan

* Tukarlah posisi berdiri dengan kerap jika perlu berdiri lama.

* Berdiri tegak dengan kepala lurus memandang ke hadapan dan luruskan belakang badan.

* Berjalan dengan cara yang betul, dagu ke dalam, kepala tegak memandang ke hadapan dan jari-jari kaki mengarah ke hadapan. Pakailah kasut yang mempunyai tumit rendah dan selesa.

Cemerlang, pintar dengan i-Q Homeopathy

Posted: 06 Nov 2011 09:06 PM PST


PRODUK i-Q Homeopathy dipercayai mampu merangsang minda ke arah kehidupan lebih aktif dan produktif.


PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia semakin hampir. Ramai ibu bapa runsing dengan persiapan anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan tersebut. Tentunya menyediakan produk kesihatan dan kecerdasan minda bagi memastikan anak-anak mampu menelaah dan menghafal fakta.

Syarikat Avacello Sdn. Bhd. dengan kerjasama Profesor Ir. Dr. Zainal Aripin, merumus formula untuk produk jenama i-Q Homeopathy. Formula itu bagi meningkatkan keupayaan minda anak-anak terutama yang bakal menduduki peperiksaan SPM. Dahulunya dikenali sebagai Fikri, produk itu dipercaya dapat membaiki sistem saraf supaya kembali cergas berfikir dan bertindak.

i-Q amat sesuai untuk calon peperiksaan kerana ia membantu mengatasi masalah fokus ketika belajar, tidak minat belajar, sukar memahami sesuatu konsep atau sukar mengingat fakta. Kesannya boleh dilihat seawal tujuh hari.

Selain itu, i-Q juga sesuai untuk mereka yang memerlukan tumpuan dan daya fikir yang tinggi dalam aktiviti harian.

Berikut masalah yang berjaya diatasi menggunakan i-Q Homeopathy

Kurang Minat Belajar

Anak-anak yang mempunyai masalah seperti terlalu aktif bermain komputer dan aktiviti luar, boleh menggunakan produk ini, untuk mengawal tingkah laku dan memberikan tenaga ke arah pembelajaran.

''Pernah kita mencuba, kepada kanak-kanak berusia 4 tahun, yang tidak boleh membaca dan mengira. Kanak-kanak itu mengambil masa seminggu selepas semburan di atas lidah, untuk mula membuka buku dan belajar", ujar Profesor Ir. Dr. Zainal Aripin, pengasas i-Q Homeopathy.

Minda Kurang Cergas

Sebilangan anak mengalami simptom minda kurang cerdas walaupun sudah banyak kali menelaah dan mengambil produk tambahan. Berdasarkan testimonial seorang bapa, iaitu Saubi, anak beliau dahulunya mendapat tempat ke-8 dalam peperiksaan dan kini memperoleh tempat pertama.

"Saya juga tidak menyangka dengan hanya seminggu semburan, perubahan drastik anak saya dapat dilihat. Terima kasih, i-Q Homeopathy".

Bahan-bahan

Avena Sativa Q - Extrak dari rumpun pokok bijirin oat. Extrak ini adalah satu bahan makanan yang baik untuk pertumbuhan dan penjagaan saraf serta kecerdasan otak.

Kali Phos 6 - Garam Kalium ini amat unggul untuk meningkatkan prestasi saraf dan otak.

Calc.Phos 6 - Garam kalsium ini amat baik untuk mengalakan penggantian sel-sel yang telah rosak dan juga menjadikan saluran darah bertambah anjal.

Anacarduim 6 - Extrak dari bijian ini boleh menguatkan dan menajamkan minda dan ini akan membolehkan seseorang berfikir lama.

Secara keseluruhannya bahan-bahan yang terdapat di dalam i-Q (Homeopathy) membantu minda seseorang itu menjadi lebih peka dan sentiasa di dalam mood "bersedia" untuk menjalankan pelbagai aktiviti melibatkan penggunaan otak seperti memberi perhatian, membaca, memahami dan berfikir secara kreatif tanpa jemu terhadap sesuatu subjek yang dihadapinya.

Avacello Sdn Bhd kini menjalankan promosi. Harga biasa i-Q Homeopathy adalah RM99.90 , tetapi harga sehingga 31 Disember ialah RM59.90 sahaja. Pembayaran boleh dibuat melalui kad kredit dengan menelefon 03-7725 4125 ataupun hubungi hotline di talian 013-344 3700 ataupun 013-360 5700.

Bagi kawasan pantai timur iaitu Kelatan, Terengganu dan Pahang, anda boleh mendapatkan produk i-Q ini di talian 013-344 3700 dan 019-989 8567.

Memulihkan hormon

Posted: 06 Nov 2011 09:05 PM PST

MAAFKAN saya kerana tidak menyokong obesiti. Bagi saya obesiti adalah satu masalah fizikal yang melanda menyebabkan seorang yang cantik hilang kecantikannya.

Meski pun kata-kata saya ini menghiris hati golongan gemuk namun anggaplah ia cabaran untuk menguruskan badan. Kata pepatah melayu `sayang anak tangan-tangankan'. Sayang seorang doktor kepada pesakit adalah untuk merubah keadaan agar menjadi kurus cantik dan sihat.

Kecantikan bagi seorang wanita merupakan aset yang sangat penting. Setiap wanita mahu mengekalkan kejelitaannya untuk sepanjang hayat namun ramai tidak dapat berbuat demikian kerana dilanda obesiti.

Seseorang yang terlalu gemuk sudah tentu tidak dapat menggayakan pakaian yang cantik. Apa sahaja yang dipakainya akan tampak kurang menarik kerana faktor tubuh badan yang besar. Mereka juga sering kecewa bila melakukan aktiviti membeli-belah kerana tidak banyak pakaian yang dijual bersaiz besar. Ini menyebabkan mereka tidak berminat untuk membeli-belah dan lebih suka memakai baju besar serta longgar bagi menutupi kekurangan.

Wajah orang yang gemuk juga kurang cantik kerana bentuk muka dilitupi oleh lapisan lemak yang menutup kecantikan sebenar mereka. Sudah tentu apabila mereka sudah berjaya menjadi kurus mereka akan kelihatan sangat berbeza dan bertambah cantik.

Begitulah realiti kehidupan, yang cantik dan lebih baik lebih disenangi justeru itu marilah kita mengubah penampilan diri menjadi lebih baik lagi. Lagi pun tidak rugi jika menjadi bertambah langsing cantik dan sihat.

Tidak salah jika saya katakan bahawa obesiti adalah raja segala penyakit seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Apabila obesiti melanda muncullah kencing manis yang kemudiannya merosakkan sistem tubuh. Lalu ramai yang mengeluh kesal kerana nasi sudah pun menjadi bubur. Potongan tubuh yang lansing dan wajah yang cantik kini hanya tinggal kenangan belaka. Ini berlaku akibat kerosakan sistem hormon tubuh. Bolehkah ia dipulihkan semula? Sudah tentu boleh jika anda memulakan langkah yang betul.

Apakah BMR

BMR adalah Basal Metabolic Rate. Ertinya penggunaan tenaga bagi tubuh semasa kita berehat. Tenaga tetap diguna meski pun kita berehat atau tidur kerana pergerakan jantung usus dan lain lain tetap mengguna tenaga. Namun BMR yang rendah membuatkan banyak tenaga dikumpul menjadi lemak.

Mereka yang mempunyai kadar BMR yang rendah perlu menyedari hakikat ini dan mengambil langkah-langkah meningkatkannya.

Punca BMR rendah

1) Tidak cukup senaman. Senaman yang dimaksudkan ialah senaman ringkas yang merenggangkan tubuh badan. Ia disebut sebagai core muscle exersixe. Senaman seperti ini akan menjadikan metabolik meningkat.

2) Hipertiroid. Fenomena ini melanda hampir separuh penduduk dunia. Apabila hipertiroid menyerang seseorang akan mengalami peningkatan berat badan, berasa malas, keletihan, berat badan tidak turun meskipun berdiet, setiap pergerakan menjadi lambat, rmbut juga mudah berkelemumur dan fungus mula menyerang.

3)Insulin insufficiency. Insulin merupakan hormon paling penting dalam penukaran gula kepada tenaga. Dalam kes ini lemak yang terhasil cenderung berkumpul pada perut dan belakang badan.

4) Kesilapan memilih makanan. Kesilapan memilih makanan dengan indeks glycemic tinggi menyebabkan kadar metabolik menjadi rendah.

Apabila makan banyak makanan berkarbohidrat dan bergula tinggi, paras gula dalam tubuh meningkat. Insulin iaitu suatu hormon yang mengawal kestabilan paras gula dalam tubuh kita akan meningkat. Apabila terdapat terlalu banyak insulin maka paras gula dalam darah akan menjadi rendah. Lama kelamaan tubuh kita tidak lagi sensitif kepada insulin.

Maka insulin mula terhasil dengan semakin banyaknya dan kehadiran insulin yang terlalu banyak mula memberikan kesan kesan yang negatif .

Paras Insulin yang tidak menentu menyebabkan paras gula menjadi tidak stabil. Bila gula terlalu rendah seseorang mula berasa gelisah, resah, berdebar dan moodnya tertekan. Dia akan sering kelesuan.

Kitaran berbahaya

Tubuh yang lemah akan memberi signal berterusan kepada otak bahawa ia kurang tenaga dan akibatnya mereka akan mengambil makanan manis bagi meningkatkan paras tenaga. Keletihan dan kurang tenaga di salah tafsir sebagai lapar oleh otak. Fenomena ini menjadi suatu kitaran berbahaya kerana lama kelamaan tubuh akan menjadi bertambah gemuk serta mengundang pelbagai penyakit kronik.

Apabila tubuh tidak lagi sensitif terhadap insulin maka kitaran hormon dalam tubuh akan menjadi kelam kabut. Hormon adrenal seperti ACTH akan keluar dengan banyak menyebabkan lemak berkumpul pada belakang tengkuk dan belakang badan. Badan akan mengembang menjadi bertambah lebar dan semakin besar. Bahagian dari pinggang ke atas tampak besar longgar dan menggeleber. Usaha membuat senaman dan berdiet adalah sia sia sahaja kerana lemak seperti ini tidak boleh dipulihkan dengan diet dan senaman sebaliknya hanya boleh dipulihkan dengan pemulihan sistem hormon tubuh.

Pemulihan semula memerlukan komitmen yang tinggi kerana ia melibatkan perubahan cara makan, pemilihan makanan dan aktiviti seharian.

Kuasa tenaga

Posted: 06 Nov 2011 09:05 PM PST


Meditasi dalam teknik Reiki tidak menggunakan sebarang mantera atau simbol, sekadar merehat dan mengosongkan minda.


SEBIJI mentol dilepaskan dari ketinggian sekitar pinggang orang dewasa di atas sekeping marmar, apa yang akan berlaku? Secara logiknya, pasti mentol akan pecah.

Namun, dalam demonstrasi di hadapan penulis oleh Pengajar Master Reiki, Mohd Hisham Yahya, bukan mentol sebaliknya marmar tersebut bersepai menjadi beberapa bahagian. Bagaimana ini terjadi?

"Apabila fikiran kita yakin bahawa kaca mentol tadi sekeras batu, maka itulah yang akan berlaku. Ini hanya sebahagian daripada contoh penghayatan teknik Reiki," kata beliau.

Masih tidak berpuas hati, Master Mohd Hisham menunjukkan pula demonstrasi kedua. Menggunakan mentol yang sama beliau berkata: "Mentol ini lembut dan akan pecah."

Lalu sekali lagi mentol dijatuhkan di atas sekeping marmar dan benar seperti yang disebutnya, mentol tadi pecah sama sekali.

Seterusnya beliau meminta penulis melakukan perkara yang sama dan berniat mentol tadi sekeras batu. Sukar mempercayai, mentol yang penulis jatuhkan tidak pecah tetapi marmar yang terbelah tiga.

Menjelaskan lebih lanjut, Master Mohd. Hisham berkata, Reiki berasal daripada bahasa Jepun, iaitu rei bererti alam semesta dan ki pula adalah tenaga.

Kesimpulannya, kata beliau, Reiki adalah satu proses penyaluran tenaga dari alam semesta melalui pengamal Reiki kepada pesakit. Tentunya ia bertujuan meningkatkan kemampuan semula jadi tubuh untuk menyembuhkan diri sendiri dengan menyeimbangkan kembali tenaga pesakit tersebut.

Jelas beliau, teknik tersebut tidak berkait dengan acara keagamaan. Sebenarnya ia lebih kepada gaya bertafakur atau dalam bahasa yang mudah, merehatkan minda. Dengan menanam niat untuk berjaya, maka pemikiran sudah dipusatkan mencapai apa yang diimpikan dan kita akan berusaha mendapatkannya.

Bagaimanapun, Master Mohd. Hisham kurang mengaplikasikan kebolehannya untuk merawat pesakit sebaliknya lebih kepada usaha membina keyakinan diri dan juga pekerjaan seharian.

Meditasi

Bercerita lebih lanjut, kata Master Mohd. Hisham, teknik Reiki Usui asalnya ditemukan oleh Dr. Mikao Usui dari Jepun setelah beliau melakukan perjalanan spiritual yang cukup panjang dan bermeditasi di Gunung Kurama selama 21 hari. Pada hari-hari terakhir, beliau dianugerahi Satori (pencerahan spiritual) dan kemampuan untuk menyembuhkan diri sendiri dan orang lain.

Selepas itu, istilah Reiki digunakan secara meluas dalam masyarakat Jepun sebelum Mikao Usui pada era Meiji (1868-1912), Taisho (1912-1925) dan awal era Showa (1926-1988).

Jelas master Mohd. Hisham lagi, teknik Reiki boleh disamakan sebagai seni olah spiritual yang di dalamnya terdapat sebuah sistem penyembuhan yang sangat sederhana dengan penyaluran tenaga kehidupan atau tenaga alam semesta yang diterapkan dengan asas penyerahan diri (pasrah) pada kekuasaan Tuhan Yang Maha Esa.

Kata beliau, Reiki berkembang dan disebarkan melalui sistem penyelarasan atau attunement .

"Perumpamaannya seperti ketika anda membeli sebuah radio baru, ia tidak dapat digunakan sehinggalah anda menyelaraskan frekuensi atau gelombang stesen siaran yang dikehendaki. ''Kemudian barulah anda dapat menerima dan mendengar siaran radio tersebut," katanya.

Beliau kini mengendalikan teknik pengajaran Reiki kepada mereka yang berminat melalui syarikatnya Dimensi Alpha Resources dengan mengenakan kadar yang sangat berpatutan.

Maklumat lanjut boleh melayari www.Reiki-Malaysia.com.

Puting sakit ketika menyusu bayi

Posted: 06 Nov 2011 09:03 PM PST


JIKA anda rasa bayi anda inginkan perhatian, berikan perhatian sepenuhnya semasa penyusuan.


Soalan:

SAYA ibu yang menyusu bayi pertama berusia sebulan. Seringkali puting saya sakit ketika menyusukan bayi, tambahan pula bayi saya baru tumbuh gigi, kini sukar untuk saya menyusukan bayi dengan selesa. Adakah ia perkara biasa? dan bagaimanakah cara untuk mengurangkan rasa sakit tersebut?

Jawapan:

Sebagai seorang wanita yang bergelar ibu, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas kepada Puan SJ kerana berusaha menjadi seorang ibu yang berjaya dalam penyusuan. Susu ibu adalah hak setiap anak yang perlu ditunaikan oleh seseorang ibu. Kejayaan seseorang ibu menyusui anaknya sehingga berusia sekurang-kurangnya dua tahun akan menjadikan anda seorang ibu yang cukup sempurna.

Menyusui bayi adalah satu tuntutan yang amat digalakkan oleh setiap agama dan kepercayaan. Penyusuan susu ibu adalah tuntutan yang diutamakan dalam agama Islam. Terdapat banyak ayat Al-quran yang menyebut tentang kepentingan menyusui anak, sama ada oleh ibu yang melahirkan anak ataupun ibu susuan. Seruan untuk menyusui anak telah disebut melalui firman Allah di dalam Al-quran melalu surah Al-Baqarah ayat ke 233 yang bermaksud: "Ibu-ibu hendaklah menyusui selama dua tahun genap bagi mereka yang ingin menyempurnakan penyusuan".

Menyusui bayi dengan susu ibu bukanlah sesuatu yang payah, ia juga bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Pengetahuan tentang penyusuan akan membantu meningkatkan keyakinan ibu dan seterusnya mendorong ibu untuk mengatasi dugaan dan rintangan seperti mana yang sedang puan hadapi.

Terdapat ibu yang mencerai susu ketika mereka rasa bayi mereka akan mula tumbuh gigi, tetapi menyusu badan pada peringkat ini adalah suatu yang normal dan semula jadi. Keperluan nutrisi bayi dipenuhi terutamanya dengan susu untuk sekurang-kurangnya tahun pertama. Ramai bayi yang diberi susu badan akan ada gigi dan kebanyakan tidak akan menggigit ibu mereka.

kesakitan

Tetapi jika pada kali pertama dia menggigit, iaitu jika bayi anda tergigit payu dara anda, barangkali anda akan menjerit kesakitan. Reaksi anda yang kuat itu mungkin akan memeranjatkan bayi anda sehingga dia tidak berani mengulanginya. Sesetengah bayi boleh menjadi begitu terkejut atau takut akibat reaksi kuat sehingga mereka menolak penyusuan badan.

Jika gigitan berterusan, anda masih tidak perlu mencerai susu bayi anda kecuali jika anda mahu. Mengetahui apa yang menyebabkan dia menggigit dan cuba memuaskan keperluan bayi anda untuk menggigit menggunakan cara lain boleh menyelesaikan masalah ini dengan cepat.

Kebanyakan ibu mendapati penyusuan badan tetap pengalaman yang baik apabila mereka dapat hentikan kejadian menggigit ini. Sebab-sebab lain mengapa bayi anda menggigit adalah ketika tertidur, sesetengah bayi menggigit pada penghujung penyusuan apabila mereka terlelap.

Oleh itu, perhatikan pemerlahanan dan pelemahan pergerakan rahangnya dan alihkan bayi anda sebelum dia terlena. Justeru itu, jika bayi anda kelihatan seperti hampir hendak menggigit, masukkan jari kelengkeng anda ke dalam sudut mulut di antara gusinya. Dia patut menggigit jari anda dan bukan puting anda. Jangan tariknya sementara dia sedang menggigit - anda hanya akan mencederakan diri. Perhatikan penegangan rahangnya sebelum dia menggigit dan cepat-cepat alihkannya. Anda mungkin perlu singkatkan waktu menyusu secara am sehingga fasa ini berakhir.

Cara-cara lain untuk menghentikan bayi yang menggigit adalah dengan mengatakan "tidak" dengan tegas, merenung ke dalam matanya dengan marah dan hentikan penyusuan.

menggigit

Dia perlu mengaitkan menggigit dengan kehilangan puting - kebanyakan bayi tidak suka dengan perpisahan ini. Jika dia teruskan juga, letakkannya di atas lantai untuk seketika sebaik saja dia menggigit.

Untuk kanak-kanak yang boleh berjalan dan suka menggigit, lakukan sesuatu yang baik apabila dia tidak menggigit.

Berikannya banyak pelukan, ciuman dan pujian. Jika anda rasa dia inginkan perhatian, berikan perhatian sepenuhnya semasa penyusuan. Belajar menyedari bila dia sudah hampir selesai. Anda juga jangan menyusukannya kecuali dia betul-betul lapar. Hentikan penyusuan jika dia mula terlelap. Berikannya gegelang gigit sebelum dan atau selepas penyusuan.

Antara glamor & realiti Mumbai

Posted: 06 Nov 2011 09:02 PM PST


Penulis (kiri) bersama rombongan media dari Malaysia di hadapan Gateway of India.


MUMBAI yang terletak di bahagian persisiran barat India, kata seorang teman boleh diibaratkan seperti New York bagi Amerika. Berbeza dengan ibu kota negara itu, New Delhi, Mumbai boleh dikatakan moden dari segi pembangunan dan juga mentaliti masyarakatnya.

Beberapa bahagian metropolitan itu didiami oleh golongan elit, kaya dan ternama. Jangan lupa bandar raya yang memiliki penduduk melebihi 20 juta itu juga menjadi pangkalan kepada industri hiburan kedua popular di dunia, Bollywood.

Lalu tidak hairanlah bangunan pencakar langit mendominasi hampir segenap ruang selain gedung beli-belah dan pelbagai jenis pusat hiburan.

Penulis berkesempatan bertamu di Colaba. Kota yang terletak di penghujung peta Mumbai mempunyai muka bentuk seakan tanjung, memberi gambaran sebenar kehidupan di situ.

Rombongan kami dibawa menyaksikan parti fesyen GP Mercedez-Benz Stylo yang singgah buat pertama kali di Mumbai, dalam rangka jadual menjelang acara sukan berprestij dunia itu.

Lalu pada sebelah siangnya, kesempatan menyusuri jalanan di sekitar Apollo St., Colaba sehingga ke mercu tanda Mumbai, Gateway of India memberi seribu satu pengalaman yang cukup berharga.

Merujuk sejarah, pada sekitar abad ke-16, Colaba dan seluruh kawasan itu ditadbir oleh Portugis sebelum Inggeris mengambil alih pemerintahan lebih seratus tahun kemudian. Lalu tidak hairanlah jika bangunan kolonial menghiasi hampir segenap penjuru Colaba, yang diibaratkan syurga buat pelancong luar.

Butik-butik ternama tidak ketinggalan menyerikan kiri dan kanan jalan, selain gerai-gerai kecil menjual cenderamata, selendang, aksesori, kain sari dan pelbagai lagi.

Anda boleh mendapatkan pelbagai jenis barangan yang diingini pada harga sangat berpatutan. Seandainya bijak dalam urusan tawar-menawar pastinya harga yang diberi sukar untuk dipercayai kerana terlalu murah. Namun ada juga yang menjadi mangsa penipuan. Ini kerana laluan itu merupakan tumpuan pelancong asing terutama dari Barat, menyebabkan peniaga mengambil kesempatan.

Selain cenderamata, gerai menjual sirih pinang yang menjadi tradisi masyarakat India turut ada di situ. Tidak hairanlah jika pada sesetengah tempat seperti pokok hiasan, longkang dan tepi-tepi jalan dipenuhi dengan warna merah.

Berjalan di sekitar Colaba tidak sukar mencari restoran yang menghidangkan makanan halal lantaran penduduk Mumbai sendiri banyak yang beragama Islam.

Malah sebuah masjid terapung yang digelar Haji Ali Dargah boleh dilihat dengan jelas dari Gateway of India. Masjid itu dibina pada 1431 dan terletak 500 meter dari Teluk Worli. Dargah di dalam bahasa Urdu bermaksud makam.

Ia dibina bagi memperingati pedagang Islam yang kaya dan ternama, Sayed Peer Haji Ali Shah Bukhari. Ketika hayatnya, Haji Ali pernah bermimpi bahawa dia membuat kerosakan di atas muka bumi. Lalu selepas berfikir semasaknya, dia ingin meninggalkan Mumbai dan menunaikan haji dengan belayar ke Mekah. Dia turut mengarahkan pengikutnya agar membawa jenazahnya ke Lautan Hindi seandainya dia mati.

Selepas itu, Haji Ali jatuh sakit dan terjadilah peristiwa pelik apabila keranda yang membawa jenazahnya terapung hingga kemudian terdampar di persisiran pantai Worli.

Lalu di situ dibinalah masjid tersebut sebagai mengingati jasa beliau dan jenazahnya turut disemadikan di situ. Sehingga kini, Masjid Haji Ali Dargah turut dikunjungi oleh mereka yang bukan beragama Islam kerana percaya ia mempunyai keramat tertentu.

Gateway of India ialah mercu tanda yang mengujakan penulis untuk menjejakinya tatkala menerima jemputan ke bandar raya glamor itu.

Semuanya gara-gara pengaruh filem Hindi popular, Maan lakonan Amir Khan dan Manisha Koraila yang berjanji untuk bertemu di tapak itu, seandainya ingin membalas cinta sang hero.

Bagaimanapun pertemuan mereka tidak kesampaian apabila si gadis ditimpa kemalangan ketika ghairah untuk bertemu teruna tatkala melintas jalan sehingga tidak nampak kereta yang lalu-lalang.

Sememangnya binaan yang dibangunkan pada awal abad ke-20 itu amat mengagumkan. Ia dibina bagi meraikan kedatangan King Edward IV ke India kerana Mumbai adalah pelabuhan utama negara itu.

Gateway of India bercirikan binaan Islam dalam banyak sudut, digabungkan dengan seni bina Hindu pada sudut-sudut tertentu.

Terletak bertentangan hotel paling mewah di Mumbai, Hotel Taj Mahal, yang pernah menjadi sasaran bom pengganas pada 2008, menjadikan pemandangan di situ menawan sekali.

Deretan kereta kuda berhias, setia menanti pengunjung untuk bersiar, sama seperti apa yang kita lihat dalam kebanyakan filem Hindi. Untuk memasuki kawasan Gateway of India, anda perlu melepasi kawalan keselamatan pihak polis terlebih dahulu.

Namun kawasan itu masih boleh membenarkan peniaga-peniaga kecil menjalankan operasi mereka sehingga kelihatan mencacatkan pemandangan yang cukup indah dan mengasyikkan di situ.

Mungkin kunjungan kami pada hari minggu, lalu ia penuh dengan pengunjung tempatan. Mungkin itu cara paling murah untuk mereka berhibur. Rata-rata dengan aksi sendiri, hanya duduk berbual kosong sehingga menanti matahari terbenam.

Di sebalik kemajuan dan kemodenan Mumbai, masalah gelandangan antara yang sukar dikawal dan boleh dikatakan mencacatkan keseluruhan bandar raya itu.

Selain itu, kawasan setinggan yang bercambah di mana-mana, pastinya menjadi satu bebanan buat pihak berkuasa di sana. Bayangkan di sebelah hotel bertaraf empat bintang, terletak sebuah perkampungan setinggan yang pastinya menyakitkan mata memandang. Namun itulah hakikatnya sebuah negara yang sangat besar jurang taraf kehidupan rakyatnya.

Walau apa pun jua realitinya, itulah wajah sebuah negara yang bernama India.

Surabaya kota warisan

Posted: 06 Nov 2011 09:01 PM PST


LAGENDA jerung putih dan buaya putih sangat popular di kalangan penduduk setempat sehingga kedua-duanya digunakan sebagai logo bandar raya Surabaya.


Dari sejarah yang menarik, budaya-budaya dan tempat-tempat pelancongannya itu banyak memainkan peranan untuk menggerakkan industri pelancongan di lokasi tersebut.

Surabaya menarik untuk diterokai kerana selepas sebuah jambatan yang menghubungi Surabaya dan Pulau Madura dibuka, ia semakin dikunjungi tak kira musim.

Terdiri daripada pelbagai etnik berbeza seperti orang Jawa, Madura, Sunda, Minangkabau, Batak, Banjar, Bali dan Bugis, kota tersebut bagaikan dipenuhi pelbagai kebudayaan yang berbeza antara satu sama lain.

Malah dengan bilangan penduduk yang mencecah lapan juta di kawasan metropolitan itu pastinya memaparkan pelbagai ragam kehidupan penduduk setempat.

Nama ibu kota wilayah Jawa Timur itu sebenarnya diambil daripada perkataan suro (yu) dan baya (buaya) yang merupakan dua binatang paling berkuasa di kawasan itu pada masa dahulu.

Bagi yang tidak pernah mengunjunginya, sudah tentu tertanya-tanya apakah keistimewaan destinasi kawasan yang cukup terkenal dengan lagenda pergaduhan antara jerung putih dan buaya putih yang sangat besar sehingga kedua-duanya digunakan sebagai logo bandar raya tersebut.

Menyusuri jalan-jalan di sekitar Surabaya, pastinya keletihan kerana daerah-daerahnya seperti Genteng, Bubutan, Tegalsari, Simokerto, Tambaksari, Gubeng, Krembangan, Semampir, Pabean Cantikan, Wonokromo, Sawahan, Tandes, Karang Pilang, Wonocolo, Rungkut, Sukolilo, Kenjeran, Benowo, Lakarsantri, Mulyorejo, Tenggilis Mejoyo, Gunung Anyar, Jambangan, Gayungan, Wiyung, Dukuh Pakis, Asem Rowo, Sukomanunggal, Bulak, Pakal dan Sambikerep memukau setiap pengunjung.

Sebagai pelabuhan laut utama dan pusat perdagangan di bahagian timur Indonesia, Surabaya telah pun membangun dan diiktiraf sebagai salah satu bandar raya terbesar di Asia Tenggara.

Antara destinasi yang menarik untuk dikunjungi ialah di bahagian Lamongan yang terletak di bahagian barat laut, Gresik (barat), Bangkalan (timur laut), Sidoarjo (selatan) dan Mojokerto serta Jombang (barat daya).

Jika berpeluang melancong ke sana, kota tersebut pastinya meninggalkan 1,001 kenangan lebih-lebih lagi apabila melihat Adhiwangsa, Taman Beverly dan Water Place Residences yang merupakan tiga bangunan pencakar langit paling tinggi di Surabaya dan kawasan perkampungan yang terdapat di sekitarnya.

Selain itu, destinasi seperti Zoo Surabaya, Musium Mpu Tantular, Tugu Pahlawan, bandar lama serta kawasan Chinese Square dan Arab Square pastinya memberikan pengalaman yang hebat dan berbaloi untuk dikunjungi.

Perlumbaan kenderaan elektrik di F1

Posted: 06 Nov 2011 09:00 PM PST


KERETA SRZero dari pasukan Racing Green Endurance ciptaan para pelajar dari Imperial College of London berjaya mengharungi perjalanan sejauh 20,921 kilometer dalam masa 70 hari.


BEKALAN minyak dunia bagi memenuhi keperluan kenderaan di masa hadapan berada pada paras yang membimbangkan kerana simpanan minyak sekarang menyaksikan penurunan yang besar kerana permintaan melebihi bekalan.

Menurut ramalan sesetengah pihak, berdasarkan bekalan minyak sedia ada dengan kadar penggunaan semasa, bekalan minyak dunia hanya mampu bertahan sehingga tahun 2050 sahaja. Bayangkan apa yang akan terjadi kepada pengguna kenderaan ketika itu?

Sehubungan itu, industri automobil dunia kini sibuk menjalankan kajian bagi melahirkan kenderaan yang tidak bergantung kepada minyak petrol atau diesel, sebaliknya boleh digerakkan oleh tenaga alternatif seperti elektrik sepenuhnya atau hibrid yang menggabungkan elektrik dan minyak.

Bagi merancakkan penyelidikan dan pembangunan kenderaan berteknologi hijau itu, Federation International Automobil (FIA), agensi pembangunan sukan bermotor dan kenderaan dunia sedang merancang untuk mengadakan siri kejohanan perlumbaan kereta elektrik berkuasa tinggi dikenali sebagai FIA Formula E Champioship mulai 2013.

Memandangkan tiada pengumuman rasmi dibuat mengenai perlumbaan itu setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada perlumbaan kereta lumba elektrik itu akan diadakan di litar-litar yang sama digunakan dalam siri Formula One atau di litar baru.

Pengeluar kereta hibrid seperti Toyota, Peugeot, Audi dan Porsche sememangnya sedang berusaha keras untuk mengadakan perlumbaan kereta lumba hibrid dalam masa beberapa tahun ini sebagai bukti kehebatan kenderaan mereka apabila memasuki pasaran.

Siapa yang akan menyertainya?

Kereta lumba elektrik terlaju di dunia ketika ini ialah kereta EV-X11 dari KleenSpeed dan syarikat itu telah memberi gambaran yang mereka akan menyertai perlumbaan itu, selain itu beberapa syarikat pengeluar kenderaan elektrik terbesar juga menyatakan minat mereka. EV-X11 merupakan kereta lumba elektrik yang dibangunkan oleh KleenSpeed Technologies, syarikat dari Amerika Syarikat.

Kenderaan itu menggunakan asas casis kereta lumba West Race Cars American LeMans IMSA Lite L2 yang diubahsuai oleh KleenSpeed dan kemudiannya diletakkan Sistem EV KleenSpeed yang mempunyai sistem kawalan kuasa, pengecaj elektrik, pek bateri dan sistem sokongan.

Kereta itu menggunakan kuasa 200 kuasa kuda (HP) serta mampu memecut dengan kelajuan sehingga 240 kilometer sejam (km/j) dan juga berjaya mencatat rekod pusingan terbaik untuk kereta elektrik di litar lumba Laguna Seca California pada kelajuan 1 minit, 38.858 saat.

Matlamat KleenSpeed memperkenalkan teknologinya ke dalam kereta lumba adalah bertujuan menunjukkan kepada dunia yang jika mereka mampu melakukan perubahan dengan jayanya pada kereta lumba, sudah tentu teknologi yang sama boleh digunakan di jalan raya.

Syarikat Renault dan Nissan juga telah mengadakan kerjasama bagi membangunkan sistem kenderaan elektrik yang boleh digunakan di jalan raya dengan mengeluarkan kenderaan seperti Renault Twizy ZE, Renault Kangoo ZE, Renault Fluence ZE, Renault Zoe ZE dan Nissan LEAF.

Seperti yang kita ketahui, Renault merupakan syarikat yang telah membangunkan enjin kereta Formula 1 yang mencatatkan kejayaan memberangsangkan dalam perlumbaan itu sejak beberapa tahun lepas.

Selain itu, lain-lain pengeluar kereta terkenal yang dijangka akan menyertai perlumbaan F1 mesra alam itu ialah Tesla, Toyota, BMW, Mercedes/smart, BMW/MINI, Honda, Audi, Tata, Ford, General Motors dan Chrysler/Fiat.

Bagi para pelajar dari Imperial College of London pula, mereka berusaha membuktikan bahawa sebuah kereta elektrik sememangnya boleh digunakan untuk kereta lumba.

Mereka telah mencipta sebuah kereta elektrik berbentuk kereta lumba yang bukan sahaja mampu dipandu laju tetapi berjaya mengharungi perjalanan sejauh 20,921 kilometer (km) melalui 13 negara dalam perjalanan selama 70 hari pada tahun lepas.

Pasukan The Racing Green Endurance telah mencipta sebuah kereta lumba dengan dua tempat duduk yang dibina dari casis asal SR8 Radical Sportscars.

Kereta yang dikenali sebagai SRZero itu menggunakan bateri litium 56 kWh dan boleh bergerak sejauh 402 km bagi sekali caj selama enam jam.

Sementara itu, FIA kini sedang dalam peringkat akhir untuk meletakkan syarat dan terma teknikal untuk membolehkan syarikat untuk menyatakan minat mereka yang dijangka diselesaikan pada suku pertama tahun depan.

Setiap pengeluar diperlukan menghasilkan jumlah kereta yang minimum untuk memastikan jumlah penyertaan dan juga 'keseimbangan prestasi' bagi menjadikan pertandingan itu lebih menarik.

Ripcurl cabar remaja ekstrem

Posted: 06 Nov 2011 08:59 PM PST


Kebolehan mengimbang badan diperlukan bagi memudahkan peserta atau peluncur mempamerkan aksi yang menarik.


Sebab itu, aktiviti sukan lasak sering menjadi pilihan golongan ini sama ada lelaki atau perempuan. Antaranya sukan ekstrem papan selaju (skateboard).

Bagi komuniti skateboard, aktiviti rekreasi ini digemari kerana helah (trick) yang dipamerkan menggunakan kebolehan mengimbang badan di atas peluncur seperti half paip dan pool yang pastinya nampak hebat.

Ketika mempamerkan aksi-aksi yang mendebarkan itu, setiap helah memerlukan komitmen dan tumpuan 100 peratus ketika beraksi terutamanya ketika meluncur di atas tanjakan (ramp) yang lebih tinggi.

Jika tersilap langkah, boleh jadi peluncur tersebut bakal berhadapan dengan situasi yang tidak diingini.

Selain itu, setiap keupayaan yang dipamerkan juga memerlukan fizikal dan mental yang kuat selain latihan bersungguh-sungguh bagi menjayakan helah tersebut.

Pencarian Skate Ripcurl bermula

Baru-baru ini, lokasi Sunway Piramid menjadi tumpuan remaja yang mengilai permainan tersebut ketika Kejohanan Pencarian Skate Ripcurl 2011 sedang berlangsung.

Melihat pelbagai aksi menarik yang dipamerkan 25 peserta (Malaysia) dan lima (Singapura) di atas ramp yang direka khas berdasarkan bentuk logo Ripcurl itu, ia amat mengujakan.

Para peserta nyata berusaha keras menunjukkan kebolehan dan kemahiran masing-masing dengan melakukan pelbagai gaya ekstrem dalam satu masa.

Ada yang menjadi, malah tidak kurang juga sekadar tersungkur jatuh akibat tersalah teknik lompatan mahupun kekurangan keyakinan kendiri.

Bagi yang boleh melakukan aksi tersebut pastinya tersenyum lebar dan berasa puas kerana cubaan berjaya selepas berlatih berulang-kali.

Namun bagi yang tidak mampu pastinya tertanya-tanya bagaimana mereka boleh melakukan aksi berkenaan dan pelbagai lagi persoalan yang sukar dijawab.

Memang sesetengah pergerakan nampak mudah tetapi sukar untuk dilakukan seperti aksi ollie.

Belajar bermain papan selaju boleh diibaratkan seperti sedang menunggang basikal tanpa roda latihan.

Lebih lama dan banyak anda berlatih, maka anda akan lebih selesa ketika berada di atas papan selaju.

Bagi yang berminat untuk mempelajari cara-cara meluncur bukannya sesukar yang disangkakan kerana secara asasnya sukan papan selaju hanya memerlukan peluncur menolak papan tersebut menggunakan sebelah kaki yang lain.

Sebaik sahaja berdiri di atas papan selaju, peluncur perlu mengimbangi badan agar papan itu stabil.

Jika anda boleh mengimbanginya maka helah ollie, pusingan 360 darjah kick flip dan pelbagai lagi aksi yang kelihatan seperti ahli akrobatik mahupun gaya penari hip-hop boleh dilakukan.

Dalam kejohanan tersebut, antara kategori yang dipertandingkan ialah pencarian helah terbaik.

Dalam masa tiga jam yang diberikan, setiap peserta bergilir-gilir mempamerkan pelbagai aksi.

Kategori tersebut dimenangi oleh Mohd. Nazer (Singapura), diikuti peserta tempatan, Mohd. Fikri Zulkifly di tempat kedua dan Faris Ahmad (Singapura) di tempat ketiga.

Menurut Pengurus Jenama Ripcurl, Vivian Chew, sukan papan selaju merupakan segmen permainan paling berpengaruh dalam generasi hari ini.

"Jenama Ripcurl memang sinonim dengan aktiviti luncur dan melihatkan populariti sukan ini semakin meningkat di kalangan golongan muda tempatan membuatkan kami berminat untuk mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan sukan tersebut.

"Kami berharap agar penganjuran sukan lasak seperti ini mampu mewujudkan kesedaran di kalangan anak muda untuk menceburi aktiviti berpotensi seperti sukan papan luncur," katanya.

Tambahnya, jika golongan ini diberi pendedahan dengan teliti maka bakat yang ada pada setiap peserta tersebut boleh dikembangkan lagi sehingga ke peringkat antarabangsa.

Milik Anuar atau Azlan?

Posted: 06 Nov 2011 08:58 PM PST


LAGU Sedetik Lebih telah mengukuhkan tapak Anuar Zain sebagai penyanyi lelaki terbaik negara.


TERASA pantas masa berlalu apabila acara anugerah muzik paling berprestij yang ditunggu-tunggu, Anugerah Industri Muzik kembali untuk tahun ke-18.

Bakal berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 12 November ini, industri muzik tempatan sekali lagi menjadi tumpuan ramai yang terus berteka-teki siapakah yang bakal menjulang kejayaan tahun ini.

Biarpun dihambat dengan kontroversi, ternyata ia bukan halangan untuk seluruh warga industri muzik untuk sama-sama meraikan hari istimewa ini.

Seperti biasa, Hits juga mahu mengambil kesempatan ini untuk menghangatkan lagi sambutan AIM 18 dengan melihat kepada beberapa kategori yang cukup menarik untuk diperkatakan.

Sayugia diingatkan tulisan ini langsung tidak mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh juri yang bijaksana.

Ternyata, juri yang lebih bijak menilai dalam memilih pemenang yang benar-benar layak untuk menggenggam trofi idaman ramai itu.

Sebagai permulaan, pembaca dibawa untuk melihat siapakah di antara lima calon ini yang berpotensi besar untuk membawa pulang trofi Persembahan Vokal Lelaki Terbaik?

Memasuki tahun ketiga dan seiring dengan perubahan dalam industri hiburan tempatan, penilaian tidak lagi dibuat berdasarkan album sebaliknya menerusi single mahupun lagu.

Untuk AIM 18, mereka yang bertuah menembusi senarai calon akhir ialah Anuar Zain yang dicalonkan untuk lagu Sedetik Lebih, Azlan & The Typewriter (Jeritan Batinku) dan Black (Sofea Jane).

Dua calon lain termasuklah Reza Salleh yang menerima pencalonan atas tiket lagu What The Hell Just Happened I'm Not Really Sure dan vokalis kumpulan Spider, Tam yang bertanding atas lagu Kitasatu.

Tidak dinafikan, kategori ini antara yang cukup menarik untuk dibicarakan apabila ia menyaksikan pertembungan antara penyanyi senior dan junior.

Sudah pasti, Anuar dilihat sebagai calon utama untuk dinobatkan dengan gelaran ini buat kali ketiga. Mungkin ada yang terlupa, Anuar pernah memenangi kategori ini sebanyak dua kali sebelum ini.

Penyampaian dan alunan Anuar menerusi lagu Sedetik Lebih sememangnya cukup indah dan mengasyikkan. Apatah lagi, memang sudah termaktub dalam direktori hiburan tempatan bahawa Anuar merupakan salah seorang penyanyi lelaki terbaik negara.

Adakah Sedetik Lebih akan membawa tuah kepada Anuar untuk memberinya peluang naik ke pentas menerima anugerahnya selepas lapan tahun?

Tetapi, laluan Anuar tidak semudah yang disangka kerana dia perlu berdepan dengan dua calon lain yang sudah terbukti kemantapan vokal mereka iaitu Azlan & The Typewriter dan Black.

Interpretasi Azlan menerusi lagu klasik ciptaan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Jeritan Batinku sememangnya mengagumkan sekali gus membuktikan bahawa bakat anak muda ini memang luar biasa.

Namun, usah pula dipandang sebelah mata kepada kemampuan Black yang juga berpotensi untuk menjulang trofi ini. Penghayatan dan lontaran vokalnya menerusi lagu Sofea Jane memang mendapat pujian ramai pihak.

Seperti mana yang sedia maklum, AIM tidak akan terlepas daripada kejutan dan tidak mustahil jika nama penyanyi dan komposer berbakat besar, Reza Salleh dipilih sebulat suara oleh pihak juri.

Gaya penyampaian penuh bersahaja dan santai namun emosinya cukup dirasai memungkinkan Reza mengungguli kategori ini.

Jika bukan Reza mahupun calon-calon lain sekali pun, adalah bukan menjadi satu kesalahan pun seandainya nama Tam dipilih untuk menjulang trofi Vokal Lelaki Terbaik.

Mungkin sudah tiba masanya untuk pemilik vokal unik seperti Tam diiktiraf oleh anugerah berprestij seperti AIM.

Mizz Nina pilihan artis antarabangsa

Posted: 06 Nov 2011 08:57 PM PST


WAKIL-wakil pihak penganjur dan penaja bergambar bersama Mizz Nina dan finalis Ratu Cantik Malaysia 2011 yang bakal memeriahkan konsert Pitbull di Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor pada 1 Disember ini.


BIASANYA kebanyakan penyanyi antarabangsa yang mengadakan konsert di negara ini akan menjemput penyanyi tempatan sebagai artis undangan bagi mengadakan persembahan pembuka tirai konsert mereka.

Di kalangan penyanyi tempatan, Mizz Nina merupakan salah seorang penyanyi yang sering menjadi pilihan ramai artis dari luar negara dalam kebanyakan konsert yang mereka adakan di sini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sebagai contohnya, pada April lalu, Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman telah diundang sebagai artis pembuka tirai konsert Justin Bieber dan Bruno Mars yang pertama kalinya diadakan di Kuala Lumpur.

Pada Julai tahun lalu, penyanyi berusia 31 tahun ini juga pernah memeriahkan konsert penyanyi R&B terkenal dari Amerika Syarikat (AS), Usher di mana dia turut menjadi pilihan pihak penganjur sebagai artis undangan pada konsert tersebut.

Tidak berhenti setakat itu, pada 1 Disember ini, Mizz Nina sekali lagi menjadi pilihan penyanyi pop, R&B dan tekno dari AS iaitu Pitbull yang menjemputnya sebagai artis jemputan pada konsert pertamanya di negara ini.

Sewaktu diajukan pertanyaan tentang kecenderungan artis-artis Barat memilihnya sebagai penyanyi undangan mereka, isteri kepada penyanyi kumpulan Hujan, Noh ini tidak menafikan dia menyedari hakikat itu.

Malah, Mizz Nina juga tidak berasa kecil hati atau melatah apabila secara tidak langsung, dia turut dilabelkan sebagai hanya bertaraf artis pembuka tirai dalam konsert artis-artis popular dari Barat di negara ini dari dulu sehingga kini.

"Saya tidak kisah apa orang hendak kata tentang perkara itu. Ini kerana, bagi saya yang penting ialah kepercayaan artis terbabit dan pihak penganjur kepada saya walaupun hanya sebagai artis undangan.

"Bagi saya, itu adalah suatu penghargaan buat saya," katanya sewaktu ditemui selepas sidang akhbar mengumumankannya sebagai artis pembuka tirai konsert Pitbull di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada konsert Pitbull yang akan diadakan di Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor nanti, Mizz Nina akan menyanyikan tiga buah lagu antaranya berjudul What You Waiting For.

Jelas bekas penyanyi kumpulan Teh Tarik Crew ini, dia tidak menafikan pemilihannya sebagai artis undangan dalam kebanyakan konsert artis Barat di negara ini adalah kerana gaya persembahan dan muziknya yang bersesuaian dengan artis terbabit.

"Mungkin lagu-lagu dan persembahan saya tidak jauh beza dengan muzik artis-artis Barat. Mereka ada kriteria tersendiri dalam memilih penyanyi yang sesuai untuk persembahan pembuka tirai pada konsert mereka di sini.

"Selain itu, pihak penganjur juga sudah melihat rekod saya sebelum ini di mana saya sudah ada pengalaman dalam menarik perhatian para penonton bagi menghangatkan sesebuah konsert sebelum seseorang artis Barat itu muncul di pentas," ujarnya.

Pada konsert Pitbull yang dianjurkan oleh JS Concert Productions dengan mengenakan tiket-tiket berharga RM138, RM198, RM298 dan RM398 itu turut ditampilkan ialah dua lagi artis undangan iaitu Joe Maz dan Big Syphe.

Dalam pada itu, anak tokoh koporat terkenal tanah air, Tan Sri Azman Hashim ini berkata, dia tidak menafikan mempunyai impian untuk mengadakan konsert solonya sendiri selepas hampir 10 tahun terbabit dalam bidang nyanyian.

"Saya memang teringin mahu mengadakan konsert solo atau pun setidak-tidaknya showcase selama 40 minit hingga satu jam. Saya merancang mengadakan konsert sendiri pada tahun depan dan ia adalah masa yang sesuai.

"Ini kerana, pada tahun ini saya sibuk dengan pelbagai perkara termasuklah menguruskan perkahwinan saya pada 1 Julai lalu dan juga perniagaan jenama pakaian Mizz Demeanor yang telah dilancarkan pada bulan lepas," jelasnya.

Tambah Mizz Nina, dia berasa puas dan seronok dengan perniagaan yang dijalankannya itu di mana ia secara tidak langsung turut membuktikan bakat, minat serta kecenderungannya dalam bidang tersebut.

"Buat masa ini saya tumpang menjual jenama pakaian Mizz DeMeanor itu di kedai Retro 80?s di Sunway Pyramid dan Liberty di Amcorp Mall, Petaling Jaya. Selain dijual di dua kedai itu, produk saya juga boleh dibeli menerusi online.

"Antara produk yang saya hasilkan ketika ini termasuklah kemeja-T, beg dan seluar di mana kesemuanya adalah pakaian untuk wanita yang harganya antara RM50 hingga RM150," katanya.

Jelas Mizz Nina, kini, dia juga sedang dalam proses menghasilkan album solo keduanya yang akan diterbitkan melalui syarikat rakamannya, Mizz Nina Productions yang bakal menampilkan Ella sebagai artis undangan dalam album tersebut.

Buat masa ini katanya, 50 peratus rakaman album solo keduanya itu yang akan mengandungi 10 buah lagu sudahpun siap di mana banyak tenaga yang terbabit dalam menghasilkan album tersebut termasuklah sentuhan daripada Noh, suaminya sendiri.

"Saya pilih untuk berduet dengan Ella dalam album ini kerana beliau merupakan ikon rock di negara ini. Malah, Noh juga sudah lama kenal Ella. Saya bercadang untuk berduet dengan Ella dalam sebuah lagu yang akan ditentukan kemudian.

"Selain itu, saya juga merancang untuk merakamkan sekurang-kurangnya sebuah lagu dalam bahasa Mandarin untuk pasaran di luar negara. Sebelum impian itu dilaksanakan saya akan masuk kelas bahasa Mandarin terlebih dahulu," tuturnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan JS Concert Productions, Susan Tan berkata, bakat dan kredibiliti Mizz Nina cukup terserlah biarpun dia hanya sekadar muncul sebagai artis pembuka tirai banyak konsert artis Barat sebelum ini.

"Kami bukan sengaja meletakkan nama Mizz Nina sebagai artis undangan untuk konsert Pitbull ini, sebaliknya pihak pengurusan artis itu yang

bersetuju dan memilihnya sendiri. Ini suatu penghargaan buat Mizz Nina," komennya.

Teruja kembali ke teater

Posted: 06 Nov 2011 08:56 PM PST


EMPAT pelakon wanita yang mewarnai teater Badai Semalam iaitu (dari kiri) Jasmin Hamid, Umie Aida, Erra Fazira dan Ziela Jalil.


SEWAKTU menghadiri latihan pementasan teater Badai Semalam di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, baru-baru ini, mata ini dengan pantas ternampak kelibat pelakon ini di salah satu tempat duduk di dalam panggung itu.

Pada sangkaan penulis, barangkali kehadiran Jasmin Hamid ketika itu adalah untuk memberi sokongan kepada dua sahabatnya, Datin Umie Aida dan Erra Fazira pada sesi latihan itu.

Namun apabila diberitahu oleh pihak IB bahawa Jasmin merupakan salah seorang pelakon yang membintangi Badai Semalam, ia adalah sesuatu yang agak mengejutkan.

Barangkali ia adalah strategi IB untuk memberikan kejutan kepada audiens apabila Badai Semalam dipentaskan mulai 11 November nanti.

Tidak melepaskan peluang itu, penulis terus menghampiri Jasmin lalu bertanyakan kepadanya tentang tawaran membintangi Badai Semalam.

Sambil melemparkan senyuman manis dan ramah menjawab setiap soalan yang diajukan, Jasmin mengakui tawaran yang diterimanya adalah disaat-saat akhir.

"Salah satu sebab mengapa saya menerimanya adalah kerana Umie yang mahukan saya membawakan watak Dora selepas pelakon asalnya tidak dapat berbuat demikian atas sebab-sebab tertentu.

"Memikirkan persahabatan saya dengan Umie yang terjalin sejak sekian lama, jadi adalah menjadi satu keberatan buat saya untuk menolak peluang ini.

"Apatah lagi, saya sendiri sudah lama tidak membintangi teater. Jadi, Badai Semalam ini boleh dikatakan sebagai lepas gian saya untuk teater," katanya sambil ketawa kecil.

Kali terakhir, Jasmin membintangi pementasan teater Anugerah sekitar lima tahun lalu arahan Siti Rohayah Attan.

Selain Jasmin, teater yang diangkat daripada novel Khadijah Hashim itu dibintangi oleh Erra Fazira sebagai Mazni, Aaron Aziz (Karim), Umie Aida (Rohana) dan Fizz Fairuz (Zaki).

Turut membintangi Badai Semalam termasuklah Iqbal Taufik sebagai Haris dan Emelda Rosmila (Mahani).

Dalam pementasan yang diarahkan oleh Khairunazwan Rodzi itu, aktres berusia 37 tahun itu membawakan watak Dora, seorang wanita yang bekerja di sebuah kelab malam dan menjadi teman di kala Karim mahu mencari keseronokan.

Menyambung bicara, Jasmin yang pernah membintangi filem Boss dan Kanta Serigala ini memberitahu, dia tidak dapat menolak tekanan yang diterimanya untuk Badai Semalam.

Manakan tidak kata Jasmin, sementelah mendapat tawaran disaat-saat akhir, dia perlu fokus kepada nyanyian, tarian dan lakonan serentak.

"Walaupun watak Dora bersifat antagonis dan watak yang saya sifatkan cukup sinonim dengan saya, tetapi saya perlu memastikan ia berjalan dengan lancar.

"Meskipun kemunculan saya hanyalah sekadar untuk tiga adegan, tetapi saya mahu watak Dora itu mampu meninggalkan impak kepada audiens kelak.

"Lalu, saya perlu mengikuti latihan intensif dan bekerja keras untuk menghidupkan watak Dora ini. Maklumlah, yang lain semuanya sudah ke depan tetapi saya baru hendak bermula," jelas Jasmin berseloroh sambil memberitahu kali terakhir membintangi teater muzikal Si Tanggang pada tahun 2000.

Dalam masa yang sama, pelakon versatil ini turut melahirkan rasa bertuah dan terharu apabila dapat beraksi di IB .

Teater yang diterbitkan dengan kerjasama Frensis Sdn. Bhd., ini juga telah memilih Kumpulan Utusan sebagai media rasmi serta stesen radio nombor satu negara, Sinar FM sebagai stesen rasmi dalam mempromosikan Badai Semalam.

Anak tiri wakil rakyat direman

Posted: 06 Nov 2011 08:53 PM PST


SUSPEK kes samun kedai serbaneka dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu untuk mendapatkan perintah tahanan reman, semalam.


KOTA BHARU 6 Nov. - Seorang pemuda dipercayai anak tiri kepada wakil rakyat di negeri ini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini kerana dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun kedai serbaneka di sekitar bandar ini.

Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Asri Abdul Rahman Sidik di Mahkamah Majistret di sini pagi ini.

Pemuda berusia 20-an itu disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana merompak dengan menggunakan senjata serta mencuba menyebabkan kematian atau cedera parah.

Ketika dibawa ke mahkamah, lelaki yang bertubuh gempal, berambut kerinting dan memakai baju lokap berwarna ungu itu kelihatan tenang.

Suspek ditahan oleh sepasukan anggota polis di rumahnya di Jalan Telipot, pukul 11.30 malam tadi, selepas pihak berkuasa itu menemui beberapa petunjuk.

Berdasarkan modus operandi, suspek disyaki menyamun sekurang-kurangnya lima buah kedai serbaneka di sekitar bandar ini iaitu di Jalan Parit Dalam, Jalan Seri Cemerlang, Jalan Kebun Sultan, Jalan Merbau dan bersebelahan pasar raya KB Mall baru-baru ini.

Sebelum menyamun, pemuda itu dikatakan berpura-pura untuk membeli kad tambah nilai pra-bayar sebelum mengeluarkan pisau dan melarikan wang.

Malah dia juga dikatakan tidak memakai topi keledar atau topeng untuk menutup muka setiap kali melakukan rompakan.

Diberi pampasan serendah RM22.20

Posted: 06 Nov 2011 08:51 PM PST

SEBAHAGIAN daripada 22 pekerja Terengganu Agrotech mengadakan demonstrasi aman di Gong Badak, Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Korban, 22 daripada 70 kakitangan anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corp. Sdn. Bhd. (TADC) tidak menyangka mereka turut menjadi 'korban' apabila diberhentikan kerja berkuat kuasa esok.

Alasan yang diberi pihak syarikat untuk membuang seorang pengurus, enam eksekutif dan selebihnya kakitangan kontrak itu ialah kerana syarikat mengalami kerugian dan melakukan penstrukturan semula.

Lebih malang, apabila ada di antara kakitangan yang mula berkhidmat sejak tahun 2006 itu diberikan faedah pemberhentian tidak setimpal apabila salah seorang daripada mereka diberi pampasan berjumlah RM22.20.

Bekas Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran syarikat berkenaan, Mohd. Razak Salih berkata, surat pemberhentian kerja bertarikh 1 November itu diserahkan kepada mereka Khamis lalu (3 November).

"Pemberhentian kami pula berkuat kuasa pada 8 November ini iaitu pada tarikh sepatutnya kami masuk kerja selepas cuti umum Hari Raya Aidiladha," katanya ketika ditemui bersama rakan-rakannya di Gong Badak dekat sini, kelmarin.

Menurut Mohd. Razak, penamatan perkhidmatan mereka oleh syarikat tidak dilakukan secara adil menyebabkan mereka kini hilang tempat bergantung dan mereka berharap campur tangan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bagi membela nasib mereka.

Jelasnya, sebelum ini dia cuba berjumpa dengan Pengurus Besar dan Timbalan Pengurus TADC namun pada tarikh surat itu diserahkan kepada mereka dua individu berkenaan tidak kelihatan di pejabat mereka di Bangunan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di sini.

"Saya juga cuba menghubungi telefon bimbit mereka tetapi panggilan kami tidak dijawab," katanya yang turut menjelaskan mereka tidak tahu alasan sebenar mereka dipilih di antara lebih 70 kakitangan syarikat berkenaan untuk diberhentikan.

Katanya, dia cuba merujuk masalah mereka ke Jabatan Perusahaan dan dia diberitahu pemberhentian kerja seperti yang dilakukan ke atas mereka hanya boleh dilakukan jika mereka merupakan pekerja bermasalah.

Tambahnya, beliau berharap agar campur tangan Ahmad dapat menyelesaikan masalah tersebut memandangkan mereka mempunyai tanggungan tambahan dua bulan lagi sesi persekolahan baharu akan dibuka.

Tindakan disiplin

Posted: 06 Nov 2011 08:50 PM PST


Mohd. Shahrol (gambar kecil) mati selepas kaki kanannya didakwa tersangkut pada besi pintu air (dalam bulatan) di Sungai Rambai,
Kampung Lubuk Batu, Pendang semalam.


KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mungkin mengenakan tindakan disiplin terhadap beberapa pegawai yang mendorong pembayaran awal dibuat bagi bekalan peralatan kesihatan yang belum diterima bernilai RM708,220.

Ketua Setiausahanya, Datuk Kamarul Zaman Md. Isa berkata, tindakan itu disyorkan sebuah jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan pada 19 Mei lalu.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 baru-baru ini mendedahkan pengurusan perolehan bagi peralatan Jabatan Rehabilitasi Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Sabah adalah tidak teratur apabila bayaran bagi perolehan tahun 2007 dibuat sebelum peralatan diterima.

"Jawatankuasa siasatan mengesyorkan pegawai-pegawai yang mengesahkan kesempurnaan bekalan yang diterima dikenakan tindakan disiplin kerana mengesahkan bekalan telah diterima secara sempurna dan mendorong bayaran dibuat bagi bekalan yang belum diterima melibatkan amaun RM708,220," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian mengenakan denda RM2.196 juta terhadap kontraktor berhubung kelewatan penyerahan peralatan bagi perolehan Next Generation Communication System (NGCS) bertujuan menaik taraf sistem komunikasi di hospital dan institusi KKM.

Menurut beliau, kementerian mengeluarkan surat tuntutan bertarikh 27 Oktober 2011 berhubung denda berkenaan.

Pada pendapat Audit, perolehan NGCS tidak menguntungkan kementerian kerana sistem itu lewat disiapkan dan tidak dapat digunakan secara optimum di 13 hospital atau institusi.

Kementerian juga terpaksa membayar RM3.22 juta untuk perkhidmatan lesen yang tidak dapat digunakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu