Jumaat, 4 November 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


'Sanggul Beracun' dan 'Cun' Ungguli ASK 2011

Posted: 04 Nov 2011 08:08 PM PDT

Drama arahan Sabri Yunos, Sanggul Beracun, berjaya merangkul sebanyak empat anugerah.

KUALA LUMPUR: Drama Sanggul Beracun arahan Sabri Yunus berjaya dinobatkan sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin (ASK) 2011 yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Jumaat.

Drama yang membariskan pelakon-pelakon seperti Erra Fazira, Sabri Yunus dan Namron itu menewaskan empat buah drama lain iaitu Air Mata Salina, Masihkah Ada Sinar, Janji Syurga dan Iqra.

Drama itu turut memenangi kategori Pengarah Terbaik Drama, Lakon TV Terbaik dan Videografi Terbaik.

Kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama dimenangi oleh Eman Manan menerusi drama Janji Syurga, manakala anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama dirangkul oleh Umie Aida melalui Airmata Nur Salina.

Eja

Sementara itu, kemenangan Filem Terbaik berpihak kepada Magika terbitan KRU Studios.

Filem Cun berjaya merangkul sebanyak empat anugerah seperti Pengarah Terbaik Filem (Osman Ali) , Pelakon Lelaki Terbaik Filem (Remy Ishak) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem (Nadiya Nissa).

Turut memenangi anugerah ASK2011 adalah Pelakon Wanita Terbaik Filem iaitu Siti Shahrizah atau Eja menerusi filem Janin.

Kesemua pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan menerima sebuah trofi.

Trofi disampaikan oleh barisan artis terkenal seperti Shaheizy Sam, Rosyam Noor, Neelofa, Awie, Siti Saleha, Aaron Aziz, Zahiril Adzim dan Johan Asa'ari.

Neelofa menyampaikan trofi kepada Umie Aida.

Turut hadir ke majlis berprestij itu adalah Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar.

Acara tersebut telah dihoskan oleh aktres Rozita Che Wam dan Ally Iskandar serta disiarkan secara langsung di TV3.

Secara keseluruhan, ASK 2010 mempertandingkan sebanyak 23 kategori meliputi drama,filem dan penerbitan dalaman.

Manakala jumlah filem yang dipertandingkan kekal tujuh kategori dan enam kategori penerbitan dalaman.

Anugerah Skrin 2011 ini mempertandingkan 17 buah drama iaitu 12 drama rantaian dan lima komedi.

Manakala kategori filem pula 25 filem terbitan tempatan layak dipertandingkan kali ini.

SENARAI PEMENANG ANUGERAH SKRIN 2011

Kategori Filem

Filem Terbaik: Magika

Pelakon Lelaki Terbaik Filem: Remy Ishak (Cun)

Pelakon Wanita Terbaik Filem: Siti Shahrizah Eja (Janin)

Pengarah Terbaik Filem: Osman Ali (Cun)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Nadiya Nissa (Cun)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Sidek Hussin (Karak)

Lakon Layar Terbaik Filem: Erhan Baharudin (Aku Tak Bodoh)

Kategori Drama/Drama Bersiri/Drama Komedi Bersiri

Drama Terbaik: Sanggul Beracun

Pelakon Lelaki Terbaik: Eman Manan (Janji Syurga)

Pelakon Wanita Terbaik: Umie Aida ( Airmata Nur Salina)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Allahyarham Faizal Yusof (Jangan Hantar Aku ke Neraka)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Elfira Loy (Kum Kum)

Pengarah Terbaik: Sabri Yunus (Sanggul Beracun)

Lakon TV Terbaik : Sabri Yunus ( Sanggul Beracun)

Videografi Terbaik: Sanggul Beracun

Drama Rantaian Terbaik: Juvana

Drama Komedi Terbaik: Geng Surau

Kategori Penerbitan Dalaman

Dokumentari atau Majalah Terbaik: Suatu Ketika

Bual Bicara Terbaik: Selami Jiwa: Datuk Fazillah Kamsah

Rancangan Muzikal Terbaik: Shout Awards 2010: Top 12 Show

Rancangan Hiburan Terbaik: Showdown 2011: Meltdown

Rancangan Realiti Terbaik: Showdown 2011

Laporan Khas/ Berita Terbaik: Buleten Utama - Pengemis Terhormat.

Anugerah Yasmin Ahmad: Syamsul Yusof.

Artis Harapan Pantene: Fazli Daniel Ali (Yang Terpuji)

Lisa Surihani Gementar Berlakon Dengan Suami Orang

Posted: 04 Nov 2011 08:07 PM PDT

Lisa Surihani.

PETALING JAYA: Pelakon popular, Lisa Surihani mendedahkan dia sebenarnya gementar setiap kali berlakon di samping pelakon lelaki yang telah berkahwin.

Lisa berkata, perasaan itu telah membuatkan dirinya mengambil masa untuk menjiwai sesuatu watak sebelum benar-benar dapat memberikan lakonan terbaik.

"Saya terlalu memikirkan perasaan isteri mereka apabila melihat lakonan kami terutamanya yang melibatkan adegan romantik," ujarnya ketika ditemui pada majlis tamat penggambaran filem Istanbul Aku Datang pada Rabu.

Katanya, bagi mengurangkan rasa kekok, dia akan memastikan berkenalan dengan pasangan gandingannya di set terlebih dahulu supaya masing-masing berasa selesa.

"Sebelum ini semasa bergandingan dengan Aaron Aziz dalam Ombak Rindu saya gusar kerana isterinya juga berada di set.

"Tetapi Alhamdulilah, selepas berkenalan dengannya penggambaran berjalan dengan lancar.

"Begitu juga semasa berlakon dalam filem Istanbul Aku Datang, isteri pelakon Beto Khusyairi sangat memahami dan membuatkan saya rasa selesa berlakon bersama suaminya.

"Malah sepanjang pengambaran di Turki dia sering menemani ibu saya dan saya sungguh terharu," ujarnya.

Dalam pada itu, Lisa memberitahu dia teruja dapat berlakon dalam filem terbaru terbitan Red Films dan Grand Briliance Sdn Bhd kerana turut mengandingkan dua rakan baiknya iaitu Tomok dan Aizat.

Menurutnya, dia telah lama memasang impian untuk berlakon di samping Tomok dan Aizat kerana memuja bakat nyanyian mereka berdua.

"Sejujurnya saya seronok dapat berlakon dengan rakan baik saya di dalam filem ini dan saya beri jamin lakonan mereka sangat baik," katanya.

Sementara itu, Lisa memberitahu dia tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran berlakon dalam Istanbul Aku Datang kerana memang teringin untuk ke Turki.

"Apabila Lina Tan memberitahu barisan pelakon dan lokasi penggambaran saya terus bersetuju tanpa berfikir panjang kerana pada tahun lalu selepas melihat gambar seorang kenalan di Facebook yang bercuti di Turki saya berdoa kepada Allah supaya dapat pergi ke sana.

"Tidak sangka Allah telah memakbulkan doa saya. Paling menyeronokkan saya dapat bekerja sambil melawat negara itu," jelasnya.

Kedatangan Kimora Lee Terima Sambutan Hebat

Posted: 04 Nov 2011 08:06 PM PDT

Kimora Lee tampil jelita di Sage Restaurant and Bar, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Kehadiran bintang realiti TV dan mogul fesyen, Kimora Lee Simmons di sebuah acara menghargai peranan wanita-wanita Asia di sini, Jumaat, mendapat sambutan hangat daripada peminatnya di negara ini.

Bekas peragawati tersebut hadir ke parti di Sage Restaurant and Bar dekat Gardens Residences anjuran Universal Studios International.

Beliau hadir di Malaysia untuk meraikan acara yang dinamakan High Heels Warrior dan turut mengambil kesempatan berjumpa dengan ratusan peminatnya di negara ini dalam majlis tersebut.

Ia merupakan salah satu program dalam siri jelajah di Asianya yang bermula beberapa hari lalu dan beliau akan berada di negara ini selama tiga hari.

Kehadirannya di majlis tersebut mendapat sambutan luar biasa daripada para peminat yang menjerit memanggil namanya dan berebut untuk mendapatkan peluang bergambar dengan wanita Amerika berdarah campuran Afrika-Korea tersebut.

Peminat mengerumuni bintang realiti TV dan mogul fesyen, Kimora Lee.

Beberapa peminat juga dilihat membawa beberapa hadiah untuk diberikan kepada beliau yang melawat Hong Kong sebelum tiba di Malaysia.

"Saya sangat gembira berada di sini dan telah berlatih untuk bercakap dalam Bahasa Malaysia.

"Saya telah berkomunikasi dengan peminat dari Malaysia secara aktif di Twitter sejak seminggu lalu supaya dapat tahu beberapa lagi perkataan Bahasa kebangsaan negara ini," katanya.

Kimora, 36, menjadi terkenal selepas membintangi rancangan realiti TV sendiri bertajuk Kimora: Life in the Fab Lane di siaran E! Entertainment.

"Saya ingin menyeru semua wanita di luar sana supaya berusaha untuk mencapai impian mereka dan melakukannya bersungguh-sungguh," katanya.

Rancangan tersebut yang memaparkan kehidupannya sebagai ibu dan pemilik bersama kepada jenama pakaian KLS dan Baby Phat menaikkan namanya sebagai selebriti dan usahawan wanita di seluruh dunia.

Tomok Teruja Bakal Timang Cahaya Mata

Posted: 04 Nov 2011 08:06 PM PDT

Tomok.

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 27, mengakui teruja apabila diberitahu oleh isterinya Rahayu Abbas (Ayu), 32 bahawa mereka bakal mendapat cahaya mata.

Tomok berkata, dia mendapat perkhabaran gembira itu ketika sedang menjalani penggambaran filem Istanbul Aku Datang di Turki di samping Lisa Surihani, Beto Khusyairi dan Aizat.

"Saya teruja dan terkejut apabila diberitahu isteri (Ayu) bahawa dia sedang mengandung dua bulan. Tidak dapat digambarkan perasaan saya pada ketika itu," katanya.

Tomok ditemui pada majlis tamat penggambaran filem Istanbul Aku Datang pada Rabu.

Katanya, walaupun tidak merancang untuk mendapatkan anak pada masa terdekat dia tetap bersyukur dengan rezeki diberikan Allah.

"Anak adalah pelengkap perkahwinan saya dan isteri, walaupun tidak merancang tetapi saya teruja kerana kami memang mahukan anak cepat," katanya.

Bercerita mengenai keadaan isterinya, Tomok memberitahu, Ayu berada dalam keadaan baik walaupun kadang-kala mengalami muntah-muntah dan rasa tidak selesa.

"Itu adalah perkara biasa bagi seorang wanita mengandung dan kami sama-sama rasa teruja untuk menyambut kelahiran anak sulung kami nanti," ujarnya.

Mengakui tanggungjawabnya makin besar selepas ini, Tomok memberitahu berita tersebut telah merubah dirinya menjadi lebih matang dan bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki buat keluarga.

Sementara itu, ditanya mengenai penglibatannya dalam filem Istanbul Aku Datang, Tomok berkata, dia pada mulanya tidak percaya dapat bekerjasama dengan pelakon hebat seperti Lisa dan Beto.

Menurutnya pengalaman bekerja dibawah arahan Bernard Chauly sangat menyeronokkan dan bertuah dapat bekerjasama dengan pengarah berbakat itu.

"Bernard sangat teliti dalam kerjanya dan dia seorang yang mudah menerima pendapat orang lain. Malah kami diberikan kelas lakonan sebagai persediaan sebelum berangkat ke Turki," ujarnya.

Masih menunggu filem pertamanya, Mantera ditayangkan di pawagam, Tomok memberitahu dia semakin selesa bergelar sebagai pelakon dan merancang untuk terus berlakon jika mendapat tawaran sesuai.

"Tetapi ini tidak bermakna saya akan meninggalkan dunia nyanyian kerana ia masih menjadi keutamaan saya," jelasnya.

Umie Aida Belum Puas Cari Keserasian Skrip

Posted: 04 Nov 2011 08:05 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon Umie Aida (gambar) masih belum puas mencari naskhah skrip yang serasi dengan kehendaknya dan mendapat kerjasama berkumpulan yang bagus dalam produksi.

Umie akui selepas melakonkan banyak drama dan filem, kepuasannya dalam bidang lakonan belum sampai ke kemuncak sebaliknya dia perlu bijak mengatur strategi agar lakonan dan keluarga berada dalam keadaan seimbang.

"Selepas berkahwin, saya lebih mengutamakan keluarga saya berbanding karier seni kerana sudah penat untuk berada di lokasi penggambaran sehingga waktu awal pagi.

"Bagaimanapun, saya masih lagi menerima tawaran lakonan tetapi lebih selektif dalam pemilihan skrip. Selain itu, saya mahukan kerjasama kru produksi yang bagus," katanya kepada mStar Online.

Terbaru, pelakon drama Airmata Nur Salina ini baru sahaja selesai penggambaran filem Azazil yang turut dilakonkan oleh pelakon Remy Ishak dan Sharnaaz Ahmad.

Dalam filem arahan Kabir Bhatia itu, Umie melakonkan watak Ibu Yani iaitu ibu kepada Remy Ishak.

"Saya seronok berlakon dalam Azazil kerana diberikan watak yang saya suka dan agak klasik," katanya lagi yang turut terlibat dengan latihan untuk pementasan teater Badai Semalam.

Menyentuh sedikit tentang kehidupannya sebagai isteri, Umie berharap akan mendapat rezeki untuk menimang cahaya mata kelak.

"Saya pernah pergi membuat pemeriksaan doktor tetapi nampaknya masih belum mempunyai rezeki untuk hamil.

"Jika ada rezeki, saya berharap mendapat bayi perempuan," katanya lagi.

Program Terbaik TV3 Sempena Aidiladha

Posted: 04 Nov 2011 08:04 PM PDT

Fahrin Ahmad

PETALING JAYA: Stesen televisyen TV3 bakal menyiarkan rancangan-rancangan hebat termasuk empat telefilem terbaru sempena Aidil Adha bermula 5 November ini.

Antara telefilem tersebut adalah Haji Bakhil, Korban Tak Jadi, Panggilan 10 Zulhijjah dan Panggilan Baitullah yang dibintangi oleh pelakon hebat antaranya Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Ning Baizura, Aida Khalida, Lydiawati, Azlee Khairi, Nazim Othman, Neelofa, Eizlan Yusoff dan Fahrin Ahmad.

Manakala dua filem tempatan iaitu Duyung lakonan Maya Karin dan Saiful Apek, serta filem Tentang Bulan lakonan Mohd Addy Ashraf, Nik Adruce dan Muhammad Nasiruddin akan disiarkan pada 7 November ini.

Selain drama-drama tersebut, TV3 turut menyajikan program majalah dan dokumentari terbaik TV3 yang memaparkan kandungan menarik seperti Sejernih Sinar Matamu, Malaysia Hari Ini (MHI) Edisi Aidil Adha, Nona – Istimewa Aidil Adha dan Wanita Hari Ini (WHI) Edisi Aidiladha, terbitan Primeworks Studios.

Nicole Scherzinger Berang Dengan Simon Cowell

Posted: 04 Nov 2011 07:46 PM PDT

Nicole Scherzinger.

JURI program X Factor USA, Nicole Scherzinger dilaporkan berang dengan Simon Cowell yang tidak henti-henti mengkritik peserta dengan kritikan pedas.

Penyanyi berusia 33 tahun itu dikatakan tidak berpuas hati terhadap Simon yang menyelar hebat peserta dibawah jagaannya sehingga terbawa-bawa ke luar program.

Sumber terdekat penyanyi itu memberitahu, Nicole sedih apabila Simon mengelarkan salah seorang peserta iaitu Stacy Frances sebagai seorang penyanyi gereja dan merasakan ia satu penghinaan besar buat dirinya.

Bagaimanapun Simon berkata, dia merasakan tindakan Nicole marah kepadanya sebagai sesuatu melucukan dan menafikan mereka bergaduh besar.

"Kami tidak bergaduh malah Nicole telah datang kepada saya untuk meminta bantuan memilih lagu yang baik untuk pesertanya.

Simon Cowell.

"Malah pada persembahan pada minggu ini dia telah memberi penghargaan kepada saya kerana memilih lagu tersebut," ujarnya.

Mengulas mengenai menyamakan Stacy sebagai penyanyi gereja, Simon berkata: "Beberapa artis terbaik di dunia saya gelarkan penyanyi gereja, seperti Aretha Franklin, itu maksud saya. Tidak salah bukan?

Bagaimanapun Simon berkata, pemilihan lagu Stacy adalah salah pada minggu lalu dan merasakan dia bertanggungjawab terhadap perkara itu.

Rogol: Konstabel diarah bela diri

Posted: 04 Nov 2011 07:45 PM PDT


Jamil diarah membela diri atas tuduh merogol gadis di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Seorang anggota polis berpangkat konstabel diarah membela diri di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap dua tuduhan merogol dan memaksa seorang gadis berusia 17 tahun melakukan seks oral di Balai Polis Putra Height, Subang Jaya tiga tahun lalu.

Hakim Hayatul Akmal Abd. Aziz memutuskan demikian terhadap tertuduh Jamil Abdul Sah, 30, selepas mahkamah dapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Sehubungan itu, beliau menetapkan 20 Disember depan untuk tertuduh membela diri terhadap tuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, anggota polis itu didakwa merogol pelajar tingkatan lima itu di antara pukul 6 pagi dan 7 pagi, 18 Jun 2008 di Bilik Maklumat, Balai Polis Putra Height di sini.

Bapa kepada dua orang anak itu turut dituduh memaksa pelajar berkenaan melakukan seks oral di bilik sama dan pada waktu tersebut.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 376 (2)(f) Kanun Keseksaan dan Seksyen 377B kanun yang sama, masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 20 tahun juga sebatan jika sabit kesalahan.

Jawi mahu pohon perintah mahkamah halang Seksualiti Merdeka 2011

Posted: 04 Nov 2011 07:45 PM PDT


ABDUL RAHMAN (kanan) menyerahkan memorandum bantahan Seksualiti Merdeka 2011 kepada Che Mat di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan mengambil tindakan mahkamah bagi menyekat program Seksualiti Merdeka 2011.

Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali berkata, tindakan itu diambil bagi menyekat program itu daripada diteruskan.

"Satu permohonan deklarasi dan injunksi akan dipohon segera bagi menyekat program ini daripada berterusan.

"Menurut artikel 3 Perlembagaan Persekutuan, agama Islam adalah agama Persekutuan dan sebarang bentuk program yang boleh mencemar kesuciannya harus dibendung dan dihalang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum menggesa Jawi mengambil tindakan mahkamah terhadap penganjur Seksualiti Merdeka 2011 daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini semalam.

Ia disampaikan oleh Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Bakar diiringi 40 ahli pertubuhan itu sebaik sahaja mengadakan demonstrasi membantah Seksualiti Merdeka 2011 di Masjid Negara.

Abdul Rahman berkata, Jawi perlu bertindak segera kerana penganjuran program itu jelas mencemar dan menghina kesucian agama Islam.

Program Seksualiti Merdeka dianjurkan sejak 1 November lalu oleh beberapa gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mendapat sokongan Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Pelaksanaan penuh pada 2021

Posted: 04 Nov 2011 07:44 PM PDT




KERAJAAN pada tahun 2009 telah mengambil keputusan untuk memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Dengan pemansuhan PPSMI, murid di sekolah rendah akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan, bahasa Cina di SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) dan bahasa Tamil di SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil). Di sekolah menengah, bahasa Malaysia akan digunakan sepenuhnya dalam pengajaran Matematik dan Sains.

Untuk membolehkan murid menyesuaikan diri dengan perubahan bahasa dalam tempoh peralihan dasar, Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Julai 2009 juga telah membenarkan Kementerian Pelajaran melaksanakan pendekatan soft-landing.

Berdasarkan keputusan tersebut, Kementerian Pelajaran pada tahun 2010 telah menetapkan dasar MBMMBI dimulakan pada tahun 2011 di mana murid Tahun 1 pada tahun ini mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya. Sebagai langkah intervensi untuk mempercepatkan proses peralihan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia di semua peringkat persekolahan, kementerian juga memutuskan bermula tahun 2012, murid Tingkatan 1 akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Bagaimanapun, peralihan kepada bahasa Malaysia pada Tingkatan 1 bermula tahun hadapan telah menimbulkan kerisauan ibu bapa kerana dibimbangi anak-anak mereka yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selama enam tahun di sekolah rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan peralihan bahasa secara mendadak.

Kama mahu masuk sekolah biasa

Posted: 04 Nov 2011 07:43 PM PDT

KAMA MIREZZANIAL yang berusia tujuh tahun dipeluk mesra oleh adiknya, Kamarya Mysara, 4 tahun, di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Kanak-kanak terkecil di Malaysia, Kama Mirezzanial Kama Rezmie Kamaruddin, 7, melahirkan harapan untuk belajar di sekolah harian biasa seperti kanak-kanak lain seusianya.

Dia yang mempunyai ketinggian 56 sentimeter dan berat 4.5 kilogram pada masa ini tidak bersekolah kerana enggan mengikuti pembelajaran di sebuah sekolah pendidikan khas di Putrajaya.

Kama Mirezzanial yang dilahirkan pada 2 Mac 2004 telah disahkan oleh Malaysia Book of Records (MBR) baru-baru ini sebagai kanak-kanak terkecil di Malaysia.

Bapanya, Kama Rezmie berkata, anaknya itu lahir dalam keadaan pramatang di Hospital Putrajaya ketika usia kandungan lapan bulan dengan berat 550 gram dan bersaiz 25 sentimeter. Dia disyaki mempunyai syckel syndrom iaitu sindrom kekerdilan yang menyebabkan pertumbuhan badannya terencat berbanding kanak-kanak lain.

"Doktor ketika itu mengesahkan dia hanya boleh hidup tidak sampai 75 hari selepas dilahirkan dan berkemungkinan mengalami masalah perkembangan otak.

"Meskipun tumbesarannya mula berhenti pada usia lima bulan tetapi Kama Mirezzanial terus hidup sehingga kini malah dia begitu aktif, boleh bertutur dengan baik dan boleh membaca," katanya ketika ditemui di pejabat MBR di sini semalam.

Lebih mengagumkan, kata Kama Rezmie, anaknya itu kini gemar menghabiskan masa dengan bermain iPad dan iPhone pada waktu lapang dan amat meminati ikon Upin dan Ipin.

Rajagopal mahu pecah rekod

Posted: 04 Nov 2011 07:43 PM PDT


RAJAGOPAL memandu kereta secara mengundur sejauh 999 kilometer dari Johor Bahru ke Bukit Kayu Hitam, Kedah pada tahun lalu.


KUALA LUMPUR - Raja pandu kereta mengundur, I. Rajagopal (gambar kecil), 56, bakal melakar sejarah tersendiri apabila merancang memandu secara mengundur pada jarak paling jauh berbanding dua rekod sebelum ini.

Pada penjelajahan sejauh 1,500 kilometer (km) bermula pada 12 Disember 2012 bersempena tarikh 12.12.12 itu, beliau akan menggunakan kereta jenis Proton Saga 1.6 bermula di bandar raya Johor Bahru.

"Dari Johor Bahru, saya akan memandu secara mengundur dengan purata kelajuan 40 kilometer hingga 50 kilometer sejam mengelilingi Semenanjung Malaysia sebelum kembali semula ke Johor Bahru.

"Penjelajahan ini dijangka mengambil masa selama 10 hari," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada 2008, Rajagopal mencipta rekod pertama memandu secara mengundur dengan purata kelajuan 55 kilometer sejam sejauh 88 kilometer dari Jalan Ungku Puan, Johor Bahru hingga ke pantai peranginan Desaru di Kota Tinggi.

Ribut terburuk dalam 20 tahun

Posted: 04 Nov 2011 07:38 PM PDT


NORIAH melihat sebahagian bumbung rumah yang terhempas di hadapan rumahnya dalam kejadian ribut di Taman Bersatu, Alor Setar kelmarin.


ALOR SETAR – Kejadian ribut yang merosakkan sebanyak 173 buah rumah di Taman Bersatu, Kuala Kedah di sini pada petang kelmarin dikatakan yang terburuk pernah berlaku di situ sejak 20 tahun lalu.

Rata-rata penduduk memberitahu, mereka masih trauma dengan kejadian tersebut apabila melihat bumbung tiba-tiba berterbangan sebaik dilanda angin kencang.

Penduduk Taman Bersatu Fasa 1, Noriah Saad, 57, memberitahu, kejadian itu amat menakutkan apabila lebih tujuh bumbung zink dari perumahan sebelah iaitu Taman Bersatu Fasa 3 terhempas betul-betul di hadapan rumahnya.

"Saya pada mulanya dengar bunyi angin, selepas itu bunyi seperti ada benda terhempas dan apabila lihat dari tingkap, saya nampak longgokan bumbung zink berada di hadapan rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Kata Noriah, bumbung zink itu diterbangkan angin yang berpusar dari arah perumahan sebelah yang terletak sejauh kira-kira 500 meter.

"Nasib baik pada masa itu tiada kanak-kanak yang bermain di jalan hadapan rumah saya," jelasnya sambil memberitahu turut mengalami kerugian kira-kira RM10,000 akibat kerosakan bumbung dan barangan elektrik.

Menurutnya, kejadian ribut tersebut adalah yang paling teruk melanda kawasan itu sejak dia menetap di situ kira-kira 20 tahun lalu.

Positif telan dugaan

Posted: 04 Nov 2011 07:37 PM PDT



MENERUSI banyak laporan media Indonesia, sukar sekali mencari sisi positif seorang penyanyi dangdut yang menggunakan nama pentas Dewi Perssik. Hampir semua laporan yang dibuat adalah tentang sensasi dan kontroversi yang dicipta wanita berusia 26 tahun itu.

Malah jika dirujuk namanya dalam enjin carian Internet google, kebanyakan informasi yang tertera juga adalah tentang sisi kurang enak seorang Dewi. Dewi berbogel, Dewi erotik, Dewi bercakaran dan macam-macam lagi.

Ironi yang terjadi apabila bertemu dengan penyanyi dangdut dan pelakon yang sedang meledak dengan filem terkininya, Pacar Hantu Perawan serta single Diam-Diam bersama bos syarikat pengurusannya, Republik Cinta Management, Ahmad Dhani.

Dia yang juga akrab disapa DePe seorang yang secara total berbeza dengan penampilan diri sebagai Dewi Perssik. Dewi di luar wilayah bekerja dan memakai nama sebenarnya Dewi Murya Agung adalah seorang wanita biasa yang serba ringkas dan paling senang menyendiri sehingga digelar sebagai 'anak tidak gaul' (sombong).

Banyak yang ditumpahkan DePe saat pertemuan santai kami yang diatur oleh Iman Tang, lelaki yang bertanggungjawab merealisasikan sesi temu bual itu. DePe hadir ke Malaysia untuk memenuhi undangan membuat persembahan secara komersial pertamanya untuk Konsert Fiesta Indonesia baru-baru ini.

Di sebuah kafe di dalam sebuah pusat membeli-belah di ibu kota, DePe mencurah rasa, yang kebanyakannya adalah tentang kisah duka dan ranjau hidupnya sehingga dia kini semakin tegar menjalani segala kesulitan dengan sebuah senyuman biar jauh di relung hati, ada remuk yang teredam.

DePe membuka bicara dengan memberitahu segala kesulitan yang dilalui dikongsi bersama anaknya yang bakal menginjak usia empat tahun, Felice Gabriel pada 15 November ini.

Felice juga adalah teman baiknya, malah pada usia yang begitu mentah, anak kecil itu sudah seperti mengerti setiap ranjau dan pahit yang terpaksa ditelan ibunya itu sehingga dia kerap menjadi 'ubat pelali' dan memujuk setiap rasa yang menjeruk di hati DePe.

"Dialah motivasi hidup saya. Setiap kali berhadapan dengan musibah, kepada Felice saya curahkan segalanya, kepada dia saya menangis. Dia adalah ubat saya yang telah menghilangkan semua derita," katanya penuh semangat.

Penyanyi dan pelakon itu kemudian membogelkan kisah hidupnya. Memberitahu dia terjun ke dunia hiburan kerana minat yang mendalam, pada awalnya, keinginan tersebut ditentang keras oleh ibu dan bapanya yang disifatkan oleh DePe sebagai fanatik agama. Apa lagi untuk melihat dia bergoyang dan 'buka-bukaan' untuk khalayak.

Namun sudah seperti takdir hidupnya, DePe akhirnya lolos masuk ke industri seni.


DEWI PERSSIK atau DePe mempunyaidua personaliti berbeza. Sebagai DePe seorang seniman, dia nampak begitu terbuka, namun sebagai seorang Dewi Murya Agung iaitu dirinya yang sebenar, dia seorang yang sederhana dalam kehidupan.


"Mahu tahu bagaimana semuanya terjadi? Waktu itu, usia saya 17 tahun, di sebuah majlis berunsur agama, saya sedang menjadi qariah. Di majlis anjuran datuk saya itu, diserikan dengan sedikit hiburan dan dihadiri oleh beberapa artis senior yang pada saat itu bertanya siapa mahu membuat persembahan.

"Saya tertarik dan memberitahu ibu namun ditentang keras. Kata ibu, saya harus melepaskan tudung kalau mahu menyanyi dan dia menentang keinginan saya.

"Tanpa mempedulikan ibu, saya membuka tudung dan mula menyanyi. Saya nyanyi lagu Kuch Kuch Hota Hai dan dari situ kerjaya seni saya bermula," ujarnya sambil sesekali disulam ketawa kecil mengimbas momen lama.

Bagaimanapun bukan mudah menjadi anak seni. Sejak awal kemunculan dirinya selalu digulir kontroversi. Ditanya tentang pencetus kontroversi terutama berkaitan imej erotiknya, DePe mempertahankan diri.

Katanya dia tidak seksi. Malah bukan seorang yang percaya diri. Apa yang ditonjolkan di pentas dengan goyang dan imejnya itu adalah cermin Dewi Perssik. Bukan Dewi Murya Agung.

Tentang kontroversi atau sensasi pula, dia membidas: "Saya tidak cipta sensasi, tapi orang yang mencungkil dan mengambil kesempatan mensensasikan saya. Dan saya percaya tak ada artis yang suka atau berulang kali membaca kisah atau cerita dirinya yang sentiasa dicop kontroversi.

"Hidup saya sejak menjadi anak seni lapan tahun lalu penuh fitnah. Namun Allah itu adil, apabila pintu rezeki saya di ufuk timur ditutup, Dia buka pintu rezeki di ufuk barat dan Alhamdulillah walau selepas lapan tahun saya masih tegar di sini."


DEPE hanya terbabit dengan filem berunsur seram. Katanya, dia teringin untuk berlakon dalam filem genre lain, namun belum mempunyai rezeki.


Dugaan dan fitnah yang dimaksudkan artis yang lahir di Jember, Jawa Barat, Indonesia itu termasuklah kisah pertikaian dengan aktivis Islam yang menentang penampilan seksi dan goyang erotiknya sebagai pengdangdut sehingga dia hampir tidak boleh muncul dalam sebarang persembahan dan panggung-panggung persembahannya dibakar.

Saat rezeki bergoyang di pentas dangdut ditutup, pintu menjadi pelakon pula terbuka.

"Saya tidak bisa pernah berlakon. Saya belajar sendiri bagaimana mahu menjadi pelakon. Sama seperti bagaimana saya belajar bergoyang dengan hanya melalui internet dan melihat liuk lentok penyanyi pujaan saya, Shakira," katanya yang telah terbabit dengan lebih enam filem berunsur seram yang hampir semua daripadanya adalah hasil idea dia sendiri.

Namun kini kabut gelap itu mula beransur nampak cahaya. Sebaik dia mengikat kontrak menjadi artis di bawah naungan RCM serta bermain filem, namanya mendadak naik.

Dari satu pentas ke pentas lain, sehingga kadang dia harus menyewa helikopter untuk bergegas mengisi permintaan klien, dalam masa yang sama sibuk berlakon, jadual seorang ratu sensasi seperti DePe padat. Padat dengan rezeki yang tidak pernah kurang dilimpahi oleh Allah buat dirinya.

Menganggap dirinya sebagai seorang seniman, bukan penyanyi atau pelakon, kata DePe, hal yang membuat dia tidak berundur dari dunia seni juga adalah kerana dia ikhlas dan sentiasa positif melihat masa depannya.

"Sementelah saya telah berjanji dengan ibu dan anak saya bahawa saya tidak akan pulang ke kampung selagi saya tidak sukses. Selagi keluarga mendokong saya, anak cintakan saya dan Allah terus melindungi saya, saya okay," katanya penuh semangat.

Trauma


DEPE mengaku dia tidak mempunyai kawan di kalangan artis. Dia lebih senang menyendiri.


Menjadi wanita, apatah lagi artis yang sentiasa dikelilingi lelaki, gender itu bukan satu tabu buat Depe. Namun bagi Depe, untuk menjalin satu hubungan baharu dengan lelaki, dia tidak tahu menterjemah hal itu sebagai trauma atau apa.

Semuanya kerana dia yang kini memegang status janda sudah gagal dua kali dalam institusi kekeluargaan.

Perkahwinan pertamanya dengan seorang pelakon, Saiful Jamil berlaku pada usia dia 18 tahun sebaik dia merantau ke Jakarta. "Keluarga saya fanatik agama, jadi tiada istilah cinta sebelum kahwin, justeru saya kahwin awal sebaik bertemu mantan suami," katanya yang kemudian bercerai dua tahun kemudian sebelum berkahwin semula dan diceraikan untuk kesekian kali saat usia baru menginjak 23 tahun.

Kini akui DePe, dia sangat takut untuk menyimpul sebuah hubungan baharu. Tambahnya serius: "Kadang pria membuat saya takut, maka tidak mungkin terjadi perkahwinan untuk saya dalam masa terdekat ini."

Ujarnya lagi, dia tidak tahu mahu mengklafikasikan hal itu sebagai trauma atau tidak, tetapi bagi DePe jika dia bertemu jodoh kembali nanti, lelaki itu harus dewasa dan matang supaya dia mampu berkongsi suka dan duka hidup selain menghormatinya sebagai ketua keluarga.

Suria FM terjah sukses

Posted: 04 Nov 2011 07:35 PM PDT


SURIA FM berterusan memikat pendengar berikutan penampilan segmen-segmen yang segar dan menarik.


MENINGKAT dan terus meningkat! Itu gambaran tepat kedudukan Suria FM ketika ini yang mana kaji selidik Nielsen untuk suku kedua tahun 2011 menunjukkan stesen radio berbahasa Melayu sukses memikat pendengar.

Ia berjaya kekal sebagai peningkatan tertinggi dalam jumlah pendengar dari tahun ke tahun iaitu sebanyak 415,000 orang.

Sehingga kini, pendengar Suria FM telah mencecah dari 2 juta orang kepada 2.3 juta orang!

Hasil kajian berjaya mengekalkan momentum peningkatan bagi stesen radio berbahasa Melayu yang mana ia melibatkan jumlah pendengar pada hari Isnin hingga ke hujung minggu.

Jumlah pendengar dari hari Isnin hingga ke hari Jumaat telah meningkat sebanyak 392,000 orang dan jumlah pendengar di hujung minggu meningkat sebanyak 300,000 orang pendengar.

Kedudukan Suria FM dalam pasaran radio berbahasa Melayu diperkuatkan lagi dengan pelbagai program dan pengisian yang sentiasa berinformasi dan menghiburkan.

Memperlihatkan kepada persembahan segmen-segmen yang ke udara, segmen Breakfast@Suria yang dihoskan oleh Halim, Shiera dan Zizi telah meningkat bukan sahaja dari segi jumlah pendengar malah meningkat dari segi jumlah masa mendengar. Pendengar segmen Breakfast@Suria telah meningkat sebanyak 281,000 menjadikan pendengarnya kini seramai satu juta orang dan masa mendengar pula telah meningkat dari 3 jam 15 minit kepada 3 jam 23 minit.

Peningkatan yang positif juga ditunjukkan oleh segmen-segmen yang dikendalikan oleh para penyampai di sebelah petang dan juga malam.

Suria FM juga telah melakar sejarah sekali lagi apabila jumlah pendengar semakin meningkat. Suria FM juga menerima respon positif apabila jumlah pendengar yang berumur 20 tahun hingga 39 tahun semakin menggalakkan.

Hasil daripada peningkatan ini telah membuktikan Suria FM telah berusaha keras demi memberikan yang terbaik kepada semua pendengar.

Daripada barisan penyampai radio yang sememangnya mesra pendengar, putaran lagu-lagu terbaik 90-an dan terbaharu hinggalah kepada aktiviti-aktiviti untuk menghargai para pendengar, Suria FM amat menitikberatkan setiap saat ke udara berteraskan kualiti untuk kepuasan pendengar.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Suria FM dan Red FM, Azrullah Mohd. Nor: "Insya-Allah Suria FM akan memastikan peningkatan positif dari tahun ke tahun. Keputusan kali ini membuktikan bahawa format 90-an dan terbaharu yang kami bawa semakin diterima ramai.

"Kami ingin memanjangkan ucapan terima kasih kepada pendengar, rakan media dan rakan perniagaan untuk sokongan yang tidak berbelah bahagi. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan seperjuangan yang telah banyak bekerja keras dan menghasilkan keputusan yang terbaik."

Tambahnya: "Suria FM akan memastikan bahawa peningkatan yang positif ini akan berterusan dan dari semasa ke semasa, stesen ini akan memberikan yang terbaik. Terima kasih kerana menjadikan Suria FM nombor satu dari segi peningkatan jumlah pendengar!"

Idola Kecil 4 lebih sengit

Posted: 04 Nov 2011 07:35 PM PDT


NOR HARRIS ALIF NORASHIDI berjaya muncul sebagai juara untuk Idola Kecil 2.


STESEN TV9, melalui program Idola Kecil kembali dengan musim keempat! Lebih dikenali sebagai IK4, 12 peserta cilik berusia lingkungan 8 hingga 12 tahun, telahpun dikenal pasti untuk menonjolkan bakat mereka menerusi program realiti hiburan kanak-kanak terkenal ini. Idola Kecil 4 akan mula menemui penonton pada 5 November 2011, Sabtu, 9 malam eksklusif di TV9 (Saluran 119).

Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Penjenamaan TV9, Sherina Nordin: "Saya bagi pihak TV9 berasa amat bersyukur kerana permulaan program Idola Kecil musim keempat ini mendapat penerimaan yang positif serta sokongan yang amat menggalakkan daripada semua pihak.

"Pada musim ini kami menerima lebih daripada 1,000 penyertaan uji bakat di empat buah lokasi, sekali gus merupakan rekod penyertaan paling tinggi berbanding musim-musim lalu.

"Kali ini, penyertaan bukan sahaja dari kaum Melayu, malahan adik-adik yang berbangsa India dan Cina juga turut mencuba nasib mereka. Ini membuktikan bahawa Idola Kecil mempunyai pengikutnya yang tersendiri."

"Proses pemilihan sememangnya sukar kerana peserta-peserta kali ini hebat belaka."

Peserta yang telah disenarai pendek perlu menjalani sesi 'bootcamp' sebelum 12 peserta yang terbaik dipilih. Kesemua 12 peserta ini datang dari pelbagai latar belakang berbeza rupa, identiti dan perwatakan.

Selama tiga musim berlangsung, Idola Kecil telah melahirkan masing-masing tiga juara iaitu Wan Syuhada Md. Amin, 12, yang menjuarai musim pertama, Siti Amirah Dayana, 10, (juara musim kedua) dan Nor Harris Alif Norashidi, 11, (juara musim ketiga).

Musim keempat ini akan menampilkan 12 orang peserta yang terdiri daripada lapan orang peserta perempuan dan empat orang lelaki.

Mereka adalah Ahmad Marzuki Nordin, 10, Hairul Asri Alis Sjofjan, 12, Irfan Haris Othman, 10, Mohd. Syafiqri Kaharudin, 10, Farisha Asmadi, 12, Nabihah Idrus, 8, Noor Aina Batrisyia Azman 12, Nurfazlina Ramlan, 11, Nurshazleen Natasha Jamaluddin, 11, Sarah Elyssa Khairul Fahmy, 11, Sharifah Nurhafifa Wan Aziz, 12 dan Sharifah Rusilmu Imani Syed, 11.

Konsert mingguan pertama akan disiarkan mulai 12 November, setiap Sabtu, pukul 9.00 malam.

Carefree kembali

Posted: 04 Nov 2011 07:34 PM PDT


CAREFREE bakal dihidupkan kembali oleh (depan, dari kiri), Raja Rashid, Hadi dan Simon serta (belakang dari kiri), Charles Paiva dan Raja Rahman.


RINDU BAYANGAN dan Belaian Jiwa, lagu-lagu malar segar dari tahun 1979 hingga kini. Bukan saja menjadi pilihan warga sezaman kumpulan itu bahkan masih jua menjadi siulan generasi kini.

Carefree dan Jay Jay ibarat satu kombinasi ideal yang mempertaruhkan konsep berkumpulan bersama tujuh lagi anggotanya Simon Justin Leo, Charles Paiva, Raja Rahman (Boy), Raja Rashid (Wan), Nana Pawan Chik, Lokman Kimin dan Rahim Othman.

Namun, tanggal 31 Disember 1982, kumpulan yang telah menghasilkan tiga buah album iaitu Kebebasan, Kebebasan II dan Kebebasan III itu akhirnya terpaksa akur dengan perpecahan.

Memetik kata-kata bekas vokalis Carefree, Jay Jay dalam satu temu ramah dengan media semenjak perpecahan kumpulan itu, katanya: "Nak kumpulkan ahli asal Carefree bukannya senang kerana kami ramai. Jika nak menggantikan salah seorang daripada kami dengan orang lain memanglah mudah, tetapi saya tidak mahu kerana ia tidak tidak menunjukkan Carefree sebenarnya."

Hakikat yang barangkali pahit untuk ditelan akhirnya kini menyanggah anggapan peminat mereka bahawa kumpulan itu sudah lama berkubur sejak perpecahan zaman 1980-an.

Kini, kumpulan itu tampil kembali menghidupkan kegemilangan Rindu Bayangan bersama seorang anggota baharu, iaitu komposer untaian lagu kumpulan Gula Gula dan Kriteria, Hadi Hassan.

Hadi yang juga merupakan adik kepada penyanyi tersohor, Salamiah Hassan diundang oleh empat orang bekas anggota kumpulan Carefree iaitu Charles Paiva (pemain keyboard), Simon Justin Leo (gitaris), Raja Rahman (drum) dan Raja Rashid (saksofon/seruling) menjadi vokalis dan pemain bass. Jay Jay bagaimanapun tidak akan menyertai Carefree yang baharu ini.

"Saya memang membesar dengan lagu lagu Carefree, maka tidak menjadi kekok apabila dipelawa untuk menyertai kumpulan Carefree.

"Terharu tapi saya tidak mengambil masa lama untuk membuat keputusan dan mengatakan 'ya'!

"Saya harap peminat-peminat Carefree akan menerima saya sebagaimana kumpulan Carefree ini sendiri menerima dan menaruh kepercayaan terhadap saya," katanya ketika pertemuan di studio rakaman Eight Tones Com munications Sdn. Bhd. di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Album

Ditebak persoalan apa pula kelainan yang bakal dijamu peminat mereka, jawab Hadi pantas pastinya kelainan dari segi susunan muzik yang ternyata akan lebih segar.

"Muzik dan genre yang kami akan ketengahkan masih tidak lari dari trademark Carefree sebelum ini, tapi akan digabungkan dengan bunyi, stail dan momentum muzik terkini dan lebih matang," tambahnya lagi.

Maka, pastinya melalui kemunculan semula Carefree, ada sesuatu yang telah direncanakan dari awal. Mereka akan kembali bersama naskhah karya terbaharu menjelang pertengahan tahun depan.

"Carefree sekarang dalam proses menerbitkan album dan jika tiada apa-apa halangan, album kami ini akan bertemu peminat pada suku pertama tahun 2012.

Buat pada masa ini kami sedang giat berlatih bagi memantapkan lagi persembahan Carefree," cerita Hadi lebih lanjut.

Dalam pada itu, mengulas tentang perkembangan Carefree selepas berpecah, katanya mereka masih lagu wujud dan aktif membuat persembahan di majlis-majlis korporat.

"Carefree tidak pernah hilang, cuma Carefree tidak muncul d kaca TV dan juga persembahan awam. Carefree banyak menerima undangan majlis-majlis khas dan korporat.

"Dalam pada itu, kami banyak menerima cadangan daripada peminat yang mengesyorkan kami membuat kemunculan kembali. Kami rasa inilah satu hadiah yang tak sebeberapa daripada kami buat peminat," katanya.

Berbalik pada proses pertemuan semula dengan peminat mereka, balas anggota kumpulan itu ketika ditanya mengenai perancangan membuat konsert, ia adalah satu impian dari dulu.

"Memang ia satu impian Carefree untuk mengadakan konsert khas. Kami rasa konsert adalah satu-satunya cara yang terbaik untuk mengumumkan kemunculan semula Carefree.

"Ianya akan mendekatkan kami dengan peminat dan pemangkin kemunculan semula Carefree! Tapi kita semua tahu bahawa bagi mengada konsert-konsert ianya akan melibatkan satu produksi yang besar.

"Carefree cuma boleh berharap agar ada badan-badan atau agensi korporat yang sudi bekerjasama dengan Carefree untuk merealisasikan impian ini," getusnya yang tidak menolak sekiranya ada penyanyi tempatan ingin berkolaborasi dengan Carefree.

Carefree pernah popular menerusi lagu-lagu Aku Terpesona, Hanya Kita Berdua, Rayuan Kasih, Ke Disko, Joget Mak Enon, Tiada Lagi Air Mata, Joget Teruna Dara, Baju Hijau, Esok Masih Ada, Menyesal Tak Berguna dan Joget Anak Gembala.

Jemaah haji mula berhimpun di Arafah

Posted: 04 Nov 2011 07:34 PM PDT

SEBAHAGIAN jemaah melawat Jabal Nur yang menempatkan Gua Hira' dekat Mekah kelmarin.


MEKAH - Lebih 2.5 juta jemaah haji meninggalkan bandar ini untuk ke Padang Arafah yang merupakan lokasi tempat Nabi Muhammad S.A.W menyampaikan khutbah haji terakhir.

Para jemaah itu yang berpakaian serba putih memenuhi jalan-jalan untuk menuju ke Mina, lima kilometer dari Masjidilharam.

Ramai jemaah menaiki bas manakala yang lain berjalan kaki.

Sebahagian jemaah lagi menaiki sistem pengangkutan tren yang dienali sebagai Mashair Railway ke Padang Arafah.

Perkhidmatan tren itu akan beroperasi buat kali pertama pada tahun ini dengan kapasiti 72,000 jemaah setiap jam.

"Perkhidmatan Mashair Railway akan mengangkut 500,000 jemaah dari Mina melepasi Muzdalifah, tiba di Arafah dengan tambahan sejuta jemaah pada hari kemuncak iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah," kata pengarah prohek tren tersebut, Fahd Abu-Tarbush.

Dapat RM311,400 selepas 520 hari dikurung

Posted: 04 Nov 2011 07:32 PM PDT


ENAM kru antarabangsa bergambar selepas mereka keluar dari sebuah kapsul di sebuah pusat penyelidikan angkasa lepas di Moscow semalam.


MOSCOW - Sekumpulan kru penyelidik antarabangsa akhirnya keluar dari sebuah kapsul selepas 520 hari dikurung di sebuah pusat penyelidikan angkasa lepas di sini.

Semua kru lelaki itu yang terdiri daripada tiga rakyat Rusia, seorang lelaki Perancis, seorang warga Itali dan China telah tinggal dalam kurungan tersebut sejak Jun 2010.

Mereka dikurung untuk menjalani suasana dikurung, tekanan dan kepenatan dalam satu eksperimen perjalanan jauh ke planet Marikh.

Kru itu berkomunikasi dengan pihak penganjur dan keluarga masing-masing menerusi Internet yang sengaja diganggu untuk menggambarkan suasana sebenar di angkasa lepas.

Mereka makan makanan bertin sama seperti yang terdapat di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa.

Pihak penganjur menyatakan, setiap kru sukarela itu akan dibayar kira-kira AS$100,000 (RM311,400).

"Kru-kru antarabangsa sudah menamatkan misi 520 hari," kata Komander Alexei Sityov salah seorang penyelidik yang terlibat dalam eksperimen tersebut kepada bos agensi angkasa lepas Rusia selepas dia keluar dari kapsul itu.


GAMBAR bertarikh 24 Julai lalu menunjukkan beberapa kru bersantai dalam kapsul di sebuah pusat penyelidikan angkasa lepas di Moscow.


"Program itu telah dilakukan sepenuhnya. Semua kru berada dalam keadaan kesihatan yang baik. Kami bersedia utnuk menjalani ujian yang seterusnya," tambahnya.

Kru Itali, Diego Urbina yang menggenggam tangannya dengan gembira semasa keluar dari kapsul itu menyatakan ia seperti satu bentuk penghormatan buatnya untuk terlibat dalam program berkenaan.

Penyelidik dari China, Wang Yue berkata "Selepas 520 hari, kami akhirnya kembali."

Kru dari China, Itali, Perancis dan tiga Rusia itu diberikan bunga oleh seorang penyelidik wanita sebagai hadiah kerana usaha mereka.

Namun, mereka kemudian dibawa oleh para penyelidik untuk menjalani ujian perubatan selama beberapa hari.

Kru-kru itu akan hadir pada satu sidang akhbar pada Selasa depan.

Lelaki tikam bapa aktres Glee serah diri

Posted: 04 Nov 2011 07:31 PM PDT


ANGEL CAPILI JR. (tengah) dikawal oleh dua anggota polis di ibu pejabat polis di Camp Crame, bandar Quezon, Manila kelmarin.


MANILA - Suspek dalam kes menikam mati bapa kepada penyanyi Charice Pempengco yang popular menerusi siri muzikal televisyen, Glee menyerah diri kelmarin.

Angel Capili Jr. turut mengaku bertanggungjawab melakukan jenayah terbabit.

Ketua polis wilayah Laguna, Gilbert Cruz berkata, Capili menyerah diri kepada ketua kampungnya di kawasan perbandaran General Trias, dekat wilayah Laguna di selatan ibu kota Filipina di sini.

Polis berkata, bapa Charice yang bekerja sebagai buruh binaan, Ricky Pempengco, 40, ditikam seorang lelaki mabuk bersenjatakan alat pemecah ais selepas dia membeli rokok di sebuah kedai pada Isnin lalu.

Cruz berkata, Capili juga seorang pekerja binaan tetapi tidak mengenali Pempengco.

"Saya merancang untuk menyerah diri kerana apa yang saya lakukan adalah silap," kata Capili kepada wartawan.

"Saya memohon kemaafan daripada keluarga Pempengco. Saya juga bersedia menerima apa jua hukuman kerana perbuatan saya ini," tambahnya.

Dalam pada itu, Charice membatalkan konsertnya yang akan datang dan meminta keadilan buat bapanya.

Remaja berkenaan melakonkan watak pelajar pertukaran antarabangsa, Sunshine Corazon dalam siri Glee.

Bakar diri tanda protes

Posted: 04 Nov 2011 07:31 PM PDT


API pada seluar seorang pemuda Tibet cuba dipadamkan oleh beberapa anggota polis di depan Kedutaan China di New Delhi semalam.


NEW DELHI - Seorang pemuda Tibet membakar dirinya di luar Kedutaan China di sini sebelum perbuatan tersebut dihalang oleh polis India, kata beberapa saksi.

Pemuda berkenaan yang turun dari sebuah kenderaan awam bertindak mencurahkan minyak tanah ke seluruh tubuhnya dan menyalakan api pada tubuhnya yang berpakaian sebelum beberapa anggota polis bergegas memadamkan api yang sedang marak.

Seorang wartawan agensi berita AFP yang berada di lokasi kejadian berkata, seluar panjang dan seluruh pinggang pemuda berkenaan dijilat api sebelum api dapat dipadamkan.

Dia yang cedera ringan akibat melecur pada kedua-dua kakinya kemudian dibawa keluar dari tempat kejadian dengan menaiki kenderaan polis.

Tindakan nekad tersebut dilakukan kerana memprotes campur tangan pemerintahan China di wilayah Tibet.

Kedai roti dibuka 1992, kini peroleh RM43 juta setahun

Posted: 04 Nov 2011 07:30 PM PDT


SEORANG pekerja menolak satu troli yang dipenuhi dengan roti di kedai Lipot Bakery,Budapet kelmarin.


BUDAPEST, Hungary - Sebuah kedai roti, Lipoti Bakery yang bermula sebagai satu perniagaan kecil usaha sama keluarga pada 1992 di Lipot, barat Hungary kini memiliki lebih 100 buah cawangan di negara ini dan Slovakia di Eropah.

Ia menggaji lebih 750 pekerja dan memperoleh perolehan kira-kira 10 juta euro (RM43 juta) setahun.

Pada tahun ini, kedai tersebut disenaraipendek sebagai antara sepuluh usaha niaga yang terbaik di Eropah oleh Anugerah Perniagaan Eropah.

Ikan paus 16 meter ditemui mati

Posted: 04 Nov 2011 07:30 PM PDT


BEBERAPA orang melihat seekor ikan paus yang mati terdampar di pantai Maule, Chile kelmarin.


SANTIAGO, Chile - Bangkai seekor ikan paus sepanjang 16 meter ditemui terdampar di pantai Maule, 550 kilometer ke barat daya Santiago kelmarin.

Menurut laporan media, punca kematian ikan paus itu masih belum diketahui.

Ikan paus itu ditemui mati di sebuah kawasan yang digunakan haiwan berkenaan untuk membesarkan anak-anak ikan tersebut.

Keinsafan Abdul Hakim, Adiba

Posted: 04 Nov 2011 07:28 PM PDT



DESIR angin di padang kota suci Mekah seolah-olah masih dapat dirasai oleh Abdul Hakim Abd. Hamid sehingga kini. Bagaikan berpuitis, Abdul Hakim berkata: "Atas restu Allah, pada usia 15 tahun, Dia telah menyuluh sinar dalam hidup saya dengan menjemput saya menunaikan haji."

Kesyukuran itu ujarnya, tidak dapat terlukis dengan kata-kata. Kini, dia bergelar Haji Abdul Hakim.

Akui remaja yang tinggi lampai sosok tubuh itu lagi, pemergiannya bersama ibu bapa dan tiga beradik yang lain ke rumah suci Allah pada tiga tahun lalu juga bagaikan satu mimpi indah yang tidak pernah usai.

Dendangan ayat-ayat suci Al-Quran yang sentiasa bergema tanpa henti di setiap penjuru, seolah-olah memberi mesej keinsafan kepada seluruh umat Islam di sana.

Berada selama lebih sebulan di Tanah Suci, Abdul Hakim yang kini berumur 17 tahun memberitahu, menjadi tetamu Allah, bagaikan satu anugerah terhebat dalam jurnal peribadinya.

Bertandang ke rumah Allah itu juga, kata remaja itu telah menghimpunkan satu transisi akhlak yang telah mengubah keseluruhan hidupnya.

"Benar, keperibadian dan karakter saya telah berubah sama sekali. Saya juga semakin sayang kepada keluarga dan seboleh-bolehnya ingin menjadi anak yang sentiasa taat kepada ibu bapa," katanya yang mempelajari cara menunaikan ibadat haji melalui VCD dan beberapa buah buku rujukan.

Haji cilik itu juga berterus-terang. Jika dulu perasaan amarah sering mencengkam diri, kini dia lebih tenang dan bertanggungjawab.

Sebelum menjejakkan kaki ke kota suci Mekah, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Indah, Seri Kembangan Selangor itu memberitahu, ibunya, Mazidah Mohd. Ghazali, 53, banyak menitipkan pesanan.

Antara yang kerap diingatkan ialah jangan cakap besar dan menjaga mulut ketika berada di Tanah Suci.

Ya, segala aral semestinya mahu disisihkan, namun sesungguhnya, kuasa Allah itu memang tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia.

"Benar apa yang diceritakan oleh ibu, saya lupa apa yang berlaku kepada saya selama dua hari, sebenarnya saya sendiri tak sedar apa yang berlaku," imbas Abdul Hakim mengulangi penceritaan ibunya kepada penulis.

Meremang bulu roma tatkala mendengarkan kisahnya. Apakah sebenarnya yang berlaku kepada remaja itu? Seperti yang diceritakan oleh Mazidah, sewaktu mereka sekeluarga sedang menikmati makan malam di bilik Hotel Al-Firdaus, abangnya mengusik Abdul Hakim.


IBADAH haji ialah syariat yang dibawa oleh junjungan Nabi Muhammad s.a.w sebagai membaharui dan menyambung ajaran Nabi Allah Ibrahim a.s.


Disebabkan tidak tahan dengan usikan tersebut, Abdul Hakim beredar dari meja makan. Namun, secara tidak sengaja, anaknya itu telah melanggar kaki Mazidah. Secara spontan, Mazidah merengus.

Tidak semena-mena, Abdul Hakim jatuh sakit pada hari esoknya.

"Saya panggil dia untuk bersolat, dia bangun tapi dia bersolat dengan kadar yang sangat cepat. Adakalanya, matanya ke atas, itu memang menakutkan.

"Justeru, saya putuskan untuk bertanya mereka yang arif. Mendengarkan nasihat mereka, saya melurut badan Abdul Hakim dan berbisik dalam hati bahawa saya ampunkan segala dosa-dosanya," cerita Mazidah. Abdul Hakim yang duduk berhampiran mengamati setiap kata-kata yang terpacul dari mulut ibunya.

Pengajaran

Tatkala memohon kepastian kepada empunya diri, remaja yang bakal menduduk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Tuhan bayar tunai kepada saya, ia mungkin disebabkan saya sangat marah dan dendam itu saya simpan dalam hati, saya juga telah menyakiti ibu.

Namun, saya menganggap kejadian yang menimpa adalah satu pengajaran," kata Abdul Hakim menyesali perbuatannya.

Haji cilik itu diuji sekali lagi. Imbau remaja berkaca mata itu, pada hari-hari berikutnya terdetik di benaknya tidakkah ada haiwan-haiwan seperti anjing atau kucing di Mekah atau Madinah?

Tidak sampai beberapa ketika, Abdul Hakim terjumpa bangkai anjing dan paling menakjubkan, hanya dia sahaja yang dapat melihatnya sedangkan jemaah lain menafikan kewujudan haiwan itu.

Insiden itu sungguh menyentak dirinya. Rengsa di jiwa tidak dapat ditepis namun jauh di sudut hati, Abdul Hakim dapat merasakan kebesaran Allah Yang Maha Agung.

Meskipun dianggap masih mentah, pelajar itu memberitahu, mengerjakan ibadat haji dan mengunjungi Baitullah sesuatu yang sangat indah.

"Susah saya nak katakan, tapi di sana kita menemui ketenangan sejati. Alhamdullillah, semua rukun haji seperti wukuf, tawaf dan saie dapat dilakukan meskipun saya masih memegang buku untuk menghafal ayat-ayat tertentu.

"Seperkara lagi, jemaah haji yang datang dari seluruh pelosok dunia baik-baik belaka, mereka peluk dan cium kita tanda mereka menghargai kehadiran insan cilik seperti saya," katanya.


ADIBA dan Abdul Hakim melihat gambar kenangan sewaktu menunaikan ibadah haji dua tahun lalu.


Turut serta bersama Abdul Hakim ke Tanah Suci ialah adik bongsunya, Adiba yang kini sudah berusia 11 tahun.

Adiba yang petah berbicara ditanya sejauh manakah pemahamanannya berhubung ibadat haji lantaran ketika itu dia berumur lapan tahun.

Kisah kucing

"Pada masa itu, saya hanya tahu pergi haji dapat pahala dan akan dapat ganjaran yang lebih. Tapi sekarang betapa bertuahnya saya dapat ke sana kerana ia adalah satu kewajipan kepada setiap mukalaf, terima kasih kepada ibu dan bapa saya kerana memberi peluang terhebat ini."

Bagaimanakah Adiba menyempurnakan ibadah di tengah-tengah lautan manusia?

Ujar Adiba yang penuh sopan dan santun itu: "Saya sentiasa pegang tangan ibu dan ayah ke mana saja, walaupun bersesak-sesak, saya berjaya lakukan semua."

Di sana, gadis itu dijamu dengan pemandangan yang unik belaka. Irisnya pernah melihat beberapa jemaah haji yang bersembahyang dengan mendukung anak.

Sambung Adiba, di kota suci itu juga dia mempelajari sesuatu yang sangat berharga. Paling terkesan di sanubarinya ialah melihat umat Islam melakukan solat di mana-mana sahaja waima di tepi atau di tengah jalan.

"Semasa waktu solat Zuhur, orang bersolat dari luar masjid hingga ke kaki lima hotel penginapan kami, meskipun berhimpit-himpit, saya tak terasa panas pun," ujar pelajar Sekolah Kebangsaan Sri Serdang itu.

Kata Adiba, dia sangat menyukai kucing. Ketika berada di Tanah Suci, pernah terlintas di benaknya tentang haiwan kesayangannya itu, pada masa yang sama tersingkap satu kisah yang tidak terduga olehnya.

"Semasa saya bersama ahli keluarga lain berada di Masjidil Haram, tiba-tiba saya ternampak kelibat kucing, saya maklumkan pada ibu tapi ibu kata dia tak nampak apa-apa pun," ujarnya yang terpegun seketika.

Kanak-kanak ini memberitahu, tidak ramai dalam kalangan rakan sebayanya berpeluang ke Tanah Suci. Keadaan itu menjadikankan antara tetamu istimewa dalam kalangan jemaah haji dari negara-negara lain.

"Orang Arab suka usap kepala saya dan jemaah haji yang lain banyak yang menghadiahkan gelang dan menyarungnya ke tangan saya," katanya yang kini bergelar Hajah Adiba.

Di Masjidil Haram juga, gadis comel itu memberitahu, dia terpaku apabila air zam-zam terdapat di setiap sudut.

"Air zam-zam di sana sangat manis, rasanya tidak seperti di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Mazidah memberitahu, keluarganya memang berhasrat membawa kesemua anak-anaknya menunaikan haji. Pada asalnya, kata bekas kakitangan awam itu, dia agak ragu-ragu untuk membawa Adiba dan Abdul Hakim ke sana kerana umur yang masih muda.

"Namun, saya berserah saja kepada Allah, kami membawa dia pergi kursus bersama-sama. Alhamdullillah, kami anak beranak menempuh laluan yang mudah ke sana," katanya penuh kesyukuran.

Umrah pilihan untuk si kecil

Posted: 04 Nov 2011 07:26 PM PDT


SEBAIKNYA keutamaan diberi kepada warga emas untuk menunaikan ibadat haji berbanding kanak-kanak.


MENGAMBIL kira permintaan yang tinggi dalam kalangan warga emas untuk menunaikan haji, Lembaga Tabung Haji (TH) memutuskan untuk tidak lagi membenarkan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun turut serta untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Jurucakap TH ketika dihubungi Kosmo! memberitahu : "Prosedur baharu Tabung Haji menetapkan bahawa kanak-kanak yang berumur bawah 15 tahun ke bawah atau belum akil baligh tidak dibenarkan menunaikan haji.

"Hal ini dilakukan demi memberi peluang kepada warga emas yang kebanyakan sudah sekian lama menyimpan impian ke Tanah Suci Mekah.

"Berilah mereka ruang terlebih dulu, ada ramai lagi orang yang berumur hendak ke sana, lagipun kanak-kanak ada banyak masa lagi untuk ke rumah Allah itu."

Keputusan itu kata jurucakap itu mula dilaksanakan sejak tahun lalu.

Mengulas isu yang sama, pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah turut menyokong perubahan yang dilakukan oleh TH.

Beliau berhujah: "Kanak-kanak yang berumur bawah 15 tahun atau belum baligh tak patut tunai haji. Golongan itu harus memberi laluan kepada warga emas yang berkemampuan pergi terlebih dulu.

"Warga emas ini seperti yang kita tahu sering berdepan dengan masalah kesihatan, jika dilewat-lewatkan pemergian mereka, takut-takut akan cacatkan perjalanan mereka ke sana.

"Berilah kepada mereka yang berhak walaupun pada dasarnya golongan kanak-kanak berhajat."

Beliau juga gusar, umur yang masih mentah akan membuatkan kanak-kanak ini tidak dapat menjiwai sepenuhnya nilai haji itu sendiri.

Ibadah haji katanya, bukan sahaja menuntut persediaan material dan spritual, malah aspek fizikal juga perlu ditekankan. Justeru, setiap bakal jemaah haruslah memastikan diri mereka telah bersedia sepenuhnya untuk menunaikannya.

Mengulas isu kanak-kanak yang pernah menunaikan haji ke Baitullah, Mohd. Daud yang merupakan Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours, menyifatkan mereka adalah kelompok paling bertuah.

Haji jemputan

Mereka ini katanya, digelar sebagai haji jemputan. Namun, pada masa yang sama, kanak-kanak ini layak digelar haji dan hajah.

"Pendedahan awal ini boleh dijadikan sebagai satu pengalaman berharga dan motivasi kepada mereka untuk menunaikan rukun Islam itu sekali lagi nanti," jelasnya ketika dihubungi di Madinah baru-baru ini.


PARA jemaah haji yang tiba ke Tanah Suci dengan penerbangan awal mulai menziarahi Jabal Al-Rahmah di Arafah bagi mengisi masa sementara menunggu hari wukuf.


Tambah Mohd. Daud, kepada yang pernah menunaikan haji semasa kecil, mereka diwajibkan untuk pergi sekali lagi ke Baitullah setelah dewasa.

"Mereka yang pernah menunaikan haji ketika belum baligh wajib tunaikan haji sekali lagi jika ada kemampuan dan sihat tubuh badan," katanya.

Soal haji mabrur, ujar Mohd. Daud adalah pertimbangan Yang Maha Esa.

"Kita lihat kalau pelajar-pelajar tahfiz ke sana, mereka beribadat dan menghayatinya, mereka menganggap pemergian mereka adalah berkaitan dengan ukhrawi bukan duniawi lagi, maka insya-Allah ada pancaran mabrur," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Daud menyarankan ibu bapa yang berhasrat membawa anak mereka menunaikan haji bersama supaya menunaikan umrah terlebih dulu.

"Umrah tiada batasan umur, jadi apa kata pergi menunaikan umrah," ujarnya yang berkampung di Mekah dan Madinah selama lebih 40 hari pada musim haji kali ini.

Kuota jemaah

Pada tahun ini, rezeki menyebelahi jemaah negara ini. Malaysia memperoleh tambahan kuota jemaah sebanyak 2,000 daripada kerajaan Arab Saudi untuk membolehkan 28,000 jemaah negara ini menunaikan haji di tanah suci.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pertambahan kuota itu diberi berikutan populasi penduduk Malaysia yang kini mencapai 28 juta orang.

"Tambahan itu telah memberi kelegaan kepada ramai jemaah haji yang sebelum ini diletakkan dalam senarai menunggu sehingga memakan masa bertahun-tahun," katanya

Bagaimanapun, kadar untuk mengerjakan haji kekal pada harga RM9,980 seorang.

Beliau juga memberitahu, kerajaan Arab Saudi menyediakan kawasan penempatan jemaah haji yang lebih luas.

"Lebih banyak hotel empat dan lima bintang berdekatan Masjidil Haram dibina untuk menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah bagi memberi keselesaan kepada mereka untuk menunaikan rukun kelima itu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu