Khamis, 3 November 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Ustazah Pilihan cerna idea baru

Posted: 03 Nov 2011 08:41 PM PDT


Peserta Ustazah Pilihan yang masih tinggal selepas lima minggu dalam pertandingan. (Dari kiri) Siti Fatimah Mad Yatim, Firuz Akhtar Mohamad Bohari, Siti Fatimah Mohd. Sharif, Nina Syazmeen Mohd. Din, Nurul Hidayah Kamarudin dan Masfira Hilman.


PROGRAM realiti terbaru Astro Oasis (saluran 106,Astro) Ustazah Pilihan telah menyaksikan satu kejutan apabila dua peserta tersingkir pada minggu kelima.

Mereka yang tersingkir ialah Maryanti Ramle (Yanti) dan Nur Aqidah Mawardi (Aqidah).

Enam peserta yang masih meneruskan perjalanan mereka ialah Siti Fatimah Mad Yatim (Fatimah), Firuz Akhtar Mohamad Bohari (Firuz), Siti Fatimah Mohd Sharif (Siti), Nina Syazmeen Mohd. Din (Nina), Nurul Hidayah Kamarudin (Hidaya) dan Masfira Hilman (Fira).

Tugasan peserta untuk minggu kelima memerlukan mereka mengutip derma untuk disalurkan kepada mangsa kebuluran di Somalia dengan tema Sinar Harapan.

Tugasan yang mencabar ini menyaksikan mereka bekerjasama dengan Kempen Somalia anjuran Islamic Relief Malaysia sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sering terlibat dengan kerja-kerja bantuan kemanusiaan.

Menurut pengetua atau dipanggil Mudirah dalam program tersebut, Dr. Robiah K. Hamzah, program ini adalah suatu usaha yang cukup baik dan murni daripada pihak Astro dalam melahirkan pendakwah generasi baru.

"Ia adalah suatu pencernaan dan idea yang sangat diperlukan dalam dunia masa kini yang semakin mencabar.

"Ustazah Pilihan bukan suatu program realiti kosong tetapi bertujuan menyuntik satu gelombang baru di mana usaha membantu golongan muda dilakukan oleh rakan sebaya," katanya yang ditemui pada sesi rakaman program tersebut di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau menambah, program seperti ini pastinya memberi kesan kepada masyarakat kerana mereka yang menonton adalah atas kerelaan dan bukannya paksaan.

"Penonton dapat menerima ilmu dan manfaat dalam kaedah yang sangat santai serta menghiburkan.

"Walaupun isu yang diutarakan berat tetapi medium yang digunakan ringan dan ini membolehkan masyarakat menerimanya dengan baik," katanya.

Sementara itu, salah seorang tenaga pengajar Ustazah Pilihan, Dr. Muhaya Hamad berkata, program itu merupakan satu transformasi yang dilalui oleh para peserta dalam usaha melahirkan seorang muslimah sejati.

Beliau yang dikenali melalui rancangan Mata ke Hati memberitahu, Ustazah Pilihan sebenarnya menukar pandangan masyarakat yang agak skeptikal terhadap kehadiran ustazah dalam mengembangkan ilmu agama.

"Ini bukan satu program yang remeh. Ia berbentuk motivasi selain menyuntik inspirasi kepada golongan muda yang menonton program ini.

"Program ini juga bertujuan sebagai 'kacamata' kepada masyarakat dalam merawat 'rabun' akhirat," tambahnya.

Ustazah Zawiah Hassan pula berpendapat, setiap peserta mempunyai potensi dan mampu menjadi ikon kepada generasi muda.

"Kesemua peserta yang menyertai Ustazah Pilihan masih muda dan mereka mudah untuk dilentur ke arah kebaikan.

"Jadi, berdasarkan penelitian dan perbincangan, kesemuanya mempunyai asas yang cukup baik untuk muncul sebagai pendakwah yang berjaya apabila berada di tengah masyarakat," ujarnya.

Ustazah Pilihan ialah program pencarian terbaru Astro Oasis selepas kejayaan program Imam Muda.

Ia bertujuan untuk mengenalpasti muslimah yang akan dibentuk untuk menjadi seorang ikon sejati.

Ikon muslimah yang dimaksudkan dalam konteks program ini merangkumi segala aspek kehidupan; termasuk untuk menjadi seorang pendidik, pembimbing dan juga pemimpin masyarakat.

Setiap minggu, peserta yang berjaya mengelak daripada disingkir, diberi tugasan tertentu dalam kumpulan berdasarkan isu-isu semasa yang releven dan berkait dengan realiti wanita moden.

Se-merah Padi ke teater

Posted: 03 Nov 2011 08:39 PM PDT

Filem Se-Merah Padi arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1956 antara filem yang diperkatakan kerana menonjolkan isu Islam sebagai temanya.

Filem yang menampilkan P. Ramlee, Nordin Ahmad dan Saadiah itu akan dibawa ke pentas teater Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 22 hingga 31 Disember ini. Pasti ia sesuatu yang dinanti-nanti oleh peminat filem-filem klasik.

Fauzi teruja lakon teater purba.

Teater terbitan Keno Production arahan Rosdeen Suboh itu menampilkan Zulhuzaimy Marzuki sebagai Aduka, Fauzi Nawawi (Taruna) dan Jue Aziz (Dara). Turut berlakon Fazlina Ahmad Daud sebagai ibu Dara, Baby Erin sebagai Galak, Azizah Mahzan sebagai emak Aduka dan Datuk Baharuddin Omar sebagai penghulu.

Penerbit Eksekutifnya, Megat Mohd. Noor Salleh (Keno) berusaha mengembalikan Se-Merah Padi ke pentas teater kerana ia sebuah karya hebat P. Ramlee. Sementelah anak kepada Allahyarham Salleh Ghani itu meminati dan mengenali bintang legenda secara peribadi.

"Saya memang meminati filem klasik malah saya pernah berada bersama-sama mereka semasa filem itu dalam pembikinan," kata Keno yang pernah mengangkat karya bapanya, Sri Mersing ke pentas teater tahun lalu.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Juhari Shaarani pula mengalu-alukan pementasan itu kerana belum ada karya P. Ramlee dibawa ke Istana Budaya. Istana Budaya mengalu-alukan sesuatu yang baru.

"Kita pernah pentaskan kisah P. Ramlee serta lagu-lagu P. Ramlee di sini, tapi filem arahannya belum pernah diadaptasikan ke teater, sebab itu kita dengan terbukanya menerima proposal penerbit," kata Juhari.

Sebahagian tenaga kerja Se-Merah Padi.

Fauzi, Fazlina teruja

Fazlina warisi bakat lakonan Saadiah.

Pelakon Fauzi Nawawi dan Fazlina Ahmad Daud ada sebab tersendiri untuk berasa teruja dengan penglibatan mereka dalam teater ini.

Fazlina adalah anak kepada heroin asalnya Seniwati Saadiah. Walaupun dia tidak berlakon sebagai Dara, namun melibatkan diri dalam pementasan yang diangkat daripada filem lakonan arwah ibu sangat membuat dia teruja.

"Saya sangat teruja sebab menjadi sebahagian daripada tenaga dalam pementasan Se-Merah Padi," kata Fazlina.

Fauzi pula sudah lama tidak berlakon genre purba sedangkan dia dikenali menerusi drama berkonsep sedemikian. Sebab itu dia mudah menerima tawaran tanpa memikirkan berapakah bayaran yang ditawarkan.

"Bayarannya tidaklah tinggi.. tetapi tidak juga rendah. Saya memang mahukan watak ini dan saya meletakkan soal bayaran ke tepi. Sekarang mana ada drama dan filem purba dihasilkan, di Istana Budayalah tempatnya.

"Lagipun saya memang mempunyai kelebihan bersilat. Satu lagi yang membuat saya teruja ialah membawakan watak Nordin Ahmad kerana dialah idola saya sebagai pelakon," kata Fauzi pula.

Walaupun Nordin ialah idolanya, tapi dalam membantuk lakonan, dia akan tampil dengan cara tersendiri dan tidak mahu terikut sangat gaya lakonan Nordin.

Tiket menonton teater yang dinaungi KDYMM Tuanku Sultan Pahang itu dijual dengan harga RM30, RM50, RM80, RM150 dan RM200. Untuk tempahan tiket boleh ke Box Office Istana Budaya atau menghubungi talian 03-40265558.

Tempahan secara dalam talian boleh dibuat di www.ticket2u.biz. Untuk keterangan lanjut boleh hubungi 03-41478600.

Se-Merah Padi juga menjadi pementasan terakhir di Istana Budaya untuk tahun 2011.

Takbir raya bawa Dizzy kepada Islam

Posted: 03 Nov 2011 08:38 PM PDT


Muhammad Adam Muhibullah Abdullah (barisan depan kiri) aktif bernasyid sebagai vokalis kumpulan Soutul Solihin IDIP semasa persembahan di Pengkalan Chepa, Kelantan baru-baru ini.


SOSOK tubuhnya yang rendah dan wajah putih berseri membuat tiada siapa menyangka hatinya pernah mempunyai niat kurang baik semasa bersahabat dengan rakan-rakan sekolahnya yang beragama Islam.

Bekas pelatih mubaligh Kristian, Dizzy Reo Sidul atau nama Islamnya, Muhammad Adam Muhibullah Abdullah, 19, sanggup menghabiskan masa bersahabat dengan penganut Islam bagi mencari 'kelemahan' agama suci ini.

Tidak pernah terlintas akan terpikat dengan agama Islam, Muhammad Adam tidak gusar mendekati sahabatnya. Ia berikutan reputasinya sebagai pendebat sekolah memudahkan dia mematahkan hujah sesiapa sahaja yang cuba membangkitkan kehebatan Islam.

Tambahan lagi, rakan-rakannya seperti kebanyakan generasi muda Islam hari ini, walaupun berperangai baik tetapi kurang ilmu berkaitan Islam hingga menyebabkan mereka 'takut' dan mengenepikan hasrat berbicara isu itu apabila bersamanya.

"Saya anti-Islam, bagi saya Islam agama yang sia-sia, yang mengajar umatnya menyembah 'kotak hitam' dan 'dinding' serta menyusahkan orang lain apabila mereka membuat bising melaungkan azan dengan pembesar suara.

"Ramai orang Islam berperangai buruk dan tidak boleh diharap untuk membantu golongan mereka sendiri berbanding Kristian yang sanggup mencari orang susah sehingga ke dalam kampung jauh di pedalaman.

"Namun seorang sahabat saya yang sentiasa terpaksa mengalah apabila berdebat dengan saya mengenai Islam jugalah yang membawa saya mengucap kalimah syahadah di hadapan seorang ustaz," katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Muhammad Adam yang lebih 11 tahun tidak pulang ke Sabah kini sedang mengikuti kursus Sijil Pengajian Islam semester satu di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Pengkalan Chepa, Kelantan dengan pembiayaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Anak muda berketurunan Kadazan-Dusun itu dibesarkan oleh datuk dan neneknya di Kampung Kaung, Kota Belud, Sabah. Setelah mereka meninggal dunia, dia kemudiannya dibawa ke Semenanjung dan tinggal dengan bapa dan ibu tirinya di Pulau Pinang sepanjang pengajian di sekolah rendah.

Apabila bapa tirinya mengalami masalah dalam perkahwinan, seorang saudara mengambilnya tinggal bersama di Klang, Selangor.

Namun beberapa tahun selepas itu, dia mula hidup berpindah randah dari sebuah rumah rakan ke rumah rakan yang lain yang simpati setelah berlaku selisih faham dengan warisnya itu.

Meskipun begitu, Muhammad Adam tidak pula melupakan kewajipannya sebagai seorang Kristian yang komited dengan agama dan sentiasa memastikan langkahnya ke gereja setiap hujung minggu tidak terganggu.

"Saya amat minat berdebat dan menjadi wakil sekolah. Tetapi jika cikgu terpaksa adakan latihan pada hari Ahad, saya akan ponteng kerana tidak mahu ketinggalan khutbah yang disampaikan di gereja.

"Saya sudah menghafal hampir separuh Bible dalam Bahasa Melayu dan sentiasa menyertai gerakan mubaligh masuk ke kampung Orang Asli khususnya di Perak apabila musim cuti sekolah sejak dari tingkatan dua," katanya.

Bagaimanapun, sebagai seorang pendebat yang cenderung kepada hujah dan bukti yang tepat, Muhammad Adam memberitahu, dia sebenarnya sudah lama nampak beberapa perkara yang tidak munasabah dalam agama asal yang dianutinya.

"Saya pelik kenapa Bible boleh dinukilkan dalam banyak bahasa seluruh dunia, sebutlah apa sahaja bahasa, Cina, Melayu, Inggeris semuanya ada. Pilih saja yang mana kita mahu, jadi bagaimana hendak memastikan tidak berlaku percanggahan dalam makna sebenar yang ingin disampaikan sementelah lagi perkara yang diwahyukan sejak ribuan tahun?

Bercerita mengenai saat dia memeluk Islam, Muhammad Adam memberitahu, detik manis itu bermula di kediaman rakannya, Mohd. Hafify Kamarudin yang merupakan salah seorang teman sekelasnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Unjur, Klang.

Pada tahun 2009, dia dipelawa tinggal di rumah Mohd. Hafify sepanjang bulan Ramadan dan turut sama berpuasa atas dasar menghormati tuan rumah sekeluarga.

Bagaimanapun, takbir raya pada pagi Syawal tahun itu telah merobek hati Muhammad Adam dan membuatkannya menjadi keluh kesah.

"Mohd. Hafify cuba menenangkan dan memberitahu keadaan itu mungkin berlaku kerana alunan takbir di Malaysia yang mendayu-layu. Lantas dia memperdengarkan rakaman takbir orang Arab di laman sosial Youtube tetapi ia membuatkan saya berasa lebih sedih seolah-olah Allah mahu memberitahu saya sesuatu.

"Perasaan ego saya runtuh dengan takbir raya yang saya dengar. Keesokannya, saya memberitahu Mohd. Hafify niat saya untuk menganut Islam. Walaupun dia agak terkejut pada mulanya tetapi dengan gembira membawa saya berjumpa seorang ustaz untuk mengucap syahadah pada pagi raya ketiga.

"Saya senyum meleret sepanjang perjalanan pulang semula ke rumah Mohd. Hafify pagi itu dan berasa sangat bertuah kerana Allah memberi saya hidayah-Nya," katanya.

Pada Majlis Graduasi ke-21 IDIP baru-baru ini, Muhammad Adam diisytihar pelajar terbaik Sijil Asas Pengajian Islam dengan mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.89 yang tertinggi di kalangan 40 rakan seangkatannya.

"Saya bersyukur dengan hidayah yang Allah beri tanpa paksaan sesiapa, saya mahu meneruskan pengajian sehingga ke peringkat lebih tinggi dan bercita-cita menjadi seorang pakar motivasi Islam," katanya yang sudah menghafal kebanyakan surah dalam juzuk Amma.

Sejarah dan seni hiasan kiswah

Posted: 03 Nov 2011 08:37 PM PDT


Langsir pintu Kaabah teknik tenunan dan sulaman Mekah 1964 Masihi/1384 Hijrah


SESUNGGUHNYA rumah yang mula-mula dibangun (tempat beribadat) manusia, ialah Baitullah yang di Bakkah (Mekah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia. Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata (di antaranya ) Maqam Ibrahim; barang siapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah; barang siapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu dari alam semesta. (ali-'Imran: 96-97)

Kaabah adalah binaan berbentuk kiub yang terletak di tengah-tengah Masjidil Haram. Ia merupakan tempat beribadat manusia yang dibina oleh Nabi Allah Ibrahim.

Kaabah juga dikenali dengan nama lain seperti Al Bait Al Ateeq (Rumah Lama) dan Bait Al Haram (Rumah Suci). Umat Islam mengunjungi Kaabah bagi mengerjakan haji dan umrah.

Selain daripada bentuk Kaabah, satu lagi ciri tersendiri Kaabah adalah kain hitam yang menyelubungi binaan ini. Ia diberi nama kiswah. Kiswah terdiri daripada beberapa panel kain yang besar seperti panel kain hitam yang ditenun dengan kalimah syahadah untuk setiap sisi Kaabah dan panel hitam bersulam teknik kelingkan yang dibuat khas untuk bahagian pintu.

Mengikut sejarah, kain kiswah yang pertama disediakan oleh seorang Raja Yamani pada tahun 400 AD sebelum Islam. Ia diperbuat daripada serat daun palma yang ditenun menjadi kain yang dikenali sebagai Zaaf al Nakheel.

Rekod terawal yang menyebut tentang kain kiswah yang disediakan selepas Islam ialah pada tahun 10 Hijrah dan Rasulullah SAW sendiri yang memasang kain kiswah tersebut di atas Kaabah.

Selepas itu, penghasilan kain kiswah telah dipertanggungjawabkan kepada wilayah Mesir sewaktu pemerintahan Khalifah Umar Al Khattab.

Pada waktu ini kiswah diperbuat daripada sejenis kain tebal yang dikenali dengan nama Gabaati.

Sewaktu di bawah pemerintahan kerajaan Abbasiyah pada abad kelapan Masihi, Khalifah Al-Mahdi pernah memerintahkan supaya lapisan kain kiswah lama yang masih tergantung di Kaabah dibuka kerana dikhuatiri ia akan menyebabkan kerosakan kepada struktur Kaabah.

Daripada segi warna, tiada pengkhususan warna yang ditetapkan bagi kiswah. Pada abad kesembilan Masihi, kiswah diperbuat daripada kain berwarna merah.

Kemudian sewaktu pemerintahan Salah Al Din daripada Kerajaan Ayyubiyah, warna kiswah yang digunakan ialah hijau dan warna yang terakhir iaitu hitam mula digunakan sewaktu pemerintahan Khalifah Nasir dari Kerajaan Abbasiyah.

Kain kiswah hitam ditenun menggunakan benang sutera dan ia mempunyai motif kaligrafi Arab yang mempunyai inskripsi kalimah syahadah. Ayat lain yang digunakan ialah nama Allah dan puji-pujian bagi Allah SWT seperti Ya Hanan, Ya Manan, Subhanallah wa bihamdih dan Allah Jallah.

Di Muzium Kesenian Islam Malaysia terdapat kain sehelai panel kiswah bahagian pintu yang bertarikh tahun 1964. Ia diperbuat daripada kain baldu berwarna hitam dan disulam menggunakan teknik sulaman yang dikenali sebagai kelingkan di Malaysia.

Panel pintu ini menggunakan benang logam yang bersadur emas dan perak bagi menaikkan warna hiasan dan mencantikkan lagi sulaman.

Antara inskripsi yang terdapat di atas panel kiswah pintu Kaabah ini adalah puji-pujian ke atas Allah SWT, beberapa potongan ayat dari beberapa surah al-Qurah seperti surah al-Baqarah, al-Zumar, al-Fath, Ibrahim dan juga maklumat tentang kilang yang menghasilkan kain kiswah pada tahun tersebut.

Larangan bagi daging korban pada bukan Muslim

Posted: 03 Nov 2011 08:36 PM PDT

SAYA tertarik dengan perbincangan ustaz berkenaan korban dan akikah minggu lalu. Bagaimanapun, saya masih ada beberapa persoalan dan memohon penjelasan ustaz.

1. Berkenaan daging korban, jika selepas diagih kepada fakir miskin dan juga para petugas masih ada bakinya, bolehkah ia diberi kepada orang bukan Islam?

2. Jika seorang fakir miskin itu menerima daging korban yang dikumpulkan agak banyak, contoh 4 @ 5 kilogram, bolehkah dia menjual sebahagian daripada daging itu termasuk kepada orang bukan Islam?

3. Bagaimana pula dengan kulit lembu korban, bolehkah ia dijual kepada pengusaha makanan atau pembuat kompang?

JAWAPAN:

Kebanyakan kita faham secara asas bahawa daging korban tidak boleh diberi kepada orang bukan Islam.

Pendirian ini memang berasas, asasnya para alim ulama kita berpandangan dengan pendapat Imam al-Syafie yang tidak membenarkan daging korban diberikan kepada orang bukan Islam, sama ada daging korban sunat mahupun daging korban nazar.

Ini kerana ibadah korban adalah perbuatan taqarrub kepada Allah SWT yang dikategorikan ibadah semata-mata, ibadah ini berkaitan dengan menyembelih binatang ternakan. Orang Islam sahaja yang berhak kepada daging korban tersebut. Serta manfaat daging itu hanya kebali kepada orang Islam sahaja.

Pandangan ini adalah berdasarkan kepada pembahagian daging mentah bukan daging yang sudah dimasak.

Sekiranya kita ingin menjemput jiran atau kenalan kita yang bukan beragama Islam dengan menjamu mereka daging korban, bagi mereka yang bermazhab al-Syafie hendaklah menambahkan daging lain yang dibeli dari pasar sejumlah yang yang mungkin boleh cukup untuk hidangan orang bukan beragama Islam lalu dicampurkan daging yang dibeli di pasar dengan daging korban kemudian dimasak bersama.

Anggaplah apa yang dimakan oleh tetamu kita yang bukan beragama Islam dari daging yang dibeli dari pasar dan bukan daging korban.

Namun persoalan ini pernah saya bincangkan sebelum ini. Demi berlaku adil kepada para Ulama mazhab selain Imam al-Syafie eloklah kita sama-sama perhatikan pandangan mereka dalam masalah ini;

Ulama Malikiyah berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang-orang Yahudi dan Nasara.

Mazhab Hanbali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada orang bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka. (Kasyf al-Qina' 3;19 )

Dinyatakan juga bahawa dalam kitab al-Majmu' disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada golongan fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.

Di dalam kitab al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, karya Imam al-Nawawi, disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulama telah sepakat (ijmak) bahawa daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin orang Islam, namun mereka khilaf tentang memberi makan daging korban kepada golongan fakir miskin kafir ahli zimmah. (al-Majmu' Syarh al-Muhazzab; 8, 404 ).

Imam Hasan al-Basri telah memberi keringanan (rukhsah) memberikan mereka memakannya..

Ibnu Qudamah al-Maqdisiy dan al-Syarbainiy berpendapat, mazhab Maliki menghukumnya dengan makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang beragama Yahudi dan Nasrani.

Memelihara nyawa

Mazhab Hanbali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus. Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah.

Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib. (al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir 2:381).

Ibh Hazmin dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla 7:383 menyatakan tuan punya korban boleh memberinya makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.

Kesimpulan yang boleh dibuat:

lMazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban kepada orang bukan Islam, sama ada daging korban sunat atau wajib (nazar) kepada orang bukan Islam.

lMazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.

lMazhab Hanbali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.

Namun sekiranya keadaan masyarakat yang bukan beragama Islam sangat memerlukan, dalam erti kata kalau tidak dibantu keadaan mereka akan bertambah buruk dan dengan membiarkan mereka dalam keadaan melarat boleh mendatangkan bencana yang lebih buruk, maka dalam keadaan ini pandangan beberapa mazhab seperti pandangan ulama Maliki boleh diamalkan. Ini kerana memelihara nyawa adalah lebih utama dalam hal ini.

Mengenai menjual sebahagian daging korban mahupun kulitnya, di dalam hadis Rasulullah SAW mengarahkan Saidina Ali r.a supaya menguruskan daging korban serta apa-apa yang berkaitan dengan ibadah korban.

Maksud sabda baginda: Dari Ali r.a bahawa Rasulullah SAW memerintahkan agar dia menguruskan budan (unta-unta yang dikorbankan) Beliau, membahagi semuanya, dan jilalnya (kain yang diletakkan dibelakang unta ). Dan dia tidak boleh memberikan sesuatupun (dari korban itu) kepada penyembelihnya. (riwayat Bukhari no. 1717, tambahan dalam riwayat Muslim no. 439/1317).

Dalam riwayat yang lain Saidina Ali r.a memberitahu, yang bermaksud: Rasulullah SAW memerintahkanku agar aku menguruskan unta-unta korban baginda, mensedekahkan dagingnya, kulitnya dan jilalnya (kain yang diletak dibelakang unta ). Dan agar aku tidak memberikan sesuatupun (dari korban itu) kepada tukang sembelihnya. Dan Beliau bersabda: Kami akan memberikan (upah) kepada tukang sembelihnya dari kami. (riwayat Muslim no. 348, 1317)

Hadis ini secara jelas menunjukkan, bahawa Saidina Ali r.a diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk menyedekahkan daging korban, kulitnya, bahkan jilalnya. Dan tidak boleh mengambil sebahagian dari binatang korban itu untuk diberikan kepada tukang sembelihnya sebagai upah, kerana hal ini termasuk jual beli.

Daripada hadis ini banyak ulama mengambil dalil tentang larangan menjual sesuatu dari binatang korban, termasuk menjual kulitnya.

Imam Asy-Syafie r.h berkata: "Jika seseorang telah menetapkan binatang korban, bulunya tidak dicukur. Adapun binatang yang seseorang tidak menetapkannya sebagai korban, dia boleh mencukur bulunya. Binatang korban termasuk nusuk (binatang yang disembelih untuk mendekatkan diri kepada Allah), dibolehkan memakannya, memberikan makan (kepada orang lain) dan menyimpannya.

"Ini semua boleh terhadap seluruh (bahagian) binatang korban, kulitnya dan dagingnya. Aku membenci menjual sesuatu darinya. Menukarkannya merupakan jual beli".

Beliau juga mengatakan: "Aku tidak mengetahui perselisihan di antara manusia tentang ini iaitu: Barang siapa telah menjual sesuatu dari binatang korbannya, baik kulit atau lainnya, dia (wajib) mengembalikan harganya -atau nilai apa yang telah dia jual, jika nilainya lebih banyak dari harganya- untuk apa yang binatang korban dibolehkan untuknya. Sedangkan jika dia mensedekahkannya, (maka) lebih aku sukai, sebagaimana bersedekah dengan daging binatang korban lebih aku sukai".

Perselisihan

Imam Asy-Syafie r.h berkata: "Jika seseorang telah menetapkan binatang korban, bulunya tidak dicukur. Adapun binatang yang seseorang tidak menetapkannya sebagai korban, dia boleh mencukur bulunya. Binatang korban termasuk nusuk (binatang yang disembelih untuk mendekatkan diri kepada Allah), dibolehkan memakannya, memberikan makan (kepada orang lain) dan menyimpannya.

"Ini semua boleh terhadap seluruh (bahagian) binatang korban, kulitnya dan dagingnya. Aku membenci menjual sesuatu darinya. Menukarkannya merupakan jual beli".

Beliau juga mengatakan: "Aku tidak mengetahui perselisihan di antara manusia tentang ini, iaitu perselisihan dalam melarang menjual apa-apa yang berkaitan dengan binatang korban. Imam Syafie berpendapat sesiapa telah menjual sesuatu dari binatang korbannya, baik kulit atau lainnya, dia (wajib) mengembalikan harganya-atau nilai apa yang telah dia jual, jika nilainya lebih banyak dari harganya, untuk apa yang binatang korban dibolehkan untuknya.

Tukang sembelih diberi daging korban seperti orang ramai memperolehinya. Diberi daging korban kepada mereka bukan dengan niat upah sembelih, begitu juga ketika tukang sembelih menerima daging tidak boleh menganggapnya sebagai upah.

Solat jemaah asas kekuatan

Posted: 03 Nov 2011 08:36 PM PDT

SOLAT adalah aspek penting dalam kehidupan seharian kita. Solat ditekankan dalam kehidupan setiap insan yang dilahirkan di dalam Islam mahupun kepada yang baru memeluk Islam.

Solat merupakan tiang kepada agama yang dapat mendisiplinkan umat dan dengan solat juga, ia dapat memelihara jiwa seorang Islam daripada kemaksiatan dan kemungkaran yang saban hari semakin mencabar dalam kehidupan arus kemodenan akhir-akhir ini.

Ia aspek penting dalam membentuk jati diri yang kuat untuk menempuh dugaan seharian yang menjadi permainan dalam kehidupan manusia.

Solat menjadi kekuatan jiwa yang hakiki dalam memainkan peranan yang penting untuk menjaga diri serta mendapat ketaqwaan yang tinggi dengan kekuatan-kekuatan tambahan yang harus difahami oleh setiap insan dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran semasa.

Namun, adakah sekadar cukup dengan mendirikan solat sahaja tanpa mengambil kira perkara yang harus menjadi perhatian untuk solat itu diterima di sisi Allah SWT?

Apakah di antara perkara yang ditekankan di dalam Islam di dalam mendisiplinkan diri untuk bersolat dan kebaikan yang boleh didapati daripada bersolat itu?

Bagaimana pula manfaat yang diperolehi apabila bersembahyang secara berjemaah ataupun berseorangan?

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Solat seseorang dengan berjemaah itu digandakan 25 kali ganda berbanding solat yang dikerjakan di rumah atau di pasar.

Demikian itu, kerana apabila seseorang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian pergi ke masjid dengan tujuan khusus untuk solat, maka setiap kali ia melangkah kaki, diangkat satu darjat dan dihapuskan satu dosa.

Dan bila ia mengerjakan solat, maka malaikat sentiasa memohon rahmat kepadanya selama ia berada di tempat solat selagi ia tidak berhadas (doanya iaitu): Ya Allah, ampunilah ia, ya Allah, kasihanilah ia, Dan (para malaikat sentiasa mendoakannya) selama ia menanti solat. (riwayat Muslim no. 649)

Jelaslah dengan sabda Rasulullah SAW di atas akan kelebihan solat berjemaah berbanding solat bersendirian. Di dalam satu riwayat yang lain daripada Abdullah bin Umar r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya solat berjemaah dua puluh tujuh kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian. (riwayat Muslim no. 1509)

Menyorot sirah Rasulullah SAW, selama 13 tahun baginda di Mekah, solat berjemaah tidak dapat dilaksanakan dengan aman akibat tekanan daripada pihak Quraisy.

Namun, apabila penghijrahan baginda ke Madinah, barulah baginda SAW mendirikan solat jemaah secara terang-terangan dan Baginda melakukannya sehingga ke akhir hayat.

Namun, kebelakangan ini, solat berjemaah seolah-olah terpinggir dan umat Islam kebanyakan yang tidak mengerti kelebihan solat berjemaah ini lebih selesa melakukan solat secara bersendirian.

Terdapat hukum yang menggariskan solat berjemaah itu fardu kifayah selain daripada solat Jumaat yang hukumnya fardu ain bagi setiap lelaki yang mukalaf.

Oleh itu, kefarduan tersebut tidak terlepas daripada penduduk sebuah kampung, kariah atau pekan, melainkan ada penduduk yang mendirikannya dengan jelas.

Sekiranya ia tidak didirikan atau didirikan dalam keadaan bersembunyi, makan seluruh penduduk kampung tersebut berdosa dan pemerintah wajib memerangi mereka. (rujuk kitab Fiqh Mazhab Syafi'i bertajuk Menghuraikan Bab Bersuci dan Solat).

Melihat kepada pentingnya solat berjemaah, banyak buku yang diterbitkan bertujuan memberi kesedaran dan pentingnya solat berjemaah dalam kehidupan seharian umat Islam.

Perbagai kategori telah diklasifikasikan dalam menentukan hukum-hakam solat berjemaah yang bertujuan memberi ilmu pengetahuan dan manfaat kepada umat Islam.

Salah sebuah buku yang menerangkan kepada pentingnya solat berjemaah itu adalah daripada Mohamad Subki Abdul Rahman al- Hafiz yang bertajuk Solat Berjemaah, Asas Kekuatan Peribadi, Masyarakat dan Ummah melalui kata pengantar daripada Tuan Guru Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki.

Buku ini menerangkan solat-solat yang menjadi keutamaan dalam amalan seharian umat Islam.

Turut diterangkan di dalam bab-bab berkaitan antara punca mengapa solat berjemaah itu kurang diamalkan, kaitannya dengan isu semasa, sosial dan sejarah, kelebihan solat berjemaah, ganjaran mendirikan solat berjemaah, kisah kesungguhan Rasulullah SAW dalam mendirikan solat berjemaah, keperihatinan salafussoleh dengan solat berjemaah dan hukum hakam dalam solat berjemaah mengikut pandangan ulama.

Telaga Biru mengambil inisiatif menerbitkan buku ini melalui bimbingan ulama dan mengharapkan agar umat Islam prihatin dan mendapat ilmu secukupnya dalam menyedari pentingnya mendirikan solat berjemaah.

Sembelih unta disebut dalam al-Quran

Posted: 03 Nov 2011 08:35 PM PDT


Unta sukar dibawa masuk hidup-hidup untuk dijadikan haiwan korban kerana kesukaran mendapat dek yang sesuai untuk haiwan itu di dalam kapal.


AYAT di atas jelas menunjukkan bahawa unta atau 'jamal' dalam bahasa Arab adalah antara haiwan yang disebut dalam al-Quran.

Malah dituntut untuk menyembelih unta bagi memenuhi ibadat korban pada hari raya Aidiladha.

"Daging unta pula merupakan sunnah Rasulullah, baginda sangat suka makan daging unta," kata Md. Daud.

Namun disebabkan haiwan itu hanya sesuai hidup di gurun padang pasir, maka ia bukan haiwan pilihan dalam melaksanakan ibadat korban oleh umat Islam di negara ini.

Di Malaysia kerbau, lembu dan kambing merupakan antara haiwan yang sering disembelih untuk tujuan korban.

Apa pun, unta sebagaimana mengorbankan lembu atau kerbau boleh dikongsi tujuh orang atau tujuh bahagian.

Malah ia antara haiwan yang sangat digalakkan untuk tujuan korban.

Berkenaan dengan soal pembahagian dan sedekah daging unta kepada golongan fakir dan miskin juga sama sama sebagaimana kita menyembelih lembu atau kerbau.

Kecuali syarat utama untuk sembelih unta bagi tujuan korban hendaklah pilih unta yang gugur gigi hadapannya.

Ia menandakan haiwan itu telah cukup umur iaitu lima tahun atau masuk tahun keenam.

Selain itu disebabkan leher yang agak panjang, unta disembelih di pangkal leher berhampiran dada dengan memotong halkum dan urat marih.

Walaupun terdapat usaha Barat yang menentang ibadat korban dalam Islam atas pelbagai tuduhan termasuk menyeksa haiwan dan sebagainya, tetapi Md. Daud berharap di saat jemaah di Mekah mengerjakan haji, umat Islam yang lain di seluruh dunia pula mengerjakan ibadat korban.

"Sebabnya, pahala dan ganjaran melakukan korban ini sebagaimana mengalirnya darah dari haiwan yang dikorbankan itu, mengalir tanpa henti untuk kembali ganjaran itu kepada mereka yang melakukan korban itu," jelasnya.

Ia dijelaskan sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya adalah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. (al-Hajj: 37)

Walaupun di Malaysia unta bukannya haiwan ternakan tetapi kebelakangan ini, ia turut menjadi pilihan kepada umat Islam di negara ini menjadikannya sebagai haiwan korban.

Ini menjadikan satu pemandangan yang cukup unik kerana unta bukanlah haiwan yang dipelihara atau dibela di negara ini.

Malah sebelum ini pun tidak ada mana-mana pihak yang melakukan promosi daging unta.

Tidak ada siapa tahu mengenai khasiat dan keenakan dagingnya. Jadi memakan daging unta agak asing kepada masyarakat negara ini.

Namun, apabila ia mula diperkenalkan untuk tujuan korban, masyarakat Islam mula tertarik dan berlumba-lumba membeli dan mengorbankan unta. Pastinya, yang mendapat manfaat daripadanya adalah golongan fakir miskin.

Sebabnya, mereka dapat menikmati daging unta yang merupakan daging yang paling mahal berbanding kambing, lembu dan kerbau.

Di negara ini, Masjid Al Azhariah di Seksyen 18, Shah Alam, Selangor merupakan masjid yang mula-mula membawa masuk unta untuk tujuan ibadat korban pada tahun 2006.

Ia kemudiannya dicontohi oleh masjid dan surau di seluruh negara apabila majlis penyembelihan korban semakin meriah dengan unta-unta untuk dikorbankan.

Di samping itu, wujud banyak syarikat bumiputera lain untuk membawa masuk unta dari Australia apabila permintaan terhadap unta semakin meningkat.

Masjid Negara rai pelajar tahfiz

Posted: 03 Nov 2011 08:35 PM PDT


Para pelajar bergambar dengan Syaikh Ismail Muhammad (tujuh dari kiri) selepas Majlis Ihtifal di Masjid Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: Orang yang membaca al-Quran dan dia mahir dengannya bersama malaikat yang mulia dan orang yang taat. Sesiapa yang membaca al-Quran sedangkan dia tersekat-sekat padanya dan dia begitu susah atasnya maka baginya dua pahala (pahala membaca dan pahala kesusahan). (riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menunjukkan betapa besarnya ganjaran Allah kepada mereka yang berusaha mempelajari al-Quran. Sehinggakan mereka yang berhadapan kesukaran atau merangkak-rangkak membaca al-Quran diberikan dua ganjaran pahala.

Bagi melahirkan generasi yang celik al-Quran, Masjid Negara mengambil inisiatif menganjurkan kelas tahfiz kanak-kanak/remaja sejak beberapa tahun lalu.

Baru-baru ini dianjurkan Majlis Ihtifal 2010 - Penyampaian Sijil Tamat Pengajian Kelas Tahfiz Kanak-Kanak/Remaja bagi Sesi 2010 dan Kelas Pengajian Wanita bagi Sesi 2009/2010 di Dewan Syarahan Utama, Masjid Negara.

Majlis ini diadakan untuk menyampaikan sijil tamat pengajian kepada pelajar-pelajar bagi Kelas Kelas Tahfiz Kanak-Kanak/Remaja dan Kelas Pengajian Wanita di mana peperiksaan akhir bagi Sesi 2009/2010 diadakan pada 12 dan 19 Disember 2010.

Ia dirasmikan oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad. Turut hadir, Penyelaras Program yang juga Penolong Pengarah Kanan Unit Pendidikan, Masjid Negara, Mohammad Zaki Ibrahim.

Antara pengisian Majlis adalah Ceramah Motivasi al-Quran yang disampaikan oleh Shahrul Qarnain Mohd. Nazir dari Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Majlis diserikan lagi dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh Muhammad Danish Iskandar iaitu salah seorang pelajar Kelas Tahfiz al-Quran Masjid Negara bagi Sesi 2011.

Tiga pelajar tahfiz yang tamat pengajian juga memperdengarkan bacaan al-Quran.

Salah seorang daripadanya adalah Tokoh Pelajar Terbaik bagi Sesi 2010 iaitu Muhammad Na'im Kambali, 16.

Beliau menghafaz enam juzuk dan mengikuti kelas tahfiz sejak berusia 10 tahun.

Seorang lagi pelajar terbaik ialah Nur Hasanah Mohd. Jamil, 19 yang telah empat tahun mengikuti kelas tahfiz di Masjid Negara.

Objektif utama majlis adalah memberi pengiktirafan kepada para pelajar di atas kejayaan mereka.

Ia juga bagi menggalakkan para pelajar meneruskan pengajian mereka sehingga tamat seterusnya memberi dorongan kepada pelajar berkhidmat kepada masyarakat bersesuaian dengan kejayaan mereka.

Perpaduan Islam tanpa batasan geografi

Posted: 03 Nov 2011 08:34 PM PDT


Rakyat asing yang terlibat dalam kesalahan jenayah di negara ini hendaklah diadili oleh undang-undang Malaysia tanpa campur tangan mana-mana pihak. - Gambar hiasan


RASULULLAH SAW sangat menitik beratkan perpaduan dalam menyebarkan dakwah Islamiah. Ia bertepatan dalam sabda baginda yang bermaksud: Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebab itu, tindakan pertama yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW sebaik tiba di Kota Madinah adalah mendirikan masjid yang kini dikenali sebagai masjid Quba.

Walaupun binaannya hanya tembok batu bata yang diperbuat daripada tanah liat dengan berlantaikan pasir, ia bukan sahaja berfungsi sebagai rumah ibadat tetapi memainkan peranan penting sebagai pusat perpaduan ummah di Madinah.

Kepentingan perpaduan umat Islam tanpa batasan geografi inilah yang ditekankan oleh Ketua Pimpinan Pusat Pemuda Muhammadiyah Indonesia, Dr. Salleh P. Daulay.

Beliau berkata, Malaysia dan Indonesia boleh berperanan sebagai peneraju negara-negara Islam dunia sekiranya bersatu padu dan saling bersefahaman antara satu sama lain.

Katanya, persamaan dalam pelbagai aspek seperti budaya, bahasa dan agama memudahkan kedua-dua negara menjalin hubungan dan melakukan sebarang urusan.

"Jika digabungkan kemajuan teknologi dan kemahiran tenaga pakar yang ada pada kedua-dua negara, pasti kita mampu mewujudkan dunia Islam yang mempunyai kemajuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)," katanya.

Beliau berkata demikian pada forum Cabaran dan Harapan di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.

Forum selama lima hari yang bermula 24 Oktober itu adalah antara pengisian Program Pertemuan Serantau One Region.

Tujuan utamanya mengeratkan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia.

Forum dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. Ma'amor Osman.

Tiga lagi ahli panel ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Dr. Yusri Mohamad dan Pengerusi Yayasan Generasi Baru Nusantara (GBN), Sapto Waluyo.

Turut hadir, Presiden JMM, Azwanddin Hamzah, dan Pengerusi Sekretariat Serantau, Datuk Seri Zamzamin Hashim selain 60 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), media Indonesia dan Malaysia.

Bagi memantapkan ukhuwah dan persefahaman antara kedua-dua negara, Dr. Salleh mencadangkan diwujudkan program pertukaran pendakwah.

Katanya, program sebegini bermatlamat serampang dua mata kerana selain berdakwah, ia dapat menyebarkan ilmu terutama kepada penduduk Indonesia yang jumlahnya ramai.

Beliau menegaskan, antara punca krisis yang sering berlaku antara Malaysia dan Indonesia adalah kemiskinan dan tidak berpelajaran.

"Apabila seseorang individu itu miskin atau tidak berpelajaran, dia akan melakukan apa sahaja walaupun bertentangan dengan ajaran agama dan undang-undang," jelasnya.

Beliau mengulas insiden terbaru protes oleh rakyat Indonesia di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada 12 Oktober lalu.

Penunjuk perasaan berhimpun di depan kedutaan bagi menyatakan bantahan terhadap Malaysia yang kononnya didakwa mengambil tanah seluas lebih 1,000 hektar secara haram di Kalimantan Barat.

Aksi tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh NGO, Forum Betawi Rempug (FBR) mencetuskan ketegangan sehingga menyebabkan lampu pecah serta kerosakan di pagar bangunan tersebut di Jalan Rasuna Said.

Sementara itu, Zainul Rijal berkata, semangat persefahaman adalah kunci utama kepada hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia.

Katanya, melalui semangat itu, segala permasalahan sama ada besar atau kecil akan dapat ditangani secara rundingan.

Menurutnya, walaupun dasar kehakiman di Malaysia dan Indonesia berlainan, tetapi tujuannya sama iaitu mengadili dan mendamaikan konflik yang berlaku.

"Jadi, apabila rakyat Indonesia diadili oleh undang-undang Malaysia jangan ada pihak yang campur tangan. Begitu juga sebaliknya bagi kes perbicaraan rakyat Malaysia di Indonesia," jelasnya.

Sehubungan itu, Zainul Rijal berkata, para peguam, NGO, pendakwah dan media perlu mengadakan perbincangan untuk memikirkan langkah yang perlu diambil serta kaedah mengelakkan isu sensitif antara kedua negara berlaku.

Seorang lagi ahli panel, Dr. Yusri berkata, persaingan yang semakin sengit antara negara serantau dalam semua aspek mengakibatkan semangat kesatuan antara negara menjadi terhakis.

Katanya, hal itu mendorong rakyat menjadi berat sebelah dengan menyebelahi negara masing-masing tanpa mengkaji isu sebenar yang berlaku.

"Setiap kali timbul isu antara negara, maka timbul juga suara yang ingin cuba menentang dengan mengambil tindakan sendiri sehingga menyalahi undang-undang," katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Yayasan Sofa, berkata, kesepakatan dua negara perlu dikaji semula untuk sama-sama memastikan dan meletakkan nilai kesepakatan yang sama supaya tidak berlaku kejadian protes lagi.

Mengulas perbincangan itu, Dr Ma'amor berkata, Malaysia dan Indonesia perlu menjalin hubungan antara negara yang erat dan mencungkil segala permasalahan yang berlaku bermula dari akar umbi agar dapat diatasi dengan baik.

"Saya berharap, melalui program ini kita dapat merangka inisiatif yang berkesan dalam menyatukan antara rakyat Malaysia dan Indonesia di samping menyelesaikan segala masalah yang berlaku," katanya.

Menurut Dr. Ma'amor, kurangnya pengetahuan masyarakat terutama generasi baru mengenai hubungan sejagat antara kedua-dua negara adalah punca kepada perselisihan pendapat yang sering berlaku.

"Oleh itu, kita harap sejarah Malaysia dan Indonesia dapat dibukukan dan diajar di sekolah supaya dapat memupuk semangat kerakyatan dan memahami istilah masyarakat serumpun.

"Organisasi khas juga perlu ditubuhkan bagi menjadi rujukan kepada syarikat atau individu yang ingin menjalankan hubungan bersama kedua belah negara sama ada untuk menjalankan kegiatan perniagaan, usahasama dan sebagainya," katanya.

Mengagungkan syiar Allah dalam ibadah haji

Posted: 03 Nov 2011 08:34 PM PDT

UMAT Islam dari seluruh dunia yang akan menunaikan haji pada tahun ini sedang membanjiri kota Mekah kerana menunggu hari wuquf di Arafah.

Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan hari wuquf iaitu 9 Zulhijjah 1432H akan jatuh pada hari Sabtu bersamaan 5 November 2011. Wuquf adalah kemuncak bagi ibadat haji. Tanpanya tidak terlaksana ibadat haji. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Haji adalah (wuquf di) Arafah.

Keutamaan wuquf juga adalah berkaitan dengan peristiwa Hajjatul Wada' (haji terakhir) Rasulullah SAW yang mana baginda menyampaikan khutbah penting dan bersejarah sebagai pesanan kepada 124,000 para sahabat yang menunaikan haji bersama baginda dan kepada seluruh umat Islam umumnya.

Ibadat haji adalah rukun Islam ke lima yang difardukan ke atas setiap umat Islam yang berkemampuan. Rukun Islam yang lain boleh dikerjakan di mana saja umat Islam berada, tetapi berbeza dengan ibadat haji yang Allah SWT telah memilih Mekah al-Mukarramah dan sekitarnya untuk menjadi Tanah Suci-Nya agar kaum Muslimin mendatanginya dari seluruh penjuru bumi untuk mengerjakan ibadat haji.

Mekah sebagai tanah suci di sisi Allah dan Rasul-Nya telah diberi keistimewaan dan keutamaan yang banyak. Allah menyebutnya dalam al-Quran beberapa kali dengan beberapa nama seperti Makkah, Bakkah, Ummul Qura, al-Baladul Amin, al-Baldah dan al-Masjidil Haram.

Kepelbagaian nama itu menunjukkan mulianya sesuatu yang dinamai tersebut dan agungnya di sisi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: Dan demi negeri (Mekah) yang aman. (at-Tin: 3), dan firman-Nya yang bermaksud: Aku benar-benar bersumpah dengan negeri ini (Mekah), dan kamu (Muhammad) bertempat di negeri (Mekah) ini. (al-Balad: 1-2).

Dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Abbas r.a, Rasulullah SAW bersabda kepada bumi Mekah: "Sesungguhnya engkau negeri yang paling baik, dan paling aku cintai. Andai kaummu tidak mengusirku, maka aku tidak akan tinggal di tempat selainmu."

Beberapa tempat yang dituntut umat Islam mengagungkan dengan menunaikan ibadat seperti yang disyariatkan adalah seperti berikut:

1. Masjid Haram

Masjid Haram adalah masjid yang paling utama keistimewaannya berbanding masjid-masjid lain di seluruh pelosok bumi. Ia adalah masjid yang tertua didirikan di muka bumi ini.

Oleh itu umat Islam dituntut mengunjunginya dan beribadat di dalamnya. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Zar r.a maksudnya: Beliau berkata kepada Rasulullah SAW, "Masjid manakah yang pertama dibina di bumi ini? Rasulullah bersabda: Masjidul Haram." Aku bertanya lagi: "Kemudian masjid apa?" Jawab baginda : "Masjidul Aqsa." Aku bertanya berapa lama tempoh antara keduanya: Baginda bersabda: Empat puluh tahun, bila saja tiba waktu solat kepada kamu, maka solatlah di dalam keduanya kerana keutamaan ada pada keduanya."

Dalam sebuah hadis lain dari Jabir, Rasulullah SAW bersabda: "Solat di Masjidku lebih utama 1,000 kali daripada solat di masjid lain kecuali Masjidul Haram. Dan solat di Masjidul Haram lebih utama 1,000 kali berbanding solat di masjid selainnya."

2. Kaabah

Keistimewaan Masjid Haram juga adalah kerana di sana terletaknya Baitullah yang suci iaitu Kaabah yang menjadi kiblat seluruh kaum Muslimin di mana Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim a.s untuk membinanya.

Keistimewaan Kaabah kerana ia dihubungkan dengan dua rukun Islam iaitu solat dan haji. Solat tidak sah tanpa menghadap ke arah Kaabah sebagai kiblat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka hadapkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram, dan di mana saja kamu berada, hadapkanlah muka kamu ke arahnya. (al-Baqarah: 144).

Begitu juga ibadat haji tidak sah tanpa melakukan tawaf di Kaabah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan kewajipan manusia terhadap Allah SWT adalah mengerjakan haji di Baitullah (iaitu) bagi sesiapa yang berkemampuan menanggung perjalanan ke Baitullah (ali-'Imran: 97)

Mengagungkan Kaabah hendaklah dilakukan sesuai dengan cara yang telah disyariatkan oleh Allah dan rasul-Nya iaitu menghadap ke arahnya, mengelilinginya untuk bertawaf, menyentuh hajarul aswad dan Rukun Yamani dan boerdoa di Multazam.

Adapun perbuatan selainnya seperti bergantung pada kelambu Kaabah, menyentuh dan mencium selain hajarul aswad kerana meminta barakah adalah termasuk amalan mengagungkan Kaabah dengan cara menyalahi petunjuk Nabi SAW. Di sekitar Kaabah juga terdapat Hijir Ismail dan Maqam Ibrahim yang mana diperintahkan untuk mendirikan solat dan berdoa pada keduanya.

3. Safa dan Marwah

Kedua-duanya adalah bukit terletak di sebelah timur Kaabah yang disyariatkan untuk melakukan Saie di antara keduanya yang menjadi rukun kepada ibadat haji dan umrah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syiar Allah. Maka barang siapa yang menunaikan haji atau umrah di Baitullah, maka tiada dosa baginya mengerjakan sa'i di antara ke duanya. (al-Baqarah: 158)

Imam Thabari ketika menafsirkan 'sebahagian dari syiar Allah' menjelaskan ia termasuk tanda-tanda kekuasaan Allah yang dijadikan bagi hamba-hamba-Nya untuk beribadah dengan cara berzikir dan berdoa pada keduanya.

4. Arafah, Muzdalifah dan Mina

Ketiga-tiga tempat ini termasuk tempat-tempat yang diagungkan yang dikenali sebagai masy'aril haram, syiar-syiar yang suci dan tempat-tempat yang wajib dikunjungi dalam ibadah haji.

Arafah dikunjungi pada hari Arafah sahaja iaitu pada hari kesembilan dari bulan Zulhijjah untuk melaksanakan wuquf, berzikir dan berdoa kepada Allah bermula daripada gelincir matahari sehingga terbenamnya matahari.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Kemudian bertolaklah kamu dari tempat bertolaknya orang ramai (Arafat) dan mohonlah ampun kepada Allah, sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang. (al-Baqarah: 199)

Dari Arafah, para hujjaj bergerak ke Muzdalifah pada malam Hari Raya Aidiladha atau malam hari Nahr ( hari sembelihan) untuk melakukan mabit (bermalam) padanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka apabila kamu telah bertolak dari Arafat, maka berzikirlah kepada Allah di Masy'aril Haram. Dan berzikirlah kepadaNya sebgaimana cara yang ditunjjukkanNya kepada kamu, dan sesungguhnya kamu sebelum itu termasuk orang-orang yang sesat. (al-Baqarah: 198)

Mina pula adalah tempat ketiga masy'aril haram dikunjungi semasa ibadah haji selepas Arafah dan Muzdalifah. Amalan yang disyariatkan di mina ialah bermalam (mabit), melempar tiga jumrah iaitu jumratul Kubra, Wusta dan Sughra, dan menyembelih binatang korban pada hari ke-10 hingga ke-13 Zulhijjah.

Firman Allah yang bermaksud: Dan berzikirlah (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang telah ditentukan. Barangsiapa yang ingin cepat berangkat (ke Mekah dari Mina), sesudah dua hari, maka tiada dosa baginya. Dan barangsiapa yang ingin menangguhkan (keberangkatannya dari dua hari itu), maka tidak ada dosa pula baginya, bagi orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 203)

Sesungguhnya Allah SWT memilih bumi Mekah dan sekitarnya untuk dimulia dan diagungkan. Ia adalah tempat suci yang dikenali sebagai masy'aril haram yang telah disyariatkan keutamaannya oleh Allah SWT.

Di tempat-tempat ini, jemaah haji dan umrah dituntut mengagungkan syiar Allah sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Ia sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Demikianlah (perintah Allah). Dan barang siapa mengagungkan syiar-syiar Allah (melalui amalan tertentu dalam ibadat haji dan tempat-tempat tertentu yang dikhususkan) maka sesungguhnya ia terbit dari hati yang bertakwa. (al-Haj: 32).

Remaja dan krisis identiti

Posted: 03 Nov 2011 08:33 PM PDT


Mendidik anak-anak tentang solat sejak kecil adalah antara usaha membentuk jati diri. - Gambar hiasan


ISU identiti sering berbangkit apabila kita menilai arah tuju sesuatu kelompok dalam kehidupan. Generasi muda sering dikaitkan dengan identiti kerana mereka sedang dalam proses belajar dan mencari makna hidup dan kehidupan.

Apabila pengaruh budaya dan pemikiran datang dari sumber lain dan telah mempengaruhi kehidupan remaja, remaja dikaitkan dengan masalah krisis identiti.

Identiti dikaitkan dengan asas-asas yang fitrah yang sedia ada bagi sesuatu bangsa itu. Ia merujuk tentang budaya gaya hidup, pemikiran dan sistem nilai.

Remaja Melayu lazimnya dikaitkan dengan budaya Melayu yang berasaskan Islam dan membawa cara gaya hidup Melayu dan Islam. Tetapi apabila amalan remaja Melayu terdedah dengan pengaruh budaya Barat yang merangsang remaja lepas bebas dan cenderung kepada berpoya-poya, maka remaja dikatakan menghadapai krisis identiti.

Identiti ini adalah asas pengenalan sesuatu bangsa atau umat yang mendukung sesuatu aliran, kepercayaan, budaya dan tamadun sehingga persepsi yang lahir amat terhubung antara satu dengan lain.

Persepsi terhadap orang Melayu terhubung dengan budaya Melayu yang bersendikan Islam dengan cara dan gaya hidup yang bersendikan syarak.

Identiti ini tidak sifatnya tertutup daripada faktor positif daripada budaya, tradisi tamadun lain. Dalam bidang ilmu pengetahuan, Barat banyak menyumbang terhadap sains dan teknologi di zaman moden ini seperti mana zaman kekuatan Islam dahulu yang amat menyumbang kepada kebangkitan Eropah.

Pemahaman terhadap silang budaya ini sekiranya berlaku dengan baik, ia akan mengukuhkan lagi budaya yang sedia ada.

Yang menjadi isu terhadap remaja hari ini adalah kecenderungan mereka mengutip perkara-perkara popular yang datang dari Barat yg bersifat nafsu nafsi dan itu dijadikan contoh gaya hidup.

Ini yang menimbulkan masalah identiti yang apabila mereka ini tidak lagi dikenali sebagai remaja Melayu yang mengamalkan kesopanan dan kesantunan Islam. Maka mereka ini dikatakan sedang berdepan krisis identiti.

Amat penting bagi krisis ini diatasi supaya jangka panjangnya remaja Islam tidak hilang keislamannya. Ia memerlukan binaan dari sudut kefahaman Islam itu sendiri, kefahaman terhadap budaya islam serta pendalaman terhadap ilmu-ilmu Islam.

Jika ini berlaku remaja akhirnya akan kekal dengan jati diri Islam walaupun berada dalam situasi yang tidak Islami. Seorang remaja yang mempunyai identiti diri yang teguh adalah ibarat seekor ikan yang berenang di lautan masin tetapi dagingnya tetap tawar.

Remaja yang memiliki identiti yang teguh dan jelas bukan bermakna tidak harus bersifat terbuka dalam mengambil manfaat berbanding dan tradisi positif daripada tamadun lain.

Proses meminjam sesuatu yang baik adalah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam. Al-Quran memberikan asas mengenai ilman nafia iaitu ilmu yang bermanfaat. Ini boleh ditemui dalam mana-mana tradisi kehidupan manusia.

Rasulullah SAW memanfaatkan kemahiran bermanfaat membaca dan menulis tawanan perang Badar untuk diajar kepada anak-anak Islam bagi faedah membaca dan menulis.

Al-Biruni menjelajah ke India dan mempelajari bahasa Hindi untuk menguasai ilmu-ilmu sains, matematik, fizik dan astronomi. Ilmu itu kemudian diolah dalam tasawwur Islam dan menjadikan ilmu itu bermanfaat dengan ajaran Islam.

Rasulullah SAW menganjurkan mempelajari ilmu walau ke negeri China. Kita lihat pada hari ini, bangsa China lebih maju daripada umat Islam. Oleh itu, mempelajari sesuatu yang baik dan bermanfaat bakal menyerlahkan kekuatan dan identiti orang Islam.

Tugas peguam Muslim martabatkan agama

Posted: 03 Nov 2011 08:32 PM PDT

UMUM mengetahui bahawa dalam setiap tindakan di Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil, peguam adalah pihak penting membantu perjalanan kes.

Secara umumnya, profesion kepeguaman berpaksikan kepada minat, kesungguhan dan kecintaan kepada bidang guaman itu sendiri.

Seseorang peguam wajar berusaha memiliki kualiti seperti berintegriti, sabar, suka mencari ilmu, meluangkan masa, tenaga dan kepakaran membantu pihak yang memerlukan tanpa menjadikan wang sebagai ganjaran dan matlamat utama.

Sebaliknya, perlu menjadikan peluang berkhidmat dan membantu pihak teraniaya sebagai keutamaan. Selain itu, jika rakan peguam yang lain mendapat sesuatu kes yang besar seorang peguam hendaklah melihat ia sebagai dorongan dan bukan mengambil sikap mencemburui peguam tersebut.

Antara ciri penting yang perlu ada pada sama ada peguam sivil ataupun peguam syarie adalah:

* Mempunyai sikap positif dalam menjalankan tugasan.

Peguam wajib menjalankan tugasan dengan penuh integriti di mana tugasan itu memerlukan mereka bersikap jujur, amanah terhadap pelanggan, menjalankan profesion dengan penuh kesungguhan tanpa menolak nilai profesional tinggi peguam.

Peguam mesti bertindak dengan penuh keyakinan, menghormati orang lain sama ada pelanggan, peguam lain dan mahkamah dalam menegakkan keadilan. Tidak ketinggalan juga pihak lawan juga perlu diberi penghormatan sewajarnya dalam prosiding guaman.

* Mengambil berat dan sabar dalam berurusan.

Sikap ini menghendaki peguam untuk sentiasa menghormati dan melayan semua pihak sama ada pihak lawan dan peguam mereka dengan adil, baik dan sewajarnya serta menjauhi daripada bertindak tidak adil dan prejudis terhadap mana-mana pihak sepanjang proses undang-undang dilaksanakan.

Ia bermakna, walaupun peguam mewakili pelanggannya, pada masa sama, peguam di pihak lawan tetap dianggap kawan dan boleh berbincang dengan sebaiknya demi kesejahteraan kes dan pihak yang diwakili. Kemenangan tidak harus dijadikan matlamat utama di dalam prosiding.

Seorang peguam yang baik bukan dinilai dari berapa banyak kes yang dimenanginya tetapi sebaliknya adakah peguam berkenaan dapat memberikan keadilan sewajarnya kepada semua pihak.

* Cintakan ilmu dan sentiasa berusaha menambah ilmu juga menjadi ciri penting seorang peguam yang baik.

Peguam perlu sentiasa berusaha menambah ilmu dengan menggunakan pelbagai kaedah sama ada menghadiri seminar undang-undang, membaca buku atau bertanya kepada peguam lebih berpengalaman perkara yang belum difahami.

Dengan bekerjasama, kita akan lebih cepat memahami dan menyelesaikan sesuatu kekusutan yang belum diketahui.

Peguam berpengalaman juga perlu terbuka untuk mendidik peguam baru sebagai pelapis profesion ini.

Walaupun kekananan peguam agak penting tetapi ia bukanlah segala-galanya. Walau kanan mana sekalipun seorang peguam, sekiranya tidak bersedia dengan kes, beliau bakal berhadapan dengan kekalahan.

* Peguam yang mengambil berat profesion ini akan mengambil pendekatan baik dan mengambil berat serta menghormati bukan saja kepada mahkamah dan rakan sekerja, tetapi juga seluruh manusia yang digaulinya.

Menghormati mereka memerlukan kita menepati setiap mesyuarat yang diputuskan, temu janji dibuat, mengambil berat kepada jadual tugasan dan memberi komitmen tinggi kepada apa yang perlu dilaksanakan.

Peguam mesti mewakili pelanggan dengan penuh kesetiaan dan kesungguhan, komited dalam tugasannya serta menghormati kepercayaan diberikan terhadapnya.

Pada masa sama, kesungguhan dan kesetiaan kepada pelanggan tidak pula menyebabkan dia melakukan tindakan tidak benar, kasar dan biadab apatah lagi menzalimi lawannya.

Setiap peguam perlu menjadi contoh kepada kebaikan, kepatuhan undang-undang dan menjaga sistem keadilan syariah yang diperjuangkan.

* Seorang peguam juga perlu sanggup berkorban masa, tenaga, kepakaran untuk memahami dan menguasai setiap fakta kes serta peruntukan undang-undang yang dibentangkan di hadapannya.

Dengan menguasai fakta dan undang-undang, ia akan membantu peguam menjalankan tugasan dan mencari hujah yang perlu, bersesuaian dan mendalam untuk kebaikan pelanggannya.

Kepakaran yang dimiliki dalam bidang perundangan bukanlah milik individu tetapi mesti dikongsi dengan orang lain.

* Adalah penting juga bagi seorang peguam mempunyai sikap suka berkhidmat dengan hati yang luhur dan ikhlas.

Peguam tidak seharusnya terbabit dalam urusan undang-undang saja, tetapi perlu turut sama dalam urusan menyelia kebajikan kepada masyarakat, membantu dalam soal membabitkan perundangan, pendidikan, khidmat sosial, kebajikan dan sebagainya.

Amat penting juga bagi para peguam menyediakan pelapis-pelapis yang berkebolehan bagi mengambil alih tugas mereka pada masa akan datang kerana generasi akan lebih terjamin haknya jika mempunyai peguam yang cemerlang.

Ketika berurusan dengan pihak lawan serta peguam mereka atau mana-mana pihak yang terbabit dalam sistem perundangan negara, peguam mesti berusaha menjadikan sistem keadilan itu dapat berfungsi dengan baik dan cemerlang.

Peguam perlu mengelak daripada melakukan sesuatu yang boleh memberi kesan buruk, menjatuhkan nama baik mahkamah, sistem perundangan atau menyebabkan keyakinan masyarakat terhadap perundangan terhakis sama ada sistem sivil mahupun syariah.

Apa yang menjadi matlamat adalah mencari kebenaran, menamatkan perselisihan secara baik dan memberi hak kepada yang berhak dengan penuh keadilan seperti diperuntukkan undang-undang.

Sebelum memilih untuk membawa sesuatu kes ke muka pengadilan dan meneruskan perbicaraan, peguam wajar mencari jalan dan mencadangkan kepada pelanggan alternatif menyelesaikan pertelingkahan dan masalah seperti menggunakan mediasi dan sebagainya.

Seorang Peguam Syarie pula mempunyai piawaian yang lebih tinggi kerana mereka terikat dengan undang-undang Islam dan hukum syarak.

Kebertanggungjawaban kepada Allah adalah yang paling tinggi harus diletakkan oleh seseorang peguam syarie.

Hadis diriwayatkan Abu Dawud yang bermaksud: "Hakim itu ada tiga jenis. Satu di dalam syurga dan dua lagi akan ke neraka..." Ia sangat memberi penekanan mengenai konsep integriti.

Hadis itu bukan saja ditujukan kepada hakim, malah untuk peguam kerana hakim yang akan ke neraka itu sudah pasti akan mengheret peguam yang berhujah secara palsu di depannya bersama mereka.

Oleh itu, peguam hendaklah menjadi pembantu kepada kebenaran bukan kepada kebatilan. Justeru, peranan peguam sangat besar sebagai pembantu mahkamah menegakkan keadilan demi meletakkan hak kepada mereka yang berhak.

Profesion kepeguaman khususnya kepeguaman Islam adalah profesion yang amat dihormati dan penuh dengan cabaran.

Seorang Peguam Muslim bukan sahaja dikehendaki berjaya dalam profesionnya di mahkamah tetapi juga diharap menjadi juara memartabatkan undang-undang Islam khususnya di Malaysia.

Walaupun jumlah peguam Muslim di Semenanjung Malaysia sudah menghampiri separuh dari jumlah peguam yang beramal, namun impak yang diberi oleh peguam Muslim di Malaysia secara relatifnya amatlah kecil.

Peguam Muslim seharusnya menganjak paradigma dengan lebih mengambil bahagian di dalam semua organisasi bagi membantu matlamat menegakkan kedudukan Islam di tempat yang sewajarnya.

Keenam-enam ciri yang disebutkan di atas perlu disemai di dalam setiap diri peguam Muslim sama ada sebagai peguam sivil atau peguam syarie ataupun kedua-duanya sekali.

Nostalgia sajian Baba Nyonya

Posted: 03 Nov 2011 08:31 PM PDT


Balang kaca dan botol-botol lama menjadi hiasan yang menarik.


NAMANYA dipetik daripada sebuah jalan yang terletak di bandar Melaka. Jalan Tengkera atau dulunya dieja sebagai Tranquerah, bermaksud sebuah kubu pertahanan yang damai dalam bahasa Portugis .

Sedamai berada di dalamnya, dekorasi restoran ini turut mengambil inspirasi daripada apa yang terdapat di sepanjang jalan tersebut.

Idea itu diterjemahkan dengan penuh kreatif oleh pemiliknya, Alan Yun, pelakon dan model popular tanah air.

Daripada pemilihan perabot hingga kepada hiasan-hiasan kecil lama seperti botol, kalendar, bingkai gambar dan banyak lagi segalanya mengembalikan nostalgia suasana Jalan Tengkera.

"Saya turut masukkan unsur-unsur budaya masyarakat Baba dan Nyonya Melaka. Sebagai contoh, siling ini sebenarnya adalah pintu rumah tradisional Baba dan Nyonya yang terdapat di sepanjang jalan tersebut.

"Bukan itu sahaja, suis elektrik ini juga seperti yang terdapat pada zaman dahulu," ujarnya yang ditemui di restorannya di Red Carpet Avenue, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Menariknya melalui restoran The Tranquerah itu, Alan mengenengahkan resipi tradisi Baba dan Nyonya 100 peratus daripada chef terkenal, Florence Tan.

Kebetulan Florence yang berketurunan Baba dan Nyonya juga berasal dari Jalan Tengkera.

"Setiap masakan di sini tidak mengandungi perisa tambah sebaliknya bagi menambah keenakan, chef Florence menggunakan lebih rempah-ratus.

"Ada komen yang kami peroleh daripada pelanggan mengatakan masakan di sini seakan makan di rumah, malah lebih sedap lagi," kata Alan.

Menurutnya, antara menu mesti cuba di sini ialah ayam buah keluak yang cukup unik dari segi penyediaannya.

Ini kerana bagi yang kurang mahir tentang cara memasak buah keluak ia boleh menyebabkan keracunan.

"Untuk menyediakan ayam buah keluak, kita hanya menggunakan buah yang elok saja kerana jika ada walau sebiji pun yang rosak, seluruh periuk terpaksa dibuang.

"Apa pun rasa masakan ini unik dan sedap, lain daripada yang lain," katanya jelas Alan yang kini sedang sibuk dengan penggambaran filem arahan Shuhaimi Baba.

Selain itu pengunjung juga tidak harus melepaskan peluang menjamah sotong goreng rangup, terung goreng sambal, kangkung lemak keledek, ikan cencaru sumbat, udang masak petai dan sebagainya yang memang menyelerakan apabila dimakan bersama nasi panas.

Untuk pemanis mulut pula, The Tranquerah menyediakan bubur cha-cha dan cendol yang menggunakan gula Melaka asli bagi menyerlahkan rasanya.

Menurut Alan, kesemua sajian disediakan oleh dua chef berpengalaman yang dibantu empat pembantu dapur yang akan memastikan pelanggan tidak menunggu lama untuk menikmati hidangan diingini.

The Tranquerah dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 11 malam.

Raihanna, bakal doktor pakar kek

Posted: 03 Nov 2011 08:31 PM PDT


Raihanna Kamaruddin


SENI kulinari adalah 'cinta' pertama gadis ini, namun keputusan peperiksaan yang cemerlang membuatkan dia ditawarkan mengikuti kursus perubatan di Russian State Medical University, Moscow.

Mengejar dua bidang berbeza yang menjadi minatnya lalu dia berazam untuk bergelar doktor yang pakar dalam membuat kek.

"Bagi saya membuat kek umpama sesi terapi terutama ketika stres berdepan dengan pengajian yang semakin sukar," ujar, Raihanna Kamaruddin, 23.

Gadis manis ini mengakui menuntut ilmu di negara orang memang ada cabarannya tersendiri apatah lagi apabila ia dijalankan sepenuhnya dalam bahasa tempatan.

Gadis ini perlu melipatgandakan usaha mentafsir makna dan menguasai bahasa Rusia demi menjawab soalan peperiksaan yang bakal menentukan masa depannya kelak.

"Bukan sekadar masalah bahasa, kelas yang terletak jauh antara satu sama lain dan cuaca yang sejuk memang cukup menyukarkan," ujar Raihanna yang ditemui di Puchong, Selangor, ketika cuti semester baru-baru ini.

Justeru Raihanna menyifatkan minatnya membuat kek adalah sebagai salah satu terapi untuk dirinya yang berhadapan dengan pelbagai cabaran sebagai pelajar di sana.

Tanpa mengabaikan tanggungjawab hakikinya sebagai pelajar perubatan, dia meneruskan minat dan kepakarannya menghasilkan pelbagai jenis kek, tart, macarons, kek cawan dan sebagainya.

Bukan sekadar untuk diri sendiri bahkan Raihanna menerima tempahan melalui blog nya www.raihannavanilla.blogspot.com.

Blog tersebut ditulis dan ditadbir sendiri bagi berkongsi pengalaman belajar, kisah suka duka dan paling utama memuat turun gambar kek serta masakan yang pernah dihasilkan.

Ilmu dituntut secara 'tidak rasmi' menerusi laman YouTube, namun jika pulang ke tanah air, Raihanna pasti tidak melepaskan peluang menghadiri kelas pembuatan kek.

Pada awalnya, ibu bapanya tidak begitu menyokong minat anak sulung mereka dalam bidang kek dan pastri kerana mahukan dia menjadi doktor.

Dalam diam Raihanna menggunakan duit poketnya sendiri untuk menuntut ilmu membuat kek.

"Saya dah macam ketagih, asal balik bercuti saja mesti mahu pergi kelas buat kek. Mungkin mama dan papa saya memahami minat saya yang terlalu kuat akhirnya papa menghadiahkan saya sebuah ketuhar dan pemutar kek," ujar Raihanna.

Berkat kesungguhan dan minat, gadis ini turut boleh berbangga apabila dapat menghadiahkan adiknya sebuah komputer riba dengan hasil jualan keknya.

"Di Moscow saya tinggal di asrama, hanya terdapat sebuah ketuhar. Bayangkan saya perlu berebut dengan pelajar lain.

"Untungnya berniaga di sana kebanyakan orang Rusia tidak begitu mahir seni perhiasan kek, yang mereka tahu kek yang sedap dimakan sahaja, jadi apabila kita menghasilkan kek yang bukan sekadar sedap bahkan cantik mereka menghargai dan dari situ saya mula menerima banyak tempahan.

"Biasanya saya mula membuat kek selepas kelas tamat pada jam empat setiap hari. Pukul 10 malam saya akan tidur dan akan bangun semula pada pukul 3 pagi untuk mengulang kaji pelajaran," jelasnya yang amat meminati membuat kek berbentuk anak patung 'Barbie'.

Mengenai barang mentah pula, Raihanna selesa jika mendapatkannya terus dari Malaysia kerana sukar untuk mendapatkan yang halal di Rusia.

Bapanya akan mengepos barangan mentah yang diperlukan anaknya dalam keadaan sejuk beku.

"Alhamdulillah, sekali jual saya mendapat kira-kira 300 ringgit, bukan sekadar kek, jika ada hari sukan atau karnival jualan, saya dan kawan akan bekerjasama menjual makanan seperti nasi lemak dan sebagainya," jelas Raihanna yang bercita-cita menjadi pakar perbidanan satu hari nanti.

Impian Raihanna adalah untuk mewujudkan sebuah kedai kek dan di sebelahnya klinik dia sendiri.

"Buat kek adalah satu terapi untuk saya, memasak adalah kepuasan sebenar. Menjadi cita-cita saya untuk menjadi wanita Melayu pertama yang berjaya dalam bidang bakeri dan perubatan," jelasnya.

Pahang kuasai anugerah kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Kebangsaan 2011

Posted: 03 Nov 2011 08:30 PM PDT


SEBAHAGIAN penerima anugerah bergambar kenangan selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan kokurikulum Peringkat Kebangsaan di Kuching, Sarawak, semalam.


KUCHING 3 Nov. - Sekolah-sekolah di Pahang mendominasi Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Kebangsaan 2011 anjuran Kementerian Pelajaran yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri Lama (DUN) Sarawak, di sini hari ini.

Pelajarnya membolot empat anugerah individu dan berkumpulan serta memenangi tiga tempat teratas sebahagian besar kategori yang dipertandingkan selain tokoh gurunya, Abd. Muin Othman diiktiraf sebagai penerima Anugerah Juri bersama bekas Pengarah Pelajaran Sarawak, Datuk Dr. Julaihi Bujang.

Noraziman Mohd. Sakri dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Biram, Pekan, dinobatkan sebagai Murid Cemerlang kategori Sekolah Rendah Lelaki, manakala Muhd. Azrul Anuar Mohd. Hoe dan Norain Nazifah Shaedon dari SK Pendidikan Khas Kuantan, masing-masing mengungguli Murid Cemerlang (Pendidikan Khas Sekolah Rendah).

Tunas Kadet Remaja SK Perantau Damai, Rompin pula dinobatkan sebagai Pasukan Badan Beruniform Cemerlang kategori Sekolah Rendah.

Sementara itu, SK Ulu Lubai, Limbang yang pernah mencipta sejarah sebagai sekolah pedalaman pertama diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Februari lalu sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila merangkul tempat kedua bagi kategori Sekolah Rendah Luar Bandar Cemerlang.

Tempat pertama kategori itu dimenangi SK Tengku Ampuan Intan, Terengganu manakala SK Permatang Tok Mat, Pulau Pinang di tempat ketiga.

Dua penuntut Malaysia catat sejarah

Posted: 03 Nov 2011 08:27 PM PDT


MOHD. Zafrullan Zamberi (kanan) menerima anugerah kecemerlangannya di UKRIDA, Jakarta, baru-baru ini.


JAKARTA 3 Nov. - Dua penuntut jurusan perubatan dari Malaysia melakar sejarah apabila diumumkan mahasiswa cemerlang di Universiti Kristen Krida Wacana (UKRIDA), di sini.

Dr. Mohd. Zafrullan Zamberi dan Dr. Muhammad Nasum Abdul Kuthosee merangkul Anugerah Cum Laude iaitu penghormatan yang diberikan oleh universiti tersebut kepada mahasiswa cemerlang yang mendapat Purata Gred Nilai Kumulatif (PGNK) 3.50 ke atas dalam pengajian.

Mohd. Zafrullan menamatkan pengajian dengan PGNK 3.58 manakala Muhammad Nasim pula dengan PGNK 3.54.

Kejayaan itu tambah berganda apabila kedua-dua mahasiswa Malaysia itu mendahului senarai 120 graduan perubatan UKRIDA pada Majlis Pelantikan Doktor Angkatan ke-82, UKRIDA, baru-baru ini.

Menurut Dr. Zafrullan, kejayaannya itu membuktikan mahasiswa Malaysia boleh berjaya di mana saja berada.

"Pengalaman menjalani ko-asisten (latihan klinikal) di hospital di sini benar-benar memberi manfaat kerana kami di sini dibenarkan merawat pesakit, membuat surgeri kecil, menyambut bayi yang baru lahir dan latihan lain bersifat praktikal. Ini berbeza dengan kawan-kawan kami yang membuat latihan klinikal di Malaysia, United Kingdom dan lain-lain," katanya,

Pada majlis itu juga, seramai 26 graduan Malaysia mengangkat sumpah sebagai doktor perubatan.

Sementara itu, Atase Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Ludinata Misnun berkata, kejayaan kedua-duanya menafikan dakwaan mahasiswa perubatan Malaysia di Indonesia ialah doktor perubatan kelas kedua.

Menurut beliau, apa yang turut membanggakan mahasiswa Malaysia lebih cemerlang berbanding mahasiswa tempatan.

Susah senang Umie, Erra

Posted: 03 Nov 2011 08:26 PM PDT


ERRA Fazira dan Umie Aida berpegang pada satu prinsip bahawa pengorbanan perlu seiring dengan kejujuran dan keikhlasan.


ADA sebab mengapa dua primadona ini disatukan dalam sesi fotografi khas sempena Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada 6 November ini.

Melihatkan kepada pencapaian yang telah dicipta oleh Datin Umie Aida dan Erra Fazira sebagai aktres ternama negara, sesungguhnya ia bukanlah satu tugas yang mudah.

Baik Umie mahupun Erra, kedua-duanya telah melakukan pengorbanan yang cukup besar dalam mencipta nama sebagai seorang bintang.

Seperti mana kata Umie, dia mengakui laluannya untuk menjadi seorang aktres tidak seindah yang disangka ramai pihak.

Di kala remaja seusianya sibuk menelaah buku dan mengulangkaji pelajaran, Umie pula perlu menghabiskan masanya di lokasi penggambaran sebaik sahaja dia menceburkan diri dalam dunia lakonan pada tahun 1991 menerusi filem Memory.

"Mungkin secara luarannya, orang melihat menjadi seorang artis adalah indah belaka tetapi realitinya, ia tidak seindah yang disangka.

"Seperti mana saya sendiri, saya perlu memekakkan telinga daripada terus memikirkan apa yang orang memperkatakan tentang diri saya.

"Maklumlah, mulut orang mana boleh ditutup. Mahu atau tidak, semuanya harus ditelan dan kita perlu yakin pada diri sendiri bahawa kita berada di pihak benar. Hidup sebagai seorang manusia ini tidak pernah sempurna bukan?," cerita aktres berusia 38 tahun ini membuka bicaranya pada petang itu.

Tidak cukup dengan itu kata Umie, dugaan mendatangi dirinya sebaik sahaja dia membesarkan dan membela dua orang anak angkatnya, Mohd. Daniel Firdaus, 18, dan Mohd. Dzulhelmy, 17.

Pada ketika dia sedang membina namanya, dia berkorban masa, wang ringgit dan tenaganya dalam membesarkan dua puteranya itu dan mahu melihat mereka membesar menjadi seorang yang berguna kepada negara, bangsa dan agama.

Jelas pemilik nama penuh Umi Khalsum Rahmad Ali ini lagi, ketika itu jugalah, dia perlu berani berdepan dengan kehidupan walaupun dia pernah dicerca dan dilemparkan dengan kata-kata kurang manis hanya kerana mahu membesarkan dua anaknya itu.

"Bagi saya, pengorbanan itu sendiri membawa definisi yang sangat luas dalam segala aspek dan apa yang penting, semuanya harus dilakukan dengan penuh keikhlasan serta kejujuran.

"Jika kita melakukan sesuatu perkara untuk mengharapkan balasan atau penghargaan, maka, pengorbanan itu tidak mempunyai sebarang makna," kata pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-16 (2003) menerusi filem Embun itu lagi.

Berkorban demi keluarga

Pendapat itu juga turut dipersetujui oleh Erra yang dari awal begitu khusyuk mendengar Umie yang rancak bercerita.

Kata Erra atau nama penuhnya, Fazira Wan Chek pengorbanan bagi dirinya bermula sebaik sahaja dia menjejakkan kaki dalam dunia seni sekitar tahun 1993.

Mula meraih perhatian selepas dinobatkan sebagai Ratu Cantik Malaysia ketika itu dan kemudiannya disunting pula oleh pengarah dan penerbit filem tersohor, Datuk Yusof Haslam membintangi Sembilu, Erra tidak menoleh ke belakang lagi.

Bermula detik itu, kehidupan wanita berusia 37 tahun ini berubah secara total sehingga mampu dikalungkan dengan gelaran Primadona Filem Melayu alaf baru.

Jelas Erra lagi, dia tekad untuk menjadi anak seni kerana minat dan sudah pasti, matlamat utamanya adalah untuk membantu dan menyara keluarga untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.

"Sudah puas saya perhatikan bagaimana ibu saya, Azizah Zaik bekerja keras dan menjalani hidup sebagai ibu tunggal dalam membesarkan saya.

"Pengorbanan ibu cukup besar dan kerana itu, saya mahu mengubah senario itu dengan mengambil alih tugasnya sebagai ketua keluarga.

"Seperti mana kata Umie, pengorbanan itu tidak seharusnya diharapkan balasan. Bagi saya, apa yang saya lakukan hari ini adalah untuk membalas jasa keluarga adalah satu tanggungjawab yang harus dipikul sebagai seorang anak," kata anak kelahiran Sungai Choh, Rawang, Selangor ini memberikan hujahnya.

Hubungan rapat Erra, Umie

DALAM kerancakan berbicara dengan dua wanita gigih ini, sempat juga ditanya kepada mereka tentang pengorbanan masing-masing dalam persahabatan mereka.

Apatah lagi, usia persahabatan mereka pun bakal menjangkau sedekad dan sudah pasti dalam tempoh itu banyak perkara yang dilalui bersama baik susah mahupun senang.

Sambil berpandangan sesama sendiri dan kemudiannya disambut dengan derai tawa yang berpanjangan, Umie dan Erra yang saling menggelarkan diri masing-masing sebagai makcik ini membuka bicara mereka.

Kata Umie, dalam apa jua yang dilakukannya, pengorbanan tidak pernah terlepas dalam diari hidupnya dan begitu juga persahabatan bersama Erra.

"Ada kala kami tidak mampu melakukan banyak perkara bersama-sama lantaran kesibukan masing-masing. Mahu atau tidak, antara kami perlu berkorban seandainya hasrat itu tidak dapat direalisasikan.

"Seperti mana yang saya katakan tadi, dalam apa jua yang dilakukan perlulah jujur dan ikhlas. Barulah ia akan diberkati dan kekal lama. Itu yang boleh saya katakan tentang persahabatan saya dengan Erra," katanya sambil menjeling ke arah Erra yang cukup anggun berkebaya merah di sebelahnya.

Sambil menganggukkan kepala tanda setuju dengan apa yang diperkatakan oleh sahabatnya itu, Erra juga sempat diusik sama ada mereka berdua pernah bermasam muka dan bertegang leher gara-gara percanggahan idea mahupun pendapat.

Dengan pantas isteri kepada Engku Emran Engku Zainal Abidin dan ibu kepada Engku Aleesya ini menggelengkan kepalanya.

"Sepanjang enam tahun saya rapat dengan Umie, rasanya belum pernah kami bergaduh besar sehingga tidak bertegur sapa untuk jangka masa yang lama.

"Kalau orang tengok gaya kami berbual memang orang akan menyangka kami sedang bergaduh. Tetapi hakikatnya tidak kerana itulah stail kemesraan kami," jelas Erra yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali ini sambil memeluk erat Umie.

Vokal tidak singkir peserta

Posted: 03 Nov 2011 07:59 PM PDT


TUJUH peserta Vokal akan meneruskan persaingan pada minggu ini.


SELEPAS dua minggu bersiaran dan tiga peserta telah disingkirkan, program Vokal Bukan Sekadar Rupa (Vokal) memberi kejutan minggu lepas kerana semua peserta diberikan laluan untuk melangkah ke minggu keempat.

Dengan ini, tujuh peserta akan beradu nasib pada konsert minggu keempat.

Peserta-peserta itu ialah Fakhrul Nizam Fauzi, 21, Norhasmidar Ahmad, 25, Mafarika Md. Tahir, 19, Airulazwan Abd. Rahman, 22, Irsa Sahabuddin, 24, Mohd.Janizam Jamaluddin, 26, dan Azmarul Azuan Harun, 27.

Menurut Penerbit Eksekutif Vokal, Muhamad Sufian Che Isa, keputusan tiada penyingkiran peserta pada konsert minggu ketiga baru-baru ini diambil kerana mahu memberi peluang kepada kesemua peserta untuk beraksi.

"Kami mahu semua peserta yang akan beraksi pada Ahad ini, membuat perubahan yang lebih baik dan ini langkah yang adil untuk semua peserta yang muncul bersaing pada kali pertama di atas satu pentas," katanya pada sidang akhbar di Plaza Alam Sentral , Shah Alam, Selangor, minggu lalu.

Sementara itu pengkritik tetap Vokal, Erra Fazira berkata, peserta Vokal harus lebih bersedia untuk membuat persembahan pada minggu ini.

"Tiada penyingkiran minggu lalu bukan sahaja satu berita baik kepada semua peserta tetapi juga sebagai satu kelebihan agar mereka lebih bersedia untuk minggu ini.

"Dengan berita baik ini, saya berharap mereka akan menghargainya dengan mempamerkan persembahan yang lebih mantap lagi," kata Erra.

Erra bagaimanapun berkata, pada kedudukan sekarang, tiada peserta yang berada dalam kedudukan selamat.

Sementara itu, seorang lagi pengkritik tetap Vokal, Azmeer berkata, bagi konsert minggu ketiga baru-baru ini, pemilihan lagu untuk disampaikan oleh peserta ditentukan oleh pihak penerbit.

Katanya, tidak timbul isu pemilihan lagu yang kurang menyerlahkan kemantapan vokal seseorang peserta itu sebaliknya peserta harus menyampaikan lagu masing-masing sebaik mungkin.

"Dalam pertandingan ini, pihak kami juga mahu mencari penyanyi yang mampu menyampaikan apa sahaja genre lagu," katanya.

Pada konsert Vokal minggu ketiga, Mafarikha Md. Akhir muncul sebagai peserta paling meyerlah dan dia berjaya membawa pulang hadian mingguan berupa kamera tajaan Canon.

Sistem pemarkahan Vokal dibahagikan kepada dua iaitu 50 peratus berdasarkan markah yang diberi oleh juri manakala selebihnya, ditentukan melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS).

Vokal disiarkan setiap Ahad di TV3, pukul 9 malam.

Kashfi permata hati penyeri rumah tangga

Posted: 03 Nov 2011 07:58 PM PDT

Diana

Bagi pasangan suami isteri, kelahiran cahaya mata adalah saat terindah. Begitu juga bagi pasangan selebriti ini, keduanya mengakui sangat teruja dengan kelahiran putera sulung mereka.

Bagi pasangan, Zamarul Hisham dan Diana Rafar, kehadiran Kashfi Haiqal, berusia setahun, nyata memberikan keceriaan kepada keluarga mereka. Malah merupakan anugerah paling bermakna sejak dua tahun mendirikan rumah tangga.

Mengimbau detik kelahiran Kashfi, Zamarul berkata, walaupun Kashfi adalah anak ketiganya, namun kehadirannya menyerikan lagi rumah tangga mereka.

"Kali ini tidak sama seperti dahulu, sewaktu Diana melahirkan Kashfi saya sentiasa di sisinya membuat lawak dan menyanyi. Bukan apa, masa tu saya cuma hendak mengurangkan tekanan yang dia rasai.

"Bagaimanapun, ketika dia bersalin, saya tidak mampu melihat detik-detik tersebut sebaliknya hanya memegang video, merakam dan memandang ke arah lain," katanya.

Zamarul berkata, kehadiran Kashfi sekali gus mengembalikan kehidupannya sebagai seorang bapa setelah bertahun tidak memiliki anak kecil.

"Kashfi benar-benar merubah hidup saya. Dah lama saya tak menempuh kehidupan sebagai seorang bapa yang perlu bangun malam membuat susu untuk bayi.

"Namun, sudah lumrah menjadi bapa bertanggungjawab bukanlah mudah. Bahkan ia mengajar saya menjadi ketua keluarga yang lebih matang dan menghargai keluarga," katanya yang terpaksa mengambil cuti selama sebulan untuk membantu Diana menjaga anak mereka ketika itu.

Sementara Diana berkata, saat Kashfi dilahirkan dia berasa sangat cemas kerana pada mulanya anaknya tidak menangis.

"Bayangkan perasaan saya masa tu, memang bimbang sangat. Kashfi kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, tidak beberapa lama kemudian barulah dia menangis. Masa tu, saya betul-betul bersyukur kerana anak sudah selamat," katanya.

Tidak sekat kerjaya isteri

Walaupun sudah mempunyai cahaya mata, namun pasangan ini masih meneruskan karier seni seperti biasa. Biarpun tidak seaktif dulu, namun baik Zamarul dan Diana, masih mencintai lakonan dan sehingga kini masih mendapat tawaran.

Ditanya adakah Zamarul menghalang Diana meneruskan kariernya. Nyata pelakon berusia 39 tahun ini, tidak pernah menyekat minat isterinya itu.

"Saya tidak kisah sekiranya dia berlakon seperti biasa tetapi apa yang saya nampak, dia sendiri enggan membiarkan Kashfi tinggal sendirian di rumah sekiranya ada penggambaran. Mungkin kerana naluri keibuan yang ada pada dirinya.

"Pun begitu, saya mahu dia benar-benar bersedia menjadi suri rumah tangga sepenuh masa tanpa ada sebarang paksaan," jelasnya.

Bagi Diana pula, dia akui masih ingin bergiat aktif sebagai pelakon memandangkan sudah lama berkecimpung dalam bidang itu.

"Saya pernah terfikir untuk berhenti daripada karier ini demi kepentingan keluarga. Tapi bila di fikir-fikir semula, saya belum bersedia.

"Sukar sebenarnya untuk saya meninggalkan dunia seni yang telah saya ceburi sejak berusia lima tahun lagi. Insya-Allah, bila saya dah betul-betul sedia, saya akan bersara dari lakonan dan memberikan sepenuh perhatian kepada keluarga," katanya.

Mahu anak jadi ahli tahfiz

Teruja memiliki keluarga besar, Zamarul berkata, dia berhasrat dapat menambah cahaya mata lagi.

Menurut Zamarul, selepas kelahiran Kasshfi, dia teringin menimang cahaya mata perempuan pula bersama Diana.

"Saya mahu kehidupan kami terisi dengan mempunyai anak yang ramai dalam keluarga ini. Bahkan saya juga merancang untuk membina perniagaan supaya dapat mengukuhkan lagi masa depan keluarga terutamanya anak-anak.

"Bagi Diana sendiri, saya yakin dia tidak kisah menambah anak tetapi mungkin bukan dalam masa terdekat. Lagipun usia Kashfi baru mencecah setahun. Biarlah Kashfi besar dahulu," katanya.

Jika segelintir artis menyokong anak mereka terlibat dengan dunia seni, berbeza pula dengan pasangan ini. Menurut Zamarul, dia berharap agar anaknya itu tidak akan mengikut jejak mereka.

"Saya lebih senang kalau dia menjadi tahfiz ataupun lebih ke arah bidang berkaitan. Sebagai insan seni, saya sendiri sudah merasa pahit manisnya bergelumang dalam dunia ini.
"Tetapi jika bidang ini telah dipilih Kashfi, saya tidak menghalang apatah lagi mahu meletakan sebarang syarat kepadanya," katanya lagi.

Air mata Nur Salina atau Sanggul beracun?

Posted: 03 Nov 2011 07:57 PM PDT

Air mata Nur Salina atau Sanggul beracun?

Bertemakan Golden Glamour, anugerah Skrin 2011 yang bersiaran secara langsung menerusi TV3 dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 4 November, jam 9 malam ini, dijangka melakar sejarah indah buat industri seni tanah air.


Sejak diperkenalkan pada 1994, anugerah berprestij anjuran TV3 ini, bukan saja menjulang nama karyawan seni tanah air, tetapi turut mengangkat dunia penerbitan ke tahap lebih tinggi.


Jika pada tahun lalu, Anugerah Skrin, meraikan kejayaan pengarah Murali Abdullah, serta pelakon-pelakon tersohor seperti Fauzi Nawawi, Noorkhiriah, Fadhilah Mansor, Bront Palarae, Sharifah Amani, Aaron Aziz, Fazura, Syamsul Yusof dan Shaheizy Sam, siapa pula yang bakal diraikan dalam Anugerah Skrin 2011?


Secara keseluruhan, Anugerah Skrin 2011, mempertandingkan 23 kategori meliputi drama, filem dan penerbitan dalaman serta dua Anugerah Khas iaitu Anugerah Yasmin Ahmad dan Anugerah Artis Harapan Pantene.


Kesemua 23 kategori dipertaruhkan, meliputi 10 kategori drama bakal dipertandingkan manakala jumlah kategori filem yang dipertandingkan kekal tujuh kategori dan enam kategori penerbitan dalaman.


Calon-calon dipertandingkan terdiri daripada terbitan ditayangkan di kaca TV dan pawagam mulai 1 Julai 2010 hingga 30 Jun 2011, selain pencalonan drama berdasarkan catatan jumlah penonton tertinggi mengikut kajian AGB Nielsen Media Research mengikut genre masing-masing.


Bagi kategori drama, 17 buah drama, 10 drama rantaian dan tujuh drama komedi dicalonkan. Manakala untuk kategori filem pula 29 filem terbitan tempatan layak dipertandingkan untuk Anugerah Skrin 2011 ini. Antara drama layak bertanding seperti Iqra, Kemaafan Yang Tertangguh, Berkalung Noda, Air mata Nur Salina, Korban Kasih Abah, Jangan Hantar Aku Ke Neraka, Rendang Madu, Masihkah Ada Sinar, Janji Syurga dan Sanggul Beracun.


Tahun ini, ASK 2011 turut menyampaikan Anugerah Yasmin Ahmad dalam kategori Anugerah Khas Juri untuk kali ketiga sempena menghargai jasa arwah Yasmin Ahmad dalam sumbangannya menghasilkan konsep filem berkualiti dan memperkenalkan bakat-bakat baru di dalam filem terbitannya. Selepas Jaclyn Victor dan Shaheizy Sam, trofi ini akan dianugerahkan kepada bakat baru berpotensi untuk pergi jauh di dalam industri tanah air.


Sementara itu, drama-drama dicalonkan pula adalah hasil penerbitan syarikat memenuhi slot-slot drama di semua rangkaian televisyen setiap minggu.


Bagaimanapun, menerusi pencalonan drama karya menyentuh hati, Air Mata Nur Salina, arahan Erma Fatima dilihat berpotensi menang besar apabila tercalon dalam kategori Drama Terbaik, Pengarah Drama Terbaik, Lakon TV Terbaik dan Videografi Terbaik.


Jika diukur dari segi plot, mesej dan lakonan berkesan dari teraju utamanya, tidak mustahil, Air mata Nur Salina mampu membawa pulang trofi drama terbaik pada tahun ini.


Malah Erma juga pernah membawa pulang trofi drama terbaik menerusi, Tersasar Di Jalanmu, pada tahun 2009 dirasakan tidak mustahil untuk mengulangi kejayaan sama pada tahun ini.

Kembalikan kegemilangan James Bond

Posted: 03 Nov 2011 07:56 PM PDT

james bond

Peminat filem, agen perisik terkenal, James Bond, pastinya tidak sabar menunggu tayangan terbaru filem ini.

Dijangka berada di pawagam Oktober 2012, filem James Bond ke -23, turut diselubungi kontroversi.

Seperti filem-filem terdahulu, kisah agen perisikan ini, berdepan dengan masalah. Baik dari segi pemilihan pelakon, judul, mahupun pengarah.

Ia juga tidak terlepas dari krisis kewangan apabila produksinya, MGM dikatakan hampir bankrap, sehingga filem ini yang sepatutnya ditayangkan pada 2010 terpaksa ditunda ke 2012.

Hari ini (Khamis), satu sidang media diadakan bagi memperkenalkan penerbit, pengarah dan barisan pelakon filem ini.

Dalam sidang media terbabit, segala info rasmi berkenaan filem itu, didedahkan termasuklah judul sebenarnya yang menjadi tanda tanya sebelum ini.
Sungguh pun begitu, bukanlah semua maklumat mengenai filem ini berjaya dirahsiakan dengan rapi.

Ini kerana, peminat sejak awal lagi sudah mengetahui pemegang watak, James Bond dalam dua filem terdahulu, Daniel Craig akan kembali menerajui peranan sama.

Malah, pengarah terkenal yang pernah memenangi Oscar melalui filem American Beauty, Sam Mendes telah mengesahkan bakal mengarahkan filem yang memulakan penggambarannya 7 November ini.

Pemilihan Mendes dicadangkan sendiri oleh Craig yang pernah bekerja dengannya dalam filem, Road to Perdition, selain kredibilitinya untuk mengarahkan filem aksi.

Selain Craig dan Mendes, beberapa nama besar, termasuk Judi Dench, Javier Bardem dan Ralph Fiennes turut tersenarai.

Sementara, gadis Bond yang sering menjadi tumpuan jatuh ke tangan aktres cantik dari Perancis, Berenice Marlohe.

Bond ke-23 hampir pasti menggunakan judul Skyfall, setelah MGM dan pembiaya filem ini, Sony Pictures mendaftar domain untuk laman web rasminya menggunakan nama JamesBond-Skyfall.com dan Skyfallthefilm.com.

James Bond berjanggut

Setelah kali terakhir kemunculannya dalam James Bond-Quantum of Solace(2008), dia dianggap kurang menyerlah.

Ini kerana, peranan ejen 007 kali ini memerlukan aktor berasal dari Britain itu untuk menyimpan janggut.

Imej berjanggut itu adalah yang pertama kali dibawa oleh watak James Bond, di mana sebelum ini semua pelakon James Bond tampil dengan wajah kemas.
Malah, Craig juga dikhabarkan telah kembali mendapat bentuk tubuh ideal bagi memenuhi karakter ejen perisik.

Marlohe si gadis Bond jelita

Pemilihan Marlohe yang jelita sebagai gadis Bond pada mulanya mendapat kritikan, kerana dia bukanlah nama besar dalam bidang lakonan jika dibandingkan dengan pemegang watak sebelum ini seperti Michelle Yeoh, Teri Hatcher dan Halle Berry.

Bagaimanapun, sesetengah pihak yakin watak gadis Bond akan lebih menyerlah, sekiranya menggunakan wajah baru dan kurang dikenali.

Namun sejauh manakah kehebatan filem terbaru James Bond ini, masih menjadi tanda tanya. Pengarahnya, Mendes, kini bersedia menggalas tanggungjawab menjadikan filem agen perisikan ini kembali menyengat, manakala Craig bersedia memenuhi karakter James Bond yang lebih gagah. Atau mungkin saja, kemunculan gadis bond lebih mengujakan berbanding dua karyawan popular itu.

Wonder Girls tampil imej baru

Posted: 03 Nov 2011 07:56 PM PDT

wondergirls

KEHADIRAN Wonder Girls dengan album kedua lebih berani, menarik perhatian peminat yang menantikan kemunculan mereka.

Jika dulu, kemunculan mereka lebih retro sekali gus cuba membangkitkan transformasi wanita kearah lebih mat ang. Ternyata dengan k onsep bar u,
mereka mampu membuka lagi mata peminat di seluruh dunia
.
Menurut JYP Enter tainment, Wonder Girls bersedia sepenuhnya dengan konsep baru lebih menggoda menerusi album yang masih dirahsiakan judulnya.

Album terbaru ini bukan sahaja menggunakan teknologi canggih, malah peningkatan vokal dititikberatkan agar sokongan lebih berterusan.

Album bar u di jadualk an t er bit pada 7 November ini, lebih bersesuaian menembusi pasaran Amerika Syarikat, selari dengan fi lem per tama mereka "The Wonder Gir ls at the Apollo".

Lagu-lagu yang terkandung juga mampu diterima di pasaran tempatan.

Pendengar Suria FM meningkat

Posted: 03 Nov 2011 07:30 PM PDT

Pendengar Suria FM meningkat

Stesen radio Suria FM berjaya mencatat peningkatan 300,000 pendengar dalam tempoh tujuh bulan, iaitu 2.3 juta berbanding 2 juta pada Mac lalu.

Peningkatan stesen berusia enam tahun itu juga adalah yang terbanyak berbanding stesen-stesen lain dengan perbezaan sebanyak dua peratus.

Menggunakan tagline Muzik Terbaik 90-an dan Terbaru, Suria FM yakin boleh mengatasi pencapaian stesen lain kerana jumlah pendengar mereka dari Isnin hingga Jumaat mencecah 392,000, manakala hujung minggu sebanyak 300,000.

Tahan kritikan

Posted: 03 Nov 2011 07:29 PM PDT



WALAUPUN peserta-peserta MasterChef Malaysia yang mengambil bahagian terdiri daripada doktor, artis mahupun penoreh getah, hakikatnya mereka adalah orang biasa yang perlu bersaing dalam menyediakan masakan yang menarik dan menyelerakan.

Cuma satu yang membezakan mereka iaitu rasa sesuatu makanan yang dimasak sama ada menepati selera juri mahupun gaya persembahan makanan yang disediakan dapat memikat hati juri. Bukan mudah tetapi itulah ciri-ciri utama untuk mencari seseorang yang boleh digelar sebagai MasterChef Malaysia.

Mula ditayangkan pada 22 Oktober lalu, seramai 40 orang peserta terpilih menyertai pertandingan MasterChef Malaysia. Kini, setelah ia ditayangkan selama dua minggu, tinggal 24 orang peserta yang masih tinggal.

Jika dilihat pada episod awal ia disiarkan, para peserta yang terdiri daripada 40 orang diasak cabaran getir apabila mereka perlu bersaing memasak makanan mengikut apa yang diminta dalam tempoh masa tertentu. Bukan itu sahaja, jika masakan mahupun persembahan makanan tidak mencapai tahap yang diinginkan juri-juri MasterChef Malaysia, mereka akan dikritik teruk.

"Bukan tujuan menghina masakan mereka, tetapi komen tersebut dibuat supaya mereka tidak lalai apabila sudah lama berada dalam pertandingan ini. Kita kena beri komen membina kepada mereka dan beri pendedahan awal kepada mereka mengenai dunia kulinari sebenar," kata salah seorang juri program realiti masakan ini, Mohd. Johari Edrus atau dikenali sebagai Chef Jo ketika dihubungi Kosmo!.


DOKTOR gigi, Izani Farhana Md. Monoto telah berjaya memenangi cabaran pertama iaitu Peti Saji Misteri.


Objektif berbeza

Menjengah ke 'medan tempur' 24 peserta, Kosmo! berkongsi sedikit pengalaman daripada para peserta yang mempunyai profesion berlainan, namun harus membuktikan kesedapan air tangan mereka tanpa mengira status.

Menurut penerbit dan juga pelakon Ary Malik, dia harus menerima dan menganggap positif komen-komen juri mengenai masakannya.

Ary juga mengaku tiga orang juri tersebut mempunyai pengalaman lebih luas daripadanya walaupun salah seorang juri, Mohd. Nadzri Redzuawan (Chef Riz), 29, begitu muda berbanding umurnya yang sudah menjangkau 40 tahun.

"Secara peribadi apabila menghidangkan makanan kepada ketiga-tiga chef, saya harus akui pengalaman mereka dalam bidang makanan cukup luas dan lebih lama daripada saya.

"Saya juga kena faham ada masanya di dalam pertandingan seumpama ini kita akan dipuji dan adakalanya kita akan dikritik jika tidak dapat mempersembahkan apa yang dikehendaki," katanya yang menyertai pertandingan ini atas minat yang terlampau mendalam dalam bidang masakan disertai dengan sokongan anak-anak terutama anak bongsunya, Ratu Chinta, 5.


PESERTA harus bijak memasak pelbagai jenis masakan Barat dan Timur mengikut kreativiti tersendiri.


Menurut Ary, dia sangat teruja apabila pertandingan MasterChef diadakan di Malaysia. Ini kerana, ketika menonton rancangan MasterChef Australia di stesen Asian Food Channel (AFC), dia sering berangan untuk menyertai pertandingan seperti itu.

Hampir tiga bulan tidak bertemu anak-anak dan suami kerana menyertai pertandingan MasterChef Malaysia, baginya berjauhan dengan anak-anak dan suami merupakan cabaran paling besar yang harus dihadapi olehnya.

Ditanya mengenai kemenangan, kata Ary, jika tidak menang sekalipun dia berharap dapat membawa pulang kenangan manis memiliki ramai kenalan, mempelajari teknik-teknik masakan dan tahu memasak pelbagai jenis masakan.

Mengenali seorang lagi peserta, Mohd. Saiful Alip, 26, ada sesuatu yang istimewa mengenai diri pemuda penoreh getah ini. Biarpun ilmu dalam bidang masakannya tidak seluas peserta-peserta lain tetapi dia kreatif dan mampu menghasilkan sesuatu menu yang dilihat menerusi rancangan kegemarannya di kaca TV iaitu Top Chef.

"Saya sangat minat menonton rancangan Top Chef di saluran AFC. Malah, banyak resipi-resipi yang ada di dalam rancangan itu saya buat di rumah. Cuma, selalunya masakan Barat sering meletakkan minuman wine ke dalam masakan. Saya cuba mengubahnya dengan meletakkan ros merah yang diperah menggunakan sedikit limau agar rasanya sama," katanya yang hebat memasak makanan Barat dan negeri kelahirannya Sabah berbanding makanan lain.


MOHD. JOHARI EDRUS atau Chef Jo menegaskan MasterChef Malaysia tidak sama dengan MasterChef Australia.


Bukan itu sahaja, anak keenam daripada tujuh beradik itu juga kreatif menghasilkan gubahan-gubahan makanan menggunakan pisau. Katanya, ilham mengubah timbul selepas menoreh getah. Dia menggunakan pisau getah dan mula mengukir kayu-kayu yang ada dengan bentuk-bentuk yang diinginkan.

"Selain itu saya juga sering menghasilkan rekaan baju sendiri dan menghantar rekaan itu untuk dijahit. Saya juga ada mereka rekaan untuk jersi kawan-kawan," katanya yang pernah mendapat tawaran sambung belajar dalam bidang kulinari di sebuah kolej tetapi terpaksa tolak disebabkan kesempitan wang.

Siapa tahu mungkin dengan menyertai Master Chef, kehidupan Mohd. Saiful selepas ini berubah ke arah yang lebih baik. Baginya tiada apa yang lebih diutamakan ketika menyertai pertandingan Master Chef selain berniat untuk menyembuhkan penyakit ibunya.

Bapanya yang hanya bekerja sebagai penoreh getah dan bekerja kampung tidak mampu untuk mengubat ibunya yang memiliki penyakit gout, darah tinggi dan strok.

"Selain itu, saya juga menyertai pertandingan ini disebabkan urusan peribadi. Saya memiliki teman istimewa dan ingin melamarnya. Bukan itu sahaja, peluang menyertai pertandingan MasterChef Malaysia ini juga dapat menambahkan ilmu saya dalam bidang masakan," katanya yang berharap untuk menjadi juara MasterChef Malaysia.

Bagi Izani Farhana Md. Monoto, 26, pula, nasib menyebelahinya untuk menyertai MasterChef Malaysia selepas sahaja dia habis belajar bidang kedoktoran gigi di Universiti Adelate, Australia.

"Rezeki saya ketika pulang ke Malaysia selepas habis belajar pertandingan MasterChef Malaysia diadakan. Bila dapat tahu saya terus mahu menyertainya. Ini semua disebabkan pengaruh MasterChef Australia," katanya yang berjaya memenangi cabaran pertama iaitu Peti Saji Misteri yang memaksa peserta memasak makanan menggunakan bahan yang sama iaitu itik.

Anak bongsu daripada dua beradik itu juga tidak gentar untuk bersaing dengan peserta-peserta lain terutamanya lelaki yang dikatakan sering mendominasi dunia masakan.

"Zaman sekarang wanita semakin hebat dan berani. Tak rasa gender menjadi satu isu. Saya telahpun membuktikannya apabila memenangi cabaran pertama," katanya.

Sementara itu, menurut Chef Jo atau Papa Jo, MasterChef Malaysia mempunyai format yang berbeza dalam setiap episod siarannya.

"Peserta harus melepasi setiap cabaran yang diberi untuk melayakkan diri ke episod yang seterusnya," katanya.

Ditanya mengenai rungutan orang ramai yang melihat masa yang diberikan agak terhad kepada peserta, kata Chef Jo, sebelum MasterChef Malaysia memulakan siaran, ada sepasukan chef yang melakukan dulu cabaran-cabaran tersebut.

Misalannya, jika mereka dapat menyiapkan menu dalam masa sejam. Untuk para peserta pula, mereka akan diberikan masa tambahan setengah jam.

"Jadi tidak timbul masa yang diberikan untuk menyiapkan masakan tidak mencukupi. Mungkin cara dia memasak salah," katanya lagi.

Misteri orang minyak Bentong

Posted: 03 Nov 2011 07:28 PM PDT


Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Fatimah Ghazali (tengah) melakukan rondaan bersama penduduk Ketari di Bentong, Pahang, malam kelmarin.


BENTONG – Lebih 10,000 penduduk di 20 kampung dan taman perumahan di kawasan Ketari di sini mendakwa hidup mereka kini diganggu satu lembaga hitam seakan-akan orang minyak.

Lembaga itu dikatakan mengganggu gadis bawah umur sejak dua minggu lalu selain membuat kacau di kampung itu.

Imejnya menyerupai lelaki bertubuh kecil yang dipercayai mengamalkan ajaran ilmu hitam itu turut didakwa memecah masuk beberapa lagi rumah sekitar Ketari.

Ekoran kejadian itu, para penduduk taman perumahan dan kampung menggerakkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bagi mengawasi dan memburu suspek.

Salah seorang anggota SRS dari Kampung Bukit Piatu, Muhamad Zulfadzli Zulkifli, 22, mendakwa dia bersama rakan pernah terserempak dengan lembaga hitam itu beberapa hari lalu ketika melakukan rondaan.

"Kami ternampak satu lembaga hitam berada di atas bumbung salah sebuah rumah dan kami mengejar sehingga ke tepi sungai tetapi gagal apabila dia berjaya menyeberangi sungai tersebut.

"Kemudian, lembaga itu mempersendakan kami sebelum menghilang diri dalam semak apabila menyedari beberapa rakan kami cuba menyeberangi sungai untuk menangkapnya," ceritanya di sini semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu