Rabu, 2 November 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Mizz Nina Teruja Kerap Buka Tirai Konsert Artis Antarabangsa

Posted: 02 Nov 2011 07:41 PM PDT

Mizz Nina sewaktu sidang media Konsert Pitbull, di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, Rabu.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Mizz Nina, 31, menyifatkan kekerapannya melakukan persembahan pembukaan konsert penyanyi-penyanyi antarabangsa sebagai satu rahmat dan berasa teruja di atas kepercayaan berterusan daripada para penganjur.

Terbaru, penyanyi yang sedang popular dengan lagu Take Over menampilkan Flo Rida ini bakal melakukan persembahan pembukaan konsert penyanyi rap Amerika Syarikat, Pitbull di Surf Beach, Sunway Lagoon pada 1 Disember depan.

Mizz Nina berkata apabila dimaklumkan mengenai kunjungan Pitbull ke sini, dia sememangnya sudah merancang untuk menyaksikan sendiri konsert itu.

"Pada awalnya, saya sendiri sudah berasa teruja untuk menonton konsert Pitbull.

"Apabila pengurusan saya memberitahu tentang tawaran untuk membuat persembahan pembukaan konsertnya, ia bagaikan satu rahmat yang tidak patut dilepaskan," katanya yang ditemui pada sidang media konsert berkenaan di Hotel Hilton, di sini, Rabu.

Mizz Nina berkata pada malam konsert itu nanti, dia akan mempersembahkan tiga buah lagu termasuk lagu hitnya What You Waiting For, Take Over dan sebuah lagu daripada album terbarunya yang masih dalam proses pembikinan.

Konsert Pitbull Live in Malaysia dibawakan oleh JS Concert dan DiGi.

Selain Mizz Nina, ia turut menampilkan DJ Joe Maz dan DJ Big Shype.

Fauzi Nawawi Anggap Kemenangan Lisdawati Sebagai Pengajaran

Posted: 02 Nov 2011 07:40 PM PDT

Fauzi Nawawi

KUALA LUMPUR: Pelakon Fauzi Nawawi menganggap kemenanggan isterinya, Lisdawati Nazaruddin dalam kes saman fitnah berhubung penerbitan artikel isu hutang di sebuah majalah hiburan sebagai pengajaran kepada semua orang, terutama golongan artis.

Kata Fauzi, apa yang berlaku itu akan menyedarkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika bercakap terutamanya mengenai perkara yang boleh menjatuhkan maruah seseorang.

"Alhamdulillah kemenangan berada di sebelah kami, kami tidak pernah peduli tentang duit kemenangan tersebut sebaliknya maruah yang selama ini tercalar sudah terubat.

"Saya tidaklah berasa gembira kerana menang tetapi lebih menjadikannya sebagai pengajaran kepada semua orang agar tahu batas percakapan," katanya ketika ditemui pada sidang media majlis pelancaran teater Se-Merah Padi, di sini, Rabu.

Terdahulu, pada Isnin, aktres Nadia Mustafar diarahkan untuk membayar ganti rugi berjumlah RM50,000 kepada dramatis, Lisdawati dalam saman fitnah berhubung penerbitan artikel isu hutang di majalah Media Hiburan, enam tahun lalu.

Bagaimanapun, ketika ditanya tentang apa yang ingin dilakukan dengan wang kemenangan tersebut, Fauzi berkata dia tidak campur tanggan dalam urusan wang tersebut.

"Saya tidak ada kena-mengena dengan hal ini, itu adalah duit Lisdawati dan hanya dia yang berhak atas duit tersebut.

"Sejak berkahwin memang saya menyerahkan segala urusan kewangan kepada dia kerana saya seorang yang boros," katanya.

Bob (Kuman) Ditahan Wad Selepas Maharaja Lawak Mega

Posted: 02 Nov 2011 07:39 PM PDT

Bob (Kuman) ketika beraksi dengan Sobri pada minggu pertama Maharaja Lawak Mega di Royal Theater Selangor, Shah Alam, Jumaat lalu.

PETALING JAYA: Pelakon Husni Rawi, 39, atau nama gelarannya, Bob (Kuman) kini ditahan di Pusat Perubatan Tropicana sejak Jumaat malam lalu akibat kepenatan.

Menurutnya, kesihatannya terjejas akibat terlalu penat sejak minggu lalu semasa membuat persiapan untuk menyertai program Maharaja Lawak Mega (MLM) terbitan Astro.

Bagaimanapun, dia tetap menggagahkan diri untuk menyertai program tersebut pada Jumaat malam lalu sebelum membuat pemeriksaan doktor selepas program itu berakhir.

"Doktor menyarankan saya supaya berehat di hospital kerana terlalu penat dengan kerja seni serta perniagaan yang dilakukan.

"Pada mulanya saya ingat penat biasa dan tidak sangka sehingga perlu ditahan di hospital sehingga ke hari ini," katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Disebabkan itu, Bob dan pasangannya dalam MLM, Sobri yang menubuhkan kumpulan BP- Bawal Power terpaksa menjalani latihan untuk persembahan MLM minggu kedua di hospital.

"Saya kasihan dengan Sobri kerana terpaksa berulang-alik ke hospital setiap hari dan kadangkala perlu bermalam di sini untuk menghasilkan persembahan terbaik pada minggu ini.

"Kami agak tertekan sedikit untuk melakukan persembahan yang lebih bagus pada minggu ini kerana persembahan kami mendapat pujian daripada ramai penonton pada minggu lalu," ujar Bob yang mengakui menghadapi masalah untuk tidur.

Walaupun masih berada di bawah rawatan dan pemerhatian pihak hospital, Bob dibenarkan membuat persembahan MLM di Royal Theater Selangor, Shah Alam pada Jumaat ini, pukul 10 malam, yang disiarkan secara langsung di Astro Warna (saluran 132).

"Nasib baik doktor benarkan saya membuat persembahan pada Jumaat ini tetapi saya perlu membawa jururawat yang bertugas bersama-sama," ujarnya.

Sebelum ini, Bob mempunyai masalah berat badan yang berlebihan iaitu 219 kilogram sehingga menyukarkan pernafasan selain mengakibatkan komplikasi buah pinggang.

Teater Se-Merah Padi Akan Papar Adegan Sula, Sebat

Posted: 02 Nov 2011 07:38 PM PDT

Keno

KUALA LUMPUR: Pementasan teater adaptasi dari filem arahan Seniman Agong Tan Sri P.Ramlee, Se-Merah Padi pada 22 hingga 31 Disember depan turut akan memamparkan adegan panas iaitu sula dan sebat sebagaimana yang terdapat dalam filem tersebut.

Menurut penerbit, Megat Mohd Noor Salleh Ghani atau Keno, kedua-dua babak itu merupakan antara plot yang memberi mesej penting yang ingin disampaikan oleh teater tersebut.

"Kita memang ingin mementaskan babak sula dan sebat itu kerana ia merupakan salah satu kekuatan jalan cerita dalam filem itu.

"Ia memberi pengajaran tentang pembalasan dan pengakhiran cerita itu dan saya mahu penonton yang menonton teater ini dapat menjadikannya sebagai iktibar," katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran Teater Se-Merah Padi, di Istana Budaya, Rabu.

Bagaimanapun, kata Keno ia akan dipaparkan dalam bentuk yang lebih berhati-hati agar tidak menimbulkan kontroversi atau melanggar sensitiviti masyarakat.

"Kita akan cuba buat yang terbaik dan jika ia tidak dibenarkan mungkin kami terpaksa melaksanakan pelan kedua," katanya.

Dalam pada itu, filem klasik ini dipilih untuk dipentaskan berikutan kekuatan jalan cerita dan secara tidak langsung bagi memberi penghormatan kepada karya-karya lama untuk diangkat semula.

"Saya memilih Se-Merah Padi kerana filem tersebut merupakan antara filem paling popular sekitar tahun 1950-an.

"Kita mahu masyarakat mengimbau semula nostalgia karya-karya hebat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang pernah menjadi kebanggaan suatu masa dahulu," katanya.

Selain itu, Keno berkata pihaknya masih dalam proses perbincangan mengenai royalti terhadap hak cipta yang dipegang oleh Shaw Brothers.

"Kami sudah berhubung dengan Shaw Brothers untuk melakukan pementasan ini dan sekarang masih dalam perbincangan untuk meminta bayaran royalti dikurangkan berbanding yang mereka minta," katanya.

Bercakap tentang pemilihan pelakon, Keno berkata kesemua pelakon yang dipilih untuk menjayakan pementasan tersebut merupakan pelakon hebat yang mempunyai keistimewaan bagi watak yang diberikan.

"Pelakon-pelakon yang dipilih itu mempunyai persamaan dengan watak-watak yang diberikan kepada mereka.

"Selain itu, bakat-bakat yang ada pada tunggak utama seperti Zul Huzaimy, Fauzi Nawawi dan Jue Aziz memang tidak dapat dinafikan, saya percaya mereka dapat membawanya dengan baik," katanya.

Antara artis lain yang turut menjayakan teater ini adalah Datuk Baharuddin Omar, Azizah Mahzan, Fazlina Datuk Ahmad Daud dan Baby Erin.

Teater arahan Rosdeen Suboh ini akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 22 hingga 31 Disember depan.

Tiket untuk teater di bawah naungan Sultan Pahang ini boleh didapati di www.ticket2u.biz.

Suria FM Kekal Stesen Tertinggi Peningkatan Pendengar

Posted: 02 Nov 2011 07:38 PM PDT

Suria FM mencatatkan peningkatan pendengar tertinggi.

PETALING JAYA: Stesen radio Suria FM, kekal sebagai stesen radio berbahasa Melayu yang mencatatkan peningkatan jumlah pendengar tertinggi pada suku kedua tahun ini iaitu sebanyak 415,000 orang berbanding stesen radio lain.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Suria FM dan Red FM, Azrullah Mohd Nor, peningkatan itu juga telah menjadikan jumlah pendengar Suria FM ini meningkat kepada 2.3 juta pendengar berbanding 2 juta pendengar pada kaji selidik Nielson pertama tahun ini.

"Kami sangat bersyukur dengan peningkatan ini kerana jelas memperlihatkan para pendengar telah mula menerima Suria FM ke tahap yang lebih baik dan pihak kami berharap angka tersebut akan terus meningkat.

"Kedudukan Suria FM dalam pasaran radio berbahasa Melayu turut diperkuatkan lagi dengan pelbagai program dan pengisian yang sentiasa berinformasi dan menghiburkan," ujarnya pada Sidang Media di sini, Rabu.

Azrullah berkata, di samping peningkatan tersebut, prestasi stesen itu turut melonjak sebanyak 13 peratus pada tahun ini selain meningkat sebanyak dua peratus secara keseluruhan di antara stesen radio berbahasa Melayu lain.

Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Azrullah Mohd Nor.

Katanya, program Breakfast@Suria yang dihoskan oleh Halim Othman, Zizi dan Sharifah Shahira paling menunjukkan peningkatan apabila hampir sejuta pendengar mendengar slot itu setiap hari.

"Pun begitu segmen pada sebelah petang dan malam seperti Drive bersama LO turut menunjukkan peningkatan positif dan memberangsangkan," katanya.

Dalam pada itu, Azrullah berkata, format 90-an dan terkini yang diperkenalkan nyata menarik minat apabila jumlah pendengar yang berusia antara 20 tahun dan 39 tahun stesen itu semakin membanggakan.

Katanya, Suria FM akan memastikan bahawa peningkatan positif itu akan berterusan dan dari stesen itu akan berusaha untuk memberikan program terbaik buat pendengar mereka.

"Pelbagai program dan acara telah kita rancangkan untuk tahun hadapan dan dengan peningkatan terbaru ini akan mendorong kami lebih agresif untuk memastikan semua pendengar akan berpuas hati dengan persembahan kami," ujarnya.

Hugh Grant Bergelar Bapa

Posted: 02 Nov 2011 07:35 PM PDT

AKTOR Hugh Grant (gambar) berkongsi khabar gembira apabila bergelar ayah kepada bayi perempuan yang merupakan hasil hubungannya dengan salah seorang kekasihnya.

Menurut US Magazine, berita tersebut disahkan oleh salah seorang ahli keluarganya.

"Saya mengesahkan bahawa Hugh Grant sudah menjadi ayah," kata salah seorang sumber yang merupakan salah seorang ahli keluarga Hugh, Rabu.

Namun begitu, sumber tersebut enggan mendedahkan identiti ibu bayi itu sebaliknya hanya menyatakan hubungan Hugh dan ibu bayi itu sudah berakhir.

"Hugh dan wanita itu tidak pernah merancang untuk memiliki anak," ujar sumber itu lagi.

Bagaimanapun, khabar angin menyatakan ibu bayi itu adalah pelakon dari China, Tinglan Hong. Pada April lalu, Hugh dilihat beberapa kali bersiar-siar dengan Tinglan.

Gambar bogel isteri boros

Posted: 02 Nov 2011 07:25 PM PDT

KESAL...Amri melihat facebook milik isterinya yang digunakan untuk menjual gambar bogel.
KESAL...Amri melihat facebook milik isterinya yang digunakan untuk menjual gambar bogel.

KUCHING: Sekali lagi facebook disalahgunakan untuk tujuan terlarang. Kali ini membabitkan seorang isteri yang menjual gambar separuh bogelnya dengan menjadikan laman sosial di Internet itu sebagai medium untuk mencari pelanggan dan proses tawar-menawar.

Selepas lelaki yang berminat memasukkan wang ke dalam akaun banknya, wanita berusia 35 tahun itu menghantar gambar separuh bogelnya kepada lelaki terbabit melalui khidmat pesanan multimedia (MMS) di telefon bimbit.

Perbuatan menjijikkan itu terbongkar selepas suami wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Amri, 43, diberitahu seorang daripada lelaki yang pernah membeli gambar isterinya itu.

"Hancur hati saya apabila mendapati apa dikatakan lelaki itu benar selepas saya memeriksa telefon bimbit serta komputer isteri.


"Malah, saya menyamar dengan menggunakan nombor telefon lain untuk berurusan dengan isteri melalui facebook dan maklum balas diterima membuktikan dia tergamak menjual gambar separuh bogelnya untuk mendapatkan wang," katanya.

Pensyarah hati syaitan

Posted: 02 Nov 2011 07:23 PM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan kolej swasta diheret dari sebuah tempat letak kereta di Sentul di sini, sebelum dirogol pensyarahnya sendiri, pagi kelmarin.

Sebelum kejadian, pensyarah berusia lingkungan 40-an berkenaan memperdaya mangsa berjumpa di pejabatnya di sebuah kolej swasta di ibu kota dengan alasan berbincang mengenai pelajaran, jam 9 pagi.


Sebaik mangsa tiba di biliknya, lelaki terbabit mengugut akan menggagalkan pelajar itu dalam peperiksaan pada setiap semester jika enggan keluar bersarapan dengannya.

Sumber polis berkata, mangsa yang bimbang dengan ugutan berkenaan terpaksa akur, namun sebaik masuk ke dalam kereta, pensyarah itu membawa pelajar itu ke rumahnya di Sentul. "Ketika dalam perjalanan, telefon bimbit mangsa dirampas dan sejurus tiba di kawasan letak kereta di kediamannya, pensyarah itu mengheret mangsa hingga ke rumahnya.


"Sebaik masuk ke dalam rumah, mangsa dipukul dan dua tangannya diikat. Baju mangsa dikoyak sebelum dia dirogol pensyarah itu," katanya.


Menurutnya, sebelum meninggalkan pelajar itu bersendirian, pensyarah berkenaan membasahkan pakaian mangsa dipercayai bagi mengelakkannya melarikan diri.

"Biarpun pakaiannya basah, mangsa tetap memakai semula pakaiannya sebelum cuba meloloskan diri namun gagal disebabkan pintu berkunci.


"Lelaki itu mengugut membunuh mangsa jika menceritakan kejadian itu kepada sesiapa," katanya.

Sumber itu berkata, lelaki terbabit menghantar mangsa ke stesen transit aliran ringan (LRT) di Jalan Tun Razak, di sini, sebelum sekali lagi mengugut membunuh mangsa sekiranya mendedahkan kejadian itu kepada orang lain.


Katanya, mangsa menghubungi kakaknya sebelum menceritakan kejadian berkenaan.


Mangsa yang ditemani kakaknya membuat laporan di Balai Polis Sentul di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.


Katanya, sehingga kini masih belum ada tangkapan dibuat namun usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan.


Ini kejadian kedua dalam tempoh tidak sampai seminggu membabitkan pensyarah melakukan jenayah seksual terhadap penuntut wanita masing-masing.


Pada 29 0ktober lalu, Harian Metro melaporkan perbuatan seorang pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang berusia lingkungan 50-an yang mencabul pelajar perempuan di bilik universiti berkenaan.


Pensyarah terbabit didakwa memaksa pelajar berusia 23 tahun berkenaan melakukan aksi ringan-ringan dengan mengumpan meluluskan pelajar itu dalam peperiksaan.

Bahasa tubuh berkata sesuatu?

Posted: 02 Nov 2011 07:20 PM PDT

SERIUS...Hans ketika mengarahkan filem Lemak Kampung Santan.
SERIUS...Hans ketika mengarahkan filem Lemak Kampung Santan.

MANJA dan mesra. Demikianlah gambarannya bahasa tubuh dua pelakon utama Lemak Kampung Santan, Hans Isaac dan Noor Neelofa Mohd Noor atau Lofa, sewaktu Rap menjenguk lokasi penggambaran filem terbaru terbitan Tall Order Productions itu di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), baru-baru ini.

Semacam ada ikatan hati di antara Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac dengan pelakon jelita yang juga penyandang juara Dewi Remaja 2010 itu.

  • Foto

    HAYATI WATAK...masing-masing mahu bersikap profesional dengan kerjaya dan hal peribadi.

  • Foto

    HANS...tertarik dengan bakat lakonan Lofa.

  • Foto

    LOFA...pegang watak Atiqa dalam filem terbaru arahan Hans.

Apabila diminta bergambar berdua, mereka sesekali berbisik dan ketawa.
Saat-saat manis itu sempat dirakamkan Rap buat tatapan peminat. Aksi mereka berdua itu seakan-akan mahu mengiakan gosip yang ditimbulkan sebelum ini mengatakan Hans dan Lofa sedang hangat bercinta.

Sewaktu ditemu bual pula, Hans dan Lofa saling menyokong antara satu sama lain terhadap setiap kenyataan yang diberikan. Jelas mereka sependapat dan memiliki pandangan serupa.

Dengan berterus terang, Hans menyatakan mereka belum sampai ke tahap bercinta.
Katanya, setakat ini mereka hanya rakan setugas dan menghormati satu sama lain.

Mereka berdua hairan bagaimana gosip percintaan boleh tersebar seperti virus
selesema.

Mungkinkah ia sebahagian gimik untuk membantu promosi awal terhadap filem lakonan mereka, Lemak Kampung Santan? Filem itu diarahkan Hans sendiri yang juga filem arahan keduanya selepas Cuci.

Kata Hans, dia tidak sempat membaca akhbar sewaktu gosip mereka tersebar sehinggalah Lofa menghubunginya sendiri memberitahu hal itu.

"Memang saya tidak sempat baca, sebaliknya saya minta Lofa memberitahu apa yang ditulis wartawan. Saya memang tidak selalu membaca gosip di akhbar pada hujung minggu kecuali ruangan prebiu filem. Saya tidak ada banyak masa untuk membelek akhbar dan tidak tahu apabila ada gosip mengatakan kami dilihat berdua-duaan
di satu pusat beli-belah sambil berpegangan tangan," katanya.

Namun, kata Hans, dia tetap melihat perkara itu dari sudut positif kerana sekurang-kurangnya wartawan memperkatakan mengenai perkembangan filem terbaru arahannya itu walaupun ada kesan yang kurang baik.

"Sebagai pembuat filem, menjual gosip cinta untuk publisiti adalah cara kurang bagus kerana ia akan membuatkan 'usia' sesebuah filem itu di pawagam tidak panjang. Saya kalau, boleh mahu filem ini ditayangkan di pawagam sehingga empat minggu dan bukannya seminggu dua.

"Bayangkan bagaimana kalau orang pergi ke panggung semata-mata tertarik kepada gosip cinta dan bukan sebab karya yang dihasilkan. Bimbang juga gosip terbabit akan membuatkan orang berasa geli dan mual. Dalam situasi sekarang orang ramai ke panggung kerana mahu menonton filem yang bukan sekadar memberikan eleman hiburan semata-mata, tetapi juga karya yang berkualiti," katanya.

Sebagai produser dan pengarah Lemak Kampung Santan berkonsepkan komedi romantik, Hans memilih Lofa sebagai pelakon wanita utama kerana wanita itu ada ciri-ciri ideal bagi watak Atiqa.

"Selain itu komitmen yang ditunjukkan Lofa juga menyebabkan saya yakin dengan kemampuannya. Sebenarnya, pengarah filem Azura (versi baru), Aziz M Osman yang menyarankan saya mengambil Lofa berlakon. Peringkat awal saya memang tidak kenal Lofa dan hanya pernah melihat gambarnya sekali dua di akhbar.

"Bagaimanapun, sebaik dihubungi, dia datang untuk uji bakat. Apabila diminta membaca skrip dan mendengar lontaran suaranya itu, saya dan rakan produksi terus tertarik seolah-olah Lofa sudah ada banyak pengalaman.

"Selain itu disiplin ditunjukkan juga membuatkan kami senang bekerja dengannya.
Bayangkan apabila saya memberikan 'call time' jam 7.30 pagi dia antara orang pertama sampai di lokasi. Sikap begitu jarang ditemui pada pelakon baru sekarang," puji Hans.

Sementara itu Lofa pula menjelaskan dia menerima lamaran Hans kerana tahu pelakon dan pengarah itu selalu menghasilkan filem bermutu dan tidak mengecewakan. Apatah lagi dalam filem ini dia berpeluang bergandingan dengan pelakon berpengalaman lain seperti Awie dan Khir Rahman.

"Saya rasa bertuah kerana dapat bekerja dengan mereka yang ada pengalaman luas dalam dunia lakonan. Saya mengambil peluang ini untuk belajar daripada mereka.
Selain itu saya seronok kerana keserasian bukan saja wujud antara pelakon tapi juga kru terbabit.

"Disebabkan itu juga saya setiap hari tidak sabar-sabar untuk ke lokasi Lemak Kampung Santan. Sudah lama saya tidak merasai situasi seperti itu. Kali terakhir saya merasainya sewaktu terbabit dengan penggambaran filem Azura," katanya.

Menyentuh mengenai gosip cintanya dengan Hans, kata Lofa perkara itu tidak pernah berlaku dan dia sendiri hairan bagaimana ia timbul.

"Hendak kata ia ditimbulkan semata-mata kerana kami digandingkan dalam Lemak Kampung Santan tidak juga kerana sebenarnya kami tidaklah benar-benar bercinta dalam filem ini. Ia bukanlah cerita 'cinta bagai nak rak' sehingga kami perlu berdua-duaan dan intim. Malah, tiada kata cinta pun terbit dalam dialog antara saya dan Hans.

"Kemesraan kami pun hanyalah dari jauh kerana dalam filem ini watak Ridzwan lakonan Hans meminati Atiqa. Pada waktu yang sama dia juga sudah ada kekasih.
Pada permulaan cerita pula, kami digambarkan sebagai tidak menyukai antara satu sama lain," katanya.

Sebagai mengukuhkan lagi kenyataan mereka tidak bercinta, Lofa berkata dia masih terlalu mentah dalam bidang hiburan dan sedang membina kerjaya. Baginya apa yang digosipkan itu hanyalah sekadar usikan nakal.



PROFIL HANS ISAAC:

Nama penuh: Gerald Hans Isaac
Panggilan: Hans
Tarikh lahir: 20 Ogos 1971
Usia: 40 Tahun
Asal: Kuala Lumpur
Kerjaya: Pelakon, pengacara, pengarah, Pengarah Urusan Tall Order Productions Sdn Bhd

Filem: Filem Ringgit Kasorrga, Amok, Scoop, Child's Play, Hanya Kawan, Gemilang, Laila Isabella, Dee & Moon, City Shark, Buli, Cinta Luar Biasa, Buli Balik, Baik Punya Cilok, Pesona Non Grata, Qabil Khusry Qabil Igam, Los & Faun, Cuci, Langgar, Lemak Kampung Santan

Drama: Sephia, Cinta.Com, Kutub Utara, Kutub Selatan, Simbiosis, 7 Gerhana

Pencapaian: Pembantu Pelakon Terbaik Anugerah Festival Filem Malaysia Ke-19 (2006 - Buli Balik, Artis Bukan Melayu popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2002 & 2003



PROFIL NEELOFA:

Nama penuh: Noor Neelofa Mohd Noor
Panggilan: Neelofa atau Lofa
Tarikh lahir: 10 Februari 1989
Usia: 22 Tahun
Asal: Pasir Mas, Kelantan
Keluarga: Anak ketiga daripada sembilan beradik

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda, Perdagangan Antarabangsa & Pemasaran, Sunway University College, Selangor

Iklan: Nokia, Silky Girl, Fair & Lovely dan F&N Fruit Tree
Klip Video: Kau Bukan Aku nyanyian Tilu

Filem: Azura (versi baru), Lemak Kampung Santan, Pak Pong, Saya Amat Mencintaimu (SAM)

Drama: Kasih Najihah, Tahajud Cinta, Kitab Cinta, Lara & Jiwa.
Pengacaraan: Paparazzi, Sekolahku Hebat, Nona
Pencapaian: Juara Dewi Remaja 2010

Nasib 13 peniaga terbela

Posted: 02 Nov 2011 07:16 PM PDT

MESRA...Saravanan (kiri) bertemu peniaga di Hentian Bas Klang, semalam.
MESRA...Saravanan (kiri) bertemu peniaga di Hentian Bas Klang, semalam.

KUALA LUMPUR: Kerisauan peniaga di Hentian Bas Klang mengenai punca pendapatan mereka yang bakal terjejas akibat kerja pembinaan projek stesen Transit Aliran Massa (MRT) Pasar Seni, berakhir apabila mereka disediakan tapak niaga sementara iaitu kawasan lapang bersebelahan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di situ.

Ruang terbabit diberikan selepas perbincangan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dengan Prasarana Negara Berhad bagi membela nasib 13 peniaga yang masih aktif berniaga di kawasan berkenaan.


Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan, berkata mereka akan dipindahkan serta-merta sejurus tapak sementara itu sedia diduduki.

"Seramai 13 peniaga yang masih aktif berniaga di kawasan ini akan diberikan tapak sementara bersebelahan stesen LRT Pasar Seni bagi memberi mereka ruang untuk mencari pendapatan," katanya selepas melawat bekas tapak Hentian Bas Klang, Prasarama Kota, di sini, semalam.

Sony lancar projektor 3D pertama dunia

Posted: 02 Nov 2011 07:15 PM PDT

CANGGIH...Nagata bersama  model projektor 3D keluaran Sony.
CANGGIH...Nagata bersama model projektor 3D keluaran Sony.

SONY (Malaysia) Sdn Bhd (Sony) melancarkan projektor tiga dimensi (3D) pertama di dunia bersama dua model lagi yang dikhususkan untuk keperluan perniagaan.

Ketua Bahagian Penyelesaian Profesionalnya, Chin Charn Choong berkata, tiga model itu, VPL-WV90ES, VPL-SX125 dan VPL-SW125 menepati kehendak operasi perniagaan di negara ini.


"Kami memudahkan penggunaan projektor dengan ciri mudah pakai seperti jarak dekat dalam ruang bilik mesyuarat yang terhad," katanya selepas pelancaran model baru terbabit di Kuala Lumpur, semalam.

Ia turut dihadiri Pengurus Besar Pemasaran Pencetak Visual, Syarikat Penyelesaian Profesional Sony Electronics Asia Pasifik, Nagata Tsuyoshi.


Choong berkata, pengenalan tiga model terbabit diharap mampu menambah penguasaan pasaran kepada 10 peratus dalam kategori projektor profesional perniagaan bagi tempoh 12 bulan akan datang.


"Setakat ini, kami memiliki lima peratus penguasaan pasaran dengan 12 produk baru sudah diperkenalkan sepanjang tahun," katanya.

Sebagai pengeluar projektor 3D pertama di dunia, Sony membahagikan produk kepada 70 peratus untuk segmen perniagaan dan 30 peratus lagi segmen pengguna.

Bieber dah jadi bapa?

Posted: 02 Nov 2011 07:14 PM PDT

BIEBER bersama kekasihnya, Selena.
BIEBER bersama kekasihnya, Selena.

LOS ANGELES: Selebriti remaja, Justin Bieber dilapor disaman oleh seorang peminat dengan tuduhan dia adalah bapa kepada bayi yang dilahirkannya.

Wanita California berkenaan dikatakan mendesak penyanyi berusia 17 tahun itu menjalani ujian DNA bagi mengesahkan secara saintifik bahawa dia adalah bapa bayi yang dilahirkan tiga bulan lalu, lapor laman web RadarOnline dan majalah Star.

Bagaimanapun, jurucakap Bieber menafikan dakwaan itu.

Matthew Hiltzik berkata: "Walaupun kami belum menerima saman itu, adalah mengecewakan ada seseorang sanggup melakukan fitnah dan membuat dakwaan palsu.


"Kami akan bertindak mengikut semua saluran undang-undang untuk mempertahan dan melindungi Bieber daripada tuduhan itu."


Wanita itu, Mariah Yearter, 20, didakwa membuat akuan bersumpah bahawa dia berusia 19 tahun apabila mengadakan seks dengan penyanyi warga Kanada itu di Los Angeles tahun lalu.

Saman itu dikatakan difail di sebuah mahkamah di California pada 31 Oktober.

Mariah meminta mahkamah memaksa Bieber 'memberi saraan secukupnya untuk bayi saya,' lapor Star.

Bieber yang menjadi terkenal dengan lagu hitnya, Baby, kini berpacaran dengan bintang remaja, Selena Gomez.

Selena menerima ancaman bunuh daripada beberapa peminat penyanyi itu selepas pasangan berkenaan mengumumkan secara terbuka hubungan mereka tahun lalu.

Bieber sebelum ini menyelar seks bebas dengan berkata: "Saya tidak fikir anda perlu mengadakan seks dengan sesiapa kecuali anda mencintai mereka."

Dan baru-baru ini dia mendedahkan hasratnya untuk menjadi bapa apabila berusia 25 tahun.

"Saya ingin menjadi bapa ketika usia muda. Menjelang usia saya 25 atau 26 tahun, saya ingin berkahwin dan mula berkeluarga," katanya.

Seluar denim berteknologi Jepun hanya RM31!

Posted: 02 Nov 2011 07:11 PM PDT

STAIL BARU...penggunaan patung pelbagai aksi menarik minat pengunjung.
STAIL BARU...penggunaan patung pelbagai aksi menarik minat pengunjung.

PERASAAN memang teruja ketika menghadiri pembukaan gedung pakaian Uniqlo terbesar dunia di 5th Avenue, New York. Ia bukan hanya disebabkan terpikat dengan ribuan pakaian yang disusun rapi mengikut ton warna dan rekaan menarik di dalamnya, tetapi melihat kesanggupan ratusan penduduk kota metropolitan itu beratur panjang dalam hujan gerimis untuk bersama-sama merasakan kemeriahan di gedung baru itu.

Apa yang menarik sangat sehingga ramai sanggup berhujan? Semuanya. Sebagai gedung terbesar dengan keluasan 8,268 meter persegi (89,000 kaki persegi), ia membariskan semua produknya dalam pelbagai ton warna pada harga mampu milik.
Sebut saja produk Uniqlo yang anda ingini, semuanya ada di sini. Kemeriahan itu mungkin dirangsang dengan kehadiran pelakon terkenal, Susan Sarandon pada majlis perasmian.

  • Foto

    STAIL BARU...penggunaan patung pelbagai aksi menarik minat pengunjung.

  • Foto

    STAIL BARU...penggunaan patung pelbagai aksi menarik minat pengunjung.

  • Foto

    PENYOKONG KUAT...Pengasas Uniqlo, Tadashi Yanai bersama Susan Sarandon pada majlis perasmian.

  • Foto

    SANGAT LUAS...gedung Uniqlo 5th Avenue, terbesar di dunia.

  • Foto

    PELBAGAI WARNA...rambang mata untuk pilih yang mana menarik hati.

  • Foto

    SESAK...penduduk New York teruja untuk lihat keistimewaan gedung terbesar Uniqlo.

  • Foto

    ILHAM GAYA...beri ilham pembeli untuk suai padan pakaian.


Dari tingkat satu, tangga bergerak akan terus membawa pengunjung terus ke tingkat tiga. Dalam perjalanan singkat ini pengunjung dihidangkan dengan deretan patung yang boleh berpusing - menggayakan pakaian Uniqlo. Di tepi dinding, dalam lif kaca diletakkan patung bergaya yang akan turun naik secara bergilir-gilir - dan menariknya ia juga boleh dilihat dari luar.

Menurut Pengurus Pemasaran Rantau Eropah, Jean-Emmanuel Shein, rekaan hiasan dalaman yang mendapat sentuhan pelbagai pakar termasuk perunding gaya penyanyi tersohor Lady Gaga, Nicola Formechitti, itu bertujuan memberikan ilham kepada pengunjung cara kreatif menggayakan barangan Uniqlo.

Namun, tentu saja, semua orang bebas mencipta gaya tersendiri mengikut cita rasa, kesesuaian acara dan cuaca di negara masing-masing. Pakaian yang dikenakan pada patung hanya sebagai panduan kerana ramai bertanya cara menggayakan jenama Uniqlo walaupun rekaannya sesuai untuk semua peringkat umur.

Antara tarikan utama ke gedung itu adalah tawaran seluar denim berteknologi Jepun lelaki dan perempuan yang dijual pada harga RM31 saja! Pun begitu yang paling menarik adalah rangkaian produk Heattech terutama jaket Ultra Light Down yang sangat ringan (hanya seberat 199 gram setiap helai) atau bersamaan dengan berat tiga biji telur.

Walaupun ia boleh digulung kecil (sehingga sebesar payung yang boleh dilipat) dan sangat ringan, ia mampu memanaskan badan khususnya pada penghujung musim luruh apabila suhu menjadi semakin sejuk antara 10 hingga 15 darjah Celsius.

Fabriknya lembut dan sangat selesa. Ia berfungsi dengan 'menyimpan' udara dan haba dari badan supaya badan si pemakai akan kekal hangat. Ia sangat sesuai untuk dibawa ketika mengembara atau bercuti pada musim yang agak sejuk.

Heattech adalah revolusi tekstil Jepun untuk mengatasi rasa tidak selesa akibat suhu sejuk. Produk Heattech direka menggunakan fabrik akrilik rayon dan poliester dengan teknologi mampu menyimpan haba di celah helaian benangnya.

"Heattech adalah kejayaan terbesar kami setakat ini. Ia mendapat sambutan hangat di semua cawangan Uniqlo di seluruh dunia sejak diperkenalkan pada 2005.
Setiap dua tahun kami akan perbaiki teknologi Heattech untuk meningkatkan kualiti supaya ia lebih mudah diterima.

"Bagi di negara yang beriklim panas, ada produk kami yang sesuai contohnya kemeja-T. Ia menggunakan fabrik bermutu tinggi yang dapat menyerap peluh dengan baik dan cepat kering. Malah ia juga sesuai dipakai oleh orang yang aktif bersukan," kata Pengurus Rekaan dan Penyelidikan Pembangunannya, Yuki Katsuda.

Untuk mereka yang gemar melancong ke luar negara pada musim yang agak sejuk, bolehlah menimbangkan untuk memiliki baju panas Kashmir yang didatangkan dalam 25 spektrum warna. Kashmir adalah benang bulu kambing yang sangat halus berukuran 14.5 hingga 16.5 mikron dan lebih halus daripada rambut (80 mikron).
Sifat inilah yang membolehkan ia memerangkap udara dan memanaskan badan, tetapi lebih penting, ia dijual pada harga yang sangat berpatutan.

Pada pembukaan gedung baru ini juga Uniqlo memperkenalkan produk yang sangat menarik di bawah Projek Innovasi Uniqlo (UIP) terdiri daripada jaket Block Tech Mountain Parka, kemeja-T Warm Effect Dry Half Zip dan seluar Warm Effect Dry (untuk perempuan) dan jaket Sport Body Warm Lite Down Parka; seluar pendek Warm Up dan Seluar Warm Effect Dry untuk lelaki - direka khusus bagi mereka yang aktif, kata Katsuda.

Produk UIP (18 produk untuk wanita dan 16 produk untuk lelaki) ini memberi penekanan kepada prestasi fabrik supaya ia bukan sekadar lasak tetapi selesa dipakai dan dapat diterima dengan baik di seluruh dunia. Jaket parka wanita contohnya dibuat daripada fabrik khas Block Tech di mana lapisan luar dilapik dengan lapisan kalis angin dan air tetapi pada masa sama tidak menyimpan lembapan.

Zip pada Track Full Zip Long Sleeve Hoodie pula sangat istimewa kerana ia bukan saja kalis air tetapi boleh direntap kuat untuk membukanya.

"Oleh kerana ia kalis air, maka ia sangat sesuai dipakai untuk aktiviti lasak seperti mendaki gunung atau masuk hutan. Ia juga sesuai digunakan oleh ahli sukan kerana tahan lasak.

"Memang Uniqlo ada banyak teknologi menarik yang dibangunkan daripada teknologi sebelumnya. Kami cuba memperkenalkan sesuatu yang baru dengan memperbaiki dan menukar teknologi sedia ada namun rekaan produk kami masih berteraskan kepada konsep ringkas.

"Saya fikir Uniqlo boleh menjadi asas atau saluran untuk semua orang mencipta gaya sendiri. Mereka boleh gabungkan produk kami dengan jenama lain dan inilah sebabnya rekaan Uniqlo perlu ringkas supaya ia boleh menjadi pelengkap kepada produk lain. Malah kalau bijak memadankan pakaian, ia boleh menceriakan penampilan," katanya lagi.

Selain itu penggunaan tangga LED yang bertukar cahaya dari semasa ke semasa dan skrin iklan Uniqlo turut menjadikan gedung baru ini unik serta lebih ceria.
Buat pertama kalinya, alat pengesan mudah alih diperkenalkan untuk mengetahui stok yang ada apabila ketiadaan saiz tertentu di rak jualan dan cara ini membuatkan pelanggan tidak perlu menunggu lama bagi mendapatkan barang dikehendaki.

Seminggu selepas pembukaan gedung di 5th Avenue, Uniqlo membuka cawangan kedua terbesar di dunia di 34th Street - dua lokasi beli-belah terkemuka di dunia selepas kejayaan cawangan di Soho yang dibuka pada 2006.

Untuk dua gedung ini, Uniqlo mengambil 1,300 pekerja sejak April lalu dan 50 daripadanya diterbangkan khas ke Jepun untuk dilatih sebagai pengurus dan mendalami 'jiwa' syarikat pakaian yang mula beroperasi pada 1984 itu.

Ini kerana menurut Ketua Pegawai Eksekutif Uniqlo Amerika Syarikat, Shin Odake cabaran besar untuk memastikan syarikat itu terus berada di hadapan ialah mempunyai tenaga kerja terlatih, cekap dan mesra pelanggan.

Harapan Uniqlo untuk membuka 20 cawangan setahun di Amerika dan menjadikannya jenama pilihan keluarga bukanlah satu angan-angan apatah lagi dengan adanya pelbagai produk berkualiti tinggi pada harga mampu milik. Malah ia turut menjadi pilihan sebagai pakaian harian kegemaran Susan Sarandon yang terus terang menyenangi jenama Uniqlo.

Disingkir kerana rupa

Posted: 02 Nov 2011 07:10 PM PDT

Charice
Charice
Bagi Charice, bakat ialah penentu kejayaan seseorang penghibur

UMPAMA kisah dongeng yang bermula dengan penderitaan dan berakhir dengan kebahagiaan hakiki, begitulah juga diibaratkan mengenai perjalanan seni penyanyi dari Filipina, Charmaine Clarice Relucio Pempengco, atau lebih dikenali dengan nama komersilnya, Charice. Hanya kerana penampilan fizikalnya tidak seperti penyanyi lain, gadis berusia 19 tahun ini pernah dinafikan haknya apabila juri sebuah pertandingan nyanyian yang disertai menyingkirkan dirinya pada peringkat awal.
Hati mana yang tidak terguris apabila bakat serta usaha yang dicurahkan itu hanya dipandang sebelah mata. Meskipun ketika di pentas pertandingan berkenaan vokalnya memukau penonton dan tarian yang dipamerkannya cukup hebat, namun semua itu bagaikan tiada erti apabila juri sepakat menyingkirkannya atas alasan yang cukup prejudis.
Namun, pengalaman perit itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengejar impian sebagai penghibur terkenal. Doa Charice akhirnya dijawab Tuhan dan peluang untuk menggapai impian itu terbuka luas apabila dia dipertemukan dengan komposer tersohor, David Foster, yang diakui cukup handal dalam mengesan bakat baru berpotensi untuk dijadikan bintang dalam sekelip mata.

"Bukan mudah untuk saya berjaya seperti hari ini. Ramai yang mahukan saya mengubah penampilan fizikal saya jika mahu menjadi artis terkenal. Hanya kerana wajah saya tidak secantik penyanyi lain, bakat yang saya ada tidak dihiraukan. Malah, saya pernah disingkirkan lebih awal dalam pertandingan nyanyian hanya kerana saya tidak mempunyai pakej seperti yang dimahukan.

"Kalau diikutkan, memang saya kecewa dengan alasan itu kerana saya tahu kekuatan vokal saya serta saya boleh menari dengan baik. Tapi jika itu tanggapan mereka, saya tidak boleh buat apa-apa. Namun ia bukan halangan untuk saya terus mengejar impian menjadi penghibur berjaya. Mujurlah saya dipertemukan dengan Foster yang percaya dengan bakat saya miliki ini," katanya dalam temubual bersama sekumpulan wakil media sewaktu kunjungannya ke Malaysia bagi menjayakan konsert David Foster & Friends, yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, baru-baru ini.

Sambil menyifatkan kisah hidupnya itu tidak ubah seperti Cinderella, janji Charice, dia tidak akan membiarkan perkara yang sama berulang kepada mana-mana bakat baru yang mempunyai impian sepertinya, namun terpaksa dipendamkan hanya kerana tidak "secantik" seperti yang dikehendaki dalam industri ini.
"Tidak selama-lamanya saya akan menyanyi. Sampai masa nanti, saya akan kembali ke negara asal saya untuk membimbing bakat baru yang mahu menjadikan bidang nyanyian sebagai kerjaya. Mungkin di sana ramai yang mahu menjadi penyanyi, tetapi faktor fizikal menjadi halangan. Sebagai seorang yang pernah melalui saat duka seperti itu, menjadi tugas saya memberikan keyakinan kepada mereka bahawa untuk berjaya, bakat ialah segala-galanya.

"Saya mahu memberikan kembali apa yang sudah saya peroleh. Segala pengalaman yang saya kutip sepanjang bergelar anak seni akan saya curahkan pada mereka. Selain itu, saya juga ingin menyambung pengajian dalam bidang undang-undang. Ilmu juga amat penting dan tidak mustahil saya akan bergelar peguam selepas ini," ujarnya yang cukup ramah dan cepat mesra ini.

Berlakon di sisi Salma Hayek

BAKAT seni yang ada pada gadis bertubuh genit ini bukan saja menyerlah dalam bidang nyanyian atau tarian, tetapi juga dalam lakonan. Tentu ada yang perasan penampilan istimewanya dalam drama muzikal bersiri, Glee. Diajak bercerita mengenai pengalaman yang dilaluinya dalam drama itu, Charice mengakui dia cukup teruja membintangi siri popular itu.

"Memang seronok dapat berlakon dalam drama bersiri itu. Pelakonnya semua baik-baik dan mesra melayani saya. Paling menyeronokkan apabila kami melepak bersama-sama selepas penggambaran. Kalau diberi peluang dan kebetulan saya tidak sibuk, saya pasti akan kembali berlakon dalam siri muzikal itu.

"Selain itu, saya juga baru saja tamat penggambaran filem pertama yang berjudul Here Comes The Boom yang menyaksikan saya bergandingan dengan Salma Hayek dan Kevin James. Saya juga turut menyanyi dalam filem ini," katanya yang teringin membawakan watak hantu untuk filem seterusnya.

Ketika yang sama, peminat pastinya memang mengetahui kelebihan yang ada pada penyanyi yang disifatkan pengacara tersohor, Oprah Winfrey, sebagai Gadis Paling Berbakat Dalam Dunia Ini. Vokalnya yang lantang berjaya membuatkan dirinya cukup popular di laman sosial YouTube. Disebabkan keunikan vokal itulah juga maka dia berjaya memikat hati Foster untuk dijadikan anak didiknya.

Bagaimanapun, bagi Charice, mempunyai vokal yang lantang bukanlah segala-galanya. Apa yang dimahukan gadis yang mula dikenali menerusi single Pyramid ini ialah nyanyian yang mampu meresap jauh ke dalam lubuk hati peminat. Baginya, kelebihan itu pada penyanyi United Kingdom, iaitu Adele.

"Saya amat mengagumi bakat yang ada pada Adele. Tanpa perlu menarik suara dalam nada tinggi, dia sudah mampu menawan hati ramai peminatnya. Saya suka dengan corak penyampaiannya yang bersahaja. Kekuatannya terletak pada melodi dan liriknya yang menyentuh perasaan," katanya yang kini muncul dengan album kedua berjudul Infinity.

Bapa mati dibunuh

SEMENTARA itu, dalam perkembangan terbaru, penyanyi ini dan keluarganya dilaporkan sangat sedih selepas insiden pembunuhan bapanya yang disifatkan sebagai tragedi.

Ricky Pempengco, 40, ditikam Isnin lalu di Manila, sebelas bertembung dengan seorang lelaki mabuk dalam sebuah kedai runcit.

AP melaporkan, dalam kenyataannya semalam, Charice ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat di seluruh dunia kerana memberikan sokongan moral kepadanya dalam keadaan yang sukar itu.

Charice turut membatalkan baki persembahan siri jelajahnya dan kembali ke Filipina untuk bersama keluarga.

Penyanyi ini dan bapanya hidup berasingan sejak beberapa tahun lalu, namun dia mengaku ingin berbaik semula dengan lelaki terbabit. Ketika ini, pihak polis masih memburu pembunuh Pempengco.

Dengarnya...: GAFIM pecat kakitangan urus setia FFM24?

Posted: 02 Nov 2011 07:08 PM PDT

SEBAHAGIAN pengarah dan artis yang hadir pada Jelajah FFM24 di Johor.
SEBAHAGIAN pengarah dan artis yang hadir pada Jelajah FFM24 di Johor.
BANYAK betul acara anugerah bulan ini, sampai pening Cik Normah nak pilih yang mana satu harus Cik Normah hadiri. Sedang Cik Normah mencongak tarikh setiap anugerah yang semakin hampir, sambil menikmati kuih bahulu, telefon di meja pejabat pula tiba-tiba berdering. Tergendala sekejap perancangan Cik Normah petang itu.

Kedengaran suara Gayah Gebu di corong telefon. Katanya, ada gosip panas berhubung kemelut dalaman yang melanda penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) ke-24.
Tak cukup dengan isu panas yang berlaku, ada pula isu lain yang timbul dan kini, khabarnya sudah mula berlaku permainan pecat-memecat.
Hai! Siapa pula yang memecat dan siapa pula yang dipecat? Menurut Gayah Gebu yang boleh tahan pedas juga kata-katanya, tiga kakitangan urus setia FFM dipecat Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) baru-baru ini. Atas alasan apa mereka diperlakukan begitu, Cik Normah tak diberitahu pula.

Kata Gayah Gebu lagi, kerana simpati dengan pemecatan tiga kakitangan urus setia terbabit, setiausaha GAFIM bertindak untuk meletak jawatan disebabkan tidak berpuas hati dengan pengurusan atasan persatuan itu.

Kenapa sampai macam itu sekali? Tidakkah mereka harus fikirkan tarikh acara yang semakin hampir, bukan bertelagah sesama sendiri. Sebelum ini ada pertelingkahan antara GAFIM dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), kini masalah dalaman GAFIM pula terjadi.

Kalau berterusan begini, Cik Normah risau juga mengenangkan acara berprestij itu nanti. Agaknya, macam manalah pula jadinya FFM24 nanti? Jangan huru-hara sudahlah, nanti akan mencacatkan industri perfileman kita juga. Kalau pihak luar tengok, industri kita juga yang malu.
Sudah 24 kali FFM dianjurkan, sepatutnya penganjur semakin matang dan memperbaiki kelemahan yang ada bukannya menambahkan lagi kemelut dalam penganjuran. Cik Normah takut nanti masyarakat akan pandang rendah pada FFM dan menganggap industri perfileman kita kucar-kacir.

Sepatutnya kemelut yang kian meruncing ini ada campur tangan daripada pihak berwajib kerana majlis ini diadakan bagi menghargai karyawan dan penggiat seni bukannya majlis untuk bertelagah sesama sendiri. Jadi fikir-fikirkanlah untuk kebaikan semua.

Glamor sudah tidak wujud

Posted: 02 Nov 2011 07:06 PM PDT

RUHILA warisi kecantikan ibunya, Normala.
RUHILA warisi kecantikan ibunya, Normala.
Sekalipun sibuk dengan urusan rumah tangga, perkembangan dunia penyiaran tak dilupakan

IDOLA ramai nan satu ini sudah meninggalkan dunia penyiaran agak lama dan kali terakhir muncul di kaca TV dua tahun lalu mengendalikan program terbitan syarikat sendiri. Demi keluarga, kerjaya serta populariti yang sedang menjulang tinggi diketepikan namun daripada riak wajahnya kini, tergambar kepuasan yang tidak terhingga dengan nikmat bahagia yang dikecapi kini.
Bagi Datin Seri Normala Samsudin, 47, tiada nilai yang mampu ditukar ganti dengan masa berharga buat insan tercinta. Justeru sebaik mengucapkan selamat tinggal sebagai personaliti TV pada 2005, bekas hos Nona itu tidak berpaling lagi namun hanya muncul dalam produksi sendiri selain menemani suaminya, Datuk Seri Azmi Khalid yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar ke majlis rasmi.
Dunia indah yang dilaluinya kini dikecapi sepuas mungkin. Menjadi teman suka duka suami, melayani cucu, melihat anak membesar depan mata, berkebun dan segala macam aktiviti yang sebelum ini sukar dilakukan dek kekangan waktu akhirnya dapat dipenuhi sebaik mungkin bersama insan tersayang sekali gus mencetuskan rahmat yang sukar diluahkan dengan kata-kata.

"Saya bersyukur dengan kehidupan ini. Cucu sudah bertambah, anak-anak semakin membesar. Melayani mereka membuatkan hidup saya sentiasa terisi. Memasak, mengemas rumah dan berkebun juga antara rutin yang cukup menyeronokkan. Walau ada pembantu, saya lebih selesa menyediakan keperluan keluarga sendiri.

"Hujung minggu saya menemani suami melawat kawasan Parlimennya di Padang Besar, Perlis. Boleh dikatakan saya menjadi pembantu tidak rasminya kerana jadual kerjanya turut saya catatkan dalam diari khas selain mengingatkan mengenai setiap temujanji," katanya yang menganggap isteri Ahli Parlimen juga berperanan besar dalam berkongsi aspirasi dan membantu golongan wanita di kawasan masing-masing.

Ikon yang digelar Perempuan Melayu Terakhir itu hadir ditemani anak gadisnya, Ruhila Ruslan, 19, pada majlis meraikan pemenang menjalani sesi merehatkan tubuh di Jari Spa, Wangsa Maju anjuran saluran Emas yang juga perkhidmatan Televisyen Protokol Internet di bawah Media Prima Berhad (MPB).
Kesempatan bertemu perantara TV itu tidak mungkin dilepaskan lima pasangan apabila masing-masing mengambil peluang merakamkan gambar kenangan dan berbual dengannya. Walau menyandang gelaran Datin Seri, tiada riak sombong pada setiap patah butir bicaranya malah butiran yang diluah ibu kepada tiga cahaya mata itu cukup lembut dan teratur.

Tidak hairan apabila kemanisan serta kelembutannya turut diikuti anak perempuan tunggalnya yang saling tak tumpah seperti si ibu. Nyata tidak hanya menonjol dalam kerjaya, anak jati Johor itu juga wajar dijadikan contoh dalam mendidik anak apabila tetap meletakkan teras tradisional termasuk bersalam, menghormati orang tua, jaga tutur kata dan perilaku.

Begitu pun sebalik ketegasan, Normala menganggap hubungan dengan anak-anaknya bukan hanya sebagai ibu malah lebih daripada teman akrab yang boleh berkongsi apa jua perkara termasuk soal, cuma jangan sesekali menghancurkan kepercayaan mereka dengan bercerita segala rahsia kepada orang lain hatta adik beradik sendiri.

"Sekarang tak sama macam dulu kerana mereka dikelilingi dunia informasi serba moden. Dari segi memberikan buah fikiran, saya memberi kebebasan menyuarakan pandangan. Macam cucu saya sendiri, walau baru lima, enam tahun, mereka bijak bercakap dan setiap persoalan yang diluah perlu ada jawapannya.

"Sedari dulu memang kami cukup rapat, terutama Ruhila. Sebagai satu-satunya anak perempuan, setiap perkara dikongsi dengan saya. Kini usianya sudah 19 tahun, kami semakin berkongsi banyak perkara termasuk soal fesyen hingga ke perihal temannya," katanya yang mempunyai dua anak bujang berusia 17 dan 21 tahun.

Teruja melihat gandingan baru

SAAT rancak bercerita mengenai permata hatinya, tiba-tiba tona suaranya berubah apabila memasuki bab pemergian Ruhila ke luar negara. Anak gadis kesayangannya itu sedang menanti keputusan peperiksaan bagi melanjutkan pengajian ke Australia untuk membolehkannya bergelar doktor gigi seperti yang diidamkan sejak dulu.

"Kalau ikut perancangan, pengajiannya bermula tahun depan. Sebagai ibu, saya memberikan restu dan menitipkan doa kerana cita-citanya itu diluahkan sejak menuntut di Kolej Tunku Kursiah lagi. Walaupun laluannya masih jauh saya yakin dia mampu mengharunginya.

"Setakat ini hanya adiknya yang menunjukkan kecenderungan mengikuti jejak langkah saya di bidang penyiaran manakala si sulung lebih cenderung terhadap kerjaya di bidang kejuruteraan mekanikal. Saya hanya mampu memberikan perangsang supaya setiap anak-anak dan cucu saya mampu memenuhi cita-cita mereka," katanya lagi yang turut akrab dengan empat anak tirinya.

Diajukan soal kerjaya, tidakkah rindu mahu bersiaran di kaca TV semula selepas kali terakhir mengendalikan program gaya hidup wanita 26 episod berjudul Bersama Normala Samsudin (BNS) sekitar 2009?

Ibu kepada Asyraf, 23, Ruhila 19, dan Rubilla 17 ini berkata, kerlipan glamor sudah tidak wujud dalam kamus hidupnya kerana tumpuannya kini hanya pada suami dan keluarga, malah batasan waktu menyebabkan urusan mengendalikan syarikat yang kini rancak menerbitkan telefilem dan drama berantai dikendalikan rakan kongsi.

Namun begitu, Normala tetap mengikuti perkembangan program majalah berkaitan wanita sama ada dari sudut paparan bahan dan perubahan pengacara malah tidak sabar melihat gandingan Fara Fauzana dan Neelofa sebagai perantara baru.

Dia bangga dengan kemunculan pelapis baru yang memiliki kualiti pengacara selain latar belakang pendidikan tinggi, cuma untuk membuatkan penonton mengingati hasil kerja, mereka perlu lebih versatil selain sentiasa muncul bersama bahan menarik.

"Saya dulu pun awalnya agak kaku. Tetapi saya belajar, minta pendapat orang dan aplikasikan apa yang dirasakan perlu. Pengacara TV era ini perlu mengupas sesuatu isu dengan lebih mendalam serta perlu mempunyai semangat kerja berkumpulan yang tinggi. Mereka perlu merasai sendiri tugasan luar, lebih-lebih lagi membabitkan isu yang dekat dengan masyarakat.

"Jika perlu turun bendang, bercomot di tengah ladang atau meredah sungai, jangan culas. Lakukan saja kerana merasakan sendiri pengalaman seperti itu membolehkan kita berkongsi dengan penonton secara semula jadi, bukan setakat mengikut skrip. Tak semestinya kita perlu kasar, untuk bergelar pengacara versatil, kita perlu berani bukan setakat jadi primadona atau glamor saja.

"Barangkali era berbeza membuatkan mereka sudah biasa hidup senang, tidak seperti saya dulu yang pernah merasai keperitan dan kemiskinan. Mereka perlu banyak turun padang untuk merasai pahit getir masyarakat di luar sana. Soal paparan pula, masih perlu disesuaikan dengan perkembangan semasa supaya tidak timbul rasa muak," katanya.

FELDA buka ladang di Kemboja

Posted: 02 Nov 2011 07:05 PM PDT

KEPAKARAN sektor perladangan FELDA diperluas ke luar negara  termasuk  Kemboja.
KEPAKARAN sektor perladangan FELDA diperluas ke luar negara termasuk Kemboja.
Syarikat sedang runding tawaran Hun Sen ketika melawat Malaysia

FELDA yang kini memiliki dua ladang di Indonesia, sedang menimbang membuka ladang di Kemboja dalam usaha mengembangkan lagi operasinya di luar negara.
Pengerusinya, Tan Sri Isa Samad, berkata pihaknya kini sedang berunding dengan pihak berkaitan di Kemboja selepas mendapat tawaran untuk membuka ladang seluas kira-kira 161,800 hektar di negara itu.
Beliau berkata, FELDA telah diberikan dokumen dan butiran yang diperlukan serta hasil kajian oleh beberapa organisasi mengenai potensi langkah berkenaan, untuk dipertimbangkan.

"Saya percaya kita akan melihat tawaran itu kerana ia adalah satu peluang yang baik," katanya di Yangon, Myanmar, semalam.

Isa berkata, Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen yang melawat Malaysia sebelum ini mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya FELDA membuka ladang di negara itu.

Beliau berkata, FELDA akan melihat kesesuaian tanaman yang boleh diusahakan, sama ada sawit atau tanaman lain.
Salah satu daripada ladang FELDA di Indonesia diusahakan secara bersama dengan Lembaga Tabung Haji, manakala satu lagi diusahakan dengan syarikat tempatan.

Isa berkata, FELDA juga sedang berusaha untuk meningkatkan jualan produk keluarannya ke seluruh dunia.

"Sebagai contoh, kita telah mempunyai kilang di Turki bagi menembusi pasaran di Eropah Timur," katanya, sambil menyatakan FELDA juga sedang melakukan usaha yang sama di Afrika tanpa memberi penjelasan lebih terperinci mengenai perkara itu.

Langkah itu, katanya, bertujuan menambah bilangan pasaran produk keluarannya yang kini menembusi pasaran 13 negara di seluruh dunia.

Secara keseluruhannya, beliau berkata, FELDA mencatatkan jualan kira-kira RM16 bilion setahun melalui pengeksportan kira-kira tiga juta tan minyak sawit ke seluruh dunia.

Israel pula hukum Palestin isu UNESCO

Posted: 02 Nov 2011 07:04 PM PDT

KAWASAN penempatan Yahudi di Har Homa bagi Israel atau  Jabal Abu Ghneim bagi Palestin   menunjukkan usaha Israel memperluaskannya selepas UNESCO mengambil Palestin menjadi ahlinya.
KAWASAN penempatan Yahudi di Har Homa bagi Israel atau Jabal Abu Ghneim bagi Palestin menunjukkan usaha Israel memperluaskannya selepas UNESCO mengambil Palestin menjadi ahlinya.
Rejim Zionis juga cari sebab serang Iran kerana program nuklear

BAITULMAQDIS: Israel mengumumkan akan membina 2,000 rumah lagi untuk pendatang Yahudi dengan membekukan pemindahan dana cukai Palestin sebagai menghukum mereka atas undian di UNESCO meluluskan kemasukan sebagai ahli badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
Rejim Zionis itu mendapat ilham daripada langkah Amerika yang menarik balik dana kepada UNESCO. Malah, ia juga membincangkan serangan terhadap Iran bagi memusnahkan program nuklearnya.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan anggota Kabinetnya bersetuju mempercepat pembinaan penempatan di timur Baitulmaqdis dan kawasan berhampiran, sehari selepas UNESCO menerima Palestin sebagai anggota penuh.

"Langkah ini dipersetujui...sebagai hukuman selepas mengundi di UNESCO," kata pegawai kanan kerajaan sebelum Netanyahu mendakwa Israel membuat keputusan itu kerana mempunyai hak berbuat demikian.

"Kami akan bina 2,000 unit rumah termasuk 1,650 kediaman di timur Baitulmaqdis dan selebihnya di penempatan Maaleh Adumim dan Efrat," tambahnya merujuk kepada penempatan besar di timur Baitulmaqdis dan satu lagi antara Baitulaham serta bandar selatan Hebron.

"Kami juga memutuskan untuk membekukan pemindahan dana secara sementara kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA)," tambahnya.
Setiap bulan, Israel memindahkan kepada Pihak Berkuasa Palestin puluhan juta dolar sebagai cukai kastam terhadap barangan yang dihantar ke pasar Palestin yang transit melalui pelabuhan Israel. Peruntukan itu mewakili peratusan besar dalam belanjawan Palestin.

Israel sering membekukan pemindahan dana itu sebagai langkah hukuman dalam hubungan diplomatik atau perkembangan politik yang dilihat sebagai berbahaya.

Sementara itu, Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Ehud Barak cuba meyakinkan Kabinet supaya menyokong serangan terhadap Iran, lapor akhbar Haaretz.

Netanyahu berusaha untuk memenangi sokongan majoriti untuk menyerang Iran tetapi ada beberapa anggota Kabinet menentang serangan itu.

Netanyahu berjaya meyakinkan Menteri Luar, Avigdor Lieberman menyokong serangan itu yang bertujuan memusnahkan keupayaan nuklear Iran.

Tetapi menteri lain dilaporkan menentangnya dengan ramai yang beranggapan yang tindakan terhadap Iran perlu dilakukan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Laporan Haaretz keluar beberapa hari selepas spekulasi rancangan serangan Israel terhadap Iran. Isnin lalu, Barak menafikan laporan media bahawa beliau dan Netanyahu sudah memutuskan untuk menyerang Iran walaupun ditentang ketua perisikan dan ketenteraan.

Antara yang masih menentang serangan itu, kata Haaretz ialah Menteri Dalam Negeri, Eli Yishai dari parti ultra-Ortodok Shas, Menteri Perisikan, Dan Meridor, Menteri Hubungan Strategik dan orang kepercayaan Netanyahu, Moshe Yaalon dan Menteri Kewangan, Yuval Steinitz.

Haaretz berkata, laporan keupayaan nuklear Iran dijangka diterbitkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa pada Selasa minggu depan akan membantu keputusan terhadap serangan ke atas Tehran.

CIMB sedia RM30 juta skim mikro

Posted: 02 Nov 2011 07:01 PM PDT

Syarikat kewangan sasar 10,000 usahawan kecil, golongan berpendapatan rendah

CIMB Group bercadang menyalurkan skim pinjaman mudah mikro berjumlah RM30 juta kepada 10,000 peminjam menjelang Disember ini menerusi produk CIMB Xpress Cash Financing-i.
Timbalan Ketua Kad dan Pinjaman Peribadi Kumpulannya, Aaron Loo, berkata ia sekali gus membolehkan kumpulan itu mencapai sasaran penyaluran RM150 juta kepada 30,000 peminjam menerusi skim itu bagi keseluruhan tahun ini.
Katanya, keyakinan itu disandarkan berikutan langkah agresif bank itu menggerakkan 320 cawangan dan sembilan kiosknya di seluruh negara untuk memberi pendedahan kepada umum mengenai produk itu.

"Setakat ini, kami sudah menyalurkan RM120 juta kepada 20,000 permohonan dari seluruh negara yang kebanyakannya diterima dari sekitar Lembah Klang," katanya pada temu bual dengan Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sejak dilancarkan pada 2007 hingga akhir tahun lalu, katanya, ia sudah menyalurkan pinjaman berjumlah lebih dari RM600 juta menerusi program itu kepada pelanggannya.

CIMB Xpress Cash Financing-i menawarkan pinjaman mudah mikro kepada usahawan kecil dan golongan berpendapatan rendah dengan kelulusan dan penyaluran pinjaman dalam tempoh 48 jam.
Ia diwujudkan bagi membantu usahawan kecil membangunkan perniagaan menerusi pinjaman dari RM3,000 hingga RM50,000 dengan ansuran harian serendah RM3.62.

Tanpa sebarang deposit dan yuran pemprosesan, produk itu menawarkan kadar faedah dua peratus sebulan sementara peminjam mempunyai pilihan untuk membayar balik pinjaman sehingga tempoh lima tahun.

Loo berkata, pinjaman yang banyak membantu usahawan kecil untuk memulakan perniagaan itu turut mengambil kira latar belakang kewangan dan rekod pembayaran semula peminjam.

"Adalah menjadi dasar bagi CIMB untuk mengambil kira keupayaan peminjam untuk membayar ansuran bulanan dan memastikan bahawa pinjaman yang diberikan kepada mereka dimanfaatkan sebaik-baiknya.

"Oleh itu, kami menggalakkan peniaga mikro itu membuka akaun simpanan dengan kami supaya rekod kewangan mereka lebih mudah untuk dipantau. Ia juga akan memberi akses mudah kepada mereka untuk menambah pembiayaan pada masa akan datang," jelasnya.

Katanya, pihak bank amat berpuas hati dengan rekod pembayaran semula peminjamnya setakat ini, dengan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) bagi produk ini amat rendah pada paras 1.3 peratus dari jumlah keseluruhan pinjaman.

"CIMB juga mengambil langkah sama seperti mana kerajaan dalam membantu usahawan mikro memulakan perniagaan kerana kami sedar mereka sebenarnya adalah tulang belakang kepada sektor perniagaan di negara ini. Perusahaan kecil-kecilan contohnya, seperti perniagaan makanan dan barangan runcit adalah perusahaan sokongan dan berpotensi untuk maju kepada industri yang lebih besar," katanya.

CIMB Xpress Cash Financing-i tidak hanya menyediakan keperluan kepada usahawan kecil memulakan perniagaan, malah membuka peluang kepada pelanggan memohon pinjaman untuk tujuan pengubahsuaian kediaman, pendidikan, perubatan, perjalanan dan perbelanjaan perkahwinan.

Antara kelayakan pemohon ialah berusia 21 hingga 60 tahun, gaji bulanan kasar RM800 dan sudah bekerja atau menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya enam bulan.

Untuk keterangan lanjut mengenai produk ini, orang ramai boleh menghubungi 1-300-880-900; atau mengunjungi mana-mana cawangan CIMB Bank dan CIMB Islamic, atau melayari www.cimbbank.com.my dan www.cimbislamic.com.

Nelayan manfaat jeti baru

Posted: 02 Nov 2011 07:00 PM PDT

 IBRAHIM (kanan) dan Adnan  (tengah) melawat jeti Kampung Tanjung Gosong, Pekan.
IBRAHIM (kanan) dan Adnan (tengah) melawat jeti Kampung Tanjung Gosong, Pekan.
Punggah hasil tangkapan, tarik bot tak perlu tunggu air pasang

PEKAN: Kesukaran 50 nelayan di Kampung Tanjung Gosong, dekat sini, menarik bot dan memunggah hasil tangkapan dan bergantung kepada air pasang surut selama lima tahun berakhir dengan siapnya jeti baru yang lebih selesa dan mesra pengguna.
Jeti konkrit berharga RM250,000 itu menggantikan jeti konkrit lama yang bukan saja kecil tetapi kedudukannya rendah menyebabkan nelayan tidak dapat menggunakannya terutama ketika air pasang.
Malah, sebelum ini, nelayan dan penternak ikan air payau Projek Akuakultur Berimpak Besar (HIP-ZIA) Tanjong Gosong terpaksa menghadapi pelbagai kesukaran untuk mengangkut hasil tangkapan masing-masing ke darat.

Bagaimanapun, keprihatinan Jabatan Perikanan negeri menyediakan jeti baru itu akan memberi keselesaan kepada mereka untuk memunggah hasil tangkapan termasuk aktiviti lain.

Nelayan, Zulkarnain Jusof, 47, berkata sebelum ini mereka berhadapan banyak masalah untuk turun dan pulang dari laut terutama ketika air pasang kerana jeti lama tidak dapat digunakan.

"Dulu, pulang dari laut hanya ketika air pasang dan terpaksa berlabuh di tebing pasir serta menolak bot ke darat sebelum menurunkan hasil tangkapan dan menyimpan bot kerana jeti lama tidak dapat digunakan.
"Namun, sekarang masalah tidak ada lagi kerana jeti baru ini lebih selesa dan dilengkapi pelantar pelampung untuk memudahkan nelayan memunggah hasil tangkapan bila-bila masa, selain saiznya yang lebih besar termasuk kemudahan stor menyimpan barangan," katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

Zulkarnain yang sudah lebih 20 tahun menjadi nelayan berkata, antara kelebihan jeti baru ialah pelantar pelampung yang turun naik mengikut air pasang dan surut seterusnya memudahkan nelayan memunggah hasil tangkapan tanpa mengira waktu.

Beliau ditemui pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Jeti Pendaratan dan Pusat Pengumpulan Hasil Kampung Tanjung Gosong yang dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Ibrahim Awang Ismail.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Adnan Hussain.

Othman Abdul Rasul, 54, pula berkata, sebelum ini penternak ikan yang ingin memindahkan makanan dan hasil ternakan terpaksa menunggu air surut.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Perikanan yang prihatin dengan masalah nelayan," katanya.

Sementara itu, Adnan berkata, pihaknya menyediakan peruntukan kira-kira RM400,000 bagi menyediakan kemudahan jeti, rumah rehat, bantuan sangkar, benih ikan dan makanan kepada lebih 50 nelayan pantai termasuk 34 pengusaha ternakan ikan HIP-ZIA.

99 nama untuk bin, binti anak luar nikah

Posted: 02 Nov 2011 06:59 PM PDT

KUALA TERENGGANU: Pasangan terlanjur yang malu meletakkan bin atau binti Abdullah pada nama anak mereka boleh memilih 99 nama Allah atau Asmaul Husna untuk menggantikan nama berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat, berkata ramai yang tidak tahu perkara itu menyebabkan mereka malu menggunakan bin Abdullah dalam sijil kelahiran anak tidak sah taraf, bagi mengelak anak itu dikesan tidak sah taraf.
"Inilah perkara yang ramai tidak tahu. Anak tidak sah taraf bukan saja perlu dibin atau dibintikan dengan Abdullah, tetapi boleh menggunakan 99 nama Allah antaranya Abdul Rahim, Abdul Razak, Abdul Malik, Abdul Aziz dan Abdul Latif.
"Jika mereka membuat pilihan ini, bukan saja makna nama itu lebih indah dan mulia, tetapi dapat mengelak daripada keturunan tidak sah apabila sewenang-wenangnya meletakkan nama individu lain sebagai bapa kepada anak luar nikah," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan Berita Harian kelmarin mengenai ramai pasangan terlanjur di negeri ini dikesan sanggup menipu tarikh pernikahan bagi mengelak anak sedang dikandung ditakrifkan sebagai anak tidak sah taraf.

Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah negeri, Wan Mohd Zakri Wan Mohd, berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan saja menyalahi hukum syarak, malah menyebabkan keturunan sesebuah keluarga itu tidak sah, malah tergolong dalam zina.

Mengikut perangkaan dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tahun lalu sejumlah 623 pendaftaran anak tidak sah taraf dicatatkan di seluruh negeri ini, dipercayai akibat pergaulan bebas terutama di kalangan wanita Islam.
Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Rozali Salleh, berkata tindakan pasangan terlanjur menipu tarikh pernikahan adalah tidak beretika, kerana kesan daripada tindakan itu sangat dahsyat dan merosakkan keturunan.

"Sekiranya bapa yang tidak sah mewalikan pernikahan anak tidak sah taraf, kesannya amat dahsyat dan berpanjangan. Jika pernikahan anak (tidak sah taraf) itu tidak sah, maka sepanjang keturunannya sehingga ke anak cucu tidak sah dan berada dalam zina. Malah, dalam pembahagian harta pusaka, anak tidak sah taraf juga tidak layak menerimanya,'' katanya.

"Jangan hanya kerana malu dan mahu menutup kesilapan sendiri yang berzina hingga melahirkan anak, soal keturunan anak ini diambil mudah. Sudahlah kita melakukan dosa zina, ditambah pula dengan penipuan yang memusnahkan keturunan ini, ingatlah balasan Allah," katanya ketika dihubungi.

4 agensi buru pesalah trafik

Posted: 02 Nov 2011 06:42 PM PDT

 SALLEH (dua dari kiri) meninjau kerja menunda kereta dalam operasi bersepadu  di sekitar Kuala Lumpur.
SALLEH (dua dari kiri) meninjau kerja menunda kereta dalam operasi bersepadu di sekitar Kuala Lumpur.
Operasi bersepadu diketuai DBKL keluar 179 saman kenderaan perdagangan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 179 saman dan kompaun dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan perdagangan kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu khas lalu lintas di sekitar bandar raya di sini yang tamat awal pagi semalam.
Operasi bersepadu diketuai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) itu membabitkan 86 anggota penguat kuasa bermula jam 10 malam hingga jam 2 pagi semalam.
Pelbagai kesalahan trafik dicatatkan termasuk mengganggu lalu lintas, meletak kenderaan di atas garisan kuning dan 17 kenderaan ditunda ke pejabat penguatkuasaan DBKL berikutan meletak kenderaan di siar kaki hingga mengakibatkan kesesakan.

Antara jalan terbabit adalah Jalan Raja Laut; Jalan Sultan Ismail; Jalan Tuanku Abdul Rahman; Jalan Muda Abdul Aziz; Jalan Pudu; Jalan Bukit Bintang; Jalan Hang Tuah; Jalan Imbi; Jalan Ipoh; Jalan Ampang; Jalan Sultan Hishamudin; Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Tun Perak dan Jalan Leboh Ampang.

Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusop, yang mengetuai operasi terbabit berkata, operasi bersepadu siri pertama itu akan berterusan diadakan secara berkala bagi mengelak lebih ramai pesalah melakukan kesalahan berulang di sekitar bandar raya termasuk lokasi tumpuan yang sering mengalami kesesakan.

"Sebanyak 40 peratus atau jumlah kutipan RM6 juta nilai kompaun kesalahan lalu lintas diselesaikan orang ramai bagi tempoh Januari hingga September lalu dan jumlah ini tidak termasuk kesalahan baru dicatatkan bulan lalu sehingga operasi yang dijalankan lewat malam tadi.
"Bagi pesalah yang enggan menjelaskan bayaran saman tertunggak, kita akan menghantar notis amaran ke rumah masing-masing sebelum memanggil untuk hadir ke mahkamah jika masih ingkar, "katanya.

Bayar kompaun atau cermin sisi dikunci

Posted: 02 Nov 2011 06:41 PM PDT

ANGGOTA penguat kuasa MBI memasang kunci kompaun pada cermin sisi kenderaan yang mempunyai tunggakan saman.
ANGGOTA penguat kuasa MBI memasang kunci kompaun pada cermin sisi kenderaan yang mempunyai tunggakan saman.
IPOH: Bermula kelmarin, kira-kira 600 pemilik kenderaan yang ingkar melunaskan saman tertunggak membabitkan kesalahan lalu lintas melebihi 50 kompaun di bandar raya ini berdepan dengan tindakan cermin sisi kenderaan mereka dikunci.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Ahmad Zaiyadi Sudin, berkata penguat kuasa MBI kini sedang berusaha mengesan pemilik kenderaan itu dan kunci berkenaan hanya boleh dibuka di pejabat penguat kuasa di sini, selepas membayar denda RM50.
"Menerusi penguatkuasaan itu, pemilik kenderaan terbabit perlu melunaskan bayaran saman tertunggak mereka tetapi masih berpeluang untuk membuat rayuan.
"Bagaimanapun, kita memberi amaran kepada pemilik kenderaan yang dikunci supaya tidak merosakkan alat ini kerana mereka boleh didenda RM1,000 selain didakwa mengikut Undang-Undang Kecil Vandalisme (MBI) 1992," katanya selepas operasi mengunci beberapa kenderaan sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengenakan tindakan susulan iaitu mengapit tayar kenderaan pemilik jika kunci (untuk cermin sisi) tidak dipulangkan kepada Pejabat Penguat Kuasa MBI di Jalan Bandar di sini, dalam tempoh 30 hari dari tarikh dikunci.

Mengikut rekod MBI, ada pemilik kenderaan yang mempunyai lebih 400 saman lalu lintas yang nilai kompaunnya mencecah RM10,000.

"Ada juga pemilik yang mempunyai antara 200 hingga 300 saman tertunggak dan diharapkan mereka tampil menjelaskan bayaran kompaun bagi mengelak dikenakan hukuman itu," katanya.

Balak cemar air penduduk

Posted: 02 Nov 2011 06:39 PM PDT

BADROLHISHAM (barisan depan enam dari kanan) bersama penduduk di Kampung Sungai Siput melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan negeri apabila kerja pembalakan   menjejaskan bekalan air di beberapa kampung  sekitar kawasan itu.
BADROLHISHAM (barisan depan enam dari kanan) bersama penduduk di Kampung Sungai Siput melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan negeri apabila kerja pembalakan menjejaskan bekalan air di beberapa kampung sekitar kawasan itu.
Sikap kerajaan Kedah lulus pembalakan di Hutan Simpan Bukit Perak dikecam

PADANG TERAP: Sikap kerajaan negeri yang terlalu bergantung kepada hasil balak sebagai pendapatan negeri sehingga sanggup membenarkan aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpanan Kekal Bukit Perak di sini dikhuatiri akan menjejaskan bekalan air kepada kira-kira 3,000 penduduk sekitar.
Mereka yang tinggal di Kampung Rasau, Kampung Padang Durian, Kampung Sungai Mas, Kampung Sungai Pisang, Kampung Sungai Siput di daerah ini serta Kampung Titi Akar dan Kampung Mahawangsa di Pendang bimbang kegiatan pembalakan akan mencemar bekalan air bersih mereka.
Ia berikutan hutan simpanan kekal itu menempatkan tiga kolam air iaitu dua tadahan di Kampung Mahawangsa dan satu di Kampung Sungai Mas yang disediakan Jabatan Kesihatan sejak hampir 30 tahun lalu.

Selain disalur terus ke rumah penduduk, air dari kolam masyarakat itu juga digunakan untuk sekolah, masjid dan surau di kawasan terbabit.

Maklumat pada papan tanda di laluan masuk ke kawasan pembalakan berkenaan menunjukkan konsesi balak itu membabitkan hutan seluas 150 hektar.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Badrolhisham Hashim, berkata walaupun aktiviti pembalakan di Hutan Simpanan Kekal Bukit Perak belum mendatangkan kesan ketara terhadap kualiti air yang disalurkan kepada penduduk, mereka bimbang kegiatan itu jika tidak dikawal akan mencemarkan bekalan air bersih untuk mereka.
Katanya, mereka difahamkan laluan masuk lori dan jentera pembalakan di kawasan itu sudah dibina yang mana ia membabitkan penebangan pokok dan pembersihan tanah yang boleh menyumbang kepada pencemaran sumber air.

"Kita kesal kerana kerajaan negeri meluluskan aktiviti pembalakan di kawasan tadahan air untuk penduduk. Jika aktiviti pembalakan itu tidak terkawal, ia akan memberi kesan negatif kepada bekalan air bersih penduduk, malah mungkin menyebabkan kolam tadahan kering.

"Penduduk kawasan ini tidak bergantung kepada bekalan air paip Syarikat Air Darul Aman (SADA) kerana ia sering terputus," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Badrolhisham berkata, kerajaan negeri mungkin terlalu bergantung kepada royalti balak sebagai sumber hasil negeri, menyebabkan ia terpaksa meluluskan konsesi walaupun di kawasan tadahan air.

KWSP jawab isu RM55.1b

Posted: 02 Nov 2011 06:37 PM PDT

13 pinjaman tanpa jaminan kerajaan patuhi kriteria

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan semua 13 pinjaman berjumlah RM55.10 bilion yang diluluskan tanpa jaminan kerajaan, mematuhi kriteria yang ditetapkan.
Pinjaman secara langsung kepada kerajaan, sekuriti yang disokong kerajaan dan kertas bertaraf AAA itu juga diluluskan mengikut bidang kuasa Akta KWSP yang memberi kuasa kepada badan itu memberikan pinjaman kepada Kerajaan Pusat, negeri dan entiti korporat, tertakluk kelulusan Panel Pelaburan KWSP dan Menteri Kewangan.
Berikutan itu, KWSP memberi jaminan bahawa kebajikan pencarum menjadi agenda utama dan akan terus mengekalkan polisi pelaburan berhemah yang turut disokong penyelidikan menyeluruh serta teliti selaras dengan amalan terbaik pelaburan bagi memastikan simpanan ahli selamat.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar, berkata dalam menilai permohonan pinjaman, KWSP akan memastikan setiap bakal peminjam yang berpotensi mempunyai keupayaan bayaran balik yang kukuh, aturan jaminan yang baik dan pulangan setimpal dengan profil risiko.

"Daripada jumlah itu, pinjaman secara langsung kepada kerajaan adalah sebanyak 39 peratus dan sekuriti yang disokong kerajaan 48 peratus, manakala baki 13 peratus pinjaman kepada syarikat bertaraf AAA," katanya dalam kenyataan media semalam.

Beliau mengulas beberapa laporan media mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2010 berkaitan 13 pinjaman yang dikatakan diluluskan tanpa jaminan kerajaan. Minggu lalu, beberapa portal berita melaporkan laporan audit itu mendedahkan beberapa pinjaman yang diluluskan kepada syarikat tertentu ada status 'meragukan'.

Menurut portal itu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata sehingga 31 Disember 2010, sebanyak 13 pinjaman tanpa jaminan kerajaan berjumlah RM55.1 bilion diluluskan oleh KWSP. Laporan itu juga memetik Ambrin sebagai berkata, RM7.3 bilion diberikan kepada dua peminjam dan RM 21.3 bilion kepada satu peminjam yang dikecualikan jaminan kerajaan kerana mendapat penarafan kredit dari Agensi Penilaian Malaysia Berhad.

Nik Affendi juga menjelaskan bahawa dalam laporan itu, Ketua Audit Negara memberikan penarafan memuaskan bagi aktiviti pelaburan pinjaman kepada kerajaan, selaras dengan kehendak Seksyen 26 Akta KWSP 1991.

Katanya, KWSP sentiasa memberi penekanan kepada kualiti aset serta memantau portfolio pinjaman dengan menyemak kedudukan kewangan peminjam secara tahunan, melawat tapak projek serta mewujudkan persefahaman baik dengan pihak pengurusan peminjam.

Nik Affendi juga menjelaskan KWSP sentiasa memastikan amalan terbaik dalam urus tadbir korporat dan mempunyai garis panduan yang diluluskan untuk membantu panel pelaburan dan pengurusan dalam proses kerja dan membuat keputusan.

Selain itu, KWSP mengambil pendekatan teliti dan berhemah dalam aktiviti pelaburan dengan memastikan pemerosesan pinjaman mengikut rangka kerja risiko KWSP dan had risiko yang dibenarkan oleh Jawatankuasa Risiko Panel Pelaburan.

"Sebagai dana tabung persaraan, KWSP mengambil pendekatan berasaskan risiko pelaburan dan komited untuk mengekalkan polisi pelaburan berhemah dan berisiko rendah. Dalam perkara ini, KWSP mematuhi dengan ketat Alokasi Aset Strategik (SAA) yang dirangka untuk mengekalkan pulangan konsisten dalam jangka panjang dan had risiko yang boleh diterima bagi setiap kelas aset," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu