Isnin, 31 Oktober 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Dengarnya...: Angah Raja Lawak laris

Posted: 31 Oct 2011 10:52 PM PDT

Angah
Angah
RASANYA tahun ini pelakon komedi, Angah, dengarnya tak menang tangan menerima undangan. Bukan hanya persembahan pentas, produser drama dan filem juga suka menggunakan khidmatnya. Kiranya kerjaya seni Angah sama rancak dengan teman rapatnya, Along, apabila masing-masing kerap disambar penerbit dan pengelola majlis.

Difahamkan, dia baru saja selesai penggambaran filem Taikun juga arahan Bob Hashim dan kemudian diamanahkan pula membintangi sebuah lagi filem yang agak berbeza buatnya. Khabarnya genre misteri, tetapi Cik Normah terlupa pula judulnya. Maklumlah, banyak benda kena fikir. Apa pun, Cik Normah pun tak sabar nak tunggu sebab selama ni Angah hanya ditonjolkan sebagai pelawak atau dalam cerita komedi.
Sebenarnya ramai yang suka Angah. Rasanya Cik Normah tahu kenapa Along dan Angah disukai ramai termasuk peminat. Selain berbakat, mereka pandai menyesuaikan diri walau di mana pun berada. Kiranya mereka berdua ini tak sombong, malah teman-teman media pun sering memuji sebab untuk mereka tidak banyak kerenah kalau diundang ke sesi fotografi dan apa juga majlis. Bak kata orang, senang nak bekerjasama.
Kalau nak jadikan mereka contoh buat bakat muda lain pun lebih tepat. Sebab masa bergurau, memang mereka bergurau sungguh-sungguh dan apabila masuk bab kerja, dalam berlawak mereka cukup komited. Bila ditegur atau diusik dengan gosip nakal pun selamba. Tak pula marah tak tentu hala. Sisi itu yang membuatkan mereka istimewa.

Tidaklah macam segelintir individu, baru nama disebut-sebut sudah tak jejak bumi. Peliknya bila dicuit sikit, terus meroyan kononnya pantang diusik.
Padahal kalau tak sungguh, tak melata. Lagi pun sudah namanya industri hiburan.
Tak payahlah tengok sampai Hollywood, kat negara jiran ni pun sudah cukup, hal kain dalam penggiat industri diselak. Kiranya kat sini artis masih beruntung, kalau setiap inci diselongkar sudah banyak tokak terdedah. Tak gitu Sherry Kepoci?

JCorp bangun Bandar Resort

Posted: 31 Oct 2011 10:50 PM PDT

TUNKU Ismail, sambil disaksikan Kamaruzzaman (kiri) menyampaikan cenderahati kepada pasukan yang menyertai Kejohanan Perahu Layar  KFC-FELDA Terbuka Johor 2011 pada majlis penutupan kejohanan itu  di Tanjung Leman, kelmarin.
TUNKU Ismail, sambil disaksikan Kamaruzzaman (kiri) menyampaikan cenderahati kepada pasukan yang menyertai Kejohanan Perahu Layar KFC-FELDA Terbuka Johor 2011 pada majlis penutupan kejohanan itu di Tanjung Leman, kelmarin.
Pelaburan RM100j jadikan Tanjung Leman hab destinasi pelancongan utama

JOHOR Corporation (JCorp) akan membangunkan sebuah Bandar Resort di tapak seluas 142 hektar di Tanjung Leman, dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Johor.
Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Kamaruzzaman Abu Kassim, berkata projek pembangunan yang akan dibahagikan kepada lapan bahagian dengan peruntukan pelaburan lebih RM100 juta itu, bertujuan menjadikan Tanjung Leman sebagai sebuah hab destinasi pelancongan utama di Johor.
"Tanjung Leman mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan utama berdasarkan keindahan semula jadinya, kebersihan pantainya, lubuk ikan kepada kaki pancing selain menjadi pintu keluar masuk ke pulau berhampiran seperti Sibu dan Tinggi.

"JCorp mempunyai tanah seluas 156 hektar di Tanjung Leman dengan tempoh pajakan selama 99 tahun sehingga 2103 dan kami juga sudah membuat permohonan bagi mendapatkan 121 hektar tanah lagi daripada kerajaan Johor bagi tujuan projek pembangunan itu," katanya kepada media selepas majlis penutup Kejohanan Perahu Layar KFC-FELDA Terbuka Johor di Tanjung Leman, kelmarin.

Majlis itu disempurnakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Ia dihadiri lebih 300 orang peminat sukan perahu layar selain peserta daripada 16 pasukan yang bertanding.

Kamaruzzaman berkata, lapan bahagian berkenaan membabitkan kawasan resort dan taman tema seluas 19 hektar, agro pelancongan (57 hektar), Marina (10 hektar), pembinaan rumah kediaman 700 unit (13 hektar) dan pembangunan komersial merangkumi 93 unit rumah kedai (dua hektar).
"Selain itu, pembangunan itu turut merangkumi pelbagai infrastruktur lain seperti kompleks pusat latihan khidmat negara, kompleks 'summer camp' dan pusat latihan kelab perahu layar.

"Bagi fasa pertama pembangunan Tanjung Leman, ia merangkumi pembinaan 120 unit chalet, taman tema, kompleks 'summer camp' serta marina yang akan dimulakan pada awal 2012," katanya.

Kamaruzzaman berkata, fasa pertama itu membabitkan kawasan seluas 12 hektar dengan kos RM50 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2014.

"Ketika ini pembinaannya sudah meliputi kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan projek dan apabila siap sepenuhnya, kami harap Tanjung Leman mampu menjadi destinasi pelancongan pilihan utama pelancong domestik dan antarabangsa," katanya.

Kajang, Cyberjaya bakal berkembang

Posted: 31 Oct 2011 10:47 PM PDT

KETUA Pegawai Eksekutif MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Datuk Megat Hisham Megat Mahmud (kiri)  bersama  Boyd dan  Soo (kanan) di Kuala Lumpur, semalam.
KETUA Pegawai Eksekutif MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Datuk Megat Hisham Megat Mahmud (kiri) bersama Boyd dan Soo (kanan) di Kuala Lumpur, semalam.
Infrastruktur, jalan raya tingkat nilai hartanah

HARTANAH di kawasan sekitar Cyberjaya dan Kajang dijangkakan mengalami peningkatan paling pantas dari segi harga dalam tempoh 18 bulan akan datang berbanding kawasan lain di Lembah Klang, kata firma penganalisis hartanah, CB Richard Ellis Malaysia Sdn Bhd (CBRE).
Pengarah Urusannya, Allan Soo, berkata berdasarkan kaji selidik firma itu, faktor yang menyebabkan peningkatan nilai hartanah di kawasan itu adalah susulan tersedianya infrastruktur serta akses jalan rayanya yang mantap.
"Diperhatikan syarikat hartanah utama tempatan sedikit demi sedikit mula membanjiri kawasan sekitar Kajang dan Cyberjaya. Kami menjangkakan kawasan berkenaan akan berkembang lebih pantas berbanding tempat lain di Lembah Klang bagi tahun ini dan tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan laporan kaji selidik hartanah suku ketiga Lembah Klang pada majlis makan tengah hari anjuran Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) di Kuala Lumpur, semalam.

Soo berkata, nilai hartanah di kawasan berkenaan, khususnya Cyberjaya berpotensi meningkat lebih tinggi jika pusat beli-belah dibina di situ.

"Kami menjangkakan pusat membeli-belah akan dibina di situ jika nisbah kependudukan di kawasan berkenaan bertambah. Ia mempunyai daya tarikan dari segi kelancaran perjalanan ke situ iaitu sekitar 20 minit saja dari pusat bandar Kuala Lumpur," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif CBRE, Christopher Boyd, berkata secara keseluruhannya nilai hartanah di Lembah Klang sudah melepasi paras kemuncaknya sebelum krisis kewangan global tiga tahun lalu, namun ia akan masih meningkat pada kadar terkawal.

"Kita akan lihat harga hartanah terus meningkat sehingga tahun depan, tetapi tidak terlalu cepat seperti beberapa tahun sebelum ini.

"Peningkatan nilai hartanah akan menjadi kurang agresif selepas ini dan kami juga tidak menjangka berlakunya letusan gelembung hartanah di Lembah Klang," katanya.

Laporan kaji selidik itu mendapati, setakat suku ketiga tahun ini, ada 1.71 juta unit kediaman dibina di Lembah Klang.

Secara purata, saiz isi rumah di Kuala Lumpur adalah 3.72 orang bagi setiap rumah manakala di Selangor pula 3.93 orang.

Kaji selidik itu mendapati, bekalan unit kediaman di Lembah Klang juga dijangkakan berkembang kukuh dalam tempoh lima tahun akan datang, namun pemaju dilihat akan lebih banyak membina unit yang lebih kecil di lokasi lebih baik.

Boyd berkata, nisbah stok unit perumahan yang dibina di Lembah Klang kepada jumlah penduduk adalah lebih tinggi daripada Hong Kong dan Singapura, namun permintaan pasaran yang tinggi dapat menyerap bekalan tambahan itu.

LITC disasar sumbang 300j menjelang 2020

Posted: 31 Oct 2011 10:46 PM PDT

 MUSTAPA   menerima cenderahati daripada Mohd   Emir (kanan)  sambil diperhatikan Zeti Akhtar pada majlis pelancaran program GIFT dan pengenalan LITC di Kuala Lumpur, semalam.
MUSTAPA menerima cenderahati daripada Mohd Emir (kanan) sambil diperhatikan Zeti Akhtar pada majlis pelancaran program GIFT dan pengenalan LITC di Kuala Lumpur, semalam.
GIFT dijangka tarik ramai pelabur

SYARIKAT perdagangan komoditi antarabangsa Labuan (LITC) yang diwujudkan khusus untuk berdagang petroleum dan perkhidmatan berkaitan petroleum disasarkan menyumbang RM300 juta kepada Pendapatan Kasar Negara (GNI) menjelang 2020.
Presiden yang juga Ketua Eksekutif Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC), Dr Mohd Emir Mawani, berkata sasaran itu disandarkan kepada pengenalan program Insentif Global Untuk Dagangan (GIFT) dalam komoditi berkenaan yang dijangka menarik lebih banyak LITC tempatan dan luar negara menjadikan Malaysia hab dagangan bagi menerokai pasaran Asia Pasifik.
"Program GIFT bertujuan menjadikan Malaysia hab dagangan petroleum dan perkhidmatan berkaitan petroleum utama dunia setaraf London dan Geneva menjelang 2020.

"Kesungguhan kerajaan dalam melaksanakan program ini dapat dilihat pada insentif ditawarkan menerusi program berkenaan yang jauh lebih menarik daripada yang ditawarkan di hab dagangan petroleum dunia lain.

"Buat permulaan lima LITC dianugerahkan lesen dagangan, manakala 20 lagi akan dianugerahkan tahun depan," katanya pada majlis pelancaran program GIFT dan pengenalan LITC di Kuala Lumpur, semalam.

Pelancarannya disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Sri Mustapa Mohamed.
Hadir sama, Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan, Ahmad Hizzad Baharuddin.

MPRC adalah badan yang dimandatkan kerajaan bagi mengawal selia aktiviti dagangan komoditi berkenaan yang pertama kali diperkenalkan di negara ini.

Mohd Emir menjelaskan, program GIFT adalah set insentif bertujuan menggalakkan syarikat dagangan petroleum global menggunakan Malaysia sebagai platform memasuki pasaran Asia Pasifik.

Beliau berkata, antara insentif ditawarkan program GIFT ialah kadar cukai korporat sama rata tiga peratus daripada pendapatan yang boleh dicaj, pengecualian 100 peratus ke atas fi pengarah yang dibayar kepada pengarah bukan warga tempatan dan pengecualian 50 peratus ke atas pendapatan pekerjaan kasar bagi peniaga profesional bulan warga tempatan.

Industri automotif diberi perhatian

Posted: 31 Oct 2011 10:44 PM PDT

  MUKHRIZ  menyampaikan cenderahati kepada rakan penaja Anugerah ICT-AWANI kedua selepas melancarkannya  di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Ashran  (kiri) dan Rozina (tiga dari kanan).
MUKHRIZ menyampaikan cenderahati kepada rakan penaja Anugerah ICT-AWANI kedua selepas melancarkannya di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Ashran (kiri) dan Rozina (tiga dari kanan).
Kajian semula Dasar Automotif Negara akan seimbang peserta tempatan, luar negara

KAJIAN semula Dasar Automotif Negara (NAP) akan menyeimbangkan antara kepentingan peserta industri tempatan dan luar negara, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mukhriz Mahathir.
Beliau berkata, kepentingan industri automotif tempatan tetap akan diberikan perhatian walaupun kajian semula itu antara lain bertujuan menarik kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam sektor itu.
"Setakat ini, sebahagian daripada peserta industri automotif tempatan sudah bersedia menghadapi liberalisasi menerusi NAP, terutama industri kenderaan hibrid dan elektrik berikutan langkah kerajaan melanjutkan pengecualian penuh duti import dan eksais sehingga Disember 2013 seperti diumumkan dalam Bajet 2012, baru-baru ini," katanya sambil menambah pelaksanaan liberalisasi NAP akan diumumkan kerajaan kelak.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Anugerah ICT-AWANI kedua di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF), Ashran Ghazi dan Pengurus Besar Astro AWANI, Rozina Aziz.

Mengenai masalah banjir di Thailand, Mukhriz berkata, pihaknya mendapat maklum balas daripada semua sektor termasuk automotif berhubung perancangan syarikat memindah pusat pengeluaran komponen dari negara jiran itu ke Malaysia.
Katanya, kerajaan menggariskan dua pilihan kepada syarikat berkenaan iaitu menggunakan sementara kemudahan yang ada di negara ini sehingga bencana di Thailand pulih atau membina kilang untuk pengeluaran komponen secara tetap.

"Peluang muncul di saat negara jiran menghadapi musibah. Namun, Malaysia tidak akan bertindak agresif untuk menarik syarikat pelbagai sektor beralih ke negara ini kerana tidak mahu dilihat sebagai mengambil kesempatan di atas bencana negara lain.

"Bagaimanapun, ia sebenarnya secara tidak langsung dapat mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terbaik berikutan kestabilan politik dan terlindung daripada potensi bencana besar," katanya.

Sementara itu, Ashran berkata, NEF-AWANI kali ini dijangka menampilkan penyertaan lebih 200 syarikat selain penganjur memperkenalkan beberapa elemen baru berbanding edisi sulung tahun lalu.

"Antara elemen baru termasuk sesi temu bual membabitkan lima calon peringkat akhir yang dipilih bersama panel hakim untuk memilih mereka menjadi tiga finalis dalam setiap kategori," katanya.

Anugerah kemuncak yang disiarkan secara langsung di Astro AWANI saluran 501 pada 12 Februari tahun depan dibahagikan kepada dua kategori iaitu ICT dan inklusif pilihan rakyat.

Jepun perlu 30 tahun tutup loji Fukushima

Posted: 31 Oct 2011 10:43 PM PDT

REAKTOR unit 1 loji Fukushima ditutup   lapisan pelindung ketika laporan mengatakan pihak berkuasa   masih menghadapi masalah  mengatasi kebocoran radiasi.
REAKTOR unit 1 loji Fukushima ditutup lapisan pelindung ketika laporan mengatakan pihak berkuasa masih menghadapi masalah mengatasi kebocoran radiasi.
Kebocoran radiasi masih belum dikawal sepenuhnya

TOKYO: Jepun memerlukan sekurang-kurangnya 30 tahun untuk menutup dengan selamat loji kuasa nuklear Fukushima Dai-ichi yang rosak selepas dilanda tsunami walaupun ia sudah kurang melepaskan radiasi berbanding sebelumnya dan disifatkan sebagai stabil.
Kes loji terbabit adalah kemalangan nuklear terburuk di dunia sejak Chernobyl pada 1986. Ia rosak teruk berikutan gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu.
Ia juga dilanda masalah kehilangan kuasa, melebur dan letupan yang melepaskan bahan radioaktif hingga memaksa berpuluh ribu penduduk berpindah dari situ.

Sementara itu, pegawai berkata loji terbabit, kira-kira 240 kilometer ke timur laut Tokyo sudah stabil manakala seorang pakar yang dinamakan Suruhanjaya Kuasa Atom Jepun berkata, mereka akan mengambil masa sehingga 30 tahun atau lebih untuk memastikan ia benar-benar selamat.

Panel terbabit membuat jangkaan itu dalam satu draf laporan yang akan siap akhir tahun ini. Draf berkenaan dimuatkan dalam halaman web suruhanjaya terbabit hujung minggu lalu.

Pekerja loji masih lagi berhadapan dengan masalah untuk mengatasi kebocoran radiasi dari loji terbabit, walaupun kadarnya dikatakan semakin berkurangan.
Panel berkenaan berkata, ia mengambil masa 10 tahun untuk membuang bahan api nuklear selepas kemalangan loji nuklear Three Mile Island pada 1979 di Amerika Syarikat dan menyifatkan proses di Fukushima lebih sukar dan mengambil masa yang panjang.

Ia juga dijangka menelan banyak belanja. Satu laporan Sabtu lalu dalam akhbar Yomiuri menyebut pakar percaya proses terbabit akan membabitkan kos bernilai lebih 1.5 trilion yen (RM58 bilion).

Gempa bumi kuat dan tsunami pada Mac lalu menyebabkan tiga daripada enam reaktor loji terbabit lebur. Letupan juga memusnahkan bangunan mereka selain Unit 4 berhampirannya.

Pegawai di Tokyo Electric Power Co, syarikat yang mengendalikan loji terbabit berkata, mereka berjaya menyejukkan reaktor yang musnah, mencapai matlamat dipanggil 'cold shutdown'.

Tetapi, pembaikan lanjut dan langkah keselamatan masih lagi dijalankan. Panel itu berkata pengalihan rod kuasa di Fukushima tidak akan bermula sehingga 2021.

Sebagai langkah keselamatan, satu daripada unit yang musnah kini memiliki satu gantian daripada bahan kedap udara yang direka untuk mempertahankan partikel radioaktif dalam bangunan berkenaan. Kaedah yang sama juga dirancang untuk bangunan lain.

Pegawai kerajaan juga perlu berhadapan dengan usaha menghalang kebocoran di kawasan sekitar loji. Zon sekitar 20 kilometer di kawasan loji terbabit masih terjejas.

Ketika masalah buruk hampir berakhir, penemuan kawasan radiasi terbaru di dalam dan sekitar Tokyo mencetuskan kebimbangan penduduk di sana di mana ramai ibu bapa sering menjalankan pemeriksaan radiasi di kawasan kejiranan mereka.

Dalam kebanyakan kes, bacaan berada di bawah had tahunan yang diterima di peringkat antarabangsa tetapi pengkritik berkata, standard berkenaan melebihi had Jepun sebelum kemalangan dan kerajaan perlu memperhebat usaha menghalang radiasi terus bocor.

Pelajar tulang ‘S’ perlu RM41,000

Posted: 31 Oct 2011 10:42 PM PDT

KEADAAN tulang belakang Siti Nur Natasya (kiri) dan Nur Ezani.
KEADAAN tulang belakang Siti Nur Natasya (kiri) dan Nur Ezani.
Nur Ezani, Siti Nur Natasya sukar tidur selesa akibat masalah dialami

KUALA LUMPUR: "Saya meminati mata pelajaran Sains dan suka menyelidik, suatu hari nanti saya ingin menjadi saintis," kata Nur Ezani Amira Hamidan, 15, seorang daripada dua pesakit yang memerlukan bantuan bagi menjalani pembedahan kerana menghidap masalah tulang belakang bentuk 'S'.
Nur Ezani Amira, pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading yang baru saja menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) itu, memerlukan sumbangan sebanyak RM20,500 untuk menjalani pembedahan November ini.
Seorang lagi pesakit ialah Siti Nur Natasya Mohd Rais, 20, pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Taman Permas Jaya, Johor Bahru yang akan menjalani pembedahan pada Disember ini, memerlukan sumbangan dengan jumlah sama RM20,500.

Nur Ezani Amira yang berasal dari Parit Raja, Batu Pahat, Johor berkata dia berharap dapat cepat sembuh untuk meneruskan persekolahan seperti biasa selepas menjalani pembedahan itu.

"Saya memang memerlukan pembedahan secepat mungkin kerana tulang belakang sudah bengkok 80 peratus. Kesihatan saya semakin teruk dan tidak selesa untuk duduk.

"Tidur saya juga mudah terganggu disebabkan masalah tulang belakang yang saya alami," katanya ketika ditemui di Balai Berita The New Straits Press (M) Berhad (NSTP), di sini, semalam.
Siti Nur Natasya yang berasal dari Masai, Johor pula berkata, tulang belakangnya kini membengkok 60 peratus dan kesihatannya semakin bertambah teruk kerana mudah berasa penat dan letih.

"Saya tidak boleh tidur terlentang atau mengiring. Kalau lakukan juga, ia boleh menyebabkan belakang badan semakin sakit.

"Oleh itu, saya hanya tidur meniarap yang secara tidak langsung mengganggu pernafasan saya," katanya.

Siti Nur Natasya berkata, dia terpaksa membatalkan hasrat untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun lalu kerana perlu menjalani pembedahan tulang belakangnya.

Bagaimanapun, katanya apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan apabila pembedahan itu terpaksa ditunda kerana kesihatannya tidak mengizinkan.

Oleh itu, katanya untuk tahun ini dia akan menduduki peperiksaan STPM terlebih dahulu sebelum menjalani pembedahan.

"Saya harap mendapat sumbangan yang diperlukan untuk menjalani pembedahan tulang belakang saya," katanya yang menderita sakit sejak berusia sembilan tahun.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada dua pelajar terbabit boleh menghantar cek atau wang pos kepada The New Straits Times Press (M) Bhd, Bahagian Kewangan/Tabung Kebajikan NSTP, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur dengan menulis nama pesakit berkenaan di belakang cek itu.

Lima tahun hidu bau busuk

Posted: 31 Oct 2011 10:41 PM PDT

  PENDUDUK tidak dapat menahan bau busuk ketika mendekati   sistem vakum yang gagal  berfungsi dan  tidak diselenggara oleh  pemaju.
PENDUDUK tidak dapat menahan bau busuk ketika mendekati sistem vakum yang gagal berfungsi dan tidak diselenggara oleh pemaju.
Penduduk di Bukit Merah dakwa pemaju gagal baiki sistem kumbahan

BAGAN SERAI: Beratus penduduk di satu kawasan perumahan di Bukit Merah, dekat sini, terpaksa menghidu bau busuk dan terdedah kepada limpahan air najis apabila sistem kumbahan di kawasan itu gagal berfungsi sejak lima tahun lalu akibat tidak dibaiki.
Pengerusi persatuan penduduk kawasan perumahan itu, Abo Bakar Mohd Nor, mendakwa pihaknya sudah beberapa kali membuat aduan dan menghantar surat mengenai masalah itu kepada pemaju, tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan diambil.
Katanya, penduduk berdepan pencemaran bau kerana penyelenggaraan sistem kumbahan di kawasan itu gagal berfungsi, menyebabkan bau najis dan limpahan air kotor itu menjejaskan kehidupan harian orang ramai.

"Keadaan lebih buruk apabila hujan lebat kerana air najis akan melimpah keluar dan memasuki rumah penduduk berdekatan sehingga memaksa mereka membersihkan rumah," katanya ketika ditemui, di sini.

Beliau berkata, apabila masalah itu diajukan kepada pemaju, jawapan yang diterima adalah mesin pam kumbahan itu rosak dan memerlukan kos tinggi untuk dibaik pulih.

Katanya, pemaju mendakwa setiap kali hendak menghidupkan mesin pam kumbahan itu, ia memerlukan kira-kira 20 liter minyak dan membabitkan kos RM700.
"Kami fikir alasan itu tidak munasabah kerana kos berkenaan bukan masalah kami, sebaliknya tanggungjawab pemaju untuk menyelesaikannya.

"Kami sudah membuat aduan kepada Pejabat Perumahan Negeri dan Jabatan Alam Sekitar bagi memaklumkan masalah ini, tetapi sehingga sekarang tiada sebarang tindakan diambil," katanya.

Abo Bakar berkata, masalah itu berlarutan sejak 2006 dan sepanjang tempoh berkenaan penduduk terpaksa menahan bau busuk setiap hari.

Katanya, paling teruk ketika musim hujan lebat kerana air najis itu melimpah keluar serta mengotori rumah penduduk.

"Kami berharap agensi dan pihak berkaitan prihatin dengan masalah ini, termasuk wakil rakyat atau exco melakukan tinjauan untuk melihat sendiri masalah yang dialami penduduk di kawasan perumahan itu," katanya.

Warga tua pakai kain sarung leka berjudi

Posted: 31 Oct 2011 10:40 PM PDT

WARGA tua berkain sarung turut mengunjungi kafe siber untuk berjudi.
WARGA tua berkain sarung turut mengunjungi kafe siber untuk berjudi.
GERIK: Gara-gara ketagih judi, segelintir warga tua di sini dikesan sanggup berkain sarung untuk melepaskan gian berjudi di kafe siber yang banyak sekitar daerah ini.

Kegiatan itu yang popular di kalangan golongan muda termasuk pelajar sekolah, dipercayai turut menjadi penyumbang terhadap peningkatan kes jenayah, khususnya kecurian dan kehilangan harta benda di sini.
Kebimbangan masyarakat dan ibu bapa itu turut dirasai Persatuan Anak Gerik Di Perantauan (PAGAR) yang membuat tinjauan di sekitar pekan Gerik sejak awal tahun ini apabila mendapati ada 13 premis seumpama itu.
Pengerusi PAGAR, Tajuddin Ali, berkata satu daripada premis terbabit dipercayai beroperasi secara haram di belakang kedai dengan bahagian depannya menjual aksesori telefon bimbit bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Malah, katanya, sebuah daripada premis berkenaan beroperasi di depan Pejabat Mahkamah Syariah Gerik dengan pintu depan sentiasa tertutup dan diletakkan notis 'untuk disewa', tetapi anehnya tidak disertakan nombor telefon untuk dihubungi.

"Bagaimanapun, kesemua premis yang beroperasi seawal jam 12 tengah hari sehingga jam 3 pagi itu boleh dikunjungi melalui pintu belakang, iaitu dengan menekan loceng, sebelum kunci dibuka pengusahanya.

"Pada awal tahun lalu, hanya beberapa premis saja seperti itu wujud, namun berikutan sambutan menggalakkan menyebabkan ia kini meningkat kepada 13 premis," katanya ketika ditemui di sini.
Katanya, pelbagai golongan terbabit dengan usia seawal 15 tahun termasuk pelajar sekolah dikesan mula ketagih judi melalui mesin disediakan pihak pengusaha melalui internet.

Sehubungan itu, Tajuddin berkata, sebahagian daripada 900 ahli PAGAR yang kebanyakannya berada di luar Gerik, baru-baru ini pulang ke pekan itu dan membuat bantahan terhadap kegiatan judi haram berkenaan dan meminta pihak berkuasa membanterasnya bagi mengelakkannya berleluasa.

Beliau berkata, ahli PAGAR yang menyamar menjadi pelanggan dan sempat merakam gambar secara tersembunyi turut mendapati golongan dewasa Melayu sehingga usia 70 tahun sambil memakai kain sarung turut leka berjudi di premis terbabit.

"Kewujudan mesin judi sejak lebih setahun lalu di pekan Gerik itu bukan saja boleh merosakkan akhlak dan akidah masyarakat, tetapi juga semakin banyak berlaku kegiatan jenayah seperti mencuri dan ragut.

"Justeru, kami minta pihak berkuasa seperti polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan semua pihak berkaitan dapat bertindak segera membanteras gejala negatif ini," katanya.

Taman Awam Batu Buruk daif

Posted: 31 Oct 2011 10:38 PM PDT

PENGUNJUNG kecewa buaian di Taman Awan Batu Buruk, Kuala Terengganu dibiar rosak.
PENGUNJUNG kecewa buaian di Taman Awan Batu Buruk, Kuala Terengganu dibiar rosak.
Kerosakan pelbagai permainan kanak-kanak tidak dibaiki

KUALA TERENGGANU: Taman Awam Batu Buruk, di sini sering dipenuhi pengunjung terutama pada hujung minggu kerana kawasannya terletak di tepi pantai dan dilengkapi pelbagai kemudahan permainan kanak-kanak.
Bagaimanapun, di sebalik kegembiraan pengunjung yang datang bersama keluarga, timbul rasa kecewa terhadap pihak berkuasa berkaitan yang tidak ambil cakna dengan peralatan permainan disediakan di kawasan itu kerana ada sudah rosak dan berbahaya kepada pengguna.
Tinjauan Berita Harian mendapati buaian sudah rosak yang mendukacitakan pengunjung terutama kanak-kanak yang teruja untuk bermain, tapi pulang hampa.

Kalangan pengunjung yang ditemui juga melahirkan rasa kecewa dan menganggap masalah kerosakan seperti itu tidak sepatutnya dibiarkan terlalu lama kerana kawasan itu tumpuan orang ramai.

Mereka juga mengharapkan pihak berkaitan segera menggantikan peralatan rosak dan sentiasa memeriksa peralatan yang disediakan bagi memastikan keselamatan kanak-kanak.

Kakitangan awam, Ali Imran Mohd Zan, 27, berkata setiap kali berkunjung ke Kuala Terengganu, dia akan singgah walaupun sekejap untuk berehat di pantai kerana baginya rugi sekiranya tidak menikmati keindahan alam.
Dia yang berasal dari Negeri Sembilan, berkata masalah kerosakan peralatan itu bukan perkara baru kerana masalah itu dikesan ketika mengunjungi taman terbabit lebih sebulan lalu.

"Saya sering datang bandar raya ini terutama pada musim cuti untuk mengambil kakak yang bekerja di sini dan sementara menunggu, saya berkunjung ke pantai membawa anak saudara menikmati keindahan dan mengunjungi padang permainan di taman ini.

"Namun, kunjungan kami kali ini lebih menyedihkan kerana kerosakan itu lebih teruk dan yang menghairankan, pihak berkaitan tidak menggantikan dengan yang baru," katanya kecewa ketika ditemui di taman permainan itu.

Peniaga, Zuryahaizura Sulong, 32, yang tinggal di bandar raya ini pula berkata dia kesal dengan pihak berkaitan yang tidak memandang serius kerosakan peralatan di taman berkenaan.

Katanya, pihak berkaitan sepatutnya lebih kerap menjalankan pemantauan terhadap kemudahan alat permainan yang disediakan demi keselamatan kanak-kanak.

"Saya merayu dan mengharapkan pihak berkaitan agar segera menyelenggara peralatan bagi mengelak kanan-kanak pulang hampa," katanya.

Irfan berpisah

Posted: 31 Oct 2011 10:37 PM PDT

IRFAN Bakti Abu Salim
IRFAN Bakti Abu Salim
Buat keputusan mengejut tinggal Peteh, dikhabar cenderung bimbing Selangor

IRFAN Bakti Abu Salim membuat kejutan besar, semalam apabila menolak tawaran baik Terengganu menyambung kontrak untuk dua tahun lagi, sebaliknya menyuarakan kecenderungan membimbing Selangor bagi Liga Malaysia musim 2012.
"Saya berat hati mahu meninggalkan Terengganu tapi saya mahukan cabaran lebih baik," kata ketua jurulatih itu ketika ditemui di pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) di Wisma Seri Amar, semalam.
"Tidak menjadi satu kesalahan jika saya ingin mencurahkan ilmu untuk membantu pasukan lain. Saya akur menerima tawaran untuk bersama skuad penyu dua musim lagi, tetapi keputusan yang saya umumkan hari ini adalah keputusan rasmi selepas mengadakan perbincangan dengan Datuk Che Mat Jusoh (Presiden PBSNT).

"Selama dua musim bersama skuad penyu, saya tidak menghadapi masalah termasuk kemudahan dan persefahaman diberi pemain."

Kekosongan jawatan ditinggalkan Irfan akan diganti Mat Zan Mat Aris - jurulatih yang membimbing Terengganu muncul juara Piala Malaysia pada 2001. Selain mengemudi pasukan ke final Piala Malaysia, Sabtu lalu, Irfan juga membantu pasukan negeri muncul juara Piala FA, musim ini.

Biarpun keputusan pengendali berusia 60 tahun itu mengejutkan pengurusan PBSNT dan semua pemain tetapi mereka terpaksa rela dengan keputusan pengendali itu yang dikhabarkan akan ke Selangor.
Ketika ditanya pasukan mana yang menjadi pilihan untuk musim depan, Irfan berdolak dalih apabila mengatakan setakat ini belum ada sebarang keputusan muktamad dibuat.

"Kita belum membuat keputusan tetapi mengakui sepanjang dua musim bersama Terengganu inilah rekod cemerlang saya apabila membantu pasukan menjuarai Piala FA dan layak ke final Piala Malaysia.

"Saya mengambil keputusan menolak tawaran PBSNT bukan kerana skuad penyu gagal membawa pulang Piala Malaysia, tetapi saya lebih suka kepada cabaran," katanya yang mengakui pemain pasukan Terengganu adalah pemain yang bersikap profesional dan tidak sukar memberi tunjuk ajar.

Sementara itu, Che Mat yang juga pengurus pasukan Terengganu, berkata PBSNT terpaksa melepaskan Irfan kerana itu adalah permintaan dan kehendaknya.

"Kami sudah membuat tawaran kepadanya mengendalikan skuad dua musim lagi, tetapi dia minta dilepaskan walaupun kita bersetuju menaikkan gaji serta memberi pelbagai kemudahan seperti diminta.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Irfan yang memaklumkan untuk menerima tawaran bersama pasukan Selangor musim depan. Dia pengendali terbaik kerana membantu kami enjuarai Piala FA dan naib juara Piala Malaysia musim ini.

Pengawal baru 3 hari bekerja ditembak mati

Posted: 31 Oct 2011 10:36 PM PDT

  • Foto

  • Foto

    ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan kenderaan milik syarikat keselamatan yang ditembak dalam rompakan berhampiran PPUM, Petaling Jaya, semalam.

Penjenayah bermotosikal lepaskan tembakan dalam rompakan di PPUM

PETALING JAYA: Seorang pengawal keselamatan yang baru tiga hari bekerja ditembak mati dalam rompakan nekad sebuah kenderaan pacuan empat roda, berhampiran Unit Kecemasan & Trauma, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini pagi semalam.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Mohd Burhanuddin Jamaluddin, 23, bersama dua rakan setugas dalam perjalanan ke sebuah bank di Universiti Malaya (UM) selepas mengutip wang tunai RM173,000 dan puluhan cek dari Unit Kewangan pusat perubatan berkenaan.
Bagaimanapun, tiga penjenayah bermotosikal tiba-tiba menghalang laluan kenderaan Toyota Hilux sejurus menghampiri pintu keluar sambil mengacukan pistol dan mengarahkan mereka menyerahkan karung wang. Namun, mangsa yang duduk di sebelah pemandu tidak mengendahkan arahan lalu seorang daripada suspek melepaskan tiga das tembakan dengan dua daripadanya menembusi rusuk kirinya.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Khalid, berkata suspek turut mengacukan pistol, dipercayai revolver ke arah dua lagi pengawal keselamatan dalam kenderaan berkenaan dan mengugut akan melepaskan tembakan jika berdegil.

"Bimbang dengan keselamatan, seorang pengawal keselamatan di tempat duduk belakang membuka pintu dan suspek merampas karung wang lalu melarikan diri dengan membonceng motosikal menghala ke Petaling Jaya," katanya kepada pemberita selepas meninjau tempat kejadian.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed.
Mangsa yang berlumuran darah kemudian dikejarkan rakan setugas ke Unit Kecemasan & Trauma PPUM tetapi meninggal dunia setengah jam kemudian kerana kecederaan parah sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

"Polis sedang meneliti maklumat saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh dari tempat kejadian bagi mendapatkan gambaran sebenar rompakan itu. Kita berharap rakaman itu dapat membantu mengenal pasti suspek yang dipercayai warga tempatan dan sedang bersembunyi di sekitar Lembah Klang," katanya.

Wan Abdul Bari turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi balai polis berhampiran atau Rakan Cop Polis KL talian 03-21159999 bagi membantu siasatan.

"Suspek dikategorikan sebagai penjenayah berbahaya dan kejam kerana mereka bukan saja memiliki senjata api serta menyamun, malah membunuh," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan, masing-masing atas kesalahan membunuh dan samun bersenjata api hingga menyebabkan kematian.

Van keselamatan tidak diguna kutip wang

KUALA LUMPUR: Kejadian samun di pekarangan Unit Kecemasan dan Trauma, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam mungkin dapat dielakkan jika syarikat keselamatan yang dilantik mengutip wang di pusat perubatan berkenaan menggunakan van keselamatan seperti yang sering dilakukan sebelum ini.

Dalam kejadian itu, syarikat berkenaan dikatakan buat pertama kali menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk kutipan wang di Unit Kewangan PPUM, sebelum memasukkan wang ke cawangan Bank Islam di Universiti Malaya.

Sumber memberitahu Berita Harian, proses kutipan juga menggunakan rutin sama seperti laluan dan waktu yang hampir sama tanpa mengambil kira mereka mungkin menjadi perhatian dan sasaran penjenayah.

"Malah suspek seperti mengetahui kutipan semalam agak banyak untuk untuk tempoh dua hari, iaitu Sabtu dan Ahad. Masa kutipan pada setiap Isnin antara jam 10 hingga 10.30 pagi juga mungkin diperhatikan mereka," katanya.

Berikutan itu, polis menjalankan siasatan sama ada kejadian didalangi orang dalam. Selain itu, faktor mengapa salah seorang pengawal keselamatan yang mempunyai senapang patah (pump-gun) tidak melepaskan tembakan disiasat bagi membolehkan polis melihat kejadian dari pelbagai sudut.

Dalam pada itu, usaha mendapatkan kenyataan daripada syarikat keselamatan berkenaan gagal selepas beberapa pegawai yang ditemui di pekarangan PPUM mengelak bertemu media.

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, kejadian mencetuskan suasana panik hingga menyebabkan orang ramai di kawasan berhampiran lokasi bertempiaran lari.

Beliau yang dalam perjalanan keluar dari tempat letak kereta untuk melawat anaknya yang sedang dirawat, mendengar tiga das tembakan yang dilepaskan.

"Pada mulanya saya sangkakan bunyi mercun, namun selepas melihat beberapa orang bertempiaran lari, saya bersembunyi di sebalik dinding bangunan letak kereta.

"Selepas itu saya melihat seorang lelaki tergesa-gesa menaiki motosikal dan memecut ke arah Petaling Jaya sebelum melihat seorang pengawal keselamatan terbaring berlumuran darah dalam kenderaan itu," katanya.

Perkahwinan singkat Kim Kardashian dan Kris Humphries

Posted: 31 Oct 2011 10:29 PM PDT

Baru 72 hari pasangan ini bernikah, Kim Kardashian dan suaminya, Kris Humphries dikhabarkan sedang mengalami masalah rumah tangga yang teruk .

Kim dikhabarkan telah memfailkan tuntutan cerai daripada suaminya dan kes tuntutan itu telah dibuat pada 31 Oktober yang lalu. Kim menggunakan khidmat Laura Wasser, peguam yang pernah mengendalikan kes perceraian penyanyi popular, Britney Spears bersama suaminya, Ryan Reynolds dahulu.

Bagaimanapun, menurut satu laporan, Kris Humpries dikatakan masih menyayangi isterinya dan tidak tahu bagaimana keputusan perceraian ini diambil oleh isterinya.

Kris Humphries, pemain bola keranjang , NBA ini telah melangsungkan perkahwinan secara gilang gemilang bersama Kim Kardashan pada 20 Ogos yang lalu. Mengadakan majlis resepsi di Montecito, California, perkahwinan mereka ini turut dihadiri oleh artis-artis popular Hollywood seperti Eva Longoria, Eduardo Curz, Ryan Seacrest, Avril Lavigne dan Lindsay Lohan.

Rangkaian TV Media Prima janji Program Menarik 2012

Posted: 31 Oct 2011 10:16 PM PDT

Menjanjikan rancangan-rangan yang menarik untuk meneruskan kegemilangan mereka di arena televisyen, rangkaian tv Media Prima yang merangkumi empat buah stesen tv besar iaitu TV3, TV9, ntv7, 8TV telah memperkenalkan kandungan program-program menarik 2012 dimajlis Media Prima Nite Live yang lalu.

Bakal menyajikan sajian yang penuh integrasi di semua platform, kandungan yang lebih segar dan program-program tempatan dan antarabangsa yang mempunyai rating yang tinggi, ia sebenarnya bertujuan untuk memperkasakan Media Prima di dalam menawarkan penyelesaian bersepadu dan menarik kepada para pengiklan.

Mengorak langkah ke tahun 2012, TV3 akan terus memberikan program yang terbaik, bermutu dan terus kekal relevan dikalangan masyarakat dan sekali gus terus menjadi saluran televisyen percuma pilihan utama.

Selain daripada rantaian drama terbaik yang bakal menghiasi kaca televisyen seperti Atas Nama Cinta, Malaya, Bukan Bidadari, Amukan Pocong,dan Mak Lang Datang Kompang Bergendang, TV3 juga turut menyajikan program-program anugerah yang dinanti setiap tahun seperti Anugerah Juara lagu , Anugerah Bintang Popular dan Anugerah Skrin.

Begitu juga TV9, stesen tv nombor dua negara ini telah menerima maklum balas yang sangat positif dan memberangsangkan daripada penonton sejak lima tahun kebelakangan ini.

Kebanyakkan program yang diterbitkan oleh stesen ini menggambarkan perhubungan rapat dengan para penonton selain telah berkembang secara dinamik, agresif, proaktif dan kreatif di dalam menghasilkan kandungan yang berkualiti tinggi.

VS (Versus) merupakan program realiti terbaru dan terbesar yang akan disiarkan di TV9 pada tahun 2012 nanti. Lima daripada aksi muzikal yang akan berentap bagi merebut RM 250, 000 adalah antara cabaran muzik yang terhebat akan diadakan, dan program ini merupakan kolabirasi hebat antara dua platform Media Prima iaitu TV9 dan Hot FM.

Bersemperna EURO 2012 juga, rancangan bual bicara bola sepak iaitu Gila Bola akan diterbitkan oleh TV9 dan akan diacarakan oleh dua penyampai radio popular, Kieran dan Seelan Paul.

Ntv7 terus membawa keceriaan dengan memperkukuhkan lagi tarikannya kepada parasan kaun cina massa dengan memperkenalkan program-program baru tempatan dan luar negara.

Program-program popular dari Amerika Styarikat seperti Two And A Half Men, Glee, Bones, Grey's Anatomu dan Lie To Me akan memeriahkan kaca tv anda disaluran ntv7 nanti.

Ntv7 juga akan memperkenalkan beberapa program baru khas buat kanak-kanak seperti Unggun Api, sebuah siri cerita-cerita hantu.

Manakala, buat 8TV, sesuai dengan tema 'Kita Berbeza', 8TV terus membawakan program-program hiburan yang terbaik menampilkan kepelbagaian Urban dan Cina, dengan program-program hebat dari Hollywood, Asia dan tempatan.

Tuanku Muhriz saksi kerjasama penubuhan Kuliyyah Al-Azhar Malaysia

Posted: 31 Oct 2011 10:15 PM PDT


DR. USAMAH Mohamed Hassan Elabed (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin sambil disaksikan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir (tengah), Tunku Ali Redhauddin (dua dari kiri), Tunku Zain Al-Abidin (kanan) dan Mohamad Hasan di Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan, semalam.


KUALA PILAH 31 Okt. - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini berangkat menyaksikan majlis menandatangani kerjasama penubuhan Kuliyyah Al-Azhar Malaysia di Istana Besar Seri Menanti di sini.

Kerjasama itu adalah antara Yayasan Sofa Negeri Sembilan (Yayasan Sofa) yang dinaungi oleh baginda dengan Universiti Al-Azhar, Mesir.

Pada majlis tersebut, Universiti Al-Azhar diwakili oleh Presidennya, Profesor Dr. Usamah Mohamed Hassan Elabed manakala Yayasan Sofa oleh Pengasas-Penasihatnya, Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz.

Dalam titah baginda, Tuanku Muhriz mahu usahasama dan kerjasama itu diteruskan kerana ia akan membawa manfaat yang besar kepada umat Islam di negeri ini.

Baginda bertitah, manfaat itu diberi melalui tawaran kursus oleh Kuliyyah Al-Azhar, sebuah fakulti khas yang diwujudkan di Universiti As-Sofa yang didirikan di negeri ini.

"Gagasan Universiti Al-Azhar melalui pendidikan perlu diambil semangatnya terutama apa yang diwariskan oleh para ulama dengan memahami dengan tepat ajaran mereka dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian," titah baginda.

Sementara itu, Yang Dipertua Yayasan Sofa, Dr. Yusri Mohamad berkata, kerjasama itu menyaksikan penubuhan secara bersama sebuah fakulti khas untuk pengajian Islam menurut acuan Universiti Al-Azhar, Mesir di negara ini.

"Ini bermakna kuliyyah berkenaan adalah sebahagian daripada Universiti As-Sofa yang ditubuhkan oleh Yayasan Sofa," katanya.

Menurutnya, pengajian di bawah Kuliyyah Al-Azhar Malaysia akan dimulakan dengan kursus dalam bidang Usuluddin dan Syariah dan mungkin disusuli dengan Pengajian al-Quran dan Bahasa Arab.

"Bagi kursus berkaitan profesional pula, ia akan menjurus kepada bidang pengurusan berteraskan Islam," ujarnya.

Enam asas rumah tangga bahagia

Posted: 31 Oct 2011 10:14 PM PDT


Siti Nor Bahyah dan Wan Akashah ketika menyampaikan ceramah agama di Surau Al-Huda, ibu pejabat Utusan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


STATISTIK menunjukkan di Barat hampir 90 peratus rumah tangga berantakan kerana tidak mengikut acuan yang telah ditetapkan Allah SWT.

Tidak mustahil fenomena tersebut berlaku di negara ini apabila makin ramai yang membina rumah tangga dengan hanya mengikut nafsu dan tidak berlandaskan syariat Islam yang sebenarnya.

Sebenarnya senario semakin membimbangkan ini telahpun dibuktikan dengan jumlah kes perceraian yang dilaporkan meningkat hari demi hari. Malah mengikut purata yang dikeluarkan oleh Jabatan Kefahaman Islam Malaysia (Jakim) seramai 77 pasangan Islam bercerai setiap hari.

Jumlah perceraian yang boleh dikategorikan kritikal ini mendorong penceramah motivasi terkenal Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood dan suaminya, Wan Akashah Wan Abdullah berkongsi asas-asas untuk membina rumah tangga bahagia.

Pasangan ini berkunjung ke Utusan Malaysia, Kuala Lumpur bersempena ceramah yang dianjurkan oleh Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.

Asas 1

Menurut Siti Nor Bahyah, setiap pasangan yang berkahwin harus menetapkan matlamat mereka iaitu kebahagiaan di dunia dan akhirat. Hanya iman dan takwa boleh membawa pasangan ke syurga untuk mendapatkan kebahagiaan yang abadi. Uji diri adakah kita telah menjalani tanggung jawab sebagai Muslim. Keluar rumah menuju ke pejabat apakah niatnya?

Bagi isteri, jangan salah guna keizinan bekerja yang suami telah beri. Elakkan makan berdua dengan lelaki bukan muhrim begitu juga dengan lelaki. Masing-masing perlu perkukuh iman dan kepercayaan yang telah diberikan, barulah rumah tangga ada asasnya.

Menurutnya, tip dari nabi SAW untuk menjaga kesetiaan ialah jangan sesekali suami atau isteri mendengar rintihan dari rakan yang berlainan jantina dari mereka.

"Ujian datang dalam bentuk kesenangan dan juga kesusahan, jadi kalau iman kita lemah kita pasti akan kalah, untuk menguatkan iman di pejabat, pastikan kita berjemaah di surau pejabat dan isi masa dengan membaca al-Quran," tambah Wan Akashah pula.

Asas 2

Perlu ada kasih sayang, cinta dan rindu.

"Sedihnya dua elemen ini sering berlaku pada zaman bercinta sahaja. Nabi SAW berpesan, kalau kita sayangkan seseorang mesti ditunjukkan dengan kata-kata dan perbuatan. Jadi jika ada suami yang mengatakan 'abang sayang, cuma tak tunjuk saja' maka itu tidak patut, kerana nabi ajar suruh tunjuk," tambah Siti Nor Bahyah pula.

Sebagai ibu, haruslah memanggil anak dengan penuh kasih sayang dan panggilan yang baik-baik kerana setiap patah perkataan yang keluar dari mulut ibu adalah doa.

"Nabi sendiri pun menunjukkan kasih sayangnya dengan berbaring di atas paha Saidatina Khadijah, jadi mengapa perlu suami sekarang tidak mengikuti perlakuan Rasulullah kalau itu yang menggembirakan hati isteri," ujar Siti Nor Bahyah.

Asas 3

Contohi akhlak Nabi Muhammad SAW, jagalah adab suami isteri serta tingkah laku masing-masing. Setiap dari anggota yang Allah kurniakan seperti mata, mulut dan hidung semuanya perlu dijaga.

Kata Wan Akashah, isteri mesti memastikan suami makan dari masakannya supaya berkat.

"Sebab itu ustaz sendiri pun makan masakan yang ibu dan isteri masak. Dari situ makanan yang dimakan itu diyakini kebersihannya, apa yang dimakan menjadi darah daging untuk membentuk insan yang berakhlak mulia," jelasnya.

Asas 4

Tegas Siti Nor Bahyah, amanah dan tanggung jawab perlu dipikul sehabis baik oleh setiap pasangan. Dalam keadaan ekonomi sekarang, ramai pasangan yang secara tidak sengaja mengabaikan masa bersama pasangan atau anak-anak.

"Anak adalah amanah, sebaiknya kita menjaga anak kita sendiri dan tidak perlu menyerahkan tugas tersebut kepada pembantu rumah atau hantar ke pusat jagaan. Kalau pakai pembantu janganlah pula kita membiarkan pembantu mengambil peranan kita sebagai isteri," tambahnya.

Asas 5

Setiap suami atau isteri mesti pastikan rezeki yang mereka perolehi adalah halal dan diberkati.

"Biar sedikit tapi mencukupi. Keberkatan itu amat penting. Apabila kita bersembahyang kita pasti akan mendapat ketenangannya. Begitu juga dengan kewajipan berzakat yang apabila kita tunaikan pasti kita akan tenang kerana mengikut suruhan Allah," ujar Siti Nor Bahyah.

Asas 6

Pesanan yang paling penting ialah berbuat baiklah kepada ibu dan bapa. "Apabila kita sebagai anak berbuat baik kepada ibu bapa kita, Insya-Allah anak-anak kita akan baik kepada kita dan rumah tangga kita pasti bahagia," ujarnya.

Cowgirls promosi lembu korban

Posted: 31 Oct 2011 10:13 PM PDT


(dari kiri) Titis, Avianti, Reyka dan Lidya memberikan pose istimewa di bilik pameran jualan lembu korban di Jakarta, Indonesia. Tugas mereka ialah mempromosikan lembu untuk dijual sempena perayaan Aidiladha.


HARI itu sangat panas. Matahari seperti berada betul-betul di atas kepala. Namun bahang matahari tidak menghalang orang ramai yang melintasi sebuah kedai yang menjual lembu korban di sebuah pekan di Depot, Jakarta Selatan, Indonesia untuk melihat siapa gerangan empat gadis jelita berpakaian ala koboi.

Tanpa menghiraukan panas terik serta pandangan orang ramai, keempat-empat gadis itu ralit melayan pertanyaan pelanggan mengenai lembu-lembu yang dijual di bilik pameran haiwan korban atau dikenali sebagai Hotel Haiwan Korban di situ.

Senario itu amat janggal sekali. Masakan tidak, tentunya aneh melihat gadis-gadis cantik seperti Avianti, Lidya, Titis dan Reyka di pusat jualan itu mempromosikan lembu.

Lembu yang mahu dijual itu pula ialah untuk digunakan sembelihan sempena ibadah korban oleh umat Islam sebagai menyambut kedatangan Hari Raya Aidiladha.

Berada di sekeliling ratusan lembu, pembaca pasti dapat membayangkan bagaimana suasananya.

Usahkan bau najis lembu, air kencingnya juga sudah cukup membuatkan ramai yang 'pening kepala'.

Ruang lingkup kerja mereka yang penuh dengan kotoran lembu dan makanan berupa rumput tidak menjadi halangan kepada jelitawan-jelitawan itu.

Dan mereka sudah lali serta sangat senang dengan persekitaran sedemikian.

Kesemua mereka digajikan oleh Haji Romdoni atau lebih mesra disapa sebagai Haji Doni untuk membantu mempromosikan lembu-lembu korban jualannya sempena sambutan Hari Raya Haji pada 6 November ini.

Khidmat mereka dikenali sebagai cowgirls dengan pantas menarik perhatian pelanggan. Apa lagi dengan publisiti meluas yang diberikan oleh media tempatan menyebabkan perniagaan Haji Doni berkembang dengan pesat sekali.

Namun, Haji Doni menafikan bahawa khidmat Gadis Promosi Jualan (SPG) itu sebagai 'umpan' untuk melariskan jualan.

Sebaliknya, khidmat sedemikian tegasnya, membantu memberi penerangan mengenai haiwan yang ingin dibeli pelanggan bagi menyempurnakan ibadah korban.

"Tugas utama gadis-gadis (SPG) ini ialah memberi penerangan mengenai tawaran jualan lembu korban kepada pelanggan.

"Jangan sesekali dianggap mereka sebagai pelaris kerana sudah menjadi tradisi setiap kali musim korban, orang ramai yang mahu melaksanakan ibadah korban pasti akan mencari lembu atau kambing," katanya ketika ditemui di Hotel Haiwan Korban di Depok, Jakarta Selatan, baru-baru ini.

Beliau yang memperkenalkan konsep SPG sejak tahun 2007 mengakui, khidmat gadis-gadis berkenaan banyak membantu perniagaan beliau melayani para pelanggan.

Kepada sebilangan besar daripada kita, khidmat jurujual cowgirls mungkin sesuatu yang baru namun hal ini sudah menjadi satu kebiasaan dalam perniagaan lembu di Australia, kata Haji Doni.

Untuk itu, beliau juga telah menggaji 40 cowgirls secara tetap sebagai jurujual lembu, yang merupakan perniagaan utamanya sementara di luar musim Hari Raya Korban, gadis-gadis promosi jualan ini membantu jualan lembu di ladangnya di sebuah tempat dalam kawasan Depok.

Salah seorang daripada gadis jurujual promosi di bilik pameran Haji Doni, Avianti yang ditemu Mega memberitahu, dia sangat menyenangi kerja yang dilakukannya itu biarpun suasana tempat bekerja kurang menyenangkan dengan najis lembu yang dipamerkan di situ.

Kepada Avianti, biar apa sekalipun pandangan orang ramai, dia tidak pernah mengeluh untuk bekerja sebagai jurujual lembu korban kerana yang penting dia berpeluang membantu orang ramai yang tidak memahami haiwan korban yang mahu dibeli.

"Saya senang sekali dengan pekerjaan ini. Bukan semua orang yang mengetahui hal-hal yang melibatkan sapi (lembu).

"Saya dan teman-teman sangat bertuah kerana dapat menawarkan perkhidmatan ini. Soal bau kurang senang ia hanya permulaan saja. Lama-kelamaan kami sudah lali," akui gadis berusia 21 tahun yang juga seorang mahasiswa di sebuah universiti tempatan.

Temannya, Reyka yang sebaya dengannya juga berkongsi keseronokan bekerja sebagai jurujual lembu korban kerana dia mendapat banyak ilmu mengenai haiwan berkenaan yang selama ini tidak pernah dipedulikannya.

Sebelum turun ke gelanggang untuk menjual lembu, dia serta rakan-rakannya yang lain diberikan latihan dan pendedahan dalam waktu yang singkat mengenai hal ehwal lembu.

"Kini saya dan teman-teman sudah mampu memberikan khidmat nasihat mengenai hal-hal yang berkaitan lembu daripada jenis dan kelebihan sapi (lembu) serta memberi tawaran harga kepada yang yang berminat untuk membeli haiwan berkenaan untuk sembelihan sempena ibadah Aidiladha kelak," jelasnya yang mengakui upah yang diterima hasil pekerjaannya itu sangat berbaloi dengan tugasnya.

Dalam perbualan dengan gadis-gadis itu, mereka petah memberi penjelasan mengenai kelayakan seekor lembu yang mahu disembelihkan harus mematuhi pelbagai syarat yang ditetapkan oleh agama.

Biarpun tugas sebagai jurujual promosi lembu korban di bilik pameran milik Haji Doni itu terbatas untuk tempoh kurang sebulan, namun, kesemua gadis berkenaan bekerja secara syif.

Mereka dibahagikan kepada dua syif iaitu syif pagi bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang sementara syif berikutnya pula bermula pukul 1 tengah hari dan berakhir 8 malam.

Transformasi betong ubah nasib rakyat

Posted: 31 Oct 2011 10:13 PM PDT


Kilang memproses getah yang dibina di Betong bukan sahaja memudahkan pekebun memasarkan hasil tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk.


PERJALANAN menggunakan jalan darat selama lima jam dari bandar raya Kuching ke bandar Betong akhirnya disambut dengan ucapan "Selamat Datang" di pintu gerbang berbentuk parang Ilang dan Terabai (perisai Iban).

Dinaik taraf sebagai Bahagian pada 26 Mac 2002, bandar Betong dipilih sebagai pusat pentadbiran Bahagian. Nama Bahagian Betong telah dipilih mengikut nama bandar pusat pentadbiran itu.

Kawasan pentadbiran bahagian baru itu merangkumi daerah Saratok dan daerah Betong yang diperluaskan sehingga ke daerah Kecil Maludam, yang dahulunya berada di bawah pentadbiran daerah Sri Aman.

Betong sebuah penempatan yang penting dari segi sejarah negeri Sarawak kerana terdapat banyaknya peristiwa penentangan pemerintahan Brooke berlaku di sini.

Tempat dan bangunan bersejarah seperti kubu masih dapat dilihat hingga ke hari ini dan ada yang masih digunakan.

Bukit Sadok yang terkenal dengan peristiwa Pertempuran Bukit Sadok, pernah menyaksikan tiga pertempuran besar di antara Pemerintahan Rajah Brooke dengan Panglima Rentap yang mendapat gelaran Raja Pendalaman pada tahun 1857 hingga tahun 1861.

Timbalan Residen Betong, Pathi Kerni berkata, Bahagian Betong terletak antara tiga batang sungai utama iaitu Batang Lupar, Batang Saribas dan Batang Kelaka meliputi kawasan seluas 4,180 kilometer persegi.

Katanya, dengan jumlah penduduk hampir 94,000 orang Bahagian itu majoritinya dihuni oleh kaum Melayu (51,290), Iban (37,283), Cina (5,084), Bidayuh (225), Melanau (219) manakala selebihnya kaum lain di Sarawak.

"Dari segi ekonomi, aktiviti pertanian, perladangan dan perikanan adalah aktiviti utama di Bahagian Betong, selain berkhidmat dalam sektor kerajaan, swasta serta perniagaan," katanya pada taklimat kepada media sempena program Kembara Media anjuran Jabatan Penerangan Sarawak di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata dari segi kemudahan asas hampir 90 peratus kawasan dalam Bahagian ini mempunyai sistem rangkaian jalan raya, bekalan air bersih (77 peratus) dan bekalan elektrik (75 peratus).

Menurutnya, untuk Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) hingga (RMK-10), sebanyak RM2.3 bilion diperuntukkan kerajaan pusat untuk pembangunan Bahagian Betong membabitkan 989 projek manakala kerajaan negeri memperuntukkan RM600 juta untuk 1,104 projek.

Antara pembangunan yang diberikan tumpuan ialah Pusat Pembangunan Luar Bandar (RGC) Layar dan RGC Beladin.

Pathi berkata, sebagai langkah untuk meningkatkan lagi pendapatan rakyat di kawasan luar bandar beberapa langkah telah diambil pihak kerajaan dengan kerjasama agensi kerajaan yang berkaitan khasnya dalam pembangunan tanah hak adat bumiputera (NCR).

Antara fokus kerajaan negeri adalah dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk memajukan semula sektor penanaman getah secara mini estet di Betong.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 11,000 hektar tanah termasuk dalam kawasan Betong telah ditanam semula dengan getah membabitkan kira-kira 2,600 penanam mini estet getah.

"Hasil getah dikenal pasti boleh membantu rakyat luar bandar di sini untuk meningkatkan pendapatan mereka sekitar RM2,000 sebulan, bergantung kepada pasaran getah semasa," katanya.

Kerajaan dengan kerjasama syarikat dari China iaitu Guangken Rubber (Sarawak) Sdn. Bhd. turut membina sebuah kilang memproses getah di Bahagian ini untuk memudahkan penanam getah di kawasan sekitarnya.

Dengan kontrak selama 25 tahun dengan syarikat berkenaan, nasib penanam getah di kawasan Betong dan sekitarnya akan lebih terjamin.

Peserta skim mini estet getah di Rumah Graji Atas iaitu Inggo anak Luyoh, 58, berkata dengan adanya usaha untuk membangunkan semula industri getah di kawasan Betong, penduduk kini sudah mula merasai nikmatnya.

Katanya, seluas 120 hektar tanah melibatkan tanah NCR di kawasan Padeh Betong telah dibangunkan dengan tanaman getah.

"Dengan adanya pangalaman yang luas syarikat dari China itu dalam industri getah di beberapa negara rantau Asia Tenggara, kami yakin industri itu boleh berkembang dengan lebih baik di Betong," katanya.

YBUDR beri bantuan

Posted: 31 Oct 2011 10:12 PM PDT


Zainal Abidin Omar melihat kawasan tapak rumah Chong Koon LIn yang musnah dalam satu kebakaran sebelum dibantu oleh YBUDR untuk membina rumah baru.


TIADA kata yang mampu diluahkan selain rasa syukur di atas bantuan yang diterima. Musibah yang disangka pengakhiran kisah sebuah kehidupan, rupanya ujian Tuhan sebelum diberikan nikmat.

Begitulah keadaan yang melanda beberapa penerima bantuan Projek Infra Bina Upaya di bawah Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).

Bagi Robini Don, 83, Chong Koon Lin, 69 dan Jamilah Haji Malek, 80-an dugaan yang dilalui amat perit untuk dilalui mereka.

Bagaimanapun, atas rasa prihatin Kerajaan Negeri Perak menerusi agensinya YBUDR, penderitaan mereka berjaya diatasi.

Robini yang menetap sendirian di Kampung Sungai Rapat kini mampu menarik nafas lega kerana keadaan rumah kayu dua tingkatnya yang rosak akibat ribut berjaya dibaik pulih.

"Pada awalnya mak cik sangka, tiada harapan lagi untuk mak cik meneruskan kehidupan selepas musnah tempat berteduh ini.

"Mujurlah, keperihatian Kerajaan Negeri memberikan pertolongan membaiki rumah ini, mengubah segalanya," katanya.

Dia berkata demikian ketika dikunjungi Ketua Eksekutif YBUDR, Datuk Zainal Abidin Omar dalam siri lawatan menyelami kehidupan para penerima bantuan rumah dan baik pulih rumah, baru-baru ini.

Dalam siri lawatan itu, Zainal meninjau kehidupan para penerima selepas diberi bantuan, sama ada kehidupan mereka lebih baik ataupun sebaliknya.

Lawatan seterusnya, memberikan keinsafan kepada mata yang melihat. Seorang wanita gigih dan hidup sendirian, Koon Lin, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka keluarganya musnah dalam sekelip mata akibat dijilat api.

Mengimbau detik kejadian yang berlaku ketika mangsa tiada di rumah kerana bekerja mengutip kotak dan barangan terbuang demi menyara kehidupan.

"Ketika itu, saya baru sahaja keluar dari rumah dan mengayuh basikal ke pasar Gunung Rapat, yang tidak jauh dari rumah. Tiba-tiba saya dikejutkan oleh jiran yang datang ke pasar itu, memaklumkan rumah saya terbakar," katanya dalam nada sayu.

Bagaimanapun, kesedihannya bertukar terharu apabila menerima kunjungan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di tapak rumahnya.

"Saya sangat berterima kasih kerana Yang Amat Berhormat sudi berkunjung ke sini, malahan meluluskan peruntukan untuk membina sebuah rumah kepada saya menerusi YBUDR," katanya lagi.

Katanya, hanya Tuhan sahaja dapat membalas kebaikan beliau kerana sanggup membantu tidak mengira kaum dan keturunan.

Koon Lin kini menumpang teduh di rumah jirannya sementara menantikan rumah baru ihsan dari YBUDR siap dalam tempoh terdekat.

Seorang lagi penerima baik pulih rumah, ibu tunggal yang lumpuh, Jamilah, tinggal bersama dua anaknya yang mengalami sakit kencing manis manakala seorang lagi berpenyakit mental.

Rumah yang terletak di Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2 itu sememangnya kelihatan daif.

Ditambah dengan masalah kesihatan Jamilah, tidak mungkin dia terdaya untuk mencari bantuan membaik pulih rumahnya.

Atas rasa prihatin YBUDR, keluarga miskin ini dipertimbangkan untuk mendapat bantuan baik pulih rumah.

"Jika hujan lebat, air dari sungai berdekatan, sudah pasti naik sehingga ke paras pinggang dan inilah keadaan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu sehingga mak cik terpaksa meminta tolong orang membina benteng di luar pintu masuk," katanya sedih.

Namun dia amat terharu apabila dimaklumkan bahawa YBUDR meluluskan peruntukan membaikpulih rumah meliputi atap, lantai dan dinding serta tandas di luar rumah juga dibina di dalam rumah.

Rahsia Firaun bina piramid

Posted: 31 Oct 2011 10:11 PM PDT

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan berkatalah Firaun: "Wahai kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah wahai Haman untukku tanah liat kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi agar aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia (Musa) orang-orang pendusta". (al-Qasas: 38).

Daripada penjelasan ayat al-Quran di atas jelaslah bahawa selama ini manusia menjadi hairan dan kagum bagaimanakah bangunan-bangunan yang dibina oleh Firaun iaitu piramid dapat berdiri megah dan perkasa di bumi Mesir pada zaman pemerintahannya hingga kini.

Apakah rahsia di sebalik pembinaan piramid itu?

Akhbar American Times edisi 1 Disember 2006 menyiarkan berita saintifik yang mengesahkan bahawa Firaun menggunakan tanah liat untuk membina piramid.

Menurut kajian, disebutkan bahawa batu-batu yang digunakan untuk membuat piramid adalah dari tanah liat yang dipanaskan sehingga membentuk batuan keras yang sukar dibezakan dengan batu asalnya.

Para saintis mengatakan, Firaun mahir dalam bidang ilmu kimia dalam menguruskan tanah liat sehingga menjadi batu. Teknik yang mereka gunakan adalah sangat misteri jika dilihat daripada kodifikasi nombor di batu yang mereka tinggalkan.

Prof. Gilles Hug dan Dr. Michael Barsoum menegaskan, piramid yang paling besar di Giza, dibuat daripada dua jenis batuan yang terdiri daripada batu semula jadi dan batu-batu yang dibuat secara manual hasil olahan tanah liat.

Baru-baru ini majalah Journal of American Ceramic Society memaparkan artikel kajian mengenai bagaimanakah Firaun membina piramid di Mesir yang mengkagumkan itu sebagai peninggalan sejarah tamadun dunia.

Kajian itu menegaskan, Firaun menggunakan tanah jenis slurry untuk membina monumen yang tinggi, termasuk piramid. Justeru itu tidak mungkin bagi seseorang mengangkat batu besar dan berat ribuan kilogram.

Seterusnya pada dasar piramid, Firaun menggunakan batu semula jadi atau batu alam.

Lumpur tersebut merupakan campuran lumpur kapur yang dipanaskan dengan wap air garam dan akan menghasilkan wap air sehingga terbentuknya campuran tanah liat.

Kemudian olahan itu dituangkan ke dalam tempat yang disediakan di dinding piramid. Lumpur yang sudah diadun mengikut saiz yang dikehendaki itu dibakar, lalu diletakkan di tempat yang sudah disediakan di dinding piramid.

Sehubungan itu, Prof. Davidovits telah mengambil contoh batu piramid yang terbesar untuk dilakukan analisis dengan menggunakan mikroskop elektron terhadap batu tersebut.

Hasilnya, beliau menegaskan batu itu diperbuat daripada lumpur. Selama ini tanpa penggunaan mikroskop elektron, ahli geologi belum mampu membezakan antara batu alam semula jadi dengan batu buatan manusia.

Penemuan oleh Davidovits itu adalah hasil kajian yang memakan masa kira-kira 20 tahun. Sebelum kajian yang begitu lama terhadap piramid Bosnia, 'Piramid Matahari' dan menjelaskan bahawa batu-batunya diperbuat daripada tanah liat.

Ini memperkuatkan lagi keyakinan bahawa kaedah itu tersebar luas di masa yang lalu.

Sebelum ini, seorang saintis Belgium, Guy Demortier, telah bertahun-tahun mencari jawapan daripada pembuatan batu besar yang tersergam di puncak-puncak piramid.

Beliau berkata: "Setelah bertahun-tahun melakukan kajian dan penyelidikan, sekarang baru saya yakin bahawa piramid yang terletak di Mesir diperbuat dengan menggunakan tanah liat."

Bukti-bukti kajian menunjukkan kepada kita bahawa bangunan-bangunan raksasa, patung-patung raksasa dan tiang-tiang yang ditemui dalam tamadun canggih zaman silam, juga dibina daripada tanah liat.

Pembongkaran misteri piramid tersebut adalah hasil mukjizat al-Quran yang telah berbicara sejak ribuan tahun dahulu sebelum para saintis dan ilmuwan dunia menemukan rahsia tersebut.

Hairan dan ajaib, sejak 1,400 tahun yang lampau, Nabi Muhammad SAW dan beratus tahun selepas berakhirnya Dinasti Firaun di Mesir, memberitahu bahawa Firaun membina monumen yang megah dan tersohor itu yang dikenali sebagai piramid dengan menggunakan tanah liat.

Jika ditinjau kejadian Nabi Adam a.s sebagai bapa manusia dan menjadi khalifah di bumi, baginda juga berasal dari penciptaan tanah liat yang ditiupkan roh oleh Allah SWT dan wujudlah sebagai manusia yang pertama di permukaan bumi.

Berdasarkan ayat al-Quran di atas, jelas membuktikan Nabi Muhammad SAW tidaklah berbicara mengikut hawa nafsunya melainkan hidayah dan petunjuk dari Allah SWT yang menciptakan Firaun dan menenggelamkannya di Laut Merah bersama tenteranya.

Selain itu, Allah juga menyelamatkan Nabi Musa a.s daripada kekejaman Firaun menuju tanah dan bumi Palestin yang diperjuangkan sampai sekarang dan seterusnya hari kemudian. Walahu 'alam.

Ternate pusat dakwah Islam

Posted: 31 Oct 2011 10:10 PM PDT


PINTU gerbang istana Kesultanan Ternate tahun 1930-an.


KESULTANAN Ternate merupakan kesultanan terbesar di Kepulauan Maluku pada abad ke-14 hingga abad ke-16.

Sejak abad ke-10, Ternate dikenali sebagai pusat perdagangan rempah. Kapal dari Jawa, Melaka dan Arab sering belayar ke sana.

Kesultanan ini pada awalnya berpegang pada animisme. Namun, setelah Sultan Zainal Abidin (1486-1500), Raja Ternate ke-19, kembali dari Giri, Gersik dan menyandang gelaran sultan, agama Islam menjadi agama kerajaan.

Kesultanan Ternate dan jirannya, Kesultanan Tidore, merupakan dua kerajaan yang saling bersaing dalam perdagangan. Pada tahun 1522, Ternate bersekutu dengan Portugis dengan memberikannya monopoli perdagangan cengkih yang bertujuan untuk menyekat penyebaran ajaran Katholik.

Tidore mengikat perjanjian dengan Sepanyol pada tahun 1524. Pada tahun 1529, Ternate bersama-sama Portugis mengalahkan Tidore. Namun selepas itu, bukan hanya Tidore tetapi Ternate juga menjadi daerah taklukan Belanda.

Pusat dakwah Islam

Kesultanan Ternate merupakan salah satu pusat penyebaran Islam di wilayah Indonesia Timur. Pendakwah dari Ternate berdakwah ke seluruh Kepulauan Maluku, Sulawesi, Buton, Sumbawa dan Papua.

Malah, pada tahun 1587 pendakwah Ternate berdakwah hingga ke Pulau Sulu dan Mindano di bahagian selatan Filipina. Di wilayah itu, para pendakwah dari Ternate ini mendirikan madrasah dan masjid.

Sultan khairun

Pada awalnya, Sultan Khairun, sultan ketiga Ternate, bekerjasama dengan Portugis. Namun, pada tahun 1533 baginda mengumumkan perang kerana sikap kasar gabenornya, Tritoa de Altaida.

Setelah perang tamat, perjanjian dimeterai semula. Namun, perang terjadi lagi kerana Portugis melancarkan gerakan pengkristianan.

Ketika terdesak, Portugis menipu dengan berpura-pura menerima semua syarat Sultan serta para pembesarnya ke kubu untuk jamuan besar. Ketika jamuan sedang berlangsung pada 28 Februari 1570, Khairun ditikam oleh pengawal gabenor hingga mangkat.

Sultan babullah

Setelah ayahandanya (Sultan Khairun) mangkat di kubu Portugis, Sultan Babullah memimpin rakyat Ternate memerangi Portugis pada tahun 1570.

Tentera Portugis yang berada di Melaka berulang kali cuba memberikan bantuan, tetapi tidak berjaya menembusi pengepungan Sultan Babullah.

Lima tahun kemudian, Portugis menyerah kalah. Baginda mengampuni lawannya, dengan syarat mereka meninggalkan Ternate. Di bawah pemerintahan Sultan Babullah, Kesultanan Ternate mencapai kejayaan. Ketika baginda mangkat, kesultanan itu berjaya menguasai sekitar 80 buah pulau.

Alam semesta juga 'Islam'

Posted: 31 Oct 2011 10:08 PM PDT

Kewujudan alam semesta yang indah dan bergerak secara tertib serta harmoni sudah tentu ada Penciptanya. Malah, seluruh jirim langit berjalan mengikut ketentuan Ilahi. Mereka melakukan peredaran penuh ketaatan tanpa bantahan.

Keharmonian hukum alam pada hakikatnya adalah manifestasi kepatuhan alam terhadap takdir ilahi. Pendek kata, seluruh jisim langit dan bumi, seluruh jisim yang seni seperti elektron yang mengelilingi nukleus sehingga cakerawala yang mega mengelilingi pusat cakerawalanya.

"Semua ini adalah simbol kepatuhan dan ketundukan kepada Pencipta. Ia selari dengan maksud Islam iaitu tunduk dan patuh kepada ketentuan ilahi," kata pensyarah Matematik di Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail.

Beliau berkata demikian dalam kertas kerjanya bertajuk Falak dan Kosmologi Menerusi Sudut Pandangan Saintis Islam.

Kertas kerja itu dibentangkan pada Kursus Sijil Tinggi Falak peringkat Serantau di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Kursus selama tiga minggu bermula 10 Oktober itu adalah anjuran anjuran Pusat al-Quran dan Ilmu Teras ILIM.

Ia disertai 37 peserta negara anggota Mabims iaitu 31 peserta Malaysia, tiga (Indonesia), dua (Singapura) dan seorang (Brunei).

Mat Rofa berkata, alam kosmos dan yang berkaitan dengannya lebih dekat kepada umat Islam berbanding umat lain.

Malangnya, kata beliau, peneroka alam kosmos moden diterajui oleh saintis Barat yang bukan Muslim.

"Antaranya, Albert Einstein, Tolman, Kozai, Holye, Hawkings dan Fitch," kata beliau.

Menurut Mat Rofa, kajian kosmos dalam teknologi moden membuka ruang lebih luas bagi ahli ulil-albab untuk mengambil iktibar tentang alam semesta keseluruhannya termasuk aspek arkeologi dan sejarah umat yang terdahulu.

Katanya, teknologi satelit membuka ruang kajian baru terhadap kajian arkeologi yang melibatkan umat terdahulu yang menentang kebenaran.

Beliau berkata, saintis barat moden kini hanya mampu menerokai sebahagian langit dunia yang mempunyai segala jirim langit serta kesatuan galaksi meganya sedangkan langit yang tujuh menjadi misteri yang belum pernah terungkai dalam pengetahuan mereka.

"Langit dunia yang dipenuhi bintang dan galaksi ini pun baru mula diterokai menjelang kurun ke-20 apabila teleskop dan satelit moden dicipta," jelasnya.

Mat Rofa berkata, ilmu sains tabie dikaji dalam satu paradigma kesepaduan ilmu yang berfungsi melihat alam sebagai satu manifestasi keagungan ilahi.

Justeru, katanya, alam semesta yang menjadi objek kajian sains hakikatnya dianggap sebagai kitab terbuka yang harus dikaji secara selari dengan kitab al-Quran.

Menurut beliau, hasil akhir kegiatan saintifik seseorang Muslim adalah sifat bertakwa yang menjadikan diri pengkajinya tunduk dan patuh kepada kehendak ilahi.

"Ini apabila melihat bahawa semua objek kajian sains di langit dan bumi tunduk patuh kepada Pencipta-Nya. Di atas paksi inilah seharusnya kajian saintifik moden umat Islam dilakukan.

"Sains dan wahyu di sisi saintis Islam dilihat sebagai gabungan yang harmoni, tidak berkonflik seperti anggapan sains Barat," tegas beliau.

Sehubungan itu, Mat Rofa mencadangkan agar sains diberi takrifan baru sesuai dengan paradigma tauhid kerana ia berbeza dengan sains positifis.

Katanya, sains positifis hanya berminat menjawab persoalan yang bermula dengan 'bagaimana' tetapi mengelak persoalan 'kenapa'.

"Sedangkan sains acuan tauhid seharusnya melihat secara kesepaduan di antara kedua-dua persoalan tersebut," jelasnya.

Sementara itu, pada 24 Oktober lalu diadakan makan malam sempena Majlis Ramah Mesra peserta kursus bersama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.

Othman dalam ucapannya berkata, Jakim mengambil berat tentang keperluan bidang ilmu falak terutama kepada para pegawai agama di Malaysia dan rantau Asia.

Katanya, ia juga bersesuaian dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam Mabims kali ke-14 di Brunei pada Januari 2010 untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat penyelidikan falak negara Mabims.

"Sebelum ini ILIM berpengalaman mengendalikan kursus falak jangka pendek antaranya Modul Asas Falak, Modul Falak Kiblat, Modul Falak waktu Solat dan Modul Falak Rubu' Mujayyab," katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah ILIM, Che Ibrahim Che Man.

Pertandingan menaiki tangga UniKL

Posted: 31 Oct 2011 10:06 PM PDT


SEBAHAGIAN daripada 35 peserta pertandingan menaiki tangga UniKL, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 31 Okt. - Seramai 35 peserta berpakaian ala Superheroes seperti Naruto, Batman dan bermacam lagi menyertai Cabaran Rev Up Superheroes Step-Thon 2011 di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) hari ini.

Pengarah projek cabaran itu, Elly Rosalinda Azmi berkata, para peserta yang berpakaian Superheroes itu menaiki tangga dari tingkat bawah hingga tingkat 23 dan mengulanginya kembali sebanyak yang boleh dalam tempoh tiga jam.

"Cabaran ini bertujuan untuk memberi alternatif kepada pelajar dalam menjalankan kegiatan menyihatkan badan tanpa perlu ke padang atau tempat riadah kerana dengan hanya menaiki tangga bangunan UniKL pun, mereka boleh bersenam.

"Tahniah diucapkan kepada jawatankuasa projek yang terdiri daripada 28 pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dan Keusahawanan kerana berjaya melaksanakan cabaran ini, walaupun kesuntukan masa ekoran peperiksaan akhir yang semakin hampir," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Cabaran ini dianjurkan oleh UniKL Bussines School dengan tajaan Permanis Sdn. Bhd..

Juara cabaran ini, Azri Zolkipli berjaya menaiki tangga sebanyak 19 kali pusingan, tempat kedua pula, Nazrin Nazari (17 kali) dan tempat ketiga, Muhammad Naqib Hamzah (15 kali).

Tambah Elly, jawatankuasanya mengambil masa selama tiga minggu bagi merealisasikan cabaran ini dengan berbekalkan ilmu yang dipelajari dan kerjasama berpasukan.

"Penganjuran cabaran ini juga menguji kami sebagai pelajar perniagaan dan keusahawanan dalam merancang sesebuah program dengan menggunakan segala peruntukan dan masa yang ditetapkan dengan baik," jelasnya.

Lelaki juga berisiko dijangkiti HPV

Posted: 31 Oct 2011 10:05 PM PDT

DI peringkat dunia, kanser servik adalah kanser kedua yang banyak menyebabkan kematian di kalangan wanita selepas kanser payu dara. Ia membunuh seorang kaum Hawa dalam tempoh setiap dua minit.

Manakala di Malaysia, kanser servik menjadi kanser ketiga paling kerap dihidapi wanita selepas payu dara dan kolorektum.

Statistik Kanser Malaysia pada 2006 menunjukkan, kanser servik merangkumi 9.1 peratus daripada 10 kanser paling kerap di kalangan wanita di negara ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula melaporkan lebih daripada 700 wanita Malaysia maut akibat kanser servik setiap tahun.

Laporan yang dikeluarkan WHO, kementerian dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kesihatan dan perubatan menegaskan, hanya kaedah pelalian dijangka mampu mengurangkan dengan ketara risiko seseorang wanita diserang kanser servik.

Justeru, kempen pelalian kebangsaan untuk menentang virus human papillomavirus (HPV) yang dianjurkan Kementerian Kesihatan bermula Julai 2010 di kalangan gadis berusia 13 tahun telah dijalankan dalam usaha untuk mengurangkan risiko kanser berkenaan.

Kanser servik adalah penyakit di mana sel-sel yang tidak normal terbentuk pada dinding servik. Jangkitan HPV di servik di kenal pasti antara penyebab utama kanser servik.

Namun apakah nama di sebalik virus HPV itu sebenarnya, jenis-jenisnya dan bagaimanakah cara ia menyerang? Adakah ia hanya menyerang golongan Hawa dan bagaimana pula dengan golongan lelaki adakah kebal dengan virus ini?

Semua persoalan ini dirungkai oleh Datin Dr. Kamaljit Kaur, yang pernah berkhidmat selama tiga tahun sebagai Pakar Perbidanan dan Sakit Puan di Hospital Kuala Lumpur .

Beliau kini merupakan doktor pakar di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur dan pakar perunding di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor.

Apakah HPV dan terdapat berapa jenis HPV?

Dr. Kamaljit Kaur: HPV (Human Papillomavirus) adalah virus biasa yang menyerang lelaki dan wanita. Terdapat lebih 100 jenis HPV. Kebanyakan HPV tidak menimbulkan apa-apa gejala, tidak berbahaya dan dapat dihapuskan oleh imunisasi badan kita. Terdapat kira-kira 30 jenis HPV yang dikenali sebagai HPV kelamin kerana virus ini memberikan kesan terhadap bahagian kelamin.

Ada beberapa jenis yang boleh mengakibatkan kanser servik atau pun menyebabkan sel abnormal pada lapisan servik yang boleh bertukar menjadi kanser.

Terdapat juga beberapa jenis HPV yang boleh menyebabkan ketuat kelamin dan perubahan benigna (bukan kanser) di dalam servik.

Selain kanser servik dan ketuat pada alat kelamin wanita. Apakah penyakit-penyakit lain yang boleh ditimbulkan oleh HPV dan bagaimana serius keadaannya?

Dr. Kamaljit Kaur: HPV boleh menyebabkan lebih daripada kanser servik di kalangan wanita. Terdapat beberapa jenis HPV berisiko tinggi, iaitu jenis 16 dan 18. Infeksi berlarutan daripada HPV ini, boleh mengakibatkan kanser servik dan kanser lain pada bahagian kelamin termasuk vagina dan vulva. HPV jenis 16 dan 18 menyumbang kepada kira-kira 70 peratus kejadian kanser servik.

Manakala jenis HPV yang berisiko rendah pula HPV jenis 6 dan 11 boleh menyebabkan terbentuknya ketuat kelamin, iaitu ketumbuhan bukan kanser seumpama daging yang muncul di bahagian kelamin dan di sekelilingnya.

HPV jenis 6 dan 11 menyebabkan kira-kira 90 peratus daripada semua kes ketuat kelamin. Ketuat kelamin sangat mudah berjangkit. Kira-kira dua per tiga daripada kalangan orang yang mempunyai hubungan seks dengan pasangan yang ada ketuat genital (kelamin) akan menjangkitinya, lazimnya dalam tempoh tiga bulan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa terdapat 32 juta kes ketuat kelamin baru akan muncul setiap tahun di seluruh dunia.

HPV juga dikaitkan dengan penyakit lain (yang jarang berlaku) seperti RRP (papilomatosis respirasi berulang), sejenis penyakit pertumbuhan di tekak yang menyukarkan pernafasan.

Bolehkah golongan lelaki mendapat HPV? Apakah jenis HPV yang boleh mendatangkan kesan kepada lelaki?

Dr. Kamaljit Kaur: Selain mengakibatkan penyakit-penyakit di kalangan wanita, HPV juga boleh menyebabkan pertumbuhan ketuat kelamin, kanser dubur, kanser zakar dan sesetengah kanser kepala dan leher seperti kanser oropharnyx di kalangan lelaki. Lelaki dan wanita boleh menyebarkan HPV antara satu sama lain melalui hubungan seksual, walaupun persetubuhan tidak berlaku.

Siapakah yang berisiko dijangkiti HPV.

Dr. Kamaljit Kaur: HPV tidak mengenal jantina, umur ataupun bangsa. Sesiapa yang mempunyai hubungan seksual mempunyai risiko dijangkiti HPV. Jangkitan HPV biasanya tidak menimbulkan apa-apa tanda atau gejala, kebanyakan orang yang dijangkiti HPV tidak tahu mereka mempunyainya (menghidapinya). Faktor-faktor risiko mendapat jangkitan HPV berkait dengan kelakuan seksual, seperti bilangan pasangan seks, sejarah sepanjang hayat pasangan seks dan sejarah seks dengan pasangan tersebut. Kebanyakan kajian melaporkan bahawa golongan yang berusia muda (bawah 25 tahun) adalah faktor risiko mendapat jangkitan HPV.

Penghidap HPV tidak menyedari diri mereka mempunyai virus itu sehinggalah simptom-simptom penyakit muncul. Adakah cara lain yang membolehkan HPV ini dikesan lebih awal supaya ia dapat dibendung daripada berkembang menjadi penyakit-penyakit lain?

Dr. Kamaljit Kaur: Setakat ini tidak terdapat pemeriksaan lazim untuk mengesan jangkitan HPV di kalangan lelaki. Tetapi wanita boleh menjalani lumuran pap (pap smear) setiap tahun. Lumuran pap adalah sebahagian daripada pemeriksaan ginekologi. Ujian ini dapat mengesan sel abnormal pada lapisan servik sebelum sel ini berpeluang menjadi (sel) kanser servik.

Kementerian Kesihatan menyediakan pelalian HPV bagi remaja berumur 13 tahun, Bagaimana dengan mereka yang berusia lebih daripada itu?

Dr. Kamaljit Kaur: Masa yang paling sesuai untuk pelalian HPV adalah sebelum pendedahan seksual dan apabila sistem imun berada di kemuncaknya. Oleh itu, kami cuba mendidik ibu bapa memberikan vaksin tersebut kepada anak-anak mereka awal pada kira-kira 13 tahun apabila sistem imun adalah tinggi.

Walau bagaimanapun, wanita muda berumur sehingga 45 tahun boleh mendapatkan vaksin selepas berunding dengan doktor.

Jadi, mereka yang berumur melebihi 13 tahun adalah digalakkan menjalani pelalian HPV terutamanya hingga umur 26 tahun malahan hingga ke umur 45 tahun.

Berapa banyak negara di dunia yang menyediakan program pelalian HPV kebangsaan mereka?

Dr. Kamaljit Kaur: Kini terdapat 34 negara di dunia yang mempunyai program pelalian HPV kebangsaan. Kesan program pelalian HPV kebangsaan jangka pendek adalah seperti pengurangan infeksi HPV dan ketuat kelamin (secara bulanan), kesan jangka pertengahan termasuk pengurangan insiden lesi servik dan RRP (papilomatosis respirasi berulang) permulaan juvana (secara tahunan) dan kesan jangka panjang seperti insiden dan kematian daripada kanser servik, kanser dubur, kanser-kanser anogenital lain (kanser vulva dan kanser faraj) dan kanser oropharynx (dekad).

Walaupun setakat ini, tiada bukti pengurangan HPV 16 dan 18 tahap populasi yang diterbitkan, terdapat data dari klinik-klinik kesihatan seksual di Australia yang menunjukkan penurunan penyakit ketuat kelamin dan dari Pejabat pendaftar ujian pap peringkat negeri Australia pula, data pengurangan penyakit servik gred tinggi.

Bukti-bukti ini diperhatikan semenjak pelaksanaan program pelalian HPV kebangsaan Australia yang mempunyai kumpulan sasaran wanita yang berumur 12-26 tahun pada tahun 2007.

Donovan et al. (sebuah kajian terbaru tempatan) telah memerhatikan penurunan sebanyak 59 peratus pada diagnosis insiden ketuat kelamin di kalangan wanita yang layak mendapat pelalian HPV program kebangsaan Australia, di lapan klinik kesihatan seksual Australia.

Penurunan sebanyak 39 peratus juga dapat dilihat di kalangan lelaki heteroseksual umur yang sama yang menampakkan bukti-bukti awal imuniti kumpulan (herd-immunity), kesan pengurangan jangkitan antara pasangan. Tiada penurunan ketuat kelamin yang diperhatikan di kalangan wanita lebih tua (bukan kumpulan sasaran program pelalian) atau lelaki yang mempunyai hubungan seks dengan lelaki.

Brotherton et al. (sebuah kajian terbaru tempatan) memerhatikan penurunan insiden lesi serviks gred tinggi yang disahkan dari segi histologi, di kalangan wanita muda Victoria (di Australia) yang dilaporkan dari Pejabat Pendaftaran sitologi servik, tidak lama sejak pelaksanaan Program Pelalian Kebangsaan Australia.

Memandangkan golongan lelaki juga berisiko dijangkiti HPV, adakah mereka patut diberikan pelalian HPV juga? Apakah umur yang disarankan bagi pelalian golongan ini?

Dr. Kamaljit Kaur: Sememangnya lelaki patut divaksinasi kerana mereka mempunyai risiko dijangkiti HPV dan pada masa yang sama menyebarkan HPV kepada pasangan wanita mereka. Seperti yang dimaklumkan, penyakit-penyakit yang disebabkan oleh HPV di kalangan lelaki termasuk ketuat kelamin, kanser zakar, kanser dubur dan sesetengah kanser kepala dan leher.

Pelalian HPV quadrivalent mempunyai indikasi rasmi untuk mencegah ketuat genital (kelamin) yang disebabkan oleh HPV 6 dan 11 untuk lelaki berumur sembilan ke 26 tahun, yang diluluskan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan pada September 2010.

Jadual untuk tiga dos pelalian HPV untuk lelaki adalah sama dengan dos pelalian perempuan.

Memandangkan lebih ramai golongan remaja perempuan sekarang dilindungi menerusi pelalian, adakah ini bermakna mereka tidak perlu lagi menjalani ujian pap smear (lumuran pap) pada masa hadapan?

Doktor: Pelalian HPV bukanlah gantian bagi lumuran pap. Semua wanita digalakkan untuk menjalani lumuran pap secara kerap walaupun suntikan vaksin HPV sudah dilakukan.

Hidup sedentari lemahkan tulang

Posted: 31 Oct 2011 10:04 PM PDT


Susu penting untuk membekalkan kalsium pada tulang menjadikannya kuat dan sihat. - Gambar hiasan


MENGEKALKAN kesihatan yang baik pasti menjadi keinginan setiap individu dan ia sangat penting dalam kehidupan seharian.

Namun, kebanyakan daripada kita kurang mengendahkan aspek itu menyebabkan ramai yang mudah mendapat penyakit.

Biarpun sibuk di pejabat tetapi kesibukan kita sebenarnya hanya menghadap komputer tanpa perlu melibatkan aktiviti fizikal.

Malah di rumah pula, ramai yang suka menghabiskan masa dengan menonton televisyen dan menghadap komputer.

Tahukah kita gaya hidup tidak aktif atau dalam bahasa perubatan dikenali sebagai sedentari sebenarnya membahayakan diri dan kesihatan.

Tetapi ia kini merupakan gaya hidup yang semakin menjadi fenomena global.

Kebergantungan kepada mesin dan sistem yang automatik dalam kehidupan harian mengurangkan keperluan untuk kita melakukan aktiviti fizikal dan juga senaman.

Teknologi moden abad ke-21 membolehkan kita melakukan hampir segala-galanya dengan hanya menekan butang.

Meskipun ia menyenangkan hidup kita semua tetapi hakikatnya ia mampu membawa kesan yang tidak sihat.

Gaya hidup sedentari itu bukan sahaja mengganggu kesihatan diri dengan penyakit-penyakit merbahaya tetapi juga boleh menyumbang kepada masalah lemah tulang.

Perkara ini diakui oleh Pakar Perunding dan Pembedahan Ortopedik dan Trauma, Hospital Gleneagles, Dr. Chin Chee Howe.

"Tulang kita adalah tisu hidup, sungguhpun nampak keras, tulang sentiasa melalui proses penguraian dan pembinaan semula.

"Gaya hidup sedentari tidak membantu kesihatan tulang, kita perlu mengambil langkah untuk melindungi tulang sejak muda sebaik-baiknya sebelum jisim tulang mencapai puncaknya,'' katanya ketika ditemui sempena bengkel media Fonterra-Anlene mengenai kesihatan tulang, baru-baru ini.

Tegas beliau, kekurangan jisim yang berterusan boleh mengakibatkan osteoporosis, satu proses yang tidak boleh dikembalikan.

"Osteoporosis, penyakit yang menyebabkan tulang rapuh dan retak bukan lagi masalah yang dihadapi golongan tua semata-mata," ujarnya.

Katanya lagi, satu-satu cara untuk melindungi tulang ialah dengan mengamalkan diet yang seimbang dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

"Tidak kira tua ataupun muda, kita perlu bersenam secara sederhana, mengamalkan tabiat makan yang sihat dan memastikan kita memenuhi keperluan kalsium harian kita,'' ujarnya lagi.

Tegasnya, keadaan ini penting untuk membina dan mengekalkan jisim tulang dan membolehkan kita meregang dan menggunakan potensi tulang kita dengan sepenuhnya.

Katanya, dengan hanya melakukan aktiviti fizikal, kita dapat mencergaskan badan dan mencerdaskan mental kita.

Selain aktiviti fizikal, pengambilan kalsium yang mencukupi setiap hari juga adalah penting.

"Perkara ini penting bagi memastikan tulang kita sentiasa kuat dan mengelakkan daripada ia reput,'' ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengurus Insight Fontera Brands Malaysia, Sheua Yea pula memberitahu, ramai yang menyangka osteoporosis hanya akan berlaku kepada warga emas sahaja.

Malah ramai juga percaya bahawa penyakit yang berkaitan tulang tidak membawa maut. Bagaimanapun, ramai yang tidak sedar bahawa penyakit tersebut juga boleh menyerang golongan muda dan membawa maut sekiranya tidak ditangani secara awal

Hasil kajian penyelidikan yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan wanita dalam usia pertengahan hingga lewat 60-an yang mengalami masalah pinggul adalah lima kali ganda lebih berkemungkinan mati dalam masa setahun.

Tambah Yea lagi, ramai wanita menganggap kemerosotan tulang hanya berlaku di usia yang lanjut, hakikatnya ia juga boleh berlaku kepada golongan muda sekiranya tidak mendapat bekalan kalsium yang secukupnya.

"Sebab itu, ramai yang tidak mengambil perhatian sehinggalah mereka sendiri merasai kesakitan tersebut, lebih malang keadaan itu adalah kritikal,'' ujarnya.

Sambil menasihati golongan muda supaya mengamalkan meminum susu setiap hari, amalan gaya sihat juga perlu diterapkan dalam kehidupan seharian.

"Senaman bukan saja membina tulang kuat, ia juga memperbaiki imbangan dan kordinasi kita. Kita perlu memastikan tulang mempunyai bahan mentah yang diperlukannya secukupnya. Malah, cara yang paling baik untuk melindungi tulang kita adalah dengan menjaganya dari usia muda dan sepanjang hayat," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu