Ahad, 30 Oktober 2011

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


UiTM bakal cipta rekod debat tanpa henti

Posted: 30 Oct 2011 07:13 PM PDT


Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (kanan) dan Dr. Sahol Hamid Abu Bakar menandatangani plak perasmian Debat Bahasa Melayu Tanpa Henti 211 Jam di bangunan Canselori UiTM, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.


UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) akan melakukan cubaan memecahkan rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) dengan mengadakan Debat Bahasa Melayu Tanpa Henti 211 Jam mulai 24 November hingga 2 Disember ini.

Acara yang akan berlangsung di Anjung Sri Budiman, UiTM Shah Alam itu bakal disertai kira-kira 1,300 pendebat terdiri daripada pelajar sekolah, kolej, politeknik, institut perguruan dan institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negara.

Program debat ala perbahasan di Parlimen itu adalah kesinambungan daripada rekod terdahulu yang berjaya dicatatkan dalam MBR iaitu selama 100 jam, 10 minit 44 saat. Rekod itu telah dicipta oleh para pelajar UiTM pada 2006.

Sebanyak 211 usul juga akan dikemukakan dalam debat yang berlangsung secara berterusan selama sembilan hari dengan tema 'Transformasi dan Perpaduan Bangsa'.

Ia merupakan anjuran Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) UiTM, Yayasan Oreator bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Fakulti Pendidikan UiTM.

Felo Impak UiTM, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, perbahasan ini diharap dapat memupuk kesedaran transformasi perpaduan negara berdasarkan kepentingan perdebatan yang mengutamakan fakta, bukannya berlandaskan emosi demi memelihara perpaduan.

Jelas beliau, perkara itu amat penting kerana perpaduan membuktikan bahawa aktiviti debat asas utama merintis ketamadunan perpaduan bangsa di seluruh dunia.

Namun, tegasnya, jika disulami emosi tanpa fakta ia mampu menjadi pedang tajam yang memecah-belahkan perpaduan sesebuah masyarakat dan menghancurkan negara.

"Oleh itu debat merupakan perintis yang bukan dijadikan sebagai satu kegiatan semata-mata tetapi mahu ia menjadi budaya kepada para pelajar di IPT.

"Peningkatan debat atau pengucapan awam penting kepada pelajar IPT dalam membina keyakinan diri dan kebolehan berkomunikasi di samping persiapan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

"Kita harap dapat memperluas kegiatan debat di kalangan pelajar sekolah atau IPT yang bukan hanya meliputi aktiviti kokurikulum malah menjadikannya budaya di kalangan pelajar dalam menyemai budaya hormat-menghormati antara satu sama lain," katanya.

Baru-baru ini UiTM dan Utusan Melayu (M) Bhd. menjalin kerjasama bagi menjayakan program berkenaan untuk memartabatkan kedudukan pendidikan orang Melayu, penyelidikan dan perkembangan bahasa Melayu.

Kerjasama itu dimeterai melalui satu memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi tersebut untuk memartabatkan kedudukan bangsa Melayu dan bumiputera di negara ini, termasuk meningkatkan kedudukan bahasa Melayu serta tulisan jawi.

Utusan diwakili Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin manakala UiTM pula diwakili Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Sahol Hamid Abu Bakar.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Timbalannya, Datuk Othman Mohamad.

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Debat 211 Jam Tanpa Henti dan Pengarah Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) UiTM, Prof. Madya Dr. Za'faran Hassan.

Irmohizam yang juga Pengerusi Jawatan Kuasa IPT Majlis Belia Malaysia berkata, usaha untuk mencipta rekod MBR ini merupakan satu pendedahan awal kepada mahasiswa tentang tata susila dan adab perdebatan di Parlimen di samping memupuk budaya perpaduan berbilang bangsa di negara kita.

"Meningkatkan soal perpaduan adalah penting bagi generasi muda membentuk masyarakat yang berdisiplin pada masa depan," katanya.

Dalam pada itu, Irmohizam berkata, penganjuran cubaan mencipta MBR ini berjalan dengan lancar dan segala persiapan dari segi logistik telah pun dibuat untuk memastikan lebih 30,000 pengunjung datang menyaksikan debat ala parlimen tersebut.

"Kerancakan debat tersebut itu sudah mula dapat dirasai apabila ramai di kalangan kumpulan pelajar UiTM terbabit telah pun mendaftar untuk menjadi sebahagian daripada pendebat.

"Kita menjangkakan kehangatan cubaan memecahkan rekod MBR dan ia pasti memberikan impak maksimum kepada pengunjung. Penyertaan masih lagi dibuka kepada mereka yang berusia 15 tahun ke atas dan tarikh tutup penyertaan sebelum 10 November ini," katanya.

Majlis perasmian Debat Bahasa Melayu Tanpa Henti 211 Jam itu dijangka akan dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin manakala majlis penutup pula akan disempurnakan Naib Canselor UiTM.

Borang penyertaan dan maklumat lanjut, sila layari laman sesawang http://debat211jam.blog.com atau hubungi talian 019-3470300 dan 019-2702020.

Tingkatkan tahap perkhidmatan asrama

Posted: 30 Oct 2011 07:12 PM PDT


TUANKU Syed Faizuddin Putra (kiri) melihat mesin penyemperitan keropok lekor sumbangan Universiti Malaysia Perlis bagi membantu pengusaha keropok lekor tempatan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.


INSTITUSI pengajian tinggi awam (IPTA) diminta meningkatkan tahap perkhidmatan di kolej kediaman pelajar kerana ia adalah salah satu 'sub-institusi' penting bagi melengkapkan sistem pendidikan di universiti selain bilik kuliah.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) bertitah, perkhidmatan di kolej kediaman perlu bersifat mesra pelajar kerana ia berperanan sebagai pusat pembangunan sahsiah sama ada dari sudut akademik, intelek dan keperibadian pelajar.

Baginda bertitah, kemudahan asas yang kondusif perlu diambil perhatian untuk memberi keselesaan kepada para pelajar dan secara langsung membantu mereka dari sudut mental dan fizikal.

"Perkhidmatan yang terbaik dan berbentuk mesra pelajar perlu diberi kepada setiap penghuni kolej kediaman. Masyarakat pada masa kini mengharapkan institusi pengajian tinggi untuk menghasilkan graduan atau pemimpin yang berkaliber, rasional, sihat, bertenaga serta bersemangat tinggi.

"Justeru, saya berharap agar bengkel yang dianjurkan ini dapat memberi pendedahan di samping menambah kemahiran kepada pengetua dan felo kolej agar dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada pelajar yang mendiami kolej-kolej," titah baginda di Majlis Wacana Ilmu Transformasi Kepimpinan-Memenangi Hati dan Pemikiran di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Majlis wacana ilmu itu diadakan sempena program Bengkel Peningkatan Profesionalisme Pengetua dan Felo Kolej Kediaman 2011 Keenam anjuran Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Unimap.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah; Naib Canselor UPSI, Prof. Dr. Zakaria Kasa dan Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Rahsia graduan cemerlang UTHM

Posted: 30 Oct 2011 07:11 PM PDT


Navinderjeet Singh Gurder Singh dan Faisal Sheikh Khalid (kanan) gembira bersama pingat dan ijazah yang mereka peroleh pada majlis Konvokesyen UTHM ke-11 di Batu Pahat kelmarin.


BATU PAHAT 30 Okt. – Siapa sangka seorang remaja nakal yang pernah 'digertak' oleh bapanya untuk dihantar ke sekolah pesalah juvana, Henry Gurney berjaya berubah sehingga menerima Anugerah Diraja Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada majlis konvokesyen UTHM di sini, semalam.

Demikian kisah graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Navinderjeet Singh, 24, yang merupakan anak kepada seorang anggota polis berpangkat koperal, Gurder Singh, 52.

Pencapaian graduan itu tentunya lebih manis apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli menyampaikan Anugerah Diraja itu.

Menurut Navinderjeet, sebagai anak kepada seorang anggota polis, dia kurang takut kepada polis, justeru dirinya sering bertindak nakal sewaktu kanak-kanak dan remaja.

"Disebabkan terlalu nakal, ayah yang mahu melihat saya berubah cuba menakutkan-nakutkan dengan menyatakan mahu menghantar saya ke Sekolah Henry Gurney.

"Mujur seiring peningkatan usia, saya semakin berubah dan mula serius dalam pelajaran, malah saya juga pernah menerima Anugerah Canselor pada 2008 semasa pengajian Diploma juga di UTHM," katanya.

Navinderjeet kini merupakan seorang jurutera projek di Mumbai, India di bawah sebuah syarikat pembinaan tempatan, Maya Deco.

Di sebalik cerita kejayaannya, Navinderjeet berkata, dia hadir seorang diri tanpa ditemani ayah dan ibu ketika menerima Anugerah Diraja kerana kedua orang tuanya itu perlu menziarahi bapa saudaranya yang meninggal dunia kerana serangan jantung, kelmarin.

"Bagaimanapun, ayah dan ibu akan hadir esok (hari ini). Saya memahami keadaan yang berlaku dan amat menantikan kehadiran mereka," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Diraja, Faisal Sheikh Khalid, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam menyifatkan anugerah yang diterima adalah hadiah terbaik untuk ayahnya yang telah meninggal dunia lima tahun lalu manakala ibunya yang merupakan seorang suri rumah adalah sumber inspirasinya dalam mengejar kejayaan.

Berasal dari daerah ini, Faisal yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik, kini bertugas sebagai jurutera di syarikat Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd, (MMHE) di Pasir Gudang, Johor.

Pakej lengkap BlackBerry Celcom

Posted: 30 Oct 2011 07:10 PM PDT


CELCOM akan terus konsisten menawarkan produk dan pakej telekomunikasi BlackBerry terbaik kepada pengguna taliannya.


BLACKBERRY terus unggul dalam arena pembangunan produk telefon bimbit pintar apabila baru-baru ini memperkenalkan model terkini, BlackBerry Torch 9860.

Membuka peluang pengguna menikmati teknologi sempurna itu, syarikat penyedia perkhidmatan integrasi komunikasi, Celcom Axiata Berhad menawarkan pakej pemilikan eksklusif gajet berkenaan kepada para penggunanya.

Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Celcom Axiata Berhad, Zalman Aefendy Zainal Abidin, sebagai peneraju pasaran telefon pintar BlackBerry di Malaysia, Celcom sentiasa konsisten memperkenalkan model terbaru bagi memberi lebih pilihan kepada pengguna.

"Secara umumnya, kesemua model BlackBerry yang diperkenalkan ini mampu memenuhi keperluan komunikasi dan gaya hidup pengguna moden.

"Selain menawarkan perkhidmatan serta produk berkualiti, kami turut memberi fokus kepada aktiviti pengurusan pengalaman dan kepuasan pengguna,'' katanya.

Pakej mengagumkan daripada Celcom tersebut menawarkan peranti BlackBerry Torch 9860 bersama pelan data pasca bayar Exec BlackBerry mengikut keperluan pengguna.

"Pelan ini sesuai diaplikasi bersama peranti-peranti BlackBerry terkini kerana menyokong rangkaian telekomunikasi yang luas dan stabil.

"Ia juga sangat fleksibel di mana diintegrasi bersama akses suara, e-mel, mesej pantas, laman web rangkaian sosial pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

"Kecemerlangan ini digalakkan lagi oleh sistem operasi terbaru BlackBerry 7 yang lebih lancar dan pintar,'' jelasnya.

Zalman memberitahu lagi, bagi tujuan sama, Celcom telah membuat pelaburan besar dalam melengkapkan rangkaian infrastruktur terbaru mereka seperti pelayaran pantas, capaian muat turun, kandungan personal dan video definisi tinggi (HD).

Bagi BlackBerry Torch 9860, ia disempurnakan bersama kelebihan skrin sentuh 3.7 inci, paparan resolusi menarik dan aplikasi terbaik untuk fungsi bekerja serta bermain.

Pengguna boleh mendapatkan gajet tersebut bersama langganan pakej Exec BlackBerry pada harga RM1,088 dengan komitmen bulanan RM168 berbanding harga pasaran RM1,588.

Bagi pengguna yang mahu melanggan komitmen bulanan lain seperti RM138, RM108 atau RM88, mereka boleh membeli peranti tersebut pada harga masing-masing RM1,138, RM1,188 dan RM1,238.

Selain BlackBerry Torch 9860, pengguna juga boleh mendapatkan BlackBerry Bold 9900 dan BlackBerry Playbook dengan tawaran pakej-pakej eksklusif lain.

Kesemua model berkenaan boleh diperolehi menerusi rangkaian kedai Blue Cube di seluruh negara atau lawati laman web www.celcom.com.my.

Ringan, mudah dikendali

Posted: 30 Oct 2011 07:10 PM PDT


Lebih kompak dan versatil menjadikan Sony SLT-A35 pilihan terbaik dikalangan penggemar kamera refleks lensa tunggal (DSLR).


Dikenali sebagai SLT-A35, siri kamera daripada Sony ini terus mendapat perhatian apabila ia mampu memberikan hasil rakaman setanding jurufoto profesional.

Menggunakan teknologi Translucent Mirror, Sony menawarkan kelebihan rakaman imej secara berterusan, tepat dan jelas biarpun ia dirakam pada kelajuan tinggi bagi kedua-dua mod iaitu video dan gambar pegun.

Bagi rakaman imej pada kelajuan tinggi, SLT-A35 dilengkapi kebolehan pembesaran imej pada skala 1.4 serta kelajuan merakam sehingga 7 rangka sesaat (fps).

Ia membolehkan penderia auto fokus SLT-A35 mampu mengesan serta menanda secara berterusan objek yang bergerak laju.

Kebolehan tersebut memudahkan pemilik SLT-A35 merakam aktiviti sukan, pergerakan kanak-kanak serta subjek yang berada jauh daripada perakam.

SLT-A35 turut dilengkapi 16.2 mega piksel yang efektif dimana ia juga merupakan penderia Exmor APS HD CMOS yang baru dibangunkan.

Peningkatan tersebut membolehkan pemilik SLT-A35 merakam imej dengan lebih jelas biarpun didalam keadaan cahaya yang samar-samar serta video HD berkualiti tinggi.

Sama ada anda merakam imej pegun mahu pun video AVCHD, imej yang dipapar menerusi skrin Xtra Fine LCD kamera ini pasti memberikan imej yang terbaik berikutan ia menggunakan teknologi paparan TruBlack.

Di samping itu, Tru Finder yang memiliki resolusi tinggi menawarkan rakaman kerangka yang lebih tepat menerusi skrin LCD.

Bagi pengguna yang baru berjinak-jinak di dalam dunia fotografi menggunakan kamera di mana lensanya boleh ditukar, Sony turut memuatkan panduan penggunaan yang dikenali sebagai The on-screen Help Guide.

Panduan tersebut memudahkan pengguna yang baru mengenali kamera tersebut untuk memahami aplikasi serta operasinya.

SLT-A35 turut menawarkan perisian Picture Effect yang mana imej yang dirakam boleh terus disunting di dalam kamera tersebut atau ia boleh disetkan sebelum imej atau video dirakam.

Ia juga memiliki kelebihan memisahkan warna bagi kesan monokrom (hitam putih) yang mana sebelum ini ia hanya boleh dilakukan melalui perisian tertentu di dalam komputer.

Untuk maklumat lanjut berkenaan kamera ini anda boleh melayari laman web Sony di www.sony.com.

Masalah Windows XP

Posted: 30 Oct 2011 07:09 PM PDT

SAYA menggunakan komputer Windows XP. Masalahnya ialah saya tidak boleh masuk ke dalam Windows XP tersebut. Bagaimanakah cara untuk saya capai Windows XP tersebut?

TERIMA kasih. Perkara pertama sekali yang perlu dilakukan adalah memastikan kesemua komponen perkakasan komputer seperti kabel, pembekal kuasa, monitor dan sebagainya dapat berfungsi dengan baik.

Sekiranya ada yang bermasalah, perlu dibuat pembaikan atau diganti dengan yang baru.

Sekiranya kesemua komponen perkakasannya berada dalam keadaan baik, terdapat beberapa cara untuk masuk dan capai kepada perisian Windows XP ini.

Kaedah-kaedah ini berupaya untuk mencapai kembali perisian Windows XP bergantung kepada jenis dan tahap masalah yang dihadapi.

Ia boleh dilakukan dengan cara-cara yang akan dibincangkan seterusnya.

lPenggunaan program Windows Startup Disk.

Program Windows Startup Disk ini perlu disediakan terlebih dahulu.

Ia boleh disediakan dengan melakukan format terhadap cakera liut atau floopy disk dalam Windows.

Seterusnya, klik pada fungsi format itu dengan pilihan Create an MS-DOS startup disk.

Sekiranya komputer Windows XP bermasalah, boot komputer dengan cakera liut yang mengandungi program Windows Startup Disk tersebut.

Perlu dipastikan tiga fail ini disalin ke dalam dalam cakera liut tersebut iaitu boot.ini, ntldr dan ntdetect.com.

Program but ini juga boleh dilakukan dengan menggunakan CD atau pemacu storan USB tetapi cara penyediaannya adalah berlainan.

lPenggunaan fungsi Last Known Good Configuration yang ada dalam Windows.

Komputer Windows XP yang bermasalah juga boleh dibut dengan fungsi ini.

Fungsi Last Known Good Configuration ini membolehkan pengembalian semula konfigurasi asal sesebuah komputer setelah konfigurasi asal yang diubah atau bermasalah.

Masalah konfigurasi perkakasan dan perisian pemacunya dalam komputer ini akan menyebabkan masalah pada parameter CurrentControlSet dalam fail Registry pada Windows.

lPenggunaan program System Restore.

Penggunaan System Restore ini akan mengembalikan semula konfigurasi asal sekiranya berlaku masalah dalam sistem pengoperasian Windows XP.

Namun begitu, ia perlu dijana terlebih dahulu dengan membina Restore Point yang terdapat di dalam programnya.

Sekiranya sistem Windows XP bermasalah, System Restore ini boleh dicapai menerusi Windows XP dengan mod Safe Mode.

Seterusnya kembalikan konfigurasi asal daripada Restore Point yang telah dibina.

lPenggunaan Recovery Console.

Program Recovery Console ini disertakan bersama dalam CD pemasangan Windows XP yang boleh dibut secara terus daripada komputer.

Jadi, but CD tersebut daripada komputer yang Windows XP-nya bermasalah dan pilih untuk lancarkan program ini dengan menekan butang R.

Seterusnya, ia akan paparkan menu pilihan yang bernombor berserta dengan sistem pengoperasian Windows yang ada.

Pilih nombor tersebut dan ikut arahan yang seterusnya.

lMemperbetulkan fail Boot.ini yang bermasalah.

Ketika but komputer, fail boot.ini ini akan dirujuk untuk mengetahui lokasi sistem pengoperasian Windows yang disimpan.

Sekiranya telah dipastikan masalah but ini disebabkan oleh fail boot.ini, maka, boleh digunakan program

Recovery Console ini untuk menyelesaikannya. Pada langkah terakhir dalam mencapai Recovery Console, sila taip perkataan Bootcfg /parameter.

Parameter adalah pilihan bagi fungsi Bootcfg ini seperti /add, /scan, /list, /default, /rebuild, /redirect dan /disableredirect.

lMemperbetulkan masalah pada bahagian sektor but (boot sector partition).

Bahagian sektor but merupakan satu kawasan kecil yang terdapat dalam bahagian cakera keras yang mengandungi maklumat berkenaan fail sistem bagi sistem pengoperasian seperti NTFS atau Fat32.

Sekiranya telah dipastikan masalah boot Windows XP ini berpunca daripada masalah ini, boleh digunakan fungsi Fixboot daripada program program Recovery Console.

Pada baris arahan dalam Recovery Console ditaip perkataan fixboot diikut dengan pemacu seperti C: atau D:.

l Memperbetulkan masalah pada master boot record.

Master boot record merupakan merupakan sektor pertama dalam cakera keras yang bertanggung jawab mengenal pasti prosedur untuk but bagi Windows.

Master boot record mengandungi jadual bahagian cakera keras dan program kecil, master boot code yang berfungsi untuk masukan bahagian cakera yang aktif atau sedia but ke dalam jadual bahagian cakera.

Sekiranya telah dipastikan masalah but Windows XP berpunca daripada masalah ini, boleh digunakan fungsi Fixmbr daripada program program Recovery Console. Pada baris arahan dalam Recovery Console ditaip perkataan fixmbr diikut dengan nama dan laluan peralatan seperti \Devices\HardDisk2.

l Nyahkan fungsi automatic restart pada Windows.

Apabila Windows XP menghadapi masalah yang kritikal, konfigurasi secara lalai untuk menghadapi masalah ini ialah ia akan secara automatik akan but semula sistem komputer.

Sekiranya ketika but semula ia bermasalah, sistem komputer akan dibut semula berulang kali.

Jadi, ketika ia but semula, tekan F8 untuk masuk ke pilihan Windows Advanced Options Menu. Seterusnya, pilih Disable The Automatic Restart On System Failure dan tekan Enter.

l Kembalikan semula daripada sistem salinan pendua atau back up.

Sekiranya masalah boot Windows XP ini tidak dapat diselesaikan dengan kaedah baik pulih yang telah dibincangkan dan mempunyai salinan penduanya, maka kembalikan semula fail sistem tersebut daripada media yang mengandungi salinan penduanya. Kaedahnya bergantung jenis media yang diguna pakai.

l Laksanakan kaedah in-place upgrade.

Sekiranya masalah but Windows XP ini tidak dapat diselesaikan dengan kaedah baik pulih dan tiada salinan penduanya, maka boleh digunakan kaedah in-place upgrade ini.

Caranya dengan boot mengunakan CD pemasangan Windows XP dan buat pemasangan Windows XP. Seterusnya, untuk melaksanakan in-place upgrade ini, buat pemasangan Windows XP pada komputer dengan menekan butang R. Sekiranya setelah selesai pemasangan Windows XP dengan cara ini, pastikan segala kemas kini dipasang semula ke dalam Windows XP tersebut.

FRIM hasilkan biodiesel

Posted: 30 Oct 2011 07:08 PM PDT


Nancy Shukri menuang biodiesel B5 ke dalam tangki kenderaan sambil diperhatikan oleh Dr. Abdul Latif Mohmod (tengah) dan Dr. Wan Asma Wan Ibrahim (kiri) di Kepong baru-baru ini.


Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) baru-baru ini berjaya menghasilkan biodiesel daripada sumber-sumber alternatif yang bukan berasaskan makanan seperti minyak jarak pagar (Jatropha curcas), bintangor laut (Callophylum innophylum L.), perah (Elateriospermum tapos) serta bahan buangan industri (industry effluents).

Kenyataan oleh FRIM menyebut, walaupun Malaysia sangat berpotensi untuk menjadi pengeluar utama biodiesel dunia memandangkan ia adalah pengeluar utama minyak sawit, biofuel yang dijana dari sumber makanan seperti tebu, jagung, minyak rapeseed dan sawit telah menjadi kritikan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

''Justeru, sumber baru telah giat diterokai serata dunia bagi memperolehi bahan api bio generasi kedua yang tidak memberi saingan kepada sumber makanan,'' kata kenyataan itu.

FRIM telah mula menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menjurus kepada pencarian alternatif kepada minyak sawit sebagai sumber penghasilan biodiesel yang tidak berasaskan makanan sejak 2008.

Pemindahan teknologi penghasilan biodiesel multi feedstock itu telah dilakukan oleh saintis FRIM dengan Xtract Tech Sdn. Bhd., iaitu sebuah anak syarikat projek yang ditubuhkan di bawah program latihan usahawan pasca siswazah (FMBiosis) yang disokong oleh Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

Ini telah membawa kepada penubuhan loji perintis di FRIM pada bulan Disember tahun lalu yang mempunyai kapasiti pengeluaran biodiesel kira-kira 20,000 liter sebulan.

Biodiesel multi feedstock sehingga adunan B20 telah digunakan secara percubaan oleh kenderaan FRIM dan ia telah menunjukkan prestasi enjin yang memberangsangkan.

Selain itu, ia juga telah memenuhi spesifikasi minimum biodiesel piawaian ASTM D6751-11.

Menurut Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd Latif Mohmod, pelan jangka pendek di peringkat FRIM ialah menggunakan biodiesel adunan B5 untuk kenderaan berenjin diesel.

"Dianggarkan 120,000 liter adunan biodiesel B5 akan digunakan dalam setahun di FRIM.

"Ini akan menyumbang kepada penjimatan hampir 6,000 liter diesel fosil setahun dan pengurangan kadar pembebasan gas karbon dioksida (CO2) sebanyak empat peratus atau 16,000 tan CO2 setahun," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis pelancaran penggunaan biodiesel Peringkat FRIM di Kepong baru-baru ini

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia (MFRDB), Nancy Shukri. Turut hadir Pengurus Xtract Tech Sdn. Bhd. Mohamammad Edziani Rosali.

Abd Latif berkata, FRIM juga telah mula menanam jarak pagar secara percubaan di kawasan tanah bermasalah seperti bris di Stesen Penyelidikan Luar Setiu, Terengganu, untuk memajukan kawasan berpotensi dibangunkan secara berskala besar.

"Spesies-spesies hutan lain juga akan diterokai dalam usaha membangunkan kawasan tanah bermasalah serta mewujudkan bekalan bahan mentah," ujarnya.

Penggunaan biodiesel itu ialah sebahagian daripada usaha FRIM untuk memenuhi hasrat kerajaan ke arah pemuliharaan alam sekitar, menerajui penyelidikan yang menyumbang kepada penyelesaian isu-isu perubahan iklim, pembangunan industri serta produk hijau, di samping mewujudkan kampus hijau.

Pelincir minyak masak

Posted: 30 Oct 2011 07:07 PM PDT


Mohd. Hafiz menunjukkan contoh minyak masak yang telah diproses menjadi minyak pelincir di Serdang, Selangor, baru-baru ini.


Bermula daripada minyak masak yang terpakai dan tidak lagi boleh digunakan ia kini boleh ditukar menjadi minyak pelincir berteknologi hijau.

Menurut Pembantu Penyelidik dari Fakulti Kimia dan Kejuruteraan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Mohd. Hafiz Abdul Majid, minyak masak tersebut perlu melalui beberapa proses sebelum ia boleh dijadikan minyak pelincir.

Ujarnya, proses tersebut ditemui oleh pensyarah Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr. Robiah Yunus.

"Pada peringkat awal ia perlu diproses secara berperingkat-peringkat sebelum boleh digunakan," katanya ketika ditemui di Pameran Reka Cipta, Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) 2011 anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Jelas Hafiz proses pertama adalah pemeringkatan methyl ester kemudian proses transestrefication dan soap removal, terakhir proses methyl ester recovery melalui ATFE (Agitated thin Film Evaporator).

Minyak pelincir kebiasaannya dihasilkan melalui petrolium, namun berikutan ia semakin mahal penggunaan minyak masak terpakai dilihat lebih menjimatkan.

"Minyak pelincir kitar semula tersebut boleh digunakan dalam kerja-kerja besi, pelincir hidraulik serta minyak enjin", ujarnya.

Minyak kitar semula yang dikenali sebagai Green lubricant ini juga lebih mesra alam berikutan ia dihasilkan daripada kelapa sawit.

Produk ciptaan Dr. Robiah ini juga telah menarik minat pihak swasta iaitu Solution Biogen Sdn. Bhd. untuk dikomersialkan, untuk maklumat lanjut anda boleh emailkan pertanyaan kepada Dr. Robiah di alamat emel robiah@eng.upm.edu.my.

UniMAP ceburi pertanian teknologi tinggi

Posted: 30 Oct 2011 07:06 PM PDT


Dr. Rezuwan Kamaruddin meneliti pertumbuhan tanaman herba di Stesen Penyelidikan Agroteknologi, UniMAP, Sungai Cucuh, Padang Besar, Perlis.


UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) yang diwujudkan bagi memperkasa pelbagai bidang kejuruteraan, memanfaatkannya untuk pembangun teknologi tinggi dalam bidang pertanian.

Dengan kepakaran yang dimiliki, UniMap mengambil pendekatan melestarikan teknologi rumah hijau dan fertigasi untuk pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan bernilai tinggi di kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Rumah hijau versi tropika dibina menggunakan persekitaran terkawal bagi membolehkan tanaman bernilai tinggi seperti kubis, bunga kubis, brokoli, tomato dan tembikai wangi di tanam di dataran rendah.

Teknologi tersebut dimajukan oleh Prof Dr. Rezuwan Kamaruddin yang juga Dekan Pengurusan Akademik UniMAP sebagai peneraju dan penggerak.

Menurut beliau, rumah hijau yang dibangunkan dapat mengatasi masalah berterusan pengeluaran tanaman di ladang terbuka.

"Risiko pengeluaran tanaman di ladang terbuka sangat tinggi akibat kemusnahan akibat hujan lebat, persaingan rumpai, serangan serangga dan penyakit," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di Perlis baru-baru ini.

Sementara sistem fertigasi yang semakin popular ketika ini adalah teknologi yang membekal air dan larutan baja terus ke zon secara tepat mengikut keperluan peringkat pertumbuhan tanaman.

Penjimatan air dan larutan baja dapat dicapai sehingga sembilan kali ganda berbanding dengan pengeluaran di ladang terbuka.

Justeru aplikasi teknologi rumah hijau dan sistem fertigasi dapat membantu meningkatkan hasil tanaman bernilai tinggi sehingga dua atau tiga ganda, berkualiti tinggi, sekali gus memberi keuntungan berbanding dengan pengeluaran konvensional di ladang terbuka.

Beliau yang pernah berkhidmat dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), memberitahu, beberapa buah rumah hijau dan sistem fertigasi telah dibangunkan untuk pengeluaran tanaman bernilai tinggi di Stesen Penyelidikan Agroteknologi, UniMAP, Sungai Cucuh, Padang Besar, Perlis.

Selain untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, kemudahan tersebut juga berperanan sebagai hub rujukan setempat bagi pengusaha-pengusaha komersial di kawasan zon utara.

Malah, katanya beberapa penyelidikan lanjutan sedang dijalankan untuk penambahbaikan teknologi tersebut.

Teknologi berkenaan juga telah diguna pakai oleh beberapa buah sekolah menengah di Perlis untuk mendorong murid-murid sekolah menjadi petani moden apabila mereka menamatkan pengajian.

Di samping itu, kemudahan tersebut menyediakan platform aktiviti kelab agroteknologi dan juga berfungsi sebagai makmal pengajaran dan pembelajaran secara praktikal bagi matapelajaran sains pertanian atau biologi.

Antara sekolah yang aktif adalah Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Sekolah Menegah Dato' Sheikh Ahmad dan Sekolah Menegah Padang Besar.

Menurut Rezuwan, sehingga kini beberapa agensi kerajaan dan swasta telah menerima pakai teknologi yang telah dibangunkan.

Antaranya Malaysian Agrifood Cooperation (MAFC) iaitu salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah menerima pakai teknologi berkenaan dalam pengeluaran tanaman bernilai tinggi terpilih di dataran tinggi dan dataran rendah.

Satu perjanjian persefahaman telah dimeterai antara UniMAP dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan NCER untuk membangunkan rumah hijau dan sistem fertigasi untuk pengeluaran tanam-tanaman bernilai tinggi secara besar-besaran di kawasan koridor terbabit.

Katanya lagi, pembangunan teknologi pertanian tersebut adalah teknologi moden berasaskan input-input daripada multi-disiplin bidang kejuruteraan di UniMAP.

Teknologi seperti ini versi temperat telah diguna pakai secara meluas di negara maju seperti Belanda, Amerika Syarikat dan Jepun.

Katanya lagi, masa depan industri pertanian negara akan berkembang lebih pesat apabila teknologi rumah hijau dan sistem fertigasi dapat digunakan secara meluas.

Ini dapat membatu mengurangkan bill import bahan makanan yang mencecah RM27.9 billion setahun berbanding eksport negara hanya RM7 bilion setahun.

Penjaga Taman Laut

Posted: 30 Oct 2011 07:06 PM PDT


Joseph Kurup menanam pokok kelapa simbolik sempena lawatan kerja beliau ke Pulau Tinggi, Johor.


Jika disebut tentang pulau pasti yang terlintas difikiran adalah kejernihan air, deruan ombak dan desiran angin laut sepoi-sepoi bahasa menyapu pipi.

Malaysia merupakan antara 12 negara mega biodiversiti yang kaya dengan sumber asli dan memiliki keindahan pulau serta hidupan marin terbaik di dunia.

Lihat sahaja kawasan yang tumpuan pelancong untuk aktiviti menyelam seperti di Pulau Sipadan, Pulau Tioman, Pulau Redang dan sebagainya senantiasa menawarkan panorama yang indah dan kaya dengan kehidupan marin.

Kawasan pulau ini bukan sahaja menjadi tarikan pelancong dari dalam bahkan juga luar negara ia juga menjadi kawasan penempatan bagi penduduk setempat.

Ia berikutan kawasan pulau-pulau di negara memiliki pelbagai kekayaan serta peluang untuk rakyat negara ini mencari rezeki antaranya adalah Pulau Tinggi di Johor yang juga telah diwartakan sebagai kawasan taman laut negara.

Kelebihan yang dimiliki pada setiap pulau seharusnya dimanfaatkan dengan baik, justeru penglibatan komuniti setempat dalam membantu kerajaan untuk memastikan sumber yang terdapat disetiap pulau ini terjaga dengan baik amat diperlukan.

Jelas Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Tan Sri Joseph Kurup, Pulau Tinggi merupakan antara pulau yang kaya dengan sumber biodiversiti marin dan memiliki keunikannya yang tersendiri.

"Oleh yang demikian, pengurusan secara berkekalan sumber ini amat penting bagi memastikan ia dapat terus dinikmati oleh generasi kini dan akan datang.

"Dalam hal ini, usaha Jabatan Taman Laut (JTLM) dalam penambahbaikan pengurusan taman-taman laut melalui penglibatan aktif komuniti setempat amatlah bertepatan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Taman Laut Bersama Komuniti Pulau Tinggi, Johor baru-baru ini.

Jelas Joseph, komuniti pulau merupakan masyarakat setempat yang tinggal di pulau dan terlibat secara langsung dengan sektor pekerjaan berasaskan marin dan eko-pelancongan.

"Pekerjaan ini termasuklah seperti pengusaha resort, operator pelancongan, operator selam, nelayan selain menghasilkan produk kraftangan dari kayu kayan dan rotan yang terdapat banyak di sini," katanya.

Justeru, ujar beliau komuniti itu harus menyedari bahawa tanggung jawab memelihara pulau yang telah diwartakan oleh kerajaan sebagai taman laut itu bukan sahaja terletak di bahu kerajaan semata-mata.

Tambah beliau, kekayaan biodiversiti tersebut sekiranya tidak diurus, dipelihara dan dilindungi sebaiknya boleh memberi kesan negatif kepada sektor pelancongan dan taraf hidup masyarakat setempat.

Ketua Pengarah JTLM, Dr. Sukarno Wagiman pula berkata pelbagai program turut diadakan bagi melibatkan komuniti pulau dalam usaha memelihara serta menjaga kawasan taman laut.

Antara yang melibatkan komuniti pulau adalah seperti Pemerhati Batu Karang dan Badan Komuniti melalui Program Pembang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP).

"Melalui program ini, komuniti setempat ini boleh menyalurkan maklumat kepada pihat JTLM untuk membantu pihak kami mengatasi isu-isu pengurusan taman laut.

"Ini kerana komuniti ini hidup dalam kawasan taman laut justeru mereka lebih peka malah bantuan serta maklumat awal yang diberikan kepada pihak JLTM memudahkan pihak kami untuk mengatur langkah bagi mengatasi masalah yang dihadapi dengan lebih pantas," katanya.

Jelas Dr. Sukarno lagi, apabila kesedaran serta tanggungjawab menjaga taman laut dapat dipupuk dalam diri setiap komuniti tersebut ia akan memastikan setiap kawasan taman laut dapat dijaga dan dilindungi dengan lebih berkesan.

Pulau Tinggi merupakan antara 42 buah pulau yang diwartakan sebagai taman laut di negara ini.

Taman Laut Pulau Tinggi terdiri daripada perairan di sekitar 13 buah pulau termasuk Pulau Harimau, Pulau Mensirip, Pulau Goal, Pulau Besar, Pulau Tengah, Pulau Hujung, Pulau Rawa, Pulau Mentinggi, Pulau Sibu, Pulau Pemanggil dan Pulau Aur.

Terletak kira-kira 20 batu nautika dari selatan Tenggara Mersing , ia mendapat nama demikian kerana puncak pulau tersebut mempunyai ketinggian mencecah 2,000 kaki dari aras laut.

Malah, pulau ini juga memiliki kepadatan penduduk yang lebih besar berbanding pulau-pulau lain di Timur Negeri Johor.

Kebanyakan penduduknya menetap di Kampung Tanjung Balang, Kampung Pasir Panjang dan Kampung Sebirah Besar.

Penglibatan penduduk Pulau Tinggi dalam usaha konservasi serta pemuliharaan kawasan pulau turut disokong sepenuhnya oleh ketua kampung pulau tersebut.

Dikenali sebagai Tok Mok atau nama sebenar beliau Rahaman Ali berkata, tugas sebagai ketua kampung Pulau Tinggi bukanlah sesuatu yang mudah jika tiada sokongan serta kerjasama daripada setiap penduduk di pulau tersebut.

Ujar beliau, program penerangan yang dilakukan oleh JLTM banyak membuka mata penduduk kampung akan kepentingan menjaga kawasan Pulau Tinggi.

"Malah, rata-rata penduduk kampung ini banyak memberi kerjasama seperti dari segi menjaga kebersihan pantai serta hidupan lautnya.

"Kita juga sering mengadakan gotong royong pembersihan kawasan jika terdapat pencemaran dan bekerjasama sepenuhnya kepada JTLM dalam memberikan maklumat seperti kes pencerobohan ke atas kawasan taman laut," katanya.

Dianggarkan hampir 500,000 pelancong datang ke taman laut seluruh negara setiap tahun.

Kehadiran pelancong tersebut merupakan menyumbang terbesar terhadap peningkatan sektor pelancongan negara serta mampu menambah pendapatan serta membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

Jelas, penglibatan komuniti setempat dalam membantu kerajaan khususnya melalui agensi seperti JTLM mampu menyelamatkan kawasan kepulauan serta terumbu karang yang memiliki kekayaan biodiversitinya.

Panduan tanam cili

Posted: 30 Oct 2011 07:05 PM PDT

CILI ialah sejenis sayuran berbuah yang popular di kalangan penduduk negara ini.

Cili muda dibuat jeruk dan ulaman, ia juga mengurangkan sakit sendi tulang, demam, ulser mulut, demam. Cili mempunyai khasiat makanan yang tinggi, terutamanya vitamin A dan vitamin C.

Pembiakan dan penanaman

Biji benih cili perlu disemai terlebih dahulu sebelum melakukan penanaman, kerana ia memerlukan penjagaan yang rapi di peringkat awal pertumbuhan.

Semai biji benih didalam dulang penyemaian, gunakan peat grow sebagai media percambahan atau campuran kompos dan peat grow, Letak biji benih setiap sel dan diletak dirumah semaian yang mempunyai sekurangnya 50 peratus lindungan antara empat dan lima minggu, disiram setiap hari.

Anak semaian boleh disembur dengan baja foliar setiap minggu bagi menambah kesuburan dan pembesaran pokok.

Tahap pH yang sesuai ialah di antara 5.5 dan 6.5.

Nilai pH yang rendah akan menyebabkan pertumbuhan cili terencat.

Kawasan penanaman disediakan dengan membajak dan menggembur dua minggu sebelum penanaman dilakukan.

Batas dibuat dengan ukuran satu meter lebar dan panjang batas mengikut kesesuaian kawasan.

Batas ditambak dengan bahan tahi ayam atau kompos dengan kadar satu hingga tiga kg/meter persegi dan ditutup dengan agrosheet atau jerami kering sebagai sungkupan.

Sungkupan perlu bagi memudahkan penyelenggaraan tanaman, mengekalkan kelembapan dan mengurangkan hakisan.

Jarak tanaman yang disyorkan ialah antara 50 dan 60 sm antara pokok dan 60 dan 100 sm antara barisan, tanaman boleh ditanam satu atau dua baris setiap batas.

Anak benih dipindahkan ke ladang bila berumur antara tiga dan empat minggu dan telah ada empat dan lima helai daun sebenar.

Sebelum pemindahan lakukan proses pengerasan di buat dengan mendedahkan kepada cahaya matahari secara beransur ansur.

Penyulaman/penyediaan sokongan

Setelah seminggu penanaman, anak benih yang mati atau kurang sihat perlu disulam dengan yang baru.

Kayu sokongan dipancang pada pokok bagi mengelakkan ia tumbang bila cili telah mengeluarkan hasil.

Pengairan

Pengairan amat perlu pada peringkat awal penanaman sehingga penuaian hasil dilakukan, tanaman perlu disiram sekurangnya sehari sekali, kaedah pengairan secara manual atau menggunakan pengairan renjis atau titis.

Bagi kawasan yang menghadapi masalah saliran, perparitan perlu dilakukan bagi menyalirkan air yang berlebihan ke parit utama.

Pemangkasan

Pemangkasan tidak perlu dilakukan kecuali jika terdapat cabang sisi yang berlebihan, atau terdapat serangan penyakit atau perosak.

Pengawalan rumpai

Bagi memastikan tanaman hidup subur, kawalan rumpai perlu dilakukan. Rumpai di atas batas dibuang secara manual dan antara lorong tanaman rumpai boleh dikawal dengan menggunakan racun rumpai yang disyorkan.

Pastikan semasa penyemburan racun ia tidak mengenai tanaman.

Pembajaan

Baja yang disyorkan ialah 70 kg N: 140 kg P2O5: 200 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada keadaan tanah di satu satu kawasan.

Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh di gunakan dengan kadar 30gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak 15-20 sm dari rumpun pokok serta dikambus.

Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar 40-50 gm/pokok diselangkan setiap dua minggu.

Kawalan perosak

Pendekatan yang paling sesuai dalam pengurusan perosak ialah secara kawalan bersepadu iaitu secara manual, amalan kultura, mekanikal atau kawalan secara kimia, dan ia adalah sebagai pilihan terakhir.

Serangga yang biasa menyerang pokok cili ialah kutu daun,kutu trip,ulat pengorek buah, lalat buah,hamama, ulat ratus dan lalat putih.

Penyakit yang biasa menyerang cili ialah antraknos buah,bintik daun,hawar pucuk,reput pangkal, lecuh anak benih,layu ystem dan mozek daun.

Pastikan daun dan buah yang rosak diserang penyakit di cantas dan di musnahkan. Pembajaan dibuat mengikut jadual supaya pokok boleh membina daya tahan dari serangan penyakit dan perosak. Kebersihan kawasan perlu dipastikan supaya tiada perosak yang bersembunyi.

Penuaian hasil

Cili mula berbunga antara 60 dan 75 hari selepas ditanam di ladang, buah akan masak di antara 30 dan 35 hari selepas berbunga. Buah yang masak berwarna merah dan dituai tiga atau empat hari sekali.

Tempoh pengeluaran hasil antara dua atau tiga bulan selepas penuaian hasil pertama, jumlah hasil bergantung kepada varieti cili.

Pengendalian lepas tuai

Selepas memetik hasil operasi diteruskan dengan pemilihan, pembersihan, penggredan dan pembungkusan.

Penggredan dibuat berdasarkan warna, kesegaran, tahap kecederaan dan serangan penyakit dan perosak.

Pecah rekod tanam karang

Posted: 30 Oct 2011 07:03 PM PDT


Sebahagian daripada karang yang ditanam menerusi program Ribbon Reef, Taman Marin Tun Sakaran, Semporna, baru-baru ini.


Agak istimewa juga apabila sebuah syarikat penyiaran nekad membabitkan diri dalam program pemuliharaan alam sekitar - satu bidang agak jauh daripada teras perniagaannya.

Barangkali akan ada menyimpulkan dengan mudah pembabitannya itu semata-mata sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti mana juga yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat lain.

Namun bagi Astro pembabitan tersebut bukan sebagai gembar-gembur yang hanya bersifat komersial, tetapi atas iltizam mahukan persekitaran marin terpelihara daripada kerosakan dan pencemaran.

Malah, menerusi program yang dikenali sebagai Astro Kasih, syarikat terbabit turun padang membantu masyarakat. Ia dimulakan sejak tahun lepas lagi menerusi pelbagai skop aktiviti yang luas.

Ketika itu, atau tepatnya pada 15 Januari 2010, pulau Mabul di Semporna menjadi lokasi penanaman karang.

Kejayaan tersebut mencatatkan sejarah apabila Astro muncul sebagai badan korporat pertama yang menjalankan pemuliharaan terumbu karang di pulau terbabit yang melibatkan 20 orang penyelam yang terdiri daripada sukarelawan.

Pada 2 Oktober tahun yang sama, Pulau Mabul sekali lagi dipilih untuk program yang sama tetapi kali ini melibatkan 40 sukarelawan menerusi program Astro Kasih Reef.

Namun, bagi memberi lebih makna kepada catatan sejarah yang sudah dipahat itu, syarikat terbabit turut melibatkan 70 murid Sekolah Kebangsaan Pulau Mabul.

Penglibatan mereka bukan sekadar meramaikan majlis, lebih daripada itu untuk mewujudkan kesedaran terhadap penjagaan kehidupan laut.

Menggalakkan kesedaran

Projek tersebut mendapat kerjasama dan pengawasan Jabatan Taman Laut Malaysia (JLTM) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Buat kali ketiga pada 15 Oktober lalu, Ribbon Reef, Taman Marin Tun Sakaran di Semporna Sabah menjadi saksi komitmen berterusan Astro menerusi program CSR apabila mencatat rekod terbanyak setakat ini dalam aktiviti penanaman karang.

Membawa kempen 1Malaysia Green, 1Malaysia Clean yang dilaungkan oleh Kementerian Pelancongan, seramai 50 orang penyelam dari dalam dan luar negara termasuk 25 kakitangan Astro telah mencipta rekod baru Malaysia Book of Records dengan menanam sebanyak 777 karang individu (individual coral) sehari.

Kejayaan ini mengatasi rekod lama penanaman 501 karang di pulau Redang, Terengganu pada tahun lepas.

Untuk melaksanakan projek penanaman terumbu karang terbesar itu, Astro telah menyemai serpihan karang di underwater nursery yang telah dibina sejak Ogos lepas.

Program tersebut di sempurnakan di atas pentas terapung di kawasan perairan Ribbon Reef, Taman Marin Tun Sakaran Semporna oleh Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun serta Ketua Pegawai Kewangan Astro, Ahmad Fuaad Kenali.

Astro turut diberi peluang untuk bertanggungjawab dalam memastikan dua kawanan anak-anak penyu dilepaskan ke laut dengan selamat untuk mengharungi gelora laut dalam dan terus hidup bagi menyambung ekosistem lautan.

Menurut Yen Yen, Astro bukan sahaja mempunyai misi untuk menjadi sebuah badan korporat yang prihatin menerusi 152 saluran dengan 38 saluran tempatan. Syarikat berkenaan mempunyai kemampuan untuk sama-sama membantu mempromosikan banyak destinasi menarik di seluruh negara.

Selain itu, melalui saluran Astro juga keindahan alam semulajadi, kekayaan budaya berbilang kaum serta kepelbagaian etnik yang wujud di negara ini terutamanya di negeri Sabah juga dapat dipertontonkan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"Projek penanaman terumbu karang terbesar di Malaysia yang dilaksanakan pada hari ini juga membantu Kementerian Pelancongan dan lain-lain kementerian yang berkaitan untuk menggalakkan kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di kalangan rakyat di negara ini.

"Usaha ini secara tidak langsung membantu Kementerian Pelancongan mencapai visi untuk membangunkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terunggul di dunia," ujarnya.

Sementara itu Ahmad Fuaad berkata, pihaknya terlibat secara langsung dalam pemuliharaan khazanah alam semula jadi menerusi program berkenaan bagi menzahirkan rasa cinta dan kesedaran tentang kepentingan keindahan dan kebersihan alam sekitar kepada orang ramai.

"Menyahut seruan kerajaan dan menyedari bahawa bidang pelancongan membantu menjana ekonomi negara, kami juga ingin mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records merupakan kenangan manis buat kami semua,'' ujarnya.

Astro turut diberi peluang terlibat dalam memastikan dua kawanan anak-anak penyu dilepaskan ke laut dengan selamat untuk mengharungi gelora laut dalam dan terus hidup bagi menyambung ekosistem lautan.

Pihak syarikat terbabit turut menyumbangkan sebuah televisyen LCD 32, sebuah Beyond PVR beserta 17 saluran Astro bagi memperkaya sumber pembelajaran murid-murid di Sekolah Kebangsaan Selakan, Semporna.

Dalam pada itu, Astro Kasih menyampaikan inisiatif tanggungjawab sosial korporat melalui empat teras utama iaitu sukan dan kehidupan yang sihat, melahirkan nilai melalui pembelajaran yang berterusan, melaksanakan inisiatif kebajikan untuk kakitangan ke arah keharmonian masyarakat dan memajukan ketahanan alam sekitar.

Oleh itu, sejak penubuhan Astro Kasih, kira-kira dua tahun lalu, lebih daripada 480 kerja-kerja amal telah berjaya dilaksanakan yang melibatkan lebih 3,000 kakitangan Astro di seluruh negara.

Menurut Ahmad Fuaad, program CSR Astro, berteraskan empat teras utama iaitu sukan, menggalakkan aktiviti kebajikan, menggalakkan keharmonian kemasyarakatan dan mengukuhkan aktiviti sumber alam.

Mahu bakat, populariti seiring

Posted: 30 Oct 2011 07:03 PM PDT


SEBAGAI bintang baru, Syazwan mahu bakatnya diterima dengan baik oleh masyarakat dan enggan mencari publisiti murahan.


BERKALI-KALI anak muda ini meminta maaf kepada penulis apabila diberitahu aksi-aksinya di hadapan kamera kelihatan sedikit kaku

"Maaf, bukannya selalu saya mengadakan sesi fotografi seorang begini. Selalunya saya digandingkan dengan pelakon lain. Jadi, ada sedikit perasaan kekok untuk bergaya di hadapan kamera," jelas Mohd. Syazwan Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Syazwan Zulkifly sambil melemparkan senyuman manis.

Pada petang yang cukup dingin itu dan bertempat di Taman Tasik Shah Alam, Selangor, Hits sempat mencuri masanya untuk mengadakan sesi fotografi yang pada ketika itu sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Soffiya.

Harus diakui, Syazwan merupakan antara bakat baru tanah air yang kini sedang meniti populariti dan menjadi pilihan penerbit serta pengarah drama tempatan.

Lalu, saya bertanyakan kepadanya apakah perasaannya kini selepas menjadi orang popular dan namanya semakin meniti di bibir peminat hiburan tempatan.

Seraya ketawa kecil, Syazwan berkata: "Entah, saya sendiri tidak merasakan saya seorang yang popular. Saya masih baru dan banyak lagi yang perlu saya belajar.

"Bukannya saya menolak glamor mahupun untuk menjadi orang popular, tetapi saya lebih selesa untuk melihat bakat saya bergerak seiring dengan populariti yang sedang mahupun akan saya kecapi nanti.

"Masyarakat hari ini memang sudah bijak berfikir di mana mereka sudah memandang dan menilai bakat seseorang pelakon itu. Jika cerita kosong yang hanya mahu meraih populariti murahan, ia akan menjadi sesuatu yang menjelikkan buat mereka."

Mula bergiat aktif dalam bidang lakonan sejak dua tahun lalu, kerlipan bintang pemuda berusia 24 tahun ini dengan pantas mengerdip dek penangan drama bersiri Juvana yang telah melonjakkan namanya.

Cukup dikenali dengan watak Apek dalam drama arahan Faisal Ishak itu, Syazwan benar-benar bersyukur dengan impak luar biasa yang terhasil menerusi drama bersiri itu.

Tepis tuduhan liar

Namun, apa yang kurang enaknya apabila sedang elok dia mengecapi nikmat kejayaan itu, nama Syazwan sedikit tercalar apabila terkena tempias gosip liar baru-baru ini.

Gambar-gambar bersama bekas teman wanitanya dan pelakon jelita, Nora Danish bertebaran di alam maya sekali gus memberikan konotasi yang kurang manis buat pemuda ini.

Dilabelkan sebagai seorang kaki perempuan, ternyata gelaran itu sedikit sebanyak mengguris perasaannya.

Katanya lagi, dia tidak mahu melenting tidak tentu pasal berhubung isu itu kerana Syazwan tahu dan sedar bahawa ia tidak benar serta dirinya bukanlah seperti mana yang didakwa.

"Ya, saya akui gambar-gambar itu adalah milik saya. Apa yang membuatkan saya musykil apakah niat sebenar mereka yang telah menyebarkan gambar-gambar itu.

"Setahu saya, sepanjang saya dalam industri ini, belum pernah saya mencari musuh dan saya memang tidak mahu ada musuh. Saya berkawan dengan semua orang.

"Saya menganggap apa yang telah berlaku sebagai dugaan kecil buat saya sebagai pelakon baru. Saya cukup sedar untuk menjadi seorang artis, inilah perkara yang perlu saya hadapi apabila berada dalam industri ini," kata Syazwan yang mula menceburi bidang lakonan menerusi dua drama bersiri komedi, Terbelahak dan Siapa Kau di Astro Warna (saluran 132, Astro).

Mudah mesra

Jelas pelakon yang pernah membintangi drama bersiri Gemilang arahan Kabir Bhatia ini juga, memang sudah menjadi sifat semula jadinya yang mudah mesra dengan semua pihak.

Apatah lagi, kebanyakan teman-temannya adalah dari kaum Hawa yang dikenalinya sebelum dia menjadi seorang pelakon lagi.

"Apabila kami keluar bersama-sama, biasalah, nama pun kawan. Jadi, sudah pasti kami akan menjadi mesra dan rapat.

"Saya menganggap kawan-kawan saya sudah seperti adik-beradik saya sendiri. Apabila bergambar itu kemesraan tidak ubah seperti saudara kandung tetapi sudah pasti, saya tahu adab dan batasnya," ujar anak sulung daripada dua beradik ini memberikan justifikasi sambil mahu melupakan gosip liar itu.

Sekadar mengusik Syazwan, apakah dirinya kini masih solo atau sudah berpunya? Maklumlah, sudah menjadi orang terkenal, pasti akan ada ramai wanita yang mahu berpacaran dengannya.

Ketawa besar jejaka yang dilahirkan pada 20 Mei 1987 saat diajukan dengan pertanyaan itu sambil memberitahu dia masih bersendirian.

"Saya tidak mahu fikirkan soal kekasih buat masa ini. Biarlah saya menumpukan perhatian kepada karier dulu. Soal jodoh itu semua ketentuan Allah SWT. Hanya Dia sahaja yang tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

"Sesuatu yang pasti, kalau ditemukan dengan mana-mana wanita selepas ini, saya lebih selesa bersama wanita biasa saja. Entah mengapa, saya tidak nampak jodoh saya dengan golongan artis," ujar anak jati Kuala Lumpur ini tanpa selindung.

Terus cari peluang

Walaupun sudah menjadi pelakon yang dikenali ramai, namun bagi Syazwan, perjalanannya masih lagi jauh.

Tanpa segan silu, dia memberitahu bahawa dia begitu kepingin untuk bekerja dengan ramai pengarah serta penerbit handalan negara seperti Sheila Rusly dan suaminya, Jinggo serta Erma Fatima.

Apa yang membanggakan, untuk seorang pelakon baru sepertinya, dia sudah berpeluang membintangi tiga drama hebat terbitan Filmscape yang pasti merupakan impian ramai pelakon di luar sana.

Gemilang, Juvana dan terbaru, Soffiya membuktikan kesetiaan Syazwan dengan syarikat produksi yang cukup terkenal dengan kualiti penerbitannya.

Tanpa selindung juga, Syazwan akui dia cukup selesa dengan Filmscape kerana mereka telah membuka pintu rezeki yang lebih luas untuknya menjadi seorang pelakon.

"Sudah pasti, saya mahu terus bersama Filmscape kerana saya percaya dengan kemampuan mereka menghasilkan karya bermutu tinggi.

"Seandainya jodoh saya berkekalan, saya tidak akan bimbang dengan watak yang diberikan kepada saya kerana saya yakin ia akan dipelbagaikan dan tidak statik.

"Buktinya, drama Soffiya telah membuka mata penonton dan saya mendapat banyak maklum balas yang cukup positif. Ada di antara mereka yang tidak pernah menonton saya dalam Juvana sebelum ini.

"Sebagai seorang aktor baru, saya mahu terus memperbaiki diri saya dengan watak-watak yang lebih mencabar," ujar pemegang Diploma Pemasaran dan Multimedia dari Kolej Multimedia TM, Kuala Lumpur ini penuh optimis.

Harapan

Malah, Syazwan baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri 12 episod berjudul Maqam arahan Bade Azmi.

Diterbitkan oleh Pena Creative Pictures Sdn. Bhd., milik Ziela Jalil, drama yang akan ditayangkan di stesen TV AlHijrah itu turut dibintangi Razali Hussain, Lisdawati, Lydiawati dan Datuk Rahim Razali.

Pada bulan Ramadan dan Syawal lalu juga, dua telemovie lakonannya, Mengurai Rindu dan Syurga Bagiku telah ditayangkan dan mendapat respons yang memberangsangkan.

Jauh di sudut hati jejaka berkulit hitam manis ini, dia mengharapkan agar peminat dan penonton akan terus memberi ruang serta peluang untuknya meluaskan lagi bakat lakonannya.

"Saya tahu bukan mudah untuk mencipta nama sebagai seorang pelakon di negara ini dan atas alasan itu, saya memang mahu bekerja keras dalam memberikan hasil kerja yang terbaik.

"Saya cukup sedar jika bukan kerana Juvana, mungkin saya tidak akan dikenali seperti hari ini. Tetapi, sampai bila orang mahu mengenali saya hanya menerusi Juvana?

"Biarlah orang melihat saya sebagai seorang aktor versatil yang mampu membawakan pelbagai watak dan tidak terikat dengan satu-satu karakter sahaja," kata Syazwan yang juga membintangi drama bersiri Wasiat di Astro Prima (saluran 105, Astro) ini penuh bersungguh.

Golf antara aktiviti amal FFM24

Posted: 30 Oct 2011 07:01 PM PDT


Beberapa artis memukul melakukan putting sebagai tanda perasmian Kejohanan Golf Amal Selebriti 2011 di Tropicana Golf Country Resort, Petaling Jaya, baru-baru ini.


PELBAGAI cara digunakan oleh Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) bagi menarik perhatian masyarakat terhadap penganjuran Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 19 November ini.

Antaranya dengan menganjurkan Kejohanan Golf Amal Selebriti 2011 membabitkan golongan artis seperti penyanyi, pelakon, pemuzik dan pengarah filem serta peminat yang akan diadakan di Tropicana & Country Resorts, Petaling Jaya, Selangor pada 10 November ini.

Menurut Pengerusi Pengelola kejohanan itu, Wani Wendy Wong melalui syarikat miliknya dan Nancie Foo, Produksi Seni Dua Puluh Dua Puluh Sdn. Bhd., selain sebagai salah satu aktiviti bagi merancakkan penganjuran FFM24, ia juga bertujuan mengutip dana bagi tujuan kebajikan.

"Pada kejohanan itu, selain bertanding merebut hadiah utama sebuah kereta Audi A1 berharga RM180,000, para peserta juga boleh menderma ke tabung yang disediakan. Malah, bayaran penyertaan untuk satu flight atau kumpulan VIP dikenakan RM3,000.

"Sementara bagi satu kumpulan biasa pula bayaran penyertaan yang dikenakan ialah RM2,000. Setiap satu flight mempunyai empat anggota. Seramai 120 peserta dijangka akan menyertai kejohanan ini nanti," katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Sebahagian daripada hasil kutipan derma pada kejohanan golf yang julung-julung kalinya dianjurkan sempena ketibaan FFM itu akan disumbangkan kepada beberapa badan kebajikan termasuklah Pertubuhan Kebajikan Pesakit Austisme Malaysia.

Jelas Wani yang juga merupakan penerbit dan pelakon drama televisyen terkenal tanah air, kejohanan yang akan diadakan mulai pukul 7 pagi hingga 2 petang itu secara tidak langsung membuka peluang para peminat bermain golf bersama lebih 22 selebriti terbabit.

Antara selebriti yang sudah mengesahkan penyertaan mereka pada Kejohanan Golf Amal Selebriti 2011 ialah Datuk Ahmad Tamimi Saregar, Harun Salim Bachik dan Betty Banafe di mana menerusi kejohanan itu para peserta juga disediakan dengan banyak hadiah lumayan.

"Selain hadiah utama sebuah kereta Audi A1, para pemenang juga berpeluang memenangi pakej percutian ke Pulau Bali, Indonesia dan China selain produk-produk kecantikan yang nilaiannya mencecah sehingga RM2,000.

"Malah, kami juga akan mengadakan cabutan bertuah di mana para peserta akan membawa pulang 20 peratus daripada keseluruhan duit derma yang disumbangkan oleh para peserta pada kejohanan itu. 80 peratus daripada kutipan derma itu akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Gafim, Jurey Latiff Rosli berkata, penganjuran Kejohanan Golf Amal Selebriti 2011 itu diharap dapat menarik lebih banyak tumpuan di kalangan peminat filem tempatan selain pada masa sama membantu golongan artis yang kurang bernasib baik.

Pada masa sama katanya, penganjuran aktiviti seperti itu boleh memberikan kelainan dalam aktiviti FFM24 sebelum ia berlangsung serta menarik lebih banyak pihak terutamanya penaja bagi menyokong penganjuran festival filem berprestij itu.

"Kami sengaja memilih sukan golf kerana ramai artis Malaysia seperti Hattan misalnya, seorang pemain golf yang hebat. Selain Hattan, ramai artis kita yang boleh bermain golf kerana sukan ini tidak asing lagi kepada mereka sebagai aktiviti di masa lapang.

"Pada masa sama, ini adalah salah satu peluang untuk para peminat berjumpa, beramah mesra sambil bermain golf bersama-sama dalam satu kumpulan flight. Sambil bermain golf, mereka juga berpeluang memenangi hadiah lumayan sambil menderma," katanya.

Cabaran besar Remy, Jojo

Posted: 30 Oct 2011 07:00 PM PDT



TANGGAL 29 Februari adalah satu tarikh yang cukup unik memandangkan ia hanya akan muncul pada 'tahun lompat' iaitu 29 Februari hanya muncul setiap empat tahun sekali. Berdasarkan tarikh tersebut, ia telah memberikan idea kepada KRU Studio untuk menerbitkan sebuah filem bercorak cinta muzikal dengan menggunakan judul 29 Februari.

Ia merupakan filem kedua yang diarahkan oleh Edry selepas filem Magika pada tahun lalu.

Berbanding dengan filem sulungnya sebelum ini yang bercorak fantasi serta memaparkan kisah dongeng masyarakat Melayu, 29 Februari pula berkisar tentang kisah cinta dua insan yang berbeza latar belakang agama dan budaya.

Memfokus tentang seorang lelaki bernama Budi yang dilahirkan pada 29 Februari 1896 dan sepanjang kehidupannya dia telah melalui saat-saat penting dalam peristiwa yang berlaku dalam sejarah Malaysia.

Selain melalui kehidupan dalam pelbagai era, pada masa yang sama Budi juga telah jatuh cinta dengan seorang gadis berketurunan Cina iaitu Lily, namun cinta mereka mendapat halangan dari keluarga gadis berkenaan.

Pelakon utama 29 Februari, Remy Ishak yang memegang perananBudi memberitahu dia tertarik menerima lamaran Edry untuk berlakon dalam filem tersebut adalah disebabkan watak yang agak berlainan berbanding filem-filem lakonannya sebelum ini

Remy mengakui Budi adalah antara watak yang paling berat terpaksa dilakonkannya memandangkan dia perlu menukar perwatakan sebanyak tiga kali bagi mengikut kesesuaian zaman yang dilalui dalam filem tersebut.

"Memang ia adalah sebuah filem yang bercorak cinta, namun ia turut memaparkan kisah hidup yang dilalui oleh Budi yang hidup dengan usia lebih 100 tahun dan telah melalui kehidupan dalam zaman yang sering berubah-ubah.

"Misalnya, saya terpaksa membawa karakter yang berbeza ketika era 40-an, 50-an, 60-an dan sehinggalah pada tahun 2012. Walaupun watak yang saya bawakan ini agak mencabar, tetapi ia adalah satu watak yang sangat menarik," jelasnya ketika ditemui sewaktu sesi penggambaran filem berkenaan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur minggu lalu.

Selain itu, antara cabaran lain yang terpaksa ditempuhi olehnya apabila dia terpaksa menyanyi tiga buah lagu memandangkan 29 Februari adalah sebuah filem yang bercorak cinta muzikal.


REMY dan Jojo menggalas tanggungjawab untuk menghidupkan paparan realiti jalinan cinta antara dua insan berlainan adat dan agama menerusi filem 29 Februari.


Menurut Remy, dalam filem berkenaan dia terpaksa menyanyikan tiga buah lagu yang dihasilkan sepenuhnya oleh Edry iaitu Seperti Dulu, Jagalah Diri dan Kelip Kelip yang dinyanyikan secara duet bersama Jojo.

"Ini merupakan cubaan pertama saya untuk menyanyi dalam sesebuah filem. Saya akui ini juga sebenarnya adalah antara cabaran yang terpaksa ditempuhi kerana saya memang tidak pandai menyanyi," ujarnya.

Ditanya mengenai kerjasama sulung dengan Edry, aktor yang popular dengan drama bersiri Nur Kasih itu sangat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh pengarah tersebut ketika membawakan watak sebagai Budi.

Ujar Remy, meskipun dia sudah melakonkan pelbagai watak sepanjang karier lakonannya sama ada dalam drama atau filem, namun dia mengakui masih lagi memerlukan bantuan pengarah untuk membentuk karakter yang lebih berkesan.

"Sebelum ini saya sudah kerap berlakon di bawah pengarah yang biasa seperti Osman Ali dan Khabir Bhatia. Kali ini bekerjasama dengan Edry telah memberikan satu pengalaman yang cukup bermakna dalam karier saya sebagai pelakon," ujarnya.

Bagi Jojo Goh yang memegang watak Lily pula, dia tidak menyangka apabila menjadi pilihan Edry setelah pada mulanya merasakan dia tidak memiliki peluang yang cerah untuk membintangi filem tersebut.

Jelasnya, setelah menghadiri uji bakat yang pertama pada awal tahun, dia langsung tidak dihubungi oleh pihak KRU Studio. Sehinggalah pada bulan Julai yang lalu apabila dia diminta untuk menghadiri sekali lagi uji bakat dan terus terpilih.

"Selama ini saya kerap berlakon dalam drama serta telefilem Cina dan ini adalah kali pertama saya terbabit dalam pembikinan filem Melayu. Malah, saya rasa cukup bertuah apabila dapat bergandingan dengan pelakon yang hebat seperti Remy.

"Saya akui sebelum berlakon dalam filem ini saya memang langsung tidak mengenali dia. Sehinggakan saya terpaksa mencari maklumat tentang dirinya di dalam Internet, jelasnya.

Mengenai pengalaman berlakon bersama Remy, pelakon kelahiran Alor Star, Kedah itu menjelaskan tidaklah terlalu sukar untuk mencari keserasian di antara mereka berdua dan menyifatkannya sebagai seorang pelakon yang cukup profesional.

"Pada mulanya memang saya rasa agak kekok kerana tidak terlalu mengenali Remy. Bagaimanapun, rasa kekok itu akhirnya terus hilang setelah masing-masing menjadi semakin selesa untuk melakonkan babak-babak cinta," ujarnya.

Fasih

Memandangkan ini adalah pertama kali terbabit secara langsung dalam pembikinan filem Melayu, Jojo menyatakan penggunaan bahasa sememangnya adalah antara cabaran getir yang terpaksa ditempuhinya.


REMY dan Jojo mencipta sejarah sebagai hero dan heroin filem 3D pertama Malaysia.


Ujarnya, dalam filem berkenaan dia terpaksa bertutur dalam bahasa Melayu sebanyak 90 peratus dan pengarah sendiri telah memintanya untuk bertutur dengan fasih agar watak yang dibawakannya itu nampak lebih berkesan.

"Sebenarnya saya memang sudah fasih berbahasa Melayu memandangkan saya sendiri dibesarkan di persekitaran masyarakat Melayu. Cuma sudah tentu penggunaan bahasa di dalam filem agak berlainan dengan pertuturan seharian.

"Sehinggakan saya yang sebelum ini tidak pernah menonton drama atau telefilem Melayu terpaksa menontonnya untuk mengenal pasti sebutan yang lebih tepat. Kalau di lokasi penggambaran pula, saya akan bertutur dalam bahasa Melayu dengan semua orang," jelasnya.

Menurut Jojo, selepas selesai menjalani penggambaran filem tersebut, dia bersedia menerima tawaran untuk berlakon dalam drama dan filem Melayu dan berharap kehadirannya nanti akan diterima peminat seperti pelakon berketurunan Cina yang lain.

Tiz Zaqyah

Dan pada itu, Remy Ishak telah membuat pengakuan bahawa dia sememangnya kini sedang menjalin hubungan cinta dengan aktres Tiz Zaqyah.

Menurut Remy, dia tidak bermaksud untuk menyembunyikan hubungannya dengan aktres berkenaan selama ini kerana merasakan percintaan mereka masih lagi peringkat yang terlalu awal.

"Memang saya mengaku sekarang ini sedang bercinta dengan Tiz dan dia adalah satu-satunya wanita yang bertakhta di hati saya. Namun, kami ambil keputusan untuk tidak menggembar-gemburkan tentang hubungan kami kepada peminat," luahnya.

"Lagipun saya sendiri masih tidak tahu sejauh mana perhubungan kami berdua dan saya risau kalau hubungan percintaan kami ini terlalu diperbesarkan akhirnya tidak menjadi kenyataan," jelasnya.

Menurut Remy, buat masa ini mereka masih dalam proses saling mengenali hati budi masing-masing dan belum lagi membuat perancangan untuk mendirikan rumah tangga memandangkan kedua-duanya sibuk dengan jadual lakonan yang padat.

Alyah selamat dibedah

Posted: 30 Oct 2011 06:58 PM PDT


ALYAH muntah-muntah sebelum dikejarkanke hospital.


BERMULA dengan muntah-muntah dan tubuhnya dirasakan tidak selesa, Alyah akhirnya mendapat tahu dia sebenarnya mempunyai masalah kesihatan di tahap serius sehingga memerlukan dirinya dibedah! Kata Alyah, pembedahan segera terpaksa dilakukan setelah dia mengalami sakit perut luar biasa dan badannya sangat lemah.

"Selepas mengalami muntah-muntah, badan rasa sangat tidak selesa, saya dihantar ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Ketika itu Tuhan saja yang tahu betapa sakitnya, hidung dan mulut saya keluar air tanpa henti, bila doktor tekan bahagian perut, sakit yang teramat!" katanya ketika ditemui semasa sesi penggambaran klip video lagu Boomerang bersama kumpulan Chocolate di Roller Sports World, Sungai Wang Plaza, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Alyah atau nama sebenarnya Norhasliah Abu Hasan yang dikejarkan ke sebuah hospital pakar di Damansara menambah, selepas diperiksa oleh doktor yang merawatnya, dia terpaksa dibedah dengan segera ekoran apendiks di dalam perutnya sudah pecah.

Dalam pada itu katanya, kesan daripada umbai pada usus sebelah kanan itu telah pecah, ia juga telah merebak dan menyebabkan beberapa telur ovarinya menerima jangkitan.

"Oleh sebab itu, saya terpaksa menjalani dua kali pembedahan, pertama sekali pembedahan apendiks dan yang kedua pembedahan membersihkan jangkitan pada bahagian ovari," ujar bintang kelahiran rancangan Hiburan Minggu Ini tahun 2000 itu lagi.

Disebabkan kesakitan yang dialaminya, Alyah terpaksa menolak beberapa undangan menyanyi berikutan kebimbangannya beraksi di depan orang ramai.

"Saya tidak mahu mengecewakan peminat dengan memberikan persembahan yang sambil lewa dan main-main, lebih baik saya tolak pelawaan menyanyi kerana saya yakin tidak mampu menyanyi dengan sempurna daripada menghampakan mereka," ujar ibu pelantun lagu Kisah Hati yang kini baru pulih selepas menjalani pembedahan apendiks tersebut dua minggu lepas.

Selepas pembedahan, Alyah bagaimanapun tetap bertegas untuk meneruskan semula aktiviti nyanyiannya biarpun kadang-kala masih terasa ngilu di bahagian perut.


ALYAH baru selesai menjalani penggambaran klip video bersama kumpulan Chocolate untuk lagu Boomerang.


"Sampai hari ini saya masih lagi mengambil ubat-ubatan tahan sakit yang diberikan doktor, tapi saya tidak boleh membatalkan semua janji temu dan aktiviti yang awal-awal telah saya rancangkan," tekad Alyah berbicara.

Atas alasan itu juga, Alyah sentiasa menghadiri sesi perbincangan mahupun latihan bersama kumpulan Chocolate di bawah syarikatnya, Like Music Entertainment juga sepanjang pembikinan klip video itu.

Menerusi single pertama kumpulan Chocolate, Alyah diundang sebagai penyanyi jemputan menerusi lagu berjudul Boomerang.

Lagu yang berkonsepkan pop retro itu digubah oleh komposer terkenal Audi Mok dan Omar K manakala lirik pula ditulis oleh Ad Samad.

Kisah hati

Sementara itu, Alyah turut ditebak dengan ramalan ramai mengenai lagu ciptaan sepenuhnya Manusia Putih yang dikatakan berhantu dan telah terpilih ke peringkat semi final Muzik-Muzik 26, malah lagu itu juga dikatakan bakal layak sekali gus ke peringkat akhir.

Dalam pada itu, ujarnya video klip single Kisah Hati kini mencapai antara penonton paling ramai di laman YouTube dan hal ini sama sekali di luar jangkaannya.

"Saya baru dapat panggilan yang menyatakan video klip Kisah Hati mendapat jumlah penonton paling ramai di YouTube.

"Tiada apa yang lainnya dalam klip video itu, mungkin orang ramai boleh lihat kesungguhan saya memberikan yang terbaik dalam setiap shot sekali gus menzahirkan jiwa saya dalam lagu, itu yang menarik minat penonton dan peminat.

Tambahnya: "Syukur Alhamdulillah saya dapat masuk ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 26 dan persiapan saya lebih kepada menjaga kesihatan, harap dapat stabilkan diri saya menjelang tarikh pertandingan.

"Rezeki di tangan Tuhan, kalau dapat ke final juga syukur Alhamdulillah" getusnya yang bakal berentap pada 18 November ini bersama 29 buah lagu lain untuk layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 26.

Battle BEST of the Band jadi penanda aras

Posted: 30 Oct 2011 06:56 PM PDT


SEBAHAGIAN peserta yang menyertai pertandingan Battle BEST of the Band pada Karnival BEST di Laman 1Malaysia, Presint 2, Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Pertandingan Battle BEST of the Band sempena Karnival Buat Elok Saja Tau (BEST) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini akan menjadi penanda aras bagi pertandingan serupa pada masa hadapan memandangkan syarat pertandingan yang digunakan tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Pegawai Hubungan Korporat dan Komunikasi Nasyeed Edutainment Sdn. Bhd., Muhamad Razin Che Mud berkata, antara syarat yang diwajibkan kepada peserta seperti penggunaan lirik yang berunsurkan ketuhanan mampu mengelakkan remaja terjebak dengan aktiviti melalaikan.

Dia yang juga penyanyi kumpulan nasyid Mestica itu berkata, syarat berkenaan juga amat bersesuaian dengan karnival ini yang mengutarakan penggunaan garis panduan hiburan berlandaskan syariat Islam.

"Alhamdullillah, peserta pertandingan ini tidak mempunyai masalah untuk mengikuti syarat-syarat yang diwajibkan kepada mereka dan ini membuktikan garis panduan itu tidak bermasalah untuk diikuti.

Jakim jadikan Karnival BEST acara tahunan

Posted: 30 Oct 2011 06:55 PM PDT




PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjadikan Karnival Buat Elok Saja Tau (BEST) sebagai aktiviti tahunan selepas mendapat reaksi positif daripada pengunjung sepanjang tiga hari karnival itu berlangsung.

Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Insan Jakim, Razali Shahabudin berkata, penganjuran karnival tersebut berjaya mencapai objektifnya untuk mendidik masyarakat mengenai garis panduan berhibur mengikut syariat Islam.

Menurutnya, Jakim bernasib baik kerana mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat menjayakan karnival yang bermula pada Jumaat lalu dan berakhir semalam.

"Memandangkan penganjuran karnival ini julung-julung kali diadakan Jakim, tidak dinafikan wujud kekangan yang tidak dapat dielakkan tetapi kami bernasib baik kerana orang ramai tetap memberi sokongan dengan berpusu-pusu datang ke tapak karnival.

"Jika tiada halangan, kami akan menjalinkan kerjasama dengan jabatan agama di setiap negeri kerana kami akanmenjayakan karnival ini di seluruh negara dan tidak hanya tertumpu di sini sahaja," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

50 buah kereta klasik, vintaj sertai konvoi

Posted: 30 Oct 2011 06:52 PM PDT


SUNGHWAN DO (kiri) melakukan pelepasan konvoi RMVCCC ke Istana Besar Seri Menanti yang diketuai oleh Tuanku Mukhriz di Tesco Extra Seberang Jaya, Seremban semalam.


MERIAH. Sebanyak 50 buah kereta klasik dan vintaj dari Kelab Kereta Vintaj dan Klasik Diraja Malaysia (RMVCCC) menyertai program konvoi RMVCCC ke Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah, Negeri Sembilan semalam.

Konvoi yang bermula dari Tesco Extra Seberang Jaya, Seremban itu diketuai oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Almarhum Tuanku Munawir bersama Presiden RMVCCC, Tuanku Datuk Seri Adnan Tengku Besar Burhanuddin.

Turut serta dalam aktiviti berkonvoi itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Sunghwan Do bersama Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Hal Ehwal Korporat Tesco Malaysia, Azlam Shah Alias.

Aktiviti berkonvoi yang diadakan dengan kerjasama Tesco itu sebagai satu langkah untuk peserta saling mengeratkan lagi hubungan sesama mereka.eri Menanti di Kuala Pilah, Negeri Sembilan semalam.Konvoi yang bermula dari Tesco Extra Seberang Jaya, Seremban itu diketuai oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Almarhum Tuanku Munawir bersama Presiden RMVCCC, Tuanku Datuk Seri Adnan Tengku Besar Burhanuddin. Turut serta dalam aktiviti berkonvoi itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Sunghwan Do bersama Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Hal Ehwal Korporat Tesco Malaysia, Azlam Shah Alias.Aktiviti berkonvoi yang diadakan dengan kerjasama Tesco itu sebagai satu langkah untuk peserta saling mengeratkan lagi hubungan sesama mereka.

Pembunuh upahan mengaku sudah insaf

Posted: 30 Oct 2011 06:51 PM PDT


SURESH (kanan) menyuap makanan kepada ibunya pada majlis pertemuan banduan dan keluarga sempena Deepavali di Penjara Pokok Sena, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – "Saya sudah insaf kerana bagi saya, kasih sayang ibu dan keluarga yang paling bernilai dan saya sanggup kehilangan wang ringgit jika diminta pilih keluarga."

Demikian pengakuan seorang banduan yang pernah menjadi pembunuh upahan dan menyebabkan kematian seorang lelaki di Pahang empat tahun lalu dengan diberi upah lebih RM200,000.

Dia yang mahu dikenali sebagai Suresh memberitahu, kehidupan di penjara banyak memberi pengajaran kepadanya dan apa yang dimahukannya sekarang adalah kemaafan daripada ahli keluarga.

"Di penjara, saya rindukan kasih sayang keluarga dan saya harap mereka memaafkan perbuatan saya kerana setiap manusia ada buat kesilapan," ujarnya yang memiliki ijazah pereka gaya rambut dari sebuah kolej swasta.

Suresh ditemui pada majlis pertemuan antara 13 banduan beragama Hindu dengan keluarga masing-masing sempena Deepavali di Penjara Pokok Sena di sini semalam.

Dia terpaksa meringkuk di penjara selama 10 tahun atas kesalahan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian seorang lelaki di Pahang empat tahun lalu.

Cubaan lari dari sekatan gagal

Posted: 30 Oct 2011 06:50 PM PDT


SEORANG penunggang motosikal yang ditahan ketika cuba melarikan diri.


KUALA LUMPUR – Cubaan seorang penunggang motosikal untuk melarikan diri dari sekatan jalan raya gagal apabila dia ditahan dalam satu operasi bersepadu di sekitar Dataran Merdeka di sini semalam.

Lelaki berusia 20 tahun itu sempat mengangkat sebelah tangannya kepada pihak berkuasa yang bertugas sebelum bertindak memecut sejauh 500 meter dari lokasi operasi dijalankan.

Bagaimanapun, dua anggota polis yang menyedari kejadian itu bertindak mengejar lelaki berkenaan sebelum menahannya kira-kira 10 minit selepas itu.

Dalam operasi yang diadakan selama empat jam bermula pada pukul 11.30 malam itu juga menyaksikan pelbagai aksi berbahaya beberapa penunggang motosikal dan pemandu kereta yang memecut bagi melarikan diri daripada pemeriksaan pihak berkuasa.

Pegawai Turus dan Operasi Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Ng Fook Long berkata, dalam operasi itu, sebanyak 130 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal dan pemandu yang didapati melakukan pelbagai kesalahan.

Nona detik permulaan jadi pengacara

Posted: 30 Oct 2011 06:49 PM PDT


Neelofa


KUALA LUMPUR – Pelakon jelita, Neelofa Mohd. Noor, 23, yang dipilih untuk menjadi hos program Nona terbitan TV3 tahun hadapan mahu menjadikan rancangan itu sebagai detik permulaan untuk beliau mengembangkan bakat dan peluang dalam bidang pengacaraan.

Anak ketiga daripada sembilan beradik yang lebih disenangi dengan panggilan Love itu memberitahu, beliau sungguh terkejut apabila ditawarkan oleh pihak TV3 untuk menjadi pengacara dalam rancangan popular seperti Nona.

Katanya, dia tidak menyangka akan terpilih memandangkan dirinya masih baharu dalam persada hiburan tanah air.

"Saya mendapat tawaran ini bulan lepas dengan misi menyuntik pembaharuan dalam Nona agar ia lebih segar.

"Bagi saya, ini peluang keemasan yang sukar dirasai oleh ramai orang dan saya menyatakan komitmen untuk melakukan yang terbaik," katanya ketika dihubungi malam kelmarin.

Sasaran 1,000 premis tercapai

Posted: 30 Oct 2011 06:40 PM PDT


LEBIH ramai orang dapat menikmati sajian serendah RM2 apabila kedai menu rakyat 1Malaysia diperluaskan ke seluruh negara. – Gambar hiasan


BERA – Usaha meringankan beban rakyat dengan mewujudkan 1,000 Kedai Menu 1Malaysia (KM1M) sehingga hujung tahun ini sudah mencapai sasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 1,050 buah kedai telah terlibat dalam program KM1M sehingga kini.

"Kita bukan sahaja sudah melepasi sasaran itu (1,000 premis), malah sambutan daripada para peniaga juga menggalakkan.

"Sehingga bulan ini, terdapat 1,050 kedai menyertai kempen KM1M dan kita menjangkakan jumlah berkenaan meningkat kepada 1,200 kedai pada hujung tahun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan majlis penubuhan Kawasan Rukun Tetangga Felda Rentam dekat sini semalam.

Program yang bermula Julai lalu itu membolehkan rakyat menikmati sarapan pada harga siling RM2 dan set juadah tengah hari berharga RM4 di premis-premis yang menyertai KM1M.

Ismail Sabri berpuas hati dengan sokongan yang diberikan para peniaga dalam usaha membantu kerajaan meringankan beban rakyat.

Trofi Piala Malaysia diarak

Posted: 30 Oct 2011 06:39 PM PDT


MOHAMAD (tengah) memegang trofi Piala Malaysia bersama pemain dan penyokong setia Negeri Sembilan di Seremban semalam.


SELEPAS berjaya menjulang trofi Piala Malaysia buat kali ketiga, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) merancang satu sambutan besar-besaran bagi meraikan kepulangan piala berprestij itu di bumi Adat Perpatih.

Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kejayaan tersebut cukup bermakna dan beliau mahu selu- ruh rakyat negeri itu tidak ketinggalan menyaksikan piala tersebut secara lebih dekat.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan memberitahu bahawa pihak PBNS merancang untuk meng- arak piala paling berprestij di Malaysia itu di setiap daerah di negeri ini.

"Kejayaan ini merupakan suatu kebanggaan untuk Negeri Sembilan dan saya mahu seluruh rakyat berpeluang menyak- sikan piala tersebut dari dekat dan seterusnya beramah mesra dengan para pemain yang ber- juang berhabis-habisan di tengah padang.

"Sambutan berkenaan akan dibuat dalam tempoh terdekat dan kita sedang merancang kaedah serta sambutan yang bakal dilakukan nanti," katanya di Seremban semalam.

Mohamad berkata demikian dalam satu majlis meraikan kepulangan para pemain dan pegawai skuad Hoben Jang Hoben di Wisma PB- NS.

Katanya, pihak PBNS akan berbincang berhubung bentuk habuan atau ganjaran yang akan diberikan kepada skuad negeri itu yang berjaya membawa pulang Piala Malaysia untuk kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

"Kita akan membuat perbincangan terlebih dahulu dan buat masa ini kita belum putuskan bentuk ganjaran yang akan diberikan," jelasnya.

Sementara itu, jurulatih Negeri Sembilan, Mohd. Azraai Khor Abdullah merakamkan ucapan terima kasih kepada Mohamad kerana memberi kepercayaan kepada beliau.

"Tanpa sokongan dan kepercayaan yang diletakkan oleh beliau (Mohamad), sudah tentu pasukan ini tidak dapat pergi jauh dan mendakap Piala Malay- sia.

"Pujian juga harus diberikan kepada pemain yang menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun dalam perlawanan akhir itu kita ke- tinggalan 1-0," jelasnya.

Mohd. Azraai juga memuji kesetiaan para pe- minat yang tetap memberi sokongan tidak ber- belah bahagi walaupun pada awal musim pasu- kan itu kelihatan seperti hilang sengat.

Sharbinee akui lakukan kesilapan

Posted: 30 Oct 2011 06:33 PM PDT

SHARBINEE (kiri) cuba menghalang rembatan Hairuddin Omar pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam kelmarin. Terengganu tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan.


SEPERTI mahu bertanggungjawab di atas kegagalan Terengganu menjuarai Piala Malaysia, penjaga gol, Sharbinee Alawee Ramli secara terbuka mengakui kesilapan pada perlawanan akhir kelmarin.

Sambil menjelaskan kesilapan tersebut tidak disengajakan, penjaga gol kebangsaan itu turut meminta maaf kepada semua rakan serta penyokong di atas apa yang telah berlaku.

Pada aksi di Stadium Shah Alam itu, Sharbinee yang memiliki pengalaman luas beraksi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa telah melakukan kesilapan apabila gagal menangkap kemas hantaran silang pemain Negeri Sembilan, S. Kunanlan pada minit ke-81.

Gol penyamaan itu telah mencetuskan kebangkitan para pemain Negeri Sembilan yang akhirnya berjaya mendapatkan gol kemenangan menerusi Hairuddin Omar pada minit ke-86 untuk muncul juara Piala Malaysia edisi 2011.

"Perlawanan akhir memang sengit dan apa sahaja boleh berlaku. Lagipun, sukar untuk saya kata- kan apa sebenarnya yang berlaku. Saya hanya boleh katakan yang saya tidak bernasib baik dan ia mungkin bukan hari saya.

"Saya juga tahu ramai orang di luar sana yang membenci saya kerana kesilapan itu. Justeru, saya ingin meminta maaf kepada semua rakyat Terengganu yang mengharapkan kami membawa pulang trofi ini.

"Kami telah melakukan yang terbaik dan tahun ini mungkin bukan rezeki kami," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengga- nu semalam.

Mengulas lanjut mengenai kesi- lapan itu, Sharbinee yang dianggap penjaga gol No. 2 negara sele- pas Khairul Fahmi Che Mat menjelaskan, faktor padang bukanlah punca utama.

Sebaliknya dia mendedahkan, tempoh perlawanan yang cukup genting memberi sedikit tekanan kepadanya sehingga gagal beraksi dengan baik.

"Saya mungkin telah membuat keputusan yang silap sehingga menyebabkan jaringan itu dan ia sesuatu yang sukar untuk saya terima.

"Namun, saya akan jadikan kesilapan ini sebagai satu lagi pengalaman untuk menjadi lebih matang dan lebih berhati-hati pa- da perlawanan akan datang.

"Saya cuma berharap agar para penyokong Terengganu terus berada di belakang pasukan ini dalam misi memburu kejuaraan pada musim depan," katanya lagi.

Untuk rekod, kekalahan 1-2 Terengganu kepada Negeri Sembilan kelmarin meneruskan kemarau kejuaraan buat skuad Penyu itu selepas kali terakhir muncul juara Piala Malaysia sepuluh tahun lalu.

Satu-satunya kejuaraan yang dimenangi skuad kendalian Irfan Bakti itu adalah dengan muncul juara Piala FA selain menduduki tangga kedua dalam persaingan Liga Super.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Label

Senarai Lagu